Sabah · 23 April 2026
17th Assembly, 2nd session, 1st meeting · not final · 17 turns · 3,265 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalSabah's own site lists 22 sitting days; 35 more of the 16th Assembly are recovered from the Wayback Machine, and some are missing. Appointed members are not in the election register. Written answers are not published.
Permasyhuran Dari Tuan Speaker
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatulahi wabarakatuh, salam sejahtera dan selamat pagi. Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, persidangan hari ini adalah selaras dengan perkara 21 (1) dan perkara 23 Perlembagaan Negeri Sabah di mana Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri akan berucap kepada Dewan Undangan Negeri Yang Ketujuh Belas ini. Sebelum saya menempohkan Dewan ini untuk membolehkan saya menjemput Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan masuk ke Dewan, saya ingin memaklumkan kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat dan para hadirin yang berada di Dewan yang mulia ini untuk mematuhi perkara berikut. Tidak ada pergerakan keluar masuk semasa Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri berucap dan memastikan telefon bimbit ditukar kepada mode senyap.
Dengan ini, Dewan ditempohkan.
Tuan Speaker didahului oleh Bentara Mesyuarat dan Setiausaha Dewan keluar dari Dewan untuk menjemput Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri masuk dalam Dewan.
Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan berarak masuk ke Dewan Persidangan mengikut peraturan rasmi seperti berikut: Bentara Mesyuarat: Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri dan Toh Puan masuk ke Dewan Persidangan.
Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa bin Haji Aman, Yang di-Pertua Negeri Sabah: Tuan Speaker dan Ahli-ahli Yang Berhormat sila duduk.
Yang Amat Berhormat Ketua Menteri adalah dijemput untuk menyampaikan Teks Ucapan Dasar Kerajaan kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua NegeriAddress / budget
Yang Amat Berhormat Ketua Menteri adalah dijemput untuk menyampaikan Teks Ucapan Dasar Kerajaan kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri.
Bentara Mesyuarat Setiausaha Dewan Undangan Negeri Timbalan-timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Speaker Dewan Undangan Negeri Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datin Seri Panglima Datuk Hajah Faridah binti Haji Tussin Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa bin Haji Aman, Yang di-Pertua Negeri Sabah Setiausaha Sulit kepada TYT Juruiring kepada Yang di-Pertua Negeri
UCAPAN DASAR TUAN YANG TERUTAMA YANG DI-PERTUA NEGERI PENDAHULUAN Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Tuan Speaker dan Ahli-ahli Yang Berhormat, saya memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya jua saya berkesempatan menyampaikan Ucapan Dasar Kerajaan bersempena dengan Pembukaan Persidangan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Sabah Yang Ketujuh Belas pada hari yang bersejarah ini.
Alhamdulillah, negeri Sabah telah melaksanakan Pilihan Raya Umum Negeri Ke-17 pada akhir bulan November 2025, dengan lancar dan tertib.
Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri dan barisan kepimpinannya yang telah dibentuk untuk menerajui pentadbiran negeri Sabah.
Sekalung tahniah juga saya ucapkan kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah diberi mandat oleh rakyat untuk mewakili mereka di Dewan yang mulia ini. Saya berharap agar Ahli-ahli Yang Berhormat dapat memainkan peranan secara aktif dalam setiap perbahasan dengan penuh kematangan dan kesopanan serta menyampaikan pandangan, cadangan mahupun teguran secara berhemah untuk memelihara martabat Dewan yang mulia ini.
Hala Tuju Pembangunan Negeri
Ahli-ahli Yang Berhormat, sejak lima tahun kebelakangan ini, Sabah telah memperlihatkan daya tahan ekonomi yang kukuh walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran, baik pada peringkat domestik mahupun global. Dalam tempoh tersebut, Sabah kekal sebagai destinasi pelaburan yang berdaya saing dan berpotensi tinggi. Buktinya, pada tahun lalu, Sabah berjaya merekodkan sebanyak
RM7.6 bilion pelaburan dalam sektor pembuatan, iaitu peningkatan hampir 208 peratus berbanding tahun 2024.
Untuk terus melonjakkan prestasi ekonomi, Kerajaan Negeri komited memperkukuhkan dan memacu pembangunan melalui pendekatan yang lebih inklusif serta mampan, dan memastikan keseimbangan antara kemajuan ekonomi, kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar serta pengukuhan infrastruktur. Pada Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0): 2026-2030 telah dilancarkan sebagai kerangka induk yang menerajui pembangunan negeri dengan mengekalkan tiga teras utama, iaitu Sektor Utama Pertumbuhan Ekonomi, Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat, serta Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau.
Pelan ini diperkukuhkan lagi dengan penekanan strategik terhadap pembangunan ekonomi biru, pendigitalan dan penerapan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas, 2026-2030 (RMK-13), sepuluh bidang keutamaan yang berpaksikan kepada keperluan dan potensi sebenar negeri Sabah telah dikenal pasti. Sebanyak 1,173 projek telah dirancang, yang mana 933 daripadanya adalah projek baharu dan selebihnya adalah projek sambungan. Secara keseluruhannya, jumlah siling peruntukan yang diperakukan adalah RM12.024 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 141.62 peratus berbanding siling di bawah RMK-12. Peningkatan ini mencerminkan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam memacu pembangunan.
Membangun Industri Dan Memperkasa Keusahawanan
Ahli-ahli Yang Berhormat, dalam sektor perindustrian dan keusahawanan, Kerajaan Negeri kekal komited memperkukuhkan pembangunan inrfrastruktur di taman-taman perindustrian sedia ada bagi meningkatkan lagi daya tarikan pelaburan di Sabah. Perancangan pembangunan taman perindustrian baharu akan terus digiatkan bagi memperluas rangkaian kawasan pertumbuhan industri, khususnya di luar bandar.
Bagi melonjakkan ekosistem keusahawanan, Kerajaan Negeri memperkasakan Program Pembangunan Keusahawanan Negeri dengan memusatkan dan memantau semua program keusahawanan di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan. Melalui program ini, aspek tadbir urus, pemasaran, bimbingan, latihan dan pembangunan kemahiran usahawan dapat dilaksanakan secara lebih fokus, tersusun dan bersepadu.
Sektor pembuatan terus dimantapkan melalui pelbagai inisiatif bagi menyokong pengeluaran dan pengkomersialan produk tempatan Sabah. Melalui usaha ini, Kerajaan Negeri menyasarkan peningkatan jumlah produk tempatan untuk pasaran eksport antarabangsa, seterusnya membuka peluang kepada usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Sabah.
Meningkatkan Keterjaminan Makanan Negeri
Ahli-ahli Yang Berhormat, dalam usaha meningkatkan keterjaminan makanan, sektor pertanian akan terus dimodenkan. Tumpuan akan diberikan kepada pelaksanaan Program Revolusi Padi dan Pembangunan Bioteknologi bagi meningkatkan kecekapan dan kualiti pengeluaran.
Selain itu, aktiviti penyelidikan dan pembangunan varieti baharu serta bahan tanaman berkualiti akan terus dipergiat. Seiring dengan usaha tersebut, Kerajaan Negeri turut memperkenalkan Inisiatif Revolusi Ekonomi Pertanian Luar Bandar (RAER) 2025-2030, sebagai langkah strategik meningkatkan sekuriti makanan dan merancakkan pertumbuhan ekonomi luar bandar. Satu program baharu di bawah RAER ialah Program Kebun Dapur, diperkenalkan bagi menggalakkan pengeluaran hasil pertanian di peringkat isi rumah dengan memanfaatkan ruang di kawasan kediaman. Inisiatif ini bukan sahaja membantu mengurangkan kos sara hidup, malah memupuk budaya pertanian dalam kalangan masyarakat.
Ahli-ahli Yang Berhormat, sektor perladangan khususnya industri sawit, kekal sebagai tunjang utama pertumbuhan ekonomi negeri. Bagi memastikan industri ini kekal mampan dan berdaya tahan, Kerajaan Negeri bersama pihak industri serta pekebun kecil dan terus mempertingkatkan produktiviti melalui inovasi, mekanisasi,
teknologi pertanian berketetapan tinggi, serta penggunaan biojisim secara optimum, sambil memastikan aspek kelestarian terus dipelihara.
Dalam sektor perikanan, Kerajaan Negeri memberikan keutamaan kepada pelaksanaan program berteraskan ekonomi biru. Pelbagai program pembangunan dan sokongan, termasuk pemerkasaan fasiliti jabatan, pengukuhan industri hiliran serta aktiviti konservasi akan dilaksanakan bagi menjamin pengeluaran hasil perikanan yang mampan. Kemudahan jeti di Kompleks Perikanan SAFMA juga akan ditambah dengan matlamat untuk menampung peningkatan lebih 20 peratus hasil pendaratan ikan di negeri ini.
Bagi sektor penternakan, ekosistem industri ternakan negeri akan terus diperkasakan dengan berpaksikan Dasar Agro makanan Negara 2.0 dan Pelan Strategik Organisasi Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah 2026-2030. Tumpuan diberikan terhadap peningkatan kadar sara diri (SSR) ruminan, jaminan keselamatan makanan serta pengukuhan sistem kesihatan haiwan diseluruh negeri.
Menyemarakkan Sektor Pelancongan Negeri
Ahli-ahli Yang Berhormat, selaras dengan pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia 2026, Kerajaan Negeri menyasarkan lebih empat juta ketibaan pelancong ke negeri ini. Kerajaan Negeri juga merancang untuk menganjurkan “Tahun Melawat Sabah 2027”, sebagai langkah strategik untuk memacu dan menyemarakkan lagi sektor pelancongan negeri.
Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri turut menekankan aspek penguatkuasaan dan keselamatan di kawasan pelancongan.
Pemantauan berterusan akan dipertingkatkan bagi memastikan pematuhan kepada standard keselamatan dan peraturan sedia ada, selain menambah baik prosedur keselamatan untuk aktiviti pelancongan berisiko mengikut amalan terbaik antarabangsa.
Di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, pembangunan sektor pelancongan akan memfokuskan kepada usaha mempelbagaikan produk pelancongan baharu,
peningkatan nilai tambah berasaskan budaya dan alam sekitar tempatan serta pembangunan komuniti melalui penglibatan mereka dalam sektor pelancongan. Usaha memartabatkan khazanah budaya dan industri kreatif terus diperkukuh melalui pelbagai inisiatif termasuk pemulihan dan penambahbaikan infrastruktur, pembangunan ruang pameran baharu serta sokongan kepada penggiat seni, budaya dan industri kreatif tempatan. Langkah-langkah ini bukan sahaja menyokong pelancongan budaya, malah menjadikan seni dan kreativiti tempatan sebagai tarikan unik bagi sektor pelancongan negeri.
Mengoptimumkan Pembangunan Infrastruktur Dan Utiliti
Ahli-ahli Yang Berhormat, pembangunan infrastruktur dan utiliti terus diberikan keutamaan dalam agenda pembangunan negeri. Tumpuan diberikan terhadap pembinaan dan penaiktarafan jalan raya serta pelaksanaan Projek Jambatan Kecil Luar Bandar bagi memperkukuh jaringan pengangkutan, mempertingkatkan mobiliti penduduk serta merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar. Dalam sektor bekalan air, Kerajaan Negeri akan menumpu kepada peningkatan kapasiti pengeluaran air terawat, inisiatif pengembangan liputan bekalan air luar bandar dan pengurangan kadar kehilangan air tidak berhasil. Tumpuan utama adalah kepada pelaksanaan projek membina dan menaik taraf loji-loji rawatan air di seluruh Sabah serta Program Non-Revenue Water (NRW) secara holistik yang akan diperluaskan kepada 12 daerah di Sabah.
Pengurusan air sisa kumbahan terus diberikan perhatian bagi melindungi kesihatan awam, memelihara sumber air serta memastikan kelestarian alam sekitar. Kerajaan Negeri juga akan memperkenalkan penggunaan teknologi geospatial dan sistem in-vessel composting bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan pembetungan negeri.
Kestabilan sistem bekalan elektrik juga diperkukuh melalui pelaksanaan Pelan Pembekalan Elektrik Jangka Panjang. Pelan ini menumpukan pada kepelbagaian sumber penjanaan seperti sumber tenaga boleh baharu, gas asli sebagai loji
pemuncak, sokongan battery energy storage dan teknologi baharu lain yang relevan. Selain itu, pengukuhan bekalan tenaga di Pantai Timur akan dipergiat menerusi pelaksanaan Projek Talian Penghantaran Southern Link (TPSL) Fasa 1A. Ahli-ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri memandang serius kejadian bencana banjir dan tanah runtuh yang semakin kerap berlaku dan akan terus melaksanakan langkah-langkah mitigasi bagi menangani serta mengurangkan impak banjir pada masa hadapan. Rancangan Mencegah Banjir, Rancangan Tebatan Banjir, Saluran Bandar Utama dan Sistem Amaran Awal Banjir akan terus diperhebatkan. Selain itu, usaha pemulihan cerun berisiko dan penstabilan kawasan tanah runtuh turut diberi keutamaan bagi meminimumkan risiko tanah runtuh. Peruntukan juga disalurkan untuk menaik taraf dan menyelenggara jalan raya serta jambatan, bagi memastikan infrastruktur pengangkutan yang terjejas akibat bencana alam dapat dipulihkan dengan segera.
Ahli-ahli Yang Berhormat, pembangunan infrastruktur pengangkutan turut menjadi tumpuan Kerajaan Negeri bagi mengukuhkan keterhubungan dan merancakkan pertumbuhan ekonomi.
Dalam sektor maritim, langkah proaktif diambil bagi memperkukuh keselamatan pelayaran melalui pembinaan alat bantu pelayaran serta penambahbaikan fasiliti, termasuk pembinaan Terminal Feri Menumbok Fasa empat dan lima serta beberapa jeti awam di lokasi strategik.
Kerajaan Negeri sedang melaksanakan kajian kebolehlaksanakan sistem kereta api moden dari Putatan ke Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP) dan Pelabuhan Sepanggar bagi mengukuhkan sistem logistik. Kajian Sabah Sustainable Transport Master Plan akan dilaksanakan sebagai rangka kerja strategik jangka panjang bagi membangunkan sistem pengangkutan awam yang lestari, selamat dan efisien. Usaha ini turut disokong dengan pelaksanaan Program Transformasi Bas Berhenti-henti di Kota Kinabalu bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan bandar.
Memperkukuhkan Agenda Pendigitalan Melalui Ai
Ahli-ahli Yang Berhormat, kecekapan pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan awam melalui penerapan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) merupakan sebahagian daripada anggota pendigitalan negeri.
Penggunaan serta penggunaan AI membolehkan Kerajaan menambah baik pengurusan data, mempercepatkan proses pembuatan keputusan dan mengurangkan kebergantungan kepada kaedah manual yang memakan masa dan sumber.
AI berperanan membantu jabatan serta agensi-agensi mengenal pasti keperluan rakyat yang lebih menyeluruh. Inisiatif ini juga memperkukuh inovasi digital dalam sektor awam melalui pembangunan aplikasi pintar dan platform mesra pengguna, di samping memperkasakan kemahiran digital penjawat awam agar mampu menyesuaikan diri dengan teknologi baharu.
Pembangunan ekosistem AI akan diperkukuh melalui penyediaan garis panduan penggunaan AI, penubuhan Pusat Mini AI serta Program Pemerkasaan Keselamatan Siber Negeri Sabah bagi melindungi infrastruktur digital dan aset maklumat negeri. Perluasan capaian internet berkelajuan tinggi terus dipergiat bagi memastikan seluruh lapisan masyarakat dapat menikmati manfaat pembangunan digital yang menyeluruh.
Melahirkan Modal Insan Berkemahiran Tinggi
Ahli-ahli Yang Berhormat, pembangunan modal insan merupakan pemacu produktiviti, inovasi serta keupayaan tenaga kerja. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri komited memperkukuh pembangunan modal insan melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi selari dengan kehendak industri.
Antara keutamaan Kerajaan Negeri pada tahun ini ialah membangunkan kurikulum berasaskan keperluan sebenar industri, melaksanakan analisis jurang kemahiran serta inisiatif mengukuhkan kebolehpasaran pelajar dan tenaga kerja tempatan.
Membangun Negeri Dengan Seimbang
Ahli-ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri bertekad memastikan pembangunan inklusif dengan mengurangkan kadar kemiskinan serta merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dengan luar bandar. Bagi mencapai matlamat tersebut, infrastruktur asas di luar bandar terus dipergiat bagi meningkatkan kualiti hidup penduduk serta membuka peluang pertumbuhan ekonomi setempat. Program Menoktahkan Miskin Tegar Negeri Sabah akan terus diperkukuh di bawah SMJ 2.0 melalui lima teras intervensi utama, iaitu perumahan, pendidikan, pekerjaan, kebajikan serta keusahawanan dan latihan. Intervensi jangka sederhana dan panjang terus dilaksanakan secara bersepadu bagi memastikan pendapatan ketua isi rumah miskin tegar meningkat secara berterusan dan mampan. Bagi memantapkan ekosistem ekonomi luar bandar, Kerajaan Negeri akan membangunkan empat projek pekan baharu di Penangah, Tongod; Melalap, Tenom; Ulu Dusun, Sandakan dan di Beluran.
Tumpuan turut diberikan pada perancangan fizikal dan guna tanah melalui Kajian Semula Pelan Struktur Negeri Sabah dan Kajian Semula Pelan Daerah bagi memastikan pembangunan dilaksanakan secara seimbang dan terancang.
Menjamin Kesejahteraan Rakyat Secara Holistik
Ahli-ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri akan meneruskan pelbagai inisiatif bantuan dalam bidang pendidikan, kesihatan, perumahan dan kewangan bagi meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat dan memastikan golongan kurang berkemampuan tidak tersisih dari arus pembangunan.
Kerajaan Negeri juga terus menyediakan kemudahan asas serta menambah baik perkhidmatan kebajikan bagi golongan kanak-kanak, warga emas serta Orang Kurang Upaya (OKU). Inisiatif Pusat Autisme Sabah (PAUS) akan diperluaskan ke daerah Tawau, Sandakan, Kudat dan Beaufort, bagi menyediakan perkhidmatan intervensi awal serta sokongan kepada kanak-kanak autisme dan ibu bapa mereka.
Kerajaan Negeri juga memperkenalkan Pusat Jagaan Harian (MERPATI) yang menyediakan kemudahan penjagaan, sokongan dan aktiviti sosial untuk warga emas. Pemerkasaan ekonomi wanita, khususnya ibu tunggal dan wanita B40 merupakan salah satu tumpuan utama dalam pembangunan negeri. Usaha ini dilaksanakan melalui program sedia ada dan inisiatif baharu seperti JHEWA BizBloom, bagi membolehkan wanita menjana pendapatan sendiri, serta membina kehidupan yang lebih berdikari dan sejahtera.
Pembangunan belia terus dıperkasa menerusi beberapa inisiatif baharu seperti Rakan Belia SMJ dan penubuhan badan korporat ataupun institusi kewangan khusus bagi menyokong usahawan belia. Kerajaan Negeri juga akan menumpukan kepada pemerkasaan industri kreatif bagi melahirkan lebih ramai usahawan industri kreatif dalam kalangan belia Sabah.
Dalam masa yang sama, pembangunan sukan turut diberikan penekanan sebagai elemen penting dalam membentuk disiplin, kesihatan dan daya saing belia. Tiga program utama akan dilaksanakan, iaitu Pembangunan Atlet Prestasi Tinggi, Pembangunan Atlet Para dan Sukan Orang Pekak, serta Sukan Massa bagi melahirkan belia yang berprestasi tinggi dan berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa. Kerajaan juga akan menubuhkan Tabung Kebajikan Sukan Sabah bagi memastikan kebajikan penggiat sukan negeri sentiasa terpelihara.
Melestarikan Sumber Semula Jadi Dan Alam Sekitar
Ahli-ahli Yang Berhormat, pengurusan sumber semula jadi negeri ditadbir dengan memberikan penekanan terhadap keseimbangan antara konservasi biodiversiti, kelestarian ekonomi serta kesejahteraan masyarakat, khususnya komuniti yang bergantung dengan sumber hutan.
Melalui Rancangan Malaysia Ke-13, Kerajaan Negeri akan terus memperhebatkan usaha pemuliharaan dan perlindungan hutan, pemerkasaan tadbir urus hutan dan iklim, serta pembangunan komuniti dan inovasi hijau.
Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuklah pelaksanaan Other Effective Area-Based Conservation Measures (OECM) bagi menyokong sasaran Totally Protected Areas (TPA),
pelaksanaan Sabah Timber Legality Assurance System Plus serta penggunaan teknologi satelit dan sistem Earth Observation.
Selain itu, pendekatan Forest Landscape Restoration (FLR) juga akan dilaksanakan meliputi kawasan tanah pertanian, hutan pengeluaran dan kawasan komuniti, yang bertujuan memulihkan fungsi ekologi, meningkatkan kesejahteraan sosial dan ekonomi komuniti setempat.
Dari konteks tadbir urus karbon, Kerajaan Negeri berhasrat untuk menjadi peneraju pelaksanaan Article 6 of the Paris Agreement di Malaysia dengan memanfaatkan peluang pasaran karbon sukarela sebagai sumber pembiayaan baharu bagi menyokong usaha pemuliharaan hutan dan alam sekitar.
Dalam aspek tadbir urus tanah dan hartanah, Kerajaan Negeri akan membentangkan Rang Undang-undang Pindaan ke atas Land (Subsidiary Title) Enactment 1972 pada tahun ini, melibatkan penggubalan dua enakmen baharu, iaitu Land (Subsidiary Title) Enactment dan Building Management Enactment.
Langkah ini bertujuan meningkatkan kecekapan dalam proses pengeluaran hak milk subsidiari serta pengurusan dan penyelenggaraan bangunan di Sabah.
Dari segi pengurusan alam sekitar, Sabah bakal menerima kuasa di bawah MA63 berkaitan agenda pengurusan alam sekitar, bermula dengan pengurusan buangan terjadual. Peralihan kuasa ini dijadualkan dilaksanakan sepenuhnya pada bulan November tahun ini. Langkah ini akan disokong melalui usaha penggubalan undang-undang dan garis panduan baharu, pembangunan sistem pengurusan berasaskan web serta program peningkatan kompetensi teknikal pegawai dan pihak industri.
Memperkasakan Ekonomi Biru
Ahli-ahli Yang Berhormat, di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, Kerajaan Persekutuan menekankan pemerkasaan Ekonomi Biru sebagai salah satu strategi utama untuk mengukuhkan daya saing dan kemampanan ekonomi negara. Justeru, Sabah telah dipilih sebagai Hab Ekonomi Biru Negara kerana memiliki pelbagai
potensi sumber lautan yang menjadikannya lokasi strategik bagi pelaksanaan inisiatif ini.
Di peringkat negeri, Kerajaan Sabah telah merangka Hala Tuju Ekonomi Biru Sabah berasaskan lima komponen utama yang merangkumi penuaian sumber hidup; pengekstrakan sumber tidak hidup dan penjanaan sumber baharu; perdagangan dan perniagaan di dalam dan sekitar lautan; tindak balas terhadap cabaran kesihatan laut; serta sungai.
Majlis Ekonomi Biru Sabah (MEBS) telah ditubuhkan untuk menyelaras dan melaksanakan dasar strategik ekonomi biru negeri. Kajian dan Pelan Induk Taman Perindustrian Ekonomi Biru di daerah Kudat sedang dilaksanakan untuk pembangunan taman perindustrian dengan konsep ekonomi biru yang teratur dan mampan. Di samping itu, Kerajaan Negeri juga sedang merancang pelaksanaan dasar Perancangan Marin Spatial untuk mengenal pasti potensi industri ekonomi biru di Sabah.
Mengukuhkan Tadbir Urus Kewangan Negeri
Ahli-ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri terus menunjukkan keupayaan mengekalkan prestasi kewangan yang cemerlang dengan jumlah kutipan hasil melebihi RM6 bilion selama tiga tahun berturut-turut semenjak tahun 2022. Sehubungan dengan itu, usaha meningkatkan kutipan hasil, khususnya melalui Cukai Jualan Negeri (CJN), terus dipergiat melalui pematuhan terhadap perundangan yang ketat serta penguatkuasaan bagi mengekang ketirisan hasil. Kerjasama dengan agensi rakan strategik terus diperhebat bagi mengoptimumkan pungutan hasil daripada produk yang dikenakan CJN.
Peranan Syarikat Milik Kerajaan Negeri (GLC) terus diperkasakan melalui galakan untuk meneroka bidang-bidang baharu yang mempunyai potensi ekonomi seperti tenaga diperbaharui, logistik, pelancongan dan Al. Usaha ini sejajar dengan aspirasi Kerajaan Negeri untuk mempelbagaikan sumber pendapatan, mempertingkatkan
daya saing ekonomi, dan memastikan pembangunan negeri yang mampan serta berimpak tinggi.
PENUTUP Ahli-ahli Yang Berhormat, seperti yang semua sedia maklum, ketegangan geopolitik antara Amerika Syarikat, Israel, dan Iran, secara tidak langsung akan memberi kesan kepada ekonomi global, termasuk ekonomi domestik.
Keadaan ini dijangka memberikan tekanan inflasi terhadap harga barangan keperluan dan bekalan makanan susulan kenaikan kos minyak serta peningkatan perbelanjaan logistik antarabangsa. Dalam menghadapi situasi ini yang tidak menentu ini, saya menyeru semua pihak agar kekal tenang dan mengamalkan perbelanjaan secara berhemah. Menyedari cabaran luaran tersebut, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh langkah proaktif bagi memastikan setiap perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan cekap dan berkesan. Usaha ini penting bagi menjamin kesejahteraan rakyat, memperkukuh daya tahan ekonomi negeri serta memastikan kestabilan yang berterusan.
Perancangan dan pembangunan yang telah dirangka ini tidak akan dapat direalisasikan tanpa sokongan dan kerjasama semua pihak. Sudah tiba masanya kita bersatu hati, tanpa mengira kaum, bangsa, agama mahupun fahaman politik, untuk bersama-sama membangunkan negeri ini dengan penuh tanggungjawab, demi kemajuan serta kesejahteraan bersama.
Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh anggota perkhidmatan awam, pasukan keselamatan serta semua pihak yang memainkan peranan penting dalam mengekalkan keselamatan, keamanan dan kestabilan negeri.
Komitmen dan dedikasi seperti inilah yang menjadi tonggak dalam memastikan agenda pembangunan negeri dapat dilaksanakan seperti yang dirancang.
Marilah kita bersama-sama berdoa agar negeri Sabah yang kita cintai ini terus dilimpahi keberkatan, keamanan dan kemakmuran serta seluruh rakyat dikurniakan kesihatan, kesejahteraan dan hidup bersatu padu.
Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. PENANGGUHAN
Ahli-ahli Yang Berhormat, selaku Speaker dan bagi pihak semua Ahli-ahli Yang Berhormat, saya dengan ini merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan menjunjung kasih kepada Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan kerana telah sudi berangkat untuk merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Yang Ketujuh Belas pagi ini.
“Ahli-ahli Yang Berhormat, Dewan Undangan Negeri ini ditangguhkan sekarang hingga pukul 10.00 pagi Isnin, 27 April 2026”.
[GAVEL (TUKUL) - DIKETUK 3 KALI]
Dipersilakan Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Sabah menyampaikan doa
Dipersilakan Sahibus Samahah Mufti Kerajaan Negeri Sabah menyampaikan doa.
Bacaan Doa Selamat dipimpin oleh Mufti Kerajaan Negeri Sabah.
Tuan Yang Terutama dan Yang Amat Berbahagia akan berangkat ke Dewan Bankuasi
Tuan Yang Terutama dan Yang Amat Berbahagia akan berangkat ke Dewan Bankuasi.
Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan berarak keluar dari Dewan Persidangan mengikut peraturan rasmi seperti berikut: Bentara Mesyuarat Setiausaha Dewan Undangan Negeri Timbalan-timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Speaker Dewan Undangan Negeri Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datin Seri Panglima Datuk Hajah Faridah binti Haji Tussin Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa bin Haji Aman, Yang di-Pertua Negeri Sabah Setiausaha Sulit kepada TYT Juruiring kepada Yang di-Pertua Negeri Ditangguhkan sebagaimana yang dipersetujui pada pukul 10.46 pagi. Ditetapkan: “Bahawa Dewan ini ditangguhkan sekarang hingga pukul 10:00 pagi, 27 April 2026”.
SDN23042026/bnm