Perak · 4 December 2020

14th Assembly, 3rd session, 3rd meeting · 44 turns · 5,434 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalPerak publishes one PDF per sitting day, from May 2020 (none for 2018-19), and a file of oral and written answers per meeting from December 2022.

(Pembukaan)

Ketua Bentara

Ahli-Ahli Yang Berhormat. Tuan Yang Dipertua.

Setiausaha

Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh dan salam sejahtera. Ahli Yang Berhormat sekalian, sekarang kita mulakan Persidangan Pertama Mesyuarat Ketiga,Tahun Ketiga Dewan Negeri Yang ke 14 Perak Darul Ridzuan pada hari Jumaat, 04 Disember 2020, jam 10 pagi dengan urusan perkara yang pertama iaitu bacaan doa. Bismillahirrahmanirrahim. Segala puji bagi Allah selawat dan salam atas RasulNya, maka dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Pengasih, Dewan Negeri ini dibuka. Ya Allah yang bersifat maha hikmat, limpah keadilan yang menanggungkan kewajipan ke atas Raja dan Ahli Majlis Permesyuaratan, bagi mentadbir muslihat masyarakat pergaulan, mudah-mudahan sentosa aman, makmur, limpah kebahagiaan, meliputi sekalian penduduk Negeri Perak Darul Ridzuan. Ya Allah, kami sekalian Hamba mu yang diperkenan menjadi Ahli Dewan Negeri, menyempurnakan kewajipan yang diamanahkan, yang terutama bagi Negeri Perak Darul Ridzuan serta rakyatnya sekalian. Ya Allah, berkatMu ke atas kami berhimpun dipohon anugerahkan, taufikMu, hidayatMu dimohon menyuluh, memandukan, pada ketika kami berunding menimbang, bertukar-tukar fikiran pada segala perkara yang dibentangkan, dengan saksama serta berkeamanahan, menjunjung perintah dan kebesaranMu, mudah-mudahan berlebih-lebih keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan bagi Negeri Perak Darul Ridzuan, serta penduduknya sekalian. Ya Allah dipohonkan doa kami diperkenan, Amin, Ya Allah seru sekalian alam.

Pengumuman Tuan Yang Dipertua

Setiausaha

Perkara yang kedua, pengumuman Tuan Yang Dipertua.

Yang di-Pertua

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera dan selamat pagi. Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Negeri, ketua ataupun wakil jabatan dan agensi serta wakil media sekalian. Sebelum kita meneruskan urusan mesyuarat yang selanjutnya. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan takziah bagi pihak Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan kepada ahli keluarga Ahli Parlimen Gerik iaitu Allahyarham Dato' Hasbullah bin Osman yang telah kembali kerahmatullah pada 15 haribulan Julai tahun 2020. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan di dalam kalangan orang yang beriman. Bagi yang beragama Islam marilah kita bersama-sama menghadiahkan bacaan Al-fatihah ke atas roh Allahyarham, manakala yang bukan beragama Islam bertafakur untuk seketika. Al-fatihah.

Seterusnya izinkan saya untuk membuat beberapa pengumuman. Perkara yang pertama berkenaan pematuhan prosedur operasi standard SOP kawalan pencegahan Covid-19 sepanjang persidangan mesyuarat berlangsung. Seperti yang diketahui perintah kawalan tugasan bersyarat PKPB masih lagi berkuat kuasa. Oleh yang demikian SOP yang berkaitan perlu dilaksanakan bagi memastikan persidangan mesyuarat dijalankan dengan selamat dan terkawal serta dapat membendung penularan Covid-19. Justeru, saya memohon kerjasama sepenuhnya daripada semua Ahli-ahli Yang Berhormat, ketua ataupun wakil jabatan dan agensi, pegawai khas, wakil media dan para petugas agar dapat mematuhi SOP yang ditetapkan.

Perkara yang kedua berkenaan laluan ke Dewan Negeri oleh Ahli-ahli Yang Berhormat dan semua ketua atau wakil jabatan serta agensi. Sepanjang persidangan mesyuarat, laluan Ahli-ahli Yang Berhormat dan para ketua atau wakil jabatan dan agensi dikhususkan melalui pintu D dan pintu E.

Perkara yang ketiga, penggunaan Sistem Facial Recognition. Sepanjang Persidangan Mesyuarat Dewan, Sistem Facial Recognition akan digunakan bagi memudahkan akses keluar masuk oleh Ahli-ahli Yang Berhormat, para pegawai khas, ketua wakil jabatan dan agensi, wakil media serta para petugas Dewan Persidangan, bilik media dan tempat makan yang disediakan. Berkaitan ini saya ingin merakamkan penghargaan kepada Digital Perak dan Kiplelive yang telah bekerjasama bagi menyediakan Sistem Facial Recognition sepanjang persidangan mesyuarat ini berlangsung. Tapi kalau ada kesilapan sikit-sikit tu kita maafkan lah. Semalam pun saya try juga yang nak masuk tempat makan tu dia tak dapat recognise pun muka wajah Yang Dipertua Dewan. Jadi lepas tu okey dah. Jadi kalau silap sikit-sikit tu kita maafkanlah, first time.

Perkara yang keempat, berkenaan bilik jamuan Dewan Negeri. Sejajar dengan SOP langkah kawalan pencegahan Covid-19, jumlah maksimum individu yang dibenarkan berada di dalam bilik Jamuan Dewan Negeri pada sesuatu masa dihadkan kepada 100 orang sahaja. Oleh yang demikian kebenaran untuk berada mengguna kemudahan menjamu selera di bilik Jamuan Dewan Negeri hanya dikhususkan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Yang Berhormat, ketua atau wakil jabatan dan agensi. Sehubungan itu para pegawai khas bolehlah menggunakan kemudahan menjamu selera yang disediakan di stesen makan A, ruang legar berhadapan bilik sidang media. Manakala para petugas dan wakil media boleh menggunakan kemudahan menjamu selera yang disediakan di Stesen Makan B di ruang legar Aras G berhadapan bilik Gerakan Negeri. Untuk makluman, lokasi kemudahan tersebut yang dinyatakan ada dipaparkan pada pas masing-masing. Di kesempatan ini saya juga memohon kerjasama daripada semua pihak agar segera beredar setelah selesai menjamu selera. Sekiranya sesuatu kemudahan tersebut didapati agak sesak kepada sesuatu masa, Ahli-ahli Yang Berhormat serta pegawai-pegawai berkenaan adalah dibenarkan untuk menjamu selera di lokasi yang kurang sesak. Kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan SOP yang berkaitan seperti penjarakan fizikal dapat dipatuhi sepenuhnya khususnya di bilik jamuan Dewan Negeri.

Perkara yang kelima sesi soalan lisan. Saya ingin memaklumkan tempoh masa yang ditetapkan bagi sesi soalan lisan pada sepanjang persidangan mesyuarat ini ialah satu jam.

Perkara yang keenam, berkenaan Rang Undang-Undang dan Usul. Saya ingin memaklumkan bahawa terdapat notis usul Rang Undang-Undang dan Usul iaitu seperti berikut. Satu, Rang Undang-undang Perbekalan tahun 2021 dan Usul Wang Pembangunan 2021 yang telah diterima oleh Setiausaha Dewan Negeri akan dibawa oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar daripada Chenderiang. Dua, usul mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa Menteri Besar sebagai Ahli Yang Berhormat Chenderiang, mempunyai keyakinan majoriti Ahli-ahli Yang Berhormat Dewan Undangan Negeri Perak di bawah Perintah-Perintah Tetap 26 (1)

dibaca bersama Perintah Tetap 27 (3) dalam Perintah-Perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, saya juga ingin memaklumkan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat bahawa sebentar tadi pada pukul 8.15 pagi dan 8.31 pagi, saya telah menerima dua lagi usul daripada Yang Berhormat Kawasan Pasir Pinji dan Yang Berhormat dari Kawasan Temenggor. Kedua-dua Ahli Yang Berhormat tersebut telah menggunapakai usul dibawa Standing Order 17, Perintah-Perintah Tetap Dewan Negeri Perak. Memandangkan kedua-dua usul yang dimasukkan kepada saya satu jam sebelum daripada Persidangan Dewan Negeri, maka saya telah berbincang dengan kedua-duanya dan saya akan memutuskan keputusan ruling atas usul ini sebaik-baik saja tamat pengumuman Tuan Yang Dipertua.

Perkara yang ketujuh, berkenaan sesi perbahasan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat berkaitan Rang Undang-Undang Perbekalan Tahun 2021 dan Usul Wang Pembangunan 2021. Sesi perbahasan mesyuarat ini akan berlangsung pada persidangan kedua iaitu Selasa 8 Disember 2020 dan persidangan ketiga Rabu 9 Disember 2020. Tempoh masa perbahasan kepada penyokong Kerajaan dan ketua pembangkang adalah selama 40 minit bagi setiap soalan. Manakala tempoh masa perbahasan bagi setiap pembahas yang lain adalah selama 20 minit. Justeru saya ingin menasihatkan Ahli-Ahli Yang Berhormat dapat berbahas secara lebih berfokus agar dapat menepati tempoh masa yang ditetapkan.

Perkara yang kelapan, berkenaan sesi penggulungan oleh kesemua Yang Berhormat Exco dan Yang Amat Berhormat Menteri Besar berkaitan Rang Undang-Undang Perbekalan Tahun 2021 dan Usul Wang Pembangunan 2021. Sesi penggulungan oleh Yang Berhormat EXCO akan berlangsung pada Persidangan Keempat, hari Khamis 10 Disember 2020. Setiap Yang Berhormat EXCO diberikan tempoh masa penggulungan selama 30 minit ,manakala sesi penggulungan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar, akan berlangsung pada Persidangan Kelima, Jumaat, 11 Disember 2020 Yang Amat Berhormat Menteri Besar diberikan tempoh masa penggulungan selama dua (2) jam.

Perkara yang kesembilan berkenaan hansard rasmi. Saya ingin memaklumkan Ahli-Ahli Yang Berhormat boleh membaca dan memuat turun hansard rasmi setiap persidangan selewat-lewatnya pada jam 12 tengah malam. Ahli-ahli Yang Berhormat bolehlah menghubungi pihak urus setia dalam tempoh 7 hari dari pilihan yang dipaparkan sekiranya terdapat pindaan yang perlu dibuat atau dilakukan pada handsard tersebut.

Perkara yang kesepuluh, adalah soalan lisan yang tidak sempat dijawab. Jawapan soalan lisan yang tidak sempat dijawab pada setiap persidangan boleh dimuat turun melalui sistem eDewan pada keesokan harinya.

Perkara yang kesebelas, berkenaan soalan bertulis. Jawapan soalan bertulis boleh dimuat turun melalui sistem edewan dalam tempoh 7 hari selepas tamat persidangan yang terakhir.

Perkara yang kedua belas berkenaan siaran secara langsung live streaming, Persidangan kita pada hari ini boleh diikuti secara langsung melalui saluran YouTube pautan berkaitan live streaming tersebut dipaparkan melalui portal dan facebook Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan. Sekian terima kasih.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian seperti yang saya maklumkan di dalam Ucapan Pengumuman Tuan Yang Dipertua tadi, kita telah pun menerima dua (2) usul daripada Yang Berhormat Pasir Pinji dan juga Yang Berhormat daripada Temengor. Setelah dibincangkan, maka saya dengan ini menjemput Yang Berhormat Temengor untuk membacakan usul tersebut.Dipersilakan.

Puan Salbiah binti MohamedUMNO · BNTemengor

Bismillahirrahmanirrahim Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat pagi, terima kasih Yang Dipertua. Saya Salbiah binti Mohamed, Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Temengor ingin mengemukakan usul di bawah Perintah Tetap 17 (1) dan (2) di dalam Perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak agar usul yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Dato' Abd Manaf bin Hashim, Adun Pengkalan baru di segerakan. Saya dengan ini berdasarkan peruntukkan Perintah Tetap 17 (2) mengemukakan usul seperti berikut. Bahawa Yang Dipertua Dewan ini mengguna pakai Perintah Tetap 80 (2) yang dibaca bersama dengan Perintah Tetap 13 (1) dengan ini menggantungkan kuatkuasa Perintah Tetap 13 (1) (f) dan (g) bagi membolehkan usul yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Dato’ Abd Manaf bin Hashim ADUN Pengkalan Baharu untuk diusulkan dan dikemukakan dengan kadar segera atas kepentingan umum. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat, ada sokongan?

Trong menyokong.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat, ada usul dan ada sokongan. Saya sebelum saya membuat keputusan mengikut buku Standing Order 17, saya usul ini saya sendiri baru saja dibaca, saya mahu mendengar asas-asas atau hujah-hujah pada usul ini, saya minta Yang Berhormat daripada Temengor untuk memberi sepatah dua kata berkaitan dengan usul ini. Dipersilakan.

Puan Salbiah binti MohamedUMNO · BNTemengor

Terima kasih Yang Dipertua. Saya merasakan usul ini perlu disegerakan atas alasan supaya kita dapat membincangkan perkara-perkara demi kepentingan orang ramai di bawah Perintah Tetap 17(2) yang mana saya mohon agar Perintah Tetap 13(1)(f) dan (g) ditangguhkan. Di mana melalui usul yang dibawa oleh Pengkalan Baharu ini yang perlu Ahli Dewan Negeri ini buktikan tanpa apa jua keraguan bahawasanya Yang Amat Berhormat Chenderiang mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan. Kerana saya berpandangan, dalam kita membicarakan soal dasar kerajaan negeri adalah perlu untuk kita mencapai satu kata putus untuk memastikan keabsahan atau kewibawaan, kepimpinan kerajaan negeri iaitu Yang Amat Berhormat Chenderiang. Maka apa juga keraguan yang ada di dalam kalangan Ahli Dewan kerajaan berhubung dengan kepimpinan Yang Amat Berhormat Chenderiang perlulah dipadamkan dengan segera agar kita dapat membincangkan perkara-perkara dasar itu dalam pembentangan belanjawan pada kali ini, terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima Kasih Yang Berhormat daripada..daripada Temengor. Seperti yang saya saya maklumkan tadi, bahawa ada ada dua usul sebenarnya, Usul mempunyai maksud yang sama untuk diawalkan usul yang dibawa oleh Ahli Yang Berhormat daripada Pengkalan Baharu satu lagi usul yang saya terima dari awal itu pada pukul 8.15 pagi ialah daripada Yang Berhormat Pasir Pinji dan saya saya jemput juga Yang Berhormat Pasir Pinji untuk memberikan asas dan tujuan usul ini dibawa.

Encik Howard Lee Chuan HowDAP · PHPasir Pinji

Terima Kasih Dato' Yang Dipertua dan rakan-rakan Ahli-ahli Yang Berhormat. Notis yang telah saya beri pada pagi tadi jam 8.15 pagi yang disebutkan sebenarnya adalah selari dengan Yang Berhormat Temengor yang merujuk perkara 17 dan saya ingin memohon pertimbangan pihak Tuan Yang Dipertua untuk memperawalkan yakni segerakan perkara 6(2) dalam Aturan Mesyuarat. Mengapa? dan kalau kita baca seperti yang dirujukkan tadi oleh Yang Berhormat Temengor adalah berkenaan usul keyakinan yang punya makna yang agak besar dan sekiranya kita semak perkara keempat, soalan-soalan yang telah diberi notis, soalan-soalan lisan yang sepatutnya dijawab oleh Ahli-ahli Majlis Mesyuarat kerajaan dan apabila ada juga kalau kita tengok perkara 5 juga membawa Rang Undang-undang Enakmen Perbekalan yang juga merupakan tugasan hakiki sebuah kerajaan dan kita pergi keenam juga Usul Kumpulan Wang Pembangunan.

Kesemua ini adalah tugasan yang termaktub dalam ndang-undang tetap, undang-undang negeri dan juga kita punya perlembagaan. Kesemua ini adalah tanggungjawab sesebuah kerajaan dan apabila kita nampak ada sesebuah usul yang telah dibentangkan oleh Yang Berhormat Pengkalan Baharu, kekanda Pengkalan Baharu yang bagi pihak kami memanggil suatu ujian ataupun keabsahan kerajaan tersebut adalah dipersoalkan. Jadi di sebelah sini, kami juga telah membuat perbincangan yang sangat panjang untuk meminta supaya keabsahan kerajaan diuji dalam dewan ini dan ia juga perlu disegerakan sebelum perkara-perkara seperti soalan-soalan EXCO dan juga bajet supaya keabsahan itu dapat diuji sebelum kita pergi ke depan dan juga yang telah dimasukkan dalam perkara 2 sebenarnya ada dua (2) kaedah.

Cara pertama adalah menggunakan kuasa Speaker dengan permintaan lebih daripada satu suku daripada Dewan yang mulia ini untuk meminta pihak Dato' Yang Dipertua untuk membuat ruling dan 80 perkara (b) diberi izin oleh pihak Dewan jadi saya menyerahkan perkara ini kepada pihak Dato' Yang Dipertua untuk membuat ruling dan pihak kami akan menunjukkan sokongan pada usul percaya harap-harap di sebelah sana pun adalah sekian terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat daripada Pasir Pinji. Sepertimana yang saya maklumkan tadi, kita baru mendengar hujah dan asas kenapa usul ini dibawa sama ada ianya diterima. Saya berasaskan kepada Standing Order 17(3). Atas hujah-hujah dan asas-asas yang disampaikan oleh pembawa usul terutamanya Yang Berhormat daripada Temengor dan pandangan yang diberikan oleh Yang Berhormat Pasir Pinji, Standing Order 17(3), Speaker berpuas hati kerana perkara tersebut ialah perkara yang spesifik dan ianya perlu disegerakan dan ia mempunyai kepentingan orang ramai.

Oleh itu Saya memohon untuk melihat sekiranya di bawah 17(3)(b) ada sekurang-kurangnya 1/4 sokongan daripada Dewan untuk usul ini dibawa. Saya boleh minta sokongan itu dengan berdiri 15 orang sekurang-kurangnya. Setiausaha Dewan, berapa? Ahli-ahli Yang Berhormat, saya sudah memaklumkan bahawa ada sokongan daripada 37 Ahli Dewan dan ini menunjukkan bahawa ianya melebihi daripada 1/4. Maka usul ini dibawa.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, kita telah mendengar tadi hujah dan fakta secara ringkas berkaitan kenapa usul ini perlu dibawa. Saya dengan ini membuka juga sekiranya ada hujah-hujah selainnya daripada yang dikemukakan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat tadi. Saya benarkan sekurangnya lima minit untuk seorang dan saya limitkan kepada sekurang-kurangnya dua orang. Dipersilakan kalau ada.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekiranya tiada, maka Ahli-ahli Yang Berhormat, di hadapan kita ada satu usul yang berbunyi bahawa Yang Dipertua Dewan ini menggunapakai Perintah Tetap 80(2) yang dibaca bersama dengan Perintah Tetap 13(1) dengan ini menggantungkan kuatkuasa Perintah Tetap 13(1)(f) & (g) bagi membolehkan usul yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Dato’ Abd Manaf bin Hashim, ADUN Pengkalan Baharu untuk diusulkan dan dikemukakan dengan kadar segera atas kepentingan umum yang telah pun dibahaskan dan sekarang saya menjemput ahli-ahli Yang Berhormat untuk mengundi. Sesiapa yang bersetuju dengan usul ini diminta untuk berdiri.Siapa yang setuju dengan usul ini, diminta berdiri.Tak setuju, setuju dengan usul ini, usul Temenggor. Siapa setuju dengan usul Temenggor.

Dr. Abdul Aziz bin BariDAP · PHTebing Tinggi

Tuan Yang Dipertua, mohon dijalankan undi belah bahagian untuk menentukan.

Yang di-Pertua

Dengar. Ini ialah usul untuk 17(2) supaya saya boleh guna Standing Order 80, jadi saya minta sokongan daripada Dewan. Walaupun ianya kuasa Speaker, tapi saya nak minta permission Dewan. Usul Temenggor. Minta berdiri lah. Setiausaha Dewan. Setiausaha Dewan. Sesiapa yang tidak bersetuju dengan, sekarang siapa yang tidak bersetuju dengan usul ini minta berdiri.

Ahli-ahli Yang Berhormat, saya suka nak memaklumkan Dewan bahawa 45 ahli Yang Berhormat dalam Dewan ini bersetuju supaya usul ini diluluskan dan 9 ahli Yang Berhormat tidak setuju usul ini diluluskan. Maka usul ini diluluskan. Ahli-ahli Yang Berhormat, dengan kebenaran Dewan dan kelulusan Dewan, saya dengan ini membawa ke hadapan usul daripada Yang Berhormat Pengkalan Baharu yang dibawa sekarang. Setiausaha Dewan.

Usul keyakinan majoriti ahli Dewan terhadap Yang Amat Berhormat Menteri Besar, bahawa Dewan ini memberi kebenaran kepada Ahli Yang Berhormat bagi Kawasan PengkaMotion

Setiausaha

Usul keyakinan majoriti ahli Dewan terhadap Yang Amat Berhormat Menteri Besar, bahawa Dewan ini memberi kebenaran kepada Ahli Yang Berhormat bagi Kawasan Pengkalan Baharu untuk mencadangkan satu usul iaitu menurut Perintah Tetap 26(1) dibaca bersama Perintah Tetap 27(3) dalam Perintah-Perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak, mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Faizal bin Azumu sebagai Ahli Yang Berhormat Chenderiang mempunyai keyakinan majoriti Ahli-ahli Yang Berhormat Dewan Undangan Negeri Perak.

Yang di-Pertua

Dipersilakan Yang Berhormat daripada Pengkalan Baharu.

Dato’ Haji Abd Manaf bin HashimUMNO · BNPengkalan Baharu

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Alhamdulillah rabbil alamin washolatu wassalamu ala asrofil ambiya iwal mursalin wa'ala alihi wa sohbihi ajmain. Salam sejahtera. Terima kasih kepada Yang Berhormat Speaker yang membenarkan saya membawa usul ini. Usulnya ialah bahawa memberi kebenaran kepada saya Ahli Yang Berhormat bagi kawasan Pengkalan Baharu untuk mencadangkan usul bagi, iaitu menurut Perintah Tetap 26(1) dibaca dengan Perintah Tetap 27(3) dalam Perintah-Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri Perak mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal bin Azumu sebagai Yang Berhormat Chenderiang mempunyai keyakinan majoriti Ahli-ahli Yang Berhormat Dewan Undangan Negeri Perak.

Yang Berhormat Dato' Speaker. Salah satu sebab kenapa usul ini saya cadangkan adalah kerana seperti yang disebut oleh Pasir Pinji tadi, bahawa seorang pemimpin itu perlu ada keabsahan atau lebih dalam bahasa Inggeris nya dipanggil legitimacy walaupun ia telah mengikut apa ini, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak, ia adalah sah dari segi undang-undang tetapi sering ditimbulkan bahawa Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri Perak ini adalah kerajaan backdoor, kerajaan pintu belakang.

Untuk menidakkan perkara ini, saya rasa perkara yang perlu dibuat ialah mengadakan Pilihan Raya Umum atau pilihan raya. Tapi dalam keadaan pandemik sekarang, pandemik Covid sekarang ini dan juga dalam keadaan kewangan negara dan juga kewangan negeri ini, maka saya merasakan bahawa langkah kedua yang paling baik untuk kita absahkan kepimpinan MB Perak ini ialah melalui Dewan ini. Jadi Itulah antara sebab-sebab mengapa usul ini saya bawa ke Dewan yang mulia ini.

Keduanya, mungkin orang akan berkata mengapa kita sebagai ahli politik bermain politik dalam keadaan sekarang dalam keadaan rakyat ditimpa dengan pelbagai masalah disebabkan Covid. Jawapan saya mudah sahaja kerana kita perlukan satu kepimpinan yang komited yang tidak kita ragui. Kepimpinannya yang boleh membawa Perak ini bukan saja dalam keadaan kita menghadapi masalah Covid ini. Tapi juga untuk menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang.

Kita perlu satu kerajaan yang tidak didakwa dakwi, tidak dikatakan kerajaan back door satu kerajaan yang cukup. Jadi tu salah satu lagi sebab mengapa usul ini dibawa. Mungkin juga orang akan katakan nanti bahawa ada kerjasama antara DAP dan UMNO. DAP dan UMNO bersekongkol Dato' Speaker kerana usul ni. Saya ingin mengimbas baliklah dalam 22 bulan dulu ketika kerajaan PH memerintah. Mula mulanya, mula mulanye ye chor mengantor emissary berjumpa, kita paham ye chor ye chor ye sebab dulu nama chor yang naik mula-mula, last minute, last minute udoh dikaleh pulak tak pa lah. Ada usaha ke arah itu.

Kemudian, parti yang terbesar dalam kumpulan PH, DAP juga kita dengar ada usaha-usaha untuk mengubah kepimpinan. Sampai kepada kerajaan PN begitu juga parti yang terbesar, UMNO dalam kerajaan PN ini jugak yang mempunyai masalah hingga Pengerusi Perhubungan terpaksa mengeluarkan statement bahawa pelantikan Setiausaha Politik Kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar tidak dirujuk kepada beliau. Jadi sebenarnya jika kita lihat parti-parti besar yang mendukung kerajaan PH di Perak ini, parti besar yang mendukung kerajaan PN di Perak ini seolah-olah ada masalah dengan Yang Amat Berhormat Menteri Besar.

Maka medan yang paling baik untuk kita selesaikan masalah ini ialah di dalam dewan ini. Maka tidak ada sebab, tidak ada sebab nanti orang mengatakan bahawa UMNO bersekongkol dengan DAP kerana nak menjatuhkan satu kerajaan lagi. Saya dah bagi sebab-sebabnya tadi. Parti yang besar yang mendukung kerajaan dilihat seolah-olah ada masalah dengan Yang Amat Berhormat Chenderiang. Maka, pada hari inilah kita boleh tentukan secara tuntas sama ada Chenderiang mempunyai keyakinan majoriti atau tidak di dewan yang mulia ini.

Jadi saya rasa itulah perkara-perkara, sebab-sebab kenapa yang saya rasa usul ini perlu kita bawa dan kita putuskan di Dewan yang mulia ini kerana inilah medan kedua yang terbaik selain daripada kita adakan pilihanraya umum. Sekian Yang Berhormat Speaker, Pengkalan Baharu mencadangkan, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat daripada Pengkalan Baharu. Ada sokongan daripada usul yang dikemukakan daripada Yang Berhormat Pengkalan Baharu tadi?

Terima kasih Dato' Yang Dipertua. Kenering menyokong.

Yang di-Pertua

Terima kasih Kenering. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, dihadapan saya terdapat satu usul yang dibawa oleh Yang Berhormat daripada Pengkalan Baharu dan telah pun mendapat sokongan. Sekarang saya buka kepada Dewan untuk mana-mana ahli berbahas. Saya limitkan kepada sekurang-kurangnya dua ahli. Satu ahli di sebelah sini dan dan satu lagi daripada pihak pembangkang dan masa berbahas maksimum seorangnya dia adalah selama 5 minit. Dipersilakan.

Tuan Haji Razman bin ZakariaPAS · PNGunong Semanggol

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Dato' Yang Dipertua dan seluruh ahli dewan. Saya bangun di sini pada pagi ini yang pertama untuk menyokong usul yang dibawa oleh Pengkalan Baharu. Bagi kita tentukan keabsahan kepimpinan Yang Amat Berhormat Chenderiang. Bagaimana yang kita semua maklum bahawa Kerajaan PN yang ditubuhkan pada permulaannya telah mendapat pengesahan secara collective daripada 3 parti besar. Yang pertama UMNO terdiri daripada 25 ahli Dewan Undangan Negeri. Pas ada tiga. Kemudian PPBM yang terdiri daripada lima ahli Dewan Undangan Negeri dan disokong oleh 2 daripada ADUN DAP yang menjadikan jumlah kesemuanya 35 orang yang menyokong Yang Amat Berhormat Chenderiang untuk menubuhkan kerajaan yang didokong oleh Melayu.

Yang kedua, semua masyarakat perlu kita mengambil iktibar satu pengorbanan besar yang telah dibuat oleh Yang Amat Berhormat Chenderiang dalam tempoh 22 bulan bersama-sama dengan kerajaan Pakatan Harapan yang mana negara kita telah dicemar dengan bendera dengan lima bintang. Dalam tempoh 5 bulan 22 bulan bagaimana kartun karikatur dimasukkan ke sekolah-sekolah, bagaimana dengan perarakan kumpulan-kumpulan yang melampau LGBT dan sebagainya. Di atas kesedaran untuk menjaga keharmonian negara, Yang Amat Berhormat Chenderiang telah meninggalkan kerusi yang dipegangnya bersama-sama dengan PH sebagai ketua kerajaan untuk kita sama-sama membentuk kerajaan yang boleh memberi kestabilan kepada seluruh rakyat dan keamanan.

Maka usul yang dibawa oleh Pengkalan Baharu ini amat tepat sekali untuk seluruh kita yang berada di barisan ini memberi sokongan kepada Yang Amat Berhormat Chenderiang, lebih-lebih lagi kalau kita lihat pada masa ini rakyat berdepan dengan ancaman Covid yang perlu ada kesungguhan bagi pihak kerajaan menangani masalah yang dihadapi oleh mereka. Masalah pengangguran yang begitu ketara pada masa ini yang perlu kita tangani untuk mengatasi masalah ini. Sebab kita melihat peluang pekerjaan dalam negara kita dalam negeri Perak ini khususnya amat terbatas sekali dan amat mengecewakan sebagai sebuah negeri yang cukup kaya. Tengok penuh dengan infrastruktur-infrastruktur kelas pertama kita mempunyai Inland Port, kita mempunyai Port Pelabuhan. Kita dekat dengan pelabuhan Pulau Pinang pelabuhan utama negara, kita dekat dengan pelabuhan Port Klang tetapi kedudukan industri dalam Negeri Perak untuk memberi peluang pekerjaan duduk nombor tangga yang ketujuh kelapan dalam negara Malaysia.

Ini Yang Amat Berhormat untuk memberi kita bersama-sama patut menumpukan kepada permasalahan ini dan juga saya ingin menarik kepada seluruh ahli Dewan. Kalau kita tengok dalam pencapaian dalam Negeri Perak pencapaian akademik cukup mengecewakan dalam keadaan ini keseluruhan keputusan SPM dan STPM dalam Negeri Perak duduk ke tangga 13 dan ke 14. Ini Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk sama-sama kita memberi sokongan untuk meletakkan balik Negeri Perak dalam satu tahap yang boleh membangga dan memberi sumbangan kepada rakyat.

Saya dengan ini mengajak dan menyokong penuh usul yang dibawa oleh sahabat saya Pengkalan Baharu dan kita akan melihat seluruh masyarakat sekiranya usul untuk menjatuhkan menukarkan kerajaan dalam situasi negara dan rakyat yang dilanggar oleh pandemik ini. Pada saya ini adalah satu penderhakaan dan pengkhianatan kepada negara, bangsa dan agama kita. Jadi dengan ini saya menyokong penuh dan mengajak seluruh Ahli Dewan supaya kita menyokong usul yang dibawa oleh Pengkalan Baharu, sekian terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih, Yang Berhormat daripada Semanggol. Ada sebelah sini yang mahu berbahas. Kalau tidak ada. Terima kasih Yang Berhormat. Dijemput Yang Berhormat daripada Pengkalan Baharu untuk menggulung usul sekiranya mahu, sekiranya da.

Dato’ Haji Abd Manaf bin HashimUMNO · BNPengkalan Baharu

Terima kasih Dato' Speaker, mungkinlah juga nanti UMNO akan dituduh gila kuasa jika usul yang saya bawa ini gagal. Cuma apa yang ingin saya katakan tadi saya sebut UMNO adalah satu parti yang besar dalam gagasan dan kita pun sebenarnya ada perjanjian-perjanjian bertulis kalau kita hendak membentuk kerajaan di Perak yang akhir-akhirnya tidak diikuti. Maka saya rasa salah satu sebabnya saya lupa hendak sebut tadi mengapa usul ini dibawa. Kemudian mungkinlah ada juga saya bagi contoh, macam perkahwinan, orang yang dah kena cerai, dia pula gila talak mungkin dalam ini dia hendak berkecuali manalah tahu UMNO jadi Cina buta. Jika bertukar kerajaan nanti, kita boleh pergi sana balik. Kalau dah bercerai pun nanti talak tiga pun tapi sebab UMNO ni jadi cina buta, boleh pergi balik.

Contoh yang saya nak berilah, kemungkinan sebab saya dengar mungkin ada orang akan berkecuali. Kita tak gila kuasa, kita tak gila kuasa. Kita buat ini adalah untuk rakyat, saya sebut dah tadi, saya sebut dah tadi, kita perlu satu kepimpinan yang boleh dipercayai oleh semua pihak. Jadi janganlah nanti di luar sana ada kata saya sebutkan tentang DAP bersekongkol dengan DAP, ada pula kata kita gila kuasa dan sebagainya kerana Dato' Speaker, kita buat ini hasrat dan tujuan kita sebagai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri Perak ialah untuk yang terbaik untuk Perak dan apa yang kita buat ini InsyaAllah saya yakin, kita redha dengan Allah,kita berdoalah bahawa Allah memberi rahmat dan hidayah kepada kita untuk kita membuat keputusan yang terbaik untuk Negeri Perak. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat daripada Pengkalan Baharu. Masalahnya sekarang usul yang dibawa oleh Yang Berhormat Pengkalan Baharu telah pun disokong, dibahaskan dan diundi. Sekarang tibalah masanya untuk sesi pengundian. Sekarang saya nak menjemput Ahli-Ahli Yang Berhormat ini kalau minta belah bahagi ke ni.

Dr. Abdul Aziz bin BariDAP · PHTebing Tinggi

Dato' Yang Dipertua, saya mohon dibuat dengan cara belah bahagian.

Encik Maslin Sham bin RazmanUMNO · BNBukit Chandan

Chandan menyokong Yang Dipertua.

Yang di-Pertua

Sekejap ya. Untuk undian belah bahagi, untuk ianya saya teruskan. Adakah sokongan sekurang-kurangannya sepuluh (10) orang daripada Ahli Dewan, boleh saya tengok dari TV. Saya lihat lebih daripada sepuluh (10) yang berdiri, maka usul belah bahagi ini dibawa, bagi saya bincang dengan Setiausaha Dewan sekejap. Setiausaha Dewan.

Yang di-Pertua

Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian untuk undian belah bahagi ini, saya buat ruling Kita akan keluarkan kertas undi, 59 kertas undi ada nombor siri dan sebagainya. Dalam kertas undi ini tertulis usul keyakinan Majoriti Ahli Dewan terhadap Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Pilihan Yang Berhormat di situ ada setuju, tidak setuju dan berkecuali. Jadi Ahli-Ahli Yang Berhormat apabila dapat kertas undi ini, tandakan sama ada setuju iaitu menyokong Menteri Besar ataupun tidak setuju, tidak menyokong Menteri Besar atau pun berkecuali kemudian tandatangan di belah bawah ini ada ruangan kosong banyak. Tandatangan, turunkan tandatangan Ahli-Ahli Yang Berhormat di kawasan kosong ini. Kemudian lipat, ada dua (2) Bentara yang akan bergerak di sebelah kanan dan belah kiri saya, Bentara yang kedua itu membawa kotak, kemudian masukkan kertas undi ke dalam kotak. Kemudian kita akan bawa kertas undi ini ke meja saya dan kita akan buat kiraan. Jelas ya. Maknanya usul ini, kertas undi ini bersetuju yang dah bersetuju menyokong Yang Amat Berhormat Menteri Besar, tidak bersetuju, tidak bersetuju menyokong Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang berkecuali tidak ada keputusanla tanda, pangkah asalkan ada clear indication hasrat untuk Yang Berhormat mengundi yang mana satu. Sekian, terima kasih.

SESI PENGUNDIAN DIJALANKAN

Yang di-Pertua

Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya hendak maklumkan tempat yang sebelah sini memang kosong ye. Ini untuk 1 sehingga 30 ada nombor sirinya, dia kan berada dekat sini. Terima, tanda setuju, tidak setuju atau berkecuali tandatangan kemudian masukkan balik dalam kotak yang sebelah sini. Nombor sirinya 31 hingga 59 tanda setuju, tidak setuju atau berkecuali dan tandatangan setuju, tandanya setuju menyokong Yang Amat Berhormat Menteri Besar, tidak setuju maknanya tidak bersetuju menyokong YAB Menteri Besar, terima kasih.

Dato' Yang Dipertua standing order 41(a). Boleh? Sementara ni. Simple je. Semua ahli hendaklah berkelakuan dalam Dewan Negeri dengan penuh sopan dan tertib. Dato’ Yang Dipertua, saya mohon apa juga keputusan pengundian ini supaya kita semua Ahli Dewan tidak bertepuk sama ada positif atau negatif terutama kalau negatif tidak bertepuk kerana kita harus memberikan perkhidmatan kepada Yang Amat Berhormat Chenderiang yang telah banyak berjasa kepada Negeri Perak dan beliau masih lagi merupakan Menteri Besar Perak. Saya rasa tak selesa tapi apabila undian dilakukan dan kita bertepuk tangan seolah-olah kita tidak hormat kepada Yang Berhormat Chenderiang yang masih merupakan Menteri Besar Perak. Terima kasih Dato' Yang Dipertua.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat, saya setuju dengan pandangannya Yang Berhormat.

Sebelum saya membuat pengiraan undi, saya minta Setiausaha Dewan buat pengiraan undi, saya hendak tanya perlu atau tidak Ahli-ahli Yang Berhormat menghantar wakil untuk menyaksikan kiraan undi.

Encik Tan Kar HingPKR · PHSimpang Pulai

Saya minta ada wakil daripada kedua-dua pihak.

Yang di-Pertua

Kalau yang demikian, saya minta satu wakil daripada pihak pembangkang, satu wakil daripada pihak kerajaan. Boleh bagi saya tahu nama dahulu.

Encik Tan Kar HingPKR · PHSimpang Pulai

Simpang Pulai mewakili blok pembangkang.

Yang di-Pertua

Daripada pihak kerajaan.

Dato’ Zainol Fadzi bin PaharudinBERSATU · PNSungai Manik

Sungai Manik mewakili kerajaan.

Yang di-Pertua

Simpang Pulai dan Sungai Manik.

Yang di-Pertua

Bismillahirrahmanirrahim, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, saya ingin memaklumkan berkaitan dengan usul keyakinan majoriti ahli Dewan Yang Amat Berhormat Besar iaitu yang berbunyi bahawa Dewan ini memberi kebenaran kepada Ahli Yang Berhormat bagi kawasan Pengkalan Baharu untuk mencadangkan satu usul iaitu menurut Perintah Tetap 26 (1) dibaca bersama Perintah Tetap 27 (3) dalam Perintah-Perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa Menteri Besar Dato' Seri Ahmad Faizal bin Azumu sebagai Ahli Yang Berhormat Chenderiang mempunyai keyakinan majoriti Ahli-ahli Yang Berhormat Dewan Undangan Negeri Perak. Suka saya nak maklumkan bahawa 59 kertas undi telah diedarkan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat semuanya dikembalikan dan keputusannya adalah seperti berikut. Setuju 10, tidak setuju 48, rosak atau berkecuali 1. Oleh yang demikian usul ini tidak bersetuju, terima kasih.

Saya dah minta dewan tadi please lah.

Yang di-Pertua

Yang Berhormat Pasir Pinji.

Encik Howard Lee Chuan HowDAP · PHPasir Pinji

Terima kasih Yang Dipertua, terima kasih kepada ahli seisi dewan telah membuat satu ketetapan memandangkan keadaan yang kita berada sekarang, saya minta izin memberi sedikit cadangan kepada ahli seisi dewan dan Yang Amat Berhormat Menteri Besar untuk meminta supaya Dewan ditangguhkan untuk segala yang perlu diusahakan untuk diusahakan Jadi saya ingin mengambil peluang ini untuk terima kasih kepada seisi Dewan dan mohon mencadangkan kepada Yang Berhormat untuk menangguhkan Dewan.

Yang di-Pertua

Yang Berhormat Chenderiang.

Dato’ Seri Ahmad Faizal bin Dato’ AzumuBERSATU · PHMenteri Besar · Chenderiang

Bismillahirohmanirohim, Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh dan salam sejahtera. Yang Berhormat Dato' Yang Dipertua, saya terutamanya jika boleh saya ucap sepatah dua kata, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah pun sama-sama kita membuat satu keputusan.

Yang kita lakukan seperti apa yang dikatakan oleh Yang Berhormat Pengkalan Baharu, demi kepentingan rakyat saya terima dengan penuh redha dan saya fikir dalam waktu kita menghadapi keadaan yang tidak menentu, keadaan ekonomi masalah pekerjaan di kalangan rakyat dan sebagainya, masalah politik ini tidak perlu kita panjang-panjangkan. Saya selaku Menteri Besar buat masa ini ingin memberi satu komitmen untuk memastikan transisi kepada kerajaan yang baharu akan dibuat dengan penuh berhemah demi kepentingan rakyat. Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada semua barisan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakan-rakan seperjuangan saya di dalam kerajaan Pakatan Harapan.

I miss you quite sometime actually. Seriously. Begitu juga saya ucapkan jutaan terima kasih kepada rakan-rakan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sekarang yang saya kira telah menyediakan, sebenarnya hari ini kita adakan satu belanjawan yang saya kira amat baik. Kalau boleh Yang Berhormat Dato' Yang Dipertua, saya ingin menyebut agar, membawa ke hadapan. Saya harap kerajaan akan memastikan apa yang kita lakukan bukan untuk kepentingan, untuk membawa legasi diri sendiri.

Saya harap usaha-usaha yang dibuat daripada Kerajaan Pakatan Harapan untuk menubuhkan Institut Wanita, Sekretariat Wanita yang disambung oleh yang Berhormat Kampung Gajah, yang akan direalisasikan bermula pada tahun depan. Kita sama-sama bagi sokongan, ini amat penting untuk golongan wanita. Kita perlu mengkhususkan semua agensi juga syarikat-syarikat GLC agar tidak melakukan kerja-kerja secara redundant. Kita perlu memastikan semua pegawai kerajaan lebih cekap melakukan satu-satu tindakan dan tidak menunggu untuk mengadakan mesyuarat, untuk kita adakan satu keputusan. Jika sesuatu perkara itu perlu dilakukan segera, saya harap kita ambil peluang dengan teknologi komunikasi yang ada pada hari ini untuk kita berhubung di antara jabatan untuk memastikan satu-satu projek ataupun tanggungjawab yang perlu disampaikan kepada rakyat itu dapat kita lakukan dengan sendiri. Saya sebagai seorang Menteri Besar yang daripada sejak Pilihan Raya Umum yang lalu, seorang yang bersendirian tetapi ditakdirkan oleh Allah SWT diangkat menjadi Menteri Besar.

Saya berpandangan, penggal ini terbaik untuk kita memperbetulkan yang tak betul, dan memperbaiki yang baik. Jadi saya kira di masa yang akan datang ini dengan kepimpinan kerajaan baharu, insya-Allahlah kita akan sama-sama pastikan yang perkara yang baik itu diperbaiki dan yang tak betul itu diperbetulkan. Saya ucap terima kasih, i felt is a great honour to serve our beloved state dengan izin dan juga patik menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan di atas kesempatan patik untuk menabur bakti kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan. Terima kasih semua Wabillahitaufik Walhidayah, assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatuh.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Amat Berhormat daripada Chenderiang yang memberikan ucapan. Saya rasa kita selaku Ahli-ahli Dewan Yang Berhormat, walau apa pun jalur politik kita, kita sebagaimana kita patut beri penghargaan kepada yang Amat Berhormat Menteri Besar kita semua dengan cara yang selalunya, yang lazimnya diadakan. Jadi saya mohon kepada Ahli-ahli Yang Berhormat semua, kita sama-sama berikan tepukan kepada Yang Berhormat daripada Chenderiang.

Ahli-ahli Yang Berhormat semua, apakan daya tangan terpasung ke langit kaki terpasak ke bumi, kita semua terikat dengan sumpah dan janji untuk menjunjung Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, peraturan, perlembagaan negara dan juga convention yang kita ada. Saya percaya selepas ini saya, kita mengambil masa sedikit iaitu kerana saya Speaker sendiri terpaksa memohon izin untuk menyembah maklum kepada Paduka Seri Sultan berkaitan dengan keputusan Dewan Negeri Perak pada pagi yang bersejarah ini. Saya juga percaya selepas ini yang Amat Berhormat Menteri Besar akan memohon izin menghadap Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan memaklumkan perkara yang sama tertakluk kepada Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri. Oleh yang demikian saya dengan ini menangguhkan ataupun menempohkan Dewan ini sehingga hari Rabu 9hb Disember 2.30 petang. Terima kasih.