Perak · 10 December 2021

14th Assembly, 4th session, 2nd meeting · 81 turns · 15,163 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalPerak publishes one PDF per sitting day, from May 2020 (none for 2018-19), and a file of oral and written answers per meeting from December 2022.

(Pembukaan)

Ketua Bentara

Ahli-ahli Yang Berhormat. Tuan Yang Dipertua.

Setiausaha

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera. Ahli Yang Berhormat sekalian. Sekarang kita mulakan Persidangan Pertama Mesyuarat Kedua Tahun Keempat Dewan Negeri Yang Keempat Belas, Perak Darul Ridzuan pada hari Jumaat, 10 Disember 2021 jam 9.00 pagi dengan urusan perkara yang pertama iaitu bacaan doa.

Bismillahirrahmanirrahim (Bacaan doa). Segala puji bagi Allah selawat dan salam atas Rasulnya maka dengan nama Allah yang maha pemurah lagi pengasih, Dewan Negeri ini dibuka. Ya Allah, yang bersifat Maha hikmat limpah keadilan yang menanggungkan kewajipan ke atas Raja dan Ahli Majlis Permesyuaratan bagi mentadbir muslihat masyarakat pergaulan mudah-mudahan sentosa aman, makmur, limpah kebahagiaan meliputi sekalian penduduk Negeri Perak Darul Ridzuan. Ya Allah kami sekalian hambamu yang diperkenan menjadi ahli Dewan Negeri menyempurnakan kewajipan yang diamanahkan yang terutama bagi Negeri Perak Darul Ridzuan serta rakyatnya sekalian. Ya Allah berkatmu ke atas kami berhimpun di pohon anugerahkan taufikmu, hidayatmu di pohon menyuluh, memandukan pada ketika kami berunding, menimbang, bertukar-tukar fikiran pada segala perkara yang dibentangkan dengan saksama serta berkeamanahan, menjunjung perintah dan kebesaran-mu mudah-mudahan berlebih-lebih keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan bagi Negeri Perak Darul Ridzuan serta penduduknya sekalian. Ya Allah dipohonkan doa kami diperkenan. Amin ya Allah seru sekalian Alam.

Pengumuman Tuan Yang Dipertua

Setiausaha

Perkara yang kedua, pengumuman Tuan Yang Dipertua.

Yang di-Pertua

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera. Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Negeri, pihak urusetia, para petugas dan wakil media sekalian.

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan penghargaan dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam proses kerja pengubahsuaian ruang dalaman serta penaiktarafan sistem audio dan visual Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan yang telah berjalan lancar dan dapat disiapkan sepenuhnya pada tempoh yang ditetapkan khususnya Jabatan Kerja Raya Negeri Perak, Bahagian Khidmat Pengurusan, Bahagian Dewan Negeri dan para kontraktor.

Adalah menjadi harapan saya Dewan Negeri Perak yang berwajah baru ini memberikan aura dan momentum positif kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat untuk menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan dan terus berusaha membudayakan dan mengamalkan politik aras tinggi seperti yang terkandung dalam penzahiran Titah DiRaja, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfurlah bersempena Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Keempat, Dewan Negeri Yang Keempat Belas, Perak Darul Ridzuan pada 25 Ogos 2021 yang lalu. Sebelum kita meneruskan urusan-urusan mesyuarat yang selanjutnya, izinkan saya untuk membuat beberapa pengumuman.

Perkara yang pertama, berkenaan penguatkuasaan dan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan garis panduan berkaitan langkah kawalan pencegahan Covid-19 meskipun Negeri Perak telah memasuki fasa 4 Pelan Pemulihan Negara. Perjalanan persidangan mesyuarat yang berlangsung masih tertakluk kepada penguatkuasaan (SOP) dan garis panduan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Perak dan Majlis Keselamatan Negara Negeri Perak sebagai langkah kawalan pencegahan Covid-19. Atas nasihat dan pandangan Majlis Keselamatan Negara bagi memastikan risiko penularan Covid-19 dapat dielakkan terutama dengan perkembangan semasa kewujudan varian Omicron, semua pihak yang terlibat dengan perjalanan persidangan mesyuarat ini juga dipohon untuk memastikan pergerakan di luar waktu untuk dihadkan. Antara (SOP) lain yang ditetapkan dan wajib dipatuhi ialah:

Semua pihak diwajibkan menjalani ujian pantas RTK Antigen air liur pada waktu pagi setiap hari persidangan di Dewan Bankuet, Aras G dan perlu disahkan negatif sebelum dibenarkan masuk ke dalam Dewan Negeri. Pemeriksaan suhu badan, pemakaian pelitup muka dan penjagaan fizikal sepanjang persidangan adalah diwajibkan dan pemeriksaan kesihatan adalah diwajibkan di fasiliti Klinik Dewan Negeri sekiranya terdapat pihak yang berasa kurang sihat dalam tempoh persidangan berlangsung. Sehubungan itu, kesemua Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dilaksanakan perlu dipatuhi semua pihak sepanjang persidangan berlangsung.

Perkara yang kedua, penggunaan kod QR. QR code. Saya memohon Ahli-Ahli Yang Berhormat untuk menggunakan kod QR ini bagi tujuan pengaksesan dokumen aturan urusan mesyuarat dan soalan lisan sepanjang persidangan mesyuarat ini.

Perkara yang ketiga, berkenaan bilik jamuan Dewan Negeri, Sejajar dengan (SOP) langkah kawalan pencegahan Covid-19, jumlah individu yang dibenarkan berada di dalam bilik jamuan Dewan Negeri pada sesuatu masa terpaksa dihadkan. Oleh yang demikian, kebenaran untuk berada, mengguna kemudahan menjamu selera di bilik Jamuan Dewan Negeri hanya dikhususkan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Untuk makluman, para Pegawai Khas Ahli-Ahli Yang Berhormat, boleh menjamu selera di ruang legar berhadapan Bilik Jamuan, Dewan Negeri. Manakala wakil media dan para petugas, bolehlah mendapatkan makanan yang disediakan di ruang legar berhadapan Bilik Gerakan Negeri, Aras G. Kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan (SOP) yang berkaitan seperti penjagaan fizikal dapat dipatuhi sepenuhnya khususnya di Bilik Jamuan, Dewan negeri.

Perkara yang keempat, berkenaan sesi soalan lisan. Saya ingin memaklumkan tempoh masa yang ditetapkan bagi sesi soalan lisan pada sepanjang persidangan mesyuarat ialah satu jam.

Perkara yang kelima, berkenaan Rang Undang-Undang dan usul. Saya ingin memaklumkan bahawa terdapat notis usul Rang Undang-undang dan usul yang telah diterima oleh Setiausaha Dewan Negeri iaitu:- i) Usul Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah Perak pindaan 2021. ii) Usul cadangan pindaan Perintah-Perintah Tetap Dewan Negeri Perak, iii) Usul cadangan penambahan terma rujukan dan bidang kuasa Jawatankuasa Pilihan Khas Mengkaji Bangunan Baru Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan, iv) Usul cadangan mewujudkan Jawatankuasa Pilihan Khas Bagi Mengkaji Enakmen-Enakmen Negeri Perak Darul Ridzuan dan v) Usul pemilihan Ahli Dewan Negara Malaysia. Terdapat enam pencalonan awal yang telah diterima oleh Setiausaha Dewan Negeri. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat satu pencalonan terpaksa ditolak kerana telah melepasi tempoh masa yang ditetapkan. Manakala satu pencalonan yang lain pula melibatkan penarikan diri. Oleh yang demikian hanya terdapat empat pencalonan rasmi bagi mengisi dua kekosongan kerusi dalam Dewan Negara untuk ahli yang dipilih oleh Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan mengikut kuatkuasa seksyen 1(2) jadual untuk perkara 45 Perlembagaan Persekutuan.

vi) Sesi perbahasan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat berkaitan Rang Undang-Undang Perbekalan tahun 2022 dan usul Wang Pembangunan 2022. Sesi perbahasan mesyuarat ini akan berlangsung pada persidangan kedua hari Isnin 13 Disember 2021 hingga persidangan keempat iaitu pada hari Rabu 15 Disember 2021. Tempoh masa perbahasan kepada penyokong kerajaan dan ketua pembangkang adalah selama 40 minit bagi setiap seorang. Manakala tempoh masa pembahasan bagi setiap pembahas yang lain adalah selama 20 minit.

vii) Berkenaan sesi penggulungan oleh kesemua Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Exco dan YAB Menteri Besar berkaitan Rang Undang-Undang Perbekalan tahun 2022 dan Usul Wang Pembangunan 2022. Sesi penggulungan oleh kesemua Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mengikut portfolio masing-masing dijadualkan berlangsung pada persidangan kelima 16 Disember 2021 iaitu pada hari Khamis. Setiap Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri diberikan tempoh masa penggulungan selama 45 minit. Manakala penggulungan oleh YAB Menteri Besar dijadualkan berlangsung pada persidangan keenam, 17 Disember 2021 pada hari Jumaat dijangka dalam tempoh masa selama 2 jam.

viii) Perkara yang kelapan berkenaan Hansard Rasmi. Saya ingin memaklumkan Ahli-Ahli Yang Berhormat boleh membaca dan memuat turun Hansard Rasmi setiap persidangan selewat-lewatnya pada jam 12 tengah malam. Ahli Yang Berhormat bolehlah menghubungi pihak urusetia dalam tempoh tujuh hari daripada hansard yang dipaparkan sekiranya terdapat pindaan yang perlu dibuat atau dilakukan pada hansard tersebut.

ix) Perkara yang kesembilan berkenaan pemakaian Batik Malaysia. Berdasarkan tradisi dan amalan yang dimulakan oleh Dewan Rakyat mana-mana Ahli Yang Berhormat yang berhasrat untuk memakai baju

Batik Malaysia adalah digalakkan memakainya di Dewan yang mulia ini pada hari Khamis. Galakan pemakaian Batik Malaysia ini merupakan manifestasi kebanggaan untuk memartabatkan Batik Malaysia sebagai produk warisan yang mempamerkan nilai-nilai estetika tersendiri dan mencerminkan identiti nasional.

Sekian terima kasih.

Membentangkan surat Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan

Setiausaha

Perkara yang ketiga membentangkan surat Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan.

Yang di-Pertua

Sekarang saya membentangkan surat Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan dari bilangan 22/2021 hingga 29/2021 seperti yang telah diedarkan kepada semua Ahli Dewan Negeri pada 3 Disember 2021.

Bil. 22/2021 - Laporan Ketua Audit Negara mengenai Penyata Kewangan Perbadanan Taman Negeri Perak bagi tahun berakhir 31 Disember 2017,

Bil. 23/2021 - Sijil Ketua Audit Negara mengenai Penyata Kewangan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak bagi tahun berakhir 31 Disember 2020,

Bil. 24/2021 - Ringkasan Laporan Ketua Audit Negara tahun 2019 Siri 1 dan Memorandum Yang Berhormat Pegawai Kewangan Negeri mengenai Aktiviti Jabatan dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Perak serta Laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri 1 Aktiviti Jabatan dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Perak,

Bil. 25/2021 - Ringkasan laporan Ketua Audit Negara tahun 2019 Siri 2 dan Memorandum Yang Berhormat Pegawai Kewangan Negeri Mengenai Aktiviti Jabatan dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Perak serta Laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri 2 Aktiviti Jabatan dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Perak,

Bil. 26/2021 - Penyata Tahunan Penerimaan dan Perbelanjaan Kumpulan Wang Pembangunan Hutan (KWPH) di Jabatan Perhutanan Negeri Perak Darul Ridzuan tahun 2020, bilangan 27/2021 laporan tahunan Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak tahun 2019,

Bil. 28/2021 - Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Perak bagi tahun berakhir 31 Disember 2020 dan

Bil. 29/2021 - Belanjawan 2022 Perak Darul Ridzuan.

Soalan yang telah diberi notis, soalan lisanQuestions

Setiausaha

Perkara yang keempat soalan yang telah diberi notis, soalan lisan.

Yang di-Pertua

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat tempoh masa untuk sesi soalan lisan pada hari ini adalah selama 1 jam. Soalan tambahan adalah dihadkan kepada dua soalan sahaja dan ianya perlulah mempunyai kaitan dengan soalan asal. Saya akan memberikan keutamaan kepada bertanya soalan asal untuk mengemukakan soalan tambahan yang pertama. Soalan tambahan yang tidak berkaitan dengan soalan asal adalah tidak dibenarkan. Ahli-Ahli Yang Berhormat dengan ini saya menjemput Ahli Berhormat dari kawasan Tebing Tinggi untuk mengemukakan nombor soalan.

Dr. Abdul Aziz bin BariDAP · PHTebing Tinggi

Nombor 1.

Dato’ Seri Saarani bin MohamadUMNO · BNMenteri Besar · Kota Tampan

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera. Yang Berhormat Dato Yang Dipertua, saya mohon izin untuk menjawab soalan daripada Yang Berhormat Tebing Tinggi bersekali dengan soalan daripada Yang Berhormat Astaka kerana ia berkaitan. Negeri Perak Darul Ridzuan mempunyai sejumlah 160 buah kampung baru. Kampung-kampung baru ini telah wujud sejak Zaman Darurat Tanah Melayu bermula pada tahun 1950-an. Kampung-kampung baru ini berada di dalam lokasi yang strategik di setiap daerah di negeri Perak iaitu berada pada kawasan kategori pekan dan juga desa. Kebanyakan pemilik tanah kategori kediaman di kawasan kampung baru ini adalah di kalangan generasi kedua dan ketiga daripada pemilik asal tanah tersebut semasa diwujudkan buat pertama kalinya. Hal ini dikenalpasti apabila berlaku pertukaran nama pemilik tanah kepada waris-waris tuan punya tanah tersebut.

Untuk makluman Yang Berhormat, premium dijelaskan setelah kelulusan pemberimilikan tanah atau kelulusan permohonan pembaharuan tempoh pajakan tanah diperolehi mengikut kadar premium yang telah ditetapkan dalam Peraturan-Peraturan Tanah Negeri Perak. Dalam penetapan kadar premium kampung baru, pada ketika ini Kerajaan Negeri telah menetapkan kadar premium dengan diskaun 80% daripada kadar premium asal diberikan kepada pemilik terakhir tanah yang memohon pembaharuan. Manakala diskaun sebanyak 75% pula daripada kadar premium asal diberikan kepada waris pemilik terakhir tanah yang memohon pembaharuan sepertimana yang dijelaskan melalui Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian bilangan 4/2019 berkaitan penyelarasan kelayakan individu yang dibenarkan membuat permohonan dan pemberian diskaun 80% daripada kadar bayaran premium. Bagi permohonan pembaharuan dan atau pelanjutan tempoh pajakan tanah dalam kawasan kampung baru. Daripada penetapan ini kadar premium yang dikenakan adalah munasabah dengan diskaun yang diberikan. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri bersedia untuk menimbangkan permohonan rayuan pengurangan premium kepada individu-individu yang benar-benar layak dan memerlukan sepertimana yang digariskan dalam Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perak bilangan 3/2020. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Pinji, soalan tambahan.

Encik Howard Lee Chuan HowDAP · PHPasir Pinji

Terima kasih Dato’ Yang Dipertua. Terima kasih atas jawapan daripada Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Berkenaan dengan istilah pelanjutan atau permohonan untuk memperbaharui pajakan yang mungkin sudah tamat tempoh seringkali kita nampak ada isu-isu di mana pemegang pajakan yang asal telah meninggal tetapi wasi belum tidak ditetapkan atau wasi belum dilantik atau tiada sebarang wasiat. Anak pula kepada pihak si mati atau pemegang pajakan asal, pula hendak memohon seolah-olah ia adalah satu pelanjutan tetapi telah pun di tamat tempoh pajakan asal. Adakah pihak Kerajaan Negeri bersedia untuk mengambil pertimbangan untuk wujudkan syarat-syarat sekiranya anak atau waris kepada pemegang pajakan asal untuk mendapat diskaun 80% yang juga diberi kepada pemegang asal yang pemegang asal sudah meninggal untuk 80% diskaun juga diberi kepada waris sekiranya pembuktian yang wajar telah dibentangkan kepada pihak. Terima kasih.

Dato’ Seri Saarani bin MohamadUMNO · BNMenteri Besar · Kota Tampan

Terima kasih kepada Yang Berhormat. Saya memahami apa maksud soalan tambahan tersebut sepertimana saya sebutkan tadi, kita Kerajaan Negeri terbuka untuk membincangkan, sebarang kelemahan dan peraturan yang dibuat berasaskan kepada sejarah yang agak lama. Jadi, Yang Berhormat boleh mencadangkan dalam ucapan bajet sebagainya Insyaallah nanti Kerajaan Negeri akan perhalusi sebab ianya berlaku di beberapa tempat, lain padang lain belalang adalah benda yang berbeza-beza pekan lain di kampung lain. Jadi kita akan bincangkan. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Yang Berhormat Sungkai.

Terima kasih Dato’ Yang Dipertua. Soalan saya adalah di antara 160 buah Kampung Baru termasuk Kampung Nelayan. 160 ini termasuk Kampung Nelayan. Berapakah rumah-rumah yang telah terbengkalai. Apabila kita masuk ke Kampung Baru kita nampak ada rumah-rumah terbengkalai tidak dijaga, tidak ada penghuni, bukan untuk satu masa singkat tapi lama bertahun-tahun semasa saya jadi Exco Kesihatan ini merupakan satu masalah besar kerana ini adalah tempat merebak bermacam-macam penyakit seperti malaria dan saya waktu itu telah nasihatkan khasnya Majlis Daerah Taiping supaya kenalpastikan penghuni-penghuni ini ataupun sekurang-kurangnyalah hantar notis perundangan kepada mereka untuk kenalpasti. Kalau tidak ada orang tidak ada bayar premium. Maka tanah itu boleh diagihkan kepada orang yang lain yang memerlukan tanah. Jadi apakah tindakan-tindakan kerajaan dalam isu? Terima kasih.

Dato’ Seri Saarani bin MohamadUMNO · BNMenteri Besar · Kota Tampan

Ada dua soalan, satu berapa bilangan, yang kedua apa tindakan. Yang Berhormat terima kasih di atas keprihatinan itu dan saya faham kalau time masa kerajaan kehilangan saya bersetuju dan Insyaallah kita akan membuat bancian kepada keseluruhan 160 buah kampung baru ini. Berapakah bilangan mereka yang masih tinggal di situ, berapakah bilangan yang telah dibiarkan tanpa pewaris jadi kita akan jawab secara bertulis kepada Yang Berhormat, terima kasih.

Yang di-Pertua

Dijemput Ahli Yang Berhormat dari Kawasan Canning untuk mengemukakan nombor soalan.

Cik Jenny Choy Tsi JenDAP · PHCanning

Terima kasih Dato’ Yang Dipertua, soalan saya soalan nombor 2.

Dato’ Zainol Fadzi bin PaharudinBERSATU · PNSungai Manik

Terima kasih. Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua. Bagi menjawab soalan satu daripada Yang Berhormat Canning, Kerajaan Negeri melalui Sekretariat Sukarelawan Negeri Perak sedang merangka beberapa inisiantif bagi membantu usahawan kecil dan sederhana serta penjaja antaranya adalah seperti berikut.

Yang pertama program bimbingan usahawan, latihan khas mentor mentee, satu program usahawan Perak step-up dan spill-up dengan izin. Program ini akan melibatkan pelantikan dan kerjasama dengan pelbagai pihak mentor, pakar industri dan juga couch perniagaan dalam pelbagai industri. Data ini telah pun dimulakan dalam bentuk kelompok kecil iaitu setiap program melibatkan 30 usahawan bagi memberi impak yang lebih baik lebih berfokus untuk program ini. Di peringkat awal setiap mensasarkan 300 usahawan daripada 10 jenis industri dan fokus kepada usahawan mikro kecil dan termasuklah dalam golongan B40, luar bandar, wanita dan belia.

Yang kedua, skim pinjaman mikro kredit. Skim pinjaman mikro kredit ini berjumlah RM3 juta. Juga merupakan kerjasama di antara Yayasan Perak, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak dan STeP. Skim ini adalah skim pinjaman kredit yang mensasarkan peniaga kecil, penjaja dan usahawan informal dan tanpa faedah. Skim ini mempunyai 3 pakej pinjaman iaitu RM3000, RM5000, dan RM10,000 dan tempoh maksimum untuk skim pinjaman ini adalah tiga tahun dan skim ini akan merangkumi pelbagai sektor mengikut kesesuaian.

Yang ketiga, satu siri program bimbingan dan talian usahawan latihan skill to income. Siri program ini adalah kerjasama di antara STeP dan Pasak. Program ini mensasarkan belia, wanita, penduduk luar bandar dan mereka yang kehilangan pekerjaan untuk menjadi usahawan, Fokus program ini adalah untuk menyediakan peluang pendapatan baru melalui keusahawanan kepada kumpulan fokus dengan memberi latihan asas perniagaan dan ianya dilaksanakan dengan kerjasama syarikat-syarikat yang menyediakan peluang perniagaan serta meningkatkan kemahiran kumpulan fokus ini.

Yang keempat, pakej geran sepadan automasi dan peningkatan kapasiti perniagaan. Pakej ini adalah bertujuan meningkatkan kapasiti dan keupayaan memperkukuhkan perniagaan PKS dan meningkatkan produktiviti perniagaan. STeP juga sedang memperhalusi mekanisma dan syarat-syarat pakej geran ini, agar geran ini dapat membantu mencapai sasaran seperti yang kita sasarkan. Untuk peringkat awal untuk program ini kita sasarkan melibatkan 6% usahawan.

Bagi menjawab soalan B yang berkaitan dengan sektor hotel dan pelancongan. Di sini saya ingin merakamkan ucapan syabas dan tahniah. Perak baru sahaja memenangi empat anugerah dalam Majlis Malaysian Tourism Council World Awards 2021, di mana Best Tourism Safer Destination dimenangi oleh Tourism Perak. Yang kedua Best Sustainable Tourism Programme Majlis Perbandaran Taiping, yang ketiga Best Theme Park Sunway Lost World of Tambun dan yang keempat Best Astrogal Unique Destination Kellie Castle.

Di samping itu, Kerajaan Negeri telah merancang dan melaksanakan beberapa program pemulihan untuk sektor hotel dan juga pelancongan.

Yang pertama, mengadakan program kerjasama strategik bersama Kerajaan Persekutuan melalui Tourism Malaysia untuk menyediakan pakej-pakej pelancongan yang melibatkan hotel dan resort bagi empat negeri di utara iaitu melibatkan Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak di mana program ini dilaksanakan di Negeri Perak iaitu di Hotel Casuarina@Meru pada 16 November 2021.

Yang kedua, penyertaan dalam Expo Pelancongan Domestik seperti Matta Fair di World Trade Centre Kuala Lumpur, Jom Travel Fair di Aeon Melaka dan program Business Making. Yang ketiga program pemasaran secara digitalisasi menjadi melalui platform untuk mempromosikan di Perak termasuk Facebook, Tiktok, Twitter dan sebagainya.

Yang keempat, program-program promosi-promosi dan pemasaran juga akan melibatkan e-opening ladder bagi mempengaruhi video yang mampu untuk menarik orang ramai untuk datang ke Negeri Perak. Selain daripada itu, program-program mempromosi hotel-hotel dan resort-resort diteruskan dengan menyenaraikan hotel-hotel yang berdaftar dengan persatuan-persatuan yang berkaitan dengan pelancongan di dalam e-brochure pakej pelancongan.

Seterusnya adalah Program Baucer Pelancongan Negeri Perak yang telah diperkenalkan dan akan dilanjutkan penggunaan dan penebusannya sehingga Jun 2022 dengan memberikan tawaran promosi kepada pelancong. Kerajaan Negeri melalui Tourism Perak menggerakkan berapa inisiatif secara berperingkat iaitu menawarkan semula Voucher Travel Perak Lah. Bagi Fasa 1 hingga Fasa 3 dengan kaedah pelancong boleh terus menebus baucer itu apabila membuat pembelian pakej atau penginapan dan yang terakhir bagi memeriahkan lagi pelancongan di Negeri Perak, Kerajaan Negeri melalui Tourism Perak telah merancang beberapa program acara sehingga hujung tahun ini seperti Pangkor Sea Challenge dan Sambutan Ambang Tahun Baru dan di mana Perak Tourism juga telah menerima lebih kurang 100 penganjuran acara daripada pelbagai pihak untuk dilaksanakan sepanjang tahun 2022 untuk disenaraikan di dalam Kalendar Acara Tahun 2022 Negeri Perak untuk memeriahkan dan menarik pelancong di Perak. Kalendar acara ini akan dikemaskini dari semasa ke semasa dan antara acara yang diketengahkan bagi memeriahkan, lagi menarik kedatangan pelancong adalah seperti Pesta Songkran yang dijangka akan diadakan pada 11 hingga 13 April 2022, Pesta Laut Lumut Pangkor yang dijangka akan diadakan pada Oktober 2022 dan Lumut International Boat Show dijangka akan diadakan pada Disember 2022. Terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua

Soalan Tambahan.

Cik Jenny Choy Tsi JenDAP · PHCanning

Soalan tambahan saya ialah apakah inisiatif yang diambil oleh pihak kerajaan untuk mengurangkan kadar kemiskinan di negeri selepas pandemik Covid-19.

Dato’ Zainol Fadzi bin PaharudinBERSATU · PNSungai Manik

Terima kasih soalan tambahan YB Canning. Untuk makluman sidang Dewan, di peringkat Negeri Perak kita juga sedang menyusun dan merancang khususnya bagi memberi pembelaan kepada masyarakat khususnya golongan miskin yang kita tahu sepanjang pandemik covid ini. Jumlah mereka yang termasuk dalam kategori miskin dan juga miskin tegar ini bertambah.

Sudah tentu input-input dan juga maklumat-maklumat semasa juga perlu didapati daripada pemimpin-pemimpin setempat khususnya Yang Berhormat-Yang Berhormat dan kita di peringkat daerah mempunyai satu jawatankuasa yang memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah-masalah yang dihadapi oleh penduduk ini iaitu Jawatankuasa Focus Group. Saya rasa juga melibatkan Yang Berhormat-Yang Berhormat. Saya berharap kerjasama ini akan dapat diteruskan dan kita akan gabungkan semua isu-isu ini dan statistik yang kita diterima daripada setiap daerah untuk kita selaraskan dengan rancangan yang kita susun dalam PRE bagi menghadapi pandemik Covid ini.

Timbalan Yang di-Pertua

Soalan tambahan kedua. Silakan.

Encik Mohd Kamaruddin bin Abu BakarUMNO · BNKuala Sepetang

Cuma saya nak bertanya tentang peranan TEKUN dan Amanah Ikhtiar semasa pandemik covid pada ketika ini. Adakah TEKUN dengan Amanah Ikhtiar ini membantu para peniaga kecil yang berniaga?. Terima kasih.

Dato’ Zainol Fadzi bin PaharudinBERSATU · PNSungai Manik

Terima kasih kepada Yang Berhormat Kuala Sepetang. Selain daripada inisiatif yang diambil oleh Kerajaan Negeri, agensi-agensi Persekutuan seperti TEKUN dan Amanah Ikhtiar juga memainkan peranan dalam membantu usahawan dan juga penjaja. Sebagai contoh TEKUN Nasional telah menyalurkan pembiayaan kepada hampir 1,500 usahawan dengan bernilai RM 30 juta sepanjang Januari 2021 sehingga November 2021.

Untuk makluman, bermula Januari TEKUN akan menyediakan pinjaman tanpa faedah dengan jumlah RM 200 juta untuk satu Malaysia dan diperuntukkan sebanyak RM 13 juta untuk Negeri Perak. Pembiayaan ini melibatkan jumlah usahawan hampir 2,500 dan sudah tentu ini kesempatan yang baiklah kepada usahawan untuk mereka mengambil peluang. Yang kedua Amanah Ikhtiar juga semasa pandemik covid dan hari ini telah membantu usahawan di bawah mereka yang dikenali sebagai SAHABAT. Dengan memberikan moratorium daripada Jun hingga Ogos 2021 tetapi sekiranya terdapat di kalangan SAHABAT-SAHABAT ini yang terkesan dengan pandemik covid. Mereka boleh memohon tambahan selama 3 bulan hingga 6 bulan bergantung kepada urusan yang mereka lakukan. Penjadualan itu memberi manfaat yang baik dan banyak kepada usahawan yang terlibat. Di samping itu, Amahah Ikhtiar juga memberi pinjaman baru pagi SAHABAT-SAHABAT ini untuk meniaga semula sebagai modal tambahan. Jadi usaha-usaha yang dibuat oleh TEKUN dan Amanah Ikhtiar ini banyak membantu usahawan-usahawan Negeri Perak ini.

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat EXCO. Seterusnya dijemput Ahli Yang Berhormat dari kawasan Ayer Kuning untuk mengemukakan nombor soalan.

Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh. Ayer Kuning, soalan nombor tiga.

Tuan Haji Razman bin ZakariaPAS · PNGunong Semanggol

Bismillahirahmanirahim.Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat pagi. Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Yang DiPertua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, ketua-ketua jabatan Persekutuan dan Negeri dan seluruh yang mengikuti persidangan pada hari ini secara fizikal ataupun secara maya. Terima kasih kepada sahabat saya Ayer Kuning yang atas soalan yang dibangkitkan bagi mengetahui sejauh mana bekalan makanan yang dihasilkan mencukupi untuk rakyat Negeri Perak. Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, saya akan memberi fokus jawapan ini kepada tiga sektor iaitu sektor makanan yang berasaskan kepada pertanian, sumber hasil akuakultur dan juga sumber hasil perternakan. Negeri Perak merupakan negeri pengeluar hasil agromakanan utama negara.

Bagi memastikan bekalan makanan mencukupi, Kerajaan Negeri membuat pengezonan ataupun zoning kawasan-kawasan pertanian, akuakultur dan juga penternakan. Kawasan pertanian makanan telah dikekalkan melibatkan kawasan seluas 35 803.26 hektar. Selain daripada itu untuk mengekalkan sumber makanan utama rakyat iaitu beras. Beberapa daerah di luar jelapang Negeri Perak diusahakan untuk dijadikan dimasukkan sebagai kawasan di jelapang padi. Kerajaan Negeri telah mengekalkan pengezonan ataupun zoning seperti berikut. Pertama pengekalan zon-zon agromakanan iaitu zon ternakan makanan, zon tanaman makanan utama Jelapang Padi Kerian dan juga Seberang Perak seluas 35 112 hektar. Zon tanaman makanan sokongan kekal dengan enam lokasi seluas 691.26 hektar. Zon ternakan dan Padang Ragut di 96 lokasi, zon akuakultur Tasik Temenggor kluster akuakultur Sungai Perak, zon industri akuakultur yang sedia ada seluas 19 372 hektar. Pusat Agropolitan Selama, Pengkalan Hulu, Parit Buntar, Seberang Perai dan Manong akan dioptimumkan penggunaannya. Pengeluaran bagi buah-buahan komersial tanaman herba, penternakan difokuskan di daerah Perak Tengah, Larut Matang dan Selama, Batang Padang, Hilir Perak, Manjung , Kerian dan juga Hulu Perak.

Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat pada tahun 2020, kebanyakan sayur-sayuran dan buah-buahan utama bagi pengeluaran Negeri Perak telah mencapai sasaran sara diri atau self option rate dengan izin yang melebihi 100%. Ini bermakna pengeluaran bagi tanaman ini telah melebihi daripada keperluan domestik rakyat Negeri Perak. Manakala bagi sayur-sayuran dan juga buah-buahan seperti cili, tomato, kobis, rambutan, nenas, langsat, tembikai, durian, cempedak, nangka, mangga, halia, kadar penghasilan masih lagi kurang 100%. Sebagaimana yang sedia maklum, beras adalah merupakan makanan utama rakyat Malaysia. Kadar yang direkodkan pada tahun 2019 adalah 90% dan ini menunjukkan hanya kekurangan 10% bagi keperluan beras rakyat negeri Perak yang dihasilkan. Kekurangan ini insyaallah akan dapat ditampung dengan usaha giat yang sedang dibuat bagi meningkatkan hasil pengeluaran padi pada kadar lapan metrik tan per hektar. Yang Berhormat Timbalan Yang Dipertua, Negeri Perak adalah merupakan negeri utama di Malaysia dalam pendaratan ikan marin dan ikan air tawar bagi sektor perikanan. Punca utama bekalan makanan protein adalah melalui ikan tangkapan dan juga ikan ternakan. Pengeluaran bagi sektor perikanan melalui ternakan ikan akuakultur sehingga Oktober 2021 telah mencatatkan sebanyak 49,465 metrik tan ikan makan dengan nilai RM502.22 juta. Jumlah ini dijangka akan terus meningkat dengan sasaran pengeluaran pada tahun 2022 iaitu 71 ribu metrik tan. Yang Berhormat Timbalan Yang Dipertua, jumlah pendaratan ikan marin bagi sektor perikanan tangkapan sehingga September 2021 adalah sebanyak 265,771.81 metrik tan. Bagi memastikan sumber ikan tidak mengalami kepupusan, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM150 ribu di setiap tahun untuk melaksanakan program pelepasan benih ikan ke perairan umum dengan sasaran sebanyak 2 juta benih ikan dan udang akan dilepaskan di perairan umum pada tahun 2022. Antara spesies ikan yang dilepaskan adalah ikan lampam, terubuk, baung, temoleh, tongsan, jelawat, patin tengas, udang galah dan juga siakap. Program pelepasan ikan tersebut ini adalah tertumpu kepada spesis ikan asli, ikan asal yang berada di perairan yang berkaitan.

Yang Berhormat Timbalan Yang Dipertua, untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, bagi mengeluarkan dan pengeluaran sektor ternakan tahun 2020 pengeluaran ternakan adalah seperti berikut, daging lembu dan kerbau sebanyak 2708.72 metrik tan dengan kadar sara diri sebanyak 16.60% rendah berbanding dengan keperluan kita dan susu lembu segar sebanyak 3.9 juta liter dengan kadar sara diri sebanyak 74.02%. Daging ayam dan itik sebanyak 345,920.92 metrik tan dengan kadar sara diri sebanyak 271.95% lebih daripada keperluan 80%. Telur ayam dan itik sebanyak 126,566.7 metrik tan dengan kadar sara diri sebanyak 227.24. Daging kambing dan biri-biri sebanyak 89.66 metrik tan dengan kadar sara diri sebanyak 2.38% kurang daripada 3% pengeluaran atas keperluan rakyat negeri Perak. Daging khinzir sebanyak 55,666.50 metrik tan dengan kadar sara diri 288.16 mempunyai lebihan keluaran untuk kegunaan domestik hampir 200%. Dengan ini pengeluaran hasil ternakan negeri Perak mencukupi dan ada lebihan yang banyak untuk ternakan ayam, itik dan juga khinzir.

Untuk susu segar pengeluaran susu segar adalah sebanyak 74% daripada keperluan dalam negeri. Kekurangan ini insya Allah akan dapat ditampung melalui Projek Lembu Tenusu Negara di Daerah Larut Matang Selama yang dijangka boleh beroperasi pada tahun 2023 yang disasarkan pengeluarannya mencecah 13 juta liter. Sekian terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua

Soalan tambahan?

Terima kasih Timbalan Yang Dipertua dan juga terima kasih kepada kerajaan yang telah menjawab begitu panjang sekali. Soalan saya apa yang dijawab oleh kerajaan tadi menunjukkan bahawa bekalan makanan hingga hari ini mencukupi. Persoalan saya kenapa harga-harga barangan di pasaran begitu meningkat sehingga terbeban oleh rakyat terutama golongan b40 dan saya mencadangkan apakah strategi jangka panjang ataupun food bank bagi ayam, telur ayam, beras dan sayur-sayuran bagi negeri Perak. Saya nampak setakat ini daging ayam pun bernilai RM10 sekilo yang satu harga yang melebihi pada masa-masa lepas dan adakah Kerajaan Negeri Perak mempunyai kerangka strategi jangka panjang ini melibatkan GLC-GLC kerajaan yang berkaitan seperti SADC, PKNP, Yayasan dan sebagainya untuk menggembleng bersama untuk membekalkan makanan khususnya negeri Perak dan amnya bagi negara kita Malaysia ini. Sekian terima kasih.

Tuan Haji Razman bin ZakariaPAS · PNGunong Semanggol

Terima kasih atas soalan dan juga isu yang dibangkitkan memang semua kita mengetahui bahawa sekarang ni selepas daripada pandemik telah ada satu fenomena kenaikan harga barang. Bagaimana yang dikatakan bahawa barang-barang yang dihasilkan ataupun produk makanan yang dihasilkan itu mencukupi tetapi disebabkan oleh pandemik itu tadi jadi kos pengeluaran barang itu telah meningkat. Jadi apabila berlaku peningkatan dalam untuk mengeluarkan hasil makanan itu maka sudah pastilah harga tersebut akan meningkat. Sebagai contoh pengeluaran ayam, bagi ayam tetap tetapi bekalan makanan ayam itu telah meningkat 200% dan sebagainya itu yang menyebabkan harga-harga peningkatan barang ini meningkat. Jadi perkara ini kenaikan harga barang ini telahpun menjadi agenda nasional di peringkat pusat dan dalam perbincangan di Kementerian MAFI dan sebagainya. Bagi untuk kelestarian penglibatan agensi-agensi daripada kerajaan bagi memastikan bekalan makanan ini terus ditahap yang mencukupi memang ada penglibatan secara serius daripada agensi-agnsi kerajaan khususnya SADC dalam membangunkan tanah-tanah yang terbiar .Sekian.

Timbalan Yang di-Pertua

Ya, Simpang Pulai.

Encik Tan Kar HingPKR · PHSimpang Pulai

Terima kasih kepada Timbalan Yang Dipertua dan terima kasih kepada YB Exco kerana memberi peluang saya bertanyakan soalan tambahan. Soalan tambahan saya adalah berpandukan kepada jawapan Exco tadi, kerajaan sedia maklum tentang punca berlakunya kenaikan harga secara mendadak antara puncanya adalah sebab harga makanan ataupun dedak haiwan ternakan sangat tinggi. So, saya bertanya kepada pihak kerajaan apakah tindakan awal selepas kenal pastikan masalah ini. Adakah kerajaan telah memberikan subsidi kepada pengusaha-pengusaha kecil-kecilan seperti ayam dan sebagainya untuk mereka mengurangkan kos pengeluaran hasil ternakan tersebut. Itu yang pertama yang keduanya, adalah berkaitan dengan Exco menjawab pada awalnya dia sebutkan tentang keluasan tapak, pengeluaran dan sebagainya cuma saya kurang mendengar dari segi penggunaan teknologi dalam soal tanaman dan penternakan sebabnya kita boleh tingkatkan hasil. Bantuan kerajaan amat diperlukan dalam bab ini pertanian secara teknologi itu amat penting apakah langkah-langkah kerajaan dalam bab ini. Saya ingin bertanya pada Exco, terima kasih.

Tuan Haji Razman bin ZakariaPAS · PNGunong Semanggol

Terima kasih. Yang pertama mengenai dengan inisiatif yang diambilkan untuk mengurangkan kos selain daripada input kepada bahan makanan itu tenaga buruh juga disebabkan pada musim pandemik itu pekerja-pekerja pulang ke negara asal mereka jadikan kenaikan kos dan menyumbang kepada kenaikan harga. Jadi dalam ada dalam perbincangan difahamkan ada inisiatif yang akan dibagi untuk mungkin salah satu jangka pendek adalah memberi subsidi terhadap harga barang untuk mengurangkan menetapkan harga siling. Tapi ini tidak boleh dapat berterusan itu dalam peringkat perbincangan dan yang kedua Kerajaan Negeri Perak juga di bawah SADC sedang berbincang untuk terlibat dalam pengeluaran hasil ternakan dan sebagainya bagi mengawal harga. Itulah langkah-langkah awal yang…

Encik Tan Kar HingPKR · PHSimpang Pulai

Timbalan Yang Dipertua….

Dato’ Haji Aznel bin Haji IbrahimUMNO · BNPengkalan Hulu

Timbalan Yang Dipertua, minta satu soalan. Penting ni.

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih kerana kita kesuntukan masa. Simpang Pulai ada 2 soalan. Sekarang 3 soalan. Terima kasih kepada Exco yang menjawab.

Seterusnya dijemput Ahli Yang Berhormat dari kawasan Bercham untuk mengemukakan nombor soalan.

Encik Ong Boon PiowDAP · PHBercham

Selamat pagi, terima kasih. Nombor soalan Bercham adalah soalan nombor 4.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Selamat pagi dan salam sejahtera. Terima kasih kepada soalan daripada YB Bercham. Terima kasih kepada Yang Berhormat Timbalan Yang Dipertua, izinkan saya untuk menjawab soalan daripada YB Bercham dan YB Trong secara bersekali kerana kedua-dua soalan yang dibangkitkan adalah berkaitan isu yang sama iaitu berkaitan penyelenggaraan jalan persekutuan di Negei Perak.

Yang Berhormat Timbalan Yang Dipertua, YB Bercham telah membangkitkn isu berkenaan penyelenggaraan Jalan Tasek sehingga Jalan Kantan, FT239 dan FT240 dan semua susur keluar ke Bercham dari Lebuhraya Plus. Untuk makluman YB, kesemua jalan-jalan dimaksudkan merupakan jalan milik Persekutuan dan segala usaha penyelenggaraan termasuk penukaran lampu jenis LED akan dilaksanakan setelah peruntukan diterima daripada Kerajaan Persekutuan. Untuk makluman Ahli YB Bercham, pihak JKR Negeri Perak telah memohon peruntukan sejumlah RM 1.65 juta khas bagi program penyelenggaraan Jalan Tasek sehingga Jalan Kantan. Bagi program penyelenggaraan Jalan Tasek sehingga Jalan Kantan. Lebih dari itu, JKR negeri Perak juga telah memohon sebanyak RM500 ribu bagi senggaraan kesemua lampu-lampu jalan milik Persekutuan di seluruh Negeri Perak. Kesemua ini telah dimasukkan dalam perancangan RMK-12 dan pihak Kerajaan Negeri akan cuba sedaya upaya agar peruntukan ini dapat diberikan. Saya juga yakin dan percaya YB Bercham maklum bahawa di kawasan YB, pihak JKR negeri telah melakukan penyelenggaraan lampu jalan di sepanjang laluan Jalan Kuala Kangsar, bermula daripada Taman Lok Beng sehingga ke persimpangan Tasek. Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM2.83 juta bagi menyelenggara jalan-jalan milik negeri sendiri. Yang pertama Jalan Tuanku Abdul Rahman Jalan Kuala Kangsar, J014, yang kedua Persimpangan Lahat-Menglembu A002 dan yang ketiga Jalan Jelapang seksyen 4.3 sehingga seksyen 9, A001 dan yang keempat Jalan Bercham seksyen 0 sehingga seksyen 3.8 A183.

Bagi soalan YB Trong pula, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, jalan yang menghubungkan Changkat Jering dan Pekan Trong juga merupakan Jalan Persekutuan iaitu FT60. Sepertimana YB sedia maklum, pembaikan jalan tersebut telah dilaksanakan mengikut keutamaan. Berdasarkan peruntukan yang telah diluluskan, pada tahun 2020 sebanyak dua lokasi telah diselenggara itu di Seksyen 54.00 sehingga Seksyen 54.500 dan Seksyen 72.000 hingga Seksyen 73.000 dengan kos pembaikan sebanyak RM1.4 juta. Bagi tahun 2021 pula, hanya satu lokasi telah diselenggara itu dari Seksyen 65.000 sehingga Seksyen 65.500 dengan kos sebanyak RM800,000.

Pihak JKR sentiasa berusaha memastikan penyelenggaraan dilakukan secara berkala dan mengikut keutamaan di mana sebanyak 16 cadangan lokasi pembaikan telah disenaraikan mengikut keutamaan untuk pembaikan pada tahun 2022 dengan anggaran kos sebanyak RM11.8 juta. Bagi persoalan berkenaan aktiviti korek dan tampal di jalan berkenaan, pihak JKR melakukan kerja pembaikan menggunakan kaedah tampalan pothole, dengan izin yang dijalankan di bawah skop penyelenggaraan rutin bagi memastikan jalan berada dalam keadaan selamat kepada pengguna. Kaedah ini digunakan kepada lubang di permukaan jalan berukuran tidak kurang 200mm dari pusat, lebih kurang dalam 1 inci tetapi tidak melebihi 1000mm, lebih kurang 1m dan tidak kurang 25mm akan ditampal 20mm dalam akan ditampal menggunakan premix jenis hot mix ataupun mix, dengan izin. Kaedah pemakaian ini membolehkan jalan dibuka serta-merta kepada pengguna. Pembaikan kaedah turapan kekal akan dijalankan sebaik sahaja peruntukan diluluskan.

Yang Berhormat Timbalan Yang Dipertua dan Ahli-Ahli YB, timbul juga persoalan berkenaan mengapa Kerajaan Negeri tidak menggunakan peruntukan MARRIS bagi menyelenggara jalan persekutuan. Bagi makluman, izinkan saya untuk menegaskan bahawa peruntukan MARRIS hanya boleh digunakan di bawah jalan yang telah didaftarkan di bawah Pendaftaran MARRIS Online mengikut garis panduan tatacara pengurusan pemberian penyenggaraan jalan negeri yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri seperti yang termaktub di Perkara 109(1) Perlembagaan Persekutuan Jadual ke-10. Mengikut Jadual ke-10 itu berkenaan pemberian dan sumber hasil yang diserah hakkan kepada negeri pada bahagan 2 iaitu pemberian jalan negeri di Perkara ke-5 tertulis jalan negeri ertinya mana-mana jalan awam selain Jalan Persekutuan dan di mana jalan-jalan lain selain jalan persekutuan yang boleh dilalui oleh orang ramai. Maka jelas sekali peruntukan MARRIS bagi JKR hanya boleh digunakan jalan negeri sahaja.

Yang Berhormat Timbalan Yang Dipertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, pihak Kerajaan Negeri mengambil maklum dengan segala rintihan berkenaan keadaan jalan-jalan milik persekutuan. Untuk makluman sidang yang dimuliakan, saya sendiri telah mengadakan beberapa pertemuan bersama YB Menteri Kanan Kerja Raya dan pengurusan tertinggi Kementerian Kerja Raya untuk menzahirkan pendirian Kerajaan Negeri berkenaan isu jalan persekutuan khususnya berkenaan kerja-kerja yang menjadi keutamaan mendesak dan amat diperlukan oleh Kerajaan Negeri. Dalam pertemuan empat mata pada Oktober yang lalu, saya telah mengangkat permohonan peruntukan khas kepada KKR iaitu melibatkan RM54 juta bagi kerja-kerja selenggara banjir dan RM43 juta lagi bagi penyelenggaraan jalan-jalan persekutuan. Saya yakin hubungan yang telah dibina melalui kepimpinan YAB Dato’ Seri Menteri Besar, perkara-perkara yang dibangkitkan berkenaan penyelenggaraan jalan persekutuan akan diatasi dengan baik. Sekian, terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua

Soalan Tambahan.

Encik Ong Boon PiowDAP · PHBercham

Terima kasih ulasan yang dibuat oleh pihak kerajaan. Soalan tambahan saya ada dua bahagian bahagian pertama adalah dari kawasan atas flyover, dengan izin, Plus Highway dekat Bercham dulu kita gelar sebagai XOX punya kini. Jadi bahagian sana ada satu simpang 3 masuk ke Jalan Bercham. Lampu isyarat dan lampu jalan tu diselenggara oleh pihak JKR. Jadi sekian lama atas sebab satu salah satu lampu isyarat telah dilanggar semasa kemalangan jalan raya, tetapi tidak diganti semula. Saya rasa sudah dekat 2 tahun ia tidak diganti semula, tapi ia ada 3-unit masih kekal 2, tetapi kalau boleh kita harap pihak JKR boleh kembalikan semula lampu isyarat tersebut sebab keadaan lampu isyarat tersebut cuma ada 3-unit sebelah lain untuk masuk ke Bercham ada 3-unit cuma tinggal 1-unit saja yang berfungsi.

Kalau unit itu rosak, jadi ada akan menyebabkan gangguan kelancaran lalu lintas di jalan tersebut dan juga termasuk juga dengan lampu-lampu jalan juga diselenggara oleh yang jenis bergalvani, tiang bergalvani ia pun diselenggara oleh pihak JKR tidakpun diselenggara sekian lama sehingga bahagian lampu isyarat sampai masuk ke susur jalan untuk masuk ke PLUS Highway dekat MH Hotel sana. Kalau boleh saya boleh sebab saya tak ada contact YB. Kalau boleh saya boleh whatsApp bahagian mana yang rosak tersebut. Kalau boleh nak mintalah dekat bahagian tersebut diselenggara. Sudah sebaris banyak lebih daripada 20-unit lampu tidak berfungsi langsung sebab keadaan masa sekarang musim hujan akan mengganggu penglihatan pemandu. Bahagian ke-2 pula adalah bahagian jalan jalan Kledang Utara di mana dekat Aeon Midtown Falim sana di mana garisan jalan tersebut sudah agar pudar kalau boleh minta JKR untuk cat semula garisan jalan. Semasa saya pandu kereta masuk waktu hujan memang tak nampak. Kita tidak dapat beza mana lane mana lane. Itu sahaja soalan tambahan saya, terima kasih.

Terima kasih daripada Yang Berhormat Becham. Inshaallah pihak Kerajaan Negeri dan juga JKR akan memberi perhatian di atas apa yang dibangkitkan oleh YB Bercham di atas keperihatinan perkara-perkara yang berkaitan dengan yang disebutkan tadi. Inshaallah Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan yang sewajarnya dan segera apa yang telah dibangkitkan tadi.

Timbalan Yang di-Pertua

Trong.

Puan Wong May IngDAP · PHPantai Remis

Soalan tambahan.

Terima kasih. Soalan saya soalan tambahan berkenaan dengan isu FE60 juga, adakah Kerajaan Negeri mengambil serius isu kemalangan jalan raya yang melibatkan selekoh tajam di FE60 yang sebenarnya memang gelap dan memandangkan penetapan lampu-lampu jalan ini dimaklumkan kepada saya ialah hanya berfokus kepada kawasan-kawasan yang mempunyai perumahan. Malangnya di FE60 ini kebanyakannya ialah kawasan ladang sawit dan dipenuhi oleh pengembala-pengembala lembu yang tidak mempunyai padang ragut. Jadi apabila setiap malam kerbau-kerbau yang memang bersaiz sangat besar duduk di atas jalan yang menyebabkan masalah kepada pemandu terutamanya di selekoh tajam yang tidak mempunyai lampu. Saya telah pun berbincang dengan

JKR apakah jalan penyelesaian dimaklumkan kepada saya bahawasanya ada teknik untuk meningkatkan pencahayaan di kawasan-kawasan selekoh ini tapi masih belum mendapat tindakan selanjutnya daripada pihak JKR di mana mereka mengatakan bahawasanya boleh dicat yang menggunakan cat pantulan ataupun menggunakan bluelight dan sebagainya tetapi masih belum berlaku sebarang tindakan di atas laluan FE60 ini. Saya memohon jasa baik Exco untuk melihat kembali keperluan dan risiko kepada pemandu-pemandu jalan raya di kawasan FE60 ini disebabkan gelap, selekoh tajam dan juga binatang ternakan yang sentiasa berpuluh-puluh ekor di waktu malam yang bersantai di tepi dan di tengah jalan di dalam kawasan FE60. Sekian, terima kasih.

Encik Ong Boon PiowDAP · PHBercham

Timbalan Speaker

Puan Wong May IngDAP · PHPantai Remis

Tuan, boleh tambah soalan tak?

Timbalan Yang di-Pertua

Nanti Exco jawab dulu.

Encik Ong Boon PiowDAP · PHBercham

Boleh tokok tambah sikit-sikit. Nanti saya terlepas sikit, boleh. Sikit saja sikit saja. Maaf ye sebab orang ramai ini memang mereka tidak dapat membezakan mana di mana lampu jalan ini diselenggara oleh PBT ke ataupun JKR ke ataupun agensi-agensi lain. Jadi kalau boleh minta JKR ataupun PBT lain ikut labelkan lampu isyarat ataupun lampu jalan tersebut agar orang awam menyenangkan orang awam untuk mengenal pasti sama ada lampu jalan tu milik JKR ke PBT. Jadi mereka boleh buat aduan terus agar kerja selenggara boleh dijalankan lebih efisen. Itu sahaja cadangan.

Terima kasih kepada YB Trong dan Bercham. Bagi soalan tambahan YB Trong. Yang pertamanya mengenai ukuran bagi satu-satu jalan mengikut arahan teknik jalan JKR, persamaan bagi sesuatu jalan adalah roadline ataupun garis jalan yang dicat thermoplastik lut sinar. Yang kedua ukuran kedua adalah papan tanda untuk AWAS papan tanda bertulis. Yang ketiga ukuran ketiga baru ketiga lampu jalan yang hampir di kediaman. Ini yang jadi satu arahan teknik Jalan JKR bagi apa yang dibangkitkan oleh Trong tadi untuk mengelakkan kemalangan dan sebagainya dan bagi saya amat bersetuju dengan yang dibangkitkan oleh YB Bercham penanda kepada lampu-lampu samada jalan persekutuan, lampu persekutuan, lampu kerajaan negeri ataupun lampu PBT ataupun bandaraya. Ini satu pandangan yang baik saya ucapkan terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat Exco.

Puan Wong May IngDAP · PHPantai Remis

Tuan Speaker boleh tambah satu lagi sangat penting tentang JKR.

Timbalan Yang di-Pertua

Minta maaf. boleh terus nanti dengan Exco.

Puan Wong May IngDAP · PHPantai Remis

Ya, Exco boleh bantu untuk...

Timbalan Yang di-Pertua

Dijemput Ahli Yang Berhormat daripada kawasan Manong untuk mengemukakan nombor soalan.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Timbalan Yang Dipertua. Soalan saya nombor lima.

Bismillahirrahmanirrahim. Terima kasih Timbalan Yang Dipertua. Jawapan saya untuk nombor 5. Bagi tujuan membantu generasi muda memiliki rumah di kawasan luar bandar, Kerajaan Negeri pada dasarnya boleh membuka kawasan penempatan atau rancangan perumahan mampu milik di kawasan tanah terbiar di Dun Manong sekiranya tanah tersebut masih berstatus tanah kerajaan. Manakala bagi tujuan pembangunan tanah rizab yang ingin dimajukan, kelulusan Pihak Berkuasa Negeri untuk tujuan pembatalan rizab tersebut perlu diperolehi terlebih dahulu sebelum ianya boleh dimajukan. Bagi tujuan pembangunan di kawasan DUN Manong khususnya, terdapat beberapa Rancangan Perkampungan Tersusun yang telah diluluskan dan memerlukan peruntukan pembangunan untuk kerja tanah dan penyediaan infra asas untuk membolehkan ianya dilaksanakan. Antaranya adalah RPT Ulu Kenas berkeluasan 7.84 ekar, RPT Guar keluasan 32.009 ekar dan RPT Lempor keluasan lebih kurang 5.46 hektar ataupun 13.5 ekar. Untuk makluman Yang Berhormat Lembaga Perumahan Hartanah Perak tidak mempunyai tanah yang cukup luas untuk dibangunkan perumahan di Dun Manong di mana hanya terdapat 0.4 ekar di RPA Lima Sayong dan seluas 0.2 ekar di RPA Satu Sayong. Wwalaubagaimanapun Kerajaan Negeri melalui LPHP memohonlah cadangan-cadangan tanah yang boleh kita bangunkan daripada Yang Berhormat ADUN Manong untuk diangkat kepada pejabat daerah dan tanah untuk projek rumah mampu milik ataupun penempatan baru, sekian.

Timbalan Yang di-Pertua

Soalan Tambahan.

Terima kasih kepada Timbalan Yang Dipertua. Terima kasih juga di atas jawapan yang diberikan oleh Yang Berhormat Exco. Cuma saya mohonlah kepastian adakah rpt-rpt yang dinyatakan itu RPT Manong, RTP Ulu Kenas dan juga Guar ini boleh dibangunkan khusus untuk generasi muda di bawah Kerajaan Negeri dengan bantuan Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak.

Terima kasih di atas soalan tambahan daripada Yang Berhormat Manong. Sebenarnya kita perlu kepastian terlebih dahululah sama ada rpt-rpt ini telah mempunyai peserta-peserta yang telah diangkat untuk kelulusan. Tapi sekiranya tidak, Kerajaan Negeri memang tiada halanganlah untuk sebarang projek perumahan ataupun penempatan baru seperti rpt yang boleh dibuka khusus untuk generasi muda dibawah LPHP pun kita ada satu projek belia di Tanjung Tualang di mana ianya dikhususkan rumah Perakku untuk diutamakan bagi golongan belia setempat. Jadi sebagai tambahan, kita juga dibawah LPHP mempunyai peruntukan untuk membangunkan rpt tetapi kos-kos pembangunan ini akan dibiayai oleh pembeli-pembeli ya dan projek-projek ini akan dinilai mengikut keutamaan dan juga kemampuan kewangan LPHP. Terima kasih.

TIMBALAN SPEAKER. Soalan tambahan. Sekejap Manong. Slim. Saya utamakan sebelah sini, Pasir Panjang. Silakan.

YB ENCIK YAHAYA BIN MAT NOR. Terima kasih Timbalan Yang Dipertua. Soalannya berkaitan dengan projek perumahan di Batu 10 Lekir yang dihentikan. Setakat ini, sepatutnya projek ini telah pun berjalan tetapi memandangkan apakah faktor yang menyebabkan projek Perak Rumahku di Batu 10 Lekir itu dihentikan. Yang kedua ialah berkaitan dengan perumahan kedua FELCRA yang mana projek ataupun kelulusan untuk membina projek perumahan kedua generasi kedua diluluskan kepada 2011 dan semakan yang terakhir ialah PTG telah pun meluluskan tanah yang dipohon oleh FELCRA tetapi sampai kini masih belum dibangunkan. Itu saja dua soalan.

YB DATO’ NOLEE ASHILIN BT MOHAMMED RADZI. Terima kasih Tuan Yang Dipertua. Memandangkan soalan tersebut memerlukan jawapan yang spesifik saya minta bagi notis dan saya akan berikan secara bertulis kepada Yang Berhormat. Terima kasih.

TIMBALAN SPEAKER. Terima kasih Yang Berhormat EXCO. Seterusnya dijemput Ahli Yang Berhormat daripada kawasan Jelapang untuk mengemukakan nombor soalan

YB ENCIK CHEAH POU HIAN. Selamat pagi Timbalan Yang Dipertua. Soalan saya adalah nombor 6.

YB ENCIK MOHD AKMAL BIN KAMARUDIN. Bismillahirrahmnanirahim. Terima kasih kepada Yang Berhormat Jelapang. Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Yang Dipertua. Saya rasa sungai yang dimaksudkan adalah Sungai Tapah. Disebabkan soalan yang ditanya iaitu Sungai Jalan Silibin 1 dan juga Jalan Kilang 3 Felda Sungai Tapah. Sungai yang melalui kawasan Perindustrian Silibin tersebut adalah Sungai Tapah. Terdapat beberapa aduan diterima sebelum ini yang berdekatan Kawasan Perindustrian Silibin dan juga Jalan Kilang 3. Siasatan di kawasan-kawasan diadukan telah dijalankan dan tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 telah pun diambil. Iaitu pemantauan yang berterusan masih dijalankan untuk memastikan tiada kejadian yang sama berulang. Penguatkuasaan keseluruhan dalam premis-premis yang berkaitan di kawasan perindustrian Silibin juga dijalankan berdasarkan pemantauan, berdasarkan kepada pematuhan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Premis yang didapati tidak patuh beberapa peraturan di bawah AKAS 1974 telahpun dikenakan tindakan kompaun dan juga notis. Pihak Jabatan Alam Sekitar akan terus melakukan penguatkuasaan mengikut program dan siasatan segera sekiranya terdapat aduan yang diterima sama ada berkaitan udara, air, pembuangan berjadual. Pemantauan daratan termasuk pada hari cuti melalui rondaan mencegah pencemaran turut dijalankan secara bergiliran. Tindakan yang sewajarnya akan diambil berdasarkan peruntukan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi setiap kesalahan yang ditemui dan kilang yang dimaksudkan itu telahpun disita dan kompaun yang telah dikeluarkan lebih kurang 290 kompaun yang bernilai setiap satu RM2,000.00 yang mana kes kilang ini juga pernah satu masa dahulu dibawa ke mahkamah. Terima kasih Yang Behormat.

TIMBALAN SPEAKER. Tambahan, soalan tambahan.

YB ENCIK CHEAH POU HIAN. Tak ada.

TIMBALAN SPEAKER. Slim.

YB MOHD ZAIDI BIN AZIZ. Terima kasih Timbalan Yang Dipertua. Saya ingin bertanyakan dengan pendidikan jangka panjang untuk penjagaan alam sekitar ini terutamanya yang melibatkan dengan SDG. Adakah perancangan di peringkat Kerajaan Negeri untuk melihat keadaan ini dan pelestarian alam dan juga bagaimana selain daripada penguatkuasaan yang dinyatakan oleh Yang Berhormat EXCO tadi, yang paling penting adalah soal kesedaran dan juga pendidikan yang diberikan kepada anak-anak. Mungkin boleh saya cadangkan kita buat macam sekolah SDG kepada anak-anak kita di peringkat sekolah menengah, mungkin fokus boleh kepada anak-anak SPM contohnya. Daripada sekolah SDG tu kita boleh sediakan modul-modul tertentu kepada mereka supaya akhirnya apabila mereka berada dalam alam universiti ataupun berada dalam lapangan kerja mereka akan tahu perkara boleh dan tak boleh berkenaan dengan menjaga alam sekitar ini dan juga industri-industri yang terlibat dan bagaimana masing-masing punya kesedaran dari segi itu. Sebab tu saya pentingkan perkara ini dan minta kepada YB EXCO untuk melihat dan tentang pembinaan kepada lebih kepada kesedaran dan pendidikan. Ya bagus tentang penguatkuasaan tapi itu dijalankan serta merta dan disebabkan kerana aduan dan sebagainya tetapi untuk jangka panjang pendidikan itu adalah lebih bermakna. Terima kasih.

YB ENCIK MOHD AKMAL BIN KAMARUDIN. Terima kasih kepada Yang Berhormat Slim. Cadangan itu insyaallah kita akan masukkan tapi sekarang kita sedang bangunkan Perak Sustainable Greenprint 2030 dan insyaallah akan finalkan dalam MMK dalam bulan satu insyaallah dan kita akan halusilah cadangan daripada Yang Berhomat Slim dan juga dalam masa yang sama kita sedang membangunkan satu pelan iaitu saya sedang bangunkan modul pengurusan sungai, modul khas untuk komuniti dalam pengurusan sungai, konsep kualiti kesihatan ataupun konsep kualiti sungai di seluruh sungai di negeri Perak dan insyaaallah cadangan daripada Slim itu kita ambil perhatian dan juga saya nak ucap terima kasih juga kepada YB Jelapang tadi yang prihatin terhadap sungai juga yang turun bersama-sama dengan saya satu dalam dua tiga bulan lepas untuk sama-sama memantau kualiti sungai pada masa itu. Terima kasih.

YB ENCIK HASNUL ZULKARNAIN BIN ABD MUNAIM. Satu lagi soalan tambahan. Yang Berhormat EXCO, di tempat saya Titi Serong, berkenaan agrikultur, ternakan udang dan ikan. Apa yang berlaku di sana pembuangan sisa daripada kolam udang tidak terkawal, tidak terkawal dan pada bulan sebelum PKP saya bersama dengan Jabatan Alam Sekitar telah membuat satu tinjauan dan telah masuk satu kolam udang di sana dan pada ketika itu mereka telah sedang membuang sisa buangan udang kolam udang bila kita tanya dia, dia kata memang itu adalah kebiasaan itu memang biasa setiap kali nak keluarkan udang nak cuci kolam dan buang terus ke laut. Apa yang berlaku mendapan yang sangat kritikal di kawasan muara sungai menyebabkan bot-bot sampan nelayan ni sukar untuk keluar ke laut kerana berlakunya mendapan daripada sisa buangan kolam udang dan saya mengharapkan ada satu SOP yang sangat jelas daripada Jabatan Alam Sekitar supaya memantau kolam-kolam udang yang berada di sekitar perairan di Kerian itu tersendiri.

YB ENCIK MOHD AKMAL BIN KAMARUDIN. Terima kasih Yang Berhormat sahabat saya Titi Serong. Di daerah ini ada lapan lembangan sungai, Sungai Perak, Sungai Beruas, Lembangan Sungai Sepetang, Sungai Kurau, Sungai Wangi, Lembangan Sungai Raja Hitam, Lembangan Sungai Bertam, Lembangan Sungai Kerian dan yang mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap pencemaran sungai ini sebenarnya bukan sahaja Jabatan Alam Sekitar iaitu ada daripada Jawatankuasa PBT, ada SPAN dan juga ada daripada Jabatan Veterinar dan juga ada daripada Jabatan Mineral dan Geosains dan juga ada daripada Jabatan Alam Sekitar. Buat masa ini yang ada dalam Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 iaitu berkaitan dengan difflluent kilang yang mana semua sungai-sungai yang dalam 424 itu ada mempunyai loji sebelum mereka lepaskan loji rawatan sebelum difflluent itu dilepaskan ke sungai. Begitu juga pemantauan daripada JAS iaitu kilang pembuangan dari kilang kelapa sawit dan juga daripada kilang getah. Ada pun berkaitan dengan sisa udang tadi tu, insyaallah kita akan lihatlah punca kuasa daripada sama ada saya rasa daripada veterinar ataupun daripada PBT lah. InsyaaAllah. Terima kasih. Titi Serong Insyaallah mungkin ada masa kita boleh bersama.

Soalan tambahan. Soalan tambahan.

Yang di-Pertua

Daripada Trong, soalan tambahan yang terakhir.

Terima kasih YB Speaker. Berkenaan dengan perkara yang sama yang dibangkitkan oleh YB Kuala Kurau. Minta maaf. Titi Serong. Isu yang berlaku juga di kawasan Trong di mana apabila kita berhubung dengan JAS, Veterinar dan PBT, di sini ada beberapa akta yang saya nampak boleh digunapakai tetapi akta-akta ini saya anggapkan ianya sebagai akta yang terlalu lapuk dan perlu penambahbaikan. Jadi bilakah penambahbaikan enakmen-enakmen ini akan dilaksanakan khusus Jabatan Veterinar, JAS. Kata nak denda lebih dah tapi apabila kita tengok kalau takat kacau ganggu, PBT hanya boleh caj dalam RM1000. Semua syarikat besar-besar ni boleh bayar. Jadi mengapa kita tidak melihat kembali dasar dan peruntukan enakmen-enakmen ini yang membolehkan tindakan secara orang kata lebih keras dilakukan kepada pengusaha-pengusaha ini yang sewenang-wenang melepaskan mendapan-mendapan yang sangat kotor yang menyebabkan hasil laut terganggu dan sebagainya. Jadi saya nampak dah berapa kali kita bawa isu ini tetapi masih belum selesai. Kenapa Jabatan Veterinar, JAS tidak bersama? Walaupun kita ada penggerak komuniti tapi apakah tindakan penggerak komuniti ini sekiranya masih tidak ada jalan penyelesaian. Jadi saya mohon jasa baik untuk kita lihat balik akta, enakmen, dasar-dasar yang mana boleh digunapakai tetapi perlu ditambah baik. Sekian, terima kasih.

Terima kasih kepada YB Trong. Kita ambil perhatianlah. Untuk makluman, sekadar makluman YB Dato’ Yang Dipertua, sebenarnya punca kuasa ini kalau nak perlu kepada pindaan sebab dia ada Perlembagaan 1957, Akta Tugas-Tugas Menteri 1969, Kanun Tanah Negara 1965, Akta Air 1920, Akta Kawasan Pengairan 1953, Akta Kawasan Saliran 1954, Akta Pemeliharaan Tanah, Akta Pengambilan Tanah, Akta Perhutanan Negara, Akta Kerajaan Tempatan, Akta Perancang Bandar dan Desa, Akta Jalan, Parit dan Bangunan, Akta Perikanan, Enakmen Air, Enakmen Mineral Negeri Perak, Enakmen Kawalan Ternakan Babi Negeri Perak, Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara. Jadi mungkin semua ini perlu duduk sekali untuk semua agensi terlibat perlu duduk sekali untuk ke arah pindaan jika dipersetujui oleh pihak Persekutuan itu sendiri. Terima kasih atas cadangan YB Trong.

Yang di-Pertua

Terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat. Dengan ini maka tamatlah sesi soalan lisan pada hari ini. Seterusnya saya menjemput Setiausaha Dewan bagi membaca aturan urusan mesyuarat yang berikutnya.

Membawa Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2022Bill

Setiausaha

Perkara Yang Kelima, Membawa Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2022.

Dato’ Seri Saarani bin MohamadUMNO · BNMenteri Besar · Kota Tampan

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, saya mohon izin mengemukakan Enakman Perbekalan 2022 dibaca bagi kali yang pertama.

Yang di-Pertua

Silakan Yang Amat Berhormat.

Dato’ Seri Saarani bin MohamadUMNO · BNMenteri Besar · Kota Tampan

Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua. Saya mohon mencadangkan Rang Undang-Undang yang bernama “Suatu Enakmen Bagi Menggunakan Sejumlah Wang Daripada Kumpulan Wang Disatukan Untuk Perkhidmatan Bagi Tahun 2022 dan Bagi Memperuntukkan Jumlah Wang Itu Untuk Perkhidmatan Bagi Tahun Itu”.

Yang di-Pertua

Bila bacaan kali kedua?

Dato’ Seri Saarani bin MohamadUMNO · BNMenteri Besar · Kota Tampan

Dalam mesyuarat ini juga.

Yang di-Pertua

Sekarang saya menjemput Setiausaha Dewan untuk mengedarkan notis bacaan kali yang kedua sebagaimana dinyatakan di dalam Perintah Tetap 53(1).

[NOTIS BACAAN KALI KEDUA DIBUAT EDARAN KEPADA AHLI-AHLI YANG BERHORMAT]

Yang di-Pertua

Seterusnya dipersilakan Yang Amat Berhormat Menteri Besar.

Dato’ Seri Saarani bin MohamadUMNO · BNMenteri Besar · Kota Tampan

Memandangkan bahawa Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2022 yang dibentangkan sebagai Kertas Dewan Bilangan 29/2021 adalah berkaitan. Saya mohon izin mengusulkan bahawa Dewan ini mengambil ketetapan bacaan kali yang kedua Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan Negeri 2022 hendaklah dibahas dengan sekaligus. Bahawa perbelanjaan sejumlah wang sebanyak RM300 juta yang ditunjukkan dalam penyata tersebut adalah dengan ini diluluskan bagi tahun 2022. Seterusnya jumlah wang yang ditunjukkan berhadapan dengan tiap-tiap butir dalam penyata itu adalah dengan ini diperuntukkan bagi maksud-maksud yang ditetapkan. Dato’ Yang Dipertua, saya mohon mencadangkan.

Yang di-Pertua

Ada sokongan?

Yang Dipertua, Batu Kurau menyokong.

Yang di-Pertua

Sekarang saya mempersilakannya Yang Amat Berhormat Menteri Besar bagi membentangkan Belanjawan Negeri Perak Darul Ridzuan untuk tahun 2022.

Dato’ Seri Saarani bin MohamadUMNO · BNMenteri Besar · Kota Tampan

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, oleh kerana ucapan ini agak panjang, saya perlukan oksigen yang mencukupi. Jadi saya mohon kebenaran untuk membuka mask. Terima kasih Dato’ Yang Dipertua.

Assalamualaikum wbt. dan salam sejahtera. (AYAT AL-QURAN). Yang Berhormat Dato' Yang Dipertua, Ahli-Ahli Yang Berhormat, anggota-anggota pentadbiran Kerajaan Negeri, tuan-tuan, puan-puan, saudara-saudari yang dihormati sekalian.

Dengan lafaz Bismillah pembuka bicara, puji dan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala atas limpah kurnia dan perkenan-Nya jua rakyat dan Negeri Perak Darul Ridzuan yang tercinta ini telah mendapat rahmat dan kesejahteraan.

Pada kesempatan ini, saya dengan penuh hormat dan takzim merafakkan sembah dan setinggi-tinggi ucapan tahniah, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, sempena sambutan ulang tahun keputeraan Baginda tahun 2021. Dirgahayu Tuanku.

Didoakan semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku sentiasa beroleh keafiatan, dilimpahi hidayah serta inayah dan dikurniakan segala kebaikan dan kesejahteraan dalam menakhoda takhta pemerintahan.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,

Saya mohon izin untuk membawa usul seperti berikut:

‘Mengusulkan bahawa Rang Undang-Undang yang dinamakan “Suatu Enakmen Bagi Menggunakan Sejumlah Wang Daripada Kumpulan Wang Disatukan Untuk Perkhidmatan Bagi Tahun 2022 dan Bagi Memperuntukkan Wang Itu Untuk Perkhidmatan Bagi Tahun Itu” dibacakan bagi kali kedua’.

Kedua:

Mengusulkan butir-butir dalam penyata yang dibentangkan sebagai Kertas Dewan Bilangan 29/2021, adalah dengan ini diumumkan menjadi tujuan yang mana Akta

Kumpulan Wang Pembangunan 1966 itu boleh digunakan. Bahawa perbelanjaan sejumlah wang sebanyak RM302.0 juta yang ditunjukkan dalam penyata tersebut adalah dengan ini diluluskan bagi tahun 2022. Seterusnya jumlah wang yang ditunjukkan berhadapan dengan tiap-tiap butir dalam penyata itu, adalah dengan ini diperuntukkan bagi maksud-maksud yang ditetapkan.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,

SENARIO EKONOMI NEGERI

Pada penghujung tahun 2019, dunia telah dikejutkan dengan fenomena penularan pandemik COVID-19. Kemunculan pandemik ini menyebabkan seluruh masyarakat dunia menjadi panik kerana ia bukan sahaja mengancam nyawa tetapi telah mengubah gaya hidup manusia bagi menyesuaikan diri dengan norma baharu. Pandemik COVID-19 juga ternyata telah memberi impak luar jangka di mana dunia menghadapi krisis ekonomi terburuk sejak Kemelesetan Besar atau Great Depression pada tahun 1929.

Negara kita juga tidak terlepas daripada menerima kesannya ke atas ekonomi yang mana menyaksikan penyusutan KDNK tahun 2020 pada kadar 5.6 peratus. Walau bagaimanapun, prestasi KDNK Negeri Perak yang direkodkan pada tahun yang sama adalah lebih baik berbanding di peringkat nasional, iaitu penyusutan 2.3 peratus. Negeri Perak juga menduduki tangga kelima dalam senarai negeri yang mencapai prestasi KDNK yang lebih baik berbanding nasional.

Dua sektor ekonomi yang mencatatkan pertumbuhan positif, iaitu sektor pembuatan dan pertanian dengan masing-masing meningkat 3.5 peratus dan 1.4 peratus telah dapat mengimbangi penyusutan keseluruhan KDNK Negeri Perak. Manakala, tiga lagi sektor mencatatkan penyusutan, iaitu pada kadar 17.4 peratus bagi pembinaan, 9.3 peratus bagi perlombongan dan pengkuarian serta 4.0 peratus bagi perkhidmatan.

Dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun 2021, KDNK Nasional mencatatkan peningkatan 3.0 peratus berbanding penguncupan 6.4 peratus dalam tempoh yang sama tahun 2020. Menjelang suku keempat tahun 2021 juga memperlihatkan momentum pemulihan lebih kukuh susulan peningkatan kadar vaksinasi yang membolehkan lebih banyak negeri memasuki fasa pemulihan keempat seterusnya menyokong pembukaan semula ekonomi. Insya-Allah, seiring dengan peningkatan ekonomi di peringkat nasional, kita akan dapat melihat pertumbuhan positif kepada KDNK Negeri Perak menjelang hujung tahun 2021 berikutan peralihan Negeri Perak ke fasa keempat Pelan Pemulihan Negara pada 8 November 2021 serta langkah-langkah pemulihan yang telah diambil.

Pertumbuhan yang semakin baik ini tentunya turut didukung oleh keupayaan kita mengekang penularan COVID-19 serta kejayaan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. Semua ini tidak akan mampu dilakukan tanpa kerja keras dan pengorbanan petugas barisan hadapan yang sentiasa meletakkan kepentingan rakyat dan negara di atas segala-galanya.

Saya mengambil kesempatan ini untuk menyatakan setinggi-tinggi penghargaan Kerajaan Negeri atas segala jerih perih, pengorbanan dan jasa bakti yang dicurahkan oleh seluruh petugas barisan hadapan dalam perang melawan COVID-19. Semoga Allah Subhanahu Wataala mengurniakan ganjaran yang berpanjangan.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,

PRESTASI BELANJAWAN NEGERI 2021

Pandemik COVID-19 benar-benar meletakkan kita dalam suasana di luar kebiasaan. Kita bukan sahaja berdepan pandemik yang mengancam nyawa, malah nadi ekonomi kita hampir terhenti susulan penutupan pintu sempadan dan pelaksanaan siri Perintah Kawalan Pergerakan.

Penguncupan ekonomi bukan sahaja meningkatkan angka pengangguran dan menjadikan kuasa beli rakyat menurun ekoran penutupan aktiviti perniagaan, malah kutipan hasil Negeri merosot dengan begitu ketara.

Data kutipan hasil Kerajaan Negeri sudah cukup menceritakan keperitan ini. Sehingga 30 November 2021, kutipan hasil Kerajaan Negeri adalah sebanyak RM797.5 juta, jauh lebih rendah berbanding unjuran RM1.03 bilion (RM1,032,684,963.00) ketika Kerajaan Negeri membentangkan Belanjawan 2021.

Menyedari kadar kutipan hasil menyusut dengan begitu ketara pada awal enam bulan pertama tahun ini, Kerajaan Negeri telah melakukan tindakan segera dengan menyemak dan menyusun semula perbelanjaan mengikut keutamaan. Tindakan pelaksanaan ini adalah selaras dengan Seksyen 13 (b), Akta Tatacara Kewangan 1957 (Akta 61).

Belanja Mengurus RM785.1 juta dikurangkan sebanyak RM82.0 juta kepada RM703.1 juta, iaitu pengurangan 10.5 peratus, manakala Belanja Pembangunan RM430.0 juta telah dikurangkan sebanyak RM72.6 juta kepada RM357.4 juta, iaitu pengurangan 16.9 peratus. Alhamdulillah, pengurangan ini sebenarnya tidak menjejaskan perjalanan pentadbiran Kerajaan Negeri.

Keputusan Kerajaan Negeri ini dipandu oleh ibrah yang terkandung dalam terjemahan ayat suci Al-Quran, Surah Al-Furqan, Ayat 67 yang bermaksud:

“Dan mereka yang apabila membelanjakan harta, mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak juga bakhil kedekut dan sebaliknya perbelanjaan mereka itu adalah sederhana di antara kedua-duanya.”

Menitip pengajaran dari surah tersebut, Kerajaan Negeri mengambil langkah menyemak dan menyusun semula perbelanjaan bagi mengimbangi keperluan memperkukuhkan kedudukan kewangan tanpa mengabaikan tanggungjawab membela kebajikan rakyat.

Dan Alhamdulilah, langkah itu bukan sahaja membolehkan Kerajaan Negeri memberi tumpuan khusus membantu rakyat yang terjejas melalui pelaksanaan Pakej

Rangsangan Ekonomi bernilai lebih RM108 juta sepanjang tahun 2021, malah berjaya menyelamatkan Perak daripada terjerumus dalam jurang defisit yang lebih besar.

Sehingga 30 November 2021, kedudukan kewangan adalah defisit RM99.4 juta, berbanding unjuran defisit asal, iaitu RM154.0 juta. Bermakna, tindakan penyusunan semula perbelanjaan telah berjaya mengecilkan defisit Kerajaan Negeri.

Barang diingat, setiap defisit akan menjejaskan baki sedia ada Akaun Hasil Disatukan. Jika Akaun Hasil Disatukan berbaki negatif, keupayaan Kerajaan Negeri dalam merancang pembangunan akan menjadi terbatas, malah jika tidak diurus dengan cermat, kita mungkin terpaksa mengharap simpati Kerajaan Persekutuan untuk membiayai projek pembangunan dan perbelanjaan operasi, sedangkan Kerajaan Persekutuan kini turut berdepan perbelanjaan defisit yang besar.

Sehubungan itu, saya mengambil kesempatan di dalam Dewan yang mulia ini untuk menzahirkan penghargaan kepada kepimpinan terdahulu kerana kejayaan Kerajaan Negeri menutup akaun dalam keadaan surplus selama dua belas tahun berturut-turut sebelum ini (2008-2019) telah membantu menampung defisit yang mula berlaku pada tahun 2020.

Maka, Kerajaan Negeri pada hari ini memegang tanggungjawab berat dalam memastikan prestasi tidak berhutang untuk perbelanjaan mengurus dikekalkan demi kebajikan generasi akan datang. Sehubungan itu, Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan ini dirangka berdasarkan kemampuan semasa Kerajaan Negeri tanpa mengabaikan kebajikan rakyat.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,

Kerajaan Negeri merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang sentiasa membantu dalam pelaksanaan projek-projek pembangunan di Negeri Perak. Kerajaan Negeri telah mengemukakan permohonan 1,389 projek keutamaan di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) bernilai RM27.6 bilion (RM27,578,788,936.46). Pada tahun 2020, sejumlah 363 projek telah diluluskan di bawah Rolling Plan 1 kepada Negeri Perak dengan siling bernilai RM1.4 bilion (RM1,380,483,222.06). Pada tahun 2021 pula, sejumlah 354 projek telah diluluskan di bawah Rolling Plan 2 dengan siling bernilai RM1.5 bilion (RM1,536,791,400.00).

Kerajaan Negeri telah menyelaras semula senarai projek keutamaan di bawah Rolling Plan 3 agar selari dengan tema dan dasar yang digariskan di bawah RMK-12 seperti mana yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada 27 September 2021 di Parlimen. Sehubungan itu, saya berharap pada tahun 2022 nanti, pertimbangan keutamaan dapat diberikan kepada Negeri Perak untuk kelulusan projek-projek yang berimpak tinggi.

Kerajaan Negeri juga menghargai peruntukan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM20 juta kepada Negeri Perak seperti yang diumumkan dalam Bajet 2022 bagi pelaksanaan pembangunan dalam sektor Jaminan Keselamatan Makanan, Pelancongan serta Pemuliharaan Alam Sekitar.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,

BELANJAWAN NEGERI PERAK 2022

Berdasarkan senario ekonomi dan situasi kewangan yang dihuraikan tadi, saya dan rakan-rakan pentadbiran telah mengambil langkah proaktif mendapatkan maklum balas daripada jabatan dan agensi kerajaan selain mengadakan siri libat urus dengan pelbagai pihak termasuk dengan rakan-rakan Ahli Yang Berhormat sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang.

Menyedari pentingnya belanjawan ini perlu berpaut kepada aspirasi rakyat, Kerajaan Negeri juga menggarap idea, pandangan dan teguran rakyat dalam siri dialog dengan segenap lapisan rakyat termasuklah melalui program Menteri Besar Bersama Rakyat atau singkatannya MESRA yang diadakan di daerah-daerah.

Hasil daripada sesi libat urus serta titipan input, cadangan, aduan dan teguran daripada rakyat, Kerajaan Negeri dapat merumuskan tujuh isu yang perlu diberikan perhatian, iaitu:

▪ Meningkatkan Capaian Internet, Penembusan Jalur Lebar dan Pendigitalan Perkhidmatan;

▪ Ketersediaan dan penyelenggaraan kemudahan awam;

▪ Penyaluran bantuan kerajaan;

▪ Penyediaan latihan dan peluang pekerjaan;

▪ Bantuan kepada usahawan;

▪ Pembangunan hal ehwal tanah; dan

▪ Keberkesanan tadbir urus.

Setelah mengambil kira situasi ekonomi semasa, meneliti setiap pandangan dan keperluan rakyat serta menyemak kedudukan kewangan dan keupayaan jentera pentadbiran Kerajaan Negeri, saya dengan ini membentangkan Belanjawan 2022 Perak Darul Ridzuan yang bertemakan “Perak Negeri Berdaya Tahan, Mampan dan Inklusif”.

Tema ini diteruskan selari dengan keadaan semasa yang menuntut kita untuk memastikan Perak tetap teguh berhadapan apa jua cabaran dan ujian yang mendatang.

Belanjawan Negeri Perak Tahun 2022 dirangka berdasarkan unjuran Hasil dan Terimaan Pembangunan RM1.06 bilion (RM1,055,385,000.00). Jumlah ini terdiri daripada Hasil Cukai RM607.7 juta (RM607,695,087.00), Hasil Bukan Cukai RM249.8 juta (RM249,781,190.00) dan Terimaan Bukan Hasil RM175.4 juta (RM175,426,723.00) serta RM22.5 juta (RM22,482,000.00) Terimaan Pembangunan. Untuk tahun 2022, jumlah perbelanjaan dianggarkan RM1.1 bilion (RM1,105,000,000.00) meliputi Belanja Mengurus RM803.0 juta (RM803,000,000.00)

dan Belanja Pembangunan RM302.0 juta (RM302,000,000.00). Belanja Mengurus terdiri daripada perbelanjaan Emolumen RM390.2 juta (RM390,217,300.00), Perkhidmatan dan Bekalan RM296.3 juta (RM296,327,600.00), Pembelian Aset RM7.2 juta (RM7,200,000.00), Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap RM102.7 juta (RM102,652,600.00) serta Lain-Lain Perbelanjaan RM6.6 juta (RM6,602,500.00).

Daripada unjuran Hasil dan Perbelanjaan tersebut, Belanjawan 2022 dicadangkan sebagai belanjawan defisit RM50.0 juta (RM49,615,000.00).

Bagi mengukuhkan strategi merancakkan semula ekonomi Negeri, dana pembangunan tambahan melalui Kumpulan Wang Amanah berjumlah RM47.0 juta telah disediakan. Dana ini akan digunakan untuk membiayai Pakej Rangsangan Ekonomi Perak Sejahtera (PRE Perak Sejahtera). Sehubungan itu, jumlah keseluruhan peruntukan dan dana bagi maksud pembangunan Negeri pada tahun hadapan adalah RM349.0 juta.

Selain itu, belanjawan ini juga akan didukung oleh komitmen kewangan oleh syarikat-syarikat milik Kerajaan (GLC) untuk terlibat secara langsung dalam program-program kesejahteraan rakyat termasuk dalam bidang pendidikan, pertanian dan keusahawanan.

Dalam situasi rakyat berdepan waktu-waktu sukar untuk bangkit daripada krisis kesihatan yang hampir dua tahun menghimpit kehidupan, peranan GLC sangat diperlukan supaya keuntungan yang dijana dapat dikongsi demi pembangunan Negeri dan kesejahteraan rakyat.

Bagi tahun 2022, Kerajaan Negeri menetapkan lima fokus utama dalam memastikan kedudukan kewangan Negeri kekal teguh untuk mengharungi bulan-bulan mendatang yang penuh ketidaktentuan tanpa mengabaikan tanggungjawab memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat tetap terpelihara. Lima fokus Belanjawan 2022 adalah:

Pertama Menjana Semula Ekonomi dan Mengupayakan Sara Diri Rakyat;

Kedua Memakmur dan Mensejahterakan Rakyat;

Ketiga Mengukuhkan Modal Insan dan Pembangunan Sosial;

Keempat Memantapkan Tadbir Urus dan Pendigitalan; dan

Kelima Memulihara Khazanah Alam Sekitar.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,

FOKUS 1: MENJANA SEMULA EKONOMI DAN MENGUPAYAKAN SARA DIRI RAKYAT

Seiring dengan kadar vaksinasi Negeri bagi populasi 18 tahun ke atas yang sudah mencecah 88.2 peratus serta pembukaan semula aktiviti ekonomi, Perak berada pada kapasiti yang sangat baik untuk melaksanakan agenda pemulihan ekonomi dengan merancakkan semula sektor-sektor yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Sektor pelancongan yang menerima impak besar susulan pandemik tersebut telah diaktifkan semula untuk mengembalikan reputasi Perak sebagai antara negeri yang menerima kedatangan pelancong domestik tertinggi selain menggamit kehadiran pelancong asing.

Program penggalakan pelancongan domestik berbentuk pemberian insentif baucar, kempen Travel Peraklah, promosi dan pengiklanan akan dipergiatkan. Tourism Perak juga menginovasikan lebih banyak kandungan maklumat dalam talian sebagai usaha untuk mempromosi produk-produk pelancongan Negeri.

Bagi tahun 2022, secara keseluruhan peruntukan bagi sektor pelancongan adalah sebanyak RM20.3 juta. Jumlah ini termasuklah peruntukan Kerajaan Negeri sebanyak RM7.8 juta meliputi RM5.0 juta kepada Tourism Perak dan RM0.5 juta untuk pelbagai program pelancongan. Selain itu, RM1.8 juta akan disediakan untuk People of Remarkable Talent (PORT) dan RM0.5 juta kepada Majlis Kebudayaan Negeri untuk menyokong program-program pelancongan dan kebudayaan.

Sukacita saya mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri sudah mendapat kelulusan peruntukan sebanyak RM12.5 juta daripada Kerajaan Persekutuan yang akan dimanfaatkan untuk sektor pelancongan Negeri. Antara projek yang akan dilaksanakan adalah pembangunan Dataran Ban Pecah di Tanjung Piandang, projek pembinaan jeti Kuala Sepetang di Taiping serta projek-projek pembangunan kecil dan menaik taraf infrastruktur pelancongan di seluruh Negeri Perak.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,

Seiring dengan pelaksanaan Dasar Agromakanan Negara, Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam memastikan agenda keselamatan makanan diberi keutamaan dengan memanfaatkan kepelbagaian sumber alam dan kelebihan Negeri Perak.

Kerajaan Negeri telah mengambil langkah yang proaktif untuk terus mengekalkan zon agromakanan strategik sebagai kawasan sumber makanan negara yang terdiri daripada kawasan-kawasan tersebut:

▪ Zon Tanaman Utama Kekal meliputi kawasan Jelapang Padi (36,078.27 hektar) dan Luar Kawasan Jelapang (12,404.67 hektar);

▪ Zon Tanaman Makanan Sokongan Kekal seluas 691.26 hektar;

▪ Zon Penternakan dan Padang Ragut seluas 13,477 ekar; dan

▪ Zon Industri Akuakultur (ZIA) seluas 19,372 hektar.

Jaminan Keselamatan Makanan adalah aspirasi Kerajaan Negeri bagi memastikan kelangsungan bekalan makanan terutama dalam keadaan dunia yang masih dibelenggu krisis kesihatan. Pendekatan ini disokong dengan program-program di bawah subsektor pertanian, penternakan dan perikanan. Antaranya bantuan input makanan ternakan, program penternakan ikan, program khas tani pasca COVID-19 dan pembelian hasil pertanian daripada golongan petani, penternak dan nelayan yang terjejas.

Sukacita dimaklumkan, Kementerian Kewangan telah meluluskan RM5.0 juta melalui Unit LAKSANA bagi pembangunan Hub Halal Daging Perak. Projek ini akan dilaksanakan oleh Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) dan dijangka dapat mengurangkan kebergantungan terhadap sumber daging import.

Ini adalah selaras dengan titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah supaya sektor-sektor pertanian, ternakan dan perikanan menggarap budaya kerja dan budaya pengeluaran baharu dengan menyuntik kaedah-kaedah dan mekanisme moden agar produktiviti bahan makanan dapat segera ditingkatkan.

Untuk itu, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM51.4 juta kepada industri asas tani. Peruntukan kepada Jabatan Pertanian Negeri Perak RM28.3 juta meliputi RM24.3 juta peruntukan Mengurus, manakala RM4.0 juta Belanja Pembangunan bagi melaksanakan program dan inisiatif berikut:

▪ Pembangunan Komoditi Pertanian RM3.1 juta; ▪ Bangunan dan Infrastruktur

RM0.4 juta; dan ▪ Program Latihan dan Promosi

RM0.5 juta.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar diperuntukkan RM17.7 juta untuk Belanja Mengurus dan RM3.7 juta Belanja Pembangunan. Jabatan Perikanan turut disediakan RM1.2 juta Belanja Pembangunan. Selain daripada jabatan-jabatan tersebut, Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan RM0.5 juta bagi pelbagai program dan projek pertanian lain di bawah peruntukan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,

Meskipun berdepan suasana ekonomi yang begitu mencabar, Perak merekodkan prestasi pelaburan yang memberangsangkan, iaitu sebanyak RM5.2 bilion bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, peningkatan sebanyak 126 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan terus meningkatkan keyakinan pelabur untuk menjadikan Negeri Perak sebagai destinasi tumpuan pelaburan. InvestPerak yang berperanan sebagai Centre of Investment akan melaksanakan pelbagai aktiviti promosi dan insentif penggalakan pelaburan serta memudah cara urusan kemasukan pelaburan.

Antara program-program yang akan dilaksanakan adalah Pendigitalan No Objection Letter (E-NOL), tawaran insentif Silver Valley Pre-Package bagi projek-projek yang berimpak tinggi dan menepati kriteria serta Program Pemantauan Pelaksanaan Projek Pelaburan di Negeri Perak, iaitu PACU@Perak.

‘Silver Valley Pre-Package Incentives’ menyediakan tiga pakej tawaran yang berbeza mengikut nilai pelaburan. Antara insentif yang ditawarkan adalah diskaun premium tanah sehingga 30 peratus, remisyen cukai tanah sehingga 15 peratus bagi tempoh tiga tahun selepas ‘production date’, ‘pre-consultation’ serta pemprosesan Kebenaran Merancang secara ‘fast track’ dalam tempoh 21 hari tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan.

Program PACU@Perak pula merupakan kolaborasi di antara MIDA dan InvestPerak bagi memantau kemajuan projek, termasuk mengenal pasti isu yang dihadapi semasa pelaksanaannya serta cadangan penyelesaian.

Untuk melaksanakan inisiatif-inisiatif tersebut, InvestPerak akan membelanjakan RM4.5 juta yang terdiri daripada peruntukan Kerajaan Negeri RM1.5 juta dan dana dalaman RM3.0 juta. Kerajaan Negeri amat berbesar hati menerima peruntukan sebanyak RM10.0 juta pada tahun 2021 yang telah disalurkan melalui MIDA bagi menaik taraf kawasan perindustrian Bemban dan kawasan perindustrian Kampung Acheh, masing-masing RM5.0 juta. Terima kasih daun keladi Yang Amat Berhormat Ismail Sabri, 2022 tambahlah lagi.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,

Kita mengharapkan ekonomi akan berkembang pada tahun hadapan dengan pengaktifan semula semua sektor, terutama perindustrian dan pembuatan. Ini bagi membolehkan ia menyumbang kepada peningkatan kutipan hasil Negeri terutama hasil tanah dan bahan batu.

Perak antara negeri yang kaya dengan bahan batu dan hasil mineral. Justeru, Kerajaan Negeri akan menumpukan kolaborasi antara beberapa daerah yang berpotensi dan terdapat permintaan terhadap aktiviti pengeluaran pasir sungai, perlombongan dan pengkuarian.

Pun begitu, ketirisan hasil adalah antara punca utama kehilangan pendapatan kepada Kerajaan. Lanjutan itu, pendekatan taskforce secara berfokus adalah antara langkah-langkah penting yang akan diambil tahun hadapan bagi mengurangkan ketirisan hasil Negeri. Antara pendekatan taskforce yang akan dilaksanakan adalah seperti berikut:

▪ Taskforce Lesen Pendudukan Sementara (LPS) bertanggungjawab menyemak senarai tanah yang diluluskan secara LPS dan terdapat tunggakan untuk dibuat kutipan bayaran.

▪ Taskforce syarat nyata tanah terus dipergiatkan oleh Pentadbir Tanah bagi membuat semakan pelanggaran syarat nyata tanah. ▪ Taskforce pencerobohan tanah dengan mempertimbangkan tanah-tanah yang terlibat untuk diberi milik atau kelulusan secara LPS; dan

▪ Taskforce bahan batu akan memastikan kutipan royalti bahan batu dapat dikutip secara optimum.

Seiring dengan langkah-langkah tersebut, Kerajaan Negeri juga berusaha mengenal pasti sumber-sumber hasil baharu bagi mengukuhkan kedudukan kewangan. Sehubungan itu, antara hasil-hasil baharu yang dikenal pasti adalah:

Pertama Pemberimilikan Tanah Bagi Tujuan Talian Rentis dan Pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB);

Kedua Pembinaan Menara Telekomunikasi di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA);

Ketiga Pelupusan Tanah Secara Tender;

Keempat Meluaskan Pelaksanaan Permit Khas Untuk Projek Solar;

Kelima Penilaian dan Pengenaan Kadar Baharu Penyelarasan Semula Semua Kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Pada Kadar Komersial di Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Pesisir Pantai Barat (WCE);

Keenam Pengenaan Pajakan Tanah Rizab di bawah Seksyen 63 Kanun Tanah Negara 1965; dan

Ketujuh Penyelarasan Taraf Tanah Desa Kepada Tanah Pekan Atau Bandar.

Yang Berhormat Dato’ Yang DiPertua,

Bagi memastikan ekonomi rakyat kembali pulih, Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam merancang dan menyediakan kerangka atau ekosistem yang holistik bagi pembangunan keusahawanan di Negeri Perak.

Program-program bimbingan, pementoran dan latihan, bantuan skim pinjaman mikro kredit, geran padanan, penyediaan platform pemasaran secara digital dan pembangunan sistem pangkalan data usahawan tetap diteruskan dengan diberi nafas baharu. Ini diharapkan dapat meningkatkan daya saing usahawan dan meningkatkan inovasi melalui pewujudan lebih banyak produk dan perkhidmatan jenama Perak yang boleh dipasarkan sehingga ke peringkat antarabangsa.

Untuk itu, Kerajaan Negeri menyediakan dana RM3.5 juta kepada para usahawan. Daripada jumlah ini, RM2.0 juta diperuntukkan khusus untuk Tabung Usahawan dan RM1.5 juta untuk pelbagai program di bawah Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP).

Ini tidak termasuk dana-dana tambahan dari tabung pusingan Yayasan Perak yang berjumlah RM1.5 juta dan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) RM4.1 juta. Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah menyediakan dana tambahan di bawah PRE Perak-Sejahtera untuk merancakkan aktiviti pembangunan usahawan.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,

Pandemik COVID-19 telah mengubah kedudukan sosioekonomi rakyat. Tidaklah mengejutkan jika ada yang dahulunya tergolong dalam kumpulan T20 kini jatuh ke kumpulan M40 dan begitu juga daripada M40 ke B40. Manakala, kumpulan B40 pula menjadi bertambah miskin akibat penguncupan ekonomi.

Lebih meruntun perasaan, ada anak-anak yang dihimpit duka apabila secara tiba-tiba hilang tempat bergantung kerana kehilangan ibu bapa akibat COVID-19. Saya ingin menzahirkan rasa dukacita terhadap nasib 250 orang pelajar kita yang menjadi yatim dan yatim piatu disebabkan kematian ibu bapa atau penjaga akibat COVID-19.

Sebagai tanda simpati, Kerajaan Negeri akan mewujudkan Program Teduhan Kasih Anak-anak Perak dengan peruntukan sebanyak RM1.0 juta untuk menampung sara hidup dan pendidikan anak-anak ini sehingga berusia 21 tahun.

Selain daripada itu, Kerajaan Negeri juga akan memberi bantuan bulanan RM300 kepada penjaga anak yatim dan yatim piatu ini dengan menggunakan skim saham FELCRA.

Menginsafi betapa impak COVID-19 masih menghambat kehidupan rakyat berpendapatan rendah, Kerajaan Negeri mengambil keputusan untuk meneruskan bantuan Kad Perak Prihatin dengan peruntukan RM22.8 juta yang akan memanfaatkan 20 ribu orang penerima dalam bentuk Kad Makanan dan Kad Kesihatan. Melalui inisiatif ini, Kad Makanan diteruskan pada kadar RM80 sebulan, manakala Kad Kesihatan pada kadar RM150 setahun.

Pada masa yang sama, peruntukan sebanyak RM3.0 juta akan disediakan pada tahun hadapan untuk meneruskan program bantuan Kotak Makanan bagi membantu meringankan beban keluarga yang memerlukan. Di samping peruntukan ini, GLC Negeri akan turut menyumbang bantuan yang sama jika terdapat sebarang keperluan tambahan. Ini merupakan komitmen mereka untuk bersama-sama kerajaan membela kebajikan rakyat yang memerlukan.

Kerajaan Negeri menyambut baik hasrat Kerajaan Persekutuan untuk memastikan anak-anak berusia enam bulan hingga enam tahun dalam kumpulan B40 mendapat nutrisi yang lengkap. Bagi tujuan itu, Kerajaan Negeri menyediakan RM0.5 juta bagi pelaksanaan Program Perak Children Community Feeding (PCCF). Di samping itu, Kerajaan Negeri juga mengalu-alukan sumbangan daripada pihak korporat dan orang perseorangan untuk sama-sama menjayakan program murni ini. Sumbangan boleh disalurkan melalui Tabung PCCF yang akan diwujudkan oleh Kerajaan Negeri mulai 1 Januari 2022.

Kerajaan Negeri juga melalui Lembaga Air Perak (LAP) menyediakan RM8.6 juta bagi meneruskan program air percuma golongan miskin dan diskaun air bagi kategori domestik. Ini bagi membantu meringankan beban rakyat. Di samping itu, program one-off diskaun air secara bersasar bagi pengguna perniagaan atau industri juga akan diteruskan pada tahun hadapan.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,

Kerajaan Negeri telah memperkenalkan inisiatif perkhidmatan bas henti-henti yang dilihat dapat meningkatkan perhubungan kawasan bandar dan luar bandar. Perkhidmatan bas henti-henti ini memberikan manfaat kepada pelajar-pelajar sekolah di kawasan setempat yang terdapat di sepanjang laluan, selain meningkatkan akses orang awam dan masyarakat Orang Asli.

Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2.1 juta bagi Projek Perkhidmatan Bas Henti-Henti, iaitu Bas Perak Sejahtera yang akan diteruskan pelaksanaannya di bandar Manjung. Perkhidmatan ini diperluaskan ke bandar Taiping, sekitar pekan Sungai Siput dan pekan Tapah.

Kerajaan Persekutuan semasa pembentangan Bajet 2022, telah mengumumkan penyediaan Dana Bantuan Sementara Bas Henti-Henti untuk seluruh negara berjumlah RM80.0 juta. Saya amat berharap agar projek sedia ada di negeri Perak dapat dikekalkan dan keperluan projek-projek di laluan sosial yang telah dikenal pasti dapat diberikan keutamaan, selari dengan manfaat yang akan dinikmati secara terus oleh masyarakat setempat.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,

Walaupun pandemik COVID-19 sudah semakin terkawal, kita tidak dapat menjangka apa yang akan berlaku dalam fasa pemulihan pada tahun 2022. Oleh yang demikian, seperti yang dinyatakan sebelum ini, Kerajaan Negeri mengambil tindakan proaktif menyediakan PRE Perak Sejahtera dengan peruntukan RM47.0 juta. Fokus pada tahun 2022 adalah merangkumi inisiatif-inisiatif di bawah kesejahteraan sosial, keselamatan makanan, pendidikan, pelancongan serta rekreasi dan sukan.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,

FOKUS 2: MEMAKMUR DAN MENSEJAHTERAKAN RAKYAT

Ketersediaan infrastruktur dan kemudahan awam adalah antara isu yang sering dibangkitkan dalam siri libat urus serta sesi dialog dan pertemuan bersama rakyat di daerah-daerah.

Sehubungan itu, penaiktarafan dan penambahbaikan kemudahan prasarana menjadi salah satu fokus utama pembangunan negeri pada tahun hadapan sejajar dengan teras strategik Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030, iaitu keseimbangan pembangunan fizikal dan sosioekonomi. Bagi tahun 2022, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM327.9 juta bagi tujuan pembangunan prasarana rakyat.

Kepada Jabatan Kerja Raya, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM153.0 juta merangkumi RM83.0 juta Belanja Mengurus dan RM70.0 juta untuk pembangunan insfrastruktur Negeri. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM50.0 juta diperuntukkan untuk projek bangunan dan RM20.0 juta untuk projek jalan serta jambatan. Antara projek yang akan dilaksanakan termasuk projek bina baharu, naik taraf bangunan, serta penyelenggaraan kemudahan prasarana perhubungan jalan raya negeri dan juga jambatan.

Pembangunan projek baharu yang akan dimulakan pada tahun hadapan adalah:

▪ Projek Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (SMTDR) Tambun;

▪ Projek Jeti Sungai Pinang Kecil, Pulau Pangkor;

▪ Projek Menaik taraf Jalan dan Jambatan Kuala Kangsar - Manong (Laluan A3) Fasa 3, Daerah Kuala Kangsar;

▪ Projek Memperelok Jalan Taiping/Selama (A7), (Fasa 2B: Pekan Pondok Tanjung ke Ulu Sepetang), Daerah Larut Matang dan Selama;

▪ Serta, lain-lain projek penaiktarafan jalan dan jambatan, penyelenggaraan bangunan serta projek-projek kecil membaik pulih bangunan.

Di bawah peruntukan Malaysian Road Record Information System (MARRIS), Kerajaan Negeri menjangkakan penerimaan peruntukan RM570.0 juta pada tahun 2022 untuk memberi keselesaan dan meningkatkan keselamatan serta penyelenggaraan sistem perhubungan jalan di Negeri Perak.

Agihan peruntukan MARRIS akan terus diberikan kepada Jabatan Kerja Raya bagi jalan negeri, Jabatan Pengairan dan Saliran untuk jalan ladang, Pejabat Daerah dan Tanah khusus pada jalan luar bandar serta Pihak Berkuasa Tempatan bagi tujuan jalan perbandaran.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diperuntukkan RM109.3 juta yang meliputi RM98.3 juta untuk Belanja Mengurus dan Belanja Pembangunan RM11.0 juta bagi tahun 2022. Rancangan Tebatan Banjir diperuntukkan RM4.3 juta, Pengurusan Sungai dan Pantai RM5.4 juta dan bakinya adalah untuk saliran pertanian dan pembangunan infrastruktur jabatan.

Selain daripada peruntukan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan sebanyak RM2.0 juta bagi projek Hakisan Pantai.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,

Selain daripada peruntukan yang disediakan kepada jabatan-jabatan teknikal, iaitu JKR dan JPS, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM65.6 juta yang meliputi pelbagai projek prasarana negeri.

Antara projek prasarana yang akan dilaksanakan adalah:

▪ RM6.0 juta untuk projek baik pulih dan naik taraf masjid serta surau;

▪ RM5.0 juta untuk pelbagai projek pembangunan di bawah Pihak Berkuasa Tempatan;

▪ RM3.0 juta untuk menaik taraf infrastruktur Tahfiz dan Sekolah Agama Rakyat;

▪ RM17.9 juta untuk pelbagai projek seperti peruntukan penyelenggaraan dan pembaikan akibat bencana serta kecemasan; dan

▪ RM15.0 juta bagi tujuan pengambilan tanah untuk melancarkan pelaksanaan perancangan pembangunan.

Selain itu, Jabatan Agama Islam Perak diperuntukkan RM1.6 juta untuk penyelenggaraan enam buah masjid utama Negeri serta aktiviti penguatkuasaan dan dakwah. Bagi membaik pulih serta menaik taraf bangunan-bangunan Mahkamah Syariah pula, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM0.8 juta kepada Jabatan Kehakiman Syariah.

Bagi memenuhi tuntutan rakyat supaya perkhidmatan dan kapasiti bekalan air dipertingkatkan, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Air Perak akan menyediakan peruntukan RM143.4 juta untuk menjalankan projek-projek pembinaan dan menaik taraf infrastruktur. LAP turut menyediakan peruntukan sebanyak RM49.0 juta bagi meneruskan program mengurangkan kadar Non-Revenue Water (NRW).

Kerajaan Negeri memahami dilema yang sering dihadapi Pejabat-pejabat Daerah dan Tanah apabila berdepan tuntutan rakyat pada waktu-waktu bencana dan kecemasan. Bagi memastikan Pejabat-pejabat Daerah dan Tanah dapat memberikan perkhidmatan yang pantas, cekap dan berkesan, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM8.3 juta untuk pelbagai projek fizikal dan kecemasan. Mulai tahun hadapan juga, semua daerah besar diperuntukkan RM0.4 juta, manakala daerah kecil RM0.2 juta selain peruntukan bagi beberapa projek menaik taraf dan menyelenggara.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,

Pada tahun hadapan, Kerajaan Negeri akan meneruskan komitmen dalam menyediakan kediaman yang selesa dan mampu milik bagi golongan berpendapatan rendah. Untuk itu, sebanyak RM5.0 juta diperuntukkan bagi melaksanakan program Rumah Perakku Prihatin.

Jumlah ini merupakan tambahan kepada peruntukan tahun semasa RM5.0 juta. Setiap rumah bernilai RM75,000 yang mana Kerajaan Negeri menyediakan kemudahan pinjaman RM50,000 dan baki RM25,000 dibiayai oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB). Melalui inisiatif ini, sejumlah 200 unit rumah dijangka siap pada tahun hadapan.

Selain daripada geran perumahan, Kerajaan Negeri juga memperuntukkan RM3.0 juta bagi program Sayangi Rumahku di bawah peruntukan Tabung Amanah Kledang Mas, juga akan dilaksanakan oleh Yayasan Perak.

Peruntukan sebanyak RM3.0 juta disediakan kepada Lembaga Perumahan Dan Hartanah Perak (LPHP). Keperluan lain bagi inisiatif pembangunan perumahan akan dibiayai oleh Akaun Amanah Hartanah Bumiputera Negeri Perak serta Akaun Amanah Program Perumahan Negeri Perak.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,

FOKUS 3: MENGUKUHKAN MODAL INSAN & PEMBANGUNAN SOSIAL

Selaras dengan kepentingan ilmu pengetahuan untuk meningkatkan tahap sosioekonomi rakyat, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM34.7 juta kepada sektor pendidikan pada tahun hadapan. Melalui inisiatif ini, Kerajaan Negeri telah merangka program-program pembangunan pendidikan selain meningkatkan kemahiran rakyat seiring dengan keperluan industri.

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM7.0 juta kepada Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) termasuk RM4.0 juta untuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Antara program yang akan dilaksanakan oleh PASAK adalah seperti berikut:

▪ Perak Employability Training Scheme (PERINTIS);

▪ Program Modular Pacuan Industri;

▪ TVET kepada Orang Kelainan Upaya (OKU) dan Orang Asli;

▪ Karnival Kerjaya;

▪ Sesi Temuduga Industri;

▪ Pembangunan platform peluang pekerjaan dalam talian (Talent Perak); dan

▪ Pelbagai program kemahiran softskills.

Bagi tahun 2022, Kerajaan Negeri meneruskan peruntukan bagi Biasiswa Pendidikan Dalam dan Luar Negara berjumlah RM6.4 juta selain dana RM4.0 juta bagi tujuan Pemberian Pinjaman Pendidikan Tinggi.

Memahami suasana ketidaktentuan ekonomi, Kerajaan Negeri juga memperuntukkan RM0.6 juta bagi program Sara Diri dan Kecemasan Mahasiswa, manakala RM0.4 juta pula diperuntukkan bagi Program Pengupayaan Mahasiswa.

Menghargai limpahan ekonomi setempat yang dicetuskan oleh Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Kerajaan Negeri memperuntukkan sumbangan RM5.0 juta.

Bagi tahun hadapan, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM4.5 juta untuk bantuan per kapita kepada hampir 450 ribu pelajar Sekolah Kebangsaan, Sekolah Menengah Kebangsaan, SJKC, SJKT, SMJKC, Sekolah Mubaligh dan Sekolah SUWA.

Peruntukan sebanyak RM2.0 juta disediakan bagi bantuan per kapita kepada pelajar Sekolah Tahfiz dan Pondok, manakala RM1.5 juta pula akan dibelanjakan bagi sumbangan pelbagai Program Pendidikan.

Tidak dilupakan bantuan per kapita bagi Murid Berkeperluan Khas yang berjumlah RM0.8 juta selain peruntukan untuk pembangunan pendidikan pelajar-pelajar Orang Asli sebanyak RM0.4 juta.

Bagi tujuan penyelenggaraan perpustakaan-perpustakaan desa demi kemajuan pendidikan anak-anak di kawasan luar bandar, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM0.5 juta pada tahun hadapan kepada Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri.

Biasiswa YAB Menteri Besar dengan peruntukan RM1.0 juta akan ditambah baik pelaksanaannya. Mulai tahun hadapan, pemberian biasiswa ini dikhususkan kepada pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah yang cemerlang dalam Pentaksiran Bilik Darjah dan peperiksaan akhir tahun.

Sedari awal kelahiran, Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan kepada anak-anak Perak khas bagi ibu bapa yang berpendapatan bulanan RM5 ribu dan ke bawah, iaitu Tabung Simpanan Pendidikan Anak Perak (TASPEN). Untuk tujuan ini, sejumlah RM0.6 juta disediakan.

Bagi menyokong segala inisiatif pendidikan yang telah disebutkan sebentar tadi, Kerajaan Negeri akan meneruskan program Tuisyen Cikgu Saarani yang akan memberi manfaat kepada pelajar sekolah rendah, menengah dan mahasiswa.

Menerusi inisiatif ini, Kerajaan akan menyediakan pelbagai bantuan termasuk makan tengah hari percuma kepada pelajar-pelajar yang menduduki peperiksaan SPM, STPM dan STAM.

Program TCS juga merangkumi bantuan tuisyen, latih tubi, kelas secara dalam talian serta seminar motivasi dan keibubapaan. Program ini akan dibiayai melalui sumbangan oleh pihak GLC, swasta dan individu.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,

Pada tahun hadapan, sebanyak RM46.4 juta diperuntukkan bagi sumbangan sosial kepada rakyat. Sebahagian besar daripada peruntukan itu akan disalurkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat, iaitu sebanyak RM37.8 juta yang meliputi RM31.8 juta Bantuan Am. Selain itu, peruntukan juga disediakan bagi tujuan berikut:

▪ Program Khairat Kematian

RM3.0 juta;

▪ Program dan aktiviti NGO

RM1.0 juta; dan

▪ Lain-lain program sosial

RM0.6 juta.

Peruntukan disediakan RM2.4 juta untuk Program-Program Pendayaupayaan Wanita termasuk RM0.8 juta bagi Sekretariat Wanita Perak. Program Pembangunan dan Rumah Kebajikan Kanak-kanak dan Anak Yatim RM0.4 juta serta Program Pembangunan Warga Emas RM0.2 juta. Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan RM0.4 juta bagi Aktiviti Pembangunan Orang Asli dan RM0.1 juta untuk Program Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna.

Mutakhir ini, kita sering dikejutkan dengan kisah-kisah tragis yang melibatkan kesihatan mental rakyat. Lantaran itu, sebagai tanda sokongan kepada kempen berterusan bagi meningkatkan kesedaran kesihatan mental dalam kalangan rakyat, Kerajaan Negeri menyediakan RM0.5 juta untuk program kesihatan Negeri. Jabatan Kesihatan Negeri akan dilibatkan untuk Program Kesihatan Mental Masyarakat dan Jabatan Pendidikan Negeri Perak akan menyusun atur program bersesuaian bagi pelajar sekolah yang berjumlah RM0.15 juta setiap satu dan RM0.2 juta untuk pelbagai program kesihatan Negeri.

Tidak lupa kepada para pemuda harapan bangsa dan pemudi tiang negara, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM19.3 juta untuk pembangunan sukan dan pemerkasaan anak muda.

Majlis Sukan Negeri Perak sebagai peneraju pembangunan sukan Negeri diperuntukkan RM11.8 juta merangkumi penyediaan tenaga kerja dan program-program pembangunan sukan termasuk sukan Orang Kelainan Upaya. Antara aktiviti atau program yang disediakan termasuk penyediaan bantuan penyertaan kejohanan dan perolehan peralatan moden untuk mengukur dan meningkatkan tahap kecergasan atlet.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan setinggi-tinggi tahniah kepada pasukan hoki lelaki Negeri Perak yang telah menjadi johan Piala Tun Abdul Razak selama dua tahun berturut-turut. Maka, dengan ini sukacita saya mengumumkan Kerajaan Negeri bersetuju untuk memberi insentif RM100 ribu kepada pasukan hoki berkenaan.

Bagi penyertaan negeri ke Kejohanan SUKMA 2020 yang akan diadakan pada tahun hadapan, RM4.0 juta telah disediakan bagi pelbagai keperluan kejohanan termasuk Para SUKMA. Bagi tujuan melancarkan sesi latihan atlet, Kerajaan Negeri menyediakan RM1.4 juta untuk sewaan fasiliti sukan. Manakala, untuk Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan (MAKSAK) pula, telah diperuntukkan RM0.5 juta bagi penyertaan di peringkat kebangsaan.

MSN akan menyediakan rangka pembangunan sukan e-sport bagi melahirkan atlet bertaraf antarabangsa dari Negeri ini. Bagi tujuan itu, RM0.5 juta disediakan. Manakala, RM0.3 juta diperuntukkan untuk Pelbagai Program Sukan termasuk sukan untuk Orang Kelainan Upaya. Bagi program anak muda pula, sebanyak RM0.8 juta disediakan, iaitu:

▪ Program Pemerkasaan Anak Muda RM0.4 juta; dan

▪ Penganjuran Program DUN Belia RM0.4 juta.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,

FOKUS 4: MEMANTAPKAN TADBIR URUS DAN PENDIGITALAN

Kerajaan Negeri akan melaksanakan Strategi Kluster Infrastruktur Digital, yang merupakan pendekatan bersepadu selaras dengan program pembangunan RMK-12. Aspirasi Negeri Perak ke arah negeri pintar telah dimulakan dengan pembangunan Pelan Tindakan Bandar Pintar Ipoh 2020 – 2030 yang bakal memandu arah Negeri Perak sebagai sebuah bandaraya pintar, berdaya huni, berdaya tahan dan lestari menjelang 2030.

Bagi memastikan semua Jabatan Kerajaan Negeri dilengkapi dengan perkhidmatan telekomunikasi internet yang baik, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM7.5 juta meliputi PERAKNET RM3.5 juta, peningkatan keupayaan pendigitalan RM2.5 juta, media dan penerangan RM1.2 juta serta sumbangan komunikasi dan multimedia RM0.3 juta.

Kerajaan Persekutuan pada 19 Februari 2021 telah melancarkan Rangka Tindakan Ekonomi Digital 2021 – 2030 sebagai satu inisiatif untuk mentransformasikan Malaysia sebagai negara ekonomi maju dan berpendapatan tinggi berasaskan pendigitalan. Penyediaan pilihan mod pembayaran tanpa tunai oleh semua agensi Kerajaan Negeri perlu dicapai sepenuhnya pada tahun 2023. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan memperluaskan lagi mod bayaran tanpa tunai di semua jabatan dan agensi Negeri secara berperingkat.

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM109.5 juta sebagai Belanja Mengurus 12 Pejabat Daerah dan Tanah dan RM18.1 juta untuk Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perak.

Bagi tujuan pemerkasaan komuniti luar bandar, Kerajaan Negeri juga akan meneruskan penyediaan dana RM12.3 juta untuk diagihkan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK). Daripada jumlah tersebut, RM7.5 juta diperuntukkan bagi tujuan pembayaran elaun Pengerusi dan RM4.1 juta untuk pelaksanaan program serta aktiviti melibatkan 829 kampung tradisi di negeri Perak.

Tidak lupa juga kepada Kampung Baharu Cina dan Kampung India, RM0.5 juta diperuntukkan bagi pembayaran elaun Pengerusi JPKK. Kerajaan Negeri juga memperakui khidmat bakti yang diberikan oleh setiap Pengerusi JPKK, dengan itu Kerajaan Negeri memperuntukkan RM0.2 juta Takaful Berkelompok bagi kumpulan ini.

Mengambil kira kepelbagaian bangsa, kaum dan agama di negeri Perak, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM5.0 juta bagi tujuan Integrasi dan Pengukuhan Masyarakat untuk pelaksanaan program mahupun projek-projek fizikal melibatkan prasarana rumah ibadat bukan Islam dan lain-lain keperluan.

Aspek kajian dan penyelidikan turut memainkan peranan penting dalam membuat penyesuaian dan perubahan bagi membina negeri yang lebih lestari. Ia merangkumi kajian dan penyelidikan terhadap bidang-bidang kritikal yang dikenal pasti berkait rapat dengan pembangunan sosioekonomi negeri. Dalam usaha tersebut, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan dana sebanyak RM0.5 juta untuk disalurkan kepada Tabung Amanah Kajian.

Institut Darul Ridzuan (IDR) merupakan badan pemikir Kerajaan Negeri Perak yang bertanggungjawab sebagai pemudah cara dalam menyediakan penyelesaian yang praktikal, kreatif dan inovatif. Kerajaan Negeri memperuntukkan RM3.0 juta kepada Institut Darul Ridzuan. Diharapkan IDR dapat menghasilkan kajian-kajian yang lebih relevan dengan perancangan pembangunan Negeri.

Kerajaan Negeri amat prihatin dengan ketidaktentuan ekonomi yang turut memberi kesan kepada Pihak Berkuasa Tempatan. Atas rasa tanggungjawab bersama, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan bagi menampung perbelanjaan mengurus untuk perkhidmatan kepada rakyat melalui empat buah PBT, iaitu Majlis Daerah Lenggong, Majlis Daerah Pengkalan Hulu, Majlis Daerah Gerik dan Majlis Daerah Selama.

Dalam masa yang sama, diharapkan semua PBT lebih kreatif dalam usaha mencari sumber hasil serta menyusun kembali keutamaan perbelanjaan bagi memastikan hasil yang dikutip mampu menampung keperluan perbelanjaan.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,

Semua GLC Negeri perlu sentiasa inovatif, kreatif dan proaktif bagi memastikan pendapatan sentiasa dapat ditingkatkan dan sebahagian daripada keuntungan dapat disumbangkan kepada hasil Negeri.

Manakala, bagi semua agensi penerima peruntukan Kerajaan Negeri pula, perlulah sentiasa berusaha mengurangkan kebergantungan kepada Kerajaan Negeri. Ini menepati hasrat Kerajaan Negeri supaya setiap agensi penerima peruntukan Kerajaan Negeri akan dapat berdiri dengan sendiri dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. Ia dapat dilaksanakan dengan amalan good governance dalam setiap urusan terutama berkaitan pengurusan kewangan.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,

FOKUS 5: MEMULIHARA KHAZANAH ALAM SEKITAR

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM49.9 juta untuk memulihara alam sekitar di Negeri Perak merangkumi peruntukan Jabatan Perhutanan Negeri Perak sebanyak RM43.4 juta, iaitu RM41.4 juta Belanja Mengurus dan RM2.0 juta bagi Program Pembangunan Hutan.

Selain daripada Jabatan Perhutanan Negeri Perak, Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan RM3.5 juta kepada Perbadanan Taman Negeri Perak, RM0.8 juta untuk penyelenggaraan tapak repositori di Mukim Belanja, Kinta dan RM0.7 juta pembangunan Geopark Lembah Kinta.

Kerajaan Negeri turut menyediakan RM1.0 juta untuk Program Perak Bumi Lestari dan RM0.5 juta untuk Program Denai Sungai, serta RM2.0 juta yang diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan bagi projek Penanaman Semula Pokok.

Program Perak Bumi Lestari merupakan Kempen Penghijauan Perak melalui pelbagai inisiatif seperti penanaman pokok bagi menangani isu perubahan iklim, Program My

Healthy Garden di sekolah terpilih serta Program e-waste bagi mengumpul Buangan Barangan Elektrik dan Elektronik di seluruh Negeri Perak.

Selain itu, Program Denai Sungai Perak juga akan dilaksanakan bertujuan untuk menggalakkan pemuliharaan kawasan di sepanjang sungai atau badan air. Antara program yang telah disusun adalah Program Ikon Sungai, Program Penjagaan Rizab Sungai dan pemasangan lampu solar di denai sungai serta mewujudkan Kelab River Rangers di peringkat sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi bagi mendidik anak muda menghargai alam sekitar.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,

Suasana ketidaktentuan ekonomi tentunya menguji kecekalan Ahli-ahli Yang Berhormat di dalam dewan ini untuk menyantuni keluh tangis rakyat yang berdepan pelbagai kesukaran. Selain kaunter pejabat Kerajaan, Pusat Khidmat wakil rakyat adalah antara tempat paling awal dikunjungi rakyat untuk mengadu masalah. Memahami hakikat itu, dan mengambil kira luahan pendapat Ahli-ahli Yang Berhormat dalam sesi libat urus Dialog Belanjawan 2022, maka Kerajaan Negeri bersetuju meluluskan peruntukan kepada Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Perak seperti berikut:

a) Setiap ADUN termasuk Yang Berhormat Speaker diperuntukkan sebanyak RM300 ribu merangkumi RM100 ribu dalam bentuk outright grant (OG) dan RM200 ribu dalam bentuk projek-projek kecil untuk masyarakat melalui Program Pemantapan Infrastruktur Bagi Memacu Kesejahteraan (PEMACU).

b) Setiap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ditambah RM200 ribu lagi, iaitu RM100 ribu dalam bentuk OG dan RM100 ribu dalam bentuk kerja-kerja pembangunan untuk manfaat rakyat dan boleh dibelanjakan merentasi kawasan DUN masing-masing.

c) Setiap Pusat Khidmat ADUN diperuntukkan RM84 ribu setahun, iaitu kenaikan sebanyak RM2 ribu sebulan.

Jumlah bagi keseluruhan peruntukan untuk ADUN Perak ialah RM25.0 juta. Adalah menjadi harapan Kerajaan Negeri, semoga dengan penambahan peruntukan ini membolehkan Ahli-ahli Yang Berhormat memberi perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,

Setelah dua tahun mengharungi kehidupan bersama COVID-19, penjawat awam Negeri tetap teguh dan komited sebagai pelaksana dalam memberi khidmat yang tidak berbelah bahagi kepada rakyat.

Sebagai tanda penghargaan kepada penjawat awam yang setia bersama, Kerajaan Negeri dengan ini mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan kepada setiap penjawat awam Negeri Perak RM1,000. Pembayaran ini akan dibuat seawal Januari 2022.

Selain daripada itu, sebagai usaha meningkatkan kemudahan kepada penjawat awam di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri, tambahan dana sejumlah RM1.0 juta disediakan untuk Kumpulan Wang Pendahuluan Membeli Kenderaan. Manakala, tambahan dana RM1.0 juta juga disediakan untuk Kumpulan Wang Pendahuluan Diri (Pegawai Awam).

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,

Sebagai penutup, sukacita saya menegaskan Belanjawan 2022 ini dirangka berasaskan keadaan semasa yang begitu mencabar dengan mengambil kira situasi ketidaktentuan ekonomi.

Ia dirangka dengan mengambil kira input, idea, pandangan dan teguran daripada rakyat supaya kita dapat memastikan apa jua perancangan yang dibuat, mestilah berpaksikan kepada matlamat membangunkan semula ekonomi Negeri dan mensejahterakan kehidupan rakyat.

Apa yang penting, semua pihak wajib memastikan perancangan yang rapi, kebolehlaksanaan dan mengikut tatacara kewangan sepatutnya, supaya setiap hasrat murni yang terkandung dalam belanjawan ini akhirnya dapat dirasai segenap lapisan rakyat.

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua,

Kita dianjurkan untuk berdoa kepada Allah Subhanahu Wataala setiap kali selepas solat sunat dhuha, iaitu “Ya Allah, jika rezeki masih di langit, turunkanlah. Jika di bumi, keluarkanlah. Jika sukar, permudahkanlah. Jika haram, sucikanlah. Jika jauh, dekatkanlah. Amin Ya Rabbal Alamin”.

Semoga Allah permudahkan semua urusan kita dalam mentadbir Negeri tercinta ini. Sejahtera Rakyat Negeri Perak Darul Ridzuan. Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Sekian, terima kasih.

Yang Berhormat Dato’ Yang DiPertua, saya mohon mencadang.

Yang di-Pertua

Terima kasih YAB Menteri Besar. Ada sokongan?

Dato' Yang Dipertua, Batu Kurau menyokong.

Yang di-Pertua

Terima kasih diucapkan kepada YAB Menteri Besar di atas pembentangan Belanjawan Negeri 2022. Ahli Yang Berhormat sekalian, sekarang saya tangguhkan dewan ini. Dewan akan bersidang semula pada hari Isnin 13 Disember 2021 jam 9.00 pagi. Sebelum itu saya ingin ingatkan kita ada break dua hari Sabtu dan Ahad. Kita ada tanggungjawab lagi kepada Dewan ini dan juga kepada rakyat negeri ini untuk pastikan belanjawan untuk tahun hadapan dapat diluluskan. Break dua hari ini sebaik-baiknya, seboleh-bolehnya Yang Berhormat semua cuba kurangkan engagement atau perjumpaan dengan rakyat di luar sana. Saya memahami kedudukan dan juga tanggungjawab Ahli-Ahli Yang Berhormat semua untuk bertemu dan menyantuni rakyat di kawasan masing-masing tetapi memandangkan tanggungjawab kita pada Dewan, kita takut kena kita masih belum dalam perang kita dengan virus Covid-19 ini dengan varian baru ini kita mesti jaga tanggungjawab amanah kita untuk selesaikan dalam tempoh sehingga kita sampai 20 haribulan nanti. Oleh itu minta Ahli-Ahli Yang Berhormat semua walau pun jalankan amanah dan tanggungjawab berjumpa dengan rakyat tetapi cuba kurangkan. Sekali lagi saya ingatkan engagement atau intimacy dengan rakyat di bawah sana untuk kurangkan possibility atau risiko jangkitan Covid-19 ini. Selamat semua, sekian, have a good weekend. Sekian terima kasih.