Sabah · 15 November 2024

16th Assembly, 5th session, 3rd meeting · not final · 30 turns · 11,687 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalSabah's own site lists 22 sitting days; 35 more of the 16th Assembly are recovered from the Wayback Machine, and some are missing. Appointed members are not in the election register. Written answers are not published.

Aturan urusan mesyuarat dan usulMotion

Setiausaha Dewan

Aturan urusan mesyuarat dan usul.

Speaker

Ahli-ahli Yang Berhormat, sebelum saya menjemput YB Menteri Kewangan membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan (2025) 2024, saya mohon kepada Ahli-ahli Yang Berhormat dan semua yang berada dalam Dewan yang mulia ini supaya mematikan atau mengalihkan telefon bimbit masing-masing ke silent mode dan juga tiada pergerakan keluar/masuk semasa pembentangan Rang Undang-undang Perbekalan (2024) 2025 ini. Ini adalah untuk sama-sama memberi perhatian dan tumpuan penuh ke atas Ucapan Bajet oleh YB Menteri Kewangan. Kerjasama semua amatlah dihargai. Setiausaha sila teruskan.

Rang Undang-undang Perbekalan (2025) 2024 - Bacaan PertamaBill

Setiausaha Dewan

Rang Undang-undang Perbekalan (2025) 2024 - Bacaan Pertama.

Speaker

Yang Berhormat Menteri.

Datuk Seri Panglima Haji Masidi ManjunPGRS · GRSMenteri Kewangan · Karanaan

Tuan Speaker, saya mohon mengemukakan satu Rang Undang-undang bernama suatu Enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk Perkhidmatan bagi tahun 2025.

Rang Undang-undang Perbekalan (2025) 2024Bill

Setiausaha Dewan

Rang Undang-undang Perbekalan (2025) 2024.

Speaker

Yang Berhormat Menteri, bacaan kedua bila?

Datuk Seri Panglima Haji Masidi ManjunPGRS · GRSMenteri Kewangan · Karanaan

Hari ini, Tuan Speaker.

Speaker

Teruskan.

Rang Undang-undang Perbekalan (2025) 2024 - Bacaan KeduaBill

Setiausaha Dewan

Rang Undang-undang Perbekalan (2025) 2024 - Bacaan Kedua.

Speaker

Yang Berhormat Menteri, silakan.

Datuk Seri Panglima Haji Masidi ManjunPGRS · GRSMenteri Kewangan · Karanaan

Tuan Speaker, saya mohon mencadangkan bahawa Rang Undang-undang Perbekalan (2025) 2024 dibacakan kali kedua sekarang.

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, salam sejahtera, Salam Malaysia Madani dan Salam Sabah Maju Jaya.

Tuan Speaker, dengan penuh takzim, saya mohon izin untuk membentangkan cadangan Belanjawan Negeri Sabah Tahun 2025 untuk kelulusan Dewan yang mulia ini.

Tuan Speaker,engadn lafaz bismillahirahmanirrahim, alhamdulillahi rabbi alamin, wabihi Nnastai’n. Diiringi dengan selawat dan salam ke atas junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W, saya merafakkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala, kerana dengan izin dan kurnia-Nya juga, dapat kita bersama-sama mencari muafakat ke atas Belanjawan Negeri 2025.

Semoga Allah, Tuhan Yang Maha Esa merahmati dan melancarkan perancangan dan usaha-usaha kita beroleh kemajuan serta kemakmuran berkat kerjasama yang dipikul bersama kerajaan dan rakyat.

Saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada YAB Datuk Seri Panglima Anwar bin Ibrahim, Perdana Mengeri Malaysia kerana sentiasa prihatin dan mengambil berat tentang nasib rakyat di negeri ini. Komitmen yang diberikan oleh YAB Datuk Seri Pangliman Perdana Manteri dalam memenuhi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pada bulan September yang lepas telah ditunjukkan melalui peningkatan amaun pembayaran interim Pemberian Khas Sabah daripada RM306 juta kepada RM600 juta pada tahun hadapan. Kita mengharapkan ini adalah langkah positif untuk mencari kata sepakat bagi mencapai tuntutan 40 peratus di bawah Perjanjian MA63.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk berterima kasih kepada YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah yang telah memberikan kepercayaan kepada saya untuk membentangkan Belanjawan Negeri 2025.

Tuan Speaker, berdasarkan laporan Global Economic Prospects yang diterbitkan oleh Bank Dunia pada Jun 2024, ekonomi dunia sedang melalui fasa pemulihan yang stabil selepas beberapa tahun mengalami pertumbuhan negatif. Pertumbuhan global dijangka kekal pada kadar 2.6 peratus tahun ini dan meningkat sedikit kepada 2.7 peratus pada tahun 2025. Inflasi global pula diramalkan sederhana pada kadar 3.5 peratus tahun ini, dengan bank-bank pusat di seluruh dunia dijangka mengekalkan kadar faedah yang tinggi bagi mengawal inflasi.

Bagi negara-negara sedang membangun, cabaran dan peluang wujud secara serentak. Negara seperti India dan Indonesia mencatatkan pertumbuhan yang kukuh, dipacu oleh permintaan domestik dan pelaburan yang konsisten. Walau bagaimanapun, sebahagian besar ekonomi negara lain berkembang dengan lebih perlahan akibat inflasi yang berterusan, beban hutang yang tinggi dan ketegangan geopolitik terutamanya di negara-negara yang terjejas oleh konflik dan ketidakstabilan ekonomi.

Tuan Speaker, ekonomi Malaysia tahun 2025 menjanjikan prospek yang berdaya tahan, dengan unjuran pertumbuhan Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus. Ini didorong oleh permintaan domestik yang kukuh serta pemulihan dalam eksport, terutamanya produk elektrik dan elektronik yang memanfaatkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan ekonomi global. Inisiatif seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETP) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) akan memacu pelaburan dalam sektor-sektor pertumbuhan tinggi seperti tenaga hijau dan pembuatan berteknologi tinggi, dengan potensi pelaburan berjumlah RM120 bilion dalam tempoh lima (5) tahun. Sektor pelancongan juga dijangka menyumbang kepada pertumbuhan melalui pemulihan berterusan yang dipacu oleh peningkatan aktiviti ekonomi domestik dan pengukuhan pasaran buruh.

Walaupun prospek ekonomi menunjukkan potensi yang cerah, cabaran global seperti ketidakstabilan geopolitik dan ketegangan perdagangan kekal menjadi risiko utama. Di samping itu, tekanan inflasi yang berterusan dan peningkatan kadar faedah global boleh menjejaskan sentimen pengguna dan pelabur. Kerajaan Malaysia komited dalam mengurangkan defisit fiskal, yang dijangka mencapai 3 peratus dalam jangka masa sederhana, serta terus memperkenalkan pembaharuan ekonomi melalui Kerangka Ekonomi MADANI yang berpaksi pada pertumbuhan mampan dan inklusif. Usaha konsolidasi fiskal dan langkah penstrukturan semula ekonomi yang diumumkan melalui Belanjawan Negara 2025 disasarkan untuk memperkukuh lagi daya tahan ekonomi Malaysia dalam menghadapi cabaran global.

Selain itu, kita juga perlu mengambil kira keputusan pilihan raya presiden Amerika Syarikat pada 5 November lalu yang mungkin akan turut memberi impak tertentu kepada ekonomi Malaysia. Perubahan kepimpinan dan dasar yang mungkin diperkenalkan oleh pentadbiran baharu di Amerika Syarikat boleh mempengaruhi hubungan perdagangan, pelaburan langsung asing dan kadar pertukaran mata wang antara kedua-dua negara. Dalam jangka panjang, dasar-dasar ini juga boleh memberikan impak yang lebih meluas kepada kestabilan ekonomi serantau dan daya saing Malaysia di peringkat global.

Tuan Speaker, secara keseluruhannya, momentum pertumbuhan ekonomi negeri Sabah dijangka akan berterusan untuk tahun 2024 dan 2025. Dengan mengambil kira tren semasa ekonomi, kadar pertumbuhan KDNK bagi tahun 2024 diunjurkan semula kepada sekitar 2 peratus. Manakala kadar unjuran pertumbuhan KDNK untuk 2025 dijangka meningkat kepada sekitar 2.5 peratus.

Pertumbuhan KDNK Sabah adalah sederhana pada kadar 1.3 peratus bagi tahun 2023 berbanding 3.9 peratus bagi tahun 2022. Pada masa yang sama, KDNK per kapita menurun daripada RM35,860 pada tahun sebelum kepada RM31,147 disebabkan oleh kadar pertumbuhan penduduk negeri yang lebih tinggi iaitu sebanyak 5.2 peratus, berbanding pertumbuhan ekonomi negeri sebanyak 1.3 peratus. Walau bagaimanapun, nilai KDNK Sabah mencatat peningkatan kepada

RM83.2 bilion pada tahun 2023 berbanding RM82.1 bilion pada tahun sebelumnya. Ini menunjukkan bahawa ekonomi Negeri Sabah masih sedang berkembang dan kekal berdaya tahan.

Sektor Perkhidmatan kekal sebagai penyumbang utama ekonomi negeri dengan sumbangan sebanyak 50.9 peratus pada tahun 2023. Ini diikuti oleh sektor perlombongan dan pengkuarian sebanyak 23.3 peratus, serta sektor pertanian sebanyak 15.2 peratus. Sektor pembuatan dan pembinaan pula masing-masing merekodkan sumbangan sebanyak 7.3 peratus dan 3 peratus kepada ekonomi Negeri Sabah.

Tuan Speaker, dalam tempoh Januari hingga Julai 2024, Negeri Sabah telah mencatatkan imbangan dagangan sebanyak RM9.6 bilion, dengan nilai eksport direkodkan sebanyak RM37.5 bilion berbanding import sebanyak RM27.9 bilion. Manakala, pada tempoh yang sama pada tahun 2023, imbangan dagangan negeri dicatatkan sebanyak RM11.5 bilion, dengan jumlah eksport dan import masing-masing direkodkan sebanyak RM35.1 bilion dan RM23.6 bilion. Ini menunjukkan penguncupan imbangan dagangan sebanyak 16.5 peratus, kesan daripada peningkatan import negeri sebanyak 18.2 peratus yang mana lebih tinggi berbanding pertumbuhan eksport negeri sebanyak 6.8 peratus.

Peningkatan keseluruhan eksport dan import negeri, masing-masing disumbang oleh komoditi utama negeri, khususnya kepada petroleum mentah dan minyak kelapa sawit serta kenaikan import bagi barangan utama negeri seperti jentera dan kelengkapan pengangkutan, makanan dan pelbagai barang keluaran kilang.

Pada suku tahun kedua 2024, kadar penganguran di Negeri Sabah direkodkan meningkat kepada 8.0 peratus berbanding 7.5 peratus dalam tempoh yang sama pada tahun 2023. Sebaliknya, Kadar Penyertaan Tenaga Buruh di Sabah direkodkan meningkat kepada 71.4 peratus berbanding 70.8 peratus dalam tempoh yang sama pada tahun lalu. Ini menunjukkan bahawa terdapat lebih ramai individu dalam pasaran buruh berbanding jumlah peluang pekerjaan yang tersedia. Justeru itu, Kerajaan Sabah akan terus memperhebatkan usaha untuk menarik lebih banyak pelaburan yang mencipta lebih banyak peluang pekerjaan di Negeri Sabah.

Tuan Speaker, setakat bulan Julai 2024, inflasi negeri Sabah direkodkan pada kadar 1.4 peratus iaitu sedikit lebih rendah berbanding kadar inflasi nasional iaitu 1.8 peratus. Inflasi negeri yang semakin stabil ini adalah hasil usaha-usaha berterusan Kerajaan Persekutuan dalam mengawal harga barangan secara menyeluruh. Inisiatif ini turut disokong oleh Kerajaan Negeri melalui pengukuhan rantaian bekalan dengan memastikan bekalan domestik sentiasa mencukupi dan pada harga yang berpatutan.

Penggunaan swasta atau dalam bahasa inggerisnya personal consumption yang sederhana dijangka akan terus berkembang dan menyumbang kepada aliran wang yang aktif dalam pasaran. Tren ekonomi yang positif akan meningkatkan keyakinan pelabur serta menggalakkan lebih banyak aktiviti perniagaan, seterusnya merangsang dan memperkukuhkan pertumbuhan ekonomi.

Secara keseluruhan, walaupun ekonomi Negeri Sabah sedang berada di fasa pemulihan, adalah penting bagi Kerajaan Sabah untuk melaksanakan dasar fiskal yang berhemat dan mengamalkan disiplin kewangan yang tinggi. Fokus utama perlu diberi kepada usaha membina daya tahan ekonomi melalui pelaburan yang bijak serta memperkukuhkan dasar-dasar dalaman yang mampu meningkatkan produktiviti dan mempromosikan pembangunan mampan dalam sektor-sektor utama seperti pertanian, pelancongan dan tenaga hijau.

Tuan Speaker, Kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan kita.

Pembangunan dan pertumbuhan ekonomi yang mampan penting bagi menjamin kemakmuran dan kesejahteraan negeri ini. Bagi mencapai aspirasi Sabah Maju Jaya yang menjadi asas kepada pelan pembangunan dan pertumbuhan negeri Sabah, maka hasil negeri perlu kekal kukuh untuk menjayakan hasrat dan matlamat dasar kita bagi melonjakkan pembangunan demi manfaat rakyat. Bagaimanapun, setelah mengambil kira kepada unjuran kutipan hasil pada tahun hadapan, Kerajaan Sabah telah merangka Belanjawan Negeri 2025 dengan menekankan dasar perbelanjaan berhemat dan mengelak pembaziran.

Oleh itu, Belanjawan Negeri 2025 disediakan berlandaskan pomogunan do sogigisom iaitu bahasa dialek Dusun bermaksud pembangunan lestari berasaskan kebersamaan dengan berpandukan tonggak-tonggak utama seperti berikut:

Pertama, menyokong pembangunan lanjut sektor-sektor produktif, termasuk menarik pelaburan bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan menjana pendapatan negeri;

Kedua, menangani ketidakseimbangan sosioekonomi dan meningkatkan taraf hidup melalui pendekatan inklusif;

Ketiga, memesatkan pembangunan modal insan dengan peningkatan pengetahuan, kemahiran, produktiviti dan inovasi serta memastikan rakyat mendapat kehidupan yang sejahtera;

Keempat, meningkatkan pembangunan pembolehdaya (enablers) khususnya infrastruktur asas fizikal, utiliti dan kemudahan awam yang menyokong pertumbuhan dan pengembangan ekonomi; dan

Kelima, meningkatkan kecekapan pengurusan sistem penyampaian Kerajaan Sabah.

Tuan Speaker, kestabilan ekonomi dan kesejahteraan rakyat adalah dua (2) perkara yang berkait rapat kerana tahap kemajuan ekonomi akan mempengaruhi taraf hidup rakyat. Menyedari hakikat ini, maka tema Belanjawan Negeri 2025 ialah “SABAH MAKMUR, RAKYAT SEJAHTERA”.

Dengan strategi mengagihkan peruntukan kepada sektor-sektor produktif di bawah Belanjawan ini, kerajaan yakin ekonomi negeri akan bertambah kukuh ke arah meningkatkan lagi kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat. Saya ingin menegaskan betapa pentingnya untuk kita berbelanja mengikut keupayaan berasaskan sumber hasil yang mampu dikutip. Semua pihak perlu mengutamakan pengurusan yang cekap dan mengamalkan disiplin kewangan yang tinggi. Pendekatan ini selaras dengan aspirasi Kerajaan Sabah untuk memantapkan kedudukan kewangan di samping menangani masalah ketirisan dan pembaziran hasil.

Justeru itu, bagi merealisasikan matlamat tema Belanjawan Negeri 2025, Kerajaan Sabah julung kalinya mencadangkan satu Anggaran Perbelanjaan Perbekalan tertinggi dalam sejarah iaitu sebanyak RM6.421 bilion dengan Anggaran Hasil

Negeri sebanyak RM6.445 bilion. Meskipun begitu, Belanjawan Negeri 2025 masih mencatatkan Belanjawan Lebihan (Surplus Budget) sebanyak RM24.08 juta.

Tuan Speaker, Belanjawan Negeri 2025 disediakan dengan agihan Anggaran Perbekalan…..

Datuk Seri Panglima Haji Masidi bin ManjunPGRS · GRSMenteri Kewangan · Karanaan

…dan Anggaran Pembangunan mengikut Kementerian seperti berikut:

Pertama, Kementerian Kewangan Perbekalan RM3.073 bilion, Pembangunan RM5 juta;

Kedua, Kementerian Kerja Raya Perbekalan RM1.097 bilion, Pembangunan RM249.86 juta;

Ketiga, Jabatan Ketua Menteri Perbekalan RM776.39 juta, Pembangunan RM210.87 juta;

Keempat, Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Perbekalan RM373.24 juta, Pembangunan RM148.13 juta;

Kelima, Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah Perbekalan RM106.43 juta, Pembangunan RM243.50 juta;

Keenam, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Perbekalan RM227.69 juta, Pembangunan RM19.32 juta;

Ketujuh, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Perbekalan RM181.35 juta, Pembangunan RM14.65 juta;

Kelapan, Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Perbekalan RM150.51 juta, Pembangunan RM27.07 juta;

Kesembilan, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Perbekalan RM128.20 juta, Pembangunan RM27.07 juta;

Kesepuluh, Kementerian Belia dan Sukan Sabah Perbekalan RM90.17 juta, Pembangunan RM11.29 juta;

Ke-11, Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Perbekalan RM29.15 juta, Pembangunan RM34.90 juta;

Ke-12, Perbelanjaan Tanggungan ialah RM140.58 juta iaitu Perbekalan. Ini melibatkan pembayaran pencen, pembayaran hutang Kerajaan dan sebagainya; dan

Ke-13, Perbelanjaan Yang Tidak Termasuk Dalam Kementerian-kementerian seperti bayaran Jabatan Peguam Negeri di Dewan Undangan Negeri, Istana, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri. Jadi jumlah Perbekalan yang diperuntukan ialah RM46.97 juta.

Tuan Speaker, syukur ke hadrat Ilahi atas rahmat yang tidak terhingga kerana dengan izin-Nya, negeri kita sentiasa dilimpahi dengan rezeki yang berpanjangan. Tahun 2023 merupakan tahun kedua Kerajaan Sabah dapat mengekalkan pungutan hasil di paras 6 bilion iaitu RM6.974 bilion. Dengan rasa penuh kesyukuran, saya ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Jabatan-jabatan pemungut dan penjawat awam yang bertungkus-lumus untuk mencapai kejayaan ini. Semoga usaha baik ini dapat dipertingkatkan untuk mengecapi prestasi yang lebih cemerlang pada tahun mendatang.

Seperti yang kita ketahui, Kerajaan Sabah masih bergantung kepada komoditi minyak petroleum atau dengan erti kata CO ya, dan minyak sawit mentah atau CPO sebagai sumber hasil utama. Tahun ini, harga purata minyak mentah telah disemak lebih tinggi iaitu daripada Dollar Amerika Syarikat (USD) 78 dollar satu tong kepada USD atau Dollar Amerika 88 satu tong dan kalau bagi CPO pula, harga purata komoditi ini juga meningkat kepada RM4,000 per satu tan metrik jika dibandingkan dengan ramalan awal sebanyak RM3,400 per satu tan metrik. Senario ini menjadi faktor utama kepada peningkatan Anggaran Hasil Disemak 2024 daripada anggaran asal RM5.737 bilion kepada RM6.768 bilion.

Tuan Speaker, menghadapi arus globalisasi dan kebergantungan kita kepada komoditi CO atau crude oil dan CPO, terdapat risiko yang perlu dihadapi oleh Kerajaan Negeri contohnya, penurunan harga terutamanya CO ataupun crude oil yang tidak menentu di mana dipengaruhi oleh faktor luar seperti perubahan geopolitik dunia, krisis ekonomi serta perubahan permintaan di pasaran global. Oleh yang demikian, Anggaran Hasil Tahun 2025 dirangka dengan mengambil kira pendekatan semi konservatif agar kedudukan kewangan Kerajaan Sabah kekal stabil dengan pengunjuran sebanyak RM6.445 bilion mengikut pecahan berikut:

Pertama : Hasil Cukai berjumlah RM2.744 bilion yang melibatkan Cukai Jualan Negeri atau CJN RM2.597 bilion, Sewa Tanah RM100 juta, serta Cukai Pelabuhan dan Dermaga RM39.5 juta;

Kedua : Hasil Bukan Cukai sebanyak RM2.551 bilion yang merangkumi penyumbangan utama seperti Royalti Petroleum RM1.297 bilion, Faedah dan Perolehan daripada Pelaburan RM512.47 juta, Jualan Air RM304 juta, Premium Tanah RM152 juta serta Royalti Bayaran Keluaran Hutan dan Eksport Kayu Diproses RM134.50 juta; dan

Ketiga : Terimaan Bukan Hasil iaitu Terimaan dan Sumbangan daripada Kerajaan Persekutuan dianggarkan yang berjumlah RM1.150 bilion.

Tuan Speaker, hasil merupakan nadi utama melaksanakan dan melancarkan perbelanjaan pengoperasian serta program dan projek pembangunan negeri. Dengan pungutan hasil yang baik, kedudukan kewangan negeri akan kekal kukuh dan stabil. Menyedari hakikat ini, Kerajaan Sabah telah melaksana pelbagai inisiatif seperti yang berikut:

Pertama : Memperkasakan setiap aspek penguatkuasaan bagi menangani ketirisan hasil;

Kedua :

Meningkatkan pungutan hasil negeri dengan pematuhan yang berterusan terhadap Pekeliling Kementerian Kewangan Bil.1/2022 Menambah Baik Pengurusan Pungutan Hasil Kerajaan Negeri Sabah;

Ketiga : Memastikan pematuhan terhadap Surat Pekeliling Kementerian Kewangan berkenaan Garis Panduan Terimaan Hasil Negeri Secara Elektronik Melalui Kaedah Tanpa Tunai atau cashless;

Keempat : Mempergiatkan usaha untuk mengurangkan jumlah tunggakan hasil bagi Kementerian atau Jabatan yang terlibat termasuk menetapkan sasaran Key Performance Indicator atau KPI pengurangan tunggakan hasil;

Kelima : Meneroka sumber-sumber hasil baharu yang berpotensi untuk meningkatkan pungutan hasil negeri yang mana, pada bulan April, Kerajaan Sabah telah memperkenalkan dua Cukai Jualan Negeri iaitu CJN ke atas Pasir Silika dan CJN ke atas Produk Biojisim Kelapa Sawit. Selain daripada itu, Kerajaan Sabah juga akan memperluas sumber pungutan hasil dengan mengenakan CJN ke atas emas dalam masa terdekat;

Keenam : Menyemak dan mengkaji semula kadar yuran/lesen/permit/caj ke atas perkhidmatan Kerajaan dan kadar sewaan yang sudah tidak relevan dengan kadar pasaran semasa; dan

Ketujuh : Meneruskan rundingan bersama Kerajaan Persekutuan berkenaan Pemberian Khas sepertimana yang dinyatakan dalam Bahagian Empat Jadual Kesepuluh, Perlembagaan Persekutuan.

Tuan Speaker, mensejahterakan rakyat merupakan tanggungjawab dan impian setiap pemerintah. Namun begitu, impian tanpa usaha dan strategi hanya akan menjadi sekadar mimpi. Lantaran itu, meskipun kita mendepani dunia dan kehidupan yang semakin mencabar, ia bukanlah penghalang untuk terus berusaha mencari sumber yang berpotensi agar hasil negeri sentiasa berkembang kukuh dan mampan. Saya menyeru dan mengingatkan kepada semua pihak yang terlibat agar lebih bertanggungjawab dan berganding bahu untuk merealisasikan semua usaha dan strategi yang telah dirangka. Gunakanlah pengalaman, pengetahuan dan keupayaan dalam mencapai apa juga yang telah dirancang. Semoga kejayaan dan hasil yang

kita perolehi akan dapat dinikmati dan dimanfaatkan oleh segenap lapisan rakyat di negeri ini, insya-Allah.

Menteri Kewangan [Datuk Seri Panglima Haji Masidi bin Manjun]:Tuan Speaker, dalam menyediakan Belanjawan Negeri 2025, Kerajaan Sabah telah merangka beberapa strategi menerusi sesi libat urus, petunjuk-petunjuk dan ramalan ekonomi secara menyeluruh sebagai langkah persediaan menghadapi senario ekonomi yang tidak menentu pada tahun 2025.

Bagi maksud melicin dan memantapkan pengurusan Kerajaan Sabah, sebanyak RM6.421 bilion dicadangkan untuk Anggaran Perbekalan bagi Tahun 2025. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM5.441 bilion diperuntukkan untuk membiayai Perbelanjaan Mengurus dan RM980 juta untuk Pencaruman Kepada Kumpulan Wang Pembangunan.

Peruntukan bagi Perbelanjaan Mengurus meningkat sebanyak 13% pada tahun 2025 berbanding anggaran asal RM5.701 bilion yang bertujuan untuk menampung Perbelanjaan Emolumen, Perbelanjaan Berulang dan juga Perbelanjaan Khas. Saya ulang Perbelanjaan Mengurus tadi meningkat 13% bersamaan RM719.9 juta.

Tuan Speaker, sebanyak RM903.91 juta dicadangkan untuk Perbelanjaan Emolumen bagi membiayai gaji penjawat awam negeri. Jumlah ini mencatatkan kenaikan sebanyak RM95.85 juta atau 12% berbanding bajet asal tahun ini disebabkan kenaikan gaji tahunan, pelarasan kenaikan gaji 8% (Fasa 1) selaras dengan pelaksanaan Sistam Saraan Perkhidmatan Awam yang akan berkuatkuasa pada 1 Disember 2024 dan pertambahan pelantikan baharu penjawat awam negeri.

Tuan Speaker, Perbelanjaan Berulang dicadangkan sebanyak RM2.27 bilion yakni bersamaan 35% iaitu kenaikan sebanyak RM66.9 juta atau 3% berbanding peruntukan asal tahun 2024. Peningkatan tersebut antara lain akan menampung tajaan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah, program penyelenggaraan jalan raya dan jambatan termasuk bagi kerja-kerja mencegah dan memulih kerosakan akibat

bencana alam, penyelenggaraan bangunan kerajaan, operasi pengeluaran air serta penyelenggaraan dan pembaikan sistem perpaipan, caruman kepada kuasa-kuasa tempatan serta perbelanjaan untuk Ketua-ketua Adat Negeri.

Agihan Perbelanjaan Khas dicadangkan sebanyak RM3.247 bilion bersamaan 51%, mencatatkan kenaikan sebanyak RM557.14 juta atau 21% daripada peruntukan asal tahun 2024. Kenaikan ini menunjukkan komitmen Kerajaan Sabah antaranya menangani isu kemudahan infrastruktur terutamanya aktiviti bagi memulihkan bekalan air dan perkhidmatan pengurusan loji air di bawah kontrak outsource, penyelenggaraan jalan raya, jambatan dan cerun, pembinaan baharu dan penyelenggaraan kemudahan awam seperti dewan serbaguna dan pasar rakyat, pelbagai program keterjaminan makanan serta bayaran elaun Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Tuan Speaker, Perbelanjaan Pembangunan sangat penting bagi melonjak pertumbuhan ekonomi negeri. Justeru itu, saya mencadangkan sebanyak RM1.299 bilion diperuntukkan pada tahun 2025 untuk Perbelanjaan Pembangunan. Jumlah ini merangkumi peruntukan negeri sebanyak RM976.50 juta dan peruntukan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM322.97 juta dalam bentuk Pinjaman Persekutuan dan Bayaran Balik Persekutuan.

Agihan peruntukan Pembangunan mengikut sektor adalah seperti yang berikut: 1.

Sektor Ekonomi, RM558.81 juta atau 57%; 2.

Sektor Sosial, RM395.13 juta atau 41%; dan 3.

Sektor Pentadbiran Am, RM22.55 juta atau 2%.

Tuan Speaker, Kerajaan Sabah akan terus memberi tumpuan untuk memastikan pembangunan ketiga-tiga sektor utama yang memacu pembangunan ekonomi negeri iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM838.42 juta.

Sektor Pertanian

Ancaman geopolitik serantau, perubahan iklim global dan situasi ekonomi dunia yang tidak menentu merupakan senario mutakhir yang menuntut kita agar memberi

lebih tumpuan kepada Sektor Pertanian. Ini bertujuan memastikan keterjaminan makanan untuk rakyat Sabah. Justeru itu, pada tahun 2025, Kerajaan Sabah akan mempergiatkan lagi usaha untuk memajukan Sektor Pertanian dengan peruntukan sebanyak RM610.85 juta.

Pada tahun hadapan, Kerajaan Sabah mengagihkan sebanyak RM521.37 juta kepada Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan serta Jabatan di bawahnya. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM373.24 juta adalah untuk perbelanjaan operasi dan membiayai pelbagai program bantuan kepada para petani, nelayan dan penternak. Secara keseluruhan, matlamat adalah untuk memperkasa empat (4) sub sektor utama iaitu tanaman, ternakan, perikanan dan akuakultur serta komoditi getah.

Jabatan Pertanian Sabah yang diperuntukkan sebanyak RM138.49 juta akan memberi tumpuan kepada program dan aktiviti yang menjurus kepada keperluan Dasar Keterjaminan Makanan dan Dasar Pertanian Negeri Sabah Ke-3 untuk memastikan rantaian bekalan makanan yang mencukupi, mengurangkan kebergantungan import makanan, menjamin kesejahteraan rakyat dan menghadapi cabaran global.

Selaras dengan tonggak kedua Belanjawan ini iaitu pembangunan inklusif dan saksama, komuniti pesawah dan pekebun kecil turut diberi perhatian khusus. Pemberian Insentif Pembajakan Sawah Padi akan diteruskan dengan kenaikan daripada RM18 juta kepada RM26 juta. Insentif subsidi pada kadar RM494.00 sehektar telah memberi manfaat kepada seramai 22,500 pesawah setiap tahun. Selain itu, melalui pemulihan sawah padi terbiar seluas 438 hektar di daerah Papar, Tuaran dan Sook akan menghasilkan purata pengeluaran padi sebanyak 2,190 tan metrik padi semusim penanaman. Projek ini dijangka dapat membekalkan keperluan beras untuk seramai 15,330 penduduk Sabah semusim berdasarkan penggunaan beras sebanyak 90 kilogram seorang setahun.

Di samping itu, pelaksanaan Program Pembangunan Tanaman berorientasikan komersial juga telah memberikan manfaat kepada 2,266 peserta dengan keluasan 3,539 hektar. Ini akan mewujudkan sumber pendapatan sekurang-kurangnya RM4,000.00 sebulan bagi memastikan peserta berada di luar garis kemiskinan.

Tuan Speaker, Tahap Sara Diri atau Self-Sufficiency Level (SSL) negeri yang rendah bagi bekalan beras iaitu hanyalah 22.6% menyebabkan kebergantungan yang tinggi terhadap bekalan beras sumber import bagi memenuhi permintaan tersebut. Justeru itu, penubuhan semula Lembaga Padi dan Beras Negeri Sabah (LPBN) dijangka akan meningkatkan SSL atau tahap sara diri khususnya beras bagi memenuhi permintaan rakyat dan seterusnya dapat mengurangkan import beras. Sebagai permulaan, sebanyak RM32.5 juta diperuntukkan kepada LPBN untuk tujuan operasi dan pembelian 60 unit jentera serta menaik taraf sistem pengairan di 6 darah pengeluar utama pada Sabah. Intervensi ini dijangka akan dapat meningkatkan pengeluaran padi untuk mencapai sekurang-kurangnya 30% tahap sara diri beras tempatan menjelang 2026.

Kejayaan mewujudkan 14 buah Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) berkeluasan 503.26 hektar melibatkan 117 peserta dengan jumlah pengeluaran hasil tanaman buah-buahan, sayur-sayuran dan nenas MD2 mencecah…

Menteri Kewangan [Datuk Seri Panglima Haji Masidi Bin Manjun]:…987.36 per tan metrik setahun yang bernilai RM2.9 juta telah menyumbang kepada keperluan permintaan makanan domestik dan memangkin pertumbuhan ekonomi negeri. Justeru itu, sebanyak RM2.96 juta diperuntukkan untuk pengurusan TKPM pada tahun hadapan. Di samping itu, sebanyak 514 ladang telah diakreditasikan melalui Persijilan Malaysia Good Agricultural Practice (MyGAP) dan 30 ladang melalui pensijilan myOrganic akan menyediakan akses kepada sumber makanan yang berkualiti dan selamat. Ini secara langsung akan meningkatkan pendapatan pengusaha sehingga 100 peratus khususnya pengeksportan sayuran tanah tinggi ke Negara Brunei, Jepun dan Korea.

Penyelidikan dan inovasi dalam sektor pertanian juga adalah sangat penting. Oleh itu, bidang bioteknologi dikembangkan untuk membolehkan penyelidikan dilaksanakan dengan lebih cepat agar industri pertanian di negeri ini bergerak seiring dengan perkembangan global. Penghasilan varieti baharu seperti Avokado

QAV 3 yang unggul dan berdaya saing di peringkat global bakal memanfaatkan para pengusaha untuk mengeksport buah ini ke pasaran domestik dan antarabangsa.

Seterusnya, pembangunan industri pertanian yang berdaya saing memerlukan modal insan terlatih sebagai penggerak. Justeru itu, Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM7.49 juta kepada Institut Pertanian Sabah dan Pusat Latihan Vokasional Pertanian dalam usaha melahirkan lebih ramai sumber tenaga kerja separuh mahir bagi Sektor Pertanian dan Perladangan.

Korporasi Pembangunan Desa (KPD) diperuntukkan sebanyak RM20.42 juta pada tahun hadapan bagi meneruskan pelaksanaan pelbagai program dengan melibatkan perkongsian pintar di antara KPD dan peserta program kekal. Strategi ini adalah selaras dengan hala tuju Kerajaan dalam meningkatkan keterjaminan dan keselamatan makanan. Pada tahun 2025, selain meneruskan pengeluaran ayam pedaging, ayam kampung, madu lebah, cendawan segar dan pengeluaran buah pamelo, KPD akan merintis penanaman jagung bijan berkeluasan 60 hektar di Trusan Sapi, Beluran. Projek perintis ini sebagai menyahut seruan Kerajaan dalam menghasilkan makanan ternak tempatan dan sebagai langkah untuk mengurangkan kebergantungan terhadap bahan import bagi makanan ternak.

Penubuhan lima (5) buah lagi Pusat Pengumpulan Hasil Tani pada tahun hadapan iaitu di Tuaran, Penampang, Tambunan, Tenom dan Nabawan adalah sebagai tambahan kepada enam (6) buah Pusat Pengumpulan Hasil Tani sedia ada agar dapat memberi manfaat kepada lebih ramai pengusaha pertanian. Semua pusat berkenaan akan dilengkapi dengan kemudahan pemprosesan asas bagi tujuan menambah nilai produk pertanian dan boleh digunakan oleh para pengusaha termasuk usahawan tani di kawasan-kawasan berhampiran.

Tuan Speaker, sub sektor ternakan merupakan antara penyumbang utama kepada sekuriti makanan negara. Oleh itu, Kerajaan Sabah komited untuk meningkat serta mengukuhkan sekuriti dan keselamatan makanan berasaskan ternakan yang berkualiti tinggi di samping membantu para pengusaha dalam industri ternakan untuk meningkatkan kecekapan pengeluaran dan pendapatan. Justeru itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (JPVS) diperuntukkan sebanyak RM87.79 juta untuk perbelanjaan operasi dan meneruskan sebanyak 43 projek pembangunan sedia ada

termasuk Program-Program Perkhidmatan dan Penguatkuasaan Veterinar, Kesihatan Awam Veterinar, serta aktiviti-aktiviti pemantauan dan kawalan penyakit.

Seterusnya, Kerajaan Sabah memperuntukkan sebanyak RM38.60 juta kepada Jabatan Perikanan Sabah bagi meningkatkan lagi pembangunan sub sektor perikanan dan akuakultur. Sebagai usaha bagi meningkatkan potensi pengusaha akuakultur marin berskala kecil, Program Pembangunan Akuakultur sama ada Marin atau Air Tawar dilaksanakan melalui pemberian bantuan bahan dan peralatan sistem ternakan dengan sasaran seramai 93 orang pengusaha akuakultur marin dan 10 penternak air tawar. Bagi memastikan sumber perikanan terpelihara, Program Konservasi akan diteruskan pada tahun hadapan iaitu dengan mewujudkan masing-masing 10 unit tagal dan tukun tiruan baharu.

Selain daripada itu, bagi meningkatkan pendapatan nelayan tradisional, Program Pembangunan Sosio-Ekonomi Marin diteruskan melalui bantuan insentif peralatan perikanan dan Kursus Peningkatan Kemahiran yang mensasarkan seramai 150 orang nelayan. Di samping itu, Jabatan Perikanan juga akan melaksanakan Program Kawalan Biosekuriti Perikanan untuk tujuan pemantauan biotoksin marin dengan meningkatkan bilangan sampel sehingga 1,200 sampel untuk dianilisis yang melibatkan ikan dan kerang-kerangan.

Korporasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan) diperuntukkan sebanyak RM17.6 juta untuk operasi serta meneruskan pelbagai program dan projek pembangunan yang akan memberi manfaat kepada komuniti nelayan, pengusaha kecil dan sederhana serta pembangunan industri akuakultur dan perikanan. Antara program yang akan dilaksanakan adalah Program Peningkatan Pendapatan Nelayan dan Program Pembangunan Usahawan yang akan memberi manfaat kepada seramai 101 orang dari kalangan nelayan, usahawan kecil hiliran perikanan dan akuakultur di seluruh Sabah.

Selain itu, Program Pembangunan Akuakultur, Program Pengeluaran Makanan dan Hiliran Perikanan serta Program Pembangunan Kelestarian Perikanan diteruskan bagi mengekal dan melindungi ekosistem perikanan yang akan meningkatkan pengeluaran makanan dan menyokong inisiatif keterjaminan makanan. Ko-Nelayan turut membantu menyokong usaha Kerajaan Sabah dalam menguasai penggunaan

aplikasi digital untuk menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0 melalui Program Teknologi Maklumat dan Inovasi Ko-nelayan dengan dua (2) buah projek utama iaitu Elektronik Komuniti Usahawan Nelayan (e-KAN) yang akan memberi manfaat kepada 20 Pengusaha Mikro, Kecil Dan Sederhana dan Projek Nelayan Digital (e-SMART) yang akan memberi manfaat kepada 70 nelayan pesisir pantai.

Tuan Speaker, Melalui sub sektor keempat iaitu komoditi getah, Lembaga Industri Getah Sabah yang menggalas peranan penting dalam memperkasakan ekonomi pekebun kecil getah diperuntukkan sebanyak RM39.84 juta. Daripada jumlah tersebut, RM11 juta adalah bagi perbelanjaan operasi, RM20 juta adalah bagi Pemberian Insentif Pengeluaran Untuk Para Pekebun Kecil Getah dan selebihnya adalah untuk meneruskan projek pembangunan sedia ada termasuk satu (1) program baharu iaitu Program Kawalan dan Pencegahan Penyakit Luruhan Daun Getah.

Bagi menyokong pembangunan Sektor Pertanian, Jabatan Pengairan dan saliran Sabah (JPS) diperuntukkan sebanyak RM161.05 juta untuk perbelanjaan operasi dan pembangunan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM126.07 juta disediakan untuk meneruskan projek menaik taraf dan penyelenggaraan infrastruktur pengairan dan saliran, pengurusan dan pembangunan sistem tebatan banjir serta pembersihan dan pertahanan tebing sungai. Sebanyak RM3.7 juta diperuntukkan bagi tujuan pembaikan sistem pengairan di sawah-sawah padi iaitu dengan kenaikan peruntukan sebanyak RM1.76 juta. Manakala satu projek di bawah Program Pengurusan Sumber Air iaitu Projek Pemuliharaan Kawasan Tadahan Air di Semporna akan dilaksanakan pada tahun hadapan dengan peruntukan berjumlah RM800 ribu.

Penerokaan Ekonomi Biru

Kerajaan Sabah komited untuk mengorak langkah dalam penerokaan khazanah laut dan maritim sebagai sebahagian daripada usaha mengukuhkan kedudukan Sabah dalam penerokaan Ekonomi Biru di peringkat antarabangsa.

Justeru itu, penganjuran Sabah International Blue Economy Conference (SIBEC) 2024 yang telah diadakan pada 19 hingga 20 Oktober 2024 yang lalu dan dihadiri oleh seramai 3,398 peserta dari dalam dan luar negara sebagai platform untuk berinteraksi dan

berkongsi ilmu pengetahuan global bersama pakar dalam bidang ini. Hasil daripada persidangan ini, Kerajaan Sabah akan merangka Sabah Blue Economic Framework sebagai hala tuju Kerajaan Sabah dalam pembangunan ekonomi berimpak tinggi ini. Usaha bersifat futuristik ini membuktikan bahawa kerajaan bukan hanya serius dalam membangunkan ekonomi masa kini, …

Datuk Seri Panglima Haji Masidi bin ManjunPGRS · GRSMenteri Kewangan · Karanaan

…tetapi juga prihatin untuk menyediakan asas yang kuat bagi membina ekonomi masa hadapan.

Setelah mengambil kira potensi hasil terbaru yang bakal diperolehi daripada Ekonomi Biru ini, Kerajaan Sabah kini sedang menyusun gerak kerja yang lebih tersusun dan efektif. Khazanah ini perlu dipagar lebih awal dan dipugar terlebih dahulu, sebelum kita dapat menemui hasilnya pada tahun-tahun akan datang. Kajian saintifik akan dilaksanakan bagi memastikan Kerajaan Sabah memperolehi data yang mencukupi, tepat dan komprehensif. Menyedari hakikat ini, kerjasama di antara pihak kerajaan, institusi penyelidikan dan komuniti setempat adalah diperlukan demi memastikan potensi Ekonomi Biru di negeri ini bukan sahaja dapat direalisasi untuk generasi kontemporari, tetapi juga menyediakan landasan ekonomi yang kukuh untuk generasi akan datang.

Tuan Speaker, setakat Jun tahun ini, Sabah telah menerima pelaburan sebanyak RM1.7 bilion yang merangkumi pelaburan dalam dan luar negeri di dalam sektor utama perkilangan dan perkhidmatan. Sepertimana yang telah diketahui bahawa Negeri Sabah telah menerima pelaburan Syarikat SK Nexilis Malaysia Sdn Bhd daripada Korea Selatan dan Kumpulan Kibing daripada China dengan nilai pelaburan masing-masing sebanyak RM4.28 bilion dan RM2.48 bilion. Kedua-dua pelabur ini telah menghasilkan dan mengeksport produk mereka ke luar negara bermula pada penghujung tahun 2023 bagi Syarikat SK Nexilis dan bagi Kumpulan Kibing mula mengeksport awal tahun ini.

Usaha untuk membangunkan Sektor Perindustrian di negeri ini telah membuahkan hasil apabila sumbangan di sektor pembuatan di dalam KDNK Sabah telah

meningkat kepada RM6.03 bilion bersamaan 7.3% pada tahun 2023 berbanding RM5.78 bilion atau bersamaan 7% pada tahun 2022. Kadar pertumbuhan bagi sektor pembuatan di Sabah pada tahun 2023 adalah 4.4% mengatasi pertumbuhan purata sektor pembuatan nasional iaitu sebanyak 0.8%. Seterusnya, menjadikan kadar pertumbuhan sektor pembuatan di Sabah yang tertinggi di Malaysia. Pada tahun ini, Kumpulan Kibing melalui anak syarikatnya, SBH Kibing New Solar Energy (M) Sdn Bhd telah bersetuju untuk melabur kilang pembuatan kasa solar baharu dengan anggaran nilai pelaburan sebanyak RM7.2 bilion melalui tiga fasa. Pelaburan ini juga bakal memberi peluang pekerjaan kepada 5,000 rakyat di negeri ini. Pada masa yang sama, syarikat Kumpulan Kibing juga telah komited untuk meningkatkan kapasiti penghasilan kaca solar kilangnya di Taman Perindustrian Kota Kinabalu atau KKIP dengan penambahan third production line. Anggaran nilai pelaburan tambahan ini adalah sekitar RM700 juta sekaligus mewujudkan 600 pekerjaan, 600 peluang pekerjaan tambahan.

Kerajaan Sabah memperuntukkan RM124.70 juta bagi pembangunan Sektor Perindustrian dan Keusahawanan di negeri ini. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM64.05 juta diperuntukkan kepada Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan serta Jabatan di bawahnya dan sebanyak RM60.65 juta lagi diperuntukkan di bawah agensi lain yang turut menyokong pembangunan perindustrian dan keusahawanan di negeri ini.

Tuan Speaker, bagi pembangunan infrastruktur taman-taman perindustrian di KKIP, Palm Oil Industrial Cluster atau POIC di Lahad Datu dan Sabah Oil and Gas Industrial Park (SOGIP) di Sipitang agar lebih kondusif dan menarik peluang pelaburan Sabah, sebanyak RM18.07 juta telah diperuntukkan untuk tujuan tersebut. Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah atau SEDCO pula telah diperuntukkan sebanyak RM16.33 juta untuk meneruskan projek pembinaan premis perniagaan baharu dan menyiapkan projek sedia ada, termasuk untuk pelaksanaan Projek Pembangunan Ekosistem dan Keupayaan Industri di Sabah yang merangkumi kursus-kursus keusahawanan berfokus kepada kemahiran digital, keusahawanan siswazah dan latihan teknikal.

Bagi sektor perindustrian, tumpuan tidak hanya diberi kepada ekonomi aras tinggi untuk menjana pertumbuhan negeri yang lebih produktif tetapi juga bidang ekonomi

yang lebih bersifat akar umbi bagi meningkatkan akses terhadap ‘kek’ kemakmuran negeri secara inklusif. Oleh itu, pembangunan Industri Kecil dan Sederhana atau IKS merupakan industri sokongan utama yang memangkin pembangunan Industri Pembuatan Tempatan.

Program Bantuan SME-UP dengan peruntukan RM15 juta yang telah memanfaatkan seramai 5,201 usahawan akan diteruskan bagi meningkatkan keupayaan pengusaha IKS di Sabah agar lebih kompetitif dan berdaya saing melalui bantuan mesin dan peralatan serta pembungkusan dan pelabelan. RM15 ribu juga adalah untuk memberi pendedahan kepada usahawan IKS mengenai teknologi terkini, pematuhan kepada Persijilan MeSTI dan Halal serta perundangan yang perlu dipatuhi bagi menembusi pasaran antarabangsa.

Seterusnya, bagi memperbanyakkan lagi pasaran produk IKS ke pasaran tempatan dan menyediakan ruang kepada pengusaha IKS memperkenalkan produk mereka, kerjasama dengan KOJASA Mart, DESA Fresh Mart dan Sabah Credit Corporation Outlet akan dimulakan pada tahun 2025 di samping meneruskan kerjasama dengan Pasaraya Bataras dan Kedai Mesra Petronas. Bagi mengembang pasaran produk-produk Usahawan IKS Sabah ke luar negeri melalui penyertaan ekspo antarabangsa dengan sasaran jualan sebanyak RM50 juta, sebanyak RM13.8 juta diperuntukkan bagi program promosi pelaburan, pemasaran, penganjuran seminar dan eksport IKS.

Selain daripada itu, Kerajaan Sabah melalui agensi-agensi lain akan meneruskan program keusahawanan bagi membantu pengusaha IKS seperti Program Pitch Borneo, Program Satu Daerah Satu Produk dan Program Pembangunan Usahawan Desa agar lebih ramai usahawan akar umbi menyertai pasaran keusahawanan tempatan dengan peruntukan sebanyak RM2.5 juta.

Tuan Speaker, saya pergi kepada sektor pelancongan. Sesungguhnya Negeri Sabah ini merupakan di antara destinasi pelancongan yang bertaraf dunia. Keindahan dan kekayaan flora dan fauna serta keajaiban alam semula jadi seperti lautan dan kepulauannya serta gunung-ganang dan hutan simpannya adalah khazanah alam yang tidak terdapat di mana-mana negeri di Malaysia. Justeru itu, negeri Sabah menjadi tarikan dan tonggak utama Sektor Pelancongan Malaysia.

Sukacita saya ingin maklumkan Dewan yang mulia ini bahawa Kerajaan Sabah hampir mencapai sasaran tiga juta pelawat bagi tahun 2024 yang mana setakat bulan Ogos, seramai 2.09 juta kedatangan pelancong telah direkodkan iaitu peningkatan sebanyak 25.7% berbanding tempoh yang sama pada tahun 2023 dengan anggaran perbelanjaan pelancongan sebanyak RM4.88 bilion.

Peningkatan ini didorong oleh penambahan jumlah penerbangan ke Negeri Sabah daripada destinasi dalam dan luar negeri. Sehingga ke hari ini, sebanyak 12 syarikat penerbangan yang menghubungkan Sabah secara terus ke 19 destinasi antarabangsa dan menawarkan 140 penerbangan seminggu dengan 25,613 kapasiti tempat duduk. Antara laluan utama, antara laluan udara ke Sabah adalah daripada Jakarta, Shanghai, Guangzhou, Bali, Manado dan Kunming. Selain daripada itu, kolaborasi bersama syarikat-syarikat penerbangan dalam dan luar negeri selaku rakan strategik bagi menambah akses laluan udara menjadi antara agenda utama kerajaan untuk memangkin pertumbuhan industri pelancongan negeri memandangkan 90% kemasukan pelancong ke negeri ini adalah melalui udara. Inisiatif ini juga adalah selari dengan komitmen kerajaan bagi menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang mensasarkan 3.7 juta ketibaan pelancong domestik dan antarabangsa ke Sabah dengan unjuran perbelanjaan…

Menteri Kewangan [Datuk Seri Panglima Haji Masidi bin Manjun]:…pelancongan berjumlah RM9.1 bilion.

Kerajaan Sabah akan mempergiat usaha untuk menambah baik pengurusan alam sekitar dan pemeliharaan warisan budaya untuk terus memacu dan memperkasa industri pelancongan di negeri ini. Oleh itu, bagi menyokongkepada usaha-usaha tersebut, Kerajaan Sabah memperuntukkan sebanyak RM102.87 juta kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar untuk tujuan operasi dan pelaksanaan pelbagai program dan projek pembangunan. Daripada jumlah tersebut, RM10.84 juta adalah bertujuan untuk pembangunan aset-aset pelancongan termasuk RM6.5 juta untuk Projek Pembangunan Pelancongan Luar Bandar yang memfokuskan kepada eko-pelancongan serta pelancongan berasaskan komuniti.

Tuan Speaker, sebagai persediaan Tahun Melawat Malaysia 2026, pelbagai program akan dilaksanakan pada tahun hadapan termasuklah memberi latihan upskiling dan reskiling kepada pengusaha luar bandar agar berupaya menyediakan perkhidmatan yang berkualiti. Ini selaras dengan matlamat pembangunan modal insan yang menjadi salah satu tonggak utama Belanjawan ini. Selain itu, bantuan dari aspek promosi serta pemasaran juga akan diperhebatkan lagi dengan pelbagai kempen dan acara-acara ‘signature’ kepada Negeri Sabah. Ini bukan sahaja akan menarik pelancong, tetapi juga memberi peluang kepada komuniti tempatan untuk terlibat dan menikmati manfaat daripada industri pelancongan.

Tuan Speaker, memartabatkan khazanah budaya serta warisan etnik negeri ini adalah salah satu elemen yang menjadikannya antara produk pelancongan yang menjadi pilihan pelancong. Justeru itu, sebanyak RM19.8 juta diperuntukkan kepada Jabatan Muzium Sabah untuk perbelanjaan operasi dan penaiktarafan infrastruktur warisan khazanah untuk tujuan pelancongan.

Di samping itu, sebanyak RM13.66 juta diperuntukkan bagi memastikan warisan budaya dan kesenian di negeri ini terus kekal dan terpelihara. Bagi memastikan khazanah budaya ini dapat dinikmati generasi masa ini dan dalam masa yang sama dapat merancakkan lagi Sektor Pelancongan tempatan, maka pelbagai program kebudayaan antaranya Muzium Festival 2025, Kraf Eksotika dan Pesta Regatta Lepa akan disenaraikan dalam kalendar pelancongan negeri pada tahun hadapan. Pendekatan ini dapat meningkatkan daya saing pelancongan berasaskan komuniti, iaitu satu kaedah efektif untuk mengagihkan hasil pendapatan industri ini secara lebih inklusif dan saksama.

Tuan Speaker, saya pergi kepada Modal Insan dan Teknologi Maklumat. Pembangunan modal insan merupakan pemangkin kepada pertumbuhan mampan ekonomi negeri ini. Menyedari hakikat ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM497.54 juta pada tahun hadapan bagi meneruskan usaha memperkasa modal insan ke arah melahirkan generasi yang kompeten, berdaya tahan, kreatif, berinovasi serta berintegriti agar mampu memartabatkan Negeri Sabah ke tahap yang lebih tinggi.

Bagi pembangunan modal insan di negeri ini, Kerajaan Sabah akan meneruskan pemberian bantuan kepada institusi pendidikan, para pelajar termasuk memperkenalkan beberapa bantuan baharu bagi menyantuni anak-anak Sabah yang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Antara bantuan tersebut ialah:

Pertama : RM127 juta untuk program Biasiswa, Dermasiswa dan bantuan Pelajar Negeri kepada seramai 7,130 pelajar aktif di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam dan luar negara serta menyasarkan penambahan penajaan kepada 3,000 pelajar baharu;

Kedua : Sumbangan kepada Mahasiswa IPT Dalam Sabah (SENTOSA) secara one-off sebanyak RM300 juta seorang..Minta maaf RM300.00 seorang.

Speaker

RM300 juta saya belajar balik tu.

Datuk Seri Panglima Haji Masidi bin ManjunPGRS · GRSMenteri Kewangan · Karanaan

Maaf saya ulang Tuan Speaker. Sumbangan kepada Mahasiswa IPT Dalam Sabah (SENTOSA) secara one-off sebanyak RM300.00 seorang. Bantuan ini adalah yang pertama kali diperkenalkan pada tahun hadapan;

Ketiga : Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) secara one-off berjumlah RM2,000.00 kepada setiap pelajar yang menyambung pengajian di peringkat ijazah, manakala RM1,500.00 kepada pelajar di peringkat diploma dan matrikulasi;

Keempat : Bantuan Subsidi Tiket Penerbangan atau Graduan Rindu Sabah SUBFLY sebanyak RM600.00 kepada setiap pelajar IPT Sabah yang belajar di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan; dan

Kelima : Sumbangan Kegiatan Sekolah Sabah secara one-off sebanyak RM3,000.00 kepada 1,500 buah sekolah di Sabah untuk tujuan membiayai program sekolah.

Selain daripada bantuan yang saya sebutkan tadi, Kerajaan Sabah juga akan meneruskan pemberian bantuan yang lain seperti Bantuan Ihsan komputer (BAIK), Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI), Bantunan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI), Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA), Bantuan Aktiviti PIBG (BAGUS), Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH) dan Bantuan Khas Program Pendidikan (BANTU) dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM26.4 juta.

Tuan Speaker, Kerajaan Sabah komited dan sentiasa mengamalkan dasar keadilan dan kesaksamaan dalam semua aspek untuk membantu rakyat tanpa mengira kaum dan agama demi mengekalkan keharmonian masyarakat di negeri ini. Dalam masa yang sama, pembangunan kerohanian amat penting bagi melahirkan modal insan yang berakhlak mulia serta berkeperibadian tinggi. Oleh itu, pada tahun hadapan, sebanyak RM140.34 juta diperuntukkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah untuk perbelanjaan operasi dan pelaksanaan pelbagai program pembangunan dan operasi sekolah agama Islam dan masjid serta program-program kerohanian Islam. Manakala, sebanyak RM70 juta iaitu dengan kenaikan sebanyak RM13.25 juta diperuntukkan bagi pemberian bantuan kepada badan-badan keagamaan bukan Islam, sekolah-sekolah mubaligh dan persendirian di seluruh Sabah. Semoga bantuan ini dapat meringankan beban kewangan pihak sekolah dan badan-badan keagamaan yang terlibat dalam usaha memastikan fasiliti sentiasa berada dalam keadaan kondusif, selamat dan juga selesa.

Sebanyak RM48.57 juta diperuntukkan kepada Perpustakaan Negeri Sabah untuk operasi dan pembangunan perpustakaan termasuk meneruskan pembinaan Perpustakaan Cawangan di Tenom, Kunak dan Kota Marudu, penggantian bangunan Perpustakaan Desa di Kg. Karakit Banggi, Kg. Entilibon Tongod, Kg. Larapan Hujung Semporna dan Kg. Lubok Darat Sipitang serta penggantian bas perpustakaan bergerak di Semporna, Beaufort dan Kudat.

Selain itu, Kerajaan Sabah turut memperuntukkan sebanyak RM28.53 untuk operasi dan pelaksanaan pelbagai program, latihan dan kursus kemahiran di Jabatan Pembangunan Sumber Manusia seperti program berkonsepkan train dan place dalam industri utama, Program Pembangunan Keusahawanan Latihan Teknikal dan

Vokasional (TVET), program latihan rentas komuniti dan program khas kerjasama dengan rakan strategik.

Tuan Speaker, RM41.75 juta akan diperuntukkan kepada Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi, Sabah Skills and Training Centre (SSTC) dan Sabah Creative Economy and Innovation Center bagi melaksanakan kursus penguasaan bahasa, latihan kemahiran sains, teknologi dan inovasi. Selain itu, agenda pemerkasaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui penganjuran pelbagai program antaranya Kembara Sains Borneo, Karnival Sains Sabah, Pertandingan Teknologi dan Inovasi (Malaysia Techlympic), Festival Pendidikan STEM, Pendidikan serta Latihan TVET, Program Roboneo dan Sabah Screen Fest akan diteruskan.

Sebagai makluman Dewan yang mulia ini, Kerajaan Sabah menyediakan tajaan biasiswa melalui Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah untuk membantu pelajar yang mengikut kursus TVET di IPT dalam dan luar negara. Setakat ini, seramai 1,375 pelajar telah menerima tajaan Biasiswa tersebut.

Seterusnya, satu kajian kemungkinan akan dibuat bagi Pembangunan…

Datuk Seri Panglima Haji Masidi Bin ManjunPGRS · GRSMenteri Kewangan · Karanaan

…Pusat Data Geospatial Sains, teknologi dan Inovasi (STI) Sabah yang bertujuan untuk mengkaji dan mengenalpasti keperluan penyelidikan dan pembangunan di bawah domain STI akan dilaksanakan pada tahun 2025.

Tuan Speaker, Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri yang diperuntukkan sebanyak RM29.06 juta akan terus komited untuk merancak dan memacu usaha-usaha pendigitalan Kerajaan Sabah dengan pelaksanaan sistem aplikasi yang bersepadu, mengukuhkan pentadbiran teknologi pertahanan dan kelengkapan peralatan digital Perkhidmatan Awam Negeri bagi mengatasi ancaman jenayah siber.

Selain itu, sebanyak RM39.52 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan Sistem, Kerajaan Elektronik untuk meningkatkan produktiviti penyampaian perkhidmatan awam melalui pendigitalan Kerajaan Sabah dan penggunaan Google Workspace. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, Sabah Digital Government telah berjaya menyiapkan Sabah Data Integration and Interchange Platform atau Sabah DIIP untuk perkongsian data lebih pantas dan tepat. Ini akan meningkatkan kecekapan perkhidmatan Kerajaan dan mengurangkan birokrasi dan melancarkan urusan pentadbiran.

Sementara tu, sebanyak RM10.5 juta disediakan sebagai usaha pendigitalan Perkhidmatan Awam Negeri, termasuklah sistem pengurusan sumber manusia seperti SM2, peningkatan Portal dan Perkhidmatan Digital Sabah serta inisiatif tambahan lain yang akan menyokong transformasi pendigitalan sektor awam.

Dalam usaha meningkatkan capaian liputan internet di seluruh negeri, Kerajaan Sabah merancang untuk memasang kemudahan internet teknologi Starlink di 300 lokasi di seluruh Sabah yang masih belum mendapat liputan internet. Agensi Kerajaan Persekutuan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan menambah menara baharu, menaik taraf stesen pemancar sedia ada dan juga menaik taraf Pusat Internet Desa. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, capaian internet liputan 4G di kawasan berpenduduk di Sabah setakat ini telah mencapai 91.18% manakala 68.9% telah menikmati liputan 5G.

Tuan Speaker, saya pergi kepada Kesejahteraan dan Kebajikan Rakyat. Dalam menyantuni kesejahteraan dan taraf hidup rakyat, Kerajaan Sabah memperuntukkan RM162.42 juta kepada Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat dan agensi-agensi di bawahnya bagi memastikan agenda kesejahteraan rakyat Sabah ditingkatkan melalui pelbagai program dan inisiatif yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat.

Program Pemberian Bantuan Persekolahan akan diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM26.06 juta pada tahun hadapan bagi membantu meringankan beban kewangan ibubapa terutama bagi golongan isi rumah berpendapatan rendah. Bantuan pakaian seragam, kasut sekolah dan alat tulis kepada 1,075 buah sekolah rendah di seluruh negeri akan memberi manfaat kepada 291,275 murid.

Selain itu, sebanyak RM965 ribu diperuntukkan pada tahun 2025 untuk melaksanakan agenda kesejahteraan rakyat merangkumi aspek kekeluargaan, kepenggunaan, kesejahteraan wanita dan gaya hidup sihat. Manakala, sebanyak RM550 ribu diperuntukkan kepada Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Sabah dalam usaha berterusan memerangi masalah penyalahgunaan dadah khususnya di kalangan pelajar sekolah.

Golongan Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas, kanak-kanak dan ibu tunggal akan terus kita santuni. Oleh itu, sebanyak RM 76.29 juta telah diperuntukkan pada tahun hadapan untuk membantu golongan tersebut melalui Skim Bantuan AM untuk OKU, warga emas, kanak-kanak dam ibu tunggal serta Skim Bantuan Anak Yatim.

Tuan Speaker, bagi memastikan institusi-institusi kebajikan iaitu rumah warga tua dan Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya termasuk pejabat kebajikan beroperasi dengan baik, selamat dan kondusif diduduki oleh kumpulan sasar, maka sebanyak RM4.26 juta diperuntukkan untuk tujuan pengoperasian dan penyelenggaraan pada tahun hadapan. Selain itu, peruntukan sebanyak RM10.07 juta disediakan untuk meneruskan projek pembinaan Pusat Pemulihan Kebajikan di Daerah Putatan dan Kota Marudu, pembinaan Rumah Warga Tua Kendiri di Daerah Telupid, Kompleks Bersepadu OKU dan Warga Emas Inanam serta pembinaan bangunan pentadbiran, dapur, dewan serbaguna di Rumah Warga Tua Air Panas Tawau dan lain-lain.

Kerajaan Sabah juga akan meneruskan operasi Pusat Perkembangan Kanak-Kanak (PPKK) yang merupakan program pembangunan masyarakat berimpak tinggi di bawah Inisiatif Flagship Sabah Maju Jaya berfokuskan kepada kanak-kanak yang tidak mempunyai pembelajaran asas.

Selain itu, Kerajaan Sabah akan memperuntukkan sejumlah RM1 juta untuk meneruskan Program Homeward bagi membantu komuniti golongan rentan dan pesakit terlantar atau OKU yang tidak mampu memperoleh rawatan atau peralatan sokongan seperti kerusi roda, katil boleh laras dan tangki silinder oksigen mudah alih.

Kerajaan Sabah memandang serius peningkatan statistik pendaftaran OKU (Sub Kategori Autisme) di negeri ini yang merekodkan seramai 5,689 orang kanak-kanak dengan 1,152 orang daripadanya adalah didaftarkan pada tahun 2024. Disebabkan

peningkatan dalam diagnosis autisme, terdapat keperluan mendesak untuk membela nasib mereka melalui intervensi awal dengan menyediakan program pra-sekolah dan sokongan kepada kanak-kanak yang berkeperluan khas atau menunjukkan tanda-tanda kelewatan dalam perkembangan khususnya bagi mereka yang tergolong dalam B40.

Maka dengan itu, Kerajaan Sabah akan melaksanakan Program Intervensi Kanak-Kanak Autisme dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Taman Didikan Kanak-Kanak Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Kudat dan Beaufort dengan peruntukan sebanyak RM2.5 juta pada tahun hadapan.

Kerajaan Sabah amat menghargai sumbangan Pertubuhan-pertubuhan Sukarela Kebajikan yang turut membantu Kerajaan dan bertindak sebagai pengantara dalam melaksanakan perkhidmatan kebajikan kepada kumpulan sasar. Justeru itu, sebanyak RM3.2 juta diperuntukkan kepada Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah selaku penyelaras Program Sukarelawan Kebajikan di Negeri Sabah.

Tuan Speaker, saya pergi kepada Pembangunan Wanita. Kerajaan Sabah amat prihatin dan akan memastikan golongan wanita mendapat peluang dan faedah yang sama rata. Menyedari hakikat tersebut, lebih ramai wanita dilantik menyertai dalam pembuatan dasar dan keputusan di pelbagai sektor termasuk dalam sektor perkhidmatan awam dan Agensi-Agensi Kerajaan. Setakat ini, berdasarkan statistik Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA), seramai 36 orang atau 25.71% wanita terlibat secara langsung sebagai pembuat keputusan dalam Perkhidmatan Awam Negeri.

Oleh itu, Kerajaan Sabah akan menyediakan peruntukan sebanyak RM9.73 juta kepada JHEWA untuk perbelanjaan operasi serta pelaksanaan pelbagai program bagi membangun, memperkasa dan melahirkan pemimpin wanita yang berwibawa. Antara program yang akan dilaksanakan pada tahun hadapan ialah Program Kesedaran Menangani Isu Perkahwinan Awal Kanak-Kanak, Program Flagship Santuni Wanita, Program Pembangunan Keusahawanan Wanita, Program Kepekaan Gender di Luar Bandar, Jelajah Klinik Guaman & Kaunseling JHEWA serta pemberian geran kepada 186 Badan Bukan Kerajaan Wanita yang berdaftar dengan JHEWA.

Sementara itu, Kerajaan Sabah melalui Yayasan Usaha Maju atau YUM diperuntukkan sebanyak RM11.6 juta untuk meneruskan Program Kredit Mikro kepada peniaga IKS khususnya golongan wanita bagi membantu golongan berpendapatan rendah agar dapat menjana pendapatan keluarga melalui peniagaan kecil-kecilan yang diusahakan. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, seramai 46,231 orang telah menyertai program ini sejak YUM ditubuhkan. Daripada jumlah tersebut, seramai 18,597 orang masih aktif mengikuti program ini.

Datuk Seri Panglima Haji Masidi bin ManjunPGRS · GRSMenteri Kewangan · Karanaan

Pada tahun 2025, YUM menyasarkan pengeluaran pinjaman berjumlah RM77.39 juta dan pinjaman ini dijangka akan memberi manfaat kepada seramai 12 ribu orang peminjam dengan 20% daripadanya merupakan peserta baharu. YUM merancang untuk memperluas kaedah pembayaran balik pinjaman secara digital di kalangan peminjam khususnya melalui penggunaan aplikasi Sabah Pay.

Selain daripada program yang dilaksanakan di bawah YUM, projek perintis Program Keusahawanan Wanita Muda akan diperkenalkan melalui pemberian pinjaman mikro dengan kadar faedah yang rendah berbanding program yang lain. Program dengan kerjasama Perbadanan Pinjaman Sabah dan Institusi Kajian Pembangunan Sabah (IDS) akan dilaksanakan demi memperkasa dan melahirkan wanita yang berkreativiti dan berinovasi. Program ini akan menawarkan peluang kepada wanita muda yang berhasrat menceburi bidang perniagaan agar dapat menjana pendapatan seterusnya menyumbang kepada pembangunan Sabah.

Tuan Speaker, saya pergi kepada Pembangunan Belia dan Sukan. Pembangunan Belia dan Sukan akan terus mendapat perhatian khusus daripada Kerajaan Negeri Sabah. Oleh itu, sebanyak RM101.49 juta telah diperuntukkan kepada Kementerian Belia dan Sukan Sabah untuk tujuan mengurus dan melaksanakan pelbagai program pembangunan belia termasuk sukan di Sabah pada tahun 2025. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM16.75 juta diperuntukkan untuk melaksanakan program pembangunan modal insan bagi memperkasa belia kita sebelum menyertai pasaran pekerjaan serta menjadi ikon yang berketerampilan.

Kerajaan sentiasa memberi perhatian terhadap kemajuan sukan berprestasi tinggi dan Sukan Para di negeri ini. Tahniah kepada Eddy Bernard. Beliau berasal daripada Beluran yang telah berjaya merangkul pingat gangsa dalam acara 100 meter kategori T44 di Paralympic Games Paris 2024 (bunyi ketukan meja) serta Jonathan Wong Kar Gee dalam acara lompat jauh kategori T12 dan Mohamad Amin Burhanuddin dalam acara badminton individu lelaki kategori SL4 yang juga berjaya mewakili negara bertanding di sukan yang sama. Kerajaan juga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua atlet, jurulatih dan pegawai kontinjen SUKMA Sabah yang telah memberikan saingan di SUKMA-21 Sarawak 2024 dengan membawa pulang sebanyak 29 pingat emas, 36 pingat perak dan 55 pingat gangsa.

Seterusnya, bagi memastikan program-program pembangunan sukan prestasi tinggi dan paralimpik terus maju bagi merealisasikan Sabah menjadi powerhouse dalam beberapa acara sukan seperti Sepak Takraw Wanita, Wushu, Silat, Muay Thai, Karate, Boling Padang, Petanque dan sebagainya. Maka, Kerajaan Sabah memperuntukkan RM27.21 juta untuk perbelanjaan pembangunan dan kemajuan sukan pada tahun hadapan.

Sukan massa atau mass sport juga perlu diberi perhatian dan sudah pasti masyarakat memerlukan tempat untuk beriadah yang lebih kondusif. Justeru itu, Kerajaan Sabah memperuntukkan sebanyak RM23 juta kepada Lembaga Sukan Sabah di samping RM24.69 juta untuk penyenggaraan dan pembaikan pejabat, kelab belia, asrama dan kompleks sukan agar fasiliti sukan di negeri ini sentiasa kondusif, selamat serta selesa untuk digunakan oleh atlet dan rakyat. Pembangunan sukan di luar bandar turut diberi perhatian. Oleh itu, pembangunan Kompleks Sukan Kunak disyorkan untuk disenaraikan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) yakni pada tahun 2026.

Seterusnya, Kerajaan Sabah juga akan memperuntukkan sebanyak RM10.05 juta untuk pemberian belia dan sukan sebagai tanda penghargaan kepada mana-mana persatuan belia dan sukan yang mengharumkan nama Negeri Sabah sama ada di peringkat daerah, negeri, kebangsaan mahupun di peringkat antarabangsa.

Tuan Speaker, saya terus pergi kepada Program Pembasmian Kemiskinan. Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya di bawah teras inisiatif utama modal insan dan kesejahteraan rakyat menggariskan mengenai inisiatif pembasmian kemiskinan sebagai salah satu usaha ke arah meningkatkan kesejahteraan rakyat. Oleh itu, sebagai usaha berterusan Kerajaan Sabah bagi memastikan golongan miskin ini tidak ketinggalan dari arus perdana pembangunan, baik dari segi taraf hidup dan kebajikan mahupun ekonomi, Kerajaan Sabah memperuntukkan sebanyak RM488.5 juta untuk melaksanakan pelbagai program pembasmian kemiskinan seperti berikut:

Pertama : Sebanyak RM250 juta iaitu peningkatan 100% peruntukan bagi pembinaan sebanyak 3,000 unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya di semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, setakat Oktober 2024, sebanyak 4,482 buah Rumah Mesra SMJ telah dibina;

Kedua : Bantuan one-off sebanyak RM5,000 yang buat pertama kalinya disediakan oleh Kerajaan Sabah sebagai tanda prihatin kepada peniaga gerai kecil tepi jalan yang mempunyai lesen perniagaan yang sah (bunyi ketukan meja);

Ketiga : RM214 juta diperuntukkan untuk kerja-kerja di bawah peruntukan khas dan projek pembangunan kecil bagi pembinaan serta penyelenggaraan infrastruktur dan kemudahan awam di seluruh Sabah; dan

Keempat : RM19.5 juta diperuntukkan untuk Program Pembangunan Kecil, Program Penyediaan Kemudahan dan pembaikan kawasan MESEJ, Program Ameniti dan Ekonomi Desa, Program Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif, Program Bekalan Air Luar Bandar Alternatif dan Program Aktiviti Ekonomi Tambahan.

Tuan Speaker, seperti yang kita ketahui, pelarasan gaji kakitangan awam dan penetapan gaji minimum bagi sektor swasta akan mengakibatkan harga barangan meningkat secara mendadak. Keadaan ini akan memberi kesan khususnya kepada mereka yang bekerja sendiri seperti petani, nelayan, penjaja dan yang tidak mempunyai pekerjaan dan pendapatan yang tetap. Dengan mengambil kira jumlah

pendapatan yang diterima masih berada di tahap yang sama, kenaikan harga barangan akibat daripada pelarasan gaji dan juga penetapan gaji minimal bagi mereka yang bergaji bulan. Selepas kenaikan barang ini secara langsung akan membebankan kehidupan mereka yang bekerja sendiri.

Oleh itu, bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup yang lebih tinggi, buat julung kalinya pada tahun hadapan, Kerajaan Sabah akan menyantuni golongan yang terkesan dalam kategori miskin dan miskin tegar yang telah dikenal pasti melalui Program Sentuhan Kasih Rakyat dengan bantuan khas sebanyak RM300 sebulan selama satu tahun (bunyi ketukan meja) yang melibatkan peruntukan sebanyak RM358.5 juta. Bantuan ini juga diharapkan dapat mengurangkan beban kewangan dalam tempoh tertentu sekaligus memberi ruang kepada mereka untuk menyesuaikan diri dan mencari ikhtiar baharu dalam menambah pendapatan.

Tuan Speaker, Kerajaan Sabah juga memberi tumpuan serius terhadap aspek kesihatan dan pendidikan. Walaupun kedua-dua bidang ini di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, kerjasama antara Kerajaan Sabah dan Persekutuan adalah penting untuk memastikan rakyat Sabah mendapat akses dan menikmati kemudahan serta perkhidmatan yang setaraf dengan rakyat di Sarawak dan juga di Semenanjung.

Kita juga sangat mengalu-alukan pengumuman oleh YAB Datuk Seri Panglima Perdana Menteri mengenai peruntukan RM80 juta untuk menaik taraf Hospital Queen Elizabeth II menjadi hospital pakar jantung kedua selepas Institut Jantung Negara atau IJN. Ini tidak hanya akan meningkatkan akses kepada rawatan jantung yang berkualiti tetapi juga akan memudahkan pesakit di Sabah dan wilayah berhampiran untuk menerima rawatan. Di samping itu, usaha untuk menaik taraf kemudahan penjagaan kesihatan di seluruh Sabah, terutamanya di kawasan luar bandar melalui Program Bitara Madani, menunjukkan komitmen Kerajaan Pusat memastikan seluruh rakyat, tanpa mengira lokasi, mendapat perkhidmatan kesihatan yang diperlukan. Inisiatif ini pasti akan memberikan impak yang besar terhadap tahap kesihatan dan kesejahteraan masyarakat negeri ini.

Dari aspek pendidikan pula, sepertimana yang dibentangkan dalam Belanjawan Negara 2025, Kerajaan Sabah akan menghargai …

Datuk Seri Panglima Haji Masidi bin ManjunPGRS · GRSMenteri Kewangan · Karanaan

…komitmen Kerajaan Persekutuan untuk menaik taraf sekolah-sekolah di Sabah khususnya sekolah yang daif. Dengan usaha ini, diharapkan anak-anak kita dapat menikmati akses kepada pendidikan yang lebih berkualiti dan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.

Tuan Speaker, saya pergi kepada Pembangunan Luar Bandar. Sebagai agensi yang memainkan peranan penting untuk melicinkan usaha Kerajaan Sabah dalam melaksanakan pelbagai program pembangunan luar bandar khisusnya Program Pembasmian Kemiskinan agar sampai ke pelusuk Negeri Sabah termasuk sebagai pentadbir di peringkat daerah, maka sebanyak RM345.93 juta telah diperuntukkan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Pejabat-pejabat Daerah dan Pejabat-pejabat Daerah Kecil. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, Kerajaan Sabah akan membina bangunan baharu Pejabat Daerah Kunak, Pejabat Daerah Kecil Sukau dan Bangunan Urus Setia Pejabat Daerah Kecil Kiulu pada tahun hadapan bagi menambah baik penyampaian perkhidmatan awam di daerah tersebut.

Kerajaan Sabah turut memberi penekanan dalam Belanjawan ini untuk memastikan pembangunan wilayah yang seimbang. Oleh itu, Kerajaan Sabah melalui Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) dan jabatan di bawahnya akan diperuntukkan sebanyak RM247.01 juta. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM10.32 juta adalah diperuntukkan untuk meneruskan projek pembinaan sedia ada antaranya projek perumahan kos rendah, pembinaan bangunan Mahkamah Anak Negeri serta menambah baik projek kemudahan awam.

Sebanyak RM3.15 juta diperuntukkan pada tahun hadapan bagi pembangunan projek kemudahan awam di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) antaranya Cadangan Menaik Taraf Dewan Komuniti Kota Marudu, Membina Tapak Tamu Baru Melalap Tenom, Menaik Taraf Terminal Bas Bandar Lahad Datu dan Cadangan Pembinaan Bangunan Pejabat Majlis Daerah Putatan. Pembangunan semua prasarana ini dijangka dapat memberikan keselesaan kepada para peniaga dan

masyarakat umum di kawasan berkenaan di samping menjana pendapatan PBT melalui kutipan sewaan lot gerai dan lesen-lesen perniagaan.

Selain daripada itu, Kerajaan Sabah turut memperuntukkan RM20.01 juta untuk pembinaan dewan serbaguna di Daerah Membakut, Paitan, Matunggong, Telupid dan Sukau di samping menaik taraf Dewan Tun Mustapha di Kudat sebagai kemudahan kepada rakyat berkumpul dan mengadakan program kemasyarakatan. Sebagai tambahan, pembinaan baharu Dewan Masyarakat Kunak juga disyorkan untuk disenaraikan dalam RMKe-13.

Seterusnya, Projek Naiktaraf Pasar Sri Tanjung, Tawau dan Pasar Rakyat di Bandar Nam Tung Karamunting, Sandakan akan dilaksanakan pada tahun hadapan dengan peruntukan RM11.71 juta bagi memberi keselesaan kepada para peniaga dan pembeli yang berurus niaga di pasar tersebut.

Tuan Speaker, Kerajaan Sabah akan terus memberi perhatian yang lebih menyeluruh terhadap rakyat untuk memiliki rumah yang selesa terutamanya pada golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Kerajaan Sabah akan meneruskan projek pembinaan perumahan awam mampu milik sebanyak 225 unit di Daerah Kemabong Tenom, Sukau Kinabatangan, Melalap Tenom, Beluran dan Pitas melalui Lembaga Perumahan dan Pembangunan Bandar (LPPB) dengan peruntukan sebanyak RM10.05 juta.

Selain daripada itu, Kerajaan Sabah melalui LPPB komited akan meneruskan agenda kerajaan di dalam membantu mengatasi masalah kemiskinan bandar dan luar bandar di negeri ini melalui program pembangunan pekan baharu. Oleh itu, sebanyak RM3.49 juta peruntukan disediakan pada tahun hadapan bagi meneruskan pelaksanaan projek pembangunan pekan baharu sedia ada termasuk memulakan dua projek baharu di Pekan Baharu Pagalungan, Nabawan dan juga Pekan Baharu Sukau, Kota Kinabatangan.

Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah diperuntukkan sebanyak RM6.58 juta bagi perbelanjaan operasi seterusnya memastikan pembangunan tanah di bandar dan luar bandar termasuk perairan di seluruh Sabah lebih teratur, progresif dan mampan

selaras dengan Pelan Struktur Negeri Sabah 2033. Daripada jumlah tersebut sebanyak RM730 ribu adalah bagi penyediaan pelan-pelan tempatan.

Tuan Speaker, sebanyak RM80.19 juta diperuntukkan kepada Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah sebagai agensi yang bertanggungjawab memastikan kebajikan dan adat resam anak negeri atau natives yang tinggal di kawasan luar bandar di negeri ini terus terpelihara. Daripada jumlah tersebut RM68.04 juta adalah merupakan perbelanjaan untuk Ketua-ketua Adat Negeri. Manakala RM1.4 juta adalah bagi meneruskan projek pembinaan Mahkamah Anak Negeri di Tamparuli, Sook, Paitan dan Pagalungan.

Tuan Speaker, saya pergi kepada Pembangunan Infrastruktur dan Utiliti. Kerajaan Sabah akan terus komited dalam menangani isu-isu legasi seperti bekalan air dan elektrik, rangkaian jalan raya dan kemudahan awam. Oleh itu, sebanyak RM2.607 bilion diperuntukkan bagi menangani isu-isu tersebut.

Kementerian Kerja Raya dan Jabatan di bawahnya diperuntukkan RM1.34 bilion. Daripada jumlah tersebut, Jabatan Kerja Raya diperuntukkan RM424.53 juta bagi pelaksanaan program membina dan menaik taraf jalan raya di kawasan bandar, luar bandar dan pekan kecil, membina dan menaik taraf jambatan, cerun, bangunan kerajaan dan program infrastruktur yang lain.

Selain daripada itu, dan ini menunjukkan satu isu yang hangat kerana melibatkan semua pengguna jalan raya daripada pantai timur yang hendak ke Kota Kinabalu mahupun daripada pantai barat yang hendak pergi ke pantai timur seperti Tawau dan juga Sandakan atau Lahad Datu maka RM75 juta diperuntukkan bagi membina jalan alternatif baharu antara Pekan Kundasang dan Pekan Ranau yang menjadi greek log ataupun tempat kesesakan yang paling teruk sepanjang jalan raya antara pantai timur dan pantai barat. Untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas termasuk pembinaan jambatan simen di Pensiangan dan Pitas untuk memudahkan pelajar ke sekolah yang selama ini menggunakan perahu.

Kerajaan Sabah amat memandang serius berkenaan ketidakcukupan air yang menjadi isu hangat oleh pelbagai pihak. Justeru itu, Jabatan Air Negeri Sabah diperuntukkan sebanyak RM729.79 juta bagi melaksanakan program-program

penyelesaian segera dan jangka pendek yang bertujuan meningkatkan kapasiti dan keberkesanan sistem bekalan air, sekaligus memastikan keperluan air rakyat dapat dipenuhi dengan lebih baik.

Sebagai penyelesaian jangka sederhana dan jangka panjang, sebanyak RM174.86 juta melalui biayaan Program Pinjaman Mudah Persekutuan akan diperuntukkan pada tahun hadapan. Peruntukan ini akan melibatkan pelaksanaan sebanyak tiga (3) buah projek yang melibatkan menaik taraf loji rawatan air serta penggantian dan menaik taraf pam penggalak bagi muka sauk dan loji rawatan air di daerah Putatan, Beaufort, Papar, Keningau, Lahad Datu dan Kota Kinabalu.

Bagi meningkatkan liputan perkhidmatan bekalan air terawat termasuk pembangunan infrastruktur bekalan air bersih di luar bandar, geran Persekutuan sebanyak RM100.01 juta melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Malaysia diperuntukkan pada tahun hadapan untuk melaksanakan program Bekalan Air Luar Bandar.

Peruntukan sebanyak RM29.94 juta disediakan kepada Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah pada tahun hadapan untuk meneruskan kerja-kerja penyelenggaraan kemudahan pelabuhan di bawah kawalan Jabatan di seluruh Sabah. Selain daripada itu, terdapat tiga (3) projek baharu akan dimulakan pada tahun hadapan iaitu Pengorekan Dasar Sungai Mengalong, Sipitang dan Sungai Sitompok, Kuala Penyu serta Projek Cadangan Naik Taraf Jeti Awam Pekan Karakit, Banggi Fasa 2.

Kerajaan Negeri Sabah juga akan memastikan perkhidmatan keretapi yang terbaik dan kondusif dapat disediakan kepada rakyat. Justeru itu, Jabatan Keretapi Sabah akan diperuntukkan sebanyak RM63.61 juta untuk perbelanjaan operasi serta meneruskan projek-projek penaiktarafan dan penambahbaikan sistem keretapi yang sedia ada, melalui penyediaan aset pengangkutan yang mencukupi, infrastruktur landasan dan kemudahan yang bertambah baik, serta sumber manusia yang terlatih. Penambahan satu (1) unit lokomotif pada tahun hadapan dijangka akan meringankan frekuensi perkhidmatan…

Menteri Kewangan [Datuk Seri Panglima Haji Masidi Bin Manjun]:…dan memperkenalkan perkhidmatan baharu secara berperingkat. Selain itu, Kajian Kemungkinan dan Rekabentuk Awalan Pembinaan Sistem Keretapi Bagi Menghubungkan Putatan ke KKIP dan Pelabuhan Sepanggar dengan jarak jajaran landasan sekitar 40 KM akan dilaksanakan. Sebagai tambahan, dengan sokongan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan. Kajian Kebolehlaksanaan Projek Trans-Borneo Railway juga akan dilaksanakan yang melibatkan Kajian Pembinaan Rangkaian Landasan Keretapi merentasi Sabah dan Sarawak yang melibatkan jumlah jarak sekitar 970 KM di Negeri Sabah.

Dalam menyediakan sistem pembentungan yang lebih efisien dan menyeluruh, Kerajaan Sabah telah memperuntukkan sebanyak RM91.59 juta kepada Jabatan Perkhidmatan Pembentungan Negeri Sabah. Peruntukan ini juga akan digunakan bagi melaksanakan seperti dalam Pelan Induk Program Pembentungan Negeri Sabah khususnya bagi kerja-kerja membaikpulih stesen-stesen pam, loji rawatan kumbahan dan rangkaian paip pembentungan di daerah Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Penampang dan lain-lain daerah yang diambil alih daripada PBT.

Di samping itu, Kerajaan Sabah juga akan melaksanakan empat (4) projek pembinaan loji rawatan kumbahan dan loji enap cemar di daerah Tuaran, Penampang, Papar dan Kudat di bawah Pinjaman Mudah Persekutuan dengan peruntukan sebanyak RM100 juta pada tahun 2025.

Selain daripada Kementerian Kerja Raya Sabah dan Jabatan di bawahnya, agensi lain yang turut terlibat melaksanakan pelbagai program infrastruktur asas antaranya ialah KKTP, JPS dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu.

Tuan Speaker, bagi Kelestarian Hijau. Kerajaan Sabah akan melaksanakan program pembangunan yang bercirikan kelestarian hijau dengan memberi keutamaan kepada pengguna dan pengurusan sumber asli atau aset semula jadi dengan penuh tanggungjawab serta memastikan perlindungan alam sekitar,

kesejahteraan sosial dan pertumbuhan ekonomi dapat dipelihara untuk generasi akan datang.

Selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya, keutamaan diberikan kepada tindakan mitigasi dan adaptasi perubahan iklim serta pengurangan risiko bencana demi memastikan pertumbuhan ekonomi yang harmoni dengan kemampanan alam sekitar. Melalui pendekatan ini, pembangunan yang dijalankan akan lebih berdaya tahan dan mesra alam, seterusnya menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan di peringkat negeri. Untuk itu, sebanyak RM180.86 juta telah diperuntukkan pada tahun hadapan kepada Jabatan-Jabatan yang bertanggungjawab merealisasikan matlamat tersebut.

Sebanyak RM134.96 juta diperuntukkan kepada Jabatan Perhutanan Sabah dan Pusat Biodiversiti Sabah sebagai komitmen kerajaan terhadap program pemuliharaan, inisiatif perhutanan lestari dan projek pembangunan komuniti.

Selain itu, kerajaan turut memberi tumpuan kepada aspek kelestarian hidupan liar, justeru itu, sebanyak RM29.85 juta diperuntukkan kepada Jabatan Hidupan Liar untuk tujuan operasi, aktiviti penguatkuasaan dan pelaksanaan program kesedaran serta perlindungan hidupan liar di samping mengurus mitigasi konflik hidupan liar dengan manusia.

Tuan Speaker, Kerajaan Sabah melalui Jabatan Perlindungan Alam Sekitar diperuntukkan sebanyak RM10.76 juta perbelanjaan operasi dan pembangunan pada tahun hadapan untuk meneruskan pelbagai aktiviti mengarusperdanakan perlindungan alam sekitar dalam setiap aktiviti pembangunan secara mampan.

Dengan peruntukan sebanyak RM5.36 juta, beberapa kajian dijangka akan selesai pada tahun hadapan yang akan menjadi panduan yang penting kepada badan kerajaan dan pemegang taruh dalam pembangunan perlindungan alam sekitar yang mapan. Antaranya ialah Kajian Semula Pelan Pengurusan Pesisir Pantai Sabah, Kajian Kestabilan Cerun serta Garis Panduan Pemulihan Tapak Perlombongan dan Kuari di Sabah. Daripada jumlah tersebut sebanyak RM1.3 juta adalah bagi Kajian Penyediaan Pelan Pengurusan Buangan Terjadual di Sabah dijangka akan siap

tahun 2025 sebagai persediaan kerajaan dalam memperoleh komitmen di bawah Perjanjian MA63.

Tuan Speaker, saya beralih kepada Badan Berkanun dan Agensi Kerajaan Sabah. Untuk makluman Dewan yang mulia Ini, Kerajaan Sabah kini mempunyai 21 Badan Berkanun Negeri yang melaksanakan aktiviti pembangunan sosioekonomi dan 26 Syarikat Kerajaan Negeri (GLC) yang terlibat dalam pelbagai bidang komersial.

Kerajaan Sabah telah melantik panel perunding dan mengadakan mesyuarat untuk melaksanakan kajian semula ke atas syarikat yang bermasalah serta meneliti isu yang dihadapi agensi melalui Jawatankuasa Perunding dan Pengawasan Badan Berkanun dan Syarikat Kerajaan Sabah. Pada tahun ini juga, Kerajaan Sabah telah mengadakan Bengkel tatakelola Tadbir Urus Korporat dengan melibatkan beberapa agensi yang kurang berprestasi bertujuan untuk menilai dan mengemasi kini KPI agensi yang terlibat selaras dengan objektif penubuhan.

Kerajaan Sabah juga mengambil berat dan tegas ke atas aktiviti yang dilaksanakan oleh agensi seperti lawatan ke luar negeri dan cadangan-cadangan usaha sama. Cadangan-cadangan ini perlu dibawa untuk pertimbangan Jemaah Menteri. Ini bertujuan untuk mengawal perbelanjaan agensi agar tidak membebankan Kerajaaan Sabah dan agensi kelak.

Saya ingin menegaskan sekali lagi keapda Agensi Awam Negeri, bahawa dana yang diterima daripada Kerajaan Sabah hendaklah digunakan dengan amanah dan sentiasa mengutamakan tanggungjawab membantu kerajaan dalam meningkatkan taraf sosioekonomi negeri.

Tuan Speaker, untuk makluman Dewan yang mulia ini, Kerajaan Sabah pada tahun ini menerima hasil daripada dividen dan sumbangan Agensi Awam Negeri berjumlah RM 131.25 juta dan jumlah ini dijangka akan meningkat lagi menjelang penghujung tahun ini dengan dipacu oleh “maju nda baranti” yang diambil daripada dialek Brunei membawa maksud kemakmuran berterusan.

“Maju nda beranti” nganya.

Kemakmuran berterusan ya. Kalau orang Ranau terus maju. Kerajaan Sabah mengucapkan syabas dan tahniah kepada Agensi Awam Negeri yang telah merekodkan keuntungan dan membayar dividen kepada Kerajaan Sabah antaranya:

1.

SMJ Energy Sdn. Bhd.; 2.

Perbadanan Pinjaman Sabah.; 3.

Sabah Energy Corporation Sdn. Bhd.; 4.

K.K.I.P Sdn. Bhd.; 5.

Saham Amanah Berhad.; 6.

Innoprise Corporation Sdn. Bhd.; 7.

Sawit Kinabalu Sdn. Bhd.; 8.

Desa Plus Sdn. Bhd.; 9.

Sabah International Dairies Sdn. Bhd.; 10.

Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO); 11.

Borneo Development Corporation Sdn. Bhd.; 12.

Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah.; dan 13.

Sabaras Sdn. Bhd.

Manakala dividen yang diperolehi daripada syarikat tersenarai BURSA Malaysia adalah:

1.

FGV Holdings Berhad; 2.

Malaysia Airport Holdings Berhad; 3.

Suria Capital Holdings Berhad; dan 4.

Petronas Dagangan Berhad.

Untuk penerimaan sumbangan daripada Agensi Awam, Kerajaan Sabah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada:

1.

Sawit Kinabalu Sdn. Bhd.; 2.

Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah; 3.

Lembaga Industri Getah Sabah; 4.

Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah; 5.

Jetama Sdn. Bhd.; 6.

Lembaga Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan); 7.

Smart Sabah Corporation Sdn. Bhd.; 8.

Kinabalu International Hotel Sdn. Bhd.; 9.

Lembaga Pelancongan Sabah; 10.

Perkasa Hotel Holdings Sdn. Bhd.;

11.

Sabah Fish Marketing Sdn. Bhd.; 12.

Lembaga Kemajuan Perhutanan Negeri Sabah (SAFODA); dan 13.

Tabin Wildlife Holidays Sdn. Bhd.

Badan Berkanun Negeri dan Syarikat Kerajaan Sabah akan merekodkan keuntungan ini perlu dicontohi Agensi Awam Negeri yang lain agar dapat berusaha dengan lebih gigih dan memperbaiki kedudukan kewangan dan prestasi mereka.

Tuan Speaker, saya pergi kepada Perkhidmatan Awam Negeri. Dalam memastikan penjawat awam negeri sentiasa cekap, kompeten dan berkemahiran tinggi, Kerajaan Sabah akan:

1.

Memperuntukkan sebanyak RM 16.09 juta bagi maksud perbelanjaan pembangunan …

Datuk Seri Panglima Haji Masidi bin ManjunPGRS · GRSMenteri Kewangan · Karanaan

…sumber manusia.

2.

RM3.5 juta bantuan kewangan yang dikhaskan untuk pegawai perkhidmatan awam negeri melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah secara sepenuh atau separuh masa di IPT dalam dan luar negeri.

3.

Sebanyak RM3 juta diperuntukkan sebagai bantuan kewangan kepada perkhidmat, sebanyak RM3 juta diperuntukkan sebagai bantuan kewangan kepada pegawai Perkhidmatan Awam Negeri bagi menjalani Program Latihan Dalam Perkhidmatan di dalam dan luar negeri yang berimpak tinggi; dan

4.

Melaksanakan pengukuhan kompetensi dan keempat, melaksanakan pengukuhan kompentensi secara komprehensif merentasi ke semua skim perkhidmatan.

Tuan Speaker, bagi menjaga kebajikan dan memastikan motivasi penjawat awam negeri sentiasa berada pada paras yang tinggi, maka selaras dengan pengumuman oleh YAB Datuk Seri Panglima Perdana Menteri berkaitan dengan pelarasan gaji penjawat awam Persekutuan pada bulan September yang lalu, Kerajaan Sabah juga akan turut menyemak semula kadar gaji penjawat awam negeri termasuk yang berstatus kontrak, vot terbuka dan pekerja sambilan harian (bunyi ketukan meja). Kerajaan Sabah juga akan melaksanakan pelarasan gaji melalu dua fasa, iaitu pada bulan Disember tahun ini dan fasa kedua pada tahun 2026. Pelarasan ini akan melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM149 juta dan merupakan hasrat kerajaan untuk mendapatkan, untuk merapatkan jurang pendapatan rakyat termasuk penjawat awam.

Kita sedar penjawat awam negeri adalah merupakan nadi utama jentera dan pentadbir perkhidmatan kerajaan. Oleh itu, selain daripada pelarasan gaji, Kerajaan Sabah juga ingin membawa khabar gembira kepada para penjawat awam Negeri Sabah dengan memberi bantuan khas kewangan atau apa yang popular dipanggil bonus sebanyak satu bulan gaji (bunyi ketukan meja dan tepukan tangan) atau minimum RM3,000 kepada semua anggota perkhidmatan awam Negeri Sabah termasuklah yang berstatus kontrak, vot terbuka, pekerja sambilan harian. Bayaran bantuan khas…

Speaker

Tak payah tepuklah, ini bukan konsert. Tak payah tepuk.

Datuk Seri Panglima Haji Masidi bin ManjunPGRS · GRSMenteri Kewangan · Karanaan

Bayaran bantuan khas kewangan ini yang melibatkan seramai 18,949 orang dengan implikasi kewangan sebanyak RM68.48 juta akan dibayar pada bulan Januari tahun hadapan (bunyi ketukan meja).

Akhirnya, penutup Tuan Speaker. Lima tonggak yang mendasari Belanjawan Negeri Sabah 2025 menunjukkan bahawa ianya bukan sahaja mempunyai matlamat yang jelas, tetapi juga dilengkapi dengan strategi untuk menjayakannya. Kita mendengar suara akar umbi yang mahukan landskap sosioekonomi yang lebih saksama, serta inginkan akses kepada peluang untuk ah, inginkan akses kepada peluang ‘kek’ ekonomi yang lebih adil. Oleh itu, Belanjawan Negeri 2025 digubal dengan dua tonggak teratas, iaitu aspirasi untuk menjana lebih rancak pertumbuhan sektor-

sektor ekonomi produktif dan dalam masa yang sama, mencipta pola pembangunan lebih inklusif.

Kita juga menyedari bahawa dua tonggak ini akan, hanya akan tercapai jika disertai strategi yang tepat. Maka, tiga tonggak lagi diberi tumpuan dalam Belanjawan ini yang berfungsi untuk memacu dan memboleh daya dua matlamat utama, iaitu pertumbuhan ekonomi dan agihan saksama. Tiga tonggak pemacu tersebut adalah pembangunan modal insan, penaiktarafan infrastruktur dan pengukuhan kecekapan tadbir urus khususnya sistem penyampaian perkhidmatan. Maksudnya, Belanjawan Negeri 2025 diolah dengan sangat teliti dari segi agihan mengikut prioriti dan strategi.

Tuan Speaker, untuk makluman Dewan yang mulia ini, Jemaah Menteri telah menjalankan lawatan kerja ke semua Kementerian Negeri untuk memahami dan sama-sama menangani isu-isu yang dihadapi oleh setiap kementerian dan jabatan dalam melaksanakan peranan masing-masing demi memastikan aspirasi dan hala tuju kerajaan sampai kepada rakyat. Ini membuktikan bahawa barisan Jemaah Menteri komited untuk terus memperbaiki dan menangani isu-isu yang dihadapi di peringkat kementerian khususnya dan di peringkat negeri amnya. Lawatan kerja seperti ini akan dijadikan amalan dan diteruskan pada tahun-tahun yang mendatang. Ini akan menunjukkan bahawa kerajaan yang ada sekarang adalah kerajaan yang bekerja dan memberi perkhidmatan kepada rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik sesuai dengan mandat yang diberi oleh rakyat.

Oleh itu, di kesempatan ini saya ingin menggesa agar semua pemimpin khususnya wakil-wakil rakyat untuk sama-sama turun padang untuk menyantuni keperluan dan kebajikan rakyat di kawasan masing-masing sesuai dengan peranan dan tanggungjawab Ahli-ahli Yang Berhormat. Kita semua perlu bersatu demi kemakmuran dan kesejahteraan negeri kita yang tercinta jika ingin mengecapi pembangunan dan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Tempoh lima tahun yang diberikan kepada kerajaan ini untuk mentadbir negeri Sabah hampir sampai ke penghujung penggal. Segala janji khususnya perancangan pembangunan sesuai dengan hala tuju Sabah Maju Jaya telahpun dikotakan. Walaupun banyak kata-kata sindiran dan tohmahan mengenai cogan kata Sabah Maju Jaya, namun kepimpinan kerajaan ini tetap berdiri teguh mempertahankan

pendirian dalam melaksanakan amanah yang telah diberi oleh rakyat hasil daripada kepimpinan yang diterajui oleh YAB Datuk Seri Panglima Ketua Menteri (bunyi ketukan meja). Bak kata pepatah Bajau Samah “Pipit Bisu Mangan Ta’Uran” yang merujuk kepada individu yang berjaya menyelesaikan kerja dengan baik tanpa perlu menghebahkan kepada orang lain (bunyi ketukan meja).

Oleh itu, mari kita bersama-sama menyokong dan mendukung Belanjawan Negeri 2025 demi kesinambungan pembangunan dan kemajuan negeri ini. Semoga dengan Belanjawan Negeri 2025 ini akan dapat menjamin kesejahteraan hidup rakyat sesuai dengan tema Belanjawan ini “Sabah Makmur, Rakyat Sejahtera”.

Akhir sekali, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan kepada semua Ahli Yang Berhormat serta rakyat beragama Kristian, Selamat Menyambut Hari Krismas dan kepada seluruh rakyat Negeri Sabah yang dikasihi, Selamat Menyambut Tahun Baharu 2025.

Bunga mekar, harum berseri, Daun bergoyang, daun selasih; Bajet dibentang, jelas sekali, Sekian, terima kasih.

Tuan Speaker, saya mohon mencadang.

Speaker

Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Saya minta ada seorang Menteri menyokong.

Datuk Phoong Jin ZheDAP · WARISAN-PLUSMenteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan · Luyang

Tuan Speaker, saya menyokong.

Usul untuk membawa resolusi Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2025Motion

Setiausaha Dewan

Usul untuk membawa resolusi Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2025.

Speaker

Yang Berhormat Menteri, silakan.

Datuk Seri Panglima Haji Masidi bin ManjunPGRS · GRSMenteri Kewangan · Karanaan

Tuan Speaker, saya mohon mengemukakan resolusi kepada Jawatankuasa Perbekalan seperti berikut:

“Bahawa walau apa jua kehendak Peraturan-peraturan Tetap itu, anggaran hasil dan perbelanjaan bagi tahun 2025 yang terkandung dalam Kertas CMD3 tahun 2024, Jawatankuasa Perbekalan bacaan kedua dan ketiga Rang Undang-undang Perbekalan (2025) 2024 hendaklah dibincang pada persidangan kali ini.

Speaker

Ada yang menyokong?

Datuk Ellron bin AnginSTAR · GRSMenteri Belia dan Sukan · Sook

Tuan Speaker, saya mohon menyokong.

Speaker

Terima kasih. Ahli-ahli Yang Berhormat, berdasarkan Peraturan Tetap 82(3), Dewan hendaklah ditangguhkan selama tidak kurang daripada masa sehari genap untuk memulakan perbahasan ke atas Rang Undang-undang Perbekalan (2025) 2024 dan usul untuk membawa resolusi Anggaran Hasil dan Perbelanjaan bagi tahun 2025.

Kapal dagang dari seberang, Berat dengan muatan simen; Bajet 2025 sudah dibentang, Akan dibahas pada hari Isnin.

Oleh yang demikian, Dewan ini ditangguh sekarang dan akan bersidang semula pada 18 November (Isnin) 2024 pada pukul 10:00 pagi.

(Kedengaran ketukan sebanyak tiga kali)

Ditangguhkan sebagaimana yang dipersetujui pada pukul 5.00 petang.

Ditetapkan: “Bahawa Dewan ini ditangguhkan sekarang hingga Isnin, 18 November 2024 pukul 10.00 pagi.”

 SDN15112024/bnm