Selangor · 14 March 2022
14th Assembly, 5th session, 1st meeting · 12 turns · 3,887 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalSelangor publishes one PDF per sitting day; recent ones are drafts (Draf Penyata Rasmi). Full written answers are published for 2018-19 only.
(Pembukaan)
Selamat pagi dan salam sejahtera. Aturan Urusan Mesyuarat Bagi Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas pada 14 Mac 2022 dimulakan dengan Doa dan Proklamasi.
i. Bacaan Doa
ii. Proklamasi
Bacaan Doa.
Bacaan Proklamasi.
OLEH DULI YANG MAHA MULIA SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH ALHAJ IBNI AL-MARHUM SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH ALHAJ, DARJAH KERABAT (SELANGOR), DARJAH UTAMA SERI MAHKOTA NEGARA (D.M.N.), DARJAH KERABAT (TERENGGANU), DARJAH KERABAT (KELANTAN), DARJAH KERABAT (PERAK), DARJAH KERABAT (PERLIS), DARJAH KERABAT (NEGERI SEMBILAN), DARJAH KERABAT (KEDAH), DARJAH KERABAT (JOHOR), DARJAH KERABAT (PAHANG), SERI PADUKA MAHKOTA SELANGOR (S.P.M.S.), DATO’ SETIA SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH (S.S.I.S.), SERI PADUKA MAHKOTA JOHOR (S.P.M.J.), SULTAN DAN YANG DIPERTUAN NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN SERTA SEGALA DAERAH TAKLUKNYA.
BAHAWASANYA Fasal (1) Perkara (70) Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor, 1959, memperuntukkan bahawa DULI YANG MAHA MULIA SULTAN hendaklah dari semasa ke semasa melalui Proklamasi yang disiarkan dalam Warta memanggil Dewan Negeri :
MAKA OLEH YANG DEMIKIAN, BETA, SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH ALHAJ IBNI AL-MARHUM SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH ALHAJ, DARJAH KERABAT (SELANGOR), DARJAH UTAMA SERI MAHKOTA NEGARA (D.M.N.), DARJAH KERABAT (TERENGGANU), DARJAH KERABAT (KELANTAN), DARJAH KERABAT (PERAK), DARJAH KERABAT (PERLIS), DARJAH KERABAT (NEGERI SEMBILAN), DARJAH KERABAT (KEDAH), DARJAH KERABAT (JOHOR), DARJAH KERABAT (PAHANG), SERI PADUKA MAHKOTA SELANGOR (S.P.M.S.), DATO’ SETIA SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH (S.S.I.S.), SERI PADUKA MAHKOTA JOHOR (S.P.M.J.), SULTAN DAN YANG DIPERTUAN NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN SERTA SEGALA DAERAH TAKLUKNYA, pada menjalankan kuasa yang diberikan kepada BETA di bawah Perkara (70)
Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, DENGAN INI MEMANGGIL Dewan Negeri untuk bermesyuarat dan menetapkan 14 Mac 2022 hingga 18 Mac 2022 dan 21 Mac 2022 hingga 25 Mac 2022 dan pukul 10.00 pagi kecuali hari Jumaat pukul 9.30 pagi, sebagai tarikh dan waktu bagi Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Darul Ehsan Yang Keempat Belas, yang akan diadakan di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam. DIPERBUAT di Istana Alam Shah, Klang pada 31 haribulan Januari 2022
Dengan Titah Perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.
Ahli - ahli Yang Berhormat sekalian, Dif-Dif Kehormat dan para jemputan, dengan ini dimaklumkan bahawa Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berkenan untuk menyampaikan Titah Ucapan. Oleh itu saya menempohkan Dewan buat seketika.
(DEWAN DITANGGUHKAN SEKETIKA)
Keberangkatan Masuk Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor diiringi oleh Y.B. Tuan Speaker.
Dengan segala hormatnya dijemput Y.A.B. Dato’ Menteri Besar Selangor untuk mempersembahkan Titah Ucapan Diraja kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.
Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.
Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan SelangorAddress / budget
Bismillahir Rahmanir Rahiim,
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan Salam Sejahtera,
Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin-Nya Beta dapat berangkat untuk menyempurnakan Istiadat Perasmian Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Persidangan Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas (14) pada hari ini.
Ahli-Ahli Yang Berhormat,
Sejak kebelakangan ini, Beta amati semakin kerap berlakunya bencana alam sama ada di dalam negeri Beta mahupun di luar negara. Keadaan cuaca yang tidak menentu mutakhir ini juga menyaksikan kawasan tidak pernah dilanda banjir mengalami banjir besar, kemarau berpanjangan, kebakaran hutan, tanah runtuh, hakisan, serta kejadian ribut yang boleh mengancam kehidupan manusia dan juga hidupan lain.
Bencana alam yang berlaku ini adalah berikutan perubahan iklim yang menjadi salah satu daripada isu utama dunia pada masa kini. Perubahan iklim ini bukan sahaja memberi tekanan kepada persekitaran malah turut menjejaskan sistem ekonomi, politik dan sosial. Isu pemanasan global kini berada pada tahap yang membimbangkan akibat pelepasan Gas Rumah Hijau (GRH) berikutan pelbagai aktiviti manusia secara tidak terkawal seperti penggunaan lebih banyak bahan api fosil terutamanya batu arang, penebangan hutan secara berleluasa serta perubahan guna tanah tidak lestari. Jika tiada tindakan drastik diambil bagi mengurangkan pelepasan GRH, dunia dijangka berdepan dengan bencana alam yang dahsyat pada skala yang lebih besar. Keadaan ini turut memberi kesan ke atas keselamatan, kesihatan termasuk gangguan terhadap ekosistem yang akan mengancam jaminan sumber air dan makanan.
Beta difahamkan rantau Asia Tenggara mencatatkan kedudukan teratas dari segi jumlah kejadian bencana alam dalam tempoh tiga puluh (30) tahun lepas dengan lebih sembilan puluh peratus (90%) daripadanya dikategorikan sebagai bencana iklim. Malaysia, terutamanya Selangor yang mempunyai jumlah kepadatan penduduk yang tinggi dengan pembangunan yang pesat, perlu memberi perhatian yang lebih serius terhadap perkara ini.
Di Malaysia, jumlah kejadian banjir meningkat sejak dua puluh (20) tahun lalu dengan kerugian dianggarkan melebihi Ringgit Malaysia Lapan Bilion (RM8 Bilion). Jumlah ini tidak termasuk kerugian yang dialami oleh negara berikutan bencana banjir besar pada Disember 2021 lalu yang merekodkan kerugian Ringgit Malaysia Enam Perpuluhan Satu Bilion (RM6.1 Bilion) dengan Selangor mencatat kerugian terbesar iaitu Ringgit Malaysia Tiga Perpuluhan Satu Bilion (RM3.1 Bilion).
Semasa kejadian banjir yang berlaku baru-baru ini, Kerajaan Beta telah mengaktifkan sebanyak dua ratus dua puluh tujuh (227) pusat pemindahan sementara bagi menempatkan lebih daripada empat puluh tujuh ribu (47,000) mangsa banjir dengan tiga ribu lima ratus tiga (3,503) aset dan keperluan logistik digerakkan ke kawasan terjejas.
Beta juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada lebih dua puluh ribu (20,000) orang petugas yang meliputi pelbagai agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan yang telah membantu sepanjang operasi banjir. Mobilisasi petugas ini membolehkan operasi
menyelamat serta kerja-kerja pembersihan pasca bencana dapat dilaksanakan dengan kadar segera untuk memastikan rakyat terjejas dapat meneruskan kehidupan. Tidak dilupakan juga ucapan penghargaan kepada lebih lima puluh ribu (50,000) sukarelawan yang turut membantu Kerajaan Negeri semasa kejadian tersebut, khususnya daripada Team Selangor dan SERVE yang menggerakkan operasi pembersihan pasca banjir di semua lokasi yang terkesan.
Kerajaan Beta juga proaktif menyalurkan bantuan meliputi bantuan semasa banjir berlaku dan bantuan selepas banjir surut bagi meringankan beban mangsa banjir dengan menyalurkan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) berjumlah Ringgit Malaysia Seratus Enam Juta (RM106 Juta).
Bagi pemulihan infrastruktur pula, Kerajaan Beta telah menerima cadangan tujuh ratus tujuh puluh dua (772) projek daripada Jabatan Kerja Raya Selangor, Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor serta Jabatan Agama Islam Selangor membabitkan kos sebanyak Ringgit Malaysia Lima Ratus Sembilan Belas Perpuluhan Empat Dua Juta (RM519.42 Juta).
Sehubungan dengan itu, dua pendekatan harus dititikberatkan dalam menangani isu perubahan iklim iaitu aspek mitigasi dan juga adaptasi. Tindakan mitigasi melibatkan pelbagai langkah untuk mengurangkan aktiviti pelepasan Gas Rumah Hijau (GRH) yang merupakan salah satu punca utama pemanasan global. Manakala, adaptasi pula merangkumi pelbagai tindakan yang membantu masyarakat dan ekosistem untuk berhadapan dengan perubahan iklim. Kedua-dua tindakan mitigasi dan adaptasi perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan seimbang. Beta difahamkan bahawa Kerajaan Beta telah melaksanakan tindakan-tindakan strategik untuk mengukuhkan daya tahan Selangor terhadap impak perubahan iklim ini.
Usaha-usaha untuk mengekalkan Selangor sebagai negeri berdaya huni dan menjadi destinasi pilihan utama pelabur, telah diteruskan dalam Belanjawan 2022 yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Memanda Dato’ Menteri Besar Selangor pada 26 November 2021, dengan tema - Kita Selangor: Negeri Tahan Uji, Mengangkat Martabat Insani. Belanjawan 2022 ini telah diluluskan dalam Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas (14) Tahun 2021 dengan jumlah keseluruhan sebanyak Ringgit Malaysia Dua Ribu Tiga Ratus Dua Puluh Tiga Juta (RM2,323 Juta) merangkumi belanja mengurus sebanyak Ringgit Malaysia Seribu Dua Ratus Dua Puluh Juta (RM1,220 Juta) dan belanja pembangunan sebanyak Ringgit Malaysia Seribu Seratus Dua Puluh Tiga Juta (RM1,123 Juta) serta defisit sebanyak Ringgit Malaysia Dua Ratus Sembilan Puluh Tiga Juta (RM293 Juta).
Beta, dalam masa yang sama juga, ingin mengucapkan setinggi- tinggi penghargaan kepada semua jabatan dan agensi yang telah menunjukkan komitmen untuk
memastikan pencapaian memberangsangkan dan telah berjaya memperolehi kutipan hasil tahun 2021 sebanyak Ringgit Malaysia Dua Ribu Dua Ratus Tujuh Puluh Lapan Perpuluhan Kosong Tiga Juta (RM2,278.03 Juta) atau seratus tiga perpuluhan lima lima peratus (103.55%) iaitu melebihi daripada anggaran awal sebanyak Ringgit Malaysia Dua Ribu Dua Ratus Juta (RM2,200 Juta).
Bagi tahun 2022, Kerajaan Beta membuat anggaran kutipan hasil sebanyak Ringgit Malaysia Dua Ribu Lima Puluh Juta (RM2,050 Juta). Penurunan anggaran hasil 2022 berbanding tahun lepas adalah disebabkan pandemik Covid-19 yang berlarutan sejak Mac 2020. Walau bagaimanapun, Kerajaan Beta sentiasa mengambil langkah proaktif dalam memastikan kutipan hasil dapat ditingkatkan. Antara langkah yang diambil termasuklah mencari sumber hasil baharu yang lebih lestari (sustainable income) dan mendapatkan hasil berterusan (recurring income).
Selain daripada itu, Beta juga berkenan dengan inisiatif Kerajaan Beta dalam memudahcara para pelabur bagi menggalakkan pelaburan baru atau pengembangan pelaburan sedia ada bertujuan untuk meningkatkan lagi tarikan negeri Selangor sebagai pilihan utama pelabur tempatan dan luar negara. Bagi tempoh Januari hingga September 2021, prestasi pelaburan dan perindustrian merekodkan pencapaian yang menggalakkan di mana Selangor mencatatkan nilai pelaburan berjumlah Ringgit Malaysia Lima Perpuluhan Sembilan Enam Bilion (RM5.96 bilion) daripada seratus lapan puluh dua (182) projek perkilangan yang diluluskan. Jumlah projek perkilangan yang diluluskan ini merupakan jumlah tertinggi berbanding dengan negeri-negeri lain, di mana sebanyak dua belas ribu dua ratus dua puluh enam (12,226) potensi peluang pekerjaan diwujudkan di negeri Selangor.
Ini adalah hasil daripada kejayaan Kerajaan Beta melalui Invest Selangor Berhad menganjurkan program tahunan iaitu Selangor International Business Summit (SIBS). Objektif penganjuran program ini untuk mempromosikan negeri Selangor sebagai Hub Perdagangan Global di rantau ASEAN dan juga memberi peluang kepada syarikat-syarikat tempatan dan asing untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan serta memberi peluang untuk menjalinkan hubungan kerjasama perniagaan bagi menjadikan negeri Selangor sebagai destinasi pelaburan serta hub perdagangan bagi rantau ASEAN.
Inisiatif untuk menarik pelaburan baru ini diteruskan oleh Kerajaan Beta melalui pembangunan infrastruktur moden dan lengkap yang akan mempertingkatkan lagi kepelbagaian sektor industri serta perniagaan di negeri Selangor. Pembukaan Fasa Satu Projek MRT2 laluan Sungai Buloh – Serdang – Putrajaya iaitu dari Kwasa Damansara ke Stesen Kg. Batu adalah dijangka selewat-lewatnya pada bulan April tahun ini. Beta menjangkakan pembukaan laluan MRT2 ini akan merancakkan lagi sektor-sektor ekonomi sampingan dan seterusnya memberikan limpahan ekonomi kepada semua pihak.
Projek-projek pengangkutan awam yang bakal dibangunkan melalui jajaran di dalam negeri Selangor adalah projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) serta MRT3 Circle Line. Kedua-dua projek ini telah dibuat penelitian sebaik mungkin dengan mengambilkira pelbagai faktor terutamanya kesan ke atas impak sosial dan alam sekitar yang perlu dipelihara serta tidak menjejaskan kesejahteraan generasi akan datang.
Beta sangat berharap pelaksanaan projek-projek ini tidak menimbulkan kesan atau bencana yang lebih teruk dan mengganggu-gugat kehidupan rakyat Beta yang terpaksa menanggung akibatnya untuk tempoh yang lama apabila pembangunan projek dilaksanakan secara tidak teratur, cuai tanpa pemantauan dan pengawalan pihak-pihak yang terlibat. Oleh itu, suka Beta ingatkan supaya semua pihak yang terlibat sama ada di peringkat Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Negeri perlu memastikan agar kerja-kerja dijalankan dengan teratur serta disempurnakan dengan baik.
Beta juga berkenan dengan iltizam Kerajaan Beta yang berazam merapatkan jurang pembangunan antara daerah dengan meningkatkan jaringan jalan raya yang lebih luas. Bagi mencapai hasrat ini, Kerajaan Beta telah meluluskan sejumlah Ringgit Malaysia Seratus Tiga Puluh Lapan Perpuluhan Satu Tiga Juta (RM138.13 Juta) kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi pelaksanaan projek-projek jalanraya pada tahun 2022. Selain daripada itu, Kerajaan Beta juga sentiasa memastikan infrastruktur sedia ada lebih selamat dan selesa dengan memperuntukkan sebanyak Ringgit Malaysia Empat Perpuluhan Sembilan Lapan Juta (RM4.98 Juta) untuk kerja-kerja membina dan menaiktaraf projek bangunan untuk kegunaan pelbagai pihak.
Beta juga dimaklumkan bahawa bagi tahun 2022, Kerajaan Beta akan menyempurnakan pembinaan tiga (3) buah masjid iaitu Masjid Kota Damansara 2 (Seksyen 9) di Daerah Petaling, Masjid Al-Ehsan Kampung Tok Muda di Daerah Klang dan Masjid Kampung Sungai Serai 13 di Daerah Hulu Langat.
Selain daripada itu, bagi menampung permintaan terhadap pendidikan Islam dan juga menjamin keselesaan pelajar, Kerajaan Beta memperuntukkan sebanyak Ringgit Malaysia Tiga Juta (RM3 juta) untuk menaiktaraf dan membina baru sekolah pendidikan Islam di negeri Selangor. Sebanyak empat (4) buah sekolah baru akan dibina iaitu Sekolah Rendah Agama Kota Kemuning, Sekolah Rendah Agama Bandar Saujana Putra, Sekolah Rendah Agama Bandar Teknologi Kajang dan Sekolah Rendah Agama Bukit Sentosa Fasa 1 di Hulu Selangor. Manakala dua (2) buah sekolah akan dinaik taraf iaitu Sekolah Rendah Agama Integrasi Seksyen 19 dan Sekolah Rendah Agama Seksyen 7 Shah Alam.
Bagi menambah baik aspek pengurusan sumber air di Selangor, Beta dimaklumkan bagi tahun 2022, Kerajaan Beta telah memperuntukkan sebanyak Ringgit Malaysia Lima Puluh Lapan Juta (RM58 Juta) untuk pelaksanaan Pembangunan Projek Tebatan
Banjir, Pembangunan Sistem Saliran, Pembangunan Lembangan Sungai, Pengurusan Saliran Mesra Alam dan Pembangunan Pantai. Beta berharap Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor dapat memberikan pendekatan yang lebih kreatif dan berinovasi dalam menangani isu banjir dengan mengoptimumkan penggunaan sumber yang terhad.
Beta menyeru agar semua projek ini dapat dilaksanakan mengikut kos, jadual dan kualiti yang telah ditetapkan. Isu ketirisan melibatkan penjawat awam dan juga pemimpin politik sewajarnya tidak lagi timbul dengan tindakan proaktif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri melalui penubuhan Selangor Implementation and Performance Monitoring Unit (SIAP). Unit ini bertanggungjawab untuk memantau prestasi pelaksanaan inisiatif dan projek, serta mengukur dan menilai prestasi dan pencapaian Kerajaan Negeri dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat.
Berikutan pandemik COVID-19 yang telah melanda seluruh dunia sejak dari tahun 2020 telah memberikan kesan yang amat perit kepada negara khususnya di negeri Selangor. Sektor pertanian juga tidak terlepas dari kesan tersebut yang telah mengakibatkan projek-projek pertanian khususnya pertanian makanan menjadi perlahan dan seterusnya memberikan kesan kepada bekalan makanan.
Beta berharap Kerajaan Negeri mempergiatkan semula pelbagai program untuk mengurangkan keperitan dan kesusahan yang ditanggung oleh golongan warga tani di negeri Selangor bagi memastikan bekalan makanan berada pada tahap yang selamat dan pada masa yang sama sumber ekonomi warga tani dapat dipertingkatkan.
Beta dimaklumkan bahawa Kerajaan Beta telah memperuntukkan sebanyak Ringgit Malaysia Enam Puluh Tujuh Juta (RM67 Juta) untuk tujuan pembangunan sektor pertanian di negeri Selangor untuk tempoh lima (5) tahun (2021-2025). Peruntukkan ini bertujuan untuk membangunkan program pembangunan sektor tanaman makanan.
Bermula pada tahun 2022, Beta dimaklumkan bawah Kerajaan Beta telah merancang untuk melaksanakan program-program yang boleh membantu mewujudkan peluang-peluang ekonomi khususnya kepada golongan muda di bawah Program Jaminan Bekalan Makanan – Pembangunan Agropreneur Smart Selangor Agro Park (SSAP) di Daerah Sabak Bernam, Sepang, Kuala Langat, Kuala Selangor, Gombak dan Hulu Selangor. Melalui program ini, Kerajaan Beta mensasarkan untuk meningkatkan bekalan makanan di Negeri Selangor dan dalam masa yang sama turut membantu meningkatkan sumber ekonomi khususnya kepada golongan muda.
Industri pelancongan merupakan sektor yang paling terkesan dengan impak pandemik COVID-19. Pemulihan industri ini perlu dilaksanakan dengan kadar segera dengan memperkenalkan aktiviti pelancongan dengan norma baharu. Beta dimaklumkan bahawa Kerajaan Beta telah merangka pelan tindakan pemulihan berkonsepkan Safe
Travel atau Safe Tourism yang memberi penekanan kepada aspek keselamatan, transformasi digitalisasi, kemampanan, serta kelangsungan perniagaan dan perkhidmatan di seluruh ekosistem pelancongan di negeri Selangor. Adalah diharapkan ia dapat menjamin kelangsungan industri pelancongan negeri serta menjadikan Selangor kembali sebagai destinasi pelancongan terpilih di Malaysia dan di peringkat global.
Pengurusan kesihatan awam yang menyeluruh, berpatutan dan efektif berasaskan teknologi digitalisasi menjadi asas kepada kesejahteraan rakyat dan kelangsungan ekonomi negeri Selangor. Bagi tujuan ini, Kerajaan Beta telah memperuntukkan sejumlah Ringgit Malaysia Enam Puluh Lima Juta (RM65 Juta) bagi pengurusan kesihatan secara keseluruhan bagi tahun 2022.
Kehidupan pasca pandemik COVID-19 masih menuntut aspek kesihatan dijadikan sebagai keutamaan. Beta mengucapkan tahniah kepada rakyat negeri ini yang telah memberi komitmen yang tinggi dalam aspek penjagaan kesihatan awam di mana lebih sembilan puluh peratus (90%) rakyat Negeri Selangor telahpun mengambil sekurang-kurangnya dua (2) dos vaksin COVID-19. Namun, Beta ingin menasihati rakyat beta agar terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan walaupun negara kini sedang membuat persediaan untuk beralih ke fasa endemik.
Di samping usaha imunisasi yang telah digerakkan secara menyeluruh oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Program Imunisasi Kebangsaan (PICK) dan juga usaha Kerajaan Beta melalui program SelVax Industri, SelVax Komuniti, SelVax Mobile, SelVax Remaja, dan yang terkini SelVax Booster, suka untuk Beta mengingatkan agar seluruh rakyat terus mengamalkan aktiviti gaya hidup sihat sebagai usaha pencegahan kepada penyakit-penyakit tidak berjangkit yang lain.
Beta juga ingin menyeru agar semua rakyat mengambil peluang melakukan saringan kesihatan melalui program Saring Selangor yang bakal diadakan di seluruh negeri. Program saringan kesihatan seperti ini amat penting dalam langkah pengesanan awal penyakit berisiko, seterusnya dapat memastikan rawatan awal dapat diberikan lantas usaha penyembuhan dapat berlaku lebih cepat.
Pertumbuhan dan kemajuan ekonomi negeri perlu setanding dengan peningkatan taraf sosio ekonomi rakyat. Ekonomi yang pesat berkembang merupakan instrumen yang paling berkesan dalam mengurangkan kadar kemiskinan. Justeru, Beta menyeru agar semua pihak dapat berganding bahu dan memberikan komitmen jitu untuk memastikan taraf hidup rakyat Beta dapat dipertingkatkan melalui peningkatkan sumber pendapatan mereka.
Beta berkenan dengan inisiatif Kerajaan Beta yang telah menjalankan Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor bertujuan untuk
meningkatkan taraf ekonomi melalui penjanaan atau peningkatan pendapatan golongan B40 menerusi pemberian bantuan peralatan atau mesin berdasarkan perusahaan yang dijalankan. Jumlah peruntukan yang telah dibelanjakan adalah sebanyak Ringgit Malaysia Dua Perpuluhan Satu Sembilan Juta (RM2.19 Juta) dengan jumlah penerima manfaat seramai lima ratus dua puluh sembilan (529) orang. Kerajaan Negeri juga turut akan membantu membawa usahawan-usahawan kecil ini menjalinkan usahasama dan kerjasama strategik dengan pelbagai syarikat. Langkah ini adalah bagi memastikan produk dan perniagaan mereka dapat diperkasakan melalui pasaran yang lebih luas.
Beta juga berkenan dengan inisiatif penambahbaikan ke atas program sedia ada di mana Kerajaan Beta akan melaksanakan Program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) yang menyasarkan sebanyak tiga puluh ribu (30,000) keluarga di Selangor dengan peruntukan sebanyak Ringgit Malaysia Seratus Lapan Juta (RM108 juta). Penambahbaikan yang dilaksanakan adalah pemberian bantuan daripada Ringgit Malaysia Dua Ratus (RM200.00) kepada Ringgit Malaysia Tiga Ratus (RM300.00) setiap bulan. Program BINGKAS juga menjadi semakin maju dengan perubahan daripada penggunaan kad pintar kepada penggunaan e-wallet melalui aplikasi SeLangkah bagi tujuan transaksi penyaluran dan pembayaran.
Beta turut berkenan apabila sektor pendidikan di negeri Selangor terus dijadikan salah satu daripada agenda utama Kerajaan Negeri. Inisiatif di bawah sektor pendidikan perlu dilaksanakan secara kerjasama merentas fahaman politik, agama dan bangsa. Bantuan pendidikan, biasiswa dan pinjaman sedia ada khususnya untuk anak negeri Selangor wajar diteruskan dan diperkasakan dengan penglibatan jabatan, agensi serta anak syarikat Kerajaan Negeri. Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) juga perlu diperluaskan agar Selangor menjadi negeri peneraju dalam melahirkan warga kerja berkemahiran tinggi yang dapat memenuhi keperluan industri berteknologi tinggi.
Selain daripada itu, Beta turut berharap Kerajaan Negeri meneruskan usaha memperluaskan lagi akses kepada perumahan mampu milik kepada rakyat beta terutamanya kepada golongan B40 melalui kaedah pembiayaan bersesuaian dengan pendapatan mereka. Besar harapan Beta agar Dasar Perumahan Mampu Milik Negeri Selangor dengan matlamat “Satu Keluarga Satu Kediaman Yang Sempurna” dapat diadakan bagi memastikan setiap rakyat atau keluarga berpeluang memiliki tempat tinggal yang selesa dan selamat.
Bagi tujuan penambahbaikan pengurusan bencana negeri, Beta ingin memberi penekanan kepada beberapa perkara supaya keupayaan sedia ada dapat dipertingkatkan untuk berhadapan dengan sebarang bencana dalam keadaan siap sedia yang lebih baik.
Penggunaan pusat kawalan Smart Selangor C5i Operations Centre (SSOC) sebagai
pusat kawalan dan perintah utama untuk pengurusan bencana harus diperkasa dan diperluaskan lagi keupayaannya. Ini termasuk penggunaan lebih banyak teknologi kawal perintah dan pemantauan secara automatik dan mengembangkan penggunaan infrastruktur digital ini ke setiap Pejabat Daerah dan Tanah di negeri Selangor agar operasi search and rescue, menyelaras pusat pemindahan sementara, penghantaran bantuan makanan dan pakaian dapat dilaksanakan dengan lebih cepat, cekap dan teratur.
Penggunaan infrastruktur digital Selangor Gigabit Network (SeGNet) dan Smart Selangor Hybrid Cloud Data Centre (SSDC) yang sudah dibangunkan dengan baik, harus diupayakan untuk semua agensi kerajaan, Pejabat Daerah dan Tanah serta Pihak Berkuasa Tempatan. Ini penting untuk memastikan penyaluran data yang lebih cepat dan berkesan. Kerajaan Negeri seharusnya mendepani penggunaan teknologi digital untuk ramalan ini agar operasi Smart Disaster Management dapat diwujudkan dengan kadar segera bagi menjamin kedudukan Selangor sebagai ‘Resilient Economic Centre for Malaysia’ pada masa akan datang.
Ahli-Ahli Yang Berhormat,
Sebelum Beta mengakhiri titah ucapan ini, Beta ingin menasihatkan Kerajaan Negeri agar memberi penekanan yang lebih serius terhadap usaha-usaha menangani masalah banjir dan banjir kilat yang semakin kerap berlaku di negeri Beta ini.
Ini termasuk menyediakan pelan jangka pendek dan jangka panjang yang merangkumi kerja-kerja mendalam dan melebarkan sungai, memastikan sistem perparitan yang baik dan terurus, serta membina kunci air (floodgate) di lokasi-lokasi penting yang mengambilkira kadar taburan hujan dan jadual pasang surut air laut.
Kaedah terbaik menangani banjir perlu dikenalpasti segera termasuk mendapatkan khidmat kepakaran serta teknologi baharu dari dalam dan luar negara. Sepatutnya, sejak berlaku tragedi banjir besar di negeri Selangor pada tahun 1971, kita telah belajar dan memperoleh teladan bagaimana untuk menyediakan pelan tindakan sebelum dan selepas banjir. Apatah lagi, dengan jumlah penduduk yang kini mencecah lebih 6.5 juta orang terutama kawasan-kawasan yang sangat padat penduduknya (density), Kerajaan Negeri harus mempunyai perancangan masa hadapan yang lebih efektif supaya rakyat Negeri Selangor tidak lagi merana dan terbeban dengan masalah banjir.
Dalam melaksanakan usaha-usaha ini, Beta juga mahu Pegawai-pegawai Kerajaan Negeri, Agensi-agensi dan Jabatan-jabatan di bawah Kerajaan Negeri lebih pro-aktif dalam menyelesaikan masalah-masalah berkaitan bencana banjir.
Setiap tindakan dan respons perlu diambil dengan cepat dan pantas tanpa berlengah kerana ia membabitkan nyawa dan kerugian harta benda rakyat. Beta juga berharap
agar setiap projek mengatasi banjir seperti pembinaan ban atau mendalamkan sungai dilakukan dengan sempurna dan bersungguh-sungguh agar ia berkesan dalam tempoh jangka masa panjang bagi mengelakkan bencana banjir yang lebih buruk daripada berlaku.
Ingin Beta tegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan Undang-undang merupakan salah satu cara yang paling berkesan untuk memberi pengajaran kepada rakyat supaya tidak melakukan pencemaran dan pencerobohan tanah di tepi-tepi sungai di negeri ini. Beta mengharapkan Kerajaan Negeri dapat mengukuhkan lagi tindakan penguatkuasaan khususnya terhadap pihak-pihak yang terlibat dalam kegiatan pencemaran sungai yang menjadi punca utama kepada berlakunya bencana banjir. Beta juga berharap rakyat Beta memainkan peranan masing-masing untuk memastikan sistem perparitan dan sungai di penempatan masing-masing tidak tersumbat dan sentiasa bersih serta berada dalam keadaan baik. Elakkan daripada kegiatan membuang sampah ke dalam sungai yang boleh mencemarkan kualiti air dan banjir kilat.
Beta sedih dan dukacita apabila melihat kesan-kesan kerosakan selepas banjir yang terpaksa dihadapi oleh rakyat. Sekiranya semua pihak masih lagi tidak serius dan sambil lewa dalam mendepani bencana banjir ini, bukan sahaja kerajaan akan terus menanggung kerugian, malah rakyat juga akan terbeban.
Dalam hal ini Beta berharap Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mengenepikan perbezaan fahaman politik dan dapat bekerjasama menangani masalah banjir di Lembah Klang supaya rakyat yang terlibat tidak menanggung penderitaan yang teruk dan trauma setiap kali berlaku musim hujan.
Ahli-Ahli Yang Berhormat,
Di sini, Beta mengambil kesempatan untuk mengingatkan Ahli-ahli yang Berhormat yang telah dipilih oleh rakyat untuk menjadi wakil rakyat di negeri Selangor ini agar menumpukan usaha dan tanggungjawab yang diberikan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat di kawasan masing-masing seterusnya dapat membangunkan ekonomi dan memakmurkan negeri Selangor yang Beta kasihi ini. Beta tidak mahu wakil rakyat menghabiskan masa dengan berpolitik untuk kepentingan parti masing-masing sahaja sehingga mengabaikan tugas dan peranan mereka untuk membela nasib rakyat. Janganlah asyik berpolitik siang dan malam untuk kepentingan diri masing-masing.
Mengakhiri titah, Beta berharap agar Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian dapat berbahas dengan berhemah, memberi topik perbahasan yang bernas dan mengemukakan cadangan penyelesaian yang tepat demi kesejahteraan rakyat yang Beta kasihi. Beta berdoa semoga negeri Selangor dan seluruh rakyat Beta sentiasa berada dalam limpahan rahmat dan perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Beta mengucapkan selamat bersidang, terima kasih.
Sekian. Wabillahi Taufik Wal Hidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Demikian tadi Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor. Patik bagi pihak Ahli-ahli Dewan Negeri Selangor sekalian menjunjung kasih di atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor. Dengan ini saya menangguhkan Dewan sehingga hari Selasa, 15 Mac 2022, jam 10.00 pagi. Dewan ditangguhkan.
Dengan hormatnya dijemput Sahibus Samahah Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor untuk membacakan Doa Selamat setelah sempurnanya Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas.
Keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor meninggalkan Dewan Mesyuarat.
Dengan hormatnya dijemput Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ex-Officio turun ke lobi Dewan Negeri bagi mengiringi Keberangkatan Balik D.Y.M.M. Sultan Selangor. Ahli-ahli Dewan Negeri dan Dif-dif Kehormat dipohon kekal berada di Dewan Mesyuarat.
(Dewan ditangguhkan pada jam 11.00 pagi)