Selangor · 25 November 2022

14th Assembly, 5th session, 3rd meeting · 16 turns · 21,524 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalSelangor publishes one PDF per sitting day; recent ones are drafts (Draf Penyata Rasmi). Full written answers are published for 2018-19 only.

(Pembukaan)

Setiausaha Dewan

Aturan Urusan Mesyuarat bagi Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Keempat Belas pada 24 November 2022 dimulakan dengan bacaan doa.

Penolong Setiausaha Dewan

Bacaan Doa.

Speaker

Ahli-ahli Yang Berhormat, menurut Peraturan 13(1) Peraturan-peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor, bacaan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 akan dibacakan selepas sesi Pertanyaan-pertanyaan. Namun begitu, pada hari ini, Rang Undang-undang Perbekalan 2023 akan dibacakan terlebih dahulu. Perkara ini telah dimohon oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar dan saya mengizinkan.

Tanpa melengahkan masa, sekarang saya mempersilakan Setiausaha Dewan untuk meneruskan Aturan Urusan Mesyuarat pada petang ini. Silakan.

Kertas-Kertas Mesyuarat

Setiausaha Dewan

Aturan Urusan Mesyuarat seterusnya. Membentangkan Kertas-kertas Mesyuarat:-

1) Kertas Mesyuarat Bilangan 67 Tahun 2022

-Anggaran Belanjawan Negeri Selangor 2023 & Senarai Perjawatan Negeri Selangor 2023

2)

Kertas Mesyuarat Bilangan 68 Tahun 2022 - Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Selangor 2021

3)

Kertas Mesyuarat Bilangan 69 Tahun 2022

-Laporan Tahunan 2021 Tabung Amanah Bencana Alam

4)

Kertas Mesyuarat Bilangan 70 Tahun 2022

-Laporan Tahunan 2021 Tabung Warisan Negeri Selangor

6)

Kertas Mesyuarat Bilangan 71 Tahun 2022

-Laporan Tahunan 2021 Tabung Amanah Warisan Anak Selangor

7)

Kertas Mesyuarat Bilangan 72 Tahun 2022

-Memorandum Laporan Ketua Audit Negara Negeri Selangor Tahun 2018 dan 2019

Rang Undang- undang Perbekalan 2023 (Semua Peringkat)Bill

Setiausaha Dewan

Aturan Urusan Mesyuarat seterusnya. Rang Undang-

undang Perbekalan 2023 (Semua Peringkat). Rang Undang-undang ini bernama suatu Enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan Negeri untuk perkhidmatan bagi tahun 2023 dan bagi memperuntukkan jumlah wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu.

Dato’ Seri Amirudin bin ShariPKR · PHMenteri Besar · Sungai Tua

Tuan Speaker, oleh sebab Rang Undang-undang ini perlu dan mustahak diluluskan pada hari ini juga, saya mencadangkan di bawah Peraturan Tetap 78 supaya ditangguhkan Peraturan Tetap 48 dan 53, bagi membolehkan Rang Undang-undang ini dibacakan pada semua peringkat dan seterusnya diluluskan.

Dato’ Teng Chang KhimDAP · PHBandar Baru Klang

Tuan Speaker, saya menyokong.

Speaker

Ahli-ahli Yang Berhormat yang bersetuju dengan cadangan ini sila kata YA. Ahli-ahli Yang Berhormat yang tidak bersetuju sila kata TIDAK.

Dipersetujui.

Dato’ Seri Amirudin bin ShariPKR · PHMenteri Besar · Sungai Tua

Tuan Speaker dan Ahli-ahli Yang Berhormat. Tujuan Rang Undang-undang ini ialah untuk pengeluaran sejumlah wang tidak melebihi Dua Bilion, Tiga Ratus Lapan Puluh Empat Juta, Tiga Ratus Dua Puluh Tujuh Ribu, Sembilan Ratus Lapan Puluh (RM2,384,327,980.00) daripada Kumpulan Wang Disatukan Negeri untuk perkhidmatan bagi tahun 2023 adalah dengan ini dibenarkan dan jumlah wang itu diperuntukkan bagi maksud-maksud yang dinyatakan dalam Jadual.

Tuan Speaker, Ahli-ahli Dewan, dan warga Selangor yang saya kasihi, Ini merupakan kali kelima saya berdiri membentangkan Belanjawan Negeri di dalam Dewan yang mulia ini, bersama pasukan pentadbiran di sebelah saya, dengan sokongan dan kerjasama utuh Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Undang-Undang Negeri, Pegawai Kewangan Negeri, ketua-ketua jabatan serta seluruh anggota yang berkhidmat dari Hulu Bernam di utara hingga Sungai Pelek di sempadan Negeri Selangor. Kali pertama saya membentangkan Belanjawan 2019, negara kita baru mencipta sejarah dan dipenuhi harapan selepas Kerajaan baharu di peringkat persekutuan diamanahkan oleh rakyat Malaysia untuk mula memulihkan sistem pentadbiran negara yang telah tercalar teruk akibat skandal 1MDB serta penyalahgunaan kuasa yang diketahui seluruh dunia. Malaysia kembali menjadi negara yang dihormati di seluruh dunia. Rakyat Malaysia yang berkunjung ke luar negara mula berjalan dengan lebih yakin apabila berjumpa dengan warganegara lain. Rakyat Malaysia yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang teruja apabila mendengar Kapten Juruterbang menyebut, Selamat pulang warga Malaysia, “Malaysians, welcome home.”

Sebagai negeri yang menjadi perhatian ramai, pentadbiran ini mula membina kerjasama yang lebih utuh dengan peringkat Persekutuan. Hubungan erat dan konstruktif membolehkan kita menyelesaikan beberapa perkara di antaranya penstrukturan semula industri air di bawah kerangka Air Selangor. Manakala itu, saya juga membentangkan Belanjawan yang berteraskan agenda klusterisasi yang merencana 10 Gugusan Ekonomi untuk membangunkan wilayah-wilayah di Selangor berasaskan potensi sedia ada. Kita sedar keperluan mendesak untuk pembangunan yang setara dan saksama termasuklah kesaksamaan geografi atau geographical. Kemudian, Belanjawan bagi tahun 2020 memberi fokus khusus kepada pembangunan digitalisasi ke arah mencapai hasrat Kerajaan Negeri supaya Selangor menjadi Premier Smart State menjelang tahun 2025. Antara sasaran lain yang diletakkan pada ketika itu adalah supaya Selangor berjaya menyumbang 30% kepada KDNK negara, serta konsep Maju Bersama yang selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama di peringkat Persekutuan.

RM50 juta diperuntukkan untuk usaha-usaha digitalisasi, termasuk pembinaan sebuah command centre yang dinamakan sebagai Smart Selangor Operations Centre dan telah siap sejak dua tahun lalu. Kurang tiga bulan kemudian, sejenis virus yang tidak dikenali pada ketika itu yang dilaporkan mula merebak di bandar Wuhan bertempat di provinsi Hubei, China. Virus yang kemudiannya dikenali sebagai COVID-19 merebak ke seluruh dunia. Malaysia tidak ketinggalan. Sebagai negeri dengan jumlah penduduk yang paling tinggi di Malaysia, Selangor pun tidak terlepas daripada COVID-19 oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Ibarat jatuh ditimpa tangga, penangan pandemik ini berlaku sementelah negara dikejutkan dengan kemelut politik yang menyaksikan berlakunya peralihan tampuk kepimpinan secara luar jangka, yang mendorong kepada ketidaktentuan politik tanah air sehinggalah ianya terlerai melalui Pilihanraya Umum ke-15 yang selesai melalui pengumuman pelantikan Perdana Menteri ke-10, semalam. Namun, Kerajaan Negeri Selangor menggalas tanggungjawab dan mengekalkan kestabilan politik serta sosio-ekonomi dengan membentangkan tiga (3) Pakej Rangsangan Ekonomi dan satu (1) Pelan Pemulihan Ekonomi untuk membantu warga Selangor yang terkesan dengan lockdown supaya dapat (dengan izin) ‘cushion the blow’, terutamanya rakyat negeri Selangor yang amat memerlukan. Belanjawan bagi tahun 2021 menekankan aspek digitalisasi, dengan peruntukan sebanyak RM369 juta untuk inisiatif seperti Selangor Innovation Fund, Selangor Advance, serta usaha mencipta peluang pekerjaan baharu seperti Selangor Kerjaya, Selangor Automotif TVET dan Selangor Freelancers. Selain itu, Selangor E-Kitchen PLATS dan E-Bazar Raya juga diperkenalkan.

Dan tahun 2022, saya membentangkan sebuah belanjawan untuk tahun ini dengan menekankan aspek tahan uji, di mana pentadbiran ini serta rakyat negeri Selangor

telah terbukti teruji dan mampu menahan ujian-ujian yang telah kita harungi semenjak tahun 2020. Belanjawan untuk tahun ini juga mengukuhkan agenda kesihatan awam Selangor di bawah kerangka baharu kesemua 44 program pemberdayaan rakyat, iaitu Iltizam Selangor Penyayang. Tahun ini juga, Negeri Selangor menjadi negeri pertama di Malaysia yang membentangkan suatu rancangan jangka sederhana bagi tempoh lima tahun untuk merancang dan mengkoordinasi pembangunan sosio-ekonomi berimpak tinggi, iaitu Rancangan Selangor Pertama. Dokumen itu diluluskan sebulat suara di dalam dewan yang mulia ini. Dan pada detik saya berdiri di sini petang yang amat mulia ini, negeri kita baru melalui proses Pilihan Raya Umum yang melihat pertembungan antara tiga gabungan untuk membentuk Kerajaan Persekutuan. Sejurus Pilihan Raya Ke-15 selesai, negara kita berada pada titik persimpangan antara dua persimpangan yang amat berbeza. Di satu persimpangan, pilihan yang mampu mengubah fabrik sosial masyarakat kita dengan memanipulasi paranoia dan kebencian. Yang kedua pula, pimpinan negara boleh memilih untuk membawa Malaysia ke hadapan dengan fokus kepada kekuatan masing-masing serta mencari titik persamaan yang mampu memulakan proses memulihkan negara kita, memulakan proses rekonsiliasi nasional. Ini mengingatkan saya kepada cabaran yang merungsingkan Robert Frost apabila dia menukilkan sajaknya, “The Road Not Taken” pada tahun 1915 sewaktu Perang Dunia pertama. Dengan menggunakan contoh seorang pengembara yang berada di persimpangan, Frost menulis:

“Two roads diverged in a wood, and I— I took the one less traveled by, And that has made all the difference.”

Sebagai pemimpin masyarakat dan pemimpin negara, kita berada di persimpangan jalan hampir serupa, dan pilihan yang hanya mampu diambil oleh negarawan. Alhamdulillah, Tuan Speaker, saya bersyukur, dan saya percaya ramai lagi rakyat Malaysia yang bersyukur bahawa pilihan kedua ini menjadi jalan yang mengeluarkan negara ini daripada ketegangan dan jalan buntu yang telah kita lihat. Pendekatan yang memberi fokus kepada pentadbiran secara kolektif adalah yang diingini oleh seluruh warga Malaysia pada ketika ini. Negara kita bakal menghadapi cabaran besar pada tahun hadapan. Badan-badan antarabangsa menjangkakan kemelesetan bakal tiba serta inflasi yang semakin mencabar. Itulah sebabnya pentadbiran ini mencadangkan Belanjawan Selangor 2023 yang beriltizam Kita Selangor ini bukan sekadar satu frasa untuk membangkitkan semangat kenegerian sempit, tetapi konsep yang menekankan kepentingan kolektif, kepentingan kekitaan, kepentingan rahmah dan juga ehsan. Kita Selangor adalah asas kepada identiti dan semangat kekitaan yang membawa mesej bahawa cabaran-cabaran besar dunia boleh diatasi dengan semangat kerjasama dan saling bantu-membantu di kalangan seluruh lapisan masyarakat sepertimana di saat kita semua menghadapi pandemik COVID-19. Saya bersyukur bahawa dua Pilihan Raya Umum yang kita lalui telah mematangkan proses politik Malaysia. Kini, tiba masanya untuk negara

ini memasuki era kebertanggungjawaban baharu supaya negeri Selangor kekal menjadi gedung ekonomi Malaysia tetapi juga memastikan keperluan rakyat dipelihara berasaskan rahmah, ehsan, dan perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum dapat dipelihara.

Senario Ekonomi Global Dunia kini sedang bergelut dengan tiga krisis yang bersaling kait; jangkaan kemelesetan ekonomi pada tahun hadapan, kesan geopolitik peperangan di Ukraine yang masih berterusan, serta gangguan rantaian bekalan yang disebabkan oleh dasar menangani pandemik di negara China. Menurut Tabung Kewangan Antarabangsa, pertumbuhan ekonomi dunia pada tahun hadapan dianggarkan akan mencatat pengurangan berbanding tahun ini, iaitu daripada 3.2% pada tahun ini kepada 2.7% pada tahun 2023. Satu pertiga daripada ekonomi dunia dijangka akan mengalami pertumbuhan negatif pada dua suku pertama tahun depan. Situasi ini bermaksud akan berlakunya kemelesetan terutamanya di negara-negara yang terlalu bergantung kepada sumber makanan bijirin di Ukraine serta bahan-bahan pembuatan di China. Situasi pertumbuhan ekonomi ini adalah pertumbuhan yang paling lemah sejak tahun 2001, pasca Krisis Kewangan Asia pada tahun 1998.

Senario Ekonomi Malaysia Ekonomi Malaysia telah terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penutupan sempadan yang dikenakan bagi menghentikan penularan wabak COVID-19. Hampir semua sektor ekonomi Malaysia dan pelaburan asing menerima kesannya yang menyaksikan sebilangan rakyat Malaysia mengalami pengurangan pendapatan atau kehilangan pekerjaan. Selain itu, Malaysia juga tidak terkecuali menerima impak langsung dari krisis-krisis global ketika ini. Isu ini merupakan fenomena antarabangsa berikutan hampir semua matawang negara pesat membangun mengalami kejatuhan berbanding Dollar AS. Sifat pasaran mata wang sememangnya sangat me-ruap dan banyak dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran seperti kadar faedah di AS yang dijangka naik. Kelemahan ringgit kepada dolar Amerika sebahagiannya disebabkan oleh pelabur mengambil kira kenaikan kadar yang lebih besar oleh Rizab Persekutuan AS, lebih-lebih lagi dengan inflasi di AS mencecah setinggi 8.5 peratus baru-baru ini. Kadar faedah yang lebih tinggi akan mengurangkan jumlah wang dalam edaran dan meningkatkan inflasi. Mata wang Malaysia yang lemah akan mengakibatkan harga import yang lebih tinggi, membebankan kedua-dua pengguna dan pengimport. Inflasi keseluruhan dan inflasi teras suku kedua 2022 dilaporkan meningkat, masing-masing sebanyak 2.8 dan 2.5 peratus. Berdasarkan laporan Bank

Negara Malaysia, bagi 2022, inflasi keseluruhan dan teras juga dijangka mencatatkan purata lebih tinggi, hampir kepada julat antara 2.0 hingga 3.0 peratus. Sebahagian besar daripada kadar tersebut disumbangkan oleh indeks makanan yang meningkat 6.1 peratus dan kekal menjadi penyumbang utama kenaikan inflasi pada bulan Jun 2022. Selain itu juga, semua kumpulan lain kecuali komunikasi turut merekodkan peningkatan dan mendorong kepada inflasi keseluruhan namun, kadar inflasi di negara ini masih terendah di Asia Tenggara.

Senario Ekonomi Selangor Selangor kekal menjadi penyumbang terbesar kepada ekonomi Malaysia pada tahun 2021 dengan sumbangan sebanyak 24.8 peratus. Kestabilan melalui pengukuhan aspek tadbir urus menghasilkan perkhidmatan yang efisien dan polisi yang efektif dapat dibuktikan menerusi pencapaian yang diperoleh sehingga kini. Selangor antara negeri yang kekal mendahului negeri lain di Malaysia dengan nilai KDNK berjumlah RM343.5 bilion pada 2021 berbanding RM327.1 bilion pada tahun 2020. Nilai tersebut meningkat ke 5.0 peratus pada 2021 berbanding -5.2 peratus pada 2020 sekaligus telah melepasi paras pertumbuhan nasional yang mencatat sebanyak 3.1 peratus. Sumbangan utama diterajui oleh sektor Perkhidmatan dengan sumbangan sebanyak 59.5 peratus, diikuti oleh sektor Pembuatan yang menyumbang sebanyak 31.4 peratus dan sektor Pembinaan sebanyak 5.1 peratus. Sementara itu, sektor Pertanian dan Perlombongan & pengkuarian masing-masing menyumbang 1.5 peratus dan 0.2 peratus. Dengan adanya usaha seperti Rancangan Selangor Pertama tahun ini, keupayaan tadbir urus mampu memberi keyakinan kepada pelabur supaya dapat mencipta peluang-peluang pekerjaan baharu dengan gaji yang setimpal khususnya bagi warga Selangor.

PRESTASI KEWANGAN NEGERI SELANGOR 2022

Kedudukan dan Prestasi Kewangan

Tuan Speaker, Alhamdulillah walaupun berhadapan dengan situasi ekonomi yang mencabar di peringkat antarabangsa mahupun peringkat nasional, saya ingin memaklumkan dalam Dewan yang mulia ini bahawa kedudukan kewangan Kerajaan Negeri Selangor di dalam Kumpulan Wang Disatukan adalah kukuh dan stabil. Sehingga 31 Disember 2021, rizab Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Negeri Selangor yang terdiri daripada Akaun Hasil Disatukan dan Akaun Amanah Disatukan telah merekodkan angka sebanyak Ringgit Malaysia Dua Bilion, Lapan Ratus Tiga Juta, Lapan Ratus Lima Belas Ribu, Tujuh Ratus Empat Puluh dan Tujuh

Puluh Tiga Sen (RM2,803,815,740.73). Dan bagi tahun 2022 pula, sehingga 24 November 2022, kedudukan kewangan negeri terus meningkat sebanyak RM490.54 juta. Ini menjadikan rizab negeri semasa sebanyak RM3,294.35 Juta yang terdiri daripada Akaun Hasil Disatukan berjumlah RM980.55 Juta dan Akaun Amanah Disatukan berjumlah RM2,313.80 Juta. Dengan sentiasa mengamalkan pendekatan perbelanjaan yang berhemah, prestasi kewangan Kerajaan Negeri sehingga 24 November 2022 telah merekodkan lebihan kewangan sebanyak RM261.24 juta. Secara spesifiknya, kutipan hasil Negeri sehingga 24 November 2022 yang telah direkodkan berjumlah RM2,304.66 juta telah digunakan sebanyak 87.25 peratus atau RM1,226.77 juta untuk perbelanjaan mengurus manakala sebanyak 72.72 peratus atau RM816.66 juta untuk perbelanjaan pembangunan.

Jika dibandingkan dengan angka-angka Kedudukan Kewangan Kerajaan Negeri yang dilaporkan dalam Penyata Kewangan beraudit pada tahun 2018, 2019, 2020 dan 2021, jelas bahawa kedudukan kewangan Kerajaan Negeri telah menunjukkan momentum pengukuhan, walaupun ketika kita berdepan dengan tempoh sukar disebabkan ketidaktentuan ekonomi dan wabak pandemik COVID-19 pada tahun 2020 dan 2021. Ini adalah keberhasilan prestasi kewangan yang dicapai melalui strategi merangsang pembangunan serta pengurusan kewangan yang berkesan dan berhemah.

Kedudukan Hasil Negeri

Kutipan sebenar hasil negeri bagi tahun 2021 adalah Ringgit Malaysia Dua Bilion, Dua Ratus Lapan Puluh Empat Juta, Sembilan Puluh Lima Ribu, Sembilan Ratus Enam Puluh Empat dan Empat Puluh Tujuh Sen (RM2,284,095,964.47). Daripada jumlah berkenaan, Hasil Cukai telah merekodkan kutipan sebanyak RM627.19 juta, Hasil Bukan Cukai mencapai kutipan sebanyak RM1,437.02 juta dan Terimaan Bukan Hasil berjumlah RM219.89 juta. Sehingga 24 November 2022, hasil negeri telah mencapai jumlah kutipan sebanyak RM2,304.66 juta bersamaan dengan 112.42 peratus daripada anggaran hasil tahun 2022 sebanyak RM2.05 bilion. Daripada jumlah tersebut, Hasil Cukai telah merekodkan kutipan sebanyak RM684.36 juta (107.77 peratus), Hasil Bukan Cukai mencatatkan kutipan sebanyak RM1,391.78 juta (119.31 peratus) dan Terimaan Bukan Hasil berjumlah RM228.52 juta (92 peratus).

BELANJAWAN 2023

Anggaran Perbelanjaan

Mendepani landskap ekonomi yang mencabar, Kerajaan Negeri masih mengekalkan momentum kedudukan kewangan dan terus berdaya tahan

dilengkapi oleh analisa petunjuk serta perkiraan menyeluruh sebagai langkah persediaan menghadapi kelembapan ekonomi tahun 2023. Dalam menyediakan kerangka belanjawan negeri, rakyat turut dilibatkan untuk memberi input dan cadangan menerusi Portal Belanjawan 2023 selain input dari pemimpin masyarakat dan pemain industri menerusi beberapa sesi Libat Urus Belanjawan. Angka-angka belanjawan ini diolah merentasi umur, agama dan tahap sosio ekonomi serta mendasari enam (6) perkara utama iaitu Peluang Pekerjaan, Perumahan, Alam Sekitar, Belia, Wanita dan Pendidikan.

Justeru, Kerajaan Negeri mencadangkan anggaran perbelanjaan berjumlah Ringgit Malaysia Dua Bilion, Empat Ratus Lima Puluh Juta (RM2,450,000,000.00) bagi Belanjawan Negeri Selangor 2023. Daripada jumlah tersebut, Ringgit Malaysia Satu Billion, Dua Ratus Lima Puluh Juta (RM1,250,000,000.00) atau 51 peratus diperuntukkan bagi Perbelanjaan Mengurus dan Ringgit Malaysia Satu Bilion, Dua Ratus Juta (RM1,200,000,000) atau 49 peratus untuk Perbelanjaan Pembangunan.

Bagi tahun 2023, Kerajaan Negeri menganggarkan hasil yang boleh dikutip berjumlah Ringgit Malaysia Dua Bilion (RM2,000,000,000). Antara penyumbang utama kepada hasil negeri tahun 2023 adalah Premium Tanah iaitu sebanyak RM753.72 juta bersamaan 38 peratus daripada anggaran hasil keseluruhan. Penyumbang kedua terbesar adalah hasil Cukai Tanah iaitu sebanyak RM570.51 juta bersamaan 29 peratus. Manakala penyumbang ketiga terbesar adalah daripada Pemberian Persekutuan iaitu berjumlah RM214.81 juta bersamaan 11 peratus. Dengan mengambil kira jangkaan Hasil Negeri yang berjumlah RM2.0 bilion dan anggaran perbelanjaan berjumlah RM2.45 bilion, maka Belanjawan 2023 mengalami defisit berjumlah Ringgit Malaysia Empat Ratus Lima Puluh Juta (RM450,000,000).

Defisit ini adalah lebih tinggi berbanding tahun 2022 bagi persediaan pengurusan bencana akibat perubahan iklim serta penyediaan peruntukan pembangunan yang substantif untuk memenuhi keperluan pembangunan mapan Negeri Selangor. Walaupun melaksanakan Belanjawan Defisit sejak lima (5) belanjawan lalu, Kerajaan Negeri sentiasa berjaya mengurangkan jumlah defisit kepada satu jumlah yang munasabah menerusi instrumen kawalan perbelanjaan serta amalan prinsip tadbir urus kewangan yang baik.

Belanja Mengurus

Anggaran perbelanjaan Mengurus sebanyak RM1.25 bilion tahun 2023 merangkumi perbelanjaan seperti berikut.

i. Emolumen berjumlah RM449,737,362.05 (Ringgit Malaysia Empat Ratus Empat Puluh Sembilan Juta Tujuh Ratus Tiga Puluh Tujuh Ribu Tiga Ratus Enam Puluh Dua Ringgit Lima Sen),

ii. Perkhidmatan dan Bekalan berjumlah RM561,779,191.28 juta (Ringgit Malaysia Lima Ratus Enam Puluh Satu Juta Tujuh Ratus Tujuh Puluh Sembilan Ribu Satu Ratus Sembilan Puluh Satu Dua Puluh Lapan Sen),

iii. Aset berjumlah RM12,686,078.67 juta,

iv. Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap berjumlah RM185,968,103.70 juta

v. Serta RM39,829,264.30 juta untuk Perbelanjaan-perbelanjaan Lain.

Perbelanjaan Perkhidmatan dan Bekalan (Objek Am 20000) merupakan komponen terbesar mencakupi 44.9 peratus daripada perbelanjaan Mengurus Kerajaan Negeri. Perkara yang dibelanjakan di bawah Objek Am ini termasuk antaranya kenaikan gaji minimum RM1,500.00 bagi kontrak-kontrak khidmat pembersihan, khidmat kawalan keselamatan dan kontrak penyelenggaraan yang melibatkan 26 jabatan, Elaun Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), peruntukan bagi Elaun Jawatankuasa dan Petugas Masjid serta Sewaan Bangunan Ibu Pejabat dan sembilan (9) buah Mahkamah Rendah Syariah (MRS).

Belanja Pembangunan

Belanjawan 2023 mencadangkan peruntukan pembangunan berjumlah RM1.2 bilion. Jumlah yang dicadangkan ini lebih tinggi berbanding peruntukan tahun 2022 dengan peningkatan sebanyak RM77 juta bersamaan dengan pertambahan 7 peratus berbanding Belanjawan tahun 2022.

Anggaran Belanja Pembangunan Tahun 2023 akan memberi tumpuan terhadap sektor sosial, berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya yang kebiasaannya dipacu oleh sektor infrastruktur. Kenaikan peruntukan sektor sosial yang merangkumi 30 peratus iaitu sebanyak RM360 juta adalah persediaan setelah mengambil kira cabaran-cabaran yang bakal dihadapi pada tahun hadapan termasuk jangkaan kemelesetan ekonomi dunia dengan menambah baik sistem perlindungan sosial yang merangkumkan kebajikan, pendidikan dan pengukuhan ekonomi golongan sasar sebagai teras kesejahteraan rakyat. Walaupun sektor infrastruktur bukan lagi menjadi sektor utama, peruntukan yang disediakan bagi tujuan pembangunan infrastruktur yang berjumlah RM355 juta iaitu bersamaan

dengan 29 peratus dari keseluruhan peruntukan yang dicadangkan adalah lebih tinggi berbanding peruntukan sektor infrastruktur yang disediakan pada tahun 2022. Selain itu, sebanyak RM287 juta ataupun 24 peratus diperuntukkan bagi tujuan pembangunan ekonomi. Manakala selebihnya iaitu 17 peratus atau bersamaan dengan RM198 juta adalah dicadangkan untuk sektor kesihatan, pendidikan dan pembangunan luar bandar. Tuan Speaker, Demi menjayakan tema #KitaSelangor: Melonjak Kemajuan, Mengerat Perpaduan, Menjayakan Harapan pentadbiran ini menggariskan lima teras utama seperti berikut:

Pertama: Mengukuhkan Pertumbuhan Ekonomi

Kedua: Membudaya Perpaduan dan Masyarakat Penyayang

Ketiga: Pendidikan dan Pembangunan Generasi Masa Depan

Keempat: Kehidupan Lestari dan Sejahtera

Kelima: Tadbir Urus Cekap dan Bertanggungjawab

TERAS PERTAMA: MENGUKUHKAN PERTUMBUHAN EKONOMI Bagi tempoh Januari hingga Jun 2022, Negeri Selangor telah merekodkan nilai pelaburan berjumlah RM 4.88 bilion dengan 118 projek perkilangan yang diluluskan. Daripada jumlah ini, sebanyak RM 1.63 bilion adalah daripada pelaburan tempatan dan sebanyak RM 3.255 bilion daripada pelaburan asing. Sebanyak 4,944 potensi peluang pekerjaan berjaya diwujudkan melalui projek–projek perkilangan yang diluluskan di Selangor. Walaupun prestasi pelaburan yang direkodkan oleh pihak MIDA menunjukkan pertumbuhan yang agak perlahan pada suku kedua tahun 2022, Kerajaan Negeri percaya sasaran pelaburan yang telah ditetapkan sebanyak RM 10 billion bagi tahun 2022 mampu untuk dicapai. Keyakinan ini berdasarkan terdapat beberapa cadangan projek pelaburan baru dan juga penambahan pelaburan sedia ada yang sedang dipantau oleh Kerajaan Negeri.

Strategi Memacu Pertumbuhan Ekonomi Negara

Dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) 2021–2025, Kerajaan Negeri mensasarkan pengukuhan ekonomi dengan pertumbuhan KDNK Negeri. Sektor pembuatan akan terus diperkasakan dengan usaha-usaha promosi penggalakan pelaburan yang telah direncanakan.

Penubuhan Jawatankuasa Petugas Khas Pembangunan IDRISS

Integrated Development Region in South Selangor (IDRISS) merupakan pembangunan pelaburan swasta bersepadu di daerah Sepang dan Kuala Langat, didorong dan dilengkapkan dengan kemudahan oleh pihak Kerajaan Negeri dan disokong dengan insentif Negeri dan Persekutuan merangkumi jumlah keluasan 40,000 ekar dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM1 trilion. Anggaran RM1 trillion ini adalah anggaran kasar berdasarkan kiraan GDV RM250 juta seekar yang agak konservatif. Angka ini akan sentiasa dinilai sejajar dengan jangka masa pembangunan. Bagi memastikan projek-projek pembangunan yang dicadangkan di bawah IDRISS dapat dilaksanakan dengan lancar, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Pasukan Petugas Perlaksanaan Projek Pembangunan Serantau Bersepadu di Selangor Selatan yang akan menyelaras, memantau serta membantu menyelesaikan isu – isu yang berbangkit. Penubuhan Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas IDRISS akan berperanan sebagai pemudah cara dan penyelaras dalam membantu menjayakan pelaksanaan cadangan pembangunan projek di samping membantu menyelesaikan isu-isu yang berbangkit. Mesyuarat bagi jawatankuasa ini diadakan secara berkala dan ahli-ahli jawatankuasa terdiri daripada jabatan-jabatan teknikal sama ada di peringkat daerah, negeri mahupun di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Program Promosi Penggalakan Pelaburan

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM25 juta untuk melaksanakan program-program promosi penggalakan pelaburan melalui anak syarikat, Invest Selangor. Program-program menarik pelaburan seperti Trade & Investment Mission secara fizikal dan virtual terus diperkukuhkan lagi di samping penekanan kepada industri tumpuan seperti Sains Hayat (Life Sciences), Pembuatan Makanan & Minuman (Food & Beverages), Pembuatan Produk Elektrik & Elektronik (Electrical & Electronic), Kelengkapan Pengangkutan (Transport Equipment) dan Mesin dan Peralatan (Machinery & Equipment) yang dilihat sebagai industri yang semakin berkembang di Selangor. Selain daripada itu, terdapat 2 industri baru turut dikenalpasti dan berpotensi melonjakkan Selangor sebagai destinasi pelaburan seperti industri Perkhidmatan Logistik (Logistic Services) dan Digital Investment seperti Global Business Services (GBS), Data Centre serta Creative Content Technology.

Selangor International Business Summit (SIBS)

Selangor International Business Summit adalah program pameran perdagangan dan persidangan peringkat antarabangsa yang diadakan setiap tahun oleh Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor. SIBS 2022 telah berjaya mendapatkan

penglibatan syarikat dalam dan luar negara untuk membuka gerai pameran. Sebanyak 906 gerai pameran daripada 623 syarikat telah direkodkan terlibat sebagai pempamer pada SIBS 2022. Sebanyak 60 negara telah terlibat di dalam SIBS 2022 sama ada sebagai pempamer, pembeli antarabangsa (International Buyer), penceramah persidangan, peserta seminar, pengunjung pameran dan sebagainya.

Antara komponen-komponen program SIBS 2022 seperti berikut:

1. Selangor International Expo (F&B) 2. Selangor International Expo (MEDIC) 3. Selangor Industrial Park Expo (SPARK) 4. Selangor ASEAN Business Conference (SABC) 5. Selangor Smart City and Digital Economy (SDEC) 6. Selangor R&D and Innovation Expo (SRIE)

Seramai 44,342 pelawat telah direkodkan mengunjungi pameran dan persidangan yang diadakan ini di mana sebanyak 25% adalah pengunjung awam dan sebanyak 75% adalah pengunjung perniagaan (trade visitors). Program SIBS 2022 ini telah merekodkan potensi transaksi perniagaan bernilai RM 1.45 bilion. Program pameran dan persidangan yang diadakan secara tahunan ini akan diteruskan dengan cadangan penganjuran SIBS 2023 yang dijadualkan pada Oktober 2023 bertempat di Kuala Lumpur Convention Centre, Kuala Lumpur.

Selangor Aviation Show (SAS)

Selangor Aviation Show (SAS) merupakan program pameran yang melibatkan pemain-pemain dalam industri aero angkasa. Program pameran ini telah diadakan pada 8 – 10 September 2022 bertempat di Subang Skypark RAC, Subang, Selangor. Program pameran ini diadakanbertujuan untuk mempromosikan aktiviti Penerbangan Perniagaan dan Penerbangan Am (Business Aviation dan General Aviation) di Selangor; dan mempromosikan Subang sebagai hab aktiviti Penerbangan Perniagaan dan Penerbangan Am. Menjadi platform bagi syarikat-syarikat perusahaan sederhana dan kecil tempatan untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka serta berpeluang untuk meneroka kerjasama dengan syarikat luar. Selangor Aviation Show (SAS 2022) yang diadakan telah menarik penyertaan sebanyak 124 gerai pameran daripada 66 buah syarikat sama ada dari dalam dan luar negara. Seramai 10,563 pengunjung telah direkodkan yang terdiri daripada pengunjung awam (Public Visitors) dan juga Pengunjung Perniagaan (Trade Visitors). Sejumlah RM 1.174 bilion potensi transaksi telah direkodkan

sepanjang pameran ini diadakan. Program pameran yang diadakan secara tahunan ini akan diteruskan dengan cadangan penganjuran SAS 2023 yang dijadualkan pada September 2023 bertempat di RAC Skypark, Subang.

Selangor International Halal Conference (SELHAC) Selangor International Halal Conference (SELHAC) yang dimulakan pada tahun 2021; merangkumi pameran, forum perdagangan halal dan padanan perniagaan, bertujuan mempromosi dan meningkat penyertaan industri halal di pelbagai peringkat di negeri Selangor. SELHAC perlu diteruskan menjadi acara tahunan yang berwibawa dalam menggerak dan membangun industri halal di Selangor dengan peruntukan sebanyak RM700,000.00 bagi tahun 2023. Pelbagai impak positif melalui aktiviti padanan perniagaan yang menemukan pemain industri halal tempatan dan luar Selangor. Selain itu turut memberikan tambahan pengetahuan dan maklumat melalui forum dan pameran yang dianjurkan. Pada 2023 dicadangkan untuk dimasukkan satu lagi elemen iaitu Persidangan Sehari Saintis Halal ASEAN, yang akan menghimpunkan para saintis dan ahli teknologi makmal yang terlibat dalam industri halal di seluruh ASEAN bagi membentangkan hasil-hasil kajian mereka.

Menggalakkan Pembukaan Kawasan Perindustrian baru yang berkonsepkan Managed Industrial Park (MIP) Dalam usaha menyediakan kawasan perindustrian yang kondusif bagi keperluan para pelabur, Kerajaan Negeri menggalakkan pembukaan kawasan Perindustrian baru yang berkonsepkan Managed Industrial Park (MIP). Pada masa ini terdapat pemaju hartanah yang berminat untuk membangunkan kawasan perindustrian berkonsepkan MIP di Kuala Langat dan projek ini telah disenaraikan di bawah IDRISS dengan keluasan pembangunan seluas 732.4 ekar.

Pengurusan Sumber Air Negeri Selangor Secara keseluruhannya, kuantiti sumber air Negeri Selangor bertambah baik pada 2022. Sehingga 31 Ogos 2022, kesemua kapasiti empangan negeri berada di tahap yang baik melebihi 90% takungan dan mampu membekalkan air sekurang-kurangnya tiga (3) bulan dan mampu bertahan maksimum sehingga enam (6) bulan tanpa hujan. Rekod kes pencemaran kod merah menunjukkan penambahbaikan dari segi kawalan dan mitigasi pencemaran sumber air yang menyebabkan henti tugas operasi loji rawatan air (LRA) berbanding tahun 2020. Secara keseluruhannya, terdapat penurunan signifikan terhadap kes kecemasan kod merah pada tahun 2022 yang sekaligus menunjukkan bilangan gangguan bekalan air tidak berjadual disebabkan pencemaran berkurangan berbanding tahun 2020.

Kerajaan Negeri Selangor telah bersetuju LUAS bekerjasama dengan Syarikat Kumpulan Semesta Sdn Bhd untuk membangunkan 21 kolam-kolam dan bekas lombong sebagai sumber bekalan air. LUAS telah membangunkan kolam sumber bekalan ini melalui tiga (3) fasa yang merangkumi audit kolam-kolam di Lembangan Sungai Selangor, Sungai Klang, dan Sungai Langat, membina dan melebarkan kolam, serta menyambungkan antara kolam ke sungai. Di bawah Skim Jaminan Air Mentah ini juga projek pemuliharaan (rawatan air) di Sg. Gong sedang dilaksanakan. Ianya melibatkan penambahbaikan kualiti air Sg. Gong melalui kombinasi pendekatan biologikal seperti peletakan reagen nanoteknologi (AquaBio Solution - River & Drain Formulation) bagi meningkatkan kepelbagaian diatom dalam sumber air bagi anggaran tempoh 1 tahun. Selain itu, salah satu pendekatan yang akan dilaksanakan oleh LUAS adalah Zero Discharge Policy (ZDP) dan Polluters Pay Principle (PPP). ZDP ini adalah inisiatif hijau yang mana premis-premis mengitar semula pelepasan premis mereka berbanding melepaskannya kepada alam sekitar dan sumber air. Manakala PPP akan menguatkuasakan caj dan denda terhadap premis-premis yang melepaskan bahan pencemar yang tidak mematuhi piawaian.

Unit Air Kerajaan Negeri melalui Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) sentiasa melaksanakan penilaian semula ke atas operasi pengagihan dan loji rawatan air sedia ada bagi memastikan operasi pengagihan dan rawatan air di Negeri Selangor adalah mencapai tahap keberkesanan yang unggul. Air Selangor menyasarkan untuk mengurangkan kadar Air Tidak Berhasil (Non-Revenue Water, atau NRW) pada kadar kira-kira 1% setiap tahun, dan telah berjaya menurunkan kadar purata NRW kepada 27.9% setakat 31 Disember 2021. Namun begitu, Kerajaan Negeri amat memandang serius isu ketidakcukupan air yang sering disensasikan oleh banyak pihak dalam melihat kelemahan Kerajaan Negeri di dalam menguruskan industri air. Kerajaan Negeri sedang berusaha untuk mencapai sasaran meningkatkan rizab bekalan air mencapai 15% sebagai satu inisiatif ‘water demand planning’ yang berjangka panjang. Rizab bekalan air setakat 31 Disember 2021 berada pada kadar kira-kira 13.6%. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri Selangor, Kerajaan Persekutuan dan Air Selangor telah membuat beberapa perancangan untuk memastikan bekalan air mentah dan air terawat yang mencukupi dan berkualiti seperti berikut: -

i. Pelaksanaan Skim Bekalan Air Rasau yang dilaksanakan oleh Air Selangor dengan anggaran kos sebanyak RM4 billion. Pelantikan kontraktor telah dimuktamadkan dan pada ketika ini dalam peringkat kerja awalan. Fasa 1 Skim Air Rasau yang berkapasiti 700JLH ini dijadualkan siap sepenuhnya pada

tahun 2025; dan

ii. Pelaksanaan Projek Takungan Dwi Fungsi Bagi Sumber Bekalan Air Mentah Skim Bekalan Air Rasau dan Tebatan Banjir dengan anggaran kos RM1.8 billion akan dibiayai melalui pemberian Geran Langsung oleh Kerajaan Persekutuan. Projek ini apabila siap kelak, dapat membekalkan air mentah kepada Loji Rawatan Air Sg Rasau dengan kapasiti 1400 JLH dan pada masa sama dapat dijadikan sebagai Kolam Takungan Banjir bagi membantu mengurangkan risiko banjir di kawasan berhampiran Sungai Klang seperti kawasan di sekitar Puchong dan Kampung Lombong .

Bagi menjamin pengoperasian Loji Rawatan Air semasa berlaku insiden pencemaran sumber air, Kerajaan Negeri telah meluluskan sejumlah RM332.0 juta untuk projek di bawah Skim Jaminan Air Mentah (SJAM). Bagi tahun 2023, sebanyak RM100.0 juta telah diperuntukkan bagi pelaksanaan projek ini. Kerajaan Negeri juga turut memperuntukkan sejumlah RM4.0 juta bagi projek Pembangunan Loji Rawatan AIr (LRA) Labohan Dagang, Kuala Langat. Selain itu, Kerajaan Negeri akan meneruskan pemberian 20 meter padu air percuma di bawah Skim Air Darul Ehsan (SADE) dengan peruntukkan sebanyak RM40 juta setahun. Bermula pada 1 Oktober 2022, Kerajaan Negeri telah meluluskan perubahan syarat kelayakan SADE dengan menaikkan had minimum pendapatan isi rumah daripada RM4,000.00 kepada RM5,000.00 dan ke bawah. Perubahan syarat ini telah mengambil kira kesan pandemik COVID-19 dan juga situasi semasa negara yang sedang berhadapan dengan pertumbuhan ekonomi yang perlahan dan lonjakan inflasi. Kelonggaran ini dapat membantu meringankan beban rakyat Negeri Selangor yang terkesan akibat kehilangan dan kekurangan punca pendapatan serta peningkatan kos sara hidup.

Kerajaan Negeri mendapati masih terdapat kurang kesedaran terhadap penggunaan air secara berhemah hingga menyebabkan kadar penggunaan domestik yang tinggi bagi Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dianggarkan sebanyak 272 liter/orang/hari. Kadar penggunaan per kapita nasional sebanyak 250 liter/orang/hari ini adalah jauh lebih tinggi dari kadar penggunaan global sebanyak 160 liter/orang/hari. Pengurangan kadar penggunaan air boleh menyumbang kepada peningkatan simpanan air semasa dan sekaligus dapat mengurangkan kadar tarif bulanan yang perlu dibayar oleh pengguna.

Di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya terdapat sepanjang 30,008 km paip yang membekalkan air kepada pengguna. Kejadian paip pecah ini disebabkan oleh beberapa faktor seperti usia paip, paip berkarat, tekanan berlebihan ke atas paip dan faktor pihak ketiga. Pada tahun 2021, telah direkodkan sebanyak 1,910 kejadian paip pecah. Untuk menaiktaraf rangkaian paip,

Air Selangor telah memperuntukkan kira-kira RM150 juta setahun untuk program penggantian paip sebanyak 110-120km setahun.

Industri Pertanian Tahun ini adalah merupakan tahun yang amat mencabar dari segi ekonomi bukan sahaja kepada Negeri Selangor, bahkan negara dan juga seluruh dunia kesan daripada penularan pandemik COVID-19. Begitu dengan sektor pertanian, juga turut merasai kesan dari pandemik tersebut terutama sekali pada peringkat awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta faktor perubahan cuaca yang ekstrem (climate change). Melalui pengalaman dan pengajaran yang diperolehi semasa berlaku pandemik COVID-19 dan kesan dari cuaca yang tidak menentu, dengan peruntukan berjumlah RM 7.9 juta pada tahun 2023, Kerajaan Negeri akan memberikan tumpuan utama kepada sektor pertanian khususnya pertanian makanan melalui Program Keselamatan Bekalan Makanan Negeri Selangor atau Food Security.

Penumpuan yang akan diberikan oleh Kerajaan Negeri di dalam memastikan bekalan makanan atau food security Negeri Selangor berada di dalam tahap yang selamat dan dalam masa yang sama boleh meningkatkan pendapatan agropreneur serta amalan pertanian lestari (sustainable agriculture) adalah dengan pelaksanaan 5 dasar di bawah Pelan Transformasi Agro Selangor atau PeTA yang menjadi teras kepada sektor pertanian Negeri Selangor iaitu:-

Pertanian Bernilai Tinggi (High Value Crops) Pengalaman dan kos penyediaan infrastruktur menjadi kekangan utama selain dari ilmu pengetahuan berkenaan pelaksanaan projek-projek tersebut. Sehubungan dengan itu, pendekatan yang sedang diambil oleh Kerajaan Negeri dengan peruntukan sebanyak RM 1.2 juta adalah dengan menjadikan syarikat-syarikat yang berwibawa dan berpengalaman untuk melaksanakannya di Negeri Selangor sebelum mereka akan dijadikan sebagai mentor kepada pengusaha-pengusaha baharu melalui pembukaan kawasan-kawasan pertanian yang baharu.

Pemodenan Pertanian Sebagai sebuah negeri yang maju dan membangun serta mempunyai penduduk hampir 20% daripada jumlah penduduk Malaysia, tanah merupakan satu faktor yang menjadi halangan dan cabaran kepada agropreneur sedia ada mahupun yang berminat untuk melibatkan diri di sektor pertanian khususnya golongan generasi

muda selain daripada faktor guna tenaga yang semakin berkurangan atas faktor umur (aging population) dan pergantungan kepada penggunaan tenaga buruh asing yang tinggi. Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sejumlah RM 2 juta dengan pelaksanaan konsep Pertanian Revolusi 4.0 yang lebih menjurus kepada kaedah pertanian masa hadapan (future agriculture) seperti pengawalan suhu dan kelembapan, foto udara (aerial images) dan penggunaan teknologi Global Positioning System (GPS). Kesemua penggunaan peralatan dan amalan pertanian persis (precision agriculture) akan menjadikan pengeluaran hasil yang lebih menguntungkan, berkesan, selamat dan mesra alam.

Pembangunan Agropreneur Bagi mengatasi masalah usia yang semakin meningkat di kalangan agropreneur sedia ada, program-program kesedaran dan galakan untuk generasi muda turut sama diberikan perhatian. Melalui pemerhatian, kaedah penggunaan peralatan moden ataupun gadget untuk pertanian telah mula menarik minat golongan tersebut. Berteraskan perkara tersebut, Kerajaan Negeri telah memulakan langkah lebih awal di dalam menggalakkan konsep penanaman secara fertigasi termasuk penggunaan peralatan-peralatan moden seperti pengawalan kualiti hasil secara atas talian. Sehingga kini, Negeri Selangor adalah merupakan negeri yang paling banyak melaksanakan projek-projek pertanian secara fertigasi di Malaysia yang melibatkan golongan muda khususnya dan ini boleh dibuktikan dengan penglibatan golongan profesional yang berlatar belakang pencapaian akademik yang tinggi di bidang kejuruteraan dan juga perakaunan selain bidang pengajian lain. Pada tahun 2023, dengan peruntukan sebanyak RM 3 juta, Kerajaan Negeri akan memastikan agropeneur Selangor melonjak dengan lebih berjaya.

Program Galakan Pemasaran Perkara paling utama di dalam setiap penghasilan produk sama ada segar (fresh) atau yang diproses (processed) adalah pasaran dan faktor harga jualan yang baik, namun dalam masa yang sama pengguna iaitu rakyat Selangor mendapat harga jualan yang lebih murah. Kerajaan Negeri akan mempergiat pemasaran produk pertanian dengan peruntukan berjumlah RM 1.2 juta pada tahun 2023.

Agro Pelancongan Sebagai salah satu langkah untuk menambahkan pendapatan agropreneur dan menjadikan Negeri Selangor sebagai tumpuan pelancongan sama ada dari dalam atau luar negara, Program Agro Pelancongan akan diberikan penekanan melalui

peruntukan sebanyak RM 500,000.00 pada tahun 2023. Selain dari itu, dasar-dasar tersebut akan digerakkan di bawah 9 kluster iaitu : i. Agro Prihatin ii. Agro Komuniti iii. Agro Centre Of Excellence (ACE) iv. Agropreneur Selangor v. Agro Pelancongan vi. Agro Maju Selangor vii. Agro Niaga viii. E-Agro ix. Smart Selangor Agro Park (SSAP) Dan Smart Selangor Agro Farm (SSAF)

Bagi memastikan ianya berjalan dengan lancar dan tersusun, Jawatankuasa Sekuriti Makanan Peringkat Negeri Selangor akan diwujudkan dengan penglibatan pelbagai jabatan, agensi, NGO dan pelbagai lapisan masyarakat yang boleh memberikan pandangan dan cadangan kearah mencapai objektif tersebut. Tumpuan pada tahun 2023 adalah produktiviti tanaman, pemindahan teknologi, makanan selamat serta pengeluaran produk pertanian berorientasikan eksport melalui usaha menaiktaraf infrastruktur agromakanan dan pengamalan teknologi terkini di peringkat ladang dan juga premis. Menyokong hasrat ini, Jabatan Pertanian Negeri Selangor menerima peruntukan berjumlah RM 11 juta melalui 14 Program Insentif.

Pembinaan dan Pengurusan Jalan Negeri Selangor sebagai Hub Pengangkutan & Pemacu Infrastruktur Negara merujuk kepada kedudukan Negeri Selangor di tengah-tengah Semenanjung Malaysia yang pesat membangun sebagai pemangkin kepada aktiviti pengangkutan laut, udara dan darat di Semenanjung Malaysia. Dengan kapasiti panjang keseluruhan Jalan Negeri di bawah JKR di Negeri Selangor iaitu sepanjang 4,356.706 km (Sumber: MARRIS Online sehingga 25.8.2022) merupakan jaringan infrastruktur yang menghubungkan 9 Daerah di Negeri Selangor ke Jalan-Jalan Persekutuan serta menjadi komponen penting dalam menjana pertumbuhan Ekonomi, Mobiliti Sosial dan Negara. Prestasi Perbelanjaan Pembangunan Negeri Jabatan Kerja Raya (Vot P12) sehingga 31 Julai 2022 adalah sebanyak RM 6,216,972.66 bersamaan 43.56% daripada RM 138,130,000.00 jumlah peruntukan yang telah diluluskan pada tahun 2022. Lima (5) projek fizikal berjaya disiapkan dan diserahkan pada tahun 2021 iaitu:

i. Menaiktaraf Jalan Semenanjung Bernam 3; ii. Membina Jalan Sambungan Kota Warisan / B20 (Missing Link); iii. Menaiktaraf Jalan Melati, Kuang, Mukim Rawang, Daerah Gombak,

Selangor; iv. Menggantikan Jambatan Lama Di Kg. Rantau Panjang, Bestari Jaya; dan v. Menaiktaraf Jalan Kg. Lombong Fasa 1 & Fasa 2, Daerah Klang

dan sebanyak satu (1) projek fizikal telah disiapkan memasuki suku tahun ketiga (Q3) tahun 2022 iaitu:-i. Menaiktaraf Lintasan Utama Sungai Satu, Pulau Ketam Di Bawah Projek Kecil Di Kampung Baru/Bagan/Tersusun Negeri Selangor

Kerajaan Negeri berazam merapatkan jurang pembangunan antara daerah dengan meningkatkan jaringan jalan raya yang lebih meluas. Bagi mencapai hasrat ini, Kerajaan Negeri telah meluluskan sejumlah RM 145 juta kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi pelaksanaan projek-projek jalanraya pada tahun 2023. Program Pencahayaan Lampu Jalan Jenis Solar LED Di Seluruh Selangor diteruskan bagi Fasa 2 dengan anggaran peruntukan sebanyak RM3 juta bagi menjayakan inisiatif Kerajaan Negeri Selangor untuk memperkenalkan penggunaan lampu jalan jenis solar LED di semua DUN di Negeri Selangor. Program ini selaras dengan usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk mewujudkan persekitaran hijau dan meluaskan pembangunan lestari di Negeri Selangor. Sebanyak RM11.8 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja pembinaan Jambatan dan Jejantas iaitu projek-projek yang dijangka untuk mula pembinaan pada 2023 iaitu Membina Jambatan di Kg. Sungai Buah, Daerah Sepang, Selangor Darul Ehsan dan Membina Jambatan di Atas Sungai Serigala, Laluan B44 Jalan Hulu Bernam - Sungai Besar, Hulu Selangor serta lantikan perunding untuk kerja-kerja rekabentuk bagi projek Menaiktaraf Jambatan Bagan Sungai Besar Di Jalan Sungai Limau Dua - Jalan Panchang Bedena (B53), Daerah Sabak Bernam. Sebanyak RM40.98 juta diperuntukkan pada tahun 2023 untuk menampung kerja-kerja pembinaan jalan baru yang sedang dalam pembinaan termasuk:

i. Membina Jalan Menghubungkan Kampung Sri Indah A Ke Jalan Hospital Sungai Buloh (FT15) di mana projek akan menjadi jalan alternatif bagi penduduk dari Kg Sri Indah A untuk ke Hospital Sg Buloh serta ke Lebuhraya Utara – Selatan dan dapat menjimatkan masa bagi pengguna jalan tersebut. (Peruntukan 2023 – RM10 .98 juta);

ii. Membina Jalan Sambungan Sg. Kelambu - Genting Sanyen (Peruntukan 2023 – RM13.5 juta, jangka tender suku ketiga 2023); dan

iii. Membina Jalan Dari Kg Ulu Chuchuh ke KLIA (Peruntukan 2023 – RM16 juta)

Jalan-jalan baru ini akan melalui kawasan-kawasan baru dan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi sekitar yang melibatkan beberapa daerah seperti Gombak, Kuala Langat dan Sepang. Selain itu juga kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan sebanyak RM65.3 juta bagi memastikan jalan-jalan sedia ada dapat menampung peningkatan aliran trafik semasa dan bagi mengatasi masalah kesesakan di jalan-jalan Negeri termasuk cadangan projek naiktaraf baru iaitu:

i. Cadangan Menaiktaraf Jalan Di Simpang Tiga Jalan Rahidin Berdekatan Masjid Al-Huda, Kg Paya Jaras, Sg Buloh, Selangor (Peruntukan 2023 – RM4.7 juta (Kerja-kerja Rekabentuk Terperinci dan Pengambilan Balik Tanah)); ii. Cadangan Menaiktaraf Jalan Di Jalan Bukit Rimau, Daerah Klang – (Pakej 1 & 2, Peruntukan 2023 – RM12.5 juta); iii. Menaiktaraf Laluan B17 (Jalan Reko): Pakej 2 – (Peruntukan 2023 – RM1.7 juta (Kerja-kerja Rekabentuk Terperinci dan Pengambilan Tanah)); iv. Cadangan Menaiktaraf Persimpangan Jalan Kg Bukit Dugang, Dalam Daerah Sepang, Selangor (Peruntukan 2023 – RM1.7 juta (Kerja-kerja Rekabentuk Terperinci dan Pengambilan Tanah); v. Cadangan Menaiktaraf Jalan Ke SMK Tiram Jaya, Tanjung Karang, Kuala Selangor (Peruntukan 2023 – RM3.2 juta (Pengambilan Tanah Jangka tender Q2 2023); dan vi. Cadangan Menaiktaraf Jalan B44, Jalan Sg Panjang Dari Persimpangan Jalan Kuala Selangor – Telok Intan ke Parit Empat Timur, Daerah Sabak Bernam (Peruntukan 2023 – RM2.3 juta (Pengambilan Balik Tanah dan Rekabentuk Terperinci. Jangka tender Q3 2023))

Pihak Kerajaan Negeri juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1.5 juta untuk melaksanakan kerja-kerja pewartaan jalan-jalan negeri di Negeri Selangor yang melibatkan sembilan (9) Daerah di Negeri Selangor secara berperingkat. Pihak Kerajaan Negeri juga meneruskan program pewartaan jalan-jalan negeri secara berperingkat dengan anggaran peruntukan sebanyak RM2 juta pada tahun 2023 di sembilan (9) daerah di seluruh Selangor bagi memastikan sebarang isu dan tuntutan di jalan-jalan negeri adalah sah dan berteraskan undang-undang yang berkuatkuasa pada waktu semasa. Kerajaan Negeri Selangor sentiasa memastikan infrastruktur sedia ada lebih selamat dan dengan itu peruntukan sebanyak RM6.3 juta diperuntukkan untuk Kerja-Kerja Membina dan Menaiktaraf Projek Bangunan termasuk Membaikpulih Istana Seluruh Selangor (Peruntukan 2023 – RM3 juta) dan Pelbagai Projek Bangunan (Peruntukan 2023 – RM1.5 juta).

Projek Selangor Penyayang Kerajaan negeri melaksanakan Projek Selangor Penyayang (PSP) telah memberi fokus kepada pembangunan fizikal yang memberi perhatian kepada penyelenggaraan infrastruktur asas dan infrastruktur awam yang tertangguh sebagai salah satu usaha Kerajaan untuk mengekalkan momentum pemulihan ekonomi pasca COVID-19. Pada tahun 2022, Projek Selangor Penyayang telah disambut baik oleh pelbagai pihak yang mana sebanyak 664 bilangan projek di 56 kawasan Dewan Negeri Selangor telah dilaksanakan yang melibatkan kos sebanyak RM35 juta. Menyedari kepentingan ini, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM500,000.00 bagi setiap Kawasan Dewan Negeri Selangor bagi tahun 2023 bagi meneruskan Projek Selangor Penyayang. Keutamaan bagi pelaksanaan projek ini akan diberikan kepada projek penyelenggaraan dan naik taraf kepada infrastruktur dan pembangunan kemudahan awam Kerajaan termasuk yang tidak mempunyai peruntukan penyelenggaraan tahunan. Justeru, bagi tujuan ini, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sejumlah RM28 juta di bawah inisiatif Projek Selangor Penyayang sebagai usaha untuk mempergiat dan merancakkan ekonomi setempat dengan penyediaan projek-projek kecil demi manfaat rakyat setempat.

TERAS KEDUA: MEMBUDAYA PERPADUAN DAN MASYARAKAT PENYAYANG

SEMARAK PERPADUAN KITA SELANGOR

Perpaduan adalah antara tunjang penting dalam usaha membina sebuah negeri yang maju, berdaya huni dan makmur. Negeri Selangor bukan sahaja negeri yang mempunyai pelbagai etnik, budaya dan agama, sebaliknya merupakan sebuah negeri ‘super diversity’ yang mempunyai aneka kepelbagaian termasuk kepelbagaian penduduk yang bermigrasi daripada pelbagai negara dan negeri luar daripada Selangor demi membina kehidupan yang sejahtera di Selangor. Pada tahun ini, Kerajaan Negeri akan meneruskan dan menyemarakkan lagi agenda dan program-program demi mengukuhkan perpaduan di Selangor dengan semangat “Kita Selangor” untuk semua rakyat aneka kepelbagaian di negeri ini dengan peruntukan sebanyak RM 1 juta.

Duta Perpaduan Selangor (DPS) bagi setiap DUN Buat pertama kali dan menjadi negeri yang pertama di Malaysia, Negeri Selangor telah mewujudkan inisiatif Duta Perpaduan Selangor (DPS) yang merupakan projek rintis pada tahun ini. Duta Perpaduan Selangor yang terdiri

daripada pelbagai etnik memainkan peranan sebagai penggerak agenda perpaduan dan juga ‘mediator’ perpaduan dalam masyarakat. Program DPS ini akan diperluaskan pada tahun ini dengan melantik DPS daripada setiap DUN untuk memastikan advokasi perpaduan dapat dijalankan secara lebih meluas dan terus di peringkat akar umbi. Sebanyak RM 300 ribu akan diperuntukkan secara khusus untuk melaksanakan program DPS ini demi memastikan negeri Selangor menjadi negeri yang terus utuh semangat perpaduan dan dapat hidup bersama dengan harmoni.

Geran Perpaduan “Kita Selangor” Menyedari hakikat bahawa, menyuburkan dan menggerakkan agenda perpaduan ini memerlukan kepada program-program advokasi dan kempen yang berterusan, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM 300 ribu untuk Geran Perpaduan “Kita Selangor” iaitu peruntukan khusus yang akan diberikan kepada agensi-agensi, persatuan-persatuan dan juga NGO untuk menjalankan program-program dan juga aktiviti kempen berkaitan perpaduan. Geran ini bertujuan untuk memastikan bahawa mesej dan juga advokasi berkaitan perpaduan dapat terus disampaikan kepada penduduk negeri ini secara berterusan dan memberikan impak yang baik kepada masyarakat.

Program Orang Kelainan Upaya (OKU)

Kerajaan Selangor sentiasa memberi keutamaan kepada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) ke arah mencapai Selangor Negeri Mesra OKU. Peruntukan demi peruntukan diberikan pada setiap tahun bagi memastikan golongan OKU ini dapat diperkasakan antaranya dari segi kesihatan, pendidikan dan kemudahan infrastruktur yang selesa. Bagi tahun 2023, Kerajaan Selangor akan menetapkan supaya PBT dapat menambah kemudahan asas mesra OKU menggunakan peruntukan yang sewajarnya daripada keseluruhan hasil PBT untuk terus menyediakan kemudahan-kemudahan ini. Kemudahan-kemudahan ini boleh disediakan di bangunan-bangunan PBT sendiri untuk memudahkan urusan penyampaian perkhidmatan kepada golongan OKU dan di kawasan-kawasan umum pentadbiran PBT untuk mewujudkan suasana mesra OKU.

Anak Istimewa Selangor (AnIS) Kerajaan Negeri sentiasa meletakkan komitmen yang tinggi terhadap usaha pembangunan dan pemberdayaan anak-anak istimewa di Negeri ini. Dalam tinjauan Merdeka Centre yang dibuat pada tahun 2021, Program Anak Istimewa Selangor (AnIS), berada pada kedudukan ketiga tertinggi dalam senarai program-program inisiatif (kategori kanak-kanak) yang paling dikenali oleh seluruh rakyat di Negeri

ini. Inisiatif AnIS yang telah dilaksanakan sejak tahun 2019, telah berkembang dari aspek kebajikan dan pemberian kepada aspek pemberdayaan dan pengupayaan sistem sokongan anak istimewa yang lebih holistik dan mampan.

Yayasan Insan Istimewa Selangor (YanIS) Sebagai bukti kepada komitmen Kerajaan negeri terhadap usaha pemberdayaan anak-anak istimewa Selangor, sebuah anak syarikat khusus di bawah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI), yang dinamakan Yayasan Insan Istimewa Selangor (YanIS). YanIS ini akan meneruskan perkhidmatan inisiatif ANIS dan melaksanakan program serta aktiviti bukan sahaja untuk golongan anak istimewa di bawah 18 tahun, bahkan seluruh warga OKU di Negeri ini. Bagi tujuan ini Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM4 juta ringgit untuk tahun 2023.

Kad Iltizam Anak Istimewa Selangor (Kad AnIS) Bagi meneruskan program insiatif AnIS untuk tahun 2023 ini, sukacita diumumkan Kerajaan Negeri akan menawarkan Kad Iltizam Anak Istimewa Selangor (Kad AnIS) yang bertujuan untuk memusatkan segala jenis bantuan dan inisiatif Kerajaan Negeri yang boleh ditawarkan kepada anak-anak istimewa di Negeri Selangor. Secara umumnya, terdapat ramai ibu bapa yang tidak mendaftarkan anak sebagai pemegang kad OKU atas sebab tertentu, maka Kad ANIS boleh dijadikan alternatif bagi mendapatkan perkhidmatan dan bantuan sedia ada dari Kerajaan Negeri Selangor. Antara faedah yang ditawarkan melalui Kad ANIS tersebut adalah: i. Subsidi Yuran Pendidikan di Pusat Early Intervention Program (EIP) - melalui program Bantuan Khas ANIS; ii. Geran pembelian barangan keperluan khas - melalui program Bantuan Khas ANIS; iii. Bantuan pembelian barangan asas - melalui program BINGKAS; iv. Bantuan rawatan/ saringan kesihatan – melalui Iltizam Selangor Sihat (ISS); dan v. Baucer beli belah dan khairat kematian - melalui program SMUE.

Inisiatif Kad ANIS ini adalah bagi memudahkan ibu bapa yang mempunyai anak istimewa mendapatkan akses kepada semua jenis bantuan dalam satu kad sahaja.

Bantuan Khas Anak Istimewa Selangor (Bantuan Khas AnIS) Bantuan Khas ANIS akan diteruskan bagi memberi bantuan kepada anak-anak istimewa Selangor untuk pembelian alatan sokongan, ubat-ubatan dan bekalan

nutrisi tambahan bagi membela kebajikan anak-anak syurga ini dengan peruntukan RM 1 juta ringgit. Pada tahun 2023 akan datang, program ini dikembangkan dengan menawarkan tambahan manfaat berupa rawatan perubatan di hospital pakar yang akan membantu ibubapa yang mempunyai anak-anak OKU yang memerlukan rawatan kecemasan di hospital.

Baikpulih Rumah Ibadat Bukan Islam Kerajaan Negeri prihatin akan keperluan untuk membaikpulih rumah ibadat bukan Islam sedia ada bagi tujuan keselesaan semasa menjalankan aktiviti-aktiviti agama, serta keperluan-keperluan asas dari segi peralatan bagi menjalankan kelas-kelas agama. Peruntukan ini disalurkan kepada persatuan-persatuan yang telah memohon kepada Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Negeri Selangor (LIMAS) melalui Sistem Bantuan Kewangan Rumah Ibadat Lima Agama (Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao) Selangor. Bagi tahun 2023, sebanyak RM8 juta diperuntukkan bagi tujuan penyediaan keperluan asas rumah ibadat bukan Islam dari segi baikpulih infrastruktur serta peralatan untuk mengadakan kelas-kelas agama.

Kasih i-Suri Selangor (KiSS) Bagi menghargai jasa kaum wanita yang menjadi tulang belakang pembinaan keluarga dan masyarakat, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk bekerjasama dengan KWSP dalam membantu warga Negeri Selangor yang berdaftar di bawah senarai e-Kasih untuk mencarum melalui skim i-Suri KWSP. Insentif ini akan memberi manfaat kepada seramai 26,913 ahli yang telah berdaftar sebagai ahli KWSP dengan anggaran peruntukan sebanyak RM1.6 juta untuk disumbangkan sebagai caruman di dalam skim i-Suri KWSP.

Insentif Penjagaan Kanak-kanak Justeru, untuk tujuan ini, Kerajaan Negeri Selangor telah bersetuju meneruskan program Asuh Pintar melalui Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) iaitu inisiatif penjagaan kanak-kanak di taska melalui bantuan yuran bulanan sebanyak RM100 sebulan bagi setiap anak berusia 4 tahun ke bawah dari keluarga B40 dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM600 ribu.

Bantuan Pendaftaran Taska Menyedari bebanan yang juga ditanggung oleh kaum ibu daripada golongan M40 pasca pandemik yang lalu, Kerajaan Negeri untuk tahun 2023 ini akan menyediakan insentif pendaftaran tahunan anak-anak ke taska/ nurseri

dengan bantuan on-off sebanyak RM100 bagi setiap anak berusia 4 tahun ke bawah dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM500 ribu.

Menjaga Kebajikan Dan Mengangkat Martabat Ibu Tunggal

Insentif Pembangunan Ekonomi Ibu Tunggal Lonjakan kemiskinan yang disebabkan oleh pandemik telah meluaskan jurang kemiskinan gender. Hal ini dibuktikan menerusi kajian Institut Wanita Berdaya pada Tahun 2020 apabila 45 peratus daripada kumpulan ibu tunggal melaporkan bahawa mereka telah kehilangan pendapatan disebabkan oleh wabak COVID-19. Bagi mendepani cabaran ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan Insentif Pembangunan Ekonomi Ibu Tunggal sebanyak RM336 ribu agar golongan ini dapat meningkatkan kapasiti dan menambahbaik kehidupan sekaligus meningkatkan potensi serta produktiviti diri dengan sasaran penerima manfaat lebih 1,000 orang ibu tunggal seluruh Selangor.

Insentif Kuota Perumahan Bagi Ibu Tunggal Meneliti akan keperluan ibu tunggal untuk menikmati kehidupan yang lebih selesa dan sejahtera, Kerajaan Negeri bercadang untuk memperuntukkan insentif kuota khas pemilikan rumah mampu milik seperti Rumah Selangorku yang dilaksanakan kepada ibu tunggal bagi membantu golongan itu memiliki kediaman sendiri. Usaha dan pendekatan ini dapat direalisasikan dengan kerjasama Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) bagi memastikan pemaju memenuhi tanggungjawab sosial korporat dalam usaha untuk tidak meminggirkan golongan berkenaan untuk memiliki rumah kediaman. Yang Berhormat Izham suka ini.

Memperkasa Kepimpinan Wanita

Insentif Digital Media Usahanita Muda Dalam memacu agenda pembangunan, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha memastikan tiada rakyat Selangor yang akan ketinggalan dalam menempatkan diri dalam arus digitalisasi dunia, khususnya golongan wanita muda yang pada hari ini dilihat semakin cenderung untuk meneroka bidang keusahawanan melalui platform digital. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri pada tahun 2023 ini memperuntukkan sejumlah RM300 ribu bagi pelaksanaan Program Insentif Digital Media Usahanita Muda kepada golongan wanita muda seluruh Selangor.

Halal Suri Program bermatlamat memperkasa tahap kewangan keluarga khasnya dalam kalangan suri rumah yang berminat dan layak serta berpendapatan rendah melalui geran (padanan) yang membolehkan mereka menceburi perniagaan yang boleh dijalankan di rumah mereka sebagai tambahan sumber pendapatan. Program ini akan menawarkan geran bernilai RM3,000 (RM2,000 bagi pembelian peti sejuk beku dan RM1,000 untuk modal permulaan pembelian produk sejuk beku) kepada setiap peserta dengan penglibatan semua DUN di Negeri Selangor. Sejumlah RM500 ribu diperuntukan bagi Program Halal Suri.

IMPAK Selangor Selangor mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi khususnya dalam kalangan kanak-kanak, dengan jumlah 770,000 kanak-kanak berumur di bawah umur 6 tahun pada tahun 2020 (mewakili hampir 30% daripada populasi kanak-kanak di seluruh negara). Namun demikian, menurut Jabatan Statistik Malaysia (DOSM), hanya 5,302 pusat jagaan berdaftar yang direkodkan di Selangor pada tahun yang sama. Dengan jumlah kanak-kanak yang ramai serta keperluan untuk menghantar anak ke pusat jagaan berdaftar di Selangor, Kerajaan Negeri berhasrat mewujudkan program Iltizam Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Negeri Selangor ataupun IMPAK Selangor. Program IMPAK Selangor ini juga adalah sebahagian dari sokongan Kerajaan Negeri kepada golongan wanita bekerjaya di Selangor yang memerlukan bantuan dari segi penjagaan anak-anak. Iltizam Penjagaan & Pendidikan Awal Kanak-Kanak Selangor (IMPAK Selangor) merupakan satu inisiatif yang ingin diperkenalkan bagi menambah baik sistem penjagaan awal kanak-kanak di negeri ini dengan:

I. Mendaftarkan pengasuh dan penjaga tidak berdaftar, terutamanya pengasuh kanak-kanak di rumah (‘home-based childcare operators’) yang boleh diakses melalui sebuah sistem data pengasuh berpusat. II. Menyediakan program latihan dan pemberian keperluan asas buat pengasuh berdaftar. III. Harapan Kerajaan Negeri adalah supaya lebih ramai pengasuh dan penjaga kanak-kanak berdaftar dan terlatih boleh dibentuk, sekali gus mewujudkan ekosistem serta hala tuju industri jagaan (‘care industry’) di negeri Selangor. Secara tidak langsung, peningkatan kualiti sistem penjagaan awal kanak-kanak mampu meyakinkan golongan ibu bapa tentang pilihan yang ada dan

membolehkan golongan ibu bapa memberi komitmen kepada tugas hakiki, serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri Selangor secara umumnya.

Kerajaan Negeri melalui YAWAS turut memahami isu berkaitan pusat penjagaan berdaftar terutamanya dari segi keselamatan. Untuk ini, Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi sama sekali berkenaan isu kesihatan dan keselamatan, dan hanya akan membantu pusat penjagaan yang belum berdaftar mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan. Kerajaan Negeri memperuntukkan RM 4.6 juta bagi program IMPAK ini yang akan memberi manfaat kepada hampir 4,000 pusat asuhan dan 40 ribu keluarga seluruh Selangor.

SKIM ILTIZAM ANAK SELANGOR Bermula pada tahun 2022 juga, Kerajaan telah mula memperkenalkan satu program baharu yang dinamakan Skim Iltizam Anak Selangor. Menyedari kepentingan pengurusan kewangan yang mampan di peringkat isi rumah, Kerajaan Negeri memperkenalkan skim ini yang akan disertai dengan pembukaan akaun Sijil Simpanan Premium Nasional (SSPN) Prime bagi anak-anak yang lahir pada tahun 2022 di Negeri Selangor. Seramai 30,000 anak-anak yang memohon akan diberikan sebanyak RM100 setahun untuk tempoh 5 tahun dengan peruntukan sebanyak RM3 juta pada tahun 2023.

Program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS)

Pada tahun 1 Julai 2022, Program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan KISS Ibu Tunggal (KISS-IT) telah ditambahbaik dan diperluaskan capaiannya melalui pelancaran Program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS). Melalui penambahbaikan yang dilaksanakan dalam program ini, Kerajaan Negeri telah meningkatkan kadar pemberian daripada RM200.00 kepada RM300.00 setiap bulan. Selain itu, Kerajaan Negeri juga turut meningkatkan kuota keseluruhan bagi penerima dari 25,000 penerima kepada 30,000 penerima. Sehingga Oktober 2022, sebanyak 22,000 penerima telah menikmati inisiatif yang disediakan oleh Kerajaan Negeri bagi pembelian barangan dan keperluan asas bulanan kepada keluarga dan sehingga kini permohonan-permohonan baharu masih kerap diterima dan diproses bagi memenuhi kesemua kuota yang disediakan. Program BINGKAS akan diteruskan pada tahun 2023 dengan peruntukan tahunan sebanyak RM 108 juta untuk diagihkan kepada 30 ribu keluarga yang layak demi memastikan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat Negeri Selangor.

Program Kebajikan Kerajaan Negeri Selangor

Pada tahun 2023, Kerajaan Negeri beriltizam untuk terus memperkukuh serta menambahbaik pelaksanaan program-program berteraskan kebajikan Negeri Selangor. Pusat kebajikan merupakan salah sebuah komponen penting dalam memastikan kebajikan terhadap golongan kurang bernasib baik seperti warga emas, anak-anak yatim piatu dan orang kelainan upaya (OKU) terjamin dan dipelihara. Sebagai sebuah kerajaan yang prihatin dan penyayang, Kerajaan Negeri komited dalam pelaksanaan agenda pemerkasaan pusat-pusat kebajikan.

Program Pemerkasaan Pusat Kebajikan memfokuskan pemberdayaan pusat-pusat kebajikan yang amat memerlukan sokongan serta bantuan dana daripada pihak kerajaan dalam memastikan pengurusan dan pengoperasian pusat kebajikan ini agar kekal lestari dan kondusif. Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sejumlah RM 1.5 juta dalam pelaksanaan Program ini. Di Negeri Selangor, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) sangat aktif dalam melaksanakan kebajikan secara sukarela kepada kumpulan sasar masing-masing. Kerajaan Negeri akan memantapkan usahasama dengan badan-badan dan persatuan-persatuan kebajikan (NGO) untuk memberdaya golongan yang memerlukan serta memperkasa komuniti setempat melalui Program Kebajikan Usahasama. Dengan kolaborasi dan sinergi antara Kerajaan Negeri dan badan-badan atau persatuan-persatuan ini, golongan sasar yang memerlukan akan menikmati manfaat dan bantuan. Sesungguhnya, komuniti yang disayangi dan disantuni adalah komuniti yang sejahtera dan bahagia. Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM 500 ribu dalam pelaksanaan Program ini.

Penstrukturan Skim Mesra Usia Emas

Skim Mesra Usia Emas (SMUE) merupakan inisiatif Kerajaan Negeri yang amat bermakna buat golongan warga emas dan golongan orang kurang upaya (OKU) di Negeri Selangor. Sehingga kini, seramai 432,051 orang telah didaftarkan sebagai ahli untuk menikmati manfaat skim ini saban tahun. Pada tahun 2023, program SMUE akan distruktur semula, dengan memperkenalkan Skim Mesra Insan Istimewa (SMIS). SMIS mensasarkan golongan OKU di Negeri Selangor tanpa mengira had umur dan pendapatan. Ahli SMUE sedia ada yang terdiri daripada golongan OKU akan didaftarkan di bawah SMIS dan ahli SMIS akan menerima manfaat sedia ada seperti SMUE, yakni menerima dua (2) jenis manfaat iaitu baucar beli-belah setiap tahun dan khairat kematian sebanyak RM500.00 kepada waris ahli berdaftar. Selain penstrukturan ini, Kerajaan Negeri juga akan meningkatkan nilai baucar beli belah daripada RM100.00 kepada RM150.00. Dengan kenaikan nilai baucar ini, Program SMUE dan SMIS akan melibatkan

penambahan peruntukan sebanyak RM10 juta, menjadikan peruntukan bagi Program SMUE dan SMIS berjumlah RM 37.5 juta pada tahun 2023.

PROGRAM SKIM INSURANS AM SELANGOR (PROGRAM INSAN) Kerajaan Negeri Selangor sentiasa prihatin terhadap kebajikan rakyat yang terkesan dan tertekan akibat keadaan ekonomi semasa berikutan penularan COVID-19. Ramai yang telah kehilangan pekerjaan dan ramai juga yang terpaksa melakukan dua pekerjaan bagi menampung kos sara hidup yang semakin meningkat. Alangkah malang sekiranya dalam kesibukan untuk mengejar masa demi sesuap nasi, kecelakaan datang menimpa. Kerajaan Negeri Selangor beriltizam untuk menyediakan safety net kepada rakyat melalui Program Skim Insurans Am Selangor (INSAN) demi meringankan beban rakyat terutamanya pada masa bantuan amat diperlukan. Program INSAN merupakan polisi insurans kemalangan diri berkumpulan percuma kepada 6 juta rakyat di negeri Selangor yang berumur di antara 30 hari sehingga 80 tahun sekiranya berlaku kecederaan dan hilang upaya atau kematian akibat kemalangan, di mana premium insurans ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri. Perlindungan insurans yang keseluruhannya bernilai sebanyak RM60 bilion, dijamin oleh AmGeneral Insurance Berhad, memberi perlindungan insurans sehingga RM10,000 kepada individu yang dilindungi di bawah Program INSAN sekiranya berlaku kecederaan dan hilang upaya atau kematian akibat kemalangan serta kos pengurusan pengebumian sebanyak RM1,000 kepada waris. Sehingga kini seramai 3,561,440 orang telah berdaftar dengan Program INSAN sejak manfaat ini dibuka kepada rakyat pada 1 Oktober 2022. Syarat kelayakan perlindungan di bawah Program INSAN melibatkan pemohon yang terdiri daripada warganegara Malaysia sahaja dan berumur 30 hari sehingga 80 tahun dipinda kepada syarat berikut: i. dilahirkan di negeri Selangor dengan kod negeri Mykad / Mykid 10; atau ii. merupakan pengundi berdaftar di negeri Selangor; atau iii. beralamat di negeri Selangor dalam Mykad / Mykid.

Pendaftaran bagi Program Insan adalah secara digital melalui e-wallet Wavpay yang boleh dimuat turun dari Google Play Store, Apple App Store atau Huawei App Gallery atau layari https://programinsan.com. Tempoh perlindungan insurans adalah selama dua belas (12) bulan dari tarikh pendaftaran dan pengaktifan polisi, manakala tempoh pendaftaran adalah terbuka sehingga 30 September 2023.

Dana Bantuan Guaman Selangor dan Dana Bantuan Guaman Syariah Kerajaan Negeri telah mewujudkan satu inisiatif Dana Bantuan Guaman Selangor khusus untuk membantu golongan kurang berkemampuan yang ditindas dan teraniaya untuk mendapatkan bantuan guaman, agar keadilan dapat terbela. Inisiatif yang bermula pada Oktober 2022 ini menawarkan perkhidmatan guaman yang diuruskan bersama Selangor Bar, melibatkan isu berkaitan kekeluargaan dan isu melibatkan pekerjaan kepada rakyat Selangor yang terdiri dalam kategori B40 atau kurang berkemampuan. Pemohon yang berkelayakan akan menerima khidmat guaman serta pemberian subsidi oleh Kerajaan Negeri dalam membiayai kes-kes guaman melibatkan isu berkaitan kekeluargaan dan isu melibatkan pekerjaan. Pada tahun 2023, inisiatif ini akan diperluas kepada isu melibatkan kes syariah dan tidak terhad kepada kes sivil sahaja. Dana Bantuan Guaman Syariah akan berfungsi membantu menyelesaikan isu-isu kekeluargaan dan isu keganasan domestik. Ini juga merupakan sebahagian inisiatif Kerajaan Negeri untuk membantu golongan wanita yang tertindas akibat isu-isu keganasan domestik dan isu berkaitan perkahwinan. Kerajaan Negeri memperuntukkan RM 2 juta bagi kedua-dua inisiatif program dana guaman ini.

Pembangunan Keusahawanan

HIJRAH Selangor

Sehingga kini, Kerajaan Negeri Selangor masih mengekalkan rekod sebagai Kerajaan Negeri yang mengungguli inisiatif penyediaan dana pinjaman mikrokredit kepada rakyatnya. Alhamdulillah, Hijrah Selangor sejak dari awal penubuhannya, telah berjaya menyalurkan modal pinjaman berjumlah RM 710 juta dengan melibatkan penerima manfaat seramai 55,834 usahawan. Pada peringkat awal penubuhan dengan menawarkan hanya empat (4) skim pembiayaan iaitu Skim i-Bisnes, Skim Zero To Hero, Skim Go Digital dan Skim Pembiayaan Niaga Darul Ehsan (NADI), kini Hijrah Selangor telah mengorak langkah dengan menawarkan skim-skim baharu supaya relevan dan seiring dengan perancangan seperti terkandung di dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1). Antara skim-skim baharu yang telah ditawarkan pada masa kini termasuklah;

a. Skim i-Lestari yang menawarkan pembiayaan

sehingga RM100,000.00.

b. Skim i-Agro yang menawarkan pembiayaan berfokuskan kepada aktiviti pertanian dan perternakan bagi menyokong dasar jaminan makanan (Food Security).

c. Skim i-Bermusim yang memberi peluang pinjaman kepada aktiviti perniagaan seperti berniaga di bazar Ramadhan, musim buah dan perayaan-perayaan lain. Berikut adalah penambahbaikan berterusan yang akan dilaksanakan dalam skim-skim di Hijrah Selangor pada tahun 2023:

i. Memperuntukkan RM130 juta untuk tawaran pembiayaan kepada usahawan.

ii. Mewujudkan skim pembiayaan baharu yang dikenali sebagai Skim i-Sosial. Skim ini memberi peluang kepada rakyat Selangor yang memerlukan sumber kewangan bagi membiayai aktiviti seperti Pendidikan, Latihan dan Kursus, Membaik Pulih Rumah, dan membaiki atau membeli kenderaan. Jumlah pembiayaan Skim I-Sosial ini bermula RM 1,000.00 – RM 10,000.00. Sasaran awal pembiayaan ini melibatkan jumlah sebanyak RM 4.2 Juta.

iii. Menyebarluas peluang pembiayaan kepada rakyat Selangor, dengan melonggarkan syarat pembiayaan kepada peminjam yang mempunyai premis perniagaan yang bersempadan dengan Negeri Selangor seperti di Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Perak.

iv. Mewujudkan kerjasama menerusi aktiviti pelaburan bersama antara Hijrah Selangor dan Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KOHIJRAH) untuk meningkatkan dan memantapkan aktiviti promosi dan pengedaran produk-produk usahawan Hijrah Selangor di dalam dan di luar negara.

v. Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan RM1 juta kepada Hijrah Selangor untuk menyelaras dan memperhebat program latihan kepada peminjam Hijrah dan juga kepada bakal-bakal peminjam. Dijangka seramai 2000 usahawan akan mendapat manfaat daripada program ini.

Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor merupakan satu bantuan berbentuk peralatan atau mesin yang diwujudkan khusus untuk membantu golongan memerlukan dari kalangan penjaja, peniaga atau yang bekerja sendiri di dalam negeri Selangor. Pada tahun 2022, seramai 236 dari semua sembilan (9) daerah di Negeri Selangor telah menerima manfaat program ini. Pada

tahun 2023, program ini akan diteruskan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2 juta dan Hari Penjaja Negeri Selangor akan dilaksanakan di bawah Jawatankuasa Tetap Pembangunan Sosio-Ekonomi dengan kerjasama beberapa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan usahawan-usahawan kecil di bawah Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor yang telah dikenalpasti. Beberapa usaha tambahan lain juga dilaksanakan bagi mengetengahkan penerima-penerima manfaat ini dengan melaksanakan Karnival Program Blueprint Bersempena Hari Penjaja Sedunia yang mana antara fokus pelaksanaan karnival ini adalah bagi mempromosikan hasil produk dan perkhidmatan penerima-penerima manfaat program ini di samping mengetengahkan success stories oleh Ikon Program Blueprint. Selain itu, beberapa seminar akan diadakan mengenai ilmu keusahawanan dan strategik pemasaran digital yang dinamik untuk meningkatkan dan memantapkan bidang keusahawanan di kalangan penjaja.

Program Pemberian Bantuan Baucar Jom Shopping Bersempena Perayaan Program ini merupakan program bantuan yang dilaksanakan bersempena tiga perayaan utama iaitu Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali di mana setiap keluarga yang kurang berkemampuan akan diberikan baucar untuk pembelian barangan keperluan bernilai RM100.00. Pada tahun 2022, RM7.3 juta telah diperuntukkan untuk program ini dan sebanyak RM7,083,900.00 telah dibelanjakan oleh seramai 70,995 penerima rakyat Selangor bagi tujuan pembelian barangan keperluan dalam menyambut perayaan masing-masing. Program yang telah dijalankan sejak tahun 2012 ini sentiasa mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada rakyat Negeri Selangor. Sebagai usaha penambahbaikan untuk membantu rakyat Selangor secara lebih meluas, bermula pada tahun 2023, kriteria had pendapatan isi rumah bagi penerima manfaat akan ditingkatkan daripada RM2,000.00 sebulan kepada RM3,000.00 sebulan. Selain daripada itu, sebagai Kerajaan yang prihatin terhadap ekonomi dan keperluan rakyatnya, nilai baucar beli-belah akan dinaikkan daripada RM100.00 kepada RM200.00. Justeru, pada tahun 2023, program ini akan diteruskan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM16.48 juta yang akan disasarkan kepada 82,400 orang penerima manfaat.

Baucar Halal Selangor Satu inisiatif yang berupa pemberian langsung kepada rakyat dan pemain industri untuk meningkatkan nilai dagangan industri halal domestik. Peruntukan sebanyak RM1 juta akan disediakan bagi pelaksanaan Baucar Halal untuk memberi manfaat serampang dua mata iaitu meningkatkan pengeluaran di pihak pemain industri dan membantu rakyat berbelanja keperluan asas. Baucar akan

diedarkan ke seluruh negeri Selangor mengikut kawasan DUN untuk menggalakkan rakyat berbelanja di outlet-outlet halal seluruh negeri Selangor dan menjadi pemangkin kepada industri halal domestic Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor Menyedari akan kesukaran yang dilalui oleh rakyat Negeri Selangor dalam mencari pekerjaan dan sumber pendapatan, Kerajaan Negeri melalui penubuhan Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) di bawah Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Pekerja telah memperuntukkan sebanyak RM 1 juta pada tahun 2023 bagi terus membantu rakyat Selangor khususnya golongan B40 yang telah kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan. UPPS ini akan bertindak sebagai pelaksana bersama jabatan dan agensi kerajaan dan swasta yang terlibat untuk membangunkan dan melahirkan pekerja yang kompeten, produktif, responsif dan berdaya tahan dalam pasaran buruh negara ke arah meningkatkan kualiti dan produktiviti kerja di samping menyelesaikan permasalahan pekerjaan golongan B40 dengan menyediakan bantuan berbentuk program kemahiran jangka pendek dan sederhana di dalam usaha membantu memberi dan meningkatkan kemahiran baru golongan B40 yang terjejas bagi meneruskan kehidupan dengan menceburi pekerjaan alternatif yang dapat dijadikan sebagai punca pendapatan baru.

Program Bina Baru dan Baikpulih Rumah Kerajaan Prihatin Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Kerajaan Prihatin merupakan antara portfolio yang membantu golongan yang kurang berkemampuan dalam menghuni kediaman sendiri agar lebih selesa dan lebih selamat. Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM 3 juta pada tahun 2023 kepada Program Bina Baru dan Baikpulih Rumah Kerajaan Prihatin, iaitu peningkatan sebanyak RM 2 juta berbanding peruntukan tahun ini sebanyak RM 1 juta.

Program Pembangunan Masyarakat India Selain itu, Kerajaan Negeri akan meneruskan program-program bagi mengurangkan kos sara hidup golongan masyarakat India yang memerlukan dengan peruntukan sejumlah RM 500 ribu. Program-program pendidikan dan pembangunan masyarakat India yang akan dilaksanakan pada tahun 2023 adalah : i. Sumbangan Bantuan Subsidi Tambang Bas SJKT Negeri Selangor ii. Bantuan Yuran Pengajian (IPTA/IPTS) di Malaysia iii. Program Sains, Sukan, Inovatif dan Kebudayaan (PSIK)

iv. Sumbangan Bantuan Persekolahan Pelajar SJKT Negeri Selangor v. Program–program Pendidikan Masyarakat India

Pembangunan Luar Bandar, Desa & Kampung Tradisi Sepanjang tahun 2022, Kerajaan Negeri telah melaksanakan pelbagai program pembangunan desa dan ekonomi kampung tradisi Negeri Selangor dengan memberi penekanan kepada pembangunan insan dan pembudayaan elemen tradisi dan warisan melalui kursus-kursus lanjutan bagi peserta-peserta kursus-kursus kemahiran secara percuma untuk komuniti kampung tradisi yang telah berjaya pada tahun 2021. Rentetan daripada kejayaan tersebut Kerajaan Negeri telah melanjutkan kursus-kursus kemahiran ini kepada penduduk yang layak di kalangan penduduk kampung tradisi yang dipilih secara permohonan dan temuduga dengan tujuan untuk melatih mereka seterusnya menjana pendapatan dan peningkatan kemahiran.

Di dalam kerancakan dan fokus Kerajaan Negeri di dalam merancang dan membangunkan ekonomi rakyat, Kerajaan Negeri juga masih memberi penekanan kepada pembangunan insan melalui pemeliharaan identiti kampung tradisi yang telah menjadi adat dan budaya setempat melalui program-program kemasyarakatan seperti Kita Ke Kampung dan Kita Rewang Sekampung di sembilan (9) daerah negeri Selangor. Program-program dan Projek di bawah Pembangunan Desa dan Ekonomi Kampung Tradisi ini akan dimanfaatkan dengan perbelanjaan sebanyak RM4.25 juta pada tahun 2023.

Pelaksanaan Projek dan Program Pembangunan Kampung Baru Kerajaan Negeri turut prihatin dalam meneruskan penyediaan peruntukan bagi projek dan program Pembangunan Kampung Baru sebanyak RM4 juta bagi tahun 2023. Peruntukan ini adalah merupakan jumlah yang lebih tinggi berbanding yang disalurkan pada tahun 2022 iaitu sebanyak RM3.6 juta sahaja. Dengan perluasan peruntukan ini, maksud perbelanjaan juga dapat diperluaskan bagi inisiatif pelaksanaan Program Pembangunan Usahawan Mikro Kecil dan Sederhana di kampung baru yang bertujuan untuk membimbing usahawan mikro, kecil dan sederhana dalam kalangan komuniti kaum Cina dalam memperkukuhkan penjenamaan produk buatan sendiri mereka.

Kebudayaan dan Kesenian Tahun 2022 merupakan tahun yang memberi sinar kepada penggiat seni dan kebudayaan setelah bergelut dengan kesan penularan pandemik COVID-19 yang melanda negara pada tahun 2020 dan 2021. Pelbagai program telah dilaksanakan sepanjang tahun 2022 dengan memberi fokus memperkenalkan

semula kegiatan dan aktiviti seni dan kebudayaan negeri melalui pemerkasaan program Rentak Selangor yang telah menjadi identiti kepada program-program kebudayan negeri termasuklah pertandingan keroncong negeri Selangor dan wau kapal yang bertujuan untuk mengangkat identiti negeri Selangor yang semakin dilupakan.

Justeru, pada tahun 2023, Kerajaan Negeri akan menganjurkan beberapa program utama peringkat negeri Selangor yang memberi fokus kepada memartabatkan elemen dan identiti negeri Selangor seperti Pertandingan Keroncong Antarabangsa Negeri Selangor, Pesta Nasi Ambeng Negeri Selangor dan Konsert Rentak Selangor yang akan menampilkan artis-artis budaya dan selebriti anak Selangor di dalam suasana meraikan kepelbagaian seni dan budaya yang membentuk keperibadian negeri ini. Penganjuran program-program kesenian dan kebudayaan ini serta kerjasama NGO-NGO penggiat seni dan budaya negeri Selangor akan dimanfaatkan dengan peruntukan sebanyak RM1.5 juta pada tahun 2023.

Duti Hiburan Industri hiburan merupakan antara penyumbang utama kepada pendapatan Hasil Cukai negeri melalui kutipan Duti Hiburan. Walau bagaimanapun, atas kesedaran beberapa cabaran yang dihadapi pemain industri hiburan seperti pertunjukan pentas (bertiket) artis tempatan, aktiviti Live Music/ Live Band (tidak bertiket) serta aktiviti busking, Kerajaan Negeri akan melanjutkan pengecualian Duti Hiburan yang diberikan pada tahun ini sehingga 31 Disember 2023.

Kerajaan Negeri turut mengambil maklum permasalahan yang dihadapi oleh penganjur dan pengusaha aktiviti hiburan bertiket yang perlu menjelaskan bayaran deposit iaitu bayaran penuh Duti Hiburan sebelum memperolehi lesen/ permit dari Pihak Berkuasa Tempatan walaupun tiket belum terjual sepenuhnya. Memahami situasi berkenaan, Kerajaan Negeri bersetuju mengurangkan kadar deposit kepada 20% sahaja dari bayaran deposit asal sebagai usaha Kerajaan Negeri agar sentiasa berusaha meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta memberikan kemudahan dalam menjalankan perniagaan (ease of doing business) kepada pengusaha/ penganjur aktiviti hiburan di negeri ini.

Justeru itu, Kerajaan Negeri berhasrat untuk memulakan proses kenarah pembangunan sistem dalam talian melibatkan urusan duti hiburan, lesen dan permit tempat hiburan yang bersifat one-stop-centre (OSC). Usaha ini akan melibatkan Perbendaharaan Negeri Selangor; Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan semua 12 PBT di Negeri Selangor.

Pelaksanaan Pembangunan Hal Ehwal Orang Asli Peranan Batin Orang Asli tidak hanya terhad terhadap isu-isu kebudayaan dan adat resam sahaja. Fungsi dan peranan mereka turut meliputi perkara-perkara berkaitan pembangunan, ekonomi, pendidikan, kesihatan dan sebagainya. Kerajaan Negeri sedia maklum bahawa, pada masa ini elaun kepada Batin dibayar oleh Kerajaan Persekutuan dengan jumlah sebanyak RM900 sebulan. Walau bagaimanapun, dalam memastikan jumlah elaun yang diterima oleh semua Batin di Negeri Selangor adalah sesuai dengan penetapan Dasar Gaji Minimum RM1,500.00, Kerajaan Negeri akan memberikan elaun tambahan sebanyak RM600 sebulan kepada Batin-batin di Negeri Selangor. Dalam konteks pembangunan masyarakat Orang Asli itu sendiri, pihak kerajaan berperanan besar dalam merencanakan dasar dan program tertentu bagi memastikan masyarakat Orang Asli lebih berdaya saing dalam arus globalisasi yang kian mencabar kini. Justeru, sebagai sebuah kerajaan yang prihatin, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM500 ribu bagi pembangunan Orang asli dan akan memberi tumpuan bagi projek-projek membina dan menaiktaraf kediaman serta membaik pulih kemudahan infrastruktur sedia ada yang terdapat di perkampungan Orang Asli. Selain daripada itu, bagi memastikan setiap Kampung Orang Asli (KOA) dapat melaksanakan lebih banyak program yang dapat memberikan manfaat kepada komuniti setempat, Kerajaan Negeri akan menyalurkan peruntukan melalui geran sebanyak RM10,000.00 setiap tahun kepada KOA melaluinJawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Negeri Selangor. Inisiatif ini dilihat dapat membantu JPKKOA dalam melaksanakan program atau projek yang dapat memberi manfaat kepada penduduk kampung masing-masing.

Perumahan yang sempurna adalah impian semua lapisannmasyarakat di Selangor. Ia adalah di antara asas pertumbuhan keluarga bagi menjamin kehidupan yang lebih baik dan selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan kualiti hidup kumpulan sasar. Selain daripada membina rumah baru, Kerajaan Negeri turut melakukan projek membaik pulih rumah bagi menyediakan tempat kediaman yang lebih selamat dan selesa bagi masyarakat Orang Asli dengan peruntukan sejumlah RM 1 juta.

Pewartaan tanah bagi kampung Orang Asli juga tidak dilupakan. Justeru, Kerajaan Negeri akan memperuntukan sejumlah RM1juta dalam memastikan isu-isu pewartaan tanah dapat dilaksanakan sekali gus memelihara penempatan dan budaya masyarakat Orang Asli dibela dan terpelihara.

Pembangunan Kesihatan Awam Kerajaan Negeri sentiasa memberi perhatian serius terhadap aspek kesihatan rakyat yang merupakan aset paling berharga dan bernilai buat negara. Kita meyakini, rakyat yang sihat menjadi tunjang kepada kekuatan ekonomi, terutamanya dalam merangsang guna tenaga dan menggalakkan produktiviti sesebuah negara. Menurut laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019, sebanyak 1.7 juta rakyat Malaysia menghidap tiga penyakit utama Non-Communicable Disease (NCD) iaitu diabetes, hipertensi dan kolesterol tinggi manakala 3.4 juta individu lain menghidap mana-mana dua penyakit NCD. Bagi memastikan Kerajaan Negeri mampu memenuhi aspek pencegahan dan rawatan, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk meningkatkan peruntukan perbelanjaan bagi kesihatan awam. Kerajaan Negeri bersyukur kerana saban tahun negeri Selangor telah menunjukkan kemajuan yang signifikan melalui peningkatan peruntukan kesihatan awam daripada keseluruhan peruntukan pembangunan iaitu daripada 4.7 peratus pada tahun 2020 kepada 5.1 peratus pada 2021 dan 5.8 peratus pada tahun 2022. Alhamdulillah bagi tahun 2023, kita sekali lagi memperlihatkan keupayaan negeri dengan memperuntukkan sebanyak RM 65.6 juta bagi tujuan kesihatan awam. Kerajaan Negeri akan meneruskan Program Iltizam Selangor Sihat (ISS) dengan peruntukan tahunan berjumlah RM 45 juta yang akan memberi manfaat kepada 100,000 pemegang polisi utama dan anggaran 150,000 orang ahli keluarga berdaftar. Setiap pemegang polisi ISS layak mendapatkan rawatan asas dan vaksinasi berjumlah RM 500 setahun bagi kategori keluarga dan RM 250 setahun bagi kategori individu di mana-mana klinik panel di seluruh negeri. Bagi memperluas manfaat di bawah ISS, pemegang polisi juga akan menerima manfaat perlindungan takaful termasuk manfaat kematian atau kecacatan kekal akibat kemalangan sebanyak RM5,000; manfaat penyakit kritikal sebanyak RM5,000; manfaat kematian semula jadi sebanyak RM5,000; dan khairat kematian sebanyak RM1,000. Kerajaan Negeri juga cakna akan keperluan perlindungan bagi ahli keluarga berdaftar di bawah ISS, justeru sebanyak tiga (3) manfaat akan diberikan kepada kumpulan ini iaitu manfaat kematian atau kecacatan kekal akibat kemalangan sebanyak RM2,000; manfaat penyakit kritikal sebanyak RM2,000; dan khairat kematian sebanyak RM1,000. Kerajaan Negeri menyedari akan keperluan rakyat kepada bantuan kewangan bagi menampung kos rawatan kesihatan. Oleh itu, Bantuan Sihat Selangor (BSS) yang diperkenalkan sejak tahun 2009 akan diteruskan dengan peruntukan berjumlah RM5 juta bagi tahun 2023. Melalui BSS, golongan yang kurang berkemampuan akan diberikan bantuan kewangan berjumlah sehingga RM5,000 untuk menampung kos rawatan kesihatan seperti dialisis buah pinggang, pembedahan katarak mata, pembedahan kecil, rawatan kanser, talasemia serta

bantuan alatan perubatan. Penyakit jantung atau kardiovaskular merupakan penyebab kematian nombor satu di Malaysia. Ini dibuktikan dengan laporan daripada Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2021 menyatakan bahawa sejumlah 18,515 kematian atau 17.0 peratus daripada jumlah kematian yang disahkan secara perubatan adalah berpunca daripada penyakit jantung. Ianya menjadi sebab kematian utama di Malaysia lebih dua dekad lalu yang mana telah merekodkan peningkatan daripada 11.6 peratus pada 2000 kepada 17.0 peratus pada 2020. Menyedari hakikat ini, Kerajaan Negeri akan meneruskan program Skim Rawatan Jantung Negeri Selangor yang menawarkan khidmat rawatan jantung secara percuma kepada golongan yang berkelayakan dengan peruntukan bagi tahun 2023 adalah berjumlah RM5 juta. Penjawat awam merupakan tonggak kepada pentadbiran Kerajaan Negeri. Justeru itu, kesejahteraan dan kebajikan warga penjawat awam negeri Selangor akan terus terbela dengan peruntukan sebanyak RM 1 juta akan disediakan di bawah Program Iltizam Selangor Sihat Penjawat Awam (ISSPA) yang akan memberi manfaat kepada kesemua penjawat awam Gred 44 dan ke bawah yang berkhidmat di Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, termasuk kakitangan anggota Pentadbiran Kerajaan Negeri. Para penjawat awam di bawah program ISSPA akan menerima manfaat tambahan seperti rawatan asas dan manfaat perlindungan seperti kematian semulajadi dan kecacatan kekal, penyakit kritikal dan perbelanjaan pengebumian. Selain menyediakan perlindungan kesihatan dan bantuan kewangan, Kerajaan Negeri akan melengkapi usaha Kerajaan Persekutuan dengan memberikan tumpuan kepada skop pencegahan kesihatan primer dan sekunder. Pencegahan primer bertujuan untuk mengelakkan sesuatu penyakit daripada berlaku, manakala pencegahan sekunder menekankan pengesanan awal penyakit. Oleh itu bermula tahun 2022, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam telah mengorak langkah baharu dengan melaksanakan Program Selangor Saring yang merupakan projek rintis yang dilaksanakan di kesemua 56 DUN seluruh negeri. Program Selangor Saring meliputi saringan bagi tiga jenis penyakit iaitu NCD termasuklah penyakit jantung, buah pinggang, kencing manis dan darah tinggi; penyakit kanser meliputi kanser payudara, serviks, kolorektal dan prostat; serta penyakit mata seperti rabun, glaukoma dan retina. Sejak dilaksanakan pada bulan Mei 2022, Selangor Saring telah menerima pendaftaran dan permohonan saringan dengan jumlah kumulatif sebanyak 54,640 meliputi pelbagai jenis ujian dengan 66% kadar kehadiran peserta di lokasi program. Selain itu, sejumlah 45,780 kupon saringan yang telah ditebus oleh para peserta meliputi saringan fizikal, ujian darah, ujian air kencing, ujian bagi kanser serviks, payudara, kolorektal, prostat serta saringan mata. Program Selangor Saring telah mencatatkan “kadar yield” pengesanan

penyakit antara yang tertinggi berbanding program seumpamanya apabila kita berjaya mengenal pasti sebanyak 49% kes yang memerlukan tindakan susulan, konsultasi dan rawatan lanjut. Saya percaya Program Selangor Saring telah mencapai statistik prestasi yang membanggakan bagi program saringan kesihatan berskala besar seumpamanya di Malaysia. Melihat kepada keberhasilan program ini, Kerajaan Negeri akan meneruskan pelaksanaannya dengan peruntukan RM1.5 juta bagi Program Selangor Saring dan RM1 juta bagi Selangor Kanser. Selaras dengan Pelan Tindakan Kesihatan Mental Komprehensif 2013–2030 oleh WHO, Kerajaan Negeri komited untuk mencapai sasaran global iaitu untuk menambah baik aspek kesihatan mental secara holistik melalui promosi, pencegahan, intervensi dan penyelidikan. Maka program Selangor Mental Sihat (SEHAT) akan diteruskan pada tahun 2023 dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM 500 ribu. Program SEHAT mencakupi aspek promosi, saringan awal, talian SEHAT, subsidi rawatan psikiatri, pembangunan modul serta latihan kaunselor. Kanak-kanak merupakan golongan rentan yang berisiko tinggi mengalami masalah tumbesaran dan perkembangan akibat isu krisis makanan (food crisis). Pada tahun 2021, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Program Anak Selangor Anak Sihat (ASAS) khusus bagi menangani isu malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak di Selangor. Kanak-kanak yang telah dikenal pasti diberikan bakul makanan yang mengandungi susu formula khas, multivitamin, makanan berkalori tinggi serta khidmat kaunseling selama tempoh 6 bulan. Melalui projek rintis yang telah kita laksanakan, Kerajaan Negeri telah berjaya memberikan intervensi kepada seramai 500 orang kanak-kanak yang mengalami masalah tumbesaran di lapan (8) DUN terpilih. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri akan meneruskan dan memperluaskan pelaksanaan Program ASAS dengan peruntukan sebanyak RM 500 ribu untuk tahun 2023. Seiring dengan hasrat Kerajaan Negeri ke arah digitalisasi sektor kesihatan awam, saya berbangga kerana kita menjadi negeri pertama membangunkan Selangkah sebagai pelantar digital komprehensif bagi pelaksanaan inisiatif dan program kesihatan. Aplikasi Selangkah menggabungkan sains kesihatan awam, teknologi Artificial Intelligent (AI), Pembelajaran Mesin, serta alatan analitik yang dapat mengurus data secara sistematik, menyasarkan golongan berisiko, memudahkan akses sekaligus meningkatkan pengalaman pengguna (user experience) serta kakitangan kesihatan. Aplikasi Selangkah berupaya memainkan peranan untuk membantu Kerajaan Negeri merumuskan dasar kesihatan awam serta membuat keputusan berasaskan bukti (evidence-based decision). Sejak kewujudannya sehingga kini, pelbagai inisiatif kesihatan telah didigitalkan seperti Saringan Covid-19, Program SELVAX, pemantauan isolasi di rumah dan yang terkini – Selangor Saring yang baru melabuhkan tirainya pada 11 September 2022. Sebanyak hampir 88,160 permohonan bagi pelbagai ujian saringan, dan 49,650 keputusan ujian makmal

telah diproses dan dihantar kepada penduduk Selangor yang menjalani program Selangor Saring melalui aplikasi Selangkah masing-masing. Rekod yang sama juga boleh diakses oleh Kakitangan Kesihatan di 59 hospital dan klinik-klinik di seluruh Selangor bagi tujuan rujukan lawatan lanjut, menjadikan Selangor negeri pertama yang mempelopori rekod kesihatan elektronik bersepadu di negara ini. Bagi memperkukuh penggunaan data dan bukti saintifik dalam merumuskan dasar dan program kesihatan awam, Kerajaan Negeri berhasrat untuk menambah baik fungsi Laporan Keputusan Selangor Saring ini, kepada format platform yang lebih holistik dan menyeluruh yang bakal dikenali sebagai Rekod HAYAT Selangor. Pembangunannya yang akan dijalankan dalam dua fasa akan memastikan ciri-ciri Electronic Medical Record (EMR) dan Lifetime Health Record (LHR) dilaksanakan dengan sempurna ke dalam rekod HAYAT Selangor, sekaligus membolehkan rakyat Selangor mempunyai maklumat kesihatan peribadi dan preskripsi yang boleh dirujuk oleh kakitangan kesihatan apabila diperlukan, pada bila-bila masa dan di semua fasiliti kesihatan (in your pocket, when its needed, where its needed). Selain itu juga, sebagai langkah penyeragaman program kesihatan awam di bawah satu platform digitalisasi, bermula tahun 2023 program-program kesihatan awam yang masih belum melalui proses digitalisasi seperti SLIM Selangor dan SUKA akan di integrasi di bawah aplikasi SELANGKAH. Justeru untuk tahun 2023, sebanyak RM 1 juta diperuntukkan bagi tujuan ini.

Kempen Kebersihan Menstruasi

Perbincangan mengenai kemiskinan menstruasi tidak seharusnya menjadi polemik atau dianggap sebagai tabu. Perkara ini melibatkan hak asasi perempuan dan wanita, khususnya dalam aspek kesihatan. Kajian Bank Dunia pada tahun 2018 menganggarkan lebih 500 juta wanita di seluruh dunia tidak mampu memperolehi keperluan asas sewaktu Haid. Ini mampu menyebabkan infeksi dan mendedahkan mereka kepada risiko yang lebih tinggi. Bagi memberdaya kaum wanita, Kerajaan Negeri melalui MBI akan memperuntukkan RM200,000 pada tahun 2023 termasuk kempen kesedaran serta penyediaan tuala wanita secara percuma.

TERAS KETIGA: PENDIDIKAN DAN PEMBANGUNAN GENERASI MASA DEPAN

PROGRAM TUISYEN RAKYAT SELANGOR

Jawatankuasa Tetap Pendidikan Negeri Selangor dengan kerjasama daripada Jabatan Pendidikan Negeri Selangor telah melaksanakan Program Tuisyen

Rakyat Selangor (PTRS) yang menyediakan platform pembelajaran melalui atas talian iaitu ePTRS.my bagi pelajar calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Tahun Enam. Rentetan pandemik COVID-19, pelaksanaan PTRS telah dilaksanakan secara hybrid iaitu secara bersemuka dan dalam talian. Modul yang disediakan untuk calon SPM juga adalah mengikut silibus yang terbaru iaitu Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM). Pelaksanaan PTRS diteruskan sehingga tarikh akhir para pelajar menduduki peperiksaan SPM dan ditambahbaik dengan penambahan kelas bagi pelajar Cemerlang.

Berdasarkan keperluan dalam meningkatkan pencapaian keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Negeri Selangor, Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan melihat kepada keperluan menambah subjek PTRS daripada 5 subjek utama kepada beberapa subjek elektif yang lain pada tahun 2023.

Bantuan Subsidi Yuran KAFAI Pendidikan anak-anak terutamanya dalam bidang agama adalah dituntut oleh Islam. Justeru itu, Kerajaan Negeri amat memberi perhatian dalam pembangunan Pendidikan Islam anak-anak Selangor. Melalui Belanjawan 2022, Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan secara one-off berjumlah RM5 juta untuk meringankan beban ibu bapa dengan pemberian subsidi yuran Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain Integrasi (KAFAI) berjumlah RM30 sebulan. Peruntukan ini telah disempurnakan dengan jayanya kepada 296 institusi KAFAI seluruh Selangor pada pertengahan tahun ini. Bantuan ini telah berjaya menyelesaikan isu tunggakan yuran bulanan 14 ribu orang murid B40 berikutan kebanyakan pendapatan ibu bapa murid-murid ini terjejas akibat pandemik COVID-19. Aspek kebajikan murid KAFAI akan terus dititikberatkan, Kerajaan Negeri bersetuju untuk meneruskan inisiatif pemberian subsidi yuran KAFAI sejumlah RM5 juta secara one-off untuk meringankan beban ibu bapa seterusnya dapat melancarkan urusan pembelajaran murid-murid. Bayaran tersebut akan digunakan bagi menampung pembayaran utiliti termasuk sewaan premis, baik pulih bangunan, penyelenggaraan, kemudahan akses internet dan elaun Guru Rakyat. Usaha ini diharap menjadi suntikan dan galakan kepada masyarakat agar terus menyediakan pendidikan agama Islam untuk anak-anak berusia tujuh hingga 12 tahun di Negeri Selangor khususnya.

PROGRAM BANTUAN SEKOLAH NEGERI SELANGOR

Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor yang telah dimulakan sejak tahun 2009 akan diteruskan pada tahun ini dengan termasuklah meneruskan permohonan

kepada Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan yang dimulakan sejak tahun 2022. Peruntukan bagi program ini pada tahun 2023 akan ditambah kepada RM26.5 juta dengan mengambil kira permohonan dan keperluan yang semakin bertambah setiap tahun. Penambahan ini juga adalah dengan mengambil kira banyak sekolah yang terkesan akibat banjir sebelum ini .

Program Pemerkasaan STEM Kerajaan Negeri sentiasa memberi perhatian dan komited kepada usaha pemerkasaan STEM atau subjek sains, teknologi, engineering dan matematik. Pada tahun 2023, Kerajaan Negeri akan menyediakan peruntukan sebanyak RM 1 juta bagi melaksanakan program-program berkaitan STEM dan sebanyak RM500,000 bagi pembangunan bakat murid-murid di Selangor. Kerjasama dengan pelbagai pihak seperti Jabatan Pendidikan Negeri Selangor ini diharapkan akan menggalakkan lebih ramai murid-murid di Selangor untuk memilih bidang Sains dan Teknologi di peringkat lebih tinggi.

PROGRAM PEMBANGUNAN MAHASISWA

Pembangunan Mahasiswa yang holistik melalui ekosistem yang seimbang amat membantu dalam menyokong sistem pembangunan sumber manusia yang memenuhi keperluan industri. Sehubungan itu, secara keseluruhannya Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan sebanyak RM 30,150,000 bagi menyokong pembangunan mahasiswa anak Selangor dan institusi pengajian di bawah Kerajaan Negeri Selangor. Pelaksanaan program-program ini akan membantu merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadikan mahasiswa Selangor yang unggul di pelbagai peringkat serta meningkatkan martabat pendidikan tinggi di Selangor.

PROGAM INISIATIF KEMAHIRAN TEKNIKAL DAN IKHTISAS SMART

SELANGOR (IKTISASS) Program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) telah dilancarkan secara dasarnya pada tahun 2018 oleh Kerajaan Negeri Selangor. Sehingga kini, Program IKTISASS sentiasa ditambah baik melalui pewujudan ekosistem latihan kemahiran yang lebih berorientasikan industri. Program IKTISASS memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi di Negeri Selangor untuk penyediaan dan melengkapkan integrasi kemahiran bagi lepasan sekolah dan golongan muda dalam peningkatan kemahiran dan marketability para graduan melalui tawaran program yang pelbagai. Pembangunan latihan dalam

Program IKTISASS merupakan pendekatan untuk lepasan latihan memasuki alam pekerjaan dan keusahawan dengan berbekalkan kepakaran dan kualiti yang bertaraf antarabangsa. Selain itu, usaha memperkasakan Program IKTISASS di peringkat global turut dilaksanakan dengan jaringan kolaborasi bersama institusi peringkat antarabangsa seperti Federal Institute for Vocational Education and Training (BIBB), Technical University Of Munich (TUM) sebagai permulaan. Kolaborasi ini akan melibatkan pemindahan teknologi, latihan tenaga pengajar dan pertukaran pelajar dalam ekosistem pendidikan industri di Negeri Selangor. Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam meningkatkan kemahiran anak-anak muda Selangor. Justeru, bagi tahun 2023, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM15 juta bagi meneruskan program-program dibawah IKTISASS. Program-program ini termasuklah meneruskan program latihan seperti Pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia kepada lepasan tahfiz dan pembangunan program Huffaz Profesional.

PEMERKASAAN DAN PEMBANGUNAN INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI DI BAWAH KERAJAAN NEGERI

Pemerkasaan dan Pembangunan Institusi Pengajian Tinggi di bawah kerajaan negeri yang melibatkan Universiti Selangor (UNISEL), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) juga merupakan fokus kerajaan negeri dalam mendepani persaingan di peringkat globalisasi dan memenuhi pasaran pekerjaan. Pemerkasaan IPT ini merangkumi aspek pentadbiran, pembangunan kapabiliti serta kompetensi tenaga pengajar dan pentadbir, kerjasama industri, fasiliti pengajaran serta pembelajaran dan pembangunan mahasiswa.

Dalam hal ini, pihak Kerajaan Negeri berbangga dengan kejayaan KUIS yang telah dinaiktaraf kepada status Universiti sejajar dengan hasrat Tuanku Sultan Selangor yang mahukan universiti di Selangor berada pada kedudukan terbaik. Usaha ini merupakan inisiatif Kerajaan Negeri dalam memastikan IPT di bawah Kerajaan Negeri dapat berada di tahap yang setanding dengan IPT terkemuka di Malaysia dan antarabangsa. Untuk tujuan tersebut, sebanyak RM5 juta diperuntukkan bagi pemerkasaan dan pembangunan Universiti Islam Antarabangsa Selangor/UIS dan UNISEL untuk tahun 2023.

PROGRAM BANTUAN YURAN ASAS UNIVERSITI (BAYU) Pada 30 September 2022, KUIS diiktiraf sebagai universiti penuh yang kini dikenali sebagai Universiti Islam Antarabangsa Selangor (UIS) untuk menjadi sebuah legasi pendidikan DYMM Sultan Selangor yang sentiasa dipelihara dan disantuni menjadi pemangkin tradisi ilmu dan penyatuan umat Islam di negeri Selangor, untuk

melahirkan Dai, Ulama dan Umarak. Pengiktirafan naik taraf ini akan membawa UIS sebagai sebuah universiti yang gemilang dalam melahirkan dai, ulama’ dan umara’ bertekad ke arah mencapai kecemerlangan pengurusan, akademik dan sahsiah pelajar melalui penggunaan teknologi terkini dan perkhidmatan berkualiti berteraskan Al-Quran dan Al-Sunnah.

Atas kecemerlangan ini, Program Bantuan Yuran Asas Universiti (BAYU) ini telah memberi manfaat kepada ramai pelajar ketika mula dilaksanakan pada tahun 2021 akan diteruskan bagi tahun 2023 dan akan salurkan kepada UIS dan juga UNISEL. Program ini adalah satu bantuan berbentuk tajaan yuran asas kepada mahasiswa anak Selangor yang mendapat tempat di universiti dan bertujuan membantu golongan ibu ibu bapa kategori B40 dan M40. RM4 juta diperuntukkan pada tahun 2023 untuk memanfaatkan lebih 4,000 pelajar.

Program Ekspo Penyelidikan, Pembangunan Dan Inovasi (RESEARCH, DEVELOPMENT AND INNOVATION EXPO)

Program Selangor Research, Development and Innovation Expo (SRIE) merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Selangor dalam memperkukuhkan dasar dan strategi pembangunan gugusan pendidikan dalam bidang penyelidikan yang merupakan nadi ke arah SMART Selangor bagi memacu teras utama dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang telah dilancarkan sebelum ini. SRIE akan diteruskan dalam tahun 2023 dengan peruntukan sebanyak RM 2 juta bagi meneruskan kolaborasi pelbagai sektor dalam bidang penyelidikan, pembangunan dan inovasi di Negeri Selangor selaras dalam menjadikan Selangor sebagai hub utama penyelidikan, pembangunan dan inovasi di negara ini.

Geran Penyelidikan Negeri Selangor Kerajaan Negeri Selangor amat komited dalam membantu mahasiswa dan penyelidik anak Negeri Selangor sepanjang pengajian mereka di universiti termasuk dalam bidang penyelidikan. Bidang penyelidikan merupakan tunjang penting dalam menghasilkan penemuan-penemuan baharu dalam pelbagai aspek sains dan teknologi seterusnya menjamin kelestarian kehidupan masa hadapan dan membantu generasi ini lebih maju dan berdaya saing. Sehubungan dengan itu, sebanyak RM3 juta geran dan insentif telah diperuntukkan bagi tahun 2022 dan 2023 untuk R&D dalam bidang sains dan teknologi, serta menggalakkan penyelidik-penyelidik untuk menjadi lebih inovatif dalam menggunakan dan menyesuaikan teknologi yang sedia ada di samping mencipta teknologi baru.

Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi (HPIPT) Selangor Bagi tahun 2023, kerajaan Selangor akan menyediakan peruntukan kewangan berjumlah RM3 juta bagi meneruskan pelaksanaan Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi (HPIPT) Selangor yang merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Selangor memberi bantuan RM1,000 khusus kepada anak-anak Selangor dari keluarga berpendapatan RM5,000 ke bawah. Pemohon yang layak untuk memohon merupakan pelajar tahun pertama pengajian yang melanjutkan pendidikan ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang diiktiraf bermula dari peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda. Program ini telah membantu seramai 3,000 pelajar anak Selangor setiap tahun untuk memulakan pengajian mereka di Institusi Pengajian Tinggi.

Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor Peruntukan kewangan berjumlah RM8 juta disediakan pada tahun 2023 untuk pembiayaan pendidikan dan disalurkan melalui Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor bagi pelaksanaan lima (5) program di bawah Peduli Siswa dan dua (2) Program Khas dalam bentuk pinjaman boleh ubah dan biasiswa. Program-program ini akan memberi manfaat kepada pelajar bermula daripada peringkat sekolah menengah sehingga ke peringkat pascasiswazah, di dalam dan luar negara. Pada tahun 2022 sebanyak 627 pelajar telah menerima manfaat program penajaan dan Kerajaan Negeri akan terus membantu membiayai anak-anak Selangor dalam tahun akan datang untuk meneruskan pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi. Pembiayaan ini juga adalah dipanjangkan kepada para penjawat awam Selangor yang ingin melanjutkan pelajaran ke bidang yang lebih tinggi, terbuka kepada kakitangan tetap dan juga kontrak.

Pembangunan Modal Insan Pembangunan modal insan merupakan dasar yang diwujudkan bertujuan untuk melahirkan sumber manusia berkualiti serta memberi impak yang baik kepada sosial dan ekonomi. Pada tahun 2023, sebanyak RM2 juta telah disediakan oleh pihak kerajaan bagi program modal insan untuk melahirkan modal insan yang proaktif serta berupaya untuk berkembang dalam sektor ekonomi masing-masing. Program Selangor Job Fair yang telah dilaksanakan sebelum ini telah mendapat sambutan yang sangat baik, dengan peluang pekerjaan yang merangkumi pelbagai sektor dan jawatan telah berjaya ditawarkan kepada pencari kerja. Dari analisis yang dibuat, peratus yang berjaya mendapat pekerjaan juga adalah amat menggalakkan. Justeru, bagi membantu menurunkan kadar pengangguran di negeri ini, program ini akan terus dilaksanakan pada tahun 2023 dengan peruntukan sebanyak RM1.4 juta.

PEMBANGUNAN SUKAN

Tabung Pembangunan Sukan Umum mengetahui bahawa program pembangunan sukan memerlukan peruntukan yang besar bagi menjamin kesinambungan program yang dilaksanakan. Tanpa peruntukan yang mencukupi, ianya akan mengambil masa yang lama untuk menampakkan hasil. Namun begitu, walaupun peruntukan yang besar disediakan, ianya masih belum dapat menjamin hasil yang akan dapat dituai kerana ianya melibatkan banyak faktor seperti bakat, daya tahan atlet serta faktor sekeliling seperti keluarga dan rakan-rakan. Justeru, bagi menjamin kesinambungan program yang disediakan selain bagi meringankan beban kewangan Kerajaan Negeri, satu tabung pembangunan sukan akan diwujudkan. Selain daripada menerima peruntukan daripada Kerajaan Negeri, tabung ini juga akan menerima sumbangan daripada pihak swasta yang ingin menyumbang kepada pembangunan sukan negara dan Negeri Selangor khasnya. Selangor sentiasa menjadi pilihan utama bagi penganjuran sukan bertaraf serantau dan juga antarabangsa. Bagi mengukuhkan lagi kedudukan tersebut, sebuah Tabung Sukan Antarabangsa akan diwujudkan khusus untuk mendanai acara-acara sukan yang akan dianjurkan sama ada dengan kerjasama bersama pihak swasta ataupun oleh kerajaan negeri sendiri.

GENERASI MUDA DAN SUKAN Bagi memastikan agenda pembangunan generasi muda dan sukan terlaksana secara inklusif, progresif, berdaya saing, komprehensif, dinamik dan proaktif. Daripada peruntukan ini, sebanyak RM2.83 juta diperuntukkan bagi melaksanakan program/aktiviti PeBS. PeBS ditubuhkan sebagai penghubung antara Kerajaan Negeri dan golongan belia bagi memastikan golongan belia di negeri ini mempunyai platform dalam usaha untuk memperkasakan agenda belia di Selangor.

Seterusnya, E-Sukan yang telah mendapat perhatian di kalangan generasi muda telah diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri pada tahun 2022. Melihat sambutan yang luar biasa dari kalangan anak muda, program ini akan diteruskan bagi tahun 2023 dengan peruntukan RM 600 ribu bagi memberi peluang kepada lebih ramai anak muda untuk menceburi bidang ini yang dilihat sebagai laluan kerjaya kepada anak muda pada masa akan datang.

Kerajaan Negeri juga akan meneruskan Program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) yang merupakan inisiatif Kerajaan Negeri bagi membantu generasi muda untuk

memiliki Lesen Memandu Motosikal B2 pada tahun hadapan. Pelaksanaan RiDE diwujudkan kerana Kerajaan Negeri peka dan prihatin dengan trend ‘gig economy’ yang semakin meluas di Malaysia dan merupakan salah satu usaha bagi membantu golongan generasi muda di Selangor untuk menambahkan sumber pendapatan. Bagi tujuan ini, Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM2 juta bagi tahun 2023.

Bagi memartabatkan aspek pembangunan sukan dan aktiviti– aktiviti kesukanan bagi melahirkan generasi muda yang sihat, aktif dan berdaya saing, Kerajaan Negeri akan meneruskan Projek Membaikpulih dan Membina Baru Infrastruktur Sukan di Negeri Selangor dengan peruntukan sebanyak RM2.24 juta bagi membaikpulih infrastruktur sukan yang mengalami kerosakan selain membina baru infrastruktur sukan berdasarkan keperluan setempat. Manakala Program Pembangunan Sukan yang dilaksanakan oleh Majlis Sukan Negeri Selangor akan diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM7 juta.

Program ini berupaya untuk mencungkil bakat-bakat baru dari akar umbi secara menyeluruh dan melibatkan keseluruhan pemegang taruh ke arah satu objektif iaitu ‘Selangor Peneraju Kecemerlangan Sukan’. elia merupakan asas sebenar atau tulang belakang kepada keutuhan dan kekuatan sesuatu bangsa dan negara. Justeru itu, pembangunan generasi muda perlulah seiring dengan keperluan semasa yang dinamik ke arah mendepani era globalisasi yang penuh dengan persaingan. Sejajar dengan keperluan semasa agenda pembangunan generasi muda di Selangor, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM16.9 juta pada tahun 2023 bagi memartabatkan generasi muda.

PENSTRUKTURAN SEMULA JAWATANKUASA TETAP PENDIDIKAN NEGERI SELANGOR

Tuan Speaker, Menjadi impian saya menyaksikan Selangor menjadi baris hadapan dalam menerajui agenda transformasi Pendidikan negara. Letak duduknya Selangor dengan komposisi Universiti-universiti Awam serta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta terkemuka negara, selain dengan pelbagai inisiatif Pendidikan yang diterajui Selangor, selayaknya Selangor menyerlah potensi serta memimpin transformasi Pendidikan melalui ekosistem yang dinamik lagi berwibawa. Ke arah menggembleng potensi dan prestasi pengurusan Pendidikan Negeri Selangor, suka saya mengumumkan bahawa sebermula tahun 2023, Jawatankuasa Tetap Pendidikan Negeri Selangor akan diuruskan sepenuhnya oleh Yayasan Selangor selaku ‘lead agency’, di samping elemen kawal selia dijajarkan ke Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN). Hal ehwal penjajaran dan

penstrukturan semula dari Bahagian Pengurusan Sumber Manusia kepada Yayasan Selangor melibatkan hal ehwal pentadbiran dan perjawatan, akan dimulakan pada kadar segera. Saya mensasarkan pengurusan program hal ehwal Pendidikan Negeri Selangor akan diurus sepenuhnya oleh Yayasan Selangor tidak lewat dari suku kedua tahun 2023. Penstrukturan semula ini kelak diharap dapat menyerlahkan lagi potensi Sektor Pendidikan Negeri Selangor, dalam usaha merangkul seluruh pihak menjalin hubung sinergi untuk melonjak prestasi Pendidikan negeri Selangor melalui Yayasan Selangor selaku agensi pelaksana.

TERAS KEEMPAT: KEHIDUPAN LESTARI DAN SEJAHTERA

Rumah Selangorku Sehingga Julai 2022, Kerajaan Negeri telah berjaya menawarkan 47,861 unit Rumah Selangorku kepada golongan sasaran. Daripada jumlah tersebut, 29,822 unit telah pun diserahkan kunci kepada para pembeli yang layak ditawarkan. Sebanyak 18,039 unit kini sedang dalam peringkat pembinaan di lapangan manakala baki 168,069 unit pula masih dalam proses perancangan. lnisiatif ini juga secara langsung telah menjana kepada perkembangan ekonomi di Negeri Selangor di mana jumlah keseluruhan pembangunan Rumah Mampu Milik ini dianggarkan bernilai sebanyak RM6.36 billion.

Skim Smart-Sewa Sehingga 1 September 2022, sebanyak 1,173 unit telah diluluskan pembelian dimana sebanyak 760 unit telah disewakan, baki 316 unit dalam proses pembinaan di tapak manakala sebanyak 97 unit lagi dalam proses memuktamadkan perjanjian Jual-Beli. Bagi tahun 2023, sebanyak disasarkan sebanyak 500 unit lagi akan dibeli oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) untuk pelaksanaan Skim Smart Sewa ini dengan menggunakan peruntukan Tabung Amanah Pengecualian Syarat Kuota Bumiputera dengan nilai dianggarkan sejumlah RM 115 juta. Sasaran sehingga tahun 2025 sebanyak 3,000 unit akan dibeli bagi pelaksanaan Skim Smart Sewa ini.

Skim Ceria Menerusi Skim Ceria, Kerajaan Negeri akan menambah baik kerosakan di pangsapuri kos rendah dan sederhana rendah. Antara aspek yang diberi keutamaan ialah kerosakan yang mengancam keselamatan penghuni.

Menginsafi kepentingan program ini kepada rakyat Negeri Selangor terutama dalam menjadikan Selangor Negeri Berdaya Huni, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan tambahan RM 5 juta kepada RM 10 juta untuk tahun 2023.

Skim Bantuan Biaya Rumah Selangor Bagi melengkapkan ekosistem ini dan bagi memastikan matlamat pemilikan kediaman dapat dicapai dengan lebih berkesan oleh rakyat Negeri Selangor khususnya pembeli pertama, Kerajaan Negeri bercadang untuk menyediakan inisiatif berinovasi bagi memudahkan urusan pembiayaan perumahan mampu milik khususnya pembeli di bawah Program Rumah Selangorku. Lazimnya kekangan bagi mendapatkan pembiayaan perumahan yang dihadapi oleh bakal pembeli adalah seperti berikut; i. Pembayaran pendahuluan atau deposit pembelian kediaman ii. Beban hutang sedia ada yang tidak efektif dan tidak teratur iii. Kos awalan yang tinggi untuk membeli perabot asas ketika mula untuk masuk ke rumah iv. Kos setem duti dan guaman pinjaman serta perjanjian pembelian kediaman. v. Kos sewa rumah sedia ada sementara untuk menunggu siap pembinaan rumah

Mengambilkira isu-isu ini, Kerajaan Negeri akan memperkenalkan Skim Smart Biaya yang mempunyai ciri-ciri seperti berikut: i. Menyediakan pembiayaan sejumlah 10%-15% bagi wang pendahuluan dan untuk menyelesaikan isu-isu seperti di atas bagi tujuan pemilikan kediaman mampu milik LPHS. ii. Pembiayaan patuh syariah iii. Bayaran bulanan yang tidak membebankan untuk tempoh 5-10 tahun. iv. Mempunyai ciri pembayaran balik yang fleksibel sekiranya ingin membuat bayaran penyelesaian awal pembiayaan. v. Perkhidmatan untuk pelanggan dipermudahkan dengan portal laman sesawang "one stop center" dan disertakan dengan khidmat nasihat kewangan.

Bagi tujuan ini, Kerajaan Negeri bercadang untuk memperuntukkan dana pinjaman di bawah Skim Bantuan Biaya Rumah Selangor dengan peruntukan

sebanyak RM100 juta. Ia dijangka mampu memberikan manfaat kepada kira-kira 4,000 pemohon di Negeri Selangor yang ingin memiliki kediaman mampu milik. Permohonan ini dijangka akan dilaksanakan seawal suku kedua tahun 2023.

TABUNG PEMULIHAN PROJEK TERBENGKALAI (TEPAT)

Menyedari bahawa usaha pemulihan projek terbengkalai memberi impak yang besar dalam pertumbuhan ekonomi Negeri Selangor dan memerlukan satu pendekatan yang lebih komprehensif dan bersifat praktikal, Kerajaan Negeri akan meneruskan untuk menggunakan Dana TEPAT yang berbaki RM6.98 juta bagi tujuan membantu menyelesaikan projek terbengkalai yang berdaya maju (viable) untuk dipulihkan. Dengan adanya Tabung TEPAT ini, Kerajaan Negeri secara tidak langsung bertanggungjawab dalam membantu pembeli memiliki rumah idaman mereka yang sekian lama terbengkalai ataupun infrastruktur yang terbiar tanpa tindakan pemulihan seterusnya dapat mengurangkan jumlah projek terbengkalai di Negeri Selangor yang pada masa ini mencatatkan jumlah tertinggi di Malaysia berbanding negeri lain.

Untuk makluman, sehingga kini dua (2) projek yang melibatkan sebanyak 274 unit sedang dipulihkan melalui Dana TEPAT bagi tujuan kerja-kerja pembaikan kemudahan infrastruktur luaran projek pembesaran kampung Taman Desa Mawar, Kuala Selangor yang berjumlah RM6.36 juta serta pemulihan infrastruktur luaran projek pembesaran Kg. Koskan, Hulu Selangor berjumlah RM 4.65 juta. Projek-projek ini sedang rancak dipulihkan dan dijangka akan dapat diselesaikan pada suku tahun pertama 2023.

Bagi meneruskan usaha pemulihan projek-projek terbengkalai dan bermasalah, Kerajaan Negeri mensasarkan anggaran baki Dana TEPAT tersebut untuk digunakan bagi cadangan pemulihan infra dan keperluan lain berkaitan projek terbengkalai yang dikenalpasti oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berpotensi untuk dibantu untuk pemulihan. Pihak PBT telah diminta untuk mengenalpasti mengenalpasti projek tersebut bagi tujuan pemulihan pada tahun 2023. Oleh itu, sebanyak RM 2 juta akan diperuntukkan untuk pemulihan projek terbengkalai di bawah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi melaksanakan kerja-kerja pemulihan projek seperti berikut:

i. Kerja-kerja penyiapan infrastruktur Sistem Pembentungan dan kerja-kerja memperoleh kelulusan Pelan Bangunan serta CCC bagi Projek Taman Nustalgia, Seksyan 32 Shah Alam dan; ii. Kerja Penurapan Jalan / Kerja Loji IWK / Kerja Baik Pulih Bangunan bagi projek Taman Andaman 5, Seksyen 30 Shah Alam.

Tahun merupakan tahun ketiga di dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke Duabelas (RMKe-12). Bagi memastikan kesinambungan projek-projek yang telah dilaksanakan dan terus memperkasakan pengurusan sumber air secara lestari, Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor telah memperuntukkan kos projek RMKe-12 sebanyak RM991 juta yang melibatkan 6 projek baru, 51 projek dalam perancangan, 20 projek bukan fizikal dan 26 projek sambungan RMKe-11.

Untuk tahun 2023, Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor telah diperuntukkan sebanyak RM 68 juta. Pecahan daripada keseluruhan peruntukan bagi projek-projek yang akan dilaksanakan adalah Pembangunan Projek Tebatan Banjir sebanyak RM 16.1 juta Pembangunan Sistem Saliran sebanyak RM 8.5 juta Pembangunan Lembangan Sungai sebanyak RM 16.3 juta, Pembangunan Sumber Air dan Hidrologi sebanyak RM 1.05 juta Program Pengurusan Saliran Mesra Alam sebanyak RM 13.5 juta Pembangunan Pantai sebanyak RM 3.6 juta, Pembangunan Infrastruktur Mekanikal dan Elektrikal sebanyak RM 3.7 juta, Pembangunan Infrastruktur Bangunan sebanyak RM 1.55 juta dan Pembangunan ICT Jabatan sebanyak RM 600 ribu serta Kerja-Kerja Kecemasan Luar Jangka sebanyak RM 2.9 juta.

Pembangunan Tebatan Banjir Sebanyak 24% daripada peruntukan yang dipohon adalah bagi pelaksanaan projek tebatan banjir. Pada tahun 2023, agihan peruntukan telah dipohon mengikut lembangan sungai untuk memastikan keberkesanan dalam pengurusan tebatan banjir yang merangkumi pelaksanaan kajian, reka bentuk dan juga projek fizikal bagi pembangunan projek tebatan banjir di seluruh Negeri Selangor. Beberapa lembangan sungai utama yang terlibat adalah Lembangan Sungai Klang dengan peruntukan sebanyak RM 6.255 juta, Lembangan Sungai Langat dengan peruntukan sebanyak RM 5.67 juta dan juga Lembangan Sungai Selangor RM 1.52 juta. Projek-projek tebatan banjir ini perlu dilaksanakan segera terutamanya di Lembangan Sungai Klang dan Sungai Langat. Selain daripada itu, projek-projek tebatan banjir ini juga akan dilaksanakan secara sinergi dengan projek-projek bawah peruntukan Persekutuan bagi mendapatkan keberkesanan yang lebih holistik dalam menangani isu banjir di Negeri Selangor.

Pengurusan Saliran Mesra Alam Manakala bagi tujuan perancangan sistem saliran secara lebih bersepadu, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor akan menyediakan Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) yang melibatkan 1 kawasan yang telah dikenalpasti iaitu di Daerah Sabak Bernam yang melibatkan peruntukan sebanyak RM 500 ribu. Selain daripada itu, Jabatan

Pengairan dan Saliran Negeri Selangor juga akan melaksanakan projek bagi mengatasi masalah banjir iaitu Kolam Takungan Banjir di Rawang Integrated dengan kos projek RM 15 juta, Kolam Takungan Banjir di Kg. Budiman dengan kos projek yang bernilai RM 20 juta serta Kolam Takungan Banjir Di Lebuhraya Shapadu Bersebelahan Taman Mutiara Bukit Raja dengan kos projek sebanyak RM 10 juta.

Pembangunan Pantai Fenomena air pasang besar yang pernah berlaku sebelum ini telah menjejaskan benteng di kawasan pesisiran pantai terutama di kawasan Sabak Bernam dan juga Kuala Selangor. Oleh demikian, Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor telah memohon sebanyak RM 3.6 juta pada tahun 2023 bertujuan untuk menaiktaraf benteng pantai di kawasan terjejas.

Kerja-Kerja Kecemasan Luar Jangka (Pasca Banjir) Taburan hujan di luar jangkaan pada hujung tahun 2021 telah menyebabkan banyak kawasan yang terjejas dengan banjir. Prihatin dengan keadaan tersebut, Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor telah menjalankan kerja-kerja kecemasan sebagai langkah jangka pendek bagi menyelesaikan isu banjir yang berlaku. Untuk tahun 2023 Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan sebanyak RM 2.9 juta untuk pelaksanaan kerja-kerja pasca banjir yang melibatkan skop kerja membaikpulih tebing, ban / benteng dan kerja-kerja pembersihan serta penyelenggaraan. Dengan pelaksanaan projek-projek di Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor, ianya secara tidak langsung dapat merancakkan ekonomi Kerajaan Selangor di mana Jabatan memainkan peranan penting dalam menyediakan infrastruktur berkaitan pengurusan tebatan banjir, pembangunan lembangan sungai dan zon pantai secara terancang di samping memastikan pembangunan sistem pengairan dan saliran yang lebih efisyen dan pengurusan saliran mesra alam yang lebih bersepadu. Secara keseluruhannya, pelaksanaan program oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor akan memastikan Kerajaan Negeri Selangor dapat memberi manfaat secara langsung kepada kumpulan sasar dan meningkatkan tahap kestabilan serta ekosistem kawasan lembangan sungai yang secara langsung akan meningkatkan ekonomi setempat dan ekonomi Negeri. Walaubagaimanapun, cadangan-cadangan penambahbaikan perlu diberi keutamaan bagi menyediakan kemudahan infrastruktur yang lebih sempurna dan berkesan.

PROJEK SELANGOR GREEN ENERGY ECOPARK

Kerajaan Negeri melalui KDEBWM telah meluluskan cadangan Projek Selangor Green Energy Ecopark di Rawang yang berkeluasan sebanyak 245 ekar. Pelaburan dan pembangunan infrastruktur projek ini dianggarkan berjumlah RM 4.5 bilion. Projek ini dijangka akan membantu Kerajaan Negeri dalam mempercepatkan penggunaan teknologi moden dalam menangani isu pelupusan sampah di Negeri Selangor dan dalam masa yang sama Kerajaan Negeri menjangkakan tapak pelupusan sedia ada tidak dapat menampung sisa yang dijana di masa akan datang. Oleh itu, teknologi insinerator Waste to Energy (WtE) disyorkan dalam projek ini tanpa keperluan tanah yang luas dan tidak memberi kesan kepada alam sekeliling. Teknologi WTE juga mampu menghasilkan tenaga elektrik daripada sampah yang dibakar yang seterusnya menyediakan penyelesaian jangka panjang untuk pengurusan sisa pepejal. Impak kepada pelaksanaan projek ini dianggarkan dapat mengurangkan sisa buangan di tapak pelupusan sebanyak 85 peratus pada masa akan datang dan mampu mengurangkan kebergantungan kepada tanah pelupusan.

Strategi Pengurusan Hutan Secara Lestari Kerajaan Negeri Selangor sentiasa prihatin dengan usaha-usaha pemeliharaan dan pemuliharaan hutan di negeri ini. Buktinya, Kerajaan Negeri Selangor telah berjaya meningkatkan keluasan hutan simpanan kekal pada masa kini sehingga seluas ±250,250.33ha. Ini adalah bersamaan dengan 31.65% daripada keluasan tanah negeri berbanding peratusan kawasan hutan simpanan kekal pada tahun 2008 adalah sekitar 30.55% sahaja. Malahan, beberapa usaha sedang giat dilaksanakan bagi menambah keluasan hutan simpanan kekal di negeri Selangor ini selaras dengan komitmen yang dizahirkan di dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

Kerajaan Negeri Selangor turut menyambut baik ke atas pelan pelaksanaan Rangkaian Koridor Ekologi Central Forest Spine (CFS) sepertimana digariskan di dalam Rancangan Fizikal Negara Ke-3. Kerajaan Negeri Selangor telah mengisytiharkan Kuala Kubu Bharu di daerah Hulu Selangor sebagai Wilayah Central Forest Spine (CFS) Negeri Selangor pada tahun 2021. Pengisytiharan ini menjadi inspirasi yang amat tinggi dalam pelaksanaan inisiatif-inisiatif CFS di negeri Selangor. Justeru, Kerajaan Negeri Selangor telah meluluskan sejumlah RM 150 ribu dalam peruntukan pembangunan negeri pada tahun 2023 bagi maksud ini.

Selaras dengan titah DYMM Sultan Selangor pada awal tahun 2022, Kerajaan Negeri Selangor telah memberi komitmen yang amat tinggi dalam aspek

konservasi dan perlindungan hutan. Fokus utama yang ditekankan dalam hal ini adalah penanaman pokok di seluruh negeri Selangor melibatkan pelbagai pemegang taruh sepert agensi-agensi kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan, agensi swasta dan GLC, pihak NGOs serta masyarakat awam. Program-program sebegini dijangka memberi impak yang amat signifikan khususnya dalam usaha meningkatkan kadar penyerapan karbon serta menangani kesan perubahan iklim. Sehingga Ogos 2022, Negeri Selangor telah berjaya menanam sebanyak 320,000 pokok dan jumlah ini telah menyumbang kepada pencapaian keseluruhan penanaman di Malaysia bagi tahun 2022 iaitu sebanyak 12,400,000 pokok melalui Program Penghijauan Malaysia.

Bagi mencegah dan menangani kejadian kebakaran hutan, Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan sejumlah RM 1.105 juta kepada Jabatan Perhutanan Negeri Selangor pada tahun 2022. Peruntukan ini melibatkan kerja pembinaan infrastruktur bagi pencegahan kebakaran hutan, perolehan peralatan pemadaman kebakaran, perolehan dron, perolehan set pengepaman telaga air bawah tanah (tubewell), perkhidmatan pengepaman telaga air bawah tanah, perkhidmatan sewaan jentera bagi tujuan pembinaan firebreak dan penganjuran latihan serta perolehan kelengkapan keselamatan kepada pasukan pemadam api sejumlah RM200 ribu di bawah Program Penguatkuasaan Hutan ini.

PENGANGKUTAN AWAM INKLUSIF – SELANGOR MOBILITI

Pertumbuhan populasi Selangor telah mencapai angka dua digit sejak dekad yang lepas. Dengan jumlah 7.04 juta penduduk kini, kualiti hidup warga Selangor banyak dipengaruhi oleh sistem pengangkutan. Bank Dunia pada 2015 di dalam satu laporan bertajuk Malaysia Economic Monitor – Transforming Urban Transport menyatakan warga kerja Malaysia menghabiskan satu juta jam sehari kerana terperangkap di dalam trafik.

Sejak 2016, Kerajaan Negeri telah membelanjakan antara RM25 juta ke RM30 juta setahun untuk menyediakan perkhidmatan Bas Smart Selangor. Ini mendorong penggunaan pengangkutan awam seterusya mengurangkan kesesakan lalu lintas. Perkhidmatan Bas Smart Selangor tertumpu di kawasan yang mempunyai hub pengangkutan seperti jaringan rel. Jumlah pengguna telah mencecah lebih 60 juta sejak ia dilancarkan.

Melangkah ke hadapan, tiba masanya Kerajaan Negeri mencari solusi yang lebih proaktif bagi mencapai sasaran penggunaan pengangkutan awam daripada 20% kepada 40% pada 2035. Penjenamaan baharu sistem pengangkutan

awam Selangor kini akan dikenali sebagai Selangor Mobiliti – iaitu sebuah sistem pengangkutan awam yang menggabungkan semua aspek pengangkutan di bawah satu bumbung, dan dipandu dengan penganalisaan data. Dengan izin, Mobility bermaksud the ability to move or be moved freely and easily, atau kemampuan untuk bergerak secara bebas dan mudah. Oleh itu, Selangor Mobility tidak akan hanya memfokuskan mod pengangkutan semata-mata seperti sistem bas, rel, teksi mahu pun e-hailing. Sebaliknya kesemua ini akan dirangkumkan di dalam satu ekosistem yang merangkumi infrastruktur lain, contohnya perhentian bas, hub pengangkutan awam, mikromobiliti, e-scooter, malahan laluan pejalan kaki.

Sebagai permulaan dan pemangkin kepada Selangor Mobiliti, Kerajaan akan memperkenalkan perkhidmatan Van-on-demand, atau Van DRT, yang bermaksud Demand-Responsive Transit. Seperti perkhidmatan e-hailing, Van DRT akan berfungsi berdasarkan permintaan melalui aplikasi pintar intelligent routing software, dan bukan seperti fungsi bas henti-henti konvensional. Perkhidmatan ini boleh melengkapi sistem Bas Smart Selangor yang tidak mampu untuk mencapai laluan-laluan yang sempit dan berkepadatan padat.

Fasa pertama Selangor Mobiliti ini akan bermula seawal suku pertama tahun 2023. Perkhidmatan Bas Smart Selangor masih diteruskan dan akan ditambahbaik seiring dengan penjenamaan semula perkhidmatan pengangkutan awam di Negeri Selangor kepada Selangor Mobiliti. Secara keseluruhan, jumlah peruntukan di bawah Selangor Mobiliti adalah sebanyak RM25 juta.

Pelarasan Elaun Bulanan Guru KAFA Peranan Guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) terutamanya di negeri Selangor sebagai ‘murabbi ummah’ tidak dapat dinafikan lagi. Guru KAFA adalah guru Pendidikan Islam amnya bukan sahaja bertanggungjawab untuk menyampaikan kandungan ilmu semata-mata, malah membentuk pelajar sebagai persediaan kehidupan yang seimbang di dunia dan akhirat. Namun begitu, masih ada sebilangan guru yang menerima elaun bulanan kurang daripada RM 1,500. Terdapat kira-kira 2,825 guru KAFA di Negeri Selangor masih dibayar elaun serendah RM 1,350 sebulan walaupun peranan mereka besar dalam mengajar pendidikan Islam kepada anak-anak untuk menjadi Islam sejati dan insan syumul. Atas keprihatinan Kerajaan Negeri, pelarasan elaun minimum Guru KAFA RM1,500 sebulan akan dilaksanakan bermula Januari 2023. Sebagai tambahan, sukacita diumumkan elaun bulanan seramai 2,825 guru KAFA akan diseragamkan dan dinaikkan kepada RM1,500 sebulan. Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sejumlah RM4.8 juta bagi pelarasan elaun Guru KAFA.

Inisiatif kepada warga pendidik ini disifatkan sebagai pelaburan yang berbaloi kepada Pendidikan Islam Negeri Selangor kerana melahirkan generasi masa depan yang berilmu dan beragama.

Insentif Khas Penyelia KAFA

Selain itu, kebajikan Penyelia KAFA juga sentiasa mendapat perhatian penuh Kerajaan Negeri.Peranan Penyelia KAFA penting di dalam pentadbiran pendidikan KAFA iaitu sebagai jentera penggerak kepada agensi yang bertanggungjawab dalam usaha memastikan pengurusan KAFA di peringkat daerah dan negeri berjalan dengan lancar dan lebih bersistematik mengikut peraturan yang telah ditetapkan demi kepentingan pembangunan ummah secara holistik. Manfaat dan hak perkhidmatan Penyelia KAFA akan sentiasa ditambahbaik. Maka, Kerajaan Negeri bersetuju untuk memberikan insentif khas RM100 sebulan kepada Penyelia KAFA di seluruh negeri Selangor. Seramai 32 orang Penyelia KAFA akan menerima manfaat ini dengan implikasi kewangan berjumlah RM38,400.00 setahun.

Dengan itu, sedikit sebanyak dapat meningkatkan semangat dan motivasi mereka untuk memberi perkhidmatan yang terbaik di dalam pengurusan KAFA Negeri Selangor khususnya.

Akademi Literasi Al-Quran

Akademi Literasi Al-Quran Selangor ditubuhkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor dan telah dilancarkan pada 9 Oktober 2022 bersamaan 12 Rabiulawal 1444H oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj. Penubuhan akademi ini bertujuan memberi penekanan serius ke arah melahirkan umat Islam berkemahiran membaca dan mengajar, berupaya mengamal dan berkebolehan mempersenikan al-Quran. Selain itu, akademi ini menerapkan prinsip-prinsip kecemerlangan “Masjid Quba” dalam merealisasikan persekitaran Khaira Ummah di negeri Selangor. Dengan tertubuhnya Akademi Literasi Al-Quran Selangor, maka secara rasminya Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah menjadi hub al-Quran di negeri Selangor. Akademi ini juga akan memberdaya pembinaan latihan al-Quran kepada imam masjid dan surau, guru al-Quran di sekolah, pemegang tauliah D3 (al-Quran), hakim dan peserta tilawah dan hafazan al-Quran. Kerajaan Negeri menyokong penuh usaha JAIS dalam menubuhkan akademi ini. Justeru itu, Kerajaan Negeri bercadang untuk memperluaskan Program Pengajian Bersijil Akademi Literasi Al-Quran Selangor secara berperingkat bermula di tiga daerah di Negeri Selangor iaitu Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Sepang. Usaha ini bagi memberi peluang dan kemudahan kepada orang awam untuk menyertai Program Pengajian Bersijil. Program Pengajian Bersijil yang dianjurkan oleh Akademi Literasi Al-Quran Selangor mempunyai 4 peringkat

kelas iaitu peringkat Asas, Menengah, Lanjutan dan Lanjutan Tinggi. Peserta perlu melepasi proses ujian saringan dan temuduga bagi penentuan peringkat kelas.

Untuk memperluaskan program ini ke daerah, Kerajaan Negeri bersetuju untuk memperuntukan sejumlah RM1 juta bagi pelaksanaan peringkat pertama (satu daerah satu masjid) di daerah Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Sepang termasuk memperkasa program sedia ada di Masjid Negeri bagi daerah Petaling. Peruntukan ini bagi menampung kos melantik tenaga pengajar, cetakan bahan pengajaran dan pembelajaran serta kos fasiliti. Inisiatif ini dijangka memanfaatkan rakyat di kawasan luar bandar Selangor untuk menyertai program pengajian Al-Quran ini. Usaha memperluaskan program pengajian Al-Quran ke daerah-daerah di seluruh Selangor diharap mampu memberdaya pembacaan al-Quran di dalam kalangan umat Islam di Selangor yang berpandukan riwayat Hafs ‘An ‘Asim melalui Toriq Syatibiyyah.

Pembangunan Agama Islam Kerajaan Negeri Selangor sentiasa komited dalam memperkukuh dan memperluas nilai kesejagatan agama Islam. Bagi tujuan tersebut, sebanyak RM 583,252,170.00 telah diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri yang diluluskan bagi RMKe--12 kepada Jabatan Agama Islam Selangor untuk aktiviti memperkukuh pentadbiran dan memperluas nilai kesejagatan agama Islam di negeri ini. Bagi peruntukan pembangunan JAIS untuk tahun 2023, beberapa projek baru akan dilaksanakan seperti berikut:

1. Masjid Al-Ehsan Kampung Tok Muda, Daerah Klang Masjid Al-Ehsan Kampung Tok Muda, Daerah Klang merupakan sebuah masjid lama binaan kayu yang akan dibangunkan semula serta diberikan nafas baru oleh Kerajaan Negeri bagi memberikan keselesaan serta mewujudkan persekitaran kondusif kepada para Jemaah. Bagi memenuhi tujuan tersebut, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM 500,000.00 untuk kerja-kerja awalan bagi tujuan pembinaan semula masjid ini bagi tahun 2023 dengan kos projek sebanyak RM 20,000,000.00 sepanjang RMK-12.

2. Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (MSSAAS) Pada tahun 1988, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang juga dikenali sebagai ‘Masjid Biru’ telah siap dibina dan dianggap sebagai binaan terindah di Negeri Selangor. Walau bagaimanapun, setelah 25 tahun, kerosakan mula dikesan sekitar tahun 2013 sehingga kini.

Bagi tahun 2023, Unit Pembangunan JAIS telah merancang agar kerja-kerja baik pulih di MSSAAS dapat dilaksanakan segera di mana ianya terbahagi kepada kerja-kerja baik pulih bagi kemasan dinding granite yang melibatkan anggaran kos sebanyak RM 8,750,000.00 dan kerja-kerja penggantian lapisan kalis bumbung rata yang juga melibatkan anggaran kos sebanyak RM 5,200,685.00. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM RM8 juta pada tahun 2023 bagi melaksanakan kerja-kerja baik pulih tersebut. Masjid Sungai Chinchin,Masjid Sungai Chinchin Batu 7 ¾, Daerah Gombak. Kerajaan Negeri telah bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM 7,000,000.00 bagi pembinaan masjid baru. Semoga dengan terbinanya sebuah masjid baru ini penduduk kampung di Sungai Chinchin dapat mengimarahkannya dengan sebaik mungkin.

Meningkatkan Prasarana Pendidikan Islam di Negeri Selangor

Bagi memastikan Pendidikan Islam dapat dipelajari dengan sempurna dan selesa di kalangan pelajar-pelajar sekolah rendah, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM 500,000.00 untuk kerja-kerja awalan bagi tujuan menaik taraf Sekolah Rendah Agama Integrasi Seksyen 19, Shah Alam, Daerah Petaling dengan kos projek sebanyak RM 2,500,000.00 sepanjang RMK-12. Kerajaan Negeri juga telah bersetuju bagi menambah serta membina baru beberapa Sekolah Rendah Agama dalam Negeri Selangor antaranya sekolah di dalam Daerah Hulu Selangor. Justeru, peruntukkan sebanyak RM 500,000.00 bagi kerja-kerja awalan juga akan diberikan bagi membina baru Sekolah Rendah Agama Bukit Sentosa Fasa 1, Daerah Hulu Selangor. Kos bagi projek pembinaan ini adalah sebanyak RM 12,000,000.00 sepanjang RMK-12.

Memperkasakan Institut Latihan dan Dakwah Selangor ILDAS Sebagai Gerbang Utama Keilmuan dan Pembinaan Paradigma Baru Umat di Negeri Selangor

Antara langkah bagi memastikan ILDAS sebagai gerbang utama keilmuan dan pembinaan paradigma baru umat Islam di negeri ini, ILDAS Cawangan Tengah telah diwujudkan di Kampong Jawa, Klang yang sebelum ini adalah merupakan tapak lama Sekolah Agama Menengah Tinggi Hisamuddin. Pewujudan ILDAS Cawangan Tengah ini adalah bertujuan untuk memberi kemudahan bagi peserta kursus di Lembah Klang mengikuti kursus anjuran ILDAS yang sebelum ini mereka mengambil masa lebih kurang 2 jam setengah untuk pergi ke ILDAS di Sungai Air Tawar Sabak Bernam. Selain itu juga, kemudahan yang ada ini akan dapat membantu dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti yang sesuai dengan menggunakan prasarana yang ada di ILDAS Cawangan Tengah tersebut. Bagi tujuan memberikan

keselesaan kepada peserta kursus di ILDAS Cawangan Tengah ini, maka Kerajaan Negeri bersetuju memberikan peruntukan sebanyak RM300 ribu bagi tahun 2023 untuk tujuan baik pulih.

Baik Pulih Bangunan dan Infrastruktur Pasca Banjir

Pada 18 September 2021, satu bencana banjir besar telah berlaku di Negeri Selangor. Rentetan daripada bencana tersebut, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM 33,648,525.56 bagi tujuan baik pulih keseluruhan yang melibatkan sebanyak 138 bangunan bawah kawalan JAIS seperti sekolah, masjid dan surau yang mengalami kerosakan akibat bencana tersebut. Sebanyak 33 buah sekolah, 32 buah masjid dan 73 buah surau yang telah mengalami kerosakan akibat daripada bencana ini dan akan dibaiki dengan kadar segera.

PEMERKASAAN INDUSTRI PELANCONGAN NEGERI SELANGOR

Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sejumlah RM6 juta bagi sektor pelancongan. Di antara program yang akan dilaksanakan ialah penganjuran Kempen Promosi Pelancongan yang merupakan hala tuju pengisian promosi pelancongan Negeri Selangor yang memfokuskan kepada 2 (dua) kempen pelancongan mengikut pasaran khusus seperti yang berikut:-

a. Pasaran Domestik : Kempen “Pusing Selangor Dulu!” b. Pasaran Global/ Antarabangsa : Kempen “Splendid Selangor, Take Me Anywhere”

Demi memastikan industri pelancongan Negeri Selangor terus berdaya tahan, “Tourism Selangor Global Convention 2023” akan diteruskan dengan memberi penekanan kepada Pameran Pelancongan Negeri Selangor yang berkonsepkan Business To Consumer (B2C) dalam bentuk ‘Travel Fair’ yang memberi peluang kepada orang ramai serta para pelancong untuk mendapatkan diskaun harga terbaik untuk pakej pelancongan di Negeri Selangor. Program dan acara pelancongan mega yang dirangka ini mampu meningkatkan profil pelancongan Negeri Selangor ke peringkat yang lebih tinggi lagi khususnya ke pentas global. Menerusi inisiatif ini, Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM1 juta.

Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor akan menganjurkan Pertandingan Pitching Promosi Pelancongan Negeri Selangor di mana, masyarakat dan orang awam dapat bersama-sama merencanakan idea untuk menyemarakkan semula sektor pelancongan domestik di Negeri Selangor yang amat terkesan dengan pandemik COVID-19. Antara program, aktiviti, dan acara promosi pelancongan yang

boleh dianjurkan adalah seperti program pameran pelancongan, kempen pengiklanan, kempen promosi digital, program media sosial, pembangunan pelancongan, pakej pelancongan dan banyak lagi.

Orang awam, persatuan pelancongan, agensi pelancongan boleh memohon dengan menghantar kertas cadangan untuk kelulusan dan mendapat geran sehingga RM20,000.00 setiap permohonan mengikut terma dan syarat yang akan ditetapkan. Hal ini akan meluaskan lagi program promosi pelancongan sehingga ke akar umbi dan membantu penggiat industri untuk lebih aktif dalam mempromosikan Negeri Selangor sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia dan ke peringkat antarabangsa. Selain daripada mengadakan promosi dan acara pelancongan, Kerajaan Negeri juga memperuntukkan sejumlah RM2 juta bagi menaiktaraf produk pelancongan dan memajukan kraftangan.

Membangun Dasar Perubahan Iklim

Isu kelestarian dan alam sekitar sentiasa menjadi isu utama di peringkat global. Terkini, isu pemanasan global yang memberi kesan kepada perubahan iklim dunia kembali menjadi perhatian dan semakin hangat diperkatakan susulan tragedi besar dan bencana yang berlaku di dunia termasuk di Malaysia.

Kerajaan Negeri sedar dan mengambil serius isu perubahan iklim dan cuaca ekstrem yang menyebabkan bencana banjir, tanah runtuh serta bahaya baru muncul (emerging hazards) seperti gelombang haba, peningkatan aras laut dan kehilangan biodiversiti. Bagi mengurangkan impak perubahan iklim, kepentingan untuk mengintegrasi tindakan jangka pendek dengan usaha jangka sederhana dan panjang (adaptasi perubahan iklim) dalam meningkatkan daya tahan masyarakat setempat juga perlu diberi keutamaan. Ianya melalui satu dasar khusus yang bakal dibangunkan sebagai rangka kerja bagi menggerakkan dan memberi panduan kepada Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan dan Agensi Negeri, industri, masyarakat setempat serta pihak berkepentingan lain dalam mencapai pembangunan yang berdaya tahan iklim.

Justeru itu, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM300,000 bagi pembangunan kajian dan Dasar Perubahan Iklim Negeri Selangor yang merangkumi tindakan pelaksanaan secara bersepadu yang selari dengan dasar-dasar sedia ada termasuklah Rancangan Selangor Pertama (RS-1). Kajian akan bertumpukan kepada tindakan bagi memperkukuhkan pelaksanaan pembangunan negeri sehingga tahun 2030 dengan mengambil kira pelbagai aspek perubahan iklim khususnya berkaitan adaptasi, mitigasi dan pengurusan risiko bencana iklim bagi memaksimumkan keberhasilan sosio-ekonomi yang saksama dan kelestarian ekosistem.

Selain itu, pengurusan dan pemuliharaan alam sekitar serta sumber air seperti sungai dan laut di Selangor akan terus dilaksanakan dalam konteks pembangunan lestari yang bertonggakkan pembangunan ekonomi, sosial dan perlindungan alam sekitar. Justeru itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM 800,000 untuk Program Pemuliharaan dan Kesedaran Alam Sekitar. Manakala, bagi pemuliharaan sungai dan pantai, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sejumlah RM400,000 bagi program tersebut.

WiFi Desa

WiFi Awam percuma telah dilaksanakan di negeri Selangor sejak tahun 2015. Pada tahun hadapan, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif untuk mengurangkan jurang digital di antara bandar dan desa. Sebanyak 2,100 Access Point akan dibangunkan menjelang tahun 2023 dengan peruntukan RM 5.93 juta. 373 kampung tradisional di Selangor akan menjadi fokus baharu untuk menyediakan perkhidmatan WiFi sama ada di balai raya, masjid, atau surau.

Pengecualian Cukai Taksiran dan Fi Lesen

Kerajaan Negeri maklum akan pembukaan semula semua sektor ekonomi selaras dengan fasa peralihan pandemik ke endemik bagi COVID-19. Namun, bagi membantu rakyat Negeri Selangor yang terkesan, Kerajaan Negeri Selangor akan meneruskan program pengecualian cukai taksiran bagi kategori kediaman kos rendah dan kediaman kampung serta dan fi lesen penjaja dan peniaga kecil bagi tahun 2023. Pengecualian ini dianggarkan memberikan impak kewangan berjumlah RM 68.7 juta kepada Kerajaan Negeri. Pengecualian ini telah diberikan sejak tahun 2016 dan tahun depan merupakan tahun ke-8 pengecualian cukai taksiran dan fi lesen diberikan kepada kumpulan sasar tersebut.

TERAS KELIMA: TADBIR URUS CEKAP DAN BERTANGGUNGJAWAB

Dalam langkah berjaga-jaga menangani masalah pandemik dan masalah peningkatan kos sara hidup yang sehingga kini belum reda sepenuhnya, aspek tadbir urus dan integriti masih perlu dijadikan asas utama dan perlu terus diperkasakan. Atas sebab ini Kerajaan Negeri sentiasa berusaha membentuk nilai dan budaya untuk memacu tadbir negeri ke arah yang lebih bertanggungjawab dan berkesan. Sehubungan dengan itu bagi tahun 2023, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuhkan elemen tadbir urus yang cekap dengan memperkenalkan pendekatan bersepadu merangkumi perancangan, belanjawan, pelaksanaan,

laporan pemantauan dan penilaian prestasi sebagai mekanisme semak dan imbang dalam mewujudkan pentadbiran yang mantap.mBagi mencapai hasrat ini, pengurusan menyeluruh yang efektif dan efisien dalam perancangan dan pelaksanaan pembangunan Negeri serta perbelanjaan awam akan terus dipertingkatkan supaya menjana pertumbuhan ekonomi yang mampan. Salah satu inisiatif bagi merealisasikan agenda Pembangunan negeri ialah pelaksanaan Selangor Score Card (SSC) yang memberikan penekanan kepada impak dan keberkesanan program yang mengutamakan perbelanjaan yang memberikan value for money.

Keselamatan Siber

Jenayah siber telah menyebabkan kerugian sebanyak RM 98.2 juta di negeri Selangor sehingga September tahun 2022. Ini menunjukkan bahawa jenayah siber, keselamatan data berpotensi menyebabkan kerugian kepada ekonomi. Ia juga dapat memberi kesan terhadap keyakinan rakyat dan para pelabur terhadap ekonomi digital dan internet di Malaysia khususnya di negeri Selangor.

Justeru, satu ekosistem keselamatan siber yang berupaya untuk mengenal pasti, mengesan dan menutup kelompangan atau eksploitasi keselamatan siber bagi sistem, data serta infrastruktur ICT di bawah Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor amat diperlukan bagi mengurangkan risiko pendedahan, kecurian serta penyalahgunaan data rakyat negeri Selangor oleh penjenayah siber.

Sebagai usaha untuk memastikan keselamatan siber di negeri Selangor berada di tahap yang optimum, kerajaan negeri akan membentuk Pasukan Cyber Emergency Response Team (CERT) Selangor (CERT Selangor) bagi tujuan melindungi, mengesan dan bertindak-balas terhadap sebarang aktiviti serangan siber selari dengan pelan tindakan Strategi Keselamatan Siber Malaysia(MCSS) 2021-2024 yang dikeluarkan oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA). Pembentukan pasukan CERT Selangor ini akan dimulakan dengan sekurang-kurangnya lima (5) perjawatan yang akan bertanggungjawab terhadap keselamatan sistem, data serta infrastruktur ICT negeri Selangor.

CERT Selangor ini seterusnya akan diperkasakan dari semasa ke semasa agar berupaya menguruskan perkhidmatan keselamatan terurus (managed security services), melaksanakan audit keselamatan siber serta bidang lain yang berkaitan bagi memastikan setiap sistem, data serta infrastruktur ICT negeri Selangor berada dalam keadaan selamat dan berdaya tahan terhadap serangan siber. Pasukan ini juga akan secara proaktif menjalinkan kerjasama bersama-sama NACSA dan pasukan CERT agensi yang lain untuk tujuan perkongsian maklumat berkaitan keselamatan ancaman siber serta menyumbang dalam menjaga ruang

internet Malaysia secara kolaboratif.

Untuk tujuan merealisasikan pembentukan CERT Selangor ini Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sejumlah Ringgit Malaysia Dua Puluh Juta (RM20 juta) bagi tempoh 5 tahun akan datang dengan Ringgit Malaysia Dua Juta (RM2 juta) diperuntukkan dalam tahun 2023 sebagai jumpstart yang akan memperkasa keselamatan dan daya tahan siber negeri Selangor.

DIGITALISASI

Sistem Permohonan Bantuan Kewangan

Pada tahun 2023, perkhidmatan Kerajaan Negeri yang mendepani rakyat akan terus diperkasakan menerusi inovasi digital dan proses kerja yang lebih agile. Keutamaan akan diberikan terhadap aspek Smart Government bagi memastikan perkhidmatan-perkhidmatan yang terutamanya berhadapan dengan rakyat dapat dilaksana secara pantas dan telus, yang diupayakan oleh komponen-komponen digitalisasi.

Sehubungan itu, SSDU akan melaksanakan Sistem Permohonan Bantuan Kewangan di kesemua 56 Pejabat ADUN di Selangor bagi menaiktaraf proses permohonan bantuan kewangan sedia ada secara manual kepada kaedah permohonan atas talian yang lebih cepat dan sistematik. Dengan adanya sistem ini, pihak Kerajaan Negeri juga akan diupayakan dengan ketersediaan data/rekod secara masa nyata yang boleh meningkatkan proses pemantauan dan pembuatan keputusan serta memastikan keperluan rakyat dapat dipenuhi secara pantas dan mudah.

Penggunaan Infrastruktur Digital Smart Selangor akan ditingkatkan secara lebih meluas bagi pelaksanaan inisiatif ID Digital di peringkat Negeri Selangor. Menerusi ID Digital ini, rakyat di Negeri Selangor berupaya untuk mengakses kepada perkhidmatan awam Kerajaan Negeri hanya menerusi satu ID digital tanpa perlu kepada pelbagai ID Pengguna (User ID) dan kata laluan untuk setiap aplikasi yang berlainan. ID Digital ini merupakan pengupaya utama yang akan menerajui perkhidmatan penyampaian Kerajaan Negeri ke satu aras yang lebih tinggi bagi merealisasikan Selangor sebagai sebuah Smart State.

NAIK TARAF PUSAT DATA PERBENDAHARAAN NEGERI SELANGOR

Perbendaharaan Negeri Selangor (PNS) berperanan menguruskan kewangan

Kerajaan Negeri Selangor dan agensi di bawahnya selaras dengan dasar dan peraturan yang berkuatkuasa. Justeru, cabaran mengurus data digital kewangan kerajaan negeri di Pusat Data perlu diperkukuhkan keupayaan dari semua aspek meliputi perkakasan, rangkaian dan keselamatan ICT di Pusat Data.

Melalui projek menaiktaraf Pusat Data dengan anggaran kos sebanyak RM1,626,370.00, projek ini akan memberi nilai tambah dari sudut pengendalian serta operasi peralatan ICT, aspek keselamatan fizikal, ruang yang tersusun, bekalan kuasa yang mencukupi dan stabil agar dapat memberi impak kepada persekitaran pusat data yang lebih efisien dalam mengekalkan integriti data digital kewangan negeri. Pelaksanaan projek naik taraf Pusat Data akan meningkatkan imej kerajaan kerana mempunyai Pusat Data yang selamat serta mematuhi standard dan garis panduan Pusat Data yang telah ditetapkan di peringkat nasional.

Pembangunan Sistem Dalam Talian OSC Duti Hiburan

Pada masa kini, pengusaha industri hiburan pertunjukan pentas yang melibatkan penjualan tiket perlu menjelaskan bayaran deposit berdasarkan anggaran jumlah tiket yang akan dijual sebelum memperolehi lesen ataupun permit dari Pihak Berkuasa Tempatan. Kerajaan Negeri telah menerima beberapa pandangan khususnya daripada pengusaha industri ini terutamanya mereka yang baru menceburi bidang ini yang mengalami kekangan kewangan untuk membuat bayaran deposit berdasarkan anggaran tiket yang akan dijual dalam acara pementasan bertiket.

Bagi meringankan beban yang kini dihadapi oleh pengusaha- pengusaha ini, serta untuk meningkatkan kecekapan proses ini, Kerajaan Negeri menyatakan hasrat akan memulakan proses ke arah pembangunan sistem dalam talian duti hiburan yang bersifat one-stop-centre. Usaha ini akan melibatkan Unit Hasil Perbendaharaan Negeri Selangor dan semua 12 Pihak Berkuasa Tempatan.

Kajian Pembangunan Portal Perkhidmatan Kerajaan Selangor (Selangor Government Online Services Portal - SGOS)

Bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat, kerajaan akan melaksanakan kajian spesifikasi teknikal (perkakasan, perisian serta aplikasi) skop kerja, tempoh dan kos pembangunan suatu portal yang dikenali sebagai Portal Perkhidmatan Kerajaan Selangor yang boleh dicapai secara atas talian. Kajian ini bertujuan untuk memperkemaskan semua perkhidmatan End to

End (E2E) kepada rakyat yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri dan Agensi di bawahnya termasuk Pihak Berkuasa Tempatan serta Pejabat Daerah dan Tanah. Kesemua perkhidmatan ini akan dipusatkan ke sebuah portal perkhidmatan kerajaan yang akan dibangunkan kelak.

Kajian ini akan mengenalpasti tahap keperluan penggunaan perkhidmatan berpusat (One Stop Centre) secara maya yang bertujuan untuk membolehkan rakyat menerima perkhidmatan yang ditawarkan dengan lebih mudah, menjimatkan kos dan masa berurusan.

Pembangunan Semula Sistem eSidang

Kerajaan bersetuju untuk membangunkan semula Sistem eSidang. Sistem ini digunakan oleh Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri sebagai medium komunikasi semasa sesi sidang dewan berlangsung. Teknologi sistem sedia ada telah usang dan perlu dibangunkan semula seiring dengan perkembangan teknologi semasa. Dengan adanya kemudahan ini, interaksi dalam kalangan ADUN serta pegawai kerajaan dan agensi yang bertugas boleh berjalan tanpa mengganggu sidang dewan yang sedang berjalan.

Penaiktarafan Sistem Tender Online

Kerajaan kini sedang menaiktaraf Sistem Tender Online. Kerja-kerja menaiktaraf ini telah dilaksanakan bermula pada September 2022 dan dijangka selesai pada pertengahan tahun 2023. Sistem ini akan memberi ruang kepada para petender yang berkelayakan untuk membida projek-projek dalam Kerajaan Negeri Selangor. Sistem ini berupaya untuk menerima permohonan daripada syarikat-syarikat yang ingin turut serta dalam membantu Kerajaan Negeri melaksanakan projek-projek yang diiklankan.

Elaun Ketua Kampung Tradisi, Ketua Kampung Baru/ Bagan dan Ketua Komuniti India (KKI)

Majlis Pengurusan Ketua Kampung (MPKK) dan Ketua Komuniti India (KKI) merupakan antara jentera pentadbiran Kerajaan Negeri di peringkat akar umbi yang membantu menyampaikan maklumat dari pucuk pimpinan tertinggi Negeri dan memastikan kesejahteraan penduduk kampung dan komuniti masing-masing kekal aman.

Justeru itu, melihat daripada aspek bebanan tugas, kos sara hidup yang semakin

meningkat serta cabaran yang semakin rumit yang dihadapi di kawasan komuniti masing-masing terutamanya sewaktu bencana dan endemik, Kerajaan Negeri Selangor mencadangkan untuk menyelaras elaun Ketua Kampung Tradisi, Ketua Kampung Baru/ Bagan serta Ketua Komuniti India daripada RM1,200 sebulan kepada RM1,500 sebulan. Bagi tujuan ini Kerajaan Negeri akan memperuntukkan tambahan sebanyak RM 1.843 juta bagi tahun 2023 dan kadar elaun yang baharu ini akan bermula pada Januari 2023.

Dengan peningkatan elaun Pengerusi MPKK dan KKI ini, Kerajaan Negeri meletakkan harapan yang tinggi supaya setiap Ketua Kampung dan KKI dapat memberi kualiti perkhidmatan yang terbaik dan seterusnya melaksanakan amanah dan tanggungjawab masing-masing dengan efisyen dan penuh integriti bagi membantu Kerajaan Negeri mencapai matlamat untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan negeri.

Tuan Speaker, Cabaran-cabaran yang bakal dihadapi oleh negara kita bukannya mudah. Tetapi kita dapat belajar dengan melihat kepada sejarah serta dari situasi yang sedang dialami oleh negara-negara di luar sana. Ketara bahawa penyelesaian kepada mana-mana ketegangan adalah pilihan untuk menyatupadukan, bukan untuk memecahbelahkan. Sifat yang harus dielakkan oleh mana-mana pemimpin adalah ketaksuban kepada kuasa yang hampir selalu akan berakhir dengan tragedi.

Apabila William Shakespeare menulis MacBeth, kita melihat bagaimana ketaksuban MacBeth yang pada ketika itu seorang general kepada Raja. MacBeth didorong oleh tidak puas hati dan ketidakpastian terhadap dirinya, sanggup membuat apa sahaja untuk mencapai matlamatnya, termasuk menggadai prinsip dan membunuh Raja untuk ke tampuk kuasa. Umum mengetahui bagaimana nasib MacBeth berakhir, apabila beliau digelar sebagai tragic hero disebabkan tindakannya yang hanya mementingkan dirinya dan mengabaikan kepentingan kolektif. MacBeth harus menjadi pengajaran untuk kita terus beristiqamah dan bertindak untuk kebaikan rakyat jelata, bukan untuk diri sendiri.

Al-Quran surah Hud ayat 112 menyebut "Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan."

Dengan berpegang kepada istiqamah ini, pencapaian pentadbiran negeri Selangor yang didorong amanah, kebertanggungjawaban, serta iltizam sebagai asas untuk merealisasikan aspirasi rakyat. Dan pentadbiran ini harus diteruskan demi maslahat dan kepentingan rakyat negeri Selangor Darul Ehsan.

Dalam ucapan sambutan ulang tahun Hari Kebangsaan pada bulan Ogos yang lalu, saya menyeru untuk kita menoleh kembali dan melihat dokumen penting yang sepatutnya dijadikan panduan oleh seluruh rakyat Malaysia. Saya percaya semua di antara kita menghafal lima prinsip Rukun Negara itu. Tetapi untuk menghayati semangat Rukun Negara itu kita tidak harus melupakan keseluruhan dokumen Rukun Negara mempunyai dua bahagian yang harus dijadikan pedoman. Bahagian pertama menggariskan objektif masyarakat Malaysia yang mahu dibentuk:-

a. Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakat,

b. Memelihara satu cara hidup demokratik,

c. Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama,

d. Membentuk satu sikap yang liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan berbagai-bagai corak, dan

e. Membina sebuah masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.

Ikhtiar ke arah cita-cita tersebut masih lagi relevan sehingga ke hari ini kerana cabaran-cabaran baharu juga wujud. Jurang kemiskinan antara yang paling kaya dan yang miskin masih luas dan begitu juga kesenjangan pembangunan di antara bandar dan luar bandar masih wujud. Malah, jurang pendapatan antara yang kaya dan miskin di bandar atau kemiskinan nisbi (relative poverty) masih perlu sungguh-sungguh ditangani.

Kita juga harus peka dengan gelisah generasi baharu hari ini yang membangkitkan tentang akses mereka terhadap peluang mencipta masa depan yang lebih baik tidak semudah generasi sebelum ini. Dan janganlah kita memesongkan mereka dengan kebencian perkauman dan ekstrimisme bagi mengalihkan kegelisahan mereka. Sebaliknya, marilah kita mencari jalan dengan muafakat, bagaimana jalan penyelesaian kepada persoalan-persoalan ini demi masa depan yang lebih cerah.

Tuan Speaker, Untuk menghargai khidmat cemerlang serta komitmen para penjawat awam dalam memastikan perkhidmatan kerajaan negeri kekal efisien dan berkesan, sukacitanya saya mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) tahun 2022 kepada semua anggota yang berkelayakan dan berkhidmat di Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor pada tahun 2022 (termasuk anggota perkhidmatan Kerajaan Negeri yang gajinya dibayar oleh Kerajaan Persekutuan) sebanyak dua

bulan setengah seperti berikut:

i) Bantuan Khas Kewangan Kali Pertama sebanyak satu (1) bulan gaji, minimum RM1,000.00 yang telah dilaksanakan menerusi Insentif Khas Rahmah Ramadan 2022 sempena Hari Raya Aidilfitri 1443H/ 2022;

ii) bagi BKK kali Kedua, insentif satu (1) bulan gaji, minimum RM1,000.00 dengan anggaran implikasi kewangan sebanyak RM37.63 juta yang akan dibayar pada 29 Disember 2022; dan

iii) seterusnya, BKK kali Ketiga, insentif sebanyak setengah (1/2) bulan gaji, minimum RM1,000.00 yang akan dibayar pada bulan Februari 2023 bagi meringankan beban penjawat menampung persiapan persekolahan sesi 2023/2024 yang akan bermula pada pertengahan bulan Mac 2023.

Pemberian BKK ini dilaksanakan berdasarkan terma dan syarat anggota yang berkelayakan dalam garis panduan pemberian Bantuan Khas Kewangan yang akan dikeluarkan oleh Bahagian Pembangunan Sumber Manusia (BPSM). Masih ada yang tertanya-tanya ada ke tidak lagi BKK Hari Raya Aidil Fitri, saya jawab insyaAllah ada. Tapi tarikhnya rahsia, jumlahnya juga rahsia. Tuan Speaker, setelah hampir 3 jam. saya mencadangkan.

Tuan speaker, saya mohon mencadangkan.

Dato’ Teng Chang KhimDAP · PHBandar Baru Klang

Tuan Speaker, saya menyokong.

Speaker

Ahli-ahli Yang Berhormat, cadangan ini telah pun disokong. Bersesuaian dengan Peraturan Tetap 66 (2) sudah dibacakan Rang Undang-undang Perbekalan Kali Yang Kedua perbahasan hendaklah ditangguhkan tidak kurang daripada satu (1) jam. Oleh itu, perbahasan ini ditangguhkan dan Dewan akan disambung semula pada hari Selasa, 29 November 2022, jam 10.00 pagi.

Speaker

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, saya mempersilakan Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar untuk membawakan usul.

Dato’ Seri Amirudin bin ShariPKR · PHMenteri Besar · Sungai Tua

Tuan Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, saya ingin membawa suatu usul yang berbunyi seperti berikut:-Bahawasanya Dewan yang bersidang pada hari ini mengikut Peraturan 11 dalam Peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor hendaklah ditangguhkan sehingga Hari Selasa, 29 November 2022 pada yang kesepuluh Malaysia telah mengisytiharkan 28 November 2022 merupakan cuti umum bagi seluruh rakyat Malaysia.

Dato’ Teng Chang KhimDAP · PHBandar Baru Klang

Tuan Speaker, saya menyokong.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, Usul ini telah pun disokong. Saya kemukakan untuk mendapat persetujuan. Ahli-ahli Yang Berhormat yang bersetuju sila kata YA. Ahli-ahli Yang Berhormat yang tidak bersetuju sila kata TIDAK.

Usul ini Dipersetujui.

Speaker

Dengan ini saya menangguhkan Dewan sehingga hari Selasa, 29 November 2022 bermula jam 10.00 pagi. Dewan ditangguhkan.

(DEWAN DITANGGUHKAN)