Terengganu · 16 July 2019

14th Assembly, 2nd session, 2nd meeting · 146 turns · 12,164 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalTerengganu publishes one PDF per meeting, with the written answers appended. Speakers are matched by our parser and will have some errors.

Soalan-Soalan LisanQuestions

Yang di-Pertua

Bismillahir Rahmanir Rahim.

Assalamu’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Ahli Yang Berhormat sekalian, mesyuarat disambung semula. Sebelum kita memulakan Persidangan Dewan pada pagi ini, marilah sebagai mengambil berkat persidangan kita ini, kita mulakan dengan Ummul Quran, Al-Fatihah. …..[Al-Fatihah]…..

Mesyuarat pagi ini diteruskan dengan Soalan-soalan Lisan. Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah memberi notis untuk mengemukakan Soalan Lisan pada hari ini, 16 Julai 2019 adalah sebagaimana berikut:

1. Yang Berhormat Wakil Tepoh 2.

Yang Berhormat Wakil Batu Burok 3.

Yang Berhormat Wakil Telemong 4.

Yang Berhormat Wakil Sura 5.

Yang Berhormat Wakil Bukit Besi 6.

Yang Berhormat. Wakil Buluh Gading 7.

Yang Berhormat Wakil Batu Rakit 8.

Yang Berhormat Wakil Manir 9.

Yang Berhormat Wakil Kuala Besut 10.

Yang Berhormat Wakil Rantau Abang 11.

Yang Berhormat Wakil Pengkalan Berangan 12.

Yang Berhormat Wakil Bandar 13.

Yang Berhormat Wakil Air Putih 14.

Yang Berhormat Wakil Ajil 15.

Yang Berhormat Wakil Kemasik 16.

Yang Berhormat Wakil Wanita Sebelum kita pergi kepada sesi soal jawab Soalan Lisan, saya hendak peringatkan satu-dua perkara berkait dengan Peraturan-Peraturan Dewan ataupun Standing Orders supaya kita boleh menguruskan perjalanan sidang kita secara yang lebih teratur.

Yang pertama sekali berkait dengan tertib soal jawab Soalan Lisan, saya mengharapkan kerjasama daripada Yang Berhormat apabila berlaku umpamanya soal jawab lebih-lebih lagi perbahasan supaya dibuat secara teratur biar satu-satu. Apabila umpamanya Wakil Kerajaan menjawab, biar habiskan dulu, baru kalau ada soalan tambahan yang dibenarkan dalam Peraturan Dewan yang dikemukakan oleh pihak Ahli Yang Berhormat. Ini penting supaya kita tidak jadi bolo’ apabila dalam sesi soal jawab. Yang kedua, saya nak peringatkan juga kepada Ahli Yang Berhormat yang kita nak uruskan dalam sidang ini ialah ada soalan, ada jawapan. Sejauh mana jawapan itu kepada pihak Yang Berhormat, puas hati atau tidak, saya fikir perkara ini tidak perlu dibahaskan panjang lebar. Dalam Peraturan pun menyebut supaya ia mestilah diuruskan dengan penjelasan daripada pihak Kerajaan. Dalam mana-mana persidangan, Badan Perundangan, kita tak boleh dapat yang kita katakan 100% kita puas hati apa yang nak dijawab, yang penting ada pertanyaan ada jawapan.

Yang Berhormat sekalian, sekarang kita pergi kepada Soalan Lisan, saya nak mulakan sesi Soalan Lisan kali ini dengan satu pantun: Sireh berlipat menjadi azimat, Sireh dari Pulau Mutiara, Suara rakyat suara keramat, Wakil Air Putih pembuka bicara.

Dipersilakan Wakil Air Putih.

Ab. Razak bin IbrahimPAS · GSAir Putih

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, soalan saya nombor satu – Apakah Dasar Tanah Kerajaan sekarang berhubung dengan Tanah Pertanian Rintahan Secara Haram oleh rakyat Terengganu sebelum ini?

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Yang di-Pertua Dewan, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan, Pemerhati yang dihormati sekalian.

Terima kasih kepada kekanda Yang Berhormat Air Putih yang mengajukan soalan berkaitan dengan Dasar Tanah Kerajaan sekarang berhubung dengan Tanah Pertanian Rentahan Haram.

Yang Berhormat Yang di-Pertua, saya masukkan sedikit dalam penjelasan jawapan ini juga berkaitan dengan Tanah Rentahan Haram kategori lain daripada pertanian kerana ada info yang saling berkaitan. Yang Berhormat Yang di-Pertua, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk membuka semula Permohonan Tanah Rentahan Haram Kategori Pertanian bermula daripada 7 Mei 2019 sehingga 31 Disember 2020 dalam tempoh setahun lebih. Untuk makluman Dewan, Permohonan Tanah Haram Kategori Pertanian sebelum ini telah ditutup pada 31 Disember 2012. Di antara syarat-syarat untuk permohonan tanah haram ialah yang pertama, rentahan tanah tersebut mestilah sebelum daripada 31 Disember 2004 iaitu kira-kira 14 tahun lebih kurang. Yang kedua, Permohonan Tanah Jadual 1 mestilah diterima dan didaftarkan sebelum daripada 31 Disember 2020. Yang ketiga, bagi Tanah Rentahan Haram Kategori Pertanian, isipadu tanaman mestilah tidak kurang daripada 15% keluasan tanah yang dimohon. Maknanya bukan mohon tanah seekar, pokok getah ada 2 pokok jer atas tanah tu. Yang keempat, sekiranya tanah rentahan tersebut mempunyai isipadu tanaman yang kurang daripada 15% tetapi terdapat rumah di atasnya, maka ianya boleh dipertimbangkan untuk tapak rumah ataupun pertanian yang bersesuaian dengan keluasan tanah yang dimohon. Yang kelima, sekiranya ada rumah, maka rumah tersebut mestilah didiami oleh pemohon. Dan yang keenam, pertimbangan permohonan ini hanyalah diberi kepada peneroka asal ataupun waris yang berhak sekiranya peneroka asal telah meninggal dunia. Akhir sekali, semua permohonan ini mestilah mematuhi syarat umum Dasar Tanah Negeri Terengganu Tahun 2013 di antaranya berkaitan dengan umur pemohon mestilah 21 tahun ke atas, kelahiran atau kerakyatan Negeri Terengganu, belum menerima tanah kategori Pemberian Kerajaan dan juga berdaftar sebagai pemilih di Negeri Terengganu. Dari segi had keluasan maksimum yang boleh dimohon untuk getah ataupun kelapa sawit, keluasan maksimum yang boleh dimohon 2 hektar lebih kurang 5 ekar. Yang kedua, untuk kategori kelapa, padi dan buah-buahan seluas 0.8 hektar kira-kira 2 ekar. Dan yang ketiga, untuk tanah tapak rumah bagi kediaman tak lebih daripada 1,000 meter persegi. Dan untuk makluman Dewan, Kerajaan Negeri juga telah bersetuju untuk menaikkan tempoh pajakan bagi Tanah Pertanian daripada 60 tahun sebelum ini kepada 99 tahun menyamai tempoh pajakan untuk tanah kategori kediaman. Terima kasih.

Yang Berhormat Yang di-Pertua, penjelasan. Saya rasa Yang Berhormat Exco ada tertinggal satu syarat. Tidak disebutkan had umur pokok. Kalau tidak orang buka hari ini baru angkat. Dia mesti ada had umur dia. Umur dia sekurangnya mesti 10 tahun ke, dah berbuah ke, ada tertinggal satu tu. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Baik terima kasih Yang Berhormat Kijal. Saya ingat nak masuk dalam penjelasan tambahan berkaitan dengan had umur pokok. Jadi had umur tanaman mestilah tidak kurang daripada 14 tahun dan kalau sekiranya berlaku tanam semula macam tanah semula getah atau tanam semula sawit mestilah berumur 6 tahun ke atas. Ya, terima kasih.

Ab. Razak bin IbrahimPAS · GSAir Putih

Tuan Yang di-Pertua, soalan tambahan saya yang pertama: Berapakah kadar premium tanah dikenakan pada pemohon Tanah Rentahan Haram?

Terima kasih sekali lagi Yang Berhormat Air Putih. Untuk kadar bayaran Jadual 5A bagi kategori tanah haram; tanah yang terletak di kawasan desa atau di kawasan kampung untuk kategori pertanian tidak kurang daripada 15%. Bagi kategori kediaman; tidak kurang daripada 15%. Dan yang ketiga, bagi tanah kategori perniagaan; tidak kurang daripada 25%. Dan bagi premium tanah untuk kategori tanah yang berada di kawasan bandar atau di kawasan pekan, untuk kategori perniagaan tidak kurang daripada 40%. Dan bagi kategori kediaman tidak kurang daripada 20%. Dan sekiranya pemohon ialah pewaris yang menerima penolakan daripada peneroka asal maka tambahan 10% premium akan dikenakan. Terima kasih.

Ab. Razak bin IbrahimPAS · GSAir Putih

Oleh kerana tadi Tuan Yang di-Pertua ada beri pantun, saya cuba jawab pantun.

Yang di-Pertua

Balas pantun Yang Berhormat?

Ab. Razak bin IbrahimPAS · GSAir Putih

Ya?

Yang di-Pertua

Nak balas pantun?

Ab. Razak bin IbrahimPAS · GSAir Putih

Ya.

Yang di-Pertua

Sila.

Ab. Razak bin IbrahimPAS · GSAir Putih

Ikan Kembung Ikan Aya, Dimasak oleh seorang pria, Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, Soalan saya pembuka bicara.

Soalan saya yang kedua: Apakah langkah yang di ambil oleh Kerajaan untuk meringankan beban rakyat yang kurang berkemampuan membayar premium tanah tersebut?

Terima kasih Yang Berhormat Air Putih. Terima kasih Yang Berhormat Yang di-Pertua. Isu ketidakmampuan di kalangan rakyat kebanyakan kita untuk menjelaskan Jadual 5A memang berada dalam perhatian Kerajaan Negeri dan kita telah mengambil beberapa langkah supaya isu ini boleh diselesaikan secara harmoni sesuai dengan kemampuan rakyat kita. Di antaranya kita memberikan peluang untuk rakyat menjelaskan bayaran premium tanah secara ansuran dan kelayakan untuk memohon bayaran secara ansuran kita telah naikkan daripada asalnya rakyat yang berpendapatan RM700.00 kebawah layak memohon, sekarang ini kita telah naikkan kepada yang berpendapatan RM1,700.00 ke bawah layak memohon bayaran ansuran untuk tempoh tiga tahun dengan syarat mereka menjelaskan bayaran pendahuluan 20% daripada nilai premium dan bakinya bolehlah disempurnakan dalam masa tiga tahun.

Yang kedua, bagi pemohon yang berada dalam kategori rakyat termiskin atau berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, mereka boleh memohon premium tanah pada kadar nominal hanyalah RM1,000.00 sahaja tanpa mengira berapakah nilai yang sebenar tanah berdasarkan kepada kadar semasa dan dengan beberapa kelonggaran ini, Kerajaan mengharapkan semoga kita boleh memberikan kelapangan dan keluangan kepada rakyat kita menjelaskan Jadual 5A dan seterusnya mereka berhak untuk memiliki Geran Hak Milik. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Sila.

Yang Berhormat Yang di-Pertua, berapa lama masa yang diberikan untuk menjelaskan premium ini? Biasanya enam bulan. Adakah Kerajaan bercadang untuk beri setahun, dua tahun, tiga tahun? Lagi lama lagi baik untuk rakyat menyelesaikan masalah ini. Terima kasih.

Untuk kadar premium biasa diberi tempoh tiga bulan. Bagi bayaran ansuran diberi sehingga tiga tahun. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat. Sebelum saya teruskan saya nak maklumkan kita ada Pemerhati, anak-anak kita daripada Sekolah Maahad Darul Quran Rusila seramai 46 orang. Seterusnya saya menjemput Yang Berhormat Wakil Kemasik.

Assalamu’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Yang Berhormat Yang di-Pertua, soalan saya yang ketiga - Apakah usaha Kerajaan untuk menambah nilai projek ECRL kepada Kerajaan Negeri dan rakyat setempat?

Dr. Ahmad Samsuri bin MokhtarPAS · PNMenteri Besar · Ru Rendang

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, rakan-rakan Ahli-ahli Yang Berhormat, rakan-rakan Yang Berhormat, Tahalluf Siasi Kerjasama Politik, seluruh pegawai-pegawai dan para Pemerhati sekalian. Soalan yang dikemukakan yang ketiga adalah berkenaan dengan apakah usaha Kerajaan untuk menambah nilai projek ECRL kepada Kerajaan Negeri dan rakyat setempat?

Usaha pihak Kerajaan Negeri bagi menambah nilai projek ECRL kepada Negeri Terengganu dan rakyat setempat adalah dengan merancang pembangunan tanah di sepanjang koridor ECRL dan sekitar tapak stesen ECRL selari dengan kegunaan stesen sebagai Pusat Transit Perhubungan Pengangkutan Awam utama. Beberapa konsep pembangunan yang dikenalpasti yang disebut dengan Transit Oriented Development (TOD) dengan izin, untuk kawasan pembangunan kawasan-kawasan industri dan hub logistik.

Antara langkah yang telah dan sedang diambil oleh pihak Kerajaan dalam memastikan supaya kesan secara maksima diperolehi oleh Kerajaan dan rakyat Negeri Terengganu. Yang pertama, kita telah mengadakan perbincangan dengan pihak Malaysia Rail Link iaitu pada 25 Julai 2018 dalam satu pembentangan daripada pihak MRL kepada Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, 23 April 2019 pertemuan antara Menteri Besar dengan CEO dan pasukan MRL di Terengganu. Yang ketiga, pada 17 Julai 2019, pertemuan antara Menteri Besar dengan CEO MRL yang dijadualkan pada esok hari dan antaranya juga ialah pertemuan dan perbincangan antara Menteri Besar dan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan juga dengan utusan-utusan khas Perdana Menteri bagi rundingan semula projek ECRL iaitu Yang Amat Berbahagia Tun Daim Zainuddin.

Objektif tambah nilai yang ingin kita capai hasil daripada kaedah-kaedah perundingan dan pertemuan serta perbincangan tadi adalah yang pertama bagi menggalakkan pembangunan kawasan-kawasan industri baharu di sepanjang Jajaran Koridor ECRL dan berhampiran stesen ECRL di samping menarik pelaburan baru di sepanjang koridor jajaran. Yang kedua, menggalakkan peluang perniagaan dari segi hartanah atau perumahan, makanan dan perkhidmatan-perkhidmatan lain serta tambahan pendapatan kepada penduduk-penduduk setempat. Yang ketiga, pembangunan projek ECRL akan menggalakkan perkembangan bandar sedia ada serta potensi pembangunan akan datang khususnya di kawasan sekitar tapak ECRL serta mengurangkan ketidakseimbangan pembangunan antara kawasan. Yang keempat, projek ECRL akan menyediakan pelbagai jenis pekerjaan kepada penduduk tempatan dan seterusnya akan membantu mengurangkan kadar pengangguran serta migrasi-migrasi keluar penduduk ke bandar utama. Di samping itu kesan langsung adalah memberi nilai tambah kepada rakyat setempat dengan peningkatan nilai hartanah khususnya di kawasan sekitar tapak-tapak stesen ECRL dan sepanjang Koridor Jajaran ECRL. Sekian.

Yang Berhormat Yang di-Pertua, soalan tambahan pertama saya berbunyi: Memandangkan ada stesen penumpang dan kargo di Kemaman dan kita lihat juga ada spurline ke Kemaman, kita dapati EPIC ataupun port di KSB adalah salah satu daripada kawasan industri yang sangat bakal memberi dapat menerima impak yang besar daripada kehadiran ECRL tersebut. Jadi apakah usaha Kerajaan bagi memastikan EPIC mendapat manfaat yang sepenuhnya dengan kehadiran ECRL tersebut?

Dr. Ahmad Samsuri bin MokhtarPAS · PNMenteri Besar · Ru Rendang

Terima kasih kepada Wakil Kemasik. Memang kita menyedari bahawa Kerajaan perlu melakukan sesuatu dengan lebih serius bagi memastikan kita mendapat keuntungan sepenuhnya daripada pelaksanaan projek ECRL ini terutama kepada Negeri Terengganu dan dalam masa yang sama, kita mempunyai syarikat-syarikat di bawah Kerajaan Negeri yang boleh memainkan peranan dan turut sama terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam merancakkan perkembangan ekonomi hasil daripada kewujudan projek yang sebegini besar skalanya. Sebagaimana yang telah saya jelaskan sebentar tadi bahawa besok hari akan ada perbincangan yang khusus yang akan menyentuh tentang jajaran-jajaran baharu ECRL. Dan yang kedua, pada 26hb Julai ini akan dilancarkan kembali oleh Menteri Pengangkutan dan akan dimaklumkan tentang di manakah sebenarnya jajaran yang terbaharu. Pihak Kerajaan telah mengenalpasti beberapa inisiatif untuk memastikan syarikat yang disebut oleh Yang Berhormat Kemasik tadi iaitu EPIC, salah sebuah syarikat di bawah Terengganu Incorporated kepunyaan Kerajaan Negeri agar dapat menjana keuntungan dengan kewujudan projek ECRL ini. Antaranya ialah yang pertama, berbincang dengan pihak Kerajaan Pusat dengan mewujudkan spurline dari Hentian Cukai terus ke Pelabuhan Kemaman, dengan adanya spurline, ianya akan dapat memangkinkan pembangunan Pelabuhan Kemaman dengan lebih pesat lagi dengan kenaikan kuantiti kargo, keuntungan kos pengendalian pelabuhan dan kadar kepenggunaan pelabuhan yang maksimum dan efektif.

Pihak Kerajaan Negeri juga yakin melalui penambahan spurline ini akan dapat meningkatkan minat pelabur-pelabur baharu ke Negeri Terenganu dan menambahkan keyakinan pelabur sedia ada untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka. Dalam masa yang sama pihak Kerajaan Negeri dan EPIC juga mengkaji jajaran yang terbaharu yang akan dimaklumkan kepada Kerajaan Negeri dalam tempoh seminggu yang akan datang ini untuk kita dapat kita rangkakan kembali apakah peluang-peluang ekonomi yang dapat membantu menaikkan taraf status sosial ekonomi penduduk setempat termasuklah pembinaan kawasan industri baru yang sememangnya kita mengadakan perbincangan yang khusus sebagaimana yang dimaklumkan oleh semua bahawa kita mengadakan, kita mempunyai perbincangan yang khusus dengan ECERDC dalam mengenalpasti dan mengembangkan kawasan industri yang baharu hasil daripada kewujudan jajaran baharu ECRL ini. Sekian terima kasih.

Yang Berhormat Yang di-Pertua soalah tambahan kedua saya, sebagaimana jawapan yang diberi oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar berkenaan dengan industri hiliran. Terdahulu pakej sebelum ini kita lihat ada tiga stesen yang menyediakan servis kargo dan penumpang, namun yang terkini hanya pada di Dungun dan di Kemaman, yang lain-lain hanya penumpang. Justeru, kita lihat untuk memastikan berlakunya pengembangan sektor hiliran, kewujudan infrastrutur bagi menyokong sebagai contoh land port ataupun kawasan port di sekitar bagi memastikan produk-produk atau barang-barangan untuk didagangkan boleh ready lah, sedia. Justeru, sebagaimana disebut Yang Amat Berhormat Menteri Besar sekarang masih lagi di peringkat rundingan dan juga dalam proses rekabentuk, saya yakin masa sekarang adalah masa yang sesuai untuk kita nego ataupun kita timbang kepada pihak Pusat bagi menyediakan prasarana-prasarana bagi menyokong industri hiliran tersebut.

Dr. Ahmad Samsuri bin MokhtarPAS · PNMenteri Besar · Ru Rendang

Terima kasih kepada maklumbalas tambahan daripada Yang Berhormat Kemasik yang berupa cadangan-cadangan yang boleh kita ambil dalam memastikan Negeri Terenganu memperolehi keuntungan yang maksimum daripada projek ECRL. Sememangnya memanglah pada saat ini kita masih lagi belum mendapat kepastian akan jajaran baharu yang tepat. Selepas berlaku perubahan jajaran yang telah berlaku sebelum ini tetapi kita difahamkan prinsip yang diambil oleh pihak MRL bersama dengan CCCC adalah untuk merubah laluan ataupun jajaran daripada kawasan yang berhampiran dengan pantai kepada kawasan yang lebih jauh daripada pantai di atas pertimbangan untuk menjimatkan kos kerana apabila melibatkan kawasan yang berhampiran dengan pantai maka soil treatment dengan izin, dan lain-lain civil work atau kerja awam akan melibatkan kos yang lebih besar, itu maklumbalas yang disampaikan oleh pihak mereka. Dalam masa yang sama kita juga masih lagi berusaha untuk memastikan supaya kewujudan stesen-stesen sama ada kargo atau penumpang sebagaima yang telah pernah dibentangkan pada peringkat awal dahulu sebelum daripada perberhentian projek ECRL ini supaya dipertimbangkan kembali kerana kita difahamkan daripada ada satu jajaran baharu yang lama itu, yang baharu itu berkurangan daripada yang baharu tapi kita tidak henti bertemu dengan pihak Kerajaan untuk memastikan supaya dipertimbangkan kembali jajaran stesen-stesen yang telah ditiadakan sebagaimana yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sebelum ini.

Yang Berhormat Yang di-Pertua penjelasan, pertama, saya ingin tahu berapakan pengurangan stesen di Negeri Terengganu pada yang asal. Yang kedua, saya minta Kerajaan Negeri merayu pihak Kerajaan Pusat supaya jajaran itu dihampir dengan kawasan bandar jangan pergi jauh sebagaimana berlaku kepada highway kita sebab kita rugi, dulu highway pun kita bergaduh dah, itupun nasib baik hok tengah, kalau ikut cadangan asal nak gi besarkan Jerangau Jabor sebab tidak menguntungkan kita. Seterusnya, kita lihat contoh yang paling jelas lebuh raya kita sendiri tak macam Lebuh Raya Pantai Barat, kalau kita pergi Kedah tu dekat dengan bandar-bandar dia, kita kat jin tendang lalu, malam pun takut nak lalu, jadi takut ini juga yang berlaku yang menyusahkan kita. Kita perlu fight benda ini. Sebab dulu pun kita fight dulu lebuh raya sebab itu kita pilih alternatif, itu dia beri kita alternatif tapi alternatif pun tak sesuai dengan apa yang berlaku, kita terus ketinggalan di anak tirikan.

Yang di-Pertua

Okey Yang Berhormat.

Saya mintaklah supaya perkara ini dirunding semula supaya mendekatkan kita dengan laluan yang ada kerana kita dah tak ada jalan kereta api, keretapi ini yang kita harapkan sekurangnya-kurangya walaupun orang kata 30% untuk penumpang dan 70% untuk kargo dan kargo kita rasa tak banyak Pantai Timur kargo ini, jadi takpa makna besar impak besar kepada Terengganu. Saya harap Yang Berhormat Menteri Besar Kerajaan Negeri berbincang balik untuk merayu supaya jajaran ini menghampiri bandar-bandar utama kita. Terima kasih Yang di-Pertua.

Dr. Ahmad Samsuri bin MokhtarPAS · PNMenteri Besar · Ru Rendang

Terima kasih di atas pandangan Yang Berhormat Kijal. Memang kita sebenarnya dalam proses tarik tali di antara Kerajaan Negeri dengan pihak Kerajaan Pusat, agensi dan syarikat berkenaan dan untuk memudahkan pemahaman kita panggil jajaran asal itu adalah Versi 1 iaitu 8 stesen, Versi Kedua selepas penangguhan berlaku maka dibuat satu pembentangan baru untuk menjimatkan kos versi kedua itu 6 stesen, pada peringkat ini kita cuba supaya Versi Ketiga itu tercapai iaitu tidak sebagaimana Versi Kedua. Jadi sebagaimana saya kata tadi kita dalam proses tarik tali dan insyaAllah kita akan ambil maklum di atas pandangan daripada Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Amat Berhormat Menteri Besar di atas penjelasan diberikan. Sekarang saya persilakan Yang Berhormat Wakil Wanita.

Zuraida binti Md. NoorPAS · PNWanita

Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua soalan saya soalan dua - Apakah usaha pihak Kerajaan atau pakej rangsangan bagi membantu industri kecil yang boleh menarik pelancong seperti industri seni halus, pembuatan tembaga,batik, perusahaan rumah bot Tasik Kenyir, perusahaan bot candat sotong dan sebagainya?

Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamu’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Tuan Yang di-Pertua, terima kasih kepada ADUN Wanita. Soalan yang dikemukakan berbunyi: Apakah usaha Kerajaan atau pakej rangsangan bagi membantu industri kecil yang boleh menarik pelancong seperti industri seni halus, pembuatan tembaga, batik, perusahaan rumah bot Tasik Kenyir, perusahaan bot candat sotong dan sebagainya?

Tuan Yang di-Pertua, saya melihat soalan ini ada kaitan dengan soalan nombor 2 daripada ADUN Bandar. Saya mengharapkan saya boleh menjawab sekaliguslah ke atas dua-dua soalan yang dikemukakan. Soalan nombor 2 daripada Yang Berhormat ADUN Bandar berbunyi: Bagaimanakah usaha Kerajaan Negeri untuk menyuburkan semua industri tradisional seperti kraftangan, songket, tembaga, bot dan sebagainya?

Tuan Yang di-Pertua, usaha pihak Kerajaan atau pakej rangsangan bagi membantu industri kecil yang boleh menarik pelancong seperti industri seni halus, pembuatan tembaga, batik adalah: Yang pertamanya, melalui (YPU) Yayasan Pembangunan Usahawan. Kerajaan Negeri telah mendaftarkan Perbadanan Harta Intelek (MyIPO) di bawah Geographical Indication (Petunjuk Geografi) bagi produk tembaga, ukiran kayu, batik dan songket. YPU juga telah mengadakan kerjasama dengan Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) bagi mencari pelapis pengusaha tembaga dan melalui YDSM juga telah ditubuhkan satu persatuan iaitu Persatuan Tembaga Terengganu bagi memudahkan penyelarasan pengurusan tembaga. Bagi industri bot, rumah bot di Tasik Kenyir, perusahaan bot candat sotong sebagainya adalah kita akan

bekerjasama dengan Jabatan Pelancongan Negeri bagi mengadakan promosi dan trade show. Terima kasih.

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, soalan tambahan saya yang pertama: Sejauh manakah keberkesanan program-program yang dimaklumkan oleh Yang Berhormat tadi dan apakah indikator keberkesanan tersebut. Macam mana kita nak menilai program itu ataupun sesuatu projek itu berjaya ataupun tidak? Terima kasih.

Terima Kasih ADUN Wanita. Tuan Yang di-Pertua, setakat ini sejujurnya kita masih belum kelihatan hasil keberkesanan kerana kami di peringkat YPU sendiri masih dalam pelaksanaan program-program untuk memastikan perkara itu berjaya dan dapat hasil yang lebih baiklah. Tapi, untuk makluman Yang Berhormat, di peringkat YPU, kami sedang merealisasikan definisi sebenar usahawan di mana kalau sebelum daripada ini agak narrow down dengan izin, definisi usahawan itu hanya kepada perusahaan-perusahaan PKS sahaja dan saya melihat perkara ini perlu dikembangkan kepada sektor-sektor lain merentasi beberapa portfolio, EXCO sendiri. Contoh yang saya jelaskan ataupun yang saya ambil sebagai kes study iaitu kalau sebelum pada ini, bila datang kepada YPU, yang berkaitan dengan pelancongan kita akan terus serah kepada EXCO Pelancongan. Begitu juga dalam sektor pertanian dan penternakan. Sebenarnya, kita di usahawan sepatutnya merangkumi ada perkara-perkara sedemikian dan kita telah buat satu town hall YPU dengan inisiatif unit YPU, kita telah buat town hall, kita panggil player-player travel-travel agensi ni, kita bertanya kepada mereka sebenarnya apakah kehendak mereka terhadap keusahawanan ini dan mereka memberi contoh yang jelas. Contohnya bagi mereka, dia kata, kalau kita pergi kepada pelancongan tidak dapat bantuan-bantuan kecil. Contoh yang diberikan snorkelling set, kalau di pulau-pulau sekarang ini ataupun di pantai-pantai, snorkelling set itu satu keperluan dan mereka-mereka ini, agensi-agensi pelancongan ini perlukan bantuan itu dan harga dia sebutkan pada saya satu snorkeling set itu harga RM120. Kalau dia perlukan 40 ataupun untuk sebuah bas, maknanya dia perlukan modal lebih kurang RM5,000.00 ataupun hampir RM6,000.00. Ini memerlukan satu bantuan tapi kalau dia datang ke YPU, kita tengok dalam sektor pelancongan, kita terus bagi pergi kepada EXCO Pelancongan, perkara ini tidak ada di dalam kategori bantuan di peringkat pelancongan. Jadi, di situlah kita sedang merangka semula definisi ini supaya usahawan itu dilihat

lebih menyeluruh. Tapi kita tidaklah memberi bantuan yang core. Contoh, kalau nak bela lembu, kita tak bagilah bela lembu, itu kosnya. Tapi, mesin untuk membela lembu yang significant ataupun yang downstream daripada perkara tersebut. Jadi, perkara inilah selepas kita mendefinisikan semula keusahawanan ini …..

Yang di-Pertua, penjelasan.

Yang di-Pertua

Ya, sila.

Mesin bela lembu ke mesin proses makanan lembu?

Yang di-Pertua

Ada pencelahan.

Mesin bela lembu ke mesin proses makanan lembu?

Ya, silap. Mesin proses makanan lembu. …..(Dewan gelak) …..

Ariffin bin DeramanPAS · PNAlur Limbat

Macam sebut masak nasilah, lebih kuranglah tu, faham sendirilah.

Yang di-Pertua

Teruskan, teruskan.

Terima kasih. Okey, jadi, itulah selepas daripada kita mendefinisikan usahawan ini, insyaAllah daripada tahun hadapan kita cuba dapatkan bajet-bajet yang tertentu dan kita akan realisasikan dan insyaAllah selepas pada itu, kita akan lihat hasil keberkesanan dia, insyaAllah. Sekian.

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, soalan tambahan saya yang kedua: Kami ucapkan tahniah kepada Yayasan Pembangunan Keluarga khususnya kerana mengambil langkah yang sangat baik untuk meningkatkan industri kecil yang melibatkan pelancongan dan saya juga ingin sedikit penjelasan. Sebenarnya,

dalam pakej rangsangan ini, berapakah nilai pelaburan yang disasarkan serta berapakah jumlah peluang pekerjaan yang bakal dihasilkan? Terima kasih.

Terima kasih kepada ADUN Wanita. Tuan Yang di-Pertua, berkenaan dengan soalan tadi itu, berkenaan dengan nilai pelaburan dan peluang pekerjaan. Saya cuba menjawab dalam ruang lingkup keusahawanan dan mungkin dalam bidang sumber manusia, cuma dari segi pelaburan itu, saya rasa mungkin kalau ada tambahan daripada EXCO Pelaburan, lebih baik. Langkah-langkah bagi untuk meningkatkan industri ini, kita lebih pada nak exposekan mereka-mereka ini kepada peluang-peluang yang ada. Kita pertamanya, kita berikan peluang kepada mereka untuk mengikuti kursus-kursus ataupun kelas-kelas yang dianjurkan oleh pihak YPU ataupun PEUTER sendiri dalam meningkatkan pemahaman mereka kepada sektor yang mereka ceburi, di mana juga kita menggalakkan mereka ini menyertai ekspo-ekspo di peringkat dalam negeri dan luar negeri untuk membuka minda mereka dengan perkara tersebut.

Yang seterusnya, bagaimana untuk kita menyedarkan mereka ini dengan mewujudkan bantuanlah, bantuan baru untuk menggalakkan lagi kepada untuk menghasil, mereka kena lebih maju dan dengan itu, akan menghasilkan peluang pekerja yang lebih baik dan kita di YPU ini lebih kepada membantu setakat ini. Kita membantu dari segi khidmat nasihat dan bantuan kewangan. Dan alhamdulillah, rentetan daripada itu, kerjasama baik antara agensi-agensi PEUTER ini, kita dengan salah satu agensi PEUTER adalah SME Corp bersetuju untuk memberikan bantuan perniagaan kepada golongan ini yang berjumlah lebih kurang dalam RM2.5 juta dan insyaAllah bantuan ini akan dilancarkan pada bulan Ogos ataupun awal September nanti, insyaAllah. Berkenaan dengan jumlah pekerjaan yang bakal diwujudkan, jumlah ini satu benda yang subjektif lagi apabila setakat ini saya tidak ada jawapan yang tuntas berkenaan dengan perkara tersebut, cuma anggaran kita setiap kalau segi pelancongan kita tengok ada potensi yang besar kerana kita terkenal dengan negeri pelancongan, apabila kita perkasakan sektor ini kita akan dapat menyediakan peluang pekerjaan yang besar. Begitu juga kalau di peringkat tembaga, yang hampir kita katakan hampir pupus sekarang ini, kita galakkan kembali contohnya related dengan tembaga adalah batik cetak di mana bingkai batik cetak itu adalah daripada tembaga dan kos untuk buat batik cetak ini agak tinggi dan kita di YPU memberi bantuan khusus kepada pengusaha-

pengusaha batik cetak yang nak mengusahakan batik cetak tu kita ada bantuan khusus untuk menyedia dan membeli blok- blok itu daripada tembaga. Jadi itulah kesinambungan daripada apabila kita galakkan tu akan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan kepada sektor-sektor yang disebutkan. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih, Yang Berhormat.

Sekarang saya jemput ADUN Tepoh untuk kemukakan soalan.

Ahmad Shah bin MohamedPAS · PNBandar

Yang di-Pertua, boleh celah sikit?

Yang di-Pertua

Panjang dah Yang Berhormat?

Ahmad Shah bin MohamedPAS · PNBandar

Sikit jer, boleh?

Yang di-Pertua

Ringkas sahaja.

Ahmad Shah bin MohamedPAS · PNBandar

Terima kasih Yang di-Pertua. Saya tertarik dengan perbincangan yang tadi, cuma saya rasa kita bukan sahaja perlu kepada menguatkan proses ataupun pengeluaran produk seni ataupun tradisional ini, kita pihak Kerajaan juga perlu melihat kepada bagaimana nak merangsang permintaan. Contoh, umpamanya Perdana Menteri yang kelima, isteri dia bekas Perdana Menteri yang kelima, kita dulu pakaian batik dah tenggelam tetapi suatu ketika apabila pakaian batik ini ia jadi sudah keperluan pada hari Khamis orang pakat pakai batik belaka dan menjadi peraturan, jadi batik menjadi hidup balik. Jadi begitu juga dengan industri kita yang lain tradisional yang lain kalau kita ada suatu perancangan yang rapi merangsang permintaan kepada produk ini contohnya, Kerajaan menggaris-pandu cenderamata-cenderamata yang diberi kepada majlis-majlis menggunakan produk tradisional dia akan merangsang. Kalau tidak ada garis panduan dia akan kekal macam tu, kita sedia produk banyak tapi tidak ada permintaan.

Yang di-Pertua

Okey Yang Berhormat terima kasih.

Terima kepada ADUN Bandar. Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua,

ya, terima kasih satu cadangan yang diberikan dan kita di peringkat usahawan ada idea tersebut untuk menekankan kembali pemakaian khususnya pada hari Khamis pakaian batik untuk merangsang pakaian batik. Cuma kita melihat secara detail lagi, pemakaian itu kerana pengusaha industri batik sendiri datang jumpa kita menyatakan bahawa banyak daripada batik-batik dari luar, daripada Indonesia daripada India yang datang masuk ke dalam negara kita. Jadi sebelum kita nak galakkan itu, kita nak buat dulu satu garis panduan supaya kita lancarkan kempen itu boleh betul-betul memanfaatkan usahawan kita insyaAllah. Dan di samping itu, untuk merangsangkan permintaan ini, saya secara tidak rasmi saya telah berjumpa dengan EXCO Usahawan Selangor kerana permintaan kita mungkin terbatas, kalau kita boleh bawa barang-barang, produk-produk kita ke Negeri Selangor di mana di sana permintaan agak tinggi untuk kita jadikan hub kita di sana. Kerajaan Selangor, melalui EXCO Usahawan Selangor menyambut baik hasrat kita dan insyaAllah kita akan mulakan langkah-langkah ke arah itu. Wallahu a'lam.

Yang di-Pertua

Terima kasih, Yang Berhormat.

Sekarang saya jemput Yang Berhormat Tepoh.

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, soalan saya nombor satu - Berapakah jumlah terimaan wang oleh Kerajaan Negeri Terengganu berdasarkan peruntukan perlembagaan daripada pihak Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2018 dan Jun 2019 dan berapakah pula jumlah hutang Kerajaan Persekutuan yang masih belum dijelaskan kepada Kerajaan Negeri sehingga Jun 2019?

Dr. Ahmad Samsuri bin MokhtarPAS · PNMenteri Besar · Ru Rendang

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Tuan Yang di-Pertua, terima kasih kepada Wakil Tepoh yang mengemukakan soalan yang penting dan menarik minat ramai di kalangan Kepimpinan Negeri dan juga rakyat Negeri Terengganu. Soalan ini ada dua kompenan. Yang pertama ialah berapakah terimaan wang oleh Kerajaan Negeri Terengganu berdasarkan Peruntukan Perlembagaan daripada pihak Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2018 dan sehingga Jun 2019? Dan komponen yang kedua pula ialah berapakah pula jumlah hutang Kerajaan Persekutuan yang masih belum dijelaskan kepada Kerajaan Negeri sehingga Jun 2019?

Ingin saya jelaskan bahawa jumlah terimaan wang oleh Kerajaan Negeri Terengganu berdasarkan kepada Peruntukan Perlembagaan daripada pihak Kerajaan Persekutuan adalah merangkumi enam pecahan yang berjumlah RM295,965,711.22 bagi tahun 2018 dan RM180,171,669.00 sehingga Jun 2019. Berdasarkan kepada perincian berikut: Yang pertama, Pemberian-pemberian Mengikut Hitung Kepala untuk tahun 2019 adalah berjumlah RM19 juta. Yang kedua, Pemberian Pertumbuhan hasil 2018 berjumlah RM16.67 juta. Yang ketiga, pemberian 50% Perbelanjaan Mengurus Jabatan di bawah Senarai Bersama sebanyak RM50.3 juta. Yang keempat, Pemberian Tahap Pembangunan Ekonomi 2018 berjumlah RM27.735 juta. Yang kelima, Pemberian Caj Perkhidmatan Projek Persekutuan berjumlah RM10.5 juta untuk tahun 2018 dan Kumpulan Wang Amanah Penyelenggaraan Jalan Negeri atau MARRIS yang berjumlah RM171.6 juta pada tahun 2018.

Komponen yang kedua dalam soalan ini adalah bedasarkan merujuk kepada hutang Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri. Ingin saya jelaskan bahawa berdasarkan kepada penyata Memorandum di dalam Penyata Kewangan Negeri, Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai hutang dengan Kerajaan Negeri. Walau bagaimanapun, terdapat bayaran balik yang masih belum dijelaskan oleh pihak Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri atau dalam bahasa orang pada rakyat kita, hutang jugalah. Cara sebutannya yang berbeza dalam bahasa kita kepada rakyat masih lagi hutang yang berjumlah RM1.65 bilion sebagaimana pecahan berikut:-i) Bayaran balik Pembinan Lebuh Raya Pantai Timur LPT 2 - Berdasarkan surat yang diterima daripada Kementerian Kewangan yang bertarikh 15 Mac 2018 yang berjumlah dengan jumlahnya RM1.4315 juta.

ii) Bayaran balik Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) Berdasarkan Minit Mesyuarat Dana Khas Kerajaan Persekutuan Bil. (1) Tahun 2012 yang bertarikh 15 Januari 2012 dengan jumlah RM220 juta. Jumlah sebenar yang penggunaan wang Kerajaan Negeri bagi pembinaan LPT 2 adalah sebanyak RM1.85 bilion. Jumlah yang telah disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri bagi melunaskan pembayaran ‘code uncode’ hutang tadi sehingga Jun 2019 adalah berjumlah RM418,500,000,00. Oleh yang demikian, baki yang belum dilunaskan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri

bagi pembinaan LPT 2 adalah sebanyak RM1,431,500,000.00. Manakala bagi bayaran balik Dana Khas Kerajaan Persekutun yang dipersetujui melalui Keputusan Jemaaah Menteri dan Mesyuarat DKKP Bil. (1) pada tahun 2012 yang telah diadakan pada 15 Januari 2012, jumlah keseluruhan bayaran balik DKKP adalah sebanyak RM2,169,898,400.00 di mana setiap tahun Kerajaan Negeri menerima bayaran balik DKKP berjumlah RM220 juta bermula tahun 2011 dan akan berakhir pada tahun 2020.

Walau bagaimanapun, sehingga kini Kerajaan Negeri masih belum menerima bayaran tersebut yang hanya berbaki untuk tahun 2019 dan juga 2020. Untuk tahun 2019, dengan merujuk kepada surat yang dihantar oleh Kementerian Kewangan kepada Kerajaan Negeri bertarikh 28 Februari 2019, Menteri Kewangan menyatakan penangguhan bayaran tersebut. Terima kasih.

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Amat Berhormat Rhu Rendang yang telah memaklumkan kepada kita berkenaan dengan terimaan wang untuk Kerajaan Negeri Terengganu. Soalan tambahan saya yang pertama: Berapakah jumlah hutang Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Pusat dan dengan pemotongan 25% wang petroleum seperti yang telah disebut sebelum daripada ini, sehingga bilakah pemotongan ini berlaku dan boleh dilangsaikan keseluruhan hutang tersebut? Terima kasih.

Dr. Ahmad Samsuri bin MokhtarPAS · PNMenteri Besar · Ru Rendang

Terima kasih di atas soalan tambahan Yang Berhormat Tepoh. Jumlah pemotongan pinjaman Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Persekutuan adalah yang sebanyak 25% daripada DKKP ini, telah dipotong sebanyak dua kali iaitu pemotongan pertama terimaan baki DKKP bagi tahun 2018 dengan pemotongan berjumlah RM64,388,360.00. Dan pemotongan yang kedua bagi pemotongan terimaan DKKP tahun 2019 iaitu dengan pemotongan sebanyak RM189,036,668.00 dan jumlah keseluruhan yang dipotong daripada DKKP bagi Kerajaan Negeri Terengganu bagi melunaskan pinjaman Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Persekutuan adalah sebanyak RM253,425,028.00. Kita menjangkakan bahawa dengan pemotongan 25% terhadap DKKP yang diterima oleh Kerajaan Negeri, baki hutang yang pada waktu ini adalah berjumlah RM481,236,930.60 akan berakhir kurang daripada dua tahun. Walaupun begitu, kita mengambil pendekatan berbincang dengan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan, supaya kadar 25% pemotongan terhadap DKKP bagi melunaskan hutang Kerajaan Negeri ini

dikaji semula dan kita telah beberapa kali cuba berunding tetapi tidak ada ketetapan sehingga kini. Terima kasih.

Yang Berhormat Yang di-Pertua, penjelasan. Yang pertama, saya ingin tahu iaitu bayaran yang diberi balik, dipotong kepada Kerajaan Negeri sebanyak RM418 juta. Pertama, Kerajaan Pusat ambil duit kita untuk LPT 2 - RM1.850 bilion dan katanya, kita dah terima balik RM481 juta. Senaraikan apakah bentuk penerimaan balik itu, ada projek ke, atau peruntukan?

Yang kedua, bagi saya Kerajaan Pusat berlaku tidak adil terhadap kita, kerana yang sepatut dibayar RM220 juta dah dua tahun tak bayar, jadi RM440 juta. Patut setiap Januari dia bayar, dia hantar surat ke kita supaya minta tangguh tetapi yang kita dia candat, 25%. Saya minta supaya kalau boleh, Kerajaan Negeri boleh berunding sekali lagi iaitu kita one shot habiskan. Hutang kita masih baki katakan dalam RM400 juta lebih. Duit kita ada dengan dia lebih kurang RM1.8 bilion lagi, RM1.6, RM1.8 bilion, okey tolak sekaligus, yang lebih bagi kita barulah fair. Okey, you ambik RM400 juta lebih. Yang kita RM1.8 tu tolak, tinggal RM1.4 bayar one shot. Kalau itulah cara untuk menyelesaikannya. Kalau dia nak main hutang sangat. Dia berhutang tapi dia malu nak sebut. Macam Yang Amat Berhormat Menteri Besar sebut tadilah, yang kita dia panggil hutang, bahagian hak dia, dia tak panggil hutang.

Yang di-Pertua

Okey Yang Berhormat, jelas dah tu.

Pelik, jadi saya mintalah supaya dapat dirundingkan semula, demi kepentingan rakyat Terengganu. Kalau tidak kita, macam saya sebut dululah dalam Dewan ni, kita shortage tahun ni RM600 juta daripada bajet kita. Nak cari mana kita. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Sila…sila, Yang Amat Berhormat.

Dr. Ahmad Samsuri bin MokhtarPAS · PNMenteri Besar · Ru Rendang

Yang di-Pertua, terima kasih kepada Wakil Kijal. Memang antara option yang kita berikan, kita lontarkan kepada pihak Kerajaan Persekutuan adalah untuk accept dengan hutang daripada Kerajaan,‘code uncode’ hutang daripada pihak Kerajaan Pusat kepada Kerajaan Negeri, boleh set terus daripada baki hutang kita dan mereka hanya perlu membuat pembayaran kepada baki yang tinggal lebih kurang RM1.4 bilion

tadi. Itu antara option yang telah kita nyatakan kepada mereka tetapi sehingga kini belum ada keputusan di pihak Kerajaan Pusat.

Dan juga, soalan yang kedua yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat daripada Kijal tadi adalah jumlah yang telah disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri sehingga Jun 2019 adalah berjumlah RM418,500,000.00 untuk tiga projek utama iaitu yang pertama, Naiktaraf Jalan Marang ke Awana Kijal yang berjumlah RM118,500,000.00. Yang kedua, bayaran pendahuluan yang tidak dibayar balik sejumlah RM200 juta. Dan yang ketiga ialah pembinaan Rumah Mampu Milik berjumlah RM100 juta dengan memberikan keseluruhan totalnya RM418,500,000.00. Sekian, terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima Kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Ada soalan tambahan lagi?

Ada satu lagi. Terima kasih Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, saya ingin balik ke tempat kita ini, dalam suasana yang tidak menentu dengan kewangan yang disebutkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar sebentar tadi, kita juga dimaklumkan berlaku beberapa perkara yang agak terbeban untuk Kerajaan Negeri iaitu kita akan memulakan proses bayaran bertangguh dan bayaran berjadual yang akan ditanggung oleh Kerajaan Negeri pada hari ini. Oleh kerana itu, saya pohon Yang Amat Berhormat dapat menyatakan berapakah jumlah pembayaran bertangguh dan bayaran berjadual yang telah pun dimeterai kepada pihak-pihak kontraktor yang terbabit bermula daripada tahun ini? Terima kasih.

Dr. Ahmad Samsuri bin MokhtarPAS · PNMenteri Besar · Ru Rendang

Terima kasih kepada Yang Berhormat Tepoh. Memang ini antara perkara yang menjadi komitmen pihak Kerajaan Negeri untuk meneruskan apa yang disebut sebagai deferred payment dengan izin dan scheduled payment kerana projek-projek yang dirangkakan dan sedang berjalan dan telah siap itu adalah projek yang memberi kepentingan kepada rakyat secara keseluruhannya. Terdapat dua projek yang terlibat dalam kategori deferred payment dengan izin, dan empat projek di bawah scheduled payment, dengan izin. Kos untuk enam projek ini adalah berjumlah RM2.966 bilion dan telah terdapat projek yang perlu dibayar bermula daripada tahun 2016 sehingga pembayaran terakhir pada tahun 2032. Untuk rekod, izinkanlah saya menyebut beberapa keperluan peruntukan bagi pembayaran kerana ini antara perkara yang selalu disalahtafsir di peringkat

Persekutuan bahawa kononnya kita apabila diberikan, apabila kita menerima DKKP, maka selalu disebut di belakang-belakang bahawa kita memperolehi duit itu dan kita boleh berjoli sakan. Saya ingin tegaskan bahawa apa yang keperluan yang perlu kita laksanakan dengan DKKP itu pelbagai termasuklah projek-projek yang masuk dalam kategori deferred payment dan scheduled payment. Bermula daripada tahun 2016 untuk projek keseluruhan RM2.966 bilion tadi, Kerajaan Negeri perlu menyediakan pembayaran sebanyak RM70 juta. Manakala ianya akan meningkat pada 2018 pada RM101.2 juta dan pada tahun ini, sebanyak RM156.57 juta dan akan terus meningkat sehingga sampai ke peaknya ataupun puncaknya pada tahun 2021 dengan pembayaran sebanyak RM387 juta, lepas itu akan berkurang sehinggalah pembayaran yang terakhir untuk tempoh 2026 hingga 2031 sebanyak RM108.82 juta setiap tahun dan bayaran terakhir pada tahun 2032 sejumlah RM45.40 juta.

Yang di-Pertua

Terima kasih pada Yang Amat Berhormat Menteri Besar, tanpa prejudis kepada soalan-soalan lain saya fikir semua pihak dapat satu gambaran jelas berhubung dengan kedudukan kewangan negeri sama ada peringkat Ahli Yang Berhormat, peringkat para pegawai dan juga rakyat keseluruhan. Seterusnya saya jemput Wakil Batu Burok.

Yang Berhormat Yang di-Pertua soalan saya nombor satu - Apakah perkembangan terkini projek memperdalamkan Pelabuhan Chendering?

Yang Berhormat Yang di-Pertua Dewan, terima kasih Yang Berhormat Batu Burok yang mengajukan soalan berkaitan dengan perkembangan terkini projek memperdalamkan kawasan Pelabuhan Chendering.

Yang Berhormat Yang di-Pertua, masalah utama Pelabuhan Chendering ialah pemendapan pasir yang mengakibatkan air jadi cetek dan menyukarkan bot untuk berlabuh terutamanya bot laut dalam Kelas C2. Dan breakwater dengan izin, atau benteng pemecah ombak yang sedia ada telah dilepasi oleh ombak bila ada mendapan pasir mengakibatkan benteng pemecah ombak tu jadi rendah dan kecetekan pelabuhan ini dia mengakibatkan pemilik bot terutamanya Kelas C2 terpaksa mengalihkan operasi mereka sama ada ke Tok

Bali di Kelantan ataupun Pelabuhan Perikanan Kuantan di Pahang. Saya kemukakan kepada Dewan statistik ringkas bagaimana penurunan jumlah pendaratan ikan dalam metrik tan. Untuk tahun 2016 jumlah pendaratan ikan di Pelabuhan Chendering 4,826 metrik tan menurun secara mendadak pada tahun 2017 kepada 2,170 metrik tan sahaja. Ada sikit kenaikan pada 2018 kepada 2,700 metrik tan lebih kurang dan untuk enam bulan pertama bagi tahun 2019 hanyalah sekadar 540 metrik tan sahaja.

Yang Berhormat Yang di-Pertua, Mesyuarat Portfolio Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa pada 21 Mei baru ini telah mendapati bahawa kos untuk mendalamkan dan menaiktaraf Pelabuhan Chendering memerlukan kos yang agak besar sebanyak kira-kira RM23 juta di luar daripada kemampuan kewangan Kerajaan Negeri buat masa ini. Maka sehubungan dengan itu, cadangan telah dikemukakan kepada Kerajaan Negeri untuk buka tawaran bagi pengalihan pasir kepada pihak-pihak yang berminat dengan syarat kajian hidrologi disempurnakan terlebih dahulu oleh JPS dan juga kajian struktur pelabuhan disempurnakan oleh pihak JKR. Jadi melalui langkah yang diambil ini kos kepada Kerajaan Negeri akan dapat dijimatkan dan dalam masa yang sama boleh menambah hasil negeri dalam bentuk cukai pengalihan pasir. Terima kasih.

Soalan tambahan saya yang pertama: Bolehkah Yang Berhormat Jabi nyatakan dari segi timeline kepada perancangan-perancangan yang dibuatkan tadi?

Dari segi untuk nak mendalamkan Pelabuhan Perikanan Chendering, timeline kita sebelum daripada musim tengkujuh ini kerja-kerja mendalamkan perlu dimulakan terutama bila kita melihat kepada trend penangkapan ikan dan bot-bot yang mendarat di Pelabuhan Chendering biasanya dia akan meningkat sekitar bulan 9 dan bulan 10 ketika itu biasanya hasil tangkapan ikan lebih tinggi daripada biasa.

Soalan tambahan yang kedua, yang pertamanya saya ucap terima kasih kepada pihak Kerajaan yang telah memikirkan inisiatif-inisiatif untuk kita memajukan balik Pelabuhan Chendering yang kita tahu masalah-masalah yang telah dinyatakan tadi sehingga saya menerima aduan banyak daripada nelayan-nelayan kita Pelabuhan Chendering sekarang ini sudah tidak bau hanyir, bau wangi kerana ikan tidak banyak diturunkan di situ. Jadi soalan tambahan saya yang kedua: Apakah Kerajaan memikirkan perancangan-perancangan lain untuk

kita memajukan balik Pelabuhan Chendering ini di samping apa yang disebutkan tadi?

Sebelum itu Yang Berhormat Yang di-Pertua, suka saya maklumkan bahawa Pelabuhan Chendering ini sebenarnya berada di bawah seliaan LKIM atau seliaan Kerajaan Pusat tetapi oleh kerana yang mengambil manfaat ialah rakyat negeri kita dan kita terpaksa mengambil tindakan apabila dia tidak ada satu tindakan drastik daripada pihak Kerajaan Pusat untuk mendalamkan dan juga menaiktaraf. Infrastruktur-infrastruktur lain di antara yang menjadi sungutan nelayan seperti kilang air batu yang tidak mampu memberikan bekalan yang mencukupi kepada nelayan dan kita dah turun bincang dengan pihak Persatuan Nelayan, kalau boleh saya simpulkan dia timbul isu macam mana dulu ayam dengan telur? Orang kilang air batu kata kita nak buat macam mana kilang kita bot tak ada. Bot kata kami nak mari air batu tak ada. Jadi dia jadi saling berkait di antara satu sama lain tapi secara kesimpulan boleh kita putuskan core business di Pelabuhan Perikanan Chendering ialah ikan, jadi bila ikan mendarat yang lain-lain itu akan dengan sendirinya boleh dimajukan sama ada kilang air batu, kantin, chalet dan kemudahan-kemudahan lain yang akan boleh dimajukan bila Pelabuhan Chendering kembali bau hanyir sebagaimana yang diistilahkan oleh Yang Berhormat Batu Burok. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Ahli Berhormat sekalian, saya tangguhkan sementara Sidang ini sehingga pukul 11.00 pagi.

DEWAN DITANGGUHKAN PADA PUKUL 10.40 PAGI.

PUKUL 11.10 PAGI

(Selepas Soalan-Soalan Lisan)Questions

Yang di-Pertua

Bismillahir Rahmanir Rahim.

Assalamu’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, mesyuarat disambung semula. Kita masih lagi dalam sesi soal jawab Soalan Lisan, sebagaimana yang saya janjikan dalam ucapan kelmarin, sekarang saya persilakan Wakil Sura untuk mengemukakan soalan.

Ahli-ahli Yang Berhormat, Yang di-Pertua, soalan saya nombor satu – Bagi mewujudkan suasana persekitaran yang bersih dan sihat, apakah mekanisme yang digunakan Pihak Berkuasa Tempatan dalam pemerkasaan aspek ini?

Dr. Haji Alias bin RazakPAS · GSBukit Tunggal

Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dan

Ahli-ahli Yang Berhormat, Pegawai Kerajaan, para Pemerhati yang dikasihi sekalian. Wakil Sura ingin tahu, bertanya: Bagi mewujudkan suasana persekitaran yang bersih dan sihat, apakah mekanisme yang diguna, yang digunakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam memperkasakan aspek ini? Pihak Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mencapai objektif kita di bandar yang ceria, yang gembira, kita mengamalkan Konsep 6K1P iaitu Kebersihan, Kesihatan, Keindahan, Keceriaan, Keselamatan, Kesedaran Dan Penguatkuasaan. Untuk makluman Ahli Dewan, Ahli Yang Berhormat dan para Pemerhati sekalian, kalau saya sebut tajuk macam tu, mungkin tak berapa jelas, jadi supaya jelas kita pergi satu-satu:

‘K’ yang pertama - Kebersihan ini melibatkan tiga aktiviti utama iaitu kutipan sampah tong sampah awam, pembersihan kawasan atau potong rumput dan sebagainya dan juga kutipan sampah dari rumah ke rumah, ini memang merupakan core business dengan izin, yang utamalah bagi PBT kita. Kutipan sampah dibuat sebanyak dua kali sehari, pada keadaan biasa dan bila pada keadaan tertentu, musim perayaan dan sebagainya dengan kawasan-kawasan yang agak padat penduduk kita buat tiga kali sehari. Juga untuk memastikan tong-tong sampah kita itu, taklah berbau sangat, tong sampah awam jugak dibasuh, dibersihkan dan juga kita ada juga untuk kebersihan ini yang topik utama juga ialah tentang kebersihan tandas-tandas awam. Ini kita ada buat gred, bintang tandas-tandas awam kita untuk memastikan ia mencapai tahap kebersihan yang kita kehendaki.

Dari segi kesihatan ‘K’ yang kedua - melibatkan aktiviti pencegahan dan kawalan penyakit berjangkit serta vektor. Vektor ini nyamuk, lalat dan sebagainya. Ini sangat penting sebab itu ada buat pemeriksaan untuk mendapat lesen perniagaan makanan khususnya kita ada buat pemeriksaan iaitu cucuk ubat untuk mencegah ataupun mengawal pengendali-pengendali makanan ini daripada mempunyai penyakit berjangkit yang boleh berjangkit kepada pelanggan-pelanggan melalui makanan atau minuman yang disediakan. Juga ada kawalan mutu makanan, mutu makanan yang dijual oleh pengendali makanan, selepas itu buat spot-check mungkin jual makanan basi yang boleh menyebabkan berlaku food poisoning keracunan makanan dan sebagainya, itu tanggungjawab kita bagi memastikan rakyat kita dan pelancong-pelancong datang ke Terengganu ini, datang balik, datang sihat balik jadi tak sihat, kerana makan makanan yang tidak dikawal, itu ada unit kita mengawal mutu makanan kita.

Yang ketiga, ialah menjaga keindahan, keindahan ini disebabkan tanaman pokok-pokok hiasan, landskap di atas pembahagi jalan, di pulau dan taman-taman awam. Banyak kerja PBT.

Yang keempat, bukan sahaja indah dan keceriaan itu dengan mengecat semula bangunan-bangunan lama, mewarna-warnikan gerai majlis, lampu-lampu hiasan dan juga menyeragamkan, kita memang hasrat kita nak menyeragamkan warung-warung kita ini supaya teratur dan juga ceria tapi juga ada halangan-halangan yang tertentulah tapi di dalam usaha meningkatkan keadaan keceriaan premis-premis di seluruh Negeri Terengganu. Juga tidak ketinggalan mengecat lori sampah dengan motif mural yang dengan warna yang ceria, walaupun sampah, kita cat dengan mural-mural yang menarik.

Yang kelima dari segi keselamatan, dengan menempatkan semula gerai-gerai penjaja di tepi jalan yang boleh membahayakan lalu lintas. Ini kita mintak kerjasama bukan sahaja pada pengusaha-pengusaha gerai-gerai, supaya tidaklah membina gerai di rezab jalan yang boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya, ialah kadang-kadang terpaksa jugak penguatkuasaan bagi mengelakkan tumbuh gerai-gerai haram ini di jalan-jalan utama khususnya. Juga kepada kita semua yang sama ada yang ada di dalam Dewan atau di luar Dewan bekerjasama, kalau nak beli makanan di gerai pun, parkinglah di tempat yang selamat, jangan kira nak mudah jer parking atas jalan. Bukan sahaja membahayakan kita sendiri tapi boleh menghalang laluan orang lain yang nak cepat kadang-kadang takut terlanggar, ataupun terbabas, mungkin yang boleh membawa kepada kecederaan yang parah ataupun maut sekali, itu kadang-kadang ialah bila kita buat penguatkuasaan perkara ini, ada yang tidak setuju sedangkan kita sudah buat kajian bahawa perkara itu perlu dikuatkuasakan supaya tidak membahayakan nyawa pengguna-pengguna jalan raya dan juga kepada pengendali-pengendali gerai-gerai tersebut. Juga kita menempatkan dan menukarkan tong sampah dengan yang lebih bersesuaian di tempat yang selamat di tepi jalan dan sesuai dengan tempat dan keluasan jalan tersebut. Juga memastikan lalu lintas bandar-bandar kita lebih tersusun, walaupun kita lihat memanglah pihak PBT berbagai-bagai pindaan kita buat untuk pastikan tidak ada kesesakan, malangnya oleh kerana bandar kita bandar berpusat semua nak mari meniaga di bandar sahaja dan kita lihat kenderaan masuk begitu banyak tidak cukup dengan parking dan juga

jalan-jalan yang kita ada. Semua ini dalam usaha kita untuk meningkatkan dari semasa ke semasa tentang keselamatan lalu lintas kita.

Yang keenamnya kesedaran, yang kita buat pelbagai kempen kesedaran tentang menjaga kebersihan persekitaran kita. Hebahan dan usaha dengan warga kota, Datuk Bandar giat dilaksanakan bersama-sama dengan PBT kita dan baru-baru ini Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al-Sultan telah melancarkan satu Kempen Kebersihan Pantai di Pantai Teluk Ketapang. Itu menunjukkan bahawa betapa Kerajaan mengambil berat, bukan sahaja pihak Kerajaan, pihak Duli-duli Yang Mulia Tuanku jugak mencemar duli untuk memastikan negeri kita ini bersih dan ceria apatah lagi di tempat-tempat yang boleh menarik pelancongan.

Bila pelancong datang bukan sahaja dapat hasil kepada Kerajaan juga kepada pengusaha-pengusaha, pengendali-pengendali, warung-warung kita, kedai-kedai kita dan sebagainya. Jadi sama-sama kita mengambil kesedaran menjaga kebersihan dapat menarik pelancong dengan lebih ramai maka insyaAllah keuntungan itu akan kita dapat pada kita semua juga.

Dan yang akhir yang memang orang tak berapa suka, ‘P’ yang terakhir tapi ini terpaksa juga kita lakukan sekali sekala, dah kita dah buat kempen, kesedaran sama ada di sekolah ataupun secara umum secara awamnya tapi ada juga mereka yang degil yang tak patuh pada peraturan-peraturan kita, maka tak dapat tidak penguatkuasaan juga terpaksa kita jalankan dan mengambil tindakan pada mereka-mereka yang degil. Antaranya bagi mereka yang buang sampah merata-rata, tong sampah dah ada masih kosong tapi ambil mudah di mana dia makan di situlah sampah ditinggalkan. Ini amalan yang patut kita tinggalkan. Kita buang jauh-jauh, kita ambil sampah itu buanglah di dalam tong sampah yang disediakan, di merata-rata tempat disedia di tempat-tempat awam ini.

Juga masalah binatang-binatang berkeliaran juga perlu kerjasama daripada penternak-penternak kita. Malangnya ada yang menternak, tindakan ini khususnya musim-musim Raya Haji ini, ada yang menternak di kawasan perumahan, kalau nak berniaga nak jual untuk korban Raya Haji yang dekat ini, ini satu cabaran kepada Pihak Berkuasa Tempatan. Begitu juga yang menternak melepaskan ataupun membiarkan binatang berkeliaran yang boleh membawa pada kemalangan jalan raya. Maka ini, tindakan-tindakan telah dan insyaAllah akan terus kita ambil tentang penguatkuasaan.

Juga, tentang anjing-anjing liar yang terbiar dan sebagainya dalam proses ataupun kita memang dari masa ke semasa kita ambil tindakan untuk memastikan keadaan bandar kita teratur dan bersih. Juga penguatkuasaan tentang pembuangan sisa-sisa kebun, sisa-sisa binaan di bahu jalan, tempat awam dan sebagainya. Ini semualah antara inisiatif-inisiatif yang kita jalankan dari semasa ke semasa untuk memastikan sebagaimana yang disoal oleh Wakil Sura tadi apakah usaha Kerajaan untuk pastikan persekitaran kita bersih dan sihat. Terima kasih Yang di-Pertua.

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, soalan tambahan saya yang pertama di mana Negeri Terengganu kita ini terkenal dengan slogan “Negeri Cantik Budaya Menarik Rakyatnya Cantik-cantik” tetapi semenjak beberapa bulan yang lalu kita telah dicemari sedikit suasana ini dengan diviralkan bahawa rakyat Terengganu ini adalah orang-orang yang tidak tahu menjaga kebersihan sebagaimana yang diviralkan di persekitaran jambatan Drawbridge kita yang menggambarkan rakyat kita seolah-olah tidak mengambil berat tentang kebersihan ini. Jadi persoalannya ialah sebagaimana yang dinyatakan oleh Yang Berhormat EXCO sebentar tadi antaranya, ialah aspek kesedaran. Jadi saya melihat seolah-olahnya pendidikan kita di peringkat sekolah hingga seterusnya seolah-olahnya menampak kegagalan kita untuk melahirkan masyarakat dan rakyat yang boleh menjiwai tentang konsep kebersihan ini. Jadi, saya kira perlu lagi peningkatan kesedaran ini kepada masyarakat kita melalui agensi-agensi yang ada seperti MPKK, jawatankuasa surau, masjid, jabatan-jabatan supaya kesedaran terhadap menjaga kebersihan ini suatu perkara yang sangat penting untuk melahirkan sebuah masyarakat dan juga negeri yang cantik, indah, yang secara tidak langsungnya menggamit pelancong datang ke negeri kita. Persoalannya ialah apakah lagi usaha-usaha untuk kita meningkatkan lagi kesedaran kepada rakyat kita berkaitan dengan aspek kebersihan ini. Terima kasih.

Dr. Haji Alias bin RazakPAS · GSBukit Tunggal

Terima kasih Wakil Sura. Tuan Yang di-Pertua, walaupun ini zaman viral semua orang nak viral. Kes-kes yang diviralkan antaranya yang buang sampah merata sebenarnya tidak banyak di Terengganu. Oleh itulah kita walaupun kita tak puas hati memanglah tidak pernah berpuas hati kita nak meningkatkan lagi pengurusan kita. Namun begitu, dari segi pentakrifan bandar yang ceria atau bandar yang gembira untuk didiami, di Terengganu ini masih lagi bandar-bandar kita ataupun bawah PBT kita mendapat penakrifan yang agak baik

khususnya malalui penarafan MURNInet ataupun Malaysian Urban Rural National Indicators Network On Sustainable Development. Masih mengarahkan kita sebahagian besar bandar-bandar kita mendapat markah 90% ke atas dan Menteri Wilayah telah membuat kenyataan dalam bulan Mac yang lalu Bandaraya Kuala Terengganu antara kesepuluh bandar raya yang terbaik di dalam negara kita yang mendapat penarafan 90% ke atas. Kalau nak kira macam tu maknanya kita dah top ten, bandar-bandar lain masih teruk lagi pada kita, tapi itulah kita dah puas hati kita ucap tahniahlah pada pihak PBT yang telah bekerja keras bagi memastikan bandar-bandar kita ini dalam keadaan yang bersih dan ceria. Jutaan tahniah patutnya tepuk tangan pada PBT kitalah. ….(Tepukan) …. Takpelah meja pun. Dan juga pihak Dungun, Dungun telah mendapat suatu Anugerah Tandas Terbersih Seluruh Negara baru-baru ini, inilah kerja-kerja yang dibuat. Dan baru-baru ini pun cerita bulan puasa, bulan Ramadhan baru-baru ini kita biasalah bulan Ramadhan, Bazar Ramadhan atau pun jualan lelong dibuat malam raya, malam raya sampai pukul 3.00 - 4.00 pagi masih lagi orang nak habiskan stok jualan mereka. Maka selepas itu sampah-sampah tadi diselerakkan begitu sahaja dengan perkara yang kita rasa sedihlah atas sikap yang disebutkan oleh Sura tadi masih ada lagi, tak ramai tapi masih ada. Dan pekerja-pekerja kita, Majlis Bandaraya kita khususnya terpaksa bekerja hingga pagi, hingga subuh sehinggakan mengganggu juga mereka nak Solat Aidilfitri, nak bersama keluarga di pagi raya walaupun sebelum itu kita buat pertemuan demi pertemuan minta kerjasama peniaga-peniaga kita supaya tolonglah paling tidakpun kalau tak mampu nak buang dalam tong sampah, ikat dalam plastik hitam tu senang diangkat oleh petugas-petugas kebersihan, tapi tu dia tak berlaku mereka sepahkan saja. Maka dan itulah masa untuk sapu sampah lagi, nak masuk dalam bekas, nak buang dalam tong sampah dan nak hantar kepada lori sampah itu perlu satu kerja rugikan masa sebab sehinggalah akhirnya kerja ini sehingga Solat Aidilfitri pun tak selesai lagi. Jadi saya haraplah untuk masa-masa yang akan datang kita beri kerjasama sepenuhnya kepada pihak pekerja-pekerja atau petugas-petugas kebersihan kita ini sebab yang akan menikmati keselesaan pun kita bersama bila ada tolak ansur, kesedaran antara rakyat dan juga petugas, insyaAllah bandar raya kita akan dapat meningkat lagi markah 90 hingga 99% insyaAllah. Memang cita-cita kita tinggi. Untuk kesedaran ini banyak yang kita telah sebut tadi, antara kempen-kempen yang dibuat sama ada oleh NGO ataupun oleh Kerajaan sendiri yang menganjurkan Kempen Kebersihan, juga melalui pendidikan-pendidikan di sekolah. Memanglah pentarbiahan pendidikan ini memerlukan masa hendak mengubah manusia, sikap sesuatu perkara yang sungguh, yang

bukan mudah yang perlukan masa yang panjang. Tapi kita berdoalah semoga anak-anak kita yang akan lahir nanti, yang akan membesar nanti tidak lagi mengamal sikap-sikap yang tidak berapa baik yang berlaku pada hari ini. Juga melalui Jabatan Agama melalui khutbah-khutbah Jumaat dimasukkan juga tentang kepentingan menjaga kebersihan dan sebagainya. Dari segi semua saluran yang ada kita cuba gunakan. Tapi sebagaimana yang kita sedia maklum, bagaimana banyak kita buat kempen kesedaran, memang manusia ini ada yang degil, yang tidak bertanggungjawab itu tetap ada. Ia tidak dapat kita dinafikan, sebab itu kita di sana ada penguatkuasaan yang kita jalankan dari masa ke semasa di mana sudah dididik tidak berjaya, maka tiada ada apa yang boleh kita buat melainkan menggunakan undang-undang untuk memastikan perkara-perkara yang negatif itu tidak diulangi oleh mereka-mereka yang degil ini. Sekian.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat. Ini Yang Berhormat Rantau Abang, panjang dah tadi. Dari segi jawapan EXCO panjang. Kesian kepada Ahli Yang Berhormat yang lain.

Satu lagi soalan tambahan. Pendek saja.

Yang di-Pertua

Kalau berlingkar dalam isu yang sama saya ingat cukup dululah.

Bukan, isu yang lain pula.

Yang di-Pertua

Ada yang lain pula?

Isu lain berkait dengan penguatkuasaan.

Yang di-Pertua

Soalan tambahan ini atas saya.

Saya nak dapat penjelasan Yang Berhormat.

Yang di-Pertua

Saya ingat cukup dulu. Cukup dulu sebab nak bagi peluang kepada Yang Berhormat lima-enam orang lagi. Sekarang saya …..

Dr. Haji Alias bin RazakPAS · GSBukit Tunggal

Bagilah satu lagi.

Yang di-Pertua

Sekarang saya …..

Haji Alias bin HarunPAS · GSRantau Abang

Pembetulan, DUN Sura bukan DUN Rantau Abang.

Yang di-Pertua

Minta maaf. Minta maaf Yang Berhormat. Sebelum saya teruskan, Yang Berhormat Wakil Bukit Besi, kelmarin Yang Berhormat Ladang jawab sekaligus dah kan? Padan dah kan? Ke berasa macamana? Saya rasa macam cover sekali dah. Kalau kata tak padan saya persilakanlah. Saya persilakan Wakil Bukit Besi untuk kemukakan soalan.

Haji Roslee bin DaudUMNO · BNBukit Besi

Assalamu’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua. Memanglah kalau ikut dari segi tentang mengenai pelaburan ini memang dah luas dah bincang pagi tadi dan kelmarin. Tapi saya rasa kalau boleh untuk makluman rakyat di luar sana juga untuk mendapat maklumat-maklumat yang belum lagi dikenalpasti jadi soalan saya yang satu-satunya itulah - Sila nyatakan nilai pelaburan swasta yang masuk ke Terengganu sejak Mei 2018 hingga kini mengikut pecahan Daerah dan sejauh mana ia telah menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan?

Yang di-Pertua

Sila Yang Berhormat Ladang, kalau ada tambahanlah. Kalau boleh tidak diulang benda yang sama.

Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Yang Berhormat-Yang Berhormat sekalian, Pemerhati serta pegawai. Kalau ikut tu jadi dah jawapan tu banyak dah, cuma mungkin tidak catat kot, jadi kita ulang lagi. Ulang itu sebab dia tanya, Bukit Besi tanya: Sila nyatakan nilai pelaburan swasta yang masuk ke Terengganu, sejak Mei 2018 hingga kini, hingga ke hari ini mengikut pecahan daerah, itu lain sikit, daerah ni. Jadi saya boleh baca tapi panjang sikit, dan bagaimana dan setakat mana peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Kalau hendak catat saya bacalah panjang ini. Kemaman sekian, Dungun sekian. Nak dengar yang tu ke? Ke tak? Ke tak payahlah tak?

Yang di-Pertua

Padan Yang Berhormat.

Panjang tu, cuma saya boleh ulang, pekerjaan tu memang jumlah pelaburan RM801 juta, pekerjaan tempoh pendek tu lebih kurang 600 peluang pekerjaan dan kalau ikut daripada dulu sampai sekarang 2019 ini pekerjaan dia ada lebih kurang yang kita wujud lebih kurang 7,057 peluang pekerjaan sehingga Julai ini. Jadi saya ingat tak payah tanya pakai yang tu dah. Ke nak juga?

Haji Roslee bin DaudUMNO · BNBukit Besi

Pecahan tulah.

Pecahan hendak juga. Kemaman RM661,729,087. Saya baca angkalah senang catat. Kemaman tadi RM661,729,087 macam nombor telefon, Dungun RM35,797,732. Nak buat benda tak tahu ini.

Yang di-Pertua

Ini hak dia Yang Berhormat.

Ya betul. Saya tanya jer hendak buat benda tak tahu. Marang RM44,24,165, Kuala Terengganu RM15,486,520, Hulu Terengganu RM49,391,647, Kuala Nerus RM980,000, Besut RM33,73,427. Jumlah angka besarnya RM801,546,578. Boleh belaka tu? Kalau tidak mintak dengan saya lepas pada inilah, kita bagi. Okey terima kasih banyak.

Haji Roslee bin DaudUMNO · BNBukit Besi

Satu lagi sikit jer. Soalan tambahan saya ialah sebab kalau kita tengok pencapaian kita untuk dari segi peluang pekerjaan ini, yang kita jangkakan, yang kita anggarkan 20,000 peluang pekerjaan dengan kehadiran pelabur yang dimaklumkan oleh Wakil Kerajaan iaitu setiap hari pelabur mari. Tetapi itu angka-angka yang telah diberitahu tadi. Tapi apakah strategi Kerajaan Negeri sebab pencapaian kita itu tak sampai lagi 20,000. Bila anggaran dari segi kajianlah? Itu soalan sikit.

Saya nak maklumkan juga bahawa peluang pekerjaan ini bukan hanya di bidang industri, pertanian, keusahawanan dan pelbagai lagi. Yang sebut ini hanya di sektor industri. Kalau ikut-ikutnya, kalau ikut unjuran kitalah, kalau unjuran kita sehingga tahun 2024 itu kita akan ada 16,750 orang di sektor industri saja. Termasuk yang silika nanti kalau ada pelaburan yang

besar. Peluang pekerjaan dijangka 7,200 orang. Jadi kalau nak dapat 20,000 itu mudahlah sahajalah, insyaAllah. Terima kasih.

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua penjelasan, daripada RM600 juta pelaburan yang akan datang ke Kemaman, apakah industri yang terbesar daripada RM600 juta itu, adakah melibatkan Eastern Steel dari segi pembesarannya atau yang lain-lain? Terima kasih.

Terima kasih. Ya, sebahagiannya daripada Eastern Steel yang akan memberikan peluang pekerjaan yang besar sehingga 2,500 orang insyaAllah. Dia tak berapa nak release lagi sebab dia kata dia Listed Company tak boleh nak kabo banyak lagi, dia bimbang. Tapi memang Eastern Steel saya dah melawat hari khamis baru ini dan memang ada pembesaran yang telah dibuat. Satu lagi ialah tentang pemulihan Kilang Perwaja, dia panggil apa tu Affluent Oasis tapi ada masalah sikit dengan ini. Dia kata dia hendak melabur RM4 bilion, tapi dia kena bayar hutang-hutang lepas itu dulu, itu syarat kita. Dia tak bayar habis lagi dan dia cuba alih pula nak jadikan Perwaja itu, nak buat benda lain. Ini sedang dalam pemerhatian kita dan kita minta supaya dibuat betul-betul, dia nak apa sebenarnya. Lepas itu baru kita check sebab payah juga, dia ini sudah beritahu merata buat iklan sampai ke Negeri China, dalam Bahasa China tetapi sampai kita, bahawa dia hendak buat kilang-kilang untuk copper, untuk aluminium, untuk plastik dan macam-macam. Dan itu semua tertakluk kepada kelulusan Federal kebanyakannya. Jadi kita nak tanya dia betul-betullah, tanya dah tapi tak jawab betul-betul lagi, sungguh ke tak hendak buat besi Perwaja ini ke buat lolok saja. Jadi itulah cara kita, insyaAllah kita akan tanya balik dia. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima Kasih Yang Berhormat. Saya persilakan Wakil Buluh Gading.

Haji Ridzuan bin HashimPAS · PNBuluh Gading

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima Kasih Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, soalan saya nombor 1 - Berapakah jumlah penerima yang menerima manfaat daripada skim bantuan modal tani Skim Bantuan Modal Tani dan apakah sektor utama yang menjadi tumpuan pemohon?

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Buluh Gading yang mengajukan soalan yang berkaitan dengan jumlah penerima yang telah menerima manfaat daripada Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) dan apakah sektor utama yang menjadi tumpuan pemohon.

Yang Berhormat Yang di-Pertua, sejak dilancarkan pada 29 Januari 2019, seramai 106 orang pemohon telah diluluskan permohonan mereka untuk menerima manfaat daripada SBMT yang melibatkan dana berjumlah RM2.82 juta. Jumlah RM2.82 juta ini sudah melebihi separuh daripada keseluruhan peruntukan SBMT tahun ini sebanyak RM5 juta yang diperuntukkan untuk manfaat golongan petani, nelayan dan penternak bagi tahun 2019. Yang Berhormat Yang di-Pertua, sektor utama yang menjadi tumpuan pemohon ialah yang pertama, pertanian dengan kaedah fetigasi. Yang kedua, penternakan yang meliputi penternakan lembu, kerbau, kambing, ayam dan juga itik. Yang ketiga, penternakan akuakultur sama ada melalui kaedah kolam ataupun melalui kaedah sangkar dan juga hatchery iaitu pembenihan ikan khususnya ikan kerapu hybrid. Dan yang keempat, peralatan dan kelengkapan untuk nelayan. Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) menawarkan kepada rakyat pinjaman patuh syariah tanpa faedah dengan had pembiayaan sehingga RM50,000.00. Terima kasih.

Haji Ridzuan bin HashimPAS · PNBuluh Gading

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, soalan tambahan saya yang pertama: Apakah langkah-langkah yang telah dan akan diambil oleh pihak Kerajaan bagi memastikan SBMT ini benar-benar mampu membantu masyarakat tani, penternak dan nelayan bagi mengatasi masalah kekangan modal yang dihadapi oleh mereka? Terima kasih.

Terima kasih Yang Berhormat Buluh Gading. Yang Berhormat Yang di-Pertua, isu utama yang menjadi fokus kepada Urus Setia SBMT ialah maklumat daripada kewujudan dana ini perlu sampai kepada rakyat. Dengan makna rakyat perlu tahu bahawa masalah kekangan modal yang mereka hadapi untuk memulakan projek dalam sektor pertanian, penternakan dan perikanan ada dana daripada Kerajaan Negeri. Kerana itulah, setelah dilancarkan pada 29hb Januari yang lepas, Urus Setia SBMT telah turun ke serata negeri sebanyak 22 lokasi dalam Program Jelajah SBMT, kita buat

billboard, kita buat siaran media, pemakluman di masjid dan di surau termasuk juga kita memanfaatkan ruang-ruang yang ada dalam media baru supaya maklumat ini sampai kepada rakyat. Ini kerana kita belajar daripada pengalaman DUTA (Dana Usahawan Tani) yang diperuntukkan sebanyak RM500,000.00 tetapi tidak mampu dihabiskan dalam tempoh masa 3 tahun. Di antara isu utamanya ialah kerana rakyat tidak pernah dengar perkataan DUTA, biarlah kelompok masyarakat tani kita dapat maklumat dan mereka boleh pergi kepada channel-channel yang betul untuk memohon. Yang kedua, SBMT memperuntukkan bantuan dalam bentuk inkind contribution dengan makna kita tidak bagi duit tunai tapi kita bagi dalam bentuk barangan kelengkapan, peralatan, kemudahan untuk memulakan suatu projek. Kerana kajian kita daripada beberapa kes skim pinjaman mudah yang disediakan oleh pihak Kerajaan, di antara punca kegagalan ialah salah guna, dalam borang isi hendak pelihara kambing bila kita bagi duit tunai, tengok rumah dia ada motor baru. Bukan kita marah rakyat beli motor tapi ia tidak sampai matlamat untuk kita bantu rakyat kita memulakan projek pertanian. Urus Setia SBMT akan membekalkan barang-barang yang diperlukan dalam bentuk kelengkapan peralatan persiapan dan sebagainya sehingga rakyat kita boleh bekerja. Dan yang terakhir sekali di antara langkah yang kita ambil untuk menjamin kejayaan SBMT sedaya yang kita mampu ialah pasukan teknikal daripada jabatan-jabatan berkaitan melakukan lawatan tapak, turun padang, supaya kita pastikan betul-betul ada tapak untuk nak diusahakan dan pemohon ada keupayaan, ada kemampuan, ada minat, ada kesungguhan, walaupun mereka ini mungkin tidak memiliki kertas dan dokumen yang mencukupi yang dia perlukan kalau mereka nak pergi ke institusi-institusi kewangan untuk memohon bantuan. Bagi pihak kita Kerajaan Negeri, tak cukup kertas tak apa, tak cukup dokumen tak apa. Kita permudahkan yang penting rakyat nak berusaha dan mereka bersungguh-sungguh nak berusaha dan tanggungjawab kita Kerajaan untuk membantu. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat.

Sekarang saya mempersilakan Wakil Batu Rakit.

Haji Bazlan bin Abd. RahmanUMNO · BNBatu Rakit

Bismillahir Rahmanir Rahim.

Assalamu’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Saya tengok Yang Berhormat Speaker, tadi ADUN Wanita dok tengok Yang Berhormat Speaker.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat.

Haji Bazlan bin Abd. RahmanUMNO · BNBatu Rakit

Soalan saya nombor satu – Adakah Kerajaan Negeri meneruskan peruntukan baikpulih rumah seperti sebelum ini?

Dr. Haji Alias bin RazakPAS · GSBukit Tunggal

Bismillahir Rahmanir Rahim.

Assalamu’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Yang Berhormat Tuan Speaker, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Ahli Yang Berhormat, Pegawai-pegawai Kerajaan yang dihormati sekalian. Wakil Batu Rakit ingin tahu: Adakah Kerajaan Negeri menguruskan peruntukan baikpulih rumah seperti sebelum ini? Kerajaan Negeri masih lagi meneruskan peruntukan baikpulih rumah bukan sahaja baikpulih, kita juga menguruskan juga projek kalau dulu dipanggil PPRT sekarang kita panggil PPTS (Program Perumahan Terengganuku Sejahtera) yang mana dalam Bajet yang lepas telah diperuntukan sebanyak RM30 juta untuk 2 program ini. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Haji Bazlan bin Abd. RahmanUMNO · BNBatu Rakit

Soalan tambahan saya: Berapakah jumlah nilai yang diberi dalam ringgitlah maksud saya kepada setiap penerima?

Dr. Haji Alias bin RazakPAS · GSBukit Tunggal

Terima kasih. Setiap pembaikian, baikpulih rumah kita beri maksimum RM11,000.00 untuk sebuah membaikpulih rumah mengikut kriteria RM3,000.00, RM6,000.00 mengikut syarat-syarat ataupun sebanyak mana yang perlu dibaikpulih. Terima kasih.

Haji Bazlan bin Abd. RahmanUMNO · BNBatu Rakit

Soalan tambahan saya, saya mendapat maklumat bahawa ada setengah-setengah orang mendapat peruntukan lebih kurang RM3,000.00 tetapi dengan keadaan hari ini, RM3,000.00 ini saya rasa tidak patutlah, tidak padan nak baiki apa dengan RM3,000.00? Adakah Kerajaan bercadang untuk menetapkan satu nilai minimum yang sesuai bagi mencapai matlamat bantuan ini? Terima kasih. ,

Dr. Haji Alias bin RazakPAS · GSBukit Tunggal

Untuk perhatian Dewan, Tuan Yang di-Pertua, kita letak nilai maksimum RM11,000.00

dan banyak mana diperlukan bergantung pada apa yang kita nak baiki, baikpulih, itu pegawai kita akan buat penilaian seadil-adilnyalah. Jadi kalau kata tak cukup itu mungkin kena runding balik dengan pegawai penilai tu supaya dia boleh ada maksimum sebanyak RM11,000.00. Saya ingat tidak, nak letak minimum ini payah. Ada yang nak cuma atap 2 keping ataupun dinding sedikit, itu sudah tentulah kos dia sangat rendah. Kalau yang dinding 4 keping kita bagi RM3,000.00, saya rasa itu tidak adil juga. Itu untuk makluman Yang Berhormat.

Haji Bazlan bin Abd. RahmanUMNO · BNBatu Rakit

Siapakah pegawai penilai ini? Saya difahamkan kita tidak mengguna juruteknik untuk menilai, kadang-kadang kita beri lump-sum begitu jer. Jadi, ialah macam saya kata tadilah, memang rungutan daripada rakyat yang menerima ini tidak cukup kadang-kadang nilai yang diberi itu tidak munasabah. Terima kasih.

Dr. Haji Alias bin RazakPAS · GSBukit Tunggal

Buat masa ini kita mengguna kaedah yang biasalah ia dinilai oleh pegawai dan juruteknik dari Pejabat Daerah yang berkenaan. Sebelum pemilihan itu, ada persetujuan di antara Pejabat ADUN atau Penyelaras DUN dan segala penilaian dan pembayaran dibuat oleh Pejabat Daerah yang berkenaan. Saya rasa sekiranya ada yang tidak berpuas hati atas penilaian ini dan bayaran yang dibuat kita boleh berunding melalui Pejabat Wakil Rakyat, Pejabat Penyelaras dan juga Pejabat Daerah yang berkenaan. Saya ingat masalah boleh selesai. Terima kasih di atas peringatan dan beberapa perkara yang kita memang tidak sepatutnya berlaku. Kita akan perbetulkan insyaAllah. Terima kasih kepada Yang Berhormat.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat.

Sekarang saya persilakan Wakil Kuala Besut.

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan saya nombor dua – Berapakah bilangan GLC yang telah ditutup?

Dr. Ahmad Samsuri bin MokhtarPAS · PNMenteri Besar · Ru Rendang

Tuan Yang di-Pertua, terima kasih kepada soalan daripada Kuala Besut. Soalan yang sangat ringkas tapi sungguh bermakna iaitu: Berapakah bilangan GLC atau Government Link Company yang telah ditutup?

Jawapannya ialah jumlah syarikat yang telah ditamatkan operasi di bawah Kumpulan Terengganu Inc Sdn. Bhd. bagi tahun 2019 ialah dua buah syarikat. Manakala jumlah syarikat yang sedang proses dibatalkan pendaftarannya ataupun dalam bahasa mudahnya ialah ditutup juga ialah berjumlah 8 buah syarikat. Sekian terima kasih.

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan tambahan saya, bila melibatkan jumlah yang disebutkan oleh pihak Kerajaan tadi, jumlah GLC yang telah ditutup itu, boleh tak maklumkan kepada kita sebenarnya berapa ramai kakitangan dan juga staf yang terlibat yang kehilangan pekerjaan apabila GLC ini ditutup dan adakah pihak Kerajaan telah merancang penyusunan semula ataupun nak bagi kerja lain pula kepada staf atau kakitangan GLC yang telah ditutup ini? Terima kasih.

Dr. Ahmad Samsuri bin MokhtarPAS · PNMenteri Besar · Ru Rendang

Terima kasih di atas soalan tambahan Kuala Besut. Jumlah kakitangan yang terlibat dalam penutupan GLC dan nasib mereka setakat ini terdapat 32 orang kakitangan yang terlibat dalam penutupan dua GLC iaitu 17 orang dari Permint Bina Bahan Sdn. Bhd. dan 15 orang dari TI Food Ventures Sdn. Bhd. Di bawah Permint Bina Bahan Sdn. Bhd. iaitu sebuah syarikat yang merupakan pengeluar bata merah menggunakan kaedah tradisional, jumlah kakitangan yang telah ditamatkan perkhidmatan pada Februari 2019 adalah seperti berikut iaitu staf yang berstatus tetap seramai 5 orang, berstatus sementara seramai 12 orang, kesemuanya 17 orang. Dan kesemua mereka ini telah diberi bayaran pemberhentian pekerjaan di mana jumlah bayaran pemberhentian pekerjaan kepada staf tetap 5 orang itu berjumlah sebanyak RM40,450 dan sementara berjumlah RM35,539.00 dengan jumlah keseluruhan RM75,989.00. Manakala yang di bawah TI Food Ventures Sdn. Bhd. yang merupakan syarikat yang mengendalikan Outlet Chicken Cottage di Ladang Tok Pelam Kuala Terengganu, tarikh akhir operasi outlet adalah pada 15 Julai 2019 baru-baru ini. Manakala pekerja syarikat yang telah dirasionalisasikan seramai 15 orang itu telah ditawarkan ke dalam syarikat-syarikat GLC yang lain iaitu 10 orang untuk yang tetap itu di mana 2 orang telah ditawarkan dengan pekerjaan baru dengan syarikat lain di bawah Terengganu Inc., satu orang telah ditawarkan pekerjaan baru oleh EPIC Bhd. dan satu orang lagi telah ditawarkan dalam TI Properties Sdn. Bhd. Lapan orang yang tetap tadi akan dipinjamkan secondment ke entiti berikut- Terengganu Inc. - 2 orang, TI Properties Sdn. Bhd. - 2 orang,

Permai Hotel - 2 orang, manakala TD 1303 seramai 2 orang. Manakala 5 orang staf kontrak, 1 orang ditawarkan pekerjaan baharu dengan TI Properties Sdn. Bhd. dan 4 orang akan dipinjamkan secondment ke entiti di Permai Hotel seramai 1 orang dan Primula Beach Hotel seramai 3 orang. Manakala syarikat yang menguruskan Chicken Cottage iaitu di bawah TI Global Food Management Limited yang beroperasi di Kuala Lumpur, syarikat ini akan diberhentikan operasinya pada 31 Julai atau akhir bulan ini, di mana jumlah pekerja yang terlibat dengan pemberhentian pekerjaan adalah seperti berikut iaitu staf tetap seramai 6 orang dengan anggaran jumlah bayaran pemberhentian pekerjaan RM142,000.00 Manakala jumlah GLC lain yang masih dalam penilaian untuk ditutup saya ambil kesempatan ini untuk memaklumkan kepada Dewan yang mulia adalah antaranya ialah GLC yang domain dan tidak beroperasi yang sedang dalam proses penilaian sama ada akan mengalami proses winding up dengan izin atau digunakan sebagai SPV atau Special Purpose Vehicles dengan izin bagi perniagaan baru yang berjumlah 39 buah syarikat keseluruhannya. Sekian terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih kepada Yang Berhormat.

Sekarang saya persilakan Wakil Rantau Abang, cuma saya minta oleh kerana soalan ini melibatkan banyak sektor dapat diringkaskan jawapannya. Dipersilakan.

Haji Alias bin HarunPAS · GSRantau Abang

Yang Berhormat Yang di-Pertua, soalan saya ialah soalan nombor satu – Apakah bentuk bantuan Kerajaan dalam usaha memajukan sektor pertanian, perikanan dan penternakan kepada pengusaha-pengusaha temaptan Negeri Terengganu?

Terima kasih Yang Berhormat Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Rantau Abang. Soalan yang umum dan sebahagian daripada bantuan kepada sektor pertanian, penternakan perikanan sudah dijawab beberapa kali dalam sesi-sesi yang sebelum ini dalam jawapan ini saya fokus kepada satu yang belum disentuh iaitu Pembangunan Tanah Terbiar. Sebagaimana yang kita maklum, Terengganu mempunyai lebih daripada 10 ribu hektar lagi tanah terbiar dan sebenarnya kita mempunyai insentif dari segi Pembangunan Tanah Terbiar

sebanyak kadar maksimumnya RM20,000.00 untuk satu hektar yang boleh digunakan untuk tujuan pembersihan kawasan, penyediaan sistem perparitan, membeli utiliti sama ada baja, racun, anak pokok dan sebagainya sehinggalah kepada peringkat pemasaran. Dan untuk tahun 2019, Jabatan Pertanian memperuntukkan sebanyak RM410,000.00 bagi Program Pembangunan Tanah Terbiar dan untuk makluman Dewan yang mulia, Bahagian Perancangan Strategik, Jabatan Pertanian Malaysia memaklumkan bahawa negeri kita Terengganu memiliki seramai 1,051 orang pengusaha tanah terbiar dan kita merupakan negeri yang kedua dari segi kejayaan membangunkan tanah terbiar selepas daripada Negeri Pahang yang memiliki seramai 1,130 orang. Terima kasih.

Haji Alias bin HarunPAS · GSRantau Abang

Soalan tambahan saya yang pertama ialah saya nak fokus kepada tanaman nanas MD2 yang menjadi fokus kepada pertanian Kerajaan Negeri terutama sekali kepada anak muda. Jadi soalan sayanya ialah apakah insentif disediakan yang boleh membantu penanam nanas variety premium ini?

Terima kasih sekali lagi Yang Berhormat Rantau Abang, tanya lepas ini balik kena tanamlah jangan tanya sahaja. Untuk industri Nanas MD2 itu tadi…..

Yang di-Pertua

Cabaran itu Yang Berhormat. Cabaran kepada Yang Berhormat Rantau Abang tadi.

Tanam lima pokok jer dulu takpe. Untuk tanaman Nanas MD2, bantuan kita bagikan kepada dua kategori. Yang pertama, untuk pengusaha komersial. Pengusaha komersial sama ada melibatkan orang perseorangan, koperasi, kelompok ataupun syarikat dengan keluasan maksimum 10 ekar. Jadi untuk pengusaha kategori komersial, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia menyediakan bantuan dalam bentuk sulur. Sulur untuk Nanas MD2 ini, harga dia agak mahal berbanding dengan sulur biasa sekitar RM1.50 untuk satu sulur berbanding dengan sulur nanas biasa sekitar 20 sen, 30 sen sahaja. Dan untuk keluasan 10 hektar, Lembaga Nanas menyediakan bantuan sulur sebanyak 200,000 sulur bermakna dengan makna satu ekar 20,000. Cuma pengusaha perlu deposit sebanyak RM15,000 untuk jaminan pemulangan benih dan apabila pokok Nanas MD2 ini mengeluarkan sulur, biasanya untuk satu pokok boleh dikeluarkan antara 5 hingga 7 sulur. Satu daripada sulur perlu dipulangkan kembali kepada Lembaga

Perindustrian Nanas dalam konsep pawah dan apabila dipulangkan, wang jaminan RM15,000 akan dikembalikan.

Bagi kategori pengusaha kecil yang melibatkan orang perseorangan atau kelompok dengan keluasan di antara 1 hektar hingga 3 ekar, jumlah sulur yang dibekalkan bagi setiap 1 ekar 17,000. Dia ada sikit beza dari segi kepadatan untuk komersial, kita padatkan sikit. 20,000 untuk 1 ekar untuk pengusaha kecil, 17,000 sahaja dan bantuan sulur ini dia akan diberikan tanpa perlu cagaran dan tak perlu dipulangkan. Ambil saja bukan pawah. Okey, terima kasih.

Yang di-Pertua

Cukup Yang Berhormat deh. Saya nak persilakan apa nama ini, oleh kerana DUN Bandar telah dijawab sekaligus oleh Yang Berhormat Ladang tadi, saya nak persilakan Wakil Pengkalan Berangan.

Haji Alias bin HarunPAS · GSRantau Abang

Cukup dah satu soalan tadi?

Yang di-Pertua

Padan dah sebab masa tidak mengizinkan.

Sulaiman bin SulongPAS · PNPengkalan Berangan

Assalamu’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Yang Berhormat Yang di-Pertua, soalan nombor dua - Berapakah jumlah pekerjaan yang diwujudkan oleh Kerajaan Negeri bermula dari bulan Jun 2018 hingga Mei 2019?

Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamu’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, terima kasih kepada ADUN Pengkalan Berangan yang bertanya soalan yang berbunyi: Berapakah jumlah pekerjaan yang diwujudkan oleh Kerajaan Negeri bermula Jun 2018 sehingga Mei 2019?

Sebenarnya soalan ini telah terkandung dalam jawapan pada EXCO Perindustrian tadi. Sebanyak 581 peluang pekerjaan telah diwujudkan daripada Jun 2018 sehingga Mei 2019. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih.

Sulaiman bin SulongPAS · PNPengkalan Berangan

Terima kasih kepada jawapan daripada Yang Berhormat Kota Putera. Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, soalan tambahan saya ialah: Kita sedia maklum bahawa Negeri Terengganu ini antara negeri yang sumber pendapatan terbesar ialah dari hasil daripada petroleum dan mutakhir ini kita mendapati bahawa banyak industri-industri hiliran yang berasaskan petroleum ini telahpun orang kata pindah keluar daripada Terengganu sehinggakan ramai di kalangan anak muda kita terpaksa berhijrah daripada bumi Terengganu mencari peluang-peluang pekerjaan di tempat-tempat lain. Jadi kita mohon kepada pihak Kerajaan untuk mengambil langkah-langkah yang tertentu bagi memastikan Kerajaan Negeri ataupun bagi memastikan pihak Kerajaan dapat mengambil tindakan yang lebih drastik untuk membangunkan industri hiliran berasaskan petroleum bagi menyediakan peluang-peluang pekerjaan khususnya kepada anak muda Negeri Terengganu. Sekian.

Yang di-Pertua

Terima kasih. Yang Berhormat, tak ada apa kan?

Sulaiman bin SulongPAS · PNPengkalan Berangan

Tak ada apa. Sebagai maklumanlah,makluman. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Yang Berhormat Menteri Besar, Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, saya kira untuk soalan-soalan yang dikemukakan pada hari ini saya telah dapat melengkapkan semua atau telah dijawab oleh pihak Kerajaan melainkan yang lebih daripada satu soalan, ini akan dijawab secara bertulis dan saya ingat amalan kita menambahkan masa Soalan Lisan ini bukan semestinya menjadi satu precedent, ini tertakluk kepada urusan kerajaan dan juga pertimbangan-pertimbangan yang lain, tapi sekurang-kurangnya apa yang kita buat pada hari ini ialah bagi memberikan peluang kepada Yang Berhormat tidak terkilan setiap kali persidangan boleh mengemukakan soalan secara yang teratur.

Yang Berhormat sekalian, saya berhasrat untuk menangguhkan Sidang Dewan Undangan Negeri kita ini. Sila Setiausaha.

TangguhanAdjournment

Setiausaha Dewan Undangan Negeri

Perkara berikut ialah Tangguhan.

Dr. Ahmad Samsuri bin MokhtarPAS · PNMenteri Besar · Ru Rendang

Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua Dewan, saya mohon mencadangkan supaya Persidangan Dewan ditangguhkan kepada suatu masa yang akan ditetapkan kemudian.

Yang di-Pertua

Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan Yang Berhormat sekalian, sebelum saya tangguhkan Sidang Dewan kita ini, saya terlebih dahulu mengambil peluang dan kesempatan untuk mengucapkan terima kasih di atas kerjasama Yang Berhormat menjayakan Sidang kita. Saya juga pohon maaf di atas apa-apa kekurangan.

Dan sebelum Persidangan Dewan kita ini ditangguhkan, saya ingin memaklumkan iaitu suatu Majlis Pelancaran Kad Sejahtera Terengganu yang akan diadakan sebaik sahaja Sidang Dewan ini ditangguhkan di Perkarangan U2, satu lagi projek ataupun program sebagaimana dalam Manifesto dapat dilaksanakan. Semua Ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan dijemput hadir ke majlis tersebut.

Sebaik sahaja selesai Majlis Pelancaran semua Ahli Yang Berhormat dan Ketua-ketua Jabatan dijemput untuk Jamuan Makan Tengahari yang dihoskan oleh Yang di-Pertua Dewan. Ahli Yang Berhormat dijemput macam biasa di Damai Lounge dan Ketua-ketua Jabatan di Perkarangan U2.

Sekarang saya tangguhkan Persidangan Dewan ini ke suatu masa dan tarikh yang akan ditetapkan kemudian dan marilah sama-sama kita tangguhkannya dengan membaca Tasbih Kafarah dan Suratul ‘Asr.

DEWAN DITANGGUHKAN PADA PUKUL 12.05 TENGAH HARI.