Pulau Pinang · 16 May 2025
Mesyuarat pertama penggal ketiga dun ke 15 · 6 turns · 2,807 words · official PDF ↗
ExperimentalPenang publishes one PDF per sitting day with an attendance list, so each sitting shows who was absent. Speakers are matched by our parser and will have some errors.
Absent: Dato‘ Seri Reezal Merican bin Naina (3)
(Pembukaan)
Ahli-ahli Yang Berhormat, Yang Berhormat Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri. Bacaan doa. Pengumuman oleh Yang Berhormat Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri.
Ahli-ahli Yang Berhormat, Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri telahpun menetapkan hari ini 16 Mei 2025 sebagai hari permulaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri yang Kelima Belas melalui pengisytiharan yang telah pun diwartakan pada 13 Mac 2025. Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Mulia Toh Puan, akan tiba di Dewan ini sebentar lagi dan untuk menyampaikan ucapan kepada Dewan.
Ahli-ahli Yang Berhormat, Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri dan Yang Mulia Toh Puan. Ucapan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri.
Bismillahirahmanirrahim. Rabbish Rahli Sadri, Wayassirli Amri, Wahlul Uqdatan Min Lisaani, Yafqahu Qauli. Alhamdulillahi Rabbil 'Alamin, Wassalatu Wassalamu 'Ala-Asyarafil Anbiya'e Wal Mursalin, Saidina Muhammadin, Wa'ala Alihi Wasahbihi Ajma'in. Allahumma Solli 'Ala Sayyidina Muhammadin, Wa'ala A'lihi, Wasabihi, Wassalam.
Yang Berhormat Dato’ Seri Law Choo Kiang, Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Yang Amat Berhormat Tuan Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang, Yang Berhormat Dato' Dr. Mohamad bin Abdul Hamid, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Yang Berhormat Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Yang Berhormat Dato' Haji Zulkifli bin Long, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Yang Berhormat Dato’ Azrul Mahathir bin Aziz, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Ketua-ketua Jabatan, tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam sejahtera. Alhamdulillah, saya memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, kita diberi kesempatan untuk berhimpun pada pagi yang mulia dan penuh barakah ini, dalam Majlis Istiadat Perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang Kelima Belas. Dengan penuh rasa hormat dan rendah diri, terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan di Dewan yang Mulia ini untuk memaklumkan setinggi-tinggi penghargaan dan menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas limpah perkenan Baginda memperkenankan pelantikan saya sebagai Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang yang ke-9, berkuat kuasa 1 Mei 2025. Amanah ini bukan sekadar satu penghormatan, tetapi sumpah setia untuk berbakti kepada negeri dan rakyat Pulau Pinang. Insya-Allah, saya akan memikul tanggungjawab ini dengan penuh iltizam, berlandaskan semangat kenegaraan, menjunjung keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, demi memenuhi harapan rakyat dan memajukan negeri yang tercinta ini.
Sidang Dewan yang saya Muliakan, sebelum sidang ini melangkah ke wacana dan bicara yang lebih jauh, marilah kita bersama-sama mengambil sedikit ruang waktu untuk mengenang jasa serta sumbangan besar Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, mantan Perdana Menteri Malaysia, yang telah kembali ke rahmatullah. Pada kesempatan ini, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang atas inisiatif menamakan seluruh Lebuhraya Bandar Cassia sebagai Jalan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Langkah ini bukan sekadar satu simbol penghormatan, bahkan merupakan sebuah manifestasi penghargaan yang mendalam terhadap jasa dan kepimpinan Allahyarham dalam membina negara bangsa, khususnya dalam mendorong pembangunan strategik yang memberi manfaat besar kepada negeri ini. Semoga nama beliau akan terus mekar dalam lipatan sejarah Pulau Pinang dan terpahat kukuh dalam sanubari rakyat yang sentiasa menghargai jasa dan budinya. Oleh itu, bagi yang beragama Islam, saya mempersilakan kita sama-sama membaca Surah Al-Fatihah. Bagi yang bukan beragama Islam, bolehlah bertafakur atau memanjatkan doa mengikut pegangan dan kepercayaan masing-masing. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan insan yang beriman. Al-Fatihah.
Saya juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Amat Berbahagia Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Haji Abdul Razak, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang yang ke-8 di atas kepimpinan yang luhur dan sumbangan yang besar kepada negeri Pulau Pinang. Jasa beliau akan sentiasa dikenang dan dihargai oleh seluruh rakyat negeri ini.
Prestasi dan pencapaian Negeri Pulau Pinang. Sidang Dewan yang saya hormati sekalian, Pulau Pinang telah lama bersemadi dalam sanubari saya dan hari ini saya amat berbesar hati melihat negeri ini terus melangkah maju dan memainkan peranan yang signifikan dalam kerangka pembangunan negara. Sumbangan negeri ini bukan sahaja terletak pada kedudukannya yang strategik dan warisan sejarah yang kaya, tetapi juga pada keupayaannya untuk memacu pertumbuhan ekonomi secara konsisten dan berkesan. Saya turut merasa amat berbangga dan berbesar hati tatkala meneliti ucapan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri semasa lafaz ikrar taat setia bersempena pelantikan saya sebagai Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang yang ke-9 pada 1 Mei 2025, yang menyentuh banyak perkara mengenai perkembangan pesat Pulau Pinang pada masa ini.
Bagaikan sungai yang mengalir tanpa henti, Pulau Pinang terus mengukir kejayaan, menuntun negeri ke puncak kemakmuran. Bagi tahun 2023, ekonomi Pulau Pinang mencatatkan pertumbuhan sebanyak 3.3 peratus, dengan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar mencecah RM116 bilion. Pencapaian ini di dorong oleh dua sektor utama iaitu perkhidmatan (48%) dan pembuatan (46.5%) yang secara kolektif menyumbang hampir keseluruhan struktur ekonomi negeri. Kebergantungan kepada sektor-sektor berimpak tinggi ini menjadikan ekonomi negeri lebih tangkas dalam menghadapi cabaran luaran dan ketidaktentuan global. Apa yang membanggakan, Pulau Pinang kekal sebagai salah satu daripada enam negeri penyumbang utama kepada 73% KDNK nasional. Negeri ini turut mencatatkan KDNK per kapita tertinggi, iaitu RM72,586.00. Dalam bidang perdagangan antarabangsa pula, Pulau Pinang telah merekodkan jumlah dagangan sebanyak RM788.1 bilion bagi tahun 2024, iaitu peningkatan 11.6% berbanding RM696.7 bilion pada tahun sebelumnya.
Penghargaan kepada Kerajaan Negeri dan Visi Penang2030. Dewan sidang yang saya Muliakan, segala pencapaian ini tidak berlaku secara kebetulan. Ia lahir daripada kesungguhan kolektif seluruh warga Pulau Pinang yang terus mendukung aspirasi bersama untuk kemajuan negeri berserta kepimpinan Kerajaan hari ini yang kekal konsisten, teguh dan berprinsip dalam mengemudi negeri ini ke arah kesejahteraan dan kemakmuran. Sehubungan itu, setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah saya rakamkan kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri, barisan kepimpinan Kerajaan Negeri serta warga perkhidmatan awam atas komitmen dan sumbangan berterusan yang menjadi tulang belakang kepada pencapaian negeri. Seiring dengan rekod kecemerlang ini Visi Penang2030 yang diperkenalkan oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri menjadi hala tuju strategik untuk masa depan Pulau Pinang.
Oleh itu, saya memberi sokongan penuh terhadap visi ini dan menyeru semua pihak untuk terus berkolaborasi dalam merealisasikan matlamat tersebut. Bak kata pepatah. “Buluh sebatang tidak akan menjadi pagar, bukit setinggi mana pun tidak akan dapat didaki sendirian”. Dengan semangat yang utuh dan tekad yang bersama, saya yakin Pulau Pinang akan terus melangkah maju dan akan terbang lebih tinggi di persada antarabangsa. Sidang Dewan yang saya Muliakan, kemajuan ekonomi masa hadapan memerlukan kebijaksanaan dalam merancang inisiatif yang bersifat lestari dan berimpak tinggi. Dalam hal ini, saya menyambut baik pelaksanaan inisiatif-inisiatif seperti Penang Silicon Design at five km plus (@5km+) yang merupakan langkah strategik dalam memperkukuhkan sektor reka bentuk litar bersepadu serta mempercepatkan pembangunan ekosistem semikonduktor di negeri ini. Projek seperti Penang IC Design And Digital Park Penang Chip Design Academy dan Silicon Research and Incubation Space akan membuka peluang pekerjaan bernilai tinggi dan menarik pelaburan daripada syarikat teknologi global.
Saya juga menghargai keprihatinan Kerajaan Negeri dalam memperkasa pembangunan modal insan berkemahiran tinggi. Inisiatif seperti Penang GBS Industry Academy dan Penang STEM Talent Blueprint bakal memastikan Pulau Pinang terus melahirkan tenaga kerja yang kompeten, inovatif dan bersedia memenuhi keperluan industri masa depan. Pemerkasaan Syiar Islam dan Institusi Keagamaan. Sidang hormat yang saya hormati, sebagai Ketua Negeri saya amat tersentuh dan kagum melihat keprihatinan Kerajaan Negeri dalam memperkasakan syiar Islam secara berterusan dan menyeluruh. Saya dimaklumkan bahawa pada tahun ini dua (2) buah masjid telah berjaya didirikan iaitu Masjid Papan Kampung Pertama dan Masjid Bandar Cassia dengan peruntukan sejumlah RM6 juta yang disediakan oleh Kerajaan Negeri. Dalam pada itu, saya turut difahamkan bahawa beberapa lagi projek pembinaan masjid sedang giat dilaksanakan termasuklah Masjid Sungai Kecil, Masjid Bandar Putra Bertam, Masjid Taman Sungai Dua Utama dan Masjid Mengkuang Titi.
Di samping itu, saya difahamkan bahawa pembangunan KITAB. Smart City Campus di Bandar Cassia Batu Kawan merupakan satu lagi projek besar yang bakal membawa impak jangka panjang di atas tanah wakaf seluas 17.3 ekar ini akan dibina sebuah masjid dan pusat islam, pusat komersial, kediaman pelajar serta pusat pentadbiran dan akademik Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang (KITAB). Pembangunan infrastruktur dan sokongan Kerajaan Persekutuan. Sidang Dewan yang saya hormati dan Muliakan, saya ingin memaklumkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas sokongan yang berterusan terhadap projek mega yang perkukuh rangkaian infrastruktur dan mobiliti rakyat di negeri ini. Antara projek yang dimaksudkan termasuklah projek lebuhraya bertingkat Juru-Sungai Dua, Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara, Projek Pemindahan Air Terawat Sungai Perak atau Projek Air Perak, Pulau Pinang serta Pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.
Selain itu saya difahamkan bahawa Projek Pulau Silikon yang bermula pada 22 September 2023 telah menunjukkan perkembangan yang amat positif. Sehingga 25 April yang lalu hampir 150 ekar penambakan telah diselesaikan dengan keluasan keseluruhan 2,300 ekar. Projek ini kini mencatatkan kemajuan sebanyak 6.5 peratus. Semua ini tanpa ragu akan memperkukuh posisi Pulau Pinang sebagai salah satu pemacu utama ekonomi negara sekali gus memperkukuhkan peranan negeri ini di dalam arus pembangunan nasional. Pada kesempatan ini, saya ingin merayu agar Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan Projek Lebuhraya Pan Island Link 1 yang dijangka memberi impak positif dalam pengurusan dan penyuraian trafik di Pulau Pinang. Saya difahamkan bahawa Kerajaan Negeri telah memohon projek ini di bawah rolling plan pertama Rancangan Malaysia ke-13 dan permohonan ini, kini sedang dalam perhatian serta pertimbangan Kerajaan Persekutuan.
Pengurusan sumber dan kelestarian bekalan air yang mampan. Sidang Dewan yang saya Muliakan, penyediaan bekalan air yang mampan merupakan asas penting dalam kesejahteraan dan kemakmuran sebuah negeri. Saya difahamkan bahawa Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang telah merangka Pelan Kontigensi Air 2030 dengan pelaburan sebanyak RM1.185 bilion pada tahun 2025 bagi menangani peningkatan permintaan air menjelang 2030 dengan baki 4 daripada 8 projek utama akan diteruskan di bawah pelan tersebut. Dalam aspek perancangan jangka panjang, Projek Pemindahan Air Terawat Sungai Perak dijangka memenuhi keperluan air sehingga 2050 memberi manfaat kepada Pulau Pinang dan utara Perak melalui Taman Perindustrian Hijau Bersepaduan Kerian (KIGIP). Saya merakamkan penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri atas keprihatinan Kerajaan Madani dalam memastikan projek ini dimulakan segera. Selanjutnya, saya difahamkan bahawa dua rang undang-undang baru iaitu Rang Undang-Undang Lembaga Sumber Air Pulau Pinang 2025 dan Rang Undang-Undang Sumber Air Pulau Pinang 2025 akan dibentangkan dalam sidang Dewan kali ini bertujuan memperkasakan pengurusan sumber air negeri melalui Penubuhan Lembaga Sumber Air Pulau Pinang.
Dasar Perumahan dan Pembaharuan Bandar Inklusif. Sidang Dewan yang saya Muliakan, seiring dan usaha memperkukuh keperluan asas rakyat, saya amat menghargai langkah progresif Kerajaan Negeri dalam membentuk dasar perumahan yang inklusif melalui Gagasan Rumah Mutiara Ku. Saya difahamkan bahawa sehingga kini 76 peratus daripada sasaran 220,000-unit kediaman menjelang 2030 telah berjaya dilaksanakan. Satu pencapaian yang wajar dipuji. Plan Induk Pembangunan Rumah Mutiara Ku yang sedang digerakkan pula memperlihatkan perancangan menyeluruh di seluruh negeri dari Bayan Lepas ke Kepala Batas. Saya juga menyambut baik inisiatif Kerajaan Persekutuan memperkenalkan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar yang dibentangkan di Dewan Rakyat. Apa yang pasti jalinan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan amat penting di dalam memperluaskan pembangunan perumahan mampu milik di Pulau Pinang dengan mengoptimumkan penggunaan tanah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan hasrat untuk merealisasikan pembangunan rumah mampu milik dan pembaharuan semula bandar di Pulau Pinang di bawah kelolaan Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang dapat dicapai.
Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Sektor Agro. Sidang Dewan yang saya Muliakan, Sektor Agro Makanan dan Akuakultur kini menjadi benteng penting dalam memperkukuh keterjaminan makanan dan daya tahan ekonomi negeri meskipun keluasan tanah pertanian Pulau Pinang adalah terhad pendekatan dan yang berasaskan teknologi tinggi inovasi dan kolaborasi strategik telah pula menunjukkan hasil yang memberangsangkan.
Saya mengalu-alukan inisiatif Kerajaan Negeri melalui pelbagai projek pertahanan pintar seperti Vege Factory, Taman Agro Teknologi PERDA dan Projek Nepia di Bertam yang bukan sahaja meningkatkan produktiviti malah membuka ruang kepada penglibatan golongan muda dan pelaburan swasta dalam sektor pertanian moden. Ini termasuk inisiatif yang digerakkan bagi memperluas kawasan pertanian berkala besar melalui pembangunan taman kekal. Taman kekal pengeluaran makanan dan agro park negeri sebagai teras kepada pembaharuan sektor ini.
Dalam sektor perikanan pula, peningkatan pendaratan ikan kepada 39,000 46.57 tan metrik pada tahun 2024 menjadi petunjuk positif bahawa strategi pemulihan dan pembangunan berterusan sedang membuahkan hasil. Justeru itu, saya menyarankan agar pendekatan berteraskan teknologi dan pensijilan seperti MyGap terus diperluas agar kelestarian sektor ini dapat dikekalkan dalam jangka panjang. Dalam konteks pertanian bernilai tambah, Projek Durian Valley at Relau membuktikan bagaimana sektor ini boleh dirancakkan secara bersepadu bukan hanya dari sudut pengeluaran tetapi juga sebagai pemangkin pelancongan dan peluang ekonomi komuniti tempatan. Pendekatan seperti ini wajar dijadikan model untuk memperkukuh sektor luar bandar melalui integrasi antara agro pelancongan, koperasi tempatan dan ekosistem sokongan usahawan petani. Saya percaya dengan galakan berterusan dan dasar yang bersifat inklusif Pulau Pinang dapat melakar masa depan sebagai sebuah negeri yang bukan sahaja cemerlang dalam industri dan perdagangan malah teguh dalam menjamin keterjaminan makanan serta memperkasa ekonomi luar luar bandar secara mampan.
Kebajikan Rakyat RSNP 2040 dan pendekatan turun padang. Sidang Dewan yang saya Muliakan, usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam menjaga kebajikan rakyat wajar dipuji. Pada tahun 2024 sebanyak RM50.54 juta telah disalurkan melalui program ini kepada lebih 280,663 penerima. Angka ini bukan sahaja mencerminkan skala pelaksanaannya tetapi turut memperlihatkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkasakan kehidupan rakyat tanpa mengira usia, status atau latar belakang.
Seiring keperluan semasa, saya berpandangan bahawa program i-Sejahtera waja diteruskan dengan pendekatan yang lebih bersasar dan inklusif. Keutamaan perlu diberikan kepada golongan yang benar-benar memerlukan di samping memperkenalkan alternatif pembudayaan yang lebih mampan seperti peluang latihan kemahiran dan bantuan mikro. Pendekatan ini bukan sekadar meningkatkan, meringankan beban malah membuka ruang untuk rakyat berdikari dan meningkatkan taraf sosio-ekonomi mereka. Bagi memastikan agenda kebajikan dan pembangunan sosial terus relevan serta berkesan, asas perancangan negeri perlu diperkemas dari semasa ke semasa. Saya difahamkan bahawa kajian semula Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2040 sedang dilaksanakan.
Kajian ini bukan sahaja menilai semula dasar-dasar dalam Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030 malah berperanan memperkukuhkan agar kekal selaras dengan aspirasi Penang2030. Langkah ini penting dalam memastikan pembangunan negeri kekal mampan responsif dan inklusif sejajar dengan perubahan demografi serta perkembangan semasa. Sehubungan itu bagi memastikan dasar yang digubal memenuhi aspirasi rakyat, saya berhasrat untuk turun mendekati rakyat bagi mendengar hasrat dan nadi perasaan rakyat. Pendekatan bagi setiap pemimpin ini akan membolehkan dasar yang dirangka berpaksikan realiti kehidupan dan cabaran semasa yang dihadapi oleh rakyat, hanya dengan mendengar secara jujur dan terbuka kita dapat memastikan setiap langkah yang diambil benar-benar membawa manfaat kepada seluruh warga Pulau Pinang.
Yang di-Pertua Dewan Negeri dan sidang Dewan yang saya Muliakan, bumi bertuah ini bukan sahaja makmur zahirnya, tetapi juga subur dengan nilai perpaduan. Luhur budi pekerti rakyatnya dan teguh jati diri bangsanya. Pulau Pinang adalah permata istimewa dengan warisan sejarah yang kaya budaya yang beraneka dan keharmonian pelbagai kaum yang terpelihara. Lantas adalah menjadi tanggungjawab kita bersama memelihara negeri ini dengan penuh rasa hormat dan mempertahankan kesejahteraan negeri ini dengan penuh semangat serta kebijaksanaan. Kita mesti memastikan keunikan Pulau Pinang terus terpelihara untuk generasi kini dan akan datang. Oleh tu, saya menyeru agar Ahli-ahli Yang Berhormat dalam Dewan yang Mulia ini terus menjiwai denyut nadi rakyat. Meletakkan kepentingan negeri dan rakyat mengatasi segala pertimbangan politik serta memelihara keutuhan Pulau Pinang daripada sebarang anasir yang boleh menggugat kemajuan dan kesejahteraan bersama. Kepada barisan penjawat awam ingatlah bahawa negeri ini bukan sekadar tanah tempat kita berpijak tetapi warisan yang wajib kita junjung, amanah yang mesti kita galas dan harapan yang perlu kita nyalakan. Tugas kita bukan sekadar melaksanakan dasar tetapi memperkasa sistem penyampaian perkhidmatan dengan penuh integriti, kecekapan dan rasa tanggungjawab yang tinggi. Bersama-sama kita bukan hanya membina negeri tetapi membina makna nilai dan masa depan yang cemerlang.
Sebagai penutup kata, saya berdoa agar negeri Pulau Pinang terus diberkati dengan kemajuan dan kemakmuran yang berterusan. Semoga negeri ini sentiasa terpelihara dari segala musibah dan rakyatnya dikurniakan taufik serta hidayah untuk terus bersatu padu hidup harmoni dan menikmati kesejahteraan yang berkekalan. Mudah-mudahan dengan usaha dan iltizam bersama Pulau Pinang akan terus berkembang sebagai negeri yang aman, makmur dan sejahtera di bawah lindungan Allah SWT. Dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Yang Kelima Belas. Semoga ini berlangsung dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan, memberi manfaat kepada rakyat serta negeri Pulau Pinang. Selamat bersidang di Dewan yang Mulia ini.
Dari Pasir Salak ke Pulau Mutiara, Demi agama bangsa dan negara, Bersatu teguh berganding suara, Menjunjung titah menabur bakti.
Pulau Pinang negeri idaman, Kaya dengan budaya dan warisan, Istiqamah beramal teguhkan perjuangan, Maju bersama menuju kemakmuran.
Sekian, terima kasih. Wabillahi Taufik Wal Hidayah, Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih Tun. Ahli-ahli Yang Berhormat dan hadirin yang dihormati sekalian, Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Mulia Toh Puan akan meninggalkan Dewan ini sebentar lagi. Ahli-ahli Yang Berhormat dijemput untuk bergambar bersama-sama dengan Tuan Yang Terutama Tun, maka Ahli-ahli Yang Berhormat mesyuarat ditangguhkan dan Dewan akan bersidang semula pada hari Isnin, 19 Mei 2025 jam 9:30 pagi.
Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri dan Yang Mulia Toh Puan meninggalkan Dewan persidangan.
Dewan ditangguhkan pada jam 10.38 pagi.