Perak · 16 December 2020

14th Assembly, 3rd session, 3rd meeting · 26 turns · 8,830 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalPerak publishes one PDF per sitting day, from May 2020 (none for 2018-19), and a file of oral and written answers per meeting from December 2022.

(Pembukaan)

Ketua Bentara

Ahli-Ahli Yang Berhormat. Tuan Yang Dipertua.

Setiausaha

Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh dan salam sejahtera. Ahli Yang Berhormat sekalian, sekarang kita mulakan Persidangan Ketiga, Mesyuarat Ketiga Tahun Ketiga Dewan Negeri yang ke 14 Perak Darul Ridzuan pada hari Rabu 16 Disember 2020, jam 2.30 petang dengan urusan perkara yang pertama iaitu bacaan doa.

Bismillahirrahmanirrahim. Segala puji bagi Allah selawat dan salam atas RasulNya, maka dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Pengasih, Dewan Negeri ini dibuka. Ya Allah yang bersifat maha hikmat, limpah keadilan yang menanggungkan kewajipan ke atas Raja dan Ahli Majlis Permesyuaratan, bagi mentadbir muslihat masyarakat pergaulan, mudah-mudahan sentosa aman, makmur, limpah kebahagiaan, meliputi sekalian penduduk Negeri Perak Darul Ridzuan. Ya Allah, kami sekalian Hamba mu yang diperkenan menjadi Ahli Dewan Negeri, menyempurnakan kewajipan yang diamanahkan, yang terutama bagi Negeri Perak Darul Ridzuan serta rakyatnya sekalian. Ya Allah, berkatMu ke atas kami berhimpun dipohon anugerahkan, taufikMu, hidayatMu dimohon menyuluh, memandukan, pada ketika kami berunding menimbang, bertukar-tukar fikiran pada segala perkara yang dibentangkan, dengan saksama serta berkeamanahan, menjunjung perintah dan kebesaranMu, mudah-mudahan berlebih-lebih keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan bagi Negeri Perak Darul Ridzuan, serta penduduknya sekalian. Ya Allah dipohonkan doa kami diperkenan, Amin, Ya Allah seru sekalian alam.

Pengumuman Tuan Yang Dipertua

Setiausaha

Perkara yang kedua, Pengumuman Tuan Yang Dipertua.

Yang di-Pertua

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam sejahtera. Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Negeri, ketua atau wakil jabatan dan agensi serta wakil media sekalian.

Sebelum kita meneruskan urusan mesyuarat yang selanjutnya terlebih dahulu bagi pihak Dewan Negeri Perak, patik dengan penuh hormat dan takzimnya merafak sembah dan menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas limpah perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah yang telah melantik Yang Amat Berhormat Dato' Saarani bin Mohamad (ADUN Kawasan Kota Tampan) sebagai Menteri Besar Perak Darul Ridzuan dan Yang Berhormat Dato' Zainol Fadzi bin Paharudin (ADUN Sungai Manik), Yang Berhormat Dato' Mohd Zolkafly bin Harun (ADUN Lintang), Yang Berhormat Dato' Shahrul Zaman bin Yahya (ADUN Rungkup), Yang Berhormat Datuk Dr Wan Norashikin binti Wan Noordin (ADUN Kampung Gajah), Yang Berhormat Encik Khairul Shahril bin Mohamed (ADUN Bota), Yang Berhormat Tuan Haji Razman bin Zakaria (ADUN Gunung Semanggol), Yang Berhormat Encik Mohamad Akmal bin Kamarudin (ADUN Selama), Yang Berhormat Dato' Abdul Yunus bin Jamahri (ADUN Kuala Kurau), Yang Berhormat Dato' Nolee Ashilin binti Dato' Mohammed Radzi (ADUN Tualang Sekah) dan Yang Berhormat Encik Ahmad Saidi bin Mohamad Daud (ADUN Changkat Jering) sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Di kesempatan ini juga saya bagi pihak Dewan Negeri ingin mengucapkan setinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan yang semua Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Saya berdoa kepada Allah Subhanahu Wata'ala, semoga Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dikurniakan taufik dan hidayah untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan agar kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat terpelihara.

Selain itu saya ingin merakamkan penghargaan dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada mantan Menteri Besar, Yang Berhormat Chenderiang atas jasa dan khidmat bakti yang dicurahkan oleh beliau ketika menerajui Kerajaan Negeri. Jasa dan khidmat bakti beliau akan kekal diingati dan terpahat dalam lipatan sejarah. Ahli-ahli Yang Berhormat seterusnya izinkan saya untuk membuat beberapa pengumuman.

Perkara yang pertama berkenaan dengan pematuhan prosedur operasi standard SOP berkaitan langkah kawalan pencegahan Covid-19. Alhamdulillah secara keseluruhannya dapat dilihat semua pihak telah memberi kerjasama yang baik dalam mematuhi SOP yang berkaitan pada persidangan pertama iaitu pada hari Selasa 4 Disember 2020 dan persidangan kedua iaitu pada hari Rabu 9 Disember 2020 yang lalu. Justeru, saya mengharapkan kerjasama baik dalam pematuhan SOP ini akan dapat diteruskan pada persidangan hari ini sehingga persidangan hari terakhir.

Perkara yang kedua, berkenaan cenderahati labu sayong. Untuk makluman, cenderahati labu sayong yang berada di atas meja Ahli-ahli Yang Berhormat, ketua atau wakil jabatan dan agensi disumbangkan oleh Yang Berhormat dari Changkat Jering, ianya merupakan satu usaha galakkan berkaitan kempen hindari penggunaan plastik sekali guna. Bagi mengatasi penggunaan plastik sekali guna atau dengan izin single use plastic. Selari dengan agenda Perak Green Plan, dengan izin, melalui penggunaan labu sayung ini tiada lagi penggunaan air mineral yang diperuntukkan. Ahli-ahli Yang Berhormat, ketua atau wakil jabatan dan agensi bolehlah membawa pulang cenderahati tersebut sebaik sahaja persidangan hari ini berakhir.

Perkara yang ketiga berkenaan dengan notis usul. Ahli-ahli Yang Berhormat pada jam 10.45 pagi tadi saya telah menerima satu usul di bawah Perintah Tetap 17 (1) dan 17(2). Perintah-Perintah Tetap Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan daripada Yang Berhormat ADUN Trong. Saya akan membuat rulling sebaik sahaja selesai urusan ucapan oleh Yang Dipertua Dewan ini.

Perkara yang keempat berkenaan, dengan soalan lisan. Kesemua jawapan soalan lisan yang telah dikemukakan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat pada persidangan hari ini akan dijawab secara jawapan bertulis. Ianya adalah selaras dengan Perintah Tetap 22(3). Sekian terima kasih.

Yang di-Pertua

Ahli-ahli Yang Berhormat seperti yang saya nyatakan tadi, sebentar tadi ahli yang berhormat ADUN Trong telah menghantar usul pada Speaker mengikut Standing Order 17(1) dan 17(2). Oleh yang demikian, saya dengan ini menjemput Yang Berhormat ADUN Trong untuk membacakan usul tersebut.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Tuan Speaker, berikut saya bacakan usul bahawa Yang Dipertua Dewan ini mengguna pakai Perintah Tetap 80(2) yang dibaca bersama dengan Perintah Tetap 13(1) dengan ini menggantung kuat kuasa Perintah Tetap 13(1)(f) dan (g) bagi membolehkan Dewan ini mengucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas pelantikan Yang Amat Berhormat Dato' Saarani bin Mohamad di atas pelantikan sebagai Menteri Besar Perak Darul Ridzuan dan dengan ini, menyatakan kepercayaan penuh terhadap kepimpinan beliau dan berikrar akan memberi kerjasama dan sokongan sepenuhnya kepada Yang Amat Berhormat Dato' Saarani bin Mohamad bagi menggalas tugas dan tanggungjawabnya dengan penuh amanah dan berkesan, terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat ADUN Trong, ada sokongan ?

Assalamualaikum warahmatullahiwattalawabarakatuh, Tuan Yang Dipertua, Belanja menyokong.

Yang di-Pertua

Terima kasih Belanja, ada sokongan daripada Belanja, Ahli-ahli Yang Berhormat, Yang Berhormat Trong boleh menjelaskan kepada Dewan asas-asas atau hujah-hujah bertujuan membawa usul ini. Sebelum saya membuat keputusan sama ada usul ini boleh dibawa atau tidak mengikut standing order terima kasih.

Terima kasih Tuan Yang Dipertua, pertama sekali saya ingin membawa seluruh Dewan menyatakan sokongan penuh terhadap Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perak di atas pelantikan beliau oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Perak seterusnya di sinilah masanya untuk kita mengembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi Dewan, seterusnya kita dapat meneruskan Belanjawan 2021 ini supaya dapat diluluskan di dalam institusi Dewan yang mempunyai keabsahan itu antara perkara-perkara yang menjadi asas usul saya. Sekian terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima Kasih Yang Berhormat Trong. Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, berdasarkan Standing Order 17(2), Speaker berpuas hati bahawa ianya merupakan perkara tertentu spesifik. Usul itu juga perlu disegerakan dan ianya berkenaan dengan kepentingan orang ramai. Oleh itu, berasaskan kepada Standing Order 17 (3)(a) saya mohon daripada Ahli-ahli Yang Berhormat sekiranya ada bantahan daripada mana-mana Ahli Dewan untuk usul ini dibawa. Sekiranya tiada maka usul ini dibawa.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, di hadapan kita ada satu usul yang berbunyi bahawa Yang Dipertua Dewan ini mengguna pakai Perintah Tetap 82 yang dibaca bersama dengan Perintah Tetap 13(1) dengan ini menggantung kan kuatkan Perintah Tetap 13(1)(f) dan (g) bagi membolehkan Dewan ini mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas pelantikan Yang Amat Berhormat Dato' Saarani bin Mohamad di atas pelantikan sebagai Menteri Besar Perak Darul Ridzuan dan dengan ini menyatakan kepercayaan penuh terhadap kepimpinan beliau dan berikrar akan memberi kerjasama dan sokongan sepenuhnya kepada Yang Amat Berhormat Dato' Saarani bin Mohamad bagi menggalas tugas dan tanggungjawab dengan penuh amanah dan berkesan dan yang dibawa tanpa bahas dan sekarang saya menjemput Ahli-Ahli Yang Berhormat untuk mengundi. Yang bersetuju dengan usul ini berasaskan Perintah Tetap 46 dibaca bersama Standing Order 89 saya ini ingin menjemput untuk Ahli-ahli Yang Berhormat yang bersetuju dengan usul ini untuk berdiri di tempat masing-masing untuk supaya dapat direkodkan di dalam hansard. Terima kasih, dan bagi Ahli-ahli Yang Berhormat yang tidak bersetuju dengan usul ini bolehlah sekarang berdiri di tempat masing-masing. Ahli-Ahli Yang Berhormat memandangkan sokongan bersetuju yang berdiri di tempat masing-masing adalah meliputi semua, maka usul ini telah diluluskan sebulat suara. Terima kasih tahniah Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat semuanya, di atas kematangan politik yang ditunjukkan pada hari ini. Setiausaha Dewan, next agenda.

Membawa Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2021 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2021Bill

Setiausaha

Perkara yang ketiga, membawa Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2021 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2021.

Dato’ Saarani bin MohamadUMNO · BNMenteri Besar · Kota Tampan

Yang Berhormat Dato' Yang Dipertua, saya mohon izin mengemukakan Enakmen Perbekalan 2021 dibaca bagi kali yang pertama.

Yang di-Pertua

Silakan Yang Amat Berhormat.

Dato’ Saarani bin MohamadUMNO · BNMenteri Besar · Kota Tampan

Terima kasih Dato' Yang Dipertua, saya mohon mencadangkan suatu Rang Undang-undang yang bernama, suatu Enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2021 dan bagi memperuntukkan jumlah wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu.

Yang di-Pertua

Bila bacaan yang kedua?

Dato’ Saarani bin MohamadUMNO · BNMenteri Besar · Kota Tampan

Dalam mesyuarat ini juga.

Yang di-Pertua

Sekarang saya menjemput Setiausaha Dewan untuk mengedarkan notis bacaan kali yang kedua sebagaimana dinyatakan di dalam Perintah Tetap 53 (1). Seterusnya dipersilakan Yang Amat Berhormat Menteri Besar.

Dato’ Saarani bin MohamadUMNO · BNMenteri Besar · Kota Tampan

Yang Berhormat Dato' Yang Dipertua memandangkan bahawa Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2021 yang dibentangkan sebagai kertas Dewan bilangan 29/2020 adalah berkaitan, saya mohon izin mengusulkan bahawa Dewan ini mengambil ketetapan bacaan kali yang kedua Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan Negeri 2021 telah di bahas dengan sekaligus bahawa perbelanjaan sejumlah wang sebanyak RM430,000,000 yang ditunjukkan dalam pernyataan tersebut adalah dengan ini diluluskan bagi tahun 2021. Seterusnya jumlah wang yang ditunjukkan berhadapan dengan tiap-tiap butir dalam penyata itu adalah dengan ini diperuntukkan bagi maksud-maksud yang ditetapkan. Dato' Yang Dipertua saya mohon mencadangkan.

Yang di-Pertua

Ada sokongan?

Dato’ Zainol Fadzi bin PaharudinBERSATU · PNSungai Manik

Tuan Yang Dipertua, Sungai Manik menyokong.

Yang di-Pertua

Sekarang saya mempersilakan Yang Amat Berhormat Menteri Besar bagi membentangkan Belanjawan Negeri Perak Darul Ridzuan untuk tahun 2021.

Dato’ Saarani bin MohamadUMNO · BNMenteri Besar · Kota Tampan

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera. Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, Ahli-ahli Yang Berhormat, Anggota-anggota Pentadbiran Kerajaan Negeri, Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian, Firman Allah dalam Surah Al-Imran ayat 76 yang bermaksud: “Bahkan sesiapa yang menyempurnakan janjinya iaitu mengenai hak orang lain dan bertaqwa, maka sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa.”

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, Saya mohon izin untuk membawa usul seperti berikut:

Pertama: Mengusulkan bahawa Rang Undang-Undang yang dinamakan ‘Suatu Enakmen bagi menggunakan sejumlah Wang Daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2021 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu dibacakan bagi kali kedua.

Kedua: Mengusulkan butir-butir dalam penyata yang dibentangkan sebagai Kertas Dewan Bilangan 29/2020, adalah dengan ini diumumkan menjadi tujuan yang mana Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966 itu boleh digunakan. Bahawa perbelanjaan sejumlah wang sebanyak RM430.0 juta yang ditunjukkan dalam penyata tersebut adalah dengan ini diluluskan bagi tahun 2021. Seterusnya jumlah wang yang ditunjukkan berhadapan dengan tiap-tiap butir dalam penyata itu, adalah dengan ini diperuntukkan bagi maksud-maksud yang ditetapkan.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,

Terlebih dahulu, marilah sama-sama kita panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wataala atas limpah kurnia dan perkenan-Nya jua rakyat dan Negeri Perak Darul Ridzuan yang tercinta ini dianugerahi rahmat dan kesejahteraan.

Pada kesempatan ini, saya dengan penuh hormat dan takzim merafak sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, yang telah memperkenan untuk memberikan amanah dan tanggungjawab kepada saya sebagai Menteri Besar Perak Darul Ridzuan yang ke-14. Patik menjunjung kasih Tuanku.

Atas limpah perkenan itu, pada Khamis 24 Rabiulakhir 1442 Hijrah, bersamaan 10 Disember 2020, bertempat di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, saya telah melafazkan sumpah dan ikrar sebagai Menteri Besar Perak.

Pada hari ini, iaitu Rabu 16 Disember 2020, genap tujuh hari perkhidmatan saya sebagai Menteri Besar. Dalam tempoh yang singkat itu, amat terbatas waktu untuk saya menyediakan Belanjawan 2021 yang baharu. Menyedari peri pentingnya belanjawan tersebut dibentangkan seberapa segera di Dewan yang mulia ini, saya dan barisan EXCO Kerajaan Negeri yang bermesyuarat pada Isnin 14 Disember 2020 telah sebulat suara bersetuju mengguna pakai cadangan belanjawan yang telah disediakan oleh Kerajaan terdahulu yang juga dianggotai hampir kesemua barisan EXCO yang ada pada hari ini.

Berasaskan kepada keterlibatan saya secara langsung dalam proses penyediaan cadangan peruntukan kewangan bagi tahun 2021, maka adalah menjadi tanggungjawab saya sebagai Menteri Besar yang baharu untuk merangka semula ucapan belanjawan ini.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,

PRESTASI BELANJAWAN 2020

Pada pembentangan Belanjawan yang lepas, Kerajaan Negeri telah mengunjurkan Belanjawan defisit sebanyak RM103.2 juta bagi tahun 2020. Walau bagaimanapun, berdasarkan kepada situasi semasa yang berakhir 30 November 2020, kedudukan kewangan adalah defisit RM86.4 juta, iaitu turun 16.3% atau RM16.8 juta berbanding unjuran asal. Sehingga 31 Disember 2020, defisit ini dijangka dapat diturunkan sekurang-kurangnya kepada RM40.0 juta.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,

SENARIO EKONOMI

Seluruh dunia telah terkesan akibat pandemik COVID-19, dan Malaysia tidak terkecuali. Hampir setiap sektor ekonomi Negara telah mengalami penguncupan. Walau bagaimanapun, berkat pelbagai inisiatif serta pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan dan juga Kerajaan Negeri, terdapat tanda-tanda awal ke arah pemulihan. Momentum penambahbaikan diharapkan menjadi lebih ketara apabila dana-dana yang disuntik oleh Kerajaan mula memberi kesan yang positif dalam merangsang pemulihan ekonomi dan mengurangkan himpitan duka lara yang dialami rakyat.

Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia dijangka menguncup sebanyak 4.5% bagi keseluruhan tahun 2020 berbanding dengan penguncupan 8.3% pada separuh tahun pertama. Ini didorong oleh pemulihan prestasi bagi sektor pembuatan dan penurunan yang lebih kecil bagi sektor perkhidmatan, perlombongan dan pengkuarian serta pembinaan. Walau bagaimanapun, sektor pertanian menyusut secara marginal berbanding pertumbuhan positif pada suku tahun kedua 2020.

Menurut tinjauan ekonomi 2021 oleh Kementerian Kewangan Malaysia, ekonomi Malaysia dijangka berkembang antara 6.5% hingga 7.5% seiring dengan jangkaan pemulihan perdagangan global, peningkatan sentimen pengguna dan keyakinan komuniti peniaga.

Jika dilihat kadar pertumbuhan KDNK Negeri Perak bagi tahun 2019 adalah 4% dengan nilai yang dicatatkan RM75.9 bilion iaitu meningkat sebanyak RM2.9 bilion berbanding tahun 2018. Kesemua sektor ekonomi Negeri Perak pada tahun 2019 mencatatkan pertumbuhan positif iaitu sektor perkhidmatan sebanyak 4.5%, sektor pembuatan 3.5%, sektor pertanian 2.9%, sektor pembinaan 6.4% serta sektor perlombongan dan pengkuarian 5.0%.

Berdasarkan perspektif sumbangan aktiviti utama di Perak bagi tahun 2019, subsektor perdagangan runcit, penginapan dan makanan serta minuman merupakan antara komponen utama bagi industri berasaskan pelancongan yang menyumbang 18.3% kepada keseluruhan sektor perkhidmatan. Sementara itu, nilai ditambah bagi sektor pembuatan didominasi oleh subsektor elektrik, elektronik dan optikal, produk mineral bukan logam, minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan serta produk getah dengan jumlah sumbangan sebanyak 62.5%. Manakala sektor pertanian disumbangkan oleh aktiviti tanaman kelapa sawit iaitu 32.9% dan ternakan 23.7%.

Di bawah pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), nilai pelaburan yang telah direalisasikan dalam pelbagai sektor di Negeri Perak daripada 1 Januari sehingga 31 Oktober 2020 adalah RM1.98 bilion. Nilai pelaburan yang disasarkan bagi tahun 2021 adalah RM2.5 bilion.

Sehingga September 2020, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah meluluskan pelaburan dalam sektor pembuatan di Negeri Perak bernilai RM2.2 bilion yang melibatkan 77 buah projek yang menawarkan 3,790 peluang pekerjaan.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,

BELANJAWAN NEGERI PERAK 2021

TEMA DAN FOKUS BELANJAWAN TAHUN 2021

Negeri Perak akan meneruskan agenda pembangunan mengikut perancangan yang telah dibuat sebelum ini dan pada masa akan datang yang bersesuaian dengan keadaan semasa. Tema “Perak Negeri Berdaya Tahan, Mampan dan Inklusif” terus kekal menjadi tema belanjawan tahun 2021. Pemilihan meneruskan tema yang sama adalah bagi menunjukkan fokus Kerajaan Negeri dalam meneruskan kesinambungan perancangan pembangunan yang telah dilaksanakan pada tahun ini.

Belanjawan Negeri Perak Tahun 2021 akan terus memberi fokus untuk menjana pertumbuhan ekonomi seimbang, menitikberatkan keadilan sosial serta menjaga kesejahteraan rakyat untuk menikmati kehidupan yang berkualiti. Juga meneraju kelestarian sumber dan alam sekitar secara efektif serta memacu pemodenan dan pendigitalan institusi bagi menyediakan penyampaian perkhidmatan awam yang bersih dan terbaik di seluruh Negeri ini.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,

PERINCIAN BELANJAWAN 2021

Belanjawan Negeri Perak Tahun 2021 dirangka berdasarkan unjuran Hasil dan Terimaan Pembangunan RM1.061 bilion berbanding RM1.098 bilion pada tahun 2020. Jumlah ini terdiri daripada Hasil Cukai sebanyak RM598.7 juta, Hasil Bukan Cukai RM248.4 juta dan Terimaan Bukan Hasil RM185.6 juta menjadikan keseluruhan jumlah Hasil adalah RM1.03 bilion dan RM28.4 juta daripada Terimaan Pembangunan.

Untuk tahun 2021, peruntukan Belanja Pembangunan adalah RM430.0 juta, manakala peruntukan Belanja Mengurus adalah RM785.1 juta yang terdiri daripada perbelanjaan Emolumen RM382.9 juta, Perkhidmatan dan Bekalan RM288.8 juta, Pembelian Aset RM6.2 juta, Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap RM100.2 juta dan Lain-Lain Perbelanjaan RM7.1 juta.

Daripada unjuran Hasil dan Perbelanjaan tersebut, Belanjawan 2021 dicadangkan sebagai belanjawan defisit RM154.0 juta, iaitu tertinggi dalam sejarah belanjawan Negeri Perak. Unjuran ini melibatkan Hasil dan Terimaan Pembangunan sebanyak RM1.061 bilion, berbanding Perbelanjaan berjumlah RM1.215 bilion.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,

PRASARANA

Kerajaan Negeri memberi fokus kepada inisiatif menambah baik kemudahan prasarana. Bagi tujuan tersebut, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM290.4 juta kepada jabatan-jabatan yang bertanggung jawab mengendalikan urusan ini.

Kepada Jabatan Kerja Raya, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM169.8 juta merangkumi RM79.8 juta Belanja Mengurus dan RM90.0 juta untuk pembangunan insfrastruktur Negeri termasuk projek bina baru, naik taraf bangunan dan tidak lupa pembinaan serta pembaikan kemudahan prasarana perhubungan jalan raya dan juga jambatan.

Selain daripada projek-projek sambungan yang dalam proses pembinaan, projek-projek baharu yang akan dimulakan pada tahun 2021 adalah:

(i) Pembinaan jalan alternatif Pekan Ayer Tawar, Daerah Manjung; (ii) Pembinaan jalan dari Kampung Sungai Ipil ke Sungai Dulang sepanjang 8 km di Daerah Bagan Datuk;

(iii) Pembinaan persimpangan jalan baharu dari perkampungan Felda Sungai Klah ke Kolam Air Panas Sungkai, Daerah Batang Padang yang akan meningkatkan lagi sektor pelancongan di Daerah tersebut;

(iv) Projek menggantikan dan melebarkan jambatan uzur di Enggor, Daerah Kuala Kangsar. Jambatan ini akan menghubungkan 9 buah kampung dengan populasi 3,862 orang ke Pekan Karai; dan (v) Pembinaan Balai Cerap di Segari yang akan menjadi pusat penyelidikan dan pendidikan ilmu falak di samping menjadi pusat tarikan pelancong.

Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan RM5.3 juta untuk Pelbagai Projek merangkumi projek kecil bangunan dan pembaikan. Komitmen Kerajaan dalam menyediakan prasarana yang baik kepada rakyat dapat dilihat apabila peruntukan kepada Jabatan Kerja Raya meningkat sebanyak 10.4% berbanding tahun 2020.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga menerima kenaikan peruntukan sebanyak 2.6% kepada RM113.3 juta berbanding tahun 2020. Ini meliputi RM97.3 juta untuk Belanja Mengurus dan RM16.0 juta untuk Belanja Pembangunan. Daripada jumlah tersebut, RM8.5 juta untuk Rancangan Tebatan Banjir di Daerah Larut Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Hilir Perak serta Kinta. RM5.9 juta untuk Rancangan Pengurusan Sungai dan Pantai, RM1.0 juta untuk pemuliharaan Sungai Kinta dan Saliran Pertanian RM0.6 juta.

Secara keseluruhan, semua peruntukan melibatkan jabatan dan agensi pelaksana projek fizikal meningkat pada tahun 2021. Ini menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri bagi memastikan pembangunan terus terlaksana demi kebajikan rakyat.

Kerajaan Negeri turut menyedari tempoh perancangan sesuatu projek mengambil masa yang panjang. Justeru, buat pertama kalinya Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM2.0 juta bagi pelaksanaan kerja-kerja awalan seperti kerja siasatan tanah, ukur tanah dan penyediaan dokumen tender. Antara projek fizikal yang telah diperakukan untuk menerima peruntukan ini adalah:

(i) Pembangunan Jeti Sungai Pinang Kecil, Pangkor sebagai coordination centre;

(ii) Projek pembinaan pejabat Kerajaan seperti Pejabat Pengarah Tanah dan Galian, Kompleks Jabatan Pertanian Negeri, Mahkamah Syariah Teluk Intan serta Pejabat Daerah dan Tanah Hilir Perak; serta (iii) Naik taraf Kompleks Muzium Diraja Kuala Kangsar.

Dato’ Yang Dipertua, Kerajaan Negeri ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas peningkatan kelulusan perbelanjaan menaik taraf jalan, jambatan, parit dan longkang, jalan tidak mencapai piawai dan jalan tidak berdaftar daripada RM15.0 juta kepada RM50.0 juta di bawah peruntukan Malaysian Road Record Information System (MARRIS). Pertambahan kelulusan ini memberi ruang kepada Kerajaan Negeri bagi menambah baik prasarana untuk rakyat. Kerajaan Negeri menganggarkan peruntukan yang akan diterima bagi tahun 2021 sekitar RM550.0 juta.

Kerajaan Negeri akan terus memastikan rakyat menerima bekalan air secukupnya dengan kualiti terbaik. Bagi meringankan beban golongan peniaga dan industri, Lembaga Air Perak (LAP) telah memberikan diskaun bil air secara berperingkat kepada golongan ini pada kadar antara 2 hingga 20% bagi tempoh Mei hingga Ogos 2020 dengan implikasi kewangan RM1.4 juta. Selain itu, Program Pemberian Air Percuma kepada golongan sasar dan juga pemberian diskaun kepada semua pengguna domestik masih diteruskan.

Sebagai usaha memastikan pulangan kewangan yang optimum kepada LAP, program Non-Revenue Water (NRW) terus diberikan penekanan khusus untuk tahun 2021 sejumlah RM41.9 juta diperuntukkan bagi keseluruhan program ini.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,

SEKTOR PERUMAHAN

Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM26.7 juta kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) bagi keperluan Mengurus RM6.7 juta dan pembangunan perumahan RM10.0 juta serta pembangunan infrastruktur di Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) RM10.0 juta.

INDUSTRI ASAS TANI

Negara kita membelanjakan peruntukan yang amat besar bagi import produk agromakanan iaitu RM51.0 bilion pada tahun 2019. Antara import utama adalah kopi, koko, teh dan rempah melebihi RM7.5 bilion, bijirin RM7.2 bilion, makanan ternakan RM5.9 bilion, sayur-sayuran RM4.6 bilion, buah-buahan RM4.1 bilion, hasil tenusu RM4.1 bilion serta daging RM3.6 bilion. Dalam era dunia hari ini yang sering dilanda ancaman krisis dan bencana, fokus kepada bidang pertanian dilihat begitu penting demi menjamin sekuriti makanan.

Peluang ini seharusnya direbut oleh Kerajaan Negeri Perak kerana kita diberkati dengan tanah yang luas, subur dan sesuai untuk pengeluaran hasil makanan berskala besar. Sekiranya para petani, penternak dan nelayan Negeri Perak dapat membekalkan hanya 10% daripada keperluan import negara, ianya sudah cukup untuk melonjakkan ekonomi sektor pertanian yang pada masa ini berada di tempat ke-5 berbanding negeri-negeri lain.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,

Nabi Muhammad SAW bersabda, “Seseorang tidaklah memakan makanan yang lebih baik kecuali dari hasil usaha tangannya sendiri. Dan sesungguhnya Nabi Allah Daud ‘Alaihissalam makan dari hasil usaha tangannya sendiri.” Hadis Riwayat Al-Bukhari.

Bagi pembangunan sektor pertanian di Negeri ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM58.5 juta pada tahun 2021, iaitu peningkatan 10.6%. Sebanyak RM41.7 juta diperuntukkan bagi Belanja Mengurus dan RM16.8 juta bagi Belanja Pembangunan.

Jabatan Pertanian menerima peruntukan Belanja Mengurus RM24.2 juta dan Belanja Pembangunan RM8.0 juta yang dikhususkan bagi Pembangunan Industri Tanaman, Peningkatan Teknologi Pertanian, Pembangunan Modal Insan dan Pembangunan Industri Asas Tani.

Di bawah program Pembangunan Industri Tanaman, bantuan kepada para petani disalurkan dalam bentuk pembangunan infrastruktur, pengairan, input pertanian dan lain-lain yang bersesuaian. Antara bidang yang diberi tumpuan adalah pembangunan Industri Padi, Kelapa, Durian, Buah-buahan Berpotensi, Program Bantuan B40 Tanaman Cendawan, Sayur-sayuran, Pemulihan Tanah Terbiar, Tanaman Singkat Masa, Herba dan Rempah Ratus, Madu Kelulut, Tapak Semaian serta Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM).

Sebagai salah satu negeri pengeluar utama beras negara, peningkatan produktiviti pengeluaran padi disasarkan mencecah 4.5 tan per hektar menjelang akhir tahun 2025 berbanding 3.4 tan per hektar pada masa kini. Selain itu, peningkatan intensiti tanaman padi kepada 200% setahun iaitu dua musim setahun terutamanya di luar jelapang akan dilaksanakan.

Program Pembangunan Industri Asas Tani (IAT) dilaksanakan untuk memperkasa dan meningkatkan pendapatan usahawan melalui peningkatan produktiviti dan kualiti produk industri asas tani serta agropelancongan. Bagi meningkatkan pendapatan usahawan IAT dan mengeluarkan kelompok ini daripada kumpulan B40, antara bantuan utama yang disediakan ialah pembangunan kandungan nutrisi bagi meningkatkan kebolehpasaran produk.

Bagi tujuan pembangunan ternakan pula, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM22.5 juta kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar meliputi RM17.5 juta Belanja Mengurus dan RM5.0 juta Belanja Pembangunan. RM1.5 juta diperuntukkan untuk pembangunan padang ragut di seluruh Negeri Perak yang akan diperluaskan kepada para graduan pada tahun hadapan. Selain itu, bagi memastikan pengeluaran daging kambing dan bebiri kekal di tahap terbaik, RM2.3 juta telah disediakan bagi tujuan ini. Manakala RM1.0 juta dikhususkan untuk industri lembu pedaging dan ternakan rusa.

Kerajaan Negeri mensasarkan program-program yang dilaksanakan ini akan menyumbang kepada peningkatan pengeluaran daging lembu tempatan dari 799 metrik tan kepada 1,200 metrik tan dan pengeluaran daging kambing serta bebiri dari 142 metrik tan kepada 242 metrik tan pada tahun 2025.

Di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Perak, Kerajaan Negeri telah menggerakkan Program Perikanan Bandar di 11 buah tapak bekas lombong dengan peruntukan RM1.7 juta. Program ini memberi manfaat kepada 113 orang peserta B40 di daerah Kinta dan Kampar dengan sasaran pendapatan RM1,500 sehingga RM3,000 sebulan. Selain meningkatkan pendapatan peserta, projek ini juga dapat mengurangkan kebergantungan kepada import makanan.

Kerajaan Negeri Perak juga memperuntukkan sejumlah RM0.5 juta meliputi projek Kebun Kerang Lekir daerah Manjung, projek mitigasi dan pemulihan tapak kebun kerang, bantuan peralatan menangkap ikan nelayan darat, bantuan pembelian benih ikan dan udang kepada pengusaha serta bantuan makanan ikan kepada penternak ikan.

Untuk tahun 2021, Kerajaan Negeri secara keseluruhannya memperuntukkan sebanyak RM2.0 juta untuk Jabatan Perikanan. Antara projek yang dirancang adalah pembinaan jeti pendaratan nelayan darat di tiga lokasi iaitu Kampung Beriah, Alor Pongsu, Daerah Kerian; Kampung Kuala Slim, Daerah Muallim; dan Kampung Batak Rabit, Teluk Intan, Daerah Hilir Perak dengan peruntukan RM0.9 juta.

Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan kepada usaha memperkasa produk tempatan. Salah satu langkah yang akan diambil adalah meningkatkan kualiti dan kebolehpasaran produk hasil laut Pulau Pangkor, melalui usaha menaik taraf jeti pendaratan serta pusat pemprosesan produk perikanan yang mematuhi Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) dan Pensijilan Halal dari JAKIM dengan peruntukan RM0.4 juta. Naik taraf ini melibatkan pembinaan ruang penjemuran ikan bertutup dan ruang penyimpanan produk perikanan yang bersih dan selamat.

RM0.7 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan pelbagai program perikanan yang telah dirancang seperti projek Kluster Ternakan Akuakultur, Bantuan Peningkatan Pengeluaran Ikan Hiasan dan Program Pemuliharaan Paya Bakau. Selain itu, RM1.8 juta diperuntukkan di bawah Pelbagai Pertanian bagi pelaksanaan program dan projek pertanian di bawah kawal selia Unit Perancang Ekonomi Negeri.

Kerajaan Negeri juga telah memulakan inisiatif pembudayaan pertanian sara diri dan komersil melalui program Pertanian Bandar dan Pertanian Komuniti di atas tanah terbiar milik Kerajaan Negeri dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC). Projek ini secara tidak langsung akan dapat membantu mengurangkan kos sara hidup dan menjana pendapatan tambahan bagi penduduk dengan penjualan hasil tanaman. SADC telah memperuntukkan dana keseluruhan berjumlah RM0.5 juta untuk Projek Green Park Urban Farming di seluruh Negeri Perak.

Antara projek pertanian bandar yang telah dijalankan di bawah kelolaan SADC dengan kerjasama komuniti setempat adalah di Surau Rafeah, Taman Meru Perdana, Taman Villa MDP Bandar Baru Putra dan Surau Taman Gerbang Meru Indah.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,

ALAM SEKITAR

Kerajaan Negeri memberi tumpuan untuk menjaga kelestarian alam sekitar dengan memperuntukkan RM48.8 juta pada tahun hadapan. Peruntukan ini meliputi RM41.6 juta Belanja Mengurus Jabatan Perhutanan dan RM3.0 juta Belanja Pembangunan, RM3.0 juta bagi inisiatif GreenPrint, RM0.7 juta Kerja-Kerja Pemantauan dan Penyelenggaraan Tapak Repositori Mukim Belanja Daerah Kinta, RM0.2 juta Program Kitar Semula, RM0.1 juta Program Pemuliharaan Pantai dan Kawasan Tadahan, RM0.1 juta Program Sungai Angkat ‘Perakku Jernih’ dan RM0.1 juta Program Pemerkasaan Teknologi Hijau.

Inisiatif GreenPrint dirangka khusus untuk melaksanakan projek-projek seperti berikut:

(i) Membangunkan pelan induk bagi memastikan pembangunan yang seimbang di Negeri ini selari dengan agenda Rancangan Struktur Negeri Perak (RSN);

(ii) Menangani isu perubahan iklim melalui inisiatif penanaman pokok di seluruh Negeri Perak. Dari Januari hingga November 2020, lebih 1.3 juta pokok telah ditanam di seluruh Negeri melalui pelaksanaan beberapa program antaranya Inisiatif Penanaman Pokok oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Program My Healthy Garden yang dilaksanakan bersama Jabatan Pendidikan Negeri.

(iii) Bagi menggalakkan lebih banyak inisiatif pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar di peringkat awal, Kerajaan Negeri memperkenalkan pemberian insentif RM500 kepada Kelab Alam Sekitar di sekolah dan RM3,000 kepada kelab yang sama di Institut Pengajian Tinggi (IPT). Insentif ini adalah bertujuan bagi membolehkan setiap sekolah dan IPT yang terlibat untuk merancang serta melaksanakan projek atau program bersesuaian.

Kerajaan Negeri berhasrat untuk menjadikan Pulau Pangkor sebagai Pulau Bebas Karbon pada masa hadapan. Sebagai usaha awal, Kerajaan Negeri akan memperkenalkan kenderaan elektrik bagi menggantikan van-van teksi sedia ada sebagai pengangkutan utama. Kerajaan Negeri telah menerima peruntukan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM10.0 juta bagi usaha tersebut.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,

SEKTOR KEUSAHAWANAN

Norma baharu dalam kehidupan masyarakat di seluruh dunia telah membuka lebih banyak peluang perniagaan secara digital. Selain akses kepada pasaran yang lebih luas, perniagaan secara digital dapat mengurangkan kos operasi. Ini adalah antara peluang yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh usahawan terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi mengembangkan perniagaan.

Kerajaan Negeri sedar akan tanggungjawab menyediakan peluang menjana pendapatan kepada rakyat dan akan terus berusaha untuk melonjakkan usahawan-usahawan tempatan. Justeru, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM7.0 juta bagi merangsang pertumbuhan sektor usahawan di Negeri ini.

Sebagai tanda komitmen Kerajaan Negeri dalam memacu pertumbuhan sektor usahawan, Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) telah ditubuhkan mulai Oktober 2020. STeP berperanan sebagai pusat rujukan dan pemudah cara kepada usahawan mahupun bakal usahawan. Antara inisiatif baharu yang akan dilaksanakan adalah pembangunan portal usahawan, Program Anugerah Usahawan Perak 2021, program latihan peningkatan kapasiti usahawan, program pembudayaan usahawan di peringkat sekolah menengah iaitu ‘Program Tunas Niaga (ProTUNE) dan program bimbingan dan pementoran ‘Kaunselor Niaga Perak’.

Dalam aspek pemasaran digital, STeP akan bekerjasama dengan Digital Perak bagi menerus dan memperkasakan pelaksanaan kempen jualan produk dan usahawan Perak melalui baucar pembelian khas program Jualan S.M.A.R.T. Niaga.

Maka bagi menggalakkan lebih ramai usahawan PKS Perak menggunakan platform pemasaran atas talian ini, peruntukan berjumlah RM0.3 juta akan diberi dan diselaraskan oleh STeP bersama Digital Perak. Adalah diharapkan dengan peruntukan ini akan dapat membantu usahawan Perak meningkatkan lagi jualan mereka. Program Tabung Usahawan diteruskan dengan peruntukan RM5.0 juta pada tahun 2021 yang akan memanfaatkan kira-kira 300 usahawan.

Terdahulu dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Perak, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM1.0 juta bagi pelaksanaan program Geran Usahawan Perak (GeRUP) melibatkan 300 usahawan. Program ini merupakan bantuan kewangan ‘one off’ RM3,000 dan pakej latihan bernilai RM300 kepada usahawan. Atas sambutan yang menggalakkan, Kerajaan Negeri telah meluluskan tambahan peruntukan sebanyak RM2.7 juta menjadi RM3.7 juta agar kesemua 1,118 usahawan yang layak mendapat manfaat Geran Usahawan Perak. Bantuan ini sejajar dengan usaha Kerajaan Negeri dalam membantu lebih ramai usahawan mikro yang terdiri daripada penjaja kecil yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

Bagi tahun 2021, Kerajaan Negeri akan meneruskan Program GeRUP dengan peruntukan RM1.0 juta manakala RM1.0 juta lagi diperuntukkan untuk pelbagai program dan projek pembangunan usahawan, koperasi dan hal ehwal pengguna. Bantuan GeRUP ini boleh dimohon melalui STeP bermula awal tahun 2021.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,

MENINGKATKAN SYIAR ISLAM

Inisiatif bagi meningkatkan syiar agama Islam sentiasa terpahat kukuh di sanubari pimpinan Negeri. Bagi tahun 2021, Kerajaan Negeri menyediakan RM99.6 juta sebagai usaha memperkasakan lagi perkembangan syiar agama syumul ini.

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM10.0 juta pada tahun hadapan untuk aktiviti mengimarah serta pembangunan fizikal masjid dan surau. Saban tahun peruntukan ini dibelanjakan bagi pelaksanaan bina baru dan naik taraf masjid serta surau yang meliputi kerja-kerja pembaikan dan penggantian permaidani. Bermula tahun hadapan Kerajaan Negeri memfokuskan peruntukan ini untuk program-program mengimarahkan masjid dan surau merangkumi program berkenaan ibadah dan akidah, kebajikan dan komuniti, keilmuan dan pendidikan, ekonomi dan kewangan serta dakwah.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga memperakukan kerja-kerja awalan beberapa projek bina baru masjid seperti di daerah Larut, Matang dan Selama, Batang Padang, Kerian dan juga naik taraf Masjid Sultan Idris Shah yang berjumlah RM43.5 juta.

Kepada Jabatan Agama Islam, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM69.7 juta sebagai Belanja Mengurus dan RM2.0 juta untuk Belanja Pembangunan, meliputi RM1.2 juta perbelanjaan penyelenggaraan masjid-masjid utama Negeri, RM0.4 juta untuk aktiviti dakwah dan penguatkuasaan serta RM0.4 juta untuk pelbagai program dan aktiviti keagamaan.

Selain daripada Jabatan Agama Islam Perak, Jabatan Mufti menerima RM3.8 juta yang berperanan sebagai jabatan yang mengeluarkan fatwa dan nasihat bagi merungkai segala permasalahan Agama Islam. Jabatan Kehakiman Syariah RM12.2 juta dan Jabatan Pendakwaan Syariah RM1.9 juta diperuntukkan. Urusan kehakiman syariah di Negeri ini telah berada di landasan yang betul apabila dijadikan penanda aras perubahan struktur mahkamah syariah seluruh Malaysia. Melalui data terkini, dicatatkan bahawa prestasi penyelesaian kes semasa mencecah 81% manakala 72% kes tunggakan dapat diselesaikan. Penyelesaian kes yang segera dapat membantu pihak-pihak berkaitan meneruskan kehidupan setelah menerima keputusan mahkamah.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,

PEMBANGUNAN PENDIDIKAN DAN MODAL INSAN

Bagi tahun 2021 Kerajaan Negeri memperuntukkan RM84.3 juta untuk meningkatkan pembangunan modal insan di Negeri Perak meliputi RM54.9 juta bagi pendidikan sekolah, manakala RM29.4 juta bagi pendidikan tinggi.

Kerajaan Negeri meneruskan bantuan pendidikan sekolah melalui program berikut:

(i) Bantuan persekolahan sebanyak RM8.1 juta yang akan memberi manfaat kepada lebih 360,000 pelajar Sekolah Kebangsaan, Sekolah Menengah Kebangsaan, Sekolah Mubaligh, Sekolah Vernakular dan SUWA di seluruh Negeri Perak turut disediakan;

(ii) Menaik Taraf dan Baik Pulih Sekolah Agama Rakyat, Kerajaan Negeri menyediakan RM3.0 juta;

(iii) Kerajaan Negeri menghargai inisiatif Persatuan Maahad Tahfiz Negeri Perak (PEMATAP) untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dalam memastikan semua sekolah tahfiz dijaga kebajikannya. Oleh itu, Kerajaan Negeri menetapkan supaya menjelang tahun 2022, 100% sekolah tahfiz yang bergabung di bawah PEMATAP telah berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam Negeri Perak. Maka, sepanjang tempoh 2021 Kerajaan Negeri Perak menyediakan peruntukan RM3.0 juta bagi baik pulih prasarana dan keselamatan tahfiz.

(iv) Kerajaan Negeri amat menitikberatkan pendidikan tahfiz dan pondok di Negeri ini. Buktinya, bermula tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Kerajaan Negeri telah menyalurkan peruntukan sejumlah RM3.4 juta meliputi Bantuan Mengurus semua pusat pendidikan tersebut yang berjumlah RM10 ribu pada fasa pertama dan RM5 ribu untuk fasa kedua serta bantuan gaji guru RM800 seorang yang disalurkan dua kali. Kerajaan Negeri mencadangkan supaya kesemua sekolah tahfiz di Negeri ini menggunapakai kurikulum yang seragam. Ini adalah inisiatif bagi meletakkan sekolah tahfiz dan pondok sebaris dengan sekolah-sekolah yang lain. Untuk itu, peruntukan RM2.0 juta disediakan sebagai Bantuan Sekolah Pondok dan Tahfiz Swasta;

(v) Tabung Simpanan Pendidikan Anak Perak (TASPEN) berjumlah RM0.8 juta disediakan untuk setiap ibu bapa kepada bayi kelahiran Perak yang berpendapatan isi rumah di bawah RM5,000 sebulan.

(vi) Bantuan Murid Berkeperluan Khas (MBK), RM1.6 juta bagi menampung keperluan pembelian alat bantuan mengajar. Kerajaan Negeri sentiasa mengalu-alukan sumbangan daripada pihak swasta mahupun Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bagi tujuan ini.

(vii) Bantuan Pendidikan Anak-anak Orang Asli RM0.5 juta

Sepanjang tahun 2020, antara program yang telah dilaksanakan bagi tujuan ini adalah Program Kembara Diskusi Bersama Murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan Pos Kuala Mu, Projek Rintis Kelas Pendidikan Literasi Fungsian Orang Asli dan pembelian alatan mengurus diri pelajar sekolah. Dalam hubungan ini, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) digesa untuk sama-sama meneliti keperluan sebenar pendidikan anak-anak Orang Asli. Oleh itu, JAKOA perlu menetapkan sasaran pencapaian pendidikan anak Orang Asli dalam tempoh lima tahun dan melaporkannya kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri sebelum berakhir Februari 2021.

(viii) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Kelab Guru RM2.0 juta; dan (ix) Semenjak diperkenalkan pada tahun 2019, Biasiswa Menteri Besar telah membantu hampir 3,800 pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah. Biasiswa ini diberikan kepada pelajar dari keluarga berpendapatan bulanan isi rumah RM3,000 dan ke bawah bagi meringankan sedikit beban kewangan ibu bapa untuk persediaan penggal baru persekolahan. Bagi tujuan tersebut, Kerajaan Negeri pada tahun 2021 memperuntukkan RM2.0 juta di bawah program Biasiswa Menteri Besar yang mensasarkan bantuan kepada 1,935 pelajar di pelbagai tingkat pembelajaran dengan peningkatan 20% bilangan pelajar dari Sekolah Menengah Agama Negeri dan Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan. Adalah diharapkan biasiswa ini digunakan sepenuhnya bagi tujuan pendidikan anak-anak.

Bagi meneruskan kelangsungan Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) dan Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM31.9 juta bagi Belanja Mengurus.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,

Kerajaan Negeri juga meneruskan bantuan pendidikan tinggi melalui program berikut:

(i) Sumbangan kepada Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) sebanyak RM12.0 juta. Sumbangan ini diharap akan menggalakkan mahasiswa dan para penyelidik untuk membantu Negeri menyediakan kertas-kertas kajian dalam pelbagai sektor. Saya juga berharap USAS akan menambahbaik prestasi agar tersenarai antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang terbaik di Malaysia.

(ii) Kerajaan Negeri turut menyediakan bantuan one-off kepada mahasiswa dengan kadar bantuan antara RM300 ke RM2,000 seorang berdasarkan peringkat pengajian. Bagi tujuan tersebut, peruntukan sebanyak RM9.0 juta Dermasiswa Pendidikan iaitu RM8.0 juta untuk pengajian dalam negara dan RM1.0 juta pengajian luar negara disediakan yang akan memberi manfaat kepada kira-kira 10,000 orang mahasiswa. Penerima bantuan adalah di kalangan anak kelahiran Negeri Perak yang berada di semester pertama tahun pertama di semua peringkat pengajian tinggi dengan pendapatan isirumah di bawah RM5,000 sebulan.

(iii) Pinjaman Pendidikan Negeri Perak di bawah Akaun Amanah Kumpulan Wang Biasiswa Pengajian Tinggi Melayu dan Akaun Amanah Kumpulan Wang

Biasiswa Kebangsaan Bukan Melayu berjumlah RM4.0 juta. Pinjaman ini adalah sebagai kemudahan pelajaran kepada Anak Perak yang berkelayakan bagi melanjutkan pengajian di institusi-institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta dalam serta luar negara, iaitu di Negara Mesir dan Jordan. Setiap tahun seramai 500 orang pelajar ditawarkan pinjaman ini pada kadar RM5,000 hingga RM15,000 setahun mengikut peringkat pengajian.

Program Pendidikan Dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negeri Perak dengan peruntukan RM3.0 juta telah dirangka berdasarkan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan. Sehingga kini, Kerajaan Negeri telah membelanjakan RM3.6 juta untuk pelaksanaan Program Transformasi Pekerjaan merangkumi 50 latihan kemahiran melibatkan 28 penyedia latihan. Pada tahun 2020, Kerajaan Negeri telah melaksanakan program Transformasi Pekerjaan (Work-Pro) yang memberi manfaat kepada 1,444 peserta yang diberi kemahiran baru dalam menjana pendapatan tambahan dan peluang pekerjaan.

Kerajaan Negeri melalui Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) turut mengadakan Jelajah Skuad Ronda dan menganjurkan Karnival Kerjaya Secara Maya untuk pengumpulan maklumat pencari kerja, hebahan peluang pekerjaan dan peluang latihan. Kesinambungan daripada usaha ini, PASAK sedang membangunkan platform pekerjaan atas talian “Talent Perak” yang berfungsi sebagai platform tawaran kekosongan jawatan. Platform ini dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama tahun 2021. Sehingga kini, terdapat 1,914 kekosongan jawatan yang boleh dimohon oleh rakyat Negeri Perak untuk pelbagai peringkat jawatan.

Dato’ Yang Dipertua, terkesan dengan berita kesusahan mahasiswa, Kerajaan Negeri memperkenalkan Program Bantuan Sara Diri dan Kecemasan Mahasiswa sejak tahun 2018 yang sehingga kini telah berjaya membantu 5,631 mahasiswa. Bantuan ‘one off’ ini diberikan bertujuan membantu mahasiswa yang menghadapi kesulitan kewangan sepanjang tempoh pengajian. Kadar bantuan bagi Sara Diri adalah RM700 seorang manakala RM300 hingga RM1,000 untuk Bantuan Kecemasan bergantung kepada jenis kesulitan yang dihadapi.

Bagi tahun 2020, Kerajaan Negeri telah menambah peruntukan daripada RM1.0 juta kepada RM2.0 juta bagi meringankan beban kira-kira 2,800 pelajar dari kalangan keluarga B40 yang terjejas berikutan pandemik COVID-19. Justeru, berdasarkan hasil maklum balas yang positif, Kerajaan Negeri akan meneruskan Program Bantuan Sara Diri dan Kecemasan Mahasiswa bagi tahun 2021 dengan peruntukan berjumlah RM1.0 juta.

Bagi tahun 2020, Program Pengupayaan Mahasiswa Anak Perak telah dilaksanakan meliputi program kepimpinan, program kebajikan Mahasiswa Mesir seperti bantuan 250 kotak makanan kepada para pelajar dan bayaran bil perubatan pelajar tidak berkemampuan. Program ini akan diteruskan pada tahun 2021 dengan peruntukan RM0.4 juta meliputi program mahasiswa di institusi pengajian tinggi tempatan serta mahasiswa di Mesir dan Jordan.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,

SEKTOR PEMBANGUNAN SOSIAL

Bagi tahun 2021, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM83.9 juta untuk pembangunan sosial dan kebajikan rakyat Negeri Perak. Kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan Mengurus RM39.6 juta. Sebahagian besar daripada jumlah tersebut iaitu RM33.9 juta merupakan pecahan Bantuan Am yang berjumlah RM30.9 juta, RM1.5 juta untuk Program Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK), RM1.0 juta untuk Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) dan RM0.5 juta untuk bantuan kecemasan.

Kerajaan Negeri akan meneruskan bantuan Kad Perak Prihatin dengan peruntukan sebanyak RM25.2 juta yang akan melibatkan kira-kira 20,000 orang penerima. Program Kotak Makanan juga akan diteruskan dengan peruntukan RM4.0 juta.

Skim Rumah Perakku Prihatin dengan peruntukan RM10.0 juta dan program Sayangi Rumahku RM5.0 juta juga akan terus dilaksanakan oleh Yayasan Perak pada tahun hadapan.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM0.5 juta bagi program Community Feeding. Bagi tahun 2021, program ini tidak lagi terhad kepada anak-anak Orang Asli dan akan turut dilaksanakan oleh Jabatan-jabatan yang akan dikenal pasti oleh Kerajaan Negeri kelak. Program ini diharap dapat mengatasi pelbagai masalah nutrisi termasuk kebantutan di kalangan kanak-kanak. Pada tahun 2020, sebanyak lima buah Pusat Community Feeding (PCF) telah diwujudkan. Peruntukan yang disalurkan digunakan bagi tujuan pembelian bahan makanan yang memberi manfaat kepada lebih 200 anak Orang Asli berumur antara 6 bulan hingga 6 tahun. Program ini telah dilaksanakan di Kampung Sungai Tisong dan Kampung Sungai Jentong di Daerah Batang Padang, Kampung Redang Punggor di Daerah Hilir Perak, Kampung Pos Slim di Daerah Kinta dan Kampung Estet Chenderong Kelubi di Daerah Perak Tengah.

Bagi memperkasakan lagi golongan wanita dalam menghadapi cabaran ekonomi dan sosial, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan berjumlah RM4.4 juta.

Daripada peruntukan tersebut, Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat (SPW) akan menerima RM2.4 juta bagi tahun hadapan untuk pelbagai program yang dirancang. SPW akan memainkan peranan secara langsung sebagai penyelaras dan pelaksana kepada semua jenis bantuan serta program berkaitan kebajikan dan sosial.

Antara program yang akan diadakan adalah Program Pembangunan Wanita Dalam Perniagaan RM0.4 juta, Perak Food Bank RM0.3 juta, Bengkel Pemasaran Dalam Talian RM0.2 juta serta pelbagai kursus, bimbingan dan latihan peningkatan pendapatan RM0.2 juta. Selain itu, SPW juga akan menguruskan program sedia ada iaitu Kad Perak Prihatin dan Bantuan Khairat Kematian.

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2.0 juta di bawah program Pendayaupayaan Wanita dan Kebajikan Masyarakat untuk tahun 2021. Antara program utama ialah

Pembangunan dan Pemerkasaan Golongan Wanita RM1.0 juta, Pembangunan Dalam Mengutamakan Kesejahteraan Keluarga RM0.8 juta serta Program Kebajikan dan Pembasmian Kemiskinan Masyarakat RM0.2 juta.

Kerajaan Negeri juga memperuntukkan RM1.0 juta kepada Program Pembangunan dan Rumah Kebajikan Kanak-kanak dan Anak Yatim serta RM0.2 juta kepada Program Pembangunan Warga Emas. Antara sumbangan di bawah peruntukan ini adalah untuk membiayai keperluan peralatan pembelajaran di Pusat Aktiviti Kanak-Kanak dan program motivasi anak-anak yatim. Manakala sumbangan di bawah peruntukan Warga Emas adalah pembelian peralatan Warga Emas dan Program Dana Perubatan Warga Emas.

Bantuan Khairat Kematian Negeri Perak diteruskan dengan pertambahan RM1.0 juta berbanding tahun 2020 menjadi RM4.0 juta. Bantuan RM500 akan diberikan kepada waris yang antaranya penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPK), Orang Kelainan Upaya (OKU) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, Ketua Isi Rumah berdaftar dengan e-kasih dan Ketua Isi Rumah Orang Asli. Permohonan tuntutan oleh orang awam diproses di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT).

Selain daripada program-program yang disebutkan di atas, Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan bagi pelbagai program Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) RM2.5 juta, Aktiviti Orang Asli RM1.0 juta, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) RM0.3 juta, Program Perpaduan RM0.3 juta, Program Membanteras Jenayah RM0.3 juta, Program Menangani Isu Dadah RM0.3 juta, Program Kesihatan RM0.2 juta dan Program Reka Cipta Sains RM0.1 juta.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,

BELIA DAN SUKAN

Bagi tahun 2021, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM18.6 juta bagi pembangunan belia dan sukan Negeri.

Ini merangkumi peruntukan kepada Majlis Sukan Negeri (MSN) sebanyak RM10.4 juta meliputi Belanja Mengurus dan program pembangunan atlet yang akan bertanding di Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan datang. Sebanyak RM3.2 juta pula diperuntukkan bagi program-program sukan meliputi Sukan Massa RM2.0 juta, e-Sport RM0.7 juta dan Sukan OKU RM0.5 juta.

Secara keseluruhan, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM5.0 juta bagi pembangunan anak muda dalam menongkah arus kehidupan. PASAK menerima peruntukan RM3.0 juta bagi tahun hadapan meliputi RM1.5 juta Belanja Mengurus dan RM1.5 juta untuk Belanja Pembangunan. Antara tumpuan utama PASAK adalah Program Latihan Bina Insan, Jelajah Kerjaya Daerah serta Karnival Kerjaya dan Pendidikan. Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1.5 juta di bawah Program Pemerkasaan Anak Muda yang akan digunakan untuk Program Peningkatan Kemahiran dan Kepakaran, Program Pemerkasaan dan Peremajaan Pertubuhan

Belia dan Akademi Rakyat. Selain itu, Kerajaan Negeri juga memperuntukkan RM0.5 juta untuk Dewan Undangan Negeri Belia.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,

PELANCONGAN

Kerajaan Negeri mensasarkan kedatangan pelancong antara 3 hingga 5 juta orang bagi tahun 2021. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM25.9 juta bagi usaha pemulihan dan memaksimakan potensi industri pelancongan.

Kepada Tourism Perak, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM7.0 juta meliputi RM1.0 juta anggaran terimaan Cukai Pelancongan daripada Kerajaan Persekutuan. Perbadanan Taman Negeri pula menerima geran tahunan sebanyak RM3.5 juta, Geopark Lembah Kinta RM0.8 juta, pengurusan Bukit Larut RM1.0 juta, pengurusan Taman Botani Taiping RM0.3 juta dan lain-lain program pelancongan RM1.7 juta.

Bagi tahun 2021, Kerajaan Negeri meneruskan kempen pelancongan domestik dengan menyediakan 10,000 keping baucar pelancongan #TravelPerakLah yang bernilai RM150, RM50 dan RM30 melibatkan pengusaha penginapan dan pengusaha produk pelancongan yang terpilih. Inisiatif ini bagi merancakkan semula serta mengembalikan keyakinan pelancong domestik untuk terus melancong ke Negeri Perak. Kejayaan inisiatif ini dapat dilihat di mana sehingga September 2020, 96,407 buah bilik ditempah melibatkan 65 buah hotel di 7 buah daerah.

Kerajaan Negeri juga telah melancarkan Geotourism Vouchers pada 16 Oktober 2020 bertujuan mempromosikan destinasi geotapak di bawah Geopark Lembah Kinta, Perak.

Di samping itu, sebagai inisiatif keselamatan sektor pelancongan domestik, Kerajaan Negeri telah mewujudkan Jawatankuasa Pematuhan Amalan Baik Produk Pelancongan Negeri Perak Pasca COVID-19 yang turut dianggotai oleh beberapa NGO berkaitan untuk mengembalikan keyakinan pelancong. Lanjutan daripada inisiatif ini, Kerajaan Negeri berbesar hati untuk memberikan RM10 ribu bantuan secara one-off kepada 12 persatuan dan NGO atas sumbangan membantu memajukan sektor pelancongan di Negeri Perak.

Sebagai Kerajaan Negeri yang prihatin terhadap penggiat industri yang terkesan akibat pandemik COVID-19, bantuan insentif one-off RM700 diberikan kepada 300 pemandu pelancong yang berdaftar dalam Negeri Perak serta RM2,000 kepada 200 syarikat agensi pelancongan dan pengembaraan yang berdaftar.

Selain itu, RM4.4 juta diperuntukkan untuk menaiktaraf serta menyelenggara kemudahan-kemudahan pelancongan di seluruh Negeri Perak seperti Kerja Naiktaraf di Lata Tebing Tinggi, Selama, Zoo Taiping, Taman Alam Kinta, Kampar; dan Kellie’s Castle di Batu Gajah bagi meningkatkan tahap kepuasan pelancong serta mewujudkan pelancong berulang ke Negeri Perak.

Kepada Perbadanan Perpustakaan Negeri Perak, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM10.0 juta bagi Belanja Mengurus dan kos penyelenggaraan, manakala RM1.6 juta bagi Belanja Pembangunan.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,

TADBIR URUS

Bagi memastikan tadbir urus dan penyampaian perkhidmatan yang terbaik, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM785.1 juta untuk Belanja Mengurus semua jabatan dan agensi Kerajaan.

Kepada semua Pejabat Daerah dan Tanah, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM108.7 juta di bawah Belanja Mengurus. Manakala, Belanja Pembangunan RM13.0 juta yang meliputi peruntukan pelbagai projek kecil RM0.6 juta untuk setiap daerah besar dan RM0.2 juta untuk setiap daerah kecil serta lain-lain projek fizikal.

Sumbangan Pembangunan kepada Kerajaan Tempatan dinaikkan dari RM3.8 juta pada tahun 2020 kepada RM6.0 juta bagi tahun 2021 iaitu kenaikan 58%. Antara projek baharu di bawah peruntukan ini adalah kutipan sampah luar kawasan operasi PBT berjumlah RM2.0 juta yang bakal memberi perkhidmatan kepada kira-kira 100 buah kampung sebagai permulaan. Inisiatif ini dilaksanakan buat pertama kalinya demi memastikan perkhidmatan kutipan sampah di kawasan kampung adalah teratur.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga menyediakan peruntukan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) sebanyak RM4.1 juta bagi program dan aktiviti kampung serta RM2.5 juta untuk bayaran elaun Pengerusi dan Jawatankuasa.

Bermula tahun hadapan, Kerajaan Negeri menyediakan RM0.1 juta bagi memastikan perancangan program dan aktiviti di bawah portfolio EXCO masing-masing terlaksana.

Untuk meningkatkan kompetensi dan kepelbagaian kepakaran serta melahirkan lebih ramai Subject Matter Expert (SME) di kalangan penjawat awam, peningkatan kompetensi di kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan JPKK, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM0.5 juta di bawah Program Pembangunan Modal Insan.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut memberi penekanan kepada pengukuhan prasarana digital dan penerangan dengan menyediakan peruntukan sejumlah RM10.6 juta bagi aktiviti-aktiviti meliputi Jaringan Digital Metro-e RM5.8 juta, Pelbagai Projek Teknologi Maklumat dan Komunikasi RM3.0 juta, Komunikasi dan Multimedia RM0.3 juta serta Media dan Penerangan di bawah Unit Komunikasi Strategik Negeri Perak (Stratcom) RM1.5 juta.

Bagi menggalakkan dan meningkatkan aktiviti pembangunan penyelidikan pula, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2.0 juta di bawah Tabung Amanah Kajian Negeri. Dana ini akan lebih tertumpu kepada pendekatan dan usaha penyelesaian serta tindakan pemulihan kedudukan sosio ekonomi.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,

PENGANGKUTAN AWAM

Kerajaan Negeri mengambil berat terhadap pembangunan infrastruktur dan perkhidmatan kepada rakyat, terutamanya bagi perkhidmatan bas henti-henti. Untuk itu, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif dengan memperkenalkan perkhidmatan ini pada kadar rata RM1 sejak tahun 2019 di Daerah Manjung.

Perkhidmatan bas RM1 ini akan diperluaskan ke Daerah Batang Padang dan Daerah Kuala Kangsar mulai tahun 2021 dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM2.0 juta. Dua daerah ini dipilih memandangkan terdapat keperluan yang tinggi dari kalangan masyarakat Orang Asli untuk perkhidmatan ini.

HAL EHWAL BUKAN ISLAM (HEBI)

Untuk pengurusan Hal Ehwal Bukan Islam (HEBI) serta bina baru dan baik pulih rumah ibadat bukan Islam, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM10.0 juta di bawah program ini.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,

GERAN KEPADA AGENSI KERAJAAN NEGERI

Bagi memastikan setiap agensi yang ditubuhkan dapat beroperasi secara optimum serta menyediakan program dan aktiviti yang dapat membantu komuniti setempat khasnya dan Negeri umumnya, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM14.4 juta.

Peningkatan ketara dapat dilihat melalui geran yang disediakan kepada Invest Perak iaitu kenaikan sebanyak 85.7% daripada RM2.8 juta kepada RM5.2 juta. Kita tidak perlu berbangga dengan bilangan kawasan perindustrian yang banyak, sedangkan kebanyakannya tidak beroperasi dan tidak diselenggara dengan baik. Saya menyarankan pembangunan dan promosi kawasan perindustrian perlu berfokus bagi kawasan yang berpotensi besar untuk menjadi hub industri utama di Negeri Perak. Diharapkan dengan peningkatan jumlah geran ini, lebih banyak pelaburan akan masuk serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan pendapatan berkualiti kepada rakyat.

Selain itu, agensi lain yang turut menerima geran Kerajaan Negeri adalah Institut Darul Ridzuan RM3.0 juta, People of Remarkable Talent (PORT) RM2.2 juta, Digital Perak RM2.0 juta, Majlis Kebudayaan Negeri (MKN) RM1.0 juta dan Yayasan Perak RM1.0 juta.

Semua agensi ini perlulah berusaha keras dan berfikir di luar kotak untuk melaksanakan projek yang boleh memberikan pulangan hasil, seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada Kerajaan Negeri secara berperingkat dan akhirnya mampu menyumbangkan hasil kepada Negeri.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,

PENJAWAT AWAM

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Qasas, Ayat 26 yang bermaksud:

“Sesungguhnya sebaik-baik orang yang diambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah”.

Saya akui sumbangan dan komitmen penjawat awam sebagai tulang belakang pentadbiran Kerajaan yang melaksanakan tugas dan amanah tanpa mengira waktu. Sebagai penghargaan, Kerajaan Negeri mengumumkan pembayaran Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebulan gaji kepada semua penjawat awam Negeri yang akan dibayar pada akhir bulan Disember ini.

Pembayaran RM1,000 turut dipanjangkan kepada semua Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT), Guru I’dadi, Guru Thanawi, Guru Tadika Islam, Tok Batin dan Pekerja Sambilan Harian (PSH).

Dato’ Yang Dipertua,

JUSTIFIKASI KEWANGAN DAN PROSPEK MASA DEPAN

Sesungguhnya Belanjawan 2021 yang dibentangkan di Dewan yang mulia ini mengunjurkan defisit sebanyak RM154.0 juta. Unjuran defisit ini berlandaskan andaian ekonomi yang suram akibat pandemik COVID-19.

Walau bagaimanapun, sebagai Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab dan komited dalam kerangka yang dinamik, setiap usaha akan digembeling bagi menangani kesuraman yang dialami.

Musibah kesihatan akibat pandemik COVID-19 masih belum boleh kita tangani sepenuhnya. Oleh kerana itu, pada kesempatan ini saya ingin berpesan kepada sekalian warga, termasuk diri saya sendiri, supaya terus menerus akur dan patuh kepada SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Peperangan dengan musuh yang tak nampak jangan diambil mudah. Musibah seperti ini tidak pernah kita alami dan tidak pernah kita jangka. Justeru, kita perlu bertekad menanganinya, sekalipun perlu membiasakan diri dengan norma-norma baharu. Sama-samalah kita doakan semoga mencapai kemenangan jua dalam menangani pandemik ini. Namun, perlu kita sedari bahawa cabaran-cabaran ini bukan mudah. Ia menuntut kesungguhan kita semua sebagai pembuat dasar untuk memastikan kestabilan politik bagi menjamin kesejahteraan rakyat.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,

Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah pada Istiadat Pelantikan Menteri Besar telah menitahkan supaya Kerajaan Negeri merintis jalan bagi mengurangkan ketegangan dan perbalahan politik kerana ia hanya akan memangsakan kehidupan rakyat. Sesungguhnya, keprihatinan Paduka Seri Tuanku terhadap untung nasib rakyat, menjadi ibrah dan panduan kepada saya serta seluruh lapisan pentadbiran untuk memastikan Kerajaan yang ada hari ini sentiasa menegakkan prinsip keadilan, membina kerukunan serta berusaha sedaya mungkin memenuhi keperluan ekonomi dan sosial rakyat.

Bagi menterjemahkan titah hasrat Paduka Seri Tuanku, saya dengan ini mengumumkan bahawa Kerajaan memutuskan untuk menyediakan peruntukan sebanyak RM200,000 kepada semua 59 Ahli Dewan Undangan Negeri Perak yang melibatkan peruntukan berjumlah RM11.8 juta. Selain itu, Kerajaan juga bersetuju supaya semua Ahli Dewan Undangan Negeri hendaklah dijemput hadir dalam mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah (JKTD), Jawatankuasa Focus Group Daerah (FGD) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah. Semoga dengan ketetapan ini, adalah diharapkan semua Ahli Yang Berhormat dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya dengan lebih berkesan kepada pengundi di kawasan masing-masing.

Dato’ Yang Dipertua, sebagai rumusan dan penutup, setelah mengetahui sebanyak mana wang yang boleh kita belanjakan melalui pelbagai peruntukan di dalam Belanjawan Negeri 2021, persoalan seterusnya adalah bagaimana dan bila wang itu harus dibelanjakan bagi mencapai matlamat yang mengutamakan kepentingan rakyat dan Negeri. Persoalan ini tidak mudah dijawab, kecuali kita bertekad untuk terus komited dan beristiqomah menyempurnakannya. Inilah yang saya harapkan dari semua pihak.

Tiada siapa yang boleh membuat telahan tepat, bila pandemik COVID-19 akan berakhir. Justeru, langkah-langkah kesiapsiagaan dan pelan mitigasi perlu diwujudkan bagi mendepani sebarang kebarangkalian. Bertuahlah kiranya pandemik COVID-19 meninggalkan kita ataupun mampu kita tangani seberapa segera. Berbekalkan tuah itu, kita boleh menyandarkan harapan untuk melangkah maju ke hadapan, di mana pelbagai inisiatif dan pakej rangsangan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi yang kita harap-harapkan. Sebaliknya, jika pandemik COVID-19 terus berlarutan ke tahun 2021, tahap kesediaan kita perlu dipertingkatkan supaya kehidupan rakyat dapat terus terbela.

Belanjawan ini adalah belanjawan kita. Perkataan “kita” itu membawa maksud seluruh Negeri Perak Darul Ridzuan. Di kalangan kita pastinya wujud kepelbagaian citarasa. Dalam kepelbagaian itu, marilah sama-sama kita canai suatu bentuk kebersamaan hasrat, iaitu hasrat untuk memacu warga dan negeri tercinta ini ke mercu kejayaan.

Lumrahnya, kekangan sesuatu belanjawan ialah keterbatasan sumber untuk mencakupi segenap lonjakan impian yang sebahagiannya melepasi sempadan realiti. Dalam pertembungan itu, perlu dicari suatu keserasian supaya terhindar rasa kecewa. Tahun 2021 yang bakal kita lalui dijangka masih sarat dengan pelbagai cabaran, termasuk cabaran kesihatan tubuh badan warga, kesihatan ekonomi dan kesihatan sosio-politik yang semakin menampakkan ketidaktentuan. Dalam serba cabaran itu, kita perlu mencari kewarasan berfikir dan bertindak supaya tidak terperangkap dalam duka lara yang tidak terubat. Belanjawan 2021 ini amat ditunggu-tunggu oleh rakyat untuk mereka menyandarkan harapan melihat sinaran cahaya setelah melalui terowong kegelapan pada tahun 2020. Janganlah kita hampakan rakyat. Sebahagian daripada maksud ayat 48 Surah Al-Ma’idah yang bermaksud: “Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan yakni beriman dan beramal soleh. Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Dia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya.”. Dato’ Yang Dipertua, dengan kata-kata itu, saya akhiri ucapan saya ini. Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Sekian, terima kasih. Dengan ini saya mohon mencadangkan.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Amat Berhormat Menteri Besar, ada sokongan?

Dato’ Zainol Fadzi bin PaharudinBERSATU · PNSungai Manik

Tuan Yang Dipertua, Sungai Manik menyokong.

Yang di-Pertua

Ahli-Ahli yang Berhormat, terima kasih diucapkan kepada Yang Yang Amat Berhormat Menteri Besar di atas Pembentangan Belanjawan Negeri 2021. Ahli Yang Berhormat sekalian sekarang saya tempohkan sementara Dewan ini. Dewan akan bersidang semula pada hari Khamis 17 Disember 2020 jam 9.00 pagi. Sekian terima kasih.