Terengganu · 12 August 2020
14th Assembly, 3rd session, 2nd meeting · 139 turns · 11,218 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalTerengganu publishes one PDF per meeting, with the written answers appended. Speakers are matched by our parser and will have some errors.
Soalan-Soalan LisanQuestions
Mesyuarat disambung semula. Bagi memberkati perjalanan sidang kita, marilah kita mulakan dengan Ummul Quran, Al-Fatihah.
Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah memberi notis untuk mengemukakan soalan-soalan Lisan pada hari ini, 12 Ogos 2020 adalah seperti berikut:
1 Yang Berhormat Wakil Kemasik
2 Yang Berhormat Wakil Permaisuri
Yang Berhormat Wakil Wanita
4 Yang Berhormat Wakil Tepoh
5 Yang Berhormat Wakil Batu Burok
6 Yang Berhormat Wakil Sura
7 Yang Berhormat Wakil Seberang Takir
8 Yang Berhormat Wakil Buluh Gading
9 Yang Berhormat Wakil Telemong
10 Yang Berhormat Wakil Manir
11 Yang Berhormat Wakil Hulu Besut
12 Yang Berhormat Wakil Rantau Abang
13 Yang Berhormat Wakil Bukit Besi
14 Yang Berhormat Wakil Pengkalan Berangan
15 Yang Berhormat Wakil Jerteh
16 Yang Berhormat Wakil Bandar
17 Yang Berhormat Wakil Air Putih
18 Yang Berhormat Wakil Batu Rakit
19 Yang Berhormat Wakil Ajil
20 Yang Berhormat Wakil Kuala Besut
Sekarang saya persilakan Yang Berhormat Wakil Kemasik untuk mengemukakan soalan.
YANG BERHORMAT Ir. SAIFUL AZMI BIN SUHAILI (Wakil Kemasik):
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan saya nombor 3-
Sejauh manakah perjalanan dan pengoperasian “GanuShop” dapat menjadi satu alternatif baharu kepada pengguna di Terengganu di samping aplikasi sedia ada sekarang seperti food panda, bungkus it, dan grab food? Apakah aplikasi ini digunapakai dengan meluas oleh rakyat Terengganu atau kurang mendapat sambutan?
Terima kasih Kemasik. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, rakan-rakan EXCO dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Soalan berkenaan dengan GanuShop seperti mana yang tertera di skrin. Aplikasi GanuShop telah menjadi satu alternatif kepada penjual dan pembeli terutama semasa bulan Ramadan yang lepas. Setelah kerajaan menetapkan bazar Ramadan tidak dapat beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Ramadan yang lalu. Sehingga kini 3,111 usahawan telah berdaftar sebagai penjual atau pembeli perkhidmatan dan 2,000 individu telah berdaftar sebagai pembeli atau pengguna dalam aplikasi GanuShop. Dalam tempoh Ramadan yang lepas sebanyak 14,989 transaksi urus niaga telah dicatatkan. Sehingga sekarang, aplikasi ini masih kurang mendapat sambutan. Aplikasi ini sedang ditawakufkan untuk proses penambahbaikan. Pihak YPU sedang merangka strategi untuk mempromosikan aplikasi GanuShop termasuk menambah ciri-ciri perkhidmatan yang lebih menarik. Terima kasih.
YANG BERHORMAT Ir. SAIFUL AZMI BIN SUHAILI (Wakil Kemasik): Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan tambahan pertama: Apakah langkah dan
strategi yang akan kerajaan ambil bagi memastikan aplikasi GanuShop lebih baik selepas beroperasi kembali.
Terima kasih pada soalan tambahan, Kemasik. Kerajaan akan mengadakan promosi GanuShop secara berterusan untuk meningkatkan bilangan penjual dan pembeli dari masa ke semasa. Mengadakan kursus secara berkala kepada penjual dan vendor-vendor. Kita juga akan mengadakan reward program kepada penjual dan pembeli bagi loyalti ke atas pengguna GanuShop, insya-Allah. Terima kasih.
YANG BERHORMAT Ir. SAIFUL AZMI BIN SUHAILI (Wakil Kemasik): Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan kedua: Bilakah jangkaan untuk GanuShop untuk kembali beroperasi dan apakah sasaran kejayaan yang telah ditetapkan serta kayu ukurnya?
Dato’ Yang di-Pertua, berkenaan dengan jangkaan masa GanuShop untuk beroperasi, insya-Allah ia akan mula beroperasi pada Oktober 2020 dengan penambahbaikan dan dijangka akan mendapat peningkatan lebih daripada 50% daripada bilangan penjual yang ada, insya-Allah. Kita target sekurang-kurangnya 4,500 bilangan penjual akan menyertai dalam GanuShop. Dengan adanya penambahbaikan bilangan penjual, dijangka transaksi jualan dalam GanuShop juga akan turut meningkat sekurang-kurangnya 50% berbanding dengan jualan sebelum ini. Beberapa perkhidmatan yang penambahbaikan kita, insya-Allah yang sedang di dalam pembangunan ini, kita akan perkenalkan GanuShop ini bukan sekadar menjadi platform untuk menjual dan membeli tetapi kita jadikan ianya lebih luas daripada itu seperti kita masukkan sekali perkhidmatan teksi, kereta sewa, e-hailing, perkhidmatan lori trak sebagai logistik, perkhidmatan bergerak macam pomen ataupun tampal tayar motosikal dan begitu juga perkhidmatan foodtruck. Terima kasih.
Seterusnya saya menjemput Yang Berhormat Wakil Wanita.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan saya soalan 1-
Sejauh mana penstrukturan semula TD1303 dan TOP IT dalam menjayakan Pelan Induk Sejahtera (PITAS 2030)
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan. Terima kasih kepada satu-satunya ADUN Wanita. Soalannya, sejauh mana penstrukturan semula TD1303 dan TOP IT dalam menjayakan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030). Kerajaan Negeri telah merangka penstrukturan semula TD1303 dan TOP IT di bawah satu entity baru yang diberi nama Terengganu Advance Joint Digital Intelligence Development Corporation, TAJDID Corp. dalam menjayakan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030). Walau bagaimanapun, sehingga hari ini, TOP IT masih di bawah YPK. Cuma kami berusaha untuk meningkatkan keupayaan business TOP IT dengan menjadikan syarikat-syarikat TOP IT lebih berdaya saing di masa akan datang. Sekian.
Soalan tambahan saya yang pertama: Setakat ini berapakah bilangan syarikat pemula atau startup yang telah dilahirkan oleh TD1303 dan sebenarnya berapakah sasaran syarikat pemula yang akan dilahirkan setiap tahun, sebab kalau kita tahu sasaran syarikat, kita akan dapat unjuran peluang pekerjaan yang baru bakal wujud di Negeri Terengganu ini.
Terima kasih kepada YB Wanita. Alhamdulillah. Sejak ditubuhkan pada 2018 sehingga sekarang, sebanyak 15 buah startup atau syarikat pemulaan telah berjaya dibangunkan oleh TD1303. Pada tahun ini sahaja, startup yang ada ini telah berjaya menyumbang sebanyak RM5 juta impak kepada ekonomi masyarakat setempat dalam bentuk peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat Terengganu. Antara syarikat yang telah berjaya dibangunkan di TD1303 adalah getrunner, Hungga Mart, ganufresh, Atomictee, eruncit.my, Thefulus, 3D Render IT dan lain-lain. Kita menyasarkan peringkat awal hanya lima startup setahun tetapi alhamdulillah pada tahun ini perkembangannya sangat baik dan kita meletakkan sasaran sepuluh setahun untuk melahirkan startup oleh kerana hari ini adalah peringkat awal. Saya
bagi contoh dari segi penjanaan ekonomi, syarikat getrunner Get Move Sdn Bhd di bawahnya ada 120 runner di Terengganu, Kelantan dan juga Kedah di mana Khazanah telah membeli 2% company share berjumlah RM20,000 dan nilai syarikat sekarang ini RM1 juta. Shadow Play Management, perkhidmatan e-dagang untuk Sabasun, hasil tahunannya 1.2 juta. Atomictee, syarikat pereka pakaian yang memfokuskan jualan dalam talian, hasil tahunan semenjak ditubuhkan di TD adalah RM180,000. Mereka mempunyai 300 orang freelancer, freelance, designer dengan izin di bawah Atomictee. Setakat Februari 2020 mempunyai sepuluh syarikat yang menggunakan khidmat Atomictee sebagai production iaitulah pengeluar dan yang keempat, Softbravo.net, yang menyediakan perkhidmatan e-Dagang dalam penyediakan aplikasi integrasi sistem dan membina laman sesawang, di mana jualan tahunan pada 2019 sahaja sebanyak RM240,000. Sekian.
Soalan tambahan saya yang terakhir: Apakah hala tuju kerajaan Negeri sendiri untuk memastikan TD1303 ini berkembang lebih pesat untuk melahirkan lebih ramai lagi usahawan ataupun syarikat pemula khususnya syarikat berasakan e-dagang ataupun pemasaran digital.
Agenda TD1303 adalah sebagai sebuah pemangkin kepada pembangunan industri 4.0 dan startup anak tempatan dalam mempromosikan ekonomi digital di Negeri Terengganu. Sejak Julai 2020, bagi memperkasakan TD1303, pengurusan TD1303 telah berpindah kepada MBI Corporated. Ia bertujuan untuk TD1303 dapat berfungsi dengan lebih baik dan memfokuskan terhadap pembangunan startup yang secara tidak langsung dapat meningkatkan ekonomi komuniti dan mewujudkan peluang pekerjaan baharu dalam ekonomi digital. Alhamdulillah dari segi kos operasi dan juga keuntungan sudah menampakkan pada bulan ini sahaja tanda-tanda bermulanya keuntungan dan insya-Allah bulan-bulan akan datang kita jangka TD1303 mampu untuk berdiri di atas kaki sendiri, insya-Allah dengan usaha yang lebih baik yang sedang dibangunkan sekarang ini dan kita mengadakan hubungan dengan pihak-pihak yang berkenaan kerajaan Pusat antaranya AMDEC, MAGIC dan lain-lain dan sekarang ini pun sedang berlangsung program-program bersama dengan AMDEC sehingga hujung tahun ini. Ianya bertujuan, TD1303 dapat berfungsi dengan lebih baik dan memfokuskan terhadap pembangunan startup yang secara tidak langsung dapat meningkatkan ekonomi komuniti dan mewujudkan peluang pekerjaan baharu di dalam ekonomi digital. Kerajaan Negeri
melalui TD1303 akan merancakkan lagi program pmbangunan startup bagi mewujudkan lebih ramai penglibatan belia remaja dalam arus ekonomi digital di Negeri Terengganu. Wallahu ‘alam. Sekian.
Sekarang saya jemput Wakil Tepoh.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua soalan saya nombor 2-
Sejauh manakah kejayaan pihak kerajaan Negeri memainkan peranan di dalam Joint Working Committee (JWC) untuk menarik kepentingan rakyat di negeri ini melalui Petronas?
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Terima kasih kepada Tepoh. Jawatankuasa kerja bersama kerajaan Negeri dan Petronas atau Joint Working Committee (JWC) mempunyai objektif bagi pengukuhan hubungan dua hala dan penjajaran kepentingan atau interest alignment dengan izin di antara kerajaan Negeri Terengganu dan Petronas melalui kerjasama yang rasmi untuk merealisasikan lanjutan faedah bersama daripada pembangunan petroleum di Negeri Terengganu. Menerusi kerjasama yang terjalin dengan Petronas, sejumlah RM15.5 juta telah dibelanjakan pada tahun 2019 bagi tujuan pendidikan dan pembangunan modal insan di Negeri Terengganu oleh pihak Petronas. Selain itu juga menerusi peranan yang dimainkan oleh JWC kerajaan Negeri juga berjaya mendapatkan komitmen daripada pihak Petronas dengan sumbangan yang diunjurkan berjumlah RM21 juta yang dikhususkan untuk program dan inisiatif berteraskan alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat bagi tahun 2015 hingga 2020. Penubuhan jawatankuasa tambahan kepada JWC yang berkaitan dengan minyak dan gas serta kontrak dan peluang perniagaan adalah berperanan bagi memastikan penglibatan kerajaan Negeri secara menyeluruh dalam aktiviti berkaitan minyak dan gas di Peninsular Malaysia Operation (PMO) khususnya dan Malaysia secara amnya. Terima kasih.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Soalan tambahan saya yang pertama: Selain daripada konsep CSR yang telah banyak dimainkan peranan melalui JWC apakah
lagi tawaran pihak kerajaan agar Petronas dapat laksanakan pelaburan yang lebih berkesan di Negeri Terengganu.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Tepoh. Selain daripada konsep CSR atau Corporate of Social Responsibility dengan izin menerusi jawatankuasa ini menerusi dua-dua pihak kerjasama secara smart partnership dengan izin merangkumi perkara berikut:-
1. Peningkatan pelbagai ruang perniagaan antara Petronas dan Negeri Terengganu.
2. Penyelarasan bagi program pembangunan vendor di Negeri Terengganu. 3. Bekerjasama dalam menangani dan mengatasi isu dalam tempoh agresif.
Untuk pembangunan Terengganu Silica Valley (TSV) kerajaan Negeri telah berunding dengan pihak Petronas berhubung dengan pembekalan gas dari Santong, Dungun ke Jambu Bongkok, Marang menerusi projek saluran paip gas dan infrastruktur bagi kilang-kilang yang bakal dibina di TSV. Kerajaan Negeri bersetuju untuk meluluskan pembangunan TSV secara organik oleh itu pembekalan gas buat masa ini akan dilakukan secara tanker mengikut keperluan pelabur dan telah dipersetujui oleh pihak Petronas. Terima kasih.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Soalan terakhir: Sejauh mana wakil kerajaan Negeri berusaha untuk memastikan faedah untuk rakyat Terengganu dapat diperolehi sepertimana peranan yang telah dimainkan oleh Sarawak JWC.
Terima kasih kepada Tepoh. Kerajaan Negeri melalui platform JWC telah memohon supaya Petronas dapat memberikan keutamaan kontrak-kontrak dan peluang perniagaan kepada syarikat-syarikat kepunyaan anak tempatan anak Terengganu. Kerajaan Negeri telah berjaya mengenengahkan Terengganu Petroleum Counsil (TPC) untuk membida tender-tender yang dikeluarkan oleh pihak Petronas. Sebagai rekod TPC diwujudkan di bawah seliaan Terengganu Inc. yang menjadi payung kepada syarikat-syarikat Terengganu dan dimiliki oleh anak-anak negeri yang saling bekerjasama mendapatkan kontrak yang ditawarkan. Berdasarkan kepada data setakat suku ketiga tahun 2019 terdapat sebanyak 381 buah syarikat di Negeri Terengganu yang berdaftar dengan Petronas. Sepanjang tempoh tersebut Petronas telah membelanjakan sebanyak RM351 juta bagi tender-tender kepada 105 buah
syarikat Negeri Terengganu. Syarikat-syarikat yang termasuk dalam kategori ini adalah sama ada syarikat milikan tunggal adalah pemegang saham terbesar adalah anak tempatan serta syarikat yang berkaitan kerajaan Negeri. Selain daripada itu juga Petronas bersetuju untuk meneruskan pelaksanaan pelbagai program berkaitan pendidikan, pembangunan modal insan, kesejahteraan komuniti dan alam sekitar seperti yang dilaksanakan tahun-tahun sebelum ini sebagai contohnya Program Trenglish yang berjaya dan pengajian pendidikan di Setiu Wetland. Terima kasih.
Seterusnya saya menjemput Wakil Sura.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua soalan saya nombor pertama-
Berapa jumlah kad sejahtera dan nilainya diberikan kepada rakyat pada tahun 2019 dan berapakah jumlah tuntutan yang telah dibuat?
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian.
Apa yang nak diketahui ataupun soalan yang dikemukakan oleh Wakil Sura adalah berkaitan dengan kad sejahtera. Yang nak ditahunya pada tahun 2019, berapa jumlah tuntutan yang telah dibuat dan beberapa orang yang telah menerima kad sejahtara. Untuk makluman ahli dewan sekalian, Dato’ Yang di-Pertua, jumlah penerima kad sejahtera bermula Julai 2019 sehingga 31 Disember 2019 setelah kita lancarkan ialah seramai 12,126 orang penerima. Nilaian kelayakan untuk setiap kad adalah sebanyak RM500 seorang setahun. Sehingga 31 Disember perbelanjaan yang telah dibayar hanyalah RM364,388.10. Terima kasih.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan tambahan saya yang pertama ialah: Saya ingin mendapat penjelasan berhubung kait dengan Kad Sejahtera ini di mana pihak kerajaan Negeri telah melancarkannya pada Julai 2019 yang mensasarkan 20,000 penerima dan dengan anggaran peruntukan yang diberi ialah lebih kurang RM10 juta. Jadi daripada penjelasan yang diberikan oleh Yang Berhormat EXCO tadi ialah menggambarkan masyarakat kita ini seolah-olahnya tidak berbelanja dengan peruntukan yang diberi. Dalam tempoh enam bulan, hanya sekadar RM364,388.10 sahaja sedangkan kalau kita kira dengan jumlah 12,126 orang itu sekurang-kurangnya kalau dengan peruntukan RM500 seorang, sekurang-kurangnya RM6 juta lebih dibelanjakan oleh rakyat dalam program ini. Jadi saya ingin dapat penjelasan mengapa berlaku perkara yang demikian.
Terima kasih Sura. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua dan Yang Berhormat semua, untuk makluman ini suatu program baharu, maka rakyat kita belum lagi saya ingat biasa dengan kaedah yang kita gunakan. Walaupun mereka telah mendapat kad tersebut tetapi tidak digunakan sepenuhnya kemudahan yang kita berikan. Mungkin kerana tadilah kerana belum ada maklumat atapun kesedaran di pihak pengguna-pengguna. Yang keduanya, penyertaan daripada klinik swasta yang menjadi panel kita juga agak berkurangan dan ada daerah yang ada satu klinik sahaja. Ini mungkin masalah kepada pesakit-pesakit untuk dapat rawatan di klinik yang berkenaan. Ini kita telah menawarkan kepada klinik, mungkin oleh kerana perkara ini perkara baharu, keyakinan klinik kepada sistem yang kita buat mungkin bimbang lambat bayar dan sebagainya, memang kerajaan mentaliti biasanya dia kata kalau kerajaan ini lambat bayar tiga, empat bulan, lima bulan tidak bayar lagi. So dia hendak tengok (wait and see) kebanyakkannya tunggu dan lihat bagaimana proses perjalanan kad ini perkhidmatan dan pembayaran yang kita buat. Mungkin insya-Allah setelah program ini berjalan beberapa masa dan ketika, kita akan mendapatkan kepercayaan lebih lagi daripada klinik-klinik swasta ini, lebih ramai yang terlibat dengan program kita dan rakyat kita juga ataupun penerima ini juga tahu kemudahan-kemudahan yang disediakan kepada mereka secara percuma insya-Allah saya rasa dia akan bertambah sebagaimana target kita untuk membelanjakan sebagaimana yang telah kita yang kita luluskan dalam bajet dan juga sebilangan yang target untuk dapat 20 ribu. Yang menjadi 12 ribu ini kita ambil setakat ini adalah data-data daripada yang berdaftar dengan e-Kasih sahaja dan proses untuk daftar e-Kasih agak masa yang panjang maka inilah antara
perkara yang menyebabkan tidak capai bilangan 20 ribu yang kita sasarkan itu, terima kasih.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan tambahan saya yang kedua ialah: Apakah dapatan kerajaan terhadap pelaksanaan program ini dan adakah ianya mendapat sambutan daripada rakyat Negeri Terengganu kita dan apakah langkah-langkah yang akan diambil oleh pihak kerajaan bagi memastikan program yang kita tawarkan kepada masyarakat ini mendapat impak yang lebih baik kepada kehidupan masyarakat, terima kasih.
Untuk makluman Ahli Dewan sekalian, Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, pertama saya sudah sebut tadi kerana mungkin maklumat ini belum benar-benar sampai kepada rakyat. Yang keduanya, yang bilangan tadi kerana kita mengehadkan bilangan e-Kasih sahaja dan pihak kerajaan Negeri telah membuat satu penilaian baharu iaitu dengan membuka permohonan ini kepada golongan B40 yang berpendapatan perkapita RM280 sebulan ke bawah. RM280 ke bawah mereka layak untuk memohon walaupun tidak ada dalam senarai e-Kasih. Ini sedang diproses oleh MPKK melalui pejabat-pejabat khidmat dan akan diurus oleh bawah EXCO saya sendiri dan bawah TSIS untuk memurnikan nama-nama tersebut dan bila sudah selesaikan kita akan keluar kad baharu dengan jumlah saya rasa yang lebih besar dan insya-Allah Yang Berhormat juga boleh main peranan ini untuk menjelaskan kepada mereka penerima-penerima kad ini kemudahan-kemudahan yang kita sediakan. Memang kita ada keluarkan dalam laman web kita dan kita juga ada edarkan risalah-risalah kepada peserta-peserta semasa mereka menerima kad. Dan mungkin juga tidak mustahil juga lah mungkin mereka tidak sakit, jadi tidak sakit, tidak perlu datang ke klinik untuk dapat rawatan. Ini mungkin satu perkara yang positif juga kalau fikir begitu walaupun mereka B40, mereka kurang mendapat penyakit maka tidak ke klinik maka tidak ada lah bayaran yang kita keluarkan. Saya harap memang harap pun rakyat makin sedar tentang pencegahan penyakit dan dia akan kurang datang ke hospital. Mungkin baru ini pun kerana PKP tiga bulan orang tidak keluar rumah dan jarang orang ke klinik. Masalah-masalah ini mungkin isu-isu yang boleh menyebabkan sambutan daripada kalangan pesakit-pesakit kita ataupun penerima-penerima kad ini kurang mendapat rawatan di klinik-klinik swasta, terima kasih.
Saya jemput seterusnya Wakil Seberang Takir.
Soalan saya nombor 1-
Berapakah bebanan dan anggaran kos (Projected Cost) yang terlibat dalam penubuhan sebuah SMIDI dengan mengambilkira fasiliti pembelajaran, kebajikan termasuk gaji guru-guru dan kakitangan, kos operasi lain serta penyenggaraan, bagi tempoh lima tahun (Tingkatan 1 – 5) pembelajaran?
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar dan juga semua Ahli-ahli Yang Berhormat, ketua jabatan sekalian.
Soalan sebagaimana yang dipaparkan itu, jadi SMIDI iaitu Sekolah Menengah Islam Darul Iman yang melibatkan kita mengambil kira fasiliti pembelajaran, kebajikan termasuk gaji guru-guru, kakitangan, kos operasi lain serta penyelenggaraan bagi tempoh lima tahun kita menjangkakan kos melibatkan RM25 juta.
Soalan saya soalan tambahan yang pertama: Apa bezanya SMIDI dengan IMTIAZ dan juga sekolah-sekolah menengah agama atau SMA yang terdapat di seluruh Negeri Terengganu. Apakah tidak mungkin berlakunya pertindihan, peranan dan pembaziran sumber antara kewujudan SMIDI, IMTIAZ dan sekolah-sekolah menengah agama yang sedia ada terutama dari segi guru-guru dan juga kakitangan, terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.
Saya rasa soalan ini sudah acap kali berbangkit dalam Dewan ini sebelum SMIDI ini diwujudkan tapi tidak apa lah, SMIDI ini merupakan kesinambungan kepada SRIDI yang kita wujudkan di peringkat daerah-daerah sebagaimana manifesto janji kita sebelum pilihan raya dahulu untuk memberi alternatif kepada masyarakat yang mutaakhir ini memberi keutamaan kepada pendidikan bukan hanya konvensional tetapi juga pendidikan Islam. Jadi SRIDI ini dia sudah berbeza daripada sekolah rendah kebangsaan biasa sebab dia kumpulan kompak dan dia mempelajari modul bukan hanya melibatkan modul pendidikan konvensional biasa tetapi juga dia ada untuk diiniyah yang melibatkan Bahasa Arab, penggunaan Bahasa Arab dan sebagainya. Jadi selepas mereka ini tamat SRIDI di darjah enam, dia akan sambung ke SMIDI ini. Jadi saya rasa kebanyakan sekolah menengah milik kerajaan sendiri pun mahupun IMTIAZ sekarang ini telah berada di bawah SABK yang sebahagian kosnya ditanggung oleh pihak Kementerian, tinggal lagi beberapa sekolah lah dan kebanyakan ini menumpukan untuk core ataupun bidang sains. Kita memberi fokus kepada penguasaan diiniyah dan juga hafazan dan beberapa modul yang khusus untuk memberi keutamaan bagi mengisi keperluan masyarakat di daerah-daerah berdasarkan sekolah menengah-sekolah menengah kita yang sedia ada, sekolah menengah agama yang sedia ada masih lagi satu setiap daerah. Jadi ini akan menampung keperluan masyarakat, permintaan masyarakat itulah. Dan secara langsung sebagai persiapan bagi pelajar-pelajar masuk ke IPT kerajaan Negeri nanti. Insya-Allah, terima kasih.
Soalan tambahan saya yang kedua: Jadi bila dilihat bahawa sebelum ini, kerajaan sebelum ini kita memperkasakan sekolah menengah agama dan juga Sekolah Menengah IMTIAZ dan yang terbaru, yang telah dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu, apabila kita melihat ramai ataupun tumpuan kita kebanyakannya kepada budak-budak yang excellent dengan izin. Jadi budak-budak yang mendapat 5A, 6A selalunya ditempatkan di sekolah-sekolah, macam Sekolah Menengah Agama Negeri, dan juga Sekolah Menengah IMTIAZ dan sekolah-sekolah yang lain walaupun sekolah ini duduk di bawah SABK dan pada masa yang sama maka kerajaan telah memikirkan dan telah menubuhkan sekolah yang kita katakan sebagai sekolah pondok moden untuk membantu pelajar-pelajar kita yang tak berapa roklah ataupun tak berapa kuat dalam akademik, tetapi dalam masa yang sama kita perkukuhkan mereka dengan pendidikan agama dan sebagainya. Jadi saya nak tahu di sini, apakah perancangan masa depan untuk sekolah-sekolah yang saya sebut tadi termasuklah IMTIAZ dan juga sekolah SMA, dan juga sekolah
ataupun pondok moden ini, kerana kita bimbang apabila kerajaan memberi tumpuan kepada SMIDI dan kita melihat bahawa IMTIAZ dan sekolah-sekolah Menengah Agama ini duduk di bawah SABK, maka tumpuan kerajaan Negeri kurang pada sekolah-sekolah yang begini. Jadi saya harap perkara begini perlu diambil perhatian kerana kita tidak mahu berlaku pertindanan dan juga kos yang boleh kita jimatkan, dan kita boleh tumpukan terutama kepada pelajar-pelajar yang tidak kuat dalam akademik yang kita lihat, mereka ini agak ketinggalan. Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih kepada ADUN Seberang Takir yang cakna isu-isu pendidikan ini, kita sedia maklum kerajaan Negeri memperuntukkan peruntukan yang agak besar untuk pendidikan, sebab kita sedia maklum ini merupakan pelaburan yang penting untuk generasi akan datang, pelaburan yang akan merubah bukan hanya fizikal, tapi spiritual dan juga pengisian Terengganu ke arah lebih Maju, Berkat dan Sejahtera.
Jadi pihak kerajaan Negeri sekarang ini, tidak pernah menutup apa yang pendidikan yang sedia ada. Bahkan kita membuat penambahbaikan, bahkan kerajaan Negeri membelanjakan untuk pondok moden sendiri, RM7 juta sebagai kos pengurusan dan sebagainya dan kita juga membuat penambahbaikan penyusunan atur modul dan sebagainya untuk ambil peperiksaan supaya mereka juga boleh berdaya saing dalam masyarakat dan juga dengan program-program lain. Juga, kita juga menyediakan sebab fokus dia lebih pada Turath kita cuba untuk mengekalkan pengajian Turath ini. Kerajaan Negeri mewujudkan pusat Tafaqquh Fiddin yang akan menyediakan saluran buat mereka bagi meneruskan pengajian ke pusat Tafaqquh Fiddin ini, yang pengajiannya dua tahun setengah baki lagi itu, ia akan menyambung ke luar negara khusus untuk melahirkan guru-guru pakar, mahir dalam kitab Thurath. Jadi kita tak pernah ambil sikap, bakar kelambu. Kita akan terus dan membuat penambahbaikan.
Begitu juga IMTIAZ, IMTIAZ kita kekalkan yang sedia ada, pelajar-pelajar dan juga hasil yang dikeluarkan oleh IMTIAZ yang dikenali bahkan kita membuat penambahbaikan yang terbaru kita mewujudkan satu pengajian IMTIAZ dengan menggunakan Bahasa Mandarin, dan ini merupakan penambahbaikan yang kita buat insya-Allah. Jadi kalau hasrat kerajaan Negeri untuk terus meluaskan ataupun memberi altenatif kepada rakyat serta masyarakat kita kerana kita setiap tahun penduduk makin ramai, pelajar-pelajar juga agar diberi ruang, peluang yang lebih
luas untuk memilih bidang ataupun berdasarkan hobi, minat mereka jadi begitu juga dalam pendidikan ini, ini juga memberi ruang dan peluang kepada ibu bapa, untuk menyambung pengajian untuk anak-anak. Kita juga membuat penelitian setiap tahun pengambilan ataupun sekolah-sekolah menengah agama yang sedia ada, kita nak guna dalam 200, tapi permohonan sampai 600. Jadi, permintaan masyarakat cukup tinggi jadi dengan wujudnya SMIDI ini, kita harap dapat menampung permintaan masyarakat di masa akan datang, bahkan ia bukan menjuruskan kepada bidang agama sahaja tapi mereka boleh membuat pilihan untuk bidang agama atau pun bidang teknikal. Terima kasih.
Sekarang saya jemput Wakil Buluh Gading.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Soalan saya soalan nombor satu-
Sejauh manakah persiapan Kontinjen Terengganu untuk SUKMA 2020. Apakah target sasaran kemenangan yang dirangka serta kemampuan Terengganu untuk mengekalkan gelaran Johan Keseluruhan?
Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, rakan-rakan, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, pemerhati dan semua ketua-ketua jabatan yang dirahmati Allah sekalian.
Terima kasih pada ADUN Buluh Gading yang telahpun memberikan soalan seperti yang tertera di layar. Jadi jawapannya adalah akibat daripada pandemik COVID-19 seperti yang telahpun saya nyatakan kelmarin bahawa tarikh SUKMA telah pun ditunda daripada 11 hingga 19 Julai 2020 kepada 6 hingga 14 Mac 2021. Perubahan tarikh ini serta sekatan latihan sepanjang tempoh PKP menyebabkan Pelan Periodisasi Latihan Kontinjen Terengganu terpaksa dirombak dan diubah
secara keseluruhannya. Latihan yang sepatutnya telah pun memasuki fasa yang akhir iaitu fasa pertandingan terpaksa dipinda kepada fasa persediaan umum bagi satu kitaran lengkap yang bermula daripada, sebelum daripada ini.
Kesan daripada PKP yang berlaku lebih daripada tiga bulan juga menyebabkan selama tiga bulan lebih juga latihan tidak dapat diadakan dalam maksud latihan yang berkualiti, tidak dapat diadakan dan semua kontinjen yang mewakili semua negeri sebenarnya berada pada tahap yang sama. Ertinya, tiada lagi kelebihan pada kontinjen Terengganu yang sebelum daripada ini sentiasa memulakan latihan sebaik sahaja tamat SUKMA yang sebelum daripada itu, kita terus memulakan latihan untuk SUKMA yang seterusnya. Tetapi kali ini, kita bermula sama dengan negeri-negeri yang lain. Pun begitu, Majlis Sukan Negeri Terengganu sebagai agensi yang dipertanggungjawab untuk menguruskan SUKMA ini, kita telah pun melaporkan tindakan yang proaktif walaupun sepanjang tempoh PKP. Antaranya adalah dengan melakukan perbincangan khusus dengan semua pasukan sekurang-kurangnya tiga kali, sepanjang tempoh PKP untuk merangka strategi membentuk pelan latihan yang baharu dengan amalan kebiasaan baru dalam latihan, penilaian berkesan latihan bagi setiap orang atlet serta menyelesaikan apa sahaja masalah yang berlaku dalam 29 pasukan di negeri kita ini dan kesungguhan kerajaan Negeri sangat jelas apabila Yang Amat Berhormat Menteri Besar sendiri pada 9 April 2019 yang lalu telah pun melancarkan Tag line kontinjen SUKMA 2020 iaitu 2020 Victory Mission demi untuk memberikan gambaran kesungguhan dan keseriusan kita untuk mempertahankan kejuaraan tersebut. Yang Amat Berhormat sendiri telah pun meyampaikan watikah perlantikan kepada CDM, Timbalan CDM, bapa-bapa angkat serta jabatan-jabatan angkat dan saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat termasuk jabatan-jabatan angkat yang telah pun menyantuni, mula menyantuni anak-anak angkat mereka serta memberikan dorongan dan juga memberikan bantuan kewangan dan sebagainya untuk mengekalkan prestasi dan seterusnya mengekalkan kejuaraan kita. Dari segi perkembangan prestasi semasa alhamdulillah juga, baru-baru ini walapun dalam suasana PKP hanya satu sukan sahaja yang dibenarkan untuk dipertandingkan iaitu sukan e-Sport dan baru-baru ini satu pertandingan e-sport, e-Football PES 2020 Selangor Virtual 2020 telah pun diadakan secara online dan atlet SUKMA Terengganu iaitu adik Muhammad Afiq Qusairi telah pun muncul juara dalam kejohaan tersebut dan insya-Allah kita optimis untuk terus berusaha bagi mengekalkan kejuaraan ini dan kita berada pada landasan yang betul sekarang ini. Terima kasih.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan tambahan saya yang pertama: Boleh Yang Berhormat EXCO menjelaskan apakah strategi-strategi umum yang telah diambil oleh pihak kerajaan khususnya melalui MSNT bagi memastikan kemenangan kontijen SUKMA 2020 akan dapat dicapai. Terima kasih.
Terima kasih pada Buluh Gading, ada enam kunci utama dalam kita berusaha untuk merangka strategi bagi mengekalkan penguasaan kita dalam SUKMA.
1. Dengan pemilihan atlet yang tepat, 2. Komitimen dan penyediaan program latihan yang meyakinkan 3. Komponen latihan yang lengkap 4. Latihan yang berkesan 5. Ujian dan penilaian yang berterusan 6. Sistem dan pelaksanaan pemantauan yang berkesan.
Ini adalah strategi-strategi umum ada pun khusus kita tidak nyatakan di sini. Terima kasih.
Dato’ Yang di-Pertua, soalan tambahan.
Satu lagi Yang di-Pertua.
Takpelah, mana satu yang lebih dulu. Saya akan beri dua-dua.
Baik, terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.
Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. Soalan tambahan saya: Kita semua sedia maklum bahawa SUKMA ini, untuk menyertai SUKMA adalah untuk atlet yang umurnya bawah 21 tahun dan apabila patutnya pada tahun ini SUKMA itu dilaksanakan di Johor, tapi dianjak ke tahun hadapan dan saya yakin ada atlet-atlet kita yang umurnya akan lebih, tak layak menyertai SUKMA pada tahun hadapan.
Jadi mungkin ada atlet-atlet favourite kita, atlet-atlet kita yang champion yang tak dapat menyertai SUKMA pada tahun hadapan. Jadi apakah strategi kerajaan untuk kita menangani perkara tersebut sebab bajet pun kita habis dah untuk latih atlet-atlet tersebut. Terima kasih.
Terima kasih pada ADUN Hulu Besut, atas soalan tambahan. Kuala Besut
Kuala Besut.
Ya, maafkan saya, Kuala Besut. Ye betul, antara kelebihan yang ada pada kontijen Terengganu adalah kita menyediakan pelapis-pelapis atlet yang mampu dan juga yang boleh beraksi untuk SUKMA bukan sahaja sekali bahkan lebih daripada dua kali ada antara mereka yang dua kali dan ada yang antara mereka yang tiga kali sempat untuk menyertai SUKMA pada masa yang akan datang. Ini adalah antara kelebihan kita, pun begitu alhamdulillah dalam mesyuarat yang telah pun diadakan di peringkat ketua pengarah dan juga pengarah-pengarah Majlis Sukan di peringkat negara, Majlis Sukan Negara di mana telah pun memutuskan bahawa penyediaan ataupun penetapan atlet-atlet yang bakal beraksi dalam SUKMA 2020 walaupun diadakan pada 2021, daripada sudut penyertaanya masih lagi dikekalkan berdasarkan kepada nama-nama yang telah pun disenarai panjang oleh kontinjen masing-masing. Dalam erti kata yang lain walau pun ada atlet yang telah pun melebihi umur jika diadakan pada 2021, oleh kerana mereka ini namanya telah pun didaftarkan awal untuk SUKMA 2020 maka mereka masih diberi peluang dan kebenaran untuk beraksi mewakili negeri masing-masing. Terima kasih.
Sila Yang Berhormat.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Sepertimana yang disebutkan oleh Yang Berhormat EXCO bahawa target sasaran kita SUKMA 2020 adalah untuk mengekalkan kejuaraan yang telah kita perolehi sebelum daripada ini. Jadi sudah tentu di sana ada cabaran-cabaran dan halangan-halangan yang pastinya akan dilalui oleh pihak kerajaan bagi mencapai target tersebut. Jadi, boleh kerajaan nyatakan apakah bentuk halangan tersebut dan bagaimana cara pihak kerajaan mengatasi halangan itu bagi memastikan ia tidak menjadi sebab untuk mengagalkan cita-cita kita. Terima kasih.
Terima kasih pada ADUN Buluh Gading. Ya, kita akui bahawa kita pastinya menghadapi halangan-halangan yang tertentu untuk mengekalkan kejuaraan SUKMA 2020 yang akan datang. Antara halangan yang pertama yang telah pun saya nyatakan awal tadi adalah bila mana tempoh PKP yang telah pun ditetapkan berlaku lebih daripada tiga bulan dan kita gagal untuk menyediakan satu latihan yang benar-benar berkualiti kerana setiap atlet kita berada di rumah masing-masing walaupun jurulatih telah pun menetapkan acara atau pun telah menetapkan kaedah-kaedah latihan yang tertentu dan disampaikan kepada jurulatih menerusi penghantaran video, menerusi whatsapps dan sebagainya sudah tentu akan berlaku orang kata ketidaksempurnaan di sana bila mana latihan diadakan secara jarak jauh ini dan ini sedikit sebanyak dibuktikan bila mana semua atlet kita telah pun berkumpul di Majlis Sukan Negeri bila mana sesi kecergasan diadakan, kita mendapati bahawa kecergasan yang sepatutnya ada pada atlet kita dalam waktu yang semasa ini berada di peringkat yang kurang atau berada di peringkat yang kita kata yang agak membimbangkan kita, kerana itu seperti yang telah saya nyatakan dalam strategi umum tadi, semua pasukan-pasukan menerusi jurulatih masing-masing telah pun menyediakan satu pelan yang sangat intensif untuk menjadikan atlet-atlet kita ini dapat kembali cergas dan dapat bersaing dengan semampu mungkin bila mana tiba pada masanya. Begitu juga antara halangan kita yang keduanya adalah apabila kita terpaksa bermula sama dengan negeri-negeri yang lain daripada sudut persediaan latihan atlet seperti yang juga telah saya nyatakan antara kelebihan kita sebelum pada ini adalah kita memulakan sesi latihan kita awal. Jadi bila berlaku PKP ini, maka kita terpaksa bermula sama dan permulaan ini sebenarnya berlaku pada semua atlet-atlet di semua negeri, jadi kita terpaksa bersaing dalam kita kata dalam permulaan yang sama dan sudah tentu sedikit sebanyak persamaan ini tidak memberikan kita kata kebaikan kepada kita dari sudut kelebihan yang biasa kita ada. Itu yang kedua. Yang ketiganya antara halangan yang kita hadapi adalah apabila atlet-atlet harapan kita yang kita sasarkan emas daripada mereka ini dipinang ataupun telah didaftarkan oleh negeri-negeri lain sebagai atlet mereka dan ada juga antara atlet-atlet ini yang ditawarkan dengan tawaran-tawaran kerja dan sebagainya di negeri-negeri jiran yang menyebabkan mereka memberi keutamaan kepada negeri yang memberikan peluang pekerjaan kepada mereka dan ini sedikit sebanyak memberikan cabaran kepada kita untuk mengekalkan kejuaraan. Pun begitu insya-Allah, Majlis Sukan Negeri mempunyai beberapa strategi yang khusus yang insya-Allah kita akan
lakukan untuk menghadapi beberapa halangan yang telah pun saya nyatakan. Terima kasih.
Okey, terima kasih Yang Berhormat. Saya jemput Wakil Telemong.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan saya soalan yang pertama-
Jelaskan usaha kerajaan Negeri dalam membantu golongan kurang upaya (OKU) bagi menjana pendapatan?
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan seluruh Ahli-ahli Yang berhormat, ketua-ketua jabatan.
Soalannya ialah apakah bantuan yang diberikan kepada golongan kurang upaya. Antara usaha kerajaan Negeri bagi membantu golongan OKU dalam menjana pendapatan mereka adalah menerusi program-program kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan juga Yayasan Pembangunan Usahawan.
1. Program 2 Years Exit Policy.
Bagi penerima Bantuan Elaun Pekerja Cacat Bulanan Jabatan bagi yang berminat dan berkemampuan mengusahakan perniagaan di bawah Program 2 Years Exit Policy iaitu geran untuk memulakan perniagaan diberi kepada mereka yang layak berjumlah RM2,700.00 sebulan. Selain itu ia juga melibatkan OKU yang menerima bantuan-bantuan lain seperti Bantuan AM (Negeri) dan juga Bantuan Penjagaan Pesakit Terlantar.
2. Projek Economic Empowerment Programme Program ini melibatkan OKU yang mendapatkan pemulihan di Pertubuhan Pemulihan Dalam Komoditi (PPDK) di semua daerah negeri Terengganu. Sehingga kini terdapat 26 buah PPDK telah menerima geran EEP dan
menghasilkan produk sendiri sebagai salah satu projek penjanaan pendapatan PPDK yang memberi faedah kepada pelatih di PDK.
3. Job Coach merupakan projek kerjasama di antara Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan Japan International Cooperation Agency yang bermula 1 September 2009 hingga 31 Ogos 2014.
4. Skim D-HATI di bawah Tabung Usahawan Sejahtera (TUGAS) Dalam usaha membantu golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) kerajaan Negeri Terengganu melalui Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu telah menyediakan tabung khusus untuk usahawan dan peniaga daripada golongan OKU itu sendiri iaitu Skim D-HATI di bawah Tabung Usahawan Sejahtera (TUGAS). Di bawah skim ini mereka layak menerima geran sebanyak 80% atau maksima RM5,000.00 seorang yang mana lebih rendah. Bagi tempoh Januari 2019 sehingga Julai 2020, seramai 40 orang usahawan OKU telah diberi geran dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM200,093.12. Terima kasih.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa masyarakat OKU ini dia menghadapi masalah bukan dalam masa pembelajaran, menghadapi masalah apabila untuk mendapatkan pekerjaan terutamanya di syarikat-syarikat ataupun di agensi-agensi kerajaan kerana mereka agak ketinggalan dalam bidang ini. Jadi saya ingin tahu bagi pihak kerajaan Negeri adakah saluran-saluran tertentu untuk keistimewaan yang agak terbuka kepada golongan OKU ini. Terima kasih.
Mereka boleh mendaftar di JKM dan JKM akan menyelesaikan pekerjaan mereka, insya-Allah.
Saya faham apa yang dilaksana dan juga dilakukan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat sebagaimana biasa. Walau bagaimanapun, Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya adakah tidak perancangan bagi kita kerajaan Negeri Terengganu sebuah kerajaan yang sejahtera dan juga kerajaan yang prihatin kepada rakyat, adakah kerajaan Negeri tidak bercadang untuk mewujudkan satu platform yang sesuai untuk golongan ini untuk diberi perhatian yang khusus. Terima kasih.
Kerajaan sedang meneliti dan ianya sedang dalam proses insya-Allah akan dilaksanakan.
Seterusnya saya jemput Yang Berhormat Wakil Manir.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan saya nombor 1-
Sukan permotoran semakin mendapat tempat di hati rakyat Terengganu. Apakah Kerajaan mempunyai rancangan untuk terus mengembangkan lagi sukan ini dengan dengan menyediakan apa-apa kemudahan dan bantuan keperluan yang berkaitan?
Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih pada ADUN Manir yang telah pun bertanyakan soalan seperti yang tertera di layar.
Jadi jawapannya adalah bagi mengembangkan lagi aktiviti sukan permotoran antara perancangan kerajaan Negeri adalah senantiasa menambahbaik kemudahan-kemudahan sukan permotoran milik kerajaan Negeri terutama di Litar Permotoran Gong Badak. Terkini, kerajaan Negeri berhasrat untuk mendapatkan peruntukan daripada kerajaan Persekutuan untuk pembinaan satu litar permotoran yang baru di Kemaman memandangkan di Kemaman ini adalah antara daerah yang paling ramai orang kata anak-anak muda kita yang minat kepada sukan permotoran ini dan cadangan ini masih di peringkat penelitian kertas dan belum dimuktamadkan. Selain daripada itu kerajaan juga senantiasa menyediakan bantuan kepada penganjur-penganjur kejohanan-kejohanan sukan permotoran seperti penganjuran di Litar Gong Badak atau penganjuran sukan permotoran lasak di daerah seperti di Kemaman sebagai galakan kepada penganjur selain turut membantu untuk mempromosikan sukan permotoran. Terima kasih.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, adakah kerajaan bercadang untuk mengenalpasti rider anak Terengganu yang berpotensi dan membantu mereka untuk menjadi pelumba-pelumba profesional suatu hari nanti. Terima kasih.
Terima kasih kepada ADUN Manir. Jawapannya ya. Kita kerajaan berhasrat untuk mengenal pasti dan juga membantu atlet-atlet sukan permotoran yang berpotensi untuk kita membantu mereka untuk suatu hari nanti mungkin siapa tahu muncul sebagai seorang pelumba profesional di litar antarabangsa dan saya suka untuk meneruskan program yang sebelum daripada ini telah pun mulakan oleh ADUN Seberang Takir, bila mana menjadikan adik Qabil Irfan Azlan yang berumur 8 tahun sekarang sebagai anak angkat kerajaan Negeri Terengganu dan sehingga sekarang alhamdulillah adik Qabil Irfan Azlan ini bersama dengan rakannya Danish masih lagi berada dalam sukan permotoran dan masih giat untuk memajukan mereka dalam sukan permotoran ini dan yang terbaru insya-Allah pada 15 Ogos 2020 ini, adik Qabil Irfan Azlan dan Danish ini akan menyertai satu pertandingan iaitu SIC Mini GP Championship 2020 di Sepang International Kids Circuit dan insya-Allah kerajaan Negeri telah pun memberikan bantuan kepada mereka untuk berada ataupun mengambil penyertaan dalam kejohanan tersebut. Terima kasih.
Terima kasih YB EXCO, Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, apakah ada usahasama antara agensi dan juga syarikat swasta untuk merancakkan lagi aktiviti sukan permotoran ini. Terima kasih.
Ya, ada. Sudah semestinya ada dan antara usaha dan kerjasama yang diadakan antara agensi dan syarikat swasta dengan kerajaan Negeri untuk merancakkan lagi aktiviti sukan permotoran ini antaranya termasuklah kita bekerjasama untuk menganjurkan kejohanan Cup Prix dan insya-Allah pada tahun ini kita akan sekali lagi akan mengadakan kejohanan ini esok insya-Allah kita akan adakan mesyuarat kali yang pertama dengan pihak penganjur. Begitu juga dengan penganjuran Toyota Gazoo Racing, Kemaman Motorcross dan Kuala Terengganu Motorcross. Terima kasih.
Sekarang saya jemput…
Dato’ Yang di-Pertua, saya ada soalan tambahan.
Ya.
Saya nak dapatkan pengesahan daripada Wakil Wakaf Mempelam adakah benar bahawa pengurusan litar motorsikal yang di Gong Badak itu tidak lagi akan diserahkan kepada Koperasi Permotoran kerana saya difahamkan atas kerana kegagalan koperasi tersebut untuk membayar sewa dan saya berharap kerajaan supaya memikirkan semula kerana asasnya kita membina litar tersebut adalah untuk menyelesaikan isu-isu mat rempit dan sebagainya dan peranan yang dimainkan oleh Koperasi Permotoran ini sangat besar dan saya bimbang apabila pihak lain diberi, maka dari segi tujuan asas untuk kita membina litar itu sudah lari jadi kerana kita bukan kepada aspek keuntungan tetapi aspeknya adalah untuk memastikan bahawa litar itu akan digunakan sepenuhnya untuk menangani permasalahan mat rempit kerana saya bimbang hari ini apabila kurangnya penggunaan litar tersebut kebelakangan ini saya melihat bahawa gejala rempit ini yang berlaku di jalan-jalan besar, di highway dan sebagainya sudah mula kembali semula. Jadi saya perlu, saya harap kerajaan perlu bertindak segera dan memastikan Koperasi Permotoran ini yang melibatkan mat rempit-mat rempit sebenarnya supaya mereka diberi tanggungjawab untuk mengatasi permasalahan ini. Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.
Okey. Sila Yang Berhormat.
Terima kasih ADUN Seberang Takir. Setakat ini tidak timbul kita menamatkan ataupun tidak membenarkan lagi kepada Koperasi Permotoran terbabit untuk terlibat kerana sememangnya kita baru sahaja menandatangani perjanjian dengan koperasi permotoran berkenaan untuk meneruskan pengurusan mereka di litar berkenaan untuk aktiviti sukan permotoran di kalangan anak-anak muda kita. Terima kasih.
Terima kasih. Saya jemput…
Sebab satu saya nak keputusan sebab sebenarnya saya
difahamkan sebab koperasi ini dia tak mampu nak bayar sewa. Sebab katanya sewa dah bertambah dari tahun ke tahun. Jadi yang itu saya minta dan mohon pertimbangan kerajaan Negeri sebab asalnya saya nampak bahawa bukan kita perlu sangat sewa itu, cuma kita beri tugas, beri tanggungjawab kepada koperasi untuk menguruskan dan perlu bantuan kewangan juga perlu disupport daripada kerajaan sendiri.
Saya ingat penjelasan dah jelas tadi kan, penjelasan dah jelas saya ingat.
Ya, terima kasih.
Ya. Sekarang saya jemput Wakil Rantau Abang.
Dato’ Yang di-Pertua, soalan saya ialah soalan nombor dua-
Apakah skim galakan kerajaan kepada NGO, individu dan swasta dalam pembinaan dan pengurusan pusat hemodialisis persendirian?
Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, rakan-rakan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, rakan-rakan Yang Berhormat, pegawai-pegawai kerajaan dan para pemerhati sekalian.
Rantau Abang ingin tahu apakah skim galakan kerajaan kepada NGO, individu dan swasta untuk membina pusat hemodialisis persendirian. Untuk makluman Dewan, setakat Februari 2020, kerajaan tidak mengadakan skim galakan kepada hemodialisis persendirian, NGO, individu dan swasta. Tetapi kerajaan lebih kepada menumpukan pusat-pusat hemodialisis yang di bawah Kementerian Kesihatan
sepenuhnya dan juga di bawah Kementerian Kesihatan dengan kerjasama kerajaan Negeri kerana dialisis ini merupakan suatu rawatan yang agak sensitif yang boleh melibatkan bukan sahaja kesihatan tapi nyawa kalau tak kena caranya. Yang di bawah Kementerian Kesihatan dan di bawah kerjasama Kementerian Kesihatan dengan kerajaan Negeri kita dapat memantau secara langsung di bawah pakar-pakar kita. Ini lebih mudah bagi pihak Kesihatan menjaga standard supaya dipatuhi dan insya-Allah dia jangka hayat pun lebih baik. Oleh itu rancangan kita sebenarnya kebanyakan pusat hemodialisis sama ada membesarkan bilangan unit hemodialisis di hospital-hospital kerajaan dan juga kita membina atau menyewa premis-premis. Kerajaan Negeri menyewa dengan duit kerajaan Negeri tetapi pengurusannya, operationnya dibuat oleh KKM juga. Jadi standardnya kita jaga begitu. Ini antara sebab mengapa kita tidak memberi insentif kepada persendirian. Terima kasih Yang di-Pertua.
Terima kasih jawapan EXCO. Soalan tambahan saya yang pertama. Saya ingin tahu jumlah pesakit buah pinggang yang menjalani dialisis dan berapakah bilangan pusat dialisis seluruh Negeri Terengganu yang melibatkan di bawah KKM, di bawah kerajaan Negeri, di bawah swasta dan juga di bawah NGO. Terima kasih.
Terima kasih Rantau Abang. Untuk makluman Ahli Dewan semua, setakat ini kita ada pesakit yang sedang menjalani rawatan hemodialisis adalah seramai 1,572 orang hemodialisis dan pusat hemodialisis yang kita ada adalah sebanyak 28 pusat. Hospital Kementerian Kesihatan ada enam, pusat hemodialisis kerjasama di antara KKM, Kementerian Kesihatan dengan Negeri ada lima, pusat hemodialisis swasta ada sebelas, dan pusat hemodialisis NGO ada enam buah. Jadi jumlah semuanya 28 buah. Terima kasih.
Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. Soalan tambahan saya yang kedua ialah saya ingin tahu sebab penyakit buah pinggang ini makin bertambah sekarang ini. Saya melihat dari segi pertemuan-pertemuan dengan pesakit-pesakit yang masih belum mendapat tempat untuk mendapat rawatan dialisis, jadi untuk mengatasi masalah ini, apakah perancangan kerajaan Negeri dalam mengatasi masalah rakyat di mana untuk kita nak menyahut seruan Titah Ucapan Tuanku untuk mensejahterakan rakyat terutama sekali dari segi kesihatan fizikal. Terima kasih.
Terima kasih Wakil Rantau Abang. Sekali lagi untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian dan para pemerhati, memang dari masa ke semasa pesakit-pesakit kegagalan buah pinggang atau kidney failure ini makin meningkat. Sebenarnya penyakit ini sepatutnya kalau kita menjaga daripada awal, ia dapat dielakkan. Sebab itu tindakan pencegahan ataupun pendidikan kesihatan adalah amat penting terutamanya bagi mereka yang menghidap penyakit diabetis mellitus ataupun kencing manis. Ini antara perkara yang kes yang banyak ke arah mengalami kerosakan buah pinggang adalah kencing manis selain daripada darah tinggi dan beberapa penyakit yang lain. Jadi kalau semua mengambil kecaknaan, jaga kesihatan kita, rakyat seluruhnya, khususnya kencing manis memang satu penyakit yang tidak ada tanda-tanda yang jelas di peringkat awal. Kadang-kadang dah jumpa doktor di peringkat yang dah akhir, akhirnya sampai ke tahap terpaksa berlaku kegagalan buah pinggang maka terpaksalah diberi rawatan untuk mengatasi kegagalan buah pinggang. Di antara selain daripada hemodialisis sebenarnya kita ada lagi cara-cara lain yang dibuat tapi mungkin orang tak berapa apa, sohor lagi sebab buat sendiri di rumah iaitu continuous ambulatory peritoneal dialysis ataupun CAPD ataupun APD, (Automated Peritoneal Dialysis). Ini ada cara lain yang boleh dibuat tapi ini boleh dibuat di rumah masing-masing dan agak cerewet kerana dia tak boleh nak bergerak jauh daripada rumah tapi kalau hemodialisis dia selang sehari, dia boleh bergerak, dan itu yang jadi tidak popular tapi ia masih ada. Tapi kalau tak cukup pusat hemodialisis, masih ada cara di mana yang boleh kita buat bagi sementara mereka mendapat tempat di pusat-pusat hemodialisis kita dia boleh buat CAPD dulu selain daripada bagi yang berada dia boleh buat apa yang dipanggil tukar buah pinggang. Transplant ini. Ini ada beberapa perkara yang boleh kita buat dan kerajaan memang dari masa ke semasa sedang berusaha untuk menambah lagi khususnya pusat hemodialisis kerjasama di antara KKM dan juga kerajaan Negeri. MAIDAM memang sentiasa menyediakan peruntukan untuk beli mesin dialisis dan kerajaan Negeri akan menyediakan bangunan tempat yang sesuai dan KKM menyediakan kepakaran mereka. Di hospital-hospital kerajaan juga sekarang ini sedang membesarkan dan menambah bilangan hemodialisis, insya-Allah perkara ini akan dapat saya rasa tidak menjadi satu yang kritikal lagi untuk Negeri Terengganu. Semuanya dapat kita hadapi ataupun kita selesaikan dengan cara yang terbaik. Tapi yang penting yang saya nak sebut di sini ialah pencegahan itu lebih penting. Jagalah kesihatan masing-masing. Ada kencing manis, ada darah tinggi, batu karang suruh cepat dapatkan rawatan supaya tidak kita bergerak ke arah terpaksa menggunakan mesin hemodialisis ini. Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.
Terima kasih atas nasihat daripada Yang Berhormat Doktor. Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, saya tangguhkan sementara sidang Dewan kita dan kita sambung semula pada pukul 11.05 pagi.
DEWAN DITANGGUHKAN SEMENTARA PADA PUKUL 10.50 PAGI
PUKUL 11.15 PAGI
Perbahasan
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, mesyuarat disambung semula. Saya minta Bentara tekan buzzer, kita dah agak lewat, panjang sikit dakpe. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, saya kalau boleh tak mboh jadi Parlimenlah. Kadang-kadang kita terpaksa tunggu, tekan buzzer panjang-panjang bagi memastikan semua ahli Dewan berada dalam Dewan mengikut ataupun sebagaimana masa yang ditetapkan. Sebelum kita pergi kepada agenda yang telah ditetapkan kerana hari ini merupakan hari terakhir persidangan, insya-Allah saya jangka persidangan kita akan berakhir sebelum pukul 1.00. Saya ada nak memberikan satu dua peringatan. Oleh kerana perjalanan sidang Dewan kita berjalan bukan hanya sekadar mengikut budi bicara saya selaku Yang di-Pertua, tetapi kita mempunyai standard orders ataupun Peraturan-Peraturan, Perintah-Perintah Tetap Dewan Negeri sebab saya perhatikan ada masanya kadang-kadang kita tidak merujuk kepada standard orders. Standard orders ini penting, dia boleh mengharmonikan dan memastikan perjalanan sidang kita ini berjalan lancar dan juga licin.
Sebagai satu contoh, umpamanya disebutkan dalam Perkara 48, Peraturan Dewan. Apabila Yang di-Pertua Dewan bercakap ataupun berucap, mana-mana Ahli yang sedang berucap perlulah duduk dengan serta-merta. Mana-mana Ahli yang sedang berucap hendaklah dengan serta-merta duduk semula. Maksudnya di sini ialah apabila ada perbahasan, tidak ada masalah, perbahasan itu boleh berjalan seperti biasa, tapi kalau tidak ada yang memimpin perbahasan, dia akan jadi bolok. Itu yang saya nak peringatkan. Begitu juga dengan Perkara 47A, seseorang ahli boleh mengganggu ahli lain untuk menerangkan apa-apa perkara yang dikeluarkan oleh
ahli itu dalam ucapannya dengan syarat ahli yang sedang bercakap itu mahu beralah dan duduk semula dan ahli yang hendak mengganggu itu dipanggil oleh Yang di-Pertua Dewan. Maksudnya, nak pastikan apabila berlaku perbahasan, yang pertama sekali, orang yang sama ada nak menggangu ataupun istilah mahu penjelasan, mesti dapat kebenaran dan juga laluan daripada pihak yang sedang bercakap, sama ada floor kerajaan ataupun floor Ahli-ahli Yang Berhormat yang lain supaya dia akan berjalan dengan licin. Satu perkara lagi yang saya nak peringatkan sebagai satu ingatan bersama iaitu dalam Perkara 46. Dalam Perkara 46, Peraturan-Peraturan Berbahas, tatkala membuat ucapan di atas mana-mana cadangan yang sedang ditimbangkan oleh Dewan ataupun jawatankuasa seluruh Dewan, peraturan-peraturan tersebut di bawah ini hendaklah ditaati. Di antaranya ialah Perkara 46 (13). Seseorang Ahli dilarang:
(a) Menyindir tujuan-tujuan yang menyerong terhadap ahli-ahli yang lain; (b) Membuat tuduhan terhadap peribadi ahli-ahli yang lain; (c) Menggunakan bahasa ataupun perkataan cemar ataupun mencela;
Jadi, dan banyak lagilah. Saya sebut sebahagian sahaja. Ini adalah perkara-perkara yang boleh membina tertib perjalanan Dewan yang teratur dan kita minta semua Ahli-ahli Yang Berhormat boleh mematuhinya. Saya tahu Yang Berhormat semua ada buku merah ini, Peraturan Dewan ini, tapi sekali sekala kita buat revision, kita membuat ulangkaji supaya perjalanan sidang kita berjalan dengan teratur. Sila Setiausaha.
Usul yang telah diberi notisMotion
Perkara seterusnya dalam Tertib Pekerjaan Dewan ialah usul yang telah diberi notis. Dipersilakan Yang Berhormat Haji Satiful Bahari bin Mamat, Wakil Paka untuk mengemukakan usul.
Usul Yang Telah Diberi NotisMotion
Penubuhan Kumpulan Wang Amanah Di Bawah Seksyen 10 Bagi Menggantikan Akaun Amanah Yang Ditubuhkan Di Bawah Seksyen 9 Akta Tatacara Kewangan 1957 [Akta 61]
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan:
“Bahawa menurut subseksyen 10(1)(b)(ii) dan subseksyen 10(4)(b) Akta Tatacara Kewangan 1957 [Akta 61], Dewan Undangan Negeri ini membuat KETETAPAN bersetuju menubuhkan Kumpulan Wang Amanah (sebagaimana Lampiran B dalam Kertas DUN Bil.6/2020) dan subseksyen 10(1)(b)(ii), (2) dan (3) hendaklah dipakai kepada Kumpulan Wang Amanah tersebut sebagaimana terpakai kepada Kumpulan Wang yang ditentukan dalam Jadual Ketiga”.
Butiran lanjut bagi maksud ini bolehlah Ahli-ahli Yang Berhormat merujuk kepada Kertas Dewan Bil. 6/2020. Terima kasih.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya memohon menyokong usul ini.
Usul ini telah mendapat sokongan.
Sekarang, saya buka kepada mana-mana Ahli Yang Berhormat yang ingin mengambil bahagian sekiranya ada berhubung dengan usul ini.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, seluruh Ahli-ahli Yang Berhormat, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, semua Ahli Yang Berhormat, pegawai-pegawai kanan kerajaan, hadirin hadirat yang dirahmati Allah sekalian.
Saya ambil bahagian secara ringkas Yang Berhormat Dato’ untuk melihat Sistem Perakaunan Akruan kerajaan Negeri yang ditawarkan untuk kita melakukan sedikit pindaan ini. Pelaksanaan ini adalah merupakan suatu perkara yang cukup bagus dan menarik walaupun ia bakal memberikan satu bebanan kerja yang baru kepada pihak Perbendaharaan, tetapi untuk masa depan daripada sudut Penyata Kewangan, ia akan memberikan sesuatu bentuk penyata yang benar dan saksama, seperti yang biasa disebut to present true and fair view of the financial statement dengan izin. Saya mengharapkan supaya dengan penyata akruan ini akan membuka ruang untuk kita dapat melihat data aset-aset yang dimiliki oleh Negeri
Terengganu sehingga menyebabkan kita tahu sejumlah harta yang dimiliki oleh kerajaan Negeri setelah perkara ini dilaksanakan. Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.
Terima kasih Wakil Tepoh yang mengambil bahagian, ada lagi? Kalau tiada, saya jemput Wakil Kerajaan sekiranya ada apa-apa perkara untuk buat penggulungan. Saya ingat jelas, perbentangan usul yang berkenaan. Okey, sekarang saya buka kepada undian-
Usul ini kemudian dihadapkan kepada mesyuarat dan dipersetujui dengan sebulat suara.
USUL INI DITERIMA.
Rang Undang-UndangBill
SUMBER AIR (TERENGGANU) 2020
Bacaan Kali Yang Pertama
Yang Berhormat Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan Rang Undang-Undang Bernama Suatu Enakmen untuk memperuntukkan bagi Pengurusan Mapan Sumber Air dan bagi Menubuhkan Lembaga Sumber Air Terengganu dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya dibaca bagi kali yang pertama.
Ada siapa yang menyokong usul ini?
YANG BERHORMAT Ir SAIFUL AZMI BIN SUHAILI (Wakil Kemasik): Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon menyokong cadangan itu.
Rang Enakmen ini dibaca bagi kali yang pertama-
RANG UNDANG-UNDANG BERNAMA SUATU ENAKMEN UNTUK MEMPERUNTUKKAN BAGI PENGURUSAN MAPAN SUMBER AIR DAN BAGI MENUBUHKAN LEMBAGA SUMBER AIR TERENGGANU DAN PERKARA-PERKARA YANG BERKAITAN DENGANNYA, DIBACA BAGI KALI YANG PERTAMA
Bacaan Kali Yang Kedua
Yang Berhormat Dato’ Yang Di-Pertua, saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-Undang Bernama Satu Enakmen untuk memperuntukkan bagi Pengurusan Mapan Sumber Air dan bagi menubuhkan Lembaga Sumber Air Terengganu dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya dibaca bagi kali yang kedua.
Yang Berhormat Dato’ Yang Di-Pertua, Rang Undang-Undang ini bertujuan untuk memperuntukkan bagi Pengurusan Mapan Sumber Air dan bagi menubuhkan Lembaga Sumber Air Terengganu serta perkara-perkara yang berkaitan dengannya:
Bahagian I - Melibatkan Fasal 1 dan 2 mengandungi tajuk ringkas pemakaian dan permulaan kuat kuasa serta tafsiran.
Bahagian II Melibatkan Fasal 3 hingga 17 mengandungi perkara-perkara berkait dengan Penubuhan Lembaga Sumber Air Terengganu.
Bahagian III Melibatkan dari Fasal 18 hingga 24 yang mengandungi perkara-perkara berkait dengan Pengarah, Pegawai dan Perkhidmatan Lembaga.
Bahagian IV Melibatkankan Fasal 25 hingga 29 yang mengandungi perkara-
perkara yang berkait dengan Kewangan.
Bahagian V Melibatkan dari Fasal 30 hingga 42 yang mengandungi perkara-perkara yang berkait dengan kawasan Sumber Air, Badan Air Dan Lembangan Sungai Yang Telah Di Tetapkan.
Bahagian VI Melibatkan dari Fasal 43 hingga 56 yang berkait dengan Perlesenan.
Bahagian VII Melibatkan Fasal 57 hingga 59 yang mengandungi perkara-perkara berkait dengan Caj Air.
Bahagian VIII Melibatkan Fasal-fasal dari 60 hingga 75 yang mengandungi perkara-perkara berkaitan dengan Perlindungan dan Pembanguan Sumber Air.
Bahagian IX Melibatkan Fasal 76 hingga 81 yang mengandungi perkara-perkara berkaitan dengan Pengurusan Efisien dan Pemuliharaan Sumber.
Bahagian X Melibatkan Fasal-fasal dari 82 hingga 92 yang mengandungi perkara-perkara berkaitan dengan Kawalan Air.
Bahagian XI Melibatkan Fasal 93 hingga 98 yang mengandungi perkara-perkara berkaitan dengan Perlindungan Alam Sekeliling.
Bahagian XII Melibatkan Fasal-fasal dari 99 hingga 114 yang mengandungi perkara-perkara berkaitan dengan Penswastaan.
Bahagian XIII Melibatkan Fasal-fasal dari 115 sehingga 142 yang mengandungi perkara-perkara berkaitan dengan Penguatkuasaan.
Bahagian XIV Melibatkan Fasal 143 hingga 155 yang mengandungi perkara-perkara berkaitan dengan Kesalahan dan Penalti.
Bahagian XV Melibatkan Fasal 156 hingga 165 yang mengandungi perkara-perkara AM.
Bahagian XVI Bahagian terakhir ini melibatkan Fasal 166 sehingga 168 yang mengandungi perkara-perkara berkait dengan Pemansuhan dan Kecualian.
Implikasi Kewangan
Rang Undang-Undang ini akan melibatkan kerajaan Negeri dalam perbelanjaan wang tambahan yang amaunnya tidak dapat ditentukan sekarang ini.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon menyokong cadangan itu.
Rang Enakmen ini telah mendapat sokongan bagi bacaan kali yang kedua. Sekarang saya buka untuk perbahasan, sila.
Dato’ Yang di-Pertua.
Sila, Wakil Kuala Besut
Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. Pertamanya tahniah kepada pihak kerajan kerana membentangkan Rang Undang-Undang Enakmen Sumber Air (Terengganu) 2020. Sebelum kita meluluskan dalam perkara berikutnya, saya ingin bertanyakan kepada pihak kerajaan khususnya yang pertamanya memang disebut oleh pihak kerajaan tadi, memang tidak boleh tentukan lagi implikasi kewangan cuma bagi saya kita nak buat Rang Undang-Undang baru ini yang melibatkan kita nak buka pejabat baru, Lembaga Urus Air Terengganu ini rasa moleknya, sebelum kita bentang Rang Undang-Undang ini, kita ada juga implikasi kewangan kerana tidak dapat tidak akan ada pertambahan bajet kerajaan Negeri untuk kita melaksanakan Enakmen Urus Air Terengganu ini. Perkara yang kedua, Dato’ Yang di-Pertua, sukacita juga saya ingin sentuh fasal 51 muka surat 62 mengikut enakmen ini iaitu lesen untuk melepaskan efluen dan pada hemat saya efluen ataupun leachate dengan izin air larut resapan di bawah rudiction dengan
izin Jabatan Alam Sekitar cuma yang menjadi tanda tanya saya, kita baca balik pada fasal 5 muka surat 16 di mana keanggotaan Lembaga tidak ada Pengarah Jabatan Alam Sekitar tidak menjadi ahli tetap Lembaga Urus Air Terengganu yang akan kita bentangkan nanti. Jadi yang itu yang menjadi persoalan saya, kerana pengkelasan kualiti air sama ada kualiti air mentah ataupun air larutan resapan ataupun leachate ini ataupun efluen ini terletak di bawah kuasa pengkelasan kualiti air di bawah Jabatan Alam Sekitar. Begitu juga dengan indeks kualiti air juga di bawah Jabatan Alam Sekitar. Perkara yang ketiga Dato’ Yang di-Pertua, perkara terakhir yang ingin saya sentuh juga adalah elemen ini sangat molek jika dilaksanakan dan jika diaplikasikan, cuma yang menjadi kebimbangan saya dan mungkin juga rakan-rakan apabila dari segi pelaksanaannya nanti. Apabila pelaksanaan itu tidak dapat diselaras dengan sebaik mungkin, akan menjadi suatu perkara yang akan menyukarkan khususnya kepada pemegang taruh ataupun stakeholder ataupun rakyat kita di bawah sana. Sebagai contoh, sekiranya suatu hakisan sungai ataupun hakisan pantai berlaku di suatu tempat, akan berlaku permohonan oleh jabatan seperti contoh JPS akan mohon dengan Lembaga Urus Air Terengganu dan permit akan dikeluarkan dan bayaran akan dilaksanakan dan selepas permit itu dikeluarkan, barulah kerja-kerja pembaikan hakisan pantai ataupun tebing sungai dapat dilaksanakan. Jika permit tidak dikeluarkan sebelum projek itu dilaksanakan, ia akan menjadi kesalahan kepada enakmen yang kita bentangkan pada hari ini. Jadi saya mohonlah pihak kerajaan supaya berhati-hati dan juga mengambil kira perkara ini kerana jika kita tidak menyelaraskan sebaik mungkin akan memberi kesan yang besar kepada rakyat kita di bawah sana. Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.
Terima kasih Wakil Kuala Besut. Saya persilakan Wakil Tepoh. Sila.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Saya merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada kerajaan Negeri atas tindakan berani untuk mengetengahkan Enakmen Sumber Air (Terengganu) 2020 sebagai penambaikan dalam pemuliharaan sumber air Negeri Terengganu. Kita dapat melihat ia menyentuh pelbagai perkara termasuklah perihal pemuliharaan sumber air, caj air mentah, kawalan terhadap pencemaran, penguatkuasaan dan sebagainya. Kerana itu, penggubalan Enakmen Sumber Air (Terengganu) 2020 yang membolehkan
sebuah lembaga dibentuk akan tentu sekali bertindak untuk menjadi penjaga kepentingan negeri dan juga penasihat utama kepada pihak berkuasa negeri berkenaan dengan perkara yang berkaitan dengan sumber air permukaan, sumber air bawah tanah dan akuifer zon pantai. Kita telah 82 tahun tidak pernah mengenakan sebarang caj air, ini bukan tarif air, caj terhadap penggunaan air. Yang membayarnya antaranya adalah umpamanya Bucket C sahaja seperti yang difahamkan sebelum daripada ini. Jadi tentu sekali caj seperti ini berusaha untuk dilaksanakan secara lebih efisien pada masa yang akan datang. Kita ambil contoh pengajaran, peristiwa yang berlaku di Pasir Gudang dengan sungai Kim Kim. Tentu sekali ia memiliki satu pengajaran penting. Dendanya tidak seberapa, tetapi kerajaan mengeluarkan belanja yang cukup besar untuk melakukan pemulihan balik terhadap sungai yang telah tercemar dalam masa yang sama, bagaimana bebanan yang ditanggung oleh rakyat yang telah mendapat pencemaran tersebut. Jadi oleh kerana itu, dengan Enakmen Sumber Air ini, tentu sekali akan memberikan suatu kedudukan yang lebih baik dalam pengurusan dan kepentingan yang lebih baik terhadap sumber dan aset utama negeri iaitu air. Dengan pandangan ini, saya sangat menyokong dan saya menghargai usaha yang dibuat oleh pihak kerajaan. Terima kasih.
Silalah Yang Berhormat Wakil Kijal.
Yang Berhormat Yang di-Pertua, saya tidak bercadang untuk berbahas, tetapi inginkan penjelasan mengenai istilah iaitu muka surat 13, dinamakan di sini rak ikan. Apakah rak ikan yang dimaksudkan tempat jemur ikan ataupun kalau orang Terengganu panggil rang ikan? Sebab kita dok temu selama ini rak ikan. Kalau rak dalam rumah. Luar rumah ini orang panggil rang. Tempat jemur ikan tepi pantai Seberang Takir dan sebagai. Betul Yang Berhormat Seberang Takir? Orang panggil rang? Itu saya nak dapat penjelasan. Adakah dimaksudkan rak ikan itu tempat jemur ikan yang kita panggil rang. Terima kasih Yang di-Pertua.
Terima Kasih. Sila Yang Berhormat Wakil Batu Burok.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Yang pertamanya saya ucap terima kasih kepada Yang Berhormat Yang di-Pertua kerana memberikan ruang untuk saya terlibat sama dalam perbahasan Rang Enakmen Sumber Air (Terengganu) 2020 ini. Sebagaimana yang telah disebutkan tadi, Rang Enakmen Sumber Air ini adalah satu rang yang sangat penting. Walaupun air ini adalah bidang kuasa Negeri, namun di sana kita menyedari terdapat aspek-aspek tertentu yang berada di bawah kerajaan Pusat iaitu pembekalan dan perkhidmatan sebagaimana yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 74(2). Namun, apa yang dilakukan oleh kerajaan pada hari ini saya kira satu langkah ke hadapan kerana beberapa faktor. Yang pertamanya ialah kita melihat bagaimana krisis air yang akan menjadi krisis global pada suatu hari nanti, yang mana kita melihat Negeri Terengganu ini adalah satu negeri yang dianugerahkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala dengan anugerah-anugerah yang begitu banyak, petroleumnya, gasnya, termasuklah sumber air itu sendiri yang tidak terdapat pada negeri-negeri yang lain. Kita ada Tasik Kenyir, kita ada muara-muara sungai yang begitu banyak. Jadi, saya kira Rang Enakmen yang dibawa ini adalah satu rang yang sangat tepat dan kalau kita telitikan juga dengan Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan yang telah sama-sama kita bahaskan, kalau kita perhatikan roh kepada titah tersebut, kita mendapati bahawa ia menyarankan kepada kerajaan Negeri untuk kita lebih mempunyai kuasa untuk berdiri di atas kaki sendiri walaupun di sana kita tertakhluk dengan kerajaan Pusat tetapi kita ada kuasa-kuasa kita yang tersendiri untuk kita perkukuhkan lagi. Sekali lagi saya menyokong Rang Enakmen Sumber ini. Terima kasih.
Terima kasih Wakil Batu Burok. Ada mana-mana Ahli Berhormat lain? Kalau tidak ada, saya minta penjelasan penggulungan dari pihak kerajaan sekiranya ada.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan, semua Ahli-ahli Yang Berhormat, saya mengucapkan berbanyak terima kasihlah di atas perbahasan daripada yang Yang Berhormat Kuala Besut tadi, daripada Tepoh, Kijal dan juga Yang Berhormat daripada Batu Burok. Bahawa implikasi kewangan yang dicadangkan bagi tahun hadapan ialah sebanyak RM2 juta bagi pengambilan penguatkuasaan. Berkaitan
dengan efluen, pelepasan efluen, kami turut menubuhkan Jawatankuasa Lembangan Sungai yang turut dianggotai oleh pegawai daerah dan beberapa lagi agensi-agensi teknikal termasuk dari Jabatan Alam Sekitar. Di dalam lembaga tersebut, dianggotai oleh pakar hidrologi dari NAHRIM dan JPS di mana kedua-dua agensi ini mempunyai standard piawaian yang berkualiti yang patut kita patuhi. Berkenaan Seksyen 51, Pelepasan Efluen di bawah Seksyen 51 hanya melibatkan pelepasan efluen ke dalam sumber air iaitu yang disebut di sini adalah badan air yang merupakan bidang kuasa negeri di bawah senarai negeri perlembagaan, Perlembagaan Persekutuan. Apa yang diminta oleh Yang Berhormat Kijal penjelasan muka surat, kita tidak jumpa itu…
Muka surat 13, pharagraph nombor empat, pembentungan, laluan pejalan kaki, tanjakan bot, tambatan bot, rak ikan. Atas, atas, atas…
Rak ikan, ini berkaitan dengan apa ni, pemeliharaan ikan di sungai ini.
Tak betul tu Yang di-Pertua, kalau rak ikan, apa rak ikan…
(ketawa) saya pun tak berapa...
Rak ikan, tempat jemur ikan tu pantai tu, orang panggil rang ikan, bukan rak, rak dalam rumah, kena refer Dato’ LA, refer pejabat DBP dulu, betul tak betul.
(ketawa) tak apa, tak apa..
Yang bertanya lebih tahu daripada ditanya nampaknya.
Boleh jadi itu.
So, saya ucapkan terima kasih kepada semua Yang Berhormat yang mengambil kesempatan untuk berbincang, berbahas di dalam penggubalan enakmen ini. Terima kasih.
Minta YB LA, sahkan dengan DBP istilah ini, rak ikan ke rang ikan.
Ya, kita akan ambil perhatian, ini soal istilah sahajalah, okey. Kita telahpun selesai membahaskan Rang Enakmen Sumber Air (Terengganu) 2020. Sekarang saya buka kepada undian. Adakah Ahli-ahli Yang Berhormat bersetuju Rang Enakmen ini dibaca bagi kali yang kedua-
Cadangan supaya Rang Enakmen ini dibaca bagi kali yang kedua dihadapkan kepada mesyuarat dan dipersetujui dengan sebulat suara.
RANG UNDANG-UNDANG BERNAMA SATU ENAKMEN UNTUK MEMPERUNTUKKAN BAGI PENGURUSAN MAPAN SUMBER AIR DAN BAGI MENUBUHKAN LEMBAGA SUMBER AIR TERENGGANU DAN PERKARA-PERKARA YANG BERKAITAN DENGANNYA, DIBACA BAGI KALI YANG KEDUA.
Dalam Jawatankuasa
Mesyuarat sekarang menjadi jawatankuasa.
RANG UNDANG-UNDANG BERNAMA SATU ENAKMEN UNTUK MEMPERUNTUKKAN BAGI PENGURUSAN MAPAN SUMBER AIR DAN BAGI MENUBUHKAN LEMBAGA SUMBER AIR TERENGGANU DAN PERKARA-PERKARA YANG BERKAITAN DENGANNYA, TELAH DITIMBANGKAN DARI SATU FASAL KE SATU FASAL DAN TELAH DIPERSETUJUI DENGAN PINDAAN:
Fasal 1 halaman 409 dalam versi Bahasa Inggeris iaitu perkataan ‘Enactment’ selepas
perkataan ‘the Water Resource’ dipotong.
Fasal 5 (3) halaman 26 dalam versi Bahasa Melayu iaitu perkataan ‘mestilah’ kepada ‘hendaklah’ selepas perkataan ‘Lembaga’.
Fasal 6 halaman 27 dalam versi Bahasa Melayu iaitu perkataan atau tajuk ‘Kehilangan kelayakan keanggotaan’ kepada ‘Pembatalan keanggotaan’.
Fasal 7 (o) halaman 29 dalam versi Bahasa Melayu iaitu perkataan ‘hendak’ kepada ‘akan’ selepas perkataan ‘dan harga yang’.
Fasal 34 (1) (a) halaman 447 dalam versi Bahasa Inggeris iaitu perkataan ‘within’ kepada ‘which’ selepas perkataan ‘and the period’.
Fasal 37 (1) halaman 242 dalam versi Jawi iaitu perkataan ‘ ’ dipotong selepas perkataan ‘’
Fasal 68 (2) halaman 478 dalam versi Bahasa Inggeris iaitu perkataan ‘obtain’ dipotong selepas perkataan ‘Any person handling or’ dan perkataan ‘service’ ditambah selepas perkataan ‘obtaining’.
Fasal 88 (2) halaman 490 dalam versi Bahasa Inggeris iaitu perkataan ‘the’ kepada ‘he’ selepas perkataan ‘any action as’.
Fasal 94 (1) halaman 495 dalam versi Bahasa Inggeris iaitu perkataan ‘impact’ ditambah selepas perkataan ‘the environmental’.
Mesyuarat balik semula.
Bacaan Kali Yang Ketiga
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya maklumkan bahawa Rang Enakmen ini telah ditimbangkan dalam Jawatankuasa dan telah dipersetujui dengan pindaan. Saya mohon mencadangkan supaya Rang Enakmen ini dibaca kali yang ketiga dan diluluskan.
YANG BERHORMAT Ir. SAIFUL AZMI BIN SUHAILI (Wakil Kemasik): Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon menyokong cadangan itu.
Rang Enakmen ini telah mendapat sokongan untuk dibaca bagi kali yang ketiga dan diluluskan.
Cadangan supaya Rang Enakmen ini dibaca bagi kali yang ketiga dihadapkan kepada mesyuarat dan dipersetujui dengan sebulat suara.
RANG UNDANG-UNDANG BERNAMA SATU ENAKMEN UNTUK MEMPERUNTUKKAN BAGI PENGURUSAN MAPAN SUMBER AIR DAN BAGI MENUBUHKAN LEMBAGA SUMBER AIR TERENGGANU DAN PERKARA-PERKARA YANG BERKAITAN DENGANNYA.
DIPERBUAT UNDANG-UNDANG ini oleh Kuasa Undangan Negeri Terengganu Darul Iman seperti berikut:
1(1) Enakmen ini bolehlah dinamakan Enakmen Sumber Air (Terengganu) 2020.
(2) Enakmen ini hendaklah terpakai bagi semua sumber air termasuk semua sistem sungai yang bersifat kekal, sementara atau bermusim; lembangan sungai, kawasan tadahan air, tanah perairan, air tanah, perairan pantai, badan air dan lain-lain sumber air yang ditetapkan dalam Negeri Terengganu.
(3) Enakmen ini hendaklah mula berkuat kuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Negeri melalui pemberitahuan dalam Warta dan Pihak Berkuasa Negeri boleh menetapkan tarikh yang berlainan bagi mula berkuatkuasanya peruntukan yang berlainan dalam Enakmen ini.
Yang Amat Berhomat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli yang berhormat sekalian Rang Enakmen ini telah diluluskan dan menjadi Enakmen Sumber Air (Terengganu) 2020.
UNDANG-UNDANG BAGI DIRI KERAJAAN NEGERI TERENGGANU (BAB YANG PERTAMA) (PINDAAN) 2020
Bacaan Kali Yang Pertama
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan Rang Undang-Undang bernama suatu Enakmen bagi meminda Undang-Undang bagi Diri Kerajaan Terengganu (Bab Yang Pertama) dibaca bagi kali yang pertama.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon menyokong cadangan itu.
Rang Enakmen ini dibaca bagi kali yang pertama.
Rang Undang-Undang Bernama Suatu Enakmen Bagi Meminda Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu (Bab Yang Pertama) Bacaan Kali PertamaBill
Bacaan Kali Yang Kedua
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan Rang Undang-Undang Bernama Suatu Enakmen Bagi Meminda Undang-Undang bagi Diri Kerajaan Terengganu (Bab Yang Pertama) dibaca bagi kali yang kedua.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Rang Undang-Undang ini bertujuan untuk meminda Undang-Undang bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu (Bab Yang Pertama).
Fasal 1 mengandungi tajuk ringkas dan peruntukan tentang tarikh permulaan kuatkuasa Enakmen yang dicadangkan.
Fasal 2 bertujuan untuk meminda Fasal 28 Undang-Undang bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu (Bab Yang Pertama) untuk menurunkan umur kelayakan bagi tiap-tiap rakyat yang bermastautin dalam Negeri Terengganu untuk menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri daripada dua puluh satu tahun kepada lapan belas tahun. Pindaan ini selaras dengan pindaan perkara 47(b) dan seksyen 5 Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan.
Implikasi Kewangan
Rang Undang-Undang ini tidak akan melibatkan kerajaan Negeri dalam apa-apa perbelanjaan wang tambahan.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon menyokong cadangan itu.
Rang Enakmen ini telah mendapat sokongan bagi bacaan kali yang kedua. Sekarang saya buka kepada mana-mana Ahli Yang Berhormat untuk mengambil bahagian dalam perbahasan.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu, ketua-ketua jabatan, seterusnya hadirin-hadirat yang dirahmati Allah sekalian.
Sebelum kita membuat keputusan, saya ingin mencadangkan beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan di peringkat kerajaan Negeri. Semua kita maklum, kelayakan had umur mengundi tidak pernah dikaji setelah Malaysia melalui 14 kali pilihan raya bermula 1959. Apabila kita singkap sejarah, sebelum tahun 1970-an lagi, had layak mengundi di seluruh negara demokrasi ialah bermula daripada umur 21 tahun ke atas. Langkah menurunkan had umur kepada 18 tahun bermula selepas tahun 1970-an bermula di United Kingdom kemudian diikuti di Eropah Barat, Amerika Syarikat, Kanada, Jerman, Australia dan kebanyakan di negara Asia pada tahun 1980-an serta Jepun merupakan negara yang terakhir pada tahun 2016.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, sudah sampai masanya kerajaan kita memperkenalkan pendidikan politik di peringkat sekolah menengah dan pusat pengajian tinggi.
Anak-anak muda sekarang sudah terdedah dengan perkembangan politik baik dari dalam mahupun luar negara. Mereka ini telah terdedah kepada maklumat yang jelas, pengaruh media massa dan kemajuan teknologi maklumat menjadikan mereka pintar, matang berfikir, berdikari dan bermaklumat. Keadaan ini membolehkan mereka mengambil bahagian dalam proses demokrasi memilih kerajaan dan wakil rakyat. Perlu diambil perhatian, calon SPM kita di Malaysia pada tahun 2019 mencatatkan angka 416,416 orang menunjukkan bilangan yang bukannya kecil. Menjelang PRU yang ke-15, lebih sejuta orang akan terlibat dalam sistem demokrasi ini. Justeru itu, satu pendedahan komprehensif perlu difikirkan bagi memberikan ruang kefahaman kepada politik negara. Harapan saya agar agenda pengundi 18 tahun ini menjadi sesuatu yang boleh dibanggakan. Anak muda bakal terlibat terus sebagai pengundi dan juga layak ke peringkat Parlimen dan DUN sebagai wakil rakyat. Dengan itu wanita menyokong cadangan meminda Rang Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu (Bab Yang Pertama).
Sila, ada lagi Ahli-ahli Yang Berhormat yang ingin berucap? Tidak ada. Kita telah selesai membahaskan Rang Enakmen Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu (Bab Yang Pertama) (Pindaan) 2020.
Cadangan supaya Rang Enakmen ini dibaca bagi kali yang kedua dihadapkan kepada mesyuarat dan dipersetujui dengan sebulat suara.
RANG UNDANG-UNDANG BERNAMA SUATU ENAKMEN BAGI MEMINDA UNDANG-UNDANG BAGI DIRI KERAJAAN TERENGGANU (BAB YANG PERTAMA), DIBACA BAGI KALI YANG KEDUA.
Dalam Jawatankuasa
Mesyuarat sekarang menjadi Jawatankuasa.
RANG UNDANG-UNDANG BERNAMA SUATU ENAKMEN BAGI MEMINDA UNDANG-UNDANG BAGI DIRI KERAJAAN TERENGGANU (BAB YANG PERTAMA) ITU TELAH DITIMBANGKAN DARI SATU FASAL KE SATU FASAL DAN TELAH DIPERSETUJUI TANPA PINDAAN DENGAN SEBULAT SUARA.
Mesyuarat balik semula.
Bacaan Kali Yang Ketiga
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya maklumkan bahawa Rang Enakmen ini telah ditimbang dalam Jawatankuasa dan telah dipersetujui dengan tiada pindaan. Saya mohon cadangkan Rang Enakmen ini dibaca bagi kali yang ketiga dan diluluskan.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon menyokong cadangan itu.
Rang Enakmen ini telah mendapat sokongan untuk dibaca bagi kali yang ketiga dan diluluskan.
Cadangan supaya Rang Enakmen ini dibaca bagi kali yang ketiga dihadapkan kepada mesyuarat dan dipersetujui dengan sebulat suara.
Rang Undang-Undang Bernama Suatu Enakmen Bagi Meminda Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu (Bab Yang Pertama)Bill
DIPERBUAT UNDANG-UNDANG INI oleh Kuasa Undangan Negeri Terengganu Darul Iman mengikut Fasal 61 Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu (Bab Yang Pertama) seperti berikut:
1(1) Enakmen ini bolehlah dinamakan Enakmen Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu (Bab Yang Pertama) (Pindaan) 2020.
(2) Enakmen ini hendaklah mula berkuat kuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan melalui pemberitahuan dalam Warta.
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Rang Enakmen ini diluluskan dan menjadi Enakmen Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu (Bab Yang Pertama) (Pindaan) 2020.
TangguhanAdjournment
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan supaya Persidangan Dewan ditangguhkan kepada suatu masa yang akan ditetapkan kemudian.
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, sebelum saya tangguhkan persidangan kita, saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan berbanyak terima kasih di atas kerjasama Ahli-ahli Yang Berhormat sepanjang persidangan ini berlangsung dan pada masa yang sama juga saya ingin memohon berbanyak kemaafan di atas apa-apa kekurangan yang berlaku di dalam sidang kita pada kali ini. Saya yakin walaupun sekali-sekala sidang kita ni panas tetapi ia tidak menjadi suatu halangan, kita insya-Allah Dewan Undangan Terengganu akan terus bergerak maju ke hadapan. Sekarang saya tangguhkan persidangan ini ke suatu masa dan tarikh yang akan ditetapkan kemudian dan marilah sama-sama kita tangguhkan dengan membaca Tasbih Kaffarah dan Surah Al-‘Asr.
DEWAN DITANGGUHKAN PADA PUKUL 12.00 TENGAHARI.