Selangor · 17 November 2023
15th Assembly, 1st session, 2nd meeting · 416 turns · 34,794 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalSelangor publishes one PDF per sitting day; recent ones are drafts (Draf Penyata Rasmi). Full written answers are published for 2018-19 only.
(Pembukaan)
Selamat pagi dan salam sejahtera. Aturan urusan mesyuarat bagi Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor ke-15 pada 17 November 2023 dimulakan dengan bacaan doa.
Bacaan Doa.
Pertanyaan-Pertanyaan LisanQuestions
Aturan urusan mesyuarat seterusnya. Pertanyaan-pertanyaan.
Bandar Baru Klang.
Selamat pagi Tuan Speaker. Soalan 39.
Pertanyaan-Pertanyaan Lisan — Teknologi Pemodenan PertanianQuestions
a) Apakah inisiatif dan usaha kerajaan bagi meningkatkan pendapatan rakyat dengan pertanian pemodenan bandar?
b) Bagaimanakah kerajaan boleh meningkatkan pengeluaran produk makanan dengan pertanian pemodenan bandar seperti akuakultur yang atas blok pangsapuri atau kebun komuniti di tanah lapang?
Terima kasih Yang Berhormat Bandar Baru Klang, terima kasih Tuan Speaker. Bandar Baru Klang bertanyakan soalan berhubung dengan inisiatif dan usaha kerajaan bagi meningkatkan pendapatan rakyat dengan pertanian pemodenan bandar.
Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan dasar Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA) 2021 hingga 2025 bagi memajukan sektor pertanian dengan lebih teratur dan tersusun. Dasar ini memberikan penekanan kepada sektor pertanian yang mampu menghasilkan pulangan tinggi menerusi kaedah moden dan berteknologi tinggi serta mesra alam. Objektif utama PeTA ini, pertama ialah meningkatkan produktiviti iaitu meningkatkan pengeluaran hasil segar
dan tahap sara diri atau pun Self Sufficiency Ratio (SSR). Kedua, ialah meningkatkan sumbangan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dalam Sektor Pertanian Dan Makanan dan meningkatkan pendapatan golongan Agropreneur atau Usahawan Tani. Ketiga, menarik minat terutamanya anak-anak muda dan wanita untuk terlibat langsung dalam Sektor Pertanian Dan Juga Makanan. Jadi, di bawah program ini ada satu kluster yang kita panggil sebagai Program Agro Komuniti di mana terdapat pelaksanaan program-program agro bandar ataupun urban punya agricultural yang kita telah perkenalkan dan kita telah pun laksanakan. Di dalam itu ada dua komponen besar. Yang pertama, ialah pelaksanaan program Kebun Komuniti yang kita bekerja sama dengan Pihak Berkuasa Tempatan dan kita sentiasa mengadakan pertemuan untuk melihat bagaimana kebun-kebun komuniti di kawasan-kawasan bandar di kawasan PBT ini didaftarkan dahulu di bawah PBT dan kita telah kenal pasti dan kita telah laksanakan program-program bantuan dan sokongan bagi meningkatkan hasil. Dan untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat yang lain mereka telah berjaya. Kebun komuniti di Selangor ini walaupun nampak macam kecil sebenarnya besar memberi sumbangan sayur-sayur, buah hampir 64 tan setahun dan kita bukan sahaja membantu mereka ini untuk dijayakan melalui Pihak Berkuasa Tempatan tetapi juga membantu memasarkan dengan menyediakan ruang-ruang di Pasar Tani untuk mereka memasarkan produk-produk mereka.
Dalam masa yang sama juga Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pertanian dan juga agensi lain di bawah Jawatankuasa Tetap Pertanian, kita juga memperkenalkan juga program-program yang di bawah Kerajaan Negeri sendiri yang mana kita memperkenalkan program-program agro bandar lain contohnya tanaman melon yang kita telah mulakan dan juga semalam yang kita telah berikan dalam bentuk Udang Lobster itu sebenarnya adalah hasil usaha daripada Program Bandar dan kita telah berjaya dan tahun depan kita akan perluaskan. Itu adalah di bawah Program Agropreneur Development di kawasan-kawasan bandar. Kawasannya kecil, dia hanya perlukan kontena ataupun tank-tank fiber ini dan diusahakan secara moden menggunakan 100% IoT, Internet Of Thing. Ini semua telah berjaya di Hulu Langat yang semalam itu, yang akan kita perluaskan di kawasan dan daerah-daerah yang lain. Jadi kita telah meneliti dan melihat kewajaran yang mana yang di bawah kebun komuniti, satu yang mana di bawah Kerajaan Negeri ada lagi dan juga kerjasama dengan Kementerian Ekonomi di bawah Program Inisiatif Pendapatan Rakyat. Itu pun kita telah laksanakan di Petaling Jaya dan akan diperluaskan juga untuk tahun yang akan datang ini.
Dan pihak Kerajaan Negeri juga, kita telah meminta kerjasama daripada semua pihak PBT untuk mengenal pasti tanah-tanah di kawasan bandar yang sesuai untuk kita perkenalkan dan pihak MBPJ, Majlis Bandaraya Petaling Jaya telah memulakan program-program mengenal pasti tanah-tanah yang termasuk di bawah rentis TNB ini yang telah kita mulakan dan kerjasama itu bukan sahaja melibatkan kebun komuniti tetapi juga tempat-tempat tertentu itu. Kita kerjasama dengan pihak swasta untuk memajukan sebagai pertanian tetapi kita syaratkan pihak swasta ini kena mengambil
kira membangunkan agropreneur anak-anak muda dan wanita untuk terlibat sama dalam pembangunan Agro Bandar ini. Sekian, terima kasih.
Permatang
Soalan tambahan. Terima kasih Tuan Speaker. Saya ingin bertanya adakah Kerajaan Negeri bercadang untuk memanfaatkan tanah-tanah milik anak-anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor yang belum digunakan contohnya seperti di UNISEL Bestari Jaya untuk tujuan pertanian dan adakah cadangan untuk melibatkan penduduk setempat untuk menjalankan pertanian di tempat tersebut?.
Terima kasih Yang Berhormat Permatang. Itu yang saya sebutkan tadi dalam satu kluster di bawah PeTA, Pelan Transformasi Agro itu ada lagi dua. Satu di panggil Agro Siswa dan satu lagi Agro Sekolah. Makna kita masuk sampai ke sekolah. Saya dapati ada sekolah-sekolah di Selangor ini yang tanahnya agak luas.
Saya beri contoh di kawasan saya sendiri lah di Sekolah Kebangsaan Cheras Indah. Tanah dia luas dan mereka telah usahakan pertanian cuma kita bantu mereka untuk pertingkatkan lagi hasil pertanian ini supaya lebih berfokus dan juga dapat meningkatkan hasil. Jadi termasuk juga universiti yang kita akan mulakan kita telah kenal pasti termasuk UNISEL. UNISEL ini bukan sahaja mereka terlibat dalam pertanian tetapi mereka juga ada telah mengusahakan ladang untuk ternakan keli yang mengeluarkan benih-benih keli. Itu pun saya telah berbincang dan kita telah bagi sokongan dan bantuan untuk mereka perluaskan lagi skop penglibatan mereka.
Dan saya juga hendak memaklumkan di sini dalam kita mengenal pasti Selangor ini, tanah kita agak terhad sebab itu kita kena manfaatkan tanah kecil pun. Tapi dengan teknologi moden ini yang penggunaan greenhouse atau pun range shelter punya konsep ini, kita boleh hasil. Kita dapati, kita buat kajian dalam kawasan tanah yang sama luas kita boleh tingkatkan hasil tiga kali ganda. Kawasan sama secara konvensional dan secara moden. Cara moden ini dia boleh meningkatkan tiga kali ganda yield dia, sebab dia ada vertical farming dan hidroponik dan sebagainya jadi kita telah mulakan. Kita akan perluaskan tahun hadapan untuk tanaman dan juga pertanian yang bernilai tinggi. Itu saya sebutkan termasuklah contohnya pelaksanaan MelonSel, Selangor yang benih telah dilancarkan oleh Permaisuri kita dahulu telah mula mendapat populariti. Kalau di Sabak sekarang ini memang popular MelonSel (Melon Selangor) ini bernilai 1kg dalam RM15. Itu sangat tinggi dan permintaan tinggi di sana dan kita akan perluaskan.
Cuma masalah satu lagi di Selangor ini tanah-tanah terbiar yang ini kita tengah fikirkan bagaimana hendak dimanfaatkan tanah-tanah terbiar terutama di kawasan di Hulu Selangor, di Sabak Bernam dan banyak tanah-tanah terbiar ini yang kita tidak
mempunyai bidang kuasa untuk nak masuk, nak bantu mereka. Tetapi kita akan fikirkan bagaimana kita boleh manfaatkan sebab di keadaan sekarang ini semua tanah yang ada itu adalah sangat penting untuk kita manfaatkan dalam pertanian terutamanya pertanian bernilai tinggi. Terima kasih
Soalan tambahan.
Sijangkang
Terima kasih Tuan Speaker. Saya ingat Yang Berhormat EXCO sudah memulakan ataupun sudah membincangkan dalam penggal yang lalu menggunakan tanah-tanah kerajaan atau pun GLC yang tidak diguna pakai dan di Selangor pun kita ada bank tanah dan saya ingat dan soal tanah itu tidak menjadi isu. Saya harapkan pada tahun ini (2023) ada peruntukan yang di ‘untuk’ kan untuk tujuan tersebut. Kalau tidak, sepenggal pun kita tak dapat mengusahakan ini. Saya harapkan ada bentuk peruntukan yang disediakan pada tahun ini dan mungkin ada perancangan untuk melibatkan belia lebih ramai lagi yang terlibat, berminat dalam agro pertanian.
Yang Berhormat soalan tak ada. Ada soalan tak?
Soalan saya tiada.... peruntukan pada tahun ini.
Apakah peruntukan yang diperuntukkan pada tahun ini?.
Ya.
Y.B. TUAN IR. IZHAM BIN HASHIM
: Sebenarnya Yang Berhormat Sijangkang ya untuk makluman bahawa dalam PeTA ini kita bukan sahaja bercakap benda-benda baru nak buat. Ada benda yang kita telah berjaya buat seperti contohnya udang. Kita telah berjaya kita akan perluaskan jadi ada benda yang baharu dirancang dan ada juga benda yang telah dilaksanakan. Saya beri contoh macam SSAP, Sungai Air Tawar. SSAP, Sungai Air Tawar 120 ekar ni dah pun mula. Sekarang ini kalau kita pergi ke sana telah mula 50 ekar untuk nurseri matag dan untuk penanaman betik dan juga pertanian moden nanas dan juga ada dah mula dilaksanakan, dah ditanam.
Jadi kita telah melibatkan pelbagaikan agropreneur untuk anak-anak muda untuk terlibat sama di sana. Dan Sungai Panjang dalam proses tanah, berkaitan isu tanah untuk disiapkan, Bukit Changgang pun kita dah mula, untuk dilaksanakan. Jadi bukan semuanya dalam perancangan. Yang mana kita dah rancang kita laksanakan. Yang saya bercerita ini benda-benda yang akan kita perluaskan untuk masa akan datang termasuklah Agro Bandar yg disebutkan tadi. Terima kasih.
...Peruntukan tahun ini ada, Yang Berhormat? Yang diunjurkan untuk tahun ini?
Bukit Melawati.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Soalan Bukit Melawati No.40.
Pertanyaan-Pertanyaan Lisan — Bekalan Beras TempatanQuestions
a) Apakah status bekalan beras tempatan di seluruh Negeri Selangor mencukupi?
b) Apakah pelan dan tindakan Kerajaan Negeri dalam mengawal selia bekalan dan harga beras tempatan?
c) Berapakah jumlah pengagihan stok beras tempatan yang dibekalkan kepada setiap DUN khususnya di Bukit Melawati?
Terima kasih Yang Berhormat Bukit Melawati dan juga terima kasih Tuan Speaker. Bukit Melawati bertanyakan soalan berhubung dengan isu Status Beras yang menjadi tajuk panas kebelakangan ini dan ingin tahu apakah tindakan Kerajaan Negeri dalam menangani isu beras ini. Untuk makluman Yang Berhormat, bagi Negeri Selangor status bekalan beras bagi Negeri Selangor ini buat masa ini adalah mencukupi dan kita masih mempunyai 20,000 tan beras yang available, yang ada dalam tanpa menyentuh stok penimbal. Tanpa menyentuh stok penimbal 60,000 tan itu ya.
Jumlah beras yang diperlukan untuk rakyat Selangor ialah di sekitar 45,000 tan sebulan. Jadi kalau dikira dalam setahun 540,000 tan diperlukan beras bagi Negeri Selangor dan kita tahu bahawa keupayaan negara dalam menguruskan beras di keperluan beras ialah di sekitar 62% sahaja makna selebihnya kita import. Dan dua hari lepas saya ada bermesyuarat bersama dengan Menteri Pertanian dan juga EXCO Pertanian negeri-negeri lain dimaklumkan bahawa untuk jangka pendek ini beras BPI (Beras Putih Import) telah pun disenarai semula sebagai beras tempatan untuk kegunaan untuk melayakkan subsidi maka telah diperkenalkan. Sebab ketidakcukupan beras tempatan.
Jadi kapasiti, masalahnya kapasiti pengeluaran beras di Selangor hanya di sekitar 138,903 tan sahaja setahun. Bukan semusim. Setahun jadi dua kali kalau dibahagi hanya di sekitar 4 ke 4.5 tan sehektar. Sangat rendah. Kita pernah mencapai tahap di sekitar 7 ke 8 tan sehektar sebelum ini dan telah menurun kepada hanya sekitar 4.6 tan sehektar sahaja kini. Jadi agak rendah dan kalau kita kira berdasarkan sekarang ini disekadar ini kita memerlukan empat kali ganda untuk keperluan kita. Makna empat kali ganda. Kita perlukan 540,000 tan yang mana kita produce hanya di sekitar 138,000 tan jadi makna empat kali ganda keperluan beras bagi negeri Selangor. Dan selama ini pun tidak mencukupi tetapi kita kira dari segi negara di sekitar 62% keperluan kita yang selebihnya kita import. Itu telah jadi trend yang agak lama ya.
Cuma dari segi isu yang timbul banyak nya ialah isu pengagihan ini yang kita telah berbincang sebab tanggungjawab untuk menguruskan beras ini di bawah Jabatan Selia Beras ini yang di bawah Kerajaan Persekutuan. Kita telah panggil ke Mesyuarat EXCO pun kita panggil untuk dia bentangkan dan mengikut laporannya memang tidak ada isu. Memang ada satu ketika itu isu kekurangan, tetapi telah diatasi.
Cuma masalah pengagihan. Sebab itu kita minta supaya Jabatan Selia ini sendiri beras ini pun telah minta kalau ada aduan dipanjangkan dan mereka akan atasinya. Kita pun telah menggunakan PKPS juga sebagai Kerajaan Negeri bawah kami, agensi PKPS untuk sama-sama membantu bukan sahaja dalam program JER itu yang kita peruntukkan beras-beras ini di setiap-setiap DUN, tetapi juga di tempat outlet dia, di bawah 4 tempat ada 4 tempat di seluruh Negeri Selangor yang pun kita bekalkan beras-beras ini untuk di kegunaan rakyat. Ini yang kita lakukan. Terima kasih.
Soalan tambahan.
Sabak, Sabak, Sabak.
Terima kasih. Soalan tambahan. Sebagaimana saya sebut dalam ucapan saya juga, hasil dalam sekitar 4 ke 5 tan. Kalau 4 tan saya percaya ramai petani akan surrender. Jadi soalan saya ialah apa strategi kerajaan untuk melakukan peningkatan dalam masa yang terdekat bukannya planning untuk jangka panjang tetapi dalam masa yang terdekat untuk peningkatan.
Terima kasih. Yang Berhormat sebenarnya saya dah prepare untuk jawab dalam penggulungan. Sebab ini tajuk dah kira lari dan juga panjang tajuk ini untuk kita bentangkan. Sebenarnya Kerajaan Negeri memang meneliti, melihat sebenarnya, apa sebenarnya punca padi ini kenapa padi ini satu-satunya makanan penting bagi kita, tetapi juga satu tanaman yang paling banyak masalah.
Yang Berhormat kalau dalam penggulungan nanti.
Jadi saya akan bawa nanti dalam penggulungan nanti mengenai isu padi ini. Terima kasih.
Boleh ringkaskanlah. Hulu Bernam.
Terima kasih Tuan Speaker, soalan saya bernombor 41.
Hulu Bernam tak bawa pantun ke?. Silakan. Baik Kinrara.
Pertanyaan-Pertanyaan Lisan — 41. Bas Smart SelangorQuestions
41. Bertanya kepada Y.A.B. Dato' Menteri Besar:-
a)
Apakah status terkini capaian program Bas Smart Selangor?
b)
Apakah rancangan Kerajaan Negeri untuk menambah baik program ini?
c)
Adakah terdapat perancangan untuk tidak lagi meneruskan program ini?
Tuan Speaker, sejak mula perkhidmatan Bas Smart Selangor diperkenalkan, jumlah penumpang yang menggunakan Bas Smart Selangor sehingga September 2023 telah mencapai pengguna sehingga 60,000,000 orang penumpang. Meskipun perkhidmatan Bas Smart Selangor ini mendapat sambutan yang menggalakkan, jumlah penumpang bukanlah kayu ukur untuk menentukan keberhasilan kejayaan program ini memandangkan matlamat Smart Selangor bukanlah bertujuan untuk mendapatkan keuntungan. Sebaliknya objektif Bas Smart Selangor ini adalah untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam oleh semua lapisan masyarakat, di samping dapat mengurangkan bebanan kewangan bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang menggunakan perkhidmatan awam di dalam urusan hariannya. Kerajaan Negeri mahu sistem pengangkutan awam di negeri ini terus diperkasakan supaya menjadi sistem pengangkutan pilihan pertama untuk rakyat Negeri Selangor.
Inisiatif Mobiliti Selangor yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Selangor merupakan satu pendekatan yang pragmatik untuk meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam dan mobiliti di negeri Selangor. Melangkah ke hadapan, tiba masanya Kerajaan Negeri mencari solusi yang lebih proaktif bagi mencapai sasaran penggunaan pengangkutan awam yang lebih tinggi. Penjenamaan baru sistem pengangkutan awam Selangor kini akan dikenali sebagai Mobiliti Selangor iaitu satu sistem pengangkutan awam yang menggabungkan semua aspek pengangkutan di bawah satu bumbung dan dipandu dengan penganalisaan data. Sebagai sebuah negeri yang bertunjangkan kebajikan dan keprihatinan kepada rakyat, Program Smart Selangor yang bertujuan untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dan bermatlamat untuk mengurangkan bebanan kewangan bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana akan terus dilaksanakan. Walau bagaimanapun, keperluan perkhidmatan di bawah program Smart Selangor ini akan diteliti dan diselaraskan dari semasa ke semasa dengan mengambil kira penyatuan atau kombinasi bersama beberapa mod pengangkutan lain yang terkandung dalam Mobiliti Selangor. Sekian, terima kasih.
Soalan tambahan.
Hulu Bernam.
Terima kasih Yang Berhormat EXCO di atas penjelasan yang diberikan. Jadi Yang Berhormat EXCO ada menyebut matlamat Bas Smart Selangor ini adalah untuk mengurangkan bebanan B40 dan juga menggalakkan pengangkutan awam di kalangan masyarakat di Selangor. Jadi untuk makluman Yang Berhormat EXCO, Hulu Bernam tidak dapat manfaat daripada khidmat Bas Smart Selangor ini, jadi keterhubungan warga penduduk di kawasan awam sangat terhad melalui pengangkutan awam. Soalan saya adakah Kerajaan Negeri ada perancangan mengkaji semula laluan Bas Smart Selangor untuk memasukkan Hulu Bernam dalam laluan Bas Smart Selangor supaya warga di Hulu Bernam juga boleh mendapat manfaat daripada Bas Smart Selangor ini. Terima kasih.
Pihak Kerajaan Negeri Selangor mengalu-alukan cadangan daripada Yang Berhormat Hulu Bernam sekiranya ada kawasan Yang Berhormat rasa sesuai boleh kemukakan cadangan melalui Majlis Perbandaran Hulu Selangor. Sebenarnya di PBT, Majlis Perbandaran Hulu Selangor telah ada menawarkan perkhidmatan Bas Smart Selangor tetapi mungkin tidak sampai lagi ke kawasan yang dimaksudkan oleh Yang Berhormat Hulu Bernam. Tak apa, tetapi Yang Berhormat boleh bagi cadangan melalui Majlis Perbandaran Hulu Selangor. Terima kasih.
Tuan Speaker, soalan tambahan.
Kota Damansara.
Yang Berhormat EXCO, untuk Bas Smart Selangor ini ada dia punya requirement salah satunya ialah 12 km daripada kawasan PBT. Jadi ada setengah-setengah kawasan terutamanya di kawasan- kawasan luar bandar ataupun pinggiran bandar yang melebihi 12 km menyebabkan mereka juga tidak mendapat nikmat daripada Bas Smart Selangor. Jadi saya memohon kepada pihak EXCO untuk membincang kembali untuk melebihkan jaringan itu.
Baik. Sebenarnya tiada satu syarat yang dikenakan yang bawa bas itu mesti 12 meter. 12 meter kan? Kilometer? 12 kilometer, ya. Kenapa kita ada satu had ataupun satu kawalan supaya dia tidak terlalu jauh. Kerana kita perlu mengawal masa, masa menunggu bas dan masa perjalanan bagi sesebuah bas tersebut. Jadi, kalau kita nak memanjangkan jarak perjalanan itu maka masa tunggu itu akan menjadi panjang juga. Sekiranya ada permintaan di kawasan baru, kita boleh menambah laluan yang baru ataupun menggunakan konsep yang baru iaitu DRT, Demand Responsive Transit di kawasan kampung ataupun kawasan yang mempunyai jalan yang lebih sempit. Terima kasih.
Sungai Panjang.
Kota Kemuning.
Tuan Speaker, soalan saya nombor 42.
Pertanyaan-Pertanyaan Lisan — 42. Infra Kampung TradisiQuestions
42. Bertanya kepada Y.A.B. Dato' Menteri Besar:-
a)
Apakah perancangan Kerajaan Negeri terhadap hal ehwal kampung tradisi, khasnya berkenaan infra dan penyelenggaraan kawasan?
b)
Adakah peluang untuk serahkan tanah kampung kepada PBT bagi urusan penyelenggaraan?
Terima kasih Tuan Speaker, terima kasih Kota Kemuning. Kerajaan Negeri sentiasa komited terhadap perkembangan bagi Projek Pembangunan Desa di Negeri Selangor. Sehubungan itu, bagi tahun 2024 sejumlah RM2 juta akan diperuntukkan di bawah Vot P01/02006, naik taraf baik pulih jalan luar bandar khas untuk naik taraf jalan-jalan luar bandar di semua daerah Negeri Selangor serta peruntukan berjumlah RM2 juta di bawah Vot P01/02005, kemudahan awam asas desa. Bagi projek-projek naik taraf dan baik pulih balai raya dan kemudahan awam luar bandar yang lain, ini semua di dalam daerah Negeri Selangor. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri sentiasa mengalu-alukan permohonan bagi projek pembangunan desa dan akan menilai dari segi keperluan dan keadaan semasa bagi pelaksanaannya.
Bagi soalan kedua berhubung penyerahan tanah kampung kepada Pihak Berkuasa Tempatan yakni PBT. Bagi urusan penyelenggaraan secara amnya pelupusan tanah kepada PBT boleh dibuat dengan beberapa kaedah seperti berikut :
i. Bagi tanah kerajaan, pelupusan boleh dibuat secara Lesen Pendudukan Sementara di bawah Seksyen 65, Kanun Tanah Negara atau secara pewartaan di bawah Seksyen 62, Kanun Tanah Negara yang mana, permohonan perlu dibuat oleh PBT kepada Pejabat Daerah dan Tanah iaitu PDT. ii. Bagi tanah rizab yang telah diwartakan, pelupusan boleh dibuat secara pajakan di bawah Seksyen 63, Kanun Tanah Negara yang mana permohonan perlu dibuat oleh PBT kepada Pejabat Tanah dan Galian iaitu PTG.
Terima kasih Tuan Speaker.
Soalan tambahan.
Soalan tambahan.
Ya, Kota Kemuning.
Terima kasih Yang Berhormat atas maklumat yang diberikan berhubung dengan perancangan pembangunan desa bagi tahun hadapan. Cuma saya berpendapat bahawa peruntukan yang diberikan adalah agak kecil berbanding dengan jumlah 373 kampung tradisi khususnya untuk kemudahan awam yang usang seperti balai-balai raya yang memerlukan baik pulih dan penyelenggaraan secara berkala. Soalan saya Yang Berhormat, adakah Kerajaan Negeri akan turut bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk
mendapatkan bantuan di dalam pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur luar bandar di Selangor ini.
Terima kasih Yang Berhormat Kota Kemuning atas soalan tambahan berkenaan. Untuk agenda projek pembangunan di Negeri Selangor sememangnya kita tidak hanya semata-mata bergantung kepada peruntukan Kerajaan Negeri. Malahan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan juga adalah amat penting untuk kita saling melengkapi keperluan pembangunan desa dan ini bukan hanya untuk Negeri Selangor bahkan untuk negeri-negeri lain. Justeru memandangkan kini pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri adalah selari, Kerajaan Negeri akan menjalinkan kerjasama erat dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di dalam perancangan dan pelaksanaan projek pembangunan desa di Negeri Selangor.
Sebagai tambahan, untuk makluman Ahli Dewan pada 11 Oktober baru-baru ini saya telah mewakili Kerajaan Negeri ke Mesyuarat Penyelarasan antara Yang Amat Berhormat Menteri Kemajuan Desa Wilayah dan EXCO-EXCO Luar Bandar yakni MEXCLUB. Semasa mesyuarat berkenaan saya telah membentangkan strategi pembangunan luar bandar Negeri Selangor yang merangkumi 4 fokus iaitu modal insan, infrastruktur, ekonomi dan keusahawanan serta penyampaian perkhidmatan. Kerajaan Negeri akan terus mengadakan perbincangan susulan dengan pihak KKDW termasuklah bersama Pengarah KKDW Negeri Selangor di dalam merencana agenda pembangunan di Negeri Selangor. Terima kasih Yang Berhormat.
Speaker, soalan tambahan.
Ya silakan.
Yang Berhormat EXCO saya ingin menarik sedikit perhatian adakah ada pelaksanaan yang berbeza contohnya di tempat saya kita mempunyai kampung tetapi di dalam kawasan bandar dan di mana kawasan kampung ini kepadatannya juga berbeza dengan kawasan kampung-kampung di kawasan luar bandar. So approach terhadap penyelenggaraan infrastruktur ini dia sedikit berbeza sebab kita perlukan kos tambahan. Adakah ada approach tambahan yang boleh kita laksanakan untuk kawasan sebegini. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Batu Tiga. Sudah pasti kita akan membuat penilaian sekiranya ada keperluan mengikut setiap daerah yang kita lihat perlunya ada penambahan kerja. Terima kasih.
Batang Kali.
Terima kasih Tuan Speaker. Salam Perikatan Nasional. Indah warna si ikan laga, soalan saya nombor 43. Tak masuk ya?
Tak apa, siapa yang jawab?. Taman Templer jawab.
Pertanyaan-Pertanyaan Lisan — 43. Inisiatif Kerajaan Membantu Golongan Ibu TunggalQuestions
43. Bertanya kepada Y.A.B. Dato' Menteri Besar:-
a)
Apakah rancangan Kerajaan Negeri Selangor dalam membantu golongan Ibu Tunggal yang tiada pendapatan tetap bagi menampung kesinambungan hidup mereka?
b)
Berapakah jumlah Ibu Tunggal miskin yang berjaya dibantu oleh Kerajaan Negeri mengikut tahun sejak 2021 sehingga bulan Jun 2023?
Leka dengar pantun. Terima kasih Yang Berhormat Batang Kali. Tuan Speaker jawapan ini akan dijawab bersekali dengan soalan nombor 353 (a) dan (b) daripada Yang Berhormat Permatang. Kerajaan Negeri menerusi Pusat Wanita Berdaya (PWB) di setiap DUN melaksanakan pelbagai usaha memberdaya wanita termasuk golongan ibu tunggal. PWB menyediakan 2 modul iaitu Pembangunan Kapasiti dan Kemahiran yang dapat membantu wanita meningkatkan tahap sosioekonomi dengan menjana pendapatan. Modul-modul tersebut mencakupi program seperti latihan asas keusahawanan, pengurusan kewangan, seni kraf tangan, hiasan dalaman, perusahaan makanan dan minuman, Program 5R dengan izin Reuse, Recycle, Reject, Repair, Reduce, laman tani dan landskap serta pelbagai program lain yang bersesuaian dengan keperluan wanita. Selain itu, Kerajaan Negeri menerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Keusahawanan dan Jawatankuasa Tetap Kemiskinan telah menyediakan pelbagai insentif dan bantuan bagi memastikan golongan sasar termasuk ibu tunggal agar mampu menjana ekonomi untuk meningkatkan taraf kehidupan mereka. Antara insentif dan bantuan yang disediakan ialah program bantuan blueprint pembasmian kemiskinan, geran Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS) dan sebagainya. Bagi soalan (b), pada tahun 2022, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Wanita Berdaya Selangor (WBS) telah menyediakan sebuah inisiatif berupa geran program pembangunan ibu tunggal Selangor sebagai menyuntik semangat golongan ibu
tunggal agar dapat melaksanakan program-program pembangunan di kawasan masing-masing.
Geran ini diberikan kepada Persatuan Ibu Tunggal yang telah melalui proses penilaian, saringan dan memenuhi kriteria yang telah ditetapkan di setiap DUN seluruh Selangor. Sebanyak 16 persatuan ibu tunggal telah berjaya menerima peruntukan geran pada sesi yang lalu dan seramai 925 orang peserta telah menerima manfaat dari pelaksanaan program-program yang diadakan. Golongan ibu tunggal juga menerima manfaat daripada Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor iaitu BINGKAS dan bantuan ini bertujuan bagi meringankan beban kos sara hidup terutama mereka yang berpendapatan rendah bagi menampung keperluan kehidupan asas yang semakin mencabar pada masa kini. Setakat Oktober 2023, seramai 6,993 orang ibu tunggal menerima manfaat daripada program BINGKAS. Sekian.
Soalan tambahan.
Terima kasih. Dewan mengalu-alukan juga kehadiran rombongan PWB Dun Banting Tahun 2021- 2023 seramai 7 orang yang diketuai oleh Pengerusi Cik Lim Sia Ping ke Persidangan Dewan pada pagi yang Mulia ini, juga diikuti oleh Ahli Majlis dan MPP Zon Jalan 15 Majlis Perbandaran Kuala Langat. Saya jemput Batang Kali untuk bertanyakan soalan tambahan.
Soalan tambahan. Apakah strategi dan mekanisma atau alternatif atau inisiatif Kerajaan Negeri Selangor dalam mengkategorikan ibu-ibu tunggal yang berada di Selangor mengikut kategori umur, kebolehan, kesihatan di dalam Negeri Selangor sendiri? Okay terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Batang Kali. Dalam pendaftaran penerima bantuan BINGKAS, kita adalah susulan daripada inisiatif sebelum ini yang mana bermula daripada 2017 dan ada kategori pekerjaan iaitu tidak bekerja ya. Jadi saya ada meminta supaya pihak agensi mengadakan soal selidik yang lebih terperinci. Daripada 80% kategori penerima BINGKAS tersebut adalah kategori sama ada yang masih mencari pekerjaan tempoh penerimaan bantuan bingkas diberikan juga ketika tempoh PKP dan juga kategori suri rumah dan kita bawa insentif perancangan tentang suri rumah ini termasuk dalam care economy maknanya dalam kerangka membantu ibu tunggal dan juga kategori suri rumah kita merangkumkan mereka ini dalam kategori caregivers ataupun penjaga. Jadi seperti yang saya sebut dalam beberapa jawapan soalan mulut sebelum ini, kerajaan sedang merangka iaitu kerangka tindakan ekonomi penjagaan yang mana penerima-penerima manfaat bukan sahaja berkaitan dengan penjaga warga emas tetapi juga suri rumah. Untuk maklumat Yang Berhormat Batang Kali pada 1 November yang lalu, Kerajaan Perpaduan telah memenuhi janjinya iaitu dalam manifesto menawarkan
untuk sokongan kepada wanita bekerja iaitu sejumlah 5 Juta ringgit iaitu dalam bentuk wang tunai seribu ringgit one- off kepada 5 ribu penerima ibu-ibu yang bekerja. Jadi kita bukan sahaja melihat tentang sokongan kepada suri rumah, kita mahu sokongan sebegini untuk mengembalikan wanita-wanita ke sektor pekerjaan dengan kita merangka kerangka tindakan ekonomi penjagaan caregiver itu seperti penjaga suri rumah ini kita mahu iktiraf ini berkaitan juga dengan table kali pertama sebutan kali pertama di Dewan Rakyat Rang Undang-Undang profesion pekerja sosial. Sekiranya kita mengiktiraf bahawa suri rumah juga adalah pekerja sosial yang terangkum dalam rang undang-undang tersebut, bermakna kita memartabatkan penjaga-penjaga ini. Jadi suri rumah dalam insentif-insentif yang kita akan rangka ke hadapan berada dalam care economy, sekian.
Soalan tambahan Tuan Speaker terima kasih. Adakah Kerajaan Negeri merancang untuk memberi latihan kemahiran ataupun TVET kepada ibu-ibu tunggal ini untuk salah satu cara kita membantu mereka menambahkan pendapatan. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Ijok. Seperti yang telah saya maklumkan sebentar tadi bahawa inisiatif berupa geran yang mana kita jalinkan juga di bawah program di bawah Jawatankuasa Tetap Keusahawanan sebagai contoh, kita ada dana usahawan digital yang mana kita bekerjasama dengan Sidec salah satu daripada GLC, anak syarikat Negeri Selangor di mana kita berikan platform-platform untuk ekonomi komersial secara digital kepada ibu-ibu tunggal tidak khusus ibu-ibu tunggal mana-mana usahawan wanita supaya sebagai contoh untuk persediaan hari raya tahun hadapan. Ia telah bermula pada sekarang ini November ini supaya mereka menyediakan kerangka ataupun platform marketing digital, digital pemasaran dengan website, payment gateways dan sebagainya melalui instrumen-instrumen dan geran tersebut mereka boleh melonjakkan peluang perniagaan dijangka untuk menyambut ramadhan dan raya tahun hadapan.
Sungai Kandis.
Terima kasih Tuan Speaker. Pergi mengail ikan sepat, soalan saya nombor 44.
Pertanyaan-Pertanyaan Lisan — 44. Peruntukan Jalan Dun Sungai KandisQuestions
44. Bertanya kepada Y.A.B. Dato' Menteri Besar:-
a)
Namakan jalan-jalan di sekitar DUN Sungai Kandis yang telah mendapat kelulusan peruntukan PBT dan MARRIS untuk menaik taraf jalan-jalan kampung.
Terima kasih Yang Berhormat Sungai Kandis, Yang Berhormat Tuan Speaker. Sungai Kandis bertanyakan soalan berhubung dengan peruntukkan bagi kerja-kerja penyelenggaraan atau menaiktarafkan jalan-jalan sekitar Dun Sungai Kandis. Untuk makluman Yang Berhormat, di bawah peruntukkan MARRIS kerja-kerja membaik pulih jalan-jalan kampung hanya dilaksanakan oleh Pejabat Daerah bagi rizab jalan yang berdaftar sistem MARRIS dan diluluskan Kerajaan Negeri manakala jalan-jalan bandar dan taman adalah di bawah pelaksanaan Pihak Berkuasa Tempatan. Untuk makluman Yang Berhormat juga jalan-jalan di sekitar DUN tersebut telah dapat kelulusan bagi baik pulih dan menurap tahun 2023 adalah jalan-jalan di Kampung Johan Setia, Kampung Sungai Kandis, Kampung Bukit Naga, Kampung Jalan Kebun Dan Kampung Lombong. Senarai jalan yang telah diluluskan seperti berikut. Ini panjang ya. Saya akan buat secara ringkas ya, saya akan berikan yang lengkap Yang Berhormat nanti. Saya boleh sebut di Kampung Johan Setia dalam projek turapan mega telah dilaksanakan. Seterusnya ada lagi satu di Serdang dan akan dimulakan pada awal Disember 2023. Kemudian Kampung Sungai Kandis ada tiga lokasi jalannya akan diberikan detail ya, dah siap. Ada yang akan bermula Disember di Kampung Sungai Kandis, Kampung Bukit Naga ada yang dah siap ada 3 jalan yang terlibat . Tiga, empat yang terlibat, 2 sudah siap, 2 lagi dalam pelaksanaan dalam Disember ini. Kampung Jalan Kebun ada 6, semua telah disiapkan. Kampung Lombong 1 telah disiapkan. Sekian.
Sungai Kandis..
Saya mohon untuk bertanya Jalan Sopan, jalan yang terlalu kritikal sekarang, apa ni yang perlu diambil alih agaknya bila boleh dipercepatkan untuk Jalan Sopan?
Ini agak spesifik. Tak apa bagikan nama-nama itu, saya rasa tak perlu tunggu Dewan la, saya memang sentiasa sebelum ini pun saya berhubungan dengan mana-mana wakil rakyat untuk kenal pasti dan maklum pada saya akan mengambil tindakan segera untuk memastikan tempat-tempat ini diuruskan sebab kadang-kadang kita nak tengok jalan ni kadang-kadang tak ada tuan. Ini bukan jalan pun ada yang tak ada tuan yang kita kena lihat dan kenal pasti sebelum kita ambil tindakan susulan.
Pelabuhan Klang.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker soalan Pelabuhan Klang nombor 45.
Pertanyaan-Pertanyaan Lisan — 45. Program Iltizam Selangor Sihat (PEDULI Sihat)Questions
45. Bertanya kepada Y.A.B. Dato' Menteri Besar:-
a)
Adakah Kerajaan Negeri bercadang untuk meningkatkan had siling bayaran rawatan bagi pengguna Kad Peduli Sihat?
b)
Berapakah jumlah penerima Kad Peduli Sihat yang aktif tetapi tidak menggunakan kad tersebut mengikut DUN?
Terima kasih Pelabuhan Klang. Tuan Speaker, soalan ini akan Soalan ini dijawab bersekali dengan soalan daripada N45 (Bandar Baru Klang), di mana Yang Berhormat Bandar Baru Klang No. 248 (c), bertanyakan sama ada had rawatan dapat ditingkatkan daripada RM500.00 sehingga ke RM1,000.00. Yang Berhormat sekalian, Kerajaan Negeri melihat bahawa kualiti program penjagaan kesihatan daripada golongan kurang berkemampuan harus ditingkatkan kerana kesihatan yang baik dapat membantu mereka menjalani pekerjaan harian dengan lebih baik terutama sekali kepada pemohon utama yang kebiasaannya adalah tunjang utama bagi sesebuah keluarga. Atas prinsip itu Kerajaan Negeri telah memperkenalkan program Iltizam Selangor Sihat (ISS) untuk menyediakan manfaat kesihatan yang lebih luas kepada warga Selangor yang layak. ISS merupakan program yang telah ditambah baik daripada Skim Peduli Sihat (SPS) dan Skim Insurans Peduli Sihat (SIPS) dalam menyediakan manfaat rawatan asas dan vaksinasi bernilai sehingga RM500 setahun bagi kategori keluarga dan RM250 setahun bagi kategori individu, dengan had bagi setiap rawatan adalah berjumlah RM70. Walaupun pada ketika ini tiada peningkatan had syiling bayaran rawatan, namun Kerajaan Negeri telah meluluskan penambahbaikan yang sangat signifikan, menambah manfaat program ISS dengan memperkenalkan manfaat hospitalisasi sehingga RM10 ribu dengan anggaran pelaksanaan pada Disember 2023. Manfaat hospitalisasi sehingga RM10 ribu ini belum pernah dilaksanakan di mana-mana negara lain sebelum ini kecuali Negeri Selangor. Sekali lagi Selangor menjadi meneraju dalam hal ehwal penjagaan kebajikan rakyat Selangor. Bagi soalan (b),
sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini, program Skim Peduli Sihat telah ditambah baik kepada Skim Insurans Peduli Sihat pada ketika ini, Kerajaan Negeri akan melaksanakan program Iltizam Selangor Sihat ataupun ISS dengan manfaat yang lebih luas. Jadi data-data yang akan dikongsikan adalah data program ISS. Oleh kerana senarai ahli aktif ISS mengikut DUN terlalu Panjang, saya berikan jumlah keseluruhan ahli aktif adalah 92,746 dan jumlah ahli yang tidak menggunakan rawatan asas adalah 46,269. Jadi berdasarkan jumlah ini sebanyak 50.1% yang telah menggunakan manfaat rawatan asas melalui program ISS. Ini juga bermaksud separuh lah daripada ahli aktif ISS telah menggunakan manfaat ISS. Jadinya khusus untuk makluman Pelabuhan Klang jumlah ahli aktif adalah seramai 1,700 orang manakala jumlah yang tidak menggunakan rawatan asas adalah 687 orang ataupun 40%. Bagi maklumat DUN-DUN lain, terlalu panjang nak baca satu persatu, saya rasa akan ambil 10 minit. Ini akan dihantar pada keadaan bertulis.
Bukit Gasing.
Soalan tambahan saya berkenaan RM10,000.00 untuk hospitalisation yang dijawab tadi, adakah ia hanya untuk hospital kerajaan ataupun juga boleh untuk hospital swasta? Saya sangat risau bila mereka jika masuk satu hospital swasta, bil itu akan senang melebihi RM10 ribu dan mereka kumpulan B40 ini nanti kena tanggung lebihan RM3 ke RM4 ribu. Ssaya rasa penjelasan ini amat penting dan kita kena berhati-hatilah nak perkenalkan manfaat RM10 ribu yang mungkin akan menjeratkan mereka dalam di mana situasi terdapat bil yang tidak dapat bayar.
Terima kasih Yang Berhormat Bukit Gasing, oleh kerana itu sebelum ini saya telah menjawab kepada soalan ini di mana kes kecemasan kita akan rujuk kepada hospital kerajaan. Untuk kes yang lain- lain kita benarkan hospital swasta tapi perlu dapatkan surat rujukan atau reference la daripada Selcare Clinic, klinik kesihatan ataupun hospital kerajaan ataupun rujukan daripada mungkin daripada saringan daripada SELangkah terlebih dahulu. Untuk hospital swasta, kami dalam tempoh perbincangan dengan pihak-pihak hospital swasta di mana untuk kategori penyakit ataupun keadaan yang tertentu kita akan lihat dulu anggaran kos supaya kita dapat memastikan tidak akan berlakunya kecurangan ketika kita memproses kos kepada hospital swasta. Terima kasih.
Taman Medan.
Terima kasih Yang Berhormat Speaker. Soalan tambahan saya mengenai program ini juga, mungkin sebahagian daripada program ini juga iaitu Skim Rawatan Jantung Negeri Selangor. Dalam belanjawan ini diumumkan bahawa peruntukan sebanyak RM5 juta dengan jumlah bantuan kewangan sehingga RM50 ribu. So kalau kita bahagi ini, 100 seorang sahaja yang boleh terima benda ini. Untuk Skim Rawatan Jantung Negeri Selangor. Jadi soalan
saya, kalau Yang Berhormat tak boleh jawab sekarang pun tak apa, soalan saya adalah…
Yang Berhormat, Skim Rawatan Jantung ini tiada kaitan dalam Iltizam Selangor Sihat.
Ada Yang Berhormat. Ini di dalam ISS, ini dalam ISS. Ini dalam skop ISS.
Tak apa Yang Berhormat, tanya dulu saya mungkin dapat nombor kemudian tapi saya nak clarify dan bagi pencerahan sebenarnya Skim Rawatan Jantung tidak categorize ataupun tidak dikategorikan dalam ISS.
Ya, baik Yang Berhormat baca dulu ya. Bukit Gasing.
Tadi Yang Berhormat EXCO bagi tanya.
Tidak, tidak, tidak. Sekarang Bukit Gasing.
Tuan Speaker, soalan no 46.
Yang Berhormat kena baca ya, rujuk.
Pertanyaan-Pertanyaan Lisan — 46. TvetQuestions
46. Bertanya kepada Y.A.B. Dato' Menteri Besar:-
a)
Apakah usaha dan perbelanjaan Kerajaan Negeri terkini untuk pembangunan TVET?
b)
Berapakah individu yang menerima pendidikan TVET melalui usaha ini setiap tahun untuk 5 tahun yang lepas?
Terima kasih Yang Berhormat Bukit Gasing. Terima kasih Speaker. Saya mohon izin untuk menjawab soalan 46 daripada Bukit
Gasing bersekali dengan soalan daripada Bandar Baru Klang kerana ia merujuk kepada persoalan yang hampir sama iaitu soalan berkenaan Pendidikan Teknikal dan Vokasional.
Untuk makluman Yang Berhormat, beberapa usaha-usaha yang telah kita laksanakan untuk Pembangunan Teknikal dan Vokasional di Negeri Selangor ialah menawarkan program-program di bawah Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) di Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) yang menekankan ekosistem latihan kemahiran yang berorientasi industri iaitu dari Pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM). Program IKTISASS ini boleh menjadi asas persediaan dan melengkapkan integrasi kemahiran bagi lepasan SPM dan meningkatkan kemahiran dengan kadar kebolehpasaran. Selain itu, IKTISASS juga telah menjalankan kerjasama dengan pelbagai pihak sebagai contoh DAIKEN, Perodua, Yamaha serta peralihan kepada automation dan industri 4.0 dengan kerjasama bersama dengan Siemens.Ins, FESTO , Apple.Inc, dan Dassault Systems dan tidak ketinggalan juga Technical University of Munich ataupun (TUM). Dalam pada masa yang sama, kita juga dalam kerjasama pembangunan modul bersama dengan konsultan dan industri TVET di Negeri Selangor antaranya GE Engineering bagi program aeroangkasa yang menawarkan sehingga selepas jurusan atau kelulusan daripada graduan GE Engineering ini, kita akan dapat menyediakan tawaran gaji sehingga RM4,600.00 sehingga RM4,800.00. The Welding Institute ataupun (TWI Malaysia) untuk program kimpalan dan Carsome Institute untuk program mekanik atau automotif. Program-program ini membantu pelajar mempelajari secara spesifik keperluan di setiap industri-industri yang tersebut.
Bagi menarik minat anak-anak muda menyertai bidang TVET ini, anak-anak Kerajaan Negeri juga telah menetapkan syarat yang sangat minima bagi kursus-kursus TVET di peringkat SKM iaitu asas sahaja iaitu 3M (Membaca, Menulis dan Mengira) dan juga menyediakan pembiayaan di bawah peruntukan pembangunan (P01-Program IKTISASS) untuk membantu mengurangkan kos bebanan B40 dan M40 dalam melanjutkan pendidikan dalam bidang TVET khususnya institusi di bawah Kerajaan Negeri. Dan sebagaimana saya maklumkan, kita sedang berusaha mengenal pasti kerjasama dengan sekolah-sekolah kerana kita nak pastikan bahawa Teknikal dan Vokasional Education ini tidak hanya tertumpu pada program-program pelajar yang gagal melanjutkan pelajaran di Universiti, tetapi juga pelajar-pelajar cemerlang yang boleh mengikuti pendidikan di peringkat TVET yang juga menyediakan di peringkat pendidikan tinggi. Justeru, dalam Belanjawan 2024 saya mengumumkan beberapa perkara iaitu Majlis Teknikal dan Vokasional Negeri Selangor yang akan menghimpunkan pemain-pemain industri dan juga penyedia-penyedia perkhidmatan latihan teknikal dan vokasional supaya kita boleh matchkan ataupun tidak berlaku mismatch dengan izin, terhadap keperluan-keperluan sumber tenaga manusia dan modul insan yang diperlukan oleh Kerajaan Negeri Selangor pada hari ini dan pada masa hadapan.
Secara keseluruhan tahunan, kita berbelanja RM15,300,000.00 untuk program-program TVET dan secara keseluruhan daripada 2018 sehingga 2023 iaitu pada 31 Oktober yang lepas, 3957 yang telah mendapat program atau terlibat bersama program-program kerjasama antaranya dengan Selangor Human Resources Development Centre (SHRDC), dengan TWI, dengan STDC, GE Engine dengan The Welding Institute yang saya sebutkan tadi.
Jadi kita mungkin boleh merujuk kepada beberapa institusi-institusi lain seperti kolej-kolej vokasional yang ada di Negeri Selangor. Semoga kita dapat menyediakan keseluruhan ekosistem teknikal dan vokasional yang kita perlukan termasuk apa yang saya ujakan atau apa yang saya syorkan supaya Universiti Selangor ataupun UNISEL pada hadapan menyediakan program teknikal dan vokasional di peringkat ijazah pertama, Master sehinggalah PhD dan persediaan itu akan bermula insya-Allah, pada tahun hadapan.
Meru
Tuan Speaker, soalan saya 47.
Pertanyaan-Pertanyaan Lisan — 47. Pemantapan Institusi Keluarga Generasi MudaQuestions
47. Bertanya kepada Y.A.B. Dato' Menteri Besar:-
a)
Apakah inisiatif Kerajaan Negeri untuk memperkukuhkan institusi keluarga dan ibu bapa dalam kalangan generasi muda di Selangor?
b)
Adakah terdapat sebarang insentif yang disediakan bagi membantu mengurangkan beban kos penjagaan anak yang tinggi dalam kalangan keluarga generasi muda?
Terima kasih Yang Berhormat Meru. Tuan Speaker dan Ahli Dewan yang mulia. Kerajaan Negeri Selangor melalui Wanita Berdaya Selangor telah melaksanakan Seminar Keluarga Negeri Selangor pada 21 September 2023 lalu bertemakan ‘Keluarga Akar Masyarakat”. Dapatan seminar tersebut telah menggariskan resolusi antaranya bagi menyokong penjagaan anak-anak, masa bekerja anjal, dan mempromosi tanggungjawab lelaki dan wanita.
Berpandukan resolusi tersebut Kerajaan Negeri akan merancang inisiatif dan program yang sesuai dengan keperluan keluarga khususnya bagi pasangan muda pada tahun 2024. Selain itu, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Selangor turut melaksanakan beberapa program bagi menyokong keperluan golongan muda antaranya kasih Keibubapaan digital, pemerkasaan keluarga dan komuniti (FACE), Kasih Keluarga Ceria atau Family Psychological First Aid.
Bagi soalan (b), Kerajaan Negeri Selangor telah memperkenalkan 4 Insentif bagi membantu mengurangkan beban kos penjagaan anak yang tinggi dalam kalangan keluarga khususnya generasi muda. Antaranya adalah yang Pertama, Insentif Penjagaan Anak Bagi Wanita Bekerja iaitu MamaKerja, merupakan antara janji 100 hari Kerajaan Negeri Selangor di bawah Program 5 TEKAD untuk 5 tahun. Insentif ini menawarkan bantuan kewangan secara one off berjumlah RM1,000.00 kepada 5000 ibu bekerja di Selangor bertujuan bagi menampung kos penjagaan anak serta menyokong wanita untuk berpartisan dalam sektor pekerjaan. Mama Kerja mensasarkan ibu bekerja yang mempunyai anak yang berusia 12 tahun ke bawah dan pendapatan isi rumah RM8,000.00 ke bawah.
Yang Kedua, Bantuan Asuh Pintar (ASUH), merupakan insentif penjagaan anak-anak di Taska dengan bantuan yuran bulanan sebanyak RM100 sebulan selama setahun bagi kanak-kanak berusia 4 tahun ke bawah dari keluarga pendapatan rendah iaitu RM3,000.00 ke bawah. Yang Ketiga, Skim Bantuan Tadika Selangor iaitu (TUNAS) merupakan bantuan yuran bulanan tadika berjumlah RM50.00 sebulan selama setahun, yang diberikan kepada kanak-kanak di Selangor berusia5- 6 tahun ke bawah dari keluarga berpendapatan RM3,000.00 ke bawah. Yang keempat, program Insentif Yuran Pendaftaran Taska Anak Selangor iaitu PINTAS, merupakan bantuan diberikan kepada ibu bapa bagi menampung kos yuran pendaftaran TASKA. Bantuan berjumlah RM100 diberikan secara one off kepada 1000 kanak-kanak berumur 4 tahun ke bawah dengan lingkungan pendapatan keluarga berjumlah RM5,001.00 ke RM8,000.00.
Soalan tambahan.
Ya Permatang.
Terima kasih Tuan Speaker. Adakah Kerajaan Negeri mempunyai pelan atau apa-apa insentif lain untuk menggalakkan kaedah Working From Home dengan izin Tuan Speaker, khususnya kepada pasangan muda yang mempunyai anak kecil?
Terima kasih Yang Berhormat Permatang. Berkaitan working arrangement ataupun aturan waktu bekerja termasuk masa bekerja anjal ini termasuk dalam Dasar Wanita Selangor di mana kajian dapatan termasuk kajian semula Wanita tahun 2018-2020 melibatkan beberapa perbincangan dengan Bahagian Sumber Manusia dan juga contohnya dengan MySTEP, syarikat atau
agensi-agensi yang akan mengatur dari segi pekerjaan. Dari segi cadangan, kita juga telah mencadangkan contoh working arrangement 4 hari seminggu tetapi ini masih lagi dalam perbincangan di mana ia akan melibatkan kesan impak contohnya dari segi perjawatan awam dan juga swasta. Pun begitu kami mengambil kira bahawa antara pilihan atau jalan keluar juga adalah fleksibiliti masa bekerja anjal yang diberikan untuk memberi sokongan kepada wanita bekerja khususnya yang mempunyai anak yang masih kecil.
Dusun Tua.
Soalan saya, nombor 48.
Pertanyaan-Pertanyaan Lisan — 48. Kemudahan Padang Awam/sukanQuestions
48. Bertanya kepada Y.A.B. Dato' Menteri Besar:-
a)
Apakah status baik pulih padang awam BT 14, Hulu Langat?
b)
Mohon kerajaan menambah Pusat Sukan dan Taman Rekreasi di kawasan DUN Dusun Tua memandangkan kepadatan penduduk yang memerlukan kemudahan kawasan sukan dan rekreasi untuk beriadah.
Terima kasih Tuan Speaker. Terima kasih Yang Berhormat Dusun Tua. Untuk makluman pihak Yang Berhormat Dusun Tua, Kerja-kerja Membaikpulih Padang Bola Stadium Mini Batu 14, Hulu Langat adalah merupakan salah satu projek di bawah pelaksanaan Mailis Sukan Negeri Selangor (MSNS) sebagai agensi pelaksana. Projek yang berjumlah keseluruhan RM238,299.00 ini telah mula dilaksanakan pada 2 Mei 2023 dan dijangkakan selesai pada 1 Januari 2024. Berdasarkan maklum balas yang telah diterima sehingga kini kerja-kerja penanaman rumput sedang dijalankan di padang tersebut. Secara keseluruhan, projek ini telah status mencapai 65% siap. Walau bagaimanapun, terdapat kelewatan kemajuan kerja di tapak yang disebabkan oleh faktor cuaca yang kerap hujan dan isu kelewatan pembekal rumput yang tidak dapat membekalkan rumput mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan. Walau bagaimanapun, kita dalam proses untuk menyelesaikan masalah tersebut. Terima kasih.
Hulu Kelang.
Soalan 49.
Pertanyaan-Pertanyaan Lisan — 49. Perjanjian Perdagangan BebasQuestions
49. Bertanya kepada Y.A.B. Dato' Menteri Besar:-
a)
Sejauh mana libat urus diadakan oleh Kerajaan Negeri dengan industri dan komuniti perniagaan di Selangor bagi meningkatkan pemahaman berkaitan RCEP khususnya mengenai aturan tempasal?
Tuan Speaker, aturan tempasal atau Certificate Of Origin adalah sijil yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa negara pengeksport yang secara jelas memperakui tempat asal barang. Sijil ini terbahagi kepada 2 iaitu Preferential Certificate Of Origin (PCO) dan Non-Preferential Certificate Of Origin (NPCO). Sijil ini boleh dikeluarkan oleh FFM dan dewan-dewan peniagaan yang diberi kuasa oleh MITI. Program Selangor Asean Business (SABC) antara platform yang digunakan oleh Kerajaan Negeri untuk memberi pemahaman berkenaan Regional Comprehensive Economic Partnership ataupun RCEP termasuk berkenaan aturan tempasal kepada komuniti perniagaan di Selangor. Selain itu, Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor juga turut membantu pihak syarikat-syarikat untuk mendapatkan kelulusan aturan tempasal daripada dewan-dewan perniagaan yang berkaitan di Selangor. Usaha-usaha yang dilaksanakan berkaitan pemahaman mengenai aturan tempasal ini akan terus dipertingkatkan lagi dari semasa ke semasa agar komuniti perniagaan di Selangor dapat mengambil peluang di bawah RCEP untuk mempertingkatkan lagi pasaran eksport ke luar negara.
Hulu Kelang.
Terima kasih Tuan Speaker. Saya percaya Yang Berhormat EXCO sedia maklum bahawa semenjak penguatkuasaan RCEP pada 18 Mac sehingga awal tahun ini Februari 2023, sejumlah 1,098 PCOs telah pun dikeluarkan. Apakah langkah-langkah Kerajaan Negeri untuk memastikan sebahagian besar daripada PCO ini adalah di kalangan syarikat-syarikat tempatan
daripada Negeri Selangor supaya mereka juga dapat menyumbang kepada lonjakan ekonomi Negeri Selangor. Berhubung dengan flagship program yang disebut oleh Yang Berhormat EXCO sebentar tadi, ada satu lagi program yang saya kira penting yang ingin saya bertanya kepada Yang Berhormat EXCO, apakah perkongsian maklumat berkaitan piawaian dan standard yang perlu dipatuhi oleh syarikat-syarikat tempatan berhubung dengan barangan eksport ke negara-negara RCEP dan CPTPP supaya mereka juga memenuhi standard-standard dan piawaian yang ditetapkan oleh anggota RCEP dan CPTPP. Terima kasih Yang Berhormat EXCO.
Terima kasih Yang Berhormat Hulu Kelang atas maklumat yang diberikan. Sebenarnya soalan ini telah dijawab oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar pada hari itu bahawa Kerajaan Negeri Selangor melalui Invest Selangor akan menganjurkan kursus-kursus untuk memberi latihan ataupun memberi maklumat yang terkini kepada pengusaha-pengusaha khususnya di negeri Selangor. Terima kasih.
Sijangkang.
Terima kasih Tuan Speaker. Soalan nombor 50.
Pertanyaan-Pertanyaan Lisan — 50. Program Generasi MudaQuestions
50. Bertanya kepada Y.A.B. Dato' Menteri Besar:-
a)
Apakah program-program generasi muda yang berjaya dilaksanakan berdasarkan Dasar Belia Selangor 2020 pada penggal yang lalu?
Terima kasih Tuan Speaker. Untuk makluman pihak Yang Berhormat, Dasar Belia Selangor (DBS) 2020 adalah dasar yang telah ditambah baik daripada Dasar Belia Selangor (DBS) 2015. Sepanjang tempoh pelaksanaan dasar ini, Kerajaan Negeri telah merekodkan sebanyak 153 program meliputi seluruh kawasan Dewan Negeri Selangor dan pecahan mengikut domain ataupun teras adalah seperti berikut. Daripada 153 program mungkin saya akan petik beberapa program sebagai contoh.
Untuk Teras Kebudayaan, Kreativiti dan Sukan, program antara nya Bukit Lanjan 3x3 Friendly Basketball Cup, Malam Kebudayaan Kuala Kubu Baharu dan pertandingan Bola Sepak Piala PeBS peringkat Dun Kuang. Untuk Teras Keagamaan, Kesihatan dan Kesejahteraan, antara program adalah Cycling For Mental Health Awareness 2023, Program Ibadah Qurban Perdana PeBS DUN Jeram dan Program Kasidah Selawat Nabi Dan Berbuka Puasa Bersama Anak Yatim. Untuk Teras Kepimpinan dan Literasi Politik antara program dilaksanakan adalah Movie Screening: The Children Of Heaven, dan Politikonight@ Gerakbudaya. Dan untuk Teras Pendidikan, antara program dilaksanakan adalah Program Bengkel Keibubapaan PeBS DUN Kinrara. Untuk Teras Keusahawanan dan Ekonomi Digital, Program Bengkel Pembuatan 'Preserved Flower Crystall Ball'. Untuk Teras Nasionalisme dan Patriotisme, program dilaksanakan antaranya Kembara Berbasikal PeBS DUN Morib bersama MPKK Kampung Morib. Untuk Teras Pekerjaan dan Pembangunan Kemahiran program Bengkel Gunting Rambut Anak Muda Parlimen Gombak dan Dun Sungai Tua. Untuk Teras Digital dan Media Sosial, Kursus Video Editing dan Smart Phone Capcut. Dan untuk Teras Keseimbangan Alam Sekitar Program Tayangan Dokumentari Forum Cintai Sungai. Dan akhir sekali untuk Teras Hubungan Antarabangsa dan Pemikiran Global, program Let's Hiking bersama PeBS Bukit Gasing.
Soalan tambahan:
Bukit Gasing.
Apakah status pelantikan PeBS bagi penggal ini yang masih belum dilantik sejak Jun tahun ini.
Terima kasih Bukit Gasing. Untuk makluman Yang Berhormat Bukit Gasing dan Ahli-Ahli Dewan, pelantikan PeBS yang lepas telah tamat secara automatik setelah DUN dibubarkan dan untuk lantikan PeBS yang baru, kita akan membuat pelantikan tersebut pada tahun hadapan bersekali dengan pelantikan Ahli Majlis Kerajaan Tempatan dan juga ahli-ahli, ketua-ketua kampung dan juga lantikan-lantikan yang lain. Jadi untuk tahun ini, kita akan selaraskan semula tatacara pelantikan mereka, prosedur tersebut dan akan melakukan lantikan pada tahun hadapan. Terima kasih.
Sijangkang.
Terima kasih Tuan Speaker. Saya kira antara kekangan untuk PBS ini membuat program adalah berkaitan dengan faktor kewangan, walaupun di peringkat DUN sendiri digalakkan untuk mengguna, memohon kepada DUN untuk program yang bersamaan. Cuma saya melihat programnya adalah hanya kepada teras-teras yang tertentu sahaja. Adakah apa-apa insentif daripada kerajaan bagi PeBS yang memang aktif dan dapat menggunakan peruntukan sepenuhnya diberikan sebagai satu insentif untuk program yang
seterusnya dan adakah tumpuan- tumpuan selain daripada dasar pembangunan belia di Selangor itu, program yang menekankan soal kepimpinan, aktiviti yang lebih daripada itu dan juga program-program yang teras kepada perpaduan. Terima kasih.
Baik, terima kasih Yang Berhormat Sijangkang. Kita semua sedia maklum, PeBS ini adalah satu penjenamaan daripada PBT yang sebelum ini antara inisiatif Yang Berhormat Sijangkang dan juga Yang Berhormat, Yang Amat Berhormat Sungai Tua yang menjadi pembantu EXCO dulu, dan kita sedia maklum kekangan kewangan yang antaranya merupakan faktor kepada pelaksanaan program-program ini dan Insya-Allah untuk tahun akan datang ini, kita telah selaraskan tatacara penggunaan kewangan melibatkan PeBS ini yang mana sebelum ini peruntukan untuk PeBS adalah di bawah PBT.
Cuma selepas ini kita akan ubah dan mudahkan lagi proses tersebut untuk mereka melaksanakan program dan dari masa ke semasa, kita memang ada mewujudkan pengiktirafan dan juga insentif kepada PeBS yang aktif menjalankan program dan kita juga telah kenal pasti daripada segi teras untuk pelaksanaan program tersebut untuk kita sesuaikan dengan konteks semasa. Dan saya setuju dengan Sijangkang untuk kita libatkan ataupun perbanyakkan program dari segi kepimpinan, literasi politik, yang ini selaras dengan perubahan dasar ataupun di peringkat persekutuan yang mana sekarang telah mungkin dan membenarkan para pengundi muda di kalangan umur 18 tahun ke atas, kita akan perhebatkan dan perbanyakkan program-program kepimpinan dan juga literasi politik untuk anak muda khususnya di negeri Selangor. Terima kasih.
Sentosa.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker, soalan saya nombor 51.
Pertanyaan-Pertanyaan Lisan — 51. MyselQuestions
51. Bertanya kepada Y.A.B. Dato' Menteri Besar:-
a)
Senaraikan jumlah permohonan kewarganegaraan, sijil lahir dan kad pengenalan dalam program MYSEL sepanjang tahun 2023?
b)
Berapa permohonan berjaya daripada jumlah pemohon?
c)
Jika tidak berjaya, apakah sebab utama?
Terima kasih Tuan Speaker dan Yang Berhormat Sentosa. Tuan Speaker, soalan ini saya akan jawab bersekali dengan soalan nombor 65 Yang Berhormat Kampung Tunku. Ada tiga soalan, senaraikan jumlah permohonan kewarganegaraan, sijil lahir dan kad pengenalan dalam program MYSEL sepanjang tahun 2023. Kedua, berapa permohonan berjaya daripada jumlah permohonan. Ketiga, jika tidak berjaya, apakah sebab utama. Tuan Speaker, sejak Januari 2023 bilangan permohonan yang diterima di bawah pelaksanaan Program Pusat Dokumen Pengenalan Diri (MYSEL) adalah sebanyak 1326 dan bilangan kes yang berjaya diselesaikan adalah sebanyak 584. Jenis-jenis kes yang diproses adalah seperti permohonan kewarganegaraan, sijil kelahiran, dan kad pengenalan merah, anak angkat dan isu-isu imigresen. Butiran terperinci adalah seperti lampiran, saya akan share nanti.
Untuk makluman Yang Berhormat, program Program Pusat Dokumen Pengenalan Diri (MYSEL) ditubuhkan untuk memudah cara permohonan dengan memberi permohonan, panduan serta saluran yang betul kepada pemohon bagi mendapatkan dokumen pengenalan diri khususnya kepada rakyat di Negeri Selangor. Segala permohonan adalah tertakluk kepada prosedur dan syarat semasa di bawah bidang kuasa beberapa pihak seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Sehubungan dengan itu, kebanyakan permohonan yang gagal di bawah program ini adalah berdasarkan beberapa faktor utama yang dikenal pasti adalah seperti berikut:
i. Tidak menepati syarat kelayakan semasa, ii. Tidak mempunyai dokumen sokongan yang lengkap; dan iii. Tempoh permohonan melepasi tarikh akhir yang ditetapkan.
Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam mencari solusi terbaik serta memperbaharui kaedah pelaksanaan sedia ada kepada yang lebih vision bagi memastikan kelancaran Program Pusat Dokumen Pengenalan Diri (MYSEL). Dalam pada masa itu, Kerajaan Negeri Selangor melalui pelaksanaan Program Pusat Dokumen Pengenalan Diri (MYSEL) tidak mempunyai sebarang masalah yang besar melibatkan urusan dengan Kementerian Dalam Negeri, malahan kedua-dua pihak saling bekerjasama dalam membantu setiap urusan mohon permohonan dalam lingkungan kerja masing-masing. Tidak dinafikan, kadang-kadang terdapat beberapa perkara di bawah Program Pusat Dokumen Pengenalan Diri (MYSEL) yang perlu diberi perhatian khusus oleh KDN, namun perkara ini dapat diselesaikan dengan cara terbaik oleh kedua-dua pihak. Tambahan pula pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bagi penggal yang baru ini adalah di bawah pentadbiran yang sama. Kerajaan Negeri sentiasa mencari jalan penyelesaian terbaik dalam setiap urusan
melibatkan kerjasama jabatan-jabatan kerajaan yang lain agar proses kerja menjadi lebih lancar dan teratur. Dalam pada masa itu, jika berkeperluan Kerajaan Negeri bercadang untuk mengadakan satu sesi libat urus secara langsung dengan jabatan atau pihak yang berkenaan bagi menyelesaikan satu masalah yang timbul di peringkat masing-masing jika melibatkan permohonan masih dalam status siasatan.
Untuk makluman Yang Berhormat Sentosa, pada tahun ini mulai daripada Januari 2023 hingga ke September 2023, kita ada seramai 373 permohonan untuk kewarganegaraan dan yang telah lulus adalah 147. Untuk sijil kelahiran pula, kita ada permohonan seramai 263, dan telah lulus sebanyak 160. IC merah pula, permohonan seramai 274 dan telah lulus 135 dan anak angkat pula seramai 273 dan telah lulus seramai 125. Imigresen, isu imigresen adalah 143 dan telah selesai sebanyak 17. Sekian terima kasih.
Soalan tambahan.
Ya, Sentosa.
Terima kasih Yang Berhormat Speaker. Sentosa ingin mengucapkan terima kasih Yang Berhormat EXCO untuk memberi satu jawapan yang cukup lengkap berkenaan dengan soalan saya. Ini juga menunjukkan tahun 2023 seramai 1,326 permohonan telah dibuat dan juga 584 telah berjaya diselesaikan. Inilah musim masa Kerajaan Perpaduan telah mengambil alih dan saya tengok banyak kes telah diselesaikan, tetapi soalan saya ialah, di antara 2018 sampai 2021, MYSEL telah menerima 1,990 permohonan dan hanya 415 permohonan telah diluluskan. Soalan saya ialah, apakah perancangan team MYSEL untuk menyelesaikan masalah yang lebih daripada 1,500 lagi belum diselesaikan. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Sentosa. Saya memang melihat perkara ini secara mendalam dan dalam sesi gulungan saya juga saya akan menerangkan lebih detail tentang isu ini tetapi saya berpendapat isu yang utama yang kita menghadapi adalah mengenai dokumentasi. Kebanyakan kes ataupun isu dibawa oleh penduduk kita adalah mereka tidak mempunyai satu content dokumen yang lengkap, kadang-kadang mereka kehilangan we call it red book dengan izin Tuan Speaker, red book untuk kanak-kanak yang baru lahir, itu pun ada hilang. Dan biasanya saya menerima kes-kes seperti isteri ataupun suami adalah warga asing dan mereka meminta supaya untuk mendapatkan IC merah dan sebagainya, jadi itu juga satu kekangan kepada pejabat saya untuk memproses. Walaubagaimanapun, saya akan memberi maklumat terperinci dalam ucapan penggulungan saya. Terima kasih.
Tuan Speaker, Peraturan Mesyuarat 24(2) oleh sebab soalan yang dibangkitkan di nombor 52 itu, satu perintah ...
Saya belum panggil lagi Yang Berhormat, saya ingat Yang Berhormat nak tanya soalan tambahan. Kuala Kubu Baharu.
Tuan Speaker.
Ya, Bukit Gasing.
Tak yang soalan 52, saya pun berhasrat untuk bangun di bawah sama Peraturan Tetap 24(2).
Tak apa la, sama-samalah. Saya terima. Terima kasih. Ya, perpaduan.
Pertanyaan-Pertanyaan Lisan — 52. Tragedi Tanah Runtuh Batang KaliQuestions
52. Bertanya kepada Y.A.B. Dato' Menteri Besar:-
a)
Adakah Kerajaan Negeri telah menerima laporan lengkap tragedi tanah runtuh di Batang Kali yang berlaku pada Disember 2022? Jika ya, nyatakan butir-butirnya.
b)
Status terkini kerja-kerja pembaikan cerun dan jalan di kawasan tanah runtuh di Batang Kali.
Terima kasih Yang Berhormat Kuala Kubu Baru yang tidak dapat hadir kerana faktor kesihatan. Terima kasih Tuan Speaker. Soalan 52 merujuk kepada perkara berkaitan dengan laporan tentang tragedi tanah runtuh di Batang Kali yang berlaku pada Disember 2022.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, bahawa tanggungjawab untuk menguruskan laporan lengkap atau kajian lengkap berhubung dengan insiden Batang Kali ini, keruntuhan cerun ini adalah di bawah tanggungjawab JKR Malaysia dan telah pun disiapkan laporan itu dan kini boleh di dan telah dinyah rahsia untuk paparan umum dan boleh dimuat turun atau di boleh dilihat pada laman sesawang Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang telah diterbitkan pada 17 Oktober 2023. Dalam itu terkandung antaranya ialah butiran berhubung dengan pelan penyiasatan kemudian
maklumat yang terkini tentang segala jenis maklumat, information, kemudian kajian desk-study dan juga kajian tanah, seterusnya analisa kestabilan cerun dan mekanisme kegagalan cerun, seterusnya pengenalan faktor-faktor yang menyumbang kepada kegagalan dan juga dia punya kesimpulannya dan juga wave forward ataupun untuk langkah-langkah masa depan.
Kita telah meneliti juga laporan ini walaupun bukan di bawah tanggungjawab Kerajaan Negeri, kita telah menerima dan telah meneliti dan secara umumnya saya boleh sebut di sini, bahawa tidak ada unsur-unsur negligence atau kecuaian mana-mana pihak disebabkan keruntuhan itu, di mana aspek keruntuhan itu adalah disebabkan oleh kegagalan di kaki cerun itu yang telah tepu dengan air dan menyebabkan keruntuhan, kelemahan dan runtuh dan membawa sekali runtuhan tebing dan memang tidak ada tanda-tanda jelas bahawa cerun itu mengalami tension crack, perkataan teknikal, retakan tension ini, tidak ada berlaku dan tidak menunjukkan tanda-tanda. Jadi kegagalan itu berlaku agak abrupt.
Tentang aspek yang berkaitan dengan kawasan perkhemahan itu, itu di bawah Pihak Berkuasa Tempatan itu, tapi bukanlah tapak khemah itu yang menyumbang ataupun kerja-kerja di tapak khemah itu yang menyumbang kepada kegagalan, itu secara umumnya. Tapi secara terperincinya boleh didapati dalam laporan yang saya sebut di bawah NADMA tadi.
Untuk kerja-kerja pembaikan cerun ini Kerajaan Negeri diberi tanggungjawab untuk menyelesaikan dan kita telah meluluskan peruntukan khas bagi penyelesaian ataupun penstabilan cerun ini yang bernilai RM19 juta yang kita buat secara direct nya award kerana projek yang kecemasan ya, projek segera dan kita telah meneliti kaedah-kaedah teknikal yang sesuai dan kita dapati trailing wall system inilah yang paling sesuai kerana tempat itu agak sempit dan telah pun dilaksanakan dan akan siap dan bermula akan siap pada 29 Mac. Kita telah mula daripada 28 Mei 2023 dan siap pada 29 Mac 2024. Buat masa ini jadual yang sebenar, aktiviti sebenar adalah 38.6% berbanding dengan 40%. Ada delay dalam 3 % ya. Ini sedikit delay, tetapi akan siap pada Mac dan insya-Allah kalau okay semua, Mac nanti kita akan buka kembali jalan, mungkin sebulan atau 2 bulan selepas. Kita akan tengok nanti pertimbangkan untuk dibuka semula laluan tersebut untuk ke Genting Highland. Itu sahaja, terima kasih.
Seri Serdang.
Tuan Speaker. Saya nak tanya soalan tambahan.
Seri Serdang. Soalan seterusnya.
Soalan saya nombor 53.
Macam mana ni Speaker.
Pertanyaan-Pertanyaan Lisan — 53. Insentif Khas Para HuffazQuestions
53. Bertanya kepada Y.A.B. Dato' Menteri Besar:-
a)
Apakah ada insentif khas kepada para huffaz bagi menggalakkan anak muda atau remaja Islam menghafal Al-Quran?
Cantik sungguh sinar mentari menerangi alam sebelum bergelap. Terima kasih Seri Serdang atas soalan yang diberi Seri Setia berdiri mohon menjawab. Terima kasih Tuan Speaker untuk soalan 53, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bagi pihak berkuasa agama Islam Negeri Selangor telah meluluskan pemberian elaun ISBAT Negeri Selangor melalui peruntukan daripada Lembaga Zakat Selangor. Satu jawatankuasa dilantik oleh MAIS di bawah Jawatankuasa Tahfiz Pembangunan Pendidikan Islam Negeri Selangor iaitu Jawatankuasa ISBAT Negeri Selangor telah mengurus dan melaksanakan pemberian elaun ISBAT yang diurus selia oleh Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Pengurusan ISBAT Hafazan Negeri Selangor adalah pemberian elaun khas kepada para huffaz di Negeri Selangor sebagai pengiktirafan atas daya usaha mereka menjaga, memelihara dan mengekalkan hafazan Al-Quran. Jumlah insentif yang diberi boleh dirujuk pada jadual yang dibekalkan :
Terima kasih. Bil. Perkara Amaun 1. 1-10 Juzuk RM 2.400.00 seorang untuk setahun 2. 1-20 Juzuk RM 3,600.00 seorang untuk setahun 3. 1-30 Juzuk RM 6,000.00 seorang untuk setahun
Soalan tambahan Speaker.
Silakan.
Saya kira para huffaz ini ialah aset penting anak-anak kita dan juga remaja kita ialah sangat penting bagi Negeri Selangor. Soalan saya tambahan, apakah ada perancangan dan inisiatif yang akan dilakukan oleh kerajaan untuk mendedahkan para huffaz ini dengan bidang-bidang berpotensi tinggi seperti bidang kecerdasan buatan (AI) dalam silibus-silibus Maahad Tahfiz di bawah Kerajaan Negeri? Kerana kita tidak mahu para huffaz kita hanya mahir dalam ilmu keagamaan sahaja dan untuk menarik minat anak-anak muda untuk menjadi seorang hafiz Quran.
Baik. Saya rasa soalan tersebut kalau hendak dilihat kepada pengenalan kurikulum-kurikulum pendidikan baru untuk para huffaz ini mungkin itu lebih sesuai dijawab di bawah STANDCO Pendidikan di bawah Yang Amat Berhormat Sungai Tua, tetapi dari segi sambutan kepada program insentif huffaz yang sedia ada ini, saya dengan sukacitanya maklumkan bahawa terdapat banyak permintaan dan peningkatan daripada huffaz-huffaz tahun ke tahun, tahun 2022 sahaja ada lebih kurang 469 huffaz yang telah berjaya kita biayai melalui insentif ini. Dan tahun 2023 ini jumlah tersebut telah meningkat kepada 790. Jadi untuk hafal Al-Quran sahaja pun dah memang ada galakan dan penerimaan daripada anak-anak muda kita dan setelah hafalan telah berjaya dibuat mereka ini mungkin boleh meneruskan pengajian di dalam bidang-bidang lain yang dilalui di Maahad Integrasi Tahfiz yang ada di Negeri Selangor. Terima kasih.
Yang Berhormat.
Bukan soalan tambahan.
Ya.
Saya nak, saya bawa peraturan mesyuarat.
Untuk apa? Kenapa?
Peraturan Mesyuarat 24(3).
Ya.
Saya ingin Tuan Speaker buat Petua, boleh tanya soalan tambahan atau tidak?.
Boleh.
Kalau Tuan Speaker buat keputusan tidak boleh tanya soalan tambahan, tak payah kita berbahas dan nak hadir pada sesi pagi.
Bergantung kepada budi bicara Yang Berhormat Hulu Klang.
Ini soalan 52 Tuan Speaker, meragut nyawa rakyat Selangor. Ini satu soalan yang penting. Mengapa bila EXCO menjawab, saya tidak boleh tanya soalan tambahan.
Yang Berhormat, Yang Berhormat. Ya.
Saya yang minta perkara ini dibangkitkan. I mean you have to be fair Tuan Speaker.
Cukup, boleh ya.
Peraturan mesyuarat membenarkan saya untuk membawa soalan tambahan, mengapa tak boleh? Ini soalan yang meragut nyawa rakyat Selangor. Bukan 1, bukan 2.
Yang Berhormat telah siap ya. Sila duduk ya. Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, saya membuat ruling mengikut Peraturan Mesyuarat 24 (3) memang dibenarkan untuk bertanyakan soalan tambahan. Tetapi kita juga harus lihat, melihat kepada Peraturan Mesyuarat 24 (2) bahawa sesuatu soalan itu sekiranya tidak ditanya atas nama ahli yang bertanyakan soalan itu, mana-mana ahli yang lain boleh berdiri dan mengambil soalan itu sebagai soalan dia dengan persetujuan daripada Tuan Speaker. Perkataan itu ada di situ. Jadi kita baca kalau kita baca Peraturan Tetap kena baca secara menyeluruh...
Tuan Speaker.
dan hujah saya. Yang Berhormat saya belum habis lagi.
Speaker.
Yang Berhormat saya belum habis lagi. Saya dengar Yang Berhormat berhujah, saya memberi balas hujah. Jadi untuk situasi seperti ini,
sekiranya seseorang ADUN yang bertanyakan soalan itu tidak ada. Jadi mengikut budi bicara saya, saya akan membenarkan sekiranya ada alasan yang mencukupi dan saya telah pun membenarkan soalan ini ditanya dan dijawab. Tetapi sebenarnya saya mempunyai budi bicara untuk tidak membenarkan soalan ini dijawab. Kerana ahli yang bertanyakan soalan itu tidak berada di sini atas sebab-sebab yang munasabah. Tetapi saya membenarkannya dan ianya telah dijawab. Atas merit, atas merit soalan ini, saya berpendapat penting, tetapi terdapat juga soalan-soalan lain yang perlu juga dijawab, banyak lagi kita ada 700 lebih soalan mulut dan bertulis. 300 lebih adalah soalan-soalan mulut. Jadi kalau kita berlaku adil, kita juga perlu berlaku adil pada, Yang Berhormat Taman Medan duduk. Saya belum menghabiskan lagi. Saya belum habiskan lagi. Kalau kita berlaku adil, kita juga perlu berlaku adil kepada semua Ahli Yang Berhormat yang bertanyakan soalan termasuk Ahli Yang Berhormat daripada Perikatan Nasional, pembangkang. Soalan yang seterusnya adalah daripada Selat Kelang. Selat Kelang tidak ada di sini dan saya akan izinkan sekiranya ada di kalangan ADUN Pembangkang yang hendak mengambil soalan ini. Tetapi kerana Peraturan Tetap ini kurang-kurangnya 2-3 minit telah pun dibazirkan. Tetapi saya perlu memberi penjelasan juga Yang Berhormat. Saya harap Petua saya ini dapat diterima atas budi bicara sekiranya sesuatu masalah itu ataupun soalan itu penting akan saya benarkan.
Tetapi untuk menjimatkan masa, saya berharap saya tidak barangkali tidak akan membenarkan soalan tambahan. Dan isu berkenaan dengan tanah runtuh Batang Kali ini ianya sebenarnya telah pun dibangkitkan dan akan dijawab oleh EXCO dan ada juga soalan-soalan yang berkaitan di dalam sesi soal jawab yang akan berlangsung selama seminggu lagi untuk minggu depan. Dan isu ini saya pastinya akan mendapat jawapan yang sepenuhnya.
Tuan Speaker, saya faham memang ada budi bicara Tuan Speaker. Tetapi budi bicara itu mestilah diasaskan kepada sesuatu perkara yang memerlukan pertanyaan tambahan. Ini satu perkara yang meragut nyawa rakyat Negeri Selangor. Sudah tentulah selain daripada jawapan yang diberikan oleh Yang Berhormat EXCO, kami sebagai Ahli Dewan Negeri sama ada di sebelah pembangkang atau kerajaan, bertanggungjawab untuk memastikan langkah-langkah yang diambilkan itu akan menjamin perkara ini tidak berulang, itu yang pertama. Yang kedua soalan ini telah dibenarkan, kalau Tuan Speaker sudah benarkan, maka benarkanlah soalan tambahan. Kalau tidak, sebab itu saya bangun minta petua. Tuan Speaker..
Saya telah pun..
Maknanya tidak lagi boleh ambil soalan ahli dewan yang tidak hadir dalam dewan. Jadi kami mudah. Tetapi bila dibenarkan soalan itu dijawab oleh EXCO tetapi tidak boleh tanya soalan tambahan, ini sesuatu perkara yang luar biasa Tuan Speaker.
Saya telah beri Petua saya tadi dan saya berpendapat Petua saya telah pun menjawab soalan yang ditanyakan. Selat Klang.
Peraturan Mesyuarat 24 (2), Yang Berhormat saya ambil soalan 54.
Taman Medan nak ambil tetapi Hulu Kelang kata tak nak ambil. Jadi macam mana? Ambil?
Saya ambil Yang Berhormat.
Ya ambil, ambil benarkan.
Kita berurusan kita, Taman Medan dengan Speaker.
Benarkan, benarkan.
Speaker jangan marah Hulu Kelang, Taman Medan dengan Speaker.
Ya silakan Yang Berhormat.
Pertanyaan-Pertanyaan Lisan — 54. Menambah Jumlah Pungutan SampahQuestions
54. Bertanya kepada Y.A.B. Dato' Menteri Besar:-
a)
Apakah Kerajaan Negeri boleh menimbangkan untuk menambah jumlah ke atas pungutan sampah dalam DUN Selat Klang daripada 1 kali sehari kepada 2 kali sehari memandangkan penambahan penduduk dan penambahan pembuangan sampah oleh penduduk-penduduk Selat Klang?
Terima kasih Tuan Speaker, pihak majlis telah meneliti dan mengambil inisiatif bersama pihak KDEB Waste Management (KDEBWM) serta mengambil tindakan bagi mengatasi masalah sampah di kawasan DUN di Selat Klang ini antaranya di kampung Sungai Udang dan Kampung Delek. Untuk perjanjian terbaru yang bermula pada 1 Oktober 2023, pihak KDEBWM telah
memecahkan zon kutipan sedia ada daripada 2 kepada 3 zon yang lebih kecil bagi membolehkan proses kutipan dapat dijalankan dengan lebih efisien dan sempurna. Sekian, terima kasih.
Sabak.
Soalan 55.
Pertanyaan-Pertanyaan Lisan — 55. Status Projek SabdaQuestions
55. Bertanya kepada Y.A.B. Dato' Menteri Besar:-
a)
Sejauh manakah projek ini telah dimulakan?
b)
Apakah syarikat dan rakan kongsi yang terlibat dalam projek kilang pemprosesan ikan tuna di Sungai Lang?
Terima kasih Tuan Speaker, untuk soalan daripada Yang Berhormat Sabak.
a) Projek di bawah SABDA yang telah mencapai kemajuan yang berimpak adalah seperti berikut:
i. Setakat 30 September 2023, jajaran WCE yang mempunyai tujuh (7) sektor dalam Negeri Selangor telah pun mencapai kemajuan purata 88.7%, dengan sektor kelima (5) Bandar Bukit Raja (Selatan) – Bandar Bukit Raja (Utara) telah pun siap sepenuhnya dan dibuka kepada pengguna. Jajaran WCE yang menuju ke kawasan SABDA iaitu sektor ketujuh (7) di antara Assam Jawa – Tanjong Karang adalah pada kadar kemajuan 64%.
ii. Pejabat operasi dan ruang pameran Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi Sabak Bernam juga telah pun siap dibina dan mula beroperasi secara berfasa. Ruang pameran tersebut akan berfungsi sebagai pusat sehenti untuk mempamerkan maklumat mengenai projek-projek di bawah SABDA, manakala pejabat operasi tersebut menyediakan tempat mesyuarat dan perbincangan untuk memudahkan pelaksanaan dan pemantauan projek-projek di bawah SABDA.
iii. Projek penaiktarafan infrastruktur bangunan Pusat Konservasi Kelip-kelip Sungai Panjang telah pun siap sepenuhnya dan waktu operasi adalah setiap hari daripada 6 petang hinggalah 10 malam. Infrastruktur aktiviti ekopelancongan untuk melihat kelip-kelip di sepanjang 3km Sungai Panjang ini akan ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memastikan pengalaman yang menarik dan selesa bagi para pelancong.
iv. Projek eko-pelancongan Ban Canal merupakan projek yang dijalankan secara berlangsungan, di mana satu acara Karnival Ban Kenal akan diadakan setiap tahun untuk mempromosikan tarikan pelancongan, produk dan aktiviti di kawasan SABDA. Infrastruktur untuk melaksanakan aktiviti ini juga akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa, bergantung kepada keperluan dan kesesuaian, seperti kemungkinan membina struktur pontoon yang kekal untuk mengendalikan acara kayak iaitu ketika Karnival Ban Canal tersebut.
v. Seterusnya juga, projek pertanian Selangor Smart Agro Park Sungai Air Tawar adalah sedang dalam fasa pelaksanaan, di mana jenis tanaman yang telah dikenal pasti adalah pembenihan kelapa Matag. Namun pada masa ini juga, tanaman kontan seperti nanas, serai, jagung dan lain-lain tanaman sedang ditanam mengikut kesesuaian sementara menunggu hasil pembenihan kelapa Matag berkenaan. Penanaman tanaman kontan berkenaan telah pun bermula dan Jabatan Pertanian Selangor akan memantau pengeluaran benih kelapa Matag ini.
Tuan Speaker, bagi syarikat dan rakan kongsi yang terlibat dalam projek kilang pemprosesan ikan tuan di Sungai Lang adalah Alpha Ocean Resources Berhad yakni AORB. AORB adalah syarikat perikanan dan perdagangan tuna berpangkalan di Malaysia, yang memberi tumpuan kepada Pembekalan Ikan Tuna Premium kepada Produk Laut Dalam, dengan mengeksport makanan beku di pasaran tempatan dan antarabangsa seperti China, Jepun, Singapura, Thailand dan Vietnam, dan juga telah mengembangkan produk melalui eksport ke negara Eropah dan negara-negara Arab Timur Tengah. AORB juga telah tersenarai di dalam Pasaran Bursa Malaysia sejak tahun 2021 dalam kategori pasaran Leap Market.
Syarikat AORB telah diberi lesen serta kelulusan oleh Jabatan Perikanan Malaysia dan Indian Ocean Tuna Commission untuk menangkap ikan tuna dan spesies berkaitan secara komersial di Lautan Hindi. AORB melaksanakan perusahaan yang dipanggil integrasi vertikal di mana ia mengendali produk daripada tangkapan sehingga ke pengeluaran produk akhir. Daripada penangkapan di laut dalam, mengendali ikan melalui pembersihan, pensterilan, sanitasi dan pemeriksaan produk akhir sehinggalah kepada persiapan untuk dijual dan dieksport ke pasaran antarabangsa. Produk-produk yang dihasilkan oleh AORB adalah tuna segar, tuna
beku, tuna super sejuk-beku. AORB juga mempunyai jenama tuna tersendiri iaitu Shinkai Origin yang mempromosikan produk tuna Malaysia yang berkualiti tinggi.
Buat masa ini AORB memiliki 4 buah kapal iaitu Ibu Wira 1, Ibu Wira 2, Ibu Wira 3 dan Ibu Wira 7 yang beroperasi di Lautan Hindi dan 2 buah kapal iaitu Ibu Wira 6 dan Cahaya Reformasi yang beroperasi di Zon Eksklusif Ekonomi (EEZ) Malaysia di perairan Sabah. Kapal-kapal AORB ini dilengkapi dengan bilik penyejuk beku bagi mengekalkan kesegaran ikan sehingga 6 bulan. Peralatan memantau suhu air dan juga peralatan yang mengukur saiz ikan dan lain-lain peralatan bagi menjalankan operasi penangkapan ikan di laut dalam. Terima kasih Tuan Speaker.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Masa telah pun menunjukkan jam
Tuan Speaker, Peraturan Dewan 24(8)...
Masa telah menunjukkan jam 11.00 pagi...
Peraturan Dewan.
Ya, apa isu dia? 24(8).
24(8). Saya dah bangkitkan pada hari Selasa awal minggu ini, untuk bertanya tentang soalan-soalan, jawapan-jawapan bagi soalan-soalan bertulis, yang sepatutnya diserahkan mengikut Peraturan Dewan kita pada minggu pertama dan hari ini adalah minggu akhir untuk minggu ini. Tapi sehingga hari ini kita belum lagi terima. Jadi saya minta Petua daripada Speaker untuk, bila agaknya kita boleh terima jawapan bertulis? Terima kasih.
Jawapan ini akan disediakan sebelum Dewan pada hari ini ditangguhkan. Terima kasih. Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, masa telah pun menunjukkan jam 1100 pagi. Dengan ini saya menangguhkan sesi pertanyaan untuk urusan seterusnya.
Sambungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024Bill
Aturan urusan seterusnya, sambungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024. Semua peringkat.
Ahli-Ahli sekalian, sekarang saya mempersilakan pihak Kerajaan jika ada yang ingin menggulung atau memberikan apa-apa penjelasan diatas perkara-perkara yang telah dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Berhormat semasa sesi perbahasan Rang Undang-undang Pembekalan Tahun 2024. Saya persilakan Banting.
Terima kasih Tuan Speaker. Penggulungan Perbahasan Bagi Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023. Terima kasih juga kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat kerana melontarkan soalan-soalan atau cadangan-cadangan yang cukup bernas baik dari Kerajaan dan juga pembangkang demi kebaikan warga Selangor, terima kasih.
Perbahasan oleh DUN Bukit Gasing berkenaan isu pekerjaan. Ada cadangan bahawa isu matching dengan izin, perkara pekerja dan majikan cabaran untuk mencari pekerja yang sesuai khususnya rakyat atau bakal pekerja yang berumur 40 tahun ke atas khususnya selepas pandemik Covid-19. Tuan Speaker, Kerajaan Negeri Selangor sentiasa berusaha mengharungi pelbagai cabaran dalam usaha membantu rakyat di negeri ini, untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai demi meningkatkan taraf kehidupan sekaligus menjamin masa depan mereka. Oleh yang demikian salah satu program utama yang dirancang dan dijadikan aktiviti tahunan di bawah Jawatankuasa Tetap Sumber Manusia adalah program Jelajah Job Care, program yang berkonsepkan karnival kerjaya ini dilaksanakan oleh Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor iaitu UPPS dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan sasaran adalah ditumpukan kepada pencari kerja seluruh daerah di Negeri Selangor khususnya yang telah kehilangan pekerjaan semasa pandemik Covid-19. Program telah berjaya menarik penyertaan oleh majikan-majikan tempatan di seluruh daerah yang merangkumi pelbagai bidang dan sektor serta telah mendapatkan sambutan yang baik di kalangan pencari kerja. Sepertimana Yang Berhormat sedia maklum, tiada had umur yang ditetapkan bagi pencari kerja. Had umur adalah bergantung kepada pihak majikan berdasarkan kriteria permohonan jawatan mengikut kesesuaian dan lingkungan kerja yang dimohon. Walaubagaimanapun, saya menerima baik cadangan Yang Berhormat Bukit Gasing untuk memberi peluang pekerjaan kepada para pencari kerja yang berusia 40 tahun dan ke atas. Perkara ini akan dibincang dengan lebih lanjut untuk dibawa sebagai salah satu syarat penyertaan kepada pihak majikan terlibat melalui pelaksanaan program akan datang tertakluk kepada jawatan yang bersesuaian.
Cadangan kedua, cadangan perlu wujudkan pusat untuk memberi khidmat nasihat dan kaunseling kepada bakal pekerja. Khidmat dibuat dalam semua bahasa kerana ada rakyat yang kurang arif dalam bahasa Malaysia. Untuk maklumat Yang Berhormat Bukit Gasing, Kerajaan Negeri melalui Unit Pemberdayaan Pekerja Selangor (UPPS) telah mewujudkan satu program khidmat kaunseling khususnya kepada bakal pekerja dan pekerja-pekerja sedia ada di Negeri Selangor. Program ini adalah terbuka kepada mana-mana pekerja yang mempunyai masalah berkaitan pekerjaan dan khidmat kaunseling diberikan secara percuma melalui sesi perjumpaan yang bersifat peribadi one to one dengan izin, oleh perunding yang bertauliah. Walau bagaimanapun, buat masa ini hanya bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang digunakan di bawah program ini dan sesi kaunseling adalah diadakan di pejabat operasi UPPS yang berpusat di Ideal Convention Centre (IDCC)
Shah Alam. Sungguhpun begitu, saya menyambut baik cadangan Yang Berhormat untuk memperluaskan lagi skop program ini dengan mewujudkan satu pusat operasi khusus serta penggunaan pelbagai bahasa supaya lebih ramai pekerja dapat dibantu dalam mendapatkan saluran kaunseling khususnya berkaitan pekerjaan. Justeru perkara ini akan diteliti semula dengan pihak yang berkenaan namun tertakluk kepada faktor seperti peruntukan kewangan dan keperluan tenaga kerja.
Perbahasan oleh Yang Berhormat DUN Batu Tiga berhubung isu pengangguran. Mencadangkan Kerajaan Negeri Selangor mewujudkan program atau latihan upskilling dan reskilling dengan izin, kepada golongan rentan termasuklah orang kelainan upaya, warga emas, bekas banduan bagi mengurangkan peratusan kadar pengangguran melibatkan golongan tersebut di Negeri Selangor. Jawatankuasa Tetap Sumber Manusia menyambut baik cadangan Yang berhormat Batu Tiga berhubung cadangan mewujudkan program latihan upskilling dan reskilling dengan izin, kepada golongan rentan termasuklah orang kelainan upaya, warga emas dan bekas banduan bagi mengurangkan peratusan kadar pengangguran melibatkan golongan tersebut di Negeri Selangor. Untuk makluman Yang Berhormat, perkara tersebut merupakan satu perancangan untuk dijadikan sasaran kerja tahunan di bawah portfolio Sumber Manusia pada tahun hadapan. Bagi tujuan tersebut Jawatankuasa Tetap Sumber Manusia akan bekerjasama dengan Human Resource Development Corpoation HRD Corp. dan Menteri Besar Selangor (Permerbadanan) (MBI) dalam menganjurkan pelbagai program berkonsepkan latihan atau kemahiran kepada pencari kerja termasuk golongan rentan di Negeri Selangor yang terdiri daripada warga emas, orang kelainan upaya dan bekas banduan.
Seterusnya, perbahasan oleh DUN Kajang berkenaan miskin tegar dan meningkatkan pendapatan rakyat. Ada 2 soalan. Pertamanya, berapakah bilangan miskin tegar di Selangor dan apakah usaha sama Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan untuk membanteras kemiskinan dan menjadikan negeri ini sifar miskin tegar? Terima kasih Yang Berhormat Kajang sebab memang soalan ini cukup mantap. Kedua, apakah langkah dan usaha yang telah dan sedang dilaksanakan Kerajaan Negeri untuk meningkat jumlah pendapatan rakyat yang tergolong segmen rakyat B40 kepada M40. Untuk maklumat Yang Berhormat Kajang berdasarkan statistik pendaftaran e-Kasih, sehingga 30 hari bulan 2023, Negeri Selangor telah merekodkan sebanyak 68,452 ketua isu rumah iaitu (KIR) yang telah didaftarkan dalam sistem e-Kasih. Daripada jumlah tersebut sebanyak 4,939 ketua isu rumah adalah dalam kategori miskin tegar. Unit penyelarasan pelaksanaan iaitu ICU Unit Perangkaan iaitu JPM merupakan penjaga atau custodian dengan izin, kepada data e-Kasih yang merekodkan jumlah pendaftaran ketua isi rumah (KIR) dalam kategori miskin dan tegar secara komprehensif. ICU dan JPM bertindak sebagai penyelaras program Pembasmian Kemiskinan oleh agensi pemberi bantuan di peringkat persekutuan dan negeri melalui platform mesyuarat Focus Group Kesejahteraan Rakyat Negeri Selangor dan mesyuarat Focus Group Kesejahteraan rakyat daerah selaras dengan arahan 21 tahun 2023. Sehubungan itu, kerjasama pihak Persekutuan dan pihak negeri adalah
melalui program ini di mana usaha-usaha dan program-program Pembasmian Kemiskinan dan memperkasakan kesejahteraan rakyat dibincangkan bersama dalam mengenal pasti bentuk bantuan yang bersesuaian kepada ketua isu rumah berkaitan, sebagai usaha ke arah menoktahkan kemiskinan tegar di Negeri Selangor.
B, Kerajaan Negeri sentiasa peka dalam membanteras kemiskinan di negeri ini, tidak kira keluarga miskin mahupun keluarga miskin tegar. Sehubungan itu, Iltizam Selangor Penyayang (ISP) dilihat merupakan satu inisiatif berterusan malahan menjadi strategi jangka masa panjang Kerajaan Negeri Selangor dalam membasmi kemiskinan terutamanya keluarga miskin tegar. Oleh yang demikian, usaha yang telah dan sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri untuk meningkatkan jumlah pendapatan rakyat daripada segmen B40 kepada M40. Pelbagai inisiatif telah dijalankan termasuk Iltizam Keusahawanan Selangor yang merangkumi Skim Hijrah Mikro Kredit, Program Bantuan Bluperint Pembasmian Kemiskinan dan Program Bantuan Peralatan Usahawan India Selangor. Program-program yang telah dilaksanakan ini merupakan program pelaksanaan dan peningkatan pendapatan rakyat di kalangan penjaja dan peniaga kecil untuk melonjakkan ekonomi meraka dan keluarga daripada segmen B40 kepada M40 melalui pemberian bantuan modal dan peralatan serta mesin dan yang bersesuaian dengan aktif perniagaan yang sedang dijalankan. Selain daripada itu, Kerajaan Negeri akan terus membimbing rakyat dalam kategori ini untuk terus mengembangkan perniagaan dan pendapatan mereka ke arah yang lebih baik selain menawarkan bantuan perniagaan yang lebih berimpak tinggi seperti Bantuan Dana Usahawan Selangor (SELDEC) dan sebagainya dari semasa ke semasa.
Selain itu program-program ISP yang lainnya diyakini dengan menghasilkan komposisi ekonomi yang seimbangan dalam pekerjaan, kebajikan, kesihatan dan perniagaan secara menyeluruh sekaligus membawa golongan miskin tegar keluar daripada kelompok kemiskinan dan secara tidak langsung program-program ini dapat membantu meringankan beban rakyat Selangor dalam menjalani kehidupan seharian. Yang seterusnya, perbahasan oleh DUN Sungai Burong berkenaan dengan isu pendapatan penjawat awam dan Program Bantuan Blueprint. Ada dua cadangan ataupun soalan. Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK), peringkat Negeri Selangor 2022 adalah RM2,830.00 sebulan, namun begitu masih ramai kakitangan penjawat awam yang masih berpendapatan rendah dan berada di bawah paras PGK. Yang kedua peruntukan Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan perlu dilaksanakan secara jangka masa panjang dan perlu peruntukan untuk pemantauan. Jawapan. Seperti mana Yang Berhormat Sungai Burong sedia maklum, merujuk laporan survey pendapatan perbelanjaan isi rumah dan kemudahan asas Negeri Selangor pada tahun 2022, sesebuah ini rumah yang dikategorikan sebagai miskin tegar jika pendapatan keseluruhan isi rumahnya berada di bawah paras nilai pendapatan garis kemiskinan (PGK). Dan nilai purata di peringkat Negeri Selangor ialah RM2,830.00 sebulan. Manakala purata nilai PGK makanan pula adalah RM1,274.00 sebulan dengan purata saiz isi rumah seramai 3.8 orang. Nilai purata ini
diperolehi dengan menambahkan kesemua nilai PGK dengan setiap isi rumah dan dibahagikan kepada bilangan keseluruhan isi rumah di Selangor.
Justeru, gred paling asas ataupun paling terbawah, bagi memasuki perkhidmatan awam di Negeri Selangor adalah gred 11. Dengan kelayakan Sijil Pelajaran Rendah (SRP) atau Penilaian Menengah Rendah (PMR). Berdasarkan jadual dan gaji minimum, maksimum dan minimum yang dikeluarkan oleh Bahagian Pembangunan Organisasi, Jabatan Perkhidmatan Awam, yang berkuat kuasa mulai Julai 2016, menunjukkan gaji minimum bagi kemasukan baru, kakitangan gred 11, adalah RM1,216.00 sebulan. Tidak termasuk elaun tetap dan yang layak diterima. Terdapat 3 jenis elaun yang layak diterima oleh kakitangan awam bagi gred 11, iaitu Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) sebanyak RM95.00 sebulan, Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) sebanyak RM300.00 sebulan dan Bantuan Inisiatif Sara Hidup (BISH), antara RM200.00 hingga RM350.00 sebulan, mengikut kawasan tempat bekerja. Sebab ini adalah, kita ada buat satu perbandingan, sebab pekerja ataupun penjawat awam berbanding dengan pusat bandar ataupun Klang Valley, dengan izin, di kawasan utara dan Sabak Bernam adalah berbeza dengan kos sara hidup berlainan. Sebab itu kita pecahkan RM200 hingga RM350 sebulan.
Justeru, jumlah pendapatan maksimum bagi kakitangan awam Negeri Selangor berdasarkan gred asas atau paling rendah adalah antara RM1,811.00 sehingga RM1,961.00, tidak termasuk dengan bantuan khas (BKK) yang diterima. Pendapatan garis kemiskinan (PGK), makanan Negeri Selangor terkini, yang dikeluarkan pada Julai 2023, adalah RM1,274.00 sebulan, bagi satu isi rumah. Oleh yang demikian, pendapatan kakitangan awam dengan gred asas paling rendah yang berkhidmat di Negeri Selangor adalah melepasi paras garis Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) makanan. Namun begitu, paras garis kemiskinan ini juga ditentukan berdasarkan corak perbelanjaan dan komitmen individu dan isi rumah itu tersendiri.
Kerajaan Negeri sentiasa mengambil berat terhadap rakyat negeri ini, tanpa kira bangsa, umur, jantina mahupun taraf kehidupan mereka. Semua rakyat negeri Selangor, sama ada kakitangan awam negeri, persekutuan dan kakitangan swasta, tidak pernah dipinggirkan dalam menerima manfaat daripada program-program bantuan Kerajaan Negeri Selangor. Sepertimana, Yang Berhormat sedia maklum, program Iltizam Selangor Penyayang (ISP), merupakan tekad dan kesungguhan Kerajaan Negeri untuk memastikan bantuan-bantuan ini, dapat disalurkan kepada rakyat yang benar-benar layak, jawatankuasa Tetap Pembasmian Kemiskinan bercadang untuk menggunakan mekanisme yang lebih efektif untuk membasmi kemiskinan secara bersasar pada peringkat akar umbi untuk jangka masa panjang, dengan memperkasa Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor, dengan memberi tumpuan kepada 3 segmen :-
i) Memberi fokus kepada kemiskinan pendapatan iaitu meneruskan pemberian peralatan dan mesin kepada golongan B40, bagi membantu meningkatkan sumber pendapatan bulanan mereka. ii) Memberi fokus untuk mengubah kemiskinan minda dan sikap, iaitu dengan memberikan kursus dan latihan kepada golongan miskin di dalam lingkungan umur pro-aktif, iaitu antara 15 hingga 60 tahun, dalam usaha memberikan mereka kemahiran baru serta mengilap kemahiran sedia ada dan mengubah sikap supaya mampu keluar daripada kepompong kemiskinan; dan iii) Melaksanakan kajian pembasmian kemiskinan bagi menentukan cabaran serta risiko dalam pembasmian kemiskinan.
Yang seterusnya, perbahasan oleh Yang Berhormat Dengkil, berkenaan kampung Orang Asli di Dengkil. Ada soalan bahawa apakah kemajuan yang dilakukan terutamanya infrastruktur jalan raya untuk masuk ke kampung Orang Asli di Dengkil terutamanya di Kampung Bukit Damar, yang terhimpit oleh pembangunan di Cyber Jaya dan Cyber South, tetapi tidak mempunyai sebarang akses kepada kampung berkenaan. Terima kasih Yang Berhormat Dengkil.
Kerajaan Negeri sentiasa mengambil cakna dan berterusan melaksanakan pelbagai aktiviti dan program terutamanya melibatkan pembangunan infrastruktur di pembangunan Orang Asli, termasuklah pembinaan ataupun naik taraf jalan raya. Kemudahan ameniti sosial, bekalan air terawat, bantuan bina rumah baru dan sebagainya. Bagi kawasan Dengkil sebanyak 13 buah kampung Orang Asli, berada di kawasan tersebut. Kesemua kampung itu, telah disediakan kemudahan asas yang lengkap seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air, kemudahan balai raya serta surau. Pada tahun 2023, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), telah memperuntukkan, sejumlah RM565,000.00, bagi tujuan naik taraf jalan raya, baik pulih sistem saliran dan ameniti sosial di perkampungan Orang Asli di kawasan Dengkil yang dapat memberi manfaat kepada 2,642 penduduk sekitar.
Bagi orang kampung asli Bukit Damar pula, jalan raya di dalam kampung telah dilaksanakan. Kerja itu telah dilaksanakan. Selain kemudahan jalan raya dalam kampung, kemudahan asas seperti bekalan elektrik, bekalan air terawat dan balai raya juga telah diselesaikan. Manakala, jalan akses ke kampung tidak dapat diselesaikan berikutan jalan akses tersebut berada di tanah hak milik persendirian.
Saya rasa itu saja. Sebelum saya mengakhiri ucapan penggulungan saya, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada Dewan yang mulia in, Tuan Speaker dan Ahli-Ahli Yang Berhormat kerana memberi pandangan-pandangan, idea-idea yang sangat bernas dan efektif, demi rakyat dan negeri yang tercinta ini. Tidak lupa juga dengan penjawat awam yang menjadi tunjang belakang, ataupun dengan izin, back bone, kepada nadi pentadbiran negeri dan negara kita. Sekian terima kasih, Tuan Pengerusi, Tuan Speaker.
Terima kasih Banting. Sekarang saya persilakan, Taman Templer.
Bismilahirrahmanirrahim, Tuan Speaker. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat, yang dengan penuh disiplin, telah menekuni, meneliti dan mengambil bahagian untuk membahas Belanjawan Negeri Selangor 2024, serta soal jawab yang berlangsung sehingga hari ini. Saya ingin memetik perkataan daripada pertanyaan Ibnu Abbas R.A. ketika ditanya, dengan apa kau mencapai ilmu ini, beliau menjawab.. ( Bahasa Arab), maksudnya “dengan lidah yang banyak bertanya dan dari hati yang benar-benar berakal”.
Saya amat menghargai kritikan, cadangan dan sumbang saran yang diutarakan oleh Yang Berhormat sekalian terhadap dasar dan inisiatif yang dirancang dan dilaksana di peringkat Jawatankuasa Tetap Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Ekonomi Penjagaan. Tuan Speaker, Selangor sebagai sebuah negeri yang maju dan penyayang, tidak hanya menekankan soal pertumbuhan ekonomi, namun kita melihat keseimbangan dan fokus yang serius terhadap pembangunan sosial yang inklusif dengan mengutamakan aspek kebajikan dan keperluan sosio ekonomi rakyat. Negeri Selangor merupakan satu-satunya negeri yang mempunyai rancangan pembangunan tersendiri, Rancangan Selangor Pertama (RS1) menzahirkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan pembangunan negeri di direncana, diawasi, ditaksir dan ditambah baik secara telus dan kolektif oleh semua pemegang taruh yang terlibat.
Yang Berhormat Ahli Dewan sekalian, Rancangan Selangor Pertama ditunjangi oleh tema strategik kedua, iaitu peningkatan kesejahteraan dan keterangkuman sosial yang mengangkat soal kebajikan wanita, kanak-kanak, orang kurang upaya, warga emas, keluarga dan masyarakat sebagai antara bidang tumpuan dan kumpulan sasar. Peranan Pusat Wanita Berdaya Selangor. Di dalam sesi perbahasan Yang Berhormat Seri Kembangan dan Meru, mengetengahkan soal peranan Pusat Wanita Berdaya Selangor dan potensi bekerjasama dengan inisiatif Liga Usahawan Wanita. Untuk makluman Yang Berhormat, inisiatif Liga Usahawan Wanita ini merupakan inisiatif di bawah Jawatankuasa Tetap Keusahawanan. Jawatankuasa Tetap Pembangunan Wanita dan Keluarga menyokong penerusan program ini yang telah memasuki tahun kedua pelaksanaan. Tuan Speaker, matlamat PWB adalah sememangnya untuk meningkatkan tahap sosioekonomi wanita di peringkat akar umbi, maka saya melihat potensi yang tinggi bagi para wanita yang telah menyertai program-program bermodul di peringkat PWB untuk dipadankan dan disalurkan kepada program Liga Usahawan Wanita ini. Untuk pengetahuan sidang Dewan yang mulia, PWB yang diketuai oleh penyelia di 56 DUN, melaksanakan dua modul utama iaitu pembangunan kapasiti dan program kemahiran. Antara modul yang dilaksanakan termasuklah alam sekitar dan kepenggunaan, asas keusahawanan, seni kraf tangan, perusahaan makanan dan minuman, program 5R, dengan izin, reuse, recycle, reject, repair dan reduce, hiasan
dalaman, landskap dan pelbagai lagi mengikut keperluan wanita. Kebanyakan modul akan melibatkan penghasilan produk serta peningkatan kemahiran para peserta. Maka saya kira, adalah sangat penting untuk kita wujudkan kolaborasi, di peringkat kerajaan, terutama bagi membantu para wanita menjana pendapatan daripada kemahiran dan produk yang dihasilkan.
Yang Berhormat sekalian, Kerajaan Negeri sentiasa bersedia untuk menilai dan menambah baik segala inisiatif yang ada untuk kita padankan dengan keperluan semasa golongan sasar. Yang Berhormat Permatang, ada membangkitkan soal inisiatif copy paste, yang katanya indah khabar dari rupa. Untuk pengetahuan Yang Berhormat Permatang, pemantauan, penilaian, penambahbaikan terhadap dasar dan inisiatif adalah satu rutin mandatori yang dilaksanakan di peringkat Kerajaan Negeri. Semangat yang mendasari rutin ini, ialah Islah dan perubahan, agar kita tidak selesa dan berpada dengan apa yang telah kita kecapi. Inisiatif kerajaan juga, harus pragmatik dan dinamik yang dirangka seiring keperluan rakyat. Sebagai contoh, di peringkat Wanita Berdaya Selangor yang merupakan agensi pelaksana utama, perberdayaan wanita di peringkat negeri telah melaksanakan, kajian, penilaian terhadap dasar wanita Selangor, dan pelan tindakan 2017-2020. WBS juga telah melakukan kajian penilaian sedekad, pencapaian Pusat Wanita Berdaya Selangor, Bengkel Penambahbaikan Akademi Kepimpinan (AKW) serta projek rintis, pengarus perdanaan gender atau gender mainstreaming. Justeru, Yang Berhormat, kita perlu melihat pernyataan dasar dan inisiatif yang dibentangkan di dalam belanjawan negeri oleh Yang Amat Dato’ Menteri Besar Selangor, dengan dimensi yang pelbagai, bukan sahaja, bukan dari sisi nama, jenama dan angka. Di sini saya menyatakan komitmen penuh dalam memastikan semua dapatan dan cadangan penambahbaikan, yang telah disyorkan daripada semua kajian dilaksanakan akan menjadi teras penambahbaikan kepada pelaksanaan program-program pemberdayaan wanita di masa akan datang.
Isu pendaftaran TASKA. Tuan Speaker, Kerajaan Negeri mengambil maklum tentang isu yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Subang Jaya tentang isu pendaftaran Taska. Sememang keselamatan kanak-kanak yang berada di tempat pengasuhan dan pusat penjagaan tidak boleh dikompromi. Namun isu ini perlu ditangani dengan lebih teliti, kerana melibatkan penguatkuasaan Akta Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA 1984 – Akta 308) serta peraturan-peraturan Taman Asuhan Kanak-kanak 2012, serta undang-undang kecil di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Yang Berhormat sekalian, bagi menyelesaikan isu Taska tidak berdaftar, khususnya yang beroperasi di rumah, Kerajaan Negeri Selangor telah mengadakan dua sesi siri libat urus pada 6 Mac 2023, dan 2 Mei 2023, bersama Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor, Persatuan Taska Negeri Selangor dan wakil Badan Bukan Kerajaan atau NGO dalam bidang pengasuhan dan penjagaan kanak-kanak, untuk membincangkan, isu dan cara penyelesaian yang wajar diambil di peringkat Kerajaan Negeri. Hasil perbincangan telah dibawa ke
peringkat Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Kerajaan Negeri (KPWKM), menerusi 2 siri pertemuan, bersama Yang Berhormat Timbalan Perdana Menteri dan agensi persekutuan yang berkenaan. Menerusi pertemuan dan perbincangan, Kerajaan Negeri bersetuju untuk memulakan program rintis di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan, bagi menggerakkan usaha penyeragaman undang-undang kecil yang berkuatkuasa berkaitan operasi taska, terutama taska yang beroperasi di rumah. Hal ini bertujuan untuk memudahkan urusan permohonan dan menggalakkan pendaftaran para pengusaha taska di rumah.
Tuan Speaker, langkah seterusnya bagi meningkatkan...
Puan EXCO. Puan EXCO, soalan tambahan. Nak ini mencelah. Saya ingat ada satu keperluan. Kalau kita lihat kalau andai kata sekolah persendirian, kita ada macam kertas putih. Tapi mungkin sebab yang baru-baru ini yang terjadi seperti viral ni berada di Kota Damansara. Jadi kemungkinan boleh saya cadangkan kepada pihak kerajaan, bilamana mungkin kita buat satu web yang mana kita beritahu pemutihan dulu (yang pertama). Kedua, kita senaraikan nama, senarai-senarai taska yang tidak berdaftar. Selalunya kita senaraikan senarai taska yang berdaftar sebab saya percaya di peringkat PBT pun ada juga senarai-senarai ini, yang tak berdaftar ni. Dia orang yang kita dah bagi satu tempoh tapi mereka gagal. Ini yang degil, jenis tak mahu daftar ni. Dia buka banyak dalam satu masa, dia sampai dia punya cawangan ada sampai 10 tapi hasilnya bila kita berlaku perkara yang tak diingini menyebabkan bila kita semak balik rupanya tak daftar. Semak balik tak daftar. Kita buat satu list yang mana mereka, parents boleh semak. Selalunya parents semak dah daftar ke belum. Tapi ini macam list yang untuk aware yang bagi tahu ini tak berdaftar. Secara tak langsung mereka yang termasuk dalam golongan list ini, mereka akan cuba untuk mendaftar untuk keluarkan diri mereka daripada senarai yang tak berdaftar ni terutamanya di Selangor.
Okay. Terima kasih Yang Berhormat Kota Damansara. Untuk makluman, dalam rekod pemantauan Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor, pada awal Januari 2023 sejumlah 497 taska masih tidak berdaftar dan hasil tindakan advokasi dan pemutihan dijalankan secara berterusan sehingga Oktober 2023 berjumlah 353 lagi taska masih tidak berdaftar. Saya ambil maklum tentang cadangan untuk penyenaraian taska-taska tidak berdaftar tersebut. Pun begitu, kita ambil maklum terdapat operasi bersepadu yang melibatkan sokongan daripada agensi teknikal untuk memudah cara senarai taska yang tidak berdaftar ini untuk mendapatkan compliance ataupun pematuhan kepada agensi-agensi teknikal tersebut. Saya ambil maklum dan saya lanjutkan kepada pihak yang berwajiblah iaitu Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mengambil kira dan mempertimbangkan perkara tersebut. Menerusi pertimbangan dan perbincangan tersebut, Kerajaan Negeri bersetuju untuk memulakan program rintis di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan bagi menggerakkan usaha penyeragaman undang-undang kecil yang
berkuat kuasa berkaitan operasi taska terutama taska yang beroperasi di rumah. Kenapa kita highlight ataupun kita utamakan tentang penyeragaman? Kerana undang-undang kecil di peringkat PBT ini ada yang berbeza-beza dari segi syarat pematuhan untuk pendaftaran taska yang beroperasi dari rumah ini ada setengahnya yang mengambil kira tentang syarat mesti berada di corner lot dan sebagainya. Jadi kita mahu penyeragaman undang-undang kecil yang akan memudahkan akhirnya dan pematuhan kepada syarat dalam akta berkaitan taska.
Tuan Speaker, langkah seterusnya bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan, pengasuhan dan penjagaan kanak-kanak. Agenda ini akan dimuatkan dalam Dasar Ekonomi Penjagaan yang sedang dirangka dan dijangka dilancarkan pada suku kedua tahun 2024. Seterusnya, terima kasih kepada soalan-soalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Batu Tiga dan Permatang berkenaan Orang Kurang Upaya, Yayasan Insan Istimewa (ANIS), Selangor (YANIS), Anak Selangor Istimewa ANIS dan juga berkaitan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti iaitu PDK oleh Yang Berhormat Taman Medan dan Kota Damansara.
Yang Berhormat Batu Tiga telah mencadangkan agar Program ANIS ditambah baik dengan melaksanakan pendaftaran Orang Kurang Upaya (OKU) secara atas talian. Untuk makluman Yang Berhormat, di peringkat Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menyediakan inisiatif MyDaftarOKU. MyDaftarOKU membolehkan OKU mendaftar secara atas talian serta mendapat pengesahan ketidakupayaan oleh pakar atau pegawai atau pengamal perubatan juga secara atas talian yang diintegrasi ke dalam Sistem Maklumat Orang Kurang Upaya ataupun SMOKU. Menerusi inisiatif ini, kad OKU akan diterima dalam bentuk digital iaitu kod QR dalam tempoh 24 jam setelah permohonan diluluskan. Kad OKU fizikal juga boleh dituntut dalam tempoh 7 hari di Pejabat JKM Daerah setelah permohonan diluluskan. Justeru Kerajaan Negeri akan memperhalusi dan mempertimbang cadangan Yang Berhormat Batu Tiga bagi menambah baik sistem pendaftaran ANIS di mana kajian pasaran sedang dilakukan untuk mendigitalisasi proses pendaftaran dan juga pemantauan perkembangan anak istimewa ini.
Ahli Yang Berhormat sekalian, Inisiatif Anak Istimewa atau lebih dikenali sebagai ANIS telah diperkenalkan sejak tahun 2019 dan sehingga ke hari ini inisiatif ANIS telah menginjak hampir separuh dekad. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan ucapan penghargaan kepada mantan Yang Berhormat EXCO sebelum ini dan juga Yang Berhormat Batu Tiga sendiri yang telah menerajui Jabatan ANIS dengan lonjakan yang sangat progresif. Untuk makluman Yang Berhormat, pelbagai usaha program inisiatif dan sesi libat urus dibuat bersama pemegang taruh bagi memastikan hala tuju Program ANIS ini memenuhi keperluan semasa golongan OKU di Negeri Selangor. Antara program yang telah dilaksanakan ialah Pusat Sokongan Intervensi ANIS, Pra Sekolah ANIS, Akademi ANIS dan Bantuan Khas ANIS. Di bawah Iltizam ANIS pada ketika ini terdapat 8 produk yang menyantuni
pelbagai golongan istimewa dari kalangan umur 18 tahun ke bawah. Alhamdulillah dalam tinjauan Merdeka Centre yang dibuat pada tahun 2021, Program Anak Istimewa Selangor (ANIS) berada pada kedudukan ketiga tertinggi dalam senarai program-program inisiatif kategori kanak-kanak yang paling dikenali oleh seluruh rakyat di Negeri Selangor. Iltizam ANIS yang telah dilaksanakan sejak tahun 2019 telah berkembang dari aspek kebajikan dan pemberian kepada aspek pemberdayaan dan pendayaupayaan sistem sokongan anak istimewa yang lebih holistik dan mampan.
Tuan Speaker, sebagai bukti komitmen Kerajaan Negeri terhadap usaha pemberdayaan Anak-anak Istimewa Selangor serta OKU secara keseluruhan, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah meluluskan penubuhan sebuah anak syarikat khusus di bawah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) MBI yang dinamakan Yayasan Insan Istimewa ataupun YANIS. YANIS akan berperanan dengan lebih luas bagi menyantuni semua golongan OKU tanpa had umur dari semua kategori ketidakupayaan. YANIS akan menjadi payung kepada usaha intervensi awal OKU di Negeri Selangor termasuklah Developmental Screening (dengan izin) atau saringan pertumbuhan kanak-kanak seawal usia. Antara matlamat penubuhan YANIS adalah melaksanakan program pemberdayaan melalui Pusat Sokongan Pendidikan Awal ANIS dan Pra Sekolah ANIS yang menggariskan pendidikan khas secara lebih progresif dan holistik bagi mencapai matlamat kesaksamaan optimum pendidikan khas. Dalam masa yang sama YANIS akan turut mempergiat inisiatif saringan awal bagi memastikan setiap anak istimewa yang lahir dapat diberikan intervensi lebih awal. Seterusnya, YANIS akan melaksanakan program-program pembangunan OKU di peringkat komuniti melalui inisiatif berbentuk kemahiran sosioekonomi dan pembangunan kapasiti demi memastikan OKU di peringkat akar umbi mampu berdikari dan mempunyai inisiatif untuk membangunkan tahap ekonomi mereka secara kendiri seterusnya ke arah merealisasikan dasar 1% pengambilan OKU dalam pekerjaan. Dan seterusnya mengendalikan siri-siri pengajian, program-program latihan insentif, kursus-kursus jangka pendek dan jangka panjang bagi mempercepat penglibatan OKU dalam pelbagai bidang.
YANIS juga akan menawarkan kursus kemahiran bagi program pembelajaran dengan kerjasama Universiti Selangor (UNISEL) dan NGO sebagai galakan untuk pelajar-pelajar OKU yang mungkin sebelum ini tidak berpeluang untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Penubuhan YANIS ini adalah bukti komitmen Kerajaan Negeri Selangor dalam menjamin kedua-dua aspek kebajikan, enablement dan pemberdayaan (empowerment) golongan istimewa yang sekaligus menjawab tanggapan YB Permatang yang mengatakan bahawa inisiatif Kerajaan Negeri kebanyakannya hanyalah bersifat kebajikan semata-mata. Tuan Speaker, Yang Berhormat Kota Damansara ada membangkitkan
Izin mencelah.
Okay, silakan.
Okay. Saya ingin bertanya adakah Kerajaan Negeri bercadang untuk memperkenalkan inisiatif perniagaan ataupun geran khas untuk OKU untuk kegunaan berniaga? Dan juga adakah sebarang kuota, contoh kuota perumahan untuk golongan OKU ini tadi? Sekian.
Terima kasih Yang Berhormat Permatang. Dua perkara yang ditimbulkan. Pertama adalah geran untuk perniagaan dan juga perumahan. Saya kira Kerajaan Negeri tidak mengkhususkan, namun kita mengambil kira dalam kerangka tindakan ekonomi penjagaan kerana tidak semua OKU yang boleh mandiri. Disebabkan itu dalam point seterusnya, saya menyebut tentang Jabatan ANIS pada September 2022 telah memperkenalkan Inisiatif Independent Living Support Centre (ILSC). Jika Yang Berhormat Permatang melihat bahawa spektrum kelainan upaya anak-anak ini sangat berbeza (pada high function dengan izin, dan low function. Dan tidak semua yang berkemampuan untuk melakukan keputusan-keputusan secara rasional. Namun, dengan Inisiatif Independent Living Support Centre ataupun ILSC, kita menyediakan latihan kemahiran dan penempatan pekerjaan kepada golongan OKU berusia 17 tahun ke atas (minima mereka dapat mandiri dan menguruskan diri sendiri tanpa bantuan ibu bapa ataupun penjaga). Dan inisiatif ini adalah satu bentuk pelaksanaan dan kerjasama dengan enam pusat latihan termasuk di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) yang berada di bawah seliaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Buat masa ini kursus-kursus yang ditawarkan ialah seperti Kursus Jahitan, Bakeri, Pengurusan Pejabat, Teknologi Digital dan Kecerdasan Buatan ataupun Artificial Intelligence. Untuk makluman Yang Berhormat juga
Izin mencelah. Saya sangat memuji sebenarnya Program ANIS untuk anak-anak. Tapi kita kena juga memberi perhatian juga kepada OKU-OKU di Selangor yang bukan saja terdiri daripada anak-anak, tetapi juga ramai juga golongan-golongan OKU dewasa yang saya rasa yang ada juga yang mampu untuk membuat menjalankan perniagaan dan memerlukan juga bantuan daripada segi kuota perumahan dan sebagainya.
Okay, saya ambil maklum untuk kita rangka pada dasar yang seterusnya. Pun begitu, ini adalah inisiatif awal bagaimana kita menyediakan latihan kemahiran dan penempatan pekerjaan, job matching. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, sehingga Oktober 2023 seramai 14 orang peserta ILSC dari kategori OKU masalah pembelajaran telah bergraduasi.
Yang Berhormat Kota Damansara juga ada membangkitkan soal keperluan intervensi awal dan persediaan anak-anak istimewa ke sekolah. Untuk makluman Yang Berhormat, Jabatan ANIS telah menjalinkan saringan awal bagi dua kumpulan kanak-kanak iaitu berusia 7 tahun ke bawah dan 7 tahun ke atas. Saringan dilaksanakan di Pusat Sokongan Intervensi ANIS dan di lokasi-lokasi terpilih di seluruh Selangor. Dalam melaksanakan program saringan ini, pihak Jabatan ANIS telah melaksanakan
kerjasama pintar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Kerjasama dengan KKM dan KPM melibatkan penyediaan tenaga kerja iaitu occupational therapist, speech therapist, audio therapist, physiotherapist serta guru-guru berpendidikan khas yang berperanan dalam membantu proses saringan. PPAS dan PBT pula menyediakan lokasi saringan yang dapat diakses dengan mudah termasuklah di kawasan bandar dan luar bandar. Untuk makluman Yang Berhormat juga, Kerajaan Negeri melalui Jabatan ANIS dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah menubuhkan sebuah Pra Sekolah ANIS untuk anak istimewa berusia 5 dan 6 tahun bagi kategori kurang upaya pembelajaran seperti autisme, ADHD, global developmental delay dan down syndrome. Pra Sekolah ANIS menyediakan peluang dan kemudahan pendidikan untuk murid-murid berkeperluan khas serta turut menerapkan persediaan anak-anak ini untuk ke sekolah.
Tuan Speaker, Yang Berhormat Taman Medan dan Kota Damansara ada membangkitkan tentang Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) atau Community Based Rehabilitation Programs (CBR). PDK adalah satu strategi dalam pembangunan komuniti untuk rehabilitasi, penyamaan peluang dan integrasi sosial bagi Orang Kurang Upaya. Program ini dilaksanakan melalui pendekatan multi sectoral melalui penglibatan aktif OKU, keluarga dan masyarakat setempat dengan disokong oleh Pertubuhan Bukan Kerajaan, swasta, agensi kerajaan serta pemimpin tempatan. Tumpuan program di PDK adalah kepada OKU yang memerlukan pemulihan dan latihan asas daripada sesi pergerakan, pertuturan serta kemahiran dalam aktiviti kehidupan harian. Program PDK boleh diwujudkan atas permohonan daripada komuniti setempat dengan mendapat sokongan dan kelulusan daripada Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) dan pewujudan program PDK ini hendaklah mengambil kira dalam aspek bilangan OKU, lokasi Pusat PDK, komuniti penggerak dan nasihat daripada PKMD. Selain itu ia tertakluk kepada Akta Pertubuhan 1996 yang memerlukan pertubuhan berkenaan memenuhi syarat dan berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).
Kerajaan Negeri dan JKM tidak mempunyai sebarang halangan sekiranya terdapat mana-mana NGO yang berhasrat untuk menyediakan perkhidmatan Program PDK bagi memenuhi keperluan OKU serta permintaan masyarakat. Seterusnya, saya berterima kasih kepada Yang Berhormat Bukit Gasing, Yang Berhormat Batu Tiga, Yang Berhormat Sungai Burong dan Yang Berhormat Permatang mengenai penambahbaikan Skim Mesra. Juga Yang Berhormat Permatang dan Yang Berhormat Lembah Jaya dan Yang Berhormat Meru mengenai Program BINGKAS. Tuan Speaker, sebagaimana jawapan saya di dalam sesi pertanyaan sebelum ini Kerajaan Negeri dalam rancangan ke arah mendigitalkan Program Skim Mesra secara keseluruhan termasuk proses pendaftaran sehingga kepada proses penembusan e-baucar yang dijangka akan dilaksanakan pada pertengahan tahun 2024. Lanjutan daripada peningkatan permohonan Skim Mesra tahun 2023, terdapat keperluan untuk
mengautomasikan proses kerja yang boleh meningkatkan mutu perkhidmatan yang lebih efisien dan mengurangkan human error dengan izin menerusi digitalisasi Skim Mesra permohonan dan penembusan baucar boleh dibuat secara atas talian oleh pemohon, waris ataupun Pusat Khidmat sama ada menerusi telefon bimbit atau komputer riba. Berkaitan isu yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Sungai Burong bahawa apabila Skim Mesra dibuat secara atas talian bantuan tidak sampai kepada rakyat. Untuk maklumat Yang Berhormat saya percaya rakyat negeri Selangor celik digital merentasi lapisan umur dan telah mengadaptasi penggunaan aplikasi digital dengan baik. Hal ini dibuktikan menerusi penggunaan SELangkah, aplikasi SELangkah secara meluas sejak diperkenalkan ketika Covid-19 di mana sehingga kini telah mencapai jumlah keseluruhan pengguna sebanyak 166,982 orang dari kalangan warga emas berusia 60 tahun ke atas. Walaubagaimanapun mengambil kira soal digital divide atau jurang digital bandar dan luar bandar, Kerajaan Negeri akan menyediakan sokongan menerusi kerjasama Pusat Khidmat dan Penyelarasan DUN yang akan membantu pemohon untuk melakukan pendaftaran serta penebusan baucar sekiranya terdapat keperluan. Tuan Speaker, Yang Berhormat...
Mohon mencelah. Nak tanya yang untuk ADUN ataupun Penyelaras DUN tu adakah yang Pusat Khidmat ADUN itu Pusat Khidmat ADUN kerajaan ataupun pembangkang. Bagi penjelasan yang itu kejap.
Pusat. Saya ulang Pusat Khidmat DUN dan juga Pusat Khidmat Penyelaras DUN.
Pusat Khidmat DUN tu adakah yang untuk pembangkang ataupun yang kerajaan sahaja?
Kerajaan sahaja.
Kena jelas tu. Terima kasih.
Tuan Speaker, Yang Berhormat Permatang, Yang Berhormat Lembah Jaya dan Yang Berhormat Meru telah membangkitkan beberapa perkara mengenai Program BINGKAS. Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri telah memberi komitmen yang besar dengan memperuntukkan sejumlah RM108 juta setahun bagi memastikan 30,000 ketua keluarga yang layak dapat menerima manfaat BINGKAS. Matlamat BINGKAS ialah untuk membantu meringankan beban ketua keluarga untuk menampung pembelian barangan keperluan asas keluarga termasuk barang keperluan persekolahan dan peralatan pendidikan. Bagi meningkatkan daya tahan kewangan dan kemandirian para penerima manfaat Kerajaan Negeri bercadang untuk menambah elemen pemerkasaan supaya penerima manfaat dapat diberi galakan dan panduan untuk
keluar daripada taraf kemiskinan sedia ada. Cadangan Yang Berhormat Meru, supaya Kerajaan Negeri mengadakan Program Pemerkasaan kepada penerima di bawah Program BINGKAS semasa tempoh enam bulan terakhir penerima penerimaan manfaat juga adalah diambil maklum. Untuk makluman Yang Berhormat Kerajaan Negeri akan meneliti dan memperhalusi bagaimanakah mekanisme yang bersesuaian bagi menerapkan elemen pemerkasaan tersebut. Berkenaan cadangan agar Kerajaan Negeri Selangor mewujudkan kuota khas kepada ketua keluarga dalam kalangan orang kelainan upaya dan keluarga yang mempunyai anak istimewa. Untuk makluman Yang Berhormat, Program BINGKAS adalah terbuka untuk semua golongan yang berkelayakan termasuk golongan OKU serta ibu bapa yang mempunyai anak istimewa. Untuk makluman Yang Berhormat, buat masa ini tiada kuota khas untuk ketua keluarga OKU yang mempunyai tanggungan serta ibu bapa anak istimewa. Walaubagaimanapun, Kerajaan Negeri bersedia untuk meneliti dan memperhalusi keperluan kuota khas tersebut.
Mohon mencelah Yang Berhormat. Boleh?
Ya sila.
Terima kasih Yang Berhormat....
Taman Medan mencelah bagi mencelah.
Ada. Ada.
Boleh?
Ada. PDK.
PDK dan juga fasal BINGKAS. Boleh?
Boleh.
Boleh jelaslah. Takkanlah rigid sangat semua tak boleh.
Ada. Ada. Ada.
Berkenaan pemerkasaan ni. Sebab ini melibatkan hal pusat khidmat juga. Boleh?
Yang Berhormat Taman Medan tidak membahaskan tentang BINGKAS. Saya tidak beri laluan.
Soalan Taman Medan dah dijawab tadi.
Saya mahu teruskan kepada penggulungan.
Dengar jela dulu soalan. Soalan ini berkenaan pemerkasaan program.
Soalan Taman Medan telah dijawab tadi.
Dah tak bagi nak buat macam mana....
Yela.
Sebab tak bahas.
Takkanlah rigid sangat sampai macam tu?
Mahu gulung bagi soalan-soalan yang diajukan oleh dalam perbahasan oleh Yang Berhormat.
Masa dah tak ada ya Taman Medan.
Terima kasih. Seterusnya, terima kasih buat Yang Berhormat Sri Kembangan, Yang Berhormat Meru, Yang Berhormat Permatang berkenaan ekonomi penjagaan dan negeri menua dan juga Yang Berhormat Sungai Burong berkenaan Pusat Aktiviti Warga Emas. Tuan Speaker, Kerajaan Negeri Selangor telah mengorak langkah terkehadapan sebagai negeri pertama yang mewujudkan portfolio Ekonomi Penjagaan atau Care Economy. Saya ucapkan terima kasih atas perhatian yang diberikan oleh Yang Berhormat Kajang dan Yang Berhormat Sri Serdang yang menyokong usaha Kerajaan Negeri dalam membangunkan sektor ekonomi penjagaan di Selangor. Oleh kerana ekonomi penjagaan merupakan wacana baru di Malaysia, saya terpanggil untuk mencerakinkan konsep ekonomi penjagaan secara ringkas kepada Dewan yang Mulia ini. Secara umumnya ekonomi penjagaan dilatari oleh dua isu utama iaitu kerja penjagaan tidak berbayar unpaid care work dan kerja penjagaan kurang upah ataupun under paid care work. Kedua-dua isu ini memberi kesan multi dimensi terhadap aspek sosioekonomi sekaligus memudaratkan golongan rentan yang berada di bawah penjagaan khususnya kanak-kanak, warga emas, OKU dan pesakit terlantar. Ahli-Ahli Dewan Negeri sekalian lazimnya kerja penjagaan tidak berbayar dilakukan oleh wanita yang menjaga anak, ibu bapa atau ahli keluarga yang memerlukan perhatian khusus serta melakukan kerja domestik seperti memasak serta tugas pembersihan. International Labour Organization (ILO) menjangkakan kerja penjagaan tidak berbayar ini bernilai RM11
trilion US dolar bagi GDP di peringkat global. Tuan Speaker, kerja penjagaan kurang upah pula dihadapi oleh pekerja sektor perkhidmatan seperti pekerja kesihatan, pekerja di pusat penjagaan dan pendidikan kanak-kanak serta pekerja sosial di pusat penjagaan warga emas dan OKU. Hal ini memberi kesan kepada perkembangan diri dan kerjaya individu seterusnya menyebabkan kualiti perkhidmatan yang rendah, penganiayaan terhadap golongan yang dijaga serta peningkatan pengambilan pekerja asing untuk bekerja dalam sektor penjagaan. Oleh itu, ekonomi penjagaan ini boleh dilihat sebagai strategi serampang dua mata yang akan mengiktiraf golongan penjaga serta melindungi golongan yang dijaga iaitu kanak-kanak warga emas dan OKU maka pembentukan portfolio ekonomi penjagaan membuktikan komitmen Kerajaan Negeri Selangor untuk merealisasikan matlamat mengutamakan keperluan sosio ekonomi rakyat bagi menjamin kehidupan rakyat yang berkualiti selari dengan pertumbuhan ekonomi negeri yang lestari. Tuan Speaker, Yang Berhormat Batu Tiga, Yang Berhormat Sungai Burong dan Yang Berhormat Permatang ada membangkitkan soal persediaan negeri Selangor menghadapi status negeri menua. Tuan Speaker realitinya anjakan demografi negeri kepada negeri menua ini akan menjejaskan aspek ekonomi dan sosial. Maka terdapat keperluan yang mendesak dan segera untuk kita teliti dan rangka dasar dan inisiatif berkaitan ekonomi penjagaan ini di Negeri Selangor. Sehubungan dengan itu, dasar ekonomi penjagaan yang bakal dirangka akan turut mengambil kira kesejahteraan warga emas secara menyeluruh serta keperluan penjagaan warga emas yang rencam. Hal ini, meliputi aspek undang-undang dan peraturan kesihatan awam khususnya soal geriatrik dan kesihatan mental, perlindungan sosial, teknologi dan inovasi perkhidmatan berkualiti dan inklusif tenaga kerja berkemahiran tinggi. Facility dan infrastruktur serta pelbagai lagi keperluan lain yang akan dikenal pasti menerusi kajian yang akan dilaksanakan di peringkat Kerajaan Negeri.
Perkara yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Sungai Burong berkenaan pusat jagaan harian ataupun daycare warga emas. Untuk makluman Yang Berhormat Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, JKM telah menyediakan 17 Pusat Aktiviti Warga Emas ataupun PAWE di negeri Selangor. Yang mana PAWE ini adalah tempat bagi warga emas menjalankan aktiviti harian dalam komuniti. Ia merupakan satu perkhidmatan bercorak pendampingan sosial ataupun reaching out dan pembangunan developmental kepada warga emas melibatkan kerjasama strategik antara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dengan agensi kerajaan yang lain serta Pertubuhan Bukan Kerajaan. Antara objektif PAWE bagi tujuan meningkatkan kualiti hidup warga emas, warga emas aktif dan produktif, menghindari kesunyian dan kemurungan serta dapat menyumbang kembali kepada masyarakat. Program-program di PAWE dibentuk berdasarkan Dasar Warga Emas Negara ataupun DWEN yang merupakan amalan penuaan berjaya (successful aging) termasuk penuaan sihat, positif, aktif, produktif dan penuaan menyokong untuk kesejahteraan warga emas. Untuk pengetahuan Yang Berhormat, PAWE di Selangor bukan berperanan sebagai pusat jagaan ataupun day care warga emas kerana tidak memenuhi syarat tiga agensi teknikal untuk berdaftar sebagai pusat jagaan di bawah
Akta Pusat Jagaan 1993. Konsep PAWE adalah sebagai pusat aktiviti harian dan tiada konsep jagaan di PAWE. Sekian penggulungan daripada Jawatankuasa Tetap Pembangunan Wanita Dan Keluarga, Jabatan Masyarakat Dan Ekonomi Penjagaan.
Soalan, minta mencelah.
Yang Berhormat. Jadi disebabkan soalan saya mengenai PAWE itu tidak menepati dengan hasrat day care itu, penjagaan warga tua adakah sebarang usaha ataupun cadangan daripada pihak kerajaan untuk membukanya?
Seperti yang telah saya jelaskan sebentar tadi. Terima kasih Yang Berhormat Sungai Burong. Terdapat lima elemen yang sedang dirangka dalam sebahagian daripada dasar ekonomi penjagaan iaitu termasuk dari segi khusus soal geriatrik dan kesihatan mental, perkhidmatan berkualiti dan inklusif. Bermakna ada sebahagian solusi kepada isu masyarakat menua ini adalah dalam bentuk institusi dan ada juga yang bersifat khidmat undang-undang dan penglibatan komuniti. Seperti yang saya nyatakan di awal penerangan tentang ekonomi penjagaan, terdapat empat teras utama di mana perkongsian tanggungjawab ini kita lebar luaskan bukan sahaja pada agensi kerajaan tetapi ada satu gembleng tenaga antara agensi dan swasta, antara komuniti dan keluarga. Jadi pada saya jawapan tersebut kita akan bentangkan selepas dasar ekonomi penjagaan ini siap dirangka dan dirasmikan sekitar pertengahan tahun 2024.
Izin mencelah.
Ya, silakan.
Okay. Adakah Kerajaan Negeri bercadang untuk menambah baik pulih infrastruktur awam sebagai contoh di rumah-rumah pangsa yang tiada lif dan sebagainya dan contoh perkhidmatan-perkhidmatan kenderaan awam untuk mempersiapkan kita di Negeri Selangor ini untuk mendepani masalah masyarakat menua.
Terima kasih Yang Berhormat Permatang. Seperti yang saya nyatakan sebentar tadi dalam Simposium Ekonomi Penjagaan yang telah dilaksanakan pada 30 dan 31 Oktober antara pemegang taruh adalah Pihak Berkuasa Tempatan. Jadi kita boleh melihat bahawa dari segi sokongan infra dan kemudahan-kemudahan secara contoh yang mengambil contoh universal design. Design yang universal yang mengambil kira bukan sahaja mesra OKU tapi juga mesra warga emas dan ini akan dimasukkan dalam kerangka dan juga dasar ekonomi penjagaan yang mengambil kira PBT sebagai salah satu daripada pemegang taruh.
Speaker.
Terima kasih Yang Berhormat Templer.
Yang Berhormat Speaker, saya mohon sikit panduan daripada Yang Berhormat Speaker.
Ada satu minit je lagi sebelum kita stop.
Sikit je satu minit. Saya minta panduan je.
Ya.
Yang Berhormat, saya ambil maklum kita dalam sesi penggulungan, cumanya Yang Berhormat pun tahu kita dalam kesuntukan masa itu. Banyak soalan yang kita nak bangkitkan tak semua kita dapat bangkitkan. Bila kita... kita dengar dulu Yang Berhormat...
Tapi rasanya tadi apa persoalan daripada Taman Medan tadi dah dijawab.
Saya, cuma saya minta. Saya minta macam ni. Saya nak dapatkan pandangan daripada Speaker, Yang Berhormat Speaker, dalam peraturan mana yang kata bahawa kalau kita tak bangkit perkara ini kita tak boleh nak tanya atau mencelah kepada EXCO yang sedang menjawab sebab perkara ini adalah berkaitan isu-isu yang dibincangkan.
Sebab persoalan itu tadi dah dijawab oleh Taman Templer masa Taman Medan tak ada di sini tadi. Tak masuk tadi.
Saya ada. Yang Berhormat Speaker saya ada dalam Dewan. Cuma, saya nak dapat peraturan mana yang mengatakan kita tak boleh mencelah isu-isu lain? Sebagai Ahli Dewan takkan kami tak boleh nak tanya? Sebab ini sahaja peluang.
Macam ni Taman Medan, sekarang ni pun dah pukul 12.00, nanti apa-apa persoalan nanti.
Saya nak tanya peraturan mana?
Sekarang ini pun kita kena tangguhkan dulu, lepas rehat nanti...
(Dewan riuh)
Lepas rehat, lepas nanti saya harap Yang Berhormat Speaker boleh beritahu saya, saya nak belajar. Sebab amalan sini nampak lain dengan amalan di Pulau Pinang dulu. Itu saya nak belajar, saya nak tahu.
Jangan banding dengan Pulau Pinang, jangan banding dengan Pulau Pinang
Keputusan Speaker muktamad.
Jadi Yang Berhormat tunjuk dekat saya, mana.
Okay, Taman Medan duduk ya.
Saya cari dalam buku ini, tak jumpa. Nanti Sekinchan tunjuk dekat saya. Boleh ya? Sekinchan tunjuk.
Ahli-Ahli Yang Berhormat masa telah menunjukkan 12.00 tengah hari dengan ini saya menangguhkan Dewan sehingga 3.00 petang. Dewan ditangguhkan.
(DEWAN DITANGGUHKAN)
(DEWAN DISAMBUNG SEMULA)
(TUAN TIMBALAN SPEAKER MEMPENGERUSIKAN)
Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum, Salam Sejahtera. Kita mulakan sesi petang ini dengan sambungan sesi penggulungan. Saya mempersilakan Yang Berhormat Kota Anggerik.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker. Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian yang telah membangkitkan mengenai isu-isu berkenaan dengan pembudayaan belia, pembangunan sukan dan keusahawanan Negeri Selangor. Saya mengambil maklum setiap isu yang diutarakan dan akan jawab dengan seberapa terperinci.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Yang Berhormat Seri Serdang ada menyatakan cadangan berkenaan penambahbaikan infrastruktur khususnya di kawasan Seri Serdang. Dan ingin saya maklumkan bahawa Majlis Sukan Negeri Selangor tidak mempunyai Aset Infrastruktur sukan yang menjadi hak milik atau diwartakan kepada pihak MSNS. Semua projek menaik taraf, membaik pulih dan membina infrastruktur baharu sukan adalah melibatkan aset-aset di bawah Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan dan Pejabat Daerah yang kebanyakannya digunakan oleh rakyat.
Sejak tahun 2021 Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM2,240,000.00 untuk tempoh 1 tahun bagi projek menaik taraf, membaik pulih dan membina infrastruktur sukan baharu yang melibatkan keseluruhan 56 DUN dan fasiliti sukan untuk kegunaan latihan atlet-atlet Negeri Selangor. Sehingga tahun 2023 sebanyak 75 infrastruktur sukan telah dibaik pulih dengan peruntukan berjumlah RM5,137,936.49.
Untuk makluman Yang Berhormat Seri Serdang, semua permohonan bagi projek menaik taraf, membaik pulih dan membina baharu infrastruktur sukan perlu melalui PBT atau Pejabat Daerah kawasan masing-masing kerana pihak tersebut yang bertanggungjawab menjaga dan menyelenggara serta membaik pulih setiap projek yang dilaksanakan. PBT dan Pejabat Tanah akan menyemak permohonan berdasarkan kepada perkara-perkara berikut:-
1. Peruntukan Sedia Ada. Semakan peruntukan ini adalah penting bagi memastikan kemudahan sukan tersebut masih belum menerima sebarang peruntukan dari pihak PBT ataupun Pejabat Daerah. Perkara ini pernah berlaku di mana terdapat infrastruktur sukan yang telah menerima peruntukan dari Pejabat Yang Berhormat EXCO dan pada masa yang sama menerima peruntukan dari Pihak Berkuasa Tempatan atau Pejabat Daerah seperti yang berlaku di DUN Batang Kali dan DUN Meru pada tahun 2021.
2. Lokasi Kemudahan Fasiliti. PBT atau Pejabat Daerah perlu menyemak lokasi infrastruktur sukan tersebut sama ada berada di bawah pengurusan PBT atau Pejabat Daerah. Ini kerana kemudahan yang telah dibaik pulih akan diselenggara oleh pihak PBT atau Pejabat Daerah kawasan masing-masing.
3. Kerja Yang Terlibat (Bill Of Quantity). Pihak PBT atau Pejabat Daerah perlu menyenaraikan semua kerja yang ingin dibaik pulih termasuk anggaran kos. Pihak Majlis Sukan Negeri Selangor akan menyenaraikan semua permohonan yang diterima dari PBT atau Pejabat Daerah dan menyerahkan kepada Pejabat EXCO untuk semakan dan disenarai pendekkan bagi
tujuan lawatan tapak oleh pihak Majlis Sukan Negeri. Lawatan tapak dihadiri oleh wakil pemohon, wakil PBT atau Pejabat Daerah dan wakil Majlis Sukan Negeri.
Tujuan lawatan tapak ini adalah bagi memastikan lokasi adalah betul serta butiran yang lebih terperinci dapat diketahui sebelum penyediaan BQ oleh pihak MSN. Anggaran kos perlulah mengikut had yang telah ditetapkan dalam keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) kelapan tahun 2022 yang telah diadakan pada 30 Mac 2022 yang telah disahkan pada 6 April 2022.
MMKN telah bersetuju memutuskan perkara seperti berikut:-
1. Projek menaik taraf dan membaik pulih infrastruktur sukan sedia ada dengan had maksimum sebanyak RM100,000.00 kecuali melibatkan kos baik pulih padang bola sepak dengan had sehingga RM250,000.00.
2. Projek membina baharu infrastruktur sukan dengan had maksimum sebanyak RM200,000.00 kecuali melibatkan kos membina baharu padang bola sepak dengan had sehingga RM250,000.00.
3. Projek menaik taraf dan membaik pulih infrastruktur sukan di bawah Persatuan Sukan terlibat dengan Kejohanan Sukan Malaysia atau SUKMA berjumlah RM1 juta dengan syarat kemudahan tersebut juga dibuka kepada orang awam untuk digunakan.
Seterusnya Pejabat EXCO akan menilai dan menyokong senarai kerja yang akan dibaik pulih. Senarai kerja yang telah disokong bersama minit ceraian yang disediakan oleh Majlis Sukan Negeri akan dikemukakan kepada Seksyen Agihan Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Bahagian Pembangunan untuk mendapatkan ulasan. Dan setelah ulasan ini diterima Majlis Sukan Negeri akan mengemukakan Permohonan Kelulusan Berbelanja dengan melampirkan minit ceraian kepada pihak Perbendaharaan Negeri Selangor seterusnya pihak Perbendaharaan Negeri akan menyemak, menilai dan sebelum meluluskan permohonan tersebut.
Selepas Pegawai Kewangan Negeri meluluskan Permohonan Kelulusan Berbelanja, Majlis Sukan akan menjalankan proses perolehan bagi pelantikan kontraktor dan seterusnya Majlis Sukan Negeri akan mengemukakan Permohonan Penyaluran Peruntukan kepada Seksyen Agihan UPEN dengan dilampirkan bersama surat setuju terima atau SST, minit ceraian dan salinan penyata bank.
Surat makluman menjalankan kerja akan diserahkan kepada PBT atau Pejabat Daerah kawasan masing-masing. Pihak MSN akan menjalankan serta kerja pemantauan sehingga siap dan menyerahkan semula kepada pihak PBT atau Pejabat Daerah untuk tindakan selanjutnya. Justeru itu jelas bahawa beberapa proses perlu
dilalui sebelum kerja-kerja dapat dilaksanakan. Semua prosedur ini perlu dijalankan mengikut aturan agar semua pihak mengambil maklum dan kerja dapat dilaksanakan dengan sebaiknya. Yang Berhormat Tuan Speaker,
Yang Berhormat Seri Serdang turut bertanyakan tentang Penggerak Belia Selangor dan suka untuk saya jelaskan secara terperinci tentang hala tuju dan peranan Penggerak Belia Selangor (PeBS)...
Tuan Speaker, minta mencelah. Saya hendak mohon penjelasan daripada Yang Berhormat EXCO apakah sebelum beralih kepada Penggerak Belia apakah Yang Berhormat akan menjawab persoalan Kompleks Sukan Shah Alam. Sebab tadi Yang berhormat menyentuh tentang kemudahan-kemudahan sukan di Negeri Selangor tetapi salah satu isu yang besar ialah Kompleks Sukan Shah Alam. Apakah Yang Berhormat akan menjawab kemudian untuk saya menunggu bagi mencelah.
Baik terima kasih Yang Berhormat Hulu Kelang. Berkaitan dengan Kompleks Sukan Shah Alam saya difahamkan ia terletak di bawah Unit Projek Khas yang diletakkan secara terus di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor. Mungkin Dato’ Menteri Besar akan membuat penjelasan berkenaan Kompleks Sukan Shah Alam. Terima kasih Hulu Kelang. Boleh saya teruskan?
Baik, tadi saya bangkitkan tentang Yang Berhormat Seri Serdang tentang PeBS. Jadi sesuai dengan tujuan penubuhan Penggerak Belia Selangor ini adalah untuk melahirkan, mendidik, mendekati dan menyelaraskan aktiviti-aktiviti yang melibatkan para belia di Negeri Selangor berdasarkan teras atau dasar yang diterima pakai oleh Kerajaan Negeri.
Penggerak Belia Selangor juga bertanggungjawab sebagai ejen pengubah dalam masyarakat dan memastikan dasar serta inisiatif Kerajaan Negeri sampai ke peringkat akar umbi serta memperbetulkan salah tanggap masyarakat terhadap isu-isu dan pentadbiran Kerajaan Negeri. Sehubungan itu Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Belia akan memastikan pelantikan PeBS pada tahun akan datang adalah dari kalangan individu yang benar-benar layak serta memenuhi kriteria yang telah ditetapkan. Justeru bagi tujuan itu, syarat minimum bagi pencalonan PeBS hendaklah lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mendapat gred kepujian atau kredit bagi pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik.
Hal ini bagi memastikan PeBS benar-benar kompeten untuk berada di dalam masyarakat. Untuk itu kerjasama daripada pimpinan tempatan sama ada Ahli Majlis atau Ahli Dewan Negeri amat diperlukan dalam membuat penilaian yang benar-benar untuk melayakkan mana-mana individu menjadi Penggerak Belia Selangor. Seusai pelantikan PoeBS, pihak kerajaan akan mengaturkan satu program kursus asas dan
pemantapan yang mana kandungan kursus ini akan mendedahkan PeBS kepada pentadbiran dan perancangan Kerajaan Negeri seumpama Rancangan Selangor Pertama dan inisiatif-inisiatif kerajaan seperti lazimnya yang dipamerkan Dalam Jelajah Iltizam Selangor yang diilham oleh Y.A.B Dato’ Menteri Besar. Dan kita juga akan menyelaraskan PeBS ini selaras dengan konsep Rakan Muda iaitu 10 gaya hidup rakan muda seperti berikut:-
1. Rakan Demokrasi
2. Rakan Niaga
3. Rakan Mahir
4. Rakan Litar
5. Rakan Muzik
6. Rakan Aktif
7. Rakan Ekspresi
8. Rakan Digital
9. Rakan Prihatin
10. Rakan Bumi
Beberapa program upskilling dan kemahiran kepimpinan juga telah dirancang dan dicadangkan melibatkan agensi-agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan agar setiap individu yang dilantik mempunyai ilmu dan pengalaman bagi menyampaikan maklumat ke peringkat akar umbi.
Seperti kata pepatah arab ‘ilmu tanpa amal ibarat pokok tanpa buah’. Maka dengan itu Kerajaan Negeri akan memastikan setiap individu yang dilantik mampu menjadi lidah serta juru bicara dalam menyampaikan informasi yang tepat dan sahih kepada masyarakat khususnya golongan belia.
Yang berhormat Tuan Speaker, Seri Serdang juga turut mengutarakan tentang Sukan Malaysia 2024. Suka untuk saya memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor sentiasa komited dalam memastikan pembangunan atlet dan dalam keadaan yang baik dan bersedia. Sukan Malaysia atau SUKMA 2024 bakal dianjurkan di Negeri Sarawak pada 17 – 24 Ogos 2024 yang melibatkan sebanyak 32 sukan yang dipertandingkan iaitu Sukan Akuatik, Angkat Berat, Badminton, Berbasikal, Golf, Gimnastik, Lawn ball, Menembak, Memanah, Pencak Silat, Pelayaran, Skuasy, Judo,
Karate do, Tenis, Tenpin Boling, Tekwando, Lawan Pedang, Olahraga, wusyu, Bola Sepak, Bola Tampar, Bola Keranjang, Hoki, Ping Pong, Bola Jaring, Ragbi dan Sepak Takraw. Serta ada empat lagi sukan pilihan iaitu Petanque, Tinju, E-sport dan Muay Thai.
Sebagai langkah persediaan menghadapi kejohanan SUKMA 2024, MSN telah merangka pelan strategik bagi memastikan program persediaan atlet akan dilaksanakan dengan sebaiknya. Bermula tahun 2023, Program Pembangunan Sukan dan persediaan SUKMA Negeri Selangor telah dibahagikan kepada tiga (3) kategori iaitu Program Khas atau Elit, kedua Pelapis dan yang ketiga Program Bakat iaitu program pembangunan bakat. Melalui tiga kategori ini pihak Majlis Sukan Negeri akan menumpukan atlet dari kategori Program Khas/ Elit dan Pelapis bagi membawa cabaran ke temasya Sukan Malaysia pada edisi 2024. Majlis Sukan Negeri juga telah membuat lantikan jurulatih yang berkelayakan dalam dan luar negara bagi memastikan program latihan atlet dapat dijalankan dengan lebih baik dan sempurna.
Di samping itu, dalam memastikan keterjaminan atlet Negeri Selangor sepanjang tempoh persediaan, Majlis Sukan Negeri telah mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan pakej-pakej keperluan serta kebajikan atlet antaranya ialah Gaji Bulanan ataupun Elaun Bulanan, Subsidi Tambahan Peralatan Latihan Peribadi, Pendedahan Kejohanan Dalam Dan Luar Negara, Insurans Perubatan, Program Makanan Tambahan, Kepakaran Sains Sukan, Kemudahan Peralatan Dan Tempat Latihan. Dengan peruntukan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri kepada pihak MSN sebanyak RM8 juta untuk tahun hadapan ia akan digunakan dengan sebaik mungkin walaupun agak terhad memandangkan keperluan peruntukan yang tinggi terutamanya dari segi logistik.
Untuk makluman, venue pertandingan sukan bagi penganjuran SUKMA 2024 akan melibatkan lapan (8) buah daerah di seluruh negeri Sarawak iaitu Kuching, Serian, Sarikei, Betong, Seri Aman, Sibu, Mukah dan Bintulu berbanding tiga (3) daerah pada penganjuran tahun 2016 yang lalu iaitu daerah Kuching, Miri dan Sibu. Berdasarkan keadaan dan potensi semasa melalui pemantauan serta penilaian atlet sepanjang tempoh persediaan, melalui penyertaan kejohanan, pihak Majlis Sukan Negara merasakan kemampuan untuk berada di kedudukan sekurang-kurangnya tiga (3) yang terbaik dalam temasya SUKMA yang akan datang.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya ingin beralih kepada isu-isu keusahawanan dan ekonomi kreatif yang telah dibangkitkan. Yang Berhormat Lembah Jaya ada menyuarakan berkenaan Industri Kreatif yang turut menjadi fokus Kerajaan Negeri untuk tahun 2024. Kerajaan Negeri menyambut baik cadangan Lembah Jaya tentang usaha memelihara produk-produk seni tradisional seperti keris dan tanjak. Untuk makluman Yang Berhormat Lembah Jaya, usaha konservasi warisan budaya berada di bawah peranan Jawatankuasa Tetap Adat Istiadat Melayu dan Warisan. Jawatankuasa Tetap Keusahawanan dan Kreatif pula akan memainkan peranan bagi
aspek pembangunan Industri Kreatif di Negeri Selangor. Dalam hal ini Kerajaan Negeri telah melaksanakan langkah mengumpulkan usahawan-usahawan seni dan kraf melalui Karnival Kawan Kraf Selangor 2023 dengan kerjasama Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia di bawah naungan DYMM Seri Padukan Baginda Raja Permaisuri Agong. Bagi memastikan peruntukan RM1 juta yang telah diberikan untuk tahun hadapan kepada segmen Industri Kreatif, Kerajaan Negeri akan melaksanakan Simposium Industri Kreatif dalam merangka pelan bagi menentukan hala tuju dan sektor yang perlu diberi fokus berpaksikan kepada tiga (3) skop utama iaitu multimedia, seni budaya dan warisan budaya.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Kerajaan Negeri juga menyambut baik cadangan daripada Yang Berhormat Pelabuhan Klang berhubung penglibatan anak muda dalam program-program keusahawanan bagi membangunkan industri kreatif di Negeri Selangor. Kerajaan Negeri menyedari industri kreatif ini dapat membuka ruang dan peluang kepada kelompok masyarakat termasuk generasi muda untuk berkarya sama ada dalam aspek multimedia, seni reka atau seni budaya dalam menghasilkan sesuatu yang kreatif seterusnya menjadi sumber pendapatan yang berasaskan bakat dan kebolehan. Bagi tujuan tersebut, Kerajaan Negeri akan melaksanakan pelbagai bentuk program, latihan, promosi serta geran bantuan bagi menggalakkan dan menyokong usahawan industri kreatif di Negeri Selangor termasuk usahawan-usahawan belia. Selain itu bagi perancangan tahun 2024..
Kota Anggerik.
Program Pembangunan Usahawan Muda akan dilaksanakan dengan kerjasama Selangor Youth Community (SAY). Program ini memberi fokus kepada usahawan belia yang memerlukan bimbingan serta latihan khusus dalam membangunkan perniagaan termasuk usahawan dari industri kreatif. Program ini akan dilaksanakan selama tempoh 6 bulan yang merangkumi asas perniagaan, pengurusan kewangan, pemasaran dan penempatan produk. Kerajaan Negeri juga telah merancang untuk bekerjasama dengan institusi-institusi..
Kota Anggerik, mencelah.
pengajian tinggi dalam menggalakkan dan memberi bimbingan kepada mahasiswa dalam membangunkan dan menguruskan perniagaan.
Kota Anggerik ada bangun.
Sungai Burong, sila.
Ok. Disebabkan disebutkan industri kreatif tadi sebahagian daripada industri hiburan dan seperti mana yang dilaporkan Ketua Audit Negara bahawa duti hiburan yang tidak dikutip RM16juta lebih, jadi mungkin Kota Anggerik boleh itemize kan sikit. Adakah konsert semata-mata duti hiburan? Ataupun ada lagi pecahan-pecahan lain yang berkaitan dengannya?
Sungai Burong tak bahas ya? Tadi? Sebelum ni? Tentang duti hiburan saya difahamkan kita memang. Dia banyak pecahan sebenarnya duti hiburan ni. Bukan sekadar konsert ataupun ha? Tapi tak apalah. Dato’ Menteri Besar akan huraikan nanti. saya nak terang tadi. Ok.
Terima kasih.
Terima kasih. Saya sambung balik ya? Tunggu penggulungan Dato’ MB. Ok. Yang seterusnya YB Seri Kembangan ada membangkitkan cadangan agar Liga Usahawan Wanita dapat bekerjasama dengan Pusat Wanita Berdaya bagi mewujudkan lebih banyak latihan permulaan perniagaan atau dengan izin start-up business kepada kaum wanita yang berhasrat untuk memulakan perniagaan sendiri. Kerajaan Negeri menyambut baik cadangan ini dan hal ini akan diteliti kaedah pelaksanaannya bagi tahun 2024.
Untuk makluman Seri Kembangan, Program Liga Usahawan Wanita telah dilaksanakan pada tahun 2023 dengan memberi fokus dalam membantu dan membangunkan usahawan wanita dalam kelompok ibu tunggal, asnaf dan kelompok B40. Menerusi program ini, usahawan wanita yang terpilih telah diberi pendedahan dan dibimbing dalam menguruskan perniagaan dari aspek pengurusan kewangan dan akaun, pengurusan sumber manusia, pemasaran, penempatan produk dan perniagaan secara digital.
Yang Berhormat Tuan Speaker, selain itu saya juga turut membangkitkan menyentuh sedikit apa yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Sentosa berkenaan... Sentosa tak ada? Tak ada saya skip. Baik. Untuk yang terakhir menyentuh tentang isu banjir di Cheding oleh Yang Berhormat Sijangkang. Dimaklumkan bahawa Loji Rawatan Air Sungai Rasau atau Seri Cheding di bawah tanggungjawab Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri. Banjir yang berlaku di Kampung Seri Cheding adalah selari dengan ramalan peralihan Monsun Timur Laut yang berlaku bermula daripada November 2023 hingga Mac 2024. Kesan daripada banjir tersebut,satu pusat pemindahan sementara atau PPS telah dibuka di Dewan Orang Ramai Dato’ Hormat, Kampung Seri Cheeding. Skuad Pantas Majlis Perbandaran Kuala Langat telah menempatkan seorang pegawai dan tiga pasukan pemantau bagi membuat kerja-kerja pemantauan dan menyelamat mangsa banjir. Dan pasukan ini bertugas selama 24 jam satu hari yang berpusat di PPS tersebut. Untuk saya selesai. Ada?
Boleh ke saya sentuh?
Boleh, boleh, boleh.
Berkaitan dengan banjir itu. Dalam episod banjir yang lalu ni di Seri Cheding ni jarang berlaku banjir. Tempat lain yang lebih kerap berlaku banjir. Tetapi pada kali ini hanya di Seri Cheeding saja dan ada pusat pemindahan. Sebab itu saya katakan apa yang kita lihat adalah daripada sudut perparitan terutamanya di kawasan FELCRA dan saya ingat JPS hanya mengambil tanggungjawab untuk menyelenggarakan parit iaitu pihak JPS sendiri. Kekhuatiran saya, takut dengan pembangunan. Ada di Rasau tu Loji Rawatan Air Sungai Rasau. Sebab kawasan perumahan Bukit Kemandol (Orang Asli) pun terlibat dengan sedikit kenaikan paras air di situ. Terima kasih.
Terima kasih Sijangkang atas maklum balas. Ni nanti saya akan rujuk dengan EXCO Infra. Jadi terima kasih Tuan Speaker. Saya selesai menggulung. Terima kasih banyak. Assalamualaikum.
Terima kasih Kota Anggerik. Sekarang saya persilakan Yang Berhormat Sungai Air Tawar.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker.
Melati kuntum tumbuh melata, Sayang merbah di pohon cemara, Assalamuaikum mulanya kata, Saya sembah pembuka bicara.
Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum W.B.T. salam sejahtera dan Salam Kita Selangor.
Tuan Speaker, terlebih dahulu saya ingin menzahirkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T atas limpah dan kurnianya saya dapat terus berada dalam Dewan yang mulia ini untuk meneruskan perkhidmatan dan politik khidmat bakti yang terbaik kepada rakyat. Untuk itu saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih buat keluarga besar Sungai Air Tawar yang telah memberi mandat kepada saya sebagai wakil mereka untuk penggal yang kedua. Jika pada penggal lepas saya berada di kerusi Yang Berhormat Hulu Kelang. Ini adalah ucapan ulung saya daripada sebelah sini sebagai Ahli Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Selangor. Sehubungan dengan itu, saya menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor atas limpah perkenan melantik saya sebagai anggota Pentadbiran Kerajaan Negeri. Sekalung penghargaan jua buat Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar dan kepimpinan parti yang telah memberikan kepercayaan kepada saya.
Tuan Speaker, terkait Rang Undang-Undang Perbekalan 2024, saya ingin memanjangkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar atas pengumuman peruntukan dan inisiatif utama kepada portfolio saya iaitu kemajuan desa, pengguna dan perpaduan. Dengan tema “Selangor Mandiri, Memacu Kemajuan, Memicu Perpaduan”. Saya yakin bahawa prinsip Belanjawan Selangor 2024 berkenaan telah dizahirkan dengan sempurna melalui peruntukan RM4juta masing-masing untuk pembangunan infrastruktur luar bandar dan Pemberdayaan ekonomi dan pembangunan desa serta peruntukan khas RM4.5juta daripada Kerajaan Negeri dan RM3juta daripada pejabat-pejabat daerah dan tanah serta Pihak Berkuasa Tempatan untuk menjayakan agenda perpaduan iaitu Gagasan Rumpun Selangor. Insya-Allah Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Kemajuan Desa dan Luar Bandar, Kemampanan Kampung Tradisi dan Perpaduan Nasional akan menjayakan segala agenda pembangunan dan inisiatif yang direncana ini demi kemakmuran warga desa khususnya dan warga rumpun Selangor amnya.
Yang Berhormat Tuan Speaker, Yang Berhormat Dusun Tua ada membangkitkan mengenai usaha Kerajaan Negeri memberdaya ekonomi luar bandar. Sudah tiba masanya kita menoktahkan persepsi bahawa pembangunan ekonomi hanya semata-mata tertumpu di kota dan bandar. Kerajaan Negeri kini turut memberi perhatian serius terhadap peningkatan ekonomi desa. Justeru pada tahun hadapan melalui Program Jejak Eko-Desa, Kerajaan Negeri berhasrat untuk mengangkat ekonomi desa dengan mengenal pasti ekonomi berpotensi tinggi di sesebuah kampung tradisi sebagai identiti ekonomi kampung berkenaan. Jadi melalui Program Jejak Ekonomi Desa ini, Kerajaan Negeri akan mengenal pasti aktiviti ekonomi yang paling berpotensi. Misalnya sama ada perusahaan makanan tradisional, pembuatan kraf tangan, perkhidmatan seperti ekopelancongan, pertanian dan lain-lain. Sebagai tambahan di dalam membantu meningkatkan kualiti kehidupan warga desa, Kerajaan Negeri akan mengutamakan projek intervensi untuk membaik pulih dan menaik taraf infrastruktur usang dan daif khususnya balai-balai raya dan dewan orang ramai. Di samping itu, Kerajaan Negeri juga akan memberi perhatian kepada penyediaan pusat komuniti dan ameniti sosial termasuklah kemudahan infrastruktur digital dan liputan jalur lebar percuma yang berkualiti untuk manfaat warga desa sebagai lapisan umur daripada kanak-kanak belia sehingga orang dewasa. Sebagai contoh, Kerajaan Negeri akan memperluas pewujudan Pusat Smart Desa yang berperanan sebagai pusat sehenti untuk kegunaan warga desa pelbagai umur bagi menggunakan perkhidmatan jalur lebar percuma, pusat internet, kelas tambahan dan pusat komuniti dan setakat ini terdapat dua Pusat Smart Desa iaitu di Sungai Air Tawar, Sabak Bernam dan Kampung Indah, Kuala Langat yang mana ianya akan dirasmikan di Dewan Jubli Emas oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar pada 18 November (Sabtu ini).
Tuan Speaker, seterusnya saya juga berterima kasih kepada Yang Berhormat Seri Serdang, Bukit Lanjan dan Batang Kali yang turut bersama-sama berkongsi
keprihatinan terhadap isu perpaduan dan keharmonian kaum di Negeri Selangor ini. Saya juga gembira kerana semasa sesi pertanyaan mulut beberapa hari lepas ini, isu perpaduan ini amat mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Atas rasa tanggungjawab dan keinsafan terhadap kepentingan perpaduan sebagai tunjang kepada kestabilan, Kerajaan Negeri akan memperkenal sebuah program khas iaitu perpaduan iaitu Gagasan Rumpun Selangor. Jadi asas kepada Gagasan Rumpun Selangor ini adalah tanpa mengira asal, etnik dan agama. Apabila kita menjadi sebahagian daripada keluarga besar di sini, kita hidup sebagai satu rumpun yang mempunyai ikatan kemasyarakatan yang kukuh di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Komponen Selangor ibarat sepohon pokok, banyak ranting dan pucuknya tetapi akhirnya kita berkongsi akar dan aspirasi yang sama. Bagi menjayakan agenda Gagasan Rumpun Selangor, terdapat enam tunjang utama :-
1) Penggubalan Dasar Perpaduan Rumpun Selangor; 2) Penganjuran Karnival Perpaduan Rumpun Selangor; 3) Penghasilan Lagu Perpaduan Rumpun Selangor; 4) Penyusunan dan Pemerkasaan Institusi Kepimpinan Desa; 5) Mendukung Pemerkasaan Institusi Pendidikan dan Kanak-Kanak; dan 6) Mengadakan Program Promosi dan Advokasi Rakyat.
Bukan hanya sekadar dasar dan slogan, besarlah harapan Kerajaan Negeri agar pelaksanaan enam tunjang utama ini dapat memicu perpaduan warga rumpun Selangor baik mereka yang berada di bandar mahupun mereka yang berada di desa serta tanpa mengira perbezaan fahaman politik, agama, kaum dan asal-usul.
Untuk menjawab persoalan Yang Berhormat Batang Kali, sekiranya pelaksanaan Gagasan Rumpun Selangor akan lebih difokuskan kepada luar bandar, saya ingin menyatakan di sini bahawa Selangor ini adalah ibarat sebuah mini Malaysia. Selangor ini adalah negeri yang paling unik kerana kita menjadi rumah atau paksi kepada pelbagai lapisan masyarakat daripada penduduk asal dan Orang Asli sehinggalah kepada perantau dari seluruh negara. Ramai yang datang ke sini untuk bekerja, bermastautin dan menjadi sebahagian daripada warga rumpun Selangor. Semua orang dari semua negeri ada di sini. Jadi Program Gagasan Rumpun Selangor ini adalah diperkenal untuk mendidik segenap lapisan masyarakat di Selangor terhadap kepentingan perpaduan. Namun, bercakap secara khusus mengenai agenda perpaduan di kampung, tunjang keempat Gagasan Rumpun Selangor menggariskan penyusunan dan pemerkasaan institusi kepimpinan desa. Di bawah tunjang keempat ini memandangkan pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri adalah selari, Majlis Pembangunan Komuniti Kampung (MPKK) akan dijenamakan sebagai Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung yakni JPKK. Ini akan melibatkan sebanyak 373 buah kampung tradisi.
Bagi menjajarkan semula punca kuasa Ketua Kampung dan koordinasi yang lebih mantap, keanggotaan JPKK akan turut dikembangkan kepada tokoh-tokoh berpengaruh setempat yang mewakili pelbagai kesatuan tempatan seperti nazir masjid, RELA, kawasan rukun tetangga, Persatuan Peladang dan kepimpinan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang akan mewakili kepelbagaian demografi kawasan berkenaan.
Berkaitan cadangan Yang Berhormat Bukit Lanjan untuk memastikan penjawat awam turut menghayati Gagasan Rumpun Selangor ini, Kerajaan Negeri melalui Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri akan memanjangkan modul khas kepada semua penjawat awam Selangor agar kita semua berkongsi aspirasi terhadap peri pentingnya menyemarakkan perpaduan kaum di Negeri Selangor. Sebagai tambahan, Jawatankuasa Tetap Perpaduan Nasional akan turut bekerjasama rapat dengan Kementerian Perpaduan yakni JKPN melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Selangor di dalam memantau isu-isu terkait, perpaduan dan keharmonian kaum di negeri ini. KPN juga mengguna pakai satu kaedah untuk mengukur pencapaian tahap perpaduan semasa dalam kalangan rakyat Malaysia termasuklah yang di Negeri Selangor yang dipanggil indeks perpaduan atau IPNAS. Kerajaan Negeri akan mengambil kira nilai indeks ini dalam pengubahan dasar perpaduan Rumpun Selangor kelak. Tuan Speaker saya berharap agar segala projek program dan inisiatif yang direncanakan oleh Kerajaan Negeri ini mendapat dukungan semua pihak agar ianya benar-benar diterjemahkan kepada pelaksanaan yang tuntas. Insya-Allah dengan semangat dan iltizam kepada semua pihak kita pasti dapat memacu kemajuan dan memicu kemajuan Negeri Selangor yang kendiri. Tuan Speaker saya mohon menyokong.
Terima kasih Sungai Air Tawar sekarang saya silakan Seri Setia.
Terima kasih Tuan Speaker, Assalammualaikum WBT.. (bacaan doa pembukaan) izinkan saya bermula untuk mengucapkan terima kasih dan penghargaan yang tidak terhingga kepada pengundi Seri Setia yang telah memilih saya pada PRN yang lalu. Seri Setia akan melaksanakan yang terbaik untuk memastikan Seri Setia terus berseri, makmur dan berdaya huni untuk penduduknya. Terima kasih juga kepada Yang Amat Berhormat Sungai Tua atas kepercayaan beliau untuk memberikan amanah jawatan EXCO Kerajaan Negeri Selangor kepada Seri Setia dan mengendalikan 4 portfolio utama Iaitu Hal Ehwal Agama Islam, Industri Halal, Sains, Teknologi & Inovasi serta Infrastruktur Digital, cuma hari ni soalan yang banyak saya terima hal ehwal agama Islam lah. Terima kasih juga kepada para penjawat awam, para pegawai dan pimpinan semua GLC Selangor, Ahli-Ahli Yang Berhormat yang pernah dan terus membantu Seri Setia sebelum dan selepas lantikan Seri Setia sebagai ADN dan EXCO Kerajaan Negeri Selangor. Terima kasih juga kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat yang membahaskan belanjawan Selangor 2024 Selangor Mandiri Memacu
Kemajuan Memicu Perpaduan. Ahli-ahli yang Berhormat telah memberikan cadangan permohonan dan pernah penambahbaikan bagi isu-isu di bawah amanah seliaan portfolio saya. Saya menyambut baik dan menghargai semua pandangan dan cadangan untuk penambahbaikan perkhidmatan untuk Kerajaan Perpaduan Negeri Selangor tercinta ini.
Tuan Speaker Yang Berhomat Sijangkang, Sabak Bernam, Selat Klang,Sungai Panjang dan Dusun Tua telah membangkitkan isu-isu berkaitan urusan masjid, pendidikan agama Islam dan MITS, isu Palestin, Qunut Nazzillah serta isu peruntukkan untuk Jabatan Mufti Negeri Selangor. Sukacita saya mengambil kesempatan ini untuk menjawab dan memberi pencerahan mengenai isu-isu yang dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat. Banyak disebut mengenai usaha dan ikhtiar yang patut dibuat untuk menyatakan sokongan kita terhadap perjuangan dan penderitaan oleh umat Islam Palestin. Sekecil-kecil usaha daripada memakai mafla, berdoa, membaca Qunut Nazilah, memboikot jenama-jenama tertentu hinggalah memberi sumbangan derma. Untuk maklumat Dewan yang Mulia ini, Kerajaan Negeri menerusi JAIS telah menubuhkan tabung kemanusiaan Palestin di bawah tabung infak jariah umat Islam Selangor TIJARI yang diselenggara oleh JAIS dan telah mengeluarkan pekeliling rasmi menyeru semua masjid dan surau-surau melaksanakan solat hajat dan Qunut Nazilah seawal 26 Oktober 2023. Jadi Seri Setia menyambut baik cadangan sumbangan Palestin oleh Yang Berhormat Bukit Lanjan semalam dan molekla jika sumbangan tersebut diberikan menerusi tabung TIJARI Negeri Selangor, Insya-Allah sampai ke Palestin. Kembali kepada cadangan Yang Berhormat Sabak mengenai Qunut Nazilah, Kerajaan Negeri Selangor melalui JAIS telah mengeluarkan pekeliling seawal 26 Oktober 2023 bagi mengarahkan semua masjid dan surau di Negeri Selangor untuk melakukan solat hajat dan membaca Qunut Nazilah di rakaat terakhir pada solat Magrib dan Ishak bagi mendoakan kecekalan, ketabahan dan kesungguhan perjuangan rakyat Palestin dalam mempertahankan tanah air dan pembebasan Masjid Al-Aqsa. Ini sesuai dengan amalan sunah Nabi S.A.W ketika mana berlakunya kekejaman oleh Banni Lahyann yang membunuh para utusan Baginda S.A.W. dalam masa yang sama JAIS tidak pernah mengeluarkan apa-apa arahan atau pekeliling yang menghalang pihak sekolah daripada membaca Qunut Nazilah. JAIS juga tidak menerima apa-apa pekeliling atau arahan berkenaan larangan membaca Qunut Nazilah. Elakkanlah menimbulkan prasangka atau cubaan yang meresahkan dan memecahbelahkan sebaliknya saya menyeru umat Islam dan bukan Islam perlu disatukan atas nama kemanusiaan dengan izin humanity atau ukhwah insaniah untuk digemblengkan bagi menyokong dan membantu rakyat Palestin khususnya Gaza dalam malapetaka akibat kekejaman rejim aparteid Zionis Israel. Seri Setia tiada masalah dengan usaha-usaha yang baik ini tetapi izinkan juga Seri Setia..
Mohon mencelah.
Untuk mengiktiraf dan menyokong usaha-usaha proaktif seorang orang Melayu juga rakyat Malaysia, berasal dari ceruk tok kun tidak lain dan tidak bukan Perdana Menteri Malaysia kita yang kesepuluh, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim atas istiqamah beliau dalam memperjuangkan isu Palestin secara konsisten dan bersungguh-sungguh sebelum dan selepas beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia. Apa yang sudah dibuat oleh beliau? Pertama, pada 11 November membawa pendirian Malaysia ke Sidang Kemuncak Tergempar Pertubuhan Negara Islam (OIC) ke-8 di Riyadh, Arab Saudi bersama negara-negara Islam termasuk negara-negara liga Arab lain untuk menyatakan pendirian menghentikan kekejaman dan pembantaian etnik rejim Israel serta mengembalikan hak kemanusiaan dan kemerdekaan buat rakyat Palestin. Kedua, membawa keluar seorang rakyat Malaysia Puan Nurul Ain Harun dan suaminya Muhammad Shaad seorang warga Palestin dari Gaza pada 12 November yang lalu. Ketiga, kelmarin sahaja dengan yakin tanpa apologetic dan segan silu terus membawa pendirian yang sama ke Mesyuarat ke 30 pemimpin-pemimpin Ekonomi Asia Pasific Economic Cooperation (APEC) CEO Summit 2023 di San Francisco, terus membawa suara dan pendirian yang sama kepada komuniti ekonomi Amerika Syarikat. Yang saya yakin Yang Berhormat Hulu Kelang juga pasti kenal sewaktu di MITI dulu, share la whatsapp group tu dengan mereka InsyaAllah boleh viralkan video Perdana Menteri kita. Inilah contoh pemimpin Islam yang konsisten dan berani memperjuangkan isu antarabangsa ini bukan sahaja dalam negara ini tetapi konsisten juga di pentas antarabangsa dan ciri kepimpinan ini wajar dicontohi dan dijadikan inspirasi kepada golongan-golongan muda kita ...
Kalau tadi cerita tentang PMX punya keprihatinan dalam konteks Negeri Selangor saya difahamkan sudah masuk minggu kelima khutbah Jumaat tidak menyentuh tentang isu Palestin melainkan kepada khutbah kedua tetapi lebih kepada simpati dan doa sahaja. Boleh komen?
Baik terima kasih Sungai Burong, perkara tersebut telah pun kita panjangkan pada pihak MAIS keputusannya kita kekal dengan setakat ini doa Qunut Nazilah itu yang kita akan teruskan setiap hari. Tuan Speaker, keduanya sekarang ni saya ingin menyentuh soal angka belanjawan Selangor 2024 yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Sabak sebutnya peruntukkan Jabatan Mufti agak kecil.
Tuan Speaker, saya nak menjawab sikitlah saya...
Minta kebenaran daripada Seri Setia..
Saya tak tau Yang Berhormat solat Jumaat kat mana lah tapi saya bersama Seri Setia dan Yang
Berhormat Abbas kami bersolat Jumaat di Masjid Negeri dan dalam khutbah Jumaat tu ada sebut pasal Palestin jadi nak maklumkan sahaja.
Sebut dengan tajuk utama lain..
Seri Setia teruskan.
Tidak apa.
Saya kira khutbah Jumaat YB. EXCO, setuju ataupun tidak dengan saya, khutbah Jumaat ini kalau kita ambil setiap minggu kita fokus pada Palestin, Palestin, Palestin sedangkan semua orang tahu tentang kezaliman zionis Israel kepada Palestin. Kita ada isu lain, isu masyarakat yang perlu kita bawa juga, seperti hari ini khutbah Jumaat tetapi hujungnya, di hujungnya tetap mengingatkan tentang perjuangan rakyat Palestin sepertimana khutbah pada hari ini. Apa pandangan Yang Berhormat EXCO?
Baik terima kasih. Tidak apa, kita percaya dengan doa tidak apa. Insya-Allah setiap hari Jumaat kita doa dan kita harapkan satu masa nanti...
Yang Berhormat, boleh mohon mencelah Yang Berhormat? Sikit pasal tadi ada sebut pencapaian Perdana Menteri mempertahankan Palestin. Saya nak celah sikit. Nak tanya pendapat Yang Berhormat sebab kami datang petang ini Yang Berhormat, kita nak dengar perbahasan, bukan nak dengar taklimat. Jadi minta boleh, sikit sebab tadi dah sebut pasal PMX. Sebab benda itu tidak ada pun dalam perbincangan Dewan Negeri EXCO bawa. Ini benda baru EXCO bawa. Dalam perbincangan Dewan tiada siapa pun bangkit tentang usaha Perdana Menteri tentang Palestin tapi EXCO bawa, jadi bagilah kami tanya soalan. Sebab tiada dalam Belanjawan isu ini. Tapi EXCO bawa, jadi takkan kami tak boleh tanya? Kita nak tahu pendirian EXCO Agama tentang perkara ini. Boleh? Sebab tadi Qunut Nazilah...
Yang Berhormat teruskan Seri Setia boleh jawab dan boleh tidak jawab, terserah atau teruskan penggulungan.
Saya nak tanya sebab di Amerika baru ni keluar dalam viral tiktok ada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri menyatakan bahawa ada 2 terorrist act. Adakah Malaysia hari ini atau Perdana Menteri mengiktiraf Hamas sebagai satu organisasi terrorist atau sebenarnya Hamas ini adalah pejuang kemerdekaan Palestin? Itu kita nak tahu apa pendapat Yang Berhormat Seri Setia?
Soalan tu ditujukan untuk PMX dan pandangan beliau tiada kena mengena dengan saya dan Kerajaan Negeri Selangor.
Taman Medan kita bagi peluang Seri Setia untuk gulung..
Sabar okay.. baik jadi yang kedua soal angka belanjawan Negeri Selangor dan saya tercari-cari dan saya cuba melihat bagaimana corak, gaya dan konsep belanjawan negeri yang dibawa oleh pembangkang yang ditadbir pembangkang itu sendiri di negeri-negeri pembangkang jadi kalau kita lihat di situ Kedah, saiz belanjawannya satu billion ringgit, Kelantan 1.6 billion ringgit, Terengganu 2.5 billion ringgit lebih kurang sama dengan Selangor. Jadi saya ambil contoh negeri Terengganu sebab ia hampir dengan Negeri Selangor, data dan angka dalam belanjawan 2023 rujukan saya dari Perbendaharaan Negeri Terengganu jumlah perbelanjaan mengurus Negeri Terengganu. Negeri Terengganu ini, Gombak Setia nanti boleh semak angka-angka ini ye kalau pandai sangat. Kerajaan Negeri Terengganu adalah Kerajaan Perikatan Nasional takde pembangkang penduduk negeri Terengganu 97% orang Islam, baik perbelanjaan mengurus belanjawan negeri Terengganu tahun 2023 1.991 billion dengan izin dan daripada perbelanjaan mengurus ni yang masih baru adalah perbelanjaan yang kita bayar emolumon gaji bekalan untuk penjawat-penjawat awam dalam kes ini yang menguatkuasakan yang menjaga hal ehwal agama Islam jadi di Negeri Terengganu termasuk dalam tu jadi di Negeri Terengganu ada 4 Jabatan dan agensi yang mengendalikan Hal Ehwal Agama, Jabatan Kehakiman, Pejabat Mufti dan Pejabat Pendakwaan Syariah. Kalau saya campur peruntukan pembangunan yang diberikan kepada keempat-empat jabatan ini jumlahnya1027.2 Juta. Jumlah tersebut sebagai nisbah perbelanjaan mengurus 1.991 Juta tadi hanyalah 6.4% jadi maknanya apa di sini maknanya duit 1.9 billion yang banyak tu untuk negeri yang ditadbir oleh Perikatan Nasional 97% penduduknya orang Islam hanya 6.4% sahaja. Ini adalah angka daripada Kerajaan Negeri Terengganu sendiri kita di Selangor ini kononnya kita kurang Melayu . Tahun 2023 sahaja peruntukkan perbelanjaan mengurus kita jauh lebih rendah 1.25 billion, tadi 1.991 dan kalau kita campur peruntukan mengurus kita tadi di keempat-empat jabatan yang sama tadi, jumlahnya 325 Juta. Sebagai peratusan nilai ini 26% daripada keseluruhan perbelanjaan mengurus Kerajaan Negeri Selangor . Jadi dekat mana kira kurang Islamnya, dekat mana kita kurang Melayunya kerajaan yang bercampur inilah yang mengangkat martabat agensi-agensi Islam di Negeri Selangor.
Mohon mencelah. Maaf YB. EXCO saya hendak bertanya.
Seri Setia bagi peluang..
Terima kasih Seri Setia. Nama sama ayah berbeza tapi dua-dua bukan orang Terengganu. Saya hairan mengapa EXCO memberi masa yang panjang untuk membahaskan Bajet negeri orang lain. Kita pun tiada bahas sentuh negeri Terengganu, pertama. Yang kedua, tiada siapa yang bercakap di Dewan ini menyatakan Negeri Selangor kesampingkan agama, bangsa mana ada. Sehingga EXCO memperkatakan bahawa Negeri Selangor tidak pernah kesampingkan bangsa dan agama. Tiada siapa yang sentuh pun, semua agree atau bersetuju (dengan izin) Speaker, bahawa kita bertanggungjawab untuk menjaga kepentingan semua pihak di Negeri Selangor. Bila kita buat kritikan, teguran adalah untuk menambah baik, bukan erti berkesampingkan bangsa atau agama lain di Negeri Selangor. Mohon penjelasan Speaker, Yang Berhormat. Terima kasih.
Ok. Baik. Tak apa. Itu sebenarnya mukadimah saya nak menjawab Yang Berhormat Sabak. Tunggu. Tadi saya angka-angka tahun 2023 sahaja. Tapi yang kita hendak buat, yang hendak bahas ini adalah tahun 2024. Jadi untuk tahun 2024 soalan Sabak itu adalah peruntukan Pejabat Mufti yang rendah. Jadi saya hendak sebut di sini pada tahun 2024, Pejabat Mufti Negeri Selangor diperuntukkan RM4.7 juta pada tahun akan datang. Untuk tahun ini sahaja RM3.6 juta dibandingkan dengan negeri yang tadi. Tahun 2023 RM2.2 juta sahaja. Jadi besar atau kecil itu adalah relatif tapi ternyata kalau nak kira angka lebih besar kita memberikan peruntukan yang lebih besar kepada Pejabat Mufti Negeri Selangor. Silakan.
Yang Berhormat Seri Setia, terima kasih. Saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Seri Setia sebagai EXCO Agama. Saya pun kurang selesa Yang Berhormat Seri Setia dilantik sebagai EXCO Agama. Saya ingat Yang Berhormat ini lebih sesuai EXCO Pelaburan, Inovasi. Saya tidak faham kenapa Sungai Tua letakkan portfolio itu, mungkin ada pertimbangan yang lain. Cuma sebagai EXCO Agama, apa pendirian Yang Berhormat tentang tindakan yang tidak adil kepada Kerajaan Negeri Terengganu, sehingga hari ini Kerajaan Persekutuan menafikan bayaran royalti yang sepatutnya disalurkan kepada Kerajaan Negeri Terengganu.
Kalau zaman Tun Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Dato’ Sri Ismail Sabri, hampir RM1 bilion disalurkan kepada Kerajaan Negeri Terengganu kerana itu adalah hak Kerajaan Negeri. Dan dengan dana yang begitu besar sudah tentulah peruntukan-peruntukan ini boleh diagihkan untuk belanja pembangunan dan belanja mengurus. Apakah sebagai EXCO Agama boleh terima tindakan anak Cherok Tok Kun yang menjadi kebanggaan Seri Setia yang tidak berlaku adil kepada Kerajaan Negeri Terengganu, itu yang pertama.
Yang kedua ,Yang Berhormat Seri Setia juga, tidak boleh membandingkan Kerajaan Negeri Selangor dengan Negeri Terengganu. Apakah Yang Berhormat mempunyai statistik dari segi jumlah perjawatan guru-guru agama? Jumlah sekolah agama?
Pastinya di Negeri Selangor jauh lebih besar daripada Negeri Terengganu. Jadi Yang Berhormat Seri Setia, bila duduk dalam portfolio agama ini biarlah bercakap lurus, jujur, jangan main politik seperti anak Cheruk Tok Kun. Terima kasih.
Soalan itu tiada dalam, terserah kepada Seri Setia untuk menjawab.
Tak mengapa. Terima kasihlah Yang Berhormat Hulu Kelang. Saya rasa soalan-soalan berkaitan dengan Perdana Menteri kita tu, biarlah! Beliau yang jawab sebab beliau juga Menteri Kewangan seharusnya beliau lebih tahu keupayaan kewangan Kerajaan Persekutuan untuk melayan permintaan itu ataupun tidak, itu yang pertama. Yang kedua, nak lurus saya sebut angka-angka ini lurus dan jujur. Silakan.
Yang Berhormat EXCO, sebab berkata tentang Sabak tadi. Baik. Ketika saya membahas tentang menyebutkan peruntukan Mufti berdasar kepada Belanjawan yang dibentang oleh Yang Amat Berhormat, RM500,000.00. Saya tidak menoleh ke belakang dan ke depan. Saya tiada perasaan nak condemn, kenapa hendak banding dengan yang lain, tidak. Kerana jumlah RM500 000.00, apabila yang saya menyebut tentang keperluan untuk kita melahirkan para ilmuan yang setaraf dengan Mufti yang ramai di Negeri Selangor yang memerlukan kepada peruntukan yang banyak, sehingga saya kaitkan dengan soal perlu kita ada yang saya kata perlu kita adalah ialah saya kata ialah Darul Iftak sebagaimana di Mesir. Saya bukan bercakap untuk berdasar politik, jadi jawapan saya mohon yang Berhormat kenapa jawapan tu nampak berpolitik pula.
Kita beri peluang Seri Setia, belum habis lagi.
Biar saya jawab sampai habis dulu Sabak. Saya baru mukadimah, sabar. Baik saya bahagikan sekarang. Soalan seterusnya berkaitan pengurusan masjid dan surau dulu ya. Tadi ada soalan daripada Yang Berhormat Selat Klang, adakah surau-surat bertaraf masjid Jumaat termasuk dalam pengurusan masjid? Jawapa,n tiada istilah surau bertaraf masjid. Istilah sebenar digunakan untuk mana-mana surau yang mendapat kebenaran solat Jumaat sementara yang diberi kepada surau-surau tertentu berdasarkan parameter tertentu termasuk parameter hukum. Surau ini tidak akan berubah tarafnya kepada masjid sehinggalah ia diluluskan oleh undang-undang untuk dinaik taraf sebagai masjid. Sehubungan itu, tidak boleh dilakukan perkara-perkara yang dilakukan di masjid kecuali solat Jumaat sahaja. Jawatankuasa Fatwa sedang juga meneliti dan akan mengeluarkan keputusan fatwa mengenai ibadah tahayatul masjid dan iktikaf surau-surau termasuklah di surau-surau yang mendapat kebenaran sementara solat Jumaat.
Soalan kedua daripada Yang Berhormat Selat Klang adakah Kerajaan Negeri akan mendirikan surau masjid di Kampung Sungai Sireh, Selat Klang untuk memenuhi keperluan umat Islam memandangkan Surau Al Falah yang ada amat daif, dibina atas tanah rizab dan tiada Kebenaran Merancang? Jawapannya, tiada perancangan untuk membina masjid baharu di Sungai Sireh Selat Klang setakat ini, disebabkan oleh ketiadaan oleh tapak masjid. Lot yang dicadangkan berukuran 196376 di Sungai Sireh yang asalnya berkeluasan 25.55 ekar. Keluasan tanah itu semakin berkurangan disebabkan perkara berikut:
1. Pembinaan jambatan yang menghubungkan di antara Kampung Delek dan Kampung Sungai Sireh. 2. Pengambilan lebih kurang 5 ekar tapak perkuburan oleh pihak ECRL dan penggunaan hampir 4 ekar tanah perkuburan tersebut untuk pengebumian jenazah. Tapak perkuburan Kampung Sungai Sireh, berkeperluan tinggi untuk kegunaan tapak kritikal di Klang. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri akan memperlihatkan dan mempertimbangkan merit keperluan pembinaan masjid di atas tapak PT 1234 sebahagian lot 24475 berhampiran dengan Flat Seri Perantau dalam DUN Selat Kelang yang disediakan oleh pihak PKNS sebagai pemaju di kawasan tersebut untuk dirancang pembinaannya dalam Rancangan Malaysia Ke-13 yang akan datang.
Soalan berkenaan pembinaan Masjid Al Ehsan, Sungai Serai, Dusun Tua. Status pembinaan adalah di peringkat Permohonan Kebenaran Merancang oleh Pihak PBT yang akan dikemukakan pada bulan Disember 2023. JKR Selangor akan memantau rapat semua proses yang akan dilaksanakan bagi memastikan perancangan pembangunan mengikut perancangan. JKS Selangor dan perunding juga turut mengadakan sesi libat urus bersama jabatan-jabatan teknikal dan PBT untuk melancarkan urusan kebenaran merancang projek.
Bahagian kedua, berkenaan pendidikan agama Islam dan institusinya. Yang Dipertua, kerajaan amat peka dengan keadaan kepentingan ilmu dalam membangun negeri. Dengan penuh kesedaran bahawa di zaman pasca moden ini, ilmu dan akhlak adalah senjata utama untuk mengemudi ketamadunan. Maka oleh itu, kita dalam marcapada ini tidak mungkin kita pisahkan peranan ulama dan umara’. Sinergi ini kita bina untuk hari ini dan masa hadapan Negeri Selangor.
Untuk soalan Yang Berhormat Sijangkang mengenai adakah Kerajaan Negeri bercadang untuk menambah Maahad Tahfiz Sains kerana ia menjadi pilihan ibu bapa untuk pendidikan anak-anak? Hasrat Kerajaan Negeri adalah untuk membina satu buah Maahad Integrasi Tahfiz Selangor bagi setiap daerah di negeri ini. Walau bagaimanapun pembinaannya bergantung kepada kedudukan semasa kewangan Negeri Selangor.
Soalan seterusnya bilakah MITS Istana Bandar akan siap? Status MITS Istana Bandar, kemajuan fizikal sehingga 30 September 2023 adalah sebanyak 17.99%, lewat 138 hari. Kelewatan ini adalah disebabkan permohonan kelulusan IWK bagi memulakan kerja-kerja sistem saliran pembetungan dan sistem rawatan kumbahan. Oleh itu atas sebab ini, pihak kontraktor telah mengemukakan permohonan lanjutan masa sebanyak 270 hari, dan permohonan lanjutan masa tersebut sedang dalam penilaian JKR Selangor untuk tujuan kelulusan.
Soalan daripada Yang Berhormat Sungai Panjang, Pelajar Tingkatan 1 yang telah mendapat syllabus KBT, apakah ikhtiar Kerajaan Negeri bagi pelajar tingkatan 2 hingga tingkatan 5 yang masih tidak mempunyai sijil tahfiz ulul albab. Pelaksanaan kurikulum bersepadu Tahfiz KBT di MITS bermula 23 Februari 2023. Pelaksanaan kurikulum tahfiz ini dibuat bagi memberi nilai pada sijil hafazan yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia dan memberi peluang kepada pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Seterusnya, bagi pelajar yang tidak melalui KBT, tingkatan 2 hingga tingkatan 5 masih boleh terus berada dalam kurikulum bersepadu ini di KBD melibatkan mata pelajaran Lughatul Arabiah Muasirah (MAM), Syariah dan Usuluddin yang ditawarkan oleh JAIS. Manakala bidang hafazan, kekal mengambil Sijil Menengah Agama Tahfiz Quran. Bagi pelajar-pelajar terlibat tertakluk kepada pengiktirafan rekod hafazan Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 hendaklah mengambil Sijil Ujian Tahfiz Malaysia yang dikeluarkan oleh Agama Tahfiz Quran. Bagi tertakluk kepada pengiktirafan hendaklah mengambil Ujian Sijil Tahfiz Malaysia yang dikeluarkan oleh Darul Quran, JAKIM supaya mendapat kedudukan yang setara dengan KBT. Sehubungan itu, usaha sedang dibuat juga supaya pengiktirafan rekod hafazan Tingkatan 4 dan tingkatan 5 dapat segera diperakukan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia.
Soalan daripada Yang Berhormat Sijangkang, adakah Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan bagi membaik pulih SABK yang telah uzur. Ya, Kerajaan Negeri ada menyediakan peruntukan baikpulih. Pembaikan SABK yang telah uzur ini akan dilaksanakan melalui rancangan baik pulih dan penyelenggaraan Jabatan RBPJ 1 dan 2 berdasarkan keutamaan atau merit yang diputuskan oleh Jawatankuasa Khas RBPJ. RBPJ menetapkan merit dan pelaksanaannya berdasarkan bajet tahunan semasa serta bantuan Kerajaan Pusat sama ada daripada JAKIM ataupun daripada Kementerian Pendidikan Malaysia sendiri.
Soalan seterusnya daripada Yang Berhormat Sijangkang, bagaimana urusan pembangunan Darul Mujahidin yang telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri sebelum ini. Kelulusan Kebenaran Merancang bagi pembangunan semula penempatan baru penduduk Kampung Darul Mujahidin di atas lot 100 yang dimajukan oleh PKNS. Merujuk kepada pelan lulus rujukan MPKL/JPT/VS/15/37/2017 bertarikh 11 Julai 2017 telah memperuntukkan tanah seluas 6 ekar untuk tujuan pembangunan Kompleks Islam. Lot tanah Kompleks Islam tersebut diberi milik kepada Perbadanan Wakaf Selangor untuk tujuan pembangunan atau penempatan semula sekolah agama tahfiz,
masjid, dewan dan lain-lain yang berkaitan akibat daripada pemindahan kampung tersebut. Hasil semakan terkini tapak tanah tersebut adalah merupakan tanah hak milik MAIS bagi tujuan bangunan kemasyarakatan Kompleks Islam seluas 5.960 ekar. Pada masa yang sama, Unit Pembangunan JAIS telah menerima kos awalan terbaru daripada JKR Selangor. Kos asal projek ini adalah sebanyak RM5.7 juta dan telah meningkat kepada 11.768 juta atas kenaikan kos dan keutamaan yang telah berubah namun, pihak JAIS akan meneliti lebih lanjut lagi segala sudut-sudut tentang perkara ini sebelum memberi pandangan seterusnya kepada Kerajaan Negeri. Soalan Yang Berhormat Sabak, mengenai kos pembinaan...
Boleh minta sedikit penjelasan?
Sila.
Perancangan dan Bajet yang diperuntukkan dalam Pembangunan Kompleks Islam ini khususnya pada bangunan Seklah Darul Mujahidin ini sejak awal dari penggal yang lalu ataupun sebelum dari penggal yang lalu saya ingat, apabila rentetan itu tidak berlaku, akhirnya menyebabkan kos semakin meningkat. Dan pada tahun ini saya lihat Belanjawan kita hanya tambah RM10 sahaja token. Kekhuatiran saya daripada jangkaan kita, ketika itu 5.7 juta, sekarang dah meningkat 11 perpuluhan berapa juta, juta tadi. Ini akan meningkat lagi kalau kita betul tak melihat, tidak memberikan tumpuan khusus yang akhirnya mungkin gagal untuk kita laksanakan.
Terima kasih Yang Berhormat, saya ambil maklum
Sungai Panjang mencelah. Berkenaan Sijil Tahfiz Malaysia JAKIM, soalannya apakah jaminan daripada Kerajaan Negeri pelajar yang tidak dapat lagi mendapat STM kerana kebanyakannya ini, mereka mengambil persendirian. Apakah jaminan Kerajaan Negeri mereka ini juga layak tergolong dalam mendapat insentif khas huffaz yang seramai 792 orang tadi? Dan apakah metodologi yang digunakan untuk mengenal pasti mereka ini benar-benar layak mendapat insentif khas huffaz itu?
Terima kasih, soalan itu bunyinya terlalu spesifik, saya akan bekalkan dalam bentuk jawapan bertulis. Seterusnya saya ingin menjawab soalan daripada Yang Berhormat Sabak mengenai pembinaan kos Kompleks Islam di Gombak Permai dan cadangan untuk mewujudkan Darul Iftah tadi seperti di Mesir. Untuk sebuah kedudukan ekosistem yang ideal, kewujudan pusat-pusat ilmu peringkat tinggi yang khusus untuk satu perkara bekeperluan khas untuk ilmu-ilmu Islam seperti ilmu penfatwaan atau ilmu teologi atau ilmu Al-Quran dan qiraat sangatlah dicita-citakan. Buat masa ini banyak IPT dalam dan luar negara yang menawarkan dalam bidang agama bagi tujuan khusus ini.
Universiti Islam Selangor antaranya yang turut memberi tempat dalam bidang fiqah dan usul fiqah sehingga ke peringkat PHD dan menjadi laluan di peringkat ijazah pertama sebelum masuk ke bidang khusus di peringkat sarjana dan PHD di Darul Iftah atau di Ummul Qura’. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri telah memberi tumpuan kepada laluan di peringkat menengah, supaya layak untuk pergi ke bidang-bidang pengkhususan tertentu di IPT dalam dan luar negara.
Justeru, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan laluan dan tuisyen khas untuk peperiksaan SPM kepada pelajar-pelajar tahfiz swasta melalui skim fast track yang diuruskan JAIS dengan kerjasama Persatuan Tahfiz Selangor (PITAS) semenjak tahun 2019, dengan peruntukan RM1.9 juta. Program ini telah melibatkan seramai 104 orang guru kepada 8 mata pelajaran yang ditawarkan di seluruh 9 daerah di Negeri Selangor. Sehingga tahun 2023 ini, program ini telah disertai oleh 1,344 orang murid. Dengan ini, JAIS telah menyediakan laluan untuk pelajar-pelajar tahfiz swasta bagi memperoleh kelayakan untuk meneruskan peluang mendalami ilmu sama ada di dalam atau di luar negara. Bagi meningkatkan pengetahuan mengenai Al-Quran dan keagungannya di peringkat menengah, ataupun pertengahan sehinggalah peringkat yang lebih tinggi, Kerajaan Negeri telahpun mengangkat Masjid Negeri sebagai Hub Al-Quran Negeri Selangor. Dengan penubuhan dan pengisytiharan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, suatu sub fungsi Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam sebagai Akademi Literasi Al-Quran Selangor (ALAS), yang diketuai oleh seorang Pengurus di bawah satu Jawatankuasa Literasi Al-Quran Selangor yang dipengerusikan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor.
Saya nak ucapkan terima kasih atas jawapan EXCO. Cuma nak bagitahu, macam tu lah, cara nak menjawab, tak payah nak politik-politik sangat.
Terima kasih, kita pun baru, tak apa, kita terima baik. Tak ada masalah. Baik, seterusnya, ini agak panjang sikit. Untuk seterusnya, soalan ini, saya ingin menjawab, sebab soalan ini dibangkitkan oleh Yang Berhormat Sungai Ramal semalam, sebab kita kata, kita dah sama dengan Kerajaan Persekutuan, bagaimana cara dan kaedah, supaya kita boleh selesaikan soal pertindihan perundangan di antara Kerajaan Persekutuan dan juga Kerajaan Negeri. Jadi saya nak ambil kesempatan ini, Tuan Speaker, untuk menjawab soalan mulut saya, yang nombor 60, yang saya akan jawab, soalan 60 ni, oleh Yang Berhormat Sungai Ramal juga, saya jawab bersekali dengan soalan 71, oleh Yang Berhormat Semenyih. Soalannya adalah, apakah langkah kerajaan bagi melindungi undang-undang syariah daripada dicabar keabsahannya oleh pihak tertentu melalui proses mahkamah. Kerajaan Negeri dalam hal ini merujuk dan menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia. Dalam mesyuarat MKI ke 70, di Shah Alam, pada 28 Ogos 2023, yang menitahkan penubuhan jawatankuasa khas bagi membuat kajian yang mendalam dan kritikal, mengenai kompetensi Dewan Undangan negeri-negeri
di Malaysia untuk menggubal undang-undang Islam di bawah enakmen negeri serta bidang kuasa mahkamah syariah di seluruh Malaysia. Titah tersebut secara khususnya ditujukan kepada agensi persekutuan yang bertanggungjawab menyelaras pengharmonian undang-undang Islam di negeri yang berada di bawah seliaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama. Kerajaan Negeri menyambut baik dan menyokong penubuhan jawatankuasa khas tersebut seperti mana yang dititahkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.
Berdasarkan semakan dengan pihak JAKIM, senarai nama anggota bagi jawatankuasa khas ini telah dimuktamadkan. Dan pelantikan akan dibuat dalam masa yang terdekat. Jawatankuasa khas ini akan dianggotai oleh golongan pakar perundangan dan kehakiman dan pengamal undang-undang di Malaysia. Penubuhan jawatankuasa khas ini, dilihat sebagai salah satu usaha dan langkah yang positif untuk menyelesaikan isu konflik bidang kuasa di antara persekutuan dan negeri, di antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah demi memartabatkan dan memperkasa perundangan syariah dan sistem kehakiman syariah di negara ini.
Di Negeri Selangor, cadangan pindaan atau gubalan undang-undang Islam lazimnya akan dikawal selia oleh MAIS, yang bertanggungjawab sebagai pihak berkuasa utama berhubung dengan agama Islam seperti mana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 6, Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003. Oleh yang demikian, semua cadangan pindaan atau gubalan undang-undang Islam akan disemak dan diharmonikan oleh Jawatankuasa Undang-Undang MAIS, yang dianggotai oleh Penasihat Undang-Undang Negeri, Mufti Negeri Selangor, Pegawai Kanan Jabatan Peguam Negara dan JAKIM, pengamal undang-undang sivil dan syariah, dan ahli akademik sebelum ianya dibentangkan dalam mana-mana mesyuarat MAIS. Tindakan-tindakan perbincangan di pelbagai peringkat ini, dilaksanakan bagi membincangkan sebarang cadangan pindaan undang-undang Islam secara tuntas dan kritikal bagi melindungi undang-undang Islam ini daripada dicabar keabsahannya oleh pihak tertentu melalui proses mahkamah. Justeru, bagi mengelak pertikaian atau cabaran terhadap keabsahan undang-undang negeri yang akan digubal, pihak MAIS akan mendapatkan input daripada jawatankuasa khas tersebut, termasuk merujuk sebarang cadangan bagi tujuan penyelarasan undang-undang, sekiranya ada, agar ia menjadi panduan yang jelas kepada MAIS dan agensi Islam di Negeri Selangor, dalam menyediakan cadangan draf pindaan atau gubalan undang-undang Islam. Tindakan ini juga diharap dapat membantu melindungi undang-undang syariah daripada dicabar keabsahannya oleh mana-mana pihak melalui proses mahkamah. Sila Sungai Ramal.
Terima kasih, Yang Berhormat, yang memberikan penjelasan mengenai soalan saya dan saya boleh memuji jawapan ini, dan inilah cara yang kita nak. Bukan melencong ke sana ke mari untuk buat jawapan. Terima kasih Yang Berhormat.
Terima kasih Sungai Ramal, abang saya. Tadi warm up sahaja Yang Berhormat. Sila.
Terima kasih. Boleh Seri Setia. Kebetulan perkara yang dibangkitkan oleh Sungai Ramal, selaras dengan nada yang dikeluarkan oleh Pengerusi MAIS, yang baru sahaja dilaporkan. Mungkin Yang Berhormat EXCO Agama telah mengambil maklum. Maknanya keprihatinan Sungai Ramal itu juga dikongsi oleh MAIS. MAIS menyebut mahu kerajaan segera atasi pertikaian hukum syariah negeri dan Majlis Agama Islam Selangor menzahirkan kebimbangan berhubung gerakan pihak-pihak tertentu yang secara halus cuba untuk menjejaskan kedudukan agama Islam sebagai negeri dan agama persekutuan melalui proses litigasi mahkamah. Malahan, pengerusi MAIS merujuk kepada kes Nik Elin, ataupun Zurina Nik Abdul Rashid, yang memohon supaya mahkamah persekutuan membatalkan 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 2019. Inilah yang dibangkitkan oleh Sungai Ramal. Dan hari ini MAIS telah mengeluarkan kenyataan, jadi saya berharap Kerajaan Negeri dapat memberikan perhatian serius kerana ada gerakan oleh pihak-pihak tertentu secara halus untuk meremehkan undang-undang syariah di Negeri Selangor ini. Terima kasih.
Terima kasih,Yang Berhormat Hulu Kelang, saya rasa di situ kita tak ada perbezaan dan sukacitanya saya nak maklumkan juga bahawa kita berhubung rapat dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama Islam dan dimaklumkan untuk kes Nik Elin itu, pihak Yang Berhormat Menteri sendiri, yang akan duduk dalam sahabat mahkamah ketika perbincangan itu akan berlaku. Jadi pandangan-pandangan akan dikemukakan di situ nanti. Baik, baiklah Tuan Speaker, sekali lagi, saya menegaskan bahawa komitmen kerajaan dalam memartabatkan Islam dan mempertahankan institusi raja-raja, sebagai payung negara, kita mahu institusi agama di Selangor, dikemudi dengan lebih profesional. Oleh itu, saya menyeru kepada semua Ahli Dewan untuk bekerjasama dan mendukung aspirasi kerajaan ini. Jauhilah provokasi dan adu domba, firman Allah dalam Surah Al-Hujurat, yang molek, kalau boleh saya kongsikan di sini.
Bismillahirahmanirrahim... (Bacaan ayat Al-Quran) ... yang bermaksud... “Wahai orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka buruk kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari keaiban peribadi orang lain, dan janganlah setengah kamu mengumpat setengah yang lain, adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati. Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. Oleh itu, maka bertaqwalah kamu kepada Allah. Sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi maha mengasihani...”
Suka saya tegaskan, sesungguhnya Kerajaan Perpaduan mengambil berat mengenai isu agama di Negeri Selangor dan komited pada agama seperti orang yang
menggenggam bara api. Sejajar dengan aspirasi madani, nilai hormat dan ihsan, komitmen kerajaan dalam memartabatkan Islam, tidak pula membelakangkan nilai Islam yang menjamin keseimbangan, kesederhanaan wasatiyah, dan keharmonian serta toleransi ataupun tasamuh, antara semua bangsa dan agama. Hal ini juga ditegaskan oleh seorang tokoh pemikir Islam dari Palestin, Dr. Shauki Abu Khalil, yang merumuskan bahawa tasamuh atau toleransi merupakan salah satu prinsip agama yang Islam tidak berubah. Islam tidak pernah berhasrat untuk menafikan kewujudan agama dan budaya lain. Sebaliknya Islam bersifat anjal mesra di tengah kepelbagaian dan sentiasa mengalu-alukan dialog sebagai alternatif membentuk kefahaman, keharmonian dan integrasi sosial. Sekian, Seri Setia menggulung.
Seterusnya saya menjemput, Tanjung Sepat.
Tuan Speaker, Tuan Speaker.
Ya..
Yang Berhormat EXCO, belum lagi menjawab soalan saya semalam berkaitan dengan sains dan teknologi, yang mana, yang semalam saya ada membangkitkan tentang penggunaan teknologi CRSST dan juga RS MAISAR..
Yang Berhormat kena bertanya soalan semasa EXCO masih berdiri.. kena tangkap EXCO la..
Dia kata dia ada jawapan..
Sekarang sudah duduk, saya dah panggil Tanjung Sepat. Silakan Tanjung Sepat. Sudah berlalu..
Terima kasih, Tuan Speaker. Terima kasih kepada semua Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan. Yang pertama saya ingin menjawab soalan ataupun perbahasan daripada Yang Berhormat Dengkil, iaitu berkaitan dengan strata title. Tuan Speaker, Seksyen 10, Akta Hakmilik Strata 1985, Akta 318, yang menyatakan, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG), hanya boleh meluluskan permohonan pecah bahagian bangunan dan pengeluaran hak milik strata, sekiranya syarat-syarat tersebut dipenuhi. Jadi apa yang saya nak sebutkan, ada 7 syarat ini. Ini mungkin melibatkan, Yang Berhormat-Yang Berhormat punya kawasan. Kalau tak keluar strata ertinya ada salah satu daripada 7 syarat, tak dipenuhi lah:
i) Telah ada sijil cadangan dan juga pelan strata, CPSP yang dikeluarkan oleh Pengarah Jabatan Ukur dan juga Pemetaan. ii) Tanah tersebut tidak melanggar apa-apa syarat atau sekatan kepentingan tanah yang terkandung di dalam lot tersebut. iii) Tanah tersebut tidak bertentangan dengan peruntukan mana-mana undang-undang yang tertulis, yang sedang berkuat kuasa dan apa-apa kehendak yang dikenakan mengenai mana-mana undang-undang yang bertulis. iv) Tanah tersebut tiada tunggakan hasil tanah, seperti cukai dan juga premium. v) Tanah tersebut perlu mendapat izin, mendapatkan keizinan bertulis daripada pihak berkepentingan, seperti pemegang pajakan. vi) Jika tanah yang di atas bangunan, atau bangunan-bangunan, perlu dipegang untuk tempoh beberapa tahun, masih terdapat sesuatu tempoh, tidak kurang daripada 21 tahun, waktu tamat. vii) Tanah tersebut tidak tertakluk kepada mana-mana gadaian. viii) Bahawa unit share yang dicadangkan untuk diperuntukkan kepada petak-petak oleh pemilik dalam lot-lot seperti Borang 1, iaitu borang permohonan pecah bahagian bangunan adalah saksama; dan ix) Tanah tersebut dipegang di bawah hak milik tetap.
Permohonan hak milik strata, hanya bermula setelah segala urusan tanah, sesuatu bangunan selesai. Ia termasuklah telah menjelaskan premium, permohonan pecah bagi bangunan yang dikemukakan oleh pihak pemaju, yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri (PBN). Oleh itu, sekiranya perkara di atas tidak diselesaikan, maka pihak pemaju, maka tiadalah, ketiadaan hak milik strata akan berlaku. Pemaju adalah pihak bertanggungjawab untuk menyelesaikan perkara-perkara tersebut. Walau bagaimanapun, perkara tersebut merupakan tanggungjawab pihak pemaju, Kerajaan Negeri sama sekali tidak melepas tangan, untuk mengatasi masalah ini. Maka peruntukan RM200,000.00 yang ditubuhkan oleh jawatankuasa khas ataupun task force untuk pengeluaran strata, bagi perumahan dan juga harta tanah pada seperti yang telah diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar dalam pembentangan bajet 2024, pada Jumaat lepas. Ia merupakan satu proaktif bagi membantu penduduk yang terkesan dalam memiliki strata dan sebagainya.
Di peringkat awal ini, LPHS bekerjasama dengan PTGS, Pesuruhanjaya Bangunan (COB) di setiap PBT dan setiap Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) untuk menyediakan inventori projek-projek perumahan yang masih belum memiliki hakmilik strata. Termasuk juga hakmilik individu, projek perumahan, serta mengenal pasti punca berlakunya permasalahan tersebut. Saya ingin menekankan bahawa isu berkaitan strata ini adalah satu isu yang banyak berkaitan rapat dengan PTGS, PDT dan termasuk juga PBT. Di peringkat LPHS, kami bertindak sebagai pemudah cara bagi strata tersebut. Yang kedua, mengenai isu title Taman Putra Perdana...
Penjelasan Yang Berhormat.
Ya.
Tuan Speaker. Terima kasih atas penjelasan Yang Berhormat mengenai syarat-syarat yang dikenakan bagi hakmilik strata diberikan kepada individu-individu yang memohon. Cuma syarat yang kedua, ketiga ini agak pelik bunyinya Yang Berhormat. Kerana disyaratkan tidak melanggar syarat tanah dan tanah itu tidak bertentangan dengan undang-undang. Jadi seolah ada pembinaan rumah bertingkat ini melanggar syarat ini. Jadi kalau itu berlaku amat-amat mengejutkan kerana bukan buat rumah sebiji ini. Buat bertingkat-tingkat, bertingkek-tingkek dia panggil. Macam mana dibenarkan. Mohon penjelasan Yang Berhormat. Terima kasih.
Syarat kedua dan ketiga ini memang kita tetapkan kepada semua pemaju-pemaju sebelum KM dikemukakan. Jadi pihak PBT dan juga PTG sepatut mengambil, kita mengambil langkah lebih awal untuk memastikan tidak pelanggaran syarat-syarat ini. Jadi, ada beberapa perkara yang memang kita pastikan bahawa ini adalah tidak berlaku pelanggaran setiap apa juga syarat-syarat untuk mendapatkan strata.
Yang Berhormat EXCO. Saya minta penjelasan.
Ya, ya.
Terima kasih Tuan Speaker. Saya ingin mohon penjelasan mengenai syarat-syarat yang telah dinyatakan oleh Yang Berhormat EXCO, syarat-syarat ini memang telah sedia ada. Tetapi persoalan yang lebih besar ialah realiti di bawah. Bukan soal syarat yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri. Kerana ini isu legasi bukan 1 tahun - 2 tahun. Puluhan tahun, di mana banyak permohonan hakmilik strata ini telah tertunggak. Persoalannya bukan syarat yang ditetapkan tadi Yang Berhormat EXCO, walaupun Yang Berhormat EXCO kata janganlah bangkitkan dalam Dewan, kita bincanglah masa di luar. Tetapi saya ingat eloklah kita bincang di sini ya. Sebab masalah yang berlaku di bawah, di lapangan Yang Berhormat EXCO ialah rakan kongsi kepada sama ada PKNS ataupun PNSB telah gulung tikar. Pemaju-pemaju yang terlibat dalam projek-projek ini sudah tentu tidak wujud lagi. Jadi bagaimana nak letakkan syarat pemaju mesti menyelesaikan masalah premium, pemaju mesti selesaikan masalah cukai tanah, tak mungkin perkara ini boleh diselesaikan kalau itulah syarat yang hendak diguna pakai. Saya berani berdepan dengan Tanjong Sepat sebab saya juga ada pengalaman ketika saya duduk di sebelah sana. Ada beberapa projek telah pun kita selesaikan termasuk di Sungai Tua. Di mana saya minta MBI ataupun PKNS menampung kos-
kos tersebut dan tidak pun membebankan kepada pemilik-pemilik rumah ataupun petak yang berkenaan. Sebab mereka ini adalah golongan B40, Yang Berhormat.
Jadi janganlah kata oh kita kena bincang dengan pemaju, kita kena tetapkan syarat. Pemaju sudah gulung tikar, pemaju sudah bankrap. Pemaju sudah tidak wujud. Yang menjadi mangsa ialah pemilik petak. Masalah transaksi di masa akan datang untuk jual beli akan menimbulkan banyak masalah. Jadi saya harap Tanjong Sepat dapat mengambil tindakan yang lebih proaktif untuk memastikan anak-anak syarikat Kerajaan Negeri dapat membantu kerana kosnya tidak banyak Yang Berhormat. RM1-2 juta sahaja. Boleh selesaikan ribuan rakyat di Negeri Selangor ini. Terima kasih Yang Berhormat.
Terima kasih Hulu Kelang. Sebenarnya Hulu Kelang tak membahaskan ini, tapi kita jawab jugalah dalam perbahasan ini saya tumpu kepada soalan ataupun penggulungan yang dibuat oleh Dengkil. Ini sebenarnya yang saya nak jelaskan bahawa, ini adalah pra-syarat yang pertama. Sebelum pembinaan perumahan dan sebagai ini adalah syarat-syarat untuk melayakkan menerima mereka-mereka ini mendapat strata. Tetapi jika ada kes yang berlaku, yang itu yang saya nak sebut tadi apabila kes yang kedua yang nak diberi penerangan ini tentang kes di Putra Perdana yang melibatkan Talam Corporation, kita tak nak jadikan ini sebagai satu precedent case, kita tak nak setiap kali ada berlaku pelanggaran kita begitu mudah, sebab ini income Kerajaan Negeri.
Hasil Kerajaan Negeri, premium yang banyak melibatkan ratus juta bukannya 1-2 juta. Jadi saya harap dengan adanya syarat-syarat ini memberi kepentingan kepada semua pihak. Pemaju dia mendapat keuntungan, pemilik rumah ingin mendapatkan rumah dan Kerajaan Negeri mendapat hasil Kerajaan Negeri. Nanti dulu ya Hulu Kelang. Dalam perbahasan nanti kita. Untuk mengenai strata title Putra Perdana, inilah satu contoh bahawa Kerajaan Negeri telah mengambil tindakan yang melibatkan belasan ribu penduduk. Puluhan tahun tidak mempunyai strata dan kita mengambil inisiatif walaupun mengorbankan pendapatan negeri sendiri dan inilah tindakan kita ambil menunjukkan bahawa kerajaan begitu prihatin kepada penduduk-penduduk, bukan sahaja di kawasan Dengkil tetapi di seluruh Negeri Selangor dan ada lagi beberapa kes di kawasan-kawasan lain yang akan kita selesaikan masalah strata dan saya ingin rasa bukan pokoknya soal kadang-kadang melibatkan premium sahaja, tetapi ada juga sekatan-sekatan yang mereka contoh lot bumiputera yang dijual tanpa pengetahuan kita dan bila mereka nak dapatkan strata menyebabkan kita tidak boleh proses kerana telah melanggar syarat-syarat yang telah ditetapkan.
Jadi Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor telah mengambil inisiatif dengan mewujudkan task force untuk mengadakan beberapa perbincangan berkaitan dengan secara berkala khususnya kepada Pejabat Daerah dan Tanah Sepang juga Majlis Perbandaran Sepang untuk bekerjasama untuk pemilikan tanah asal bagi kawasan Putra Perdana iaitu Permodalan Negeri Selangor ataupun PNS yang disebut oleh
Hulu Kelang tadi. Termasuk juga pihak pemaju penyelamat. Buat masa ini 601 unit ataupun Plot J yang telah diselesaikan menerima hak individu dalam bulan 8, Ogos lepas dan bagi plot-plot yang lain termasuk dari segi unit landed bagi plot J masih lagi dalam proses untuk mendapatkan hakmilik individu ataupun strata title.
Isu ini sedang diselesaikan secara berperingkat menerusi plot-plot yang terlibat sejumlah baki lagi 11,656 hakmilik dan ke perincian penyelesaian ini iaitu Plot J, landed kita dah bagi 600 hakmilik dan selebihnya kita dalam proses insya-Allah dalam masa terdekat kerajaan akan menghubungi pemilik-pemilik ini untuk menerima hakmilik mereka dan seterusnya yang isu rumah mampu milik Negeri Selangor. Untuk maklumat Yang Berhormat terdapat beberapa fakta yang menyebabkan pemaju masih tidak membangunkan kesemua unit rumah mampu milik mereka yang diluluskan oleh pihak kerajaan adalah di antara yang pertama subsidi yang bersilang. Pembangunan rumah Selangorku oleh pemaju swasta adalah 100 % dibiayai oleh pihak pemaju melalui hasil keuntungan jualan komponen rumah harga bebas mereka.
Sehubungan dengan itu, kebiasaannya pemaju akan membangunkan komponen rumah Selangorku bergilir-gilir atau serentak bagi memastikan syarikat mempunyai tahap-tahap kewangan yang stabil dan juga melancarkan fasa-fasa perumahan lain. Maksudnya kalau dia jual dalam harga bebas, dia memerlukan pusingan modal. Jadi dia perlu juga bersilang untuk dapatkan pusingan modal dan sebagainya. Kelewatan seterusnya adalah atas fakta tidak dapat dielakkan iaitu pemaju mengalami kelewatan disebabkan pemaju masih lagi tidak menyelesaikan isu tapak seperti pemindahan infrastruktur bangunan asing yang di penempatan haram dan sebagainya.
Ini juga melibatkan rumah-rumah yang kemungkinan ada rumah setinggan dan sebagainya. Jadi menyebabkan kelewatan. Seterusnya mengimbangi demand dan supply, keseluruhan permohonan yang masih aktif berdaftar dalam masih senarai menunggu mendahului sistem permohonan rumah Selangorku sebanyak 113,318 permohonan. Jadi berbanding rumah unit yang lain yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri sebanyak 180,000 untuk unit rumah Selangorku. Jadi terlalu jauh. Jadi menyebabkan mungkin kelewatan pembinaan itu sedangkan permohonan ataupun demand itu lebih tinggi jadi itu nampak gap dia agak jauh daripada atas talian. Seterusnya tidak ketentuan harga bahan binaan ini juga menyebabkan dalam keadaan bahan binaan yang naik mendadak menyebabkan punca pemaju menangguhkan pembinaan rumah Selangorku adalah disebabkan harga binaan yang semakin meningkat dan menyebabkan pemaju mengambil langkah berjaga-jaga dalam membangunkan rumah Selangorku. Jadi itu antara yang kita jawab soalan daripada Dengkil dan yang seterusnya daripada Yang Berhormat Permatang mengenai isu Projek Terbengkalai iaitu Taman Desa Mawar dan juga Taman Yu Indah. Untuk makluman Yang Berhormat Projek Dewa Mawar juga dikategorikan terbengkalai oleh kerajaan adalah disebabkan pembangunan tersebut sebenarnya masih belum sempurna sepenuhnya yang mana kebanyakan kemudahan utiliti seperti sistem bekalan air, sistem rawatan kumbahan yang masih belum disiapkan oleh
pemaju asal sehingga menyebabkan kelulusan kelayakan untuk menduduki ataupun CF masih belum dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Kuala Selangor.
Kerajaan Negeri pada tahun 2023 telah meluluskan sebanyak 7,000,417 untuk penggunaan peruntukan Tabung TEPAT. Alhamdulillah kerja-kerja ini telah dapat disiapkan. Berkenaan dengan permohonan agar Kerajaan Negeri membantu penduduk dalam memperolehi CF. Untuk makluman Yang Berhormat secara dasarnya Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk memperuntukkan pembahagian kos dalam memperoleh CF ditanggung menggunakan Tabung TEPAT. Cadangan ini adalah untuk perkongsian kos dengan penduduk. Perkara ini akan diselaraskan oleh MPKS di mana lantikan perundingan akan dilaksanakan pada awal tahun depan iaitu 2024. Seterusnya Taman Sungai Yu Indah, yang ini terbengkalai yang mana pihak Kerajaan Negeri sentiasa memantau perkembangan projek di lapangan dan pemaju adalah disyaratkan untuk menyediakan laporan kepada LPHS, tujuan rekod dan juga pemantauan.
Sehingga November 2023, pihak pemaju telah menyiapkan 1 daripada 4 fasa pembangunan perumahan di Taman Sungai Yu. Perinciannya adalah seperti berikut iaitu fasa 1, fasa pertama 107 unit rumah teres kos rendah setingkat. Peratusan siap 100 %. Fasa 2 iaitu 120 unit rumah teres kos sederhana setingkat, sasaran siap dan suku pertama tahun 2024. Sekarang 75 % dan dijangka siap pada 2024. Fasa ke 3 (a) iaitu 152 unit rumah teres mampu milik satu setengah tingkat. Sasaran siap pada suku ketiga tahun 2024, peratusan sekarang iaitu 72.5 %. Fasa 3 (b), 120 unit rumah teres mampu milik satu setengah tingkat. Sasaran siap pada suku keempat tahun 2024 dan sekarang peratusannya 50 %. Seterusnya daripada Yang Berhormat Sabak. Iaitu apakah kategori jenis Taman Air Manis, apakah ada perubahan kuota bumiputera. Untuk pengetahuan Yang Berhormat, Projek Taman Air Manis terletak di atas Lot 373, PN 11691 Mukim Panchang Bedena, Daerah Sabak Bernam telah mendapat kelulusan Kebenaran Merancang pada 31 Mei 2021. Projek ini adalah seperti berikut iaitu PBT dia adalah Pejabat Daerah Sabak Bernam, Majlis Daerah Sabak Bernam, Pejabat Tanah iaitu Pejabat Daerah Tanah Sabak Bernam. Tuan tanah Permodalan Negeri Selangor Sdn. Bhd. iaitu PNSB. Pemaju usaha sama Menteri Besar Incorporated ataupun MBI dan pemaju JSM Sdn. Bhd. Jenis bilangan lot Fasa 1, 54 unit teres 1 tingkat E iaitu 20 kaki x 20 Idaman MBI dan 6 unit rumah teres 2 tingkat 20 x 70 harga bebas. Yang kedua Fasa 2, 8 unit kedai 2 tingkat 20 x 95, 18 unit kedai pejabat 2 tingkat 20 x 70 dan Fasa 3, 67 unit rumah teres 1 tingkat jenis E 20 x 20 Idaman. 14 unit rumah berkembar iaitu 35 x 90 ini harga bebas dan Fasa ke 4 teres 1 tingkat dan seterusnya juga rumah bandar 2 tingkat dan juga rumah teres 2 tingkat jenis A dan juga rumah teres 2 tingkat jenis B. Kelulusan MMKN pada 2 Disember 2020 itu pindaan dan kelulusan KM pada 3 Mei 2021 kelulusan PB yang juga pada Fasa 1, 31 Disember 2021. Fasa 2, 25 Januari 2022 dan Fasa 3, 7 September 2022. Kemajuan pembangunan tapak tersebut iaitu Fasa 1, 78% target ikut apa yang telah ditetapkan dan Fasa 2 juga sama 78% dan juga Fasa 3, 25%. Melalui pembangunan rumah Selangorku Idaman pengagihan di mana Lembaga
Perumahan Hartanah Selangor sebanyak 50-50 iaitu 50% daripada jumlah rumah itu adalah untuk kuota Bumiputra. Terima kasih.
Seterusnya daripada Ijok. Yang Berhormat Ijok, bagaimanakah pentadbiran negeri untuk memastikan ketulusan kumpulan sasaran yang layak untuk memiliki rumah-rumah nanti? Ini antara yang kita akan jawab apakah hasrat Kerajaan Negeri untuk menjalankan program pembinaan rumah mampu milik kepada rakyat Negeri Selangor? Yang Berhormat Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan ataupun LPHS telah menyediakan garis panduan dan syarat-sayarat kelayakan bagi pemilik rumah mampu bilik Selangorku atau RSKU mengikut kriteria yang telah ditetapkan seperti berikut:- Pertama pemohon dan pasangan merupakan warganegara Malaysia berumur 80 tahun ke atas. Yang kedua, pemohon rumah jenis A berpendapatan seisi rumah suami dan isteri tidak melebihi daripada RM3,500. Permohonan rumah jenis B, pendapatan seisi rumah suami isteri tidak melebihi RM7,000 dan permohonan jenis C pendapatan isi rumah suami isteri tidak melebihi RM10,000. Untuk permohonan rumah jenis D, jenis E dan jenis E, khas pendapatan isi rumah suami isteri tidak melebihi RM14,500. Permohonan hanya dibenarkan membuat satu pilihan jenis rumah sahaja sama ada A, B,C, D dan E semasa membuat permohonan. Pemohon dan pasangan belum memiliki rumah sama ada melalui projek kerajaan atau swasta. Jadi ertinya ia tidak pernah lagi memiliki rumah. Permohonan pindah milik hanya dibenarkan selepas 5 tahun dari perjanjian jual beli yang dibenarkan oleh pihak Kerajaan Negeri. Tempoh sah laku setiap permohonan didaftarkan selama satu tahun. Selepas tempoh tersebut, daftar permohonan masih disenaraikan menunggu dan akan dikeluarkan daripada sistem permohonan perlu membuat permohonan baharu sekiranya masih minat untuk memohon rumah Selangorku. Permohonan rumah Selangorku wajib berdaftar dengan LPHS, pemilihan nama yang layak akan ditawarkan oleh LPHS Jawatankuasa Pemilihan senarai nama pemohon Rumah Selangorku dan hartanah harga kawalan Negeri Selangor setiap 2 kali sebulan. Jawatankuasa yangdianggotai oleh wakil unit integriti dan unit perundangan LPHS dan setiap wakil pegawai daripada pejabat tanah. Seterusnya yang dibangkitkan...
Yang Berhormat, Yang Berhormat EXCO, soalan.
Yang Berhormat daripada Meru.
Adakah Yang Berhormat setuju ramai yang telah mendapat manfaat terutama golongan muda mendapatkan rumah Selangorku. Soalan saya berapa ramaikah yang telah mendapat manfaat daripada program rumah Selangorku ini? Terima kasih.
Yang Berhormat, setakat ini saya tidak ada lagi data secara ini, kalau perlu nanti saya akan hantar secara bertulis kepada Yang Berhormat. Seterusnya Yang Berhormat Seri Kembangan. Keutamaan
penyelesaian projek terbengkalai, jadi Kerajaan Negeri saya pun telah menjawab dari pertanyaan Dengkil yang lepas tentang apakah tindakan kita bagi projek-projek terbengkalai. Kerajaan Negeri sememangnya memberi penekanan khusus, projek terbengkalai melibatkan perumahan mampu milik. Sebarang projekperumahan di Negeri Selangor yang terlibat dengan rumah milik akan dipantau selia oleh Lembaga Perumahan bagi memastikan nasib pembeli-pembeli projek yang terlibat dengan projek terbengkalai terbela. Pihak LPHS akan bertindak menjadi pemudah cara bagi mengatasi masalah ini khususnya berkenaan dengan tuntutan para pembeli ianya akan disyaratkan sebagai salah satu keperluan yang jelas kepada pihak penyelamat bagi sekiranya dilantik kelak.
Jadi seterusnya Kajang. Yang Berhormat Kajang ada mencadangkan iaitu isu banjir di Sungai Langat, berkaitan dengan soalan dapat membantu penduduk yang terjejas banjir dengan melalui Skim Smart Sewa. Untuk pengetahuan Yang Berhormat, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan skim smart sewa yang merupakan program yang diwujudkan dengan manfaat memulangkan balik 30% daripada kadar sewa tu bagi bertujuan untuk rakyat kalangan B40 dan M40 untuk menyewa rumah dengan kadar berpatutan, terutamanya mereka yang belum memiliki rumah atau menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pembiayaan pinjaman dalam pemilikan rumah. Jadi skim tidak sesuai untuk tujuan kecemasan kerana ini masih mempunyai penyewa dan ada juga senarai-senarai jika ada kosong mereka masih lagi dalam senarai menunggu untuk sebagai penyewa.
Dan seterusnya daripada Yang Berhormat Batu Tiga. Apakah langkah Kerajaan melalui EXCO Perumahan menyediakan polisi redevelopment dengan mengenal pasti kawasan yang boleh dibangunkan semula. Ini untuk makluman Yang Berhormat, Pihak Berkuasa Negeri melalui Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kehidupan Bandar Negeri Selangor pada tahun 2018 telah memohon Plan Malaysia bersama-sama Lembaga Perumahan untuk menyediakan Garis Panduan Pembaharuan Semula Bandar untuk pemakaian di Negeri Selangor. Garis Panduan Pembaharuan Bagi Semula Penempatan Bandar Negeri Selangor telah diluluskan pemakaiannya di dalam Mesyuarat MMKN pada yang ke-9, 2021 bertarikh 8 September 2021. Garis panduan itu adalah sebagai panduan untuk memastikan bandar atau sesuatu penempatan yang kekal kompetitif dan juga sebagai alternatif meningkatkan kualiti hidup dan juga memberdayakan masyarakat bandar bersesuaian dengan keperluan semasa. Sebagai permulaan Negeri Selangor sedang dalam proses mengumpulkan inventori bagi data-data mewujudkan bank data kawasan-kawasan bandar penempatan usang daripada kawasan PBT-PBT yang ada. Jadi itu sahaja. Terima kasih Tuan Speaker.
Sekejap Yang Berhormat.
Dah lepas Yang Berhormat.
Soalan saya, kot tertinggal Sungai Ramal punya.
Yang sebenarnya Yang Berhormat Sungai Ramal punya ada, untuk mencadangkan iaitu Sekolah Kebangsaan Bangi. Sekolah ini adalah sekolah lama yang nak diwariskan atau yang nak diwartakan sebagai bangunan warisan. Walau bagaimanapun Yang Berhormat, ini perlukan kajian daripada agensi-agensi Kerajaan yang boleh memberi laporan cadangan kerana dari segi keselamatan bangunan itu sendiri, struktur dia. Dan jika didapati bangunan ini boleh diteruskan sebagai bangunan warisan maka kita akan bawa dia ke Jabatan Warisan Negara. Jadi Insya Allah kalau Yang Berhormat ada cadangan maka boleh panjangkan kepada di bawah Standco saya, di bawah PADAT dan kita akan cuba pertimbangkan. Terima kasih Yang Berhormat.
Yang Berhormat Tuan Speaker, saya ada bangkitkan isu tentang flat Bunga Raya dan juga Jalan Papan tapi saya tak dapat jawapan, pangsapuri kos rendah.
Yang Berhormat boleh jawab secara bertulis.
Setakat ini saya tak dapat lagi, tak apalah Yang Berhormat Pandamaran, nanti kalau ada kita akan kita akan bagi dalam bentuk bertulis. Terima kasih Yang Berhormat.
Terima kasih, Yang Berhormat Tanjung Sepat. Saya seterusnya menjemput Yang Berhormat Kinrara untuk menggulung.
Terima kasih Tuan Speaker. Tuan Speaker saya mengucapkan terima kasih kepada Ahli Dewan Negeri yang telah mengambil bahagian di dalam perbahasan balanjwan kali ini. Tempoh masa perbahasan kita telah dipanjangkan bagi memberi peluang kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat berbahas, menunjukkan komitmen dan kesediaan pihak Kerajaan untuk menubuhkan ruang demokrasi di dalam Dewan yang Mulai ini. Sebagai EXCO yang bertanggungjawab menggalas portfolio EXCO Pelaburan, Perdagangan, Industri Pembangunan SME dan Mobiliti Selangor, saya mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli Dewan telah menyentuh soal dasar dan pelaksanaan program-program di dalam kerangka tersebut. Suka mulakan penggulungan saya bagi menjawab soalan-soalan mengenai Inisiatif Mobiliti Selangor yang kerap ditanya oleh Ahli-Ahli Dewan dan juga orang ramai terutama pengguna jalan raya. Secara ringkas Mobiliti Selangor yang diwar-warkan sejak setahun lalu ialah sebuah sistem pengangkutan awam yang mengabungkan semua aspek pengangkutan di bawah satu bumbung dan dipandu dengan penganalisaan data. Inisiatif ini melibatkan pelaksanaan program aktiviti yang menyeluruh dalam memenuhi keperluan first mile dan last mile. Mobiliti Selangor ini tidak hanya memfokuskan pada satu mod pengangkutan semata-mata seperti bas,
rel, teksi atau e-hailing tetapi ia melibatkan keterangkuman semua aspek pengangkutan dalam satu ekosistem pengangkutan yang holistik dan efisien termasuk menaik taraf perhentian bas, seperti permintaan daripada Yang Berhormat Seri Kembangan, Kerajaan Negeri Selangor telah mengarahkan semua PBT untuk mengkaji kawasan yang memerlukan perhentian bas dan membina perhentian bas yang berbumbung dan bas hub pengangkutan awam micromobility, e-scooter malahan laluan pejalan kaki. Melangkah ke hadapan pengangkutan awam Selangor tidak lagi berkisar dan berputar mengenai bas dan sistem tren, tetapi kita mengiktiraf keseluruhan eko-sistem pengangkutan rakyat. Tuan Speaker, di dalam ucapan Belanjawan Selangor 2024, Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah menyebut dengan jelas kepentingan mempercepatkan transisi penggunaan kenderaan peribadi kepada pengangkutan awam. Ia terkandung di dalam agenda menjayakan enakmen Lembah Klang Raya dan teras pertama Belanjawan 2024 iaitu rakyat Selangor berpendapatan tinggi. Walaupun sebahagian besar perancangan dan pembangunan pengangkutan awam seperti sistem rel terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri telah mengorak langkah yang proaktif dengan memperkenalkan perkhidmatan bas percuma Selangor. Setelah 8 tahun beroperasi, lebih 65 juta penumpang telah dicatatkan. 65 juta bukanlah angka yang kecil membayangkan usaha ini mempunyai kisah kejayaan yang tersendiri. Walau bagaimanapun seiring dengan peredaran zaman, dengan pemilikan kenderaan persendirian kian meningkat sudah sampai masa kita untuk mengkaji semula modal pengangkutan awam Selangor, di bawah agenda mobiliti Selangor. Kajian akan melibatkan usaha sama pelbagai agensi dari Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan. Sebagai contoh laluan-laluan Bas Smart Selangor yang tidak mendapat sambutan perlu diperhalusi semula. Laluan-laluan pejalan kaki, perlu diperkasa dan diperkemaskan agar menjadi lebih selesa dan selamat. Kerajaan Negeri mahu melahirkan walkable community di kalangan rakyatnya.
Tahun ini, sejumlah RM3 juta telah disalurkan bagi membina laluan pejalan kaki dari bangunan SUK ke pusat bandar Shah Alam. Hal ini menunjukkan keseriusan kerajaan memperkasa laluan pejalan kaki bukan sahaja di Shah Alam. Saya boleh bagi satu contoh, sekiranya Ahli-Ahli Yang berhormat nak lakukan solat Jumaat pada Sidang yang akan datang, selepas projek pembinaan pejalan kaki ini siap dari SUK sehingga ke pusat bandar Shah Alam, Ahli-Ahli Yang Berhormat boleh berjalan kaki ke Masjid Negeri, yang itu jauh sangat, lebih kurang satu kilometer sahaja dan mungkin mengambil masa sepuluh atau lima belas minit dan kita boleh menggalakkan lebih ramai warga SUK dan termasuk Ahli-Ahli Yang Berhormat untuk berjalan kaki, kita boleh exercise lagi, yang itu adalah satu projek yang saya nampak cukup baik keseluruhannya.
Jadi untuk tahun 2024, RM3 juta lagi disediakan bagi tujuan ini. Semasa Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Mobiliti Selangor pada 08 Oktober 2023, Pihak Berkuasa Tempatan telah pun diminta untuk mengenal pasti kawasan laluan pejalan kaki yang berpotensi untuk dibangunkan atau dinaik taraf. Ini bertetapan dengan cadangan
Kementerian Pengangkutan baru-baru ini yang mengarahkan tujuh PBT di Lembah Klang untuk mengenal pasti stesen bas dan laluan pejalan kaki untuk dinaik taraf.
Untuk makluman Ahli Dewan, Kementerian Pengangkutan telah mengemukakan permohonan Pembangunan Pelan Strategik Pengangkutan Awam Lembah Klang kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) telah diluluskan dan akan bermula pada tahun 2024. Kerajaan Negeri telah memohon agar wakil Kerajaan Negeri Selangor dimasukkan dalam bengkel yang berkenaan supaya wakil dapat memberi input berkaitan pengangkutan awam di Negeri Selangor.
Saya dengar dengan teliti beberapa permohonan daripada Ahli Yang Berhormat agar perkhidmatan rel disediakan di kawasan masing-masing. Seperti Yang Berhormat Semenyih, yang katakan kawasan Yang Berhormat seolah-seolah tertinggal dan tidak menikmati jaringan pengangkutan awam. Jaringan rel terhenti di Kajang dan Yang Berhormat Semenyih memohon agar jaringan rel dapat disambung ke Semenyih. Mungkin Yang Berhormat tidak sedar, ada satu stesen MRT terletak di kawasan Yang Berhormat iaitu stesen Sungai Jernih.
Untuk makluman, melalui, bukan, yang itu Kajang. Tak apa lah, yang itu bersebelah dengan DUN Semenyih. Untuk makluman, melalui agenda Mobiliti Selangor, perancangan Kerajaan Negeri adalah untuk menggantikan laluan bas sedia ada dengan sistem van DRT dan bas-bas sedia ada ini boleh diubah kepada laluan yang lebih panjang. Contohnya dari Semenyih ke Kajang ataupun ke Cheras, bas akan menjadi penghubung kepada hub pengangkutan awam dan bandar antara dua kawasan berlainan. Sementara itu, sistem DRT tertumpu di satu kawasan yang lebih kecil.
Walau bagaimanapun, perancangan laluan Bas Smart Selangor adalah tertakluk kepada kelulusan agensi pengangkutan awam darat yang menetapkan suatu laluan tidak boleh memasuki laluan yang telah ditentukan mengikut journey kepada operator bas sedia ada dan keperluan bas awam atau bas henti-henti yang lain. Sebagai tambahan, Kerajaan Negeri masih mengkaji keperluan menggunakan bas elektrik di dalam agenda mobiliti Selangor. Cadangan ini akan diteliti bersesuaian dengan perkembangan industri ev dan tertakluk kepada prestasi kewangan Kerajaan Negeri.
Tuan Speaker, sebagai sebuah negeri yang mempunyai kepadatan penduduk yang tertinggi terutamanya di kawasan-kawasan bandar. Penambahan bilangan kenderaan persendirian dan isu ketersambungan pengangkutan awam menjadi faktor utama kesesakan trafik. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri sudah merangka beberapa inisiatif dalam mobiliti Selangor yang mengandungi pelan keterangkuman pengangkutan awam dan pengumpulan data kecerdasan buatan ataupun AI. Berkaitan corak aliran trafik melalui penubuhan Selangor Mobilty Lab. Kerajaan Negeri juga mengambil maklum dan berpandangan positif terhadap cadangan yang diutarakan berkaitan penggunaan lampu isyarat pintar ataupun smart traffic light.
Kerajaan Negeri akan meneliti cadangan ini yang telah terbukti dapat menjimatkan masa dan mengurangkan kesesakan di kawasan bandar di negara-negara maju. Yang Berhormat Subang Jaya mencadangkan agar pihak ...
Sungai Ramal.
Ya terima kasih Tuan Speaker dan Kinrara. Saya nak, boleh tak mohon patah balik sikit saja. Saya berminat tentang laluan pejalan kaki Yang Berhormat sebut tadi. Sangat menarik dan sangat positif dan Yang Berhormat sebut tujuh PBT yang telah diberikan galakan untuk melaksanakannya, apakah termasuk MPKj untuk maksud PBT ini.
Tujuh PBT yang diarahkan oleh Kementerian Pengangkutan untuk menaik taraf pejalan kaki yang berdekatan dengan hub-hub pengangkutan ataupun stesen LRT, MRT itu, di PBT yang mempunyai stesen secara automatik telah diarah seperti di Kajang. Kajang mempunyai beberapa stesen LRT dan MRT, jadi Kajang termasuk dalam senarai yang diarahkan untuk menaik taraf pejalan kaki.
Maksudnya, jika berkaitan dengan stesen yang meliputi ramai penduduk sahaja.
Iya.
Kalau sekolah dengan pusat komuniti ...
Yang itu juga termasuk dalam mobiliti Selangor. Di mana kita nak membangunkan ataupun menaik taraf pejalan kaki supaya pejalan kaki ini juga boleh menjadi salah satu mod pengangkutan. Kita harus faham, apakah maksud pengangkutan awam. Pengangkutan awam itu adalah untuk kita nak menggerakkan seseorang itu dari satu lokasi ke lokasi yang berlainan. Jadi pejalan kaki itu juga boleh memainkan fungsi ini, jadi itu adalah sangat penting dan pejalan kaki juga bawah bumbung mobiliti Selangor. Dan kami telah mengarahkan PBT dan agensi lain untuk memandang serius tentang perkara pejalan kaki ini. Jadi saya akan teruskan dengan Yang Berhormat ..
Yang Berhormat EXCO.
Iya.
Kalau tak silap saya, Yang Berhormat Seri Kembangan ada dalam perbahasan ada menyebut tentang smart bus stop. Tapi tadi saya tak dengar Yang Berhormat jawab tentang smart bus stop. Adakah kerajaan ada perancangan untuk menambah smart bus stop seperti ada jalur
internet, kemudahan cas bateri yang mesra rakyat termasuk ada kiosk perniagaan. Terima kasih.
Tadi saya ada jawab secara ringkat berkenaan permintaan bus stop oleh Yang Berhormat Seri Kembangan. Saya rasa smart bus stop itu kita telah membina satu, satu ke dua, satu setiap PBT kan. Baik, empat smart bus stop di setiap PBT. Jadi saya rasa ini kita masih dalam peringkat percubaan, adakah kita mampu dan sesuai untuk membina lebih banyak bus stop smart bus stop yang dicadangkan kerana ia melibatkan kos yang agak tinggi dan juga maintainance, penyelenggaraan yang tinggi. Vandalisma berlaku, yang itu yang satu perkara yang kita harus ambil kira. Adakah smart bus stop sesuai di semua tempat ataupun di sesetengah tempat. Tetapi kita buka untuk cadangan, di mana kalau ada lokasi yang sesuai, ia boleh dipertimbangkan. Yang Berhormat Subang Jaya ada mencadangkan.
Mohon laluan Yang Berhormat, sikit saja.
Ada lagi.
Saya nak cadang kepada Yang Berhormat EXCO, kalau boleh Selangor Mobility ini sebab kita Menteri Besar dah cadangkan Gagasan Lembah Klang Raya, jadi Selangor Mobility ini harus difikirkan connectivity itu sebagai Lembah Klang Raya, not only satu-satu PBT sahaja. Itu cadangan saya pada Yang Berhormat.
Yang ini cadangan yang cukup positif dan saya cukup setuju. Sebenarnya tadi saya dah sebut, Kementerian Pengangkutan pada tahun depan 2024 akan mengadakan satu Pelan Strategik Pengangkutan Awam Lembah Klang, yang ini termasuk DBKL dan juga Selangor dan Kerajaan Negeri Selangor telah meminta supaya wakil Kerajaan Negeri dimasukkan dalam jawatankuasa ini supaya kita boleh memberi pandangan dan cadangan di dalam bengkel yang akan dianjurkan oleh Kementerian Pengangkutan.
Yang Berhormat Subang Jaya mencadangkan agar pihak prasarana dimasukkan ke dalam OAC PBT berkaitan sebagai salah satu langkah agar pelaksanaan ekosistem pengangkutan awam dapat dilaksanakan dengan lebih kemas teratur dan menyeluruh. Kerajaan Negeri sentiasa mencari jalan untuk memastikan pembangunan pengangkutan awam dilaksanakan secara bersepadu dan mengambil kira permintaan pengguna. Kerajaan akan meneliti cadangan tersebut, namun sebarang penambahan ahli OAC harus mengambil kira keberkesanan perjalanan mesyuarat OAC sendiri. Melalui agenda mobiliti Selangor, kita berharap komunikasi yang lebih baik di antara PBT dan syarikat operator pengangkutan awam terus di tingkatkan.
Yang Berhormat Hulu Kelang ada sentuh berkenaan isu domestic investment strategic fund. Domestic investment strategic fund, telah ditutup berkuat kuasa 17 Disember 2021 berikutan dana yang disediakan telah mencapai kapasiti maksimum. Namun begitu, ianya telah diganti dengan Smart Automation Grant ataupun SAG Madani yang diumumkan baru-baru ini dan syarikat-syarikat boleh memohon menerusi portal Invest Malaysia mulai 10 November 2023. Jadi permohonan baru dibuka satu tahun, satu minggu yang lalu. Pihak Invest Selangor akan meneruskan kerjasama erat dengan MIDA bagi memberikan pemahaman kepada para industri berkaitan dengan SAG Madani dan program-program Kerajaan Negeri yang berkaitan akan dilaksanakan pada tahun 2024. Sejumlah peruntukan RM100 juta disediakan untuk Skim SAG Madani dan objektif untuk menyokong dan membantu PMKS untuk automated dan digitalise proses operasi dan produksi mereka. Yang pertama, meningkatkan produktiviti dan efisiensi di dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan. Yang kedua, mewujudkan peluang pekerjaan di dalam high value added sector dan merangsang pelaburan domestik. Tuan Speaker, kajian kebolehlaksanaan cadangan pembangunan pelabuhan Pulau Carey oleh Pihak Lembaga Pelabuhan Klang (LPK).
Yang Berhormat, sebelum beralih kepada topik yang lain. Ini berhubung isu di DISF dan sekarang diperkenalkan SAG, tetapi matlamatnya sama. Yang Berhormat setuju bahawa tujuan asal DISF ini adalah untuk menggalakkan industri tempatan beralih kepada automation, modernisation, latihan, R&D dan sebagainya. Kerana sementara kita mahu menarik pelabur-pelabur berteknologi tinggi ke dalam negara termasuk di Negeri Selangor, kita juga mahu menjadikan syarikat-syarikat ini sebahagian daripada rantaian berkalan kepada syarikat-syarikat gergasi di peringkat global. Tetapi persoalannya, jumlah yang diperuntukkan di bawah SAG ini jauh lebih rendah daripada DISF. Saya telah nyatakan dalam perbahasan saya, DISF meletakkan RM1 bilion untuk setiap rancangan Malaysia. Tetapi SAG ini, meletakkan hanya RM100 juta, ada penurunan yang mendadak. Jadi persoalan saya, apakah pelan strategik Kerajaan Negeri oleh kerana dana terlalu kecil. Apakah langkah yang diambil untuk merebut peluang ini supaya syarikat-syarikat Selangor kerana hub sektor pembuatan perkilangan ini berada di sini. Tetapi kalau Kerajaan Negeri tidak mengambil sikap yang lebih proaktif untuk memanfaatkan RM100 juta ini, saya bimbang SME’s kita akan tertinggal daripada usaha untuk membawa mereka kepada modernisation dan juga automation untuk terlibat dalam supply chain syarikat besar ini. Jadi apakah yang akan dilakukan oleh Yang Berhormat.
Terima kasih atas peringatan daripada Yang Berhormat Hulu Kelang. Sebenarnya seperti apa yang saya sebut tadi, yang SAG geran ini baru dibuka untuk permohonan satu minggu yang lepas dan pihak Invest Selangor telah berhubung dengan MIDA dan kita akan meneruskan kerjasama dengan MIDA supaya kita punya SME itu lebih memahami proses untuk memohon dana ini dan juga untuk memastikan sebanyak mungkin SME di Negeri Selangor dapat
memanfaatkan daripada geran yang telah ditawarkan ini. Melalui Invest Selangor kita sedang giat untuk membuat promosi berkenaan geran ini.
Speaker boleh saya mencelah satu lagi, mohon Penjelasan. Ada satu lagi kemudahan yang disiapkan ataupun yang disediakan iaitu MDG. Apakah Kerajaan Negeri juga akan bekerjasama dengan MATRADE supaya syarikat-syarikat pengeksport tempatan Selangor ini dapat memanfaatkan Market Development Grant ini supaya mereka dapat melakukan promosi penjenama di dalam pasaran global dan menembusi pasaran-pasaran baru?
Sudah tentunya Kerajaan Negeri Selangor dan syarikat-syarikat di Negeri Selangor tidak akan melepaskan apa-apa peluang untuk mendapat atau memohon geran yang ditawarkan oleh Kerajaan Persekutuan. Ini merupakan satu ruang ataupun satu peluang yang terbaik bagi kita untuk mempromosikan syarikat-syarikat dan produk-produk hasil daripada Kerajaan Negeri daripada Negeri Selangor.
Jadi saya nak masuk ke satu topik yang baru iaitu kajian kebolehlaksanaan Cadangan Pembangunan Pelabuhan Ketiga Pulau Carey oleh pihak Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) telah diluluskan oleh Kementerian Pengangkutan pada tahun 2022 dan dijangka akan mendapat kelulusan kabinet pada tahun hadapan. Di peringkat Kerajaan Negeri pula melalui PLAN Malaysia Selangor telah menyediakan Pelan Induk Pembangunan Pulau Carey yang merupakan pelan guna tanah yang akan menerangkan berkenaan jenis guna tanah dan kemudahan-kemudahan sokongan yang perlu disediakan untuk menyokong pelaksanaan pembangunan pelabuhan ketiga Pulau Carey yang dirancang. Pelan induk pembangunan ini akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri dalam tempoh terdekat untuk mendapatkan hala tuju Pihak Berkuasa Negeri dan seterusnya akan diambil kira dalam Kajian Rancangan Tempatan Kuala Langat 2030 (Pengubahan Ketiga) yang akan disediakan oleh Majlis Perbandaran Kuala Langat. Pelan Induk Pembangunan Pulau Carey ini kelak dapat membantu agensi-agensi di peringkat persekutuan dan negeri dalam proses permohonan peruntukan kewangan untuk melaksanakan cadangan yang telah dikenal pasti terutamanya keperluan infrastruktur utama bagi memastikan cadangan untuk membangunkan Pulau Carey dapat dilaksanakan. Secara dasarnya pihak Kerajaan Negeri telah mengambil tindakan awalan dengan penyediaan pelan induk pembangunan sementara, sementara menunggu Cadangan Pembangunan Pelabuhan Ketiga Pulau Carey ini dimuktamadkan oleh Kerajaan Persekutuan.
Tuan Speaker, perjanjian komprehensif dan progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) bagi Malaysia telah berkuat kuasa pada 29 November 2022. Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor telah mengambil inisiatif dengan mengadakan libat urus persidangan dan pameran dengan syarikat-syarikat daripada negara-negara dalam CPTPP. Untuk tahun 2023 negara terlibat adalah Kanada, Jepun, Australia,
Singapura dan Vietnam menerusi beberapa lawatan kerja dan misi pelaburan ke negara-negara tersebut. Invest Selangor telah memberikan penerangan tentang peluang-peluang pelaburan dan perdagangan serta potensi kerjasama dua hala dan mengetengahkan keupayaan syarikat-syarikat tempatan untuk potensi kerjasama dengan syarikat-syarikat dari negara-negara tersebut.
Selain itu, penganjuran Program Selangor International Business Summit dan Selangor Aviation Show (SAS) juga turut melibatkan peserta-peserta daripada negara-negara yang tersenarai di bawah CPTPP seperti Australia, Brunei, Jepun, Kanada, New Zealand, Singapura dan Vietnam. Kedua-dua pengusaha dari Malaysia dan negara-negara tersebut berpeluang untuk meneroka pasaran di negara masing-masing melalui platform ini. Kerajaan Negeri juga sedang dalam proses mengenal pasti PKS yang bersesuaian menerusi pelbagai program yang dilaksanakan dalam usaha membantu PKS tempatan memanfaatkan bantuan Technical Assistant and Capacity Building (TACB) yang ditawarkan di bawah CPTPP. Sebagai permulaan, pihak Kerajaan Negeri akan mengenal pasti syarikat-syarikat yang terlibat di dalam Selangor Aviation Show dan Selangor International Business Summit. Syarikat-syarikat ini terlibat dalam industri aeroangkasa, makanan dan minuman, perkhidmatan kesihatan, peranti perubatan, aplikasi pintar dan sebagainya.
Tuan Speaker, Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor sentiasa bekerjasama dengan MATRADE yang berperanan membantu pengeksport Malaysia membangunkan dan mengembangkan pasaran eksport mereka. Program seperti Selangor International Business Summit dan Selangor Aviation Show telah pun mendapat pengesahan ataupun endorsement daripada MATRADE. Dengan ini peserta pameran boleh memohon Market Development Grant (MDG) yang disebutkan oleh Yang Berhormat Hulu Kelang tadi daripada MATRADE.
Selangor International Business Summit adalah platform yang disediakan untuk melahirkan lebih ramai usahawan dan pengeksport Negeri Selangor agar mereka berupaya berdagang di peringkat antarabangsa. Sebanyak 255 syarikat dari Selangor telah mengambil bahagian dalam lima pameran semasa Selangor International Business Summit bersama-sama pempamer-pempamer daripada pelbagai negara seperti China, Thailand, Indonesia, Cambodia, Jepun, Australia, Switzerland, France, USA, Singapura, Germany, India, Korea Selatan, Kazakhstan, Turki, Kenya, Uganda, United Kingdom, Taiwan, Vietnam, Bangladesh, Kuwait, Pakistan, Sri Lanka dan lain-lain lagi. Semasa Program Selangor International Business Summit, usahawan juga berpeluang menyertai Selangor International Expo ataupun SIE bagi makanan dan minuman. Supermarket Buyers Programme yang mewujudkan kerjasama strategik usahawan bersama beberapa pasar raya besar. Program ini adalah satu inisiatif Invest Selangor untuk memperkenal dan menyenaraikan usahawan-usahawan terpilih yang ke dalam rantaian pembekal pasar raya dengan beberapa insentif bayaran dan ruang promosi dalam pasar raya. Di peringkat negeri, antara program latihan digital kepada usahawan Selangor adalah Selangor e-Commerce Excelerator Program ini
ataupun ECX. Program ini memberi penekanan kepada program latihan dan bimbingan kepada usahawan IKS dalam membantu pengembangan perniagaan secara online dan secara langsung dapat memberi sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi Negeri Selangor. Pada waktu ini, aktiviti promosi pelaburan dengan membawa syarikat-syarikat dari Selangor ke luar negara akan diteruskan agar usahawan kita dapat meneroka pasaran antarabangsa. Kita juga mengadakan program usahawan dengan MATRADE bagi memberi pendedahan serta bimbingan usahawan untuk menembusi pasaran antarabangsa seperti Program Hari Eksport Selangor yang dianjurkan oleh PKNS. Antara modul bimbingan yang dilaksanakan sepanjang program berlangsung seperti :-
1) Solusi eksport seperti Program e-Trade; 2) Platform perdagangan digital MATRADE iaitu MyExport; 3) Pembelajaran digital MATRADE bagi membantu syarikat meneroka pasaran antarabangsa dan mengenal pasti platform e-Dagang.
Selain ini, Invest Selangor juga turut aktif terlibat dalam pameran-pameran anjuran MATRADE seperti MIHAS, Farnborough Air Show dan Paris Air Show.
Tuan Speaker, Kerajaan Negeri tidak pernah menyatakan kesemua projek-projek yang disenaraikan di dalam Pembangunan IDRISS akan disiap sepenuhnya dalam tempoh lima tahun. Perlu difahami dengan jelas bahawa hampir semua projek yang disenaraikan ini adalah projek milik pihak swasta. Peranan Kerajaan Negeri adalah untuk membantu dan memacu projek ini supaya dilaksanakan segera dengan pemberian insentif tertentu yang ditawarkan dalam tempoh masa lima tahun. Dalam usaha membantu pelaksanaan projek-projek yang dicadangkan dalam Pembangunan IDRISS, Kerajaan Negeri telah mewujudkan Jawatankuasa Pasukan Petugas Pelaksanaan Projek Pembangunan IDRISS yang bermesyuarat setiap tiga bulan dan dipengerusikan oleh saya sendiri sebagai EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor. Menerusi mesyuarat ini, pihak pemaju akan memberikan taklimat berkenaan status kemajuan projek serta isu-isu yang berbangkit untuk diselesaikan agar projek yang dicadangkan dapat direalisasikan mengikut perancangan yang ditetapkan. Bagi memastikan projek-projek yang dilaksanakan tidak memberikan kesan atau impak yang negatif kepada masyarakat setempat, setiap projek yang hendak dilaksanakan akan melalui proses kelulusan pembangunan serta penetapan syarat-syarat oleh agensi teknikal yang berkaitan.
Tuan Speaker, Kerajaan Negeri Selangor melalui Invest Selangor telah meneliti dengan lebih mendalam langkah-langkah yang perlu diambil untuk membawa syarikat-syarikat aeroangkasa tempatan untuk menjadi antara pembekal-pembekal utama kepada syarikat global OEM Aeroangkasa. Antara strategi dan langkah yang diambil bagi menjayakan agenda ini adalah :-
a) Mengeratkan hubungan industri dan jaringan melalui misi-misi penggalakan pelaburan seperti di Singapura dan di Republik Czech yang berlangsung baru-baru ini. Syarikat-syarikat tempatan telah mengikuti misi penggalakan ini bagi mendedahkan mereka kepada keupayaan-keupayaan yang ada di pasaran global dan dalam masa yang sama mengadakan perkongsian pengetahuan bersama syarikat global yang berada di Tier 2 dan Tier 1 untuk mencari work packages yang sesuai dan potensi tinggi untuk Selangor.
b) Kolaborasi bersama agensi kerajaan. Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor telah mengambil langkah yang proaktif menandatangani Memorandum Persefahaman dengan National Aerospace Industry Corporation iaitu agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). Inisiatif ini merupakan pemacu kepada polisi-polisi dan pelan tindakan yang diselaraskan di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 Malaysia Aerospace Industry Blueprint dan Rancangan Selangor Pertama dalam usaha menguatkan lagi Selangor menjadi pilihan utama pelabur aeroangkasa.
Selain itu, terdapat usaha seperti pemantapan pematuhan standard dan pensijilan. Industri aeroangkasa seperti SIRIM, AS 9000-100 dan NADCAP (National Aerospace and Defense Contractors Accreditation Program) yang merupakan badan pematuhan standard dan pensijilan dalam industri aeroangkasa ini. Pemfokusan terhadap pembangunan modal insan juga berjalan seiring melalui sesi libat urus dan Mesyuarat Majlis Aeroangkasa Selangor yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin industri tempatan dalam menjayakan polisi-polisi yang disebutkan. Dalam Majlis Aeroangkasa Selangor yang telah berlangsung pada bulan April 2023 yang lalu telah diputuskan untuk menjadikan white paper ataupun kertas putih bagi mengenal pasti solusi-solusi yang dapat menangani isu-isu yang berbangkit dalam industri aeroangkasa seperti jurang gaji dan juga kekurangan modal insan yang memenuhi syarat OEM aeroangkasa. White paper ini akan mengikuti konsep triple helix adalah untuk memastikan penglibatan semua pihak seperti industri, institusi pendidikan tempatan dan juga agensi kerajaan. Inisiatif ini akan membantu memastikan pekerja tempatan mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk menyokong pertumbuhan industri aeroangkasa. Buat masa ini MBI sedang memuktamadkan strategi Perancangan Pembangunan Selangor Aeropark bersama pihak Sime Darby Plantation Berhad. Dalam masa yang sama pihak MBI sedang mengkaji kaedah pelaksanaan Projek Pembangunan Selangor Aeropark yang paling berkesan supaya kepentingan Kerajaan Negeri dan semua pemegang taruh terjaga. Selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri Selangor untuk menjadikan Negeri Selangor sebagai destinasi terpilih bagi hub industri aeroangkasa di rantau ASEAN.
Tuan Speaker, pembangunan taman perindustrian berkonsepkan Managed Industrial Park adalah merupakan suatu pembangunan taman perindustrian yang akan diurus, selenggara secara sistematik oleh pihak Industrial Park Manager (IPM). IPM akan mengurus, selenggara taman perindustrian tersebut selaras dengan piawaian dan
keperluan semasa pekilang atau penyewa. Ini secara langsung dapat memastikan taman perindustrian tersebut sentiasa diselenggara lebih efisien, efektif dan sistematik. Pembangunan kawasan MIP secara langsung akan menyediakan kawasan industri yang kondusif serta lengkap dengan kemudahan infrastruktur, utiliti dan kemudahan sokongan yang lain seperti pusat komuniti, asrama pekerja berpusat dan lain-lain. Sehingga kini sebanyak enam cadangan projek pembangunan kawasan perindustrian telah mendapat pengiktirafan sebagai kawasan perindustrian berkonsepkan Managed Industrial Park oleh Kerajaan Negeri di Negeri Selangor dengan jumlah keluasan 3,383 ekar. Projek-projek tersebut melibatkan tiga projek di Daerah Kuala Langat, dua projek di Daerah Gombak dan satu projek di Daerah Klang. Antara insentif yang ditawarkan bagi pembangunan taman perindustrian berkonsepkan MIP adalah seperti berikut :-
a) Insentif kepada pemaju :-• Premium tanah; • Bayaran ansuran caj pemajuan tanpa faedah; • Pengecualian pendirian kilang kos rendah; • Pajakan jangka masa panjang pembangunan bukan strata; • Pengecualian cukai tanah bagi tahun pertama; dan • Cukai taksiran dan pengecualian cukai taksiran bagi tanah kosong dan potongan 50% bagi cukai taksiran bangunan kosong; dan juga
b) Kerajaan Negeri memberi insentif kepada pelabur iaitu proses laluan segera dan tempoh kelulusan ulasan teknikal dalam tempoh 7 hari bekerja dan permohonan kelulusan urusan tanah diproses oleh PTG Selangor. Dan selain daripada itu, cukai taksiran juga diberi pengecualian bagi tanah kosong. Potongan 50% bagi cukai taksiran bangunan dan pengecualian bayaran lesen perniagaan bagi tempoh yang tertentu.
Tuan Speaker, Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Pelaburan Perindustrian dan Perdagangan serta Invest Selangor Berhad telah menganjurkan sidang kemuncak antarabangsa tahunan Negeri Selangor iaitu Selangor International Business Summit 2023. Ini telah dianjurkan dari 19hb sehingga 22hb Oktober 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Melalui program ini Kerajaan Negeri berpeluang untuk mempromosikan negeri Selangor sebagai Gerbang Pasaran Asia Tenggara, Selangor di GATEWAY to Asian. Dan juga memberi peluang kepada syarikat-syarikat tempatan untuk meluaskan pasaran ke peringkat global di samping menjadi ruang untuk usaha orang tempatan dan asing bagi meneroka dan menjalinkan kerjasama perniagaan. Jumlah keseluruhan pengunjung sepanjang empat hari program yang dijalankan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada tahun 2023 juga meningkat sebanyak 29% kepada 57,249 orang berbanding dengan 44,342 orang pengunjung pada tahun 2022. Selangor International Business Summit 2023 juga telah menjadi satu platform perbincangan berkenaan polisi cabaran dan peluang-peluang industri-
industri yang terpilih. Secara keseluruhan, SIBS 2023 telah berjaya mengadakan sebanyak lima persidangan dan menghimpunkan seramai 123 penceramah dan moderator. Di samping menjadi hos kepada 4,767 delegasi dari dalam dan luar negara sepanjang empat hari tersebut. Secara keseluruhan SIBS 2023 Edisi ke-7 ini berjaya memperolehi nilai potensi transaksi perniagaan berjumlah RM6.12bilion iaitu RM4.9bilion dari perjanjian persefahaman yang dimeterai. Dan RM1.22bilion dari potensi transaksi yang dijalankan di dewan-dewan pameran. Pencapaian tahun ini adalah merupakan satu rekod baru dalam penganjuran SIBS yang amat memberangsangkan. Untuk perbandingan SIBS 2022 telah merekodkan nilai potensi transaksi keseluruhan berjumlah RM1.46bilion sahaja. Di samping itu antara pengunjung telah hadir dan melawat sidang kemuncak SIBS 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur ini yang terdiri dari 75% pelawat perdagangan dan 25% pelawat awam. Dan mengenai unjuran nilai pelaburan yang diluluskan bagi tahun 2023 dalam usaha Kerajaan Negeri mengekalkan sektor pembuatan dan perkhidmatan sebagai penyumbang utama kepada pertumbuhan KDNK negeri.
Kerajaan Negeri mensasarkan pelaburan berjumlah RM45 bilion bagi tahun 2023. Di mana sasaran pelaburan yang ditetapkan bagi sektor pembuatan adalah sebanyak RM12 bilion dan sektor perkhidmatan sebanyak RM32 bilion. Bagi tempoh Januari hingga Jun 2023 sebanyak 657 projek pelaburan dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan telah diluluskan di negeri Selangor dengan nilai pelaburan berjumlah RM29.72 bilion. Nilai pelaburan yang direkodkan ini telah melebih separuh daripada unjuran yang telah ditetapkan. Projek-projek pelaburan yang telah diluluskan ini melibatkan sebanyak 114 projek perkilangan dengan nilai pelaburan berjumlah RM14.75 bilion dan jumlah ini telah melebihi jumlah sasaran yang telah diunjurkan. Manakala sebanyak 543 projek telah diluluskan dalam sektor perkhidmatan dengan nilai pelaburan berjumlah RM14.96 bilion. Berdasarkan momentum dan prestasi pelaburan yang memberangsangkan kerajaan perpaduan Selangor yakin jumlah pelaburan yang diunjurkan akan mampu dicapai pada penghujung tahun 2023 kelak.
Yang Berhormat EXCO.
Ya.
Boleh saya tanya soalan tambahan? Apakah Yang Berhormat berpuas hati dengan unjuran nilai pelaburan bagi tahun ini yang diunjurkan sekitar RM40 bilion sahaja? Sedangkan dalam ucapan bajet 2024 yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar, sektor pembuatan dan sektor perkhidmatan di antara dua sektor ekonomi utama dalam negara ini di Negeri Selangor mencatatkan pertumbuhan yang amat perlahan. Sektor pembuatan hanya 1.8%, sedangkan sektor perkhidmatan mencatatkan hanya lebih kurang 5.8%. Jadi kalau inilah data yang berada di depan kita apakah langkah seterusnya untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih rancak supaya unjuran itu dapat ditingkatkan? Yang keduanya pada tahun 2022 tahun yang lepas, tiga
syarikat utama yang telah dibawa masuk ke Negeri Selangor AWS, Texas Instrumen dan Nippon Electric Glass. Tiga syarikat sahaja telah mencatatkan RM30 bilion. Jadi saya kira 40 bilion itu bukanlah satu angka yang boleh dibanggakan dan saya berharap Kerajaan Negeri dapat berusaha dengan lebih gigih supaya jumlah unjuran pelaburan yang berkualiti ke Negeri Selangor ini dapat ditingkatkan kerana ia akan menyumbang ke peringkat negara bagi tahun 2024 akan datang.
Ya, terima kasih. Sebenarnya banyak usaha telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri untuk menarik lebih banyak pelabur ke dalam Negeri Selangor. Saya bagi satu contoh saya baru balik dari negara China. Baru baru ni. Dan sebuah syarikat telah membuat keputusan untuk melabur di Kuala Langat dengan nilai pelaburan sebanyak RM1 bilion untuk kilang pembuatan battery little iron bagi membekalkan kepada home appliances. Jadi ini telah, mereka telah membuat keputusan akan melabur di Negeri Selangor. Ya.
Yang Berhormat EXCO, saya ucapkan tahniahlah kerana usaha Yang Berhormat. Cuma saya percaya Yang Berhormat juga sedia maklum dalam pertimbangan kita isu pelaburan ini, dia ada tiga perkara. Pertama, potential investment, yang keduanya, approve investment, yang ketiganya, realize investment. Yang, Yang Berhormat EXCO sebut ini hanya potensi untuk syarikat tersebut.
Untuk syarikat ini...
Ok. Nanti jap, bagi saya habiskan. Syarikat daripada China untuk melabur hampir RM1 bilion. Peringkat yang kedua, Yang Berhormat perlu bawa kepada NCI, National Committee on Investment kerana di situlah Kerajaan Persekutuan akan menimbangkan bentuk insentif yang akan ditawarkan kepada syarikat yang ingin melabur ke dalam negara termasuk negeri Selangor. Dan kalau itu diluluskan maka itu disebut kategori approve investment. Potensi yang Yang Berhormat sebut itu belum tentu diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan.
Yang ni, ini adalah approve investment untuk makluman Yang Berhormat Hulu Kelang.
Bila, bila dibawa ke dalam NCI Yang Berhormat?
Perbincangan bersama MIDA telah diadakan dan saya dijemput untuk melawat kilang tersebut di negara China dan mereka telah membuat janji dia akan melabur sebanyak RM1 bilion di Kuala Langat.
Ya, Yang Berhormat. Apa yang dijanjikan itu mesti dibentangkan dalam NCI. Boleh tak saya tahu tarikh NCI itu bersidang?
Nanti saya akan dapatkan maklumat yang spesifik ini.
Ok, terima kasih.
Baik, sekarang saya nak menjawab beberapa soalan yang dibangkitkan oleh beberapa Ahli Yang Berhormat berkenaan Program INSAN. Dan saya juga perlu membetulkan kronologi yang disebutkan oleh Yang Berhormat Hulu Kelang dalam ucapan bajet beliau.
Sebelum beralih kepada INSAN.
Ya.
Ada isu besar tentang perjanjian perdagangan bebas FTAs yang saya bangkitkan agak panjang. Saya belum.. Apakah Yang Berhormat akan menyentuh dalam penggulungan atau tidak?
Yang itu saya belum nampak. Nanti saya semak balik. kalau saya akan bagi jawapan secara bertulis kepada Yang Berhormat Hulu Kelang.
Tak bolehlah bertulis sebab kalau bertulis saya tak boleh respon. Ini dua FTAs yang terbesar di dunia, Yang Berhormat. Yang akan memberi manfaat yang cukup besar kepada Selangor. Selalu...
Yang Berhormat tadi ada sebut CPTPP. CPTPP.
CPTPPP yang itu dah accept.
Oh CPTPP yang itu dah. Saya dah jawab. CPTPP dah jawab tadi. Haa mungkin Yang Berhormat keluar tadi.
Dah jawab. Yang Berhormat tiada dalam Dewan.
Boleh dapat jawapan bertulis.
Yang Berhormat EXCO kata dia belum jawab.
Yang Berhormat Hulu Kelang boleh dapat jawapan dalam bentuk bertulis.
Dah. Dah. Dah. CPTPP tu dah. Sudah. Sudah. Sudah.
Ya. Baik. Baik. Baik.
Jadi Kerajaan Negeri telah menerima cadangan bagi pelaksanaan Skim Insurans Am Berkumpulan kepada rakyat di Negeri Selangor yang diterima pada 8 Ogos 2022. 8 Ogos 2022. MMKN pada 24 Ogos 2022 telah bersetuju secara dasar terhadap cadangan bagi pelaksanaan Skim Insurans Am Berkumpulan kepada 6 juta rakyat Negeri Selangor. Mesyuarat MMKN pada 7 September 2022 melantik MBI sebagai agensi pelaksana dan Wavpay Fintech Holdings Sdn. Bhd. sebagai pengendali perkhidmatan bagi Program INSAN. MBI diminta untuk membentangkan perincian proses pelaksanaan merangkumi kaedah perincian pelantikan syarikat, penyedia perkhidmatan serta kos yang terlibat untuk pertimbangan lanjut Kerajaan Negeri. Cadangan pelaksanaan Program INSAN bertarikh 27 September 2022 yang menjadi lampiran dalam surat pelantikan ataupun LOA bertarikh 1 Oktober 2022 adalah pindaan kepada cadangan asal yang telah ditambah baik bagi pelaksanaan Program INSAN. Ia bermakna yang cadangan asal diterima pada 8 Ogos, bukan 3 hari sebelum. Bukan 3 hari selepas terima cadangan tersebut dan terus bagi kelulusan. Dia mengambil masa lebih daripada satu bulan untuk memberi kelulusan dan terhadap pindaan daripada cadangan asal yang telah dikemukakan kepada Kerajaan Negeri pada 8 Ogos 2022. Jadi penyertaan dalam request of proposal IP yang dilaksanakan oleh MBI hanya ditawarkan kepada syarikat tersenarai sebagai e-money issuer yang diluluskan oleh Bank Negara Malaysia. SELangkah Venture Sdn. Bhd. iaitu syarikat milikan PKNS dengan 60% pegangan saham equity tidak dijemput untuk menyertai IP memandangkan syarikat tersebut tidak tersenarai sebagai e-money issuer yang diluluskan oleh Bank Negara Malaysia. Dia menggunakan third party ataupun wide label, kaedah wide label. Penilai ke atas sebelas cadangan pelaburan bagi pembangunan gerbang pembayaran digital atau payment gateway telah mengikut tatakelola syarikat. Cadangan pelaburan Wavpay Fintech Holdings Sdn. Bhd. adalah dua cadangan pelaburan yang memberi milikan equity dalam syarikat e-money issuer yang diluluskan oleh Bank Negara Malaysia. Pertimbangan ini penting memandangkan Bank Negara Malaysia tidak lagi mengeluarkan kelulusan e-money issuer yang baru. Wavpay Fintech Holdings telah membangunkan dan menawarkan pelbagai perkhidmatan yang boleh melengkapkan perkhidmatan Kerajaan Negeri dengan nilai pelaburan yang bersesuaian dengan peruntukan Kerajaan Negeri Selangor berkaitan pembangunan inisiatif e-wallet Selangor. Dan Program Insan Takaful adalah perlindungan kemalangan diri berkumpulan ataupun secara berkelompok yang patuh syariah. Bagi mengaktifkan master polisi takaful tersebut, pembayaran premium kepada syarikat penyedia
perkhidmatan takaful perlu dibuat sebelum polisi diaktifkan. Pembayaran Program Insan Takaful telah dibuat pada 3 Ogos 2023 dan insan takaful bermula untuk pendaftaran pada 4 Ogos 2023. Sama juga bagi Program INSAN mengikut kaedah konvensional, premium perlu dibayar secara upfront bagi mengaktifkan master polisi bagi perlindungan insurans oleh syarikat penyedia perkhidmatan. Sekiranya kita tak bayar semua syarikat insurans tidak akan mengaktifkan polisi-polisi insurans. Yang ini, saya rasa merupakan satu syarat yang normal bagi semua polisi-polisi insurans. Dan pembayaran premium insurans takaful.
Yang Berhormat, ya sambung, sambung minggu depan.
Tak adalah . Saya, ayat yang terakhir.
Ayat terakhir. Yang Berhormat.
Pembayaran premium insurans dan takaful dibuat kepada syarikat penyedia perkhidmatan iaitu Am General Insurans Berhad. Ataupun Takaful Ikhlas General Bhd. Sekiranya komisyen dibayar kepada mana-mana ejen, itu adalah hak syarikat penyedia perkhidmatan mengikut tatacara syarikat tersebut dan tidak melibatkan Kerajaan Negeri Selangor. Terima kasih.
Yang Berhormat EXCO, sambung, sambung minggu depanlah. Yang Berhormat. Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, masa telah.
Yang Berhormat Speaker, boleh sambung hari Isnin? Boleh?
Boleh. Boleh. Boleh.
Haaa, sambung hari Isnin, jangan duduk lagi..
Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, masa telah pun menunjukkan...
Teruskan berdiri di situ.
Jam 5.30 petang. Jam sudah 5.30 petang. Jangan. Jangan bimbang ya. Jangan bimbang. Dengan ini saya menangguhkan sesi Perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 sehingga hari Isnin, 20 November 2023 bermula jam 10.00 pagi. Dewan ditangguhkan.
(DEWAN DITANGGUHKAN PADA JAM 5.30 PETANG)