Terengganu · 15 November 2021
14th Assembly, 4th session, 2nd meeting · 67 turns · 12,695 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalTerengganu publishes one PDF per meeting, with the written answers appended. Speakers are matched by our parser and will have some errors.
(Pembukaan)
Yang Berhormat Yang di-Pertua Dewan, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Sebelum kita memulakan persidangan Dewan pada pagi ini, marilah kita sama-sama membaca Ummul Kitab Al-Fatihah. (Al-Fatihah)
Perkara pertama di dalam Tertib Pekerjaan Dewan pada hari ini ialah Doa oleh Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan.
DOA
Dibaca oleh Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan.
Ucapan Yang Berhormat Dato’ Yang Di-Pertua Dewan
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Perkara berikut di dalam Tertib Pekerjaan Dewan pada hari ini ialah Ucapan Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan.
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, semua Ahli-ahli Yang Berhormat, ketua-ketua jabatan Negeri dan Persekutuan, tuan-tuan, puan-puan sekalian.
Allhamdulillah marilah sama-sama kita panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana dengan taufik dan inayah-Nya kita dapat mengadakan Persidangan Dewan Undangan Negeri pada kali ini iaitu Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Keempat Belas dalam suasana kita sudah melalui fasa endemik menghadapi cabaran COVID-19. Persediaan kita pada kali ini agak dekat jaraknya dengan persidangan terakhir pada 13 hingga 15 September 2021 yang lalu. Walau bagaimanapun, persidangan di akhir tahun ini perlu juga diadakan bagi memenuhi salah satu fungsi badan legislatif iaitu bagi menguruskan Belanjawan Negeri Terengganu untuk tahun 2022. Ahli-ahli Yang Berhormat bertanggungjawab untuk meneliti setiap butiran bajet yang akan dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar sebelum membahaskannya. Dari segi semangat perlembagaan, Kerajaan sudah tentu tidak boleh berbelanja walau satu sen pun pada tahun hadapan sekiranya Rang Undang-Undang ini tidak diluluskan.
Saya yakin semua Ahli Yang Berhormat bersetuju dengan saya dan mengharapkan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar akan membentangkan bajet yang terbaik pada kali ini dalam suasana kita sudah berada dalam fasa empat menghadapi COVID-19 di mana hampir semua sektor sama ada sektor kerajaan atau swasta telah diaktifkan. Saya berpendapat keutamaan Kerajaan sudah tentu bagi membina semula ekonomi yang terjejas supaya kehidupan rakyat kembali ceria dan bahagia. Tetapi pada masa yang sama, kita perlu beringat-ingat untuk terus menjaga SOP kerana peperangan kita menghadapi COVID-19 belum lagi berakhir. Hanya kepada Allah jualah kita
bertawakkal agar ujian dan musibah ini dihapuskan seberapa segera, insya-Allah.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, saya merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar kerana sudi melancarkan „Digital Library’ kira-kira dua minggu lepas untuk kegunaan dan kemudahan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Ini adalah selari dengan Pelan Induk Kerajaan Digital (PINTAR) 2021-2030 bagi menterjemahkan Transformasi Revolusi Industri 4.0 di mana semua maklumat berada di hujung jari. Adalah diharapkan usaha ini akan membantu Ahli Yang Berhormat membuat homework bagi mencari bahan rujukan dan seterusnya dapat meningkatkan lagi mutu perbahasan dalam Dewan Undangan Negeri kita. Dari segi akses kepada perpustakaan digital, pihak pentadbiran DUN akan menghubungi setiap Ahli Dewan Undangan Negeri bagi proses pendaftaran akaun dan pemberian kata kunci. Oleh itu, amatlah diharapkan projek „Digital Library’ ini apabila dibangunkan dengan lengkap nanti akan menjadikan Dewan Undangan Negeri Terengganu sebagai negeri perintis kepada Dewan Undangan negeri-negeri lain seluruh negara, insya-Allah. Persidangan kali ini juga turut membawa usul mengenai penubuhan satu lagi Jawatankuasa Pilihan (Select Committee) yang akan dibentangkan nanti untuk perhatian Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian iaitu Jawatankuasa Terpilih Semakan Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap Dewan. Ia bertujuan untuk mengkaji dan menambah baik Standing Rules and Orders Dewan Undangan Negeri kita yang telah diwujudkan sejak tahun 1960 supaya lebih tersusun penggunaan bahasa yang standard, tambahan dalam edisi rumi dan cadangan bagi memasukkan perkara-perkara baru sesuai dengan perkembangan semasa.
Persidangan kita selama empat hari ini juga sudah tentu mengambil kira suasana ancaman COVID-19. Oleh sebab itu, atas nasihat Majlis Keselamatan Negeri terutamanya melalui Jabatan Kesihatan Negeri, Pentadbiran Dewan Negeri masih lagi mengekalkan SOP yang ditetapkan. Swab test kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat dan ujian RTK, saliva test akan diteruskan di samping mewajibkan pemakaian pelitup muka dan duduk secara berjarak. Bahkan, Pentadbiran Dewan Negeri telah menambah baik dengan memasang cermin penghadang di antara tempat duduk Ahli-ahli Yang Berhormat sebagaimana di Parlimen. Oleh itu Ahli-ahli Yang Berhormat boleh membuka pelitup muka hanya semasa menyampaikan ucapan dan masih perlu memakai pelitup muka sepanjang berada dalam Dewan apabila tidak berucap. Kita merakamkan
ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pihak Majlis Keselamatan Negeri kerana membenarkan persidangan kali ini berlangsung hingga ke petang dan sebahagian ketua-ketua jabatan turut sama berada di dalam persidangan pada kali ini. Saya memohon maaf kiranya semua SOP ini tidak memberi keselesaan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat, tetapi ia penting untuk memastikan keselamatan kita bersama. Insya-Allah.
Sebagaimana biasa, sebelum saya mengakhiri ucapan saya ingin menarik perhatian Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, supaya sentiasa mematuhi Standing Orders sepanjang empat hari persidangan kita berjalan. Tugas seorang speaker adalah tidak lain adalah bagi memastikan Persidangan Dewan Undangan Negeri berjalan lancar secara konvensionalnya speaker tidak seharusnya dipertanggungjawabkan untuk memuaskan hati semua pihak atas setiap perbahasan dan soal jawab yang diutarakan. Oleh sebab itu, urusan-urusan Ahli-ahli Yang Berhormat bukan di sini tempat berakhirnya. Tidak perlulah sesiapa pun cuba menarik perhatian Dewan atau berusaha menjadi juara dalam Dewan ini, kerana banyak perkara atas nama kepentingan rakyat boleh diselesaikan di luar Dewan dengan semangat ukhwah dan perbincangan yang sihat bagi memenuhi tanggungjawab kita kepada rakyat dan lebih-lebih lagi kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, saya ingin umumkan berdasarkan peruntukan dan perkara 121 (A) ceraian 1, Peraturan-Peraturan Dan Perintah-Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri untuk membenarkan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian memakai baju batik lengan panjang pada persidangan hari Khamis ini. Ini adalah selaras dengan amalan di Parlimen sekarang ini dan juga bagi mempromosi Negeri Terengganu sebagai negeri utama pengeluar batik di Malaysia. Akhirnya, marilah sekali lagi kita berdoa semoga persidangan kita berjalan lancar dan mendapat barakah dan rahmat daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Sekian, selamat bersidang.
Kertas-Kertas Kerja Dan Laporan-Laporan
Perkara seterusnya dalam Tertib Pekerjaan Dewan ialah KERTAS-KERTAS KERJA DAN LAPORAN-LAPORAN.
Kertas-kertas kerja dan laporan-laporan yang dibentangkan ialah:
1 Anggaran Hasil Dan Perbelanjaan Tahun 2022.
(DUN Bil.7/2021)
2 Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Negeri Tahun 2022.
(DUN Bil.8/2021)
3 Anggaran Bekalan Air Negeri Tahun 2022.
(DUN Bil.9/2021)
4 Penyata Kewangan Negeri Terengganu Tahun 2020.
(DUN Bil.10/2021)
5 Penyata Kewangan Tahun 2020 Majlis Perbandaran Kemaman
(DUN Bil.11/2021)
6 Penyata Kewangan Tahun 2020 Majlis Perbandaran Dungun.
(DUN Bil.12/2021)
7 Penyata Kewangan Tahun 2020 Yayasan Islam Terengganu.
(DUN Bil.13/2021)
8 Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 Siri 2 Berkait Pengurusan Aktiviti Jabatan Agensi Negeri Terengganu.
(DUN Bil.14/2021)
Soalan-Soalan Yang Telah Diberi NotisQuestions
Perkara berikut ialah Soalan-soalan Yang Telah Diberi Notis:
(1) Soalan-soalan Bertulis.
(2) Soalan-soalan Lisan.
SOALAN-SOALAN BERTULIS [LAMPIRAN]
Soalan-Soalan LisanQuestions
Jawapan kepada Soalan-Soalan Bertulis yang telah diberi notis dan telah dibentangkan di hadapan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian ialah soalan-soalan daripada:
1 Yang Berhormat Wakil Tepoh 2 Yang Berhormat Wakil Batu Buruk 3 Yang Berhormat Wakil Seberang Takir 4 Yang Berhormat Wakil Sura 5 Yang Berhormat Wakil Bukit Besi 6 Yang Berhormat Wakil Rantau Abang 7 Yang Berhormat Wakil Kuala Besut 8 Yang Berhormat Wakil Pengkalan Berangan 9 Yang Berhormat Wakil Bandar 10 Yang Berhormat Wakil Air Putih 11 Yang Berhormat Wakil Kemasik 12 Yang Berhormat Wakil Wanita
SOALAN-SOALAN LISAN
Sekarang kita masuk kepada Soalan-soalan Lisan. Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah memberi notis untuk mengemukakan Soalan-Soalan Lisan pada hari ini, 15 November 2021 adalah sebagaimana berikut:
1 Yang Berhormat Wakil Tepoh 2 Yang Berhormat Wakil Batu Buruk 3 Yang Berhormat Wakil Seberang Takir 4 Yang Berhormat Wakil Sura 5 Yang Berhormat Wakil Telemong 6 Yang Berhormat Wakil Buluh Gading 7 Yang Berhormat Wakil Hulu Besut 8 Yang Berhormat Wakil Manir 9 Yang Berhormat Wakil Bukit Besi 10 Yang Berhormat Wakil Rantau Abang
Yang Berhormat Wakil Jertih 12 Yang Berhormat Wakil Pengkalan Berangan 13 Yang Berhormat Wakil Langkap 14 Yang Berhormat Wakil Bandar 15 Yang Berhormat Wakil Batu Rakit 16 Yang Berhormat Wakil Air Putih 17 Yang Berhormat Wakil Kuala Besut 18 Yang Berhormat Wakil Ajil 19 Yang Berhormat Wakil Permaisuri 20 Yang Berhormat Wakil Kemasik 21 Yang Berhormat Wakil Wanita
Sekarang saya persilakan Wakil Tepoh untuk mengemukakan soalannya.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan saya nombor satu-
Sejauhmanakah kejayaan pelaksanaan manifesto yang dijanjikan PAS sepanjang mendapat mandat pemerintahan Kerajaan Negeri Terengganu?
Soalan daripada Tepoh, dan sebelum itu Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua izinkan saya menjawab soalan nombor satu ini yang berbunyi sejauhmanakah kejayaan pelaksanaan manifesto yang dijanjikan PAS sepanjang mendapat mandat pemerintahan Kerajaan Negeri Terengganu?
Kerajaan telah menjanjikan ataupun PAS telah menjanjikan untuk melaksanakan 20 perkara dalam manifesto yang telah kita sebut di awal pemerintahan kita. Daripada 20, 17 perkara telah dilaksanakan dan tiga lagi masih dalam pelaksanaan dan juga masih dalam perancangan. Ini bermakna
15% daripada janji ini belum dilaksanakan dan 85% telah dilaksanakan. Terima kasih.
Dato’ Yang di-Pertua, soalan tambahan. Yang masih belum dilaksanakan, apakah faktor-faktor yang menghalang ataupun yang melambatkan proses tersebut. Pohon penjelasan.
Terima kasih. Ada tiga manifesto yang belum terlaksana. Nombor satu ialah mewujudkan semula institusi pengajian tinggi Islam milik negeri atau ganti Kolej Agama Sultan Zainal Abidin. Kerajaan Negeri telah bersetuju sebenarnya pada dasarnya untuk menubuhkan sebuah universiti atau kolej universiti menggantikan KUSZA dengan menaikkan taraf Kolej al-Quran Terengganu (KQT) di Durian Mentangau, Dungun pada 1 Julai yang lepas. Kita masih belum melaksanakan lagi, insya-Allah kerana dia perkara yang agak besar jadi kita dalam pelaksanaan masih belum dapat dilaksanakan lagi insya-Allah, tapi kita akan terus berusaha untuk mewujudkan apa yang kita janjikan. Yang kedua ialah mewujudkan di setiap daerah. Sebenarnya kita telah kenal pasti tujuh lokasi untuk bandar baru ini pertamanya di Bukit Seraya Kuala Nerus, di Durian Mentangau Dungun, Mat Lagam Kemaman, Bukit Cehat Teris Hulu Terengganu, Durian Telur Besut, Putrajaya Permaisuri Setiu, Bukit Anak di Marang. Semua tanah-tanah atau lokasi ini adalah tanah Kerajaan kecuali di Bukit Seraya Kuala Nerus. Tanah Kerajaan 89%, tanah milik 77.11 hektar. Durian Mentangau juga adalah di kawasan yang kita cadangkan ini terdapat juga tanah-tanah yang kita belum selesai sepenuhnya. Jadi tertangguh, itulah sebab saya merasa mengapa program ini tidak dapat dilaksanakan lagi dan untuk Bandar Baharu Lestari ini ada ciri-ciri yang telah ditetapkan melalui Teras kesebelas Sustainable Development Goals iaitu menfokuskan Konsep kemampuan Komuniti Dalam Bandar. Terdapat 31 ciri yang dicadangkan bagaimana. Ada 31 tak perlu saya sebutkan, panjang tu dan satu lagi ialah mengumumkan pencen rakyat RM50 sebulan bagi warga emas yang layak. Warga emas yang layak ialah warga emas yang berusia 60 tahun ke atas yang tidak menerima bantuan bulanan agensi Kerajaan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat atau MAIDAM dan lain-lain. Setakat ini terdapat 21,800 permohonan pencen rakyat telah diterima sehingga 31 Disember 2020 dan insya-Allah, Kerajaan Negeri akan melaksanakan program pencen rakyat kepada warga emas di negeri Terengganu dengan pembayaran sebanyak
RM600 secara one-off dan insya-Allah dijangka akan bermula dibayar mulai awal Disember. insya-Allah. Itulah perkara yang belum dapat kita laksanakan ada tiga perkara yang saya sebutkan tadi. Terima kasih.
Soalan tambahan Dato’ Yang di-Pertua. Yang Berhormat, pertama saya ucap terima kasih atas kejayaan Kerajaan Negeri yang telah sebahagian besarnya telah menunaikan apa yang telah dijanjikan. Saya cuma nak tahu Yang Berhormat berkaitan dengan janji kerajaan PAS manifesto PAS pada masa tersebut adalah untuk mewujudkan 20,000 peluang pekerjaan. Jadi setakat ni Yang Berhormat berapa percent doh kita mencapai apa yang telah kita janji tersebut peluang untuk rakyat negeri Terengganu, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat. Soalan ini selalu di setiap kali persidangan ada je soalan berkenaan dengan peluang pekerjaan kita sediakan. Ada dua jenis sebenarnya satu pekerjaan yang disediakan di Terengganu dan ada satu lagi pekerjaan kita mencari peluang-peluang pekerjaan di luar Negeri Terengganu untuk anak Terengganu dan kalau mengikut yang kita jawab yang lepas tu hampir 20,000 telah kita laksanakan. Itu mengikut data yang diberi oleh statistik yang kita dapat, insya-Allah dan ini terus berterusan, yang terakhir yang kita usahakan ialah untuk kita wujudkan peluang pekerjaan untuk anak Terengganu di Syarikat Panasonic di Shah Alam dan MoU telah ditandatangani dan dalam masa singkat telah dapat lebih kurang 200 orang diberi peluang yang diperuntukkan untuk rakyat Terengganu dapat kita penuhi dan insya-Allah banyak lagi peluang-peluang yang sedang kita tunggu dengan berjayanya pelaksanaan kilang-kilang besar yang sedia untuk datang ke Terengganu nanti saya akan jawab semula yang tentang itu, tentang kilang-kilang atau pun investors akan datang ke Terengganu nanti, insya-Allah.
Terima kasih yang berhormat.
Boleh satu lagi.
Sila
Terima kasih, Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, berkenaan dengan manifesto juga, saya nak tanya pemberian RM300 untuk pemuda ataupun pemudi mendapatkan lesen motor melibatkan berapa orang ni. Rasa dok banyak mana ini. Terima kasih.
Boleh EXCO yang berkenaan boleh jawab, sila
Terima kasih pada sahabat saya ADUN Batu Rakit. Salah satu daripada janji manifesto Kerajaan Negeri adalah menyediakan lesen motosikal percuma kepada rakyat Terengganu dan alhamdulillah pada 2019 kita telah pun menyediakan sebanyak 25,000 peluang kepada pemuda dan pemudi untuk mendapat lesen motosikal sementara pada tahun 2021 sebanyak 15,000 kurang 10,000. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat, saya pindah kepada soalan seterusnya…
Satu lagi boleh?
Panjang yang berhormat
Pendek
Sila
Terima kasih.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, kebetulan saya pun tak check manifesto janji parti PAS bila dia menang pilihan raya baru ni, cuma saya nak tanya adakah dalam manifesto itu ada janji untuk melaksanakan hukum hudud dalam Negeri Terengganu ni. Kalau ada sejauh mana kalau tak ada sekadar nak tahu. Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.
Dah lari daripada soalan asal Yang Berhormat, sila-sila Yang Berhormat nak jawab.
Tak jelas tadi
Tadi cuma tanya adakah dijanjikan pelaksanaan hukum hudud. Saya kata ini dah lari daripada soalan asal. Saya boleh putuskan menda ini tak dok pun.
Dah doksoh jawab, pergi kepada soalan asal, saya tak payah jawablah kot.
Soalan asal tak lari Dato’ Yang di-Pertua. Dari segi manifesto…
Yang Berhormat Dato’…
Saya tidak tengok senarai tu, cuma saya nak tanya ada tak dalam manifesto janji untuk melaksanakan hukum hudud di Negeri Terengganu. Kalu tak ada tak apa, kalau ada sejauh mana. Terima kasih Yang Berhormat.
Sidang Dewan lepas jawab doh soalan daripada Seberang Takir.
Saya harap tak payah panjanglah. Saya jemput Wakil daripada Batu Buruk, sila.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan saya nombor satu-
Mohon senarai program-program yang telah berjaya dilaksanakan sepanjang Tahun Pertanian Terengganu
YANG BERHORMAT Dr. AZMAN BIN IBRAHIM (Wakil Jabi):
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Wakil Batu Buruk. Soalan berkaitan dengan senarai program-program yang telah berjaya dilaksanakan sepanjang Tahun Pertanian Terengganu 2021. Dato’ Yang di-Pertua, sebanyak 74 program telah disenaraikan untuk dilaksanakan sepanjang Tahun Pertanian Terengganu 2021. Mengikut pecahannya;
SEKTOR JUMLAH KESELURUHAN PROGRAM TELAH LAKSANA BAKI PERTANIAN 42 32 10 PERIKANAN 26 23 3 PENTERNAKAN 6 4 2 JUMLAH KESELURUHAN 74 59 15
Kalau dilihat dari segi peratusan kejayaan pelaksanaan ia mencecah 79.73%. Saya senaraikan sebahagian program-program utama, saya tidak baca kesemua 59 program yang telah kita berjaya laksanakan. Sejak Tahun Pertanian Terengganu dilancarkan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar pada 25 Januari lepas, antaranya kita telah buat Majlis Penyerahan Bilik Sejuk di beberapa pengkalan nelayan, kita telah buat Program Komuniti CSR Tani hampir di seluruh daerah dalam Negeri Terengganu, Kursus Cantuman Dewasa, kita buat Projek Pelancaran Lembu Sado secara berkelompok disusuli dengan Program Penyerahan Lembu Sado di beberapa daerah. Kita juga telah buat pelepasan benih ikan ke perairan umum di semua daerah di Terengganu,
antaranya juga kita buat Program Pemuliharaan Pantai Pendaratan Penyu, Perasmian Penuaian Padi myGAP, Program Melabuh Unjam di semua daerah daripada Kemaman sampai ke Besut dan Program Melabuhkan Tukun di lima lokasi di daerah-daerah perairan Negeri Terengganu. Kita juga telah merasmikan pelancaran Slipway tempat baiki bot dan juga Coldroom Bilik Sejuk di Marang, Program Perasmian Jeti Nelayan di Kampung Batin, di Geliga, Program My Best Buy, Pelancaran Direktori Skim Bantuan Modal Tani, Pelancaran Teknologi Digital Automation Bagi Penanaman Melon Manis Terengganu, Majlis Penyerahan Lesen Khas Nelayan Sampan untuk semua daerah di Terengganu berjumlah 600 lesen.
Kita juga telah buat Program Gotong Royong untuk Dusun Nukleus di kawasan Dusun Nukleus Durian di Bukit Jerung dan ada banyak lagi program-program dalam bentuk karnival penyerahan input, Pelepasan Anak Penyu, Program Kesedaran Penternak, Program Penyerahan input Pertanian & Mekanisasi Ladang dan Penyerahan input Kepada Penanam-Penanam Cili, Program Memacu Sektor Penternakan dan beberapa program lagi. Tinggal dalam bulan November dan bulan Disember lening, insya-Allah kita akan sempurnakan lagi antaranya Program Pecah Tanah untuk Penempatan Semula Nelayan di Benting Lentang, di Seberang Penarik dan juga di Pulau Sekepeng dan kita juga insya-Allah akan rasmikan Ladang Nukleus Rusa kita di Bari, termasuk juga kita akan lancarkan Program Penanaman Nenas MD2 di Pak Kancil di Setiu. Saya jangkakan menjelang hujung tahun ini insya-Allah peratusan pelaksanaan program dalam Tahun Pertanian Terengganu boleh mencecah sekitar 85%. Ada beberapa program yang kita terhalang untuk nak laksanakan terutamanya program-program yang melibatkan kehadiran khalayak yang ramai seperti Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Terengganu dan Terengganu juga sebenarnya telah diminta menjadi tuan rumah kepada Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan yang tidak dapat kita laksanakan disebabkan oleh kekangan pandemik yang sama-sama kita lalui. Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.
Soalan tambahan Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua: Tahniah kepada Kerajaan Negeri khususnya EXCO Pertanian yang telah dapat melaksanakan hampir 80% kejayaan program-program dalam Tahun Pertanian Negeri Terengganu. Soalannya ialah apakah Kerajaan bercadang untuk meneruskan kesinambungan program-program tersebut pada tahun 2022?
YANG BERHORMAT Dr. AZMAN BIN IBRAHIM (Wakil Jabi): Dato’ Yang di-Pertua, tentu sekali program pertanian ini memerlukan kepada kesinambungan supaya kesan langsung kepada rakyat kita boleh teruskan bukan hanya terhenti sekadar dalam tempoh pelaksanaan Tahun Pertanian Terengganu sahaja dan beberapa program yang ada dalam senarai kalendar tahun pertanian sebenarnya adalah program tetap kita setiap tahun yang akan diteruskan pelaksanaannya. Terima kasih.
Sekarang saya jemput Wakil daripada Seberang Takir.
YANG BERHORMAT DATO’ SERI Dr. HAJI AHMAD RAZIF BIN ABD. RAHMAN (Wakil Seberang Takir):
Yang Berhormat Dato Yang Di-Pertua kerana soalan nombor satu saya ditolak, soalan nombor dua. Terima kasih.
Apakah usaha Kerajaan Negeri menambah baik kebolehpasaran graduan lepasan IPT di bawah Kerajaan Negeri Terengganu seperti TATiUC, TESDEC, TTITC dan Kolej Universiti Al-Quran?
Yang Berhormat Dato’ Yang Di-Pertua, Yang Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar dan juga semua sahabat-sahabat sekalian. Soalan nombor dua berbunyi, apakah usaha Kerajaan Negeri menambahbaik kebolehpasaran graduan lepasan IPT di bawah Kerajaan Negeri Terengganu seperti TATiUC, TESDEC, TTITC dan juga Kolej Al-Quran Terengganu.
Antara usaha Kerajaan Negeri untuk menambahbaik kebolehpasaran graduan lepasan IPT di bawah Kerajaan Negeri Terengganu adalah melalui pemantapan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP), Pengukuhan kecemerlangan bakat, Peluasan kerjaya pelajar dan juga Pemerkasaan hubungan di antara industri.
Usaha ini adalah seiring dengan Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021-2025 yang telah dilancarkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad. Terima kasih.
YANG BERHORMAT DATO’ SERI Dr. HAJI AHMAD RAZIF BIN ABD. RAHMAN (Wakil Seberang Takir): Dato’ Yang Di-Pertua, soalan tambahan saya yang pertama: Melihat kepada permohonan yang dibuat oleh pelajar-pelajar untuk mengikuti ke pusat-pusat pengajian di bawah Kerajaan Negeri Terengganu kebelakangan ini terutama TATiUC, kita dapati amat berkurang. Ada atau tidak cadangan ataupun inisiatif yang Kerajaan cadangkan untuk diberi kepada terutama kepada anak-anak Terengganu untuk mengikuti pembelajaran di IPT di bawah Kerajaan Negeri Terengganu. Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, ini soalan yang melibatkan pendaftaran pelajar baru, bukan untuk pemerkasaan kebolehpasaran graduan. Tetapi untuk makluman sebab ini melibatkan data, sepanjang saya ingat sekarang ini dah ada peningkatan pelajar-pelajar yang sudah mencecah hampir 1000 pelajar sebab memang kita fokus untuk pendaftaran pelajar khususnya Negeri Terengganu untuk menyambung pengajian mereka ke UC TATI. Juga kita menyediakan biasiswalah khususnya untuk anak Terengganu sebagai kelebihan kepada mereka memilih UC TATI yang dimiliki oleh Kerajaan Negeri. Kita juga menganjurkan program TATI Skills antaranya adalah untuk memberi pilihan dan juga feeder kepada TATiUC. Terima kasih.
YANG BERHORMAT DATO’ SERI Dr. HAJI AHMAD RAZIF BIN ABD. RAHMAN (Wakil Seberang Takir): Soalan tambahan saya yang seterusnya, yang berkait dengan kebolehpasaran graduan tadi maknanya ada atau tidak Kerajaan bercadang untuk membantu mereka ini terutama untuk memberi peluang-peluang kepada mereka untuk menyertai GLC ataupun syarikat-syarikat yang boleh mereka bekerja kerana kita bimbang dengan pertandingan yang begitu sengit di antara pelajar-pelajar sekarang ini yang kita bimbang ialah pelajar-pelajar Terengganu akan ketinggalan. Jadi adakah ada apa-apa cadangan ataupun rancangan yang dibuat oleh Kerajaan untuk membantu mereka ini memperolehi pekerjaan. Terima Kasih Dato’ Yang di-Pertua.
Terima kasih kepada Yang Berhormat yang mengambil cakna berkait tentang anak-
anak Terengganu kita khususnya dari kalangan graduan lepasan-lepasan IPT khususnya IPT milik Kerajaan Negeri Terengganu. Antara usaha-usaha yang dilakukan oleh pihak IPT tu sendiri, antaranya adalah untuk PdP ini, menganjurkan kursus-kursus latihan tambahan bagi pelajar semester akhir sebagai persediaan untuk masuk ke medan industri. Antaranya seperti meningkatkan kebolehmampuan mereka dalam komunikasi ataupun berbahasa inggeris. Juga kita juga mengadakan kerjasama dengan pihak industri dalam penempatan latihan OJT yang merupakan sebahagian daripada keperluan pelajar untuk melengkapkan jumlah jam kredit bergraduan. TESDEC telah melaksanakan kerjasamanya dengan PROTON, PERODUA dan juga Berjaya China Motor Sdn. Bhd. dan juga kita mengadakan Analisa kehendak latihan (Training Need Analysis) yang juga perlu bagi mengenal pasti kesesuaian latihan yang akan ditawarkan menepati keperluan majikan itu sendiri. Antara Peluasan kerjaya pelajar juga diwajibkan pelajar menjalani latihan on the job-training bagi setengah kursus yang bersesuaian. Kaedah ini secara langsung membolehkan pelajar membina rangkaian hubungan industri sendiri dalam usaha mereka untuk mendapatkan pekerjaan di samping mempamerkan kebolehan dan juga tahap kompentensi secara praktikal di majikan. TESDEC juga telah menawarkan pensijilan tambahan secara serentak bersama dengan kursus yang sedia ada bagi memberi nilai tambah dan potensi kepada pelajar. Dengan adanya sijil professional certification ini, graduan-graduan mempunyai satu kelebihan dan berupaya bersaing di pasaran kerja yang berkesesuaian dengan kehendak industri seperti sijil 6G dan sebagainya.
Pemerkasaan hubungan di antara Industri, TESDEC turut bekerjasama dengan THRDC di bawah Kerajaan Negeri iaitu Urus Setia Pekerjaan Negeri dan Terengganu Human Resources Development Centre dengan memberi maklumat berkaitan lepasan graduan daripada TESDEC. Program UC TATI bersama jabatan agensi seperti PERKESO, Jabatan Tenaga Kerja, YPU, MARA dan lain-lain. TESDEC juga mewujudkan hubungan dengan pihak industri yang berkeperluan untuk mendapatkan tenaga kerja seterusnya mengatur sesi temuduga dengan pelajar. Antara syarikat yang telah mengambil bahagian adalah seperti berikut Camtop Sdn Bhd, Symphony Manufacturing and Services Sdn Bhd, Austin Heights dan juga Sapura Fabrication Sdn Bhd.
Antara kebolehpasaran graduan UC TATI kalau kita melihat pada tahun 2019, dan juga 2020 telah mencecah, 2019 sebanyak 61.9% yang mendapat pekerjaan dan juga yang menyambung pengajian 10.91% dan yang kita kesan
setakat data ini yang tidak mendapat peluang pekerjaan lagi lebih kurang 10%. Untuk tahun 2020 yang telah bekerja hampir 60%, 11.5 % menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, 13% yang masih lagi tidak mendapat peluang pekerjaan. Adapun KQT dia baru selesai untuk grad Ijazah pertama jadi kebanyakan mereka memilih untuk menyambung pengajian di peringkat Ijazah dan untuk laporan kebolehpasaran TESDEC dalam tempoh sekurang-kurangnya dua tahun dia buat kajian berdasarkan data kajian dan Laporan Audit Negara tahun 2018 dimaklumkan bahawa TESDEC antara institusi yang berjaya mendapat kadar kebolehpasaran yang mencecah 85% dan ini merupakan antara institusi yang menghasilkan graduan yang mempunyai kebolehpasaran yang tinggi dan menepati kehendak dan juga keperluan industri semasa. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat. Saya persilakan Wakil Buluh Gading.
Terima kasih Yang Berhomat Dato’ Yang di-Pertua, soalan saya nombor satu-
Kita melihat kerajaan negeri sangat perihatin dalam penglibatan komuniti memlalui industri pelancoongan atau dikenali komuniti pelancongan (CBT). Sejauhmanakah usaha pihak kerajaan dalam membentuk dan memperkasa segmentasi pelancongan ini?
Yang Berhomat Dato’ Yang di-Pertua Dewan, jawapan kepada soalan daripada ADUN Buluh Gading yang mana beliau bertanya berkenaan dengan CBT (Community Based Tourism) usaha Kerajaan di mana kita dalam pelan strategik perindustrian pelancongan dalam yang baru saja dilancarkan kita telah menyasarkan minimum 40 CBT di seluruh Terengganu dan setahun kita sasarkan sepuluh CBT. Ahamdulillah Kerajaan di peringkat awal telah memperkasakan segmentasi pelancongan CBT ini dengan memberikan peruntukan RM1 Juta kepada 39 lokasi Program Keindahan Produk Pelancongan
di seluruh Negeri Terengganu yang telah diselesaikan dalam waktu yang terdekat di mana sebagai contoh:
Daerah Tempat Kuala Terengganu 1. Kalang Warisan
Marang 1. Merchang Lestari Pantai Angin Berbisik 2. Kampung Jambu Bongkok 3. Dataran Batu Putih
Kuala Nerus 1. Pulau Redang
Dungun 1. Kampung Pulau Serai di mana kita mengadakan gotong royong komuniti dan perasmian Dungun Water Taxi,
Kemaman 1. Bukit Harimau Menangis
Setiu 1. Kampung Mangkok di mana kita adakan gotong royong komuniti dan perasmian Perkampungan Pelancongan Kampung Mangkok
Besut 1. Felda Selasih 2. Kampung Kayu Kelat, Hulu Besut 3. Kampung Kubang Debu
Hulu Terengganu 1. Kampung Jenagor 2. Little Lembah Amazon Sungai Berang 3. Bukit Jalin
Yang Berhomat Dato’ Yang di-Pertua, soalan tambahan saya yang pertama: Mohon Yang Berhormat EXCO menjelaskan dengan lebih lanjut apakah peranan secara
khusus yang boleh dimainkan oleh komuniti setempat dalam memajukan CBT masing-masing. Terima kasih.
Terima kasih, di mana Community Based Tourism ini sebenarnya bukan sahaja usaha daripada pihak Kerajaan tetapi masyarakat setempat terutamanya JPKK dan ahli-ahli kampung berperanan sangat besarlah untuk memajukan Community Based mereka masing-masing kerana kejayaan CBT ini adalah kejayaan di peringkat komuniti setempat. Di mana program CBT menekankan keseimbangan dalam tiga komponen iaitulah pertama aspek ekonomi, di mana CBT ini akan memberi faedah ekonomi secara langsung dan juga peluang pekerjaan dan perniagaan yang menjana pendapatan sampingan dan meningkatkan taraf hidup yang seterusnya membangunkan komuniti itu ke tahap yang lebih tinggi. Jadi sememangnya masyarakat perlu menyedari tentang perkara ini kerana sekiranya CBT yang dilaksanakan di tempat mereka, mereka akan mendapat faedah ekonomi secara langsung. Yang kedua dari segi aspek sosial yang melibatkan hak-hak komuniti setempat serta peluang melibatkan diri secara adil dalam semua aktiviti pelancongan dan ketiga aspek alam sekitar yang menekankan kepada keperluan menjaga dan memulihara sumber alam bagi penggunaan generasi masa kini dan akan datang. Kesimpulannya, adalah peranan sangat penting di pihak komuniti kerana kalau sekiranya pihak Kerajaan sahaja mencadangkan CBT ini dilaksanakan di kampung ataupun tempat mereka, usaha ini akan terjejas dan tidak berpanjangan, sekian.
Yang Berhomat Dato’ Yang di-Pertua, untuk makluman Dewanlah, sekarang ini sedang viral dalam DUN Buluh Gading sendiri ada satu pusat pelancongan yang diusahakan oleh komuniti setempat yang terdiri daripada JPKK, Persatuan Penduduk dan juga masyarakat iaitu Bukit Salai, Sungai Nerus dan dia mendapat perhatian masyarakat sehingga hari ini mendapat kunjungan mencecah ribuan pengunjung khususnya di hari-hari hujung minggu. Saya mengambil kesempatan di sini mengucapkan terima kasih kepada pihak Pegawai Daerah Kuala Terengganu yang telah melaksanakan Program Jom Hiking Kenali Bukit Tok Salai, Sungai Nerus pada 30 Oktober 2021 yang lalu. Soalan saya, program ini diadakan sempena dengan Hari Sukan Negara peringkat Daerah Kuala Terengganu. Jadi apa yang saya nak tanya di sini, berapakah jumlah CBT yang disasarkan oleh Kerajaan Negeri dan apakah Bukit
Salai, Sungai Nerus ini berpotensi untuk disenaraikan dalam senarai yang akan dimajukan oleh Kerajaan Negeri dan sejauh manakah bantuan Kerajaan Negeri untuk memajukan Bukit Salai ini sebagai Pusat Pelancongan yang baharu? Terima kasih.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, sebenarnya Negeri Terengganu mempunyai dari sudut ekopelancongan dan juga Sports Tourism sememangnya Terengganu terkenal dengan gunung-ganang yang banyak dan perlu diteroka sebenarnya yang masih dara pun banyak lagi yang sedang diusahakan oleh pihak-pihak yang berkenaan. Antaranya yang terkenal di Gunung Sarut, Gunung Tebu dan lain-lain dan bukit juga banyak sebenarnya, antara kalau di Kemaman Bukit Harimau Menangis. Ramai juga Ahli Dewan dan juga pegawai-pegawai yang saya rasa kena cari tempat ni nama pun sedap dah Bukit Harimau Menangis. Kalau di Hulu Terengganu, Bukit Hidung, Bukit Balik Hidung, saya pun tak pasti sebab apa nama Bukit Balik Hidung ni. Bukit Maras, Bukit Bubus terkenal dengan paraglidingnya dan kemudian di Kuala Terengganu ada Bukit Besar yang sudah terkenal, Hulu Terengganu ada lagi Bukit Jalin, di Besut ada Bukit Keluang dan yang terbaru Bukit Salai yang sememangnya menjadi boleh dimajukan dan sekarang ni pada hujung-hujung minggu ramai orang yang sudah mendaki bukit tersebut untuk memanglah Terengganu ni terkenal, penduduk dia masyarakatnya aktif bersukan, berekreasi dan saya yakin apabila kita perkenalkan bukit-bukit dan juga gunung yang sangat cantik di Terengganu ini, pelancong-pelancong dari luar bukan sahaja daripada Malaysia, luar pada Terengganu bahkan di seluruh dunia, mereka akan datang ke Terengganu. Jadi kita bertuah sebenarnya segmentasi ini, insya-Allah bakal melonjak di masa akan datang. Jumlah CBT saya telah sebut tadi. Sekian.
Terima kasih Yang Berhormat. Saya jemput Wakil Hulu Besut.
Dato’ Yang di-Pertua, boleh saya?
Tak dang dah. Saya dah kesuntukan masa. Kita baru lima soalan daripada dua puluh. Saya jemput Wakil daripada Hulu Besut. Sila.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan saya soalan satu.
Berapakah jumlah kutipan sewa premis milik Majlis Bandaraya dan Majlis Daerah yang sepatutnya dikutip tetapi diberi pengecualian bayaran atau potongan akibat Wabak COVID-19 mengikut daerah-daerah di seluruh Negeri Terengganu?
YANG BERHORMAT Dr. HAJI ALIAS BIN RAZAK (Wakil Bukit Tunggal):
Yang Berhomat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat, rakan-rakan Yang Berhormat, dan para pemerhati sekalian. Soalan daripada Hulu Besut ni. Saya kena jawab sama dengan soalan Hulu Besut juga esok, sebab ada kaitan, tak sama tapi berkait. Soalan pada hari ini, berapakah jumlah kutipan sewa Premis Milik Majlis Bandaraya dan Majlis Daerah yang sepatutnya dikutip tetapi diberi pengecualian bayaran ataupun potongan akibat wabak COVID-19 mengikut daerah-daerah di seluruh Negeri Terengganu? Manakala soalan untuk esok, berapa lamakah tempoh pihak Majlis Bandaraya dan Majlis Daerah memberi pengecualian bayaran atau potongan sewa premis kepada penyewa atau peniaga akibat wabak COVID-19? Soalan berbeza tapi kait mengaitlah.
Jadi baik saya jawab sekali gus dengan hak esok. Boleh Hulu Besut deh? Okey. Sebagaimana yang kita sedia maklum, kita telah diuji dengan wabak COVID-19 dan telah diperintahkan untuk bawah PKP, Perintah Kawalan Pergerakan yang agak lama sehingga hari ini pun, walaupun kita masuk Fasa Pemulihan, kita masih lagi hidup bersama dengan COVID-19 ni lah, endemik. Jadi untuk itu, bagi meringankan beban kepada peniaga kita, khususnya yang menyewa premis-premis di bawah PBT, Pihak Berkuasa Tempatan iaitu Majlis Bandaraya dan juga Majlis Perbandaran dan juga Majlis Daerah. Jadi untuk itu kita ada dua fasa, dua fasa yang kita beri pengecualian. Yang pertamanya, pada PKP yang pertama, pada yang bermula kita masih ingat, kita mula PKP yang pertama 18 Mac 2020. Kerajaan pada ketika itu membuat keputusan untuk memberi
pengecualian yang layak bayaran sewa selama tiga bulan iaitu April, Mei, Jun 2020. Untuk itu Kerajaan telah kehilangan hasil, Kerajaan maksudnya PBT kita kehilangan hasil untuk tempoh tiga bulan tersebut ialah sebanyak RM3,150,315.00. Mengikut PBT, MBKT lah yang paling banyak terkesan, iaitu sebanyak RM832,500.00, MPK RM578,670.00, Majlis Perbandaran Dungun RM456,049.50, Majlis Daerah Besut RM411,948.00, Majlis Daerah Hulu Terengganu RM210,382.50 dan Majlis Daerah Marang RM420,765.00 dan akhirnya Majlis Daerah Setiu sebanyak RM240,000.00 sahaja. Jumlahnya RM3,150,315.00. Itu untuk tempoh bagi tahun 2020. Dan kita menghadapi satu lagi serangan ataupun gelombang yang besar yang mana semua sektor ekonomi terpaksa ditutup, iaitu pada bulan Jun dan Julai 2021 baru ini, dua bulan ini semuanya premis ekonomi perniagaan ditutup. Kita beri sekali lagi pengecualian kepada peniaga-peniaga yang layak ini untuk tahun 2021. MBKT kehilangan hasil RM846,004.00, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) RM504,360.00, Majlis Perbandaran Dungun RM530,538.50, Majlis Daerah Besut RM590,102.00, Majlis Daerah Hulu Terengganu RM234,894.16, Majlis Daerah Marang RM322,375.00, Majlis Daerah Setiu RM286,640.00, jumlahnya RM3,314,913.74. Jadi untuk dua tempoh itu, dua tempoh 2020 dan 2021, Kerajaan telah melalui bawah PBT kehilangan hasil RM6,465,228.74. Terima kasih.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya juga nak tahu apakah Kerajaan sedar peniaga-peniaga kita dihimpit dengan kesan COVID-19, walaupun kerajaan telah memberi pengecualian 2020 tiga bulan jah, 2021 dua bulan. Pada saya tidak memadai kerana COVID-19 yang dialami oleh kita khasnya peniaga hampir dua tahun, 24 bulan baru kerajaan bagi cuma lima bulan, boleh tak lagi kerajaan tambah sehingga enam bulan ke? Terima kasih.
YANG BERHORMAT Dr. HAJI ALIAS BIN RAZAK (Wakil Bukit Tunggal): Terima kasih, sebenarnya Kerajaan telah membuat satu kajian yang agak teliti juga, apa yang kita beri pengecualian itu bila mana PKP penuh, semua sektor perniagaan tidak dibenarkan beroperasi, bila dah dibuka sebahagian perniagaan maka bermaksud sebahagian peniaga sudah boleh berniaga semula, sudah dapat hasil, walaupun semua kita faham di zaman PKP ini semua sektor perniagaan terjejas bukan hanya yang peniaga kecil, penjaja, yang besar pun terjejas, kalau kita nak beri sampai dua tahun saya ingat itu akan menjejaskan pula perkhidmatan PBT kita dan bukan hanya diberi pengecualian sewaan
sahaja, Kerajaan ada bantuan-bantuan lain untuk peniaga-peniaga untuk perniagaan dan juga bagi mereka yang hilang terus punca pendapatan ada bantuan yang di bawah PEMULIH kita di bawah Pusat, di peringkat Negeri kita ada apa nama tidak ingat, sektor lain pula masuk ini, banyaklah bantuan-bantuan yang telah Kerajaan beri yang nilainya saya rasa sejumlah lebih daripada RM70 juta semasa PKP. Kerajaan membantu rakyat bagi meringankan beban mereka, bukan peniaga sahaja, termasuk juga mereka-mereka yang buruh dan sebagainya terjejas pendapatan mereka. Maknanya Kerajaan sedar dan ambil cakna tentang perkara-perkara ini, tetapi kita juga kena mengira kemampuan Kerajaan dalam menangani perkara ini supaya win-win, jangan sampai PBT kita tiada hasil langsung akhirnya peruntukan untuk kebersihan dan sebagainya akan terabai, jadi kita kena timbanglah dua perkara ini Yang Berhormat, di atas pertimbangan itulah pihak Kerajaan Negeri buat keputusan sepertimana yang saya sebutkan tadi. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat, saya jemput Wakil Manir.
YANG BERHORMAT HAJI HILMI BIN Harun (Wakil Manir):
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua soalan saya yang pertama, terima kasih.
Sukan komuniti rakyat melibatkan pertandingan liga sukan melibatkan acara bola sepak, badminton dan juga bola jaring di kampung dan daerah yang tertangguh penganjurannya akibat COVID-19. Apakah perancangan Yang Berhormat bagi menghidupkan aktiviti sukan dikalangan komuniti bagi melahirkan rakyat yang sihat dan cergas?
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan juga Yang Berhormat ADUN Manir yang bertanyakan soalan sebentar tadi. ADUN Manir bertanyakan tentang Sukan Komuniti Rakyat yang melibatkan
pertandingan tiga sukan seperti bola sepak, badminton, bola jaring dan di kampung dan daerah yang tertangguh penganjurannya akibat COVID-19, apakah perancangan Kerajaan bagi menghidupkan aktiviti sukan di kalangan komuniti bagi melahirkan rakyat yang sihat dan cergas?
Untuk makluman Dewan, Kerajaan Negeri melalui Urus Setia Belia Sukan dan NGO Negeri Terengganu telah pun merancang untuk mengadakan kejohanan bola sepak, bola jaring, sepak takraw dan badminton di peringkat DUN, Parlimen dan seterusnya di peringkat Negeri dan ini dizahirkan melalui Ucapan Belanjawan 2021 Negeri Terengganu pada tahun lalu, namun kejohanan dan karnival ini terpaksa ditangguhkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan PKP 2.0 dan 3.0 serta Pelan Pemulihan Negara, dan pun begitu insya-Allah Kerajaan Negeri bersetuju untuk menganjurkan program ini pada tahun 2022, berikutan dengan perkembangan pandemik COVID-19 yang semakin baik ini, terima kasih.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, bagaimanakah dengan perancangan Kerajaan Negeri untuk penganjuran SUTERA, dan adakah sukan-sukan MAKSAK itu juga turut akan dipertandingkan. Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.
Seperti yang telah pun diketahui oleh semua, bahawa penganjuran Sukan Terengganu ataupun SUTERA ini telah pun dicadangkan dan telah pun dilaksanakan pada 2019 yang lalu dan penganjurannya diadakan selang di antara SUKMA dan juga SUTERA, ertinya tahun yang selepas SUKMA contohnya 2018 kita ada SUKMA, 2019 SUTERA.
SUTERA 2019 diadakan sebagai persiapan untuk SUKMA 2020, dan begitulah seterusnya, namun penganjuran SUTERA yang dicadangkan pada tahun 2019 juga tidak dapat. 2019 berjaya dilaksanakan untuk 2020 SUKMA tetapi SUKMA telah pun ditangguhkan pada tahun 2021, dan kemudian ditangguhkan lagi pada 2022 yang membawa kepada penangguhan juga di peringkat SUTERA, dan SUKMA yang terbarunya insya-Allah akan diadakan pada tahun 2022 pada Mei tahun hadapan dan insya-Allah Kerajaan bercadang untuk menganjurkan SUTERA juga pada tahun 2022 tetapi diawalkan sekitar pada bulan Februari antara 1 hingga 5 Februari 2022 dan penganjuran SUTERA ini juga melibatkan sebanyak 7 sukan, 13 jenis sukan iaitulah sukan wajib sebanyak 17 dan 6 sukan
pilihan, dan kita telah pun menyediakan suatu bajet RM800,000.00 untuk penganjuran SUTERA seperti yang pernah kita laksanakan pada 2019 yang lalu. Penganjuran SUTERA ini sangat penting kerana bukan sahaja menggalakkan rakyat untuk bersukan kerana sebelum daripada penganjuran SUTERA ini dapat diadakan, majlis sukan di peringkat daerah-daerah perlu diaktifkan untuk mengadakan program-program di peringkat komuniti kampung dan kemudiannya diadakan di peringkat daerah sebelum diadakan pemilihan di peringkat daerah untuk mewakili daerah ke perlawanan SUTERA, daripada itulah dipilih Negeri dalam SUKMA yang berikutnya, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat.
Masa tidak mengizinkan, saya terpaksa tamatkan Sesi Soalan Lisan setakat ini sahaja, sepatutnya habis 10.30 tadi. Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar dan semua Ahli Yang Berhormat sekalian, saya berhasrat untuk menangguhkan sementara persidangan kita, kita masuk balik pada pukul 11.00 pagi, insya-Allah.
MESYUARAT DITANGGUHKAN JAM 10.40 PAGI
PUKUL 11.00 PAGI
(Selepas Soalan-Soalan Lisan)Questions
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, mesyuarat disambung semula.
Usul-Usul Yang Telah Diberi NotisMotion
Perkara berikut di dalam Tertib Pekerjaan Dewan ialah Usul-Usul Yang Telah Diberi Notis. Dipersilakan Yang Berhormat Haji Satiful Bahari bin Mamat, Wakil Paka untuk mengemukakan usul Cadangan Mendahulukan Pembawaan Rang Undang-Undang Daripada Perkara-Perkara Lain.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,
Saya mohon membawa cadangan menurut Fasal 16(3) Peraturan-Peraturan Dan Perintah-Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri untuk mendahulukan Pembawaan Tiga Rang Undang-Undang daripada perkara-perkara lain iaitu:
i) Enakmen Perbekalan 2022 ii) Enakmen Tanah Simpan Orang Melayu (Pindaan) (No.2) 2021 iii) Enakmen Penyu (Pindaan) 2021
Terima kasih.
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, satu cadangan menurut Fasal 16(3) Peraturan-Peraturan Dan Perintah-perintah Tetap Dewan Undangan Negeri untuk mendahulukan Pembawaan Rang Undang-Undang daripada Perkara-perkara Lain telah diterima. Sekarang saya kemukakan kepada undian-
CADANGAN MENURUT FASAL 16(3) PERATURAN-PERATURAN DAN PERINTAH-PERINTAH TETAP DEWAN UNDANGAN NEGERI UNTUK MENDAHULUKAN PEMBAWAAN RANG UNDANG-UNDANG DARIPADA PERKARA-PERKARA LAIN KEMUDIAN DIUNDI DAN DIPERSETUJUI DENGAN SEBULAT SUARA.
USUL INI DITERIMA
Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2022Bill
Perkara yang didahulukan ialah Rang Undang-Undang.
Dipersilakan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar mengemukakan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2022, bacaan kali yang pertama.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan Rang Undang-Undang Bernama Suatu Enakmen Bagi Menggunakan Sejumlah Wang Daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk Perkhidmatan bagi Tahun 2022 dan bagi Memperuntukkan Jumlah Wang Itu untuk Perkhidmatan bagi Tahun Itu, dibaca bagi kali yang pertama.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon menyokong cadangan itu.
RANG UNDANG-UNDANG BERNAMA SUATU ENAKMEN BAGI MENGGUNAKAN SEJUMLAH WANG DARIPADA KUMPULAN WANG YANG DISATUKAN UNTUK PERKHIDMATAN BAGI TAHUN 2022 DAN BAGI MEMPERUNTUKKAN JUMLAH WANG ITU UNTUK PERKHIDMATAN BAGI TAHUN ITU, DIBACA BAGI KALI YANG PERTAMA
Bacaan Kali Yang Kedua
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-Undang Bernama Suatu Enakmen Bagi Menggunakan Sejumlah Wang Daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk Perkhidmatan bagi Tahun 2022 dan bagi Memperuntukkan Jumlah Wang Itu untuk Perkhidmatan bagi Tahun Itu, dibaca bagi kali yang kedua.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Yang Berusaha Ketua-ketua Jabatan dan Agensi, para pegawai dan kakitangan Kerajaan Negeri, semua tetamu, petugas media dan pemerhati yang dirahmati Allah SWT sekalian.
1. Marilah kita semua menitipkan doa dengan tulus dan ikhlas ke hadrat Allah Allah Subhanahu Wa Ta’ala semoga Kebawah Duli Yang Maha
Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan dan Yang Di-Pertuan bagi Negeri Terengganu Darul Iman serta segala jajahan takluknya dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah, Sultanah Terengganu agar diberkati, dirahmati serta dikurniakan pimpinan Ilahi untuk terus menaungi dan memayungi Negeri Terengganu Darul Iman yang dikasihi ini. Kita amat bersyukur kepada Allah SWT kerana dengan izin-Nya jualah kini kita sudah berada di Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN). Hampir keseluruhan aktiviti sosial dan ekonomi mula beroperasi mengikut norma baharu.
2. Dengan rendah diri juga saya merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua petugas barisan hadapan kesihatan, keselamatan dan sukarelawan yang bersiap siaga dan bertungkus lumus setiap masa untuk mengawal pandemik dan memberikan bantuan kepada yang memerlukan. Semoga semuanya diterima sebagai amal soleh di sisi Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
3. Saya mohon membentangkan di Dewan ini, Enakmen Perbekalan Tahun 2022 bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2022. Butiran lengkap Enakmen Perbekalan Tahun 2022 ini adalah seperti terkandung dalam Buku Belanjawan 2022 Terengganu Darul Iman.
Prestasi Dan Prospek Ekonomi
Sorotan Ekonomi Global dan Malaysia Serta Sosioekonomi Terengganu
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
4. Akibat kesan pandemik COVID-19 yang teruk pada tahun 2020 terutamanya berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan, penawaran dan permintaan produk pengeluaran dan perkhidmatan telah mengalami kejutan sehinggakan ekonomi global pada tahun lalu
menguncup 3.2% berbanding mengembang 2.8% pada tahun sebelumnya.
5. Bagi keseluruhan tahun 2020, Amerika Syarikat telah merekodkan kelembapan ekonomi pada kadar negatif 3.4% dan ekonomi Eropah pula dilaporkan merosot pada kadar negatif 6.5%.
6. Malaysia pula mencatatkan kemerosotan pada kadar 5.6% iaitu kedudukan kedua terendah selepas tahun 1998 yang mencatatkan pertumbuhan negatif 7.4%.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
7. Pada tahun 2020, KDNK Terengganu menguncup 5.7% kepada RM33.9 bilion berbanding RM36.0 bilion pada tahun 2019. Hal ini didorong oleh sektor perkhidmatan dan sektor pembuatan yang menyusut kepada negatif 3.4% dan negatif 9.4% masing-masing; selain semua sektor mencatatkan kemerosotan satu digit.
8. Penyusutan ini terutamanya bertumpu di subsektor utiliti, pengangkutan dan penyimpanan, maklumat dan komunikasi; perdagangan borong dan runcit; serta produk petroleum, kimia, getah dan plastik.
9. Bagi segmen maklumat dan komunikasi; dan subsektor perkhidmatan Kerajaan pula, kedua-duanya berkembang lebih baik kepada 7.7% dan 3.7% masing-masing berbanding tahun sebelumnya sekali gus mengurangkan impak negatif ke atas prestasi ekonomi negeri ini.
10. Walaupun KDNK Terengganu berada 0.1 mata % di bawah paras nasional, namun kedudukannya dalam perubahan status tahunan berbanding negeri-negeri lain bagi tempoh tiga tahun ini adalah semakin bertambah baik. Ini menunjukkan daya tahan dan daya saing ekonomi Terengganu mempunyai potensi mengukuh.
11. Pun begitu Kerajaan Negeri juga menyedari bahawa pandemik yang sudah berlangsung selama hampir dua tahun ini telah menyebabkan keadaan sosioekonomi rakyat Terengganu merosot dengan begitu signifikan.
12. Ini dapat dilihat menerusi kadar pengangguran yang meningkat kepada 4.1% pada tahun 2020 berbanding 3.5% pada tahun 2019.
13. Pendapatan kasar isi rumah bulanan penengah pula menurun 13.6% kepada RM4,790.00 pada tahun 2020 berbanding RM5,545.00 pada tahun 2019.
14. Bagi menyokong pemulihan individu, isi rumah dan perniagaan yang terjejas, Kerajaan Negeri telah mengumumkan Pakej Rangsangan Terengganu Cakna pada tahun 2020 serta Inisiatif Khas COVID-19 dan Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT) pada tahun 2021 membabitkan implikasi kewangan berjumlah RM76 juta.
15. Kerajaan Persekutuan juga turut mengumumkan lapan (8) pakej rangsangan ekonomi sejak tahun lalu yang melibatkan kuantum berjumlah RM530 bilion bagi membantu rakyat di seluruh negara.
16. Diharapkan bantuan-bantuan ini sedikit sebanyak telah dapat melegakan beban semua pihak yang terjejas dalam menghadapai sunnatullah yang berjalan sesuai dengan kemampuan manusia; sebagai ujian yang datang silih berganti dalam hidup di dunia ini sebagaimana firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala, yang bermaksud:
“Sesungguhnya Tuhanmulah yang meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya yakni (menurut undang-undang peraturanNya) dan Dia juga yang menyempitkannya (menurut yang demikian).
Sesungguhnya Dia Maha Mendalam pengetahuan-Nya lagi Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya.”
(Surah Al-Isra’, ayat 30)
17. Paling penting ialah kita menghadapi ujian ini dengan cara yang dipandukan oleh Rasulullah sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud:
“Hendaklah kamu redha dengan ketentuan yang diberikan oleh Allah kepada mu nescaya kamu menjadi orang yang paling kaya.”
(Diriwayatkan oleh Ibn Majah)
18. Insya-Allah, Kerajaan Negeri akan sentiasa prihatin dan menunaikan tanggungjawab sebaiknya untuk membela semua rakyat dan penduduk Negeri ini.
Prospek Ekonomi 2021 / 2022
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
19. Alhamdulillah menerusi pelaksanaan pelbagai polisi ekonomi tambahan dan program vaksinasi di negara-negara seluruh dunia dilihat telah berjaya mengatasi impak negatif peningkatan kes jangkitan COVID-19 sekali gus memulihkan prestasi ekonomi.
20. Walaupun kegiatan ekonomi menjadi perlahan selepas pelaksanaan semula PKP Penuh Fasa 1. Secara keseluruhannya ekonomi negara terus meningkat pada suku ke dua tahun ini apabila berkembang sebanyak 16.1% berbanding negatif 0.5% pada suku pertama. Disokong terutamanya oleh permintaan dalam Negeri dan prestasi eksport yang terus mengukuh.
21. KDNK Malaysia pula bagi keseluruhan tahun 2021 diunjurkan berkembang di antara 3% 4% berdasarkan jangkaan pembukaan semula sektor ekonomi dan sosial pada suku keempat. Ini berikutan kemajuan dan keberkesanan pelaksanaan program vaksinasi yang memberangsangkan dan diharapkan dapat mendorong sentimen positif dalam kalangan perniagaan dan pengguna.
22. Manakala pada tahun 2022, KDNK Malaysia dijangka berkembang antara 5.0% hingga 6.0 % iaitu kembali kepada trend pertumbuhan KDNK tahunan dalam tempoh pra-pandemik.
23. Justeru, Kerajaan Negeri mengunjurkan KDNK Terengganu bagi keseluruhan tahun 2021 kembali bertumbuh positif kepada antara 2.0% hingga 2.2% dan menyasarkan berkembang kepada antara 3.0% hingga 3.4% pada tahun 2022, insya-Allah.
PITAS 2030 DAN MANIFESTO TERENGGANU (MT20)
Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
24. Dokumen rasmi PITAS2030 yang menggariskan hala tuju dan fokus Kerajaan Negeri ini akan menjadi panduan dan keutamaan kepada para pemimpin, pegawai dan kakitangan Kerajaan Negeri serta semua jabatan dan agensi bagi memastikan kita dapat merealisasikan visi “Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera” pada tahun 2030.
25. Sejak PITAS2030 diperkenalkan pada tahun 2018, kini kemajuannya mencecah hampir 30% daripada keseluruhan 50 mercu tanda yang dirancangkan.
26. Menerusi Majlis Tindakan PITAS yang telah ditubuhkan dan jawatankuasa-jawatankuasa kecil di bawahnya, banyak lagi inisiatif yang akan digerakkan untuk mencapai kesemua 50 objektif yang ditetapkan.
Manifesto Terengganu (MT20)
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
27. Berkenaan 20 Manifesto Terengganu (MT20), sukacita saya mengumumkan bahawa empat lagi manifesto telah bertukar status
kepada “dilaksanakan” menjadikan keseluruhannya 18 manifesto berbanding 14 manifesto seperti yang telah saya umumkan pada Mei lalu.
28. Empat manifesto tersebut ialah Perkampungan Darul Barakah, Wad Kelas 3 Percuma, Skim Pembiayaan Perumahan Terengganu (i-RAHMAN) dan Pencen Rakyat Warga Emas.
29. Baki dua manifesto lagi iaitu Bandar Baharu Lestari dan Institut Pengajian Tinggi Islam Negeri, suka untuk saya maklumkan perkembangan berikut:-
(1) Bandar Baharu Lestari
Setelah membuat penilaian berdasarkan lapan prinsip pembangunan bandar lestari yang berkonsepkan islamik, lestari dan pintar, adalah dimaklumkan bahawa Bukit Seraya telah dipilih sebagai lokasi rintis. Justeru, satu taskforce ditubuhkan untuk memastikan pelan secara teknikal dan mikro dapat dilaksanakan dengan baik dan secepat mungkin.
(2) Institut Pengajian Tinggi Islam Negeri
Kerajaan Negeri bersetuju untuk menaik taraf Kolej al-Quran Terengganu (KQT) dengan membina sebuah kampus induk di Durian Mentangau di atas tanah seluas 300 ekar dan melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM350 juta. Kerajaan Negeri berhasrat untuk mengadakan majlis pecah tanah pada awal tahun hadapan, insya-Allah.
30. Walaupun ada sesetengah pihak berhelah dengan mengatakan bahawa manifesto hanyalah umpan pilihan raya dan bukan kitab suci, namun kita sebagai orang Islam tetap beriman bahawa janji wajib ditunaikan semampunya.
Anggaran Hasil dan Anggaran Perbelanjaan
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
31. Bagi tahun 2022, Kerajaan Negeri akan membelanjakan sejumlah RM1.657 bilion untuk Perbelanjaan Mengurus, RM600 juta untuk Perbelanjaan Pembangunan dan RM40 juta untuk Perbelanjaan Bekalan Air.
32. Di bawah Perbelanjaan Mengurus, sebanyak RM92.99 juta diperuntukkan bagi Perbelanjaan Tanggungan dan RM1.56 bilion bagi Perbelanjaan Bekalan iaitu sebanyak RM264.84 juta untuk Emolumen, RM244.47 juta untuk Perkhidmatan dan Bekalan, RM22.14 juta untuk Aset, RM1.032 bilion untuk Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap dan RM1 juta untuk lain-lain.
33. Di bawah komponen Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap, sejumlah RM400 juta dicarum ke Kumpulan Wang Pembangunan; RM230 juta bagi pemberian kepada Pihak Berkuasa Tempatan, Badan Berkanun dan Pelbagai Agensi; RM664.71 juta bagi pemberian kepada Jabatan-jabatan Kerajaan dan RM270 juta bagi program-program Pelbagai Perkhidmatan di bawah Pejabat Setiausaha Kerajaan.
34. Di bawah Perbelanjaan Pembangunan pula, sebanyak RM436.92 juta (72.82%) diperuntukkan untuk Sektor Sosial merangkumi pendidikan, infrastruktur dan kemudahan awam, pembangunan bandar dan luar bandar serta sukan dan perumahan; RM137.28 juta (22.88%) pula untuk Sektor Pentadbiran merangkumi teknologi maklumat, pentadbiran am serta projek khas dan projek penting luar jangka; dan RM25.8 juta (4.30%) untuk Sektor Ekonomi merangkumi pertanian, pelancongan dan industri termasuk industri mikro, kecil dan sederhana.
35. Manakala bagi hasil pula, Kerajaan Negeri menganggarkan sejumlah RM1.507 bilion iaitu sebanyak RM61.02 juta daripada Hasil Cukai, RM157.49 juta daripada Hasil Bukan Cukai dan RM1.28 bilion daripada Terimaan Bukan Hasil termasuk Royalti Petroleum.
Suara Rakyat
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
36. Dalam proses penyediaan Belanjawan 2022 ini, selain mendapatkan input menerusi sesi konsultasi bersama di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, maklum balas daripada jabatan dan agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan, serta libat urus dengan pakar-pakar daripada pelbagai bidang, Kerajaan Negeri juga sentiasa prihatin dengan keperluan dan permintaan rakyat.
37. Walaupun tidak dapat meneruskan program jelajah di semua daerah secara bersemuka akibat daripada COVID-19 namun suara rakyat tetap didengar Kerajaan Negeri. Berdasarkan cadangan dan aduan daripada rakyat yang diterima melalui portal e-Bajet 2022, Kerajaan Negeri dapat merumuskan tujuh (7) isu utama seperti berikut:
1.
Bekalan dan pemilikan rumah 2.
Pengurusan bantuan kerajaan 3.
Perkhidmatan bekalan air 4.
Penyediaan peluang pekerjaan 5.
Kemudahan pengangkutan dan perhubungan 6.
Pembangunan tanah 7.
Keseimbangan pembangunan wilayah
38. Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan input dalam penyediaan belanjawan ini.
Fokus Belanjawan
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
39. Setelah mengambil kira situasi semasa, menimbang permintaan dan keperluan rakyat serta menyemak kedudukan kewangan dan keupayaan jentera Kerajaan Negeri, izinkan saya untuk membentangkan Belanjawan 2022 Terengganu Darul Iman yang bertemakan “Merakyatkan Sejahtera Untuk Semua”.
Belanjawan ini mengandungi 147 inisiatif di bawah 22 objektif yang dipayungi oleh lima (5) teras berikut:
TERAS 1 : Memperkuat Daya Tahan Isi Rumah TERAS 2 : Memperkukuh Kesejahteraan Sosial Masyarakat TERAS 3 : Memperbaik Ketersediaan Kemudahan Awam Rakyat TERAS 4 : Memberdaya Pertumbuhan Ekonomi Negeri TERAS 5 : Memperindah Persekitaran dan Melindungi Alam
TERAS 1: MEMPERKUAT DAYA TAHAN ISI RUMAH
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
Objektif 1: Menambah Peluang dan Penempatan Pekerjaan
40. Walaupun dalam suasana pasaran pekerjaan yang terjejas, berdasarkan statistik penempatan pekerjaan di Terengganu yang berdaftar dengan MYFutureJobs dengan izin dari tahun 2019 sehingga Oktober tahun ini, ia menunjukkan trend peningkatan iaitu daripada 806 kepada 3,085 dan 8,266 masing-masing. Ini menunjukkan bahawa terdapat banyak peluang pekerjaan yang boleh diisi oleh rakyat di negeri kita.
41. Pada tahun hadapan, Kerajaan Negeri menyasarkan 4,000 peluang pekerjaan akan diwujudkan dalam pelbagai sektor.
42. Bagi mencapai sasaran ini, Kerajaan Negeri akan menubuhkan Pusat Cari Kerja sebagai pusat sehentian yang menawarkan perkhidmatan pekerjaan bersepadu seperti pemadanan pekerjaan serta penyediaan maklumat dan khidmat nasihat kepada pekerja dan majikan. Sebanyak RM800,000.00 diperuntukkan untuk tujuan ini.
43. Selain itu, melihat kepada kejayaan Program Outreach Kesejahteraan Pekerjaan Rakyat Negeri Terengganu yang telah diadakan di Besut, Kuala Terengganu dan Dungun dengan kadar kejayaan temuduga sebanyak 87%, Kerajaan Negeri bersetuju meneruskan lagi program ini dengan peruntukan sebanyak RM200,000.00.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
Objektif 2 : Menggalakkan Keusahawanan dan Meningkatkan Keupayaan Kendiri
44. Rakyat kita perlu diganjak minda mereka daripada menjadi pencari kerja kepada penjana pekerjaan. Antaranya ialah dengan menceburi bidang keusahawanan.
45. Justeru, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM60,000.00 untuk melaksanakan program Business Pitching and Matching, dengan izin bagi menyediakan peluang keusahawanan terutamanya kepada para belia yang berminat menceburi bidang keusahawanan.
46. Mengenai modal untuk memulakan perniagaan pula, dengan ini saya mengumumkan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk Geran Tunas Usahawan. Geran bernilai antara RM3,000.00 hingga RM5,000.00 ini disediakan kepada para belia yang serius mahu menjalankan perniagaan setelah tamat menjalani latihan keusahawanan intensif seperti JUMPER oleh PUNB, SUPERB oleh TERAJU, TUBE oleh SME atau yang dianjurkan oleh Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU).
47. Selain itu, bagi meningkatkan keupayaan kendiri 1,600 individu yang dilaporkan hilang pekerjaan semasa pandemik, Kerajaan Negeri akan menyediakan latihan pemahiran semula dan peningkatan kemahiran secara percuma di institut latihan milik Kerajaan Negeri seperti TATIUC dan TESDEC.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
Objektif 3 : Memperkasakan Pengurusan Bantuan Kerajaan
48. Bagi memperkasakan pengurusan bantuan Kerajaan Negeri, ia akan diperkemaskan lagi di bawah jenama “Teganu Care” supaya dapat memberikan perhatian yang lebih menyeluruh terhadap keperluan rakyat meliputi aspek kebajikan, kesihatan, agama dan sosial.
49. Bagi mencapai tujuan ini, Majlis Sosial Negeri Terengganu yang akan ditubuhkan, diberi tanggungjawab untuk merangka dasar dan pelan tindakan “Teganu Care” yang lengkap.
50. Tabung Darul Iman pula akan dinaik taraf kepada Yayasan Darul Iman dengan disediakan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi menyantuni lebih 6,000 permohonan pada setiap tahun.
51. Bagi menyediakan akses kepada ahli kariah untuk mendapatkan barangan keperluan asas pada harga yang lebih berpatutan selain dapat menjana ekonomi komuniti, sebanyak RM200,000.00 diperuntukkan bagi menubuhkan dan memperkasakan koperasi masjid.
52. Supaya rakyat kita terutamanya penerima-penerima bantuan ini mempunyai kemahiran pengurusan kewangan yang baik, Program Literasi Kewangan akan diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM50,000.00.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
53. Pada hari ini juga saya ingin mengumumkan bantuan i-Fitri bernilai RM400.00 kepada 31,500 isi rumah miskin dan RM250.00 kepada 83,500 isi rumah berpendapatan antara RM2,500.00 hingga RM5,000.00 yang akan disalurkan menjelang hari raya nanti. Bantuan ini diharapkan dapat menyokong kewangan kesemua isi rumah B40 dan sebahagian isi rumah M40 supaya dapat meraikan Aidilfitri dengan lebih meriah dan berkat setelah dua tahun menyambutnya dengan penuh keterbatasan.
TERAS 2 : MEMPERKUKUH KESEJAHTERAAN SOSIAL MASYARAKAT
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
Objektif 1: Mengukuhkan Penghayatan dan Pelaksanaan Islam
54. Pada tahun ini, Kerajaan Negeri telah melancarkan Modul Itqan Insani. Justeru, untuk pelaksanaannya pada tahun 2022 sebanyak RM1 juta disediakan.
55. Bagi menambah nilai dan memantapkan kefahaman para agamawan dan pendakwah terhadap hukum hakam semasa, Kerajaan Negeri akan menganjurkan Multaqa Ulama Seluruh Malaysia menerusi peruntukan sebanyak RM100,000.00.
56. Sebagai menyokong institusi kehakiman syariah, pembangunan Mahkamah Tinggi Syariah Daerah Kemaman akan diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM3 juta manakala bagi Mahkamah Rendah Syariah Daerah Setiu pula akan dimulakan aktiviti perancangan dan perolehan bagi pembinaan premis baharunya.
57. Di samping itu juga, Kerajaan Negeri akan melaksanakan Program Perkampungan Syariah yang berkonsepkan pendidikan dan pelancongan untuk meningkatkan pengetahuan dan penghayatan orang ramai berkenaan dengan konsep, aplikasi dan hikmah undang-undang syariah. Sebanyak RM200,000.00 diperuntukkan untuk tujuan ini.
58. Bagi memastikan agenda-agenda syariah ini dapat dilaksanakan dengan berkesan, Sekretariat Pelaksanaan Agenda Syariah akan ditubuhkan melibatkan pelbagai jabatan dan agensi yang berkaitan.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
59. Bagi menghargai peranan 150 orang imam dan bilal di bawah Skim Mubaligh, dengan ini saya mengumumkan bantuan tunai one-off dengan izin berjumlah RM150.00 sebagai tambahan atas pemberian sebanyak RM500.00 oleh Kerajaan Persekutuan kepada semua imam dan bilal di seluruh negara.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
Objektif 2: Meningkatkan Kesejahteraan Institusi Keluarga dan Masyarakat
60. Setelah dua tahun Majlis Walimatulurus Perdana ditangguhkan, ia akan dianjurkan semula bagi meringankan beban golongan belia untuk mendirikan rumah tangga kali yang pertama. Sebanyak 400 pasangan disasarkan akan menyertainya. Justeru, sebanyak RM1.2 juta diperuntukkan bagi tujuan ini.
61. Bagi mengukuhkan kesejahteraan keluarga, program “Hari Sabtu, Hari Keluarga” akan dirancakkan lagi dengan pelbagai aktiviti di banyak lokasi. Justeru, Kerajaan Negeri mengalu-alukan penglibatan pelbagai pihak untuk turut serta menjadi hos bagi melaksanakan program ini di taman-taman awam atau pusat-pusat rekreasi.
62. Untuk mengeratkan perpaduan dalam di kalangan rakyat, program seperti Moments of Unity dengan izin, Larian Sayangi Malaysiaku, Patriotic Ride dengan izin dan sambutan perayaan Tahun Baru Cina dan Deepavali akan diadakan.
63. Sebanyak RM500,000.00 diperuntukkan untuk menjayakan kedua-dua program pembangunan keluarga dan masyarakat ini.
64. Program untuk membentuk sahsiah dan membangunkan potensi remaja iaitu Generasi Islah Falah Terengganu (GIFT) dan Fityah Terengganu (FATEH) juga akan diteruskan susulan mendapat sambutan yang luar biasa daripada lebih 10,000 pelajar sejak tahun lalu.
65. Perkampungan Darul Barakah yang telah memulakan operasinya sejak Jun lalu disediakan peruntukan sebanyak RM1.8 juta untuk meningkatkan kecekapan pengurusan dan ketersediaan kemudahan sesuai dengan pertambahan pelatih pada tahun hadapan.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
Objektif 3: Menyokong Pemberdayaan Wanita dan Belia
66. Kerajaan Negeri juga berhasrat untuk mewujudkan Kompleks Wanita Sejahtera yang berperanan sebagai pusat aktiviti setempat bagi kegunaan kaum hawa. Kompleks ini juga akan menganjurkan pelbagai program latihan kemahiran selain menyediakan perkhidmatan kaunseling dan guaman untuk golongan wanita.
67. Kerajaan Negeri amat cakna terhadap nasib golongan suri rumah yang terkesan dengan pandemik. Justeru, bagi meningkatkan taraf dan kualiti hidup golongan ini, Program Bengkel Kemahiran Suri dan Program Inspirasi Suri Sejahtera akan dilaksanakan di bawah Pelan Pembangunan Keberdayaan Suri Rumah Terengganu.
68. Di samping itu juga, Karnival Orang Puang Terengganu dan Persidangan Wanita Inspirasi Terengganu juga akan dilaksanakan untuk mempromosikan imej sosiobudaya dan pencapaian wanita Terengganu dalam aspek kepimpinan, kekeluargaan, pendidikan dan keusahawanan. Dasar Wanita Terengganu juga akan dilancarkan pada awal tahun hadapan.
69. Justeru, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM400,000.00 kepada Urus Setia Wanita Terengganu bagi melaksanakan kesemua program ini.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
70. Bagi menyokong kehidupan para isteri dan kaum ibu, sukacita saya mengumumkan bantuan tunai one-off dengan izin bernilai RM150.00 kepada 6,000 isteri ketua isi rumah e-Kasih dan ibu tunggal yang berpendapatan di bawah RM2,500.00
71. Buat seramai 8,900 orang kelainan upaya (OKU) daripada isi rumah berpendapatan RM4,000.00 dan ke bawah pula, juga akan menerima bantuan tunai one-off dengan izin bernilai RM150.00.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
72. Di bawah Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera akan ditubuhkan Akademi Kepimpinan Generasi al-Fateh untuk membangunkan sahsiah dan kepimpinan belia dengan lebih bersasar, berstruktur dan holistik.
Inilah generasi pelapis yang bakal menggantikan kita semua pada masa hadapan. Bagi menjayakannya, sebanyak RM2.5 juta diperuntukkan.
73. Bagi mengukuhkan lagi peranan NGO, Kerajaan Negeri akan mewujudkan Anjung Sejahtera NGO Terengganu sebagai pusat operasi dan aktiviti pertubuhan-pertubuhan kebajikan dan kesukarelawanan ini. Bantuan pengurusan badan belia dan NGO juga akan ditambah. Oleh yang demikian, sebanyak RM1.1 juta diperuntukkan.
74. Ke arah memperkasakan lagi para belia dan pertubuhan belia, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM580,000.00 untuk melaksanakan Program Kecemerlangan Belia, Anugerah Belia, Majlis Perundingan Belia dan Hari Belia.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
75. Kerajaan Negeri juga ingin mengajak rakyat mengamalkan gaya hidup sihat dalam aktiviti seharian menerusi program Sukan Untuk Semua (SUS). Program yang dirancang ini antaranya ialah Sukan Rakyat, Liga Komuniti Anak Muda, Fit is Sunnah dengan izin, Sukan Lasak dan e-Sport dengan izin. Sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi menjayakan program-program ini di seluruh negeri.
76. Kini, Terengganu semakin terkenal sebagai “Negeri Kayuhan Basikal” menerusi jenama GATEH. Bagi menggiatkan lagi promosi dan aktiviti berbasikal di negeri ini, peruntukan sebanyak RM920,000.00 disediakan termasuk bagi membina monumen dan menyediakan laluan kayuhan basikal sepanjang 9.3 kilometer dari Kuala Ibai ke Teluk Ketapang.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
77. Bagi menyokong kewangan golongan belia, dengan ini saya mengumumkan bantuan tunai one-off dengan izin bernilai RM150.00 kepada 66,400 belia bujang berumur antara 18 hingga 39 tahun dan 21,800 orang mahasiswa daripada isi rumah berpendapatan RM4,000.00 dan ke bawah.
Diharapkan bantuan ini dapat dimanfaatkan sebaiknya untuk memenuhi keperluan.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
Objektif 4: Membela Warga Emas
78. Pada tahun hadapan, pusat jagaan harian warga emas muslimah Baitul Ummi di Kuala Terengganu akan memulakan operasinya. Sebanyak RM500,000.00 diperuntukkan.
79. Selain itu, Pusat Integrasi Sosial Warga Emas juga akan diwujudkan di masjid-masjid terpilih untuk memberikan keselesaan kepada golongan warga emas menimba ilmu dan menyertai pelbagai aktiviti lain.
80. Pemberian Pencen Rakyat Warga Emas juga akan diteruskan kepada lebih ramai penerima yang layak dengan peruntukan berjumlah RM13 juta.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat, bagi teras ini adalah;
Objektif 5: Menambah Akses Perkhidmatan Kesihatan Berkualiti
81. Program kad sejahtera kini telah mencapai sasaran 20,000 penerima. Kerajaan Negeri berhasrat untuk menyemak semula syarat kelayakan dan manfaat program ini supaya lebih ramai orang mendapat kebaikan yang optimum daripadanya. Sebanyak RM10 juta diperuntukkan.
82. Sebagai langkah pencegahan kanser payudara dan pangkal rahim dalam kalangan wanita berusia 35 tahun dan ke atas, program pemeriksaan mammogram dan pap smear akan diteruskan di seluruh negeri.
83. Pusat Autisme Sejahtera Terengganu (PAS-T) juga akan mula beroperasi dengan peruntukan sebanyak RM300 ribu. Pusat ini ditubuhkan untuk meningkatkan potensi diri anak berkeperluan khas dengan pendekatan pembelajaran kepada anak-anak autisme di negeri ini.
84. Melihat kepada masalah kesihatan mental yang semakin melarat sehingga membawa kepada insiden bunuh diri terutamanya akibat kemurungan dan tekanan perasaan, Kerajaan Negeri akan menyediakan khidmat perundingan dan rawatan kesihatan mental secara percuma di hospital di bawah anak syarikat Kerajaan Negeri dan pusat kaunseling swasta yang terpilih. Di samping itu, kempen kesedaran kesihatan mental juga akan dipergiatkan.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
Objektif 6: Mengembangkan Kecemerlangan Pendidikan
85. Bagi menyediakan tabungan awal kepada setiap kelahiran baru di negeri ini, program kerjasama antara Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi (PTPTN) iaitu Skim Permata Sejahtera akan diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM750 ribu.
86. Melihat kepada sambutan masyarakat yang sangat menggalakkan terhadap Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) dan Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI), Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM1.35 juta untuk menubuhkan SRIDI Kuala Berang dan menaiktaraf SRIDI di seluruh negeri serta RM3 juta untuk membina bangunan kekal SMIDI Ajil. Selain itu, pembinaan bangunan kekal SRIDI Bukit Besi juga sedang dirancang.
87. Pemberian bantuan pakaian dan peralatan persekolahan juga akan diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM5 juta. Di samping itu, sebanyak RM5 juta lagi disediakan untuk Tabung Siswa Pelajar bagi membiayai yuran pengajian peringkat ijazah pertama di dalam dan luar negara.
88. Bagi memastikan pendidikan agama Islam dan al-Quran sentiasa diperkasakan, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sebanyak RM8.5 juta untuk skim Mus’ad bin Umair dan RM6 juta untuk Skim Al-Ghazali.
89. Sebanyak RM4 juta lagi turut disediakan sebagai bantuan per kapita untuk sekolah pondok, sekolah agama rakyat dan pusat pendidikan agama yang berdaftar di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
Objektif 7: Memelihara Keselamatan dan Keamanan
90. Kerajaan Negeri amat gusar terhadap isu penagihan dan pengedaran dadah yang semakin meningkat di negeri ini. Justeru, Kerajaan Negeri menambah peruntukan kepada RM50 ribu khususnya bagi menggiatkan lagi program pencegahan dadah bersama komuniti bersama dengan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
91. Kerajaan Negeri juga menerusi unit-unit tubuh dan institusi masyarakat di semua peringkat akan terus memberikan kerjasama kepada pihak PDRM untuk mempergiatkan usaha pencegahan jenayah terutamanya menerusi program Omnipresence dan Kepolisan Komuniti atau (Community Policing), dengan izin.
TERAS 3: MEMPERBAIK KETERSEDIAAN KEMUDAHAN AWAM RAKYAT
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
Objektif 1: Menambah Baik Bekalan dan Pengurusan Perumahan
92. Sebagai maklum balas mengenai isu bekalan dan pemilikan rumah yang dibangkitkan oleh rakyat, sukacita saya memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM24.4 juta untuk meneruskan pembinaan Rumah Mampu Milik (RMM) Pulau Redang, Bukit Gasing II, Gong Cengal II dan Tajin serta Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) Tok Jembal dan Banggol Pauh.
93. Saya juga ingin mengumumkan bahawa sebanyak 825 unit rumah telah disiapkan pada tahun ini dan sedia untuk diagihkan iaitu PPR Kuala Nerus (500 unit) RMM Sri Bandi (220) unit dan Lamanda Sri Iman (105) unit.
94. Manakala 670 unit rumah lagi akan disiapkan pada tahun hadapan iaitu RMM Tajin (250 unit), RPMM Tok Jembal (160 unit), RPMM Pulau Redang (160 unit) dan RMM Tempinis, (100 unit).
95. Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah mewujudkan Skim Pembiayaan Perumahan Terengganu (i-RAHMAN) dengan peruntukan sebanyak RM30 juta bagi menyediakan akses pembiayaan untuk membina dan membeli rumah kepada rakyat di negeri ini.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
Objektif 2: Meningkatkan Kualiti Perkhidmatan Bekalan Air
96. Bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan dan mengelakkan insiden gangguan bekalan air berskala besar berulang, Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Bekalan Air (JBA) Negeri Terengganu dan Syarikat Air Terengganu (SATU) sedang merangka dan akan melaksanakan pelan mitigasi dan rancangan berstrategik perkhidmatan bekalan air yang lebih menyeluruh.
97. Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sejumlah RM40 juta bagi kerja-kerja pemasangan paip air retikulasi, penukaran paip-paip baharu serta kerja-kerja menaik taraf infrastruktur bekalan air di seluruh negeri.
98. Selain melaksanakan projek baharu, kerja-kerja baik pulih dan menaik taraf Loji Rawatan Air di Bukit Sah, Kemaman dan Skim Bekalan Air Kuala Terengganu Utara juga sedang giat dilaksanakan dan sudah berada di peringkat akhir.
99. Syarikat Air Terengganu atau SATU juga akan melaksanakan projek menaik taraf paip air kritikal di Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
Objektif 3: Memajukan Penerimagunaan Teknologi Digital dan Telekomunikasi
100. Dalam mendepani cabaran Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0), Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM4 juta bagi melaksanakan inisiatif di bawah Pelan Induk Kerajaan Digital PINTAR Terengganu 2021-2030 dan Pelan Strategik Taman Maya AI Terengganu. Antaranya pembangunan sistem bersepadu bantuan Kerajaan Negeri, sistem keselamatan Smart AI di Wisma Darul Iman, TerengganuGovCloud (TCloud), dengan izin pengaplikasian Internet of Things dengan izin dalam sektor pertanian dan pembangunan Taman Pelancongan AI.
101. Bagi menyelesaikan masalah liputan internet yang lemah terutamanya di kawasan luar bandar, Kerajaan Negeri akan terus memberikan kerjasama dan keutamaan kepada inisiatif di bawah Jalinan Digital Negara (JENDELA) dalam menambah jalinan fiber optik dan meningkatkan liputan 4G terutama menambah bilangan menara telekomunikasi.
102. Seiring dengan perkembangan e-dagang, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM100 ribu bagi mempromosikan penggunaan dan perkhidmatan transaksi tanpa tunai dalam kalangan pengguna dan peniaga di negeri ini. Pendekatan ini bukan sahaja dapat memudahkan pengguna, bahkan turut meningkatkan hasil jualan peniaga.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
Objektif 4 : Melaksanakan Projek Rakyat.
103. Demi memenuhi keperluan dan menjamin keselesaan rakyat, kerja-kerja menaik taraf jalan, dewan, balai raya, longkang dan saliran serta projek-projek kecil DUN akan dilaksanakan. Ketersediaan infrastruktur yang baik ini bakal memberi impak yang besar kepada sosio ekonomi rakyat setempat.
104. Selain itu projek naiktaraf jambatan merentasi Sungai Marang dengan kos RM435.8 juta telah diluluskan dalam RMK12.
105. Manakala, Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Kuala Nerus dan Pembinaan Tanjung Buatan di Pantai Teluk Lipat Dungun juga sedang giat dilaksanakan bagi mengurangkan impak dan menangani hakisan yang berlaku di kawasan berkenaan.
106. Rancangan Tebatan Banjir Bukit Payong, Marang dengan kos RM60 juta. Kajian Pelan Induk Tebatan Banjir Lembangan Sungai Terengganu dan Kajian Pelan Induk Tebatan Banjir Lembangan Sungai Marang juga telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan.
107. Kerajaan Negeri juga memperuntukkan sebanyak RM2.7 juta bagi Projek Tebatan Banjir Baruh Tok Jiring. Projek ini mampu mengatasi masalah banjir di kawasan Gong Badak dan sekitarnya.
Dato’ Yang Di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
Objektif 5 : Memperkasakan Perkhidmatan Kerajaan dan Pengurusan Bencana
108. Selain Kerajaan Negeri, yang menyediakan peruntukan tahunan untuk BAS KITe dengan berkonsepkan pelancongan sebagai bas berhenti-henti sekitar Kuala Terengganu, Kerajaan Persekutuan juga telah
memperuntukkan sebanyak RM105 juta bagi dana bantuan sementara pengusaha bas berhenti-henti di seluruh Malaysia dan RM48 juta lagi bagi memastikan perkhidmatan dengan jenama myBAS terus kekal beroperasi dibeberapa negeri termasuk Terengganu.
109. Bagi memberikan penerangan berkaitan dasar dan program yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dengan lebih berkesan, maka Karnival Penerangan UPDI dan sahabat UPDI akan dilaksanakan dengan peruntukan berjumlah RM1.3 juta.
110. Projek Sistem e-Tanah yang melibatkan kos sebanyak RM117.14 juta menerusi Kerjasama Kerajaan Persekutuan dan Pejabat Tanah Dan Galian Terengganu (PTG) juga akan dilaksanakan. Sistem ini bertujuan menambah baik proses pendaftaran pemilikan hartanah dan meningkatkan hasil kerajaan serta menarik minat pelabur melalui pendekatan Ease of Doing Business (EODB) dengan izin menerusi penggunaan sistem secara elektronik.
111. Dalam menghadapi kemungkinan banjir susulan fenomena air pasang besar dan hujan lebat pada musim tengkujuh sekarang ini, terima kasih juga diucapkan kepada Kerajaan Persekutuan atas persiapan awal yang disediakan untuk negeri-negeri pantai timur terutamanya yang melibatkan bantuan tenaga kerja dan logistik. Antaranya 13,274 anggota agensi responder, 1,531 kenderaan darat dan air serta 6,689 aset bukan kenderaan. Lebih 8000 kit makanan dan lebih 500 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Terengganu.
TERAS 4 : MEMBERDAYA PERTUMBUHAN EKONOMI NEGERI
Dato’ Yang Di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
Objektif 1: Menyokong Perniagaan
112. Menyedari ramai usahawan PKS terjejas teruk akibat pandemik, Kerajaan Negeri bersetuju menambah peruntukan Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) kepada RM10 juta.
113. Pusat Bersepadu Pemasaran PKS Terengganu Abdul Rahman Auf Hub (ARAH) akan diwujudkan sebagai Pusat Pengumpulan Pembungkusan dan pengedaran berskala besar bagi membantu para usahawan untuk mengembangkan perniagaan. Justeru itu sebanyak RM500,000.00 diperuntukkan.
114. Selain daripada itu juga Kerajaan Negeri akan membangunkan dan menaiktaraf Bengkel Batik di Penjara Marang, Galeri Seni Warisan dan Kiosk-kiosk perniagaan di pusat-pusat tumpuan pelancong. Usaha ini bagi menyediakan infrastruktur dan peluang yang lebih baik kepada para usahawan bagi meraih hasil jualan yang lebih tinggi.
Dato’ Yang Di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
115. Bagi membantu peniaga kecil dan penjaja terjejas teruk akibat pandemik, bantuan yang bernilai antara RM500.00 hingga RM1000.00 akan diberikan kepada 3000 penerima yang layak. Bantuan ini akan diberikan dalam bentuk tunai atau peralatan.
Dato’ Yang Di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
Objektif 2 : Merancakkan Industri Pelancongan
116. Industri pelancongan akan terus diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri supaya dapat dirancakkan semula untuk menarik kehadiran lebih ramai pelawat sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi dalam negeri. Justeru itu sebanyak RM4.5 juta diperuntukkan bagi melaksanakan program-program galakan pelancongan.
117. Produk dan aktiviti pelancongan berasakan komuniti (CBT) akan terus diperkukuhkan dan dibangunkan bagi mempelbagaikan produk pelancongan di negeri ini dan memberikan manfaat secara menyeluruh kepada masyarakat.
118. Kerajaan Negeri merancang untuk mewujudkan pasar terapung sebagai salah satu destinasi tarikan pelancong yang baharu.
119. Memanfaatkan keunikan laluan pantai di negeri ini sebagai satu jajaran pelancongan, Costal Scenic Drive dengan izin yang bermula dari Kemaman sehingga Besut akan diwujudkan. Jajaran ini akan mempromosikan tempat-tempat menarik di setiap daerah seperti Pantai Kemasik di Kemaman, Pantai Rantau Abang di Dungun dan Perkampungan Nelayan di Marang.
120. Sebagai salah satu strategi bagi menarik pengunjung ke negeri ini juga pelancongan islam akan terus diperkasakan. Untuk itu rancangan dan usaha akan dibuat untuk memperkasakan Ulama Trail dengan izin, mewujudkan manuskrip digital karya ulama dan membentuk indeks khas berkaitan produk dan perkhidmatan pelancongan islam.
121. Bagi memastikan Tasik Kenyir dibangunkan secara lestari untuk meningkatkan ekonomi dan nilai budaya penduduk serta melindungi ekologi dan arkeologi, usaha untuk mengisytiharkannya sebagai taman geologi, geopark dengan izin akan digerakkan dengan lebih giat.
122. Selain daripada itu, Jawatankuasa Pengurusan Risiko dan Krisis Pelancongan juga akan ditubuhkan bagi meningkatkan kesiapsiagaan dan kecekapan dalam menghadapi sebarang kemalangan atau bencana berkait dengan pelancongan.
Dato’ Yang Di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
Objektif 3 : Memperhebat Sektor Pertanian
123. Menerusi Pelan Strategik Halatuju Pertanian Negeri Terengganu 2019-2023 yang bermatlamat menjadikan Terengganu sebagai pengeluar makanan utama negara sebanyak 72 program dan 33 projek telah dilaksanakan pada tahun ini.
124. Pada tahun hadapan, sektor pertanian akan terus diberikan penekanan melalui peruntukan sebanyak RM7.43 juta.
125. Kerajaan Negeri akan melaksankan projek pembangunan padi yang memfokuskan kepada penyelenggaraan tali air dan memulihkan tahap kesuburan tanah sawah dengan peruntukan RM2.25 juta.
126. Pembangunan infrastruktur tanah terbiar akan diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM1 juta.
Pembangunan infrastruktur dan penyediaan kawasan bagi pertanian moden melibatkan golongan belia terutamanya siswazah diperkenalkan dengan peruntukan RM500 ribu.
127. Di samping itu juga Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian di Hulu Terengganu dan “Honey House” dengan izin akan dibangunkan dengan kos sebanyak RM700 ribu. Kerajaan Negeri juga bersetuju untuk membina baharu Pejabat Pertanian Hulu Terengganu yang sering dilanda banjir supaya dapat meningkatkan lagi mutu penyampaian perkhidmatan.
128. Program CSR Tani yang berkonsepkan gotong-royong secara komuniti bagi pembersihan kawasan pertanian juga akan diperluas dengan peruntukan RM300 ribu.
129. Sebanyak RM1.42 juta diperuntukkan bagi pembangunan sektor penternakan melibatkan Pembangunan Padang Ragut, Pembangunan Kambing Tenusu, Rumah Sembelih Berstatus Halal dan Program Pembangunan Jurusuntik Permanian Berhadas (AI). Kesemua projek ini akan dimemperkasakan bagi menjana peluang pekerjaan kepada golongan belia.
130. Bagi sektor perikanan, sebanyak RM1.8 juta diperuntukkan bagi memastikan kelestarian sumber marin dan memperkaya sumber perikanan. Projek pembinaan dan melabuh tukun-tukun tiruan dan unjam diteruskan secara bergotong-royong dalam kalangan komuniti perikanan dengan peruntukan sebanyak RM600,000.00.
131. Sebanyak RM1.05 juta lagi diperuntukkan bagi bantuan peralatan kepada nelayan kecil, program pelepasan benih ke perairan umum dan konservasi penyu termasuk menaik taraf Pusat Santuari Penyu.
132. Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) dengan peruntukan sebanyak RM5 juta dan Tabung Bantuan Bencana Pertanian juga sebanyak RM1 juta akan diteruskan. Sehingga kini, seramai 523 warga tani telah mendapat manfaat daripada Saguhati Bencana Pertanian dengan nilai RM423,650.00 dengan seramai 398 warga tani diberi pinjaman SBMT dengan nilai RM7.14 juta.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Objektif 4: Mengembangkan Pelaburan Dan Perindustrian
133. Kerajaan Negeri menerusi kerjasama dengan pelbagai agensi Negeri dan Persekutuan telah berjaya menambah nilai pelaburan berjumlah RM2.95 bilion pada tahun 2020 berbanding RM893.66 juta pada tahun 2019. Usaha ini akan digandakan lagi untuk mencapai sasaran pelaburan berjumlah RM3.75 bilion bagi tahun ini dan sehingga RM5 bilion pada tahun hadapan.
134. Antaranya ialah menerusi pembangunan Projek Penanaman Lada Hitam Komersial di Mukim Merang, Setiu oleh Syarikat McCormick Global Ingredients Sdn. Bhd. Projek ini melibatkan pelaburan berjumlah RM356.2 juta dalam tempoh 10 tahun dan bakal menawarkan sebanyak 2,000 peluang pekerjaan serta memperkenalkan model outgrower scheme dengan izin melalui penglibatan petani tempatan. Perjanjian antara Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) dengan McCormick akan ditermeterai pada penghujung tahun ini.
135. Kerajaan Negeri juga menjangkakan akan meraih nilai pelaburan berjumlah melebihi RM4.64 bilion melalui projek-projek pembangunan pelaburan seperti pembangunan industri silika Di Teluk Kalong, pembukaan industri baharu di Perasing dan Kilang Pengurusan Sisa Berjadual Kerteh.
136. Selain itu Jawatankuasa Pemutihan Lot-lot Industri juga telah ditubuhkan bagi memastikan lot-lot industri dibangunkan dengan
sebaiknya. Kerajaan Negeri juga sedang menambah baik Dasar Pelaburan dan Perindustrian Negeri termasuk mengemas kini prosedur permohonan dan kelulusan projek pelaburan supaya dapat menarik para pelabur.
137. Kerajaan Negeri juga meluluskan satu kawasan perindustrian baharu bertempat di Pulau Kerengga, Marang seluas 509 hektar disamping memperuntukkan sebanyak RM250 ribu bagi menyediakan tapak asas bagi Kawasan Perindustrian Labohan.
138. Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) pula akan membangunkan kawasan tambahan Fasa 4 di Taman Biopolimer Kerteh (KBP) berkeluasan 115 hektar. Pembangunan Fasa 4 ini dijangka akan memberi kelebihan kepada para pelabur dari segi logistik kerana sumber bahan mentah adalah daripada beberapa Syarikat Petrokimia terkemuka yang beroperasi berdekatan Kompleks Petrokimia Bersepadu di Kerteh.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
Objektif 5 : Membangunkan Negeri
139. Seterusnya bagi membangunkan negeri secara lestari, beberapa projek akan diteruskan pelaksanaannya dengan peruntukan sebanyak RM120 juta. Antaranya ialah Pusat Pentadbiran Baharu Daerah Kuala Nerus, pembangunan infrastruktur di Bandar Baharu Bukit Besar dan Bandar Baharu Kijal.
140. Pembangunan di setiap daerah juga sedang dirancang dan akan dilaksanakan sebaiknya. Peruntukan sebanyak RM250 ribu disediakan untuk bayaran perunding Kajian Pelan Tindakan Khas Kuala Terengganu City Centre (KTCC) serta kos pengurusan penyediaan Kajian Rancangan Tempatan (RTD) 2035 bagi Daerah Setiu, Marang dan Hulu Terengganu.
TERAS 5:
MEMPERINDAH PERSEKITARAN DAN MELINDUNGI ALAM
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
Objektif 1 : Meningkatkan Penjagaan Kebersihan dan Keceriaan
141. Menerusi agenda Terengganu Bersih, empat (4) strategi utama telah digariskan iaitu pembudayaan penjagaan kesihatan dalam kalangan rakyat, pengurusan sisa pepejal, pembersihan awam, dan pelestarian kawasan hutan.
142. Justeru bagi tahun 2022, fokus utama di bawah agenda ini adalah untuk menghasilkan Pelan Pengurusan Sisa Pepejal Negeri Terengganu.
143. Dalam memastikan aspek kebersihan dan keindahan bandar terpelihara juga, Kerajaan Negeri juga menyediakan peruntukan berjumlah RM55.5 juta bagi pemerkasaan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) beserta penganjuran Program Terengganu Clean Up Day dengan izin.
144. Peruntukan ini juga melibatkan penambahan bilangan tong sampah yang dianggarkan sebanyak RM1 juta yang akan digunakan bagi mengatasi isu-isu kekurangan dan kerosakan tong sampah awam sedia ada. Diharap dengan penambahan tong sampah ini akan meningkatkan aspek keceriaan terutamanya di tempat awam dan jalan utama.
145. Kerajaan Negeri juga bersetuju untuk melaksanakan projek Integrated Island Waste Management dengan izin yang memfokuskan ke arah penambahbaikan pengurusan sisa pepejal secara bersepadu di Pulau Redang, Pulau Perhentian dan Pulau Kapas dengan kerjasama antara PBT dan United Nation Development Programme (UNDP).
146. RM160 ribu lagi diperuntukkan bagi membangunkan mentaliti dan budaya bersih dalam kalangan masyarakat menerusi penganjuran pertandingan “Kampungku Bersih”.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
Objektif 2 : Melindungi Kelestarian Alam
147. Bagi memastikan pembangunan di Negeri Terengganu bergerak seiring dan menitik beratkan kelestarian alam sekitar, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM400 ribu bagi projek berasaskan pemeliharaan alam sekitar.
148. Peruntukan berkenaan disediakan untuk projek pembangunan di kawasan Central Forest Spine (CFS) dengan izin yang menjadi tunjang kepada habitat hidupan liar di Negeri Terengganu dan Projek Pengurusan Hutan yang membolehkan kawasan hutan diurus secara mampan dan lestari bagi mengekalkan Pensijilan Pengurusan Hutan yang telah dianugerahkan sejak tahun 2000.
149. Selain itu juga, program Marine Spatial Planning dengan izin yang dilaksanakan di bawah pembiayaan China Oceanic Development Foundation (CODF) juga merupakan inisiatif dalam meningkatkan perlindungan dan pemeliharaan ekosistem, habitat dan spesis marin secara menyeluruh terutamanya di pulau-pulau peranginan utama di negeri ini.
150. Bagi tujuan mengekalkan kelestarian ini juga, Kerajaan Negeri meminda Enakmen Penyu Terengganu 1951(Pindaan 1987) untuk menguatkuasakan larangan penjualan semua jenis telur penyu dan tuntung di Negeri Terengganu.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
151. Saya ingin menzahirkan rasa dukacita terhadap nasib 70 orang pelajar kita yang menjadi yatim dan yatim piatu disebabkan kematian ibu bapa dan penjaga mereka akibat daripada COVID-19. Sebagai tanda simpati Kerajaan Negeri pemberian yang bernilai
RM500.00 disediakan untuk mereka dalam bentuk tunai dan caruman Tabung Pendidikan. Sama-samalah kita mendoakan semoga ibu bapa mereka ditempatkan di kalangan solihin.
152. Sebagai menghargai jasa-jasa para penjawat awam yang telah menggerakkan jentera kerajaan demi menjamin perkhidmatan yang terbaik dapat disampaikan kepada rakyat, kerajaan dengan ini mengumumkan pemberian bonus bernilai RM700.00.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
153. Akhirnya tahun 2022 menjadi tahun yang amat penting kepada Negeri Terengganu dan Negara kita. Tahun untuk kita memacu kembali pertumbuhan ekonomi negeri dan menyejahterakan kehidupan rakyat.
154. Saya yakin dengan kerjasama dan kerja kuat daripada semua pihak bagi menjayakan agenda-agenda yang digariskan dalam Belanjawan ini akan meletakkan Terengganu pada landasan yang lebih baik.
Pergi Ke Pantai Memancing Tenggiri, Pergi Ke Hutan Melihat Tempua, Bersama Kita Majukan Negeri, Merakyatkan Sejahtera Untuk Semua.
Hanya kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala jualah saya menyerahkan segala urusan Kerajaan ini.
Yang Berhormat Dato Yang di-Pertua,
Saya mohon mencadangkan.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua saya memohon menyokong cadangan itu.
Rang Enakmen ini telah mendapat sokongan bagi bacaan kali yang kedua. Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, sebagaimana yang saya sebutkan dalam ucapan pembukaan tadi bagi memberi peluang kepada Ahli-ahli
Yang Berhormat meneliti Ucapan Bajet dengan baik, saya ingin tangguhkan Persidangan Dewan ini kepada hari esok. Oleh yang demikian, saya tangguhkan persidangan ini ke pukul 9.30 pagi, 16 November 2021. Marilah kita tangguh membaca tasbih kaffarah dan Suratul Al-„Asr.
DEWAN DITANGGUHKAN PADA PUKUL 12.18 PETANG