Terengganu · 23 November 2020

14th Assembly, 3rd session, 3rd meeting · 166 turns · 16,058 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalTerengganu publishes one PDF per meeting, with the written answers appended. Speakers are matched by our parser and will have some errors.

(Pembukaan)

Setiausaha Dewan

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Sebelum kita memulakan mesyuarat pada pagi ini, marilah kita sama-sama membaca Ummul Kitab. [Al-Fatihah]

Perkara pertama di dalam Tertib Pekerjaan Dewan pada hari ini ialah Doa oleh Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan.

DOA

Dibaca oleh Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan.

Ucapan Yang Berhormat Dato’ Yang Di-Pertua Dewan

Setiausaha Dewan

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Perkara berikut di dalam Tertib Pekerjaan Dewan pada hari ini ialah Ucapan Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan.

Yang di-Pertua

Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Yang Berhormat, ketua-ketua jabatan Negeri dan Persekutuan, tuan-tuan, puan-puan yang dihormati sekalian.

Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah subhanallah ta’ala kerana masih diberi peluang untuk mengadakan persidangan atau Mesyuarat kali Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Keempat Belas. Kita bersidang dalam suasana kita masih belum

menang dalam menghadapi cabaran pandemik COVID-19 di seluruh negara. Sebagaimana arahan awal Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sepatutnya berkuat kuasa pada 9 November hingga 6 Disember 2020 di seluruh negeri semenanjung kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan. Terengganu adalah antara negeri yang terlibat sama dengan PKPB ini, namun begitu Majlis Keselamatan Negara telah memutuskan arahan PKPB di negeri kita ditamatkan lebih awal iaitu pada 21 November 2020. Persidangan ini merakamkan ucapan penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar atas inisiatif beliau meringankan beban rakyat Terengganu dalam perkara ini. Walau bagaimanapun, kita tidak boleh berada dalam zon selesa, comfort zone kerana kes-kes COVID-19 ini sentiasa berubah dan sukar dijangka. Perhimpunan berskala besar juga adalah sepatutnya perlu dielakkan. Berdasarkan kepada senario ini saya mengambil keputusan untuk meneruskan persidangan selama tiga hari iaitu pada 23, 24 dan 25 November 2020 dengan mengambil sikap hazar dalam suasana pandemik COVID-19 yang tidak menentu walaupun PKPB telah ditamatkan buat masa ini.

Sepanjang persidangan ini saya berharap semua ahli-ahli Yang Berhormat dapat mematuhi SOP seperti biasa walaupun kita telah melepasi PKBP. Ahli-ahli yang berhormat mesti sentiasa membuat penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan sentiasa membersihkan tangan. Sebagai langkah keselamatan juga bilik persidangan di Dewan Undangan Negeri kita telah melalui proses sanitasi sebelum persidangan bermula. Saya berharap pepatah “kita yang berat sama dipikul yang ringan sama dijinjing” wajar diambil iktibar oleh semua Ahli-ahli Yang Berhormat sebagai pemimpin untuk bersatu tanpa mengira latar belakang bagi menggerakkan rakyat menghadapi pandemik ini terutama dalam bentuk dan membantu petugas-petugas di barisan hadapan frontlines menghadapi isu global yang mengancam nyawa ini.

Sehubungan itu, persidangan ini juga ingin merakamkan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada semua frontlines sama ada petugas Kementerian Kesihatan, Polis, Tentera dan semua pihak yang terlibat, yang bertungkus lumus berkorban untuk menjaga keselamatan hidup kita. Walaupun persidangan kita berjalan selama tiga hari, tetapi agenda persidangan akan tetap berjalan seperti biasa bermula dengan Pembentangan Laporan-Laporan dan Soalan-Soalan selain dari Pembentangan Usul dan Rang Undang-Undang.

Saya berharap persidangan tiga hari ini memberi peluang yang lebih selesa kepada lebih ramai Ahli Yang Berhormat membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan atau Bajet 2021 yang akan dibentang oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Manfaatkanlah masa yang diperuntukkan termasuk menyentuh isu soalan-soalan yang tidak sempat dikemukakan.

Pembentangan Bajet 2021 oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar adalah agenda yang paling dinantikan oleh rakyat. Saya yakin pembentangan bajet kali pertama dalam suasana cabaran COVID-19 ini, sudah tentu akan mengambil kira soal kesejahteraan rakyat terutama dalam menjana semula ekonomi dan pendapatan rakyat yang terjejas akibat COVID-19. Penyesuaian dengan norma baru, dalam menguruskan kepentingan ekonomi rakyat seperti gig ekonomi dan penguasaan up skill dan real skill kepada golongan sasar sudah tentu dalam pertimbangan kerajaan, insya-Allah.

Sebagaimana biasa, Buku Belanjawan akan diedarkan kepada semua Ahli Yang Berhormat selepas ucapan dan pembentangan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar. Selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri sebagai kerajaan digital pintar yang dilancarkan baru-baru ini pihak Dewan Undangan Negeri turut memberi kerjasama dalam merealisasikan buku belanjawan digital yang boleh diakses oleh semua ketua jabatan melalui imbasan QR Code yang telah disediakan. Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli-ahli Berhormat yang lain yang sempat hadir sewaktu Pejabat Dewan Undangan Negeri menganjurkan Program Bengkel Semakan Peraturan dan Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri di bawah kendalian pasukan Panel Penyelidik yang dilantik oleh Jawatankuasa Terpilih Pengurusan Dewan. Input yang diberikan sudah tentu sangat berguna kepada kajian dan penambahbaikkan Standing Orders kita yang ditubuhkan sejak tahun 1999 untuk jangka panjang supaya selari dan mengikut keperluan semasa.

Pejabat Dewan Undangan Negeri juga sekarang ini dalam proses mengumpul dokumen-dokumen lama bagi menerbitkan Buku Sejarah Dewan Undangan Negeri Terengganu yang ditubuhkan sejak tahun 1959 sehingga sekarang. Saya berharap buku ini boleh dilancarkan pada tahun hadapan, insya-Allah.

Akhir sekali saya ingin menarik perhatian Ahli-ahli Yang Berhormat mengenai kedudukan kerusi yang ada dalam Dewan Undangan Negeri kita iaitu sebanyak 32 kerusi dicampur

dengan satu kerusi ADUN Wanita yang dilantik. Tambahan kerusi pada Dewan Undangan Negeri yang terakhir berlaku pada tahun 1984 iaitu 36 tahun yang lalu dan tiada lagi pertambahan kerusi berlaku selepas itu. Saya berpendapat sudah sampai masanya kajian dan usaha-usaha yang lebih bersungguh-sungguh perlu dibuat untuk menambah kerusi Dewan Undangan Negeri kita supaya mengikut demografi penduduk, kemudahan kepada setiap ADUN bertugas mengikut jumlah pengundian yang munasabah dan lain-lain prinsip yang disyorkan oleh pihak SPR.

Sekali lagi marilah kita letakkan setinggi-tinggi kebergantungan kita kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala dengan doa penuh kerendahan diri kepadaNya. Semoga negara dan negeri kita dibebaskan dari ujian COVID-19 ini dan perjalanan hidup kita termasuk ekonomi pulih seperti sediakala bahkan lebih maju selepas pada ini, insya-Allah.

, Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.

Sekali lagi ditegaskan sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.

Kertas-Kertas Kerja Dan Laporan-Laporan

Setiausaha Dewan

Perkara seterusnya dalam Tertib Pekerjaan Dewan ialah KERTAS-KERTAS KERJA DAN LAPORAN-LAPORAN.

Yang di-Pertua

Kertas-kertas kerja dan laporan-laporan yang dibentangkan ialah:

1 Anggaran Hasil dan Perbelanjaan Tahun 2021

(D.U.N. Bil.7/2020)

2 Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Negeri Tahun 2021

(D.U.N. Bil.8/2020)

Anggaran Bekalan Air Negeri Tahun 2021

(D.U.N. Bil.9/2020)

4 Tambahan Peruntukan Bekalan Pertama Tahun 2019

(D.U.N. Bil.10/2020)

5 Tambahan Peruntukan Bekalan Pertama Tahun 2020

(D.U.N. Bil.11/2020)

6 Penyata Kewangan Negeri Terengganu Tahun 2019

(D.U.N. Bil.12/2020)

7 Penyata Kewangan Tahun 2019 Majlis Bandaraya Kuala Terengganu

(D.U.N. Bil.13/2020)

8 Penyata Kewangan Tahun 2019 Majlis Perbandaran Kemaman

(D.U.N. Bil.14/2020)

9 Penyata Kewangan Tahun 2019 Majlis Perbandaran Dungun

(D.U.N. Bil.15/2020)

10 Penyata Kewangan Tahun 2019 Majlis Daerah Besut

(D.U.N. Bil.16/2020)

11 Penyata Kewangan Tahun 2019 Majlis Daerah Hulu Terengganu

(D.U.N. Bil.17/2020)

12 Penyata Kewangan Tahun 2019 Majlis Daerah Marang

(D.U.N. Bil.18/2020)

13 Penyata Kewangan Tahun 2019 Majlis Daerah Setiu

(D.U.N. Bil.19/2020)

14 Penyata Kewangan Tahun 2019 Yayasan Islam Terengganu

(D.U.N. Bil.20/2020)

15 Penyata Kewangan Tahun 2019 Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu

(D.U.N. Bil.21/2020)

16 Penyata Kewangan Tahun 2019 Yayasan Terengganu

(D.U.N. Bil.22/2020)

17 Penyata Kewangan Tahun 2019 Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri Terengganu

(D.U.N. Bil.23/2020)

18 Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Tahun 2019 Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Terengganu

(D.U.N. Bil.24/2020)

19 Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Tahun 2019 Lembaga Muzium Negeri Terengganu

(D.U.N. Bil.25/2020)

20 Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2018 Siri 3 Berkait Pengurusan Aktiviti Jabatan/Agensi Negeri Terengganu

(D.U.N. Bil.26/2020)

21 Penutupan / Pembatalan Kumpulan Wang Amanah Di bawah Seksyen 10 Akta Tatacara Kewngan 1957 (Akta 61)

(D.U.N. Bil.27/2020)

Soalan-Soalan Yang Telah Diberi NotisQuestions

Setiausaha Dewan

Perkara berikut ialah Soalan-soalan Yang Telah Diberi Notis:

(1) Soalan-soalan Bertulis.

(2) Soalan-soalan Lisan.

Yang di-Pertua

Jawapan kepada Soalan-Soalan Bertulis yang telah diberi notis dan telah dibentangkan di hadapan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian ialah soalan-soalan daripada:

1 Yang Berhormat Wakil Tepoh

2 Yang Berhormat Wakil Batu Burok

3 Yang Berhormat Wakil Seberang Takir

4 Yang Berhormat Wakil Sura

5 Yang Berhormat Wakil Hulu Besut

6 Yang Berhormat Wakil Buluh Gading

7 Yang Berhormat Wakil Bukit Besi

8 Yang Berhormat Wakil Manir

9 Yang Berhormat Wakil Kuala Besut

10 Yang Berhormat Wakil Rantau Abang

11 Yang Berhormat Wakil Pengkalan Berangan

12 Yang Berhormat Wakil Bandar

Yang Berhormat Wakil Air Putih

14 Yang Berhormat Wakil Kemasik

15 Yang berhormat Wakil Wanita

SOALAN-SOALAN LISAN

Soalan-Soalan LisanQuestions

Yang di-Pertua

Sekarang kita masuk kepada Soalan-soalan Lisan. Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah memberi notis untuk mengemukakan Soalan Lisan pada 23 November 2020, hari ini adalah sebagaimana berikut:

1 Yang Berhormat Wakil Tepoh

2 Yang Berhormat Wakil Batu Burok

3 Yang Berhormat Wakil Seberang Takir

4 Yang Berhormat Wakil Sura

5 Yang Berhormat Wakil Telemong

6 Yang Berhormat Wakil Buluh Gading

7 Yang Berhormat Wakil Hulu Besut

8 Yang Berhormat Wakil Manir

9 Yang Berhormat Wakil Bukit Besi

10 Yang Berhormat Wakil Rantau Abang

11 Yang Berhormat Wakil Jertih

Yang Berhormat Wakil Pengkalan Berangan

13 Yang Berhormat Wakil Batu Rakit

14 Yang Berhormat Wakil Bandar

15 Yang Berhormat Wakil Kuala Besut

16 Yang Berhormat Wakil Air Putih

17 Yang Berhormat Wakil Ajil

18 Yang Berhormat Wakil Kemasik

19 Yang Berhormat Wakil Wanita

Tuah mengalah tidak seakan Bertemu lawan tiada sesalan Yang Berhormat Tepoh dijemput memulakan Bagi membuka gelanggang soalan Dipersilakan.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Minta maaf takdok pantun nak balas ini. Soalan nombor satu 1 -

Difahamkan PETRONAS sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan untuk menambah nilai kepada sumber hidrokarbon negara dalam sektor hiliran dan petrokimia yang berpotensi tinggi di negeri ini melalui beberapa projek mengikut kesesuaian, Apakah usaha Kerajaan Negeri untuk mengambil peluang dalam memastikan projek-projek ini dapat memberikan manfaat yang sebaiknya untuk rakyat dan Negeri Terengganu?

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua dan Yang Berhormat-Yang Berhormat, Pegawai Kerajaan. Soalan nombor 1 daripada Tepoh. Kena baca jugak ni agaknya. Sebab orang belakang mungkin dok tahu soalan gini. Difahamkan PETRONAS sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan untuk menambah nilai kepada sumber hidrokarbon negara dalam sektor hiliran dan petrokimia yang berpotensi tinggi di negeri ini melalui beberapa projek mengikut kesesuaian. Apakah usaha Kerajaan Negeri untuk mengambil peluang dalam memastikan projek-projek ini dapat memberikan manfaat yang sebaiknya untuk rakyat dan Negeri Terengganu? Soalan.

PETRONAS sebenarnya menerusi Petronas Chemicals Group Berhad sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan untuk menambah nilai sektor hiliran yang berpotensi tinggi. Antara projek-projek yang telah dibuat kajian yang pertamanya projek bagi menambah nilai kepada pengeluaran derivative ethylene sedia ada. Produknya ialah specialty ethozylates dan polyols mende ape dok tahu tapi bahan untuk pembersih, cucian, ubat-ubat, minyak pelincir, kain kualiti tinggi. Itu nak dia nak keluar bahan ini. Yang kedua, projek bagi menambah nilai kepada pengeluaran acetic asid yang sedia ada, acetylated wood, nak keluarkan kayu. Kerja-kerja kayu kualiti tinggi untuk rumah, construction, lantai dan sebagainya. Kemudian satu lagi yang telah dibuat kajian dan boleh dilaksanakan insya-Allah ialah projek berteraskan usaha kelestarian untuk mengurangkan pelepasan karbon dioksida CO2 iaitu sodium bikarbonat jadi ejen untuk buat kek, makanan haiwan, fire extinguisher, ubat-ubatan dan berbagai lagi. Itu kajian yang sedang dibuat oleh PETRONAS.

Kemudian yang keduanya usaha Kerajaan Negeri pula untuk mengambil peluang, antara usaha dan penambahbaikan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dalam memanfaatkan sepenuhnya industri Petroleum termasuk sektor hiliran beri kepentingan rakyat dan Negeri Terengganu adalah seperti berikut:

1.

Kerajaan Negeri mengenal pasti salah satu daripada langkah yang boleh diambil adalah dengan mengawal dan memantau keseluruhan rantaian ekonomi bagi projek-projek yang akan dilaksanakan kelak. Sebagai contoh, bagi industri

petroleum dan gas sedia ada, Kerajaan Negeri dengan kerjasama PETRONAS sentiasa berusaha memastikan rantaian ekonomi sehingga kepada produk akhir berasaskan petroleum dan gas dihasilkan dalam Negeri Terengganu. Produk-produk lain yang mengguna pakai bahan mentah daripada petroleum dan gas juga boleh berkembang seperti yang dapat dilihat di Taman Biopolimer Kertih (KIPC) yang bersebelahan dengan Kompleks Petroleum di Kertih. Itu yang sedang berjalan.

2.

Bagi syarikat anak tempatan pula, Kerajaan Negeri memanfaatkan peranan Terengganu Petroleum Council (TPC) untuk membida tender-tender yang dikeluarkan oleh pihak PETRONAS dan sebagai rekod, TPC diwujudkan di bawah seliaan Terengganu Incorprated yang menjadi payung kepada syarikat-syarikat yang dimiliki oleh anak-anak Negeri Terengganu dan bersama untuk mendapatkan kerja-kerja kontrak yang ditawarkan. Peranan Terengganu Petroleum Council (TPC) yang menjadi medium Kerajaan bagi memastikan kedaulatan Negeri Terengganu sebagai pengeluar minyak dan gas yang utama di Malaysia dapat dilindungi haknya dengan sewajarnya demi kepentingan rakyat dan Negeri Terengganu.

3.

Kemudian kita ada buat kerjasama sebagai smart partnership dengan PETRONAS secara berterusan dan kita memperkasakan Jawatankuasa Kerja Bersama Kerajaan Negeri Terengganu dan PETRONAS atau Join Working Committee (JWC) yang kita adakan mesyuarat berkala bagi objektifnya ialah bagi mengukuhkan hubungan dua hala dan penjajaran kepentingan di antara Kerajaan Negeri Terengganu dan PETRONAS melalui saluran kerjasama rasmi untuk merealisasikan lanjutan faedah bersama daripada pembangunan Petroleum di Negeri Terengganu.

4.

Kemudian kita juga pastikan bahawa 70% daripada pekerja dan mana-mana perusahaan di kawasan-kawasan industri ini adalah untuk anak Terengganu. Baru-baru ini, kita lagi pihak-pihak pemain oil and gas di Kemaman telah menubuhkan satu lagi council yang dinamakan TODC (Terengganu Oil and Gas Council) yang kita rapatkan hubungan antara PETRONAS dan TODC ini untuk mencari jalan menyelesaikan masalah yang timbul.

Itulah antaranya yang kita lakukan setakat ini. Terima kasih.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Setelah kita mendengar beberapa inisiatif yang telah diambil perjalanan oleh PETRONAS dan akan disambut oleh Kerajaan Negeri, bilakah dijangka pelaburan-pelaburan ini akan memulakan operasi di Negeri Terengganu. Adakah dia masih memerlukan masa yang lama ataupun dalam tempoh yang terdekat. Terima kasih.

Terima kasih. Sememangnya kerja-kerja untuk mencari pelabur untuk Negeri Terengganu ini berterusan dilakukan bersama dengan berbagai agensi MIDA, ECER dan berbagai agensi yang lain dan sesetengahnya telah memberi kepastian untuk datang contohnya satu tu adalah untuk ia melabur di bidang campur chemical dengan kayu akhirnya keluar lantai yang jenis mereka nak tu campur asid dan sebagainya itu daripada UK mereka akan datang mungkin setahun ke dua tahun ni sebab mereka sedang menyudahkan projek mereka di Hull, England dulu. Insya-Allah mereka akan datang ke sini. Begitu juga yang lain-lain, dan untuk tempatan pun memang ada pertanyaan contoh, insya-Allah hujung tahun ini ataupun awal tahun depan kemungkinan tahun depan akan ada satu syarikat, syarikat bumiputera sebenarnya yang melibatkan diri untuk mengeluarkan sarung tangan di kawasan Kertih, Paka, insya-Allah. Yang lain-lain itu masih dalam urusan untuk bertanya khabar ramai yang datang bertanya khabar tapi terencat sikit kerana COVID ini tak dapat kita berjumpa mereka di luar negara untuk panggil mereka datang ke sini.

Yang Berhormat Ladang mengatakan sebuah kilang sarung tangan buat sarung tangan akan dibuka. Apakah syarikat ini juga melibatkan Kerajaan Negeri kerana sedia dimaklumkan Yayasan Terengganu melabur RM4.5 juta dalam kilang ini. Adakah kilang ini yang dimaksudkan? Terima kasih.

Sarung tangan ini adalah keluaran syarikat yang akan mengendalikan sarung tangan ialah suatu syarikat tempatan dan Kerajaan Terengganu tidak terlibat dalam pengeluaran ini. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Sekarang saya jemput Wakil Batu Burok kemukakan soalan.

Yang Berhormat Dato Yang Di-Pertua, soalan pertama-

Sejauh manakah tindakan yang diambil oleh pihak Kerajaan Negeri dalam membuat penambahbaikan mahkamah syariah dari segi pembangunan dan penstrukturan di seluruh Negeri Terengganu?

Yang Berhormat Dato’ Yang Di-Pertua, Ahli-ahli Yang Berhormat dan juga ketua jabatan, semua hadirin sekalian. Soalan Yang Berhormat Wakil Batu Burok berbunyi, sejauh manakah tindakan yang diambil oleh pihak Kerajaan Negeri dalam membuat penambahbaikan mahkamah syariah dari segi pembangunan dan penstrukturan di seluruh Negeri Terengganu?

Yang Berhormat Dato’ Yang Di-Pertua, pihak Kerajaan Negeri Terengganu bersama dengan UPEN telah mengadakan satu siri lawatan menyeluruh ke seluruh mahkamah-mahkamah milik Kerajaan Negeri Terengganu, Mahkamah Syariah di Negeri Terengganu kita ini. Antaranya untuk meninjau keperluan dan juga infrastruktur yang sedia ada bagi membuat penambaikan mahkamah-mahkamah syariah di Negeri Terengganu secara menyeluruh. Untuk makluman Yang Berhormat Dato’ Yang Di-Pertua, kita sedia maklum kebanyakan mahkamah-mahkamah syariah yang sedia ada menggunapakai bangunan pejabat agama yang telah berpindah ke bangunan baru dan kita sedia maklum 20 hingga 30 tahun bangunan yang sedia ada sudah tidak sesuai lagi untuk menampung perjalanan mahkamah syariah di daerah masing-masing kerana memandangkan lebih daripada 600-

1000 kes dibicarakan dan diseliakan di mahkamah-mahkamah daerah yang sedia ada. Jadi ada lagi mahkamah kita yang menumpang ataupun menyewa di perumahan kedai seperti di Setiu. Ada yang duduk dekat dengan traffic light yang agak mengganggu apabila kes-kes dibicarakan dan kita merasakan kebanyakan peringkat daerah ini memerlukan bangunan baru untuk menempatkan secara kekal dan lebih baik. Pihak Kerajaan Negeri juga sebenarnya perlu untuk mewujudkan dua mahkamah tinggi di Besut dan juga di Kemaman dan hakim mahkamah pun sudah ada tapi digunapakai di peringkat Negeri Terengganu dulu kerana tidak memiliki dewan ataupun tempat yang sesuai untuk dilaksanakan perbicaraan mahkamah tinggi di peringkat Besut ataupun di peringkat Kemaman. Kita dengarlah bajet takut ada perkara yang menggembirakan bagi diwujudkan segera mahkamah tinggi di peringkat Besut mahupun di peringkat Kemaman. Untuk makluman juga mahkamah daerah di peringkat Kuala Terengganu pun masih lagi menumpang di Mahkamah Tinggi Terengganu, kita wujudkan daerah baru Kuala Nerus kita rasa sewajarnya juga diwujudkan mahkamah baru di peringkat Daerah Kuala Nerus untuk cover bahagian bandar Kuala Terengganu dan sebagainya. Jadi dari segi infra amat memerlukanlah bangunan-bangunan ini dibina baru sebahagian ada tapak dah dan sebagainya untuk memudahkan perjalanan mahkamah yang sedia ada.

Apa pun dari segi penstrukturan pihak Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Terengganu sedang menyediakan satu kertas cadangan penaiktarafan peringkat mahkamah daripada tiga peringkat mahkamah iaitu yang sedia ada iaitu Mahkamah Rendah Daerah, Mahkamah Tinggi Syariah dan juga Mahkamah Rayuan Syariah dan dengan ditambah satu lagi tingkatan mahkamah yang lebih atas. Tujuan penstrukturan ini dibuat adalah untuk memberi peluang kepada masyarakat untuk mendapatkan hak dan pembelaan mereka dengan lebih luas. Sebahagian negeri-negeri sudah dilaksanakan kita dalam menyiapkan kertas untuk diangkat ke MAIDAM untuk dipersembahkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk mendapat perkenan Kebawah Duli bagi menaik taraf mahkamah yang sedia ada. Kita juga dalam mengemaskinikan ataupun membuat penambahbaikan apa-apa enakmen yang sesuai dengan semasa untuk persiapan dan persediaan masa-masa akan datang. Apa pun pihak Mahkamah Syariah Negeri Terengganu bersedia pada bila-bila masa sahaja untuk melaksanakan hasrat Kerajaan Negeri jika mendapat kelulusan RUU 355 untuk melaksanakan Undang-undang Syariah secara total di Negeri Terengganu kita ni. Terima kasih.

Soalan tambahan. Terima kasih Yang Berhormat Paka yang telah memberikan jawapan. Daripada keadaan yang telah disebutkan tadi adakah di sana peruntukan-peruntukan tambahan yang telah diluluskan jika sekiranya ada berapakah peruntukan tersebut.

Kita buat sementara kita sempena lawatan tersebut kita mengeluarkan peruntukan tambahan lebih kurang RM85,000.00 untuk membuat penambahbaikan bilik bicara ataupun kawasan persekitaran yang kita rasa agar lebih mesra kepada mereka yang mengguna pakai di peringkat mahkamah tersebutlah. Apa pun pihak Kerajaan Negeri di bawah UPEN sebenarnya sedang menyelia dan menyelaras untuk membuat penambahbaikan atas apa yang kita lawati untuk diguna pakai sementara sebelum pembinaan mahkamah yang lebih selesa, insya-Allah. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat. Seterusnya saya menjemput Wakil Sura.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Soalan saya yang pertama-

Apakah status terkini dan langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri bagi mengatasi hakisan di Pantai Teluk Lipat Dungun, di Rhu Rendang dan juga di Kuala Nerus.

Dr. Mamad bin PutehPAS · PNKuala Berang

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli- ahli Yang Berhormat Sekalian, Yang Berhormat Senator, Ketua-ketua Jabatan yang hadir sekalian. Soalan yang dibangkitkan oleh wakil dari Sura adalah berkaitan dengan hakisan pantai apakah status terkini dan langkah-langkah yang diambil oleh

Kerajaan Negeri bagi mengatasi hakisan di Pantai Teluk Lipat Dungun, di Rhu Rendang dan juga di Kuala Nerus. Jadi Yang Berhormat ingin tahu berkaitan dengan status terkini dan juga langkah-langkah yang Kerajaan Negeri ambil. Berkaitan dengan hakisan pantai di Teluk Lipat, alhamdulillah projek ataupun tender ini telah diluluskan pada 30 Oktober baru-baru ini oleh pihak ECERDC setelah lama kita menunggu beberapa tahun dan bersetujulah untuk membina baru empat headland dan juga kerja-kerja yang berkaitan dengannya.

Untuk hakisan di Pantai Rhu Rendang, saya rasa bukan Rhu Rendang sahaja bahkan daripada Rhu Renggeh, Rusila, Rhu Dua, Rhu Rendang sampailah ke Marang. Memanglah menjadi masalah kepada kita, hakisan pantai ini sudah beberapa tahun dan baru-baru ini, Yang Berhormat Tuan Ibrahim, Menteri datang melawat sekitar Kampung Rusila dan bersetuju meluluskan sebanyak RM15 juta untuk kerja-kerja beach nourishment di kawasan tersebut yang insya-Allah akan dilaksanakan pada awal tahun hadapan. Sekarang ini masih dalam kerja-kerja berkaitan dengan kerja atas kertaslah dulu, berkaitan dengan projek tersebut.

Ketiga, berkaitan dengan hakisan pantai di Kuala Nerus. Ini pun sudah agak lama tidak dapat diselesaikan. Alhamdulillah pada baru-baru ini, pihak JPS telah meluluskan kos sebanyak RM6.147 juta untuk kerja-kerja beach nourishment di sekitar kawasan tersebut sejauh 500 meter, insya-Allah akan siap pada bulan Ogos tahun hadapan. Terima kasih.

Soalan tambahan yang pertama: Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya ingin mendapat maklumat daripada pihak Kerajaan Negeri, kontraktor yang mendapat, nak mohon supaya menyatakan kontraktor yang mendapat tender pemulihan hakisan pantai di Teluk Lipat ini dan juga berapakah kos untuk membaikpulih tersebut?

Dr. Mamad bin PutehPAS · PNKuala Berang

Terima kasih Sura.

Ekoran dari lawatan dan kita ucap terima kasih banyaklah. Lawatan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar kita sendiri bersama dengan Yang Berhormat Mohamed Azmin bin Ali waktu itu MEA, ataupun Ministry of Economic Affairs telah melawat kawasan sini, iaitu Teluk Lipat sekitar awal tahun ini, saya rasa bulan Januari ataupun Februari gitu dan waktu itu Yang Berhormat Mohamed Azmin bersetuju meluluskan anggaran kasar waktu itu RM80 juta. Tetapi selepas diaward ataupun dibuat tender baru-baru ini harganya

ialah RM57 juta dan telah diaward kepada satu syarikat yang Cson & Sons dan skop kerjanya ialah pertama menyiapkan empat headlane yang baru, membuat beach nourishment, membaiki jalan, kalau kita pergi ke Teluk Lipat hari ini sudah tentu kita dapat melihat kerosakan jalan. Jadi, membaiki jalan ini menjadi keutamaanlah Yang Berhormat Sura, dan juga struktur awam iaitu gazebo dan walkaway juga yang rosak kerana hakisan baru-baru ini dan insya-Allah kita haraplah dan berdoa supaya projek ini akan dapat diselesaikan segera iaitu dijangka akhir bulan Ogos 2022.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan tambahan saya yang kedua ialah: Memandangkan sekarang ini dah musim tengkujuh, bulan November dan Disember ini, jadi adakah pihak Kerajaan Negeri mendapat maklumat daripada pihak kontraktor tersebut untuk memulakan kerja-kerja memandangkan hakisan jalan itu semakin membesar dah. Terima kasih.

Dr. Mamad bin PutehPAS · PNKuala Berang

Yang Berhormat Sura wak gaduh sokmo. Oleh kerana baru tahu tender ini diluluskan ataupun diaward pada 30 Oktober, hari ini baru 23 hari bulan. Baru kira-kira 23 hari. Sudah tentu benda ini dalam proses untuk award kepada kontraktor tersebut dan kontraktor tersebut tak boleh nak turun padang lagi kerana dia perlu menyediakan beberapa perkara. Pertama dia kena tunggu letters of award dulu. Kemudian kena buat insuran pulak. Kemudian kena sediakan wang amanah dan melantik sub cons-sub cons untuk membuat projek-projek tersebut. Saya percaya, kerja-kerja awalan boleh dibuat iaitu berkaitan dengan jalan raya tadi yang runtuh ataupun yang berlubang boleh dibaiki dulu dan sementara itu boleh buat protection supaya jalan tersebut tidak runtuh. Insya-Allah saya rasa benda ini akan dapat diselesaikan dan kita ucap terima kasih kepada semua pihak-pihak yang terlibat yang menjayakan projek ini. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Okey terima kasih.

Haji Bazlan bin Abd. RahmanUMNO · BNBatu Rakit

Saya mintak satu soalan tambahan mengenai hakisan di Pantai Mengabang Telipot yang dikatakan telah mendapat kelulusan projek. Saya difahamkan projek ini diluluskan lebih kurang bulan 8 tak silap saya, tetapi baru-baru ini sebulan lebih kapal korek duduk situ tapi tidak buat kerja. Tapi hari ini kapal korek itu telah dialihkanlah. Jadi saya nak tahu kedudukan sebenarnya. Ada kata pasir daripada luar, ada macam-macamlah cerita-cerita. Jadi kita

nak dapat penjelasan sebenar, jadi bilakah tindakan yang selanjutnya yang akan diambil? Terima kasih.

Dr. Mamad bin PutehPAS · PNKuala Berang

Terima kasih Batu Rakit. Berkaitan dengan pantai di Mengabang Telipot, sebenarnya projek ini yang dalam kerja-kerja sekarang ialah projek RM6.147 juta yang telah diluluskan. Yang ini dijangka siap pada bulan 8 pada 2021 tahun depan. Tetapi untuk satu jangka yang panjang, ada lagi peruntukan yang dimohon kepada JPS Federal iaitu sebanyak RM90 juta. Satu waktu dulu, kalau tak salah saya pada tahun 2017 telah diluluskan waktu itu tetapi bila berlaku perubahan, macam tarik balik je Yang Berhormat. Lepas itu, sekarang ni…

Haji Bazlan bin Abd. RahmanUMNO · BNBatu Rakit

Hok lulus doh ni. Masalahnya masuk kapal korek lepas tu kapal korek sekarang dah lari pulok doh. Alih doh.

Dr. Mamad bin PutehPAS · PNKuala Berang

Dok, dok. Maksud saya..

Haji Bazlan bin Abd. RahmanUMNO · BNBatu Rakit

Jadi hakisan semakin teruk. Hampir dengan kubur dan sebagainya. Rumah-rumah pun ada yang roboh.

Dr. Mamad bin PutehPAS · PNKuala Berang

Ye, ye betul. Yang Berhormat, yang berkaitan dengan RM90 juta ini hal berkaitan dengan isu lainlah. Yang ini sedang menyediakan reka bentuk dan penyiapan untuk EIA report. Jadi apabila siap yang itu, insya-Allah satu projek jangka panjang RM90 juta akan dilaksanakan. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Saya ingat cukup tu Yang Berhormat.

Haji Bazlan bin Abd. RahmanUMNO · BNBatu Rakit

Saya tanya soalan lain, gi jawab hok orang tarik balik.

Yang di-Pertua

Dok. Betullah.

Haji Bazlan bin Abd. RahmanUMNO · BNBatu Rakit

Hok projek hok RM6.147 juta ni.

Yang di-Pertua

Dok apa, dok apa..

Haji Bazlan bin Abd. RahmanUMNO · BNBatu Rakit

Bila nak buat masalahnya..

Yang di-Pertua

Dia dah beri penjelasan, rujuk perkara..

Haji Bazlan bin Abd. RahmanUMNO · BNBatu Rakit

Dok sapa matlamat. Masalahnya dok sapa matlamat.

Yang di-Pertua

Dengar saya kata dulu. Soalan ini dah soalan yang lain..

Haji Bazlan bin Abd. RahmanUMNO · BNBatu Rakit

Dok, sebab saya nak tau.

Yang di-Pertua

Nanti dulu, nanti dulu…

Haji Bazlan bin Abd. RahmanUMNO · BNBatu Rakit

Asalnya kapal korek duduk situ, lepas tu alih. Jadi rakyat nak tahu sebab apa?

Yang di-Pertua

Okey, Yang Berhormat duduk…

Haji Bazlan bin Abd. RahmanUMNO · BNBatu Rakit

Sebulan duduk situ tidak buat kerja.

Yang di-Pertua

Yang Berhormat duduk..

Haji Bazlan bin Abd. RahmanUMNO · BNBatu Rakit

Sebab apa?

Jadi itu penjelasan yang kita nak.

Yang di-Pertua

Yang Berhormat, duduk…

Haji Bazlan bin Abd. RahmanUMNO · BNBatu Rakit

Bukan soal RM90 juta tarik balik dan sebagainya. Hok lulus doh ni.

Yang di-Pertua

Okey, Yang Berhormat duduk dulu, cukup. Cukup, duduk dulu.

Haji Bazlan bin Abd. RahmanUMNO · BNBatu Rakit

Dok sampai matlamat ni.

Yang di-Pertua

Dok, soalan Yang Berhormat ini, soalan yang dah lari daripada soalan asal. Kita dah…

Haji Bazlan bin Abd. RahmanUMNO · BNBatu Rakit

Dok lari. hal hakisan di Kuala Nerus, ada [Pertindihan suara yang tidak dapat difahami].

Yang di-Pertua

Betul, soalan yang ditanya asal ialah soalan hakisan di beberapa tempat yang khusus yang ditanya…

Haji Bazlan bin Abd. RahmanUMNO · BNBatu Rakit

Yalah, betul doh…

Yang di-Pertua

Yang Berhormat tanya soalan lain doh.

Haji Bazlan bin Abd. RahmanUMNO · BNBatu Rakit

Tapi saya…

Yang di-Pertua

Nanti dulu. Dengar saya kata dulu.

Haji Bazlan bin Abd. RahmanUMNO · BNBatu Rakit

Tambah…

Yang di-Pertua

Dengar saya kata dulu.

Haji Bazlan bin Abd. RahmanUMNO · BNBatu Rakit

Doh, guane pulok Yang Berhormat Speaker buat pening pale gini…

Yang di-Pertua

Dengar saya kata dulu, tak dok masalah.

Sekarang ini dari segi Perkara 26 (1), menyebutkan bahawa tujuan satu soalan itu hanya nak dapat penjelasan. Tidak perlu jadikan helah untuk perbahasan pula.

Haji Bazlan bin Abd. RahmanUMNO · BNBatu Rakit

Dok eh, ya.

Sekarang ini, saya nak mendapat penjelasan, tetapi tidak capai matlamat…

Yang di-Pertua

Okey, saya nak teruskan dengan soalan lain.

Haji Bazlan bin Abd. RahmanUMNO · BNBatu Rakit

Saya tanya yang 6.147 juta.

Yang di-Pertua

Dakpe.

Haji Bazlan bin Abd. RahmanUMNO · BNBatu Rakit

Kapal korek masuk doh. Sebulan duduk situ dok buat kerja. Lepas itu, lari…

Yang di-Pertua

Dakpe, Yang Berhormat.

Haji Bazlan bin Abd. RahmanUMNO · BNBatu Rakit

Jadi, kita nak tahu kedudukan sebenarnya, apa cerita.

Yang di-Pertua

Sekarang ini, kita kesuntukan masa.

Haji Bazlan bin Abd. RahmanUMNO · BNBatu Rakit

Dok, kalau main suntuk masa sokmo gok, dok selesai sokmolah.

Yang di-Pertua

Yang Berhormat jangan macam itu.

Haji Bazlan bin Abd. RahmanUMNO · BNBatu Rakit

Bukan.

Yang di-Pertua

Sekarang ini, yang nak bertanya soalan ini ramai. Jadi, kalau…

Haji Bazlan bin Abd. RahmanUMNO · BNBatu Rakit

Saya faham.

Rakyat di bawah sana nak tahu.

Yang di-Pertua

Yang Berhormat kena duduk dulu apabila saya bercakap. Kena duduk dulu, kena jaga Peraturan Dewan. Kena jaga, tak perlu…

Haji Bazlan bin Abd. RahmanUMNO · BNBatu Rakit

Saya faham Peraturan Dewan, tapi…

Yang di-Pertua

Doh, kena duduk dululah.

Haji Bazlan bin Abd. RahmanUMNO · BNBatu Rakit

Yang di-Pertua pun kena faham juga hasrat saya.

Yang di-Pertua

Dok, saya faham. Saya faham.

Haji Bazlan bin Abd. RahmanUMNO · BNBatu Rakit

Saya bawa suara rakyat.

Yang di-Pertua

Saya kena mengendalikan mesyuarat ini dengan adil. Kalau saya melayani Yang Berhormat sorang, apa kata yang lain lagi…

Haji Bazlan bin Abd. RahmanUMNO · BNBatu Rakit

Dok.

Yang di-Pertua

Nanti dulu.

Haji Bazlan bin Abd. RahmanUMNO · BNBatu Rakit

Menjawab..

tidak menjawab soalan.

Yang di-Pertua

Yang Berhormat, dengar saya kata dulu.

Sekarang ini, apa isu Yang Berhormat sebut tadi, kalau ada penjelasan akan digulung nanti, akan boleh dibuat dalam masa penggulungan.

Haji Bazlan bin Abd. RahmanUMNO · BNBatu Rakit

Gitu pulok.

Yang di-Pertua

Jadi, buat masa ini Yang Berhormat duduk dulu.

Haji Bazlan bin Abd. RahmanUMNO · BNBatu Rakit

Jadi, macam kita tanya, jawab hok lain.

Yang di-Pertua

Sekarang ini, saya jemput Yang Berhormat Telemong untuk mengemukakan soalan.

Dato’ Haji Rozi bin MamatUMNO · BNTelemung

Selesailah dok? Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan saya yang pertama-

Pengusaha sektor pelancongan antara yang menerima implikasi besar akibat pandemik COVID-19, apakah langkah Kerajaan Negeri menangani isu ini?

Ariffin bin DeramanPAS · PNAlur Limbat

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan dan seluruh Ahli Dewan. Soalannya adalah Pengusaha sektor pelancongan antara yang menerima implikasi besar akibat pandemik COVID-19, apakah langkah Kerajaan Negeri menangani isu ini? Soalan ini ditanya oleh empat orang ADUN. Yang pertama, ADUN Telemong. Yang kedua, ADUN Bukit Besi. Yang ketiga, ADUN Kuala Besut. Yang keempat, ADUN Sura. Jadi, saya menjawab sebab soalannya bukan hampir sama, sama sahaja empat-empat ADUN ini. Jadi, saya jawab sekali gus. Pandemik COVID-19 ini sememangnya semua orang tahu memberikan impak yang sangat besar kepada industri pelancongan global khususnya termasuklah di Negeri Terengganu dan apabila penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac 2020 sememangnya bidang pelancongan turut terkesanlah. Antaranya, perhotelan, agensi pelancongan dan lain-lain lagi yang melibatkan

pelancongan. Oleh itu, bagi menangani pandemik ini, Kerajaan Negeri telah merangka pelan pemulihan COVID-19. Antaranya, kita bahagikan kepada tiga strategi.

Strategi yang pertama, menangani impak COVID-19 terhadap sektor pelancongan. Strategi yang kedua, melestari pelancongan dalam tempoh COVID-19 dan strategi yang ketiga, memacu pertumbuhan sektor pelancongan Negeri Terengganu yang dibahagikan kepada beberapa fasa di mana, saya ringkaskan strategi menangani impak COVID-19 terhadap sektor pelancongan Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri telah menjalinkan kerjasama bersama agensi media untuk memastikan sektor pelancongan negeri sentiasa menjadi ingatan dalam pemikiran di kalangan rakyat Malaysia. Selain itu, saringan COVID-19 di setiap premis pelancongan telah dilaksanakan untuk memastikan kawalan COVID-19 dan juga diisytiharkan sebagai negeri berisiko rendah.

Strategi yang kedua, melestarikan pelancongan dalam tempoh COVID-19, Kerajaan Negeri sentiasa bekerjasama mengadakan perbincangan dengan pengusaha sektor pelancongan untuk mengeluarkan tawaran pakej yang menarik. Ini apa yang kita buat. Antaranya, pakej penginapan khas, pakej makanan khas, pelancongan khas dan antaranya kita telah mengeluarkan 20 pakej melalui Youtube minggu lepas baru siap 20 ini. Bukan maksud kita dah upload, dah siarkan daripada awal lagi. Tapi, oleh kerana 20 pakej memerlukan masa yang panjang, kita baru siap minggu lepas.

Strategi yang ketiga, memacu pertumbuhan sektor pelancongan negeri, antaranya kita memperuntukkan RM63,800 kepada sektor perkhidmatan pelancongan, pengayuh beca dan lain-lain yang kita beri dulu dan ringkasnya, saya nak sebut, kami juga telah mengeluarkan procedure standard operasi sektor pelancongan di Negeri Terengganu sempena COVID-19, buku ini yang telah kita cetak dan yang kedua, kita mengadakan perancangan pembangunan kelestarian pelancongan bagi menghadapi cabaran COVID-19 di Negeri Terengganu ini dalam proses percetakan kita dan hasil daripada perkara ini kita juga telah mengadakan Pelan Strategik Pelancongan 2021-2025 bagi menyokong kelestarian pelancongan di mana kita dengan norma baharu yang ada sekarang ini, kita mengadakan Pelan Strategik Pelancongan sehingga tahun 2025 yang insya-Allah kita akan lancarkan pada Januari 2021 dan antaranya, kita memfokuskan kepada CBT (Community Based Tourism) yang memberikan kesan ataupun impak secara langsung kepada rakyat. Sekian.

.

Dato’ Haji Rozi bin MamatUMNO · BNTelemung

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, apa yang dijelaskan oleh Yang Berhormat EXCO Pelancongan sebentar tadi, kita mengucapkan terima kasih. Tapi, pada pandangan saya itu adalah satu cadangan dan juga perancangan jangka masa panjang kepada pengusaha-pengusaha pelancongan. Sebagaimana yang kita semua sedia maklum bahawa COVID-19 ini semua orang terkesan, bukan pelancongan sahaja. Tapi, untuk kali ini saya khususkan kepada pelancongan kerana saya melihat sektor ini sangat teruk. Jadi, saya nak tahu apakah sokongan ataupun bantuan daripada pihak kerajaan kepada mereka-mereka yang terlibat secara langsung masa sekarang ini, bukan kata hok bulan tahun depan ke, hok tahun depan nung ke, hok buat perancangan tu bagus doh. Hok tu jangka masa panjang, saya faham. Tapi, yang hadapi masa sekarang ini, ada yang setengah-setengah itu sehinggakan nak jual doh apa yang mereka usaha pada hari ini kerana tidak mampu nak tanggung dengan disebabkan pinjaman-pinjaman. Ini yang saya nak tahu jangka masa pendek, Yang Berhormat. Ada dok Yang Berhormat beri one off ke, pitih ke, guane ke, gitulah. Terima kasih.

Ariffin bin DeramanPAS · PNAlur Limbat

Okey, terima kasih kepada Telemong. Sebenarnya, Terengganu antara negeri yang walaupun kita terjejas, tetapi antara negeri yang terbaik dalam sektor pelancongan, post COVID kalau dikatakan post COVID sementara selepas dibuka. Kita ada memberikan bantuan kepada antaranya dulu pengayuh beca, pemandu bot penambang, pemandu pelancong bandar, pelancong alam semulajadi, malim gunung dan kerajaan untuk makluman Dewan, dalam makluman kami, di Terengganu tiada lagi kerana COVID hotel ditutup, pengusaha-pengusaha yang terpaksa gulung tikar. Kalau adapun, yalah kalau yang kecil-kecil wallahu a'lamlah. Tapi, dari segi hotel-hotel besar, hotel-hotel biasa tiada dalam makluman berbanding dengan negeri-negeri yang lain dan insya-Allah perkara ini kita akan lihat dari semasa ke semasa. Apa yang disebut tadi sebenarnya bukan dalam perancangan kita, bukanlah kita buat ini dalam untuk jangka masa panjang. Apa yang saya sebut tadi Pelan Rangsangan Pelancongan Terengganu, hampir semua perkara yang kita rancang telah dilaksanakan. Alhamdulillah, hasil daripada itu baru-baru ini kedatangan pelancong kita jatuh nombor dua yang terbaik di Malaysia.

Dato’ Yang di-Pertua, saya ada satu soalan tambahan susulan yang disebut oleh Yang Berhormat Telemong tadi iaitu berkaitan dengan bantuan-bantuan yang diberi dan saya ucap tahniah. Cuma, tidak adakah perancangan ataupun cadangan Kerajaan Negeri untuk meneruskan sepertimana yang pernah dibuat oleh kerajaan sebelum ini memberikan bantuan bulanan sebanyak RM200.00 kepada pengusaha beca dan juga bot penambang kerana kita difahamkan sekarang ni memang diorang ni memang sangat daif. Saya ingat sampai tahap hari ini pendapatan diorang boleh dikatakan kosong setiap hari walaupun menunggu pelanggan-pelanggan. Jadi soalan kita tadi adakah ada atau tidak kerajaan bercadang untuk meneruskan seperti mana yang pernah dibuat oleh kerajaan sebelum ini. Terima kasih.

Ariffin bin DeramanPAS · PNAlur Limbat

Sehingga hari ini kita telah memberhentikan bantuan tersebut kerana kami daripada Jabatan Pelancongan Negeri, kita menyifatkan bahawa kita bukan kita ada agensi-agensi lain antaranya MAIDAM, JKM, TDI. Bagi yang miskin yang menghadapi masalah mereka akan diberikan bantuan dan insya-Allah perkara ini sama ada akan digulung oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar ataupun kita akan tengok baliklah, kaji balik dari semasa ke semasa keperluan tersebut insya-Allah.

Dato’ Haji Rozi bin MamatUMNO · BNTelemung

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya rasa Yang Berhormat EXCO benda ni takleh orang nak tunggu hal gaji-gaji. Sepatutnya kita berilah pandangan. Bantuan ini bukannya kata bantuan yang dulu atau yang baru masalahnya saya faham, Negeri Terengganu merupakan negeri antara yang paling ramai datang pelancong baru-baru ini. Tapi saya cerita ini bila menghadapi masalah PKPB ini yang jadi orang nrak, ada yang kena buang kerja, ada yang terpaksa berhenti, ada yang terpaksa macam kata saknilah tidak ada masalah yang dihadapi bukan miskin panjang ni, tapi kesusahan masa lening.

Yang di-Pertua

Soalan Yang Berhormat, soalan.

Dato’ Haji Rozi bin MamatUMNO · BNTelemung

Ada tak yang boleh kita bantu.

Yang di-Pertua

Soalan-soalan.

Dato’ Haji Rozi bin MamatUMNO · BNTelemung

Itu je yang kita hendak tahunya. Bukan kita hendak royat hok dulu tak dop hok susah lening ada dop.

Ariffin bin DeramanPAS · PNAlur Limbat

Boleh jawab tidak Yang Berhormat?

Yang di-Pertua

Okay.

Ariffin bin DeramanPAS · PNAlur Limbat

Okay eh. Sebenarnya kami sudah bincang. Kerajaan bincang bukan sektor pelancongan sahaja yang menghadapi masalah keseluruhan. Sebab itu kita serah kepada Kerajaan insya-Allah kita akan menilai sebenarnya dari semasa ke semasa sebab sektor peruncitan, sektor under pelbagai EXCO kita ini memang menghadapi masalah yang teruk juga termasuklah pelancongan, jadi kita akan nilai keseluruhannya.

Yang di-Pertua

Okay, terima kasih. Sekarang saya jemput Yang Berhormat Wakil Buluh Gading.

Haji Ridzuan bin HashimPAS · PNBuluh Gading

Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Soalan nombor satu –

Difahamkan Kerajaan Negeri Terengganu telah menubuhkan Urusetia Pembangunan Usahawan Terengganu (PEUTER) bagi membantu dan membangunkan usahawan. Apakah objektif ia ditubuhkan dan apakah pencapaian sejak ditubuhkan?

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan daripada Buluh Gading berbunyi: Difahamkan Kerajaan Negeri Terengganu telah menubuhkan Urusetia Pembangunan Usahawan Terengganu (PEUTER) bagi membantu dan membangunkan usahawan. Apakah objektif ia ditubuhkan dan apakah pencapaian sejak ditubuhkan?

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, untuk makluman Dewan, PEUTER ini adalah satu nafas baru diberikan oleh kerajaan kita selepas diambil alih 2018. Sebelum daripada ini, nama PEUTER adalah Majlis Sekretariat Pembangunan Usahawan Terengganu dan ditubuhkan sejak 23 April 2014. Antara objektifnya adalah:

a) Bagi mengoptimakan penggunaan sumber antara agensi-agensi untuk memaksimakan pelaksanaan program dan aktiviti ke arah meningkatkan impak program sebagai outcome utama Pembangunan Usahawan Negeri Terengganu.

b) Objektif yang kedua menjadikan platform perunding yang lebik efektif bagi menyelaras hala tuju serta pelaksanaan program dan aktiviti keusahawanan khususnya di Negeri Terengganu.

c) Objektif yang ketiga membantu kerajaan untuk membentuk hala cara pembangunan keusahawanan negeri yang lebih holistic di masa hadapan.

d) Objektif yang keempat, PEUTER juga berperanan sebagai urus setia yang membantu mengumpul maklumat berkaitan keusahawanan bagi usaha-usaha pemantauan dan penilaian pencapaian prestasi Program Pembangunan Usahawan Negeri Terengganu.

Mengenai pencapaian, kalau ada di dalam catatan ini bermula daripada 2016, jadi mungkin Yang Berhormat semua boleh baca melalui jawapan bertulis. Cuma saya ingin membacakan pencapaian yang diberikan bermula daripada 2019 dan 2020 sehingga 31 Oktober.

Kita pecahkan kepada pembiayaan, geran, latihan dan promosi.

PERKARA 2019 2020 PEMBIAYAAN RM345,284,960.00 35,606 PKS RM130,764,494.00 12,304 PKS GERAN RM4,077,060.00 415 PKS RM3,326,151.00 713 PKS LATIHAN 435 program 21,462 usahawan 123 program 4363 usahawan.

PROMOSI 349 program 117,732 usahawan 43 program 6,697 usahawan

Terima kasih.

Haji Ridzuan bin HashimPAS · PNBuluh Gading

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, kita telah mendengar tadi telah banyak program-program yang telah diatur melibatkan jumlah usahawan yang agak besar. Boleh tak dikongsikan kepada kita di Dewan yang mulia ini kejayaan yang telah dicapai oleh PEUTER dalam membantu usahawan Terengganu khususnya dalam tempoh PKP yang lalu. Terima kasih.

Dato’ Yang di-Pertua, kita mempunyai 39 agensi di bawah PEUTER ini. Mungkin pertanyaan daripada Yang Berhormat saya akan bacakan sedikit satu ataupun dua sahaja keberhasilan ataupun kejayaan anggota PEUTER membantu usahawan-usahawan kita semasa pandemik COVID-19 baru ini. Yang pertama kalau boleh saya kongsikan Kerajaan Negeri sendiri di bawah YPU yang juga menjadi urus setia kepada PEUTER ini, kita telah mengeluarkan bantuan yang dinamakan Bantuan Pembiayaan COVID-19 kepada PKS Terengganu sebanyak RM4,347,971.00 kepada 327 usahawan dan begitu juga YPU turut memberi insentif menerusi pengecualian sewa kepada lebih 100 penyewa premis di YPU yang dianggarkan lebih RM500,000.00 dalam tempoh April hingga Mei 2020. Agensi yang ada di dalam PEUTER yang boleh saya kongsikan sedikit di sini Dato’ Yang di-Pertua, iaitu PUNB (Perbadanan Usahawan Nasional Berhad) telah memperuntukkan RM200 juta di bawah PENJANA untuk seluruh Malaysia dan sehingga kini usahawan Terengganu telah dapat manfaat sebanyak 29 usahawan yang berjumlah RM9.130 juta. Agensi kita yang seterusnya yang membantu semasa Post COVID-19 baru ini adalah

TEKUN di mana peminjam yang sedia ada dan mempunyai bayaran balik telah diberi moratorium selama enam bulan secara automatik daripada Mac sehingga Ogos. Kemudian telah memberikan moratorium tambahan bersasar selama tiga bulan lagi kepada usahawan yang memohon dan mempunyai kelayakan. Yang kedua TEKUN juga telah melancarkan pinjaman COVID Business Recovery Micro (CBRM) ianya pinjaman tanpa caj sehingga RM10,000.00 dan diberi moratorium bayaran balik selama enam bulan selepas menerima pembiayaan. Bagi Negeri Terengganu, sehingga 31 Oktober 2020, sebanyak 9.528 juta telah diberikan melibatkan 1,201 usahawan dan TEKUN juga melancarkan pinjaman TEKUN Mobilepreneur bagi rider yang berdaftar dengan syarikat e-hailing ia diberi moratorium juga enam bulan dan pinjaman tanpa caj dan untuk Negeri Terengganu, rider kita telah terlibat seramai 75 orang melibatkan kewangan sebanyak RM693,000.00. Jadi itu antara yang boleh saya kongsikan, Dato’ Yang di-Pertua. Terima kasih.

Haji Ridzuan bin HashimPAS · PNBuluh Gading

Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada pihak Kerajaan Negeri atas segala usaha dan inisiatif yang telah dilakukan bagi membantu usahawan kita khususnya tempoh covid-19 ini. Soalan saya seterusnya, apakah langkah-langkah ke hadapan yang boleh diambil oleh YPU untuk terus membantu usahawan Terengganu kita melalui platform PEUTER ini, terima kasih.

Terima kasih Buluh Gading. Soalan tambahan, bagaimana langkah YPU melalui PEUTER platform ini untuk membantu masa hadapan usahawan-usahawan kita. Dato’ Yang di-Pertua, Kerajaan Persekutuan menurunkan banyak bantuan-bantuan di seluruh negara dan tidak terkecuali Negeri Terengganu dan sehingga kini kita mendapati ramai lagi usahawan-usahawan kita yang tidak ada maklumat dan hendak tahu dekat mana agensi-agensi yang perlu mereka pergi untuk dapatkan bantuan-bantuan itu dan insya-Allah YPU tekad untuk menjadikan pemudah cara dalam memaklumkan kepada usahawan-usahawan kita untuk mencari agensi-agensi yang mempunyai peruntukan-peruntukan yang banyak itu, insya-Allah dan pihak YPU juga melalui PEUTER sedang merancang untuk duduk semeja sekali untuk sebelum akhir tahun ini untuk melihat apakah agensi-agensi yang ada dan kita akan salurkan kepada rakyat kita insya-Allah.

Yang di-Pertua

Seterusnya saya jemput Yang Berhormat Wakil Manir.

Haji Hilmi bin HarunPAS · PNManir

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan saya yang pertama-

Berapakah bilangan pelajar di UC TATI mengikut pecahan tahun dari 2016-2020?

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Berhormat Wakil ADUN Manir bertanyakan berapakah bilangan pelajar UC TATI mengikut pecahan tahun daripada 2016 sehingga 2020. Berikut adalah bilangan pelajar UC TATI untuk tahun 2016 sehingga 2020.

Pada 2016 ada 1,553 pelajar, pada 2017 turun kepada 1,048 pelajar, 2018 hanya ada 746 pelajar dan pada tahun 2019 pengambilan pelajar berjumlah 837 dan pada tahun ini 2020, walaupun dalam suasana covid dan sebagainya, alhamdulillah ada 1305 di UC TATI. Terima kasih.

Haji Hilmi bin HarunPAS · PNManir

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, berdasarkan pecahan jawapan yang diberikan itu, kita dapat melihat ada penurunan pada tahun 2018 dan 2019 dan alhamdulillah suasana yang ada sekarang ini kita ucapkan tahniah kepada pihak UC TATI yang dapat meningkatkan semula bilangan pelajar dan apakah pihak kerajaan mempunyai mekanisma ataupun sebab-sebab yang boleh diperincikan oleh pihak kerajaan? Terima kasih.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, kalau kita tinjau ataupun tengok statistik kemasukan pelajar 2019-2020 ini, kita masih lagi pelajar yang paling ramai yang belajar ataupun menyambung karier pengajian mereka adalah daripada anak Terengganu dan saya rasa ini berdasarkan kepada tawaran pihak UC TATI dengan kerjasama pihak Kerajaan Negeri, Yayasan Terengganu yang offer untuk bantuan pinjaman, biasiswa mahupun kemudahan

kewangan. Baki lagi negeri jiran kita iaitu Kelantan dan juga Pahang. Itu pun pihak UC TATI mempertingkatkan kempen ataupun pelantikan agen, duta-duta untuk memperkenalkan UC TATI kepada pelajar-pelajar sama ada secara online ataupun kempen turun ke peringkat grass root sendiri. Untuk makluman Sidang Dewan sekalian, mutakhir ini isu yang dihadapi oleh universiti yang melibatkan teknikal dan sebagainya menghadapi isu yang sama iaitu kekurangan pelajar. Antaranya kerana makin ramai pelajar-pelajar di peringkat SPM dan sebagainya, mereka tidak memilih jurusan STAM lagi. Banyak dari kalangan mereka yang mungkin sebab zaman kita dahulu kita macam dipaksa untuk pilih berdasarkan kelulusan peperiksaan masing-masing. Hari ini pelajar-pelajar diberi kebebasan, mereka kadang-kadang tidak memilih jurusan STAM untuk keutamaan mereka. Jadi kita perlu mempertingkatkan kempen daripada peringkat SPM lagi untuk mereka memilih jurusan khususnya Sains untuk memberi ruang kepada mereka untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah di universiti-universiti termasuk UC TATI sendiri.

Pihak Kerajaan Negeri juga telah mewujudkan Fast Track SPM, nampak ada perkembangan peningkatan pelajar iaitu pada tahun 2019 ketika awal diperkenalkan, seramai 65 orang dan pada tahun 2020 meningkat 105 orang. Antara ini merupakan feeder untuk dia offer untuk menyambung pengajian di peringkat UC TATI sendiri. Terima kasih.

Haji Hilmi bin HarunPAS · PNManir

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, tahniah kepada pihak kerajaan yang cuba melaksanakan perkembangan yang baik untuk UC TATI. Soalan tambahan saya yang seterusnya ialah di antara jawapan-jawapan tadi, kita juga ingin tahu tentang berapakah kapasiti sebenar bilangan pelajar di TATI UC yang boleh belajar pada satu-satu masa dan juga saya teruskan dengan satu soalan yang lain iaitu dengan berapakah bilangan pelajar untuk UC TATI mencapai SSL (Sustainable Level) untuk ketidakbergantungan UC TATI kepada pihak kerajaan. Terima kasih.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, pelbagai usaha cuba dirancang oleh pentadbiran baru UC TATI antaranya kita akan menambahkan kursus diploma ataupun ijazah yang menjadi keperluan ataupun yang lebih diminati dari kalangan pelajar dan pihak UC TATI sekarang ini sedang berusaha untuk mewujudkan city campus di bandar Kuala Terengganu sendiri

untuk kursus-kursus yang lebih sesuai dalam suasana persekitaran bandar Kuala Terengganu untuk menambahkan bilangan pelajar dan juga berusaha ke arah untuk berdikari dalam sumber kewangan. Apapun setakat ini pihak UC TATI masih lagi bergantung kepada sumbangan ataupun penyeliaan daripada kewangan Kerajaan Negeri dan berdasarkan keperluan, berdasarkan kapasiti yang sedia ada pihak UC TATI mampu menampung antara 3,500 sehingga 5,000 pelajar di dalam kampus yang sedia ada dan hari ini pun kita telah membaiki ataupun membuat penambahbaikkan beberapa asrama baru kerana peningkatan pelajar untuk kita gunapakai yang sedia ada tu ada yang lama tidak digunakan menyebabkan berlaku kerosakan dan sebagainya.

Secara keseluruhannya kita menjangkakan jika sekiranya kita mampu untuk menarik 3,000 pelajar, kita mampu untuk berdikari ataupun mampu untuk mendapat tambahan kewangan dan tidak perlu bergantung lagi kepada pihak Kerajaan Negeri tetapi kita berusaha ke arah itu walaupun sekarang kita ada lebih kurang 1,300 pelajar, separuh, kita rasa insya-Allah kita berusaha untuk di masa-masa akan datang untuk mencapai tahap 3,000 pelajar. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Sekarang saya jemput Wakil Rantau Abang. Sebelum pada itu Wakil Bukit Besi, soalan yang pertama ditolak yang kedua dah cover tadi kan? Dah jawab sekali gus tadi. Okay. Saya jemput Wakil Rantau Abang.

Haji Alias bin HarunPAS · GSRantau Abang

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Soalan saya ialah soalan nombor satu-

Apakah status terkini pengoperasian Ladang Rimbunan Kaseh di Rantau Abang?

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih kekanda Rantau Abang. Status terkini pengoperasian Ladang Rimbunan Kaseh di Rantau Abang bermula daripada April 2020, pengoperasian Ladang Rimbunan Kaseh di Rantau Abang telah diambil alih oleh anak

syarikat Kerajaan Negeri, TADC dengan usahasama MCT Agriculture Sdn Bhd. Sehingga sekarang ini enam SPH (Struktur Pelindung Hujan) daripada jumlah keseluruhan 26, telah dimajukan dengan tanaman MMT (Melon Manis Terengganu) sebanyak 26,000 pokok. Daripada April 2020 sehingga kepada Ogos 2020 anggaran hasil yang telah dikeluarkan sebanyak 10.17 matrik tan dengan nilai kira-kira RM80,000 manakala baki 20 lagi SPH sedang dibaikpulih dan dijangka akan siap sepenuhnya untuk penanaman pada Januari 2021 dan kesemua 26 SPH akan beroperasi sepenuhnya pada Februari 2021. Satu lagi komponen dalam Ladang Rimbunan Kaseh ialah 400 tangki ikan. Setakat ini pemaju– pemaju yang ditawarkan untuk memulihkan semula operasi 400 tangki ternakan ikan yang ada mendapati bahawa projek ternakan ikan tidak dapat diteruskan dengan kaedah dalam tangki kerana masalah bekalan air. Air daripada sumber bawah tanah di kawasan Ladang Rimbunan Kaseh mempunyai kandungan logam berat yang tinggi yang tidak sesuai untuk ternakan ikan. Kalau nak digunakan air terawat daripada SATU dia akan memakan kos yang sangat tinggi dan tidak ekonomik, sebab itu TADC bersama dengan MCT mencadangkan supaya ganti projek ternakan ikan dengan kaedah penanaman hidroponik untuk tanaman markisa. Markisa ni macam buah oren, jadi kita jangkakan insya-Allah menjelang pertengahan tahun 2021 kesemua tangki-tangki ternakan ikan sejumlah 400 ini akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Terima kasih.

Haji Alias bin HarunPAS · GSRantau Abang

Terima kasih atas jawapan yang telah diberi kerana Rimbunan Kaseh ini merupakan satu tapak yang boleh dimajukan dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana telah berusaha untuk memajukan setelah sekian lama ianya tak dapat dijayakan. Cuma sudah tentulah dengan usaha-usaha yang ada ini saya kira, Kerajaan Negeri akan berusaha untuk mengoptimumkan keseluruhan tapak ini yang mana saya melihat ada 26 buah rumah hijau ini hanya baru enam yang dilaksanakan. Jadi apakah langkah-langkah pihak Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC) bersama dengan MCT Agriculture Sdn Bhd untuk mengoptimumkan penggunaan prasarana yang sedia ada di Rimbunan Kaseh? Terima kasih.

Terima kasih, Rantau Abang.

Memang kos untuk baikpulih semula SPH (Struktur Pelindung Hujan) memakan kos yang sangat tinggi kerana bukan hanya sekadar struktur bumbung yang perlu dibaikpulih tetapi juga melibatkan tangki graviti, sistem paip dan sebagainya. Jadi proses ini sekarang sedang berjalan, setakat ini TADC mengeluarkan kos kira-kira RM600,000.00

bagi kerja-kerja baikpulih dan sebagaimana yang saya nyatakan tadi kita letakkan target insya-Allah menjelang Februari 2021 kesemua 26 SPH akan dapat dioperasikan sepenuhnya dengan tanaman MMT (Melon Manis Terengganu) secara kaedah hidroponik.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat. Saya nak ringkaskan. Saya bermurah hati nak jemput seorang lagi, Wakil ADUN, Wakil Jertih untuk kemukakan soalan.

Yang Berhormat Dato’ Pengerusi soalan pertama ditolak. Soalan saya soalan kedua-

Berapakah luas tanah terbiar di seluruh Terengganu sekarang?

Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih kekanda Wakil Jertih, soalan berkaitan dengan keluasan tanah terbiar di seluruh Negeri Terengganu. Sebelum itu sedikit definisi tanah terbiar, tanah terbiar yang didefinisikan oleh pihak UPEN ialah tanah milik persendirian ataupun syarikat dengan keluasan 0.4 hektar (satu ekar) dan terbiar, tidak diusahakan berturut-turut selama tiga tahun. Ini yang kita maksudkan tanah terbiar, adapun tanah kerajaan tidak dikira sebagai tanah terbiar. Keluasan tanah terbiar yang ada di seluruh Terengganu sekarang ialah 8,310.87 hektar. Terima kasih.

Okay, terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, sebagaimana definisi yang diberitahu oleh Yang Berhormat EXCO tadi, tanah terbiar hanya kepada tanah milik sahaja tetapi tanah kerajaan tidak diistilah sebagai tanah terbiar walaupun tanah kerajaan tidak bertanamlah, jadi saya rasa tanah kerajaan yang sesuai untuk ditanam dengan tanaman, boleh kerajaan memberi ruang kepada rakyat untuk mengusahakan walaupun istilahnya bukan tanah terbiar tetapi tanah kerajaan sesuai untuk tanaman tapi tidak digunakan setelah sekian lama duduk depan mata jadi rakyat duk tengok hari-hari adakah peluang untuk rakyat memohon untuk mengusahakan tanah tersebut secara sementara. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua.

Terima kasih Jertih. Tanah di Negeri Terengganu ini saya istilahkan tiga kategori, yang pertama tanah kita, yang kedua tanah orang, yang ketiga tanah kerajaan. Tanah kerajaan boleh dimanfaatkan oleh rakyat untuk tujuan pertanian kontan dengan cara memohon LMS. Kalau keluasan tanah itu satu hektar ke bawah, bidang kuasa untuk meluluskan LMS berada di bawah bidang kuasa Jawatankuasa Tanah Daerah Pentabir Tanah Daerah. Lebih daripada satu hektar sehingga empat hektar yang ini bidang kuasa PTG. Yang melebihi daripada empat hektar ke atas bidang kuasa Pihak Berkuasa Negeri, kena dapat kelulusan daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Penggunaan tanah yang dimohon dengan kaedah LMS macam-macam terutamanya tanaman kontan, kolam ikan, padang ragut untuk ternakan, untuk buat kandang dan beberapa kegunaan lain yang tidak termasuk dalam penggunaan kekal dan kita sentiasa alu-alukan rakyat untuk memanfaatkan tanah-tanah kerajaan yang tidak ada perancangan daripada pihak kerajaan untuk memajukan buat masa sekarang ini supaya boleh dimanfaatkan malah kita bantu daripada aspek teknikal dan juga aspek modal. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Last Yang Berhormat, last.

Terima kasih di atas keterbukaan pihak kerajaan untuk memberi ruang kepada rakyat untuk mengusahakan tanah-tanah terbiar walaupun tidak diistilah terbiar tanah kerajaan. Soalan kedua, Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, adakah program yang dibuat oleh kerajaan contohnya bantuan ataupun kaedah mana bagi membantu kepada golongan tanah terbiar tadi yang menjadi tanah milik tadi kerana dia tanah terbiar ini ada beberapa sebab lah, contohnya mungkin tuan tanah itu sudah rasa tidak larat ataupun dia dah ada duit tetapi mungkin ada orang lain yang dapat maklumat nak menggunakan maklumat tanah terbiar nak mengusahakan tanah terbiar tersebut dan apakah tanah yang berbentuk sewaan ataupun tanah milik orang lain ini ada bantuan daripada kerajaan. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua.

Dato’ Yang di-Pertua, untuk makluman Dewan, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Task Force Pemulihan Tanah Terbiar yang dipengerusikan oleh saya sendiri. Di antara tujuan penubuhan task force ini ialah untuk mengenalpasti tanah-tanah terbiar dan pemiliknya di setiap daerah. Yang kedua, kita nak kenal pasti punca dan faktor-faktor yang menyumbang kepada tanah terbiar serta tidak diusahakan. Yang ketiga, kita nak

sediakan satu pengkalan data tanah terbiar dan pengkalan data sekarang ini telah berada di peringkat sekitar 80% disiapkan sama ada melalui data satelit ataupun data daripada lapangan. Seterusnya jabatan-jabatan akan menyediakan ulasan teknikal ke arah pemulihan tanah-tanah terbiar dan keperluan-keperluan dalam rangka untuk kita memulihkan. Yang keempat, mengemukakan satu pelan tindakan. Satu cadangan business model yang bersesuaian. Bagaimana tanah terbiar ini boleh dipulihkan sama ada dengan penyertaan pelabur daripada sektor swasta ataupun daripada penyertaan petani tempatan. Bila kita turun ke lapangan secara umumnya kita jumpa tiga isu berkait dengan tanah terbiar. Yang pertama, tuan tanah tidak dapat nak dihubungi. Yang kedua, tuan tanah boleh dihubungi, jumpa dengan tuan tetapi tidak bersedia untuk nak memajukan tanah istilahnya simpan untuk pusaka anak cucu dan yang ketiga tuan tanah bersedia untuk memajukan tanah. Isu-isu berkait dengan tanah terbiar ini yang pertama sekali berkaitan dengan status pemilikan tanah. Atas satu geran ada banyak nama, adik beradik duduk jauh di serata negara menyebabkan tanah itu tiada siapa yang nak usaha. Yang kedua berkaitan dengan kekurangan infrastruktur dan yang ketiga kesesuaian tanaman. Yang keempat isu modal lah biasanya. Modal dan juga latihan, dan akhir skali attitude sebagaimana yang saya sebut tadi. Rakyat kita nak tanah tetapi untuk disimpan walaupun naik semak tak apalah dia kata simpan untuk pusaka sikit lagi. Jadi kita nak ubah mentaliti ini sebab itulah kita buat sesi libat urus dengan kita turun berjumpa dengan pemilik-pemilik tanah terbiar, jabatan-jabatan menyediakan khidmat nasihat. Kita cadangkan tanaman-tanaman yang berpotensi untuk dimajukan bersesuaian dengan nilai jenis tanah kemudian yang akhir sekali rakyat kita memang tidak boleh lari daripada bentuk bantuan yang kita kena sediakan. Nasihat dan bantuan dan insya-Allah saya meletakkan keyakinan task force tanah terbiar ini kita mampu untuk memulihkan secara berperingkat dan di antara pilot project yang kita cadangkan ialah di satu kawasan di Setiu ada satu tanah RTB pertanian di Pengkalan Aman di Mukim Pantai di Setiu seluas 270 hektar yang akan dijadikan sebagai pilot project dalam pemulihan tanah terbiar. Satu lagi untuk makluman Dewan, tujuan Task Force Pemulihan Tanah Terbiar ini bukan kita nak ambil tindakan penguatkuasaan walaupun dalam KTN ada peruntukan-peruntukan untuk tanah terbiar ini diambil tindakan penguatkuasaan. Yang kita nak ialah kita nak supaya tanah yang terbiar diubah menjadi tanah yang menghasilkan hasil yang produktif. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua..

Yang di-Pertua

Cukup cukup cukup

point of order - Peraturan Dewan

Yang di-Pertua

Sebab kita sudah terlalu lewat sekarang ini.

Yang di-Pertua

Saya ucap terima kasih kepada Yang Berhormat

Dato’ Yang di-Pertua, Peraturan Dewan, saya rujuk kepada Peraturan Dewan ini 47. Nak tanya Dato’ Yang Di-Pertua apakah rolling yang Dewan, yang Speaker akan buat sekiranya Ahli Dewan khususnya daripada pihak kerajaan menyalurkan maklumat yang tidak tepat atau tidak betul kepada Dewan yang mulia kerana ini boleh merugikan pihak rakyat itu sendiri.

Yang di-Pertua

Apa-apa maklumat yang tidak tepat itu.

Maklumatnya kalau mengikut hansard Penyata Rasmi yang lepas, yang kita bersidang pada 10 hingga 12 Ogos yang lalu. Merujuk muka surat 157 hansard ini, Penyata Rasmi iaitu Yang Berhormat Haji Mohd Nurkhuzaini bin Ab. Rahman, Wakil Kota Putera. Terima kasih Yang Berhormat Kuala Besut. Okay, semalam saya pun telah sebutkan 80% adalah dimiliki oleh Kumpulan AZ Group. AZ Group adalah rakan strategik kita dan dalam perjanjian kita sememang 20%, kita tetap walaupun ekuiti ditambah dan sekurang-kurangnya 20% itu untuk kenaikan tiada syarat dan 20% itu adalah kepunyaan milik Yayasan Pembangunan Usahawan kerana mengikut semakan kita di SSM bahawa saham yang dimiliki oleh Yayasan Pembangunan Usahawan adalah sebanyak 100 ribu unit dan saham yang dimiliki oleh Zainudin bin Mohd mungkin daripada AZ Group sebab tidak dinyatakan di dalam SSM itu sebanyak 800 ribu unit dan bila totalnya adalah 900 ribu

unit. Jadi kalau kita tengok peratusan jumlah saham Yayasan Pembangunan Usahawan adalah sebanyak untuk syarikat TMex iaitu

Yang di-Pertua

Tak apa Yang Berhormat, saya tahu, tidak perlu detail sangat.

Okey

Yang di-Pertua

Nanti sekejap. Dengar saya kata.

Okey

Yang di-Pertua

Tidak perlu detail sangat kalau sebab semua hansard Dewan ini berdasarkan kepada rakaman.

Okey

Yang di-Pertua

Jikalau betul berlaku kesilapan apa saya akan ambil tanggungjawab.

Iye

Yang di-Pertua

Itu sahaja tidak perlu panjangkan.

Kita tak nak merugikan rakyat

Yang di-Pertua

Belum tentu lagi Yang Berhormat sebut itu betul juga. Kita akan tengok hansard sebab ini berdasarkan rakaman juga.

Mohon rolling oleh pihak Speaker nanti.

Yang di-Pertua

Boleh boleh. Jadi Yang Berhormat sekalian, saya sengaja panjangkan soalan-soalan lisan ini lebih daripada kebiasaan masa yang diperuntukkanlah untuk meraikan Ahli Yang Berhormat. Jadi saya harap perkara ini mendapat perhatian daripada Yang Berhormat. Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli Yang Berhormat sekalian, saya berhasrat untuk menangguhkan sementara persidangan kita ini. Kita jumpa balik pada pukul 11.30 pagi ini. Terima kasih.

MESYUARAT DITANGGUHKAN PADA JAM 11.10 PAGI.

PUKUL 11.40 PAGI

(Selepas Soalan-Soalan Lisan)Questions

Yang di-Pertua

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Mesyuarat disambung semula. Sebagaimana yang saya dah sebutkan dalam ucapan awal tadi, untuk makluman Ahli Yang Berhormat dan ketua-ketua jabatan, bagi mendapatkan Buku Belanjawan 2021, Ahli Yang Berhormat dan ketua jabatan boleh mengimbas QR Code bagi mengakses buku tersebut setelah pembentangan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar selesai. Sila Setiausaha.

Usul-Usul Yang Telah Diberi NotisMotion

Setiausaha Dewan

Perkara berikut di dalam Tertib Pekerjaan Dewan ialah Usul-Usul Yang Telah Diberi Notis. Dipersilakan Yang Berhormat Wakil Paka, Haji Satiful Bahari bin Mamat, untuk mengemukakan Cadangan Mendahulukan Pembawaan Rang Undang-Undang Daripada Perkara-Perkara Lain.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua:

“Saya mohon membawa cadangan menurut Fasal 16(3) Peraturan-Peraturan Dan Perintah-Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri untuk mendahulukan pembawaan 3 Rang Undang-Undang daripada perkara-perkara lain iaitu; 1) Enakmen Perbekalan 2021 2) Enakmen Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (Pindaan) 2020 3) Enakmen Tanah Simpan Orang Melayu (Pindaan) 2020

Terima kasih.

Yang di-Pertua

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, satu cadangan menurut Fasal 16(3) Peraturan-Peraturan Dan Perintah-Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri untuk mendahulukan pembawaan Rang Undang-Undang daripada perkara-perkara lain telah diterima. Sekarang saya kemukakan kepada undian-

CADANGAN MENURUT FASAL 16(3) PERATURAN-PERATURAN DAN PERINTAH-PERINTAH TETAP DEWAN UNDANGAN NEGERI UNTUK MENDAHULUKAN PEMBAWAAN RANG UNDANG-UNDANG DARIPADA PERKARA-PERKARA LAIN KEMUDIAN DIUNDI DAN DIPERSETUJUI DENGAN SEBULAT SUARA

USUL INI DITERIMA

Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2021Bill

Setiausaha Dewan

Perkara yang didahulukan ialah Rang Undang-Undang.

Dipersilakan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar mengemukakan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2021, bacaan kali yang pertama.

Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin MokhtarPAS · PNMenteri Besar · Ru Rendang

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan Rang Undang-Undang bernama suatu enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2021 dan bagi memperuntukkan jumlah wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu, dibaca bagi kali yang pertama.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon menyokong cadangan itu.

Yang di-Pertua

Rang enakmen ini dibaca bagi kali yang pertama.

RANG UNDANG-UNDANG BERNAMA SUATU ENAKMEN BAGI MENGGUNAKAN SEJUMLAH WANG DARIPADA KUMPULAN WANG DISATUKAN UNTUK PERKHIDMATAN BAGI TAHUN 2021 DAN BAGI MEMPERUNTUKKAN JUMLAH WANG ITU UNTUK PERKHIDMATAN BAGI TAHUN ITU, BACAAN KALI YANG KEDUA.

Bacaan Kali Yang Kedua

Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin MokhtarPAS · PNMenteri Besar · Ru Rendang

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-Undang bernama suatu enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2021 dan bagi memperuntukkan jumlah wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu, dibaca bagi kali yang kedua.

, , , , , .

, , , .

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Yang Berusaha ketua-ketua jabatan dan agensi, yang diraikan para pegawai dan kakitangan kerajaan, para petugas media dan pemerhati yang diberkati Allah Subhanahu Wa Ta’ala sekalian.

1. Kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala jugalah kita bermohon semoga meluaskan kerahmatan, keberkatan dan petunjuk-Nya untuk Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan dan Yang Di-Pertuan bagi Negeri Terengganu Darul Iman serta segala jajahan takluknya dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah, Sultanah Terengganu untuk terus menaungi Negeri Terengganu Darul Iman yang tercinta ini dengan penuh panduan wahyu.

2. Kita berkumpul pada hari ini adalah untuk melaksanakan tanggungjawab musyawarah menerusi Dewan Undangan Negeri, sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perkara 73(b) iaitu “Badan Perundangan sesuatu Negeri boleh membuat undang-undang bagi keseluruhan atau mana-mana bahagian negeri itu”.

3. Menghadapi suasana pandemik COVID-19 yang sukar pada masa ini, sudah pastinya setiap keputusan dan tindakan kerajaan menjadi harapan yang amat bermakna buat setiap penduduk di negeri ini. Ramai rakyat terkesan, ramai yang hilang pekerjaan dan terputus sumber pendapatan. Hidup tidak lagi seperti biasa, terpaksa menjalani kebiasaan baharu.

Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

4. Atas dasar keimanan, kita percaya bahawa kesukaran yang ditakdirkan Allah Subhanahu Wa Ta’ala buat kita pada hari ini adalah untuk menyerlahkan kemudahan pada hari esok, sepertimana yang difirmankan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala:

,

“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.

Sekali lagi ditegaskan bahawa:-

sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.”

Surah al-Insyirah, 94 : 5-6

5. Insya-Allah, menerusi Belanjawan 2021 Terengganu Darul Iman ini, kita berusaha dan bertawakal kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala, Tuhan yang memberikan manfaat dan mudarat, untuk memulihkan keadaan seterusnya memacu kecemerlangan demi kesejahteraan semua.

6. Namun, sudah pastilah kerja yang besar dan beban yang berat ini perlu dilaksanakan dan dipikul secara bersama oleh semua pihak; kerajaan, rakyat dan sektor swasta.

Dato Yang di-Pertua Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

7. Saya mohon untuk membentangkan di Dewan ini, Enakmen Perbekalan Tahun 2021 bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk membiayai Perbelanjaan Bekalan, Perkhidmatan dan Pembangunan Negeri pada tahun 2021. Pembentangan lengkap dan perincian peruntukan Belanjawan 2021 ini terkandung dalam Buku Belanjawan Terengganu Tahun 2021.

PRESTASI DAN PROSPEK EKONOMI

Sorotan Ekonomi Global dan Malaysia

Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

8. Pada suku kedua tahun ini, penguncupan ekonomi yang ketara berlaku di kebanyakan negara ekonomi maju dan pasaran sedang pesat membangun (emerging market economy) di seluruh dunia termasuklah negara kita yang menguncup sebanyak 17.1 peratus. Penguncupan ini terutamanya disebabkan oleh sekatan pergerakan dan perjalanan yang dikuatkuasakan bagi membendung penularan COVID-19 dengan lebih berkesan.

9. Tindakan yang terpaksa diambil ini telah menjejaskan aktiviti pengeluaran sekaligus memberikan kesan yang teruk kepada pasaran pekerjaan dan perbelanjaan sektor swasta. Harga purata minyak mentah Brent pula jatuh kepada USD33 setong berpunca daripada lebihan bekalan yang meningkat pada masa permintaan semakin menurun.

10. Akibat sekatan pergerakan dan kehilangan pendapatan isi rumah pula, pertumbuhan penggunaan swasta telah menurun sebanyak 18.5 peratus sekaligus menurunkan permintaan dalam negeri sebanyak 18.7 peratus.

11. Namun, alhamdulillah, pada suku ketiga tahun ini, ekonomi negara kita semakin bertambah baik apabila mencatatkan penguncupan yang lebih kecil iaitu sebanyak 2.7 peratus sahaja. Sektor pembuatan telah merekodkan pertumbuhan daripada -18.3 peratus kepada 3.3 peratus; sektor perkhidmatan daripada -16.2 peratus kepada -4.0 peratus; sektor perlombongan pula daripada -20.0 peratus kepada -6.8 peratus dan juga sektor pembinaan daripada -44.5 peratus kepada - 12.4 peratus.

12. Peningkatan pertumbuhan ini adalah refleksi pembukaan semula ekonomi daripada langkah- langkah pengekangan COVID-19, keadaan permintaan luaran yang lebih baik, pemulihan berterusan di semua subsektor pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), peningkatan permintaan minyak dan gas serta penyambungan semula lebih banyak projek di semua subsektor.

Dato Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

13. Alhamdulillah, Negeri Terengganu Darul Iman yang kita kasihi ini tersenarai antara tujuh (7) negeri yang merekodkan prestasi yang lebih baik pada tahun 2019 dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 3.3 peratus berbanding 2.5 peratus pada tahun 2018. Ini menjadikan nilai KDNK kita meningkat daripada RM34.8 bilion pada tahun 2018 kepada RM36.0 bilion pada tahun 2019 dengan sektor perkhidmatan dan pembuatan kekal menjadi penyumbang terbesar dengan nilai RM18.5 bilion dan RM13.1 bilion masing-masing.

14. Walaupun begitu, kita tidak wajar untuk berasa selesa dengan kedudukan tersebut memandangkan pertumbuhan KDNK kita masih di bawah paras nasional.

15. Alhamdulillah, hampir semua sektor ekonomi kita mencatatkan pertumbuhan positif dengan sektor pembinaan dan sektor pertanian merekodkan pertumbuhan paling memberangsangkan iaitu masing- masing daripada -9.2 peratus dan -2.5 peratus pada tahun 2018 kepada 0.4 peratus dan 6.0 peratus pada tahun 2019.

16. Pengembangan sektor pertanian ini benar-benar menjadi pemangkin bagi merancakkan tahun 2021 sebagai Tahun Pertanian Negeri seperti yang dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu.

17. Perubahan peratus tahunan Indeks Harga Pengguna (IHP) kita pada tahun 2019 bertumbuh perlahan pada kadar 0.1 peratus berbanding 0.4 peratus pada tahun 2018 menunjukkan paras harga keseluruhan barangan dan perkhidmatan dalam ekonomi kita masih terkawal dan paras kos sara hidup kita masih baik.

18. Pendapatan penengah isi rumah kita juga menunjukkan peningkatan kepada RM5,545 sebulan pada tahun 2019 berbanding RM4,694 pada tahun 2016.

19. Namun begitu, berdasarkan data Paras Garis Kemiskinan Metodologi 2019, masih terdapat sebanyak 15,781 isi rumah berstatus miskin mutlak dengan

pendapatan isi rumah tidak mencukupi untuk menampung keperluan hidup asas meliputi makanan, perlindungan dan pakaian. Golongan ini mesti diberikan perhatian dan dibantu supaya mempunyai keupayaan kendiri bagi menjamin kelangsungan hidup.

20. Tambahan pula, impak pandemik juga telah menyebabkan puluhan ribu individu lagi terutamanya yang terlibat dengan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS), sektor tidak formal dan bekerja sendiri telah kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan.

Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

21. Menempuhi persekitaran yang mencabar ini, saya amat berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang diterajui oleh YAB Tan Sri Muhyiddin bin Mohd Yassin selaku Perdana Menteri kerana telah melaksanakan pelbagai inisiatif seperti Bantuan Prihatin Nasional, i-Lestari KWSP, Program Subsidi Upah dan moratorium pinjaman menerusi pakej-pakej rangsangan ekonomi; PRIHATIN, PRIHATIN PKS TAMBAHAN, PENJANA dan KITA PRIHATIN.

22. Menyokong usaha tersebut, Kerajaan Negeri Terengganu juga telah mengumumkan Pakej Rangsangan Terengganu Cakna meliputi pemberian bantuan keperluan harian, penangguhan bayaran sewa dan tambahan insentif kepada para peniaga. Semua yang dibuat oleh kerajaan ini adalah bagi mengurangkan beban rakyat, mengekalkan pekerjaan, membantu perniagaan dan menjamin pertumbuhan ekonomi.

23. Pada fasa untuk menjana semula (restart) dengan izin, memulih (recovery) dan memperkasa (revitalise) dengan izin, yang telah dan sedang kita lalui ini, sokongan dan kerjasama rakyat dan pihak swasta dengan kerajaan adalah amat diperlukan supaya kita boleh terus bergerak dengan lebih pantas ke hadapan untuk menjayakan agenda menyusun semula (reform) dengan izin, struktur ekonomi kita.

BELANJAWAN 2021

Kewangan Kerajaan Negeri dan Peruntukan Belanjawan 2021

Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

24. Walaupun Kerajaan Negeri masih dibebani dengan pembayaran tertangguh (deferred payment) dan pembayaran berjadual (scheduled payment) dengan izin, berjumlah RM439.75 juta bagi tahun 2021, ditambah pula dengan risiko kelembapan ekonomi dan perbelanjaan luar jangka disebabkan pandemik COVID-19 yang belum surut, Kerajaan Negeri tetap komited untuk mengawal defisit supaya tidak melebihi paras 10 peratus atau RM125 juta.

25. Justeru, Belanjawan 2021 ini akan memperuntukkan sejumlah RM1.375 bilion untuk Perbelanjaan Mengurus iaitu sebanyak RM94.98 juta atau 6.91% untuk Perbelanjaan Tanggungan dan RM1.28 bilion atau 93.09% untuk Perbelanjaan Bekalan yang meliputi Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap sebanyak RM774.90 juta atau 56.36%; Emolumen sebanyak RM275.75 juta atau 20.05%; Perkhidmatan dan Bekalan sebanyak RM207.10 juta atau 15.06%; Aset sebanyak RM21.27 juta atau 1.55% dan Perbelanjaan-Perbelanjaan lain sebanyak RM1 juta atau 0.07%.

26. Bagi Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap, sebanyak RM150 juta atau 10.91% adalah untuk caruman Kumpulan Wang Pembangunan, RM270 juta atau 19.64% untuk Pelbagai Perkhidmatan B32, RM195.3 juta atau 14.20% untuk caruman Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Badan Berkanun, RM124.9 juta atau 9.08% adalah untuk Jabatan Kerajaan dan RM34.7 juta atau 2.52% adalah untuk caruman Pelbagai Agensi.

27. Di samping itu, demi kesejahteraan seluruh penduduk Terengganu, Belanjawan 2021 juga akan memperuntukkan sebanyak RM20.17 juta untuk Kumpulan Wang Bekalan Air dan RM615 juta untuk Perbelanjaan Pembangunan iaitu RM27 juta atau 4.40% untuk sektor ekonomi yang meliputi pertanian, pelancongan dan industri; RM88 juta atau 14.31% untuk sektor pentadbiran yang meliputi teknologi maklumat, pentadbiran am, projek khas dan projek penting luar

jangka; dan RM500 juta atau 81.30% untuk sektor sosial yang meliputi pendidikan, infrastruktur dan kemudahan awam; pembangunan bandar dan luar bandar; serta sukan dan perumahan.

28. Jumlah Perbelanjaan Mengurus bagi Belanjawan 2021 ini jika dibandingkan dengan Belanjawan 2020 adalah berkurang sebanyak kira-kira 25 peratus. Pengurangan yang terpaksa dibuat ini adalah susulan penyusutan Anggaran Hasil kepada RM1.25 bilion pada tahun 2021 berdasarkan anggaran harga minyak mentah Brent USD40 setong; berbanding RM1.66 bilion pada tahun 2020.

29. Anggaran Hasil berjumlah RM1.25 bilion ini adalah daripada Hasil Cukai sebanyak RM58.56 juta atau 4.68%, Hasil Bukan Cukai sebanyak RM130.64 juta atau 10.45% dan Terimaan Bukan Hasil sebanyak RM1.06 bilion atau 84.87% iaitu termasuk RM933.33 juta Royalti Petroleum.

30. Walaupun terdapat kekangan kewangan, sokongan dan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam menyalurkan Royalti Petroleum secara penuh serta membayar hutang pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berjumlah RM1.431 bilion kepada Kerajaan Negeri, diharapkan dapat merealisasikan agenda pembangunan wilayah yang seimbang untuk Negeri Terengganu.

Pendekatan Penyediaan dan Pelaksanaan Belanjawan 2021

Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

31. Dalam merangka Belanjawan 2021 ini, selain input daripada setiap “Ahli Jawatankuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN)” dan semua jabatan atau agensi Kerajaan Negeri, kita juga telah mendapatkan cadangan daripada individu dan institusi serta semua ADUN dan Penyelaras DUN menerusi portal Cadangan Bajet Rakyat Terengganu (CBRT). Selain dari memperhalusi semua input menerusi enam (6) siri Bengkel Perundingan Pakar yang turut disertai oleh ahli akademik, pemain industri dan tokoh masyarakat demi memastikan semua inisiatif yang disenaraikan mempunyai nilai strategik, berimpak tinggi dan menekankan keberkesanan kos.

32. Bagi menjayakan pelaksanaan Belanjawan 2021 ini pula, tiga (3) pendekatan telah dijadikan panduan dan keutamaan iaitu;

(i)

mengurus perbelanjaan secara berhemah mengikut keutamaan, keperluan dan kemampuan semasa;

(ii)

mengoptimumkan pelbagai peruntukan dan inisiatif yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan dan

(iii) memperbanyakkan kerjasama dengan pelbagai pihak.

Inisiatif Belanjawan 2021

Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

33. Setelah mempertimbangkan semua senario semasa serta keperluan dan keupayaan kita semua, izinkan saya untuk membentangkan Belanjawan 2021 Terengganu Darul Iman yang bertemakan “Melestarikan Kesejahteraan Bersama”. Belanjawan ini mengandungi 146 INISIATIF di bawah 14 STRATEGI yang ditunjangi oleh LIMA (5) TERAS berikut:

Teras Pertama :

Meneguhkan Pelaksanaan Agenda Islam dan Pembangunan Modal Insan

Teras Kedua :

Menjana Semula Ekonomi dan Pendapatan Rakyat

Teras Ketiga :

Menjamin Kesejahteraan Keluarga dan Sosial

Teras Keempat :

Mendigitalisasikan Perkhidmatan Awam.

Teras Kelima :

Melestarikan Alam Sekitar

INISIATIF KHAS COVID-19.

34. Dalam suasana negara masih berhadapan dengan pandemik COVID-19, demi menjamin kesejahteraan rakyat dan menyokong pertumbuhan ekonomi, Kerajaan Negeri dengan penuh rasa tanggungjawab mengumumkan Inisiatif Khas COVID-19 dengan peruntukan berjumlah RM34.32 juta, bagi melaksanakan lima (5) inisiatif khas seperti berikut:

Inisiatif 1 : Jawatankuasa Adaptasi Pandemik COVID-19.

35. Penubuhan Jawatankuasa ini adalah bagi merencana pendekatan baharu dalam menghadapi COVID-19 di Negeri Terengganu iaitu daripada bertindak balas (response) dengan izin, terhadap impak kepada penyesuaian (adaptation) dengan izin, dengan keadaan memandangkan pandemik COVID-19 ini tiada ketentuan mengenai penghujungnya.

36. Jawatankuasa ini akan melibatkan pelbagai Agensi Negeri dan Persekutuan serta berperanan untuk mengesyorkan kepada Kerajaan Negeri sebarang keputusan dan tindakan yang boleh serta perlu diambil bagi tujuan

(i) mempromosikan kesihatan dan pembudayaan kebiasaan baharu,

(ii) menjamin ketersediaan dan kebolehcapaian keperluan asas, dan

(iii) melestarikan kemandirian individu, isi rumah dan perniagaan.

Peruntukan sebanyak RM100 ribu digunakan bagi melaksanakan kempen norma baharu ini.

Inisiatif 2 : Latihan Kemahiran dan Peluang Pekerjaan

37. Inisiatif ini adalah bagi meningkatkan kebolehpasaran dan kebolehgajian golongan graduan, penganggur dan pekerja yang terjejas akibat diberhentikan, diberikan cuti tanpa gaji dan dipotong gaji. Bagi meningkatkan dan melatih semula kemahiran golongan ini, program perantisan, latihan keusahawanan dan kursus jangka pendek akan dilaksanakan secara usaha sama dengan pelbagai pihak. Sebanyak RM7.52 juta diperuntukkan bagi inisiatif ini.

38. Program-program di bawah inisiatif ini adalah seperti berikut:

i) Terengganu Young Executive Program (TYEP) iaitu program latihan perantisan sebagai laluan kerjaya sebelum ditempatkan dalam pasaran kerja.

ii) T-JOB iaitu program yang menyediakan latihan industri dan peluang pekerjaan kepada anak Terengganu terutamanya dalam bidang kemahiran, termasuklah kepada golongan OKU untuk mendapatkan bimbingan dan sokongan kerjaya.

iii) Kursus Keusahawanan Terengganu bagi membangunkan keusahawanan T-VET dan membimbing bakal usahawan dalam penyediaan rancangan perniagaan dan kemahiran komunikasi di bawah seliaan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU).

iv) Terengganu Training Program (TTP) dengan memperkasakan pusat kemahiran seperti TESDEC dan TATIUC bagi menjadikan Terengganu sebagai hub untuk pekerja mahir dan profesional dalam bidang-bidang strategik.

v) Program Jati Diri Generasi Sejahtera bagi memperkasakan kemahiran keusahawanan golongan belia dan beliawanis yang akan digerakkan oleh urus setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu (UBSNT).

vi) Terengganu Skill Enhancement Program for School Leavers (TSEP-S) bagi melatih kemahiran golongan lepasan sekolah menerusi penempatan pekerjaan atau Place & Train, dengan izin.

vii) Program Transformasi Pekerja Itqan bertujuan mempersiapkan mentaliti dan sikap pelatih bagi menghadapi suasana kerja berbeza di luar Terengganu dengan melibatkan ikon anak Terengganu di perantauan yang berjaya dalam bidang masing-masing.

viii) Karnival Pekerjaan 2021 bagi memastikan setiap peluang yang diwujudkan di Terengganu dapat dimanfaatkan sepenuhnya rakyat

Terengganu melalui program padanan pekerjaan atau Job Matching Program, dengan izin.

Inisiatif 3 : Pusat Bersepadu Pemasaran PKS

39. Inisiatif ini adalah bagi mempercepatkan proses pemulihan PKS dan pertumbuhan ekonomi negeri. Ia sebagai sokongan kepada program-program latihan pemasaran sedia ada.

40. Menerusi inisiatif ini, pemilik PKS ditawarkan pilihan pakej yang fleksibel dengan yuran yang rendah untuk memasarkan barangan dan perkhidmatan mereka dengan lebih berkesan yang akan diurus oleh tenaga pakar dalam bidang pemasaran terutamanya pemasaran digital. Inisiatif ini melibatkan kuantum berjumlah RM1.5 juta termasuk RM400,000.00 bagi menaik taraf aplikasi GanuShop.

Inisiatif 4 : Program Literasi Kewangan

41. Program ini adalah untuk memberikan pendidikan, latihan dan bimbingan kepada individu dan isi rumah bagi mengurus kewangan masing-masing dengan lebih baik terutamanya meliputi aspek pengurusan aliran tunai, aset, simpanan, skim perlindungan dan pelaburan.

Inisiatif 5 : Bantuan Golongan Terjejas

42. Bantuan ini disediakan terutamanya bagi menyokong kumpulan isi rumah B40 dan golongan yang ditimpa musibah kesihatan dan bencana. Sebanyak RM7 juta akan diperuntukkan bagi Bantuan Persekolahan, RM5 juta bagi Tabung Darul Iman dan RM3.5 juta bagi Tabung Pemulihan PKS.

43. Suka juga untuk saya umumkan, seramai 48,500 isi rumah golongan B40 akan menerima bantuan tunai Cakna Rakyat Terengganu sebanyak RM200.00 secara one-off, dengan izin yang melibatkan peruntukan berjumlah RM9.7 juta.

44. Kerajaan Negeri juga memahami tekanan yang dihadapi oleh peniaga kecil dan penjaja. Dengan ini Kerajaan Negeri mengumumkan tiada kutipan lesen peniaga kecil dan penjaja bagi tahun 2021. Kita mengharapkan dengan inisiatif ini dapat merancakkan lagi ekonomi Negeri Terengganu dan membantu meringankan beban yang dihadapi oleh para peniaga dan penjaja.

45. Kerajaan Negeri turut tidak melupakan kebajikan golongan warga emas di Negeri Terengganu. Untuk itu, Kerajaan akan melaksanakan program Pencen Rakyat dengan pembayaran sebanyak RM600 secara one-off, dengan izin kepada mereka yang selayaknya.

TERAS PERTAMA:

MENEGUHKAN PELAKSANAAN AGENDA ISLAM DAN PEMBANGUNAN MODAL INSAN

Strategi 1 : Merancakkan Aktiviti Dakwah dan Penerangan

Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

46. Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM8 juta bagi pembinaan enam buah masjid; lima daripadanya sedang dalam pembinaan, manakala satu lagi akan dibina di Kampung Tanjung Putat, Hulu Terengganu. Manakala bagi kerja-kerja membaikpulih dan menyelenggara masjid dan surau terpilih di seluruh Negeri Terengganu, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sejumlah RM2 juta.

47. Bagi merancakkan lagi aktiviti dakwah di Terengganu, sebanyak RM1.1 juta akan diperuntukkan untuk menjayakan Program Daie Cilik, Program Dakwah Nusantara 2.0, Program Ulama’ Terengganu 2.0, Program Hospital Harmoni serta Konvokesyen Huffaz dan Mutawwif.

48. Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan mempergiatkan aktiviti dakwah di peringkat DUN dengan peruntukan berjumlah RM1.6 juta, iaitu RM50,000.00

bagi setiap DUN, bagi menyemarakkan penghayatan agama Islam dalam kalangan masyarakat.

49. Sebagai penghargaan atas peranan dan sumbangan penggiat media dan pempengaruh media sosial (media social influencer) dengan izin, dalam penyediaan kandungan dakwah kreatif dan mempromosikan Negeri Terengganu, Kerajaan Negeri akan menganjurkan Anugerah Media Terengganu dengan peruntukan sebanyak RM300,000.00.

Strategi 2: Memperkasakan Modal Insan

50. Modal insan yang kita mahu lahirkan adalah yang mempunyai penghayatan agama yang sebenar serta akhlak dan disiplin tinggi di samping pengetahuan dan kemahiran yang mantap.

51. Justeru, Kerajaan Negeri terus komited melaksanakan program Dasar Integriti Darul Iman (DIDI) dan melancarkan Modul Itqan Insani dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM3.75 juta.

52. Kerajaan Negeri juga akan menganjurkan latihan dan kursus bagi meningkatkan kecekapan pegawai dan kakitangan kerajaan, memantapkan imam dan bilal serta mengukuhkan kepemimpinan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dengan peruntukan berjumlah RM750,000.00.

Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

Strategi 3: Memantapkan Pentadbiran dan Perundangan Syariah

53. Sejajar dengan matlamat untuk menjadikan Terengganu sebagai sebuah negeri yang sejahtera, Kerajaan Negeri berhasrat untuk memartabatkan institusi perundangan syariah di Negeri Terengganu. Oleh itu, sejumlah RM300,000.00 diperuntukkan bagi usaha memperkasakan program pelaksanaan syariah secara berperingkat melalui penerangan, kempen, penguatkuasaan undang-undang, pemulihan dan seminar berkaitan syariah kepada semua lapisan masyarakat.

54. Mengambil kira keperluan untuk menaik taraf infrastruktur Mahkamah Syariah di Negeri Terengganu, Kerajaan Negeri sebagai permulaannya akan membina Kompleks Mahkamah Tinggi Syariah di Kemaman dengan peruntukan sebanyak RM10 juta.

TERAS KEDUA:

MENJANA SEMULA EKONOMI DAN PENDAPATAN RAKYAT

Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

55. Kerajaan Negeri sedar rakyat begitu terkesan dengan keadaan ekonomi ekoran pandemik COVID-19. Justeru, Kerajaan Negeri telah menggariskan lima strategi yang diharapkan dapat menjana ekonomi negeri dan pendapatan rakyat.

Strategi 1: Memperhebat Sektor Pertanian dan Industri Makanan

56. Sektor pertanian dilihat antara sektor yang mampu untuk menjana pertumbuhan ekonomi. Ini juga sejajar dengan tahun 2021 yang telah diisytiharkan sebagai Tahun Pertanian Negeri Terengganu oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu dalam titah ucapan pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri, Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Keempat Belas.

57. Justeru, Kerajaan Negeri dengan sukacitanya mengumumkan peruntukan berjumlah RM20 juta untuk sektor pertanian bagi tahun 2021 sekaligus membuka peluang pekerjaan kepada rakyat terutamanya yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

58. Peruntukan ini adalah jauh lebih besar berbanding dengan tahun 2020 iaitu hanya sebanyak RM8 juta. Oleh itu, pada tahun 2021, Kerajaan Negeri akan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperhebat dan merancakkan lagi sektor pertanian dan industri makanan di negeri ini.

59. Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sejumlah RM1 juta menerusi Jabatan Pertanian Negeri bagi memastikan tanah-tanah pertanian di Terengganu dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan RM400,000.00 lagi disediakan untuk membangunkan industri asas tani bagi merancakkan lagi industri hiliran berasaskan produk pertanian.

60. Kerajaan Negeri juga akan memperuntukkan sebanyak RM4 juta untuk memperkasakan projek penyelenggaraan infrastruktur dan pemulihan sawah padi demi mencapai objektif besar Pelan Strategik Pertanian Negeri untuk menjamin food security, dengan izin di Negeri Terengganu. RM110,000.00 untuk pembangunan dan pengembangan industri madu, RM2.4 juta untuk mempergiatkan projek pembangunan buah-buahan terpilih termasuk durian Musang King dan buah mangga.

61. Sektor penternakan akan terus diperkasakan pada tahun 2021 dengan menyasarkan golongan belia untuk menceburi bidang ternakan. Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sejumlah RM2.05 juta bagi pembangunan sektor penternakan melalui pembangunan projek induk ternakan, pusat pemprosesan daging berstatus halal dan pembangunan padang ragut. Selain itu, seiring dengan galakan dan kerjasama Majlis Pembangunan Ekonomi Wilayah Timur (ECERDC), Kerajaan Negeri juga akan terus komited dalam meneruskan pembangunan hub lembu sado dengan peruntukan RM1 juta.

62. Bagi sektor perikanan pula, projek pembinaan serta melabuh tukun tiruan dan unjam secara komuniti akan diteruskan. Sukacita dimaklumkan bahawa Terengganu adalah satu-satunya Kerajaan Negeri yang menyalurkan peruntukan sendiri sebagai gabung jalin kepada peruntukan Persekutuan dalam melaksanakan program memperkayakan sumber perikanan negeri. Selain itu, program pelepasan benih ke perairan umum juga akan diperluaskan. Sejumlah RM1.21 juta akan diperuntukkan untuk kesemua program tersebut.

63. Pada tahun 2021, Program Malaysian Good Agricultural Practice (myGAP), dengan izin yang memberi pengiktirafan kepada ladang-ladang yang mengamalkan Amalan Pertanian Baik (APB) akan diperkasakan. Program CSR Tani yang berkonsepkan gotong-royong secara komuniti bagi pembersihan

kawasan pertanian juga akan diteruskan. Kedua-dua program ini akan diberi peruntukan berjumlah RM400,000.00.

Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

64. Bagi menggalakkan lagi penyertaan masyarakat dalam bidang pertanian, penternakan dan perikanan, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif mengadakan pelbagai program dan latihan yang dapat menambahkan lagi kemahiran dan pengetahuan rakyat. Antaranya adalah, Program Pembangunan Modal Insan Tani, pelbagai kursus pertanian dan penternakan serta program Pembangunan Jurusuntik Pemanian Berhadas (AI) untuk usahawan bidang penternakan dengan peruntukan berjumlah RM800,000.00.

65. Pada tahun 2020, Skim Bantuan Modal Tani telah memberi manfaat kepada 243 pemohon. Justeru, Kerajaan Negeri juga akan meneruskan Skim Bantuan Modal Tani dengan peruntukan RM5 juta dan RM1 juta akan diperuntukkan kepada Tabung Bencana Pertanian untuk membantu para petani yang ditimpa musibah seperti kemusnahan tanaman ataupun kematian ternakan akibat pelbagai fenomena bencana.

66. Kerajaan Negeri juga akan meneruskan bantuan-bantuan seperti bantuan mekanisasi pertanian, bantuan peralatan nelayan pantai dan bantuan input kepada penternak kecil akuakultur pada tahun 2021 bagi memastikan projek-projek pertanian serta perikanan terus berdaya maju. Oleh itu, sejumlah RM1.4 juta akan diperuntukkan.

Dato Yang Di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

Strategi 2 : Merancakkan Industri Pelancongan dan Kebudayaan

67. Kerajaan Negeri ingin menzahirkan ucapan tahniah kepada EXCO Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Yang Berhormat yang ada dalam Dewan ini, Yang Berhormat Ariffin bin Deraman atas penganugerahan Malaysia “Malaysia Tourism Hero” yang dianugerahkan kepada beliau oleh Majlis

Pelancongan Malaysia semasa “Malaysia Tourism Gold Summet 2020” baru-baru ini.

68. Ini membuktikan hasil kerja keras semua pihak dan juga potensi Negeri Terengganu sebagai destinasi pilihan pelancong. Data Kadar Purata Penginapan yang dikeluarkan oleh Pelancongan Hotel Malaysia (MAH) meletakkan Terengganu di kedudukan kedua terbaik keseluruhan pada bulan September 2020 di Malaysia.

69. Bagi merancakkan lagi sektor pelancongan Negeri Terengganu, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM4.5 juta bagi promosi galakan pelancongan dan juga acara. Promosi ini akan diperhebatkan di peringkat dalam dan luar negara terutama melalui platform media sosial. Penganjuran acara yang berkualiti dan mempunyai kekuatan serta keunikan yang tersendiri akan dijalankan seperti Terengganu Islamic Tourism Conference and Expo, Festival Setiu Wetland, Festival Sungai Terengganu dan Pesta Candat Sotong yang telah memenangi Kategori Aktiviti Pelancongan Paling Popular di Anugerah Emas Majlis Pelancongan Malaysia 2019.

70. Kampung Budaya Terengganu yang telah dirasmikan pada 3 September lalu telah merekodkan seramai 24,853 pengunjung selama sebulan. Oleh itu, Kerajaan Negeri akan mewujudkan Perkampungan Melayu di Kampung Losong dan juga Muzium Petroleum bagi menambah lagi produk pelancongan di Negeri Terengganu.

71. Kerajaan Negeri juga berbesar hati untuk meneruskan Caruman PERKESO kepada pemandu teksi dan penarik beca sebagai menghargai jasa baik petugas barisan hadapan sektor pelancongan. Peruntukan sebanyak RM400 ribu akan disediakan bagi membiayai kursus pemasaran dan kemahiran berlesen serta program-program pemulihan sektor pelancongan.

72. Bagi tahun 2021, Kerajaan Negeri akan terus memberi fokus kepada pengembangan community-based tourism dengan izin, dengan peruntukan sebanyak RM400 ribu bagi menambah baik pembangunan Taman Negeri termasuk Boardwalk Setiu Wetland dengan izin.

73. Ke arah memperkasakan industeri seni, kraf dan warisan maka pada tahun 2021, Kerajaan Negeri melalui YPU akan menganjurkan Festival Songket, Batik dan Tembaga. Sebanyak RM250 ribu akan diperuntukkan bagi melaksanakan program ini.

74. Selain itu, Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha membangunkan Tasik Kenyir sebagai destinasi eko pelancongan utama negeri. Dengan ini, sebanyak RM4 juta akan diperuntukkan untuk pembangunan Pulau Bayas dan Pulau Poh di Tasik Kenyir.

Dato Yang Di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

Strategi 3 : Memajukan Pelaburan GLC

75. Kerajaan Negeri melalui Eastern Pasific Industrial Corporation Berhad (EPIC) bakal mewujudkan kawasan perdagangan bebas di Teluk Kalung, Kemaman bagi menggalakkan lagi aktiviti import dan eksport serta pergudangan dan perniagaan secara pukal sekaligus merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri dan setempat.

76. Bagi memenuhi keperluan pelabur-pelabur baharu seperti Emerald USA dan Malaysia Phosphates, Pelabuhan Kemaman juga akan diperbesarkan. Ini kerana pada masa sekarang kadar purata pengendalian kargo di Dermaga Timur adalah melebihi 50% kapasiti iaitu bersamaan dengan 4 juta metrik tan karga setahun dan dijangka melebihi 14 juta metrik tan kargo pada tahun 2024; melangkaui kapasiti kemudahan sedia ada. Diharapkan pembesaran ini akan dapat memenuhi keperluan pelabur-pelabur baharu.

77. Perkhidmatan kesihatan telah berkembang sebanyak 13% dalam kumpulan Terengganu Incorporated di bawah kumpulan Medic Iman. Ia juga dilihat maju setapak lagi apabila kita bakal menyaksikan Pusat Jantung akan dibuka di Kuala Terengganu Specialist Hospital, dalam suku pertama tahun 2021. Kerajaan Negeri juga akan membina hospital baharu di Chukai, Kemaman dengan kapasiti sebanyak 150 katil dan pembesaran Kuantan Medical Centre serta Kelana Jaya

Medical Centre. Selain itu, pengambilalihan dan pembesaran Tawau Specialist Hospital dengan kapasiti sebanyak 75 katil akan dilaksanakan dalam suku kedua tahun 2021.

Strategi 4 : Mengupayakan Perniagaan

78. Selain daripada Inisiatif Khas COVID-19 untuk memulihkan sektor perniagaan dan keusahawanan, Kerajaan Negeri juga melihat keperluan kepada pelan halatuju jangka panjang bagi kelangsungan PKS di negeri ini. Oleh itu, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sejumlah RM200 ribu bagi tujuan penyediaan Pelan Strategik Sektor PKS Negeri Terengganu dan Kajian Pembangunan dan Pengoperasian Database PKS Negeri Terengganu dengan izin bagi mewujudkan Terengganu Entrepreneur Information Centre, dengan izin yang mana berperanan untuk membuat segala perancangan pembangunan sektor PKS.

79. Melihat kepada keberhasilan daripada Tabung Usahawan Sejahtera (TUGAS) yang telah membantu usahawan Homemade Jeans, dengan izin seperti Saudara Ahmad Safuan Nizam bin Kamarudin, orang kelainan upaya yang berasal dari Besut dengan bantuan sebanyak RM200 ribu. Kini, Raw Denim House telah berdiri sebaris dengan jenama antarabangsa. Lantaran itu, Kerajaan Negeri terus komited dalam meneruskan pelaksanaan program-program di bawah TUGAS, dengan peruntukan berjumlah RM5 juta pada tahun 2021. Tabung ini merupakan pinjaman patuh syariah yang berkonsepkan “NO-RIBA”.

80. Hingga kini, seramai 453 orang usahawan di seluruh Negeri Terengganu telah mendapat manfaat. Pada tahun 2021 juga, TUGAS akan memberikan keutamaan kepada usahawan baharu dan yang berasaskan inovasi dan ekonomi gig. Program Usahawan Graduan Terengganu Sejahtera (U-GATES) dan Program Usahawan Belia Sejahtera (U-BES) akan ditambah baik dengan pelaksanaan program bersama Kerajaan Persekutuan. Pencapaian program ini adalah sangat memuaskan kerana lebih 90 peratus peserta telah berjaya bergelar usahawan. Oleh itu, sebanyak RM2 juta akan diperuntukkan kepada YPU bagi meneruskan program ini, sekali gus dapat mengurangkan kadar pengangguran negeri.

81. Kerajaan Negeri juga akan meneruskan Skim Bantuan Pembangunan Produk (SBPP), e-Berkat Terengganu dengan kolaborasi Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dalam menyediakan mikro kredit, mempromosi PKS Terengganu menerusi Kursus Pemasaran Go Global, meningkatkan pengetahuan dan kemahiran usahawan digital selaras dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0, memperkenalkan program inkubator PKS dan membuka lebih banyak tapak kenderasaji di daerah-daerah lain. Inisiatif-inisiatif ini akan melibatkan peruntukan sebanyak RM1.05 juta.

Dato Yang Di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

Strategi 5 : Menaik Taraf Infrastruktur Ekonomi

82. Kerajaan Negeri dalam usaha untuk mendalamkan muara Sungai Terengganu dengan memperuntukkan sebanyak RM21.2 juta. Kerajaan Persekutuan juga telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM1 juta bagi kerja-kerja pengorekan laluan pelayaran di dua (2) muara sungai iaitu Sungai Setiu dan Sungai Marang yang mengalami masalah timbunan beting pasir dan kecetekan yang kritikal. Dengan adanya projek ini, diharapkan dapat meredakan keresahan dan kesukaran yang dihadapi oleh nelayan tempatan untuk ke laut.

83. Kerajaan Negeri bersetuju untuk membuat pelan susun atur semula (remodelling), dengan izin untuk pembangunan Lembah Silika Terengganu (TSV) di samping meneliti semula model perniagaan bagi TSV. Sebanyak RM300,000.00 akan diperuntukkan pada tahun 2021 melibatkan kos pengambilan tanah, ground work dengan izin dan infrastruktur asas.

84. Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM250,000.00 bagi Kajian Rancangan Pelan Perkawasan yang antaranya melibatkan Kajian Rancangan Tempatan Daerah (RTD) 2035 Besut, Setiu dan Marang serta penyediaan Pelan Pembangunan Bandar Baharu Lestari sebanyak RM3 juta akan diperuntukkan untuk Bandar Baharu Bukit Besar bagi kerja-kerja pengambilan balik tanah, pembinaan jalan dan infrastruktur.

TERAS KETIGA :

MENJAMIN KESEJAHTERAAN KELUARGA DAN SOSIAL

Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

Strategi 1: Memastikan Kebolehcapaian Perkhidmatan Kesihatan Berkualiti

85. Mempunyai akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti adalah satu keperluan bagi setiap rakyat di seluruh Negeri Terengganu dan merupakan tanggungjawab Kerajaan Negeri. Dengan ini, Program Kad Sejahtera Terengganu akan diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM5 juta yang akan memberikan akses perkhidmatan kesihatan kepada rakyat Terengganu yang berpendapatan rendah. RM4 juta juga akan diperuntukkan bagi melaksanakan Program Wad Kelas 3 Percuma di hospital-hospital kerajaan.

Strategi 2: Memacu Kecemerlangan Pendidikan

86. Bagi memperkasakan institusi pendidikan dengan pelaksanaan pembelajaran berkualiti; pengupayaan warga pendidik dan pentadbir berprestasi tinggi; penyediaan infrastruktur yang lengkap; pembentukan persekitaran islamik serta penglibatan awam dan swasta, Kerajaan Negeri akan melancarkan Pelan Kecemerlangan Pendidikan Terengganu 2021-2025.

87. Pada tahun 2021 juga, Kerajaan Negeri akan meneruskan pemberian biasiswa dan pinjaman di bawah Yayasan Terengganu melalui Tabung Pendidikan Terengganu Sejahtera dengan peruntukan sebanyak RM42.8 juta, merangkumi Biasiswa Pelajar Cemerlang Ijazah Pertama, Sarjana dan PhD; Kursus Association of Chartered Certified Accountants (ACCA), Sijil Pentauliahan Penjaga Jentera Elektrik (Chargeman) dengan izin, Pinjaman Tabung Siswa Terengganu dan Pinjaman Latihan Kemahiran.

88. Selain itu juga, Kerajaan Negeri akan memperkasakan Program Tuisyen Rakyat, Program Darul Huffaz, Kelas Maya dan meneruskan pembangunan Pusat

Tafaqquh Fi Din Tok Sheikh Duyung. Kesemua program ini akan diperuntukkan sebanyak RM5.8 juta.

89. Bagi memastikan pendidikan agama Islam dan al-Quran terus diperkasakan, Kerajaan Negeri akan meneruskan Skim Mus’ab bin Umair dengan peruntukan sebanyak RM8.5 juta dan memperkenalkan Skim al-Ghazali dengan peruntukan sebanyak RM5.4 juta untuk manfaat guru-guru sekolah agama yang terpilih.

90. Kerajaan Negeri juga akan memperuntukkan sebanyak RM2 juta untuk Program Kecemerlangan Pendidikan bagi membantu pelajar-pelajar yang menghadapi peperiksaan UPSR, PT3, SPM dan STPM. Tambahan pula, sebanyak RM6 juta diperuntukkan bagi bantuan per kapita sekolah pondok, sekolah agama rakyat dan pusat pendidikan agama yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

91. Bagi memberi motivasi kepada para pelajar sekolah untuk mempunyai semangat dan cita-cita untuk menyambung pelajaran ke peringkat menara gading, Kerajaan Negeri akan melaksanakan program dan latihan seperti Lambaian Menara Gading, Teknik Pembelajaran, Seminar Kepimpinan, Latihan Kerohanian dan Kecergasan serta motivasi dengan peruntukan sebanyak RM600,000.00.

92. Selain itu, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh institusi pendidikan rendah. Justeru, dua buah Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) akan ditubuhkan di Besut dan Kemaman, menjadikan jumlah keseluruhan SRIDI kepada 11 buah.

93. Ke arah mentransformasikan Kolej Quran Terengganu (KQT) kepada Kolej Universiti menjelang 2025, sebanyak RM11 juta akan diperuntukkan untuk menambah baik emolumen dan program pengajian; bilangan pegawai dan kakitangan; menaik taraf kampus cawangan di Pengkalan Gawi serta membina kampus baharu di Durian Mentangau, Dungun.

Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

Strategi 3: Menambah Bekalan Dan Pemilikan Rumah

94. Dalam menjamin kesejahteraan rakyat khususnya golongan B40 di negeri ini, Kerajaan Negeri telah mengambil langkah untuk mewujudkan Tabung Pinjaman Perumahan Rakyat Negeri Terengganu yang bertujuan untuk membantu rakyat membina rumah atas tanah sendiri. Bagi menjayakan tabung pinjaman ini dan merealisasikan manifesto Kerajaan Negeri, sejumlah RM50 juta akan diperuntukkan.

95. Selain daripada itu, Kerajaan Negeri melalui kerjasama dengan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) akan memperuntukkan sebanyak RM25.5 juta bagi menyediakan lebih banyak Rumah Darul Iman (RAHMAN) untuk golongan B40 termasuklah pelaksanaan dua projek baharu iaitu Rumah Mampu Milik Bukit Gasing II, Marang dan rumah RPMM Bukit Tumbuh, Kuala Nerus.

96. Kerajaan Negeri juga akan memperuntukkan sebanyak RM16 juta untuk melaksanakan Projek Perumahan Terengganuku Sejahtera (PPTS) di seluruh negeri bagi membaikpulih rumah yang mengalami kerosakan.

97. Kerajaan Negeri juga berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana meluluskan tiga projek perumahan baharu melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) iaitu Projek Program Perumahan Rakyat (PPR) Bukit Gasing, Marang, PPR Bukit Puteri, Besut dan Projek Program Pemajuan Kawasan di Mak Kemas, Marang. Projek-projek ini akan melibatkan kos sebanyak RM166.5 juta.

98. Memahami kesempitan rakyat ketika pendemik COVID-19, Kerajaan Negeri akan meneruskan pengecualian bayaran Cukai Taksiran untuk rumah kediaman yang menelan belanja melebihi RM13 juta pada tahun ini.

Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

Strategi 4: Memperkasakan Wanita, Keluarga dan Belia

99. Kerajaan Negeri amat mengambil cakna akan kepentingan peranan wanita dalam membangunkan sesebuah masyarakat. Dengan ini, Kerajaan Negeri

bersetuju untuk memperuntukkan RM800,000.00 kepada Urus setia Wanita Negeri Terengganu bagi membiayai pentadbiran dan aktiviti seperti Program Pembangunan Wanita Unggul, Program Sayyidatina Aisyah dan Jelajah Untukmu Wanita.

100. Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan menubuhkan sebuah pusat jagaan harian warga emas Baitul Ummi, khusus untuk golongan wanita di Kuala Terengganu dan menubuhkan Terengganu Autism Care and Therapy Centre (TACTC) dengan izin. Kerajaan Negeri juga akan memulakan operasi Raudatul Jannah, bagi melindungi golongan wanita dan kanak-kanak daripada pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi rumahtangga. Jumlah peruntukan untuk keseluruhan inisiatif ini adalah RM1.4 juta.

101. Bagi memastikan institusi keluarga di Negeri Terengganu terjamin, Kerajaan Negeri memberi perhatian penuh kepada Program Pemutihan 4P (Perintah Pengesahan dan Pendaftaran Perkahwinan). Sebanyak RM145,000.00 diperuntukkan untuk program pemutihan status perkahwinan rakyat Terengganu. Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan memperuntukkan sebanyak RM200,000.00 untuk pembukaan tiga buah taska baharu di premis jabatan seluruh Negeri Terengganu.

102. Selain itu juga, bagi memastikan bakat dan kepimpinan belia Negeri Terengganu sentiasa diberi perhatian, pelbagai kursus dan kem telah dirancang untuk melatih golongan ini. Kerajaan Negeri akan memperkenalkan Generasi Muda Terengganu Sejahtera (GMTS) sebagai program pembangunan belia secara menyeluruh bermula usia mereka seawal 11 tahun.

103. Kerajaan Negeri juga akan memperuntukkan RM3.2 juta kepada Urus setia Belia, Sukan Negeri Terengganu (UBSNT) bagi membiayai pentadbiran dan aktiviti seperti Program Pembangunan dan Kesejahteraan Belia dan Beliawanis; Gaya Hidup Sihat Kecergasan dan Sukan Rekreasi serta Program Peningkatan dan Kemajuan NGO. Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan melaksanakan Program Sukan Anak Komuniti seperti sukan bola sepak, sepak takraw, badminton dan bola jaring serta Terengganu Moto Team dengan peruntukan berjumlah RM2 juta.

104. Tambahan pula, Kerajaan Negeri akan meneruskan bantuan pengurusan kepada pertubuhan-pertubuhan belia Negeri Terengganu, Sambutan Hari Belia dan Anugerah Belia Peringkat Negeri Terengganu dengan peruntukan sebanyak RM1.4 juta.

Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

Strategi 5: Meningkatkan Prestasi Sukan

105. Negeri Terengganu mempunyai rakyat yang aktif dalam bidang sukan dan terdapat ramai atlet anak kelahiran Terengganu yang telah berjaya mengharumkan nama negeri dan negara kita. Justeru itu, Kerajaan Negeri menunjukkan komitmennya bagi menyediakan fasiliti yang selesa kepada atlet-atlet dengan meneruskan pembinaan asrama atlet Majlis Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak, Kuala Nerus. Selain itu, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi kerja-kerja membaikpulih Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin serta beberapa kompleks sukan yang lain di Kompleks Sukan Negeri Terengganu.

106 Pada tahun 2019, Kejohanan Sukan Terengganu (SUTERA) telah berjaya dilaksanakan dengan penyertaan seramai hampir 1,500 orang atlet dan pegawai sukan dari seluruh negeri. Melalui kejayaan ini ramai atlet SUKMA 2020 berjaya dilahirkan. Melihat kepada impak positif yang diterima daripada kejohanan berkenaan, Kerajaan Negeri akan menganjurkan SUTERA pada tahun 2021 buat kali kedua dengan peruntukan sebanyak RM800,000.00. Tuan rumah bagi edisi kali ini adalah Daerah Kuala Nerus.

107 Tambahan pula Kerajaan Negeri bersetuju untuk menganjurkan “Gateh Terengganu” untuk program riding dengan izin peringkat nasional yang akan melalui kawasan tumpuan pelancongan bagi merancakkan lagi sub-sektor pelancongan sukan seiring dengan identiti Terengganu yang terkenal dengan sukan berbasikal. Program ini akan diperuntukkan RM700,000.00.

108 Selain daripada itu juga Kerajaan Negeri komited dengan mengadakan Program Pembangunan Sukan dari seawal usia empat tahun sehingga peringkat elit selari dengan Pelan Induk Pembangunan Sukan Sepuluh Tahun Negeri Terengganu (2020-2030).

109 Sebagai tanda sokongan kepada dua orang atlet kelahiran Terengganu yang telah berjaya melayakkan diri ke Temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020, iaitu Khairul Anuar Mohamad dan Mohd Azizulhasni Awang, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM200,000.00 untuk tujuan pembiayaan kewangan dan latihan.

Dato’ Yang Di-pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

Strategi 6: Membangunkan Infrastruktur Kemudahan Rakyat.

110 Bagi menjamin keharmonian rakyat setempat, Kerajaan Negeri akan menyediakan peruntukan sebanyak RM16.3 juta untuk melaksanakan projek-projek kecil di seluruh DUN serta projek pembangunan infrastrutur dan kemudahan awam di seluruh negeri.

111 Kerajaan Negeri akan menyediakan peruntukan kepada semua ADUN termasuklah RM200,000.00 kepada setiap ADUN bukan kerajaan.

TERAS KEEMPAT:

MENDIGITALISASIKAN PERKHIDMATAN AWAM.

Dato’ Yang Di-pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

112 Dalam mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0, inisiatif-inisiatif berikut akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bagi merealisasikan hasrat ini.

113 Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM5 juta bagi menjayakan Pelan Induk Kerajaan Digital Terengganu 2021-2030 dan Pelan Strategik Taman Maya, Artificial Inteligence (AI), dengan izin Terengganu 2021-2025. Projek ini akan menjadikan Negeri Terengganu sebagai model kerajaan pintar yang praktikal demi mewujudkan sebuah masyarakat digital yang lestari sekaligus menyemarakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri.

114 Selain itu Kerajaan Negeri juga mengambil langkah untuk memperkasakan program pembangunan dan pengintegrasian aplikasi digital kerajaan yang bertujuan bagi mengukuhkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan Negeri berkait urusan penting dalam kehidupan rakyat. Sehingga kini, Kerajaan Negeri telah berjaya melaksanakan beberapa program aplikasi digital termasuklah Sistem Profil Rakyat Terengganu 2.0, Sistem E-Munakahat, Sistem E-zakat dan Sistem E-perumahan. Oleh itu demi menjayakan program ini, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM200,000.00.

115 Kerajaan Negeri melalui THRDC akan membangunkan Terengganu Employment Database System (TEDS) dengan izin di semua pusat khidmat DUN bagi meningkatkan akses maklumat pekerjaan kepada seluruh rakyat Terengganu. TEDS akan diintegrasikan dengan sistem pengurusan pengkalan data sumber manusia yang membolehkan THRDC melaksanakan agenda pembangunan sumber manusia dengan lebih cekap dan berkesan. Selain itu, Dasar Pembangunan Sumber Manusia Negeri Terengganu akan diwujudkan bagi menggariskan pelan hala tuju jangka panjang untuk sektor sumber manusia. Sejumlah RM200,000.00 akan diperuntukkan untuk menjayakan inisiatif ini.

116 Di samping itu Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM330,000.00 untuk membangunkan sistem pangkalan data yang sistematik dan bersepadu dikenali sebagai Terengganu Industrial Smart Map dengan izin. Sistem yang dijangka akan dilancarkan pada awal 2021 ini adalah bertujuan untuk menambah baik serta meningkatkan kecekapan pengurusan permohonan dan pemantauan tapak industri di negeri ini.

117 Seterusnya Kerajaan Negeri akan menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Teknologi Digital Terengganu bagi menjamin kepantasan capaian

digital di negeri ini. Jawatankuasa ini akan melibatkan kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menjamin pembangunan digital yang efektif dan mampan.

118 Bagi menambahbaik penyampaian maklumat berkait dasar dan perkhidmatan kerajaan, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM500,000.00 untuk menyediakan Info TV Terengganu Sejahtera di tempat-tempat awam terpilih.

TERAS KELIMA:

MELESTARIKAN ALAM SEKITAR

Dato’ Yang Di-pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

119 Bagi terus melindungi dan menjamin kelestarian alam sekitar ini, inisiatif-inisiatif berikut akan dilaksanakan.

120 Inisiatif Terengganu Go Green dan 3R (Re-use, Reduce, Recyle) dengan izin akan diaktifkan terutamanya di semua pejabat kerajaan, sekolah dan tempat awam termasuk di taman rekreasi, pasar dan lokasi pelancongan bagi meningkatkan pengetahuan dan amalan yang membawa kepada gaya hidup yang lebih mesra alam dan bertanggungjawab terhadap ekologi sekaligus membantu melindungi alam sekitar dan mengekalkan sumber semulajadi untuk generasi sekarang dan yang akan datang. Sejumlah RM200,000.00 akan diperuntukkan.

121 Bagi menambahbaik kualiti perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam serta membiayai program-program yang berkait dengan kebersihan dan keceriaan bandar di seluruh negeri, sebanyak RM55.3 juta akan diperuntukkan pada tahun 2021. Kerajaan Negeri juga akan menaiktaraf tempat pembuangan sampah, kualiti dan bilangan tong sampah, imej lori kompaktor serta sistem kutip sampah secara berperingkat.

122 Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM500,000.00 untuk pembukaan Tapak Pelupusan Sampah (TPS) Sungai Ikan 2 bagi meningkatkan kapasiti dan kecekapan pelupusan sampah di negeri ini. Pada masa hadapan, TPS ini akan dilengkapkan dengan peralatan teknologi dengan kapasiti yang bersesuaian selain penggunaan incinerator memproses sampah sebagai tenaga (waste to energy) dengan izin.

123 Bagi merealisasikan hasrat itu, Kerajaan Negeri akan mengusahakan inisiatif pembiayaan swasta atau Private Financing Inisiative (PFI) dengan izin bagi mengurangkan beban kewangan Kerajaan Negeri. Semoga usaha ini dapat dimuktamadkan secepat mungkin.

124 Saya juga mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas peruntukan sebanyak RM10 juta untuk melaksanakan Program Integrated Island Waste Management, dengan izin yang bertujuan mengurangkan kemusnahan terumbu karang dan kehidupan marin di sekitar pulau Terengganu dan Johor seperti yang diumumkan dalam Bajet 2021 baru-baru ini.

Dato’ Yang Di-pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

125 Tahun 2020 bakal meninggalkan kita semua dengan pelbagai pengalaman dan kenangan yang sangat membekas dalam diri setiap daripada kita. Tiga krisis utama manusia terjadi di negara kita pada tahun 2020 iaitu pertama krisis kesihatan, kedua krisis ekonomi dan ketiga krisis politik.

126 Namun kita mengharapkan dengan pengumuman dari pihak Kerajaan Persekutuan seperti Pakej-pakej Ransangan Ekonomi dan Belanjawan 2021 beserta dengan Belanjawan Terengganu 2021 mampu untuk mengembangkan kembali ekonomi dan menjamin kesejahteraan sosial negara kita, insya-Allah.

127 Manakala dari segi politik pula, kita perlu memperkasakan kerjasama politik yang ada bagi memastikan kestabilan negara dapat diteguhkan terutamanya melalui Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional. Kita hanya mampu keluar daripada krisis ini apabila kestabilan negara dapat kita wujudkan.

128 Saya tahu setiap dari kita mempunyai pandangan dan memendamkan perasaan dalam pemuafakatan ini. Namun hanya inilah pengorbanan yang setiap dari kita terpaksa lakukan demi memastikan rakyat dan negeri kita ini mampu keluar daripada krisis-krisis yang sedang melanda. Saya mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan di sebelah sana yang bersama-sama Kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam meletakkan negara kita ke landasan yang sewajarnya.

Musim tengkujuh sudah pun tiba Hati-hati jika bah melanda Jangan kita berputus asa Ayuh kita perteguh kerjasama

129 Sebelum mengakhiri ucapan pembentangan Belanjawan 2021, Kerajaan Negeri ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada penjawat awam yang dedikasi dan komited sehingga meletakkan Negeri Terengganu antara negeri yang terbaik di Malaysia. Sebagai penghargaan di atas kerja keras dan kesetiaan penjawat awam ini, Kerajaan Negeri bersetuju untuk memberikan insentif sebanyak RM800.00 kepada penjawat awam di Negeri Terengganu.

130 Marilah kita bekerja secara bersama, bergerak seiring dan merapatkan ukhwah untuk memajukan Negeri Terengganu dan menyejahterakan rakyat. Buang segala kekeruhan dan ambil segala kejernihan. Semoga niat yang ikhlas akan diberikan hidayah oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

131 Hanya kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala sahajalah saya menyerahkan segala urusan kerajaan ini.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Saya mohon mencadangkan.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon menyokong cadangan itu.

Yang di-Pertua

Rang enakmen ini telah mendapat sokongan bagi bacaan kali yang kedua. Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, kita bagi peluang kepada Yang Berhormat meneliti Ucapan Bajet yang telah disampaikan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar sebentar tadi, saya berhasrat untuk menangguhkan persidangan ini ke esok hari. Sebelum daripada itu, untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat dan Ketua-Ketua Jabatan, pentadbiran Dewan Undangan Negeri telah menyediakan set makan tengahari dan akan diagihkan oleh petugas-petugas di perkarangan U2.

Oleh yang demikian, saya tangguhkan persidangan ini ke pukul 9.30 pagi esok, 24 November 2020 dan marilah sama-sama kita tangguhkan dengan membaca tasbih Kafarah dan Suratul ‘Asr.

DEWAN DITANGGUHKAN PADA PUKUL 12.50 TENGAHARI.