Perak · 29 November 2024
15th Assembly, 2nd session, 3rd meeting · 66 turns · 15,065 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalPerak publishes one PDF per sitting day, from May 2020 (none for 2018-19), and a file of oral and written answers per meeting from December 2022.
(Pembukaan)
Ahli-ahli Yang Berhormat. Tuan Yang di-Pertua.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera. Ahli Yang Berhormat sekalian, sekarang kita mulakan Persidangan Pertama, Mesyuarat Ketiga, Tahun Kedua Dewan Negeri Yang Kelima Belas Perak Darul Ridzuan, pada hari Jumaat, 29 November 2024 jam 9.02 pagi dengan urusan perkara yang pertama iaitu bacaan doa.
Segala puji bagi Allah selawat dan salam atas RasulNya, maka dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Pengasih, Dewan Negeri ini dibuka.
Ya Allah, yang bersifat maha hikmat, limpah keadilan, yang menanggungkan kewajipan ke atas Raja dan Ahli Majlis Permesyuaratan, bagi mentadbir muslihat masyarakat pergaulan, mudah-mudahan sentosa aman, makmur, limpah kebahagiaan, meliputi sekalian penduduk Negeri Perak Darul Ridzuan.
Ya Allah, kami sekalian hambaMu yang diperkenan menjadi Ahli Dewan Negeri, menyempurnakan kewajipan yang diamanahkan, yang terutama bagi Negeri Perak Darul Ridzuan serta rakyatnya sekalian.
Ya Allah, berkatMu ke atas kami berhimpun dipohon anugerahkan, taufikMu, hidayatMu dimohon menyuluh, memandukan, pada ketika kami berunding, menimbang, bertukar-tukar fikiran, pada segala perkara yang dibentangkan, dengan saksama serta berkeamanahan, menjunjung perintah dan kebesaranMu, mudah-mudahan berlebih-lebih keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan bagi Negeri Perak Darul Ridzuan, serta penduduknya sekalian.
Ya Allah, dipohonkan doa kami diperkenan, Amin, Ya Allah seru sekalian alam
Perkara yang kedua, pengumuman Yang di-Pertua.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera. Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Negeri, pihak urusetia, para petugas dan wakil media sekalian. Sebelum kita meneruskan urusan mesyuarat yang selanjutnya, izinkan saya untuk membuat beberapa pengumuman.
Perkara yang pertama. Sebelum kita memulakan urusan mesyuarat, ingin saya memberi maklum bahawa bagi papan Aturan Urusan Mesyuarat dan soalan-soalan lisan, Ahli Yang Berhormat boleh mengakses melalui imbasan kod QR yang ada di atas meja Ahli Dewan Negeri.
Kedua, berkaitan dengan sesi soalan lisan, tempoh masa yang diperuntukkan adalah selama satu jam. Setiap soalan lisan akan diberikan dua soalan tambahan. Bagi soalan lisan yang tidak sempat dijawab di dalam Dewan akan dijawab secara bertulis melalui sistem e-Dewan. Memandangkan hari ini hari Jumaat masa sedikit suntuk, Speaker dan Timbalan Speaker, kita tak dengan izin kita tak entertain soalan tambahan. Tambahan pula, sidang kali ini setiap Ahli Dewan akan diberikan masa yang mencukupi untuk berbahas usul yang akan dibangkitkan iaitu Enakmen Perbekalan nanti.
Perkara yang ketiga berkenaan pas persidangan. Pihak Urusetia Dewan telah menyediakan pas kekal bermula pada persidangan yang lepas. Semua Ahli Yang Berhormat Dewan Negeri, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai yang bertugas dan juga wakil-wakil media yang hadir hendaklah sentiasa memakai pas tersebut sepanjang persidangan berlangsung.
Yang keempat, hansard rasmi. Saya ingin memaklumkan Ahli-ahli Yang Berhormat boleh membaca dan memuat turun hansard rasmi setiap persidangan selewat-lewatnya pada jam 12.00 tengah malam. Ahli-ahli Yang Berhormat bolehlah menghubungi pihak urusetia dalam tempoh 7 hari daripada hansard yang dipaparkan sekiranya terdapat pindaan yang perlu dibuat atau dilakukan pada hansard tersebut.
Perkara yang kelima berkaitan dengan Enakmen Negeri Perak. Sebagaimana saya telah maklumkan pada persidangan yang lepas, enakmen-enakmen Negeri Perak boleh diakses sepenuhnya melalui sistem e-Dewan. Semua Ahli Yang Berhormat boleh mengakses Enakmen Negeri Perak bermula dari tahun 1948 sehingga tahun 2023.
Perkara yang keenam, pengurangan penggunaan gula di bilik makan Dewan Negeri. Semalam, saya diperingatkan oleh Exco kesihatan kita, bagi menyahut saranan pihak kerajaan untuk mengurangkan penggunaan gula dalam usaha untuk menangani masalah kesihatan yang semakin meningkat, bermula pada persidangan kali ini, urusetia Dewan telah menyediakan pilihan makanan dan minuman yang sihat bagi memastikan ianya berkhasiat dan baik untuk kesihatan. Komitmen ini akan diteruskan pada persidangan yang akan datang.
Perkara yang ketujuh, seiring dengan pelancaran Portal Dewan Negeri Perak sebentar tadi, semua Ahli Yang Berhormat boleh melayarinya bagi mendapat pelbagai maklumat berkaitan Dewan Negeri Perak termasuk Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri yang saya selalunya dimaklumkan bahawa ramai yang tak dapat lagi dan hardcopy dengan izin Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri. Jadi boleh hardcopy soft copy, Bahasa Melayu versi rumi dan juga Bahasa Inggeris. Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak boleh dilayari di Portal Dewan Negeri Perak dan juga enakmen-enakmen sepertimana yang dinyatakan tadi. Sekian terima kasih.
Membentangkan Surat Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan
Perkara yang ketiga, membentangkan Surat Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan.
Sekarang saya membentangkan Surat Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan dari bilangan 23/2024 hingga 33/2024 seperti yang telah diedarkan kepada semua Ahli Dewan Negeri pada 20 November 2024.
Bil. 23/2024 - Penyata Kewangan Lembaga Air Perak dan Kumpulan Tahun 2022
Bil. 24/2024 - Penyata Tahunan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 2023
Bil. 25/2024 - Belanjawan 2025 Negeri Perak Darul Ridzuan
Bil. 26/2024 - Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Perak Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023
Bil. 27/2024 - Laporan Tahunan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2018
Bil. 28/2024 - Laporan Tahunan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2019
Bil. 29/2024 - Laporan Tahunan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2020
Bil. 30/2024 - Laporan Tahunan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2021
Bil. 31/2024 - Laporan Tahunan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2022
Bil. 32/2024 - Penyata Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri Negeri Perak, PAC (Public Account’s Committee) dengan izin Darul Ridzuan
Bil. 33/2024 - Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Haiwan Berkeliaran Negeri Perak Darul Ridzuan
Soalan yang telah diberi notis, soalan lisanQuestions
Perkara yang keempat, soalan yang telah diberi notis. Soalan lisan.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, tempoh masa untuk sesi soalan lisan pada hari ini adalah selama 60 minit. Soalan tambahan adalah dihadkan kepada 2 soalan sahaja dan ianya perlulah mempunyai kaitan dengan soalan asal. Soalan tambahan yang tidak berkaitan dengan soalan asal adalah tidak dibenarkan. Sekarang saya menjemput Ahli Yang Berhormat dari kawasan Rungkup untuk mengemukakan nombor soalan.
Bismillahirahmanirahim. Assalamualaikum wbt. Salam Perak Sejahtera 2030. Salam Malaysia Madani. Dato’ Yang di-Pertua, soalan saya, soalan nombor satu.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh Salam sejahtera. Salam Malaysia Madani dan Salam Perak Sejahtera 2030. Terima Kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon izin untuk menjawab soalan daripada Yang Berhormat Rungkup berkaitan dengan Pelan Perak Sejahtera 2030.
Untuk makluman semua Ahli Yang Berhormat di Dewan yang mulia ini, Laporan Kemajuan Kedua Pelan Perak Sejahtera 2030 telah pun diluncurkan pada 10 Jun 2024 yang lalu yang melaporkan sebanyak 273 projek dan program di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030. Senarai projek ini telah dikunci masuk di dalam Dashboard Perak Sejahtera 2030 untuk pemantauan secara berterusan di peringkat Jawatankuasa Pemandu Perak Sejahtera 2030. Meskipun Pelan Perak Sejahtera 2030 baru memasuki tahun kedua pelaksanaannya, sebanyak 47 projek bersamaan 17.2% berada di dalam status siap sepenuhnya. Manakala 174 bersamaan 63.8% berstatus dalam pelaksanaan dan sebanyak 52 projek lagi iaitu 19% dalam status perancangan. Bagi Daerah Bagan Datuk, berdasarkan Dashboard Perak Sejahtera 2030, terdapat 10 projek dan program yang didaftarkan di Daerah Bagan Datuk iaitu Pelancongan dan Pemuliharaan Warisan@Beting Beras Basah, Bagan Datuk International Gateway, Taman Agro Teknologi MARDI Bagan Datuk, Taman Kekal Pengeluaran Makanan, Zon Industri Akuakultur Bagan Datuk, Bagan Datuk International Fishery Industrial Park, Pembinaan Medan Ikan Bakar Bagan Datuk, Kajian Keboleh laksanaan Infrastruktur Luaran bagi Perak Heavy Industrial Park, Program Penanaman Kelapa Matag, Pekan Kecik, Simpang Empat Rungkup, Tapak Industri Perindustrian Kecil dan Sederhana (PKS) Makanan melibatkan pengusaha produk makanan di Dataran Waterfront Bagan Datuk.
Untuk makluman Yang Berhormat Rungkup, Kerajaan Negeri menerusi Unit Perancang Ekonomi Negeri akan melaksanakan Kajian Separuh Penggal Pelan Perak Sejahtera 2030 yang akan melihat dan mengkaji semula penetapan dan pelaksanaan Pelan Perak Sejahtera 2030 termasuklah meneliti penetapan petunjuk utama bagi setiap agenda pengkhususan daerah serta flagship di dalam Pelan Perak Sejahtera 2030 agar dapat kita memperkukuhkan kemampanan negeri membangunkan masyarakat yang sejahtera dan menjadikan Negeri Perak sebuah negeri yang progresif dan berdaya saing. Terima kasih.
Rungkup.
Terima kasih Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar di atas jawapan tersebut. Soalan tambahan saya, bagaimanakah Pelan Perak Sejahtera 2030 yang dilaksanakan di daerah-daerah termasuk di Daerah Bagan Datuk dapat disalinghubungkan dengan perancangan pembangunan di peringkat persekutuan. Ini penting kerana impak atau keberkesanan pembangunan samada di peringkat daerah atau negeri memerlukan sinergi yang baik antara pentadbiran negeri dan persekutuan. Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.
Terima kasih Yang Berhormat Rungkup. Dato’ Yang di-Pertua, pihak Kerajaan Negeri bersetuju bahawa untuk menjayakan Pelan Perak Sejahtera 2030, walaupun ia merupakan pelan induk Kerajaan Negeri, ia mestilah juga sinonim atau mestilah juga selari, in line dengan apa yang sedang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan. Sebahagian besar daripada peruntukan memang datang daripada peruntukan Kerajaan Persekutuan. Walaubagaimanapun, saya sangat bersyukur walaupun Pelan Perak Sejahtera 2030 Negeri Perak ini dibangunkan pada tahun 2022, sebelum Pilihan Raya Umum pada hujung tahun berkenaan, setelah pembentukan kerajaan baru selepas PRU yang ke-15 haritu, Kerajaan Negeri Perak bersetuju untuk meneruskan Pelan Perak Sejahtera 2030 dan apabila Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Madani meluncurkan pula Pelan Pembangunan Persekutuan, kita dapati ia tak ada berlaku percanggahan, malahan ia in line dia bersesuaian. Ia sehati sejiwa. Malaysia Madani dengan Pelan Perak Sejahtera 2030. Ia dibuktikan dengan apabila Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada tahun 2023 semasa membentangkan Belanjawan 2024 telah meluluskan peruntukan untuk KIGIP di Kerian dan yang kedua, dalam pembentangan belanjawan yang baru-baru ini untuk 2025 juga telah menyebut tentang LuMIC, tentang HTV, tentang Perak HIT dan pelbagai lagi projek yang kita bangunkan. Itu jelas menunjukkan terdapat sinergi yang sangat kuat di antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri dan kita berterima kasih kepada Kerajaan Pesekutuan kerana terus menyokong apa yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri. Terima kasih.
Terima kasih Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Sekarang saya menjemput Ahli Yang Berhormat dari kawasan Slim untuk mengemukakan nombor soalan.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Soalan Slim nombor dua.
Assalamualaikum wbt. Salam sejahtera, Salam Malaysia Madani dan Salam Perak Sejahtera 2030. Terima kasih kepada Yang Berhormat Slim atas soalan yang telah diajukan berkaitan dengan pewartaan penempatan rasmi masyarakat Orang Asli berkaitan dengan bekalan air dan elektrik dan yang ketiga ialah berkaitan dengan populasi Orang Asli di Malaysia. Timbalan Yang di-Pertua, izinkan saya untuk menjawab soalan daripada YB Slim.
Untuk makluman Yang Berhormat, jumlah Kampung Orang Asli yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) di negeri Perak adalah sebanyak 257 kampung. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 72 pewartaan kawasan yang melibatkan 99 Kampung Orang Asli (KOA) telah diwartakan sehingga kini. Pewartaan ini adalah satu langkah dalam usaha mengiktiraf dan melindungi tanah yang diduduki oleh masyarakat Orang Asli di Negeri Perak. Selain daripada itu, 30 Kampung Asli (KOA) juga telah menerima kelulusan daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Negeri Perak untuk pewartaan. Bagi sejumlah 128 KOA masih dalam proses permohonan oleh JAKOA kepada Kerajaan Negeri Perak melalui Pejabat Tanah Daerah dan Pejabat Tanah dan Galian. Kerajaan Negeri menitikberatkan aspek pewartaan tanah Orang Asli.
Dalam konteks ini, Perak paling banyak mewartakan tanah dibandingkan negeri-negeri lain. Sejumlah 33,46.613 ekar telah diwartakan. Ini membuktikan bahawa sumber tanah untuk pembangunan bagi kegiatan ekonomi dan sosial merakyatkan masyarakat Orang Asli Negeri Perak. Tahniah. Terima kasih kepada Yang Berhormat Dato' Seri Menteri Besar Perak yang amat prihatin dalam soal pewartaan perizaban tanah masyarakat Orang Asli. Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli sentiasa berusaha berterusan dalam mengurus dan mengiktiraf tanah yang diduduki oleh masyarakat Orang Asli di pelbagai Daerah. Langkah-langkah ini penting bagi memastikan memelihara warisan budaya dan identiti masyarakat Orang Asli. Dengan adanya pengiktirafan dan perlindungan yang sewajarnya, masyarakat Orang Asli dapat terus hidup dalam keadaan yang lebih baik dan sejahtera serta menyumbang kepada pembangunan Negeri Perak secara keseluruhan.
Untuk makluman Yang Berhormat Kerajaan Negeri komited untuk memastikan semua Kampung Orang Asli (KOA) di Negeri Perak menerima bekalan elektrik melalui talian grid dan bekalan air bersih. Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mencapai matlamat ini. JAKOA telah melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan sistem rawatan air bersih di 52 perkampungan Orang Asli di Negeri Perak dengan peruntukan sebanyak RM1.98 juta. Perkhidmatan ini merangkumi penyelenggaraan, pemeriksaan dan pembersihan tandak empangan, tangki, sistem paip, rumah pam, bekalan elektrik serta peralatan yang lain. Langkah ini memastikan sistem berfungsi dengan baik tanpa menjejaskan produktiviti pengeluaran dan pemprosesan air bersih untuk setiap rumah yang terlibat.
Untuk makluman semua Yang Berhormat, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah diluluskan dengan dua buah projek bekalan air luar bandar (BALB) dengan peruntukan sejumlah RM28 juta di Negeri Perak khususnya untuk perkampungan Orang Asli. Pelaksanaan projek bekalan air luar bandar (BALB) di Jalan Pahang Tapah Perak telah diluluskan dengan peruntukan sejumlah RM18 juta ringgit dan bakal dilaksanakan di Daerah Batang Padang. Manakala projek bekalan air luar bandar (BALB) kampung Orang Asli Negeri Perak tahun 2022 dengan peruntukan RM10 juta melibatkan pelbagai Daerah di perkampungan Orang Asli Daerah Muallim, Batang Padang, Hilir Perak, Hulu Perak dan Perak Tengah dan juga Kuala Kangsar. Selain itu kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui projek bekalan elektrik luar bandar di perkampungan Orang Asli Negeri Perak akan menyediakan kemudahan infrastruktur asas iaitu membekalkan tenaga elektrik kepada penduduk-penduduk Orang Asli melalui pemasangan talian voltan tinggi HV dan voltan rendah LV dan sambungan ke talian grid sedia ada milik Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Untuk makluman Ahli Dewan, tujuan utama pelaksanaan projek ini adalah untuk memperluaskan liputan bekalan elektrik 24 jam ke kawasan-kawasan luar bandar. Peruntukan yang telah diluluskan bagi pelaksanaan projek ini berjumlah RM29 juta. Projek ini telah bermula pada 21 April 2023 melibatkan 14 buah perkampungan Orang Asli iaitu 7 di Daerah Batang Padang dan 7 di Daerah Muallim. Berikut adalah senarai kampung-kampung yang terlibat dalam projek ini. Daerah Batang Padang yang pertama Kampung Batu 20 Jalan Pahang, yang kedua Kampung Batu 23 Jalan Pahang, yang ketiga Kampung Batu 24 Jalan Pahang, yang keempat Kampung Batu 25 Jalan Pahang, Kampung Lubuk Gaharu, Kampung Wok Intake dan Kampung Pos Musoh. Manakala di Daerah Muallim, Kampung Bukit Ganggai, Kampung Tiong, Kampung Tipang, Kampung Keriang, Kampung Keding, mintak maaf, kampung Tenal, Kampung Pandak dan Kampung Sampu. Secara keseluruhannya sebanyak 424 unit rumah akan menerima bekalan elektrik di perkampungan Orang Asli iaitu 198 rumah di Daerah Batang Padang dan 226 rumah di Daerah Muallim. JAKOA telah melaksanakan pemasangan lampu jenis solar LED untuk program Lampu Jalan Kampung (LJK) yang memberikan manfaat kepada 42 kampung Orang Asli. Program ini dilaksanakan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Dengan langkah-langkah ini Timbalan Yang di-Pertua, kerajaan berusaha memastikan kesejahteraan dan kemudahan asas bagi masyarakat Orang Asli terus dipelihara dan ditingkatkan. Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua serta Ahli Dewan yang dimuliakan, sehingga kini jumlah keseluruhan populasi Orang Asli Malaysia sebanyak 215 ribu, 219 penduduk dan pecahannya, 62,480 ketua isi rumah (KIR) dan 152,735 ahli isi rumah (AIR) merangkumi beberapa negeri termasuk Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Selangor dan juga di Terengganu. Negeri Pahang mempunyai populasi Orang Asli tertinggi dengan 24,801 isi rumah, 55,819 individu dan jumlah keseluruhan populasi sebanyak 80,620. Ini diikuti oleh Perak yang mempunyai 16,985 isi rumah, 44,604 individu dan jumlah keseluruhan populasi sebanyak 61,589. Sebaliknya Kedah mempunyai populasi Orang Asli paling kecil dengan hanya 87 isi rumah, 244 individu dan jumlah keseluruhan populasi sebanyak 331. Kerajaan Negeri yakin dan percaya dengan jumlah populasi masyarakat Orang Asli ini, perancangan dan keputusan lebih tepat dalam menyokong pembangunan sosial, ekonomi dan budaya Orang Asli. Usaha ini menunjukkan dedikasi kerajaan untuk memahami dan menangani keperluan populasi asli membuka jalan untuk masyarakat yang lebih inklusif dan saksama. Terima kasih Timbalan Yang di-Pertua.
Soalan tambahan. Slim sila.
Terima kasih Yang Berhormat Exco atas jawapan tadi. Untuk soalan tambahan untuk Slim, realitinya keadaan orang asal Orang Asli ini tidak berlakulah sebab baru-baru ini saya masuk ke dalam dua kampung. Yang Berhormat Exco tak menyebut dua kampung, Kampung Changkat Ramu dan Kampung Sungai Teras dan dua kampung ni tak termasuk dalam agenda di Muallim tadi. Cuma soalan saya adakah kerajaan akan menumpukan fokus kepada dasar pembangunan orang asal yang melibatkan ekonomi, kesihatan, pendidikan dan sebagainya? Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua, Terima kasih kepada YB Slim yang mengemukakan soalan tambahan dalam Persidangan Dewan pada hari ini. Untuk makluman Yang Berhormat Slim, dasar Pembangunan Orang Asli di POA adalah salah satu daripada usaha kerajaan bagi memastikan masyarakat Orang Asli dapat dimajukan seiring dengan masyarakat arus perdana. Dasar ini meliputi fokus terhadap pemantapan berkaitan urusan tanah, pendidikan, kesihatan, ekonomi, kepimpinan, infrastruktur dan kebudayaan. Usaha-usaha ini diterjemahkan melalui Pelan Strategik JAKOA 2023/2026 selaras juga dengan dasar Pelan Sejahtera Perak 2030 di mana fokus terhadap dasar-dasar ini dibahagikan kepada empat teras strategik yang utama iaitu teras strategik yang pertama yang memberikan fokus kepada tanah, kebudayaan dan kepimpinan tradisi. Teras strategik yang kedua pula memfokuskan kepada kesihatan, infrastruktur dan kepimpinan komuniti. Manakala teras yang ketiga fokus terhadap pendidikan, ekonomi dan kepimpinan nasional dan akhirnya teras strategik yang keempat yang berfokuskan kepada mutu penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada masyarakat Orang Asli yang meliputi tadbir urus, perancangan strategik, penggunaan teknologi, pengurusan data dan penyampaian maklumat. Berdasarkan pada Pelan Strategik ini untuk tahun 2024, kerajaan telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM12.1 juta kepada JAKOA Negeri Perak. Bagi projek menaiktaraf, membaikpulih dan menyelenggara jalanraya pula usaha untuk memudahkan perhubungan masyarakat Orang Asli dengan masyarakat arus perdana dapat dilaksana. Projek ini juga memberi kesan secara langsung terhadap kemudahan anak-anak Orang Asli untuk ke sekolah. Peningkatan ekonomi sama ada penjualan hasil hutan mahupun agro-pelancongan.
Melalui pembangunan infrastruktur dan ameniti sosial pula, masyarakat Orang Asli memperoleh pelbagai kemudahan infrastruktur yang boleh menggiatkan aktiviti-aktiviti di perkampungan. Ini termasuklah aktiviti kebudayaan, kepimpinan dan lain-lain. Program bantuan rumah asli masyarakat Orang Asli menerima manfaat mendapat rumah yang baru manakala rumah-rumah yang perlu diperbaiki dapat diperbaiki agar keselesaan dapat dirasai. Walhal dalam soal penempatan dan penambahan rumah, sememangnya saya yang bertanggungjawab dalam pembangunan luar bandar khususnya masyarakat Orang Asli. Kita telah bangkitkan kepada pihak Kementerian melalui beberapa mesyuarat max kelab dengan KKW. Kita telah mencadangkan supaya penempatan masyarakat penambahan perumahan di kawasan Orang Asli ini dimasukkan dalam PPK (Projek Pemajuan Kawasan) yang boleh kita majukan melebihi daripada satu unit dalam satu kawasan yang akan ditentukan oleh JAKOA itu sendiri di mana kawasan tersebut dapat memberikan lebih banyak lagi pembinaan rumah-rumah bagi masyarakat Orang Asli seperti apa yang telah dilaksanakan PPK ini di luar bandar, di kampung-kampung tradisional kita. Jadi dengan adanya kelulusan ini, InsyaAllah kita akan dapat membantu mempercepatkan pemilikan dan dari segi perumahan masyarakat Orang Asli bukan sahaja di Negeri Perak tetapi di seluruh negara.
Melalui program pembangunan usahawan dan ekonomi pula, masyarakat Orang Asli diberi bantuan input-input perniagaan merangkumi penghantaran baja, biji benih, kursus-kursus yang berkaitan tanaman dan perniagaan. Di mana program program ini dapat membantu mengembangkan lagi ekonomi dan juga pengetahuan masyarakat Orang Asli ke arah menjadi usahawan yang lebih berjaya dan berdaya saing. Program pembangunan modal insan pula dijalankan agar masyarakat Orang Asli dapat meningkatkan kemajuan diri dan komuniti melalui program seperti program Quick Win, Kursus Kemahiran Pendidikan Awal kanak-kanak Orang Asli, Program Kampungku Bersih, Bengkel Profesionalisme Belia dan Wanita JPKKOA, Bengkel Profesional Profesionalisme Tok-Tok Batin Orang Asli, Karnival Sukan Orang Asli Peringkat Negeri dan Kebangsaan dan lain-lain lagi.
Melalui pelaksanaan projek-projek program program ini jelas menunjukkan pihak Kerajaan Negeri melalui JAKOA Negeri Perak melaksanakan dasar pembangunan Orang Asli di mana projek dan program dijalankan ini memberikan impak yang positif kepada masyarakat Orang Asli. Ini dapat dibuktikan dengan di mana pada tahun ini AOA Lata Kijang telah dinobatkan sebagai Johan Anugerah Aspirasi Desa Madani Tahun 2024. Selain itu, dari segi pendidikan juga menampakkan perkembangan yang positif. Di mana tahun 2023, SMK Bawong berjaya mendapat pencapaian lulus 100% Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan telah menerima anugerah khas daripada Kerajaan Negeri Perak semasa Majlis Pelancaran Santuni Orang Asli Perak Sejahtera 2030 dan Simposium. Perningkatan terhadap pelajar Orang Asli di IPTA dan IPTS juga didapati positif di mana mengikut rekod seramai 82 orang pelajar Orang Asli di Negeri Perak menyambung pelajaran di IPTA dan seramai 28 orang pelajar di IPTS. Terima kasih.
Terima kasih kepada YB Exco. Seterusnya saya menjemput Ahli Yang Berhormat dari kawasan Sungai Manik untuk mengemukakan. Sila. Soalan ringkas.
Terima kasih Timbalan Yang di-Pertua. Soalan tambahan daripada soalan Slim tadi. Saya cuma nak ada dua soalan. Yang pertama dulu Kerajaan Negeri pernah mewujudkan Program Kampung Angkat di mana GLC-GLC dipertanggungjawabkan. Program ini berjalan dalam beberapa Menteri Besar sebelum ini. Adakah program-program ini masih diteruskan ataupun telahpun ditamatkan? Yang kedua saya nak merujuk kepada pewartaan tanah-tanah Orang Asli. Tahniahlah kepada Kerajaan Negeri sejak dulu sehingga hari ini untuk mewartakan sejumlah kawasan yang besar kepada Orang Asli. Soalnya berkaitan dengan kampung Orang Asli Pelawan di tempat saya. 2012 kita pernah memberikan 350 ekar daripada sebahagian Hutan Simpan Chikus. Hutan Simpan Chikus ini adalah tempat mereka mencari pendapatan tetapi sebahagian besar daripada hutan simpan ini telah digunakan ataupun diwujudkan pajakan kepada syarikat-syarikat oleh Jabatan Perhutanan. Ini menyebabkan Orang-Orang Asli di di tempat saya ini merasa kehilangan sebahagian punca pendapatan daripada hutan tersebut dan hari ini sebenarnya dalam perjalanan tadi saya menerima memorandum daripada Tok Batin Kampung Orang Asli Pelawan untuk disampaikan kepada Yang Amat Menteri Besar. Sewaktu kita meluluskan 350 ekar, dia hanya untuk 142 keluarga lebih kurang dua ekar setengah tak sampai 1 keluarga untuk untuk kawasan kebun. Hari ini selepas 12 tahun, dah banyak keluarga yang bertambah. Jadi mereka menuntut diberi juga kepada keluarga-keluarga yang baru ni sebab Hutan Simpan Chikus tu bukanlah hutan simpan yang di atas gunung dan sebagainya dia flat land. Kalau boleh dipertimbangkan permohonan tambahan daripada Kampung Orang Asli Pelawan ni untuk keluarga-keluarga yang yang dah yang yang ada selepas 12 tahun. Itulah dua soalan yang saya. Terima kasih.
Terima kasih kepada YB Sungai Manik. Bagi soalan tambahan yg pertama yg berkaitan dengan GLC Angkat di Perkampungan Orang Asli. Sebenarnya dasar ini memang kita teruskan. Cuma ada beberapa mekanisme dan pemilihan GLC di peringkat daerah dan juga di peringkat pusat khidmat ADUN ataupun di kawasan Dewan Undangan Negeri dan In shaa Allah perkara ini akan dilaksanakan dengan dengan sepenuhnya pada tahun hadapan. InsyaAllah. Bagi soalan yang kedua, In shaa Allah saya akan mengambil perhatian perkara ini dan saya akan berbincang dengan pihak PTG dan khususnya YAB Menteri Besar Perak berkaitan apa yang dibangkitkan oleh YB Sungai Manik. Terima kasih.
Seterusnya saya menjemput Ahli Yang Berhormat dari kawasan Sungai Manik untuk mengemukakan soalan. Sila.
Terima kasih Timbalan Yang di-Pertua, soalan saya soalan nombor tiga.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera. Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Terima kasih kepada Sungai Manik yang telah pun membangkitkan isu berkenaan beberapa sungai di kawasan Sungai Manik yang ada tahap-tahap pencemaran dan juga hakisan. Isu pencemaran dan juga hakisan di sepanjang Sungai Perak adalah diantara isu yang dibangkitkan dan sering diadukan oleh penduduk di sekitar kawasan tersebut. Hakisan tebing sungai mengakibatkan kesan maraan sungai yang agak ketara. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri Perak mengambil tindakan proaktif terhadap kawalan pembangunan di sepanjang lembangan Sungai Perak. Untuk mengatasi masalah ini, beberapa projek telah dirancang dan telahpun dilaksanakan. Pertama projek RMKS Sungai Perak ataupun rancangan memulihkan koridor sungai.
Yang keduanya projek dengan izin Living River Sungai Bidor. Bagi isu pencemaran pula, kaedah kawalan adalah dengan melibatkan semua agensi dan juga pihak berkepentingan. Untuk itu, JPS Perak sedang menjalankan kajian pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu atau IRBM Integrated River Basin Management dengan izin Sungai Perak di mana salah satu objektif yang dilaksanakan ditekankan di dalam kajian tersebut adalah kualiti air dan juga pemuliharaan alam sekitar. IRBM bertujuan untuk memaksimakan faedah sosio-ekonomi bagi sumber air secara mampan dan pada masa yang sama memelihara dan juga mengembalikan semula ekosistem semula jadi sumber air. Ia merupakan pengurusan mampan bagi tanah dan juga air mengikut sempadan geografi semula jadi tanpa mengira sempadan pentadbiran. Selain usaha pihak JPS, peranan Pejabat Daerah dan Tanah Hilir Perak juga memainkan peranan yang penting dalam tindakan penguatkuasaan iaitu Unit Penguatkuasaan Tanah Pejabat Daerah juga Tanah Hilir Perak terhadap usaha haram di atas tanah rizab sungai di bawah pemantauan dan juga penyelenggaraan JPS giat dilakukan.
Timbalan Yang di-Pertua, Kerajaan Negeri tidak menolak pembangunan tetapi pembangunan yang terancang dititikberatkan selaras dengan pengezonan yang ditetapkan di bawah Rancangan Tempatan Daerah Hilir Perak RTD 2035. Bagi isu pencemaran yang berlaku, usahasama, pemantauan dan juga penguatkuasaan dengan pihak Jabatan Alam Sekitar Negeri Perak dilaksanakan secara berterusan. Setiap aduan disiasat dan diselesaikan mengikut tatacara dan selaras dengan undang-undang yang berkuatkuasa sedia ada.
Soalan Yang Berhormat Sungai Manik yang kedua. Kerajaan Negeri Perak memandang serius terhadap isu banjir yang berlaku di dalam kawasan sepanjang limbangan Sungai Perak. Banjir yang di Daerah Hilir Perak, berlaku disebabkan oleh paras air pasang besar yang melebihi tahap 3.3 meter yang melimpah masuk ke kawasan yang lebih rendah di samping struktur saliran yang perlu ditambah baik. Menyedari masalah ini, Kerajaan negeri Perak telah merangka dan juga mengambil beberapa tindakan bagi memastikan isu banjir dapat ditangani. Di antara tindakan-tindakan yang telah diambil adalah yang pertamanya Tuan Timbalan Yang di-Pertua, Pelan Tindakan Integrated River Basin Management (IRBM) dengan izin, iaitu usaha mendalamkan sungai sedang giat dijalankan melalui pelan IRBM ini. Pembinaan rancangan tebatan banjir oleh pihak JPS yang berterusan. Penyelenggaraan parit dan saliran oleh pihak JPS juga. Kawalan pembangunan daerah selaras dengan penjagaan sungai dan pihak JPS Daerah Hilir Perak sentiasa melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan mengikut keutamaan dan juga semasa ke semasa. Berpandukan kepada peruntukan tahunan yang diterima oleh jabatan tersebut.
Skim Pengairan Sungai Manik ataupun Labu Kubong Sungai Manik Labu Kubong merupakan kawasan tanaman padi yang telah diwartakan sebagai kawasan jelapang padi negara. Diwartakan. Lanjutan daripada mesyuarat penyelarasan berkaitan isu penyelenggaraan aset-aset persekutuan di Negeri Perak pada 21hb Mac 2024 yang lalu telah diputuskan permohonan JPS Negeri Perak bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan di kawasan jelapang adalah tidak diluluskan dan kawasan jelapang
Sungai Manik Labu Kubong merupakan tanggungjawab selenggaraan oleh IADA Seberang Perak, IADA Seberang Perak.
Untuk makluman Yang Berhormat, pihak JPS Hilir Perak juga telah memohon beberapa senarai kerja bagi mendapatkan peruntukan tambahan melalui Kementerian Pertanian dan juga Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk melaksanakan kerja-kerja di kawasan jelapang ini sebanyak 215,000 pada tahun 2025 dan sekiranya permohonan ini diluluskan, maka pihak JPS akan melaksanakan kerja-kerja di kawasan jelapang tersebut. Pihak jabatan juga telah melaksanakan beberapa kerja penyelenggaraan melalui peruntukan MARRIS dengan perbelanjaan sejumlah RM522,850.00 termasuk penyelenggaraan pam mudah alih bagi kawasan jelapang Skim Pengairan Sungai Manik Labu Kubong. Sepanjang tahun 2024, sebanyak 61 kerja telah dilaksanakan bagi jangka masa pendek, sederhana dan Panjang, sejumlah 2.669 juta. Bagi DUN Sungai Manik iaitu kerja-kerja di jelapang. Sejumlah RM168,180.00 telah dibelanjakan bagi penyelenggaraan pam di kawasan tersebut. Manakala RM1.722 juta bagi kerja di luar jelapang Changkat Jong dan RM770,925.00 merupakan perbelanjaan kerja pam mudah alih. Terdapat kerja-kerja yang tidak dapat dilaksanakan pada tahun 2024. Namun akan dilaksanakan dan disambung pada tahun 2025. In shaa Allah. Terima kasih.
Soalan tambahan. Sungai Manik sila.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Exco. Soalan tambahan saya yang pertamanya, kita berterima kasih kepada kerajaan menerusi JPS dengan projek-projek tebatan banjir. Apa yang saya nak bangkitkan ini ialah berkaitan dengan sikap tidak bertanggungjawab kontraktor. Sebagai contoh, satu projek JPS di Kampung Redang Punggor yang mengakibatkan banjir. Banjir mengejut air tenang, memanglah paras air laut pada waktu itu tinggi tetapi isunya dua tahun yang lepas saya bersama dengan penduduk telah melawat tempat itu telah menegur kenapa ditarah ban yang telah dibina oleh JPS. Alasannya untuk memudahkan jentera masuk dan kesannya diterima pada bulan yang lepas. Air melimpasi ban yang memang dulunya tinggi. Itu antara isunya. So, saya harap pihak kerajaan dapat mengambil tindakan kepada kontraktor-kontraktor sebegini yang tidak bertanggungjawab mengakibatkan kerugian kepada penduduk kampung. Mereka dah pergi kerja pagi tiba-tiba air naik. Kampung tu dah berpuluh tahun tak pernah banjir. Mesti ada satu mekanisme untuk kita menuntut ganti rugi kepada kontraktor ni akibat ke apa ni akibat kerugian yg mereka tanggung. Jadi mungkin boleh difikirkan lah mekanisme yang yang sesuai kepada kontraktor-kontraktor yang tidak bertanggungjawab ini.
Yang kedua saya nak minta kerjasama daripada Kerajaan Negeri kan selalu yang menjadi pertikaian di DUN Sungai Manik ni IADA la JPS la kan. Macam baru ni bila berlaku kenaikan paras air yang tinggi, penduduk kampung terpaksa atau pun bergotong-royong dengan mengambil inisiatif sendiri satu satu pembekal hardware bagi pasir. Minta budak-budak muda pergi cari guni kita bina ban sementara untuk mengelakkan limpahan air masuk ke sawah. Tak tau sapa nak bayar tu. JPS ke IADA ke nak bayar. Jadi mintak tolong Exco rujuk dengan Pegawai Daerah Teluk Intan dan juga JPS Teluk Intan usaha yang mereka buat Sabtu Ahad. Sebab saya faham di peringkat pentadbiran daerah mungkin tak ada tak ada workforce untuk bantu. Tapi alhamdulillah penduduk kampung tak ada masalah untuk bagi tenaga. Nasib baik juga ada usahawan yang bagi pasir pergi cari guni walaupun itu bukan satu mekanisme yang boleh memastikan mengelakkan air melimpah tetapi sekurang-kurangnya mereka berusaha, mereka berusaha bergotong-royong selama dua hari. Dua hari tu 48 jam bukan 12 jam. Ganti-ganti panggil pemuda kampung ni panggil anak muda kampung ni. Saya pun hadir sekali untuk membantu mereka dan akhirnya dapat mengelakkan limpahan tu masuk ke sawah. Sebab waktu itu sawah padi mula naik dah dua minggu. Kalau air tu melempah habislah kerugian yang lebih besar akan ditanggung. Jadi kalau dalam program-program jelapang padi ini, dapatlah bekerjasama dengan Jabatan Pertanian kan untuk kita lihat bagaimana mekanisme yang boleh diperbaiki. Sebab saya tahu dari segi pemberian utiliti, kemudahan dan sebagainya pihak JPS akan memastikan saliran akan sampai masuk ke kawasan sawah padi Sungai Manik.
Dan yang terakhir sekali isu projek-projek yang yang dilaksanakan di Dun Sungai Manik ini. Program naik taraf saliran dan sebagainya nampaknya tak berjalan mengikut rancangan yang yang sewajarnya. Ada beberapa projek sebelum ini yang terpaksa ditarik balik, kontraktor yang tak mampu menyebabkan apa yang kita harapkan daripada hasil yang bakal dikeluarkan Sungai Manik ini masih statik. Masih statik dan ramai yang dah mungkin dah give up nak tanam padi dah dah beralih kepada tanaman lain khususnya tanam sawit sebab air tak sampai dan sebagainya. Isu ini juga perlu diambil kira oleh Kerajaan Negeri. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Sungai Manik berkenaan dengan 3 soalan tambahan tadi. Yang pertamanya berkenaan dengan pengawalan kerja-kerja kontraktor yang tidak menepati piawaian JPS yang menyebabkan orang kampung mengalami masalah. Dengan itu, kami juga mahu supaya ketua kampung yang terlibat itu memberikan laporan secepat mungkin kepada jurutera daerah di Teluk Intan agar dapat dikenal pasti kontraktor mana yang agak tidak menepati piawaian dan juga spesifikasi JPS itu. Oleh kerana apa yang mereka buat tidak memberikan kesenangan kepada orang kampung, menyebabkan mereka mengalami musibah tambahan. Berkenaan dengan isu ban yang kadang-kadang tu dinyatakan supaya tidak tidak dipelihara atau tidak ditingkatkan kerana ada kerja-kerja senggaraan yang akan dibuat oleh JPS. Yang itu pun benar jugak. Jadi, untuk itu, JPS terpaksa mengimbangi kedua-dua isu itu kalaulah ban itu terlampau tinggi, maka dia menyukarkan pihak pihak JPS untuk membuat kerja-kerja pencucian dan penyelenggaraan sungai. Jadi kena ada juga pemikiran kemana nak kita accommodate suasana sedemikian.
Walaumacamanapun, keutamaan masih diberikan oleh JPS nak pastikan limpahan air jika berlaku sungai ke sawah-sawah tu dapat ditangani supaya mereka tidak mengalami masalah terutama di Labu Kubong sendiri. Hari ini suasana padi itu telah pun membenihkan dan menghasilkan. Jadi kalau tidak ditangani secara elok, maka mereka akan pupus dan punah semua hasil padi mereka itu. Jadi JPS mengambil keutamaan dan juga mengambil berat berkenaan suasana tersebut dan yang ketiganya saya sanjung tinggi penghargaan kepada Sungai Manik yang rajin pergi melihat kawasan-kawasan dan akhirnya berinteraksi dengan orang orang kampung yang agak kemampuan untuk melaksanakan kerja-kerja gotong-royong. Ini satu amalan yang baik yang jika sekiranya pesawah-pesawah di tempat tersebut, jalan menjalinkan hubungan yang baik dengan orang orang yang mampu bantu mereka, maka dia dapat menyegerakan untuk membina ban-ban yang merupakan punca limpahan air daripada sungai keluar.
Masalahnya hari ini Yang Berhormat, kalaulah ban itu mula pecah sedikit, maka kalau tidak ditampal awal-awal, dia akan membesar dan jadi parah. Jadi untuk itu, barangkali kawasan itu dialami oleh pesawah-pesawah lebih awal. Jadi kalau mereka melihat punca air yang daripada sungai melimpah ke kawasan sawah mereka diberikan maklumat awal kepada pihak JPS, maka mereka mudah untuk menanganinya. Tapi selalunya ia merebak semalaman sampailah dua hari makin menjadi parah. Di sinilah kami berkehendakkan kerjasama yang baik diantara wakil rakyat-wakil rakyat yang ada sawah-sawah padi di kawasan mereka untuk memberikan juga kerjasama sebagaimana yang dilaksanakan oleh YB Sungai Manik ini satu tindakan yang baik yang ada usaha gotong-royong di antara orang-orang yang berkenaan dan juga pihak JPS. Kadang kadang tu kita terpaksa beri keutamaan kepada kampung-kampung lain, kepada sawah-sawah lain. Jadi kat sini ini kalau sekiranya ada usaha sedemikian, ia amat disanjung tinggi. Saya berterima kasih di atas usaha dan sekian terima kasih.
Terima kasih kepada YB Exco.
Alor Pongsu.
Soalan yang ringkas. Sila.
Soalan tambahan.
Sila-sila. Pengkalan Baharu, sila. Pengkalan baharu soalan tambahan sila.
Terima kasih Timbalan Yang di-Pertua. Speaker. Soalan tambahan saya adalah berkaitan dengan Sungai Perak juga sebagaimana yang disebut tadi. Ada tak perancangan Kerajaan Negeri terhadap pulau-pulau jadian yang terdapat di Sungai Perak tu untuk dibersihkan. Saya rasa ini juga sebagai penghalang berlakunya banjir. Alor Pongsu pun banjir tu. Jadi ada tak perancangan Kerajaan Negeri untuk bersihkan pulau-pulau yang dah jadi hutan di tengah-tengah Sungai Perak terutama dekat Jambatan Sungai Perak di antara Bota Kiri dan Bota Kanan. Terima kasih.
Boleh saya tambah satu sebab kawasan saya kena banjir. Timbalan Speaker. Sikit je.
Tak boleh Alor Pongsu, duduk. Exco sila jawab. Sebelum saya menjemput, sebelum saya menjemput Adun dari Chenderiang, peringatan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat sebab masa yang terhad, soalan tambahan hanya boleh tanya satu soalan sahaja tak ada sub soalan. Seterusnya saya menjemput Ahli Yang Berhormat dari Kawasan Chenderiang untuk mengemukakan soalan. Sila.
Terima kasih saya ucapkan kepada Timbalan Yang di-Pertua. Soalan Chenderiang soalan 4.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua. Salam Sejahtera, Salam Malaysia Madani dan Salam Perak Sejahtera 2030. Menjawab soalan dari Yang Berhormat Adun Chenderiang berkaitan dengan Hospital Tapah. Untuk makluman Yang Berhormat Adun Chenderiang, Hospital Tapah merupakan hospital tanpa pakar yang dibina dan mula beroperasi pada tahun 1888. Kini Hospital Tapah berusia 136 tahun dan menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada 176,000 orang penduduk. Ia berfungsi sebagai pusat rujukan pesakit dari klinik berhampiran di dalam daerah yang sama khususnya Klinik Kesihatan Tapah yang terletak dalam jarak 2.5 km. Hospital Tapah berada di bawah Hospital Kluster Perak Selatan yang ditubuhkan pada Disember 2020 di mana lead hospital adalah Hospital Teluk Intan dan non-lead pertama adalah Hospital Slim River. Jumlah katil di Hospital Tapah mencecah 100 katil. Operasi dengan kekuatan anggota adalah seramai 329 orang anggota. Perkhidmatan pesakit luar yang disediakan adalah klinik pakar, rawatan kecemasan dan trauma, hemodialisis dan klinik dadah selain rawatan pesakit dalam. Pada tahun 1917, hospital ini dipindahkan ke lokasi terkini yang terletak di atas tapak berkeluasan 22.5 ekar.
Bermula tahun 1962, beberapa bangunan lama telah diubahsuai bagi tujuan pembaikan dan naiktaraf. Kantin asal Hospital Tapah dibina pada tahun 1962. Namun struktur kayu pada bangunan tersebut telah rosak akibat serangan anai-anai. Pihak pengurusan Hospital Tapah telah menjalankan penilaian bagi mengenalpasti kekukuhan dan integriti struktur bangunan tersebut. Pihak Jabatan JKR Batang Padang telah mengadakan lawatan bagi menilai struktur dan keselamatan bangunan tersebut. Sehubungan itu, pihak JKR Daerah Batang Padang melalui surat bertarikh 23 Julai 2020 telah mengesyorkan bangunan kantin perlu dirobohkan dan dibina baru kerana struktur kayu pada bangunan tersebut telah rosak akibat serangan anai-anai. Setelah syor roboh diterima daripada pihak JKR, pengurusan Hospital Tapah memanjangkan permohonan kepada, bagi mendapatkan kelulusan meroboh serta kelulusan peruntukan dari pihak KKM.
Sejurus dari itu, dan juga merujuk kepada surat daripada Pejabat Jurutera Daerah JKR Batang Padang. Untuk maklum tuan, pihak kami telah membuat pemeriksaan pada 15 Julai 2020. Walaubagaimanapun, ia didapati struktur kayu bagi bangunan tersebut telah rosak akibat serangan anai-anai bermula struktur kayu di bahagian bawah sehingga ke struktur bumbung. Sehubungan itu, pejabat ini syorkan bangunan ini dirobohkan dan dinaiktaraf naiktaraf baru. Anggaran kos naiktaraf tersebut pada peringkat pemeriksaan awal adalah RM460,00.00 bergantung pada kos tahun semasa kerja dilaksanakan. Mengambil kira keperluan mendesak kantin di Hospital Tapah, Jabatan Kesihatan Negeri Perak merancang bagi menyenaraikan projek ini dalam Pelan Induk Pembangunan Fasiliti Kesihatan Hospital Tapah. Pelaksanaan projek kantin ini adalah bergantung kepada keupayaan peruntukan semasa yang diterima di bawah butiran projek BP 6 tahun 2025 yang dijangka terima pada Januari 2025. Pihak jabatan juga memberi keutamaan kepada pelaksanaan projek ini dan disenaraikan dalam projek keutamaan jabatan yang dijangka bermula menjelang Februari 2025.
Timbalan Yang di-Pertua, bagi jawab soalan kedua. Pihak Hospital Tapah telah mengemukakan permohonan bagi pembinaan bangunan baru klinik 2, 2 tingkat termasuk dewan bedah ke Jabatan Kesihatan Negeri Perak. Pembinaan dewan bedah ini adalah sebahagian dari pelan perluasan perkhidmatan kepakaran di hospital ini. Pihak Hospital Tapah telah bersetuju agar skop projek kerja selaras dengan keperluan perluasan perkhidmatan di Hospital Tapah. Antara skop cadangan adalah seperti blok tambahan baru merangkumi dewan bedah dan skop sokongan klinikal serta bukan klinikal dengan anggaran kos pembinaan sebanyak RM7 juta. Projek ini dirancang untuk dipohon dalam RP3 RMK-13. Pihak Hospital Tapah juga bersetuju dan telah melaksanakan kajian bagi mengumpul data untuk tindakan menyediakan Medical Brief of Requirements atau MBOR serta SOA atau Schedule of Accommodation bagi bangunan tersebut.
Untuk maklumat Timbalan Yang di-Pertua, pada masa ini semua kes yang melibatkan pembedahan dihantar kepada Hospital Teluk Intan atau Hospital Slim River yang berperanan sebagai lead hospital dan non-lead hospital masing-masing. Oleh yang demikian, keutamaan akan diberi untuk menaiktaraf dewan bedah di Hospital Kluster Perak Selatan iaitu Hospital Teluk Intan dan Hospital Slim River bagi menampung dan mengoptimumkan kes-kes yang memerlukan pembedahan segera atau elektif sebagai rujukan daripada hospital yang berada di kluster yang sama. Terima kasih.
Soalan tambahan. Chenderiang, sila.
Terima kasih saya ucapkan kepada Yang Berhormat Exco atas jawapan yang diberi. Satu berita yang baik untuk warga DUN Chenderiang. Soalan tambahan saya kepada YB Exco. Memandangkan peningkatan kes yang kompleks di Hospital Tapah yang memerlukan doktor pakar dan kes-kes yang kompleks ini memerlukan doktor pakar ini kini tak ada di Hospital Tapah. Mereka terpaksa menghantar pesakit ini ke hospital lain seperti Hospital Bainun, Hospital Teluk Intan dan Hospital Slim River. Soalan saya bilakah penempatan pakar perubatan dalaman dan pakar perubatan pakar yang kini sangat memerlukan di Hospital Tapah dan bilakah akan diberi perkhidmatan ini kepada warga di kawasan Tapah?
Terima kasih YB Chenderiang. Seperti yang saya telah jawab dalam jawapan saya tadi. Perancangan bagi pembinaan bangunan baru Hospital Tapah akan menempatkan dua bilik bedah di aras bawah bangunan. Selain itu, bangunan baru juga dicadangkan untuk ditempatkan satu Unit Bekalan Bahan Steril iaitu unit penting sebagai satu unit sokongan yang memberi perkhidmatan pensterilan selain kepada dewan bedah dan seperti yang saya dah jawab tadi yang kedua-dua kepakaran ini hanya akan dapat kita sediakan selepas dapat sediakan bangunan-bangunan baru ini. Sekian, terima kasih.
Manjoi, Speaker.
Manjoi, sila.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Timbalan Speaker. Soalan untuk YB Exco, berkaitan dengan isu Klinik Kesihatan. Masalah kemudahan Klinik Kesihatan Manjoi yang daripada tahun 2017 hingga hari ini masih lagi belum dapat disiapkan. Dah masuk tahun ketujuh. Saya turun ke lapangan, ke padang ke klinik kesihatan tersebut. Progress yang sangat- sangat lambat dan perlahan. Apakah tindakan Kerajaan Negeri terhadap isu ini kerana hari ini klinik kesihatan sementara di Klinik Manjoi ini mencecah lebih 800 ke 1000 orang setiap hari yang datang ke klinik kesihatan tersebut. Mohon pencerahan daripada pihak YB Exco.
Terima kasih Yang Berhormat daripada Manjoi. Saya sangat perihatin tentang progress pembinaan Klinik Kesihatan Manjoi. Saya percaya Yang Berhormat pun tahu pada September yang lepas saya telah melawat klinik itu bersama sama dengan YB Manjoi dan pada waktu itu taklimat yang diberikan kepada kita, klinik akan siap dibina dan akan diserah pada bulan Januari dan sewaktu itu dimaklumkan kepada kita, hadirin Yang Berhormat Manjoi bahawa 53.3% telah siap dibina dan bakinya tidak ada banyak kerja mereka boleh siap dan serah dan beberapa hari lepas saya dapat maklumbalas bahawa mereka akan membuat serahan pada bulan Mac dan saya juga telah memaklumkan kepada YB Manjoi dan minta kerjasama dari pihak YB Manjoi sebab klinik ini ada di kawasan YB Manjoi supaya meneliti prestasi kerja di klinik berkenaan dan maklumkan kepada saya setiap bulan. Itu adalah September tapi saya ingat hari ini baru saya dengar berita ini. Jadi YB pun kena bantulah sedikit sebab kawasan YB. Jadi saya percaya sekarang bulan tiga kita akan dapat klinik baru. Sekian. Terima kasih.
Seterusnya menjemput Ahli Yang Berhormat dari kawasan Manong untuk mengemukakan soalan. Sila.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Speaker. Manong soalan nombor 5.
Assalamualaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh, Salam Malaysia Madani, Salam Perak Sejahtera 2030. Terima Kasih Timbalan, Yang Berhormat Timbalan Speaker. Terima kasih kepada YB Manong atas soalan berkaitan dengan pendidikan. Jabatan Pendidikan Negeri Perak dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak yang juga merupakan peneraju kecemerlangan pendidikan Negeri Perak sentiasa peka dan menunjukkan keprihatinan dalam memastikan segala perkara dalam aspek pendidikan yang dilihat boleh mengganggu gugat kualiti pendidikan dunia pada hari ini dapat diselesaikan atau sekurang kurangnya dapat diminimumkan impak negatif kepada semua warga pendidikan, lebih-lebih lagi generasi baharu yang akan lahir selepas ini. Melalui segala usaha bersepadu dalam semua sektor di dalam Jabatan Pendidikan Negeri Perak, terdapat pelbagai usaha yang telah dijalankan terutamanya bagi meningkatkan kualiti pendidikan di luar bandar.
Soalan yang pertama, antara inisiatif yang telah dibuat bagi menyelesaikan masalah kekurangan guru dalam bidang tertentu menyebabkan guru bukan opsyen mengajar subjek di luar bidang pengkhususan adalah seperti berikut. Pengurusan Sumber Manusia yang maksimum. Yang pertama, Jabatan Pendidikan Negeri Perak telah melaksanakan penempatan semula atau pun reemployment guru sepanjang tahun untuk memastikan keperluan guru mengikut opsyen di sekolah dapat diisi. Data penempatan semula atau pun reemployment guru di sekolah-sekolah Negeri Perak pada bulan Januari hingga Oktober adalah sebanyak 223 orang guru di Sekolah Rendah dan 140 orang guru di Sekolah Menengah.
Yang kedua, penempatan guru baharu mengikut keperluan opsyen di sekolah-sekolah yang mana memberi keutamaan penempatan guru baharu kepada sekolah-sekolah luar bandar dan pedalaman adalah selaras dengan arahan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.
Yang ketiga, penandaan opsyen mata pelajaran guru seperti dalam Surat Pekeliling Ikhtisas, Kementerian Pendidikan Malaysia, Bilangan 5 Tahun 2022 yang bertarikh pada 28 Julai 2022. Pelaksanaan SPI, membolehkan penambahan maklumat matapelajaran bukan opsyen kepada guru yang mengajar selain daripada opsyen ikhtisas asal. Pelaksanaan penandaan opsyen mata pelajaran dilaksanakan sepanjang tahun berdasarkan kepada keperluan opsyen di sekolah. Penentuan opsyen dominan dan penandaan opsyen matapelajaran guru dibuat berdasarkan kepada salah satu kriteria berikut. Yang pertama, mengajar mengikut kelulusan ikhtisas iaitu Sijil Pendidikan, Diploma Pendidikan, Ijazah Sarjana Muda Pendidikan atau Kursus Perguruan Lepasan Ijazah. Yang kedua, mengajar mata pelajaran berdasarkan kelulusan ihktisas sekurang-kurangnya 90 minit seminggu. Yang ketiga, mengajar dua atau lebih mata pelajaran Ikhtisas. Yang keempat, memegang jawatan sebagai Guru Cemerlang. Yang kelima memegang jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG 41 dan ke atas setelah setelah menamatkan pengajian Peringkat Ijazah Pertama dengan kelulusan Kementerian Pendidikan Malaysia. Yang keenam, mengikuti kursus pertukaran opsyen, Program Intervensi Tambah Opsyen atau Program Tambah Opsyen yang diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Yang ketujuh, menjadi pemeriksa kertas peperiksaan awam. Yang kelapan, mengajar mata pelajaran bukan opsyen minimum 90 minit seminggu bagi 3 tahun. Yang kesembilan, memperolehi ijazah pertama tanpa kelulusan KPM bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG41 dan ke bawah. Yang kesepuluh, memperolehi Ijazah Sarjana atau Ijazah Kedoktoran.
Bagi soalan (b), berkenaan dengan kepadatan pelajar, Kerajaan Negeri Perak melalui Jabatan Pendidikan Negeri Perak telah mengenalpasti bahawa isu sekolah-sekolah padat berlaku di kawasan bandar utama seperti Ipoh, Kampar, Taiping, Kuala Kangsar, Teluk Intan dan Parit Buntar. Antara faktor kepadatan pelajar di sekolah kawasan bandar adalah disebabkan populasi penduduk yang tinggi, pembukaan taman-taman perumahan baru dan juga sekolah-sekolah tertentu yang telah menjadi pilihan utama ibu bapa disebabkan pelbagai faktor. Antara langkah-langkah yang diambil untuk menyelesaikan masalah kepadatan pelajar atau murid di sekolah adalah seperti berikut. Yang pertama, penetapan dasar minimum bilangan 40 orang murid untuk setiap kelas atau darjah berdasarkan kesesuaian untuk bilik darjah yang standard. Jika murid telah melebihi dari jumlah maksimum, maka satu kelas lagi boleh ditambah untuk menampung pelajar, menampung jumlah pelajar atau murid yang ada. Kelas ideal yang dicadangkan adalah 25 orang murid bagi kelas perdana, 25 orang murid bagi prasekolah, 7 orang murid bagi kelas pendidikan khas.
Yang kedua, bagi mengatasi isu kepadatan dalam jangka masa pendek adalah dengan melaksanakan pengoperasian sekolah secara dua sesi dan bagi penyelesaian jangka masa panjang adalah pembinaan bangunan tambahan dan pembinaan institusi atau sekolah baharu. Sebanyak 37 buah Sekolah Rendah dan 69 buah sekolah menengah di Negeri Perak telah beroperasi secara dua sesi bagi tahun 2024. Yang ketiga, menurunkan kuasa kepada Pejabat Pendidikan Daerah untuk mengurus dan menyelaras proses penempatan murid-murid ke sekolah bagi memastikan penempatan murid adalah seimbang di setiap sekolah. Permohonan belajar bagi murid tahun 1 adalah dibuat melalui sistem e-Daftar Murid. Penempatan murid tahun 1 ke sekolah-sekolah dalam daerah dapat diselaraskan dengan tepat dan cepat. Sistem ini juga dapat memproses permohonan dengan lebih berkesan dan dapat menetapkan taburan murid secara seimbang ke sekolah-sekolah dalam daerah tertentu.
Dato' Yang di-Pertua, Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Kota Tampan dan dibantu dengan kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Perak dan disokong oleh Kementerian Pendidikan Malaysia serta pihak-pihak yang lain sentiasa meletakkan Pendidikan sebagai agenda utama negeri. Kita terus berusaha meningkatkan kualiti pendidikan dari aspek infrastruktur para pelajar mahupun warga pendidik. Kita perlu akui masih ada ruang untuk kita perbaiki dan tambah baik isu ini tanpa mengabaikan sekolah bandar mahu pun sekolah di luar bandar. Kerjasama semua pihak yang berkepentingan adalah sangat penting dalam memastikan segala isu yang berlaku dapat diselesaikan dengan baik. Akhirnya dapat memacu kecemerlangan pendidikan di Negeri Perak. Sekian, terima kasih.
Manong.
Terima kasih Yang di-Pertua dan juga terima kasih kepada Yang Berhormat Exco atas penjelasan soalan. Soalan tambahan saya berkaitan satu kebimbangan yang pernah disuarakan oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan iaitu berkaitan dengan kecenderungan-kecenderungan guru bersara lebih awal dan ini ada kaitan dengan kualiti pendidikan juga, kerana guru-guru yang, yang senior ni dah pastilah mereka lebih mahir dari sudut pengajaran dan pembelajaran, dari sudut pedagogi, dari sudut penyampaian di dalam kelas, maka diganti dengan guru-guru yang baru yang mungkin dari sudut pengalaman, kemahiran masih lagi kurang. Maka ini akan juga boleh mengganggu dari sudut kualiti PNP lah dan seterusnya kualiti pendidikan itu sendiri. So, soalan saya bagaimanakah kerajaan menangani isu guru yang cenderung nak bersara awal ni sedangkan mereka mahir, masih lagi diperlukan tenaga mereka, kemahiran mereka? So, apakah tindakan pihak kerajaan untuk menangani isu guru yang suka atau mungkin ada sebab tertentu untuk bersara lebih awal? Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Manong atas soalan tambahan berkaitan dengan kecenderungan guru bersara pilihan kerana mereka ini bersara pilihan dalam umur yang masih muda dalam 50-an atau dalam 55 ke 56 dan untuk maklumat statistik guru bersara pilihan Negeri Perak bagi tahun 2023, kita ada 647 orang guru iaitu lelaki sebanyak 169, manakala perempuan 478. Bagi tahun 2024 pula, 554 orang guru bersara pilihan iaitu lelaki 141, perempuan 413. Berkaitan dengan apa tindakan yang dilaksanakan oleh kementerian dan juga jabatan untuk memastikan kadar bilangan guru bersara pilihan ini dapat dikurangkan. Yang pertama, kita akan memastikan, kita memberi pendekatan bimbingan dan psikologi kepada mereka ini supaya mereka ini boleh meneruskan perkhidmatan mereka. Saya cukup setuju dengan apa yang YB Manong sebut tadi, apabila mereka bersara, mereka akan membawa bersama dengan kehebatan, dengan kecemerlangan, dengan kebolehan mereka dan akhirnya dia akan menjejaskan struktur dan juga sumber pendidikan itu sendiri dan kita memang menjalankan ada di kalangan guru-guru yang bersara pilihan ini telah dipanggil oleh pihak Jabatan Pendidikan untuk diberi psikologi supaya boleh meneruskan khidmat bakti mereka kerana khidmat bakti mereka cukup ditagih dalam memastikan agenda kecemerlangan pendidikan itu dapat kita saksikan bersama. Terima kasih.
Alor Pongsu. Alor Pongsu.
Terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat. Masa dah cukup. Dengan ini maka tamatlah sesi soalan lisan pada hari ini. Setiausaha Dewan sila bacakan Aturan Urusan Mesyuarat yang seterusnya.
Membawa Rang Undang-undang Enakmen Perbekalan 2025Bill
Perkara yang kelima, membawa Rang Undang-undang Enakmen Perbekalan 2025.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, saya mohon izin mengemukakan Enakmen Perbekalan 2025 dibaca bagi kali pertama.
Bila bacaan kali yang kedua?
Dalam mesyuarat ini juga.
Sekarang, saya menjemput Setiausaha Dewan untuk mengedarkan Notis Bacaan Kali Yang Kedua, sebagaimana dinyatakan di dalam Perintah Tetap 57(1).
___________________________________________________________________
[NOTIS BACAAN KALI KEDUA DIEDARKAN KEPADA AHLI DEWAN NEGERI]
___________________________________________________________________
Dipersilakan Yang Amat Berhormat Menteri Besar.
Terima kasih Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua. Saya mohon izin mengemukakan Rang Undang undang yang bernama, "Suatu Enakmen Bagi Menggunakan Sejumlah Wang Daripada Kumpulan Wang Disatukan Untuk Perkhidmatan Bagi Tahun 2025 Dan Bagi Memperuntukkan Jumlah Wang Itu Untuk Perkhidmatan Bagi Tahun Itu”, sekarang dibaca bagi kali kedua.
Dato' Yang di-Pertua, memandangkan bahawa Rang Undang-undang Enakmen Perbekalan 2025 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2025 yang dibentangkan sebagai Kertas Dewan Bilangan 25/2024 adalah berkaitan. Saya mohon izin mengusulkan bahawa Dewan ini mengambil ketetapan bacaan kali kedua Rang Undang-undang Enakmen Perbekalan 2025 dan Usul Kumpulan Wang
Pembangunan Negeri 2025 hendaklah dibahas dengan sekaligus. Dato' Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan.
Ada sokongan.
Dato' Yang di-Pertua, Bercham menyokong.
Sekarang saya mempersilakan, Yang Amat Berhormat Menteri Besar membentangkan Belanjawan 2025 Negeri Perak Darul Ridzuan.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Salam Sejahtera, Salam Malaysia Madani dan Salam Perak Sejahtera 2030. Audzubillahi Minas Syaitonirrojim. Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillahirabbil Alamin Wassolatu Wassalamu ala sayyidil mursalin wa imamil muttaqin wa ala alihi wa ahli baitihi Wasahbihi Ajmain.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, Ahli-ahli Yang Berhormat, anggota-anggota pentadbiran Kerajaan Negeri, tuan-tuan dan puan-puan yang saya kasihi sekalian. Alhamdulillah, dimulai kalam dengan mengangkat setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat Allah SWT kerana berkat limpahan rahmat dan kasih sayang-Nya jua, kita dapat berkumpul pada pagi ini sempena pembentangan Belanjawan Perak 2025, dokumen yang menghamparkan ikhtiar Kerajaan Negeri dalam memaknakan kehidupan rakyat. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu'alaihi Wasallam penghulu sekalian Nabi dan Rasul yang menjadi rahmat buat sekalian umat. Semoga syafaat baginda sentiasa menyertai kita dalam setiap langkah bagi mengumpul kearifan berbekalkan panduan sunnah dan ajarannya yang kekal relevan sepanjang zaman.
Pada hari yang penuh keberkatan ini, saya dengan hormat dan takzim merafak sembah dan setinggi-tinggi ucapan tahniah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan. Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al Maghfur-Lah sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda bagi tahun 2024. Dirgahayu Tuanku. Didoakan semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku sentiasa beroleh keafiatan dilimpahi kerahmatan dan keampunan Allah Subhanahu wa Ta'ala serta dikurniakan segala kebaikan dan kesejahteraan untuk terus memayungi Negeri Perak Darul Ridzuan yang tercinta ini. Patik menjunjung setinggi-tinggi kasih tidak terperi atas segala nukilan pedoman oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku demi memastikan pentadbiran Negeri Perak terus diperkasa dalam memacu agenda Perak Sejahtera 2030.
Tinta Ucapan Belanjawan Perak 2025 ini saya teruskan dengan memetik firman Allah Subhanahu Wata'ala di dalam surah Al Isra ayat 26 hingga 27 yang bermaksud
“Dan berikanlah haknya kepada kerabat dekat, orang miskin dan orang yang dalam perjalanan yakni (musafir) dan janganlah kamu membelanjakan hartamu secara boros. Sesungguhnya pemboros-pemboros itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu sangat kufur kepada Tuhannya”.
Mudah-mudahan peringatan Allah SWT ini menjadi panduan untuk kita sama-sama meneguhkan iktikad dalam menjayakan Belanjawan 2025 supaya akhirnya tanah bertuah Perak Darul Ridzuan ini terus beroleh kemakmuran manakala rakyatnya yang berbilang kaum dapat merasai nikmat kesejahteraan.
Yang Berhormat Dato Yang di-Pertua, seterusnya saya mohon izin untuk membawa usul seperti berikut. Pertama mengusulkan bahawa rang undang-undang yang dinamakan “Suatu Enakmen Bagi Menggunakan Sejumlah Wang Daripada Kumpulan Wang Disatukan Untuk Perkhidmatan Bagi Tahun 2025 Dan Bagi Memperuntukkan Wang Itu Untuk Perkhidmatan Bagi Tahun Itu” dibacakan bagi kali kedua.
Kedua mengusulkan butir-butir dalam penyata yang dibentangkan sebagai Kertas Dewan Bilangan 25/2024 adalah dengan ini diumumkan menjadi tujuan yang mana Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966 itu boleh digunakan bahawa perbelanjaan sejumlah wang RM538.0 juta yang ditunjukkan dalam penyata tersebut adalah dengan ini diluluskan bagi tahun 2025. Seterusnya jumlah wang yang ditunjukkan berhadapan dengan tiap-tiap butir dalam penyata itu adalah dengan ini diperuntukkan bagi maksud-maksud yang ditetapkan.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, Senario Ekonomi Negeri. Di sebalik persekitaran ekonomi global yang tidak menentu, ditambah pula dengan perang geopolitik yang masih mencengkam pasaran komoditi sepanjang tahun 2023, Alhamdulillah Perak masih mampu mengekalkan momentum pertumbuhan sebanyak 2.7 peratus dengan nilai KDNK mencecah RM82.6 bilion. Sektor perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar KDNK negeri dengan nilai RM52.3 bilion berbanding RM50.7 bilion pada tahun 2022 iaitu pertambahan sebanyak RM1.6 bilion. Pertumbuhan sektor ini diterajui oleh sub sektor perdagangan borong dan runcit, diikuti dengan sub sektor penginapan, makanan dan minuman, utiliti, pengangkutan serta ICT. Sektor pembuatan pula tumbuh 2.2 peratus berbanding tahun 2022, didorong peningkatan produk bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka serta minyak dan lemak sayuran dan haiwan prosesan, makanan, minuman serta produk tembakau. Sektor pertanian yang berdepan penyusutan negatif 2.6 peratus pada tahun 2022 mula menunjukkan pemulihan apabila tumbuh 1.9 peratus pada tahun 2023. Prestasi positif ini dipengaruhi oleh sub sektor tanaman dan sub sektor perikanan. Sektor perlombongan dan pengkuarian turut mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 0.6 peratus iaitu dengan nilai RM486.8 juta berbanding RM449.4 juta pada tahun 2022. Merujuk data pelaburan terkini yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA). Jumlah pelaburan yang diluluskan di Negeri Perak bagi sektor pembuatan untuk setengah tahun pertama 2024 dari bulan Januari hingga Jun adalah RM601.49 juta melibatkan 30 buah projek.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Prestasi Belanjawan Negeri 2024. Jika kita menoleh sedikit ke belakang, kita pernah berdepan saat-saat yang begitu getir dan mencabar. Pada tahun 2020, kita bukan sahaja merekodkan angka negatif 2.4 peratus bagi pertumbuhan KDNK, malah kita pernah berada di ambang krisis dengan defisit mencecah RM78 juta. Sebagai insan yang baru diberi amanah sebagai Menteri Besar ketika itu, saya melihat cabarannya begitu berat. Saya dan rakan-rakan pentadbiran membayangkan betapa masa depan negeri diselubungi kabus ketidakpastian. Pada suatu ketika, kita terpaksa merombak semula perbelanjaan bagi mengelakkan kita terjerumus dalam jurang defisit yang lebih besar. Begitu berat cabaran yang dipikul, begitu jugalah kuatnya semangat yang ditunjukkan oleh seluruh jentera pentadbiran untuk bangkit dan keluar daripada bayangan kemelesetan. Pelan Perak Sejahtera 2030 yang menghimpunkan idea dan aspirasi rakyat telah digerak dan dilaksanakan sebagai pelita untuk membawa negeri keluar daripada suasana ekonomi yang kelam dan tidak menentu.
Alhamdulillah, berkat kerja keras seluruh jentera pentadbiran, Negeri Perak berjaya bangkit kembali ke landasan kemajuan. KDNK negeri merekodkan momentum pertumbuhan tiga tahun berturut-turut daripada defisit RM78 juta dan RM6.59 juta pada tahun 2020 dan juga 2021. Kita kembali mencatat surplus untuk dua tahun berturut-turut iaitu RM29.6 juta pada tahun 2022 dan RM62.4 juta pada tahun 2023 iaitu angka tertinggi pernah direkodkan dalam sejarah.
Penyata Kewangan Negeri bagi tahun 2023 telah menunjukkan peningkatan prestasi kutipan hasil yang ketara iaitu RM1.2 bilion dengan peningkatan 10.97% berbanding pada tahun 2022 dan Alhamdulillah, ekoran prestasi dan budaya perbelanjaan yang berhemah dan bertanggungjawab. Kenyataan Laporan Ketua Audit Negara, Bilangan 3 tahun 2024 menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Perak merupakan antara lima negeri yang menerima Sijil Ketua Audit Negara tanpa teguran untuk Penyata Kewangan Negeri Perak bagi tahun berakhir 31 Disember 2023. Untuk tahun 2024 pula, kita sekali lagi mencipta sejarah apabila seawal bulan Oktober Perak sudahpun mencapai kutipan hasil mencecah RM1 bilion. Syukur Alhamdulillah. Sukacita saya mengumumkan pada 28 November 2024 iaitu semalam, Kerajaan Negeri telah berjaya merekodkan kutipan hasil RM1.199 bilion. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua jabatan yang terlibat terutamanya Pejabat Kewangan Negeri atas kesungguhan dan kerja keras yang telah ditunjukkan.
Saya bersyukur, ikhtiar yang berterusan untuk pelaksanaan projek-projek infrastruktur rakyat juga mendapat kerjasama yang sangat baik daripada kerajaan Pusat. Sukacita saya memaklumkan Kerajaan Persekutuan telah meluluskan sebanyak 500 projek kepada negeri Perak di bawah Rolling Plan Kelima Rancangan Malaysia Kedua Belas. Daripada jumlah ini, sebanyak 6 daripada 10 projek berkeutamaan negeri yang diangkat telah diluluskan untuk dilaksanakan mulai tahun 2025. Projek-projek yang terlibat adalah pertama, RM1.7 bilion bagi projek penyaluran air dari Sungai Perak untuk bekalan air di kawasan utara negeri Perak. Yang kedua, RM253.4 juta bagi Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Sama Gagah Daerah Kerian. Yang ketiga, RM52.9 juta bagi pembinaan baharu Klinik Kesihatan Jenis 2 dengan Kuarters di Chemor. Yang keempat RM100 juta bagi pembinaan baharu Sekolah Menengah Kebangsaan Meru Raya, Ipoh yang mengandungi 42 bilik darjah dan kemudahan-kemudahan lain. Yang kelima, RM92 juta bagi pembinaan baharu Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Seri Botani Ipoh yang mengandungi 36 bilik darjah dan kemudahan-kemudahan lain dan yang keenam, RM 108 juta bagi Rancangan Tebatan Banjir RTB Sungai Kinta Fasa 2, Daerah Kinta dan Kampar.
Selain daripada 6 projek tersebut, projek-projek lain yang diluluskan di bawah Rolling Plan Kelima Rancangan Malaysia Kedua Belas juga dijangka mampu meningkatkan aspek ketersambungan antara wilayah serta memacu aktiviti sosioekonomi rakyat Negeri Perak. Antaranya RM145 juta bagi pembinaan baharu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Bagan Datuk yang mengandungi 25 bilik darjah, asrama lelaki dan perempuan serta kemudahan-kemudahan lain. RM100 juta bagi menaiktaraf Lebuh Raya Tanjong Malim, Lumut Fasa 1 dari Jalan Tol Tanjung Malim ke Politeknik Sultan Azlan Shah iaitu FT 001 dari Seksyen 466.8 hingga Seksyen 483. RM60 juta bagi membina persimpangan baharu Lebuh Raya Utara Selatan Plus di KM 178.3 daerah Kerian. RM33 juta bagi Projek Menaiktaraf Infrastruktur Tersier serta kerja-kerja berkaitan di Kompartmen C Rancangan Pengairan Kerian dan Program Pengurusan Mengatasi Masalah Tanah Jerlus Jelapang Padi di kawasan Kerian Laut. RM2.5 juta bagi projek pembangunan kerang iaitu kebun kerang di Daerah Kerian dan Larut Matang. Fasa 1 dan Fasa 2 dan RM 2 juta bagi Program Pembangunan Ladang Asnaf.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, Belanjawan Negeri Perak 2025. Tema dan Fokus Belanjawan Tahun 2025. Penyediaan Belanjawan Negeri Perak Tahun 2025, meneruskan kesinambungan selaras dengan pelaksanaan Pelan Perak Sejahtera 2030 untuk membangun dan memakmurkan negeri serta mensejahterakan rakyat Perak. Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, Usaha merangka dan melaksanakan belanjawan negeri pada tahun ini akan dipandu oleh lima elemen Visi Baru Perak yang diilhamkan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dalam buku nukilan baginda bertajuk Globalization: Perak's Rise, Relative Decline, and Regeneration.
Lima elemen ke arah Visi Baru Perak yang disarankan Duli Yang Maha Mulia Tuanku ialah pertama, memastikan institusi yang cekap dan telus. Yang kedua, membina semula modal insan dan meningkatkan kebolehpasaran. Yang ketiga, melabur dalam pintu masuk global. Yang keempat, memanfaat dan meningkatkan aset semula jadi dan sejarah Perak yang menakjubkan dan yang kelima memperluaskan kuasa dalam pengumpulan hasil dan pembuatan keputusan. Justeru, bagi merealisasikan usaha tersebut, pelaksanaan Belanjawan Negeri Tahun 2025 telah dirangka berdasarkan unjuran hasil dan terimaan pembangunan yang hampir mencecah RM1.438 bilion. Jumlah ini terdiri daripada hasil cukai RM672 juta. Hasil bukan cukai RM514 juta. Terimaan bukan hasil RM214 juta dan terimaan pembangunan RM38 juta. Trend kutipan hasil dijangka akan terus meningkat selaras dengan pertumbuhan positif sektor ekonomi yang menyumbang kepada kutipan hasil negeri termasuk janaan royalti dari industri perlombongan NRREE serta pelaksanaan projek-projek yang berpotensi besar meliputi Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian ataupun KIGIP dan juga Lembah Teknologi Tinggi Automotif atau AHTV.
Jumlah keseluruhan perbelanjaan bagi tahun 2025 dianggarkan RM1.52 bilion yakni belanjawan tertinggi dalam sejarah negeri. Ia meliputi belanja bagi maksud mengurus RM981.8 juta dan belanja bagi maksud pembangunan RM538 juta. Belanja bagi maksud mengurus yang terdiri daripada emolumen RM472.73 juta, perkhidmatan dan bekalan, RM350.1 juta, pembelian aset, RM16.35 juta, pemberian dan kenaan bayaran tetap, RM136.42 juta serta lain-lain perbelanjaan, RM6.2 juta. Peningkatan belanja bagi maksud mengurus tahun 2025, telah mengambil kira kenaikan gaji penjawat awam di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri yang memilih Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dan juga pelarasan pencen Ahli-ahli Dewan Negeri. Belanja bagi maksud pembangunan tahun 2025 ditokok dalam jumlah yang besar iaitu RM47 juta, bersamaan dengan 9.6% berbanding belanjawan tahun 2024. Peningkatan ini bagi memenuhi keperluan pembangunan dan kebajikan demi manfaat rakyat, disokong pula oleh kedudukan kewangan Kerajaan Negeri yang semakin mengukuh dan stabil. Belanja bagi maksud pembangunan, RM538 juta merupakan jumlah tertinggi yang pernah Kerajaan Negeri peruntukkan.
Peningkatan ini adalah untuk membolehkan pertumbuhan ekonomi negeri terus berdaya saing dan pembangunan terus terlaksana. Selari dengan Pelan Perak Sejahtera 2030. Daripada unjuran hasil dan perbelanjaan tersebut, Penyata Kewangan Negeri bagi tahun berakhir 31 Disember 2025 diunjurkan pada kadar defisit RM81.8 juta. Bagi mengekalkan momentum ke arah merealisasikan Pelan Perak Sejahtera 2030, maka tema "Perak Makmur Rakyat Sejahtera" diteruskan dalam belanjawan negeri tahun hadapan. Tema ini diterjemahkan berteraskan lima fokus utama:
Pertama, Kesejahteraan Rakyat;
Kedua, Tadbir Urus Projek Berkepentingan Negeri;
Ketiga, Pembangunan Modal Insan dan Belia;
Keempat, Kelestarian Alam Sekitar; dan
Kelima, Keterjaminan Bekalan Makanan.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, fokus pertama iaitu Kesejahteraan Rakyat.
Saya dan rakan rakan dalam kerajaan sentiasa berpegang kepada prinsip yang jelas bahawa setiap langkah yang diambil, setiap dasar yang dirangka dan setiap keputusan yang dibuat adalah untuk memastikan kehidupan rakyat menjadi lebih baik walaupun kami sedar jalan ke arah itu adakalanya penuh dengan ranjau. Atas kesedaran itu, kami tidak pernah jemu berada di lapangan. Kami berdamping dengan segenap lapisan rakyat dalam Program Hari Bertemu Pelanggan yang diadakan di seluruh daerah. Kami memilih untuk tidak hanya mendengar dari kejauhan tetapi hadir sendiri di tengah-tengah masyarakat melihat dan merasai sendiri realiti kehidupan mereka. Bersandarkan kepada keazaman itu, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM628.65 juta iaitu hampir separuh daripada keseluruhan belanjawan negeri tahun hadapan untuk dibelanjakan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai antara jentera paling hadapan dalam pelaksanaan Program Kesejahteraan Rakyat diperuntukkan RM45.94 juta bagi tujuan mengurus, peningkatan RM3.14 juta berbanding tahun ini. Sebahagian besar peruntukan ini dibelanja bagi tujuan bantuan am berjumlah RM31 juta. Memahami kekangan kos sara hidup yang kian menghimpit kehidupan golongan marhaen, sukacita saya mengumumkan kadar bantuan am yang telah pun dinaikkan RM100 pada tahun 2024 akan ditambah RM100 lagi pada tahun hadapan menjadikan bantuan kepada 6,100 orang penerima akan meningkat menjadi RM500 sebulan berkuat kuasa Januari 2025. Kerajaan Negeri juga menyediakan peruntukan mencecah RM30.22 juta untuk melaksanakan empat program kesejahteraan yang sangat akrab dengan kehidupan rakyat marhaen. Empat program tersebut ialah pertama, Kad Perak Sejahtera sebanyak RM24 juta. Program Bantuan Kotak
Makanan RM5 juta, Kedai Bergerak Negeri Perak RM0.82 juta dan juga Jualan Rahmah, RM0.4 juta.
Yang Berhormat Dato Yang di-Pertua, ketika turun berdampingan dengan rakyat di lapangan satu hakikat yang sering meruntun emosi ialah masih ada keluarga yang bergelut untuk memiliki tempat yang dipanggil rumah. Realitinya, rumah bukan sekadar tempat berteduh tetapi asas kepada kesejahteraan sesebuah keluarga. Ada pula keluarga yang terpaksa berteduh di bawah bumbung yang hampir roboh dengan dinding berlubang dan lantai digenangi air. Rata-rata keluarga ini mengadu tidak mampu atau gagal mendapatkan pinjaman untuk membaiki rumah mereka yang usang. Kisah-kisah ini meruntun sanubari lantas menguatkan tekad Kerajaan Negeri untuk terus berikhtiar. Memastikan setiap rakyat atau keluarga mempunyai tempat tinggal yang baik, selesa dan selamat untuk didiami. Untuk itu, Kerajaan Negeri menyediakan perbelanjaan khusus bagi tujuan berikut, RM2.7 juta di bawah Akaun Amanah Ladang Masyarakat Kledang Emas, bagi meneruskan program Sayangi Rumahku. RM5 juta bagi pelaksanaan Program Pinjaman Rumah Perak Ku Prihatin. RM3 juta pula disediakan kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) meliputi RM2 juta untuk penyelenggaraan, Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Rancangan Perumahan Awam (RPA) dan yang keempat berita gembira, kepada 310 penduduk Rumah Pangsa Taman Bersatu, Kampung Boyan, Daerah Larut Matang Selama berkaitan isu pemilikan rumah yang telah berlanjutan selama 30 tahun. Sukacita saya mengumumkan kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta kepada LPHP untuk penyelesaian isu hak milik strata rumah pangsa tersebut. Sebagai inisiatif sokongan satu lagi Skim Pinjaman Baik Pulih Rumah Tanpa Faedah akan dilaksanakan tahun hadapan khusus bagi membantu keluarga berpendapatan rendah. Inisiatif ini akan dilaksanakan oleh Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) melalui dana pusingan bernilai RM3 juta yang telah diamanahkan oleh Kerajaan Negeri.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, sejak diperkenalkan Program Bas Perak Sejahtera bukan sekadar menyediakan perkhidmatan pengangkutan tetapi juga membuka pintu kepada kehidupan yang lebih baik. Untuk rakyat keluar mencari rezeki atau membawa anak mendapatkan rawatan atau untuk putra-putri mereka ke sekolah mengejar impian hidup. Kerajaan Negeri mendengar pelbagai saranan dan cadangan supaya program murni ini diperluaskan. Untuk itu, sukacita saya mengumumkan penambahan RM1.6juta lagi menjadikan RM3.6juta diperuntukkan bagi pelaksanaan Program Bas Perak Sejahtera pada tahun 2025. Selain meneruskan laluan bagi Daerah Manjung, Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar serta Batang Padang, Kerajaan Negeri akan menambah laluan baharu di kawasan sedia ada selain memperluaskan perkhidmatan ke Daerah Muallim mulai tahun hadapan.
Kehidupan rakyat di kawasan pinggir dan luar bandar juga tidak sesekali kita lupakan. Ke arah memperkasa pembangunan dan meningkatkan kualiti hidup penduduk di luar bandar, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan seperti berikut. RM5.9juta diperuntukkan bagi pelbagai program dan projek luar bandar. RM4.1juta untuk pelaksanaan pelbagai program serta aktiviti melibatkan 828 kampung tradisional. Manakala RM3.7juta bagi pembayaran elaun Pengerusi Kampung Tradisional, Kampung Baru Cina dan Kampung India dan RM1juta bagi aktiviti pembangunan komuniti Orang Asli yang diselaraskan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
Peranan yang dimainkan oleh Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dalam melaksanakan aktiviti sosial masyarakat bagi menyokong pelaksanaan pelbagai inisiatif sosial dan kemanusiaan juga akan diteruskan. Peruntukan RM1.6juta disediakan bagi program-program berikut. RM1juta untuk Program dan Aktiviti Badan Bukan Kerajaan (NGO). RM0.2juta untuk Pengurusan dan Operasi Kompleks Pengasih Amanjaya Gopeng. RM0.2juta untuk Program Membasmi Penyalahgunaan Dadah Kepada Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) dan RM0.2juta untuk Program Menangani Penyalahgunaan Dadah di bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, setiap kali musim tengkujuh tiba hati kita tidak pernah tenang. Ada sahaja kisah duka rakyat yang terpaksa berpindah ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) kerana rumah mereka dinaiki air. Kerugian dan kerosakan harta pula ditanggung saban tahun susulan kejadian banjir yang seolah-olah tiada berpenghujung. Bagi memastikan kesihatan rakyat di kawasan yang terlibat diberi perhatian yang sewajarnya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang bertanggungjawab dalam pengurusan infrastruktur pengairan dan saliran akan menerima peningkatan peruntukan RM7.2juta pada tahun hadapan. Ia menjadikan jumlah Belanja Mengurus tahun 2025 JPS berjumlah RM111.5juta. Peruntukan besar ini melibatkan agihan kepada perincian berikut. Penyelenggaraan pengurusan rancangan pengairan RM10.2juta, penyelenggaraan pengurusan sungai RM11juta, penyelenggaraan skim saliran pertanian RM9juta, mekanikal dan elektrikal RM3.5juta dan penyelenggaraan pengurusan kemudahan hidrologi RM0.9juta. Manakala bagi Belanja Pembangunan RM14juta disediakan kepada JPS bagi pelaksanaan projek-projek berikut. Pelbagai Projek RTB RM6juta, pengurusan sungai dan pantai RM4juta, saliran pertanian RM3juta, bangunan dan infrastruktur RM0.2juta dan RM0.8juta pula diperuntukkan di bawah Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation atau EFT.
Kerajaan Negeri turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air atau PETRA yang komited untuk mengatasi masalah banjir dan hakisan melalui projek di bawah Rolling Plan Kelima Rancangan Malaysia Kedua Belas. Selain daripada RTB Sungai Samagagah Daerah Kerian yang bernilai RM253.34juta, Perak juga diberi peruntukan bagi melaksanakan projek-projek seperti berikut. RM195juta bagi RTB Kampung Gajah, RM108juta bagi RTB Sungai Kinta Fasa 2, RM87.6juta bagi RTB Bagan Datuk, RM74juta bagi RTB Gerik, RM36.8juta bagi RTB Beruas dan RM7juta bagi RTB Bernam. Tinggilah harapan saya supaya dengan peruntukan besar hasil gabungan dana Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan ini akan membolehkan JPS merancang secara strategik dan teratur supaya masalah banjir besar yang sering menghambat kehidupan rakyat dapat ditangani sebaik-baiknya.
Sebagai persediaan melaksanakan langkah-langkah mitigasi, sejumlah RM10.36juta diperuntukkan untuk pelbagai program dan projek di bawah Pejabat Kewangan Negeri yang akan digunakan bagi menampung perbelanjaan sekiranya berlaku kecemasan ataupun bencana. Kerajaan Negeri juga terpanggil untuk menangani isu penyelenggaraan infrastruktur jalan yang sering disuarakan oleh rakyat. Saban hari kita mendengar keluhan mengenai jalan-jalan yang berlubang yang bukan sahaja menyukarkan pergerakan harian tetapi juga mengundang bahaya kepada pengguna. Kerajaan Negeri dijangka menerima pemberian Kumpulan Wang Amanah
Penyelenggaraan Jalan Negeri atau MARRIS sebanyak RM612juta untuk menyenggara jalan-jalan yang berdaftar bagi tahun 2025 dengan peningkatan sebanyak RM12juta berbanding dengan tahun 2024.
Tambahan daripada itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku jabatan teknikal utama akan menerima peruntukan sebanyak RM199.9juta pada tahun hadapan iaitu peningkatan sebanyak RM11.8juta berbanding tahun lalu. Peruntukan ini meliputi RM96.9juta di bawah belanja mengurus dan RM103juta bagi tujuan pembangunan. Daripada jumlah peruntukan pembangunan tersebut, RM40juta diagihkan untuk pelaksanaan pelbagai Projek Jalan dan Jambatan serta RM63juta pula untuk pelbagai Projek Bangunan. Mewakili Kerajaan Negeri, saya suka merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kerja Raya yang meluluskan pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur di Negeri Perak melalui projek di bawah Rolling Plan Kelima Rancangan Malaysia Kedua Belas. Antaranya RM100juta bagi menaiktaraf Lebuh Raya Timur-Barat Gerik, RM706.5juta bagi menaiktaraf Jalan Persekutuan 5 Teluk Intan Ke Kampung Lekir, RM276.2juta bagi membina jalan sambungan dari Lebuh Raya PLUS Ke Persimpangan Lebuh Raya Ipoh, Lumut dan RM143juta bagi menaiktaraf Laluan FT60 dari Damai Laut ke Changkat Jering.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, bagi menjamin kesejahteraan hidup rakyat, pembangunan fizikal perlu digerakkan seiring dengan pembangunan kerohanian. Kerohanian adalah akar yang menyuburkan kehidupan. Ia adalah pedoman yang membimbing manusia untuk memilih jalan yang benar. Mengimbangi antara keperluan duniawi dan juga tuntutan ukhrawi. Dalam konteks ini, Kerajaan Negeri tidak pernah mengendurkan walau seinci komitmen dalam melunaskan tanggungjawab, memelihara dan menyuburkan kemuliaan syiar Islam sebagai agama rasmi di negara ini. Sejak diberi amanah sebagai Menteri Besar, saya bersama sama dengan rakan-rakan jentera pentadbiran sentiasa memastikan komitmen jitu tersebut diterjemahkan di dalam setiap belanjawan negeri yang dibentangkan pada setiap tahun.
Bagi Belanjawan 2025, Jabatan Agama Islam Negeri Perak diberikan peruntukan keseluruhan berjumlah RM111.9 juta iaitu peningkatan mencecah RM9.3 juta berbanding bagi tahun 2024. Peruntukan ini meliputi RM105 juta di bawah maksud mengurus bagi tujuan operasi jabatan. Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) pengurusan masjid, sekolah-sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan serta sekolah sekolah Menengah Agama Negeri. Manakala bagi tujuan pembangunan RM6.9 juta disediakan untuk penyelenggaraan enam buah masjid utama negeri, menaik taraf sekolah-sekolah menengah agama negeri dan Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan serta menaik taraf pejabat-pejabat agama daerah.
Peranan Jabatan Kehakiman Syariah sebagai penegak hukum dan pemelihara institusi keluarga terus diperkasa dengan peruntukan RM17.4 juta iaitu peningkatan sebanyak RM1 juta berbanding dengan tahun 2024. Peruntukan ini meliputi RM16.1 juta diperuntukkan di bawah maksud mengurus, manakala RM1.3 juta diperuntukkan di bawah maksud pembangunan. RM2.35 juta pula diperuntukkan di bawah maksud mengurus kepada Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Perak. Manakala Jabatan Mufti Negeri Perak diperuntukkan RM4.5 juta bagi melaksanakan peranan dan fungsi penting dalam pelaksanaan pelbagai program Islam dan inisiatif menjaga keutuhan agama Islam.
Sebagai komitmen berterusan dalam menjunjung kemuliaan Islam sebagai agama rasmi serta memperkasa institusi ke arah pemantapan pembangunan ummah. Kerajaan negeri meneruskan peruntukan RM15 juta bagi tujuan membaikpulih dan bina baru masjid serta surau. Manakala RM5 juta pula bagi program menaiktaraf institusi pendidikan Islam. Kelangsungan pelbagai program pemerkasaan agama Islam serta pertambahan peruntukan kepada jabatan-jabatan serta pihak berkuasa agama Islam, seperti yang saya gariskan sebentar tadi jelas mencerminkan komitmen jitu kerajaan negeri dalam memartabatkan kesyumulan Islam.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, Kerajaan Negeri Perak sentiasa percaya bahawa keharmonian masyarakat adalah asas kepada kesejahteraan negeri dalam usaha membangun dan memakmurkan negeri ini, Kerajaan Negeri tidak pernah melupakan tanggungjawab untuk menjaga hal ehwal masyarakat bukan Islam. Setiap individu tanpa mengira latar belakang agama adalah sebahagian daripada rakyat Negeri Perak yang mahu menikmati keamanan dan juga kesejahteraan. Untuk itu, sebanyak RM12 juta disediakan bagi tujuan hal ehwal bukan Islam (HEBI) bagi tahun 2025. RM6 juta disediakan untuk HEBI kaum Cina dan Kampung Baharu Cina. Manakala RM6 juta lagi disediakan untuk HEBI kaum India dan kampung India serta lain-lain kaum. Di samping itu juga bagi menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM0.2 juta bagi pelaksanaan pelbagai program integrasi nasional bagi meneruskan usaha memupuk gaya hidup sihat seperti yang turut digariskan dalam Pelan Perak Sejahtera 2030, Kerajaan Negeri menyediakan RM0.5 juta iaitu pertambahan RM0.3 juta bagi program bagi pelbagai program kesihatan.
Kerajaan Negeri juga akan meneruskan program Perak Children Community Feeding kelolaan Jabatan Kesihatan Negeri dengan peruntukan RM0.5 juta. Menyentuh mengenai aspek kesihatan, sukacita saya mengambil kesempatan ini untuk memaklumkan khabar gembira, khususnya kepada penduduk di sekitar Perak Tengah dan Manjung yang selama ini menanti nantikan siapnya dua projek berikut. Yang pertama Hospital Baharu Seri Iskandar Daerah Perak Tengah dengan kos keseluruhan RM145.7 juta telah siap pada bulan lalu dan dijangka akan beroperasi sepenuhnya bulan Disember tahun ini. Kedua, pembinaan blok tambahan Hospital Seri Manjung dengan kos keseluruhan RM66.3 juta juga telah berjaya disiapkan pada 27 Ogos yang lalu. Saya bagi pihak Kerajaan Negeri dan rakyat Negeri Perak amat berterima kasih sekali lagi kepada Kerajaan Persekutuan terutamanya Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Kesihatan kerana berjaya menyiapkan projek-projek berkenaan mengikut masa yang ditetapkan.
Dalam memastikan kesejahteraan dan kebajikan wanita, warga emas, kanak-kanak dan masyarakat terus terpelihara, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM9.9 juta untuk pelbagai program bantuan seperti berikut. RM3.3 juta kepada Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Perak atau Wanita Perak iaitu peningkatan RM1.3 juta berbanding tahun 2024. RM1 juta di bawah Program Pendaya Upayaan Wanita dan Kebajikan Masyarakat. RM0.4 juta untuk pembangunan dan kebajikan kanak-kanak dan anak yatim yang berdaftar di bawah JKM. RM0.4 juta bagi tujuan projek menaik taraf rumah kebajikan kanak- kanak dan anak yatim. RM0.2 juta untuk Program Pembangunan Warga Emas dan Pusat Aktiviti Warga Emas PAWE. Ia merupakan inisiatif Kerajaan Negeri untuk memperkukuhkan sistem penjagaan dan sokongan kepada warga emas. RM0.6 juta bagi pelaksanaan program One Stop Centre Sejahtera Sosial dan RM4 juta diperuntukkan untuk meneruskan bantuan di bawah program Tabaruk Khairat kematian.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, Kerajaan Negeri amat berbangga melihat semakin ramai usahawan Perak yang melakar kejayaan bukan sahaja dari angka keuntungan tetapi kemampuan mereka melebarkan sayap produk ke serata dunia. Kisah-kisah inspirasi kejayaan mereka menghiasi kaca televisyen dan juga dada-dada akhbar. Bagi meneruskan komitmen dalam aspek pembangunan usahawan, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM3 juta kepada Sekretariat Usahawan Perak atau STeP iaitu peningkatan sebanyak RM1.7 juta berbanding tahun 2024, RM1 juta untuk pembangunan usahawan dan koperasi dan RM2 juta di bawah Program Bantuan Pinjaman Tabung Usahawan melalui dana pusingan yang diamanahkan oleh kerajaan negeri kepada Yayasan Perak. Sebagai pelengkap kepada fokus kesejahteraan rakyat. Kerajaan Negeri juga menyediakan peruntukan RM5.58 juta bagi pelaksanaan pelbagai aktiviti dan pemantauan di bawah Program Perak Sejahtera 2030 melibatkan pelbagai jabatan dan agensi negeri.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, fokus kedua Tadbir urus Projek Berkepentingan Negeri.
Mengambil teladan daripada pedoman Duli Yang Maha Mulia Tuanku, Kerajaan Negeri bertekad untuk mewujudkan lebih banyak inisiatif khusus melalui penggembelingan jabatan dan agensi untuk memacu ekonomi domestik secara lebih menyeluruh, mapan dan bertanggungjawab. Bagi tujuan tersebut, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM398.99 juta bagi tujuan tadbir urus projek berkepentingan negeri. Dalam usaha memperkukuhkan hubungan antara rakyat dengan institusi pentadbiran daerah, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM135.4 juta di bawah maksud mengurus kepada pejabat-pejabat Daerah dan Tanah (PDT) serta RM22.56 juta kepada Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri (PTG) bagi menyediakan persekitaran kerja lebih kondusif di samping meningkatkan kecekapan pentadbiran, daerah dan tanah serta bagi menyuntik semangat untuk terus mengekalkan momentum kutipan hasil, Kerajaan Negeri meluluskan pembinaan baharu bangunan PTG dengan siling peruntukan RM227.61 juta. Sejumlah RM38.46 juta pula disediakan bagi pembinaan bangunan pentadbiran Pejabat Daerah Tanah Larut, Matang dan Selama. Manakala RM50 juta bagi pembinaan bangunan pentadbiran Pejabat Daerah Tanah Hilir Perak. Kesemua pembinaan ini akan dilaksana dan dipantau oleh JKR.
Bagi memperkemaskan kaedah kutipan hasil tanah Kerajaan Negeri menyediakan van bergerak kutipan luar kepada setiap pejabat daerah tanah secara berperingkat. Sehingga kini, lima Pejabat Daerah Tanah telah melaksanakan operasi kutipan hasil menggunakan van bergerak iaitu PDT Kinta, Manjung, Hilir, Perak, Larut Matang dan Selama serta Hulu Perak. Manakala 3 PDT yang akan menerima van bergerak pada tahun 2025 adalah Muallim, Batang Padang dan Kampar. Diharapkan dengan perbelanjaan modal ini akan dapat meningkatkan prestasi kutipan hasil selain membantu mengurangkan tunggakan cukai tanah. RM23.3 juta disediakan di bawah maksud pembangunan bagi pelaksanaan pelbagai projek fizikal dan kecemasan oleh pejabat daerah dan tanah. Kerajaan Negeri juga menyediakan peruntukan RM14.69 juta bagi maksud mengurus dan RM8.6 juta bagi maksud pembangunan di bawah kerajaan tempatan untuk pelbagai keperluan termasuk penyelenggaraan bangunan dan kemudahan pihak berkuasa tempatan, PBT serta kutipan sampah luar kawasan operasi.
Kerajaan Negeri turut memandang serius usaha bagi memperkasakan PBT selaras agenda Perak Sejahtera 2030. Maka Kerajaan Negeri memperuntukkan tambahan RM1 juta untuk pelaksanaan program baharu berikut .RM5 juta untuk Program Komuniti Sejahtera bagi melaksanakan aktiviti aktiviti kesejahteraan komuniti. RM0.2 juta bagi pelbagai program bandar pintar. RM0.15 juta bagi program Pawsitive peringkat negeri Perak dan RM1.5 juta bagi program kolokium sebagai platform perkongsian ilmu di kalangan PBT. Kerajaan Negeri menyedari peri pentingnya penyampaian informasi yang tepat dan benar kepada rakyat. Justeru, program, justeru kerajaan negeri memperuntukkan RM2 juta untuk program program Penerangan Negeri Perak dan RM0.5 juta kepada Digital Perak Corporation Holdings bagi penyelenggaraan portal Jabatan Negeri Perak.
Yang Berhormat Dato Yang di-Pertua, Kerajaan Negeri telah mengorak langkah untuk memperkasakan pengurusan sumber air dengan pewujudan Lembaga Pengurusan Sumber Air Negeri Perak. Pengoperasian lembaga ini adalah selaras dengan Enakmen Sumber Air Perak 2023. Justeru, bagi merealisasikan pengoperasian lembaga ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM3 juta bagi tujuan tersebut.
Bagi tahun hadapan, peruntukan RM57.71 juta disediakan khusus bagi menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan. Pertama, RM33 juta bagi tujuan pengambilan tanah untuk kepentingan awam. RM16.6 juta untuk pelbagai kerja kerja menaik taraf penyelenggaraan atau pembaikan pelbagai kompleks pentadbiran Kerajaan Negeri. RM0.2 juta bagi menampung peruntukan di bawah Akaun Amanah Kajian. RM4.1 juta kepada Bahagian Pengurusan Maklumat bagi tujuan pelbagai pembangunan dan penyelenggaraan ICT dan RM0.26 juta untuk pembangunan Sistem E-Belanjawan Perak dan E-projek. RM1 juta untuk pelbagai projek atau program yang akan dilaksanakan melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN). RM0.2 juta disediakan kepada setiap jawatankuasa tetap Exco dengan implikasi keseluruhan bernilai RM2.2 juta. Peruntukan ini boleh digunakan bagi memantap dan memperkasakan portfolio Exco serta berupaya melaksanakan fungsi dan peranan yang dipertanggungjawabkan dengan lebih cekap dan berkesan. RM0.25 juta bagi pelbagai program kesatuan sekerja. RM0.1 juta untuk sumbangan urus tadbir persatuan sukan negeri.
Bagi mengukuhkan hubungan jaringan perniagaan di peringkat serantau dan global serta meningkatkan tahap keyakinan para pelabur domestik dan antarabangsa. Kerajaan negeri menyediakan peruntukan bagi pelaksanaan program program berikut RM1.5 juta untuk pelbagai program luar negara dengan memfokuskan misi pelaburan ke luar negara dalam usaha menarik minat para pelabur ke negeri Perak. Dan yang kedua RM0.5 juta untuk program Perak International Conference and Exhibition ataupun PRICE sebagai platform perkongsian pengetahuan dan pengalaman para ahli ekonomi teknokrat dan pakar industri. Bagi memastikan Perak Investment Management Centre atau Invest Perak dapat meneruskan peranan penting sebagai Center of Investment serta menarik lebih banyak pelabur. Kerajaan negeri memperuntukkan RM3 juta bagi tahun 2025.
Yang Berhormat Dato Yang di-Pertua. Kita berada di penghujung tahun melawat Perak 2024. Berdasarkan data produk produk pelancongan yang berdaftar di bawah PBT dan Tourism Malaysia. Sukacita saya memaklumkan sehingga September 2024, jumlah pelancong dan pelawat harian yang datang ke Perak adalah 7.41 juta orang. Manakala laporan Hotel Guest Survey melibatkan persampelan 40 hotel berdaftar dengan Tourism Malaysia sehingga September 2024 menunjukkan secara tidak rasmi 3 juta pelancong domestik dan 609,249 ribu pelancong antarabangsa yang telah berkunjung dan bermalam di negeri Perak. Susulan daripada perkembangan ini, Kerajaan Negeri yakin dapat melepasi sasaran 8 juta pelancong tempatan dan 355 ribu pelancong asing sepanjang tahun melawat Perak 2024. Selaras dengan persiapan untuk menyambut Tahun Melawat Perak 2026 Maaf, selaras dengan persiapan untuk menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026 yang telah diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan. Maka Kerajaan Negeri Perak bercadang untuk menumpukan kepada beberapa skop utama pembangunan infrastruktur termasuk untuk menjadikan negeri Perak sebagai destinasi pelancongan mesra usia.
Langkah ini juga selari dengan saranan Duli Yang Maha Mulia Tuanku supaya Kerajaan Negeri memacu industri pelancongan selain menonjolkan eko pelancongan dan pelancongan sejarah secara menyeluruh. Untuk itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM11.31 juta bagi pelbagai program dan projek pembangunan pelancongan dan kebudayaan. Ia merangkumi RM6 juta kepada Tourism Perak bagi meneruskan program promosi dan acara serta memperkenalkan produk pelancongan, perkhidmatan, kepelbagaian budaya serta penerokaan pasaran baharu. RM1.22 juta untuk projek menaik taraf utiliti Tapak Eko Pelancongan Taman Negeri, Taman Alam Kinta. RM0.7 juta bagi keperluan operasi unit Pulau Bebas Cukai di bawah Majlis Perbandaran Manjung. RM1.2 juta untuk pelbagai program pelancongan dan kebudayaan. RM0.5 juta diperuntukkan kepada Majlis Kebudayaan Negeri. RM1.29 juta kepada Lembaga Muzium Perak merangkumi RM0.94 juta bagi tujuan pembaikan kuarters dan pagar muzium Diraja Kuala Kangsar. RM0.3 juta bagi selenggara makam-makam Diraja dan RM0.05 juta bagi kerja-kerja pendawaian rangkaian bangunan Pejabat Galeri Sultan Azlan Shah. Turut disediakan belanja bagi maksud mengurus kepada Lembaga Muzium Perak RM5.3 juta dan RM0.4 juta bagi program Rimba Raid kepada Majlis Daerah Lenggong.
Kerajaan Negeri melalui penglibatan PBT turut memperkenalkan projek baharu sebagai persiapan menyambut kedatangan lebih ramai pelancong. Projek-projek baru itu meliputi, Pertama, RM2 juta untuk projek pembangunan kemudahan pelancongan bagi keperluan Age Friendly City. Kedua RM1juta untuk projek naik taraf ikon-ikon pelancongan dan ketiga RM1 juta untuk projek pembangunan infrastruktur luar bandar di kawasan tumpuan pelancongan.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, fokus yang ketiga iaitu Pembangunan Modal Insan dan Belia.
Dalam membangunkan sebuah negeri yang makmur dan sejahtera, pembangunan modal insan dan belia adalah elemen yang tidak boleh diabaikan. Bagi menjamin kelangsungan kejayaan Pelan Perak Sejahtera 2030. Generasi muda hari ini mesti dipersiapkan dengan ilmu dan kemahiran bagi mendepani cabaran-cabaran masa hadapan. Setiap belia di Perak perlu diberi ruang seluas-luasnya untuk berkembang dan merealisasikan sepenuhnya potensi mereka. Atas dasar itu, Kerajaan Negeri akan terus melabur dalam program pendidikan, latihan kemahiran dan pembangunan kepimpinan kerana kami percaya bahawa pelaburan dalam modal insan adalah pelaburan jangka masa panjang yang paling berharga.
Justeru, RM94.84 juta diperuntukkan bagi pembangunan modal insan dan belia. Kerajaan Negeri menyediakan dana RM15.95 juta bagi tujuan bantuan pendidikan yang meliputi inisiatif berikut. Pertama RM13.2 juta diperuntukkan bagi bantuan khas pendidikan. Kedua RM0.75 juta bagi bantuan baucer buku yang akan dilaksanakan oleh Pusat Aspirasi Anak Perak atau PASAK untuk pelajar di peringkat sijil, diploma dan ijazah sarjana muda. Bantuan bernilai RM150 seorang disasarkan kepada 5 ribu orang golongan mahasiswa B40 dan juga RM2 juta untuk program Back to School. Mendokong pelaksanaan program dan bantuan pendidikan di pelbagai peringkat sekolah, Kerajaan Negeri meneruskan kesinambungan program Tuisyen Cikgu Saarani. RM2.2 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri bagi menjayakan inisiatif ini melalui program-program berikut. RM1 juta disediakan di bawah Tabung Simpanan Pendidikan Anak Perak (TASPEN). Iaitu peningkatan RM0.4 juta. Yang kedua, RM1 juta diperuntukkan di bawah biasiswa Menteri Besar bagi memberi bantuan kepada anak Perak di peringkat persekolahan rendah dan menengah dan yang ketiga, RM2 juta diperuntukkan bagi program Teduhan Kasih Anak-Anak Perak.
Selain itu, bantuan makanan percuma bagi calon-calon peperiksaan SPM, SPVM, STPM dan juga STAM akan diteruskan pada tahun hadapan melalui kerjasama badan-badan berkanun Kerajaan Negeri. Atas keprihatinan Kerajaan Negeri untuk memastikan anak muda Perak terus cemerlang dari sudut akademik, pembentukan peribadi unggul dan berketerampilan, Kerajaan Negeri menyediakan RM7.28 juta melalui pelaksanaan program-program berikut. Yang pertama RM4 juta untuk bantuan perkapita pelajar sekolah Kerajaan meliputi Sekolah Kebangsaan, Sekolah Menengah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina. RM0.24 juta untuk program Pemantapan Pelajar Sekolah Rendah. RM0.24 juta untuk program Pemantapan Pelajar SPM, STPM dan STAM. RM2 juta disediakan bagi bantuan perkapita pelajar sekolah tahfiz dan pondok. RM0.6 juta, pelbagai sumbangan pendidikan dan RM0.2 juta untuk bantuan Sekolah Pendidikan Khas. Kerajaan Negeri juga memperuntukkan RM11.3 juta meliputi bantuan-bantuan kepada kumpulan pelajar di peringkat pengajian tinggi. Pertama, RM6.9 juta untuk insentif Siswa dalam dan luar negara iaitu peningkatan RM0.7 juta bagi pemberian secara one off sebagai persediaan melanjutkan pengajian.
Yang kedua RM4 juta bagi program Sara Diri dan Kecemasan mahasiswa iaitu peningkatan RM2 juta berbanding tahun 2024. Dan ketiga RM0.4 juta pula diperuntukkan bagi program pengupayaan mahasiswa. Kerajaan Negeri sentiasa mengiktiraf sumbangan institusi pendidikan secara langsung mahupun bukan langsung. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM5 juta kepada Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dan RM2.35 juta kepada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi tujuan pembangunan Galeri Muzik Sultan Idris Afifurlah Shah. Kerajaan Negeri juga turut memperuntukkan RM3.3 juta kepada Institut Darul Ridzuan (IDR) yang berperanan sebagai pusat pengembangan ilmu, pusat penyelidikan dan latihan dalam pelbagai bidang, khususnya yang berkaitan dengan pelbagai, khususnya yang berkaitan dengan pembangunan masyarakat, ekonomi dan juga pentadbiran di Negeri Perak.
Yang Berhormat Dato' Yang Di-Pertua. Kerajaan Negeri melalui Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) sentiasa komited dalam membangunkan kemahiran modal insan di negeri ini melalui pemadanan prospek peluang pekerjaan yang lebih baik sekaligus meningkatkan taraf sosio ekonomi rakyat sejajar dengan aspirasi Kerajaan di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030.
Menyedari peranan penting PASAK dalam membangunkan modal insan serta tumpuan khusus untuk melaksanakan secara menyeluruh agenda perak koridor TVET negara, Kerajaan Negeri menambah RM0.5 juta menjadikan RM4 juta untuk operasi dan pelaksanaan program PASAK. Tambahan daripada itu, peruntukan pendidikan dan latihan teknikal dan Vokasional (TVET) turut ditingkatkan kepada RM6.5 juta iaitu peningkatan RM1 juta berbanding dengan tahun 2024. Bagi meneruskan usaha mempergiatkan program TVET, Kerajaan Negeri melalui PASAK akan meneruskan Program Malaysia-China Youth TVET Training dan program baharu TVET Exchange Program bagi penjagaan warga emas KAIGO dengan kerjasama negara Jepun. Bagi menyokong pembangunan industri kreatif dan mencungkil bakat-bakat baharu. Dalam bidang seni pula, kerajaan negeri memperuntukkan RM3 juta kepada People of Remarkable Talent atau (PORT).
Kerajaan Negeri memperuntukkan RM8.5 juta di bawah Belanja Mengurus kepada Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri untuk tujuan operasi dan RM3 juta di bawah Belanja Pembangunan untuk memaksimumkan potensi belia sebagai pelapis pimpinan negara pada masa hadapan. Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1.36 juta bagi tujuan berikut. Pertama, RM0.4 juta untuk Program Pembangunan Belia. Yang kedua, RM0.6 juta untuk DUN Belia dan yang ketiga, RM0.36 juta untuk Program Jom Healing Orang Muda selari dengan trend dan kehendak anak muda pada masa kini.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mengambil kesempatan ini juga untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam Kejohanan SUKMA Sarawak 2024 terutamanya kepada Majlis Sukan Negeri Perak (MSN). Alhamdulillah, kontinjen Belang Tarung Tiga Warna berjaya mencapai sasaran 35 pingat emas, 37 pingat perak dan 56 pingat gangsa. Kerajaan negeri terus proaktif dalam memberikan tumpuan kepada pembangunan sukan.
Oleh itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM21.2 juta bagi tujuan pembangunan sukan di negeri ini. Peruntukan tersebut meliputi RM18.3 juta kepada MSN bagi maksud mengurus manakala selebihnya dibelanjakan bagi tujuan berikut. Pertama, RM1.15 juta bagi tujuan menaik taraf gelanggang sedia ada menjadi gelanggang pelbagai sukan dan pembinaan trek lompatan serta batting cage sukan kriket dan juga softball. Kedua, RM0.6 juta bagi program sukan dan sukan OKU. Ketiga, RM0.2 juta pula untuk penganjuran Sports Tourism. Keempat, RM0.5 juta bagi sumbangan bekas atlet negeri sebagai mengenang jasa bekas atlet negeri Perak yang pernah menabur jasa kepada negeri dan juga negara dan yang kelima RM0.5 juta bagi Program Belang Tarung Tiga warna, Extended Version 2025 sebagai persediaan SUKMA Selangor 2026.
Buat julung kalinya juga, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM0.3 juta di bawah maksud mengurus bagi tujuan selenggara fasiliti Sukan UPSI. Melalui kolaborasi strategik ini, pihak MSN boleh mengguna pakai fasiliti sukan di kampus satelit Sukan UPSI bagi tujuan peningkatan latihan atlet yang berkompetensi tinggi di dalam bidang sains sukan dan kejurulatihan.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, fokus keempat, Kelestarian Alam Sekitar.
Keseimbangan dalam melaksanakan pembangunan perlu mengambil kira tanggungjawab terhadap alam sekitar bagi memastikan sumber semula jadi tidak terancam. Sejajar dengan aspirasi itu, kerajaan negeri memperuntukkan RM69.79 juta di bawah fokus kelestarian alam sekitar. Hal ini juga menjadi antara perkara yang disentuh secara panjang lebar Duli Yang Maha Mulia Tuanku dalam buku nukilan baginda dengan saranan supaya Kerajaan Negeri memanfaatkan sumber secara lestari dengan memastikan eksploitasi sumber seperti tanah air dan hutan dilakukan secara mampan.
Menyedari kepentingan pengurusan dan pembangunan infrastruktur hutan, kerajaan negeri memperuntukkan RM45.8 juta di bawah Belanja Mengurus kepada Jabatan Perhutanan Negeri Perak iaitu peningkatan RM4.5 juta berbanding tahun 2024. RM10.5 juta diperuntukkan bagi tujuan pembangunan meliputi RM8.43 juta bagi projek EFT. RM1.3 juta bagi pengurusan hutan dan RM0.77 juta bagi infrastruktur bangunan. Selain daripada itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM4.54 juta untuk pelaksanaan projek-projek EFT. Manakala RM5.5 juta diperuntukkan bagi tujuan operasi Perbadanan Taman Negeri dan pelaksanaan program-program seperti Hari Konservasi Pulau Sembilan dan Global Tiger Day. Untuk pembangunan dan penyelenggaraan geopark negeri, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM0.5 juta kepada Majlis Daerah Lenggong untuk World Heritage Office Lenggong. RM0.28 juta untuk Geopark Lembah Kinta. RM0.2 juta untuk Geopark Lenggong.
Bagi memantau dan menyelaras program dan projek berkaitan kelestarian alam, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1.4 juta untuk pelbagai Program Perak Lestari dan Teknologi Hijau. RM0.3 juta bagi tujuan Operasi Sekretariat Kelestarian Alam Sekitar dan RM0.77 juta diperuntukkan untuk penyelenggaraan tapak Repositori Mukim Belanja oleh Perbadanan Menteri Besar.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, fokus kelima, Keterjaminan Bekalan Makanan.
Keterjaminan Bekalan Makanan merupakan salah satu Hala Tuju Pertanian negeri Perak di bawah Perak Sejahtera 2030 dengan kerjasama strategik entiti awam, syarikat berkepentingan kerajaan, pihak swasta dan masyarakat. Kerajaan Negeri memperuntukkan RM65.41 juta bagi tujuan keterjaminan bekalan makanan. Kerajaan Negeri memperuntukkan RM27.88 juta di bawah Belanja Mengurus kepada Jabatan Pertanian Negeri Perak iaitu peningkatan sebanyak RM2.6 juta berbanding tahun 2024. RM8 juta pula diperuntukkan di bawah Belanja Pembangunan dengan agihan RM6 juta bagi membiayai Program Pembangunan Komoditi Pertanian. RM1.3 juta bagi tujuan bangunan dan infrastruktur serta RM0.7 juta bagi tujuan latihan dan promosi.
Sebagai salah satu penyumbang utama kepada keselamatan makanan negara dan ekonomi, kerajaan negeri memperuntukkan RM20.4 juta kepada Jabatan
Perkhidmatan Veterinar di bawah maksud Mengurus. Manakala RM3 juta di bawah Belanja Pembangunan. Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan kepada Jabatan Perikanan, RM0.29 juta di bawah Belanja Mengurus untuk Pusat Konservasi Penyu. RM2.44 juta pula diperuntukkan di bawah Belanja Pembangunan.
Di samping itu, Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan RM0.55 juta di bawah projek EFT khususnya penyediaan inventori ikan dan penguatkuasaan. Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan RM2 juta untuk pelbagai program dan projek pembangunan pertanian dengan pecahan seperti berikut iaitu RM1.5 juta untuk Program Agrofest Negeri Perak. RM0.2 juta untuk Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2025 dan RM0.3 juta untuk Projek Kelestarian Sumber Kerang Negeri Perak. Selain itu, Kerajaan Negeri menyediakan RM0.4 empat juta untuk program Jelajah Sejahtera Agro bertujuan memberi subsidi dan memperkasakan sektor keterjaminan bekalan makanan manakala RM0.45 juta untuk Program Pertanian Bandar.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, demikianlah wajah Belanjawan Negeri Perak 2025 yang dirangka dan dipetakan berkat pedoman Tuanku dalam bukunya Globalization: Perak’s Rise, Relative Decline and Regeneration serta digarap sebaik mungkin agar selari dengan segala perancangan dan tindakan menjayakan Pelan Perak Sejahtera 2030. Belanjawan ini bukan sahaja menjadi cerminan kepada kerjasama utuh antara negeri dan persekutuan tetapi juga menyerlahkan semangat perpaduan seluruh jentera pentadbiran di semua peringkat sehingga Perak mampu mencipta satu persatu kejayaan yang memberi limpahan manfaat kepada rakyat. Dari sebuah negeri yang hampir luluh akibat bencana pandemik dan hambatan ekonomi, seluruh jentera pentadbiran telah berpadu dengan penuh kesungguhan, keikhlasan dan semangat juang yang tidak mengenal lelah sehingga Perak kembali berdiri megah di landasan kemajuan.
Namun, nampaknya tidak semua orang suka melihat kejayaan-kejayaan ini sebagai satu kebaikan. Tidak semua orang suka melihat kejayaan-kejayaan ini sebagai suatu kemurnian. Sebaliknya setiap kebaikan dan kemurnian yang digarap sebolehnya mahu ditutup dengan perasaan kebencian. Kerajaan ini dihina dengan gelaran kerajaan tidak boleh diharap seolah-olah kerajaan yang saya pimpin ini tidak pernah berbuat apa-apa kepada rakyat. Saya sebagai Menteri Besar pula dilabel dengan cacian MB biadap seolah-olah saya sedang melakukan penindasan dan penganiayaan ke atas rakyat tetapi saya tidak berminat untuk menjadikan Dewan mulia ini untuk membalas kejian dan cacian kerana dalam perjalanan hidup saya belajar bahawa maruah seorang pemimpin tidak terletak kepada kekuatan membalas cacian dan makian tetapi kepada keupayaan untuk tetap teguh berdiri memikul amanah dengan keinsafan dan keikhlasan dan kepada seluruh anggota jentera kerajaan yakinlah bahawa perjuangan kita dalam menata kehidupan rakyat tidak diukur dengan cacian dan tohmahan tetapi dengan perpaduan hati setiap daripada kita akan melunaskan amanah dengan ikhlas dan rasa penuh tanggungjawab. Saya amat menyanjung tinggi segala pengorbanan dan dedikasi yang dicurahkan oleh seluruh anggota pentadbiran dalam memastikan setiap tugas yang digalas setiap amanah yang dipikul akhirnya memberi makna kepada kehidupan rakyat.
Dato' Yang di-Pertua, sebagai tanda penghargaan di atas segala curahan bakti yang diberikan oleh seluruh kakitangan Negeri Perak maka saya yang dikatakan biadab ini dengan ini mengumumkan BKK sebanyak dua bulan gaji berasaskan kepada gaji akhir November 2024 dan akan dibayar pada bulan Disember tahun ini. In shaa Allah. Dato' Yang di-Pertua dengan ini saya mohon mencadangkan. Wabillahi Taufik Walhidayah. Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Waalaikumsalam. Ada sokongan.
Dato' Yang di-Pertua, Bercham menyokong.
Terima kasih yang diucapkan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar di atas pembentangan Belanjawan 2025 Negeri Perak Darul Ridzuan. Ahli Yang Berhormat sekalian, sekarang saya tangguhkan Dewan ini dan Dewan akan bersidang semula pada hari Isnin 2 Disember 2024 jam 9.00 pagi. Sekian terima kasih.