Sabah · 18 April 2024
16th Assembly, 5th session · not final · 21 turns · 7,005 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalSabah's own site lists 22 sitting days; 35 more of the 16th Assembly are recovered from the Wayback Machine, and some are missing. Appointed members are not in the election register. Written answers are not published.
Permesyuarahan Dari Tuan Speaker
Yang Amat Berhormat Ketua Menteri adalah dijemput untuk menyampaikan Teks Ucapan Dasar Kerajaan kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri.
UCAPAN DASAR KERAJAAN OLEH TUAN YANG TERUTAMA YANG DI-PERTUA NEGERI SABAH TUN DATUK SERI PANGLIMA (DR) HAJI JUHAR BIN DATUK HAJI MAHIRUDDIN SEMPENA DENGAN ISTIADAT PEMBUKAAN PENGGAL KELIMA DEWAN UNDANGAN NEGERI SABAH YANG KEENAM BELAS PADA 18 APRIL 2024 Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Haji Juhar bin Datuk Haji Mahiruddin, Yang di-Pertua Negeri Sabah:
Bismillahhirahmanirahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, maka dapatlah kita berhimpun dalam Dewan yang mulia ini sempena Pembukaan Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah Yang Keenam Belas.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Sabah adalah sebuah negeri yang kaya dengan sumber alam dan keindahan semula jadi. Alhamdulillah, Negeri Sabah juga dikurniakan dengan penduduk berbilang kaum yang bersatu hati dan bersedia untuk bangkit semula setelah berhadapan dengan ekonomi yang merundum akibat COVID-19. Kerajaan Negeri amat komited untuk membawa Negeri Sabah keluar dari kemelut ini.
Justeru, tahun 2024 merupakan tahun yang sangat penting bagi Kerajaan Negeri untuk memastikan semua inisiatif dan program serta projek pembangunan yang telah dirancang di bawah RMK12 dilaksanakan secara efektif dan efisien selari dengan matlamat Malaysia MADANI, Hala Tuju Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (Pelan Pembangunan SMJ) dan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals/SDGs). Ini bagi memastikan peruntukan yang telah disediakan dapat dibelanjakan secara cekap dan semaksima mungkin agar manfaatnya sampai kepada rakyat dalam tempoh yang disasarkan.
Oleh itu, Kerajaan Negeri akan melipatgandakan usaha bagi meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Bagi merealisasikan hasrat ini, pelaksanaan pelbagai inisiatif dan program pembangunan akan dipergiatkan merangkumi inisiatif-inisiatif merancakkan pembangunan sektor-sektor ekonomi utama dan baharu, meningkatkan hasil sedia ada dan meneroka sumber hasil baharu serta menarik lebih banyak pelaburan berimpak tinggi.
Memperkukuhkan Sektor Pertanian Dan Keterjaminan Makanan
Ahli-Ahli Yang Berhormat, dalam sektor pertanian, Kerajaan Negeri akan terus memberi tumpuan untuk meningkatkan pengeluaran dan Tahap Sara Diri atau singkatannya SSL hasil pertanian di negeri Sabah bagi memperkukuh keterjaminan makanan, khususnya bagi komoditi beras. Beberapa strategi telah dilaksanakan Kerajaan Negeri bagi meningkatkan SSL beras, antaranya seperti Projek Pembangunan Kawasan Baharu Tanaman Padi seluas 100 hektar di Estet Taritipan, Kota Marudu dengan kolaborasi bersama Sawit Kinabalu Sdn. Bhd. serta Program Pengapuran Sawah Padi Luar Jelapang Negeri Sabah bersama Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) yang melibatkan kawasan padi seluas 1,050 hektar. Pada tahun ini, usaha untuk meningkatkan SSL beras terus diperkasa melalui pelaksanaan inisiatif-inisiatif seperti meningkatkan kekerapan penanaman padi bagi meningkatkan keluasan penanaman dan menambah hasil keluaran padi, meningkatkan pelaksanaan kerja-kerja pembajakan bagi memperluaskan liputan pembajakan, mengoptimakan pemberian bantuan baja dan memulihkan semula kawasan-kawasan sawah padi terbiar secara berperingkat. Kerajaan Negeri juga akan memperkasakan ladang satelit benih padi sah untuk varieti terpilih dan program penyelidikan padi sawah dan padi tanah kering serta melaksanakan projek Kluster Padi Bersepadu Sabah (KPBS). Dengan pelaksanaan program-program ini, SSL beras negeri Sabah dijangka akan meningkat kepada 25 peratus pada tahun ini.
Tumpuan juga terus diberikan untuk memperkukuhkan keterjaminan makanan bagi tanaman lain melalui pelaksanaan program-program pembangunan tanaman termasuk Taman Kekal Pengeluaran Makanan atau singkatannya TKPM. Pada tahun 2023, sebanyak lima TKPM telah dibangunkan dengan infrastruktur asas iaitu TKPM Ulu Bongawan Papar Fasa 2, TKPM Talibadak Kuala Penyu, TKPM Gum-
Gum Sandakan, TKPM Apin-Apin Keningau dan TKPM Sg. Koyah Kinabatangan Fasa 2.
Selain itu, Kerajaan Negeri turut melaksanakan kolaborasi strategik bersama Koperasi Kakitangan Jabatan Pertanian Sabah Berhad bagi pembangunan industri kelapa dan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) bagi meningkatkan penggunaan teknologi dalam perancangan, pengurusan dan pemantauan guna tanah pertanian di Sabah.
Pada tahun ini, usaha untuk meningkatkan pengeluaran tanaman makanan diteruskan melalui Projek Pembangunan Tanaman Makanan yang menumpukan kepada tanaman kelapa, kopi dan buah-buahan, meningkatkan hasil pengeluaran di bawah Program Perladangan Kontrak serta mempergiat program pemasaran hasil pertanian melalui Pusat-pusat Pengumpulan Hasil Tani (APCC).
Bagi memastikan keterjaminan makanan negeri, Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Koridor Wilayah Sabah (SEDIA) akan meneroka inisiatif Pembangunan Lembah Makanan yang meliputi daerah Keningau, Nabawan, Tongod dan Tambunan. Inisiatif ini bertujuan untuk mengukuhkan keupayaan negeri dalam meningkatkan bekalan makanan dan memastikan keselamatan makanan. Sebagai langkah awal, inisiatif ini telah dimulakan dengan Kajian Pelan Induk Lembah Makanan di Pedalaman Sabah yang kini sedang dalam pelaksanaan. Dalam subsektor perikanan, Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha untuk menjana pengeluaran hasil perikanan bagi menjamin sumber bekalan yang mampan dan mencukupi di negeri ini. Beberapa program dan projek perikanan telah dilaksanakan pada tahun lalu termasuk Program Pemuliharaan Sumber Ikan dan Habitat. Di bawah program ini, Kerajaan Negeri telah berjaya mewujudkan sebanyak 628 tagal tradisi, melabuhkan sebanyak 200 unit tukun tiruan dan 10 unit tukun tiruan Reef Ball serta membangunkan kawasan konservasi perikanan marin di negeri ini. Selain itu, Kerajaan Negeri telah melaksanakan program pensijilan ladang akuakultur Malaysian Good Aquaculture Practise (MyGAP) dan Fish Quality Certificate (FQC) untuk meningkatkan keterjaminan makanan. Selaras dengan usaha untuk melindungi sumber perikanan, Kerajaan Negeri mengambil langkah
mempergiatkan pemantauan kapal perikanan melalui sistem satelit intruder intervention Vessel Monitoring System.
Bagi membantu rakyat B40 dalam kalangan nelayan dan pengusaha akuakultur, Kerajaan Negeri telah melaksanakan program-program pembangunan sosioekonomi dan pemberian insentif. Pada tahun ini, Kerajaan Negeri akan menggiat usaha bagi mempercekapkan pengurusan dan pembangunan sektor perikanan yang meliputi inisiatif untuk memperkasa modal insan, mengukuhkan penguatkuasaan, menarik lebih banyak pelaburan, meneroka potensi perikanan laut dalam dan aktiviti akuakultur komersial, meningkatkan sumber perikanan laut dan sungai, kolaborasi penyelidikan bersasar dan program konservasi.
Di samping itu, usaha kerajaan bagi mengukuhkan hasil perikanan negeri turut disokong melalui penglibatan syarikat milik Kerajaan Negeri. Sebagai contoh, Sawit Kinabalu Sdn. Bhd. dengan usaha sama Borneo Lestari Sdn. Bhd. telah melaksanakan Projek Akuakultur Siakap secara Recirculating Aquaculture System (RAS). Pelaksanaan fasa pertama projek ini antaranya adalah untuk penyediaan kelengkapan RAS Mobile Plant. Pada bulan Julai 2023, kumpulan pertama 6,000 anak ikan telah dipindahkan ke kolam semaian selepas berjaya diuji dalam RAS Mobile Plant. Setakat ini, kumpulan pertama ini telah mencapai purata berat badan sebanyak 881g dan sedia untuk berada di pasaran bermula pada tahun ini. Manakala dalam subsektor ternakan, Kerajaan Negeri komited meningkatkan keterjaminan makanan berasaskan ternakan. Kerajaan Negeri akan memberi fokus utama kepada projek-projek berimpak tinggi seperti Program Pemerkasaan Industri Ruminan Sabah yang akan membuat perolehan sebanyak 950 ekor lembu pedaging betina Brahman, 50 ekor lembu penjantan, dan 1,200 ekor kambing dan bebiri serta pembinaan Rumah Penyembelihan Ayam (RPH) Unggas di Keningau untuk menggantikan RPH Unggas sedia ada.
Kerajaan Negeri juga mengambil pendekatan untuk melibatkan syarikat milik kerajaan secara aktif dalam usaha meningkatkan keterjaminan makanan dalam industri ruminan. Sebagai contoh, penglibatan Sawit Kinabalu Sdn. Bhd. dalam pelaksanaan Projek Sawit Kinabalu Livestock Integrated Centre (SKLIC) di Balung Tawau yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2025. Setakat ini, pembinaan
bangunan Loji Pemprosesan Daging [Meat Processing Plant, Balung Beef Centre (BBC)] yang merupakan salah satu komponen dalam SKLIC telah pun siap sepenuhnya.
Sebagai tambahan, Kerajaan Negeri akan terus memantapkan aktiviti-aktiviti perkhidmatan veterinar dengan meningkatkan usaha khususnya dalam mengawal penyakit-penyakit haiwan dan zoonotik berbahaya.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, sektor getah akan terus diperkasa agar terus menyumbang secara mampan kepada ekonomi negeri. Program pembangunan industri getah seperti projek tanam baharu dan tanam semula getah, penyelenggaraan ladang getah pekebun kecil, penambahbaikan infrastruktur jalan ladang dan perkhidmatan pembelian getah mentah daripada pekebun kecil getah akan diteruskan. Semua program ini adalah untuk meningkatkan pengeluaran getah bagi menyokong ekonomi negeri dan menyediakan sumber pendapatan kepada semua pekebun kecil di negeri Sabah, misalnya, Program Aktiviti Ekonomi Tambahan dan Program Usahawan Tani di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR-INTAN) yang dilaksanakan oleh kerajaan bertujuan memberikan akses kepada pekebun kecil getah untuk menjana pendapatan tambahan.
Kerajaan Negeri sedang melaksanakan beberapa projek meningkatkan keberkesanan sistem pengairan dan saliran serta pengurusan banjir bagi mengurangkan risiko dan impak banjir di negeri ini. Ini termasuk projek Rancangan Mencegah Banjir Kg. Tanjung Batu, Tawau, Rancangan Skim Pengairan Marudu dan Menaik taraf Infrastruktur Pengairan di Skim Pengairan Terusan Sapi, Sandakan. Kerajaan juga merancang untuk melaksanakan dua projek Menaik Taraf Skim Pengairan Gana Daerah Tambunan dan Rancangan Tebatan Banjir Tambalan Pendamai, Tuaran.
Merancakkan Sektor Pembuatan
Ahli-Ahli Yang Berhormat, sektor perindustrian dan pelaburan terus menjadi pemacu kepada ekonomi negeri. Sumbangan jumlah pelaburan sektor ini kepada jumlah keseluruhan pelaburan negeri adalah menggalakkan. Pada tahun 2023, jumlah pelaburan negeri dicatatkan sebanyak RM11.346 bilion menjadikan negeri Sabah
berada di kedudukan ketujuh menerima pelaburan tertinggi di Malaysia. Daripada jumlah tersebut, RM1.510 bilion disumbangkan oleh sektor pembuatan. Kestabilan dalam negeri dan komitmen tinggi Kerajaan Negeri telah berjaya merancakkan sektor perindustrian dan menggalakkan lagi pelaburan berkembang dalam rantaian ekonomi. Misalnya, Syarikat SK Nexilis Malaysia Sdn. Bhd. telah mengembangkan pelaburan di negeri Sabah melalui syarikat subsidiarinya iaitu Curix Sdn. Bhd. dalam pembuatan kilang copper granulation di Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP) dengan nilai pelaburan berjumlah RM300 juta.
Dalam hal berkaitan, pada tahun 2024, Kerajaan Negeri akan memperkasa Manufacturing Investment Task Force untuk memastikan semua cadangan pelaburan yang diluluskan dapat direalisasi dan dipercepat pelaksanaannya. Tumpuan akan terus diberikan kepada pelaksanaan inisiatif untuk meningkatkan keyakinan pelabur dalam bidang berpotensi yang telah dikenal pasti seperti produk berasaskan teknologi hijau termasuk solar dan bateri industri hiliran biojisim/biomass kelapa sawit (bio industry) dan sumber mineral, low energy intensify industry, pemprosesan dan pembuatan makanan, peranti perubatan dan industri sokongan lain kepada industri pembuatan sedia ada.
Inisiatif lain yang akan dilaksanakan adalah penyediaan dan pelaksanaan dasar dan hala tuju bagi sektor ini termasuk penyediaan Pelan Induk Pembangunan untuk dua Taman Perindustrian baharu di Kota Belud dan Kimanis serta pelaksanaan Dasar Industri Biomass Sabah. Sebagai tambahan, tumpuan juga akan diberikan kepada usaha mempercepatkan pembangunan Zon Bebas di Taman Perindustrian Lahad Datu dan menjayakan pelaksanaan bekalan industrial water di taman-taman perindustrian.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, dalam aspek pembangunan keusahawanan, Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha untuk membantu dan memperkasa usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) tempatan bagi meningkatkan kapasiti dan kapabiliti usahawan-usahawan berkenaan melalui pelaksanaan Program Bantuan SME-UP dan penubuhan Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan Negeri Sabah. Kerajaan Negeri juga akan mengenal pasti dan memajukan beberapa syarikat usahawan tempatan agar lebih berdaya saing untuk menembusi pasaran eksport serta menambah lebih banyak ruang perniagaan
kepada usahawan-usahawan bumiputera melalui pelaksanaan projek-projek sosioekonomi dengan kemudahan premis perniagaan yang teratur, selesa dan mampu milik. Kerjasama bersama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi akan diperkukuh dalam melaksanakan program-program berimpak tinggi yang sesuai dengan kehendak dan keperluan semasa usahawanusahawan di negeri ini.
Memperkasa Sektor Pelancongan
Ahli-Ahli Yang Berhormat, sektor pelancongan terus menunjukkan trend pemulihan yang memberangsangkan. Pada tahun 2023, jumlah ketibaan pelancong ke negeri Sabah telah bertambah dan mencecah 2.61 juta berbanding 1.72 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya, iaitu peningkatan sebanyak 51.3 peratus. Pada tahun ini, Kerajaan Negeri menyasarkan ketibaan seramai 2.8 juta hingga 3 juta pelancong ke Sabah. Bagi mencapai sasaran ini, kerajaan akan merancakkan pelaksanaan pelbagai inisiatif dan program pelancongan berimpak tinggi termasuk pemberian insentif kepada pemain industri sebagai galakan agar lebih aktif meningkatkan pertumbuhan sektor ini. Pengembangan jaringan udara merupakan agenda terpenting sejak pembukaan semula pintu sempadan negeri ini. Bagi meningkatkan daya saing negeri Sabah di rantau ASEAN, Kerajaan Negeri meneruskan pelaksanaan pemberian insentif kepada syarikat penerbangan antarabangsa di samping menyokong dan menggalakkan kemampanan industri penerbangan. Kerajaan Negeri juga komited mewujudkan lebih banyak laluan terus penerbangan antarabangsa yang baharu bagi memudahkan akses perjalanan udara dan menarik lebih ramai pengunjung antarabangsa ke negeri ini. Pada tahun ini, Kerajaan Negeri menerima penerbangan antarabangsa terus dari Jakarta, Shanghai dan Seoul, Korea Selatan ke Sabah menerusi penerbangan Air Asia. Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri akan meneruskan promosi dan kempen pemasaran pelancongan yang agresif dengan memberi tumpuan kepada pelbagai program yang berimpak tinggi seperti kempen High Visibility yang terbukti mampu mengembangkan segmen-segmen pasaran niche serta memberi pulangan tinggi seperti Bird Watching, Diving dan Sport Tourism. Kerajaan Negeri akan sentiasa memberi tumpuan bagi membangun dan menyediakan infrastruktur dan fasiliti di kawasan pelancongan khususnya di luar bandar termasuk dalam kawasan Taman-
Taman Sabah dan Muzium Sabah sebagai persediaan untuk menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026.
Mempergiat Pembangunan Infrastruktur, Utiliti Dan Jaringan Komunikasi
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri sedang giat untuk menyediakan infrastruktur, utiliti dan jaringan komunikasi yang mampan bagi menyokong aktiviti-aktiviti sektor utama di samping meningkatkan taraf hidup rakyat. Untuk itu, keutamaan terus diberikan untuk memperhebat ketersambungan jaringan jalan raya negeri melalui pelaksanaan projek pembangunan jalan di negeri ini terutama Projek Lebuhraya Pan Borneo. Daripada 35 pakej kerja, sebanyak empat pakej kerja dengan jarak keseluruhan 41.7 km telah berjaya disiapkan. Sebanyak 15 pakej kerja sedang dalam peringkat pembinaan di mana dua daripadanya akan siap pada tahun ini dan selebihnya pada tahun hadapan. Manakala, baki 16 pakej kerja sedang dalam proses tender dan kerja-kerja pembinaannya akan bermula pada tahun ini. Tumpuan juga akan diberikan bagi memperkasa pengurusan projek infrastruktur di negeri ini agar lebih cekap dan efisien.
Bagi memperkasa sektor pengangkutan, satu daripada cabang pengangkutan darat iaitu perkhidmatan keretapi akan ditambah dan diperluas secara berperingkat. Ini termasuk memperkenalkan perkhidmatan baharu yang melibatkan sektor pelancongan dan rekreasi. Untuk perancangan jangka panjang, pada tahun ini, tiga kajian akan mula dijalankan iaitu “Kajian Kemungkinan dan Rekabentuk Awalan Bagi Pembinaan Landasan Keretapi daripada Putatan ke KKIP dan Pelabuhan Sepanggar”, “Kajian Hala Tuju Jabatan Keretapi Negeri Sabah” dan “Kajian Kebolehlaksanaan Projek Trans Borneo Railway”.
Dalam sektor pengangkutan maritim, kerja-kerja pembesaran Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar sedang giat dilaksanakan. Pembesaran pelabuhan ini dijangka akan meningkatkan kapasiti pelabuhan untuk pengendalian kontena yang akan merancak lagi aktiviti perdagangan dan perkapalan negeri. Sementara itu, pelaksanaan kerja-kerja fizikal menaik taraf jeti di Karakit, Pulau Banggi dan projek pembinaan alat bantuan pelayaran dan suar muar jenis bikon di kawasan Wallace Bay, Sebatik Tawau pada tahun ini akan memudahkan penduduk di kedua-dua kawasan tersebut.
Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri bertekad untuk terus menangani isu bekalan air dan memperkasa perkhidmatan pembetungan di Sabah. Sebagai tindakan penyelesaian sertamerta isu bekalan air di kawasan Utara dan Tengah Kota Kinabalu serta Putatan, sebanyak 18 projek akan dilaksanakan pada tahun ini. Kerajaan juga berusaha untuk menurunkan Kadar Kehilangan Air Tidak Berhasil (Non Revenue Water/NRW) dengan menyelesaikan masalah penyambungan haram melalui penguatkuasaan dan pengurusan pengurangan kadar NRW. Di samping itu, bagi memperkasa perkhidmatan pembetungan, fokus Kerajaan Negeri adalah menyediakan sistem rawatan kumbahan yang boleh menampung beban kumbahan mengikut jumlah Kesetaraan Penduduk (PE) yang telah disasarkan serta meningkatkan kapasiti liputan rangkaian sistem pembetungan dan memastikan kualiti efluen yang dilepaskan daripada loji rawatan kumbahan mematuhi piawaian Jabatan Alam Sekitar. Selain itu, pelbagai program kesedaran awam akan terus dilaksanakan untuk memberi kesedaran kepada penduduk mengenai kepentingan sistem pembetungan yang baik bagi menjamin kelestarian alam sekitar. Ahli-Ahli Yang Berhormat, sukacita saya memaklumkan bahawa Negeri Sabah telah berjaya mengambil alih kuasa kawal selia bekalan gas pada Januari tahun lepas dan kawal selia bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu pada tahun ini. Setinggi-tinggi syabas dan tahniah saya ucapkan kepada Kerajaan Negeri atas kejayaan ini. Pencapaian yang membanggakan ini adalah hasil daripada komitmen dan usaha bersungguh-sungguh Kerajaan Negeri dalam menuntut hak-hak negeri seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) termasuk dalam memastikan pentadbiran tenaga di negeri ini adalah cekap dan berdaya harap. Selaras dengan itu, Kerajaan Negeri telah melancarkan Pelan Induk dan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040) pada September 2023 dan menubuhkan Majlis Tenaga Sabah pada tahun ini untuk memastikan bekalan kuasa yang mampan dan berdaya harap, akses yang saksama dan liputan menyeluruh pada harga mampu milik untuk manfaat rakyat di negeri ini. Inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan seperti penambahan kapasiti daripada pengoperasian stesen-stesen jana kuasa solar berskala besar, pemulihan operasi stesen-stesen jana kuasa sedia ada, tambahan tenaga boleh baharu yang lain seperti hidro dan biogas, penyewaan interim genset diesel dan pengoperasian sistem penyimpanan
tenaga bateri dijangka akan membantu untuk menyelesaikan isu kekurangan kapasiti penjanaan tenaga di negeri ini.
Selain itu, pelaksanaan program Self Consumption (SELCO) yang telah dilancarkan pada bulan Februari tahun ini akan membolehkan pengguna-pengguna elektrik memasang sistem solar fotovoltaik untuk kegunaan sendiri dan mengurangkan beban puncak grid terutamanya pada waktu siang. Oleh itu, saya ingin menyeru semua pihak mengamalkan penggunaan cekap tenaga untuk mengurangkan penggunaan elektrik daripada grid Sabah seterusnya menangani isu kekurangan kapasiti penjanaan serta menjimatkan kos penggunaan elektrik. Ahli-Ahli Yang Berhormat, usaha meningkatkan akses dan ketersambungan internet di seluruh Negeri Sabah terus dipergiat pada tahun ini, khususnya di kawasan luar bandar dengan penyediaan perkhidmatan akses jalur lebar melalui teknologi Very Small Aperture Terminal atau VSAT Starlink di 300 lokasi yang terpilih di 26 buah daerah. Inisiatif ini dilaksanakan bertujuan untuk mengatasi jurang digital dalam kalangan komuniti terpencil serta meningkatkan pendedahan kepada teknologi digital, sejajar dengan aspirasi Pelan Pembangunan SMJ untuk membangunkan infrastruktur digital serta meningkatkan modal insan dalam komuniti. Setakat ini, lebih 219 lokasi telah siap dipasang VSAT Starlink dengan kelajuan 100Mbps dan perkhidmatan ini kini boleh dinikmati oleh hampir 60,328 komuniti terpencil. Pemasangan VSAT Starlink di kesemua lokasi terpilih ini dijangka siap sepenuhnya pada bulan Jun 2024.
Koridor Pembangunan Sabah
Ahli-Ahli Yang Berhormat, pelbagai inisiatif dan program yang holistik dan inklusif telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri di bawah inisiatif Rangka Tindakan Development Corridor 2.0 (SDC 2.0). Untuk tahun ini, keutamaan projek di bawah SDC 2.0 merangkumi penyusunan semula ekosistem perniagaan, memacu aktiviti pertumbuhan ekonomi utama, transformasi modal insan, memperluaskan keterangkuman wilayah dan mempertingkat kelestarian alam sekitar. Pelaksanaan kesemua projek ini berupaya untuk memakmurkan ekonomi, mencipta peluang pekerjaan, mengurangkan jurang pembangunan dan meningkatkan pendapatan rakyat. Bagi meningkatkan kecekapan strategik, operasi dan hala tuju sektor
berkaitan, beberapa kajian iaitu Kajian Pelan Induk dan Pelan Perniagaan untuk Zon Ekonomi Bebas, Hab Logistik dan Depot Penyimpanan Sejuk POIC Lahad Datu, Kajian Pelan Induk Ekonomi dan Perancangan Perniagaan POIC Sandakan, Kajian Ekonomi di Sempadan Sabah dan Kajian Pelan Induk Lembah Makanan di Pedalaman Sabah akan dilaksanakan.
Memperkasa Pembangunan Modal Insan
Ahli-Ahli Yang Berhormat, modal insan merupakan salah satu elemen penting untuk meningkatkan produktiviti dan potensi pertumbuhan ekonomi sesebuah negeri. Oleh itu, agenda pembangunan modal insan akan terus diberi penekanan dalam usaha untuk melahirkan modal insan yang berkualiti, berkemahiran dan berminda kelas pertama khususnya dalam kalangan belia. Untuk itu, Kerajaan Negeri akan terus melaksanakan pelbagai program yang menjurus kepada kesejahteraan ekonomi belia termasuk menyediakan latihan dan kursus kemahiran untuk memperkasa golongan belia. Antara inisiatif yang akan dilaksanakan pada tahun ini merangkumi kursus kemahiran melibatkan 1,000 belia di seluruh negeri, pemberian geran dan dana serta program latihan keusahawanan melalui Program Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS) bagi menggalakkan belia menceburi bidang perniagaan untuk menjana pendapatan dan ekonomi.
Selain itu, Program Inkubator Kepimpinan Belia Sabah (IKEBS), Felo SMJ, Program Rintis Muda dan Dewan Belia Sabah juga akan dilaksanakan untuk mengasah bakat kepimpinan dan potensi diri golongan belia. Kerajaan Negeri juga akan mewujudkan Majlis Belia Daerah dan Majlis Belia Bahagian bagi memastikan tadbir urus persatuan dan kelab belia di peringkat akar umbi adalah lebih sistematik dan maklumat berkaitan akan disampaikan terus dengan lebih cepat. Sebagai langkah untuk menggalakkan belia menceburi sektor pekerjaan formal seterusnya menangani isu pengangguran dalam kalangan belia, Kerajaan Negeri komited meneruskan penganjuran karnival kerjaya kepada pencari kerja dan program Hospitality Engagement Learning Program (HELP) iaitu program latihan sambil bekerja di sektor hospitaliti.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Hasrat kerajaan untuk melahirkan modal insan berkemahiran tinggi terus diperkukuh melalui pembudayaan bidang Sains, Teknologi, Engineering dan Matematik (STEM). Pelbagai inisiatif pembudayaan STEM telah dilaksanakan seperti penganjuran program pameran bergerak, pembinaan Pusat Sains Keningau yang telah siap dan dirasmikan pada Disember 2023, serta penganjuran Majlis Anugerah Sains Sabah untuk mengiktiraf sumbangan para saintis, teknologis dan innovator tempatan Sabah. Pada tahun ini, program-program pembudayaan STEM akan terus dipergiat melalui program Karnival Sains Sabah, Sabah STEM Adventure 2024, STEM Festival, Program Duta Guru STEM dan Karnival TVET negeri Sabah.
Bagi menyokong pembangunan modal insan melalui pendidikan dan pembelajaran, peranan perpustakaan sebagai pusat intelektual terus diperkasa. Justeru, pelbagai program akan dilaksanakan bagi memastikan perkhidmatan perpustakaan kekal relevan kepada masyarakat. Antaranya Festival Sastera Kanak-Kanak Peringkat Negeri dan perasmian American Corner, di samping program-program tahunan seperti Pesta Buku, Hari Inovasi dan Quran Hour. Dalam usaha mentransformasikan perkhidmatan perpustakaan, kemudahan perkhidmatan perpustakaan juga dinaik taraf melalui pembinaan bangunan perpustakaan baharu bagi cawangan Kunak dan Tenom, penambahan perkhidmatan Perpustakaan Desa di Kg. Lubok Darat yang dijangka siap bulan Jun tahun ini, serta pendigitalan perkhidmatan perpustakaan.
Pemantapan Penyampaian Perkhidmatan
Ahli-Ahli Yang Berhormat, penjawat awam merupakan nadi penggerak penting kepada pembangunan negeri. Selaras dengan usaha untuk melahirkan penjawat awam yang kompeten, profesional, berketerampilan dan berintegriti, Kerajaan Negeri sentiasa merangka program-program untuk pembangunan dan pemantapan penjawat awam. Pada tahun 2023, seramai 729 pegawai telah dihantar menyertai 35 latihan berimpak tinggi dalam pelbagai bidang. Program dan latihan dalam perkhidmatan akan diteruskan melalui modul latihan komprehensif perkhidmatan awam negeri ke arah melahirkan barisan pelapis kepimpinan dan anggota perkhidmatan awam yang kalis masa. Modul berkenaan dijangkakan siap pada penghujung tahun ini dan sedia digunakan pada tahun 2025.
Bagi memperkasa pentadbiran daerah, Kerajaan Negeri telah meluluskan pewujudan Pejabat Daerah Kecil Sukau, penaiktarafan Pejabat Daerah Kecil Sook dan Pejabat Daerah Kecil Paitan kepada pejabat daerah penuh. Kerajaan Negeri berharap dengan pewujudan pejabat daerah kecil baharu dan penaiktarafan pejabat daerah kecil kepada pejabat daerah penuh dapat memudahkan urusan masyarakat luar bandar untuk mendapatkan perkhidmatan kerajaan sekali gus meningkatkan penyampaian perkhidmatan Kerajaan Negeri.
Mengukuhkan Pengurusan Governans, Integriti Dan Antirasuah (Gia)
Ahli-Ahli Yang Berhormat, integriti merupakan teras keunggulan perkhidmatan awam negeri. Bagi memastikan kesinambungan usaha-usaha melestarikan pembudayaan integriti, Kerajaan Negeri komited memastikan sistem pentadbiran negeri Sabah ditadbir urus berlandaskan prinsip integriti, akauntabiliti dan ketelusan. Komitmen ini dizahirkan dengan mengeluarkan Arahan YAB Ketua Menteri No. 1 Tahun 2023 yang memperkenalkan Pekeliling Integriti Perkhidmatan Negeri Sabah (PIPANS). Inisiatif perdana seumpama ini pertama kali dilaksanakan di peringkat Kerajaan Negeri seluruh Malaysia.
Kerajaan Negeri turut melaksanakan inisiatif pengukuhan tadbir urus yang memfokuskan kepada pemeriksaan, perundingan dan bimbingan berterusan dalam aspek tadbir urus baik, pengurusan aduan, pengukuhan integriti dan pematuhan agensi terhadap peraturan-peraturan yang sedang berkuat kuasa. Justeru, bagi meneruskan momentum ini, Kerajaan Negeri akan terus memartabatkan inisiatif Governans, Integriti dan Antirasuah (GIA) melalui lima strategi utama iaitu meningkatkan penglibatan dan komitmen pengurusan tertinggi; meningkatkan kesedaran dan penghayatan terhadap kepentingan integriti; memantapkan tadbir urus dan kawalan dalaman; memastikan keberkesanan penguatkuasaan dan pemantauan; serta memperkasa latihan dan komunikasi nilai-nilai murni.
Pendigitalan Kerajaan
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Pelan Pendigitalan Kerajaan Negeri Sabah 2020-2024 telah membuka pelbagai peluang pembangunan dan kemajuan dalam pelbagai
sektor di negeri ini khususnya dalam tiga Sektor Keberhasilan dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya. Melalui inisiatif ini, pemegang taruh (stakeholders) khususnya rakyat dapat mengakses perkhidmatan kerajaan secara lebih efisien dan mudah dengan pengurangan kerenah birokrasi. Pendigitalan Kerajaan Sabah yang pada tahun ini memasuki Fasa “Digital Innovation” tidak hanya meningkatkan kualiti hidup rakyat, tetapi juga meletakkan negeri kita di landasan yang lebih kukuh untuk menyokong pertumbuhan dan kelestarian jangka panjang selaras dengan Pelan Pembangunan SMJ. Dalam usaha meningkatkan sistem penyampaian Kerajaan Negeri melalui pendigitalan, beberapa inisiatif dilaksanakan pada tahun ini, antaranya dengan memberi keutamaan kepada penggunaan Electronic Know Your Customer (eKYC), tandatangan digital, blockchain, pangkalan data terbuka dan bayaran dalam talian dalam aplikasi Kerajaan Negeri, di samping mewujudkan Perkhidmatan Pengkomputeran Awam Kerajaan Negeri Sabah (Private Cloud). Selain itu, aspek keselamatan siber juga dititikberatkan seiring pelaksanaan Kerajaan Digital melalui program-program pemantapan tahap kesedaran dan kompetensi para penjawat awam mengenai keselamatan siber serta memperkasa tatacara pemastian keselamatan sistem-sistem aplikasi.
Menoktahkan Kemiskinan
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri sememangnya komited dalam usaha membasmi insiden kemiskinan khususnya menoktahkan miskin tegar di Negeri Sabah. Selain pelaksanaan program-program pembasmian kemiskinan sedia ada, Kerajaan Negeri dengan kerjasama semua Pejabat Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan serta Syarikat-Syarikat Berkaitan Kerajaan dan pemain industri sedang melaksanakan Program Menoktahkan Kemiskinan Tegar. Untuk negeri Sabah, locked figure Ketua Isi Rumah Miskin Tegar yang berdaftar dalam sistem eKasih pada September 2023 adalah seramai 22,510 orang. Alhamdulillah, setakat Mac 2024, dilaporkan seramai 13,179 Ketua Isi Rumah Miskin Tegar iaitu penurunan sebanyak 42% direkodkan hasil daripada pemurnian data Ketua Isi Rumah Miskin Tegar, pemadanan bantuan atau intervensi, penempatan di Badan Berkanun Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan dan Syarikat Berkaitan Kerajaan serta kolaborasi dengan pemain industri di Sabah. Program pembasmian kemiskinan tegar akan dilaksanakan secara berfasa iaitu program jangka masa pendek, sederhana dan panjang meliputi lima teras utama bagi tujuan pemadanan bantuan atau intervensi
yang bersesuaian kepada miskin tegar iaitu pekerjaan, keusahawanan, perumahan, pendidikan dan kebajikan. Melalui strategi jangka masa pendek yang memfokuskan dalam memberikan peluang pekerjaan, inisiatif seperti MySMJ: Profiling, MySMJ Kerja: PBT, MySMJ Kerja: DO, MySMJ Kerja: GLC dan MySMJ Kerja: Industri dilaksanakan bertujuan untuk membantu rakyat dalam kalangan miskin tegar untuk memperoleh pendapatan tetap atau menikmati peningkatan pendapatan melalui penyediaan peluang pekerjaan. Pelbagai inisiatif/bantuan kepada KIR dan Ahli Isi Rumah (AIR) miskin tegar juga telah dikenal pasti melalui pelaksanaan profiling bagi padanan bantuan mengikut kesesuaian. Dalam aspek meningkatkan kesejahteraan rakyat khususnya di luar bandar, pelaksanaan Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya terus dipergiatkan bagi memastikan rakyat di luar bandar segera menikmati penginapan yang selesa dan selamat yang mana secara langsung akan membantu meningkatkan taraf kehidupan golongan ini. Pada tahun ini, disasarkan sebanyak dua puluh unit rumah akan dibina di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri. Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri akan melaksanakan program-program latihan kemahiran yang baharu seperti Kursus Anyaman Bakul Berasaskan Tali PVC Plastik, Kursus Asas Penanaman, Penjagaan dan Pemasaran Cendawan Tiram serta Kursus Asas Tenunan Labuk. Melalui latihan kemahiran ini, golongan sasar akan dapat menjana pendapatan dan seterusnya menjadi usahawan yang berdikari. Sesungguhnya, Kerajaan Negeri sangat prihatin dengan isu-isu mengenai peningkatan kos sara hidup yang tinggi pada masa ini. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri telah meluluskan dana bagi menyediakan “Talent Pool” pembangunan negeri Sabah melalui penajaan biasiswa anak-anak Sabah. Seramai 6,488 pelajar yang mengikuti pelbagai kursus di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dalam dan luar negara telah mendapat manfaat daripada dana ini.
Usaha Kerajaan Negeri untuk membantu mengurangkan beban kewangan golongan miskin dan B40 juga diteruskan dengan pelaksanaan program-program bantuan pendidikan seperti Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI), Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH) dan Bantuan Khas Program Pendidikan Sabah (BANTU).
Kerajaan Negeri akan memperhebat usaha dan meneruskan pelaksanaan pelbagai inisiatif kesejahteraan rakyat bagi menambah baik lagi kualiti hidup dan sosioekonomi pelbagai lapisan masyarakat termasuk melalui pembangunan pekan baharu. Untuk makluman, sebanyak empat buah pekan baharu dilaksanakan dalam tempoh 2023-2024 iaitu Pekan Baharu Kalabakan, Pekan Baharu Tongod, Pekan Baharu Merotai, Tawau dan Pekan Baharu Sungai Melayu Sebatik, Tawau. Sebagai tambahan, tiga lagi pekan baharu akan dilaksanakan selepas ini iaitu Pekan Baharu Pagalungan, Pekan Baharu Sukau dan Pekan Baharu Paginatan, Ranau. Dalam aspek pembangunan perumahan, sebanyak lima projek perumahan di bawah Program Perumahan Mampu Milik akan dilaksanakan Kerajaan Negeri meliputi 644 unit rumah di Kota Kinabalu dan daerah Beaufort. Di samping itu, di bawah Projek Perumahan Awam, sebanyak empat buah projek akan dilaksanakan tahun ini melibatkan 175 unit rumah teres di daerah kecil Sukau, daerah Beluran, daerah Pitas dan kawasan Melalap, di samping pembinaan 50 unit rumah berkembar dalam Fasa 3 Projek Perumahan Awam di daerah kecil Kemabong.
Kualiti sistem penyampaian Pihak Berkuasa Tempatan atau PBT akan terus diperkasa dalam usaha menambah baik kualiti hidup rakyat. Ini merangkumi usaha menaik taraf majlis-majlis daerah, memperkasa modal insan, memperkasa penyediaan infrastruktur dan kemudahan awam, pengurusan sisa pepejal, pembersihan awam, pembangunan landskap dan pembudayaan sistem penyampaian perkhidmatan melalui pendigitalan serta mempercekap pengurusan aduan awam. Selain itu, bagi menambah baik keupayaan untuk merancang pembangunan guna tanah secara mampan dan sistematik, pelaksanaan kajian dan penyediaan Pelan Tempatan di bawah RMK-12 akan diteruskan pada tahun ini. Sebanyak 6 Kajian Penyediaan Pelan Tempatan sedang dijalankan iaitu Kajian Semula Pelan Tempatan Sri Tanjong, Kajian Semula Pelan Tempatan Lahad Datu, Kajian Semula Pelan Tempatan Keningau, Kajian Semula Kudat, Kajian Semula Tenom dan Kajian Semula Kota Belud yang dijangkakan siap sepenuhnya pada tahun 2025.
Memacu Ke Arah Kesejahteraan Masyarakat
Ahli-Ahli Yang Berhormat, bagi meningkatkan taraf dan kualiti kesihatan masyarakat, Kerajaan Negeri akan memperkenalkan inisiatif Pemeriksaan Kesihatan Percuma kepada rakyat negeri Sabah bermula pada tahun ini sehingga tahun 2028. Inisiatif ini akan dilaksanakan melalui makmal bergerak yang akan membuat lawatan ke sepuluh daerah termiskin di Sabah sekurang-kurangnya sekali setiap tahun dan akan dipanjangkan ke daerah-daerah lain kelak.
Kerajaan Negeri juga memperkenalkan Skim Perlindungan Takaful Rakyat Sabah dengan menawarkan insurans kemalangan berkelompok yang disediakan oleh Syarikat Takaful Ikhlas General Berhad pada kadar mampu milik iaitu RM10.00 setahun. Inisiatif ini diperkenalkan kerajaan bagi melindungi mereka yang kurang berkemampuan sekiranya terlibat dalam kemalangan. Skim takaful ini akan ditawarkan kepada semua penerima bantuan kebajikan rakyat Sabah berumur 18 hingga 80 tahun yang berminat.
Bagi meningkatkan kesejahteraan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas, pelaksanaan projek pembinaan Kompleks Bersepadu OKU dan Warga Emas Inanam diteruskan dan dijangka siap pada awal tahun 2025. Sebagai tambahan, Kerajaan Negeri juga meneruskan usaha untuk menyantuni rakyat dalam kategori sakit terlantar, warga emas dan OKU melalui Program Homeward yang telah diperkenalkan sejak tahun 2021. Setakat 2 April 2024, sejumlah 661 pesakit terlantar telah pun dibantu berbanding sasaran awal 150 kes yang ditetapkan pada tahun 2023. Secara keseluruhannya, sejak tahun 2021 sehingga kini, seramai 1,060 pesakit terlantar telah dibantu melalui program ini yang mana telah melebihi sasaran asal yang ditetapkan.
Kerajaan Negeri berazam untuk terus memperkasa peranan golongan wanita agar sama-sama menyumbang secara optimum terhadap pembangunan Negeri Sabah. Melalui pelbagai program bantuan dan pembangunan kapasiti wanita termasuk latihan kemahiran dan usahawan yang telah dilaksana seperti Program Outreach Santuni Wanita, JHEWAnita dan Santuni Komuniti, Kerajaan Negeri berharap agar lebih ramai wanita terutamanya daripada golongan sasar B40 dapat dibantu dan diperkasa.
Kerajaan juga menitikberatkan pembangunan dan kesejahteraan kanak-kanak. Di bawah inisiatif Pelan Pembangunan SMJ, inisiatif Pusat Perkembangan Kanak-Kanak (PPKK) dilaksanakan bagi menyediakan pendidikan awal kepada kanak-kanak berumur 3 hingga 6 tahun di luar bandar dan pedalaman. Setakat 2023, sebanyak 38 PPKK telah dibangunkan di seluruh negeri dan 2 lagi PPKK baharu akan dibina pada tahun ini. Di samping itu, program kesedaran Menangani Isu Perkahwinan Awal Kanak-kanak (MIPA) juga dilaksanakan untuk memberi kesedaran dari aspek advokasi perundangan, psikologi, kesihatan reproduktif dan sokongan sosial serta untuk memerangi eksploitasi dan penderaan serta risiko kesihatan yang ditimbulkan terhadap kanak-kanak akibat perkahwinan awal.
Memupuk Masyarakat Sihat Melalui Sukan
Ahli-Ahli Yang Berhormat, bagi memastikan pembudayaan sukan dalam kalangan masyarakat dapat diterapkan secara menyeluruh, Kerajaan Negeri akan terus memajukan bidang sukan melalui pelaksanaan pelbagai program Sukan Komuniti dan penganjuran Sukan Berprestasi Tinggi. Pada tahun ini, lebih banyak aktiviti sukan akan dilaksanakan melalui Program AKTIF (Budaya Sukan Teras Aspirasi Famili Sihat) bagi menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat. Di samping itu, Program Pembangunan Bola Sepak Bawah 12 Tahun dan Sukan Bawah 12 Tahun Kepulauan Borneo (Under 12 Borneo Island Games) juga akan dilaksanakan bertujuan untuk mencungkil bakat-bakat baharu dalam sukan bawah 12 tahun.
Tumpuan juga akan terus diberikan untuk memperbaiki infrastruktur serta menyediakan kemudahan sukan. Antara projek yang akan diteruskan pada tahun ini adalah Projek Pembinaan Kompleks Sukan Kota Marudu dan Projek Pembinaan Kompleks Sukan Tongod. Kerajaan Negeri juga giat mempromosikan kemudahan dan fasiliti sukan di seluruh negeri Sabah dengan menyasarkan seramai dua juta pengguna kemudahan sukan pada tahun ini. Melalui usaha-usaha ini, Kerajaan Negeri berharap dapat memupuk budaya masyarakat sihat melalui sukan serta mencungkil lebih ramai bakat atlet baharu yang berprestasi tinggi untuk kemajuan sukan Negeri Sabah.
Memelihara Budaya Dan Etnik
Ahli-Ahli Yang Berhormat, dalam usaha mengekalkan serta memartabatkan warisan budaya dan etnik negeri untuk generasi akan datang, pelbagai inisiatif dilaksanakan Kerajaan Negeri untuk memelihara dan memulihara khazanah dan warisan etnik. Antaranya adalah melalui pembangunan sistem pemetaan budaya bersepadu secara digital yang akan menjadi pangkalan data bersepadu yang komprehensif untuk dijadikan sebagai sumber rujukan masyarakat dalam meneroka dan menambah pengetahuan berhubung etnik-etnik di negeri ini. Selain itu, satu platform penyimpanan koleksi-koleksi artifak dan spesimen, iaitu sistem Sabah Museum Repository of Cultural Heritage Collection System (SMRICHES) telah dibangunkan oleh Kerajaan Negeri yang berfungsi sebagai medium pembelajaran dan sesi libat urus bersama komuniti. Pada tahun ini, sistem penyimpanan artifak dan spesimen dijangka akan dipertingkatkan lagi sebanyak 960 data entri.
Melestarikan Alam Sekitar
Ahli-Ahli Yang Berhormat, pembangunan fizikal yang seimbang seiring dengan usaha melestarikan alam sekitar sentiasa menjadi agenda pembangunan negeri. Justeru, bagi menggalakkan lagi pembangunan mampan dan melestarikan alam sekitar, pada tahun ini Kerajaan Negeri akan melaksanakan inisiatif menyediakan Pelan Pengurusan bagi Kluster Pulau Mabul dan Kluster Pulau Pom-Pom di daerah Semporna yang akan menjadi sumber rujukan kepada sektor awam dan swasta dalam membangun serta mengembangkan sosioekonomi masyarakat setempat. Konflik hidupan liar-manusia yang tidak dibendung bukan sahaja memberi ancaman kepada keselamatan rakyat tetapi juga kepada hidupan liar sehingga meningkatkan jenayah pemburuan haram dan penjualan organ hidupan liar. Oleh itu, Kerajaan Negeri akan mempertingkatkan lagi aktiviti-aktiviti penguatkuasaan serta memperbanyakkan kolaborasi bersama penduduk dan Pertubuhan Bukan Kerajaan atau NGO untuk meningkatkan kesedaran konservasi rakyat terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah hidupan liar di negeri ini. Kerajaan Negeri juga komited untuk meningkatkan kemampanan biodiversiti dengan menyasarkan 13 peratus kawasan perlindungan marin di negeri ini dengan mewartakan beberapa lagi
kawasan sebagai Taman-Taman Sabah selain Taman Teluk Darvel yang dijangka akan diwartakan pada tahun ini.
Kemampanan Pengurusan Hutan
Ahli-Ahli Yang Berhormat, sebagai langkah untuk menangani isu-isu perubahan iklim, peranan Unit Perubahan Iklim di bawah Majlis Tindakan Iklim Sabah (SCAC) yang telah ditubuhkan bagi menetapkan hala tuju dan menyelaras projek-projek mitigasi serta adaptasi perubahan iklim di peringkat Sabah akan terus diperkasa. Terdapat dua (2) komponen kerja utama yang akan dilaksanakan oleh unit tersebut pada tahun ini iaitu Inventori Gas Rumah Hijau (Greenhouse Gases (GHG) Inventory) dan Kajian Kesan, Keterdedahan dan Penyesuaian Perubahan Iklim di Sabah.
Selain itu, Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha konservasi di bawah Pelan Tindakan Strategik Inisiatif Heart of Borneo 2021-2030 untuk meningkatkan pemuliharaan dan pengurusan landskap Heart of Borneo di Sabah. Usaha-usaha pemulihan hutan juga akan diteruskan melibatkan aktiviti-aktiviti rawatan silvikultur dan menjalankan tanaman mengaya. Di samping itu, tumpuan akan diberikan kepada usaha untuk meningkatkan pertumbuhan sektor-sektor produktif utama seperti perladangan hutan, eko-pelancongan dan penyelidikan bagi merancakkan pembangunan industri perhutanan.
Kerajaan Negeri juga komited untuk memperkasakan tatakelola terhadap pengurusan hutan secara berkekalan dan menyasarkan agar semua kawasan pengurusan hutan dipersijilkan di bawah mana-mana skim pensijilan di peringkat antarabangsa menjelang tahun 2025. Setakat ini, seluas 280,616 hektar kawasan pengurusan hutan telah menerima pensijilan. Seterusnya, Standard Sabah Timber Legality Assurance System akan diperkasa dan disemak semula sebagai due dilligence system seiring dengan keperluan European Union Deforestation Regulation bagi menghadapi regulasi perdagangan komoditi.
Bagi menyokong pengurusan hutan yang lebih cekap dan berkesan, Pangkalan Data dan Teknologi Geospatial Sumber Hutan dan Sistem Pemeriksaan dan Pentaksiran Royalti Balak Bulat (SPPR) telah dibangunkan oleh Kerajaan Negeri. Manakala,
dalam aspek meningkatkan penguatkuasaan bagi memastikan khazanah flora dan fauna hutan sentiasa terpelihara, pelbagai program dijalankan untuk mempertingkatkan penguatkuasaan terutama di kawasan hutan simpan. Usaha-usaha meningkatkan tahap kesedaran mengenai perlindungan kawasan hutan juga telah dilaksanakan seperti program outreach bersama komuniti di setiap daerah. Pada tahun ini, Kerajaan Negeri dengan kerjasama United Nations Development Programme atau UNDP akan melaksanakan projek bertajuk Integrated Landscape Management of Heart of Borneo Landscapes in Sabah di bawah biayaan Global Environment Facility (GEF) melalui Food Systems, Land Use and Restoration Impact Program (FOLUR IP) untuk menggiatkan transformasi terhadap perancangan dan pengurusan guna tanah di Sabah.
Mempercekap Pengurusan Pentadbiran Tanah
Ahli-Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri akan terus memberi tumpuan kepada usaha untuk memperkasa Sistem Pentadbiran Tanah agar lebih efisien dan efektif. Pelbagai usaha untuk mempercekapkan perkhidmatan urusan tanah khasnya melalui kaedah pendigitalan sistem penyampaian perkhidmatan dilaksanakan bagi memastikan penggunaan tanah secara optima dan mampan. Empat aplikasi tanah telah dibangunkan pada tahun 2023 untuk menyediakan perkhidmatan permohonan secara atas talian iaitu aplikasi e-Kebenaran Masuk Tapak untuk permohonan kebenaran masuk tapak, e-Jadual B untuk permohonan kebenaran mengeluarkan pasir, batu atau tanah, e-Subsidiary Title untuk permohonan kebenaran pecah bahagi bagi mendapatkan geran subsidiari (Strata Title) dan e-Drone untuk permohonan menerbangkan drone.
Tumpuan juga akan terus diberikan kepada usaha untuk mempertingkatkan perkhidmatan berkaitan pemberian tanah Anak Negeri dan Pewartaan Tanah Rizab Untuk Perkampungan Anak Negeri. Kerajaan Negeri telah berjaya menyelesaikan pengukuran sebanyak 7,652 Lot Tanah Anak Negeri dengan jumlah keluasan 14,656.8 hektar (atau 35,992.9 ekar) dan mewartakan 85 buah Tanah Simpanan Perkampungan Anak Negeri di bawah Seksyen 78, Ordinan Tanah Sabah. Untuk tahun 2024, Kerajaan Negeri menyasarkan untuk mengukur sekurang-kurangnya
7,500 lot tanah Anak Negeri dengan keluasan 15,000 hektar dan mewartakan 80 kawasan perkampungan Anak Negeri.
Memantapkan Hasil Negeri
Ahli-Ahli Yang Berhormat, pada tahun 2023, Kerajaan Negeri sekali lagi melakar kejayaan cemerlang dengan memungut hasil tertinggi sebanyak RM6.974 bilion mengatasi rekod kutipan hasil sebanyak RM6.960 bilion pada tahun sebelumnya. Oleh itu, di kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah bersama barisan Kabinet Negeri, anggota perkhidmatan awam serta semua pihak yang telah menyumbang tenaga untuk memastikan momentum kutipan hasil negeri terus cemerlang dan progresif.
Satu lagi pencapaian berimpak tinggi yang dikecapi Kerajaan Negeri adalah pemeteraian Perjanjian Kerjasama Komersil (Commercial Colaboration Agreement/CCA) dengan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS). Melalui CCA, negeri Sabah berpeluang untuk mendapat pegangan ekuiti dalam industri-industri minyak dan gas. Perkara ini direalisasikan apabila syarikat milik Kerajaan Negeri, SMJ Energy Sdn. Bhd. mengambil alih 25 peratus kepentingan ekuiti dalam syarikat Chemicals Fertilizer Sabah Sdn. Bhd. Ini memberi peluang kepada syarikat-syarikat tempatan untuk diberi keutamaan menjadi pembekal kepada PETRONAS dalam aktiviti minyak dan gas yang membolehkan Negeri Sabah menikmati hasil yang lebih tinggi daripada aktiviti-aktiviti industri minyak dan gas yang dilaksanakan berdasarkan CCA.
Di samping itu, bagi memperkukuhkan potensi hasil negeri melalui eksplorasi industri minyak dan gas, Kerajaan Negeri telah melaksana inisiatif memperluas skop percukaian bagi produk petroleum, iaitu metanol dan sedang memperhalusi beberapa lagi potensi hasil baharu melalui beberapa jenis produk dalam usaha mempelbagaikan asas sumber hasil negeri.
Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri terus komited memperjuangkan hak-hak Sabah seperti yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), terutamanya dalam tuntutan hasil iaitu Pemberian Khas dan kepentingan rakyat
Sabah melalui Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963. Misalnya, pada tahun 2023, Kerajaan Negeri sekali lagi menerima peningkatan bayaran interim Pemberian Khas kepada RM300 juta daripada RM125.6 juta pada tahun sebelumnya, di samping bayaran tetap berjumlah RM26.7 juta setahun. Justeru, saya menggesa semua kementerian, jabatan dan agensi pemungut hasil untuk memainkan peranan masing-masing dengan lebih efektif melalui pelbagai inisiatif bagi meningkatkan hasil negeri terutama dalam meneroka sumber hasil baharu. Saya juga menyeru kerjasama Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) di negeri ini agar lebih agresif untuk melaksanakan aktiviti sosioekonomi bagi meningkatkan hasil negeri dan kesejahteraan rakyat. Untuk itu, Kerajaan Negeri akan terus memperkasa tadbir urus dan keupayaan GLC agar lebih berdaya maju untuk menjana sumber hasil kepada Kerajaan Negeri melalui pengagihan dividen dan sumbangan diisytihar.
Sebagai tambahan, Kerajaan Negeri akan memperkasa pengurusan dan prestasi kewangan melalui tatakelola dan strategi kewangan yang cekap dan efisien. Sistem pengurusan belanjawan negeri juga akan terus diperkukuh melalui libat urus bersama agensi pemegang taruh, pembangunan sistem baharu bagi mengelakkan ketirisan dan menambah baik pekeliling, prosedur dan garis panduan pengurusan kewangan.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, sebagai langkah ke hadapan, saya menaruh kepercayaan dan keyakinan yang tinggi kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri bersama barisan Kabinet Negeri dan anggota perkhidmatan awam untuk terus meneraju dan memacu pertumbuhan ekonomi negeri ke tahap yang lebih tinggi. Saya pasti pelbagai inisiatif dan program pembangunan khususnya program berimpak tinggi yang sedang dan akan dilaksana pada tahun ini akan memberikan impak positif berganda kepada rakyat dan akan menjadi ‘game changer’ yang akan melonjak ekonomi Negeri Sabah ke tahap yang lebih tinggi. Ini termasuk inisiatif-inisiatif meneroka Ekonomi Biru (Blue Economy) yang berpotensi besar untuk merangsang lagi pertumbuhan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup rakyat di negeri ini. Selaras dengan itu, program Kick-off Sabah International Blue Economy Conference 2024 (SIBEC 2024) telah diadakan pada 6 Mac 2024 dan akan disusuli dengan persidangan SIBEC 2024 pada bulan September 2024.
Di samping itu, Kerajaan Negeri juga akan terus giat menarik lebih banyak pelaburan berimpak tinggi dari dalam dan luar negeri bagi mewujudkan lebih banyak spin-offs ekonomi dan mencipta peluang pekerjaan kepada rakyat. Tumpuan akan diberikan kepada usaha untuk menarik pelaburan dalam sektor utama negeri seperti pertanian, perindustrian, pelancongan dan tenaga boleh diperbaharui serta sektor-sektor pertumbuhan baharu serta menjalankan promosi pelaburan yang lebih agresif.
Untuk makluman, pada masa ini, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan dan UNDP akan memperkasa gerak kerja penglokalisasian Sustainable Development Goals (SDGs) di negeri Sabah. Ini bagi menggalakkan pembangunan lestari yang merangkumi pelbagai dimensi seperti alam sekitar, ekonomi dan sosial. Melalui kerjasama ini, satu projek sedang dirangka untuk memudah cara pelaksanaan, memantau dan melaporkan status kemajuan inisiatif-inisiatif SDGs di peringkat negeri.
PENUTUP Ahli-Ahli Yang Berhormat, Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) 2026-2030 akan bermula pada tahun 2026. Sebagai langkah proaktif, pada tahun ini, Kerajaan Negeri telah pun mula membuat persediaan awal bagi merancang hala tuju serta program dan projek pembangunan yang akan dilaksanakan dalam RMK-13. Ini bertujuan untuk memastikan semua program dan projek pembangunan berkenaan adalah relevan dengan perkembangan dan keperluan semasa serta selari dengan hala tuju pembangunan negeri dan nasional yang terkini.
Sesungguhnya, segala kejayaan yang diraih oleh negeri Sabah selama ini adalah hasil daripada usaha bersungguh-sungguh yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dan rakyat di negeri ini, di samping kerjasama dan sokongan berterusan daripada Kerajaan Persekutuan untuk memajukan negeri ini. Oleh itu, saya sekali lagi mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas segala bantuan dan sokongan yang berterusan demi memajukan Negeri Sabah.
Saya dan Toh Puan serta seisi keluarga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua Ahli Yang Berhormat dan rakyat negeri Sabah. Semoga sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini dapat diraikan dalam kesederhanaan tetapi meriah serta diberkati oleh Allah SWT. Kita harus berbangga kerana keharmonian dan kedamaian yang dinikmati hari ini adalah hasil sikap toleransi dan semangat saling percaya-mempercayai dalam kalangan rakyat daripada pelbagai suku kaum, budaya dan agama. Keunikan ini adalah kekuatan Negeri Sabah yang menjadi tunjang kepada perpaduan dan kestabilan negeri ini dan perlu sentiasa dipelihara. Akhir kata saya berdoa semoga Allah SWT Yang Maha Esa sentiasa melimpahi kurnia dan rahmat-Nya kepada Negeri Sabah yang tercinta ini agar terus maju dan makmur serta rakyatnya sentiasa hidup sejahtera, bersatu padu dan aman. Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. PENANGGUHAN
”Ahli-Ahli Yang Berhormat, selaku Speaker dan bagi pihak semua Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya dengan ini merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan menjunjung kasih kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan kerana telah sudi berangkat untuk merasmikan Pembukaan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Yang Keenam Belas”.
”Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dewan Undangan Negeri ini ditangguh sekarang hingga pukul 10:00 pagi Isnin, 22 April 2024”.
(GAVEL (TUKUL) – DIKETUK 3 KALI)
Dipersilakan Sahibus Samahah, Mufti Kerajaan Negeri Sabah menyampaikan doa
Dipersilakan Sahibus Samahah, Mufti Kerajaan Negeri Sabah menyampaikan doa.
Bacaan Doa dipimpin oleh Mufti Kerajaan Negeri Sabah.
Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan akan beredar ke Dewan Bangkuasi
Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan akan beredar ke Dewan Bangkuasi.
Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan beredar keluar dari Dewan Persidangan mengikut peraturan rasmi berikut: Bentara Mesyuarat Setiausaha Dewan Undangan Negeri Timbalan-Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Tuan Speaker Dewan Undangan Negeri Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Seri Panglima (Dr) Hajah Norlidah binti Tan Sri Datuk R. M. Jasni Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Haji Juhar bin Datuk Haji Mahiruddin, Yang di-Pertua Negeri Sabah Setiausaha Sulit kepada Tuan Yang Terutama Juruiring kepada Tuan Yang Terutama Ditangguhkan sebagaimana yang dipersetujui pada jam 11:32 pagi. Ditetapkan: “Bahawa Dewan ini ditangguhkan sekarang hingga jam 10:00 pagi, 22 April 2024”.
SDN18042024/bnm