Perak · 25 November 2025
15th Assembly, 3rd session, 3rd meeting · 100 turns · 19,292 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalPerak publishes one PDF per sitting day, from May 2020 (none for 2018-19), and a file of oral and written answers per meeting from December 2022.
(Pembukaan)
Ahli-ahli Yang Berhormat. Tuan Yang di-Pertua.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera Ahli Yang Berhormat Sekalian. Sekarang kita mulakan Persidangan Pertama Mesyuarat Ketiga, Tahun Ketiga, Dewan Negeri Yang Kelima Belas Perak Darul Ridzuan pada hari Selasa, 25 November 2025 jam 10.03 minit pagi dengan urusan perkara yang pertama iaitu bacaan doa.
SEGALA puji bagi Allah selawat dan salam atas RasulNya, maka dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Pengasih, Dewan Negeri ini dibuka.
Ya Allah, yang bersifat maha hikmat, limpah keadilan, yang menanggungkan kewajipan ke atas Raja dan Ahli Majlis Permesyuaratan, bagi mentadbir muslihat masyarakat pergaulan, mudah-mudahan sentosa aman, makmur, limpah kebahagiaan, meliputi sekalian penduduk Negeri Perak Darul Ridzuan.
Ya Allah, kami sekalian hambaMu yang diperkenan menjadi Ahli Dewan Negeri, menyempurnakan kewajipan yang diamanahkan, yang terutama bagi Negeri Perak Darul Ridzuan serta rakyatnya sekalian.
Ya Allah, berkatMu ke atas kami berhimpun dipohon anugerahkan, taufikMu, hidayatMu dimohon menyuluh, memandukan, pada ketika kami berunding, menimbang, bertukar-tukar fikiran, pada segala perkara yang dibentangkan, dengan saksama serta berkeamanahan, menjunjung perintah dan kebesaranMu, mudah-mudahan berlebih-lebih keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan bagi Negeri Perak Darul Ridzuan, serta penduduknya sekalian.
Ya Allah, dipohonkan doa kami diperkenan, Amin, Ya Allah seru sekalian alam
Perkara yang kedua pengumuman Yang di-Pertua.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Salam Sejahtera. Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Negeri, pihak urusetia, para petugas dan wakil media sekalian. Sebelum kita meneruskan urusan mesyuarat yang selanjutnya, izinkan saya untuk membuat beberapa pengumuman.
Perkara yang pertama, sebelum kita memulakan urusan ingin saya memberi maklum bahawa semua Ahli Yang Berhormat dan ketua Jabatan diminta untuk mendaftar kehadiran dengan mengimbas kod QR yang berada di atas meja masing-masing.
Yang kedua, aturan urusan mesyuarat dan soalan soalan lisan boleh dimuat turun juga dengan mengimbas kod QR yang sama. Perkara yang ketiga, berkenaan berkenaan dengan sesi soalan lisan. Tempoh masa yang diperuntukkan adalah selama 1 jam 60 minit. Setiap soalan lisan akan diberikan dua soalan tambahan. Soalan tambahan pertama akan diberikan keutamaan kepada Ahli Dewan Negeri yang bertanya. Manakala soalan tambahan kedua akan diberikan kepada mana mana
Ahli Dewan Negeri yang mempunyai soalan yang berkaitan dengan soalan asal. Seperti biasa menjadi kelaziman kita sekiranya ada topik yang dianggap oleh Speaker popular dan banyak soalan yang ditanya. Mungkin kita boleh tambah 1 soalan atau 2 soalan lagi.
Perkara yang keempat, berkenaan pas persidangan. Pas ini hendaklah sentiasa dipakai oleh semua yang terlibat semasa persidangan berlangsung. Pihak keselamatan akan sentiasa memantau dan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi memastikan perjalanan persidangan Dewan Negeri berjalan lancar.
Perkara yang kelima, hansard rasmi. Saya ingin memaklumkan Ahli-ahli Yang Berhormat boleh membaca dan memuat turun hansard rasmi setiap persidangan selewat lewatnya pada jam 12.00 tengah malam. Ahli-ahli Yang Berhormat bolehlah menghubungi pihak urusetia dalam tempoh 7 hari daripada hansard yang dipaparkan, sekiranya terdapat pindaan yang perlu dibuat atau dilakukan pada hansard tersebut.
Seterusnya memandangkan terdapat sebahagian kawasan Ahli Yang Berhormat dilanda bencana banjir. Sekiranya ada kecemasan dan keperluan untuk balik ke kawasan diwaktu bila-bila sepanjang persidangan ini, sila maklumkan kepada Yang di-Pertua. Kepada semua mangsa banjir yang terkesan, kita merakamkan rasa simpati dan sedih atas musibah banjir yang menimpa. Kita doakan agar mereka diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini.
Akhir sekali, di kesempatan ini juga saya ingin bagi pihak Dewan mengucapkan selamat maju jaya kepada semua pelajar Tingkatan 5 yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini dan semoga memperolehi keputusan yang cemerlang. Terima kasih.
Membentangkan Surat Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan
Perkara yang ketiga, membentangkan Surat Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan.
Sekarang saya membentangkan surat Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan dari bilangan 26/2025 hingga 28/2025 seperti yang telah diedarkan kepada semua Ahli Dewan Negeri pada 13 November 2025.
Bil. 26/2025 - Belanjawan 2026 Negeri Perak Darul Ridzuan
Bil. 27/2025 - Laporan Ketua Audit Negara 3/2025 (Oktober 2025) Mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Perak dan Agensi Negeri Serta Pengauditan Aktiviti Jabatan/Agensi Negeri
Bil. 28/2025 - Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Perak Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2024
Soalan yang telah diberi notis, soalan lisan sepertiQuestions
Perkara yang keempat. Soalan yang telah diberi notis. Soalan lisan seperti.
Yang saya maklumkan tadi, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, tempoh masa untuk sesi soalan lisan pada hari ini adalah selama 60 minit atau satu jam. Soalan tambahan adalah dihadkan kepada 2 soalan sahaja dan ianya perlulah mempunyai kaitan dengan soalan asal. Soalan tambahan yang tidak berkaitan dengan soalan asal adalah tidak dibenarkan. Sekarang saya menjemput Ahli Yang Berhormat dari kawasan Trong untuk mengemukakan nombor soalan.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam sejahtera. Soalan Trong Nombor 1.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh Salam Sejahtera. Salam Malaysia Madani & Salam Perak Sejahtera 2030. Yang Berhormat Dato Seri Yang di-Pertua. Sebelum saya menjawab soalan daripada Yang Berhormat Terong, terlebih dahulu, saya mengambil kesempatan ini untuk, pertama mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Dato’ Seri Yang di-Pertua di atas Pengurniaan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Dato’ Seri sempena Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak pada 9 November yang lalu. Semoga Dato’ Seri dan Dewan ini akan berseri-seri. Yang kedua ucapan selamat kembali bertugas kepada Yang Berhormat Ketua Pembangkang.
Dato’ Yang di-Pertua, Yang Berhormat Trong telah membangkitkan soalan berkenaan jumlah sekolah kelas al-Quran dan Fardhu Ain atau KAFA Integrasi yang telah ditutup di negeri Perak dari tahun 2020 hingga 2025. Untuk makluman Yang Berhormat Trong, tiada Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) Integrasi KAFA yang telah ditutup operasinya dari tahun 2020 hingga 2025. Namun begitu, terdapat 16 buah sekolah yang telah ditangguhkan operasinya di 5 (lima) daerah seluruh Negeri Perak iaitu pertama di daerah Larut Matang dan Selama, Sekolah Rendah Agama Rakyat Al-Ersyadiyahdiniah. Kampung Sungai Ara. Yang ke-2 Sekolah Rendah Agama Rakyat Al-Akhlakiah Bendang, Nering. Yang ke-3 Sekolah Rendah Agama Rakyat Muhammadiah, Kampung Paya. Yang ke-4 Sekolah Rendah Agama Rakyat, Nurul Hidayah Sungai Bemban. Yang ke-5 Sekolah Rendah Agama Rakyat Darul Ulum, Kampung Tengah Changkat Ibol. Bagi daerah Kerian, ada sebuah sekolah yang ditangguhkan iaitu Sekolah Rendah Agama Rakyat Al-Falah Parit Gabis.
Daerah Hilir Perak ada 2 buah sekolah. Sekolah Rendah Agama Rakyat Saadah, Parit 4 di Sungai Kerawai. Yang kedua Sekolah Rendah Agama Rakyat Ad-Sidyan Parit 1 Chenderong Balai. Daerah Perak Tengah ada 2 buah sekolah. Sekolah Rendah Agama Rakyat Matlubiah, Kampung Ekor Lambat & Sekolah Rendah Agama Rakyat Aliah Kampung Senin. Daerah Kuala Kangsar ada 6 buah sekolah yang ditangguhkan iaitu Sekolah Rendah Agama Rakyat Al Ijtihadiah, Kampung Gapis, Sekolah Rendah Agama Rakyat, Nurul Nurul Ijtihadiah, Kampung Seterus, Sekolah Rendah Agama Rakyat Al-Hihasiah, Kampung Changkat Duku, Sekolah Rendah Agama Rakyat Burhanul Maknawiyah, Kampung Jenalik. Sekolah Rendah Agama Rakyat, Ihsaniah, Kampung Seberang Manong dan yang Ke-6 Sekolah Rendah Agama Rakyat Uthmaniah, Kampung Talang Tengah. Faktor penangguhan operasi, bagi sekolah-sekolah ini adalah kerana jumlah muridnya yang sedikit. Berdasarkan nisbah guru KAFA terhadap jumlah murid yang telah ditetapkan oleh JAKIM adalah seorang guru bagi nisbah 30 orang murid.
Selain itu, Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Rakyat (Perak) 2025 juga turut menetapkan jumlah murid yang perlu ada bagi sesebuah sekolah itu boleh beroperasi adalah tidak kurang daripada 20 orang murid. Kesemua sekolah yang telah ditangguhkan operasinya ini adalah sekolah yang mempunyai jumlah murid kurang daripada 30 orang pelajar. Lanjutan penangguhan operasi tersebut, Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) telah melaksanakan penggabungan sekolah yang mengalami kekurangan murid bagi memastikan kelancaran perjalanan kelas KAFA dan kebajikan murid tidak terjejas. Bagi menangani masalah kekurangan guru di Sekolah Rendah Agama Rakyat KAFA pula mulai tahun 2025, pihak JAKIM telah memberikan tambahan kuota guru KAFA seramai 100 orang kepada negeri Perak yang menjadikan jumlah kuota guru KAFA di negeri Perak meningkat kepada 3310 orang guru. Walaubagaimanapun, kekurangan guru masih berlaku disebabkan status jawatan guru KAFA adalah berstatus sambilan. Guru-guru yang mendapat jawatan yang lebih baik telah meletakkan jawatan sebagai guru KAFA dan menjadi antara penyumbang kepada kekurangan guru di sekolah-sekolah KAFA. Terima kasih.
Terima kasih Yang Amat Berhormat Kota Tampan atas jawapan yang diberikan. Soalan tambahan saya Tuan Speaker iaitu apabila sekolah-sekolah ini ditangguhkan yang disebut oleh Yang Amat Berhormat tidak ditutup. Sebenarnya yang pertama yang berlaku ialah jawatankuasa yang jawatankuasa sekolah tersebut kemungkinan terbubar kerana sekolah tidak lagi beroperasi dan yang kedua, bangunan-bangunan sekolah tersebut terbiar dan sebahagian yang sekolah yang disebutkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar ada yang dah bertukar jadi homestay. Ada yang sudah bertukar menjadi stor kepada surau. Jadi untuk perhatian soalan saya, Apakah usaha yang boleh dilakukan oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan sekolah-sekolah yang ditangguhkan ini dapat beroperasi semula? Kita tak boleh harap hanya kepada jawatankuasa sebab mereka ni memang dah tak boleh berusaha, kemungkinan tak boleh berusaha ataupun dah usaha tapi tak berjaya nak mencukupkan kuota dan kalau bolehlah. Cantiknya kita boleh KAFA ni boleh menjadi sebagaimana sekolah vernakular SJKC dan SJKT. Sekolah-sekolah ni tidak ditutup walaupun kekurangan pelajar dan saya mencadang saya berharap supaya Kerajaan Negeri dapat melihat supaya sekolah akan datang ini tidak lagi yang ditangguhkan, sekolah beroperasi dengan baik dan juga guru-guru yang disebut oleh Yang Amat Berhormat tadi, guru-guru yang berhenti kerana statusnya sambilan. Kalau boleh Kerajaan Negeri boleh apa membuat sesuatu penambahbaikan kepada guru-guru ini supaya mereka boleh stay boleh kekal sebagai seorang guru yang berkhidmat sebaik mungkin di dalam Negeri Perak ini. Terima kasih.
Saya tak pasti itu soalan atau harapan. Soalannya tadi ialah bilakah sekolah sekolah yang ditangguhkan ini boleh beroperasi semula. Jawapan dia jika bilangan pelajar telah melepasi 30 orang, maka Insya-Allah akan dibuka semula. Tapi janganlah 31, 31 buka 29 tutup. Jadi biarlah lebih daripada 40 orang barangkali untuk mengekalkan sekolah tersebut. Sebab ia telah ditetapkan oleh JAKIM dan juga oleh Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah yang telah kita luluskan pada bulan Mei yang lalu. Saya menerima baik cadangan supaya Kerajaan Negeri membuat kajian bagaimana kita dapat menambah baik sistem tersebut dan juga bagaimana kita dapat mengikat minat guru-guru KAFA ini untuk terus kekal bertugas dengan KAFA dan juga kita Insha Allah akan buat kajian tapi ini perlu kerjasama YB jugalah kena tambah bilangan pelajar. Nak tambah bilangan pelajar kena tambah bilangan pelajar-pelajar kena tambah bilangan anak-anak muda, pelajar-pelajar yang berusia untuk masuk sekolah KAFA itu. Jadi kita kena faham bagaimana nak menambahkan bilangan itu di kawasan saya termasuk di Kenering, kita mengalami masalah sekolah kurang murid SKM Pengarah Pelajaran. Jadi kita balik masuk tengok kampung rupanya orang-orang muda sudah tinggal kampung tinggal orang orang tua yang tak produktif so, tak adalah pelajar-pelajar sekolah itu. Jadi caranya ialah dengan bawa orang-orang yang produktif ini tinggal dalam Kampung-production itu akan menghasilkan pelajar pelajar yang lebih daripada 30 orang itu. Terima kasih.
Kamunting.
Baik cadangan saya dan saya minta pandangan daripada Yang Berhormat.
Soalan…soalan.
Saya minta pandangan lain. Kita wujudkan macam sebelum KAFA wujud. Maknanya kelas-kelas Quran daripada kampung-kampung yang dipelopori oleh guru-guru tua diambil orang kampung dan sebagainya. Kemudian baru selepas itu wujudnya KAFA sistem. Ok kalau JAKIM buat peraturan begitu, dia mesti 30, kalau bawah 30 kita minta Kerajaan Negeri take over benda tu sebab (ayat al-quran) ‘sampaikan kepada ku ini walau satu ayat ‘walaupun seorang kena kena mengaji benda tu, kita tak boleh kalau ada 15 orang kita biarkan dia akan jahil. Saya minta kalau ada kerajaan,
Jadi soalannya YB?
Apa pandangan yang Berhormat? Terima kasih.
Dato' Yang di-Pertua, masa saya kecil-kecil dulu, pelajar kampung saya yang sebaya dengan saya pergi belajar quran di sebuah rumah guru quran. Saya belajar Sekolah Agama Rakyat ini, sekolah KAFA ini dalam sebuah madrasah yang tak ada meja, meniarap, menulis dan ustaz yang mengajar tu pagi-pagi menoreh, petang pakai kain pelikat dengan baju pagoda pakai tali pinggang haji tu pergi mengajar elaun dia RM60 sebulan bergantung kepada sumbangan ibu bapa. Tapi lama kelamaan kehendak orang ramai supaya diwujudkan Sekolah Agama Rakyat yang lebih kemas, lebih sempurna, lebih proper sebab itu datang kepada Jabatan Agama Islam untuk akhirnya menubuh sekolah-sekolah KAFA ini baru dapat bangunan, baru dapat guru. Jadi kalau Yang Berhormat minta balik kepada asal itu dah balik ke belakang pula kita ni. Kita dah bawa ke depan so jangan cadangkan balik nak balik kepada sistem lama yang Yang Berhormat, kita patut lebih ke depan. Jadi yang dirungutkan oleh orang ramai termasuk Yang Berhormat Trong sebut tadi saya katakan tadi Insha Allah Kerajaan Negeri akan buat kajian kerana ia perlukan kajian yang lebih sempurna lebih baik supaya sistem persekolahan KAFA ini lebih baik untuk masa akan datang. Terima kasih.
Terima kasih Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Sekarang saya menjemput Yang Berhormat dari kawasan Ayer Kuning untuk mengemukakan nombor soalan.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamu'alaikum Warahmatullah Wabarakatuh. Salam Sejahtera. Dato Yang di-Pertua, Kerajaan Madani Kerajaan Sejiwa. Soalan Ayer Kuning nombor dua. Terima kasih.
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahwalhamdulillah wasolatan wassalamu ala Rasulillah waman tabiuu. Salam sejahtera selamat pagi. Terima kasih kepada Yang Berhormat Ayer Kuning di atas soalan yang telah dikemukakan. Yang Berhormat Dato' Seri Yang di-Pertua, izinkan saya untuk menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ayer Kuning. Yang pertama, langkah pemantauan dan penguatkuasaan untuk mengawal pelepasan ikan asing. Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perikanan Negeri Perak telah melaksanakan pelbagai langkah pemantauan dan penguatkuasaan bagi mengawal pembiakan serta pelepasan spesies ikan asing seperti peacock bass, baung ekor merah dan ikan bandaraya di perairan umum negeri Perak.
Antara langkah utama ialah yang pertama, sebagai perairan umum, Jabatan Perikanan melaksanakan aktiviti inventori dan pemantauan berkala bagi mengenal pasti kehadiran dan taburan spesies ikan termasuk spesies asing di sungai, tasik dan lombong seluruh negeri. Data ini membantu Kerajaan Negeri kerajaan menilai status populasi ikan setempat dan merancang tindakan kawalan serta pemeliharan ekosistem perikanan darat. Yang kedua, Pindaan Kaedah-Kaedah Perikanan Sungai Perak 1992. Kerajaan Negeri sedang memuktamadkan pindaan peraturan tersebut bagi memastikan ia lebih komprehensif dan relevan dengan cabaran semasa. Pindaan ini akan memperkemas garis panduan pelepasan ikan ke perairan umum di mana setiap pelepasan oleh penternak, komuniti pemancing, NGO, rumah ibadat dan orang awam wajib mendapat kelulusan rasmi daripada Jabatan Perikanan. Yang ketiga berkaitan pewartaan kaedah-kaedah perikanan akuakultur ikan darat. Kerajaan Negeri juga sedang memuktamadkan pewartaan kaedah baru untuk mengawal selia aktiviti penternakan ikan darat. Perwartaan ini bertujuan memastikan pengusaha akuakultur melaksanakan kawalan optimum terhadap spesies asing tertentu demi memelihara ekosistem semula jadi negeri Perak.
Dato' Seri Yang di-Pertua, selain langkah perundangan, Jabatan Perikanan turut melaksanakan program memburu ikan asing di kawasan yang dikenal pasti sebagai kritikal sehingga tahun 2025, tiga siri program telah dijalankan melibatkan jumlah keluaran 9.4 tan ikan asing merangkumi ikan bandaraya baung ekor merah dan chao phraya catfish. Antara penganjuran utama ialah siri pertama 12 dan hingga 13 Julai 2025 di Taman Dr. Seenivasagam, Ipoh. Lebih daripada 6,420 ekor atau pun 2.3 tan telah ditangkap. Siri yang kedua 16 hingga 17 Ogos 2025 di Kampung Sungai Galah, Kampong Gajah. Kampong Gajah. Lebih kurang 14,521 ekor atau pun empat tan telah dinaikkan. Yang ketiga siri Grand Prix memburu ikan asing sempena Pesta Ikan Perak 2025 di Dataran Victoria, Karai. Lebih kurang 13,438 ekor telah ditangkap atau pun bersamaan dengan 3.1 tan. Program ini mendapat penyertaan 106 orang peserta terdiri daripada nelayan darat dan komuniti setempat menunjukkan sokongan rakyat terhadap usaha pemuliharaan perairan negeri.
Kerajaan Negeri juga menyasarkan agar dalam tempoh lima tahun Perak dapat mencapai status bebas ikan asing melalui lima inisiatif utama seperti berikut. Yang pertama, program pembersihan dan pemburuan ikan asing, penguatkuasaan ke atas penternak, penternakan dan pelepasan ikan tanpa kebenaran. Penganjuran program kesedaran awam secara berterusan, peningkatan pengeluaran dan restocking ikan asli. Yang kelima pembangunan santuari spesis ikan asli di habitat semulajadi. Manakala kajian saintifik mengenai kesan spesies ikan asing, Dato' Seri Yang di-Pertua, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perikanan telah memulakan konsultasi awal dengan beberapa institusi penyelidikan untuk melaksanakan kajian saintifik mengenai impak kehadiran ikan asing terhadap populasi ikan tempatan serta sumber pendapatan nelayan darat. Kajian ini bakal dilaksanakan oleh Jabatan Perikanan Malaysia Negeri Perak dengan kerjasama Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Bahagian Penyelidikan Perikanan, Jabatan Perikanan Malaysia.
Antara fokus kajian termasuk menilai impak spesies asing terhadap biodiversiti tempatan dan merangka kaedah kawalan serta pembasmian yang sesuai dan berkesan untuk negeri Perak. Ketika ini, inisiatif tersebut berada di peringkat penyelarasan teknikal dan metodologi. Program kesedaran awam dan komuniti pemancing, Dato' Seri Yang di-Pertua, Kerajaan Negeri turut menitikberatkan aspek pendidikan dan kesedaran masyarakat bagi menggalakkan komuniti pemancing dan orang awam tidak melepaskan spesies ikan asing ke perairan umum. Jabatan Perikanan bekerjasama dengan NGO dan komuniti pemancing termasuk Perak Fly Fishing Syndicate melalui beberapa program seperti berikut. Kempen tangkap dan lepas. catch dan release untuk ikan asli tempatan di sepanjang lembangan Sungai Perak dan perairan umum. Yang kedua Program Pendidikan Alam Sekitar melibatkan sekolah, komuniti setempat dan kelab memancing. Yang ketiga, Kempen Teknologi Hijau dan Tanggungjawab Ekologi melalui Program komuniti dan platform media sosial. Timbalan Yang di-Pertua, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perikanan Negeri Perak kekal komited memastikan ekosistem perairan darat Perak terpelihara daripada ancaman spesies asing. Pendekatan yang diambil adalah menyeluruh, merangkumi pemantauan, penguatkuasaan, penyelidikan, penyelidikan saintifik dan pendidikan awam demi menjamin kelestarian biodiversiti serta kesejahteraan sosio-ekonomi komuniti nelayan darat negeri Perak. Sekian terima kasih.
Soalan tambahan Ayer Kuning sila.
Timbalan Tuan…Puan Timbalan Speaker. Soalan tambahan dari Ayer Kuning. Adakah Kerajaan Negeri bercadang untuk memberi insentif atau pun bantuan kepada komuniti nelayan darat ini yang jika terkesan sekiranya populasi ikan tempatan semakin atau terus berkurangan? Terima kasih.
Terima kasih kepada YB Ayer Kuning di atas soalan tambahan. Kerajaan Negeri sentiasa mengambil maklum mengenai kebimbangan kebimbangan kemungkinan darat di kawasan Ayer Kuning khususnya berkaitan kemungkinan pengurangan populasi ikan tempatan akibat perubahan ekologi, aktiviti pembangunan atau faktor alam sekitar. Buat masa ini, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perikanan dan agensi berkaitan sedang menjalankan pemantauan berkala terhadap stok ikan asli di sungai, tasik dan perairan darat bagi mengenalpasti tahap sebenar sumber perikanan dan risiko yang dihadapi oleh komuniti nelayan. Pada masa yang sama, kerajaan telah memperuntukan dan mengagihkan bantuan sara hidup nelayan darat kepada mereka yang layak bagi membantu meringankan bebanan hidup golongan ini.
Selain daripada itu, kerajaan juga telah membina sebuah jeti pendaratan ikan di Sungai Ranggas dalam Dun Ayer Kuning bernilai RM250,000 untuk kegunaan nelayan darat bagi tujuan menambat vessel mempercepatkan pengendalian hasil tangkapan serta mengurangkan kerosakan ikan selepas tuai post-harvest losses semasa perasmian jeti tersebut pada 08 April 2025. Kerajaan turut melepaskan sebanyak 13,000 ekor benih ikan baung dan 70,000 ekor benih udang galah sebagai usaha pemulihan-pemulihan stok ikan asli di kawasan yang berkenaan. Sekiranya data pemantauan menunjukkan keperluan Kerajaan Negeri bersedia mempertimbangkan penyaluran insentif atau bantuan bersasar yang termasuk yang pertama program penambah biakkan dan pelepasan benih ikan tempatan. Restocking, dengan izin. Bantuan input perikanan seperti peralatan menangkap ikan yang lebih efisien dan lestari. Latihan peningkatan kemahiran termasuk perikanan akuakultur sebagai sumber pendapatan alternatif. Bantuan kewangan bersifat sementara kepada kumpulan nelayan yang terbukti terkesan.
Untuk makluman Yang Berhormat, fokus kerajaan bagi menangani kehadiran spesies ikan asing invasif pada masa ini adalah melalui penglibatan awam dan kempen kesedaran. Di samping penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Perikanan, larangan import dan sebagainya bagi ikan Pindaan 2024. Serbuan turut dilaksanakan ke premis-premis seperti rumah ibadat, kedai jualan dan ladang penternakan ikan bagi merampas ikan asing invasif yang boleh mengancam ekosistem tempatan. Kerajaan negeri melalui Jabatan Perikanan juga, komited memastikan kebajikan nelayan darat terus terpelihara dan apa-apa bentuk insentif atau bantuan akan diumumkan selepas data saintifik dan penilaian impak selesai dijalankan. Terima kasih.
Timbalan Speaker.
Manong, sila.
Yang Berhormat Timbalan Speaker. Saya ada soalan tambahan, satu soalan tambahan. Berkaitan dengan ikan asing yang kriteria ikan asing ni terlampau banyaklah di merata sungai, kolam dan sebagainya. Soalan saya, adakah satu kajian yang akan ataupun yang telah dilakukan oleh Jabatan Perikanan ataupun mana-mana agensi ataupun universiti berkaitan dengan proses semula ikan asing ini supaya boleh menjadi satu produk yang boleh digunakan? Daripada terbuang bangkai ikan asing ini mungkin ada satu kajian yang boleh dibuat oleh universiti atau agensi untuk proses semula ikan asing ini menjadi satu produk yang boleh dimanfaatkan. Contohnya, menjadi satu produk makanan haiwan. Adakah satu kajian yang telah atau akan dibuat oleh pihak agensi? Terima kasih.
Terima kasih kepada YB Manong. Ini satu pandangan atau cadangan yang terbaiklah. Dan memang menjadi kesedaran kepada kita, Kerajaan Negeri ataupun Jabatan Perikanan untuk mengkaji dan meneliti dari masa ke semasa. Ikan-ikan asing yang telah kita bawa naik ini, semoga dapat diproses untuk dijadikan baja organik dan sebagainya. Ini memberikan penambahbaikan kepada komuniti untuk menggunakan ikan-ikan asing itu diproses untuk digunakan untuk bagi tanaman dan sebagainya. Insha Allah Jabatan Perikanan akan mengambil perhatian berkaitan dengan cadangan daripada Yang Berhormat. Terima kasih.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Exco. Seterusnya saya menjemput Ahli Yang Berhormat dari kawasan Pasir Panjang untuk mengemukakan soalan. Sila.
Terima kasih Timbalan Yang di-Pertua. Soalan pihak Panjang, soalan nombor 3.
Bismillahirrahmannirrahim. Assalamualaikum Warahmatullahi Ta'ala Wabarakatuh. Salam Perak Sejahtera 2030, Salam Malaysia Madani. Timbalan Yang di-Pertua, saya akan menjawab soalan Pasir Panjang bersekali dengan soalan daripada Keranji kerana ia ada kaitan rapat berkenaan dengan Lembaga Air Perak. Untuk maklumat Yang Berhormat Pasir Panjang, Lembaga Air Perak LAP sentiasa mengambil cakna akan perubahan dan peningkatan jumlah permintaan bekalan air serta merancang keperluan bagi menaik taraf sistem bekalan air yang perlu bagi membekalkan air dengan lebih terjamin. Untuk pengetahuan kajian kita, bila ada pertambahan kita ambil kira semasa kebenaran merancang lagi. Bagi tujuan bekalan air di kawasan Lekir, Lekior.
Seperti yang diutarakan, pihak Lembaga Air Perak telah dan sedang melaksanakan projek bagi tujuan bekalan air ke kawasan Lekior dan sekitarnya termasuk Changkat Jerman, Kayan dan sebagainya. Antara projek yang telah pun siap sepenuhnya adalah pemasangan paip bergaris pusat 450 mm jenis, dengan izin Cement Lining Mild Steel ataupun CM, CLMS. Daripada Batu 8 ke Batu 12 Lekir sepanjang 4.8 kilometer iaitu telahpun siap sepenuhnya. LAP juga telah selesai membina tangki air menara berkapasiti 0.5 juta gallon di Batu 12 Lekir, Elevated Water Tank, dengan izin dan memasang paip bergaris pusat 300 mm, multilayer ataupun PV, MPVC sepanjang jalan daripada Lekir, ke Kayan iaitu pun telah disiapkan. Selain daripada itu, bagi meningkatkan jumlah kapasiti bekalan air, LAP sedang melaksanakan projek menaik taraf loji rawatan air ataupun LRA di Teluk Kepayang, Bota. Dari kapasiti 170 liter sehari kepada 272 liter juta sehari. Maknanya ditambah 100 Juta sehari mlpd. LAP juga sedang melaksanakan projek pemasangan paip bergaris pusat 1200 mm daripada Loji Rawatan Air Teluk Kepayang di Bota ke Air Tawar sepanjang 12 kilometer daripada Sungai Perak dekat dengan Teluk Kepayang sampailah ke Manjung. Loji rawatan air di Kampong Gajah juga sedang dinaik taraf dan kapasiti 4.32 juta liter sehari ke 9.3 juta sehari saya jawab dalam persidangan yang lepas kepada Adun Kampong Gajah.
Bagi menjawab soalan yang berkaitan daripada Keranji serta status semasa kemajuan projek tersebut adalah seperti berikut. YB Keranji, komponen projek yang terdiri daripada pembinaan intake dengan izin, pembinaan kolam takungan dan pemasangan paip agihan daripada Loji Kampar ke Kolam Pei Yuan dekat sekolah Pei Yuan. Siap sepenuhnya manakala kadar kemajuan bagi pembinaan loji rawatan air adalah 20% YB, 20% sahaja yang siap dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2027, maknanya baru kita mulakan kerja. Bagi menangani masalah gangguan bekalan air yang kerap berlaku di kawasan perumahan lama, pihak kerajaan melalui Lembaga Air Perak melaksanakan beberapa langkah proaktif. Antaranya, langkah utama ialah melaksanakan program penggantian paip lama secara berfasa setiap tahun. Kita kenal pasti banyak paip-paip di Keranji tu paip lama YB. Jadi program ini dijalankan mengikut keutamaan dan juga memberi fokus kepada kawasan perumahan lama yang sering mengalami kebocoran dan gangguan bekalan air.
Selain itu, pemantauan tekanan air dijalankan secara berterusan bagi memastikan tekanan dalam sistem sentiasa berada pada tahap yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara ataupun SPAN. Kawalan tekanan ini juga penting bagi mengelakkan tekanan yang terlalu tinggi, yang boleh menyebabkan paip sedia ada yang lama akan bocor dan pecah dan seterusnya mengurangkan risiko gangguan bekalan air kepada pengguna. So, kita kena ikut apa yang diarahkan oleh SPAN supaya kawalan air, tekanan dalam paip juga dikawal oleh LAP. Langkah-langkah ini harap diharap dapat mengait,menguatkan dan meningkatkan kecekapan sistem agihan air dan memastikan penduduk di kawasan perumahan lama terus menerima bekalan air yang stabil dan berkualiti. Lembaga Air Perak telah lama melaksanakan sistem pemantauan digital bagi menegas, bagi mengesan kebocoran paip dalam sistem air di seluruh negeri Perak. Pemantauan ini dilaksanakan melalui sistem District Metering Area ataupun DMA dengan izin yang dilengkapi dengan data logger bagi mengawal dan juga memantau tekanan air dalam paip sepanjang 20 hari, 24 jam sehari. Sekiranya berlaku kebocoran ataupun penurunan tekanan yang luar biasa, sistem akan mengeluarkan isyarat amaran yang dihantar terus kepada telefon bimbit setiap pegawai LAP yang telah pun ditugaskan.
Selain itu, LAP turut menggunakan teknologi Advanced Pressure Meter Control atau pun APMC dengan izin bagi mengawal tekanan dalam sistem agihan air bagi meminimumkan risiko kebocoran dan paip paip sebenar yang tu saya nyatakan tadi. Sebab dia cantuman paip baru dan paip lama ni dia tak berapa nak boleh sekalikan tekanan tu kena dikawal. Kalau tidak paip lama akan meletup. Sistem ini juga disokong oleh Remote Monitoring System (RMS) dengan izin yang menerima dan merekodkan data paras air secara langsung daripada kolam takungan sekaligus membolehkan pengesanan awal sekiranya berlaku kehilangan air ataupun kebocoran dalam sistem. Yang itu kita buat pemantauan daripada asal air itu keluar daripada loji atau air sampailah ke paip paip yang telah mengagihkan air itu. Di samping pemantauan digital LAP turut melaksanakan aktiviti pengesanan kebocoran secara manual dan berkala oleh pasukan teknikal bagi memastikan kebocoran kecil dapat dikesan dan diperbaiki lebih lebih awal lagi. Langkah-langkah ini membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam mempertingkatkan kecekapan sistem bekalan air melalui penggunaan teknologi digital dan pemantauan berterusan demi maksud memastikan perkhidmatan air yang lebih mampan dan berkualiti kepada rakyat negeri Perak. Terima kasih Timbalan Yang di-Pertua.
Soalan tambahan. Pasir Panjang sila.
Terima kasih Dato' Seri Exco atas jawapan yang diberikan dia. Saya bangkitkan soalan ini sebab kerap aduan kita terima tentang gangguan bekalan air dan tekanan air rendah dari masa ke semasa. Jadi, saya percaya bila mana projek ini siap, maka masalah masalah yang timbul sekarang ini dapat diatasi. Terima kasih Dato' Seri dan soalan tambahan saya adalah berkaitan dengan penduduk mereka yang membina tanah di atas tanah persendirian yang mereka lot kan. Ada kawasan tu sampai dah hampir 20 buah rumah, tetapi tidak ada paip dipasang ke masuk kawasan mereka. Mereka mendapat bekalan air daripada punca di di kepala jalan dan ada yang terpaksa menarik poly paip sepanjang 400 meter dan menimbulkan kerugian mengakibatkan kerugian bila mana bocor sahaja mereka tak tau paip siapa yang bocor sehinggalah dapat bil daripada daripada LAP. Jadi Dato' Seri, pimpinan sebelum saya pun sudah Adun-adun sebelum saya pun sudah mengemukakan permohonan melalui KKDW melalui pejabat daerah dan apa yang kita tunggu dah lama dah.
Antaranya satu kawasan di Jalan Hamzah Lekir. Itu satu. Mereka…mereka…mereka dah mohon dah hampir 15 tahun dah tapi belum dapat lagi dan bila kita tengok syarat-syarat yang diberikan oleh KKDW. Antara syarat dia ialah kos pembinaan rumah tu RM120 ribu maksimum. Jadi ya mereka yang beli tanah lotkan tanah rumah mereka bukan RM120 ribu Dato' Seri mungkin RM300 ribu RM400 ribu kan. Jadi dah menggagalkan syarat untuk mereka dapat. Jadi ya kalaulah begitu, mereka tak akan dapatlah. Kalaulah kata KKDW meletakkan syarat yang macam tu tidak ada belum yang belum ada meter makna tidak...tidak mereka tak layak sebab mereka ada meter tapi meter mereka di kepala jalan. Banyak meter-meter yang dipasang di kepala jalan. Jadi saya ingin bertanya apakah Kerajaan Negeri bersetuju untuk menyediakan peruntukan untuk Kawasan…kawasan…kawasan yang macam…macam ni untuk diberikan bekalan air terus ke rumah mereka. Sangat kritikal bilamana waktu puncak terutamanya waktu perayaan mereka tak dapat air langsung dan tunggu dah 15 tahun. Itu satu dan ada banyak-banyak, banyak lagi kawasan-kawasan yang membuat aduan tapi ia tidak dapat dipenuhi atas sebab-sebab yang demikian. Bukan kita tak mintak. Pimpinan sebelum ni pun dah mintak dah dah jadi wakil rakyat ketiga dah. Saya tengok surat tu surat wakil rakyat yang dua orang wakil rakyat sebelum saya…
Pasir Panjang soalan.
Soalan apakah Kerajaan Negeri bersedia untuk bercadang untuk memberi peruntukan untuk dipasang paip ke kawasan-kawasan yang sebegini? Terima kasih Dato' Seri.
Terima kasih Pasir Panjang di atas soalan tambahan itu. Walaupun masalah itu telah lama sampai dua kali pertukaran wakil rakyat pun tak berubah lagi. Jadi bermaknanya hari ini kita kena cari jalan kenapa 40 buah rumah yang baru itu tidak dapat dimasukkan air ke halaman mereka. Hari ini semua meter-meter yang akan diberi pasang itu, mereka menggunakan caj air dalam 1 kelompok meter yang jauh daripada rumah mereka. Itu masalah yang dihadapi oleh LAP hari ini. Jadi, kita sekarang ini untuk laluan paip itu ke rumah masing-masing, dia dapat izin daripada tanah-tanah yang jauh daripada meter mereka itu kena ada izin lalu daripada tuan punya tuan punya tanah yang akan menyeberangi tanah tanah mereka sampailah ke halaman rumah setiap itu.
Jadi kalau boleh diminta penghulu ataupun YB sendiri usahakan supaya mana-mana tanah yang jauh meter air dia yang terpaksa melalui jalan-jalan hak milik ini diberikan izin oleh tuan punya supaya LAP boleh tarik meter tu nanti dan masuk ke halaman masing-masing. Itu masalah yang pertama. Masalah yang kedua pula ada di antara tekanan-tekanan ni bukan sepanjang masa. Bagaimana YB bagitau tadi tekanan tu menurun di musim-musim bila datang perayaan barangkali. Jadi untuk itu kita kena berhati-hati. Kadang-kadang kalaulah masalah-masalah tu timbul, LAP bersedia menyediakan tangki-tangki di masa masa tertentu semasa hari perayaan. Tapi nak menyatakan tidak ada tekanan sangat tidak jugalah. Tekanan air itu ada cuma tidak mencukupi di masa-masa perayaan. Itu akan dimonitor dan dipantau oleh LAP sendiri dan juga penduduk itu kena bagitau kepada LAP dan masalah masalah lain bersama dengan rumah rumah yang belum lagi mendapat layanan daripada LAP saya minta supaya ketua kampung tersebut bukan hanya beri tahu kepada LAP melalui mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah tetapi beritahu juga kepada beberapa jabatan di bawah Kementerian Luar Bandar misalanya supaya dapat kita atasi mana mana pasang kita pasang paip baru untuk rumah rumah yang di luar kawasan perbandaran, terima kasih.
Alor Pongsu.
Kubu Gajah.
Terima kasih
Alor Pongsu, sila.
Terima kasih Timbalan Speaker. Bila sebut tentang air pada sidang yang lepas saya dah ungkit banyak dah apa yang berlaku di Alor Pongsu dan masalahnya masih berlaku. Teh ais percuma masih ada di paip paip rumah tu dan selalu tak ada air. Saya pujilah LAP Perak, LAP Kerian proaktif tapi kesian kat depa. Sidang yang lepas pegawai mengatakan kerosakan atau tempat yang pecah tu 40-50 tempat dan terpaksa cari dalam tanah. Kos tinggi, masa terbuang dan berita baik saya dapat tahu paip 25 tahun 30 tahun tu bajet dah ada nak diluluskan. Masalahnya kerjasama dengan JKR, kebenaran kerja pun dah lulus. Jadi saya soalan saya bila nak dibuat? Sampai bila? Kemudian bila sebut Pasir Panjang sebut tentang ni di kawasan Alor Pongsu, saya nak tambah soalan satu lagi tentang lot lidi. Rumah lot lidi ni. Satu geran satu nama tapi banyak rumah. Saya tahu memang salah. Rakyat buat salah langgar undang-undang. Apa solusi yang kita boleh bantu dia orang? TNB bagi 20 rumah satu geran, TNB bagi bekalan. LAP tak bagi. Saya pun tak tau macam mana nak jawab. Salah tetap salah rakyat sebab beli tanah lot lidi. Jadi dua soalan situ Dato' Seri, terima kasih.
Terima kasih pada Yang Berhormat Alor Pongsu. Yang pertama tadi kita beritahu bahawa LAP di Bagan Serai di Kerian sedang dalam proses menggantikan mana mana paip yang lama asbestos itu khususnya di bandar Bagan Serai untuk digantikan dengan paip-paip yang terkini. Jadi untuk itu, ada Kawasan-kawasan yang kadang kadang ada gangguan oleh kerana paip itu perlu diberhentikan di laluan air dia kemudian dikorek digantikan dengan paip baru. Jadi, gangguan-gangguan ini akan sentiasa berlaku dari masa ke semasa. Tapi LAP juga bertanggungjawab beritahu maklumat ini kepada pengguna pengguna yang yang terganggu itu. Jadi ini usaha yang kita buat. Kadang kadang kerja itu berterusan. Barangkali YB pun juga tahu bahawa ianya berjalan terus.
Berkenaan dengan rumah-rumah yang banyak dalam satu geran itu, yang telah berlaku lama. Jadi usaha untuk mengasingkan mereka memerlukan banyak pindaan. Banyak kos juga. Jadi untuk itu juga, LAP tidak ada cara lain kecuali nak memasang setiap rumah itu ada meter mereka tapi dikelompokkan meter itu menjadi masalah. Walau macam mana pun dia ada satu bug meter yang mana keseluruhan kawasan itu kalau ada rumah 10 buah, dia ada satu bug meter yang akan LAP pantau berapa banyak rumah itu gunakan air. Tapi kalau sub metering tu, meter yang kecil-kecil itu juga akan berikan gambaran bahawa ada penggunaan air daripada setiap rumah.
Cumanya usaha LAP sekarang ini bagaimana nak pastikan setiap meter tu berada di halaman tepi tangga rumah dia. Itu harapan kami sebenarnya. Tapi oleh kerana kos terpaksa ditanggung oleh oleh tuan punya rumah tu, kerana meter tu hanya ditanggung oleh LAP, setelah kita pasang meter tu depan rumah, maka semua paip daripada LAP ke meter tu ditanggung oleh tuan rumah tu. Jadi itu kena diketahui supaya mereka faham kalau jarak paip daripada paip utama rumah mereka makan masa katakan 20 atau 30 meter, dia kena bayar paip itu kepada tukang paip yang berdaftar. Tapi LAP hanya menanggung kos dari meter ke rumah mereka. Itu tanggung, tanggung mereka kami daripada meter sahaja. Jadi daripada meter ke rumah dia kita tanggung kos tu. Terima kasih.
Terima kasih kepada YB Exco. Seterusnya saya menjemput Ahli Yang Berhormat dari kawasan Pengkalan Baharu untuk mengemukakan soalan, sila.
Terima kasih Timbalan Yang di-Pertua. Soalan saya soalan nombor dua.
Terima kasih Timbalan Speaker. Untuk maklumat Yang Berhormat Pengkalan Baharu, negeri Perak telah melaksanakan Kempen Tahun Melawat Perak 2024 dengan sasaran awal ketibaan 8 juta pelancong domestik dan 350,000 pelancong antarabangsa. Namun, pencapaian tersebut telah jauh mengatasi jangkaan apabila negeri ini menerima sebanyak 10.2 juta pelancong domestik dan 970,611 pelancong antarabangsa mengikut data. Sehubungan itu, kerajaan negeri terus merangka dan melaksanakan pelbagai strategi serta inisiatif komprehensif bagi memastikan pelancong bukan sahaja memilih Perak sebagai destinasi malah tinggal lebih lama, berbelanja lebih banyak dan menikmati pengalaman pelancongan yang berkualiti di negeri ini. Bagi menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2026, Kerajaan Negeri melalui Tourism Perak telah merangka beberapa strategi utama untuk meningkatkan kadar menginap di negeri Perak.
Tourism Perak berhasrat untuk memperkenalkan pakej Stay and Explore Perak yang menawarkan diskaun dan ganjaran khas kepada pelancong yang menginap sekurang kurangnya 1 malam di Negeri Perak, antara inisiatifnya. Penggunaan medium digital juga pada hari ini sangat penting dalam membantu memberikan informasi serta maklumat yang tepat untuk sampai kepada pelancong. Justeru itu, Tourism Perak juga telah melaksanakan penggunaan QR kod terhadap brosur-brosur yang diterbitkan oleh Tourism Perak dengan penghantaran pelbagai bahasa. Penggunaan linktree juga digunakan bagi membantu memudahkan urusan pelancong untuk mendapatkan maklumat yang membantu pelancong membuat tempahan penginapan, dapatkan bantuan lawatan serta menikmati tawaran-tawaran istimewa daripada pengusaha.
Selain daripada itu, Tourism Perak juga bekerjasama dengan influencer-influencer biar daripada pelbagai sosial media yang ada untuk menawarkan atau mempaparkan keindahan Negeri Perak kepada orang ramai dalam pelbagai bahasa juga. Kerajaan Negeri juga telah menitikberatkan penglibatan aktif masyarakat setempat dalam pembangunan sektor pelancongan menerusi program Homestay dan Kampung Stay. Komuniti di daerah seperti Kampar, Lenggong dan Kuala Kangsar diberi latihan serta sokongan yang sistematik bagi memperkukuhkan penawaran pelancongan berasaskan budaya, pertanian dan warisan tempatan. Seiring itu, kerajaan turut mempelbagaikan tarikan melalui pengenalan produk-produk pelancongan baharu termasuk ecotourism, agrotourism serta pelancongan warisan perlombongan bijih timah yang merupakan identiti unik negeri Perak.
Usaha ini dijalankan bagi memastikan sektor pelancongan negeri terus berkembang secara mampan, inklusif dan berdaya saing. Kerajaan Negeri optimis bahawa dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif ini, Perak mampu mencapai sasaran Tahun Melawat Malaysia 2026 iaitu sebanyak 10.5 juta pelancong domestik dan 1.1 juta pelancong antarabangsa. Sasaran ini bukan sahaja realistik berasaskan prestasi semasa, malah mencerminkan keyakinan terhadap keupayaan negeri untuk terus menawarkan pengalaman pelancongan yang lebih menarik, berkualiti dan berdaya saing pada peringkat nasional mahupun antarabangsa. Dengan kerjasama erat semua pihak, Perak diyakini mampu melonjak sebagai destinasi pilihan utama pelancongan negara pada 2026.
Soalan tambahan.
Terima kasih YB Exco yang telah memberi jawapan. Tahniah kerana Tahun Melawat Perak juga telah berjaya meningkatkan jumlah pelancong sama ada domestik atau international untuk datang ke negeri Perak. Cuma saya berharap kita dapat menyediakan lebih lagi keperluan untuk pelancong-pelancong terutama domestik. Domestik ini, pelancong domestik ini dia perlukan satu hub. Contoh macam di Kelantan, orang pergi Kelantan nak pergi ke Pasar Siti Khatijah dan sebagainya. Di Terengganu nak pergi Pasar Payang. Kalau di Perak ini kita nak kalau boleh dah paloh tu dah cantik, Little India dah cantik kita naikkan Gerbang Malam. Gerbang Malam itu kita jadikan satu sebagai satu hub di negeri Perak supaya lebih ramai pelancong terutama domestik datang dan yang kedua saya juga suka menyarankan agar persediaan kita ke arah kemudahan lainlah terutama pelancong asing ni dia biasanya konsep diy, do it yourself. Jadi kemudahan internet liputan apa nama diperlukan. Jadi adakah Kerajaan Perak dah bersedia untuk menyediakan keperluan tersebut kerana ditempat saya seperti di Ulu Licin belum mempunyai liputan internet kecuali Maxis, ada satu je. Yang lain tiada lagi. Jadi adakah kerajaan dah bersedia ke arah itu? Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat. Kerajaan Negeri mengambil maklum tapi juga untuk makluman Yang Berhormat, kita memperakui apa yang dikatakan oleh Yang Berhormat tadi mempunyai kebenarannya. Salah satu yang telah, yang sedang dan telah diusahakan oleh Kerajaan Negeri Perak, kami sedang berusaha untuk menaikkan kawasan Silveritage sebagai kawasan One Stop Centre yang sekarang dengan penerajunya YB Exco yang menjaga STeP sendiri dan juga dengan Maju Perak dan juga lain-lain agensi untuk membawa supaya ada One Stop Centre yang di di kawasan Jalan Gopeng itulah supaya kita boleh perbesarkan. Antara kekangan kita di negeri Perak adalah dan juga komplain bukan sahaja di negeri Perak sama dekat Malaysia apabila kita berada di luar negara adalah produk kita agak tidak berubah dibandingkan dengan negeri-negeri atau negara-negara lain, apabila setiap tahun anda ke negara itu mereka mempunyai pelbagai produk baru atau sekurang kurangnya 1, 2 produk baru bercampur dengan produk lama tetapi di negeri Perak, kami mempunyai pelbagai produk tetapi dalam konteks produk-produk baru itu kami mempunyai kekangan sementara ini. Jadi, Kerajaan Negeri sedang bekerjasama dengan agensi-agensi semua yang ada untuk membangunkan kawasan Silveritage itu sebagai satu kawasan hub untuk produk-produk terutamanya produk-produk negeri Perak.
Soalan tambahan, Behrang.
Ok. Terima kasih Timbalan Yang di-Pertua. YB Exco Terima Kasih. Pertamanya saya ucapkan terima kasih kepada YB Exco yang telah turun ke Dun Behrang, Daerah Muallim baru-baru ini pada 15 November dan telah melawat beberapa lokasi di Daerah Muallim seperti di Surau Tinggi Kampung Balun, Pusat Rekreasi Sungai Bil, Sungai Dara, Diamond Krik, Kampung Kubu dan juga pesisiran Sungai Bernam yang ada potensi untuk dibangunkan dan menarik pelancong ke Selatan Perak. Kerajaan menyediakan pelbagai bantuan dan geran kepada pusat penginapan, hotel dan juga homestay. Saya ingin bertanya, adakah bantuan khusus untuk pembangunan campsite termasuk tapak perkhemahan dan kemudahan campervan. Kenapa saya tanyakan soalan ini? Baru-baru ini saya telah hadir ke satu program merasmikan satu program di Sungkai, Campsite Sungkai yang mana mereka telah mengumpulkan lebih 100 buah caravan atau home, motorhome yang dapat mengumpulkan lebih 100 buah daripada seluruh Malaysia dan ahli-ahli persatuan ini ada yang bergelar Tan Sri sehinggalah ada yang diperingkat M40 dan sebagainya. Jadi, mereka mengumpulkan pelbagai range, pendapatan dan sebagainya untuk datang dan boleh memuatkan 100 buah campervan. Jadi, saya melihat ini adalah salah satu pelancongan baru yang boleh kita buka untuk negeri Perak yang mana mereka stay hari tu 3 hari 2 malam dan mengadakan pelbagai program termasuklah program kebajikannya, program melawat ke pusat pelancongan lain di kawasan yang berhampiran. Jadi adakah Kerajaan Negeri ataupun kerajaan kita ini ada menyediakan peruntukan khas dan ataupun bantuan khusus untuk pembangunan campsite? Itu soalan saya terima kasih.
Terima kasih. Jawapan pendeknya tidak. Tapi kalau saya nak elaborate sikit, sebenarnya kita Kerajaan Negeri Perak bukanlah sebuah negeri yang mempunyai banyak peruntukan pelancongan. Jadi sebenarnya dalam pra-pembangunan ini, kita bergantung juga kepada pentadbiran-pentadbiran di daerah-daerah masing-masing. Jadi, saya syorkan YB-YB yang ada biar daripada kerajaan ataupun pembangkang untuk bekerjasama dengan pejabat-pejabat daerah atau PBT-PBT yang ada supaya syorkan apa yang ada di kawasan anda. Sebab, kita kena maklum bukan semua tempat mempunyai tarikan yang sama dan juga bukan semua tempat sesuai untuk di buat benda yang sama.
Saya bagi sebagai satu contoh, kalau kita nak buat rafting dekat kawasan-kawasan mungkin berbukit sikit, kita boleh jadi ada white water rafting dan sebagainya yang mungkin menjadi satu tarikan tetapi kalau kita buat rafting di Teluk Intan, Sebagai contoh, saya rasa tak ada orang nak pergi rafting di situlah walaupun ada sungai dekat situ. Jadi di setiap daerah itu mempunyai pelbagai jenis tarikan. Jadi saya syorkan kepada semua YB untuk bekerjasama dengan rakan-rakan di pentadbiran supaya dapat diangkat benda-benda yang baru ni. Seperti yang saya katakan tadi, salah satu kekangan kepada kita adalah kita kekurangan di mana kita katakan sentiasa ada benda baru. Kalau tidak manusia seperti biasalah kalau dia tengok di tempat lain, ada benda baru ada tarikan baru mungkin mereka akan ke negeri lain. Jadi kita perlukan walaupun kita mempunyai benda yang agak unik dekat Perak, tetapi kita kena sentiasa wujudkan benda baru dan cadangan daripada Yang Berhormat-Yang Berhormat ini sangat berharga, bernilai sebenarnya untuk dijadikan sebagai satu panduan kepada mereka terutamanya di pejabat daerah kerana kebanyakan produk kita berada di luar kawasan bandar sebenarnya untuk dibangunkan. Terima kasih.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Exco. Seterusnya saya menjemput Ahli Yang Berhormat dari kawasan Bota untuk mengemukakan soalan, sila.
Terima kasih kepada Timbalan Yang di-Pertua. Nampaknya banjir di Bota makin lama. Soalan saya nombor lima.
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua. Saya akan menjawab soalan daripada Yang Berhormat Bota dan Yang Berhormat Simpang Pulai memandangkan kedua-dua pertanyaan tersebut menyentuh isu yang sama iaitu berkaitan penggunaan rokok dan penggunaan vape atau rokok elektronik. Menjawab soalan pertama. Yang Berhormat Bota, Jabatan Kesihatan Negeri atau JKN Perak memandang serius berkaitan penjualan produk rokok secara dalam talian dan pelan tindakan bagi mengekang aktiviti ini. JKN Perak akan terus menjalankan penguatkuasaan secara menyeluruh dan bersepadu bersama agensi-agensi berkaitan seperti Pihak Berkuasa Tempatan untuk menguatkuasakan pelesenan, penjualan produk merokok. Selain itu, aktiviti penguatkuasaan juga dirancang secara bersepadu bersama Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia bagi menguatkuasaan dan pemantauan penjualan produk merokok di atas talian serta lain-lain agensi berkepentingan seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia.
Menjawab soalan B, pihak kerajaan memandang serius berkaitan dengan peningkatan penggunaan produk vape dan elektronik, rokok elektronik. Mesyuarat Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk melaksanakan bahawa tiada lagi pengeluaran lesen jualan vape mulai Januari 2026. Seksyen 10(1) dibaca bersama dengan Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024. Larangan penjualan produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau secara dalam talian. Aktiviti risikan melalui unit risikan negeri dan daerah sentiasa memantau aktiviti penjualan dalam talian atau mana-mana penjualan produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau yang tidak didaftarkan melalui pewartaan Akta 852 merangkumi penguatkuasaan terhadap pendaftaran produk, kawalan terhadap penjualan sama ada kepada orang belum dewasa mahupun kaedah-kaedah penjualan yang ditetapkan serta penguatkuasaan terhadap perilaku masyarakat melalui penguatkuasaan terhadap larangan merokok di kawasan larangan merokok. C, Jabatan Kesihatan Negeri Perak melalui Framework Convention of Stevico Control Putrajaya akan sentiasa mengkaji dan membuat penilaian terhadap peruntukan yang dikhususkan oleh orang belum dewasa melalui peruntukan di bawah Seksyen 53(1), di mana menteri membuat peraturan-peraturan yang boleh memberi manfaat yang menyekat penggunaan vape dan produk merokok terutama kepada OPD atau orang belum dewasa.
Perundangan di bawah Seksyen 15(1)(F) Akta 852 atau Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 adalah larangan penerbitan iklan produk merokok yang bertujuan atau berkemungkinan untuk menggalakkan seseorang untuk merokok. Ini termasuk larangan membuat iklan yang mengandungi produk tembakau, bahan merokok atau jenama produk tersebut serta larangan promosi produk sebagai produk berhenti merokok. Bagi menjawab soalan Yang Berhormat Simpang Pulai. National Health City Survey atau NHMS 2023 melaporkan bahawa prevalens merokok dalam kalangan pelajar adalah 6.2% atau 2078 pelajar dan prevalens penggunaan vape adalah 14.9% atau 4995 pelajar dengan 20% daripadanya adalah pelajar lelaki dan 8.9% merupakan pelajar perempuan. Kajian sama juga mengganggarkan hampir 65.7% pelajar yang merokok telah merokok sebelum umur 14. Selain itu, Kajian Global Art Adult Tobacco Survey atau GATS yang dijalankan pada tahun 2023 dalam kalangan individu berumur 15 tahun dan ke atas mendapati seramai 4.8 juta atau 19% rakyat Malaysia adalah perokok dengan kadar perokok semasa adalah 35 kali lebih tinggi daripada kalangan lelaki berbanding dengan wanita, manakala kajian yang sama juga mendapati bahawa 5.8% atau 1.4 juta rakyat Malaysia merupakan penggunaan vape.
Kerajaan negeri mengambil maklum kebimbangan terhadap peningkatan penggunaan rokok elektronik atau vape yang memberi kesan buruk kepada kesihatan awam. Dalam mempertimbangkan pelaksanaan larangan lesen penjualan vape di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Kesihatan Negeri telah meneliti dapatan daripada Global Adult Tobacco Survey dan National Health & Morbidity Survey yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Dapatan juga dapatan kajian juga menunjukkan peningkatan penggunaan rokok elektronik di Malaysia serta risiko ketagihan nikotin yang tinggi. Penggunaan produk ini turut dikaitkan dengan pelbagai kesan buruk terhadap kesihatan paru-paru dan sistem kardiovaskular.
Dari sudut ekonomik, penggunaan produk tembakau dan nikotin termasuk vape menyumbang kepada peningkatan kos rawatan penyakit tidak berjangkit yang ditanggung oleh kerajaan. Selain itu, Kerajaan Negeri turut mengambil kira laporan daripada Polis Diraja Malaysia berhubung kes-kes tangkapan berkaitan dengan penjualan dan penyalahgunaan bahan melibatkan cecair vape di negeri Perak. Keadaan ini menimbulkan kebimbangan terhadap risiko penyalahgunaan bahan terlarang melalui saluran vape. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri sentiasa menilai dari semasa ke semasa impak kesihatan, sosial, ekonomi dan keselamatan awam berkaitan penggunaan serta penjualan vape dan rokok elektronik. Justeru, Kerajaan
Negeri mengambil pendekatan cegah sebelum parah dengan melaksanakan langkah-langkah kawalan yang bersesuaian dengan melindungi kesihatan dan kesejahteraan rakyat negeri Perak. Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia sentiasa melakukan pemantauan secara berterusan dan akan mengambil tindakan undang-undang di bawah Seksyen 10(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam atau Akta 852 terhadap kesalahan yang melibatkan penjualan secara talian melalui aktiviti risikan, melalui unit risikan negeri dan daerah. Unit tersebut sentiasa memantau aktiviti penjualan dalam talian atau mana-mana penjualan produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau yang tidak didaftar. Aktiviti risikan akan di bawah bidang kuasa KKM secara berterusan dilakukan dengan kerjasama daripada lain-lain agensi serta jabatan dipergiatkan serta tindakan undang-undang di bawah seksyen 40 (1) Akta 852 terhadap kesalahan yang melibatkan penjualan secara dalam talian. Pihak kerajaan juga berbesar hati agar mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan dengan ketidakakuran Akta 852 boleh menyalurkan kepada JKN Perak untuk tindakan selanjutnya bagi mengekang kejadian ini. Terima kasih.
Soalan tambahan.
Terima kasih kepada Timbalan Yang di-Pertua. Soalan tambahan saya, apakah inisiatif yang telah dilakukan oleh KKM kepada mereka yang ingin dan tidak mahu merokok, yang mahu quit merokok dan bagaimanakah kejayaan program-program inisiatif pemulihan yang dilakukan oleh kementerian khususnya pada tahun 2025 ini?
Terima kasih Yang Berhormat Bota. Pada tahun 2025, pelbagai aktiviti advokasi dan saringan berkaitan rokok telah dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Perak merangkumi aktiviti di institusi pengajian tinggi awam, sekolah, masjid, kompleks membeli-belah, jabatan kerajaan dan komuniti melibatkan keseluruhan 32,728 peserta. Di antara program-program advokasi yang dijalankan adalah program advokasi bahaya merokok dan kawasan larangan merokok. Program Jom Berhenti Merokok, Advokasi Rumah Bebas Asap Rokok, Kempen mQuit Masjid, Kempen Bahaya Merokok sempena nafas baru bermula Ramadhan dan aktiviti ceramah dan pameran kesihatan melibatkan remaja atau pelajar sekolah dalam pengambilan vape dan rokok serta risiko kepada kesihatan. Melalui pelaksanaan program-program ini, sejumlah 1897 individu telah menjalankan saringan merokok dan daripada jumlah tersebut seramai 357 orang telah dikenalpasti bermotivasi untuk berhenti merokok dan seterusnya dirujuk ke klinik berhenti merokok bagi intervensi lanjut. Jabatan Kesihatan Negeri Perak tidak menjalankan pemantauan secara langsung terhadap bilangan perokok secara rutin di negeri kerana prevalens merokok hanya ditentukan melalui kajian National Health Morbidity Survey yang dijalankan setiap empat tahun sekali. Data NHMS menunjukkan bahawa terdapat penurunan prevalens merokok di negeri Perak daripada 23.8% pada tahun 2019 kepada 21.5% pada tahun 2023. Walau bagaimanapun, program-program advokasi saringan dan rujukan ke Klinik Berhenti Merokok yang dilaksanakan di negeri Perak menunjukkan penglibatan masyarakat yang positif ke arah mengurangkan tabiat merokok dalam jangka panjang. Terima kasih.
Terima Kasih Yang Berhormat Exco. Sekarang saya menjemput Ahli Yang Berhormat dari kawasan Malim Nawar untuk mengemukakan nombor soalan.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Seri Speaker. Soalan Malim Nawar. Soalan Nombor 6.
Terima Kasih Dato’ Seri Yang di-Pertua. Terima kasih kepada Malim Nawar kerana tanyakan soalan berkenaan tapak pelupusan sampah. Jadi untuk makluman Yang Berhormat, berhubung soalan mengenai status pelan pembangunan tapak pelupusan baharu di Kampar, sukacita saya menjelaskan bahawa buat masa ini kerajaan negeri belum merancang untuk membuka tapak pelupusan yang baru di daerah tersebut. Ini kerana tapak pelupusan yang sedia ada di bawah Majlis Daerah Kampar masih mempunyai jangka hayat sehingga tahun 2040 dan dengan kadar pelupusan harian sekitar 60 hingga 70 metrik tan pada masa ini masih dalam kapasiti pengurusan semasa. Hala tuju Kerajaan Negeri pada hari ini bukan lagi untuk menambah atau membuka tapak baharu tetapi lebih kepada memanjangkan tempoh hayat tapak yang ada melalui beberapa pendekatan yang utama termasuk mengurangkan sisa di punca-punca termasuk kempen pengasingan sisa dan pengurangan sisa pepejal dan kedua memperkukuh ekonomi kitaran di mana lebih banyak bahan dinilai semula sebagai sumber dan bukan sampah sekaligus mengurangkan jumlah sisa yang perlu ditanam. Ketiga, memanfaatkan teknologi dan kaedah rawatan sisa-sisa moden untuk mengurangkan kebergantungan pada kaedah penimbusan tanah dan dengan strategi ini fokus kita adalah untuk memastikan bahawa tapak pelupusan yang sedia ada dapat digunakan dengan secara lestari dan tidak perlu membuka tapak baharu lagi selagi kapasiti masih mencukupi.
Bagi jawab soalan tentang Waste to Energy, untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri dan juga Majlis Daerah Kampar sentiasa bersikap terbuka terhadap penggunaan teknologi rawatan sisa moden termasuk Waste to Energy iaitu WTE. Pihak PBT dari masa ke masa menerima kunjungan dan mengadakan perbincangan dengan syarikat-syarikat yang menawarkan teknologi berkenaan. Pada peringkat negeri, Jawatankuasa Pengurusan Sisa Pepejal Negeri Perak juga baru-baru ini telah mengadakan lawatan penanda aras ke negeri Terengganu untuk meneliti model WTE yang sedang dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Kemaman. Ini merupakan sebahagian usaha kerajaan dalam mengeksplorasi pilihan teknologi yang lebih mampan. Namun begitu, memandangkan pelaksanaan WTE memerlukan kos yang tinggi dan ini turut menjadi kekangan utama bagi PBT termasuk Majlis Daerah Kampar. Sehubungan itu, negeri dan PBT kini sedang meneliti opsyen pembiayaan alternatif seperti PFI, PPP, atau kerjasama strategik lain supaya teknologi ini dapat dipertimbangkan secara lebih realistik. Jadi kesimpulannya, pendirian kita terbuka dan progresif tetapi pelaksanaan perlu disesuaikan dengan kemampuan kewangan serta keberkesanan jangka panjang bagi PBT dan juga negeri.
Untuk makluman Yang Berhormat bagi soalan pecahan C, bagi memastikan pengurusan sisa pepejal tidak menjejaskan kesihatan awam dan alam sekitar Majlis Daerah Kampar melaksanakan pendekatan yang lebih tersusun dan berfokus kepada kebersihan, pematuhan dan pengurusan sisa secara berhemah. Ini termasuk pertama dari sudut operasi harian, kutipan sampah domestik dijalankan secara konsisten iaitu
3 kali seminggu di kawasan perumahan dan setiap hari di kawasan perniagaan. Ini penting untuk mengelakkan longgokan sisa yang boleh mengundang bau, vektor penyakit dan masalah kebersihan. Kedua, untuk sisa pukal dan di kawasan luar bandar, Majlis menyediakan jadual kutipan bulanan serta meletakkan kemudahan seperti Leach bin dan robin di kampung-kampung tradisi supaya sisa tidak dibuang merata dan tidak mencemarkan persekitaran.
Ketiga, elemen penguatkuasaan turut diperkukuh. Di mana majlis menjalankan pemeriksaan rutin di kawasan pembuangan sampah haram dan mengeluarkan kompaun sehingga RM1,000.00 kepada pesalah selain memasang papan tanda dan membuat rondaan bagi mencegah pembuangan sampah secara tidak terkawal dan keempat sejajar dengan dasar negeri dan juga KPKT ke arah ekonomi kitaran majlis turut menggalakkan penduduk mengurangkan sisa di punca melalui program kitar semula bulanan melibatkan minyak masak terpakai, e-waste dan sebagainya. Jadi secara keseluruhan, kombinasi kekerapan kutipan sampah yang konsisten, kemudahan pembuangan yang teratur, penguatkuasaan, tegas dan juga usaha pengurangan sisa di punca adalah antara langkah utama bagi memastikan pengurusan sisa di kawasan Kampar tidak memberi kesan buruk kepada kesihatan mahupun alam sekitar. Terima kasih.
Malim Nawar.
Terima kasih YB. Exco di atas jawapan. Soalan tambahan saya, Dato’ Seri Speaker adalah berapakah tapak sisa pepejal di negeri Perak dan juga kos operasinya. Terima kasih.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Malim Nawar. Untuk makluman Yang Berhormat setakat ini terdapat sebanyak 16 tapak pelupusan sisa pepejal di seluruh negeri Perak yang terdiri daripada 1 tapak pelupusan sisa pepejal sanitari tahap 4 di bawah MBI dan juga 1 tapak pelupusan sisa pepejal tahap sanitari. Kedua di bawah Majlis Daerah Batu Gajah, sebuah insinerator Teluk Cempedak di Pulau Pangkor di bawah seliaan Majlis Perbandaran Manjung dan juga 13 tapak pelupusan sisa pepejal terbuka iaitu open dumping dengan izin oleh PBT- PBT yang lain. Jadi setakat ini untuk tahun 2025 setakat bulan Ogos, jumlah kos operasi untuk 16 tapak pelupusan sampah ini adalah telah mencecah sebanyak RM10 juta, jadi ini memang merupakan satu jumlah kos yang tinggi, beban kewangan yang tinggi bagi PBT mahupun Kerajaan Negeri. Itu sebab kita juga banyak adakan usaha supaya tapak pelupusan sampah ini dapat diuruskan dengan lebih baik untuk panjangkan tempoh hayat penggunaan supaya kita dapat mengurangkan kos ini disamping memastikan kawasan alam sekitar yang lebih bersih dan sentiasa terjamin.
Dato' Seri Speaker, Manjoi.
Alor Pongsu.
Manjoi.
Saya nampak Alor Pongsu.
Alor Pongsu sudah tadi, bagi Manjoi pula kot.
Terima kasih YB Dato' Speaker.
Bagi Manjoi peluang pula kot.
Takpe takpe Manjoi nanti boleh bangkitkan dalam perbahasan.
Ini penting juga Dato’ Seri. Tadi Alor Pongsu dah dapat.
Takpe…takpe…takpe. Bagi Alor Pongsu, last.
Terima kasih YB Dato' Seri Speaker, saya nak mewakili rakan-rakan semua nak ucap tahniah pada Dato' Seri kita dah bergelar Dato' Seri dan dua rakan Exco kita yang dah bergelar Dato', dua orang.
Soalan?
Takpe nak ucap tahniah dulu sapa pun ucap tahniah. Ok saya tak berapa selesa dengar apa yang Exco cakap tadi, bila sebut tentang pelupusan sampah saya tengok negeri Perak ini macam dah jauh ke belakang. Negeri lain banyak dah menggunakan teknik-teknik moden dan sebagainya. Saya tahu kekangan yang dihadapi oleh PBT-PBT ini, semua bertumpu kepada masalah duit jadi tentang kesejahteraan rakyat dengan collection yang kita dengar dulu, tahun lepas rasanya collection negeri dah naik RM10 juta ini sikit sangat YB Exco. Jadi saya nak tanya, harap-haraplah dalam bajet yang baru ni peningkatan akan berlaku untuk kita mengakhiri masalah-masalah pelupusan sampah ini dan saya nak tanya juga berapa kawasan daripada enam belas (16) yang YB Exco sebut tadi itu yang dah guna cara moden ini, kita ni dah kuno sangat YB Exco.
Manjoi sambung sikit Dato' Speaker, Dato’ Seri boleh? Sikit je sambung.
Last Manjoi last,
Terima kasih Dato' Seri Speaker yang saya kasihi.
Terus kepada soalan.
Berkenaan dengan isu berkaitan dengan sampah ini saya nak maklum pada YB Exco. Isu pembuangan sampah haram di sekitar bahu Jalan Seramik Chepor 11/5 berhampiran kawasan kilang, saya bangkit di sini kerana laluan ini merupakan laluan utama penduduk setempat dan longgokan sampah di bawah jalan ini mengganggu pengguna yang mengguna jalan ini dan isu yang saya untuk Speaker fikir terlibat sekali dalam satu taskforce dan kuasa peringkat negeri. Isu anjing liar ini bila sampah ini dibiarkan dan di tempat ini sangat kurang MBI turun untuk selesaikan, bukan salah MBI tetapi disebabkan mungkin disebabkan faktor tersebut, faktor tempat itu jauh ke dalam kawasan kilang. Tetapi masalah tempat itu telah menyebabkan kawasan-kawasan taman sekitar itu terkesan. Bila anjing itu banyak di sekitar tersebut.
YB, soalannya?
Soalannya Dato' Seri, dia kawasan yang terkena adalah Desa Chemor Setia, Desa Chemor Impian, Desa Chemor Sejahtera, Desa Chemor Seri Kuang, Desa Chemor Makmur, Taman Chepor Damai dan Taman Chepor Impian. Lebih kurang sepuluh taman yang terlibat. Soalan saya, adakah peringkat YB Exco dan Kerajaan Negeri, adakah perancangan Kerajaan Negeri untuk kita menambah penggunaan kamera CCTV? Atau sistem pemantauan di kawasan hotspot seperti ini? Adakah kita ada pelan tersebut? Dan kedua bagi saya, jika boleh Kerajaan Negeri di peringkat Exco kita cadangan yang daripada Manjoi adakah kita perlu, saya cadang jika boleh kita adakan pelaporan terbuka ataupun open data. Adakah Kerajaan Negeri bersedia mewujudkan laporan suku tahunan terbuka ataupun open report berkaitan status pembuangan sampah haram, kutipan kompaun dan penyelesaian tapak untuk memastikan kelulusan kepada rakyat. Bila rakyat nak tahu, rakyat just buka laporan tersebut dan rakyat akan dapat laporan daripada kerajaan negeri. Terima kasih YB Exco, terima Dato' Seri Speaker.
Terima kasih, ok Exco sila jawab. Terima kasih.
Terima kasih, untuk jawab soalan tambahan daripada Yang Berhormat Alor Pongsu. Ya, mungkin bagi Alor Pongsu RM10 juta itu jumlah yang sedikit. Walau bagaimanapun dengan adanya opsyen teknologi pada hari ini memang kita harap dengan pelbagai usaha yang sedang dijalankan di peringkat negeri mahupun PBT. Contoh penyediaan perkhidmatan yang berkala dan usaha untuk jalankan kempen supaya untuk kita kurangkan sisa di punca dan sebagainya. Memang harapan besar kita supaya tapak pelupusan yang ada pada hari ini dapat terus dipanjangkan tempoh hayat supaya tiada keperluan untuk kita membuka kawasan yang baru dan beban sampah yang perlu dilupuskan semakin kurang. Tapi ini, semua usaha ini juga sangat-sangat bergantung kepada kerjasama, kesedaran masyarakat dan sebagainya. Kalau sekian lama walaupun pelbagai perkhidmatan dan juga kempen kesedaran telah dijalankan masih kita hadapi isu-isu yang sangat asas. Contohnya longgokan sampah haram, cara pembuangan sampah yang tidak ikut peraturan dan sebagainya. Memang kita susah nak pergi jauh apabila isu-isu yang asas masih tidak dapat diselesaikan.
Jadi memang saya harap semua Ahli-ahli Yang Berhormat juga boleh kerjasama dengan PBT dan Kerajaan Negeri dan agensi yang berkenaan supaya kita terus gerakkan kempen kesedaran untuk kita selesaikan isu-isu buang sampah dengan cara yang betul. Itu walaupun sesuatu yang saya kira sesuatu yang kita diajar mulai sekolah mulai kita kecil lagi, tetapi malangnya sampai hari ini masih isu-isu cabaran yang kita hadapi di lapangan. Jadi kita harap dengan kesedaran yang ada, dengan kerjasama yang ada dan perkhidmatan yang semakin kita cuba untuk menambah baik. Kita dapat kurangkan jumlah kutipan sampah yang perlu di buang ke tapak pelupusan dan pada masa yang sama juga kita banyak usaha untuk sedang kita lihat apakah option - option teknologi yang ada. Sebagai contoh, di tapak pelupusan di bawah MBI telah ada projek untuk Waste to Energy untuk biogas dan di Majlis Perbandaran Manjung juga projek Waste to Energy dalam proses pembinaan dan fasa terakhir di mana kita jangka akan bermula operasi dalam masa terdekat. Jadi ini juga antara usaha yang sedang dijalankan. Bagi PBT yang lain juga kita sedang lihat apakah option untuk penggunaan teknologi yang ada supaya dapat bantu kita untuk menguruskan sampah-sampah dan juga menguruskan tapak pelupusan sampah dengan lebih berkesan dan supaya kita tidak perlu lagi menghabiskan banyak peruntukan untuk urusan sampah ini.
Untuk isu aduan sampah di kawasan perindustrian yang dibangkitkan oleh oleh Yang Berhormat Manjoi. Saya ambil maklum dan secara dasarnya sekarang memang PBT banyak cuba untuk gunakan. Bukan sahaja rondaan, kompaun, penguatkuasaan juga penggunaan CCTV di mana di bawah kerangka besar bandar pintar. Memang CCTV itu sesuatu usaha yang kita nampak memang berkesan di kawasan bawah MBI juga beberapa isu sampah longgokan sampah haram sebelum ini nampaknya berjaya diselesaikan apabila di penggunaan CCTV ditambah dengan rondaan, penguatkuasaan dan sebagainya. Jadi saya ambil maklum dan saya rasa isu-isu seperti ini juga kita boleh manfaatkan platform termasuk Jawatankuasa Pembangunan Tindakan Daerah, di mana Ahli-ahli Berhormat semua terlibat boleh bangkitkan dalam platform itu supaya dapat diambil perhatian oleh PBT dan agensi yang berkenaan supaya tindakan segera dapat diambil dan saya juga akan pastikan isu yang dibangkitkan itu akan diambil perhatian dan tindakan. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Exco. Terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat. Dengan ini maka tamatlah sesi soalan lisan pada hari ini. Setiausaha Dewan, sila bacakan aturan urusan mesyuarat yang seterusnya.
Membawa Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2026Bill
Perkara yang kelima, membawa Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2026.
Yang Berhormat Dato' Seri Yang di-Pertua, saya mohon izin mengemukakan Enakmen Perbekalan 2026 dibaca bagi kali pertama.
Bila bacaan kali kedua?
Dalam mesyuarat ini juga.
Sekarang saya menjemput Setiausaha Dewan untuk mengedarkan notis bacaan kali yang kedua sebagaimana dinyatakan di dalam Perintah Tetap 57 (1).
[EDARAN NOTIS BACAAN KALI KEDUA]
Sila Yang Amat Berhormat Menteri Besar.
Terima kasih Yang Berhormat Dato' Seri Yang di-Pertua. Yang di-Pertua, saya mohon izin mengemukakan Rang Undang-Undang yang bernama Suatu Enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2026 dan bagi memperuntukkan jumlah wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun Itu sekarang dibaca bagi kali kedua. Dato' Seri Yang di-Pertua, memandangkan bahawa Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2026 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2026 yang dibentangkan sebagai Kertas Dewan Bil. 26/2025 adalah berkaitan, saya mohon izin mengusulkan bahawa Dewan ini mengambil ketetapan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2026 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan Negeri 2026 hendaklah dibahas dengan sekaligus. Dato' Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan.
Sokongan?
Dato' Seri Yang di-Pertua, Pasir Pinji menyokong.
Sekarang saya mempersilakan Yang Amat Berhormat Menteri Besar membentangkan Belanjawan 2026 Negeri Perak Darul Ridzuan.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Salam Sejahtera. Salam Malaysia Madani dan Salam Perak Sejahtera 2030. Uzubillahi minashsyaitonirrojim. Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillahi rabbil Alamin Wassolatu wassalamu ala Sayyidil Mursalin wa imami Al-Muttaqin wa ala alihi Wasahbihi Ajmain. Yang Berhormat Dato' Seri Yang di-Pertua, Ahli-ahli Yang Berhormat, anggota-anggota Pentadbiran Kerajaan Negeri, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian. Pembentangan Bajet ini mengandungi 185 paragraph dalam 66 mukasurat. Insha Allah mengambil masa 1 jam 45 minit, Dato' Seri Yang di-Pertua. Mudah-mudahan semua orang dapat bersabar dan tekun mendengarnya terutama di paragraf yang terakhir.
Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan kehadrat Allah s.w.t. Tuhan yang melimpahkan hikmah pada setiap perancangan, meniupkan harapan pada setiap langkah kemajuan. Atas rahmat dan izin-Nya jua, kita sekali lagi dihimpunkan di Dewan yang mulia ini bagi menunaikan sebuah amanah yang besar iaitu Pembentangan Belanjawan Negeri Perak 2026. Selawat serta salam yang tulus kita panjatkan kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW insan yang diutus sebagai pembawa risalah tauhid, rahmat yang meliputi seluruh alam. Moga limpahan kasih Baginda menyertai setiap langkah dan ikhtiar kita. Moga sunnah dan bimbingannya terus menjadi pelita yang menerangi perjalanan umat di sepanjang aliran masa.
Pada hari yang dipohon kemuliaan ini, Dewan ini dengan hormat dan takzim merafak sembah dan setinggi-tinggi ucapan tahniah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Baginda bagi tahun 2025. Dirgahayu Tuanku. Dipohonkan ke hadrat Allah s.w.t agar dikurniakan kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku, kesihatan yang tiada bertepi, rahmat yang tiada bersela, dan keampunan yang tiada bersempadan. Serta segala ihsan yang melimpah kepada Raja Ilmuan yang memayungi negeri dengan hikmah pada setiap Titah.
Saya teruskan warkah pembentangan ini dengan memetik firman Allah s.w.t di dalam Surah al-Qasas ayat 77 yang bermaksud
"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah s.w.t Kepada Mu akan pahala dan kebahagiaan hari Akhirat. Dan janganlah engkau melupakan bahagianmu iaitu keperluan dan bekalanmu dari dunia. Dan berbuat baiklah kepada hamba-hamba Allah s.w.t sebagaimana Allah s.w.t berbuat baik kepadamu dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah. Dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi ini. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang orang yang berbuat kerosakan".
Ayat ini menggariskan hikmah bahawa kekayaan kurniaan Allah SWT bukan semata-mata rezeki yang harus disyukuri tetapi amanah yang wajib dipelihara. Maka Belanjawan yang dibentangkan ini menimbang setiap perbelanjaan mengikut neraca akal dan budi, memelihara yang dekat, menyantuni yang jauh dan mengelakkan segala bentuk kebinasaan. Ia tidak hanya hamparan angka dan rekod kira-kira. Bukan juga helaian yang sarat dengan unjuran formula dan disiplin fiskal semata-mata tetapi adalah naskhah nurani. Suatu amanat yang mengungkap nilai, suatu tekad yang merakam sejarah dan ikrar luhur yang memeterai hubungan antara kerajaan dan rakyat jelata.
Yang Berhormat Dato' Seri Yang di-Pertua, seterusnya saya mohon izin untuk membawa Usul seperti berikut. Pertama, mengusulkan bahawa Rang Undang-Undang yang dinamakan Suatu Enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2026 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun Itu dibaca bagi kali kedua. Kedua, mengusulkan butir-butir dalam penyata yang dibentangkan sebagai Kertas Dewan Bil. 26/2025 adalah dengan ini diumumkan menjadi tujuan yang mana Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966 itu boleh digunakan. Bahawa perbelanjaan sejumlah wang RM568juta yang ditunjukkan dalam penyata tersebut adalah dengan ini diluluskan bagi tahun 2026. Seterusnya, jumlah wang yang ditunjukkan berhadapan dengan tiap-tiap butir dalam penyata itu adalah dengan ini diperuntukkan bagi maksud-maksud yang ditetapkan.
Yang Berhormat Dato' Seri Yang di-Pertua, Senario Ekonomi Negeri. Dalam landskap ekonomi dunia yang sarat dengan ketidakpastian, dari krisis geopolitik yang meruncing hingga pasaran global yang bergerak tanpa arah, Perak tidak boleh tenggelam dalam gelora ketidaktentuan. Sebaliknya, negeri ini mesti diurus sebaiknya agar dapat berdiri teguh memanfaatkan kestabilan pentadbiran, kebijaksanaan dasar dan kekuatan ekonomi rakyat yang menjadi nadi daya tahannya.
Keteguhan ini terpancar jelas pada prestasi ekonomi Negeri. KDNK Perak yang mencatat pertumbuhan 2.7% pada tahun 2023 melonjak kepada 4.4% pada tahun 2024. Suatu petunjuk bahawa ekonomi negeri terus bergerak dalam landasan yang kukuh. Dari segi nilai KDNK meningkat kepada RM86.2bilion berbanding RM82.6bilion pada tahun sebelumnya. Angka-angka ini membuktikan bahawa meskipun dunia berhadapan tekanan inflasi, risiko kemelesetan dan ketidaktentuan global, Perak tetap berjaya mengekalkan momentum pertumbuhan yang stabil, diyakini pelabur sekaligus memberi limpahan manafaat kepada rakyat. Ketika menyampaikan sembah taat setia sempena Istiadat Hari Keputeraan Paduka Seri Sultan Perak pada 9 November yang lalu, saya menyembah maklum kepada Tuanku mengenai prestasi pelaburan negeri Perak yang berjumlah RM6.25 bilion setakat Jun 2025. Pun begitu, angka terkini Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menyebut sehingga September lalu, jumlah ini sudah pun meningkat kepada RM 11.77 bilion melibatkan 303 projek strategik dan mampu membuka 9,127 peluang pekerjaan untuk rakyat. Lonjakan ini amat mengesankan. Nilai pelaburan meningkat 74% manakala penjanaan pekerjaan melonjak 188% berbanding tempoh yang sama pada tahun 2024. Pencapaian ini menegaskan bahawa Perak kini tampil sebagai sebuah negeri yang semakin kukuh kedudukannya dalam peta pelaburan negara diperkukuh oleh ekosistem perniagaan yang kompetitif, dasar yang konsisten serta keyakinan pelabur yang terus bertambah.
Yang Berhormat Dato' Seri Yang di-Pertua, Prestasi Belanjawan Negeri 2025. Dalam beberapa tahun yang penuh gejolak terutamanya antara 2019 hingga 2021, kewangan negeri diuji dengan cabaran yang bukan kepalang. Namun, dengan disiplin fiskal yang tegas dan pengurusan kewangan yang berhemat, Perak terus berdiri kukuh meskipun ada pihak yang cuba menggambarkan keadaan sebaliknya. Hakikatnya, negeri ini telah membuktikan keupayaannya untuk mengurus sumber secara bertanggungjawab. Daripada mencatat defisit RM 78 juta pada tahun 2020 dan defisit RM 6.59 juta pada tahun 2021, negeri ini kembali mencatat lebihan atau surplus untuk tiga tahun berturut-turut. RM 29.6 juta pada tahun 2022, RM 62.4 juta pada tahun 2023 dan RM 45.6 juta pada tahun 2024. Pencapaian ini mengesahkan bahawa disiplin tatakelola dan kecekapan pentadbiran adalah kekuatan sebenar Perak dalam mendepani apa jua cabaran ekonomi dan Insha Allah kita berada pada landasan yang betul untuk merekodkan surplus buat kali keempat berturut-turut. Ini kerana kita sekali lagi merekodkan sejarah apabila pada seawal 30 September 2025 yang lalu, Kutipan hasil negeri sudah pun melepasi angka RM 1 bilion. Sesuatu yang membuktikan kedudukan fiskal negeri kian mengukuh.
Alhamdulillah dengan penuh rasa syukur ke hadrat Allah SWT, sukacita saya mengumumkan bahawa setakat semalam 24 November 2025, pukul 12.00 tengah malam saya mendapat angka terakhir. Kerajaan Negeri telah pun berjaya merekodkan kutipan hasil dan terimaan pembangunan sebanyak RM 1.24 bilion. Bukti kita semakin gagah dalam membina kekuatan masa hadapan. Maka saya mengambil kesempatan ini mengucapkan syabas dan tahniah khususnya Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri, Pejabat-pejabat Daerah dan Tanah, Pejabat Kewangan Negeri dan lain-lain agensi yang terlibat atas kesungguhan dan kerja keras memastikan jentera hasil negeri berfungsi dengan cekap dan bermaruah. Saya juga bersyukur ikhtiar yang berterusan untuk pelaksanaan projek-projek infrastruktur rakyat juga mendapat kerjasama yang sangat baik dari Kerajaan Persekutuan.
Sukacita saya memaklumkan di dewan yang mulia ini, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan sebanyak 466 projek kepada negeri Perak di bawah Rolling Plan Pertama Rancangan Malaysia Ke-13 yang keseluruhannya bernilai RM 1.8 bilion. Jumlah ini adalah peningkatan besar berbanding peruntukan RM 1.7 bilion pada Rolling Plan Kelima tahun 2025, sekali gus memberi isyarat jelas bahawa agenda pembangunan negeri Perak diangkat sebagai sebahagian daripada keutamaan-keutamaan nasional.
Antara projek-projek yang terlibat; pertama RM 2.5 bilion bagi Projek Pembinaan Jalan Baharu dari Lebuh Raya Utara Selatan PLUS di KM 178.3 ke Simpang Pembangunan KIGIP Daerah Kerian. Yang kedua, RM 124.7 juta bagi Pembangunan Infrastruktur Taman Industri Halal Perak atau Perak HIP di daerah Manjung. Yang ketiga RM 85 juta bagi Pembinaan Baharu Sekolah Kebangsaan Chandan Puteri Daerah Kuala Kangsar yang mengandungi 24 bilik darjah dan kemudahan-kemudahan lain mengikut piawaian. Yang keempat, RM 59.2 juta bagi pembinaan Klinik Kesihatan (Jenis 2) Tanjong Rambutan Daerah Kinta. Yang kelima RM 37.9 juta bagi Rancangan Tebatan Banjir Sungai Trong, Daerah Larut, Matang dan Selama. Yang keenam RM 15 juta bagi perolehan tanah tapak Sekolah kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Malim Prima daerah Muallim. Yang ketujuh, RM 5juta bagi kerja-kerja awalan Projek Menaik taraf Laluan FT 100 (Seksyen 10.4) ke Laluan FT3145, Pelabuhan Lumut (Seksyen 5.4) daerah Manjung fasa lima Tanjong Malim-Pelabuhan Lumut dan yang kelapan RM5 juta bagi kerja-kerja awalan pembinaan lorong tambahan Lebuh utara selatan PLUS dari persimpangan bertingkat Slim River hingga ke persimpangan Ipoh Selatan.
Yang Berhormat Dato' Seri Yang di-Pertua, masuk ke Belanjawan Negeri Perak 2026. Tema & Fokus Belanjawan. Belanjawan Negeri Perak 2026 dirangka bagi memastikan agenda Perak Sejahtera 2030 terus bergerak ke hadapan dengan penuh daya dan keteguhan memakmurkan negeri, mensejahterakan rakyat berasaskan dasar yang berpandangan jauh dan keberanian untuk menapak jauh kehadapan. Bagi merealisasikan usaha tersebut, belanjawan negeri tahun 2026 telah dirangka berdasarkan unjuran hasil dan terimaan pembangunan yang mencecah angka RM 1.518 bilion iaitu peningkatan sebanyak RM 80 juta berbanding belanjawan 2025. Jumlah ini terdiri daripada hasil cukai RM 691 juta, hasil bukan cukai RM 559 juta, terimaan bukan hasil RM 230 juta dan terimaan pembangunan RM 38 juta. Trend kutipan hasil dijangka akan terus meningkat selaras dengan pertumbuhan positif sektor ekonomi yang menyumbang kepada kutipan hasil negeri.
Jumlah keseluruhan perbelanjaan bagi tahun 2026 dianggarkan mencecah RM 1.61 bilion iaitu perbelanjaan tertinggi dalam sejarah belanjawan negeri meliputi belanjawan bagi Maksud Mengurus RM 1.045 bilion dan belanja bagi Maksud Pembangunan RM 568 juta. Pecahan komposisi belanja bagi Maksud Mengurus terdiri daripada Emolumen RM 496 juta, Perkhidmatan Bekalan RM 385.9 juta, Pembelian Aset RM 13.9 juta, Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap RM 143.8 juta serta lain-lain perbelanjaan RM 5.9 juta. Peningkatan belanja bagi Maksud Mengurus tahun 2026 telah mengambil kira kenaikan gaji penjawat awam di bawah pentadbiran kerajaan negeri yang memilih Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) fasa dua iaitu kenaikan gaji 7% bagi Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana dan kenaikan 3% untuk Kumpulan Pengurusan Tertinggi berkuat kuasa 1 Januari 2026. Selain daripada kadar kenaikan gaji tahunan.
Belanja bagi Maksud Pembangunan tahun 2026 ditokok dalam jumlah yang besar iaitu RM30 juta, peningkatan 5.6% berbanding peruntukan pembangunan tahun 2025. Peningkatan ini bagi memenuhi keperluan pembangunan dan kebajikan rakyat. Lalu disokong pula oleh kedudukan kewangan Kerajaan Negeri yang positif. Jumlah belanja bagi Maksud Pembangunan RM568 juta ini mencatat rekod sebagai jumlah tertinggi yang pernah diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri. Ini membolehkan pertumbuhan ekonomi negeri terus dipacu. Manakala pembangunan terus dilaksana selari dengan Pelan Perak Sejahtera 2030. Daripada unjuran yang dibentangkan penyata kewangan tahun berakhir 31 Disember 2026 menunjukkan defisit RM95.5 juta. Angka ini tampak besar namun ia adalah pilihan yang terarah dan objektif. Keputusan berani untuk terus melabur pada projek-projek yang bakal memakmurkan negeri dalam jangka masa panjang
Bagi mengekalkan momentum ke arah merealisasikan Pelan Perak Sejahtera 2030, tema Perak Makmur dan Rakyat Sejahtera diteruskan dalam belanjawan negeri tahun hadapan. Tema ini diterjemahkan berteraskan lima fokus utama iaitu
Fokus yang pertama : Kesejahteraan Rakyat Fokus yang kedua : Tadbir Urus Projek Berkepentingan Negeri Fokus ketiga
: Pembangunan Modal Insan dan Belia. Fokus keempat
: Kelestarian Alam Sekitar dan Fokus kelima
: Keterjaminan Bekalan Makanan.
Yang Berhormat Dato' Seri Yang di-Pertua. Fokus pertama KESEJAHTERAAN RAKYAT, dalam merangka pembangunan negeri untuk dekad mendatang, Kerajaan Negeri Perak tetap berpegang teguh pada prinsip bahawa rakyat mesti menjadi nadi segala keputusan setiap dasar yang digubal. Setiap pelaburan yang masuk dan setiap projek yang dilaksanakan harus kembali membawa manafaat kepada kehidupan rakyat marhaen dari kampung hingga ke bandar. Dari desa hingga ke kota. Inilah kompas yang memandu hala tuju pembangunan negeri. Prinsip ini dizahirkan sepenuhnya melalui Pelan Perak Sejahtera 2030, yang menegaskan bahawa kemajuan sebenar tidak hanya terserlah pada angka pertumbuhan ekonomi tetapi pada kualiti kehidupan rakyat yang merasai nikmat kesejahteraan.
Untuk itu, bagi fokus kesejahteraan rakyat, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM718.5 juta bagi tahun 2026 iaitu peningkatan sebanyak RM89.8 juta berbanding belanjawan 2025. Peruntukan yang lebih besar ini mencerminkan komitmen jelas kerajaan untuk memperkukuhkan perkhidmatan rakyat memperluas jaringan kebajikan dan memastikan pembangunan negeri benar benar dirasai oleh setiap lapisan masyarakat. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai antara jentera paling hadapan dalam pelaksanaan Program Kesejahteraan Rakyat akan menerima peruntukan sebanyak RM47.3 juta meningkat sebanyak RM1.4 juta berbanding tahun 2025. Sebahagian besar peruntukkan ini akan dibelanjakan bagi tujuan bantuan am berjumlah RM37 juta.
Kerajaan Negeri juga menyediakan peruntukan mencecah RM32.1 juta untuk melaksanakan empat program kesejahteraan yang sangat akrab dengan kehidupan rakyat marhaen. Program tersebut pertama RM24.5 juta bagi Kad Perak Sejahtera iaitu kenaikan RM0.5 juta dengan jumlah penerima ditingkatkan daripada 19,758 kepada 21,000 ribu orang. Program yang kedua, RM1.2 juta bagi Kedai Bergerak Negeri Perak yang akan dijenamakan sebagai Jualan Sejahtera Rakyat meningkat RM0.4 juta berbanding tahun 2025. Program ke tiga, RM6 juta bagi program Bantuan Kotak Makanan iaitu kenaikan sebanyak RM1 juta dan program yang keempat ialah RM0.4 juta bagi Jualan Sejahtera Rahmah. Pelaksanaan empat program ini menzahirkan komitmen teguh kerajaan negeri untuk terus berada di sisi rakyat yang sedang berdepan himpitan hidup khususnya keluarga B40 yang setiap hari berjuang memastikan dapur tidak terpadam dan keperluan asas anak-anak sentiasa terjaga.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Kediaman yang selesa dan mampu milik merupakan asas kepada kesejahteraan rakyat. Rumah bukan sekadar tempat berteduh tetapi menjadi tonggak kestabilan institusi keluarga. Bagi kebanyakan orang meskipun bagi keluarga yang kurang berkemampuan rumah itu adalah maruah kehidupan. Justeru, dalam Belanjawan Negeri Perak tahun 2026 ini, Kerajaan Negeri menegaskan komitmen untuk memastikan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana berpeluang memiliki tempat tinggal yang selesa, selamat dan berkualiti. Sejajar dengan aspirasi Perak Makmur, Rakyat Sejahtera, Kerajaan Negeri memperkukuhkan agenda perumahan rakyat dengan pendekatan bersepadu meliputi penyediaan rumah mampu milik, pembaikan kediaman usang, bantuan baik pulih rumah golongan miskin serta pembangunan kawasan perumahan baru yang terancang dan inklusif.
Untuk itu, Kerajaan Negeri menyediakan perbelanjaan khusus bagi tujuan berikut RM3 juta bagi program Sayangi Rumahku, RM3 juta bagi Program Pinjaman Rumah Perak Ku Prihatin, RM1.5 juta kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) bagi penyelenggaraan rancangan Perumahan Awam (RBA) dan RM1juta bagi Program Perumahan Rakyat (PPR) oleh LPHP. Syukur Alhamdulillah, ikhtiar kita untuk menyediakan kemudahan perumahan untuk rakyat turut mendapat sebaik-baik dokongan daripada Kerajaan Persekutuan yang meluluskan peruntukan RM317.3 juta di bawah Rolling Plan pertama RMK13 bagi pelaksanaan projek-projek berikut. Pertama RM96 juta bagi Program Residensi Rakyat (PRR) Teluk Intan, Daerah Hilir Perak. Yang kedua RM29.4 juta bagi Program Pembangunan Residensi Prima, Simpang Pulai, Daerah Kinta dan yang ketiga RM191.9 juta bagi Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) Perak.
Yang Berhormat Dato' Seri Yang di-Pertua. Sejak hadir di tengah masyarakat, Program Bas Perak Sejahtera telah menjadi lorong bergeraknya harapan dan impian rakyat di dalamnya tersimpan kisah hidup rakyat. Tempat si ayah menggantung harapan mencari rezeki, tempat si ibu menenangkan anak kecil yang dibawa ke klinik dan tempat anak-anak kampung menumpang impian untuk ke sekolah tanpa terhalang oleh jarak dan kesempitan berbelanja. Bas ini bukan hanya bergerak di atas jalan raya. Ia bergerak di atas doa-doa rakyat yang ingin memperbaiki kehidupan dan kerajaan negeri mahu kemudahan ini menjadi sandaran untuk mereka membina kecerahan masa hadapan bagi menyahut saranan dan harapan rakyat agar program murni ini diperluaskan. Sukacita saya mengumumkan perkhidmatan Bas Perak Sejahtera akan diperluaskan ke daerah Bagan Datuk mulai tahun hadapan dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM3.6 juta.
Inisiatif memperkasa masyarakat luar bandar tidak terhenti di situ bagi mengukuhkan ikhtiar membela dan meningkatkan kualiti hidup penduduk luar bandar. Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan seperti berikut. RM5.3 juta diperuntukkan bagi pelbagai program dan projek luar bandar. RM4.1 juta untuk pelaksanaan pelbagai program serta aktiviti melibatkan 829 kampung tradisional. RM1.2 juta bagi aktiviti pembangunan komuniti orang asli iaitu peningkatan RM0.2 juta yang diselaraskan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli dan RM0.25 juta bagi pelaksanaan satu lagi inisiatif baharu iaitu Pembangunan Garis Panduan Geospatial Negeri Perak untuk persempadanan kampung. Saya dimaklumkan terdapat ramai tok batin tok-batin yang hadir dalam sidang Dewan ini, Dato' Seri Yang di-Pertua.
Alhamdulillah, usaha untuk menambah baik kualiti kehidupan penduduk luar bandar turut mendapat perhatian Kerajaan Persekutuan yang telah meluluskan peruntukan bagi pelaksanaan projek-projek berikut iaitu RM20 juta bagi projek membina, menaiktaraf dan menyenggara jalan perkampungan orang asli negeri Perak. RM30 juta bagi Program Pembangunan Infrastruktur dan Ameniti Sosial di Perkampungan Orang Asli Negeri Perak. RM200 juta bagi menaik taraf jalan dari Seksyen 121, FT76 ke Kampung Pong, Pengkalan Hulu, Daerah Hulu Perak. RM73 juta bagi membina jalan baharu Kampung Teluk Birah ke Kampung Sungai Kerang, Daerah Hilir Perak. RM60 juta bagi membina jalan masuk ke Lorong Haji Yusuf, Kampung Parit 6, Sungai Nipah Baroh dari Jalan Hutan Melintang ke Bagan Datuk (A123). RM82.5 juta bagi Jalan Perhubungan Desa Negeri Perak, Fasa III dan RM6.7 juta bagi menggantikan jambatan di Jalan Raya Kayu, Kampung Kuak Luar, Pengkalan Hulu, Daerah Hulu Perak.
Kerajaan Negeri juga amat menyedari peranan besar yang dimainkan oleh pertubuhan bukan Kerajaan, NGO dalam sektor yang tidak dapat dipenuhi dengan perkhidmatan Kerajaan. Bagi tujuan itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1.6 juta bagi program-program berikut. Pertama, RM1 juta untuk program dan aktiviti badan bukan Kerajaan. RM0.2 juta untuk Pengurusan dan Operasi Kompleks Pengasih Amanjaya Gopeng. RM0.2 juta untuk program Membasmi Penyalahgunaan Dadah kepada Persatuan Mencegah Dadah Malaysia, PEMADAM dan RM0.2 juta untuk Program Menangani Penyalahgunaan Dadah di bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan, AADK.
Yang Berhormat Dato' Seri Yang di-Pertua, banjir masih menjadi igauan yang tidak pernah padam. Terutamanya bagi rakyat di kawasan berisiko. Walaupun peruntukan dinaikkan dari tahun ke tahun dan pelbagai usaha mitigasi digerakkan, tetap ada keluarga yang menanggung bahana bah. Lalu harta benda yang dikumpul sekian lama musnah sekelip mata. Harapan yang digenggam akhirnya luruh begitu sahaja. Setiap kali air melimpah, air mata juga tumpah. Tumpah kerana dihambat rasa kecewa. Tumpah kerana letih berulang-alik ke pusat pemindahan. Tumpah kerana diselubungi rasa bimbang. Entah bila ujian ini benar-benar akan berakhir. Dalam hal ini. Jabatan Pengairan dan Saliran, JPS Perak perlu memperkukuhkan peranan sebagai pertahanan pertama negeri terhadap risiko banjir. Kerajaan Negeri menghargai usaha yang telah dijalankan.
Namun, suka saya mengingatkan diri sendiri dan kita semua bahawa rakyat menuntut tindakan yang lebih proaktif dan lebih menyeluruh. Langkah pencegahan mestilah dipertingkatkan. Mitigasi diperhalusi dan proses pemulihan dipercepat agar setiap amaran cuaca tidak lagi berubah menjadi detik cemas bagi rakyat di kawasan yang berisiko. Untuk itu, JPS akan sekali lagi menerima pertambahan peruntukan iaitu sebanyak RM5.4 juta bagi Belanja Mengurus menjadikan jumlah keseluruhan pada tahun 2026 adalah sebanyak RM116.9 juta. Peruntukan ini melibatkan perincian agihan seperti berikut. RM10.4 juta bagi penyelenggaraan pengurusan rancangan pengairan iaitu peningkatan sebanyak RM0.2 juta. RM11.3 juta bagi penyelenggaraan pengurusan sungai iaitu peningkatan RM0.2 juta. RM9.2 juta penyelenggaraan skim saliran pertanian iaitu peningkatan perpuluhan RM0.2 juta. RM3.6 juta bagi mekanikal dan elektrikal iaitu peningkatan RM0.1 juta dan RM0.9 juta bagi penyelenggaraan, pengurusan kemudahan hidrologi.
Manakala bagi Belanja Pembangunan pula, RM14 juta disediakan kepada JPS bagi pelaksanaan projek-projek berikut. Yang pertama ialah pelbagai projek rancangan tebatan banjir RTB RM7.5 juta iaitu peningkatan sebanyak RM1.5 juta berbanding tahun 2025. Yang kedua, pengurusan sungai dan pantai, RM4 juta. Yang ketiga, saliran pertanian RM1.7 juta. Yang keempat, bangunan dan infrastruktur RM0.2 juta dan yang kelima, RM0.6 juta pula diperuntukkan di bawah EFT. Dalam usaha memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi bencana, Kerajaan Negeri tidak bergerak sendirian. Kita sentiasa berusaha mendapatkan dokongan Persekutuan agar langkah mitigasi dapat dilaksanakan dengan lebih menyeluruh. Melalui libat urus yang berterusan dan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan. Beberapa projek telah pun diluluskan di bawah Rolling Plan Pertama Rancangan Malaysia Ke-13 bagi mengurangkan risiko bencana. Antara projek tersebut termasuklah RM50 juta bagi projek pemuliharaan sungai untuk mengurangkan risiko banjir di negeri Perak. RM49.9 juta bagi projek pemuliharaan Sungai Pelus, Pekan Lintang serta kerja berkaitan di daerah Kuala Kangsar. RM75 juta bagi pembinaan infrastruktur SABO di negeri Perak dan RM10 juta bagi projek pengawalan hakisan pantai di Sungai Tiang Utara, Mukim Rungkup, Daerah Bagan Datuk.
Tinggilah harapan saya supaya dengan peruntukan ini JPS lebih proaktif dalam merancang secara strategik dan teratur supaya masalah banjir besar yang sering menghambat kehidupan rakyat dapat ditangani sebaik-baiknya. Dalam usaha menambah baik persediaan melaksanakan langkah-langkah mitigasi. Sejumlah RM9.97 juta diperuntukkan untuk pelbagai program dan projek di bawah Pejabat Kewangan Negeri. Kerajaan Negeri juga amat memahami suara rakyat tentang keadaan infrastruktur jalan yang masih menimbulkan keluhan saban hari daripada permukaan jalan yang berlubang, kerosakan yang memudaratkan kenderaan hinggalah risiko keselamatan yang meresahkan. Semua pengalaman ini mengingatkan bahawa keselamatan rakyat ialah amanah yang perlu diberi keutamaan dan tindakan yang segera. Maka Kerajaan Negeri dijangka menerima pemberian Kumpulan Wang Amanah Penyenggaraan Jalan. Kumpulan Wang Amanah Penyenggaraan Jalan Negeri atau MARRIS berjumlah RM627 juta untuk menyenggara jalan-jalan yang berdaftar bagi tahun 2026 iaitu peningkatan sebanyak RM15 juta berbanding tahun 2025.
Oleh itu, besarlah harapan saya supaya jabatan-jabatan yang terlibat benar-benar memanfaatkan peruntukan ini dengan lebih berkesan. Memastikan setiap jalan yang layak didaftar di bawah MARRIS direkodkan dengan tepat, disemak secara berkala dan diselenggara mengikut keutamaan kawasan yang paling terkesan. Saya sedar ini tidak mudah. Namun, tindakan lebih pantas, lebih teliti dan lebih bertanggungjawab mesti dibuat demi menjamin keselamatan dan juga keselesaan rakyat. Tambahan daripada itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku jabatan teknikal utama akan menerima peruntukan sebanyak RM250.3 juta pada tahun hadapan. Peningkatan sebanyak RM50.4 juta berbanding tahun 2025. Peruntukan ini meliputi RM105.8 juta di bawah Belanja Mengurus dan RM144.5 juta bagi tujuan pembangunan. Daripada jumlah peruntukan pembangunan tersebut, RM40 juta diagihkan untuk pelaksanaan projek jalan dan jambatan serta RM104.5 juta pula untuk projek bangunan.
Mewakili Kerajaan Negeri, saya turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kerja Raya (KKR) yang meluluskan pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur negeri Perak melalui projek di bawah Rolling Plan Pertama (RMK13) di antaranya ialah RM32.3 juta bagi menggantikan jambatan di Sungai Beruas, Daerah Manjung, RM19 juta bagi menggantikan jambatan di Sungai Sengat, Jalan Simpang Pulai, Lahat, Daerah Kinta dan RM350 juta bagi menaik taraf Lebuh Raya Timur Barat FT4 dari Seksyen 83.74 hingga Seksyen 198.40 di Daerah Hulu Perak.
Yang Berhormat Dato’ Seri Yang di-Pertua, Kesejahteraan sebenar rakyat tidak hanya berdiri di atas pembangunan fizikal semata-mata. Ia menuntut kekuatan rohani yang menjadi tunggak kemuliaan hidup. Kerohanianlah yang mengisi akal dengan hikmah, membimbing jiwa dengan maruah seperti akar yang tidak kelihatan, namun menentukan tegaknya seluruh pohon kehidupan. Meskipun komitmen ini sentiasa dibayangi dengan mehnah dan tohmah, kerajaan negeri tidak pernah berganjak walau sedetik daripada tanggungjawab memelihara dan memartabatkan syiar Islam sebagai agama rasmi negeri ini sekaligus menepis dakyah kononnya Islam sedang dibungkam dan dipinggirkan. Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) sebagai institusi utama dalam menegakkan syiar Islam bukan sahaja menerima pertambahan peruntukan saban tahun, malah melaksanakan program-program kerohanian yang mengangkat kesyumulan Islam terus disuburkan. Daripada pengimarahan masjid, usaha meningkatkan kefahaman fiqh, kuliah mingguan hinggalah inisiatif dakwah yang mengisi jiwa rakyat dengan kesejukan iman.
Jika dalam Belanjawan 2025, JAIPk menerima pertambahan peruntukan RM9.3 juta. Tahun hadapan jabatan berkenaan akan sekali lagi mendapat tambahan peruntukan mencecah RM18.9 juta menjadikan dana keseluruhan bagi JAIPk untuk tahun 2026 adalah sebanyak RM130.8 juta. Peruntukan ini meliputi RM123.9 juta diperuntukkan di bawah Maksud Mengurus bagi tujuan operasi jabatan Institut Tadbiran Islam Perak, pengurusan masjid, Sekolah-Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan serta Sekolah-Sekolah Menengah Agama Negeri. Manakala bagi tujuan Pembangunan, RM6.9 juta disediakan untuk penyelenggaraan enam buah masjid utama negeri, menaik taraf Sekolah-Sekolah Menengah Agama Negeri dan Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan serta menaik taraf Pejabat-Pejabat Agama Daerah.
Begitu juga komitmen jitu kita dalam memartabatkan Jabatan Kehakiman Syariah sebagai penegak hukum dan pemelihara institusi keluarga. Peranan jabatan ini terus diperkasa dengan peruntukan RM18.9 juta iaitu peningkatan sebanyak RM1.5 juta berbanding tahun 2025. Peruntukan ini meliputi RM17.7 juta di bawah Maksud Mengurus manakala RM1.23 juta diperuntukkan di bawah Maksud Pembangunan. RM2.7 juta pula diperuntukkan di bawah Maksud Mengurus kepada Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Perak. Manakala Jabatan Mufti Negeri Perak diperuntukkan RM5.5 juta meningkat sebanyak RM1 juta bagi melaksanakan peranan dan fungsi penting dalam memastikan syiar Islam terus terpancar dalam kehidupan rakyat. Sebagai usaha yang berterusan untuk memperteguh keupayaan institusi-institusi ummah, Kerajaan Negeri meneruskan peruntukan RM15 juta bagi tujuan baik pulih dan bina baharu masjid serta surau manakala RM5 juta pula disediakan bagi program menaik taraf institusi Pendidikan Islam.
Mudah-mudahan peruntukan berterusan ini akan menyuburkan rohani masyarakat, menghidupkan budaya ilmu, memperteguh adab dan akhlak serta menjadikan negeri ini bukan sahaja makmur jasadnya tetapi teguh jiwanya di bawah cahaya hidayah dan keberkatan Ilahi dan Alhamdulillah berkat bumi Perak Darul Ridzuan ini subur dengan majlis ilmu, halaqah dan pengajian Al-Quran, hati kita berbunga bangga atas kejayaan anak muda, Saudara Aiman Ridzwan bin Mohd Ramlan, Qari Negeri Perak yang telah dinobatkan sebagai Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Tahun 2025. Bagi pihak kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan, saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Saudara Aiman Ridhwan yang telah membuktikan keunggulan bakat dan ilmu qiraat anak watan kita. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri berbesar hati memberikan penghargaan dalam bentuk sumbangan wang tunai RM20 ribu kepada Saudara Aiman Ridhwan. Di samping itu, Kerajaan Negeri turut berbesar hati memberikan insentif RM7,000 sebagai mengiktiraf seorang lagi wakil negeri Perak, Saudara Muhammad Adib bin Ahmad Rozaini yang telah mengharumkan nama negeri dengan merangkul Johan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 Kategori 1 hingga 30 juzu’.
Yang Berhormat Dato’ Seri Yang di-Pertua, negeri Perak yang tercinta ini terbina atas dasar muhibah dan perpaduan. Dalam kepelbagaian kaum, budaya dan agama, kita semua bersatu atas tujuan iaitu membina negeri yang makmur, aman dan sejahtera untuk semua rakyat tanpa mengira latar belakang dan kepercayaan. Justeru, kerajaan negeri sentiasa komited untuk memastikan kebajikan dan keperluan rakyat bukan Islam juga turut diberi perhatian yang sewajarnya. Oleh itu, sebanyak RM12 juta disediakan bagi tujuan hal ehwal bukan Islam (HEBI) bagi tahun 2026, RM6 juta disediakan untuk HEBI kaum Cina dan kampung baru Cina manakala RM6 juta lagi disediakan untuk HEBI kaum India dan kampung India serta lain-lain kaum. Di samping itu juga bagi menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum, kerajaan negeri memperuntukan RM0.2 juta bagi pelaksanaan pelbagai program integrasi nasional.
Bagi meneruskan usaha memupuk gaya hidup sihat seperti yang turut digariskan dalam Pelan Perak Sejahtera 2030, kerajaan negeri menyediakan RM0.5 juta bagi pelbagai program kesihatan. Kerajaan Negeri juga akan meneruskan Program Perak Children Community Feeding kelolaan Jabatan Kesihatan Negeri dengan peruntukan RM0.5 juta. Program Perak Children Community Feeding adalah sebahagian daripada usaha bersepadu menyelesaikan jurang pelaksanaan Sustainable Development Goals atau SDG merentasi pelbagai pihak dengan menyasarkan pencapaian SDG 2 dan SDG 3. Sukacita saya memaklumkan di bawah Rolling Plan Pertama RMK-13 Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kesihatan telah meluluskan dua projek penting bagi meningkatkan kualiti kesihatan rakyat. Yang pertama RM84.9 juta bagi pembinaan Klinik Kesihatan (Jenis 2) (Gantian) di Tanjong Malim, daerah Muallim dan yang kedua RM2.5 juta bagi perolehan X-Ray Blood Irradiator di Jabatan Perubatan Transfusi, Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh daerah Kinta.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, wanita merupakan aset penting kepada negara dan negeri ini. Bagi memacu pembangunan wanita dalam aspek ekonomi, kesihatan, kepimpinan, pendidikan dan keselamatan sosial, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM10.7 juta iaitu peningkatan sebanyak RM0.8 juta berbanding tahun 2025. Ia meliputi pelaksanaan pelbagai program seperti berikut. RM3.9 juta iaitu pertambahan sebanyak RM0.3 juta kepada Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Perak atau Wanita Perak, RM1 juta di bawah program pendaya upayaan wanita dan kebajikan masyarakat, RM0.4 juta untuk pembangunan dan kebajikan kanak-kanak dan anak yatim yang berdaftar di bawah JKM, RM0.4 juta bagi tujuan projek menaik taraf rumah kebajikan kanak-kanak dan anak yatim, RM0.4 juta untuk Program Pembangunan Warga Emas dan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) iaitu peningkatan RM0.2 juta berbanding tahun 2025.
Bagi memperkukuhkan strategi dalam mencapai objektif membasmi kemiskinan seperti yang telah digariskan dalam Flagship 6 Pelan Perak Sejahtera 2030, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM0.6 juta bagi pelaksanaan program One Stop Centre Sejahtera Sosial dan RM4 juta diperuntukkan untuk meneruskan bantuan di bawah program Tabarru Khairat Kematian.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Kerajaan Negeri melalui Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) telah merangka dan menyelaras pelaksanaan program perluasan pasaran produk dan perkhidmatan usahawan Perak yang telah mula dilaksanakan sejak tahun 2022 sehingga kini. Bagi meneruskan komitmen dalam aspek pembangunan usahawan, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM3 juta kepada Sekretariat Usahawan Perak (STeP), RM1.1 juta untuk pembangunan usahawan dan koperasi iaitu peningkatan sebanyak RM0.1 juta berbanding tahun lalu dan RM2 juta peruntukkan sedia ada di bawah Program Bantuan Pinjaman Tabung Usahawan melalui dana pusingan yang diamanahkan oleh kerajaan negeri kepada Yayasan Perak.
Melalui inisiatif ini, Kerajaan Negeri menawarkan pinjaman tanpa faedah sebanyak RM5 ribu sehingga RM20 ribu bagi pinjaman jangka pendek. Bagi peminjam yang layak untuk membuat pinjaman kali kedua atau seterusnya mereka layak menerima pinjaman sehingga RM100 ribu tertakluk kepada prestasi dan perkembangan perniagaan mereka. Sebagai pelengkap kepada fokus kesejahteraan rakyat kerajaan negeri juga menyediakan peruntukan RM9.4 juta bagi pelaksanaan pelbagai aktiviti dan pemantauan di bawah program Perak Sejahtera 2030 melibatkan pelbagai jabatan dan juga agensi.
Yang Berhormat Dato Yang di-Pertua, fokus kedua iaitu TADBIR URUS PROJEK BERKEPENTINGAN NEGERI. Pembangunan negeri yang mampan dan berdaya saing hanya dapat dicapai apabila segala projek berkepentingan negeri dilaksanakan dengan tadbir urus yang baik, telus dan berakauntabiliti dan seterusnya memberi manfaat yang sebenar kepada rakyat. Bagi tujuan tersebut, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM268.08 juta bagi tujuan tadbir urus projek berkepentingan negeri. Peruntukan RM156.9 juta diperuntukkan di bawah maksud mengurus kepada Pejabat-Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) iaitu peningkatan RM21.5 juta berbanding tahun 2025. Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri (PTG) pula diperuntukkan RM25.5 juta iaitu peningkatan sebanyak RM2.9 juta berbanding tahun 2025. Kerajaan negeri turut memperuntukkan RM20.4 juta di bawah Maksud Pembangunan bagi pelaksanaan pelbagai projek fizikal oleh PDT.
Bagi mendokong usaha mewujudkan persekitaran kerja yang lebih kondusif di samping meningkatkan kecekapan pentadbiran daerah dan tanah serta sebagai penyuntik semangat untuk terus mengekalkan momentum kutipan hasil, Kerajaan Negeri meluluskan RM0.1 juta bagi peruntukan pra pelaksanaan pembinaan Kompleks Pentadbiran Daerah Bagan Datuk sebagai pembangunan rintis bandar baharu Bagan Datuk dan RM0.5 juta bagi membina baharu dan lain-lain kerja berkaitan pembangunan Pejabat Penghulu Mukim Taiping Daerah Larut Matang dan Selama. Dalam hubungan itu berita gembira kepada penduduk Daerah Bagan Datuk apabila Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan di bawah Rolling Plan Pertama RMK-13 sebanyak RM100 juta bagi pembinaan Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Daerah Bagan Datuk.
Kerajaan Negeri juga menyediakan van bergerak kutipan luar kepada setiap pejabat daerah dan tanah secara berperingkat bagi memperkemaskan kaedah kutipan hasil tanah. Sehingga kini 8 PDT telah melaksanakan operasi kutipan hasil menggunakan van bergerak iaitu PDT Kinta Ipoh, Manjung, Hilir, Perak, Larut Matang dan Selama, Batang Padang, Kampar, Muallim dan Hulu Perak. 5 PDT yang akan menerima van bergerak pada tahun 2026 iaitu PDT Kinta Batu Gajah, Kerian, Kuala Kangsar, Perak Tengah dan Bagan Datuk dengan implikasi kewangan RM1.25 juta. Diharapkan dengan perbelanjaan ini akan dapat meningkatkan prestasi kutipan hasil selain membantu mengurangkan tunggakan cukai tanah.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Kerajaan Negeri tidak dapat mengelak daripada kenaikan jumlah perbelanjaan seperti trend perbelanjaan tahun-tahun sebelumnya bagi mengurangkan bebanan di sektor pentadbiran tanah selaku penyumbang kepada kutipan hasil negeri yang terbesar, Kerajaan Negeri yakin bahawa Badan Berkanun Negeri berkeupayaan untuk menyumbang pada kadar yang lebih tinggi pada tahun 2026. Lantaran itu, jumlah sumbangan keseluruhan Badan Berkanun Negeri pada tahun 2026 diunjurkan meningkat kepada RM77 juta dengan melibatkan kenaikan kadar sumbangan bagi dua Badan Berkanun Negeri seperti berikut iaitu sumbangan oleh Lembaga Air Perak (LAP) ditingkatkan kepada RM25 juta kepada RM30 juta dan juga sumbangan Perbadanan Menteri Besar MB Inc ditingkatkan daripada RM7 juta kepada RM8 juta.
Kerajaan Negeri juga menyediakan peruntukan RM16.2 juta bagi Maksud Mengurus Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Bahagian Kerajaan Tempatan (BKT) RM12 juta pula diperuntukkan untuk Belanja Pembangunan di bawah BKT meliputi yang pertama RM4.5 juta bagi pelbagai projek pembangunan PBT, RM3.2 juta bagi kutipan sampah luar kawasan operasi PBT, RM0.5 juta bagi penyelenggaraan dan pembaikan kemudahan PBT, RM0.2 juta bagi pengurusan kebersihan dan keselamatan kawasan Tasik Raban dan RM0.2 juta bagi penyelenggaraan bangunan serta keselamatan Kompleks Tasik Banding.
Sebagai tanda sokongan terhadap Tahun Melawat Malaysia 2026, Kerajaan Negeri komited untuk turut sama terlibat melalui agihan peruntukan kepada PBT-PBT di negeri Perak seperti berikut. RM1 juta untuk projek pembangunan infrastruktur luar bandar di kawasan tumpuan pelancongan, RM1 juta untuk menaik taraf ikon-ikon pelancongan dan juga penyelenggaraan kawasan pelancongan, RM0.5 juta untuk menaik taraf papan tanda atau pun penunjuk arah atau pun mercu tanda dan RM0.1 juta untuk Pesta Panjut 2026 Daerah Kuala Kangsar.
Bandar pintar dilihat sebagai satu pendekatan baharu dalam pengurusan bandar dan pembangunan untuk menjadikan bandar-bandar di Malaysia lebih mampan dan berdaya huni demi memastikan bandar bandar kecil tidak ketinggalan, Kerajaan Negeri menyediakan RM8 juta untuk Kajian Pelan Tindakan Bandar Pintar Peringkat PBT kepada Majlis Daerah Pengkalan Hulu, Majlis Daerah Lenggong, Majlis Daerah
Gerik dan Majlis Daerah Selama. Adalah diharapkan, menjelang tahun 2030 semua 15 PBT dalam negeri Perak berjaya mendapat pengiktirafan Smart City Early Adopter. Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1 juta untuk pelaksanaan program berikut, RM0.35 juta untuk Program Komuniti Sejahtera bagi melaksanakan aktiviti-aktiviti kesejahteraan komuniti, RM0.15 juta bagi Program Bandar Pintar, RM0.3 juta bagi Program Pawsitive Peringkat Negeri Perak, RM0.1 satu juta bagi pembinaan Paun dan Shelter dan RM0.1 juta bagi program kolokium sebagai platform perkongsian ilmu di kalangan PBT.
Kerajaan Negeri menyedari peri pentingnya penyampaian informasi yang tepat dan benar kepada rakyat. Justeru, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2.1 juta untuk Program-Program Penerangan Negeri Perak dan RM0.42 juta kepada Digital Perak Corporation Holdings bagi penyelenggaraan Portal Jabatan Negeri Perak. Demi kelangsungan operasi Lembaga Pengurusan Sumber Air Negeri Perak (LPSA Perak) selaras dengan Enakmen Sumber Air Perak 2023, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM7 juta iaitu peningkatan RM4 juta bagi tujuan tersebut. RM0.5 juta juga diperuntukkan untuk Program EFT LPSA Perak bagi kerja-kerja penyediaan pelan ukur untuk Pewartaan Kawasan Perlindungan Sumber Air di bawah seksyen 36 Enakmen Sumber Air Perak 2023.
Bagi tahun hadapan, peruntukan RM19.54 juta disediakan khusus untuk menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan. Pertama, RM5.5 juta bagi tujuan pengambilan tanah untuk kepentingan awam. Kedua, RM4.7 juta untuk pelbagai kerja-kerja menaik taraf penyelenggaraan atau pembaikan pelbagai kompleks pentadbiran kerajaan negeri. Yang ketiga, RM0.5 juta bagi menampung peruntukan di bawah akaun amanah kajian. Yang keempat, RM4.2 juta kepada Bahagian Digital bagi tujuan pelbagai pembangunan dan penyelenggaraan ICT. Kelima, RM2.1 juta untuk projek untuk pelbagai projek atau program yang akan dilaksanakan melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan yang keenam, RM0.2 juta disediakan kepada setiap jawatan tetap Exco dengan implikasi keseluruhannya bernilai RM2.2 juta. Peruntukan ini boleh digunakan bagi memantap dan memperkasakan portfolio Exco serta berupaya melaksanakan fungsi dan peranan yang dipertanggungjawabkan dengan lebih cekap dan berkesan. Yang ketujuh, RM0.25 juta bagi pelbagai program kesatuan sekerja dan kelapan, RM0.09 juta untuk sumbangan urus tadbir Persatuan Sukan Negeri Perak.
Bagi memastikan Perak kekal berada dalam radar pelabur antarabangsa dan memperkasa jaringan perniagaan merentas negara, Kerajaan Negeri menyediakan RM1.5 juta untuk pelbagai program luar negara dengan memfokuskan usaha menarik minat para pelabur ke negeri Perak. Usaha-usaha Kerajaan Negeri dalam membangunkan kawasan perindustrian baharu memberi manfaat yang besar dalam peningkatan prestasi pelaburan negeri Perak. Ini jelas dilihat dengan pelancaran kawasan perindustrian baharu oleh pihak KLK TechPark yang terletak berdekatan dengan AHTV Tanjong Malim. Ini menunjukkan kelebihan negeri dalam sektor automotif sekali gus meletakkan kedudukan negeri Perak sebagai hub automotif negara. Demi mengukuhkan lagi signifikan Perak Investment Management Centre atau Invest Perak sebagai Centre of Investment serta menarik lebih banyak pelabur, kerajaan negeri memperuntukkan RM4 juta bagi tahun 2026 iaitu peningkatan sebanyak RM1 juta. Dalam hubungan ini, usaha Kerajaan Negeri menarik pelabur strategik turut menerima dokongan Persekutuan melalui kelulusan RM2.5 juta di bawah Rolling Plan Pertama RMK 13 bagi kajian kebolehlaksanaan pembangunan Lumut Maritime Industrial City (LUMIC-LMT 1). Sokongan ini mengukuhkan asas Perak untuk membangunkan hub maritim yang berdaya saing dan menjadi pemacu baharu pertumbuhan ekonomi negeri.
Yang Berhormat Dato' Seri Yang di-Pertua, sejajar dengan pengumuman Tahun Melawat Malaysia 2026, Kerajaan Negeri turut menyahut kempen promosi tersebut melalui peruntukan sebanyak RM18.67 juta bagi pelbagai program dan projek pembangunan pelancongan dan kebudayaan. Pertama, RM6.5 juta kepada Tourism Perak bagi meneruskan program promosi dan acara serta memperkenalkan produk pelancongan, perkhidmatan, kepelbagaian budaya serta penerokaan pasaran baharu. RM6.5 juta kepada Pengurusan Perbadanan Taman Negeri, RM0.7 juta bagi keperluan operasi Unit Pulau Bebas Cukai di bawah Majlis Perbandaran Manjung, RM1.5 juta untuk pelbagai program pelancongan dan kebudayaan, RM0.5 juta kepada Majlis Kebudayaan Negeri dan RM2.97 juta kepada Lembaga Muzium Perak merangkumi RM2.46 juta bagi kerja-kerja pembaikan pelbagai kerosakan dan kerja-kerja berkaitan di Galeri Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, RM0.38 juta bagi selenggara Makam-Makam Diraja dan pembangunan sebahagian kawasan Muzium Diraja Kuala Kangsar bagi maksud pelancongan berasaskan kraftangan berjumlah RM0.13 juta. Turut disediakan belanja bagi Maksud Mengurus kepada Lembaga Muzium Perak, RM 6.6 juta iaitu peningkatan sebanyak RM1.3 juta berbanding tahun 2025.
Dalam pada itu, usaha memperhebat sektor pelancongan negeri turut menerima sokongan padu Kerajaan Persekutuan melalui kelulusan peruntukan sebanyak RM13.5 juta di bawah Rolling Plan Pertama RMK-13 bagi tahun 2026 bagi pelaksanaan dua inisiatif berikut. Pertama, RM10 juta bagi menaik taraf kemudahan pelancongan di Teluk Dalam, Pulau Pangkor Daerah Manjung dan yang kedua RM3.5 juta bagi pembangunan kemudahan dan infrastruktur eko pelancongan, Latar Puteh, Daerah Larut, Matang dan Selama.
Yang Berhormat Dato' Seri Yang di-Pertua, fokus yang ketiga PEMBANGUNAN MODAL INSAN DAN BELIA. Sumber manusia merupakan aset jangka panjang negeri yang memainkan peranan penting dalam menyumbang pertumbuhan negeri. Tenaga kerja yang berpendidikan, berkemahiran, berinovasi dan produktif bukan sahaja meningkatkan output ekonomi tetapi juga mengukuhkan daya saing negeri di peringkat nasional dan global. Dasar Kerajaan Negeri dalam menyediakan peluang pekerjaan, program latihan kemahiran dan soft skills kepada rakyat di negeri Perak secara tidak langsung telah membuka ruang yang lebih luas kepada golongan belia dan tenaga kerja tempatan untuk meningkatkan kapasiti memperkukuh kebolehpasaran serta jaminan pendapatan yang lebih stabil.
Justeru, RM100.59 juta diperuntukkan bagi pembangunan modal insan dan belia. Sebanyak RM15.95 juta disediakan bagi tujuan bantuan pendidikan yang meliputi inisiatif berikut. RM13.2 juta diperuntukkan bagi Bantuan Khas Pendidikan, RM2 juta untuk Program Back To School dan RM0.75 juta bagi bantuan baucer buku yang akan dilaksanakan oleh Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) untuk pelajar di peringkat Sijil, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda. Mendokong pelaksanaan program dan bantuan pendidikan di pelbagai peringkat sekolah, Kerajaan Negeri meneruskan kesinambungan program Tuisyen Cikgu Saarani. RM2.2 juta diperuntukkan oleh
Kerajaan Negeri bagi menjayakan inisiatif ini melalui program berikut. RM1 juta untuk inisiatif Tabung Simpanan Pendidikan Anak Perak (TASPEN). RM1 juta untuk program Biasiswa Menteri Besar dan RM0.17 juta bagi Program Teduhan Kasih Anak-Anak Perak.
Selain itu, Bantuan Makanan percuma bagi calon-calon peperiksaan SPM, SPVM, STPM dan STAM juga akan diteruskan pada tahun hadapan melalui kerjasama GLC-GLC negeri. Sehubungan itu, saya merakamkan setinggi tinggi penghargaan terima kasih kepada semua GLC yang terlibat iaitu Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), Lembaga Air Perak (LAP), Perbadanan Menteri Besar (MB Inc), Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (SSI) dan juga Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPK). Bagi tahun ini sebanyak RM3.4 juta berjaya dikumpulkan bagi menjayakan inisiatif murni ini dan memanfaatkan 27,563 orang pelajar. Mudah-mudahan amal kebaikan yang dihulurkan ini menjadi asbab dibukakan pintu rezeki yang lebih luas kepada GLC-GLC kita agar dapat membuat lebih banyak kebaikan pada tahun-tahun mendatang, Insha Allah.
Dalam pada itu, Kerajaan Negeri turut menyediakan RM7.33 juta melalui pelaksanaan program-program berikut. Iaitu RM4 juta untuk bantuan perkapita pelajar sekolah kerajaan meliputi Sekolah Kebangsaan, Sekolah Menengah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina. RM0.24 juta untuk Program Pemantapan Pelajar Sekolah Rendah. RM0.24 juta untuk program Pemantapan Pelajar SPM, STPM dan STAM. RM2 juta disediakan bagi bantuan perkapita pelajar sekolah tahfiz dan pondok. RM0.6 juta Pelbagai sumbangan pendidikan dan RM0.25 juta untuk bantuan Sekolah Pendidikan khas. Kerajaan Negeri juga memperuntukkan RM11.45 juta meliputi bantuan-bantuan kepada kumpulan pelajar di peringkat pengajian tinggi iaitu RM 6.9 juta untuk Insentif Siswa Dalam dan Luar Negara. Bagi pemberian secara one off sebagai persediaan melanjutkan pengajian.
Daripada jumlah tersebut,RM 6.5 juta bagi Insentif Siswa Dalam Negara dan bakinya RM0.4 juta bagi Insentif Siswa Luar Negara. RM4 juta bagi program Sara Diri dan Kecemasan Mahasiswa. RM0.4 juta pula diperuntukkan bagi Program Pengupayaan Mahasiswa dan RM0.15 juta bagi Program Jelajah Siswa dan Moh Ngopi Mahasiswa. Kerajaan negeri menyedari peranan besar institusi pendidikan tinggi dan komuniti intelektual dalam mencorakkan kemajuan negeri sama ada melalui sumbangan langsung ataupun tidak langsung. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM5 juta kepada Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dan RM0.5 juta bagi penganjuran World Conference of Islamic Talk and Civilization (WCIT).
Selain itu, RM3.4 juta kepada Institut Darul Ridzuan (IDR) yang berperanan sebagai pusat pengembangan ilmu pusat penyelidikan dan latihan dalam pelbagai bidang khususnya yang berkaitan dengan pembangunan masyarakat, ekonomi dan pentadbiran di negeri Perak. Dalam perkembangan yang sama, sukacita saya memaklumkan bahawa hasil sinergi yang baik antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan antara projek utama yang telah diluluskan dalam Rolling Plan Pertama RMK-13 bagi mengukuhkan ekosistem pendidikan dan pengajian tinggi di negeri Perak ini. Pertama RM380.7 juta bagi pelbagai pembinaan bangunan tambahan sekolah rendah dan sekolah menengah dalam negeri Perak. RM279.9 juta bagi pembangunan kampus Cawangan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Tapah.
RM122.1 juta bagi pembangunan asrama, penginapan dan fasiliti pusat pengajian di Politeknik Ungku Omar dan RM53.5 juta bagi pembangunan asrama pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjong Malim.
Yang Berhormat Dato' Seri Yang di-Pertua. Dalam meningkatkan kadar penempatan pekerjaan kepada rakyat negeri Perak, Kerajaan Negeri melalui Pusat Aspirasi Anak Perak atau PASAK telah melaksanakan 265 program berkaitan pembangunan sumber manusia. Menyedari peranan penting PASAK dalam membangunkan modal insan serta tumpuan khusus untuk melaksanakan secara menyeluruh. Agenda Perak Koridor TVET Negara, Kerajaan Negeri menambah RM0.4 juta menjadi RM4.4 juta untuk operasi dan pelaksanaan program PASAK. Tambahan daripada itu, peruntukan pendidikan latihan Vokasional TVET turut ditingkatkan kepada RM7 juta iaitu peningkatan RM0.5 juta berbanding tahun 2025. Bagi tahun 2026 Kerajaan Negeri melalui PASAK akan melaksanakan siri Jelajah Kerjaya Perak Sejahtera dengan melibatkan 5 daerah dengan sasaran 20 ribu peluang pekerjaan yang akan ditawarkan oleh pelbagai industri. Pelaksanaan Program Pembangunan Sumber Manusia akan turut diperluaskan dengan sasaran penerima manfaat seramai 30 ribu orang anak negeri Perak. Fokus pelaksanaan kemahiran meliputi program latihan modular Industri Latihan Mahir Kerja, TVET OKU, TVET Orang Asli, TVET Warga Emas dan juga TVET Desa Mahir.
Bagi menyokong pembangunan industri kreatif dan mencungkil bakat-bakat baharu dalam bidang seni, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM3 juta kepada People of Remarkable Talent atau Port. RM8.5 juta pula dibelanjakan di bawah Belanja Mengurus kepada Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri untuk tujuan operasi manakala RM2.3 juta di bawah Belanja Pembangunan bagi tujuan menyiapkan Perpustakaan Digital. Peruntukan sebanyak RM1.36 juta juga disediakan bagi tujuan-tujuan berikut. Pertama RM0.4 juta untuk program pembangunan belia. Yang kedua RM0.6 juta untuk Dun Belia dan yang ketiga RM0.36 juta untuk Program Jom Healing Orang Muda. Selari dengan trend dan kehendak anak muda masa kini.
Yang Berhormat Dato’ Seri Yang di-Pertua, Kerajaan Negeri terus memberi keutamaan kepada pembangunan sukan sebagai salah satu komponen penting kesejahteraan rakyat Majlis Sukan Negeri Perak, MSN kekal menjadi agensi utama yang memacu dasar serta pelaksanaan pembangunan sukan negeri. Oleh itu, kerajaan negeri memperuntukkan RM28.15 juta bagi tujuan pembangunan sukan di negeri ini. Peruntukan tersebut meliputi RM19.5 juta kepada MSN bagi maksud mengurus manakala selebihnya dibelanjakan bagi tujuan berikut iaitu RM7 juta bagi program SUKMA Selangor 2026, RM0.6 juta bagi tujuan bina baharu kemudahan penginapan modular di Seladang Sports Arena, Taiping, RM0.6 juta bagi program sukan dan sukan OKU, RM0.4 juta pula untuk penganjuran Sports Tourism dan RM0.05 juta bagi sumbangan bekas atlet dan penggiat sukan negeri sebagai mengenang jasa bekas atlet dan penggiat sukan yang pernah menabur jasa kepada negeri dan juga negara.
Tahun 2025 telah menjadi tahun yang gemilang buat arena Sukan Negeri Perak. Apabila pasukan sepak takraw Perak Bison telah mencipta sejarah baru dengan menjuarai Liga Sepak Takraw Malaysia 2025. Sebagai tanda penghargaan, kerajaan negeri berbesar hati menyalurkan insentif khas berjumlah RM50 ribu, suatu pengiktirafan terhadap semangat juang yang telah menghadiahkan kegemilangan ini kepada seluruh rakyat Nngeri Perak. Dalam pada itu, usaha memantapkan pembangunan sukan di Perak turut menerima dokongan Kerajaan Persekutuan melalui peruntukan RM10 juta di bawah Rolling Plan pertama RMK 13 bagi tujuan menaik taraf kemudahan sukan berskala kecil di seluruh negeri.
Yang Berhormat Dato’ Seri Yang di-Pertua, Kerajaan Negeri amat memahami kekecewaan peminat bola sepak susulan penarikan diri pasukan negeri dari saingan Liga Super yang bukan sahaja mencalar reputasi pasukan malah menjadi episod hitam yang mengaburi masa depan bola sepak negeri. Dalam hal ini, kerajaan negeri mendengar pelbagai saranan supaya sinar bola sepak negeri dinyalakan semula meskipun terpaksa bermula semula dari Liga A1. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri menyediakan dana RM2 juta pada tahun hadapan bagi melaksanakan pembangunan bola sepak negeri melalui pendekatan Back to Basic iaitu membina semula akar bola sepak melalui pembangunan bakat muda di setiap daerah. Memperkukuhkan program latihan akar umbi dan menyusun semula struktur dengan lebih tersusun. Dengan sokongan peminat. Komitmen pemain dan program yang disusun dengan penuh hikmah, Kerajaan Negeri yakin tunjang ekosistem bola sepak negeri mampu dikembalikan. Prestasi memberangsangkan pasukan negeri dalam saingan Liga A1 setakat ini membawa harapan besar bahawa bola sepak Perak masih mempunyai masa depan yang cerah untuk kembali melahirkan pemain hebat sama ada di peringkat nasional ataupun antarabangsa.
Yang Berhormat Dato’ Seri Yang di-Pertua, fokus yang keempat iaitu KELESTARIAN ALAM SEKITAR. Pembangunan yang mampan tidak boleh hanya berasaskan keuntungan ekonomi semata-mata. Ia haruslah seiring dengan pemeliharaan alam sekitar demi menjamin kualiti hidup rakyat hari ini dan generasi akan datang. Kerajaan negeri memperuntukkan RM75.98 juta di bawah fokus kelestarian alam sekitar. Menyedari kepentingan pengurusan dan pembangunan infrastruktur hutan, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM48.4 juta di bawah belanja mengurus kepada Jabatan Perhutanan Negeri Perak, iaitu peningkatan RM2.6 juta berbanding tahun 2025. RM10 juta diperuntukkan bagi tujuan pembangunan meliputi RM8 juta bagi projek EFT, RM1.3 juta bagi pengurusan hutan dan RM0.7 juta bagi infrastruktur bangunan.
Selain daripada itu, Perbadanan Taman Negeri Perak diperuntukkan RM6.5 juta bagi tujuan operasi dan pelaksanaan program-program konservasi seperti Global Tiger Day serta RM6 juta bagi pelaksanaan projek-projek EFT. Untuk pembangunan dan penyelenggaraan Geopark Negeri. Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1.2 juta EFT berkaitan Geopark Lenggong. RM0.5 juta kepada Majlis Daerah Lenggong untuk Operasi World Heritage Office Lenggong dan RM0.2 juta untuk pelaksanaan program Geopark Lenggong. Bagi memantau dan menyelaras program dan projek berkaitan kelestarian alam sekitar, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1 juta EFT bagi program di bawah Jabatan Perhilitan. RM0.7 juta untuk pelbagai Projek Perak Lestari dan Teknologi Hijau. RM0.7 juta bagi tujuan program Sekretariat Kelestarian Alam Perak dan RM0.78 juta pula diperuntukkan untuk penyelenggaraan Tapak Repositori Mukim Belanja oleh Perbadanan Menteri Besar. Dalam kesungguhan kita memulihara kelestarian khazanah alam. Kerajaan Negeri amat menghargai keprihatinan Persekutuan yang meluluskan peruntukan RM500 ribu di bawah Rolling Plan Pertama RMK13 bagi pelaksanaan kerja awalan pembangunan Pusat Santuari Gajah di Gerik, daerah Hulu Perak.
Yang Berhormat Dato’ Seri Yang Di-Pertua, fokus kelima iaitu KETERJAMINAN BEKALAN MAKANAN. Keterjaminan makanan merupakan salah satu teras penting, kesejahteraan negeri dan rakyat. Isu rantaian bekalan, kenaikan harga input pertanian perubahan iklim serta kebergantungan kepada import telah memberi isyarat jelas bahawa negeri mesti mempunyai strategi jangka panjang dalam menjamin bekalan makanan yang mencukupi. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM73.06 juta bagi tujuan keterjaminan bekalan makanan. RM30.9 juta disediakan di bawah Belanja Mengurus kepada Jabatan Pertanian Negeri Perak iaitu peningkatan sebanyak RM3 juta berbanding tahun lepas. Manakala RM8 juta pula diperuntukkan di bawah Belanja Pembangunan. Sebagai salah satu penyumbang utama kepada keselamatan makanan negeri dan ekonomi kerajaan negeri memperuntukkan RM23.6 juta kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar di bawah Maksud Mengurus iaitu peningkatan sebanyak RM3.2 juta berbanding tahun 2025. Manakala RM2.5 juta pula diperuntukkan di bawah Belanja Pembangunan dengan agihan seperti berikut RM1.3 juta bagi pembangunan industri ternakan, RM0.2 juta bagi latihan dan promosi. RM0.7 juta bagi bangunan dan infrastruktur termasuk RM0.5 juta bagi pembinaan pusat tahanan haiwan sementara dan penyimpanan barang kes bagi aktiviti penguatkuasaan dan seterusnya. RM0.3 juta bagi pembangunan Ladang Infoternak.
Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan kepada Jabatan Perikanan RM0.29 juta di bawah Belanja Mengurus untuk Pusat Konservasi Penyu. RM1.8 juta pula diperuntukkan di bawah Belanja Pembangunan. Di samping itu, peruntukan RM0.42 juta disediakan di bawah projek EFT Jabatan Perikanan khususnya penyediaan inventori ikan dan penguatkuasaan sebanyak RM3.1 juta pula diperuntukkan bagi pelaksanaan pelbagai program dan projek pembangunan pertanian dengan pecahan seperti berikut. RM2 juta untuk program MAHA, RM0.8 juta untuk penyelenggaraan Pavilion Perak bersempena dengan MAHA dan RM0.3 juta untuk projek kelestarian sumber kerang Negeri Perak.
Selain itu, Kerajaan negeri menyediakan RM0.4juta untuk Program Jelajah Sejahtera Agro bertujuan meningkatkan kesedaran dan pengetahuan berkaitan aspek pengurusan pertanian. RM0.45 juta untuk Program Pertanian Bandar dan RM0.6 juta untuk Program Jelajah Sejahtera Desaku. Alhamdulillah, ikhtiar kita dalam mengukuhkan aspek keterjaminan makanan turut mendapat dokongan daripada Kerajaan Persekutuan yang meluluskan beberapa projek di bawah Rolling Plan Pertama RMK13 iaitu RM140 juta bagi projek membina (7) buah rumah pam dan menaik taraf infrastruktur pengairan saliran di Skim Pengairan Sungai Manik IADA, Seberang Perak, Daerah Perak Tengah, RM81 juta bagi Infrastruktur asas pembangunan Bagan Datuk International Factory Industrial Park, Daerah Bagan Datuk, RM55 juta bagi projek menaiktaraf dan membina infrastruktur pengairan dan saliran di Kompartment H Rancangan Pengairan IADA Kerian, RM24 juta bagi projek menaik taraf infrastruktur, pengairan dan saliran di Skim Pengairan Changkat Jong Hilir Perak, RM15.8 juta bagi projek meningkatkan kecekapan pengairan di Kerian Darat rancangan Pengairan Kerian IADA dan RM8 juta bagi Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung ataupun (PROSPEK) Daerah Kerian.
Yang Berhormat Dato’ Seri Yang di-Pertua, tahun-tahun kebelakangan ini tidak mudah bagi negeri Perak. Kita menempuh rentetan cabaran dari detik bencana pandemik hinggalah goncangan ekonomi global yang merobek setiap pelosok kehidupan. Semuanya menguji tekad pentadbiran dan ketahanan rakyat marhaen. Ketika saya masuk ketika saya memasuki Pejabat Menteri Besar pada tahun 2020, negeri kita di ambang defisit mencecah RM78 juta terbesar dalam sejarah. Tahun berikutnya, saya menjadi Menteri Besar yang membentangkan belanjawan lebih rendah daripada tahun sebelumnya, sesuatu yang sangat berat tetapi terpaksa saya lakukan bagi mengelakkan Perak tersungkur lebih jauh. Dalam saat ada yang meramalkan kita akan tenggelam dalam gelora kemelesetan. Pentadbiran ini memilih untuk bangkit melawan keadaan. Kita memperkemas tadbir urus memperkukuh enjin ekonomi dan menetapkan disiplin fizikal keutamaan perbelanjaan. Kita susun semula sektor bernilai kita sektor bernilai tinggi.
Kita pacu kita gerakkan misi pelaburan ke serata benua dengan satu tujuan memastikan ekonomi Perak kembali bernafas dan rezeki rakyat terus mengalir. Alhamdulillah, berkat kerja keras, jentera pentadbiran dan semangat juang rakyat Perak kembali ke landasan kemajuan dari negeri yang hampir luluh. Kita kini berjaya membentang belanjawan dengan anggaran perbelanjaan yang tinggi dalam sejarah. Dalam dua tahun berturut turut. RM1.52 billion bagi tahun 2025 dan RM1.61 billion bagi tahun 2026. Natijahnya, kemakmuran ini kita kembalikan semula kepada rakyat. Peruntukan ditingkatkan hampir di setiap penjuru kehidupan rakyat. Jaringan kebajikan, pendidikan, infrastruktur rakyat, peluang pekerjaan, pengangkutan dan kesihatan. Semuanya untuk menghadirkan sebaik-baik manafaat kepada rakyat. Kerana kita percaya setiap anak Perak orang muda atau warga emas, pekebun, petani atau nelayan, orang asli, penduduk di kota mahupun di desa semuanya adalah tonggak yang berjuang demi kemakmuran negeri ini.
Dalam mengangkat kemakmuran ini ke tengah-tengah kehidupan rakyat. Saya turut terpanggil untuk menyahut seruan agar kebajikan kelompok yang memikul amanah penting dalam masyarakat khususnya para guru KAFA. Guru I’dadi dan Guru Thanawi diberi perhatian sewajarnya. Oleh itu, Dato’ Seri Yang di-Pertua, sukacita saya mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri bersetuju untuk menambah elaun guru KAFA daripada RM200 kepada RM400 sebulan berkuat kuasa 1 Januari 2026. Ini menjadikan guru KAFA kini berjumlah…Ini menjadikan elaun guru KAFA kini berjumlah RM1,500 sebulan termasuk RM1,100 yang diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan. Kerajaan Negeri juga bersetuju untuk menambah elaun Guru I’dadi dan Guru Thanawi sebanyak RM200 sebulan menjadikan elaun yang diterima mereka, RM1400 sebulan berkuat kuasa juga 1 Januari 2026. Langkah ini dijangka memberi manfaat kepada 3,310 orang guru KAFA serta 80 orang Guru I’dadi dan Guru Thanawi di seluruh negeri Perak dengan implikasi kewangan tambahan sebanyak RM9.4 juta setahun kepada Kerajaan Negeri termasuklah bayaran caruman KWSP dan juga PERKESO.
Warkah belanjawan ini juga membawa khabar gembira kepada bakal bakal jemaah haji negeri Perak Buat julung kalinya. Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM1000 seorang kepada kira-kira 3000 bakal haji negeri Perak yang akan menunaikan haji pada tahun hadapan. Inisiatif ini melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM3juta.
Dalam usaha memperkukuh sistem pentadbiran di peringkat akar umbi, Kerajaan Negeri Perak amat menghargai peranan besar yang dimainkan oleh para ketua kampung sama ada ketua kampung tradisional, ketua kampung baru cina atau ketua kampung India yang sentiasa menjadi jambatan antara kerajaan dan rakyat. Dengan itu, sukacita saya mengumumkan kadar elaun bulanan bulanan ketua kampung tradisional, ketua kampung cina dan ketua kampung India akan dinaikkan sebanyak RM100 sebulan menjadikan elaun bulanan mereka sekarang berjumlah RM900 sebulan berkuat kuasa 1 Januari 2026. Kenaikan ini akan memberi manafaat kepada 996 orang ketua kampung di seluruh negeri Perak dengan implikasi kewangan RM4.8 juta ringgit kepada Kerajaan Negeri iaitu peningkatan RM1.4 juta satu setahun.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Saya berterima kasih kepada semua yang masih kekal sudi mendengar ucapan ini sehingga penghujungnya. Yang Berhormat Dato Yang di Pertua izinkan saya melontarkan serangkap pantun khusus buat rakan rakan penjawat awam negeri.
Lebih sejam MB berdiri, Membentang belanjawan untuk negeri, Tidaklah lengkap ucapan ini, Selagi khabar BKK tidak dikongsi.
Saudara saudari penjawat awam negeri.
Dalam setiap saat Perak diuji, Saudara saudari tetap teguh berdiri, Ketika negeri hampir terbungkam rebah, Saudara-saudari bersetia dengan tabah, Tatkala rakyat diuji dengan musibah, saudara-saudari berbakti tanpa lelah.
Segalanya dicurah atas rasa percaya bahawa rakyat dan negeri mesti dijaga. Sebagai penghargaan atas jasa bakti penjawat awam negeri, Kerajaan Negeri Perak bersetuju dengan ketetapan berikut. Pertama, siling peruntukan Kumpulan Wang Pinjaman Kenderaan ditambah RM1 juta menjadi RM5.5 juta. Yang kedua, kadar faedah bagi pinjaman Kumpulan Wang Pinjaman Kenderaan dan Pinjaman Komputer untuk pinjaman kali kedua dikurangkan kepada kadar 2% setahun berkuat kuasa 1 Januari 2026.
Dato' Seri Yang di-Pertua, saya juga dengan sukacitanya mengumumkan pemberian bantuan khas kewangan BKK pada kadar 2 bulan gaji melibatkan semua penjawat awam di bawah Pentadbiran Kerajaan Negeri termasuk Yang Berhormat Ahli Ex-Officio, Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, semua guru lantikan negeri yang dilantik melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam SPA Negeri Perak, orang besar jajahan serta kakitangan di bawah kontrak MySTeP. Kerajaan Negeri turut berbesar hati memanjangkan BKK ini pada kadar RM600 iaitu RM300 sebulan darab dengan dua bulan bagi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung JPKK, Kampung Tradisional, Kampung Baru Cina dan Kampung India serta Tok Batin Kampung Orang Asli. BKK ini juga turut dipanjangkan kepada Guru-guru KAFA, Guru I’dadi dan Thanawi pada kadar RM400 iaitu RM200 darab dengan 2 bulan. BKK yang saya sebutkan sebentar tadi akan dibayar dalam bulan Disember 2025.
Sebagai pengiktirafan terhadap peranan penting Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri sebagai jambatan antara kerajaan dan rakyat mendengar keluhan, mengurus keperluan, menyantuni keluarga memerlukan dan menyelesaikan pelbagai urusan masyarakat di kawasan masing-masing, Kerajaan negeri turut memanjangkan BKK kepada semua Pusat Khidmat Dun pada kadar 2 bulan elaun iaitu berjumlah RM20 ribu tetapi BKK Pusat Khidmat dibayar Januari 2026 lewat sebulan. Diharap pemberian ini menjadi pemangkin kepada perkhidmatan yang lebih cekap dan penuh empati agar setiap denyut keresahan rakyat dapat diredakan, setiap pintu harapan dapat dibuka dan setiap komuniti baik di kota mahupun desa benar-benar merasai bahawa Kerajaan Negeri tidak pernah jauh daripada kehidupan mereka.
Yang Berhormat Dato' Seri Yang di-Pertua, demikianlah pengisian warkah Belanjawan 2026 yang ditintakan dengan impian dan harapan besar rakyat agar ia menjadi sandaran yang kukuh dalam ikhtiar kita memakmurkan negeri dan mensejahterakan rakyat. Apabila kita menghimpunkan keseluruhan inisiatif Kerajaan Persekutuan yang saya sebutkan tadi. RM1.8 bilion bersama dengan Belanjawan Negeri Perak yang berjumlah RM1.61 bilion, maka rakyat di negeri ini bakal menerima limpahan nikmat pembangunan mencecah RM3.41 bilion pada tahun 2026 yang mengalir kepada seluruh masyarakat sama ada di kota mahupun di desa, belia dan warga emas, usahawan kecil mahupun golongan berpendapatan rendah dan belum pernah dalam sejarah mutakhir ini rakyat Perak menerima limpahan manafaat pembangunan sebesar ini dalam satu tahun yang sama hasil gabungan kekuatan Negeri dan Persekutuan yang kini bergerak sederap bagi membina masa hadapan Perak yang lebih makmur dan sejahtera. Belanjawan ini juga menjadi ikrar saya dan rakan-rakan jentera pentadbiran untuk terus bekerja keras. Terus mendengar dan terus memikul amanah dengan sebaik-baiknya agar setiap ringgit yang dibelanjakan kembali sebagai manafaat menjadi nafas lega kepada yang susah membuka ruang kepada yang mencari peluang dan menyalurkan harapan kepada setiap anak Perak dalam membina hari-hari esok yang lebih cerah.
Mengakhiri ucapan, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pegawai-pegawai dan kakitangan Pejabat Kewangan Negeri Perak, Unit Perancang Ekonomi Negeri serta semua pihak khususnya jabatan serta agensi yang terlibat dalam proses merangka dan menjayakan pengisian Belanjawan Negeri Perak 2026. Semoga segala kerja-kerja baik yang kita lakukan yang kita makmurkan negeri dan mensejahterakan rakyat akan sentiasa diberkati dan dirahmati oleh Allah SWT Sekian Wabillahi taufiq wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Dato' Seri Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan. Terima kasih.
Terima kasih Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar. Ada sokongan?
Dato' Seri Yang di-Pertua, Pasir Pinji menyokong.
Terima kasih diucapkan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar di atas pembentangan Belanjawan 2026 Negeri Perak Darul Ridzuan. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, sekarang saya tangguhkan Dewan dan Dewan akan bersidang semula pada hari Rabu, 26 November 2025 jam 9.00 pagi. Sekian terima kasih.