Selangor · 27 February 2024
15th Assembly, 2nd session, 1st meeting · 10 turns · 2,799 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalSelangor publishes one PDF per sitting day; recent ones are drafts (Draf Penyata Rasmi). Full written answers are published for 2018-19 only.
(Pembukaan)
Selamat pagi dan salam sejahtera. Aturan Urusan Mesyuarat Bagi Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas pada 27 Februari 2024 dimulakan dengan:
(i) Bacaan Doa; dan (ii) Proklamasi
(i) Bacaan Doa (Doa dibacakan)
(ii) Proklamasi
OLEH DULI YANG MAHA MULIA SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH ALHAJ IBNI ALMARHUM SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH ALHAJ, D.K. (SELANGOR), D.M.N., D.K. (TERENGGANU), D.K. (KELANTAN), D.K. (PERAK), D.K. (PERLIS), D.K. (NEGERI SEMBILAN), D.K. (KEDAH), D.K. (JOHOR), D.K. (PAHANG), S.P.M.S., S.S.I.S., S.P.M.J., DENGAN KURNIA ALLAH, SULTAN DAN YANG DIPERTUAN NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN SERTA SEGALA DAERAH TAKLUKNYA.
BAHAWASANYA Fasal (1) Perkara LXX Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, memperuntukkan bahawa DULI YANG MAHA MULIA SULTAN hendaklah dari semasa ke semasa melalui Proklamasi yang disiarkan dalam Warta memanggil Dewan Negeri:
MAKA OLEH YANG DEMIKIAN, BETA, SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH ALHAJ IBNI ALMARHUM SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH ALHAJ, D.K. (SELANGOR), D.M.N., D.K. (TERENGGANU), D.K. (KELANTAN), D.K. (PERAK), D.K. (PERLIS), D.K. (NEGERI SEMBILAN), D.K. (KEDAH), D.K. (JOHOR), D.K. (PAHANG), S.P.M.S., S.S.I.S., S.P.M.J., DENGAN KURNIA ALLAH, SULTAN DAN YANG DIPERTUAN NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN SERTA SEGALA DAERAH TAKLUKNYA, pada menjalankan kuasa yang diberikan kepada BETA di bawah Perkara LXX Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, DENGAN INI MEMANGGIL Dewan Negeri untuk bermesyuarat dan menetapkan 27 Februari 2024 hingga 29 Februari 2024, 1 Mac 2024, 4 Mac 2024 hingga 8 Mac 2024 dan 11 Mac 2024 dan pukul 10.00 pagi kecuali hari Jumaat pukul 9.30 pagi, sebagai tarikh dan waktu bagi Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Darul Ehsan yang Kelima Belas yang akan diadakan di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam.
DIPERBUAT di Istana Alam Shah, Klang pada 11 haribulan Januari 2024. Dengan Titah Perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.
Ahli - ahli Yang Berhormat sekalian, Dif-Dif Kehormat dan para jemputan, dengan ini dimaklumkan bahawa Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berkenan untuk menyampaikan Titah Ucapan. Oleh itu saya menempohkan Dewan buat seketika.
(DEWAN DITANGGUHKAN SEKETIKA)
Keberangkatan Masuk Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor diiringi Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor serta Yang Berhormat Tuan Speaker.
Dengan segala hormatnya dijemput Y.A.B. Dato’ Menteri Besar Selangor untuk mempersembahkan Titah Ucapan Diraja kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.
Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.
Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan SelangorAddress / budget
Assalamualaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh. Bismillaahir Rahmaanir Rahim.
Segala puji ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan kekuasaan-Nya telah mengizinkan Beta untuk berangkat menghadiri Istiadat Perasmian Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Kelima Belas (15) pada hari ini.
Pertama-tamanya sukacita Beta menyeru kepada seluruh rakyat di Negeri Selangor supaya bersyukur ke atas segala nikmat keamanan, kesejahteraan dan keselamatan yang telah dikurniakan kepada Negeri Selangor ini. Marilah kita berusaha memperbaiki setiap kekurangan yang ada, memperkukuhkan hubungan baik dan muhibbah sesama rakyat, menghindari persengketaan dan menjauhi segala perbuatan yang boleh membawa kemudaratan kepada Negeri Selangor terutama amalan rasuah dan penyalah gunaan kuasa.
Beta berharap persidangan mesyuarat Dewan Negeri Selangor ini seharusnya menjadi contoh terbaik kepada rakyat di luar sana di mana semua perbahasan mestilah berlangsung dengan penuh integriti dan bertanggungjawab dan bukan menjadi medan menabur fitnah serta membesar-besarkan isu sensitif serta berita palsu. Suasana perbahasan haruslah sentiasa dalam keadaan harmoni dan adil kepada semua.
Suka Beta ingatkan kepada Speaker dan Ahli-Ahli Dewan Negeri Selangor agar bertindak adil serta bertoleransi antara satu sama lain dan menumpukan perbahasan
kepada perkara yang memberikan manfaat yang sebaiknya kepada Rakyat dan kemajuan Negeri.
Beta menzahirkan ucapan tahniah kepada pentadbiran Memanda Dato’ Menteri Besar di atas pencapaian Prestasi Kewangan Kerajaan Negeri bagi tahun 2023. Rizab Kerajaan Beta melalui Kumpulan Wang Disatukan merekodkan angka berjumlah Ringgit Malaysia Tiga Ribu Lima Ratus Enam Puluh Satu Juta (RM 3,561 juta), kutipan hasil Negeri pada tahun 2023 telah merekodkan angka melebihi sasaran iaitu sebanyak Ringgit Malaysia Dua Ribu Tujuh Ratus Lapan Juta (RM 2,708 juta). Manakala lebihan kewangan dari kutipan hasil dan perbelanjaan Negeri pada tahun 2023 sebanyak Ringgit Malaysia Dua Ratus Enam Juta (RM 206 juta).
Beta berharap prestasi kewangan ini dapat dipertingkatkan dan Negeri Selangor akan terus kekal menjadi penyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terbesar untuk Malaysia. Walau bagaimanapun hasil negeri ini perlulah diurus dengan baik dan dibelanjakan untuk kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.
Kerajaan Beta akan memulakan Rancangan Selangor Pertama pada tahun 2024 untuk memastikan ekonomi negeri lebih kukuh dan berdaya saing bagi jangka masa lima tahun akan datang. Usaha mempelbagaikan hasil negeri akan mula dilaksanakan dengan strategi menambahkan hasil Kerajaan Negeri melalui sumbangan dan dividen daripada Anak Syarikat / Badan Berkanun dan Agensi Kerajaan Negeri dengan sasaran sebanyak Ringgit Malaysia Empat Puluh Juta (RM40 juta) pada tahun 2024 daripada anak syarikat di bawah pegangan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) MBI.
Selain itu, Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pejabat Daerah dan Tanah sedang dalam proses menyemak semula kadar bayaran fi Pejabat (office fees) bagi meningkatkan hasil Kerajaan Negeri. Semakan ini perlu dilakukan kerana kali terakhir kadar ini disemak dalam Kaedah-kaedah Tanah Selangor (Pindaan) 2007.
Kerajaan Beta telah membentangkan Belanjawan Tahun 2024 berjumlah Ringgit Malaysia Dua Ribu Lima Ratus Tiga Puluh Juta (RM 2,530 juta) dan telah diluluskan melalui Enakmen Perbekalan 2024. Peruntukan ini adalah sebagai persediaan merealisasikan tema belanjawan Negeri Selangor pada tahun ini iaitu: Selangor Mandiri: Memacu Kemajuan, Memicu Perpaduan.
Pelbagai aspek telah diambil kira dan sejumlah tambahan peruntukan baru bagi keterjaminan bekalan makanan, program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bernilai tinggi, penggunaan teknologi pintar dalam penambahbaikan pengangkutan awam, Program Tuisyen Percuma dan Insentif Haji Muassasah. Manakala Iltizam Selangor Penyayang terus diperkukuhkan dengan bantuan rawatan asas dan vaksinasi , manfaat hospitalisasi, bantuan taska, tadika, serta anak Istimewa.
Ekonomi Negeri Selangor pula dianggarkan tumbuh dengan kadar empat perpuluhan satu peratus (4.1%) pada tahun 2023 dan diunjurkan berkembang secara konsisten pada tahun 2024 dengan kadar lima perpuluhan dua peratus (5.2%) dengan sektor perkhidmatan terus menjana pertumbuhan, menyokong perbelanjaan swasta yang terus mengukuh. Sektor pembinaan juga dijangka tumbuh dengan pantas berbanding sektor-sektor lain, antara lain disokong oleh pembinaan projek-projek awam untuk meningkatkan kapasiti ekonomi.
Pada tahun ini, Beta amat berharap segala perancangan yang telah digariskan di dalam Rancangan Selangor Pertama dapat dilaksanakan mengikut garis masa yang telah ditetapkan terutamanya program kebajikan dan kesejahteraan rakyat, projek-projek berimpak tinggi khususnya pembangunan wilayah ekonomi baharu, inisiatif hasil ekonomi baharu serta mewujudkan suasana mesra pelabur bagi menarik lebih ramai pelabur dari dalam dan luar negara untuk melabur di Selangor.
Beta mengalu-alukan inisiatif Kerajaan Beta melalui Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor (PTGS) dan Pejabat-Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) seluruh Negeri Selangor membangunkan Sistem e-Tanah Negeri Selangor yang telah dilancarkan pada Oktober 2023. Penambahbaikan sistem tadbir urus tanah yang telus akan dapat memberikan impak positif yang signifikan kepada semua pihak berkepentingan yang terlibat. Aspek digitalisasi akan membantu dalam proses semakan, perancangan dan juga pemantauan di mana ia boleh dibuat secara lebih pantas, berkala dan teratur.
PTGS akan membuat pentakrifan semula bagi jenis-jenis bahan batuan dan mineral memandangkan nilai bagi kedua-dua bahan tersebut telah menunjukkan peningkatan yang drastik di pasaran. Pentakrifan ini akan melibatkan kadar royalti yang lebih tinggi selaras dengan kadar yang telah ditetapkan melalui Enakmen Mineral Negeri Selangor dan juga pekeliling-pekeliling yang masih berkuat kuasa.
Beta menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Beta yang sedang menyelesaikan isu persempadanan Negeri Selangor. Sehingga kini, kejayaan Negeri Selangor dalam memuktamadkan persempadanan darat dengan Pahang, Negeri Sembilan, serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah sesuatu yang boleh dibanggakan. Maka, usaha yang lebih giat perlu dilaksanakan oleh semua pihak berkaitan yang terlibat bagi mengesahkan dan memuktamadkan pula isu-isu persempadanan Negeri Selangor yang masih perlu diselesaikan.
Beta bersyukur kerana Negeri Selangor dilimpahi kemakmuran dan mempunyai bekalan air bersih yang mencukupi untuk kegunaan rakyat Beta. Walaubagaimanapun, wajar ada persediaan untuk menghadapi cabaran perubahan iklim seperti musim kemarau. Tahap kesedaran terhadap penggunaan air secara berhemah masih berada pada tahap yang rendah hingga menyebabkan kadar penggunaan domestik yang tinggi dianggarkan sebanyak dua ratus lima belas (215)
liter seorang sehari. Oleh itu, Beta menyeru seluruh rakyat untuk bersama-sama menggunakan air harian secara cermat dan berhemah bagi menyumbang kepada peningkatan simpanan air semasa.
Beta juga mengambil maklum komitmen Kerajaan Beta untuk menangani isu bekalan air dengan mengambil langkah proaktif untuk mengurangkan risiko dan menjamin keselamatan air untuk negeri. Projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) meliputi semua perancangan Kerajaan Beta dalam menguruskan air termasuk air banjir yang akhirnya boleh dijadikan sebagai sumber air untuk dibekalkan bagi tujuan rawatan oleh Air Selangor ataupun untuk kegunaan aktiviti seperti pertanian atau perikanan. Di bawah Projek SJAM ini, ia turut melibatkan kerja-kerja pembinaan infrastruktur pengepaman di Sungai Selangor dan Sungai Semenyih yang dijangka akan siap pada akhir tahun ini dan boleh dioperasikan pada pertengahan tahun 2025.
Selain itu, Projek Skim Air Sungai Rasau akan menjadi sumber air baru yang mampu menghasilkan air terawat yang dianggarkan lebih kurang seribu empat ratus juta liter sehari (1400JLH) melibatkan dua (2) komponen iaitu pembangunan sumber air yang dikenali sebagai Kolam Takungan Dwifungsi bagi Tebatan Banjir dan Sumber Bekalan Air Mentah Sungai Klang – Sungai Rasau, Selangor dan Kerja-kerja Pembangunan Loji Rawatan Air (LRA) termasuk sistem paip agihan, tangki air dan lain-lain yang berkaitan yang akan dibangunkan dalam dua (2) peringkat, iaitu setiap satu peringkat dengan kapasiti tujuh ratus juta liter sehari (700JLH).
Beta ingin zahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang akan membiayai kerja-kerja pembangunan sumber air ini melalui geran dengan anggaran berjumlah Ringgit Malaysia Satu Ribu Lapan Ratus Juta (RM 1,800 juta).
Di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya terdapat lebih kurang Tiga Puluh Ribu Lima Ratus Kilometer (30,500 km) paip yang membekalkan air kepada pengguna. Ketika ini banyak berlaku kejadian paip pecah disebabkan oleh paip yang usang, tekanan berlebihan ke atas paip dan juga vandalisme. Untuk menaik taraf rangkaian paip, Kerajaan Beta telah menyatakan komitmen menggandakan kadar penggantian paip daripada satu ratus lima puluh kilometer (150km) setahun kepada tiga ratus kilometer (300km) setahun. Beta menggesa semua pihak yang berkaitan untuk memberikan kerjasama bagi memastikan proses penggantian paip-paip usang ini dapat disegerakan.
Sehubungan dengan itu, Beta menyambut baik usaha dan inisiatif Kerajaan Beta untuk mengurangkan kesan kenaikan tarif kepada rakyat di mana Kerajaan Negeri akan menyerap dan menanggung peningkatan kos bagi penerima air percuma di bawah Skim Air Darul Ehsan (SADE), sekolah-sekolah, serta masjid, surau dan rumah-rumah ibadah bagi kemaslahatan rakyat. Kos tanggungan Kerajaan Beta akan meningkat kepada anggaran Ringgit Malaysia Tiga Puluh Tujuh dan Perpuluhan Tujuh
Juta (RM 37.7 juta) setahun namun usaha ini akan meringankan beban rakyat Beta dan merupakan manifestasi terhadap keprihatinan Kerajaan Beta.
Beta mengambil maklum perancangan yang telah dirangka oleh Kerajaan Beta untuk membina satu ribu (1,000) stesen pengecas kenderaan elektrik di seluruh negeri Selangor. Kewujudan stesen pengecas kenderaan elektrik merupakan langkah untuk mempercepatkan transformasi kepada kenderaan elektrik yang lebih mesra alam.
Beta juga mengambil maklum akan cadangan Pengunaan Kenderaan Elektrik oleh Kerajaan Beta dan Agensi serta Badan Berkanun. Inisiatif ini diharap akan menjadi pemangkin kepada peningkatan penggunaan kenderaan elektrik di Selangor dan menyokong inisiatif mobiliti yang lestari alam.
Pembangunan Sultan Idris Shah Green Energy (SISGE) Plant, iaitu taman tenaga hijau (Green Eco Park) yang merangkumi fasiliti loji sisa kepada tenaga (Waste-to-Energy) berkemampuan untuk membakar Dua Ribu Empat Ratus (2,400) tan sampah sehari dan menjana Seratus Tiga Puluh Perpuluhan Lima (130.5) megawatt tenaga elektrik melalui pembangunan yang melibatkan empat (4) fasa. Ianya dapat menjana nilai tambah daripada sisa pepejal melalui penjanaan tenaga dan bahan berguna yang boleh diperdagangkan seperti elektrik, haba atau bahan api.
Beta telah mengambil maklum langkah Kerajaan Beta membangunkan District Disaster Operation Centre (DDOC) bagi mengurus, menyelaras dan memantau pengurusan bencana daerah. DDOC ini telah dimulakan di tiga buah daerah iaitu Petaling, Klang, dan Hulu Langat, manakala pembangunan di daerah lain akan diteruskan pada tahun ini.
Beta juga telah mengambil maklum pelbagai usaha yang telah dan sedang diambil oleh Kerajaan Beta bagi mengatasi masalah banjir yang sentiasa menyusahkan rakyat Beta. Bagi tahun 2024, Kerajaan Beta telah memperuntukkan sebanyak Ringgit Malaysia Dua Puluh Tiga Juta (RM 23 juta) dalam usaha untuk memastikan pengurusan pembangunan tebatan banjir berkesan. Beta menzahirkan pandangan bahawa pengurusan banjir harus dilihat secara lebih terperinci terutamanya penjagaan parit-parit dan longkang di kawasan yang mempunyai penduduk yang padat.
Penjagaan hutan sebagai pengimbang ekosistem dan untuk diwarisi oleh generasi yang akan datang adalah sangat penting untuk diberi tumpuan. Dalam kerancakkan pembangunan negeri, Beta menggesa agensi pelulus pembangunan untuk tidak mengambil ringan terhadap kesan pembangunan ini kepada alam sekitar.
Oleh yang demikian, Beta menyokong Pembangunan Hutan Warisan Diraja Selangor melibatkan kawasan Taman Negeri Selangor seluas Seratus Lapan Ribu hektar (108,000ha) yang merupakan gabungan beberapa buah hutan simpanan kekal.
Kawasan ini juga dikenali sebagai Taman Warisan Negeri terletak di daerah Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat. Beta telah berkenan mengisytiharkan Hutan Warisan Diraja ini pada 28 November 2023 lalu. Pembangunan Hutan Warisan Diraja Selangor ini dijangka akan menjadi salah satu tarikan utama eko-pelancongan di negeri Selangor.
Beta bersyukur kerana syiar Islam terus ditegakkan dengan pelbagai aktiviti pengimarahan Masjid dan Surau di Selangor. Masjid dan Surau perlu terus aman dan berkecuali dari persengketaan serta perbalahan di sekelilingnya. Rumah Allah adalah tempat untuk umat Islam beribadat, mencari ketenangan, membersihkan jiwa dan meningkatkan tuntutan silaturrahim sesama ummah. Sehubungan dengan itu, perlu dielakkan sama sekali unsur pencetus permusuhan dan perpecahan yang berlaku di luar daripada berlaku di dalam masjid.
Selain itu, institusi Masjid dan Surau juga perlu diurus dengan profesional, adil dan telus. Pada 7 Disember 2023 yang lalu, Beta telah melancarkan Garis Panduan Pengurusan Kewangan, Perolehan Dan Aset Masjid Dan Surau Negeri Selangor Tahun 2023 berkuat kuasa 1 Januari 2024. Beta ingin mengingatkan para pentadbir Masjid dan Surau untuk mematuhi Garis Panduan tersebut agar urus tadbir dapat dijalankan secara efisien.
Para pentadbir juga perlu sentiasa mendengar dan responsif kepada keperluan para Jemaah dengan menggunakan sebaiknya kutipan sumbangan sedekah bagi menjamin keselesaan beribadah.
Beta difahamkan Kerajaan Beta sedang berusaha untuk mengukuhkan lagi Insentif Haji Selangor yang dilaksanakan tahun lalu dengan memberi tajaan penuh kepada empat orang rakyat bagi setiap daerah dalam Negeri Selangor yang miskin dan tidak mampu untuk melaksanakan ibadah Haji di Baitullah.
Besarlah harapan Beta untuk melihat Negeri Selangor ditadbir dengan penuh integriti, berwawasan dan efisien serta kekal dalam keamanan dan kesejahteraan. Rakyat Beta perlu diberikan perkhidmatan yang terbaik sesuai dengan pembangunan pesat yang dicapai hari ini dan Insha-Allah pada masa hadapan.
Beta ingin mengambil kesempatan ini untuk menasihati para penjawat awam di Negeri Selangor agar melakukan anjakan paradigma dalam setiap tugasan dan tanggungjawab yang telah diamanahkan. Beta mahu agar kerenah birokrasi dan peraturan yang menyusahkan dalam urusan-urusan kerajaan, dikurangkan segera. Perlu ada “sense of urgency” dan bertindak segera dalam memastikan perkhidmatan berkaitan rakyat diselesaikan dengan pantas dan sempurna.
Beta tidak mahu sikap lalai dan malas terus diamalkan oleh penjawat awam sehingga menyebabkan banyak projek-projek pembangunan tergendala atau berdepan
masalah. Sebagai contoh, projek tebatan banjir dan juga projek baik pulih kemudahan rakyat yang masih gagal dilaksanakan dengan segera. Beta amat bimbang sekiranya sikap dan kebiasaan sebegini masih ada dalam pemikiran penjawat awam, rakyat Beta yang akan terus menanggung akibatnya.
Suka Beta mengingatkan sekali lagi kepada Pihak Berkuasa Tempatan agar dapat melaksanakan syor Beta supaya keanggotaan Ahli-Ahli Majlis terdiri daripada sekurang-kurangnya lima puluh peratus (50%) golongan professional dan tidak dimonopoli oleh ahli politik.
Dengan adanya langkah ini, diharap segala masalah dan aduan rakyat dapat ditangani dengan lebih baik menerusi inisiatif turun padang untuk melihat sendiri masalah yang dihadapi oleh rakyat. Beta mahu Pihak Berkuasa Tempatan dan Jabatan-Jabatan yang memberi perkhidmatan terus kepada rakyat seperti Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran dan lain-lain, memastikan baik-pulih (maintenance) harta awam diselenggara dengan baik. Ini termasuklah pembaikan jalan-jalan raya yang rosak, parit dan longkang yang tersumbat, lif di bangunan awam dan perumahan serta kemudahan untuk bersukan dan rekreasi.
Beta akan terus memantau dan memerhati tindak-tanduk para penjawat awam dan kualiti perkhidmatan awam di Negeri Selangor ini selaras dengan moto “Pertahan dan Setia Kepada Agama Islam” “Berkhidmat Kepada Rakyat dan Negara”.
Kepada semua Ahli Dewan Negeri Selangor, Beta zahirkan ucapan selamat bersidang dalam suasana yang harmoni supaya dapat memberikan manfaat kepada Rakyat dan juga Negeri. Ahli-Ahli Dewan Negeri sewajarnya menghindari persengketaan dan berbahas dengan secara bertanggungjawab serta berhemah. Jauhilah perbuatan yang bersifat melampau yang mampu membawa kemudaratan dan menjejaskan nama baik Dewan yang mulia ini.
Sekian.
Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Demikian tadi Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor. Patik bagi pihak Ahli-ahli Dewan Negeri Selangor sekalian, menjunjung kasih di atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor. Dengan ini saya menangguhkan Dewan sehingga hari Rabu, 28 Februari 2024, jam 10.00 pagi. Dewan ditangguhkan.
Dengan hormatnya dijemput Sahibus Samahah Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor diiringi Al-Fadhil Imam Paduka Tuan dan Sahibul Fadhilah Imam Besar Masjid Negeri Selangor untuk membacakan Doa
Selamat setelah sempurnanya Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas.
(DATO’ SERI UTAMA DIRAJA MUFTI SELANGOR MEMBACA DOA)
Keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor diiringai Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor meninggalkan Dewan.
(DEWAN DITANGGUHKAN PADA JAM 10.50 PAGI)