Selangor · 14 November 2025

15th Assembly, 3rd session, 3rd meeting · 13 turns · 23,958 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalSelangor publishes one PDF per sitting day; recent ones are drafts (Draf Penyata Rasmi). Full written answers are published for 2018-19 only.

(Pembukaan)

Setiausaha Dewan

Selamat petang dan salam sejahtera. Aturan Urusan Mesyuarat bagi Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Kelima Belas pada 14 November 2025 dimulakan dengan :

i. Bacaan Doa ; dan ii. Proklamasi

Penolong Setiausaha Dewan

(i) Bacaan Doa (Doa dibacakan)

(ii) Proklamasi

OLEH DULI YANG MAHA MULIA SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH ALHAJ IBNI AL-MARHUM SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH ALHAJ, DARJAH KERABAT (SELANGOR), DARJAH UTAMA SERI MAHKOTA NEGARA (D.M.N.), DARJAH KERABAT (TERENGGANU), DARJAH KERABAT (KELANTAN), DARJAH KERABAT (PERAK), DARJAH KERABAT (PERLIS), DARJAH KERABAT (NEGERI SEMBILAN), DARJAH KERABAT (KEDAH), DARJAH KERABAT (JOHOR), DARJAH KERABAT (PAHANG), SERI PADUKA MAHKOTA SELANGOR (S.P.M.S.), DATO’ SETIA SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH (S.S.I.S.), SERI PADUKA MAHKOTA JOHOR (S.P.M.J.), DENGAN KURNIA ALLAH, SULTAN DAN YANG DIPERTUAN NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN SERTA SEGALA DAERAH TAKLUKNYA.

BAHAWASANYA Fasal (1) Perkara LXX Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, memperuntukkan bahawa DULI YANG MAHA MULIA SULTAN hendaklah dari semasa ke semasa melalui Proklamasi yang disiarkan dalam Warta memanggil Dewan Negeri:

MAKA OLEH YANG DEMIKIAN, BETA, SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH ALHAJ IBNI AL-MARHUM SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH ALHAJ, DARJAH KERABAT (SELANGOR), DARJAH UTAMA SERI MAHKOTA NEGARA (D.M.N.), DARJAH KERABAT (TERENGGANU), DARJAH KERABAT (KELANTAN), DARJAH KERABAT (PERAK), DARJAH KERABAT (PERLIS), DARJAH KERABAT (NEGERI SEMBILAN), DARJAH KERABAT (KEDAH), DARJAH KERABAT (JOHOR), DARJAH KERABAT (PAHANG), SERI PADUKA MAHKOTA SELANGOR (S.P.M.S.), DATO’ SETIA SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH (S.S.I.S.), SERI PADUKA MAHKOTA JOHOR (S.P.M.J.), DENGAN KURNIA ALLAH, SULTAN DAN YANG DIPERTUAN NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN SERTA SEGALA DAERAH TAKLUKNYA, pada menjalankan kuasa yang diberikan kepada BETA di bawah

Perkara LXX (70) Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, DENGAN INI MEMANGGIL Dewan Negeri untuk bermesyuarat dan menetapkan 14 November, 17 November 2025 hingga 21 November 2025 dan 24 November 2025 hingga 27 November 2025 dan pukul 10.00 pagi kecuali hari Jumaat pukul 9.30 pagi, sebagai tarikh dan waktu bagi Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Darul Ehsan Yang Kelima Belas yang akan diadakan di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam. DIPERBUAT di Istana Alam Shah, Klang pada 25 September 2025.

Dengan Titah Perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Speaker

Salam Sejahtera dan Selamat Petang kepada YAB Dato’ Menteri Besar. Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Negeri, Pegawai-pegawai Kerajaan dan para pemerhati sekalian. Bertemu sekali lagi kita dalam Mesyuarat Ketiga Dewan Yang Mulia ini bagi penggal Yang Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas. Ahli-ahli Yang Berhormat, menurut Peraturan 13 (1) Peraturan-peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor Bacaan Rang Undang-undang Pembekalan Tahun 2026 akan dibaca selepas sesi pertanyaan-pertanyaan. Namun begitu pada hari ini Rang Undang-undang Pembekalan 2026 akan dibacakan terlebih dahulu dan perkara ini telah dipohon oleh YAB. Dato’ Menteri Besar dan saya mengizinkan.

Tanpa melengahkan masa sekarang saya mempersilakan Setiausaha Dewan untuk meneruskan Aturan Urusan Mesyuarat yang seterusnya pada petang ini. Silakan, Setiausaha Dewan.

Kertas-Kertas Mesyuarat

Setiausaha Dewan

Aturan Urusan Mesyuarat seterusnya. Membentangkan Kertas-kertas Mesyuarat ;

1) Kertas Mesyuarat Bilangan 25 Tahun 2025 - Rang Undang-Undang Enakmen Peruntukan Diraja (Pindaan) 2025 - Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2026 2) Kertas Mesyuarat Bilangan 26 Tahun 2025 - Penyata Kewangan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2021 3) Kertas Mesyuarat Bilangan 27 Tahun 2025 - Penyata Kewangan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2022 4) Kertas Mesyuarat Bilangan 28 Tahun 2025 - Penyata Kewangan Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2024

5) Kertas Mesyuarat Bilangan 29 Tahun 2025 - Laporan Tahunan 2024 Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri (SPN) Selangor

6) Kertas Mesyuarat Bilangan 30 Tahun 2025 - Anggaran Perbelanjaan Perbekalan 2026 Dan Memorandum Perbendaharaan Mengenai Anggaran Perbelanjaan Perbekalan 2026 Kerajaan Negeri Selangor

7) Kertas Mesyuarat Bilangan 31 Tahun 2025 - Anggaran Belanjawan Negeri Selangor 2026 Dan Senarai Perjawatan Negeri Selangor 2026

8) Kertas Mesyuarat Bilangan 32 Tahun 2025 - Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Selangor 2024

9) Kertas Mesyuarat Bilangan 33 Tahun 2025 - Laporan Tahunan Tabung Amanah Bencana Alam Tahun 2024

10) Kertas Mesyuarat Bilangan 34 Tahun 2025 - Laporan TahunanTabung Warisan Negeri Selangor Tahun 2024

11) Kertas Mesyuarat Bilangan 35 Tahun 2025 - Laporan Tahunan Tabung Amanah Warisan Anak Selangor Tahun 2024

12) Kertas Mesyuarat Bilangan 36 Tahun 2025 - Memorandum Laporan Ketua Audit Negara Negeri Selangor Tahun

2024 13) Kertas Mesyuarat Bilangan 37 Tahun 2025 - Penyata Jawatankuasa Pilihan Mengenai Agensi, Badan Berkanun Dan Anak Syarikat Negeri Selangor (JP–ABAS) Berhubung Hala Tuju Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS)

14) Kertas Mesyuarat Bilangan 38 Tahun 2025 - Penyata Jawatankuasa Pilihan Mengenai Agensi, Badan Berkanun Dan

Anak Syarikat Negeri Selangor (JP–ABAS) Berhubung Penstrukturan Semula Anak Syarikat dan Agensi Sebagai Badan Berkanun

15) Kertas Mesyuarat Bilangan 39 Tahun 2025 - Penyata Jawatankuasa Pilihan Mengenai Agensi, Badan Berkanun Dan Anak Syarikat Negeri Selangor (JP–ABAS) Berhubung Isu Kemampanan Kewangan Yayasan Selangor

16) Kertas Mesyuarat Bilangan 40 Tahun 2025 - Penyata Jawatankuasa Pilihan Pejabat Daerah Dan Tanah (JP-PADAT) Berhubung Isu Pajakan Tanah Warta Kerajaan

17) Kertas Mesyuarat Bilangan 41 Tahun 2025 - Penyata Jawatankuasa Pilihan Pejabat Daerah Dan Tanah (JP-PADAT) Berhubung Isu Lanjutan Tempoh Pajakan Hakmilik Pajakan Negeri Yang Hampir Tamat Tempoh

18) Kertas Mesyuarat Bilangan 42 Tahun 2025 - Penyata Kewangan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2024

19) Kertas Mesyuarat Bilangan 43 Tahun 2025 - Laporan Ketua Audit Negara 3/2025 Mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Agensi Negeri Selangor

20) Kertas Mesyuarat Bilangan 44 Tahun 2025 - Surat Ikatan Amanah Bagi Kumpulan Wang Amanah Yang

Ditubuhkan Di Bawah Seksyen 10 Akta Tatacara Kewangan, 1957 Kumpulan Wang Amanah Kilang Tanpa Kebenaran (KWA KTK) Pejabat Tanah Dan Galian Negeri Selangor

Aturan Urusan Mesyuarat seterusnya, Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 semua peringkat. Rang Undang-Undang ini bernama suatu Enakmen Bagi Menggunakan Sejumlah Wang Daripada Kumpulan Wang Disatukan Negeri Untuk Perkhidmatan Bagi Tahun 2026 dan bagi memperuntukkan jumlah wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu.

Dato’ Seri Amirudin bin ShariPKR · PHMenteri Besar · Sungai Tua

Tuan Speaker, oleh sebab Rang Undang-Undang ini perlu dan mustahak diluluskan pada hari ini juga saya mencadangkan di bawah Peraturan Tetap 78 supaya ditangguhkan Peraturan Tetap 48 dan 53 bagi membolehkan Rang Undang-Undang ini dibacakan pada semua peringkat dan seterusnya diluluskan.

Speaker

Penyokong?

Tuan Ng Sze HanDAP · PHKinrara

Saya menyokong.

Speaker

Ahli-ahli Yang Berhormat yang setuju dengan cadangan ini sila kata Ya.

Ahli-Ahli Yang Berhormat

Ya.

Speaker

Ahli-ahli Yang Berhormat yang tidak bersetuju sila kata Tidak. Dipersetujui. Silakan YAB. Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin bin ShariPKR · PHMenteri Besar · Sungai Tua

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Salam Kita Selangor, Salam Malaysia Madani.

“Dan kepada kaum Thamud, kami utuskan saudara mereka Nabi Soleh. Dia berkata: “Wahai Kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Dia lah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi serta menghendaki agar kamu memakmurkannya. Oleh itu, minta ampun daripada Allah dari perbuatan syirik, kemudian kembalilah kepada Dia dengan taat dan tauhid. Sesungguhnya Tuhanku sentiasa dekat lagi sentiasa memperkenan permohonan hambanya.” Sadaqallahulazim. Ayat: Hud (ayat ke-61 daripada Surah Hud).

Ayat dalam Surah Hud ini menceritakan kisah Nabi Saleh yang diutus kepada kaum Thamud. Baginda menyeru kaumnya supaya menyembah Allah Tuhan Yang Maha Esa dan mengingatkan mereka tentang asal-usul kejadian manusia daripada anasir bumi. Dalam ayat ini Allah SWT tidak hanya memerintahkan manusia supaya mendirikan ibadah tetapi juga memakmurkan bumi. Menurut Profesor Dr. Quraish Shihab dalam Tafsir Al-Misbah istilah isti’marak berasal daripada perkataan amara yang bererti memakmurkan. Ada ulama yang mentafsir ayat ini sebagai perintah Allah supaya manusia membangun dan menguruskan bumi dengan sebaiknya. Ibnu Kathir pula menjelaskan, ayat ini sebagai perintah Allah supaya manusia membangun dan menguruskan bumi dengan sebaiknya. Ibnu Kathir pula menjelaskan bahawa manusia diperintahkan supaya menjadi penjaga dan pemakmur bumi. Bukan pemusnahnya. Kalimah ‘Amara ini juga merupakan kata akar bagi perkataan ‘Umran yang bermaksud bandar kemajuan atau ketamadunan. Menurut Ibnu Khaldun, ‘Umran bermaksud pembinaan masyarakat berperadaban yang tidak hanya terbatas kepada kemajuan kebendaan dan perbandaran belaka. Tetapi meliputi kesejahteraan hubungan antara sesama manusia. Manusia dan alam serta manusia dan Tuhannya. Ibnu Khaldun menegaskan bahawa Maqasid Umran mengutamakan kestabilan politik dan keadilan sosial melalui kepimpinan yang adil, amanah dan tidak menzalimi rakyat. Konsep Maqasid Umran ini sebenarnya lanjutan daripada Maqasid Syariah yang menegaskan kewajipan memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta-benda sementara Maqasid Umran pula menegaskan kewajipan memelihara kestabilan sosial dan kemakmuran tamadun. Menurut Ibnu Khaldun masyarakat bertamadun terbentuk di kawasan yang mempunyai kegiatan

pertanian dan perindustrian yang bermula daripada unit paling kecil yang disebut sebagai qaryah ataupun desa dan misr ataupun kota. Gabungan beberapa qaryah dan misr melahirkan “bilad” ataupun “balad” iaitu negeri, dan daulah iaitu negara. Sementara gabungan antara negara pula membentuk alam dunia sejagat. Apabila kemakmuran dicapai di peringkat global, maka itulah yang digelar umran al alam iaitu kemakmuran sejagat. Dari segi etimologi umran berasal daripada kata akar, “amara” yang bererti melimpah-ruah dan kemakmuran yang menggambarkan keadaan kehidupan kota yang memiliki ramai penduduk dan subur kegiatan ekonomi. Daripada kata akar yang sama muncul perkataan “ameer” dan “makmur” yang bermaksud suatu tempat kediaman yang makmur dengan penduduk, ilmu, budaya dan keadilan maka umran pada hakikat ia menggambarkan suasana kehidupan yang aman, makmur, maju, berilmu, berdaya saing dan berakhlak yang muncul daripada kerjasama masyarakat dan kepimpinan yang adil. Ketamadunan, peradaban dan kemakmuran yang menyeluruh kesemuanya menuntut ikhtiar mencapai keseimbangan. Tatkala kita meluncurkan wacana pembangunan perlu mengangkat perbahasan kemakmuran ekonomi, kita sudah tidak lagi terjerat dengan hujah usang tentang kerosakan hutan dan kemusnahan alam sekitar. Terkenang saya kepada serangkap pantun ;

“Air dalam bertambah dalam, Hujan di hulu belumlah teduh, Hati dendam bertambah dendam, Dendam dahulu belumlah sembuh”

Pantun ini sering dilantunkan sewaktu majlis merisik ataupun bertunang. Saya tidak berhasrat membicarakan tentang dua bait terakhir pantun ini. Tetapi pembayangnya menggambarkan kepada kita bahawa sudah menjadi fitrah alam kawasan hulu itu hujan turun selebatnya dan air melimpah lalu mengalir dan berbaur dengan air di hilir lantas menuju ke lautan. Semenjak ratusan tahun, aktiviti perdagangan dan pemerintahan berpusat di pesisir pantai, muara sungai atau pun di kuala sungai, yang kita perihalkan sebagai kawasan hilir. Maka kita cenderung menyifatkan apa yang ada di hulu itu jauh daripada pembangunan, jauh daripada perbandaran, jauh daripada peradaban. Di hulu itu, sebagaimana dalam pembayang pantun tersebut, tempat menitis hujan di gunung belantara. Hanya tatkala saya mula menelaah syarahan Norton yang disampaikan oleh Umberto Eco di Harvard berjudul Six Walks in the Fictional Woods, saya mula menghargai hutan. Ini bukan hanya kawasan tadahan hujan, kawasan orang asal, perlindungan flora dan fauna ataupun tempat healing. Tetapi kini hutan yang dianyam Umberto Eco itu membawa kita menelusuri belantara penuh makna belantara semiotika. Beliau menulis bahawa setiap pembaca memasuki belantara itu dengan peta yang tidak lengkap seperti kerajaan yang melangkah ke masa depan dengan maklumat yang sentiasa terbatas, namun tetap dengan tekad untuk menafsir makna di sebalik tanda-tanda pembangunan. Bagi Umberto Eco, membaca boleh dianggap sebagai suatu bentuk pemerintahan. Ia menuntut kesabaran,

kecerdasan dan rasa tanggungjawab kepada makna. Demikian juga tugas kita dalam menggubal belanjawan, ikhtiar membaca tanda-tanda ekonomi, sosial dan moral yang membentuk kehidupan rakyat. Dalam novel The Name of the Rose, Umberto Eco menggambarkan sebuah biara yang menyimpan rahsia ilmu dan kuasa. Di sana kebenaran bukan sekadar apa yang tertulis, tetapi apa yang ditafsir. Maka demikian juga dengan angka-angka dalam belanjawan, ia bukan sekadar jumlah dan graf, tetapi teks tanggungjawab moral tentang keadilan dan kesejahteraan. Negeri Selangor hari ini berada di tengah hutan fiksyen moden, dikelilingi tanda-tanda kemodenan yang harus ditafsir dengan hikmah. Di antara ekonomi digital dan ekonomi hijau, di antara pelaburan asing dan keperluan tempatan, kita perlu menjadi penafsir zaman yang arif bijaksana. Belanjawan bukan sekadar alat fiskal. Tetapi sebuah naratif tanggungjawab moral yakni tanggung jawab menafsir kekayaan kepada kesejahteraan, bagaimana kemajuan diterjemah kepada martabat, dan bagaimana angka menjadi bahasa yang dapat difahami oleh rakyat biasa. Dalam belantara makna yang rimbun ini kita belajar bahawa tidak ada pertumbuhan tanpa penafsiran, tidak ada kemajuan tanpa kesedaran. Di sinilah peranan dasar awam, mengimbangi antara rasionaliti ekonomi dan keindahan makna sosial.

Joseph Schumpeter, dalam gagasannya tentang pemusnahan kreatif, mengingatkan bahawa kapitalisme sentiasa meruntuhkan dirinya untuk memperbaharui diri. Laksana hutan eco yang sentiasa berubah, sentiasa pohon tua memberi ruang kepada tunas baharu bahawa kita jika pertumbuhan tidak diiringi makna maka itu hanya menjadi bunyi mesin tanpa arah.

Peter Howitt penerima Hadiah Nobel Ekonomi 2025 mengembangkan pandangan ini dengan teori pertumbuhan endogen, kemajuan bukan datang dari luar, tetapi dalam sistem melalui inovasi, pembelajaran dan modal insan. Maka tugas kerajaan bukan hanya mengurus belanjawan, tetapi menanam benih inovasi dalam akal budi rakyat. Dalam konteks Selangor, teori ini mengajar kita bahawa setiap pelaburan dalam pendidikan, penyelidikan dan latihan teknikal bukan sekadar perbelanjaan, tetapi pelaburan pada masa depan, produktiviti dan juga kreativiti. Namun Schumpeter dan Howitt juga sedar akan paradoksnya. Inovasi boleh menimbulkan ketidaksamaan. Kerajaan harus menjadi penjaga moral terhadap ketidakseimbangan itu demi memastikan bahawa hasil kreativiti ekonomi tidak dimonopoli oleh segelintir tetapi disebar kepada segenap lapisan masyarakat. Di sinilah muncul perdebatan antara Friedrich Hayek dan John Maynard Keynes. Hayek percaya kepada pasaran spontan bahawa ketertiban harus muncul daripada kebebasan individu. Tetapi Keynes pula mengingatkan bahawa pasaran berkemungkinan gagal tanpa tangan yang mengendalikan kebijakan atau dasar dengan arif. Jika tidak waspada ekonomi boleh tersungkur ke dalam jurang kesenjangan, pengangguran dan kemiskinan, yang kaya bertambah kaya, yang miskin hilang papa kedana. Antara dua pandangan ini, Selangor memilih jalan tengah yang beradab. Membenarkan pasaran bernafas, tetapi tidak

membiarkannya membunuh jiwa sosial. Kita mempercayai kebijaksanaan rakyat, tetapi juga mengakui peranan kerajaan sebagai penafsir makna di tengah kekacauan data itu. Hayek menegaskan bahawa pengetahuan tersebar dalam kalangan individu, bukan dalam kalangan birokrasi. Namun Eco mengingatkan kita bahawa pengetahuan harus ditafsir bersama, bukan diasingkan. Maka negeri berpengetahuan adalah negeri yang membuka wacana kepada rakyat dan merumuskannya.

Keynes pula menulis dalam suasana krisis Zaman Kemelesetan, ketika kejatuhan pasaran membawa kesengsaraan kepada rakyat biasa. Dalam keadaan itu, beliau menegaskan bahawa belanjawan bukan sekadar dokumen ekonomi, tetapi alat psikologi untuk memulihkan keyakinan terhadap masa depan. Maka, Belanjawan 2026 bukan hanya merancang perbelanjaan dan hasil, tetapi menulis semula naratif keyakinan bahawa kemajuan negeri ini tidak ditentukan oleh angka belaka, tetapi oleh daya cipta, solidariti dan makna yang kita berikan kepada pembangunan. Kita sedar bahawa ekonomi dunia kini seperti hutan eco yang semakin rumit diselubungi kecerdasan buatan, tenaga hijau dan permasalahan geopolitik baharu. Dalam cabaran itu Selangor mesti menjadi pembaca yang bijaksana, tidak panik oleh setiap perubahan tetapi menafsir dengan rasional dan visi jangka panjang. Sebagaimana watak William of Baskerville dalam The Name of the Rose, kita perlu menggabungkan akal dan iman, data dan nilai, sains dan tradisi. Kerana tanpa nilai, ilmu menjadi bahaya, tetapi tanpa ilmu, nilai menjadi dogma. Belanjawan ini akan terus berpaksi pada tiga prinsip:

1. Keterangkuman supaya kemajuan ekonomi dirasai semua; 2. Ketahanan agar negeri ini mampu bertahan menghadapi krisis; dan 3. Keindahan makna supaya setiap dasar mengangkat darjat rakyat.

Dalam pengertian lebih luas, inilah tafsiran semiosis ekonomi yang Eco bayangkan: setiap tindakan fiskal adalah tanda, setiap pelaburan adalah simbol kepercayaan rakyat tentang masa depan mereka. Kita bukan sekadar menulis angka tetapi harapan masa depan. Akhirnya, seperti pembaca yang keluar daripada belantara fiksyen dengan pemahaman baharu, semoga belanjawan ini memunculkan keyakinan baharu dalam diri rakyat Selangor bahawa kemajuan yang sejati bukan sekadar pertumbuhan sahaja, tetapi perihal makna yang kita cipta bersama. Inilah semangat Selangor Juara, negeri yang bukan hanya maju tetapi memimpin dengan makna, mencipta dengan hikmah, dan bangkit dengan maruah. Laporan Ekonomi Dunia, Keadaan ekonomi global pada hari ini mengingatkan kita kepada bait-bait sajak William Butler Yeats, seorang penyair modenis berbangsa Irish:

“Turning and turning in the widening gyre, The falcon cannot hear the falconer;

Things fall apart; the centre cannot hold; Mere anarchy is loosed upon the world.”

Beberapa siri kejutan ekonomi seperti pandemik Covid-19, misi peperangan di Ukraine dan Rusia, konflik Timur Tengah dan sekatan perdagangan adalah bayangan terhadap apa yang dikatakan oleh Yeats, things fall apart, the centre cannot hold. Semuanya berantakan dan tidak ada lagi paksi yang menyangga semua ini. Tekanan ekonomi dijangka berterusan sepanjang tempoh 2025-2026, didorong oleh pelbagai faktor. Menurut unjuran yang dikemukakan oleh Bank Dunia (2025) dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) (2025), dasar perlindungan perdagangan oleh Amerika Syarikat berpotensi menjejaskan rangkaian bekalan global dan memberi kesan limpahan negatif kepada pasaran eksport negara sedang membangun. Secara umumnya, ekonomi global belum kembali kepada trajektori pertumbuhan yang kukuh seperti dicapai sebelum tahun 2020 ketika covid. Pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) ekonomi global dijangka kekal sederhana, antara 2.3 hingga 3.1 peratus bagi tempoh 2025-2026. Berdasarkan unjuran Bank Dunia dan IMF, hal ini dipengaruhi oleh tekanan luaran dan dalaman seperti peningkatan tarif perdagangan, ketidaktentuan dasar ekonomi dan fiskal, serta gangguan geopolitik yang berterusan.

Tuan Speaker, ekonomi Selangor terus mencatat pertumbuhan ekonomi yang stabil dan berdaya tahan serta terus mengukuhkan peranannya sebagai penyumbang utama ekonomi negara. Unjuran semasa bagi tahun 2025 pula menjangkakan nilai KDNK bakal mencecah RM455.3 bilion pada tahun 2025. Selangor berada pada landasan pertumbuhan yang mengukuh sepanjang tempoh Rancangan Selangor Pertama (RS-1), meskipun tempoh pelaksanaan rancangan tersebut berlangsung dalam fasa pemulihan pasca pandemik. Sepanjang pelaksanaan Rancangan Selangor Pertama (RS-1), ekonomi Selangor kekal kukuh walaupun bermula dalam fasa pemulihan pasca pandemik. KDNK negeri diunjurkan berkembang pada kadar purata 7.3 peratus bagi tempoh 2021–2025, mencerminkan kebangkitan menyeluruh dalam sistem ekonomi negeri. Pertumbuhan ini dapat dibahagikan kepada dua fasa utama. Pertama, lonjakan pasca pandemik pada 2022 hasil peningkatan permintaan global dan dasar pemulihan domestik yang berkesan, diikuti pertumbuhan sederhana pada 2023 sebanyak 5.4 peratus yang disokong oleh eksport yang kukuh serta keyakinan pelabur di bawah kerangka Rancangan Selangor Pertama (RS-1). Menjelang 2025, pertumbuhan dijangka sederhana sekitar 5.4 peratus dengan nilai KDNK mencecah RM455 bilion. Walaupun kadar ini lebih rendah berbanding sebelumnya, momentum positif kekal dipacu oleh permintaan domestik yang mampan. Faktor luaran seperti ketegangan geopolitik, permintaan global yang perlahan dan dasar kewangan ketat di ekonomi maju dijangka memberi tekanan terhadap pelaburan dan eksport. Namun kekuatan struktur ekonomi Selangor membolehkan negeri ini terus mengekalkan pertumbuhan yang stabil dan berdaya tahan. Bagi tempoh 2024–2025, ekonomi Selangor dijangka terus mencatat pertumbuhan positif hasil kekukuhan asas dan struktur

ekonominya. Intervensi kerajaan negeri yang berfokus kepada rangsangan pertumbuhan dan kesejahteraan sosial telah mengukuhkan daya tahan sektor perniagaan. Walaupun faktor luaran mengekalkan ketidaktentuan ekonomi, permintaan domestik yang kukuh, kadar inflasi terkawal dan pasaran buruh stabil terus menjadi tunjang utama pertumbuhan. Imbangan fiskal negeri juga kekal positif, ia disokong oleh hasil yang mampan dan pengurusan berhemah berdasarkan prinsip kelestarian (ESG). Menjelang 2026, Selangor dijangka mengekalkan pertumbuhan pada kadar sederhana iaitu antara 5.0 hingga 5.5 peratus, melebihi purata nasional. Pertumbuhan ini disokong oleh kepelbagaian struktur industri, sektor berintensif teknologi, kekuatan perusahaan tempatan dan jaringan logistik bertaraf antarabangsa. Pelaburan strategik dalam sektor digital, tenaga bersih dan logistik sejajar dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan juga Pelan Tindakan Masa Hadapan Digital Selangor (DxF 2026–2030) akan menjadi pemangkin utama kepada daya saing dan kemampanan jangka panjang negeri. Laporan tinjauan Selangor Business Sentiment Survey (SBSS) 2026 yang dilaksanakan oleh Selangor Research Institute menunjukkan lebih separuh firma di Selangor merancang untuk mengembangkan operasi, iaitu sebanyak 51.4 peratus, dengan 29.2 peratus menumpukan kepada pengambilan tenaga kerja baharu dan 25.3 peratus kepada pelaburan teknologi. Keyakinan tinggi terhadap pasaran domestik, disertai tumpuan kepada transformasi digital dan peningkatan produktiviti, mencerminkan hala tuju perniagaan yang progresif. Walaupun cabaran seperti kenaikan kos operasi, kekurangan tenaga kerja mahir dan akses pembiayaan kekal, sektor perniagaan menunjukkan kematangan dan daya tahan yang semakin meningkat. Dalam menghadapi landskap ekonomi global yang mencabar, Selangor perlu memperkukuh strategi struktur dan dasar bagi tempoh Rancangan Selangor Kedua RS-2 (2026–2030). Dasar ini bakal menjadi teras kepada pertumbuhan yang lebih inklusif hijau dan berdaya saing melalui pendekatan bersepadu antara pembangunan ekonomi, sosial dan alam sekitar. Tumpuan strategik harus diberikan kepada peningkatan produktiviti PMKS, pemacuan ekonomi digital, pembangunan kemahiran semula tenaga kerja serta pengukuhan tadbir urus fiskal. Melalui pendekatan ini, Selangor akan terus menerajui kepimpinan ekonomi negara sebagai negeri paling dinamik, lestari dan berdaya tahan di rantau ini.

Tuan Speaker, Alhamdulillah walaupun berhadapan dengan situasi ekonomi yang mencabar dan ketidaktentuan geopolitik di peringkat Antarabangsa, yang boleh mengakibatkan kesan negatif kepada Negara kita saya ingin memaklumkan dalam dewan yang Mulia ini, bahawa kedudukan kewangan kerajaan Negeri di dalam kumpulan wang disatukan terus kukuh dan stabil, dengan kaedah pengurusan kewangan awam yang berorientasi kawalan belanjawan yang terangkum dan sistematik. Sehingga 31 Disember 2024, rizab Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Negeri Selangor yang terdiri daripada Akaun Hasil Disatukan dan Akaun Amanah Disatukan telah merekodkan angka sebanyak Empat Bilion, Satu Ratus Tiga Puluh Dua Juta, Tiga Ratus Lima Belas Ribu, Sembilan Ratus Sembilan Puluh Lapan Ringgit dan Tujuh Sen (RM4,132,315,998.07). Dan bagi tahun 2025 pula, sehingga 12 November 2025,

kedudukan kewangan negeri terus meningkat sebanyak Ringgit Malaysia Tujuh Ratus Enam Juta (RM706.23 juta). Ini menjadikan rizab Kumpulan Wang Disatukan Negeri semasa sebanyak Ringgit Malaysia Empat Bilion Lapan Ratus Tiga Puluh Lapan Juta (RM4,838.55 juta) yang terdiri daripada Akaun Hasil Disatukan berjumlah Ringgit Malaysia Satu Billion Enam Ratus Lapan Juta (RM1,608.27 juta) dan Akaun Amanah Disatukan berjumlah Ringgit Malaysia Tiga Billion Dua Ratus Tiga Puluh Juta (RM3,230.28 juta). Rizab Kerajaan Negeri mula menunjukkan peningkatan pada tahun 2018 dan sehingga kini, rizab Kerajaan Negeri telah meningkat sebanyak Ringgit Malaysia Dua Bilion Tujuh Ratus Tiga Juta (RM2,703.17 juta) berbanding tahun 2018. Dengan sentiasa mengamalkan pendekatan perbelanjaan yang berhemah, prestasi kewangan Kerajaan Negeri sehingga 12 November 2025 telah merekodkan lebihan kewangan sebanyak Empat Ratus Dua Juta Lima Puluh Lapan Ribu Ringgit (RM402.58) setelah mengambil kira belanja mengurus sebanyak Ringgit Malaysia Satu Billion Dua Ratus Lapan Puluh Lapan Juta (RM1,288.07 juta) bersamaan 75.77% dan belanja pembangunan sebanyak Ringgit Malaysia Tujuh Ratus Sembilan Puluh Sembilan Juta (RM 799.32 juta) bersamaan 61.49%. Kita menjangkakan bahawa prestasi keseluruhan belanja mengurus dan belanja pembangunan akan mencapai lebih 90% secara purata sehingga 31 Disember 2025. Speaker, sasaran hasil negeri bagi Belanjawan Tahun 2025, adalah sebanyak RM2,350,000,000.00 daripada jumlah berkenaan pecahan hasil dianggarkan adalah hasil cukai sebanyak 810,504,00.00, hasil bukan cukai berjumlah 1.2billion dan terimaan bukan hasil berjumlah 243.03juta. Sehingga 13 November 2025 iaitu semalam, hasil negeri telah mencapai jumlah kutipan sebanyak Ringgit Malaysia Dua Billion Empat Ratus Sembilan Puluh Lima Juta Satu Ratus Tujuh Puluh Ribu (RM2,495.17 juta) bersamaan dengan 106.17 peratus daripada anggaran hasil tahun 2025 sebanyak RM2.35 bilion. Untuk rekod juga jumlah hasil sebenar melebihi sasaran yang ditetapkan setiap tahun adalah bermula tahun 2019. Daripada jumlah tersebut hasil cukai telah merekodkan kutipan sebanyak RM733.28 juta hasil bukan cukai mencatatkan kutipan sebanyak RM1,504.16 juta) (116.0 peratus) dan Terimaan Bukan Hasil berjumlah Ringgit Malaysia Dua Ratus Lima Puluh Tujuh Juta Tujuh Ratus Dua Puluh Ribu (RM257.72 juta) bersamaan dengan 106.1 peratus. Kerajaan negeri menjangkakan kutipan hasil ini boleh mencapai lebih daripada 2.7 billion pada hujung tahun 2025. Ini merupakan satu pencapaian yang amat memberangsangkan bagi kerajaan Negeri dalam keadaan ekonomi dan geopolitik yang semakin mencabar pada ketika ini. Tahniah saya ucapkan kepada pasukan penjawat awam terutamanya pegawai-pegawai di Unit Hasil yang telah bertungkus-lumus mencapai hasil tahun ini malah sebelum ini melintas masuk ke dewan ini saya menerima maklumat terkini bahawa setakat pagi ini Selangor telah berjaya mencatatkan kutipan hasil RM 2.5 billion. Tuan Speaker, Ahli-ahli dewan yang Mulia, mendepani landskap ekonomi yang mencabar kerajaan Negeri masih mengekalkan momentum kedudukan kewangan yang terus berdaya tahan dilengkapi oleh analisa petunjuk serta perkiraan menyeluruh sebagai langkah persediaan menghadapi kelembapan ekonomi 2026. Pendekatan belanjawan berasaskan defisit merupakan satu strategik fiskal yang membenarkan perbelanjaan melebihi hasil yang dijangka dalam satu tahun kewangan. Pembentukan belanjawan tahunan Kerajaan Negeri

adalah berasaskan kepada kedudukan kewangan semasa dan unjuran akaun hasil disatukan yang merupakan sumber utama dana untuk membiayai perbelanjaan negeri. Dalam menyediakan kerangka belanjawan Negeri pelbagai agensi pemain industri dan pemegang taruh yang berkepentingan dilibatkan untuk memberikan cadangan menerusi Sesi Libat Urus Belanjawan 2026, angka-angka belanjawan ini boleh merentasi umur agama dan tahap sosial ekonomi serta mendasari enam perkara utama; 1. Kemampanan hasil Negeri mengemudi masa depan ; 2. Pendidikan holistik pemerkasaan generasi muda ; 3. Perkukuh ekosistem perniagaan yang dinamik ; 4. Pemacu pembangunan seimbang antara Wilayah dan Luar Bandar ; 5. Kesihatan rakyat terpelihara penjagaan sosial terjamin ; dan 6. Reformasi tadbir urus sebagai pemangkin pembangunan mampan dan

inklusif alam sekitar. Justeru itu, dengan tema Selangor Juara, Rakyat Sejahtera, Kerajaan Negeri mencadangkan perbelanjaan berjumlah Ringgit Malaysia Tiga Bilion Dua Ratus Tiga Puluh Juta (RM3,230,000,000.00) bagi Belanjawan Negeri Selangor 2026. Daripada jumlah tersebut, Satu Bilion Lapan Ratus Enam Puluh Juta (RM1,860,000,000.00) atau 57.6 peratus diperuntukkan bagi Perbelanjaan Mengurus dan Satu Bilion Tiga Ratus Tujuh Puluh Juta (RM1,370,000,000) atau 42.4 peratus untuk Perbelanjaan Pembangunan. Untuk menjayakan Belanjawan Selangor 2026, Pentadbiran ini akan mengangkat 6 dekat berikut ;

1. Sumber hasil negeri dan peluang ekonomi rakyat ; 2. Reformasi tadbir urus memartabatkan bangsa ; 3. Mencorak pendidikan melakar masa depan ; 4. Keunggulan seni budaya dan kemantapan generasi muda ; 5. Selangor negeri penyayang ; dan 6. Kelestarian Alam Sekitar dan Kebitaraan Infrastruktur.

Pada tahun 2026, kerajaan Negeri menganggarkan hasil yang boleh dikutip adalah berjumlah RM2,800,000,000.00. Antara penyumbang utama kepada hasil negeri pada tahun 2026 adalah premium tanah iaitu sebanyak 1.02 billion bersamaan dengan 36.3% daripada anggaran hasil keseluruhan. Penyumbang kedua terbesar adalah hasil cukai tanah iaitu sebanyak 691.27 juta bersamaan 24.7% manakala menyumbang ketiga terbesar adalah pemberian Persekutuan iaitu berjumlah 263.16 juta bersamaan dengan 9.4 %. Dengan mengambil kira jangkaan hasil negeri yang berjumlah 2.8 billion dan anggaran perbelanjaan berjumlah 3.23 billion, maka Belanjawan 2026 mengalami defisit yang dianggarkan berjumlah RM430juta. Kerajaan Negeri sentiasa berjaya mengurangkan jumlah defisit kepada satu jumlah yang munasabah menerusi instrumen kawalan perbelanjaan serta amalan prinsip tadbir urus kewangan yang baik, unjuran defisit berjumlah 430juta bagi tahun 2026 akan

dibiayai sepenuhnya melalui baki akaun hasil disatukan. Bagi perbelanjaan mengurus kerajaan Negeri menganggarkan sebanyak 1.8 6billion untuk tujuan berikut ;

1. Emolumen sebanyak RM651,277,476.00 (Ringgit Malaysia Enam Ratus Lima Puluh Satu Juta, Dua Ratus Tujuh Puluh Tujuh Ribu, Empat Ratus Tujuh Puluh Enam)

2. Perkhidmatan dan Bekalan berjumlah RM739,702,064.00 (Ringgit Malaysia Tujuh Ratus Tiga Puluh Sembilan Juta, Tujuh Ratus Dua Ribu, Enam Puluh Empat)

3. Aset berjumlah RM22,476,185.00 (Ringgit Malaysia Dua Puluh Dua Juta Empat Ratus Tujuh Puluh Enam Ribu Seratus Lapan Puluh Lima)

4. Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap berjumlah RM426,751,105.00 (Ringgit Malaysia Empat Ratus Dua Puluh Enam Juta Tujuh Ratus Lima Puluh Satu Ribu Seratus Lima)

5. Serta RM19,793,170.00 (Ringgit Malaysia Sembilan Belas Juta Tujuh Ratus Sembilan Puluh Tiga Ribu Seratus Tujuh Puluh) untuk Perbelanjaan-perbelanjaan Lain.

Perbelanjaan Perkhidmatan Dan Bekalan Objek Am 20000 merupakan komponen terbesar mencakupi 39.8 % daripada Perbelanjaan Mengurus Kerajaan Negeri, perkara yang dibelanjakan di bawah objek am ini objek am ini termasuk antaranya pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) fasa kedua, kenaikan harga kontrak selaras dengan pelaksanaan gaji minimum RM1,700.00 dan kontrak-kontrak khidmat pembersihan, khidmat kawalan keselamatan dan kontrak penyelenggaraan yang melibatkan 26 jabatan penyelenggaraan balai penghulu dan di sembilan daerah dan kenaikan kos utiliti dan bayaran elaun guru-guru KAFA serta sewaan bangunan pejabat kerajaan antaranya ibu pejabat dan 9 buah Mahkamah Rendah Syariah. Belanjawan Pembangunan, Belanjawan 2026 mencadangkan peruntukan pembangunan berjumlah 1.37 billion. Jumlah yang dicadangkan ini lebih tinggi berbanding daripada peruntukan tahun 2025 iaitu peningkatan sebanyak 70 juta bersamaan dengan pertambahan 5.4 peratus berbanding belanjawan tahun ini. Anggaran belanja pembangunan tahun 2026 akan memberi tumpuan terhadap sektor sosial, berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya yang kebiasaannya dipacu oleh sektor infrastruktur, kenaikan peruntukan sektor sosial akan merangkumi 30% iaitu sebanyak 360 juta adalah persediaan untuk mengambil kira cabaran-cabaran yang bakal dihadapi pada tahun hadapan termasuk jangkaan kemelesetan ekonomi dengan menambah baik sistem pelindungan sosial yang merangkumi kebajikan pendidikan dan pengukuhan ekonomi golongan sasar sebagai teras kesejahteraan rakyat.

Yang Berhormat, Ahli Yang Berhormat sekalian, tekad pertama sumber hasil negeri peluang ekonomi rakyat.

Juadah di hidang atas bijana Kudrat ditingkat bersama puas Hasil negeri mampan dijana Ekonomi rakyat terbentang lua

Ahli Speaker, apabila saya membentangkan Belanjawan Negeri Selangor pada tahun lalu, keadaan dunia jauh berbeza dengan situasi hari ini. Pelbagai bentuk unjuran yang dibuat sebelum ini, baik di peringkat syarikat-syarikat sederhana mahupun di pejabat-pejabat perancang ekonomi kerajaan sama ada yang di Negeri atau pun Persekutuan seluruh dunia terpaksa disemak semula. Punca utama yang membawa kepada situasi ini adalah konfigurasi semula kekuasaan ekonomi yang sebelum ini diterajui oleh Amerika Syarikat tetapi hari ini dikejar pantas oleh negara China, negara Rusia masih mempunyai pengaruh di Eropah terutamanya dari segi perbekalan tenaga dan keadaan multipolar yang belum pasti boleh membawa kebaikan atau pun kemudaratan hingga menyebabkan sektor swasta dan pihak kerajaan seakan-akan menekan brek terhadap peluang pembangunan ekonomi. Dunia perlu elak daripada perangkap dalam Kindleberger Trap yang berlaku pasca perang dunia pertama. Apabila transmisi daripada suatu kuasa besar tidak diisi dengan kuasa lain secara tersusun. Ini yang kemudian menyebabkan zaman kemelesetan dan menghadapi dunia multipolar ini kita harus membina sistem multiliteral yang berasaskan regionalisme dan ASEAN mempunyai potensi yang luas mengisi ruang ini. Melatari situasi ini, saya tertarik dengan tulisan Carl Benedikt Frey dalam buku terbarunya yang berjudul “How Progress Ends: Technology, Innovation and the Fate of Nations”. Sejarawan ekonomi ini mengkaji kaedah kuasa-kuasa besar sebelum ini membangun, baik dari era Pemulihan Meiji di Jepun dan Prussia di bawah Von Bismarck yang berasaskan perancangan oleh negeri, dan di sudut yang lain pula, budaya inovasi yang mekar secara decentralised dengan izin, di Britain sewaktu Revolusi Industri diikuti dengan Revolusi Industri ke-2 di Amerika Syarikat terutamanya. Frey membandingkan kedua-dua kaedah yang berbeza ini dan memberi amaran bahawa untuk mengekalkan kadar pertumbuhan, mana-mana negara tidak boleh bertunjangkan salah satu daripada kaedah ini. Mereka membandingkan kedua-dua kaedah yang berbeza ini dan memberi amaran bahawa untuk mengekalkan kadar pertumbuhan mana-mana negara tidak boleh bertunjangkan kepada salah satu daripada kaedah ini. Sebaliknya perlu ada kemampuan beradaptasi yang memerlukan struktur perancangan yang ketara serta budaya dan ekosistem yang menyokong. Pengambilan risiko untuk membawa inovasi, sebagai sebuah negeri yang menyumbang lebih ¼ daripada ekonomi negara dengan nilai ekonomi mencapai 432 billion pada tahun 2024 Selangor tidak boleh leka dengan kejayaan lalu, tetapi mesti bersikap terbuka mencapai keseimbangan dan berkeupayaan beradaptasi yang merentasi sektor institusi dan budaya ini amat penting supaya kita sebagai satu masyarakat tidak terdedah

kepada cabaran dan perubahan yang sedang berlaku di luar. Saya teringat perbincangan di antara pakar ekonomi tersohor, Thomas Piketty, dan Michael Sandel, seorang ahli falsafah, dalam buku “Equality: What It Means and Why It Matters” yang ditulis berasaskan satu perbincangan dan syarahan di Paris School of Economics. Piketty dan Sandel berbahas panjang lebar tentang “The Tyranny of Merit”, di mana orang yang sudahpun berjaya menganggap bahawa kejayaan yang dicapai itu hanya dengan usaha mereka sendiri tanpa bantuan mana-mana pihak. Menurut Piketty, kekayaan yang diwarisi adalah sebab utama manusia boleh berjaya dalam ekonomi hari ini, dan sekiranya tiada intervensi untuk meningkatkan peluang kepada rakyat, kesenjangan akan berterusan. Ujar Piketty, meritocratic extremism, by which I mean the apparent need of modern societies, and especially US society, to designate certain individuals as “winners” and to reward them all the more generously if they seem to have been selected on the basis of their intrinsic merits rather than birth or background”. Tuan Speaker,Untuk mencapai keseimbangan yang disebut oleh Frey, Sandel, dan Piketty bukan mudah tetapi memerlukan kesenian supaya Selangor boleh menggunakan pengalaman kejayaan ekonomi untuk melakar peluang baharu demi rakyat negeri ini. Kesenian ini penting bukan sekadar strategi ekonomi tetapi di semua tahap hidup. Malah, manusia yang bercinta pun perlu berseni. Meskipun ramai ada akses kepada pelbagai aplikasi untuk hal ini namun itu tidak bermakna kita hanya perlu menekan butang dan berharap untuk terus dating dan bernikah. Seni untuk mengenali dan memahami serta mengimbangi keindahan diri dan keperluan orang lain amat penting untuk memahami orang tersebut. Seperti tajuk album “The Art of Loving” oleh sensasi baharu dunia pop Olivia Dean, seni untuk mengimbangi itu penting untuk kita faham walaupun saya sedar ramai dalam kalangan Ahli Dewan merupakan peminat Taylor Swift, malah ada yang menggelar diri Swiftie, saya lebih tertarik dengan seni dan penceritaan yang ditampilkan oleh Olivia Dean. Dalam hal ini, Pandan Indah menikmati lebih, Bandar Utama sedang menikmati, dan hati Tanjong Sepat nampaknya belum berani waima ayatnya kadang-kadang luar biasa. Meskipun pasukan saya mempunyai garis dan ciri yang agak berbeza, saya perlu menyatakan bahawa dengan izin, I’m not only a one-party man, but I’m also a one-wife man. Tuan Speaker, sebagai landasan ke arah melakar seni keseimbangan ekonomi ini, pencapaian ekonomi terkini penting untuk kita amati. Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, Selangor telah berjaya merekodkan pelaburan yang lebih tinggi dari segi jumlah projek berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu. Sebanyak 948 jumlah pelaburan telah diluluskan dari Januari hingga Jun 2025 dengan nilai ekonomi, Tiga Puluh Empat Billion, Enam Ratus Lima Puluh Tiga Juta, Tiga Ratus Ribu Ringgit (RM34.653.3 billion) berbanding 897 projek berjumlah Tiga Puluh Lima Billion, Lapan Ratus Enam Puluh Lima Juta Dua Ratus Ribu (RM35.865.2 billion) pada tahun 2024. Sejumlah 31,886 peluang pekerjaan telah diwujudkan hasil daripada projek – projek yang diluluskan. Untuk Selangor menjadi negeri pertama di Malaysia yang mencapai nilai ekonomi bernilai RM500 billion, kita memerlukan gabungan strategi serta pelaksanaan yang lebih proaktif dan berkesan. Dengan melihat strategi keseimbangan ekonomi masa depan Selangor, ada 4 perkara utama yang akan menujah usaha ekonomi negeri pada tahun hadapan. Pertama, dari segi usaha untuk menarik pelaburan Menggalakkan Pelaburan

Selangor International Business Summit. Selangor International Business Summit telahpun menjadi jenama yang tersohor dalam kalangan komuniti perniagaan selama 10 tahun dianjurkan. Pada siri tahun ini, kita telah berjaya mencapai transaksi sebanyak RM8.17 billion, dan ini merupakan angka tertinggi yang dicapai dalam satu-satu penganjuran SIBS. Meskipun tahun 2024 telah melihat jumlah transaksi berjumlah RM13.86 billion tetapi angka tersebut dapat dicapai kerana kita menganjurkan dua siri dalam satu tahun buat kali pertama, dan sebahagian besar transaksi itu disumbangkan oleh aktiviti industri makanan dan minuman yang sudahpun mencapai tahap kapasiti yang tinggi. Melangkah ke hadapan, selain daripada pengajuran SIBS yang biasa, Invest Selangor akan mengusahakan strategi baharu dengan membawa SIBS ke negara-negara lain di rantau ASEAN yang mempunyai kapasiti untuk membawa manfaat perniagaan kepada industri di Selangor. Sekiranya dapat direalisasikan, tindakan proaktif ini akan membuka potensi lonjakan baharu secara dua hala, syarikat Selangor yang mampu melabur di luar, dan syarikat luar yang ingin bertapak di sini atau di negeri Selangor. Program Selangor Soft Landing Programme dan Selangor Lab Partnership, inisiatif yang sudah berjalan seperti Selangor Soft Landing Programme yang telah berjaya membawa masuk 13 syarikat pelabur dan Selangor Lab Partnership yang menerima penyertaaan 6 syarikat dalam bidang sains hayat akan diteruskan pada tahun 2026. Tambahan daripada itu, Invest Selangor akan mengusahakan SME-Investors Linkages, inisiatif baharu untuk menghubungkan syarikat tempatan dengan pelabur asing supaya syarikat-syarikat tempatan mendapat akses pasaran yang lebih luas di luar negara serta mengukuhkan kedudukan dalam rantaian nilai untuk jangka masa panjang. Untuk semua usaha ini, RM15 juta akan diperuntukkan di tahun 2026. Seterusnya Kerajaan Negeri akan mengorak langkah mengorak langkah membuka beberapa kawasan utama untuk menjadi tapak baharu bagi pelabur yang hadir ke Selangor. Antaranya seperti Integrated Development Region in South Selangor (IDRISS), Selangor Maritime Gateway, serta Sabak Bernam Development Area (SABDA). Usaha-usaha ini sedang bergerak dengan agak rancak namun memerlukan beberapa suntikan khusus sebagai pemangkin pertumbuhan projek. Integrated Development Region in South Selangor (IDRISS). Di dalam kawasan IDRISS, seluas 13,085.56 ekar merangkumi 9 projek telah menerima kelulusan Kerajaan Negeri sebagai projek khas IDRISS dan berada dalam pelbagai fasa kebenaran merancang dan pelaksanaan di peringkat PBT. Sabak Bernam Development Area, bagi Sabak Bernam, bangunan Hay Resort dan Pantai Bumi Hijau yang telah dibiarkan untuk tempoh yang agak lama akan diubahsuai, agar menjadi tarikan baharu untuk kawasan Pesisir Pantai Barat. Selain itu, satu Pusat Pengumpulan Hasil Tani Koperasi Selangor akan dibangunkan bagi merancakkan aktiviti pertanian. Untuk ini, RM5 juta akan diperuntukkan kepada Majlis Daerah Sabak Bernam dengan Sabak Bernam Development Area yang diusahakan menerusi kaedah padanan 1:1 untuk memangkin pertumbuhan di kawasan tersebut dan sebagai katalis projek di kawasan Sabak Bernam Development Area. Bagi keselesaan para pengguna lebuh raya, R&R Sabak Bernam bersebelahan jajaran Lebuhraya Pesisir Pantai Barat (WCE) akan dibangunkan oleh anak syarikat PNSB bagi membangunkan lagi kawasan Sabak Bernam serta memberikan peluang berniaga kepada komuniti tempatan. Selangor Maritime Gateway,

setelah kualiti air Sungai Klang meningkat daripada takrifan Kelas 5 kepada Kelas 3, kapasiti sungai turut telah meningkat sebanyak 22% susulan usaha pendalaman sungai yang memberikan impak positif kepada kawasan berhampiran khususnya impak terhadap banjir. Bermula tahun 2026, SMG yang diterajui oleh Landasan Lumayan Sdn. Bhd. akan membangunkan kawasan berhampiran sungai termasuk rumah pasaran bebas dan rumah mampu milik. Ini akan dimulakan dengan pembangunan Kampung Fajar Fasa 1 di Gombak bagi menempatkan semula penduduk yang sebelum ini tidak mempunyai pengiktirafan tanah dan akan menyediakan 177 unit rumah mampu milik serta 441 unit rumah harga bebas dan 18 unit komersial bagi menghidupkan kawasan ini serta mengangkat martabat rakyat. Secara keseluruhannya, 9 plot akan dibangunkan dari tempoh tahun 2026 hingga 2030 dengan anggaran keluasan 263 ekar yang bakal menyediakan 970 unit rumah mampu milik dan 2,400 unit rumah harga bebas. Pelabur-pelabur tempatan dan luar negara juga boleh memanfaatkan tanah seluas 3,710.839 ekar yang merangkumi tujuh Managed Industrial Park yang dalam proses pembinaan iaitu sebanyak tiga Managed Industrial Park di Daerah Kuala Langat, tiga di Gombak dan satu di Klang. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Dasar Speed Selangor yang dilancarkan pada Oktober lalu digunakan terutamanya bagi pembangunan di bawah MIP Managed Industrial Park kerana ini akan membawa penjimatan masa kepada para pelabur melalui proses yang dioptimumkan di peringkat PBT agar perusahaan dapat disegerakan, sekaligus menawarkan peluang pekerjaan kepada rakyat Selangor dengan lebih pantas. Speed Selangor berlandaskan prinsip Ease of Doing Business yang berhasrat membawa kepantasan dan kecekapan tanpa sebarang kompromi terhadap ketelusan dan kebertanggungjawaban Kerajaan. Setiap Pihak Berkuasa Tempatan telah menubuhkan sebuah Unit Khas bagi menerima dan menguruskan projek di bawah Dasar Speed Selangor khususnya bagi pembangunan bangunan industri seperti sektor pembuatan, serta bangunan komersial termasuk universiti, kemudahan teknologi, dan hospital swasta. Selain daripada kawasan-kawasan ini, beberapa usaha baharu akan dipercepatkan sebagai fokus baharu bagi tahun akan datang. Selangor Aero Park. Bagi bidang aeroangkasa, Selangor Aero Park yang diusahakan oleh anak syarikat Kerajaan Negeri iaitu SELATI telah dirasmikan tahun ini dan menerima pengiktirafan daripada Kerajaan Persekutuan yang akan diposisikan sebagai ruang bertapak utama di Asia Tenggara bagi syarikat-syarikat yang terlibat dalam bidang aeroangkasa, logistik dan industri sokongan seperti pendidikan dan penyelidikan. Ahli-ahli Yang Berhormat yang saya kasihi sekalian, bagi industri automotif pula Kerajaan Negeri berhasrat membangunkan Automotive Valley di Serendah dan Lembah Beringin sebagai kawasan yang akan memberi tumpuan kepada kenderaan jana kuasa konvensional seperti petrol ataupun diesel, hibrid serta tenaga elektrik. Lokasi ini dipilih susulan pelaburan bernilai RM2.2 billion daripada Chery pada tahun ini bagi membangunkan Chery Smart Auto Industrial Park di Lembah Beringin yang berpotensi mengeluarkan sehingga 300,000 unit kenderaan setahun apabila semua fasa siap bagi tujuan penggunaan dalaman serta eksport. Malahan, kawasan ini terletak berhampiran dengan kilang-kilang utama syarikat kenderaan. Contohnya PROTON di kawasan utara, Perodua di kawasan Bukit Sentosa atau pun di Bukit Beruntung, malahan syarikat antarabangsa Nissan contohnya berada di kawasan Sungai Buaya dan

kawasan tersebut. Dan dasar-dasar strategik untuk membangunkan keseluruhan rantaian bekalan akan diusahakan oleh Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor. Dengan mengambil kira bahawa sebahagian besar industri rel negara terletak dan beroperasi di hampir seluruhnya di Lembah Klang, Kerajaan Negeri akan membangunkan Hab Industri Rel di Hulu Selangor agar Selangor tidak tersekat kepada pembelian teknologi dari negara luar, tetapi mula mengorak langkah dalam aspek pembinaan komponen-komponen tren serta usaha penyelenggaraan. Ini akan diusahakan melibatkan pihak industri, akademia, serta operator rel yang mempunyai pengalaman dalam bidang rel. Malah sehingga kini, syarikat-syarikat di Selangor sudah mula mengusahakan pembuatan lokomotif untuk tujuan penggunaan jaringan MRT serta eksport ke luar negara seperti SMH Rail. Syarikat ini merupakan satu-satunya kilang pembuatan di luar Eropah yang menerima pengiktirafan dan pensijilan daripada Siemens. Ahli Yang Berhormat Sekalian, sebagai langkah proaktif meningkatkan kedudukan Selangor dalam rantaian bekalan yang bernilai lebih tinggi, Kerajaan Negeri telah bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan Malaysia Semiconductor IC Design Park 1 dan 2. Pusat kedua di Cyberjaya baru dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri pada 6 November yang lalu yang dilengkapi dengan Advanced Chip Testing Centre dan mempunyai kemudahan untuk membangunkan prototaip, pengesahan serta pengujian peranti. Kemasukan Selangor ke dalam industri semikonduktor bertujuan mencapai matlamat nasional yang diterapkan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 agar Malaysia beranjak kepada industri bernilai lebih tinggi dan tidak terhad kepada aspek pembuatan tanpa mempunyai hak milik harta intelek. Kita sedar bahawa tindakan ini tidak datang tanpa risiko terutamanya dalam keadaan ekonomi dunia sedang berhadapan dengan tarif, tetapi ini juga membuka peluang kepada Selangor untuk mempelbagaikan pasaran serta meningkatkan keupayaan industri tempatan untuk penggunaan cip berteknologi tinggi. Saya yakin bahawa tindakan ini juga akan memberi dorongan kepada generasi muda Selangor untuk menceburi bidang kejuruteraan dengan lebih serius melihat kepada potensi pekerjaan yang mampu menawarkan gaji yang tinggi. Untuk meneruskan usaha IC Design Park, sebanyak RM5 juta akan diperuntukkan pada tahun hadapan 2026. Dana Semikonduktor Selangor. Bagi memastikan industri semikonduktor dapat bertahan secara lebih mampan, Kerajaan Negeri akan membangunkan Dana Semikonduktor Selangor dengan peruntukan RM40 juta sebagai dana suntikan secara pinjaman dengan hasrat dana keseluruhan sebanyak RM100 juta melibatkan sektor swasta. Dana ini akan mempercepatkan akses suntikan modal pembangunan kepada syarikat-syarikat yang terlibat dalam reka bentuk litar tertutup semikonduktor ke arah meningkatkan keupayaan Selangor dan Malaysia untuk mengeksport semikonduktor. Ahli Yang Berhormat Sekalian, Sebagai langkah meningkatkan penglibatan syarikat-syarikat tempatan khususnya bagi pelaburan pusat data, Kerajaan Negeri telah mula menetapkan sasaran 30% kandungan tempatan yang melibatkan komponen-kompenen utama seperti sistem pelayanan, rangkaian, dan sistem kecekapan tenaga. Ini penting agar pembangunan pusat-pusat data tidak hanya menggunakan tanah di Selangor tanpa membawa manfaat kepada syarikat-syarikat tempatan yang sudahpun mempunyai keupayaan sendiri serta memberikan ruang kepada mereka berkembang. Dasar ini juga akan

mengurangkan kos pembangunan dan operasi bagi pelabur pusat data selain mewujudkan peluang pekerjaan bagi rakyat negeri Selangor dan mempertingkatkan kualiti dan keupayaan SME syarikat-syarikat tempatan. Ahli Yang Berhormat sekalian, semasa lawatan saya ke negara Republik Rakyat China baru- baru ini, saya telah melawat Loji Tenaga Nuklear Daya Bay di Shenzhen. Loji ini merupakan loji tenaga nuklear komersial pertama di China, beroperasi sejak 1994 dengan kapasiti hampir 2,000 MW melalui dua reaktor air bertekanan. Setiap tahun, Daya Bay mampu menjana lebih 15 bilion kWh tenaga elektrik, yang membekalkan keperluan tenaga bukan sahaja untuk wilayah Guangdong tetapi juga sekitar 25% kepada keperluan elektrik Hong Kong. Lawatan ini membuka mata saya untuk memahami dengan lebih mendalam teknologi tenaga bersih atau clean energy serta potensi kerjasama dalam bidang latihan dan penyelidikan. Loji Nuklear Daya Bay turut menjadi rujukan pembangunan tenaga nuklear di rantau Asia, serta ikon tenaga moden. Sebagai sebuah negeri yang komited dengan agenda kelestarian, Selangor bersemangat untuk meneruskan teknologi tenaga Baharu, boleh Baharu dan juga tenaga bersih. Usaha ini bukan sahaja penting untuk membuka peluang pelaburan baharu, malah turut meningkatkan kesedaran rakyat tentang kepentingan tenaga lestari masa depan generasi akan datang. Kita juga menyedari hakikat bahawa pusat-pusat data memerlukan penggunaan tenaga yang tinggi bagi tujuan operasi berterusan peralatan IT dan penyejukan sistem. Itu sebabnya Kerajaan Negeri tidak meluluskan pembangunan pusat data secara melulu untuk tujuan eksport tetapi memberikan keutamaan untuk keperluan penggunaan data industri-industri tempatan. Dan kita juga telah mempelbagaikan sumber tenaga dengan membangunkan pusat jana kuasa seperti di Pulau Indah serta pusat waste-to-energy yang hampir siap di Jeram. Bagi memulakan langkah ini, Kerajaan akan menubuhkan Jawatankuasa Kerja Bersama Tenaga Nuklear Selangor bagi menilai keberkesanan tenaga nuklear dengan mengambil kira perkembangan teknologi dalam sektor ini. Selain itu, pihak CGN telah bersetuju menawarkan biasiswa berjumlah RM3.7 juta sementara Kerajaan Negeri bersetuju memperuntukkan RM1 juta sebagai insentif tambahan bagi kita menghantar pelajar-pelajar. Tawaran biasiswa ini bakal memberi manfaat kepada 25 orang pelajar anak Selangor untuk melanjutkan pengajian peringkat Ijazah, Sarjana, dan Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Harbin dan Universiti Tsinghua, China, yang merupakan antara universiti terkemuka di rantau Asia. Kerajaan Negeri turut akan memberikan penekanan lebih aktif terhadap potensi industri Ekonomi Kreatif yang semakin luas merangkumi seni, reka bentuk, budaya serta aspek reka bentuk permainan e-sports. Untuk meneruskan usaha seperti Ekspo Ekonomi Kreatif yang telah berjaya pada tahun ini serta membangunkan hala tuju komprehensif melalui Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM1 juta di tahun 2026. Meskipun kita memberikan perhatian aktif kepada industri berteknologi tinggi, Selangor turut memberi ruang untuk sektor sedia ada berkembang. Antaranya, industri halal. Bagi mengoptimumkan proses semakan pensijilan, Kerajaan Negeri akan menginovasikan Sistem Semakan Digital Pantas supaya lebih ramai pengusaha mendapat akses kepada pensijilan halal secara teratur dengan pantas, untuk ini, RM200 ribu diperuntukkan pada tahun 2026. Usaha pemadanan usahawan serta promosi akan diteruskan melalui Halalfest, Malaysia International Halal

Showcase (MIHAS), dan Selangor International Halal Convention (SELHAC) dengan peruntukan RM900 ribu. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, di samping itu usaha keterjaminan bekalan makanan turut diperkukuhkan dengan tindakan lebih aktif untuk meningkatkan penggunaan teknologi perlindungan hujan, sistem pengesanan biosensor, mekanisasi dan automasi agar hasil penuaian dapat ditingkatkan. Untuk usaha-usaha spesifik ini, sebanyak RM4.85 juta diperuntukkan, dan secara keseluruhan, usaha pertanian negeri yang melibatkan pembangunan agro food park serta tanah-tanah berpotensi akan menerima peruntukkan sebanyak RM9.5 juta bagi mengukuhkan industri asas tani. Seterusnya, Tuan Speaker, pengukuhan sektor ekonomi akan membawa kepada peningkatan hasil Kerajaan Negeri. Ini kerana kita tidak boleh bergantung sepenuhnya terhadap hasil tanah semata kerana sebahagian besar tanah di Selangor telahpun dibangunkan sebagai kawasan perumahan perbandaran, komersial dan industri. Sehingga kini, Kerajaan Negeri telah memulakan beberapa langkah seperti caj abstraksi air dan Dasar Pelepasan Sifar. Sehingga Oktober 2025, Kerajaan Negeri telah menerima RM33.61 juta daripada sasaran RM70 juta bagi caj abstraksi air dan kutipan caj ini akan memberikan manfaat yang besar kepada rakyat Selangor dalam menikmati kualiti air yang lebih baik. Kerajaan Negeri melalui LUAS akan menggunakan hasil ini untuk peningkatan kualiti air selari dengan perancangan untuk menguruskan sumber asli dengan secara lebih mampan. Bagi hasil Dasar Pelepasan Sifar pula, Kerajaan Negeri telah menerima melalui Lembaga Urus Air Selangor lebih dari RM35 juta pada tahun ini. Bagi memastikan peningkatan hasil Kerajaan Negeri secara langsung, kita akan menambah baik Enakmen LUAS (1999), yang membolehkan pendapatan daripada ZDP dimasukkan terus kepada Akaun Hasil Disatukan seperti caj air tadi bagi hasil langsung negeri. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, sebagai satu lagi sumber hasil baharu, Kerajaan Negeri akan membangunkan Masterplan Selangor Dark Fiber Network melalui anak syarikat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), Smartsel Sdn Bhd dengan menjangkakan seluas kawasan 889 kilometer. Jaringan ini akan mengupayakan Selangor untuk memiliki rangkaian gentian optic berkelajuan tinggi dengan kos pembangunan berjumlah RM267 juta yang mampu memberikan pulangan sebanyak RM196 juta dalam tempoh 5 tahun. Penyediaan system ini akan dibuat secara akses terbuka agar mengurangkan kerja-kerja pengorekan yang boleh menyebabkan gangguan akses kepada perkhidmatan. Selain daripada manfaat fiscal, Selangor Dark Fiber Network akan memperluaskan akses digital dan mengurangkan jurang digital di antara kawasan bandar dan separa bandar. Untuk membangunkan Pelan Induk ini, RM1 juta akan diperuntukkan pada tahun 2026 dan Insya-Allah Dark Fiber own by State Selangor ini akan menjadi hasil berterusan dan regrid income pada negeri untuk tempoh 20 hingga 30 tahun yang akan datang. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, sebagai langkah mengukuhkan prestasi anak-anak syarikat Kerajaan Negeri pula supaya mandiri kelak, Kerajaan Negeri telah mensyaratkan pembayaran dividen anak-anak syarikat untuk disalurkan ke dalam Tabung Amanah Sumbangan Anak Syarikat / Badan Berkanun dan Agensi Kerajaan Negeri (TASASBA). Semenjak tahun 2022, sebanyak RM85.46 juta telah digunakan bagi pelbagai tujuan penting seperti pengurusan bencana dan kebajikan rakyat. Untuk tahun 2026, Kerajaan Negeri mensasarkan sebanyak RM45 juta menerusi dividen

anak-anak syarikat serta agensi-agensi Kerajaan Negeri agar prestasi syarikat ini terus dioptimumkan dan menjana hasil jangka panjang kepada negeri. Sehingga kini, anak syarikat seperti PKNS, PNSB, PKPS, Worldwide Holdings, dan Air Selangor telah menunjukkan prestasi pembayaran dividen melebihi 75%. Selepas ini kelonggaran pembayaran akan tamat setelah tempoh yang sewajarnya diberikan kepada anak-anak syarikat dan pihak Perbendaharaan akan mengetatkan kriteria komitmen bayaran dividen bermula tahun 2026. Kerajaan Negeri menerima secara positif teguran Jabatan Audit Negara berkenaan dengan tunggakan cukai yang belum berjaya dikutip oleh negeri. Ini mendorong usaha menambah baik sistem notifikasi dan pungutan cukai, dan bermula tahun 2026, Kerajaan Negeri akan membangunkan sistem cukai bernama ABT Tracker yang melibatkan akaun belum terima. Langkah ini akan berupaya mencapai sasaran RM50 juta daripada jumlah tunggakan yang terkumpul. Selain itu, Kerajaan Negeri telah meneliti potensi baharu untuk memperkukuhkan industri pelancongan melalui Fi Kelestarian supaya kemudahan-kemudahan yang dinikmati oleh pelancong di ruang perhotelan dapat meningkatkan keupayaan negeri untuk mengukuhkan fasiliti asas yang berteraskan pemeliharaan dan pemulihan sumber. Sebelum ini, Kerajaan Negeri telah menerima peningkatan peruntukan Pemberian Pelancongan daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM6.9 juta pada tahun 2025 berbanding RM4.5 juta pada tahun 2024. Hasil Fi Kelestarian akan diagihkan secara saksama dengan Akaun Hasil Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan, dan Tabung Amanah Fi Kelestarian. Usaha-usaha ini telah membolehkan rizab Kerajaan Negeri semakin kukuh. Sehingga 12 November 2025, rizab negeri telah mencapai RM4.8 billion, iaitu RM1.6 billion di dalam Akaun Hasil disatukan, dan RM3.2 billion di dalam Akaun Amanah disatukan. Ahli-ahli Yang Berhoramt, hasil daripada beberapa langkah baharu meningkatkan hasil, Kerajaan Negeri bersetuju untuk memberikan insentif cukai hiburan pada tahun 2026 bagi meningkatkan lagi jumlah pelancong dari dalam dan luar negara selaras dengan Tahun Melawat Malaysia 2026. Pertama, program kesenian keagamaan. Sebelum ini, program sebegini perlu membayar RM205 sehari untuk program kesenian dan pementasan melibatkan nasyid dan sebagainya dan RM20 sehari untuk wayang tokong. Ini akan dikecualikan sepenuhnya dari 1 Januari 2026 sehingga 31 Disember 2026. Bagi pementasan melibatkan artis tempatan, Kerajaan Negeri akan meneruskan pengecualian yang diberikan sebelum ini bagi tahun 2026. Dan bagi artis luar negara pula, Kerajaan Negeri akan mengurangkan duti hiburan pada tahun 2026 sebanyak 50% berbanding tahun ini, iaitu 10% kepada 5% bagi menggalakkan lebih ramai rakyat Selangor dan Malaysia untuk menikmati aktiviti-aktiviti pementasan artis daripada luar negara yang beraksi di negeri Selangor. Bagi Taman Tema pula, Kerajaan Negeri akan memberikan pengecualian penuh bagi warga emas, orang kurang upaya, dan kanak-kanak berumur 5 tahun dan ke bawah. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Pencapaian hasil ini membolehkan Kerajaan Negeri memberikan tumpuan kepada aspek keempat pembangunan ekonomi negeri pada tahun hadapan, iaitu melahirkan lebih ramai usahawan. PLATS Biaya Plus. Tahun ini, seramai 120 usahawan PLATS telah menerima pembiayaan RM3,000 selama tempoh 12 bulan tanpa faedah. Dengan mengambil kira impak positif usaha ini kepada prestasi perniagaan-perniagaan, Kerajaan Negeri akan membangunkan PLATS Biaya PLUS

melalui kerjasama MBI dan pihak Agro Bank yang akan menawarkan pinjaman sebanyak RM10,000 tanpa faedah kepada 600 usahawan PLATS untuk membantu mereka mengembangkan perniagaan serta mengukuhkan aliran tunai operasi. Agensi kewangan Agro Bank akan memberikan pinjaman RM6 juta, dan Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM1 juta tambahan untuk menampung kos faedah pinjaman agar 600 peniaga PLATS menerima manfaat pinjaman RM10,000 tanpa faedah selama tempoh sehingga 7 tahun. Tuan Speaker, sejak ditubuhkan pada tahun 2010, Yayasan HIJRAH telah menawarkan pembiayaan kepada 61,000 usahawan yang telah menerima 92,000 pembiayaan berjumlah RM885 juta. Daripada jumlah ini, 81% tergolong dalam masyarakat berpendapatan rendah yang sukar menerima pembiayaan daripada pihak perbankan konvensional. Setelah melalui beberapa proses peningkatan pengurusan syarikat dan KPI baharu, Yayasan HIJRAH akan mengembangkan DANA Plus, usaha baharu untuk memberikan pembiayaan RM10,000 dan ke bawah melalui aplikasi digital yang mampu mengurangkan proses kelulusan permohonan dari 2 minggu kepada hanya 48 jam. Proses yang lebih optimum ini akan membolehkan para usahawan menerima akses pembiayaan dengan lebih pantas dan membantu aliran tunai serta membuka ruang kepada pasaran tempatan yang lebih luas. Sebanyak RM5 juta diperuntukkan bagi inisiatif ini. Sebagai tambahan, peniaga yang sudahpun menikmati pembiayaan daripada Yayasan HIJRAH akan disalurkan bantuan transisi digital termasuk subsidi sistem e-invoicing sebanyak RM1,000 kepada 1,500 perusahaan mikro dan kecil. Sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan untuk tujuan tersebut. Ini selaras keputusan Kementerian Kewangan untuk melaksanakan sistem e-invoicing bagi syarikat dengan hasil jualan keseluruhan di bawah RM1 juta setahun yang akan berkuatkuasa mulai Julai 2026. Bagi usahawan mikro yang belum ke tahap memerlukan pembiayaan tetapi sudahpun ada perancangan untuk membeli peralatan tertentu, Dana Usahawan Madani Selangor akan memberikan ruang pembelian mesin dan peralatan sehingga RM30,000 seorang. Dana Usahawan Madani Selangor akan diteruskan dengan peruntukan RM2 juta di tahun 2026. Kerajaan Negeri turut memahami bahawa selain daripada pembiayaan dan akses kepada peralatan, pembangunan kapasiti dan pengetahuan amat penting untuk para usahawan berjaya. Bukan mudah untuk berani mengambil langkah menjadi seorang usahawan lebih-lebih lagi di saat persaingan ruang digital semakin hangat bagi pelbagai jenis produk perkhidmatan. Untuk meningkatkan kapasiti dan pengetahun serta pengurusan kewangan yang merangkumi pelan perniagaan, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM1 juta, dan bagi tujuan promosi produk buatan Selangor, RM1 juta turut akan diperuntukkan. Selain daripada membudayakan usahawan, Kerajaan Negeri amat mementingkan peluang untuk graduan-graduan Selangor mendapatkan pekerjaan. Selangor Career Outreach Programme (SCOUT). Antara dorongan utama Kerajaan Negeri mencadangkan penubuhan Majlis Kemahiran dan Pekerjaan adalah untuk tangani ketidakpadanan antara kepakaran yang diperlukan di industri-industri dengan pengetahuan dan pendidikan graduan. Kini, Kerajaan Negeri memainkan peranan aktif untuk membentuk industri elektrik dan elektronik termasuk semikonduktor, serta peralatan pengangkutan, tenaga, digital, dan ke hadapan, industri sains hayat. Selangor Career Outreach Programme (SCOUT) akan menghubungkan pihak

akademia, industri-industri terpilih ini, bakal graduan dan graduan secara kolaborasi supaya mereka dapat bertemu secara terus dengan syarikat-syarikat untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan di Selangor. Tahun ini, 260 pelajar dalam bidang kejuruteraan telah menerima manfaat menerusi dua siri yang dijalankan di Universiti Tunku Abdul Rahman pada 12 Ogos, dan UNISEL pada 2 Oktober, dan ini akan diteruskan pada tahun hadapan termasuk menghubungkan dan bekerjasama dengan university-universiti lain. Tambahan kepada itu, bagi mengatasi isu pengangguran, Kerajaan Negeri akan meneruskan penganjuran Karnival Kerja JobCare dengan bantuan tambahan program pensijilan serta pembangunan kemahiran di seluruh negeri dan RM1 juta diperuntukkan pada tahun 2026.

Ahli-ahli Yang berhormat sekalian, Tekad Kedua : Reformasi Tadbir Urus Memartabat Bangsa Panglima gagah keris tersisip Langkah megah menentu hala Tatakelola kreatif perteguh prinsip Kerajaan dipercaya maruah terbela

Tuan Speaker dan Ahli-ahli Dewan Budiman, bagi menyahut Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) dan nilai HEMAT yang dilancarkan oleh Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri akan mengambil inisiatif melancarkan Reformasi Sistem Penyampaian dan Tadbir Urus Negeri Selangor (RSTU). Inisiatif RSTU bertujuan meningkatkan kualiti perkhidmatan awam negeri menerusi pembaharuan dan transformasi sistem penyampaian dan tadbir urus. Dilancarkan pada 4 Ogos 2025 RSTU mengandungi lapan (8) fokus strategik dalam Reformasi Sistem Penyampaian dan Tadbir Urus Perkhidmatan di negeri Selangor yang menjadi asas etika perkhidmatan awam negeri. Sebagai permulaan beberapa inisiatif telah dikenalpasti di peringkat PBT. Termasuk penggunaan Sistem Penguatkuasaan Bersepadu yang dibangunkan oleh Majlis Perbandaran Hulu Selangor. Sistem ini berfungsi menyelaras dan menyatukan pelbagai data penguatkuasaan pada satu platform utama berbanding penggunaan kaedah manual sebelum ini. Sistem ini akan diperkenalkan di beberapa PBT lain mulai tahun 2026. Selain itu, Indeks Pengukuran RSTU akan dibangunkan sebagai instrumen penilaian bersepadu yang mengukur empat komponen utama, iaitu Kualiti Penyampaian, Integriti, Kepercayaan, dan Kualiti Tadbir Urus. Indeks ini akan menjadi asas bagi usaha berterusan dalam memperbaiki sistem penyampaian Kerajaan Negeri dan memperkukuh budaya tadbir urus berintegriti. Bagi melaksanakan inisiatif ini Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM2 juta dalam Belanjawan tahun 2026.

Ahli-ahli Yang berhormat sekalian, Kerajaan Negeri Selangor akan meneruskan tekad memperkukuh pembangunan pentadbiran bersepadu menerusi inisiatif Selangor Greater Klang Valley, yang merangkumi empat (4) PBT bertaraf bandar raya iaitu Shah Alam, Subang Jaya, Petaling Jaya, dan Klang. Inisiatif ini merupakan strategi jangka panjang bagi

meningkatkan daya saing, kecekapan tadbir urus, dan kesejahteraan bandar di negeri Selangor. Sebanyak RM3 juta diperuntukkan pada tahun 2026 meneruskan inisiatif ini. Seterusnya, Kerajaan Negeri Selangor telah meluluskan cadangan penubuhan Perbadanan Metropolitan Selangor melalui Enakmen Khas yang sedang disemak oleh Kamar Penasihat Undang-undang negeri untuk dibentangkan dalam sidang Dewan akan datang tertakluk kepada kelulusan Jabatan Peguam Negara. Ahli-ahli Yang Berhormat yang saya kasihi sekalian, Penubuhan perbadanan ini dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan bandar yang lebih terancang, efisien, berdaya tahan, selari dengan aspirasi Selangor sebagai negeri pintar dan progresif tanpa menjejaskan tanggungjawab mana-mana PBT. Pada tahun 2025, Kerajaan Negeri telah melancarkan SPEED Selangor yang bertujuan mempercepat dan mempermudah proses kelulusan pembangunan serta pelesenan perniagaan daripada tiga bulan kepada 30 hari bagi projek industri dan komersil yang strategik dan berimpak tinggi. SPEED Selangor juga telah menyeragamkan proses-proses kelulusan di ke semua 12 PBT negeri Selangor bagi meningkatkan keyakinan pelabur dan merealisasikan aspirasi Selangor sebagai negeri mesra pelaburan. Pada tahun 2026, Kerajaan Negeri Selangor bertekad meneruskan Reformasi Pihak Berkuasa Tempatan menerusi penyeragaman permohonan permit dan lesen berisiko rendah seperti ubahsuai rumah dan permit perniagaan sementara terpilih yang pada masa ini mengambil masa antara 14 sehingga 30 hari kepada satu tempoh yang lebih pendek. Bagi fasa pertama pelaksanaan, Reformasi PBT akan memberi fokus kepada dua perkhidmatan utama iaitu permit ubahsuai kediaman dan lesen penjaja. Bagi permit ubahsuai kediaman, tempoh kelulusan akan dipendekkan kepada kurang daripada 24 jam, khusus bagi rumah jenis teres yang tidak melibatkan struktur utama bangunan. Bagi lesen penjaja, tempoh pemprosesan akan disingkatkan daripada 30 hari kepada 14 hari bekerja bagi memberi kelegaan dan kepastian kepada penjaja kecil serta usahawan mikro yang menjadi nadi ekonomi tempatan. Pelaksanaan Reformasi PBT Selangor ini akan bermula di semua 12 PBT negeri mulai Jun 2026 dan menjadi bukti nyata bahawa transformasi pentadbiran bukan sekadar slogan tetapi satu tindakan konkrit ke arah kerajaan yang memudahkan, mempercepat dan memajukan kehidupan rakyat Selangor. Usaha meningkatkan kecekapan pengurusan kewangan dan hasil PBT akan turut dilaksanakan melalui pematuhan Standard Accounting System for Government Agency (SAGA), satu sistem piawaian perakaunan yang ditetapkan oleh Jabatan Akauntan Negara. Menerusi SAGA semua pengurusan kewangan dan sistem perakaunan akan dilaksanakan menurut prinsip, prosedur, dan kawalan yang seragam serta mematuhi undang-undang kewangan negara. Sehingga tahun 2025, empat (4) PBT iaitu Majlis Perbandangan Kuala Langat, Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Perbandaran Selayang, dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (2022) telah menerima pengiktirafan pematuhan SAGA. Penyelarasan pelaksanaan ini kepada lapan (8) lagi PBT akan diselaraskan melalui Jawatankuasa Pemantau SAGA Negeri di tahun 2026. Kerajaan Negeri Selangor bercadang untuk membangunkan Sistem Padanan/Semakan Tunggakan Cukai Taksiran Bersepadu Selangor (i-GATE PBT) yang melibatkan semua Pihak Berkuasa Tempatan di negeri ini. Inisiatif ini bertujuan meningkatkan kecekapan kutipan hasil negeri dan memperkukuhkan pematuhan kepada peraturan PBT

oleh individu mahupun entiti. Pembangunan sistem ini akan mengambilkira sistem sedia ada di setiap PBT, membenarkan integrasi data secara automatik antara PBT dan menyokong PBT yang masih menggunakan semakan manual menerusi reka bentuk platform digital yang mesra pengguna dan boleh dipertingkatkan fungsi dan keupayaannya. Pelaksanaan sistem ini dijangka memberi impak positif terhadap keberkesanan operasi PBT, mempercepat proses kutipan hasil, dan menyokong transformasi digital PBT secara menyeluruh. Ahli-ahli Yang berhormat sekalian, Enterprise Architecture (EA) merupakan pendekatan strategik yang menyelaraskan strategi pengurusan sesebuah organisasi dengan sistem, proses dan teknologi digital bagi mencapai matlamat dan hala tuju organisasi tersebut. Menerusi EA, kita berupaya membina persekitaran ICT yang lebih tersusun, mudah diurus, dan efisien. Justeru pentadbiran ini berhasrat memulakan usaha pembangunan EA di Bahagian Pengurusan Maklumat (BPM) berpandukan rangka kerja dan metodologi MyGovEA yang disediakan oleh Jabatan Digital Negara bagi membantu agensi sektor awam membangunkan EA. Bagi melaksanakan hasrat ini Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM750 ribu. Pembangunan modal insan dan sosial sebuah dasar yang bertujuan melahirkan sumber manusia berkualiti dan bermanfaat kepada kehidupan sosial dan ekonomi masyarakat. Justeru, Kerajaan Negeri memperkenalkan Program Pembangunan Modal Insan Penjawat Awam dengan peruntukan berjumlah RM1 juta bagi memperkasa penjawat awam Negeri Selangor dengan menggilap kemahiran menerusi siri kursus berimpak tinggi dalam dan luar negara.

Ahli-ahli Yang berhormat sekalian, selaras dengan langkah Kerajaan Persekutuan memperkenalkan Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang baharu, Kerajaan Negeri menyambut baik agenda ini sebagai langkah reformasi penting bagi memperkukuh budaya prestasi tinggi dalam kalangan penjawat awam. Dalam konteks Belanjawan Selangor 2026, Kerajaan Negeri turut memperuntuk dana khusus bagi menyelaras pelaksanaan SSPA yang telah dilaksanakan secara berfasa seperti berikut :

-Fasa 1 (Disember 2024) : Pelarasan gaji sebanyak 8% bagi Kumpulan Pelaksana serta Kumpulan Pengurusan dan Profesional.

-Fasa 2 (Januari 2026) : Pelarasan gaji tambahan sebanyak 7% bagi Kumpulan Pelaksana serta Kumpulan Pengurusan dan Profesional.

-Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT): Pelarasan gaji sebanyak 7%, diagihkan dengan 4% pada Fasa 1 dan 3% pada Fasa 2.

Susulan penstrukturan semula gaji penjawat awam, Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) Fasa 2 akan mula berkuatkuasa pada Januari 2026. Kerajaan Negeri komited untuk memastikan pelaksanaan SSPA Fasa 2 di Selangor diselaraskan sepenuhnya dengan hala tuju Belanjawan Persekutuan yang akan memberi manfaat kepada 8,914 pegawai

Perkhidmatan Awam Negeri Selangor dengan implikasi tambahan sebanyak RM20 juta daripada belanjawan sebelum ini. Berdasarkan penerimaan pemakaian SSPA di bawah Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang melibatkan Pihak Berkuasa Tempatan dan Badan Berkanun Negeri, jumlah keseluruhan penjawat awam yang menerima manfaat ini adalah seramai 23,000 pegawai.

Ahli-ahli Yang berhormat sekalian, pada 10 Oktober 2025 lalu, Belanjawan Persekutuan telah mengumumkan pelaksanaan Bayaran Insentif Berasaskan Prestasi kepada pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional. Selaras dengan pengumuman tersebut, Kerajaan Negeri Selangor turut mengambil langkah proaktif untuk menyelaraskan dasar dan menerima pakai peraturan tersebut di peringkat negeri agar seiring dengan hasrat Kerajaan Persekutuan. Belanjawan 2026 yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri dan Menteri Kewangan mengiktiraf prestasi cemerlang penjawat awam yang telah lama berkhidmat tetapi masih menunggu peluang kenaikan pangkat disebabkan kekangan struktur perjawatan. Melalui perluasan ini, pegawai yang berada dalam skim perkhidmatan yang kenaikan pangkatnya hanya tertakluk kepada kekosongan jawatan dan telah berkhidmat sekurang-kurangnya enam hingga lapan tahun mengikut gred jawatan semasa serta menunjukkan prestasi yang baik dan cemerlang, akan diberikan insentif khas bersamaan dengan nilai satu Kenaikan Gaji Tahunan pada gred semasa, yang akan dibayar secara bulanan. Dalam konteks ini, Kerajaan Negeri berpandangan pelaksanaan Bayaran Insentif Berasaskan Prestasi di peringkat negeri akan diperhalusi dan disesuaikan dengan konteks perkhidmatan awam negeri Selangor yang akan memberi manfaat kepada kepada 320 pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional Kerajaan Negeri dengan anggaran implikasi tambahan sebanyak RM3,358,620.00 tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia serta Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

Tekad Ketiga : Mencorak Pendidikan Melakar Masa Depan

Kain songket ditenun halus Di ikat rapi nampak sepadan Pendidikan sepadu dirangka khusus Selangor padu melangkah ke depan

Tuan Speaker, dunia pendidikan sedang mengalami perubahan amat pesat yang dipacu oleh kemajuan teknologi, perubahan sosial, dan tuntutan ekonomi abad ke-21. Bagi menangani perubahan ini Kerajaan MADANI menerusi Kementerian Pendidikan Malaysia sedang menggerakkan Agenda Reformasi Pendidikan sebagai teras utama bagi Pelan Pendidikan Masa Depan Malaysia 2026–2036 yang bakal bermula pada tahun depan. Kementerian Pendidikan bertekad untuk memperkukuh kurikulum, memperkasa guru sebagai ejen perubahan, dan memastikan setiap pelajar mendapat peluang yang saksama untuk

berkembang memenuhi potensi diri mereka. Sementara Kerajaan Negeri pula sentiasa konsisten mencorak agenda pendidikan demi melakar masa depan rakyat dan negeri yang lebih makmur. Kerana kita percaya reformasi pendidikan bukan satu pilihan tetapi keperluan yang mustahak. Rancangan Selangor Pertama telah menunjukkan kejayaan kita merangka pelbagai kemajuan infrastruktur, teknologi dan sosial. Ini bakal diperkukuhkan pula dengan pelaksanaan Rancangan Selangor Kedua yang akan menonjolkan lebih banyak program dan insentif kepada rakyat negeri Selangor termasuk pendidikan. Justeru, bagi tahun 2026, Kerajaan Negeri memperuntuk sejumlah RM136,211,600.00 di bawah Jawatankuasa Tetap Pendidikan dan Modal Insan Negeri Selangor. Jumlah ini meliputi RM93 juta bagi program pendidikan; RM3.7 juta bagi Program Pembangunan Modal Insan dan Sosial; RM8 juta bagi Program Iltizam Selangor Penyayang yang meliputi hadiah IPT, Skim Tunas dan Program Iltizam Anak Selangor (ANAS); dan RM31,511,000.00 bagi program Tabung Anak Warisan Selangor. Suka saya menyebut bahawa ini merupakan satu peruntukan tertinggi untuk pendidikan dalam sejarah belanjawan Negeri Selangor dan merekodkan peningkatan RM55 juta daripada tahun 2025. Peruntukan ini membuktikan tekad Kerajaan Negeri dalam membangunkan generasi masa depan yang bakal menjadi harapan bangsa.

Ahli-ahli Yang berhormat sekalian, demi memastikan setiap kanak-kanak di negeri Selangor mendapat peluang pendidikan awal yang bermutu, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Skim Bantuan Tadika Selangor (TUNAS). Skim ini memberi bantuan sebanyak RM50.00 sebulan kepada setiap kanak-kanak berumur 5 dan 6 tahun daripada keluarga berpendapatan isi rumah RM5,000.00 ke bawah. Kerajaan Negeri menjangkakan seramai 3,700 kanak-kanak yang bakal mendapat manfaat TUNAS pada tahun 2026 dengan peruntukan Kerajaan Negeri berjumlah RM2 juta program pembangunan pendidikan awal kanak-kanak Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS). Kerajaan Negeri teguh percaya bahawa pelaburan paling penting bagi menjamin masa depan Selangor adalah pelaburan dalam modal insan. Kepesatan pembangunan ekonomi dan kecanggihan infrastruktur tidak bermakna jika rakyat sonder ilmu pengetahuan, kemahiran, serta nilai murni. Justeru Belanjawan 2026 mengangkat pendidikan dan pembangunan modal insan sebagai teras utamanya. Tekad ini tidak hanya bermula di alam persekolahan tetapi dari saat seorang anak dilahirkan. Menerusi Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS), pelbagai inisiatif dirangka bagi memastikan setiap anak Selangor mendapat peluang terbaik untuk membesar dan menuntut ilmu sesuai dengan tahap perkembangan mereka. Program Pemberdayaan Pendidikan dan Pembangunan Guru pada Tahun 2026 Kerajaan Negeri akan memberikan tumpuan utama kepada pengukuhan kedudukan Selangor sebagai negeri yang menjuarai isu memperkasa pendidikan bermutu menerusi pelbagai program pendidikan. Antara program yang menjadi tumpuan kepada Tahun 2026 adalah Program Pemberdayaan Pendidikan dan Pembangunan Guru bagi meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran murid melalui pembangunan kompetensi, profesionalisme dan kesejahteraan guru. Menerusi inisiatif ini Kerajaan Negeri berharap agar kita berjaya melahirkan pelajar yang berdaya saing, beretika dan berilmu. Program Intervensi Literasi dan Numerasi bermula Tahun 2025 Kerajaan Negeri dengan

kerjasama MBI, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri dan Jabatan Pendidikan selaku agensi pelaksana telah melaksanakan Program Intervensi Literasi dan Numerasi untuk murid belum menguasai 3M, membaca, menulis dan mengira melalui Program Didik Kasih. Program ini telah memberi manfaat kepada 25 Ribu orang pelajar dan melibatkan 661 buah sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia di seluruh Negeri Selangor. Bagi Tahun 2026 Kerajaan Negeri bertekad meneruskan pelaksanaan program ini dengan peruntukan RM1 Juta.

Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian pendidikan anak-anak dalam bidang agama terus menjadi keutamaan Kerajaan Negeri justeru kesinambungan inisiatif bantuan subsidi yuran kelas Al– Quran dan Fardu Ain Integrasi, KAFA Integrasi yang telah dimula dilaksanakan di Tahun 2022 akan terus diperkasakan. Sebagaimana sebelum ini Kerajaan Negeri sekali lagi mengambil tanggungjawab untuk memastikan anak-anak dari keluarga berpendapatan rendah tidak tercicir dalam pendidikan agama. Bermula Tahun 2026, Kerajaan Negeri memutuskan meneruskan pemberian subsidi yuran KAFA Integrasi sebanyak RM30 sebulan kepada setiap murid daripada latar belakang B40 dengan purata pendapatan isi rumah RM3 Ribu dan ke bawah bagi tujuan ini Kerajaan Negeri peruntukan sejumlah RM5 Juta khusus bagi menampung bantuan subsidi yuran KAFA Integrasi. Dengan adanya bantuan ini, beban kewangan ibu bapa dan penjaga dapat diringankan, manakala anak-anak pula dapat terus menikmati Pendidikan Agama Islam dengan sempurna tanpa sebarang kekangan. Usaha ini bukan sahaja melahirkan generasi celik Al-Quran malah membentuk anak-anak Selangor yang berakhlak mulia insya Allah, berilmu dan berdisiplin seiring dengan hasrat Kerajaan Negeri menjadikan Negeri Selangor negeri unggul dari sudut pembangunan rohani dan jasmani di samping menampung kos operasi asas institusi KAFA seperti penyediaan prasarana, bahan pengajaran, pembelajaran sehingga banyak membantu kebajikan guru-guru KAFA.

Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, Kerajaan Negeri akan memperkukuh Program Intervensi STEM Selangor melalui sebagai ikhtiar meningkatkan minat dalam penguasaan murid dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan Matematik menerusi pelbagai aktiviti hands on, reka bentuk kejuruteraan dan penyelesaian masalah demi menyuntik minat murid dalam bidang STEM (Sains, Teknologi dan Matematik) dan melahirkan generasi arif STEM pada masa depan. Kerajaan Negeri memperuntukkan RM250 Ribu bagi pelaksanaan program pada Tahun 2026. Program Tuisyen Rakyat Negeri Selangor telah menunjukkan keberkesanan yang memberangsangkan, diterajui oleh Menteri Besar Selangor Incorporated dan Jawatankuasa Tetap Pendidikan Modal Insan Negeri Selangor sudah teruji berdasarkan pencapaian peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2024 yang lalu. Dengan gred purata negeri bagi semua mata pelajaran terlibat menunjukkan peningkatan kepada 4.59 pada tahun 2024 berbanding 4.67 pada Tahun 2023 sementara jumlah calon layak menerima Sijil seramai 59, 403 pada Tahun 2024 berbanding 58, 082 pada Tahun 2023 dan demi terus meningkatkan

pencapaian ini, maka pada Tahun 2025 Kerajaan Negeri telah memperluas Program Tuisyen ini kepada 70 Ribu orang pelajar Tingkatan 5 dan 75 Ribu orang pelajar-pelajar Tingkatan 4 daripada 272 buah sekolah di seluruh Negeri Selangor. Seterusnya sebagai usaha memperkukuh dua mata pelajaran model PTRS baru iaitu Fizik dan Kimia akan diperkenalkan pada Tahun 2026. Ini bertujuan meningkatkan penguasaan pelajar dalam bidang Sains dan menyokong perkembangan kokurikulum yang lebih menyeluruh. Selain itu, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan e-PTRS sebagai platform pembelajaran digital bagi sokongan tambahan kepada pelajar-pelajar Tingkatan 4 dan Tingkatan 5. Platform e-PTRS menyediakan bahan seperti e-books, video pengajaran dan pembelajaran dan video pecutan akhir teknik menjawab soalan bagi Tahun 2026. E-PTRS akan terus ditambah baik dengan penyediaan modul latihan soalan interaktif dan laporan pencapaian yang boleh dipantau menerusi ‘Aplikasi Ulangkaji’. Penambahbaikan ini penting bagi meningkatkan keberkesanan pembelajaran dan penilaian impak program. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM3 Juta bagi penyediaan segala keperluan PTRS pada Tahun 2026. Kem Muafakat Kita Selangor, ialah sebuah inisiatif perpaduan berskala negeri yang menghimpunkan pelajar-pelajar sekolah menengah daripada pelbagai latar belakang dan aliran untuk berinteraksi secara langsung melalui aktiviti berbentuk kerjasama, kepimpinan, dan pembinaan jati diri. Dengan peruntukan RM1 Juta, kem ini dirangka akan menjadi platform yang selamat dan inklusif bagi mengukuhkan kefahaman antara kaum, menghapus jurang sosial, serta memupuk semangat kebersamaan sejak usia remaja.

Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, sebagai usaha meluaskan pengetahuan dan pengukuhan modal insan generasi muda dan rakyat Negeri Selangor, Kerajaan Negeri akan memperkenal Program Language Discovery, PPAS pada Tahun 2026. Program ini menawarkan kursus pembelajaran bahasa asing di peringkat asas secara dalam talian bagi pelajar sekolah menengah seluruh rakyat Selangor secara percuma. 8 pilihan bahasa yang ditawarkan menerusi program ini adalah bahasa Arab, Mandarin, Tamil, Inggeris, Perancis, Jerman, Sepanyol, Rusia. Program ini dilaksanakan melalui peruntukan sebanyak RM350 Ribu oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Selangor (PPAS). Kerajaan Negeri menginsafi kepentingan perancangan kewangan pada segenap peringkat daripada kerajaan hingga keluarga dan individu. Sekiranya perbelanjaan dan unjuran jangka masa panjang tidak dirancang secara berhemah maka itu akan memberikan dampak negatif kepada keselamatan kewangan individu, hubungan pasangan, mahupun keluarga. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri akan memulakan Program Literasi Kewangan Pelajar yang akan dilaksanakan di 100 sekolah seluruh Selangor secara fizikal serta modul dalam talian dengan kerjasama East Spring Investments Berhad yang telah pun diiktiraf Kementerian Pendidikan Malaysia bagi program sebegini. Bagi menjayakan usaha ini untuk masa depan anak-anak kita agar mereka pintar membuat perancangan kewangan pada peringkat awal sehingga RM500 Ribu akan diperuntukkan di Tahun 2026. Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor merupakan bantuan kepada sekolah-sekolah Negeri Selangor untuk membaik pulih infrastruktur sekolah dan membantu menyediakan persekitaran yang kondusif. Terlalu banyak maklum balas yang

positif di kalangan pentadbir sekolah, guru, pelajar berkenaan kualiti pendidikan, kesejahteraan warga sekolah, dan pembangunan komuniti setempat. Program sebegini bukan setakat membina kemudahan fizikal tetapi memperkukuh suasana pembelajaran yang kondusif dan berdaya saing. Bahkan Kerajaan Negeri sentiasa komited dan bersiap siaga untuk membantu pihak sekolah meningkatkan kualiti pembelajaran dan persekitaran sekolah, termasuk sewaktu ditimpa bencana. Justeru, Kerajaan Negeri akan memberikan bantuan yang terbaik sekiranya institusi pendidikan ini terkesan akibat bencana alam yang tidak terduga. Tahun 2025 sejumlah 873 sekolah telah menerima manfaat daripada bantuan ini. Itu tidak termasuk beberapa sekolah yang ditimpa bencana ribut dan banjir seperti di Sijangkang dan Meru. Demi generasi masa depan maka Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor yang mula dilaksanakan sejak tahun 2009 dengan dana RM6 Juta diteruskan pada tahun 2026 dengan jumlah peruntukan RM30 Juta iaitu pertambahan kira-kira RM3.5 Juta daripada peruntukan tahun sebelum ini. Peruntukan ini melibatkan enam (6) jenis seperti Sekolah Rendah Agama, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, Sekolah Kebangsaan, Sekolah Menengah, Sekolah Menengah Persendirian dan juga Sekolah-Sekolah Mubaligh. Kerajaan Negeri berharap agar insentif ini berupaya meningkatkan motivasi guru, pelajar untuk terus mencapai kecemerlangan dalam bidang pelajaran. Sebagai reaksi terhadap isu yang berlaku baru-baru ini, Kerajaan Negeri bersetuju untuk melaksanakan program bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di seluruh Negeri Selangor yang bakal memberikan tumpuan kepada usaha membasmi masalah buli dan juga masalah-masalah yang timbul di Negeri Selangor. Daripada keseluruhan RM30 Juta tadi RM1 Juta akan diperuntukkan untuk memperkasakan usaha PIBG dengan pemantauan pihak sekolah dan sebagainya. Kerajaan Negeri berhasrat dan bertekad meringankan bebanan ibu bapa pelajar berketurunan India, khususnya daripada kelompok B40, demi memastikan kebajikan dan kesejahteraan mereka terus dibela. Dengan mengambil kira keperluan dan peningkatan permohonan daripada komuniti India, Kerajaan Negeri bersetuju menambah peruntukan kepada RM2.7 Juta pada Tahun 2026 bagi Program Pembangunan Pendidikan Masyarakat India mengikut pecahan berikut:

a) RM1.2 juta bagi Program Sumbangan Subsidi Tambang Bas Sekolah bagi pelajar-pelajar sekolah B40 di SJKT; dan

b) RM1.5 juta bagi Program Bantuan Yuran Pengajian di IPTA dan IPTS bagi pelajar India daripada golongan B40.

Peruntukan ini meningkat sebanyak RM515 Ribu berbanding daripada peruntukan Tahun 2025.

Ahli-Ahli Yang Berhormat yang saya kasihi sekalian, Program IKTISASS yang diterajui STDC memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi Negeri Selangor sebagai penyediaan dan melengkapkan integrasi kemahiran bagi lepasan sekolah dan golongan

muda dalam meningkatkan kemahiran teknikal dan keusahawanan bagi melengkapi keperluan industri sekali gus menyumbang kepada tenaga mahir Negeri Selangor dan berpendapatan tinggi. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM20.48 Juta untuk Program IKTISASS bagi tahun 2026 bagi memastikan pendidikan TVET mencapai matlamat melahirkan tenaga kerja mahir sebagai persediaan industri di Selangor melangkah ke Industri 4.0 dan menuju Rancangan Selangor Kedua sekali gus meningkatkan pelaburan asing (FDI) di seluruh Selangor. Program ini merangkumi Program Pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Pensijilan Profesional.

Pada Tahun 2025, lebih daripada 1,000 orang pelajar telah menamatkan pengajian di STDC Kampus Kuala Selangor bagi kursus Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 hingga 4 dan beberapa sijil lanjutan. Sementara lebih 800 orang berjaya menerima pensijilan profesional daripada STDCx Kampus Shah Alam meliputi kolaborasi bersama dengan pemain industri antarabangsa antaranya Siemens,, Apple, KNX, Mendix, Dassault Systemes, Festo, Googles yang menjurus kepada pemindahan program teknologi dan kepakaran. Pencapaian ini sentiasa meningkat saban tahun dan menunjukkan peningkatan kesedaran terhadap peranan TVET dan kelebihan pensijilan kemahiran kepada belia. Selain itu, pelbagai usaha meningkatkan mutu lepasan IKTISASS menerusi penambahbaikan modul pengajian dan pelbagai bidang pengajian dilaksanakan bagi memastikan pelajar lepasan IKTISASS sentiasa menjadi yang terbaik dan berdaya saing. Usaha tersebut termasuk memberi tumpuan kepada industri teknologi digital dan pembuatan termaju melalui pembangunan inkubator industri bagi memacu transformasi revolusi industri 4.0 dan pendidikan industri. Inisiatif akan disokong dengan jaringan kerjasama industri antarabangsa yang sentiasa dipertingkatkan setiap tahun memperkasa teknologi, latihan tenaga pengajar dan pertukaran pelajar dalam ekosistem pendidikan industri di Negeri Selangor. STDC akan meneruskan usaha penambahbaikan program IKTISASS pada tahun 2026 dengan memperkenalkan antara lain Program TVET Wanita Selangor susulan kerjasama dengan Guangdong Women’s Polytechnic, China pada September lalu. Inisiatif ini dijangka memperkasa golongan wanita melalui kemahiran TVET selaras dengan usaha Kerajaan Negeri untuk melahirkan tenaga kerja mahir wanita khususnya belia, ibu tunggal dan mereka yang ingin kembali ke pasaran kerja. Ini bakal dilaksanakan menerusi pensijilan dalam bidang kejuruteraan, teknologi digital automasi, tenaga boleh baharu, kulinari dan perkhidmatan teknikal yang relevan dengan keperluan industri. Kerajaan Negeri berharap agar usaha ini dapat meningkatkan kadar penyertaan wanita dalam bidang teknikal dan vokasional sekali gus mengurangkan jurang jantina dalam sektor pekerjaan berkemahiran tinggi. Bagi Program Pensijilan ini Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM10.5 Juta yang dijangka bakal memberikan manfaat kepada 2,000 rakyat Negeri Selangor. Pada Tahun 2026 STDC mensasarkan kerjasama dan terokaan baharu dalam beberapa bidang dan teknologi yang semakin memberi kesan positif dalam perkembangan industri dan ekonomi dunia. STDC akan memainkan peranan utama dalam menyediakan landasan kepada pemindahan teknologi, indikator kepada peningkatan kemasukan pelaburan di Negeri Selangor dan berusaha menyediakan keperluan tenaga

mahir serta modul pendidikan terkini dengan beberapa kerjasama antaranya Program Career On Wheels. Program Career on Wheels akan dilaksanakan menerusi kerjasama strategik bersama pemain industri bertujuan mendedahkan pelajar sekolah menengah kepada bidang TVET berprofil tinggi seperti maritim, penerbangan, dan telekomunikasi. Program ini akan dilaksanakan menerusi penggunaan sistem simulator, modul latihan dan peralatan pembelajaran interaktif bagi tujuan ini Kerajaan Negeri memperuntukkan RM3 Juta.

Ahli Yang Berhormat sekalian, sebagai usaha meningkatkan keupayaan tenaga kerja dalam sektor pengurusan sisa pepejal, Kerajaan Negeri menyokong usaha Worldwide Holdings untuk bekerjasama dengan STDC bagi membangunkan sebuah Pusat Latihan Waste to Energy yang dilengkapi kemudahan simulator. Pusat latihan ini berfungsi sebagai platform latihan dan peningkatan kemahiran bagi tenaga kerja dalam bidang pengurusan sisa pepejal, terutama dalam operasi dan penyelenggaraan Loji Waste to Energy. Pembangunan ini akan dilaksanakan menerusi peruntukan Worldwide Holdings Berhad sebanyak RM5 Juta.

Ahli Yang Berhormat sekalian, Program SELFA atau pun Selangor Frontliner Apprentice bertujuan melahirkan tenaga kerja barisan hadapan kesihatan yang kompeten dan berdaya saing melalui pembiayaan pendidikan yang dijamin industri dan jaminan peluang pekerjaan sebaik tamat pengajian kepada anak-anak Negeri Selangor. Program ini melibat kursus pengajian Diploma Kejururawatan Fisioterapi, Pengimejan Perubatan dan Teknologi Makmal Perubatan di UNISEL dengan tempoh pengajian selama tiga (3) tahun dan tempoh perkhidmatan selama lima (5) tahun di rangkaian Hospital SELGATE kelak. Bagi tujuan ini Kerajaan Negeri memperuntukkan RM4.74 Juta pada Tahun 2026 yang turut saya percaya mampu mengisi kekurangan atau pun kekosongan jururawat-jururawat yang agak kritikal di hospital-hospital Negeri Selangor.Ahli Yang Berhormat sekalian, sektor automotif di Selangor merupakan antara yang paling pesat berkembang dan penting di Malaysia. Selangor menjadi nadi kepada industri automotif negara dengan 55% pembekal komponen automotif beroperasi di Negeri Selangor. Justeru Kerajaan Negeri Selangor melalui STDC bakal membangunkan fasiliti pengajian automotif bertaraf antarabangsa dengan kerjasama industri automotif yang telah dilaksanakan seperti BMW dan akan teroka dengan syarikat-syarikat industri automotif yang lain. Fasiliti yang dibangunkan bakal menjadi lapangan pembangunan kerjaya dalam TVET sektor automotif dan bakal dinaik taraf sebagai hub inovasi automotif pada masa hadapan. Kerangka kerjasama turut dibangunkan bagi menawarkan pensijilan German Dual Educational Programme bagi modul ini dengan Kerjasama Malaysia-German Chamber’s of Commerce dan Industry (MGCC). Program-program pendidikan tinggi Kerajaan Negeri telah bersetuju memperuntukkan RM35.72 Juta bagi Program Pendidikan Tinggi yang merangkumi Program Pembangunan Mahasiswa, Program Pemerkasaan Institusi Pendidikan Tinggi dan Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor pada Tahun 2026. Peruntukan ini meningkat sebanyak RM11.5 Juta berbanding Tahun 2025. Ahli Yang Berhormat sekalian, pembangunan mahasiswa yang holistik melalui ekosistem yang sistematik amat penting bagi menyokong hala tuju Pembangunan Modal Insan yang dinamik dan melahirkan generasi

masa depan yang mampu menjadi pemimpin negara. Mahasiswa kini berdepan dengan arus pembangunan dan medan pekerjaan yang semakin mencabar dan kompleks. Justeru Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk meneruskan program yang bertujuan memperkasa peranan mahasiswa dalam pembangunan negeri pada Tahun 2026. Ini merangkumi Program Jerayawara Siswa KITASelangor yang akan turut diperluaskan ke peringkat antarabangsa seperti China, Jepun, Korea mahupun Timur Tengah. Seterusnya, Program Konvensyen Mahasiswa KITASelangor diperingkat Kebangsaan dan Antarabangsa akan bakal dilaksanakan di beberapa negara selain daripada Timur Tengah seperti Jepun dan juga di Eropah. Konvensyen ini satu inisiatif strategik bagi menunjukkan keprihatinan Kerajaan Negeri kepada pembangunan pendidikan bakat muda tempatan di luar negara untuk kembali berkhidmat di Negeri Selangor dan anak-anak syarikat milik Kerajaan Negeri.

Sejak Program Bantuan Asas Yuran Universiti (BAYU) diperkenalkan, hampir 500 hingga 600 pelajar menerima manfaat program ini setiap tahun. Anak Selangor yang melanjutkan pengajian di UNISEL dan UIS ataupun Universiti Islam Selangor akan dibiayai pengajian mereka di peringkat Diploma dan Ijazah dan telah diperluas kepada program Asasi agar dapat membantu meringankan beban kewangan keluarga dalam menampung yuran pengajian mereka dengan peruntukan RM1 Juta tambahan kepada peruntukan sedia ada. Memberi manfaat kepada 4,000 orang menerusi Program Baucar Buku KITASelangor pada Tahun 2025, Kerajaan Negeri akan meneruskan program ini dengan peruntukan RM2 Juta dengan baucar RM2 Ribu dengan peningkatan nilai RM200 untuk satu baucar untuk RM2 Juta yang diperuntukkan kita percaya kita meningkatkan pemberian baucar buku daripada 4,000 orang mahasiswa kepada 10,000 mahasiswa pada Tahun 2026 termasuk di kalangan pelajar-pelajar Tingkatan 6 yang bersedia untuk masuk di Universiti. Semoga dengan baucar buku ini pastinya akan memberikan peluang kepada mereka membeli buku rujukan dan menambah kemampuan dan ilmu pengetahuan mereka. Tahun 2026 bakal menyaksikan penjenamaan semula Bandar Ilmu Putra Mahkota dengan pelbagai inisiatif dan sinergi bersama pelbagai agensi Kerajaan, industri dan institusi pendidikan di sekitar kawasan tersebut. Bandar Ilmu ini diharapkan menjadi sebuah bandar atau kawasan pembangunan yang dirancang dengan dibangunkan dengan tumpuan terhadap pendidikan, penyelidikan, inovasi serta pembentukan masyarakat berilmu dan berakhlak dengan sokongan komuniti tempatan. Bagi tujuan ini Kerajaan Negeri memperuntukkan RM200 Ribu pada Tahun 2026 untuk Bandar Ilmu Bukit Mahkota.

Ahli Yang Berhormat sekalian, sebelum memasuki dunia pekerjaan antara cabaran yang dihadapi oleh para graduan adalah pengalaman kerja. Di samping itu, Program Latihan Amali atau pun Internship yang sedia ada di pasaran hanya memberikan elaun yang kurang berpatutan kepada mahasiswa serta graduan. Ada yang menerima RM800 hingga RM900 sebulan sahaja. Mulai tahun hadapan, Kerajaan Negeri komited untuk menjalani tempoh Amali Internship bersama agensi Kerajaan Negeri, Anak Syarikat Kerajaan Negeri ataupun Pejabat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta Ahli-Ahli Dewan Negeri dibayar dengan

elaun RM1,500 Internship. Kerajaan Negeri akan menambah perbezaan bayaran mengikut kadar sedia ada supaya 500 graduan dan mahasiswa Selangor menjalani latihan amali di Selangor menerima elaun yang lebih wajar sebanyak RM1,500 sebulan. Untuk tujuan ini, RM1.5 Juta diperuntukkan untuk SPARK atau pun Program Amali dan juga Internship ini.

Ahli Yang Berhormat yang saya kasihi sekalian, Pembangunan Pengajian Tinggi di bawah Kerajaan Negeri Selangor Pemerkasaan dan Pembangunan Institusi Pengajian Tinggi di bawah Kerajaan Negeri seperti UNISEL dan Universiti Islam Selangor, Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal dan Vokasional (STDC) dan asrama di bawah Yayasan Selangor turut diberikan tumpuan pada Tahun 2026. Pemerkasaan institusi pendidikan ini merangkumi aspek infrastruktur, pembangunan keupayaan dan kecekapan tenaga pengajar dan pentadbir, kerjasama dan jaringan industri, fasiliti pengajaran serta pembelajaran dan pembangunan mahasiswa. Sehubungan itu Belanjawan Tahun 2026 memperuntukkan sebanyak RM10 Juta bagi projek naik taraf, membaik pulih fasiliti, menambah baik infrastruktur Institusi Pengajian Tinggi di bawah Kerajaan Negeri.

Ahli Yang Berhormat yang saya kasihi sekalian, Tabung Wang Biasiswa Negeri Selangor dan Program Bitara merupakan antara entiti yang bertekad memperkasakan Anak Selangor menerusi pembiayaan pendidikan. Ditubuhkan melalui Enakmen Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri 1949, TKWBNS menyediakan pelbagai kemudahan tajaan pembiayaan pendidikan tinggi kepada pelajar Anak Selangor. Sejak Tahun 1985 sehingga Tahun 2025 program pinjaman biasiswa yang ditawarkan telah memberi manfaat kepada kira-kira 30,305 orang anak negeri Selangor. Komitmen Kerajaan Negeri bagi menjayakan insentif ini sehingga kini melibatkan implikasi kewangan sehingga RM429.8 Juta. Demi terus meningkatkan mutu pendidikan tinggi buat rakyat Negeri Selangor, Kerajaan Negeri bersetuju menaikkan peruntukan kepada RM15 Juta pada Tahun 2026 bagi memanfaat yang lebih ramai pelajar. Seterusnya, Pinjaman Boleh Ubah Dalam Negara akan ditambah baik dengan memberi tumpuan kepada pelajar mendaftar di dua (2) Universiti di bawah Kerajaan Negeri iaitu Universiti Selangor dan Universiti Islam Selangor. Garis panduan dan mekanisme penambahbaikan ini akan diumumkan kelak oleh Pengurusan Tabung. Selain itu, Kerajaan Negeri bersetuju memperuntuk sebanyak RM1 Juta bagi Program BITARA yang dijangka ditambah baik daripada segi modul-modul sebelumnya demi melahirkan pelajar yang serba boleh cemerlang daripada pelbagai aspek dan akan menyumbang kembali kepada negeri yang kita cintai. Program Selangor Education Summit yang diperkenalkan di Tahun 2024 merupakan acara dwi-tahunan. Justeru program ini akan dianjurkan sekali lagi di Tahun 2026 dengan menggabungkan lima (5) kandungan utama Program Pendidikan Selangor iaitu Selangor International Bookfair 2026 (SIBF 2026), Selangor Edu-STEM 2026, Selangor Research and Innovation Expo (SRIE 2026), Selangor Skills 2026 dan Selangor Techsphere Summit 2026. Semua program ini mempromosi ekosistem pendidikan Negeri Selangor dan manfaat di bawah Iltizam KITASelangor Penyayang berkaitan Pendidikan kepada pengunjung

dan menggabungkan agensi-agensi utama di bawah pendidikan Negeri Selangor sebagai agensi pelaksana dengan peruntukan RM5 Juta pada Tahun 2026.

Ahli Yang Berhormat yang saya kasihi sekalian, mulai Tahun 2023 Kerajaan Negeri telah memperuntuk sebanyak RM3 Juta setiap tahun bagi pelaksanaan Insentif Hadiah Pengajian Institut Pengajian Tinggi (HPIPT) Selangor. Menerusi inisiatif ini bantuan RM1,000.00 diberikan khusus kepada anak Selangor yang melanjutkan pengajian ke IPTA dan IPTS yang diiktiraf bermula daripada peringkat Sijil Kemahiran Tahap 4, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda. 7,636 permohonan telah direkodkan di Tahun 2025 dengan seramai 3,000 orang pemohon telah berjaya. Demi meneruskan hasrat murni Kerajaan Negeri memberikan galakan kepada mahasiswa mahasiswi untuk terus berusaha menuntut ilmu, tahun ini kita tambah peruntukan daripada RM3 Juta kepada RM5 Juta dengan peruntukkan pada Tahun 2026 yang dijangka akan memanfaatkan 5,000 mahasiswa, berbanding hanya 3,000 mahasiswa pada Tahun 2025 dan 2024 serta 2023.

Kerajaan Negeri percaya bahawa setiap anak yang lahir di Selangor adalah aset yang amat bernilai. Kita menyambut kelahiran setiap Anak Selangor dengan simpanan permulaan sebagai hadiah daripada Kerajaan Negeri melalui Tabung Warisan Anak Selangor. Inilah lambang tekad Kerajaan sepanjang Kerajaan Negeri kepada masa depan anak Selangor demi memperkasa generasi masa depan. TAWAS yang diperkenalkan sejak 2008 akhirnya membuahkan hasil. Ahli-ahli TAWAS yang pernah menerima manfaat set persekolahan Program Bantuan Masuk Sekolah ketika memasuki Darjah Satu kini akan menerima pula manfaat RM1,500.00 sebaik mencapai umur 18 tahun. Bermula Tahun 2026, Kerajaan Negeri akan menyalurkan manfaat RM1,500.00 kepada 21,295 Ahli TAWAS yang mencapai umur 18 tahun. Bagi tujuan ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM31,511,600.00 sebagai pembiayaan kepada Ahli-ahli TAWAS kelahiran Tahun 2008 dan tahun-tahun seterusnya akan ada peruntukan pada tahunnya.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, akhir sekali sebagai menyahut cabaran dan juga hasrat Pendidikan Percuma yang telah dinyatakan oleh Y.A.B. Perdana Menteri dalam Belanjawan Persekutuan 2026 baru-baru ini, Kerajaan Negeri bersetuju memperuntukkan RM17.378 Juta bagi pelaksanaan Subsidi Yuran Pendidikan di bawah Institusi Pengajian Tinggi Kerajaan Negeri Selangor pada Tahun 2026. Menerusi inisiatif ini Kerajaan Negeri akan menanggung 50 peratus yuran pengajian bagi 4000 anak Selangor yang akan melanjutkan pengajian di Universiti Islam Selangor dan juga Universiti Selangor bagi sesi kemasukan September 2026. Dengan kata lain, Kerajaan Negeri menawarkan 50% pendidikan percuma kepada anak-anak Selangor khususnya untuk Universiti Islam Selangor dan juga UNISEL. Kita bermula 50% insha Allah 100% kekal perpaduan kekal 100% kita berikan pada mereka.

Ahli Yang Berhormat yang saya kasihi sekalian, tekad keempat Keunggulan Seni Budaya dan Kemantapan Generasi Muda:

Jati melayu diukur adab Dididik dari zaman berzaman Seni budaya unggul ditatap Pemuda teguh kalis ujian

Pemantapan generasi muda menjadi keutamaan dalam pembangunan Negeri Selangor. Ini sebenarnya suatu bentuk pelaburan jangka panjang kepada Negeri Selangor dan rakyat Negeri Selangor. Kelangsungan kemakmuran Negeri Selangor memerlukan perancangan strategik yang berupaya memperkasa potensi generasi muda di negeri ini. Justeru, kita memerlukan generasi muda yang berfikiran kritis, berdaya saing, mempunyai tahap kecekalan luar biasa dan pada masa yang sama sahsiah yang terpuji.

Izinkan saya menukilkan ayat ke-10 Surah al-Kahfi: َشَر اَنِرْمَأ ْنِم اَنَل ْئ'ِيَهَو ˝ ًۭةَمْحَر َنكُلهد نِم اَنِاتَء ٓاَبهنَر ۟واُالَقَف ِفْهَكْٱل ىَلِإ ُةَيْتِفْٱل ىَوَأ ْذِإ دا˝ ًۭ

Yang bermaksud:

Ketika sekumpulan anak-anak muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami! Kurniakan kami rahmat di sisi- Mu, berilah kemudahan serta kepimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.”

Sudah tentu istilah Quranik yang digunakan iaitu Fata’ amat menarik untuk dicermati. Fata’ atau anak muda yang berasal daripada perkataaan Fa-Ta-Wa yang berkongsi kata akar dengan istilah seperti Fatwa dan Futuwwah. Sementara Fata’ bermaksud pemuda, fatwa pula bermaksud pandangan tentang sesuatu hukum Syarak yang dikeluarkan oleh seorang mufti yang berwibawa bagi menjawab suatu kemusykilan. Futuwwah pula keberanian, atau dalam Bahasa Inggeris, dipanggil sebagai Chivalry. Dalam ilmu akhlak dan Tasawuf, ilmu futuwwah...futuwwah merupakan suatu aspek yang menjadi keutamaan. Keberanian bukan hanya segi lahiriah tetapi juga keberanian atau keluhuran rohani. Ini sejajar dengan penekanan maksud Ihsan, iaitu mengabdi kepada Allah SWT seolah-olah melihat Allah SWT kerana sesungguhnya Allah SWT melihat apa jua yang kita kerjakan. Apabila kita merumuskan ciri-ciri pemuda Al-Kahfi, atau pemuda Gua ini, ternyata mereka adalah orang yang berani, courageous, budiman, bernas menjawab kemusykilan sebagaimana YBhg. Sahibus Samahah Mufti kita dan indah sekali akhlak mereka, akhlak mahmudah. Justeru tahun ini kita memperkenalkan suatu program yang dikenali sebagai Program Pencerahan Generasi Muda Selangor. Program ini digarap untuk membidani suatu generasi yang berfikiran kritis, berani dan merancakkan wacana intelektual seputar tema-tema sejajar dengan pembangunan lestari untuk Negeri Selangor seperti tenaga boleh diperbaharui dan digitalisasi. Program yang diperuntukkan sebanyak RM2.5 Juta ini akan berpaksikan

penumpuan menelaah serta membaca karya utama, klasik mahupun kontemporari di samping meligatkan aktiviti diskusi serta mencerdaskan penulisan kritis. Selain itu Kerajaan Negeri turut mengekalkan peruntukan kepada PEBS kepada RM10,000.00 bagi setiap zon. Ini merupakan suatu iltizam pentadbiran Kerajaan Negeri untuk memastikan kelangsungan pembangunan kepimpinan di peringkat akar umbi yang ternyata PEBS bukan hanya melahirkan pemimpin-pemimpin NGO termasuk juga sebahagian daripada Ahli-Ahli Dewan Negeri di sini dan juga di sana. Ke arah memantapkan usaha pembangunan kapasiti pembangunan kepimpinan Generasi Muda Negeri Selangor, inisiatif penubuhan Institut Pembangunan Kepimpinan Generasi Muda KITASelangor akan digerakkan sebermula tahun 2026 bagi tujuan melengkapkan ekosistem pembangunan generasi muda yang seimbang, komposisi aktivisme dan kepimpinan secara menyeluruh. Institut ini akan dipantau penubuhannya melalui Majlis Sukan Negeri Selangor di bawah payung Jawatankuasa Pembangunan Belia Negeri Selangor dengan geran penubuhan sebanyak RM1 juta. Bagi menggalakkan sukan permotoran yang selamat dan berdaya saing Kerajaan Negeri akan menaik taraf Litar Lumba Kuala Selangor. Teruja dengan keyakinan dan kejayaan Hakim Danish Ramli yang telah mencipta gelombang minat luar biasa terhadap perlumbaan MotoGP, Kerajaan Negeri berhasrat melahirkan lebih ramai bakat sebegini. Untuk itu, sebanyak RM1 juta diperuntukkan untuk litar lumba rakyat Kuala Selangor.

Ahli-ahli Yang Berhormat yang saya kasihi sekalian, Rentak Kita, Aksi Kita. Syukur Alhamdulillah, Negeri Selangor diberi kepercayaan sebagai tuan rumah temasya Sukan (SUKMA) dan Para Sukma ke-22 pada tahun 2026 setelah 27 tahun. Pemilihan ini bukan hanya pengiktirafan kepada status Selangor sebagai negeri maju, tetapi manifestasi keyakinan bahawa Selangor mampu mempunyai infrastruktur, sumber manusia, keazaman kekitaan yang tinggi untuk menganjurkan sebuah temasya sukan yang tersusun, berprestij dan meninggalkan legasi yang berkekalan. Kerajaan Negeri sedar bahawa penganjuran SUKMA sebagai platform penting untuk melahirkan bakat sukan baharu, memperkukuh semangat perpaduan dan memacu pembangunan ekonomi melalui sektor sukan dan pelancongan. Justeru bagi memastikan persediaan penganjuran berada pada tahap terbaik maka Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM100 juta di bawah Bajet Khas SUKMA Tahun 2026. Peruntukan ini meliputi tiga komponen utama iaitu pembangunan dan naik taraf kemudahan sukan; kedua persediaan atlet dan jurulatih; serta ketiga penglibatan komuniti dan juga sukarelawan. Antara kerja menaik taraf kemudahan sukan utama sempena penganjuran SUKMA adalah Kerja-Kerja Membaik pulih dan Menaik taraf Pusat Akuatik Selangor di Persiaran Akuatik, Seksyen 13, dan projek ini dijangka siap pada 12 Jun 2026 bertepatan dengan penganjuran SUKMA ke-22 yang akan berlangsung antara 15 hingga 24 Ogos 2026, Para Sukma, Insya-Allah dari 5 sehingga 14 September 2026. Usaha ini turut akan membantu Selangor membuat persediaan selaku tuan rumah untuk Islamic Solidarity Games yang akan berlangsung pada tahun 2029 sekali gus merancakkan industri sukan sebagai peluang ekonomi dan pelancongan baharu dan kita bersyukur kerana

Selangor sekali lagi terpilih sebagai tuan rumah Islamic Solidarity Games, bukan sahaja pengiktirafan di peringkat tempatan tapi juga peringkat Antarabangsa. Pembangunan Seni Budaya Negeri Selangor. Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha memperkasa agenda pemeliharaan dan pembangunan seni budaya menerusi pendekatan yang inklusif dan bersepadu serta berimpak tinggi. Selain itu, bersempena dengan sambutan Jubli Perak pemerintahan DYMM Sultan Selangor, beberapa program khas seperti Konsert Diraja, Himpunan Kereta Klasik Diraja dan Pameran Pemerintahan Tuanku di Muzium Sultan Alam Shah akan dilaksanakan bagi mendekatkan institusi istana dan rakyat jelata. Pada masa sama, Kerajaan Negeri turut memberikan penekanan kepada pembangunan seni dan budaya generasi muda. Inisiatif ini akan dilaksanakan menerusi penglibatan pelajar sekolah rendah dan menengah dalam seni persembahan pentas. Malah inisiatif ini akan diperkukuh dengan Program Kebudayaan Pelbagai Kaum dan Orang Asli dan acara kebudayaan daerah. Kerajaan Negeri yakin bahawa usaha sebegini mampu meningkatkan keterlibatan keterlihatan warisan budaya Selangor dan mengukuhkan kerjasama di peringkat antarabangsa. Bagi menghidupkan industri seni dan meningkatkan minat terutamanya di kalangan generasi muda, Kerajaan Negeri akan menggerakkan usaha gallery hopping seni serta pameran yang bertema setiap suku sepanjang tahun 20226. Antaranya adalah galeri seni moden dan kontemporari, galeri seni yang mempunyai koleksi lukisan berkaitan sejarah ASEAN dan Nusantara melihat kepada konsep Art Collaboration di Kyoto yang berjaya menghidupkan koleksi-koleksi peribadi serta galeri-galeri kecil. Usaha-usaha ini akan digerakkan dengan peruntukkan RM500 ribu. Ahli Yang Berhormat sekalian, Tekad Yang Kelima,

Walau berumah di tempat tinggi Jangan bongkak nanti melayang Cakna dan rahmah tingkat peduli Selangor maju juga penyayang

Sebagai negeri yang menjadi tumpuan utama untuk aktiviti ekonomi negara dan merupakan penyumbang terbesar KDNK Nasional, Selangor harus sentiasa kekal fokus dalam usaha kebijakan yang memacu pertumbuhan ekonomi. Waima demikian, menjadi matlamat pentadbiran ini untuk tidak hanya mementingkan pembangunan bersifat lahiriah tetapi tetap menitikberatkan pembangunan modal insan, kebajikan rakyat serta kesejahteraan negara. Dalam buku Growth A Reckoning yang ditulis oleh Daniel Susskind, seorang pakar ekonomi dari University Oxford, beliau telah menyebut bahawa pembangunan ekonomi harus diteruskan namun dibetulkan hala tujunya bagi memberi kebaikan dan manfaat serta menyelesaikan isu sosial. Daniel Susskind menukilkan ‘If we have the wrong metrics, we will strive for the wrong things. In the quest to increase GDP we may end up in a society where citizens are worse off.’ Justifikasi yang diketengahkan oleh Daniel Susskind bahawa pembangunan ekonomi di masa ini bukan hanya harus diukur dari angka seperti GDP tetapi turut mengambil kira pembangunan modal insan, kesihatan dan kesejahteraan rakyat. Inilah

yang menjadi matlamat kita di Selangor. Kita berbangga dengan pencapaian ekonomi kita dari segi angka dan pencapaian pelaburan. Dan kita juga mahu menyediakan kehidupan yang bermaruah serta berkualiti dan kesejahteraan rakyat. Inilah konsep Selangor Penyayang. Menurut Susskind, menangani dilema berkenaan pembangunan adalah antara tugas terpenting yang dihadapi peradaban sejagat ketika ini. Saya memetik beliau, “ it is an ‘opportunity for moral revitalization, to create a renewed sense of collective purpose in society in pursuit of what really matters, not simply a more prosperous economy but the many other ends that people care about such as a fairer society, a healthier planet, good jobs and the quality of our politics. Langkah Kerajaan Negeri Selangor mencipta gagasan Selangor Negeri Penyayang adalah salah satu usaha bagi mewujudkan pembangunan ekonomi yang seimbang sejak dan manusiawi. Sejak 2008, Kerajaan Negeri Selangor telah melalui transformasi bermula dengan program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) kemudian Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) dan kini lengkap dengan Iltizam Kita Selangor Penyayang (Iltizam). Sejak tahun 2020 hingga tahun 2024 , Kerajaan Negeri telah berbelanja RM 3 bilion di bawah kerangka Inisiatif Peduli Rakyat dan Iltizam Selangor Penyayang kepada rakyat negeri Selangor. Ini adalah manifestasi pentadbiran yang mementingkan kesejahteraan rakyat dan meningkatkan martabat kehidupan serta mewujudkan kehidupan rakyat bermaruah waima mengejar pembangunan serta pertumbuhan ekonomi. Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM40 juta bagi penyediaan akses kesihatan awam yang berkualiti kepada rakyat negeri Selangor, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana pada tahun 2026. Program Iltizam Selangor Sihat (ISS) telah terbukti memberikan impak positif kepada kesejahteraan rakyat, menerima peruntukan sebanyak RM20 juta. Melalui peruntukan ini, 200,000 rakyat Negeri Selangor akan menerima manfaat kesihatan yang menyeluruh, merangkumi rawatan asas dan vaksinasi sehingga RM500, rawatan hospitalisasi sehingga RM10 ribu, rawatan dialisis sehingga RM10 ribu dan perlindungan penyakit kritikal sehingga RM5 ribu. Sehingga 30 September 2025, seramai 84,346 individu telah didaftarkan sebagai pemegang polisi utama program ISS berbanding 67,303 berbanding tahun 2024. Dengan peruntukan sebanyak RM1 juta, Program ISS Penjawat Awam (ISSPA) dapat memberi perlindungan kesihatan kepada 10,000 penjawat awam Gred 10 dan ke bawah. Manfaat termasuk rawatan asas dan hospitalisasi serta perlindungan kematian semula jadi, kecacatan kekal, penyakit kritikal dan bantuan pengebumian. Sebanyak RM5 juta diperuntukkan bagi meneruskan program Bantuan Sihat Selangor (BSS) dalam membantu rakyat mendapatkan rawatan dan peralatan perubatan. Manfaat di bawah BSS adalah untuk rawatan dan pembedahan kecil sehingga RM5 ribu, bantuan kaki palsu sehingga RM5 ribu dan bantuan pembelian kanta serta pembedahan katarak mata sehingga RM1,200 seorang. Kerajaan Negeri melalui peruntukan sebanyak RM5 juta oleh anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan meneruskan pembiayaan Skim Rawatan Jantung. Bagi tempoh sehingga 30 September 2025, seramai 191 orang penerima ataupun pesakit telah menerima manfaat di bawah Skim Rawatan Jantung, berbanding 78 orang penerima pada tahun 2024. Peruntukan bagi Program Selangor Saring dan Selangor Kanser juga

diteruskan bagi memberi kemudahan saringan kesihatan percuma kepada rakyat. Saringan meliputi saringan penyakit tidak berjangkit, kanser, mata, mulut, telinga serta pemeriksaan kesihatan fizikal dan juga mulut. Pada tahun 2026, sebanyak RM2.5 juta diperuntukkan bagi kedua-dua program tersebut. Selangor mencatatkan penurunan kumulatif kes demam denggi sebanyak 65.4 peratus bagi tempoh 1 Januari sehingga 4 Oktober 2025 daripada 53,187 kes pada tahun 2024 dan juga kes kematian pula menurun 6 kes, berbanding 14 kes pada tahun 2024. Sebanyak RM4 juta diperuntukkan bagi mengupayakan usaha intervensi dan pencegahan yang berterusan yang lebih berkesan. Selaras dengan aspirasi Selangor sebagai negeri yang peduli dan progresif dalam kesihatan awam, pentadbiran ini akan meneruskan program Selangor Mental Sihat (SEHAT). Pendekatan holistik yang merangkumi aspek pencegahan, intervensi awal, rawatan dan pemulihan akan terus ditambah baik dengan pelaksanaan pada tahun 2026 yang turut berdasarkan skop kepada pelajar sekolah. Modul sokongan kepada pelajar dan pemerkasaan guru akan diperkenalkan bagi memberikan kemahiran asas komunikasi untuk menyokong rakan atau pelajar yang berisiko membuli ataupun dibuli, di samping melatih komuniti untuk mengenal pasti tanda-tanda awal krisis kesihatan mental dan menyediakan pelan sokongan. Program SEHAT akan membantu para pelajar yang mempunyai dan dibebani depression dan anxiety. Bantuan merangkumi Talian SEHAT seperti saluran sokongan psikososial, subsidi rawatan psikiatri termasuk sesi bersama pakar dan ubat-ubatan kepada individu yang telah menjalani saringan kesihatan mental serta penyediaan Kaunselor Hab SEHAT di setiap daerah untuk sesi kaunseling percuma secara bersemuka untuk setiap minggu. Untuk pelaksanaan semua inisiatif ini, Kerajaan Negeri mempertingkatkan peruntukan daripada RM 700 ribu kepada RM 1.5 juta pada tahun 2026. Kajian oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada tahun 2024 mendapati Negeri Selangor merupakan negeri yang mencatatkan kadar jangka hayat tertinggi di Malaysia, iaitu purata 78 tahun bagi kedua-dua jantina. Pencapaian ini bukanlah suatu kebetulan, sebaliknya hasil daripada gabungan pelbagai faktor penting. Antaranya akses yang lebih baik kepada kemudahan kesihatan, tahap kesedaran rakyat yang semakin tinggi terhadap penjagaan kesihatan serta pelbagai inisiatif kesihatan awam yang telah digerakkan oleh Kerajaan Negeri. Kejayaan ini membuktikan bahawa pelaburan dalam kesihatan memberi impak besar kepada kualiti hidup rakyat negeri Selangor. Justeru itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM500 ribu bagi program-program penjagaan kesihatan khusus di kalangan warga emas merangkumi saringan kesihatan, sesi konsultasi bersama pakar kesihatan, rawatan fisioterapi dan pemeriksaan susulan bagi pemantauan berterusan. Program ini pada tahun 2025 telah memberi manfaat kepada 1,031 orang individu dan dijangka dimanfaatkan oleh 3,000 orang pada tahun 2026 nanti.

Ahli Yang Berhormat sekalian, Jabatan Agama Islam Selangor melalui Bahagian Pendidikan Islam menyelia 246 buah sekolah agama di seluruh Negeri Selangor. JAIS mendapati 13 buah sekolah telah berusia lebih 20 tahun dan dikenal pasti mengalami masalah pendawaian elektrik yang merupakan antara punca berlaku kebakaran. Terbaru, pada Ogos 2025 terdapat kebakaran di Maahad Integrasi Teknologi dan Sains (MITS) Jugra.

Kebakaran yang berlaku tidak bermula dari makmal atau kekurangan daripada aspek keselamatan seperti ketiadaan pintu rintangan api, tetapi ia berpunca daripada litar pintas. Dalam tempoh 5 tahun kebelakangan ini terdapat banyak kes kebakaran berlaku di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan MITS yang memerlukan kerja-kerja membaik pulih kecemasan dan di luar perancangan seterusnya merencatkan perancangan baik pulih dan naik taraf yang telah direncana. Selain itu, kegusaran berlakunya kebocoran arus/elektrik yang akan menyebabkan renjatan elektrik kepada pelajar, guru, ibu bapa dan penjaga yang boleh membawa kepada mudarat sehingga kepada kematian. Peruntukan berjumlah RM8 juta diperuntukkan bagi tahun 2026 untuk menggantikan sistem pendawaian elektrik yang telah uzur dan rosak dan dijangka mampu membaik pulih pendawaian sekolah-sekolah yang kritikal pada fasa tahun 2026 nanti. Tindakan ini akan menjamin keselamatan dan keselesaan pelajar, guru serta kakitangan sekolah seterusnya dapat meningkatkan kualiti pembelajaran serta kesejahteraan semua pihak yang terlibat.

Ahli-ahli Yang Berhormat yang saya kasihi sekalian, Program Insentif Jemaah Haji Muassasah Tajaan Penuh Kerajaan Negeri yang dimulakan pada tahun 2024 akan dilanjutkan bagi membiayai golongan yang memerlukan. Pelaksanaan insentif ini yang pertama kali pada 2024 telah dapat membiayai seramai 36 orang jemaah haji dari kalangan asnaf fakir miskin. Setelah beberapa penambahbaikan dibuat oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bersama pihak Tabung Haji Selangor (TH Selangor) bilangan jumlah tajaan dapat ditingkatkan kepada 46 orang pada tahun 2025. Menyedari impak penting kepada pelaksanaannya, insentif ini akan diteruskan pada tahun 2026 dengan jumlah peruntukkan RM1.2 juta. Atas usaha pihak JAIS bersama pihak Tabung Haji, adalah dianggarkan peruntukan ini akan dapat memberikan peluang mengerjakan ibadah haji kepada seramai 75 orang bakal jemaah haji yang ditaja sepenuhnya oleh pihak Kerajaan Negeri. Selain tajaan penuh kepada jemaah haji bantuan muassasah Negeri Selangor, Kerajaan Negeri juga telah membantu 6,000 orang jemaah melalui Insentif Muassasah Haji iaitu bantuan RM1,000 kepada setiap jemaah. Sejak insentif ini dilaksanakan di tahun 2022, seramai 18,000 jemaah muassasah telah dibantu Kerajaan Negeri. Insentif ini akan diteruskan pada tahun 2026 melalui kerjasama Kerajaan Negeri dan MBI dengan penambahbaikan di mana Kerajaan Negeri akan meningkatkan jumlah insentif yang diberikan daripada RM1,000.00 kepada RM1,500.00 dan RM9 juta akan disediakan bagi Kerajaan Negeri dan Yayasan MBI bagi membantu insentif muassasah haji tahun 2026. Akademi Literasi Al-Quran Selangor (ALAS) pada tahun 2025 telah menerima pendaftaran pelajar 1,500 orang pelajar berbanding 1,200 orang pada tahun 2024. Peningkatan ini merupakan satu isyarat jelas bahawa rakyat negeri Selangor menyambut baik usaha Kerajaan Negeri dalam memperkasakan ilmu Al-Quran di Negeri Selangor. Pada ketika ini, hanya Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang menawarkan Talaqqi Al-Quran Peringkat Lanjutan Tinggi. Pelajar yang berjaya mengikuti pengajian di peringkat ini akan mengkhatamkan keseluruhan Al-Quran secara individu dengan pensyarah masing-masing. Ini adalah kaedah Talaqqi Al-Quran yang sebenar melalui kaedah talaqqi musyafahah, membaca dari satu muka

surat ke satu muka surat secara tartil sehingga khatam. Seiring dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk melahirkan Khaira Ummah maka ALAS akan menawarkan program Talaqqi Al-Quran Peringkat Lanjutan Tinggi di tiga daerah lain. Selain daripada Masjid Negeri, di tiga daerah lain Majlis Daerah terpilih iaitu Gombak, Hulu Selangor, dan Kuala Selangor pada tahun 2026. Bagi memperkasakan pengurusan dan pelaksanaan Talaqqi Al-Quran Peringkat Lanjutan Tinggi yang diselaraskan oleh ALAS, Kerajaan Negeri bersetuju untuk memperuntukkan sejumlah RM1.5 juta.

Ahli Yang Berhormat sekalian, acara keilmuan Islam seperti Festival Turath Islami, Majlis Sama’ Hadis Sahih Al-Bukhari dan Muslim, Festival Buku Islami dan Darul Ehsan Berselawat yang telah dihadiri oleh ratusan ulama dan ribuan peminat ilmu Islam dari pelbagai negara telah meletakkan Selangor dan Malaysia sebagai destinasi penting acara bernuansa pengetahuan Islam. Dengan tujuan untuk memastikan program keilmuan merembes hingga ke akar umbi dan dilaksanakan dengan tertib dan tersusun, Kerajaan Negeri akan menyediakan tanah seluas 5 ekar untuk membina Pusat Hadis Sedunia dengan kerjasama Majlis Bukhari Malaysia dan Pusat Pengembangan Turath Nusantara. Semoga dengan kewujudan pusat tersebut, usaha pengembangan pengetahuan Islam dapat digerakkan dengan lebih rancak dan melebar ke seluruh pelosok rakyat negeri Selangor Darul Ehsan demi memastikan pemahaman dan pengamalan ajaran Islam yang sebenar diperkukuhkan.

Ahli Yang Berhormat sekalian, Skim Smart Sewa merupakan salah satu inisiatif strategik dalam memperkukuh agenda perumahan mampu milik negeri Selangor. Objektif utama skim ini adalah untuk membantu golongan yang tidak memiliki kediaman atau berdepan kesukaran memperoleh pinjaman perumahan, dengan menyediakan kemudahan sewaan rumah mampu milik pada kadar yang berpatutan. Melalui skim ini, rakyat bukan sahaja menikmati faedah sewaan antara dua (2) hingga lima (5) tahun, malah turut menerima pulangan semula sebanyak 30% daripada jumlah sewaan yang dibayar. Bagi tahun 2026, Kerajaan Negeri merancang untuk menambah pembelian 300 unit baharu dengan peruntukan RM103.2 juta. Pada tahun 2024, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah bersetuju melaksanakan Program Residensi Rakyat (PRR) melalui projek PRR Harmoni Madani bagi penyelesaian penempatan 245 orang bekas pekerja ladang di Bestari Jaya, Daerah Kuala Selangor. Usaha sama ini diteruskan dengan penglibatan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor selaku pemilik tanah manakala Kerajaan Negeri sebagai penyumbang sebahagian kos pembangunan projek berjumlah RM35 juta daripada RM70 juta daripada keseluruhan kos projek. Projek ini dijangka akan disiapkan sepenuhnya pada Disember 2026 bagi tujuan pemilikan PRR tersebut. Penyelesaian perumahan rakyat juga tidak ketinggalan melibatkan projek PPR di Ampar Tenang, Dengkil, Sepang yang mana mempunyai sejarah yang panjang. Ia bermula sejak penghujung 1990-an, seramai 393 bekas pekerja ladang dari Ladang Perang Besar, Medingly, Galloway dan

Sedgely diarahkan berpindah bagi memberi pembinaan Putrajaya dan mereka ini telah ditempatkan sementara di Taman Permata, Dengkil di atas tanah Kerajaan Negeri melalui pengurusan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB). Alhamdulillah pada 6 Oktober 2025, saya bersama dengan Timbalan Menteri KPKT telah menyempurnakan penyerahan surat tawaran kepada sebahagian penduduk terlibat sebagai salah satu kejayaan oleh kerajaan perpaduan dalam usaha menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh penduduk sejak sekian lama. Kerajaan Negeri terus merancang untuk melaksanakan pembangunan baharu Program Residensi Rakyat (PRR) bagi tahun 2026 di kawasan Dengkil, Daerah Sepang sebagai salah satu program perumahan sosial kepada rakyat Selangor. Projek tersebut akan dilaksanakan dengan pembinaan 200 unit rumah PRR dengan peruntukan daripada Kementerian Ekonomi melalui KPKT berjumlah RM58.47 juta. Secara langsung, pembangunan baharu ini akan membantu lebih ramai golongan B40 mendiami PPR sama ada secara milikan atau sewaan kepada golongan yang kurang berkemampuan. Ini bagi memastikan rakyat Selangor dapat menikmati kesejahteraan hidup dan memastikan kebajikan rakyat terbela.

Ahli Yang Berhormat sekalian, Selangor adalah negeri dengan pembangunan berstrata paling tinggi di Malaysia. Namun, masih terdapat lebih 600 skim perumahan melibatkan 130,000 petak yang belum menerima hak milik strata. Masalah ini bukan sahaja membebankan pemilik rumah, malah turut menjejaskan kutipan hasil Kerajaan Negeri. Justeru itu, penubuhan Jawatankuasa Penyelesaian Strata adalah langkah penting untuk menyelesaikan isu ini selain pelaksanaan Insentif Dana Strata Selangor (DSS) yang telah dilancarkan 30 Mei 2025 lalu. Bermula tahun ini, sebanyak lapan (8) permohonan telah diterima dengan anggaran kos keseluruhan berjumlah RM 4.7 juta di mana lima (5) permohonan daripadanya telah diluluskan oleh Jawatankuasa. Bagi tahun 2026, Kerajaan Negeri dengan kerjasama pihak Jabatan Ketua Pengarah Tanah Galian (JKPTG) telah mengenal pasti sebanyak enam (6) projek perumahan yang masih belum mempunyai hak milik strata khusus bagi projek Kos Rendah dan Kos Sederhana Rendah di Negeri Selangor untuk diselesaikan pada tahun hadapan. Sejak diperkenalkan pada tahun 2010, Skim CERIA (Caring Government for Resident’s Improvement Aid) telah menjadi antara program utama Kerajaan Negeri dalam membantu komuniti pangsapuri kos rendah dan sederhana rendah. Skim ini menyalurkan bantuan untuk membiayai kos baik pulih dan penyelenggaraan harta bersama, dengan matlamat membentuk persekitaran kediaman yang lebih bersih, ceria, dan harmoni, di samping meringankan beban golongan berpendapatan rendah. Sehingga 2025, sebanyak 399 projek Skim CERIA telah dan sedang dilaksanakan, dengan jumlah peruntukan RM152.7 juta. Bagi tahun 2026, kerajaan negeri akan menambah lagi peruntukan sebanyak RM5 juta untuk meneruskan kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan, demi memastikan kesejahteraan komuniti strata terus terjamin. Program yang telah dimulakan pada tahun 2024 yang diilhamkan oleh YB EXCO Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor ini mempunyai objektif utama iaitu memupuk nilai-nilai murni serta mengangkat potensi yang ada dalam masyarakat daripada pelbagai sudut supaya menatijahkan kesejahteraan, keharmonian dan

kemakmuran di kalangan komuniti bandar terutamanya di kalangan penghuni perumahan bertingkat di Negeri Selangor. Program bertemakan ‘’Rewang Komuniti Ke Arah Kelestarian Komuniti Pangsapuri” dijangka akan diadakan sebanyak 3 kali di gugusan pangsapuri yang berlainan pada tahun 2026. Program ini akan melibatkan aktiviti turun padang oleh agensi-agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri yang akan turut menyelami permasalahan komuniti pangsapuri dan seterusnya merangka program-program yang berkesan dan menepati kumpulan sasar. Terutamanya ,keutamaan akan diberikan dalam pelaksanaan program-program pemerkasaan komuniti pangsapuri di bawah kluster ekonomi, pendidikan dan kesihatan. Keseluruhan peruntukan bagi pelaksanaan program-program pemberdayaan komuniti ini adalah berjumlah RM2 juta.

Ahli-ahli Yang Berhormat yang saya kasihi sekalian, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melalui Bahagian Pengurusan Masjid menguruskan 445 masjid di seluruh Negeri Selangor. Daripada jumlah besar ini, terdapat 14 buah masjid yang terletak di laluan utama di negeri ini dan dikenal pasti sebagai tumpuan kawasan rehat dan solat oleh pengguna kenderaan termasuk di laluan utama. Pada tahun 2026, Kerajaan Negeri mensasakan program menaik taraf kemudahan tandas di masjid berkenaan agar lebih selesa dan mesra pengguna termasuk warga emas dan OKU. Bagi merealisasikan hasrat ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan kewangan berjumlah RM1.4 juta bagi tahun 2026 untuk membiayai dan menaik taraf tandas di 14 buah masjid di laluan utama di Negeri Selangor.

Ahli-ahli Yang Berhormat yang saya kasihi sekalian, Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) telah mula melaksanakan inisiatif menyeluruh untuk memperkasa kumpulan pengasuh di negeri Selangor, terutamanya pengasuh di rumah yang merupakan pilihan utama kebanyakan ibu bapa bekerja menerusi Iltizam Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak Negeri Selangor (IMPAK Selangor). Alhamdulillah, melalui fasa pertama pada tahun 2024 dan 2025, program ini telah berjaya mencapai kejayaan yang membanggakan dengan mengenal pasti lebih 2,200 pengasuh di rumah di seluruh Selangor melalui pemetaan di peringkat komuniti dan memberikan latihan Kursus Intensif Perkembangan Kanak-kanak (KIPK) kepada 1,000 orang pengasuh termasuk pengasuh di rumah yang menjaga kanak-kanak OKU. Jumlah anak asuhan bawah jagaan pengasuh yang terlatih ini adalah 3,213 orang. Kerajaan Negeri juga telah menyampaikan geran khas RM2,000 setiap seorang kepada 200 pengasuh terpilih bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka serta membangunkan pengkalan data i-ASUH melalui aplikasi mudah alih YAWAS sebagai platform bersepadu untuk memudahkan ibu bapa mencari pengasuh yang terlatih berdekatan. Melihat kepada kejayaan dan keperluan bidang pengasuhan sebagai sistem sokongan yang penting untuk ibu bapa bekerja, program ini akan diperluas dan di perkasakan bagi tahun 2026 untuk menyediakan ekosistem penjagaan penyediaan awal kanak-kanak yang aksesibel, mampu dan selamat kepada mereka yang memerlukan dan Kerajaan Negeri bersetuju memperuntukkan RM2 juta pada tahun 2026 kepada YAWAS

untuk program ini. Menyedari kepentingan pengurusan kewangan yang mampan di peringkat isi rumah, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan skim Iltizam Anak Selangor (ANAS) akan disertai dengan pembukaan akaun Simpanan SSPN Prime bagi anak-anak yang baru lahir di negeri Selangor bermula Tahun 2022. Skim ini berjaya mencapai sasaran dengan mencatatkan 30,000 orang anak-anak yang akan menerima manfaat RM500 untuk tempoh 5 tahun sehingga 2026 dengan peruntukan sebanyak RM15 juta melalui akaun SSPN Prime yang telah dibuka. Kerajaan Negeri akan meneruskan Program ANAS dengan peruntukan RM 3 juta pada 2026. Inisiatif Mama Kerja merupakan antara janji dalam manifesto 5 Tekad 5 Tahun yang telah dilaksanakan dalam tempoh 100 hari selepas Gabungan Perpaduan berjaya memenangi Pilihan Raya Negeri pada tahun 2023 lalu. Inisiatif Mama Kerja merupakan antara usaha pentadbiran ini bagi membantu wanita berkerjaya di Selangor dan telah menerima sambutan positif oleh para ibu dan bapa serta pemain industri. Oleh itu, bagi tahun 2026, Kerajaan Negeri akan memperluas Inisiatif Mama Kerja dengan menawarkan bantuan tunai sebanyak RM100 sebulan selama setahun buat kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah. Inisiatif ini dijangka memanfaatkan seramai 2,166 orang kanak- kanak di seluruh Selangor, selaras dengan sasaran kumpulan penerima yang telah dikenal pasti. Bagi memastikan keberkesanan pelaksanaannya, bantuan tunai ini akan dipadankan dengan pemantauan berkala terhadap perkembangan kanak-kanak daripada aspek kognitif, fizikal dan kesejahteraan menyeluruh, dengan sokongan UNICEF selaku rakan strategik dalam memperkukuh pembangunan kanak-kanak di negeri Selangor. Dengan peruntukan RM5 juta, ini adalah manifestasi pentadbiran ini yang menghargai peranan wanita dalam pembangunan wanita negeri Selangor serta sebahagian usaha untuk membantu golongan wanita berkerjaya di Selangor untuk terus berbakti kepada negeri, rakyat dan keluarga. Pelaksanaan Inisiatif Meningkatkan Tenaga Buruh Wanita menerusi program Career Comeback, hasil kerjasama strategik bersama TalentCorp di lima daerah iaitu Gombak, Klang, Sabak Bernam, Petaling dan Hulu Langat telah mencapai penyertaan seramai 1,000 wanita sepanjang tahun 2025. Pada tahun hadapan, inisiatif ini akan diperluas melalui Karnival Kerjaya Wanita secara outreach bersama PERKESO, bagi membantu wanita di Selangor dipadankan dengan peluang pekerjaan yang menawarkan perkembangan kerjaya secara profesional dan teknikal. Bagi tujuan ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM500 ribu. Pusat Wanita Berdaya, dalam memperkukuh mobiliti sosial dan status sosio-ekonomi wanita, Wanita Berdaya Selangor turut memeterai kerjasama strategik dengan Mardi Corporation (MardiCorp) bagi meneroka peluang wanita dalam bidang teknologi pertanian dan agrokomoditi, selain bekerjasama dengan Kiddocare 2 Malaysia bagi memperkukuh sistem sokongan penjagaan kanak-kanak, demi membantu wanita kembali bekerja tanpa menjejaskan tanggungjawab keluarga. Untuk memperkukuh ekosistem ini, Pusat Wanita Berdaya Selangor akan terus diperkasakan dengan peruntukan sebanyak RM2.8 juta. Melalui peruntukan ini, dua komponen utama akan dilaksanakan iaitu IbuNiaga dengan kerjasama strategik Taylor’s University dan Product Lab Hasil Suri Selangor (HaSSel) bersama Khadijah International Waqf Foundation sebagai platform memperluas pasaran produk wanita Selangor ke peringkat antarabangsa.

Kita turut memperkasa ekonomi digital wanita melalui inisiatif Usahanita Digital dengan peruntukan sebanyak RM300,000.00 bagi memperluas peluang wanita Selangor menceburi keusahawanan digital, e-dagang dan ekonomi kreatif. Usahanita Digital telah membuktikan kejayaan apabila Produk Wanita Selangor berjaya menembusi pasaran luar negara termasuk Brunei, Singapura dan Thailand. Selaras dengan perkembangan teknologi dan ekonomi semasa dan masa depan, Kerajaan Negeri akan memperkenalkan inisiatif Wanita Selangor & AI sebagai platform khusus untuk meneroka potensi wanita dalam bidang kecerdasan buatan AI dan digital. Inisiatif berjumlah RM200,000.00 ini akan menumpukan kepada penganjuran seminar dan program inkubasi bagi mengenal pasti jurang penglibatan wanita dalam sektor teknologi serta menyediakan latihan bagi meningkatkan kemahiran baharu dan keboleh pasaran mereka dalam pasaran semasa.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Warga Emas Selangor melalui bantuan baucar barangan keperluan asas sebagai tanda kasih sayang dan penghargaan atas sumbangan mereka kepada Pembangunan Negeri. Dengan jumlah peruntukan sebanyak RM55 juta, program tahunan yang melibatkan baucar bernilai RM150 kepada warga emas yang berumur 60 tahun ke atas atau OKU. Bermula pada suku pertama 2026, program ini menggalakkan penyertaan komuniti dan menyokong peniaga tempatan melalui edaran baucar di pasar raya-pasar raya terpilih. Khairat Darul Ehsan (KDE) merupakan satu inisiatif untuk meringankan beban waris rakyat Negeri Selangor yang meninggal dunia melalui bantuan khairat kematian sebanyak RM1,000.00. Pemohon berumur 50 tahun ke atas atau OKU boleh mendaftar untuk layak diberikan manfaat khairat kematian kepada waris apabila meninggal dunia. Dengan jumlah peruntukan sebanyak RM20 juta, program ini akan diteruskan pada tahun 2026. Usaha membasmi kemiskinan dalam kalangan rakyat sentiasa menjadi fokus utama Kerajaan Negeri. Hal ini merupakan amanah besar yang dipikul, bagi memastikan setiap lapisan masyarakat berpeluang menikmati tahap pendapatan, mengukuhkan kedudukan ekonomi keluarga, serta keluar daripada belenggu kemiskinan. Seiring dengan itu, pelbagai inisiatif telah dirangka dan dilaksanakan di bawah Rancangan Selangor Pertama (RS1), khususnya Teras Kedua, yang memberi penekanan kepada usaha mempertingkatkan inklusiviti sosial serta kesejahteraan rakyat. Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) dan BINGKASAN (BINGKAS Tambahan) serta Bingkas Plus, sejak diperkenalkan, Program BINGKAS telah berjaya membantu golongan yang tidak berkemampuan untuk mendepani cabaran kos sara hidup, inflasi serta tekanan kewangan. Bantuan kewangan RM 300.00 sebulan iaitu RM 3,600.00 setahun diberikan kepada lebih 30,000 ketua isi rumah yang layak dan telah meringankan beban mereka dalam menanggung keluarga. Program bantuan tunai (cash transfer) terbukti berkesan membantu mereka yang amat memerlukan meneruskan kehidupan. Kerajaan Negeri tetap menumpukan perhatian kepada golongan yang hidup dalam kesunyian dan kekurangan, warga emas yang uzur, pesakit terlantar, serta individu yang menghidap penyakit kronik dan tidak lagi berupaya menjana pendapatan. Mereka merupakan sebahagian daripada kelompok masyarakat yang wajar diberikan perhatian dan perlindungan sewajarnya.

Berdasarkan data rasmi e-Kasih terdapat lebih 1,300 Ketua isi rumah dalam kategori ini di seluruh Negeri Selangor. Mereka ini tidak menepati syarat untuk menerima bantuan BINGKAS. Waima demikian, sekiranya tidak dibantu, mereka akan jatuh ke dalam kelompok miskin mutlak jika kalau tidak dibantu. Justeru pada tahun 2026 walaupun senarai ini setelah diteliti tidak layak untuk menerima bantuan BINGKAS akan dimasukkan dalam penerima-penerima BINGKAS secara keseluruhan menjadikan keseluruhan bantuan BINGKAS 2026 akan ditambah sebanyak RM5 juta untuk memastikan tidak ada keluarga iaitu 1,300 keluarga ini jatuh kepada kelompok miskin mutlak yang ingin kita hapuskan dan senarai-senarai ini akan dikemas kini bagi setiap tahun atau setiap 6 bulan oleh Jabatan kita menyantuni kelompok ini, Kerajaan Negeri memperkenalkan satu inisiatif khas bagi tahun 2026 dengan peruntukan sebanyak RM5 juta. Program ini dinamakan BINGKAS Tambahan ataupun BINGKASAN yang akan dilaksanakan dengan kerjasama agensi pelaksana iaitu Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) dan SELCARE Management Sdn Bhd melalui penyelarasan dan pemantauan bersama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Pejabat Pembangunan Negeri, Pejabat Daerah dan Tanah serta Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor (JKM) bagi memastikan pelaksanaan yang bersasar dan berkesan. Melalui program khas ini, bantuan tunai bersasar akan disalurkan membantu menampung keperluan asas harian seperti makanan, barangan keperluan, dan rawatan kesihatan asas. Pelaksanaan bantuan ini berpaksikan kepada pendekatan berasaskan data dan keperluan sebenar penerima iaitu data-driven & evidence-based policy making bagi memastikan setiap bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar layak dan memerlukan. Selain bantuan tunai, penerima juga akan dihubungkan dengan skim kebajikan pelengkap seperti Iltizam Selangor Sihat (ISS) dan Bantuan Sihat Selangor (BSS). Pendekatan ini memastikan bantuan yang diberikan bersifat menyeluruh dan bukan sahaja menangani keperluan kewangan tetapi turut mengambil kira aspek kesihatan dan kesejahteraan rakyat jangka panjang penerima. Bagi tujuan pelaksanaan BINGKAS dan BINGKASAN ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM 103 juta. Kerajaan Negeri sentiasa berusaha memastikan kesejahteraan rakyat bukan sahaja melalui bantuan tunai dan sokongan sosial tetapi juga melalui memperkasakan dan meningkatkan daya maju diri para penerima manfaat. Kerajaan Negeri akan melaksanakan program rintis BINGKAS Plus, yang berfungsi sebagai strategi exit policy bagi penerima sedia ada Program BINGKAS. Melalui inisiatif ini, penerima terpilih akan melalui proses profiling menyeluruh bagi mengenal pasti potensi, kemahiran serta kecenderungan masing-masing yang dijadikan asas untuk meningkatkan status sosioekonomi keluarga. Berdasarkan hasil profiling tersebut, peserta akan dipadankan dengan program pemberdayaan sedia ada yang bersesuaian sama ada dalam bidang keusahawanan, latihan kemahiran, pekerjaan atau program peningkatan pendapatan di bawah agensi dan Rakan Strategik Kerajaan Negeri. Inisiatif BINGKAS Plus ini menandakan langkah progresif ke arah menjadikan bantuan sosial bukan sekadar jaring keselamatan sementara, tetapi platform mobiliti sosial yang mampu mengeluarkan kelompok-kelompok ini daripda rantaian jahat dan zalim kemiskinan.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Inisiatif berbentuk bantuan peralatan dan mesin yang diwujudkan khusus bagi membantu rakyat miskin, khususnya dalam kalangan penjaja, peniaga kecil dan mereka yang bekerja sendiri di Negeri Selangor. Program ini dilaksanakan dengan tujuan meningkatkan pendapatan isi rumah melalui perniagaan berskala kecil. Pada tahun 2026, program ini akan diteruskan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2 juta. Antara program lain yang turut dirancang adalah pelaksanaan Program Latihan Usahawan kepada penerima bantuan yang bertujuan membimbing mereka dalam meningkatkan kemahiran keusahawanan serta memberi pendedahan tentang pasaran yang lebih luas. Melalui program ini, penerima bantuan bukan sahaja berpeluang mengembangkan perniagaan, malah dapat meningkatkan tahap daya saing mereka dalam arus ekonomi semasa.

Program Bantuan Peralatan Usahawan India Selangor (I-SEED) merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Selangor yang bertujuan membantu meningkatkan taraf ekonomi masyarakat India di negeri ini melalui sokongan terhadap aktiviti keusahawanan. Program ini dilaksanakan di bawah Jawatankuasa Tetap Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah serta Ketua Komuniti India (KKI) di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN). Melalui program ini, usahawan kecil berbangsa India yang menjalankan perniagaan di Selangor diberikan bantuan berbentuk peralatan atau mesin bagi membantu mengembangkan lagi perniagaan mereka. Pada tahun 2026, program ini akan diteruskan dengan jumlah peruntukan berjumlah RM1 juta. Program ini dilaksanakan bersempena dengan tiga perayaan utama iaitu Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Deepavali. Melalui program ini, setiap keluarga kurang berkemampuan dengan pendapatan di bawah RM3,000.00 diberikan baucar bernilai RM200.00 untuk pembelian barangan keperluan asas di pasaraya terpilih. Bagi tahun 2025, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM16.48 juta bagi pelaksanaan program ini. Secara keseluruhannya, program ini telah memberi manfaat kepada seramai 60,150 penerima pada tahun 2025, sekali gus membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam membantu meringankan beban rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah. Justeru, pada tahun 2026, program ini akan diteruskan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM18.48 juta dengan tambahan dana RM 2 juta yang mensasarkan 92,400 orang penerima berbanding 60,000 orang penerima pada tahun 2025. Justeru pada tahun 2026, Kerajaan Negeri akan memperkenalkan satu program baru Jom Shopping Hari Pahlawan Negara sebagai tanda penghargaan atas komitmen dan pengorbanan komuniti pesara polis dan tentera di Selangor, Kerajaan Negeri akan menyampaikan baucar Jom Shopping Hari Pahlawan Negara RM200 seorang kepada 8,317 veteran yang tidak berpencen di Negeri Selangor pada Hari Pahlawan Negara iaitu pada 31 Julai 2026. Sebanyak RM1.7 juta diperuntukkan untuk Jom Shopping Khas Hari Pahlawan Negara.

Ahli Yang Berhormat sekalian, bertujuan membantu golongan yang kurang berkemampuan untuk memiliki kediaman yang selesa dan selamat didiami. Inisiatif ini dilaksanakan melalui

Program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin, yang menyediakan dua bentuk bantuan utama. Pertama, bantuan baik pulih rumah dengan kos sehingga RM35,000 bagi sebuah rumah. Kedua, bantuan bina baharu rumah bersaiz 660 kaki persegi dengan kos sebanyak RM85,000 bagi sebuah rumah, tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan. Usaha ini adalah manifestasi keprihatinan Kerajaan Negeri dalam memastikan kesejahteraan hidup rakyat terus terjamin. Sehingga kini, sebanyak 58 buah keluarga telah menerima manfaat program ini meliputi sembilan (9) daerah di seluruh Negeri Selangor. Tidak ketinggalan, sebanyak 14 keluarga daripada masyarakat Orang Asli turut dibantu melalui program ini, sekali gus membuktikan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan tiada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan dan kesejahteraan. Program ini akan terus dilaksanakan pada tahun 2026 dengan peruntukan yang telah ditingkatkan kepada RM3 juta. Fokus utama pelaksanaan pada tahun hadapan akan diberikan kepada permohonan bantuan baik pulih rumah, agar lebih ramai rakyat dapat menerima manfaat secara langsung daripada peruntukan yang disediakan.

Ahli Yang Berhormat sekalian, Kerajaan Negeri memperuntukan sebanyak RM1.5 juta bagi penganjuran sambutan perayaan masyarakat India seperti sambutan perayaan Deepavali, Ponggal, Thaipusam, Vaisakhi dan Ugadi. Dua perayaan iaitu Vaisakhi dan Ugadi diperkenalkan buat pertama kali pada tahun ini atas keprihatinan Kerajaan Negeri untuk meraikan kepelbagaian budaya dalam komuniti India secara lebih inklusif.

Pembangunan masyarakat Orang Asli di Negeri Selangor tidak pernah dipinggirkan. Kerajaan Negeri sentiasa mengambil peranan yang sama besar dengan Kerajaan Persekutuan dalam merencanakan pelbagai program bagi memastikan masyarakat Orang Asli lebih berdaya saing dalam arus globalisasi yang semakin mencabar. Sebagai sebuah kerajaan yang prihatin, bagi tahun 2026, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM500 ribu bagi meneruskan agenda membantu dan memperkasa masyarakat Orang Asli di Selangor.

Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (LIMAS) terus menjadi tonggak utama dalam usaha Kerajaan Negeri memperkukuh keharmonian antara agama dan menyokong komuniti bukan Islam di Selangor. Pada tahun 2025, peruntukan LIMAS telah diselaraskan semula bagi menampung permohonan pembinaan semula dan pemulihan rumah ibadat bukan Islam yang uzur, menjalankan program pendidikan dan kesedaran antara agama serta memperkukuh perpaduan sosial melalui aktiviti komuniti yang inklusif. Langkah ini sejajar dengan aspirasi Selangor sebagai negeri yang peduli, progresif dan harmoni. Pada tahun 2026 peruntukan LIMAS akan ditingkatkan kepada RM8 juta dengan tambahan dana RM 2 juta berbanding peruntukan tahun 2025 iaitu RM6 juta. Tambahan kepada itu, Kerajaan Negeri akan memberikan komitmen pembinaan krematorium di tanah yang telah digazetkan di Kuala Selangor agar menjadi ruang lebih selesa yang menepati keperluan masyarakat bukan Islam untuk urusan jenazah selaras

dengan adat resam dan panduan. Untuk ini, RM1 juta yang disalurkan untuk LIMAS itu akan kita siapkan untuk pembinaan krimatorium tersebut.

Ahli Yang Berhormat sekalian kita sampai kepada tekad terakhir Kelestarian Alam dan Kebitaraan Infrastruktur.

Gadis Pilah cantik berseri

Anggun indah bukan kepalang

Negeri membangun alam lestari

Jaminan kejayaan terus cemerlang

Kelestarian alam adalah agenda yang penting dan diberikan penekanan yang khusus di saat kita merancang pembangunan. Amartya Sen, seorang penerima Hadiah Nobel di dalam bidang ekonomi menyebutkan di dalam bukunya Development as Freedom bahawa “Pembangunan Adalah Satu Usaha Untuk Meluaskan Kebebasan Yang Sebenar Untuk Dinikmati Manusia Dan Usaha Itu Tidak Dapat Dicapai Jika Alam Sekitar Kita, Kesihatan Kita Dan Masa Depan Kita Dikorbankan.” Selangor Agenda For Green Economy (SAGE). Komitmen Kerajaan Negeri terhadap ekonomi hijau yang merangkumi tiga jilid utama iaitu tenaga bersih, ekonomi kitaran dan juga mobiliti hijau. Jilid pertama berkenaan tenaga bersih telah dilancarkan pada bulan Oktober yang lalu di mana antara projek utama yang telah dilaksanakan ialah Loji Janakuasa Pulau Indah (Pulau Indah Power Plant – PIPP) dan Projek Solar Terapung Berskala Besar (LSS5). Pada tahun 2026, Kerajaan Negeri akan membangunkan Jilid Kedua iaitu Ekonomi Kitaran bagi memberi fokus kepada strategi pengurangan sisa, inisiatif kitar semula dan peningkatan kecekapan tenaga dalam sektor bangunan awam dan industri dengan peruntukan sebanyak RM250 ribu diperuntukkan. Kerajaan Negeri akan merangka Pelan Tindakan Biodiversiti Selangor sebagai dokumen strategik untuk mengurus, melindungi dan memulihara kepelbagaian biologi secara lestari dengan peruntukan sebanyak RM300 ribu. Pelan ini akan menjadi panduan kepada Agensi Negeri dalam mendepani ancaman terhadap ekosistem seperti hutan paya gambut dan spesies pokok utama bagi Hutan Hujan Negeri yang terancam. Selaras dengan aspirasi negara untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2050, Kerajaan Negeri akan melaksanakan Program Karbon Selangor dengan peruntukan berjumlah RM300 ribu sebagai inisiatif strategik untuk mengenal pasti dan membangunkan projek-projek karbon berasaskan teknologi bagi meningkatkan potensi penerimaan dana atau penjanaan kredit karbon yang boleh dijual di pasaran kredit karbon. Program ini akan diterajui oleh Pusat Adaptasi Perubahan Iklim Negeri Selangor (SCAC) dengan kerjasama Malaysia Forest Fund (MFF). Melalui inisiatif ini, Selangor bukan sahaja berpotensi menjana kredit karbon teknologi tetapi juga menarik pelabur teknologi, memperkasa komuniti, serta memelihara hutan dan ekosistem semula jadi. Inisiatif awal melalui kempen penghijauan yang telah mencapai penanaman 1.88 juta pokok juga akan diteruskan pada tahun 2026. Program Selangor 100 merupakan satu inisiatif dasar jangka panjang hala tuju

pembangunan negeri sehingga tahun 2057, dengan memberi fokus kepada kelestarian ekonomi, kemajuan sosial, ketahanan infrastruktur, dan kesejahteraan generasi mendatang. Usaha ini bertujuan mewujudkan satu rangka dasar menyeluruh yang merentas sektor— meliputi pendidikan, inovasi teknologi, ekonomi hijau, mobiliti, keselamatan makanan, tadbir urus digital bagi memastikan Selangor kekal sebagai negeri termaju dan berdaya saing dalam tempoh 100 tahun selepas penubuhan Malaysia. Melalui penyelidikan mendalam, libat urus pelbagai pemegang taruh, serta analisis trend global dan serantau, Program Selangor 100 akan diterajui oleh Selangor Research Institute dan menjadi kompas strategik yang memandu keputusan Kerajaan Negeri agar pembangunan hari ini memberi manfaat berpanjangan sehingga melepasi tahun 2057. RM2 juta diperuntukkan 2026. Usaha mengurangkan impak perubahan iklim bukan sahaja bergabung dan bergantung kepada dasar dan teknologi tetapi memerlukan kerjasama menyeluruh daripada rakyat. Justeru, sebanyak RM500 ribu diperuntukkan bagi Program-Program Pemerkasaan Komuniti dan Belia Setempat dalam pelaksanaan program- program berimpak langsung seperti pemuliharaan sungai dan ekosistem setempat, penghijauan persekitaran komuniti oleh pihak sekolah, institusi pengajian tinggi dan persatuan penduduk serta aktiviti pengurusan sisa di peringkat komuniti termasuk amalan kitar semula dan pengkomposan. Pada tahun hadapan juga kerajaan negeri akan membangunkan kawasan Geopark Gombak–Hulu Langat sebagai destinasi geopelancongan utama di Malaysia yang menonjolkan khazanah alam semula jadi. Jawatankuasa Geopark Kebangsaan akan memulakan persediaan untuk penilaian Jawatankuasa Rangkaian Geopark UNESCO. Pembangunan prasarana asas pelancongan termasuk laluan geotrail, galeri pendidikan geologi dan kemudahan rekreasi. Untuk maksud ini sebanyak RM2 juta akan diperuntukkan tahun 2026. Kemudahan awam dan prasarana asas yang baik adalah tanggungjawab penting bagi sebuah kerajaan yang prihatin. Di samping memberikan kemudahan kepada rakyat, infrastruktur yang baik juga dapat meningkatkan aktiviti ekonomi di negeri ini. Kedudukan Selangor yang strategik perlu disokong dengan pembangunan infrastruktur yang dapat menghubungkan pengangkutan laut, udara dan darat di peringkat nasional. Bagi tahun 2026, sejumlah RM130 juta diperuntukkan khusus untuk Projek Pembangunan Infrastruktur Negeri Selangor merangkumi kerja-kerja menaiktaraf jalan, menaiktaraf jaringan perparitan, pemasangan lampu jalan, lampu isyarat, meningkatkan aspek keselamatan jalan raya dan kerja-kerja yang lain. Projek Selangor Penyayang, penambahbaik Balai Penghulu. Balai penghulu bukan sahaja berfungsi sebagai pusat pentadbiran, tetapi juga merupakan nadi penggerak komuniti di peringkat akar umbi di Selangor. Di sinilah pelbagai aktiviti dan program masyarakat dilaksanakan, menjadi wadah pertemuan dan pengukuhan perpaduan setempat. Namun begitu, keadaan infrastruktur semasa memerlukan perhatian serius. Beberapa bahagian bangunan telah menunjukkan tanda-tanda keusangan dan keuzuran seperti bumbung bocor, sistem pendawaian yang perlu diganti, cat yang pudar serta kemudahan tandas yang memerlukan baik pulih segera. Atas sebab tersebut, Belanjawan 2026 telah memperuntukkan sebanyak RM9 juta bagi tujuan penyelenggaraan balai-balai penghulu bagi 9 Daerah di Negeri Selangor yang akan meliputi pembaikan struktur dan

bumbung, naik taraf sistem elektrik, kemudahan tandas, sistem saliran dan paip air, kerja-kerja mengecat semula bangunan dan kerja-kerja penyelenggaraan asas seperti

pembaikan pintu dan longkang, peningkatan keselamatan melalui pemasangan lampu dan pagar tambahan. Usaha penambahbaikan ini bukan sekadar membaiki bangunan tetapi penyelenggaraan fizikal semata-mata, tetapi merupakan lambang kesungguhan Kerajaan Negeri untuk menambah baik perkhidmatan kepada rakyat di peringkat akar umbi. Sebagai tambahan kepada usaha meningkatkan penglibatan rakyat ke dalam menjayakan Low Carbon City Framework atau pun Kerangka Rendah Karbon, Kerajaan Negeri akan memulakan usaha pemberian rebat cukai PBT bagi penduduk yang mempunyai fasiliti dan teknologi mesra alam di rumah-rumah kediaman mereka. Misalnya, pemasangan panel solar bagi mengurangkan kebergantungan kepada grid nasional, sistem penuaian air hujan rain harvest system dengan izin, pengasingan sisa di rumah yang memudahkan proses kitar semula, unit pengecasan kenderaan elektrik, dan sistem pengkomposan sisa makanan. Kita telahpun melihat sistem sebegini berjaya dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya yang telah mendapat sambutan 2,313 pemohon yang telah menerima rebat cukai sebanyak RM878,205.05. Untuk tahun hadapan, penduduk Selangor yang memasang semua fasiliti ini akan menikmati rebat sehingga 100% cukai bagi tahun taksiran 2026 dengan memohon kepada PBT masing- masing serta melalui proses semakan. Setiap PBT akan memperuntukkan jumlah pengecualian cukai sehingga RM1,000,000 bagi tahun taksiran 2026 bagi MBPJ, MBSA, MBSJ dan MBDK, manakala Majlis Perbandaran menyediakan peruntukan sehingga RM200,000, dan Majlis Daerah Sabak Bernam akan menyediakan rebat sehingga RM100,000 bagi tujuan rebat cukai taksiran. Bagi pihak Kerajaan pula, Selangor akan mula menukar tiang- tiang lampu konvensional di pejabat-pejabat Kerajaan Negeri, Jalan Negeri serta PBT dengan teknologi tiang lampu solar yang lebih cekap penggunaan tenaga pelbagai langkah pengoptimumkan perbelanjaan di samping menjadi Negeri yang lebih mesra alam. Tahun ini, Kerajaan Negeri telah menjalinkan usahasama di antara KDEB Waste Management dan syarikat Nestle untuk Program SELKitar semula barang-barang elektronik barang-barang terpakai. Sehingga September 2026, sejumlah 122.2 tan bahan-bahan e-waste berjaya dikumpul. Ke hadapan, KDEB Waste akan mengembangkan usaha kitaran e-waste SELKitar dengan 100 unit Reverse Vending Machine di seluruh Negeri. Mesin Kitar Semula Pintar ini beroperasi 24 jam setiap hari dan akan ditempatkan di kawasan awam bagi memudahkan akses kepada rakyat yang ingin mengitar semula bahan-bahan seperti botol plastik, tin aluminium, kertas, kotak, dan minyak masa terpakai dan seterusnya memberikan ganjaran kepada rakyat. Usaha ini akan dimulakan dengan peruntukan KDEB Waste pada tahun 2026.

Sempena dengan Sambutan Jubli Perak Pemerintahan DYMM Sultan Selangor pada tahun hadapan, D.Y.T.M Raja Muda Selangor telah berkenan untuk melaksanakan Jelajah Jubli Perak ke - 9 buah daerah di seluruh negeri bagi menyantuni rakyat jelata. Program ini turut akan melibatkan projek penambahbaikan infrastruktur di kesemua 9 daerah khususnya kemudahan awam seperti dewan orang ramai, kemudahan sukan, sekolah dan lain- lain

lagi. Program ini akan diselaraskan bersama oleh Selangor Youth Community (SAY) dan Yayasan MBI. Sebanyak RM9 juta diperuntukkan dengan dana RM4.5 juta masing-masing oleh SAY dan Kerajaan Negeri melalui Yayasan MBI. Kerajaan Negeri juga memperuntukkan RM5 juta untuk tiga projek jambatan iaitu menyiapkan Jambatan di Kampung Sungai Buah, Daerah Sepang, Jambatan di atas Sungai Serigala, Laluan B44 Jalan Hulu Bernam - Sungai Besar, Hulu Selangor dan menaiktaraf Jambatan di Jalan Ara, Bagan Pasir, Tanjung Karang, Daerah Kuala Selangor untuk menaiktaraf jambatan yang ada bagi meningkatkan kapasiti dan keselamatan. Pembinaan jalan baharu untuk memastikan perkembangan yang bersepadu dan menyokong pertumbuhan ekonomi serta mobiliti yang lebih ampuh, Kerajaan Negeri telah merancang tiga projek utama pembinaan jalan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM24.9 juta. Peningkatan kualiti jalan, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM74.35 juta untuk empat projek menaiktaraf jalan yang kritikal iaitu yang pertamaJalan Bukit Rimau, Daerah Klang (Pakej 1): RM14.5 juta, Jalan Negeri B148 Jalan Telok Gong dari Persimpangan Glenmarie Cove hingga ke Persimpangan Jalan Ikan Tenggiri: RM19.35 juta, Laluan B17 (Jalan Reko) sebanyak RM20.5 juta, Jalan B48 dari Simpang Tiga Jenderam ke Pekan Sepang Lama sebanyak RM20 juta. Pelaksanaan Program Turapan Mega di seluruh Negeri Selangor adalah hasil dari inisiatif Kerajaan Negeri untuk membaik pulih jalan-jalan negeri yang telah dikenalpasti. JKR Selangor telah meneroka kaedah baharu yang lebih berkesan dan mampan dalam kerja-kerja penyelenggaraan dan menambah baik infrastruktur yang melibatkan tebing sungai dan mendapan ke atas sesuatu jalan. Suatu pendekatan inovatif telah diperkenalkan dengan menggunakan Sistem Tetulang Pratuang iaitu teknologi dari Indonesia yang kini diperkenalkan buat pertama kali di negeri Selangor. Untuk maksud ini sebanyak RM55 juta diperuntukkan.

Projek Naiktaraf Kemudahan Awam Di Negeri Selangor akan diteruskan pada tahun 2026 melalui inisiatif transformasi pasar awam terpilih sebagai ruang niaga yang moden dan selamat. Bagi tujuan ini, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM3 juta dengan tambahan RM3 juta daripada peruntukan PBT, menjadikan keseluruhan inisiatif bernilai RM6 juta. Fokus utama naiktaraf adalah merangkumi pembaikan infrastruktur asas, penambahbaikan sistem peparitan dan kebersihan serta penyediaan kemudahan mesra pengguna yang lebih moden dan teratur.

Cabaran besar perubahan iklim salah satunya adalah fenomena banjir yang menguji ketahanan infrastruktur, keselamatan penduduk, dan kelestarian pembangunan negeri. Justeru, Kerajaan Negeri Selangor memberi tumpuan khusus kepada pembangunan projek tebatan banjir yang dirancang secara strategik dan bersepadu mengikut lembangan sungai. Inisiatif ini menjadi benteng pertahanan negeri, memastikan risiko banjir dapat dikawal secara lebih holistik, mampan dan berkesan demi kesejahteraan rakyat serta masa depan Selangor yang lebih selamat dan sejahtera. Bagi Tahun 2024, sebanyak RM54.34 juta telah diperuntukkan mengikut lembangan sungai utama sebagai teras kepada usaha

memperkukuh projek-projek tebatan banjir dengan penambahan 17 projek baharu. Beberapa lembangan sungai utama yang terlibat adalah, Lembangan Sungai Klang RM16.92 juta Lembangan Sungai Langat, RM16.51 juta, Lembangan Sungai Selangor, RM5.74 juta, Lembangan Sungai Buloh – RM1 juta, Lembangan Sungai Bernam & Kapar Besar – RM2.8 juta. Penekanan utama diberikan kepada Lembangan Sungai Klang dan Lembangan Sungai Langat yang kini berhadapan dengan kadar pembangunan pesat sehingga mencetuskan peningkatan aliran air permukaan. Keadaan ini telah mengakibatkan berlakunya banjir kilat mahupun banjir monsun yang kerap dan serius. Pelaksanaan projek-projek tebatan banjir ini akan diperkukuh melalui kesepaduan dan kerjasama strategik bersama Kerajaan Persekutuan agar solusi yang dirangka benar-benar holistik, lestari dan berimpak tinggi dalam mengawal serta mengurangkan risiko bencana banjir di Negeri Selangor. Pengurusan lembangan sungai yang holistik merupakan kunci kepada kelestarian sumber air Negeri Selangor. Pembangunan lembangan sungai yang dilaksanakan secara bersepadu sebagai strategi utama dalam memelihara, mengurus dan membangunkan sumber air serta tanah merentas pelbagai sektor. Pendekatan ini dijangka atau dirangka untuk memaksimumkan faedah sosioekonomi, memastikan pengurusan sumber air yang berdaya tahan dan mampan serta memelihara dan mengembalikan ekosistem semula jadi. Bagi tujuan ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM11.51 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor dengan penambahan 10 projek baharu untuk melaksanakan perkhidmatan kepakaran teknikal yang mampu memastikan setiap lembangan sungai diurus dengan penuh ketelitian, bersepadu, dan berkesan. Selaras dengan pembangunan pesat Negeri Selangor, sistem saliran yang efisien perlu dibangunkan secara menyeluruh dan mampan. Pembangunan ini bukan sahaja berfungsi mengawal aliran air, malah meningkatkan daya tahan infrastruktur bandar serta melindungi komuniti daripada risiko bencana banjir. Bagi memperkukuh keupayaan sistem saliran negeri, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM12.89 juta kepada JPS Negeri Selangor dengan penambahan 10 projek baharu. Tumpuan diberikan untuk meningkatkan kapasiti saliran sedia ada di kawasan berisiko serta menambah baik sistem saliran dalaman agar mampu menampung taburan hujan lebat serta aliran air yang tinggi dan juga deras. Langkah ini bakal memastikan sistem saliran negeri bukan sahaja berfungsi secara cekap, malah dapat menjadi pendukung. Langkah ini bakal memastikan sistem saliran negeri bukan sahaja berfungsi secara cekap, malah dapat menjadi pendukung utama pembangunan pesat bandar dan luar bandar yang memerlukan infrastruktur berkualiti tinggi. Selaras dengan agenda pembangunan hijau Negeri Selangor, pengurusan saliran mesra alam menjadi teras penting dalam memastikan pembangunan pesat negeri bergerak seiring dengan kelestarian alam sekitar. Pendekatan ini dirangka bagi mewujudkan sistem saliran yang cekap, berkesan dan lestari demi kesejahteraan rakyat serta generasi akan datang. Oleh itu, Kerajaan Negeri akan membangunkan Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) bagi Daerah Hulu Langat dengan kos RM 500 ribu. Selain itu, JPS turut melaksanakan projek strategik Kolam Takungan Banjir di Rawang Integrated bernilai RM15 juta, yang dijangka menjadi benteng utama dalam menangani masalah banjir di kawasan Sungai

Gong, Daerah Gombak. Selain itu terdapat 3 projek baharu yang akan dilaksanakan di bawah Program Pengurusan Saliran Mesra Alam dengan anggaran kos projek berjumlah RM67.50 juta. Dengan itu, bagi tujuan ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM8.65 juta kepada JPS Negeri Selangor bagi tahun 2026. Kerajaan Negeri terus komited dalam memastikan keberkesanan infrastruktur mitigasi banjir melalui pelaksanaan kerja-kerjapenyelenggaraan di bawah Belanja Mengurus JPS. Pada tahun 2026, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM5 juta khusus bagi tujuan pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan kolam takungan di bawah kawalan JPS Selangor. Peruntukan ini disediakan bagi mengekalkan kelestarian fungsi kolam takungan, sekali gus memperkukuh keupayaan negeri dalam mengurangkan risiko banjir. Kawasan pesisiran pantai merupakan aspek penting dalam memastikan kesejahteraan penduduk serta kelestarian ekosistem pantai. Fenomena perubahan iklim dan kejadian air pasang besar yang semakin kerap berlaku menuntut langkah yang lebih proaktif serta berkesan bagi memperkukuh benteng perlindungan Negeri khususnya di Daerah Sabak Bernam, Daerah Kuala Selangor dan Daerah Kuala Langat. Bagi memperkukuh perlindungan pesisiran pantai serta menjamin keselamatan penduduk daripada ancaman kerosakan berulang, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM4 juta pada Tahun 2026 bagi melaksanakan 11 projek baharu meliputi kerja-kerja peningkatan dan pengukuhan benteng pantai di kawasan-kawasan terjejas. Kerajaan Negeri terus komited memastikan rakyat Selangor menikmati bekalan air yang mencukupi, berkualiti dan berdaya tahan melalui pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi di bawah Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. Logi Rawatan Air Rasau Peringkat 2, Projek Loji Rawatan Air Rasau Peringkat 1 yang sedang berjalan, dengan kapasiti 700 juta liter sehari (MLD), akan membekalkan air ke Wilayah Klang dan memanfaatkan seramai 2.15 juta pengguna. Loji ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan rizab bekalan air di kawasan tersebut. Sebagai kesinambungan daripada projek Peringkat 1, projek Loji Rawatan Air Rasau Peringkat 2 dengan kapasiti 700 juta liter sehari (JLH) akan menjadi pemangkin utama kepada bekalan air Negeri. Projek bernilai RM2.6 bilion ini, dibiayai sepenuhnya oleh Air Selangor, akan dilaksanakan dalam tempoh 36 bulan mulai tahun 2026 hingga 2028, dan dijangka membekalkan air kepada 467,000 akaun pengguna di Wilayah Petaling dan Kuala Langat menjelang tahun 2031. Loji ini merangkumi tiga pakej utama, iaitu pembinaan loji rawatan air, kolam takungan, serta sistem agihan utama. Proses tender bagi ketiga-tiga pakej kini berada di peringkat penilaian dan dijangka dimuktamadkan selewat-lewatnya Disember 2025. Apabila beroperasi sepenuhnya, Skim Bekalan Air Rasau akan mampu membekalkan 1,400 JLH kepada hampir 934,000 akaun pengguna di seluruh Negeri Selangor daripada 2.6 juta yang dikawal oleh Pengurusan Air Selangor. Program Penggantian Paip (hotspot) yang bermula sejak tahun 2016 menyasarkan penggantian paip sebanyak 150km setahun. Bermula tahun 2024, sasaran penggantian paip telah ditingkatkan dari 150km kepada 300km setahun. Sebanyak RM542.8 juta telah diperuntukkan oleh Air Selangor bagi tahun 2026. Setakat Ogos 2025, sebanyak 980.18 km paip telah berjaya digantikan di seluruh Selangor, sekali gus mengurangkan gangguan bekalan air kepada pengguna. Program Penurunan Kadar Air

Tidak Berhasil, Bagi memastikan kecekapan sistem agihan air, Air Selangor akan meneruskan Program Penurunan Kadar Air Tidak Terhasil (NRW) dengan peruntukan sebanyak RM40.4 juta bagi tahun 2026. Program ini melibatkan penggantian paip komunikasi, pemasangan Pressure Transient, memperluaskan liputan District Metering Zone (DMZ), menambah kakitangan Leak Inspector, pemasangan Permanent Noise Correlating Loggers, dan pemasangan Advance Pressure Management Systems (APMS). Setakat September 2025, kadar NRW berjaya dikurangkan kepada 27.0%, lebih baik daripada sasaran 27.3% yang ditetapkan untuk tahun 2025. Sebelum itu, usaha bagi pemulihan dan pembaikan loji rawatan air akan terus dijalankan dengan peruntukan sebanyak RM80 juta oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan RM38.5 juta oleh Air Selangor bagi tahun 2026. Skop kerja meliputi loji-loji utama seperti Langat 2, Sg. Labu, Sg. Langat, Sg. Semenyih, Wangsa Maju, Batang Kali, Bukit Nanas, Cheras Batu 11, Kuala Kubu Bharu dan beberapa lagi lokasi strategik di seluruh Negeri. Bagi memperkukuh ketahanan sistem bekalan air, projek Keterhubungan Grid Air (Water Grid Interconnectivity) juga akan menjadi tumpuan utama dalam memastikan bekalan air di negeri ini terjamin dan berterusan. Bagi tahun 2026, sebanyak RM110.1 juta telah diperuntukkan oleh Air Selangor untuk kerja-kerja pembinaan infrastruktur dan perkhidmatan perunding di beberapa jajaran yang dikenalpasti di Petaling, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Klang, Hulu Langat, Sepang dan Kuala Selangor. Projek ini merupakan sebahagian daripada pelan jangka panjang untuk mencapai keterhubungan grid air yang mampan menjelang tahun 2030. Kerajaan Negeri Selangor telah bersetuju untuk meningkatkan had pendapatan isi rumah penerima Skim Air Darul Ehsan (SADE) air percuma dari RM5,000 sebulan kepada RM6,000 sebulan. Kerajaan Negeri menganggarkan kos pelaksanaan program SADE sebanyak RM52.7 juta setahun. Bagi tahun 2026, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM20 juta bagi menampung kos SADE dan baki pelaksanaan program ini akan ditanggung oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd. Pelaksanaan kerja-kerja pembinaan infrastruktur pengepaman di Sungai Selangor dan Sungai Semenyih di bawah Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) telah pun siap sepenuhnya dan telah mula beroperasi. Semenjak projek ini mula beroperasi, terdapat beberapa insiden pencemaran yang berlaku di Sungai Selangor dan Sungai Semenyih yang telah berjaya diatasi tanpa perlu menutup operasi di Loji Rantau Panjang, Loji SSP1,2,3 dan juga Loji Rawatan Semenyih. Kejayaan mengatasi isu pencemaran sungai ini telah menunjukkan keberkesanan Projek SJAM ini dan usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri. Pada tahun 2026, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM3.5 juta bagi menampung kos-kos di dalam Tempoh Tanggungan Kecacatan (Defect Liability Period (DLP)) Projek SJAM termasuk kos bayaran akhir dan penyediaan akaun muktamad. Penyair besar Asia Tenggara Chairil Anwar telah menulis bait-bait indah dalam sajak-nya yang berjudul Doa. Tuhan-ku, aku mengembara di negeri asing, Tuhan-ku di pintu-Mu aku mengetuk aku tidak bisa berpaling. Chairil Anwar, sebagaimana ramai penyair sezamannya, seorang penyair muda yang kata-katanya laksana dibakar api yang menyala-nyala. Pun begitu, Chairil yang terkenal dengan sajak-sajak berontak itu tidak pernah berputus harap. Hatta bagaikan menggenggam bara api,

Chairil tetap mendongak ke langit, dengan cukup sayu dia mengungkapkan, “aku mengembara di negeri asing.” Chairil seperti mengungsi, in exile, di negeri yang tidak dikenali. Dia mencari-cari jalan pulang sewaktu dikepung tanda dan makna. Chairil pun menyerah, namun itu bukan berserah diri orang yang lemah. Bukan berserah diri orang yang tewas. Tetapi berserah diri orang yang kuat sambil mengakui bahawa; “Tuhan-ku, Di-pintu-mu aku mengetuk, aku tidak bisa berpaling.” Justeru marilah kita membandingkan dan menekuni ayat 87 Surah al-Anbiya’ ketika Nabi Yunus a.s menyerahkan dirinya, mengakui khilaf yang dilakukannya dan bersaksi sesungguhnya tiada kuasa selain Allah S.W.T Hadis atau ayat dalam surah Yunus ini yang bermaksud “Dan Dzun-Nun, ketika dia pergi dalam keadaan marah, yang menyebabkan dia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan maka dia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata “Sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Engkau, Maha Suci Engkau, Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri.” Justeru ketika kita merangka sebuah kebijakan dan dasar negeri yang mustahak seperti Belanjawan Negeri dan Rancangan Selangor, seiringan kita yakin untuk menjadi juara di Malaysia dan berusaha untuk menakluki Asia Tenggara, kita menginsafi hakikat bahawa segala kuasa milik Allah S.W.T. Bukanlah kita angkuh mendabik dada. Kita hanya menuruti nasihat Nabi S.A.W untuk “mengikat tali unta dan bertawakal”. Kerajaan Negeri Selangor merancang sebaik-baiknya, berusaha bersungguh-sungguh dan bertawakal kepada Allah S.W.T.

Tuan Speaker, Sidang kemuncak ASEAN ke 47 menyaksikan prestij Malaysia sebagai negara utama Asia Tenggara kembali mengukuh. Peranan YAB Perdana Menteri bukan hanya sebagai ketua eksekutif Malaysia, akan tetapi juga skillful, cekap dan terampil di arena diplomasi serantau dan antarabangsa membuka peluang kepada Negara dan juga Negeri Selangor untuk meneroka peluang pelaburan serta menganyam pengaruh lunak, atau soft power, terutamanya di Asia Tenggara, Asia Timur dan Pasifik. Golongan pembentuk pendapat di Malaysia para pemikir, intelektual awam, akademia, birokrat, budayawan dan ahli politik, melewati sempadan kepartian mahupun ideologi harus mula mencurahkan tenaga untuk membayangkan tentang Malaysia Seratus Tahun atau Projek 100 Tahun Malaysia. Kita harus menggembeling usaha menyusun strategi bagi memastikan tatkala Malaysia mencapai usia 100 tahun kewujudannya, negara yang kita cintai ini tidak rosak ibarat rumah dimakan anai-anai. Adalah sesuatu yang imperatif untuk memastikan Sabah dan Sarawak untuk tetap kekal dalam Malaysia. Usaha itu haruslah menjamin orang Sabah dan Sarawak menikmati peningkatan ekonomi saksama. Selain lebuhraya Pan Borneo, kita harus melabur kepada jaringan rel di Borneo. Tuan Speaker, Wilayah Metropolis atau Inisiatif Wilayah Tengah merupakan satu kerangka strategik untuk memperkukuh ekosistem pelaburan di wilayah tengah Malaysia meliputi Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Putrajaya dan Melaka sebagai hab ekonomi paling dinamik di Negara ini. Menerusi Wilayah Metropolis, wilayah tengah dilihat bukan sekadar pusat pentadbiran dan perindustrian, tetapi sebagai “growth engine” yang mampu memacu transformasi Malaysia ke arah ekonomi berasaskan teknologi tinggi, inovasi, dan perkhidmatan bernilai tambah. Fokusnya ialah

menyelaraskan dasar pelaburan, memperkukuh infrastruktur, dan memastikan integrasi antara kawasan perindustrian tradisional dengan zon pertumbuhan baharu seperti hab digital, taman teknologi hijau dan logistik berprestasi tinggi. Wilayah Metropolis turut menekankan pendekatan “investment aftercare”, pemudah-caraan yang lebih agresif dan tersusun, memastikan syarikat-syarikat multinasional yang telah sedia beroperasi di rantau ini terus mengembangkan kapasiti, menaik taraf teknologi, dan mengekalkan tenaga kerja mahir tempatan. Wilayah Metropolis akan menjadi ruang untuk menggabungkan kelebihan sedia ada seperti jaringan pengangkutan terbaik, universiti penyelidikan, tenaga kerja berkemahiran, dan akses pasaran dengan rangsangan baharu bagi sektor utama seperti automasi, kecerdasan buatan, farmaseutikal, aeroangkasa, dan ekonomi hijau. Pendekatan ini bertujuan mewujudkan “agglomeration advantage” atau daya tarikan rangkaian industri yang lebih kuat. Akhir sekali, Wilayah Metropolis mensasarkan pembentukan ekosistem yang lebih inklusif dan mampan. Ini termasuklah penekanan terhadap pembangunan bakat, penglibatan perusahaan kecil dan sederhana dalam rantaian nilai global, serta pelaksanaan tadbir urus yang mampan mesra alam sekitar dan bertanggungjawab sebagai piawaian dalam projek pelaburan baharu. Di peringkat Negeri, Wilayah Metropolis memberi peluang kepada kerajaan seperti Selangor untuk memperkukuh dasar pelaburan, mempercepatkan transformasi digital, serta memperkenalkan model pembangunan berorientasikan bandar pintar dan industri hijau. Wilayah Metropolis mencakupi wilayah Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur, Putrajaya diunjurkan menyumbang RM24.5 bilion setahun kepada KDNK Negara. Selain itu, pelaburan yang diluluskan dalam wilayah ini dijangka mencapai RM12.5 bilion setiap tahun, dan mewujudkan kira-kira 5,000 pekerjaan bernilai tinggi dalam tempoh lima tahun. Fakta-fakta ini menunjukkan bahawa Inisiatif Wilayah Tengah bukan sekadar aspirasi strategik, tetapi mempunyai sasaran kuantitatif yang jelas untuk mengukuhkan daya saing pelaburan negara. Semestinya peranan Islam di Malaysia menuju 100 tahun Malaysia tidak boleh dinafikan. Ianya tersemat di dalam minda dan kebudayaan orang Melayu. Walaubagaimana pun ianya bergantung kepada orang Melayu untuk bagaimana mendakap dan menzahirkan Islam tersebut. Pastinya bab-bab asas Islam sudah jelas. Akan tetapi untuk Melayu mahu menjadi instrumental dalam pembangunan Malaysia akan datang, orang Melayu harus "menafsirkan" Islam ke tengah masyarakat sebagai rakyat Malaysia yang berkeyakinan, tidak mencurigai sains dan teknologi bahkan mesti menguasai disiplin tersebut. Orang Melayu Islam juga harus menampilkan sisi Islam yang cekal dan tahan uji. Tatkala kita mendukung kosmopolitan kita juga mesti berpegang teguh dengan jati-diri Islam. Teguh dengan jati diri bukanlah bermakna kita bersikap berani kerana gerombolan. Atau bingit menjerit. Melayu mesti mampu berhujah. Kemampuan berhujah hadir kerana menguasai ilmu. Justeru jika dia memilih menjadi ustaz, dia haruslah menguasai Bahasa Arab. Justeru jika dia memilih menjadi ustaz, dia haruslah menguasai Bahasa Arab dan cabang-cabang ilmu lainnya. Jika dia memilih menjadi arkitek, jurutera, ahli perniagaan, penjual buku, pemikir, penulis fiksyen, seniman, saintis, dia wajib benar-benar menjadi pakar. Sekiranya kita hebat, kelayakan kita untuk memimpin tidak seharusnya dipertikaikan lagi. Saya mendoakan semoga Selangor dan Malaysia terus

berjaya selama 1000 tahun lagi. Sebagaimana yang dinukil Chairil Anwar dalam sajak Aku, “aku mahu hidup seribu tahun lagi.” Tuan Speaker dan Ahli-ahli Dewan yang saya hormati, tujuan Rang Undang-undang ini adalah adalah untuk pengeluaran wang tidak melebihi RM3,111,760.00 daripada Kumpulan Wang Disatukan Negeri untuk perkhidmatan tahun 2026 adalah dengan ini di benarkan dengan jumlah wang ini diperuntukkan bagi maksud yang dinyatakan. Tuan Speaker, saya sampaikan Belanjawan Negeri Selangor 2026. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Tuan Ng Sze HanDAP · PHKinrara

Tuan Speaker saya menyokong.

Speaker

Terima kasih Dewan Negeri Selangor juga mengalu-alukan lawatan daripada Persatuan Mahasiswa Selangor Bernas Nasional serapai 9 orang mahasiswa dibimbing oleh Encik Alif Aiman bin Roslan. Rakan-rakan, Ahli-ahli yang Berhormat sekalian,

Bunga tanjung mekar berseri

Harum semerbak di balai seri

Menteri Besar berucap rasmi

Belanjawan dibentangkan untuk Negeri

Padi masak di bendang luas

Hasil dibawa ke kota raya

Isnin nanti ADUN membahas

Butiran di teliti demi rakyat jelata

Ahli-ahli Yang Berhormat cadangan ini telah pun disokong bersesuaian dengan Peraturan Tetap 66(2) sesudah dibaca Rang Undang-undang pembekalan kali yang kedua, perbahasan hendaklah ditangguhkan tidak kurang daripada satu jam. Oleh itu, perbahasan ini ditangguhkan dan Dewan akan bersambung semula pada 17 November 2025 pada 10.00 pagi. Dewan ditangguhkan.

(DEWAN DITANGGUHKAN PADA JAM 6.30 PETANG)