Perak · 9 September 2026
15th Assembly, 4th session, 2nd meeting · 166 turns · 20,386 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalPerak publishes one PDF per sitting day, from May 2020 (none for 2018-19), and a file of oral and written answers per meeting from December 2022.
(Pembukaan)
Ahli-ahli Yang Berhormat. Tuan Yang di-Pertua.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam sejahtera. Ahli Yang Berhormat sekalian, sekarang kita mulakan persidangan Persidangan Kedua Mesyuarat Kedua Tahun Keempat Dewan Negeri yang Kelima Belas Perak Darul Ridzuan pada hari Rabu, 9 September 2026 jam 9.05 minit pagi dengan urusan perkara yang pertama iaitu bacaan doa.
SEGALA puji bagi Allah selawat dan salam atas RasulNya, maka dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Pengasih, Dewan Negeri ini dibuka.
Ya Allah, yang bersifat maha hikmat, limpah keadilan, yang menanggungkan kewajipan ke atas Raja dan Ahli Majlis Permesyuaratan, bagi mentadbir muslihat masyarakat pergaulan, mudah-mudahan sentosa aman, makmur, limpah kebahagiaan, meliputi sekalian penduduk Negeri Perak Darul Ridzuan.
Ya Allah, kami sekalian hambaMu yang diperkenan menjadi Ahli Dewan Negeri, menyempurnakan kewajipan yang diamanahkan, yang terutama bagi Negeri Perak Darul Ridzuan serta rakyatnya sekalian.
Ya Allah, berkatMu ke atas kami berhimpun dipohon anugerahkan, taufikMu, hidayatMu dimohon menyuluh, memandukan, pada ketika kami berunding, menimbang, bertukar-tukar fikiran, pada segala perkara yang dibentangkan, dengan saksama serta berkeamanahan, menjunjung perintah dan kebesaranMu, mudah-mudahan berlebih-lebih keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan bagi Negeri Perak Darul Ridzuan, serta penduduknya sekalian.
Ya Allah, dipohonkan doa kami diperkenan, Amin, Ya Allah seru sekalian alam
Perkara yang kedua, pengumuman Yang di-Pertua.
Bismillahirrahmanirrahim Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera. Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Negeri, pihak urus setia, para petugas dan wakil media sekalian. Sebelum kita meneruskan urusan mesyuarat yang selanjutnya, izinkan saya untuk membuat beberapa pengumuman.
Perkara yang pertama sebelum kita memulakan urusan mesyuarat. Ingin saya ingatkan sekali lagi dipohon kerjasama semua Ahli Yang Berhormat untuk mendaftar kehadiran dengan mengimbas kod QR yang berada di atas meja masing masing. Aturan Urusan Mesyuarat dan soalan-soalan lisan juga boleh dimuat turun dengan mengimbas kod QR yang sama.
Perkara yang kedua berkaitan dengan sesi soalan lisan. Tempoh masa yang diperuntukkan adalah selama 90 minit Satu jam setengah ya. Setiap soalan lisan akan diberikan dua soalan tambahan. Soalan tambahan pertama akan diberikan keutamaan kepada Ahli Dewan Negeri yang bertanya manakala soalan tambahan kedua akan diberikan kepada mana-mana Ahli Dewan Negeri yang mempunyai soalan yang berkaitan dengan soalan asal seperti semalam dan menjadi seperti kelazimannya apabila ada topik-topik ataupun persoalan-persoalan pertanyaan-pertanyaan yang melibatkan perkara-perkara kepentingan awam umum dan semasa kita. Dengan izin speaker, kita akan berikan lebih daripada 2 soalan tambahan.
Perkara yang ketiga berkenaan dengan hansard rasmi. Saya ingin memaklumkan Ahli-ahli Yang Berhormat boleh membaca dan memuat turun hansard rasmi setiap persidangan selewat-lewatnya pada jam 12.00 tengah malam.
Akhir sekali, sebagai simbolik komitmen Kerajaan Negeri di atas meja setiap Ahli Yang Berhormat pada hari ini, telah dibekalkan dengan cenderamata berupa beg mesra alam. Pemberian ini adalah selari dengan hasrat Kerajaan Negeri yang ingin memberi penekanan khusus kepada kesedaran awam mengenai dasar larangan penggunaan beg plastik jinjit sekali guna di negeri ini. Seperti yang kita sedia maklum, pendekatan yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri adalah berteraskan prinsip yang berhemah, mendidik dan mesra rakyat. Sehubungan dengan itu, satu tempoh peralihan selama enam bulan telah diberikan bermula bulan Mac 2026 yang lalu. Langkah ini bertujuan membolehkan seluruh rakyat, peniaga dan pemain industri membiasakan diri dengan dasar baru ini sebelum penguatkuasaan penuh dan menyeluruh dilaksanakan secara rasmi pada 1 September 2026, bagi memastikan kelancaran kempen ini dan penerimaan positif di segenap lapisan masyarakat. Dewan yang mulia ini amat berharap agar kesemua Ahli Dewan Negeri dapat memainkan peranan aktif untuk turut sama mempromosikan Kempen Moh Guna Beg Sendiri di kawasan Ahli-ahli Yang Berhormat. Justeru, Kerajaan Negeri melalui Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau dengan sokongan bersama Sekretariat Kelestarian Alam Perak amat mengharapkan kerjasama padu daripada semua pihak terutamanya Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian ke arah menjamin masa hadapan alam sekitar negeri Perak yang lebih lestari. Sekian terima kasih.
Soalan-soalan yang telah diberi notis, soalan-soalan lisanQuestions
Perkara yang ketiga, soalan-soalan yang telah diberi notis. Soalan-soalan lisan.
Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat tempoh masa sepertimana yang saya nyatakan tadi untuk sesi soalan lisan pada hari ini adalah selama 1 jam 30 minit. Soalan tambahan adalah dihadkan kepada 2 soalan sahaja dan ianya perlulah mempunyai kaitan dengan soalan asal. Soalan tambahan yang tidak berkaitan dengan soalan asal adalah tidak dibenarkan. Di jemput Ahli Yang Berhormat dari kawasan Bota untuk mengemukakan nombor soalan.
Terima kasih. Yang Berhormat Dato' Seri Speaker. Assalamualaikum dan selamat pagi. Menimba ikan dapat ketutu. Soalan Bota Nombor 1.
Terima Kasih. Yang Berhormat Dato' Seri Yang di-Pertua. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Salam Sejahtera. Salam Malaysia Madani dan Salam Perak Sejahtera 2030. Yang Berhormat Bota telah mengemukakan soalan yang berkaitan dengan kesiapsiagaan Kerajaan Negeri menghadapi fenomena Super El Nino. Oleh kerana ia memerlukan laporan daripada pelbagai jabatan. Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua saya mohon sedikit masa untuk memberikan penjelasan dalam Dewan ini.
Untuk makluman, Yang Berhormat Kerajaan Negeri Perak memandang serius dengan fenomena Super El Nino yang menyebabkan cuaca lebih panas dan kering daripada biasa, terutamanya sepanjang Monsun Barat Daya yang bermula sejak 14 Mei 2026 hingga September 2026 dan fenomena ini dijangka berlarutan sehingga awal tahun 2027. Bagi menghadapi cabaran ini. Kerajaan Negeri sentiasa mengambil langkah kesiapsiagaan bagi menghadapinya menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), agensi teknikal seperti Jabatan Meteorologi Malaysia atau MET Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Lembaga Air Perak (LAP) memantau dan melaporkan ramalan cuaca semasa dan paras air di empangan utama khususnya di Empangan Bukit Merah dan Empangan Sultan Azlan Shah secara berterusan. Pada masa yang sama, Jabatan Alam Sekitar (JAS) memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) secara berkala di setiap lokasi berisiko bagi membolehkan amaran awal dikeluarkan dengan pantas.
LAP telah mengambil langkah proaktif dengan mengaktifkan pelan mitigasi berperingkat merangkumi pengoptimuman operasi loji rawatan air (LRA), pengezonan semula bekalan, mobilisasi lori tangki air, penempatan tangki statik dan penggunaan sumber air alternatif. Lembaga Air Perak juga telah mengemukakan permohonan peruntukan RM2.4 juta kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi tindakan mitigasi kawasan terjejas. Lembaga Air Perak juga bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara atau SPAN menerusi mekanisme War Room bagi mengurus sebarang risiko krisis air secara proaktif.
Dalam sektor pertanian, Kerajaan Negeri berfokus kepada pengurusan pengagihan sumber air secara cekap melalui infrastruktur pengairan utama dan mobilisasi pam-pam bergerak bagi tujuan kitar semula air bagi kawasan pertanian berstruktur seperti IADA Seberang Perak. Pemantauan ketat dijalankan memandangkan kebergantungan kepada sistem pengairan aliran graviti yang terkesan apabila paras air menyusut. Sekiranya keadaan semakin kritikal. Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dengan kerjasama NADMA dan MetMalaysia bersedia menyelaraskan operasi pembenihan awan di kawasan takungan sasaran.
Bagi sektor kesihatan awam, Jabatan Kesihatan Negeri, berpandukan Pelan Tindakan Pengurusan Risiko Kesihatan akibat gelombang haba, KKM 2021 menggariskan empat strategi utama iaitu advokasi kesihatan secara bersasar, pemantauan harian, penyakit berkaitan haba, jerebu serta penyakit kawalan penyakit bawaan air. Pengaktifan Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC), sekiranya amaran gelombang haba dikeluarkan serta memastikan kelangsungan operasi fasiliti kesihatan. Jabatan Kesihatan Negeri Perak bersama LAP memberi keutamaan tertinggi kepada bekalan air hospital dan klinik dengan rizab tangki simpanan minimum 48 jam serta bekalan ubat ubatan kritikal yang mencukupi.
Dari sudut alam sekitar, Jabatan Alam Sekitar Negeri Perak mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Operasi Kebakaran Tanah Gambut menerusi rondaan harian waktu siang, malam dan cuti umum di lokasi hotspot. Jabatan Alam Sekitar memanfaatkan teknologi dron untuk pemantauan serta menguatkuasakan hukuman di bawah Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekitar dalam kurungan pindaan 2024 yang memperuntukkan kompaun sehingga RM500 ribu dan denda sehingga RM1 juta. Jabatan Alam Sekitar turut bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi memastikan tiada pembakaran terbuka yang memburukkan kualiti udara dan indeks pencemaran. Jabatan Pertanian bersama Jabatan Mineral dan Geosains turut mengemaskini serta mengaktifkan penggunaan lebih 100 telaga tiub di kawasan strategik untuk menyalurkan sumber air tanah bagi kegunaan tanaman dan penternakan. Sebagai langkah jangka panjang untuk mempertingkatkan kecekapan penggunaan sumber air dan kelangsungan pengeluaran petani turut didedahkan dengan latihan pertanian pintar seperti aplikasi teknikal IoT dan sistem pengurusan ladang moden di Pusat Latihan Pembangunan Pertanian Daerah sekiranya terdapat keperluan, Kerajaan Negeri juga akan mengaktifkan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di bawah pengurusan Jabatan Pengurusan Bencana Negeri bagi membolehkan koordinasi logistik dan pengagihan bekalan air kecemasan dilaksanakan secara pantas. Selain itu, pemantauan amaran awal secara harian terus di integrasikan bersama kempen kesedaran awam di pelbagai saluran media bagi meminimumkan risiko kesihatan serta memastikan tindakan intervensi dapat dilaksanakan serta merta. Terima kasih.
Terima kasih Dato' Seri Menteri Besar, Bota.
Ok, terima kasih kepada Yang Berhormat Speaker. Sebelum saya menyuarakan satu lagi soalan, saya ucapkan mengambil kesempatan ini ucap terima kasih kepada YB Exco daripada Sungai Rapat dan juga YB Lintang yang telah hadir ke Bota melihat kesan kemarau kepada pesawah Bota. Soalan tambahan saya kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar adakah Perak bersedia menubuhkan satu jawatankuasa bertindak khas yang melibatkan yang menghimpunkan semua agensi yang disebutkan tadi, yang mana boleh melibatkan sektor pertanian, kesihatan, bekalan air dan juga alam sekitar, bagi menyelaraskan tindakan bersepadu serta membentangkan laporan tersebut kepada semua Ahli Dewan supaya kita dapat memahami dan juga memantau sehinggalah risiko El Nino ini dapat kita atasi dengan sebaik mungkin dan juga saya ingin mencadangkan juga agar melibatkan juga Jabatan Agama Islam di mana kita tahu El Nino ini adalah daripada Allah Subhanawataala sama-sama kita berdoa kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala sebab kita gerakkan semua masjid kita untuk mengadakan solat hajat. Itu sahaja soalan saya, Wallahua'lam. Terima kasih.
Terima kasih. Yang Berhormat Bota tak ada soalan tambahan. Tapi itu adalah merupakan cadangan-cadangan tambahan yang Insha Allah akan diambil tindakan oleh Kerajaan Negeri. Terima kasih.
Alor Pongsu.
Boleh…
Pantai Remis.
Terima kasih.
Alor Pongsu.
Pantai Remis.
Minta Alor Pongsu, bagi Alor Pongsu dulu.
Terima kasih. YB Dato' Seri Speaker kerana bagi peluang kat saya. Sebelum saya soal YAB Menteri Besar ni, saya sebab kawan baik saya ni, saya nak rakamkan ucapan tahniah kepada Pengkalan Baharu lah. Cakap pun dah lain dah sebab Datuk sekarang ni kan? Jadi kita ucap tahniah lah. Kita rakamkan ucapan tahniah kepada Pengkalan Baharu. Tahniah Datuk. Ok kepada YAB Menteri Besar ni, sebab semalam saya tak berapa boleh nak bercakap sebab berita baik saya tengok tu. Jadi hari ni bila kita nak sebut tentang El Nino ni yang lebih menjurus kepada kemarau. Soalan saya kepada Kerajaan Negeri, Kerajaan Negeri sedar atau tidak. Saya tumpu kepada sektor pertanian di kawasan saya. Kami ni ding…dong. Masa orang kemarau kami ayaq lebih, masa orang ayaq lebih, kami kemarau. Macam 2 zon di Dun saya, Jalan Kuala Kurau sekarang ni terlebih ayaq. Nak serak benih padi pun tak boleh. Yang kawasan Alor Pongsu pula tak ada ayaq. Jadi saya, saya nak tanya Kerajaan Negeri sedar tak perkara ni sebab pertanian terutamanya sektor penanaman padi. Ayaq ni adalah kunci utama. Terima kasih.
Bagi cakap bagi jawab dulu, bagi jawab dulu. Takpa takpa. Takpa.
Terima kasih Yang Berhormat Alor Pongsu. Memang dalam setiap kali mesyuarat Exco diadakan setiap minggu. Yang Berhormat Lintang, Yang Berhormat Sungai Rapat duduk bersebelahan dan mereka berkongsi pengalaman di mana mereka turun padang, melihat kesan-kesan El Nino ini dan pelbagai rintihan dan juga keluh kesah yang disampaikan oleh petani telah sampai kepada Kerajaan Negeri. Saya sebutkan tadi apa yang saya sebut dan soalan saya kepada Bota tadi ialah tentang kesiapsiagaan Kerajaan Negeri berhadapan dengan fenomena El Nino ini yang telah bermula Mei dan ikut surat khabar semalam akan berlanjutan hingga ke awal 2027. Ini yang disebut oleh Yang Berhormat Alor Pongsu tadi ialah dalam pengetahuan kita, tetapi saya sebutkan tadi kita El Nino ni, dia tak ikut jadual kita. Kita kena ikut jadual dia. Kadang-kadang kita membuat persiapan untuk sambut banjir di Kerian, banjir turun di Tanjong Malim. Kita buat persiapan untuk menyambut banjir di Manjung, banjir turun di Temenggor. Dia tak ikut kita. Kita kena ikut dia Yang Berhormat. Jadi maksudnya itulah kesiapsiagaan ya, kita menjangkakannya. Kadang-kadang meteorologi pun pening juga dia jangka hujan tapi tak hujan. Jadi, tapi kesiapsiagaan kita oleh kerana telah dikatakan seluruh dunia ini akan berlaku fenomena tersebut, maka itulah kesiapsagaan kita dan yang dicadangkan oleh Bota tadi supaya diwujudkan integrasi ini. Sebab tu saya minta panjang tadi sebab jabatan terlibat ni banyak Dato’ Seri Speaker dan mereka sentiasa berada di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri untuk memantau daripada satu waktu ke satu waktu dan daripada satu hotspot ke hotspot yang lain. Sebab lain padang lain belalang kata orang. So, lain bendang lain pula ikan bile dia. Jadi kita kena mengurus ikut tempatan-tempatan itu. Terima kasih.
Menteri Besar…
Pantai Remis.
Sekejap jap, Menteri Besar, ramai yang nak tanya soalan dan keadaannya memang kalau tengok keadaan semasanya popularlah topik ini. Jadi saya minta lepas ini saya jemput Semanggol dan Pantai Remis boleh Menteri Besar ya. Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Ok. Sila Semanggol.
Terima kasih Dato' Seri Speaker. Tahniah kepada jawapan dan yang diberikan oleh Yang Amat Berhormat. Cuma concern saya mengenai dengan apa apabila berlaku El Nino ini dua perkara yang akan memberi kesan. Pertama mengenai dengan bekalan makanan untuk rakyat kita sebab sudah pasti dia akan terkesan kepada kecukupan makanan untuk bekalan rakyat. Itu yang pertama dan yang kedua mengenai dengan, sudah pasti apabila berlaku ini dia akan terjejas kepada mereka-mereka yang terlibat dengan pertanian khususnya sepertimana yang dikatakan oleh Alor Pongsu tadi, bendang, sawah, petani dan sungai akan terjejas. Jadi apabila berlakunya berpanjangan. Jadi kita nak tanya kepada kerajaan lah Yang Amat Berhormat tanggungjawab kita bersama. Apakah langkah-langkah kita untuk menyediakan kecukupan makanan? Jadi kalau kisah Nabi Yusuf dulu ada tujuh ekor lembu makan tujuh ekor ini, maka masa yang kita kemarau itu kita masa yang boleh tanam itu kita menyediakan makanan yang cukup untuk 7 tahun yang…yang yang apabila berlaku El Nino ni. Jadi kita sekarang ni pun tak cukup untuk kita sendiri-sendiri. Jadi, yang pertama apa langkah kerajaan untuk mempersiapkan kecukupan makanan? Ini yang pertama dan yang kedua sudah pasti terjejas pendapatan kepada petani, nelayan daratlah khususnya. Apabila sungai kering tak boleh nak tangkap ikan dan sebagainya. Laut mungkin payahlah nak kering. Jadi macam mana. Jadi apa langkah-langkah kita persiapan kewangan untuk membantu mereka ni? Sebab kehidupan mereka mesti diteruskan. Sumber pendapatan mereka tak ada. Ini mungkin dapat penjelasan sikit.
Terima kasih Dato' Yang di-Pertua, jika ada di kalangan kita yang berkunjung ke Pavilion Perak sempena MAHA, ada statistik ditunjukkan oleh Jabatan Pertanian Negeri berkaitan dengan Food Security. Alhamdulillah, setakat ini pengeluaran padi kita mencecah 112% SSR. Maknanya untuk makan orang Perak cukup. Tapi untuk kita bantu negeri lain itu kena tambah kawasan padi dan kena tambah pengeluaran padi, bermakna kita kena mengambilkira apa yang disebut oleh Yang Berhormat tadi. Apakah kaedah-kaedah lain bila datang El Nino ini ia tidak menjejas pengeluaran? Setakat ini pengeluaran yang ada cukup untuk SSR 112%. Yang ini Jabatan Pertanian dan juga jabatan-jabatan berkaitan sudah merangka supaya jadual-jadual penanaman ini dapat diatur dan juga jadual penerimaan baja dan pelbagainya pun ialah saya sebutkan tadi kita kena ikut jadual El Nino, bukan El Nino tu ikut jadual kita.
Yang kedua Yang Berhormat, saya tadi terpanggil Yang Berhormat, bertanya tentang apakah langkah Kerajaan Negeri untuk membantu kemerosotan pendapatan bagi petani-petani? Yang Berhormat Lintang, Yang Berhormat Sungai Rapat dua kali bawa dalam Exco, berbincang perkara itu untuk menangani masalah kehilangan pendapatan petani-petani di Perak Tengah. Kita memperhalusinya tetapi pada waktu yang sama kita nak kena tengok tidak boleh mengambil tindakan berasaskan kepada satu-satu kes. Ini laporan tentang Perak Tengah. Kalau kita dah mula membantu membayar nanti datang pula laporan daripada Kerian dan pelbagai tempat. Itu baru satu sektor padi. Musim tengkujuh datang nanti penoreh getah pulak tak boleh menoreh. Bab itu pula. Musim bena perang nanti, serangan kepada peladang-peladang sawit pula. Yang Berhormat sebut tentang nelayan darat, musim nelayan darat air kering nanti. Jadi kita tak boleh tengok hanya berasaskan kepada satu-satu kumpulan sahaja. Nak membantu rakyat kena lihat yang lain. Dan kita pun dah bercadang dalam mesyuarat itu supaya bajet tahun depan kita akan wujudkan satu tabung khas untuk tujuan ini. Terima kasih.
Pantai Remis.
Terima kasih Dato' Yang di-Pertua. Memandangkan fenomena El Nino ini dia bukan sahaja dia ada extreme, cuaca yang extreme. Seperti yang tadi dikata ada tempat yang banjir, ada tempat yang kemarau di seluruh dunia juga. Jadi sekarang, suhu di Antartika juga mencatat suhu yang paling tinggi dalam sejarahnya. Jadi, dia juga ada perubahan potensi meningkatkan corak hujan dan juga apa itu keadaan laut. Jadi yang sekarang kita tak tahu dengan angin yang kuat, ombak yang kuat ini sepertimana kawasan paya bakau juga kita perlu lihat kepentingan itu. Contohnya di kawasan saya di muara Sungai Beruas. Sehingga kini dia telah dilaporkan sekurang kira-kira kurang-kurangnya 200 meter telah mengundur. Tapi sampai sekarang belum ada apa-apa tindakan diambil oleh pihak Kerajaan Negeri ataupun pihak Kerajaan Persekutuan. Jadi, saya ingin tahu, manakala dengan apa tindakan pemulihan akan diambil oleh pihak Kerajaan Negeri dengan kadar segera kerana ini akan menjejaskan pelantar-pelantar di sepanjang sungai itu dan juga kawasan perumahan yang berhampiran? Terima kasih.
Terima kasih Dato' Seri Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Pantai Remis yang memberi gambaran bagaimana kita harus mengambil kira El Nino Ini bukan setakat tentang perubahan cuaca tetapi juga akan mengambil kira tentang perubahan bagi tanah daratan, pantai, laut, gunung-ganang dan sebagainya termasuk apa yang berlaku, runtuhan ataupun banjir besar di Nepal. Itu adalah kesan El Nino. Jadi berasaskan pada itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri kita akan mengambil maklumat-maklumat ini dan kita akan berbincang dengan jabatan kerajaan dan agensi yang berkaitan. Contohnya dengan Jabatan Perhutanan dan juga dengan jabatan-jabatan yang berkaitan dengan pengurusan pantai, jabatan laut dan sebagainya untuk mengelakkan daripada berlakunya apa yang dipanggil pengurangan tanah darat, air, pantai semuanya terjun ke laut menjadikan keluasan Malaysia khususnya Manjung itu akan berkurangan. Jadi soalan Yang Berhormat itu dalam pengetahuan kita dan kita akan melihatnya secara lebih mikro untuk membolehkan kita mengambil tindakan yang sewajarnya terutama tentang penanaman bakau. Terima kasih.
Terima kasih Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Sekarang saya menjemput Ahli Yang Berhormat dari kawasan Changkat Jering untuk mengemukakan nombor soalan.
Assalamualaikum wbt. Terima kasih Dato' Seri Yang di-Pertua. Soalan Changkat Jering, soalan nombor dua.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Salam Sejahtera. Salam Malaysia MADANI. Salam Perak Sejahtera 2030. Terima kasih kepada Yang Berhormat Dato' Seri Yang di-Pertua dan juga Yang Berhormat Changkat Jering yang mengemukakan soalan berkaitan dengan status terkini Kuarters Guru Negeri Perak.
Yang Berhormat Dato' Seri Yang di-Pertua dan rakan-rakan Ahli Yang Berhormat, untuk pengetahuan jumlah keseluruhan kuarters guru di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Perak adalah sebanyak 3,547 unit. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,085-unit iaitu 30.6% sedang diduduki manakala baki kuarters kosong sebanyak 2,462-unit iaitu 69.4% dengan pecahannya mengikut daerah seperti berikut. Bagi bilangan unit kuarters, Bagan Datuk 191. Batang Padang, 341. Hilir Perak, 162. Hulu Perak, 571. Kerian, 419. Kinta Selatan, 8. Kinta Utara, 593. Kuala Kangsar, 227. Manjung, 344. Muallim, 136. Perak Tengah, 383. Dan Larut Matang dan Selama, 172 yang membawa jumlah keseluruhan 3,547 buah. Manakala bagi bilangan unit kuarters yang berpenghuni, Bagan Datuk, 60. Batang Padang, 158. Hilir Perak, 77. Hulu Perak, 190. Kerian, 87. Kinta Selatan, 5. Kinta Utara, 124. Kuala Kangsar, 106. Manjung, 96. Muallim, 84. Perak Tengah, 54. Larut Matang Selama, 44 yang membawa jumlah bilangan unit berpenghuni sebanyak 1,085 buah. Manakala bagi bilangan unit tidak berpenghuni, Daerah Bagan Datuk, 131. Batang Padang, 183. Hilir Perak, 85. Hulu Perak, 381. Kerian, 332. Kinta, 3. Kinta Utara, 469. Kuala Kangsar, 121. Manjung, 248. Muallim, 52. Perak Tengah, 329 dan Daerah Larut Matang Selama, 124 yang membawa jumlah sebanyak 2,462 orang.
Dasar atau Garis Panduan Pengurusan Kuarters yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia yang sedang berkuat kuasa turut membenarkan permohonan penyewaan dari NGO, syarikat swasta dan jabatan serta agensi kerajaan yang lain. Di mana semua permohonan-permohonan berikut hendaklah dikemukakan terus ke Kementerian Pendidikan Malaysia atau melalui Jabatan Pendidikan Negeri Perak. Di Negeri Perak, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia telah meluluskan beberapa permohonan penyewaan kepada syarikat swasta dan pertubuhan bukan kerajaan antaranya kepada Syarikat Rahman Hydraulic Tin Sdn. Bhd. untuk penempatan pekerjanya. Yayasan Kecemerlangan Pendidikan Daerah Hilir Perak di Kuarters Rumah Guru Seri Setia, Teluk Intan bagi dijadikan Pusat Kecemerlangan Pendidikan dan Tuisyen Percuma bagi pelajar di seluruh Hilir Perak mulai 1 Januari 2024 untuk tempoh sepanjang tiga tahun dan yang terkini ialah sewaan dua blok kuarters di Pengkalan Pegoh dan 2 blok kuarters Anjung Tawas kepada Syarikat Work Connect Sdn. Bhd. mulai 1 April 2026 Hingga 31 Mac 2029. Pihak yang telah diluluskan penyewaan ini boleh memohon kelulusan sambungan penyewaan jika masih terdapat keperluan untuk menduduki kuarters tersebut. NGO, syarikat atau agensi kerajaan perlu mematuhi garis panduan dan sebarang ketetapan serta syarat yang telah digariskan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia.
Pihak Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) juga telah mengadakan lawatan tapak ke beberapa kuarters di sekitar daerah Kinta bagi tujuan untuk menjadikan kuarters tersebut sebagai rumah sewa Skim Sewa Perak Sejahtera (SPSS) pada bulan 20 Mei 2024. Walaubagaimanapun, sebahagian kuarters pendidikan di Negeri Perak ini memerlukan kos penyelenggaraan agak tinggi hingga mencecah jutaan ringgit. Perkara ini menyebabkan usaha Kerajaan Negeri untuk menggunakan kuarters pendidikan yang kosong dan tiada permintaan dari warga pendidik, kakitangan kerajaan yang lain perlu diperhalusi dengan teliti kerana implikasi kewangan yang tinggi. Oleh yang demikian, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Pendidikan Negeri Perak sentiasa terbuka untuk sebarang perbincangan bagi mengoptimumkan penggunaan kuarters pendidikan yang boleh memberi manfaat kepada rakyat negeri Perak. Terima kasih Timbalan Yang di-Pertua.
Soalan tambahan? Changkat Jering sila.
Terima kasih Tuan Speaker di atas penerangan, penjelasan. Cuma apa yang pencerahan daripada minta pencerahan daripada Exco, berkenaan dengan kuarters ini seperti mana yang dimaklumkan tadi semua 3,547. Jadi yang diduduki hanya 1,085 tak silap saya tadi. Kalau diikut di sini bermakna hampir 70% masih kosong, tak didiami. Saya nak tanya adakah beberapa faktor? Apakah faktor yang menyebabkan kekosongan orang kata kuarters pendidikan di Negeri Perak, sama ada adakah disebabkan keadaan fizikal kuarters yang kurang memuaskan antara punca guru memilih untuk tidak mendudukinya dan sekiranya pembinaan atau kuarters tersebut tidak mengikuti spesification dengan izin, daripada JKR contohnya. Jadi perlulah saya rasa untuk dilaporkan kepada SPRM untuk nak menyelesaikan masalah ini. Terima kasih.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Changkat Jering atas soalan tambahan berkaitan dengan yang saya faham tadi tentang faktor kenapa kuarters pendidikan ini kosong, berlakunya kekosongan yang agak besar. Yang pertamanya kerana keadaan fizikal kuarters yang tidak kondusif itu juga merupakan salah satu faktor menyebabkan kakitangan warga pendidik ataupun kakitangan sokongan pendidikan ini tidak mahu menduduk di kuarters yang agak kurang kondusif. Yang keduanya, kerana kakitangan juga telah mempunyai rumah sendiri dan apabila rumah sendiri, mereka sudah pastilah lebih selesa menginap ataupun menghuni di rumah sendiri dan yang ketiganya, kerana kadang-kadang sewa rumah kediaman yang mungkin bukan rumah sendiri, rumah sewa lebih murah jika dibandingkan tapi mengikut kawasan, kawasan-kawasan tertentu mungkin sewa rumah lebih murah berbanding dengan jumlah potongan. Potongan bagi Imbuhan Tetap Perumahan dan juga Bantuan Sara Hidup jika menduduki kuarters. Kedua imbuhan ini tidak dapat diterima oleh penjawat awam dan juga kemudian kerana lokasi kuarters yang kurang strategik. Ada kuarters yang mungkin kawasan yang agak jauh dan dari segi faktor keselamatan dan sebagainya dan juga kita juga berkaitan dengan tadi berkaitan dengan dikatakan kuarters yang kurang kondusif itu juga merupakan saya rasa itu satu faktor yang yang cukup menjadi punca kenapa bilangan kakitangan untuk mendudukinya agak agak kurang, kerana mereka mahukan suasana yang kondusif, selamat dan ceria tetapi ada kuarters yang agak daif dan uzur yang juga memerlukan proses penyelenggaraan dan juga pembaikan yang cukup tinggi dan ada setengah kuarters ianya perlukan penambahbaikan dari segi struktur bangunan, bumbung, atap yang bocor dan juga bekalan air serta pembentungan dan kemudahan asas yang lain. Itu saja.
Manjoi, Manjoi Timbalan Speaker.
Alor Pongsu. Alor Pongsu.
Manong.
Behrang sila.
Terima kasih timbalan Yang di-Pertua. Yang Berhormat Dato' Exco, saya ingin bertanya kalau kita lihatkan sekarang ini, kuarters-kuarters ini berada di kawasan-kawasan yang mungkin tidak menarik minat untuk guru-guru tinggal di situ kerana mereka ada rumah sendiri dan sebagainya tetapi saya ingin bertanya berkaitan dengan perancangan kerajaan yang membolehkan guru-guru di pedalaman terutamanya ya pedalaman dan kawasan berisiko tinggi untuk mereka ni akses kepada kuarters yang lebih selamat, selesa dan memenuhi kriteria keadaan sekarang. Maksudnya dengan saiz yang baik ya, dengan keadaan yang baik ya untuk mereka betul-betul berminat untuk tinggal di kuarters ini terutamanya di kawasan pedalamanlah ya dan kawasan-kawasan berisiko tinggi. Terima kasih.
Timbalan Speaker boleh Manjoi masuk sekali? Soalan yang sama.
Ya saya minta Exco menjawab soalan dulu. Sila.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Behrang atas soalan berkaitan dengan perancangan jangka panjang Kerajaan Negeri. Untuk makluman, Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Jabatan Pendidikan Negeri, kita sentiasa meneliti keperluan, permintaan dan juga penyediaan kuarters guru khususnya bagi guru yang berada atau yang berkhidmat di kawasan pedalaman dan kawasan yang mempunyai keperluan tinggi berdasarkan bilangan guru, lokasi sekolah, aksesibiliti serta keadaan kuarters yang sedia ada. Bagi memastikan kuarters yang disediakan dalam keadaan selamat, selesa dan sesuai diduduki, kerja-kerja penyelenggaraan, pembaikan akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut atau berdasarkan tahap keperluan dan juga keutamaan. Berkaitan dengan soalan perancangan jangka panjang, kita memang telahpun atau pun kerajaan telahpun meluluskan pembinaan kuarters di SMK RPS Kemar yang mana peruntukannya telah diluluskan dalam RMK-13 Rolling Plan 1 bagi pembinaan bangunan tambahan, blok akademik dan juga lapan unit kuarters guru.
Untuk makluman, SMK RPS Kemar ini merupakan sekolah K-11 yang mana Sekolah RPS Kemar ini merupakan tahun pertama akan ada calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia yang berjumlah hampir 100 orang. So, dia memerlukan suasana kelas yang lebih baik dan juga guru atau kuarters guru yang sesuai kerana guru-guru tidak boleh berulang kerana duduk di pulau dan sebagainya. So RPS Kemar ini telah pun diluluskan dalam RMK-13 RP 1 lapan unit kuarters guru untuk memberi keselesaan kepada guru-guru dan untuk makluman sebelum ini kalau RK RPS Kemar ini pentadbirnya adalah guru besar tetapi apabila telah ditukar pada K-11, maka jawatan pentadbiran utama telah ditukar kepada jawatan pengetua yang baru dilantik lebih kurang dua bulan yang lalu. Usaha ini kita akan berterusan dari semasa ke semasa bagi memastikan kebajikan dan kemudahan tempat tinggal guru khususnya di kawasan pedalaman akan terus diberi perhatian. Terima kasih.
Timbalan Speaker, Manjoi sikit Timbalan Speaker.
Ya.
Terima kasih kepada Timbalan Speaker. Soalan kepada YB Exco, berkaitan dengan isu kuarters guru ini isu melibatkan 16 family 16 keluarga di Kuarters Guru Jelapang Jaya yang saya kira memerlukan tindakan segera daripada pihak kita. Beberapa point saya nak bagi di sini. Kerosakan sistem pendawaian elektrik terdapat masalah kerosakan sistem pendawaian elektrik di setiap blok Kuarters Guru Jelapang Jaya. Keadaan ini menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan penghuni kerana berpotensi menyebabkan litar pintas, kebakaran dan renjatan elektrik dan pemeriksaan dan saya dah turun ke padang juga, melihat pembaikan sistem pendawaian elektrik perlu dilakukan segera sebab melibatkan family yang masih tinggal di situ. Keadaan struktur bangunan kuarters juga ketika kini semakin uzur dan tidak diselenggara dengan baik dan keadaan bangunan yang tidak diselenggara boleh membahayakan keselamatan penghuni yang tinggal di kuarters tersebut dan di situ juga berlaku masalah Timbalan Speaker, kerosakan lampu jalan, semua lampu jalan semua lampu jalan di dalam kawasan Kuarters Guru Jelapang Jaya telah rosak.
Kerosakan tersebut telah berlarutan selama hampir dua tahun dan masih lagi belum dibaiki walaupun saya sudah angkat isu ini di peringkat JPTD dan juga di peringkat bawah dan terakhir keadaan kawasan kuarters yang gelap pada waktu malam membahayakan keselamatan penghuni serta kenderaan yang diletakkan di kawasan kuarters yang pernah berlaku di situ berkaitan dengan kes keselamatan dan kejadian kecurian berlaku di kuarters guru kita, pernah berlaku kejadian kecurian di kawasan kuarters tersebut dan keadaan kawasan yang gelap pada waktu malam akibat lampu jalan yang rosak meningkatkan risiko berlakunya kejadian jenayah dan pembaikan lampu jalan amat penting bagi kami dan saya mohon diberi perhatian kerana di situ masih lagi ada 16 keluarga yang tinggal dalam Kuarters Guru Jelapang Jaya dalam kawasan Dun Manjoi. Terima kasih YB Exco yang dihormati.
Terima kasih YB Manjoi atas pengutaraan isu di Kuarters Guru Jelapang Jaya. Untuk makluman, saya tidak boleh menjawab secara detail kerana tidak dapat laporan berkaitan dengan masalah atau pun isu yang berlaku di Kuartes Jelapang Jaya cuma kita akan minta pihak Pejabat Pendidikan Daerah Kinta Utara untuk membuat tinjauan dan juga mengambil isu-isu yang telah dinyatakan oleh pihak YB Manjoi tadi tentang kadar kerosakan dan ianya melibatkan proses itu segala permasalahan dan isu kita akan angkat ke Bahagian Pengurusan Aset Kementerian Pendidikan Malaysia untuk penyaluran peruntukan yang bersesuaian berdasar kepada tahap dan juga kerosakan-kerosakan yang berlaku. Insha Allah YB Manjoi saya akan ambil maklum perkara ini untuk kita angkat ke Kementerian Pendidikan Malaysia di bawah Bahagian Pengurusan Aset kerana penyelenggaraan dan juga penaiktarafan kuarters guru di bawah Bahagian Pengurusan Aset Kementerian Pendidikan Malaysia setelah mendapat feedback dan juga laporan daripada Jabatan Pendidikan Negeri yang sekarang ni kuarters di Jelapang Jaya itu di bawah Pejabat Pendidikan Daerah Kinta Utara. So, saya akan maklum kepada pihak PPD untuk melakukan tindak susul awal bagi melihat apa proses apa tahap kerosakan yang berkaitan dengan kuarters pendidikan di di Jelapang Jaya itu. Terima kasih.
Seterusnya dijemput Ahli Yang Berhormat dari kawasan Malim Nawar untuk mengemukakan soalan. Sila.
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Speaker. Salam Sejahtera, salam Madani, soalan Malim Nawar nombor 3.
Auzubillahi minajsyaitonirrojim. Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillahi rabbil Alamin Wassolatu Wassalamu Ala Isrofil Anbia iwal Mursalin Wa'ala Alihi Wasahbihi Ajmain. Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Salam Perak Sejahtera 2030. Salam Malaysia Madani. Terima kasih kepada Timbalan Yang di-Pertua. Terima kasih kepada Malim Nawar di atas soalan yang dibangkitkan dalam sidang Dewan pada kali ini. Sebelum saya menjawab ketiga-tiga perkara yang dibangkitkan, izinkan saya menjelaskan bahawa agenda menghadapi status negeri menua ini bukanlah tanggungjawab kepada satu portfolio ataupun satu Exco semata-mata. Penuaan penduduk adalah isu rentas sektor. Ia melibatkan kebajikan, kesejahteraan sosial, kesihatan, perancangan bandar dan kerajaan tempatan, perumahan, pengangkutan, pembangunan ekonomi, tenaga kerja serta pembangunan komuniti. Portfolio saya mempunyai tanggungjawab yang besar khususnya dalam aspek kesejahteraan warga emas, sokongan keluarga, pembangunan penjagaan, kek ekonomi, penuaan aktif serta keusahawanan.
Namun bagi perkara seperti penyediaan infrastruktur, bandar mesra warga emas dan pelaksanaannya, ia semuanya terletak di bawah PBT dan ia semestinya memerlukan penjelasan bersama portfolio Kerajaan Tempatan, PBT dan juga agensi teknikal yang berkaitan. Justeru, pendekatan Kerajaan Negeri bukanlah secara silo tetapi secara rentas portfolio dan rentas agensi. Malah saya melihat persediaan menghadapi negeri menua bukan hanya persoalan apa yang kita buat untuk warga emas hari ini tetapi juga bagaimana kita menyediakan Perak untuk rakyat yang akan menjadi warga emas pada masa akan datang. Ia seumpama kita melakukan apa yang kita lakukan pada warga emas pada hari ini sebenarnya kita menyediakan pembangunan atau pun inisiatif yang lebih baik kepada diri kita sendiri yang akan menghadapi usia menua nanti. Insha Allah.
Kerajaan Negeri mengakui bahawa penuaan penduduk bukan lagi isu masa hadapan tetapi realiti yang sedang berlaku. Data tahun 2025 mencatatkan sebanyak 15.3% daripada 2.6 juta penduduk Perak berumur 60 tahun dan ke atas iaitu kadar tertinggi di Malaysia. Perubahan ini bukan sekadar meningkatkan keperluan bantuan kebajikan malah memberi kesan kepada kesihatan, tenaga kerja, perumahan, pengangkutan, sistem penjagaan, institusi keluarga dan ekonomi negeri. Bagi persoalan berkenaan status penggubalan pelan tindakan atau polisi negeri tua, Perak serta penyediaan Bandar Mesra Usia yang diajukan oleh Yang Berhormat Malim Nawar, Kerajaan Negeri pada masa ini belum menghasilkan apa-apa dokumen khusus yang telah dimuktamadkan sebagai polisi negeri tua, Perak ataupun Pelan Tindakan Bandar Mesra Usia yang dilaksanakan secara seragam merentasi semua Pihak Berkuasa Tempatan. Walaubagaimana pun, isu penuaan penduduk telah mula diarusperdanakan melalui Pelan Perak Sejahtera 2030. Perkara ini juga telah mula dibincangkan secara lebih teliti pada peringkat dasar bagi menentukan bentuk tadbir urus, pembahagian tanggungjawab, keutamaan tindakan dan kaedah pembiayaan yang bersesuaian.
Timbalan Yang di-Pertua dan seisi Dewan, untuk makluman Dewan, bandar dan komuniti mesra usia bukan sekadar bandar yang mempunyai tanjakan (ramp) ataupun lif ataupun tandas yang khas. Ia bermaksud persekitaran yang membolehkan seseorang terus hidup dengan selamat, sihat, berdikari, dihormati dan terlibat secara aktif dalam masyarakat apabila umur mereka meningkat. Berdasarkan kerangka Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau WHO, terdapat lapan bidang yang perlu diberikan perhatian iaitu ruang luar dan bangunan, pengangkutan, perumahan, penyertaan sosial, penghormatan dan keterangkuman, penyertaan sivik dan juga peluang pekerjaan, komunikasi dan maklumat serta sokongan komuniti dan perkhidmatan kesihatan. Sebuah PBT juga tidak dianggap mesra usia hanya kerana menganjurkan program warga emas. PBT juga perlu ada mempunyai data asas audit kemudahan penglibatan warga emas dalam menentukan keutamaan pelan tindakan yang boleh diukur serta sistem pemantauan dan penambahbaikan.
Untuk maklumat Yang Berhormat, Ipoh dan Taiping telah menyertai rangkaian global bandar dan komuniti mesra warga emas WHO sejak tahun 2019. Namun, keahlian tersebut bukan pensijilan bahawa semua kriteria telahpun dipenuhi. Ia merupakan komitmen untuk membuat penilaian dan penambahbaikan secara berterusan. Ipoh dan Taiping kini dijadikan model rintis sebelum disesuaikan dan diperluaskan kepada PBT yang lain. Pada Julai yang lalu, saya turut menerima kunjungan hormat daripada Yayasan Hasanah iaitu yayasan berasaskan impak di bawah Khazanah Nasional Berhad. Setelah melihat komitmen dan perancangan Kerajaan Negeri Perak, pihak Yayasan Hasanah telah pun menyatakan minat mereka untuk menyokong serta meneliti pembiayaan bagi usaha meningkatkan kesejahteraan warga emas di Perak. Sebagai permulaan, kerjasama sedang diteroka melalui sandbox penjagaan warga emas Ipoh bagi melengkapi pelaksanaan Ipoh Living Lab. Melalui sandbox ini, kita mahu mengenal pasti masalah sebenar di lapangan dan juga menguji model penuaan di tempat sendiri. Penjagaan berasaskan komuniti, latihan tenaga penjaga, jagaan harian, sokongan kepada penjaga keluarga serta peluang ekonomi warga emas. Sekiranya model yang diuji di Ipoh menunjukkan keberkesanannya, hasilnya boleh dijadikan asas untuk membangunkan dasar dan diperluaskan kepada PBT yang lain.
Timbalan Yang di-Pertua, perkembangan ini juga memberikan satu sinar positif kerana komitmen Kerajaan Negeri telah mula menarik perhatian rakan strategik yang berpotensi membawa kepakaran, penyelidikan dan sumber pembiayaan. Bagi persoalan berkenaan dasar pembiayaan dan sokongan kepada industri penjagaan yang diajukan oleh Yang Berhormat Malim Nawar, pada masa ini Kerajaan Negeri belum mempunyai satu dasar pembiayaan khusus dan menyeluruh untuk tujuan tersebut. Ia bagi tujuan membangunkan pusat jagaan harian warga emas. Kita belum ada lagi. Namun, sokongan telah dimulakan melalui pembiayaan latihan, pembangunan tenaga penjaga dan kerjasama dengan institusi latihan serta pemain industri. Antara inisiatif utama ialah Program Santunan Kasih yang dilaksanakan melalui PASAK dan Wanita Perak sejak tahun 2023 di mana melalui kursus-kursus penjagaan warga emas yang dijalankan ini, seramai 506 orang peserta telah dilatih dan dipersijilkan sehingga Julai 2026.
Berdasarkan pemantauan PASAK, kira-kira 80% peserta kini bekerja secara profesional dalam industri penjagaan manakala selebihnya menggunakan kemahiran tersebut untuk menjaga ahli keluarga. Jadi itu lebih kurang kita membantu walaupun mungkin tidak dalam bentuk pembiayaan tapi kita menyediakan ruang latihan kepada sekiranya ada institusi-institusi penjagaan jagaan warga emas. Bagi fasa seterusnya, Kerajaan Negeri sedang meneliti pendekatan pembiayaan yang meliputi pengurusan latihan TVET, pembangunan pangkalan data penjaga, sokongan kepada pusat jagaan harian bertauliah, perkhidmatan penjagaan di rumah serta bantuan pematuhan pendaftaran JKM dan syarat PBT.
Kerajaan Negeri juga akan meneroka pembiayaan secara perkongsian dengan Kerajaan Persekutuan, Yayasan Hasanah, sektor korporat, koperasi dan perusahaan sosial. Minat yang ditunjukkan oleh Yayasan Hasanah merupakan antara perkembangan positif dalam usaha memastikan ekonomi penjagaan tidak bergantung sepenuhnya hanya kepada peruntukan Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri juga turut membezakan antara latihan penjagaan dengan latihan jururawat. Latihan penjaga boleh dilaksanakan melalui latihan TVET manakala latihan jururawat hendaklah mematuhi akreditasi Kementerian Kesihatan Malaysia dan Lembaga Jururawat Malaysia. Peranan Kerajaan Negeri adalah sebagai penyelaras dan pemudahcara manakala pembangunan industri ini memerlukan kerjasama agensi kesihatan, kebajikan, PBT, institusi TVET, sektor swasta dan juga pertubuhan NGO.
Bagi persoalan berkenaan insentif atau dasar khas untuk pesara dan warga emas produktif yang dianjurkan oleh Yang Berhormat Malim Nawar, pada masa ini belum terdapat satu skim insentif negeri yang dikhaskan sepenuhnya kepada kumpulan tersebut. Walaubagaimanapun, mereka masih boleh menyertai program keusahawanan, koperasi, latihan kemahiran, aktiviti kemasyarakatan melalui saluran sedia ada Kerajaan Negeri. Antaranya melalui rangkaian 18 PAWE di Perak yang menjadi platform penting untuk warga emas kekal aktif. Sebahagian daripada PAWE juga telah menjalankan aktiviti kemahiran, penghasilan produk, pertanian komuniti dan juga kegiatan penjanaan pendapatan. Antara pendekatan khusus yang sedang diteliti ialah latihan digital dan pemasaran, pembangunan produk, ruang niaga komuniti, koperasi warga emas, pekerjaan fleksibel, pangkalan dan data bakat pesara serta program mentor dan juga sukarelawan. Program Adopt Atok Perak Sejahtera 2027, Insha Allah ataupun Program Cucu Angkat turut dicadangkan bagi memperkukuhkan hubungan antara generasi. Melalui pendekatan ini, warga emas boleh berperanan sebagai mentor, sumber ilmu, pemeliharaan warisan dan pembimbing kepada generasi muda. Penyertaan ekonomi warga emas hendaklah dilihat bersifat sukarela, fleksibel dan sesuai dengan tahap kesihatan mereka. Matlamatnya bukan semata-mata mengembalikan mereka ke pasaran pekerjaan tetapi memastikan pengalaman dan kemahiran yang mereka ada terus dapat dimanafaatkan.
Timbalan Yang di-Pertua, status negeri menua tidak seharusnya dilihat sebagai beban kebajikan semata-mata. Jika dirancang dengan baik ia boleh membuka peluang baharu dalam bidang penjagaan, kesihatan, teknologi, perumahan, pelancongan dan juga keusahawanan. Ini yang kita panggil sivil ekonomi. Prinsip Kerajaan Negeri warga emas mestilah diberikan peluang untuk meniti usia dengan sihat, selamat, berdikari, produktif dan bermaruah. Terima kasih.
Soalan tambahan. Malim Nawar sila.
Terima kasih Yang Berhormat Exco di atas penjelasan. Namun saya ada soalan tambahan. Seperti yang dijelaskan oleh Yang Berhormat Exco sebentar tadi, persediaan menghadapi status negeri menua memerlukan tindakan secara rentas portfolio dan rentas agensi. Namun tanpa suatu pelan tindakan di peringkat persekutuan mahupun negeri yang jelas, usaha mendapatkan komitmen menyeluruh daripada PBT serta agensi pembangunan sudah tentu menjadi sukar. Memandangkan isu ini semakin mendesak, setujukah Yang Berhormat Exco bahawa persediaan menghadapi negeri menua perlu diangkat sebagai salah satu agenda utama Kerajaan Negeri dan dijadikan keutamaan dalam
Majlis Tindakan Pembangunan Negeri yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar supaya penyelarasan, tanggungjawab dan pemantauannya dapat dilaksanakan secara lebih berkesan. Terima kasih.
Terima kasih. Malim Nawar di atas soalan tambahan yang dibangkitkan. Dah tentulah kalau bertanya soal setuju atau tidak berkaitan aging isu ini kerana kita Perak, negeri yang memang negeri yang berada dalam kedudukan tertinggi. Apabila kita melepasi 10% daripada penduduknya berusia 65 tahun ke atas maka kita telah masuk sebagai negeri menua. Bahkan kita telah melepasi daripada masyarakat menua apabila kita telah melepasi 14% yang berumur 60 tahun ke atas. Jadi isu masyarakat menua ini merupakan satu isu yang perlu kita tangani kerana perubahan demografi usia ini telah akan memberi kesan bukan sahaja kepada bagaimana kita nak menjaga warga emas tersebut tetapi ia melibatkan faktor-faktor atau pun perkara-perkara lain seperti dia akan juga turut memberi kesan kepada soal kesihatan. Bagaimana kita nak menyediakan infra kesihatan yang baik kepada warga emas? Bagaimana kita nak beri tumpuan kepada masalah sosial, kesenjangan, kesunyian, bagaimana ada warga emas yang terbiar.
Dari segi fasilitinya adakah kita melihat kepada konsep universal design. Adakah setiap pembangunan kita mencakupi perkara-perkara tersebut kerana apabila kita bercakap soal isu menua ini ia seperti yang saya sebut tadi ia menyediakan sekarang ini apa yang kita buat ialah gambaran apa yang kita akan hadapi 10-20 tahun yang akan datang iaitu kita sendiri yang akan melalui fasa-fasa tersebut. Jadi perkara ini perlulah diberikan kesedaran. Sebab itu program-program yang dilakukan di bawah portfolio saya kita cuba mula memberi kesedaran dari segi penjagaan, kesedaran segi pentingnya yang muda menghormati yang tua, pentingnya kesedaran untuk bagaimana kita melihat fasiliti-fasiliti dinaiktaraf dan penting juga kita tahu data-data. Data-data yang ada di Negeri Perak ini menunjukkan antara kawasan atau daerah yang tertinggi ialah seperti daerah LMS melebihi daripada 10%. Ia juga melibatkan Manjung, Kampar. Ini antara daerah-daerah yang telah berada kedudukan tertinggi melepasi 7% untuk kita dikategorikan dalam negeri menua tapi kita telah berada 10% lebih.
Jadi perkara ini perlu dilihat secara serius oleh Kerajaan Negeri. Bahkan saya mengucapkan ribuan terima kasih di mana sidang yang lepas kita pun telah mewujudkan satu jawatankuasa warga emas untuk menunjukkan bahawa komitmen Kerajaan Negeri serius menghadapi isu dan perkara ini dan saya juga bersetuju kepada Malim Nawar agar perkara ini juga boleh diangkat. Saya akan bangkitkan perkara ini untuk diangkat dan dimasukkan dalam perkara Majlis Tindakan Negeri supaya Yang Amat Berhormat Menteri Besar sendiri dapat mempengerusikan dan memastikan kita menangani isu menua ini dengan sebaik mungkin. Jadi itu sahaja jawapan yang saya dapat berikan terima kasih.
Manong sila.
Terima kasih kepada Timbalan Speaker dan juga terima kasih kepada Yang Berhormat Exco. Soalan tambahan berkaitan dengan isu masyarakat menua yang disebut tadi. Isu masyarakat menua ini bukan sekadar dilihat dari sudut kesihatan, kebajikan dan juga kewangan. Isu masyarakat menua ini juga melibatkan isu pengasingan sosial, isu kesunyian dan sebagainya dan tadi Yang Berhormat Exco juga telah menyebut tentang program- program di bawah PAWE. Saya ucapkan tahniahlah kepada Yang Berhormat Exco kerana berjaya menggerakkan PAWE seluruh Perak. Sangat aktif. Kalau di PAWE Manong ni memang aktiflah banyak aktiviti mereka. Cuma isunya adalah yang saya sebut tadi tentang pengasingan sosial. Aktiviti di PAWE sangat menarik. Cuma terdapat beberapa warga emas yang agak pedalaman yang tiada pengangkutan untuk datang ke PAWE untuk turut serta dalam aktiviti menyebabkan mereka ini terus terasing di dalam kampung dan sebagainya. So, adakah cadangan di peringkat Kerajaan Negeri dan Yang Berhormat Exco untuk mewujudkan seumpama PAWE bergerak, PAWE mobile, ada van dia, mendatang menghiburkan warga emas yang berada di kampung yang saya katakan tadi tak ada pengangkutan yang mereka sunyi, pengasingan sosial, anak pun jauh dan jika dibiarkan kesunyian itu takut ada impak yang lain? So, ada cadangan PAWE mobile ini, PAWE bergerak? Terima kasih Yang Berhormat Exco, terima kasih.
Terima kasih di atas soalan yang diberikan. Saya kira isu yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat sebentar tadi kita cuba sebaik mungkin untuk menggerakkan program-program untuk kita mendekati kalau boleh kita nak mendekati keseluruhan warga emas di Negeri Perak. Sebab itu saya sebut dalam jawapan saya tadi program Sandbox yang kita cuba nak lakukan ialah kita nak cuba melakukan pendekatan aging in place. Kita akan tengok mana-mana kawasan yang memang mempunyai penduduk atau pun warga emas yang tinggi kita cuba melakukan pendekatan dari segi penjagaannya, kemudahan kesihatannya dan sebagainya untuk kita dapatkan data dan mungkin kita boleh perluaskan di tempat-tempat lain. PAWE ialah sebahagian daripada untuk kita ada tempat untuk menggerakkan warga emas.
Sebenarnya kita banyak tempat lagi yang paling dekat dengan kita kalau masyarakat Islam ialah surau atau pun masjid. Itu adalah salah satu pendekatan yang boleh kita lakukan kepada warga emas kita. Jadi kita kena tengok adakah penuaan kita ini penuaan sihat. Jadi kalau kalau sihat mereka mereka boleh untuk turun pergi melakukan aktiviti kemasyarakatan di dalam kampung, dalam komuniti tidak hanya semestinya pergi ke PAWE. Itu pandangan saya. Kalau yang tak sihat itu yang kita cuba buat pendekatan dari segi konteks penjagaan warga emas care giver yang sedang kita lakukan. Jadi pendekatan-pendekatan secara holistik sedang kita cuba perbaiki sebab isu menua ini terlalu baru. Dasar sendiri pun belum ada yang lengkap berkaitan dengan isu menua ini dan kita juga kena faham ia soal kalau kita boleh cakap soal penjagaan warga emas ia fokus kepada care economy tapi kalau kita bercakap soal negeri menua secara keseluruhan dalam konteks kesihatan, infra, kebajikan, fasilitis dan sebagainya itu yang sedang kita menuju kepada silver ekonomi yang sedang Kerajaan Negeri lakukan. Jadi itu saja terima kasih.
Seterusnya dijemput Ahli Yang Berhormat dari kawasan Kenering untuk mengemukakan soalan. Sila.
Terima kasih kepada Timbalan Yang di-Pertua. Soalan saya soalan nombor 4.
Terima kasih Timbalan Speaker. Untuk makluman Yang Berhormat Kenering, Lenggong UNESCO Geopark atau Lenggong UGGP, kini meliputi kawasan seluas lebih kurang 2248 kilometer persegi merangkumi lima mukim iaitu Mukim Lenggong, Mukim Temelong, Mukim Durian
Pipit, Mukim Kenering dan Mukim Gerik. Kawasan yang luas ini menjadikan pembangunan Lenggong Geopark bukan hanya tertumpu satu lokasi atau satu produk pelancongan sebaliknya melibatkan pembangunan, sebuah wilayah yang kaya dengan warisan geologi, biodiversiti, arkeologi, sejarah, budaya dan kehidupan komuniti setempat.
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri mengambil pendekatan bahawa pembangunan geopark hendaklah dilaksanakan secara holistik dan berteraskan tiga komponen utama iaitu pemuliharaan warisan dan pakej pelancongan melalui Jawatankuasa Geo Pelancongan Lenggong (UGGP), Pendidikan dan Penyelidikan melalui Jawatankuasa Saintifik dan Pemuliharaan dan ketiga pembangunan sosio ekonomi komuniti secara mampan melalui Jawatankuasa Geo Komuniti. Bagi memastikan pembangunan Lenggong UGGP dilaksanakan secara terancang, Majlis Daerah Lenggong sedang menyediakan Rancangan Khas Kawasan atau RKK Lenggong Geopark. Dokumen RKK ini amat penting kerana ia akan menjadi asas perancangan yang lebih terperinci bagi menentukan halatuju pembangunan, pemuliharaan, pengurusan kawasan geopark. Antara perkara yang diberi perhatian termasuk aspek gunatanah, zon pemuliharaan, pembangunan produk pelancongan, kemudahan dan infrastruktur, pelawat, aksesibiliti, papan tanda, interpretasi, pengurusan tapak pembangunan ekonomi komuniti serta mekanisme pelaksanaan yang melibatkan pelbagai agensi.
Kerajaan Negeri Perak menjangkakan dokumen RKK Lenggong Geopark akan disiapkan pada hujung 2026 sebelum melalui proses kelulusan dan seterusnya diwartakan mengikut peruntukan serta prosedur yang ditetapkan. Dengan wujudnya RKK ini kelak, pembangunan Lenggong UGGP akan mempunyai satu pelan tindakan ruang dan pembangunan yang lebih jelas, bersepadu dan holistik sekaligus membolehkan keutamaan pembangunan serta keperluan peruntukan diselaraskan secara lebih sistematik antara Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan, Pihak Berkuasa Tempatan dan agensi-agensi teknikal yang berkaitan. Badan Pengurusan Lenggong Geopark juga mempunyai atau melalui kerjasama dengan kementerian dan juga agensi berkaitan akan terus mengenalpasti keperluan menaik taraf infrastruktur dan kemudahan pelancongan secara berperingkat mengikut keutamaan dan kemampuan kewangan. Antara aspek yang diberi perhatian adalah peningkatan akses dan kesalinghubungan ke tapak-tapak geo pelancongan dan produk pelancongan. Penyediaan sistem papan tanda dan interpretasi yang seragam serta mudah difahami, penambahbaikan kemudahan asas pelawat, penyediaan pusat Informasi dan kemudahan kokongan di lokasi strategik, pembangunan laluan dan pengalaman pelancongan seperti geotrail, geotracking dan juga lawatan berpandu, penambahbaikan aspek keselamatan, kebersihan dan pengurusan pelawat dan juga pengukuhan kemudahan digital dan promosi bagi peningkatan pengalaman serta akses maklumat pelancong.
Tambahan, Kerajaan Negeri bersama Kerajaan Persekutuan melalui pelbagai kementerian, jabatan dan agensi berkaitan sedang dan telah memperkukuh infrastruktur serta kemudahan pelancongan di kawasan Lenggong dan Gerik sebagai langkah menyokong pembangunan Geopark UNESCO Geopark bermula tahun 2023. Sehingga kini, peruntukan berjumlah RM9,724,904.00 telah disalurkan bagi pelaksanaan pelbagai projek dan inisiatif merangkumi pembangunan infrastruktur serta program bukan infrastruktur seperti kursus, bantuan modal dan kajian. Antara agensi-agensi yang terlibat termasuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya atau MOTAC, Kementerian Ekonomi, Unit Perancang Ekonomi Negeri, Northern Corridor Implementation Authority atau NCIA, Jabatan Landskap Negara, Pejabat Kewangan Negeri serta agensi- agensi yang berkaitan. Dalam melaksanakan perkara ini, Badan Pengurusan Lenggong Geopark akan dan terus bekerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan termasuk kementerian yang bertanggungjawab terhadap pelancongan, sumber asli dan warisan serta agensi teknikal seperti Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Warisan Negara, Tourism Perak, pihak berkuasa tempatan dan agensi-agensi lain yang berkaitan. Antara perancangan utama Lenggong (UGGP) pada masa hadapan ialah untuk membangunkan Lenggong sebagai sebuah pusat pendidikan terbuka atau Open Education Hub yang berteraskan konsep Edutourism, Geo Education dan Research Tourism. Kelebihan Lenggong ialah kawasan ini sendiri merupakan sebuah makmal hidup yang membolehkan pelbagai ilmu dikaji secara langsung termasuk geologi, arkeologi, biodiversiti, ekologi dan alam sekitar, pelancongan, sejarah, budaya, komuniti dan pembangunan wilayah.
Sehubungan itu, kerjasama dengan institusi pengajian tinggi akan terus diperkukuh melalui penyelidikan bersama pembangunan pusat dan juga program penyelidikan, pemindahan ilmu, latihan profesional, pembangunan modul pendidikan dan pelaksanaan program lapangan. Antara institusi yang terlibat dalam usaha ini termasuk Universiti Teknologi Malaysia atau UTM melalui kerjasama strategik dan memorandum persefahaman bagi memperkukuh penyelidikan, teknologi geospatial, latihan dan pemindahan ilmu selain penglibatan institusi seperti Universiti Malaya atau UM, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia atau UIAM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Universiti Sains Malaysia (USM) serta institusi-institusi lain dalam bidang pendidikan, penyelidikan, dokumentasi pelancongan dan pembangunan komuniti. Pendekatan ini diyakini mampu mewujudkan segmen pelancongan baru iaitu Research Tourism & Educational Tourism yang bukan sahaja membawa pelawat malah mampu meningkatkan tempoh tinggal serta perbelanjaan dalam kalangan pelajar, penyelidik, pensyarah dan peserta program ini di kawasan Hulu Perak.
Badan Pengurusan Lenggong Geopark juga akan terus memperkukuh promosi Lenggong UGGP melalui Tourism Perak dan kerjasama dengan agensi pelancongan di peringkat persekutuan serta pelbagai pihak berkepentingan. Pengiktirafan UNESCO ini memberikan nilai tambah yang besar kepada negeri Perak untuk mempromosikan Lenggong kepada pasaran domestik dan antarabangsa. Pada masa yang sama, pendidikan promosi tidak seharusnya melihat Lenggong secara bersendirian sebaliknya berpotensi dibangunkan secara berjajaran dan berjaringan dengan destinasi destinasi lain di Hulu Perak. Ini termasuk membangunkan pakej laluan pelancongan yang membolehkan dan juga menghubungkan produk pelancongan, eko pelancongan, pelancongan, budaya, warisan, rekreasi, makanan dan komuniti bagi kawasan Kenering, Lenggong, Gerik sehingga ke Pengkalan Hulu. Dengan adanya jaringan sedemikian, pelancong mempunyai banyak sebab untuk melanjutkan tempoh kunjungan bermalam berbelanja di kawasan Hulu Perak.
Berhubung dengan sasaran dan impak ekonomi pula, badan pengurusan Lenggong Geopark mengambil pendekatan bahawa sasaran pembangunan UGGP hendaklah diukur bukan hanya berdasarkan kepada jumlah pelancong tetapi melalui kualiti impak ekonomi kepada komuniti sebagai petunjuk positif hasil pembangunan dan juga pengiktirafan Lenggong sebagai Geopark Kebangsaan. Jumlah pelawat yang menunjukkan peningkatan ketara daripada 24,770 orang pada 2022 kepada 96,957 orang pada 2023, 154,137 orang pada 2024 dan 166,644 orang pada 2025. Lebih memberangsangkan lagi sehingga Jun 2026 sahaja, sebanyak, minta maaf, atau seramai 181,057 pelawat telah direkodkan iaitu peningkatan lebih 7 kali ganda berbanding 2022 dan telah mengatasi jumlah keseluruhan pada tahun 2025. Trend ini dijangka terus meningkat susulan pengiktirafan Lenggong UNESCO Geoprak, maaf, Lenggong UNESCO Global Geopark pada tahun 2026 sekali gus memperkukuh potensi geo pelancongan, edutorism, Research Tourism dan pelancongan berasaskan Komuniti. Pada masa yang sama, ia juga memberi tumpuan agar pertambahan pelawat diterjemahkan kepada tempoh tinggal yang lebih panjang, peningkatan perbelanjaan, peluang keusahawan serta pendapatan komuniti setempat seterusnya mewujudkan limpahan ekonomi yang lebih luas kepada Lenggong dan Hulu Perak. Terima kasih.
Soalan tambahan, Kenering sila.
Terima kasih kepada jawapan yang telah diberikan oleh YB Exco. Untuk soalan tambahan saya, memandangkan koridor pelancongan Dun Kenering hingga Pengkalan Hulu mempunyai potensi besar sebagai pemangkin pembangunan berteraskan UNESCO Global Geopark, bolehkah Kerajaan Negeri menyatakan sama ada akan menyediakan satu pelan induk pembangunan yang komprehensif termasuk penyediaan peruntukan pembangunan infrastruktur dan kemudahan pelancongan, promosi, destinasi, penjelasan penyelarasan antara agensi berkaitan serta pemeriksaan komuniti dan usahawan tempatan bagi memastikan manfaat pembangunan pelancongan dapat diterjemahkan kepada peningkatan peluang pekerjaan, pertumbuhan ekonomi dan pendapatan penduduk setempat khususnya di Daerah Hulu Perak.
Terima kasih Yang Berhormat, Timbalan Speaker, soalan tadi telah dijawab dalam kandungan jawapan asal semasa. Terima kasih.
Seterusnya saya menjemput Ahli Yang Berhormat dari kawasan Astaka.
Soalan tambahan, boleh satu.
Sila, sila.
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Speaker. Soalan saya kepada Yang Berhormat Exco. Di Kenering ada sebut Pengkalan Hulu. Cuma untuk makluman Yang Berhormat Kenering dan juga hadirin Pengkalan Hulu tak termasuk dalam apa Lenggong Geopark. Yang masuk hanya Gerik dan Lenggong. Cuma cadangan itu agak bagus jika boleh dimasukkan sekalilah Pengkalan Hulu sebab Pengkalan Hulu satu daerah sama dengan Gerik dan Lenggong dan Pengkalan Hulu juga mempunyai tapak warisan sejarah. Kita ada Gua Gendang, kita ada Istana Singgah Raja Reman, kita ada juga sungai yang mempunyai batuan turf yang usianya lebih daripada 100 tahun dan kita ada juga lombong bijih timah, Rahman Hydraulic dan yang terbaru ada REE yang mana menjana hasil yang tinggi kepada kerajaanlah. Jadi sukanya saya nak supaya limpahan yang disebutkan tadi peruntukan-peruntukan yang diturunkan oleh Yang Berhormat Exco lebih hampir RM10 juta dan Pengkalan Hulu wajar jugalah terima sebab Pengkalan Hulu juga menyumbang kepada negeri untuk hasil negeri. Jadi apa pandangan Yang Berhormat Exco? Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat, Timbalan Speaker. Seperti yang dikatakan tadi walaupun ia merupakan Lenggong UNESCO Global Geopark, tetapi seperti dikatakan dalam jawapan asal juga tadi bahawa kawasan itu berpotensi untuk menarik kawasan-kawasan lain dalam jaringan untuk perluasan aktiviti-aktivitinya iaitu apabila ia tiada dalam Lenggong Geopark tidak bermaksud ia tidak dilihat. Jadi sebenarnya di mana terutamanya daripada PBT dan juga PDT di kedua-dua kawasan Hulu Perak memang bekerjasama untuk membangunkan produk-produk yang ada. Tempat-tempat yang disebut tadi semua saya dah lawat melainkan sungai kroh sahaja yang saya belum tahu ada benda itu. Mungkin saya akan lawat dalam tempoh yang terdekat. Tapi untuk makluman Yang Berhormat, setahu saya pembangunan tidak semestinya dipohon peruntukannya daripada Lenggong Geopark, ada juga lain-lain agensi yang bertanggungjawab sebagai contoh untuk pembangunan-pembangunan dalam beberapa tahun ini dalam especially dekat tasik ada dilakukan oleh NCIA yang juga melibatkan kos berjuta ringgit. Saya rasa itu juga merupakan satu pembangunan yang agak baik dan juga di sempadan dimana juga mempunyai pembangunan di situ. Saya rasa tiada masalah untuk pihak Kerajaan Negeri untuk melibatkan Pengkalan Hulu. Malah daripada dulu hingga kini memang Pengkalan Hulu terlibat dalam pembangunan-pembangunan yang dirancang oleh Kerajaan Negeri. Terima kasih.
Seterusnya dijemput Ahli Yang Berhormat dari kawasan Astaka untuk mengemukakan soalan. Sila
Terima kasih Timbalan Speaker. Soalan Astaka soalan nombor 5, terima kasih.
Salam Sejahtera, Salam Malaysia Madani dan Salam Perak Sejahtera 2030. Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua. Jawapan kepada soalan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Astaka berkaitan dengan keadaan parking di Hospital Seri Manjung. Hospital Seri Manjung mula beroperasi pada bulan Mac tahun 1995 dengan kapasiti 270 buah katil. Kapasiti Hospital Seri Manjung terus berkembang dengan penambahan fasiliti dan perkhidmatan baru.
Untuk makluman, terdapat 16 kepakaran dan tiga subkepakaran di Hospital Seri Manjung. Bilangan katil telah bertambah daripada 270 ke 353 buah katil setakat ini. Sebuah blok tambahan pula telah mula beroperasi sejak tahun 2024. Hospital Seri Manjung dikategorikan sebagai hospital pakar rujuk bagi kluster Manjung iaitu kluster pakar minor dan yang digabungkan bersama Hospital Seri Iskandar. Ia berperanan sebagai pusat rujukan fasiliti kesihatan bagi penduduk di sekitar Daerah Manjung dan Perak Tengah. Purata jumlah pesakit atau pengunjung yang hadir setiap hari ke Hospital Seri Manjung pada tahun 2025 adalah, yang pertama purata harian pesakit dalaman sebanyak 77 orang pesakit. 2, purata pesakit harian Jabatan Kecemasan dan Trauma sebanyak 166 orang pesakit sehari. Purata pesakit harian, Jabatan pesakit Luar adalah sebanyak 235 orang pesakit. Purata pesakit harian klinik pakar adalah sebanyak 454 pesakit. Jumlah pesakit harian adalah 936 orang pesakit dan purata jumlah pesakit dan pengunjung harian adalah sebanyak 1,872 pesakit.
Berdasarkan maklumat pada data ini jelas bahawa isu kekurangan parkir di Hospital Manjung menjadi perkara asas yang perlu menyelesaikan, penyelesaian dalam masa terdekat. Kekurangan tempat letak kereta atau TLK di hospital awam sentiasa menjadi perhatian utama Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Kesihatan Negeri Perak khususnya. Di peringkat awal pihak hospital telah mengambil beberapa pendekatan proaktif bagi menangani masalah ini dan diantaranya adalah yang pertama, menguatkuasakan peraturan parking iaitu mengenakan tindakan terhadap kenderaan yang meletakkan kenderaan ditempat yang tidak dibenarkan. Kedua, membina lebih banyak tempat parkir iaitu menyediakan kawasan dataran parkir yang mudah tanpa permukaan bertar bertujuan bagi menambah kapasiti ruang. Perkara ini boleh dilaksanakan secara spontan kerana Hospital Manjung memiliki tapak kosong tambahan. Ketiga, menggalakkan penggunaan pengangkutan awam. Pihak PBT menyediakan bas atau pengangkutan awam yang lebih cekap supaya orang ramai kurang bergantung pada kereta persendirian. Keempat, menguruskan masa penggunaan parkir iaitu menetapkan had masa atau sistem giliran pesakit yang hadir supaya tempat parkir dapat digunakan oleh lebih ramai orang. Kelima, menggalakkan perkongsian kereta, carpool dapat mengurangkan jumlah kenderaan yang memerlukan tempat parkir.
Dalam suku kedua tahun 2026, Kementerian Kesihatan Malaysia melihat kembali mengenai isu dan menyelesaikan kemudahan parkir di Hospital Manjung. Sebagai penyelesaian yang mutlak, Kementerian Kesihatan Malaysia telah memberikan kelulusan cadangan pelaksanaan outsourcing pengurusan parkir tempat iaitu tempat letak kereta termasuk penambahan bilangan TLK di fasiliti KKM secara premis-premis. Projek ini memberi jumlah tambahan lot TLK melalui kemudahan TLK mekanikal dan menaik taraf serta penyusunan semula lot-lot TLK dalam kawasan hospital. Usaha ini bakal memberi peningkatan kapasiti parkir yang signifikan seperti berikut. Yang pertama, jumlah lot TLK sedia ada buat masa ini untuk orang awam dan warga hospital adalah sebanyak 650 lot. Kedua, jumlah lot TLK selepas penstrukturan adalah sebanyak 1,310 lot. Pertambahan lot baru ialah sebanyak 160 lot iaitu peningkatan sebanyak 101.5%. Pelaksanaan projek ini akan melalui fasa kerja-kerja awalan yang dijangka mula pada 1 Disember tahun ini sehingga 31 Julai 2027.
Sepanjang fasa ini, konsesi perlu membangunkan semua prasarana yang diperlukan termasuk penyediaan dataran parkir yang lengkap dengan permukaan bertar bersama garisan dan kemudahan longkang serta curb bagi memastikan aliran trafik lancar dalam kawasan parkir. Perjanjian bersama syarikat kontraktor pengurusan parkir turut menetapkan beberapa lot parkir yang dikhaskan untuk kegunaan kakitangan hospital turut dinaiktaraf ruang. Ruang parkir yang dikhaskan untuk kakitangan hospital dikecualikan daripada sebarang bayaran. Pecahan bilangan parkir yang disediakan bagi awam dan kakitangan hospital adalah seperti berikut. Iaitu parkir yang sedia ada 350, kakitangan hospital akan dapat 300, jumlah 650. Penambahan di bawah penambahan orang awam akan terima 586 lot parking dan kakitangan Hospital Manjung akan terima 724 iaitu sebanyak 1310 parkir.
Timbalan Yang di-Pertua, menjawab kepada soalan pembinaan sistem parkir bertingkat. Kajian mengenai perlaksanaan parkir bertingkat menjadi asas dalam pertimbangan untuk mengurangkan masalah kekurangan tempat letak kereta di Hospital Manjung. Perkara ini juga diberi perhatian dengan mengambil kira jumlah kehadiran pesakit dan kenderaan dalam sesuatu masa. Memandangkan Hospital Manjung masih memiliki tapak kosong tambahan, maka Kementerian Kesihatan Malaysia berhasrat bagi melaksanakan pengurusan sistem tempat letak kereta yang teratur. Perkara ini juga menjadi intipati dalam kontrak yang diluluskan serentak dengan pembangunan parkir dataran seperti yang disebutkan sebelum ini. Dalam fasa kerja awalan yang di maklumkan sebelum ini, pihak kontraktor bercadang untuk menyediakan tempat letak kereta bertingkat yang direka khas berasaskan konsep parkir mekanikal. Usaha ini pernah dilaksanakan di Hospital Selayang iaitu di negeri Selangor sebelum ini yang hanya menggunakan ruang tapak yang terhad sambil menambah bilangan parkir secara signifikan.
Parkir mekanikal ini dirancang untuk dibangunkan bermula April tahun 2027 dan sedia untuk penggunaan mulai 1 Ogos 2027. Ia turut menambah lot parkir tambahan sebanyak 30 unit. Usaha ini juga membolehkan sistem parkir diurus secara tertib tanpa sebarang kerugian ruang. Menyentuh mengenai kadar bayaran yang diluluskan melalui projek ini adalah RM2.00/sejam kepada orang awam dan kadar percuma kepada kakitangan hospital. Nilai tambah added value turut diberi melalui penyediaan perkhidmatan valet parking dan kemudahan bagi percuma. Bagi kelancaran operasi sistem pengurusan TLK ini akan menggunakan kemudahan bayaran secara smart cashless serta kawalan keluar masuk kenderaan berasaskan teknologi license plate recognition atau LPR. Model pelaksanaan yang sama telah berjaya dilaksanakan di Hospital Melaka dan Hospital Selayang. Kerja-kerja pembinaan fizikal dijadualkan bermula pada 1 Disember 2026 dan dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada 1 Ogos 2027. Pengenaan fi bagi parkir awam hanya bermula pada mulai daripada 1 Ogos 2027. Terima kasih.
Soalan tambahan. Astaka, sila.
Terima kasih Timbalan Speaker. Terima kasih YB Exco memberikan jawapan berkaitan dengan isu parking di hospital Seri Manjung. Seperti mana yang YB Exco tahu sebenarnya masalah di hospital Seri Manjung kerana dia dengan izin over crowded. Dia served dengan izin seluruh daerah Manjung di mana sejauh Beruas, Pantai Remis, Sitiawan semua kena pergi ke Hospital Seri Manjung dan untuk menyelesaikan masalah parking sepertimana yang diberitahu oleh YB Exco, sekarang ada beberapa inisiatif tapi kerajaan perlu mengkaji semula dari segi caj parking itu kerana kita tahu kebanyakan yang pergi ke hospital kerajaan adalah golongan daripada B40 dan kalau caj satu jam RM2.00 untuk mereka sebenarnya mereka akan berada di hospital beberapa jam. Ini adalah satu beban yang agak berat kepada golongan tersebut dan soalan tambahan saya kerana kita tahu di hospital Seri Manjung memang sangat-sangat dengan izin over crowded. Pernah beberapa kali saya lawat ke Hospital Seri Manjung di banyak wad kita boleh nampak memang bilangan katil tidak cukup. Di mana kena ada pesakit berada di koridor. Di mana kita nampak katil semua ada nombor tetapi di koridor. Kalau tak silap saya, dia ada juga "K" nombor tu. So seolah-olah sudah jadi satu benda yang sangat biasa. Ada pesakit yang terpaksa berada di koridor dan soalan saya, apakah perancangan kerajaan untuk memperbaiki keadaan ini untuk menambah kapasiti katil dan adakah ada bangunan tambahan ataupun fasiliti perkhidmatan yang akan juga di tambah di hospital Seri Manjung. Terima kasih.
Terima kasih atas soalan tambahan. Berkaitan dengan fi RM2.00 yang akan dikenakan. Saya percaya itu adalah satu fi yang sangat berpatutan sebab apa, kebanyakan pelawat yang datang ke hospital ini tidak akan tinggal di hospital lama sebab masa yang diberi kepada mereka untuk berjumpa dengan anak kesayangan mereka iaitu pesakit adalah hanya sedikit. It's a very short notice. They cannot be there for very long. Jadi adalah satu yang munasabah dan mungkin ini akan memastikan bahawa mereka akan tinggalkan tumpuan hospital cepat dan walaubagaimanapun, kita akan mengkaji permintaan daripada Yang Berhormat berkaitan dengan kekurangan katil.
Seperti yang saya katakan tadi, kita telahpun menambahkan katil sebab daripada 270 hingga ke 353 buah katil buat masa ini dan saya faham ia juga tidak mencukupi bila kita banding dengan nisbah penduduk yang meningkat begitu mendadak tetapi Hospital Seri Manjung merupakan sebuah hospital pakar jenis 2 yang memainkan peranan penting sebagai Hospital Lead dalam kluster Hospital Manjung manakala Hospital Seri Iskandar berfungsi sebagai Hospital Non Lead terletak di tapak seluas 46.088 ekar. Hospital Seri Manjung mula operasi pada Mac 1995 menawarkan pelbagai perkhidmatan klinikal komprehensif sebagai hospital pakar. Pada masa ini, Hospital Seri Manjung mempunyai 353 katil dengan kadar penggunaan antara 91% hingga 95% berdasarkan petunjuk kesihatan 2025. Mengikut sasaran nisbah katil kepada populasi Malaysia iaitu 2.5 katil bagi setiap 1,000 penduduk daerah ini, sepatutnya yang sepatutnya mempunyai kira kira 650 katil untuk populasi sebanyak 260,000 orang. Ini menunjukkan defisit sebanyak 297 katil berbanding dengan kapasiti semasa.
Secara keseluruhannya, Hospital Seri Manjung merupakan institusi kesihatan awam yang amat penting dan menjadi tunjang utama sistem penjagaan kesihatan di Daerah Manjung. Dengan kepelbagaian kepakaran dan peranannya sebagai hospital penerajui kluster, ia kekal sebagai institusi strategik dalam memastikan kesejahteraan dan kesihatan masyarakat setempat. Kini dan pada masa hadapan, perancangan sedang dibuat bagi pembinaan sebuah blok klinikal tambahan baru di atas tapak tanah sedia ada yang melibatkan penambahan kapasiti sebanyak 261 katil. Blok ini akan memberi fokus kepada penyediaan perkhidmatan wanita dan kanak-kanak. Kompleks Wanita atau Kompleks Wanita dan Kanak-Kanak di samping perkhidmatan sokongan klinikal yang lain ditambah berdasarkan kepada kapasiti ruang. Pembinaan blok tambahan ini dijangka dapat membantu menangani masalah kesesakan serta kekurangan katil serta ada dan menjadikan jumlah katil Hospital Manjung kepada 614 katil. Dari segi perkhidmatan pula, pemerkasaan penjagaan kehamilan dan kelahiran serta rawatan masalah kesihatan wanita beserta dengan rawatan untuk bayi, kanak-kanak dan remaja termasuk rawatan perubatan serta pembedahan kanak-kanak menjadi servis teras kompleks ini.
Pada masa ini, perancangan projek berada dalam peringkat penyediaan dokumen Medical Brief of Requirement untuk semakan dan kelulusan Jabatan Kesihatan Negeri Perak. Projek ini juga dicadangkan untuk memasukkan di dalam Rancangan Malaysia Ke-13 atau Rolling Plan Ke-4. Bagi pertimbangan dan kelulusan selanjutnya, pihak Hospital melaksanakan keperluan penyediaan dokumen teknikal seperti Statement of Need yang terperincikan masalah atau isu semasa, justifikasi projek, skop projek dan mengenal pasti keperluan pengguna yang menyokong bagi mendapatkan kelulusan sesuatu projek RMK. Blok kompleks wanita dan kanak-kanak ini amat diperlukan bagi menjamin privasi serta penyediaan perkhidmatan yang khusus kepada golongan wanita dan kanak-kanak. Selain itu, ia menjamin suasana penyediaan perkhidmatan yang selesa dan dapat mengelakkan risiko serta gangguan terhadap kesihatan mereka. Terima kasih.
Bercham, sila.
Ya. Terima kasih Timbalan Yang di-Pertua. Soalan diajukan kepada pihak Exco. Tentang Hospital Permaisuri Bainun di mana ada parking, di mana Kerajaan Negeri pernah berunding dengan pihak Hospital di mana Jalan Ashman Shah dibenarkan untuk meletak parkir kenderaan awam. Jadi, kenderaan persendirian juga lah. Jadi banyak pesakit atau pun pelawat, mereka tak tahu bahagian mana yang akan dikenakan kompaun oleh pihak PDRM atau pun MBI. Di mana dalam pemerhatian saya, jikalau pelawat meletakkan kenderaan di depan Sekolah SMK Anderson, di mana mereka akan tidak kenakan kompaun dan Cator Avenue pun tak ada tetapi di bahagian depan bangunan tinggi hospital, di depan sekitar stesen bas di mana bahagian tu akan dikenakan kompaun. Mereka keliru. Sebab ada mereka kenal saya, nampak saya, dia tanya kenapa kerajaan umum boleh letak tetapi kena kompaun pula. Jadi cadangan saya kalau boleh letakkan itu kon yang tirus itu agar mereka tidak letak. Seperti mana di depan klinik pakar sana, ada sebahagian di susur masuk dan keluar, ada dirikan. Jadi untuk elakkan sebab orang pelawat atau pun pesakit datang ke hospital Kerajaan Ini bukan yang golongan kaya lah. Mereka miskin. Kenakan kompaun lagi. Ini akan membebankan mereka dan juga cadangan untuk lebih mempromosikan tempat letak kereta di Velodrom Rakyat di Stadium Velodrom Rakyat tu agar mereka lebih kerap atau pun kakitangan hospital tersebut untuk boleh letak agar lebih ruangan tempat letak kereta diperolehi oleh pelawat. Terima kasih.
Terima kasih diucapkan kepada Yang Berhormat Bercham. Berkaitan dengan parking untuk pelawat-pelawat ke Hospital HRPB. Yang dibenarkan, park di kedua-dua Jalan Sultan Ashman Shah. Sebenarnya sebelum tahun 2018, tidak ada sesiapa yang dibenarkan park di situ. Tidak boleh park tetapi apabila pandang pada masalah parkir di Hospital HRPB, saya berjumpa dengan Yang Berbahagia Ketua Polis Negeri Perak pada waktu itu, berbincang dengan beliau dan minta kerjasama dari PDRM untuk membenarkan pelawat-pelawat untuk parking di tepi jalan tetapi dengan syarat, PDRM kata kita akan benarkan dengan syarat iaitu yang pertama, tak boleh buat 2 parking. Double parking. Kedua, jangan park di hadapan bus stop. Ada perhentian bas di situ. Kedua itu, jangan park berdekatan dengan susur masuk dan keluar ke hospital. Sebab itu menghalang ambulans. Keempat itu, jangan park dekat bulatan. Roundabout. Ini 4 syarat. Tapi yang kena saman itu, kebiasaan apabila kami periksa, mereka akan melakukan salah satu kesalahan ini. Jadi, saya tidak dapat tolak ansur. Saya tak boleh pergi ke PDRM dan mengatakan kepada PDRM jangan saman. Sebab mereka telah melanggar syarat. Sebenarnya langsung tak boleh park tapi dibenarkan park. Jadi kenalah jaga-jaga.
Kedua, PDRM juga merupakan hospital yang terbesar di Negeri Perak. Dengan katil lebih kurang 1500 dan memang kita mengaku ada masalah parkir tetapi buat masa ini kita telah sedang membuat penyusunan semula. Jadi lebih kurang 300 lebih lot akan ditambah di masa terdekat. Jadi mungkin itu akan kurangkan dan saya minta Kerajaan Negeri bersama dengan JKN bersama dengan HRPB ini memang ingin menyelesaikan masalah ini. Tapi untuk menyelesaikan masalah di hospital dan di klinik-klinik tertentu khasnya klinik jenis ke-3 dan sebagainya adalah amat rumit sedikit. Sebab klinik-klinik ini dibina bukan 5 tahun dahulu. Dibina 40 tahun, 50 tahun. Hospital ini 100 lebih tahun. Jadi kita memang mempunyai masalah dan kita sedang kaji macam mana kita nak overcome this problem. Terima kasih.
Soalan tambahan.
Pangkor, ada soalan tambahan?
Soalan tambahan.
Pangkor, sila.
Ok, terima kasih Timbalan Speaker kerana memberi saya kesempatan untuk bertanyakan soalan tambahan. Di mana Pulau Pangkor juga adalah salah satu kawasan dalam daerah Manjung. Di kesempatan ini, saya ingin bertanya satu soalan kepada YB Exco. Mana seperti mana semua tahu, benar, Klinik Kesihatan Pangkor baru yang baru dibina ini jauh lebih selesa dan lebih moden. Namun, saya ingin memberi penekanan khusus kepada keperluan warga emas di Pulau Pangkor yang jumlahnya semakin ramai. Soalan saya, apakah Kerajaan bersedia menambah perkhidmatan kesihatan khusus untuk warga emas di Pulau Pangkor? Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Pangkor. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan terima kasih kepada Yang Berhormat Pangkor atas segala kerjasama yang diberikan semasa pembinaan klinik baru ini. Menjawab soalan YB Pangkor, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia iaitu DOSM tahun 2025, daripada 256,000 penduduk Daerah Manjung, seramai 20,768 orang atau 8.1% adalah warga emas berumur 65 ke atas. Di Pulau Pangkor secara spesifik, populasi warga emas meliputi 1381 orang daripada jumlah keseluruhan penduduk pulau tersebut iaitu 9,800 orang. Angka ini bersamaan dengan 14.1% daripada jumlah bilangan penduduk Pulau Pangkor. Klinik Kesihatan jenis ke-4 Pulau Pangkor yang baru dibina siap sepenuhnya pada 3 Disember 2025 dan mula beroperasi pada mulai daripada 19 Januari 2026. Projek klinik ini bernilai RM24.2juta dilaksanakan oleh JKR Perak di atas tapak berkeluasan lebih kurang 3 ekar. Berkenaan dengan kemudahan dan perkhidmatan baru bagi warga emas yang disediakan di Pulau Pangkor menerusi fasiliti kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu Klinik Kesihatan jenis-4 Pulau Pangkor dan Klinik Desa Sungai Pinang Kecil adalah seperti berikut.
Yang pertama, saringan dan pendidikan kesihatan sebagai pencegahan dan promosi kesihatan. Saringan warga emas. Saringan yang dijalankan adalah merangkumi tahap keupayaan fizikal atau ADL, risiko jatuh, penilaian kesihatan mental dan kognitif seperti demensia dan kemurungan serta pemeriksaan deria. Sehingga Ogos 2026, seramai 365 orang telah menjalani proses-proses saringan kesihatan untuk warga emas yang tertumpu kepada pusat jagaan warga emas Pulau Pangkor.
(b) selain saringan aktiviti pemerkasaan penjagaan warga emas seperti demonstrasi masakan sihat dan senaman kecergasan turut diadakan oleh pasukan Pegawai Sains Pemakanan, Pegawai Fisioterapi dan Pegawai Pemulihan Cara Kerja. Perkhidmatan fisioterapi dan pemulihan cara kerja ini telah mula beroperasi setiap hari dengan pertambahan perjawatan menerusi projek RMK Klinik Kesihatan Pulau Pangkor yang telah siap dibina. Sehingga Ogos 2026 seramai 2,304 orang warga emas telah menjalani perkhidmatan fisioterapi dan pemulihan cara kerja.
Dan kedua. Pegawai Sains Pemakanan pula memberi perkhidmatan secara lawatan bagi merancang dan melaksanakan program pemakanan untuk meningkatkan taraf kesihatan dan status pemakanan masyarakat. Kedua, perkhidmatan penjagaan dan rawatan primer bagi pakar perubatan keluarga. (a) Bagi kes warga emas dengan komplikasi pesakit akan dirujuk terus kepada pakar perubatan keluarga di KK Pulau Pangkor dan boleh dirujuk terus kepada pakar perubatan berkaitan di Hospital Seri Manjung sekiranya perlu.
Jika rujukan silang ini memastikan warga emas di pulau mendapat akses kepakaran yang sama dengan penduduk di tanah besar. Sehingga Ogos 2026, seramai 261 orang emas Pulau Pangkor dirujuk bagi mendapatkan perkhidmatan pakar di Hospital Seri Manjung. Perkhidmatan ketiga iaitu Jangkauan Komuniti. Selain menawarkan perkhidmatan kesihatan warga emas di klinik kesihatan dan klinik desa, perkhidmatan pencegahan dan promosi kesihatan turut diberi kepada peringkat komuniti secara terus dan lebih dekat. Sebagai contohnya, pada 28 Ogos 2026, Pejabat Kesihatan Daerah Manjung, Klinik Kesihatan Pulau Pangkor dan dengan kerjasama Sekretariat Wanita Perak telah berjaya melaksanakan Program Warga Emas Fit Pangkor. Seramai 37 warga emas telah menerima manfaat langsung secara percuma. Selain ceramah kesihatan, intervensi klinikal seperti saringan skizofrenia iaitu kekuatan otot dan tulang, saringan kognitif, memberi vaksin influenza warga emas secara percuma serta saringan awal kanser payu dara dan serviks turut di laksanakan. Perkhidmatan keempat, jurang sokongan sosial yang dikenalpasti. Dari sudut sokongan sosial yang boleh diberikan terhadap jurang di mana Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) sebagai hub pencegahan pengasingan sosial dan penuaan aktif belum dapat diwujudkan di Pulau Pangkor. Namun, terdapat peluang pada masa hadapan untuk perkhidmatan terus di perkenalkan di pulau ini. Seperti yang telah dilaksanakan di Mukim Beruas dan Lekir. Terima kasih.
Soalan tambahan Dato' Speaker.
Boleh.
Terima kasih kepada Dato Seri Speaker. Cuma Tronoh...
Pendek ya, buat pendek ja.
Cuma saya ingin tertarik amat tertarik dengan soalan tambahan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Bercham tadi berkenaan dengan parkir di luar premis Hospital Ipoh yang mana Hospital Ipoh ini merupakan hospital utama bagi negeri Perak dan seperti yang kita tahu, saya ingin mencadangkan bahawa sekiranya boleh mungkin daripada pihak Kerajaan Negeri ataupun Majlis Bandaraya Ipoh boleh meletakkan tanda tanda seperti. Di manakah had sempadan parkir tersebut kerana saya percaya sekarang walaupun kadang-kadang apabila saudara mara saya yang ingin pergi ke hospital itu, saya telah memesan untuk memakir di velodrom, tetapi kadang-kadang saudara mara yang berusia tua itu, mereka terpaksa parkir dekat luar premis. Jadi, saya ingin mencadangkan bahawa tanda-tanda parkir itu diletakkan dan saya ingin mendapatkan satu penjelasan daripada Yang Berhormat EXCO, apakah tindakan ataupun pelan tindakan Kerajaan Negeri terhadap cadangan ini? Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Tronoh. Saya rasa setiap rakyat tahu peraturan-peraturan trafik iaitu kalau kita bawa kereta tanpa lesen itu melanggar undang-undang. Parking di hadapan traffic light langgar undang-undang. Parking di hadapan susur masuk keluar hospital langgar undang-undang. Parking di roundabout langgar undang-undang. Jadi apa lagi nak didik mereka? Saya tidak tahu. I think ini bukan adalah pelanggaran yang tidak ada dalam pengetahuan mereka. Tak perlulah sampai ke PhD nak belajar ini. Jadi kita dah maklumkan, bukan satu dua tahun, sejak 2018, pihak PDRM telah membantu kita dalam membenarkan kita parking di situ. Saya telah bincang dalam PDRM tetapi bukan semua yang kena saman atau kompoun. Kebanyakan ini tidak ada masalah. Ada segelintir yang tahu dia melanggar undang-undang, melanggar syarat ini, masih nak menjalankan. Jadi tak boleh tolak ansur. Minta maaf. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Exco. Terima kasih kepada semua Ahli Berhormat, dengan ini maka tamatlah sesi soalan lisan pada hari ini. Saya menjemput Setiausaha Dewan bagi membaca aturan mesyuarat, urusan mesyuarat yang seterusnya.
Membawa Rang Undang-Undang Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) (Pindaan) 2026Bill
Perkara yang keempat, membawa Rang Undang-Undang Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) (Pindaan) 2026.
Menteri Besar.
Dato' Seri Yang di-Pertua, saya mohon izin mengemukakan Rang Undang-Undang yang bernama Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) (Pindaan) 2026 dibaca bagi kali pertama.
Bila bacaan kali kedua?
Dalam mesyuarat ini juga.
Sekarang saya menjemput Setiausaha Dewan untuk mengedarkan notis bacaan kali yang kedua sebagaimana dinyatakan di dalam Perintah Tetap 57 (1).....
[EDARAN NOTIS RUU BACAAN KALI KEDUA]
Sila Yang Amat Berhormat Menteri Besar.
Terima kasih Dato' Seri Yang di-Pertua, saya mohon izin mengemukakan Rang Undang-Undang yang bernama "Suatu Enakmen untuk meminda Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak 2004) sekarang dibaca bagi kali kedua." Dato' Seri Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan.
Ada sokongan?
Dato’ Seri Yang di-Pertua, Ayer Kuning menyokong.
Sekarang saya mempersilakan Yang Amat Berhormat Menteri Besar bagi membentangkan Rang Undang-Undang Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) (Pindaan) 2026.
Terima kasih Yang Berhormat Dato' Seri Yang di-Pertua. Saya mohon izin mencadangkan bahawa Rang Undang-Undang yang bernama "Suatu Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) (Pindaan) 2026 dibaca bagi kali yang kedua sekarang. Yang Berhormat Dato' Seri Yang di-Pertua, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 merupakan antara undang-undang utama yang menjadi asas kepada pentadbiran Agama Islam di Negeri Perak. Enakmen ini mula berkuat kuasa bagi menggantikan Enakmen Pentadbiran Agama Islam 1992 dan sejak itu telah melalui lima pindaan masing masing. Pada tahun 2005, 2009, 2012, 2018 dan 2025. Sepanjang tempoh tersebut, landskap pentadbiran agama Islam turut berkembang. Struktur perkhidmatan awam berubah. Kerangka perundangan syariah terus diperkemas. Keperluan institusi agama berkembang dan beberapa urusan pentadbiran yang dilaksanakan pada hari ini memerlukan punca kuasa undang-undang yang lebih jelas. Justeru, undang-undang yang menjadi asas kepada pentadbiran tersebut juga perlu sentiasa diteliti dan disesuaikan dengan perkembangan semasa. Atas pertimbangan inilah Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Perak) (Pindaan) 2026 ini dibawa ke Dewan yang mulia ini. Ia bukan bertujuan mengubah asas pentadbiran Agama Islam di Negeri Perak tetapi untuk memperjelas bidang kuasa, memperkemas tata kelola, mengelakkan pertindihan perundangan serta menyediakan punca kuasa yang sewajarnya bagi beberapa keperluan pentadbiran semasa.
Secara keseluruhannya, pindaan yang dicadangkan merangkumi beberapa perkara utama antaranya pelaksanaan dasar perkhidmatan gunasama antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan. Penyelarasan fungsi serta bidang kuasa institusi agama, pemantapan kerangka profesion peguam Syarie, penyediaan asas perundangan bagi pendaftaran masjid dan surau serta beberapa penyelarasan lain terhadap peruntukan sedia ada. Kesemua pindaan ini mempunyai satu matlamat yang sama. Memastikan kerangka perundangan yang mendokong pentadbiran Agama Islam di Negeri Perak kekal jelas teratur dan berkesan sesuai dengan keperluan semasa tanpa menjejaskan prinsip serta kedudukan Agama Islam dan institusi-institusi di negeri ini. Yang Berhormat Dato' Seri Yang di-Pertua, secara keseluruhannya, Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Perak) (Pindaan) 2026 ini mengandungi 16 Fasal merangkumi pindaan terhadap beberapa aspek pentadbiran Agama Islam di Negeri Perak. Ini termasuk pewujudan punca kuasa bagi pelaksanaan perkhidmatan gunasama bagi Skim Pegawai Syariah dan Pegawai Hal Ehwal Islam. Pindaan kepada tafsiran pegawai masjid, penambahan fungsi Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak, pengeluaran peruntukan berkaitan Mahkamah Syariah, pewujudan punca kuasa kepada pelatih dalam kamar untuk hadir prosiding di Mahkamah Syariah dan peruntukan berhubung pendaftaran masjid dan surau.
Yang Berhormat Dato' Seri Yang di-Pertua, antara pindaan utama yang dicadangkan melalui Rang Undang-Undang ini adalah untuk menyediakan punca kuasa undang-undang bagi pelaksanaan dasar perkhidmatan gunasama antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan yang telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri. Ia melibatkan perjawatan tertentu dalam pentadbiran agama Islam khususnya Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Pendakwa Syarie, Pegawai Penguatkuasa Agama dan juga Pegawai Masjid. Sehubungan itu, beberapa peruntukan dicadangkan untuk dipinda bagi membolehkan pelantikan ke jawatan-jawatan berkenaan dibuat daripada kalangan Anggota Perkhidmatan Awam Negeri atau Perkhidmatan Am Persekutuan. Dato' Seri Yang di-Pertua, perlu dijelaskan bahawa pelaksanaan dasar perkhidmatan gunasama ini tidak mengubah kedudukan dan bidang kuasa negeri dalam pentadbiran Agama Islam.
Sebaliknya, pindaan ini menyediakan kerangka perundangan yang membolehkan negeri memanfaatkan sumber manusia, pengalaman dan kepakaran daripada kedua dua perkhidmatan secara lebih tersusun mengikut keperluan pentadbiran. Dalam masa yang sama, beberapa peruntukan berkaitan Pegawai Penguat Kuasa Agama turut diperjelaskan. Tafsiran Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama dicadangkan supaya diasingkan daripada tafsiran Pegawai Penguat Kuasa Agama. Memandangkan Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama mempunyai kuasa-kuasa khusus sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 23 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Perak 2004. Tafsiran Pegawai Masjid dicadangkan dipinda dengan mengeluarkan jawatan Pembantu Bilal daripada tafsiran tersebut, pindaan ini tidak melibatkan pemansuhan jawatan Pembantu Bilal tetapi bertujuan memperjelaskan pemisahan antara jawatan Pegawai Masjid yang dilantik oleh Majlis dan jawatan kosong yang diwujudkan jawatan sokongan yang diwujudkan di peringkat Kariah. Penyelarasan ini juga mengambil kira kerangka perundangan sedia ada termasuk peraturan-peraturan Pegawai Masjid Negeri Perak 2018 di samping mengurangkan birokrasi dalam urusan pentadbiran atau kawalan yang tidak perlu ke atas jawatan berkenaan.
Yang Berhormat Dato' Seri Yang di-Pertua, rang undang-undang ini turut membuat beberapa penyelarasan bagi memperjelas fungsi kedudukan dan bidang kuasa Institusi berkaitan pentadbiran Agama Islam. Pertama. Istilah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang digunakan dalam enakmen pada masa ini dicadangkan untuk digantikan dengan istilah Jawatankuasa Muzakarah selaras dengan Terminologi yang digunakan di bawah Peraturan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam 2022. Penyelarasan istilah ini bukan sekadar perubahan pada nama. Ia penting bagi memperjelas kedudukan jawatankuasa berkenaan sebagai platform Muzakarah dan Penyelarasan Hal Ehwal Agama Islam di peringkat kebangsaan di samping mengelakkan kekeliruan mengenai bidang kuasa pengeluaran Fatwa. Fatwa yang mempunyai yang mempunyai kuat kuasa undang-undang adalah tertakluk kepada bidang kuasa Pihak Berkuasa Agama Islam Negeri. Justeru, penggunaan istilah Jawatankuasa Muzakarah adalah lebih tepat dalam menggambarkan fungsi dan kedudukan Jawatankuasa tersebut di peringkat kebangsaan.
Yang Berhormat Dato' Seri Yang di-Pertua, pindaan ini juga melibatkan fungsi Agama Islam dan Adat Melayu Perak dalam perkara berkaitan Adat Melayu, Agama Islam dan Adat Melayu mempunyai kedudukan yang tersendiri dalam kerangka perundangan dan Perlembagaan Negeri Perak. Pada masa ini enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak 2004) memperuntukkan peranan Majlis untuk membantu dan menasihati Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan dalam perkara berkaitan Agama Islam. Justeru, pindaan dicadangkan supaya fungsi majlis turut dinyatakan secara jelas merangkumi perkara berkaitan adat melayu. Selaras dengan Perkara 6 Bahagian Pertama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.
YB Dato' Seri Yang di-Pertua, dalam usaha memastikan kerangka perundangan syariah negeri lebih tersusun. Beberapa peruntukan berkaitan Mahkamah Syariah dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam dalam (Perak) 2004 juga dicadangkan untuk dikeluarkan. Ini bukan bermakna perkara-perkara tersebut tidak lagi diperuntukkan dalam undang-undang, sebaliknya kesemuanya telah diperuntukkan secara substantif di bawah Enakmen Mahkamah Syariah (Perak) 2018. Penyelarasan ini dibuat bagi mengelakkan pertindihan peruntukan serta mewujudkan pengasingan yang lebih jelas antara undang-undang yang mengawal selia pentadbiran agama Islam dengan undang-undang yang secara khusus mengawal selia Mahkamah Syariah.
Yang Berhormat Dato' Seri Yang di-Pertua, rang undang-undang ini turut memberikan perhatian kepada usaha meningkatkan tahap kompetensi dan profesionalisma dalam profesion Peguam Syarie. Pindaan dicadangkan bagi membolehkan pelatih dalam kamar yang menjalani di bawah, yang menjalani latihan di bawah seliaan seorang pengajar hadir dalam prosiding Mahkamah Syariah. Ia merupakan sebahagian daripada cadangan untuk menjadikan latihan dalam kamar sebagai syarat wajib bagi penerimaan masuk sebagai Peguam Syarie di negeri Perak. Langkah ini penting, kerana profesion Peguam Syarie menuntut bukan sahaja penguasaan ilmu dan undang-undang tetapi juga kemahiran amali, etika serta profesionalisme. Melalui latihan dalam kamar, calon Peguam Syarie akan mendapat pendedahan kepada amalan dan prosiding sebenar Mahkamah Syariah di bawah seliaan sebelum diterima masuk ke dalam profesion.
Yang Berhormat Dato' Seri Yang di-Pertua, satu lagi penambahbaikan penting ialah penyediaan peruntukan khusus berkaitan pendaftaran masjid dan surau di negeri Perak. Pada masa ini, urusan pendaftaran…urusan pendaftaran masjid dan surau telah dilaksanakan secara pentadbiran. Namun, belum ada terdapat peruntukan khusus mengenainya dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004. Apabila sesuatu tanggungjawab melibatkan institusi yang begitu penting kepada kehidupan umat Islam, sewajarnya urusan pentadbirannya didokong oleh asas perundangan yang jelas. Justeru, peruntukan baharu dicadangkan bagi mengawal selia pendaftaran masjid dan surau serta pelantikan Ketua Pendaftar Masjid dan Surau, Timbalan Ketua Pendaftar Masjid dan Surau, dan Pendaftar Masjid dan Surau. Dengan adanya peruntukan khusus ini, proses pendaftaran dan pengawalseliaan masjid serta surau dapat dilaksanakan berasaskan kerangka undang-undang yang lebih jelas dan teratur. Pindaan-pindaan lain yang dicadangkan melibatkan beberapa penambahbaikan dan penyelarasan terhadap peruntukan sedia ada, termasuk memperkemas kuasa, memperkemas kuasa membuat peraturan-peraturan berhubung zakat dan fitrah serta pindaan yang bersifat sampingan atau consequential kepada jadual pertama enakmen.
Yang Berhormat Dato' Seri Yang di-Pertua, pentadbiran Agama Islam bukan sahaja perlu berlandaskan hukum dan undang-undang tetapi institusi yang melaksanakannya juga perlu sentiasa diperkukuh agar jelas bidang kuasanya, teratur pentadbirannya dan berkesan pelaksanaannya. Undang-undang yang baik mestilah sentiasa mampu menyesuaikan diri dengan perkembangan pentadbiran tanpa menghakis prinsip kedudukan dan kewibawaan institusi agama Islam itu sendiri. Atas semangat itulah, rang undang-undang ini dibawa ke Dewan yang mulia ini untuk memperjelas apa yang perlu diperjelaskan, menyelaras apa yang perlu diselaraskan dan memberikan punca kuasa yang sewajarnya kepada urusan pentadbiran yang telah berkembang dari masa ke semasa. Saya percaya pindaan-pindaan ini akan memperkukuh kerangka perundangan pentadbiran agama Islam di Negeri Perak. Sekaligus membolehkan institusi-institusi yang dipertanggungjawabkan melaksanakan amanah masing-masing dengan lebih tersusun, berkesan dan berwibawa. Yang Berhormat Dato' Seri Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan. Terima kasih.
Terima kasih Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar. Ahli-ahli Yang Berhormat, masalahnya sekarang ialah bahawa Rang Undang-Undang yang bernama suatu enakmen untuk meminda Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 telah dibaca bagi kali yang kedua, dan telah pun disokong. Sekarang masalah ini dibuka kepada Dewan untuk dibahaskan. Masa yang diperuntukkan bagi sesi perbahasan penyokong kerajaan dan penyokong pembangkang adalah selama 15 minit setiap seorang. Saya berharap tempoh masa yang telah diperuntukkan ini dapat dipatuhi serta digunakan dengan sebaiknya. Sekarang dijemput Yang Berhormat dari kawasan Ayer Kuning untuk memulakan perbahasan. Dipersilakan.
Auzubillah Minashaitan Nirajeem. Bismillahirrahmanirrahim. Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Alhamdulillahilladzi Arsala Rasulahu Bil huda Wadinil Haq Liyudzhirahu 'Aladdini Kullihi Wakafa Billahi Syahida. Salam Sejahtera, Salam Malaysia Madani, Salam Perak Sejahtera 2030. Yang Berhormat Dato' Seri Yang di-Pertua, Yang Berhormat Dato' Seri Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-ahli Mesyuarat, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Ketua Pembangkang, Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Negeri, Ketua-Ketua Jabatan, para pegawai, rakan-rakan media, para pemerhati, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian termasuklah warga Dun Ayer Kuning yang dikasihi. Dato' Yang di-Pertua, Ayer Kuning hari ini mengambil bahagian dalam perbahasan usul menyokong penuh terhadap Rang Undang-Undang Enakmen Pentadbiran Agama Islam(Perak) (Pindaan) 2026 yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar sebentar tadi.
Dato' Seri Yang di-Pertua, terlebih dahulu Ayer Kuning ingin merakamkan penghargaan kepada pihak kerajaan negeri, pihak berkuasa agama, para penggubal undang-undang, para pegawai perundangan serta semua pihak yang telah memberikan sumbangan dalam usaha memperkukuh dan menambah baik kerangka pentadbiran agama Islam di negeri Perak setelah melalui lima kali pindaan sebelum ini di samping sesi libat urus dalam menyediakan Rang Undang-Undang Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) (Pindaan) 2026 ini. Dato' Seri Yang di-Pertua, sokongan Ayer Kuning terhadap pindaan ini bukan semata-mata kerana ia dibentangkan oleh kerajaan, bahkan adalah atas prinsip bahawa undang-undang yang baik mestilah sentiasa mampu memenuhi tuntutan masa tanpa mengorbankan prinsip dan asas yang menjadi tunjang kepada undang-undang itu sendiri. Dalam konteks pentadbiran agama Islam, kita tidak boleh melihat undang-undang sebagai sekadar himpunan seksyen, subseksyen, prosedur dan kuasa pentadbiran. Inilah hakikat yang perlu kita fahami apabila kita membicarakan pindaan kepada undang-undang pentadbiran Islam.
Dato' Seri Yang di-Pertua, saya menyorot kenyataan Sarjana Islam Klasik Imam al-Mawardi melalui karya agungnya, Al-Ahkam Al-Sultaniyyah yang memberikan penekanan bahawa pemerintahan dan pentadbiran mempunyai tanggungjawab besar untuk memelihara agama serta menguruskan kehidupan masyarakat secara teratur dan adil. Pemikiran beliau ini mengingatkan kita bahawa agama dan pentadbiran bukan dua perkara yang boleh dipisahkan secara mutlak. Agama memerlukan institusi, institusi memerlukan peraturan, peraturan memerlukan undang-undang dan undang-undang pula memerlukan pentadbiran yang berintegriti. Sebab itulah usaha yang dibuat ini untuk menambah baik undang-undang Pentadbiran agama Islam perlu dilihat sebagai satu usaha memperkukuhkan institusi bukan hanya sekadar meminda perkataan atau struktur perundangan. Dalam hal ini, Dato' Seri Yang di-Pertua, pindaan terhadap undang-undang bukanlah tanda kelemahan undang-undang tersebut. Sebaliknya, dalam banyak keadaan pindaan yang dilakukan secara tertib, berautoriti dan berlandaskan hukum merupakan tanda kematangan sesuatu sistem perundangan. Yang kekal ialah prinsip, yang boleh berubah ialah mekanisme yang tetap itu ialah maqasib yang boleh ditambah baik ialah kaedah pentadbiran, perkara-perkara pentadbiran, pengurusan, tatacara dan mekanisme pelaksanaan perlu sentiasa diteliti supaya mampu memenuhi keperluan, keperluan zaman, zaman kini.
Dato’ Seri Yang di-Pertua, kita harus menyedari bahawa hidup pada waktu ini hidup dalam masyarakat yang jauh lebih kompleks berbanding ketika sesuatu undang-undang mula digubal. Dunia berubah, bentuk institusi juga berubah. Cabaran sosial berubah. Hubungan masyarakat juga berubah. Oleh itu, sistem pentadbiran agama Islam juga perlu mempunyai keupayaan untuk berkembang dari sudut kecekapan dan tadbir urus tanpa menjejaskan prinsip syarak. Ayer Kuning melihat sekurang-kurangnya empat keperluan utama mengapa usaha menambah baik undang-undang Islam di Perak ini perlu diberi sokongan. Antaranya, pertama menjamin kejelasan bidang kuasa dan pentadbiran yang telah dinyatakan sebentar tadi. Undang-undang yang baik mestilah jelas di mana masyarakat perlu tahu kepada siapa mereka hendak merujuk sementara pegawai perlu memahami bidang kuasa mereka di samping institusi perlu mengetahui tanggungjawab masing-masing dalam pelaksanaan sesuatu keputusan tidak sepatutnya terganggu hanya kerana wujud pertindihan atau kekaburan dari sudut pentadbiran. Kejelasan undang-undang adalah salah satu bentuk keadilan kerana undang-undang yang jelas masyarakat mempunyai kepastian dan apabila bidang kuasa jelas institusi dapat berfungsi dengan lebih berkesan di mana prosedur jelas risiko pertikaian dapat dikurangkan.
Di samping itu, ianya dapat memperkukuhkan institusi agama Islam. Kita perlu memastikan institusi agama di Perak mempunyai undang-undang yang mencukupi untuk menjalankan amanah mereka. Institusi agama bukan hanya berperanan dalam urusan ritual. Ia juga melibatkan berkaitan dengan pembangunan masyarakat termasuklah aspek kemaslahatan dan muamalah umat Islam. Oleh sebab itu, pengukuhan undang-undang pentadbiran agama Islam bermakna kita sedang memperkukuhkan kapisiti, kapasiti institusi untuk berkhidmat kepada rakyat. Seterusnya, ianya dapat melindungi kepentingan masyarakat Islam. Undang-undang pentadbiran yang baik perlu sentiasa melihat kepada rakyat kerana akhirnya masyarakat atau rakyat akan menilai keberkesanan undang-undang melalui pengalaman mereka berurusan dengan institusi. Adakah urusan mereka mudah? Adakah hak mereka jelas? Adakah prosedur itu mereka fahami? Oleh sebab itu, setiap pindaan undang-undang mesti diterjemahkan kepada manfaat sebenar kepada rakyat dan seterusnya yang keempat menjamin kelangsungan serta kewibawaan sistem perundangan Islam. Kita tidak mahu undang-undang Islam dilihat sebagai statik dari sudut pentadbiran hingga gagal menjawab persoalan baharu. Sebaliknya kita mahu menunjukkan bahawa sistem perundangan Islam mempunyai asas yang kukuh dan pada masa yang sama mempunyai keupayaan untuk berkembang melalui ijtihad dan maqasid syariah yang sebenar.
Dato’ Seri Yang di-Pertua, pembangunan undang-undang Islam memerlukan ilmu syariah. Kefahaman undang undang moden, penelitian terhadap perlembagaan serta kebijaksanaan dalam menterjemahkan prinsip kepada sistem yang boleh dilaksanakan. Kita tidak boleh lagi hanya berbicara tentang undang-undang Islam dari segi slogan. Kita mesti bercakap tentang struktur bidang kuasa, tatacara, pentadbiran, pelaksanaan latihan, integriti serta keberkesanan sebuah undang-undang tidak menjadi kuat hanya kerana namanya Islam. Ia menjadi kuat apabila apabila kandungannya menepati prinsip hak sebenar pembentukannya mematuhi proses undang-undang pelaksanaannya adil dan hasilnya membawa kepada kemaslahatan umat.
Dato’ Seri Yang di-Pertua Ayer Kuning percaya bahawa pindaan yang dibawa pada hari ini perlu dilihat dari sudut kesan jangka panjang yang positif yang boleh dicapai. Antaranya ialah kita lihat pentadbiran akan menjadi lebih tersusun. Pindaan yang baik akan dapat memperkemaskan struktur, tanggungjawab dan kuasa. Ini penting bagi mengelakkan sebagai mana yang disebut sebagai pertindihan fungsi dan memastikan semua institusi dapat memberi fokus kepada bidang masing-masing. Contohnya, cadangan pindaan yang turut melibatkan pemotongan beberapa peruntukan berkaitan Mahkamah Syariah daripada Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perak 2004 kerana memandangkan semua perkara tersebut telah diperuntukkan secara substantif di bawah Enakmen Mahkamah Syariah 2018. Dato’ Seri Yang-Dipertua, kesan juga kita akan dapati bahawa perkhidmatan akan menjadi lebih berkesan kepada rakyat apabila undang-undang dan prosedur lebih jelas proses penyampaian perkhidmatan dapat dipertingkatkan. Rakyat tidak seharusnya menjadi mangsa kepada kelemahan sistem. Sebaliknya, sistem perlu direka untuk memudahkan urusan rakyat tanpa mengabaikan peraturan, peraturan dan integriti. Seterusnya implikasi positif yang boleh dicapai adalah keyakinan rakyat terhadap institusi agama bukan sahaja hanya dibina melalui ceramah dan penerangan tetapi melalui keyakinan, keyakinan dan juga pengalaman. Apabila masyarakat melihat institusi agama berfungsi dengan cekap, profesional dan adil maka kewibawaan institusi akan semakin kukuh. Misalnya, kita lihat pada tujuan meminda subseksyen 76 dalam (2) enakmen ibu dengan memperluaskan kuasa majlis membuat peraturan peraturan berhubung dengan pelantikan amil yang melaksanakan agihan zakat dan fitrah serta memperuntukkan kesalahan dan hukuman yang berkaitan dengan pengagihan zakat dan fitrah.
Seterusnya, sudah pasti undang-undang ini menyediakan rangka bagi cabaran masa hadapan kerana undang-undang yang digubal hari ini mesti mampu menghadapi persoalan untuk akan datang. Kita tidak boleh menunggu sehingga masalah menjadi terlalu besar sebelum, sebelum melakukan penambahbaikan. Pendekatan yang lebih baik ialah memastikan undang-undang mempunyai ruang dan mekanisma yang mencukupi untuk menghadapi perkembangan masa hadapan.
Dato’ Seri Yang di-Pertua dalam negara dan negeri yang berasaskan undang-undang, kita mesti menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang. Dalam pentadbiran Islam pula kuasa adalah amanah sementara jawatan adalah tanggungjawab dan undang-undang adalah instrumen untuk memastikan amanah itu dilaksanakan secara teratur. Tidak ada siapa yang seharusnya menggunakan undang-undang secara sewenang-wenangnya, sebaliknya kuasa mesti mempunyai asas. Kita juga menetapkan sempadan, tanggungjawab dan akauntabiliti terhadap penggunaan kuasa tersebut dan inilah antara keindahan undang-undang yang baik dan ia bukan hanya memberi kuasa. Ia juga mendisiplinkan kuasa.
Dato’ Seri Yang di-Pertua, sudah pasti Negeri Perak mempunyai tradisi Islam dan institusi agama yang perlu terus diperkukuh. Cabaran masa hadapan memerlukan kita melihat pembangunan undang-undang Islam bukan sahaja sebagai agenda sementara bahkan merupakan agenda jangka panjang generasi akan datang akan berhadapan dengan persoalan yang mungkin. Tidak kita hadapi pada hari ini. Oleh itu, tugas kita pada hari ini hari ini ialah menyediakan asas yang kukuh. Kita mesti membina institusi yang bukan hanya mampu menghadapi masalah hari ini tetapi mempunyai kekuatan untuk menghadapi perubahan pada masa hadapan. Ayer Kuning ingin menegaskan bahawa usaha menambah baik undang-undang Islam bukan bermaksud kita meragui kesempurnaan syariah. Sebaliknya kita sedang memastikan pentadbiran manusia terhadap urusan yang berkaitan dengan hukum dan institusi Islam sentiasa diperbaiki. Itulah sebabnya pindaan penelitian muhasabah dan pembaharuan pentadbiran merupakan sebahagian daripada proses memelihara kekuatan sesuatu sistem.
Dato’ Yang di-Pertua, pada akhirnya Ayer Kuning menyatakan bahawa sokongan kepada rang undang-undang ini adalah sokongan terhadap usaha untuk membina institusi yang lebih kukuh, pentadbiran yang lebih cekap, undang-undang yang lebih jelas, perkhidmatan yang lebih baik dan sistem agama Islam yang lebih bersedia menghadapi cabaran semasa dan masa hadapan. Kita hendaklah sentiasa memastikan bahawa setiap pindaan dilakukan benar-benar menjunjung prinsip keadilan dan kita memastikan bahawa undang-undang Islam terus dihormati bukan hanya kerana kewajipan mematuhinya tetapi juga kerana masyarakat melihat keadilan, kebijaksanaan dan manfaat yang lahir daripada dengan penuh yakin bahawa dengan penelitian yang rapi pelaksanaan yang profesional dan komitmen berterusan dari Kerajaan Negeri serta seluruh institusi berkaitan. Pindaan ini akan menjadi satu lagi langkah penting untuk memperkukuhkan pentadbiran Islam di Negeri Perak Darul Ridzuan dengan penuh tanggungjawab dan keyakinan terhadap keperluan memperkukuhkan sistem pentadbiran Islam di negara ini di negeri ini. Ayer Kuning dengan ini menyatakan sokongan sepenuhnya terhadap usul Rang Undang-Undang Enakmen Pentadbiran Agama Islam dalam (Perak) (Pindaan) 2026. Sekian terima kasih. Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Ayer Kuning menyokong usul terima kasih.
Waalaikumsalam warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat dari Kawasan Air Kuning. Sekarang saya menjemput Yang Berhormat dari kawasan Kamunting untuk memulakan perbahasan.Dipersilakan. 15 minit. Ya.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Yang Berhormat Dato’ Seri Yang di-Pertua, Yang Berhormat Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua jabatan yang dihormati sekalian. Saya ingin memulakan perbahasan pada hari ini dengan firman Allah Subhanahu Wataala dalam surat An-Nisa ayat 58. Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan amanah kepada ahlinya dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia hendaklah kamu menghukum dengan adil. Pada saya, ayat ini sangat sesuai untuk kita jadikan asas kepada perbahasan kita pada hari ini. Sebabnya mudah apabila kita bercakap tentang pentadbiran agama, kita sebenarnya sedang bercakap tentang amanah. Jawatan adalah amanah. Kuasa adalah amanah. Pelantikan adalah amanah. Penguatkuasaan adalah amanah. Pengurusan zakat juga adalah amanah. Malah, setiap keputusan yang kita buat yang melibatkan kehidupan Islam. Kehidupan umat Islam juga merupakan satu amanah. Justeru, apabila kita membahaskan Rang Undang-undang Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 (Pindaan) 2026 ini. Pada pandangan saya, kita bukan sekadar membincangkan pindaan kepada beberapa perkataan atau seksyen dalam undang undang. Yang lebih penting ialah bagaimana kita mahu memastikan pentadbiran agama Islam di Negeri Perak dapat dilaksanakan dengan lebih jelas, lebih tersusun, lebih cekap dan paling penting memberikan manfaat lebih baik kepada rakyat.
Yang Berhormat Dato' Seri Yang di-Pertua, terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kerana memberi peluang kepada saya untuk turut membahas rang undang-undang ini. Pada saya, pindaan yang dicadangkan bukan sekadar pindaan teknikal untuk menukar istilah menyusun seksyen atau mengemaskini peruntukan lama. Sebaliknya, pindaan ini menyentuh beberapa perkara penting dalam pentadbiran agama Islam negeri kita. Antaranya peranan majlis, pelantikan Pegawai Penguatkuasaan, Pendakwaan Syarie, latihan Mahkamah Syariah, pengurusan zakat, pendaftaran masjid dan surau serta pelantikan pegawai masjid. Secara keseluruhannya, ada lapan perkara utama yang dibawa melalui pindaan ini. Namun, jika kita melihatnya secara menyeluruh, semuanya membawa kepada satu perkara yang sama. Kita mahu, pentadbiran agama Islam di Negeri Perak menjadi lebih jelas, lebih kemas dan lebih berkesan tanpa kita melupakan kedudukan Islam dan Adat Melayu Perak.
Yang Berhormat Dato' Seri Yang di-Pertua, saya mulakan dengan cadangan pindaan kepada Seksyen 4 dan Seksyen 6 yang mengambil kira kuasa majlis seperti yang diperuntukkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak. Pindaan ini juga memperluaskan peranan Majlis Agama Islam dan 'Adat Melayu Perak atau MAIPk bukan sahaja dalam perkara agama Islam tetapi juga dalam perkara yang berkaitan dengan Adat Melayu di Negeri Perak. Pada saya, perkara ini penting. Perak mempunyai sejarah yang panjang dalam pemerintahan Melayu dan perkembangan Islam. Jadi apabila nama institusi kita sendiri menyebut Majlis Agama Islam dan 'Adat Melayu Perak, maka perkataan Adat Melayu itu tidak sepatutnya hanya tinggal sebagai nama. Ia perlu diterjemahkan dalam bentuk peranan dan tanggungjawab yang jelas. Namun pada masa yang sama, kita juga perlu jelas tentang adat yang hendak dipelihara. Tentulah adat yang selari dengan syarak dan tidak bercanggah dengan prinsip Islam. Jika adat itu baik dan tidak bercanggah dengan syarak, malah mampu menguatkan identiti Melayu Perak, maka perkara seperti ini wajar kita pelihara.
Sebab itu saya mencadangkan supaya perkara ini diperincikan dengan lebih jelas agar tidak berlaku tafsiran yang berbeza-beza selepas ini. Kita mahu adat Melayu dipelihara tetapi dalam kerangka yang jelas tersusun dan selari dengan syarak.
Ke hulu sungai mencari ikan, Singgah sebentar di tepi kota, Adat dijunjung syarak ditegakkan, Agar negeri sentiasa sejahtera.
Yang Berhormat Dato' Seri Yang di-Pertua, perkara kedua yang ingin saya sentuh ialah mengenai cadangan keluasan sumber pelantikan bagi beberapa jawatan dalam pentadbiran agama. Antaranya ialah Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Pendakwa Syarie, Pegawai Penguatkuasa Agama dan Pegawai Masjid. Cadangan ini membuka ruang kepada pelantikan daripada Perkhidmatan Awam di Negeri Perak atau Perkhidmatan Awam Am Persekutuan bagi jawatan-jawatan tertentu. Saya memahami bahawa cadangan ini juga mengambil kira pelaksanaan perkhidmatan gunasama Pegawai Hal Ehwal Islam yang telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri. Pada saya, cadangan untuk membuka ruang yang lebih luas ini mempunyai asasnya. Kita memang perlu membuka ruang kepada kepakaran, pengalaman dan kompetensi yang lebih luas. Hari ini, kepakaran tidak semestinya berada dalam satu organisasi sahaja. Kadang-kadang kita mempunyai pegawai yang sangat berpengalaman di peringkat persekutuan yang boleh membantu memperkukuh lagi pentadbiran agama di negeri.
Jadi, saya tidak melihat perkara ini sebagai sesuatu yang perlu kita takuti tetapi dalam kita membuka ruang kepada orang luar, saya rasa ada satu perkara yang perlu kita jaga. Jangan sampai bakat anak negeri kita sendiri terpinggir. Jika ada pegawai atau anak Negeri Perak yang mempunyai kelayakan, pengalaman, kompetensi dan prestasi yang baik. Mereka juga mesti diberikan pertimbangan. Ini bukan bermaksud kita hendak menutup pintu kepada pegawai dari luar. Kita cuma mahu memastikan bakat tempatan turut dibangunkan dan disediakan sebagai pelapis kepada institusi agama negeri. Sebab anak negeri yang berkelayakan biasanya mempunyai satu kelebihan. Mereka lebih memahami konteks masyarakat, budaya, sejarah dan realiti Negeri Perak. Namun dalam masa yang sama, saya bersetuju bahawa merit dan kompetensi mesti kekal menjadi asas utama pelantikan. Jadi pendekatan yang paling seimbang ialah kita buka ruang kepada kepakaran dari mana-mana perkhidmatan. tetapi pada masa yang sama kita bangunkan bakat dan pelapis dari Negeri Perak.
Yang Berhormat Dato' Seri Yang di-Pertua. Saya juga melihat isu pelantikan ini sebagai sudut yang lebih luas. Ia bukan hanya tentang siapa yang boleh dilantik. Ia juga berkaitan dengan laluan kerjaya pegawai yang sedang berkhidmat. Jika sekarang terdapat kekangan dari segi struktur perjawatan atau tiada jawatan pada gred tertentu dalam struktur sedia ada Majlis Agama Islam Perak, maka ruang yang dibuka melalui pindaan ini sepatutnya turut digunakan untuk memberikan peluang perkembangan kerjaya dan kenaikan pangkat kepada pegawai yang telah lama berkhidmat serta mempunyai prestasi yang baik. Kita jangan sampai ada pegawai yang telah berkhidmat bertahun-tahun mempunyai pengalaman dan kompetensi, tetapi peluang mereka untuk berkembang begitu terhad hanya kerana struktur penjawatan.
Sebab itu saya mencadangkan supaya Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa agar melihat perkara ini melalui succession planning atau perancangan penggantian yang lebih tersusun. Kita kenalpasti siapa pegawai yang berpotensi kita berikan latihan. Kita tingkatkan kompetensi mereka kita berikan pendedahan dan kita sediakan mereka untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar pada masa akan datang. Bagi saya, succession planning bukan sekadar mencari pengganti apabila seseorang besara ia lebih besar daripada itu. Ia merupakan satu usaha untuk memastikan institusi agama kita sentiasa mempunyai barisan kepimpinan yang kompeten dan bersedia. Jadi, jika ruang pelantikan daripada Perkhidmatan Awam Persekutuan diperluaskan, saya berharap ia dibuat secara seimbang. Kepakaran luar kita manfaatkan apabila diperlukan bakat tempatan kita bangunkan dan pegawai sedia ada. Kita berikan laluan kerjaya yang jelas. Akhirnya kita bukan mahu menutup pintu kepada orang luar.
Kamunting, Kamunting
Kita juga bukan mahu membuka pintu tanpa pertimbangan. Kita cuma mahu memastikan orang yang paling sesuai paling berkelayakan dan paling berkeupayaan diberikan amanah tersebut.
Kamunting, boleh sikit.
Kerana seperti firman Allah Subhanahu Wataala tadi, amanah hendaklah diberikan kepada ahlinya dan ahli bukan sekadar orang yang mempunyai kelayakan di atas kertas, tetapi orang yang mempunyai ilmu, kompetensi pengalaman, integriti dan benar benar sesuai untuk melaksanakan amanah penting.
Kamunting, boleh sikit sikit.
Masa sikit ni.
Bagi laluan ke tak.
Tak bagi.
Tak bagi Changkat Jering, duduklah.
Yang Berhormat Dato' Seri Yang di-Pertua, saya ingin menyentuh sedikit mengenai soal zakat kerana bagi saya ini merupakan satu amanah yang sangat besar. Cadangan pindaan berkaitan zakat memberikan ruang untuk kita memperkemaskan lagi pengurusan, kutipan dan agihan zakat. Saya menyokong usaha ini, namun dalam masa yang sama semakin besar, kuasa dan kutipan zakat semakin kuat juga pemantauan dan akauntabiliti yang kita perlukan. Kita lihat kutipan zakat Perak semakin meningkat. Pada tahun 2025 kutipan mencecah RM271.88 juta. Ini merupakan satu pencapaian yang baik dan kita hargai tetapi bagi saya, kejayaan zakat bukan sekadar diukur berdasarkan berapa banyak yang kita kutip. Kita perlu bertanya berapa ramai kehidupan penerima yang benar benar berubah. Berapa ramai yang berjaya keluar dari kemiskinan? Berapa ramai anak asnaf yang berjaya dalam pendidikan dan mendapat pekerjaan dan berapa ramai yang akhirnya mampu berdikari sehingga menjadi pembayar zakat? Sebab itu saya melihat pendekatan zakat perlu bergerak daripada bantuan kepada pembangunan. Akhirnya bagi saya daripada penerima bantuan kita mahu lahirkan penerima yang berdikari. Daripada penerima zakat, kita mahu lahirkan pembayar zakat. Itulah ukuran kejayaan pengurusan zakat yang sebenarnya.
Yang Berhormat Dato' Seri Yang di-Pertua, saya juga ingin menyentuh satu perkara yang mungkin nampak kecil dari segi istilah, tetapi sebenarnya penting dari sudut perlaksanaan iaitu penggunaan istilah Noja Masjid bagi menggantikan istilah pembantu bilal. Saya memahami tujuan pindaan ini adalah untuk menjelaskan kedudukan petugas yang membantu dalam urusan am masjid. Saya juga memahami rasionalnya untuk menyelaraskan istilah dalam enakmen dengan peraturan peraturan Pegawai Masjid Negeri Perak 2018 yang tidak menggunakan istilah pembantu bilal. Tapi saya ingin mencadangkan satu perkara. Pada saya, peraturan subsidiari sepatutnya selari dengan enakmen induk supaya tidak berlaku kekeliruan. Dalam enakmen ada Pembantu Bilal, tetapi dalam subsidiari tidak ada. Saya fahami dan kita mungkin sudah faham bahawa orang yang menggubal pada awal peringkat untuk meletakkan pembantu bilal ini. Mereka tahu kenapa mereka meletakkan pembantu bilal dan sepatutnya selari dengan subsidiari dan istilah itu bukan... Kalau kita nak tengok kita kena buka hansard lah.
Tuan Yang di-Pertua, masjid tidak akan berfungsi hanya dengan adanya imam dan bilal. Ada insan yang datang lebih awal membuka pintu masjid. Memastikan tempat wuduk bersih memastikan ruang solat tersedia. Membantu menyediakan keperluan solat dan mengurus pelbagai perkara yang tidak kelihatan di mata jemaah. Mereka inilah siak atau noja. Jangan kita menilai kepentingan seseorang hanya berdasarkan siapa yang berdiri di hadapan saf. Ada yang berdiri di hadapan menjadi imam, Ada yang melaungkan azan sebagai bilal dan ada yang memastikan seluruh urusan di belakang tabir berjalan sempurna. Sebagai siak, kesemuanya saling melengkapi. Sebab itu, jika kita mahu membina undang-undang masjid yang benar-benar mencerminkan realiti pengurusan masjid. Hari ini, peranan siak atau noja wajar diiktiraf dan tidak dipinggirkan. Walaupun kita tidak tahu apa istilah sebenarnya tafsiran pembantu bilal tetapi dalam mewujudkan sebuah institusi masjid, operator yang wujud tiga imam, bilal dan siak setuju wujud kita di atas muka bumi ini. Kita pergi masjid adanya dipanggil Tok Siak.
Jadi, saya amat tidak setuju untuk istilah ataupun dibuangkan pembantu bilal dalam enakmen yang hendak kita pinda ini dan saya mencadangkan supaya noja ini dimasukkan dan takrif pegawai masjid dalam takrif pegawai masjid dan bidang tugas serta kedudukan jawatan tersebut dinyatakan dengan jelas sebab istilah ini bukan sekadar istilah dan istilah noja itu. Saya lihat dalam…dalam. Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, dia senaraikan imam, ratib, pembantu bilal dan noja dalam urusan pelantikan sebagai pegawai masjid. Jadi istilah noja itu boleh kita gunakan untuk menggantikan pembantu bilal dan istilah menentukan skop tugas, tanggungjawab penyeliaan dan dalam keadaan tertentu, hak serta kemudahan yang berkaitan dengan jawatan tersebut. Jadi selepas pindaan ini, saya mencadangkan supaya peraturan berkaitan pegawai masjid turut disemak dan diselaraskan. Maknanya kalau kita luluskan ini, kita minta juga dalam peraturan peraturan mesti diselaraskan dengan apa yang ada dalam enakmen. Biar semuanya konsisten.
Dengan cara itu, kita bukan sekadar menyelesaikan isu istilah. Kita sebenarnya sedang membina struktur pengurusan masjid yang lebih kemas dan profesional.
Tuan Yang di-Pertua saya menyokong cadangan pindaan berkaitan pendaftaran masjid dan surau serta kewujudan jawatan pendaftar masjid dan surau. Dalam enakmen sedia ada, Seksyen 87 telah memberikan kuasa kepada majlis untuk membenarkan penubuhan penggunaan dan penetapan sesuatu bangunan sebagai masjid atau surau. Pendaftaran masjid dan surau merupakan satu perkara yang berbeza. Oleh itu, perlu ada punca kuasa yang jelas supaya wujud satu daftar rasmi masjid dan surau di negeri Perak. Sebab itu, cadangan Seksyen 87A memperuntukkan kuasa kepada majlis untuk mendaftarkan semua majlis dan surau manakala Seksyen 87B hingga 87D mewujudkan struktur Ketua Pendaftar, Timbalan Ketua Pendaftar dan pendaftar masjid dan surau termasuk tugas serta tanggungjawab mereka. Ini akan melengkapkan kuasa majlis dengan mekanisme pentadbiran yang lebih jelas. Ringkasnya, majlis mempunyai kuasa untuk menubuhkan dan menetapkan masjid manakala Pendaftar memastikan masjid dan surat tersebut direkodkan dan didaftarkan secara rasmi. Dengan adanya pendaftaran yang jelas, status rekod dan pentadbiran masjid serta surau dapat disusun dengan lebih teratur. Dengan kewujudan pendaftar ini, saya berharap proses pendaftaran sesebuah masjid dan. Dengan kewujudan pendaftar ini. Saya berharap proses pendaftaran sesebuah masjid dan surau akan lebih cepat dan tersusun.
Yang Berhormat Dato' Seri Yang di-Pertua, proses pendaftaran Rumah Ibadat Islam di negeri Perak ini melibatkan permohonan oleh jawatankuasa surau kepada Pejabat Agama Daerah. Antara syarat penting ialah tapak surau perlu mempunyai status wakaf yang rasmi kepada Majlis Agama Islam Perak sebelum sijil pendaftaran dapat di keluarkan. Saya membawa satu contohlah di kawasan saya di Kamunting. Sebuah surau di Kamunting iaitu Surah Al Hurriyyah, Kampung Pinang, Kamunting. Surau ini di fahamkan saya telah wujud 70 tahun yang lalu dan berada di atas tanah yang telah diwartakan pada tahun 1973, tetapi masih belum mempunyai sijil pendaftaran Jabatan Agama Islam kerana proses untuk mendapatkan status wakaf rasmi. Masih belum selesai. Jadi, keadaan ini menyebabkan kerana AJKnya bertukar ganti pengerusinya bertukar ganti.
Jadi dengan adanya pemantauan khusus daripada JAIPk ini, surau yang seumpama ini akan lebih terbela dan cepat pengurusannya dan Alhamdulillah, saya telah mengadakan pertemuan dengan pegawai daripada Daerah Larut, Matang dan Selama. Saya mohon supaya dapat satu perakuan kebenaran. Adakah status surau status tanah ini bermasalah? Status tanah ini tidak ada masalah? Cuma tunggu proses kelulusan daripada MMK dan kelulusan wakaf dan boleh tak pejabat tanah mengeluarkan satu surat mengatakan tidak ada masalah untuk didaftarkan. Alhamdulillah, Pejabat Daerah mengeluarkan satu surat, tiada ada permasalahan dan saya bawa kepada Jabatan Agama Islam dan semalam dua hari lepas. Alhamdulillah, satu surat dan sijil telah dapat dikeluarkan oleh dan disign oleh Ketua Penolong Ketua Penolong Pengarah Bahagian Masjid dan surau ini dapat selesai setelah 70 tahun mereka bergerak tanpa ada pendaftaran tanpa pendaftaran ini.
Maknanya untuk bantuan, susah untuk akaun bank susah. Nak derma susah dan sebagainya. Alhamdulillah, dengan adanya enakmen ini, orang yang memantau khusus untuk surau dan masjid ini. Diharap proses-proses seumpama ini dapat berjalan dengan lancar. Saya ingin merakamkan juga terima kasih kepada semua yang terlibat tadi dapat ada satu lagi masjid iaitu di masjid di surau kampung Klian Pauh. Sama juga statusnya Alhamdulillah dapat dan dua surau ini. Alhamdulillah, setelah sekian lama mereka memperjuangkan untuk mendapatkan status ini dan inilah pentingnya penolong pendaftar dan timbalan pendaftar. Ini memastikan urusan urusan ini dapat berjalan dengan lancar.
Akhirnya Yang Berhormat Dato' Seri Yang di-Pertua, saya telah melihat keseluruhan pindaan ini. Pada saya, terdapat empat perkara utama yang menjadi asas kejelasan kecekapan akauntibiliti dan…dan…tadbir urus dengan beberapa perkara yang telah saya bangkitkan tadi Kamunting menyokong usul pindaan ini. Wabillahi Taufiq Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Waalaikumsalam Warahmatullahi Wabarakatuh, terima kasih Yang Berhormat dari kawasan Kamunting, Ahli-ahli Yang Berhormat, masalahnya sekarang ialah Rang Undang-Undang bernama Suatu Enakmen untuk meminda Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 dibaca bagi kali kedua telah disokong dan dibahaskan. Sekarang saya mempersilakan Yang Amat Berhormat Menteri Besar untuk menggulung perbahasan, dipersilakan.
Terima kasih Yang Berhormat Dato' Seri Yang di-Pertua. Izinkan saya memulakan ucapan penggulungan ini dengan memetik firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Asy-Syura ayat 38 yang bermaksud : Dan orang-orang yang beriman itu ialah mereka yang menyahut seruan Tuhannya, mendirikan solat dan urusan mereka diputuskan dengan bermesyuarah sesama mereka. Ayat ini mengingatkan kita tentang pentingnya musyawarah dalam membuat sesuatu keputusan. Lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan amanah, tanggungjawab dan juga kepentingan institusi yang kita wakili. Alhamdulillah, Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Perak) (Pindaan) 2026 yang saya bentangkan telah dibahaskan dengan baik melibatkan pandangan daripada kedua-dua pihak. Wakil daripada pihak Kerajaan dan juga pembangkang.
Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Yang Berhormat Ayer Kuning dan juga Yang Berhormat Kamunting kerana telah memberikan pandangan, hujah-hujah yang bernas termasuk cadangan-cadangan dan juga teguran-teguran di dalam hujah mereka sebentar tadi. Walaupun hanya dua ahli Yang Berhormat mengambil bahagian dalam perbahasan, isu-isu yang dibangkitkan telah menyentuh beberapa perkara penting termasuklah keperluan untuk menambah baik dan memperkemas peruntukan sedia ada dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004. Supaya perundangan berkaitan pentadbiran agama Islam di negeri Perak terus relevan dan selaras dengan keperluan serta perkembangan semasa.
Sedikit ruang saya perlukan Yang Berhormat Dato' Seri Speaker untuk memberi respon kepada apa yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Kamunting berkaitan dengan justifikasi mengeluarkan pembantu bilal daripada tafsiran pegawai masjid. Supaya ini tidak disalah tafsir atau disalah faham terutama sekali kepada siak-siak yang sedang bertugas di lapangan sekarang. Untuk makluman Yang Berhormat, cadangan pengeluaran pembantu bilal, orang kampung panggil Tok Siak daripada tafsiran pegawai masjid dibuat bagi memperjelaskan skop jawatan yang termasuk dalam kategori tersebut. Selaras dengan peruntukan enakmen di bawah enakmen sedia ada iaitu pelantikan oleh majlis hanya melibatkan imam dan bilal, manakala pembantu bilal dipilih dan diuruskan di peringkat kariah mengikut keperluan setempat. Mudahnya Dato' Seri Speaker, selama ini Majlis Agama Islam hanya menguruskan pelantikan dua jawatan sahaja iaitu imam dan bilal. Siak dilantik oleh jawatankuasa kariah Masjid masing-masing. Jadi kalau kita kekalkan jawatan Timbalan Bilal itu dalam enakmen ini, maka seolah-olah ia menjadi tanggungjawab majlis pula untuk melantik siak. Sedangkan itu tak berlaku di peringkat lapangan. Jadi, kerana itu kita minta keluarkan daripada enakmen itu.
Oleh yang demikian, tafsiran pegawai masjid adalah lebih wajar dihadkan kepada jawatan yang pelantikannya dibuat oleh Majlis. Dua sahaja. Cadangan pindaan ini bertujuan memberikan kejelasan dari sudut perundangan dan pentadbiran mengenai status serta kaedah pelantikan jawatan-jawatan berkenaan tanpa mengubah amalan pengurusan pembantu bilal yang telah dilaksanakan di peringkat kariah. Lebih mudah nak cakap Dato' Speaker, pembantu bilal itu semua siak. Ok. Tambahan pula, sekiranya pembantu bilal dikehendaki turut dilantik oleh majlis sebagaimana imam dan bilal, perkara tersebut berpotensi menambah proses pentadbiran dan birokrasi yang tidak diperlukan.
Justeru, pendekatan yang dicadangkan adalah lebih praktikal dan memberi ruang kepada kariah untuk menguruskan keperluan setempat secara lebih fleksibel dan berkesan. Selain itu, pelarasan ini juga mengambil kira kerangka perundangan sedia ada termasuk Peraturan-Peraturan Pegawai Masjid Negeri Perak 2018 di mana pegawai masjid, menurut peraturan-peraturan tersebut hanya merujuk kepada imam dan bilal sahaja. Soalan yang mungkin dibimbangi ialah kalau kita keluarkan istilah pembantu bilal itu adakah Tok Siak hilang kerja? Tak betul. Tok Siak, pembantu bilal masih lagi bertugas seperti biasa. Tidak ada elaun yang dipotong hanya dari segi pelantikan sahaja dibuat oleh Jawatankuasa Kariah. Jadi, cadangan pindaan ini tidak menjejaskan kedudukan, fungsi, tanggungjawab mahupun elaun pembantu bilal iaitu Siak yang sedang berkhidmat di masjid atau di surau di seluruh negeri Perak. Jadi pengeluaran daripada tafsiran pegawai masjid juga tidak bermaksud jawatan pembantu bilal dimansuhkan, atau tidak lagi diwujudkan. Sebaliknya jawatan tersebut akan terus dikekalkan dan diuruskan sebagaimana amalan sedia ada. Pindaan ini hanya melibatkan penyelarasan peruntukan undang-undang agar selaras dengan tatacara pentadbiran semasa tanpa mengubah peranan dan juga fungsi pembantu bilal di lapangan. Dato' Seri Speaker yang selain itu, saya berterima kasih banyak kepada kedua-dua…
Tuan Speaker boleh mencelah sikit tak? Mungkin pandangan kita ataupun apa yang dibangkitkan oleh Kamunting tadi sebab interpretasi kepada pembantu bilal yang kita boleh interpretkan sebagai ianya adalah siak. Jadi kalau apa salahnya pandangan Yang Amat Berhormat, jadi kita masukkan terma tu sebab terma siak tu universal dah dipakai seluruh Malaysia. Kita sebut siak tu dia dah tahu dah kefungsian dia, dan kita tengok kalau masjid-masjid yg tidak ada siak tu teruk keadaannya dan siak ni memang tugas dia dengan mop dengan cuci, dengan apa karpet punya tu. Jadi apa pandangan fungsi ataupun boleh kita letakkan terma kepada pegawai masjid itu, kita letakkan terus supaya jelas untuk menjalankan fungsi di masjid itu mesti ada imam, mesti ada siak dan mesti ada bilal. Jadi terma tu kalau kita masuk dan ini refer kepada bilal-bilal yang ada supaya kerja yang mereka buat itu diiktiraf oleh Kerajaan Negeri Perak. Apa pandangan Yang Amat Berhormat?
Terima kasih, Dato' Seri Speaker, disebutkan tadi tujuan kertas ini dibawa adalah untuk memperjelaskan supaya pegawai-pegawai yang dilantik oleh Majlis Agama Islam ini hanya dua iaitu imam dan juga bilal. Tok Siak ni dilantik juga tetapi dilantik oleh Jawatankuasa Kariah masjid itu. Elaun bilal, elaun Tok Siak berjalan seperti biasa. Jadi, kerana itu kita minta dipinda ini hanya untuk tujuan menyelaraskan dengan enakmen yang ada. Kalau tidak nanti kekal nama timbalan di situ, segala tugas-tugas lain itu kena diuruskan oleh Majlis, itu yang menambah birokrasi itu. Saya faham maksud Yang Berhormat tadi supaya ada pengiktirafan tapi siak ini memang diiktiraf kerja mereka bukan sahaja oleh orang ramai, tapi Insha Allah oleh Allah Subhana Wata'ala.
Dato Speaker, saya nak tarik perhatian ini bahawa inilah semangat yang telah kita tunjukkan pada hari ini supaya perkara-perkara yang kita bincangkan nanti akan benar-benar dapat menggambarkan bagaimana kita bersepakat untuk membolehkan syiar Islam ini berkembang dengan baik di negeri Perak. Jadi kalau kerana pindaan yang kita lakukan pada hari ini bukan hanya berkisar soal menukar istilah meminda tafsiran atau menyusun semula beberapa peruntukan dalam enakmen. Lebih besar daripada itu adalah usaha memastikan kerangka pentadbiran Agama Islam yang kita warisi terus diperkukuh untuk memikul amanah pada masa depan. Yang Berhormat Seri Speaker, setelah mengambil kira perbahasan serta pandangan yang telah dikemukakan oleh Ahli Yang Berhormat, saya dengan ini mencadangkan supaya Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Perak) (Pindaan) 2026 diluluskan. Terima Kasih.
Terima kasih Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Ahli-ahli Yang Berhormat, masalahnya sekarang adalah rang undang-undang yang bernama suatu enakmen untuk meminda Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 telah dibaca bagi kali yang kedua. Sekarang saya menjemput Ahli Yang Berhormat mengundi. Yang bersetuju, sila bersuara setuju dan yang tidak bersetuju, sila bersuara tidak. Lebih suara bersetuju, maka usul itu dipersetujui. Setiausaha.
Suatu enakmen untuk meminda Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 telah dibaca bagi kali yang kedua.
Menteri Besar.
Dato' Seri Yang di-Pertua saya mohon mengusulkan bahawa rang undang-undang yang bernama suatu enakmen untuk meminda Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 diserahkan kepada Jawatankuasa Seisi Dewan Negeri untuk menimbang rang undang-undang itu dari sefasal ke sefasal.
Ada sokongan?
Dato' Seri Yang di-Pertua, Ayer Kuning menyokong.
Ahli-ahli Yang Berhormat, Dewan bertukar diri menjadi sebuah Jawatankuasa Seisi Dewan Negeri untuk menimbang rang undang-undang itu dari sefasal ke sefasal.
[DEWAN BERTUKAR MENJADI JAWATANKUASA SEISI DEWAN]
Fasal 1 hingga Fasal 3.
Masalahnya bahawa Fasal 1 hingga Fasal 3 di perintah menjadi sebahagian daripada rang undang-undang dan dibuka untuk perbahasan sekiranya ada. Dipersilakan. Kamunting ya.
Saya masih konsisten untuk perkara tafsiran kepada pegawai masjid. Jadi dalam perkara 3(g) dengan menggantikan tafsiran pegawai masjid dengan tafsiran berikut, pegawai masjid kiranya imam dan bilal bagi sesuatu masjid. Jadi, saya mohon dimasukkan semula tetapi bukan istilah pembantu bilal tetapi dimasukkan pegawai masjid ertinya imam, bilal dan siak bagi suatu masjid. Sebab apa Tuan Yang di-Pertua kita kena meletakkan satu pengiktirafan yang sebenarlah kita tak mahu ianya hanya ada di dalam pentadbiran sahaja tapi tidak ada dalam enakmen perundangan kita. Sebab bila ada dalam enakmen kita, ia menjadi satu tanggungjawab besar kepada institusi kita untuk melihat peranan siak. Ini kerana yang kita sebut bahawa peranan siak ini adalah besar daripada menjaga kebersihannya, memastikan orang awam masuk masjid dalam keadaan sejuk, selesa. Dia datang paling awal, dia keluar paling last sekali dan kita dalam keadaan era sekarang ini. Kita bukan melihat siak yang macam dulu. Kita kena melihat siak yang zaman sekarang, dia kena ada skill. Cara nak membaja, cara nak menanam pokok, cara nak jaga kebersihan, cara kita boleh bagi skill untuk buka dan pasang paip. Kalau patah, cara nak perbaiki suis dan sebagainya. Benda-benda asas tu boleh kita bagi satu skill walaupun kita tak lantik banyak tapi lantik seorang pun jadilah untuk satu masjid dan kemudian dia menjadi trainer kepada siak-siak lantikan di masjid yang lain. Saya masih konsisten supaya kita meletakkan siak sebagai tafsiran pegawai masjid. Terima kasih.
Terima kasih, ada lagi yang sebelum menjawab ini. Ada lagi yang nak menyentuh berkaitan antara Fasal 1 dengan Fasal 3. Ada Ahli Yang Berhormat yang ada pandangan lain berkaitan Fasal 1 hingga Fasal 3. Kalau tak ada, saya jemput YAB Menteri Besar untuk jawab.
Terima kasih Dato' Seri Speaker. Terima kasih Yang Berhormat Kamunting. Saya fikir tadinya disebutkan tentang keperluan untuk menyatakan tentang fungsi dan tugas-tugas bagi pegawai masjid itu tak perlu diputuskan di dalam enakmen ini. Sebab ia ada dalam Tatacara Pengurusan Masjid yang dikeluarkan oleh MAIPk. Jadi, Tatacara Pengurusan Masjid itu dikeluarkan kepada seluruh masjid Negeri Perak ini. Apa tugas Imam? Apa tugas Tok Bilal? Apa tugas Pengerusi Masjid? Apa tugas Tok Siak? Itu ada, ia tak perlu diputuskan di dalam enakmen ini. Yang dalam ini hanya peringkat untuk memutuskan bahawa kita nak keluarkan perkataan Pembantu Bilal itu sebab dia confuse kerana kita hanya bayar gaji kepada dua jawatan saja. Yang Tok Siak ini dibayar oleh Jawatankuasa Masjid bukan oleh Majlis Agama Islam, terima kasih.
Ok, terima kasih Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Ada lagi nak ni, tak ada ya? Daripada Kampong Gajah? Kampong Gajah.
Saya menyokong apa yang di oleh Kamunting, memang kita kata dia dibayar. Sebenarnya dibayar dari negeri, masuk ke dalam masjid. Masjid yang diagihkan kepada bilal dan juga siak. Apa kalau yang disebutkan tadi kita letakkan terus sebagai pegawai masjid maknanya kita naik tarafkan. Kalau kita kata nak tukar pembantu bilai ini tadi, letak terus pegawai masjid itu siak termasuk dari pegawai masjid. Tukarkan nama yang tadi sebutkan tadi sebagai pembantu bilal. Makna dia punya kedudukan dalam pegawai masjid tadi. Mungkin menimbulkan kegusaran pada tadi tentang pelantikan, menambahkan birokrasi dan sebagainya. Tapi apa pun sebelum ni, kalau kita tengok amalan yang dibuat di kampung-kampung. Bilal dan sebagainya, semua yang dicadangkan oleh Pengerusi Masjid bawa sahaja kepada pejabat agama, pejabat agama lulus je. Jadi lantikan tu saya rasa tak adalah menjadi satu perkara yang rumit. Cuma pengiktirafan kepada bilal, kepada siak sebagai pegawai masjid tu satu penghargaan kepada mereka.
Terima kasih Kampong Gajah. Menteri Besar nak jawab juga atau macam mana. Takde, tu saja dikekal. Ada lagi nak ini? Takde ya. Ok.
Dato’ Speaker
Ok. Selama.
Assalamualaikum wbt. Saya bersetujulah dengan Kamunting. Apa salahnya kita pertimbangkan daripada ada nama siak tu dalam peraturan masjid. Ia lebih besar kalau ada nama siak di dalam enakmen. Kita kata takda masalah sebab siak masih ada dalam peraturan masjid. Kemudian dari segi elaun dan sebagainya, kita tengok ada yang masjid tak berapa mampu walaupun ada daripada pihak negeri ataupun Majlis Agama Islam kepada masjid untuk diagihkan elaun tersebut tapi tidak memadai dengan elaun yang ada. Ada yang sedikit, ada yang banyak dan apa, kalau ianya dinaik taraf, ia akan dapat satu elaun yang tetap daripada pihak negeri ataupun pihak Majlis Agama Islam dan saya rasa dari segi implikasi kewangan pun tidaklah banyak sangat sebab saya tengok dari segi hospital, dari segi pejabat kerajaan yang lain dan sebagainya dia ada cleaner. Cleaner pun RM1,700. Kalau tak silap, dia punya paling... Kalau takkan kotlah pihak negeri tidak boleh memberi fokus juga kepada pembersihan dan dari segi pengurusan, penjagaan terhadap kebersihan masjid itu kepada Tok Siak dengan menaik taraf daripada tidak disebut dalam enakmen. Ada disebut dalam enakmen yang disebut sebagai siak dengan digantikan perkataan pembantu bilal itu. Kalau pun tidak mengubah pembantu bilal pun. Kalau tak mau letak siak pun kekal pembantu bilal itu dengan niat dengan tafsiran pembantu bilal itu ialah ialah siak. Terima kasih kepada Dato' Speaker minta maaf.
Dato' Seri,
Alor Pongsu Yang di-Pertua. Terima kasih Dato' Seri. Pengkalan Baharu, Datuk nak cakap dulu?
Ok Alor Pongsu cakap.
Ok boleh-boleh. Ok la jalan la jalan.
Saya bersetuju dengan apa yang diperkatakan oleh Kamunting tadi, ada penambahan sedikit itu sebab saya tengok jika tidak ada pengiktirafan ataupun pelantikan rasmi yang melalui enakmen ini, sentimen pengerusi ini, bila dia tak ngam dengan Tok Siak, dia buang macam itu ja. Jadi tidak ada keadilan bagi Tok Siak itu. Jadi kalau ada masuk dalam enakmen ini tentang jawatan ini secara rasmi. Sekurang-kurangnya jika ada apa-apa tindakan yang dibuat oleh Pengerusi Masjid itu, dia terbela. Terima kasih.
Pengkalan Baharu nak cakap?
Ada-ada sikit. Terima kasih Dato' Seri Yang di-Pertua.
Ok sila Pengkalan Baharu.
Pandangan sayalah, yelah kalau kita masukkan kita kekal. Maknanya Pembantu Bilal atau pun Siak ni kalau kita nak samakan dengan imam dan bilal dah mestilah dia ada kriteria dia ya. Syarat-syarat dia macam mana melepasi apa nama saringan atau pun ujian ya. Jadi untuk siak ni kebanyakannya mesti kita lantik macam ibu tunggal orang-orang yang kita nak bantu. Jadi dia mungkin tak capai syarat-syarat yang diperlukan untuk diletakkan sebagai setaraf dengan pegawai. Tapi saya punya pandangan macam tu lah ya. Maknanya kita tak perlulah letak dalam.
Terima kasih Pengkalan Baharu. Chandan nak cakap ok Chandan.
Dato' Pengerusi ya, yang kita nak buang ni ialah perkataan Pembantu Bilal. So, Pembantu Bilal ini tak jelas ya sebenarnya siapa dia Pembantu Bilal ni? Adakah Tok Siak tu Pembantu Bilal sebab apa Pembantu Bilal ini dilantik oleh majlis. Tok Siak dilantik oleh kariah masjid. Dua benda yang berbeza. Jadi, disebabkan benda yang tak jelas. Saya rasa memang wajarlah perkataan Pembantu Bilal ini dibuang. Sebab kita sendiri pun tak pasti siapa Pembantu Bilal ini? Adakah Pembantu Bilal ini orang yang menggantikan Bilal bila Bilal tu takda atau adakah Pembantu Bilal itu orang yang menguruskan masjid? Jadi untuk keliru ni saya setuju Pembantu Bilal ni di buang. Kalau kita nak tambah kita tambah Siak di bawah pelantikan majlis bukan di bawah pelantikan kariah masjid. Itu kena spesifik terima kasih.
Ok. Ada lagi. Tak ada ya? Kalau itu Menteri Besar nak jawab tu tak ada lah. Ok tak ada tak ada pun daripada Menteri Besar. Ahli-ahli Yang Berhormat, rang undang-undang ini dah telah dibuka untuk perbahasan. Jadi, Ahli-ahli Yang Berhormat dijemput untuk mengundi. Yang bersetuju sila bersuara, setuju (setuju) dan yang tidak bersetuju, sila bersuara tidak. Lebih bersuara setuju, maka usul itu dipersetujui. Setiausaha Dewan.
Fasal 4 hingga Fasal 6.
Masalahnya bahawa Fasal 4 hingga Fasal 6 di perintah menjadi sebahagian daripada rang undang-undang dan dibuka untuk perbahasan sekiranya ada. Memandangkan tiada perbahasan dijemput Ahli Yang Berhormat mengundi. Yang bersetuju sila bersuara, setuju (setuju) dan yang tidak bersetuju sila bersuara tidak. Lebih bersuara setuju, maka usul itu dipersetujui.
Fasal 7 hingga Fasal 9.
Masalahnya bahawa Fasal 7 hingga Fasal 9 diperintah menjadi sebahagian daripada rang undang-undang dan dibuka untuk perbahasan sekiranya ada. Memandangkan tiada perbahasan di jemput ahli Yang Berhormat mengundi yang bersetuju, sila bersuara setuju (setuju) dan yang tidak bersetuju sila bersuara tidak. Lebih bersuara setuju, maka usul itu dipersetujui.
Fasal 10 hingga Fasal 12.
Masalahnya bahawa Fasal 10 hingga Fasal 12 di perintah menjadi sebahagian daripada rang undang-undang dan dibuka untuk perbahasan sekiranya ada. Memandangkan tiada perbahasan dijemput Ahli Yang Berhormat mengundi yang bersetuju, sila bersuara setuju dan yang tidak bersetuju, sila bersuara tidak. Lebih bersuara bersetuju, maka usul itu dipersetujui.
Fasal 13 hingga Fasal 16.
Masalahnya bahawa Fasal 13 hingga Fasal 16 di perintah menjadi sebahagian daripada rang undang-undang dan dibuka untuk perbahasan sekiranya ada. Memandangkan tiada perbahasan dijemput Ahli Yang Berhormat mengundi yang bersetuju, sila bersuara setuju dan yang tidak bersetuju sila bersuara tidak. Lebih bersuara setuju. Maka usul itu dipersetujui. Menteri Besar.
Yang Berhormat Dato' Seri Pengerusi saya mohon izin mengusulkan bahawa rang undang-undang yang bernama suatu enakmen untuk meminda Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 yang telah dipersetujui oleh jawatankuasa ini dimaklumkan kepada Dewan dengan serta-merta.
Terima kasih Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Ahli Yang Berhormat, masalahnya sekarang bahawa rang undang-undang yang bernama suatu enakmen untuk meminda Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 yang telah dipersetujui oleh jawatankuasa ini dimaklumkan kepada Dewan. Ahli Yang Berhormat dijemput mengundi. Yang bersetuju sila bersuara setuju dan yang tidak bersetuju sila bersuara tidak. Lebih bersuara setuju. Maka usul itu dipersetujui. Dewan bersidang semula. Menteri Besar.
[DEWAN BERSIDANG SEMULA]
Yang Berhormat Dato' Seri Yang di-Pertua, saya mohon izin mengusulkan bahawa rang undang-undang yang bernama suatu enakmen untuk meminda Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 telah pun dipertimbangkan dari se Fasal ke se Fasal dalam Jawatankuasa Seisi Dewan Negeri dan dengan ini saya mohon izin mengusulkan bahawa rang undang-undang ini sekarang dibaca bagi kali yang ketiga dan diluluskan.
Ahli Yang Berhormat, sekarang saya mengemukakan bahawa rang undang-undang yang bernama suatu enakmen untuk meminda Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 dibaca bagi kali ketiga dan diluluskan. Ahli Yang Berhormat dijemput mengundi. Yang bersetuju sila bersuara setuju dan yang tidak bersetuju, sila bersuara tidak. Lebih bersuara setuju. Maka rang undang-undang ini dibaca bagi kali yang ketiga dan diluluskan. Setiausaha.
Suatu enakmen untuk meminda Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 dibaca bagi kali ketiga dan diluluskan.
Terima kasih Setiausaha. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Sebelum saya menangguhkan Dewan ini, suka saya nak mengingatkan bahawa esok Khamis adalah selalunya kita pemakaian batik dibenarkan malah digalakkan. Tapi saya nak ingatkan sekali lagi untuk Ahli-ahli Yang Berhormat dan juga kepada kakitangan kerajaan, ketua-ketua jabatan dan dan semua tetamu yang hadir pemakaian batik ini sebenarnya niatnya adalah untuk menggalakkan industri batik Malaysia terutama sekali terhadap batik Perak. Jadi sebaik-baiknya kita pakai batik ni pakai batik Malaysialah. Jangan pula ada yang pakai batik Indonesia ke batik Ethiopia ke batik Uganda ke batik Hawaii ke datang. Jadi kita cuma membenarkan pemakaian batik Malaysia.
Senang Speaker bagi sepasang seorang.
Itu kita boleh pertimbangkan nanti. Timbangkan pada peruntukan yang akan dikeluarkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar.
Sidang Dun akan datang. Sidang Dun akan datang MB bagi.
Nanti kita tengok macam mana. Jadi saya ingatkan pemakaian batik Malaysia dalam Dewan Yang Mulia pada hari Khamis esok digalakkan. Kalau tak nak pakai pun tak apa. Pakai pakaian pakaian lain yang sama. Ahli-ahli Yang Berhormat sekarang saya tangguhkan Dewan ini dan Dewan akan bersidang semula pada hari Khamis, 10 September 2026 jam 9.00 pagi. Terima kasih.