Terengganu · 24 November 2019
14th Assembly, 2nd session, 3rd meeting · 87 turns · 15,807 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalTerengganu publishes one PDF per meeting, with the written answers appended. Speakers are matched by our parser and will have some errors.
(Pembukaan)
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Perkara pertama dalam Tertib Pekerjaan Dewan pada hari ini ialah Doa oleh Yang Berhormat Dato’ Yang Di-Pertua Dewan.
DOA
Dibaca oleh Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan.
Ucapan Yang Berhormat Dato’ Yang Di-Pertua Dewan
Assalamu’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan, para Pemerhati, tuan-tuan, puan-puan yang saya hormati sekalian.
Terlebih dahulu marilah sama-sama kita rafakkan kesyukuran kita kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana dengan limpah taufik dan inayahNya kita dapat melaksanakan tanggungjawab kita sebagai Ahli Badan Legislatif di dalam Dewan yang mulia ini.
Saya juga mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih serta mengalu-alukan kehadiran Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian dalam Sidang kali ini selama lima hari bermula pada hari ini hingga hari khamis iaitu Mesyuarat Kali Ketiga, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Keempat belas.
Sidang pada kali ini sangat penting kerana ia melibatkan perancangan masa depan Negeri kita iaitu melalui pembentangan Belanjawan Negeri Terengganu bagi tahun 2020 yang akan dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, pihak pentadbiran Dewan telah menerima hanya satu sahaja Rang Undang-Undang iaitu Enakmen Perbekalan 2020 untuk dibentang, dibahas dan insya-Allah akan diluluskan di dalam sesi persidangan kali ini. Selain itu, pihak Dewan juga menerima dua usul iaitu Usul Pembangunan 2020 dan Usul Perbekalan Air 2020. Saya menyeru semua pihak dapat bekerjasama dengan pihak Kerajaan supaya lebih banyak Rang Undang-Undang dapat dibentangkan pada setiap kali Persidangan Dewan dalam tempoh yang lebih singkat terutamanya yang melibatkan kepentingan majoriti rakyat.
Pada sidang kali ini, saya berharap semua pihak dapat memberi kerjasama agar Persidangan kita dapat berjalan dengan lancar dan menjadikannya sebagai Persidangan yang terbaik. Dalam erti kata lain, saya berharap Ahli-ahli Yang Berhormat akan mengambil bahagian secara aktif sama ada dalam perbahasan Rang Undang-Undang mahupun usul-usul selain dari soalan-soalan yang dikemukakan.
Selain itu, saya juga ingin berkongsi mengenai beberapa aktiviti yang telah dilaksanakan oleh Pejabat Yang di-Pertua Dewan sewaktu di luar waktu Persidangan. Sebagaimana amalan yang dilaksanakan oleh negara-negara luar, Yang di-Pertua Dewan bersama anggota Badan Legislatif yang lain turun padang bagi melawat Agensi-agensi Kerajaan sama ada Negeri dan Persekutuan. Setakat ini lapan (8) Agensi Kerajaan telah dilawati termasuk Polis Diraja Malaysia, Tenaga Nasional Berhad, Telekom Malaysia, Mahkamah Syariah, Syarikat Air Terengganu (SATU), Yayasan Terengganu, Yayasan Pembangunan Usahawan dan MAIDAM. Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan di atas kerjasama yang diberikan oleh Jabatan dan Agensi-agensi berkenaan.
Pendekatan ini diambil bagi memahami perjalanan dan fungsi-fungsi yang dimainkan oleh agensi berkenaan dan mendapatkan maklumat yang lebih jelas secara „first hand’ terutamanya berkaitan isu-isu yang menyentuh kepentingan orang ramai. Ini juga adalah sebahagian dari proses semak dan imbang (check and balance).
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, saya juga ingin memaklumkan bahawa Jawatankuasa Terpilih Pengurusan Dewan yang diluluskan oleh Dewan yang mulia ini telah mengadakan beberapa siri mesyuarat dan laporan awal jawatankuasa ini dibentangkan di atas meja
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Selaras dengan terma rujukan yang diluluskan, jawatankuasa ini mengupas pelbagai perkara termasuklah meneliti perkara-perkara berkaitan dengan Dewan Undangan Negeri Terengganu dari sudut perundangan, isu pentadbiran, amalan lalu dan semasa serta isu-isu sekitarnya.
Dalam hubungan itu, Jawatankuasa ini juga berhasrat untuk mengemukakan cadangan bagi membuat penambahbaikan kepada Dewan Undangan Terengganu sebagai Badan Legislatif di negeri ini. Hal ini termasuklah menjalankan kajian rintis bagi Semakan Peraturan-Peraturan Dan Perintah-Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri Terengganu. Oleh yang demikian, sebuah laporan lengkap akan dikemukakan apabila sampai masanya nanti, insya-Allah.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, selaku Ahli Badan Legislatif, saya suka untuk mengingatkan kepada semua Ahli Yang Berhormat agar sentiasa cakna dan tidak memandang ringan tentang perkembangan pesat dalam dunia ICT pada hari ini. Kita perlu bergerak seiring, bahkan proaktif dengan kemajuan dalam teknologi ICT khususnya cabaran 'Industrial Revolution' atau IR 4.0 dalam semua sektor sama ada dalam sektor badan-badan awam atau swasta.
Untuk makluman, satu pembaharuan lagi telah dibuat oleh pihak pentadbiran Dewan mulai Sidang kali ini iaitu pendaftaran kehadiran bagi ketua-ketua jabatan melalui QR Code. Tujuan penggunaan QR Code ini adalah untuk mempertingkatkan dari segi urusan pendaftaran melalui Sidang DUN. Arahan Penggunaan (Manual Procedure) QR Code ada dipaparkan di lobi dan juga di tempat duduk ketua-ketua jabatan. QR Code ini juga perlulah diimbas pada setiap sesi sebelah pagi dan juga sebelah petang. Sehubungan dengan itu, saya menasihatkan semua Ketua Jabatan atau wakilnya agar tidak gagal untuk menghadirkan diri pada setiap sesi Sidang Dewan Undangan Negeri bagi membantu urusan pihak Kerajaan.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, sebelum saya mengakhiri ucapan ini, saya suka mengingatkan agar Ahli-ahli Yang Berhormat sentiasa menjadikan Peraturan-Peraturan Dan Perintah Tetap Dewan (Standing Orders) sebagai panduan demi menjaga keharmonian dan kemuliaan Dewan ini.
Saya juga berharap tempoh masa Persidangan kali ini selama lima hari dapat memberi
keselesaan kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat dan seterusnya peluang ini dapat digunakan sebaik-baiknya untuk membawa suara rakyat dan kepentingan masa depan Negeri Terengganu yang kita cintai ini. Gunakanlah masa dengan bijaksana apabila diberi peluang di samping turut meraikan masa Ahli-ahli Yang Berhormat lain.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, walaupun Ahli-ahli Yang Berhormat dalam Dewan Undangan Negeri kita semacam tidak ada lagi Pembangkang dengan perkembangan semasa ini, ini tidak bermakna Dewan Undangan Negeri kita akan menjadi sepi dan tidak ada lagi suara-suara untuk mengingatkan Kerajaan. Sesungguhnya tanggungjawab kita kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan kepentingan serta keutamaan rakyat mengatasi tanggungjawab kita kepada mana-mana pihak yang lain. Apa yang penting Persidangan kita mestilah berjalan dalam suasana adab yang baik dan mengikut Peraturan-Peraturan Tetap Dewan.
Saya akan cuba untuk menyelesaikan semua Tertib Pekerjaan Dewan sebelum tengah hari pada hari Khamis, 28 November untuk memberi laluan kepada Program Kejohanan Memanah di kalangan Ahli-ahli Yang Berhormat, dulu kita menembak dan kali ini kita memanah sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu ini pada sebelah petang yang akan berlangsung di Stadium Negeri.
Akhir kalam, Selamat Bersidang, Siru„ala Barakatillah. Wabilahi taufik wal hidayah. Wassalamu’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh.
Kertas-Kertas Kerja Dan Laporan-Laporan
Perkara seterusnya dalam Tertib Pekerjaan Dewan ialah KERTAS-KERTAS KERJA DAN LAPORAN-LAPORAN.
Kertas-Kertas Kerja dan Laporan-Laporan yang dibentangkan ialah:
1 Anggaran Hasil Dan Perbelanjaan Tahun 2020.
(D.U.N. Bil.8/2019)
2 Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Negeri Tahun 2020.
(D.U.N. Bil.9/2019)
3 Anggaran Bekalan Air Negeri Tahun 2020.
(D.U.N. Bil.10/2019)
4 Penyata Kewangan Negeri Terengganu Tahun 2018.
(D.U.N. Bil.11/2019)
5 Penyata Kewangan Tahun 2018 Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.
(D.U.N. Bil.12/2019)
6 Penyata Kewangan Tahun 2018 Majlis Perbandaran Kemaman.
(D.U.N. Bil.13/2019)
7 Penyata Kewangan Tahun 2018 Majlis Perbandaran Dungun.
(D.U.N. Bil.14/2019)
8 Penyata Kewangan Tahun 2018 Majlis Daerah Besut.
(D.U.N. Bil.15/2019)
9 Penyata Kewangan Tahun 2018 Majlis Daerah Hulu Terengganu.
(D.U.N. Bil.16/2019)
10 Penyata Kewangan Tahun 2018 Majlis Daerah Marang.
(D.U.N. Bil.17/2019)
11 Penyata Kewangan Tahun 2018 Majlis Daerah Setiu.
(D.U.N. Bil.18/2019)
12 Penyata Tahunan Tahun 2018 Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri Terengganu.
(D.U.N. Bil.19/2019)
13 Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Tahun 2018 Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Terengganu.
(D.U.N. Bil.20/2019)
14 Penyata Kewangan Tahun 2018 Yayasan Terengganu.
(D.U.N. Bil.21/2019)
15 Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Tahun 2018 Lembaga Muzium Negeri Terengganu.
(D.U.N. Bil.22/2019)
16 Penyata Kewangan Tahun 2018 Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu.
(D.U.N. Bil.23/2019)
17 Penyata Kewangan Tahun 2018 Yayasan Islam Terengganu.
(D.U.N. Bil.24/2019)
18 Laporan Ketua Audit Negara Berkait Pengurusan Aktiviti/ Kewangan Jabatan/Agensi Dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Terengganu Tahun 2018 Siri 1.
(D.U.N. Bil.25/2019)
19 Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) Negeri Terengganu Berkenaan Laporan Ketua Audit Negara Mengenai Kira-Kira Kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman Bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2014 dan 31 Disember 2015.
(D.U.N. Bil.26/2019)
20 Laporan Jawatankuasa Terpilih Pengurusan Dewan Undangan Negeri Terengganu Berkenaan Kajian Penambahbaikan Dewan Undangan Negeri
(D.U.N. Bil.27/2019)
(Dibentang Atas Meja)
21 Laporan Ketua Audit Negara Berkait Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Prestasi Kewangan Agensi Negeri Terengganu Tahun 2018
(D.U.N. Bil.28/2019)
Soalan-Soalan Yang Telah Diberi NotisQuestions
Perkara berikut ialah Soalan-Soalan Yang Telah Diberi Notis:
(1) Soalan-Soalan Bertulis.
(2) Soalan-Soalan Lisan.
Jawapan kepada Soalan-soalan Bertulis yang telah diberi notis dan telah dibentangkan di hadapan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian ialah soalan-soalan daripada:
1 Yang Berhormat Wakil Tepoh
2 Yang Berhormat Wakil Hulu Besut
3 Yang Berhormat Wakil Batu Burok
4 Yang Berhormat Wakil Bukit Besi
5 Yang Berhormat Wakil Sura
6 Yang Berhormat Wakil Kuala Besut
7 Yang Berhormat Wakil Buluh Gading
8 Yang Berhormat Wakil Rantau Abang
9 Yang Berhormat Wakil Bandar
10 Yang Berhormat Wakil Air Putih
11 Yang Berhormat Wakil Kemasik
12 Yang Berhormat Wakil Wanita
SOALAN-SOALAN LISAN
Soalan-Soalan LisanQuestions
Sekarang kita masuk kepada Soalan-Soalan Lisan, Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah memberi notis untuk mengemukakan Soalan-Soalan Lisan pada 24 November 2019 adalah sebagaimana berikut:
1 Yang Berhormat Wakil Tepoh
2 Yang Berhormat Wakil Batu Burok
3 Yang Berhormat Wakil Kijal
4 Yang Berhormat Wakil Sura
5 Yang Berhormat Wakil Seberang Takir
6 Yang Berhormat Wakil Buluh Gading
7 Yang Berhormat Wakil Manir
8 Yang Berhormat Wakil Hulu Besut
9 Yang Berhormat Wakil Rantau Abang
10 Yang Berhormat Wakil Bukit Besi
11 Yang Berhormat Wakil Pengkalan Berangan
12 Yang Berhormat Wakil Jertih
13 Yang Berhormat Wakil Bandar
14 Yang Berhormat Wakil Air Putih
15 Yang Berhormat Wakil Batu Rakit
16 Yang Berhormat Wakil Ajil
17 Yang Berhormat Wakil Kuala Besut
18 Yang Berhormat Wakil Kemasik
19 Yang Berhormat Wakil Wanita
Sebelum saya benarkan Ahli-ahli Yang Berhormat mengemukakan soalan, saya nak peringatkan ada soalan-soalan yang saya nampak hampir sama ataupun saling berkait di antara satu sama lain, jadi saya mencadangkan kepada Wakil Kerajaan boleh menjawab soalan-soalan seumpama ini sekali gus bagi menjimatkan masa. Dan insya-Allah, saya akan mempertimbangkan lebihan soalan-soalan tambahan.
Sementara itu, saya juga nak umumkan Sidang Dewan Undangan Negeri kita turut dihadiri oleh Pemerhati-Pemerhati termasuk;
Y. Bhg. Tan Sri Khalid Ibrahim, bekas Menteri Besar Negeri Selangor dan juga Penasihat Ekonomi Negeri Terengganu.
Ahli Parlimen Setiu Y.B. Senator Dato’ Haji Hussain Awang Y.B. Senator Nuridah Salleh Khairunissa’
Majlis Tindakan DUN Sura Pusat Khidmat Masyarakat DUN Alur Limbat Pusat Khidmat Masyarakat DUN Batu Burok Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kemasik Pusat Khidmat Masyarakat DUN Ajil
Gabungan Pelajar-Pelajar Melayu Semenanjung Negeri Terengganu Pusat Khidmat Masyarakat DUN Buluh Gading Petronas Pantai Timur Pejabat Perbendaharaan Negeri Terengganu Pusat Khidmat Masyarakat DUN Seberang Takir
Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) ADUN Belia Terengganu Pusat Khidmat Masyarakat DUN Rhu Rendang Pusat Khidmat Masyarakat DUN Hulu Besut Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kuala Besut Pejabat ADUN Wanita.
Bagi pihak Persidangan, saya ingin mengalu-alukan kehadiran semua Pemerhati-pemerhati kita pada hari ini.
Sekarang saya mempersilakan Wakil Tepoh untuk mengemukakan soalan.
Assalamu’alaikum warahmahtulahi wabarakatuh. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan saya nombor 1 -
Pohon dinyatakan jumlah projek yang menggunakan konsep Bayaran Bertangguh dan Bayaran Secara Berjadual yang perlu dilunaskan oleh pihak Kerajaan Negeri pada tahun ini dan tahun 2020?
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Yang Berhormat-yang berhormat, Ketua-ketua Jabatan dan Agensi-agensi Kerajaan, Pemerhati dan Sidang Media sekalian serta muslimin-muslimat. Soalan nombor satu dari ADUN Tepoh berbunyi, pohon dinyatakan jumlah projek yang menggunakan konsep Bayaran Bertangguh dan Bayaran Secara Berjadual yang perlu dilunaskan oleh pihak Kerajaan Negeri pada tahun 2020, maknanya tahun depan.
Terlebih dahulu saya ucap tahniah kepada Ketua BBC kita pada pagi ini dan juga kepada semua Ahli BBC saya nampak segak dan smart sekalilah. Untuk makluman kita, jawapannya ialah untuk Bayaran Tertangguh untuk projek tahun depan ialah sebanyak dua projek dan empat projek untuk Bayaran Secara Berjadual.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan tambahan saya yang pertama, pohon diperincikan dua projek yang menggunakan Bayaran Tertangguh dan empat projek yang menggunakan konsep Bayaran Secara Berjadual dan berapakah jumlah bayaran bagi setiap satu projek ini untuk tahun 2020? Terima kasih.
Terima kasih.
Sebenarnya kita ada enam projek keseluruhan.
1. Bayaran Tertangguh
BIL NAMA PROJEK KOS PROJEK (RM) 1 Projek Membina Sistem Bekalan Air Kuala Terengganu Utara RM1,305 juta 2 Projek Membaikpulih Dan Menaiktaraf Loji Rawatan Air Di Bukit Sah, Kemaman RM686 juta
2. Bayaran Berjadual
BIL NAMA PROJEK KOS PROJEK (RM) 1 Pembangunan Pusat Pentadbiran Daerah Kuala Nerus RM600 juta 2 Pembangunan Muara Sungai Terengganu RM90 juta 3 Pembinaan Asrama Atlet Majlis Sukan Negeri Terengganu RM95.50 juta 4 Cadangan Membentuk Dan Membina Dan Menyiapkan Pembangunan Di Bandar Baru Kijal.
RM189 juta
Saya bacakan juga berkaitan dengan impak kewangan pada tahun hadapan. Projek Kuala Terengganu Utara melibatkan RM108.82 juta dan di Kemaman berjumlah RM129.63 juta dan tahun hadapan kita kena bayar Cukai GST sebanyak RM5.12 juta pasal projek ini hak lama dah.
So, Projek Schedule Payment tahun hadapan kita kena bayar untuk Pembangunan Di Kuala Nerus sebanyak RM70 juta. Muara Sungai Terengganu RM21.20 juta. Bangunan
Atlet RM24.71 juta dan di Bandar Baru Kijal RM44 juta. Keseluruhan kita kena bayar RM403.48 juta. So, kita rasa dengan hutang yang besar ini lebih kurang RM400 juta memanglah menjadi satu beban yang besar kepada Kerajaan Negeri kerana kita jangka tahun hadapan pendapatan kita, kita agak dalam RM1.6 bilion sahaja. Hutang sahaja dah RM400 juta bermakna 25% daripada pendapatan kita, kita kena bayar hutang yang wajib kita bayar. Inilah yang menjadi permasalahan kepada kita dan keseluruhan rakyat Negeri Terengganu.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, di antara projek yang dinyatakan ini, saya ingin merujuk kepada Projek Loji Air Kuala Terengganu Utara. Difahamkan berlaku Tempoh Lanjutan Masa buat kontraktor berkenaan, adakah dengan EOT yang telah diberikan oleh pihak Kerajaan ini, mampu ataupun membolehkan pengurangan bayaran terhadap pihak kontraktor daripada pihak Kerajaan Negeri. Terima kasih.
Terima kasih.
Untuk Projek Kuala Terengganu Utara iaitu pembinaan beberapa hal-hal yang berkaitan dengan keperluan air di Kuala Terengganu, khususnya. Projek ini kita perlu bayar selama 12 tahun sebanyak RM108.82 juta setahun, cuma tahun depan kita kena bayar tax, jadi kita lihat di tapak, bahawa projek ini siap sekitar 40%, yang mana, memanglah dia akan mintak EOT (Extension of Time), kita akan insya-Allah bagi extension of time itu kerana ada beberapa permasalahan di tapak dan apa yang dicadangkan oleh Yang Berhormat dari Tepoh tadi iaitu kita nak bincang balik, supaya oleh kerana projek ini terpaksa dipanjangkan waktunya untuk disiapkan. Jadi cadangannya supaya kita bayarpun, bayarannya boleh dikurangkan bukanlah RM1,305.84 juta mungkin boleh dikurangkan kepada angka yang lebih kecil. So ini kita akan bincanglah dari masa ke semasa, insya-Allah kita akan dapat angka-angka yang tersebut. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat, saya pindah dan jemput Yang Berhormat wakil daripada…
Yang di-Pertua boleh bagi satu soalan lagi, soalan tambahan saya nak tahu berapa projek yang mengikut jadual, maksudnya projek yang deliver project dan projek yang ahead, berapa … terima kasih.
Terima kasih ADUN Langkap, berkaitan dengan projek air ini, kedua-dua projek iaitu berkaitan projek deffered payment tadi, Kuala Terengganu Utara pun lewat disiapkan dan di Kemaman pun lewat. Di Kemaman itu sepatutnya, saya lawat baru-baru ini diberitahu, insya-Allah bulan 3 tahun 2020 akan siap, dan sekarang ini kita lihat 90% lebih sudah siap. So kedua-dua projek tersebut memang ada kelewatan.
Terima kasih, okey last-last…
Boleh tambah lagi Dato’ Yang di-Pertua?
Sila.. yang last…
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Saya ingin mendapat penjelasan yang lebih lanjut daripada Yang Berhormat EXCO. Tadi dimaklumkan bahawa kita mempunyai banyak projek-projek yang terpaksa ditanggung oleh pihak Kerajaan dan sekaligus ianya membebankan Kerajaan. Tapi pada pandangan saya, saya nak tanya Yang Berhormat EXCO dan juga pihak Kerajaan projek-projek yang dimaklumkan tadi, contohnya Projek Air di Kuala Nerus, Projek Pembangunan Bandar Baru Kuala Nerus, Projek Muara Sungai dan juga Projek Air di Kemaman, kita faham bahawa ini merupakan satu beban pada pihak Kerajaan pada hari ini dan dulu pun kita tahu bahawa ini merupakan satu beban yang sangat besar pada Kerajaan. Bukan sahaja kita tidak anggap Kerajaan belah sana ke belah sini ke kalau kita memerintah, gitu juga membebankan juga. Tapi saya nak tahu bahawa apakah projek-projek ini merupakan satu kepentingan kepada rakyat Negeri Terengganu, itu sahaja saya nak tahu, terima kasih.
Sila Yang Berhormat.
Terima kasih ADUN Telemong, kawasan saya tu, beginilah masa kita memerintah, PAS memerintah tahun 1999 sehingga 2004, waktu itu tidak ada bentuk peseng macam ini, iaitu pinjam dulu sebagaimana hari ini, bahawa orang muda hari ini keluar Universiti nak kerja tidak dapat, dia buat pinjaman kereta, pinjaman perumahan akhirnya kadang-kadang tidak
dapat nak bayar, akhirnya jadi muflis. So masa kita memerintah dahulu tidak ada peseng berhutang dengan bank ke ataupun dengan kontraktor sehinggalah perkara ini berlaku pada tahun 2015, 2016, 2017 dan 2018 dan saya dapat maklumat, bandar, kita kata Bandar Baru Kuala Berang pun hendak dipinjam wang untuk nak bina berkaitan dengan pejabat-pejabat pentadbiran baru, dewan baru dan masjid baru. So, kita rasa walaupun kita ada kepentingan untuk rakyat, tetapi tabiat meminjam dengan secara besaran yang tidak mampu kita nak bayar, inilah yang boleh merosakkan kita dan rakyat itu sendiri.
Okey, terima kasih Yang Berhormat, saya persilakan Yang Berhormat Wakil Batu Burok.
Yang Berhormat Dato’ Yang di- Pertua soalan saya nombor 1 -
Apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri bagi menambah hasil tangkapan nelayan bot kecil (nelayan pesisir pantai)?
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Berhormat Menteri Besar, Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan, Pemerhati, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian. Soalan Yang Berhormat Batu Burok berkaitan dengan langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri untuk menambahkan pendapatan nelayan pesisir pantai di Negeri Terengganu.
Dato’ Yang di-Pertua, maklum balas langsung daripada masyarakat nelayan kita, membolehkan kita mengenalpasti apakah punca-punca yang menyebabkan merosotnya pendapatan kepada nelayan pesisir pantai dan dengan maklumat yang lengkap ini, membolehkan kita menyusun langkah dan tindakan yang tepat untuk menanganinya. Isu utama yang dihadapi oleh nelayan pesisir pantai kita ialah kekurangan sumber ikan dan hasil laut yang lain, dalam kawasan tangkapan nelayan pantai Zon A, 5 batu nautika daripada pantai. Sepanjang jajaran pantai Negeri Terengganu sejauh 245 kilometer lebih kurang, kawasan tangkapan nelayan pantai Zon A ini, telah berada pada Kod Amaran Warna Merah, dengan makna sumber hasil perikanan kita sudah sangat kritikal kerana
itulah kita fokuskan kepada Program Memperkayakan Sumber Perikanan dengan memperbanyakkan program labuh tukun dan labuh unjam.
Setakat tahun 2018 dan 2019, kita telah melabuhkan tukun konkrit yang beratnya di antara 8 hingga 15 tan memadai setiap satu bongkah tukun di Perairan Kuala Besut, Perairan Merang di kawasan laut Bidong dan juga Perairan Pulau Nerus, dalam masa yang sama kita sokong lagi program melabuhkan tukun ini dengan mengadakan Program Unjam Komuniti bersama dengan komuniti nelayan setempat dan di antaranya kita telah menyempurnakan program labuh unjam di Pantai Benting Lintang di Besut, Pantai Rhu Sepuluh di Setiu, Pantai Marang dan juga di Paka di Dungun. Berbaki satu lagi program labuh unjam untuk tahun ini, insya-Allah di Perairan Pulau Redang sebelum daripada kita menutup kalendar program memperkayakan sumber perikanan. Dalam masa yang sama kita juga memanfaatkan bot-bot nelayan asing yang telah dilucuthak oleh mahkamah untuk ditenggelamkan bagi dijadikan tukun, yang terbaru, kita telah menenggelamkan sebanyak lima buah bot nelayan asing yang telah dilucuthak oleh mahkamah di kawasan Perairan Pulau Kapas. Program memperkayakan sumber perikanan ini, kita akan teruskan lagi pada tahun yang akan datang, dan insya-Allah akan ada tambahan satu lagi jenis tukun yang dinamakan Rig To Reef dengan makna kita nak manfaatkan pelantar-pelantar minyak yang telah habis tempoh perkhidmatannya yang telah dinyahtauliah untuk kita labuhkan bagi dijadikan tukun.
Isu kedua Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua ialah isu pencerobohan sama ada pecerobohan daripada nelayan asing atau pencerobohan nelayan pukat tunda Zon B ke dalam kawasan tangkapan nelayan Zon A, sama ada pukat tunda tempatan atau pukat tunda daripada bot-bot negeri-negeri jiran seperti Kelantan dan Pahang yang menceroboh ke dalam kawasan tangkapan nelayan Zon A Terengganu. Tugas penguatkuasaan bukanlah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, tetapi kita bertindak sebagai perantara dengan Kerajaan Persekutuan kerana yang menjadi mangsa ialah nelayan kita dan nelayan kita dengan jajaran pantai yang panjang dan terbuka menjadikan mereka ialah yang paling berisiko terdedah kepada bahaya pencerobohan, kerana itu kita telah tekankan berkali-kali dalam perbincangan, dalam mesyuarat dengan pihak Kerajaan Persekutuan supaya agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang terlibat dalam penguatkuasaan di laut disatukan di bawah satu operasi secara besar-besaran dengan satu pengarahan sepaya semua aset dan kelengkapan boleh dimanfaatkan secara yang paling optimum dan alhamdulillah Kerajaan Persekutuan telah melaksanakan Ops-
Naga yang menggabungkan APMM, TLDM, Polis Marin, Jabatan Laut dan juga Jabatan Perikanan dan kita boleh nampak bagaimana keberkesanan dan jumlah bot-bot nelayan asing yang ditahan meningkat dengan mendadak.
Seterusnya Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, di antara isu juga yang dihadapi oleh nelayan pesisir pantai kita yang mengehadkan sumber pendapatan mereka ialah kekurangan penggunaan peralatan moden seperti SONAR dan GPS yang boleh dimanfaatkan untuk mengesan lokasi unjam, lokasi tukun di mana terdapatnya banyak sumber perikanan. Kekurangan ini adalah masalah utamanya kerana masalah dana, kerana itu kita telah membuka ruang kepada nelayan kita untuk memanfaatkan Skim Bantuan Modal Tani yang telah dilancarkan oleh Kerajaan Negeri pada 29 Januari yang lepas untuk dimanfaatkan bagi pembelian alat-alat ini dalam bentuk pinjaman mudah tanpa faedah, dalam masa yang sama Jabatan Perikanan, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perikanan menganjurkan kursus-kursus jangka pendek dalam bentuk hands-on bagi memahirkan nelayan kita dengan penggunaan teknologi moden yang kita harapkan dengan penggunaan teknologi moden ini akan bantu meningkatkan pendapatan mereka termasuk juga kursus-kursus yang kita anjurkan ialah kursus untuk memahirkan nelayan-nelayan pesisir pantai khususnya keluarga mereka terlibat dalam Industri Kecil dan Sederhana yang berasaskan kepada sektor perikanan.
Seterusnya, Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, kita juga mempunyai masalah berkaitan dengan fasiliti pendaratan yang perlu diperbaiki supaya pendaratan hasil tangkapan laut kita boleh dikendalikan dengan baik dan penyimpanan ikan boleh dibuat secara bersepadu dan moden bagi kita mengurangkan risiko kehilangan selepas tangkapan (post harvest losses) dengan izin dan kita di Negeri Terengganu ada satu pelabuhan perikanan, tujuh kompleks perikanan dan juga 15 jeti pendaratan. Kerajaan Negeri pada tahun ini, telah melaksanakan 2 program untuk kita meningkatkan beberapa fasiliti di jeti-jeti pendaratan dan kompleks perikanan, di antaranya kita sedang membina rumah sejuk beku (Cool Room) dengan izin dan juga tempat baiki bot (Slip Way) bagi kegunaan nelayan Marang yang telah dimulakan projek pembinaannya dan kita jangkakan insya-Allah akan disiapkan menjelang awal tahun hadapan.
Yang Berhormat, kalau boleh ringkaskan sikit sebab kita ada masa satu jam sahaja untuk soalan-soalan lisan, mungkin boleh masukkan dalam ucapan penggulungan nanti.
Sebab soalan umum, Dato’ Yang di-Pertua…
Yang kelima ialah pasal nelayan supaya kita pendekkan rantaian pengeluaran daripada nelayan terus kepada pengguna, nelayan boleh dapat margin harga yang lebih baik dalam masa yang sama pengguna boleh dapat hasil laut yang segar dengan harga yang lebih rendah. Bagi tahun 2019 kita telah menubuhkan 7 pasar nelayan yang melibatkan seramai 84 orang peserta dan yang akhir sekali kita juga menekankan soal kebajikan nelayan supaya mereka boleh hidup dengan lebih selesa terutamanya dalam masalah perumahan. Bagi tahun 2019 Kerajaan Negeri telah dalam proses untuk melaksanakan projek perumahan penempatan semula nelayan dan kita telah menyiapkan kerja-kerja tanah untuk projek perumahan bagi penempatan semula nelayan di Benting Lintang di Besut, di Seberang Penarik di Setiu dan juga di Pulau Sekepeng, di Kemaman dengan kos daripada Kerajaan Negeri dan kos pembinaan rumah akan ditampung dengan dana daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia. Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan tambahan nombor satu, pertamanya, terima kasih kepada Yang Berhormat EXCO yang telah memberikan jawapan dan menyatakan dengan terperinci langkah-langkah dan kaedah-kaedah yang diambil untuk membantu dan menolong nelayan kecil di pesisir pantai. Soalan tambahan saya ialah sebagaimana yang kita maklum setiap kali tibanya musim tengkujuh sudah tentu ia akan menjejaskan nelayan-nelayan kecil ini yang melibatkan tidak kurang daripada 2,000 orang nelayan kecil di seluruh Negeri Terengganu, dan salah satu aktiviti dan cara yang mereka ambil ialah melalui aktiviti pukat tunda bagi Zon A dan kita mengetahui bahawa di sana ada sedikit masalah yang melibatkan kelulusan ataupun lesen daripada Kerajaan Pusat. Soalannya ialah apakah langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri untuk mengatasi masalah ini.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, pukat tunda musim tengkujuh ada satu jenis lesen khas yang diberikan kebenaran untuk nelayan Zon B menangkap hasil laut menggunakan pukat tunda dalam kawasan tangkapan nelayan Zon A dalam musim tengkujuh di antara bulan Disember
hingga bulan Februari khususnya untuk menangkap udang. Sebenarnya di pihak Kerajaan Negeri bersama dengan Jabatan Perikanan di atas beberapa jusfikasi kita memberikan sokongan kepada semua permohonan daripada nelayan Terengganu untuk mendapatkan lesen pukat tunda musim tengkujuh ini, tetapi kelulusannya tertakluk kepada ibu Pejabat Perikanan di Putrajaya, jusfikasi kita kerana hasil udang ini hanyalah mari ke kawasan pesisir pantai kita khususnya pesisir pantai Negeri Terengganu kerana beberapa faktor perubahan arus dan ombak, jadi hasil udang ini ada macam rezeki yang datang ke tepi pantai, kita rasa tidak wajar kalau sekiranya kita sekat dia daripada dijadikan sumber rezeki nelayan kita, dalam masa yang sama ada beberapa garis panduan yang ketat supaya penggunaan pukat tunda ini, dia tidak memusnahkan sumber dan sama juga bagi tahun ni Pejabat Perikanan bersama dengan Kerajaan Negeri sekali lagi memberikan sokongan kepada permohonan supaya isu-isu berbangkit pada tahun lepas tidak lagi berulang pada tahun ni. Terima kasih.
Sila..
Terima kasih Yang Dato’ Yang di-Pertua, soalan tambahan saya, difahamkan sekarang ini, Jabatan Laut ataupun dulu dipanggil Jabatan Laut ataupun sekarang ini dipanggil Taman Laut Malaysia sekarang ini diletakkan di bawah Jabatan Perikanan dan kita semua sedia maklum bahawa antara tugas Taman Laut ini juga mengurus, memelihara dan melindungi biodiversiti marin dan juga memelihara habitat marin yang rosak dan juga pelbagai lagi hidupan marin. Jadi apakah perancangan ataupun langkah-langkah pihak Kerajaan Negeri dalam usaha memperhebatkan lagi dan memperbanyakkan lagi sumber marin. Macamana Kerajaan Negeri bersama Jabatan Perikanan dan mengambil peluang bila tengok Taman Laut ini sama-sama dengan Perikanan dan untuk memperkayakan lagi hasil sumber marin di Negeri Terengganu, terima kasih.
Terima kasih atas keprihatinan Yang Berhormat Kuala Besut terhadap isu sumber hasil marin kita, kita di Negeri Terengganu ada sebanyak 13 buah pulau, majoriti daripada pulau ini telah digazettekan sebagai Taman Laut dan di antara ciri Taman Laut ini 1 batu nautika di sekeliling pulau dikira sebagai zon larangan tangkapan untuk apa saja jenis peralatan menangkap ikan supaya ia menjadi satu tempat pembiakan dan menjadi satu tempat untuk sumber perikanan yang dikayakan dan penguatkuasaan alhamdulillah berlaku
dengan cara berkala dan kita yakin kita boleh minimakan dari segi pencerobohan kepada kawasan-kawasan Taman Laut kita.
Terima kasih, saya persilakan seterusnya soalan dari Yang Berhormat ADUN Kijal.
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamu’alaikum warahmatullahi wabaratuh. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan saya yang pertama-
Berapakah Hasil Petroleum dan Gas yang dibayar kepada Kerajaan Negeri Terengganu sehingga akhir September 2019.
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabaratuh. Dato’ Yang di-Pertua, Ahli-ahli Yang Berhormat soalan satu daripada ADUN Kijal adalah mengenai berapakah hasil petroleum dan gas yang dibayar kepada Kerajaan Negeri Terengganu sehingga akhir September 2019. Sebelum saya menjawab soalan ini saya ada satu pantun.
Sila Yang Amat Berhormat
Babi berenang dari Kalimantan Gajah berlawan rumput sengsara Terima kasih di atas soalan Kini saya aturkan bicara
Terima kasih Ahli Yang Berhormat, jumlah hasil petroleum dan gas yang dibayar kepada Kerajaan Negeri Terengganu sehingga akhir September 2019 ialah berjumlah RM1,277,132,808.00. Terima kasih.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan tambahan, pihak manakah yang membayar
sejumlah RM1.2 juta hasil minyak royalti. Pihak yang membayar, Kementerian Kewangan atau Petronas?
Terima kasih di atas soalan tambahan, pihak yang membuat pembayaran itu adalah daripada MOF (Kementerian Kewangan).
Dato’ Yang di-Pertua, dulu diwar-warkan bahawa Kerajaan Pusat telah membayar royalti kepada Kerajaan Negeri di mana ramai Wakil-Wakil Rakyat menyatakan Kerajaan telah menerima royalti, malahan ada banner-banner yang naik merata tempat “terima kasih kerana dapat berjuang mengembalikan royalti”. Tapi kalaulah MOF masih membayar bermakna royalti belum dikembalikan. Ini bermakna masih lagi Dana Khas. Mohon penjelasan Dato’ Yang di-Pertua.
Memang dalam surat pembayaran yang dibuat pada kali terakhir iaitu pada 18 September 2019 ianya disebut sebagai Dana Khas Kerajaan Persekutuan atau (DKKP) dan ini adalah pemberian kedua bagi tahun 2019 yang berjumlah RM516,842,803.00 Pun begitu ada kekeliruan sebenarnya, saya rasa bagi pihak Kerajaan Pusat sendiri kerana dalam Mesyuarat Majlis Kewangan Negara yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri iaitu Majlis Kewangan Negara, mesyuarat yang pertama selepas PRU Yang Ke-14 pada 7 Jun 2018 ianya disebut sebagai Wang Tunai Petroleum tetapi apabila dibuat pembayaran kadangkala digunakan terma DKKP atau Dana Khas Kerajaan Persekutuan dan kadangkala juga digunakan istilah Wang Tunai Petroleum. Jadi setakat ini begitu reply daripada Kerajaan Pusat.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, perjanjian kita adalah dengan Petronas yang menerima royalti atau hasil petroleum, minyak dan gas di Terengganu. Tetapi kalau masih lagi dibayar oleh Kementerian Kewangan ia bermakna bukan royalti. Adakah, saya tak tahu sama ada Menteri Kewangan tak patuhi kehendak Perdana Menteri ataupun sebaliknya. Ini yang berlaku Dato’ Yang di-Pertua. Terima kasih.
Ya.
Terima kasih pada respon daripada Yang Berhormat. Apa yang berlaku di Putrajaya di antara pihak Yang Berhormat Menteri dan Kabinet serta Yang Amat Berhormat Perdana Menteri adalah di luar pengetahuan kita. Apapun kita berharap agar apa jua masalah yang timbul di kalangan pihak-pihak di Putrajaya itu tidak memberi kesan kepada kita dan Kerajaan Negeri senantiasa mencari jalan bagaimana untuk memastikan wang royalti itu tetap kembali ke Negeri Terengganu dan kita juga walaupun Ahli-ahli Yang Berhormat ada membaca bahawa pihak Menteri Hal Ehwal Ekonomi ada membuat tweet baru-baru ini pada 30 Oktober 2019 juga jawapan di Dewan Rakyat bahawa pembayaran terus wang petroleum ini kepada akaun Kerajaan Negeri oleh Petronas akan bermula pada tahun 2020. Kita juga hanya menerima daripada laporan akhbar dan juga tweet daripada Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan juga jawapan kepada soalan di Dewan Rakyat. Pihak Kerajaan Negeri belum lagi menerima apa-apa makluman dari segi surat ataupun apa-apa Pekeliling daripada pihak Putrajaya dalam hal ini, kita masih menunggu. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat. Sekarang saya persilakan Wakil Sura untuk kemukakan soalan.
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Soalan saya yang pertama-
Apakah bentuk insentif yang ditawarkan oleh pihak Kerajaan Negeri kepada pemaju-pemaju perumahan untuk merancakkan lagi pembinaan rumah mampu milik kepada rakyat?
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Selamat pagi, salam sejahtera. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Barisan EXCO, Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua Jabatan dan Pemerhati sekelian. Soalan yang dikemukakan oleh ADUN Sura boleh digabungkan dengan soalan-soalan daripada Buluh Gading dan Wakil Manir. Untuk makluman Pemerhati sekalian, Wakil Sura
ingin tahu apakah bentuk insentif yang ditawarkan oleh pihak Kerajaan Negeri kepada pemaju-pemaju perumahan untuk merancakkan lagi pembinaan rumah mampu milik kepada rakyat Negeri Terengganu khususnya sementara Wakil Manir ingin tahu berapakah bilangan Projek Perumahan Mampu Milik yang sedang diusahakan dan Wakil daripada Buluh Gading pula ingin tahu setelah diperkenalkan dasar perumahan baharu negeri, berapa buahkah syarikat pemaju yang berminat untuk menyambut tawaran tersebut dalam merancakkan pembinaan rumah untuk rakyat. Semuanya berkisar soalan berkaitan dengan dasar baharu Rumah Mampu Milik Negeri Terengganu. Dasar yang kita perbaharui daripada dasar yang diluluskan tahun 2017, antaranya apa yang kita tambah baik, saya tidak kata dasar dahulu itu tidak baik sepenuhnya, cuma kita menambahbaik kerana kita menerima banyak rungutan daripada pemaju yang mereka tidak berdaya maju ataupun tidak mendapat keuntungan bila mereka membina Rumah Mampu Milik ataupun mereka terpaksa memberi cross subsidi yang begitu besar sehingga keuntungan daripada projek komersil mereka tidak dapat menampung kekurangan tersebut.
Kelmarin kita telah membuat satu dasar;
1. Memilih cadangan tapak yang akan kita berikan kepada pemaju swasta, untuk Rumah Mampu Milik ini tapak yang kos infrastrukturnya yang minima. Kita ada banyak pilihan tanah-tanah, ada yang dalam lembah dan sebagainya tetapi kita pilih untuk yang pemaju berminat untuk membuat Rumah Mampu Milik, tanah yang dekat dengan jalan utama dan tidak perlu menambun begitu banyak. 2. Kadar kelulusan fi kebenaran merancang (KM), yang lebih rendah berbanding dengan jenis rumah yang biasa.
3. Kebenaran mula kerja awal untuk ground beam tanpa melibatkan perubahan susun atur bangunan.
4. Dikecualikan penyediaan kemudahan sistem pengumpulan air hujan (SPAH) bagi Rumah Mampu Milik jenis A sahaja.
5. Dikecualikan syarat pemasangan kemudahan komunikasi.
6. Permohonan pertimbangan pelan ke Jabatan Pusat Setempat (OSC) didahulukan ataupun dipercepatkan di semua PBT.
7. Nama-nama pemohon berjaya akan diberikan kepada pihak pemaju lebih awal iaitu setelah kemajuan projek 25%, supaya tidak berlaku kelewatan pihak pemaju menerima bayaran dari pihak bank-bank pembiaya.
Dan yang menarik dalam dasar baru kita ini ialah, kita telah memberikan suatu keistimewaan lot tapak Rumah Mampu Milik jenis A hanya dengan premium RM1,000.00 sahaja dan tidak ada apa-apa sumbangan lain daripada pemaju kepada pihak Kerajaan sama ada Lembaga Tabung Amanah Warisan dan sebagainya dan juga harga jualan dinaikkan daripada RM68,000.00 sebelum ini kepada RM80,000.00. Ini untuk mengurangkan kos subsidi yang terpaksa ditanggung oleh pihak pemaju, tetapi ditambah dengan membina garaj. Garaj ataupun porch di setiap Rumah Mampu Milik, kalau kita tak binapun, dia bina juga, yang dibina dengan cara yang tidak teratur akan menyakitkan mata memandang rumah yang bila siap nanti. Itu antara galakan ataupun inisiatif, insentif yang kita bagikan kepada pembinaan Rumah Mampu Milik jenis A. Kalau saya baca panjang lagi, tak apa, padan situ dulu. Saya nak jawab pula soalan yang berkaitan dengan daripada Buluh Gading, ditanya berapa syarikat setakat ini setelah diperkenalkan dasar baharu ini, lima buah syarikat telah mengemukakan proposal masing-masing dan sebahagian telah kita luluskan dan ada dalam proses untuk kita bawa ke MMKN iaitu Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk diluluskan. Sementara menjawab soalan daripada Manir, berapa bilangan projek, ini tadi bilangan syarikat, sekarang bilangan projek Rumah Mampu Milik yang sedang diusahakan. Bilangan projek yang sedang diusahakan adalah sebanyak 8 projek buat masa ini di seluruh Negeri Terengganu. Terima kasih Yang di-Pertua.
Soalan tambahan pertama, Yang Berhormat Yang di-Pertua, daripada 5 buah syarikat yang dinyatakan tadi, bolehkah pihak Kerajaan menyatakan syarikat mana dan di daerah mana cadangan pembinaan tersebut dan apakah status sehingga kini. Terima kasih.
Terima kasih Wakil Sura. Setakat ini bilangan nama syarikat yang telah bawa proposal kepada kita, 3 di Kemaman, iaitu Tulangis Sdn. Bhd., Brandlink Sdn. Bhd., KZ Berkat Sdn. Bhd. dan 1 lagi Wanland Metro Sdn. Bhd. dan juga Prima Wahyu Sdn. Bhd. Untuk progresnya setakat ini 4 projek telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri iaitu 3 di Kemaman iaitu di Mak Lagam, Tulangis, Brandlink, KZ Berkat. Wanland telah diluluskan terlebih dahulu dan telah memulakan projek mereka di Bukit Cina, Hulu Besut. Yang dalam cadangan lagi, adalah antaranya ialah di Cadangan Pembangunan Rumah Bercampur di kawasan Dendong, Mukim Tembila Daerah Besut, di Kampung Putrajaya, Setiu, Hulu Telemong, Daerah Hulu Terengganu dan di Kampung Tok Dor, Besut. Itulah antara
syarikat-syarikat dan juga projek-projek yang sedang berjalannya adalah yang saya sebut di Hulu Besut, Bukit Cina sudah berjalan, baru berjalanlah, progres pun tak berapa banyak lagi tapi yang tiga lagi telah diluluskan, dia belum mula lagi. Itu di Kemaman, yang lain dalam proses kita nak membawa kepada MMKN untuk diluluskan. Terima kasih.
Okey, terima kasih.
Dato’ Yang di-Pertua, saya ada satu soalan tambahan. Terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Tadi Yang Berhormat EXCO ada sebut antara insentif yang diberikan kepada pemaju ialah kadar kelulusan fi kebenaran merancang yang rendah kepada jenis perumahan yang lain. Boleh Yang Berhormat EXCO menjelaskan dengan lebih lanjut dan bagaimana jika dibandingkan dengan sebelum daripada ini. Terima kasih.
Sebelum ini kita menerima banyak rungutan daripada pemaju bahawa untuk mendapatkan kelulusan MMKN ini memakan masa yang begitu lama, sampai ada yang setahun, dua tahun dan sebagainya. Maka dengan insentif baru ini, kita memendekkan tempoh kelulusan ini mengikut bilangan projek. Saya minta maaflah, dulu saya dah jawab dalam Dewan tentang berapa tempoh untuk berapa unit rumah, berapa masa yang diperlukan. Ada yang sebelum sebulan, kurang daripada sebulan diluluskan, ada yang sampai 42 hari dan kalau projek yang besar sampai setahun. Itu sudah, saya ingat soalan, saya tidak ada kertas itu pada hari ini, tetapi sekarang sudah dijawab keputusan yang lalu antara perkara-perkara yang kita nak percepatkan supaya Kebenaran Merancang dapat dipercepatkan dan projek boleh dimulakan dengan segera. Juga ada kita pertimbangkan juga dalam kes kebenaran merancang ini ialah harga ataupun kadar fi yang kita luluskan supaya memudahkan pihak pemaju menjelaskannya. Cuma saya minta maaf berapa harga yang sebenarnya tidak dapat diberi pada masa ini. Kalau perlu saya boleh bagi notis, insya-Allah.
Okey, terima kasih. Sekarang saya jemput Wakil Buluh Gading.
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Soalan saya, soalan pertama-
Bagaimanakah Persediaan Kontijen Terengganu Untuk Mengekalkan Kejuaraan SUKMA 2020 di Johor Darul Takzim?
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Terima kasih kepada Yang Berhormat Buluh Gading. Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-Ahli Yang Berhormat MMKN dan seluruh Ahli-ahli Yang Berhormat yang dirahmati Allah sekelian. Ketua-ketua Jabatan dan Pemerhati dan muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah sekelian. Soalan daripada Buluh Gading berkenaan dengan persediaan Kontijen Terengganu bagi mengekalkan kejuaraan SUKMA 2020 yang akan diadakan di Johor Darul Takzim. Untuk pengetahuan Ahli Yang Berhormat dan semua yang hadir dalam sidang DUN pada pagi ini, Kerajaan Negeri Terengganu melalui Majlis Sukan Negeri Terengganu telahpun membuat persiapan awal bagi menghadapi SUKMA 2020 di Johor Darul Takzim nanti sebaik sahaja selepas daripada selesai SUKMA 2018 di Perak sebelum daripada ini. Dan ianya bermula dengan satu program penyediaan pelan tradisasi yang telahpun dianjurkan pada 30 November hingga 2 Disember 2018 yang lalu yang melibatkan seramai 100 orang pakar, jurulatih termasuk pegawai-pegawai sukan daripada 24 jenis sukan yang dipertandingkan dengan diselia oleh seorang pakar yang kita jemput daripada UiTM dan di dalam program tersebut mereka telahpun menyediakan satu Program Latihan Berstruktur yang melibatkan semua komponen latihan. Di antaranya berkenaan dengan latihan fizikal, latihan kemahiran, pendedahan pertandingan, latihan-latihan pendek dengan pasukan-pasukan yang lain, kem-kem motivasi dan juga pengelolaan pertandingan yang diadakan bertujuan untuk mencukupkan bilangan pertandingan yang diperlukan. Dan untuk membuktikan kesungguhan Kerajaan bagi mengekalkan kejuaraan SUKMA 2020 nanti, Majlis Sukan Negeri Terengganu juga telah melancarkan satu tagline yang baru, khusus untuk persiapan ini iaitulah 2020 Victory Mission yang telahpun dilancarkan pada 09 April 2019 yang lalu bersempena dengan Anugerah Majlis Sukan Negeri Terengganu yang telah disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar sendiri. Dan di dalam program penyediaan atlet dan kontijen Negeri Terengganu untuk SUKMA 2020 nanti juga,
kita telah menggabungkan di antara strategi-strategi lama yang telahpun terbukti keberkesanannya sewaktu kita muncul juara keseluruhan dan juga dengan strategi-strategi yang baru untuk memberikan impak yang tinggi bagi persiapan kali ini bagi menghadapi SUKMA 2020 yang kita jangkakan akan lebih mencabar berbanding 2018. Dan strategi-strategi ini kita rumuskan dalam enam kunci utama;
i. Pemilihan atlet yang tepat ii. Komitmen dan penyediaan program latihan yang menyakinkan iii. Komponen latihan yang lengkap iv. Latihan yang berkesan v. Ujian dan penilaian berterusan vi. Sistem dan pelaksanaan pemantauan yang berkesan.
Terima kasih.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan tambahan saya yang pertama. Apakah asas utama yang digunapakai oleh pihak Majlis Sukan Negeri Terengganu dalam penyediaan atlet yang tepat sebagaimana yang disebutkan tadi, penyediaan atlet SUKMA yang tepat bagi merealisasikan kemenangan SUKMA 2020 di Johor nanti dan bolehkah Yang Berhormat EXCO menjelaskan dengan lebih lanjut apakah yang dimaksudkan dengan penyediaan program latihan yang meyakinkan sepertimana yang disebutkan tadi. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Buluh Gading. Seperti yang telahpun saya maklumkan bahawa di antara strategi yang kita gunakan untuk menghadapi SUKMA 2020 nanti adalah pemilihan atlet yang tepat. Untuk pengetahuan Dato’ Yang di-Pertua dan semua Ahli-ahli Yang Berhormat, asas utama yang kita ambil untuk memilih atlet-atlet ini, kita gabungkan dalam tiga kumpulan yang utama. Yang pertamanya iaitulah kumpulan atlet sasaran pingat untuk SUKMA 2020, yang keduanya kumpulan atlet muda yang bakal menyertai SUKMA 2020 nanti dan insya-Allah bakal menyumbang pingat untuk 2020 dan juga untuk 2022 yang akan datang seterusnya kumpulan junior yang baru, yang kita telahpun kenalpasti untuk juga masukkan mereka dalam SUKMA kali ini untuk diberikan pendedahan seterusnya untuk membekalkan mereka dengan SUKMA 2024 yang akan datang ini. Dan antara strategi lain yang kita gunakan untuk pemilihan atlet ini iaitulah
mengenalpasti semua atlet daripada semua daerah yang ada dan pelaksanaan program Kejohanan SUTERA 2019 yang lalu adalah di antara apa yang telahpun kita lakukan untuk mengenalpasti atlet-atlet yang mewakili daerah-daerah untuk diserap masuk dalam SUKMA yang akan datang ini. Seterusnya atlet yang kita juga berikan penekanan iaitulah atlet yang mempunyai ketahanan diri dan juga daya juang yang tinggi yang sanggup memberikan komitmen yang sepenuhnya. Terima kasih.
Terima kasih. Saya terpaksa hadkan masa.
Saya nak jemput terus kepada Wakil Manir. Kita kesuntukan masa, Wakil Manir untuk kemukakan soalan.
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan saya nombor 1-
Apakah usaha Kerajaan bagi memulihkan GLC yang berprestasi rendah?
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih kepada ADUN Manir di atas soalan mengenai apakah usaha Kerajaan bagi memulihkan GLC yang berprestasi rendah. Jawapannya agak Panjang sebenarnya, saya cuba akan ringkaskan kepada perkara-perkara yang mustahak secara umum. Inisiatif yang telah dilakukan oleh Terengganu Inc. bagi memulihkan GLC yang berprestasi rendah di bawah Kumpulan Terengganu Inc., antaranya adalah;
1. Pelaksanaan Group Business Plan and Budget dengan izin Kumpulan Terengganu Inc. yang merupakan inisiatif tahunan bagi menilai strategi dan pelan tindakan setiap anak syarikat di bawah Terengganu Inc., agar prestasi kewangannya adalah selari dan sejajar dengan matlamat yang telah digariskan oleh Kumpulan Terengganu Inc.
2. Pelaksanaan Kajian Prestasi Separuh Penggal (Mid Year Review Performance) dengan izin bagi setiap anak syarikat bagi memastikan prestasi berada di atas landasan yang betul.
3. Pelaksanaan Corporate Exercise seperti Re-Alignment Exercise dengan izin yang melibatkan penstrukturan semula, penggabungan dan pengambilalihan syarikat.
Selain daripada itu, Recovery Plan dengan izin dilaksanakan bagi memastikan pemulihan prestasi kewangan anak syarikat yang mengalami masalah aliran tunai dan kerugian yang berterusan.
4. Penekanan dalam tadbir urus korporat yang baik atau Good Corporate Governance dengan izin dalam pentadbiran syarikat.
5. Menitikberatkan amalan Hi-Performance Culture dengan izin di peringkat Kumpulan Terengganu Inc. dan yang seterusnya, 6. Pemantauan secara berterusan melalui Business Recovery Committee (BRC) yang merupakan inisiatif dalaman pengurusan Terengganu Inc. bagi menambahnilai dan merangka strategi pemulihan bagi syarikat yang mengalami masalah aliran tunai dan kerugian yang berterusan.
Terima kasih.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, melihat kepada jawapan daripada Yang Amat Berhormat Menteri Besar, kita dapat melihat bagaimana audit yang dilakukan ke atas GLC-GLC Kerajaan yang mungkin disifatkan sebagai kurang berdaya saing, kita mengharapkan GLC-GLC ini dapat dipulihkan agar peluang-peluang pekerjaaan atau pekerjaan-pekerjaan yang sedia ada dapat dipertahankan dan ditambah dengan peluang-peluang pekerjaan yang akan datang. Soalan saya di antaranya, apakah Kerajaan bercadang untuk melakukan suntikan modal tambahan kepada GLC-GLC tersebut jika sekiranya dapat diihat adanya mutu perkembangan yang baik ke atas GLC-GLC tersebut kerana dengan modal yang terhad, kita melihat GLC-GLC walaupun berdaya saing, mungkin akan mengalami, lambat dipulihkan, dengan modal yang kurang itu, yang menyebabkan GLC-GLC ini, mungkin kurang berdaya saing walaupun dia ada potensi. Terima kasih.
Terima kasih di atas soalan tambahan. Memang Kerajaan Negeri menyedari kepentingan anak-anak syarikat di bawah Terengganu Inc. untuk berdaya saing dan mencapai prestasi ekonomi yang terbaik kerana dalam masa yang sama ianya akan boleh menyumbang kepada Kerajaan Negeri dan kepentingan rakyat Negeri. Walaupun begitu, proses ini akan mengambil sedikit masa kerana kita belum membuat beberapa Re-Alignment Process dengan izin dan juga restructuring sebagaimana yang saya sebutkan tadi. Pengkategorian yang dibuat terhadap anak-anak syarikat ini juga membantu sebenarnya, bagaimana untuk kita
menangani masalah-masalah yang ada itu mengikut kumpulan atau segmen kekuatan atau kelemahan anak-anak syarikat ini dan persoalan sama ada suntikan daripada Kerajaan kepada anak-anak syarikat ini dalam bentuk Capital Expenditure atau CAPEX ataupun Operation Expenditure ataupun OPEX ini adalah bergantung kepada setakat mana kita boleh berjaya untuk memulihkan kedudukan syarikat-syarikat ini. Walaupun sebenarnya kita tidak nafikan bahawa ada anak-anak syarikat ini yang perlu mengalami suntikan sama ada yang terutamanya dari segi capital expenditure ataupun CAPEX untuk membolehkan ianya berdaya saing di pasaran luar. Ianya tidak akan dijadikan sebagai suatu peraturan umum bahawa kita akan mesti untuk melakukan suntikan, tetapi kita akan tengok satu persatu ataupun case to case basis dengan izin terhadap keperluan kewangan anak-anak syarikat ini. Terima kasih.
Terima kasih. Saya walaupun dah agak lewat, saya pergi terus kepada soalan yang terakhir, saya nak jemput Wakil Hulu Besut. Wakil Hulu Besut, sila. Soalan ini soalan yang terakhir.
Yang Berhormat Yang di-Pertua, soalan saya soalan nombor 1 -
Apakah Program Baru Bagi Membantu Penjaja Dan Peniaga Kecil di Terengganu?
Bismillahir Rahmanir Rahim. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Rakan-rakan barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan dan Agensi-agensi Negeri dan Persekutuan, Wakil-wakil Media dan Pemerhati serta hadirin hadirat yang dirahmati Allah sekelian. Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Soalan daripada Yang Berhormat Hulu Besut, berbunyi apakah program baru yang membantu penjaja dan peniaga kecil di Negeri Terengganu. Alhamdulillah pada tahun 2019, program baru yang khusus kepada penjaja dan peniaga kecil ialah Dana Usahawan Industri Mikro Terengganu atau ringkasannya DUIT, iaitu program gerai maju dan bantuan perniagaan kepada peniaga-peniaga kecil. Bantuan ini berbentuk geran dan maksima peruntukannya, jumlahnya adalah sebanyak RM5,000.00 berdasar kepada penelitian pihak kami untuk memastikan jumlah tersebut daripada RM1,000.00 ke RM5,000.00 berdasar kepada perniagaan
mereka. Pihak kerajaan juga memperkenalkan di dalam bulan Ramadan baru ini, iaitu satu skim pinjaman khas Bazar Ramadan (short term loan) dengan izin bagi membantu penjaja dan peniaga kecil membeli bahan mentah dan produk jualan mereka dan insya-Allah program ini akan dilanjutkan pada tahun-tahun akan datang. Terima kasih.
Yang Berhormat, soalan yang dijawab oleh Yang Berhormat tadi gabung sekali dengan soalan daripada Batu Burok pada 25 haribulan sekali gus ke?
Ya betul.
Okey, sila…
Soalan tambahan sayanya semenjak daripada selepas Pilihanraya, saya perhatikan penjaja kecil kita, peniaga, pada sayalah tempat-tempat yang boleh menjejaskan imej Terengganu. Contohnya makin ramai meniaga di tempat traffic light, di depan bank. Ini menampakkan seolah-olah penjaja ataupun penjaja kecil di Terengganu tidak sejahtera di dalam perniagaan mereka. Jadi apakah usaha yang dibuat oleh Kerajaan Negeri supaya dilihat rakyat Terengganu ini lebih sejahtera.
Okay, terima kasih kepada Yang Berhormat Hulu Besut. Soalan yang dikemukakan pada pengakhiran sidang lepas, saya rasa soalan yang lebih kurang sama berkenaan dengan penjaja di traffic light dan pada waktu itu, saya telah menjawab bahawa pandangan itu berdasar kepada daripada sudut mana kita melihat dan sepertimana persoalan dulu juga, menyebut bahawa kelihatan macam tidak terurus, kembali kepada mengikuti peniaga-peniaga di negara-negara jiran seumpamanya. Jadi pihak Kerajaan telah mengambil inisiatif perkara tersebut dan dalam jawapan saya pada ketika itu, kalau Yang Berhormat ingat, saya mengatakan bahawa saya melihat perkara ini satu usaha yang kreatif kepada peniaga-peniaga kecil kita yang mencari pendapatan, approach dia tu pergi kepada pelanggan, bukan menanti pelanggan datang kepada mereka dan hasilnya alhamdulillah, memang bila saya dan agensi kita bertemu dengan mereka, pendapatannya memang baik. Cuma apabila kita di peringkat Kerajaan ingin membuat perkara itu secara legal,
pihak kita telah dinasihatkan untuk tidak membenarkan kerana peraturan di peringkat Persekutuan, adalah mana-mana, tidak membenarkan sebarang aktiviti penjualan dan pembelian di traffic light dan persimpangan-persimpangan jalan kepada peniaga-peniaga dan pemandu-pemandu kenderaan.
Jadi atas nasihat itu, pihak Kerajaan Negeri telahpun memanggil semua pengusaha-pengusaha yang terlibat di lampu isyarat, persimpangan jalan ini dan kita memaklumkan bahawa larangan tersebut dan atas pertimbangan kita, daripada 15 Ogos kita panggil mereka dan kita bagi tempoh sehingga 31 Oktober 2019 untuk mereka menjalankan aktiviti-aktiviti mereka, kerana permintaan mereka, mereka sudah beli banyak stok dan ada pengusaha-pengusaha ataupun penjual-penjual, dia nak cari alternatif baru untuk menjalankan pendapatan, mencari pendapatan mereka. Jadi pihak Kerajaan sudah bersetuju untuk beri tempoh sehingga 31 Oktober baru ini, untuk aktiviti tersebut dan selepas daripada itu, insya-Allah kita akan buat penguatkuasaan kepada mereka-mereka ini, jika sekiranya masih ada lagi yang melanggar peraturan baru yang pihak Kerajaan kemukakan. Terima kasih.
Terima kasih. Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekelian, saya berhasrat, ada apa Yang Berhormat.
Usul Di Bawah Perkara 30 Perkara-Perkara Yang Mustahak Bagi Orang RamaiMotion
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon persidangan ini ditangguhkan Di Bawah Perkara 30.
Yang Berhormat sila baca dulu tajuk yang dikatakan Usul Di Bawah Perkara 30 yang mustahak bagi orang ramai.
Usul Di Bawah Perkara 30, Perkara-Perkara Yang Mustahak Bagi Orang Ramai. Dato’ Yang di-Pertua, saya Sulaiman bin Sulong, Wakil Pengkalan Berangan, memohon untuk membentangkan
satu Usul Di Bawah Fasal 30 yang mencakupi kepentingan umum untuk dibahaskan dalam sidang Dewan Yang Mulia pada hari ini iaitu Usul Membantah Usaha Menggabungkan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Dato’ Yang di-Pertua, saya menyeru serta memohon keprihatinan seluruh Ahli Dewan atas semangat kepentingan Negeri Terengganu Darul Iman khususnya dalam aspek pendidikan agar Dewan Undangan Negeri Terengganu mengambil maklum usaha penggabungan dua buah Universiti di negeri ini. Gabungan ini tentu sekali akan memberi kesan yang besar dan berantai kepada kepentingan rakyat Terengganu.
Saya ingat cukup dulu Yang Berhormat, saya cuma nak tajuk sahaja tadi, minta Bentara ambil cadangan Usul berkenaan kepada saya.
[Bentara Dewan memungut Kertas Usul daritypada Yang Berhormat Wakil Pengkalan Berangan dan menyerahkannya kepada Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan.]
Yang Berhormat, saya akan meneliti dahulu Usul ini, Di Bawah Perkara 30, perkara yang mustahak kepada orang ramai dan saya akan beri jawapan selepas rehat nanti. Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, saya tangguhkan sementara Sidang Dewan ini dan disambung pula pada pukul 11.20 pagi.
DEWAN DITANGGUHKAN PADA PUKUL 10.55 PAGI.
PUKUL 11.30 PAGI
Bismillahir Rahmanir Rahim.
Assalamu’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, mesyuarat disambung semula. Sebelum rehat tadi saya ada menerima satu Usul Di Bawah Perkara 30 Peraturan-peraturan dan Perintah-perintah Tetap Dewan bagi membincangkan perkara-perkara yang mustahak bagi orang ramai daripada Yang Berhormat Wakil Pengkalan Berangan. Setelah saya meneliti usul tersebut, saya dapati memang usul ini adalah usul tertentu, mustahak bagi orang ramai, tetapi saya berpendapat bahawa usul ini tidak perlu disegerakan jadi saya mengambil keputusan untuk menolak usul tersebut. Sila Setiausaha.
Usul-Usul Yang Telah Diberi NotisMotion
Perkara berikut di dalam Tertib Pekerjaan Dewan ialah Usul-Usul Yang Telah Diberi Notis.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua:
“Saya mohon membawa cadangan menurut Fasal 16(3) Peraturan-Peraturan Dan Perintah-Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri untuk mendahulukan pembawaan Rang Undang-undang, Enakmen Perbekalan 2020 daripada perkara-perkara lain”.
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Berhormat sekalian, satu cadangan menurut Fasal 16(3) Peraturan-Peraturan Dan Perintah-Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri untuk mendahulukan pembawaan Rang Undang-Undang daripada perkara-perkara lain telah diterima. Sekarang saya kemukakan kepada undian.
CADANGAN SUPAYA MENDAHULUKAN PEMBAWAAN RANG UNDANG-UNDANG DARIPADA PERKARA-PERKARA LAIN YANG DITETAPKAN DI DALAM TERTIB PEKERJAAN DEWAN KEMUDIAN DIUNDI DAN DIPERSETUJUI DENGAN SEBULAT SUARA.
USUL INI DITERIMA.
Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2020Bill
Perkara yang didahulukan ialah Rang Undang-Undang.
Dipersilakan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar mengemukakan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2020, bacaan kali yang pertama.
Bismillahir Rahmanir Rahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan Rang Undang-Undang bernama suatu enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2020 dan bagi memperuntukkan jumlah wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu, dibaca bagi kali yang pertama.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua saya mohon menyokong cadangan itu.
RANG UNDANG-UNDANG BERNAMA SUATU ENAKMEN BAGI MENGGUNAKAN SEJUMLAH WANG DARIPADA KUMPULAN WANG YANG DISATUKAN UNTUK PERKHIDMATAN BAGI TAHUN 2020 DAN BAGI MEMPERUNTUKKAN JUMLAH WANG ITU UNTUK PERKHIDMATAN BAGI TAHUN ITU, BACAAN KALI YANG KEDUA.
Bacaan Kali Yang Kedua
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-Undang bernama suatu
Enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2020 dan bagi memperuntukkan jumlah wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu, dibaca bagi kali yang kedua.
Bismillahir Rahmanir Rahim. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian;
PENDAHULUAN
1.
Marilah kita merafakkan setinggi kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala atas nikmat dan inayah yang telah dicurahkan kepada kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia, Nabi Muhammad Sallahu Alaihi Wassalam. Seterusnya kepada para sahabat baginda, para tabi’in dan mereka yang telah berjuang untuk menegakkan Islam sehingga kita mengecapi kemanisannya pada hari ini.
2.
Marilah kita menitipkan doa setulus keikhlasan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan dan Yang Di-Pertuan bagi Negeri Terengganu Darul Iman serta segala jajahan takluknya, dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah, Sultanah Terengganu. Semoga Allah meluaskan kerahmatan, keberkatan dan petunjuk untuk terus menaungi Negeri Terengganu Darul Iman yang dikasihi ini.
3.
Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ahli-ahli Yang Berhormat, para pegawai dan kakitangan kerajaan serta para tetamu yang berada di dalam Dewan Undangan Negeri yang mulia ini. Tidak dilupakan juga kepada seluruh rakyat yang turut menyaksikan secara langsung di atas talian untuk bersama-sama mengikuti pembentangan Belanjawan Negeri Terengganu Tahun 2020.
4.
Sebagai pembuka bicara, marilah kita sama-sama menghayati tugas kita di bumi yang indah ini sebagaimana firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam Surah Al-Baqarah ayat ke-30:
“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi.” Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.”
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,
Menanam anggur di Daerah Marang, Pemandangan indah udaranya nyaman, Minta sabar dan minta bertenang, Belanjawan 2020 saya bentangkan.
5.
Sesungguhnya Negeri Terengganu Darul Iman ini telah dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala dengan pelbagai khazanah alam di darat dan di lautan. Segenap pemberian yang dianugerahkan ini mesti digembleng selari dengan kehendak-Nya supaya seluruh manusia dan makhluk yang lain merasai kemakmurannya.
Justeru, KERAJAAN dan RAKYAT mestilah menggalas tanggungjawab secara bersama.
6.
MASA HADAPAN Negeri Terengganu yang mahu kita lakarkan di atas kanvas kehidupan adalah indah sekali. Rakyat yang menjiwai hidup bertuhan, menghayati amalan keagamaan. Rakyat yang merasa aman, bebas daripada kesengsaraan. Rakyat yang mengikat tali persaudaraan, benci kepada perpecahan. Rakyat yang mencintai ilmu dan pendidikan, menghindari kejahilan. Rakyat yang bersyukur dengan kecukupan, menjauhi kekufuran. Rakyat yang sihat tubuh badan, menghijaukan persekitaran.
7.
Saya sentiasa berdoa kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala agar memberi taufik dan hidayah kepada kita semua, seluruh rakyat Negeri Terengganu untuk menjayakan peta perancangan ini. Insya-Allah.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,
8.
Saya mohon untuk membentangkan di Dewan ini Enakmen Perbekalan Tahun 2020 bagi menggunakan sejumlah wang dari Kumpulan Wang Disatukan untuk membiayai Perbelanjaan Bekalan, Perkhidmatan dan Pembangunan Negeri pada tahun 2020. Pembentangan lengkap dan perincian peruntukan Belanjawan 2020 ini terkandung dalam Buku Belanjawan Terengganu Tahun 2020.
9.
Kerajaan Negeri akan meneruskan inisiatif sedia ada yang telah dan sedang dilaksanakan, dengan melakukan perubahan untuk disesuaikan dengan kekangan kewangan negeri yang memuncak pada tahun 2020. Manakala pembentangan pada hari ini memfokuskan kepada sebahagian perkara-perkara baharu dan tertentu yang ingin dilaksanakan pada tahun 2020.
10.
Belanjawan Negeri Terengganu 2020 dirangka berasaskan kepada perancangan negeri dan kepentingan rakyat, di mana Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif menganjurkan bengkel Cadangan Belanjawan Rakyat Terengganu (CBRT) di setiap daerah dan melancarkan laman sesawang e-CBRT. Ini merupakan saluran penting bagi mengumpul cadangan daripada semua pemegang taruh (stakeholders) yang berkaitan.
11.
Susulan itu, sebanyak 1,367 cadangan telah diperhalusi dalam Retreat Belanjawan 2020 Negeri Terengganu bersama dengan agensi-agensi kerajaan dan diterjemahkan mengikut keutamaan dalam belanjawan kali ini. Hasilnya, 132 cadangan telah dipilih untuk dilaksanakan dalam Belanjawan 2020 Negeri Terengganu.
PRESTASI DAN PROSPEK EKONOMI
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,
12.
Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global berada pada tahap yang sederhana sekitar 3.2% pada Suku Kedua tahun 2019. Ia dipengaruhi oleh kelembapan ekonomi beberapa buah negara maju seperti Amerika Syarikat (2.3%), Jepun (1.2%), Kesatuan Eropah (1.1%) dan United Kingdom (1.2%). Perang perdagangan Amerika Syarikat yang menghadapi krisis bersama Iran dan China, ketidaktentuan gerakan Brexit yang masih berterusan dan krisis hutang Argentina dengan International Monetary Fund menyebabkan ekonomi global akan berhadapan dengan „serious risk recession’ dengan izin yang pertama sejak 10 tahun yang lalu.
13.
Namun, indikator ekonomi negara menunjukkan Malaysia masih berdaya tahan dan dijangka mencatatkan pertumbuhan sederhana sekitar 4.7% pada tahun 2019. Penggunaan swasta kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan. Sementara itu, pertumbuhan ekonomi Terengganu juga berada pada kadar yang perlahan iaitu 2.5% pada tahun 2018. Walau bagaimanapun, KDNK per kapita bagi Negeri Terengganu telah meningkat daripada RM29,855 pada tahun 2018 kepada RM30,216 pada tahun 2019.
14.
Kerajaan Negeri memikul bebanan kewangan yang agak besar setelah Jemaah Menteri membuat keputusan drastik dengan memotong 25% amaun Bayaran Tunai Petroleum (BTP) mulai tahun 2019 sebagai pembayaran semula hutang Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Persekutuan. Walaupun tindakan secara paksa ini telah menyusutkan hutang Kerajaan Negeri Terengganu pada nilai RM425 juta, tetapi ianya telah memberikan tekanan terhadap kedudukan kewangan negeri. Tambahan pula, kaedah pembayaran paksa ini akan melibatkan baki hutang yang belum cukup tempoh matang pembayarannya oleh Kerajaan Negeri. Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri juga mempunyai komitmen wajib bagi pembayaran tertangguh dan berjadual berjumlah RM403.48 juta sepanjang tahun 2020. Insya-Allah, kesukaran yang akan kita semua hadapi tahun 2020 ini akan berkurang pada tahun 2021 nanti setelah semua bayaran hutang Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Persekutuan sepenuhnya selesai pada tahun 2020 ini.
15.
Komitmen wajib ini melibatkan dua (2) projek keutamaan daripada pembayaran tertangguh (deferred payment) dengan izin iaitu Kerja-Kerja Membaik Pulih dan
Menaik Taraf Loji Rawatan Air di Bukit Sah, Kemaman dan Skim Bekalan Air Kuala Terengganu Utara. Manakala, empat (4) projek keutamaan daripada pembayaran berjadual (scheduled payment) adalah Pembangunan Pusat Pentadbiran Daerah Kuala Nerus, Pembangunan Muara Sungai Terengganu, Asrama Atlet Majlis Sukan Negeri Terengganu dan Pembangunan Bandar Baru Kijal Fasa 2.
16.
Ironinya, Kerajaan Persekutuan juga masih berhutang dengan Kerajaan Negeri sebanyak RM1.431 bilion sebagaimana yang dinyatakan di dalam surat Kementerian Kewangan pada Mac 2018 untuk pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur 2. Kita berharap pembayaran hutang tersebut juga dapat dilangsaikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri dengan kadar yang segera.
17.
Belanjawan Persekutuan 2020 yang diumumkan pada 11 Oktober 2019 di Dewan Rakyat lalu tidak memperuntukkan projek mega sebagai „catalyst’ dengan izin untuk memangkin perkembangan ekonomi Terengganu. Namun, kita tidak akan kecewa, sebaliknya akan berusaha lebih kuat untuk memakmurkan negeri yang disayangi ini.
18.
Kerajaan Negeri juga tetap optimis untuk menjalinkan hubungan yang baik dengan Kerajaan Persekutuan bahkan akan terus memperkukuhkannya demi kepentingan rakyat dan kemajuan negeri. Konsep Federalisme akan terus diperkasakan agar agihan kemajuan dan infrastruktur di Negeri Terengganu dapat dibangunkan seiring dengan negeri maju yang lain. Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri akan terus berusaha meneruskan perbincangan dan perundingan dengan agensi-agensi Kerajaan Pusat, Kementerian dan Jabatan-Jabatan untuk memperolehi manfaat dari Rancangan Malaysia ke-12 dan matlamat daripada Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
PERUNTUKAN BELANJAWAN 2020
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,
Anggaran Belanjawan Kerajaan Negeri Terengganu 2020
19.
Bagi tahun 2020, Kerajaan Negeri telah menyediakan dasar pengurusan bajet defisit 10% iaitu sebanyak RM166 juta. Anggaran Perbelanjaan Mengurus dianggarkan sebanyak RM1.832 bilion berbanding Anggaran Hasil yang bakal diperolehi sebanyak RM1.666 bilion. Daripada jumlah Anggaran Hasil tersebut, 85.41% adalah daripada Pemberian Kerajaan Persekutuan.
20.
Bagi melaksanakan Belanjawan Tahun 2020, Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan sebanyak RM1.832 bilion untuk Perbelanjaan Mengurus, RM700 juta untuk Perbelanjaan Pembangunan dan RM1.63 juta untuk Kumpulan Wang Bekalan Air.
21.
Pendapatan daripada Hasil Cukai adalah sebanyak RM66.93 juta, Hasil Bukan Cukai sebanyak RM170.37 juta dan Terimaan Bukan Hasil sebanyak RM1.43 bilion.
22.
Bagi melaksanakan strategi Belanjawan Tahun 2020, Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan sejumlah RM1.832 bilion untuk Perbelanjaan Mengurus. Daripada jumlah ini, sebanyak RM86.83 juta diperuntukkan bagi Perbelanjaan Tanggungan sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang dan sejumlah RM1.745 bilion untuk Perbelanjaan Bekalan.
23.
Di bawah Perbelanjaan Bekalan pula sebanyak RM277.59 juta untuk Emolumen, RM207.15 juta untuk Perkhidmatan dan Bekalan, RM28.52 juta untuk Aset, RM1.23 bilion diperuntukkan untuk Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap dan RM1.16 juta untuk Lain-Lain Perbelanjaan.
24.
Di bawah komponen Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap, sejumlah RM500 juta akan dicarumkan kepada Kumpulan Wang Pembangunan bagi menampung baki semasa sehingga 31 Oktober 2019 iaitu berjumlah defisit RM671 juta. Peruntukan ini adalah bagi tujuan melaksanakan projek-projek pembangunan. Sebanyak RM215 juta juga diperuntukkan bagi pemberian kepada Pihak Berkuasa Tempatan, Badan Berkanun dan pelbagai Agensi manakala RM145 juta bagi pemberian kepada Jabatan-Jabatan Kerajaan dan RM370 juta bagi pelbagai program di bawah kawalan Pejabat Setiausaha Kerajaan Vot B32 - Pelbagai Perkhidmatan.
25. Dari segi agihan di bawah Perbelanjaan Pembangunan, sebanyak RM618.49 juta (88%) diperuntukkan untuk Pembangunan Sosial merangkumi sektor Pendidikan, Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pembangunan Bandar & Luar Bandar, Sukan dan Perumahan. Sebanyak RM40 juta (6%) pula diperuntukkan untuk Pentadbiran merangkumi Teknologi Maklumat, Pentadbiran Am, Projek Khas dan Projek Penting Luar Jangka dan sebanyak RM41.6 juta (6%) untuk Ekonomi merangkumi Pertanian, Pelancongan dan Industri termasuk IKS.
26. Setelah mengambil kira semua aspek di atas, izinkan saya membentangkan Belanjawan 2020 bagi Negeri Terengganu yang bertemakan “MEMBINA GENERASI TERENGGANU SEJAHTERA”. Belanjawan ini akan didokong oleh lima (5) teras utama dan diperkukuhkan dengan 25 strategi dan 134 inisiatif. Lima (5) teras utama tersebut adalah:
Teras Pertama : Memartabatkan Pelaksanaan Islam
Teras Kedua : Menjana Pertumbuhan Ekonomi
Teras Ketiga : Membangun Modal Insan
Teras Keempat : Melestari Kehidupan Sejahtera
Teras Kelima : Memantapkan Penyampaian dan Tadbir Urus Negeri
TERAS 1: MEMARTABATKAN PELAKSANAAN ISLAM
Utaranya Besut, selatannya Kemaman, Timurnya laut, baratnya hutan, Al-Quran bukan sekadar bacaan, Suatu petunjuk panduan berkerajaan.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,
Strategi 1: Merancakkan Program Keagamaan dan Penghayatan Syariat Islam
27. Sejarah Batu Bersurat pada tahun 1303 Masihi dan penggubalan undang-undang tubuh Kerajaan Negeri, Itqan Al-Muluk bi Ta’dil As-Suluk pada tahun 1911 membuktikan bahawa Islam sudah terpahat erat dalam denyut nadi rakyat. Usaha penghayatan dan memartabatkan Islam ini diteruskan oleh Kerajaan Negeri Terengganu pada awal tahun 2000 dengan penggubalan dan pindaan Enakmen Undang-Undang Syariah Islam.
28.
Lantaran itu, bagi meneruskan kesinambungan pelaksanaan syariah dalam segenap aspek kehidupan rakyat, Kerajaan Negeri dalam proses akhir menyediakan beberapa polisi dan garis panduan patuh syariah seperti Garis Panduan Hiburan, Pelancongan, Sukan, Persembahan Kebudayaan dan Kerajaan Tempatan.
29.
Selari dengan penggubalan undang-undang dan penguatkuasaan peraturan, Kerajaan Negeri juga berusaha menyemarakkan penghayatan syariat Islam kepada semua lapisan masyarakat di setiap DUN melalui pelbagai aktiviti dan program yang bersesuaian seperti Klinik Hukum Agama, Taman Syurga di Pasar, Tautan Mahabbah Wanita dan Aktiviti Pelaksanaan Syariat iaitu Skuad Amar Makruf Nahi Mungkar. Bagi menjayakan agenda ini sebanyak RM1.9 juta diperuntukkan.
30.
Pada bulan Ramadan yang lalu, Kerajaan Negeri telah berjaya melaksanakan Program Madinah Ramadan selama sebulan di Padang Taman Awam Batu Buruk, Kuala Terengganu. Program ini telah memberi manfaat kepada ribuan pengunjung yang datang dan dihidangkan dengan pelbagai pengisian seperti iftar perdana, solat tarawih berjemaah, tazkirah, bicara ilmu dan fiqh wanita. Menyedari akan kepentingan program ini, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk meneruskan Program Madinah Ramadan pada tahun 2020. Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan meneruskan Bantuan Berbuka Puasa kepada seluruh masjid dan surau di Negeri Terengganu. Justeru itu, bagi merealisasikan hasrat ini sebanyak RM2.05 juta diperuntukkan.
31. Bagi memastikan semua kelompok masyarakat dapat meningkatkan kefahaman Islam, pihak Kerajaan Negeri akan membangunkan Modul Itqan Insani yang menggabungkan aspek fizikal, intelektual dan spiritual yang melibatkan pelajar
sekolah, belia, MPKK, penjawat awam dan kakitangan syarikat berkaitan kerajaan untuk memahami dasar-dasar Islam yang dibawa oleh Kerajaan Negeri.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,
Strategi 2:
Menyemarakkan Kecintaan Terhadap al-Quran
32.
Menyedari peri penting penghayatan al-Quran dalam sistem pendidikan, Kerajaan Negeri berhasrat untuk melahirkan lebih ramai lagi rakyat yang mencintai dan celik al-Quran. Justeru, bagi Program Skim Mus’ab Bin Umair, Kerajaan Negeri bercadang untuk menambahkan peruntukan pada tahun 2020 kepada RM7.85 juta. Peruntukan ini dijangka akan memberikan manfaat kepada 1,924 guru al-Quran di seluruh Negeri Terengganu.
33.
Kerajaan Negeri juga akan menganjurkan Program Kembara Menghayati al-Quran bersama Dai di samping akan meneruskan pemberian sagu hati atau elaun khas kepada guru agama dan tokoh ulama.
Dato’ Yang Dipertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,
Strategi 3: Mengembangkan Dakwah Islam
34.
Memahami bahawa dakwah itu merupakan satu tuntutan, pada tahun 2019 Kerajaan Negeri telah menubuhkan Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) sebagai agensi yang akan bertanggungjawab melatih para pendakwah dan merangka program-program pembangunan dakwah seiring dengan hasrat Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera.
35.
Kerajaan Negeri juga akan menubuhkan Pusat Dakwah Ummah yang pertama di Pulau Redang yang akan dibangunkan bagi melahirkan pendakwah dan mewujudkan masyarakat yang cintakan ilmu dan celik agama di kalangan penduduk setempat. Sasaran utama pelatih Pusat Dakwah Ummah adalah anak-anak remaja Pulau Redang dan Pulau Perhentian yang berusia 13-18 tahun. Sekaligus, menjadikan kedua-dua pulau ini sebagai lokasi Pelancongan Islam.
36.
Di samping itu, Kerajaan Negeri akan mewujudkan Program Smart Ukhuwwah sebagai platform menyantuni golongan bukan Islam. Program ini adalah bertujuan untuk merapatkanjurang antara kaum. Program ini juga akan menjadi wadah untuk menyampaikan mesej perpaduan sekaligus menjadikan bumi Terengganu sentosa sejahtera.
37.
Bagi menambah nilai dan kualiti para pendakwah, Kerajaan Negeri bercadang untuk mengadakan Himpunan Pendakwah Nusantara dan Ijtima’ Sukarelawan Dakwah yang melibatkan pendakwah dari dalam dan luar negara.
38.
Media sosial telah menjadi sumber rujukan bagi kebanyakan rakyat. Menyedari perkembangan ini, Kerajaan Negeri berhasrat untuk memanfaatkan saluran ini demi kepentingan dakwah. Oleh itu, satu Program Dakwah Kreatif akan dilancarkan untuk melahirkan para pendakwah maya yang mampu untuk membangunkan kandungan dakwah kreatif. Program ini adalah kerjasama dengan Urus Setia Penerangan Darul Iman dan pihak TD1303. Demi menyokong usaha dakwah ini, sebanyak RM1.8 juta diperuntukkan.
Dato’ Yang Dipertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,
Strategi 4: Mengimarahkan Institusi Masjid
39.
Masjid bukan sekadar syiar bahkan jantung, hati dan nadi ummah. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM17.5 juta untuk membina empat (4) buah masjid baharu di beberapa lokasi terpilih seluruh Negeri Terengganu.
40.
Selain itu, Kerajaan Negeri juga memperuntukkan sebanyak RM4 juta untuk kerja-kerja membaik pulih dan menyelenggara masjid sedia ada. Manakala, kos sebanyak RM2 juta akan diperuntukkan untuk membaik pulih Masjid Pulau Perhentian di Besut bagi kemudahan rakyat di sana.
41.
Di samping pembangunan fizikal masjid, Kerajaan Negeri juga menyediakan Bantuan Pengurusan Jawatankuasa Masjid yang berjumlah RM1.01 juta melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT). Bantuan ini bertujuan untuk
meningkatkan kecekapan pengurusan 514 buah masjid yang ada di seluruh Negeri Terengganu.
Dato’ Yang Dipertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,
Strategi 5: Membangunkan Institusi Pendidikan Islam
42. Kerajaan Negeri akan menubuhkan Pusat Tafaqquh Fi Din Tok Syeikh Duyung yang berkonsepkan Edu-Tourism di Taman Tamadun Islam yang akan dibangunkan dengan seni bina kayu tradisional Terengganu. Pondok ini akan menjadi pusat bagi melahirkan ulama serta guru yang mampu menguasai Kitab Turath. Selain itu, pusat ini juga akan menjadi pusat pengajian lanjutan kepada pelajar lepasan madrasah moden, Pondok Darul Iman serta pusat pengajian pondok serata tanah air. Diharap penubuhan pusat ini dapat mengembalikan semula kegemilangan Terengganu sebagai pusat ilmu Serambi Madinah. Bagi tujuan ini, sebanyak RM6 juta diperuntukkan.
43.
Bagi mengembangkan Pusat Pendidikan Islam dan meningkatkan kualiti pengurusannya, Kerajaan Negeri telah bersetuju menambah peruntukan daripada RM3 juta pada tahun 2019 kepada RM5 juta pada tahun 2020 bagi bantuan per kapita kepada sekolah pondok, tahfiz, sekolah agama rakyat dan pusat pendidikan yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).
44.
Manakala, bagi institusi pendidikan di bawah Kerajaan Negeri, pada tahun 2019, Kerajaan Negeri telah menubuhkan enam (6) buah Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) melibatkan 290 orang pelajar di Ajil, Pengkalan Berangan, Bukit Besi, Wakaf Mempelam, Kota Putera dan Buluh Gading. Bagi tahun 2020, sebanyak tiga (3) buah SRIDI yang baharu akan ditubuhkan di Kijal, Paka dan Permaisuri dengan anggaran kos keseluruhan RM3.52 juta.
45.
Adapun di peringkat pendidikan menengah, Kerajaan Negeri telah menyasarkan penubuhan sebuah Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) yang pertama di Terengganu. SMIDI ini akan ditubuhkan di Daerah Hulu Terengganu dengan peruntukan sebanyak RM30 juta.
46.
Lanjutan itu, bagi melengkapkan tahap pendidikan Islam di Negeri Terengganu bermula dari tahap pendidikan rendah sehingga tahap tertiari, maka Pihak Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM5 juta sebagai kerja-kerja awal dalam menubuhkan Kolej Universiti Quran Terengganu. Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri juga akan memperkenalkan konsep wakaf pendidikan bagi merealisasikan penubuhan kolej ini.
TERAS 2: MENJANA PERTUMBUHAN EKONOMI
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,
Strategi 1:
Mengukuhkan Industri Agrikultur
47.
Agrikultur merupakan sektor ekonomi yang diceburi oleh majoriti rakyat Terengganu. Sektor yang menjana sumber makanan ini menyumbang 8.2% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Meskipun kita berhadapan dengan gelombang Revolusi Industri 4.0 dan era transformasi ekonomi digital, namun Kerajaan Negeri tetap memberikan fokus utama kepada sektor pertanian dengan menyalurkan peruntukan berjumlah RM8 juta.
48.
Peruntukan ini bertujuan untuk mengembangkan industri berkaitan agrikultur, agroternak, akuakultur serta industri asas tani bagi menjamin sekuriti bekalan makanan, menghasilkan peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan rakyat dan mempelbagaikan sumber pertanian baharu dengan memanfaatkan teknologi terbaharu.
49.
Terengganu mempunyai lebih kurang 12 ribu hektar kawasan tanaman padi dengan 5,323 hektar berada di dalam kawasan jelapang padi manakala bakinya berada di luar jelapang padi dengan kemampuan pengeluaran beras hanya 5,000 tan metrik setahun atau 53% daripada keperluan sebenar beras Terengganu. Pengeluaran hasil padi perlu mencapai 10,000 tan metrik setahun secara konsisten untuk mencukupkan kadar sara diri (self sufficient level) dengan izin pengeluaran padi di Terengganu.
50.
Oleh itu, Kerajaan Negeri akan menaik taraf sistem pengairan dan saliran sawah padi di luar jelapang agar penanaman padi dua (2) kali setahun dapat dilaksanakan serta masalah pengairan yang dihadapi pesawah padi di luar jelapang dapat diatasi.
51.
Kerajaan Negeri juga akan meneruskan projek pembangunan Kompleks Pertanian Ajil dan Kompleks Pertanian Sekayu. Selain itu, Bantuan Mekanisasi Pertanian turut diberikan seperti blower, pam racun, pam air dan jentera pembajak. Semua perkara ini akan dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak RM1.2 juta.
52.
Bagi meningkatkan pengeluaran hasil pertanian, Kerajaan Negeri akan melaksanakan projek transformasi sistem tanaman tradisional kepada tanaman fertigasi. Projek-projek pembangunan penanaman seperti cendawan, sayur dan buah-buahan juga akan dilaksanakan. Bantuan tampungan harga untuk pembelian duku serta industri madu turut tidak diabaikan. Bagi menjayakan semua perkara di atas, maka Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM1.05 juta. Sukacita dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri dengan kerjasama Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim telah menubuhkan Hab Pengembangan dan Pemprosesan Cendawan (HPPC) yang pertama di Malaysia bertempat di Kampung Tempinis, Jabi dalam rangka untuk memperkasakan lagi industri cendawan.
53. Sebagai rekod, sejak dilancarkan pada 29 Januari 2019 sehingga bulan September 2019, sebanyak 118 permohonan telah diluluskan melalui Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) meliputi pelbagai bidang perusahaan dalam sektor pertanian, perikanan, penternakan dan industri asas tani dengan jumlah keseluruhan mencecah RM2.46 juta. Ekoran sambutan hangat dan menggalakkan daripada pelbagai lapisan rakyat, masih banyak lagi berbaki permohonan SBMT bagi tahun 2019 yang sedang diproses oleh Jawatankuasa Induk SBMT berjumlah kira-kira RM1.46 juta. Melihat keberkesanan SBMT dalam membantu rakyat menyelesaikan masalah modal untuk menceburi sektor pertanian, maka Kerajaan Negeri akan terus memperuntukkan skim pinjaman patuh syariah tanpa faedah ini dengan jumlah sebanyak RM5 juta pada tahun 2020.
54.
Memahami akan bebanan dan ancaman yang dihadapi oleh para petani dan nelayan ketika musim tengkujuh, Kerajaan Negeri akan mewujudkan Tabung
Bencana Petani bagi meringankan bebanan tersebut. Sebanyak RM500 ribu akan diperuntukkan untuk tabung ini.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,
Strategi 2: Mengembangkan Sektor Agroternak
55.
Dua (2) fokus utama akan diberikan untuk mengembangkan sektor penternakan di Terengganu. Pertama, menaik taraf infrastruktur penternakan seperti Ladang Informasi Veterinar Terengganu, Ladang Integrasi Veterinar Dungun, Projek Homplot Rakyat, Pasar Ternakan, Padang Ragut Awam dan Pusat Pemprosesan Arnab. Sejumlah RM2.6 juta diperuntukkan untuk menyiapkan semua infrastruktur tersebut.
56.
Fokus yang kedua pula ialah membangunkan projek penternakan seperti projek hab penternakan lembu sado, lembu tenusu, projek kambing komersial, kambing tenusu, arnab pedaging dan unggas. Semua projek tersebut akan diperuntukkan sebanyak RM1.25 juta.
57.
Selain itu, projek transformasi ternakan yang memfokuskan kepada menaik taraf projek penternakan skala kecil dan sederhana ke arah yang lebih berdaya saing akan turut dilaksanakan. Kerajaan Negeri mahu kesemua projek agroternak ini akan memberikan manfaat kepada rakyat Terengganu selaras dengan slogan „Mu Buat Kami Bantu’.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,
Strategi 3: Memperkaya Sektor Akuakultur
58.
Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan untuk memperkaya sumber perikanan. Pada tahun 2019, sebanyak 50 unjam tiruan dan 23 unit tukun seberat 15 tan telah dilabuhkan di sekitar perairan Terengganu. Tukun tiruan yang dilabuhkan ini disamping menjadi „rumah ikan’ yang akan memperkayakan lagi sumber perikanan, ia juga mampu menjadi penampang kepada pencerobohan pukat tunda. Justeru, pada tahun 2020, lebih banyak unjam dan tukun tiruan akan dilabuhkan.
59.
Manakala, bantuan benih ikan akan disalurkan kepada penternak kecil untuk meningkatkan tahap pengeluaran mereka. Sebagai tambahan, benih ikan juga akan terus dilepaskan ke perairan umum demi memperkayakan sumber perikanan yang menjadi rezeki kepada nelayan darat.
60.
Kerajaan Negeri juga akan memberi bantuan kepada para nelayan untuk membeli pukat dan bubu. Di samping itu, bagi meningkatkan kemahiran kepada para pemain sektor akuakultur, maka program seperti kursus, seminar dan latihan kemahiran berterusan akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri. Semua aktiviti akuakultur ini akan diperuntukkan sebanyak RM1 juta.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,
Strategi 4: Menggalakkan Pelaburan, Memantapkan Perdagangan
61.
Kerjasama erat antara East Coast Economic Region Development Council (ECERDC) dan Kerajaan Negeri Terengganu juga telah merealisasikan pelaburan swasta berjumlah RM3.59 bilion sepanjang 2019; iaitu 12 syarikat di sektor pembuatan, masing-masing satu (1) syarikat di sektor pertanian, pendidikan dan minyak & gas; tiga (3) syarikat di sektor perkhidmatan dan tujuh (7) syarikat di sektor pelancongan dan hartanah.
62.
Kerajaan Negeri juga telah menawarkan insentif-insentif pelaburan yang menarik seperti diskaun ke atas premium tanah antara 10% hingga 50%, pembayaran premium tanah secara ansuran selama setahun dan rebat 30% ke atas premium tanah bagi pelabur yang melaksanakan projek dalam tempoh yang ditetapkan. Dengan ini, Kerajaan Negeri akan terus berusaha untuk meningkatkan lagi promosi pelaburan di Negeri Terengganu dengan kerjasama agensi–agensi yang berkenaan.
63.
Infrastruktur di kawasan perindustrian akan dinaik taraf dengan peruntukan sebanyak RM2 juta. Beberapa kawasan perindustrian akan mendapat manfaat antaranya Kawasan Perindustrian Perasing, Bukit Labohan, Kerteh, Kawasan Perindustrian Wakaf Tapai dan Kawasan Perindustrian Batu 7, Dungun.
64.
Kerajaan Negeri juga ingin berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang akan meneruskan projek-projek ECERDC seperti Taman Biopolimer Kerteh Fasa 2 & 3, Pembangunan Pusat Bandar Kuala Terengganu (KTCC) dan Pembinaan Jalan dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu ke KTCC.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,
Strategi 5: Merancakkan Pelancongan dan Kebudayaan
65.
Negeri Terengganu sememangnya berpotensi dan terkenal dengan anugerah khazanah alam semulajadi, seni, budaya dan warisan yang mengandungi kepelbagaian produk dan destinasi pelancongan. Ini menjadikan Negeri Terengganu antara destinasi pelancongan utama negara yang menyaksikan peningkatan kehadiran pelancong sebanyak 9.8% dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun 2019 berbanding tempoh yang sama pada tahun 2018.
66.
Kerajaan Negeri juga akan mempromosikan pelancongan dengan lebih agresif dan berimpak tinggi menerusi pelbagai saluran domestik serta antarabangsa. Untuk tujuan itu, sejumlah RM4.5 juta akan diperuntukkan.
67.
Kerajaan Negeri juga optimis dengan potensi ekonomi sektor pelancongan dengan menganjurkan acara berprestij yang berkonsepkan keunikan Negeri Terengganu. Pelbagai „signature events’ dengan izin akan dirangka dengan partisipasi masyarakat setempat. Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM4 juta bagi penganjuran acara sehingga ke taraf antarabangsa.
68.
Pulau Bidong yang turut dikenali sebagai “The Little Saigon” merupakan khazanah warisan sejarah Negeri Terengganu. Peninggalan sejarah ini akan dimajukan dan dijadikan sebagai salah satu produk pelancongan budaya (Culture Tourism) dengan izin dengan peruntukan RM1 juta.
69.
Kita patut berbangga kerana Tasik Kenyir mendapat pengiktirafan tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara yang mencatatkan kehadiran pelancong sebanyak 776 ribu orang pada tahun 2018. Dengan keluasan 260 kilometer persegi, Tasik Kenyir menempatkan lebih 380 buah pulau dan lebih 14 buah air terjun dan
jeram. Tasik ini juga boleh diisytiharkan sebagai “Kenyir Hornbills Valley” dengan izin kerana 10 daripada 12 spesies burung kenyalang telah ditemui. Lantas, bagi meningkatkan mutu pengurusan di tasik ini sebanyak RM3 juta telah diperuntukkan.
70.
Selain daripada meneruskan Program Pekan Budaya, Kerajaan Negeri juga turut mengambil inisiatif baharu dengan mewujudkan sebuah Perkampungan Budaya di perkarangan Muzium Negeri sebagai salah satu pakej warisan (heritage trail) yang boleh dilawati oleh pelancong yang berkunjung ke Negeri Terengganu. Kerajaan Negeri yakin dengan inisiatif yang diperuntukkan sebanyak RM1 juta ini akan dapat terus mengekalkan identiti dan warisan serta budaya masyarakat Negeri Terengganu.
71.
Sebagai insentif untuk memastikan segala perancangan aktiviti pelancongan dan kebudayaan berjalan dengan lancar, maka Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sejumlah RM1 juta kepada badan pengurusan rasmi pelancongan dan kebudayaan. Insentif ini akan meningkatkan produktiviti secara optimum dan mampu mempotretkan Terengganu sebagaimana yang diungkapkan “negeri cantik, budaya menarik, orangnya baik-baik”.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,
Strategi 6: Menyediakan Latihan Keusahawanan dan Kemahiran Perniagaan
72.
Menurut buku Tinjauan Ekonomi 2020 yang diterbitkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia, antara punca pengangguran adalah disebabkan kekurangan kemahiran interpersonal dan ketidakpadanan antara kemahiran yang diperlukan oleh industri dengan kelayakan yang diperoleh oleh graduan.
73.
Oleh itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM1.9 juta bagi meningkatkan kemahiran rakyat. Salah satu inisiatif yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri adalah Program Keusahawanan Digital (Zero to Hero) yang akan melatih rakyat Negeri Terengganu untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan sebagai salah satu sumber pendapatan. Program ini akan dilaksanakan oleh pihak TD1303 dan Yayasan Pembangunan Usahawan.
74.
Kerajaan Negeri juga akan menganjurkan pelbagai aktiviti bermanfaat untuk membantu usahawan seperti klinik usahawan, latihan start-up perniagaan dan latihan pengembangan perniagaan. Bagi tujuan mempromosikan produk usahawan pula, program Halal Fest, Minggu PKS, Malaysian Festival, Terengganu Showcase dan Ekspo Usahawan akan turut dianjurkan.
75.
Bagi menjenamakan dan mempromosikan usahawan Food Truck di Negeri Terengganu, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM150 ribu untuk menyediakan Hot Spot Food Truck di kawasan yang terpilih.
76.
Selari dengan manifesto PRU Ke-14 yang lalu, Kerajaan Negeri menyediakan dana yang berjumlah RM10 juta dalam Tabung Usahawan Sejahtera (TUGAS) pada tahun 2019. Tabung ini melibatkan Skim Pembiayaan Peningkatan Perniagaan Terengganu (SP3T), Tabung Siti Khadijah (TSK), Skim Pembiayaan Atas Talian Terengganu (SPINT), Dana Usahawan dan Industri Mikro Terengganu (DUIT), Dana Prihatin Terengganu – OKU (D-HATI), Skim Pembiayaan Mobile Truck (SPMT), Terengganu Capacity Enhancement Programme (T’CAP), Skim Bantuan Usahawan Mualaf dan Skim Pembiayaan Khas Bazar Ramadan 2019. Bagi tahun 2020, Dana TUGAS ini akan diteruskan dengan penambahan satu lagi skim bantuan iaitu Dana Usahawan Industri Asas Tani (DUNIA). Semoga dana yang besar ini dapat dimanfaatkan secara optimum oleh seluruh rakyat Terengganu.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,
Strategi 7: Membangunkan Negeri Sejajar Revolusi Industri 4.0
77. Kerajaan Negeri akan mengambil inisiatif untuk menjayakan satu Pelan Pembangunan Industri Digital dengan peruntukan awal sebanyak RM500 ribu. Projek ini diutamakan supaya selari dengan penjajaran trend global Revolusi Industri 4.0.
78. Selain itu, dalam mentransformasikan Terengganu berkonsepkan Smart City, Kerajaan Negeri akan melaksanakan beberapa inisiatif secara berperingkat seperti smart traffic lights, automatic boom gate, face recognition, Artificial Intelligence Park dan AI-CCTV dengan peruntukan sebanyak RM3 juta.
79.
Pelaksanaan inisiatif ePembayaran melalui penjenamaan Terengganu Pay adalah merupakan satu pendekatan Kerajaan dalam mewujudkan persekitaran cashless society di kalangan rakyat Negeri Terengganu. Pada tahun 2020, gerbang pembayaran Terengganu Pay akan diperkenalkan dengan anggaran kos pembangunan sistem aplikasi sebanyak RM390 ribu.
80.
Pada masa hadapan, Kerajaan Negeri juga berhasrat untuk mewujudkan banyak lagi cashless zone seperti di pulau-pulau peranginan, Pasar Payang, premis perniagaan, restoran dan sebagainya selain turut berhasrat memperkenalkan inisiatif Terengganu Digital eWallet (KOCEK).
Teras 3:
Membangun Modal Insan
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,
Strategi 1:
Menyediakan Bantuan Sokongan Pendidikan
81.
Bagi mengekalkan kecemerlangan pendidikan di Negeri Terengganu, kerajaan telah merangka beberapa program sokongan pendidikan, antaranya adalah Tuisyen Rakyat Terengganu, Kursus Motivasi Peperiksaan Awam di setiap DUN, pemerkasaan Schoolwide Enrichment Model (SEM), bantuan pelajar sekolah premier, elit, imtiaz dan sekolah agama bantuan kerajaan. Kesemua program ini melibatkan peruntukan sebanyak RM1 juta.
82.
Sokongan secara langsung juga telah dilakukan oleh kerajaan untuk pihak sekolah mencetak bahan kecemerlangan melalui Program Kecemerlangan Pendidikan. Bahkan program ini juga menekankan kepada aktiviti penguasaan Bahasa Inggeris sekaligus meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris para pelajar terutamanya apabila di alam pekerjaan nanti. Sejumlah RM5.3 juta akan diperuntukkan untuk program ini.
83.
Bagi menambah baik kaedah pembelajaran kanak-kanak, Kerajaan Negeri mewujudkan TS Brilliant Kids dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Keluarga
(YPK) yang melibatkan 70 buah taska. Selain itu, Kerajaan Negeri juga berhasrat menganjurkan Kids Coding Programme bagi tujuan menarik minat dan mencari bakat muda di kalangan kanak-kanak berusia 7 hingga 12 tahun dengan kerjasama pihak TD1303. Kedua-dua program ini akan diperuntukkan sebanyak RM1 juta.
84.
Kerajaan Negeri sangat prihatin dan menitikberatkan pendidikan anak-anak Terengganu. Oleh itu, Kerajaan Negeri akan mewujudkan Tabung Siswa Pelajar dengan peruntukan sebanyak RM10 juta. Tabung ini bertujuan untuk menyediakan pinjaman pembiayaan yuran pengajian untuk ijazah pertama dalam dan luar negara.
85.
Pada tahun 2019, seramai 123 orang pelajar peringkat sarjana muda telah mendapat manfaat melalui program Biasiswa Pelajar Cemerlang untuk melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara. Peruntukan pada tahun 2020 dinaikkan kepada RM10 juta untuk membiayai seramai 250 orang mahasiswa.
86.
Manakala, bagi Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang Peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah, Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM2.6 juta untuk 125 orang siswazah dalam negara. Untuk rekod pada tahun ini, seramai 38 siswazah telah mendapat manfaat melalui skim ini.
87.
Bagi meringankan bebanan persiapan pengajian anak-anak, Bantuan Persediaan IPT akan diteruskan sebagai pemberian one-off persediaan kepada anak Terengganu yang melanjutkan pelajaran di pelbagai peringkat pendidikan dengan peruntukan sebanyak RM20 juta. Bagi tahun 2019, seramai 16,471 orang pelajar telah menerima manfaat.
88.
Biasiswa Program ACCA (Association of Chartered Certified Accountants) juga akan diteruskan pada tahun 2020 dengan penambahan peruntukan sebanyak RM1.26 juta yang akan melibatkan pembiayaan kepada 30 orang anak Negeri Terengganu dalam bidang ini.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,
Strategi 2:
Memperkasakan Pengetahuan dan Kemahiran Rakyat
89.
Marcapada ini, dunia berkembang pesat dengan pelbagai teknologi yang mengubah kehidupan harian. Namun, untuk memastikan kita tidak ketinggalan dengan perkembangan semasa, kerajaan mengambil pendekatan mempersiap rakyat dengan kursus, latihan dan program pembangunan sumber manusia.
90.
Bagi tujuan tersebut, sebanyak RM1.2 juta diperuntukkan untuk Program Kelas Maya dan Pelbagai Latihan Pendigitalan bagi memastikan rakyat Negeri Terengganu bersedia dalam menghadapi Ekonomi Digital dan Revolusi Industri 4.0.
91.
Manakala, bagi tujuan pengurusan dan juga program-program pembangunan sumber manusia negeri, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM2 juta kepada Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (T-HRDC). Dalam masa yang sama, satu sistem data perangkaan maklumat sumber manusia akan disediakan bagi mengenal pasti program pembangunan yang bersesuaian dengan sumber yang ada di Negeri Terengganu.
92.
Selain itu, latihan dalam bidang kemahiran yang lain juga turut menjadi fokus Kerajaan Negeri. Pada tahun 2019, Terengganu Skills Enhancement Program for School Leavers, (TSEP-S) telah dilaksanakan dengan penyertaan daripada 26 orang peserta siri pertama dan 13 orang siri kedua. Bagi tahun 2020, Kerajaan Negeri akan meneruskan program ini dengan peruntukan sebanyak RM1 juta.
93.
Kerajaan Negeri juga akan melaksanakan kursus penternakan bagi golongan belia Terengganu, latihan kemahiran berkaitan ECRL dan program Train & Place Scaffolder yang akan melibatkan kos sebanyak RM1.6 juta.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,
Strategi 3: Membangunkan Institusi Insani
94.
Bagi melunaskan janji manifesto PRU-14, Kerajaan Negeri akan menubuhkan Pusat Pemulihan Penagih Dadah bagi merawat penagih dadah di Negeri Terengganu. Bagi memastikan pusat ini dibina dengan jayanya, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM4 juta untuk tujuan kajian, kerja-kerja infrastruktur dan pengurusan pusat pemulihan.
95.
Selangkah ke hadapan, Kerajaan Negeri bercadang untuk mewujudkan Pengajian Tahfiz Mandarin supaya dapat melahirkan para pelajar yang bukan hanya mampu menguasai pengajian Islam, tetapi juga kemahiran kepelbagaian bahasa yang menjadi kekuatan sebagaimana dimiliki oleh ulama-ulama terdahulu.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,
Strategi 4: Meneruskan Kecemerlangan Sukan
96.
Sekolah Sukan Bukit Nenas, Setiu telah melahirkan ramai atlet negeri yang mampu bersaing di peringkat negara dan antarabangsa. Bagi memastikan lebih ramai atlet dilahirkan dari semasa ke semasa, Kerajaan Negeri bersetuju menyediakan sejumlah RM300 ribu untuk menguruskan keperluan serta kemudahan sukan berkaitan.
97.
Kerajaan Negeri turut mendokong seruan Kerajaan Persekutuan ke arah negara sihat dengan menjadikan sukan sebahagian gaya hidup. Oleh itu, RM4.5 juta diperuntukkan bagi mengadakan kembali pertandingan liga sukan utama dan memajukan sukan massa serta akar umbi seperti bola sepak, sepak takraw dan badminton di antara daerah, termasuklah pelaksanaan Liga Darul Iman serta kejohanan sukan-sukan teras yang lain.
98.
Penubuhan Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu (UBSNT) telah berjaya direalisasikan menerusi ucapan Belanjawan 2019. Bagi memastikan urus setia ini terus bergerak seiring dengan perkembangan semasa, peruntukan sebanyak RM4.2
juta akan disediakan merangkumi peruntukan untuk pengurusan dan program-program sukan, pembangunan belia dan NGO. Antara aktiviti yang dijalankan adalah seperti Fit is Sunnah (FITS), Bengkel Garis Panduan Sukan dan Kejohanan Badminton Belia.
99.
Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dan mengambil cakna terhadap fasiliti dan kemudahan sukan. Dalam memastikan fasiliti ini dapat digunakan secara optimum, Kerajaan Negeri bersetuju memperuntukkan sejumlah RM13.2 juta bagi tujuan membaik pulih dan menaik taraf gelanggang-gelanggang futsal dan pembangunan Kompleks Sukan Menembak Terengganu serta membina sebuah bangunan skuasy tertutup di Kompleks Sukan Negeri Terengganu.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,
Strategi 5: Mempersiap Generasi Belia Masa Hadapan
Sesungguhnya bangsa itu akan kekal selagi mana akhlak yang baik ada, dan apabila hilangnya akhlak itu bangsa itu akan hilang.
(Ahmed Shawqi, Penyair Arab)
100. Dalam merangka pembangunan belia yang mapan dan mampu bersaing di peringkat negara dan antarabangsa, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM3 juta kepada Persatuan dan Aktiviti Belia Negeri Terengganu.
101. Bagi mengatasi masalah akhlak dalam kalangan pelajar sekolah dan mengikat hati remaja kepada Institusi Masjid melalui pelbagai aktiviti patuh syariah, satu Program Sahabat Remaja Rabbani (Sahabat) akan dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak RM290 ribu.
102. Dalam masa yang sama, bagi melahirkan kepimpinan pelajar di peringkat sekolah, Kerajaan Negeri merintis sebuah platform baharu yang disebut sebagai Protégé. Program ini dianggarkan melibatkan kos sebanyak RM500 ribu untuk dilaksanakan di pelbagai institusi pendidikan khususnya sekolah menengah di Negeri Terengganu. Golongan pelapis ini akan diberikan latihan secukupnya bagi meningkatkan kualiti kepimpinan setiap peserta.
TERAS 4: MELESTARI KEHIDUPAN SEJAHTERA
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,
Strategi 1: Menyediakan Sistem Sokongan Keluarga
103. Keluarga yang bahagia datangnya dari jiwa yang sejahtera. Kerajaan Negeri melihat kepentingan untuk mengurangkan bebanan dan tekanan kepada ibu bapa dalam menguruskan keperluan anak-anak. Oleh itu, Kerajaan Negeri akan meneruskan pemberian bantuan pakaian dan alatan kepada pelajar sekolah dengan memperuntukkan sebanyak RM10 juta. Bantuan ini dijangka akan memberi manfaat kepada 89,000 pelajar.
104. Selain itu, empat (4) buah taska baharu akan diwujudkan di pejabat-pejabat jabatan dan agensi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan demi manfaat rakyat Negeri Terengganu. Inisiatif ini diharap dapat memudahkan ibu bapa yang bekerja untuk menguruskan anak-anak.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,
Strategi 2: Menitikberatkan Penjagaan Kebersihan dan Kesihatan
105. Kerajaan Negeri akan terus merancakkan Kempen Terengganu Bersih dengan sokongan penuh semua pihak supaya menjadi nilai tambah yang akan menarik kedatangan pelancong ke negeri ini. Justeru, pada tahun hadapan Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM70 juta berbanding RM50 juta pada tahun 2019, bagi menjalankan kerja-kerja dan aktiviti berkaitan kebersihan di seluruh Negeri Terengganu termasuk pulau-pulau peranginan.
106. Bagi meningkatkan kecekapan pelupusan sisa buangan pula, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM3 juta untuk menjalankan kerja-kerja fasa pertama pembinaan Pusat Pelupusan Sampah Sungai Ikan 2. Kos keseluruhan projek berkeluasan 34.863 hektar ini dianggarkan berjumlah RM43 juta.
107. Program Saringan Pap Smear dan Mamogram secara percuma yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri telah mendapat sambutan oleh hampir 4,400 orang wanita. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM300 ribu bagi meneruskan program ini sebagai salah satu kaedah pencegahan terhadap kanser payudara dan kanser pangkal rahim.
108. Selain itu, Kerajaan Negeri juga memperuntukkan sebanyak RM3 juta untuk menubuhkan satu lagi pusat dialisis bagi meringankan beban kewangan penduduk negeri ini yang mempunyai masalah buah pinggang untuk menjalani rawatan hemodialisis.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,
Strategi 3: Menyediakan Kediaman Mampu Milik untuk Rakyat
Nabi Muhammad SAW bersabda mafhumnya, “Antara perkara yang membahagiakan anak Adam itu ialah jiran yang baik, kenderaan yang baik dan tempat tinggal yang selesa.”
(Riwayat Ahmad)
109. Berdasarkan petunjuk Nabi Muhammad SAW ini, Kerajaan Negeri komited bagi memenuhi keperluan dan permintaan terhadap rumah dalam kalangan rakyat terutamanya untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Rumah adalah salah satu aspek penting yang menjamin kesejahteraan hidup seseorang.
110. Oleh itu, projek pembinaan Rumah Mampu Milik (RMM) di Tajin, Hulu Terengganu dan Tok Jembal, Kuala Nerus yang dilancarkan pada bulan Julai 2019 melibatkan 410 unit rumah diteruskan pada tahun 2020 dengan peruntukan sebanyak RM14 juta.
111. Projek perumahan ini juga diteruskan di Tempinis, Besut yang dibangunkan oleh Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) melibatkan 100 unit rumah. Manakala projek perumahan di Gong Chengal, Kemaman melibatkan 200 unit rumah. Kedua-dua projek perumahan ini akan mendapat peruntukan sebanyak RM15.5 juta dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.
112. Dasar Perumahan Baharu yang mesra pelabur dan patuh syariah telah kita lancarkan demi mewujudkan lebih banyak rumah mampu milik untuk rakyat Terengganu melalui peranan syarikat dan swasta. Bagi tahun 2020, Kerajaan Negeri menyasarkan 4,000 unit Rumah Mampu Milik akan dibina melalui kerjasama kerajaan dan swasta.
113. Dasar Perumahan Baharu ini sudah pun berjalan di mana sebanyak 348 buah rumah mampu milik yang sedang dibina di Pasir Akar, Besut dan yang akan dibina di Mak Lagam, Kemaman melibatkan 1,959 unit rumah.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,
Strategi 4: Menjamin Kebahagiaan Keluarga
114. Bagi memudahkan pengurusan keluarga Islam, Kerajaan Negeri akan membangunkan Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia (SPPIM) dengan peruntukan sebanyak RM450 ribu.
115. Program Walimatulurus Perdana yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM1.5 juta. Kerajaan Negeri juga menjemput dan menggalakkan bapa dan ibu tunggal untuk turut sama menyertai program ini.
116. Sebagai sagu hati atas setiap kelahiran anak Terengganu, Kerajaan Negeri akan meneruskan Skim Permata Sejahtera yang akan disumbangkan ke akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) dengan peruntukan berjumlah RM1 juta.
117. Bagi menjayakan penubuhan Raudhatul Jannah yang merupakan pusat transit untuk melindungi golongan wanita dan kanak-kanak daripada pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi, Kerajaan Negeri akan mengorak langkah bersama-sama dengan pelbagai NGO berkaitan untuk menjayakan penubuhan pusat transit ini.
118. Kerajaan Negeri juga memperuntukkan sebanyak RM100 ribu dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bagi mengadakan Program Pendidikan Keselamatan Keluarga dan Anak (PEKA) di semua taska milik kerajaan dan swasta yang akan memberikan manfaat kepada 30,000 kanak-kanak di seluruh negeri ini.
119. Bagi menjamin kualiti hidup dan kesejahteraan warga emas agar lebih terurus dan berdikari, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM320 ribu untuk menjalankan aktiviti peringkat komuniti kepada golongan ini.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,
Strategi 5: Mengupayakan Pelbagai Segmen Masyarakat
120. Dalam memastikan keberkesanan fungsi NGO kepada masyarakat di Negeri Terengganu, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM200 ribu bagi menyokong pengurusan dan aktiviti NGO termasuk persatuan pesara.
121. Di Negeri Terengganu, terdapat lebih daripada 800 orang pemandu teksi yang merupakan duta pelancongan yang penting dalam sektor pengangkutan awam di negeri ini. Oleh itu, bagi melindungi dan menjaga kebajikan pemandu teksi, Kerajaan Negeri bersetuju untuk memperuntukkan sebanyak RM200 ribu sebagai bantuan Skim Keselamatan Sosial Pemandu Teksi.
122. Mengambil kira sambutan yang sangat baik daripada para remaja dan belia terhadap Program Lesen Motosikal Terengganu Sejahtera yang memberi manfaat kepada 25,000 orang pada tahun 2019, Kerajaan Negeri akan meneruskan program ini pada tahun 2020. Semoga inisiatif ini dapat membantu urusan kehidupan seharian mereka.
123. Penubuhan Tabung Darul Iman menjadikan penyelarasan bantuan-bantuan berkaitan penyakit kronik dan kebajikan sosial lebih sistematik dan efisien. Setakat hari ini, seramai hampir 6,000 penerima telah mendapat manfaat setiap tahun. Pada tahun 2020, tabung ini akan diteruskan dengan peruntukan berjumlah RM5 juta.
124. Demi memperkasakan perpaduan rakyat masa kini yang kian terhakis, pelbagai program akan dirangka bagi memastikan perpaduan rakyat berbilang kaum. Sementara itu, aktiviti berbentuk komuniti bersama masyarakat orang asli juga akan dilaksanakan. Oleh itu, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM500 ribu bagi memastikan perpaduan masyarakat di negeri kita terjamin.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,
Strategi 6: Menambah Baik Infrastruktur & Projek Pembangunan Awam
125. Untuk menghadapi masalah banjir yang berlaku saban tahun akibat limpahan air sungai dan sistem saliran yang berkeupayaan rendah, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi melaksanakan Projek Menambah Baik Sistem Perparitan di Chendering, Kuala Terengganu.
126. Perkhidmatan bekalan air bersih juga akan ditambah baik dengan penggantian paip-paip agihan yang baharu di kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti di seluruh negeri. Sejumlah RM14.8 juta di bawah peruntukan Bekalan Air Negeri disediakan bagi tujuan ini.
127. Sejumlah RM65 juta akan disalurkan menerusi Projek Pembangunan Kerajaan Tempatan dan Projek Pembangunan skala kecil di peringkat DUN. Ini bagi memastikan projek pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik ke arah kelestarian kehidupan sejahtera.
128. Memahami keperluan masyarakat di Hulu Terengganu yang memerlukan satu dewan serbaguna untuk melakukan pelbagai aktiviti, maka kerajaan bersetuju untuk memperuntukkan sebanyak RM4.5 juta bagi membina Dewan Serbaguna Hulu Terengganu yang mampu menampung kapasiti 3,000 orang.
TERAS 5: MEMANTAPKAN PENYAMPAIAN DAN TADBIR URUS NEGERI
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,
Strategi 1: Meningkatkan Kecekapan Penyampaian Maklumat
129. Pada era kepantasan maklumat tanpa sempadan dan ditambah dengan kecanggihan pelbagai peralatan serta aplikasi, penyampaian maklumat berkenaan dasar dan inisiatif Kerajaan Negeri secara tepat, pantas dan komprehensif adalah amat penting. Justeru, bagi merealisasikan hasrat ini, Kerajaan Negeri akan membangunkan studio dan bilik berita TV Darul Iman (TVDI) serta Radio ManisFM dengan peruntukan berjumlah RM500 ribu.
130. Bagi mengembangkan fungsi dan peranan UPDI ke arah menjadikan ia lebih berwibawa sebagai lidah rasmi Kerajaan Negeri, penubuhan dan pengoperasian UPDI di setiap daerah akan dijayakan dengan peruntukan sebanyak RM1 juta.
131. Selain itu, diperuntukkan juga sebanyak RM300 ribu bagi memastikan berita-berita mengenai Negeri Terengganu mendapat perhatian di akhbar dan portal berita arus perdana serta di media sosial supaya capaian penerimanya lebih luas.
132. MPKK pula selaku nadi jentera Kerajaan Negeri di peringkat komuniti perlu diperkasakan dalam aspek komunikasi massa, kemahiran tadbir urus dan kemampuan daya kepimpinan. Justeru, Kerajaan Negeri akan mengadakan kursus komunikasi berkesan dan pembangunan jati diri untuk semua anggota MPKK di seluruh negeri dengan peruntukan berjumlah RM240 ribu.
133. Selain itu juga, Dasar Integriti Darul Iman (DIDI) yang telah dilancarkan pada Ogos 2019 akan digerakkan secara berperingkat di kalangan kakitangan dan pentadbir negeri dengan peruntukan RM2.1 juta. Ini bagi menjadikan Terengganu sebuah negeri yang mencapai standard integriti terbaik dan membentuk “good governance” melalui konsep Amalan Tadbir Urus Rabbani (ATUR), sekaligus mengukuhkan kepercayaan dan keyakinan kepada Kerajaan Negeri.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,
Strategi 2: Menaik Taraf Prasarana Teknologi
134. Bagi memastikan rakyat Negeri Terengganu mendapat manfaat sepenuhnya daripada kewujudan Internet of Things (IoT) dan kehadiran teknologi 5G ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM3.85 juta bagi menaik taraf Projek Terengganu Wi-Fi dan meluaskan lagi lokasi jalur lebar percuma.
135. Pusat Internet Akses Rakyat (PINTAR) merupakan usaha untuk membantu masyarakat memperoleh capaian internet dan mampu memanfaatkan peluang yang tersedia dalam dunia tanpa sempadan. Pada April 2019 yang lalu, PINTAR Alor Limbat telah selesai dijenamakan semula dan kembali beroperasi. Seterusnya, Kerajaan Negeri juga akan menaik taraf 15 buah PINTAR dengan peruntukan sebanyak RM5.6 juta.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,
136. Cabaran sedang menunggu kita di gerbang tahun 2020. Namun, saya yakin dengan semangat muafakat yang ada dalam diri rakyat Terengganu, kita akan bersama-sama membangunkan negeri ini ke arah mencapai Negeri yang Maju, Berkat dan Sejahtera.
137. Setelah pengamalan Budaya Politik Matang dan Sejahtera dalam pentadbiran Kerajaan Negeri, kini kita sedang menyaksikan kuntuman bunga sedang harum mekar dalam taman yang dinamakan Muafakat Nasional.
Daratan menghijau langit membiru, Indahnya alam ciptaan tuhan, PAS UMNO dahulunya seteru, Kini kita saling bergandingan.
138. Alhamdulillah, PAS dan UMNO sudah menjalin kerjasama menerusi Muafakat Nasional untuk membangunkan negara dan Negeri Terengganu yang kita cintai ini atas dasar Islam. Oleh yang demikian, pihak Kerajaan Negeri berbesar hati
mengumumkan penyaluran bantuan am sebanyak RM250 ribu yang akan diberikan kepada setiap ADUN bukan kerajaan.
139. Inilah komitmen dan keseriusan pihak Kerajaan Negeri yang mahu melihat suasana politik di Negeri Terengganu dan Malaysia berlangsung dalam keadaan aman dan harmoni. Insya-Allah.
140. Sebagai mengakhiri ucapan pembentangan Belanjawan 2020, Kerajaan Negeri ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada penjawat awam yang berdedikasi dan komited sehingga meletakkan Negeri Terengganu antara negeri yang terbaik di Malaysia. Sebagai menghargai kerja keras dan kesetiaan penjawat awam, Kerajaan Negeri telah bersetuju memberikan sumbangan sejahtera kepada penjawat awam Negeri yang berjumlah RM500.
141. Marilah kita sama-sama berdoa agar Allah Subhanahu Wa Ta’ala melimpahkan lagi rahmat dan keberkatan-Nya ke atas Negeri Terengganu Darul Iman.
Itqan Al-Muluk Bi Ta’dil As-Suluk Teguhkan Kerajaan dan pemerintahan Belanjawan ini semoganya elok Agar ekonomi dapat dipertahan
Tanda itu Batu Bersurat Bukti Islam pernah dilaksana bicara Mari kita berganding erat Agar negeri maju berkat dan sejahtera
Sekianlah sahaja. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon menyokong cadangan itu.
Rang Enakmen ini telah mendapat sokongan bagi bacaan kali yang kedua. Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, bagi memberi peluang kepada semua Ahli Yang
Berhormat meneliti dengan baik, dengan tenang segala kandungan Ucapan yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, saya berhasrat untuk menangguhkan Persidangan Dewan ini kepada esok hari.
Oleh yang demikian, saya tangguhkan Persidangan Dewan ini kepada pukul 9.30 pagi esok, 25 November 2019. Marilah sama-sama kita menangguhkan dengan Tasbih Kafarah dan Suratul „Asr.
DEWAN DITANGGUHKAN PADA PUKUL 1.00 TENGAH HARI.