Selangor · 18 February 2025
15th Assembly, 3rd session, 1st meeting · 11 turns · 2,970 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalSelangor publishes one PDF per sitting day; recent ones are drafts (Draf Penyata Rasmi). Full written answers are published for 2018-19 only.
(Pembukaan)
Selamat pagi dan salam sejahtera. Aturan Urusan Mesyuarat Bagi Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas pada 18 Februari 2025 dimulakan dengan:
i. Bacaan Doa; dan ii. Proklamasi
(i) Bacaan Doa (Doa dibacakan) (ii) Proklamasi
OLEH DULI YANG MAHA MULIA SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH ALHAJ IBNI AL-MARHUM SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH ALHAJ, DARJAH KERABAT (SELANGOR), DARJAH UTAMA SERI MAHKOTA NEGARA (D.M.N.), DARJAH KERABAT (TERENGGANU), DARJAH KERABAT (KELANTAN), DARJAH KERABAT (PERAK), DARJAH KERABAT (PERLIS), DARJAH KERABAT (NEGERI SEMBILAN), DARJAH KERABAT (KEDAH), DARJAH KERABAT (JOHOR), DARJAH KERABAT (PAHANG), SERI PADUKA MAHKOTA SELANGOR (S.P.M.S.), DATO’ SETIA SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH (S.S.I.S.), SERI PADUKA MAHKOTA JOHOR (S.P.M.J.), DENGAN KURNIA ALLAH, SULTAN DAN YANG DIPERTUAN NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN SERTA SEGALA DAERAH TAKLUKNYA.
BAHAWASANYA Fasal (1) Perkara LXX (70) Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, memperuntukkan bahawa DULI YANG MAHA MULIA SULTAN hendaklah dari semasa ke semasa melalui Proklamasi yang disiarkan dalam Warta memanggil Dewan Negeri:
MAKA OLEH YANG DEMIKIAN, BETA, SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH ALHAJ IBNI AL-MARHUM SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH ALHAJ, DARJAH KERABAT (SELANGOR), DARJAH UTAMA SERI MAHKOTA NEGARA (D.M.N.), DARJAH KERABAT (TERENGGANU), DARJAH KERABAT (KELANTAN), DARJAH KERABAT (PERAK), DARJAH KERABAT (PERLIS), DARJAH KERABAT (NEGERI SEMBILAN), DARJAH KERABAT (KEDAH), DARJAH KERABAT (JOHOR), DARJAH KERABAT (PAHANG), SERI PADUKA MAHKOTA SELANGOR (S.P.M.S.), DATO’ SETIA SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH (S.S.I.S.), SERI PADUKA MAHKOTA JOHOR (S.P.M.J.), DENGAN KURNIA ALLAH, SULTAN DAN YANG DIPERTUAN NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN SERTA SEGALA DAERAH TAKLUKNYA, pada menjalankan kuasa yang diberikan kepada BETA di bawah Perkara LXX (70) Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, DENGAN INI
MEMANGGIL Dewan Negeri untuk bermesyuarat dan menetapkan 18 Februari 2025 hingga 21 Februari 2025, 24 Februari 2025 hingga 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025 dan pukul 10.00 pagi kecuali hari Jumaat pukul 9.30 pagi, sebagai tarikh dan waktu bagi Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Darul Ehsan yang Kelima Belas yang akan diadakan di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam.
DIPERBUAT di Istana Alam Shah, Klang pada 2 haribulan Januari 2025.
Dengan Titah Perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.
Ahli - ahli Yang Berhormat sekalian, Dif-Dif Kehormat dan para jemputan, dengan ini dimaklumkan bahawa Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berkenan untuk menyampaikan Titah Ucapan. Oleh itu saya menempohkan Dewan buat seketika.
Keberangkatan Masuk Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor diiringi Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor serta Y.B. Tuan Speaker.
Dengan segala hormatnya dijemput Y.A.B. Dato’ Menteri Besar Selangor untuk mempersembahkan Titah Ucapan Diraja kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.
Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.
Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan SelangorAddress / budget
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bismillahir Rahmaanir Rahim,
Segala puji ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan iziNya Beta dapat berangkat menyempurnakan Istiadat Perasmian Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Kelima Belas (15) pada pagi ini. Beta bersyukur di atas segala kesejahteraan, kejayaan, keselamatan dan keharmonian yang dinikmati oleh rakyat Beta di Negeri Selangor ini. Beta ingin melihat hubungan sesama rakyat terus diperkukuhkan dan dijauhi dari berpecah belah disebabkan kepentingan politik serta perbezaan bangsa dan agama.
Beta menzahirkan ucapan tahniah kepada Memanda Dato' Menteri Besar di atas pencapaian Prestasi Kewangan Kerajaan Negeri yang mencatatkan rekod hasil tertinggi dalam sejarah pada tahun 2024, iaitu sebanyak Dua Perpuluhan Lapan Enam Tujuh Billion Ringgit (RM2.867 billion). Rizab Kerajaan Beta melalui Kumpulan Wang Disatukan pula merekodkan angka berjumlah Empat Ribu Satu Ratus Tiga Puluh Satu Perpuluhan Tiga Lapan Juta Ringgit (RM4,131.38 juta). Jumlah ini adalah peningkatan sebanyak Lima Ratus Tujuh Belas Juta Ringgit (RM517 juta) daripada tahun 2023, iaitu Tiga Ribu Enam Ratus Empat Belas Perpuluhan Kosong Empat Juta Ringgit (RM3,614.04 juta). Prestasi ini telah menambahkan keyakinan di kalangan pelabur tempatan dan antarabangsa yang membolehkan pelaburan Kerajaan Beta melepasi sasaran keseluruhan tahun 2024.
Kerajaan Beta menyasarkan pelaburan sebanyak Lima Puluh Billion Ringgit (RM50 billion) tetapi berjaya menarik sebanyak Enam Puluh Enam Perpuluhan Tujuh Lima Billion Ringgit (RM66.75 billion) yang berjaya menawarkan sebanyak lima puluh ribu dua ratus dua puluh dua (50,222) peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat Beta di dalam sektor perkilangan, perkhidmatan, dan perusahaan utama. Beta difahamkan Kerajaan Beta telah melaksanakan Program KitaSelangor satu perpuluhan kosong (1.0) dan akan melancarkan Program KitaSelangor Dua Perpuluhan Kosong (2.0) yang memberi penekanan kepada semangat perpaduan rakyat, cekal dan bersedia melakukan perubahan baik. Beta menyokong inisiatif ini yang dijajarkan menerusi sembilan daerah dalam Kerajaan Beta supaya manfaatnya dapat dirasai sehingga ke akar umbi serta mencapai sasaran Selangor sebagai negeri maju dan berdaya saing. Beta maklum bahawa sejumlah Tiga Bilion Ringgit (RM3 Bilion) telah dibentang dan diluluskan di dalam Mesyuarat Ketiga Persidangan Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024 yang telah diadakan pada 15 hingga 28 November 2024 bagi Belanjawan Negeri Selangor 2025. Peruntukan yang telah diluluskan ini adalah untuk memastikan rakyat Selangor dapat mengecapi dan merasai manfaat daripada pelbagai usaha dan inisiatif yang dirangka oleh pentadbiran negeri seiring dengan tema belanjawan Selangor pada tahun ini yakni Selangor Dinamik : Cita Sempurna Malaysia Madani.
Kesediaan Kerajaan Beta untuk memasuki Gerbang Kecerdasan Buatan ataupun Artificial Intelligence adalah langkah yang positif. Kerjasama yang bakal diterokai di antara Kerajaan Beta bersama sektor swasta seperti program Trailblazers mampu menjadi langkah signifikan bagi meningkatkan keupayaan para penjawat awam supaya dapat memahami dengan lebih mendalam aspek kecerdasan buatan. Meskipun industri ini masih baharu, Beta melihat potensi besar untuk perkhidmatan awam menerapkan teknologi ini terutamanya dalam bidang pendidikan, perkhidmatan kewangan, serta kesihatan supaya rakyat menerima manfaatnya. Beta turut menyambut baik usaha Kerajaan Beta untuk mengorak langkah dalam industri semikonduktor yang sedang berkembang secara pantas dengan melihat kepada kejayaan Malaysia Semiconductor IC Design Park One di Puchong, dengan Fasa Dua yang bakal
dibangunkan supaya lebih ramai rakyat Beta yang muda khususnya dapat menikmati peluang pekerjaan yang bakal ditawarkan dalam industri ini.
Penjimatan masa urusan pelabur dan pengusaha dengan Kerajaan Beta dan Pihak Berkuasa Tempatan dari tiga perpuluhan lima (3.5) bulan kepada empat belas (14) hari dan tujuh (7) hari melalui penambahbaikan kepada proses dan prosedur semakan dan kelulusan telah menyebabkan negeri Beta terus kompetitif terutamanya dari segi ease of doing business. Beta difahamkan bahawa Kerajaan Beta akan melaksanakan Zero Discharge Policy bagi tahun 2025 seperti yang digariskan daiam Enakmen LUAS 1999 sebagai langkah memastikan keselamatan dan kemampanan sumber air. Anggaran hasil yang berpotensi adalah sebanyak Satü Ratus Dua Puluh Satu Juta Ringgit (RM121 juta).
Kerajaan Beta turut menyasarkan penerimaan tambahan sebanyak Tujuh Puluh Empat Juta Ringgit (RM74 juta) daripada operator industri air kepada Sembilan Puluh Dua Juta Ringgit (RM92 juta) setahun yang akan diterima oleh negeri bermula tahun ini bagi tujuan penyelarasan kadar caj abstraksi air mentah. Kerajaan Beta juga memperuntukkan Lima Ratus Ribu Ringgit (RM500 ribu) bagi meneruskan agenda Kerajaan Negeri dalam memberi bantuan kepada masyarakat Orang Asli, dan Beta menyambut baik usaha menaiktaraf fasiliti Perkampungan Budaya Mah Meri di Pulau Carey yang bukan sahaja untuk pengunjung tetapi mengiktiraf komuniti Mah Meri sebagai satu daripada 18 komuniti Orang Asli yang menetap di Semenanjung Malaysia.
Beta turut mengambil maklum komitmen Kerajaan Beta untuk meningkatkan kawasan riadah hijau yang lebih luas dan berkonsepkan alam sekitar yang mempunyai fasiliti rekreasi melalui Taman Rakyat Madani di semua dua belas (12) Pihak Berkuasa Tempatan di seluruh Selangor. Kerajaan Beta bertanggung jawab untuk menjaga kelestarian alam dengan menyediakan seratus (100) tempat kitar semula di taman-taman perumahan utama di setiap kawasan Pihak Berkuasa Tempatan supaya bahan buangan yang akan berakhir di tapak pelupusan sampah dapat dikurangkan. Langkah ini juga penting supaya sikap masyarakat dapat dibentuk agar tanggungjawab menjaga alam sekitar dilihat sebagai tanggungjawab bersama.
Bagi memastikan sekuriti makanan rakyat Selangor, Kerajaan Beta melalui PKPS akan meneruskan penganjuran Jualan Ehsan Rahmah (JER) untuk tahun ketiga, dengan lebih tujuh (7) juta rakyat telah menerima manfaat daripada subsidi berjumlah Dua Belas Juta Ringgit (RM12 juta) pada tahun lalu. Program ini akan menjelajah ke seribu tiga ratus empat puluh empat (1,344) lokasi di seluruh Selangor bagi memastikan golongan B40 dapat menikmati barangan pada harga yang lebih berpatutan. Kerajaan Beta telah memperuntukkan sebanyak Enam Puluh Dua Juta Tiga Ratus Ribu Ringgit (RM62,300,000) yang merangkumi Pembangunan Projek Tebatan Banjir, Pembangunan Sistem Saliran,
Pembangunan Lembangan Sungai, Pengurusan Saliran Mesra Alam dan Pembangunan Pantai dengan bilangan program kekal sebanyak satu ratus tiga (103). Penekanan yang serius perlu diberikan kepada projek-projek ini bagi memastikan pengurusan sumber air bergerak seiring dengan arus perubahan global. Dalam menyokong kelestarian bekalan air, Kerajaan Beta telah memperuntukkan sebanyak Dua Belas Juta Ringgit (RM 12 juta) pada tahun 2025 bagi menyiapkan Projek Infrastuktur di bawah Projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) di mana nilai keseluruhan projek ini adalah berjumlah Tiga Ratus Dua Puluh Juta Ringgit (RM320 juta). Kerajaan Beta telah meluluskan pelanjutan tempoh Program Skim Air Darul Ehsan (SADE) untuk tempoh lima (5) tahun akan datang bermula 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2029. Bagi tujuan ini, sebanyak Empat Puluh Juta Ringgit (RM40 juta) diperuntukkan untuk menampung kos bagi penerima air percuma di bawah Skim SADE pada tahun 2025.
Tahun Melawat Selangor 2025 merupakan sebuah langkah strategik untuk mempromosikan Negeri Selangor sebagai destinasi pelancongan yang unggul. Dengan pelbagai tarikan yang menarik, Negeri Selangor menawarkan keindahan alam semulajadi, warisan budaya dan kepelbagaian produk pelancongan yang boleh dipromosikan dan dikomersialkan secara meluas. Kemudahan infrastruktur pelancongan sedia ada juga hendaklah dibuat penambahbaikan, selain aspek kebersihan dan hospitaliti yang mesra pelancong juga amat penting dalam memajukan sektor pelancongan. Kebersihan Negeri perlu dititikberatkan secara berterusan kerana kebersihan adalah cerminan kepada sesebuah komuniti dan masyarakat.
Di bawah perancangan Selangor Mobility, Beta mengambil maklum pentadbiran negeri adalah dalam fasa akhir pelaksanaan Kajian Jajaran Rel Selangor. Meskipun kos jajaran rel seumpama ini semestinya tinggi, Beta ingin melihat supaya Jajaran Rel Kita Selangor dapat direalisasikan supaya lebih ramai rakyat Beta yang menetap di pesisir Pantai Barat seperti Kapar, Jeram, dan Kuala Selangor dapat tiba di Lembah Klang dengan menaiki train. Beta juga mengambil maklum berkenaan kemajuan terkini Projek Pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang melibatkan pembangunan stadium dan fasiliti sukan dengan teknologi terkini serta elemen pintar dan mesra alam di kawasan seluas satu ratus tujuh puluh (170) ekar di Seksyen 13, Shah Alam. Setakat ini, kerja perobohan telah mencapai tujuh puluh perpuluhan kosong dua peratus (70.02%), lebih awal lapan belas (18) hari daripada jadual, dan projek dijangka siap pada Julai 2028 bagi fasa pertama, dan Disember 2029 untuk keseluruhan tiga (3) fasa pembangunan yang dirancang. Beta menyeru kerjasama yang efektif daripada semua pihak agar projek ini akan menjadi mercu tanda penting dalam pembangunan sukan negeri, malah negara.
Dalam kita rancak memperkatakan mengenai hala tuju ekonomi dan pembangunan negeri, Beta tetap mengutamakan pendidikan terhadap rakyat jelata. Fokus utama bagi tahun 2025
adalah bagi memperkukuh kedudukan Selangor sebagai negeri terhadapan dalam memperkasa pendidikan berkualiti dengan pelbagai inisiatif. Pelaksanaan Program Tekad Reformasi Pendidikan yang merupakan hasil kerjasama antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kerajaan Negeri Selangor akan dilaksanakan untuk memperkasa pendidikan di negeri Selangor.
Dari aspek kerohanian, Beta mengambil maklum inisiatif pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memberi latihan kepada ahli jawatankuasa (AJK) serta pegawai masjid dan surau agar tahap kompetensi dan kemahiran tadbir urus masjid menjadi lebih professional serta sasaran untuk menaik taraf dua puluh (20) buah masjid menjadi masjid pengurusan pada tahun 2025. Beta menyokong penuh ikhtiar Kerajaan Beta untuk meneruskan Insentif Haji Selangor dengan memberikan subsidi sebanyak Satu Ribu Ringgit (RM1,000) seorang kepada rakyat Beta yang ingin melaksanakan ibadah Haji di Baitullah.
Beta mengambil kesempatan di sini untuk menyampaikan pandangan peribadi Beta untuk diambil maklum dan tindakan selanjutnya. Pertama sekali, Beta ingin mengingatkan supaya perancangan pembangunan negeri perlu menitik-beratkan program-program yang memberi manfaat kepada rakyat dan bukan yang boleh memberi keuntungan sahaja. Semua wakil rakyat perlulah berkhidmat untuk rakyat dan memikirkan program-program yang boleh membantu dan memberikan kesejahteraan kepada rakyat. Beta ingin melihat kerajaan Beta dan perkhidmatan awam di Negeri Selangor ini melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti, efisien dan berdaya saing. Beta berharap Kerajaan Beta di bawah Mamanda Dato Menteri Besar tidak alpa dalam menghadapi musibah bencana yang berlaku di Selangor dan mengambil langkah proaktif dalam menangani isu bencana seperti banjir dan tanah runtuh. Beta tegaskan sekali Iagi agar pentadbiran negeri melaksanakan perancangan rapi untuk menghadapi isu bencana terutamanya banjir supaya tragedi banjir yang dahsyat tidak berulang Iagi.
Beta ingin melihat Rancangan Tebatan Banjir oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri berjumlah anggaran Satu Perpuluhan Tujuh Tujuh Empat Billion Ringgit (RM1.774 billion) dipercepatkan. Kita tidak boleh melengahkan masa dalam menggerakkan usaha-usaha mitigasi banjir kerana ia boleh menyebabkan kerugian beşar kepada rakyat Beta serta Kerajaan Negeri. Keperluan kepada air bersih oleh rakyat adalah keperluan asas yang tidak boleh dinafikan. Oleh itu, bagi menjamin setiap rakyat mendapat hak kepada air bersih, maka perkhidmatan air perlu diuruskan dengan penuh ketelusan, akauntabiliti, efisien dan tidak mementingkan keuntungan semata-mata.
Selangor, sebagai negeri paling maju dan berpenduduk paling padat di Malaysia, menghasilkan kira-kira tujuh ribu (7,000) metrik tan sisa domestik setiap hari. Dengan kadar pertumbuhan sisa yang dijangka meningkat sebanyak tiga peratus (3%) setiap dua tahun,
langkah strategik amat diperlukan bagi memastikan pengurusan sisa yang lebih lestari dan berkesan. Beta difahamkan pungutan dan pelupusan sampah masih menjadi isu yang perlu ditangani dengan lebih efisien. Teknologi Waste-to-Energy (WTE) wajar diteroka dan dimanfaatkan bagi menukar Sisa pepejal kepada sumber tenaga yang boleh digunakan semula, sekali gus mengurangkan kesan pencemaran alam sekitar dan mengoptimumkan penggunaan sumber yang ada. Kerajaan Beta perlu melihat dan memanfaatkan teknologi ini.
Kepada pegawai kerajaan dan kakitangan penjawat awam yang bertugas di Negeri Selangor ini terutama di Pejabat-Pejabat Daerah dan di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), bertugaslah dengan penuh tanggungjawab dan jauhi amalan rasuah serta penyelewengan. Beta tidak mahu mendengar lagi pemilikan tanah dan pengeluaran lesen perniagaan diselewengkan bagi memenuhi keperluan peribadi. Ketua-ketua jabatan perlulah memastikan salah guna kuasa tidak berlaku di jabatan masing-masing.
Bercakap mengenai keselamatan, Beta menitahkan agar pemasangan CCTV diperbanyakkan di tempat-tempat yang strategik supaya perlakuan jenayah dapat dikesan dengan segera. Di sini Beta menyeru agar pihak berkuasa Polis dan Bomba sentiasa siap sedia menjalankan tugas menjaga keselamatan di Negeri Selangor ini. Negeri Selangor memerlukan perkhidmatan kesihatan yang cekap dan mencukupi, selaras dengan pertambahan penduduk yang semakin pesat. Hospital dan pusat kesihatan perlu ditambah bagi menampung pertambahan penduduk kerana rakyat masih bergantung kepada perkhidmatan kesihatan dari kerajaan, memandangkan kos perubatan swasta amat tinggi. Beta berharap hospital-hospital yang telah lama perlulah dinaik-taraf dan dilengkapi dengan peralatan serta kakitangan yang mencukupi. Beta mengesyorkan supaya Jabatan Kesihatan Selangor dapat berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia mengenai perkara ini.
Beta selaku Ketua Agama Islam di Negeri Selangor amat memandang serius terhadap pembangunan dan kebajikan umat Islam di negeri ini. Beta suka mengingatkan lagi kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) supaya terus membenteras ajaran-ajaran sesat yang menyeleweng dan berusaha mengadakan program-program untuk mengukuhkan lagi akidah umat Islam dengan pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Beta telah menitahkan kepada pihak JAIS supaya mengawasi dan menambah baik sistem Sekolah-sekolah Tahfiz di negeri ini. Beta mahu keadaan fizikal dan fasliliti bangunan dan asrama sekolah-sekolah Tahfiz ini hendaklah dilengkapi dengan aspek keselamatan yang diiktiraf dan alat-alat pencegah kebakaran juga hendaklah berada di dalam keadaan yang baik dan diluluskan oleh pihak Bomba. Sekolah-sekolah Tahfiz yang tidak berdaftar dan tidak memenuhi syarat hendaklah ditutup.
Beta juga ingin mengingatkan supaya anak-anak yatim dan golongan asnaf di Negeri Selangor ini tidak seharusnya diabaikan. Pihak-pihak yang bertanggung jawab harus
mengambil berat dan menjaga kebajikan golongan ini. Pihak JAIS dan juga Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) hendaklah memainkan peranan membantu golongan ini dan memastikan mereka mendapat pendidikan dan keperluan asas yang baik dan sempurna. Keselesaan dan keselamatan tempat tinggal mereka juga perlulah mencukupi dan juga terjamin agar mereka dapat menjalani kehidupan yang normal seperti insan yang lain. Beta berharap tidak ada individu atau kumpulan tertentu yang mempergunakan golongan anak-anak yatim dan asnaf di negeri ini untuk kepentingan dan keuntungan peribadi.
Kita semua sedia maklum, tidak lama lagi kita akan memasuki Bulan Ramadhan yang mulia. Oleh yang demikian, Beta berharap seluruh umat Islam akan dapat menjalani ibadah puasa dan mengambil peluang untuk menambahkan amal ibadat di bulan yang mulia ini. Beta juga telah difahamkan kerajaan Beta ada menyediakan tapak Bazar Ramadhan untuk umat Islam menjual pelbagai jenis juadah untuk berbuka puasa dan persiapan sambutan Hari Raya Aidilfitri. Beta mahu tapak Bazar Ramadan ini diberi kepada mereka yang benar-benar mahu berniaga dan bukan dimanipulasi atau dijual hak pelesenannya oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Penjualan hak pelesenan Bazar Ramadhan kepada pihak ketiga ini akan menyebabkan harga barangan menjadi mahal dan rakyat akan merasa terbeban.
Akhirnya, Beta mengucapkan Selamat Bersidang kepada semua Ahli- Ahli Dewan Negeri Selangor. Ahli Dewan Negeri Selangor harus memberikan fokus kepada perkaraperkara yang penting kepada masa hadapan negeri dan rakyat Beta. Hindarilah sebarang tindakan yang kurang sopan atau membesarkan perkara yang remeh. Sidang Dewan Negeri Selangor harus berlangsung dengan penuh berhemah dan bukannya menjadi medan untuk menabur fitnah, caci-mencaci dan berperangai tidak senonoh. Rakyat sentiasa memerhati dan menilai setiap tingkah-laku Wakil Rakyat yang mereka pilih.
Sekian, Beta berdoa semoga Negeri Selangor dan seluruh rakyat Beta sentiasa dalam lindungan dan rahmat Allah Subhanahu Wata'ala.
Wabillahi Taufik Wal Hidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Demikian tadi Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor. Patik bagi pihak Ahli-ahli Dewan Negeri Selangor sekalian menjunjung kasih di atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor. Dengan ini saya menangguhkan Dewan sehingga hari Rabu, 19 Februari 2025, jam 10.00 pagi. Dewan ditangguhkan.
Dengan hormatnya dijemput Sahibus Samahah Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor diiringi Al-Fadhil Imam Paduka Tuan dan Sahibul Fadhilah Imam Besar Masjid Negeri Selangor untuk membacakan Doa Selamat setelah sempurnanya
Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas.
( DATO’ SERI UTAMA DIRAJA MUFTI SELANGOR MEMBACA DOA )
Keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, diiringi Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor meninggalkan Dewan Mesyuarat.
( D.Y.M.M. Sultan Selangor, D.Y.M.M. Tengku Permaisuri Selangor dan D.Y.T.M Raja Muda Selangor berangkat dari Dewan Mesyuarat ke Bilik Jamuan VVIP Wisma Dewan Negeri)
Dengan segala hormatnya dijemput semua hadirin ke jamuan ringan yang disediakan di Dewan Jamuan, Wisma Dewan Negeri. Sekian, terima kasih.
(Dewan ditangguhkan pada jam 10.45 pagi)