Pulau Pinang · 8 May 2026

15th Assembly, 4th session, 1st meeting · 8 turns · 5,280 words · official PDF ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalPenang publishes one PDF per sitting day with an attendance list, so each sitting shows who was absent. Speakers are matched by our parser and will have some errors.

Absent: Dato’ Dr. Mohamad bin Abdul Hamid (Batu Maung 3)

(Pembukaan)

Setiausaha Dewan

Ahli-ahli Yang Berhormat, Yang Berhormat Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri. Ahli-ahli Yang Berhormat, bacaan doa.

(Bacaan doa).

Pengumuman oleh Yang Berhormat Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri.

Yang di-Pertua (Speaker)

Selamat pagi dan salam sejahtera. Ahli-ahli Yang Berhormat, Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri telah pun menetapkan hari ini, 8 Mei 2026 sebagai hari permulaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri yang ke-15 melalui perisytiharan yang telah diwartakan pada 26 Mac 2026. Yang Berbahagia Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Mulia Toh Puan akan tiba di Dewan ini sebentar lagi untuk menyampaikan perutusan kepada Dewan.

Setiausaha Dewan

Ahli-ahli Yang Berhormat, ketibaan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri dan Yang Amat Mulia Toh Puan.

Yang di-Pertua (Speaker)

Ahli-ahli Yang Berhormat, Dewan bersidang semula.

Setiausaha Dewan

Perutusan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang.

Yang di-Pertua Negeri (Governor)

Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillahirabbil-'alamin, wassalatu wassalamu 'ala asyrafil anbiya'i walmursalin, Sayyidina Muhammadin wa 'ala alihi wa sahbihi ajma'in.

Yang Berhormat Dato’ Seri Law Choo Kiang, Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Yang Amat Berhormat Tuan Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang. Yang Berhormat Tuan Jagdeep Singh Deo a/l Dato' Seri Utama Karpal Singh, Timbalan Ketua Menteri Dua, Kedua Pulau Pinang. Yang Berhormat Dato’ Seri Haji Zulkifli bin Long, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Yang Berhormat Dato’ Azrul Mahathir bin Aziz, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang. Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Ketua-ketua Jabatan, Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati.

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan limpah rahmat dan izinNya, kita sekalian lagi dipertemukan pada pagi yang mulia ini bagi menyempurnakan Majlis Istiadat Perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang ke-15.

Sebelum Dewan yang Mulia ini melangkah ke arah perbahasan, izinkan saya menzahirkan sedikit renungan terhadap landskap dunia yang semakin meruncing dan tidak menentu. Ketegangan yang berlarutan di beberapa rantau strategik dunia termasuk Asia Barat telah mencetuskan kesan rantaian terhadap kestabilan pasaran global, khususnya dalam sektor tenaga dan rantaian bekalan. Dalam konteks ini, Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem ekonomi terbuka tidak terkecuali daripada menerima tempias perkembangan tersebut. Kebergantungan negara terhadap rantau berkenaan adalah signifikan, merangkumi kira-kira 61% import minyak, 30% import gas asli cecair serta hampir 40% aliran minyak mentah yang melalui Selat Hormuz, selain turut melibatkan keperluan terhadap bahan-bahan kritikal seperti baja, helium dan sulfur.

Namun demikian, Alhamdulillah, di sebalik cabaran tersebut, asas ekonomi negara kekal kukuh dan berdaya tahan hasil daripada tindakan dan langkah-langkah tegas dan positif yang diambil oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Berdasarkan unjuran dan data rasmi daripada Jabatan Perangkaan Malaysia. Pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar bagi tahun 2026 dianggarkan antara 4 hingga 5%. Manakala kadar inflasi dijangka kekal sederhana dan terus berada jauh di bawah purata jangka panjangnya iaitu sekitar 1.5 hingga 2.5%. Saya yakin dan percaya bahawa Kerajaan Persekutuan akan terus memantau perkembangan ini dengan penuh kebijakkan sewajarnya, serta menyusul dengan langkah-langkah yang sesuai bagi memastikan kebajikan rakyat terpelihara, bekalan asas terjamin dan pertumbuhan ekonomi negara terus dikekalkan.

Dalam mendepani realiti yang serba mencabar ini, Pulau Pinang tidak boleh sekadar menjadi pemerhati. Negeri berdaulat ini seharusnya terus bertindak proaktif dalam memperkukuh keupayaan dalaman dan daya tahan dengan memberi penekanan kepada kecekapan penggunaan tenaga, memperkukuh sekuriti makanan serta memastikan pengurusan fizikal yang berdisiplin dan berwawasan. Lebih daripada itu, saya menyeru seluruh Ahli Yang Berhormat di Dewan yang Mulia ini agar sentiasa berpegang kepada penyampaian maklumat yang sahih, berhemah dan sentiasa memberi cadangan yang membina. Dalam suasana yang penuh ketidaktentuan ini, sebarang kenyataan yang tidak berasaskan fakta atau bersifat spekulatif hanya akan menimbulkan kegusaran yang tidak perlu dalam kalangan rakyat. Kita harus mengingatkan diri kita bahawa tutur kata tidak wajar yang kita zahirkan boleh membawa kesan yang negatif.

Prestasi dan pencapaian ekonomi Negeri Pulau Pinang. Pulau Pinang hari ini berdiri teguh sebagai sebuah negeri yang bukan sahaja menjadi nadi perindustrian negara, malah turut diiktiraf sebagai antara pusat teknologi yang dan pelaburan berimpak tinggi di rantau ini. Berdasarkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, Pulau Pinang terus mengekalkan momentum cemerlang pada tahun 2025 dalam sektor-sektor pelaburan dengan mencatat jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM63.96 bilion ringgit. Sektor pembuatan kekal sebagai pemacu utama dengan nilai sekitar RM22.38 bilion ringgit, dipacu oleh industri elektrikal dan elektronik manakala sektor perkhidmatan mencatat sekitar RM41.22 bilion ringgit dengan sumbangan besar daripada subsektor teknologi maklumat dan komunikasi. Dari segi komposisi, pelaburan domestik dan pelaburan asing masing-masing berjumlah RM38.85 bilion ringgit dan RM25.10 bilion ringgit mencerminkan keyakinan yang seimbang antara pelabur tempatan dan antarabangsa terhadap potensi pertumbuhan negeri ini.

Seiring prestasi pelaburan yang kukuh, Pulau Pinang turut mencatat pencapaian perdagangan yang membanggakan. Menurut laporan Lembaga Pembangunan Perdagangan Malaysia, jumlah dagangan negeri pada 2025 mencecah RM956.37 bilion ringgit. Meningkat 70.9% berbanding tahun sebelumnya. Daripada jumlah tersebut, nilai eksport negeri mencatatkan RM573.91 bilion ringgit dan import berjumlah RM382.46 bilion ringgit sekaligus mengekalkan Pulau Pinang sebagai antara penyumbang utama eksport negara dengan sumbangan sekitar 35.7% kepada keseluruhan eksport Malaysia. Pencapaian ini mencerminkan kekuatan ekosistem pelaburan Pulau Pinang yang kekal berdaya saing, stabil dan terus diyakini oleh pelabur domestik serta antarabangsa. Ini seterusnya memperkukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai antara enjin utama pertumbuhan ekonomi negara yang menjadi teras kepada pembangunan ekonomi.

Pemerkasaan ekonomi digital. Dalam landskap yang sama, ekonomi digital kini muncul sebagai antara pemacu baharu yang memperkukuh daya saing Pulau Pinang, selari dengan aspirasi Malaysia Digital Economy Blueprint. Melalui pelaksanaan Digital Economy Master Plan 2025 hingga 2030, Pulau Pinang menyasarkan sumbangan ekonomi digital sehingga 35% kepada KDNK negeri menjelang 2030 dengan potensi menarik pelabur, pelaburan digital bernilai RM20 bilion serta mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi. Perkembangan ini mengukuhkan lagi kedudukan Pulau Pinang sebagai hab utama ekonomi digital dan teknologi maju di rantau ini.

Dalam kerangka ekosistem tersebut, syarikat pemula di negeri ini terus menunjukkan perkembangan positif dengan pembiayaan berjumlah RM23 juta ringgit bagi tempoh 2023 hingga awal 2026. Dalam tempoh yang sama, sebanyak 300 syarikat pemula telah berdaftar setakat 2025 bersamaan kira-kira 60% daripada sasaran Penang2030. Pelbagai inisiatif pendigitalan negeri terus memberi impak positif kepada Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana di Pulau Pinang. Pada tahun 2025, lebih 3,300 PMKS di Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana telah menerima manafaat sekaligus meningkatkan kecekapan operasi, memperkukuh daya saing dan memperluas penggunaan teknologi digital dalam perniagaan masing-masing. Selain itu, usaha memperkukuh inklusif digital turut diperkasakan melalui Program DahDigital yang memanfaatkan lebih 3,300 peserta melalui 140 kelas di seluruh negeri pada tahun yang sama bagi meningkatkan literasi digital. Memperluas penyertaan ekonomi digital dan memperkukuh asas pembangunan negeri yang progresif, inklusif serta mampan.

Memperkukuh ekosistem modal insan berkemahiran tinggi. Saya menghargai aspirasi dan langkah proaktif yang diambil di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri dalam memperkasakan pembangunan modal insan berkemahiran tinggi sebagai asas penting kepada pertumbuhan ekonomi negeri yang pesat dan berdaya saing. Dalam konteks ini, pembangunan bakat tempatan perlu lihat secara menyeluruh bagi memenuhi keperluan industri semasa serta memastikan kesiapsiagaan menghadapi perubahan teknologi pada masa hadapan.

Sehubungan dengan itu, saya berpandangan bahawa pembangunan modal insan perlu bermula daripada akar umbi. Seperti di bidang lain, asas pendidikan khususnya dalam bidang sains dan teknologi perlu dipupuk dan diperkukuh sejak di peringkat awal lagi. Justeru, saya amat menghargai pencapaian Tech Dome Penang, Penang Science Cluster, dan Penang STEM 4.0 yang telah memacu pelbagai program sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik melibatkan seramai 303,491 penyertaan pelajar dari tahun 2023 hingga tahun 2025.

Usaha ini pada hemat saya merupakan pelaburan jangka panjang dalam membentuk generasi muda yang berilmu, berkemahiran dan berdaya tahan. Kerajaan Negeri melalui Invest Penang terus memperkukuh pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi menerusi Penang Global Business Services Industry Academy hasil kerjasama strategik bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia, GBS Focus Group dan Penang Skills Development Centre. Inisiatif ini telah melatih lebih 1,000 tenaga kerja mahir dalam sektor Global Business Services sejak tahun 2022. Susulan itu, Penang Global Business Services Industry Academy 2.0 dilancarkan pada 2025 dengan fokus pembangunan bakat kecerdasan buatan, khususnya Generative Artificial Intelligence dengan sasaran melahirkan 500 bakat menjelang 2026. Pada peringkat awal, 100 profesional telah dilatih dalam kemahiran seperti prompt engineering dan aplikasi AI dalam industri. Pendekatan ini mencerminkan kesinambungan daripada STEM kepada latihan berteknologi tinggi sekaligus memperkukuh kesiapsiagaan tenaga, tenaga kerja tempatan menghadapi perubahan teknologi pesat.

Dalam kerangka lebih luas kerjasama Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri melalui NCER Technology Innovation Centre memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekosistem pembangunan bakat di negeri ini. Inisiatif ini telah melatih lebih 1,400 bakat tempatan serta menyokong pewujudan lebih 13,000 peluang pekerjaan dalam sektor teknologi tinggi. Usaha ini secara tidak langsung menyokong agenda memperkukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai peneraju dalam teknologi baru muncul atau (emerging technologies) dalam aspek ekonomi yang mencabar atau (high economics complexity).

Sejajar itu, NTIC diharap terus memainkan peranan sebagai pemacu pembangunan bakat masa hadapan, memastikan tenaga kerja tempatan kekal relevan, berbudaya saing, dan memenuhi keperluan pelabur global. Keseluruhan inisiatif ini memperlihatkan satu ekosistem pembangunan modal insan yang tersusun dan menyeluruh, merangkumi akar umbi pendidikan, peringkat industri, serta penerokaan teknologi masa depan yang mampu memperkukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai hab ekonomi digital yang progresif dan berdaya saing.

Pemeriksaan syiar Islam, pemerkasaan syiar Islam dan institusi keagamaan. Komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkasa syiar Islam serta memperkukuh institusi keagamaan sebagai salah satu tonggak penting kesejahteraan ummah di negeri ini adalah sangat dihargai. Saya dimaklumkan bahawa pada tahun 2025, sebanyak enam buah masjid telah siap dibina di seluruh Pulau Pinang iaitu Masjid Papan, Masjid Taman Sungai Dua Utama, Masjid Bandar Cassia, Masjid Sungai Kecil Nibong Tebal, Masjid Bandar Putra Bertam dan Masjid Mengkuang Titi dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM11.8 juta ringgit. Pada masa yang sama tiga buah masjid lagi sedang dalam fasa pembinaan dan dijangka siap secara berperingkat pada tahun 2026 dan 2027 iaitu Masjid Lama Sungai Bakap, Masjid Cerok To’ Kun Bawah dan Masjid Permatang Tinggi. Kesinambungan ini mencerminkan usaha berterusan dalam memastikan kemudahan ibadah masyarakat Islam terus diperkasa dan dipertingkatkan dari masa ke semasa.

Selain itu saya juga, menghargai tumpuan berterusan terhadap pembangunan pendidikan agama melalui pembinaan Sekolah Agama Rakyat. Saya dimaklumkan bahawa Madrasah Al-Ittihadiah Al-Wataniah Cerok To’ Kun telah siap dibina pada tahun 2025 manakala Sekolah Agama Rakyat Masjid Daerah Seberang Perai Utara, Teluk Air Tawar turut siap dilaksanakan pada 27 Januari 2026 dengan pembiayaan sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.

Pada masa ini, tiga lagi Sekolah Agama Rakyat sedang giat dibangunkan di Kampung Selamat, Taman Berjaya Nibong Tebal, dan Masjid Bandar Baru Air Itam. Usaha ini, saya lihat sebagai satu pelaburan penting dalam memperkukuh pendidikan agama yang lebih tersusun, progresif dan berdaya tahan.

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang sedang melaksanakan agenda reformasi kerenah birokrasi di bawah Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara. Saya percaya inisiatif seumpama ini secara tidak langsung menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan agar lebih cekap, pantas dan mesra rakyat. Antara pencapaian membanggakan ialah kejayaan mempercepatkan proses pengeluaran kad nikah secara digital daripada 30 hari kepada hanya satu hari sahaja, dengan penjimatan kos pematuhan peraturan dianggarkan sebanyak RM7.27 juta ringgit atau sekitar 78%.

Memperkukuh infrastruktur dan mobiliti mampan negeri, projek transit aliran ringan Laluan Mutiara yang sedang rancak dilaksanakan pada hari ini jelas merupakan satu anjakan besar dalam landskap pengangkutan negeri kita. Projek ini diyakini mampu mengurangkan masa perjalanan sehingga 30% dan meningkatkan penggunaan pengangkutan awam kepada sekurang-kurangnya 40%. Pada hemat saya, projek ini merupakan nadi tranformasi penting kearah mobiliti negeri yang lebih cekap, tersusun dan lestari.

Sehubungan dengan itu, saya menyeru agar seluruh rakyat Negeri Pulau Pinang terus bersama-sama menerima dan mendokong tranfomasi baru ini demi kelangsungan generasi akan datang. Pelaksanaan projek Juru Sungai Dua serta Lebuhraya Pintasan Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam menangani kesesakan yang sekian lama memberi kesan kepada kehidupan harian rakyat. Inisiatif ini, mempertingkatkan kelancaran trafik serta turut memperkukuh jaringan perhubungan antara kawasan bandar dan pinggir bandar serta lebih secara lebih seimbang.

Saya juga, menyambut baik perlaksanaan projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang sebagai pelaburan strategik yang akan memperkukuh kedudukan negeri sebagai pintu masuk utama wilayah utara. Dengan ini lebih banyak lagi ruang akan terbuka kepada pertumbuhan pelaburan, sektor pelancongan dan peluang pekerjaan kepada rakyat. Seiring dengan pembangunan fizikal tersebut perancangan (Transit-Oriented Development) di Sungai Nibong turut memperlihatkan pendekatan baru dalam pembangunan bandar yang lebih bersepadu dan berorientasikan rakyat membawa impak positif dalam membentuk sebuah komuniti yang lebih tersusun, efisen dan berkualiti.

Menelusuri perkembangan ini, Kerajaan Negeri akan terus melaksanakan agenda pembangunan yang berhemah dan berstrategi selaras dengan Aspirasi Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang serta Rancangan Malaysia ke-13. Dalam hubungan ini, di bawah (Rolling Plan) Kedua tahun 2027 sebanyak 10 projek keutamaan negeri telah disenarai pendek oleh pertimbangan Kerajaan Persekutuan dengan anggaran peruntukan keseluruhan RM2.21 bilion ringgit, manakala keperluan peruntukan bagi tahun 2027 dianggarkan sekitar RM20.15 juta ringgit, antara projek berimpak tinggi yang diberi keutamaan termasuk rancangan tebatan banjir Sungai Kilang Ubi di Seberang Perai Tengah, menaiktarafan jalan utama dari Permatang Tinggi ke Sungai Juru, serta projek pemetaan dan pembangunan sumber air bawah tanah yang memberi tumpu tumpuan kepada aspek keselamatan, kelancaran infrastruktur dan kelestarian sumber negeri.

Pulau Pinang yang sekian lama berperanan sebagai antara pemacu utama ekonomi negara melalui sektor pelaburan dan industri menilai tinggi memerlukan infrastuktur, pentadbiran yang setimpal dengan peranannya. Sehubungan itu, saya memohon agar projek ini dapat diberi pertimbangan sewajarnya oleh Kerajaan Persekutuan sebagai pelaburan strategik jangka panjang yang akan menjana kesan positif berdaya saing dan pertumbuhan ekonomi negara. Pengurusan sumber dan kelestarian bekalan air yang mampan.

Sidang Dewan Undangan Negeri pada 22 Mei 2025 telah meluluskan Rang Undang-Undang berkaitan sumber air negeri yang telah diwartakan sebagai Enakmen Lembaga Sumber Air Pulau Pinang 2025 serta Enakmen Sumber Air Pulau Pinang 2025 pada 11 September 2025, ini merupakan satu langkah signifikan dalam memperkukuh tadbir urus sumber air negeri melalui penubuhan Lembaga Sumber Air Pulau Pinang sebagai badan kawal selia khusus disamping mewujudkan kerangka perundangan yang lebih menyeluruh. Usaha ini mencerminkan pendekatan bersepadu ke arah pengurusan sumber air yang mampan, berdaya tahan dan serta menjamin kelangsungan bekalan air mentah negeri untuk jangka panjang.

Dalam perkembangan berkaitan inisiatif strategik Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang yang telah memeterai memorandum persefahaman bersama Konsortium PKNPKK-Gamuda pada 6 November 2025 bagi pelaksanaan projek pembekalan air terawat pukal dari Sungai Perak. Saya percaya, pemeteraian memorandum persefahaman ini merupakan langkah strategik dalam memperluas sumber air bagi memenuhi keperluan jangka panjang rakyat Pulau Pinang.

Inisiatif ini juga selari dengan pelan hala tuju transformasi air 2040 di Peringkat Persekutuan yang memperkukuh agenda kelestarian serta keselamatan bekalan air negara untuk generasi kini dan akan datang. Saya merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas perhatian terhadap pembangunan infrastruktur sumber air di Pulau Pinang khususnya di bawah (rolling plan) pertama Rancangan Malaysia ke-13. Saya difahamkan bahawa beberapa projek telah disenaraikan dalam Belanjawan 2026 termasuk pengiktirafan Muka Sauk di Titi Kerawang dan Teluk Awak, penyambungan paip air mentah ke Empangan Teluk Bahang, serta kajian menyeluruh sumber bekalan air mentah negeri. Kesemua inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam menyokong keseluruhan keperluan strategik negeri serta memastikan kelestarian dan jaminan bekalan air yang mampan kepada rakyat Pulau Pinang.

Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan. Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan dan hab antarabangsa, prestasi penggerakkan penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang terus mencatat perkembangan yang memberangsangkan, mencerminkan kekuatan, pemulihan sektor pelancongan serta pengangkutan udara negeri ini, peningkatan kepada 8.31 juta penumpang pada tahun 2025 berbanding 7.47 juta pada tahun sebelumnya jelas menunjukkan bahawa Pulau Pinang kekal sebagai antara pintu masuk utama negara dan terus menjadi tumpuan pelancong dan pelabur. Perkembangan ini pada hemat saya, mencerminkan keyakinan berterusan terhadap Pulau Pinang sebagai destinasi yang stabil, kompetitif, dan berdaya tarikan tinggi di peringkat serantau dan antarabangsa.

Saya turut menzahirkan pandangan bahawa sektor pelancongan negeri telah berkembang dengan lebih dinamik melalui usaha memperkasakan pelancongan berteraskan warisan, budaya dan inovasi. Inisiatif seperti Galeri Warisan Arkeologi Gua, Gua Kepah serta Galeri Automatif Muzium Negeri Pulau Pinang telah memperkaya bagi tawaran pelancongan negeri yang semakin pelbagai dan berdaya saing. Seiring dengan perkembangan tersebut, Pulau Pinang terus penaiktarafan di peringkat antarabnagsa termasuk penyenaraian oleh CNN Trivial serta The New York Times sebagai diantara destinasi utama dunia bagi Tahun 2026. Kerajaan Negeri juga mengambil usaha berterusan dalam memelihara warisan budaya melalui pewartaan makanan tradisional serta warisan tidak ketara sebagai warisan Negeri Pulau Pinang. Langkah ini amat penting dalam memastikan identiti dan khazanah budaya negeri terus dipelihara serta tersusun, di samping memperkukuh jati diri Pulau Pinang sebagai negeri yang moden namun tetap berakar umbi pada warisan dan jati dirinya yang kukuh.

Memperkukuh pengurusan hutan dan kelestarian biodiversiti. Dalam konteks kelestarian alam sekitar, saya mengambil maklum bahawa pengurusan sumber hutan di Negeri Pulau Pinang terus diperkukuh melalui pendekatan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan atau Sustainable Forest Management. Pendekatan ini mencerminkan iltizam Kerajaan Negeri dalam memelihara khazanah hutan sebagai aset biodiversiti penting demi keseimbangan ekosistem dan kesejahteraan generasi akan datang. Saya berbangga dengan hakikat bahawa sejak tahun 1972, Negeri Pulau Pinang tidak lagi terlibat dalam aktiviti pembalakan, sebaliknya memberi penekanan penuh kepada pemuliharaan dan pemeliharaan sumber hutan sebagai warisan semula jadi yang perlu dijaga dengan amanah. Ini merupakan satu keputusan dasar yang mencerminkan komitmen negeri terhadap agenda kelestarian jangka panjang. Usaha ini telah diterjemah secara tersusun melalui Visi Penang2030 yang menjadi asas kepada hala tuju pembangunan negeri yang seimbang antara kemajuan ekonomi, kesejahteraan sosial, dan kelestarian alam sekitar. Ini juga turut dizahirkan melalui pelbagai dasar pembangunan seperti Rancangan Struktur Negeri 2030, Pelan Induk Pelancongan Pulau Pinang 2030 serta Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang yang kesemuanya memperkukuh komitmen negeri terhadap pembangunan mampan.

Dalam sidang Dewan pada kali ini akan membentangkan usul berkaitan pelaksanaan Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 (Akta A1667) yang bertujuan memperkukuh kerangka perundangan dalam melindungi hutan simpan kekal di Negeri Pulau Pinang melalui peruntukan yang lebih tegas dan berkesan. Pindaan ini antara lain mempertingkatkan kadar hukuman bagi kesalahan berkaitan pencerobohan dan pengambilan hasil hutan tanpa kebenaran yang dilihat sebagai langkah pencegahan penting dalam membendung aktiviti yang tidak bertanggungjawab serta memelihara kelestarian khazanah hutan negeri. Saya berharap perkara ini akan diberi perhatian sewajarnya oleh semua Ahli Yang Berhormat dalam perbahasan nanti demi memastikan kelestarian alam sekitar negeri yang tercinta ini akan terus terpelihara.

Kerajaan Negeri juga berusaha dalam mengiktiraf Hutan Simpan Kuala Bekah, Hutan Simpan Pasir Gebu dan Hutan Simpan Lahar Endin di Penaga, Seberang Perai Utara sebagai sebahagian daripada East Asian-Australasian Flyway di bawah East Asian-Australasian Flyway Partnership. Kawasan ini akan menjadi tapak penting persinggahan burung-burung pantai migrasi yang turut memperkukuh usaha pemuliharaan biodiversiti di negeri ini. Sekiranya berjaya direalisasikan, saya yakin dan percaya Pulau Pinang akan mencatat satu pengiktirafan penting apabila menjadi flyway site network pertama di Semenanjung Malaysia dan yang kedua di Malaysia selepas Bako-Buntal Bay di Sarawak.

Sehubungan dengan itu, saya berharap Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang dapat mempertingkatkan usaha secara berterusan dan lebih proaktif agar hasrat murni dapat dicapai dalam tempoh yang sewajarnya.

Pemerkasaan Wanita dan Keterangkuman Sosial. Usaha akan terus diambil melalui Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang untuk terus memperkukuh agenda pemerkasaan wanita di negeri ini melalui pelbagai inisiatif inklusif dan berimpak tinggi. Bagai suluh di malam hari, usaha ini wajar terus diperkasakan bagi menerangi setiap perjalanan golongan wanita di negeri ini ke arah sinar kecemerlangan dan memperkukuh peranannya dalam agenda pembangunan negeri. Sejajar dengan hasrat tersebut, bagi penggal 2026-2027, seramai 580 wanita telah dilantik sebagai ahli jawatankuasa pembangunan wanita dan keluarga serta diberi latihan dalam aspek kepemimpinan, tadbir urus serta pelaksanaan program komuniti. Kaum wanita juga turut diberi ruang untuk merancang dan melaksanakan projek ekonomi setempat.

Dalam hubungan ini, pelaksanaan Dana Sejati Madani serta program Mentoring Usahawan Wanita (PenMentor) telah memberi impak ketara apabila 435 peserta dengan peningkatan purata pendapatan sehingga 30%. Di samping itu, inisiatif #BizIbuTunggal telah mencatat pencapaian yang membanggakan apabila berjaya menjana kutipan melebihi RM144,000.00 ringgit yang memberi manfaat kepada 127 ibu tunggal sekali gus membuktikan keberkesanan pendekatan pemerkasaan ekonomi berasaskan komuniti.

Usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam menangani isu keganasan siber melalui penubuhan Pasukan Petugas Anti-keganasan Seksual Dalam Talian Dan Buli Siber yang melibatkan kerjasama rentas agensi, wajar diberi pujian. Inisiatif ini memperkukuh aspek pencegahan kesedaran awam serta sokongan fisiososial secara lebih bersepadu sejajar dengan keperluan semasa masyarakat digital.

Dalam masa yang sama, pelaksanaan Dasar Keterangkuman Gender melalui pendekatan Gender-Responsive and Participatory Budgeting serta pembangunan Bandar Mesra Usia menunjukkan kemajuan membanggakan. Saya yakin Pulau Pinang kini berada di landasan yang tepat sebagai sebuah negeri inklusif dalam inisiatif seperti Age-Friendly City diiktiraf di peringkat antarabangsa. Pelaksanaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam membentuk bandar mesra usia seiring dengan agenda inklusif tersebut di peringkat negeri, peranan PBT menjadi semakin penting dalam menterjemah dasar kepada pelaksanaan di peringkat komuniti.

Sehubungan dengan itu, saya menzahirkan penghargaan terhadap usaha Majlis Bandaraya Pulau Pinang dalam melaksanakan inisiatif Bandar Mesra Usia Pulau Pinang atau Age-Friendly City Penang Island berteraskan kerangka Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan ke arah pembangunan bandar yang inklusif, mesra usia serta meningkatkan kesejahteraan warga emas dalam persekitaran bandar yang lebih berkualiti dan responsif. Selain dengan perubahan demografi negeri yang menunjukkan peningkatan golongan warga emas, pendekatan Bandar Mesra Usia ini menjadi semakin penting dan relevan. Pelaksanaan yang merangkumi lapan (8) domain utama termasuk perumahan, pengangkutan, ruang awam, penglibatan sosial serta perkhidmatan kesihatan jelas memperkukuh usaha ke arah mewujudkan bandar yang lebih selamat, mudah diakses dan inklusif untuk semua lapisan masyarakat. Saya turut menyambut baik pelaksanaan pelbagai inisiatif pemerkasaan warga emas oleh MBPP termasuk usaha membuka ruang penglibatan melalui pekerjaan sambilan yang membolehkan golongan ini terus aktif, produktif dan berdikari.

Pendekatan ini bukan sahaja membantu menambah pendapatan malah memperkukuhkan keterlibatan sosial serta meningkatkan kualiti hidup golongan warga emas secara menyeluruh. Dalam pada itu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai atas pengiktirafan sebagai ahli World Health Organization Global Network for Age-friendly Cities and Communities yang mencerminkan komitmen kukuh ke arah pembangunan bandar yang lebih mesra usia dan inklusif. Pelaksanaan Inisiatif Bandar Mesra Usia Seberang Perai ini akan diteruskan secara berfasa bermula November 2025 hingga tahun 2028 dengan kerjasama strategik serta sokongan pelbagai jabatan teknikal dan agensi berkaitan.

Pendekatan ini akan diperkukuh melalui Jawatankuasa Pemandu Bandar Mesra Usia Seberang Perai bagi memastikan pelaksanaan yang lebih tersusun, menyeluruh dan berimpak tinggi. Saya yakin pelaksanaan inisiatif ini oleh kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan ini akan meningkatkan tahap kebolehdiaman serta kesejahteraan warga emas di seluruh negeri, di samping memupuk hubungan antara generasi dan membina komuniti yang lebih inklusif, harmoni dan sejahtera untuk semua. Keterjaminan makanan dan pembangunan sektor agro. Pada hemat saya, sektor agromakanan kekal sebagai tonggak utama keterjaminan makanan negeri ini selaras dengan hala tuju Pelan Strategik Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan 2025-2030 serta Dasar Agromakanan Negara 2.0.

Dalam konteks ini, penekanan wajar diberikan kepada pengukuhan bekalan makanan, pemodenan pertanian berasaskan teknologi serta pengukuhan daya tahan sektor ini dalam mendepani cabaran perubahan iklim dan ketidaktentuan global. Selaras dengan matlamat tersebut, Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang terus memperkukuh usaha meningkatkan produktiviti tanaman makanan utama dengan sasaran peningkatan hasil buah-buahan kepada 12 tan sehektar, sayur-sayuran kepada 17.8 tan sehektar serta padi kepada 10 tan sehektar. Usaha ini digerakkan melalui penglibatan sektor swasta serta pembangunan Taman Kekal Pengeluaran Makanan dan Agro Park sebagai pemangkin kepada sistem pengeluaran makanan yang lebih mampan dan berdaya tahan.

Bagi tahun 2026, sebanyak RM6.37 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan 16 projek pembangunan agro makanan dan infrastruktur jabatan dengan fokus kepada teknologi, pembangunan usahawan tani, serta pengukuhan rantaian nilai. Usaha ini turut diperluaskan kepada pembangunan industri asas tani melalui latihan, pembangunan produk, dan promosi usahawan tani. Pendekatan ini bertujuan memperkukuh keupayaan usahawan agar lebih produktif, berdaya saing, dan berupaya menjana pendapatan secara mampan. Hasilnya, seramai 530 usahawan tani telah dibimbing dengan jumlah pengeluaran sebanyak RM28.65 juta ringgit kilogram yang menjana nilai jualan mencecah RM135.64 juta ringgit pada tahun 2025.

Pada masa yang sama, Pulau Pinang terus mempamerkan keunikan sektor pertaniannya melalui pendekatan berteknologi tinggi, pertanian bandar, serta pengeluaran produk berkualiti melalui pensijilan MyGAP dan MyOrganic. Walaupun berhadapan kekangan tanah, sektor ini terus berdaya saing melalui penggunaan teknologi moden seperti IoT, fertigasi, dan mekanisasi, selain diperkukuh oleh agropreneur muda dan pembangunan agro pelancongan seperti Durian Valley di Relau.

Sektor ternakan turut memainkan peranan penting dalam menjamin keterjaminan makanan negeri, khususnya bagi daging, telur, dan susu. Usaha Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pulau Pinang dalam meningkatkan produktiviti, keselamatan makanan, serta pembangunan industri hiliran wajar terus diperkasakan bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi, selamat, dan berkualiti. Nilai hasil ternakan negeri pada tahun 2025 berjumlah RM1.77 bilion ringgit. Sektor ini kekal sebagai penyumbang utama kepada industri pertanian negeri dan menunjukkan daya tahan yang tinggi. Usaha ini perlu diteruskan dan diberi keutamaan, justeru itu, pendekatan strategik melalui Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2040 akan menjadi landasan penting dalam memastikan sektor ini mampu menjamin keterjaminan makanan.

Pemerkasaan Belia dan Kesihatan Awam. Belia merupakan aset terpenting negeri dalam merealisasikan visi Penang2030. Satu rangka kerja strategik Pembangunan Belia Pulau Pinang 2026-2030 sedang dirangka sebagai panduan hala tuju lebih tersusun dan menyeluruh dalam memperkasakan pembangunan belia negeri melalui Penang Youth Development Corporation bagi memastikan kesinambungan dasar pembangunan belia yang lebih mampan. Penyertaan aktif belia negeri ini dialu-alukan apabila lebih 9,000 belia telah melibatkan diri sebagai sukarelawan dalam pelbagai program di peringkat komuniti, negeri, dan antarabangsa. Penglibatan ini mencerminkan semangat dan kesedaran tinggi generasi muda untuk turut sama menyumbang kepada pembangunan negeri.

Dalam usaha yang sama, pelaksanaan Dana Pembangunan Belia dan program Sidang Muda telah membuka ruang yang lebih luas kepada pembangunan kepimpinan belia. Inisiatif ini memperkukuh bakat dan potensi, serta dapat membentuk kesedaran sivik juga nilai kepimpinan dalam kalangan generasi muda sebagai pelapis masa depan negeri. Usaha memperkukuh fasiliti kesihatan di seluruh negeri perlu dijalankan melalui pelbagai projek naik taraf dan pembangunan infrastruktur kesihatan. Usaha ini amat penting dalam memastikan rakyat mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih cekap, moden, dan berkualiti. Saya turut menyambut baik pelaksanaan Agenda Nasional Malaysia Sihat serta penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang mencerminkan komitmen bersama dalam membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat di negeri ini.

Pemantapan Ekosistem Digital dan Tadbir Urus Bandar. Pencapaian negeri ini dalam memperkukuh ekosistem digital apabila liputan 4G di kawasan berpenduduk mencapai 100%, manakala liputan 5G mencecah 91.9% sehingga Mac 2026, amat membanggakan. Pencapaian ini membuktikan keberkesanan kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, serta pihak industri dalam memastikan rakyat menikmati akses komunikasi yang lebih stabil dan menyeluruh. Dalam hubungan ini, pembangunan infrastruktur digital seperti 5G yang melibatkan 450 lokasi pemancar juga menjadi pemangkin kepada transformasi ekonomi digital negeri. Saya percaya perluasan liputan ini akan terus dipercepatkan agar Pulau Pinang kekal sebagai antara negeri terkehadapan dalam agenda pendigitalan negara.

Tindakan pelaksanaan inisiatif tanpa tunai di negeri ini telah mencapai tahap yang amat membanggakan, iaitu melebihi 97% transaksi pada tahun 2025. Pencapaian ini jelas mencerminkan perubahan budaya masyarakat ke arah sistem pembayaran digital yang lebih cekap, telus, dan moden. Kerajaan Negeri sedang memperkukuh keselamatan bandar di negeri ini melalui pemasangan hampir 1,800 unit kamera litar tertutup di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan. Usaha ini dapat meningkatkan pemantauan serta pencegahan jenayah, malah memastikan persekitaran bandar yang lebih selamat dan terjamin untuk rakyat di negeri ini.

Saya sukacita dengan pengiktirafan Pulau Pinang sebagai negeri Nirtunai (cashless) pertama di Malaysia. Pengiktirafan ini merupakan manifestasi kepada transformasi digital yang berjaya dilaksanakan secara menyeluruh di peringkat pentadbiran negeri. Selain itu, pelbagai dasar baharu termasuk penguatkuasaan Perintah Khidmat Masyarakat bagi kesalahan pembuangan sampah serta pemakaian Garis Panduan Pelaporan Data Kitar Semula telah dilaksanakan. Inisiatif ini penting dalam memperkukuh aspek disiplin sivik, kelestarian alam sekitar, serta tadbir urus pengurusan sisa yang lebih berkesan selaras dengan aspirasi Pulau Pinang yang bersih, hijau, dan mampan.

Pihak Berkuasa Tempatan Sebagai Peneraju Bandar Pintar dan Lestari. Saya menzahirkan penghargaan terhadap usaha Majlis Bandaraya Pulau Pinang dalam memperkukuh agenda bandar pintar melalui pelaksanaan inisiatif Virtual Pulau Pinang, kajian Pelan Tindakan Bandar Pintar MBPP 2030, serta pembangunan sistem Chat MBPP berasaskan teknologi kecerdasan buatan. Ini adalah kesungguhan berterusan ke arah memperkukuh kecekapan tadbir urus bandar melalui pendekatan digital yang lebih bersepadu, pantas, dan berasaskan data. Dalam konteks ini, penggunaan bersepadu yang mengintegrasikan data daripada pelbagai sumber seperti CCTV, sistem aduan, sensor banjir, serta analitik masa nyata telah memperkukuh keupayaan MBPP dalam membuat keputusan yang lebih tepat dan responsif. Pendekatan ini meningkatkan kecekapan pengurusan bandar, memperkukuh aspek keselamatan serta trafik, serta kesejahteraan komuniti secara menyeluruh.

Selain dengan transformasi tersebut, pelaksanaan Chat MBPP berasaskan teknologi Generative AI merupakan langkah mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan awam. Sistem ini menyediakan akses maklumat yang lebih mudah dan pantas kepada rakyat, memperkukuh integrasi antara PBT dan masyarakat dengan pendekatan yang lebih inklusif, moden, dan berdaya mesra pengguna. Pada masa yang sama, pengiktirafan MBPP melalui prinsip pensijilan SIRIM 55 2023 ESG Management System dan SIRIM 50 2021 Social Accountability Management System serta pencapaian di peringkat Malaysia Book Of Records adalah manifestasi komitmen terhadap tadbir urus mampan, integriti, dan tanggungjawab sosial.

Dalam kesinambungan usaha memperkukuh tadbir urus bandar di peringkat negeri, saya turut menzahirkan penghargaan terhadap Majlis Bandaraya Seberang Perai atas kecemerlangan berterusan dalam penguasaan bandar dan penyampaian perkhidmatan awam yang berkualiti. Komitmen ini terus jelas dizahirkan melalui kejayaan MBSP meraih pelbagai pengiktirafan di peringkat kebangsaan, termasuk Anugerah Keselamatan Kesihatan Pekerjaan Negara 2024, Anugerah Excellence in Urban Environment Management, dan Waste Management Association of Malaysia, serta pengiktirafan dalam bidang perancangan bandar oleh Malaysian Institute Of Planners. Saya yakin pencapaian ini akan terus memperkukuh kedudukan institusi ini sebagai Pihak Berkuasa Tempatan yang unggul, berdaya saing, dan menjadi petanda aras ke peringkat nasional.

Penutup. Dato’ Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri dan Sidang Dewan yang saya muliakan. Sejajar dengan pelbagai inisiatif, program, dan pencapaian yang telah dibentangkan, saya berpuas hati bahawa usaha-usaha pembangunan negeri yang dilaksanakan berada pada landasan yang teratur dan berterusan. Perihal ini dapat dibuktikan berdasarkan data serta pelbagai indikator utama termasuk kualiti hidup, kos sara hidup, kesejahteraan rakyat, dan infrastruktur oleh Jabatan Pengangkutan Malaysia Jabatan Perangkaan Malaysia bagi tahun 2026 yang telah meletakkan Pulau Pinang sebagai negeri terbaik untuk didiami secara keseluruhan.

Pengiktirafan ini mencerminkan kesinambungan yang berjaya dicapai antara pertumbuhan ekonomi, kemudahan awam, kualiti persekitaran hidup serta daya tarik kepada pelabur dan komuniti. Menerusuri potret kegemilangan ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada kepimpinan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Pulau Pinang serta seluruh barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri atas komitmen yang berterusan dalam memacu pembangunan negeri secara berterusan dan berstrategi. Usaha yang digerakkan ini jelas memperlihatkan kepimpinan yang berwawasan dalam memastikan Pulau Pinang terus kekal berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa.

Saya turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh Ahli Dewan Negeri Pulau Pinang, Ahli Parlimen, penjawat awam negeri dan persekutuan di Pulau Pinang termasuk pihak berkuasa tempatan, anggota polis, angkatan tentera, dan semua yang menjaga keamanan dan ketenteraman negara serta agensi-agensi berkaitan atas komitmen, dedikasi, dan profesionalisma yang telah ditunjukkan. Segala usaha ini menjadi tunjang kepada kelancaran pelaksanaan dasar serta keberkesanan.

Sesungguhnya, kejayaan yang dicapai ini adalah hasil sinergi yang kukuh antara kepimpinan negeri, jentera pentadbiran, dan sokong padu rakyat. Saya yakin Pulau Pinang akan terus melangkah ke hadapan sebagai sebuah negeri yang progresif, mampan, dan inklusif serta selaras dengan inspirasi Penang aspirasi Penang 2030.

Akhir kata, saya mohon doa ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala agar Negeri Pulau Pinang yang berdaulat ini sentiasa berada di bawah naungan rahmat dan keberkatan-Nya, dilimpahi kemakmuran berpanjangan, dipelihara keamanan yang berkekalan, serta dikurniakan kesejahteraan yang menyeluruh buat sekalian rakyat jelata.

Pulau Pinang indah permai,

Lautan tenang membiru damai,

Bersatu rakyat sepakat dicapai,

Kemakmuran negeri terus disemai.

Padi menguning di satu sawah,

Menanti tuaian di waktu pagi,

Negeri gemilang rakyat mewah,

Mengukir hidup aman harmoni.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan penuh sukacita merasmikan Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang ke-15, semoga sidang yang berlangsung ini sentiasa diberkati dengan hikmah dan kebijaksanaan. Sekian, terima kasih. Wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Yang di-Pertua (Speaker)

Terima kasih Tuan Yang Terutama Tun, Ahli-ahli Yang Berhormat, para hadirin sekalian, Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Mulia Toh Puan akan berangkat meninggalkan dewan ini sebentar lagi. Ahli-ahli Yang Berhormat dijemput untuk bergambar bersama-sama dengan Tuan Yang Terutama Tun. Maka Ahli-ahli Yang Berhormat, mesyuarat ditangguhkan dan dewan akan bersidang semula pada hari Isnin nanti, 11 Mei, jam 9:30 pagi.

Setiausaha Dewan

Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri dan Yang Mulia Toh Puan berangkat meninggalkan dewan persidangan.

Dewan ditangguhkan pada jam 11.05 pagi.