Sabah · 10 April 2025
16th Assembly, 5th session, 1st meeting · not final · 10 turns · 3,724 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalSabah's own site lists 22 sitting days; 35 more of the 16th Assembly are recovered from the Wayback Machine, and some are missing. Appointed members are not in the election register. Written answers are not published.
Permasyhuran Dari Tuan Speaker
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum, salam sejahtera dan selamat pagi.
Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, Persidangan hari ini adalah selaras dengan Artikel 21(1) Perlembagaan Negeri Sabah di mana Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri akan merasmikan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Yang Keenam Belas. Sebelum saya menempohkan Dewan ini untuk membolehkan saya menjemput Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri masuk, Dewan saya ingin memaklumkan kepada semua Ahli Yang Berhormat dan pegawai-pegawai kerajaan yang berada dalam Dewan yang mulia ini untuk mematuhi perkara tersebut: 1.
Tidak ada pergerakan keluar/masuk semasa Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri menyampaikan Ucapan Dasar Kerajaan; dan 2.
memastikan telefon bimbit ditukar ke mode senyap.
I Dengan ini dewan ditempohkan.
Tuan Speaker didahului oleh Bentara Mesyuarat dan Setiausaha Dewan keluar dari Dewan untuk menjemput Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri masuk dalam Dewan.
Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan berarak masuk ke Dewan Persidangan mengikut peraturan rasmi seperti berikut: Bentara Mesyuarat Setiausaha Dewan Undangan Negeri Timbalan-timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Speaker Dewan Undangan Negeri Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datin Seri Panglima Datuk Hajah Faridah binti Haji Tussin Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Musa bin Haji Aman, Yang di-Pertua Negeri Sabah Setiausaha Sulit kepada TYT Juruiring kepada Yang di-Pertua Negeri Bentara Mesyuarat:
Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri dan Toh Puan masuk ke Dewan Persidangan.
Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Musa bin Haji Aman, Yang di-Pertua Negeri Sabah: Tuan Speaker dan Ahli-ahli Yang Berhormat sila duduk.
Yang Amat Berhormat Ketua Menteri adalah dijemput untuk menyampaikan Teks Ucapan Dasar Kerajaan kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua NegeriAddress / budget
Yang Amat Berhormat Ketua Menteri adalah dijemput untuk menyampaikan Teks Ucapan Dasar Kerajaan kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri.
I UCAPAN DASAR KERAJAAN OLEH TUAN YANG TERUTAMA YANG DI-PERTUA NEGERI SABAH TUN DATUK SERI PANGLIMA (DR) MUSA BIN HAJI AMAN BERSEMPENA DENGAN ISTIADAT PEMBUKAAN MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KELIMA TAHUN 2025 DEWAN UNDANGAN NEGERI SABAH YANG KEENAM BELAS PADA 10 APRIL 2025 Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera.
PENDAHULUAN Tuan Speaker dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya jua, dapatlah kita berhimpun dalam Dewan yang mulia ini sempena Pembukaan Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah Yang Keenam Belas.
Sesungguhnya, istiadat pembukaan Dewan yang mulia pada hari ini amat bermakna kepada saya, kerana ini merupakan kali pertama saya menyampaikan Ucapan Dasar Kerajaan setelah melafaz sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah kesebelas pada 1 Januari yang lalu.
Ahli-ahli Yang Berhormat, kita kini berada di penghujung pelaksanaan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) dan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 1.0: 2021-2025 (Pelan Pembangunan SMJ). Kedua-dua dasar pembangunan utama ini telah dirangka dengan pelbagai inisiatif dan program yang bertujuan untuk memacu ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat secara holistik dan inklusif.
I Bagi merealisasikan matlamat ini, saya menyeru agar semua pihak untuk terus bekerjasama bagi memastikan setiap inisiatif yang digariskan dalam RMK-12 dan Pelan Pembangunan SMJ dilaksanakan dengan jayanya.
Memperkasa Pelaburan Dalam Sektor Pembuatan
Ahli-ahli Yang Berhormat, seiring dengan peningkatan aliran masuk pelaburan, sektor pembuatan terus memainkan peranan penting dalam merangsang ekonomi negeri. Pelaburan yang berterusan dalam sektor ini bukan sahaja memberi impak positif kepada sektor pembuatan tetapi juga membuka peluang untuk integrasi teknologi, memperkukuhkan infrastruktur serta mencipta peluang pekerjaan. Untuk itu, tumpuan akan diberikan bagi membangunkan lebih banyak aktiviti hiliran dalam industri-industri utama, termasuk biojisim, kelapa sawit, Perladangan Pokok Perindustrian (Industrial Tree Plantations) serta minyak dan gas.
Dengan menggalakkan pengembangan sektor-sektor ini, Sabah juga berpotensi untuk menarik lebih banyak pelaburan, sekaligus merangsang pertumbuhan ekonomi negeri yang lebih mampan.
Pada tahun 2024, Sabah telah mencatatkan jumlah pelaburan keseluruhannya sebanyak RM6.5 bilion, dengan 38.7 peratus daripadanya disumbangkan oleh sektor pembuatan. Angka ini jelas menunjukkan bahawa usaha Kerajaan Negeri untuk membangunkan sektor pembuatan berada di landasan yang tepat dan berjaya menarik lebih banyak perhatian pelabur ke negeri ini. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada Kerajaan Negeri di atas pencapaian ini.
Komitmen berterusan Kerajaan Negeri untuk memastikan pelaburan terus berkembang dapat dilihat melalui perancangan pembangunan tiga buah taman perindustrian yang baharu di Kudat, Kota Belud dan Beaufort. Pembangunan ketiga-tiga taman perindustrian ini kelak dijangka akan membuka lebih banyak peluang pelaburan dan pekerjaan untuk warga tempatan dalam tempoh 5 hingga 10 tahun yang akan datang.
I MENGUKUHKAN KETERJAMINAN MAKANAN DAN PRODUKTIVITI PERTANIAN Ahli-ahli Yang Berhormat, perubahan iklim yang melampau dan kejadian bencana alam yang kerap berlaku pada masa ini sememangnya amat membimbangkan. Situasi ini berpotensi menjejaskan sekuriti makanan, sekiranya kita gagal mengambil langkah proaktif untuk memperkukuhkan keterjaminan makanan. Justeru, amat penting bagi Kerajaan Negeri untuk berusaha meningkatkan produktiviti sektor pertanian yang merupakan pembekal utama makanan dan bahan mentah bagi industri berasaskan pertanian di Sabah.
Melalui Dasar Pertanian Negeri Sabah Ketiga, 2017-2026, industri padi dan beras telah diangkat sebagai salah satu sektor utama untuk diperkukuhkan bagi memastikan sekuriti makanan yang berterusan dan mampan. Pelbagai inisiatif telah dirangka dan dipergiat selaras dengan Pelan Pembangunan SMJ bagi mencapai matlamat untuk meningkatkan tahap sara diri (SSL) beras kepada 60 peratus menjelang tahun 2030.
Bagi menyokong usaha ini, Kerajaan Negeri turut mempergiatkan aktiviti penyelidikan dan inovasi untuk menghasilkan varieti tanaman yang lebih berdaya tahan dan berkualiti tinggi. Sebanyak 10 varieti baharu tanaman telah dihasilkan sepanjang tahun 2021 hingga 2024. Pada tahun ini, Jabatan Pertanian Sabah telah berjaya menghasilkan dua lagi varieti baharu tanaman, termasuk padi Tuaran Quality Rice 3 (TQR3), yang berpotensi menghasilkan padi yang bermutu serta mempunyai ketahanan terhadap penyakit dan perosak.
Selain itu, Kerajaan Negeri terus berusaha untuk mengukuhkan pengeluaran tanaman lain, termasuk tanaman avokado. Ini selaras dengan komitmen Kerajaan untuk menjadikan Sabah sebagai pengeluar utama avokado menjelang tahun 2030. Usaha yang sama turut dilaksanakan bagi beberapa tanaman makanan premium lain yang berpotensi untuk dieksport, seperti durian musang king dan juga nenas MD2. Dalam sektor perikanan, walaupun Sabah telah mencapai tahap sara diri (SSL) melebihi 100 peratus, Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan kepada usaha
I mengukuhkan penguatkuasaan, menarik pelaburan serta meneroka potensi perikanan laut dalam dan aktiviti akuakultur komersial.
Dalam sektor penternakan, Sabah mencatatkan peningkatan tahap sara diri (SSL) yang memberangsangkan, iaitu 2.94 peratus pada tahun 2021 kepada 9.33 peratus pada tahun 2024. Menjelang tahun 2030, Kerajaan Negeri menyasarkan tahap sara diri (SSL) sebanyak 25 peratus untuk ternakan ruminan. Untuk mencapai sasaran itu, Kerajaan Negeri akan memastikan kawalan penyakit dan biosekuriti ternakan dipertingkatkan.
Memperkasa Sektor Pelancongan
Ahli-ahli Yang Berhormat, sektor pelancongan terus menunjukkan perkembangan yang positif dan kekal sebagai salah satu penyumbang utama kepada ekonomi negeri. Sepanjang tahun lalu, jumlah ketibaan pelancong direkodkan seramai 3.1 juta orang, iaitu peningkatan sebanyak 20.4 peratus berbanding tahun 2023. Anggaran perbelanjaan pelancongan pula direkodkan sebanyak RM7.28 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 26.4 peratus berbanding tahun 2023. Perkembangan positif ini didorong oleh penambahan penerbangan terus ke Sabah melalui beberapa destinasi antarabangsa, antaranya Indonesia, China, Korea Selatan dan Vietnam. Pada tahun ini, Kerajaan Negeri menyasarkan ketibaan sebanyak 3.5 juta pelancong ke Sabah. Untuk mencapai sasaran ini, langkah-langkah proaktif akan dipergiatkan lagi, termasuk mempromosikan produk pelancongan negeri serta menganjurkan acara dan aktiviti pelancongan yang signifikan sebagai menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026. Kerjasama dengan syarikat penerbangan juga akan diperkukuh melalui peningkatan promosi dan pengembangan laluan penerbangan langsung ke Sabah.
Selain daripada itu, beberapa langkah penting perlu diambil, termasuk pembangunan dan menambah baik infrastruktur pengangkutan ke destinasi pelancongan. Aspek kebersihan, seperti di kawasan pantai dan tandas awam, juga perlu diberi perhatian serius oleh Pihak Berkuasa Tempatan, bagi memastikan keselesaan para pelancong.
I Saya merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia kerana meluluskan peruntukan berjumlah RM572.3 juta untuk menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Tawau. Penaiktarafan kedua-dua lapangan terbang ini dijangka akan dapat menampung peningkatan jumlah ketibaan pelancong ke Sabah.
Kerajaan Negeri juga telah menetapkan hala tuju bagi sektor pelancongan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13), iaitu untuk membangunkan produk pelancongan yang mampan seiring kelestarian alam semula jadi. Pada tahun ini Kerajaan Negeri akan menyenaraikan Taman Tun Mustapha dalam International Union for Conservation of Nature (IUCN) Green leaf untuk diiktiraf sebagai kawasan kelestarian alam yang memenuhi standard tinggi untuk pemeliharaan biodiversiti dan pengurusan sumber semula jadi yang mampan.
Mempertingkatkan Pembangunan Infrastruktur, Utiliti Dan Tenaga Lestari
Ahli-ahli Yang Berhormat, pembangunan infrastruktur dan utiliti merupakan pemboleh daya utama dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negeri. Untuk itu, pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1 sepanjang 706 km akan disegerakan dan ianya dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2029. Pengurusan dan perkhidmatan bekalan air bagi memastikan rakyat Sabah terus menikmati akses air terawat yang berterusan akan diperkasakan. Kerajaan optimis untuk memenuhi permintaan bekalan air bagi tempoh 30 hingga 50 tahun akan datang. Untuk itu, tiga strategi utama dilaksanakan iaitu meningkatkan pengeluaran air terawat, melaksanakan projek-projek bekalan air serta memperluas liputan bekalan air di luar bandar.
Kerajaan juga akan membangunkan Skim Bekalan Air Ulu Padas (SBAUP) yang diintegrasikan dengan Projek Hidroelektrik Upper Pada (UPHEP) di Tenom untuk memenuhi keperluan jangka panjang. Projek ini berpotensi menjadi sumber bekalan air jangka panjang bagi kawasan Pantai Barat Sabah.
I Bagi pengurusan air sisa kumbahan, Kerajaan akan menambah baik infrastruktur sedia ada dan penyediaan perkhidmatan di kawasan yang belum diliputi. Selain itu, program pendidikan mengenai pemeliharaan sistem pembentungan juga akan dipergiatkan.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, bagi meningkatkan kapasiti bekalan elektrik di Sabah, pelbagai langkah mitigasi interim dan fast track telah diambil. Antaranya seperti menaik taraf Pencawang Masuk Utama (PMU) Jalan Dam di Lahad Datu dan pemasangan Capacitor Bank di Tawau yang dijangka siap pada tahun ini. Dengan pelaksanaan langkah interim dan projek-projek fast track ini, jidar (margin) simpanan penjanaan negeri yang sebelum ini kurang daripada 10 peratus, dijangka meningkat kepada 29 peratus pada tahun ini.
Kerajaan Negeri juga memberi tumpuan kepada projek-projek tenaga boleh baharu serta menyasarkan komposisi 50 peratus tenaga boleh baharu ke grid Sabah menjelang 2035. Dua projek hidroelektrik di Sungai Padas disasarkan siap sepenuhnya pada tahun 2030. Selain itu, melalui kajian Sabah Hydro Development Masterplan, Kerajaan Negeri telah mengenal pasti projek-projek hidroelektrik lain untuk dilaksanakan sehingga tahun 2040.
Bagi mencapai agenda Peralihan Tenaga dan sasaran Neutral Karbon menjelang 2050, Kerajaan Negeri juga komited untuk melaksanakan projek-projek hidrolelektrik, solar serta sumber-sumber tenaga boleh baharu lain yang berpotensi, seperti geoterma, tenaga angin, biotenaga dan Ocean Thermal Energy Conversion (OTEC). Usaha ini juga adalah selari dengan inisiatif Ekonomi Biru yang sedang diteroka di negeri Sabah. Pengurusan penggunaan tenaga secara cekap turut diberikan perhatian dengan pelaksanaan inisiatif Sabah Energy Efficiency Action Plan (SEEAP), yang akan dilancarkan pada akhir tahun ini.
Memperkasa Modal Insan Melalui Pendidikan Dan Latihan
Ahli-Ahli Yang Berhormat, pelaburan dalam pembangunan modal insan, khususnya melalui pendidikan dan kemahiran, merupakan langkah strategik yang dilaksanakan Kerajaan Negeri untuk Negeri Sabah bagi melanjutkan pelajaran di institusi tinggi melahirkan modal insan yang berkualiti, kompeten serta berdaya saing.
I Saya memuji usaha Kerajaan Negeri kerana menyediakan sejumlah RM42.14 juta bantuan pendidikan yang memberikan manfaat kepada lebih 60 ribu penerima. Pada tahun ini, dua (2) lagi inisiatif tambahan diperkenalkan, iaitu Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Sabah secara one-off (SENTOSA) dan Sumbangan Kegiatan Sekolah Sabah secara one-off (SUSKES).
Di samping itu, Kerajaan Negeri juga meneruskan inisiatif Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah yang ditawarkan kepada anak negeri Sabah bagi melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negeri.
Progrem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta program pembangunan kapasiti dalam pelbagai sektor akan terus dipertingkatkan bagi memastikan tenaga kerja di Sabah sentiasa relevan dan berkemahiran tinggi. Kerajaan Negeri juga meneruskan inisiatif di bawah Pelan Pembangunan SMJ, iaitu Program Peningkatan Kemahiran Insaniah yang diberikan secara percuma kepada penduduk Sabah dan pada tahun 2024, sebanyak 179 kursus dalam bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) serta bahasa antarabangsa berjaya dilaksanakan, dengan penyertaan lebih kurang 35 ribu peserta.
Program pemerkasaan wanita akan terus dilaksanakan seperti Program Keusahawanan Ibu Tunggal dan Program Pembangunan Kepimpinan Wanita Berwibawa. Inisiatif pemasaran produk usahawan wanita akan diperhebatkan untuk memperkukuhkan ekonomi wanita.
Bagi menyokong pembangunan modal insan dalam sektor tenaga, Kerajaan giat melaksanakan program pentauliahan pusat-pusat latihan teknikal sektor gas, elektrik dan tenaga boleh baharu. Setakat ini, sebanyak 17 buah pusat latihan telah ditauliahkan, termasuk pusat latihan kompetensi gas pertama di Sabah, iaitu di Universiti Malaysia Sabah.
I MEMANTAPKAN PERANAN BELIA DAN SUKAN Ahli-Ahli Yang Berhormat, dalam usaha memperkasakan pembangunan belia, fokus diberikan kepada pelaksanaan program-program kepimpinan, kursus kemahiran dan keusahawan.
Melalui Pelan Strategik Pembangunan Sukan Sabah, 2021-2030, Kerajaan Negeri komited untuk mengembangkan bakat dan kecemerlangan belia dalam bidang sukan melalui penyediaan infrastruktur sukan yang berkualiti. Setakat ini negeri Sabah mempunyai 19 kompleks sukan dan 151 gelanggang serbaguna di kawasan-kawasan luar bandar, yang memberikan manfaat kepada rakyat.
Memperkasa Perkhidmatan Awam Yang Berkualiti, Berinovasi Dan Berintegriti
Ahli-Ahli Yang Berhormat, bagi memantapkan lagi pengurusan perkhidmatan awam negeri, Kerajaan Negeri akan meperkenalkan Dasar Latihan Sumber Manusia Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (DLSM) dan penggunaan sistem pengurusan sumber manusia secara bersepadu bagi meningkatkan keberkesanan dan kualiti perkhidmatan awam. Latihan dan kursus berimpak tinggi turut diberikan tumpuan untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan penjawat awam, selaras dengan perkembangan semasa.
Dalam usaha memajukan sistem penyampaian perkhidmatan, Kerajaan Negeri telah merangka Sabah Digital Government Innovation (SDGI) sebagai pelan induk inovasi untuk melaksanakan transformasi kerajaan digital. Pelan ini bertujuan untuk mempertingkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan dengan lebih cekap dan melalui pelan ini, Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence, AI) akan diterapkan untuk memudahkan pembuatan keputusan, mengurangkan kos dan meningkatkan kualiti perkhidmatan awam. AI juga akan merangsang inovasi dalam pelbagai sektor ekonomi serta meningkatkan daya saing Sabah dalam era digital, selari dengan agenda Kerajaan Persekutuan, iaitu AI untuk rakyat.
Kerajaan Negeri juga bertekad untuk memantapkan pengurusan Governans, Integriti dan Antirasuah (GIA) bagi mengukuhkan lagi nilai murni dan integriti dalam kalangan
I penjawat awam. Selain itu, penglibatan aktif orang awam sebagai entiti semak dan imbang kepada kualiti penyampaian perkhidmatan Kerajaan akan diperkasa melalui penggunaan secara meluas Sistem I-Adu 2.0 dan pembangunan aplikasi I-Adu APPS. MEMACU PEMBANGUNAN WILAYAH YANG SEIMBANG Ahli-Ahli Yang Berhormat, pelbagai langkah proaktif telah dilaksanakan bagi memastikan pembangunan wilayah yang seimbang agar tiada kawasan yang terpinggir daripada menikmati hasil pembangunan.
Antara langkah yang dilaksanakan termasuklah pembasmian kemiskinan dan pembangunan luar bandar. Saya berbangga dengan keprihatinan Kerajaan dalam membasmi kemiskinan tegar melalui Program Menoktahkan Kemiskinan Tegar Fasa Satu. Program ini telah berjaya menoktahkan seramai 22,510 orang Ketua Isi Rumah (KIR) dalam senarai locked figure miskin tegar pada 31 Julai 2024. Saya berharap agar langkah dan pemantauan yang berterusan akan dilaksanakan Kerajaan bagi memastikan golongan ini terus berjaya keluar dari garis kemiskinan.
Perhatian khusus juga diberikan untuk menyediakan rumah untuk golongan miskin di luar bandar, menerusi Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ). Pada tahun ini, peruntukan program ini telah dinaikkan, membolehkan sebanyak 40 unit rumah dibina di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding 20 unit pada tahun lalu. Kerajaan Negeri juga akan terus menyediakan kemudahan asas perumahan yang berkualiti dan mampu milik melalui Projek Perumahan Awam dan Program Perumahan Mampu Milik untuk memastikan rakyat, khususnya dalam kalangan B40, mendapat akses kepada kediaman yang selesa dan berpatutan.
Menerusi Pelan Induk dan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040). Kerajaan Negeri menyasarkan untuk mencapai 100 peratus liputan bekalan elektrik luar bandar menjelang tahun 2030. Untuk merealisasikan sasaran ini, Jawatankuasa Elektrifikasi Luar Bandar Sabah ditubuhkan bagi mempergiat dan mempercepatkan inisiatif-inisiatif yang dirangka serta kaedah inovasi bagi menangani isu bekalan elektrik luar bandar.
I Selain itu, masyarakat luar bandar turut menerima manfaat yang besar menerusi pelaksanaan berterusan program Bekalan Air Luar Bandar Alternatif (BALBA) dan Bekalan Elektrik Air Luar Bandar Alternatif (BELBA). Dari tahun 2021 hingga 2024, sebanyak 46 kampung yang meliputi 2,484 orang penduduk telah menerima manfaat daripada program BELBA, manakala melalui program BALBA, sebanyak 29 kemudahan air bersih telah disalurkan ke beberapa daerah pedalaman dan telah memberi manfaat kepada seramai 5,536 penduduk.
Melalui kerjasama Kerajaan Negeri dan Persekutuan, usaha meningkatkan pendapatan golongan B40 di luar bandar di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) kini menampakkan hasil yang memberangsangkan. Sabah berjaya merealisasikan eksport pertama nanas MD2 sebanyak 15 tan pada Februari lalu, melalui projek penanaman nanas di bawah inisiatif IPR dan memberi manfaat kepada seramai 450 pekebun kecil di luar bandar. Kejayaan ini bukan sahaja memberikan pendapatan tambahan kepada para pekebun kecil dalam kalangan B40 atau B40, tetapi turut membuka peluang baharu dalam sektor pertanian serta meningkatkan taraf hidup masyarakat di luar bandar.
Ahli-ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri juga memberi perhatian kepada kanak-kanak berkeperluan khas seperti autisme, dengan menubuhkan Pusat Autisme Sabah melalui kerjasama Universiti Malaysia Sabah. Pusat ini menyediakan perkhidmatan diagnosis, intervensi awal serta program terapi yang bersesuaian dengan keperluan kanak-kanak autisme.
Dalam aspek kebajikan, bantuan berterusan diberikan kepada golongan yang memerlukan, termasuk anak yatim. Kerajaan Negeri turut menyalurkan bantuan kewangan kepada Badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Kebajikan untuk menyokong program khidmat sosial yang dilaksanakan oleh pertubuhan ini. Ahli-ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri komited melestarikan alam semula jadi dan biodiversiti melalui penggunaan sumber semula jadi secara mampan.
Sehubungan itu, Sabah Biodiversity Strategy 2024-2034 dilancarkan untuk memelihara dan memulihara biodiversiti, menggalakkan penggunaan mampan dan memastikan perkongsian faedah yang adil kepada rakyat hasil daripada penggunaan sumber biodiversiti.
I Di samping itu, Kerajaan Negeri juga memperkenalkan Sabah Biotechnology Action Blueprint 2024-2034, yang bertujuan untuk meningkatkan penyelidikan dan inovasi dalam aplikasi bioteknologi merentasi pelbagai sektor ekonomi termasuk perhutanan, pertanian, industri, bio-pelancongan, dan penjagaan kesihatan.
Dengan pelaksanaan kedua-dua dasar ini, Sabah diharapkan menjadi hab kepada pemuliharaan, perlindungan dan penggunaan lestari sumber biologi serta inovasi berteknologi.
Kerajaan Negeri juga menyasarkan untuk mewartakan 30% daripada keluasan negeri sebagai kawasan terlindung sepenuhnya (totally protected areas) TPA, menjelang akhir 2025. Setakat ini, lebih kurang 27% keluasan negeri telahpun berjaya diwartakan. Oleh itu, usaha berterusan akan dipergiat untuk mewartakan sekitar 211,000 hektar lagi bagi mencapai sasaran tersebut.
Dalam menghadapi cabaran perubahan iklim, pelbagai inisiatif mitigasi dan adaptasi perubahan iklim giat dilaksanakan Kerajaan selaras dengan agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Usaha ini termasuklah pelaksanaan kajian kesan, keterdedahan dan penyesuaian perubahan iklim di Sabah, pindaan terhadap Enakmen Hutan 1968 bagi memasukkan peruntukan untuk mengawal selia aktiviti perdagangan kredit karbon berasaskan hasil hutan serta menggubal Enakmen Perubahan Iklim khusus untuk negeri Sabah.
Ahli-ahli Yang Berhormat, bagi memastikan penggunaan tanah secara mampan dan optimum, Kerajaan Negeri terus memperkasakan Sistem Pentadbiran Tanah melalui inisiatif pendigitalan. Beberapa sistem dan aplikasi baharu seperti SMART GEO SABAH, aplikasi 3D Building dan Sistem Pengurusan Penguatkuasaan Tanah Berkomputer, telah dibangunkan bagi memudahkan pengurusan data dan penguatkuasaan tanah dengan lebih cekap.
Kerajaan Negeri juga akan terus komited dalam usaha pemberian tanah Anak Negeri (Native Title) dan mewartakan tanah rizab untuk perkampungan Anak Negeri. Pada tahun 2024, sebanyak 8,672 lot tanah Anak Negeri dengan keluasan 17,701.5 hektar telah diukur dan 82 buah tanah simpanan perkampungan Anak Negeri telah diwartakan. Pada tahun 2025, Kerajaan Negeri mensasarkan untuk mengukur
I sekurang-kurangnya 7,500 lot tanah Anak Negeri dengan keluasan 15,000 hektar dan mewartakan sekurang-kurangnya 80 kawasan perkampungan Anak Negeri. Ahli-ahli Yang Berhormat, syukur ke hadrat Ilahi dengan rahmat-Nya, pada tahun 2024, Sabah berjaya mengekalkan pungutan hasil negeri melebihi paras RM6 bilion, iaitu sebanyak RM6.842 bilion. Saya ingin merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah serta semua pihak yang telah menyumbang tenaga untuk mencapai kutipan hasil negeri yang cemerlang. Dalam usaha untuk mempelbagaikan sumber hasil dan mengurangkan kebergantungan hasil negeri terhadap sumber berkaitan minyak dan gas, Kerajaan Negeri telah mengenakan Cukai Jualan Negeri (CJN) ke atas tiga produk baharu, iaitu pasir silika, biojisim kelapa sawit yang dibawa keluar dari Sabah serta emas dan perak yang dilombong di negeri ini.
Komitmen Kerajaan Negeri untuk terus memperkukuhkan integriti dan ketelusan dalam pengurusan kewangan negeri, terserlah melalui pengiktirafan Sijil Ketua Audit Negara ke atas Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Sabah untuk tahun berakhir 31 Disember 2023 yang mencatatkan prestasi cemerlang tanpa teguran selama 22 tahun berturut-turut.
Saya juga menyambut baik usaha Kerajaan Negeri untuk memperkukuh tadbir urus kewangan negeri melalui penambahbaikan prosedur dan garis panduan pengurusan kewangan, seperti tatacara perolehan dan pelantikan konsesi. Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan garis panduan pelantikan Ahli-ahli Lembaga Pengarah serta menetapkan kriteria-kriteria khusus untuk merangka strategi serta mentransformasikan Badan Berkanun Negeri (BBN) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).
Ahli-ahli Yang Berhormat, sebagai langkah ke hadapan, Kerajaan Negeri telah merangka hala tuju strategik pembangunan negeri untuk tempoh lima tahun di bawah RMK-13. Tumpuan diberikan kepada bidang-bidang keutamaan yang menjadi tonggak pembangunan ekonomi negeri melalui pertumbuhan KDNK. Justeru, saya menggesa agar semua kementerian, jabatan dan agensi negeri mengambil langkah proaktif untuk merancang pembangunan yang selaras dengan
I hala tuju yang telah ditetapkan ini, bagi memastikan keperluan sebenar negeri Sabah diberikan keutamaan.
Bagi memastikan kelancaran pelaksanaan hala tuju strategik pembangunan negeri melalui RMK-13, Kerajaan Negeri akan memfokuskan pelaksanaan program dan projek yang berorientasikan kepada perbelanjaan pembangunan, selaras dengan usaha untuk mempertingkatkan pengurusan kewangan negeri yang teratur serta meningkatkan perbelanjaan pembangunan berbanding dengan perbelanjaan mengurus. Dengan usaha ini, pencapaian matlamat pembangunan ekonomi negeri akan dapat dipercepatkan.
Saya yakin, dengan kerjasama penuh daripada semua pihak, proses penyediaan RMK-13 akan dapat berjalan dengan lancar dan teratur dengan mengambil kira pelbagai perspektif dan keperluan, seterusnya meletakkan asas yang kukuh untuk pembangunan negeri Sabah yang mampan dan inklusif.
Ahli-ahli Yang Berhormat, sebelum mengakhiri ucapan ini, sekali lagi saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri dan barisan ahli Jemaah Menteri atas kecemerlangan dan khidmat bakti yang telah dicurahkan dalam memimpin dan melaksanakan hala tuju pembangunan negeri.
Sekalung penghargaan juga diucapkan kepada anggota perkhidmatan awam dan pasukan keselamatan serta semua pihak yang terlibat dalam memastikan keamanan dan kesejahteraan rakya negeri ini terus terjamin.
Di kesempatan ini juga, saya dan Toh Puan serta seisi keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat dan rakyat negeri Sabah. Semoga Allah Subhanahu wata’ala sentiasa melimpahi rahmat-Nya kepada kita semua serta melindungi negeri yang kita cintai ini agar kita terus hidup dalam suasana yang aman, harmoni dan sentosa. Sekian, wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
I PENANGGUHAN
“Ahli-ahli Yang Berhormat, saya selaku Speaker dan bagi pihak semua Ahli-ahli Yang Berhormat dengan ini merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan kerana telah sudi berangkat untuk merasmikan Istiadat Perasmian Penggal Kelima Tahun 2025 Dewan Undangan Negeri Yang Keenam Belas”.
”Ahli-ahli Yang Berhormat, Dewan Undangan Negeri ini ditangguh sekarang hingga pukul 10.00 pagi Isnin, 14 April 2025”.
(GAVEL (TUKUL) – DIKETUK 3 KALI)
Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Sabah
Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Sabah.
Bacaan Doa Selamat dipimpin oleh Mufti Kerajaan Negeri Sabah.
Tuan Yang Terutama dan Yang Amat Berbahagia akan berangkat ke Dewan Bankuasi
Tuan Yang Terutama dan Yang Amat Berbahagia akan berangkat ke Dewan Bankuasi.
Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan berarak keluar dari Dewan Persidangan mengikut peraturan rasmi seperti berikut: Bentara Mesyuarat Setiausaha Dewan Undangan Negeri Timbalan-timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Speaker Dewan Undangan Negeri Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datin Seri Panglima Datuk Hajah Faridah binti Haji Tussin Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Musa bin Haji Aman, Yang di-Pertua Negeri Sabah Setiausaha Sulit kepada TYT Juruiring kepada Yang di-Pertua Negeri
I Ditangguhkan sebagaimana yang dipersetujui pada pukul 10.52 pagi. Ditetapkan: “Bahawa Dewan ini ditangguhkan sekarang hingga pukul 10:00 pagi, 14 April 2025”.
SDN10042025/bnm