Selangor · 15 November 2024

15th Assembly, 2nd session, 3rd meeting · not final · 10 turns · 19,515 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalSelangor publishes one PDF per sitting day; recent ones are drafts (Draf Penyata Rasmi). Full written answers are published for 2018-19 only.

(Pembukaan)

Setiausaha Dewan

Selamat petang dan salam sejahtera. Aturan urusan mesyuarat bagi Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Kelima Belas bagi 15 November 2024 dimulakan dengan

i. Bacaan Doa; dan ii. Proklamasi

Penolong Setiausaha Dewan

(i) Bacaan Doa (Doa dibacakan) (ii) Proklamasi

OLEH DULI YANG MAHA MULIA SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH ALHAJ IBNI AL-MARHUM SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH ALHAJ, DARJAH KERABAT (SELANGOR), DARJAH UTAMA SERI MAHKOTA NEGARA (D.M.N.), DARJAH KERABAT (TERENGGANU), DARJAH KERABAT (KELANTAN), DARJAH KERABAT (PERAK), DARJAH KERABAT (PERLIS), DARJAH KERABAT (NEGERI SEMBILAN), DARJAH KERABAT (KEDAH), DARJAH KERABAT (JOHOR), DARJAH KERABAT (PAHANG), SERI PADUKA MAHKOTA SELANGOR (S.P.M.S.), DATO’ SETIA SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH (S.S.I.S.), SERI PADUKA MAHKOTA JOHOR (S.P.M.J.), DENGAN KURNIA ALLAH, SULTAN DAN YANG DIPERTUAN NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN SERTA SEGALA DAERAH TAKLUKNYA.

BAHAWASANYA Fasal (1) Perkara (70) Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, memperuntukkan bahawa DULI YANG MAHA MULIA SULTAN hendaklah dari semasa ke semasa melalui Proklamasi yang disiarkan dalam Warta memanggil Dewan Negeri:

MAKA OLEH YANG DEMIKIAN, BETA, SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH ALHAJ IBNI AL-MARHUM SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH ALHAJ, DARJAH KERABAT (SELANGOR), DARJAH UTAMA SERI MAHKOTA NEGARA (D.M.N.), DARJAH KERABAT (TERENGGANU), DARJAH KERABAT (KELANTAN), DARJAH KERABAT (PERAK), DARJAH KERABAT (PERLIS), DARJAH KERABAT (NEGERI SEMBILAN), DARJAH KERABAT (KEDAH), DARJAH KERABAT (JOHOR), DARJAH KERABAT (PAHANG), SERI PADUKA MAHKOTA SELANGOR (S.P.M.S.), DATO’ SETIA SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH (S.S.I.S.), SERI PADUKA MAHKOTA JOHOR (S.P.M.J.), DENGAN KURNIA ALLAH, SULTAN DAN YANG DIPERTUAN NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN SERTA SEGALA DAERAH TAKLUKNYA, pada menjalankan kuasa yang diberikan kepada BETA di bawah Perkara (70) Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, DENGAN INI

MEMANGGIL Dewan Negeri untuk bermesyuarat dan menetapkan 15 November 2024, 18 November 2024 hingga 22 November 2024 dan 25 November 2024 hingga 28 November 2024 dan pukul 10.00 pagi kecuali hari Jumaat pukul 9.30 pagi, sebagai tarikh dan waktu bagi Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Darul Ehsan yang Kelima Belas yang akan diadakan di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam.

DIPERBUAT di Istana Alam Shah, Klang pada 30 haribulan September 2024.

Dengan Titah Perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor

Speaker

Salam sejahtera dan selamat datang kepada Ahli Yang Amat Berhormat, Dato’ Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Negeri, Pegawai-Pegawai Kerajaan dan para Pemerhati sekalian. Bertemu lagi kita dalam Mesyuarat Ketiga Dewan yang Mulia ini bagi Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas. Pada hari ini Dewan Negeri Selangor juga mengalu-alukan pelawat dari Persatuan Mahasiswa Nasional sempena Pembentangan Belanjawan Negeri Selangor 2025 yang diatur oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Selangor. Ahli-ahli Yang Berhormat, menurut Peraturan 13(1) Peraturan-Peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor, Bacaan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 akan dibacakan selepas sesi pertanyaan-pertanyaan. Namun begitu pada hari ini Rang Undang-undang Perbekalan 2025 akan dibacakan terlebih dahulu. Perkara ini telah di mohon oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar dan saya telah mengizinkan. Tanpa melengahkan masa, sekarang saya mempersilakan Setiausaha Dewan untuk meneruskan aturan urusan mesyuarat pada petang ini, silakan.

Kertas-Kertas Mesyuarat

Setiausaha Dewan

Aturan urusan mesyuarat seterusnya membentangkan Kertas-kertas Mesyuarat.

1) Kertas Mesyuarat Bilangan 15 Tahun 2024 - Rang Undang-Undang Enakmen Peruntukan Diraja (Pindaan) 2024 - Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2025

2) Kertas Mesyuarat Bilangan 16 Tahun 2024 - Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan Tambahan 2024

3) Kertas Mesyuarat Bilangan 17 Tahun 2024 - Rang Undang-undang Enakmen Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor (Pindaan) 2024

4) Kertas Mesyuarat Bilangan 18 Tahun 2024 - Penyata Kewangan Perbadanan Adat Melayu Dan Warisan Negeri Selangor Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023

5) Kertas Mesyuarat Bilangan 19 Tahun 2024 - Penyata Kewangan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023

6) Kertas Mesyuarat Bilangan 20 Tahun 2024

-Penyata Kewangan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023

7) Kertas Mesyuarat Bilangan 21 Tahun 2024

-Laporan Ketua Audit Negara Negeri Selangor 3/2024

8) Kertas Mesyuarat Bilangan 22 Tahun 2024

-Dasar Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor 2024-2030

9) Kertas Mesyuarat Bilangan 23 Tahun 2024

-Laporan Tahunan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Selangor Tahun 2023

10) Kertas Mesyuarat Bilangan 24 Tahun 2024

-Sijil Ketua Audit Negara Dan Penyata Kewangan Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2022 Dua Belas (12) Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor i) Majlis Bandaraya Shah Alam ii) Majlis Bandaraya Petaling Jaya iii) Majlis Bandaraya Subang Jaya iv) Majlis Bandaraya Diraja Klang v) Majlis Perbandaran Ampang Jaya vi) Majlis Perbandaran Selayang vii) Majlis Perbandaran Kajang viii)Majlis Perbandaran Sepang ix) Majlis Perbandaran Kuala Langat x) Majlis Perbandaran Kuala Selangor xi) Majlis Perbandaran Hulu Selangor xii) Majlis Daerah Sabak Bernam

11) Kertas Mesyuarat Bilangan 25 Tahun 2024 - Cadangan Pindaan Kepada Peraturan-Peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor

12) Kertas Mesyuarat Bilangan 26 Tahun 2024 - Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pengurusan Air, Pertanian, Infrastruktur Dan Mobiliti (JPK – INFRAGRO) Berhubung Isu Peruntukan Penyelenggaraan Jalan

13) Kertas Mesyuarat Bilangan 27 Tahun 2024 - Penyata Jawatankuasa Pilihan Mengenai Agensi, Badan Berkanun Dan Anak Syarikat Kerajaan Negeri (JP-ABAS) Bagi Dewan Negeri Selangor Berhubung Hala Tuju Syarikat Smart Selangor Delivery Unit (SSDU)

14) Kertas Mesyuarat Bilangan 28 Tahun 2024 - Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Perubahan Iklim, Kebajikan, Kesihatan, Pendidikan, Pembangunan Keluarga, Agama Dan Wanita Serta Kesejahteraan Hidup (JPK–SEJAHTERA) Berhubung Program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) 2024

15) Kertas Mesyuarat Bilangan 29 Tahun 2024 - Penyata Jawatankuasa Pilihan Mengenai Pejabat Daerah Dan Tanah (JP-PADAT) Bagi Dewan Negeri Selangor Mengenai Isu Tanah Orang Asli Hulu Semenyih Di Kampung Kachau Dalam Yang Diberi Milik Kepada Pertubuhan Peladang Kawasan Hulu Langat Selatan (PPKHLS)

16) Kertas Mesyuarat Bilangan 30 Tahun 2024 - Anggaran Perbelanjaan Perbekalan 2025 Dan Memorandum Perbendaharaan Mengenai Anggaran Perbelanjaan Perbekalan 2025 Kerajaan Negeri Selangor

17) Kertas Mesyuarat Bilangan 31 Tahun 2024

-Anggaran Perbelanjaan Mengurus Tambahan Pertama 2024 Dan Memorandum Perbendaharaan Mengenai Anggaran Perbelanjaan Mengurus Tambahan Pertama 2024 Bagi Kerajaan Negeri Selangor

18) Kertas Mesyuarat Bilangan 32 Tahun 2024

-Anggaran Belanjawan Negeri Selangor 2025 & Senarai Perjawatan Negeri Selangor 2025

19) Kertas Mesyuarat Bilangan 33 Tahun 2024

-Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Selangor 2023

20) Kertas Mesyuarat Bilangan 34 Tahun 2024

-Laporan Tahunan 2023 Tabung Amanah Bencana Alam

21) Kertas Mesyuarat Bilangan 35 Tahun 2024

-Laporan Tahunan 2023 Tabung Warisan Negeri Selangor

22) Kertas Mesyuarat Bilangan 36 Tahun 2024

-Laporan Tahunan 2023 Tabung Amanah Warisan Anak Selangor

23) Kertas Mesyuarat Bilangan 37 Tahun 2024

-Memorandum Laporan Ketua Audit Negara Negeri Selangor Tahun 2021 dan 2022

24) Kertas Mesyuarat Bilangan 38 Tahun 2024

-Laporan Tahunan 2023 Di Bawah Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2011

Aturan urusan Mesyuarat seterusnya Rang Undang-undang Perbekalan 2024 Semua Peringkat. Rang Undang-Undang ini bernama suatu Enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan Negeri bagi tahun 2025 dan bagi memperuntukkan jumlah wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu.

Dato’ Seri Amirudin bin ShariPKR · PHMenteri Besar · Sungai Tua

Tuan Speaker, oleh sebab Rang Undang-Undang ini perlu dan mustahak diluluskan pada hari ini juga, saya mencadangkan di bawah Peraturan Tetap 78 supaya ditangguhkan Peraturan Tetap 48 dan 53, bagi membolehkan Rang Undang-Undang ini dibacakan pada semua peringkat dan seterusnya diluluskan.

Tuan Ng Sze HanDAP · PHKinrara

Tuan Speaker, saya menyokong.

Speaker

Ahli-Ahli Yang Berhormat yang setuju dengan cadangan ini sila kata ya, Ahli-Ahli Yang Berhormat yang tidak bersetuju sila kata tidak. Dipersetujui. Dipersilakan Yang Amat Berhormat.

Dato’ Seri Amirudin bin ShariPKR · PHMenteri Besar · Sungai Tua

Bismillahirrahmanirahim Assalamualaikum, (Bacaan Doa). Tuan Speaker dan Ahli-Ahli Dewan yang Berhormat, tujuan Rang Undang-

Undang ini adalah untuk mengeluarkan pengeluaran sejumlah wang tidak melebihi RM2 bilion, RM885,647,100.00 daripada Kumpulan Wang disatukan negeri untuk perkhidmatan bagi tahun 2025 adalah dengan ini dibenarkan dan jumlah ini diperuntukkan bagi maksud-maksud yang dinyatakan oleh jadual.

Tuan Speaker, “Dan Kami tidak menciptakan langit dan bumi dan segala apa yang ada di antara keduanya dengan main-main.” (Al-Anbiya’ : Ayat 17)”. Ayat yang saya bacakan tadi seharusnya menyedarkan kita bahawa setiap yang dijadikan itu tidaklah sia-sia. Setiap satunya ada manfaatnya. Setiap satu kejadian itu ada matlamatnya. Apatah lagi penciptaan manusia sebagai KhalifatulLahi fil ardhi, khalifah di muka bumi. Oleh itu kita wajar menginsafi, betapa beratnya amanah yang dipikul oleh kita untuk membugar kebaikan serata-rata untuk menatijahkan kebaikan dan mencegah kemudaratan. Berasaskan matlamat atau maqasid sebeginilah, kita menggarap Belanjawan Negeri Selangor 2025. Kita tidak mahu dokumen mustahak ini hanya sekadar seumpama manual mekanikal, tiada roh, tiada jiwa. Belanjawan Negeri seharusnya dipandu value-based principles ataupun prinsip berasaskan nilai, sayugia menjadi wahana ampuh terbaik bagi menangani kesenjangan ekonomi, keadilan serta kesaksamaan dan isu-isu masyarakat majmuk. Justeru dokumen polisi seperti belanjawan ini adalah suatu manifestasi tanggungjawab kita bersama untuk membina Selangor di mana setiap rakyat mempunyai peluang untuk maju, untuk makmur dan juga bahagia.

Ini mengingatkan saya ketika masih menjadi aktivis pada waktu muda menghadam tulisan John Rawls yang berjudul Justice as Fairness, ‘Keadilan sebagai Kesaksamaan’. Mahu tidak mahu keadilan dan kesaksamaan adalah, meminjam istilah yang dipopularkan Almarhum Syed Hussein Alatas, iaitu suatu ‘cita sempurna’ bagi saya ketika menggarap dokumen ini. Makanya tekad tersebut dituangkan ke dalam belanjawan untuk memajukan kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh termasuklah memberi perhatian khusus kepada golongan rentan. Kami percaya bahawa kemajuan sebenar tidak diukur semata-mata dengan pertumbuhan ekonomi, tetapi ianya juga diukur dengan sejauh mana semua rakyat Selangor dapat merasai kekayaan negeri ini.

Oleh itu, adalah tanggungjawab kami untuk merangka dasar dan melaksanakan inisiatif yang bukan sahaja menggalakkan pertumbuhan tetapi melakukannya secara inklusif dan mampan, memastikan tiada yang tertinggal atau dinafikan. Dalam Justice as Fairness, Rawls menggariskan beberapa asas sebagai prinsip iaitu, prinsip kebebasan atau liberty principle dan keduanya prinsip kesaksamaan ataupun equality principle. Pada pandangan Rawls, kita semua menikmati hak serta peluang yang sama. Namun ada ketika, suatu tindakan atau kebijakan harus di rumus untuk memastikan mereka yang tertinggal atau diabaikan diangkat atau didukung oleh kerajaan bagi memastikan mereka menikmati kehidupan yang bermaruah. Inilah landasan utama kepada prinsip kedua yang

saya sebut tadi iaitu equality principle. Untuk memenuhi cita-cita kesaksamaan atau equality principle tersebut, Rawls menukilkan pula suatu pedoman dikenali sebagai prinsip perbezaan atau difference principle bagi memperincikan lagi prasyarat kepada prinsip kesaksamaan tersebut. Pedoman tersebut menyatakan ketidaksamaan hanya boleh diterima jika ia memberi manfaat kepada golongan yang paling kurang bernasib baik. Oleh itu, kita boleh lihat atau semak, sama ada belanjawan yang telah saya bentangkan sebelum ini ataupun belanjawan kali ini, memberi keutamaan kepada rakyat yang memerlukan atau tidak. Prinsip ini sejajar dengan cita-cita Belanjawan Madani 2025 yang diumumkan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri tempoh hari. Sekiranya kita jujur dan tulus, cemuhan Robin Hood yang telah dilemparkan terhadap Perdana Menteri itu mencerminkan kedangkalan fikiran dan sempitnya pembacaan. Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa istiqamah memperjuangkan nasib orang miskin. Dengan izin Tuan Speaker, his burning desire to help the poor bagaikan api yang menyala-nya. Semangat menyala-nyala itulah yang membentuk acuan waja kami untuk terus menolong golongan mustadh'afin.

Tuan Speaker, Ahli-ahli Dewan sekalian, berdepan dengan pergolakan di Ukraine serta keganasan regim Israel di Timur Tengah dan ketegangan di antara Amerika Syarikat dan China, saya berfikiran amatlah mustahak untuk kita cermat memerhati perkembangan-perkembangan baru di sekeliling kita. Waima demikian, Selangor perlu berkeyakinan dan menzahirkan izzah, berkongsi kekuatan dengan negeri-negeri lain untuk melebarkan layar kejayaan di rantau Asia Tenggara. Isaiah Berlin pernah menulis dalam majalah The Atlantic edisi Julai 1955, “The only light in the darkness was the administration of Mr. Roosevelt and the New Deal in the United States. At a time of weakness and mounting despair in the democratic world, Mr. Roosevelt radiated confidence and strength.” Terjemahannya, Cahaya yang masih bersinar dalam kegelapan sekarang ini adalah pentadbiran Tuan Roosevelt dan kebijaksanaan The New Deal di Amerika Syarikat. Tatkala negara-negara demokratik dirundung kelemahan dan keputusasaan, Tuan Roosevelt menzahirkan keyakinan serta strength ataupun kekuatan. Saya menukilkan tulisan Isaiah Berlin ini bukan untuk memuji Roosevelt. Iktibar yang saya mahu saya kongsikan adalah pendekatan untuk tidak terperangkap dengan pendekatan insulationist, ataupun mengasingkan diri tidak mahu berbaur dengan masyarakat atau negara lain. Manakala kita mendepani cabaran-cabaran yang saya sebutkan tadi, kita tidak boleh terpuruk ke dalam bagaikan katak di bawah tempurung.

Tuan Speaker, tatkala kita merangka laluan untuk tahun fiskal yang akan datang, adalah penting untuk merenung semula landskap ekonomi global, serantau, nasional, dan negeri, yang semuanya mempengaruhi prospek ekonomi Selangor. Menurut Bank Dunia, pertumbuhan KDNK global berkembang sederhana pada kadar 2.6% pada 2024 dan dijangka berkembang ke kadar 2.7% pada tahun 2025-2026. Menurut Laporan World

Economic Outlook; Policy Pivot, Rising Threats yang bertarikh 22 Oktober 2024 kadar inflasi global dijangka berada pada kadar 4.3%. Menurut Bank Dunia, China, ekonomi kedua terbesar di dunia, telah mengalami pertumbuhan yang lebih perlahan daripada jangkaan dengan kadar 4.8% pada 2025. Kelembapan ini sebahagiannya disebabkan oleh pemulihan tidak sekata pasca pandemik, cabaran sektor hartanah yang berterusan dan permintaan global yang lebih lemah. Kelembapan ekonomi China memberi kesan kepada Asia, termasuk Malaysia. Sebagai salah satu rakan dagang terbesar Malaysia, permintaan China yang berkurangan untuk eksport, terutamanya dalam sektor elektronik dan komoditi, menimbulkan cabaran kepada ekonomi serantau. Kita juga harus bersedia dengan kemungkinan pelaksanaan tariff yang akan dikenakan Amerika Syarikat ke atas barangan China. Justeru dengan perkembangan-perkembangan ini, Bank Pembangunan Asia (ADB) menjangka ekonomi rantau ini dijangka berkembang pada kadar 4.7% pada 2025.

Tuan Speaker, Selangor mencatatkan purata pertumbuhan KDNK sebanyak 7.43 peratus melebihi kadar purata pertumbuhan KDNK bagi tempoh 2021-2025 yang telah ditetapkan dalam Rancangan Selangor Pertama iaitu antara 6.5 peratus hingga 7.0 peratus untuk tempoh 2021 sehingga 2023. Selangor juga merekodkan kejayaan baharu dengan menyumbangkan 25.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun 2023 mencipta sejarah dengan nilai aktiviti ekonomi berjumlah RM406.1 billion sekali gus menjadi negeri pertama di Malaysia yang mempunyai aktiviti ekonomi melebihi paras nilai RM400 billion. Kejayaan-kejayaan yang dicatatkan ini menjadi asbab mengapa Rancangan Selangor Pertama ataupun RS-1 akan disambung kepada Rancangan Selangor Kedua. Rancangan Selangor Pertama berjaya menjadi sebuah kerangka makro yang berkesan ketimbang belanjawan negeri yang sebelum ini sekadar piecemeal sifatnya; kepada suatu rancangan fiskal dari tahun ke tahun. Bertunjangkan kerangka dan kaedah pelaksanaan RS-1, Rancangan Selangor Kedua atau RS-2 akan diteruskan untuk tempoh 2026 sehingga 2030. Antara sasaran utama yang ingin dicapai dalam Rancangan Selangor Kedua ialah untuk mengekalkan Negeri Selangor sebagai peneraju ekonomi negara dengan meningkatkan lagi nilai sumbangan KDNK negeri kepada KDNK Negara dan masih menekankan pembangunan seimbang setiap daerah merentasi seluruh Negeri yang bertuah ini. Mengambil kira komposisi Rancangan Selangor Satu ini yang merangkumi empat tema strategik, iaitu pengukuhan ekonomi, mempertingkat keterangkuman masyarakat dan kesejahteraan rakyat, pemacuan kelestarian serta tadbir urus 'SMART' dan berkesan, Rancangan Selangor Kedua juga akan terus memantau status pelaksanaan 282 PPI dan 20 pemacu perubahan berserta pencapaian 16 makro indikator yang digariskan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor Pertama.

Bagi memastikan perancangan Rancangan Selangor Kedua mencapai matlamat dan memenuhi keperluan di peringkat penggubalan dasar dan pelaksanaan, pembangunan

Rancangan Selangor Kedua akan diselaraskan dengan Rancangan Malaysia yang Ke-13 (RMK Ke-13) dengan antaranya mengadakan sesi libat urus intensif dengan pemegang taruh dan pihak berkepentingan. Anggaran garis masa pembangunan Rancangan Selangor Kedua adalah 15 bulan bermula Januari 2025 sehingga pembentangannya di Dewan Negeri Selangor yang dijadualkan pada Februari 2026. Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM3.5 juta bagi penyediaan Rancangan Selangor Kedua yang melibatkan kajian, sesi libat urus, bengkel, promosi dan dokumentasi.

PRESTASI KEWANGAN

Tuan Speaker, disebabkan beberapa langkah penambahbaikan prestasi kewangan Kerajaan Negeri Selangor yang semakin mengukuh dan ini dapat dilihat melalui Kumpulan Wang Disatukan yang telah meningkat sebanyak RM751.46 juta iaitu daripada RM3.614 billion pada akhir tahun 2023 kepada RM4,365,500,031.83.

Prestasi kewangan Kerajaan Negeri pada 7 November 2024 adalah baik dengan kedudukan rizab negeri semasa negeri sebanyak RM4.37 billion. Pertambahan rizab semasa sebanyak RM751.46 juta berbanding akhir tahun 2023 adalah selaras dengan perancangan belanjawan yang diluluskan bagi tujuan mensejahterakan ekonomi dan kehidupan rakyat di Negeri Selangor. Sehingga 7 November 2024, Belanjawan Pembangunan telah mencapai 69.81 peratus manakala Belanja Mengurus mencatatkan 80.57 peratus.

KEDUDUKAN HASIL NEGERI

Sehingga 13 November 2024, hasil negeri telah mencapai jumlah kutipan sebanyak RM2.429 bilion bersamaan dengan 110.43 peratus daripada anggaran hasil tahun 2024 sebanyak RM2.2 bilion. Daripada jumlah tersebut, Hasil Cukai telah mencapai kutipan sebanyak RM704.95 juta (94.52 peratus), Hasil Bukan Cukai mencatatkan RM1,497.86 juta (122.21 peratus) dan Terimaan Bukan Hasil berjumlah RM226.55 juta (99.14 peratus). Antara penyumbang utama kepada hasil negeri tahun 2024 adalah Premium Tanah iaitu sebanyak RM1,048.60 juta bersamaan 48 peratus daripada anggaran hasil keseluruhan. Penyumbang kedua terbesar adalah hasil Cukai Tanah iaitu sebanyak RM592.65 juta bersamaan 27 peratus. Manakala penyumbang ketiga terbesar adalah daripada Pemberian Persekutuan iaitu berjumlah RM209.20 juta bersamaan 10 peratus. Pada tahun lalu, Pentadbiran ini telah memulakan langkah untuk mempelbagaikan hasil serta serta pengurusan hutang yang lebih bertanggungjawab berbanding pentadbiran-pentadbiran sebelum ini. Alhamdulillah, seperti yang dijanjikan pada tahun lalu, liabiliti hutang Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Persekutuan yang melibatkan baki ansuran

akhir Projek Bekalan Air dan Skim Amanah Saham Selangor yang masing-masing berjumlah RM19,207,475.78 serta RM1,893,379.47 telah dilunaskan sepenuhnya. Inilah komitmen pentadbiran ini untuk bukan sahaja merancang tapi mampu melaksanakan ikhtiar. Penyelesaian hutang membuka ruang untuk meneruskan strategi hasil baharu dengan meningkatkan penglibatan anak syarikat, badan berkanun, dan agensi Kerajaan Negeri melalui pemberian sumbangan dan dividen. Sehinggga November 2024, entiti seperti Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) ataupun MBI, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Worldwide Holdings Berhad (WHB) telah menyumbang RM30 juta daripada sasaran RM 40 juta yang telah ditetapkan tahun lalu. InsyaAllah bakinya akan diterima sebelum akhir 2024. Tambahan lagi sebagai negeri pertama di Malaysia yang melaksanakan Dasar Pelepasan Sifar seperti yang digariskan dalam Enakmen LUAS 1999 sebagai langkah mengukuhkan keselamatan dan kemampanan sumber air, Kerajaan Negeri menganggarkan hasil berpotensi sebanyak RM121 juta pada tahun 2025 sebagai caj ke atas pemulangan air ataupun pelepasan bahan buangan serta kumbahan yang membawa risiko pencemaran sumber air. Penguatkuasaan Seksyen 44(1)(b) dan 59(1)(b) bukan berhasrat untuk meningkatkan kos operasi industri, tetapi menekankan kebertanggungjawaban yang harus dipikul secara bersama supaya kita mengamalkan pengurusan sisa secara mampan serta penggunaan semula agar bahan buangan dapat diminimumkan. Kita tidak lagi mahu melihat sisa dan bahan buangan yang tidak diurus mengalir ke sungai-sungai dan membawa kemudaratan kepada rakyat negeri Selangor. Selaras dengan keperluan semasa, Kerajaan Negeri mensasarkan penerimaan tambahan sebanyak RM74 juta daripada operator industri air dari hanya RM18 juta pada tahun 2023 kepada RM92 juta setahun akan diterima oleh negeri bermula tahun hadapan bagi tujuan penyelarasan kadar caj abstraksi air mentah.

Tuan Speaker, justeru dengan tema Selangor Dinamik: Cita Sempurna Malaysia Madani, Kerajaan Negeri mencadangkan anggaran perbelanjaan berjumlah Ringgit Malaysia Tiga Bilion (RM3,000,000,000.00) bagi Belanjawan Negeri Selangor 2025. Daripada jumlah tersebut, Ringgit Malaysia Satu Bilion, Tujuh Ratus Juta (RM1,700,000,000.00) atau 56.7 peratus diperuntukkan bagi Perbelanjaan Mengurus dan Ringgit Malaysia Satu Bilion, Tiga Ratus Juta (RM1,300,000,000) atau 43.3 peratus untuk Perbelanjaan Pembangunan. Bagi menjayakan Belanjawan 2025, pentadbiran ini mencadangkan lima (5) teras seperti berikut:

i) Kecerdasan Buatan dan Pendidikan Pemangkin Kemajuan Ekonomi Negeri ii) Mendukung Hasrat Alam Sekitar Mampan dan Infrastruktur Berkualiti iii) Memupuk Negeri Penyayang iv) Menjuarai Tadbir Urus Cekap dan Wibawa v) Membugar Ekonomi Kebudayaan Dan Pembangunan Generasi Muda

Belanjawan mengurus, anggaran perbelanjaan mengurus bagi tahun 2025 merangkumi perbelanjaan emolumen berjumlah RM613,401,490.00. Perkhidmatan dan bekalan berjumlah RM657,889,066.00. Penerimaan daripada aset berjumlah RM17,358,618.00. Pemberian dan kenaan bayaran tetap berjumlah RM392,486,813.00 dan RM18,864,013.00 untuk perbelanjaan-perbelanjaan lain.

Perbelanjaan perkhidmatan dan bekalan (Objek Am 20000), merupakan komponen terbesar mencakupi 38.7% daripada perbelanjaan mengurus Kerajaan Negeri. Jumlah ini termasuk antaranya pelarasan kenaikan skim gaji penjawat awam, khidmat kawalan keselamatan dan kontrak penyelenggaraan yang melibatkan dua puluh enam jabatan, elaun Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), peruntukan bagi elaun Jawatankuasa dan Petugas masjid serta sewaan bangunan Ibu Pejabat dan sembilan buah Mahkamah Rendah Syariah.

BELANJA PEMBANGUNAN

Dari segi pembangunan Belanjawan tahun 2025 menyaksikan peningkatan sebanyak Seratus Juta ataupun 8.3% berbanding Belanjawan tahun lalu. Anggaran Belanjawan Pembangunan tahun 2025 akan memberi tumpuan lebih kepada sektor infrastruktur berbanding sektor-sektor lain dan kenaikan peruntukan sektor infrastruktur merangkumi 31.09 % daripada peruntukan pembangunan dengan nilai RM404.17 juta memfokus kepada kerja-kerja menaik taraf infrastruktur bagi menyokong keterjaminan bekalan air bersih, pengurusan sisa pepejal yang lebih efisien, naik taraf infrastruktur jalan raya dan saliran dan sebahagiannya bagi promosi Tahun Melawat Selangor 2025 serta persediaan penganjuran sukan Malaysia Selangor pada tahun 2026.

Walaupun sektor sosial bukan menjadi sektor tumpuan utama bagi Tahun 2025, peruntukan yang disediakan bagi tujuan pembangunan sosial yang berjumlah RM354.08 juta iaitu bersamaan dengan 27.24% masih kekal sebagai antara agenda pembangunan utama Kerajaan Negeri. Penekanan kepada program-program kesihatan dan kebajikan warga emas masih diteruskan sejajar dengan hasrat Kerajaan Negeri dalam menambah baik sistem perlindungan sosial yang merangkumi kebajikan, pendidikan dan pengukuhan ekonomi golongan sasar sebagai teras kesejahteraan rakyat.

Selain itu, Kerajaan Negeri komited dalam membantu meningkatkan ekonomi rakyat dengan menyasarkan untuk terus memacu bidang keusahawanan termasuk meningkatkan kemudahan bagi penjaja dan peniaga kecil dengan kerjasama serta penglibatan secara menyeluruh oleh semua Pihak Berkuasa Tempatan dengan memperuntukkan sebanyak RM380.7 juta atau 29.29% bagi sektor pembangunan

ekonomi. Manakala peruntukkan selebihnya memfokuskan kepada bidang tumpuan utama yang meliputi sektor pendidikan berjumlah RM96.4 juta iaitu 7.42%, sektor kesihatan berjumlah RM400 juta atau 3.0% dari keseluruhan peruntukan Pembangunan dan selebihnya berjumlah RM24.5 juta bersamaan 1.88% bagi pembangunan luar bandar.

TERAS PERTAMA: Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence) dan Pembangunan Insan Pemangkin Kemajuan Ekonomi Negeri

Kecerdasan AI dijangka memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan ekonomi Selangor pada hadapan. Peningkatan teknologi AI menawarkan peluang besar untuk meningkat produktiviti, memperbaiki perkhidmatan awam, dan mendorong inovasi dalam sektor-sektor utama. AI dijangka memberi impak besar kepada sektor pembuatan Selangor, khususnya dalam memaksimumkan proses pengeluaran, memperbaiki pengurusan rantauan bekalan, dan meningkatkan kualiti produk. Justeru itulah Kerajaan Negeri Selangor bertindak pantas bukan sahaja untuk menduga, to anticipate, bahkan juga kerajaan negeri mahu mencorakkan acuan pemahaman, perkembangan teknologi, kerangka perniagaan atau business framework dan penghujungnya akan membawa manfaat kepada rakyat di negeri ini manakala meningkatkan daya saing industri Selangor di pasaran global. Selain itu, sektor perkhidmatan Selangor juga bakal mendapat manfaat daripada integrasi AI dalam bidang seperti penjagaan kesihatan, pendidikan, dan perkhidmatan kewangan. Penyelesaian yang dipacu AI dapat memperkemaskan operasi, mengurangkan ketidakcekapan dan meningkatkan keupayaan membuat keputusan di sektor awam dan swasta.

Kerajaan Negeri Selangor bercita-cita menjadikan negeri ini sebagai wilayah utama yang mendalami sektor kecerdasan buatan. Sebagaimana judul makalah penting yang ditulis oleh lapan warga kerja Google “Attention To All You Need”, Kerajaan Negeri akan memastikan perhatian serta komitmen jitu terhadap pembangunan kecerdasan buatan. Suatu perkara menarik mengenai makalah yang saya sebut itu, dari lapan penulis makalah tersebut, enam penulis dilahirkan di luar Amerika Syarikat, manakala dua lagi anak kepada imigran. Ini adalah bukti bahawa kemajmukan adalah kekuatan. Saya yakin Selangor sebuah negeri majmuk dan maju, juga mempunyai kekuatan untuk muncul sebagaimana Bay Area serta Slicon Valley di San Francisco dan Bangalore di India. Selangor memasuki gerbang AI. Program perintis ini merupakan inisiatif kepada aplikasi kecerdasan buatan AI dalam konteks aplikasi teknologi berkenaan dalam sistem pentadbiran, pengurusan kewangan, pengurusan perniagaan dan turut memberi penekanan kepada integrasi sistem sedia ada. Program yang bakal dikelola dengan kerajsama bersama Google melalui produk gemini membawa konsep penyelesaian industri dan pentadbiran semasa dengan objektif utama penghasilan kepada produk-

produk kecerdasan buatan AI. Program bakal dikelola dalam konsep sandbox dengan tempoh program selama 8 minggu dengan penyertaan kepada 50 peserta yang mewakili sektor-sektor utama pentadbiran perindustrian Selangor. Program AI Trailbalzer Googel, yang dikenali sebagai inisiatif AI Trailbalzers adalah inisiatif yang diperkenalkan oleh Google seumpama projek rintis yang dilaksanakan dengan Kerajaan Singapura untuk mempromosikan inovasi AI generatif dalam sektor perniagaan dan awam di negara tersebut. Program rintis tersebut dijalankan kerjasama antara Kementerian Komunikasi dan Maklumat (MCI), Digital Industry Singapore (DISG) dan Smart Nation And Digital Government Office (SNDGO) dengan objektif menyokong organisasi tempatan mereka dalam membangunkan penyelesaian AI praktikal untuk menangani permasalahan semasa. Di Selangor, inisiatif ini melibatkan akses kepada kemudahan AI Google Cloud seperti GPY berprestasi tinggi dan platform Vertex AI dan pembangunan produk-produk berasaskan AI dilaksanakan melalui konsep Innovation Sand Box Facilities. Kerajaan Negeri Selangor dengan kerjasama bakal dijalinkan bersama Google Cloud Malaysia bakal menerokai bidang aplikasi kecerdasan buatan menerusi pelbagai inisiatif kerajaan.

Pembangunan Pusat Inkubator AI Selangor

Pusat inkubator AI Selangor merupakan fasiliti yang bakal dilengkapi dengan perolehan kelengkapan untuk Selangor terus menerajui penguasaan dalam teknologi AI. Fasiliti pada fasa pertama dibangunkan dengan konsep pusat latihan teknologi AI yang bakal dilengkapi dengan kemudahan untuk program-program inkubator AI sekali gus menawarkan program-program pendidikan dan persijilan tertentu dalam teknologi kecerdasan buatan AI. Cadangan diutarakan untuk pusat inkubator Selangor AI diletakkan di bawah SLIICE iaitu Selangor International Innovation Centre of Excellencedi bawah kelolaan STDC. Keseluruhan peruntukan untuk kesemua inisiatif AI ini adalah berjumlah RM5 juta dan ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri bagi menyiapkan Selangor memasuki gerbang AI di dalam negara kita. Kerajaan Negeri turut bersedia untuk bekerjasama dengan penyedia-penyedia AI lain bagi meluaskan skop AI di negeri Selangor dan anggaplah inisiatif ini sebagai permulaan kita melangkah ke gerbang AI.

Semikonduktor

Industri semikonduktor di Negeri Selangor sedang berkembang pesat, khususnya dalam sektor reka bentuk litar bersepadu ataupun IC Design. Penubuhan Malaysia semiconductor IC Design Park 1 di Puchong oleh Selangor Information Technology & Digital Economy Corporation (SIDEC) adalah satu langkah penting. Taman ini telah menarik penyertaan tujuh syarikat IC tempatan dan antarabangsa, dan turut menerima minat dari lapan syarikat termasuk dari China, India, Amerika Syarikat, Jepun, Hong Kong, Taiwan dan Brazil. Projek ini dijangka menyediakan 500 peluang pekerjaan

berpendapatan tinggi dengan gaji permulaan antara RM5,00 hingga RM6,00 untuk graduan baharu. Seramai 100 jurutera akan mula bekerja menjelang akhir tahun ini dan 200 orang akan dihantar untuk latihan ke China dan juga di India. SIDEC turut merancang Malaysia Semicoductor IC Design Park 2 di Cyberjaya, yang dijangka dilancarkan pada awal 2025. Pada masa yang sama, Selangor Digital School (SDS) akan dinaik taraf menjadi Advaced Semiconductor Academy of Malaysia (ASEM) yang akan membangunkan kampus seluas 80,000 kaki persegi di taman reka bentuk IC yang kedua di Cyberjaya. Inisiatif ini terhasil daripada kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan. Kerajaan Negeri r akan menyumbang RM50 juta iaitu RM10 juta setahun daripada tahun 2024 sehingga 209, manakala Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Ekonomi dianggarkan akan menyalurkan RM100 juta. Selain itu, sebuah lagi anak syarikat Selangor PNSB Venture turut menyediakan Dana Perkasa Selangor berjumlah RM100 juta untuk menyokong ekosistem semikondukor di Lembah Klang Raya. Usaha ini diharap akan menjana lebih RM100 bilion nilai eksport negara menjelang tahun 2030.

Jajaran Rel Kita Selangor

Adalah menjadi hasrat Kerajaan Negeri Selangor untuk menyediakan satu sistem pengangkutan awam yang melengkapi sistem sedia ada. Penyediaan awam yang inklusif akan turut mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian secara tidak langsung mengurangkan jumlah kenderaan di atas jalan raya dan membantu negeri ke arah karbon sifar. Salah satu inisiatif Kerajaan Negeri dalam penyediaan pengangkutan awam adalah cadangan pelaksanaan Jajaran Rel Kita Selangor, di mana Kerajaan Negeri sedang mengenal pasti kebolehlaksanaan cadangan tersebut melalui satu kajian kebolehlaksanaan yang dijangka selesai pada Januari 2025. Melalui kajian yang sedang dilaksanakan ini, Kerajaan Negeri telah mengenal pasti kawasan jajaran yang terlibat yakni jajaran utama dari Sabak Bernam dan merentasi Sepang hingga ke Negeri Sembilan sepanjang 211km yang akan turut disokong oleh beberapa spurline iaitu ke Westport, Klang, Putera Height dan UNISEL Bestari Jaya. Pembinaan Jajaran Rel Kita Selangor kelak dijangka akan dapat memberi impak positif yang ketara dari aspek fizikal dan aspek sosio ekonomi di Negeri Selangor. Dari aspek ekonomi, projek ini dijangka akan dapat merangsang pertumbuhan ekonomi di sepanjang koridor jajaran serta memberi manfaat kepada Selangor dalam jangka masa panjang dan pendek. Projek ini dijangka akan membuka banyak peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung kepada penduduk setempat. Penglibatan pembangunan projek akan diberi keutamaan kepada SME dan pekerja tempatan. Bagi menyokong aktiviti pembinaan, sektor-sektor lain seperti perhotelan, perdagangan dan logistik bakal meningkatkan operasi dengan membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

Prestasi pelaburan Selangor bagi tempoh Januari hingga Jun 2024. Negeri Selangor telah berjaya mengekalkan kedudukan sebagai salah satu destinasi pelaburan utama Malaysia bagi tempoh Januari hingga Jun 2024. Dalam tempoh tersebut, sebanyak 822 projek pelaburan telah diluluskan di negeri Selangor dengan nilai pelaburan berjumlah RM35 billion. Jumlah pelaburan tahun 2024 ini merangkumi projek pelaburan dalam sektor perkilangan, sektor perkhidmatan dan sektor utama. Berdasarkan nilai pelaburan yang diluluskan ini, sebanyak RM12.55 bilion daripada pelaburan asing. Sejumlah 31,0055 peluang pekerjaan telah diwujudkan hasil daripada projek-projek yang diluluskan ini. Aktiviti pelaburan dalam sektor perkhidmatan menyumbang sebanyak 79.04%. sebanyak 666 projek pelaburan diluluskan dalam sektor perkhidmatan dengan nilai pelaburan berjumlah RM27.64 bilion dan sebanyak 23,366 potensi peluang pekerjaan telah diwujudkan. Manakala sektor perkilangan adalah sektor kedua terbesar yang menyumbang sebanyak 20.9%. Sebanyak 155 projek perkilangan telah diluluskan dengan jumlah pelaburan berjumlah RM 7.33 bilion sebanyak 7,673 potensi peluang pekerjaan baharu akan diwujudkan. Manakala aktiviti pelaburan dalam sektor utama atau primary dengan nilai pelaburan berjumlah RM 245 ribu yang mana ia adalah daripada pelaburan tempatan dan sebanyak 16 potensi peluang pekerjaan telah berjaya diwujudkan.

SEKTOR PELABURAN MEMACU PERTUMBUHAN EKONOMI NEGERI SELANGOR.

Dalam usaha mengekalkan pertumbuhan ekonomi perkilangan dan perkhidmatan sebagai penyumbang utama kepada KDNK negeri, program-program penggalakan pelaburan akan terus dilaksanakan dengan cadangan perbelanjaan sebanyak RM 20 juta bagi tahun 2025. Antara aktiviti yang akan dilaksanakan antaranya Misi Promosi Penggalakan Pelaburan, Penyertaan Negeri Selangor di World Expo 2025 di Osaka Jepun, Selangor International Business Summit (SIBS) dan Selangor Aviation Show (SAS).

SELANGOR INTERNATIONAL BUSINESS SUMMIT

Selangor International Business Summit merupakan Program Persidangan Dan Pameran Peringkat Antarabangsa akan terus dilaksanakan. Program ini merupakan program tahunan yang dianjurkan Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor. SIBS telah berjaya menempa nama Selangor sebagai destinasi pelaburan utama di rantau Asia Tenggara. Ia juga menjadi medan perbincangan bagi syarikat dari dalam dan luar negara untuk menjalinkan kerjasama perniagaan dan menerokai pasaran Asia Tenggara. Selangor International Business Summit 2024 edisi kelapan telah diadakan secara bersiri, dengan siri pertama dianjurkan dari 25-27 Julai 2024 manakala siri kedua adalah 16-19 Oktober yang lalu di Kuala Lumpur Convention Centre Kuala Lumpur dan ia telah berjaya menarik

penglibatan sebanyak 22 negara terutamanya dari negara-negara Asia Tenggara. Program SIBS 2024 ini juga telah mencipta rekod potensi transaksi perniagaan bernilai RM12.2 bilion melalui 23 Perjanjian Persefahaman dan Surat Lantikan yang telah dimeterai semasa persidangan berlangsung dan padanan perniagaan yang telah dilaksanakan di dewan-dewan pameran sepanjang SIBS 2024 berlangsung. Sempena giliran negara Malaysia sebagai pengerusi ASEAN pada tahun 2025, penganjuran SIBS 2025 akan diteruskan dengan cadangan perbelanjaan sebanyak RM20 juta. SIBS 2025 akan dianjurkan pada bulan Oktober 2025 dan diselaraskan sebagai salah satu acara rasmi bagi penganjuran Persidangan ASEAN 2025.

PENDIDIKAN

Kerajaan Negeri secara konsisten merencana Agenda Pendidikan Negeri dalam memperkasa modal insan masa hadapan. Sehubungan dengan itu bagi tempoh tahun 2025, secara keseluruhan Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan berjumlah RM79.95 juta yang meliputi sejumlah RM69.35 juta bagi Program Pendidikan, RM 2.6 juta bagi Program Pembangunan Modal Insan dan Sosial serta RM 8 juta bagi Program Pendidikan di bawah kerangka Iltizam Selangor Penyayang (ISP). Keseluruhan peruntukan ini merupakan tambahan RM2 juta dari peruntukan tahun 2024. Ini menunjukkan Kerajaan Negeri prihatin dan komited dalam membangunkan anak bangsa yang akan menjadi harapan masa hadapan negara dan negeri. Pelaksanaan Program Tekad Reformasi Pendidikan yang merupakan hasil kerjasama antara Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kerajaan Negeri akan di laksana untuk memperkasa pendidikan di Negeri Selangor. Antara program yang akan menjadi fokus bagi tahun 2025 adalah Program Kepimpinan Di Peringkat Sekolah. Program Kepimpinan adalah bagi membentuk keyakinan diri, kemahiran sosial dan potensi pelajar sebagai pemimpin masa hadapan. Justeru, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM 1 juta bagi pelaksanaan Program Kepimpinan ini. Meneruskan fokus pada tahun 2025 adalah bagi memperkasa program-program STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) di peringkat sekolah. Usaha ini adalah penting untuk menyuntik semangat pengambilan STEM dalam kalangan generasi muda. Justeru Kerajaan Negeri memperuntukkan RM 1 juta bagi pelaksanaan program berkaitan STEM. Peruntukan RM 4.5 juta disediakan kepada Sekolah-Sekolah Agama di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Peruntukan yang diberi ini adalah bagi menggantikan kemudahan asas seperti paip air dan pendawaian elektrik yang telah uzur dan rosak. Tindakan ini akan menjamin keselamatan dan keselesaan murid, guru serta kakitangan sekolah seterusnya dapat meningkatkan kualiti pembelajaran serta kesejahteraan semua pihak yang terlibat.

PROGRAM TUISYEN RAKYAT SELANGOR (PTRS)

Program Tuisyen Rakyat telah terbukti keberkesanan dan kejayaannya apabila keputusan SPM 2023 untuk Negeri Selangor mencatatkan peratus lulus 91.14% berbanding tahun sebelumnya iaitu 89.2%. Manakala jumlah pelajar peserta PTRS yang mendapat keputusan cemerlang Gred A bagi semua subjek pada tahun 2023 adalah seramai 3552 orang pelajar, satu peningkatan jika dibandingkan dengan jumlah pada tahun 2022. PTRS kini tidak tertumpu hanya untuk pelajar SPM sahaja bahkan diperluas untuk pelajar tingkatan 4 dengan anggaran jumlah keseluruhan pelajar seramai 130 ribu orang pada tahun 2025. Dengan manfaat yang diterima oleh semua pelajar tingkatan 4 dan 5 di negeri Selangor, Kerajaan Negeri akan terus memberi tambahan peruntukan RM3 juta kepada MBI sebagai pelaksana PTRS pada tahun 2025 dan menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan program PTRS tahun 2025 sebanyak RM 10 juta.

PROGRAM INTERVENSI LITERASI DAN NUMERASI UNTUK MURID BELUM KUASAI 3M (MEMBACA, MENULIS, MENGIRA)

Kesan daripada renjatan sistem pembelajaran di sekolah ketika era pandemik Covid-19 melanda telah menyebabkan berlakunya masalah keciciran di kalangan murid-murid sekolah rendah. Ini dibuktikan lagi dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Puan Fadhlina Sidek iaitu sejumlah 5.65% murid sekolah rendah di seluruh negara masih belum mampu menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M). Di Selangor, hampir 25 ribu murid telah terlibat dalam kelas-kelas pemulihan di sekolah-sekolah. Justeru, melalui Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) Kerajaan Negeri berhasrat memperkenalkan kembali PTRS kepada sekolah rendah dengan penumpuan diberikan bagi Program Literasi (Membaca) dan Numerasi (mengira) dengan peruntukan sebanyak RM1 juta. Program ini kelak akan diselarikan dengan Program Intervensi Kurikulum di bawah Agenda Reformasi Pendidikan yang telah diluncurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

PROGRAM BANTUAN SEKOLAH NEGERI SELANGOR

Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor merupakan program bantuan kepada sekolah di Negeri Selangor bagi membaik pulih infrastruktur sekolah dan membantu menyediakan persekitaran yang kondusif dan program-program bantuan ke sekolah untuk sekolah-sekolah yang memerlukan yang telah bermula sejak tahun 2009 dan akan diteruskan pada tahun 2025 dengan peruntukan sebanyak RM26.5 juta. Sejak tahun 2009 hingga 2024 sebanyak RM 259.3 juta telah dibelanjakan dengan purata 1,000 buah sekolah di negeri Selangor telah menerima manfaat program ini saban tahun.

PEMBANGUNAN MAHASISWA NEGERI SELANGOR

Pembangunan mahasiswa yang holistik dan teratur melalui ekosistem yang sistematik amat membantu dalam menyokong hala tuju Pembangunan Modal Insan yang dinamik dan melahirkan Karamah Insaniah yang mampu menjadi pemimpin negara suatu hari kelak. Sehubungan dengan itu, sebagai usaha memperkasa mahasiswa Selangor dalam dan luar negara, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM8.7 juta bagi tahun 2025 bagi Program Pembangunan Mahasiswa Anak Selangor. Kerajaan Negeri juga lebih proaktif dalam memastikan capaian kepada mahasiswa dapat dilaksanakan secara lebih pantas dan menyeluruh dengan membuat libat urus yang berterusan dengan persatuan mahasiswa dan belia seperti Persatuan Mahasiswa Anak Negeri Selangor (PERMAS), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor, Majlis Belia Selangor, Persatuan Pelajar Islam Selangor (PEPIAS) dan pelbagai lagi. Melalui jaringan kerjasama ini, mahasiswa dan belia Negeri Selangor dapat bersama-sama memberikan pendapat dan bertukar pandangan mengenai program dan inisiatif yang dapat meningkatkan kompetensi mahasiswa anak Selangor. Antara program memperkasa peranan mahasiswa dalam pembangunan negeri yang bakal dilaksanakan secara berkala pada tahun 2025 adalah perluasan Program Jerayawara Siswa #KitaSelangor yang akan merangkumi siri jelajah ke Institusi Pengajian Tinggi Awam seluruh Malaysia oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Selangor bagi menerangkan inisiatif-inisiatif pendidikan yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri di samping mengadakan diskusi ilmiah di kalangan mahasiswa mahasiswi bagi mendengar denyut nadi mereka dalam perkembangan di bidang pendidikan, sahsiah, teknologi, peluang kerjaya dan program-program ini akan diperluas ke peringkat antarabangsa termasuk ke Indonesia dan Jepun. Selain itu, Program Konvensyen PERMAS Nasional, Program Mahasiswa Pulang Beraya dan Program Selangor Intellectual Discourse (SID) juga akan diteruskan pada tahun 2025. Antara program tahunan yang ditambah baik kandungan programnya adalah Konvensyen Mahasiswa Selangor peringkat Antarabangsa yang akan dilaksanakan di beberapa negara selain Timur Tengah, yang telah masuk siri keempat kita akan melaksanakan di Indonesia dan Jepun.

BANTUAN ASAS YURAN UNIVERSITI (BAYU)

Sejak program Bantuan Asas Yuran Universiti (BAYU) diperkenalkan, setiap tahun hampir 500-600 mahasiswa menerima manfaat daripada program ini. Mahasiswa Anak Selangor yang melanjutkan pengajian di UNISEL dan UIS akan dibiayai pengajian mereka di peringkat Diploma dan Ijazah dan telah diperluaskan kepada program ASASI agar dapat membantu meringankan beban kewangan keluarga dalam menampung yuran pengajian mereka dengan peruntukan RM1.5 juta secara keseluruhan. Inisiatif lain bagi tahun 2025 juga akan diteruskan dengan pemberian Geran Penyelidikan Negeri Selangor

kepada para penyelidik daripada Universiti Awam yang layak dengan jumlah peruntukan RM 1 juta bagi menggalakkan kajian terkini khususnya dalam bidang teknologi dan memberi manfaat kepada Negeri Selangor. Dengan memberi manfaat kepada 2,000 orang mahasiswa bagi program Baucar Buku #KitaSelangor pada tahun 2024, Kerajaan Negeri akan meneruskan lagi program ini dengan peruntukan sebanyak RM400 ribu bagi tahun 2025 dengan harapan dapat membantu meringankan beban pelajar untuk membeli keperluan belajar mereka di samping menggalakkan untuk mencintai ilmu agar dapat menjamin masa depan yang cemerlang.

PEMERKASAAN DAN PEMBANGUNAN INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI DI BAWAH KERAJAAN NEGERI

Pemerkasaan dan Pembangunan Institusi Pengajian Tinggi di bawah Kerajaan Negeri yang melibatkan Universiti Selangor (UNISEL), Universiti Islam Selangor (UIS), dan pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) juga merupakan fokus Kerajaan Negeri dalam mendepani persaingan di peringkat global dan memenuhi keperluan pasaran pekerjaan. Pemerkasaan IPT ini merangkumi aspek infrastruktur, pembangunan, kebolehan serta kecekapan tenaga pengajar dan pentadbir, kerjasama dan jaringan industri, fasiliti pengajaran serta pembelajaran dan pembangunan mahasiswa. Oleh itu, untuk tahun 2025 Pembangunan institusi Pengajian Tinggi yang terdiri daripada 3 institusi di bawah Kerajaan Negeri iaitu UNISEL, UIS dan STDC, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM9 juta bagi projek naik taraf, membaik pulih dan menambah baik infrastruktur ketiga-tiga institusi ini. Peruntukan ini juga termasuk bagi menaik taraf infrastruktur bagi asrama Yayasan Selangor di Daerah Klang dan Sabak Bernam bagi memastikan setiap pelajar berada dalam persekitaran yang kondusif sepanjang tempoh pengajian mereka.

PEMBIAYAAN TABUNG KUMPULAN WANG BIASISWA NEGERI SELANGOR (TKWBNS)

Pembiayaan untuk pendidikan disalurkan melalui Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor (TKWBNS) bagi pelaksanaan lima (5) program di bawah Peduli Siswa dan dua (2) Program Khas dalam bentuk pinjaman boleh ubah dan biasiswa. Program-program ini memberi manfaat kepada pelajar bermula daripada peringkat sekolah menengah sehingga ke peringkat pascasiswazah di dalam dan luar negara. Pelbagai inisiatif dan pembaharuan telah dilaksanakan oleh pihak TKWBNS ataupun tabung. Antara program baharu yang telah dilaksanakan pada tahun 2024 ialah Pinjaman Boleh Ubah Luar Negara dan Biasiswa Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Negeri Selangor kepada anak Selangor yang melanjutkan pengajian di Universiti bawah Top 100 QS World Ranking mengikut bidang. Kerajaan Negeri komited untuk meneruskan

program ini untuk memberi peluang kepada anak-anak Selangor melanjutkan pengajian ke Universiti terkemuka dunia. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri meneruskan insentif pembiayaan pendidikan sebanyak RM8 juta kepada TKWBNS tahun 2025 bagi memastikan kebajikan nasib anak-anak mahasiswa Selangor terjamin. Selain itu, Kerajaan Negeri juga bersetuju memperuntukkan RM1 juta bagi program BITARA yang dijangka akan ditambah baik daripada modul-modul sebelumnya yang dijangka bakal melahirkan pelajar yang serba boleh dan cemerlang dalam setiap aspek yang akan menyumbang kepada negara dan negeri pada masa hadapan. Semoga program-program ini akan dapat menjadikan mahasiswa Selangor unggul di pelbagai peringkat termasuk meningkatkan martabat mahasiswa Selangor di mata dunia. Secara keseluruhan, sejumlah lebih RM24.2 juta diperuntukkan bagi keseluruhan Program Pembangunan Pendidikan Tinggi bagi tahun 2025.

HADIAH PENGAJIAN INSTITUT PENGAJIAN TINGGI (HPIPT) SELANGOR

Bermula tahun 2023, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan kewangan berjumlah RM3 juta bagi melaksanakan insentif Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi (HPIPT) Selangor yang memberi bantuan RM1,000 khusus kepada anak-anak Selangor yang melanjutkan pendidikan ke Institut Pengajian Tinggi Awam dan juga Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang diiktiraf bermula dari peringkat Sijil Kemahiran Tahap 4, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda.Antara syarat kelayakan ialah keluarga berpendapatan RM5,000 dan ke bawah. Pada tahun 2023, seramai 6,023 permohonan telah diterima dan seramai 3,000 pemohon telah berjaya mendapatkan hadiah bantuan IPT. Sehubungan dengan itu, bagi meneruskan hasrat murni Kerajaan Negeri dan memberi galakkan kepada mahasiswa untuk terus berjaya, sebanyak RM3 juta diperuntukkan untuk tahun 2025 untuk program tersebut.

PROGRAM INISIATIF KEMAHIRAN TEKNIKAL DAN IKHTISAS SMART SELANGOR (IKTISASS)

Setiap tahun, lebih daripada 450 orang pelajar menamatkan pengajian mereka di STDC Kampus Kuala Selangor bagi kursus Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 2 hingga 4 dan beberapa sijil lanjutan serta lebih daripada 700 pula orang berjaya menerima pensijilan profesional daripada STDC Kampus Shah Alam. Pencapaian ini meningkat tahun demi tahun dan menunjukkan lebih ramai cakna akan peranan TVET dan kelebihan pensijilan ini dalam bentuk kemahiran kepada belia. Inisiatif ini akan disokong dengan jaringan kerjasama industri antarabangsa yang dilaksanakan oleh Pusat Kemahiran Teknologi dan Profesional (STDC) Kampus Shah Alam yang melibatkan kerjasama industri upstream seperti Siemens, Apple Inc., KNX Mendix, Festo dan Dassault Systems yang menjurus kepada program-program pemindahan teknologi. Selain modul pengajian

sedia ada di STDC, usaha memperkasakan Program IKTISASS juga ditambah baik dengan jaringan kolaborasi bersama dengan institut pengajian di peringkat tempatan dan antarabangsa seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Koleh Vokasional, Federal Institute for Vocational Education and Training (BIBB), Germany, Berlin, Technical University of Munich (TUM) dan universiti-universiti lain yang akan dikenal pasti. Kolaborasi akan melibatkan pemindahan teknologi, latihan tenaga pengajar dan pertukaran pelajar dalam ekosistem pendidikan industri di Negeri Selangor. Seterusnya, bagi menyahut seruan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia dalam memperkasakan Teknologi Kecerdasan Buatan (AI), STDC akan menyokong eko-sistem ini dengan membangunkan teknologi, melaksanakan pemantauan ke atas aplikasi dan mewujudkan modul kurikulum yang bersesuaian dengan penerapan teknologi AI yang memberi manfaat kepada pengurusan dan pentadbiran Kerajaan Negeri. Sehubungan dengan itu, sejumlah RM13.65 juta diperuntukkan untuk IKTISASS tahun 2025 bagi memastikan pendidikan TVET ini mencapai matlamat melahirkan tenaga kerja mahir sebagai persediaan industri di Negeri Selangor melangkah ke arah IR4.0 dan memenuhi keperluan tenaga kerja bagi memasuki gerbang AI. Selain itu, penambahbaikan lain kepada program IKTISASS ini adalah Program Selangor Industrial Internship Program (SISPRO) yang telah mula diperkenalkan pada 2024 dengan memberikan bantuan secara one-off kepada mahasiswa yang sedang melaksanakan Latihan Industri dalam beberapa bidang tumpuan bagi memanfaatkan bantuan ini sepanjang tempoh tersebut. Insentif ini akan memberi manfaat kepada 200 orang mahasiswa mahasiswi pelajar setahun dengan peruntukan keseluruhan RM200 ribu.

PEMBANGUNAN MODAL INSAN DAN SOSIAL

Pembangunan modal insan dan sosial merupakan dasar yang diwujudkan bertujuan untuk melahirkan sumber manusia berkemahiran serta memberi impak yang baik kepada sosial dan ekonomi. Secara keseluruhan, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM2.6 juta bagi Pembangunan Modal Insan dan Sosial yang bakal memberi manfaat kepada pelbagai kategori umur dan latar belakang di negeri ini. Pada tahun 2025, Kerajaan Negeri mensasarkan satu kajian secara komprehensif berhubung keperluan tenaga kerja dalam negeri berbanding penghasilan pelajar dari pelbagai institusi pengajian. Perkara ini amat penting supaya pelajar dapat dilahirkan daripada institusi pengajian ini seiring dengan keperluan industri dan secara tidak langsung dapat mengurangkan kadar pengangguran di Negeri Selangor dan mengurangkan masalah pemadanan pekerjaan dengan bidang pengajian kelak. Kajian ini juga akan memastikan Kerajaan Negeri melalui jawatankuasa yang dilantik dan Selangor Jobs and Skills Council sendiri dapat meneroka bidang-bidang pengajian baharu yang bakal memberi impak pada masa hadapan. Di bawah pembangunan modal insan juga telah diperkenalkan Program Pembangunan Modal Insan Penjawat Awam dengan peruntukan keseluruhan

RM800,000 bagi memperkasakan penjawat awam Negeri Selangor dengan menggilap kemahiran melalui kursus-kursus berimpak tinggi di dalam dan luar negara.

TERAS KEDUA : MENDUKUNG HASRAT ALAM SEKITAR MAMPAN DAN INFRASTRUKTUR BERKUALITI ALAM SEKITAR DAN TEKNOLOGI HIJAU

Pentadbiran ini telah melaksanakan ikhtiar perbandaran hijau menerusi Kerangka Bandar Rendah Karbon (LCCF) yang diguna pakai dalam perancangan dasar di semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Selangor. Pelaksanaan Bandar Rendah Karbon ini akan dapat mengukur tahap pengeluaran karbon semasa dan mengenal pasti sasaran bagi setiap perbandaran serta membantu Pihak Berkuasa Tempatan menetapkan strategi pengurangan karbon dan seterusnya mengukur prestasi tindakan bagi setiap Majlis-Majlis Perbandaran dan Bandaraya. Seterusnya, bagi memastikan aspirasi ini dilaksanakan secara tersusun Kerajaan Negeri memperuntukkan RM500 ribu bagi penyediaan Pelan Induk Net Zero Cities 2050 yang sejajar dengan matlamat ‘United Nation Sustainable Development Goals (SDG) ke-11: Sustainable Cities and Communities’ dengan izin untuk mewujudkan bandar dan penempatan yang inklusif, selamat, berdaya huni dan juga mampan. Sebagai langkah awal bagi mengukuhkan komitmen dalam pelan peralihan tenaga Negara, Kerajaan Negeri berhasrat melaksanakan dasar peralihan tenaga yang dikenali sebagai Selangor Agenda for Green Economy atau SAGE dengan cadangan perbelanjaan sebanyak RM500 ribu. SAGE bukan hanya dokumen yang mengandungi langkah untuk memenuhi sasaran sifar karbon, tetapi satu gabungan strategi dan inisiatif yang berupaya mengubah ekonomi dan kehidupan rakyat.

SEKTOR TENAGA BOLEH BAHARU : MENERAJU TENAGA BERSIH DI SELANGOR

Negeri Selangor berhasrat menjadi peneraju dalam sektor tenaga bersih melalui anak syarikat negeri Worldwide Holdings Berhad yang telah diberikan amanah sebagai pelaksana projek-projek tenaga bersih di Negeri Selangor. Worldwide Holdings telah mewujudkan satu rangka kerja meliputi tempoh 2024 hingga 2034 yang sejajar dengan bidang tumpuan Negeri Rendah Karbon yang terkandung dalam RS-1. Rancangan kerja ini atau rangka kerja ini merangkumi penjanaan tenaga boleh baharu sebanyak 4,090 MW dan dijangka bakal meningkatkan pertumbuhan ekonomi, mencapai kemandirian penjanaan tenaga serta mengurangkan impak terhadap alam sekitar kesan daripada perubahan iklim. Justeru pada tahun 2025, Worldwide akan memberi tumpuan kepada pengendalian beberapa projek tenaga boleh baharu di peringkat huluan yang merangkumi projek solar dan hidro di sekitar Negeri Selangor.

PENGOPERASIAN ASET INFRASTRUKTUR TENAGA UTAMA SELANGOR, LOJI JANAKUASA PULAU INDAH (PIPP)

Loji jana kuasa Pulau Indah (PIPP) merupakan sebuah projek pembangunan loji jana kuasa Gabungan Turbin Gas Kitaran (CCGT) yang berkeupayaan 1,200MW tenaga di Pulau Indah, Selangor. Projek ini dibangunkan oleh Pulau Indah Power Plant Sdn. Bhd., sebuah anak syarikat milik Worldwide Holdings Berhad. Pembinaan projek ini dijangka siap dan beroperasi pada suku pertama tahun 2025. Pengoperasian PIPP akan menampung peningkatan permintaan tenaga sebanyak 45 % di Lembah Klang dan seterusnya menampung jumlah permintaan tenaga elektrik di Semenanjung Malaysia. PIPP akan turut merealisasikan hasrat negara untuk mengurangkan kadar pengeluaran Karbon Dioksida (C02) sebanyak 45 % menjelang 2030. Setakat ini, projek pembangunan PIPP telah membuka peluang kepada 2,500 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. Setelah beroperasi kelak, PIPP dijangka akan terus membuka peluang bagi perkembangan syarikat tempatan dan menjadi pemangkin bagi kemajuan baik di Pulau Indah khususnya mahupun di seluruh Selangor amnya.

PEMBANGUNAN PROJEK WASTE-TO-ENERGY (WTE) DI SELANGOR

Kerajaan Negeri Selangor telah meluluskan pelan induk jangka masa panjang bagi pengurusan pelupusan sisa pepejal yang mampan dan menangani isu peningkatan pelepasan gas rumah hijau. Rentetan daripada itu, dua projek pembangunan Pusat Pengurusan Sisa Pepejal Bersepadu yang dilengkapi fasiliti Waste-to-energy yang telah diluluskan di Mukim Jeram, Kuala Selangor dan di Mukim Tanjung Dua Belas, Kuala Langat. Kerajaan Negeri telah melantik Worldwide Holdings Berhad untuk menerajui kedua-dua projek WTE ini. Kerja-kerja pembinaan WTE ISWMC Jeram telah bermula sejak 2022 dan dijangka akan beroperasi mulai tahun depan tahun 2025. Projek Waste-to-energy Tanjung Dua Belas pula akan dimulakan pada tahun 2025 dan dijangka akan siap dan beroperasi pada tahun 2027. Kedua-dua projek WTE ini dijangka akan mewujudkan 500 peluang pekerjaan kepada tenaga kerja mahir, separa mahir tempatan serta mewujudkan lebih 2,000 peluang pekerjaan sewaktu fasa pembinaan projeknya.

PENGAMBILAN TANAH DI TAPAK PELUPUSAN SANITARI JERAM (TPSJ)

Kerajaan Negeri telah meluluskan pula, meluluskan Pembangunan integrated waste management di Jeram di tanah seluas 200 ekar, Parcel A – 170 ekar dan Parcel B – 30 ekar yang terletak bersebelahan Tapak Pelupusan Sampah Jeram. Justeru Belanjawan 2025 memperuntukkan RM70 juta bagi tujuan pengambilan tanah tersebut untuk memastikan operasi harian pengurusan sisa pepejal di tapak-tapak pelupusan sampah di Jeram tidak terjejas.

PENGAMBILAN TANAH DI TAPAK PELUPUSAN SANITARI TANJUNG DUA BELAS (TPSTG12)

Kerja pembaikan tanah yang menyeluruh perlu dilaksanakan sebelum pembinaan waste-to-energy Tanjung Dua Belas bermula bagi memastikan kestabilan tanah. Jumlah keseluruhan rawatan tanah bagi WTE di tapak seluas 30 ekar tersebut dianggarkan berjumlah RM42 juta untuk pengambilan tanah. Selain itu, Tapak Pelupusan Sanitari Tanjung Dua Belas yang sedia ada juga sudah hampir mencapai kapasiti penuh menjelang tahun 2024. Justeru pihak Kerajaan Negeri memperuntukkan tanah seluas 200 ekar sebagai tanah tambahan baharu bagi tapak pelupusan Tanjung Dua Belas dengan anggaran kos pengambilan berjumlah RM70 juta. Secara keseluruhannya, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM100 juta dalam Belanjawan Tahun 2025 bagi tujuan pengambilan 200 ekar tanah baharu dan rawatan tanah untuk 30 ekar tanah di Tanjung Dua belas. Dengan pelaksanaan WTE itu insyaAllah selepas Tahun 2027, 5,000 tan sampah daripada 7,000 tan sampah boleh diuruskan dengan lebih mampan dan sustainable melalui waste-to-energy.

STRATEGI PENERIMAAN AKTA 672

Kerajaan Negeri secara prinsipnya bersetuju untuk menerima Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 yang akan membuka ruang kepada aktiviti sisa pengurusan sisa pepejal yang turut akan melibatkan kerjasama Kerajaan Persekutuan. Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan (SPBT) dan anak-anak syarikat Kerajaan Negeri yang terlibat di dalam bidang ini seperti Kumpulan Darul Ehsan (KDEB) dan Worldwide Holdings Berhad sedang bekerjasama bagi mencapai keputusan optimum berkaitan usaha baharu ini. Pihak Worlwide dan anak-anak syarikat lain milik Kerajaan Negeri Selangor yang terlibat dalam rantaian pengurusan sisa di negeri ini akan terus bekerjasama dalam menyokong aspirasi Kerajaan Negeri dalam proses penerimaan Akta 672 bagi memastikan kepentingan rakyat Selangor terus terjamin melalui operasi pengurusan sisa yang cekap dan mampan.

PROJEK SOLAR : PAYUNG

Projek Payung merupakan cadangan pembangunan ladang solar berskala besar di Bernam Jaya dengan kapasiti 150MWp (Megawatt peak). Projek ini melibatkan kerjasama antara Worldwide Holdings Berhad dan TNB Renewables Sdn. Bhd., sebuah anak syarikat milik Tenaga Nasional Berhad. Projek Payung bakal membuka peluang usaha sama kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana serta Koperasi Berdaftar di Malaysia dalam sektor tenaga hijau yang akan ditawarkan menerusi penjualan komoditi solar berdasarkan slot pembahagian projek ladang solar berskala besar. Pembangunan

projek ini akan dibahagikan kepada empat pakej yang akan ditawarkan kepada kontraktor-kontraktor yang berlainan. Setiap pakej tersebut adalah berdasarkan keperluan kepada pekerja mahir pada peringkat yang berbeza dalam pembangunan projek. Dalam projek solar berskala besar, Worlwide Holding turut menyertai bidaan Large Scale Solar pusingan yang ke-5 (LSS5) yang diumumkan oleh Kementerian PETRA dengan kapasiti 500MWp. Jika bidaan ini berjaya dimenangi, LSS5 yang bernilai RM1.4 bilion ini akan turut membawa masuk pelaburan langsung asing (FDI) ke Negeri Selangor.

PEMBANGUNAN INFRASTRUKTUR

Belanjawan 2025 dirangka khusus untuk mengukuhkan kedudukan Negeri Selangor sebagai hub pengangkutan dan pemacu infrastruktur negara. Negeri Selangor, yang terletak di tengah-tengah Semenanjung Malaysia, memainkan peranan strategik dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan infrastruktur yang menyokong aktiviti pengangkutan laut, udara, dan juga darat negara. Dengan panjang keseluruhan Jalan Negeri di bawah JKR mencecah 4,359.026 kilometer, setiap jalan ini membentuk jaringan infrastruktur yang menghubungkan kesemua 9 daerah di Negeri Selangor dan seterusnya menghubungkan semua daerah di Negeri Selangor dengan Jalan Persekutuan. Sebagai upaya memelihara dan mempertingkatkan jaringan Jalan Negeri maka sejumlah RM95.98 juta diperuntukkan dalam Belanjawan 2025. Peruntukan ini akan digunakan untuk tujuan-tujuan berikut, iaitu untuk Pembangunan Infrastruktur Bukan Fizikal, menerusi pelbagai rancangan program pembangunan jalan yang meliputi kerja-kerja bukan fizikal di seluruh Negeri Selangor dengan anggaran peruntukan sebanyak RM 18.92 juta. Program ini melibatkan :

i) Program Memasang Lampu Jalan & Lampu isyarat di seluruh Selangor dengan peruntukan anggaran sebanyak RM 3.6 juta. ii) Program Meningkatkan Aspek Keselamatan Seluruh Selangor dengan peruntukan RM 2.25 juta. iii) Program Menaik taraf Jalan-jalan Seluruh Selangor dengan cadangan peruntukan sebanyak RM 3 juta. iv) Projek One-Off Pembangunan Infrastruktur. Dalam usaha mempertingkatkan keselamatan dan kualiti infrastruktur di Selangor, Kerajaan akan melaksanakan dua projek One-Off baharu yang penting iaitu cadangan Membina Jambatan Baharu di Laluan B19, Jalan Semenyih – Sungai Lalang, Daerah Hulu Langat dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM 4 juta yang melibatkan pembinaan semula jambatan yang telah di roboh di laluan B19. Yang kedua, cadangan Menaik taraf Simpang dan Jalan 1, Kampung Pandan dengan anggaran kos projek bernilai RM 3 juta.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut merancang untuk membaik pulih cerun seluruh Selangor dengan cadangan peruntukan sebanyak RM 500 ribu, pengambilan balik tanah dengan peruntukan sebanyak RM 2 juta; kerja-kerja permulaan iaitu pelantikan perunding kajian trafik dengan cadangan peruntukan sebanyak RM 570 ribu.

Projek Pembinaan Jambatan

Seterusnya, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM 10.4 juta untuk tiga projek membina jambatan yang kritikal. Yang pertama, membina Jambatan di Kampung Sungai Buah, Daerah Sepang dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM 3.17 juta. Kedua, menaik taraf jambatan di Jalan Ara Bagan Pasir, Tanjung Karang Daerah Kuala Selangor dengan cadangan peruntukan sebanyak RM 3.88 juta, membina Jambatan di Sungai Serigala, Laluan B44 Jalan Hulu Bernam – Sungai Besar, Hulu Selangor dengan peruntukan sebanyak RM 3.35 juta.

Demi memastikan perkembangan bersepadu dan menyokong pertumbuhan ekonomi serta mobiliti yang lebih baik, Kerajaan Negeri bercadang memperuntukkan sebanyak RM 22.05 juta pula kepada tiga projek utama pembinaan jalan yang sedang dalam pembinaan bagi memastikan infrastruktur yang baik dan menyokong perancangan pembangunan negeri, antaranya membina Jalan menghubungkan Kampung Sri Indah A ke Jalan Hospital Sungai Buloh (B9), Daerah Gombak dengan cadangan peruntukan sebanyak RM 3.85 juta. Kedua, membina jalan sambungan Sungai Kelambu – Genting Sanyen dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM 10.5 juta. Suka saya ingatkan bahawa keputusan ini dibuat atas pertimbangan bahawa kedua-dua projek ini bakal memberi impak tambahan kepada pembangunan Integrated Development Region In South Selangor ataupun IDRISS di Selatan Selangor.

Kedua, Projek Fizikal Naik Taraf Jalan. Kerajaan Negeri bercadang memperuntukkan sejumlah RM 37.9 juta untuk sembilan projek menaik taraf jalan yang sedang dalam pembinaan. Yang pertama, menaik taraf Jalan Negeri B27 (Missing Link), Jalan Rawang - Batang Berjuntai, Gombak dengan cadangan peruntukan RM8.15 juta. Yang kedua, menaik taraf Jalan Bukit Rimau, Daerah Klang, Pakej 1 dan 2 dengan peruntukan RM5 juta. Ketiga, menaik taraf Jalan Negeri B148 Jalan Telok Gong dari persimpangan Glenmarie Cove ke persimpangan Jalan Ikan Tenggiri dengan cadangan peruntukan sebanyak RM7 juta. Keempat, menaik taraf laluan B17 (Jalan Reko) dengan jumlah peruntukan RM 5.4 juta dan seterusnya penyelesaian baki kerja menaik taraf Jalan B48 dari Simpang Tiga Jenderam ke Pekan Sepang Lama dengan peruntukan sebanyak RM 6.25 juta dan juga menaik taraf Jalan di Simpang Tiga Jalan Rahidin berdekatan Masjid Al-Huda , Kampung Paya Jaras Sungai Buloh dengan cadangan peruntukan berjumlah RM1.2 juta. Seterusnya menaik taraf 2 Persimpangan di Jalan Merbau Sempak B131,

serta kerja-kerja lain yang berkaitan di daerah Petaling dengan peruntukan RM1.2 juta. Menaik taraf jalan ke SMK Tiram Jaya Tanjung Karang, dengan peruntukan berjumlah RM1.225 juta. Menaik taraf jalan B44, Jalan Sungai Panjang dari persimpangan jalan Kuala Selangor – Teluk Intan ke Parit Empat Timur, daerah Sabak Bernam, dengan cadangan peruntukan sebanyak RM 1.225 juta danyang terakhir, menaik taraf persimpangan jalan Kampung Bukit Dugang daerah Sepang, sebanyak RM 1.25 juta diperuntukkan.

Kerajaan Negeri sentiasa cakna terhadap rungutan dan laporan rakyat berhubung isu kerosakan jalan yang memberi risiko kepada keselamatan dan keselesaan pengguna. Bagi menangani isu tersebut Kerajaan Negeri telah melaksanakan Program Turapan Mega dengan peruntukan RM50 juta pada tahun 2023 dan RM20 juta pada tahun ini. Bagi meneruskan momentum kejayaan program ini dan meningkatkan kecekapan pelaksanaannya, Kerajaan Negeri bercadang memperuntukkan RM50 juta bagi program tersebut pada tahun 2025.

Pengairan dan Saliran

Berpandukan matlamat memastikan penggunaan tanah yang optimum dan pengurusan sumber air negeri yang lebih cekap, Kerajaan Negeri bercadang memperuntukkan sebanyak RM62.3 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor dalam usaha memperkasakan pengurusan sumber air secara mampan. Peruntukan ini akan digunakan bagi tujuan Pembangunan Projek Tebatan Banjir. Bagi tahun 2025, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM 34.27 juta mengikut lembangan sungai dalam usaha memastikan keberkesanan pengurusan pembangunan Projek Tebatan Banjir. Lembangan sungai terutamanya yang terlibat adalah; Lembangan Sungai Klang dengan peruntukan sebanyak RM 34.27 juta, Lembangan Sungai Langat dengan peruntukan sejumlah RM 9.3 juta, Lembangan Sungai Selangor dengan peruntukan sebanyak RM 3.2 juta, Lembangan Sungai Buloh dengan peruntukan berjumlah RM 1.0 juta dan beberapa lembangan lain termasuk Lembangan Sungai Bernam dan Lembangan Sungai Kapar Besar dengan peruntukan sebanyak RM1.2 juta. Semua Projek tebatan banjir ini perlu dilaksanakan segera, terutamanya di Lembangan Sungai Klang kerana pembangunan sangat pesat di lembangan tersebut. Ini akan mengakibatkan jumlah air larian yang sangat tinggi yang menyebabkan berlakunya kejadian banjir kilat ataupun banjir monsun. Selain itu, projek tebatan banjir ini akan dilaksanakan secara sinergi bersama projek di bawah peruntukan Kerajaan Persekutuan bagi mencapai keberkesanan lebih menyeluruh dalam menangani isu banjir di Negeri Selangor.

Pembangunan Sistem Saliran

Bagi tujuan pembangunan sistem saliran lebih bersepadu dan komprehensif, Kerajaan Negeri bercadang memperuntukkan sebanyak RM2.07 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor. Peruntukan ini akan digunakan untuk meningkatkan dan menambah baik sistem saliran sedia ada di kawasan yang telah dikenal pasti bagi tujuan memastikan saliran dalaman tersebut dapat menampung jumlah hujan dan air larian yang tinggi. Di samping itu, pembangunan pesat yang berlaku di kawasan sekitar juga akan memberi kesan daripada sistem saliran yang berkualiti dan juga sempurna.

Pembangunan Lembangan Sungai

Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) adalah satu proses penyelarasan dalam pemuliharaan, pengurusan, dan pembangunan sumber air, tanah dan sumber-sumber berkaitan merentasi semua sektor di dalam sesebuah lembangan sungai. IRBM bertujuan memaksimumkan faedah sosial ekonomi bagi pengurusan sumber air secara mampan sekali gus memelihara atau mengembalikan semula ekosistem semula jadi sumber air. Justeru Kerajaan Negeri bercadang memperuntukkan sejumlah RM8.5 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor bagi menyediakan perkhidmatan kepakaran dalam pengurusan sungai secara bersepadu dalam memastikan lembangan sungai diurus dengan sempurna dan keperluan pemeliharaan kuantiti dan kualiti sumber air.

Pengurusan Saliran Mesra Alam

Manakala bagi tujuan perancangan sistem saliran secara lebih bersepadu, Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor akan menyediakan Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) yang melibatkan Daerah Hulu Langat dengan anggaran kos sebanyak RM500 ribu. Selain itu, JPS Negeri Selangor juga akan melaksanakan projek Kolam Takungan Banjir di Rawang Integrated bagi mengatasi masalah banjir di Sungai Gong, Daerah Gombak dengan anggaran kos projek sebanyak RM500 ribu.

Pembangunan Pantai

Fenomena air pasang besar yang berlaku baru-baru ini telah menjejaskan benteng di kawasan pesisiran pantai, terutama di daerah Sabak Bernam dan daerah Kuala Selangor. Justeru Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM4 juta pada Tahun 2025 bagi pelaksanaan projek menaik taraf benteng pantai di kawasan yang terjejas akibat fenomena air pasang besar.

Pengurusan Sumber Air Negeri Selangor

Alhamdulillah, hari ini saya berbesar hati untuk mengumumkan beberapa projek-projek yang dirangka berimpak tinggi yang akan dilaksanakan oleh Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. untuk tahun 2025. Semua projek ini menjadi komponen penting dalam usaha memastikan bekalan air yang berkualiti dan mampan untuk seluruh rakyat negeri Selangor. Pertama, Loji Rawatan Air Rasau Peringkat 2. Projek Loji Rawatan Air Rasau Peringkat 1 sedang berjalan dengan kapasiti 700 juta liter par hari ataupun MLD, akan membekalkan air ke Wilayah Klang dan memanfaatkan seramai 2.15 juta penduduk. Loji ini sebahagian daripada ikhtiar meningkatkan rizab bekalan air di kawasan tersebut. Sebagai kesinambungan daripada projek Peringkat 1, Loji Rawatan Air Rasau peringkat 2 akan di bina dengan kapasiti tambahan 700 juta liter sehari, bakal membekalkan air ke Wilayah Petaling dan Kuala Langat, dan memanfaatkan 2.15 juta pengguna. Projek Peringkat 2 ini dijangka akan mengambil masa selama 36 bulan, bermula dari tahun 2025 sehingga 2028, dengan anggaran kos sebanyak RM2.12 bilion.

Projek Penurunan Kadar Air Tidak Berhasil Ataupun Non Revenue Water (NRW). Dalam ikhtiar kita mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) , satu program penurunan NRW akan diteruskan dengan cadangan peruntukan sebanyak RM47.5 juta pada tahun 2025. Setakat Julai 2024, peratusan NRW Air Selangor adalah 27.36%, ia mengatasi sasaran NRW tahunan bagi tahun 2024 yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Selangor iaitu sebanyak 28.0%. Program Penggantian Paip (Hotspot). Program Penggantian Paip retikulasi (hotspot) yang bermula sejak tahun 2016 mensasarkan penggantian paip sebanyak 150km setahun. Bermula tahun 2023, sasaran penggantian paip telah ditingkatkan kepada 300km setahun. Sebanyak RM527 juta telah diperuntukkan, di mana RM493.5 juta dibiayai oleh Air Selangor manakala RM33.5 juta dibiayai oleh PAAB. Setakat Julai 2024, sebanyak 783.54 km paip telah berjaya digantikan.

Program Pemulihan dan Pembaikan Loji Rawatan Air, Refurbishment of Water Treatment Plants, dengan izin. Selain itu, satu program tahunan bagi pemulihan dan pembaikan loji rawatan air akan dijalankan dengan peruntukan sebanyak RM 189.6 juta pada tahun 2025. Daripada jumlah ini, RM 150 juta diperuntukkan oleh PAAB yang merangkumi 39 kerja pemulihan dan pembaikan di loji rawatan air utama, manakala Air Selangor memperuntukkan RM 39.6 juta yang merangkumi 25 kerja pemulihan dan pembaikan di loji rawatan air terpilih di seluruh Negeri Selangor

Projek keterhubungan grid air juga akan menjadi tumpuan utama dalam memastikan bekalan air di negeri ini terjamin dan berterusan. Bagi tahun 2025, sebanyak RM 54.7 juta diperuntukkan untuk kerja-kerja pembinaan infrastruktur dan servis konsultasi di

beberapa jajaran yang dikenal pasti di wilayah Petaling, Gombak, Kuala Lumpur dan Hulu Selangor. Projek ini sebahagian daripada pelan jangka masa panjang untuk mencapai keterhubungan grid air yang mampan menjelang tahun 2030.

Skim Jaminan Air Mentah (SJAM). Pada tahun 2025, Kerajaan Negeri berhasrat meneruskan pelaksanaan Skim jaminan Air Mentah (SJAM) termasuk membuat penyediaan menghadapi musim kemarau yang dijangka akan bermula pada tahun 2025. Di bawah SJAM, Kerajaan Negeri merancang untuk membangunkan Pelan Induk Pengurusan Air Negeri Selangor. Pelan Induk ini bakal menjadi panduan bagi Pelan Tindakan Pengurusan dalam memastikan hala tuju pengurusan air yang mampan meliputi pengurusan banjir, air mentah, air terawat, air kumbahan termasuk penggunaan tenaga lestari. Pelan Induk ini dijadualkan siap pada tahun 2026 dan melibatkan kos pada tahun 2025 sebanyak RM2 juta.

Kerja Pembinaan Infrastruktur pengepaman di Sungai Selangor dan Sungai Semenyih. Kerajaan negeri juga bercadang memperuntukkan sebanyak RM 12 juta pada tahun 2025 bagi membiayai baki-baki kerja pembinaan infrastruktur pengepaman di Sungai Selangor dan Sungai Semenyih termasuk penyediaan akaun muktamad. Manakala RM 1 juta diperuntukkan bagi penyediaan Hak milik Sambungan bagi tanah-tanah yang terlibat di dalam projek pembangunan Loji Rawatan Labohan Dagang.

Ahli Yang Berhormat sekalian, saya beralih dalam bidang Perumahan. Sehingga 31 Ogos 2024, Kerajaan Negeri telah meluluskan sebanyak 96 projek yang melibatkan 116,667 unit rumah di bawah Skim Rumah Selangorku Harapan dan Rumah Idaman. Daripada 116,667 unit rumah yang diluluskan ini Kerajaan Negeri dijangka memperoleh sebanyak 4,552 unit rumah secara percuma. Dengan jumlah ini melebihi 3,000 unit atau pun melebihi daripada anggaran 3,000 unit yang akan dinikmati ataupun dimiliki oleh Kerajaan Negeri seawal perancangan Rumah Idaman dan juga Rumah Harapan. Semua unit Rumah Selangorku Harapan dan Rumah Idaman yang diperoleh secara percuma ini akan diuruskan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor bagi melaksanakan program-program seperti Smart Sewa dan Skim Rent-To-Own yang bertujuan membantu golongan B40 khususnya golongan yang kurang berkemampuan dan sukar mendapatkan pembiayaan pembelian rumah.

PERUNTUKAN KHAS PENYELESAIAN STRATA NEGERI / SELANGOR STRATA FUND (SSF)

Jawatankuasa Bertindak menyelesaikan Bangunan Tanpa Hak Milik Strata Negeri Selangor yang dianggotai oleh PTGS, Lembaga Perumahan Hartanah Selangor, UPEN, PLANMalaysia, Pejabat Tanah dan juga PBT merupakan satu taskforce yang diwujudkan

oleh Kerajaan Negeri dalam mengenal pasti isu bangunan tanpa hak milik strata di seluruh Negeri Selangor. Menyedari kekangan utama dalam menyelesaikan isu hak milik strata ini adalah disebabkan maslah yang timbul apabila pemilik perlu menjelaskan kos tambahan yang perlu dijelaskan. Oleh yang demikian, jawatankuasa merujuk kaedah yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan dengan mewujudkan Kumpulan Wang Amanah Tabung Khas Hak milik Strata bagi membantu pendaftaran hak milik strata bagi bangunan diduduki sebelum 11 April 2007. Di bawah Tabung Khas Hak Milik Strata ini , dana khusus disediakan bagi menampung kos bayaran deposit dan upah profesional, bayaran fi hak milik strata, bayaran kos isu tanah atau bangunan serta lain-lain. Justeru, insentif peruntukan khas dicadangkan untuk membantu meningkatkan peratusan penyelesaian pembangunan tanpa hak milik strata di Negeri Selangor khususnya skim yang tidak layak untuk memohon peruntukan daripada tabung khas hak milik strata. Sehubungan dengan itu, dianggarkan peruntukan sebayak RM100 juta diperlukan dalam tempoh 10 tahun untuk penyelesaian keseluruhan skim strata yang telah dikenal pasti di seluruh Negeri Selangor. Kerajaan Negeri bersetuju memperuntukkan RM10 juta bagi tujuan dana awalan bagi Tabung Penyelesaian Strata di Selangor untuk tujuan tahun 2025 dan dijangka lebih 8,000 rumah akan dapat kita bantu selesaikan.

Skim CERIA yang diperkenalkan pada tahun 2010 adalah sebuah inisiatif bantuan Kerajaan Negeri untuk membiayai kos baik pulih dan penyelenggaraan harta bersama di pangsapuri kos rendah dan sederhana rendah. Program ini bertujuan membantu komuniti yang bersih, ceria dan harmoni, serta meringankan beban pengurusan bangunan yang sering dihadapi oleh golongan miskin bandar. Sejak 2011 hingga 2024, sebanyak 389 projek Skim CERIA telah dilaksanakan di seluruh 12 Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor dengan peruntukan keseluruhan sebayak RM148.2 juta. Untuk meneruskan usaha ini, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan tambahan RM4.5 juta bagi tahun 2025 terus menyokong kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan.

Atas kejayaan pelaksanaan Program Rewang Komuniti Strata yang dianjurkan oleh LPHS pada tahun ini, program ini akan diteruskan pada tahun 2025 dengan peruntukan sebayak RM300 ribu untuk menyokong aktiviti komuniti di pangsapuri kos rendah dan Projek Perumahan Rakyat. Program-program ini bertujuan mewujudkan semangat kerjasama dan mengembalikan konsep gotong-royong yang menjadi teras masyarakat kita suatu ketika dulu.

Ahli-Ahli Yang Berhormat yang saya kasihi sekalian, Dasar Pelepasan Sifar ataupun Zero Discharge Policy (ZDP), telah dilancarkan secara rasminya pada 10 Ogos yang lalu. ZDP dijangka dapat meningkatkan keterlibatan semua pengusaha dan premis aktiviti industri dalam meminimumkan kuantiti serta memastikan pematuhan had piawaian kualiti yang

ditetapkan terhadap pelepasan air kembalian dan efluen ke dalam sumber air dan persekitaran. Pada tahun 2025, dijangkakan sejumlah 12,257 premis di seluruh negeri akan dilesenkan di bawah Peraturan ZDP yang meliputi 9,000 premis industri, 1,000 kawasan pembangunan kerja tanah dan 1,050 premis penternakan, dan bakinya untuk aktiviti-aktiviti lain. Melalui pelesenan ini, dijangkakan sejumlah RM35.41 juta akan dikutip dan memberikan hasil kepada negeri untuk diperuntukkan bagi usaha-usaha pemeliharaan dan pemulihan sumber-sumber air di Negeri Selangor.

LUAS telah memperkenalkan River Monitoring Program, iaitu pelaksanaan blok pemantauan kualiti air di sepanjang rizab sungai utama Negeri Selangor dan juga anak-anak sungai yang berisiko bermula tahun 2023. RMP bertujuan memastikan kualiti air sungai berada dalam keadaan baik dan terpelihara dengan pelaksanaan verifikasi kualiti air pelepasan aliran dari outfall ke sungai. Berdasarkan program RMP yang dijalankan, masalah kualiti air dapat dikenal pasti dan langkah kawalan serta pemuliharaan dapat dilaksanakan dengan perancangan pelaksanaan kepada 60 anak sungai ataupun tapak pemuliharaan bagi tiga (3) lembangan sungai utama dengan cadangan peruntukan sebanyak RM3 juta pada tahun 2025.

Pentadbiran ini akan terus memberikan komitmen kepada ikhtiar membangunkan sektor pengangkutan yang mampan bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan menyokong kesejahteraan rakyat seiring status negeri maju. Bagi tujuan tersebut, Kerajaan Negeri akan menambah baik sistem rangkaian perkhidmatan pengangkutan awam melalui pemerkasaan perkhidmatan Demand Responsive Transit (DRT) yang telah dilaksanakan secara POC pada tahun 2024 dengan pertambahan zon baharu dan konsep pelaksanaan yang lebih meluas dengan kerjasama pengendali perkhidmatan. Bagi memperkukuh serta meningkatkan perkongsian mod pengangkutan awam, penggunaan Bas Smart Selangor dan DRT akan dioptimumkan pada tahun 2025. Bagi tujuan ini tahun 2025 peruntukan sebanyak RM20 juta bagi pelaksanaan inisiatif tersebut. Bagi tujuan memacu dan memperkasa sistem pengangkutan awam secara menyeluruh dan bersepadu pula Kerajaan Negeri bercadang untuk menjalankan Kajian Mobiliti Selangor dengan peruntukan sebanyak RM1 juta.

Dalam merencana agenda pembangunan negeri, pentadbiran ini sentiasa menitikberatkan nilai inklusiviti agar tidak sesiapa pun tertinggal seiring dengan agenda Ekonomi Madani. Sehubungan dengan itu, Kerjaan Negeri akan memberikan keutamaan kepada projek intervensi untuk membaik pulih dan menaik taraf infrastruktur usang dan daif, khususnya balai raya, dewan orang ramai dan kemudahan awam lain di samping membantu dalam penyediaan pusat komuniti dan kemudahan awam yang berkualiti untuk manfaat warga desa pelbagai lapisan umur, daripada kanak-kanak sehingga golongan dewasa. Bagi meningkatkan keterhubungan bandar dengan luar bandar dan

antara desa, Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah untuk meningkatkan liputan jalan berturap, menambah lampu jalan solar dan memulakan projek rintis pembinaan panel solar bagi bekalan elektrik di desa. Bagi tujuan ini Kerajaan Negeri bercadang memperuntukkan RM2 juta bagi pelaksanaan projek-projek selenggara kemudahan awam desa dan baik pulih jalan-jalan luar bandar.

Di zaman pasca pandemik COVID-19, kepentingan kawasan riadah menyerlah terutamanya di kawasan bandar serta tempat membangun dengan pesat. Ruang hijau menjadi satu tempat dan peluang untuk rakyat bertemu dengan kawan dan keluarga tersayang, memberikan keselesaan, serta satu ruang sosial bagi sukan dan senaman. Bagi meningkatkan kualiti dan ruang sebegini bagi kemaslahatan rakyat, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM6 juta serta memohon geran padanan RM6 juta dari Kerajaan Persekutuan melalui KPKT untuk membina atau menaik taraf taman-taman awam menjadi Taman Rakyat Madani di semua 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh Selangor. Selain daripada fasiliti asas serta kemudahan seperti wi-fi, taman-taman ini boleh ditambah baik dengan kemudahan sukan, pusat kitar semula, ruang perbincangan, tempat untuk buskers, kawasan penganjuran tayangan filem serta muzik. Selain itu, kawasan hijau yang lebih luas dan tempat rekreasi berkonsepkan alam sekitar turut akan diperkenalkan bagi meningkatkan daya tarikan dan keberkesanan taman awam sebagi pusat aktiviti masyarakat.

Bagi mengukuhkan pemeliharaan alam sekitar serta menukar budaya pengurusan sisa pepejal supaya menjadi lebih mampan, pada tahun hadapan, Kerajaan Negeri akan menggerakkan dengan lebih pantas dan efektif program kitar semula dengan mensasarkan meletakan 100 tong kitar semula untuk setiap Pihak Berkuasa Tempatan yang akan diletakan di kawasan-kawasan kejiranan, perumahan apartment ataupun kampung. Bahan-bahan kitar semula yang diletakan ke dalam tong-tong ini kemudian akan diangkut ke satu Pusat Kitar Semula utama di setiap PBT yang akan merangkumi teknologi digital bagi tujuan pengagihan dan susunan. Pusat-pusat ini dapat dijadikan sebagai medan sebaran maklumat, meningkatkan kesedaran komuniti, serta mengesan budaya penggunaan bahan dan jenis bahan buangan di setiap komuniti untuk membina circular ekonomi di peringkat lokaliti. Usaha ini akan mengurangkan jumlah bahan buangan di setiap PBT di samping mengurangkan bahan buangan yang akan berakhir di tapak pelupusan sampah yang tidak lagi mampan. Kerajaan Negeri akan memulakan program ini melalui kerjasama dengan syarikat swasta seperti Nestle dan syarikat lain yang berminat agar mereka dapat menepati piawaian ESG antarabangsa, dan program ini akan menggunakan peruntukan hasil daripada kutipan caj beg plastik yang telah berjalan sebelum ini yang telah mengutip lebih daripada RM 20 juta.

Kita beralih kepada Teras Ketiga iaitu Memeupuk Negeri Penyanyang. Manakala Kerajaan Negeri Selangor sentiasa membuktikan kelincahannya menyesuaikan negeri ini dengan inovasi terbaru teknologi, negeri ini juga konsisten merangka polisi terbaik untuk menempatkan Selangor sebagai tempat berteduh rakyatnya. Kita telah menekankan dari pentingnya konsep keadilan dan kesaksamaan sebelum ini. Teras ini adalah perincian terhadap pemikiran tersebut, yang memastikan sementara Selangor unggul sebagai gerbang kemakmuran dan teknologi, ianya juga tidak sesekali culas membela nasib golongan mustadh’afin.

Tuan Speaker, Demi Memartabatkan Syiar Agama Islam, Masjid Pengurusan Negeri Selangor ketika ini terdapat 440 buah masjid di Negeri Selangor. Masjid Pengurusan adalah satu kaedah pentadbiran dan pengurusan masjid yang diwujudkan di bawah Subseksyen 104(3) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003. Melalui kaedah ini, masjid akan dikendalikan oleh seorang Pengurus, seorang Penolong Pengurus dan dua orang Pembantu Pengurus. Pada tahun 2019, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk menaik taraf sebanyak 10 buah masjid kariah menjadi masjid pengurusan. Langkah ini diambil untuk meningkatkan kecekapan dalam pentadbiran dan pengurusan kewangan masjid, sekali gus memastikan pengimarahan yang lebih sistematik. Hasil daripada usaha ini, sehingga Oktober 2024, terdapat 65 buah masjid pengurusan di Negeri Selangor. Daripada jumlah ini, 9 adalah Masjid Daerah, 7 adalah Masjid Diraja, 49 lagi adalah Masjid Naik Taraf. Transformasi ini menujukan komitmen berterusan pihak Kerajaan Negeri dan Majlis Agama Islam dalam memperkasakan institusi masjid untuk kebaikan ummah dan masyarakat. Untuk tahun 2025, Kerajaan Negeri bercadang menaik taraf sebanyak 20 buah masjid kariah sebagai masjid pengurusan yang akan melibatkan implikasi kewangan tahunan berjumlah RM3 juta.

Menaiktaraf Masjid Negeri Selangor, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah merupakan masjid terbesar di Malaysia yang boleh memuatkan Jemaah seramai 24,000 orang dalam satu-satu masa. Masjid Negeri ini mula dibuka pada 12 Mac 1988 yang telah berusia hampir 40 tahun. Kerajaan Negeri memperuntukkan RM3 juta bagi memulakan kerja-kerja penaiktarafan Masjid Negeri Shah Alam pada tahun 2025 bagi memberi keselesaan kepada jemaah tertutamanya daripada segi karpet dan tempat tinggal.

Kompleks Perkembangan Agama Islam Selangor

Untuk terus memartabatkan Agama Islam di negeri ini, Kerajaan Negeri berhasrat menubuhkan satu kompleks yang dinamakan Pusat Perkembangan Agama Islam Negeri Selangor. Pusat yang bakal ditubuhkan ini akan menjadikan tempat bagi mendapatkan maklumat berkenaan perkembangan Islam di Negeri Selangor selain menyediakan

tempat melaksanakan aktiviti-aktiviti berkaitan. Kompleks yang dicadangkan ini akan menggunakan bekas-bekas bangunan Pejabat Agama Islam Daerah Klang. Bangunan tersebut akan dibaik pulih tanpa merubah struktur binaan yang ada bagi mengekalkan bangunan tersebut yang juga satu masa dahulu merupakan Pejabat Duli Yang Maha MUlis Sultan di Istana Kota Klang yang terletak di tengah-tengah Bandar Diraja Klang. Untuk itu, sejumlah RM5 juta akan diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri bagi tujuan tersebut.

Mengiktiraf Ahli Al-Quran

Bagi mengiktiraf kejayaan ahli-ahli Quran di Negeri Selangor, pada tahun 2025, Kerajaan Negeri akan mewujudkan dan memulakan skim imbuhan bulanan kepada 21 individu terpilih yang menguasai ilmu Al-Quran dan Qiraat. Dengan syarat dan ukuran keupayaan yang tinggi, Kerajaan Negeri Selangor berhasrat mengangkat individu tertentu di Negeri Selangor terdiri daripada 3 orang sebagai Syaikul Maqari’, 9 orang sebagai Syaikhul Muqri’ dan 9 orang sebagai Syaikul Qari’. Kesemua 21 individu terpilih yang melepasi kriteria yang ditetapkan akan berperanan sebagai pakar rujuk Al-Quran dan Qiraat di Negeri Selangor sebagai sayap baru yang akan memperkukuhkan kedudukan dan kewibawaan Akademi Literasi Al-Quran dalam melaksanakan objektif penubuhannya. Dengan pengiktirafan 21 orang ini, suatu badan akan ditubuhkan sebagai Majlis Syeikh Maqari Negeri Selangor yang bertanggungjawab sebagai kumpulan pakar Al-Quran Dan Qiraat untuk membuka ruang dan kesan yang signifikan kepada kemahiran membaca Al-Quran kepada para imam, asatizah dan masyarakat Islam seluruhnya. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri bersetuju memperuntukkan sejumlah wang sebanyak RM303 ribu bagi membayar elaun secara bulanan kepada 21 orang terbaik yang diiktiraf kerana kejayaannya dalam menguasai bidang Al-Quran Dan Qiraat dan sebagai Ahli Quran. Dalam masa yang sama usaha dan pengiktirafan ini telah mewujudkan satu lagi prospek kepada pencinta dan penjaga Al-Quran.

Akademi Literasi Al-Quran dan Pengajian Kitab Turath

Dengan tertubuhnya Akademi Literasi Al-Quran Selangor semenjak tahun 2022, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah menjadi hab pengajian Al-Quran Negeri Selangor. Akademi ini, memberdaya pembinaan latihan Al-Quran kepada imam-imam masjid dan surau, guru-guru SRA, SRAI dan KAFAI, dan pemegang-pemegang tauliah mengajar kitab suci ini.Pada tahun ini juga, Akademi Literasi telah melaksanakan latihan bersepadu kepada peserta tilawah dan hafazan Al-Quran yang mewakili Negeri Selangor untuk Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1445 Hijrah.Sejak Program Pengajian Bersijil dianjurkan, akademi ini telah menerima hampir 1,400 penyertaan daripada daerah-daerah seluruh Negeri Selangor bagi mengikut Program Pengajian Bersijil ini.

Tidak terbatas kepada pengajian kitab suci Al-Quran sahaja, Masjid Negeri juga menjadi pusat pengajian kitab-kitab turath. Akademi Turath Selangor adalah program yang diwujudkan di bawah pengurusan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah untuk mengurus dan mengembangkan pengajian turath Islami di masjid dan surau seluruh Negeri Selangor. Penubuhan akademi ini bertujuan menghidupkan sistem pengajian Islam yang mengikut sukatan secara tradisional atau biasa dilaksanakan di pondok-pondok Nusantara. Akademi ini telah menyusun modul-modul pengajian mengikut tahun serta menumpukan kitab-kitab turath sama ada Jawi mahupun bahasa Arab sebagai sumber rujukan utama. Bagi memperkasakan pengurusan dan pelaksanaan pengajian di bawah kedua-dua akademi ini, Kerajaan Negeri bersetuju untuk memperuntukkan sejumlah RM1 juta. Inisiatif ini dijangka memanafaatkan rakyat di kawasan luar bandar Selangor untuk menyertai program pengajian Al-Quran mahupun mendalami Kitab-kitab Turath. Tuntasnya, usaha memperkasa program pengajian Al-Quran dan tradisi pengajian kitab-kitab turath wajar disuburkan semula dengan bagi memperkukuhkan Aqidah Ahli Sunah Waljamaah di Negeri Selangor.

Pada tahun 2024, Kerajaan Negeri telah menaja 36 orang jemaah Negeri Selangor bagi menunaikan ibadah Haji. Perkara ini adalah bagi memberi peluang kepada yang kurang berkemampuan dan berhasrat menunaikan ibadah tersebut yang terdiri daripada kelompok berstatus B40. Oleh itu bagi tahun 2025, Kerajaan Negeri bersetuju meneruskan program tajaan penuh Haji kepada rakyat B40 di Negeri Selangor dengan peruntukan RM1.2 juta. Manakala itu, Insentif Muassasah Haji yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri melalui MBI akan diteruskan setelah mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Ketika saya menunaikan Haji di Mekah tempoh hari, saya telah bertemu dengan beberapa jemaah Selangor yang telah memuji dan mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan Kerajaan Negeri dan Insentif Muassasah Haji ini kepada para jemaah. Insentif yang berjumlah RM500 seorang sebelum ini kepada para jemaah telah dipertingkatkan kepada RM1,000 pada tahun ini. Oleh itu, Insentif Muassasah Haji pada tahun 2026, Kerajaan Negeri mengekalkan jumlah insentif sebanyak RM1,000 seorang dengan peruntukan RM6 juta.

Sejak diperkenalkan Skim Smart Sewa, sebanyak RM480 juta telah diperuntukkan dengan sasaran 3,000 unit rumah Skim Smart Sewa bertujuan membantu rakyat di kalangan golongan B40 dan M40 menyewa pada kadar berpatutan terutamanya mereka yang belum memiliki rumah dan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pembiayaan pinjaman dalam pemilikan rumah. Di tahun 2025, Kerajaan Negeri mensasarkan sebanyak 819 unit lagi dengan peruntukan tambahan sebanyak RM282.5 juta untuk membeli rumah-rumah bagi kemudahan program Smart Sewa. Antara manafaat yang boleh didapati terutamanya kepada rakyat yang belum memiliki rumah atau menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pembiayaan pinjaman dalam pemilikan rumah melalui

Skim Smart Sewa adalah seperti berikut; menyewa di kawasan yang selamat dan selesa, menyewa sambil menyimpan deposit untuk memiliki kediaman sendiri. Yang ketiga berpeluang menyewa dengan kadar sewa yang berpatutan. Yang keempat, menerima pulangan balik 30% daripada sewaan mereka yang bakal menjadi 10% sebagai pinjaman awal di institusi-institusi perbankan.

Salah satu aspek yang mencabar dalam kehidupan harian bagi warga emas serta waris mereka adalah kos pengurusan jenazah, pengebumian, serta perbelanjaan kecemasan terutamanya jika individu tersebut adalah pencari nafkah utama bagi menyara keluarga. Khusus bagi warga Negeri Selangor, Kerajaan Negeri bersetuju memperkenalkan program baharu iaitu Khairat Darul Ehsan iaitu bantuan khairat kematian berjumlah RM1,000 bagi semua rakyat Negeri Selangor yang berumur 50 tahun dan ke atas serta warga OKU yang dijangka memanafaatkan 20,000 orang warga rakyat Negeri Selangor. Program ini akan diselaraskan oleh YAWAS dan akan bermula pada Jun 2025 yang akan diperuntukkan sebanyak RM20 juta.

Menjelang 2030, Malaysia dijangka mencapai status negara menua apabila 15 peratus daripada jumlah penduduk adalah warga emas. Dalam usaha mendepani cabaran, Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk menubuhkan lebih banyak Pusat-pusat Aktiviti Warga Emas di Negeri Selangor bagi menggalakkan penuaan yang aktif dan produktif. Kerajaan Negeri memperuntukkan RM400 ribu kepada 4 buah PAWE ataupun Pusat Warga Emas, projek menaik taraf PAWE tahun 2024 dan pembelian aset dan menaik taraf kemudahan iaitu PAWE Ampang, PAWE Paya Jaras, PAWE Setia Alam dan Pusat Warga Emas Seri Kembangan pada tahun 2025. Manakala cadangan 2 buah Pusat Warga Emas baharu bagi tahun 2025 adalah di Kuala Langat dan juga di Hulu Selangor. Penubuhan pusat ini disasarkan kepada warga emas yang sihat, dapat menguruskan diri dan merupakan satu perkhidmatan yang bercorak pendamping sosial reaching out dan pembangunan ataupun developmental kepada warga emas yang melibatkan kerjasama strategik antara KPWKM dengan agensi kerajaan yang lain serta pertubuhan bukan kerajaan ataupun NGO. Oleh yang sedemikian, sebagai kesinambungan Kerajaan Negeri berhasrat memperuntukkan geran penubuhan Pusat Warga Emas dengan reka bentuk universal design yang memfokus kepada elemen-elemen penting yang memberi kesan kepada fizikal, emosi, sosial dan keperluan warga emas setempat. Antara usaha Kerajaan Negeri yang telah direalisasikan adalah pembinaan Pusat Warga Emas Sungai Tua, Gombak di bawah pengurusan Majlis Perbandaran Selayang.

Ahli-Ahli Yang Berhormat yang saya kasihi sekalian, dalam meraikan kepelbagaian agama dalam negeri yang makmur ini, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM4 juta di bawah Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao

Negeri Selangor (LIMAS) bagi tahun 2025. Peruntukan bagi rumah ibadat selain Islam adalah bersifat sumbangan sebagai bukti keprihatinan Kerajaan Negeri dan boleh digunakan sebagai bagi perkara-perkara seperti baik pulih rumah ibadat sedia ada, pendidikan keagamaan yang dijalankan di rumah ibadat tersebut serta pembelian peralatan bagi tujuan mengadakan kelas-kelas agama. Terbaharu, peruntukan ini turut diperluas kepada Persatuan-persatuan Perkuburan Cina bagi sumbangan di bawah kategori aktiviti keagamaan berbentuk perayaan yang boleh dimohon secara dwi-tahunan.

Tuan Speaker, The greatest wealth is health. Sesuai dengan ungkapan ini, Kerajaan Negeri sentiasa percaya bahawa rakyat sihat menjadi tunjang kepada kekuatan ekonomi, terutamanya dalam merangsang guna tenaga dan menggalakkan produktiviti sesebuah negara. Menurut Laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023, lebih daripada setengah juta ataupun 2.5% individu dewasa menghidap empat penyakit tidak berjangkit (non-communicable diseases) iaitu kencing manis, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan obesiti. Manakala 2.3 juta sentiasa menghidap sekurang-kurangnya tiga penyakit tersebut. Menyedari hakikat ini, selari dengan status Negeri peduli rakyat, Kerajaan Negeri akan meneruskan inisiatif Kesihatan Awam dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM40 juta. Peruntukan ini akan meliputi beberapa program iaitu, Iltizam Selangor Sihat, peruntukan RM20 juta, Iltizam Selangor Sihat turut meliputi rawatan dialisis. Program Iltizam Selangor Sihat merupakan salah satu program signature Kerajaan Negeri bagi membantu rakyat negeri yang kurang berkemampuan dalam menghadapi kos perubatan yang semakin meningkat. ISS membolehkan rakyat Selangor menerima bantuan rawatan secara percuma termasuk manafaat perlindungan, kematian dan penyakit kritikal. Penghujung tahun lepas program ISS terus diperingkatkan dengan pengenalan manafaat hospitalisasi ataupun rawatan pesakit dalam di panel hospital swasta. Bagi mengukuhkan lagi penjagaan kesihatan bagi rakyat Negeri Selangor yang kurang berkemampuan, Kerajaan Negeri akan mengembangkan manafaat hospitalisasi ISS bagi meliputi rawatan dialisis secara percuma sehingga 3 bulan dengan had lebih kurang RM10,000. Ini akan membantu rakyat Selangor yang menghidapi penyakit kronik buah pinggang untuk menerima rawatan life-saving dialysis ini. Yang kedua, Iltizam Selangor Sihat Penjawat Awam peruntukkan sebanyak RM1 juta. Yang ketiga, Bantuan Sihat Selangor iaitu peruntukkan RM5 juta. Yang keempat, Skim Rawatan Jantung peruntukan sebanyak RM5 juta. Program Selangor Saring peruntukan RM2 juta dan yang keenam, Selangor Mental Sihat peruntukkan sebanyak RM500 ribu.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut melakukan penambahbaikan untuk program membasmi denggi dan kesihatan warga emas. Kerajaan Negeri juga menyedari hakikat bahawa kadar kumulatif kes denggi di Negeri Selangor menunjukkan trend peningkatan, selari dengan kepadatan penduduk dan kepesatan pembangunan ekonomi di negeri ini.

Sehingga 9 November 2024, sebanyak 56,400 kes demam denggi telah direkodkan di seluruh Negeri Selangor iaitu 50% daripada kes-kes keseluruhan demam denggi yang dicatatkan di negara kita iaitu sebanyak 111,250 kes. Bagi meneruskan agenda mengurangkan kes denggi di Negeri Selangor, program pengawalan dan pencegahan denggi akan diteruskan pada tahun 2025 dengan peruntukan sebanyak RM4 juta. Selain itu, Kerajaan Negeri akan meneroka alternatif bagi mengurangkan komplikasi kesihatan akibat denggi melalui vaksin denggi yang telah mula diperkenalkan di Malaysia pada awal tahun ini. Kerajaan Negeri melalui SELGATE Healthcare Sdn. Bhd. akan meneroka kerjasama dengan beberapa penyedia perkhidmatan kesihatan bersesuaian berhubung penggunaan vaksin denggi untuk rakyat Negeri Selangor tertakluk kepada situasi, keperluan, dan juga cadangan pakar-pakar kesihatan.

Negeri Selangor merupakan antara negeri yang mempunyai bilangan warga emas tertinggi di Malaysia. Malah daerah Kuala Langat, Sepang dan Kuala Selangor adalah antara 11 daerah di Malaysia yang dikenal pasti sebagai daerah menua di Malaysia berdasarkan dapatan Anggaran Penduduk Semasa, Daerah Pentadbiran 2024 oleh DOSM. Menyedari hakikat ini, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM400 ribu bagi pelaksanaan program-program dan inisiatif berkaitan kesihatan warga emas di Negeri Selangor di tahun 2025. Antara program yang bakal dilaksanakan adalah saringan kesihatan warga emas, program advokasi serta promosi berkaitan penjagaan gaya hidup sihat khusus bagi warga emas. Kerajaan Negeri turut bersetuju untuk melanjutkan program-program kebajikan berikut yang telah memberikan manafaat kepada rakyat Negeri Selangor yang memerlukan iaitu Blueprint, Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Selangor dengan peruntukkan RM1.5 juta. Baucar Jom Shopping, RM12 juta untuk perayaan. Program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin, RM3 juta. Skim Air Selangor Darul Ehsan, RM40 juta. Iltizam Anak Selangor (ANiS), Anak Istimewa Selangor (ANiS), RM2.3 juta. Pemerkasaan Wanita Berdaya Selangor RM2.4 juta. Majlis Tindakan OKU Negeri Selangor RM200 ribu. Selain itu, Kerajaan Negeri turut akan memperkenalkan program-program baharu dan menambah baik program sedia ada yang berikut. Program-programnya adalah program pemberdayaan ekonomi dan pembangunan desa.

Bagi memberdayakan ekonomi desa, sudah tiba masanya untuk fokus diberikan benar-benar mengenal pasti identiti ekonomi tempatan di kampung. Sehubung dengan itu, Kerajaan Negeri akan meneruskan untuk mengadakan kursus-kursus kemahiran secara percuma kepada komuniti desa untuk melatih dan seterusnya menjana pendapatan dan seterusnya peningkatan kemahiran. Di samping usaha-usaha untuk meningkatkan ekonomi komuniti desa, Kerajaan Negeri turut memberikan penekanan dalam pembangunan insan dan pemeliharaan identiti kampung tradisi yang telah menjadi adat dan budaya setempat melalui program-program kemasyarakatan yang dilaksanakan.

Program-program dan Projek di bawah Pembangunan Desa dan Ekonomi Kampung Tradisi ini akan dimanafaatkan dengan peruntukan sebanyak RM4 juta pada tahun 2024.

Pada tahun 2024, lori Jelajah Ehsan telah bergerak lebih 1,560 lokasi. Jualan JER telah diperluas kepada peruncit Ehsan Mart dengan anggaran 336 kali jualan. Selain itu, jualan JER di Pasar Raya Ehsan SEGI dianggarkan sebanyak 480 kali satu, setahun. Dianggarkan 6 juta rakyat Selangor mendapat manafaat daripada inisiatif ini dengan kekerapan empat kali sebulan di setiap Dewan Undangan Negeri. Bagi membuktikan komitmen pentadbiran ini untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat berpendapatan rendah maka sebanyak RM30 juta diperuntukkan bagi JER pada tahun 2025. Kerajaan Negeri mensasarkan pembukaan 10 premis Pasar Raya Ehsan Mart di seluruh negeri menjelang akhir 2025. Ehsan Mart adalah sebuah pasar raya milik Kerajaan negeri yang di kendali oleh PKPS, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor dan menawarkan barangan asas pada kadar harga 10% hingga 15% lebih rendah berbanding dengan harga pasaran. Ehsan Mart diwujudkan dengan objektif utama untuk memastikan golongan berpendapatan rendah di Selangor terus mempunyai akses secara tetap kepada barangan keperluan asas pada harga yang berpatutan. Menjelang akhir tahun 2026, Ehsan Mart dijangka akan beroperasi di 56 lokasi ataupun satu premis bagi setiap Dewan Undangan Negeri di Negeri Selangor.

Yang Berhormat Sekalian apabila kita berhadapan dengan kecemasan kesihatan, antara maklum balas yang diterima oleh pentadbiran ini adalah dari segi kekangan kos untuk mendapatkan perkhidmatan ambulans dalam tempoh masa yang singkat. Itu belum lagi kita mengambil kira jumlah pesakit yang memerlukan perkhidmatan ambulans daripada Kementerian Kesihatan Malaysia untuk ke hospital bagi tujuan kecemasan. Dalam pada itu, komitmen untuk menyediakan perkhidmatan Ambulans Kita Selangor merupakan salah satu ikhtiar yang saya nyatakan dalam 5 Tekad 5 Tahun sewaktu menghadapi Pilihan Raya Umum Negeri tahun lalu. Sebagai komitmen bahawa pentadbiran ini bukan sahaja mampu mengumumkan program baharu tetapi mempunyai tekad untuk melaksana, pada tahun hadapan, Kerajaan Negeri akan menawarkan perkhidmatan Ambulans Kita Selangor secara percuma dengan kerjasama penyedia perkhidmatan sedia ada seperti Persatuan Bulan Sabit Merah dan St. John Ambulance Malaysia agar rakyat yang memerlukan dapat memanfaatkan perkhidmatan ambulans bagi tujuan kecemasan tanpa perlu risau pasal kos. Perkhidmatan ini akan dimulakan di 4 Majlis Bandaraya di Selangor sebelum dipanjangkan ke Pihak Berkuasa Tempatan lain di seluruh Selangor setelah menilai keberkesanannya dalam 6 bulan pertama tahun hadapan. Bagi tujuan ini, RM1 Juta akan diperuntukkan melalui Tabung Selangor Bangkit.

Pembangunan masyarakat Orang Asli dalam Negeri Selangor sentiasa diperkukuh dan diperkasa bagi memastikan masyarakat Orang Asli lebih berdaya saing dalam arus globalisasi yang kian mencabar. Dalam memastikan masyarakat Orang Asli mendapat kesejahteraan dan keselesaan dalam arus kemodenan, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sejumlah RM1 Juta pada tahun 2025 bagi memberi tumpuan kepada kebajikan masyarakat Orang Asli khususnya untuk membaik pulih kediaman-kediaman mereka. Komuniti Mah Meri merupakan satu daripada 18 komuniti orang Asli yang menetap di Semenanjung Malaysia. Perkampungan Budaya Mah Meri di Pulau Carey menjadi salah satu tarikan kepada pengunjung dan pelancong dari dalam dan luar negara. Namun begitu, pentadbiran ini mendapati kawasan tersebut mengalami kekangan untuk menampung kehadiran pelancong yang tinggi terutama pada musim pelancongan ataupun cuti perayaan. Demi memastikan Perkampungan Budaya selesa bukan sahaja untuk pengunjung tetapi bagi komuniti Mah Meri, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM1 Juta bagi meningkatkan kemudahan di samping mengekalkan keaslian dan keunikan perkampungan budaya Mah Meri di Pulau Carey, Kuala Langat.

Program Kebajikan Masyarakat India

Kerajaan Negeri komited dalam membantu meringankan beban ibu bapa pelajar india. Bagi memastikan kebajikan golongan B40 masyarakat India terus dibela, dua program utama akan diteruskan di bawah inisiatif di bawah inisiatif Pembangunan Pendidikan Masyarakat India pada tahun 2025 iaitu program Sumbangan Subsidi Tambang Bas Sekolah dan Program Bantuan Yuran Pengajian Pelajar India B40 dengan anggaran peruntukkan sebanyak RM1.185 Juta. Program Sumbangan Subsidi Tambang Bas Sekolah mensasarkan pelajar SJKT di Negeri Selangor daripada keluarga berpendapatan bulanan seisi rumah sebanyak RM2,000.00 ke bawah dengan pemberian sumbangan tunai sebanyak RM300.00 keapda setiap pelajar setahun. Sementara itu, pelajar India B40 yang berjaya melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta pula akan terus dibantu melalui Program Bantuan Yuran Pengajian Pelajar India B40. Di bawah program ini, bantuan sehingga RM5,000.00 bagi jurusan Ijazah Sarjana Muda dan RM3,000.00 bagi jurusan Diploma diberikan secara one-off kepada setiap pelajar sepanjang tempoh pengajian dan disalurkan terus kepada bendahari IPTA dan IPTS terbabit.

Teras Keempat, Menjuarai Tadbir Urus Cekap Dan Berwibawa. Segala bentuk perancangan yang telah saya gariskan sejak awal tadi, baik usaha membugar aktiviti ekonomi, mahupun menerapkan pendekatan mampan dalam pengurusan sumber alam serta naik taraf infrastruktur ataupun dari segi penyampaian program-program pemberdayaan rakyat supaya sampai kepada sasaran yang tepat, kesemua ini sukar untuk kita laksanakan sekiranya tekad dan minda setiap anggota dan pegawai yang

berkhidmat di dalam Pentadbiran ini tidak menjiwai kepentingan untuk kita di Selangor bertindak dengan lebih pantas ataupun mampu mengadaptasi gaya fikiran dan budaya kerja selaras dengan keperluan zaman. Apabila kita merujuk kepada kecerdasan buatan ataupun AI, sudah pasti terdapat sekelompok besar masyarakat yang teruja dan melihat masa depan yang lebih positif dengan potensi perkembangan dunia AI. Pada masa yang sama, kita harus mengakui bahawa terdapat juga satu lagi kumpulan rakyat yang mungkin resah, gelisah dan bimbang terhadap risiko mereka menjadi mangsa kepada teknologi automasi ataupun menjadi mangsa kepada AI. Saya teringat kepada karakter Captain James T. Kirk yang mengemudi USS Enterprise dalam siri yang bernama Star Trek dan diterbit oleh Gene Roddenberry. Dalam cerita tersebut yang berlaku pada abad ke-23, Kirk diamanahkan untuk dengan izin “to seek out a new life and new civilisations, to boldly go where no man has gone before”. Asas cerita tersebut adalah bagaimana teknologi dan mesin futuristik mengupayakan manusia untuk meneroka peluang kehidupan baharu, meneroka alam baharu, dan cara manusia menentukan perkembangan dan fungsi teknologi yang membawah manfaat kepada masyarakat. Di satu sisi yang lain pula, keresahan dalam kalangan masyarakat terhadap risiko AI mengembalikan saya kepada nasib si Neo, seorang pakai komputer yang dilakonkan oleh Keanu Reeves dalam filem yang bertajuk The Matrix. Pada awal abad ke-21, manusia telah membangunkan teknologi dan mesin yang pintar dan selepas mesin-mesin ini berkembang dan membina daya fikiran sendiri, perang tercetus antara kumpulan mesin ini dengan manusia. Kesemua manusia akhirnya terperangkap dalam The Matrix sebuah realiti simulasi yang kemudiannya mengawal fikiran dan tubuh setiap orang, sebelum Neo dan kelompoknya terpaksa bangkit dan lawan terhadap geng robot yang berlegar.

Saya bukan ingin berkata kita akan menolak tetapi kita perlu bertindak dan elak daripada tiba ke senario ekstrem yang menjadi nasib manusia di dalam dunia The Matrix di mana masa hadapan dan kehidupan manusia ditentukan oleh mesin-mesin dan teknologi yang kita bina. Kita juga harus menerima hakikat bahawa segala perkembangan yang baharu akan sentiasa membawa kebaikan tanpa sebarang risiko kemudaratan. Misalnya jika dilihat daripada pengalaman kita bersama dunia media sosial, saya masih ingat zaman awal apabila bermulanya media sosial seperti Twitter dan Facebook di Malaysia pada sekitar tahun 2007 dan 2008.

Pada waktu itu, telefon pintar Blackberry mula dipopularkan. Media sosial dikenali sebagai akaun media sosial yang bergerak secara organik. Kita hanya bergaul dengan orang yang kita kenali. Hari ini, beberapa perubahan besar telah berlaku apabila orang bertanya tentang media sosial, mereka mula bukan dengan soalan akaun tetapi dengan istilah platform media sosial. Daripada bergerak secara organik, kini media sosial dibelenggu dengan dunia dan perkembangan algoritma yang ditentukan oleh oligarki yang bersifat teknofeudalistik. Ini yang melatari kajian terbaharu Jonathan Haidt dalam

judulnya ‘The Anxious Generation’ yang diterbitkan pada tahun ini. Setelah mengkaji generasi muda hari ini, Haidt merumuskan bahawa terdapat 4 faktor yang membawa kepada apa yang beliau ungkapkan sebagai ‘The Anxious Generation’ di mana 4 keburukan utama yang membawa kepada generasi muda hari ini dalam keadaan dipenuhi keresahan iaitu cara dikecualikan secara sosial, kekurangan tidur, kerapuhan perhatian dan yang keempat ketagihan ataupun addictive, addicted. Haidt turut mengatakan bahawa produk yang dihasilkan oleh hanya 3 syarikat – Google, Apple dan Facebook melibatkan kepada ‘ferocious competition to extract attention’ telah membina satu generasi muda yang gelisah dan resah. Pengajaran ini harus kita ambil kira dalam konteks satu gelombang teknologi baharu iaitu AI dan dengan latar belakang ini, pentadbiran ini akan mengemukakan satu kertas putih kecedasan Buatan yang merangkumi beberapa aspek seperti berikut; yang pertama, menilai potensi teknologi kecerdasan buatan yang mampu meningkatkan kecekapan perkhidmatan kerajaan. Kedua, kapasiti untuk mengaudit teknologi baharu AI. Ketiga, menilai kaedah teknologi AI dapat menjadi pelengkap kepada komuniti pekerja tanpa hanya menjadi mangsa automasi seperti yang ditekankan oleh Daron Acemoglu dan pasukan penyelidik di MIT dalam kajian mereka bertajuk “Choosing A Path Of Machines In Service Of Minds” . Keempat meneliti impak kecerdasan buatan terhadap aspek kesenjangan pendapatan, keupayaan dan pendidikan. Kelima, keselamatan siber dan maklumat peribadi serta mengekang kesilapan maklumat ataupun deepfakes, serta penyalahgunaan maklumat. Keenam, menilai keseluruhan aspek risiko Al, termasuk terhadap kesihatan mental, kemudaratan fizikal, hak asasi serta keselamatan rakyat. Yang ketujuh mengangkat prinsip keadilan, akauntabiliti, tadbir urus, ketelusan dan ketahanan. Yang kelapan, meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap sistem dan penggunaan AI. Fokus-fokus ini serta elemen lain yang berkait dengan kecerdasan buatan akan menjadi hala tuju Kertas Putih Kecerdasan Buatan dan pembangunan Kertas Putih ini akan dilaksanakan menggunakan kepakaran dalaman yang diterajui oleh Selangor Research Institute selaku Sektreriat. Hasil kertas Putih kecerdasan Buatan dihasratkan untuk dibentang dan dibahaskan di dalam Dewan yang Mulia pada tahun hadapan.

Semenjak saya diberikan amanah mengetuai pentadbiran ini, sebahagian fokus yang saya bertekad untuk menerapkan di Selangor adalah untuk menumpukan kepentingan untuk melaksanakan segala ikhtiar dan perkara yang kita umumkan. Tidak memadai kalau kita dipandu dengan idea dan visi jika perkara tersebut hanya kekal sebagai dokumen ataupun blueprint, kerana itu akan menyebabkan rakyat hilang kepercayaan akan kemampuan kita sebagai pentadbir yang diberikan amanah untuk membawa kemajuan kepada negeri ini. Antaranya Selangor ingin menjadi pilihan utama pelabur dalam dan luar negara bukan sahaja di Malaysia tetapi di Asia. Ini tidak bermaksud dasar mesra pelabur ini akan mengabaikan rakyat dan komuniti pekerja. Dengan memudahcara proses dan kemasukan pelabur kita dapat menawarkan peluang pekerjaan yang lebih

berkualiti dan bermaruah dengan lebih pantas. Setiap hari dan minggu yang dapat kita jimat adalah tempoh di mana pekerja-pekerja kita baik anak muda dan graduan mahupun warga Selangor yang sudah pun menceburi dunia pekerjaan, dapat bergerak dengan lebih pantas dan memainkan peranan meningkatkan ekonomi negeri. Sehubungan dengan itu, bermula tahun hadapan pentadbiran ini akan memperkenalkan beberapa langkah di bawah Dasar Speed Selangor yang akan memberikan tumpuan kepada industri-industri baharu seperti kecerdasan buatan dan industri sokongan, semikonduktor termasuk elektrik dan elektronik, pembinaan industrial park ataupun pusat industri, perumahan termasuk kategori mampu milik, aeroangkasa, serta bidang pembuatan yang berteknologi tinggi. Selepas usaha ini ditumpukan kepada industri-industri ini, prosedur yang akan dinilai ini kemudian akan dipanjangkan kepada semua proses kerajaan bagi meningkatkan ease of doing business di negeri ini.

Pertama, bagi kawasan industri terancang, tempoh kelulusan kebenaran Merancang bagi kawasan industri terancang akan dipendekkan dari tempoh sedia ada iaitu 3.5 bulan kepada 14 hari dengan syarat kriteria yang ditetapkan dipenuhi disemua 12 Pihak Berkuasa Tempatan telah diarahkan untuk melaksanakan penambahbaikan kepada proses dan prosedur. Kedua, bagi permohonan kebenaran merancang fast track kesemua PBT akan menyeragamkan prosedur masing-masing dan kelulusan akan dikeluarkan dalam 7 hari. Dasar ini akan bermula selewat-lewatnya bulan April 2025. Proses dan prosedur yang mampu ditingkatkan kecekapanya melalui penggunaan teknologi AI dan automasi akan disegerakan. Hasilnya telah kita lihat dalam proses pendigitalan seperti Skim Fast Track oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang dan Express Development Approval oleh Majlis Perbandaran Sepang. Ketiga, pendekatan Industrial Green Lane bagi kawasan industri terancang akan membolehkan pembinaan yang telah mencapai 80% kemajuan di tapak untuk diberikan kelulusan lesen perniagaan dalam tempoh 24 jam setelah Certificate of Completion and Compliance (CCC) dikeluarkan. Keempat, dasar Prerequisite (PR) yang melibatkan semua jenis permohonan pelan pemajuan untuk beralih kepada kaedah yang lebih efisien dan memendekkan tempoh kelulusan dari 99 hari kepada 14 hari dan yang kelima, pendekatan Self Regulation (SR) yang dikhususkan untuk pemajuan yang boleh dikecualikan Kebenaran Merancang seperti pembinaan baharu, perobohan, pendidikan semua dan pengubahan unit rumah kediaman yang tertakluk di bawah sub-seksyen 19(2) Akta Perancang Bandar dan Desa 1976, pembangunan ini, seumpamanya dapat memberikan penjimatan tempoh masa selama 79 hari, iaitu dari 86 hari kepada 7 hari sahaja.

Pembangunan Lembah Klang Raya yang merangkumi empat (4) kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bertaraf bandaraya iaitu Shah Alam, Petaling Jaya, Subang Jaya dan Klang akan terus diperkukuhkan selaras dengan keperluan rejuvenasi bandar-bandar matang agar dapat memenuhi keperluan semasa serta mampu mengadaptasi

kepada cabaran masa hadapan. Sebuah Blueprint Lembah Klang Raya 2035 akan dibangunkan yang mengenalpasti aspek-aspek seperti pembangunan spatial, zon pembangunan ekonomi khas yang tidak bergantung sepenuhnya kepada keluasan tanah tetapi potensi besar teknologi, pembaharuan semula bandar-bandar, serta projek pembangunan komuniti bagi mewujudkan bandar-bandar yang selesa dan sejahtera. Sehubungan dengan itu, Enakmen Selangor Greater Klang Valley turut akan dibangunkan dan dibentangkan bagi penelitian Ahli-ahli Dewan Negeri agar Lembah Klang Raya dapat menjadi model pentadbiran metropolitan pertama di Malaysia. Bagi tujuan itu, sebanyak RM3 juta akan diperuntukkan untuk Selangor Greater Klang Valley.

Ahli Yang Berhormat sekalian, dalam merealisasikan usaha negeri yang menyahut cabaran memasuki gerbang kecerdasan buatan, Selangor tidak boleh berkompromi dalam aspek keselamatan siber. Dari segi keselamatan sistem yang kalis digodam, pengurusan data secara bertanggungjawab dan selamat, sistem yang dioperasikan oleh negeri tidak boleh ditinggalkan zaman dan wajar mampu bertindak proaktif. Melalui pelaksanaan audit keselamatan siber yang sedang berjalan dan akan diteruskan oleh pasukan Cyber Emergency Response Team (CERT) Selangor beberapa usaha tambahan akan berjalan. Antaranya, pemantauan strategik dan pengurusan ancaman siber di semua platform termasuk onboarding agensi-agensi kerajaan bagi tujuan keselamatan maklumat bagi setiap agensi. CERT akan meluaskan tanggungjawab dan keberkesanan mencegah ancaman siber dengan meningkatkan kawalan ketat ke atas akses Pusat Kawalan Keselamatan Siber. Bagi usaha-usaha ini, RM5 juta akan diperuntukkan.

Untuk Penambahbaikan Sistem Penyampaian Perkhidmatan Kerajaan, Ahli Yang Berhormat sekalian, untuk penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan, usaha menambah baik prosedur, proses dan urusan perbelanjaan khazanah negeri harus sentiasa ditambah baik selari dengan keperluan dan peredaran zaman. Bagi memastikan projek-projek berimpak tinggi yang dilancarkan oleh Kerajaan Negeri mahupun perkara yang mempunyai kerjasama pihak swasta satu sistem pengurusan projek berimpak tinggi akan dibangunkan untuk memantau setiap fasa projek, bermula dari waktu pengumuman, agensi yang terlibat, amaun yang diperuntukkan, sehinggalah kepada aspek perancangan dan pelaksanaan termasuk sebarang isu yang menyebabkan kelewatan, kesemua ini akan menjadi nilai tambah kepada pentadbiran ini dalam usaha menguruskan projek-projek yang berimpak tinggi seperti yang digariskan di dalam Rancangan Selangor Pertama serta Rancangan-rancangan yang akan datang. Sistem ini juga boleh berfungsi kepada sistem pelaporan dan meningkatkan akauntabiliti Kerajaan kepada semua pemegang taruh, serta menjadi saluran maklumat rasmi, tepat dan sahih berkenaan dengan projek-projek Kerajaan Negeri. Bagi tujuan ini, sebanyak RM600 ribu akan diperuntukkan dan insyaAllah akan siap pada tahun 2025.

Sistem Tender Online yang telah diguna pakai di Selangor dan telah melalui 3 kali penambahbaikan akan dioptimumkan bagi memberikan manfaat kepada agensi berikut; yang pertama penyelarasan proses penilaian bagi perolehan secara berpusat melalui Sistem Tender Online Selangor. Yang kedua, mengurangkan kos pembangunan baharu dan mengelakkan pertindihan sistem supaya setia agensi tidak perlu menambah tanggungjawab pembangunan ataupun pengurusan sistem. Ketiga, meningkatkan ketelusan semasa proses penilaian dalam perolehan. Bagi tujuan ini, RM523,800 akan diperuntukkan.

Ahli Yang Berhormat sekalian kita ke Teras Kelima, Ekonomi Kebudayaan dan Pembangunan Generasi Muda. Ekonomi dan kebudayaan serta pembangunan generasi muda merupakan suatu komponen penting yang sering dipandang enteng. Sewajarnya kita meluruskan pemahaman kita berkaitan kepentingan kebudayaan dan aktiviti yang merancakkan penglibatan anak muda dalam ekonomi. Sebelum ini gig economy sering disebut-sebut sebagai suatu sektor baharu serta dianggap sebagai alternatif kepada pekerjaan konvensional. Namun, kita mungkin perlu melakukan suatu anjakan paradigma, dengan berusaha membesarkan kek ekonomi sekali gus memastikan adanya penciptaan nilai atau yang disebut Mariana Mazzucato sebagai value creation. Waima masih di peringkat awal, kita sedang menyediakan asas-asas penting kepada penyempurnaan cita-cita ekonomi kebudayaan. Ada beberapa program utama yang telah disenaraikan bagi menjayakan teras ini seumpamanya Tahun Melawat Selangor 2025, menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, Festival Kesenian Islam termasuklah siri Majlis Selawat Darul Ehsan, Festival Turath Islami, Kejohanan Antarabangsa Pickleball Selangor dan Pesta Kopi Selangor.

Tahun hadapan, di antara program atau acara penting dalam kalendar negeri adalah Tahun Melawat Selangor 2025. Visit Selangor Year 2025 bakal merancakkan lagi industri pelancongan dengan berjumlah RM8 juta diperuntukkan bagi melaksanakan program promosi dan acara pelancongan di samping melaksanakan kerja-kerja naik taraf lokasi pelancongan bagi menarik minat pelancong dari dalam dan luar negara untuk melawat Selangor. Kempen promosi pelancongan sedang giat dijalankan melalui kempen ‘Surprising Selangor!’ bagi merangsang ekonomi pelancongan domestik khususnya melibatkan produk pelancongan di anjung utara Negeri Selangor yang melibatkan daerah Sabak Bernam hingga Kuala Selangor serta anjung selatan bagi daerah Sepang dan juga Kuala Langat.

Menyedari bahawa sektor pelancongan merupakan antara sektor yang paling lewat untuk pulih pasca pandemik COVID-19, Kerajaan Negeri mengambil beberapa langkah dan keputusan untuk mengurangkan pula duti-duti hiburan agar menggalakkan lebih ramai pelancong hadir ke acara-acara dan program yang berlangsung sepanjang Tahun 2025

sempena Tahun Melawat Selangor. Oleh yang demikian, dasar untuk mengecualikan secara penuh duti hiburan bagi artis tempatan akan diteruskan bagi tahun 2025. Bagi artis antarabangsa pula, duti hiburan akan dikurangkan dari 25% kepada 10% supaya lebih ramai warga Selangor dapat memanfaatkan kehadiran artis dan persembahan antarabangsa untuk memeriahkan lagi industri kreatif dan muzik di Selangor. Bagi tahun 2025, dasar yang baharu akan diperkenalkan iaitu mengurangkan duti hiburan bagi pameran bertiket daripada 25% kepada 15% sempena Tahun Melawat Selangor 2025. Kesemua ini dianggarkan membawa implikasi kewangan yang tidak dapat dikutip berjumlah RM13.17 juta sepanjang tahun 2025. Meskipun begitu, pentadbiran ini percaya penjimatan di tangan pengguna mampu membawa kebaikan kepada pengusaha-pengusaha kecil dan sederhana yang beroperasi sepanjang pementasan dan konsert sambil memupuk lebih ramai generasi muda untuk mencungkil bakat masing-masing.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, program pembangunan sukan berprestasi tinggi memerlukan peruntukan yang mencukupi bagi menjamin kesinambungan dan kejayaan seseorang atlet. Ianya perlu dimulakan di peringkat akar umbi, diperkembangkan bakat dan pengukuhan barisan pelapis hingga ke peringkat elit. Pelbagai faktor perlu diambil kira bagi memastikan keperluan pembangunan sukan prestasi tinggi dipenuhi antaranya kejurulatihan, sokongan sains sukan, pengurusan teknologi maklumat serta data, peralatan latihan dan pertandingan, pakej latihan atlet seumpama elaun pendedahan kejohanan dalam dan luar negara serta infrastruktur tempat latihan. Untuk melahirkan atlet berkualiti bagi mewakili negara pada masa hadapan, Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) akan terus melaksanakan program-program pembangunan sukan. Program ini berupaya untuk mencungkil bakat-bakat baru dari akar umbi secara menyeluruh di negeri Selangor dan melibatkan keseluruhan pemegang taruh yang terlibat selain melakukan persiapan untuk menjadi tuan rumah SUKMA 2026. Dalam memastikan keperluan tersebut dapat disediakan Kerajaan Negeri Selangor akan menyediakan memperuntukkan sejumlah RM6 juta untuk pelaksanaan Program Pembangunan Sukan bagi memastikan persiapan rapi Kontinjen Selangor bagi menghadapi Sukan Malaysia ke-22 bagi tahun 2026. Negeri Selangor telah diamanahkan sebagai Tuan Rumah Temasya SUKMA pada tahun 2026. Negeri Selangor menjadi Tuan Rumah Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) adalah 26 tahun yang lalu tahun iaitu pada tahun 1998. Edisi SUKMA tersebut mencatatkan sejarah kerana Kontinjen SUKMA selain menjuarai temasya tersebut malah memperolehi pungutan sebanyak 80 pingat emas dan rekod tersebut kekal sehingga kini tidak tercabar. Justeru kita percaya dengan peruntukan yang lebih, akan cukup akan membantu menjadi hos ataupun menjadi tuan rumah pada tahun 2026 nanti dan peruntukan keseluruhan untuk MSN RM25 juta.

Mengambil iktibar daripada kejayaan Selangor Red Giants yang mengalahkan Falcons AP Bren Sport 4-2 dalam pertandingan Mobile Legends Bang Bang 2024. Inilah waktu untuk kita membina ekosistem yang lebih menyeluruh serta fasiliti sukan yang mampu mengasah bakat-bakat dalam kalangan anak-anak muda Selangor. Justeru tambahan kepada itu, selepas kemenangan Selangor Red Giants, nama Selangor semakin dihormati dan disegani dalam dunia e-sports. Saya juga yakin lebih ramai anak muda bakal menceburi bidang ini tidak lama lagi. Ini memberikan peluang untuk Selangor menjadi hos kepada pertandingan-pertandingan e-sports di peringkat ASEAN dan antarabangsa, dan bagi maksud ini, Kerajaan Negeri akan mengubahsuai Hotel Carlton untuk dijadikan Gedung E-Sports Selangor dan Malaysia serta pembangunan industri e-sports dengan peruntukan sebanyak RM1 juta.

Sejak berakhirnya kemuncak pandemik COVID-19, sebahagian besar masyarakat seluruh dunia, terutamanya generasi muda, mula menghargai dan mementingkan gaya hidup yang lebih sihat melalui sukan. Antara sukan yang telah mengalami ledakan di Malaysia dalam tahun ini adalah sukan pickleball. Meskipun saya secara peribadi belum lagi menceburi bidang pickleball ini, saya meneliti beberapa ahli di dalam Dewan yang Mulia ini, di sebelah sana mahupun di sini sudah mula terjebak dengan sukan ini. Hatta, saya difahamkan Timbalan Speaker antara yang paling aktif mempromosikan sukan ini dan bermain sukan ini. Mungkin ada hasrat lain di sebaliknya kerana melibat populasi penyertaan pickleball itu sangat meriah. Antara faktor penarik pickleball adalah cara dan budayanya yang inklusif, tidak kira muda ataupun warga emas, lelaki atau wanita, kesemua dapat menyertai dan mula mengangkat paddle dengan pantas. Sudah pasti, menjadi pakar memerlukan kepakaran teknik, latihan, dan kegigihan yang tinggi. Meskipun sukan ini bermula di Amerika Syarikat, beberapa pakar menganjurkan atau mengunjurkan bahawa Asia akan menjadi medan pickleball dunia dengan penambahan 100 juta pemain baharu dalam tempoh 5 tahun termasuk Timbalan Speaker. Selaras dengan hasrat menarik lebih ramai pelancong sempena Tahun Melawat Selangor 2025, pentadbiran ini akan menganjurkan Pesta Pickleball Selangor merangkumi Kejohanan Terbuka Antarabangsa Pickleball Selangor, pertandingan di sekolah serta di daerah bagi meningkatkan minat dalam kalangan orang muda serta melahirkan bakat-bakat baharu yang terpendam serta boleh diadakan pertandingan persahabatan pembangkang lawan kerajaan dalam pickleball. Pihak-pihak Berkuasa Tempatan juga akan bermula menambah fasiliti gelanggang pickleball di taman-taman awam dengan menukar gelanggang badminton yang terletak di ruang terbuka supaya memandangkan sukan badminton lebih elok difokuskan di kawasan-kawasan tertutup atau dewan tertutup. Tambahan kepada itu, Selangor berhasrat menjadi negeri pertama yang menganjurkan sukan pickleball di dalam Sukan Malaysia selaku hos 2026, insyaAllah. Untuk maksud ini, sebanyak RM1 juta diperuntukkan untuk Pesta Pickeball Selangor.

Selangor Coffee Festival, dunia kopi bukanlah suatu perkara yang asing bagi negeri Selangor. Dengan wujudnya pelbagai bentuk kedai dan produk kopi, serta sebagai sebuah pusat yang membolehkan industri kopi dari negara lain berkembang dengan pesat, Selangor juga harus mula mengorak langkah sebagai salah satu pemain dalam dunia kopi tanpa hanya menjadi pengguna terakhir. Dengan membawa tema ASEAN serta mengambil peluang Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia, dan mengambil iktibar pesta-pesta kopi terkenal seperti London Coffee Festival dan Nordic Coffee Fest, Kerajaan Negeri akan menganjurkan Selangor Coffee Festival buat julung kalinya pada tahun 2025. SELCOF atau Selangor Coffee Festival akan menjadi tapak untuk barista-barista membangun, ruang untuk meneroka industri bijirin kopi yang lebih mampan, serta meneliti pergerakan dan perkembangan teknologi kopi di samping menganjurkan ASEAN Barista Championships sebagai peluang untuk barista-barista Selangor untuk membangun dan bersaing dengan pakar-pakar dunia kopi di seluruh Asia Tenggara. Bagi menjayakan Selangor Coffee Festival 2025, sebanyak RM1 juta diperuntukkan.

Festival Kesenian Islam, pada tahun hadapan, dan sebahagian daripada satu lagi aktiviti Tahun Melawat Selangor, Kerajaan Negeri akan menganjurkan Festival Kesenian Islam kerana kandungan Islamik yang bermutu dan mempunyai sejarah kaya wajib diperbanyakkan. Tradisi keilmuan Islam berasaskan turath atau kitab muktabar seharusnya menjadi tumpuan, bukannya kandungan TikTok yang menghasut, menimbulkan perpecahan atau kekeliruan. Oleh kerana itu kita bertekad menjadi pemangkin kepada hasrat tersebut. Kita juga berhasrat mencipta suatu kitaran ekonomi dengan kehadiran yang mencecah ratusan ribu seumpama Majlis Darul Ehsan Berselawat dan pelbagai program lain. Untuk tujuan ini, sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan untuk tahun 2025.

Terjemahan Darul Ehsan, Negeri Selangor meneruskan karya-karya, meneruskan usaha menterjemahkan karya-karya utama untuk mencambahkan perkembangan ilmu. Usaha terjemahan ini merupakan suatu ikhtiar warisan lama Tamadun Islam. Ratusan tahun lampau ulama dan ilmuwan Islam menterjemahkan karya-karya Greek serta tamadun lainnya ke Bahasa Arab dan ini telah membantu ledakan ilmu di dunia Islam. Waima percambahan ilmu yang hebat, Dunia Islam tidak sesekali tergugat citra Islamiknya malahan ianya menjadikan ulama Islam lebih berkeyakinan dan wibawa di pandangan ilmuwan tamadun lain. Justeru kita meneruskan usaha penterjemahan dengan memperuntukkan sebanyak RM 2 juta. Selain itu bersempena Kepengerusian ASEAN 2025, sebanyak RM 500 ribu daripada RM2 juta tersebut akan diperuntukkan untuk menterjemah dan menerbitkan buku-buku yang berkaitan tokoh, pandangan dan pemikiran ASEAN yang merupakan antara wilayah dan juga daerah yang sedang membangun dan dipandang mulia pada waktu ini.

Bagi memastikan kelangsungan pembangunan belia terus dilaksanakan hingga ke peringkat akar umbi, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sejumlah RM2.8 juta. PeBS berperanan sebagai penghubung antara Kerajaan Negeri dan golongan belia bagi memastikan golongan belia di negeri ini mempunyai platform dalam usaha memperkasakan agenda belia melalui PeBS. Ini bergerak sehingga peringkat Zon Ahli-ahli Majlis Tempatan di setiap PBT. Bagi tujuan program-program, syiling peruntukan akan ditingkatkan daripada RM6,000 bagi setiap pemimpin PeBS kepada RM10,000 pada tahun hadapan, tahun 2025.

Kebudayaan Dan Adat Warisan, Negeri Selangor sentiasa mendukung dan memartabatkan seni budaya dan warisan negeri dengan meraikan semua kaum serta etnik di sembilan daerah di Negeri Selangor. Ini adalah untuk memastikan kelestarian seni budaya dan warisan di Negeri Selangor dapat diwarisi daripada satu generasi ke generasi. Oleh itu, sepanjang tahun 2024 pelbagai program kebudayaan telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri untuk meraikan kepelbagaian seni dan budaya, membentuk keperibadian negeri seperti Program Fiesta Makanan Warisan yang telah menonjolkan makanan-makanan warisan di Negeri Selangor, Program Pesta Rentak Selangor yang telah menampilkan penggiat-penggiat seni anak Selangor dan Program Silang Budaya yang telah memperkenalkan dan mempromosikan seni dan budaya Negeri Selangor di peringkat antarabangsa. Oleh itu, pada tahun 2025 Kerajaan Negeri akan terus memperkasakan Program Rentak Selangor yang telah menjadi identiti kepada program-program kebudayaan di negeri ini sebagai promosi kepada Tahun Melawat Selangor 2025. Kerajaan Negeri akan menganjurkan beberapa program utama yang memberi fokus untuk memartabatkan elemen dan identiti Negeri Selangor seperti seni muzik cempuling, seni tari Joget Selangor dan seni Tekstil Kelingkan. Penganjuran program-program kebudayaan ini dengan kerjasama strategik Badan Bukan Kerajaan (NGO), penggiat-penggiat seni Negeri Selangor akan dimanfaatkan dengan peruntukan RM1.3 juta pada tahun 2025.

Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Keusahawanan komited dalam merancang dan melaksanakan pelbagai bentuk program, latihan, promosi serta pemberian geran bagi menggalakkan pertumbuhan ekosistem keusahawanan di Negeri Selangor selaras dengan Rancangan Selangor Pertama. Justeru bagi tujuan tersebut sejumlah peruntukan pembangunan disediakan bagi setiap tahun dalam memperkasakan dan melahirkan usahawan berjaya di Negeri Selangor. Antara program-program sedia ada yang telah memberi manfaat kepada usahawan Negeri Selangor dan akan diteruskan pada tahun 2025 adalah seperti yang berikut; yang pertama Dana Usahawan Madani Selangor, Dana Usahawan Mikro yang dulu dikenali Dana Usahawan Mikro Pada tahun 2025 akan diteruskan dengan peruntukan berjumlah RM2 juta dan terus memberi manfaat kepada lebih ramai usahawan mikro di Negeri Selangor. Yang kedua, Latihan Keusahawanan.

Pada tahun 2025 program in iakan diteruskan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1juta. Yang ketiga Promosi Usahawan. Sebanyak RM1juta diperuntukkan untuk Kerajaan Negeri Selangor bagi menggalakkan dan menyokong usahawan-usahawan Negeri Selangor yang mempunyai potensi menembusi pasaran dalam dan luar negara. Yang keempat, Program Pembangunan dan Pengkomersialan Produk. Pada tahun 2025, sebanyak RM400,000 disediakan oleh Kerajaan Negeri dalam menggalakkan pengkomersialan produk usahawan Negeri Selangor dengan usaha sama dalam usaha sama produksi filem, drama dan iklan tempatan. Yang seterusnya kelima, Program Pembangunan Usahawan Mikro Melalui Kerjasama Agensi Kerajaan dan Agensi Bukan Kerajaan. Program Pembangunan Usahawan Negeri Selangor akan diteruskan dengan kerjasama Youth Community (SAY) melalui program sedia ada seperti SAY ASPIRE dan SAY LEAD yang membangunkan usahawan eksport dan usahawan yang terdiri daripada golongan OKU.

Selangor merupakan satu-satunya negeri yang telah menyediakan sebuah platform promosi dan direktori digital secara percuma untuk semua usahawan-usahawan mikro di Negeri Selangor. Bagi tahun 2025, suatu manfaat baru iaitu U-PLATS Expand akan mula dilaksanakan. Antara program yang akan ditawarkan dalam U-PLATS Expand ini adalah satu program kerjasama bersama Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS). Peniaga yang telah dilatih di fasa 1 dan 2 akan dibimbing mengembangkan perniagaan mereka ke seluruh Malaysia dan seterusnya ke peringkat antarabangsa. Bagi tujuan tersebut, sebanyak RM5 juta akan diperuntukkan untuk tahun 2025 bagi memperkasa perusahaan mikro kecil sederhana di Negeri Selangor.

Tuan Speaker, Ahli-Ahli Dewan yang saya kasihi sekalian, ketika kita melangkah ke hadapan untuk membina Selangor yang lebih makmur dan dinamik, penting untuk kita ingatkan bahawa kekuatan ekonomi kita tidak hanya bergantung pada kekayaan atau sumber semata-mata, tetapi pada keterangkuman dan keadilan institusi kita. Seperti yang ditegaskan oleh pemegang Hadiah Nobel Ekonomi 2024 yang terkenal, Daron Acemoglu, negara berkembang apabila mereka mengamalkan institusi yang inklusif, yang merangkumi, yang merangkul dan mendapatkan penyertaan segenap lapisan rakyat. Institusi yang memberi kesan atau memberi kuasa kepada setiap rakyat untuk menyertai kehidupan politik dan ekonomi masyarakat. Di Selangor, kita percaya kepada ekonomi yang menyediakan peluang untuk semua. Bukan hanya kepada golongan tertentu, kami bertekad untuk melaksanakan dasar-dasar yang membuka peluang kepada pendidikan, keusahawanan dan pekerjaan untuk setiap individu tanpa mengira latar belakang. Ini bukan saja perkara yang betul untuk dilakukan, ini adalah pemangkin kepada pertumbuhan yang mampan dan jangka masa panjang. Mutakhir ini sering kali kita mendengar istilah disruption dilaungkan. Ia bukanlah sesuatu yang baru. Ahli ekonomi Joseph Schumpeter pernah memperkenalkan konsep pemusnahan kreatif. Dalam

kariernya “Capitalism, Socialism and Democracy” (1942), beliau menyebutkan the process of creative destruction is the essential fact that capitalism. It is what capitalism consist of what, and what capitalist concern has got to live in. Waima demikian, sementara Acemoglu dan lain-lain mungkin positif mengenai The Gale of Creative Destruction ataupun badai kencang pemusnahan kreatif, Shumpeter memberikan amaran bahawa tatkala inovasi baru menggantikan yang lama, mengubah landskap ekonomi dan industri, ianya sesuatu yang disruptive, mengganggu serta menjengkelkan.

Kita akur inovasi mengubah cara kita hidup dan bekerja dan ia adalah pemacu kepada ekonomi yang lebih maju. Akan tetapi kita akan mengabaikan humane economy ataupun ekonomi manusiawi yang pelan selalu diungkapkan oleh Perdana Menteri terutama dalam bukunya ‘Gelombang Kebangkitan Asia’. Di Selangor, kita tidak takut akan perubahan. Kita akan terus menggalakkan inovasi, menyokong perusahaan baru dan mempromosi industri masa depan. Walaupun kita sedar mungkin mencabar status quo pada hari ini. Ini adalah langkah penting untuk mewujudkan pekerjaan yang lebih baik dan ekonomi yang lebih dinamik. Namun tiada apa yang dapat dicapai tanpa sesebuah kerajaan yang kuat dan bertanggungjawab. Sebuah kerajaan yang menjaga rakyat, yang menguatkuasakan undang-undang secara adil dan beroperasi dengan telus seperti yang ditegaskan oleh Acemoglu dalam Why Nation Fail?, Apabila kerajaan kuat tetapi tidak inklusif, ia berisiko menjadi apa yang beliau sebut extractive ataupun iaitu apabila kuasa dan kekayaan menumpu centralized ianya hanya akan menyedut menjadi kerajaan pelahap, rent seeker demi kepentingan elit semata tanpa menambah nilai kepada ekonomi dan negara.

Speaker, visi kita untuk Selangor adalah sebuah kerajaan yang berkeupayaan dan bertanggungjawab yang berkhidmat kepada rakyat dengan cekap dan wibawa. Acemoglu mengingatkan kita bahawa masyarakat yang maju dibina atas kemajmukan politik. Di Selangor kita mengiktiraf bahawa kekuatan kita terletak pada kepelbagaian dalam komuniti, suara dan bakat yang membentuk negeri kita. Kita akan terus melaksanakan dasar-dasar yang memperkasa masyarakat untuk mengambil bahagian dalam pembuatan keputusan, memastikan pentadbiran adalah dikongsi bersama dan tidak tertumpu segelintir pihak saja. Pentadbiran ini juga menyedari situasi global yang semakin berubah dan mencabar. Kali terakhir saya berdiri dan membentangkan belanjawan negeri tahun lalu, seluruh dunia sedang bergelut dengan situasi Perang Russo-Ukraine yang ketika itu seakan-akan menyebelahi Ukraine. Kita juga tidak menyangka kezaliman rejim Zionis Israel terhadap warga Palestin terutama di Gaza dan di West Bank akan menjadi genosid sehingga hampir mencetuskan perang serantau di Timur Tengah dengan kemasukan secara aktif Iran dalam medan pertempuran. Keputusan pemilihan Presiden Amerika Syarikat sedikit sebanyak terkait dengan kedua-dua perang aktif ini serta kemaraan negara China yang menyebabkan dunia hari ini

bergerak dalam konfigurasi baharu iaitu multipolar berbanding unipolar yang dianggap oleh sesetengah pemikir suatu ketika dahulu. Penting untuk kita sebagai pentadbir dan pemimpin untuk mengambil pengajaran dan kesan serta sebarang kemungkinan geopolitik kerana ketamadunan manusia tidak mampu merisikokan perang dunia ketiga. Mungkin sebahagian besar daripada kita yang tidak hidup dalam keadaan perang seperti nenek moyang kita dahulu pada awal abad ke-20 sehingga pertengahan 1945. Tetapi kini, apabila Doomsday Clock sebuah usaha oleh Bulletin of Atomic Scientists sedang menunjukkan bacaan dengan izin, 90 seconds to midnight disebabkan beberapa perang proksi yang sedang berlaku, bacaan ini menunjukkan betapa dekat atau jauhnya dunia kita berada sebelum dibinasakan akibat perang nuklear. Untuk perbandingan, apabila perang dingin berakhir pada tahun 1991, Doomsday Clock merekodkan bacaan 17 minutes to midnight. Dengan latar belakang ini, beberapa komentar baru-baru ini mengatakan bahawa a nuclear arms race is beginning. Baru-baru ini saya meneliti tulisan Pulitzer Prize Finalist Annie Jacobson yang bertajuk Nuclear War: A Scenario yang menunjukkan betapa pantas dan mudahnya dunia akan berakhir dengan bermulanya satu bom nuklear daripada mana-mana negara. Meskipun sebahagian besar daripada kita di dalam Dewan ini tidak hidup dalam perang biasa, kita telah pun melalui perang dengan the unseen enemy sewaktu bertarung dengan virus Covid-19. Kita masih ingat kengerian hidup dalam ketidaktentuan hidup secara berasingan, hidup dengan risiko kematian.

Di Selangor, meskipun kita bukan kuasa nuklear ataupun tidak terlibat secara langsung dengan konflik yang sedang berjalan, dengan kuasa-kuasa besar di seluruh dunia kita wajar menyatakan pandangan, kita wajar berpendirian teguh perang bukan satu option walau apa pun yang berlaku. Keamanan dan kesejahteraan adalah satu-satunya pilihan kita. Sebagai satu masyarakat yang bertamadun, kita mempunyai perjalanan dan ruangan yang jauh lagi untuk dijalani. Sebaliknya kita harus bersatu dan mencari solusi yang berkesan untuk mendepani cabaran perubahan iklim, cabaran di era ekonomi yang menyebabkan sekelompok rakyat merasakan nasib mereka tidak diperjuangkan oleh pimpinan seperti yang kita lihat di negara-negara maju, sebuah sistem ekonomi yang berasaskan teknologi tapi belum mengangkat maruah rakyat di bawahnya. Belum lagi kita bicara tentang cabaran negara maju seperti masyarakat menua, rejuvenasi bandar-bandar matang, sistem pengangkutan yang menggerakkan manusia dan bukannya kenderaan. Permasalahan dasar seperti ini seharusnya menjadi titik persamaan dan menyatukan manusia dari seluruh pelosok dunia untuk bersama-sama supaya kita mencapai hasrat kehidupan yang mampan dan kebaikan di dunia. Di Selangor, di ASEAN, kita harus berani untuk tampil berprinsip dengan nilai tersendiri dan elak daripada korupsi moral seperti yang sedang kita lihat di negara-negara ekonomi maju tetapi sistem politik dan demokrasi sedang digelak ketawakan oleh seluruh dunia. Itu yang mendorong pentadbiran ini untuk mencari keseimbangan emas di antara meneroka

peluang baharu seperti kecerdasan buatan dan semikonduktor, mementingkan kemampanan dengan industri tenaga serta inisiatif semula di samping beberapa program bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat agar pendapatan boleh guna mereka meningkat dari bulan ke bulan. Di Selangor, ayuh kita bersama melakukan pertumbuhan inklusif, inovasi, institusi yang kuat tadbir urus yang dikongsi, kita akan membina masa depan yang lebih cerah untuk Selangor.

Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, saya juga hari ini ingin merekodkan ucapan bangga dengan pencapaian keseluruhan pentadbiran penjawat awam Negeri Selangor. Kalau kita lihat dari angka yang saya sebutkan tadi, kita telah mencapai empat tahun berturut-turut capaian hasil kita melebihi daripada sasaran yang telah ditetapkan. Ini terhasil, saya percaya disebabkan oleh kesungguhan komitmen yang bersungguh-sungguh dan juga fokus yang telah ditunjukkan oleh seluruh pentadbiran di dalam Negeri Selangor dalam memastikan negeri ini terus berdaya saing serta mampu untuk mengangkat maruah rakyat, meningkah dan bangkit dan bingkas daripada sebarang perubahan-perubahan dan juga cabaran-cabaran mendatang. Justeru, kita telah mengumumkan peruntukan BKK sebelum ini yang telah diterima adalah sebanyak satu setengah bulan di mana setengah bulan pada bulan Februari yang lalu, satu bulan sebelum Aidilfitri yang lepas dan suka saya ingin mengumumkan BKK yang akan dilaksanakan pada tahun ini adalah tambahan lagi dua bulan kepada seluruh penjawat awam Negeri Selangor yang meliputi pelbagai syarat-syarat yang telah kita tetapkan. Satu bulan akan dibayar pada 30 haribulan Disember tahun 2024 dan satu bulan lagi akan dilunaskan pada 25 Mac sempena dengan menyambut sambutan Aidilfitri dan juga persiapan Hari Raya.

Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, aya telah berdiri hampir tiga jam membentangkan Belanjawan Negeri Selangor Tahun 2025 dengan tujuan dan harapan supaya kita dapat memastikan dampak dan juga keupayaan negeri terus berkembang pada hari ini dan pada masa depan. Dan kita percaya dengan perbahasan yang matang, dengan perbincangan yang meluas daripada seluruh Ahli Dewan akan menghasilkan natijah yang baik untuk negara dan negeri ini. Saya akhiri dengan 2 pantun;

Negeri indah lagi diberkati, Tempat berteduh assyaerah mathoridi, Ayuh sekalian bersatu hati, Aman dan makmur kekal dan abadi.

Sembilan daerah menjadi negeri, Aman makmur untuk dihuni, Selangor namanya telah diberi, Cita sempurna negara madani.

Saya mencadangkan, Yang Berhormat.

Tuan Ng Sze HanDAP · PHKinrara

Tuan Speaker, saya menyokong.

Speaker

Ahli-ahli Yang Berhormat, cadangan ini telah pun disokong. Bersesuaian dengan Peraturan Tetap 66 (2), sudah dibacakan Rang Undang-Undang Perbekalan kali yang kedua, perbahasan hendaklah ditangguhkan tidak kurang daripada satu jam. Oleh itu, perbahasan ini ditangguhkan dan Dewan akan disambung semula pada 18 November 2024, jam 10.00 pagi.

(DEWAN DITANGGUHKAN PADA JAM 5.56 PETANG)