Terengganu · 21 March 2022

14th Assembly, 5th session, 1st meeting · 12 turns · 2,902 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalTerengganu publishes one PDF per meeting, with the written answers appended. Speakers are matched by our parser and will have some errors.

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia SultanAddress / budget

Setiausaha Dewan

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Perkara berikut di dalam Tertib Pekerjaan Dewan pada hari ini ialah Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan.

Yang di-Pertua

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu tidak dapat mengampuni perkenan berangkat ke Majlis Perasmian pada hari ini dan baginda telah mengampuni perkenan Perutusan Titah Ucapan Baginda dibaca oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar. Dipersilakan Setiausaha menyerahkan Perutusan Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar.

[Setiausaha Menyerahkan Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu Kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar]

Yang di-Pertua

Dipersilakan Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar membaca Perutusan Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu.

Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin MokhtarPAS · PNMenteri Besar · Ru Rendang

Terlebih dahulu saya ingin memaklumkan yang Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu tidak dapat berangkat ke Persidangan Dewan Undangan Negeri pada pagi ini dan dengan ini saya telah diwakilkan untuk membaca Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku

Yang Berhormat Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu

Setinggi-tinggi kesyukuran diucapkan ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sollallahu „Alaihi Wasallam serta sekalian ahli keluarga, para sahabat dan seluruh umat Baginda.

Alhamdulillah, di pagi yang mulia ini, kita semua diberikan kesihatan oleh Allah Subhanahu Wata’ala untuk menyempurnakan Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Terengganu yang Keempat Belas.

Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Ali-Imran, ayat 190 yang bermaksud:

“Sesungguhnya pada kejadian Langit dan Bumi, dan pada pertukaran Malam dan Siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal.”

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

Ucapan Beta pada pagi ini akan menyentuh tiga perkara:

1. Unjuran ekonomi dunia (world economic outlook) dan persediaan kita di peringkat negeri.

2. Demokrasi dan partisipasi tadbir urus.

3. Ketiga, penghargaan dan saranan.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

Bank Dunia dalam satu laporannya pada bulan Januari 2022 telah membuat unjuran bahawa ekonomi dunia dijangka masih berkembang secara positif

untuk tahun 2022. Walau bagaimanapun, perkembangan ekonomi dunia ini dijangka menunjukkan trend atau arah aliran yang menurun iaitu pada kadar lima perpuluhan lima peratus (5.5%) pada tahun 2021, empat perpuluhan satu peratus (4.1%) pada tahun 2022 dan tiga perpuluhan dua peratus (3.2%) pada tahun 2023.

Trend penurunan dijangka berlaku ekoran ketidaktentuan ekonomi dunia yang bakal menyebabkan banyak negara terkesan khasnya negara-negara membangun seperti Malaysia. Perbelanjaan Kerajaan dan penggubalan dasar kewangan di negara-negara ini memerlukan pemikiran yang segar dan pendekatan yang berbeza kerana kita kini berada dalam satu keadaan yang belum pernah kita hadapi sebelum ini (uncharted territory).

Namun keadaan dijangka menjadi lebih mencabar. Peperangan yang berlaku berikutan serangan tentera Rusia ke atas negara Ukraine akan mendatangkan impak yang sangat teruk kepada ekonomi dunia. Sekatan ekonomi yang dikenakan ke atas negara Rusia turut menyebabkan harga komoditi di pasaran dunia seperti bahan api, dan bahan makanan seperti gandum dan jagung, meningkat.

Misalnya, harga minyak mentah Brent melonjak kepada seratus dua puluh sembilan Dolar Amerika (USD 129) pada 6 Mac, 2022 dan dijangka terus meningkat. Pendapatan negara pengeluar minyak akan meningkat tetapi harga minyak yang tinggi akan mendatangkan kesan rantaian terhadap ekonomi khasnya ekonomi isi rumah. Kos pembuatan dan pengeluaran akan meningkat dan pengguna akan menanggung akibat.

Peningkatan harga bahan mentah makanan seperti gandum dan bijirin lain seperti jagung turut akan mendatangkan kesan langsung kepada harga bahan makanan tempatan dan hal ini perlu ditangani.

Justeru, Beta ingin mengesyorkan supaya Kerajaan Beta melaksanakan satu kajian impak (impact assessment) untuk Negeri Terengganu dengan mengambil kira persekitaran global sepertimana yang disebutkan tadi. Ini termasuklah kesan langsung terhadap sektor-sektor penting ekonomi negeri seperti perkhidmatan dan pelancongan, apabila sempadan negara dibuka semula nanti.

Kajian impak ini perlu mengenalpasti bukan sahaja kesan ke atas pembangunan Negeri Terengganu malah menghasilkan cadangan-cadangan khusus bagi mengurangkan impak langsung ke atas isi rumah yang berpendapatan rendah B40 dan berpendapatan sederhana M40.

Kedua-dua golongan ini sudahpun terkesan dan terbeban dengan harga barangan khasnya makanan, yang meningkat dan kesan sampingan ke atas punca pendapatan, ekoran penularan wabak Covid-19. Misalnya, data terkini merekodkan terdapat 985 orang golongan miskin tegar dan 26,526 orang golongan miskin di Negeri Terengganu yang memerlukan perhatian daripada semua pihak.

Bak kata pepatah, yang condong ditumpil, yang lemah dianduh. Beta yakin Kerajaan Beta akan meneruskan usaha-usaha membantu golongan yang lemah dan terkesan.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

Perkara kedua yang Beta ingin sentuh ialah berkenaan Demokrasi dan partisipasi tadbir urus.

Indeks Demokrasi yang dikeluarkan oleh Economist Intelligence Unit (EIU) memberikan gambaran terhadap tahap demokrasi di 167 buah negara. Bagi tahun 2021, Indeks Demokrasi di peringkat global telah menurun daripada skor purata lima perpuluhan tiga tujuh (5.37) kepada lima perpuluhan dua lapan (5.28), daripada skor penuh sepuluh (10). Penurunan skor purata ini disebabkan halangan-halangan yang terpaksa diwujudkan oleh semua negara di dunia, bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Walau bagaimanapun, Negara Malaysia mendapat skor 7.24, iaitu lebih tinggi daripada skor purata global, dan berada di kedudukan ke-39 daripada 167 buah negara. Skor dan kedudukan ini adalah yang terbaik berbanding semua negara jiran di rantau ASEAN.

Sebagai sebuah negara demokrasi yang menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan, Malaysia tidak pernah gagal mengadakan pilihan raya, baik apabila tiba tempoh yang ditetapkan menurut peruntukan

perlembagaan ataupun apabila sesuatu Dewan Undangan Negeri dibubarkan dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Raja-raja atau Yang di-Pertua Negeri masing-masing.

Ini memberi ruang dan peluang kepada rakyat untuk memilih dengan menyertai proses demokrasi secara luhur dan terhormat.

Namun, partisipasi rakyat dalam demokrasi tidak semestinya dihadkan kepada peluang untuk memilih dalam pilihan raya yang berlakunya mungkin dalam tempoh lima tahun sekali.

Rakyat harus mengambil bahagian secara aktif dalam membantu Kerajaan yang dipilih, sama-sama memberi input dalam aspek tadbir urus, merangka dan melaksanakan dasar-dasar yang baik untuk rakyat.

Walaupun mereka telah melantik wakil-wakil mereka untuk berbincang dan membahaskan enakmen-enakmen negeri di dalam Dewan Undangan Negeri, namun dengan adanya prinsip langit terbuka, akses digital, pendedahan kepada pelbagai bentuk dan saluran maklumat, serta tahap pengetahuan rakyat itu sendiri yang tinggi tentang sesuatu isu berbangkit, maka partisipasi rakyat dalam menentukan hala tuju negeri dan negara harus ditagih. Dalam suasana muhibah, terhormat dan bertamadun, proses membuat dasar sudah menjadi semakin demokratik.

Ibarat kata pepatah, seliang bagai tebu, serumpun bagai serai. Sekiranya kita saling bekerjasama dan berperanan dengan baik, insya-Allah, kejayaan juga yang bakal menanti.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

Perkara ketiga yang ingin Beta sentuh ialah penghargaan dan saranan.

Situasi penularan Covid-19 telah mula beralih kepada fasa pemulihan yang memerlukan kita semua menjalani kehidupan secara norma baharu. Beta mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas pengorbanan semua pihak dalam membendung penularan wabak ini.

Namun begitu, Beta masih menaruh kebimbangan terhadap perkembangan terkini Covid-19 yang terus menunjukkan trend peningkatan sejak penularan varian Omicron. Oleh itu, Beta menyeru pihak Kerajaan dan rakyat di negeri ini untuk terus meningkatkan amalan penjagaan kebersihan dan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Beta mengambil maklum usaha Kerajaan Negeri bagi menyelesaikan isu pengangguran di Negeri Terengganu. Berdasarkan rekod semasa, jumlah pencari kerja yang telah ditawarkan pekerjaan bagi tahun 2021 adalah seramai 8,500 orang.

Inisiatif anak syarikat Kerajaan Negeri iaitu TDM Plantation Sdn Bhd dengan menawarkan 800 peluang pekerjaan merupakan usaha yang harus dicontohi oleh pemain industri yang lain. Justeru, program seumpama ini perlu diteruskan dan dipertingkatkan supaya isu pengangguran dapat diatasi dan kebergantungan kepada pekerja asing dapat dikurangkan.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

Beta berbesar hati kerana Negeri Terengganu telah diletakkan sebagai salah sebuah negeri yang diberi keutamaan dalam perancangan pembangunan menurut Rancangan Malaysia Ke-12. Beta mengambil kesempatan di sini untuk menyeru semua pihak terutamanya agensi Negeri dan Persekutuan agar meningkatkan kerjasama secara strategik dalam memastikan pelaksanaan rancangan Kerajaan berjalan dengan baik demi faedah rakyat. Perancangan dasar yang baik harus disusuli dengan pelaksanaan yang baik juga.

Beta turut dimaklumkan tentang status pelaksanaan terkini projek ECRL bagi Negeri Terengganu iaitu pada tahap 25.76 peratus. Negeri Terengganu juga bakal menerima limpahan ekonomi hasil daripada cadangan pembangunan Transit Oriented Development (TOD) di enam stesen yang bakal dibangunkan kelak. Model pembangunan TOD yang merangkumi komponen perumahan, komersial dan industri perlu direncanakan sebaik mungkin dan bersegera. Ianya sudah lama tertangguh dan ini bukan sahaja akan merugikan rakyat malah mendedahkan kemungkinan meningkatnya kos projek berikutan kos bahan pembuatan yang meningkat di pasaran dunia. Selain itu, pembangunan berorientasikan

kargo (COD) turut dilihat berpotensi untuk dibangunkan memandangkan industri minyak dan gas masih menjadi industri penting di Negeri Terengganu.

Dalam menuju tahap pembangunan ekonomi yang maju, maka Kerajaan Negeri akan menjadikan Revolusi Perindustrian Keempat (Industrial Revolution Four Point Zero (4.0) sebagai pemacu. Ini merangkumi penemuan pelbagai teknologi baharu yang kompleks seperti automasi, Internet of Things (IoT), bigdata, advance analytics dan penggunaan robotik yang dilihat sebagai revolusi baharu dalam aktiviti perniagaan.

Ianya selaras dengan pembangunan Pelan Induk Kerajaan Digital Pintar Terengganu, Pelan Strategik Taman A.I. dan Pelan Strategik Pendigitalan (PSUK) 2021-2025 yang baharu sahaja ditandatangani bersama pihak MAMPU. Ini satu langkah yang tepat dalam hasrat untuk mewujudkan Kerajaan Pintar Negeri Terengganu.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

Segmentasi pelancongan berasaskan “Community- Based Tourism (CBT)” yang telah dilaksanakan di beberapa lokasi di negeri ini dilihat sebagai produk pelancongan yang mempunyai kekuatan berasaskan sumber alam semulajadi.

Konsep yang diterapkan memberi fokus kepada pelancong domestik yang merupakan penyumbang utama kepada bilangan kemasukan pelancong bagi tahun 2021.

Beta juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan tahniah di atas pencapaian pelaksanaan Tahun Pertanian Negeri Terengganu 2021. Seramai 13,702 orang golongan sasar telah menerima manfaat secara langsung sepanjang pelaksanaan program ini.

Peranan sektor swasta terutama anchor player untuk Projek Penanaman Lada Hitam di kawasan Setiu perlu dijadikan contoh untuk pembangunan pertanian di kawasan-kawasan lain. Peranan agensi Negeri dan Persekutuan seperti TADC dan ECERDC perlu diperkasakan supaya sektor pertanian dapat menjadi antara penyumbang utama KDNK negeri.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

Negeri Terengganu baharu sahaja dilanda bencana banjir yang luar biasa terutamanya di Daerah Hulu Terengganu dan Kemaman. Beta menzahirkan rasa dukacita di atas musibah yang telah melanda mangsa- mangsa banjir ini sehingga mengakibatkan kepayahan dan kerugian harta benda. Di masa yang sama Beta ingin menzahirkan penghargaan kepada agensi-agensi kerajaan dan organisasi bukan kerajaan (NGO) yang telah bertungkus lumus menyelamat, membantu dan meringankan beban mangsa-mangsa banjir tersebut.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

Beta juga ingin mengucapkan terima kasih kepada para penjawat awam yang menjadi benteng dan memainkan watak utama dalam merealisasikan dasar-dasar yang telah ditetapkan Kerajaan.

Pengamalan sistem tadbir urus yang menjadi penanda aras, budaya kerja kelas pertama dan tahap integriti yang tinggi adalah prasyarat dalam menentukan kejayaan sesebuah pentadbiran.

Ahli-ahli Yang Berhormat dan para penjawat awam perlulah sama-sama menggembleng tenaga bagi memastikan pembangunan Negeri Terengganu terus berada di landasan yang tepat.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

Akhirnya, Beta berdoa agar rakyat dan negeri ini akan terus dilindungi oleh Allah Subhanahu Wata’ala dan sentiasa dilimpahi rahmatNya. Semoga Persidangan Dewan Undangan Negeri pada kali ini dapat berjalan dengan teratur dan sempurna serta penuh rasa hormat-menghormati antara satu sama lain.

Dengan lafaz yang mulia, Bismillahirrahmanirrahim, Beta dengan sukacitanya merasmikan Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri Keempat Belas, tahun 2022.

Selamat Bersidang. Sekian.

Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin MokhtarPAS · PNMenteri Besar · Ru Rendang

Sekianlah sahaja Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan yang telah disempurnakan bacaan oleh saya.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, saya tangguhkan sementara Dewan ini dan disambung semula pada pukul 10.25 pagi.

DEWAN DITANGGUHKAN PADA PUKUL 9.55 PAGI

PUKUL 10.25 PAGI

Yang di-Pertua

Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, mesyuarat disambung semula.

Ucapan Yang Berhormat Dato’ Yang Di-Pertua Dewan

Setiausaha Dewan

Yang Berhormat Dato’ Yang di-pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, perkara seterusnya dalam Tertib Pekerjaan Dewan ialah Ucapan Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan.

Yang di-Pertua

Yang Amat Berhormat Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar, Menteri Besar Terengganu, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,

Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, ketua-ketua jabatan Negeri dan Persekutuan, Dato’-Dato’, tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Alhamdulillah, marilah kita merafakkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang telah mengizinkan kita untuk bersama-sama hadir ke persidangan Dewan Undangan Negeri kali ini iaitu Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Keempatbelas sebagaimana yang dijadualkan.

Saya ingin merafak sembah dan menjunjung kasih di atas limpah perkenan Kebawah DYMM al-Wathiqu Billah, Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni al-Marhum Sultan Mahmud al-Muktafi Billah Shah mengampuni perkenan YAB Menteri Besar bagi membaca teks Titah Ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku sebentar tadi. Saya optimis bahawa Ahli-Ahli Yang Berhormat telah membuat persediaan yang sebaiknya dalam membahaskan titah ucapan ini selaras dengan visi untuk merealisasikan Dewan Undangan Negeri kita sebagai 'DUN Yang Terunggul' dan bagi mencapai hala tuju pembangunan negeri kita.

Kita masih lagi belum menang menghadapi cabaran Covid 19. Saya ingin mengingatkan semua pihak untuk sentiasa bersedia secara proaktif bagi mengambil peluang dalam fasa endemik covid 19 kerana mulai April 2022, Kerajaan Persekutuan telah mengisytiharkan pembukaan sempadan negara kita kepada negara luar bagi membolehkan semua sektor dapat beroperasi sepenuhnya.

Bagi mewakili Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, saya ingin menjunjung kasih di atas limpah perkenan Kebawah DYMM Tuanku al-Sultan mencemar Duli berangkat bagi menyempurnakan majlis pelancaran buku „Sejarah Dan Perkembangan Dewan Undangan Negeri Terengganu' pada tanggal 14 Mac yang lepas. Buku yang dimaksudkan itu berada di atas meja Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Untuk makluman, oleh kerana cetakan buku ini adalah terhad, maka edaran buku ini diberi keutamaan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat dan ketua-ketua jabatan yang terpilih. Buku ini juga boleh diakses secara digital melalui QR Code yang telah disediakan. Sebagaimana ucapan saya dalam majlis tersebut iaitu sebagai ahli badan legislatif, kita menggalas tanggungjawab yang cukup berat untuk menjadikan Dewan Undangan Negeri kita lebih islamik dan demokratik dalam menyuarakan kepentingan orang ramai bagi membangunkan negeri ini.

Pada kesempatan ini juga, saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) yang telah bekerjasama dengan pejabat DUN sehingga termetrai satu memorandum persefahaman (MoU) bagi penambahbaikan perpustakaan digital dengan meluaskan akses maklumat rujukan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat. Selepas ini, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian bukan sahaja hanya dapat mengakses bahan-bahan bacaan berkaitan legislatif semata-mata bahkan turut mendapat akses penuh segala bahan informasi yang dimiliki oleh PPAT sebagai rujukan Ahli-ahli Yang Berhormat.

Semoga Ahli-ahli Yang Berhormat dapat memanfaatkan kemudahan ini dengan sebaiknya bagi membantu tugas sebagai seorang ahli badan perundangan yang profesional.

Dalam masa yang sama saya juga ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Terengganu Strategic and Integrity Institute (TSIS) yang telah melaksanakan kerjasama dengan penyelidik-penyelidik daripada UniSZA bagi menghasilkan sistem „Terengganu Lawnet’. Sistem digital ini merupakan satu platform capaian digital bagi mendapatkan sumber mengenai enakmen-enakmen dan undang-undang kecil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Justeru itu, dengan peluang yang ada ini, kita turut berhasrat untuk memasukkan capaian akses dan kerjasama antara Terengganu Lawnet dan juga Perpustakaan Digital Pejabat Dewan Undangan Negeri pada masa akan datang. Dengan kejayaan hasil usaha ini, semua maklumat undang-undang negeri boleh dicapai di hujung jari sahaja, insya-Allah.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat sekalian, Jawatankuasa Pilihan (Select Committe) yang kita tubuhkan dalam sidang DUN yang lepas iaitu Jawatankuasa Terpilih Semakan Peraturan Dan Perintah Tetap Dewan telah bergerak selangkah ke hadapan dengan menubuhkan satu Jawatankuasa Pemandu (Steering Committee) yang terdiri dari mereka yang pakar dalam bidang perundangan dan pentadbiran Dewan khususnya. Insya-Allah, jawatankuasa ini akan mengemukakan laporan kepada pihak Dewan apabila tiba masanya nanti.

Saya juga ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak SPR dan semua Ahli Yang Berhormat yang telah dijemput untuk mendengar taklimat dan perbincangan berhubung dengan pengundi baru 18 tahun yang didaftarkan secara automatic baru-baru ini. Kajian dan usaha perlu dibuat bagi mempastikan mereka keluar mengundi sebagaimana pengalaman pilihan raya

negeri Johor baru-baru ini. Saya yakin walaupun masih muda, mereka akan menjadi pengundi yang matang untuk menggunakan hak mereka dengan bijaksana.

Sebagaimana biasa saya ingin mengingatkan Ahli Yang Berhormat sekalian supaya sentiasa mematuhi standing orders supaya persidangan kita dapat berjalan dengan lancar tanpa aksi-aksi yang berlebihan. Adakalanya dalam keghairahan kita bersoal jawab dan berbahas, kita terlupa adat-adat dan nilai perpaduan yang sepatutnya dijadikan contoh kepada rakyat yang sentiasa memerhatikan kita.

Akhirnya, saya mohon kerjasama mana-mana Ahli Yang Berhormat yang berhasrat untuk mengadakan sidang media boleh berbuat demikian di tempat khas yang telah disediakan di perkarangan Dewan Undangan Negeri bukan di ruang legar atau lobi Dewan untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Sekian, selamat bersidang.

Kertas-Kertas Kerja Dan Laporan-Laporan

Setiausaha Dewan

Perkara berikut di dalam Tertib Pekerjaan Dewan ialah Kertas-Kertas Kerja Dan Laporan-Laporan.

Yang di-Pertua

Kertas-kertas kerja dan laporan-laporan yang dibentangkan ialah:

1.

Penyata Kewangan Tahun 2020 Majlis Bandaraya Kuala Terengganu

(D.U.N. Bil.1/2022)

2.

Penyata Kewangan Tahun 2020 Majlis Daerah Besut

(D.U.N. Bil.2/2022)

3.

Penyata Kewangan Tahun 2020 Majlis Daerah Hulu Terengganu.

(D.U.N. Bil.3/2022)

4.

Penyata Kewangan Tahun 2020 Majlis Daerah Marang

(D.U.N. Bil.4/2022)

5.

Penyata Kewangan Tahun 2020 Majlis Daerah Setiu

(D.U.N. Bil. 5/2022)

6.

Penyata Kewangan Tahun 2020 Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri Terengganu

(D.U.N. Bil. 6/2022)

7.

Penyata Kewangan Tahun 2020 Yayasan Pembangunan Keluarga Negeri Terengganu

(D.U.N. Bil. 7/2022)

8.

Penyata Kewangan Tahun 2020 Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu

(D.U.N. Bil. 8/2022)

9.

Laporan Audit Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu

(D.U.N. Bil. 9/2022)

10.

Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Tahun 2020 Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Terengganu

(D.U.N. Bil. 10/2022)

11.

Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Tahun 2020 Lembaga Muzium Negeri Terengganu

(D.U.N. Bil. 11/2022)

12.

Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2020 Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Agensi Negeri serta Pengauditan Pematuhan Jabatan dan Agensi Negeri Terengganu

(D.U.N. Bil. 12/2022)

13.

Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Tahun 2020 Yayasan Terengganu

(D.U.N. Bil. 13/2022)

Yang di-Pertua

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, bagi memberi peluang kepada Ahli-ahli Berhormat meneliti Perutusan Titah DiRaja untuk membuat perbahasan, saya tangguhkan persidangan Dewan sehingga ke hari esok, Selasa 22 Mac 2022 jam 9.30 pagi dan untuk itu marilah sama-sama kita membaca tasbih kaffarah dan surah al-„Asr.

DEWAN DITANGGUHKAN PADA PUKUL 10.50 PAGI