Selangor · 20 April 2026

15th Assembly, 4th session, 1st meeting · not final · 8 turns · 3,530 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalSelangor publishes one PDF per sitting day; recent ones are drafts (Draf Penyata Rasmi). Full written answers are published for 2018-19 only.

(Pembukaan)

Setiausaha Dewan

Selamat pagi dan salam sejahtera. Aturan Urusan Mesyuarat Bagi Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas pada 20 April 2026 dimulakan dengan: (i) Bacaan Doa (ii) Proklamasi

(PENOLONG SETIAUSAHA DEWAN MEMBACA DOA) (PROKLAMASI) OLEH DULI YANG MAHA MULIA SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH ALHAJ IBNI ALMARHUM SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH ALHAJ, D.K., D.M.N., D.K. (TERENGGANU), D.K. (KELANTAN), D.K. (PERAK), D.K. (PERLIS), D.K. (NEGERI SEMBILAN), D.K. (KEDAH), D.K. (JOHOR), D.K. (PAHANG), S.P.M.S., S.S.I.S., S.P.M.J., DENGAN KURNIA ALLAH, SULTAN DAN YANG DIPERTUAN NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN SERTA SEGALA DAERAH TAKLUKNYA. BAHAWASANYA Fasal (1) Perkara LXX Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, memperuntukkan bahawa DULI YANG MAHA MULIA SULTAN hendaklah dari semasa ke semasa melalui Proklamasi yang disiarkan dalam Warta memanggil Dewan Negeri: MAKA OLEH YANG DEMIKIAN, BETA, SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH ALHAJ IBNI ALMARHUM SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH ALHAJ, D.K., D.M.N., D.K. (TERENGGANU), D.K. (KELANTAN), D.K. (PERAK), D.K. (PERLIS), D.K. (NEGERI SEMBILAN), D.K. (KEDAH), D.K. (JOHOR), D.K. (PAHANG), S.P.M.S., S.S.I.S., S.P.M.J., DENGAN KURNIA ALLAH, SULTAN DAN YANG DIPERTUAN NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN SERTA SEGALA DAERAH TAKLUKNYA, pada menjalankan kuasa yang diberikan kepada BETA di bawah Perkara LXX Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, DENGAN INI MEMANGGIL Dewan Negeri untuk bermesyuarat dan menetapkan 20 April 2026 hingga 24 April 2026, 27 April 2026 hingga 30 April 2026 dan 4 Mei 2026 dan pukul 10.00 pagi kecuali hari Jumaat pukul 9.30 pagi, sebagai tarikh dan waktu bagi Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor yang Kelima Belas yang akan diadakan di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam. DIPERBUAT di Istana Alam Shah, Klang pada 6 Mac 2026. Dengan Titah Perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Setiausaha Dewan

Keberangkatan Masuk Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor diiringi Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor serta Yang Berhormat Tuan Speaker. Dengan segala hormatnya dijemput YAB Dato’ Menteri Besar Selangor untuk mempersembahkan Titah Ucapan Diraja kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Speaker

Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan SelangorAddress / budget

Sultan Selangor

Bismillahir Rahmaanir Rahiim. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Segala puji ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, Beta dapat berangkat menyempurnakan lstiadat Perasmian Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Kelima Belas (15) pada pagi yang berbahagia ini.

Alhamdulillah, Beta bersyukur kerana rakyat Beta di Negeri Selangor ini terus dapat menikmati kemajuan dan pembangunan negeri ini serta dapat menjalani hidup dalam suasana aman dan makmur.

Kerajaan Beta telah memaklumkan kepada Beta bahawa ia sekali lagi telah berjaya mencatatkan rekod dalam Sejarah negeri Selangor bagi penerimaan hasil sebanyak Tiga Perpuluhan Kosong Dua Satu Bilion Ringgit (RM3.021 Bilion) pada tahun 2025 yakni peningkatan sebanyak Seratus Lima Puluh Empat Juta Ringgit (RM154 Juta) berbanding tahun 2024. Pencapaian Kerajaan Beta pada tahun lalu telah melebihi sasaran asal dan Beta telah dijanjikan bahawa pada tahun 2026 ini, pencapaian yang lebih memberangsangkan akan dapat dicapai dengan sasaran sebanyak Dua Perpuluhan Lapan Bilion Ringgit (RM2.8 Bilion).

Kerajaan Beta telah merencanakan pelbagai sumber kewangan negeri seperti pengenalan Caj Abstraksi Air yang mencatatkan terimaan sehingga Empat Puluh Lapan Juta Ringgit (RM48 Juta), penambahbaikan sistem pengurusan dan pentadbiran di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) serta Pejabat Tanah & Galian Negeri Selangor (PTGS) telah meningkatkan hasil sebanyak Tiga Puluh Dua Juta Ringgit (RM32 juta); serta penyelesaian notis 5A tunggakan bagi Kawasan Rehat dan Rawat yang telah menghasilkan Lima Puluh Juta Ringgit (RM50 Juta) pada tahun fiskal 2025.

Selain itu, usaha baharu yang sedang dilaksanakan seperti rangkaian gentian optik Masterplan Selangor Dark Fiber Network dengan jajaran sepanjang Lapan Ratus Lapan Puluh Sembilan (889) kilometer di seluruh Selangor mampu menjana hasil sebanyak Seratus Sembilan Puluh Enam Juta Ringgit (RM196 Juta) dalam tempoh lima (5) tahun selepas ianya direalisasikan kelak. Kesemua langkah ini akan memberikan sumbangan yang signifikan ke arah meningkatkan rizab negeri dari Dua Perpuluhan Satu Tiga Lima Bilion Ringgit (RM2.135 Bilion) pada tahun 2018 kepada Empat Perpuluhan Tujuh Tiga Enam Bilion Ringgit (RM4.736 Bilion) pada akhir tahun 2025.

Beta menerima maklum bahawa pada tahun 2025, aktiviti ekonomi di Selangor telah mencatatkan pelaburan sebanyak Lapan Puluh Tiga Perpuluhan Sembilan Bilion Ringgit (RM83.9 Bilion), iaitu melebihi sebanyak Lapan Belas Perpuluhan Sembilan Bilion Ringgit (RM18.9 Bilion) berbanding sasaran Enam Puluh Lima Bilion Ringgit (RM65 Bilion). Pelaburan tempatan serta dari luar negara telah menawarkan Enam Puluh Satu Ribu Tiga Ratus Sebelas (61,311 ) peluang pekerjaan kepada rakyat Beta, yang merupakan jumlah kedua tertinggi dalam negara.

Beta gembira melihat bahawa lebih separuh daripada jumlah pelaburan di Selangor pada tahun lalu datang daripada pelabur tempatan, iaitu bernilai Empat Puluh Lapan Perpuluhan Sembilan Bilion Ringgit (RM48.9 Bilion) bersamaan dengan Lima Puluh Lapan Perpuluhan Tiga Peratus (58.3%).

Kerajaan Beta menjangkakan masih ada potensi untuk memperluaskan sektor perkilangan dan pembuatan yang menyumbang Dua Puluh Satu Perpuluhan Enam Peratus (21.6%) menerusi pelaburan baharu terutamanya dalam bidang berteknologi tinggi. Oleh itu Beta berharap terdapat usaha baharu untuk merancakkan lagi aktiviti sektor perkilangan yang mampu menawarkan peluang pekerjaan kepada rakyat Beta.

Bagi meningkatkan dasar Ease of Doing Business seperti Speed Selangor, Kerajaan Beta perlu mengoptimumkan urusan khususnya buat pihak pelabur yang datang ke Selangor supaya industri sedia ada dapat dibangunkan dengan lebih pantas, sekali gus menawarkan peluang pekerjaan kepada rakyat Beta secara lebih efektif, pantas dan efisien Kerajaan Beta memaklumkan kepada Beta bahawa, tema Belanjawan Selangor 2026 ialah “Selangor Juara, Rakyat Sejahtera”. Dengan peruntukan sebanyak Tiga Perpuluhan Dua Tiga Bilion Ringgit (RM3.23 Bilion) bagi tahun 2026, Belanjawan ini telah menggariskan usaha memampankan hasil negeri, meluaskan pendidikan secara holistik, mengukuhkan ekosistem perniagaan, merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar, meneruskan pemeliharaan sistem kesihatan serta penjagaan sosial rakyat, di samping menggerakkan reformasi tadbir urus sebagai tunjang kepada pelaksanaan dasar perancangan Kerajaan Beta.

Langkah awal yang dimulakan oleh Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri melalui Reformasi Sistem Tadbir Urus (RSTU) adalah satu usaha proaktif dalam rangka memastikan sistem tata kelola Kerajaan dapat dilaksanakan secara berkesan dan efektif dengan mengurangkan kerenah birokrasi yang menyusahkan. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) adalah merupakan antara agensi barisan hadapan Kerajaan yang berurusan dengan rakyat secara terus. Pastinya setiap inci pelaksanaan dan penguatkuasaan dasar PBT, mempunyai kesan secara langsung dan tidak langsung kepada kehidupan rakyat seharian.

Beta berharap Reformasi PBT ini dapat digerakkan secara pantas termasuk proses kelulusan, contohnya, permit ubahsuai rumah yang boleh dibuat dalam tempoh kurang daripada dua puluh empat (24) jam. Ini termasuklah juga mengamalkan budaya memberi respons yang pantas kepada setiap aduan rakyat dan Persatuan Penduduk yang melibatkan perkara asas seperti kebersihan, kutipan sampah, ataupun pembaikan jalan dan lampu jalan.

Selain daripada peningkatan kecekapan Kerajaan, Beta bersetuju dengan langkah Kerajaan Beta untuk meningkatkan fokus kepada aspek pendidikan generasi muda yang merupakan harapan masa depan negeri Selangor.

Peruntukan pendidikan sebanyak Seratus Tiga Puluh Enam Juta Dua Ratus Sebelas Ribu Enam Ratus Ringgit (RM136,211,600) adalah tepat dengan keperluan semasa, sejajar dengan keperluan pendekatan proaktif Kerajaan untuk membantu meningkatkan keupayaan dan kapasiti generasi muda.

Bermula dari peringkat awal kanak-kanak, melalui intervensi literasi dan numerasi; pengkhususan terhadap kepentingan Sains, Teknologi , Kejuruteraan, dan Matematik (STEM); pemerkasaan Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS); pemberian kelas percuma untuk Bahasa ketiga; pemerkasaan mahasiswa dan generasi muda; serta bantuan Lima Puluh Peratus (50%) pendidikan percuma bagi pelajar Selangor yang layak di Universiti Selangor (UNISEL) dan Universiti Islam Antarabangsa Selangor (UIS), Beta percaya langkah yang dirancang rapi serta mempunyai kesinambungan seumpama ini, akan melengkapkan ekosistem dan amat penting untuk membentuk generasi muda Selangor yang berwawasan. Selain daripada itu, tahun 2026 menyaksikan bagaimana generasi pertarna rakyat Beta yang mencecah usia lapan belas (18) tahun berjumlah Dua Puluh Satu Ribu Dua Ratus Sembilan Puluh Lima (21,295) orang, akan menerima bantuan sebanyak Seribu Lima Ratus Ringgit (RM1,500) seorang melalui program Tabung Warisan Anak Selangor yang dimulakan pada tahun 2008.

Bagi mengukuhkan aspek kerohanian dalam kalangan rakyat Beta, inisiatif penubuhan Akademi Literasi Al-Quran Selangor (ALAS) serta penubuhan Pusat Hadis Sedunia, adalah satu usaha yang mampu menambah nilai kehidupan umat Islam yang menetap di negeri Selangor Darul Ehsan.

Program BINGKAS Plus untuk membantu rakyat yang berisiko menjadi miskin tegar adalah satu langkah proaktif yang memastikan agar golongan ini dapat menerima sokongan awal supaya tidak jatuh ke dalam kategori miskin tegar.

Mengorak langkah ke hadapan, aspek kemiskinan relatif yang sudah diturunkan dari Empat Belas Perpuluhan Dua Peratus (14.2(7,) pada tahun 2022 kepada Lapan Perpuluhan Lima Peratus (8.5%) pada tahun 2024 perlu terus menjadi fokus Kerajaan Beta supaya rakyat Beta dapat hidup dalam keadaan yang lebih baik dan makmur di bumi Selangor ini.

Bagi menyediakan tempat kediaman yang selesa untuk rakyat Beta, usaha Kerajaan untuk meningkatkan jumlah unit rumah mampu milik terutamanya generasi muda, adalah agenda yang sangat penting untuk dilaksanakan.

Sehingga akhir tahun 2025, Beta dimaklumkan sebanyak Tujuh Puluh Lima Ribu Empat Ratus Sembilan Puluh Tiga (75,493) unit telah siap dibina, manakala Empat Puluh Ribu (40,000) unit disasarkan untuk dibina pada tahun ini, sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan unit rumah mampu milik kepada Seratus Dua Puluh Ribu (120,000) unit. Beta berharap sasaran kerajaan untuk menyediakan Dua Ratus Ribu (200,000) unit rumah mampu milik menjelang tahun 2028 dapat dicapai supaya rakyat Beta dapat memiliki rumah yang selesa dengan kadar yang berpatutan, dan sudah pasti ini bakal membawa manfaat kepada kira-kira Lapan Ratus Ribu (800,000) rakyat Selangor. Berkaitan dengan pemeliharaan hutan, Beta berharap Kerajaan Beta terus komited dalam usaha pemeliharaan hutan dan alam sekitar. Dengan jumlah Tiga Puluh Satu Perpuluhan Tujuh Peratus (31.7%) kawasan di Selangor bersamaan dengan Dua Ratus Lima Puluh Ribu Sembilan Ratus Lapan Puluh Tujuh Perpuluhan Satu Dua (250,987.12) hektar yang kini merupakan kawasan Hutan Simpan, ditambah dengan sejumlah Tujuh Juta Empat Ratus Lapan Ribu Lapan Ratus Enam Belas (7,408,816) pokok yang berjaya ditanam sehingga akhir tahun 2025 daripada sejumlah sebelas juta (11 juta) pokok yang disasarkan melalui Program Penanaman pokok, Kerajaan Beta berada dalam landasan yang tepat bagi menjamin kelestarian alam sekitar.

Melihat kepada situasi dunia yang dipenuhi ketidaktentuan atas faktor geopolitik yang memperlihatkan Risiko peperangan, Beta berharap Kerajaan Beta membuat persiapan awal bagi mendepani cabaran yang bakal kita hadapi.

Industri asas seperti pembuatan, pembinaan, dan logistik sudah pasti akan terkesan di samping barangan keperluan asas seperti stok makanan. Malah, industri pelancongan akan turut terkesan terutamanya apabila kos tambang penerbangan meningkat.

Di sinilah kesepakatan antara pemimpin dan rakyat penting supaya cabaran yang mendatang dapat didepani dengan baik atas asas perpaduan dan persefahaman yang jitu, meskipun berlatar belakangkan kaum, agama, dan budaya yang berbeza.

Pemimpin masyarakat dan ahli politik perlu menyumbang kepada usaha membantu rakyat dan tidak bersifat mengambil kesempatan atas krisis ini sehingga boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat. Beta mahu negeri Selangor kekal sebagai sebuah negeri yang Tahan Uji dalam mendepani pelbagai krisis yang melanda.

Sebelum Beta menutup titah ucapan Beta, Beta mengambil kesempatan di sini untuk memberikan nasihat yang datang seikhlasnya dari hati Beta sendiri kepada kerajaan Beta dan seluruh rakyat negeri Selangor. Beta ingin berpesan agar semua pihak mengambil langkah berjimat-cermat di dalam menghadapi keadaan ekonomi semasa yang amat mencabar ini. Beta merasa amat bimbang dengan kenaikan harga minyak dan gas dunia serta kekurangan bekalan minyak akibat dari peperangan di Middle East yang telah memberi kesan langsung kepada negara kita, sehingga mengakibatkan kenaikan harga minyak dan kenaikan harga barangan keperluan sekaligus mengakibatkan peningkatan kos sara hidup rakyat.

Sehubungan itu, Beta menitahkan agar kerajaan Negeri memberi keutamaan sepenuhnya kepada perbelanjaan keperluan asas yang penting, bagi membantu rakyat meringankan beban yang mereka hadapi. Segala bentuk pembaziran hendaklah dielakkan dan setiap sen yang dibelanjakan mestilah memberi faedah sepenuhnya kepada rakyat terutama yang teruk terjejas dan memerlukan bantuan. Kerajaan Beta perlu ingat, Kebajikan rakyat hendaklah sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap perancangan dan pelaksanaan dasar negeri.

Beta ingin menyentuh beberapa isu berkaitan dengan tanggungjawab Kerajaan Beta yang mentadbir negeri Selangor. Pertamanya isu banjir yang telah berpuluh kali Beta nasihatkan untuk diselesaikan dengan segera. Beta pernah menasihatkan agar pihak kerajaan Negeri merujuk kepada pakar-pakar dari negara luar terutamanya negara Netherland bagi mendapatkan idea terbaik di dalam mengatasi masalah banjir di negeri Selangor. Namun malangnya, nasihat Beta tidak di peduli dan tidak diambil berat, diibaratkan seperti “mencurah air ke daun keladi” sahaja. Beta difahamkan bahawa setiap tahun akan ada peruntukan dari belanjawan negeri bagi mengatasi masalah banjir namun tiada hasil berkesan yang dapat dilihat sehingga ke hari ini, dan banjir masih tetap berlaku di beberapa kawasan terutama di kawasan perumahan di daerah-daerah negeri Selangor sehingga menyusahkan rakyat Beta. Pada hari ini, Beta sekali lagi menasihati kerajaan Beta agar memberikan fokus utama di dalam mengatasi masalah banjir ini, perancangan dan tindakan untuk jangka masa pendek mahupun untuk jangka masa sederhana dan panjang perlu segera dilaksanakan.

Sehubungan dengan itu juga, Beta mahukan Sungai Klang dibersihkan agar rakyat Selangor yang populasinya bertambah secara mendadak dari tahun ke tahun dibekalkan dengan sumber air yang bersih untuk minuman dan keperluan harian rakyat. Beta tidak akan jemu untuk terus bertitah agar tindakan diambil sehingga masalah banjir dan bekalan air bersih ini diselesaikan dan ditamatkan once and for all.

Di samping itu, Beta juga ingin menegaskan bahawa Kerajaan harus peka terhadap kilang-kilang yang tidak menguruskan sisa secara berhemah kerana ini mampu mendatangkan risiko pencemaran sungai. Tindakan keras harus diambil terutamanya kepada kilang yang didapati beroperasi tanpa kebenaran daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Selain daripada itu, Beta ingin menyentuh isu kebersihan yang melibatkan perkhidmatan mengangkut sampah yang dilihat juga tidak dapat diatasi dengan berkesan oleh kerajaan Selangor.

Beta berkenan mencadangkan kepada Kerajaan Negeri agar memberikan tumpuan yang lebih serius kepada pembangunan industri waste to energy, memandangkan sektor ini merupakan antara pemacu utama masa hadapan dunia dalam menangani cabaran pengurusan sisa dan keperluan tenaga lestari. Beta difahamkan bahawa terdapat negeri-negeri lain yang telah terlebih awal mengorak langkah sejak beberapa tahun lalu dalam membangunkan industri ini, dan hasilnya memperlihatkan potensi yang amat besar bukan sahaja dari segi kelestarian alam sekitar, malah dalam membantu penjimatan perbelanjaan negeri. Beta menyambut baik tindakan proaktif Kerajaan Beta untuk menubuhkan Pasukan Petugas Khas Krisis Tenaga Selangor yang akan menjadi sebahagian daripada Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) untuk membuat analisa dan merencana tindakan Kerajaan supaya kesan ekonomi dapat diminimakan. Namun segala tindakan ini perlu dilaksanakan segera dan jangan hanya sekadar hasrat dan cadangan semata-mata.

lsu jalan berlubang dan merbahaya sering menjadi rungutan rakyat dan menyusahkan rakyat Beta. Ahli-Ahli Yang Berhormat perlu tahu bahawa Beta sering menerima aduan secara bertulis dari rakyat Beta tentang segala kegagalan pihak kerajaan menangani masalah-masalah asas rakyat. Beta mahu pendekatan yang lebih sistematik, bersepadu dan berkesan dilaksanakan agar masalah-masalah asas ini tidak lagi menjadi rungutan rakyat. Jangan asyik bercakap sahaja, dan jangan sampai rakyat hilang rasa percaya kepada Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian.

Baru-baru ini, Beta telah menitahkan agar ternakan babi tidak diadakan di negeri Selangor. Namun demikian masih terdengar rungutan dari beberapa pihak yang seolah-olah tidak berpuas-hati dan enggan untuk mematuhi titah Beta. Beta telah memberikan faktor-faktor kenapa ternakan babi tidak sesuai di negeri Selangor, antaranya faktor tanah yang tidak mencukupi dan ternakan babi diadakan di kawasan penempatan penduduk yang padat

dengan umat Islam. Di samping itu isu pencemaran sungai dan udara juga menjadi faktor kenapa ternakan babi di negeri Selangor tidak sesuai. Bagi maksud itu, Beta telah menyarankan agar isu ini diselesaikan dengan mengimport daging babi dari luar terutamanya dari negeri Sarawak untuk bekalan kaum bukan Islam yang memerlukannya.

Bersempena dengan Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Beta, Beta menzahirkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana telah mengurniakan Beta peluang untuk terus berkhidmat kepada negeri dan rakyat Selangor sepanjang tempoh ini. Masa berjalan dengan begitu pantas dan tidak semua pemerintah yang sempat sampai selama tempoh 25 tahun pemerintahan. Untuk maksud sambutan Jubli Perak ini, Beta mengambil maklum bahawa peruntukan telah disediakan oleh Kerajaan Negeri. Namun melihat kepada kegawatan ekonomi dunia sekarang sehingga tempiasnya dirasai oleh negara kita dan memahami kesusahan yang terpaksa ditanggung oleh sekalian rakyat, maka Beta setelah berunding dengan Ahli Dewan di-Raja Selangor, telah membuat keputusan agar sambutan Jubli Perak dilaksanakan secara sederhana dan tidak berlebihan dengan mengurangkan beberapa program yang telah diatur bagi maksud sambutan Jubli Perak nanti,

Justeru, Beta telah memutuskan agar majlis santapan malam diraja banquet dinner di lstana Alam Shah, Klang tidak perlu diadakan. Beta juga membuat ketetapan bahawa pertunjukan bunga api dan penganjuran konsert di raja atau konsert rakyat dibatalkan. Sebaliknya, Beta hanya berkenan diadakan dua atau tiga kali jamuan teh untuk rakyat diadakan di Padang Mahkota di lstana Alam Shah, Klang dengan menjemput kira-kira lapan ribu (8,000) rakyat yang terdiri daripada rakyat Beta, golongan anak yatim, golongan orang kurang upaya, pegawai Kerajaan yang masih berkhidmat di negeri Selangor serta pesara kerajaan termasuk anggota tentera, polis dan bomba yang telah menyumbang bakti kepada kemajuan, kemakmuran dan keamanan negeri Selangor. Beta juga akan mengadakan majlis jamuan teh bersama CEO atau wakil-wakil syarikat asing yang melabur di Negeri Selangor yang telah juga menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan negeri Selangor. Majlis rasmi di istana Alam Shah, Klang hanya diadakan untuk acara Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Bintang sempena sambutan Jubli Perak Pemerintahan Beta. Beta mahu segala perbelanjaan bagi sambutan Jubli Perak ini hendaklah dilaksanakan secara berhemah dan diuruskan dengan penuh ketelusan dan integriti. Beta mahu peruntukan sambutan Jubli Perak yang telah dijimatkan dari pengurangan program ini, digunakan bagi membantu rakyat yang susah dan jangan sekali-kali digunakan untuk maksud lain.

Beta juga menitahkan agar mana-mana pihak yang berhasrat untuk menyumbang atau menaja apa-apa program bagi sambutan ini, supaya menyalurkan sumbangan tersebut kepada Yayasan Sultan Selangor atau badan-badan kebajikan lain yang boleh digunakan bagi membantu golongan yang memerlukan.

Berhubung dengan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) oleh Negeri Selangor, Beta difahamkan bahawa peruntukan yang diperlukan adalah sangat tinggi. Dalam keadaan ekonomi semasa, Beta berpandangan bahawa adalah lebih wajar penganjuran tersebut ditangguhkan sehingga krisis di Middle East selesai dan sehingga Stadium Shah Alam siap sepenuhnya. Dalam masa yang sama, Beta juga menitahkan agar penganjuran Piala Sultan Selangor bagi perlawanan bola sepak tahunan antara Selangor dan Singapura bagi tahun 2026 dibatalkan.

Walau bagaimanapun, Beta berkenan agar satu kejohanan bola sepak Piala Jubli Perak dianjurkan melibatkan pelajar-pelajar sekolah bawah umur lima belas (15) tahun antara daerah di seluruh Negeri Selangor sebagai usaha memupuk bakat muda serta menyemai semangat kesukanan di peringkat akar umbi. Tambahan lagi sukan bola sepak ini merupakan sukan paling popular di kalangan rakyat negeri Selangor. Beta melihat sejak akhir-akhir ini orang-orang politik dan pemimpin politik terlalu banyak berpolitik. Kesannya adalah kepada rakyat sebab rakyat akan merasa keliru dengan isu-isu yang sering dipolitikkan seterusnya boleh mengakibatkan perpecahan di kalangan rakyat . Sepatutnya di saat ekonomi yang tidak menentu ini, ahli-ahli dan pemimpin politik bergabung tenaga, mengetepikan segala perbezaan pandangan politik dan berusaha untuk memajukan negara dan memastikan kehidupan rakyat tidak terus berada di dalam kesusahan. Marilah kita sama-sama menggalas tanggungjawab dengan penuh amanah, jujur dan penuh keikhlasan demi memastikan negeri Selangor terus maju, makmur dan sejahtera .

Beta juga mengambil kesempatan di sini untuk menyatakan bahawa peranan pihak pembangkang di dewan Negeri Selangor ini juga amat penting sebagai pihak yang boleh melakukan semak dan imbang check and balance. Beta ingin menasihatkan agar pihak pembangkang perlu terus memainkan peranannya dengan baik untuk memantau setiap dasar dan perlaksanaan dasar Kerajaan Beta agar setiap satu tindakan yang dilakukan oleh pihak Kerajaan dilaksanakan dengan telus, berintegriti, efisyen dan berhemah dengan meletakkan rakyat sebagai keutamaan utama pada setiap masa. Berbahaslah dengan mendapatkan fakta yang betul dan tepat dengan membuat demi meraih populariti murahan. Pandangan serta idea-idea yang bernas bagi membantu pembangunan dan kemajuan negeri Selangor perlu dikemukakan demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat negeri Selangor.

Kepada rakyat Beta, Beta berpesan agar tidak sewenang-wenangnya melemparkan sebarang fitnah dan tohmahan serta menyebarkan berita palsu terhadap mana–mana pihak terutama kepada pihak Institusi Agama Islam Selangor. Tindakan yang tidak bertanggungjawab ini boleh merosakkan nama baik Institusi Agama Islam dan boleh menyebabkan hilangnya kepercayaan umat Islam terhadap Institusi Agama yang diterajui oleh Beta sendiri. Semak terlebih dahulu kesahihan atau kebenaran sesuatu isu sebelum menyebarkannya untuk kepentingan peribadi atau kepentingan pihak-pihak tertentu. Beta tidak akan teragak-agak untuk menitahkan pihak Berkuasa Agama untuk mengambil tindakan

undang-undang ke atas pihak yang tidak bertanggungjawab di dalam menyebarkan fitnah dan berita palsu ini. Beta juga menitahkan pihak polis agar lebih peka, pantas dan bertindak segera dalam mengambil tindakan ke atas sebarang repot polis yang dibuat yang melibatkan isu-isu berkaitan Agama, Kaum dan Institusi Raja ini.

Akhir kata, Beta mengucapkan selamat bersidang kepada semua Ahli Dewan Negeri Selangor dengan harapan perbahasan dilakukan secara berhemah dan berfakta, bukan sekadar memenuhi keperluan untuk berbahas semata-mata.

Sekian, Beta berdoa semoga Negeri Selangor dan seluruh rakyat Beta sentiasa dalam lindungan dan rahmat Allah Subhanahu Wata’ala.

Wabillahi Taufik Wal Hidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Speaker

Demikian tadi Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor. Patik bagi pihak Ahli-ahli Dewan Negeri Selangor sekalian menjunjung kasih di atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor. Dengan ini saya menangguhkan Dewan sehingga hari Selasa, 21 April 2026, jam 10.00 pagi. Dewan ditangguhkan.

Setiausaha Dewan

Dengan hormatnya dijemput Sahibus Samahah Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor diiringi Al-Fadhil Imam Paduka Tuan dan Sahibul Fadhilah Imam Besar Masjid Negeri Selangor untuk membacakan Doa Selamat setelah sempurnanya Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas.

(DATO’ SERI UTAMA DIRAJA MUFTI SELANGOR MEMBACA DOA)

Setiausaha Dewan

Keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, diiringi Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor meninggalkan Dewan. (D.Y.M.M. SULTAN SELANGOR, D.Y.M.M. TENGKU PERMAISURI SELANGOR DAN D.Y.T.M RAJA MUDA SELANGOR BERANGKAT MENINGGALKAN DEWAN MESYUARAT)

Setiausaha Dewan

Dengan segala hormatnya dijemput semua hadirin ke jamuan ringan yang disediakan di Dewan Jamuan, Wisma Dewan Negeri. Sekian, terima kasih. (Dewan ditangguhkan pada jam 10.45 pagi)