Terengganu · 22 March 2022
14th Assembly, 5th session, 1st meeting · 268 turns · 24,832 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalTerengganu publishes one PDF per meeting, with the written answers appended. Speakers are matched by our parser and will have some errors.
(Pembukaan)
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Mesyuarat disambung semula. Sebelum kita memulakan Persidangan pada pagi ini, untuk dapat barakah, marilah sama-sama kita membaca Ummul Kitab Al-Fatihah.
Soalan-Soalan Yang Telah Diberi NotisQuestions
Perkara seterusnya dalam Tertib Pekerjaan Dewan ialah Soalan-soalan Yang Telah Diberi Notis:
(1) Soalan-soalan Bertulis.
(2) Soalan-soalan Lisan.
Jawapan kepada Soalan-soalan Bertulis yang telah diberi notis dan dibentangkan di hadapan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian ialah soalan-soalan daripada:
1.
Yang Berhormat Wakil Tepoh 2.
Yang Berhormat Wakil Batu Buruk 3.
Yang Berhormat Wakil Seberang Takir 4.
Yang Berhormat Wakil Sura 5.
Yang Berhormat Wakil Bukit Besi 6.
Yang Berhormat Wakil Buluh Gading 7.
Yang Berhormat Wakil Kuala Besut 8.
Yang Berhormat Wakil Rantau Abang 9.
Yang Berhormat Wakil Pengkalan Berangan 10.
Yang Berhormat Wakil Bandar 11.
Yang Berhormat Wakil Air Putih 12.
Yang Berhormat Wakil Kemasik 13.
Yang Berhormat Wakil Wanita
SOALAN-SOALAN LISAN
Soalan-Soalan LisanQuestions
Sekarang kita masuk kepada Soalan-soalan Lisan. Berikut adalah Ahli-ahli yang telah memberi notis untuk mengemukakan Soalan-soalan Lisan pada hari ini, 22 Mac 2022 iaitu dari:
1.
Yang Berhormat Wakil Tepoh 2.
Yang Berhormat Wakil Batu Buruk 3.
Yang Berhormat Wakil Seberang Takir 4.
Yang Berhormat Wakil Sura 5.
Yang Berhormat Wakil Telemong 6.
Yang Berhormat Wakil Buluh Gading 7.
Yang Berhormat Wakil Bukit Besi 8.
Yang Berhormat Wakil Manir 9.
Yang Berhormat Wakil Jertih
10.
Yang Berhormat Wakil Rantau Abang 11.
Yang Berhormat Wakil Langkap 12.
Yang Berhormat Wakil Pengkalan Berangan 13.
Yang Berhormat Wakil Batu Rakit 14.
Yang Berhormat Wakil Bandar 15.
Yang Berhormat Wakil Kuala Besut 16.
Yang Berhormat Wakil Air Putih 17.
Yang Berhormat Wakil Ajil 18.
Yang Berhormat Wakil Kemasik 19.
Yang Berhormat Wakil Wanita
Sebelum kita teruskan sesi Soal Jawab Soalan Lisan pada pagi ini, saya nak berikan sedikit peringatan berdasarkan pada pengalaman yang lepas, peruntukan masa satu jam ini sebenarnya tidak dapat kita nak sempurnakan kepada setiap Ahli-ahli Yang Berhormat yang mengemukakan soalan. Oleh sebab itu, untuk meraikan lebih ramai di kalangan Ahli Yang Berhormat boleh mengemukakan Soalan Lisan, saya memberi peluang kepada Yang Berhormat yang mengemukakan soalan untuk satu soalan tambahan dan kalau difikirkan betul-betul perlu, baru saya buat keputusan untuk tambah sama ada daripada tuan asal soalan ataupun boleh ditambah oleh Yang Berhormat lain.
Selain daripada itu, saya juga ingin menarik perhatian berhubung dengan perkara asas dalam kita mengemukakan soalan sebab kadang-kadang berlaku salah faham. Soalan-soalan dalam sesi Soalan Lisan ini dijadikan sebagai perbahasan. Sebab itu dalam perkara 26 (1) disebutkan dengan jelas maksud yang sebenar membuat soalan ialah untuk mendapatkan penerangan dan tidak boleh dijadikan helah bagi sesuatu perbahasan. Sebab itu kita harap perkara seumpama ini boleh diambil perhatian oleh semua Ahli Yang Berhormat. Kalau ada perkara-perkara yang Ahli Yang Berhormat merasa perlu ataupun tidak puas hati berhubung dengan peluang untuk bertanya ataupun untuk dapat penjelasan lebih lanjut, boleh disebutkan dalam Sesi Perbahasan Menjunjung Kasih kepada Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan.
Ahli Yang Berhormat sekalian, saya nak mulakan sesi Soalan Lisan pada pagi ini dengan sebuah pantun.
Keropok lekor dicicah kari Dimakan enak bersama teman ADUN Tepoh dijemput berdiri Tanyakan soalan dengan senyuman
Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua, dok rajin makan lagi keropok lekor cicah kari ni.
Ketawa…
Soalan saya nombor 1-
Mohon dimaklumkan bilangan projek perumahan yang siap dibina, dalam pembinaan dan dalam perancangan bagi tempoh 2018 sehingga 2023
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat, pegawai-pegawai kerajaan, para pemerhati sekalian. Wakil Tepoh ingin dapatkan maklumat tentang bilangan Projek Perumahan yang siap dibina, dalam pembinaan dan dalam perancangan bagi tempoh 2018 hingga 2023.
Untuk makluman Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli Dewan sekalian, bagi tempoh 2018 sehingga 2023, bilangan Projek Perumahan yang telah siap dibina adalah 10 buah projek, yang sedang dalam pembinaan ada 38 buah projek dan dalam perancangan ada 18 projek. Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.
Dato’ Yang di-Pertua, soalan tambahan saya: Boleh dinyatakan perumahan-perumahan yang telah siap dan akan diagihkan dalam tempoh yang terdekat?
YANG BERHORMAT Dr. HAJI ALIAS BIN RAZAK (Wakil Bukit Tunggal): Terima kasih. Untuk makluman Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli Dewan sekalian, projek yang dijangka siap dalam masa yang terdekat iaitu dalam tahun 2022 ini ada 4 projek dan insya-Allah kita rasa boleh siap. Antaranya ialah, ini projek yang dah
lama ni, Rumah Perumahan Mampu Milik Pulau Redang 160 unit, Bukit Nenas 500 unit, Tajin 250 unit dan Tok Jembal 160 unit. Kita sedang berusaha insya-Allah, Tempinis juga akan dapat kita siapkan dalam tahun ini, insya-Allah. Terima kasih.
Sekarang saya jemput Wakil Batu Buruk.
Boleh soalan tambahan satu…
Cukup dah cukup. Sila.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan saya nombor satu-
Sepanjang tempoh penularan COVID-19 sehingga sekarang, ramai peniaga kecil dan peniaga pasar malam terjejas. Apakah bantuan Kerajaan yang akan disalurkan kepada golongan ini terutamanya kepada peniaga Bazar Ramadan nanti?
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar dan Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan, dan pemerhati yang dirahmati Allah sekalian. Batu Buruk ingin bertanya berkenaan dengan bantuan Kerajaan kepada peniaga peniaga kecil dan pasar malam khususnya menjelang Bazar Ramadan yang akan berlangsung tidak berapa lama lagi. Terima kasih kepada Yang Berhormat Batu Buruk. Antara bantuan Kerajaan yang disalurkan kepada golongan ini adalah, ada dua iaitu yang pertama Dana Usahawan Industri Kecil Terengganu (DUIT). Dana ini adalah khusus kepada peniaga mikro dan kecil serta penjaja dengan syarat mempunyai SSM dan berdaftar
dengan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Malaysia Negeri Terengganu. Had maksimum sebanyak RM5000.00. Skim yang kedua ataupun dana yang kedua adalah Skim Pinjaman Khas Bazar Ramadan. Bantuan Kerajaan yang disalurkan kepada peniaga Bazar Ramadan adalah melalui Skim Pinjaman Bazar Ramadan yang telah bermula sejak 2019 sehingga 2021. Dan pada tahun 2022 ini, skim ini diteruskan dengan nilai pinjaman sehingga RM3000.00. Terima kasih.
Soalan tambahan, saya difahamkan pinjaman ini telah bermula sejak daripada tahun 2019. Apakah status rekod pencapaian jumlah peruntukan dan jumlah peniaga yang terlibat. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Batu Buruk. Mengikut rekod yang kita ada, daripada tahun 2019, kita menyediakan jumlah pengeluaran ataupun jumlah dana yang disediakan sebanyak RM200,000.00 dan telah dipohon pada tahun 2019, dana digunakan sebanyak RM160,500.00 dengan bilangan penerima sebanyak 141 peniaga. Pada tahun 2020, tidak ada kerana tiada Bazar Ramadan pada tahun tersebut. Pada tahun 2021 dana disediakan juga RM200,000.00 dan yang telah digunakan sebanyak RM155,000.00 yang melibatkan 77 usahawan dan pada tahun 2022 ini, dana itu kita naikan kerana permintaan yang dilaporkan tinggi. Kita naikkan sebanyak RM250,000.00 dan kita masih lagi dalam proses untuk pemberianlah. Tiada lagi jumlah pada tahun ini.
Sekarang saya jemput Wakil Sura untuk mengemukakan soalan.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan saya nombor satu-
Apakah status Taman Ilmu di Tembila, Besut?
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, dia pakai langkah ke,
Yang Berhormat Dato’ Yang Di-Pertua? Nak tanya sikit sebab soalan saya ada lagi…
Ya?
Pasal, pakai langkah ke? Sebab Seberang Takir tinggal...
Soalan Yang Berhormat ditolak.
Saya ada tiga soalan tu..
Ya?
Soalan pertama ditolak
Ya?
Jadi ada dua dan tiga lagi…
Pun ditolak.
Oh, tolak belaka?
Ya.
Sebab saya terima, soalan lisan soalan satu saja ditolak ni. Soalan satu sahaja. Apakah Kerajaan Negeri sedar. Soalan dua dan tiga tidak ditolak, Dato’ Yang di-Pertua.
Ya, mengikut urus setia di sini, soalan Yang Berhormat ditolak. Ya.
Dato’ Yang di-Pertua, kenapa, pasal apa saya terima satu je ni? Satu notis je.
Mungkin, saya minta maaf kalau kata ada kelemahan daripada pihak urus setia.
Oh, sampai tolak tiga …
Tak. Asas kepada penolakan Yang Berhormat soalan Yang Berhormat kena semak semula.
Okey. Okey.
Bukan tidak ada, bukan baseless, mesti ada asas dia.
Tapi yalah. Terutama sekali pasal notis ini diterima pagi ini hanya satu.
Ya?
Jadi saya buat andaian, dua dan tiga maknanya tak ditolaklah.
Ya. Ya.
Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.
Saya jemput Wakil Sura.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua soalan saya yang pertama-
Apakah status Taman Ilmu di Tembila, Besut?
YANG BERHORMAT HAJI SATIFUL BAHARI BIN Mamat (Wakil Paka):
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan satu berbunyi apakah status Taman Ilmu di Tembila, Besut? Yang Berhormat Yang di-Pertua. Antara manifesto PAS pada PRU yang lalu adalah untuk mewujudkan sebuah kolej universiti milik Kerajaan Negeri, menggantikan KUSZA dan antara hasratnya adalah untuk menjadikan Taman Ilmu di Tembila Besut ini sebagai pusat tersebut. Tetapi, setelah kita dapati bahawa isu yang melibatkan Taman Ilmu ini berpanjangan, antaranya adalah ianya masih lagi melibatkan tentang isu mahkamah di mana sedia maklum apabila pihak Kerajaan Negeri telah menghantar notis penamatan pada 30 Jun 2015 akibat kegagalan Syarikat Bio Premium. Jadual 5A menyebabkan Syarikat POSC TI ketika itu menghantar writ saman di Mahkamah Tinggi Malaya. Dan pihak Kerajaan Negeri pada 2016, telah bersetuju di luar mahkamah sebagai penyelesaian di luar mahkamah pada Disember 2016 untuk membayar gantirugi POSC TI sebanyak RM45 juta dan juga mengeluarkan Surat Niat untuk 17 kontraktor yang dilantikkan oleh POSC TI tersebut. Jadi, pihak Kerajaan Negeri telah membayar POSC TI sebanyak RM45 juta dan apabila pihak Kerajaan Negeri mengeluarkan tawaran kepada 17 syarikat kontraktor tersebut, sebahagian kontraktor tersebut tidak bersetuju dan adanya kes saman baru yang melibatkan syarikat-syarikat yang dilantik oleh POSC TI setelah Syarikat POSC TI digulung, jadi masih ada lagi perbicaraan yang melibatkan mahkamah dan begitu juga, ada syarikat lain pula yang kemudiannya menghantar saman kepada pihak saman Kerajaan Negeri yang melibatkan Taman Ilmu ini yang akan dibicarakan pada 22 Mac 2022 dan juga satu lagi pada bulan April, 4 April 2022. Jadi, begitu juga satu lawatan yang dilakukan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar sendiri bersama dengan JKR dan sebagainya membuat penilaian tentang Taman Ilmu di Tembila, Besut dan hasil taklimat yang diberikan untuk membaiki Taman Ilmu ini melibatkan kos yang tinggi hampir RM400 juta. Jadi projek ini bernilai RM300 juta, baiki RM400 juta, istilahnya makna mahal tali pada beruk dohlah. Jadi pihak Kerajaan Negeri mengambil keputusan hasil daripada perbincangan dan sebagainya untuk kita mewujudkan di tempat lain dan kos dia lebih rendah daripada kos pembaikian Taman Ilmu itu sendiri. Iaitu Pihak Kerajaan Negeri
telah meluluskan sebidang tanah 300 ekar di Durian Mentangau dan akan dibina bangunan baru untuk menggantikan Taman Ilmu ini dan selepas daripada selesai kes mahkamah dan sebagainya insya-Allah, pihak Kerajaan Negeri juga dalam membuat kajian untuk melihat potensi Taman Ilmu ini ke arah pembangunan yang bersesuaian insya-Allah. Terima kasih.
YANG BERHORMAT DATO’ SERI Dr. HAJI AHMAD BIN SAID (Wakil Kijal): Yang di-Pertua, soalan tambahan.
Sekejap-sekejap, saya bagi pada, nanti saya bagi pada Yang Berhormat Sura.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan tambahan saya yang pertama ialah: Oleh kerana projek ini menelan kos yang ratusan juta yang melibatkan duit Kerajaan Negeri, duit rakyat, maka bilakah agaknya proses ini dapat diselesaikan dan seterusnya apakah perancangan pihak Kerajaan Negeri untuk mengisi tempat itu dengan apa-apa program yang dirancang oleh pihak Kerajaan Negeri, terima kasih.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, sebenarnya pihak Kerajaan Negeri dalam membuat tawaran kepada kontraktor tersebut menawarkan sebanyak RM24 juta untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikian parcel S6 iaitu bangunan kediaman pelajar di kawasan pembangunan Taman Ilmu. Sekarang ini diguna pakai oleh pihak UniSZA untuk kampus dialah. Baki lagi iaitu yang melibatkan pembangunan lain agak tinggi kos dialah tinggal lagi yang boleh diguna pakai adalah masjid yang telah beroperasi sehingga kini. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, kita pihak Kerajaan Negeri cuba untuk memanfaatkan projek-projek pembangunan yang agak terbiar dan kebanyakkannya kita gunai pakai untuk pendidikanlah khususnya untuk SRIDI, SMIDI. Contohnya SMIDI yang sekarang kita baik pulih bangunan KIST, Kolej Islam Sains Terengganu yang juga terbengkalai melibatkan kos yang tinggi dahulu, jadi kita cuba baik pulih untuk menggunakan sebagai SMIDI, Sekolah Menengah Islam Darul Iman dan banyak sekolah-sekolah SRIDI itu menggunapakai bangunan-bangunan milik Kerajaan Negeri yang terbiar termasuk juga yang terbaru iaitu bekas Kompleks Kastam yang kita gunakan sebagai bangunan sementara kepada KQT, Kolej Al-Quran Terengganu yang akan menjadi feeder kepada Kolej Universiti milik Kerajaan
Negeri ini. Jadi rasa Yang Berhormat Sura boleh kot lepas pada ini usha-usha, bincang-bincang masa minum air. Saya rasa maklumat ADUN Kijal dengan ADUN Seberang Takir banyak maklumatlah saya rasa, terima kasih.
Sila, Wakil Kijal.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya nak dapatkan penjelasan, saya dimaklumkan bahawa pihak Kementerian Pengajian Tinggi telah meluluskan untuk pembayaran Taman Ilmu sebanyak RM70 juta, tetapi disebut tadi oleh Wakil EXCO, Wakil Paka RM45 juta. Saya ingin dapatkan penjelasan ke mana perginya RM25 juta lagi yang telah disalurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi ketika itu. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua.
Memandangkan perkara ini berlaku 2016 itu, saya tak dok maklumanlah. Terima kasih.
Sekarang saya jemput Wakil Telemong.
Soalan saya yang pertama Dato’ Yang di-Pertua –
Apakah langkah Kerajaan Negeri dalam membantu taraf ekonomi penduduk melalui sektor pertanian?
Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih Telemong. Langkah Kerajaan Negeri memajukan ekonomi rakyat melalui sektor pertanian. Dato’ Yang di-Pertua, sepanjang pelaksanaan Tahun Pertanian Terengganu 2021, Kerajaan Negeri telah berjaya melaksanakan sebanyak 93 program dan menyiapkan 45 projek demi untuk mencapai matlamat besar mempertingkatkan ekonomi penduduk melalui sektor pertanian. Untuk rekod, sektor pertanian ialah sumber ekonomi kepada kira-kira 70% daripada rakyat Negeri Terengganu dan sebagaimana Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, seramai 13,702 orang golongan sasar telah menerima manfaat langsung daripada program-program ini. Panjang untuk saya senaraikan kesemua sekali, sekadar saya petik beberapa intipati penting.
Yang pertama, isu besar yang dihadapi oleh rakyat untuk nak memajukan ekonomi melalui sektor pertanian ialah masalah tapak, nak bertani, nak menternak dan juga mengusahakan industri akuakultur perlukan tapak. Kerana itu, Kerajaan telah buka ruang kepada rakyat untuk memanfaatkan tanah-tanah Kerajaan yang masih kosong dan Kerajaan sendiri tiada sebarang perancangan pembangunan bagi digunakan oleh rakyat secara LMS.
Yang kedua kita ada lebih daripada 1000 hektar tanah yang telah diwartakan di bawah Seksyen 62 KTN sebagai Taman Kekal Pengeluaran Makanan. Sebelum daripada ini, banyak lot-lot yang terbiar sama ada lot tersebut memang kosong ataupun dipajak oleh peserta-peserta yang tidak produktif. Maka, Kerajaan Negeri telah mengambil satu langkah tegas untuk proses pemutihan agar peserta-peserta yang tak produktif ini diganti dan juga lot-lot kosong dapat diisi.
Yang ketiga, rakyat kita banyak terlibat dalam penerokaan tanah-tanah Kerajaan secara haram. Dengan ruang-ruang peraturan yang ada, kita mengambil langkah untuk menghalalkan apatah lagi kalau sekiranya tanah-tanah yang diteroka tersebut adalah tanah-tanah yang tiada sebarang perancangan pembangunan oleh pihak Kerajaan. Bila dihalalkan dengan sendirinya rakyat kita berhak untuk berdaftar dengan jabatan-jabatan yang berkenaan memohon bantuan-bantuan yang selayaknya mereka dapat, boleh mohon untuk dapat pensijilan MyGAP dan sebagainya.
Seterusnya, kita bangunkan tanah rizab padang ragut untuk dijadikan padang ragut rakyat dan juga kita bangunkan sebagai hub pembangunan lembu sado.
Tahun 2021, sebanyak tujuh padang ragut rakyat dengan keluasan 10 ekar setiap satu telah dibangunkan dengan kos kira-kira RM400,000.00. Dalam masa yang sama, ada tanah-tanah milik rakyat atau milik syarikat dan agensi yang masih terbiar yang kita istilahkan sebagai tanah terbiar dengan keluasan lebih daripada 8,000 hektar di seluruh negeri Terengganu dan pilot project hasil daripada task force pembangunan tanah terbiar telah dimulakan dengan dijadikan RTB Pengkalan Aman di Setiu dan RTB Kampung Rahmat di Langkap, dibangunkan dengan tanaman musang king dan juga mempelam harum manis.
Yang kedua, rakyat kita yang nak menceburi sektor pertanian berhadapan dengan masalah dana. Kerana itu, Kerajaan Negeri sejak daripada 2019 lagi telah menyediakan dana melalui Skim Bantuan Modal Tani yang terbukti berjaya menyelesaikan isu-isu kekangan dana yang dihadapi rakyat kita. Kemahiran juga adalah isu, sebab itu jabatan-jabatan yang berada di bawah MAFI Negeri Terengganu mempunyai program-program pengembangan dan khidmat nasihat yang tersendiri sama ada dalam bentuk kursus-kursus jangka pendek atau kursus-kursus jangka sederhana dan kita ada sebanyak 18 program yang sedang dan telah dilaksanakan di bawah Program Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu dengan melibatkan kos dan pelaburan kira-kira RM700 juta, suatu jumlah pelaburan yang besar dan program-program yang berada di bawah Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu memang kita sasarkan supaya rakyat dan peserta terlibat mampu memperolehi pendapatan yang mengeluarkan mereka daripada garis kemiskinan. Dalam masa yang sama, kita tidak mampu bergantung kepada sektor tempatan sahaja kerana itu usaha untuk menarik pelabur asing bagi melabur di Negeri Terengganu, adalah usaha yang kita fokus dan alhamdulillah untuk tahun 2021, kita telah berjaya menyelesaikan isu-isu pelaburan yang melibatkan Syarikat McCormick yang berpengkalan di US untuk mengusahakan penanaman lada hitam secara komersial di Lembah Bidong di Setiu dengan pelaburan kira-kira RM360 juta kita sasarkan mampu menjana kira-kira 2,000 peluang pekerjaan dalam masa yang sama berlaku teknologi transfer dan juga pembinaan kilang pemprosesan.
Dato’ Yang di-Pertua, sektor pertanian ini sektor yang berada di lapangan terbuka, terdedah kepada bencana sama ada bencana alam, bencana penyakit, bencana wabak, serangan hidupan liar dan sebagainya. Tahun 2021 Kerajaan Negeri telah menyalurkan sebanyak lebih RM197,000.00 kepada 363 rakyat yang terkesan kerana bencana dan yang terbaru, Kerajaan telah menyelesaikan
urusan Mesyuarat Jawatankuasa Bencana Pertanian Negeri dan kita telah luluskan untuk penyaluran kira-kira RM750,000.00 kepada rakyat kita yang terkesan bencana banjir luar biasa yang berlaku pada awal Februari lepas dan bantuan ini akan disalurkan seberapa segera, insya-Allah. Negeri kita juga mempunyai projek-projek sakit, projek-projek terbengkalai dan projek yang tidak mencapai objektif dari segi pelaksanaannya. Di antara yang telah dipulihkan ialah Projek Rimbunan Kasih di Rantau Abang, Dungun, Projek Kelapa Matag di Kubang Puyu di Setiu dan juga reban ayam di Bukit Lawang di Setiu dengan ternakan ayam kampung.
Yang kelapan kita juga bangunkan infrastruktur. Di antara yang dibangunkan dengan dana Kerajaan Negeri ialah jana ladang, sistem pengairan, jeti pendaratan, rumah sejuk atau cool room dengan izin, slipway tempat baiki bot, rumah tarik bot, benteng penahan ombak, empangan dan lain-lain lagi. Yang kesembilan Dato’ Yang di-Pertua, banyak bantuan-bantuan one-off yang kita salurkan kepada warga tani, penternak dan nelayan kita, di antaranya bantuan makanan ikan kepada penternak akuakultur yang terjejas kerana PKP, bantuan one-off kepada warga tani yang positif COVID-19, bantuan one-off dalam bentuk input pertanian kepada 227 orang penanam cili yang terkesan kerana kejatuhan mendadak harga cili di pasaran, bantuan one-off sebanyak RM300,000.00 dalam bentuk mekanisasi ladang kepada 52 petani yang ada di seluruh Negeri Terengganu dan juga pelbagai bantuan input di antaranya macam baja, racun, folier, benih, plastik UV, pam air, GPS, kawat bubu, pukat tangsi, kit memancing dan lain-lain lagi.
Yang kesepuluh, kita mempunyai program memperkayakan sumber perikanan. Tahun 2021 kita telah labuhkan sebanyak 340 unit unjam, tukun sebanyak 58 unit, dan kita telah lepaskan 1.36 juta benih ikan ke perairan umum sama ada sungai, tasik, kolam dan sebagainya dan akhir sekali alhamdulillah untuk tahun 2021 Kerajaan Negeri telah berjaya memperolehi suntikan dana laksana di Bawah Pakej Jaminan Keselamatan Makanan, Kementerian Kewangan Malaysia dan daripada dana RM30.44 juta telah dan sedang dibangunkan. Yang pertamanya Pusat Pengumpulan Hasil Tani di Telaga Papan di Setiu, Pusat Pengeluaran Benih Ikan Kerapu Hibrid di Limau Nipis, Pusat Semaian Anak-anak Pokok di Kampung Pak Kancil, Program Penanaman Napier, Program Penggandaan Kambing Tenusu, dan juga penternakan lembu secara semi fidlot yang akan diadakan di Kampung Pak Kancil, Setiu. Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.
Terima kasih Yang Berhormat EXCO. Sebagaimana yang telah diterang dan dijelaskan oleh Yang Berhormat EXCO Pertanian dan saya ucap terima kasih banyak atas usaha yang dilakukan tersebut. Walau bagaimanapun apa yang dimaklum itu adalah program-program dan juga projek-projek yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan dalam bentuk skala yang besar dan juga jangka masa panjang. Sekarang ni Yang Berhormat, saya nak tahu dalam keadaan Pandemik COVID-19 ini dan juga dalam keadaan harga barang naik terlampau tinggi dan akan menjejaskan banyak antara isi rumah dari peringkat kampung-kampung dan juga di peringkat desa-desa. Jadi saya nak tahu apa langkah program jangka masa pendek yang dilaksanakan oleh Pertanian Negeri Terengganu melalui EXCO Kerajaan Negeri untuk membantu suri-suri rumah kita menaikkan sedikit taraf pendapatan mereka. Terima kasih.
Terima kasih Telemong. Untuk makluman di antara fokus besar dalam bantuan bencana banjir yang berlaku awal Februari baru ni sebahagian besar daripada rakyat terlibat adalah daripada DUN Yang Berhormat Telemong. Kita bantu suri-suri rumah kita, ada program khusus di bawah pertanian yang kita namakan sebagai Program Kebuniti ataupun Kebun Komuniti dengan makna suri-suri rumah kita boleh terlibat dalam sektor pertanian walaupun mereka berada di rumah dengan memanfaatkan peralatan-peralatan kelengkapan-kelengkapan yang diberikan bantuan oleh kerajaan untuk mereka bertani di sekitar kawasan rumah, kalau pun tidak mampu dijual sekurang-kurangnya boleh menampung untuk keperluan keluarga dan boleh mengurangkan sebahagian daripada kos seharian mereka. Program-program lain yang saya sebutkan tadi dalam bentuk bantuan-bantuan one-off itu adalah program-program yang kita sasarkan sebagai bantuan segera atau bantuan jangka pendek bagi menyantuni rakyat kita berhadapan dengan situasi sukar yang sama-sama kita lalui sekarang ini. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat.
Sekarang saya jemput Wakil Buluh Gading.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Soalan nombor-1
Berikutan Malaysia memasuki fasa endemik, Kerajaan telah membuka semula aktiviti ekonomi bagi membolehkan rakyat kembali kepada aktiviti normal. Apakah perancangan T-HRDC bagi tahun 2022 dalam memastikan peluang-peluang pekerjaan yang ada sekarang dapat disampaikan kepada rakyat.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Buluh Gading. Antara inti persoalan yang bertanya adalah apakah perancangan T-HRDC bagi tahun 2022 dalam memastikan peluang-peluang pekerjaan yang ada sampai kepada rakyat. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, untuk makluman T-HRDC adalah satu mekanisma baru yang di bawah Portfolio Sumber Manusia yang ditubuhkan dan bertepatan dengan Pandemik yang kita lalui, COVID-19. Mekanisma ini kita kemukakan adalah menjadi penghubung kepada rakyat yang mencari kerja, job hunter dengan izin dan juga majikan yang mencari pekerja yang memerlukan tenaga kerja. Jadi, di sinilah tertubuhnya mekanisma ini untuk dipenuhi oleh kedua-dua belah pihak dan alhamdulillah sepanjang Pandemik walaupun kita tidak dapat bergerak, tapi kita dapat memasyhurkan T-HRDC ini dan menjawab kepada persoalan untuk tahun 2022, apakah langkah-langkah untuk diketengahkan kepada rakyat. Jadi, T-HRDC memastikan peluang-peluang pekerjaan yang ada sekarang dapat disampaikan kepada rakyat melalui pelaksanaan program yang kita namakan Outreach Kesejahteraan Pekerjaan Rakyat secara berkala yang kita turun ke daerah-daerah. Jadi tahun 2021 sudah kita mulakan, tapi untuk tahun 2022 ini, kita telah menyenaraikan perancangan kita yang pertamanya Daerah Marang yang telah pun berlangsung pada 27 dan 28 Februari yang lepas dan daerah yang terakhir, yang terkini yang kita baharu sahaja selesai adalah di daerah Setiu yang pada 16 dan 17 Mac yang lepas. Selain daripada itu, daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus kita cadang untuk adakan pada bulan Julai 2022 Dungun dan Kemaman pada bulan Ogos 2022, Besut pada Oktober 2022 dan Hulu Terengganu pada November 2022. Program ini adalah kolabrasi di bawah Urus Setia Pekerjaan Negeri Terengganu yang melibatkan jabatan ataupun agensi peringkat Persekutuan dan Negeri dan
daerah termasuk sektor swasta, majikan dan pemain industri yang memerlukan tenaga kerja. Terima kasih.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya nak ambil kesempatan di sini untuk ucapkan syabas dan tahniah kepada Kerajaan Negeri khususnya YB EXCO atas usaha yang bersungguh dalam membantu rakyat mendapatkan pekerjaan sehingga Tuanku al-Sultan sendiri telah menzahirkan rasa sukacita terhadap usaha Kerajaan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat sebagaimana Titah Ucapan Tuanku yang telah disampaikan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar pada pagi kelmarin, tahniah saya ucapkan.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan tambahan saya ialah: Tadi ada disebut bahawa program-program ini juga telah dilaksanakan sepanjang tahun 2021, boleh Kerajaan nyatakan berapa kali Program Kerjaya Pekerjaan ini telah berjaya dilaksanakan sepanjang tahun 2021 dan daripada program-program tersebut berapa jumlah rakyat Terengganu yang telah berjaya mendapat peluang pekerjaan hasil daripada program yang telah dilaksanakan dan kalau boleh minta Kerajaan nyatakan juga jumlah terkini syarikat yang telah berdaftar dengan T-HRDC ini dengan memperincikan nama-nama syarikat tersebut sama ada dalam Negeri atau luar Negeri Terengganu. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua.
Terima kasih Buluh Gading, berkenaan dengan program yang telah dilaksanakan pada tahun 2022, walaupun kita dalam keadaan pandemik, PKP dan seumpama dengannya. Alhamdullilah sebaik sahaja negeri kita berubah pada fasa tiga, kita telah menjalankan aktiviti kerana kita tahu ramai rakyat kita yang terkesan kerana PKP yang kita lalui. Jadi untuk makluman, persoalan yang ditanyakan berapa kalikah kita ada, yang pertamanya adalah kita buat semasa kelonggaran sekejap MCO pada bulan April, kita buat Karnival Penjana Kerjaya 2021, yang ini adalah anjuran bersama dengan PERKESO, yang dia round seluruh Malaysia dan alhamdullilah dalam karnival kita itu mencatat rekod kebangsaan apabila dalam Karnival Negeri Terengganu dapat menghasilkan 942 peluang pekerjaan yang telah kita award, telah kita berikan kepada rakyat negeri kita. Selepas daripada itu, kita turun ke daerah-daerah seperti mana saya sebutkan tadi, kita turun yang pertamanya kita turun ke daerah Besut, pada waktu itu kita mencari satu mekanisma macam mana kita
nak bagitahu rakyat. Pada program itu walaupun kita sediakan peluang dan jumlah peluang pekerjaan yang banyak tetapi maklumat yang tidak sampai kepada rakyat. Kita hanya berjaya dapat 81 sahaja, 81 orang kemudian kita turun ke Kuala Terengganu, pun dengan masalah yang sama apabila kita belum dapat mekanisma yang sebenarnya macam mana kita nak sampaikan untuk rakyat datang mengetahui peluang-peluang pekerjaan yang kita tawarkan. Kita turun ke daerah Kuala Terengganu kita dapat 38 dan kemudian kita turun ke daerah Dungun, kita dapat 48. Selepas daripada…
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, pencerahan boleh?
Biar dia teruskan dulu.
Dato’ saya habiskan sekejap, selepas daripada itu kita buat satu post-mortem, macam mana kita nak memberikan maklumat yang lebih jelas kepada rakyat, kita bekerjasama melalui Pejabat Daerah melalui JPKK kampung-kampung yang ada dan kita buat first trial yang kedua, percubaan yang kedua, kita buat sekali lagi di Besut dan alhamdullilah Program Outreach Kesejahteraan Pekerjaan Rakyat Negeri Terengganu di daerah Besut 2.0, kita berjaya menempatkan 394 peluang pekerjaan kepada mereka dan yang dua terakhir pada tahun 2022 ini, kita buat di Marang pada 27 dan 28 Februari yang lepas, kita mendapat masa itu masa hujan masa kita banjir kita dapat menempatkan 119 orang dan di Setiu baru-baru ini kita dapat menempatkan sebanyak 235 orang maknanya dengan jumlah sekarang ini hampir 2000 yang telah kita tempatkan dalam, daripada 2021 sehingga 2022 Mac. Okey, berkenaan dengan soalan yang kedua yang disebut yang bertanya berapakah syarikat yang telah berdaftar dengan T-HRDC untuk mencari, memaklumkan mencari peluang-peluang pekerjaan ini iaitu ada lapan daripada dalam Terengganu dan 17 daripada luar Terengganu. Dalam Terengganu yang melibatkan kekosongan sebanyak 2,720 orang dan di luar Terengganu yang 17 tadi itu yang melibatkan kekosongan sebanyak 9,380 orang. Sekian, terima kasih.
Wakil Jertih okey ye? Okey.
Saya nak dapatkan pencerahan daripada pihak Kerajaan yang mana kempen yang dibuat untuk menarik rakyat Terengganu memberi peluang kerja ini, adakah menjadi dasar Kerajaan Negeri untuk membawa rakyat Terengganu bekerja di luar daripada Negeri Terengganu kerana apa yang dinyatakan oleh Yang Berhormat EXCO tadi daripada syarikat yang berdaftar lapan daripada Terengganu, 17 daripada luar Terengganu. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua.
Terima kasih Yang Berhormat Jertih, Dato’ Yang di-Pertua, bukanlah satu dasar Kerajaan Negeri untuk keluarkan peluang-peluang pekerjaan ini kepada Luar Negeri Terengganu tetapi kita seperti mana saya sebutkan tadi kita T-HRDC kita menyediakan satu platform untuk kesejahteraan rakyat kita mencari peluang pekerjaan. Jadi di sini kita terbuka kepada syarikat-syarikat yang dalam Terengganu dan luar Terengganu, yang pentingnya kita menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat kita yang sekarang hari ini rata-rata menyatakan susah untuk mendapatkan pekerjaan dan di dalam outreach kita, kita membawa syarikat-syarikat ini dan untuk diinterview oleh pekerja-pekerja ataupun rakyat-rakyat kita. Jadi di sini rakyat kita boleh memilih sama ada untuk memilih syarikat di dalam negeri Terengganu atau di luar Terengganu.
Okey terima kasih Yang Berhormat. Sekarang saya jemput Wakil Bukit Besi. Bukit besi dok mari. Ada makluman. Takpe. Saya terus kepada Wakil Manir. Cuma saya nak beri peringatanlah sebab saya ada dimaklum oleh pihak urus setia ada di kalangan Ahli Yang Berhormat yang baik sangkanya ialah dia tak dapat hadir kerana uzur syarie. Jadi tolong maklumkan kepada pihak urus setia. Sila wakil Manir.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan saya nombor satu –
Segmentasi pelancongan berasaskan makanan merupakan salah satu tarikan utama untuk pelancong hadir ke negeri ini.
Persoalannya; Apakah inisiatif Kerajaan Negeri di dalam mempertingkatkan usaha dan galakan di kalangan penggiat yang terlibat dalam segmentasi ini?
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Berhormat Manir, soalan pertama berkenaan dengan segmentasi pelancongan berasaskan makanan gastronomi tourism merupakan salah satu tarikan utama untuk pelancong hadir ke Negeri Terengganu. Memang sebenarnya Negeri Terengganu ni, Terengganu terkenal dengan pelbagai produk yang menarik. Salah satunya adalah pelancongan berasaskan makanan. Persoalannya, apakah inisiatif Kerajaan Negeri di dalam mempertingkatkan usaha dan galakan di kalangan penggiat yang terlibat dalam segmentasi ini? Di antara inisiatif Kerajaan Negeri dalam mempertingkatkan usaha dan galakan di kalangan penggiat iaitu antaranya;
1. Mengadakan kerjasama antara agensi seperti YPU dan Kraftangan melalui pinjaman pengurusan perniagaan dan kursus pemasaran. Antaranya secara atas talian.
2. Mengenalpasti produk-produk atau makanan unik yang terdapat di seluruh daerah di Negeri Terengganu yang mampu dijadikan dengan izin uniq selling point dengan membawa bersama produk di setiap program promosi Jabatan seperti program jelajah Beautiful Terengganu. Ini juga dapat mengetengahkan gastronomy tourism sebagai segmentasi pelancongan terkini yang juga menjadi sebahagian elemen-elemen tarikan dalam produk pelancongan berasaskan komuniti iaitulah CBT. 3. Memperkenalkan produk makanan di ekspo-ekspo sama ada dalam dan luar negeri.
4. Mempromosikan produk makanan melalui program-program CBT. 5. Promosi di platform media sosial. Terengganu sememangnya terkenal antaranya saya nok sebut sikit sebab kita lapor perut pagi ini dok makan lagi ni. Nasik dagang semakin masyhur, keropok lekor yang telah lama masyhurnya. Tupak sutong, laksam Terengganu, sata, lopat tikam ni sikit lah saya sebut. Jala mas, rojok kateh, bronok sagu dan orang Besut terkenal yang ramai yang kita tak tahu, tonyoh. Tahu dok mende tonyoh.
Apa dia Yang Berhormat…
Tonyoh.
Tonyoh ini ubi kayu tu dia tonyohlah. Tonyoh. Tu dia panggil tonyoh. Jadi sedang masyhurlah sekarang ni kalau program-program promosi memang kita bowoklah produk-produk yang seumpama ni. Sekian.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan tambahan: Apakah pihak kerajaan mempunyai data yang boleh dikongsikan bersama berkaitan dengan usahawan-usahawan di Terengganu yang terlibat dengan program-program. Terima Kasih
Ada orang tanya ubi gadong boleh makan dok (ketawa). Mitok maaf (ketawa). Usahawan khususnya dalam sektor pelancongan yang berdaftar dengan Yayasan Pembangunan Keluarga seramai 126 orang lah usahawan dan mereka ni telah mengikuti pelbagai program latihan dan kursus pemantapan usahawan yang ditawarkan secara berkala. Jadi saya ucap terima kasih kepada EXCO Usahawan yang sememangnya kerjasama yang sangat baiklah diberikan untuk memajukan usahawan dalam sektor pelancongan. Sekian.
Sekarang saya jemput Wakil Jertih.
YB DATO’ HAJI MUHAMMAD PEHIMI BIN YUSOF (WAKIL JERTIH):
Soalan saya soalan pertama:
Berapakah jumlah pelaburan atau peruntukan dalam sektor pertanian yang disumbangkan dan dibantu oleh Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) bagi tahun 2020 dan 2021?
YANG BERHORMAT Dr. AZMAN BIN IBRAHIM (Wakil Jabi):
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih Wakil Jertih. Jumlah pelaburan dalam sektor Pertanian yang dibantu oleh ECERDC bagi tahun 2020 dan 2021 ialah sebanyak RM3.64 juta dan tiada sebarang peruntukan bagi projek pembangunan dari ECERDC dalam tempoh tersebut. Pelaburan dalam sektor Pertanian yang dibantu oleh ECERDC ialah untuk Projek Pusat Penanaman dan Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan Kelapa di Dungun oleh Syarikat Prima Agroternak Sdn. Bhd. Dalam masa yang sama, pihak ECERDC telah menghantar permohonan dalam RP3 RMKe-12 melibatkan pembangunan infrastruktur asas bagi Projek Penanaman Kelapa seluas 492 hektar yang akan dilaksanakan oleh TADC dan juga Ladang Rakyat Sdn. Bhd., kemudahan infrastruktur melibatkan kos kira-kira RM16 juta. Tambahan daripada itu, Kerajaan Negeri juga telah bersetuju dengan pelaksanaan projek Terengganu Dairy Valley di atas tanah seluas kira-kira 630 hektar di Kawasan Sungai Siput, Mukim Hulu Nerus di Setiu. Pihak ECERDC telah menghantar permohonan dalam RP3 RMKe-12 yang melibatkan pembangunan infrastruktur asas bagi projek ini bernilai kira-kira RM70 juta. Terima Kasih.
YB DATO’ HAJI MUHAMMAD PEHIMI BIN YUSOF (WAKIL JERTIH): Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan saya: Sejak daripada wujudnya ECERDC ini Wilayah Ekonomi Pantai Timur ini, daripada dulu sampai sekarang, ada dok projek-projek yang gagal daripada dulu hingga sekarang berapa projek yang gagal. Kalau ada apakah langkah yang dibuat oleh pihak Kerajaan untuk pemulihan projek tersebut. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua.
YANG BERHORMAT Dr. AZMAN BIN IBRAHIM (Wakil Jabi): Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, kita perlu jujur dalam hal ini dan jujur saya nyatakan projek-projek pertanian di bawah ECERDC gagal. Di antara yang gagal ialah Projek Herba Bersepadu di Pasir Raja dengan tanah lebih daripada 1000 ekar yang diberikan oleh Kerajaan Negeri kepada ECERDC hanya kira-kira 100 ekar sahaja yang mampu dibangunkan, itupun tidak dapat dibangunkan sepenuhnya dan Kerajaan Negeri telah mengadakan perbincangan bagaimana baki tanah lagi boleh dimanfaatkan. Yang kedua Projek Besut Setiu Agropolitan juga akhirnya terpaksa diserahkan kepada pihak swasta dan Kerajaan Negeri telah mengambil langkah-langkah terbaik bagaimana untuk kita menyantuni kira-kira 85 keluarga yang berada dalam Projek Besut Setiu Agropolitan agar mereka tidak menjadi mangsa apabila projek ini terpaksa diserahkan kepada pihak swasta dan kita bimbang berulang kembali Rimbunan Kaseh yang kedua. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat.
Sekarang saya jemput Wakil Rantau Abang.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan saya ialah soalan nombor satu-
Apakah nasib pemajak telur penyu setelah penguatkuasaan Enakmen Penyu 1951 (Pindaan) 2021? Adakah pelaksanaan ini akan mengembalikan era kegemilangan Terengganu sebagai lokasi utama pendaratan penyu?
YANG BERHORMAT Dr. AZMAN BIN IBRAHIM (Wakil Jabi): Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Terima kasih kekanda Rantau Abang, nasib pemajak-pemajak telur penyu apabila penguatkuasaan Enakmen Pemuliharaan Penyu Terengganu 1951 Pindaan 2021.
Dato’ Yang di-Pertua, Enakmen ini akan mula dikuatkuasakan bermula daripada Jun 2022 dan pemajak telur penyu sebenarnya masih boleh mendapatkan hasil daripada kawasan pajakan cuma dengan beberapa pindaan. Yang pertama semua telur penyu yang dikutip perlu dijual sepenuhnya kepada Jabatan Perikanan sebagai jabatan bertanggungjawab atau mana-mana pihak yang diberikan kebenaran bagi tujuan penetasan sahaja. Maknanya tidak ada lagi telur penyu yang dijual di kawasan Pasar Payang selepas daripada Jun 2022. Yang kedua kadar belian telur penyu akan dikurangkan supaya dia tidak membebankan kewangan Kerajaan, tidak membebankan Jabatan Perikanan dan juga pihak-pihak yang terlibat.
Dato’ Yang di-Pertua, perlaksanaan pindaan enakmen ini sama ada mampu mengembalikan semula kegemilangan Terengganu sebagai lokasi utama pendaratan penyu adalah satu penilaian yang sangat subjektif. Sehingga kini, Terengganu masih lagi merupakan negeri tertinggi yang menerima pendaratan penyu di semenanjung Malaysia. Tapi dalam masa yang sama kita juga dikenali sebagai satu-satunya negeri yang membenarkan penjualan telur penyu dalam Malaysia dan dengan pindaan enakmen ini serta kuatkuasa pada Jun 2022 imej Terengganu sebagai hub penjualan telur penyu kita akan dapat padamkan. Melalui perlaksanaan ini juga dia bakal menjadi satu usaha bersama di antara Kerajaan Negeri dan Jabatan Perikanan untuk kita mempertingkatkan imej
Terengganu sebagai pusat rujukan pengurusan penyu di Malaysia. Insya-Allah. Terima kasih.
Terima kasih Dato Yang di-Pertua, terima kasih kepada EXCO Pertanian. Soalan tambahan saya ialah kita melihat bahawa penyu belimbing makin sehari makin pupus dan kemungkinan tidak dapat diadakan lagi. Oleh sebab-sebab itu, apakah usaha Kerajaan Negeri bagi pemuliharaan penyu dan berapa bilangan pemajak dalam kawasan yang disediakan dari tahun 2018 sehingga 2021. Terima kasih.
Dato’ Yang di-Pertua, kali terakhir penyu spesis belimbing dikesan mendarat dan bersarang di Terengganu ialah pada tahun 2017. Ada 124 biji telur tapi semua telur tu tak menetas. Selepas daripada tahun 2017 tiada lagi spesis penyu belimbing yang dikesan mendarat di pantai-pantai di Terengganu. Pelaksanaan program-program berterusan bagi pengurusan penyu seperti penetasan telur penyu, pelepasan anak-anak penyu, pemantauan pantai, pembelian telur penyu daripada pemajak dan pelbagai lagi program berada dalam senarai program pemuliharaan penyu di bawah Kerajaan Negeri Terengganu. Pada tahun 2021, sebanyak 7,378 sarang penyu telah direkodkan dan sebanyak 582,096 biji telur penyu telah dieramkan dan daripada itu sebanyak 432,321 anak penyu telah berjaya dilepaskan. Kalau mengikut statistik umum, daripada 1000 ekor anak penyu yang dilepaskan, hanya seekor sahaja yang akan kekal hidup sehingga dewasa dan kembali ke tempat di mana dia menetas. Jadi kalau kita lepaskan pada tahun 2021 sebanyak kira-kira 432,000 ekor anak penyu, harap-harapnya 432 ekor akan berjaya untuk kembali semula ke pantai Terengganu. Dari segi kawasan pajakan tahun 2018, kita ada sebanyak 20 kawasan pajakan, 2019 berkurangan sikit kepada 18 kawasan pajakan, 2020 naik kepada 23 kawasan pajakan, dan 2021 turun sikit kepada 21 kawasan pajakan dengan bilangan pemajak yang lebih kurang menyamai dengan jumlah kawasan pajakan. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat.
Saya cadang untuk menangguhkan sementara persidangan ini. Cuma sebelum kita naik balik selepas rehat nanti, saya ingin memberikan penekanan dalam soal menjaga masa sebab semalam kelmarin, dalam persidangan kita pun saya nampak kita terpaksa tunggu lama untuk memulakan persidangan seterusnya.
Jadi kita juga selalu menyebut Dewan kita, persidangan kita sebagai Dewan yang mulia. Oleh kerana itu kita pakat jagalah kemuliaan Dewan kita ni, supaya masa yang telah kita tentukan untuk kembali ke Dewan ini benar-benar diambil perhatian. Ini juga tertakluk kepada pegawai-pegawai, ketua-ketua jabatan.
Bermakna kalau kita tak jaga, orang bawah kita pun tak jaga jugaklah.
Jadi ahli Yang Berhormat, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, saya tangguhkan sementara Dewan kita ini dan kita sambung semula pada pukul 11 pagi.
DEWAN DITANGGUHKAN PADA PUKUL 10.35 PAGI
PUKUL 11.OO PAGI
(Selepas Soalan-Soalan Lisan)Questions
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, mesyuarat disambung semula.
Usul Yang Telah Diberi NotisMotion
Perkara berikut di dalam Tertib Pekerjaan Dewan ialah Usul Yang Telah Diberi Notis. Dipersilakan Yang Berhormat Haji Satiful Bahari bin Mamat (Wakil Paka) untuk mengemukakan Usul.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan
“Bahawa Dewan Undangan Negeri yang bersidang pada hari ini membuat KETETAPAN bersetuju merakam dan merafak sembah ucapan penghargaan dan menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan kerana menyampaikan Titah DiRaja mengenai Dasar-dasar Kerajaan bersempena dengan Pembukaan Penggal Persidangan Kelima Dewan Undangan Negeri
Terengganu dan bersetuju merafak sembah ikrar taat setia Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dan bersedia memberi kerjasama yang erat kepada Pentadbiran Negeri supaya dasar-dasar Kerajaan dapat dilaksanakan dengan sempurna demi kepentingan negeri dan rakyat seluruhnya”.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon menyokong Usul itu.
Usul ini telah mendapat sokongan, sekarang saya buka untuk perbahasan. Sebelum pada itu saya suka mengingatkan standing orders Perkara 47(a) supaya mana-mana Ahli Berhormat yang ingin mencelah untuk mendapat persetujuan laluan daripada Ahli Berhormat yang sedang bercakap dan sehingga dipanggil oleh Yang di-Pertua Dewan untuk memulakan pencelahan. Sekarang saya jemput Wakil Batu Buruk untuk memulakan perbahasan bagi menyokong Usul ini. Dipersilakan.
Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Berhormat Menteri Besar, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan, tuan-tuan, puan-puan hadirin dan hadirat yang dikasihi sekalian. Alhamdulillah bersyukur kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana dengan dan limpah kurnia-Nya sekali lagi kita dapat bersama-sama dalam persidangan ini demi memberikan fokus kepentingan rakyat Negeri Terengganu Darul Iman. Batu Buruk merakamkan ucapan penghargaan dan menjunjung kasih Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan yang telah bertitah menyentuh Dasar-dasar Kerajaan sempena istiadat Pembukaan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Yang Keempat Belas. Jika Sekiranya kita melihat Titah Tuanku yang disampaikan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar semalam adalah ringkas dan padat serta menyentuh aspek-aspek semasa yang perlu diberi perhatian oleh pihak Kerajaan bagi kepentingan rakyat khususnya dalam mendepani cabaran-cabaran semasa.
Dato’ Yang di-Pertua, dalam ruang ini saya ingin fokus satu perkara yang dinyatakan oleh Tuanku dalam titahnya iaitu dengan izin impact assessment, kajian impak. Apa yang disarankan oleh Tuanku di dalam titahnya itu adalah selari dengan apa yang digariskan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala di dalam Al-Quranul Karim yang menceritakan kisah Nabi Yusuf a.s. ketika mendepani cabaran kemarau yang melanda Negara Mesir pada ketika itu. Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala
Maksudnya: Yusuf menjawab: “Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan”. “Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih)”. “Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya)”.
Surah Yusuf Ayat 47-49.
Kita baru sahaja menarik nafas beralih daripada bencana COVID-19 yang mana Insya-Allah dalam beberapa hari lagi kita akan beralih kepada endemik pada 1 April yang akan datang yang kita semua maklum bagaimana kesan dan impaknya kepada politik, ekonomi dan sosial bukan sahaja kepada negara kita bahkan di seluruh pelusuk dunia. Namun sekarang ini, beralih pula kepada bencana peperangan yang sedang berlangsung di Ukraine yang disebut secara spesifik oleh Tuanku di dalam Titahnya. Walaupun peperangan itu jauh daripada negara kita tetapi pakar-pakar yang mengkaji tentang geopolitik dunia menyatakan bahawa ia akan memberi kesan yang sangat besar kepada pertumbuhan ekonomi kerana Negara Ukraine dan juga Selatan Rusia yang hari ini dikenakan tindakan sekatan ekonomi menyumbang kepada eksport makanan yang sangat besar kepada seluruh dunia sama ada makanan manusia ataupun makanan binatang. Sebagai contoh Negara Mesir bergantung kepada 80%
gandum daripada Ukraine, Negara Lubnan begitu juga. Alhamdulillah kita di Malaysia ni tak makan mana makanan daripada gandum, asas kita makan nasi jadi kesan dia mungkin tidak sebesar mana. Namun begitu, kita perlu melihat kepada langkah-langkah yang perlu di ambil untuk mengatasi cabaran dan ujian ini pada masa-masa yang akan datang. Dalam ayat yang saya bacakan tadi beberapa pengajaran yang perlu kita ambil sebagai pedoman untuk mengurus dan membangunkan ekonomi negeri kita.
Antaranya ialah mengutamakan kepentingan umum berbanding kepentingan peribadi, menganalisis peluang dan ancaman secara jangka panjang serta menilai risiko secara menyeluruh, memastikan penglibatan semua pihak dalam menyediakan keperluan bersama, mengoptimumkan pengeluaran hasil pertanian, membangunkan kaedah dan teknologi penyimpanan makanan, mengoptimumkan penggunaan sumber serta mengimbangi antara keperluan semasa dan kepentingan masa hadapan, meyakini bahawa pada setiap musibah ada kesudahan yang lebih baik. Inilah dia panduan Al-Quran dari sudut politik pemerintahan khususnya dalam mengurus ekonomi apabila negara berada dalam keadaan bahaya dan terancam yang menjadi panduan kepada seluruh manusia dan kita kepada umat Islam secara khususnya.
Menyokong penuh Titah tersangat wajar disegerakan suatu kajian impak ekonomi supaya kerajaan dapat mengenal pasti risiko peluang dan langkah pencegahan yang boleh diambil, menzahirkan keprihatinan tinggi Tuanku terhadap kesejahteraan hidup rakyat jelata dan keupayaan Kerajaan Negeri dalam melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan. Senario semasa dunia termasuklah Malaysia tidak akan lari daripada tiga asas, yang pertamanya ialah pertumbuhan ekonomi dunia yang perlahan pasca pandemik, yang kedua gangguan dalam rantaian ekonomi global akibat perang Rusia Ukraine sebagaimana yang saya nyatakan tadi dan yang ketiga tekanan kenaikan kos sara hidup yang membebankan rakyat. Inilah senario yang sedang kita hadap dan bakal kita hadap pada masa yang akan datang yang perlu kita persiapkan diri.
Sesebuah kerajaan impak ekonomi bermula dengan mengenal pasti pemegang taruh paling utama bagi Kerajaan Negeri iaitu rakyat. Apa-apapun tindakan polisi yang diputuskan oleh pihak kerajaan mestilah melihat kepada kepentingan rakyat itu sendiri. Seterusnya menilai risiko kesan dan peluang yang terhasil daripada unjuran sesuatu senario dan mengenal pasti langkah
pencegahan yang boleh diambil demi memastikan kesejahteraan hidup pemegang taruh iaitu rakyat terus terjamin.
Dalam konteks ekonomi Terengganu, tiga sektor yang paling terkesan adalah petroleum, pelancongan dan pertanian. Di sinilah sumber pendapatan utama Kerajaan Negeri dan GLC dan di sinilah juga peluang pekerjaan dan sumber pendapatan sebahagian besar rakyat dan golongan belia, implikasi turun naik harga minyak dan harga komoditi global serta kemerosotan atau kebanjiran pelancong dalam dan luar negara pastinya akan dirasai setiap sektor yang dinyatakan sebelum ini. Kita, Negeri Terengganu dianugerahkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala dengan hasil minyak dan menjadi sebuah negeri yang mengeluarkan minyak dan mendapat hasil royalti pengeluaran minyak tersebut. Kita mempunyai ladang kelapa sawit yang luas mungkin dengan senario yang saya nyatakan tadi kita rasa senang hati apabila naiknya harga minyak maka akan bertambahlah royalti kepada Kerajaan Negeri begitu juga kenaikan harga minyak kelapa sawit kerana terjejasnya minyak yang dihasilkan daripada jagung dan bunga matahari maka akan naik harga minyak kelapa sawit. Ini akan menjadikan kita bersenang hati dianggarkan harga minyak akan naik ke taraf 300 US Dollar (USD) hingga 500 US Dollar (USD) se tong. Jadi susah tentulah labe yang sangat besar kepada negara kita dan kepada negeri kita yang akan mendapat royalti minyak tersebut.
Namun kenaikan dua bahan ini akan menjadi pencetus kepada kenaikkan harga bahan-bahan lain sekali gus bakal mewujudkan inflasi dalam rantaian ekonomi khususnya ekonomi isi rumah kesan akhirnya akan ditanggung oleh rakyat jua. Ini yang kita bimbang. Memang dari segi kerajaan kita rasa senang hati tetapi dari segi rakyat itu yang membimbangkan kita akan berlaku kenaikan harga-harga barang, akan berlaku kesan inflasi kepada rakyat dan inilah perkara-perkara yang perlu kita lihat dan bagaimana untuk mengatasinya.
Antara cadangan awal saya ialah diteruskan Program Bantuan Tunai kepada rakyat khususnya B40 dan M40 mestilah diuruskan program-program ini sebagaimana yang telah dimulakan oleh pihak kerajaan melalui pelbagai bantuan-bantuan yang diberi dan disalurkan kepada rakyat. Yang kedua pemberian subsidi dan bantuan pertanian yang bersasar. Alhamdulillah di bawah Kerajaan Negeri pimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar yang meletakkan agenda pertanian sebagai agenda yang utama di mana kita dilihat telah melakukan satu tindakan awal sebelum daripada musibah yang
saya sebutkan tadi dan hari ini kita sedang melihat beberapa hasil dan langkah polisi yang telah dimulakan oleh kerajaan khususnya tahun pertanian yang telah menampakkan hasilnya sebagaimana yang disebut dalam jawapan yang telah disampaikan oleh Yang Berhormat daripada EXCO Pertanian tadi.
Yang seterusnya ialah persediaan latihan kemahiran up skilling dan reskilling kepada golongan belia dan seterusnya peningkatan kualiti pendidikan norma baharu dan kewujudan Tabung Warisan GLC bagi menyerap setiap keuntungan luar jangka bagi menampung kos luar jangka yang mendatang. Alhamdulillah daripada keuntungan yang kita dapat daripada royalti, daripada harga komoditi minyak kelapa sawit sudah tentu akan memberi untung kepada GLC yang terlibat, inilah masa untuk kita memanfaatkannya.
Maka antara cadangan saya ialah mewujudkan satu tabung warisan bagi kita menggunakannya untuk rakyat itu sendiri.
Seterusnya, saya juga mencadangkan kepada Kerajaan Negeri mengambil manfaat daripada peningkatan royalti petroleum dan juga keuntungan daripada minyak kelapa sawit untuk dikembalikan kepada rakyat dengan memperkasakan keselamatan makanan di dalam negeri, food security.
Seterusnya, antara perkara yang perlu diberikan perhatian oleh Kerajaan Negeri juga dalam mendepani cabaran dan ujian ini ialah penambahbaikan penternakan unggas seperti ayam dan itik dalam usaha meningkatkan bekalan makanan mentah di dalam negeri. Hal ini kerana antara faktor utama tingginya inflasi di Terengganu sejak Julai 2020 adalah disebabkan harga yang tinggi bagi kumpulan makanan. Apabila bekalan menjadi terhad permintaan pula terus meningkat, harga pula akan terus meningkat. Jadi saya sebut, antara makanan yang dibekalkan oleh negara yang sedang berkonflik pada hari ini termasuklah makanan kepada haiwan khususnya biji-biji daripada jagung. Maka di sini satu peluang kepada kita di Terengganu secara khususnya untuk memikirkan, apakah formula yang boleh kita hasilkan bagi kita mengeluarkan produk makanan kepada haiwan tidak bergantung kepada biji-biji yang kita beli daripada luar negara untuk kita menyediakannya kepada rakyat di samping subsidi-subsidi untuk kita membantu rakyat.
Saya juga menyeru agar pihak Kerajaan dapat menyediakan Pelan Tindakan yang komprehensif dalam usaha kita menyerap impak negatif ekonomi yang berlaku di peringkat global dan bakal memberi kesan kepada Malaysia serta
Negeri Terengganu. Pihak Kerajaan perlulah memastikan kenaikan inflasi tidak akan membebankan golongan B40 yang semakin tertekan dengan kos sara hidup yang tinggi terutamanya pasca pandemik COVID-19.
Akhirnya, saya ingin merakamkan di sini ucapan tahniah kepada pihak Kerajaan Negeri khususnya Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar yang baru-baru ini mengeluarkan satu kenyataan berkait dengan situasi politik dalam negara kita dengan menyatakan bahawa Negeri Terengganu tidak akan membubarkan DUN untuk mengadakan pilihan raya awal. Ini satu langkah yang sangat tepat kerana keutamaan sekarang ini ialah untuk memberikan perhatian kebajikan kepada rakyat. Kita tidak mahu rakyat dipermain-mainkan, kita tidak mahu rakyat dipertaruhkan, dipergunakan untuk kepentingan politik golongan-golongan yang tertentu, kita tidak mahu menjadi seperti Negeri Melaka dan Negeri Johor sebagai contoh yang dibubarkan DUN diadakan pilihan raya kecil, dihabiskan wang rakyat yang begitu banyak semata-mata untuk kepentingan golongan politik yang tertentu, akhirnya rakyat yang terbeban. Tidak dinafikan di sana ada pihak yang menang dan di sana ada pihak yang kalah tetapi apa yang penting dalam kontak Negeri Terengganu, alhamdulillah satu komitmen yang telah ditunjukkan oleh Kerajaan Negeri pimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar untuk kita meneruskan pentadbiran negeri sehinggalah habis tempohnya tidak lain dan tidak bukan, ini adalah untuk kepentingan rakyat Negeri Terengganu itu sendiri. Syabas saya ucapkan, sekian dulu.
Batu Buruk, mohon menyokong.
Terima kasih Wakil daripada Batu Buruk. Sila, siapa ingin berucap. Okey, Wakil Sura, sila.
15 minit ya Yang Berhormat
Ya
15 minit
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan, rakan-rakan media serta hadirin-hadirat yang saya hormati sekalian. Alhamdulillah pertamanya marilah sama-sama kita memanjatkan kesyukuran kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana pada pagi yang mulia ini kita dapat sama-sama hadir di Dewan yang mulia ini bagi mengikuti Persidangan Dewan, Istiadat Pembukaan Kali Kelima, Dewan Undangan Negeri Keempat Belas. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya ingin memulakan ucapan perbahasan saya dengan memetik firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dari Surah Al- Baqarah, ayat 155:
“Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sedikit perasaan ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan dan berilah khabar gembira kepada mereka yang bersabar”.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua kerana memberi peluang kepada saya untuk membahaskan Ucapan Menjunjung Kasih atas Titah Ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku yang telah disampaikan oleh Yang Amat Berhomat Menteri Besar pagi kelmarin. Di mana, di antara tiga perkara yang diberikan penekanan dalam Titah Tuanku ialah berkaitan dengan kajian impak yang telah disebut oleh pembahas yang pertama tadi yang mana pihak Tuanku mencadangkan kepada kita sebagai sebuah kerajaan untuk melihat kesan daripada ekonomi dunia yang sedang menurun yang dinyatakan dalam Ucapan Titah Tuanku, di mana pada tahun 2021 dengan kadar 5.5% dan tahun 2022, 4.1% dan pada tahun yang dianggarkan pada tahun 2023 menurun lagi kepada 3.2%. Jadi, dengan penurunan ini sudah tentu akan memberi kesan kepada kehidupan rakyat bukan sahaja di negara kita malahan rakyat di Negeri Terengganu kita khususnya kepada golongan yang disebut sebagai golongan B40 dan juga M40. Maka sebab itu, saranan daripada Titah
Tuanku ini perlu bagi pihak Kerajaan mengambil langkah-langkah bagi memastikan kehidupan rakyat akan terus dapat dibela, rakyat dapat hidup dalam keadaan yang sejahtera.
Yang Berhomat Dato’ Yang di-Pertua, izinkan saya untuk merakamkan ucapan takziah khususnya kepada mangsa-mangsa banjir yang telah berlaku di negara dan negeri kita. Pada akhir tahun 2021 dan pada awal tahun 2022, di mana setelah negara kita dilanda dengan wabak COVID-19, dah memasuki tahun ketiga ini, kita masih lagi diuji oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala dengan banjir yang besar yang menyebabkan kehilangan dan kerosakan harta benda, tanaman dan ternakan dan lain-lain kemudahan-kemudahan sedia ada yang menyebabkan kerugian jutaan ringgit yang terpaksa ditanggung oleh pihak mangsa dan oleh pihak Kerajaan sendiri. Namun, kita diingatkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala sebagai orang mukmin supaya mengingatkan apa sahaja perkara yang berlaku dalam kehidupan kita ini adalah merupakan ketentuan daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala sama ada perkara yang kita suka ataupun sebaliknya maka itu adalah merupakan peringatan Allah sebagaimana disebutkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam firman-Nya;
“Sesuatu yang kamu tidak suka itu boleh jadi baik untuk kamu dan sesuatu yang kamu kasih kamu cinta boleh jadi tidak baik untuk kamu.”
Maka di atas peringatan firman Allah itu, mari sama-sama kita menghayati akan nasihat firman Allah supaya segala perkara yang berlaku dalam kehidupan kita ini, kita dapat hadapi dapat kita atasi dengan sebaiknya. Saya juga mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang turut membantu kepada mangsa-mangsa banjir ini sama ada dari orang perseorangan, dari kumpulan NGO-NGO, Agensi-agensi Kerajaan dan pihak Kerajaan sendiri yang sentiasa prihatin terhadap mangsa banjir dan menyampaikan berbagai bentuk bantuan kepada mangsa banjir. Inilah menunjukkan pada kita bahawa rakyat negeri kita dan rakyat negara kita sentiasa prihatin, sentiasa mempunyai perasaan simpati terhadap mereka-mereka yang dilanda musibah dan itulah di antara ajaran yang telah diajar kepada kita oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan oleh junjungan kita Nabi Muhammad.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya juga dalam kesempatan Ucapan Perbahasan ini untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada saf kepimpinan Kerajaan Negeri yang di bawah pimpinan Dato’ Seri Menteri Besar dan juga kepada seluruh kakitangan Kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam menjayakan hasrat dan janji-janji Manifesto PRU ke-14 dalam tempoh hampir empat tahun Pentadbiran Kerajaan yang ada ini di mana Kerajaan telah berjaya melaksanakan 18 daripada 20 janji-janji Manifesto yang telah ditawarkan kepada rakyat. Saya mengambil kesempatan mengucapkan syabas dan tahniah kerana telah berjaya melaksanakan 90% daripada keseluruhan janji Manifesto tersebut.
Alhamdulillah, melafazkan kesyukuran kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana banyak program-program dan juga bentuk-bentuk bantuan yang telah disampaikan kepada rakyat khususnya kepada B40 dan M40 dalam pelbagai bentuk di antaranya seperti subsidi air kepada rakyat yang susah, Kad Sejahtera, wad kelas percuma, wad kelas ketiga percuma, Pencen Rakyat, proses menghidupkan pendidikan Islam SRIDI, SMIDI seterusnya bantuan persekolahan, biasiswa pelajaran kepada anak kita yang cemerlang dan juga kepada usahawan-usahawan kita yang telah dapat menikmati insentif dan juga bentuk-bentuk bantuan bagi memajukan usahawan mereka di mana dalam Titah Tuanku menyentuh peluang pekerjaan iaitu untuk mengurangkan kadar pengangguran yang berlaku di kalangan rakyat kita. Alhamdulillah, sejak tahun 2018 sehingga Disember 2021 sebanyak 14,340 peluang pekerjaan telah diisi yang mencapai angka 71% dan dijangka pada tahun 2022 ini, sebanyak 4000 lagi peluang pekerjaan akan diisi yang akan mencapai 91% dan terima kasih kepada pihak THRDC yang sentiasa berusaha untuk menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada rakyat.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, izinkan saya untuk mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana berjaya melancarkan Kempen BPIS (Bulan Penghayatan Ibadah Solat) pada bulan Rejab yang lalu di mana dalam usaha kita menjadikan rakyat negeri kita terdiri daripada golongan yang berilmu, beriman dan beramal soleh dan saya mengharapkan dengan kempen ini bukan hanya sekadar bulan, sebulan sahaja malahan akan dihayati sepanjang tahun dan sepanjang kehidupan kita kerana solat, sebagaimana yang kita tahu bahawa ia merupakan asas ibadah kepada orang-orang Islam dan dijamin oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala akan dilindungi mereka-mereka yang solat ini.
“Sesungguhnya solat itu akan mencegah kepada perkara-perkara fahsya’ dan kepada kemungkaran”
Insya-Allah, bila rakyat dapat menghayati dan beramal dengan penghayatan ibadat solat ini, saya yakin dan percaya, insya-Allah kita akan dapat melahirkan rakyat yang benar-benar beriman, bertaqwa dan rakyat yang akan menjadi golongan-golongan yang terbaik yang sudah tentu akan membawa kemakmuran dan juga akan mensejahterakan kehidupan rakyat dan buat akhirnya saya ingin menyampaikan sedikit suara daripada DUN saya, iaitu DUN Sura di mana yang pertama ialah menyentuh berhubungkait dengan sebuah sekolah yang ada di Dungun iaitu Sekolah Menengah IMTIAZ Dungun, yang saya dah sebut dalam persidangan yang lalu, meminta kepada pihak Kerajaan Negeri melalui Yayasan Terengganu supaya dapat menyediakan infra yang lebih baik, prasarana yang lebih baik kepada anak-anak kita yang belajar di IMTIAZ ini, kerana kita faham bahawa IMTIAZ ini ialah sekolah yang melahirkan hafiz dan hafizah.
Alhamdulillah, dengan kejayaan sekolah IMTIAZ ini, menggambarkan bahawa kita sebagai sebuah Kerajaan Negeri yang sentiasa memberikan kecaknaan dan prihatin terhadap pendidikan anak-anak kita. Cuma saya mengharapkan supaya pihak Yayasan Terengganu supaya dapat menyediakan prasarana yang lebih selesa kepada anak-anak kita memandangkan bangunan yang sedia ada sudah agak uzur iaitu bangunan peninggalan daripada syarikat perlombongan bijih, Bukit Besi.
Yang keduanya ialah berkaitan hakisan pantai yang berlaku di mana hakisan tersebut berlaku berhampiran dengan bangunan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Kwang Hwa. Sudah terlalu hampir. Saya ingat lebih kurang 40 meter sahaja daripada bangunan. Oleh sebab itu, saya mengharapkan pihak Kerajaan supaya dapat mengambil tindakan segera bagi mengatasi hakisan pantai yang berlaku.
Dan yang ketiga ialah, saya di peringkat DUN Sura, yang merupakan di antara DUN yang padat, kawasan bandar, yang sudah tentu rakyat sentiasa mengadu berhubung kait dengan perumahan untuk rakyat. Jadi saya mengharapkan pihak Kerajaan supaya memberikan sedikit keutamaan kepada DUN bandar ini, DUN Sura, dalam memberikan kemudahan kepada rakyat untuk menikmati
rumah, kerana sebahagian besar daripada mereka menyewa sejak berpuluhan tahun hingga sampai ada yang bercucu tapi masih lagi tidak mendapat tempat untuk kediaman mereka. Sebab ini adalah merupakan perkara asas kepada kehidupan rakyat. Maka oleh itu, saya sangat-sangat mengharapkan pihak Kerajaan Negeri khususnya supaya dapat memberikan keutamaan, kita di bandar ini, kalau boleh rumah pangsa pun tak apa dah. Mungkin dapat menempatkan jumlah yang lebih besar kepada penduduk yang memerlukan.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya kira itulah antara beberapa perkara yang dapat saya sebutkan dalam ucapan perbahasan pada pagi ini dan saya menyokong Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku al-Sultan. Terima kasih.
Terima kasih kepada Wakil Sura.
Sekarang saya menjemput mana-mana wakil yang ingin mengambil bahagian. Sila Wakil daripada Buluh Gading.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua jabatan, para pegawai, seterusnya hadirin dan hadirat yang dikasihi sekalian. Terima kasih kepada Dato’ Yang di-Pertua kerana memberi peluang kepada saya untuk mengambil bahagian membahaskan Titah Ucapan kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku al-Sultan sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Keempat Belas yang telah disampaikan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar pada pagi kelmarin.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, izinkan saya memulakan ucapan perbahasan ini dengan membaca firman Allah Ta’ala dalam Surah Al-Hajj ayat 41 di mana Allah Ta’ala berfirman:
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, dalam ayat 41 Surah Al-Hajj yang saya bacakan tadi dengan jelas, menggariskan kepada kita beberapa perkara yang menjadi tugas dan tanggungjawab yang mesti dilaksanakan oleh sebuah kerajaan yang diberi kuasa pemerintahan di atas muka bumi ini. Antaranya ialah kewajipan amal makruf dan nahi munkar. Syeikh Muhammad bin Abdullah al-Khatib ada menyebut dalam satu risalah kecilnya berkaitan dengan . Beliau menegaskan . Makruf yang paling besar ialah kembali berusaha ke arah melaksanakan syariat Allah dan hukum atau peraturan yang bercanggah dengan syariat Allah adalah munkar yang paling besar.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, alhamdulillah, Parti Islam Se-Malaysia (PAS), yang dasar perjuangannya ialah Islam, rujukan tertingginya ialah Al-Quran, As-Sunnah, Ijma’ dan Qiyas, manakala tujuannya ialah memperjuangkan wujudnya dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredaan Allah telah memainkan peranan dan melaksanakan tanggungjawabnya sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah ketika diberi mandat memerintah Negeri Terengganu pada tahun 1999 sehingga 2004 dan 2018 sehingga kini mengikut bidang kuasa negeri yang diperuntukkan oleh perlembagaan dan peranan ini akan diteruskan lagi selepas PRU-15 nanti dengan mandat daripada rakyat Terengganu, insya-Allah.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, antara usaha yang dilakukan bagi memartabatkan Islam dan memperkasakan Mahkamah Syariah ialah meminda Undang-undang Tubuh Negeri dengan memasukkan Fasal 3(A), Undang-Undang Ibu bagi Negeri Terengganu yang memperuntukkan bahawa Al-Quran, As-Sunnah, Ijma’ dan Qiyas adalah dijadikan sumber dan rujukan tertinggi undang-undang bagi diri Kerajaan Negeri Terengganu. Pindaan ini telah diluluskan di dalam Dewan yang mulia ini dan kemudiannya diwartakan pada 1 Ramadan 1424 Hijriah bersamaan 27 haribulan 10, 2003.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, dalam memperkasakan undang-undang dan Mahkamah Syariah, beberapa enakmen baru juga telah diluluskan antaranya ialah Enakmen Mahkamah Syariah Negeri Terengganu 2001,
Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Negeri Terengganu 2001, Enakmen Mahkamah Jenayah Syariah Terengganu 2001 dan Enakmen Undang-Undang Keterangan Syariah Terengganu 2001. Dan yang terkini, Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua dengan perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al-Sultan, satu tingkat ataupun lapisan baru mahkamah yang dikenali dengan Mahkamah Rayuan Utama juga telah diwujudkan. Dengan perkenan ini, tingkat Mahkamah Syariah Negeri Terengganu adalah terdiri daripada Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah, Mahkamah Rayuan Syariah dan Mahkamah Rayuan Utama Syariah.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya yakin dan percaya Kerajaan Negeri akan terus berusaha bersungguh-sungguh dan memberi komitmen yang tinggi untuk melakukan apa sahaja yang perlu seperti menyediakan peruntukan yang mencukupi bagi mengadakan bengkel-bengkel, seminar-seminar, lantikan pakar perundangan dan lain-lain termasuk pindaan enakmen yang berkaitan bagi mencapai maksud dan selari dengan kedudukan empat tingkatan mahkamah sebagaimana yang disebutkan tadi. Kita mengharapkan dan berdoa kepada Allah agar empat tingkatan mahkamah yang disebutkan tadi dapat dilaksana dan direalisasikan selewat-lewatnya pada tahun ini, insya-Allah.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, kesungguhan dan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkasakan Mahkamah Syariah dibuktikan lagi dengan usaha kerajaan untuk upgrade atau menaik taraf Mahkamah Tinggi Syariah Daerah Kemaman dan juga Mahkamah Rendah Syariah Daerah Setiu yang sebagaimana dinyatakan dalam Ucapan Belanjawan 2022 pada 15 November 2021 yang lalu. Sebagaimana disebut pada paragraph 56 muka surat 24 Yang Amat Berhormat Menteri Besar ada menyatakan bahawa sebagai menyokong Institusi Kehakiman Syariah, Pembangunan Mahkamah Tinggi Syariah Daerah Kemaman akan diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM3 juta manakala bagi Mahkamah Rendah Syariah Daerah Setiu pula akan dimulakan aktiviti perancangan dan perolehan bagi pembinaan premis baharunya.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mengambil kesempatan di sini untuk mohon penjelasan daripada pihak kerajaan apakah status pembangunan Mahkamah Tinggi Syariah Daerah Kemaman dan jugok status proses pembinaan premis baharu Mahkamah Rendah Syariah Daerah Setiu ini untuk makluman Dewan yang mulia dan juga rakyat keseluruhannya ini, insya-Allah.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kerajaan PAS Negeri Terengganu yang telah berjaya melaksanakan 18 daripada 20 Janji Manifesto yang ditawarkan kepada rakyat waktu PRU ke-14 yang lalu. Cumanya saya nak mintak penjelasan dari pihak Kerajaan, apakah status terkini pelaksanaan dua lagi janji manifesto tersebut iaitu yang pertama; Bandar Baharu Lestari di Bukit Seraya dan pembinaan Institusi Pengajian Tinggi Islam Negeri menggantikan KUSZA sebagaimana disebut dalam Perenggan yang ke 29, muka surat 12 dan 13 dalam Ucapan Bajet yang lepas. Sebagaimana yang ditegaskan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar dalam ucapan tersebut menyatakan bahawa setelah membuat penilaian berdasarkan Lapan Prinsip Pembangunan Bandar Lestari yang berkonsepkan islamik, lestari dan pintar telah dimaklumkan bahawa Bukit Seraya telah dipilih sebagai lokasi rintis. Begitu juga dengan Institut Pengajian Tinggi Islam Negeri iaitu KQT dengan menaik taraf KQT dengan membina sebuah kampus induk di Durian Mentangau di atas tanah seluas 300 ekar dan melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM350 juta. Jadi apakah status dua lagi janji manifesto ini sehingga kini dan sebagaimana yang kita sedia maklum, kita sekarang sudah berada di penghujung suku pertama 2022. Jadi saya berharap usaha-usaha awal telah pun dimulakan walaupun mungkin tak sempat siapkan sepenuhnya menjelang PRU-15 yang akan datang. Sekurang-kurangnya kerja-kerja awal telah atau akan dilaksanakan sebagai bukti komitmen Kerajaan Negeri menunaikan janji tersebut kepada rakyat, insya-Allah.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, di antara tugas dan tanggungjawab sebuah Kerajaan juga ialah mewujudkan kesejahteraan dalam kehidupan rakyat sama ada konteks kehidupan individu, keluarga atau masyarakat. Ini sesuai dan selari dengan visi Kerajaan Negeri itu sendiri iaitu Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera. Walau bagaimanapun Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, sehingga kini masih wujud beberapa isu yang menganggu kesejahteraan hidup rakyat, yang perlu diberikan perhatian serius oleh Kerajaan Negeri. Isu yang berlarutan begitu lama, yang dilihat seolah-olah tidak ada jalan penyelesaian yang tuntas dan berkesan. Antara isunya ialah, yang pertama isu binatang ternakan yang berkeliaran sehingga ia bukan sahaja menganggu pengguna jalan raya bahkan mengancam nyawa mereka. Sudah banyak kes kematian yang berlaku disebabkan kemalangan, melibatkan binatang yang berkeliaran ini. Khususnya di kalangan penunggang motosikal pada waktu malam. Yang Berhormat Dato Yang di-Pertua, saya difahamkan pihak Kerajaan melalui Majlis
Bandaraya Kuala Terengganu telah bersetuju untuk menswastakan tindakan penangkapan binatang berkeliaran ini sebagai jalan penyelesaian kepada masalah yang berbangkit. Apakah benar sedemikian? Jika benar saya nak tahu sejauh manakah perjalanan itu telah diambil dan bilakah dijangka ia akan mula beroperasi.
Yang kedua, masalah babi yang berkeliaran dalam kampung yang bukan sahaja menganggu ketenteraman hidup masyarakat bahkan juga merosakkan tanaman-tanaman yang diusahakan oleh penduduk. Yang Berhormat Dato Yang di-Pertua, saya melihat bahawa masalah ini berbangkit ekoran daripada ketidakupayaan jabatan atau pihak berwajib yang berkaitan menangani aduan-aduan dari JPKK atau rakyat tentang ancaman babi yang semakin banyak sehinggakan pihak JPKK mengambil tindakan sendiri dengan bantuan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN dengan menyediakan beberapa perangkap. Namun demikian, Dato’ Yang di-Pertua timbul pula isu yang baru iaitu bagaimana hendak melupuskan binatang tersebut apabila berjaya ditangkap melalui perangkap-perangkap yang dipasang. Saya berharap Kerajaan memandang serius permasalahan berbangkit ini dan ada penyelesaian terbaik demi kesejahteraan hidup rakyat.
Dan yang akhir, yang ketiga Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, sikit lagi. Isu yang berkaitan dengan tali air yang tidak diselenggarakan sehingga menyebabkan banjir akibat limpahan air ketika hujan lebat. Iaitu tali air yang dibina di kawasan-kawasan kampung yang dahulunya bertujuan mengalirkan air ke kawasan-kawasan pertanian. Dan sebagaimana yang kita sedia maklum, banyak kawasan-kawasan pertanian di kampung pada hari ini seperti tanaman padi dan lain-lain sudah tidak lagi diusahakan kerana pelbagai faktor di samping keperluan pembinaan rumah dan sebagainya. Yang Berhormat Dato Yang di-Pertua, apabila masalah penyelengaraan ini dirujuk kepada pihak JPS, JPS kata status tali air ini adalah di bawah tanggungjawab pertanian untuk diselenggarakan tapi masalahnya adalah apabila dirujuk kepada pertanian, pertanian kata tidak boleh keluarkan peruntukan bagi tujuan selenggara kerana kawasan aliran tali air tersebut tidak lagi diusahakan dengan tanaman atau pertanian. Hasilnya tergantung begitu sahaja sehingga sebahagiannya terbiar begitu lama tanpa diselenggarakan sehingga menimbulkan masalah banjir kepada penduduk sekitar khususnya di musim tengkujuh. Oleh kerana itu, Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya sangat mengharapkan agar isu ini dapat diselaraskan kembali untuk mencari penyelesaian terbaik bagi menjamin
keselesaan dan kesejahteraan hidup rakyat. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua atas peluang dan masa yang diberi, Buluh Gading mohon menyokong. Sekian.
Terima kasih Wakil Buluh Gading. Saya nak persilakan Wakil sebelah sini untuk bercakap. Kalau tak dok saya nok mintok Kerajaan tutup awal ni. Ada? Saya bagi peluang ni, bagi sebelah kiri saya. Sebab lepas ni takut jadi jujuk. Tak boh cakap? Kalau gitu, saya pindah sebelah sini. Jangan kata saya tak bagi peluang. Sila, ada lagi Yang Berhormat bercakap? Sila wakil daripada Jertih.
Ingat nok cakap petang karang, tapi mari rhepok ni cakap jugok la.
Kena rhepok jugok sekali sekali [sambil ketawa]
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, rakan-rakan Yang Berhormat dan seterusnya ketua-ketua jabatan dan para pemerhati. Alhamdulillah syukur kita kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana kita telah dapat bersidang rupanya telah mencecah kepada Penggal Kelima dah. Rasa baru lagi pilihan raya. Okey dan saya ingin mengambil kesempatan untuk bersama-sama berbahas dalam ucapan perbahasan Titah Duli Yang Maha Mulia al-Sultan semalam, yang mana walaupun ucapan Duli Yang Mulia al-Sultan pendek, agak pendek tapi saya melihat bahawa banyak point-point penting yang diutarakan kepada kita sidang Dewan ini menjadi cabaran kepada pihak Kerajaan untuk mengambil usaha yang sewajarnya kerana diberitahu bahawa walaupun ekonomi kita berkembang tetapi ekonomi kita berkembang dalam keadaan yang menurun. Okey dan hari ini kita tengok harga makanan makin naik. Hari ini kita tengok kos pengeluaran makanan juga naik dan garis kemiskinan hari ini sebenarnya telah mencecah kepada 2208 dan kepada garis kemiskinan tegar 1169. Maknanya gaji minima yang telah ditetapkan oleh Kerajaan bermula pada Mei
ini bagi syarikat-syarikat besar yang mampu, mereka yang menerima gaji minima ini masih lagi berada dalam garis kemiskinan dan ditambah lagi dengan kesan COVID-19, ditambah lagi dengan bencana-bencana yang berlaku, Kerajaan akan membuat penilaian semula garis kemiskinan negara di mana hari ini kajian sudah dibuat dan kalau ikut Menteri Ekonomi akan dibentangkan pada Penggal Pertama pada tahun hadapan. Jadi ini merupakan cabaran-cabaran yang perlu dihadapi oleh pihak Kerajaan termasuk pihak Kerajaan Negeri. Saya pertamanya saya suka menyentuh perkara yang dibangkit, diumumkan oleh Kerajaan pada hari semalam yang mana akhirnya rakyat dapat insya-Allah menerima manfaat Dana Raya yang diumumkan oleh Kerajaan semalam, iaitu yang dinamakan i-Fitri. Cuma, saya ingin mendapat penjelasan daripada pihak Kerajaan iaitu berkait dengan syarat perkara 6, penjawat awam yang menerima elaun tetap secara bulanan tidak layak untuk menerima Dana Raya ataupun i-Fitri ini sedangkan sebelum itu diberitahu kepada kita pemberian ini mereka yang mendapat manfaat ada dua kategori. Kategori pertama, mereka yang berpendapatan RM2,000.00 ke bawah, kategori yang kedua RM2,001.00 sampai ke RM5,000.00. Jadi ada penjawat awam yang…
RM2,500.00
Apa dia?
RM2,500.00 ke atas.
RM2,500.00 hingga?
Hingga RM5,000.00.
RM5,000.00 okey. Kategori dua, jadi ada penjawat awam yang gaji mereka tidak sampai ke tahap itu. Jadi mereka kalau ikut perkara enam, mereka tidak layak. Jadi di sini menunjukkan satu ketidakadilan dari segi pendapatan bulanan yang sama tetapi mereka yang layak ada berbeza. Yang ini saya nak dapat pencerahan. Yang keduanya juga dimaklumkan bahawa dalam perkara berapa
kelmarin, iaitu bagi kontraktor yang berdaftar tidak layak tetapi yang berniaga, yang daftar dengan SSM layak tetapi hendaklah bagi bukti bahawa pendapatan mereka tidak melebihi daripada RM5,000.00. Okey tapi pandangan saya kontraktor ini dia ramai di Negeri Terengganu terutama kontraktor dipanggil G berapa, dulu dipanggil Kelas F terlalu ramai di Negeri Terengganu dengan saya jangkakan dengan projek yang ada di Negeri Terengganu tidak semua yang dapat. Malah mungkin ada setengah kontraktor tu, dua tiga tahun dah tidak dapat projek. Jadi ini menunjukkan bahawa mereka juga bukan mampu, mereka juga perlu diberi kelonggaran untuk mendapat Bantuan Dana Raya ini.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya juga ingin menyentuh perkara yang diutarakan oleh Al-Sultan kelmarin berkait dengan Titah Ucapan Tahniah di atas pencapaian pelaksanaan Tahun Pertanian Negeri Terengganu 2021. Syabas saya ucapkan kepada EXCO Pertanian Negeri Terengganu kerana telah mensasarkan 13,702 orang golongan sasar yang menerima manfaat sempena Tahun Pertanian Negeri Terengganu. Cuma ada disentuh berkait dengan Projek McCormick iaitu Projek Lada Hitam. Saya pun, sama ada di Lembah Bidung saya rasa tanah terbaru yang dikurniakan tapak baru kan? Dulu di Telaga Papan dan diberitahu kepada kita dalam press statement baru-baru ini bahawa ianya mewujudkan 2,000 peluang pekerjaan hasil daripada investment ataupun pelaburan sebanyak RM300 juta yang mana Kerajaan Negeri bagi tanah sebanyak 600 hektar. Jumlah ini mungkin tidak berapa tepat tapi dapat penjelasan daripada pihak Kerajaanlah nanti. Cuma saya tertanya-tanya dengan Projek McCormick ini, lada hitam ini, cara mana 2,000 peluang pekerjaan ini dapat diwujudkan. Kalau syarikat ini menggunakan kilang, ada pekerja kilang dengan modenisasi kilang sekarang ini, adakah seramai 2,000 orang itu boleh bekerja di kilang tersebut ataupun dengan kaedah perladangan dengan jumlah 600 hektar ni, adakah bilangan pekerja seramai 20,000 orang ini, boleh bekerja di situ. Jadi yang ini saya nak dapat penjelasan daripada Kerajaan kerana saya tengok banyak angka-angka yang diberitahu dalam Dewan ini, kita telah dapat menyelesaikan berapa peratus, jumlah peratus yang tinggi untuk mengwujudkan peluang pekerjaan baru kepada rakyat Terengganu.
Tetapi kita tengok hari ini makin ramai orang yang tidak ada kerja sebenarnya. Ini mengikut realiti tapi cara statistik yang dikeluarkan oleh Kerajaan ini kita agak kelirulah kalau tidak dapat penjelasan yang sewajarnya oleh pihak Kerajaan. Okey dan ada juga disentuh oleh Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan berkait dengan supaya…
Yang Berhormat Jertih, laluan sekali.
Okey sila.
Kerajaan ada keluar data-data pemulihan tentang peluang-peluang pekerjaan…
Tak dengar.
Kerajaan ada berikan data-data percentage peluang-peluang pekerjaan. Jertih kata ada hok realitinya takdok kerja, ada data ke dok takdok kerja.
Cuma apa yang saya bangkitkan ini Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, kita tidak nak supaya angka tadi mengelirukan rakyat kerana hari ini realitinya rakyat makin hari makin tidak ada kerja. Tetapi kita Kerajaan bagitahu…
Dewan yang mulia ini patut ada data, Yang Berhormat Jertih.
Betul.
Saya kata data, takdok data kabo takdok data. Terima kasih.
Okey terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, ini saya bagitahu dari segi realitinya.
Nanti pihak Kerajaan akan buat penggulungan. Sila…
Jadi ini kita perlukan penggulungan Yang Berhormat Manir daripada pihak
Kerajaan. Okey dan ada diutarakan oleh al-Sultan juga berkait dengan dalam muka surat 14 iaitu berkait dengan peranan agensi iaitu ECRDC dan juga TADC untuk membantu dalam sektor pertanian agar kedua-dua agensi ini terutamanya TADC diperkasakan kerana dulu kita tengok TADC awal-awal penubuhan ini memang hebatlah kerana ada suntikan modal yang besar dan ada kerja ataupun tugas yang difokuskan kepada TADC untuk dilaksanakan. Tetapi hari ini saya tidak nampak dengan jelas hala tuju TADC ini ditambah lagi mengikut makluman saya TADC ini kurang dari segi modal. Jadi saya mencadangkan supaya Kerajaan kena benar-benar dapat membantu TADC ini supaya ianya dapat berperanan untuk membantu…
Maklumat boleh mana TADC tak dok modal?
Ya?
Maklumat mari mana TADC tak dok modal tu? Ketawa. Pelik…
Saya pernah berada dalam TADC ni, sebelum Kerajaan BN baru ini kita tahu bahawa TADC ini ialah kalau saya sebut agak sensitiflah. Tapi, saya pohon supaya ianya dapat diperkasakan kerana saya melihat bahawa hari ini dalam sektor pertanian, petani menghadapi masalah input pertanian yang mahal, baja mahal, bahan racun-racun mahal, makanan ternakan mahal, dan hari ini agensi yang melibatkan diri dalam…
Yang Berhormat..
Dalam hal ini adalah…
Saya cuma nak mengingatkan masa Yang Berhormat tak banyak ye.
Okey. Ketawa, iaitu Pertubuhan Peladang kawasan sahaja. Yang ini saya cadangkan supaya TADC juga boleh memainkan peranan sebagai dealer kepada pembekal-pembekal yang mana boleh menjadi pemborong supaya dapat
mengimport. Contohnya makanan ternakan dengan kuantiti besar mungkin harga yang lebih murah. Begitu juga bahan import yang lain agar petani-petani di Negeri Terengganu ini mendapat manfaat untuk mendapat harga yang murah apabila ianya dilaksanakan dibantu melalui agensi ini. Okey dan masa ada seminit lagi. Saya berbalik kepada kawasan Jertihlah. Cuma sebelum itu saya ada dengar tadi, apa yang dibangkitkan oleh YB Buluh Gading, berkaitan dengan masalah babi yang berada di kampung-kampung. Tetapi saya nak bagitahu bahawa hari ini bahawa babi bukan berada di kampung-kampung. Babi telah berada di bandar-bandar. Okey dan saya minta supaya, betul ini di bandar Jertih pun ada babi masuk ini. Jadi kalau kita nak tembak dia ada masalah dengan Perhilitan. Lagipun bila ada dalam bandar ini, masalah dengan keselamatan orang ramai. Saya nak minta supaya apa yang dibangkitkan oleh Wakil Buluh Gading ni, usaha yang bersepadu oleh semua pihak melalui Kerajaan supayanya ianya dapat diatasi. Bukan sahaja dari segi ancaman kepada tanaman, tetapi juga kepada penduduk setempat.
Okey saya akhir sekali, saya minta supaya baru ini ada isu berkait dengan parking di Bandar Jertih. Terima kasih kerana parking di Bandar Jertih telah dapat diatasi. Setakat ini, rakyat boleh terimalah. Maklumlah benda baru banyak complain tetapi ada rungutan juga daripada golongan OKU. OKU minta supaya ada kelonggaran di seluruh Negeri Terengganu ini, ada ruang parking percuma kepada golongan OKU. Okey dan saya di Jertih, saya nak minta supaya pihak Kerajaan mengambil perhatian yang sewajarnya berkait dengan hakisan di Sungai Jertih. Yang mana Masjid Pakistan yang menjadi satu ikon, antara masjid yang terlama di Jertih. Hari ini, hakisan tahun ke tahun tu, satu masa kalau kita tidak, apa nama ni, buat sesuatu, masjid itu akan roboh. Saya difahamkan dalam lima, enam tahun yang lalu, kajian telah dibuat sebenarnya, dan kajian ini telah siap. Cuma kita minta supaya pihak Kerajaan tengok supaya Masjid Pakistan ini tidak akan musnah disebabkan hakisan oleh sungai, hakisan di Sungai Jertih. Dan akhir sekali, ada dua perkara lagi akhirpun. Saya..
Kena jaga masa Yang Berhormat, sebab kita ada program lepas ini.
Saya nak minta supaya ada usaha yang dibuat kerana ada banyak rungutan di Daerah Besut ini berkait dengan tekanan air yang rendah hari ini kerana paip empat inci telah tidak sesuai dibandingkan dengan peningkatan bilangan
penduduk. Cuma kita nak minta supaya ada dua kaedah. Kalau tidak ada usaha untuk kita nak tambah paip lima inci kita pakai booster dulu tak apa, pump booster dulu kerana pada hari ini, terutama nak menghadapi Bulan Ramadan hari raya ini mungkin masalah ini akan..
Okey last sekali Yang Berhormat
Okey, akhir sekali, ini akhir sungguh la ni, di Daerah Besut sendiripun kita menghadapi masalah pencapaian internet banyak bukan sahaja kampung, tapi di Kampung Raja, di sekitar Jertih ini, kawasan bandar ini. Tidak ada pencapaian line internet yang sempurna. Saya minta supaya pihak Kerajaan melalui Kerajaan Negeri supaya Kerajaan Pusat dapat berbuat sesuatu agar masalah ini dapat diatasi.
Okey.
Jadi saya ingat itu sahaja, Tuan Pengerusi banyak lagi tertinggal ini. Tak apalah. Jadi ingat itu sahaja, sekian.
Jertih pohon menyokong.
Terima kasih Wakil Jertih. Ada lagi Ahli Berhormat yang nak bercakap? Tak dok, Kalau tak dok saya nak minta pihak Kerajaan gulung lepas ni. Ada tak? Wakil daripada Kemasik, tapi saya minta berucap, sesi petang nanti.
Ahli Berhormat sekalian, saya ingin memberi laluan kepada satu Majlis Perasmian Kempen Tiada Bag Plastik Peringkat Negeri yang akan dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Terengganu sebentar lagi. Sementara itu, saya juga ingin menjemput semua Yang Berhormat sekalian ke jamuan makan tengahari oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar di Damai Lounge dan juga di perkarangan U2 seperti biasalah. Ahli Yang Berhormat sekalian, saya tangguhkan sementara Dewan ini dan disambung semula pada pukul 2.30 petang.
DEWAN DITANGGUHKAN PADA PUKUL 12.15 TENGAH HARI
PUKUL 2.30 PETANG
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, mesyuarat disambung semula. Kita masih lagi dalam Sesi Perbahasan ke atas Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan DiRaja. Hari ini ada muka baru Encik Aizat Safwan bin Abd. Razak, Penolong Setiausaha Dewan yang menggantikan sementara Encik Zulkifly bin Isa selaku Setiausaha Dewan. Saya persilakan Yang Berhormat Wakil Kemasik untuk meneruskan perbahasan kita pada petang ini, dipersilakan.
YANG BERHORMAT Ir. SAIFUL AZMI BIN SUHAILI (Wakil Kemasik):
Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi , ahli keluarga baginda serta seluruh para sahabat ridwanullahi alaihim. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat-Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan, para pemerhati, tuan-tuan, puan-puan yang saya hormati sekalian. Bersyukur kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana telah mengizinkan kita untuk menghadiri Persidangan Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri Keempat Belas pada kali ini. Di kesempatan ini, Kemasik ingin merakamkan ucapan penghargaan dan menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan yang telah bertitah menyentuh pelbagai aspek pelaksanaan dan dasar-dasar yang telah dan akan dilaksanakan oleh Kerajaan bersempena dengan pembukaan Penggal Persidangan Yang Kelima, Dewan Undangan Negeri Keempat Belas ini.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Titah Ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan menyentuh tiga perkara utama tetapi saya ingin mengambil ataupun melihat kepada perkara utama yang diucapkan iaitu
unjuran ekonomi dunia dengan izin, world economy outlook dan persediaan kita di peringkat Negeri Terengganu. Modal insan yang berkualiti merupakan antara aset yang terpenting dalam berhadapan dengan suasana dunia yang makin mencabar ini. Ia juga termasuk dalam usaha mengurangkan impak langsung ke atas isi rumah khususnya mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana. Dengan pelbagai ilmu dan kemahiran yang diberikan akan menjadikan rakyat lebih berdaya saing. Pelbagai ilmu dan kemahiran yang diberikan mampu menjadi nilai tambah untuk rakyat berhadapan dengan cabaran terutama ekonomi dunia yang berlaku sekarang. Program pembangunan modal insan terutama dalam melahirkan lebih ramai rakyat yang kompeten dan berdaya saing dalam pelbagai bidang mampu meningkatkan keupayaan masing-masing sejajar Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030) yang menggabungkan pembangunan manusia dan pembangunan ekonomi secara holistik dan komprehensif. Secara makronya, halatuju pembangunan manusia memberi tumpuan kepada melahirkan rakyat yang beragama, bermasyarakat dan berkebajikan. Antaranya, melalui tujuh pembangunan PITAS 2030 yang salah satunya iaitu perkara ataupun perkara ketiga iaitu memperkukuhkan keupayaan pembangunan insan dalam meningkatkan daya saing dan produktiviti negeri.
Di samping itu, di dalam prinsip, tujuh prinsip PITAS 2030 juga menekankan berkenaan insan berkualiti aset terpenting negeri iaitu Kerajaan Teknokrat. Di samping dalam Sepuluh Teras Strategik, saya ingin mengambil Dua Strategi yang disebut dan disasarkan dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera tersebut iaitu Teras Strategi Yang Ketiga dalam usaha untuk memperkukuhkan Pembangunan Insan. Teras Strategik ini sebahagian daripada sasaran Pembangunan Insan, Teras Strategik ini memberi tumpuan kepada pemahaman, pengamalan dan penghayatan rakyat bahawa Islam mampu memimpin dan menjadi rujukan kepada rakyat. Modul Itqan Insani yang menyasarkan pembangunan secara holistik kepada sepuluh segmen masyarakat selaras dengan dasar Islam yang dibawa Kerajaan Negeri.
Matlamatnya adalah untuk melahirkan manusia yang bersifat Itqan Insani dan mampu mengurangkan masalah sosial di kalangan masyarakat. Keboleh capaian ini kelak akan dinilai melalui indeks kesejahteraan rakyat Terengganu. Di samping itu, dalam Teras Kesepuluh, Kerajaan juga mensasarkan untuk pemerkasaan keusahawanan dan pengupayaan sumber manusia. Disebut Teras Strategik ini adalah sebahagian daripada sasaran pembangunan ekonomi. Teras Strategik ini memberi tumpuan pembangunan rantaian lengkap produk
keusahawanan sehingga mampu bersaing bukan sahaja di peringkat dalaman malah ke peringkat antarabangsa. Keusahawanan juga akan memberi tumpuan kepada produk warisan dan budaya Terengganu supaya warisan dan budaya Terengganu dapat diperkenalkan menerusi perusahaan berasaskan komuniti. Pembangunan sumber manusia Rabbani Teknokrat akan dioptimumkan sebaik mungkin untuk melahirkan tenaga kerja mahir dan memenuhi permintaan kerjaya. Semoga pelaksanaan dan pemerkasaan segala yang tertera ataupun yang digariskan dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 akan dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin dan sudah pasti nanti insya-Allah ia akan memberi impak yang baik terutama dalam berhadapan dengan cabaran ekonomi global ini, insya-Allah.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, tidak ketinggalan di samping pembangunan modal insan, persediaan fizikal termasuk prasarana untuk para usahawan yang baik pasti membantu untuk rakyat menjayakan apa yang telah mereka rancangkan dan laksanakan.
Penambahbaikan prasarana keusahawanan atau usahawan sedia ada serta penyediaan prasarana usahawan baharu perlu diteruskan dan diberi perhatian agar rakyat terus mampu berkembang terutama di bidang keusahawanan yang mereka ceburi. Kewujudan platform pemasaran yang lebih berdaya maju bagi menguasai pasaran tempatan malah masuk ke pasaran antarabangsa juga perlu dilihat secara lebih agresif. Saya mohon juga di kesempatan ini untuk pihak Kerajaan meneliti keperluan untuk menyediakan suatu kawasan IKS baharu termasuk dalam bidang makanan halal dan juga lain-lain IKS di samping kawasan industri berkaitan minyak dan gas yang sedia ada di dalam DUN Kemasik. Semua maklum terutama sekali Kemaman dan Kemasik, industri banyak menumpu kepada perindustrian yang berasaskan minyak dan gas, namun kita yakin ia bukan menggambarkan keseluruhan keperluan kepada penduduk. Kekangan tempat-tempat untuk usahawan-usahawan di bidang selain minyak dan gas sebagai contoh makanan halal industri-industri selain dari minyak dan gas sangat terhad menyebabkan kekangan dan kekurangan ini menyebabkan para usahawan yang ingin bebas ataupun ingin terus maju berhadapan dengan kekangan dan sekatan. Mereka tidak dapat mengembangkan kedai-kedai ataupun perbekalan terutama sebagai contoh berkenaan dengan makanan halal kepada yang lebih besar kerana ketiadaan kilang-kilang ataupun tempat-tempat yang sesuai untuk mereka perkembangkan industri ataupun perusahaan mereka.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, meningkatkan kerjasama strategi antara agensi negeri dan persekutuan merupakan suatu strategi yang ampuh dalam memastikan pelaksanaan rancangan kerajaan berjalan baik demi faedah rakyat Negeri Terengganu keseluruhan. Tahniah kami ucapkan kepada Kerajaan Negeri Terengganu dan Persekutuan yang terus memberi keutamaan kepada kerjasama yang baik untuk terus menyempurnakan pelbagai agenda yang telah dan sedang serta akan dilaksanakan. Semoga kekuatan ini terus utuh seterusnya memberi impak yang terbaik untuk negeri dan rakyat Negeri Terengganu keseluruhannya. Alhamdullilah pengamalan budaya kerja kelas pertama dan tahap integriti tinggi dalam merealisasikan dasar yang telah ditetapkan Kerajaan dilaksanakan dengan baik oleh penjawat awam yang menjadi benteng dan memainkan peranan yang terbaik dalam menjayakan seluruh dasar-dasar yang telah ditetapkan oleh Kerajaan. Semoga dengan penggemblengan tenaga ini menjadikan pembangunan Negeri Terengganu terus pada landasan yang tepat.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, seterusnya Kemasik ingin mengambil kesempatan dalam persidangan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan atas komitmen tinggi yang diberikan sehingga termeterainya beberapa perjanjian kerjasama dalam projek pembinaan rumah rakyat serta kawasan pembangunan yang menyokong projek pembangunan rumah rakyat tersebut dalam DUN Kemasik. Perjanjian membangunkan empat projek perumahan serta keperluan lain dalam menyokong peningkatan rakyat serta keperluan telah pun berjalan pembinaannya dan terkini kerjasama membina projek perumahan baharu dimeterai pada 23 Februari 2020 lepas menjadikan keseluruhan projek perumahan untuk rakyat dalam DUN Kemasik sehingga sekarang sebanyak lima projek, di samping itu Kerajaan juga telah berjaya memeterai perjanjian kerjasama membangunkan tanah ataupun Kawasan Perindustrian Kertih seluas 1,007 ekar melalui pembangunan Kertih Terengganu Industrial Park (KTIP) yang bernilai RM680 juta dan dijangka membawa prospek pembangunan di dalam industri petrokimia serta pembuatan termasuk penghasilan produk berskala besar melibatkan kemudahan teknologi tinggi. Terdahulu ECERDC juga telah menyelesaikan ataupun telah melaksanakan pembangunan kawasan tambahan fasa empat di Taman Biopolimer Kertih di samping Kawasan Perindustrian Kertih di Kampung Labohan oleh pihak PMINT. Semoga pembangunan kawasan perindustrian baharu ini akan merangsangkan perkembangan ekonomi yang baik kepada Negeri Terengganu di samping lain-
lain usaha yang telah dijalankan oleh pihak Kerajaan keseluruhannya dalam Negeri Terengganu dalam pelbagai sektor pelaburan.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, beberapa usaha telah dilaksanakan oleh pihak Kerajaan dalam pembangunan Pelan Induk Kerajaan Digital Pintar Terengganu termasuk memajukan capaian utusan dalam talian, alhamdullilah Kerajaan telah menaik taraf pusat-pusat internet komuniti PINTAR di seluruh Negeri Terengganu, alhamdullilah sebagai contoh di Dun Kemasik ada tiga PINTAR, Kemasik, Kertih dan di Felda namun dalam lawatan akhir saya ke PINTAR bila saya melihat penggunaan komputer yang ada yang telah dibekalkan oleh Kerajaan contoh di Kemasik ada sembilan unit komputer termasuk seluruh prasarana namun tidak dapat diguna sepenuhnya. Bila ditanya kenapa tidak menggunakan keseluruhan sembilan ataupun keseluruhan unit yang dibekalkan disebut takdok wireless dongle, jadi ada barang tapi tak boleh diguna sepenuhnya justeru saya berharap untuk mendapat perhatian daripada Kerajaan terutama sekali kita sekarang berada di era teknologi internet dan sebagainya, insya-Allah.
Masa Yang Berhormat dah habis dah.
YANG BERHORMAT Ir. SAIFUL AZMI BIN SUHAILI (Wakil Kemasik): Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, semoga Persidangan Dewan Undangan Negeri pada kali ini dapat berjalan dengan teratur dan sempurna serta penuh rasa hormat-menghormati antara satu sama lain. Semoga Kerajaan Negeri terus mengorak langkah ke hadapan di bawah kempimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar dalam membina Terengganu kepada sebuah negeri yang Maju Berkat dan Sejahtera. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua saya mohon menyokong Titah Ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu. Terima kasih.
Terima kasih Wakil Kemasik, saya teruskan sesi perbahasan ini, Wakil daripada Kuala Besut, sila.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, barisan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Ketua-ketua Jabatan, wakil-wakil Ketua Jabatan dan seterusnya Sidang Dewan Undangan Negeri yang mulia ini. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua kerana mengizinkan saya untuk sama-sama menyertai sesi perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan kelmarin yang dibacakan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, saya terus kepada perbahasan saya iaitu suka saya menyebut perkara pertama antara perkara yang awalnya yang disentuh oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan adalah tentang isu peperangan di Ukraine yang mana secara langsung ataupun tidak langsung akan memberi kesan kepada ekonomi di dunia termasuklah kita di Negeri Terengganu. Ini kerana akan berlakulah nanti peningkatan bahan mentah. Jadi dan pelbagai rantaian ekonomi yang mungkin menyukarkan seluruh dunia termasuklah kita di Negeri Terengganu ini juga. Jadi persoalan saya adakah kita di Negeri Terengganu ini bersedia untuk menghadapi isu yang akan secara langsung ataupun tidak langsung akan turut dirasai oleh kita ataupun rakyat Terengganu nanti apabila kesan itu akan sampai ke tempat kita nanti, apakah persediaan ataupun persiapan pihak Kerajaan untuk menangani isu tersebut. Sebagai contoh, kita semua sedia maklum bahawa sumber makanan merupakan isu utama dunia pada masa kini. Apatah lagi isu makanan ini menjadi lebih kritikal ketika pandemik COVID-19 melanda dunia dan juga selepas COVID-19 melanda negara kita. Apatah lagi bila kita mula masuk ke era endemik COVID-19 juga kita masih lagi akan dibelenggu oleh isu utama iaitu isu makanan khususnya di peringkat global. Jadi apakah pihak Kerajaan menerusi program jaminan makanan ataupun dengan izin food security yang telah diwar warkan di seluruh lapisan atau peringkat global dan juga peringkat kebangsaan dan saya yakin juga di peringkat negeri pun ada juga cakap tentang food security. Jadi apakah perancangan yang holistik rancangan yang lebih komprehensif pihak Kerajaan Negeri untuk menangani isu food security yang mana ianya isu utama yang akan mengganggu gugat yang juga memberi kesan langsung kepada kita rakyat di Negeri Terengganu ini. Begitu juga apabila bercakap tentang food security kita tidak dapat lari daripada industri perikanan kita di perairan Terengganu ini, terbentang luasnya lautan yang mana banyaknya sumber-sumber marin yang semakin lama semakin kurang di lautan sana. Jadi apakah pihak kerajaan dengan langkah-langkah yang terkini khususnya dengan
pelaksanaan revolusi industri 4.0 yang mana menggabung jalinkan kepelbagaian teknologi terkini khususnya dalam pelaksanaan automasi IOT iaitu Internet of Things penganalisa big data dan juga advance analytic dan penggunaan robotik dan sebagainya dalam revolusi baru untuk kita memperkasakan jaminan makanan ataupun food security melibatkan industri perikanan, melibatkan industri padi dan semua industri yang melibatkan industri makanan khususnya kita di Negeri Terengganu. Jadi apakah rancangan pihak kerajaan selaras dengan Titah Tuanku mukasurat 13 yang Tuanku juga meminta memohon supaya Kerajaan memperkasakan industri ataupun revolusi perindustrian keempat ataupun industri 4.0 ini dengan pelaksanaan kepelbagaian teknologi terkini yang seperti yang saya sebutkan tadi.
Dato’ Yang di-Pertua, perkara yang berikut, saya ingin sentuh juga yang mana juga tentang segmentasi pelancongan yang berasaskan Community Based Tourism ataupun CBT. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Kerajaan kerana baru-baru ini di daerah Besut, satu lokasi iaitu lokasi Besut yang dikenali sebagai di Bukit Bubus itu dikenali sebagai Besut Paragliding Park. Tempat orang main Paragliding tu telah diwar-warkan sebagai salah satu CBT di peringkat Negeri Terengganu. Cuma kalau boleh pihak Kerajaan nyatakan lagi dengan lebih terperinci apakah kaedah pelaksanaan CBT ini dan apakah perancangan hala tuju dan juga program-program yang lebih memberi impak khususnya dalam kita meningkatkan ekonomi kepada penduduk setempat secara khususnya. Dan kita juga memohon supaya CBT ini tidak hanya menjadi satu program one-off ataupun program sekali je tapi kalau boleh biar dijadikan satu program yang berkala yang boleh dihidupkan oleh komuniti tersebut dan akan diteruskan sampai bila-bila generasi by generasi. Dan di kawasan saya Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon juga supaya pihak Kerajaan memperhalusi dan juga mempertimbangkan kerana di Kuala Besut khususnya kita di Pantai Kuala Besut ni, kita ada dua pantai yang boleh kita bangunkan ke arah Community Based Tourism ini. Ini kerana di Kampung Pachakan ataupun kita kenali sebagai Dataran Kampung Pachakan dan juga Dataran Pantai Pekan Kampung Pantai Kuala Besut boleh ada dua lokasi itu boleh kita kembangkan sebagai salah satu lagi program yang berasaskan CBT. Ini kerana kesungguhan komuniti di dua-dua lokasi tersebut yang mana Dataran Pachakan Komuniti Kampung Teluk Bayu dan juga Komuniti Kampung Pachakan bersungguh-sungguh buat wakaf sendiri, buat buaian sendiri, buat tempat duduk sendiri, mencari tayar-tayar terbuang dijadikan sebagai benteng dan juga pelbagai lagi infrastruktur yang portable sebab kita semua sedia maklum bahawa dataran
pantai ni kadang-kadang terlibat dengan hakisan dan juga ombak besar. Tapi dengan kreativiti mereka ini, mereka telah membina sistem ataupun infrastruktur yang lebih portable yang boleh diangkat jauh daripada lepas daripada air pasang besar sekiranya berlaku ombak besar di mana yang berlaku baru-baru ini kira-kira 55km sejam angin yang juga membawa ombak besar yang menyebabkan berlakunya kejadian luar daripada kebiasaan baru-baru ini. Begitu juga di Dataran Pantai di Kampung Pantai, jadi saya mohon pihak Kerajaan mempertimbangkan juga supaya boleh memperkasakan CBT di dua lokasi tersebut kerana komuniti ini di dua-dua lokasi ini secara sukarela yang mana mereka ini initiate dengan izin bermulanya dari program gotong-royong, mengutip sampah-sampah yang hanyut di pantai dengan skuad cakna pantainya dan bila kutip kayu-kayu besar dan sebagainya mereka membuat wakaf dan juga tempat teduh dan pondok-pondok berasaskan hasil terbuang sisa daripada hulu turun ke hilir di tepi pantai. Dan mohon juga kalau boleh CBT ini diadakan juga kalau boleh jabatan-jabatan angkat ataupun agensi-agensi Kerajaan sebagai agensi angkat yang menyediakan task force secara spesifik yang boleh membantu komuniti supaya CBT yang pihak Kerajaan anjurkan ini dapat digahkan lagi dengan program yang lebih hebat lagi. Apatah lagi kita di Kuala Besut ini merupakan semua sedia maklum seantero dunia sedia maklum bahawa Besut ini Kuala Besut khususnya merupakan pintu masuk utama ke Pulau Perhentian.
Dato’ Yang di-Pertua, perkara yang berikut saya ingin menyentuh juga yang ditekankan juga oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan iaitu tentang satu kajian impak ataupun Impact Assessment iaitu kesan langsung tentang sektor ekonomi dan juga sektor perkhidmatan dan tidak terkecuali sektor pelancongan. Jadi apakah pihak Kerajaan telah bersedia untuk kita mengambil kesan ketiga-tiga sektor itu apabila negara kita khususnya negeri kita dibuka sempadan pelancongannya pada awal April 2022 nanti. Jadi saya juga ingin menyentuh impak ataupun kesan langsung kepada golongan B40 dan juga M40. Dan mohon pihak Kerajaan bersedia dari segi infrastruktur penyelenggaraan kemudahan awam pelancongan dan pelbagai lagi. Sebagai contoh di Kuala Besut tu kita ada Jeti Pelancongan dan juga Jeti di Pulau Perhentian, Stesen Bas Kuala Besut, jadi mohonlah pihak Kerajaan tengoklah infra-infra di sekitar hotspot yang menjadi keutamaan jadi pintu masuk ke pelancong-pelancong tersebut kerana kalau kita turun sekarang ini, keadaan infrastruktur agak menyedihkan. Dan kalau kita boleh tengok Stesen Bas Kuala Besut tu, kerusi untuk pelancong duduk memang sangat menyedihkan. Begitu
jugak tahap kebersihan, okeylah boleh dipertimbangkan tapi masih perlu lagi dipertingkatkan lagi kerana ianya merupakan pintu masuk bukan sahaja untuk pelancong domestik tapi juga pelancong daripada luar negara. Saya setuju juga yang disebut oleh Wakil Jertih tadi. Akhir-akhir ini di Besut kita mengalami tekanan air rendah dan menjadi igauan ngeri lagi apabila chalet-chalet dan juga resort-resort di Pulau Perhentian. Baru-baru ini tekanan air sangat-sangat rendah sehinggakan takdok air pun. Dan ketika pelancong menyerbu untuk meningkatkan ekonomi pelancongan di Negeri Terengganu, air takdok di Pulau Perhentian baru ini. Jadi mohonlah pihak kerajaan mengambil perkara ni dengan serius mungkin supaya impak itu dapat diberikan impak yang positif kepada pelancong-pelancong yang datang ke negeri kita.
Dato’ Yang di-Pertua, sikit lagi, saya juga ingin menyentuh juga tentang isu penceraian di Terengganu. Kalau mengikut statistik yang dinyatakan oleh pihak kerajaan dalam sidang DUN yang lalu, 2 tahun kebelakangan ini kita mencatatkan 6,565 kes penceraian iaitu pada tahun 2022 dan 2021 hingga Oktober dan kita sedia maklum antara faktor penceraian ini adalah faktor masalah kewangan. Jadi dan difahamkan pada sidang yang lalu, pihak kerajaan akan laksanakan satu modul untuk menangani, dalam usaha menangani isu penceraian tersebut. Jadi boleh maklum dok pada kita siap dok agi modul tu dan dilaksanakan atau pun belum lagi. Dan baru-baru ni, saya dijemput merasmikan satu program anjuran LPPKN, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga yang mana program itu adalah program second honeymoon melibatkan hampir 30 pasangan yang kadang-kadang mempunyai masalah. Jadi mohon tanya pihak Kerajaan Negeri ada dok program second honeymoon sebab kalau dulu-dulu, penggal dulu ada program ni, yang mana program second honeymoon ni sangat bagus kerana kadang-kadang ada pasangan tu nak cerai doh, setelah diberi kaunseling, setelah dinasihat, diberi pula pakej percutian atau pun dipanggil second honeymoon ni, tak jadi nak cerai tu. Jadi, mohon pihak kerajaan kalau tak dop boleh buat semula kalau ada boleh tambahkan lagi bilangan kerana permintaan di bawah sana supaya kita adakan lagi second honeymoon tersebut.
Masa Yang Berhormat tak banyak dah.
Okay. Dato’ Yang di-Pertua, sikit lagi Kebawah Duli Tuanku juga
menyentuh tentang perihal kejadian banjir luar biasa baru-baru ini khususnya melibatkan Hulu Terengganu dan juga Kemaman. Jadi pada hemah saya, kejadian banjir yang luar biasa itu perlu dipandang serius kerana kesan pembangunan, kesan global warming, kesan rumah hijau dan sebagainya tidak mustahil nanti kejadian yang luar biasa itu mungkin akan menjadi satu kebiasaan. Ini kerana kita sedia maklum bahawa sebelum ini, banjir dia ada kala kembali ataupun return period mungkin 5 tahun sekali, 10 tahun sekali, 20 tahun sekali ataupun 30 tahun sekali ataupun 50 tahun sekali, ataupun 100 tahun sekali tapi mungkin akan kerap lagi berlaku. Jadi mohon pihak Kerajaan tambah baiklah infrastruktur, kenal pastilah pengkalan hadapannya dan kemaskinilah Pelan Induk Tempatan Banjir dan reka bentuklah sebaik mungkin pelan reka bentuk terperinci supaya isu ini dapat kita tangani. Kerana pada hemat saya, kita ada 4 jenis banjir di Terengganu, iaitu banjir akibat limpahan lembangan sungai, banjir kilat, banjir kesan air pasang besar dan kita sekarang ni tidak pelik doh dengan kejadian banjir di pulau-pulau. Jadi mohon pihak Kerajaan mengambil serius perkara ini.
Akhir sekali Dato’ Yang di-Pertua, Tuanku juga menyentuh tentang kemajuan Projek ECRL iaitu 25.76% dan kita mohon, rakyat di bawah sana supaya persiapan untuk limpahan ekonomi kesan langsung daripada hasil pembangunan transit ataupun Transit-Oriented Development ini dapat dikenal pasti dilaksanakan sebaik mungkin. Kita tak boh nanti bila siap ECRL pembangunan TOD ni tidak dilaksanakan lagi. Takut masa tu jadi lama, supaya seiring dengan pembangunan ECRL bergerak seiring dengan TOD ni, supaya limpahan ekonomi itu dapat dinikmati oleh rakyat di luar sana dengan sebaik mungkin. Okay Dato’ Yang di-Pertua, saya rasa itu sahaja daripada Kuala Besut, terima kasih banyak-banyak kerana mengizinkan saya sama-sama menyertai sesi perbahasan pada kali ini. Kuala Besut dengan ini turut sama menyokong Usul Menjunjung Kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan. Terima kasih.
Terima kasih Wakil Kuala Besut.
Saya persilakan Wakil Pengkalan Berangan. Sila.
Dan bahawa kami perintahkan ini adalah jalanku yang lurus, maka ikutilah dia dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan yang lain kerana jalan-jalan itu mencerai beraikan kamu dari jalanNya. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu bertaqwa.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Ahli Dewan Undangan Negeri, Ketua-ketua Jabatan, Wakil-wakil Media dan seluruh Pemerhati Sidang DUN pada kali ini. Saya mengucapkan syukur yang tidak terhingga di atas limpah rahmat kurniaan yang telah diberikan kepada kita sehingga kita mampu untuk berada di dalam Dewan yang mulia ini. Pada saat dan ketika yang sangat berharga untuk bersidang dan berbincang bagi merangka dan merealisasikan agenda pentadbiran negeri dan kemakmuran bersama untuk tanah air bumi tercinta negeri yang kita kasihi, “Maju, Berkat, Sejahtera”. Titah ucapan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan, telah menyentuh secara fokus, antaranya ialah agenda pembangunan dan peningkatan taraf hidup rakyat. Hasil dari pandemik COVID-19 yang telah merencatkan pertumbuhan ekonomi secara melata dan menyeluruh. Keperihatinan Tuanku al-Sultan yang begitu peka dan sensitif dengan kemelesetan dan kesusahan rakyat sangat dihargai dan disanjungi. Justeru itu, kita mengharapkan agar kepimpinan di semua peringkat tidak mengira apa latar kefahaman dan ideologi politik untuk melihat saranan dan keperihatin baginda Tuanku Al-Sultan dapat digerakkan secara bersama dan bermuafakat dalam memastikan agenda pembelaan rakyat dan pembinaan negeri yang mapan dapat diteruskan dengan jayanya. Nabi telah menyampaikan pesan;
Perumpamaan golongan yang beriman pada sifat kasih sayang, saling merahmati dan saling bantu membantu adalah seumpama
satu badan. Apabila ada anggota badan yang sakit, ia menyebabkan keseluruhan tubuh badan tidak dapat tidur dan juga menjadi demam.
Hadis yang sangat besar maknanya kepada kehidupan bermasyarakat dalam konteks Islam dan menjadi asas kepada pembinaan masyarakat yang harmoni dan sejahtera. Saling bergandingan bahu, saling bergandingan dan bahu membahu dalam memastikan kelastarian kehidupan semua masyarakat dan pengagihan kemakmuran tanpa melihat siapa dan apa pegangan dan ideologi mereka. Hadis yang meletakkan asas bahawa manusia itu adalah satu rumpun yang mesti diperkuatkan antara satu sama lain dalam mengharungi cabaran dan kepayahan secara bersama. Menghayati hadis ini, kita akan merasakan betapa nikmatnya apabila Islam dan perpaduan itu memayungi setiap perkara dan urusan dalam kehidupan kita.
Dato’ Yang di-Pertua, ayat yang saya bacakan di permulaan ucapan tadi, adalah suatu perintah dari Allah agar kita senantiasa menjadikan acuan Islam, al-Quran sebagai asas dan sandaran dalam merencana dan mengurus negeri ini, agar mendapat keredhaan Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Setiap langkah tindakan dan perancangan hendaklah mengambil kira petunjuk al-Quran yang tidak sekali kali akan sesat dan merosak binasakan. Hanya petunjuk Allah sahaja yang benar dan betul. Bagaimana untuk kita merealisasikan petunjuk itu adalah berdasarkan kebijaksanaan dan kepintaran kepimpinan dan kita penuh yakin dan percaya bahawa pemimpin kita adalah mereka yang mampu dan berupaya untuk menyusun langkah dan strategi dalam memastikan kemakmuran Negeri ini terbela. Rancangan dan pelan tindakan PITAS 2030 yang telah dilancarkan diharap dapat dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan berhemah agar pembangunan dalam negeri benar-benar mendapat manfaat dan faedah yang sewajarnya kepada setiap anak negeri.
Yang Berhormat Dato’ Yang Di-Pertua,
Sesungguhnya ini adalah umat kamu umat yang satu dan Aku adalah Tuhan kamu maka beribadatlah kepadaKu.
Dalam kita membina kehidupan dunia yang sementara hendaklah kita tidak lupa dan lalai daripada taat budi pengabdiaan diri kepada Allah Yang Esa kita
bersatu dan berpadu pada sembahan yang sama, Al-Quran yang sama, kiblat yang sama, nabi yang sama. Kita melihat bagaimana banjir besar yang melanda negara dan negeri kita baru-baru ini benar-benar menginsafkan dan menyedarkan kita bagaimana kekuasaan Yang Maha Esa tiada tandingannya. Takziah saya rakamkan kepada semua mangsa-mangsa banjir yang terlibat. Kita telah sedaya upaya melakukan perancangan dan pembangunan bagi mengelakkan segala mudarat dan bencana. Namun kehendak Allah mengatasi tadbir rancangan manusia. Justeru itu, adalah sangat malang bagi kita dalam bergerak membina kehidupan, kita masih lagi teragak-agak dan masih tidak yakin dengan pengamalan Islam yang syumul daa lengkap. Setiap penyelesaian hendaklah dipandu dan diurus berdasarkan penyelesaian Islam dan Al-Quran serta panduan sunnah Nabi . Rakyat perlu diperkasakan dengan pendidikan dan pentarbiahan yang meletakkan Allah Tuhan Yang Maha Kuasa dan kita adalah hamba kepada ketuhanan Yang Esa. Pemerkasaan jati diri rakyat perlu ditekankan kepada pentauhidan yang sebenar hanya kepada Allah azza wa jalla. Masjid, surau hendaklah dihidup suburkan dengan universiti terbuka yang melahirkan rakyat yang celik agama untuk memberi kefahaman dan keyakinan yang lebih mantap bahawa Islam adalah agama yang praktikal bukan hanya ritual yang berlegar di masjid surau tetapi merentas seluruh kehidupan dan cara hidup yang mencakupi segala aspek suasana dan keadaan. Silibus hendaklah digubal dan disusun serta dilaksanakan secara bermodul dan berjadual agar dapat melahirkan graduan masjid dan surau yang berwibawa dan berkemampuan untuk meneruskan legasi ilmu dan ketamadunan insan madani bagi memastikan negeri akan terus diwarisi dan disuburkan dengan cahaya rabbani.
Yang Berhormat Dato’ Yang Di-Pertua, progres pembinaan dan pelaksanaan terkini projek ECRL sebagaimana yang telah disebut dalam Titah Tuanku Al-Sultan telah mencapai progres sebanyak 25.76%. Pembinaan yang sangat diharapkan agar dapat memberi pulangan manfaat kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan setempat secara khususnya. Ada dua perkara yang ingin saya menarik perhatian pihak Kerajaan. Yang pertama, apakah perancangan Kerajaan dalam memastikan stesen-stesen ECRL dapat memberi manfaat ekonomi dan peluang-peluang baharu kepada Negeri Terengganu dan komuniti setempat khususnya stesen utama negeri di Binjai Rendah.
Yang kedua, kita berharap dan bermohon agar pihak Kerajaan mendengar dan melihat pengorbanan segelintir yang terlibat dengan pembangunan ini yang
terpaksa mengorbankan harta kesayangan mereka bagi memberi laluan kepada pembinaan ini. Mereka bukan sahaja kehilangan harta benda bahkan nilai kejiranan dan persahabatan serta memori yang tidak dapat dinilai dengan wang ringgit atau harta benda. Mereka terpaksa berdagang di tempat baharu yang asing dan terpisah dari keluarga handai taulan yang telah sekian lama menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka.
Mereka tidak menghalang pembangunan tetapi agar pengorbanan mereka diberi ganjaran setimpal agar dapat mereka memulakan kehidupan baharu di tempat yang tidak diketahui bagaimana rupa sifat keadaannya.
Yang Berhormat Dato’ Yang Di-Pertua, alhamdulillah saya juga mengucapkan setinggi kesyukuran di atas progres pembinaan muara, pembinaan benteng pemecah ombak Muara Sungai Merchang yang baru memulakan kerja-kerja awal. Minat dan pengharapan warga komuniti dan nelayan terhadap benteng pemecah ombak ataupun break water dengan izin ini cukup tinggi. Buktinya, apabila the other community iaitu JPKK dan pengurusan masjid mengadakan solat hajat memohon agar urusan pembinaan dipermudahkan dan berjalan lancar sebagaimana jadual. Kehadiran warga komuniti Merchang cukup membanggakan sehingga memenuhi setiap inci ruang sebagaimana yang ditetapkan oleh SOP. Saya berharap agar dengan bermulanya kerja-kerja pembinaan benteng pemecah ombak di muara Merchang yang selama ini sangat diharapkan oleh penduduk terutama nelayan Pantai Merchang. Ia akan menyelesaikan masalah yang sudah begitu lama menjadi igauan mimpi ngeri mereka yang bergantung harap kepada hasil laut di sekitar Merchang. Pembinaan benteng pemecah ombak ini dijangka siap pada Disember 2023. Saya menjangkakan nelayan-nelayan Merchang yang sekarang beroperasi di Marang ataupun di Dungun akan kembali ke bumi Merchang yang sudah pasti akan menambahkan bilangan bot yang berlabuh dan hasil tangkapan juga akan meningkat. Saya mohon mencadang supaya Kerajaan ataupun pihak yang berkenaan membina satu jeti baru pendaratan ikan yang lebih selesa dan dalam masa yang sama arus pelayaran perlu diberi perhatian supaya lebih luas dan dalam. Yang Berhormat Dato’ Yang Di-Pertua, kejayaan Community Base Tourism dengan izin yang disebut oleh yang telah dititahkan oleh baginda Tuanku juga antara agenda yang telah dilaksanakan dengan jayanya di N20 Pengkalan Berangan. Beberapa tempat seperti Pantai Angin Berbisik Merchang Lestari, campsite Jambu Bongkok, hiking Bukit Lubuk Batu, Kampung Tradisi Jenang, Komuniti Sejahtera Pengkalan Berangan adalah antara kebanggaan yang boleh diwar-warkan. Kerjasama erat di antara agensi yang berkait
terutama Pejabat Daerah, Majlis Daerah, Jabatan Pelancongan serta penduduk setempat telah menjadikan CBT di Pengkalan Berangan sangat berjaya dan mampu untuk bertahan. Sebagai penghargaan, saya rakamkan ucapan tahniah kepada semua yang terlibat khususnya JPKK dan komuniti setempat yang tidak jemu untuk terus berusaha menaik taraf CBT masing-masing.
Yang Berhormat Dato’ Yang Di-Pertua, akhirnya
Burung berkicau harimau mengaum, Tinggal bersama hutan belantara, Rakyat bersatu berbilang kaum, Hidup bekerjasama negeri sejahtera.
Yang Berhormat Dato’ Yang Di-Pertua, Pengkalan Berangan mohon menyokong Titah Ucapan Ke Bawah Duli Yang Mulia Tuanku Al-Sultan. Sekian.
Terima kasih Wakil Pengkalan Berangan. Sekarang saya menjemput Wakil Batu Rakit.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, rakan-rakan Wakil Rakyat, Ketua-ketua Jabatan seterusnya pemerhati dan para media. Terutama sekali saya ucap terima kasihlah kepada Dato’ Yang di-Pertua juga memberi keizinan kepada saya untuk sama-sama berbahas bagi Menjunjung Kasih Atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al-Sultan.
Saya nak menyebut tentang yang dibangkitkan iaitu tentang ekonomi dalam ini menyebutkan tentang kenaikan harga barang. Ini satu kebimbangan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan kita mengharapkan Kerajaan lebih memberi bantuan subsidi kepada rakyat dan ini selari. Saya ucap terima kasih selari dengan Kerajaan Negeri telah mengembalikan semula dana raya yang disebut dulu dan hari ini walaupun tukor nama dok ape lah takdok masaloh, i-Fitri walaupun sudah tiga tahun i-Fitri ini dana raya tidak diberi tetapi telah diberi
semula pada tahun ini cuma tujuan. Adakah tujuan diberi ini kerana pandemik ataupun ada udang di sebalik batu kerana dah pilihan raya mungkin dekat kot dan adakah i-Fitri ini akan berterusan di tahun-tahun yang akan datang. Jadi kita harap berterusanlah di tahun tahun akan datang ini. Saya juga mencadangkan seperti Yang Berhormat Jertih bercakap tadi tentang syarat mungkin boleh dikaji semula syarat kerana penjawat awam yang dapat telah mendapat elaun sudah tidak dapat sedangkan mungkin orang yang baru kerja, mungkin gaji dia masih lagi rendah tetapi orang lain RM5,000.00 ke bawah dapat untuk memohon i-Fitri ini jadi mungkin boleh dikaji semula dan saya juga mencadangkan supaya nilai i-Fitri ini ditambah lagi kerana dana raya dulu RM400.00 ada di kalangan kita kata boleh tahan berapa lama RM400.00 ini di zaman dulu bukan di zaman pandemik. Jadi ini sekarang di zaman pandemik saya harap saya cadangkan supaya i-Fitri ini ditambah nilai dia, mungkin boleh tambah jadi RM500.00 atau RM600.00 dan boleh tahan lama sikit mungkin sampai ke Raya Haji.
Yang seterusnya, saya nok bercakap tentang projek perumahan. Hari ini memang perumahan saya difahamkan sangat banyoklah permohonan. Permohonan sangat banyok dan di DUN saya juga saya ada mengangkat permohonan supaya projek perumahan ini diadakan di kawasan saya. Jadi saya mencadangkan supaya untuk akan datang ini biarlah menjadi Batu Rakit ini menjadi pilihan utama Kerajaan Negeri untuk mengadakan projek perumahan ini.
Dan yang seterusnya, tentang Tabung Darul Iman memang rakyat kita ini ramai yang susah, yang sakit kronik dan sebagainya dan Tabung Darul Iman ini telah dinaik taraf kepada Yayasan Darul Iman. Jadi tujuan ia dinaik taraf ini kalau peruntukan sama juga RM5 juta tak dok makna kita naik taraf, biarlah peruntukannya ditambah. Peruntukan ditambah dan mempertingkatkan lagi kecekapan apabila kita naik taraf daripada Tabung Darul Iman menjadi Yayasan Darul Iman.
Dan berbalik kepada DUN saya tentang hakisan. Hakisan di tempat yang sama dua tiga kali jadi kita macam masuk lubang yang sama dua tiga kali jadi kita seharusnya membuat kajianlah kenapa berlaku perkara yang sama di tempat yang sama. Jadi rakyat sangat tidak puas hatilah seolah Kerajaan membazir duitlah dua tiga kali di tempat yang sama kerana mungkin kajian yang dibuat ini nok kata dok betul ialah dok jadi Dato’ Yang di-Pertua dok wape jadi jadi
buat semula lah kajian tengok supaya kita tidak membazir, kita baiki tempat yang sama beberapa kali tentang hakisan.
Dan seterusnya, saya duk nampok Kerajaan Negeri tidak mengambil peranan, saya tengok apa yang telah dibuat oleh Kerajaan Barisan Nasional dulu. Contoh gelanggang futsal tidak dibaik pulih semula banyak gelanggang-gelanggang futsal tidak dibaik pulih semula, kita boleh baik pulih semula jadi terbiarlah bila tak boleh guna sudah jadi tempat itu tempat terbiar. Jadi saya haraplah Kerajaan Negeri dapat mengambil inisiatif untuk baik pulih gelanggang-gelanggang futsal, sayang ke dia.
Dan di kawasan saya jugok ada dua buah masjid yang cukup uzur. Masjid Maras, Kampung Maras dan Masjid Kampung Padang Kamunting. Jadi saya berharap Kerajaan Negeri sebab pada masa Kerajaan Barisan Nasional saya baru angkat tak sempat. Jadi saya harap pihak Kerajaan Negeri dapat tengoklah dua buah masjid yang cukup uzur ini masih lagi kayu, papan untuk dibaik pulih.
Saya ingat itu sahaja. Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. Saya harap i-Fitri dapat ditambah lagi kesian rakyat dok dalam masa pandemik. Ada lapan minit lagi. Terima kasih banyak. Dato’ Yang di Pertua dokleh maroh saya. Ada lapan minit lagi. Batu Rakit mohon menyokong. Sekian terima kasih.
YANG BERHORMAT Dr. MAMAD BIN PUTEH (Wakil Kuala Berang): Dato’ Yang di-Pertua boleh saya tanya spesifik sikit daripada Batu Rakit kat mana kata hakisan kampung dia tu, kampung mana se?
Hakisan tempat biasa berlaku di Pengkalan Maras kat Pok Nong, Kolam. Ia kawasan baru jadi dok wape ingat lagi. Kat Pok Nong ICT tu. Ye kolam pon supe Pengkalan Maras hok kubur tu baru ni. Jadi dua tiga kali tempat yang sama Yang Berhormat EXCO. Jadi boleh buat kajian semula tengok semula supaya tidak membazir peruntukan kerajaan. Terima kasih.
YANG BERHORMAT Dr. MAMAD BIN PUTEH (Wakil Kuala Berang): Ya, terima kasih.
Saya persilakan Wakil Rantau Abang.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di Pertua, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Rakan-Rakan Yang Berhormat, Ketua-Ketua Jabatan Negeri Dan Persekutuan, Pengamal Media Dan Seterusnya Tuan-Tuan Dan Puan-Puan Yang Dihormati Allah Sekalian.
Alhamdulillah pertama-pertama dan selama-lamanya marilah sama-sama kita merafakkan kesyukuran kita kepada Allah kerana dengan limpah kurnianya dapat kita bersama pada petang yang mulia ini untuk meneruskan kerja buat kita dalam Dewan yang mulia ini.
Sidang yang sedang diadakan ini ialah sidang yang ke fasa Keempat Penggal Kelima yang akan kita berlangsung pada empat hari ini. Okey, alhamdulillah walaupun kita masih dalam keadaan suasana COVID-19 yang mana kita terpaksa menjaga diri kita dan masyarakat kita daripada pandemik ini walaupun kita berada pada fasa keempat hendaklah kita patuh kepada SOP yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan juga jabatan-jabatan yang berkaitan supaya kita berada dalam keadaan selamat, sihat dan sejahtera.
Yang Berhormat Dato’ Yang Di Pertua, ucapan penghargaan dan terima kasih kepada agensi-agensi berkaitan, petugas-petugas barisan hadapan yang sentiasa bersedia dan setia dalam memastikan COVID-19 dapat diatasi. Alhamdulillah dengan pengumuman yang telah dibuat oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri baru-baru ini, insya-Allah negara kita bakal memasuki fasa endemik bermula pada 1 April 2022. Walau bagaimanapun, kita semua perlu mematuhi SOP yang telah ditetapkan untuk mengekang penyebaran wabak ini yang masih berada dalam komuniti kita. Perkara ini perlulah kita ambil serius supaya setiap warga masyarakat kita berada dalam keadaan selamat.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, suka saya ingin merujuk kepada Titah Ucapan Tuanku Al-Sultan berikutan isu jangkaan trend unjuran ekonomi dunia
yang menunjukkan aliran yang menurun iaitu kadar 5.5% pada tahun 2021, terus menurun 4.1% pada tahun 2022 dan terus menurun 3.2% pada tahun 2023. Kepekaan Tuanku terhadap perkembangan ekonomi yang melanda bukan sahaja negara kita, bukan sahaja negeri kita malah seluruh dunia. Walau macam mana pun, Bank Dunia dalam laporan pada Januari 2022 masih meletakkan berlaku perkembangan secara positif untuk tahun 2022. Insya-Allah saya yakin Kerajaan Negeri Terengganu yang ada sekarang ini yang dipimpin oleh PAS akan sentiasa memandang serius untuk menyelesaikan segala masalah pembangunan ekonomi Negeri Terengganu. Dengan apa yang kita lihat, memasukkan pelabur-pelabur dengan menawarkan pelbagai insentif untuk menarik pelabur-pelabur datang melabur ke negeri kita. Insya-Allah dengan kehadiran pelabur-pelabur sudah tentulah banyak perkara yang dapat kita selesaikan berkaitan dengan trend penurunan ekonomi negara kita. Keyakinan saya ini, saya melihat pelbagai insentif yang telah ditawarkan oleh Kerajaan Negeri dan Persekutuan kepada golongan B40 dan M40 sebelum ini dan ini menjadi asas perancangan untuk menghadapi ketidaktentuan ekonomi negara kita sekarang dan saya yakin setiap EXCO yang dipertanggungjawab telah pun melaksanakan tugas masing-masing dengan merancanakan mengadakan pelbagai perancangan seperti yang kita dengar pagi tadi jawapan daripada EXCO Pertanian, berapa banyak perkara-perkara yang telah dikemukakan semata-mata untuk kita memberi kemudahan kepada rakyat. Begitu juga dengan EXCO-EXCO lain, saya yakin mereka merancang dan rasa ketakutan ini memang ada tetapi kita yakin EXCO-EXCO yang diberi tanggungjawab senantiasa mendapat kerjasama daripada pegawai-pegawai kerajaan untuk menyelesaikan masalah ekonomi yang sedang atau akan kita hadapi sekarang ini.
Perkara kedua yang ingin saya sentuh dalam Ucapan Titah Tuanku pada kali ini ialah berkaitan isu pengangguran di Negeri Terengganu. Kerajaan Negeri telah mengambil langkah dengan mengadakan outreach, peluang kesejahteraan pekerjaan rakyat di setiap daerah secara berkala. Ini telah pun dijawab tadi dan saya yakin apa yang telah dibentangkan tadi itu, ia menyeluruh kepada setiap daerah dan insya-Allah kalau sekiranya penyampaian ini sampai kepada sasaran sudah tentulah kita dapat menyelesaikan sebahagian daripada masalah pengangguran yang berlaku di negara kita ini terutama sekali di negeri kita ini. Yang kedua, TDM Plantation telah pun mengadakan latihan kepada rakyat-rakyat yang masih mengganggur, rebut peluang untuk mereka memasuki pasaran yang masih kosong ini. Apa yang kita difahamkan, ada 800 peluang
pekerjaan cuma saya dimaklumkan oleh pihak EXCO, maaf oleh CEO Executive TDM Plantation mengatakan masih kekurangan peserta-peserta daripada masyarakat. Kalau kira dari segi penyampaian maklumat, ianya berlaku secara meluas tetapi yang menjadi masalahnya ialah kepada masyarakat yang masih dia kata dia menganggur tidak ada kerja tetapi dia tidak rebut peluang. Jadi saya sarankan daripada Dewan ini dan saya mengharapkan kepada Yang Berhormat-Yang Berhormat sama ada sebelah sini atau di sebelah sana sampaikan maklumat ini supaya peluang 800 peluang pekerjaan ini dapat dipenuhi walaupun…
Laluan sekali Dato’ Yang di-Pertua.
Boleh.
Yang Berhormat boleh mintak laluan sikit dok untuk penjelasan.
Ya.
Boleh dok?
Insya-Allah.
EXCO akan gulung…
Dok eh, saya nak mintak penjelasan dengan Yang Berhormat pulak.
Dia dok beri Yang Berhormat, dia minta EXCO gulung. Takpelah.
EXCO akan gulung…
Dok eh bukan, saya nak minta penjelasan supaya jelas.
Takpe, akan dijelaskan oleh EXCO
Tak, saya tak fahamkan, EXCO faham dah.
Takpe-takpe doksoh panjanglah kita bagi laluan dah [Sambil ketawa]
Saya ada tiga minit saja lagi.
Teruskan, teruskan.
Yang Berhormat mungkin faham EXCO mungkin faham sebab saya dok masuk mesyuarat EXCO jadi saya nak mintak penjelasan…
Takpe-takpe tu, Wakil Telemong boleh sebut dalam ucapan…
Dia dok wi, terima kasih.
Dia dok beri.
Sebab itulah maklumat ini…
Payah juga dia dok wi Yang Berhormat.
Saya mengharapkan kerjasama dari pihak sana supaya dapat menyampaikan peluang pekerjaan ini kepada anak-anak muda yang masih mencari-cari pekerjaan ini dan yang menariknya ialah setengah daripadanya boleh capai kepada RM4,000.00 sebulan. Ini bukan satu benda yang omong-omong tetapi
kenyataan yang telah disampaikan oleh pihak EXCO tadi, insya-Allah. Okey, Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua..
Masa Yang Berhormat tak banyak dah ni Yang Berhormat.
Okey, di kesempatan masa yang singkat ini, ingin saya merakamkan ucapan penghargaan dan tahniah kerana Kerajaan telah mengumumkan penaiktarafan Sekretariat Tabung Darul Iman kepada Yayasan Tabung Darul Iman. Satu langkah pro-aktif Kerajaan Negeri dalam memperkasakan peranan dan fungsi Tabung Darul Iman. Inisiatif ini merupakan salah satu mercu tanda PITAS 2030. Dalam bidang sosial, dalam melahirkan rakyat yang beragama, bermasyarakat dan berkebajikan, fungsi Tabung Darul Iman akan turut diperluaskan dengan merangkumi pelbagai aspek dan Yayasan ini akan didaftarkan di bawah Akta 258 dengan dikawal selia oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri. Yayasan ini juga akan berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri dan akan ditadbir oleh Lembaga Pemegang Amanah.
Selain daripada itu, saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri di bawah agensi Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu atau lebih dikenali dengan YPKT di mana Yayasan Pembangunan Keluarga ini sangatlah penting dengan bermulanya di usia kanak-kanak sehinggalah warga emas. Di dalam YPK ini terdapat beberapa unit utama iaitu Pembangunan Keluarga, yang kedua, Pembangunan Awal Kanak-kanak, ketiga, Pembangunan Sosial Ekonomi dan keempat ialah Pembangunan Komuniti. Insya-Allah selepas ini, seperti yang disebutkan tadi, ini adalah kejayaan Kerajaan PAS sekarang ini dalam memandu Kerajaan Negeri Terengganu. Saya bagi pihak EXCO yang saya menjadi timbalannya, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada EXCO Kebajikan kerana selepas ini, apa yang diperkatakan tadi, i-Fitri ini akan diselaraskan, akan kita laksanakan dan diselaraskan pula dengan bantuan belia, bantuan OKU, bantuan ibu tunggal dan terus pemberian Insentif Pencen Rakyat yang baru-baru ini baru kita selesai.
Masa Yang Berhormat dah cukup.
Selain itu kita juga akan proceed juga dengan penubuhan Baitul Ummi, Pusat Autisme, dan Kompleks Wanita Sejahtera. Begitu juga pelaksanaan Perkahwinan Perdana. Tadi ada sebut tadi. Insya-Allah disebabkan tertangguh disebabkan oleh pandemik, kita akan teruskan Perkahwinan Perdana ini.
Yang terakhir Yang Berhormat.
Yang terakhir. Sebab kita kejar masa ini.
Beri saya seminit untuk saya bangkitkan berkaitan dengan DUN sayalah.
Yang terakhir
Saya benar-benar mengharapkan supaya kesempatan pertemuan ini, apa yang telah saya bangkitkan dahulu dapat disegerakanlah iaitu yang pertama..
Itulah saya kata, kita nak Yang Berhormat, apabila Pekerjaan Dewan ni, biar direct to the point. Jangan banyak sangat bunga-bunga.
Sebab tadi ada kacau sikit. Tadi ada kacau sikit. Saya ambik seminit ye..
Yang terakhir. Yang terakhir.
Saya ambik seminit ye..
Panjang do’oh ni Dato’ Yang di-Pertua. Saya dok berucap lagi ni.
Saya ingin utarakan semula berkaitan keperluan dan keselesaan rakyat iaitu infrastruktur menjadi perkara asas bagi rakyat menjalani kehidupan lebih baik. Dalam DUN Rantau Abang, terdapat tujuh RTB (Tapak Rumah Baru) yang telah diberi kepada rakyat dengan jumlah 1311 lot yang sangat memerlukan prasarana di
tapak RTB ini seperti jalan asas, elektrik, kemudahan air, sistem saliran dan sebagainya. Saya berharap Kerajaan mengambil perhatian yang serius akan perkara ini bagi menyediakan kemudahan prasarana di satu-satu RTB yang dibuka ini.
Sekadar itu kerana, sebenarnya ada lagi tapi meraikan masa, jadi untuk akhirnya saya mengambil kesempatan merakamkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana baru-baru ini Rumah Mampu Milik Rimbunan Kasih telah pun diberi milik pada 7 Mac 2022 kepada 85 orang peserta yang telah tinggal di tempat itu dan 10 orang diserahkan tawaran untuk mereka memiliki tapak itu dan Alhamdulillah, terima kasih banyak-banyak dan saya akhiri dengan Rantau Abang memohon menyokong usul Titah Ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku al-Sultan.
Terima kasih kepada Wakil Rantau Abang. Saya mintak maaf, saya tegur ini bukan apa, untuk semua. Saya suka pada Wakil Batu Rakit. Dia direct. Letok selalu benda apa dia nok bercakap. Jadi, ada dari kalangan Ahli Yang Berhormat nak bercakap? Okey saya akan bagi lepas pada kita rehat sekejap. Saya dengan ini menangguhkan sementara sidang kita ini dan kita masuk semula pada pukul 4.05 petang.
DEWAN DITANGGUHKAN PADA PUKUL 3.44 PETANG.
PUKUL 4.05 PETANG
Ahli-ahli berhormat sekalian, mesyuarat di sambung semula. Alhamdulillah, yang ditunggu sudah tiba. Okey, sebagaimana yang saya janjikan tadi, kita telah tetapkan Wakil yang akan berucap selepas kita rehat sekejap. Jadi saya dengan ini mempersilakan Wakil Hulu Besut untuk meneruskan perbahasan
Usul Menjunjung Kasih kepada Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan. Dipersilakan.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, sahabat-sahabat Ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan, para pemerhati yang dirahmati Allah sekalian. Syukur kepada Allah kerana dapat dan diberi peluang oleh Yang di-Pertua untuk turut sama membahas, menjunjung kasih Titah Ucapan Kebawah Duli Tuanku.
Terlebih dahulu, saya nak ambil peluang nak ucap terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Saya duk perati sepanjang tempoh selepas Pilihan Raya Keempat Belas, saya rasa Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua di antara yang paling kreatif dan bagus. Bakpe saya kata gitu? Sebab banyok program yang dibuat oleh Dato’ Yang di-Pertua. Yang pertama, menembak. Wi baju selai. Pahtu, bowling. Lepas tu, kelmarin wi buku pulok. Buku tu kalau beli pun mahal jugok. Terima kasih. Dan saya dengar pulok di tempat minum air tadi, kalau pilihan raya ini tahun depan, Yang Berhormat Dato’ di-Pertua nak bawa gi main kuda pulok. Saya dengarlah masa minum air tadi.
Ini dok mitok tambah masa Yang Berhormat dok?
Dok, dok, dok.
Okey, teruskan.
Dalam kesempatan ini juga saya nak ambil peluang untuk ucap tahniah kepada Kerajaan Negeri terutamanya portfolio pertanian kerana Kebawah Duli Tuanku pun sebut mengenai Tahun Pertanian Terengganu. Dan saya sependapat dengan sahabat saya daripada Batu Buruk. Antaranya pada fahaman sayalah apa yang disebut oleh Batu Buruk tadi, dia cadang supaya Kerajaan Negeri mengenal pasti masalah petani-petani kita di Terengganu. Terutamanya sekali
dalam keadaan semasa ini, petani kita di Terengganu menghadapi kenaikan harga bahan mentah. Rumput pertanian, baja, contohnya baja Super K keluaran MPOB. Dulunya RM80 sekarang ini RM127 satu beg. Hampir 30 ke 40%. Kalau racun, kalau dulunya yang 20 liter itu RM300.00 sekarang ini dah hampir 900 liter itu kalau racun. Begitu jugalah kalau makanan pertanian sebagaimana yang disebut oleh Batu Buruk tadi. Kita Terengganu ini, penternak kita menghadapi harga makanan haiwan. Jadi dia cadang tadi saya sokong, saya setuju dengan cadangan Batu Buruk tadi. Kerajaan mesti usaha supaya kita Kerajaan Negeri menyediakan bahan makanan kepada ternakan untuk penternak-penternak Terengganu. Hok wak program itu biasa. Saya juga pernah terlibat dengan pertanian. Semasa Kerajaan BN dulu kita memang kenal pasti masalah pertanian negara ialah masalah makanan kalau pertanian, kalau ternakan. Sebab itu semasa Kerajaan BN dulu kita buat program tanaman bijirin untuk mengatasi masalah makanan ternakan haiwan. Pasal komposisi utama makanan ternakan haiwan ini ialah bijirin. Kita cuba tanam di Wakaf Tapai. Dan pada masa itu juga, Kerajaan Negeri BN masa itulah utamanya penanaman tembakau di Besut dan Setiu berdepan dengan dasar Kerajaan membuat keputusan tidak ada lagi tanaman tembakau. Maka Kerajaan BN masa itu kita cadang supaya kita ganti dengan tanaman lain di Terengganu ini kepada terutamanya di Besut, petani di Setiu. Pada masa itu saya masih ingat lagi, di bawah Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Ahmad Razif, dia tubuh MENT-T, panggil bekas Pengarah Tani Negeri, Datuk Sufian, Pegawai Pertanian Daerah, masa tu Haji...pergi jumpa McCormick untuk jemput McCormick mari ke Terengganu untuk tanam lada hitam, ganti tembakau kerana jangka hayat lada hitam ini 40 tahun. Selepas 40 tahun, baru kita boleh tanam semula. Tak macam kelapa sawit. Kelapa sawit 25 tahun. Lada hitam 40 tahun. BN masa itu kita rancang yang penternak tembakau kita ganti dengan tanaman lada hitam. McCormick, yang akan majukan lada hitam pada masa itulah. Begitu jugalah yang pentingnya kerajaan melihat mana yang penting. Sebagaimana cadangan Batu Buruk tadi. Masalah utama, makanan ternakan. Itu yang saya setuju dengan Batu Buruk. Dan saya setuju lagi dengan Batu Buruk, kalulah Menteri Besar tidak bubar Dewan di negeri ini, Kerajaan Negeri sempat untuk buat makanan ternakan haiwan. Lainlah kalau Kerajaan Negeri mungkin bubar Bersama dengan federal, tak sempatlah. Mungkin rakan sebelah sini pulalah pergi sebelah sana untuk laksana ternakan ini. Tapi saya bersetuju dengan Batu Buruk. Cadang supaya Kerajaan Negeri menyediakan makanan untuk ternakan dan juga setuju dengan Menteri Besar supaya tidak bubar sekali dengan federal. Saya setuju. Sekurang-kurangnya kita ni ada peluang lagi jadi…
Kuala Besut, laluan sekali. Doh bila bubar parlimen?
Kita dok tahu. Saya kata saya setuju dengan Batu Buruk.
Doh macam tahu doh je tanya.
Dok, dok, saya dok tahu. Batu Burok kata Kerajaan Negeri Menteri Besar dah umum Terengganu tak akan bubar sekali dengan Persekutuan. Saya setuju. Sekurang-kurangnya kita boleh jadi wakil rakyat lama lagilah. Dan pilihan raya akan datang barangkali sebelah lagi pergi sebelah sana pulok. Dan lagilah sahabat kita sebelah sana merasa. Dan saya perhati lagi hari ini sejuk sikit Dewan ini. Biasanya kalau Batu Rakit memang dia bergaduh dengan Yang di-Pertua. Tapi hari ini Yang di-Pertua pula sokong dia. Barangkali kerana dapat peruntukan ke? Barangkali la tu. Dan insya-Allah lepas rakan sebelah sini pergi sebelah sana, sebelah sini akan bagi peruntukan yang sama bahkan lebih lagi, insya-Allah. Cuma satu saja yang saya tak setuju dengan Batu Buruk. Dia mengatakan pilihan raya di Melaka dan Sabah kerana ada pihak-pihak tertentu yang ada kepentingan untuk mengadakan pilihan raya. Tidak. Pada saya Batu Buruk seolah-olah mengunakan Dewan yang mulia ini untuk memburukkan sebelah pihak. Pada saya memburukkan UMNO lah. Pasal pemimpin yang UMNO yang minta dengan Tuanku untuk bubar di Melaka dan juga di Johor. Tidak. Pimpinan UMNO bubar Melaka dan Johor bukan untuk kepentingan tertentu. Tetapi kepentingan untuk menstabilkan negeri Melaka dan negeri Johor untuk pembangunan. Cuba bayangkan kalau Perdana Menteri, Menteri Besar nok buat program tapi diugut akan ditekan butang tak berani Menteri Besar, Perdana Menteri buat program untuk kemajuan negara. Tak berani. Terpaksa tangguh, terpaksa timbang sana, timbang sini akhirnya tak boleh buat apa-apa. Disebab itulah di Melaka dan di Johor dibubar untuk kestabilan dan pembangunan negeri. Bukan adanya kepentingan UMNO. Bukan. Pada saya lah. Sebab tu saya tak setuju pandangan Batu Buruk ni berkaitan dengan PRN Johor dan juga Melaka. Cumanya saya tak setuju lagi apabila pemimpin kita kata dalam masa nok pilihan raya di Melaka dan di Johor ni, kata UMNO ni
seumpama itik patah kaki. Itu saya tak setuju. Betul. Seolah-olah kita telah buat keputusan MN dah tak ada lagi dah.
Kalau dulu kita di Terengganu pada saya, saya bersyukur pada Allah sebahagian daripada rakyat kita menangis kesukaan kerana adanya BN tapi akhirnya PAS yang membuat keputusan untuk berpisah, saya pun sedih. Kalau dulu masa kita nak bersama dulu macam-macam kata kita lupakan perkara yang lama. Kalau kasih pun kalau ada kurap pun kata tu bukan kurap, panau je.
Yang berhormat minta jalan sikit, Yang Berhormat
Saya nak terus, lepas ni.
Dia tak beri laluan Yang Berhormat.
Tak beri laluan
Yang Berhormat nak bercakap tajuk apa ni dari segi Titah Tuanku ni?
Saya bercakap tentang bagaimana kita nak membina generasi muda masa depan.
[KETAWA]
Tak dok dalam point sheikh
Sebabnya pemimpin utama PAS ajar kita, ajar generasi muda, saya nak minta kita sebagai orang tua kita kena beri bimbingan, kita kena beri tauladan, kita kena semai nilai-nilai murni kepada generasi muda terutamanya rakyat
Terengganu apalagi Terengganu kita ni daripada dulu sampai ke 2018 Kerajaan BN menyemai Terengganu cantik, budaya menarik. Kita nok orang mari ke Terengganu bukan sahaja kerana cantiknya Pulau Perhentian, alam sekitar tetapi budayanya menarik. Orang Terengganu kerana budayanya menarik, nilai-nilai murninya tinggi. Tetapi pemimpin PAS telah memberi ajaran kepada anak muda bila dah tak baik, kata macam-macam. Contohnya, bila orang bercerai. Macam-macam kata. Itik patah kaki lah. Punggung tak cantik lagi lah. Contoh. Ini memberi satu gambaran penyemaian nilai-nilai tidak baik kepada generasi muda. Kalau sebelum ni kita bukan lagi puji. Itik ni kalau kita nak pilih, saya pernah berbual dengan orang pere itik. Kalau dapat telur ye banyak, kalau itik ni kepala hijau kita kena cari, kalau ye nok bertelur banyak dia ada campur warna biru-biru sikit. Dia akan bertelur banyak itik tu. Kalau hijau saja dia telur dok banyak. Baru ni Haji Hadi masa kita buat MN itik ni warna hijau campur biru. Bertelurnya banyak, masa nok baik. Tapi hari ini dah kata itiknya patah kaki, dah tak cantik lagi bila berpisah. Kita orang Terengganu, kita nok menyemaikan nilai-nilai orang kita ni Terengganu cantik, budaya menarik. Kita nok semai nilai-nilai di kalangan orang muda.
Kalau baloh pun, kalau bercerai pun, kalau gapo pun, jangan kita memburukkan kepada rakan-rakan kita.
buruk apanya
Itu yang saya katakan menyemai nilai-nilai murni
Buruk apanya itik tu
kepada orang muda di Terengganu
Oh bekengnya.
Bukan hambo maroh ni
Buruk apa itiknya, itik dok buruk
Supaya orang-orang muda di Terengganu ini mempunyai nilai-nilai murni. Bukan nok ajor, bukan hambo nok maroh ni
Yang Berhormat
pasal menyemai nilai-nilai tidak baik untuk generasi muda
Yang Berhormat, sila bertenang
Mintok maaf. Masa ada lagi seminit.
Sila bertenang
[AUDIO TIDAK KEDENGARAN DISEBABKAN MICROPHONE DITUTUP]
Saya tutup ni nak suruh beri tenang keadaan sekejap. Yang Berhormat cakap rilek macam Yang Berhormat bercakap dalam Perhimpunan Agong UMNO. Rilek, kan. Haa sila.
Tenang dulu.. bolok ngat jadi bunyi tu
Itik tak dok air memang gitu la bobok kali
[KETAWA]
Bukan saya nak ghoyaknya menyemainya nilai-nilai murni adalah hidup kita
Yang Berhormat bawa bertenang sekali.
Bertenang doh ni..
Negeri cantik, budaya menarik. Kita tamboh pulok orangnya baik-baik. Maknanya kita terus lah tu.
Baik-baik wane nya kate kokse kat ore. Kata kokse, baik-baik gane.
Yang Berhormat masa Yang Berhormat tak banyak ni. Saya sedap dengor ni tapi masa dok cukup ni.
Kata kokse ko ore baik-baik gano? Tak baik. Sebab tu saya nak… kalau orang muda Terengganu dengor op, kita kena tolak orang yang menyemai nilai-nilai tidak baik untuk Terengganu masa depan. Itu saja Yang di-Pertua. Akhir sekali Yang di-Pertua. Saya gok nok sebut hal kawasan saya ni, masjid dok wat sebutir habuk.
Dok soh sebut la tu. Sebut hok sakning je
Masjid selamo PAS jadi kerajaan sutir habuk tak dok buat. Kerajaan Islam apo lagu ni, ni orang kampung kata ke saya ini. 4 tahun tak boleh buat masjid sebutir habuk di Besut. Kerajaan Islam gano ni.
Yang Berhormat nok sekampung dua butir ke? Sekampung sebutir je masjid Yang Berhormat.
Masjid tak pernah buat sebutir habuk pun selama 4 tahun, Yang di-Pertua. Mintok buat di Besut sebuah.
Okay Yang Berhormat, terima kasih.
Yang Berhormat Yang di-Pertua, saya mohon menyokong.
Nak ucap tahniah kepada Seberang Takir kerana masa sesi penggal tu satu je yang lebih ADUN. Dia tak bubar Dewan Undangan Negeri. Hebat Seberang Takir. Hok lain negeri lain hok BN dua tu dia bubar pasal dia kata nok stabil. Terima kasih Seberang Takir. Dato’, angkat tangan ah sikit.
Okay terima kasih [gelak] Saya harap bertenang. Kita tak ada apa-apa pun ni. Kena rilek je ni pada isu-isu yang patut dipanaskan. Okey saya jemput Wakil daripada Bandar. Sila. Tetapi persidangan kali ini kita tak nak sambung sampai pukul 5. Sebelum pukul 5 kita nak berhenti.
Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.
Firman Allah Taala
Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.
Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Ahli-Ahli EXCO Kerajaan Negeri Terengganu, Ahli-Ahli berhormat, sahabat-sahabat kita, Ketua-Ketua Jabatan, seterusnya kepada Tuan-Tuan, Puan-Puan dan hadirin sekalian. Alhamdulillah kita bersyukur kepada Allah Taala pada tahun ini dengan keizinan jua, kita dapat bersidang pada kali ini. Terima kasih kepada Dato’ Yang di-
Pertua kerana mengizinkan saya untuk turut serta dalam perbahasan, Menjunjung Kasih di atas Titah Ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan.
Dato’ Yang di-Pertua, kesan pandemik COVID-19 ini yang telah melanda hampir dua tahun, bukan sahaja telah memberi impak yang sangat besar kepada negara kita dan negeri kita. Bahkan seluruh dunia merasai fenomena yang sama. Dengan hampir semua bidang dan sektor ekonomi terpaksa dihentikan dan ditutup para peniaga dan para pekerja tidak dapat keluar bekerja yang akhirnya ekonomi negara negeri keluarga mengalami kesukaran. Alhamdulillah, Kerajaan Malaysia ketika itu yang dipimpin oleh Yang Berhormat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan kabinetnya telah merangka pelbagai program dan juga penyelesaian. Inisiatif untuk memastikan negara dan rakyat dapat mengharungi ujian yang berat ini. Pelbagai kemudahan dan bantuan telah diperkenankan dan diberi kepada rakyat. Alhamdulillah, dengan bantuan-bantuan tersebut, rakyat kita dapat mengharungi kehidupan mereka. Bahkan dunia melihat bagaimana prihatinnya Kerajaan Malaysia, dengan kebajikannya kepada rakyat sehingga mendapat pujian. Ada rakyat daripada luar negara yang mengatakan bahawa seronok kalau mereka menjadi warganegara Malaysia. Kerana dengan prihatin bantuan yang diberikan oleh pihak Kerajaan. Di atas berkat kerjasama daripada semua pihak, Kerajaan dan rakyat mengetepikan kepentingan peribadi, kita melihat bagaimana usaha-usaha ini membuahkan hasil yang sangat bagus.
Dato’ Yang di-Pertua, kini kita sedang menuju fasa endemik, di mana semua sekatan dan halangan-halangan akan dibuka sepenuhnya, persiapan perancangan yang rapi dan bersasar perlu dibuat bagi memulih dan memajukan kembali semua sektor ekonomi di negeri kita khususnya. Kerajaan Malaysia juga masih optimis mengunjurkan KDNK pada tahun 2022 pada kadar 5.5% sehingga 6.5%. Untuk itu amatlah tepat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan menitahkan bahawa bukan sahaja perancangan perlu disusun dengan rapi dan betul tetapi perlu juga disusuli dengan tindakan yang betul dan berterusan.
Dato’ Yang di-Pertua, saya juga ingin menyentuh tentang kenaikan harga barang khususnya barang-barang mentah makanan seperti gandum dan bijiran serta lain-lainnya yang mendatangkan kesan kepada harga makanan. Kenaikan harga minyak dunia baru-baru ini pada tahap 129 US Dollar. Sudah pasti akan
memberi kesan yang cukup besar kepada ekonomi rumah dan keluarga. Sebab itu Kerajaan Terengganu telah merangka dan membuat pelbagai program untuk memastikan bekalan bahan mentah adalah mencukupi untuk rakyat.
Dato’ Yang di-Pertua, tepat sekali apabila Tahun Pertanian Negeri Terengganu 2021 seperti yang dititah dan diisytiharkan oleh Kebawah Duli Maha Mulia Tuanku Sultan. Seramai 13,000 lebih orang golongan sasar telah menerima manfaat. Projek penanaman lada hitam di kawasan Setiu diharap dapat menjana pendapatan yang tinggi kepada negeri bahkan rakyat juga boleh menikmati hasil dan kejayaannya. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini mencadangkan kepada pihak Kerajaan untuk merangka satu kaedah ataupun program yang mengumpulkan pemilik-pemilik tanah terbiar ataupun tanah-tanah rakyat yang terbiar yang pernah diusahakan suatu ketika dahulu secara lebih serius untuk dimajukan semula secara berkelompok ataupun berkumpulan di mana pihak Kerajaan sendiri yang menyelaraskannya dengan menyediakan pelbagai kemudahan dan bantuan. Tanah-tanah terbiar milik rakyat tersebut sekiranya diusahakan semula akan menjanakan pendapatan kepada pemilik tanah dan juga memberi pulangan kepada Kerajaan. Dalam masa yang sama, pihak Kerajaan juga dapat mengurangkan pergantungan import barang mentah makanan daripada luar.
Dato’ Yang di-Pertua, dalam mendepani tempoh yang mencabar ini, saya juga amat bersetuju dengan Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk melibaturuskan semua pihak di dalam membantu Kerajaan memberi input yang tepat dan berguna bagi merangka dan melaksana dasar-dasar yang betul untuk kesejahteraan rakyat dan Negeri Terengganu Darul Iman.
Dato’ Yang di-Pertua, saya juga tertarik dengan Titah Tuanku Sultan berhubung dengan demokrasi yang menjunjung prinsip raja berpelembagaan. Penglibatan rakyat bukan sahaja di dalam pilihan raya, turun memberi undi tetapi juga memberi pandangan serta input berguna agar segala keputusan yang dibuat Kerajaan dapat benar-benar membantu rakyat dan memajukan Negeri Terengganu Darul Iman.
Dato’ Yang di-Pertua serta Ahli-ahli Dewan, pertembungan politik dan perbezaan pendapat perlu dirungkai dengan kaedah yang betul dan ketulusan hati yang tinggi. Kita melihat bagaimana tindakan rakyat melalui MEDSOS yang menzahirkan perasaan meluat terhadap sikap sebahagian daripada ahli politik.
Yang akhirnya semua ahli politik menjadi tidak betul pada pandangan mereka. Rakyat yang berdepan dengan kesukaran pada masa ini tidak wajar diperangkap dengan kepentingan agenda politik yang sempit. Sekadar memenuhi cita-cita, kemahuan dan kepentingan parti tertentu. Bahkan lebih malang, hanya untuk kepentingan beberapa individu sahaja.
Dato’ Yang di-Pertua, di dalam menghadapi cabaran semasa yang mendatang, saya juga tidak nampak kewajaran mengulangi dan mengalunkan kisah-kisah silam dengan menambah garam dan cuka untuk menambah perisanya, kononnya sesuatu yang mengerikan dialami oleh sesuatu pihak sedangkan mungkin mereka lupa atau buat-buat lupa. Pelbagai kisah-kisah perih pedih yang dialami oleh pihak yang lain. Sama ada melalui diskriminasi, ketidakadilan, kezaliman, pilih kasih dan sebagainya terhadap seteru politik mereka.
Dato’ Yang di-Pertua, kita tidak boleh menoleh ke belakang. Usaha untuk menyatupadukan umat melayu Islam ini, perlu diletak di depan. Jangan kita terpengaruh dengan tektik strategi yang sengaja disusun oleh musuh khususnya musuh orang Islam dan melayu sehingga menjadikan perpaduan melayu tidak akan tercapai. Elakkan daripada perkataan seperti mana yang disebut boleh menyebabkan hati-hati kita luka.
Dato’ Yang di-Pertua, di dalam menghadapi krisis politik, saya berpendapat bahawa perkara asas dan wajib ada pada kita semua orang Islam, khususnya bangsa melayu di negeri ini. Yang pertama perlu kepada keikhlasan untuk berubah. Kalau kita tidak mampu berubah, dan kalau kita tidak boleh mengikhlaskan diri kita maka kita akan terus berada dalam suasana sepertimana masa-masa yang lalu. Adakah kita mahu lagi kembali pada masa yang lalu, saya yakin dan percaya Ahli-ahli Yang Berhormat sama ada di pihak Kerajaan ataupun rakan-rakan kita daripada UMNO sama, suasana yang pernah kita kecapi sebelum ini, dalam suasana adanya kasih sayang, mahabbah adalah sesuatu yang sungguh mahal, yang tidak pernah kita kecapi sudah beberapa dekad. Sayang kalau sekiranya perkara-perkara yang kecil sehingga dijadikan seperti gunung yang membakar dan ingin menghempap diri kita. Dato’ Yang di-Pertua, yang kedua lupakan kisah-kisah lama. Jangan diulang kisah-kisah lama, kalau diulang maka orang lain pun akan terus mengulangi kisah-kisah itu. Simpanlah kisah-kisah silam itu di dalam sejarah politik kita demi untuk melayu dan Islam. Saya yakin kesungguhan kita ke arah itu dan yang ketiga, rendahkan diri kita semua demi agama, bangsa, rakyat kita. Kalau
kita boleh merendahkan diri, tidak sombong, tidak merasa hebat, insya-Allah jalan terang di hadapan kita.
Naik basikal membawa raga Singgah ke pasar membeli ikan Kalau hendak seribu daya Kalau tak hendak seribu alasan
Dato’ Yang di-Pertua, saya juga ingin mengambil kesempatan sikit pada petang ini untuk menyampaikan hasrat daripada rakan-rakan sahabat kita daripada Masjid Putih ataupun Masjid Negeri yang ingin memohon daripada pihak Kerajaan sama ada yang melibatkan Pejabat Agama, MAIDAM untuk membuat penelitian ke arah membaik pulih Masjid Negeri yang sangat penting pada kita di Negeri Terengganu kerana Masjid Putih ini merupakan masjid ikon untuk Negeri kita. Apabila saya dijemput baru-baru ini walaupun saya sentiasa bersembahyang di situ, tetapi dalam satu program khusus saya telah diberi beberapa taklimat dan saya mengharapkan pihak Kerajaan untuk melihat perkara ini secara lebih serius kerana masjid itu adalah lambang kepada Negeri kita sendiri. Perlu ada pemulihan yang secara holistik, daripada catnya, karpetnya, peralatannya dan silingnya dan air hujan yang turun mungkin akan dapat supaya perkara ini dapat dipulihkan, insya-Allah.
Masa Yang Berhormat.
Mudah-mudahan Allah Subhanahu Wa Ta’ala memberi kepada kita rahmatnya. Dato’ Yang di-Pertua,
Masa Yang Berhormat dah hampir tamat.
nok habis doh ni.
Bulan Ramadhan bulan yang mulia Umat islam khusyuk beribadat Siang hari berlapar dahaga Agar berjaya di alam akhirat
Kuih bekang makanan tradisi Warisan resepi nenek moyang Bacalah Quran setiap hari Agar kita Allah sayang
Akhirnya Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,
Bronok beke dan lopat tikam Tidak ketinggalan kuih lompang Salah silap mohon dimaafkan Selamat menyambut bulan Ramadhan
Bandar mohon menyokong.
Terima kasih Wakil Bandar. Saya nak jemput sorang saja lagi untuk mengakhiri perbahasan pada petang ini. Saya nampak kalau ikut kita punya Standing Orders perkara 46 (4) Yang di-Pertua boleh jemput mana yang dia terpandang terlebih dahulu, jadi saya terpandang daripada Wakil Telemong tadi, nanti Wakil Wanita boleh sambung esok.
Ke Yang Berhormat Wanita nok ni? Saya takdok masalah Dato’ Yang di-Pertua kalau dia nok pun, tapi kalau Dato’ Yang di-Pertua mintok saya pun.
Takpe teruskan Yang Berhormat, teruskan.
Terus ea?
Mentang-mentang orang puan gok, lembut.
[Ketawa] saya dengan orang puan alohan sket boh.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, rakan-rakan saya Ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan, para hadirin, tuan-tuan yang saya kasihi sekalian. Alhamdulillah, syukur saya kehadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana dengan izin Allah Subhanahu Wa Ta’ala pada petang ini, mungkin penghujung doh gamoknye saya diberi kesempatan kepada Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, untuk sama-sama membahaskan Titah Ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan yang telah disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar pada pagi semalam.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, secara keseluruhannya saya sempat membaca dalam dua tiga kali semalam dan saya melihat apa yang diberi penekanan di bawah Titah Ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku yang mahu melihat bahawa Negeri Terengganu ini tetap berada dalam keadaan tadbir urus yang baik dan walaupun kita dalam menghadapi dalam keadaan ekonomi yang teruk dan juga dalam keadaan pandemik pada masa sekarang ini, dan dia mahu melihat bagi pihak Wakil-wakil Rakyat sama-sama menggembleng tenaga untuk membantu sama lain. Yang lebih penting adalah bagaimana kita ingin mengekalkan survival terutamanya rakyat Negeri Terengganu dalam situasi yang semakin sukar sekarang ini.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua dan rakan-rakan, saya insya-Allah akan mengutarakan beberapa perkara yang saya kira ianya berkait rapat, terutamanya dengan kawasan saya di Hulu Terengganu. Yang Berhormat, pertamanya berkaitan dengan banjir yang telah berlaku di Hulu Terengganu baru-baru ini. Semua orang sedia maklum dan juga ada disebut dalam Titah Ucapan Kebawah Duli Tuanku bahawa banjir baru-baru ini sangat teruk berlaku di Hulu Terengganu dan juga di Kemaman. Sebenarnya Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, kalau kita nak lihat banjir baru ini memang teruklah, memang pada saya, saya ni hidup umur 50 tahun doh, dan dok jupe lagi banjir sebesar itu dan juga saya dimaklumkan oleh orang-orang kampung saya, dia orang hidup dok sapa 70 tahun juga dok jupe lagi banjir seteruk macam tu. Oleh kerana tersebut, oleh kerana kita ini Negeri Terengganu ini merupakan negeri yang sudah mungkin ada SOP yang banjir ini maka walaupun teruk dalam keadaan kelam kabut maka mereka juga dapat survive diri mereka dengan cara
yang terbaik dan saya ucap tahniahlah. Tapi ianya baru-baru ini, ia berlakunya di luar musim, biasa dia banjir di Negeri Terengganu ini berlaku bulan 12 bulan 11 hok teruk. Mari baru ni prak mari bulan 3, jadi cambar la sikit. Walau bagaimanapun, Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, di Hulu Terengganu yang saya kira banyak terlibat kerosakan dan juga kemusnahan yang saya dapat dimaklumkan bahawa hampir 4,600 orang mangsa yang terlibat dengan banjir di seluruh Hulu Terengganu dan juga ianya merangkumi lebih kurang 1,600 keluarga yang terlibat secara total berkaitan dengan banjir di Hulu Terengganu baru-baru ini, dan saya, memang saya akui, ramai dan saya ucap terima kasih banyok sebagai orang Hulu Terengganu saya ucap terima kasih banyok kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan juga Yang Berhormat Dato’ Seri Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri dan juga rakan-rakan saya EXCO dan juga Yang Berhormat-Yang Berhormat pun, yang daripada pihak Kerajaan yang punyai peruntukan yang agak besar daripada kami ini dan ramai mereka yang turun membantu dan saya ucap terima kasih banyak-banyak.
Yang Berhormat dok sebut saya pun. Yang Berhormat dok sebut pun saya gi turun gok.
Dato’ Yang di-Pertua dok jupe dengan saya.
Turun.
Tu yang saya dok missed tu, mintok maaf.
Haa, tu lah.
Mintok maaf Dato’ Yang di-Pertua. Saya ini hok napok mata je, kalau kite dok napok dok jerepok dengan Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. Jadi, oleh kerana terlalu ramai Dato’ Yang di-Pertua, sekarang ini memang kita duk dengor ada bantuan yang berkaitan dengan banjir ini one-off biasa dia RM1,000.00 yang diberilah, sebelum pada ini yang diberi kepada mangsa-mangsa banjir dan sekarang ini yang menjadi kekangan kepada masyarakat ialah mereka kehilangan segala-galanya, rumoh banyok yang tidoklah kata cabut macam Selangor tu, tapi adalah yang rebeh dan sebagainya, itu
kerosakan-kerosakan itu ada. Tapi masalahnya semua perkara baju, pinggan mangkuk, dapur, kain selimut dan semua sekali totally lost. Jadi saya memohon merayulah kepada Kerajaan Negeri supaya menambah peruntukan ini, contingency one-off kepada mangsa-mangsa banjir ini, kalau Kerajaan Pusat beri RM1,000.00 kita tambah RM1,000.00 lagi jadi RM2,000.00 jadi memudahkan untuk nak beli barang je bukan kata nak atasi kemusnahan yang berlaku itu tidak akan boleh dapat dah tapi sekurang-kurangnya boleh meringankan beban mereka, boleh menyedapkan hati mereka sikit untuk kita mereka menyediakan terutamanya anak-anak nak start sekolah macam sekarang ini anak-anak baru nak masuk sekolah, baju sekolah takdok sehelai haram dah, jadi ini menimbulkan banyak masalah di peringkat mereka-mereka yang terkena mangsa banjir ini, Dato’ Yang di-Pertua. Oleh sebab itu, saya berharap sungguh-sungguh kepada kita supaya dapat membantu dalam soal ini, di samping itu juga kalau kita dapat dan juga boleh kita wujudkan satu Tabung Bencana Negeri kita ini. Sebab banjir ini ada sokmo tiap-tiap tahun ada sokmo cuma kuat dengan tak kuat je, jadi kita tubuh selalu saja tabung. Tabung Bencana Negeri Terengganu senang kalau ada kes-kes gini, dan tabung bencana ini tidak perlu Kerajaan sangat yang keluar duit, GLC kita banyak kan, GLC kita daripada kita guna ke lain duit, beri CSR ke tabung bencana supaya boleh membela dan juga membantu rakyat kita yang menghadapi musibah-musibah banjir sebagaimana yang saya maklum tadi.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, satu perkara lagi yang saya ingin jelaskan dia masalahnya bila turun bantuan ini ada orang daftar, ada orang register nama untuk mengesahkan dia ini banjir, jadi nama ini satu masalah, satu masalah yang timbul kerana banjir baru ini berlaku pukul tiga pagi, pukul empat pagi, dan air naik dalam masa setengah jam je, ada ramai di kalangan masyarakat orang-orang rumah yang dok dan nak lari jadi diaorang ambik nama orang yang hanya berpindah kepada PPS sahaja. Ini menimbulkan masalah di peringkat bawah, ini saya minta tolong kepada jabatan-jabatan ataupun Kerajaan Negeri tolong bincang dalam mesyuarat EXCO supaya melonggarkan sikit peraturan undang-undang, undang-undang ni, undang-undang kita belaka buat, bukan kita amik kita pitih, tapi kita nak memudahkan supaya masyarakat kita bawah itu yang tidak tersenarai kerana saya dimaklumkan ramai kita tidak disenarai kerana dia tidak sempat nak pindah
Mohon beri laluan sikit
pindah ke pusat pemindahan
Yang Berhormat ada la tu, ada, sila
Mohon beri laluan sikit, memang Kerajaan dah longgarkan, kita dah longgar dah hok tu maknanya tak semestinya yang berpindah ke PPS termasuklah berpindah ke rumah-rumah, rumah kawan-kawan ke…
Okey, terima kasih Yang Berhormat Ajil. Yang Berhormat Ajil, dia pun sama dengan saya gok, jerepok sokmo hari-hari. Alhamdullilah saya tahu dia banyak turun baru ini dan saya nak minta tolong kalau ada doh alhamdullilah saya cuba peringatkan sebab hari ini pun ada lagi orang mesej ke saya, saya kabo terus terang hari ini pun ada orang mesej lagi. Jadi itu Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, selain daripada itu juga saya ambil kesempatan sini ucap sekali lagi, terima kasih banyak-banyak yang tidak terhingga kepada NGO, kepada Bomba, kepada agensi Kerajaan Negeri, agensi-agensi Bomba, JPAM, PDRM, JKM, KKM, RELA, NGO dan semua pihak-pihak sama ada dalam negeri dan juga luar negeri yang mari memang ramai. Mari ramai-ramai saya ucap terima kasih banyak-banyak, begitu juga dengan universiti-universiti, IPTA dan juga IPTS yang melakukan perjalanan pasca lepas banjir yang menyelesaikan banyak sekolah-sekolah kita dan alhamdullilah hari ini boleh selesai dan budak-budak boleh belajar semua sekolah di Hulu Terengganu cuma hok berat sikit cuma di Sungai Berua la sikit lagi, takpela orang asli saya itu takdok masalah, dia boleh belajar di surau pun boleh lagi setakat ini, Dato’ Yang di-Pertua.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, satu perkara lagi yang saya ingin mengutarakan sebagaimana kawan-kawan saya yang lain untuk menarik perhatian Dewan yang mulia ini, dalam Titah Ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku juga semalam berkaitan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat maknanya kos sara hidup ini bukan main-main, betul macam Yang Berhormat Bandar kata tadi dan juga rakan-rakan saya yang lain juga mengatakan bahawa kos sara hidup kita perlu mengambil penekanan yang sangat serius kerana ianya bukan sahaja di peringkat akar umbi yang sangat-
sangat terasa pada hari ini tapi malah di peringkat pertengahan dan juga di peringkat atas. Oleh sebab itu, saya suka mencadangkan kepada Kerajaan Negeri supaya kita boleh memperbanyakkan dan juga mempelbagaikan ruang ekonomi kepada rakyat-rakyat kita di peringkat akar umbi, di peringkat-peringkat bawah sebagaimana yang saya maklum tadi kepada EXCO Pertanian, soalan saya tadi yang bagaimana yang kita kabo program Tahun Pertanian kita pada tahun lepas adalah kebanyakan memang saya nampak kejayaan ada iaitu kebanyakan adalah program-program yang kita buat dan juga peruntukan-peruntukan yang kita sediakan itu memang besar dan selama ini pun ada, selama ini pun ada cuma saya mahu lihat Tahun Pertanian sepatutnya kita fokus apakah vision kita lima tahun akan datang, kalau kita nak fokus lada hitam tak apa kita highlightkan lada hitam dan kita boom betul-betul lada hitam jangan kita gi sekerat jalan, hok tu je saya nak mintak bab pertanian ini sangat banyak dah sebelum pada ini pun lada hitam lah, kambing itu, kambing ini, kambing itu, ayam itu, ayam ini seorang haram dok jadi kakah, pitih berjuta-juta habis, saya peringat ini pengalaman kita belah lekning, pengalaman kita Kerajaan Barisan Nasional dan kita tidak mahu lagi perkara sebagaimana perkara ini berlaku kepada kawan kita belah leknu, kita sayang belaka Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua.
Jaga masa Yang Berhormat sebab saya tak nak melampaui pukul lima.
Nanti dulu tadi Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua kalau saya awal suruh jaga masa tadi panjang lebih
jadi itulah saya nak pastikan habis sebelum pukul lima.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, hari ini rakyat kita memang bila kita tengok dulu harga ayam RM5.00, RM6.00 sekilo, dua tiga tahun lepas. Hari ini harga ayam dah sampai RM10.00 sekilo. Saya bukan nak kata begitu juga benda lain, begitu juga dengan harga ikan, ikan selayang kalau dulu RM6.00 sahaja, RM7.00 sekilo hari ini naik berbelas-belas ringgit sekilo, baru setahun dua, begitu juga minyak kereta, dulu RM1.80 harini dah sampai RM3.00 minyak kereta. Kalau dulu bila harga barang naik gini kita wat tunjuk perasaan dah,
hari ini kita dok buat sebab kita tahu bahawa ini bukan tugas Kerajaan Negeri Terengganu nak menstabilkan harga ini. Kita faham dan kita nak pastikan bahawa hari ini budaya politik kita kena politik matang, ada benda yang kita boleh bangkang, ada benda yang kita tidak setuju dan ada benda yang boleh kita kena setuju dan kita kena bangkang kerana itulah realiti hakikat dunia pada hari ini Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, oleh sebab itu saya memohon kepada Kerajaan Negeri supaya kita boleh memberi, Kerajaan Negeri mengambil langkah yang rapi dan juga menjamin kebajikan rakyat khususnya Negeri Terengganu kita ini agar terbela dan tidak rasa terkesan sangat-sangat dengan beban yang kita hadapi pada hari ini apatah lagi dengan keadaan yang kita keadaan pandemik yang rakyat tak boleh kerja, nasib baik pada hari ini harga kelapa sawit kita mahal, nasib baik kita, kita masih bernasib baik. Dulu saya pernah buat program bagi free ini anak kelapa sawit ini, Yang Berhormat Ladang dok mari hari ini, dia perli sokmo saya dulu, buat taik apa dia kata program gini beri dua tiga puluh pokok ke orang ini. Yang Berhormat ini ada, apa ini Wakil daripada Bukit Tunggal pun tahu. Sebenarnya kita buat ada sebuah kampung pada hari ini yang kita dah lancar yang memang berjaya pun, ada lebih kurang 50 ekar keseluruhan dalam kampung tersebut, RM50,000.00 dia boleh pitih pada hari ini. Jadi Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya minta supaya program-program sebagaimana ini diperbanyakkan bukan saya suruh bagi pitih ini contoh ini, contohnya taman-taman, di bandar-bandar dan juga di kampung-kampung kita boleh bagi mereka benih-benih untuk mengatasi benih-benih sayur, benih jagung, benih sayur, benih kangkung, benih mende lagi, benih lada kita beri 10 buah rumah 20 pokok, 30 pokok, bag kita beri, baja kita beri, payah sangat tanah kita beri lagi suruh dia tanam je situ. Rumah masing-masing secara automatiknya dapat mengurangkan bebanan masyarakat kita di peringkat akar umbi pada sekarang ini.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya juga ingin sikit-sikit saya cukup Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, iaitu berkaitan dengan pengganguran belia pada hari ini, saya tertarik dengan ayahanda saya tadi Yang Berhormat Rantau Abang yang mengatakan TDM ada menyediakan peluang pekerjaan 800 kekosongan Yang Berhormat, betul?
800 kekosongan alhamdullilah, alhamdullilah dan pendapatan sampai RM4,000.00, RM5,000.00 tapi tadi saya nak minta pencerahan supaya sebab Yang Berhormat kata belah leknu, belah lekni supaya bantu Kerajaan, saya nak minta tolong kita perincikan kerja nape ini, kerja kat mana ini supaya jelas kepada rakyat kerja apa.
Yang Berhormat
Ngait buah ke…
Yang Berhormat
angkut buah ke, jadi pegawai pakai tali leher ke yang itu kita nak tahu
Yang Berhormat, saya minta Yang Berhormat sila duduk sekejap, sila duduk
Pulok.
Sila duduk.
Dak pe doh kalu dok pon Yang di-Pertua. Lepas hajat dah saya ni. Saya tak dok masalah.
Okay. Oleh kerana saya nak menjaga peraturan.
Yang di-Pertua, akhirnya saya juga sebagaimana rakan-rakan saya Yang Berhormat Bandar, kita sebenarnya kalau nak molek, betul saya kata, tiada kaedah lain, iaitu satu permuafakatan yang baik kita perlu reka. Tidak berjaya zaman saya, tak apa. Saya mendoakan satu hari nanti, ia akan menjadi realisasi.
Insya-Allah
Tapi jangan kata ke sape-sape dia. Tepuk dada tanya selera. Siapa jujur, siapa yang tidak jujur.
Telemong mohon menyokong. Sekian.
Salamu Allah. Saya tak puas dengar Yang Berhormat Wakil Telemong cakap. Tapi kerana masa tidak mengizinkan, kita terpaksa patuh kepada Standing Orders sepertimana dinyatakan. Yang Berhormat sekalian, sekarang saya tangguhkan persidangan Dewan sehingga ke esok hari, Rabu, 23 Mac 2022 pukul 9.30 pagi. Untuk itu marilah kita sama-sama kita membaca tasbih kaffarah dan Surah Al -Asr.
DEWAN DITANGGUHKAN PADA PUKUL 4.55 PETANG