Pulau Pinang · 24 November 2023

15th Assembly, 1st session, 2nd meeting · 25 turns · 10,193 words · official PDF ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalPenang publishes one PDF per sitting day with an attendance list, so each sitting shows who was absent. Speakers are matched by our parser and will have some errors.

(Pembukaan)

Setiausaha Dewan

Ahli-ahli Yang Berhormat, Yang Berhormat Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri. Ahli-ahli Yang Berhormat, bacaan doa.

Timbalan Setiausaha Dewan

“Bacaan Doa”

Yang di-Pertua (Speaker)

Ahli-ahli Yang Berhormat dewan bersidang semula, sila.

Y.A.B. Ketua Menteri:

Dato’ Yang di-Pertua, selaras dengan Peraturan 34(8) - Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang usul tanpa pemberitahuan, saya ingin mengusulkan kepada Dewan, bahawa Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang menyatakan solidariti untuk rakyat Palestin atas kekejaman dan kezaliman zionis Israel, sekian.

Yang di-Pertua (Speaker)

Ahli-ahli Yang Berhormat, memandang ini adalah satu usul tanpa pemberitahuan maka mengikut peraturan mesyuarat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, saya memerlukan sekurang-kurangnya 10 orang penyokong untuk berdiri di tempat masing-masing. Terima kasih, sila duduk. Usul pun telah mendapat sokongan, okey saya persilakan jika Yang Amat Berhormat ingin memberi sedikit ucapan.

Y.A.B. Ketua Menteri:

Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua dan terima kasih kepada Ahli-ahli Yang Berhormat kerana telah memberi sokongan supaya usul ini dapat dibawa ke dalam Dewan Undangan Negeri. Saya tidak bercadang menambah memandangkan Tuan Yang Terutama Tun dalam ucapan perasmian telah mewakili pendirian Kerajaan Negeri atas isu yang kita semua prihatin dan tambahan pula ramai di antara Ahli-ahli Yang Berhormat juga telah mengambil bahagian dalam sesi perbahasan dan jawapan daripada Ahli-ahli EXCO Kerajaan Negeri juga menunjukkan pendirian yang tegas dan jelas pihak Kerajaan Negeri dan Dewan Undangan Negeri ini terhadap kekejaman dan kezaliman yang dilakukan atas Palestin dan rakyatnya dan oleh itu, saya menyeru Dewan yang mulia ini menunjukkan solidariti dan menyokong usul yang akan dipertimbangkan nanti. Sekian, terima kasih.

Yang di-Pertua (Speaker)

Terima kasih seperti mana yang telah pun disampaikan oleh Yang Amat Berhormat dan saya nak menguruskan usul ini tanpa perlu lagi kita membuat perbahasan maka Ahli-ahli Yang Berhormat, masalah yang kita hadapi sekarang adalah usul yang dibawa oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri iaitu bahawanya Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang menyatakan solidariti untuk rakyat Palestin atas kekejaman dan kezaliman zionis Israel dipersetujui. Ahli-ahli Yang Berhormat yang bersetuju katakan “Ya”,

Yang di-Pertua (Speaker)

Adakah bantahan? Maka usul dipersetujui sebulat suara. Ahli-ahli Yang Berhormat sebelum kita meneruskan agenda mesyuarat hari ini, saya selaku Yang di-Pertua Dewan Undangan ingin mengusulkan kepada Dewan yang mulia ini bukan Palestin lagi lah. Selaras dengan Perkara 15(3) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang bahawanya aturan urusan mesyuarat dipinda supaya Dewan boleh diteruskan dengan Agenda Pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan Tahun 2024 bacaan bagi kali yang kedua dan Usul Anggaran Pembangunan Tahun 2024. Ini mengambil kira masa yang terhad bagi sesi pada pagi hari Jumaat dan keutamaan diberikan kepada Pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan Tahun 2024 dan Usul Anggaran Pembangunan Tahun 2024 agar Yang Amat Berhormat Ketua Menteri boleh membentangkannya perkara yang berkaitan dengan keadaan yang teratur dengan peruntukan masa yang secukupnya. Oleh yang demikian, sesi soalan lisan akan disambungkan semula pada hari mesyuarat yang seterusnya. Maka Ahli-ahli Yang Berhormat saya memohon persetujuan Dewan, Ahli-ahli yang bersetuju katakan “Ya”.

Ahli-ahli Dewan: “Ya”.

Yang di-Pertua (Speaker)

Yang tidak bersetuju katakan “Tidak”. Kita terima usul ini, sila.

Setiausaha Dewan

6. Rang Undang-Undang Perbekalan Tahun 2024 bacaan bagi kali yang kedua.

Yang di-Pertua (Speaker)

Sila Yang Amat Berhormat.

Y.A.B. Ketua Menteri:

Selamat pagi Dato’ Yang di-Pertua, Salam Sejahtera Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani kepada Dewan yang mulia ini. Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-Undang yang bertajuk satu enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada KumpulanWang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2024 dan bagi memperuntukkan jumlah wang tersebut untuk tahun 2024 dibaca bagi kali kedua sekarang.

Yang di-Pertua (Speaker)

Sila.

Y.A.B. Ketua Menteri:

Saya merasa bersyukur atas peluang yang diberikan untuk terus memimpin negeri tercinta ini dan sekali lagi membentangkan Belanjawan Negeri Pulau Pinang di dewan yang mulia pada hari ini. Saya juga ingin menzahirkan penghargaan kepada Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri atas kepercayaan melantik saya semula sebagai Ketua Menteri selaras dengan Perkara 7(2) (a) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang bersama-sama barisan kepimpinan baharu selepas pilihanraya Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang ke 15. Sesungguhnya amanat dan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat Pulau Pinang kepada pentadbiran ini sejak tahun 2008 akan terus dipikul dengan penuh tanggungjawab berinspirasikan Visi Penang2030 Negeri Pintar dan Hijau, berteraskan Keluarga Inspirasi Negara demi kemakmuran bersama.

Perihal Ekonomi Negeri. Dato’ Yang di-Pertua. Pada tahun 2022, KDNK Negeri Pulau Pinang bukan sahaja berkembang melebihi pertumbuhan KDNK Kebangsaan malah mengatasi KDNK negeri-negeri lain dalam Malaysia. Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia atau MIDA melaporkan ekonomi Pulau Pinang bertumbuh sebanyak 13.1% pada tahun 2022 berbanding 6.9% pada tahun sebelumnya dengan nilai KDNK sebanyak RM112.1 bilion ringgit. Seperti lazimnya sektor pembuatan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang tertinggi dan mencatatkan peningkatan pada tahun 2022 pada kadar 15.9% berbanding tahun sebelumnya sebanyak 12.4%, jumlah pelaburan ini didorong oleh pertumbuhan positif industri elektronik dan elektrik (E&E), jentera dan peralatan (MME), saintifik dan perubatan serta peralatan industri yang menyumbang sebanyak 85% dari jumlah keseluruhan pelaburan pembuatan yang diluluskan untuk negeri ini bagi tahun itu atau bersamaan 27% daripada pelaburan Malaysia bagi sektor-sektor tersebut. Pulau Pinang terus berada pada landasan yang kukuh apabila berjaya menarik kemasukan pelaburan baharu berimpak tinggi sepanjang tahun lalu di sebalik ketidaktentuan ekonomi global.

Sektor perkhidmatan merekodkan peningkatan sebanyak RM5.3 bilion ringgit dengan jumlah RM52.4 bilion ringgit berbanding tahun 2021 sebanyak RM47.1 bilion ringgit sekaligus mempamerkan pertumbuhan memberangsangkan pada kadar 11.3%. Faktor-faktor yang mendorong perkembangan positif sektor ini adalah lonjakan dalam subsektor perdagangan borong dan runcit, makanan & minuman dan penginapan serta utiliti, pengangkutan, maklumat dan komunikasi. Seterusnya aktiviti pelancongan turut memberikan sumbangan terbesar kepada sektor perkhidmatan apabila jumlah penumpang antarabangsa yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang meningkat seramai 629 476 orang pada tahun 2022 yang mana kebanyakan pelancong adalah dari negara Asia Tenggara. Jumlah tetamu hotel daripada pelancong asing pada tahun ini turut melonjak kepada seramai 5.58 juta orang berbanding 1.32 juta orang pada tahun 2021.

Sektor pembinaan juga meningkat pada kadar 7.9% dengan nilai ditambah berjumlah RM2.7 bilion ringgit. Prestasi ini dipengaruhi oleh pertumbuhan nilai kerja binaan dalam subsektor pembinaan bangunan. Kerajaan Negeri juga telah menerima kelulusan peruntukan dana daripada Bank Dunia untuk melaksanakan projek seperti Urban Greening bagi pembinaan pocket park. Dana tersebut juga digunakan untuk projek Storm Management bagi pembinaan blue-green corridor, upstream retantion ponds dan infiltration wells.

Seterusnya prestasi sektor pertanian bertumbuh 3.4% dengan nilai tambah RM2.1 bilion ringgit. Pertumbuhan ini disokong oleh peningkatan dalam pengeluaran subsektor perikanan terutamanya dalam aktiviti aqua culture. Bagi memastikan sektor ini kekal berdaya tahan, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif dengan melaksanakan Program Smart Sawah Berskala Besar dikelolakan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk meningkatkan produktiviti hasil pengeluaran padi dan pendapatan pesawah. Dalam pada itu sejumlah RM6.3 juta ringgit telah diperuntukkan bagi tujuan membangunkan serta menaiktaraf teknologi pertanian di Pulau Pinang melibatkan pelbagai projek. Yang Berhormat Pantai Jerejak telah mengongsikan berita yang memberangsangkan untuk 6 tahun berturut-turut You Padi kita adalah paling tinggi di negara Malaysia.

Sektor perlombongan dan pengkuarian di Pulau Pinang memulih 7.9% dengan nilai ditambah RM140.2 juta ringgit berbanding RM130 juta ringgit pada tahun 2021. Sektor ini menyumbang 0.1% kepada KDNK Pulau Pinang, prestasi tersebut didorong oleh peningkatan dalam aktiviti pengkuarian granite dan pemecahan batu. Selain itu, aktiviti pengkuarian pasir dan batu kapur juga menyumbang kepada prestasi keseluruhan sektor ini walaupun menyumbang 0.1% kepada KDNK ianya adalah amat penting untuk industri pembinaan dan pembinaan kemudahan asas.

Dari segi perdagangan antarabangsa, seperti nyata oleh Yang Berhormat Bertam, Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama Malaysia. Sehingga September 2023, Pulau Pinang menyumbang 34.6% daripada jumlah eksport negara dengan Penang International Airport menjadi saluran eksport terbesar di Malaysia.

Disamping itu nisbah perdagangan kepada KPDNK Pulau Pinang turut berkembang menunjukkan keterbukaan negeri kepada perdagangan antarabangsa dan mendapat manafaat daripada ketengangan perdagangan Amerika Syarikat dan Republik rakyat China. Dari segi produk, jentera dan kelengkapan pengangkutan adalah antara produk pengeksport teratas. Ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh industri sederhana dan berteknologi tinggi seperti automasi, aeroangkasa serta perkhidmatan pembuatan elektronik.

Strategi Kerajaan Negeri Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Dewan secara inklusif Visi Penang2030 sudah lima tahun dilancarkan dan kini mencatatkan pencapaian sebanyak 47 peratus yang mana telah merekodkan kejayaan pelaksanaan sebanyak 210 projek dan program sepanjang tempoh tersebut. Malah selain memperjuangkan tadbir urus berintegriti, kebajikan rakyat kelengkapan infrastruktur dan pembentukkan rangkaian ekosistem yang sempurna, negeri ini terus memfokuskan kepada bidang teknologi pendigitalan dan inisiatif smart city yang berlandaskan kepada pembangunan modal insan dalam menjadikan negeri ini terus cemerlang dan gemilang dari segenap sudut. Kerajaan Negeri kini bersedia dan sedang berusaha memperkasakan pembangunan serta pencapaian negeri menerusi lapan bidang keutamaan yang bakal diberikan perhatian dalam tempoh lima tahun akan datang iaitu satu peluang pekerjaan, dua pembangunan jaringan ekosistem, tiga ketersambungan jaringan pengangkutan dan penambahbaikan aliran trafik, keempat strategi mengatasi isu perubahan iklim, kelima pembekalan air, keenam pembangunan komuniti termasuk belia wanita serta warga emas, ketujuh peralihan tenaga boleh baharu atau energy transition dan kelapan sumber pendapatan baharu.

Sejajar dengan gelaran Lembah Silikon Timur atau Silicon Valley of the East Kerajaan Negeri akan terus memperhebatkan ekosistem kursusnya dalam sektor pembuatan E and E, Integrated Circuit Design, teknologi perubatan, Digital District dan ekonomi baharu. Kerancakan sektor ini akan terus diperhebatkan dengan projek Silicion Island, Penang South Island yang akan memainkan peranan penting dalam perkembangan sektor E dan E di negeri ini dan terus diperkukuhkan dengan pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang atau PTMP dengan memfokuskan projek Transit Aliran Ringan LRT Bayan Lepas dengan menambah baik aliran trafik melalui inisiatif-inisiatif mobiliti pengangkutan awam di negeri ini. Kerajaan Negeri juga menyahut seruan dan harapan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri untuk berusaha dalam mendapatkan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan bagi membina sebuah Lebuhraya bertingkat atau Juru Sungai Dua Expressway.

Secara keseluruhannya Kerajaan Negeri komited untuk menyediakan kemudahan dan infrastruktur yang terbaik selari dengan kepesatan pembangunan yang berterusan di negeri ini. Kerajaan Negeri juga akan terus berusaha keras bagi mencari alternatif lain agar infrastruktur yang akan dibina adalah yang terbaik dan usahan ini dilakukan secara berterusan dan berperingkat demi menjamin keselamatan dan keselesaan rakyat negeri kita.

Selanjutnya Kerajaan Negeri akan terus mengambil pendekatan proaktif dalam mengatasi isu perubahan iklim menerusi projek-projek tebatan banjir, projek bandar rendah karbon dan penyediaan kemudahan seperti stesen-stesen pengecas kenderaan elektrik atau EV serta perlaksanaan Pelan Kontingensi Air 2030 menerusi Projek Air Perak dan Pulau Pinang. Pada 12 haribulan Jun tahun ini, Kerajaan Negeri telah melancarkan Penang Strategy for Economic Ecosystem Development atau Penang SEED Penang SEED iaitu sebuah garis panduan dalam perancangan pembangunan ekonomi dalam tempoh lima tahun yang menyasarkan pencapaian dinamik, kesaksamaan, prospek kerjaya berkualiti dan pengekalan kesejahteraan selaras dengan Visi Penang2030.

Menerusi Penang Seed juga jangkaan pertumbuhan trajetori semasa iaitu sebanyak 3.5 peratus bakal dikekalkan pada setiap tahun dari tempoh tahun 2023 hingga 2028. Malah garis panduan ini turut menjangkakan pencapaian pertumbuhan tahunan sehingga 5.8 peratus yang menarik lebih RM10,000.00 bilion ringgit pelaburan pembuatan dengan pasaran pekerjaan dijangka berkembang sebanyak 1.4 peratus dalam tempoh yang sama.

Kejayaan Pembangunan dan pemulihan ekonomi yang dicapai sehingga kini adalah hasil usaha kerjasama Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan yang sentiasa berganding bahu demi memastikan pelaksanaan projek atau program yang memberi manafaat kepada rakyat. Penyediaan peruntukan kepada inisiatif berimpak tinggi juga merupakan salah satu strategi dalam merangsangkan pertumbuhan ekonomi. Saya ingin menekankan bahawa hala tuju Kerajaan Negeri melalui Visi Penang2030 adalah selari dengan hasrat yang diketengahkan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas.

Momentum kerjasama yang baik ini dengan berpaksikan hala tuju yang sama membolehkan agenda pembangunan negeri dan negara dapat dijayakan dengan seoptimumnya mungkin. Di kesempatan ini saya mewakili Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas kerjasama yang telah diberikan dan diharapkan agar hubungan ini berkekalan dan dapat dieratkan lagi pada masa hadapan. Umumnya Sesi Libat Urus bersama-sama pemegang taruh telah menjadi agenda penting dalam penyediaan belanjawan tahunan negeri untuk mendapat input daripada Ahli-Ahli Dewan dan Ahli-Ahli Parlimen untuk penyediaan anggaran perbelanjaan tahunan yang komprehensif.

Sesi Libat Urus pada kali ini telah diadakan pada 10 Oktober walaupun lewat memandangkan ada Pilihan Raya telah dapat mengumpul input berkaitan dan beberapa cadangan projek telah dimasukkan dalam Bajet Pembangunan tahun ini tahun 2024. Antara

projek yang telah dimasukkan adalah Pembinaan Menara Penyelamat Angkatan Pertahanan Awam di pantai Golden Sands Batu Feringghi, kerja-kerja menaik taraf jeti pendaratan Sungai Chenaam di Nibong Tebal dan pembinaan dewan di Batu Maung iaitu Dewan Baru Alma juga serta Dewan Taman Senangin yang menjadi projek sambungan pada tahun 2024. Kerajaan Negeri akan terus meneliti cadangan projek yang dikemukakan melalui Sesi Libat Urus tersebut dan akan memberikan pertimbangan berdasarkan kedudukan kewangan negeri.

Perdagangan Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Yang di-Pertua, Pulau Pinang mencatatkan pelaburan pembuatan yang diluluskan berjumlah RM4.3 bilion ringgit bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini. Nilai pelaburan ini diperoleh daripada 67 projek yang dicatatkan oleh MIDA dan dianggarkan mewujudkan sebanyak 4,738 peluang pekerjaan baharu. FDI menyumbang sebanyak 66 peratus atau RM2.8 bilion ringgit manakala DDI iaitu Domestic Direct Investment menyumbang 34 peratus atau RM1.4 bilion ringgit, pelaburan pembuatan yang diluluskan dalam tempoh tersebut. Bagi memastikan semua projek pelaburan dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur InvestPenang sentiasa menawarkan perkhidmatan hand holding kepada para pelabur sama ada di peringkat permulaan, peringkat operasi mahupun di peringkat perkembangan perniagaan mereka.

Para pelabur baharu yang ingin beroperasi di Pulau Pinang akan diberi sokongan khidmat nasihat untuk memudahkan mereka menubuhkan syarikat perniagaan, mendapat lesen, membina atau menyewa bangunan kilang dan memulakan operasi mereka. Ini adalah untuk memastikan kesenangan menjalankan perniagaan ease of doing business di Pulau Pinang kekal tinggi berbanding negara yang lain.

Pada penghujung tahun 2022 dan awal tahun 2023, Pulau Pinang melalui InvestPenang telah melaksanakan misi-misi pelaburan ke negara-negara bersasar seperti Singapura, Korea Selatan dan beberapa buah negara di Eropah bertujuan memastikan kita sentiasa aktif dan kekal dinamik dalam radar pelaburan asing. Disamping itu kerjasama dan sinergi dengan agensi-agensi Kerajaan Persekutuan seperti MIDA dan MDeC, pihak kepentingan swasta serta hubungan baik dengan syarikat-syarikat antarabangsa sedia ada di Pulau Pinang terus diperkukuhkan demi menjamin keberlangsungan aktiviti pelaburan di Pulau Pinang. Seterusnya Kerajaan Negeri melalui PDC kini dalam usaha untuk mempercepatkan pembangunan taman-taman industri baharu seperti Taman Teknologi Bandar Cassia, Taman Perindustrian Batu Kawan Dua, Batu Kawan Timur demi memastikan Pulau Pinang mempunyai tanah perindustrian yang mencukupi bagi menampung permintaan para pelabur. Taman Teknologi Bandar Cassia bakal menawarkan sebanyak 250 ekar tanah industri baharu dan para pelabur dijangka dapat memulakan projek pembinaan kilang mereka di taman perumahan ini dari tahun ini juga sehingga tahun 2025.

Selain daripada terus mengembang aktiviti E and E sedia ada, Kerajaan Negeri akan turut memberi fokus dalam menjadikan negeri ini sebagai sebuah hab teknologi perubatan untuk rantau Asia Pasifik. Hasrat ini dapat dijayakan dengan membangun rantaian bekalan atau supply chain untuk peralatan pembuatan bahagian hadapan atau front-end manufacturing equipment dan terus menggalakkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan RNR RND dan design development DND di Pulau Pinang.

Pulau Pinang cukup bertuah dengan berpeluang menganjurkan persidangan SEMICON Southeast Asia 2023 yang merupakan salah satu persidangan paling besar bagi industri semikonduktor dan elektronik di Asia Tenggara dari 23 hingga 25 Mei tahun ini. Persidangan ini merupakan usaha kolaboratif bersama dengan rakan-rakan strategik seperti MITI dan MIDA. Antara agenda yang dibincangkan adalah kemampanan pembuatan pintar, mobiliti pintar, medtech pintar dan pembangunan tenaga kerja.

Persidangan yang bertemakan Boosting Agility dan Resiliency for Electronics Supply Chain berkaitan telah berjaya menghimpunkan peneraju-peneraju industri dalam

membincangkan dan meneroka kaedah terbaik bagi pemain industri elektronik untuk membina rantaian bekalan yang lebih teguh di masa akan datang. The Supply Chain that we talk about that the other day. Persidangan ini telah dilaksanakan dengan jayanya melalui penyertaan sebanyak 571 gerai atau booth pameran dan telah dihadiri seramai 19,000 ribu pelawat dari dalam dan luar negara.

Industri kecil dan sederhana IKS, Dato Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Dewan Yang Mulia ini,

Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui InvestPenang dan PDC sentiasa meneruskan inisiatif-inisiatif bagi menyokong pembangunan industri kecil dan sederhana (IKS) di Pulau Pinang. Antara usaha-usaha yang dilaksanakan saya percaya pun sudah dikongsikan termasuk Pusat Penasihat Pasaran Sumber dan Latihan IKS, Pusat IKS dengan kadar sewa subsidi kepada para usahawan IKS tempatan. Para usahawan IKS yang ingin meningkatkan peluang yang dapat peluang perniagaan daripada pelabur asing boleh menyenaraikan profil syarikat mereka dalam directory atau talian yang terdapat dalam sesawang InvestPenang secara percuma.

Syarikat tempatan yang berdaftar dalam directory tersebut akan diberi keutamaan sekiranya pihak InvestPenang menerima sebarang pertanyaan mengenai perkhidmatan tempatan. Sehingga kini sebanyak 610 syarikat telah berdaftar dengan directory ini. Pusat IKS Pulau Pinang juga telah dibangunkan di kawasan Industri Bayan Lepas yang bermatlamat untuk membantu usahawan-usahawan baru dan sedia ada bagi mengurangkan kos operasi dengan menyediakan ruang operasi dengan kadar sewa bersubsidi yang mana kemudahan disediakan merangkumi bilik mesyuarat, bilik pantry, lif, lif kargo, ruang utiliti, pengawal dan kamera pengawasan. Ini diusahakan oleh PDC dan disewakan kepada IKS supaya bagi syarikat-syarikat yang baharu mereka dapat mengurangkan kos permulaan dan kos operasi mereka.

Seterusnya, penggalakkan sektor start-up negeri. Kerajaan Negeri melalui InvestPenang juga, telah sedia peruntukan khas bagi membantu syarikat pemula atau start-up yang juga telah dihuraikan oleh Yang Berhormat Tanjong Bunga semalam di mana pada tahun 2018, kita melancarkan Penang i4.0 Seed Fund untuk pembangunan start-up, yang berpontensi tinggi khususnya dalam industri digital, e-commerce dan IOT. Program ini menyediakan dana pemulihan, pemulaan daripada RM50,000.00 sehingga RM250,000.00 untuk setiap projek. Iaitu start-up-start-up yang memenuhi kelayakan boleh diberikan dari RM50,000.00 sehingga RM250,000.00 tertakluk kepada persetujuan jawatankuasa. Sehingga kini, 49 buah start-up tempatan telah menerima dana dari pihak Kerajaan Negeri.

Pembangunan Modal Insan, Pendidikan dan Sains Teknologi. Pembangunan Modal Insan merupakan faktor kritikal bagi menjana dan mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara. Peralihan sektor ekonomi kepada pengetahuan teknologi dan aktiviti berintensif inovasi memerlukan sumber tenaga kerja berkemahiran tinggi yang sedia ada. Dan beban yang penting ini dipertanggungjawabkan kepada Yang Berhormat Datok Keramat. Menuju ke arah ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah merangka dasar dan hala tuju yang lebih holistik supaya Pulau Pinang dapat mencari kelebihan daya saing dalam menarik dan mengekalkan bakat-bakat muda. Banyak inisiatif sudah dikongsikan dalam Dewan ini termasuk inisiatif STEM, Tech Dome, Penang CAT Centre dan sebagainya dan juga Penang Future Foundation, Penang Skill Development Centre dan saya tidak cadang untuk mengulanginya demi menjimatkan masa. Ekonomi digital dan pembangunan infrustruktur telekomunikasi. Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Pulau Pinang terus komited untuk menerajui industri ekonomi digital sebagai pemaju baharu ekonomi negeri ini. Ini adalah selaras dengan kedudukan Malaysia sebagai hub pelaburan teknologi digital strategik yang mana Malaysia menyasarkan sektor pelaburan ekonomi digital bakal menyumbang 25.5% kepada KDNK dan mengwujudkan lebih 500 ribu pekerjaan menjelang 2025 serta sebanyak RM130

billion pelaburan turut disasarkan menjelang tahun tersebut. Selain memberi tumpuan kepada sektor perkhidmatan perkongsian dan sumber luaran dan research dan development dan imbedded software, Pulau Pinang juga komited untuk menerajui industri ekonomi teknologi generasi baharu seperti teknologi kecerdasan buatan atau AI, Big Data, IOT, integrated circuit design, agro/food tech, data center dan sebagainya. Sehingga kini terdapat lebih 200 syarikat dari Pulau Pinang memperoleh pengikhtirafan Malaysia Digital atau dahulunya dikenali sebagai Multimedia Super Corridor (MSC Malaysia) yang telah mewujudkan lebih 17,000 pekerjaan bernilai tinggi. Pulau Pinang merupakan negeri kedua tertinggi selepas Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang mendapat tumpuan dalam kalangan syarikat berteraskan kepada ekonomi digital. Kerajaan Negeri dalam pada itu juga akan terus menumpukan usaha pada masa hadapan dengan memberi tumpuan untuk membina ekonomi digital negeri melalui pelbagai inisiatif yang lebih baik termasuk melahirkan lebih ramai bakat dan tenaga kerja digital yang berdaya saing, infrastruktur serba lengkap dalam memastikan negeri ini terus kekal sebagai hub pelaburan digital bertaraf dunia.

Lazimnya Pulau Pinang kini mengorak langkah ke arah perbentukkan negeri pintar bertaraf antarabangsa selari dengan Visi Penang2030. Status negeri atau bandar pintar amat penting dan memainkan peranan utama dalam menambah baik pertumbuhan ekonomi melalui kuasa teknologi. Penerapan konsep teknologi pintar ini dapat memudahkan kehidupan seharian serta meningkatkan kualiti hidup rakyat kita. Bahagian Kerajaan Tempatan (BKT) berperanan penting dalam memastikan hala tuju berkaitan melalui penterjemahan dasar-dasar di peringkat global, nasional dan negeri kepada pelan tindakan jangka panjang serta pelaksanaan inisiatif-inisiatif pintar di peringkat lokal. Antara sejumlah 113 inisiatif pintar yang bertujuan untuk mencapai matlamat tersebut, Kerajaan Negeri telah berjaya melaksanakan 51 inisiatif, manakala 38 lagi sedang dilaksanakan dan 24 lagi masih dalam perancangan.

Salah satu inisiatif pintar dikenali sebagai inisiatif tanpa tunai atau e-pembayaran. Jumlah kutipan yang diperoleh melalui platform e-pembayaran di kesemua 56 pasar awam di Pulau Pinang adalah sebanyak 4.1 juta transaksi bernilai RM39.771 juta. Pada masa yang sama, seluruh 23 jabatan dan agensi kerajaan terlibat dalam pelaksanaan inisiatif ini dan terkini kutipan hasil melalui e-pembayaran adalah RM684.3 juta atau 57.37% daripada keseluruhan jumlah kutipan hasil. Maka kita mensasarkan 100% dalam masa yang terdekat di mana semua urusan pembayaran di jabatan-jabatan Kerajaan Negeri khususnya akan perlu digunakan melalui e-pembayaran tetapi kita faham, perlu ada kelonggaran bagi golongan-golongan warga kita yang tertentu.

Selain itu, inisiatif seperti pemasangan CCTV, Penang Smart Parking dan sebagainya merupakan projek-projek yang penting dalam usaha kita menjadi sebuah negeri pintar. Selaras dengan transformasi digital yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan melalui program JENDELA atau Jaringan Digital Negara, kita di Pulau Pinang juga tidak ketinggalan mengambil peluang bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan komunikasi untuk kemudahan rakyat kita.

Satu pelan yang dinamakan Penang Connectivity Master Plan telah diwujudkan oleh BKT melalui kerjasama pelbagai pihak kepentingan. Inisiatif ini merupakan usaha kita dalam memastikan Pulau Pinang mempunyai kadar liputan telekomunikasi yang menyeluruh dan stabil di samping menambah baik liputan sedia ada di kawasan berpenduduk. Setakat ini, kadar liputan rangkaian 4G di Pulau Pinang telah meliputi 99.85% dan menyasarkan pencapaian 100% menjelang penghujung tahun ini. So we are 4G and able 100% ini Penang tahun ini tetapi kita sekarang kata pelaksanaan 5G pula, di mana setakat ini sebanyak 282 lokasi telah disiapkan pihak Digital Nasional Berhad (DNB) yang menyasarkan sebanyak 470 lokasi di seluruh Pulau

Pinang yang akan memberi liputan sebanyak 80% rangkaian 5G. Sehingga kini, Pulau Pinang telah menikmati lebih 50% liputan rangkaian 5G dan Kerajaan Negeri akan membantu serta memudah carakan pelaksanaan 5G bagi memastikan capaian rangkaian 5G di Pulau Pinang dapat disiapkan mengikut perancangan pihak DNB.

Serentak itu, banyak lagi inisiatif-inisiatif pembangunan modal insan dan keusahawanan digital seperti Creative Digital District, ESG Incubation Center, SME100 Digital Champion, Founder’s Grit Seed Programme dan lain-lain. InvestPenang selaku Penang Cybercity Manager juga menjalin kerjasama dengan agensi pusat dan badan-badan seperti MDEC, MIDA dan Digital Global Business Services Council bagi menyediakan sokongan untuk mempromosikan dan mengembangkan Pulau Pinang sebagai hub global untuk industri ini.

Yang Berhormat Tanjong Bunga juga telah menyatakan kerjasama kita dengan Sunway Education Group dan Khazanah Nasional untuk menubuhkan ‘42 Penang’ di George Town yang menawarkan pendidikan percuma dalam bidang sains komputer dan teknologi maklumat dan program ini dijangka akan boleh mula pada quarter yang pertama tahun depan. Sekarang mereka sedang melakukan kerja-kerja pemasangan dan perancangan dan seterusnya.

Dalam usaha membangunkan infrastruktur telekomunikasi, pemasangan gentian optik atau fiber optic akan dilaksanakan di seluruh kawasan pulau dalam empat fasa. Fasa pertama dari George Town ke Batu Maung telah siap dilaksanakan pada Mac 2023. Fasa kedua dari George Town ke Batu Feringghi, fasa ketiga dari Batu Maung ke Balik Pulau kini sedang dalam pelaksanaan dan dijangka siap pada Mei 2024. Manakala fasa keempat, dari Balik Pulau ke George Town pula kini sedang dalam perancangan dan dijangka akan dilaksanakan pada tahun 2025. Pembangunan infrastruktur telekomunikasi ini akan meningkatkan lagi ketersambungan digital dalam kalangan rakyat dan perusahaan di Pulau Pinang yang akan memangkin perkembangan digital negeri pada masa akan datang. Yang Berhormat Tanjong Bunga sila beri makluman bila akan dilaksanakan di Seberang Perai pula.

Sebelum ahli-ahli bertanya kita sediakan jawapan. Hal Ehwal Agama Islam Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sejumlah RM21.48 juta untuk kegunaan Maksud Pembangunan di bawah P13 Jabatan Hal ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang. Daripada jumlah peruntukan tersebut sebanyak RM10.18 juta telah diluluskan untuk tujuan membina, menambah baik dan mengubah suai masjid serta surau di Pulau Pinang. Antara komitmen Kerajaan Negeri adalah bagi menjalankan projek dan kerja-kerja membina semula bangunan Masjid Papan Kampung Pertama, Seberang Perai Tengah, projek meroboh dan membina semula Masjid Jamek Nurul Hidayah Sungai Lokan, SPU dan kerja-kerja pembaikan pendawaian sistem elektrik Masjid Abdullah Fahim Seberang Perai Utara.

Komitmen Kerajaan Negeri dalam memartabatkan Agama Islam sebagai agama rasmi terus diperkukuhkan dengan jalinan kerjasama bersama Kerajaan Persekutuan dalam membina masjid baharu serta naik taraf masjid masjid di Pulau Pinang. Dalam teks saya dan Bukit Tambun menanya tentang Masjid Bandaraya di Bandar Cassia akhirnya sudah dapat jawapan semasa itu Yang Berhormat tak ada, kerja-kerja pun sudah mula dengan holding ditapak, so harap kita dapat sampaikan makluman kepada jemaah di kawasan itu sememangnya dengan pesatnya pembangunan Batu Kawan keperluan masjid itu adalah amat mendesak. Komitmen Kerajaan Negeri, ya projek masjid yang telah siap bina pada tahun ini adalah seperti Masjid Jamek Sungai Puyu di Butterworth, Masjid Sungai Nibong Besar di Bayan Lepas, Masjid Taman Pelangi di Perai, Masjid Jamek Perai dan jumlah pembiayaan sebanyak RM7.5 juta daripada Kerajaan Negeri. Peruntukan RM10.18 juta yang diluluskan bagi tahun 2024 ini turut merangkumi RM2 juta bagi menaik taraf masjid-masjid dan surau-surau yang uzur di seluruh Pulau Pinang.

Segala usaha yang dicurahkan ini adalah bagi menunjukkan komitmen dalam memartabatkan Agama Islam sebagai agama rasmi di negeri ini. Kerajaan Negeri dalam pada itu turut berasa bangga apabila Pulau Pinang telah dipilih sebagai lokasi penganjuran bagi Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan pada tahun ini di Pusat Konvensyen Arena Butterworth. Usaha memartabatkan syiar Islam dalam pembangunan umatnya, turut diperkasakan melalui Jabatan Hal ehwal agama Islam Pulau Pinang dengan penganjuran pelbagai majlis-majlis rasmi di peringkat negeri seperti sambutan Ma'al Hijrah, Maulidur Rasul dan Festival Nasyid dengan peruntukan yang disalurkan Kerajaan Negeri berjumlah RM718,250.00. Inisiatif mengembangkan pendidikan di sekolah-sekolah Islam yang merangkumi sekolah agama rakyat, kelas KAFA, maahad tahfiz, pusat tahfiz, sekolah rendah menengah dan menengah tahfiz, pondok pondok pengajian tradisional serta sekolah rendah dan menengah agama rakyat di seluruh Negeri Pulau Pinang turut diberi perhatian.

Projek sekolah sekolah islam dalam fasa pembinaan bagi tahun ini ada dua buah iaitu Madrasah Al-Ittihadiah Al-Wataniah di Cherok Tok Kun dan Sekolah Agama Rakyat Masjid Daerah SPU di Telok Air Tawar dengan siling peruntukan yang diluluskan adalah sebanyak RM9.36 juta. Di samping itu sejumlah RM1juta telah diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri bagi menaik taraf sekolah agama rakyat yang uzur di seluruh negeri bagi tahun 2023 antaranya 3 sekolah agama rakyat iaitu SAR Nurul Falah di Taman Berjaya Nibong Tebal, SAR Bandar Baru Air Itam dan SAR An-Najjah Kampung Selamat di SPU. Kerja-kerja bagi pembinaan SAR yang dinyatakan akan diteruskan pada tahun 2024 dengan jumlah RM2.4 juta diperuntukkan secara keseluruhan untuk SAR tersebut.

Jabatan Agama Islam Pulau Pinang melalui Bahagian Pengurusan Halal sentiasa berusaha memberikan kesedaran halal, meningkatkan kefahaman mengenai Pensijilan Halal Malaysia dan perundangan berkaitan halal melalui penglibatan dalam pameran peringkat domestik dan antarabangsa serta penganjuran kursus, taklimat, bengkel dan aktiviti interaktif melibatkan orang awam, agensi pembimbing, pemain industri, sama ada pemegang atau bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia. Sehingga September tahun ini sebanyak 1,784 pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia direkodkan. Jumlah ini menunjukkan peningkatan yang baik jika dilihat kepada rekod sepanjang tahun 2022.

Pembangunan Sosial Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat dengan mewujudkan sebuah masyarakat yang inklusif dan saksama saya bangga menyatakan bahawa Pulau Pinang merupakan satu-satu negeri di Malaysia yang telah memperkenal dan mengguna pakai Dasar Keterangkuman Gender atau DKG dalam memastikan wujudnya satu keseimbangan gender di negeri ini di samping mempromosikan kesaksamaan gender di semua agensi serta Jabatan Kerajaan Negeri. Harap agenda keterangkuman gender ini juga menjadi agenda Perikatan Nasional. Tiada reaksi. Tak tau setuju atau tidak. Dasar ini akan terus dilaksanakan selaras dengan Visi Penang2030 dan Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) menjadi tunjang serta agensi pelaksana utama dalam mengintegrasi nilai keterangkuman gender ke dalam dasar program dan amalan Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Berdasarkan rekod dari Jabatan Perangkaan, indeks jurang gender Malaysia mencatat 0.707 atau 70.7 % pada tahun 2021 berbanding 0.714 atau 71.4% pada tahun 2021 dengan pencapaian wanita adalah melebihi lelaki dalam sub indeks pencapaian pendidikan dengan skor 1.06 dan menelusuri perkembangan ini PWDC akan terus menjadi tunjang utama dalam memperkasakan lebih banyak peluang dan penyertaan golongan wanita dalam bidang ekonomi, pendidikan, kesihatan dan kehidupan serta penguasaan politik di negeri ini.

Dasar Keluarga Selamat juga menjadi satu dasar yang diperjuangkan pada ketika ini sebagai langkah awal dalam menawarkan khidmat sokongan melalui pusat-pusat First Support Point yang diwujudkan di Pusat Khidmat dan di kaunter agensi-agensi Kerajaan Negeri ianya bertindak sebagai pelindung kepada mangsa-mangsa keganasan domestik atau keganasan

rumah tangga malah adalah bagi mewujudkan sebuah ekosistem yang selamat untuk semua keluarga di negari kita. Sehingga kini seramai 222 orang atau First Support Point telah dilatih dan sebanyak 56 Pusat First Support Point tersebut telah ditubuhkan di bawah dasar ini. Program Agenda Ekonomi Saksama sudah mula pada tahun 2009 merupakan bantuan kewangan secara bulanan untuk membantu isi rumah miskin seiring dengan peredaran masa dan keperluan semasa program bantuan ini telah dijenamakan sebagai Bantuan Agenda Ekonomi Saksama dalam mengoptimumkan sumber kewangan dan urus tadbir yang lebih efisyen.

Kerajaan Negeri terus mengungguli dalam usaha memperkasakan pembangunan sosial rakyat di negeri ini dengan memperuntukkan sebanyak RM4.4 juta bagi merealisasikan pembinaan sebuah Pusat Transit Gelandangan Pulau Pinang dan Yang Berhormat Sungai Pinang sudah dapat banyak pujian daripada Ahli-Ahli Dewan berhubung dengan usaha untuk mengguna pusat ini dengan sebaiknya dan transformasikan terminal bas di Komtar dari menjadi satu sarang gelandangan yang menjejaskan imej di negeri kita. Tetapi usaha usaha ini perlu diteruskan dan mudah-mudahan kita akan dapat mengubah kualiti hidup, kebahagiaan dan emosi golongan gelandangan di negeri kita.

Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Sisa Pepejal, Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dan memandang serius kepada isu-isu di peringkat tempatan dan juga perkara berkaitan taraf hidup rakyat kita. Justeru Kerajaan Negeri dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan sentiasa mengambil cakna dan mencari penyelesaian melalui pembangunan dasar-dasar di peringkat negeri serta menyelaras dan memantau urusan pelaksanaan dasar serta polisi antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri antaranya adalah perkara berkaitan tanah lapang awam, pengoperasian tempat inap bersendirian di skim ghartanah bersrata, skim kediaman bertanah serta sistem retikulasi paip dan tangki di kediaman bertingkat di negeri ini. Usaha-usaha tersebut bertujuan menambah baik kualiti perkhidmatan Kerajaan Negeri dan juga memastikan kesejahteraan rakyat terjamin.

Kerajaan Negeri melalui di BKT juga sedang giat berusaha merealisasikan Dasar Total Solution bagi pengurusan sisa pepejal di negeri ini. Objektif pelaksanaan dasar tersebut adalah untuk mengurangkan sisa pepejal yang dilupuskan di tapak pelupusan melalui inisiatif-inisiatif yang dirancang iaitu pelaksanaan teknologi rawatan sisa pepejal seperti teknologi MRF dan anaerobic disester serta penerapan konsep ekonomi kitaran secara menyeluruh dan membangunkan Penang Waste Echo Park atau Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung bagi menghasilkankan biogas atau tenaga dan bahan mentah sekunder .

Perumahan. Dato' Yang di-Pertua, Kerajaan Negeri sentiasa komited dan serius dalam agenda perumahan di negeri ini sebagaimana ditetapkan dalam Visi Penang2030 di bawah inisiatif strategi A1 menangani isu kemampanan dan kepelbagaian rumah. Komitmen ini juga merupakan salah satu manifesto Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang 2023. Yang Berhormat Perai dalam dua hari ini telah mengkongsikan apa yang dirancang untuk dilakukan supaya agenda perumahan untuk semua dapat dicapai selari dengan Visi Penang2030 dan Lembaga Perumahan Pulau Pinang dalam memastikan rakyat yang tidak ada kemampuan yang mencukupi juga dapat disediakan 10% dari sasaran iaitu 22,000 unit dari sejumlahnya untuk ditawarkan melalui kadar sewa beli atau rent to own. Sehingga kini sebanyak 4,191 unit atau 19% telah dikenal pasti untuk ditawarkan di bawah kaedah rent to own kepada penduduk-penduduk yang layak.

Pulau Pinang juga menjadi sebuah negeri bersrata memberi perhatian khusus kepada penyelenggaraan skim-skim perumahan awam dan swasta yang layak. Sepertimana dinyatakan sebelum ini sebanyak RM348.5 juta ringgit, satu perbelanjaan yang amat besar telah diperuntukkan bagi menyelenggara skim-skim perumahan dan ia akan terus dilaksanakan agar terus berdaya huni. Bagi pelan jangka masa panjang Kerajaan Negeri akan menilai kebolehlaksanaan pembaharuan semula skim atau skim redevelopment ataupun urban

regeneration sepertimana diumumkan 5 projek atau 5 skim telah dikenalpasti di semua daerah dan akan dilaksanakan secara berfasa.

Selanjutnya, Kerajaan Negeri juga prihatin dalam meneroka keperluan Skim Perumahan Sewa Khas bagi golongan belia atau bujang. Hasrat ini adalah selari dengan konsep Perumahan Inklusif Madani dan juga merupakan kesinambungan pelaksanaan terhadap Manifesto Perpaduan 2023. Iaitu memperkasakan golongan wanita dan belia. Bagi tujuan dan merealisasikan hasrat murni ini, Kerajaan Negeri dan Persekutuan akan terus kerjasama untuk membangun skim perumahan untuk golongan belia dan bujang melalui pelaksanaan projek perumahan PPR Jelutong di Georgetown. Pada masa ini, unit kediaman sewa sama ada di bawah rumah sewa Kerajaan Negeri mahupun PPR hanya ditawarkan kepada pemohon berkeluarga.

Walau bagaimanapun, sebagai sebuah negeri yang pesat maju dalam sektor industri, Kerajaan Negeri mendapati bahawa terdapat keperluan tinggi ke atas penyewaan unit kediaman daripada golongan bujang atau belia yang baru mendirikan rumah tangga. Justeru, Kerajaan Negeri telah mengemukakan usul kepada Kerajaan Persekutuan di bawah KPKT untuk membina satu kategori PPR yang membolehkan pemohon bujang dan keluarga baharu dengan bilangan ahli keluarga yang kecil, sebab sekarang syaratnya mesti ada 5 orang dalam satu keluarga. Jadi kalau bujang yang berkahwin, takkan boleh melahirkan dalam lima anak dalam sedikit masa. Melainkan Pinang Tunggal diberi tugas itu lagi, menjaga kelahiran. Harap itu akan membantu golongan belia dan bujang di negeri ini untuk dapat perumahan juga.

Pembangunan Luar Bandar, Kerajaan Negeri sangat cakna akan bantuan dan program yang boleh dibuat bagi Pembangunan Luar Bandar. Mengambil kira perkembangan semasa Kerajaan Negeri telah meneliti semula garis panduan program bina baru dan baik pulih rumah rakyat miskin di mana maksimum pembinaan rumah baru telah dinaikkan dari RM56,000.00 kepada maksimum yang baharu iaitu RM75,000.00 berkuatkuasa pada tahun ini juga. Langkah ini bukan sahaja bagi memastikan program ini terus kekal relevan dan efektif. Namun ia adalah untuk mencapai maksud utama dalam membantu golongan kurang berkemampuan untuk mendapat tempat tinggal yang selesa.

Pada tahun ini Kerajaan Negeri telah memperuntukan sebanyak RM3.1 juta ringgit bagi meneruskan kesinambungan program ini dan sehingga kini seramai 42 jumlah penerima telah menerima manfaat daripada program ini dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM2.23 juta ringgit. Jawatankuasa MMK Luar Bandar juga mendapat, juga telah memperuntukkan sebanyak RM50,000.00 bagi bantuan peralatan di setiap daerah dengan peruntukan keseluruhan RM250,000.00 pada tahun ini dan dilaksanakan di bawah Program Peningkatan dan Pemulihan Ekonomi, Bantuan Peralatan.

Kerajaan Negeri bertujuan untuk membantu peniaga kecil sepenuh masa termasuk golongan miskin yang menjalankan perniagaan. Individu yang telah menjalankan perniagaan sekurang-kurangnya 1 tahun dan berpendapatan kurang daripada RM3,000.00 sebulan adalah layak untuk mendapat bantuan peralatan dalam usaha mengembangkan lagi perniagaan yang sedia ada. Sehingga kini seramai 65 orang penerima dengan jumlah peruntukan sebanyak 165,821 telah menerima manfaat daripada pelaksanaan program.

Kelestarian Alam Sekitar. Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri sememangnya amat komited dalam usaha pengekalan dan pemuliharaan kawasan sensitif alam sekitar sebagaimana yang telah diterapkan di dalam Agenda Hijau Pulau Pinang 2030 atau Penang Green Agenda 2030. Dan turut sejajar dengan matlamat United Nations Sustainable Development 2030. Komitmen ini merupakan asas dan panduan kepada Kerajaan Negeri untuk terus mengarusperdanakan amalan kemampanan dalam mencapai pembangunan lestari dan memelihara alam sekitar yang menyumbang kepada peningkatan pertumbuhan ekonomi lestari. Bagi memastikan hasrat ini tercapai, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha

memastikan kualiti hidup rakyat kita dipertingkatkan sejajar dengan pertumbuhan ekonomi negeri dan negara dengan mengambil kira pembangunan mampan yang menitikberatkan alam sekitar yang bersih, sihat serta selamat.

Kendatipun begitu, kemajuan dan pemodenan ekonomi akan lebih bermakna sekiranya seluruh rakyat negeri ini terus bermuafakat dalam menerima pembaharuan baharu dengan memberi penekanan kepada pembudayaan lestari dalam kehidupan seharian. Usaha ini adalah amat penting dalam membentuk sebuah komuniti lestari yang berlandaskan kepada prinsip-prinsip kelestarian iaitu keseimbangan antara ekonomi sosial dan alam sekitar. Pembentukan komuniti lestari ini juga akan dapat membantu merangsang kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan melalui penyediaan peluang-peluang pekerjaan yang lebih berdaya saing serta mampu mempertingkatkan kesejahteraan hidup rakyat kita.

Umum mengetahui bahawa Bukit Bendera Pulau Pinang telah diberi Pengiktirafan Dunia sebagai Tapak Rizab Biosfera di bawah Program Manusia dan Biosfera, atau Man and Biosphere, UNESCO bagi tahun 2021. Pada ketika ini Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Perhutanan Negeri sedang dalam rangka mencalonkan Kompleks Hutan Simpan Paya Laut di persisir pantai Penaga sehingga Teluk Air Tawar sebagai kawasan Flyway Site Network iaitu sebuah tapak persinggahan burung-burung pantai hijrah di bawah Forum East Asian Australasian Flyway Partnership. Apabila berjaya diiktiraf kelak, Pulau Pinang bakal mempunyai sebuah kawasan Flyway Site Network yang pertama di Semenanjung Malaysia, dan kedua dalam negara selepas Bako-Buntal Bay Flyway Site Network di Negeri Sarawak. Usaha melestarikan khazanah ini akan mampu mewujudkan sebuah destinasi eko-pelancongan yang baharu di negeri ini di samping membuka ruang serta peluang ekonomi baharu kepada warga komuniti dan masyarakat di sekitar kawasan itu. Kawasan Beting Tengah atau Middle bank merupakan satu kawasan yang sangat kaya dengan Biodiversiti Marin. Selain mempunyai Biodiversiti Marin yang tinggi, Pulau Gazumbo merupakan satu-satunya kawasan di Selat Melaka yang mempunyai taburan rumput laut luas dengan pelbagai spesies atau sea grass. Di samping itu juga, terdapat pelbagai jenis ikan, kerang, ketam dan makanan laut lain yang menjadi sumber makanan kepada masyarakat di kawasan tersebut.

Walau bagaimanapun, disebabkan oleh lokasinya yang terletak berhampiran dengan pusat bandar Pulau Pinang dan di kelilingi kawasan yang padat dengan aktiviti ekonomi industri serta penempatan telah menyebabkan kewujudan kawasan dan biodiversitinya begitu rapuh dan dikhuatiri akan lenyap sekiranya tiada perlindungan dan tadbir urus yang baik. Menyedari ancaman serta kepentingan kawasan ini, daripada aspek ekonomi dan estetika bagi negeri ini, Kerajaan Negeri mencadangkan agar kawasan Middle Bank ini dilindungi dan dijenamakan sebagai Santuari Marin Middle Bank. Kejayaan mewartaan Middle Bank kini dalam cadangan untuk diwartakan bagi melindungi spesies yang terdapat di kawasan tersebut. Sekiranya berjaya diwartakan, dia akan menjadikan Pulau Pinang satu-satunya negeri di Malaysia yang mempunyai Santuari Marinnya sendiri.

Bencana. Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat. Pada tahun 2022, Kerajaan Negeri telah meluluskan cadangan mewujudkan sebuah pusat logistik kemanusiaan bencana yang akan didirikan di Seberang Perai Tengah dengan anggaran peruntukkan RM6.5 juta ringgit. Peruntukkan sebanyak RM1.5 juta ringgit telah diperuntukkan bagi kerja-kerja awalan yang dilaksanakan oleh pihak JKR Pulau Pinang. Bagi tahun 2024, RM2.5 juta ringgit akan diperuntukkan bagi kerja-kerja pembinaan dan pusat ini dijangka akan siap bina sepenuhnya pada tahun 2025 seperti diterangkan sebelum ini.

Pengangkutan dan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang. Dato’ Yang di-Pertua, dalam usaha mengawal kesesakan lalu lintas di negeri ini, Kerajaan Negeri melalui PTMP telah melaksanakan pendekatan dan strategi untuk mendorong penggunaan pengangkutan awam

yang lebih luas. Projek Jalan Pintas Ayer Hitam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu atau pakej 2, kini dalam pelaksanaan dengan kemajuan di tapak sebanyak 40% setakat bulan September 2023. Setelah projek ini siap, jajaran pakej 2 yang merupakan pintasan bebas tol akan memberikan kelebihan kepada orang awam daripada segi pengurangan masa perjalanan iaitu dianggarkan dari 40 minit sekarang, kepada 5 minit sahaja. Iaitu dari Bandar Baru Air Itam ke Lebuhraya Dato’ Tun Dr Lim Chong Eu, di hadapan The Light. Program Pas Mutiara M50 iaitu pas perjalanan tanpa had selama 30 hari yang dibiayai Kerajaan Negeri juga mendapat sambutan amat menggalakkan daripada penduduk negeri ini. Sebenarnya angka ini naik setiap bulan dari khususnya pada tahun ini dan setiap bulan puratanya 13,000 pas dilanggan menjadi sehingga bulan Oktober 2023 di lebih daripada 130,000 pas telah dilanggan oleh pengguna-pengguna di negeri ini.

Berdasarkan Pembentangan Belanjawan 2024 oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan pada 13 Oktober lalu, Kerajaan Negeri, Persekutuan telah umum peruntukkan sebanyak RM10 bilion ringgit bagi pelaksanaan projek LRT Pulau Pinang ke Seberang Perai. Kerajaan Negeri amatlah berbesar hati dengan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan projek LRT yang telah lama dinanti-nantikan oleh rakyat kita. Kerajaan Negeri amat bersyukur dan berjanji akan memberikan sepenuh kerjasama kepada pihak Kerajaan Persekutuan demi merealisasikan projek ini. Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada pihak Kementerian Pengangkutan atas pelancaran empat buah feri baharu pada 17 Ogos 2023 oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang. Kerajaan Negeri akan meneruskan 2 laluan bas percuma CAT bas iaitu laluan Seberang Jaya ke Bayan Lepas dan Bukit Mertajam ke KOMTAR. Manakala program shuttle bus shuttle sedia ada sejak tahun 2008 iaitu kat CAT Georgetown dan BEST KOMTAR sejak tahun 2013 juga akan diteruskan.

Ramai warga negeri Pulau Pinang tidak tahu bahawa Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan membelanjakan RM16.5 juta setiap tahun untuk membiayai Program Free Bus Service yang ditawarkan oleh Rapid Penang, jadi saya menggalakkan Ahli-Ahli Dewan untuk cuba perkhidmatan percuma ini. Selain itu Kerajaan Negeri juga sedang menimbang untuk memanjangkan pemberian insentif kepada pemandu e-hailing sebelum ini sudah hampir 10 tahun kita membelanjakan RM1.2 juta setahun untuk memberi insentif perkhidmatan kepada pemandu teksi dan pengusaha bas sekolah setiap tahun RM1.2 juta dan kita akan memperluaskan insentif ini. Kita akan menimbang kepada pemandu e-hailing manakala bagi penunggang p-hailing beberapa siri perbincangan bersama pihak PERKESO telah diadakan bagi membiayai sepenuhnya insurans kemalangan diri kepada penunggang p-hailing.

Selaras dengan perkembangan dan kesedaran mengenai carbon reduction menerusi sustainable development goals dan Penang Green Agenda Kerajaan Negeri ingin menyatakan sokongan kepada peralihan penggunaan kenderaan elektrik. Infrastruktur seperti tempat pengecasan kenderaan elektrik akan terus diberi perhatian penuh oleh pihak Kerajaan Negeri bagi menyokong hasrat ini. Sebenarnya dalam tempoh ini memang ada banyak syarikat yang menunjukkan minat untuk melaksanakan program ini dan pihak Kerajaan Negeri sedang meneliti cadangan-cadangan supaya roll out stesen-stesen pengecas dapat dijalankan secara teraturnya. Bagi Projek Penang South Reclamation yang melibatkan tambakan sebanyak 2300 ekar bagi pulau yang dikenali sebagai silicon island, kerja-kerja fizikal di tapak telah mula pada 22 September yang lalu dan dijangka kawasan seluas 4 hingga 5 ekar siap di tambun pada awal bulan Disember ini.

Sebagaimana dijanjikan oleh Kerajaan Negeri kepada nelayan-nelayan yang terjejas pakej Social Impact Management Plan atau SIMP telah diwar-warkan sejak tahun 2020 dan kini dalam pelaksanaan dan setakat hujung Oktober seramai 266 nelayan telah menerima bayaran pada hujung tahun 2023 dijangka 338 nelayan berdaftar di bawah skim ini telah dan akan menerima exgratia mengikut quantum yang telah dipersetujui di mana baki penerima yang layak

akan diproses pembayarannya sejurus mereka membuat pendaftaran. Bagi tahun 2023 dan tahun 2024 sebanyak RM38 juta telah diperuntukkan di bawah pakej SIMP untuk pemberian bantuan exgratia dan bantuan bot baharu kepada nelayan-nelayan yang terlibat dalam projek PSR ni. Maka pada akhir perbahasan kalau Dewan ini luluskan belanjawan maka wang ini akan disalurkan dibawa SIMP untuk diberikan kepada nelayan-nelayan yang berdaftar dan yang layak. Infrastruktur bekalan air Dato' Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat isu ini sudah banyak kali diperbahaskan dan saya harap cuma dapat meringkaskan sahaja dan saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Perak yang telah setuju untuk jual bekalan air terawat kepada Pulau Pinang. Butir-butir teknikal harus dibincangkan diperingkat teknikal dan memandangkan ini cuma satu permulaan maka kita menyeru bahawa kita sabar untuk memastikan rundingan itu dapat dijalankan dalam semangat yang terbaik sekali.

Selain itu kita akan meneruskan usaha untuk meminta daripada Kerajaan Persekutuan untuk melengkapkan lagi pakej-pakej di bawah projek pembinaan pembesaran empangan mengkuang memandangkan ada beberapa projek yang masih belum dilaksanakan di bawah projek berkenaan. Di samping itu kita pun juga memaklumkan kita tidak boleh menunggu sebab tak ada tarikh yang jelas bilakah Projek Air Perak dan Penang akan boleh disiapkan maka dalam tempoh ini PBA juga akan membelanja RM1.18 billion di bawah Pelan Kontigensi Air 2030. Sepertimana saya nyatakan melaksanakan 8 projek di bawah Pelan Kontigensi Air yang menelan RM1.18 billion.

Pelancongan Dato' Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai lokasi utama pelancongan dalam negara dengan menawarkan pelbagai tarikan pelancongan dan aktiviti pengalaman yang boleh memenuhi sasaran khalayak serta pasaran berbeza. Pulau Pinang memiliki pelbagai jenis permata tersembunyi yang masih belum ditemui sebagai contohnya the other side of island iaitu Balik Pulau dan Teluk Bahang dan the other side of the state iaitu di Seberang Perai lokasi-lokasi ini dipenuhi dengan alam semulajadi khususnya Kampung Agong di Penaga. Sekarang menjadi pening kepala sebab trafik amat teruk. Lokasi-lokasi ini dipenuhi dengan alam semula jadi dan taman tema berasaskan pertanian dengan bumi subur luas yang menghijau. Galeri di Guar Kepar akan siap dalam tahun akan datang dan ianya akan menjadi SPU dengan selatan Kedah sebagai satu tapak pelancongan arkiologi sebab itu memang akan dijenamakan sebagai tapak warisan arkiologi untuk menarik pelancong.

Selain itu Yang Berhormat Paya Terubong telah mengongsikan satu lagi kemudahan yang akan siap pada tahun hadapan oleh pihak swasta iaitu Penang Waterfront Convention Centre (PWCC) dan kerja-kerja di Fort Conwallis dan Muzium Negeri Pulau Pinang yang dinaiktaraf juga akan menawarkan pengalaman kepada para pelancong. Produk-produk pelancongan sedia ada juga akan dipertingkatkan dan ditambah baik dari semasa ke semasa bagi mengalu-alukan kehadiran pelancong ke Pulau Mutiara ini. Selain itu Gurner Bay sebuah taman pinggir laut yang terancang bakal menjadi sebagai iconic waterfront destination dengan cadangan konsep pelan induk yang merangkumi 4 bidang dan ciri kesenjaan iaitu Seaside Retail F&B, Water Gardens, Beach and Coastal Grove. Projek tersebut dianggar menelan perbelanjaan RM221 juta, sakit hati oo RM221 juta untuk Gurney Bay yang akan siap sepenuhnya pada tahun 2025 tambah 3 bulan, orang lain tak faham tak apa. Kerajaan Negeri telah menerima peruntukan sebanyak RM25 juta daripada Kerajaan Persekutuan dengan tujuan pemuliharaan dan pengurusan Tapak Warisan Dunia UNESCO Georgetown ini kali kedua Pulau Pinang menerima peruntukan ini, pertama kali adalah mungkin pada tahun 2009 sebaik sahaja Melaka dan George Town dinobatkan sebagai tapak warisan pada masa itu RM50 juta disediakan RM30 juta diberikan kepada Melaka RM20 juta diberikan kepada Pulau Pinang tetapi bukan kepada Kerajaan Negeri tetapi kepada Think City tetapi kali ini RM25 juta ini disalurkan terus kepada Kerajaan Negeri dan George Town World Heritage Incoporated dan stakeholders yang lain sedang meneliti senarai kerja-kerja yang akan

menggunakan peruntukan ini bagi tujuan seperti pembaikan dan pemuliharaan bangunan-bangunan warisan, penyediaan lukisan terukur, penyediaan laporan kajian dilapidasi dan pernyataan tatacara kerja menaik taraf laluan kaki lima, menaik taraf sistem pencarian jalan atau wayfinding system mengurangkan risiko bencana berasaskan komuniti terhadap warisan budaya, projek pembinaan kapasiti warisan budaya tidak ketara, pelaksanaan aktiviti warisan kebudayaan dalam tapak warisan dunia dan projek-projek yang akan dimuktamadkan.

Belia dan sukan, Dato' Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) telah membangunkan pelbagai program belia dan sukan di peringkat negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa. Langkah ini adalah selaras dengan Dasar Belia Untuk Masa Depan Youth For Future yang menekankan kepada pembangunan holistik belia daripada sudut pembangunan social, ekonomi dan diri sejajar dengan harapan ini Program Youth Entrepreneurship Challenge yang telah diadakan sejak tahun 2020 telah berjaya melahirkan seramai 546 usahawan belia di negeri ini program ini telah memberi manafaat kepada dalam memperkasakan idea-idea keusahawanan melalui khidmat bimbingan dan nasihat daripada usahawan-usahawan yang berjaya.

PYDC dalam pada itu turut menjalin kerjasama yang erat dengan pelbagai agensi pemain industri dan juga pertubuhan usahawan termasuk Persatuan Perdagang dan Perusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA), Penang Chinese Chamber Of Commerce Young Intrepreneur Section, Malaysian Indian Chamber Of Commerce and Industry dan Persatuan Usahawan Maju Malaysia untuk memberi bimbingan dan panduan berkaitan dengan bidang keusahawanan kepada golongan belia di negeri ini. PYDC juga menganjurkan acara perdana tahunan iaitu International Youth Conference, selain itu Inisiatif Bakat Digital Muda atau Penang Young Digital Talents telah diwujudkan mulai tahun 2020 yang telah menarik minat seramai 5449 individu berusia antara 15 tahun hingga 35 tahun. Objektif utama inisiatif ini adalah untuk menyediakan persekitaran pembelajaran yang merangsang minda dan menawarkan pengalaman yang menarik di samping mengurangkan jurang digital antara para belia dan para pemain industri dengan menggalakkan konsep pembelajaran sepanjang hayat. Lain-lain program yang diusahakan seperti Penang Junior Coaches, Penang Junior Champion dan sebagainya adalah untuk memperkasakan inisiatif belia dan sukan di negeri Pulau Pinang.

Agroteknologi dan keselamatan makanan. Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat, pembangunan sektor pertanian terus di pacu oleh dasar agro makanan negara. Di mana objektif pembangunan sub sektor agro makanan ialah memastikan bekalan bahan makanan mencukupi, tersedia dan selamat dimakan. Pembangunan Taman kekal pengeluaran makanan atau TKPM di Ara Kuda, di Mayfield di Batu Kawan dan di Permatang Pauh merupakan antara inisiatif Kerajaan Negeri untuk membantu ke arah memastikan bekalan makanan negara mencukupi. Melalui Jabatan Pertanian Negeri juga melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan hasil pengeluaran dan kualiti produk melalui program-program pengembangan serta projek pembangunan pertanian.

Walaupun begitu momentum pertumbuhan sektor pertanian bergantung kepada beberapa faktor seperti sosial ekonomi dan perkembangan teknologi pertanian. Pada tahun ini Jabatan Pertanian Negeri telah menerima peruntukan pembangunan sektor agro makanan berjumlah RM6.92 juta daripada Kerajaan Negeri bagi pelaksanaan 16 projek dan program pembangunan pertanian dengan 14 daripadanya telah memberi manfaat secara langsung kepada kumpulan sasar iaitu para petani, usahawan industri asas tani dan belia tani. Saya ada sebut Pulau Pinang telah merekod hasil purata pengeluaran padi tertinggi dalam negara selama enam tahun berturut-turut meskipun berhadapan dengan pelbagai isu seperti masalah tanah jerlus, kekurangan tanah pertanian, kenaikan harga benih padi dan serangan serangga perosak, pencapaian tahap sara diri atau SSL padi di Pulau Pinang masih berjaya dikekalkan pada paras lebih 60 peratus.

Pada tahun 2021 tahap sara diri padi telah dicatatkan pada 63.71 peratus manakala pada tahun 2022 pada 61.59 peratus. Subsektor makanan pertanian terus dijadikan sebagai tumpuan utama dalam sektor pertanian untuk mencapai agenda dalam meningkatkan keterjaminan makanan dan menjana pendapatan yang lebih tinggi kepada barisan hadapan pertanian. Bagi merealisasikan hasrat ini pelbagai langkah dan tindakan sedang dilaksanakan seperti memperkukuhkan rantaian bekalan makanan menambahkan sokongan serta perkhidmatan penyampaian, meningkatkan pengetahuan dan kemahiran teknologi serta menggalakkan lagi pematuhan terhadap standard dan amalan pertanian yang baik melalui Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia dan Skim Pensijilan Organik Malaysia My organic. Saya menaruh harapan kepada orang muda yang di beri tanggungjawab ini untuk memastikan agenda pertanian dan keterjaminan makanan di negeri Pulau Pinang mencapai objektifnya. Banyak program-program dilaksanakan di bawah agenda ini yang sudah pun dikongsikan secara panjang lebar oleh Yang Berhormat semasa penggulungan tempoh hari.

Seterusnya Peruntukan Bajet Mengurus dan Pembangunan 2024. Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat, Bajet 2024 disediakan berdasarkan prinsip outcome dengan menitikberatkan keberhasilan kepada setiap perancangan negeri demi kesejahteraan rakyat walaupun menyedari limitation kemampuan fiskal negeri yang memperlihatkan jurang defisit yang semakin melebar. Kerajaan Negeri tetap komited merangka dan melaksanakan projek dan program untuk memacu pertumbuhan sosial ekonomi negeri dan seterusnya memastikan visi Penang2030 berada pada landasan yang betul. Tujuan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 adalah untuk mendapat kuasa berkanun bagi membolehkan Kerajaan Negeri membuat pembelanjaan bekalan berjumlah RM1,011,170.179.00. Untuk 20 jabatan bagi tahun 2024 sepertimana perincian pada risalah bilangan tujuh yang diedarkan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat. Selain itu peruntukan sebanyak RM36,434,356 diperlukan untuk perbelanjaan tanggungan bagi tiga jabatan mengikut undang-undang di bawah Kumpulan Wang Disatukan.

Oleh itu jumlah keseluruhan perbelanjaan mengurus yang dianggarkan pada tahun 2024 adalah sebanyak RM1,047,604,535.00. Oleh itu, perbelanjaan mengurus yang dicadangkan pada tahun 2024 iaitu sebanyak RM1.047 bilion menunjukkan peningkatan sebanyak RM58.13 juta berbanding tahun 2023. Peningkatan perbelanjaan mengurus tahun 2024 antara lain disebabkan oleh komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam mempergiat program-program yang berorentasikan rakyat selain mengimbangi keperluan projek-projek pembangunan negeri di bawah peruntukan mengurus 2024 sejumlah RM200 dan RM5.9 juta adalah bagi emolument, RM214.37 juta bagi perkhidmatan dan bekalan, RM3.38 juta untuk perolehan aset, RM622.59 juta bagi pemberian dan kenaan bayaran tetap dan satu RM1.36 juta disediakan untuk perbelanjaan-perbelanjaan lain. Perbelanjaan pemberian dan kenaan bayaran tetap kekal sebagai komponen terbesar mencakupi 59.43 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan mengurus. Jumlah ini termasuk caruman sejumlah RM240 juta kepada Kumpulan Wang Pembangunan Negeri.

Sejumlah RM110.45 juta bagi program-program kebajikan negeri termasuk i-Sejahtera dan RM98.5 juta bagi penyediaan geran kepada anak-anak syarikat, badan berkanun negeri dan lain-lain agensi. Pertambahan peruntukan bagi objek-objek am secara dasarnya adalah bagi menampung keperluan kenaikan gaji tahunan, kenaikan kos bekalan dan keperluan mengganti harta modal yang tidak lagi economic. Peningkatan belanja mengurus ini adalah pada tahap terkawal selaras dengan langkah-langkah yang telah diambil untuk mengawal dan menerapkan disiplin dalam perbelanjaan secara berhemah. Buktinya sehingga 15 November tahun ini, perbelanjaan mengurus sebenar adalah sebanyak RM79.2 juta dan dijangka jauh kurang berbanding unjuran perbelanjaan mengurus tahun 2023 sebanyak 989.47 peratus. Harap ini kekal sedemikian supaya defisit tidak bertambah.

Seterusnya Kerajaan Negeri menganggarkan hasil yang boleh dikutip pada tahun 2024 sedihnya cuma berjumlah RM533,077,255.00 sahaja bagi orang-orang yang biasa di kancah kuasa Persekutuan ini kacang putih…..(ketawa). USM pun dapat peruntukan yang jauh besar dari Kerajaan Negeri Pulau Pinang tetapi ianya masih ada pertambahan berbanding dengan tahun ini iaitu dianggarkan tambah 10.73 juta atau 2.05 peratus berbanding anggaran hasil tahun semasa 2023 sebanyak RM522.35 juta. Komposisi hasil tahun 2024 terdiri daripada hasil cukai 167.91 juta atau 31.5 peratus. HASIL bukan cukai 277.92 juta atau 52.13 peratus dan terimaan bukan hasil sebanyak 87.24 juta atau 16.37 peratus. Peningkatan utama hasil sebanyak RM10.73 juta yang di jangka pada tahun 2024 adalah disebabkan oleh peningkatan unjuran hasil cukai terutama cukai langsung dan juga hasil bukan cukai. Kerajaan Negeri akan sentiasa berusaha untuk meningkatkan kutipan hasil negeri dari semasa ke semasa.

Sebagai makluman kepada Dewan yang mulia ini, sehingga 15 November 2023, kerajaan negeri telah berjaya mengutip sebanyak 496.17 17 juta hasil secara keseluruhannya mengambil kira jangkaan hasil tahun 2024 berjumlah 533.08 juta berbanding perbelanjaan mengurus sebanyak 1.047 bilion akan menjadikan Bajet 2024 mengalami defisit sebanyak RM514.52 juta. Nilai deposit ini bertambah sebanyak RM47.41 juta berbanding deposit tahun 2023 yang berjumlah RM467.1 juta. Namun mengambil kira janji Kerajaan Negeri yang akan sentiasa berusaha dan berikhtiar untuk melonjakkan pembangunan negeri di samping memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa dipelihara maka bajet ber defisit perlu dilaksanakan. Anggaran defisit atau kekurangan RM514.53 juta yang dijangka dalam Bajet 2024 akan dibiayai daripada reserve Kerajaan Negeri termasuk Akaun Amanah Disatukan yang berbaki sebanyak RM1.67 bilion pada 15 November 2023. Ingin saya tegaskan di sini bahawa Kerajaan Negeri komited dan serius dalam usaha mempelopori penjanaan pendapatan baharu menerusi lain-lain sumber demi terus memacu pembangunan negeri secara menyeluruh. Bagi makluman Ahli-ahli Yang Berhormat selalunya Kerajaan Negeri dikritikan mendapat hasil melalui penjualan tanah. Pulau Pinang tak ada sumber-sumber semulajadi, sampai air pun tak ada. Jangan kata bijih timah, bijih emas semua tak ada. Jadi kita bergantung sangat kepada premium-premium tanah, penjualan-penjualan tanah. Penaga tahulah sebab sudah satu penggal di sini. Sama-sama susah dengan hasil yang terhad, kita sudah tidak sustainable bagi Negeri Pulau Pinang kalau kita tidak ada hasil yang baharu. Tetapi, saya tak tau sama ada ini berita baik atau berita sebaliknya. Kita dapati baru-baru ini ada satu berita dalam Media Perdana, pada 15 November 2023, bertajuk Petronas Maps Hydrocarbon Potential near Langkasuka basin yang melibatkan tiga buah negeri utara Perak, Pulau Pinang dan Kedah. Di mana Petronas sedang melakukan explorasi dan pemetaan hydrocarbon simmix membabitkan sumber minyak serta gas-gas berkualiti tinggi sedang dijalankan di perairan Pulau Pinang. Ada minyak kita…(gangguan)

Yang di-Pertua (Speaker)

Sama-sama doakanlah. Y.A.B. Ketua Menteri: Saya mahu bawa satu usul, sama-sama doakan.

Yang di-Pertua (Speaker)

Tapi kena minta royalti yang baik. Y.A.B. Ketua Menteri: Dan kajian ini dijangka selesai pada penghujung tahun ini. Saya dimaklumkan oleh Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri, yang sememangnya dalam penjawatan dahulu dalam pelbagai kementerian ada banyak pengetahuan dan juga connection dengan pihak-pihak…(gangguan)

Yang di-Pertua (Speaker)

Kabel kuat.

Y.A.B. Ketua Menteri: Ada kabel gas dan minyak. Bahawa syarikat minyak dan gas multinational negara iaitu Petronas, yang merupakan pihak yang melaksanakan kajian berkaitan, akan membentangkan hasil penemuan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang kelak iaitu mungkin awal tahun 2024 lah. Tadi, kita kata sama-sama kita susah, sebenarnya dalam berbahasan sehingga kini kita rasa Negeri Pulau Pinang amat kayalah. Pertumbuhan top, pelaburan top, itu top, itu top, rakyat kaya, industri kaya, ekonomi kaya tapi kerajaan miskin. Hasil itu semua disalurkan kepada persekutuan melalui cukai-cukai. Kita dapat cukai tempatan sahaja. Tanah. Tanah harap MBPP, MBSP boleh bantu kita. Cukai pintu ada jugalah. Tapi, memang kita sudah. Cukai hiburan. Itupun nak sekatlah, hiburan. So, itu saya mendoakan ini akan hasil satu sumber baru kepada ketiga-tiga buah negara utara…(gangguan)

Yang di-Pertua (Speaker)

Negeri.

Y.A.B. Ketua Menteri: Negeri. Tiga-tiga buah negeri di utara. Saya mau, saya mau katakan selama ini negeri-negeri utara diabaikan oleh Kerajaan Pusat. Harap ini sampai Perlis juga. Keempat-empat buah negeri dapat manafaat. Saya baru lawat Kuching, hadiri World Congress on Innovation and Technology bersempat bertemu dengan Premier Sarawak. Beliau begitu bangga dengan, dengan kemenangan over Petronas. Mendapat royalti. Royalti itu sudah dalam Akta, tetapi dia dapat tambahan itu cukai jualan produk petroleum yang selama ini tak pernah dikenakan. Tetapi, dia minta pakar-pakar undang-undang cari-cari Enakmen mendapati ini satu sumber, cukai yang tak pernah dikenakan. Yang Berhormat Penasihat Undang-Undang, sila mula kerja. Dan menghasilkan RM4 bilion setahun, cukai produk petroleum sahaja.

Yang di-Pertua (Speaker)

Kaya.

Y.A.B. Ketua Menteri: Tak kira royalti lagi. You sekarang tau mengapa mereka jalanpun. Ada anginlah. Sudah mau jadi premier pun hasil dari…(gangguan)

Yang di-Pertua (Speaker)

Kita.

Y.A.B. Ketua Menteri: Bila, bila dapat minyak dan gas, keempat-empat negeri kita tukarlah jadi premier juga. On the serious note, kita berharap Petronas akan dapat membentangkan hasil kepada Negeri Pulau Pinang dengan secepatnya. Selain itu, Kerajaan Negeri turut terangsang untuk mencari pendekatan sepertimana Kerajaan Persekutuan dalam menuju peralihan kepada renewable energy tenaga boleh baharu. Walaupun sistem bekalan lektrik semasa, yakni sistem grid mendominasi secara keseluruhan membabitkan pelbagai sektor, perancangan sumber baharu seperti solar photovoltaic, battery storage, hidrogen serta beberapa sumber bekalan tenaga ke arah mencapai tenaga hijau, turut berada dalam perancangan. Terima kasih kepada Dato’ Setiausaha Kerajaan Negerilah sebab pernah jadi KSU, NRECC dan ada banyak makluman dan pengetahuan tentang perkara ini, dan akan berusaha membantu Negeri Pulau Pinang mencapai peluang-peluang yang baru. Kerajaan Negeri turut merancang untuk membina ladang solar, solar terapung dan solar atas bumbung di lokasi-lokasi strategik bagi tempoh tahun 2024 sehingga 2030, bagi mengurangkan pelepasan karbon dioksida dan menggunakan pendekatan renewable energy membabitkan lokasi-lokasi industri padat. Bagi premis kerajaan, pelaksanaan pemasangan solar atas bumbung juga bakal dilaksanakan dalam tempoh sama dengan sasaran penjimatan 30 hingga 40% bil elektrik berbanding kini. Dalam bidang hartanah, sains dan teknologi, anak-anak syarikat berkaitan Kerajaan Negeri digalakkan untuk terus meneroka sumber-sumber baharu dan diberi hala tuju baharu supaya lebih bersifat Enterprises Agencies. Penekanan ini tertumpu dengan meningkatkan capacity building dalam kalangan pegawai-pegawai dilatih supaya dalam tempoh lima tahun kemudian, sektor berkenaan dapat membawa peningkatan pulangan demi merealisasikan Visi Penang2030. Bajet Pembangunan Tahun 2024, yang dicadangkan adalah berjumlah RM374,718,160 bagi sembilan jabatan negeri seperti perincian di Risalah Bil. No. 7 Tahun 2023. Sumber bagi Perbelanjaan Pembangunan ini, adalah melibatkan punca negeri sebanyak RM353.12 juta dan pemberian Kerajaan Persekutuan yang dianggarkan sebanyak RM21.6 juta.

What type of, we are just receiving RM21.6 juta dari persekutuan untuk Bajet Pembangunan. Itu tidak patut berlaku. Bajet Pembangunan tahun 2024 adalah meningkat sebanyak RM47.96 juta atau 14.68%, berbanding tahun 2023 yang berjumlah RM326.76 juta. Peruntukan pembangunan tertinggi adalah disediakan di bawah Vot P01 berjumlah RM197.76 juta. Bajet ini merangkumi peruntukan bagi projek Gurney Bay. Bagi tahun depan, kita peruntukan RM80 juta untuk sambungan projek. Pembangunan Sukan dan Kawasan Lapang RM15.3 juta, PTMP berjumlah RM21.23 juta, saya rasa untuk tujuan pengambilan tanah. Pembangunan Rancangan Perumahan Murah RM6 juta, Projek Khas Ekonomi RM15.05 juta dan lain-lain projek pembangunan. Selain itu, Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan pinjaman kepada PDC, bagi menampung sebahagian kos projek Global Business Outsourcing atau GBS by The Sea di Bayan Lepas berjumlah RM15 juta di bawah Vot P01 pada tahun 2024. Kerajaan Negeri berjanji akan meneruskan amalan tadbir urus berdasarkan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus bagi mengekalkan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri, yang mempunyai kepimpinan yang bersih dan dinamik. Penjawat Awam Jentera Pembangunan Negeri,

Dato’ Yang di-Pertua dan Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan, Kerajaan Negeri amat bertuah kerana memiliki barisan penjawat awam yang berdedikasi, berintegriti dan komited dalam memastikan dasar-dasar Kerajaan Negeri dilaksanakan secara berkesan. Sebagai apresasi dan penghargaan kepada penjawat awam negeri, saya mencadangkan bayaran Khas Kewangan, sepupu-sepupu setengah bulan gaji dengan minima RM1,000.00 kepada penjawat awam. Ini melibatkan…(gangguan)

Yang di-Pertua (Speaker)

Speaker ada?

Y.A.B. Ketua Menteri: Ha? Ini melibatkan, ini melibatkan 3,867 penjawat awam negeri dengan implikasi kewangan berjumlah RM6.045 juta. Di samping itu, seperti tahun-tahun sebelum ini, pemberian sebanyak RM300.00 seorang akan disalurkan kepada Penyelia dan Guru KAFA, Guru Sekolah Rendah Agama Rakyat, Guru Sekolah Menengah Agama Rakyat dan Guru serta Staf Sekolah Persendirian Cina. Pemberian sebanyak RM300.00, ini juga dipanjangkan kepada Guru Tahfiz, Guru Pondok dan Guru TAKDIS Negeri Pulau Pinang yang akan melibatkan tambahan peruntukan berjumlah RM1.005 juta. Bayaran BKK dan pemberian ini akan dibuat pada bulan Disember ini. Dato’ Yang di-Pertua, Saya sekali lagi menegaskan bahawa Kerajaan Negeri beriltizam dalam meneruskan aspirasi dan gagasan Penang2030 iaitu ke arah merealisasikan Pulau Pinang sebagai Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara. Saya bersama-sama dengan barisan kepimpinan pada hari ini, serta semua perkhidmatan awam akan terus tekad dan berdiri teguh di bawah naungan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan penuh berintegriti

demi menjaminkan kedaulatan dan kemakmuran negeri ini agar seluruh rakyat negeri Pulau Pinang akan terus bernafas dalam sejahtera, aman dan bahagia. Pada kesempatan ini, saya dengan seluruh kepimpinan Kerajaan Negeri ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri atas kepercayaan serta sokongan yang telah diberikan kepada kepimpinan ini. Semoga seluruh jentera pentadbiran negeri dapat terus menggembleng tenaga dalam menjayakan dasar-dasar Kerajaan Negeri dan memberi perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat Pulau Pinang.

Sesungguhnya atas semangat bersatu teguh bercerai roboh, saya percaya serta yakin kesetiaan dan penggemblengan tenaga secara bersepadu daripada seluruh rakyat Pulau Pinang, Visi Penang2030 dapat direalisasikan dengan jayanya. Sekian, Dato’ Yang di-Pertua. Saya mohon mencadangkan. (Ahli-ahli Yang Berhormat menepuk meja.)

Yang di-Pertua (Speaker)

Terima kasih Yang Amat Berhormat dan saya mohon untuk…

Prof. Dato’ Dr. Mohamad bin Abdul HamidPKR · PHTimbalan Ketua Menteri I · Batu Maung

Yang Berhormat Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri, saya mohon menyokong

Yang di-Pertua (Speaker)

Terima kasih.

Setiausaha Dewan

Tujuh B, Usul Anggaran Pembangunan Tahun 2024 daripada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri.

Yang di-Pertua (Speaker)

Sila.

Y.A.B. Ketua Menteri:

Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan bahawa Dewan ini meluluskan perbelanjaan sebanyak Ringgit Malaysia tiga ratus tujuh puluh empat juta, tujuh ratus lapan belas ribu, satu ratus enam puluh (RM374,718,160) yang tertera di dalam anggaran Pembangunan Tahun 2024 yang dibentangkan sebagai risalah Dewan Undangan Negeri bilangan tujuh tahun 2023 dan menetapkan bahawa jumlah yang tersebut hendaklah digunakan bagi tujuan-tujuan yang ditetapkan dalam anggaran Pembangunan 2024 itu.

Prof. Dato’ Dr. Mohamad bin Abdul HamidPKR · PHTimbalan Ketua Menteri I · Batu Maung

Yang Berhormat Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri, saya mohon menyokong.

Yang di-Pertua (Speaker)

Terima kasih. Maka Ahli-ahli Yang Berhormat untuk perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tahun 2024 dan usul anggaran Pembangunan Tahun 2024 akan kita bermula pada 27 November 2023 hari Isnin jam 9.30 pagi dan kita terlupa makanan tengah hari sudah disediakan, jangan balik terlalu awal dan kita terlupa selamat Hari Lahir kepada Yang Berhormat Pantai Jerejak..(Ahli-ahli Yang Berhormat menepuk meja). Maka Dewan ditangguhkan.

Dewan ditangguhkan pada jam 11.30 pagi.