Pulau Pinang · 24 May 2024

15th Assembly, 2nd session, 1st meeting · 6 turns · 4,218 words · official PDF ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalPenang publishes one PDF per sitting day with an attendance list, so each sitting shows who was absent. Speakers are matched by our parser and will have some errors.

(Pembukaan)

Setiausaha Dewan

Ahli-ahli Yang Berhormat, Yang Berhormat Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri. Bacaan doa. Doa. Pengumuman oleh Yang Berhormat Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri.

Yang di-Pertua (Speaker)

Selamat pagi dan salam sejahtera Ahli-Ahli Yang Berhormat. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri telahpun menetapkan hari ini 24 Mei 2024 sebagai hari permulaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Kelima Belas melalui pengisytiharan bertarikh 5 Mac 2024 yang telahpun diwartakan pada 28 Mac 2024. Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan, akan tiba di Dewan ini sebentar lagi untuk menyampaikan ucapan kepada Dewan.

[YB Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri dan Setiausaha Dewan ke Bilik VVIP untuk menjemput TYT Tun dan YABhg. Toh Puan]

Setiausaha Dewan

Ahli-Ahli Yang Berhormat, ketibaan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan. Ucapan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri.

Yang di-Pertua Negeri (Governor)

Bismillahirahmanirrahim. Rabbish Rahli Sadri, Wayassirli Amri, Wahlul Uqdatan Min Lisaani, Yafqahu Qauli. Alhamdulillahi Rabbil 'Alamin, Wassalatu Wassalamu 'Ala-Asyarafil Anbiya'e Wal Mursalin, Saidina Muhammadin, Wa'ala Alihi Wasahbihi Ajma'in. Allahumma Solli 'Ala Sayyidina Muhammadin, Wa'ala A'lihi, Wasabihi, Wassalam.

Yang Berhormat Dato’ Law Choo Kiang, Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Yang Amat Berhormat Tuan Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang, Yang Berhormat Dato' Dr. Mohamad bin Abdul Hamid, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Yang Berhormat Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Yang Berhormat Dato' Haji Rosli bin Isa, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Yang Berhormat Dato’ Azrul Mahathir bin Aziz, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Ketua-ketua Jabatan, tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Alhamdulillah, saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan izin-Nya

dapat kita bersama-sama pada pagi Jumaat yang penuh barakah ini dalam Mesyuarat Pertama Pembukaan Persidangan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Kelima Belas. Pertamanya, saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan tahniah kepada kepimpinan Yang Amat Berhormat Tuan Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang dan seluruh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta jentera pentadbiran Kerajaan yang telah mengemudi Negeri Pulau Pinang ini dengan cemerlang. Saya yakin dengan izin Allah SWT, jentera pentadbiran negeri ini akan terus berusaha memimpin negeri berdaulat ini ke tahap persada yang lebih tinggi sebagai negeri maju yang utuh dan terkehadapan.

Dalam masa yang sama, saya turut mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Utama Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia yang terus prihatin dalam usaha mendekati rakyat melalui pelbagai dasar MADANI dan membantu Pulau Pinang untuk terus membangun melalui kelulusan peruntukan pembangunan yang lebih tinggi untuk kesejahteraan rakyat di negeri ini. Beberapa siri lawatan YAB Perdana Menteri, telah diiringi dengan jumlah peruntukan yang besar kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Terima kasih saya ucapkan kepada YAB Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan.

Yang di-Pertua Dewan Negeri, bumi bertuah ini baharu sahaja menyambut suatu peristiwa yang bersejarah iaitu Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang di-Pertuan Bagi Negeri Dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta'zim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari 2024 dan Istiadat Pertabalan pula telah dijadualkan di Istana Negara pada 20 Julai ini. Saya mewakili Dewan yang mulia ini dan seluruh penduduk Negeri Pulau Pinang merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah sebagai Raja Permaisuri Agong. Pada kesempatan ini, saya juga ingin menzahirkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj yang telah menaungi negara selama lima tahun yang lalu dengan penuh cabaran, adil dan bijaksana.

Yang di-Pertua Dewan Negeri, penghargaan tertinggi juga ditujukan kepada YAB Perdana Menteri atas komitmen untuk menyediakan peruntukan bagi Projek Air Perak Pulau Pinang bagi membolehkan air terawat dapat dibekalkan dari Sungai Perak ke Pulau Pinang, sepertimana yang diumumkan di Majlis Penutup Program Madani Rakyat Zon Utara pada 5 Mei 2024 yang lalu. Pengumuman ini secara tidak langsung menunjukkan keprihatinan Kerajaan MADANI pada hari ini dalam menangani krisis bekalan air untuk jangka masa panjang bagi penduduk Negeri Pulau Pinang. Saya juga ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada YB Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang telah memulakan langkah awal dengan mengadakan perbincangan bersama Kerajaan Negeri Perak pada 9 November 2023 yang lalu serta beberapa siri perbincangan dengan Kementerian Ekonomi

sebagai langkah strategik bagi mengatasi masalah bekalan air di Pulau Pinang menjelang 2030.

Yang di-Pertua Dewan Negeri, pada Mesyuarat Pertama Pembukaan Persidangan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Kelima Belas yang lalu, saya telah membangkitkan untuk Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan beberapa permohonan bagi Negeri Pulau Pinang khususnya berkaitan dengan isu kesesakan trafik ke Sungai Dua, bagi Lebuhraya Utara-Selatan, pembangunan infrastruktur serta mempertingkatkan kemudahan perubatan di hospital dan klinik kerajaan di negeri ini. Rentetan daripada itu, berkat jalinan kerjasama yang erat ini, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan Projek Pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di mana proses tender pra kelayakan oleh pihak Malaysia Airports Holdings Berhad telah pun bermula sejak bulan Mac yang lalu. Salah satu projek mega di Pulau Pinang yang telah lama dinanti-nantikan akan dilaksanakan dalam masa terdekat adalah Pembinaan Projek Transit Aliran Ringan dengan kos RM10 bilion hingga RM13 bilion yang bakal dilaksanakan melalui Kementerian Pengangkutan. Saya menaruh keyakinan pembinaan projek ini yang akan melibatkan Syarikat MRT Corporation dengan kerjasama Kerajaan Negeri dapat dilaksanakan dengan segera. Di samping memberikan tumpuan pada jajaran stesen dan depoh yang lebih strategik, pihak berkenaan perlu mengambil kira kepentingan Kerajaan Negeri tanpa menidakkan atau mengabaikan kehijauan alam sekitar serta peniaga kecil dan sederhana di kawasan yang bakal dirancang. Saya turut difahamkan, sewaktu lawatan kerja YAB Perdana Menteri ke Pulau Pinang pada 5 April 2024 yang lalu, beliau turut meluluskan peruntukan segera berjumlah RM11 juta bagi pembinaan sebuah Klinik Kesihatan Jenis 2, Bayan Lepas dalam memperkasakan sektor kesihatan di negeri ini. Terima kasih saya ucapkan bagi pihak Kerajaan Negeri. Kerajaan Persekutuan sedang memperhalusi cadangan daripada Kerajaan Negeri bagi Projek Pembangunan Balai Istiadat Seri Mutiara, Pulau Pinang di samping mempertimbangkan Dewan Sri Pinang untuk dinaik taraf selari dengan keperluan semasa dengan lebih berkualiti dan mengekalkan unsur estetika. Balai Istiadat Seri Mutiara bukan sahaja berfungsi sebagai sebuah balai istiadat yang khusus dalam hal dan urusan penganjuran majlis dan istiadat rasmi Kerajaan Negeri, malah memperkasakan Institusi Diraja dan Yang di-Pertua Negeri sebagai payung kepada kedaulatan Negeri yang bertuah ini. Adalah menjadi harapan kita semua, agar Kerajaan Persekutuan dapat membantu untuk merealisasikan harapan ini yang bukan sahaja menjadi kebanggaan rakyat Pulau Pinang tetapi Negara secara amnya. Sebagai makluman, Kerajaan Negeri telah memohon sebanyak 93 projek di bawah Rolling Plan Kelima (RP5) Tahun 2025, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) bagi Negeri Pulau Pinang. Kesemua projek ini melibatkan anggaran kos keseluruhan berjumlah RM17.7 bilion dan peruntukan yang diperlukan bagi tahun 2025 adalah berjumlah RM2.8 bilion. Saya memohon agar Kerajaan Persekutuan akan dapat mempertimbangkan kesemua permohonan ini dengan sebaiknya sejajar dengan rekod dan prestasi kecemerlangan yang dikecapi oleh negeri ini.

Yang di-Pertua Dewan Negeri, potret kecemerlangan Negeri Kita dapat dilihat apabila Pulau Pinang terus berdiri teguh dengan mencatatkan sebanyak RM71.9 bilion dalam pelaburan yang diluluskan meliputi sektor utama iaitu pembuatan dan perkhidmatan sepanjang tahun 2023 dan seterusnya mengukuhkan status negeri ini sebagai destinasi pelaburan utama. Meskipun

negara kita berdepan dengan pelbagai cabaran ekonomi global sepanjang tahun 2023, peningkatan ini adalah cukup ketara iaitu sebanyak 77% berbanding dengan tahun 2022 dengan jumlah pelaburan yang diluluskan iaitu RM16.3 bilion. Merujuk kepada laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), rekod tersebut meletakkan Pulau Pinang di kedudukan yang tertinggi diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Kedah. Daripada jumlah RM71.9 bilion itu, sebanyak RM61.7 bilion adalah daripada pelaburan langsung asing (FDI) manakala pelaburan langsung domestik (DDI) menyumbang RM10.2 bilion. Ini secara tidak langsung telah mewujudkan sebanyak 20,701 peluang pekerjaan melibatkan 415 projek yang diluluskan. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diketuai oleh YAB Ketua Menteri serta seluruh jentera pentadbiran kerajaan atas rekod pencapaian negeri yang cukup cemerlang ini.

Yang di-Pertua Dewan Negeri, rekod kecemerlangan yang diukir ini, tidak seharusnya dipandang enteng dan terus diperkasakan dengan penyampaian perkhidmatan yang cemerlang dalam menarik lebih banyak kemasukan pelabur ke negeri ini. Pelaksanaan Sistem OSC 3.0 Plus Online di Pihak Berkuasa Tempatan Pulau Pinang yang bertindak sebagai salah satu mekanisme dalam menyokong kepada Dasar Ease of Doing Business di negeri ini perlu didukung dengan sebaiknya. Selain itu, jaringan infrastruktur, pengangkutan, sumber air dan elektrik perlu dipertingkatkan dalam memastikan pembangunan ekonomi di negeri ini dapat diperhebatkan. Oleh itu, saya menyahut baik kepada penyediaan Draf Rancangan Tempatan Penang Southern Island 2050 dan juga kajian-kajian seperti Kajian Pelan Induk Perindustrian Negeri Pulau Pinang dan Kajian Perancangan Pelan Induk Pembangunan Strategik Penang Bay yang sedang dilaksanakan. Adalah diharapkan langkah proaktif ini dapat dijayakan melalui penggemblengan tenaga dengan semua pihak.

Yang di-Pertua Dewan Negeri, secara amnya, Pulau Pinang merupakan antara negeri yang sentiasa menunjukkan prestasi kewangan yang cukup baik berbanding negeri-negeri lain di Malaysia. Hal ini kerana defisit perbelanjaan sebenar negeri masih mampu ditampung oleh baki terkumpul Akaun Hasil Disatukan Negeri, sekali gus mencatat prestasi kewangan yang positif pada akhir tahun. Sebagai tambahan, Pulau Pinang merupakan negeri kedua yang mencatatkan jumlah terkumpul baki pinjaman Kerajaan Persekutuan belum selesai yang terendah iaitu sebanyak Ringgit Malaysia tiga puluh enam perpuluhan tujuh tiga juta (RM36.73 juta) sehingga 31 Januari 2024. Selain itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang secara konsisten mengekalkan prestasi yang amat baik dalam perspektif tatakelola kewangan. Justeru, Kerajaan Negeri telah menerima ‘Sijil Ketua Audit Negara Dengan Pendapat Tanpa Teguran Dengan Perenggan Hal-hal Lain’ bagi Penyata Kewangan Negeri Tahun 2022 pada 28 Ogos 2023. Kendatipun begitu, Kerajaan Negeri tidak pernah alpa memastikan kelangsungan fiskal dalam jangka masa panjang. Menyedari bahawa defisit perbelanjaan negeri tidak selamanya dapat ditampung oleh baki terkumpul Akaun Hasil Disatukan Negeri sekiranya tiada peningkatan hasil yang mendadak, Kerajaan Negeri perlu mengambil langkah proaktif untuk melaksanakan ‘Strategi Pengurangan Unjuran Defisit Negeri Tahun 2024’ di samping mempergiatkan usaha menggandakan hasil sumber pendapatan negeri. Dalam hal ini, saya memohon agar pada sidang kali ini, semua Ahli-ahli Yang Berhormat dapat mengemukakan pandangan serta

cadangan bagi meningkatkan hasil negeri. Dengan iltizam dan komitmen daripada semua pihak, saya percaya prestasi fiskal negeri dijangka meningkat dalam masa terdekat.

Yang di-Pertua Dewan Negeri, di kesempatan ini, sukacita saya mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan Program Penanaman Satu (1) Juta Pokok Dalam Sehari sempena Hari Bumi pada 22 April 2024 yang lalu. Program anjuran Yayasan Amal Tuan Yang Terutama Pulau Pinang dengan kerjasama Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar ini, telah mencapai sasaran penanaman satu juta pokok pada tepat jam 11.30 pagi. Lebih membanggakan lagi, Pulau Pinang telah mencipta sejarah tersendiri apabila menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records hasil daripada pelaksanaan program ini.

Yang di-Pertua Dewan Negeri, saya bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang telah meluluskan peruntukan sejumlah Ringgit Malaysia dua puluh satu perpuluhan empat lapan juta (RM21.48 juta) bagi Maksud Pembangunan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) bagi tahun 2024. Peruntukan yang diluluskan ini adalah melibatkan peningkatan sebanyak Ringgit Malaysia tiga perpuluhan dua tujuh sembilan juta (RM3.279) juta atau lapan belas perpuluhan kosong dua peratus (18.02%) berbanding tahun 2023, Ringgit Malaysia lapan belas perpuluhan dua kosong juta (RM18.20 juta). Kerajaan Negeri juga sentiasa sedar akan peranan dan kepentingan masjid serta surau yang menjadi pusat penyatuan, pendidikan dan kemasyarakatan yang membantu ummah. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri dalam bajet 2024 telah meluluskan peruntukan sejumlah Ringgit Malaysia sepuluh perpuluhan satu lapan juta (RM10.18 juta) untuk tujuan membina, membaiki dan mengubah suai masjid dan surau di Pulau Pinang. Saya juga dimaklumkan, Kerajaan Negeri akan terus komited untuk meneruskan pembinaan masjid baharu seperti Masjid Papan, Masjid Jamek Nurul Hidayah Sungai Lokan, Masjid Taman Sungai Dua Utama, Masjid Lama Sungai Kechil, Masjid Bandar Putra Bertam, Masjid Bandar Cassia dan Masjid Sungai Bakap serta Masjid baharu Cherok Tok Kun di negeri ini. Terima kasih diucapkan dan semoga Allah SWT permudahkan urusan kita semua.

Yang di-Pertua Dewan Negeri, Kerajaan Negeri Pulau Pinang memandang serius terhadap isu ketandusan bakat dan pekerja mahir di negeri ini dan pelbagai langkah dan inisiatif telah dirangka dan diadakan dalam mendepani cabaran modal insan ini. Apa yang pasti, hasrat ini dapat direalisasikan melalui peningkatan kualiti pendidikan dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik, Kecerdasan Buatan (AI) dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional dalam memberikan pendedahan dan peluang kepada generasi muda untuk meneroka serta menjalani latihan di beberapa institusi pengajian atau pendidikan yang menawarkan kursus bersesuaian. Saya difahamkan, lebih daripada 37 Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani dengan institusi pengajian yang terpilih dan satu Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan Nasional telah dibentuk di antara Kerajaan Negeri dengan Human Resource Development Corporation (HRD Corp) bagi mencapai matlamat menjadikan Negeri Pulau Pinang sebagai salah satu daripada 30 ekonomi terbesar di dunia dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Yang di-Pertua Dewan Negeri, sektor pelancongan merupakan antara sektor yang perlu diperkasakan. Langkah dalam mempelbagaikan aktiviti, program mahupun produk dalam merancakkan industri pelancongan di negeri ini adalah selaras dengan Tema B3 Visi Penang2030 iaitu mencipta pelbagai produk pelancongan yang berkualiti di seluruh Pulau dan Seberang Pulau. Saya difahamkan, sehingga Oktober 2023, sejumlah lima perpuluhan satu tujuh juta (5.17 juta) pelancong direkodkan hadir dan bermalam di Pulau Pinang. Angka ini menunjukkan peningkatan sebanyak empat puluh perpuluhan dua peratus (40.2%) berbanding tahun 2022 yang merekodkan ketibaan tiga perpuluhan enam sembilan juta (3.69 juta) pelancong ke Pulau Pinang. Usaha merancakkan sektor pelancongan juga turut dipergiatkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui melindungi dan memulihara tapak warisan bagi pengekalan status Warisan Dunia UNESCO George Town terutamanya di kawasan tumpuan North Seafront. Untuk tujuan tersebut, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif dengan menaik taraf kawasan reruang awam (public realm) dan mewujudkan pelbagai produk pelancongan berteraskan warisan selaras North Seafront Master Plan dan Rancangan Kawasan Khas George Town. Saya juga berharap, Projek Kereta Kabel Bukit Bendera yang sedang dijalankan bakal menjadi tarikan baharu kepada para pelancong sama ada dari dalam atau luar ke Pulau Pinang. Projek ini dijangka siap pada tahun 2026 dan kerja-kerja di tapak kini dijangka bermula pada awal bulan Jun 2024. Mudah-mudahan projek ini dapat disiapkan pada tempoh waktu yang digariskan dalam menyambut kehadiran Tahun Melawat Malaysia 2026.

Yang di-Pertua Dewan Negeri, “Demi kebahagian semua, api kau genggam menjadi bara. Jasad lebur, semangat tak luntur. Wanita mithali, engkaulah obor”. Lirik lagu “Dia Wanita” yang telah didendangkan oleh Salamiah Hassan, menceritakan seribu satu makna mengenai nilai dan pengorbanan seorang wanita. Sesungguhnya, wanita adalah penyumbang kepada kemajuan sesuatu negara, pembangunan institusi kekeluargaan dan pengukuhan kepada masyarakat yang penyayang. Alhamdulillah, obor keistimewaan wanita dalam menyumbang tenaga dan bakti di negeri ini terus semarak dengan jayanya. Cahaya kegemilangan obor ini dapat dilihat dengan pelbagai program dan aktiviti yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri dalam memperkasa pelaksanaan Dasar Keterangkuman Gender dalam kalangan warga negeri ini. Saya juga ingin mengucapkan syabas di atas inisiatif Kerajaan Negeri yang telah memperkenalkan program Penang Women Entrepreuner Mentoring Programme 5.0 atau dengan nama baharu PEN-Mentor 5.0 dalam membolehkan golongan wanita untuk menjana pendapatan, mendapat bimbingan dan mewujudkan rangkaian sokongan di antara usahawan-usahawan wanita.

Yang di-Pertua Dewan Negeri, pada tahun yang lalu, saya telah diberi kesempatan untuk menjejak kaki buat kali pertamanya di atas Pulau Silikon, Pulau Pinang yang kini sedang giat ditambak. Pulau Silikon merupakan sebuah projek pembangunan strategik jangka masa panjang yang membawa impian seluruh rakyat Pulau Pinang. Adalah dijangkakan, Pulau Silikon akan menjana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak Ringgit Malaysia satu perpuluhan satu trilion (RM1.1 trilion) dan pelaburan sebanyak Ringgit Malaysia tujuh puluh empat perpuluhan tujuh bilion (RM74.7 bilion) serta mewujudkan 220,000 peluang pekerjaan. Melalui projek ini, ia akan memperkasakan kedudukan Pulau Pinang sebagai salah satu penyumbang ekonomi utama negara. Insya-Allah. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih

kepada Kerajaan Negeri yang terus komited dalam memastikan kesejahteraan nelayan dan ekosistem sentiasa terpelihara sebagaimana dijanjikan dalam Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) dan Pelan Induk Pengimbangan Ekologi PSI (PEOM). Saya dimaklumkan, pembayaran ex-gratia telah mula dikreditkan secara berfasa dari 1 September 2023. Sehingga 5 April 2024, seramai 557 orang nelayan telah menerima bayaran tujuh puluh lima peratus (75%) manakala baki dua puluh lima peratus (25%) akan disempurnakan dalam masa terdekat. Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah menubuhkan Koperasi Komuniti Pulau Pinang Selatan Bhd (KKPPSB) dalam mewujudkan peluang perniagaan yang boleh mendatangkan hasil tambahan kepada nelayan dan ahli komuniti setempat. Sehingga kini, sebanyak 100 kontrak dengan jumlah nilai Ringgit Malaysia empat puluh empat perpuluhan lapan juta (RM44.8 juta) telah ditawarkan kepada syarikat tempatan melalui koperasi ini. Yang di-Pertua Dewan Negeri, penambahbaikan infrastruktur dan kesejahteraan rakyat negeri ini khususnya di kawasan luar bandar tidak boleh dikesampingkan. Saya difahamkan, pada tahun ini, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah memperuntukkan sebanyak Ringgit Malaysia tiga perpuluhan lima juta (RM3.5 juta) bagi pelaksanaan projek pembangunan khususnya di negeri Pulau Pinang. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada KKDW atas kejayaan dalam menyiapkan Projek Jalan Luar Bandar (JALB) iaitu Jalan Baru dari Bagan Sungai Pinang ke Kampung Pulau Betong, Balik Pulau, Daerah Barat Daya, Pulau Pinang. Saya dimaklumkan, projek jalan ini yang menelan belanja sebanyak Ringgit Malaysia lapan puluh dua perpuluhan lima juta (RM82.5 juta) telah dilaksanakan bermula pada 4 Mei 2018 dan siap sepenuhnya pada 3 November 2023.

Yang di-Pertua Dewan Negeri, sektor kesihatan merupakan sebahagian daripada sistem sosioekonomi yang perlu diperkasakan demi meningkatkan taraf kehidupan rakyat di negeri ini. Antara salah satu cabaran besar kesihatan awam pada masa kini adalah penuaan populasi. Mengikut statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, Negeri Pulau Pinang adalah negeri yang kedua terpantas dalam kadar penuaan populasi dan adalah dijangkakan hampir suku daripada populasi negeri Pulau Pinang berada pada umur 60 tahun dan ke atas pada tahun 2040. Dalam memastikan kesiapsiagaan Pulau Pinang untuk menjadi sebuah negeri menua, saya memuji langkah proaktif Kerajaan Negeri dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai Bandar Mesra Usia yang terangkum berdasarkan rangka kerja Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau World Health Organisation (WHO). Saya juga memuji langkah Kerajaan Negeri dan Jabatan kesihatan Negeri yang sedang giat menjalankan Projek Rintis Penyumberluaran Outsourcing Bekalan Ubat Susulan ke Farmasi Komuniti yang pertama di negara ini. Projek ini membolehkan pesakit untuk mendapatkan bekalan ubat susulan di farmasi komuniti yang terpilih yang secara tidak langsung membantu untuk menjimatkan masa dan mengurangkan kos perjalanan kepada pesakit. Yang di-Pertua Dewan Negeri,

Kerajaan Negeri sentiasa memberi perhatian kepada pembangunan sukan di negeri ini dan pelbagai anjakan paradigma sedang dilaksanakan bagi memperbanyakkan kemenangan pingat emas di sukan kebangsaan serta sukan terbuka yang disertai. Perihal ini dapat dijayakan dengan memfokuskan terhadap program-program latihan dan anjakan prestasi pembangunan yang dilaksanakan bagi atlet-atlet dari kategori sukan yang disertai. Seterusnya, Jurulatih Sukan Negeri dan para atlet yang terbabit dengan sukan-sukan yang dipertandingkan akan

diperkasakan dan dipertingkatkan dengan kemahiran diri dan pengetahuan yang tinggi demi meraih pingat sebanyak yang mungkin untuk negeri ini. Dalam hal ini, saya berharap dan mendoakan pada kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos 2024 di Negeri Sarawak, para atlet negeri ini akan cemerlang dengan meraih pingat sebanyak yang mungkin untuk negeri ini. Insya-Allah.

Yang di-Pertua Dewan Negeri,Komitmen Kerajaan Negeri pada hari ini, dalam memfokuskan isu perumahan kepada rakyat sebagai agenda utama di negeri ini dapat dilihat melalui Visi Penang 2030, di bawah Inisiatif Strategik A1 iaitu Menandatangani Isu Kemampuan dan Kepelbagaian Perumahan Addressing Housing Affordability and Diversity. Nescaya nescaya, penyediaan perumahan merupakan komponen penting dalam sesebuah pentadbiran negara dalam mewujudkan sesuatu institusi keluarga yang sejahtera dan selamat. Oleh itu, saya ingin memuji langkah Kerajaan Negeri yang telah melaksanakan satu inisiatif baharu dengan memperkenalkan sebuah kategori Rumah Mampu Milik (RMM) baharu iaitu RMM B2. Kategori RMM B2 ini dapat membantu untuk membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada setiap golongan rakyat di negeri ini untuk memiliki rumah. Kategori ini akan menyasarkan kepada golongan berpendapatan isi rumah maksimum Ringgit Malaysia lima ribu (RM5,000.00) dan seterusnya membantu untuk merapatkan jurang had pendapatan isi rumah bulanan di antara RMM B bagi pendapatan isi rumah tidak melebihi Ringgit Malaysia tiga ribu lima ratus (RM3,500.00) dan RMM C1 bagi pendapatan isi rumah tidak melebihi Ringgit Malaysia lapan ribu (RM8,000.00).

Saya percaya, inisiatif baharu yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri bukan sahaja bagi menyokong rumah projek Perumahan Inklusif MADANI malah ia adalah sejajar dengan hasrat dan janji yang telah diberikan oleh Kerajaan Perpaduan pada hari ini. Lantaran itu, keperluan Perumahan Penjawat Awam harus dirancang dan direalisasikan di negeri ini supaya penjawat awam tidak dipinggirkan dalam arena kemajuan yang dirancang. Yang di-Pertua Dewan Negeri,

Teguh di sini pohon yang indah, buah pinang gugur ke bumi, industri tani terbukti sudah, sektor penting penjana ekonomi.

Umum mengetahui Negeri Pulau Pinang mempunyai kawasan pertanian yang terhad, namun demikian itu bukan menjadi batu halangan untuk kita terus adaptasi dan memperkasakan pertanian moden di negeri ini. Saya percaya dan yakin, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha mencari ruang dan kaedah penyelesaian agar sumber bahan makanan terus tersedia untuk penduduk negeri ini. Baru-baru ini, Kerajaan Negeri telah meluluskan cadangan bagi mewujudkan beras jenama tempatan dengan nama 'Beras Cap Feri'. Saya difahamkan, sebuah Jawatankuasa Pemandu Beras Pulau Pinang telah ditubuhkan dan sedang merangka garis pelaksanaan bagi merealisasikan pengeluaran beras ini yang dijangka dapat membantu rakyat Negeri Pulau Pinang mendapatkan stok beras tempatan dengan harga mampu milik.

Program Pertanian Bandar atau Kebun Komuniti yang sedang dilaksanakan di negeri ini juga perlu diperhebatkan dan diberi penekanan di kawasan perumahan yang akan dibina. Saya juga dimaklumkan, sektor akuakultur di negeri ini berada di kedudukan ketiga tertinggi di negara ini dengan menyumbang kepada pengeluaran sebanyak 70 ribu tan metrik ikan iaitu bersamaan dengan nilai Ringgit Malaysia satu bilion (RM1 bilion) pada tahun yang lalu. Syabas saya ucapkan. Negeri Pulau Pinang juga akan mengembalikan semula kegemilangan bagi hab pendaratan tuna di mana Kerajaan Negeri sedang dalam usaha untuk mengukuhkan lokasi pelabuhan yang bersesuaian bagi tujuan ini. Adalah diharapkan, usaha ini bukan sahaja dapat menarik lebih banyak pelabur tetapi ia juga mampu untuk meningkatkan industri agropelancongan di negeri ini.

Yang di-Pertua Dewan Negeri dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, Sebelum saya mengakhiri ucapan saya pada pagi ini, ingin saya memperingatkan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian untuk terus mematuhi Peraturan-peraturan Tetap Dewan Negeri semasa bersidang supaya perjalanan sidang Dewan Negeri berjalan dengan teratur dan tertib, dengan memartabatkan nilai hormat menghormati antara satu dengan lain tanpa mengambil kira ideologi politik masing-masing. Berikanlah contoh teladan dan kepimpinan yang baik kepada rakyat dengan saling bergandingan serta bertolak ansur antara satu sama lain, bak kata pantun melayu,

kalau sudah menebuk gading, tebuk menjadi ukiran pekat, kalau sudah duduk berunding, elok dicari mata muafakat.

Yang di-Pertua Dewan Negeri, Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan syabas kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang telah menerima Anugerah Emas Tertinggi pada 29 Februari 2024 di Majlis Penyampaian Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah peringkat kebangsaan anjuran Institut Integriti Malaysia. Saya turut difahamkan, Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang, Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang dan Majlis Bandaraya Seberang Perai turut menerima Anugerah Emas AIGA Peringkat Kebangsaan ini. Saya percaya dan yakin, pengiktirafan ini secara tidak langsung menghargai komitmen sektor awam khususnya dalam menzahirkan pembudayaan integriti dan tadbir urus terbaik serta pelbagai inisiatif antirasuah yang dijalankan di organisasi sektor awam di negeri ini. Oleh itu, saya menyeru agar semua anggota penjawat awam, tidak kira daripada perkhidmatan awam negeri mahupun persekutuan, untuk terus memberi sokongan dan dukungan kepada Kerajaan Negeri dalam menyampaikan perkhidmatan yang terbaik, berintegriti, berdedikasi dan bergerak secara bersepadu ke arah usaha memajukan dan menyejahterakan rakyat di negeri ini. Anggota Perkhidmatan Awam merupakan tunjang dan nadi penggerak utama kepada pembangunan dan pertumbuhan Negeri Pulau Pinang dan Negara Malaysia amnya. Komitmen dan khidmat bakti Anggota Perkhidmatan Awam dalam menjamin kedaulatan, keselamatan dan keamanan negeri ini amatlah dihargai dan tidak ternilai harganya. Terima kasih saya ucapkan.

Yang di-Pertua Dewan Negeri, Saya juga ingin memohon sektor swasta untuk terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dalam meningkatkan momentum pertumbuhan ekonomi negeri ini dengan lebih berdaya saing dan mampan. Saya percaya, hubungan simbiosis di antara sektor swasta dan awam adalah amat penting dalam mewujudkan sebuah ekosistem pelaburan yang mesra perniagaan, kondusif dan dinamik. Oleh itu, sektor swasta perlu terus menyokong dan menyahut dasar Kerajaan Negeri pada hari ini di samping menghasilkan idea yang membina dan baharu bagi meningkatkan pelaburan dan produktiviti di negeri ini. Akhir kata, saya berdoa semoga Negeri Pulau Pinang dan seluruh rakyat negeri ini terus mendapat perlindungan Allah SWT dan sentiasa dilimpahi rahmat-Nya dengan keamanan dan kemakmuran agar ia akan terus dirasai oleh generasi yang akan datang. Semoga hasrat kita ke arah Visi Penang2030, iaitu Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara akan tercapai dengan jayanya.

Dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim, saya merasmikan Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Yang Kelima Belas. Selamat bersidang di Dewan Yang Mulia ini. Sekian, terima kasih. Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.

Yang di-Pertua (Speaker)

Terima kasih Tun. Ahli-Ahli Yang Berhormat, para hadirin yang sekalian, Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan akan meninggalkan Dewan ini sebentar lagi. Ahli-Ahli Yang Berhormat dijemput untuk bergambar bersama-sama dengan Tuan Yang Terutama Tun. Ahli-Ahli Yang Berhormat mesyuarat ditangguhkan dan Dewan akan bersidang semula pada hari isnin 27 Mei 2024 jam 9.30 pagi.

Setiausaha Dewan

Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan meninggalkan Dewan Persidangan.

Dewan ditangguhkan pada jam 10.40 pagi.