Perak · 1 December 2023
15th Assembly, 1st session, 5th meeting · 83 turns · 17,786 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalPerak publishes one PDF per sitting day, from May 2020 (none for 2018-19), and a file of oral and written answers per meeting from December 2022.
(Pembukaan)
Ahli-ahli Yang Berhormat, Tuan Yang di-Pertua.
Ahli-ahli Yang Berhormat, Dato' Yang di-Pertua. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera. Ahli Yang Berhormat sekalian, sekarang kita mulakan Persidangan Pertama, Mesyuarat Kelima, Tahun Pertama Dewan Negeri Yang Kelima Belas, Perak Darul Ridzuan pada hari Jumaat, 1 Disember 2023, jam 9.03 minit pagi dengan urusan perkara yang pertama iaitu bacaan doa.
SEGALA puji bagi Allah selawat dan salam atas RasulNya, maka dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Pengasih, Dewan Negeri ini dibuka.
Ya Allah, yang bersifat maha hikmat, limpah keadilan, yang menanggungkan kewajipan ke atas Raja dan Ahli Majlis Permesyuaratan, bagi mentadbir muslihat masyarakat pergaulan, mudah-mudahan sentosa aman, makmur, limpah kebahagiaan, meliputi sekalian penduduk Negeri Perak Darul Ridzuan.
Ya Allah, kami sekalian hambaMu yang diperkenan menjadi Ahli Dewan Negeri, menyempurnakan kewajipan yang diamanahkan, yang terutama bagi Negeri Perak Darul Ridzuan serta rakyatnya sekalian.
Ya Allah, berkatMu ke atas kami berhimpun dipohon anugerahkan, taufikMu, hidayatMu dimohon menyuluh, memandukan, pada ketika kami berunding, menimbang, bertukar-tukar fikiran, pada segala perkara yang dibentangkan, dengan saksama serta berkeamanahan, menjunjung perintah dan kebesaranMu, mudah-mudahan berlebih-lebih keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan bagi Negeri Perak Darul Ridzuan, serta penduduknya sekalian.
Ya Allah, dipohonkan doa kami diperkenan, Amin, Ya Allah seru sekalian alam
Perkara yang kedua, pengumuman Dato' Yang di-Pertua.
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera. Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Negeri, pihak urusetia, para petugas dan wakil media sekalian. Sebelum kita meneruskan urusan mesyuarat yang selanjutnya, izinkan saya untuk membuat beberapa pengumuman.
Perkara yang pertama sebelum kita memulakan urusan mesyuarat, suka saya untuk memberi maklum bahawa terdapat kod QR yang diletakkan di setiap meja Ahli Dewan dan juga di setiap meja ketua jabatan. Ahli-ahli Yang Berhormat dan ketua jabatan diminta untuk mengisi kehadiran menggunakan kod QR yang disediakan. Selain itu, aturan urusan mesyuarat serta senarai giliran soalan-soalan lisan juga boleh diperolehi dengan mengimbas kod tersebut.
Perkara yang kedua berkenaan dengan soalan lisan, sesi soalan lisan. Tempoh masa yang diperuntukkan adalah selama 60 minit. Setiap soalan lisan akan diberikan dua soalan tambahan. Soalan tambahan pertama akan diberikan keutamaan kepada Ahli Dewan Negeri yang bertanya manakala soalan tambahan kedua akan diberikan kepada mana-mana Ahli Dewan Negeri yang mempunyai soalan yang berkaitan dengan soalan asal.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, berbeza dengan dua sidang Dewan yang lepas, untuk sidang Dewan kali ini, memandangkan kita akan membentangkan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan, yang mana semua ahli-Ahli Dewan akan mempunyai peluang untuk membentangkan cadangan-cadangan dan bertanya soalan-soalan dalam pelbagai aspek dan skop, maka untuk sesi soalan lisan ini, soalan tambahan memang dihadkan. Speaker akan menghadkan kepada hanya dua soalan tambahan sahaja. Saya juga ingin memaklumkan bahawa sebagaimana amalan di Parlimen, sekiranya didapati apabila tiba giliran soalan lisan daripada seseorang Ahli Dewan Negeri, ADUN yang berkenaan tiada di meja ketika itu, maka soalan tersebut akan dilangkau atau dengan izin skip dan giliran soalan seterusnya akan dipanggil. Walaubagaimanapun, soalan lisan yang tidak sempat dijawab di dalam Dewan akan dijawab secara bertulis melalui sistem e-Dewan.
Perkara yang ketiga, berkenaan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2024 adalah dimaklumkan bahawa setelah selesai sesi soalan lisan, Yang Amat Berhormat Menteri Besar akan membentangkan Belanjawan Negeri Perak bagi tahun 2024. Sesi perbahasan Enakmen Perbekalan 2024 oleh Ahli-ahli Yang Berhormat akan berlangsung pada persidangan kedua iaitu pada hari Isnin 4 Disember 2023 sehingga persidangan ketiga iaitu Selasa 5 Disember 2023. Tempoh masa perbahasan kepada penyokong kerajaan dan ketua pembangkang adalah selama 40 minit bagi setiap seorang manakala tempoh perbahasan bagi setiap pembahas yang lain adalah selama 20 minit.
Perkara yang keempat berkenaan hansard rasmi, saya ingin memaklumkan Ahli-ahli Yang Berhormat boleh membaca dan memuat turun hansard rasmi setiap persidangan selewat-lewatnya pada jam 12.00 tengah malam. Ahli-ahli Yang Berhormat bolehlah menghubungi pihak urus setia dalam tempoh 7 hari daripada hansard yang dipaparkan sekiranya terdapat pindaan yang perlu dibuat atau dilakukan pada hansard tersebut. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, saya juga ingin memaklumkan bahawa Pejabat Speaker ada mengedarkan dengan izin mafla solidariti menyokong Palestin di meja Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, bolehlah Ahli-ahli Yang Berhormat memakainya dan membawanya balik ke rumah dan sebagainya bagi tanda sokongan kita kepada perjuangan rakyat Palestin. Sekian terima kasih.
Membentangkan Surat Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan
Perkara yang ketiga, membentangkan Surat Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan.
Sekarang saya membentangkan surat Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan dari Bilangan 23/2023 hingga 26/2023.
Kejap. Kalau kita minta tangguh sebentar Dewan ni supaya kita menyatakan dengan jelas dalam Dewan Ini bahawa solidariti kita kepada rakyat Palestin dan kita minta semua Ahli
Dewan untuk bangun dan kita tafakur kepada yang bukan Islam dan orang Islam kita baca surah Al-Fatihah kita hadiahkan kepada dia.
Ahli Yang Berhormat Ketua Pembangkang. Saya faham bahawa dia ada waytech dengan izin kepada perkara yang dibangkitkan tapi ni bukan masa dia. Ini boleh nanti dibangkitkan pada sesi perbahasan nanti. Terima kasih pada ingatan Ahli kepada Yang Berhormat.
Sekarang saya membentangkan Surat Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan dari bilangan 23/2023 hingga 26/2023 seperti yang telah diedarkan kepada semua Ahli Dewan Negeri pada 20 November 2023.
Bil. 23/2023 - Penyata Kewangan Perbadanan Taman Negeri Perak Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2022
Bil. 24/2023 - Ringkasan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2022 dan Memorandum YB Pegawai Kewangan Negeri serta Laporan Ketua Audit Negara Mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Agensi Negeri Serta Pengauditan Pematuhan Jabatan/Agensi Negeri Perak Tahun 2022
Bil. 25/2023 - Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Perak Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2022
Bil. 26/2023 - Belanjawan 2024 Negeri Perak Darul Ridzuan
Soalan yang telah diberi notis, soalan lisanQuestions
Perkara yang keempat, soalan yang telah diberi notis, soalan lisan.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat sekalian seperti yang saya maklumkan di awal tadi, tempoh masa untuk sesi soalan lisan pada hari ini adalah selama 60 minit. Soalan tambahan adalah dihadkan kepada 2 soalan sahaja dan ianya perlulah mempunyai kaitan dengan soalan asal. Soalan tambahan yang tidak berkaitan dengan soalan asal adalah tidak dibenarkan. Sekarang saya menjemput Ahli Yang Berhormat dari kawasan Malim Nawar untuk mengemukakan nombor soalan.
Salam Sejahtera, Salam Perak Sejahtera kepada Tuan Speaker dan kepada semua Ahli-ahli Mesyuarat. Soalan Malim Nawar adalah soalan nombor satu. Terima kasih.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera. Terima kasih Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua. Yang Berhormat Malim Nawar bertanyakan soalan berkaitan keselamatan di tapak kuari. Sukacita saya maklumkan bahawa pengoperasian sesuatu kuari memerlukan Surat Kelulusan Skim Pengkuarian atau SKSK atau Surat Kelulusan Sijil Pengendalian Melombong (SKSPM) yang akan dikeluarkan oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Perak. Permohonan untuk mendapatkan SKSK atau SKSPM akan dibawa untuk pertimbangan Jawatankuasa Penasihat Pengkuarian Negeri Perak yang ditubuhkan di bawah Dasar Kuari Perak 2004 yang dipengerusikan secara bersama oleh Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri Perak dan juga Pengarah JMG Perak serta dianggotai oleh wakil daripada Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Perhutanan, Polis Diraja Malaysia, PlanMalaysia@Perak, Pejabat Daerah dan Tanah, serta Pihak Berkuasa Tempatan yang berkaitan. Selain itu, jawatankuasa ini yang bersidang dengan kekerapan empat kali setahun turut meneliti dan membincangkan aduan dan insiden berkaitan operasi pengkuarian dan perlombongan di negeri Perak seperti kemalangan runtuhan batu yang melibatkan kematian dan kecederaan pekerja kuari. Antara garis panduan berkaitan yang digunapakai bagi maksud pembangunan adalah Garis Panduan Perancangan Pembangunan di Kawasan Bukit dan Tanah Tinggi yang dibangunkan pada tahun 2009 oleh Jabatan Perancang Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia.
Untuk makluman Yang Berhormat, bagi tahun 2022 sehingga 2023, JMG Perak merekodkan sebanyak sembilan kejadian kemalangan di tapak kuari yang melibatkan dua kecederaan dan lima kehilangan nyawa seperti berikut. Pada 8 Mac 2022, kejadian runtuhan batu melibatkan kematian dua pekerja kuari di Syarikat Danshak Sdn. Bhd, pada 21 Julai 2022, kejadian runtuh batu melibatkan kerosakan jentera kuari di Syarikat Thang Kiang Nam Trading Sdn. Bhd, pada 25 Julai 2022, kejadian runtuhan batu tiada sebarang kerosakan harta benda dan kecederaan di syarikat B.B. Minerals (Sg. Raia) Sdn. Bhd., pada 9 September 2022, kejadian runtuhan batu melibatkan kerosakan jentera kuari di Syarikat Cempaka Ikhlas Sdn. Bhd, pada 5 April 2023, kejadian runtuhan batu melibatkan kecederaan ringan kepada satu orang pekerja kuari di Syarikat Perak Hanjoong Simen Sdn. Bhd., pada 27 Mei 2023, kejadian runtuhan batu melibatkan kematian satu orang pekerja kuari di Syarikat Anting Sdn. Bhd., pada 10 Jun 2023, kejadian letupan tayar lori di bengkel melibatkan kecederaan kepada satu orang pekerja kuari di Syarikat Perak Hanjoong Simen Sdn. Bhd., pada 25 Jun 2023, kejadian operator lori pengangkutan tersepit pada lori melibatkan kematian satu orang pekerja kontraktor pengangkutan di Lhoist (M) Sdn. Bhd. dan yang ke-9, pada 5 September 2023, kejadian runtuhan batu melibatkan kematian satu orang pekerja kuari di Mutual Way Lime Products Sdn. Bhd. Terima kasih.
Malim Nawar.
Terima kasih Yang Berhormat di atas pencerahan tadi dan soalan tambahan daripada saya adalah, apakah usaha yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dalam memelihara dan memulihara Bukit Batu Kapur di negeri Perak? Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Malim Nawar. Seperti saya sebutkan tadi, sebelum sesebuah syarikat itu dibenarkan untuk mereka mengusahakan kuari, permohonan-permohonan mereka terlebih dahulu akan diajukan kepada PTG dan PTG akan mendapatkan ulasan-ulasan teknikal daripada jabatan-jabatan berkaitan termasuk JKR, Geosains dan sebagainya. Jika semua jabatan bersetuju, kawasan tersebut boleh diusahakan kuari, maka barulah ia diluluskan. Tapi jika ada jabatan teknikal tidak bersetuju, contohnya JMG tidak bersetuju, JKR tidak bersetuju atau mana-mana jabatan teknikal yang mengatakan atau melaporkan bahawa kemungkinan besar akan berlaku runtuhan atau pun tidak selamat untuk diusahakan kuari, maka Jawatankuasa Mineral tidak akan meluluskan kawasan tersebut sebagai kawasan pengkuarian. Itu adalah di antara syarat-syarat untuk membolehkan sesebuah syarikat itu menjalankan usaha pengkuarian di tempat berikutnya.
Sekarang saya jemput Ahli Yang Berhormat dari kawasan Titi Serong untuk mengemukakan nombor soalan.
Soalan saya soalan nombor 2.
Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh, salam sejahtera dan selamat pagi. Terima kasih Dato Yang di-Pertua. Terima kasih kepada Titi Serong yang bertanyakan soalan adakah kerajaan berhasrat memberikan bantuan ihsan kepada pesawah terkesan dengan bencana tanah jerlus pada musim sawah yang lalu? Terima kasih di atas pertanyaan dan saya akan menjawab soalan Yang Berhormat ADUN Titi Serong bersekali dengan pertanyaan daripada Yang Berhormat Selinsing.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli Dewan yang dimuliakan. Untuk makluman Yang Berhormat, tanah jerlus adalah satu fenomena yang sering berlaku kepada pengusaha sawah padi yang mengakibatkan kerugian kepada pesawah apabila hasil tanaman tidak boleh dituai dengan menggunakan jentera berat disebabkan tayar yang tenggelam akibat tanah jerlus. Saya dimaklumkan oleh Jabatan IADA, Kerian seluas 595 hektar terjejas isu tanah jerlus yang melibatkan empat kawasan iaitu di Mukim Parit Buntar, Mukim Bagan Tiang, Mukim Tanjung Piandang dan Mukim Kuala Kurau. Perkara ini telah dibincangkan melalui Jawatankuasa Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) di peringkat negeri dan juga Persekutuan. Untuk menyenaraikan kejadian tanah jerlus ke dalam skop bantuan sebagai salah satu kejadian bencana dan memerlukan kelulusan di peringkat Jabatan Pengurusan Bencara Negara, iaitu NADMA. Sehingga kini masih belum diwartakan sebagai kategori bencana. Namun begitu, permohonan bantuan masih boleh dihantar untuk diproses dengan disertakan bersama laporan teknikal daripada Jabatan Pertanian disertakan bersama untuk permohonan bagi bantuan tabung bencana tanaman padi (TBTP). Kelulusan permohonan ini adalah tertakluk kepada Jawatankuasa Teknikal Induk di peringkat negeri dan juga di peringkat kementerian. Di peringkat IADA Kerian, beberapa perancangan telah dan akan dilaksanakan bagi mengatasi masalah tanah jerlus di kawasan yang terjejas. Antara langkah-langkah yang akan diambil ialah yang pertama, program perataan tanah sawah. Perataan tanah sawah, land leveling dengan izin bertujuan untuk membentuk permukaan tanah dan rata adalah sangat penting. Ini kerana sistem permukaan sawah yang rata adalah untuk menyokong sistem pengairan yang sempurna dan ianya merupakan keadaan terbaik untuk pertumbuhan pokok padi. Ianya melibatkan proses di mana kedalaman air yang seragam di dalam lot sawah yang rata akan dapat membantu pengagihan air di dalam sawah lebih cekap dan seragam dan akan mengurangkan keadaan air yang bertakung, water lodge dengan izin.
Yang kedua, program penyelenggaraan batas parit ladang. Penyelenggaraan batas parit ladang berfungsi sebagai laluan untuk air yang berlebihan dan bertakung dalam petak sawah agar tidak dapat merosakkan lapisan tanah keras, hard pan dengan izin yang menjurus kepada keupayaan galas tanah yang rendah iaitu tanah jerlus.
Yang ketiga, pengesyoran mekanisasi yang sesuai. Jentera yang digunakan dalam petak sawah perlulah bersesuaian dengan tahap kekuatan galas tanah bagi mengelakkan kerosakan pada tanah.
Yang keempat, penambahbaikan fizikal tanah. Penggunaan bahan pelengkap tanah, soil amendment, dengan izin seperti ydrogel, dolomite dan gypsum yang bertindak sebagai penstabil tanah dan pengikat tanah boleh disyor untuk meningkatkan kepadatan tanah bagi memperbaiki tanah jerlus. Pada tahun 2023 ini, kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu, IADA Kerian, sedang dilaksanakan satu program petak pemerhatian di peringkat lapangan berkenaan penggunaan bahan pelengkap tanah ini, bertujuan untuk pendedahan kepada petani pentingnya pengurusan tanah sawah sebelum penanaman. Terima kasih Yang di-Pertua,
Titi Serong. Sila.
Terima kasih Yang Berhormat Exco. Soalan tambahan saya, untuk pengetahuan Yang Berhormat Exco, bulan satu ni adalah musim yang kelima pesawah kita akan ambil hasil dan kemungkinan besar untuk hasil mereka turut terjejas kerana musim-musim yang sebelum ni potensinya tinggi sebab sekarang musim hujan. Jadi yang sebelum ni pun dah ramai yang terkesan. Soalan saya, ada tak usaha kerajaan untuk memberikan wang ihsan di mana yang kita bincang sebelum ini benih untuk mereka yang terkesan dan yang kedua, walaupun kita tahu Jelapang di bawah federal, namun apakah usaha kerajaan di peringkat negeri untuk mewujudkan tabung bencana di bawah negeri? Ada tak usaha-usaha ini sedang dilakukan?
Terima kasih Titi Serong. Timbalan Yang di-Pertua, untuk soalan tambahan Yang Berhormat ADUN Titi Serong, pihak IADA Kerian yang mewakili Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sentiasa menyelami dan memahami permasalahan yang berlaku kepada pesawah. Pelbagai usaha dan bantuan turut disampaikan bagi membantu mangsa yang terkesan akibat tanah jerlus dengan pendekatan dan tindakan proaktif yang boleh dilaksanakan oleh pihak agensi dengan penambahbaikan peruntukan sedia ada yang diterima oleh agensi bagi menyelesaikan masalah tanah jerlus ini dalam jangka masa pendek dan juga jangka masa panjang. Langkah jangka masa pendek oleh pihak IADA Kerian yang pertama membuat sesi hands-on menggunakan input mikrogel di mana input ini merupakan salah satu teknologi dalam program pemulihan tanah jerlus.
Yang kedua membuat penyelanggaran parit polder atau parit ketiga di kawasan yang terjejas berdasarkan kepada laporan yang diterima dengan seliaan di bawah Bahagian Kejuruteraan Pertanian IADA Kerian menggunakan peruntukan yang sedia ada dan memberi khidmat nasihat kepada petani untuk mengamalkan amalan pertanian yang baik dan membuat penyelenggaraan parit ladang dengan lebih kerap.
Untuk langkah jangka masa panjang oleh pihak IADA Kerian, melaksanakan projek penyelenggaraan parit ladang, rataan tanah sawah dan penyelenggaraan parit ketiga untuk kawasan yang terjejas akibat masalah tanah jerlus yang memerlukan pentukan tambahan dari kerajaan persekutuan dan juga negeri. Membuat penyiasatan data keupayaan galas tanah bagi mengesan kawasan-kawasan yang mempunyai potensi tanah jerlus dengan melibatkan peruntukan tambahan daripada kementerian dan seterusnya mendapat pengesyoran daripada Bahagian Teknikal Jabatan Pertanian untuk selesaikan isu tanah jerlus ini dengan lebih tepat dan persis.
Untuk makluman Yang Berhormat, daerah Kerian ada menerima peruntukan tambahan daripada kementerian pada bulan Ogos bagi menyelenggara parit saliran sebanyak RM700 ribu dan jalan ladang RM300 ribu untuk kawasan Titi Serong, Selinsing, Gunong Semanggol dan Kuala Kurau. Jadi pada Hari Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan di Meru baru-baru ini, saya juga telah memaklumkan kepada Yang Berhormat Menteri KPKM untuk mempertimbangkan kelulusan berjumlah RM20 juta setahun bagi tahun 2024. Ini mengikut keperluan sebenar dengan melibatkan 2000 hektar bukan saja 590 hektar tetapi lebih kurang 2000 hektar dalam mengatasi isu tanah jerlus bukan saja di Titi Serong, termasuk isu jerlus di Selinsing dan juga Kerian. Terima kasih Timbalan Yang di-Pertua.
Soalan tambahan Timbalan Yang di-Pertua, Alor Pongsu.
Along Pongsu, sila. Soalan berkaitan sahaja.
Terima kasih Timbalan Yang di-Pertua. Terima kasih kepada pihak kerajaan kerana usaha-usaha untuk mengatasi tanah jerlus dan mohon jika ada wang ihsan. Kawasan saya juga terlibat. Soalan saya, adakah Pihak Berkuasa Negeri sedar daripada maklumat dari ketua-ketua Unit Peladang yang saya hadir, setelah berpuluh tahun depa buat bendang, sekarang baru berlaku tanah jerlus. Antara sebab utama yang dinyatakan adalah dari Pusat Rawatan Air Lembaga Air Perak, ada dua pusat rawatan besar itu, dilepaskan kumbahan itu dengan air jernihnya. Air itu dikatakan menyebabkan tanah rapuh dan jerlus. Adakah pihak berkuasa akan mengarahkan Jabatan Alam Sekitar untuk siasat cara Lembaga Air lepas air ini dan apa penyelesaian? Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat. Memang sebenarnya pihak Kerajaan Negeri khususnya mengambil perhatian apa yang dinyatakan oleh Yang Berhormat tadi dan perkara in kita memang sentiasa berbincang dengan jabatan dan agensi di bawah portfolio saya. Bukan sahaja disebabkan oleh apa yang saya sebut di awal tadi, seperti yang dibangkit oleh Yang Berhormat ini akan menjadi perhatian kepada saya dan juga kepada jabatan dan juga agensi yang berkaitan. Terima kasih.
Seterusnya saya ingin menjemput Ahli Yang Berhormat dari kawasan Manong untuk mengemukakan soalan. Sila
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Speaker. Manong soalan nombor tiga.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahitaala wabarakatuh. Salam sejahtera, salam Malaysia Madani, Salam Perak Sejahtera 2030. Salam solidariti dengan rakyat Palestin dan juga pejuang-pejuang Palestin. Timbalan Yang di-Pertua saya berterima kasih kepada Manong yang agak prihatin berkenaan dengan bekalan air dan juga elektrik di Manong. Khususnya di Kampung Guar. Jadi saya menjawab soalan itu kerana untuk makluman Yang Berhormat, permohonan pemasangan paip baru yang dikemukakan oleh JPKK Kampung Guar di Manong hari itu, untuk kawasan tersebut telah dikemukakan kepada Pejabat Daerah dan juga Tanah Kuala Kangsar untuk disenaraikan di dalam projek di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah sebab ia terlalu jauh daripada pekan Manong itu. Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Kangsar sedang dalam proses mengemaskini senarai berkenaan untuk dikemukakan ke UPEN terlebih dahulu. Sebelum diberikan kepada kementerian, diberikan ke UPEN dahulu untuk dianalisa. Terdapat 10 bilangan premis di kawasan tersebut bagi membolehkan bekalan air disalurkan dari punca terdekat iaitu Kampung Ara Panjang. Dengan cadangan pemasangan paip saiz 100mm yang panjang dekat Kampung Tebing Tinggi itu lebih kurang dalam 1.2km Yang Berhormat. Di kawasan Kampung Tebing Tinggi namanya.
Justeru itu permohonan bekalan air bandar iaitu BALB Kampung Guar ke Kampung Ara Panjang dengan kos lebih kurang RM180 ribu telahpun dipanjangkan ke Unit Perancang Ekonomi Perak pada 30 Oktober 2023, baru-baru ini. Setelah mendapat laporan daripada Lembaga Air Perak (LAP) Kuala Kangsar berkenaan kos tersebut. Terima kasih kepada LAP Kuala Kangsar. Bagi menjawab soalan bahagian B pula Yang Berhormat berkaitan permohonan pencawang baru elektrik di Kampung Sementa pula, maknanya ADUN Manong ini dia bahagian air bersih pun dia ambil perhatian besar, elektrik pun dia ambil juga di kampung-kampung yang berjauhan daripada Pekan Manong. Terdapat satu permohonan bekalan elektrik di kawasan Kampung Sementa sekitar 12 Februari 2022 hingga 17 Februari 2022 iaitu di Lot 2836 Kampung Sementa. Ketika itu, dapat satu permohonan sahaja. Namun bekalan elektrik tidak dapat diberikan kerana akan berlakunya penurunan voltan ataupun voltage drop dengan izin yang tinggi disebabkan lokasi rumah pemohon tersebut jarak jauh daripada pencawang elektrik yang terdekat di Kampung Sementa. Jadi jarak di antara pemohon itu dengan pencawang elektrik 2.1km. Jadi pihak TNB merasakan tidak berbaloi kalau kita pasang kabel itu akhirnya dia tidak memenuhi voltan yang dikehendaki di Kampung Sementa tersebut. Satu surat bertarikh 11 Mac telah diberikan kepada pemohon memaklumkan akan hal penurunan voltan tersebut dan mencadangkan agar pemohon melantik perunding dan juga juru ukur bagi menyediakan tapak pencawang atau pemohon boleh membuat permohonan bekalan elektrik luar bandar melalui Pejabat Penghulu. Itulah pun diberitahu pada pemohon bahawa jumlah penurunan voltan itu amat ketara kerana jauhnya 2.1km.
Pada 11 Januari 2023 pula, satu mesyuarat telah diadakan di Pejabat Penghulu Manong dan perkara ini turut dibincangkan di mana pihak TNB mencadangkan supaya nama Kampung Sementa disenaraikan dalam projek bekalan elektrik luar bandar bagi membantu pemohon Lot 2836 mendapat bekalan elektrik yang sempurna. Melalui lawatan tapak bersama TNB dan juga surat bertarikh 1 Februari 2023 tahun ini, pemohon telahpun maklum mengenai urusan tapak pencawang yang perlu diserahkan kepada TNB dengan keluasan 7m x 5m. Lokasi untuk pencawang telahpun dikenalpasti dan dipersetujui oleh pemohon. Maknanya pemohon bersetuju ada pencawang elektrik di situ.
Untuk makluman, prosedur permohonan bekalan elektrik secara biasa melalui bekalan elektrik luar bandar perlulah diusulkan dari pihak Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah. Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah perlu dimajukan senarai cadangan projek bekalan elektrik luar bandar yang telah dikenalpasti kepada TNB untuk semakan bagi menyediakan kertas kerja. Pihak TNB telah mengambil inisiatif awal dengan menyediakan kertas kerja seperti pelan cadangan tapak pencawang, laluan kabel voltan tinggi, laluan kabel voltan rendah, serta anggaran kasar kos projek bernilai lebih kurang RM1.022 juta, itu cadangan daripada TNB.
Untuk makluman Yang Berhormat Manong, permohonan pencawangan elektrik di Kampung Sementa Kuala Kangsar telah pun dipanjangkan kepada Unit Perancang Ekonomi Perak, UPEN pada 9 Ogos tahun ini juga untuk dimasukkan ke dalam senarai projek bekalan elektrik luar bandar. Terima kasih.
Manong.
Terima kasih kepada Yang Berhormat EXCO atas penjelasan dan jawapan berkaitan dengan isu elektrik dan air yang sangat penting bagi seluruh masyarakat pedalaman. Baik satu lagi persoalan saya soalan tambahan berkaitan dengan ada masalah lain yang juga timbul bukan sahaja di kawasan Manong dan bahkan seluruh kawasan lain iaitu masalah di tempat khususnya kawasan penempatan penduduk yang tinggi dan padat, masalah tekanan air yang rendah. Ianya berlaku terutama di waktu puncak, tekanan air yang rendah, kadang-kadang hendak jenuh hendak tunggu air kolam itu penuh, air tangki, air paip halus benar. Isu ini berlaku kerana beberapa masalah dikenalpasti antaranya perkembangan pesat sektor perumahan dan juga industri dan yang kedua kerana peningkatan penduduk di suatu kawasan dan yang ketiga kerana sistem berangkaian paip itu masih lagi paip lama mungkin berkarat dalam saluran paip dan sebagainya. Untuk itu soalan saya, apakah perancangan pihak kerajaan sama ada jangka panjang ataupun jangka pendek untuk mengatasi masalah tekanan air yang rendah ini, khususnya di kawasan penempatan yang tinggi? Terima kasih.
Terima kasih Manong di atas soalan tambahan itu. Bukan hanya di Manong sahaja kita melalui fenomena penambahan penduduk yang mendadak. Akibatnya, mereka masih lagi menggunakan paip lama. Tapi, pertambahan penduduk yang besar yang menyebabkan bukan hanya Manong, tapi kawasan-kawasan sekitar Kuala Kangsar itu sendiri. Jadi, untuk itu dalam proses kita pastikan dahlah paip itu paip lama tapi dia punya diameter dia pun dengan izin tak sampai 100mm. Jadi untuk itu, LAP dalam perancangan, mana-mana paip-paip yang dah lama yang agak risiko dia akan pecah dan sebagainya kerana penggunaan tu lama dan juga tekanan yang tinggi, maka LAP dalam perancangan berperingkat-peringkat untuk mengubah mana-mana tempat yang paip dia mengalami fenomena kerosakan begitu. Oleh kerana hari ini LAP menanggung penderitaan kerana kos untuk kita tanggung air yang hilang ini kadang-kadang dianya paip pecah maka terpaksa kita tanggung kos NRW dengan izin yang tinggi 30% lebih. Jadi untuk itu, kita dapati bahawa kampung di Kuala Kangsar itu, oleh akibat pertambahan penduduk tu kita kena besarkan paip sebab cadangan saya tadi, di kampung itu sahaja 100mm adalah ukuran yang kecil. Sedangkan paip yang lama tu lebih kecil daripada itu. Jadi bila tekanan tu menurun, hari-hari keramaian, hari-hari, hari-hari keramaian terutamanya musim perayaan ni, maka ianya menjejaskan bekalan air itu sendiri.
Jadi untuk itu LAP sedang dalam proses dalam fasa kenalpasti di kawasan Kuala Kangsar itu di mana yang paling-paling teruk sekali. Jadi kita beri keutamaan untuk mengganti paip tersebut supaya ianya dilebar dibesarkan dan boleh menampung keperluan terkini dan daripada sama juga kita akan fikirkan keperluan yang akan datang. Supaya akan datang ini ramai lagi penduduk. Kita ada perancangan tempatan Kuala Kangsar itu berlandas pada itu kita pastikan paip yang hendak kita ganti nanti ini boleh menampung keperluan yang akan datang. Jadi saya harapkan Manong kalau boleh bersabar sedikit kerana proses yang lama seluruh negeri kita ni, paip-paipnya ditanam oleh orang putih lama dahulu. Jadi NRW kita ni tertinggi. Jadi untuk kita kurangkan makan kos yang besar, tapi kita buat pelan-pelan InsyaAllah. Supaya orang-orang Manong dapat air yang bersih, dapat bekalan elektrik yang cukup. Terima kasih.
Selinsing sila.
Terima kasih Timbalan Yang di-Pertua, Yang Berhormat EXCO. Saya sedikit tambahan tadi berkaitan dengan bekalan air. Saya bekalan elektrik lah. Di kawasan Selingsing dan juga di daerah Kerian, kalau ikutkanlah banyak kawasan yang bermasalah dengan voltan yang rendah ni low voltage. Kalau di kawasan saya ada laporan daripada klinik kesihatan sendiri menyebut berlaku kerosakan peralatan mereka disebabkan apa ni low voltage ni dan ada beberapa buah kampung juga yang begitu yang mana ada buat rumah baru pun tak boleh masuk elektrik kerana kekurangan elektrik. Apatah lagi apabila di Kerian saya ingat bukan saja di Selinsing, termasuk di Alor Pongsu dan di bahagian Parit Buntar, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sebut kita akan ada (KIIP) Kerian Integrated Industrial Park yang mana kalaulah masalah low voltage ini tidak diberikan perhatian yang serius, harapan kita untuk nak buat satu kawasan perindustrian dengan keupayaan elektrik yang mencukupi itu kita agak bimbang. Jadi apakah perancangan pihak kerajaan bagi memastikan masalah low voltage ini dapat diatasi? Terima kasih.
Terima kasih kepada Selinsing yang prihatin berkenaan dengan dengan bekalan elektrik bukan hanya di kawasan Selinsing. Tapi insyaAllah perancangan kerajaannya bila kita telah pun bersetuju dengan bantuan Kerajaan Persekutuan, jadikan Kerian itu sebagai 'valley high-tech'. Kita nak modenkan perindustrian di situ maka sudah tentulah pihak kerajaan akan menyediakan kemudahan awam yang mencukupi. Jadi industri-industri yang akan dimasukkan ke bahagian ke apa ni, zon utara nanti adalah industri-industri yang berteknologi tinggi. Jadi mereka hendakkan bekalan elektrik bukan yang mencukupi tapi mutu dia kenalah mutu yang plus minus dengan izin 5%. Dengan itu perancangan itu bakal makan masa. Tapi masalah yang dihadapi oleh Selinsing hari ini mengatakan bahawa ada kawasan-kawasan perumahan yang voltannya rendah. Ya, saya akui benda itu. Sebab bila pertambahan penduduk ini, kita tidak besarkan supply bekalan dia punya kabel-kabel lama juga. Pencawang-pencawang lama juga. Jadi untuk itu, saya akan arahkan TNB buat kajian menyeluruh di Selinsing itu adakah voltage drop ini agak mendadak? Sudah tentu dia akan menurun. Tapi kalau sekiranya agak mendadak, maka kita akan fikirkan kaedah- kaedah untuk mengangkat balik bekalan elektrik menggunakan kabel yang ada ini kalau dianya boleh mampu. Supaya ditahan, dipasang beberapa alat-alat yang boleh meningkatkan bekalan itu semula. Itu pun sementara sahaja. Kalau kiranya boleh dibuat, kita akan pastikan. Jadi saya akan arahkan TNB, bukan hanya di Kerian, tapi di peringkat sini, di pekan Ipoh ini, ibu pejabat untuk kaji bekalan tu sama ada voltage drop dia agak menyusahkan. Tapi kalau voltage drop itu tak seteruk apa yang dihadapi oleh industri-industri lain jadi barangkali kita boleh cuba gunakan kaedah-kaedah meletakkan sebuah transformer kecil barangkali untuk meningkatkan balik voltage dia tu dan itu kajian yang menyeluruh akan dibuat oleh pihak TNB secepat mungkin insyaAllah. Terima kasih.
Seterusnya, saya dijemput Ahli Yang Berhormat…
Speaker Manjoi satu.
Tidak boleh, sila duduk. Selepasnya, seterusnya saya jemput Ahli Yang Berhormat dari kawasan Buntong untuk mengemukakan soalan. Sila.
Terima kasih Timbalan Yang di-Pertua, soalan Buntong soalan nombor empat.
Terima kasih diucapkan kepada Buntong. Salam Sejahtera, Salam Malaysia Madani dan salam Perak Sejahtera 2030. Untuk makluman Yang Berhormat, masalah brain drain yang berlaku perlu diambil kira dari pelbagai aspek. Seperti ekosistem industri, pelaburan, pembangunan luar bandar dan bandar, gaya hidup masyarakat serta kos sara hidup. Tidak lupa juga terhadap dasar-dasar pekerjaan seperti faktor gaji dan tawaran pekerjaan yang semakin terhad menjadi antara faktor penghijrahan tenaga kerja atau bakat muda tempatan. Justeru itu, antara perancangan dan usaha yang giat dilaksanakan di bawah agensi pelaksanaan Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) dalam meningkatkan peluang pekerjaan yang berkualiti adalah melalui yang pertama, menaik taraf platform pencarian pekerjaan dalam talian iaitu aplikasi Talent Perak. Talent Perak merupakan sistem pekerjaan online bagi membuat padanan pekerjaan berdasarkan kelayakan, kemahiran, pengalaman, gaji dan lain-lain mengikut keperluan majikan iaitu job matching. Aplikasi ini perlu dimanfaatkan oleh setiap pencari kerja seluruh negeri Perak kerana ianya merupakan langkah awal untuk golongan ini berada dalam pasaran pekerjaan sekaligus membantu kebolehpasaran dalam kalangan mereka melalui hujung jari.
Selain itu, pihak PASAK juga akan memperluaskan program jelajah karnival kerjaya di peringkat daerah-daerah untuk menarik pencari kerja tempatan mengisi kekosongan jawatan yang ditawarkan industri dalam negeri. Di samping itu, memperluaskan serta mempergiat usaha ke arah meningkatkan peluang pekerjaan yang lebih fleksibel, arus masa keseimbangan kehidupan iaitu quality of life dan pendapatan yang berkualiti melalui perkembangan industri global yang lebih fleksibel atau global business jangka panjang dengan kerjasama Northern Corridor Implementation Authority atau NCER, Malaysian Digital Economic Cooperation (MDEC), Malaysian Investment Development Authority (MIDA), UPEN, Invest Perak, Digital Perak dan PASAK. Seterusnya, libat urus bersama IPTA dan IPTS dalam memberi pendedahan kepada mahasiswa-mahasiswi, graduan, berkaitan industri semasa serta prospek industri sebagai persediaan guna tenaga jangka pendek atau panjang. Begitu juga dengan memaksimumkan aspek latihan kemahiran sebagai nilai tambah kepada anak muda dan siswazah seperti diterima secara langsung di dalam industri melalui latihan place and train serta penekanan dalam elemen soft skill kepada kumpulan sasar. Selain itu, libat urus bersama pemain-pemain industri supaya isu atau masalah supply and demand seperti gaji pokok, kemudahan atau fasiliti majikan, kemahiran yang sepadan dengan kriteria kadar lantik henti turnover dapat diminimumkan secara kolektif. Akhir sekali adalah persediaan tenaga kerja melalui pendedahan early exposure kepada pelajar-pelajar sekolah menengah berkaitan prospek kerjaya melalui usaha pelaksanaan program seperti pemberitahuan kerjaya bersama kelab kerjaya sekolah.
Justifikasinya, Kementerian Sumber Manusia melalui PERKESO serta mengambil langkah untuk proaktif yang proaktif untuk meningkatkan peluang pekerjaan dalam negara ini termasuk negeri Perak sekaligus membantu kerajaan dalam mengatasi situasi 'brain drain'. Berdasarkan statistik PERKESO, jumlah kekosongan jawatan yang diiklankan di dalam portal My Future Job dari tempoh Januari hingga 12 Oktober 2023 adalah sebanyak 58,874 kekosongan jawatan di negeri Perak. Daripada jumlah tersebut, kekosongan jawatan aktif yang diiklankan di seluruh negeri Perak adalah sebanyak 5,725 dengan pelbagai kategori pekerjaan termasuk pengurusan, profesional, juruteknik dan profesional bersekutu. Selain itu, Kerajaan Persekutuan melalui Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara sentiasa berusaha untuk mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi melalui pelaburan strategik dan berkualiti melibatkan sektor perbuatan ekonomi digital dan lain-lain sektor yang bernilai tinggi. Usaha ini dapat meningkatkan pendapatan negeri dan seterusnya mengurangkan migrasi keluar tenaga pekerja mahir dan separa mahir dari negeri Perak.
Seterusnya, antara inisiatif yang dirancangkan untuk menyokong kemasukan pelabur ke negeri Perak adalah seperti pembangunan kawasan industri baru di Daerah Kerian dan Bagan Datuk serta projek LuMIC (Lumut Maritime Industry City) di Daerah Manjung di mana ianya akan menumpukan kepada pembangunan industri baru yang berteknologi tinggi seperti yang dilaksanakan di Proton City, Tanjong Malim. Oleh itu, Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) sepanjang masa mengalahkan serta membuka ruang untuk peluang kepada semua peringkat usia, kaum dan golongan untuk menjadikan keusahawan sebagai kerjaya dan punca pendapatan. Tambahan pula, sokongan dari aspek khidmat nasihat dan bantuan teknikal akan diberikan kepada mereka yang ingin menjadi keusahawanan sebagai kerjaya seterusnya membentuk kelompok usahawan generasi baru di Negeri Perak yang mempunyai pendapatan yang setara atau lebih baik dari negeri lain di Malaysia.
Tuntasnya, melalui perancangan dan tindakan ini, kerajaan Negeri Perak optimis agar peluang pekerjaan yang ditawarkan dapat diisi oleh bakat-bakat tempatan yang secara tidak langsung dapat meningkatkan serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi bagi pendapatan tambahan kepada pekerja-pekerja di seluruh negara. Semalam di Parlimen, Menteri Ekonomi telah pun membentangkan satu kertas kerja yang dipanggil sebagai Kertas Putih Cadangan Dasar Gaji Progresif memaklumkan wujud situasi pendapatan upah di bawah Perintah Gaji Minimum. Dengan izin, dasar gaji progresif adalah dasar reformasi gaji yang dijangka berupaya untuk mencapai matlamat tersebut memandangkan dasar ini adalah bersifat sukarela berteraskan insentif dan terkait dengan produktiviti. Jadi dasar ini akan direalisasikan pada tahun depan, Januari 2024. Maka dengan adanya kertas putih ini, pekerja-pekerja kita yang gaji di antara RM1,500 hingga RM5,000 akan dapat penambahan gaji di bawah dasar gaji progresif, tertakluk kepada garis-garis panduan yang akan ditetapkan nanti oleh Menteri Ekonomi. Sekian, terima kasih.
Buntong.
Terima kasih. Soalan tambahan Buntong, inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri seperti LuMIC, Lumut Maritime Industrial City dan Automatif High Valley Tanjong Malim merupakan langkah-langkah yang baik, tetapi perlu ditambah baik daripada segi penyampaian maklumat berkenaan faedah dan kelebihan inisiatif ini kepada bakal graduan dan pencari-pencari kerja. Oleh itu, soalan saya, apakah langkah pihak Kerajaan Negeri bagi menghebahkan lagi inisiatif ini ke seluruh pelosok Negeri Perak? Terima kasih.
Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri melalui agensi PASAK telah pun melaksanakan persediaan awal bagi menampung keperluan tenaga kerja berkemahiran melalui beberapa inisiatif. Yang pertama adalah dengan penubuhan Jawatankuasa Pekerjaan Wilayah Selatan yang dianggotai oleh Majlis Daerah Tanjong Malim, Pejabat Pendidikan Daerah atau PPD, pihak Proton, pihak vendor, institusi kemahiran yang menawarkan kursus bidang automatif serta pihak PERKESO. Jawatankuasa ini akan berfungsi sebagai pemudah cara dalam mengenal pasti keperluan dan permintaan iaitu supply and demand dan di antara industri dan institusi latihan secara terperinci berkaitan skop pekerjaan, keperluan kemahiran dan keperluan tenaga kerja sama ada jangka pendek, sederhana atau panjang. Yang kedua ia melibatkan 38 institusi kemahiran awam dan swasta di Negeri Perak bagi sesi suai padan bersama pelajar tahun akhir yang mengambil jurusan automotif dan teknikal untuk disalurkan kepada industri. Sebagai persediaan awal, Politeknik Sultan Azlan Shah Behrang untuk dijadikan hub latihan automotif atau training ground dengan perkongsian tenaga dan pengajar daripada institusi dan institusi industri bagi merangka kursus latihan yang lebih terperinci berdasarkan machine technology, SOP serta keperluan industri. Promosi kempen dan pendedahan melibatkan institusi awam dan swasta berkaitan bidang kemahiran yang harus diterokai khususnya kepada murid-murid sekolah. Lepasan SPM dan belia menganggur untuk menjadikan TVET sebagai pilihan berjaya. Inisiatif ini mensasarkan peningkatan 10% pelajar secara tahunan untuk mengikut kursus-kursus dalam bidang automatif dan teknikal di institut kemahiran. Terima kasih
Manong sila. Soalan tambahan.
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Speaker dan terima kasih kepada Yang Berhormat Exco. Soalan tambahan saya berkaitan dengan isu brain drain. Terdapat satu kajian yang menunjukkan ada tiga punca utama brain drain. Yang pertama, kekurangan pembangunan kerjaya seperti yang telah dijawab tadi, sebanyak 36%. Yang keduanya, kekurangan penghargaan atau pengiktirafan daripada majikan sebanyak 27% dan yang ketiga, kekurangan peluang latihan sebanyak 26%. So, soalan saya apakah polisi yang mungkin polisi pihak kerajaan untuk menggalakkan semua majikan sama ada sektor swasta atau awam menggalakkan mereka majikan ini memberi pengiktirafan atau penghargaan kepada pekerja-pekerja yang berjaya, yang mahir dan sebagainya supaya nak mengurangkan masalah brain drain ini kerana isu yang kedua ini kurang dikupas kerana nak memberi penghargaan, pengiktirafan kepada pekerja mungkin melibatkan kos dan sebagainya. Apakah polisi pihak kerajaan untuk mengatasi masalah ataupun untuk memberi galakan kepada semua majikan, memberi pengiktirafan yang sewajarnya kepada kepada pekerja yang cemerlang? Terima kasih.
Saya kurang faham soalan. Boleh ulang sekali lagi.
Terdapat satu kajian menunjukkan bahawa antara punca brain drain adalah kerana majikan kurang memberi pengiktirafan ataupun penghargaan kepada pekerja yang cemerlang. Lantas itu mereka keluar cari organisasi lain, di negeri lain mahupun di negara lain. Untuk mengurangkan masalah brain drain ini, mungkin kerajaan boleh wujudkan satu polisi untuk menggalakkan semua majikan swasta mahupun awam, menggalakkan majikan buatlah banyak-banyak majlis penghargaan ataupun berilah pengiktirafan kepada pekerja yang mungkin telah mendapat anugerah cemerlang, reka cipta dan sebagainya. So apakah polisi pihak kerajaan dari sudut itu? Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Manong. Berkaitan dengan iktirafan yang sepatutnya diberikan kepada pekerja-pekerja cemerlang. Itu adalah di antara majikan dan pekerja. Di mana adanya kesatuan, dengan penubuhan kesatuan, tidak ada masalah. Sebab di situ mereka ada apa yang kita panggil sebagai perjanjian bersama ataupun kolektif agreement dan di bawah kolektif agreement itu ada perkara-perkara dan artikel-artikel yang disenaraikan demi kebajikan pekerja. Jadi di situ, tidak ada masalah walaupun ada masalah pertikaian kerja, itu dapat diselesaikan melalui ruang perundingan yang ada pada perjanjian bersama tersebut kerana perjanjian ini mendapat keiktirafan Mahkamah Perusahaan. Jadi mereka yang ada kesatuan atau yang mewakili yang menganggotai kesatuan tidak ada masalah apabila datang kepada keiktirafan pekerjaan dan juga pertikaian kerja. Masalah yang wujud adalah di kalangan majikan-majikan yang tidak ada kesatuan atau persatuan. Jadi, demi untuk memastikan pekerja-pekerja ini terjamin, Kerajaan Negeri telah mengambil beberapa tindakan iaitu contohnya adalah kawasan Selama. Di mana ada sebuah kilang kelapa sawit yang dipanggil sebagai Selama Oil Mill Sdn Bhd. Yang kilang ini, 3 bulan, pekerja pergi ke kerja, punch card pada pukul 9, duduk langsung tak kerja, balik pukul 5. Itu yang mereka buat 3 bulan dan 3 bulan ini, masalah majikan ini adalah di antara majikan dengan Jabatan Alam Sekitar. Jadi apabila Alam Sekitar keluarkan notis kepada majikan ini agar majikan ini tidak mengikuti peraturan-peraturan yang terkandung dalam Akta Alam Sekitar, mereka minta supaya operasi ditutupkan.
Saya tidak tahu Yang Berhormat Selama tahu perkara ini atau tidak. Isu ini akhirnya dibawa keperhatian saya dan Kerajaan Negeri pada minggu lepas, satu mesyuarat pendamaian diadakan di pejabat saya di antara majikan, di antara Jabatan Alam Sekitar dipengerusikan oleh saya dengan hadiran Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Perak. Selepas berbincang selama 45 minit, kita dapat selesaikan masalah dan pekerja akan balik bekerja dan dapat imbuhan dan dan elaun-elaun seperti mereka dapat sebelum 3 bulan yang lepas. Jadi perkara itu telah diselesaikan. Jadi di mana perlunya penglibatan Kerajaan Negeri, kita akan campur tangan. Tetapi kita tak boleh campur tangan di tempat-tempat di mana pihak majikan tidak bersetuju untuk kita masuk tetapi bukan saja perkara ini berlaku di negeri Perak saja, tetapi berlaku di seluruh negara dan untuk makluman, tuan-tuan Yang Berhormat, Akta Kerja 1955, Akta Kesatuan Sekerja 1959 dan Akta Perhubungan Perusahaan 1967, kali pertama dalam 60 tahun telah mendapat pindaan yang dahsyat. Bukan cosmetic amendment, tapi pindaan keseluruhan. Jadi melalui pindaan-pindaan ini ada kes ada ada ciri-ciri untuk untuk memastikan bahawa hak-hak pekerja dijaga. Jadi kita harap, kita akan minta supaya sektor-sektor awam, supaya memberi memberi iktirafan. Kalau tidak, yang yang rugi adalah majikan. Mereka akan cabut lari ke tempat lain. Yang mereka dapatkan iktirafan, yang mereka dapatkan gaji. So, open market. Saya percaya jawapan itu dekat. Yang Berhormat, terima kasih.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Exco. Seterusnya, dijemput Ahli Yang Berhormat dari kawasan Bukit Chandan untuk mengemukakan soalan. Sila.
Bukit Chandan soalan keenam.
Terima kasih YB Bukit Chandan. Terima kasih Timbalan Speaker. Untuk makluman yang berhormat Bukit Chandan, Kuala Kangsar merupakan salah satu destinasi pelancongan yang diketengahkan sebagai lokasi wajib dikunjungi. Kuala Kangsar amat terkenal sebagai Bandar DiRaja, menjadikan bandar tersebut tumpuan para pelancong dari dalam dan luar negeri. Kuala Kangsar juga menjadi salah satu ikon pelancongan Negeri Perak dan dipromosikan dalam pelbagai medium cetak dan digital melalui pelbagai agensi termasuk Tourism Perak. Ia juga secara tidak langsung memberikan impak kepada kawasan sekitarnya yang turut mempunyai produk-produk pelancongan yang berupaya untuk menarik pelancong ke Kuala Kangsar dan sekitar.
Seperti yang kita sedia maklum, Kuala Kangsar diketengahkan sebagai salah satu destinasi wajib dikunjungi apabila berkunjung ke Negeri Perak kerana ianya merupakan produk bertemakan warisan, budaya dan eko pelancongan. Selain daripada itu, pelbagai jenis makanan yang unik menjadi tarikan seperti laksa Kuala Kangsar yang juga diketengahkan dalam program tahunan seperti Pesta Laksa. Produk-produk pelancongan lain di Kuala Kangsar seperti Masjid Ubudiah, Victoria Bridge, Istana Kenangan, Galeri Sultan Azlan Shah, Homestay Labu Kubung, serta pelbagai-pelbagai tempat lagi termasuk kraftangan yang ada di Kuala Kangsar tapi bukan di pekannya. Lagi ada yang baru, Kampung Warisan Budaya di Karai atau Enggor dan juga pelbagai tempat lagi. Ada juga aktiviti-aktiviti seperti pembuatan kraftangan, labu sayung, rebana, tekat benang emas juga dipromosikan sebagai tarikan pelancongan di Kuala Kangsar dan kawasan sekitarnya. Rancangan untuk menjadikan Kuala Kangsar sebagai bandar tarikan pelancongan adalah dengan melaksanakan promosi secara berterusan. Antara inisiatif-inisiatif baru yang kita lakukan adalah promosi yang telah dijalankan seperti fam trip atau familiarization trip dengan izin lawatan-lawatan daripada pemain-pemain media atau juga pemain-pemain industri daripada luar negara daripada Indonesia daripada Thailand dan sekitarnya ke kawasan-kawasan Kuala Kangsar dan juga lawatan agensi-agensi pelancongan juga para-para pemain industri seperti tour guide atau pemandu pelancong dan sebagainya ke kawasan-kawasan ini. Lawatan ini telah diaturkan oleh pihak Tourism Perak yang bertujuan mempromosikan Kuala Kangsar kepada pelancong luar.
Selain itu, pemasangan papan iklan atau billboard di persimpangan Kuala Kangsar menuju ke persimpangan Ipoh Utara, turut merupakan usaha Kerajaan Negeri dalam menjadikan Kuala Kangsar sebagai bandar tarikan pelancong. Di samping itu, medium promosi digital juga memainkan peranan penting di bawah revolusi perindustrian IR 4.0 untuk mengetengahkan produk-produk pelancongan di negeri Perak. Platform digital seperti TikTok, Facebook, X dan sebagainya merupakan medium yang paling sesuai digunakan mengikut trend semasa. Destinasi pelancongan seperti Kuala Kangsar dipromosikan kepada pelancong melalui platform digital tersebut dan juga mengetengahkan elemen-elemen warisan DiRaja dan sebagainya Ini tidak termasuk juga lawatan-lawatan ke luar negara seperti yang telah kita adakan ke Eropah, ke Singapura, ke China, ke Indonesia dan sebagainya di mana kita mempunyai kiosk-kiosk yang kita secara fizikal bertemu dengan pemain-pemain industri di sana di mana kita memasarkan dan kita dapat bertemu secara fizikal untuk memberitahu dan memasarkan apa-apa produk yang kita ada di kawasan Kuala Kangsar dan juga di sekitar Kuala Kangsar kerana pelancongan tidak boleh bergerak secara solo untuk satu tempat sahaja sebab pelancong mereka travel atau berjalan daripada tempat yang jauh untuk sampai ke satu tempat dan kita tidak boleh adakan satu tempat di mana mereka singgah untuk seketika sahaja.
Jadi untuk Dewan, makluman Dewan yang mulia ini, beberapa program telah dimasukkan ke kelendar acara sempena Tahun Melawat Perak 2024 untuk merancakkan lagi aktiviti pelancongan seperti Program Cinta Warisan diRaja Perak, pertandingan berkayak perahu naga, Pesta Laksa seperti yang dikatakan tadi dan juga kita sedang merancang Fiesta Budaya untuk membawa aktiviti kebudayaan terus ke kampung, terus ke bandar, ke pekan daripada diadakan di dalam dewan-dewan dan sebagainya. Juga diadakan Family Day with Bicycle in conjunction with World Bicycle Day. Yang ini diadakan di banyak-banyak tempat juga sekali. Kuala Kangsar merupakan salah satu tempat selain daripada Ipoh, Taiping, Teluk Intan dan Tapah. Acara-acara ini telah disenaraikan dalam kalender acara sempena Tahun Melawat Perak 2024 bagi meriahkan lagi Tahun Melawat Perak 2024 dan dipromosikan di lawan web Tourism Perak. Dia ada satu link di sini saya rasa telah kita tak boleh nak baca link itu tapi boleh dapatkan daripada Tourism Perak atau daripada saya sebentar nanti. Dari aspek pembangunan produk pula, inisiatif baik pula juga telah baik pulih juga telah diadakan, dilaksanakan oleh permohonan-permohonan peruntukan melalui Kerajaan Negeri dan Persekutuan. Antara sikit yang kita namakan di sini adalah baik pulih pokok getah tertua, Jambatan Victoria Karai dengan pengindahan kawasan serta mengukurkan ciri keselamatan Menara Jam Besar di Kuala Kangsar, Menara Merdeka di Sungai Siput, baik pulih jeti lembah, pemasangan papan tanda, pencantikan Cruise Sungai Perak, pemasangan papan tanda informasi, produk-produk pelancongan terutamanya mereka yang tiada penceritaan lagi. Ini antara kerja-kerja yang telah kita lakukan di Kuala Kangsar atau spesifikinya mungkin di di kawasan YB. Terima kasih.
Bukit Chandan. Sila.
Soalan tambahan. Adakah pihak Kerajaan Negeri bercadang untuk melantik satu ejen khas ataupun local travel agent, thru agent untuk menguruskan setiap pelancong-pelancong yang datang ke Kuala Kangsar? Contohnya, mereka-mereka ni bila sampai di Kuala Kangsar, dibawa ke destinasi-destinasi yang tertentu. Contoh mula dengan pokok getah yang berusia 100 tahun, kemudian dibawa ke Jambatan Victoria, kemudian dibawa ke Masjid Ubudiah. Jadi dia ada satu sistem di sana. Jadi tidaklah pelancong ni bila sampai di Kuala Kangsar, dia tak tahu nak pergi mana. Ya, tidak ada local tour guide untuk menguruskan masalah ni. Terima kasih.
Itu merupakan satu sudut pandangan yang ada betulnya pada saya, tetapi juga ada kekurangannya pada saya juga. Di mana saya rasa kita tidak akan mengadakan satu khusus. Sebab ia tidak selari dengan aspirasi atau konsep kita untuk merakyatkan atau mendemokrasikan sektor pelancongan. Sebab apabila kita bagi satu khusus, maka dari segi konteks ini mungkin ia dikatakan dimonopoli oleh pemain-pemain tertentu tetapi walaubagaimanapun, untuk makluman YB, untuk juga makluman seisi Dewan, pihak MPKK sedang berusaha keras, sedang berusaha giat untuk mendapatkan pemain-pemain industri ini. Sebagai contoh, sebagai contoh MPKK sedang berusaha untuk menaikkan River Cruise selain daripada Balai Gambang yang ada di Sungai Perak tu. Jadi mungkin Balai Gambang tu sesuai untuk sesetengah pihak tetapi ada lain juga mereka mempunyai minat yang tersendiri apabila mereka ke sungai tu. River Cruise itu termasuk juga dalam jajaran mereka yang dikembangkan oleh MPKK adalah daripada kawasan lembah iaitu apabila mereka sampai ke kawasan Sayong dan lembah dan kawasan Istana dan sebagainya terutamanya mereka di kawasan lembah sedang shopping dan sebagainya makan dan sebagainya, mereka dapat menaiki orang kata apa cruise yang disediakan oleh Balai Gambang ataupun mereka boleh ambil River Cruise ke kawasan Karai atau di kawasan Enggor.
Di mana kita mempunyai satu produk baru di sana termasuk yang telah disediakan yang sangat cantik telah disediakan oleh JPS sekiranya anda suka nak naik basikal, nak jogging dan sebagainya dia ada laluan sepanjang sungai itu dan juga dia ada satu bangunan yang cukup cantik bukan oleh kerajaan, oleh pemain swasta tetapi kalau anda di sana memang cukup cantik dinamakan warisan, apa nama tadi saya kata? Warisan Kebudayaan Melayu or something like that kan? Bangunan warisan something, lebih kuranglah. Saya terlupa minta maaf tapi memang warisan kebudayaan melayulah kalau saya tak silap. Bangunan tu dimana dia cukup cantik dan boleh muat untuk semua orang kata produk-produk pelancongan di sekitar Kuala Kangsar untuk ada di situ dan tetapi seperti perbincangan saya baru-baru ini dengan pihak MPKK, MPKK juga sedang membuat usaha baru untuk melibatkan selain daripada lembah di kawasan Kuala Kangsar Pekan ni, selain daripada perhubungan ni ke Karai atau Enggor, ia juga akan membuat satu target baru iaitu ke Sayong Lembah. Just betul-betul di hadapan sungai.
Di mana kalau di situ juga kita mempunyai ramai-ramai penggiat kraf terutamanya orang-orang kampung yang mahir terutamanya dari segi labu sayong daripada tekat benang dan sebagainya dan juga pembuatan rebana dan sebagainya. Jadi ini saya rasa dapat menaikkan lagi punca pendapatan satu, kegiatan ekonomi satu tetapi juga pengembangan budaya, warisan, sejarah yang telah ditinggalkan secara turun-temurun orang Perak. Jadi ia dapat diketengahkan kepada mereka yang datang melawat di sini. Jadi ini antara benda-benda yang kita lakukan tetapi macam yang kita katakan tadi, balik kepada puncanya, kita tidak percaya untuk bagi kepada satu orang atau satu syarikat tetapi kita melibatkan MPKK sedang berusaha mendapatkan pemain-pemain.
Jadi kalau sesiapa yang sedang melihat kalau dalam YouTube sekarang, atau Ahli-ahli Dewan, atau YB sendiri mempunyai kawan-kawan atau siapa-siapa yang ingin menceburkan diri ini boleh hubungi MPKK. Sebenarnya mereka sedang giat untuk menghubungi mereka yang berminat untuk akses kepada River Cruise tu dan juga Tourism Perak berusaha sekali dengan MOTAC sedang berusaha juga mendapatkan local guide-local guide yang ada di kawasan tersebut. Boleh menghubungi Tourism Perak ataupun MOTAC. Mereka sanggup untuk memberikan penyediaan kepada kepakaran-kepakaran untuk melatih mereka supaya datang bekerjasama di mana kita dapat memajukan lagi kawasan pelancongan di Kuala Kangsar. Terima kasih.
Manjoi.
Alor Pongsu.
Pasir Pinji, sila. Satu sahaja, Pasir Pinji Sila.
Terima kasih, Timbalan Yang di-Pertua. Soalan tambahan saya, Malaysia: Truly Asia merupakan satu slogan yang digunakan untuk mempromosikan Malaysia dan ianya amat terpahat bukan sahaja di dalam hati rakyat kita, rakyat Malaysia tapi juga dikenali oleh rakyat-rakyat di negara lain seperti kalau dia pergi Filipina, mereka atau cuti-cuti Malaysia dan juga slogan Malaysia Truly Asia. Jadi, dengan bangganya saya boleh mengatakan bahawa Malaysia merupakan negara yang merupakan negara majmuk yang dikenali serata dunia yang mempunyai pelbagai kebudayaan dan warisan yang terdiri daripada pelbagai kaum. Jadi, soalan saya, adakah Kerajaan berniat untuk memasarkan pelbagai warisan budaya yang ada di Perak? Sebagai contoh, tempat-tempat dan budaya-budaya yang terdapat di dalam Kampung Baru, yang ada di kawasan tinggalan perlombongan bijih timah dan juga tempat-tempat bersejarah, bangunan heritage seperti yang ada di Taiping, atau kita kata Teluk Intan, dan juga Kinta yang ada sekarang dan sebagainya? Ok, Terima kasih.
Timbalan Speaker, kalau boleh saya nak setengah jam lagi. Ok, terima kasih kepada YB Pasir Pinji. Pinji ke Pasir Pinji? Pinji. Terima kasih. Jadi untuk makluman kepada Dewan, seisi Dewan dan juga sudah tentunya kepada Timbalan Speaker. Slogan Malaysia Truly Asia merupakan salah satu slogan yang paling berjaya yang telah dihasilkan dari penjenamaan untuk pelan produk-produk pelancongan dan juga untuk memasarkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan. Itu kita tidak dapat nafikan. Satu yang telah terpahat dalam hati kita semua dan juga kepada orang kata pelancong-pelancong dan juga pemain-pemain industri di seluruh dunia kerana Malaysia merupakan satu-satunya atau tidak sekurang-kurangnya antara yang dapat sikit sahaja di mana kita dapat contoh, dapat kita datang ke Malaysia atau kita datang ke Perak, kita datang boleh equivalent too, kita dah pergi Thailand, kita dah pergi Indonesia, kita dah pergi China, kita dah pergi India dan sebagainya sebab pelbagai kebudayaan ada di Malaysia.
Jadi saya menyambut baik cadangan YB tadi dan tetapi sememangnya kita sedang giat dan juga kita sedang giat dan kita juga telah memasarkan Perak terutamanya kerana kalau kita tengok komposisi di Negeri Perak memang cukup macam komposisi Malaysia. Kita mempunyai pelbagai kaum, pelbagai kebudayaan. Kita sambut baik ada pelbagai benda yang sangat unik kepada Malaysia terutamanya di negeri Perak. Sebagai contoh, apa yang dikatakan oleh YB tadi, kalau saya tak silap, dia bangkitkan Kampung Baru. Kampung Baru merupakan satu-satunya keunikan yang ada di Malaysia sahaja. Tak ada dalam dunia ini. Di Malaysia sahaja dan lahirnya Kampung Baru ini adalah dari sejarah kita apabila Negara kita Malaysia berada dalam darurat, dalam konteks sejarahnya semasa perang kerajaan dengan geng-geng komunis. Jadi itulah dari sejarah penceritaannya ada Kampung Baru dan bagaimana masyarakat Cina dipindahkan daripada penempatan biasa seperti kalau masyarakat Cina dulu mungkin dia duduk macam kampung tradisi bersama dengan orang Melayu dan sebagainya, dipindahkan ke dalam satu-satu kem dan kemudiannya harinya menjadi Kampung Baru. Itu merupakan satu penceritaan. Kita akan bawa kepada sektor-sektor tertentu. Sudah tentunya kalau kita bawa contoh Kampung Baru ini kepada target kita di Arab, saya rasa mereka kurang berminat tetapi kalau produk ini kita bawa kepada yang sekarang menjadi target contoh negara China atau sebagainya mereka mempunyai minat yang mendalam. Jadi kita bukan sahaja Malaysia Truly Asia saya cukup setuju ini tetapi kita juga perlu target kepada sesuatu yang betul destinasinya. Contoh apabila kita nak jual barangan kita kepada China, apa produk kita? Apakah yang mereka lihat? Apa kita nak jual produk kita ke Asia Tengah? Apakah mereka yang sanggup nak lihat? Di China pun kita bukan kata kita jual produk kita kepada masyarakat China yang secara amnya China yang difahami. Kalau kita nak mendalami konteksnya mungkin orang kata daripada orang golongan Han, ok tetapi ada juga sektor lain di mana di China, kalau penduduk Islamnya sahaja dah melebihi keseluruhan rakyat Malaysia. Jadi konteksnya kita boleh pasarkan kepada mereka juga keunikan Islam kita. Negara majmuk Islam. Jadi, ada pelbagai.
Memang kita cuba nak bangkitkan ini semua. Kita cuba nak memasarkan semua ini kepada keseluruhan dunia tetapi, yakinlah pada Kerajaan bahawa kita akan memasarkan kebudayaan semua. Semua rakyat di dalam Negeri Perak ini semampu yang boleh. Semampu yang boleh kita akan pasarkan. Bukan itu sahaja, kita juga akan kembangkan. Seperti yang saya telah stress kan selama ini, kadang-kadang benda-benda kebudayaan kita yang telah lama, kita kata bukan pupus, tapi lama dilupakan. Seperti tarian Dabus. Ada di Perak sahaja, tak ada lain tempat. Kerajaan kini sedang giat mempromosikan tarian Dabus ke seluruh tempat, termasuk dalam negara dan juga luar negara sebab ini merupakan satu keunikan yang ada di negeri Perak sahaja, tak ada di tempat-tempat lain di seluruh rantau ini. Terima kasih.
Seterusnya dijemput Ahli Yang Berhormat dari Kawasan Selama untuk mengemukakan soalan. Sila.
Dato' Sam pilihan warga Kemaman, soalan saya nombor enam.
Bismillahirahmanirahim. Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh. Terima kasih Timbalan Yang di-Pertua. Terima kasih Selama yang membangkitkan isu dan melihat keprihatinan Selama pada kes yang telah dibangkitkan yang mana untuk makluman Yang
Berhormat Selama, dimaklumkan bahawa Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk), Daerah Larut, Matang dan Selama telah menerima permohonan bantuan bina rumah daripada penama iaitu Muhammad Rosli bin Dha'i bertarikh 22 Mei 2023 dan seterusnya status sehingga terkini, MAIPk sedang memproses permohonan tersebut pada 20 Oktober 2023 dan kini sedang menunggu keputusan di peringkat ibu pejabat MAIPk Ipoh.
Namun begitu bantuan, untuk makluman Yang Berhormat, bantuan yang diperolehi untuk keluarga tersebut kepada keluarga Encik Muhammad Rosli pada tahun ini adalah pertamanya bantuan hari raya RM250, bantuan kecemasan RM500, dan selain daripada itu juga apa yang dibangkitan oleh Yang Berhormat, Jabatan Kebajikan Masyarakat di bawah portfolio saya yang juga menyediakan skim bantuan pemulihan bencana sekaligus bagi membantu meringankan beban mangsa bencana seperti kebakaran, banjir, ribut dan tanah runtuh yang menyebabkan kerosakan struktur utama rumah. Ini kadar bantuan yang boleh dipertimbangkan adalah berdasarkan kepada kadar jadual yang ditetapkan dengan jumlah keseluruhan maksimum RM3,000.
Berkaitan dengan isu yang dibangkitkan berdasarkan rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat, kejadian rumah terbakar telah berlaku pada 21 Februari 2023, melibatkan pemilik rumah bernama Muhammad Rosli bin Dha'i, beralamat di No. 53, Kampung Tua, Bukit Bertam di Selama. Bilangan isi rumah yang terlibat adalah seramai enam orang dan pihak JKM melalui Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Larut Matang dan Selama telah meluluskan bantuan wang tunai segera melalui tabung bantuan segera berjumlah RM300 pada hari kejadian, di samping beberapa barangan keperluan lain seperti toto, kain batik, kain pelikat, tuala mandi dan beberapa sumbangan lainlah dan pihak JKM juga telah meluluskan bayaran bantuan pemulihan bencana sekaligus iaitu sebanyak RM2000 yang telah dibayar kepada mangsa pada 20 April 2023. Jadi menjawab soalan yang telah dibangkitkan oleh Yang Berhormat Selama, memang tindakan kita cuba seberapa segera dan kes ini daerah telahpun bawa untuk mendapatkan bantuan daripada MAIPk. Jadi, sekarang kita tengah tunggu proses daripada MAIPk untuk kelulusan. Saya kena percaya daerah tindakan yang dibuat oleh pejabat daerah juga tidak akan membiarkan sekiranya masalah besar timbul kepada keluarga tersebut. Insya Allah. Itu saja.
Selama. Soalan tambahan.
Terima kasih. Terima kasih kepada Yang Berhormat EXCO di atas keprihatinan. Kebetulan, ketika saya menulis soalan untuk hantar ke MMK, kebetulan pengadu itu datang di pejabat saya. Jadi, saya pun bagi peluang kepada dia untuk saya kata saya tanya sendiri soalan lisan dan hari ini saya akan tunjuk kepada dialah jawapan daripada YB EXCO. Terima kasih. Kemudian berkaitan dengan bantuan one-off bencana tadi RM3,000 maksimum, tidakkah pihak Kerajaan Negeri bercadang untuk menaikkan jumlah terutamanya kebakaran, rumah kebakaran hangus seperti di negeri Kedah diberi sebanyak RM6 atau RM7 ribu dan di Terengganu dalam RM24 ribu lah lebih kurang kepada mangsa-mangsa kebakaran hangus. Jadi mungkin Kerajaan Negeri dapat pertimbangkan untuk melaksanakan itu tambah lagi kita mungkin memperoleh hasil yang banyaklah Kerajaan Negeri, hasil baru, maksudnya hasil baru yang boleh dipertimbangkan. Terima kasih Yang Berhormat.
Terima kasih di atas pandangan YB Selama. Seperti yang saya maklumkan, dia tertakluk dalam jadual. Bantuan yang disalurkan maksimum RM3,000. Tapi saya kira usaha yang dibuat, mungkin kita tak bagi dalam bentuk tunai tetapi usaha yang dibuat untuk kita bagikan sebuah rumah melalui Baitul Mal itu ialah usaha Kerajaan Negeri. Jadi, mungkin negeri berbeza-beza tetapi apa yang penting kita menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mangsa tersebut. Jadi, saya kira nilai rumah tersebut lebih daripada apa yang disebutlah oleh Yang Berhormat daripada negeri-negeri lain. Itu saja, terima kasih.
Selinsing.
Terima kasih kepada Yang di-Pertua dan YB EXCO. Saya ingin menanyakan, sebab di tempat saya juga ada kejadian yang sebagaimana berlaku di Selama. Rumah dia terbakar dan dia duduk di atas tanah orang. Cuma saya nak tanya, berkenaan dengan asnaf yang sama ada dia ditimpa bencana seperti tadi atau pun mereka tiada tanah atau pun ada tanah, tanah dia kecil saiznya yang menyebabkan Baitul Mal tak dapat nak apa ni tak dapat nak sesuaikan dengan rumah yang nak dibagi bantuan atau pun dia tak ada orang sudilah nak bagi dia kebenaran untuk duduk. Jadi, perkara macam ni berlaku di tempat sayalah yang saya hadapi. Permohonan semua dah dibuat tapi tidak diterima kerana masalah-masalah tu. Jadi ada tak pihak kerajaan mempunyai perancangan untuk sediakan tapak-tapak yang sebegini untuk asnaf ni? Dan tapak yang boleh mereka minta bantuan. Kalau tidak dia akan buat rumah merata-rata ikut dialah atas tanah reserve JPS dan sebagainya. Jadi, itu sahaja, terima kasih.
Terima kasih. Seperti yang saya lontarkan pandangan, biasanya Pegawai Daerah atau pun jawatankuasa bencana, kalau yang melibatkan bencana dan sebagainya, dia akan mempertimbangkan faktor-faktor dan melihat kesesuaianlah. Ada kawasan, saya kira perkara-perkara ini memang berlaku di mana-mana tempat juga bila kalau kita bercakap soal asnaf dah susah, tanah pun tak ada tapi memerlukan rumah. Jadi ada tempat, sebagai contohlah di kawasan saya sendiri, saya ambil contoh, apabila tuan Pegawai Daerah mengenalpasti tanah yang boleh dikenalpasti dan kita bagi kelulusan kepada pemohon tersebut untuk mendapat bantuan pula daripada Baitul Mal membina rumah. Jadi, ini boleh dibincanglah di peringkat daerah untuk kesesuaian mungkin ada kawasan-kawasan yang sesuai untuk kita bina rumah sekiranya dalam masa yang orang kata terdesaklah dia tak ada tempat penginapan langsung dan tak ada tanah langsung dan perlukan bantuan. Mungkin kita saya kira ada jalan yang akan dilakukan oleh pentadbiran daerah termasuk saya kira tak salah saya daripada bantuan Baitul Mal juga kalau kata ni kita akan tempatkan mereka di mana-mana rumah sewa sementara dan Baitul Mal akan bayar sewa. Itu biasa yang berlakulah kes-kes. Itu saja, terima kasih.
Terima Yang Berhormat EXCO, terima kasih EXCO, terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat. Dengan ini maka tamatlah sesi soalan lisan pada hari ini. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, sebelum saya meneruskan mesyuarat, saya ingin memaklumkan bahawa Yang Amat Berhormat Kota Tampan dan juga Yang Berhormat daripada Sungai Manik ada mengadakan perbincangan dengan saya berkaitan dengan pentingnya kita seisi Dewan menunjukkan sokongan solidariti kita kepada perjuangan rakyat Palestin dan juga mengecam kesan tindakan yang dikenakan kepada orang awam di Gaza. Oleh yang demikian, saya menggunakan Standing Order 47 dan juga Standing Order 94 bersetuju dengan pandangan yang dikemukakan oleh Yang Amat Berhormat Kota Tampan dan juga Yang Berhormat daripada Sungai Manik untuk kita sama-sama semua seisi Dewan untuk kita berdiri seketika dan untuk kita menunjukkan tanda sokongan solidariti kita kepada rakyat Palestin dan juga penduduk Gaza. Sekian.
[AHLI DEWAN NEGERI DAN KETUA JABATAN BERDIRI SEKETIKA SEBAGAI TANDA SOLIDARITI KEPADA RAKYAT PALESTIN]
Terima kasih. Saya minta Setiausaha Dewan rekodkan tanda sokongan kita ini di dalam handsard. Seterusnya saya menjemput Setiausaha Dewan bagi membaca aturan urusan mesyuarat yang berikut.
Membawa Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2024Bill
Perkara yang kelima, membawa Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2024.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, saya mohon izin mengemukakan Enakmen Perbekalan 2024 dibaca bagi kali pertama.
Bila bacaan kali yang kedua?
Dalam mesyuarat ini juga.
Sekarang saya menjemput Setiausaha Dewan untuk mengedarkan notis bacaan kali yang kedua, sebagaimana dinyatakan di dalam Perintah Tetap 57 (1).
[EDARAN NOTIS BACAAN KALI KEDUA UNTUK ENAKMEN PERBEKALAN 2024]
Dipersilakan Yang Amat Berhormat Menteri Besar.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Saya mohon izin mengemukakan Rang Undang-Undang yang bernama Suatu Enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2024 dan bagi memperuntukkan jumlah wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu sekarang dibaca bagi kali kedua. Dato' Yang di-Pertua, memandangkan bahawa Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2024 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2024 yang dibentangkan sebagai Kertas Dewan Bilangan 26/2023 adalah berkaitan, saya mohon izin mengusulkan bahawa Dewan ini mengambil ketetapan, bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2024 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan Negeri 2024 hendaklah dibahas dengan sekali gus. Dato' Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan.
Ada sokongan?
Tebing Tinggi menyokong. Teruskan.
Dato' Yang di-Pertua, Buntong menyokong.
Sekarang saya mempersilakan Yang Amat Berhormat Menteri Besar bagi membentangkan Belanjawan 2024 Negeri Perak Darul Ridzuan.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Salam Sejahtera, Salam Malaysia Madani dan Salam Perak Sejahtera 2030. Auzubillahi Minashaitan Nirajeem. Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillah Hi Robbil Alamin. Wassolatu Wassalamu ‘AlaSaidil Mursalin, Waima Mil Muttaqin, Waala Alihi Waahli Baitihi Wasohbihi Ajmain.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Ahli-ahli Yang Berhormat, Anggota-anggota Pentadbiran Kerajaan Negeri, Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
1. Dengan lafaz Bismillah pembuka bicara, puji dan syukur ke hadrat Allah SWT atas limpah kurnia dan perkenan-Nya jua rakyat dan Negeri Perak Darul Ridzuan yang bertuah ini terus disirami rahmat dan kesejahteraan.
2. Selawat serta salam buat baginda Rasulullah SAW yang menjadi penyuluh cahaya tatkala umat dirudung kegelapan, serta mewariskan sumber kalamullah dan sunnah sebagai pedoman buat umat mendepani zaman.
3. Pada kesempatan ini, mewakili jentera pentadbiran Kerajaan Negeri serta sekalian rakyat, saya dengan penuh hormat dan takzim merafak sembah dan setinggi-tinggi ucapan tahniah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Baginda pada 4 November lalu.
Dirgahayu Tuanku.
4. Didoakan semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku sentiasa beroleh keafiatan, dilimpahi kerahmatan dan keampunan Allah SWT serta dikurniakan segala kebaikan dan kesejahteraan untuk terus memayungi Negeri Perak Darul Ridzuan yang tercinta ini.
5. Meneruskan ucapan, saya mengajak kita semua untuk memanjatkan kesyukuran kerana sekali lagi diberikan ruang dan kesempatan berhimpun di Dewan yang mulia ini untuk samasama mencari kearifan akan hal ehwal urusan negeri. Supaya kita dapat sama-sama menjadikan Perak ini sebuah negeri yang redup untuk sekalian rakyat berteduh, merasai nikmat keamanan dan kemakmuran tanpa mengira garisan kaum dan agama.
6. Seperti ingatan Allah SWT dalam Surah al-Qasas, Ayat 77 yang bermaksud:
"Dan berbuat baiklah (kepada hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan."
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, seterusnya, saya mohon izin untuk membawa usul seperti berikut:
Pertama:
7. Mengusulkan bahawa Rang Undang-Undang yang dinamakan:
“Suatu Enakmen Bagi Menggunakan Sejumlah Wang Daripada Kumpulan Wang Disatukan Untuk Perkhidmatan Bagi Tahun 2024 dan Bagi Memperuntukkan Wang Itu Untuk Perkhidmatan Bagi Tahun Itu” dibacakan bagi kali kedua.
Kedua:
8. Mengusulkan butir-butir dalam penyata yang dibentangkan sebagai Kertas Dewan Bilangan 26 Palang 2023 adalah dengan ini diumumkan menjadi tujuan yang mana Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966 itu boleh digunakan. Bahawa perbelanjaan sejumlah wang RM491.0 juta yang ditunjukkan dalam penyata tersebut adalah dengan ini diluluskan bagi tahun 2024. Seterusnya jumlah wang yang ditunjukkan berhadapan dengan tiap-tiap butir dalam penyata itu, adalah dengan ini diperuntukkan bagi maksud-maksud yang ditetapkan.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,
SENARIO EKONOMI NEGERI
9. Alhamdulillah, walaupun terpaksa mengharungi iklim ekonomi yang begitu mencabar sepanjang tahun 2022, Perak berjaya merekodkan nilai Keluaran
Dalam Negeri Kasar (KDNK) mencecah RM80.2 bilion, dengan pertumbuhan KDNK 4.3 peratus iaitu lebih tinggi berbanding 3.6 peratus pada tahun 2021.
10. Sektor Perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar KDNK negeri, dengan nilai ditambah berjumlah RM50.7 bilion, berbanding RM47.3 bilion pada tahun 2021 iaitu pertambahan RM3.4 bilion. Pertumbuhan sektor ini diterajui oleh subsektor perdagangan borong dan runcit, diikuti dengan subsektor penginapan, makanan dan minuman serta utiliti, pengangkutan dan ICT.
11. Pencapaian ini turut didukung oleh peningkatan prestasi sektor pembinaan dan perlombongan yang masing-masing mencatat pertumbuhan 6.1 dan 8.9 peratus selain sektor pembuatan yang menokok sebanyak 1.0 peratus.
12. Ekonomi Malaysia merekodkan pertumbuhan 4.2 peratus pada separuh pertama tahun ini dan dijangka mencatatkan angka sekitar 4 peratus bagi keseluruhan tahun 2023. Berdasarkan unjuran semasa, Kerajaan Negeri yakin Perak mampu mencapai sasaran pertumbuhan antara 4 hingga 5 peratus tahun ini dengan mengambil kira pemulihan berterusan pasaran kerja, pelaksanaan pesat projek-projek pembangunan serta peningkatan aktiviti pelancongan.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,
PRESTASI BELANJAWAN NEGERI 2023
13. Seiring pertumbuhan ekonomi yang baik, Penyata Kewangan Kerajaan Negeri bagi tahun berakhir 31 Disember 2022 juga menunjukkan perkembangan positif apabila merekodkan peningkatan hasil yang ketara iaitu RM1.09 bilion, sekaligus mengulangi pencapaian melebihi angka satu bilion yang pernah direkodkan pada tahun 2019. Sehubungan itu, sukacita saya memaklumkan kepada Dewan yang mulia ini, belanjawan defisit yang disediakan bagi tahun 2022 telah berjaya ditutup pada kedudukan surplus RM29.6 juta.
14. Alhamdulillah, kedudukan kewangan negeri terus mengukuh pada tahun ini apabila kutipan hasil terkini setakat 25 November 2023 telah mencapai angka RM1.05 bilion dan Insya Allah akan dapat mengatasi sasaran kutipan hasil pada tahun semasa. Seiringan dengan itu, aliran tunai serta perbelanjaan yang dirancang berjalan dengan lancar dan pentadbiran ini optimis untuk sekali lagi menutup akaun dalam kedudukan surplus bagi dua tahun berturut-turut.
15. Namun, saya mengingatkan diri saya dan kita semua supaya tidak mengambil sikap mudah berpuas hati. Segala usaha dan kudrat daripada semua warga pentadbiran Kerajaan Negeri akan terus digembleng bagi menjayakan projek-projek berimpak tinggi dan seterusnya merangsang pertumbuhan ekonomi pada masa hadapan. Sektor pelaburan akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri. Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) baru-baru ini melaporkan, sejak tahun 2018 sehingga Jun tahun ini, Perak memperoleh pelaburan direalisasikan bernilai lebih RM22.3 bilion merangkumi pelaksanaan 283 projek pembuatan yang telah mewujudkan lebih 22,000 peluang pekerjaan.
16. Pada kesempatan ini juga, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas kelulusan peruntukan hampir RM1.77 bilion (RM1,773,884,358.00). Jumlah ini meliputi kelulusan projek dan program yang memberi manfaat kepada rakyat di seluruh Negeri Perak, antaranya seperti berikut:
• RM1.75 bilion (RM1,748,491,700.00) meliputi 423 projek/ program di bawah Rolling Plan 4 Rancangan Malaysia Kedua Belas (RP4, RMKe-12);
• RM13.1 juta (RM13,077,658.00) bagi 35 projek/ program di bawah Ecological Fiscal Transfer (EFT) for Biodiversity Conservation;
• RM11.3 juta (RM11,315,000.00) daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi pelaksanaan projek/ program pemuliharaan, ubahsuai atau naiktaraf kemudahan fasiliti pelancongan; dan
• RM1.0 juta daripada Tourism Malaysia bagi program promosi sempena Tahun Melawat Perak 2024.
17. Antara projek-projek baharu berimpak tinggi yang diluluskan di bawah RP4, RMKe-12 adalah:
• Pembangunan Infrastruktur Pelancongan di Warisan Arkeologi Lembah Lenggong;
• Pembangunan Pusat Kecemerlangan Nanas Wilayah Utara, Daerah Kerian;
• Pemulihan Tanah Sawah Estet Padi FELCRA Seberang Perak, Daerah Perak Tengah;
• Membina Jalan Baharu ke RPT Sg Ipil dari FT69 ke Jalan Sungai Dulang ke Sg Ipil, Daerah Bagan Datuk;
• Penggantian Jambatan Sedia Ada yang merentasi Sungai Bernam serta kerja-kerja berkaitan di Kampung Orang Asli Changkat Ramu, Daerah Muallim;
• Membina Jambatan Baharu Air Kala, Lenggong, Daerah Hulu Perak;
• Rancangan Tebatan Banjir Sungai Trolak, Daerah Muallim;
• Pembangunan Kompleks Baharu Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) Persekutuan Negeri Perak, Daerah Kinta;
• Menaiktaraf Lebuhraya Timur-Barat Dari Seksyen 113 ke Seksyen 151 (FT004), Gerik, Daerah Hulu Perak;
• Pembinaan Pusat Pakar Pergigian Perak dan Farmasi Logistik, Pejabat Kesihatan Daerah Kinta;
• Pembinaan Klinik Kesihatan Jenis 3 Hutan Melintang, Daerah Bagan Datuk;
• Pembangunan Balai Bomba dan Penyelamat Simpang, Taiping Daerah Larut Matang dan Selama; serta
• Pembinaan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Kuarters Perumahan, Daerah Kinta.
18. Pada kesempatan ini juga, mewakili pentadbiran Kerajaan Negeri, saya merakamkan penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri atas beberapa inisiatif khusus untuk Negeri Perak seperti diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2024 termasuk pembukaan kawasan perindustrian berteknologi tinggi di Daerah Kerian sekali gus memposisikan potensi besar Wilayah Utara Perak sebagai antara Kluster Elektrik dan Elektronik (E&E) di Malaysia.
19. Diharapkan pelaksanaan inisiatif ini melalui penubuhan jawatankuasa yang berkaitan di peringkat Persekutuan kelak akan merangsang lebih banyak pelaburan berimpak tinggi di Negeri Perak. Insya-Allah.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,
BELANJAWAN NEGERI PERAK 2024
TEMA DAN FOKUS
20. Belanjawan Negeri Perak Tahun 2024 telah dirangka dengan mengambil kira ketetapan matlamat dan agenda yang digariskan dalam pelan Perak Sejahtera 2030 selain dipetakan berasaskan senario ekonomi semasa. Pengisiannya juga digarap dengan enam nilai teras gagasan Malaysia Madani yang diilhamkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan.
21. Lebih istimewa, reka bentuk Buku Belanjawan Negeri Perak kali ini mendapat sentuhan kreatif oleh Seniman Diraja, Yang Berbahagia Dato’ Mohammad Nor bin Mohd Khalid atau lebih dikenali sebagai Lat, seorang kartunis Malaysia dan merupakan anak jati Negeri Perak.
22. Inisiatif ini adalah bagi menghargai jasa dan bakti beliau dalam berkarya sehingga menerima pelbagai anugerah serta pengiktirafan dari dalam mahu pun luar negara. Usaha ini juga diharap dapat mengangkat martabat industri seni kreatif di Negeri Perak terutamanya melalui pengiktirafan ke atas bakat dan sumbangan anak tempatan.
23. Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk mengekalkan tema “Perak Makmur, Rakyat Sejahtera” dalam Belanjawan Negeri Perak Tahun 2024 bagi menjamin kesinambungan pelaksanaan Pelan Perak Sejahtera 2030. Belanjawan Perak 2024 adalah berteraskan kepada lima fokus utama iaitu:
i. Kesejahteraan Rakyat;
ii. Tadbir Urus Projek Berkepentingan Negeri;
iii. Pembangunan Modal Insan dan Belia;
iv. Kelestarian Alam Sekitar; dan v. Keterjaminan Bekalan Makanan.
24. Kelima-lima fokus yang saling melengkapi ini menjurus kepada usaha berterusan Kerajaan Negeri bagi menjayakan tiga sasaran utama pelan Perak Sejahtera 2030 iaitu Sejahtera Ekonomi, Sejahtera Sosial dan Sejahtera Politik.
25. Lima fokus ini turut diadun dan digarap dengan 12 tema keberhasilan Perak Sejahtera 2030 iaitu Keselamatan Awam, Perumahan, Asas Kemasyarakatan, Pendidikan, Alam Sekitar dan Amalan Teknologi Hijau, Prasarana, Seni Budaya dan Warisan, Belia, Wanita, Keluarga, Warga Emas dan Orang Kurang Upaya.
26. Pelaksanaan Belanjawan Negeri Perak Tahun 2024 dirangka berdasarkan unjuran Hasil dan Terimaan Pembangunan sebanyak RM1.28 bilion (RM1,279,500,000.00). Jumlah ini terdiri daripada Hasil Cukai RM657.7 juta, Hasil Bukan Cukai RM392.2 juta, Terimaan Bukan Hasil RM192.6 juta dan Terimaan Pembangunan RM37.0 juta.
27. Jumlah Hasil yang terdiri daripada Hasil Cukai, Hasil Bukan Cukai dan Terimaan Bukan Hasil berjumlah RM1.24 bilion (RM1,242,500,000.00), iaitu peningkatan RM108.9 juta (9.6%) berbanding sasaran tahun 2023. Manakala anggaran Terimaan Pembangunan tahun 2024 meningkat kepada RM37.0 juta berbanding RM25.4 juta pada tahun 2023 iaitu peningkatan RM11.6 juta (45.7%).
28. Jumlah keseluruhan perbelanjaan bagi tahun 2024 dianggarkan hampir RM1.35 bilion (RM1,347,000,000.00) meliputi Belanja Bagi Maksud Pembangunan RM491.0 juta (36.5%) dan Belanja Bagi Maksud Mengurus RM856.0 juta (63.5%) yang terdiri daripada belanja Emolumen RM404.3 juta, Perkhidmatan dan Bekalan RM316.7 juta, Pembelian Aset RM15.3 juta, Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap RM113.8 juta serta Lain-lain Perbelanjaan RM5.9 juta.
29. Belanja Bagi Maksud Mengurus dinaikkan pada tahun 2024 dengan mengambil kira kelulusan Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) Tambahan Khas RM1,200 seorang bagi setiap penjawat awam mengikut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2022 selain kenaikan KGT biasa.
30. Selain itu, pertambahan Belanja Bagi Maksud Mengurus juga adalah susulan daripada pengumuman Kerajaan Persekutuan berkaitan kenaikan kadar maksimum Gantian Cuti Rehat (GCR) daripada 160 hari kepada 180 hari. Manakala pemberian award wang tunai GCR ditambah kepada 90 hari berkuatkuasa pada 1 Januari 2023.
31. Belanja Bagi Maksud Pembangunan Tahun 2024 ditokok dengan jumlah yang besar iaitu RM96.0 juta (24.3%) berbanding Belanjawan tahun 2023. Peningkatan ini bagi memenuhi keperluan pembangunan dan kebajikan demi manfaat rakyat disokong pula oleh kedudukan kewangan Kerajaan Negeri yang semakin mengukuh. Jumlah Belanja Bagi Maksud Pembangunan RM491.0 juta merupakan jumlah tertinggi yang pernah diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri.
32. Daripada unjuran Hasil dan Perbelanjaan tersebut, Penyata Kewangan Kerajaan Negeri bagi tahun berakhir 31 Disember 2024 dijangka ditutup pada kadar defisit RM67.5 juta.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,
FOKUS 1: KESEJAHTERAAN RAKYAT
33. Sepanjang program turun padang berdampingan dengan rakyat termasuk ketika Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak, banyak kisah-kisah suka duka rakyat yang menyentuh emosi. Jerih perih dan resah gelisah rakyat menempuh kehidupan yang kian mencabar mengetuk hati saya dan rakan-rakan dalam pentadbiran kerajaan untuk terus berikhtiar mencari jalan bagi meringankan beban hidup rakyat.
34. Untuk itu, dalam belanjawan tahun hadapan, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM384.1 juta untuk melaksanakan pelbagai program dan inisiatif Kesejahteraan Rakyat yang berpaut kepada matlamat mengupayakan sara diri, membangunkan potensi dan kapasiti rakyat bagi mengharungi cabaran kehidupan.
35. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai antara agensi paling hadapan yang berperanan penting dalam aspek kesejahteraan masyarakat diperuntukkan RM42.8 juta di bawah Maksud Mengurus yang meliputi RM33.6 juta Bantuan Am.
36. Memahami ketidaktentuan iklim ekonomi yang menekan kehidupan rakyat marhaen lantaran peningkatan kos sara hidup, sukacita saya mengumumkan, kadar semasa bantuan RM300 sebulan yang telah memberi manfaat kepada 6,600 penerima sehingga Oktober 2023 akan dinaikkan kepada RM400 sebulan iaitu kenaikan RM100 mulai Januari 2024.
37. Untuk makluman, program tersebut sebelum ini diurus tadbir berdasarkan kepada syarat kelayakan semasa iaitu Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK)
Makanan Isi Rumah 2019 RM1,169 atau PGK Makanan Per Kapita 2019 RM310.
38. Bagaimanapun, selaras dengan pengumuman oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri semasa pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober lalu, Kerajaan Negeri bersetuju syarat kelayakan bagi permohonan Bantuan Kewangan yang dikendalikan oleh JKM akan menggunapakai kadar PGK Makanan Isi Rumah 2023 iaitu RM1,198 sebulan.
39. Sebagai komitmen berterusan Kerajaan Negeri untuk menyantuni rakyat yang terkesan dengan himpitan ekonomi terutamanya golongan sasar B40, program Kad Perak Sejahtera bagi pembelian barangan keperluan asas keluarga akan diteruskan pelaksanaannya pada tahun hadapan dengan peruntukan RM24.0 juta.
40. Sebagai langkah penambahbaikan, kadar tunai program kad bantuan makanan ini yang telah dinaikkan daripada RM80 kepada RM90 pada tahun 2023, akan ditingkatkan lagi kepada RM100 mulai tahun hadapan. Program ini dijangka akan memanfaatkan seramai 20 ribu orang penerima.
41. Bermula tahun 2024, Bantuan Kad Kesihatan yang dilaksanakan sebelum ini tidak lagi diteruskan. Sebaliknya, Kerajaan Negeri akan memanfaatkan sepenuhnya Skim Perubatan MADANI yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dilihat mampu memberi manfaat kepada golongan sasar secara lebih meluas. Program ini diwujudkan bagi menampung keperluan kesihatan golongan B40 terhadap Penjagaan Kesihatan Primer Akut dengan menyasarkan lebih kurang 700 ribu penerima seluruh Malaysia.
42. Program Bantuan Kotak Makanan yang menyasarkan bantuan keperluan makanan kepada golongan B40, miskin, miskin tegar dan mangsa bencana di seluruh Negeri Perak juga akan diteruskan dengan peruntukan RM5.0 juta. Sehingga 15 November 2023, sebanyak 66,119 unit kotak makanan telah diedarkan ke seluruh Negeri Perak dengan jumlah perbelanjaan RM4.4 juta (RM4,452,121.40).
43. Inisiatif Kedai Bergerak Negeri Perak yang sejak sekian lama menjadi program yang sangat dekat dengan rakyat marhaen akan diteruskan dengan peruntukan RM0.82 juta bagi membolehkan lapisan masyarakat terutamanya di luar bandar dapat membeli barang makanan dan keperluan dengan harga yang murah dan berpatutan.
44. Kerajaan Negeri turut meneruskan pelaksanaan Program Perak Children Community Feeding (PCCF) yang telah mula dilaksanakan sejak tahun 2009 bagi meningkatkan kualiti pemakanan kanak-kanak berusia dari 6 bulan sehingga 6 tahun di kalangan anak orang asli. Bermula tahun 2021, program ini telah diperluaskan melibatkan kanak-kanak daripada keluarga B40 dengan mewujudkan Pusat PCF Bandar. Sehingga kini, 32 PCF Orang Asli dan 3 PCF Bandar sedang beroperasi. Manakala sebanyak 12 lokaliti lain diberi perkhidmatan secara PCF ‘Mobile’. RM0.5 juta diperuntukkan untuk program PCCF ini.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,
45. Ikhtiar untuk memastikan setiap rakyat atau keluarga mempunyai tempat tinggal yang baik, selesa dan selamat untuk didiami, Kerajaan Negeri terus komited menyediakan kediaman mampu milik kepada golongan berpendapatan rendah.
46. Untuk itu, RM6.0 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan Program Rumah Perakku Prihatin yang diselaraskan oleh Yayasan Perak iaitu peningkatan RM1.0 juta berbanding tahun 2023. Program ini menyediakan pinjaman perumahan tanpa faedah khusus kepada golongan B40 yang menetap dan bermastautin di Negeri Perak pada kadar siling RM100 ribu bagi seunit rumah. Berdasarkan kepada kelulusan tahun 2021, 142 unit rumah yang telah siap dibina dan diserahkan kepada pemilik pada tahun 2023. Manakala baki 5 unit masih dalam proses pembinaan.
47. Selain itu, Program Sayangi Rumahku yang meliputi bantuan baik pulih dan bina baharu rumah secara percuma bagi rakyat Perak yang layak akan diteruskan di bawah Yayasan Perak dengan siling peruntukan RM3.0 juta di bawah Akaun Amanah Kledang Mas. Sehingga 15 November 2023, 100 projek yang merangkumi 74 projek baik pulih dan 26 projek bina baharu telah diluluskan melibatkan dana bernilai RM2.7 juta (RM2,717,237.75).
48. Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) pula akan terus memainkan peranannya dalam menyelaras urusan agensi kerajaan dan swasta bagi menjayakan pembangunan perumahan dan hartanah secara efektif. LPHP juga akan terus menjalankan obligasi moral mewakili Kerajaan Negeri dalam menyediakan perumahan awam yang kondusif kepada golongan sasar bagi mencapai kehidupan sejahtera.
49. Komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan penggunaan pengangkutan awam secara optimum direncanakan melalui inisiatif Bas Perak Sejahtera dengan penyediaan kemudahan bas henti-henti di sepanjang laluan sosial yang telah dikenalpasti. Ini mengambil kira keperluan di kalangan warga emas, golongan B40, pelajar sekolah dan Orang Asli. Menyedari keperluan ini, perkhidmatan Bas Perak Sejahtera terus disediakan bagi Daerah Manjung, Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar serta Batang Padang dengan peruntukan RM2.0 juta.
50. Ke arah memperkasa pembangunan dan kualiti hidup rakyat khususnya di luar bandar, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM19.3 juta yang akan disalurkan bagi menampung perbelanjaan berikut:
▪ RM5.0 juta bagi Pembangunan Jalan Asas Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) tertakluk kepada syarat yang akan ditetapkan oleh Kerajaan Negeri;
RM4.1 juta bagi program serta aktiviti melibatkan 828 Kampung Tradisional yang disalurkan melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
RM1.0 juta bagi Aktiviti Pembangunan Komuniti Orang Asli iaitu tambahan RM0.3 juta berbanding tahun 2023;
▪ RM1.0 juta untuk pembangunan desa ke arah pemerkasaan institusi pentadbiran kampung melalui pemantapan kapasiti JPKK. Ia meliputi RM0.5 juta Program Jelajah Desaku dan baki RM0.5 juta bagi Program Pemantapan dan Pemerkasaan Desa;
▪ RM3.7 juta disediakan bagi tujuan pembayaran elaun Pengerusi Kampung Tradisional, Kampung Baru Cina dan Kampung India. Mulai tahun 2024, Kerajaan Negeri berbesar hati menambahkan elaun ketua kampung yang ditanggung oleh Kerajaan Negeri daripada RM200 seorang kepada RM300 seorang pada setiap bulan. Kenaikan ini melibatkan implikasi kewangan bernilai RM1.9 juta kepada Kerajaan Negeri. Diharapkan setiap Pengerusi dapat melaksanakan tugas dengan cekap dan lebih berkesan;
▪ RM4.0 juta untuk Program Tabarru’ Khairat Kematian; serta
▪ RM0.5 juta bagi Perkhidmatan Pengumpulan Data dan Pengemaskinian Maklumat Isi Rumah Bagi Sistem e-Perak. Projek ini yang diselaraskan oleh PerakGIS akan dilaksanakan dalam tempoh 20 bulan bermula tahun 2024 dengan siling keseluruhan RM2.6 juta (RM2,589,453.86). Fasa pertama projek ini menyasarkan pengemaskinian maklumat Ketua Isi Rumah (KIR) dan Ahli Isi Rumah (AIR) bagi 45,537 KIR yang melibatkan 257 JPKK di 6 daerah iaitu Daerah Muallim, Kampar, Batang Padang, Manjung, Hilir Perak dan Bagan Datuk. Usaha ini bertujuan untuk memperkasakan Sistem e-Perak sebagai pusat rujukan utama data isi rumah dan demografi penduduk luar bandar yang berupaya menyokong tonggak pentadbiran negeri dalam pembuatan keputusan berpacukan data.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,
51. Sebagai komitmen berterusan untuk menjunjung kemuliaan Islam sebagai agama rasmi serta memperkasa institusi keagamaan ke arah pemantapan pembangunan ummah, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM15.0 juta bagi tujuan Baik Pulih dan Bina Baru Masjid serta Surau iaitu peningkatan RM5.0 juta berbanding tahun 2023.
52. Kerajaan Negeri turut menyediakan RM10.0 juta bagi Hal Ehwal Bukan Islam (HEBI). Daripada jumlah tersebut, RM5.0 juta disediakan kepada Komuniti dan Kampung Cina. Manakala baki RM5.0 juta pula untuk Komuniti dan Kampung India serta Lain-Lain Kaum.
53. Disamping itu juga, bagi menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM0.05 juta bagi pelaksanaan Pelbagai Program Integrasi Nasional.
54. Kebajikan warga emas serta kanak-kanak dan anak yatim akan terus terpelihara. Bagi tujuan itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1.0 juta bagi pelaksanaan program bantuan seperti berikut:
RM0.8 juta untuk Pembangunan dan Kebajikan Kanak-kanak dan Anak Yatim yang berdaftar di bawah JKM meliputi RM0.4 juta untuk Program Pembangunan KanakKanak dan Anak Yatim di Rumah Kebajikan. Manakala baki RM0.4 juta pula bagi Projek Menaiktaraf Rumah Kebajikan Kanak-Kanak dan Anak Yatim berkenaan; dan
▪ RM0.2 juta untuk Program Pembangunan Warga Emas.
55. Dalam pada itu, Kerajaan Negeri sentiasa mengiktiraf peranan wanita yang bukan sahaja sebagai pemangkin pembentukan generasi akan datang, tetapi turut berperanan besar dalam membentuk kesejahteraan, kemajuan serta kemakmuran negara. Untuk itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2.9 juta untuk pelbagai program khusus kepada golongan wanita. Ini meliputi:
▪ RM1.9 juta untuk Sekretariat Wanita Perak; dan
▪ RM1.0 juta diperuntukkan untuk Program Pendayaupayaan Wanita dan Kebajikan Masyarakat. Jumlah ini akan dimanfaatkan untuk pelbagai Program Pendayaupayaan Wanita termasuk keusahawanan wanita serta kebajikan masyarakat.
56. Bagi mengukuhkan lagi inisiatif kesejahteraan rakyat termasuk memastikan agenda berterusan memerangi penyalahgunaan dadah, Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan bagi program-program berikut:
▪ RM1.0 juta untuk program dan aktiviti Badan Bukan Kerajaan (NGO);
▪ RM0.2 juta untuk pengurusan dan operasi Kompleks PENGASIH Amanjaya, Gopeng;
▪ RM0.2 juta untuk Program Membasmi Penyalahgunaan Dadah kepada Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM); dan
▪ RM0.2 juta untuk Program Menangani Penyalahgunaan Dadah di bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,
57. Keusahawanan antara sektor yang memberi sumbangan penting kepada pembangunan negeri melalui aspek penyediaan peluang pekerjaan serta pengukuhan ekosistem ekonomi rakyat. Jumlah usahawan Perak semakin bertambah dan kini dianggarkan mencecah 200 ribu orang melibatkan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS).
58. Sektor keusahawanan di Negeri Perak juga semakin berkembang, malah usahawan kita telah berjaya mengembangkan sayap memasarkan produk ke luar negara seperti Australia, Turkiye, Jepun, Singapura, Indonesia dan Vietnam. Kejayaan usahawan muda kita bukan sahaja sering menghiasi dada-dada akhbar, bahkan menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Anugerah Top Food Manufacturer Award 2023, Program Pitching Terbaik bagi Program Satu Daerah Satu Industri Peringkat Kebangsaan dan Anugerah Tik Tok Terbaik sempena Minggu PMKS Peringkat Kebangsaan 2023.
59. Untuk terus memperkasakan daya saing usahawan terutamanya golongan usahawan B40, Kerajaan Negeri meneruskan Program Pinjaman Tabung Usahawan. Program ini dibiayai melalui dana pusingan (revolving fund) di Yayasan Perak terhad kepada siling RM2.0 juta bagi tahun 2024. Sehingga 15 November 2023, seramai 113 orang usahawan telah menerima manfaat daripada program ini melibatkan dana hampir RM2.0 juta.
60. Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM1.3 juta kepada Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP). STeP akan meneruskan pelaksanaan beberapa program bagi menyokong pembangunan usahawan termasuk usahawan belia. Antara program yang dirancang termasuklah:
▪ Jelajah Hari Usahawan dan Koperasi Negeri Perak 2024 bertujuan bagi membantu seramai mungkin usahawan dan koperasi mendapat maklumat dan menerima bantuan dari pelbagai agensi;
▪ Meneruskan pelaksanaan Geran Usahawan Perak (GeRAK) iaitu program bantuan bersasar bagi membantu usahawan meningkatkan kapasiti perniagaan;
▪ Program Perak Road To Export iaitu program bimbingan dan bantuan bersepadu bagi membantu usahawan baharu meluaskan pasaran dalam dan luar negara; dan
Program pendigitalan usahawan Perak bagi membantu usahawan PMKS menggunakan platform digital dan atas talian untuk meningkatkan kecekapan perniagaan dan jualan mereka.
61. Dalam usaha memperkasa gerakan koperasi bermula tahun 2024, Kerajaan Negeri memperkenalkan inisiatif baru iaitu program Pembangunan Usahawan dan Koperasi dengan dana RM1.0 juta bagi pelaksanaan beberapa program seperti berikut:
▪ bantuan pengurusan untuk tujuan start up;
▪ bantuan pemulihan bagi koperasi berstatus tidak aktif yang memenuhi syarat;
program pengupayaan Koperasi Anchor sebagai penghargaan kepada koperasi yang berjaya di Negeri Perak dan mewujudkan penanda aras koperasi global dan jaringan perniagaan antarabangsa, padan niaga, kerjasama strategik dan mentoring coaching; serta program pengupayaan, latihan dan pengembangan kemahiran khusus berkaitan keusahawanan.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,
62. Peranan dan sumbangan warga pentadbiran tanah amat penting sebagai pemudah cara urusan rakyat serta memacu pertumbuhan ekonomi dan mencapai kesejahteraan negeri secara keseluruhan. Bagi tujuan menambahbaik prasarana dan penyampaian perkhidmatan pentadbiran tanah dan daerah, RM120.2 juta diperuntukkan di bawah Belanja Mengurus 12 Pejabat Daerah dan Tanah serta RM19.4 juta Belanja Mengurus untuk Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri. RM20.3 juta pula diperuntukkan di bawah Belanja Pembangunan bagi seluruh Pentadbiran Daerah di Negeri Perak.
63. Sebahagian daripada peruntukan tersebut turut diperuntukkan RM0.6 juta di bawah Pelbagai Projek dan Kecemasan bagi setiap Daerah Besar manakala RM0.2 juta disediakan untuk setiap Daerah Kecil. Selebihnya diperuntukkan kepada pelbagai projek kecil yang telah dikenalpasti mengikut keperluan.
64. Seiring dengan itu, Kerajaan Negeri turut menyediakan RM18.5 juta bagi pelbagai keperluan Pihak Berkuasa Tempatan. Daripada jumlah ini, RM8.6 juta adalah Belanja Pembangunan di bawah Bahagian Kerajaan Tempatan. Keperluan utama perbelanjaan adalah bagi menjayakan pelbagai inisiatif kesejahteraan rakyat seperti berikut:
▪ RM4.0 juta untuk Pelbagai Projek Pembangunan PBT;
▪ RM3.2 juta untuk Kutipan Sampah Luar Kawasan Operasi PBT;
▪ RM0.52 juta untuk Penyelenggaraan dan Pembaikan Kemudahan serta Bangunan milik PBT;
▪ RM0.5 juta untuk Kesejahteraan Komuniti;
▪ RM0.2 juta untuk Bantuan Penyelenggaraan Tasik Raban; dan
▪ RM0.18 juta untuk Bantuan Penyelenggaraan Kompleks Hentian Royal Belum.
65. Manakala bakinya diperuntukkan di bawah Belanja Mengurus bagi tujuan berikut:
▪ RM6.0 juta Bantuan Mengurus PBT berkaitan;
▪ RM2.5 juta Bantuan Kadar dan Local Agenda 21;
RM1.0 juta Bantuan Mengurus Bukit Larut; dan
RM0.4 juta Bantuan Mengurus Taman Botani, Taiping.
66. Bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan berjalan lancar, Kerajaan Negeri memperuntukkan:
• RM1.7 juta untuk Program-Program Penerangan Negeri Perak;
• RM0.5 juta untuk Pelbagai Naiktaraf Sistem Atas Talian yang merupakan inisiatif Kerajaan Negeri untuk menggalakkan pembayaran tanpa tunai; dan
• RM0.5 juta diperuntukkan kepada Digital Perak Corporation Holdings bagi Penyelenggaraan Portal Jabatan Negeri Perak.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,
67. Sejajar dengan komitmen untuk mengukuhkan keberkesanan jentera pentadbiran kerajaan di semua peringkat, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan berjumlah RM45.5 juta bagi menyelaras, menambahbaik dan melicinkan urus tadbir termasuk mengukuhkan sistem penyampaian kerajaan di semua 59 kawasan DUN Negeri Perak.
68. Peruntukan RM25.0 juta pula diperuntukkan bagi program-program kesejahteraan rakyat termasuk bagi pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur kecil.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,
FOKUS 2: TADBIR URUS PROJEK BERKEPENTINGAN NEGERI
69. Tadbir urus adalah tunjang kekuatan sesebuah kerajaan. Tadbir urus yang cekap memungkinkan perjalanan pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara lebih inklusif. Pada masa yang sama, ketersediaan infrastruktur dan kemudahan rakyat mesti sentiasa menjadi keutamaan kerajaan. Pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi perlu dilipatgandakan sebagai pelantar menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat selain mendukung inisiatif memakmurkan ekonomi domestik. Untuk itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM393.4 juta bagi menjayakan fokus Tadbir Urus Projek Berkepentingan Negeri.
70. Sebagai pelaksana utama projek-projek pembangunan dan penyenggaraan infrastruktur, Jabatan Kerja Raya (JKR) diperuntukkan RM88.1 juta di bawah Belanja Mengurus. Sejajar dengan keperluan meningkatkan infrastruktur dan kemudahan prasarana rakyat, RM100.0 juta diperuntukkan kepada JKR bagi tujuan pembangunan iaitu peningkatan RM10.0 juta berbanding tahun 2023. Daripada jumlah tersebut, RM37.0 juta diperuntukkan untuk Projek Jalan dan Jambatan manakala RM63.0 juta untuk Projek Bangunan.
71. Kerja-kerja pembinaan serta menaiktaraf prasarana akan dapat memberi impak positif dengan penyediaan sistem jaringan jalan yang kondusif serta dapat memberi keselesaan kepada rakyat dan seterusnya menggalakkan aktiviti perdagangan. Antara projek yang disasarkan mampu memberi impak positif adalah seperti berikut:
RM8.0 juta bagi Projek Membina Jambatan Baharu Dari Kampung Bahagia Ke Bandar Teluk Intan, Daerah Hilir Perak;
▪ RM8.0 juta bagi Projek Menggantikan Jambatan Enggor, Di Laluan A156 Jalan Jawang/ Karai/ Trosor, Daerah Kuala Kangsar;
▪ RM5.0 juta bagi Projek Menaiktaraf Jalan-Jalan Negeri Di seluruh Negeri Perak;
▪ RM4.0 juta bagi Projek Melebarkan Persimpangan Jalan Kg. Banjar - Selabak dan Jalan Kg. Banjar - Padang Tembak, Daerah Hilir Perak;
▪ RM3.0 juta bagi Kerja-Kerja Penyelenggaraan Elektrik Untuk Lampu Isyarat Jalan-Jalan Negeri di Seluruh Negeri Perak;
▪ RM3.0 juta bagi Projek Pembinaan Jeti Sungai Pinang Kecil sebagai Coordination Center, Daerah Manjung yang dijangka memberi impak besar sebagai hab pengangkutan laut; dan
▪ RM2.5 juta bagi Projek Pemasangan dan Penggantian Lampu Jalan Sedia Ada Kepada Jenis Solar. Projek ini dirancang bagi menyokong kelestarian pembangunan melalui pengurangan pelepasan karbon yang boleh mencemar alam sekitar. Fokus pemasangan baharu lampu solar ini adalah di kawasan-kawasan yang gelap selain penggantian lampu-lampu jalan sedia ada.
72. Tambahan daripada itu, Kerajaan Negeri dijangka menerima peruntukan Kumpulan Wang Amanah Penyenggaraan Jalan Negeri (MARRIS) RM600.0 juta untuk menyelenggara jalanjalan yang berdaftar.
73. Kerajaan Negeri turut meningkatkan peruntukan RM7.5 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menjadikan jumlah Belanja Mengurus Tahun 2024 bagi jabatan itu berjumlah RM104.4 juta. Antara perbelanjaan di bawah peruntukan ini adalah:
▪ Penyelenggaraan Pengurusan Rancangan Pengairan RM13.8 juta;
▪ Penyelenggaraan Pengurusan Sungai RM11.0 juta;
▪
Penyelenggaraan Skim Saliran Pertanian RM8.7 juta;
▪
Mekanikal dan Elektrikal RM2.9 juta; serta
Penyelenggaraan Pengurusan Kemudahan Hidrologi RM0.9 juta.
74. Manakala Belanja Pembangunan JPS pula berjumlah RM14.0 juta bagi pelaksanaan projek-projek berikut:
Rancangan Tebatan Banjir (RTB) RM6.0 juta;
Pengurusan Sungai dan Pantai RM4.0 juta;
▪ Saliran Pertanian RM3.0 juta;
▪ Bangunan dan Infrastruktur RM0.5 juta; dan
▪ RM0.5 juta pula diperuntukkan di bawah EFT.
75. Dalam kerancakan pembangunan fizikal di negeri ini, pembangunan sektor pelancongan turut diberi perhatian, lebihlebih lagi Kerajaan Negeri telah mengumumkan Kempen Tahun Melawat Perak 2024 dengan tema Promising Perak. Kemasukan 8 juta pelancong disasarkan bagi mengaktifkan semula aktiviti pelancongan Negeri Perak sebagai destinasi utama yang kompetitif dalam segmen eko pelancongan, kebudayaan, warisan dan gastronomi.
76. Merujuk kepada Tinjauan Pelancongan Domestik Tahun 2022, Negeri Perak kekal menjadi tumpuan pelancong dan menduduki tempat kedua dengan bilangan pelancong domestik 6.9 juta orang. Laporan Hotel Guest 2022 oleh Tourism Malaysia pula, kemasukan pelancong antarabangsa menunjukkan peningkatan iaitu 333,306 orang yang berkunjung ke negeri ini dengan kenaikan 7,219 peratus berbanding tahun 2021. Antara perancangan program promosi bagi menjayakan Tahun Melawat Perak 2024 adalah:
▪ Penyertaan program pameran pelancongan domestik dan antarabangsa bagi mempromosikan produk-produk pelancongan di Negeri Perak;
▪ Sesi padanan perniagaan antara pengusaha pelancongan dan penggiat pelancongan;
▪ Familiarization-trip; dan
▪ Cetakan bahan promosi serta papan iklan di lokasi strategik.
77. Bagi merealisasikan Tahun Melawat Perak 2024 dan menyediakan pengalaman pelancongan yang terbaik di Negeri Perak, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM21.2 juta merangkumi:
▪ RM10.0 juta kepada Tourism Perak iaitu peningkatan RM3.0 juta berbanding tahun 2023; ▪ RM7.0 juta caruman bayaran balik ke dalam Akaun Amanah bagi pendahuluan pelaksanaan Projek Infrastruktur Sempena Tahun Melawat Perak 2024;
RM1.2 juta untuk Pelbagai Program Pelancongan dan Kebudayaan;
RM1.8 juta diperuntukkan kepada Perbadanan Taman Negeri bagi Projek Menaiktaraf Utiliti Tapak Ekopelancongan Taman Alam Kinta, Mukim Teja, Daerah Kampar;
RM0.7 juta diperuntukkan bagi keperluan operasi Unit Pulau Bebas Cukai di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Manjung; dan
▪ RM0.5 juta diperuntukkan kepada Majlis Kebudayaan Negeri.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,
78. Bagi menyokong dan memastikan kesinambungan Pelan Perak Sejahtera 2030 dapat dilaksanakan dengan jayanya, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM5.0 juta bagi menjayakan pelbagai program pelaksanaan dan pemantauan di bawah Perak Sejahtera 2030.
79. Bertepatan dengan usaha menjadikan Perak sebagai destinasi pelaburan seperti digariskan dalam Pelan Perak Sejahtera 2030, Kerajaan Negeri melalui Invest Perak sedang melipat gandakan usaha menggamit pelabur dalam dan luar negeri.
80. 53 projek pelaburan bagi sektor pembuatan bernilai RM3.92 bilion telah diluluskan bagi tahun 2022. Bagi tahun 2023 pula, sasaran pelaburan adalah RM3.96 bilion dengan mengambil kira Kajian Saranan dan Pelan Perindustrian Perak. Prospek pelaburan bagi tahun 2023 dijangka terus meningkat khususnya dalam sektor automotif dan peralatan kenderaan susulan pengumuman oleh DRB Hicom dan Geely dalam membangunkan Automotive High-Technology Valley (AHTV) bernilai RM32.0 bilion di Proton City, Tanjong Malim.
81. Prestasi pelaburan Negeri Perak bagi sektor pembuatan yang diluluskan untuk Malaysia pada tahun 2022 berada di kedudukan kelima. Sektor pembuatan produk Elektrikal dan Elektronik merupakan penyumbang utama iaitu RM1.17 bilion dan menawarkan 4,293 peluang pekerjaan oleh pelaburan asing. Seterusnya, sektor pembuatan produk makanan menyumbang RM991.1 juta selain menawarkan 215 peluang pekerjaan.
82. Bagi sektor perkhidmatan pula, 237 projek telah diluluskan di Negeri Perak sepanjang tahun 2022 dengan anggaran pelaburan bernilai RM2.64 bilion di mana projek-projek yang diluluskan merupakan projek di dalam sektor Green Technology, Health Services, Distributive Trade, Education Services, Global Establishments, Hotel and Tourism, Real Estate, Support Services, Utilities dan lain-lain. Penyumbang terbesar bagi sektor perkhidmatan pada tahun 2022 merupakan dari sektor Real Estate dengan sumbangan RM1.42 bilion merangkumi 83 projek. Bagi tujuan perbelanjaan operasi Invest Perak untuk meneruskan inisiatif menarik lebih banyak pelabur, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2.8 juta bagi tahun 2024.
83. Dalam hubungan itu, Kerajaan Negeri cakna akan keperluan melaksanakan kajian yang mencakupi bidang-bidang keutamaan negeri selaras dengan agenda Perak Sejahtera 2030. Ini termasuklah kajian bagi peningkatan hasil dan penerokaan pendapatan baharu negeri, pertanian dan keterjaminan makanan serta pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. Antara kajian yang sedang dilaksanakan adalah berkaitan Kepentingan Pemuliharaan dan Pemeliharaan Penyu di Negeri Perak oleh Jabatan Perikanan, Pelan Pengurusan Geopark Lembah Kinta oleh Perbadanan Taman Negeri dan Kajian Kemungkinan Pembinaan Loji Rawatan Air bagi Bekalan Air Luar Bandar di Jalan Pahang, Tapah, Daerah Batang Padang oleh Lembaga Air Perak. Bagi merancakkan usaha ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1.5 juta untuk Tabung Amanah Kajian.
84. Tidak terlambat juga untuk saya memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT dan ucapan terima kasih atas sokongan barisan Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Negeri kerana telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Sumber Air Perak 2023. Alhamdulillah, Negeri Perak kini merupakan antara negeri yang telah mempunyai enakmen sumber air. Sejajar dengan itu, Kerajaan Negeri sedang melaksanakan gerak kerja ke arah penubuhan Lembaga Pengurusan Sumber Air Negeri Perak. Adalah diharapkan penubuhan Lembaga ini kelak dapat mengawal selia pengurusan sumber air di Negeri Perak secara bersepadu. Untuk itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1.5 juta bagi tujuan operasi Lembaga ini di bawah enakmen tersebut kelak.
85. Bagi memperluaskan perkhidmatan Kehakiman Syariah di Negeri ini, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM1.4 juta kepada Jabatan Kehakiman Syariah termasuk pewujudan Mahkamah Syariah Daerah Muallim. Langkah ini akan dapat memudahkan urusan perkhidmatan kehakiman syariah di daerah tersebut. Selain itu, turut disediakan RM15.1 juta untuk Belanja Mengurus bagi jabatan ini.
86. Selain daripada peruntukan yang dinyatakan, Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan bagi pelaksanaan pelbagai projek prasarana. Antaranya adalah:
▪ RM20.0 juta bagi tujuan pengambilan tanah; dan
▪ RM9.0 juta bagi kerja-kerja menaiktaraf, penyelenggaraan atau pembaikan pelbagai kompleks pentadbiran Kerajaan Negeri.
87. Bagi memastikan penyampaian dan sistem perkhidmatan Kerajaan Negeri berada pada tahap optimum dan sentiasa berjalan lancar, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM7.4 juta untuk tujuan pembangunan sistem dan rangkaian Teknologi Maklumat. Ia meliputi:
RM3.8 juta kepada Bahagian Pengurusan Maklumat bagi tujuan pelbagai pembangunan dan penyelenggaraan berkaitan ICT serta RM0.1 juta bagi pembangunan Sistem e-Belanjawan Perak;
RM2.53 juta untuk perkhidmatan internet di jabatan dan agensi Negeri; serta
▪ RM1.0 juta bagi tujuan Menaiktaraf Sistem Perakaunan di Perbadanan Taman Negeri, Majlis Sukan Negeri dan Lembaga Muzium.
88. Kerajaan Negeri juga memperuntukkan RM2.0 juta bagi tujuan pelbagai aktiviti Jawatankuasa Tetap EXCO untuk memastikan setiap portfolio berupaya melaksanakan fungsi dan peranan yang dipertanggungjawabkan dengan lebih cekap dan berkesan.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,
FOKUS 3 : PEMBANGUNAN MODAL INSAN DAN BELIA
89. Selaras dengan konsep kesejahteraan dalam pendidikan yang menekankan aspek pembinaan kekuatan jati diri di peringkat sekolah, institusi pendidikan tinggi dan masyarakat amnya, RM202.4 juta diperuntukkan tahun hadapan bagi tujuan Pembangunan Modal Insan dan Belia.
90. Menyokong pelaksanaan program dan bantuan pendidikan di pelbagai peringkat sekolah, Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan seperti berikut:
▪ RM13.2 juta untuk Bantuan Khas Pendidikan;
▪ RM4.0 juta untuk bantuan pendidikan per kapita kepada pelajar-pelajar Sekolah Bantuan Kerajaan;
▪ RM2.0 juta disediakan bagi bantuan per kapita kepada pelajar Sekolah Tahfiz dan Pondok;
▪ RM2.0 juta untuk Program Back to School;
▪ RM1.0 juta diperuntukkan bagi tujuan Biasiswa Menteri Besar untuk memberi bantuan kepada anak Perak di peringkat sekolah. Pada tahun 2023, seramai 916 orang murid menerima biasiswa ini dengan perbelanjaan hampir RM1.0 juta (RM999,200.00);
▪ RM0.6 juta disediakan di bawah Tabung Simpanan Pendidikan Anak Perak (TASPEN) bagi anak-anak kelahiran Perak dengan simpanan permulaan sebanyak RM200 menerusi Skim Simpanan Pendidikan Tinggi Nasional (Akaun SSPN PRIME). Sehingga 15 November 2023, sebanyak 3,000 permohonan telah diluluskan dan sejumlah RM600,000 telah dibelanjakan;
RM0.6 juta untuk Sumbangan Pendidikan;
RM0.2 juta untuk Bantuan Sekolah Pendidikan Khas;
RM0.2 juta untuk Program Pemantapan Pelajar Sekolah Rendah iaitu inisiatif baru Kerajaan Negeri bagi mengelakkan keciciran pelajar terutamanya dalam menguasai asas membaca, menulis dan mengira; serta
▪ RM0.2 juta untuk Program Pemantapan Pelajar SPM, STPM dan STAM. Program ini juga merupakan program baru yang diwujudkan mulai tahun 2024 dalam usaha membantu pelajar membuat persiapan menghadapi peperiksaan utama.
91. Bagi mengukuh dan memantapkan segala inisiatif pendidikan yang telah disebutkan sebentar tadi, sukacita saya memaklumkan bahawa program Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) diteruskan untuk memberi manfaat secara langsung kepada pelajar, guru dan ibu bapa. Program ini dibiayai melalui Tabung Didik Sejahtera Perak (DIDIK Perak) yang mengumpulkan sumbangan daripada Badan Berkanun Negeri, Agensi Negeri, Badan Korporat serta orang perseorangan. Jumlah terimaan setakat ini adalah RM3.4 juta dan sejumlah RM3.0 juta telah dibelanjakan untuk pelbagai program TCS.
92. Di peringkat pengajian tinggi pula, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM14.1 juta meliputi bantuan-bantuan berikut:
▪ RM6.0 juta Insentif Siswa Dalam Negara iaitu pemberian secara one-off bagi membuat persediaan menyambung pengajian;
▪ RM0.2 juta Insentif Siswa Luar Negara;
▪ Sumbangan RM5.0 juta bagi tujuan pengoperasian Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) iaitu peningkatan RM2.0 juta berbanding tahun 2023;
▪ RM2.0 juta bagi program Sara Diri dan Kecemasan Mahasiswa Anak Perak;
▪ RM0.5 juta untuk penganjuran World Conference on Islamic Thought and Civilization (WCIT); dan
▪ RM0.4 juta pula diperuntukkan bagi Program Pengupayaan Mahasiswa.
93. Kerajaan Negeri juga membuat ketetapan untuk meneruskan Program Teduhan Kasih Anak-Anak Perak dengan peruntukan RM0.2 juta.
94. Usaha memartabatkan syiar Islam dan pembangunan ummah terus diperkasakan di negeri ini, peruntukan RM95.7 juta disediakan untuk pengoperasian Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk). Manakala,
RM7.2 juta pula diperuntukkan di bawah Belanja Pembangunan JAIPk. Ini meliputi projek-projek berikut:
menyelenggara 6 buah masjid utama Negeri termasuk bangunan, lif dan eskalator Masjid Toh Puan Hatijah, Batu Gajah serta membaikpulih Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar;
menaiktaraf Sekolah-Sekolah Menengah Agama Negeri; dan
▪ menaiktaraf Pejabat-Pejabat Agama Islam Daerah.
95. RM5.0 juta juga turut diperuntukkan bagi Program Menaiktaraf Pelbagai Institusi Pendidikan Islam.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,
96. Seiring dengan keperluan pembangunan modal insan dalam meningkatkan pertumbuhan ekonomi Negeri, Kerajaan Negeri melalui Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) terus memperkasa agenda transformasi pekerjaan bagi menyokong keperluan permintaan pasaran industri dalam negeri. Pelaksanaan program adalah sejajar dengan aspirasi dan fokus Kerajaan Negeri di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030 iaitu membangunkan modal insan yang dinamik bagi meningkatkan taraf sosio-ekonomi rakyat melalui peluang pekerjaan, selain komited membangunkan modal insan ke arah satu warga satu skil melalui Technical Vocational Education & Training (TVET).
97. Sehingga 15 November 2023, 296 program telah dilaksana melibatkan 26,230 anak Perak melalui program kerjaya, TVET, softskill mahupun kerjasama rentas negeri dimana 1,578 individu telah memperolehi pekerjaan dalam usaha untuk meningkatkan kadar penembusan guna tenaga ke dalam industri. Bagi merealisasikan aspirasi ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM3.5 juta untuk operasi dan pelaksanaan program PASAK.
98. Mulai tahun 2024, PASAK akan mempelbagaikan program melalui beberapa pendekatan baharu seperti penubuhan Jawatankuasa Pekerjaan Wilayah Selatan, kursus jangka pendek bidang automotif, jalinan kerjasama strategik antara institusi kemahiran dan industri, pemetaan kerjaya di peringkat sekolah dan job matching di antara graduan, pencari kerja bersama pihak industri serta TVET bagi golongan belia. Justeru, RM5.5 juta diperuntukkan bagi tujuan pelaksanaan TVET.
99. Bagi memperkukuh dan menyerlahkan potensi belia sebagai penggerak pembangunan negara pada masa hadapan, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM0.98 juta merangkumi:
• RM0.4 juta untuk Program Pembangunan Belia;
• RM0.4 juta untuk DUN Belia; dan
• RM0.18 juta Program Santai Anak Muda iaitu program baharu untuk mendekati golongan belia dalam perspektif yang berbeza.
100. Selaras dengan peranan Institut Darul Ridzuan (IDR) menyokong dasar dan pembangunan Perak Sejahtera 2030, RM3.4 juta diperuntukkan kepada institusi ini bagi tujuan pengoperasian dan pelaksanaan program atau projek.
101. Demi menjadikan perpustakaan lebih relevan dan menepati kehendak semasa terutama dalam aspek pendigitalan, Perbadanan Perpustakaan Negeri Perak akan ditambahbaik dengan memperkenalkan lebih banyak kemudahan dan perkhidmatan secara digital kepada rakyat Negeri Perak untuk merungkai ilmu global secara pantas dan berkesan, serta menyediakan kemudahan pembelajaran yang lebih selesa.
102. Oleh itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM8.5 juta di bawah Belanja Mengurus kepada Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri untuk tujuan operasi dan RM3.0 juta di bawah Belanja Pembangunan meliputi Projek Menaiktaraf Fizikal dan Kemudahan Perkhidmatan Perpustakaan Awam Negeri Perak (Perpustakaan Digital), Menaiktaraf dan Pembaikan Bumbung Serta Lain-Lain Kerja Berkaitan di Blok Utama Perpustakaan Awam Negeri Perak dan Pendawaian Elektrik di Perpustakaan Awam Cawangan Taiping.
103. Bagi menyokong pembangunan industri kreatif dan mencungkil bakat-bakat baharu dalam bidang seni, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM3.0 juta kepada People of Remarkable Talent (PORT).
104. Tidak dilupakan, usaha-usaha untuk memupuk gaya hidup sihat seperti yang turut digariskan dalam Pelan Perak Sejahtera 2030, Kerajaan Negeri menyediakan RM0.2 juta untuk Pelbagai Program Kesihatan. Selain itu, RM0.25 juta pula diperuntukkan bagi pelaksanaan Pelbagai Program Kesatuan Sekerja.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,
105. Sukan bukan hanya melahirkan anggota masyarakat yang sihat dan berkualiti tetapi juga dapat membantu pembangunan negara selain menjadi wadah mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat.
106. Bagi meneruskan agenda pembangunan sukan secara inklusif, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM27.8 juta meliputi RM3.43 juta di bawah Belanja Pembangunan yang merangkumi:
▪ RM2.43 juta kepada Majlis Sukan Negeri (MSN) bagi tujuan Penyediaan Bilik Hidroterapi Atlet dan Penyelenggaraan Bangunan MSN;
▪ RM0.6 juta bagi Program Sukan dan Sukan OKU; serta
▪ RM0.4 juta pula untuk Penganjuran Sports Tourism Sempena Tahun Melawat Perak 2024.
107. Manakala RM24.4 juta pula disediakan di bawah Belanja Mengurus termasuk pelaksanaan pelbagai program sukan. Antaranya adalah seperti berikut:
RM7.3 juta persediaan SUKMA 2024 di Sarawak;
RM2.0 juta untuk Sewaan Fasiliti Sukan;
RM1.0 juta PARA SUKMA;
▪ RM0.5 juta disediakan untuk Pembangunan Sukan e-Sports meliputi penganjuran dan penyertaan pertandingan merangkumi latihan, sewaan dan perolehan peralatan, kejurulatihan serta athlete attachment programme;
▪ RM0.12 juta untuk Program Penggalakan Sukan melalui Majlis Sukan Daerah; dan
▪ RM0.1 juta bagi Insentif Kecemerlangan Sukan Negeri.
108. Saya mengambil kesempatan ini juga, untuk mengucapkan syabas dan setinggi-tinggi tahniah kepada pasukan Perak Bison yang berjaya merangkul Juara Sepak Takraw League (STL) dan Piala Tun Ali 2023. Maka dengan ini, sukacita saya mengumumkan Kerajaan Negeri berbesar hati untuk memberi insentif bernilai RM100 ribu kepada pasukan ini.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,
FOKUS 4 : KELESTARIAN ALAM SEKITAR
109. Kerajaan Negeri menyedari pentingnya keseimbangan dalam melaksanakan agenda pembangunan dengan mengambil kira tanggungjawab menjaga dan memulihara khazanah alam sekitar. Bagi memastikan kesinambungan agenda pembangunan lestari, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM66.3 juta di bawah fokus Kelestarian Alam Sekitar.
110. Tanggungjawab kelestarian alam sekitar telah disebut dengan jelas dalam surah Hud, ayat 61 yang bermaksud:
“Dialah yang menjadikan kamu daripada bahan-bahan bumi dan menghendaki kamu memakmurkannya”.
111. Perak merupakan negeri yang kaya dengan sumber alam semula jadi yang berkeluasan 2.11 juta hektar. Daripada jumlah tersebut seluas kira-kira 1.01 juta hektar atau 48% merupakan Kawasan Hutan Simpanan Kekal, Hutan Tanah Kerajaan dan kawasan-kawasan Rizab Berhutan. Seluas kira-kira 988.7 ribu hektar atau 97% daripada keluasan Kawasan Berhutan adalah Kawasan Hutan Simpan Kekal.
112. Pengurusan hutan secara holistik dengan memberi penekanan yang seimbang terhadap alam sekitar, ekologi, biodiversiti, sosial dan ekonomi merupakan salah satu usaha untuk menangani perubahan iklim global. Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perhutanan sentiasa komited dalam melaksanakan aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan hutan terutamanya di kawasan hutan terosot atau miskin. Sejumlah 6.85 juta pokok dengan keluasan 16.3 ribu hektar kawasan telah berjaya ditanam di seluruh Negeri Perak dalam tempoh hampir 3 tahun pelaksanaannya. Pada bulan November 2023, seluas 4,652.80 hektar kawasan telah diwarta baharu sebagai Hutan Simpan Kekal di Negeri Perak.
113. Menyedari kepentingan pengurusan dan pembangunan infrastruktur hutan, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM41.3 juta di bawah Belanja Mengurus kepada Jabatan Perhutanan Negeri Perak. Manakala RM12.6 juta di bawah Belanja Pembangunan merangkumi:
▪ RM8.5 juta bagi projek-projek di bawah EFT;
▪ RM2.1 juta bagi Projek Bangunan dan Infrastruktur; serta
▪ RM2.0 juta bagi pelaksanaan program Pengurusan Hutan.
114. Bagi menyokong usaha ke arah kelestarian alam sekitar, Kerajaan Negeri menyediakan RM1.4 juta untuk pelbagai Program Perak Lestari dan Teknologi Hijau. RM0.49 juta turut diperuntukkan bagi tujuan Pelbagai Program dan Projek Sumber Asli termasuk Kempen Tiada Beg Plastik yang telah dimulakan pelaksanaannya oleh Pihak Berkuasa Tempatan.
115. Seterusnya, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM5.5 juta kepada Perbadanan Taman Negeri Perak bagi tujuan operasi dan projek pembangunan serta tambahan RM2.1 juta bagi pelaksanaan projek-projek di bawah EFT. RM1.6 juta turut diperuntukkan kepada Majlis Daerah Lenggong dan RM0.19 juta kepada Jabatan PERHILITAN untuk tujuan yang sama iaitu pelaksanaan projek-projek di bawah EFT.
116. RM0.77 juta pula disediakan untuk Penyelenggaraan Tapak Repositori Mukim Belanja manakala, RM0.35 juta bagi pengoperasian Unit Warisan dan Pelancongan oleh Majlis Daerah Lenggong yang bertanggungjawab mengawal selia Geopark Lenggong.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,
FOKUS 5 : KETERJAMINAN BEKALAN MAKANAN
117. Keterjaminan bekalan makanan merupakan salah satu fokus Kerajaan Negeri bagi memastikan bekalan makanan mencukupi. Kerajaan Negeri memperuntukkan RM63.3 juta kepada pelbagai jabatan dan agensi yang berkaitan. Daripada jumlah tersebut RM18.3 juta adalah peruntukan di bawah Belanja Pembangunan.
118. Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pertanian melaksanakan pelbagai program meliputi pembangunan tanaman sayursayuran dan juga tanaman padi. Selain itu, Bantuan turut diberikan kepada usahawan-usahawan industri makanan dengan mewujudkan Program Peningkatan Kapasiti Pengeluaran Produk Makanan.
119. Kerajaan Negeri memperuntukkan RM25.3 juta dibawah Belanja Mengurus kepada Jabatan Pertanian. RM8.0 juta diperuntukkan di bawah Belanja Pembangunan iaitu RM6.0 juta disediakan bagi membiayai Program Pembangunan Komoditi Pertanian, RM1.3 juta bagi tujuan Bangunan dan Infrastruktur serta RM0.7 juta bagi Latihan dan Promosi.
120. Sektor penternakan di Negeri ini merupakan penyumbang utama makanan berasaskan protein di peringkat nasional. Bagi terus meningkatkan keupayaan pengeluaran melalui intervensi program yang menjurus kepada Pembangunan Industri Ternakan, pengupayaan sumber manusia melalui kursus dan latihan serta Pembangunan Infrastruktur dan Ladang Infoternak, Kerajaan Negeri memperuntukkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar RM19.6 juta di bawah Belanja Mengurus dan RM4.0 juta di bawah Belanja Pembangunan.
121. Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan kepada Jabatan Perikanan RM0.1 juta bagi Belanja Mengurus Pusat Konservasi Penyu manakala RM2.4 juta di bawah Belanja Pembangunan adalah untuk projek menaiktaraf infrastruktur perikanan dan ladang ternakan untuk memenuhi pensijilan MyGAP, pembangunan jeti, ternakan akuakultur dan perikanan darat serta Program Pemuliharaan Paya Bakau sebagai Habitat Pembiakan Ikan di Negeri Perak.
122. Kerajaan Negeri mengambil inisiatif pemberian subsidi dengan menyediakan RM1.0 juta untuk Subsidi Kelangsungan Industri Agromakanan.
123. Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan RM2.5 juta untuk penyertaan dan persediaan Negeri Perak di dalam program Malaysian Agriculture, Horticulture and Agrotourism (MAHA). Program ini merupakan program dwi tahunan anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang merupakan platform terbaik bagi mempromosi produk baharu terutama yang berasaskan pertanian, inovasi dan teknologi terkini. Usahawan tani berpeluang untuk mengetengahkan produk ke pasaran yang lebih tinggi. Kerajaan Negeri Perak telah berjaya mengekalkan kejuaraan 5 kali berturut-turut bagi Anugerah Rumah Negeri Terbaik. Maka peruntukan bagi tahun 2024 diperuntuk bagi memastikan kesediaan Negeri Perak untuk menyertai MAHA 2024.
124. RM0.35 juta pula diperuntukkan bagi tujuan Pelbagai Industri Pertanian.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,
125. Disebabkan keperluan perbelanjaan yang semakin meningkat saban tahun, Kerajaan Negeri akan terus memastikan hasil dapat dikutip pada tahap yang optimum. Kerajaan Negeri turut mengunjurkan bagi tahun 2024, RM57.0 juta dapat dijana daripada sumbangan terkumpul Badan Berkanun Negeri sekaligus dapat membantu mengurangkan kebergantungan hasil Kerajaan Negeri dari sumber yang terhad iaitu melalui hasil cukai. Sumbangan Badan Berkanun Negeri telah ditetapkan seperti berikut:
Lembaga Air Perak RM20.0 juta;
Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak RM20.0 juta;
▪ Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak RM6.0 juta;
▪ Perbadanan Kemajuan Negeri Perak RM6.0 juta; dan
▪ Perbadanan Menteri Besar RM5.0 juta
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,
126. Kerajaan Negeri sentiasa menyanjung tinggi jasa dan komitmen penjawat awam sebagai tunjang dan tonggak kepada urusan pentadbiran kerajaan. Sebagai menghargai dedikasi tidak berbelah bahagi dalam memikul tugas yang diamanahkan, saya dengan ini mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) pada kadar dua bulan gaji kepada semua penjawat awam di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri termasuk Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Ex-Officio, semua guru lantikan Negeri, Orang Besar Jajahan serta Pekerja Sambilan Harian. Bayaran penuh akan dibuat pada 20 Disember 2023.
127. Bayaran BKK turut dipanjangkan kepada semua Ketua Kampung bagi lantikan sebelum 15 Disember 2023 pada kadar RM400 seorang.
128. Mengetuai saf kepimpinan negeri, saya turut mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh barisan hadapan yang cekal mencurahkan masa dan tenaga bagi membantu rakyat di beberapa kawasan yang diuji dengan bencana banjir. Semoga jasa dan pengorbanan yang dicurahkan akan mendapat sebaik-baik ganjaran dari Allah SWT.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,
Sebagai penutup,
129. Meskipun petunjuk yang ada mengabsahkan pengurusan ekonomi negeri kita berada pada landasan yang betul, Kerajaan Negeri mengikuti rapat beberapa unjuran yang dibuat termasuk Laporan Bank Dunia, The Global Economic Prospect (Jun 2023), Laporan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), Economic Outlook Interim Report (September 2023) dan Laporan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), World Economic Outlook (Oktober 2023) yang kesemuanya meramalkan pertumbuhan perlahan ekonomi dunia pada tahun hadapan sekitar 3.0%, iaitu antara 2.7% hingga 2.9% sahaja.
130. Semua unjuran ini dibuat selepas mempertimbangkan situasi dunia yang kian tidak menentu. Konflik di Asia Timur dan Asia Pasifik belum menampakkan tanda akan reda. Perang RusiaUkraine juga masih membahang dan barang diingat, perkembangan terkini di Palestin juga berisiko mencetuskan konflik serantau yang tempiasnya pasti melebar jauh dan turut dirasai oleh negara dan negeri kita.
131. Justeru, kita perlu sentiasa bersedia menghadapi global stagflation iaitu keadaan pertumbuhan ekonomi perlahan, inflasi tinggi dan jangkaan meningkatnya kadar pengangguran pada tahun 2024. Perkembangan ini menuntut kita untuk memperkukuhkan asas-asas ekonomi. Kita tidak ada pilihan lain. Gelora ekonomi dunia yang sukar dibaca pasang surutnya menuntut kita untuk bersiap siaga menyerap kesan buruknya kepada kelangsungan ekonomi negara dan kehidupan rakyat secara keseluruhan.
132. Lantaran itu, belanjawan ini dirangka untuk memastikan pacuan ekonomi negeri sentiasa diperteguh dan diperkukuh. Penambahan bilangan projek-projek fizikal terutamanya yang berimpak tinggi diharap menjadi pemangkin merancakkan ekonomi domestik sekaligus meningkatkan taraf dan kualiti hidup rakyat. Pada masa yang sama, pelbagai inisiatif yang dirangkumkan dalam belanjawan ini diharap dapat mengupayakan rakyat dalam mengharungi situasi ketidaktentuan ekonomi yang masih menekan kehidupan.
133. Saya yakin, berkat keteguhan dan kesepakatan dalam kita membina negeri yang makmur dan sejahtera, segala ujian mendatang dapat sama-sama kita harungi dengan keyakinan, kesabaran dan kesyukuran. Memetik peringatan Allah dalam Surah Ibrahim, Ayat 7:
“(Ingatlah) ketika Tuhanmu memaklumkan, Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), sesungguhnya azab-Ku benar-benar keras.”
134. Mengakhiri ucapan, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pegawai dan kakitangan Pejabat Kewangan Negeri Perak dan semua pihak khususnya jabatan, agensi serta para pemegang taruh yang terlibat dalam proses merangka dan menjayakan pengisian Belanjawan Negeri Perak 2024.
135. Semoga Allah mempermudahkan urusan kita dalam memikul tanggungjawab dan amanah yang berat ini.
Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan, terima kasih.
Ada sokongan?
Timbalan Yang di-Pertua, Buntong menyokong.
Terima kasih diucapkan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar dia atas pembentangan Belanjawan 2024 Negeri Perak Darul Ridzuan. Ahli Yang Berhormat sekalian sekarang saya tangguhkan Dewan ini. Dewan akan bersidang semula pada hari Isnin, 4 Disember 2023, jam 9.00 pagi. Sekian, terima kasih.