Selangor · 10 November 2023
15th Assembly, 1st session, 2nd meeting · 14 turns · 21,897 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalSelangor publishes one PDF per sitting day; recent ones are drafts (Draf Penyata Rasmi). Full written answers are published for 2018-19 only.
(Pembukaan)
Selamat petang dan salam sejahtera. Aturan Urusan Mesyuarat bagi Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Kelima Belas pada 10 November 2023 dimulakan dengan:
(i) Bacaan Doa (ii) Proklamasi
Bacaan Doa.
Bacaan Proklamasi.
OLEH DULI YANG MAHA MULIA SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH ALHAJ IBNI AL-MARHUM SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH ALHAJ, DARJAH KERABAT (SELANGOR), DARJAH UTAMA SERI MAHKOTA NEGARA (D.M.N.), DARJAH KERABAT (TERENGGANU), DARJAH KERABAT (KELANTAN), DARJAH KERABAT (PERAK), DARJAH KERABAT (PERLIS), DARJAH KERABAT (NEGERI SEMBILAN), DARJAH KERABAT (KEDAH), DARJAH KERABAT (JOHOR), DARJAH KERABAT (PAHANG), SERI PADUKA MAHKOTA SELANGOR (S.P.M.S.), DATO’ SETIA SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH (S.S.I.S.), SERI PADUKA MAHKOTA JOHOR (S.P.M.J.), DENGAN KURNIA ALLAH, SULTAN DAN YANG DIPERTUAN NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN SERTA SEGALA DAERAH TAKLUKNYA.
BAHAWASANYA Fasal (1) Perkara LXX Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, memperuntukkan bahawa DULI YANG MAHA MULIA SULTAN hendaklah dari semasa ke semasa melalui Proklamasi yang disiarkan dalam Warta memanggil Dewan Negeri :
MAKA OLEH YANG DEMIKIAN, BETA, SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH ALHAJ IBNI AL-MARHUM SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH ALHAJ, DARJAH KERABAT (SELANGOR), DARJAH UTAMA SERI MAHKOTA NEGARA (D.M.N.), DARJAH KERABAT (TERENGGANU), DARJAH KERABAT (KELANTAN), DARJAH KERABAT (PERAK), DARJAH KERABAT (PERLIS), DARJAH KERABAT (NEGERI SEMBILAN), DARJAH KERABAT (KEDAH), DARJAH KERABAT (JOHOR), DARJAH KERABAT (PAHANG), SERI PADUKA MAHKOTA SELANGOR (S.P.M.S.), DATO’ SETIA SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH (S.S.I.S.), SERI PADUKA MAHKOTA JOHOR (S.P.M.J.), DENGAN KURNIA ALLAH, SULTAN DAN YANG DIPERTUAN NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN SERTA SEGALA DAERAH TAKLUKNYA, pada menjalankan kuasa yang diberikan kepada BETA di bawah Perkara (LXX) Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, DENGAN INI MEMANGGIL Dewan Negeri untuk bermesyuarat dan menetapkan
10 November 2023, 14 November 2023 hingga 17 November 2023 dan 20 November 2023 hingga 24 November 2023 dan pukul 10.00 pagi kecuali hari Jumaat pukul 9.30 pagi, sebagai tarikh dan waktu bagi Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Darul Ehsan yang Kelima Belas yang akan diadakan di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam.
DIPERBUAT di Istana Alam Shah, Klang pada 11 haribulan Oktober 2023.
Dengan Titah Perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.
Salam Sejahtera dan selamat datang kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Negeri, Pegawai-pegawai Kerajaan dan para pemerhati sekalian. Bertemu lagi dalam Mesyuarat Kedua Dewan yang mulia ini bagi Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas.
Saya ingin memaklumkan bahawa terdapat satu Petua Speaker yang telah pun yang keluarkan berkenaan laranganmenjalankan live streaming oleh Ahli Dewan Negeri semasa Dewan Sidang sedang berjalan dan keputusan ini sedemikian setelah mempertimbangkan contoh dan kelaziman di Parlimen negara-negara Komanwel yang mengehendakkan Ahli-ahli Dewan untuk menumpukan sepenuh perhatian terdapat perjalanan sidang tanpa menyebabkan sebarang ganggu dan kacau bilau terhadap perjalanannya. Sidang Dewan ini sedang dan akan disiarkan secara langsung melalui platform media sosial oleh Media Selangor dan Ahli-ahli Yang Berhormat boleh menghubungi mereka sekiranya ingin mendapatkan rakaman persidangan seperti apa yang diperuntukkan dalam Peraturan Tetap 10A.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian saya ingin memaklumkan pelantikan Speaker dan Timbalan Speaker telah dijalankan pada Mesyuarat Pertama (Angkat Sumpah) Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Kelima Belas dengan mengadakan undian. Menurut Peraturan Tetap 4(7), setelah cukup tempoh sebulan, kertas-kertas undi tersebut perlu dibakar dan Setiausaha Dewan perlu memperakui kepada Dewan mengatakan bahawa kertas-kertas itu telah dibakar. Dengan ini saya menjemput Setiausaha Dewan untuk memperakuinya.
Yang Berhormat Tuan Speaker dan Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Negeri Selangor, mengikut Peruntukan Peraturan Mesyuarat 4(7) dan susulan daripada pemilihan tuan Speaker Dewan dan Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor pada 19 September 2023 yang lalu, saya dengan ini mengesahkan kepada Majlis bahawa kertas-kertas undi bagi pemilihan tersebut telah pun dibakar.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, menurut Peraturan 13(1) Peraturan-peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor, bacaan rang Undang-undang Perbekalan 2024 dan akan dibacakan selepas sesi Pertanyaan-pertanyaan. Namun
begitu, pada hari ini, Rang Undang-undang Perbekalan 2024 akan dibacakan terlebih dahulu. Perkara ini telah dimohon oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri besar dan saya mengizinkannya. Tanpa melengahkan masa, sekarang saya mempersilakan Setiausaha dewan untuk meneruskan Aturan Urusan Mesyuarat pada petang ini. Silakan.
Kertas-Kertas Mesyuarat
Aturan Urusan Mesyuarat seterusnya Membentangkan Kertas-kertas Mesyuarat:-
1) Kertas Mesyuarat Bilangan 11 Tahun 2023 - Rang Undang-undang Enakmen Perbekalan 2024 - Rang Undang-undang Enakmen Peruntukan Diraja (Pindaan) 2023
2) Kertas Mesyuarat Bilangan 12 Tahun 2023
-Rang Undang-undang Enakmen Perbekalan Tambahan 2023
3) Kertas Mesyuarat Bilangan 13 Tahun 2023 - Penyata Kewangan Perbadanan Adat Melayu Dan Warisan Negeri Selangor Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2022
4) Kertas Mesyuarat Bilangan 14 Tahun 2023 - Penyata Kewangan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2022
5) Kertas Mesyuarat Bilangan 15 Tahun 2023 - Penyata Kewangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2022
6) Kertas Mesyuarat Bilangan 16 Tahun 2023 - Laporan Ketua Audit Negara Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Agensi Negeri Serta Pengauditan Pematuhan Jabatan/Agensi Negeri Selangor Tahun 2022
7) Kertas Mesyuarat Bilangan 17 Tahun 2023 - Penyata Kewangan Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Selangor Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2022
8) Kertas Mesyuarat Bilangan 18 Tahun 2023 - Laporan Tahunan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Selangor Tahun 2022
9) Kertas Mesyuarat Bilangan 19 Tahun 2023 - Penyata Kewangan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2022
10) Kertas Mesyuarat Bilangan 20 Tahun 2023 - Penyata Kewangan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2022
11) Kertas Mesyuarat Bilangan 21 Tahun 2023 - Sijil Ketua Audit Negara Dan Penyata Kewangan Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2021 Dua Belas (12) Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor
1) Majlis Bandaraya Shah Alam
2) Majlis Bandaraya Petaling Jaya
3) Majlis Bandaraya Subang Jaya
4) Majlis Perbandaran Klang
5) Majlis Perbandaran Ampang Jaya
6) Majlis Perbandaran Selayang
7) Majlis Perbandaran Kajang
8) Majlis Perbandaran Sepang
9) Majlis Perbandaran Kuala Langat
10) Majlis Perbandaran Kuala Selangor
11) Majlis Perbandaran Hulu Selangor
12) Majlis Daerah Sabak Bernam
12) Kertas Mesyuarat Bilangan 22 Tahun 2023 - Anggaran Perbelanjaan Perbekalan 2024 dan Memorandum Perbendaharaan Mengenai Anggaran Perbelanjaan Perbekalan 2024 Kerajaan Negeri Selangor
13) Kertas Mesyuarat Bilangan 23 Tahun 2023 - Anggaran Perbelanjaan Mengurus Tambahan Pertama 2023 Dan Memorandum Perbendaharaan Mengenai Anggaran Perbelanjaan Mengurus Tambahan Pertama 2023 Bagi Kerajaan Negeri Selangor
14) Kertas Mesyuarat Bilangan 24 Tahun 2023 - Anggaran Perbelanjaan Tanggungan 2023 Dan Memorandum Perbendaharaan Mengenai Anggaran Perbelanjaan Mengenai Anggaran Perbelanjaan Tanggungan Tahun 2023 Bagi Kerajaan Negeri Selangor
15) Kertas Mesyuarat Bilangan 25 Tahun 2023
-Laporan Tahunan 2020 Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor
16) Kertas Mesyuarat Bilangan 26 Tahun 2023
-Anggaran Belanjawan Negeri Selangor 2024 dan Senarai Perjawatan Negeri Selangor 2024
17) Kertas Mesyuarat Bilangan 27 Tahun 2023
-Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Selangor 2022
18) Kertas Mesyuarat Bilangan 28 Tahun 2023
-Laporan Tahunan 2022 Tabung Amanah Bencana Alam
19) Kertas Mesyuarat Bilangan 29 Tahun 2023
-Laporan Tahunan 2022 Tabung Warisan Negeri Selangor
20) Kertas Mesyuarat Bilangan 30 Tahun 2023
-Laporan Tahunan 2022 Tabung Amanah Warisan Anak Selangor
21) Kertas Mesyuarat Bilangan 31 Tahun 2023 - Memorandum Laporan Ketua Audit Negara Negeri Selangor Tahun 2022 dan 2021
Rang Undang-undang Perbekalan 2024 (Semua Peringkat)Bill
Aturan Urusan Mesyuarat seterusnya Rang Undang-undang Perbekalan 2024 (Semua Peringkat). Rang Undang-undang ini bernama suatu Enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan Negeri untuk perkhidmatan bagi tahun 2024 dan bagi memperuntukkan jumlah wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu.
PENANGGUHAN PERATURAN TETAP 48 DAN 53
Tuan Speaker, oleh sebab Rang Undang-Undang ini perlu dan mustahak diluluskan pada hari ini juga, saya mencadangkan di bawah Peraturan Tetap 78 supaya ditangguhkan Peraturan Tetap 48 dan 53, bagi membolehkan Rang Undang-undang ini dibacakan pada semua peringkat dan seterusnya diluluskan.
Tuan Speaker, saya menyokong.
Ahli-ahli Yang berhormat yang bersetuju dengan cadangan ini sila kata YA. Ahli-ahli Yang Berhormat yang tidak bersetuju sila kata TIDAK.
Dipersetujui.
BACAAN KALI KEDUA
Tuan Speaker dan Ahli-ahli Dewan sekalian, sebelum saya membuat bacaan kali kedua dan membentangkan belanjawan ini, saya ingin mengajak seluruh Ahli Dewan sama-sama berdiri untuk membaca Al-Fatihah buat para mangsa keganasan rejim Zionis di Gaza yang telah mencecah 11 ribu orang
dan semoga doa ini akan membebaskan Gaza dan Palestin dan memerdekakan mereka dan bagi bukan beragama Islam boleh berdiri dan bertafakur doa mengikut kepercayaan masing-masing. Al-Fatihah.
Tuan Speaker dan Ahli-ahli Yang Berhormat. Tujuan Rang Undang-Undang ini ialah untuk pengeluaran sejumlah wang tidak melebihi Dua Bilion, Empat Ratus Enam Puluh Tujuh Juta, Enam Ratus Dua Puluh Enam Ribu, Tujuh Ratus Ringgit (RM2,467,626,700.00) dari Kumpulan Wang Disatukan Negeri untuk perkhidmatan bagi tahun 2024 adalah dengan ini dibenarkan dan jumlah wang itu diperuntukkan bagi maksud-maksud yang dinyatakan.
Bismillahirrahmanirraahim,
Assalammulaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Kita Selangor, dan Salam Malaysia Madani. Salam mengambil kesempatan ini untuk mengalu-alukan kehadiran Ahli-Ahli Dewan yang baru sahaja terpilih menerusi Pilihan Raya Negeri yang lalu. Semoga kita semua dapat melaksanakan tugas dengan baik, tekun, cermat serta berhikmah kepada rakyat negeri Selangor Darul Ehsan.
Tuan Speaker, izinkan saya memetik ayat 126 Surah Al-Baqarah dipermulaan pembentangan ini; Bismillahirrahmanirrahim,
وَ إِذْ قَالَ إِبْرََٰ هِـۧمُ رَبِِّ ٱجْعَلْ هَـَٰذَا بَلَدًا ءَامِنًًۭا وَ ٱرْ زُقْ أَهْلَهُۥ مِنَ ٱلثَّمَرََٰ تِ مَنْ ءَامَنَ مِنْهُم ِبِٱَّللَّ ِ وَ ٱلْيَوْ م ِٱلْـَٔاخِ رِ ۖ قَالَ وَ مَن كَفَرَ فَأُمَتِِّعُهُۥ قَلِيًلً ًۭ ثُمَّ أَضْطَرُّهُۥٓ إِلَىَٰ عَذَابِ ٱلنَّارِ ۖ وَ ب ُئْسَ ٱلْمَصِ ير ٦٢١ Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Mekah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari pelbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka”. Allah berfirman:” (Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga dia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat Kembali”
Doa ini diucapkan oleh Nabi Ibrahim A.S tatkala meletakkan anaknya Nabi Ismail A.S yang masih kecil di Mekah, yang Ketika itu adalah padang pasir tandus kering dan kontang.
Menurut Sheikh Abu Sa’ud Effendi dalam Tafsirnya Irshadul “Aqlus- Salim, permintaaan Nabi Ibrahim ini diulang beberapa kali termasuklah yang dirakamkan dalam Surah Ibrahim, ayat 37 hingga ayat 41 dengan lafaz sedikit berbeza dan terdapat beberapa penambahan daripada apa yang ada dalam ayat 126 Surah al-Baqara tadi.
Imam al-Razi dalam Tafsir al-Kabir Ketika menafsir ayat 37 hingga 41 Surah Ibrahim menyatakan bahawa Nabi Ibrahim ketika berada di Mekah telah berdoa dengan tujuh doa:
Keamanan negeri Mekah; yang kedua diutuskan kepada mereka pembimbing iaitu Nabi Muhammad SAW; ketiga anak cucu yang mentauhidkan Allah S.W.T dan mendirikan solat; keampunan buat ibu ayahnya dan kaum mukminin sekaliannya; seterusnya direzekikan dengan buah-buahan dan hati manusia cenderung dan datang berbondong-bondong ke negeri Mekah; dan juga yang terakhir, yang ketujuh dimakbulkan kesemua permintaanya. Ayat di atas merupakan di antara doa Nabi Ibrahim Alaihissalam semoga Lembah Mekkah atau Kota Mekah yang mulia itu dikurniakan baladan amina, negeri yang aman serta dianugerahi rezeki yang diberkati buat orang-orang yang beriman.
Justeru, saya selaku Menteri Besar, ditaklifkan Amanah untuk memimpin serta quwwah, kekuatan untuk mentadbir, yang telah membentangkan enam Belanjawan Negeri, termasuk dokumen pada hari ini, memohon doa kepada Allah SWT semoga Negeri Selangor diberikan keamanan, kesentosaan, kestabilan, kemakmuran manakala rakyatnya memperoleh kebaikan dan manfaat daripadanya.
Tuan Speaker, seantero dunia disergah kecamuk. Perang Ukraine belumlah selesai. Konflik di Asia Timur dan pasifik belumlah reda dan yang terkini kezaliman rejim Zionis di Timur Tengah terhadap rakyat Palestin masih berterusan masuk ke hari yang ke-34. Kesemua konflik yang sedang menggelegak ini berpotensi memperlahankan ekonomi dunia. Sedangkan pada awal tahun ini, merujuk kepada laporan institusi seperti Bank Dunia, International Monetrary Fund dan The Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) iaitu ekonomi dunia memperlihatkan ciri-ciri pemulihan selepas pandemik COVID-19. Laporan Bank Dunia The Global Economic Prospect bulan Jun 2023, Laporan OECD Economic Outlook Interim Report September 2023 dan Laporan IMF World Economic Outlook, diterbitkan bulan Oktober 2023 yang berjudul Navigating Global Divergences kesemuanya menganjurkan pertumbuhan ekonomi dunia yang perlahan buat tahun 2024 iaitu di bawah 3.0 peratus sekitar 2.7 peratus sehingga 2.9 peratus sahaja. Laporan-laporan tersebut saya yakin diluncurkan dengan tidak mengambil kira perkembangan terkini di Palestin yang berpotensi meledak menjadi konflik serantau sesuatu yang kita doakan dan harapkan tidak terjadi
Waima demikian, sebagaimana yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan ketika Belanjawan Madani 2024, pertumbuhan ekonomi negara yang didorong permintaan domestik sementara inflasi negara yang didorong permintaan domestik sementara inflasi negara yang terkawal, keadaan pasaran buruh yang positif, rizab asing yang kukuh, lebihan akaun semasa dan tabungan negara yang tinggi serta kepesatan sektor kewangan dan pasaran modal yang teguh, terus menekalkan momentum positif pertumbuhan ekonomi.
Walaupun berdepan kelembapan ekonomi dunia, Malaysia berjaya merekodkan pertumbuhan 4.2% pada separuh pertama 2023 dan dijangka mencatatkan sekitar 4% bagi keseluruhan 2023. Manakala itu pertumbuhan ekonomi Negeri Selangor pada tahun ini dijangka pada kadar 4.4%. Keadaan ini selari dengan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang terkesan dengan ekonomi global. Situasi tersebut bakal memberi kesan kepada sektor pembuatan Selangor, yang diunjurkan tumbuh dengan lebih perlahan pada kadar 1.4% pada tahun ini.
Pertumbuhan ekonomi Negeri Selangor pada tahun ini dijangkakan dipacu terutamanya oleh sektor perkhidmatan iaitu sekitar 5.8% serta disokong oleh perbelanjaan domestik yang rancak.
Tuan Speaker, saya menjangkakan dunia akan semakin berpencar-pencar, semakin polarized dengan izin, membuatkan ramai yang bingung, keliru, marah serta tidak tenteram. Justeru adalah menjadi tanggungjawab kita, sebagai kerajaan, sebagai wakil kepada rakyat tatkala dunia berpencaran, untuk menyirnakan kekaburan, dengan izin Tuan Speaker, “to extinguish confusions” menyediakan sebuah negeri yang teduh buat rakyat negerinya berlindung dan bermastautin.
Tugas ini bukanlah mudah. Sementara kita menggarap dasar mendepani cabaran zaman, berhempas pulas melaksanakan dasar dan polisi yang memberi manfaat kepada rakyat negeri, ada yang menyebarkan kebencian serta pembohongan terutamanya melalui media sosial. Segelintir puak politik yang tidak bertanggungjawab seharusnya belajar bagaimana aktivis seluruh dunia berbilang kaum dan kepercayaan menggembleng pertembungan menentang naratif batil rejim Zionis. Kita menyaksikan beberapa minggu ini aksi bersenjata ganas dan penghapusan kaum yang dilancarkan oleh Zionis bertembung dengan penentangan naratif anak muda di media sosial.
Anak muda dari Amerika Selatan, di Kuala Lumpur, di Jakarta, di London dan di Washington DC membantah keganasan Zionis dan mempertikaikan sikap berat sebelah Amerika Syarikat dan sekutunya.
Sementelahan itu menerusi media sosial juga, sarjana Muslim seumpama Imam Omar Suleiman dari Yaqeen Institute, Hasan Spiker, pengamal media seperti Khaled Beydoun dan Motaz Azaiza terus istiqamah mengkritik kezaliman rejim Zionis dan membangkitkan kesedaran terhadap kempen genocide rejim Zionis. Kita menyaksikan kemenangan kemanusiaan ke atas kebatilan apabila klip-klip penerangan yang mempertikaikan penjajahan Zionis oleh sarjana sejarah seperti Avi Shlaim, Cornel West, Ghassan Kanafani dan Noura Erakat banyak tersebar.
Selain itu wawancara Piers Morgan dengan Bassem Youssef juga mencerahkan ramai pihak terutamanya mereka yang baru mula memahami penjajahan Zionis ini.
Wawancara pusingan pertama sudah mencecah 20 juta tontonan dan pusingan kedua pula sudah mencapai 9 juta penonton.
Tidak dapat dinafikan platform media sosial, seumpama X, Tiktok, Facebook, Whatsapp, Instagram dan Telegram mampu menjadi wahana suara mahukan perubahan sebagaimana perlawanan menentang rejim Zionis, akan tetapi ianya juga boleh dimanipulasi sebagai senjata, dengan izin, Tuan Speaker, “weaponized”, sebagai pelantar yang merosakkan, menyebarkan kebencian, keyakinan palsu yang menimbulkan polarisasi ataupun perpecahan serta penipuan.
Kini, konflik dan kekacauan yang mungkin terjadi beribu-ribu batu jauhnya terasa semakin dekat. Klip-klip ringkas menggantikan pengajian ilmu, kuliah, syarahan dan telaah buku. Media sosial menyumbat fikiran kita dengan ribuan imej dan maklumat. Sedangkan maklumat tersebut belum tentu tepat bahkan ada yang sengaja memesongkan masyarakat serta bertujuan untuk menimbulkan kacau-bilau dan huru-hara.
Oleh kerana itu, kita harus berwaspada untuk menghadam segala macam maklumat yang tersebar melalui media sosial. Bagaikan menyikat rambut halus. Dengan izin Tuan Speaker untuk menemui “fine balance” di antara kebebasan bersuara dan kemungkinan anarki atau kacau bilau.
Justeru Kerajaan Negeri seiring dengan hasrat Kerajaan Pusat beristiqamah untuk kekal ligat memacu kemajuan dan memastikan dasar-dasar Kerajaan Negeri seumpama Belanjawan Negeri 2024 ini menumpukan usaha memperteguhkan Perpaduan dan keharmonian rakyat Negeri Selangor. Tuan Speaker, PRESTASI KEWANGAN NEGERI SELANGOR
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Illahi kerana kedudukan kewangan Kerajaan Negeri Selangor melalui Kumpulan Wang Disatukan pada tahun 2022 adalah kukuh dan stabil. Sehingga 31 Disember 2022, rizab Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Negeri Selangor yang terdiri daripada Akaun Hasil Disatukan dan Akaun Amanah Disatukan telah merekodkan sebanyak RM3.082.17 bilion. Bagi tahun 2023 ini, sehingga 9 November 2023, jumlah agregat terkumpul Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Negeri terus kukuh dan stabil apabila merekodkan peningkatan sebanyak RM631.48 juta kepada RM3.713.65 bilion yang terdiri daripada Akaun Hasil Disatukan berjumlah RM1.499.97 billion dan Akaun Amanah Disatukan berjumlah RM2.213.68 bilion.
Menggunakan pendekatan dan strategi perbelanjaan yang berkesan dan berhemah, prestasi kewangan Kerajaan Negeri sehingga 9 November 2023 telah merekodkan lebihan kewangan sebanyak RM427.25 juta. Secara spesifiknya, kutipan hasil Negeri
sehingga 9 November 2023 yang telah direkodkan berjumlah RM2.405.09 billion dan telah digunakan sebanyak 85.97 peratus atau bersamaan dengan RM1.113.27 bilion untuk perbelanjaan mengurus manakala sebanyak 72.05 peratus atau RM864.56 juta untuk perbelanjaan pembangunan.
Berdasarkan pencapaian prestasi dan kedudukan Kewangan Kerajaan Negeri sehingga 9 November 2023, Kerajaan Negeri optimis akan dapat mengecilkan unjuran defisit tahun 2023 sebagaimana yang diunjurkan RM495 juta kepada angka yang lebih rendah, yang boleh ditampung oleh rizab sedia ada pada ketika ini yang dipunyai oleh Kerajaan Negeri.
KEDUDUKAN HASIL NEGERI
Kutipan sebenar hasil negeri bagi tahun 2022 adalah sebanyak Ringgit Malaysia Dua Bilion, Lima Ratus Tiga Puluh Tiga Juta, Lapan Ratus Tiga Puluh Ribu, Tiga Ratus Lapan Puluh dan Tujuh Puluh Lapan Sen (RM2,533,830,380.78)
Daripada jumlah berkenaan, Hasil Cukai yang mencatatkan kutipan sebanyak RM722.50 juta, Hasil Bukan Cukai mencapai kutipan sebanyak RM1,543.18 billion dan Terimaan Bukan Hasil berjumlah RM268.15 juta. Sehingga 9 November 2023, Hasil Negeri telah mencapai jumlah kutipan sebanyak RM2.405 bilion bersamaan dengan 120 peratus daripada anggaran hasil tahun 2023 sebanyak RM2.00 bilion.
Daripada jumlah tersebut, Hasil Cukai telah mencapai kutipan sebanyak RM702 juta bersamaan dengan 101 peratus berbanding anggaran RM695.93 juta, Hasil Bukan Cukai mencatatkan RM1.486 bilion iaitu 140 peratus berbanding anggaran RM1.062.74 billion pada tahun 2023 dalam belanjawan dan Terimaan Bukan Hasil berjumlah RM217 juta iaitu sekitar 90 peratus berbanding anggaran RM241.33 juta.
KEMAMPANAN HASIL SELANGOR
Strategi kemampanan hasil adalah selari dengan inisiatif dalam Rancangan Selangor Pertama akan dimulakan pada tahun 2024 bagi memastikan ekonomi negeri lebih kukuh dan berdaya saing bagi jangka masa lima tahun akan datang, dan akan dimulakan pada tahun 2024. Usaha mempelbagaikan hasil negeri akan mula dilaksanakan dengan strategi pemerkasaan hasil Kerajaan Negeri dalam bentuk pemberian sumbangan dan dividen daripada Anak-Anak Syarikat/ Badan Berkanun dan Agensi Kerajaan Negeri. Sumbangan ini penting bagi memastikan peranan Anak-Anak Syarikat/ Badan Berkanun dan Agensi Kerajaan Negeri turut menyumbang kepada kelangsungan pentadbiran negeri. Melalui sumbangan dan dividen ini, Kerajaan Negeri mensasarkan kutipan hasil dividen yang pertama daripada Anak Syarikat Kerajaan Negeri di bawah pegangan MBI sebanyak RM40 juta pada tahun 2024.
Pemberian sumbangan dan dividen ini akan mempelbagaikan aliran hasil negeri untuk membantu kemampanan fiskal dan sebagai permulaan, Kerajaan Negeri mensasarkan kutipan hasil dividen yang pertama daripada Anak Syarikat Kerajaan Negeri di bawah pegangan MBI pada tahun 2024 sebanyak RM40 juta. Amaun ini merupakan amaun minimum yang disasarkan dan akan dikaji setiap tahun pada masa akan datang berdasarkan senario kewangan dan ekonomi semasa.
CADANGAN PINDAAN KAEDAH-KAEDAH TANAH SELANGOR 2003 DAN KAEDAH-KAEDAH HAKMILIK STRATA 2015
Kerajaan Negeri melalui Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor (PTGS) dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) sedang dalam proses menyemak semula kadar bayaran fi Pejabat (office fees) bagi meningkatkan hasil Kerajaan Negeri. Semakan ini perlu dilakukan kerana kali terakhir kadar ini disemak dalam Selangor Land (Amendment) (No. 2) Rules 2007. Oleh itu, adalah wajar kadar sedia ada ini disemak semula sesuai dengan situasi dan keadaan semasa.
Negeri Selangor merupakan negeri yang mempunyai jumlah hak milik tertinggi dengan anggaran 1.5 juta hakmilik tanah dan 800,000 hakmilik strata. Jumlah ini akan semakin bertambah memandangkan Selangor mempunyai pasaran nilai hartanah yang sangat tinggi jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain, terutamanya hakmilik strata yang mencatatkan trend jumlah pengeluaran hakmilik yang sangat tinggi daripada tahun ke tahun. Secara umumnya kadar fi pejabat yang dikenakan oleh Negeri Selangor adalah lebih rendah berbanding negeri-negeri lain. Sebagai contoh, kadar bayaran pindah milik tanah bagi Negeri Selangor masih pada kadar yang ditetapkan pada kadar RM1,500 bagi pindah milik yang nilai gadaiannya atau nilaian hartanahnya melebihi RM1juta. Kadar ini amat rendah kerana Selangor mempunyai banyak urusan pindah milik dengan nilaian melebihi RM1juta malah pernah mencapai nilaian hartanah sebanyak RM 350 juta. Dalam kes ini, walaupun nilai hartanah tersebut RM 350 juta, kadar bayaran pindah hakmilik dikenakan oleh Selangor masih lagi RM 1,500. Kadar ini sangat merugikan Kerajaan Negeri kerana nilai hartanah yang dijual adalah sangat tinggi. Amalan negeri lain telah mengeluarkan formula kadar 0.5% daripada nilai hartanah bagi pindah milik yang melebihi RM1 juta.
Memandangkan perserahan atau permohonan bagi urusan tanah yang banyak diterima juga secara langsung meningkatkan kos belanja mengurus kepada Kerajaan Negeri, maka kenaikan kadar bayaran fi pejabat perlu dibuat dan kadar hasil baru ini dijangka akan memberikan peningkatan sebanyak RM50 juta kepada akaun hasil negeri pada tahun 2024.
PENYELESAIAN HUTANG KERAJAAN NEGERI DENGAN KERAJAAN PERSEKUTUAN
Pada tahun 2024 merupakan tahun yang dianggap bertuah bagi Kerajaan Negeri Selangor. Ini kerana, daripada aspek liabiliti hutang Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri pada masa ini mempunyai kebebasan kewangan yang cemerlang di mana Kerajaan Negeri dijangka melunaskan sepenuhnya hutang Kerajaan Negeri pada Persekutuan pada tahun 2024.
Berdasarkan rekod terkini, baki hutang Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan adalah sebanyak RM19,207,475.78 yang terdiri daripada pinjaman Projek Bekalan Air dan Skim Amanah Saham Selangor (ASAS). Komitmen penyelesaian liabiliti hutang oleh Kerajaan Negeri pada tahun 2024 juga adalah rendah yang hanya akan melibatkan penyelesaian baki ansuran akhir Skim ASAS yang berjumlah RM1.893 juta. Manakala, baki pinjaman Projek Bekalan Air sebanyak RM17.314 juta secara jelasnya telah termaktub dalam Perjanjian Penyelesaian Global berkenaan penstrukturan industri air Selangor akan dipindahkan kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) yang hanya memerlukan tindakan urusan dokumentasi yang mana sedang dalam tindakan PAAB akan diselesaikan sepenuhnya.
Dengan kelebihan kebebasan kewangan ini, Kerajaan Negeri berjaya membuktikan tatakelola terbaik dalam pengurusan sumber kewangan tanpa menjejaskan ketangkasan perkhidmatan dalam meningkatkan darjat hidup rakyat Negeri Selangor melalui Belanjawan Tahun 2024.
Tuan Speaker, pencapaian-pencapaian di atas menzahirkan usaha berpasukan Kerajaan Negeri di setiap peringkat untuk memastikan kemakmuran yang berterusan. Negeri Selangor tetap unggul sebagai sebuah negeri kaya dan harmoni serta tidak berpecah belah di samping iklim demokrasi yang kekal sihat.
Sebagai sebuah bentuk apresiasi dan penghargaan kepada para penjawat awam dan mereka yang terlibat bagi menjayakan kutipan Kerajaan Negeri, saya mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) tahun 2023 kepada seluruh perkhidmatan di bawah Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor termasuk anggota perkhidmatan Kerajaan Negeri yang digaji oleh Kerajaan Persekutuan; Bantuan sebanyak 2.5 bulan atau dua bulan setengah seperti yang berikut :-
a) Bantuan Khas Kewangan Kali Pertama satu bulan gaji minimum RM1,000 dan telah pun dilaksanakan sempena Aidilfitri 2023;
b) Bagi BKK Kali Kedua, satu bulan gaji minimum RM1,000 dengan anggaran implikasi kewangan RM40.03 juta akan dibayar pada 28 Disember 2023; dan
c) Bantuan Khas Kewangan Kali Ketiga iaitu setengah bulan gaji minimum RM1,000 yang akan dibayar pada bulan Februari 2024 bagi meringankan beban para penjawat awam sempena persiapan sesi persekolahan 2024 yang dijangka bermula pada bulan Mac 2024.
Pemberian BKK akan dilaksanakan berdasarkan pekeliling yang akan dikeluarkan oleh Bahagian Pembangunan Sumber Manusia dan syarat yang paling penting kena tunggu di Dewan sampai selesai Belanjawan ini dibentangkan. Kalau balik, saya potong 50% daripada pengumuman.
Tuan Speaker, kemakmuran Negeri Selangor mengingatkan saya kepada kejayaan Convivencia di Al-Andalus atau negara yang kini kita kenali sebagai Sepanyol. Convivencia atau dalam istilah Bahasa Arabnya tasamuh merupakan di antara kejayaan Al-Andalus yang berpusat di Cordoba. Seusai Perang Saudara di Sepanyol pada tahun 1943, sejarawan terkenal Sepanyol Claudio Sanchez-Albornoz menerbitkan buku yang berjudul Espana Y El Islam. Buku tersebut mencela pemerintahan serta sumbangan tamadun Islam kepada semenanjung Iberia dan peradaban Eropah. Karya ini hanya mengangkat sumbangan Castilan dan Katolik kepada Sepanyol dan mengetepikan sumbangan umat Islam dan orang Yahudi kepada zaman pertengahan Eropah dan Sepanyol.
Akan tetapi sejarawan dan budayawan Sepanyol yang sama hebat menerbitkan karya yang berjudul Espana En Su Historia : Cristianos, Moros Y Judios pada tahun 1948 yang mengetengahkan realiti sejarah masyarakat zaman pertengahan Al-Andalus yang dikenali sebagai Convivencia ketika umat Islam dan bukan Islam hidup aman damai dan makmur di Sepanyol.
Demikianlah juga cita-cita saya agar Selangor sebagai sebuah negeri majmuk berbilang kaum terus unggul makmur atau menjadi baladan amina sesuai degan doa Nabi Ibrahim A.S. tadi.
Tuan Speaker, Kerajaan Negeri mencadangkan anggaran perbelanjaan berjumlah RM2,530,000,000.00 bagi Belanjawan Negeri Selangor 2024. Daripada jumlah tersebut, RM1,330,000,000.00 ataupun 52.6% diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus dan RM1,200,000,000 bersamaan dengan 47.4% untuk perbelanjaanpPembangunan.
Bagi tahun 2024, Kerajaan Negeri menganggarkan hasil yang boleh dikutip adalah berjumlah RM2,200,000,000. Angka ini diunjurkan berdasarkan kepada track record di mana sebelum ini hasil berjumlah RM2 billion berjaya dikutip pada Ogos 2022 dan September 2023. Antara penyumbang utama kepada hasil negeri tahun 2024 adalah premium tanah iaitu sebanyak RM890.94 juta bersamaan dengan 40.5% daripada keseluruhan anggaran hasil keseluruhan. Penyumbang kedua terbesar adalah hasil tanah ataupun hasil cukai tanah iaitu sebanyak RM622.65 juta bersamaan 28.3%.
Manakala penyumbang ketiga terbesar adalah daripada pemberian persekutuan iaitu berjumlah RM212.96 juta bersamaan dengan 9.7% daripada keseluruhan pendapatan tahun 2024.
Dengan mengambil kira jangkaan hasil negeri yang berjumlah RM2.2 billion dan anggaran perbelanjaan berjumlah RM2.53 billion, maka Belanjawan 2024 akan mengalami defisit berjumlah RM 330,000,000. Defisit ini adalah lebih rendah berbanding anggaran tahun 2023 iaitu pengurangan sebanyak RM120 juta. Walaupun melaksanakan Belanjawan Defisit sejak enam bulan lalu, Kerajaan Negeri akan mengambil langkah-langkah mengurangkan jumlah defisit kepada satu jumlah yang munasabah menerusi instrumen kawalan perbelanjaan serta amalan prinsip tadbir urus kewangan yang baik tanpa menjejaskan output dan impak perbelanjaan.
PERBELANJAAN MENGURUS
Anggaran perbelanjaan mengurus sebanyak RM1.33 bilion bagi tahun 2024 adalah merangkumi perbelanjaan bagi emolumen berjumlah RM480,242,878.72, perkhidmatan dan bekalan berjumlah RM601,570,631.28, aset berjumlah RM22,909,308, pemberian dan kenaan bayaran tetap berjumlah RM210,560,139 serta RM14,717,043 untuk perbelanjaan-perbelanjaan lain.
Perbelanjaan perkhidmatan dan bekalan (Objek Am 20000) merupakan komponen terbesar mencakupi 45.2% daripada perbelanjaan mengurus Kerajaan Negeri. Jumlah ini termasuk antaranya Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) penjawat awam kakitangan kontrak Gred 11 hingga 56, gaji minimum RM1,500 bagi kontrak-kontrak khidmat pembersihan, khidmat kawalan keselamatan dan kontrak penyelenggaraan yang melibatkan 26 jabatan, tambahan elaun guru KAFA, penambahan waran perjawatan guru agama, peruntukan bagi Elaun Jawatankuasa dan Petugas Masjid serta sewaan bangunan ibu pejabat dan 9 buah Mahkamah Rendah Syariah.
PERBELANJAAN PEMBANGUNAN
Belanjawan 2024 mencadangkan peruntukan pembangunan berjumlah RM1.2 billion. Anggaran belanja pembangunan tahun 2024 akan memberi tumpuan terhadap sektor sosial yang merangkumi 29.9% iaitu sebanyak RM359.17 juta adalah persediaan setelah mengambil kira cabaran-cabaran yang bakal dihadapi pada tahun hadapan termasuk jangkaan ketidakstabilan ekonomi kesan daripada krisis di Timur Tengah dengan menambah baik sistem perlindungan sosial yang merangkumkan kebajikan, pendidikan dan pengukuhan ekonomi golongan sasar, keterjaminan makanan sebagai teras kesejahteraan rakyat.
Selain itu, sektor infrastruktur diperuntukkan berjumlah RM357.1 juta iaitu bersamaan dengan 29.8% daripada keseluruhan peruntukan yang dicadangkan adalah lebih
tinggi berbanding peruntukan infrastruktur yang telah diluluskan untuk tahun 2023. Ini bagi memastikan infrastruktur di Negeri Selangor akan terus dipertingkatkan.
Selain itu, sebanyak RM296.13 juta ataupun 24.7% diperuntukkan bagi tujuan pembangunan ekonomi. Manakala selebihnya iaitu 15.6% bersamaan dengan RM187.6 juta adalah dicadangkan untuk kesihatan, pendidikan dan pembangunan luar bandar.
Bagi menjayakan ikhtiar ini, saya mencadangkan Belanjawan ini dengan tema “Selangor Mandiri : Memacu Kemajuan, Memicu Perpaduan” dan ini akan digerakkan melalui empat teras utama iaitu :-
a) Pemangkin pelaburan berkualiti, menjana pendapatan tinggi; b) Mengangkat pendidikan bestari, menjamin alam sekitar lestari; c) Menaungi kebajikan rakyat; dan d) Mengangkat kesatuan ummah.
TERAS PERTAMA : PEMANGKIN PELABURAN BERKUALITI, MENJANA PENDAPATAN TINGGI
Tuan Speaker, pada keseluruhan tahun lalu, dengan sokongan oleh pasukan pentadbiran negeri termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk-datuk Bandar, Yang Dipertua-Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan, Ketua-ketua Jabatan Negeri Selangor berjaya mencatatkan sejarah dengan rekod penyumbang tertinggi oleh mana-mana negeri kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu sebanyak 25.5%, lebih ¼ daripada KDNK Nasional. Namun, pentadbiran ini mengambil sikap atau pendirian bahawa kita tidak boleh bersikap berpuas hati ataupun bersifat leka. Sebaliknya kita akan harus melipatgandakan usaha, menguatkan ikhtiar dan merencana masa depan ekonomi dengan mengambil kira cabaran terkini rantau Asia Tenggara serta dunia dengan satu hasrat utama; menawarkan peluang pekerjaan yang bergaji tinggi bagi membina satu sistem ekonomi yang bermaruah.
Dengan itu, sebagai asas kepada usaha Belanjawan Selangor 2024, pentadbiran ini mencadangkan Teras Pertama dokumen ini iaitu Rakyat Selangor Berpendapatan Tinggi dan bagi menjayakan hasrat ini 10 anjakan utama telah digariskan iaitu :-
1) Industri baharu seperti kecerdasan buatan dan pembinaan dron di Selangor; 2) Sistem perkhidmatan kerajaan yang lebih cekap dan berpaksi kepada rakyat dengan mempercepatkan proses digitalisasi
3) Kawasan perindustrian baharu dan taman perindustrian mampan di utara, selatan dan tengah Selangor; 4) Sistem pengangkutan awam yang menggerakkan manusia dan mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan peribadi; 5) Infrastruktur berdaya tahan bagi mengadaptasi kepada risiko perubahan iklim; 6) Keterjaminan makanan bagi mendepani risiko gangguan rantaian bekalan makanan daripada luar negara; 7) Industri sukan berprestasi tinggi; 8) Selangor sebagai pusat pelancongan utama Malaysia; 9) Meneroka peluang luas industri halal; dan 10) Pembangunan usahawan dan ekonomi kreatif sebagai dimensi ekonomi baharu. INDUSTRI EKONOMI BAHARU
Selangor Centre For Artificial Intelligence
Tuan Speaker, antara ungkapan yang sering kali diungkap-ungkap apabila berbicara tentang teknologi baharu adalah Artificial Intelligence ataupun AI. Namun ungkapan ini sebenarnya digunakan kali pertama di University of Darthmouth pada tahun 1956 iaitu satu tahun sebelum kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Sejak itu, kemampuan AI berkembang sehingga mesin pintar yang dibina oleh IBM bernama Deep Blue mengalahkan grandmaster catur dunia, Garry Kasparov pada tahun 1997 dan AlphaGo buatan Google mengalahkan Lee Sedol pada March 2016 dalam permainan papan bernama Go yang terkenal di Asia Timur seperti di negara China, Korea Selatan mahupun Jepun.
Kini, AI telah berkembang daripada penggunaan industri permainan kepada teknologi yang merentasi sektor yang melibatkan machine vision bagi menganalisa data melalui imej dan video, machine learning, Natural Language Processing yang berjaya membuka potensi aplikasi Chat GPT yang menggunakan teknologi GPT3, serta industri kesihatan dan perubatan. Bagi memastikan Selangor dapat merebut peluang luas dalam industri ini yang juga mempunyai spill over effect dengan izin, dalam memantapkan sistem perkhidmatan kerajaan, pentadbiran ini akan menubuhkan Selangor Centre for Artificial Intelligence dengan peruntukan RM1 juta. Usaha ini akan meliputi penjalinan kerjasama dengan syarikat berteknologi tinggi yang mempunyai kepakaran dalam bidang AI bagi menarik pelabur dan menawarkan peluang pekerjaan dalam bidang ini.
Pembangunan Dron Selangor
Antara satu lagi peluang baharu yang pentadbiran ini percaya dapat diteroka dan diceburi adalah teknologi dron. Namun bukan sekadar aspek penelitian atau menjadi sebahagian dalam pemasangan industri dron seumpama sebagai feeder, dengan izin, tetapi Kerajaan Negeri ingin mengambil langkah berani untuk Selangor membangunkan dron kita sendiri. Industri dron bukan sahaja terbatas kepada penggunaan mengambil gambar atau video secara rekreasi, tetapi mempunyai peluang penggunaan yang semakin berkembang dalam industri pertanian pintar, industri pembinaan bagi menilai keselamatan dan bangunan dan penyelenggaraan logistik, serta aspek keselamatan dan pertahanan. Hasrat ini adalah untuk memposisikan Selangor sebagai pusat pembangunan dron utama di Asia Tenggara dengan membangunkan teknologi dron yang sudah pasti mampu mempunyai membawa nilai positif kepada jaringan sokongan. Kita sudah mempunyai syarikat di Selangor seperti Aerodyne yang terkenal di persada dunia dalam bidang penilaian dan perisian dron.
Kini, bidang hardware harus diteroka supaya Selangor tidak menjadi sekadar bit-part-player tetapi main player dalam industri pembinaan dron melalui kerjasama dengan syarikat-syarikat antarabangsa seperti Turkish Aerospace (TUSAS) dan anak-anak syarikat lain yang kita kenal pasti dengan kerjasama SELATI sebuah anak syarikat kerajaan negeri dan untuk maksud itu memulakan langkah itu, RM2 juta diperuntukkan di tahun 2024. Seterusnya,
Selangor Job and Skills Council iaitu Majlis Kemahiran dan Pekerjaan Selangor
Kerajaan Selangor telah mengorak langkah menawarkan program TVET bernilai tinggi menerusi Selangor Technical Skills Development Centre (STDC) melalui modul yang dibangunkan dengan kerjasama syarikat teknologi tinggi seperti Apple, Festo, Siemens, dan Dassault Systemes. Misalnya, Selangor menjadi satu-satunya negeri di Asia Tenggara yang diiktiraf sebagai pusat latihan yang ditauliah Apple bagi latihan modul Swift coding untuk platform iOS. Antara komitmen utama pentadbiran ini adalah untuk menawarkan sebanyak 100,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi dalam lima bidang yang merupakan fokus negeri seperti makanan dan minuman, elektrik dan elektronik, sains hayat, pengangkutan, serta mesin dan peralatan dalam tempoh lima tahun. Tambahan kepada itu, negeri harus memanfaatkan sepenuhnya peluang pekerjaan dalam 21 industri yang telah direncanakan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan, dan Industri oleh Menteri MITI yang baharu seperti aeroangkasa, peralatan perubatan, automotif, rel keretapi, digitalisasi, serta farmaseutikal.
Antara cabaran utama yang dialami oleh pelabur tempatan dan luar negara dalam pertemuan bersama dengan saya dan Invest Selangor adalah mereka mendapatkan pekerja-pekerja serta hal kekurangan pekerja yang mempunyai kemahiran khusus
dalam beberapa industri yang sedang dibangunkan. Bagi mencari solusi kepada cabaran ini, Kerajaan Negeri akan menubuhkan Selangor Jobs and Skills Council bagi menggerakkan kerjasama antara universiti, pekerja, dan industri. Seterusnya mengenal pasti peluang pekerjaan sedia ada serta merancang pekerja yang akan diperlukan dalam bidang tertentu mengikut sektor pelaburan yang dalam proses kelulusan. Yang ketiga, meningkatkan produktiviti pekerja di Selangor. Seterusnya membolehkan rakyat Selangor memanfaatkan pekerjaan sedia ada dan peluang pekerjaan yang akan diwujudkan melalui padanan pekerjaan, peluang latihan teknikal dan vokasional. Tekad pentadbiran ini adalah untuk mengkoordinasi dengan lebih ketat dan tersusun dengan menggerakkan seluruh kekuatan negeri bagi mengadakan kerjasama dengan sektor swasta, sektor pendidikan, serta meneroka peluang yang boleh dimanfaatkan oleh pekerja yang lebih berumur dalam keadaan negeri Selangor telah ditakrifkan sebagai sebuah negeri yang mempunyai masyarakat menua. Bagi menubuhkan Selangor Jobs and Skills Council, sebanyak RM1 juta juga diperuntukkan untuk tahun 2024.
Ahli-Ahli Yang Berhormat yang saya kasihi sekalian. Setelah tujuh kali Selangor International Business Summit dianjurkan. Pada tahun 2023 yang diadakan pada 19 hingga 22 Oktober yang lalu telah mencatatkan beberapa rekod yang baik, khususnya dengan kehadiran 56,321 pengunjung, iaitu paling ramai dalam tujuh kali, tujuh tahun penganjuran SIBS, serta potensi transaksi sebanyak 176% lebih tinggi berbanding tahun lalu, iaitu sebanyak RM4.9 bilion melalui 32 Perjanjian Persefahaman yang di menterai. Bagi tahun hadapan, pihak Invest Selangor selaku Agensi Promosi Pelaburan utama negeri akan memulakan transisi SIBS daripada hanya program tahap negara kepada program pelaburan utama rantau Asia Tenggara. SIBS akan ditambah nilainya dengan industri ekonomi kreatif serta meraikan kepelbagaian budaya yang merupakan kekuatan Asia Tenggara, dan untuk tahun 2024 SIBS ke-8 akan diperuntukkan RM20 juta. Selangor Is Gateway to Asian.
Bagi Selangor Aviation Show pula, edisi tahun 2023 telah menerima penyertaan 109 syarikat termasuk syarikat luar negara seperti daripada luar daripada Amerika Syarikat, Jepun, Australia, Kazakhstan, Perancis, dan Korea Selatan, dan seramai 19,217 orang pengunjung. Tambahan kepada itu, sebanyak 28 Perjanjian Persefahaman dengan nilaian RM823 juta telah dimeterai terutamanya dalam bidang Penerbangan Perniagaan dan Penerbangan Am. Dengan mengambil iktibar edisi sebelum ini termasuk pertunjukan udara negara lain seperti di Farnborough, Dubai, ataupun Paris Airshow. Mulai tahun 2024, Selangor Aviation Show akan dianjurkan setiap dua tahun dengan memberi fokus kepada sektor keselamatan, pertahanan, serta business aviation dan pembangunan dron negeri Selangor, dan untuk ini, sebanyak RM8 juta akan diperuntukkan di tahun 2024.
SELANGOR LAB PARTNERSHIP PROGRAM BAGI PEMBANGUNAN SEKTOR SAINS HAYAT
Sebagai salah satu daripada lima sub sektor utama di negeri Selangor, sektor Life Sciences ataupun Sains Hayat akan digerakkan melalui kerjasama kolaborasi antara Institusi Pengajian Tinggi, Institusi Penyelidikan tempatan dan pemain industri. Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor telah mengenal pasti Universiti Selangor dan Universiti Putra Malaysia yang akan memulakan Lab Partnership Program dengan penyertaan 10 syarikat swasta serta 6 Institusi Pengajian Tinggi serta Institusi Penyelidikan. Melalui inisiatif ini, pelabur dan syarikat akan berminat dapat memanfaatkan kemudahan seperti makmal bagi penyewaan peralatan serta perkhidmatan analisa, latihan teknikal, serta kolaborasi penyelidikan dalam bidang alat perubatan, farmaseutikal, bioteknologi dan produk kosmetik seperti penjagaan diri.
SISTEM PERKHIDMATAN KERAJAAN
Lembah Klang Raya
Tuan Speaker, Negeri Selangor merupakan satu-satunya negeri yang mempunyai tiga Pihak Berkuasa Tempatan yang telah dinaik taraf menjadi Bandaraya, iaitu Petaling Jaya, Subang Jaya dan juga Shah Alam. Dan Majlis Perbandaran Klang telah menepati kriteria untuk dinaik taraf daripada Majlis Perbandaran kepada Majlis Bandaraya apabila perkenan tarikh pengisytiharannya dimaklumkan oleh DYMM Tuanku Sultan Selangor. Ini akan menjadikan Selangor mempunyai sebanyak empat Bandaraya yang bermula daripada Petaling Jaya ke Subang Jaya ke Shah Alam dan kemudiannya ke Klang. Dan keempat-empat PBT ini terletak dalam dua Daerah, iaitu Petaling dan juga Klang.
Menurut Jabatan Perangkaan Negara, Daerah Petaling mempunyai 2.3 juta penduduk, manakala Daerah Klang mempunyai 1.1 juta penduduk, dan ini menjadikan keempat-empat Bandaraya ini mempunyai 3.4 juta penduduk dan ini bermakna 11% daripada penduduk Malaysia berada di empat PBT ini, dan 50% daripada keseluruhan penduduk di negeri Selangor menetap di empat PBT ini. Kebanyakan industri-industri utama di Selangor juga telah bertapak di sini sekian lama dan menyumbang kepada kemajuan kawasan-kawasan ini. Antara cabaran yang bakal dihadapi adalah kebijakan masyarakat menua, serta aspek kualiti perkhidmatan PBT, pengangkutan awam, rejuvenasi kawasan kediaman dan komersial sedia ada, isu tanah pegangan pajakan yang hampir matang terutamanya di Petaling Jaya, kesemua ini harus ditangani bagi mewujudkan persekitaran yang kondusif, berdaya huni bagi semua, khususnya untuk generasi-generasi akan datang. Dengan tekad mencari solusi kepada dasar-dasar ini, dan setelah meneliti pengalaman seperti Greater London Authority, Liverpool City Region, serta Tokyo Bay Area yang melibatkan Tokyo, Chiba, Saitama dan Kanagawa, Kerajaan Negeri akan mewujudkan pentadbiran Lembah
Klang Raya yang meliputi satu sistem pentadbiran bagi keempat-empat PBT di Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam, dan Klang dengan memperkenalkan nanti Enakmen Lembah Klang Raya.
Lembah Klang Raya dibangunkan dengan tujuan seperti berikut. Yang pertama mewujudkan pentadbiran yang lebih lancar dan responsif bagi penduduk serta komuniti perniagaan termasuk menyeragamkan proses permohonan perniagaan, pelesenan, dan kelulusan. Kedua, proses rejuvenasi bandar-bandar matang. Yang ketiga, menjadi ‘test bed’ bagi pentadbiran kerajaan digital dengan pembinaan sistem digital twin Lembah Klang Raya bagi membolehkan simulasi seperti pengurusan trafik, bencana, proses pembangunan termasuk reka bentuk bangunan dan kebenaran merancang. Yang keempat, mempercepatkan transisi daripada penggunaan kenderaan peribadi kepada pengangkutan awam. Kelima, mengoptimum sumber kerajaan dan menghapuskan pertindihan tugas. Yang Keenam, mewujudkan pentadbiran lokaliti pertama yang mesra warga emas, orang kelainan upaya, mesra kanak-kanak, serta menjayakan hasrat Low Carbon City Framework pertama di Malaysia. Bagi memulakan proses ini, RM2 juta diperuntukkan bagi kajian dan proses-proses awal pembentukan Lembah Klang Raya. Seterusnya.
Pesuruhanjaya Perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan
Pentadbiran ini sentiasa bersikap terbuka terutamanya dengan cadangan dan kritikan yang konstruktif terutamanya dari segi kualiti mutu perkhidmatan yang disampaikan kepada rakyat. Selangor mempunyai jumlah penduduk paling ramai di Malaysia yang kini sudah mencecah 7 juta orang. Antara cabaran utama urbanisasi adalah aspek seperti kepesatan penduduk, pengurusan sisa pepejal, penyelenggaraan jalan, pembersihan longkang dan persekitaran. Selain mewujudkan bandar yang berdaya huni dan mampan di setiap Pihak Berkuasa Tempatan, saya ingin melihat negeri Selangor menjadi negeri yang paling bersih persekitarannya. Pengurusan sisa harus diperkukuhkan dan kita tidak boleh ambil sikap leka. Orang yang membuang sampah secara tidak bertanggungjawab juga akan kita ambil tindakan tegas.
Pada tahun hadapan, pentadbiran ini mencadangkan sebuah jawatankuasa ataupun Pesuruhanjaya Perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan bertujuan untuk meningkatkan perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan di Selangor, termasuk tempoh respons kepada aduan rakyat dalam tempoh 24 jam dan isu-isu yang berbangkit meliputi perkhidmatan tugas dan kualiti Pihak-Pihak Berkuasa Tempatan. Dengan lahirnya jawatankuasa atau suruhanjaya ini kita percaya pemantauan perkhidmatan kerajaan tempatan dapat diperkukuh dan diperkemas seterusnya dapat mengangkat kualiti perkhidmatan mereka. Proses pembentukan Suruhanjaya Pihak Berkuasa Tempatan akan melibatkan Ahli-Ahli Dewan Negeri dan saya akan bahaskan dalam dewan ini, dalam suku ketiga tahun 2024 setelah meneliti Akta Kerajaan Tempatan dan Enakmen-Enakmen di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri. Seterusnya.
Pengukuhan Selangor Implementation and Monitoring Unit (SIAP)
Sepertimana Kerajaan ini buktikan prinsip ‘walk the talk’ dengan melaksanakan Janji 100 Hari dalam tempoh 76 hari, pentadbiran ini berhasrat meneruskan komitmen untuk melaksanakan dengan sebaik-baiknya tekad yang dirancang sama ada pembugaran ekonomi ataupun program pemberdayaan rakyat dalam rancangan Selangor pertama. Peranan Selangor Implementation and Performance Monitoring Unit akan diperkasa termasuk pembangunan Sistem Pengurusan Projek yang lebih efisien serta membolehkan pelaporan secara berkala yang lebih kerap, termasuk dengan penambahan pegawai untuk institusi ini dan untuk tahun 2024, RM1 juta diperuntukkan untuk Selangor Implementation and Performance Monitoring Unit.
Sistem E-Pelelong, Tender, Smart Docket Negeri Selangor
Sebagai langkah menjadikan sistem pengurusan dan perekodan lelong, Kerajaan Negeri akan membangunkan sistem e-pelelong bagi memudahkan proses permohonan dan pembaharuan lesen pelelong, serta mengoptimumkan urusan lelongan yang akan dilaksanakan bermula pertengahan tahun 2024 di peringkat Pejabat Daerah dan Tanah Negeri Selangor dan Mahkamah Tinggi. Tambahan kepada itu, satu sistem Tender Dalam Talian bagi menguruskan dokumen sebut harga dan tender antara Kerajaan Negeri dan syarikat yang berurusan dengan negeri sebagai usaha menaik taraf proses tender dan perolehan berpusat yang akan beroperasi pada tahun hadapan.
Selain itu, Sistem Smart Docket Selangor yang telah dibangunkan bagi menguruskan industri bahan batuan bermula dengan proses permohonan hingga pemantauan akan diperluaskan di peringkat Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor, dan ddengan ini, RM6 juta akan diperuntukkan dan akan dibiayai oleh anak syarikat Kerajaan Negeri iaitu Kumpulan Semesta Sdn. Bhd.
KAWASAN PERINDUSTRIAN BAHARU & TAMAN PERINDUSTRIAN MAMPAN (IDRISS)
Pembangunan Serantau Bersepadu di Selatan Selangor atau Integrated Development Region in South Selangor – (IDRISS) merupakan antara kawasan utama yang ingin digerakkan oleh Kerajaan Negeri dengan kerjasama pihak swasta yang melibatkan daerah Sepang dan juga Kuala Langat. Sehingga kini sebanyak (13) projek dengan anggaran jumlah keluasan pembangunan keseluruhan seluas 17,398.56 ekar telah mendapat kelulusan Kerajaan Negeri untuk disenaraikan di bawah pembangunan IDRISS.
Tambahan kepada itu, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa proses ‘Request for Proposal’ pembangunan Pelabuhan Ketiga di Pulau Carey bagi syarikat-syarikat yang berminat telah bermula. Kerajaan Negeri
berpendirian bahawa Pelabuhan Ketiga Pulau Carey bukan lagi satu pilihan tetapi satu kewajipan bagi memastikan kapasiti pengurusan pelabuhan dapat dipertingkatkan dan menjadikan Malaysia dan Selangor sebagai pelabuhan utama di Asia Tenggara. Dan Kerajaan Negeri ingin memainkan peranan aktif dalam pembangunan Pelabuhan Pulau Carey melalui anak-anak syarikat dan bukannya terbatas di peringkat pengurusan tanah.
Kerajaan Negeri melalui agensi serta Pihak Berkuasa Tempatan berikhtiar untuk memudah cara kemasukan pelabur-pelabur tempatan dan luar negara yang ingin bertapak di Selangor ataupun meluaskan fasiliti pembuatan dan kilang di wilayah IDRISS.
SELANGOR AERO PARK (SAP)
Selangor Aero Park merupakan taman perindustrian aeroangkasa pertama berkonsepkan hijau dan disenaraikan sebagai salah satu projek di dalam IDRISS. Taman perindustrian ini akan memberi fokus kepada industri berkaitan aeroangkasa seperti maintenance, repair and overhaul (MRO), pemasangan dan pembuatan, pusat kecemerlangan untuk latihan penerbangan dan pekerja mahir, pusat kajian dan pembangunan bagi penerbangan hijau, pusat kawal selia berpusat untuk menempatkan semua badan kawal selia penerbangan, kawasan gudang dan logistik serta infrastruktur umum bersepadu. Dengan lebih 62% industri aeroangkasa yang sudah pun bertapak di negeri Selangor, pembangunan Selangor Aero Park yang mampu dan berhasrat menepati piawaian Environmental, Social & Governance (ESG) mampu menjadikan Selangor sebagai negeri utama dalam bidang aeroangkasa di rantau Asia Tenggara, dan kos pembangunan projek ini akan dibiayai oleh anak syarikat Kerajaan Negeri iaitu MBI.
MANAGED INDUSTRIAL PARK (MIP)
Dalam usaha menyediakan kawasan perindustrian yang kondusif bagi keperluan para pelabur, Kerajaan Negeri menggalakkan pembukaan kawasan Perindustrian baru yang berkonsepkan Managed Industrial Park (MIP) yang mampan.
Sehingga kini sebanyak enam cadangan projek pembangunan kawasan perindustrian telah mendapat pengiktirafan sebagai Kawasan Perindustrian Berkonsepkan Managed Industrial Park ataupun MIP oleh Kerajaan Negeri di Negeri Selangor dengan jumlah keluasan 3,383.85 ekar, iaitu satu di daerah Kuala Langat, dua di daerah Gombak, dan satu di daerah Klang.
Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor akan meneruskan usaha menggalakkan lebih ramai pemaju hartanah membangunkan kawasan perindustrian baharu yang berkonsepkan Managed Industrial Park (MIP) serta menjalankan retrofitting kawasan perindustrian lama dengan fasiliti dan keperluan mampan dengan insentif khas yang
akan dijayakan melalui kerjasama Invest Selangor dan Malaysia Investment Development Authority (MIDA) khususnya di kawasan Greater lembah Klang atau pun Lembah Klang Raya.
IOT Enabled Industrial Park (IEIP)
Antara isu yang dihadapi oleh pengusaha kilang di dalam taman perindustrian adalah kapasiti liputan jalur lebar terutamanya bagi pengusaha fasiliti dalam industri teknologi tinggi.
Pada tahun lalu, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM6 juta di bawah Jalur Lebar Industri Selangor bagi menyediakan fasiliti jalur lebar berkelajuan tinggi, dan pada tahun hadapan, sebanyak RM6 juta akan dikekalkan dan disediakan melalui MBI bagi melengkapkan kawasan perindustrian baharu dan sedia ada dengan perkhidmatan jalur lebar untuk terus memantapkan infrastruktur telekomunikasi di Selangor khususnya di kawasan industri.
PENGANGKUTAN AWAM
Jajaran Rel Kita Selangor
Kerajaan Negeri mempunyai hasrat untuk menggalakkan lebih ramai penduduk di Selangor untuk menggunakan pengangkutan awam seperti bas, rel, dan basikal dan tidak perlu bergantung kepada pengangkutan kereta persendirian terutamanya kereta enjin pembakaran bahan api. Tambahan kepada itu, sistem pengangkutan awam negara serta negeri Selangor perlu beralih kepada sistem yang menggerakkan manusia dan bukannya sistem yang menggerakkan kereta.
Projek-projek infrastruktur terutamanya jaringan rel dan bas mampu menawarkan peluang pekerjaan, bukan sahaja di peringkat pembinaan infrastruktur, tetapi juga sepanjang jangka hayat pengoperasian projek terutamanya dari segi penyelenggaraan. Dengan tekad untuk menyeimbangi pembangunan bandar dan luar bandar, serta membuka peluang ekonomi di Pantai Barat Selangor, Kerajaan Negeri berhasrat untuk membangunkan Jajaran Rel Kita Selangor dari Klang ke Kuala Selangor, Tanjong Karang, dan Sabak Bernam, serta meneroka potensi jajaran sedia ada yang belum dibina iaitu daripada Kuang sampailah ke Kuala Selangor. Jajaran Rel Kita Selangor di kawasan Pantai Barat dapat membangunkan kawasan Kapar, Jeram, Kuala Selangor, Tanjong Karang, Sekinchan, Sabak hingga ke sempadan negeri Perak termasuk dengan pembukaan perbandaran baharu di jajaran rel Kita Selangor.
Bagi memulakan proses ini, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM3 juta untuk melaksanakan kajian keboleh laksana yang akan mengambil kira aspek
perkhidmatan, landasan, jenis lokomotif, ketersambungan kepada jajaran sedia ada serta sistem sokongan bagi memastikan penggunaan stesen adalah optimum yang tidak memakan kos yang sangat tinggi.
Mobiliti Selangor
Bagi menawarkan solusi kepada keterhubungan first mile dan last mile, Kerajaan Negeri menyedari bahawa penting untuk mewujudkan akses yang selesa di antara stesen bas dan tren kepada kawasan awam. Pada tahun ini, Kerajaan Negeri telah bekerjasama dengan beberapa pengendali perkhidmatan demand-responsive transit yang menggunakan van dan bas mini terutamanya di kawasan yang lebih padat dengan memfokuskan Bas Smart Selangor bagi laluan utama serta perjalanan yang lebih panjang. Usaha mengoptimumkan penggunaan Bas Smart Selangor serta penambahan van serta bas mini melalui perkhidmatan DRT mengikut laluan yang akan dikenal pasti di semua Pihak Berkuasa Tempatan akan diperkukuh dengan peruntukan sebanyak RM5 juta pada tahun 2024.
Laluan pejalan kaki yang selamat serta selesa yang mengandungi ciri keselamatan, pengudaraan, serta pencahayaan serta fungsi panel solar di atas bumbung pejalan kaki akan dibina tahun hadapan melalui projek rintis Majlis Bandaraya Shah Alam iaitu dari Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ke Pusat Bandar Shah Alam dengan peruntukan sebanyak RM3 juta.
Kerajaan Negeri sedang menyiapkan proses mengenal pasti lokasi sesuai dan optimum bagi mewujudkan laluan pejalan kaki yang seumpama bagi menggalakkan lebih ramai warga Selangor menggunakan pengangkutan awam dan menepati keperluan first mile dan last mile bagi merangka dan merangkum perkhidmatan awam yang berkualiti ataupun kenderaan awam yang berkualiti di Negeri Selangor Darul Ehsan.
INFRASTRUKTUR BERDAYA TAHAN
Kemudahan Utiliti di Pulau Indah
Tuan Speaker, antara elemen penting yang menjadi keperluan para pelabur selain daripada kesediaan jalan raya yang selesa serta kemudahan jalur lebar berkelajuan tinggi adalah saluran perkhidmatan air bersih dan tenaga elektrik.
Bagi membuka peluang yang belum lagi direalisasikan di Pulau Indah, Kerajaan Negeri melalui Air Selangor akan membina jajaran paip dari Bandar Klang untuk disambungkan ke Pulau Indah supaya kawasan seperti Selangor Bio Bay serta kawasan-kawasan perindustrian lain dapat beroperasi pada kapasiti optimum dan menjadi salah satu kawasan perindustrian utama di negeri Selangor. Usaha ini
dianggarkan akan memerlukan kos sebanyak RM300 juta dan akan dilaksanakan oleh Air Selangor secara Private Financing Initiative dengan anak syarikat Kerajaan Negeri.
Pembangunan Jalan Raya dan Infrastruktur
Kerajaan Negeri berazam merapatkan jurang pembangunan antara daerah dengan meningkatkan jaringan jalan raya yang lebih meluas. Bagi mencapai hasrat ini, Kerajaan Negeri telah meluluskan sejumlah RM145 juta bagi melaksanakan projek-projek jalan raya pada tahun 2024. Melalui pelbagai rancangan program pembangunan jalan yang diperuntukkan untuk kerja-kerja bukan fizikal di seluruh Negeri Selangor dengan anggaran peruntukan sebanyak RM16.45 juta. Kerja-kerja ini termasuklah juga melibatkan:-
i. Membaik pulih Cerun Seluruh Selangor (RM5 juta) ii. Menaik taraf jalan-jalan seluruh Selangor (RM4.5 juta) iii. Kerja-kerja permulaan iaitu pelantikan perunding kajian trafik (RM500 juta) iv. Pewartaan Jalan negeri seluruh Selangor (RM600 juta) v. Memasang lampu jalan dan lampu isyarat di seluruh Selangor (RM3.6 juta) vi. Meningkatkan aspek keselamatan jalan raya di seluruh Selangor (RM2.25 juta)
Sebanyak RM12.6 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja pembinaan Jambatan dan Jejantas iaitu projek-projek yang dalam fasa pembinaan iaitu:-
i. Membina Jambatan Di Kg. Sungai Buah, Daerah Sepang, Selangor Darul Ehsan ii. Membina Jambatan Di Atas Sungai Serigala, Laluan B44 Jalan Hulu Bernam - Sungai Besar, Hulu Selangor; dan iii. Menaik taraf Jambatan Di Jalan Ara, Bagan Pasir, Tanjung Karang, Daerah Kuala Selangor
Selain itu, RM29.9 juta diperuntukkan pada tahun 2024 untuk menampung kerja-kerja pembinaan jalan baharu dan RM68.2 juta untuk memastikan jalan-jalan sedia ada dapat menampung peningkatan aliran trafik semasa dan mengatasi masalah kesesakan di jalan-jalan Negeri Antaranya:-
i. Menaik taraf Jalan Di Jalan Bukit Rimau, Daerah Klang – ii. Menaik taraf Laluan B17 (Jalan Reko): Pakej 2 – iii. Menaik taraf Jalan Negeri B148 Jalan Telok Gong – iv. Menaik taraf Jalan Ke SMK Tiram Jaya, Tanjung Karang, Kuala Selangor ; dan v. Menaik taraf Jalan B44, Jalan Sg Panjang Dari Persimpangan Jalan Kuala Selangor – Telok Intan ke Parit Empat Timur, Daerah Sabak Bernam
Bagi memastikan jalan negeri di selenggara mengikut peningkatan penggunaan, Projek Turapan Mega telah dilaksanakan tahun ini dengan peruntukan RM50 juta.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Projek Tebatan Banjir, Projek Lembangan Sungai dan Pembangunan Pantai Dalam memastikan pengurusan pengairan, saliran dan sumber air di Selangor kekal teratur dan berkesan, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM 68 juta bagi Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor untuk tahun 2024. Selain itu, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM65 juta (Ringgit Malaysia: Enam Puluh Lima Juta) yang merangkumi Pembangunan Projek Tebatan Banjir, Pembangunan Sistem Saliran, Pembangunan Lembangan Sungai, Pembangunan Sumber Air dan Hidrologi, Pengurusan Saliran Mesra Alam dan Pembangunan Pantai dengan bilangan program sebanyak 103 program. Kerajaan Negeri juga akan bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan bagi menyelaras dan mempercepat pelaksanaan Projek Tebatan Banjir di Selangor yang dianggarkan berjumlah RM3 bilion termasuk projek tebatan banjir seperti Sungai Langat Fasa 2 di bawah Kerajaan Persekutuan.
Projek Selangor Penyayang (PSP)
Kerajaan Negeri telah menggerakkan inisiatif Projek Selangor Penyayang bermula tahun 2022 dengan hasrat meningkatkan kualiti fasiliti awam sedia ada selain membina prasarana baharu. Sehingga kini, sebanyak 626 projek di 56 kawasan Dewan Negeri, termasuk usaha mengecat pangsapuri kos sederhana dan kos rendah serta memberi nafas baharu di kawasan persekitaran penduduk. Pada tahun hadapan, Projek Selangor Penyayang akan diteruskan dengan peruntukan RM24 juta, iaitu RM10 juta untuk mengecat dan memperbaiki fasiliti pangsapuri kos rendah dan kos sederhana yang melebihi 15 tahun terutamanya, serta RM14 juta dengan RM250,000.00 bagi setiap 56 kawasan-kawasan Dewan Negeri selain peruntukan Dewan.
Penggunaan 10% Rizab Tambahan Pihak Berkuasa Tempatan bagi Infrastruktur Fizikal
Selain daripada peruntukan dan usaha Kerajaan Negeri bagi membina ataupun membaik pulih infrastruktur awam dan fasiliti awam, untuk tahun 2024 Kerajaan Negeri telah membuat ketetapan khas bahawa setiap Pihak Berkuasa Tempatan akan menggunakan 10 peratus dari rizab kewangan khusus buat tujuan membaik pulih infrastruktur serta fasiliti awam mereka dan 10% ini adalah diasingkan daripada belanjawan-belanjawan pihak PBT. Maknanya setiap PBT harus menambah 10% daripada rizab mereka untuk menaik taraf kemudahan-kemudahan dan fasiliti awam.
Ketetapan khas ini adalah tambahan kepada perbelanjaan yang telah ditentukan untuk tahun hadapan bagi semua PBT. Perbelanjaan ini perlu difokuskan kepada kemudahan fizikal seperti jalan raya, stesen pengangkutan, elemen keselamatan, fasiliti sukan, saliran air seperti kolam takungan serta kebersihan kawasan supaya tahap persekitaran setiap PBT, tidak kira bandar atau luar bandar, dapat diperbaiki
bagi kemaslahatan rakyat.
PEMBANGUNAN INFRA LUAR BANDAR - RM 4 JUTA
Dalam merencana agenda pembangunan negeri, Kerajaan Negeri sentiasa menitikberatkan nilai inklusiviti agar tiada sesiapun yang tertinggal seiring dengan asas Ekonomi Madani.
Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri akan memberi keutamaan kepada projek intervensi untuk membaik pulih dan menaik taraf infrastruktur usang dan daif khususnya balai-balai raya, dewan orang ramai dan kemudahan awam yang lain di samping membantu dalam penyediaan pusat komuniti dan ameniti sosial termasuklah kemudahan infrastruktur digital dan liputan jalur lebar percuma yang berkualiti untuk manfaat warga emas pelbagai lapisan umur, daripada kanak-kanak, belia sehingga orang dewasa. Bagi terus meningkatkan ketersambungan (connectivity) antara bandar dan luar bandar serta antara desa, Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah untuk meningkatkan liputan jalan berturap, menambah lampu jalan solar dan memulakan projek rintis pembinaan panel solar bagi bekalan elektrik di desa. Bagi tujuan ini sebanyak RM 4 juta akan diperuntukkan bagi pelaksanaan projek-projek selenggara kemudahan awam desa dan baik pulih jalan-jalan luar bandar.
KETERJAMINAN MAKANAN
Meningkatkan Bekalan Makanan
Kerajaan Negeri akan sentiasa bekerjasama dengan semua pihak termasuk Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan di tahun 2024. Di Selangor, Kerajaan Negeri akan mengukuhkan kesediaan stok makanan terutamanya bekalan beras, ikan, daging dan protein bagi persediaan menghadapi sebarang situasi perubahan di rantau ini ataupun luar negara yang mengganggu kitaran pengeluaran barangan-barangan akibat faktor perubahan iklim mahupun faktor-faktor geopolitik.
Sebanyak RM40 juta akan diperuntukkan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), iaitu RM20 juta peruntukan daripada pihak Kerajaan Negeri dan RM20 juta daripada tabungan PKPS untuk Kerajaan Negeri menyediakan stockpile makanan yang boleh bertahan tiga hingga enam bulan bagi memastikan rakyat di Negeri Selangor cukup bekalan makanan asas dalam apa-apa keadaan dan situasi yang kita tidak harapkan. PKPS juga akan mengguna pakai template penanaman padi yang terbukti dapat meningkatkan hasil penuaian sehingga dua kali setahun ke kawasan lain di seluruh Selangor serta negeri-negeri lain supaya keterjaminan makanan dapat ditingkatkan yang mana sekarang. Sekinchan
contohnya telah terbukti berjaya dan kita akan guna pakai template dan skema kaedah Sekinchan supaya di gunapakai di daerah-daerah sabak Bernam dan Kuala Selangor bagi pengeluaran padi yang lebih besar, banyak dan berkualiti untuk keterjaminan makan di Negeri Selangor.
Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, pembangunan projek Klusterisasi Tanaman dan produk hiliran bagi setiap daerah di Selangor adalah salah satu dasar untuk mempelbagaikan bekalan makanan seperti kelapa, padi, pisang, melon, dan sayuran, sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada import makanan dari luar negara dan kini tiba masanya untuk Selangor menjadi negeri yang menerajui penggunaan teknologi baharu pintar dalam bidang pertanian dengan mengambil kira batas tanah baharu yang dapat digunakan untuk tujuan pertanian. Teknologi seperti hidroponik, akuaponik, serta penanaman vertikal penggunaan teknologi artificial intelligence (AI) penting untuk menarik minat pelabur tempatan dan luar negara supaya dapat menawarkan peluang pekerjaan dalam bidang pertanian. Bagi tujuan ini, RM10 juta akan diperuntukkan.
PROJEK INDUSTRI HILIRAN HASIL LAUT & AGRO MAKANAN SUNGAI LANG DI BAWAH PEMBANGUNAN KAWASAN SABAK BERNAM (“SABDA”)
Sabak Bernam Development Area atau SABDA merupakan satu antara tiga wilayah ekonomi baharu yang telah dikenal pasti oleh Kerajaan Negeri yang mempunyai potensi untuk diperkembangkan daripada segi pembugaran ekonomi serta model bandar tersusun. Fokus utama SABDA adalah untuk keterjaminan makanan serta logistik bagi memastikan lokasi ini sebagai pintu masuk utama daripada utara Negeri Selangor dan menghubungkan Negeri Perak Darul Ridzuan. Projek Industri Hiliran Hasil Laut & Agro Makanan Sungai Lang akan memberi peluang kepada industri ladang ternakan ikan serta penyediaan fasiliti pemprosesan hasil laut dengan teknologi tinggi supaya dapat meningkatkan pengeluaran makanan laut tempatan. Usaha ini dianggarkan dapat menawarkan 3,000 peluang pekerjaan bagi komuniti tempatan dengan kos fasa pertama berjumlah RM76 juta dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), termasuk menaiktaraf jeti sedia ada dengan fasiliti pelabuhan pendaratan moden serta kilang pemprosesan hasil-hasil laut.
KOMPLEKS PENDARATAN HASIL LAUT SEKINCHAN DI BAWAH SABDA
Tambahan kepada itu, Kompleks Pendaratan Hasil Laut Projek Kompleks Pendaratan Hasil Laut Sekinchan akan meningkatkan pengurusan kapasiti bot-bot nelayan yang akan membolehkan kompleks ini mempunyai fasiliti kawasan penjualan ikan, gudang pembungkusan, bilik penyejuk beku, bengkel membina dan menyelenggara bot. Usaha ini dijangkakan akan mempunyai nilai positif dalam mengembangkan
aktiviti-aktiviti eko-pelancongan di kawasan Sekinchan, dan usaha ini akan digerakkan oleh MBI.
SUKAN Pembangunan Sukan, Anak Muda dan Roda Darul Ehsan (RiDE)
Kerajaan Negeri meletakkan sasaran untuk mengembalikan kegemilangan pasukan Merah Kuning dalam sukan bola sepak dan arena sukan tanah air. Untuk merealisasikan impian tersebut, Kerajaan Negeri akan menyokong penuh kepimpinan DYTM Raja Muda Selangor sebagai Presiden FAS dan Selangor FC serta Majlis Sukan Negeri Selangor. Kerajaan Negeri memperuntukkan RM10 juta bagi pasukan Selangor FC dan RM8 juta bagi MSNS atau Majlis Sukan Negeri Selangor. Ini adalah sebagai titik tolak misi menjuarai Liga Super, Piala Malaysia dan Kejohanan SUKMA menjelang tahun 2025.
Selain itu, program inisiatif Roda Darul Ehsan ataupun RiDE yang sebelum ini difokuskan kepada industri p-hailing dengan bantuan kewangan dan caruman KWSP akan dipanjangkan untuk turut meliputi pemandu e-hailing dengan peruntukan RM1 juta. Pemerkasaan generasi muda dan belia melalui aktiviti-aktiviti pembangunan kepimpinan serta mengembangkan kapasiti akan digerakkan oleh Kerajaan Negeri melalui sinergi MSNS dan Jawatankuasa Tetap Pembangunan Modal Insan. Ini sebagai salah satu langkah untuk memperkasa mengupaya generasi muda dan belia dengan merangkum pelbagai pemegang taruh seperti Majlis Belia Negeri Selangor serta entiti-entiti strategik yang lainnya.
E-Sukan
Pada tahun 2014, Kerajaan Negeri telah memulakan usaha dan inisiatif dalam bidang e-sukan melalui penganjuran Selangor Cyber Games. Setelah hampir 10 tahun, industri ini telah berkembang dengan begitu pesat dan tidak terhad kepada hanya permainan tetapi telah menjadi satu industri yang bernilai hampir 1.5 bilion Dolar Amerika pada tahun 2022 dan dijangka industri ini akan berkembang kepada 6 bilion Dolar Amerika pada tahun 2030 nanti. Industri ini akan dapat menawarkan pekerjaan kepada pengusaha permainan elektronik, pengoperasian sistem dan industri coding.
Kerajaan Negeri mengambil keputusan mengiktiraf pemain sukan elektronik sebagai atlet sukan dan akan bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan bagi mengembangkan Selangor Cyber Games, menubuhkan Liga e-Sukan di setiap daerah, dan mengukuhkan ekosistem e-sukan. Untuk maksud ini, RM1 juta khusus diperuntukkan untuk pembangunan e-sukan di negeri.
PELANCONGAN
Sebagai persediaan menjayakan Tahun Melawat Selangor 2025, beberapa usaha akan dimulakan pada tahun hadapan bagi memposisikan Selangor sebagai destinasi pelancongan utama Malaysia. Pertama, Tourism Selangor selaku agensi pelaksana promosi pelancongan utama negeri akan ditugaskan untuk meneroka pakej pelancongan khas bagi pelancong di Asia serta Eropah.
Kedua, kita perlu memanfaatkan pengunjung yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Subang dengan menawarkan insentif khusus supaya Selangor tidak menjadi sekadar stopover dengan izin, sebelum pelancong pergi ke daerah lain dan tempat lain. Kempen ‘Pusing Selangor Dulu’ harus menjadi kempen utama dengan kerjasama pengendali pakej-pakej pelancongan di Negeri Selangor.
Ketiga, ada ruang luas untuk meneroka peluang mendigitalkan kluster-kluster khas di Selangor seperti anjung utara melibatkan Daerah Sabak Bernam hingga Kuala Selangor, serta anjung Selatan di Daerah Sepang dan Kuala Langat. Virtual tourism dengan teknologi digital twin akan mula dibangunkan pada tahun hadapan. Bagi kesemua usaha ini, RM3.3 juta akan diperuntukkan untuk pelancongan di Negeri Selangor ditahun 2024. Selain itu, Gombak-Hulu Langat Geopark telah diiktiraf oleh Kerajaan Persekutuan sebagai Geopark ketujuh di negara dan Geopark Kebangsaan pertama di Negeri Selangor.
Sasaran pentadbiran ini adalah untuk mendapatkan pengiktirafan UNESCO bagi Global Geopark menjelang tahun 2027. Bagi menjayakan hasrat ini, elemen seperti kajian saintifik, pembangunan prasarana kolektif, serta pembangunan geo-pelancongan perlu digerakkan, dan untuk tujuan ini, RM2 juta diperuntukkan.
INDUSTRI HALAL
Tuan Speaker, dalam satu kajian yang dilaksanakan oleh Bank Dunia pada tahun lalu yang bertajuk ‘Islamic Finance and the Development of Malaysia’s Halal Economy’, mereka mendapati bahawa walaupun ekonomi halal telah menyumbang kepada 7.5% kepada KDNK negara, peluang untuk diteroka dalam industri ini masih jauh dan masih belum matang. Dan sektor ini bukan sahaja melibatkan sektor makanan, tetapi farmaseutikal, kosmetik, fesyen, pelancongan mahupun rekreasi. Namun begitu, Malaysia meletakkan fokus yang besar kepada sektor makanan halal, dan aktiviti sektor ini mencecah RM128.8 bilion pada tahun 2021 dan 28.9% eksport produk halal adalah dalam bidang makanan dan ramuan halal.
Kerajaan Negeri mengambil pendirian bahawa ekosistem halal dapat diterokai dengan lebih luas dengan mengambil kira peningkatan populasi masyarakat beragama Islam terutamanya di negara-negara OIC dan dijangka menjelang tahun 2030, populasi
belia beragama Islam akan mencecah sehingga 396.9 juta orang bersamaan 30.7% daripada keseluruhan belia di dunia. Subsektor halal seperti fesyen, farmaseutikal, kosmetik, serta rekreasi perlu diteroka, dan beberapa program berikut akan diusahakan.
Pertama, Inovasi Semakan Digital Pantas Pensijilan Halal, serta pembangunan Pangkalan Data yang meliputi maklumat Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana dalam menceburi bidang halal serta bahan ramuan halal. Kedua, program galakan pensijilan halal. Ketiga, penganjuran Selangor International Halal Convention 2024 dengan hasrat menjadikan Selangor platform utama Nusantara sektor Halal bagi menggerakkan perdagangan dua hala sektor halal. SELHAC 2024 akan berlangsung pada Julai 2024 akan memfokuskan usaha kepada inovasi digital halal, rangkaian bekalan logistik halal, dan mempercepatkan pensijilan halal. Seterusnya untuk kesemua ini, RM3 juta akan diperuntukkan di tahun 2024.
USAHAWAN DAN EKONOMI KREATIF
Yang kesepuluh, sepuluh anjakan besar dalam bidang ekonomi iaitu Usahawan dalam sektor mikro, kecil dan sederhana merupakan nadi kepada ekonomi Selangor. Dalam era pendigitalan ekonomi yang sedang rancak, Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha melahirkan, memberdaya para usahawan melalui Dana Usahawan Mikro Selangor yang membantu sekurang-kurangnya 100 usahawan untuk memulakan perniagaan.
Seterusnya, komuniti usahawan akan dibimbing dengan latihan, promosi, pembangunan serta pengkomersialan produk bukan sahaja untuk berjaya di Selangor tetapi meneroka pasaran di rantau Asia Tenggara.
Ketiga, dengan mengambil iktibar daripada pemenang hadiah ekonomi Nobel tahun 2023, Claudia Goldin, apabila beliau mencerap data bermula 200 tahun lalu dan mendapati bahawa para wanita tidak diberikan gaji yang sama dengan kaum lelaki dalam bidang yang sama, Kerajaan Negeri berpendirian bahawa harus ada usaha untuk menggalakkan lebih ramai wanita menjadi usahawan Wanita. Oleh yang demikian, Program Liga Usahawan Wanita akan diperkasakan termasuk program Selangor Youth Community bagi menggerakkan dan menggalakkan bantuan di peringkat komuniti termasuk peringkat permulaan perniagaan, pengurusan kewangan, pemasaran serta penempatan produk, dengan keseluruhan peruntukan RM3.3 juta.
Bagi memacu ekonomi kreatif pula, Kerajaan Negeri merancang untuk menambah nilai kepada penggiat industri kreatif yang sudah semakin luas, seperti seni reka bentuk, perekaan fesyen, karyawan, pemuzik, serta bidang-bidang yang berkaitan. Ekonomi industri kreatif juga ada ruang untuk diteroka bagi mengembangkan peluang meningkatkan nilai seni budaya dan warisan budaya supaya kekuatan Selangor yang
mempunyai pelbagai budaya dapat dijadikan nilai unik yang dapat menjadi tarikan di rantau Asia Tenggara. Bagi tujuan tersebut, sebanyak RM1 juta akan diperuntukkan bagi memperkasa industri ekonomi kreatif di tahun 2024. Selain itu, sebagai langkah memberdaya dan melindungi pekerja dalam sektor konvensional, terutamanya warga emas, orang kelainan upaya, golongan miskin, dan bekas banduan, kursus serta bengkel dan latihan pekerja termasuk penggantian pekerja akan dilaksanakan bersama dengan agensi-agensi kerajaan.
Aspek keselamatan kewangan terutamanya persediaan untuk tempoh hidup selepas persaraan akan menjadi antara usaha pendedahan utama melalui kerjasama Human Resource Development Corporation (HRD Corp.), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan untuk ini, RM500 ribu akan diperuntukkan di tahun 2024.
TERAS KEDUA: MENGANGKAT PENDIDIKAN BESTARI, MENJAMIN ALAM LESTARI
Teras yang Kedua dalam Belanjawan ini iaitu mengangkat Pendidikan Bestari, Menjamin Alam Lestari.
“Let us pick up our books and our pens. They are the most powerful weapons” - Malala Yousafzai
Tuan Speaker, saudari Malala Yousafzai merupakan nama yang tersohor melambangkan kepentingan pendidikan kepada negara bangsa. Beliau merupakan seorang gadis yang menunjukkan keberanian untuk menuntut ilmu ketika dihalang oleh rejim Taliban. Malala yang cekal dan berani, melawan perintah Taliban yang menghalang golongan wanita dari menerima pendidikan. Pada 2012, Malala telah ditembak oleh askar Taliban ketika dalam perjalanan pulang setelah menghadapi peperiksaan. Malala ditembak secara dekat di bahagian kepala. Berpantang maut sebelum ajal kata pepatah, Malala telah diselamatkan dan diberi rawatan khas oleh Kerajaan Britain di England. Malala kemudian dianugerahkan Hadiah Nobel pada 2014 di usia 17 tahun menjadikan beliau merupakan penerima Hadiah Nobel termuda dalam sejarah.
Malala adalah simbol pendidikan sebagai cahaya untuk keluar dari kegelapan dan membentuk masa depan anak muda. Mengambil iktibar dari kisah Malala ini, adalah menjadi keutamaan Pentadbiran ini untuk meletakkan pendidikan sebagai agenda utama. Sebagai satu-satunya Menteri Besar yang memegang portfolio Pendidikan di Malaysia, saya bertekad untuk memastikan masa depan anak-anak Selangor terpelihara di bawah Pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
Untuk itu, program pendidikan akan terus diberikan tumpuan pada tahun 2024 dengan peruntukan sebanyak RM94.25 juta yang disediakan di bawah Jawatankuasa Tetap Pendidikan dan RM 2 juta bagi Jawatankuasa Tetap Modal Insan.
BANTUAN SEKOLAH NEGERI SELANGOR
Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor yang telah dimulakan sejak tahun 2009 akan diteruskan pada tahun 2024 dengan peruntukan RM26.5 juta. Program Bantuan Sekolah ini merupakan program bantuan kepada sekolah di Negeri Selangor bagi membaik pulih infrastruktur sekolah dan membantu penyediaan persekitaran yang kondusif terutama untuk sekolah-sekolah bukan bantuan penuh kerajaan. Semenjak diperkenalkan, program ini telah menerima sambutan yang sangat tinggi daripada sekolah-sekolah di Negeri Selangor. Pada tahun ini sebagai contohnya sebanyak 988 buah sekolah telah diberikan bantuan.
Pada tahun 2024, sebanyak RM1.5 juta daripada peruntukan keseluruhan yang saya sebutkan tadi akan diperuntukkan ke dalam Tabungan Khas untuk Pemulihan Bencana Infrastruktur Sekolah-Sekolah Negeri Selangor, khususnya untuk membantu sekolah yang terkesan akibat daripada peristiwa-peristiwa ribut, banjir dan sebagainya, khususnya untuk Sekolah-Sekolah Kebangsaan dan Sekolah-Sekolah Menengah Kebangsaan. Inisiatif ini yang turut telah dicadangkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia, diharap ia akan menjadi inisiatif rentas negeri-negeri bagi memastikan persekitaran institusi sekolah dapat kembali pulih segera sekiranya terkesan akibat bencana. Kerajaan Negeri juga berbesar hati sekiranya cadangan ini dapat diangkat oleh Kementerian Pendidikan Malaysia menerusi kejayaan Projek Penyelenggaraan Tandas Sekolah yang boleh dipertimbangkan untuk dikembangkan melalui Tabung Khas Pemulihan Bencana Infrastruktur Sekolah Negeri Selangor secara konsep geran padanan dengan Kerajaan Negeri.
PEMBUDAYAAN SAINS DAN INOVASI
Kerajaan Negeri sentiasa memberikan perhatian dan komited serta menyokong kepada usaha memperkasakan program-program Pendidikan Sains Teknologi Matematik dan Inovasi dalam pembangunan bakat murid di Negeri Selangor. Untuk tujuan itu, kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor serta institusi lain-lain di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan akan diperkukuhkan. Sebanyak RM2 juta disediakan pada tahun 2024 bagi pelaksanaan program-program Pendidikan yang tersebut.
SARINGAN PERKEMBANGAN KANAK-KANAK
Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, Kerajaan Negeri turut memberi keutamaan kepada aspek pendidikan awal kanak-kanak untuk memastikan kanak-kanak mendapat bimbingan dan penjagaan yang secukupnya terutamanya pada peringkat awal.
Semasa Sidang Belanjawan yang lalu, saya telah mengumumkan inisiatif yang diberi nama Iltizam Penjagaan Dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Selangor ataupun IMPAK. Program ini bertujuan untuk memberi peluang kepada pengasuh-pengasuh yang layak untuk mengikuti kursus bagi meningkatkan kemahiran dalam penjagaan atau pendidikan awal kanak-kanak. Justeru itu, pada tahun 2024 Kerajaan Negeri akan mengembangkan program ini dengan memperkenalkan satu lagi inisiatif iaitu Program Saringan Perkembangan ataupun dikenali sebagai Developmental Screening kepada kanak-kanak berumur 3 hingga 5 tahun. Program ini adalah merupakan saringan awal bagi mengenalpasti tahap perkembangan kanak-kanak.
Program ini adalah bagi mengenalpasti di peringkat awal ciri-ciri dan tahap perkembangan kanak-kanak yang merupakan fasa penting untuk ibu bapa dan guru mengenal pasti potensi kanak-kanak. Program saringan perkembangan kanak-kanak ini adalah untuk mengetahui status perkembangan anak-anak dalam lima bidang utama iaitu Motor Kasar, Motor Halus, Pertuturan dan Bahasa, Perkembangan Kognitif dan Tingkah Laku Sosial/Adaptif.
Program ini mensasarkan kanak-kanak berusia tiga hingga lima tahun dari kumpulan B40 supaya bantuan intervensi awal boleh diambil untuk menambah baik pembelajaran dan perkembangan kanak-kanak ini. Ini juga merupakan usaha Kerajaan Negeri bagi membantu mengurangkan waktu janji temu dengan Developmental Paedatrician di hospital-hospital kerajaan yang memakan masa antara 2 hingga 3 tahun dan sebanyak RM350 ribu disediakan bagi tujuan ini.
PROGRAM TUISYEN RAKYAT SELANGOR (PTRS)
Pelaksanaan Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) memberi impak yang sangat besar kepada pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). PTRS merupakan bantuan pendidikan berbentuk kelas tambahan (tuisyen) kepada para pelajar yang memperoleh keputusan yang sederhana atau lemah dalam pelajaran khususnya untuk mereka yang berasal daripada mereka yang berpendapatan rendah.
Di tahun 2023, Menteri Besar Incorporated (MBI) telah dipertanggungjawabkan sebagai agensi pelaksana PTRS. Program ini khusus bagi pelajar-pelajar Tingkatan 5 yang berjumlah 65 ribu orang di seluruh Negeri Selangor. Kesemua pelajar ini menerima modul bagi enam (6) mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah dan Matematik Tambahan.
Sebanyak 277 buah sekolah terlibat termasuk Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS). Sejumlah 1,956 orang guru dan penyelaras telah terlibat dengan kos sebanyak RM7 juta di tahun 2023. Selain daripada pemberian modul, peruntukan ini termasuk elaun guru, makan tengah hari kepada pelajar dan juga mereka yang menyertai tuisyen.
Di tahun 2024, untuk memenuhi sasaran 200 ribu orang pelajar-pelajar dalam tempoh 5 tahun seperti yang terkandung dalam Tawaran Kita Selangor Kerajaan Negeri Perpaduan, selain daripada pelajar Tingkatan 5, di tahun 2024 pelajar Tingkatan 4 juga akan dilibatkan di dalam PTRS. Ini sekali gus akan menggandakan jumlah keseluruhan pelajar yang terlibat dengan program ini daripada 65 ribu pada tahun 2023 kepada 120 ribu orang pelajar mendapat tuisyen percuma yang ditaja oleh pihak Kerajaan Negeri dan juga pihak MBI. Justeru, Kerajaan Negeri akan menambah RM3 juta kepada RM7 juta daripada apa yang sedia ada daripada peruntukan MBI menjadikan keseluruhannya RM10 juta diperuntukkan di tahun 2024 untuk Program Tuisyen Rakyat Negeri Selangor untuk 120 ribu anak-anak di Negeri Selangor persediaan mereka untuk berdepan dengan peperiksaan SPM di tahun 2024 dan juga di tahun 2025.
PEMBANGUNAN MAHASISWA NEGERI SELANGOR Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pendidikan akan mewujudkan Portal berbentuk Profailing Mahasiswa melalui Komuniti Mahasiswa Darul Ehsan ataupun KOMDES yang dijangka dapat menghimpun perincian seperti latar belakang, pembangunan kompetensi, pencapaian akademik dan kokurikulum dan bakat anak Negeri Selangor dalam membantu melaksanakan program-program pendidikan dan memantau pembangunan kerjaya selepas mereka tamat pengajian.
Antara program yang bakal dijalankan secara berkala pada tahun 2024 adalah Jelajah Mahasiswa #KitaSelangor yang akan merangkumi siri jelajah ke Universiti-Universiti Awam (UA) seluruh Malaysia untuk fasa pertama bagi menerangkan inisiatif-inisiatif pendidikan yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri. Kerjasama strategik bersama NGO berteras pendidikan seperti Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Malaysia (GPMS) dan Persatuan Pelajar Islam Pelajar Selangor akan direntas untuk menjayakan Jelajah ini sepanjang tahun 2024.
Untuk makluman, pelbagai program pembangunan mahasiswa sedang dan telah dijalankan sepanjang tahun 2023 ini antaranya ialah berjaya mengadakan Konvensyen Mahasiswa Timur Tengah di Amman Jordan, Pertandingan Debat Piala Menteri Besar Selangor, Program Tekad Pendidikan #KitaSelangor, Selangor Research Development and Innovation Expo (SRIE) dan beberapa program lain. Mahasiswa Anak Selangor juga telah diberikan Bantuan Asas Yuran Universiti (BAYU) bagi mereka yang melanjutkan pengajian di UNISEL dan Universiti Islam Selangor yang dapat membantu meringankan beban kewangan keluarga dalam menampung yuran pengajian mereka. BAYU ini telah memberi manfaat kepada ramai pelajar sejak dilaksanakan pada tahun 2021. Secara keseluruhan, sejumlah RM16 juta diperuntukkan bagi Program Pembangunan Pendidikan Tinggi bagi Tahun 2023 termasuk program-program yang saya gariskan tadi.
Pada tahun ini juga, sebagai sebahagian daripada manifesto 100 hari pentadbiran Kerajaan Perpaduan di Negeri Selangor, Kerajaan Negeri telah berjaya memperuntukkan sebanyak RM200 ribu berupa Baucar Buku bagi 1,000 orang mahasiswa yang layak daripada keluarga berpendapatan B40 dan asnaf. Ini bagi menampung keperluan pengajian dan menyuntik semangat mereka untuk terus belajar dan berjaya dalam bidang pengajian dan mencintai buku. Hasil kerjasama strategik dengan pelbagai agensi dan NGO dalam usaha pendataan mahasiswa Selangor yang berkelayakan, program ini akan diteruskan di tahun 2024 dengan sasaran untuk 2,000 orang mahasiswa dengan jumlah peruntukan RM400 ribu, dengan dikembangkan kepada semaksimum mungkin di Universiti Awam (UA) seluruh Malaysia serta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta yang terpilih di seluruh Malaysia. Sehubungan dengan itu, dengan usaha meneruskan dan membangunkan program-program dan projek pembangunan yang memberi manfaat khusus kepada mahasiswa anak Selangor di dalam dan luar negara, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM24.9 juta bagi keseluruhan Program Pembangunan Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Institusi Pengajian Tinggi Negeri Selangor.
SELANGOR TECHNICAL SKILLS DEVELOPMENT CENTRE (STDC)
Pembangunan Pendidikan TVET di Selangor sentiasa diberi perhatian memandangkan keperluan yang tinggi bagi melahirkan pekerja mahir dan berpotensi dalam memenuhi keperluan industri dan ekonomi negara. Pelbagai program ditawarkan melalui pelbagai institusi pengajian antaranya Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor Kampus Shah Alam dan Kuala Selangor, Universiti Islam Selangor dan beberapa institusi swasta antaranya GE Engineering, TWI Services Sdn. Bhd, Carsome dan sebagainya.
Inisiatif ini disokong dengan penubuhan Pusat Kemahiran Teknologi dan Profesional (STDC) Kampus Shah Alam yang melibatkan kerjasama industri up-stream seperti Siemens, Apple, Dassault Systemes, dan Festo menjurus kepada perpindahan teknologi.
Di tahun 2024 mensasarkan satu kerjasama baharu bersama Siemens iaitu Pembangunan Aplikasi Mendix di Netherlands yang memberi penekanan kepada pembinaan aplikasi tanpa jujukan kod yang kompleks bagi pengurusan streamline, kawalan visual dan pengesanan kualiti. Selain itu, satu kerjasama dengan KNX Brussels, Belgium juga akan diteroka memandangkan KNX merupakan teknologi bagi aplikasi Building Automation.
Tambahan kepada itu, program SwiftUI Academy bersama Apple, program latihan Digital Twin bersama Dassault Systemes, serta modul latihan advanced manufacturing dengan Festo akan diteruskan pada tahun hadapan. Sehubungan dengan itu, sejumlah RM13.85 juta di peruntukan untuk Program Teknikal dan Vokasional pada tahun 2024 bagi memastikan pendidikan TVET ini mencapai
matlamat melahirkan tenaga kerja mahir sebagai persediaan industri di Selangor melangkah ke arah Industri Revolusi 4.0, dan sekaligus meningkatkan pelaburan asing (FDI) di Negeri Selangor.
Program-program sedia ada seperti Pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia kepada lepasan SPM, tahfiz dan penghuni rumah kebajikan juga akan diteruskan kerana ia akan membantu golongan tersebut meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dengan bantuan penuh Kerajaan Negeri Selangor. Bagi menambah nilai STDC supaya para pelatih dapat menjalani latihan ini dapat ditawarkan peluang pekerjaan bergaji tinggi, pelatih-pelatih akan diberikan pensijilan daripada Kerajaan Negeri dan industri berkait bermula tahun hadapan.
PEMERKASAAN INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI DI BAWAH KERAJAAN NEGERI
Pemerkasaan dan Pembangunan Institusi Pengajian Tinggi di bawah kerajaan negeri yang melibatkan Universiti Selangor, Universiti Islam Selangor dan Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) juga merupakan fokus kerajaan negeri dalam mendepani persaingan di peringkat globalisasi dan memenuhi pasaran pekerjaan. Pemerkasaan IPT ini merangkumi aspek pentadbiran, pembangunan kapabiliti serta kompetensi tenaga pengajar dan pentadbir, kerjasama industri, fasiliti pengajaran serta pembelajaran dan pembangunan mahasiswa. Oleh itu, bagi Pembangunan Institusi Pengajian Tinggi yang terdiri daripada tiga (3) institusi iaitu UNISEL, UIS dan STDC, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM9 juta bagi projek naik taraf, membaik pulih dan menambah baik infrastruktur ketiga-tiga institusi ini. Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam memastikan mahasiswa mendapat persekitaran yang kondusif sepanjang tempoh pengajian mereka di tiga institusi ini.
Ke arah mengukuhkan usaha TVET di Negeri Selangor, keutamaan program TVET bernilai tinggi, menjelang tahun 2025, UNISEL akan di struktur semula menjadi Universiti Industri Selangor yang akan memfokuskan sepenuhnya kepada latihan teknikal dan vokasional dengan mewujudkan kerjasama strategik dengan industri. Ini bagi menjamin ekosistem pendidikan tinggi di negeri Selangor terjalin secara sistematik dengan industri secara menyeluruh dengan mampu menawarkan peluang pekerjaan bergaji tinggi kepada para graduan dan sekali gus mengelakkan mismatch antara jurusan yang dipelajari oleh mahasiswa serta bidang pekerjaan yang diceburi.
HADIAH PENGAJIAN INSTITUT PENGAJIAN TINGGI (HPIPT) SELANGOR
Pada tahun 2023, Kerajaan Negeri Selangor menyediakan peruntukan kewangan berjumlah RM3juta bagi melaksanakan insentif Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi (HPIPT) Selangor dan memberi bantuan RM1,000 khusus kepada anak-anak Selangor yang melanjutkan pendidikan ke Institut Pengajian Tinggi Awam dan Institut
Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang diiktiraf bermula dari peringkat Sijil Kemahiran Tahap 4, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda. Antara syarat kelayakan ialah keluarga berpendapatan RM5,000 ke bawah. Untuk tahun 2024, program ini diteruskan dengan peruntukan RM3 juta.
TABUNG KUMPULAN WANG BIASISWA NEGERI SELANGOR
Peruntukan kewangan berjumlah RM9 juta disediakan pada tahun 2023 untuk membiaya pendidikan dan disalurkan melalui Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor (TKWBNS) bagi pelaksanaan lima (5) program di bawah Peduli Siswa dan dua (2) Program Khas dalam bentuk pinjaman boleh ubah dan biasiswa. Program-program ini memberi manfaat kepada pelajar bermula daripada peringkat sekolah menengah sehingga ke peringkat pasca-siswazah, di dalam dan luar negara.
Antara program baharu yang telah dilaksanakan pada tahun 2023 ialah Pinjaman Boleh Ubah Luar Negara dan Biasiswa Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Selangor kepada anak Selangor yang melanjutkan pengajian di universiti terkemuka. Kerajaan Negeri komited untuk meneruskan program ini untuk memberi peluang kepada anak-anak Selangor melanjutkan pengajian ke Universiti terkemuka dunia. Program pinjaman dan biasiswa yang ditawarkan telah memberikan manfaat kepada kira-kira seramai 29,199 orang sejak tahun 1985 hingga September dengan kos kewangan sebanyak RM421.5 juta. Program ini akan diteruskan pada tahun 2024 dengan implikasi kewangan yang dijangka terlibat adalah sebanyak RM9 juta.
BANTUAN ASAS YURAN UNIVERSITI (BAYU)
UNISEL akan menjadi agensi pelaksana bagi menggerakkan inisiatif bayaran yuran asas ataupun BAYU ini dengan mensasarkan penerima skim BAYU dari kalangan keluarga M40 dan B40 terutamanya B10. Inisiatif ini memberikan asas yuran dari RM500 hingga RM1,000. Dengan adanya inisiatif ini, ianya dapat mengurangkan beban untuk menyambung pengajian di peringkat tinggi. Disasarkan seramai 2,500 anak-anak Selagor khususnya pelajar akan mendapat manfaat dari inisiatif ini. Program BAYU akan diteruskan pada tahun 2024 dengan peruntukan sebanyak RM5 juta.
ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM
Kerajaan Negeri berhasrat untuk menyediakan kemudahan 1,000 unit stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) dengan peruntukan RM1 juta serta dengan usahasama syarikat swasta seperti Gentari di bawah PETRONAS, Tenaga Nasional Berhad, dan syarikat-syarikat lain. Pentadbiran ini juga akan membangunkan laluan hijau bagi pemasangan stesen pengecas serta kawasan penggantian bateri bagi motosikal yang akan diumumkan dalam masa terdekat.Selain itu, pentadbiran ini juga akan mengorak langkah bagi mempercepatkan mod pengangkutan rendah karbon
dengan memulakan transisi kenderaan rasmi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta Ketua-ketua Jabatan daripada kenderaan enjin bahan bakar kepada kenderaan elektrik pada tahun hadapan, dengan syarat solusi optimum penggunaan kewangan dapat dicapai bersama penyedia perkhidmatan.
Selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadi negeri neutral karbon pertama di Malaysia, Bas Smart Selangor serta mod pengangkutan DRT juga akan mula beralih secara berfasa dari bas enjin bahan bakar api kepada bas elektrik dengan menggunakan dua buah bermula Januari 2024, dan peralihan ini akan dilaksanakan secara berfasa sehingga seluruh perkhidmatan Bas Smart Selangor sepanjang term ke-15 atau sepanjang penggal ke-15/11 ini, InsyaAllah.
Tuan Speaker, Kerajaan Negeri sedar dan mengambil serius isu perubahan iklim dan cuaca ekstrem yang menyebabkan banjir, tanah runtuh serta bencana lain. Bagi mengurangkan impak perubahan iklim, adalah penting untuk mengintegrasi tindakan jangka pendek dengan usaha jangka sederhana dan panjang dalam meningkatkan daya tahan masyarakat setempat juga perlu diberi keutamaan. Ianya melalui satu dasar khusus yang bakal dibangunkan sebagai rangka kerja bagi menggerakkan dan memberi panduan kepada Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan dan Agensi Negeri, industri, masyarakat setempat serta pihak berkepentingan lain dalam mencapai pembangunan yang berdaya tahan iklim.
Justeru itu, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM300,000 bagi pembangunan Dasar dan Pelan Tindakan Perubahan Iklim Negeri Selangor yang menumpukan kepada tindakan bagi memperkukuhkan pelaksanaan pembangunan negeri sehingga tahun 2030 dengan mengambil kira pelbagai aspek perubahan iklim khususnya berkaitan adaptasi, mitigasi dan pengurusan risiko bencana iklim bagi memaksimumkan keberhasilan sosio-ekonomi yang saksama dan kelestarian ekosistem.
Kerajaan Negeri turut menyasarkan untuk menanam 11 juta pokok menjelang tahun 2026 dalam usaha memulihara dan menghijau kembali kawasan hijau yang telah diteroka ataupun kawasan hutan yang telah diteroka. Inisiatif ini adalah sebahagian usaha bagi mengekalkan sehingga 31 peratus gazet kawasan Hutan Simpan Kekal. Justeru itu, Kerajaan Negeri menyeru supaya semua Jabatan dan Agensi Negeri, pemain industri, sektor swasta dan korporat, masyarakat serta pihak berkepentingan yang lain untuk mempergiatkan aktiviti penanaman pokok dengan lebih meluas lagi. Justeru itu, bagi merealisasikan sasaran 11 juta pokok ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM400,000 bagi pelaksanaan program melibatkan penanaman di pada tahun hadapan.
Kelangsungan kehidupan generasi masa depan dan alam semula jadi amat bergantung bagaimana komuniti hari ini menguruskan sisa pepejal. Kerajaan Negeri ingin menyeru kepada semua untuk menjadi environmental game changer dalam
menjamin persekitaran yang lebih bersih, hijau dan selamat dengan memaksimumkan kitar semula, meminimumkan sisa lebihan dan mengurangkan penggunaan. Oleh itu, dalam menggalakkan aktiviti kitar semula di kalangan masyarakat, Kerajaan Negeri bercadang untuk memperbanyakkan lagi Reverse Vending Machine (RVW) dan Pusat Kitar Semula (PKS) di kawasan tumpuan penduduk dan mewujudkan lebih banyak tong sampah kitar semula berteknologi tinggi di kawasan-kawasan awam.
Selain itu, Kerajaan Negeri akan mula menawarkan bakul kitar semula tambahan menerusi PBT di kawasan perumahan, bakul sampah ya, bagi meningkatkan kitar semula serta mengurangkan kadar pembuangan sampah. Usaha ini akan mula secara rintis di Majlis-majlis Bandaraya pada tahun 2024 dan seterusnya diperluaskan ke Pihak Berkuasa Tempatan lain di seluruh Selangor pada tahun-tahun berikutnya. Pembuangan e-waste secara tidak terkawal atau jika ia tidak diurus dengan baik boleh memudaratkan kesihatan manusia dan alam sekitar. Oleh itu, Kerajaan Negeri bercadang untuk mengadakan “E-Waste Recycling Program” dengan mengadakan usaha sama dengan sektor swasta dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti penyertaan dari stesen-stesen minyak, pasaraya besar terpilih dan syarikat/industri di Negeri Selangor. Penyediaan tong-tong kitar semula e-waste akan ditempatkan di kawasan-kawasan tersebut bagi memudahkan orang awam untuk meletakkan sisa buangan e-waste.
Pada tahun lalu, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negeri Selangor yang ditugaskan untuk membangunkan dasar negeri. Bagi mengukuhkan persediaan menghadapi ancaman termasuk langkah adaptasi kepada perubahan iklim, Majlis ini akan dinaik taraf dan dijadikan Pusat Adaptasi Perubahan Iklim Selangor yang bertujuan merangka, menyelaras, serta mencadangkan pendekatan baharu yang wajar diimplementasikan supaya setiap daerah di Selangor lebih bersedia dengan ancaman perubahan iklim. Untuk maksud ini, RM800 ribu disediakan untuk tahun 2024.
PEMASYHURAN TAMAN NEGERI SELANGOR SEBAGAI HUTAN WARISAN DIRAJA SELANGOR
Hutan Warisan Diraja Selangor ini melibatkan kawasan Taman Negeri Selangor seluas 103,000 hektar yang merupakan gabungan beberapa buah hutan simpanan kekal. Kawasan ini juga dikenali sebagai Taman Warisan Negeri terletak di daerah Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat.
Pelan Pembangunan Hutan Warisan Diraja Selangor telah disediakan di tahun 2022 sebagai panduan asas dalam pelaksanaan selama tempoh 5 tahun. Sejumlah RM 520 ribu disediakan pada tahun 2024 untuk pelaksanaan projek pembangunan Hutan Warisan Diraja Selangor ini sebagai Pusat Kecemerlangan Hutan Darat Negeri Selangor. Peruntukan ini adalah meliputi pelaksanaan Majlis Pelancaran Hutan
Warisan Diraja Selangor, Mini Ekspedisi Saintifik Biodiversiti dan lain-lain program lagi.
PEMELIHARAAN DAN PEMULIHARAAN KAWASAN HUTAN TEROSOT, HUTAN PAYA LAUT DAN PESISIR PANTAI NEGERI SELANGOR
Program Pemeliharaan dan Pemuliharaan Kawasan Hutan Terosot dan Program Pemuliharaan dan Pemeliharaan Kawasan Hutan Paya Laut & Pesisir Pantai merupakan salah satu strategi untuk memperkasa sumber hutan di negeri Selangor. Program ini juga berupaya meningkatkan fungsi dan peranan hutan sebagai kawalan banjir dan menangani kesan perubahan iklim.
Sejumlah RM250 ribu diperuntukkan untuk tahun 2024 untuk maksud tersebut.
PEMASANGAN INFRASTRUKTUR TENAGA BOLEH DIPERBAHARUI UNTUK PENJANAAN BAGI KEGUNAAN SENDIRI OLEH AIR SELANGOR
Inisiatif ini adalah sebahagian daripada langkah yang diambil oleh Air Selangor ke arah penggunaan tenaga lestari yang cekap untuk mencapai sasaran sifar bersih pada tahun 2040.
Ia merupakan inisiatif Air Selangor untuk mendukung Pelan Peralihan Tenaga Nasional (NETR, National Energy Transition Roadmap). Pemasangan infrastruktur tenaga lestari seperti panel solar akan dilaksanakan di semua tapak-tapak infrastruktur air di bawah kelolaan Syarikat Air Selangor. Dengan pemasangan infrastruktur ini, tenaga boleh diperbaharui yang dijana untuk bagi kegunaan sendiri dapat mengurangkan kos operasi Air Selangor serta mengurangkan kos pengeluaran air terawat dan memastikan tarif air dapat dikenakan pada kadar yang munasabah. Selain itu, pemasangan infrastruktur ini dapat membuka peluang pekerjaan mahir yang dianggarkan kira-kira 1,000 orang bagi memasang dan menyelenggara infrastruktur tersebut. Kos keseluruhan projek dijangkakan berjumlah RM305 juta dengan pengurangan karbon dijangkakan sebanyak 2 juta tan dalam tempoh 30 tahun.
MEMBANGUNKAN SULTAN IDRIS SHAH GREEN ENERGY PLANT
Pembangunan taman tenaga hijau (Green Eco Park) ini merangkumi loji sisa kepada tenaga (Waste-to-Energy) yang berkemampuan untuk membakar 2,400 tan sampah sehari dengan menjana 130.5 megawatts tenaga elektrik melalui pembangunan yang melibatkan 4 fasa secara keseluruhan.
Projek ini akan dilaksanakan oleh syarikat milikan MBI iaitu KDEB Waste Management Sdn. Bhd. yang dijangkakan akan mengoptimumkan kos pengurusan sisa pepejal dengan mengekalkan kualiti dan kebersihan alam sekitar melalui pengurangan
kebergantungan kepada tapak pelupusan yang tidak lestari. Di samping itu, ianya dapat menjana nilai tambah daripada sisa pepejal melalui penjanaan tenaga dan bahan berguna yang boleh diperdagangkan seperti elektrik, haba atau bahan api. Projek ini akan dijadikan Selangor setanding dengan negara-negara maju didalam pengurusan sisa pepejal yang lebih mampan serta menjadikan Selangor sebagai peneraju di dalam menjayakan agenda pembangunan mampan (SDG).
Kos keseluruhan projek dijangkakan berjumlah RM4.5 bilion untuk 4 fasa dalam tempoh 10 tahun. Sumber pendanaan adalah menggunakan sumber Private Finance Initiative (PFI).
MEMBANGUNKAN FASILITI KITAR SEMULA YANG DIKENALI SEBAGAI SELANGOR RECYCLE SURGE
Inisiatif oleh KDEB Waste Management Sdn. Bhd. bagi membangunkan Selangor Recycle Surge menjadi sebahagian inisiatif bagi menyokong agenda pembangunan mampan melalui pemerkasaan amalan kitar semula di Selangor selaras dengan Teras Pemacuan Kelestarian di dalam Rancangan Selangor.
KDEB Waste Management Sdn. Bhd. menjangkakan akan membina sekurang-kurangnya 1 fasiliti kitar semula berteknologi tinggi di setiap PBT di Selangor. Dengan itu ianya akan menggalakkan inovasi dan penyelidikan dalam pengurusan sisa melalui kerjasama dengan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan komuniti setempat.
Inisiatif ini dijangka akan mengurangkan sampah yang dihantar ke pusat kitar semula dan ini juga dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan negeri untuk membayar tipping fee pelupusan sampah. Selain itu, dengan kitar semula yang lebih bersistematik data kadar kitar semula yang lebih tepat dapat dikumpulkan.
Dianggarkan kos pelaksanaan adalah sebanyak RM3 juta dengan sumber pendanaan dari sumber PFI daripada KDEB Waste.
INDUSTRI BEKALAN AIR
Kerajaan Negeri bersama-sama dengan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) mempunyai tanggungjawab memastikan industri perkhidmatan air di Negeri Selangor mencapai perkhidmatan yang efisien di samping memastikan bekalan air yang mencukupi bagi menampung permintaan melibatkan pengguna seramai 9 juta orang. Tumpuan diberi untuk mencapai sasaran meningkatkan rizab bekalan kepada 15% sebagai satu inisiatif ‘water demand planning’ yang berjangka panjang. Rizab bekalan air setakat 30 Jun 2023 adalah pada kadar kira-kira 13.6%. Projek Skim Air Sungai Rasau yang telah mula dibangunkan akan menjadi sumber air baharu yang mampu menghasilkan air terawat yang dianggarkan lebih kurang 1400 juta liter per hari ataupun MLD.
Kerja-kerja untuk pembangunan sumber air akan dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan dalam bentuk geran yang dianggarkan berjumlah RM1.8 bilion. Pada ketika ini pihak Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim sedang dalam peringkat perolehan untuk memuktamadkan pelantikan kontraktor. Bagi pembangunan source work ini. Bagi pembangunan LRA pula, ia akan dilaksanakan menggunakan peruntukan Air Selangor dengan peruntukan sekitar RM3.5 bilion dan pada ketika ini telah mencapai hampir 10%. Mengikut perancangan, projek dijangkakan siap pada akhir tahun 2025.
Dalam menyokong kelestarian bekalan air, Kerajaan Negeri juga terus komited menangani isu bekalan air dengan mengambil langkah proaktif untuk mengurangkan risiko dan menjamin keselamatan air untuk negara dan juga negeri. Projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) meliputi semua perancangan Kerajaan Negeri dalam menguruskan air termasuk air banjir, air larian yang akhirnya boleh dijadikan sebagai sumber air untuk dibekalkan untuk tujuan rawatan oleh Air Selangor ataupun untuk kegunaan pertanian, perikanan dan lain-lain kegunaan.
Perancangan di bawah Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) yang merangkumi dua (2) fasa, iaitu Fasa 1 bagi menangani isu pencemaran air di Sungai Selangor dan Fasa 2 bagi memastikan kecukupan air mentah dalam menghadapi musim kemarau. Pada masa yang sama Kolam SJAM ini juga boleh berfungsi sebagai Rancangan Tebatan Banjir (RTB) semasa musim tengkujuh bagi mengurangkan risiko bencana di kawasan yang sering berlaku banjir. Di bawah Projek SJAM ini, ia turut melibatkan kerja-kerja pembinaan infrastruktur pengepaman di Sungai Selangor dan Sungai Semenyih, dijangka akan siap pada akhir tahun ini dan boleh beroperasi pada suku pertama tahun 2024.
Bagi mengatasi pencemaran sumber air, Kerajaan Negeri telah membelanjakan lebih kurang RM60 juta merangkumi perkhidmatan rawatan biologikal/bio-remediation bagi tujuan pemuliharaan kualiti air Sungai Gong, dan Sungai Sembah dan pelaksanaan projek infrastruktur pengepaman dari kolam di Sungai Selangor dan Sungai Semenyih. Projek infrastruktur ini dijangka siap sepenuhnya pada suku tahun pertama 2024. Kerajaan Negeri juga memperuntukkan sebanyak RM40 juta bagi meneruskan Skim Air Darul Ehsan (SADE) kepada rakyat Negeri Selangor yang memenuhi syarat dan kelayakan had minimum pendapatan permohonan SADE, adalah pendapatan keluarga isi keluarga, RM5,000 dan ke bawah.
Melangkah ke tahun 2024, pelaksanaan SJAM akan diteruskan oleh Kerajaan Negeri termasuk membuat penyediaan menghadapi musim kemarau. Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan peruntukan sejumlah RM100 juta bagi meneruskan kerja-kerja pembinaan projek-projek infrastruktur pengepaman.
Di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya terdapat lebih kurang 30,500 km paip yang membekalkan air kepada pengguna. Kejadian paip
pecah ini disebabkan oleh beberapa faktor seperti usia paip, paip usang, tekanan berlebihan ke atas paip dan faktor pihak ketiga. Untuk menaiktaraf dan mempercepatkan penggantian rangkaian paip, kira-kira RM150 juta dibelanjakan tiap-tiap tahun, untuk program penggantian paip, mulai tahun depan kita mensasarkan 250 km paip berbanding 120 - 150 km paip diganti. Pelaksanaan kerja-kerja penggantian paip giat dilaksanakan dalam usaha untuk mengurangkan gangguan kepada pengguna dan mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil ataupun non-revenue water.
Air Selangor telah berjaya mencapai sasaran penurunan kadar NRW yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi tempoh tiga (3) tahun berturut-turut iaitu ditahun 2019, 2020 dan 2021. Kejayaan ini menempatkan Air Selangor untuk menerima pemberian geran padanan (matching grant) yang dianjurkan oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) di bawah Program Pengurangan Kadar Air Tidak Berhasil (NRW) Kebangsaan. Secara keseluruhannya, Air Selangor telah layak mendapat imbuhan berjumlah RM362.4 juta dalam tempoh tersebut.
PROGRAM PENGURUSAN RISIKO BENCANA BERSAMA KOMUNITI SETEMPAT
Kerajaan Negeri telah mengadakan projek Strengthening the Disaster Risk Reduction Capacity to Improve the Safety and Security of Communities by Understanding Disaster Risks (SeDAR) melalui kerjasama pintar dengan University of Tohoku, Universiti Teknologi Malaysia, dan disokong oleh Japan International Cooperation Agency (JICA). Program yang telah dijalankan bermula pada Jun 2018 telah memfokuskan kepada 2 kawasan yang sering berlaku tanah runtuh, iaitu di Batu 14, Hulu Langat dan Bukit Antarabangsa, serta dua kawasan yang sering dilanda banjir, iaitu Sungai Serai, Hulu Langat dan Kampung Tok Muda, Kapar. Melalui projek ini, komuniti akan diberi pendedahan untuk memahami risiko bencana setempat berdasarkan fakta-fakta sains dan analisis empirikal, memberi pengetahuan kepada komuniti tentang kesiapsiagaan terhadap risiko-risiko bencana, merancang program Disaster Risk Reduction (DRR) berdasarkan norma lokaliti (termasuk mengenal pasti lokasi berisiko, kawasan selamat, serta memetakan setiap kawasan sebagai panduan komuniti), serta pelaksanaan program yang berterusan.
Setelah kejayaan program ini, Kerajaan Negeri akan memperluaskan pelaksanaannya kepada daerah-daerah lain supaya setiap komuniti dapat memainkan peranan yang signifikan dalam kesiapsiagaan menghadapi kejadian bencana. Dan sebanyak RM400,000.00 akan diperuntukkan bagi tujuan tersebut yang melibatkan Unit Pengurusan Bencana serta Angkatan Pertahanan Awam sebagai tenaga pengajar.
Tuan Speaker,
PELAKSANAAN DISTRICT DISASTER OPERATION CENTER (DDOC)
Pada tahun 2020, Smart Selangor Operation Center (SSOC) telah beroperasi sebagai platform penyelarasan maklumat bagi setiap kegiatan ekonomi dan pengurusan bencana di Negeri Selangor. Manfaat daripada pembangunan SSOC telah memudahkan Kerajaan Negeri mendapat maklumat yang terkini berhubung setiap inisiatif yang dilaksanakan oleh Unit Perancang Ekonomi dan dalam masa yang sama, menyelaraskan maklumat-maklumat insiden dapat dilapor dan ditangani sebaiknya.
Dalam memastikan penyaluran maklumat yang efektif untuk setiap insiden bencana, terdapat keperluan yang signifikan untuk setiap daerah mempunyai satu pusat operasi yang sofistikated, selaras dengan status Negeri Selangor sebagai sebuah negeri pintar. Bagi tujuan tersebut, Kerajaan Negeri bersetuju supaya District Disaster Operation Center (DDOC) dibangunkan di semua pejabat daerah dan Majlis bencana daerah, di mana ia akan mempunyai infrastruktur yang mampu menyalurkan maklumat-maklumat penting kepada SSOC dalam setiap kejadian bencana. Projek ini telah dimulakan pada tahun ini di tiga daerah, iaitu Petaling, Klang, dan Hulu Langat. Pada tahun hadapan, pelaksanaannya akan difokuskan kepada daerah-daerah yang lain oleh Bahagian Pengurusan Maklumat (BPM), Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN), dan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), dan sebanyak RM1.4 juta diperuntukkan bagi tujuan tersebut pada tahun 2024.
TERAS KETIGA : MENAUNGI KEBAJIKAN RAKYAT
Iltizam Selangor Penyayang (ISP) adalah sebuah gagasan bagi mewujudkan masyarakat penyayang, saling membantu satu sama lain di samping peranan Kerajaan Negeri membantu golongan memerlukan bagi memastikan tiada yang tertinggal di bumi Selangor Darul Ehsan ini. Ketika saya menjelajah dan mengembara ke seluruh pelusuk negeri ini, saya telah berjumpa rakyat dari pelbagai bangsa dan agama yang sentiasa memperkatakan mengenai ISP ini. Ramai yang memperkatakan berkenaan inisiatif Roda Darul Ehsan ataupun RiDE, Program BINGKAS, Program ANIS dan pelbagai lagi program yang dirangka Kerajaan Negeri untuk rakyat Selangor.
Ini terbukti apabila pada pilihanraya negeri yang lalu, rakyat Negeri Selangor telah memilih Kerajaan Perpaduan yang mempunyai ‘track record’ yang membela nasib rakyat, memperjuangkan hak mereka dan memerlukan serta ingin meneruskan tekad Iltizam Selangor Penyayang. Saya yakin bahawa rakyat Negeri Selangor telah membuat keputusan yang tepat dan memastikan negeri ini terus aman, damai, stabil dan tenteram. Bersesuaian dengan nama Selangor Darul Ehsan, perkataan Ehsan yang kadangkala membawa maksud ‘berbuat baik, kebajikan’ dalam Dewan Bahasa
dan Pustaka, maka adalah menjadi tekad dan komitmen pentadbiran ini untuk terus menjamin kebajikan rakyat Negeri Selangor menerusi kerangka Iltizam Selangor Penyayang.
PROGRAM KESIHATAN AWAM
Kerajaan Negeri sentiasa memberi perhatian serius terhadap aspek kesihatan rakyat yang merupakan aset penting, berharga dan bernilai buat negara. Kita meyakini, rakyat yang sihat menjadi tunjang kepada kekuatan ekonomi, terutamanya dalam merangsang guna tenaga dan menggalakkan produktiviti sesebuah negara. Menurut sebuah Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019, sejumlah 1.7 juta rakyat Malaysia menghidap tiga penyakit utama Non-Communicable Disease (NCD) iaitu diabetes, hipertensi dan kolesterol tinggi, manakala 3.4 juta individu menghidap mana-mana dua penyakit NCD.
Dalam mendepani era kesihatan yang semakin mencabar ini, adalah penting bagi Kerajaan Negeri berganding bahu dan bekerja dengan lebih erat bersama agensi berkaitan dan komuniti setempat dalam merencana program dan inisiatif kesihatan yang lebih komprehensif serta memfokuskan kepada aspek pencegahan diperingkat awal.
Bagi tahun 2024, meneruskan agenda kesihatan awam untuk semua, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM59.7 juta bagi pelaksanaan program dan inisiatif kesihatan awam di negeri Selangor. Kerajaan Negeri meneruskan Program Iltizam Selangor Sihat dengan peruntukan tahunan berjumlah RM35 juta yang memberikan manfaat kepada 100,000 pemegang polisi, terutamanya dan anggaran lebih kurang 150,000 orang ahli keluarga berdaftar. Setiap pemegang polisi ISS layak mendapatkan rawatan asas dan vaksinasi berjumlah RM500 setahun bagi kategori keluarga dan RM250 setahun bagi kategori individu di mana-mana klinik panel terpilih di peringkat negeri.
Kerajaan Negeri menyedari bahawa kos bagi rawatan hospitalisasi di hospital swasta adalah tinggi dan golongan yang berpendapatan rendah tidak mempunyai kemampuan kewangan bagi membiayai rawatan tersebut. Justeru itu, Kerajaan Negeri akan memperluas manfaat hospitalisasi kepada semua penerima ISS berjumlah RM10,000.00 setahun di hospital-hospital panel yang terpilih. Manakala manfaat tambahan yang telah diberikan sebelum ini akan turut dikekalkan dengan beberapa penambahbaikan akan dilaksanakan bagi memastikan ia tidak bertindih dengan manfaat di bawah program-program lain. Antara manfaat tersebut adalah manfaat penyakit kritikal sebanyak RM5,000 dan manfaat kematian semulajadi sebanyak RM5,000. Manfaat ini akan turut meliputi bagi ahli keluarga berdaftar di bawah program ISS ataupun Inisiatif Sihat Selangor.
Kerajaan Negeri menyedari akan keperluan rakyat kepada bantuan kewangan bagi menampung kos rawatan kesihatan. Oleh itu, Bantuan Sihat Selangor (BSS) yang diperkenalkan sejak tahun 2009 akan diteruskan dengan peruntukan berjumlah RM5 juta bagi tahun 2024. Melalui BSS ataupun bantuan sihat ini, golongan yang kurang berkemampuan akan diberikan bantuan kewangan berjumlah sehingga RM5,000 untuk menampung kos rawatan kesihatan seperti dialisis buah pinggang, pembedahan katarak mata, pembedahan kecil, rawatan kanser, elaun pengangkutan serta bantuan alatan perubatan.
Penyakit jantung atau kardiovaskular merupakan penyebab kematian nombor satu di Malaysia. Ini dibuktikan dengan laporan daripada Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2021 menyatakan bahawa sejumlah 18,515 kematian atau 17.0 peratus daripada jumlah kematian yang disahkan secara perubatan adalah berpunca daripada penyakit kardiovaskular ataupun jantung. Ianya menjadi sebab kematian utama di Malaysia lebih dua dekad lalu yang mana telah merekodkan peningkatan daripada 11.6 peratus pada 2000 kepada 17.0 peratus pada 2020. Menyedari hakikat ini, Kerajaan Negeri akan meneruskan program Skim Rawatan Jantung Negeri Selangor yang menawarkan bantuan kewangan bagi rawatan jantung sehingga RM50,000.00 kepada golongan yang berkelayakan melalui peruntukan di tahun 2024, keseluruhannya berjumlah RM5 juta untuk BSS ini.
Penjawat awam merupakan tonggak kepada pentadbiran Kerajaan Negeri. Justeru itu, kesejahteraan dan kebajikan warga penjawat awam negeri Selangor akan terus terbela dengan peruntukan sebanyak RM1.5 juta akan disediakan di bawah Program Iltizam Selangor Sihat Penjawat Awam yang akan memberi manfaat kepada kesemua penjawat awam daripada Gred 44 dan ke bawah, yang berkhidmat di Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, termasuk kakitangan anggota Pentadbiran Kerajaan Negeri. Para penjawat awam di bawah program ISSPA akan menerima manfaat rawatan asas di klinik panel dan manfaat perlindungan seperti kematian semulajadi dan kecacatan kekal, penyakit kritikal dan juga perbelanjaan pengebumian.
“Prevention is better than cure”. Selari dengan ungkapan tersebut, Kerajaan Negeri akan meneruskan Program Selangor Saring dan Saringan Kanser dengan kos keseluruhan berjumlah RM3.2 juta. Program Selangor Saring meliputi saringan bagi tiga jenis penyakit tidak berjangkit termasuklah penyakit jantung, buah pinggang, kencing manis, darah tinggi serta saringan kesihatan mata. Manakala bagi saringan kanser, ia meliputi kanser payudara, kanser serviks, kanser kolorektal dan prostat.
PERUMAHAN MAMPU MILIK (RUMAH SELANGORKU)
Dasar Perumahan Rumah Mampu Milik (Rumah Selangorku) Negeri Selangor dilaksana untuk merealisasikan matlamat [Satu Keluarga Satu Kediaman Yang
Sempurna] bagi memastikan setiap rakyat atau keluarga mempunyai tempat tinggal yang baik, selesa dan selamat untuk didiami. Kerajaan Negeri Selangor melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah memberi kelulusan Pembangunan sebanyak 245,371 unit Rumah Mampu Milik (Rumah Selangorku) sejak 2014. Sehingga September 2023, kolaborasi pintar di antara pihak Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dan pemaju perumahan dari kalangan Anak Syarikat Kerajaan Negeri serta pemaju swasta telah berhasil membangunkan sebanyak 57,185 unit Rumah Selangorku kepada golongan sasaran.
Daripada jumlah tersebut, 35,606 unit telah pun diserahkan kunci kepada para pembeli yang layak ditawarkan manakala selebihnya 21,579 unit kini sedang dalam proses pembinaan di lapangan. Sebanyak 188,186 unit masih dalam proses perancangan di pelbagai peringkat, memperoleh kelulusan pembangunan oleh jabatan dan agensi teknikal di peringkat Kerajaan Negeri dan Tempatan. Dalam Tawaran Kita Selangor oleh Gabungan Perpaduan, saya menjanjikan pembinaan 200 ribu buah Kediaman Kita Selangor dalam tempoh 5 tahun mendatang. Insya-Allah pengumuman lanjut mengenai jenis dan mekanisme baru Kediaman Kita Selangor ini sedang dimuktamadkan dan akan diumumkan dalam masa terdekat. Kediaman Kita Selangor bukan sahaja meliputi fasiliti kediaman tetapi turut mempunyai fasiliti pembiayaan khusus buat rakyat Negeri Selangor.
SKIM SMART SEWA
Kerajaan Negeri telah perkenalkan Skim Smart Sewa yang merupakan program yang diwujudkan untuk membantu rakyat di kalangan golongan B40 dan M40 untuk menyewa rumah pada kadar berpatutan terutamanya mereka yang belum memiliki rumah atau menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pembiayaan pinjaman dan pemilikan rumah. Menerusi Belanjawan Selangor 2023, Kerajaan Negeri telah bersetuju dengan perbelanjaan menggunakan peruntukan sebanyak RM115 juta bagi pembelian 500 unit tambahan dan mensasarkan persediaan sehingga 2025 sebanyak 3,000 unit Skim Smart Sewa.
Sehingga kini status pembelian unit Skim Smart Sewa yang diluluskan dan untuk ditawarkan kepada orang awam bagi tujuan penyewaan sehingga 2023 adalah sebanyak 1,340 unit. Daripada 1,340 unit Skim Smart Sewa yang telah diluluskan pembelian, sebanyak 707 telah pun disewakan dan didiami oleh penghuni-penghuni. Bagi merealisasikan sasaran sebanyak 3,000 unit Skim Smart Sewa sehingga tahun 2025, cadangan pembelian Skim Smart Sewa akan diteruskan di tahun 2024 dengan sasaran 810 unit dengan peruntukan tambahan RM220 juta.
PEMULIHAN PROJEK TERBENGKALAI
JAWATANKUASA PEMULIHAN PROJEK TERBENGKALAI
Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) sentiasa berusaha memberikan komitmen dalam mengatasi masalah projek terbengkalai. Sehubungan itu, langkah proaktif telah diambil oleh kerajaan melalui LPHS bagi memastikan usaha pemulihan perumahan terbengkalai dengan Penubuhan Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai (JPPT) bagi membincangkan dan mendapatkan kerjasama semua pihak yang terlibat. Sehingga kini, sebanyak 178 projek terbengkalai yang melibatkan 36,342 pembeli telah direkodkan. Sejak 2007, Kerajaan Negeri telah berjaya menyelesaikan 101 projek yang melibatkan 39,476 unit rumah.
SASARAN PENYELESAIAN PROJEK TERBENGKALAI TAHUN 2024
Kerajaan Negeri juga memperuntukkan sebanyak RM18 juta ke dalam Tabung Pemulihan Projek Terbengkalai (TEPAT) Negeri Selangor bagi merancakkan usaha pemulihan projek perumahan terbengkalai. Kerajaan Negeri menjangkakan lebih banyak projek terbengkalai di Negeri Selangor dapat dipulihkan. Sebagai contoh, kerajaan negeri telah berbelanja kira-kira RM11.4 juta bagi membangunkan kemudahan infrastruktur di Projek Pembesaran Kampung Koskan di Serendah dan Desa Mawar di Kuala Selangor yang telah terbengkalai lebih 20 tahun yang lalu. Kini kerja-kerja baik pulih infrastruktur telah siap sepenuhnya dan penduduk kampung tersebut dapat menikmati kemudahan infrastruktur baharu dan mendiami rumah masing-masing. Di samping penggunaan baki Dana TEPAT yang ada, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga telah bersetuju untuk memulihkan tiga (3) projek terbengkalai di Negeri Selangor di bawah Belanjawan Tahun 2023 Pemulihan Projek Perumahan Swasta Terbengkalai sebanyak RM7.25 Juta. Projek adalah merupakan dua projek di Taman Meru Makmur di Klang dan satu projek di Pangsapuri Impian Meru, juga di Klang.
TASK FORCE INISIATIF PENGELUARAN HAKMILIK STRATA UNTUK PERUMAHAN DAN HARTANAH
Merujuk kepada rekod LPHS, terdapat pangsapuri yang masih belum mempunyai hakmilik strata walaupun sudah lama didiami. Isu ini akan memberikan kesan terhadap pemilik petak untuk membuat sebarang transaksi/urus niaga ke atas unit dan premis masing-masing. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri bercadang untuk menubuhkan satu jawatankuasa ataupun taskforce untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan pemilikan hakmilik strata terhadap pangsapuri yang telah lama diduduki tetapi masih belum memiliki hakmilik strata. Jawatankuasa ini akan di selaras secara bersama antara Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor serta Pejabat Tanah dan Galian Selangor bagi menyelesaikan isu berkaitan ketiadaan hakmilik strata. Bagi memastikan Jawatankuasa / task force ini berjalan secara berkesan, sebanyak RM200 ribu akan diperuntukkan untuk penubuhan dan pembentukan taskforce ini.
PROGRAM REWANG KOMUNITI STRATA, MEMPERKASAKAN KOMUNITI PPR DAN SKIM SMART SEWA.
Program Rewang Komuniti Strata merupakan program menyantuni, mengeratkan peranan komuniti dalam kalangan penduduk di pangsapuri. Untuk anggaran itu, sebanyak RM500 ribu akan diperuntukkan di tahun 2024. Program ini dijangka berlangsung selama dua (2) hari satu (1) malam dengan penyertaan maksimum komuniti melalui pelbagai acara seperti gotong royong, rewang sukaneka, persembahan kebudayaan dan sebagainya. Ahli Yang Berhormat sekalian, pada masa yang sama, penghuni di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Projek Smart Sewa juga di bawah seliaan LPHS tidak akan diabaikan dari aspek pembangunan modal insan di samping baik pulih fizikal bangunan yang masih diteruskan, di mana sebahagian Peruntukan Baik pulih Projek Perumahan Rakyat iaitu sebanyak RM300 ribu akan disediakan bagi program-program yang mampu memperkasakan komuniti PPR dan Skim Smart Sewa serta promosi-promosi berkaitan perumahan mampu milik.
PROGRAM SKIM ASUH PINTAR
Skim Asuh Pintar yang dikelola oleh Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) merupakan inisiatif sedia ada yang bakal diteruskan di tahun 2024. Pemberian subsidi bernilai RM100 kepada ibu bapa golongan B40 setiap bulan yang dibayar terus kepada taska yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat mampu untuk mengurangkan bebanan ibu bapa yang mempunyai anak berusia 4 tahun ke bawah dan menghantar anak mereka ke taska yang berdaftar. Kos bagi melaksanakan inisiatif ini diunjurkan sebanyak RM600 ribu.
SKIM BANTUAN TADIKA SELANGOR (TUNAS)
Program ini juga akan diteruskan sebagaimana tahun-tahun sebelum ini di tahun 2024 dengan bertujuan untuk kurangkan beban ibu bapa menghantar anak-anak mereka yang berusia 5 hingga 6 tahun ke tadika pula dan berdaftar dengan subsidi dengan nilai RM50 setiap bulan yang akan dibayar terus ke pemilik-pemilik tadika untuk mengurangkan bebanan yuran pelajar-pelajar. Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM2 juta bagi tujuan program ini.
PROGRAM ILTIZAM ANAK SELANGOR
Program ini merupakan tabungan yang akan dibuka melalui SSPN Prime yang bernilai RM500 dalam tempoh 5 tahun untuk anak-anak yang lahir dari tahun 2022 ke atas. Program tabungan ini di akaun Simpanan SSPN Prime akan diberikan oleh kerajaan negeri hanya boleh dikeluarkan apabila umur anak telah berusia 18 tahun dan ke atas. Sasaran pendaftaran bagi Program ini adalah sebanyak 30,000 bagi seluruh negeri Selangor. Kerajaan Negeri bersetuju memperuntukkan RM3 juta bagi program ini.
Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,
BANTUAN KHAS ANIS
Program bantuan Anak Istimewa Selangor atau dengan singkatannya ANIS telah dilaksanakan bermula di tahun 2019. Bantuan khas ini dibuka kepada pemohon-pemohon yang mempunyai tanggungjawab ataupun tanggungan anak OKU 18 tahun ke bawah dengan tujuan untuk mengurangkan bebanan kos perbelanjaan dan menguruskan anak-anak OKU. Ianya dapat membantu meringankan tanggungan kos terapi, pemulihan, pendidikan dan sara hidup di waktu kecemasan (makanan tambahan/ubat-ubatan) bagi anak-anak OKU yang ditanggung oleh ibu bapa/penjaga memohon. Selain itu, ianya juga dapat membantu mengurangkan beban ibu bapa/ penjaga anak-anak OKU yang ingin membeli peralatan khas / mesin bagi pemulihan anak-anak OKU. Penerima manfaat adalah ibu bapa/penjaga kepada OKU yang berdaftar dan mempunyai kad OKU yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Kerajaan Negeri bersetuju memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi program Bantuan Khas ANIS 2024.
BANTUAN KEHIDUPAN SEJAHTERA SELANGOR (BINGKAS)
Menginsafi keperluan untuk meningkatkan kedayatahanan bagi keluarga di negeri Selangor yang terkesan dengan cabaran ekonomi, Kerajaan Negeri meneruskan Program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor ataupun BINGKAS dengan peruntukan tahunan sebanyak RM108 juta. BINGKAS akan menyalurkan bantuan RM300 setiap bulan melalui e-wallet kepada 30,000 keluarga yang layak bagi tujuan pembelian barangan dan keperluan asas termasuk peralatan pendidikan bagi anak-anak yang masih belajar bagi mengurangkan beban perbelanjaan sara hidup.
PROGRAM BANTUAN BLUEPRINT PEMBASMIAN KEMISKINAN NEGERI SELANGOR
Program ini juga satu program yang dilanjutkan daripada tahun-tahun sebelum ini dan membentuk membantu bantuan berbentuk peralatan mesin yang diwujudkan khusus untuk membantu rakyat miskin di kalangan penjaja, peniaga atau yang bekerja sendiri di dalam negeri Selangor pada tahun-tahun sebelum ini. Pada tahun lepas seramai 334 penerima bantuan daripada kesemua sembilan (9) daerah di Negeri Selangor telah menerima manfaat program ini. Di tahun 2024, program ini akan diteruskan dengan jumlah peruntukan RM2.1 juta dan antara program lain untuk dirancang adalah mengadakan Karnival Blueprint bagi membantu penerima bantuan mengetengahkan produk-produk penerima bantuan di samping memberi pendedahan kepada penerima bantuan tentang pasaran yang lebih luas.
BANTUAN BAUCAR JOM SHOPPING BERSEMPENA PERAYAAN
Program ini merupakan program bantuan yang dilaksanakan bersempena dengan tiga (3) perayaan utama iaitu Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali di mana setiap keluarga yang kurang berkemampuan untuk diberikan baucar pembelian barangan keperluan bernilai RM200.00. Bagi tahun 2023, sebanyak RM16.48 juta telah diperuntukkan untuk program ini. Justeru, pada tahun 2024, program ini diteruskan dengan jumlah peruntukan RM16.48 juta dan kita akan mensasarkan keseluruhannya 82,400 orang penerima manfaat. Bermula pada tahun 2023, syarat pendapatan isi rumah bagi penerima manfaat ini telah ditingkatkan daripada bawah RM2,000 sebulan kepada bawah RM3,000 sebulan dan memberi peluang lebih ramai penerima manfaat dan program ini.
PROGRAM ATAUPUN RUMAH KERAJAAN PRIHATIN UNTUK GOLONGAN B40
Program ini adalah bertujuan untuk membantu kelompok B40 yang kurang berkemampuan untuk memiliki kediaman yang selesa dan selamat untuk didiami melalui pelaksanaan Program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin. Terdapat dua (2) jenis bantuan di bawah program ini iaitu baik pulih rumah dan bantuan bina baharu rumah tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan. Di tahun 2023, Kerajaan Negeri Selangor telah berbelanja sebanyak RM1.994 juta bagi membantu 38 buah rumah keluarga. Program Rumah Kerajaan Prihatin ini diteruskan di tahun 2024 dengan peruntukan RM2 juta dan diletakkan di bawah Portfolio Pembasmian Kemiskinan yang merupakan salah satu portfolio baharu yang diwujudkan. Fokus utama akan diberikan kepada permohonan bantuan baik pulih rumah bagi memastikan lebih ramai rakyat dapat dibantu dan menerima manfaat dengan peruntukan sedia ada.
SKIM MESRA
Skim Mesra merupakan inisiatif Kerajaan Negeri yang amat bermakna buat golongan warga emas dan golongan OKU yang berada di Negeri Selangor. Setelah penjenamaan semula Skim Mesra Usia Emas di tahun 2023 yang kini dikenali sebagai Skim Mesra, inisiatif khusus ini terdiri daripada dua (2) komponen atau kategori, pertama Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan yang kedua Skim Mesra Insan Istimewa (SMIS). Ahli yang berdaftar akan menerima dua (2) jenis manfaat iaitu baucar beli-belah RM150 tiap-tiap tahun dan khairat kematian bernilai RM500 kepada waris berdaftar. Sehingga kini, seramai 547,269 telah didaftarkan sebagai ahli untuk menikmati manfaat skim ini. Program Skim Mesra ini melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM37.5 juta. Kerajaan Negeri akan menambah baik program ini melalui digitalisasi sistem Skim Mesra agar pemohon dapat mendaftar dan penebusan baucar boleh dibuat secara dalam talian. Penambahbaikan ini akan memberi dan menyingkatkan masa sekali gus memudahkan akses permohonan terhadap status permohonan dan penebusan baucar.
PROGRAM DANA BANTUAN GUAMAN SELANGOR
Kerajaan Negeri telah wujudkan Inisiatif Dana Bantuan Guaman Selangor (DBGS) yang merupakan pemberian subsidi Kerajaan Negeri untuk membiayai kes-kes guaman bagi golongan B40. Bermula 2024, inisiatif Dana Bantuan Guaman Selangor akan diperluaskan kepada kes-kes syariah bagi isu-isu keluarga dan perkahwinan bagi rakyat Selangor yang terdiri daripada kelompok kategori B40 dan kurang berkemampuan. Kerajaan Negeri menyedari bahawa subsidi kos guaman berjumlah RM1,500.00 adalah sangat rendah dan sangat kecil mencukupi untuk menampung kos-kos pemfailan dan kos-kos yang lain yang terlibat. Oleh itu, Kerajaan Negeri telah menaikkan pemberian subsidi program bantuan guaman ini kepada RM3,000.00 bagi setiap kes dengan kelayakan pendapatan bulanan isi rumah pemohon dinaikkan daripada RM3,000.00 sebulan kepada RM5,000.00 sebulan. Program Dana Bantuan Guaman Selangor ini akan melibatkan implikasi sebanyak RM1 juta.
EKONOMI PENJAGAAN (CARE ECONOMY)
Menerusi Rancangan Selangor Pertama (RS-1) kita komited untuk mengutamakan keperluan sosioekonomi rakyat bagi menjamin kehidupan rakyat yang berkualiti selari dengan pertumbuhan ekonomi negeri yang lestari. Antara sektor penting yang harus diberikan perhatian ialah ekonomi penjagaan kerana sektor ini dilatari oleh dua isu utama yang memberi kesan multi-dimensi sekali gus memudaratkan golongan rentan yang berada di bawah penjagaan khusus kanak-kanak, warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU). Antara isu yang dihadapi ialah pekerja sektor penjagaan yang tidak berbayar (unpaid care work) yang lazimnya dilakukan oleh wanita. Selain itu, kerja penjagaan kurang upah (underpaid care work) dihadapi oleh pekerja sektor perkhidmatan seperti pekerja kesihatan, pekerja di pusat penjagaan dan pendidikan kanak-kanak serta pekerja sosial di pusat penjagaan warga emas dan OKU.
Hal ini memberikan kesan kepada perkembangan diri dan kerjaya individu yang terbabit. Bagi menangani isu ini, Kerajaan Negeri akan membangunkan Dasar Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor yang holistik supaya aspek ekonomi dan penjagaan diintegrasikan mengambil kira isu multi-dimensi dan golongan sasar yang pelbagai. Oleh itu, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM1 juta bagi penyediaan, pembentukan dan pelaksanaan dasar baru bagi Ekonomi Penjagaan.
PEMBANGUNAN WANITA DAN KELUARGA
Kerajaan Negeri mengakui bahawa golongan wanita adalah antara pihak yang paling terkesan akibat tekanan ekonomi global yang merangkumi aspek sosial, ekonomi dan kesihatan. Justeru, Kerajaan Negeri terus komited memberikan fokus kepada aspek kesejahteraan dan pembangunan wanita. Komitmen ini dibuktikan menerusi gerak kerja pemberdayaan wanita di akar umbi melalui Pusat-Pusat Wanita Berdaya di
seluruh 56 DUN, pemerkasaan kepimpinan wanita melalui Akademi Kepimpinan Wanita (AKW) Selangor dan penubuhan Wanita Berdaya Selangor (WBS).
Sebanyak RM4 juta akan diperuntukkan kepada Wanita Berdaya Selangor (WBS) melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Wanita dan Keluarga untuk menjalankan pelbagai program dan aktiviti untuk golongan wanita di negeri ini. Selain itu, WBS juga memainkan peranan penting sebagai badan pemikir dan menjalankan kajian polisi berkaitan wanita demi memastikan semua program dan dasar yang digagaskan untuk golongan wanita mampu membantu dan memberdaya golongan wanita di segenap peringkat. WBS juga telah menjalankan projek khusus Pengarusperdanaan Gender (Gender Mainstreaming) bagi memastikan pembangunan yang inklusif dengan mengintegrasikan perspektif gender ke dalam perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penilaian semua pelan, dasar, bajet dan program pentadbiran kerajaan. Projek yang melibatkan partisipasi jabatan-jabatan kerajaan ini akan masuk kohort ke-3 pada tahun 2024 di mana sehingga kini seramai 21 orang telah dilantik sebagai Gender Focal Point (GFP) dan Gender Focal Team (GFT) di jabatan/ agensi berkenaan. Bagi pelaksanaan tahun 2024, projek ini akan ditambah baik dan diperluas ke seluruh 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri Selangor.
Kerajaan Negeri juga akan meneruskan inisiatif khusus untuk wanita iaitu Program Pembelajaran Sepanjang Hayat atau Biasiswa Wanita Berdaya Selangor kepada individu yang terpilih untuk menyambung pelajaran di peringkat diploma, sarjana muda, sarjana malah sehingga ke peringkat Doktor Falsafah dalam pelbagai bidang. Biasiswa ini mensasarkan golongan wanita yang berada di pelbagai peringkat kepimpinan organisasi dan lapangan. Sehingga kini, seramai 24 orang penerima biasiswa ini dari batch pertama dan batch kedua sedang melanjutkan pelajaran di Open University Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia.
Kerajaan Negeri turut prihatin antara impak ketara pasca pandemik yang lalu adalah peningkatan kes keganasan rumah tangga. Statistik menunjukkan peningkatan kes domestik violence keganasan rumah tangga telah meningkat sebanyak 8% pada tahun 2023 berbanding tahun 2020.
Justeru, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM50 ribu bagi meneruskan Talian Hotline Keganasan Rumah tangga yang dikendalikan oleh WBS yang juga dikenali sebagai Talian SELamat. Bagi menambahbaikkan inisiatif ini, Kerajaan Negeri pada tahun 2024 juga akan memperuntukkan sejumlah RM100 ribu bagi meneruskan pemberian Geran Rumah Perlindungan Wanita. Harapan kita, dengan sedikit suntikan dana ini dapat membantu melengkapkan ekosistem perlindungan kepada para pemandiri ataupun mangsa kes keganasan rumah tangga.
Golongan Orang Kurang Upaya adalah golongan yang sentiasa dekat di hati Kerajaan Negeri dan pelbagai inisiatif kerajaan negeri telah dilaksanakan menyentuh khusus
kepada golongan ini. Selangor menjadi negeri pertama yang menubuhkan Majlis Tindakan OKU pada tahun 2018, yang kita namakan sebagai Majlis Tindakan OKU Selangor (MTOS). Di bawah Majlis tindakan ini, pelbagai program dan inisiatif telah dijalankan khusus untuk golongan OKU dalam usaha memastikan kebajikan dan kesejahteraan golongan OKU di negeri ini sentiasa terbela. Bagi memastikan semua usaha ini dapat diteruskan, peruntukan sejumlah RM250 ribu diperuntukkan di tahun 2024 bagi membangunkan dokumen Pelan Tindakan Mesra OKU 2024-2026, seterusnya menambah baik pelaksanaan program pembangunan OKU di negeri Selangor.
Bagi menambah baik perkhidmatan terhadap golongan OKU, Kerajaan Negeri melihat terdapat keperluan untuk mengembangkan fungsi Jabatan Anak Istimewa Selangor (ANIS) yang selama ini telah menjadi pelaksana utama kepada semua inisiatif yang berkaitan seperti Bantuan Khas ANIS, Didik ANIS, Akademi ANIS, Pusat Sokongan Intervensi ANIS dan juga Pra Sekolah ANIS.
Untuk tujuan ini, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Wanita dan Keluarga telah meluluskan penubuhan Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS) di bawah MBI dengan peruntukan sejumlah RM5 juta ringgit sebagai kos penubuhan dan pelaksanaan program-program utama sepanjang tahun 2024. Penubuhan YANIS juga adalah selaras dengan Matlamat ke-2 Rancangan Selangor Pertama bagi mempertingkatkan inklusif sosial dan kesejahteraan masyarakat di mana tumpuan khas diberikan terhadap kumpulan sasar, Orang Kelainan Upaya ataupun OKU.
Selain meneruskan inisiatif dan program-program sedia ada Anak Istimewa Selangor (ANIS) yang sebelum ini tertumpu kepada kumpulan sasar di bawah 18 tahun, YANIS juga akan memperluas perkhidmatan kepada golongan Orang Kelainan Upaya tanpa mengira had umur di mana fokus juga diberikan kepada program pendidikan, latihan dan pendayaupayaan agar mereka mampu mandiri dan mendapatkan peluang pekerjaan yang lebih baik.
KEBAJIKAN ORANG ASLI ATAU ORANG ASAL
Kerajaan Negeri mempunyai peranan yang besar dalam merencanakan dasar dan program tertentu bagi memastikan masyarakat orang asal lebih berdaya saing dalam arus globalisasi yang kian mencabar kini. Justeru, pada tahun 2024, peruntukan sebanyak RM500 ribu khusus bagi kebajikan masyarakat Orang Asal. Selain itu Kerajaan Negeri turut akan memberi perhatian kepada menaik taraf infrastruktur sekolah-sekolah dalam perkampungan orang asal bagi memberi keselesaan kepada pelajar dan guru sekolah di samping menjamin keselamatan mereka sepanjang sesi persekolahan.
Dalam memastikan masyarakat orang asal mendapat kesejahteraan dan keselesaan dalam arus globalisasi, Kerajaan Negeri turut akan memperuntukkan sejumlah RM1
juta pada tahun 2024 bagi memberikan tumpuan kepada membina, membaik pulih dan menaik taraf kedaifan kediaman di dalam perkampungan orang asal. Pewartaan tanah bagi tanah-tanah kawasan Orang Asli dan kawasan rayau mereka juga tidak dilupakan. Justeru, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sejumlah RM1 juta untuk aktiviti tahun 2024 bagi pewartaan tanah-tanah perkampungan Orang Asli dan termasuk kawasan rayau mereka dan ini akan menjadikan keseluruhan peruntukan untuk Orang Asli di tahun 2024, adalah sebanyak RM2.5 juta jumlah tertinggi dalam sejarah belanjawan-belanjawan negeri Selangor.
PROGRAM KEBUDAYAAN
Program-program telah dilaksanakan sepanjang tahun 2023 dengan memberi fokus kegiatan dan aktiviti seni dan kebudayaan negeri melalui pemerkasaan program-program menjadi identiti kepada kebudayaan negeri termasuklah Program Rentak Selangor, program kebudayaan orang asal dan program silang budaya yang bertujuan untuk mengangkat dan melestarikan identiti negeri Selangor.
Justeru, di tahun 2024 Kerajaan Negeri akan menganjurkan beberapa program utama peringkat negeri yang memberi fokus memartabatkan elemen kebudayaan negeri Selangor seperti Pertandingan Keroncong Antarabangsa Negeri Selangor, Pesta Rentak Selangor, serta program kebudayaan tradisi lain dan warisan bagi menyerlahkan kepelbagaian identiti dan keunikan seni budaya yang membentuk keperibadian negeri ini.
Penganjuran program-program kesenian dan kebudayaan ini serta kerjasama NGO-NGO penggiat seni dan budaya negeri Selangor akan dimanfaatkan dengan peruntukan RM2 juta di tahun 2024.
ADAT ISTIADAT DAN WARISAN MELAYU
Bagi memastikan adat Melayu dan warisan Negeri Selangor terus terpelihara, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM6 juta di tahun 2024 bagi tujuan ini. Melalui Unit Perancang Ekonomi dan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT), tahun 2024 menyaksikan beberapa penaiktarafan muzium-muzium, penyelidikan adat Melayu dan warisan serta pewartaan warisan sebagai identiti Negeri Selangor.
Di tahun 2024, warisan tekstil telepuk akan diangkat untuk diwartakan sebagai Telepuk DiRaja bagi memastikan seni telepuk menjadi identiti seni warisan negeri Selangor. Pada tahun hadapan juga pihak PADAT akan melaksanakan kerja-kerja konservasi dan naik taraf Muzium Tekstil Negeri Selangor selain kerja menaik taraf Muzium Sultan Alam Shah yang dijangka siap pada pertengahan tahun 2024.
GAGASAN RUMPUN SELANGOR
Negeri Selangor ini cukup unik dengan kepelbagaian demografinya yang merangkumi pelbagai lapisan masyarakat, daripada penduduk asal dan Orang Asal, sehingga kepada perantau ke seluruh negara, bahkan ada juga dari luar negara, yang bekerja, bermastautin dan menjadi sebahagian daripada rakyat Selangor. Terjemahan demografi yang unik dan pelbagai ini menjadikan Selangor sebagai “Mini Malaysia”. Bagi meraikan kepelbagaian dan menyemarakkan semangat perpaduan bermula di peringkat akar umbi, Kerajaan Negeri akan memperkenalkan Gagasan Rumpun Selangor.
Antara, satu siri Karnival dan Jelajah Perpaduan Rumpun Selangor akan dijalankan di kesemua 9 daerah di Negeri Selangor dan bersifat sektoral dan melibatkan penglibatan pelbagai jabatan dan agensi Negeri dan Persekutuan untuk memberi impak dan sentuhan yang tinggi kepada masyarakat. Pelbagai aktiviti utama dan tambahan akan dirancang untuk memastikan ianya menyentuh segenap lapisan masyarakat.
Antara program-program yang akan dilaksanakan adalah seperti jualan murah, sukan rakyat, saringan kesihatan percuma, roadshow atau turun padang bagi mempromosi pelbagai inisiatif dan program rakyat cetusan Kerajaan Negeri dan Persekutuan, gotong-royong perdana, program bimbingan kerjaya dan usahawan, rumah perpaduan, dan pelbagai lagi. Peruntukan sebanyak RM4.5 juta daripada pihak Kerajaan Negeri dan selebihnya RM3 juta akan dikongsi oleh Pihak-pihak Berkuasa Tempatan dan pejabat Daerah untuk menjayakan program Rumpun Selangor.
PEMBERDAYAAN EKONOMI DAN PEMBANGUNAN DESA
Bagi memberdaya ekonomi desa, sudah tiba masanya fokus diberikan untuk benar-benar mengenal pasti identiti ekonomi tempatan di kampung-kampung. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri akan memperkenalkan program Jejak Eko Desa Selangor dengan mengenal pasti jenis aktiviti ekonomi tempatan yang berpotensi tinggi untuk dikomersialkan sebagai identiti kampung di samping mengadakan kursus-kursus kemahiran secara percuma kepada komuniti desa untuk melatih dan seterusnya menjana pendapatan seterusnya peningkatan kemahiran.
Di samping usaha-usaha untuk meningkatkan ekonomi komuniti desa, Kerajaan Negeri akan memberi penekanan dalam pembangunan insan dan pemeliharaan identiti kampung tradisi yang telah menjadi adat dan budaya setempat melalui program-program kemasyarakatan yang akan dilaksanakan. Program-program dan Projek di bawah Pembangunan Desa dan Ekonomi Kampung Tradisi ini akan dimanfaatkan dengan perbelanjaan sebanyak RM4 juta di tahun 2024.
CUKAI HIBURAN
Bagi terus menyokong industri kreatif tempatan, Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha pengecualian Duti Hiburan bagi membantu artis tempatan dan merancakkan industri pelancongan. Selaras dengan pembentangan Belanjawan Persekutuan oleh Perdana Menteri yang mengiktiraf langkah pengecualian yang telah dimulakan pihak Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri Selangor akan meneruskan dasar tersebut pada tahun 2024 seperti berikut. Bersetuju meneruskan pemberian insentif Duti Hiburan kepada pemain industri bagi tahun 2024 iaitu
Pertama, pengecualian penuh Duti Hiburan bagi aktiviti pertunjukan pentas bertiket bagi artis tempatan yang dilaksanakan bermula 2022 akan diteruskan pada tahun 2024. Kedua, meneruskan pengurangan kadar Duti Hiburan daripada 25% kepada 10% bagi aktiviti pertunjukan pentas bertiket bagi artis antarabangsa. Ketiga, menetapkan kadar Duti Hiburan 8% bagi aktiviti pertunjukan pentas bertiket yang melibatkan hibrid ataupun campuran artis dari negara antarabangsa serta artis tempatan. Dan keempat, aktiviti live music dan live band yang tidak bertiket akan dikecualikan secara penuh daripada Duti Hiburan.
Pada ketika ini, Kerajaan Negeri tidak mengenakan Duti Hiburan bagi aktiviti busking tidak bertiket bagi memberi peluang serta menggalakkan penggiat seni untuk terus mencungkil bakat dan potensi kreatif selain mencari sedikit rezeki untuk keperluan kehidupan mereka.
Kita sampai ke teras terakhir iaitu Teras Keempat, iaitu Mengangkat Kesatuan Ummah. Islam menjadi teras penting dalam pentadbiran Kerajaan dan sejak azali menjadi cahaya yang menjadi inspirasi yang membentuk cara hidup dan budaya kehidupan di negeri ini. Kerajaan Negeri komited untuk menyokong pembangunan dan pemerkasaan institusi berkaitan agama Islam dan dalam masa yang sama menyuburkan aspek keilmuan yang mengangkat nilai-nilai keadilan, kebajikan dan juga keberkatan. Pada bulan April tahun 2023 Kerajaan Negeri Selangor telah berjaya menganjurkan Festival Turath Islami buat julung kalinya. Kita bersyukur dapat menjemput ulama terkemuka dunia seperti Al-’Allamah Sheikh Dr ‘Ali Jum’ah, Al’Allamah Habib Umar bin Hafidz dan Kiai Haji Said Aqil Sirodj untuk bersama-sama membincangkan tentang karya Ihya’ ‘Ulumuddin oleh Imam Al-Ghazali.
Kejayaan festival tersebut wajar diteruskan dan dikembangkan supaya lebih ramai masyarakat Islam mendapat manfaat daripadanya. Sehubungan dengan itu satu sekretariat tetap akan ditubuhkan bagi menganjurkan Festival Turath Islami pada tahun depan dan juga meluaskan program-program pengajian kitab turath ke seluruh daerah-daerah di Negeri Selangor. Untuk maksud tersebut RM2 juta diperuntukkan pada tahun 2024.
PEMERKASAAN INSTITUSI FATWA NEGERI
Jabatan Mufti Negeri Selangor mempunyai peranan yang penting sebagai salah satu daripada tonggak institusi pentadbiran Islam di negeri ini. Di samping tugas utamanya mengeluarkan fatwa, memberikan khidmat nasihat, menghasilkan garis panduan dan penerbitan, Jabatan Mufti juga bertanggungjawab menjalankan penyelidikan dan kajian sejajar dengan perubahan zaman yang serba mencabar ini. Bagi mengukuhkan dan memperkasakan institusi fatwa di negeri ini, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM500 ribu untuk memastikan institusi Mufti Negeri Selangor diperkasakan dengan kajian research yang boleh dikongsikan kepada penduduk dan masyarakat ramai.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, PEMBAIKAN ASRAMA PELAJAR SELANGOR DI MESIR
Sebanyak RM200 ribu bagi menjaga kebajikan dan menyediakan kemudahan yang kondusif kepada sejumlah 156 orang pelajar yang kini menginap di rumah Selangor yang pertama pertama ataupun asrama Selangor di Mesir, Kerajaan Negeri akan melaksanakan baik pulih asrama tersebut. Bangunan asrama yang digunakan semenjak 1992 akan diperuntukkan sebanyak RM 200 ribu bagi tujuan baik pulih yang akan dilaksanakan.
TABUNG AMANAH PEMBANGUNAN DAN PENGURUSAN PELAJAR TIMUR TENGAH
Menjunjung titah DYMM Tuanku Sultan Selangor agar pengurusan wakaf dapat diperkasakan di Negeri Selangor, Kerajaan Negeri berhasrat untuk bersama-sama dengan Jabatan Agama Islam Negeri, Perbadanan Wakaf Selangor dan Lembaga Zakat Selangor untuk terus meningkatkan dan mengembangkan pelaburan wakaf dalam pembangunan aset Negeri melalui pewujudan Tabung Amanah Pembangunan dan Pengurusan Pelajar Timur Tengah bagi tujuan pembelian Rumah Selangor yang Kedua dan rumah-rumah yang seterusnya bagi tujuan asrama pelajar-pelajar kita di Timur Tengah.
Sehubungan itu, sebagai permulaan, Kerajaan Negeri akan memulakan suntikan dana sebanyak RM5 juta ke dalam tabung ini dan Insyaallah kita yakin dapat mengumpul sekitar RM30 juta di akhir tahun 2024 untuk melengkapkan pembelian rumah kedua yang lebih dekat dengan Universiti Azhar yang untuk memberikan pendidikan yang lebih mudah dan lebih selesa kepada anak-anak kita yang akan menduduki kawasan tersebut. Membudayakan wakaf ini akan diteruskan dan fokus akan ditambah dengan usaha-usaha mengembangkan harta wakaf di masa depan.
Ahli-Ahli Yang Berhormat,
INSENTIF HAJI SELANGOR
Saban tahun, Kerajaan Negeri menerima sambutan yang amat menggalakkan berkenaan Insentif Haji Muassasah Selangor. Pada tahun lalu, jemaah Haji Muassasah diberikan Wang tunai RM500 bagi membantu mereka dalam melaksanakan ibadah Haji di Baitullah. Dalam Tawaran Kita Selangor, Kerajaan Perpaduan turut bermatlamat meluaskan insentif ini dari wang saku kepada subsidi untuk bakal-bakal Dhuyufurrahman ataupun mereka yang bakal menjadi tetamu Allah. Kerajaan Negeri melalui MBI meningkatkan peruntukan bagi Insentif Muassasah tahun ini yang bernilai RM 1.5 juta kepada RM3 juta.
Dan InsyaAllah, kita akan mewujudkan dua kategori. Kategori pertama iaitu untuk mereka yang perlu dan ingin ke sana dan tidak layak langsung akan dibiayai penuh melalui bantuan RM3 juta yang kita siapkan dan sebahagiannya dalam bentuk subsidi di antara RM1000 hingga RM1500 ke dalam akaun-akaun Tabung Haji dan sekali gus mengurangkan kos penunaian ataupun menunaikan ibadah haji Dhuyufurrahman bagi negeri Selangor. Bantuan ini akan dijalankan dengan Kerajaan Negeri dan sudah pasti senarai dan penelitian akan dibuat bersama-sama dengan Lembaga Urus Tabung Haji.
PEMBINAAN KOMPLEKS ISLAM DI GOMBAK PERMAI - RM25 JUTA
Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dan mengambil perhatian berkenaan keperluan umat Islam terutamanya keadaan masjid yang menjadi tempat untuk umat Islam beribadah dan melakukan pelbagai aktiviti kemasyarakatan. Sebagai contoh Masjid An Nur di Kampung Melayu Wira Damai, yang agak uzur dan tidak sesuai lagi menampung jumlah kariah yang semakin bertambah.
Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri akan membina Kompleks Islam Gombak Permai. Pembinaan kompleks ini akan merangkumi pembinaan sebuah masjid, sebuah blok kuarters imam dan bilal serta dua buah blok sekolah rendah agama yang baharu. Pembinaan kompleks ini juga akan memberi manfaat dan keselesaan beribadat serta pendidikan agama Islam yang lebih baik kepada semua penduduk setempat.
Pembinaan kompleks Islam ini dengan anggaran berjumlah keseluruhannya RM25 juta akan dilaksanakan oleh PNSB dan adalah menjadi harapan Kerajaan Negeri agar pembinaan kompleks Islam ini akan menjadi salah satu mercu tanda di Daerah Gombak dan di Negeri Selangor.
Kebersihan adalah sebahagian daripada iman. Inilah nilai yang harus kita terjemahkan sebagai seorang muslim dalam seluruh aspek kehidupan kita. Lebih penting lagi
aspek kebersihan ini haruslah kita tonjolkan termasuk di masjid-masjid yang menjadi tumpuan untuk beribadah. Kerajaan Negeri telah mengenal pasti 14 buah masjid di lokasi-lokasi jalan utama dan stategik yang mengalami kerosakan tandas dan perlu kepada pembaikan segera. Untuk maksud ini sebanyak RM700 ribu akan diperuntukkan bagi tahun 2024.
Melalui Belanjawan 2022 dan 2023, Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan secara one-off berjumlah RM5 juta untuk meringankan beban ibu bapa dengan pemberian subsidi yuran KAFAI berjumlah RM30 sebulan. Peruntukan ini telah diagihkan dengan jayanya kepada 296 institusi KAFAI seluruh Selangor pada tahun 2022 dan pertengahan tahun 2023. Bantuan ini telah berjaya menyelesaikan isu tunggakan yuran bulanan bagi 22,226 ribu orang murid B40 di Negeri Selangor.
Bagi meringankan beban ibu bapa dan melancarkan urusan pembelajaran murid-murid, Kerajaan Negeri bersetuju untuk meneruskan inisiatif pemberian subsidi yuran KAFAI. Bayaran tersebut akan digunakan bagi menampung pembayaran utiliti termasuk sewaan premis, baik pulih bangunan, penyelenggaraan, kemudahan akses internet dan elaun guru-guru rakyat.
Usaha ini diharap menjadi suntikan dan galakan kepada masyarakat agar terus menyediakan pendidikan agama Islam untuk anak-anak mereka daripada usia 7 hingga 12 tahun di Negeri Selangor khusus maksud tersebut RM5 juta lagi akan diperuntukkan di tahun 2024 sebagaimana tahun 2023.
Kerajaan Negeri menyokong penuh usaha JAIS dalam menubuhkan akademi literasi al-Quran. Justeru itu, Kerajaan Negeri bercadang untuk memperluaskan Program Pengajian Bersijil Akademi Literasi Al-Quran Selangor secara berperingkat bermula di tiga daerah di Negeri Selangor iaitu Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Sepang.
Untuk memperluaskan program ini ke daerah-daerah lain, Kerajaan Negeri bersetuju untuk memperuntukan sejumlah RM1 juta bagi pelaksanaan peringkat kedua (satu daerah satu masjid) di daerah Gombak, Sabak Bernam termasuk memperkasa program sedia ada di Masjid Negeri bagi daerah Petaling. Peruntukan ini bagi menampung kos melantik tenaga pengajar, cetakan bahan pengajaran dan pembelajaran serta kos fasiliti.
Inisiatif ini dijangka memanfaatkan rakyat di kawasan luar bandar dan bandar di negei Selangor untuk menyertai program pengajian Al-Quran yang diajar oleh guru-guru bertauliah.
Ketika ini terdapat 438 buah masjid di Negeri Selangor. Jumlah ini akan bertambah secara berperingkat dari tahun ke tahun masa ke semasa seiring dengan pelaksanaan Rancangan Pembangunan Lima (5) Tahun atau Rancangan Selangor. Pada peringkat
awal kesemua pentadbiran masjid di Negeri Selangor ditadbir oleh Jawatankuasa Kariah Masjid yang diketuai oleh nazir.
Walau bagaimanapun di tahun 2012, Majlis Agama Islam Selangor telah membuat anjakan dan perubahan kaedah pengurusan masjid dengan memperkenalkan sistem Masjid Pengurusan di semua Masjid Daerah dan Masjid Diraja di Negeri Selangor. Masjid Pengurusan adalah satu kaedah pentadbiran dan pengurusan masjid yang diwujudkan di bawah Subseksyen 104(3) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) tahun 2003. Melalui kaedah ini, masjid akan dikendalikan oleh seorang Pengurus dalam Gred S41, dan Penolong Pengurus dengan Gred S29 dan dua orang Pembantu Pengurus dengan Gred S19.
Pada tahun 2015 sebanyak 13 buah masjid baru juga telah dipilih oleh MAIS untuk dinaik taraf sebagai masjid pengurusan. Keputusan ini dibuat dengan hasrat untuk meningkatkan kecekapan pentadbiran, pengurusan kewangan dan pengimarahan masjid sejajar dengan kepesatan pembangunan Negeri Selangor dan menjadikan masjid sebagai institusi ummah yang mampu menggerakkan usaha pembangunan rohani dan penyatuan ummah.
Menilai impak keberkesanan sistem masjid pengurusan yang telah dilaksanakan, maka MAIS selaku entiti yang bertanggungjawab dalam menetapkan dasar dan ketetapan pengurusan masjid telah menaik taraf sebanyak 12 buah masjid kariah untuk dinaik taraf sebagai masjid pengurusan. Usaha yang baik ini telah disusuli dan disokong oleh pihak Kerajaan Negeri Selangor pada tahun 2019 yang bersetuju untuk menaik taraf 10 buah masjid kariah yang lain untuk dijadikan masjid pengurusan. Ini menjadikan keseluruhan sehingga Oktober 2023 terdapat 47 masjid pengurusan di Negeri Selangor.
Sehubungan dengan itu, sebagai tanda sokongan terhadap usaha pihak MAIS dan dokongan oleh pihak Kerajaan Negeri untuk meningkatkan kecekapan pengurusan masjid yang profesional di Negeri Selangor selaras dengan hasrat dan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, maka Kerajaan Negeri Selangor bersetuju meluluskan cadangan menaik taraf sebanyak 20 buah masjid kariah pada tahun 2024 sebagai masjid pengurusan dengan kos tambahan RM2 juta yang akan digunakan di tahun 2024 dan disambung di tahun-tahun seterusnya.
Tuan Speaker,
Belanjawan tahun ini mengangkat hasrat perpaduan, cita-cita kemajuan serta kemampuan Negeri Selangor untuk mandiri; berdiri bagaikan sebuah lokomotif ekonomi serta kebudayaan Malaysia. Inilah makna Bersekutu Bertambah Mutu dalam jata negara.
Kita berpendirian sebuah negeri yang aman dan membawa kesejahteraan kepada keimanan, tasamuh - toleransi antara kaum serta mengangkat harakat bangsa dan melaksanakan keadilan terutamanya membela rakyat miskin, mustad’afin dan juga yang terpinggir. Perpaduan tidak boleh dibangunkan di atas puing-puing kebatilan dan pengkhianatan. Ianya mesti dibangunkan di atas paksi kebenaran dan keyakinan yang sejati.
Sebagai Menteri Besar Negeri Selangor, ya saya mahu orang Melayu bersatu-padu. Saya juga mahu orang Melayu hebat dan perkasa, bersatu dengan seluruh rakyat Malaysia. Saya mahu nyatakan bahawa orang Melayu adalah pribumi negara ini, manakala seluruh warganegara Malaysia adalah setara sebagaimana yang ada dalam perlembagaan. Cita-cita inilah yang dituangkan ke dalam Belanjawan Negeri 2024, cita-cita perpaduan dan kemajuan.
Bukanlah sesuatu yang asing untuk kita tekankan pendirian sebegini. Pada tahun 1974, selepas terbentuknya Barisan Nasional, di tengah kehangatan perdebatan Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan kekalutan pergolakan serantau seperti Perang Vietnam, para seniman muda ketika itu yang diketuai oleh seorang seniman bernama Latiff Mohidin ataupun Pak Latiff Mohidin, telah meluncurkan Manifesto Generasi Anak Alam.
Dengan izin Tuan Speaker, saya nukilkan manifesto yang diungkapkan dalam bentuk puisi itu:
tidak ada perbatasan keturunan, warna kulit, kepercayaan, usia, jantina dan ukuran rambut, bagi generasi anak alam.
Lihatlah bagaimana Latiff Mohidin, berbekalkan keyakinan sebegini, menjulang tinggi sebagai pelukis tersohor negara ini. Karyanya menjadi rujukan di muzium serta galeri dan peminatnya menghiasi rumah-rumah mereka dengan karya beliau.
Pada tahun 2018, muzium terkenal di Paris, Pompidou telah mengadakan pameran khusus Pago-Pago karya Latiff Mohidin. Ianya merupakan suatu pengiktirafan buat dunia seni negara ini. Karya Latiff Mohidin berakar dalam lingkungannya sebagai seorang anak Minang dan Malaysia serta Asia Tenggara yang merantau jauh ke bumi Eropah serta bergelut bersama-sama budayawan seumpama Goenawan Mohamad dan Thawan Duchanee. Selain lukisan, Pak Latiff juga merupakan seorang penterjemah terbilang yang telah menterjemahkan karya filasuf besar Jerman; Johann Wolfgang von Goethe.
Negeri Selangor mahukan sosok begini menjadi contoh kepada rakyatnya, berjaya samada di dalam negeri dan di luar negeri namun berakar watan, nusa dan bangsa. Sosok yang berkeyakinan tinggi bersaing samada di dalam mahupun luar negara dan tetap setia dengan jati diri. Perpaduan mestilah juga berteraskan dengan cita-cita sebegini bukanlah berbaurkan sentimen dan kebencian.
Perpaduan sebegini yang ikhlas dan Insya-Allah akan berjaya bukan yang dipenuhi intrik dan agenda terpendam, tetapi perpaduan yang berhasrat menjadikan bumi Selangor ini negeri yang berjaya, berjaya bukan sahaja sebagai negeri nombor satu Malaysia tetapi negeri yang mempunyai kapasiti menjadi juara di Asia Tenggara.
Inilah jenis perpaduan yang rakyat Selangor mahukan demi terus memajukan dan menjadikan negeri ini negeri yang berjaya.
Dalam keadaan ketidaktentuan di setiap pelusuk dunia; Amerika Syarikat dengan pemilihan Presiden yang bakal berlangsung serta dengan ketidakkonsistenan prinsip kemanusiaan, Eropah yang sedang bergelut dengan kebangkitan far-right.
Negara China pula menghadapi cabaran ekonomi yang semakin perlahan serta syarikat pengusaha perumahan mereka yang antara paling besar di dunia sudah mungkin kemungkinan bankrap. Manakala Rusia masih sedang meneruskan impian mereka untuk menakluki Ukraine. Kedua-dua negara ini sedang bertarung seumpama ‘Cold War Partners’; Rusia dengan Amerika Syarikat melalui Perang Dingin sehingga akhir abad ke-20, dan pertarungan China dan Amerika sebagai ‘The New Cold War.’
Dengan semua ketidaktentuan ini, benua Asia Tenggara yang terletak di tengah-tengah antara Amerika Syarikat dan China dan mempunyai 680 juta penduduk, sedang berkembang pesat dan mampu sampai ke hadapan dengan cara pentadbiran yang bukan diasaskan atas niat memecah-belahkan masyarakat, tetapi kekuatan Asia Tenggara selain kedudukan strategik adalah perpaduan dan kebersamaan dalam kepelbagaian. Walaupun berbeza faham, walaupun bukan satu bangsa, tetapi kita boleh menjadi nusa ataupun bangsa ASEAN. Pelabur dari Eropah, dari China, dari Amerika Syarikat, dari Korea dan Jepun, semua akan memilih Asia Tenggara sebagai pilihan utama pelaburan.
Kita di ASEAN harus belajar dari pengalaman di Eropah dan benua lain yang membiarkan agen pemecah-belah untuk terus berkembang dan jadi mangsa kepada politik yang hanya berteraskan identiti. Di Eropah, mereka mengujakan ‘Never Again’ selepas Perang Dunia Kedua dan Perang Dingin dengan kejatuhan Tembok Berlin. Di ASEAN, pegangan kita haruslah ‘Never in ASEAN’ supaya Perpaduan, pendekatan pimpinan yang pragmatik, realistik, serta bervisi, melihat kepentingan perundingan dalam politik dan bukannya politik sebagai zero-sum game.
Itulah yang menjadi asas mengapa saya yakin bahawa dekad ini adalah Abad Asia Tenggara; this is the Southeast Asian Century.
Ya betul, sudah pasti akan ada persaingan di antara kita. Vietnam dan juga Indonesia yang mendepankan tawaran ibukota Nusantara dan sebagainya dengan wilayah kawasan pembangunan baharu, tetapi saya percaya Selangor mampu berada dalam posisi paling strategik dan kedudukan tepat untuk menjadi negeri paling maju di bukan sahaja di wilayah Nusantara, tetapi Asia Tenggara. Selangor mampu untuk capture the hearts and minds of Malaysians termasuklah dari Sabah dan Sarawak.
Dan Belanjawan ini adalah usaha yang akan memacu perjalanan kita pada landasan yang tepat di masa depan.
Taufan dan kabut tidak terduga, Pancangkan pasak setiap rumah, Rakyat berilmu berpadu tenaga, Negeri aman dipayung Rahmah.
Tampan soldadu tegak berdiri, Teguh setia barisan hadapan, Negeri dan warga berciri mandiri, Kejayaan dipacu kalis cabaran.
Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya mohon mencadangkan Belanjawan 2024.
Tuan Speaker, saya menyokong.
Ahli-ahli Yang Berhormat, cadangan ini telah pun disokong. Saya ingin mengalu-alukan juga untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat bahawa hari ini terdapat tiga lawatan ke Dewan Negeri Selangor untuk menyaksikan pembentangan Belanjawan Selangor 2024. Pertama daripada Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Hulu Selangor, Ahli Parlimen Belia Malaysia Selangor dan Kelab Belia Sentosa Rawang seramai 12 orang diketuai oleh Encik Mohd Haziq Iswan bin Mohd Husni. Begitu juga daripada rombongan seramai 6 orang dari Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Seri Serdang yang diketuai oleh Encik Islahuddin bin Ismail dan juga daripada Persatuan Kesihatan Mental Selangor seramai 8 orang diketuai oleh Encik Mohan Citran. Saya ucapkan selamat datang ke Dewan Negeri Selangor.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya suka ingin juga memaklumkan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat bahawa pada bulan lepas saya telah pun mengadap (di perkenan untuk mengadap) Tuanku Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor untuk membawa titah
(pesanan daripada Tuanku) kepada Ahli-ahli Yang Berhormat agar sentiasa menjaga imej baik Dewan Negeri Selangor termasuk hadir ke Persidangan Dewan dengan pemakaian kod pakaian yang telah pun ditetapkan.
Ahli-Ahli Yang Berhormat, bersesuaian dengan Peraturan Tetap 66(2) sesudah dibacakan Rang Undang-undang Perbekalan Kali Yang Kedua, perbahasan hendaklah ditangguhkan tidak kurang daripada satu jam. Oleh itu, perbahasan ini ditangguhkan dan Dewan akan sambung semula pada 14 November 2023 jam 10 pagi. Saya ucapkan selamat bercuti dan selamat menyambut hari Deepavali kepada semua yang meraikannya dan kita jumpa tepat pukul 10 pagi Selasa depan. Dewan ditangguhkan.
(DEWAN DITANGGUHKAN PADA JAM 6.04 PETANG)