Terengganu · 28 November 2022
14th Assembly, 5th session, 3rd meeting · 77 turns · 12,502 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalTerengganu publishes one PDF per meeting, with the written answers appended. Speakers are matched by our parser and will have some errors.
(Pembukaan)
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Sebelum kita memulakan persidangan dewan pada pagi ini, marilah kita sama-sama membaca Ummul Kitab Al-Fatihah.
(Al-Fatihah)
Perkara pertama di dalam Tertib Pekerjaan Dewan pada hari ini ialah Doa oleh Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan.
DOA
Dibaca oleh Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan.
Ucapan Yang Berhormat Dato’ Yang Di-Pertua Dewan
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr.
Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Perkara berikut di dalam Tertib Pekerjaan Dewan pada hari ini ialah Ucapan Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan.
YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Shamsuri bin Mokhtar, Menteri Besar Negeri Terengganu, Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang
Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ketua-Ketua Jabatan Negeri & Persekutuan, Dato-Dato', tuan-tuan & puan-puan dan para pemerhati sekalian.
Alhamdulillah, kita bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana dengan taufik dan inayahNya kita dapat bertemu semula dalam persidangan kali ini iaitu Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempat Belas. Cuti umum yang diisytiharkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada hari ini turut terpakai di negeri kita kecuali para pegawai dan kakitangan yang terlibat dalam urusan persidangan yang terpaksa diteruskan kerana keutamaan sidang pada kali ini adalah sidang Bajet. Akta Hari Kelepasan 1951 dan Peraturan Dewan (Standing Orders) turut diambil kira untuk meneruskan persidangan yang telah diwartakan lebih awal.
Kita baru sahaja selesai menghadapi Pilihanraya Umum ke 15 di mana negeri kita memilih mengadakan pilihanraya di peringkat parlimen sahaja. Walau apa pun yang telah berlaku, kita seharusnya menghormati keputusan yang telah dibuat oleh rakyat. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Perikatan Nasional khususnya Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang telah berjaya memenangi dan menyapu bersih kelapan-lapan kerusi parlimen di negeri kita.
Mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato Seri Anwar bin Ibrahim yang telah dilantik oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke 10. Yang menang tidak menang semua dan yang kalah, tidak kalah kesemuanya sebab mereka masih mendapat undi dari rakyat. Inilah sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan dalam negara kita. Walau bagaimanapun, rakyat sudah tentu menjadi saksi dan dapat menilai siapa sebenarnya ahli politik yang tulen, berjiwa besar, berintegriti dan bermaruah. Apa yang penting selepas ini ialah kita harus kembali untuk terus membina perpaduan ummah kerana ia menjadi tunjang kepada kemakmuran negara yang dituntut dalam ajaran Islam kita.
Negeri kita sudah tentu akan menghadapi satu lagi pilihanraya di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahun hadapan sebelum genap 5 tahun iaitu pada
bulan Jun 2023. Saya berpendapat, ada kemungkinan sidang Dewan Undangan Negeri kita pada kali ini merupakan sidang yang terakhir sebelum kita menghadapi Pilihan Raya tersebut, tetapi kita masih mempunyai masa dan peranan sama ada di pihak Kerajaan mahupun Pembangkang untuk terus membangunkan negeri kita sebelum tiba waktu tersebut. Sebagaimana yang dinyatakan tadi, sidang pada kali ini merupakan Sidang Bajet di mana pembentangannya akan dilakukan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar selepas rehat nanti, insya-Allah. Apapun persepsi dan tafsiran yang akan dibuat mengenai Bajet 2023 ini, saya yakin Kerajaan yang ada akan membentangkan bajet yang terbaik untuk rakyat berdasarkan kemampuan kewangan yang ada. Insya-Allah saya akan memberi peluang kepada Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian untuk membahaskannya setakat masa yang diperuntukkan.
Untuk pengetahuan Ahli-ahli Yang Berhormat, dalam Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan dalam Dewan Undangan Negeri Se-Malaysia yang diadakan di Pulau Langkawi pada bulan September yang lepas, suatu persetujuan dasar telah dicapai supaya badan legislatif sama ada Parlimen dan Dewan Undangan Negeri mestilah berusaha meningkatkan peranan membantu Kerajaan terutama melalui penubuhan Jawatankuasa Pilihan (Select Committee) dalam menangani isu yang penting. Terpulanglah kepada pihak Kerajaan untuk membuat penilaian dan tindakan atas apa-apa debatan finding dan laporan yang dikemukakan kepada pihak Dewan nanti. Di samping itu, pihak persidangan bersetuju untuk meningkatkan lagi kerjasama antara Parlimen dan Dewan Undangan Negeri dan satu program besar simposium di peringkat nasional akan diadakan di mana kita dicadangkan menjadi tuan rumah.
Satu lagi aspek penting yang telah diberi tumpuan dalam persidangan tersebut ialah mengenai penubuhan unit penyelidikan di setiap Dewan Undangan Negeri. Walaupun Pejabat Dewan Undangan Negeri kita telah mempunyai seorang Pegawai Penyelidik, tetapi untuk jangka panjangnya kita memerlukan tambahan kakitangan bagi memberi khidmat terbaik kepada Ahli Yang Berhormat mendapat fakta dan maklumat, terutamanya sewaktu menghadapi Sidang Dewan Undangan Negeri, selain dari membantu jawatankuasa pilihan ditubuhkan serta kerja-kerja penyelidikan yang lain. Berkait dengan hasil kerja awal jawatankuasa pilihan,
Semakan dan Penambahbaikan Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap Dewan atau lebih mudah disebut sebagai Standing Orders yang telah mendapat perkenan Tuanku Al-Sultan. Laporan tersebut telah dimasukkan dalam Kertas Persidangan kali ini dan dibentangkan secara on the table sebagaimana peruntukan dalam Standing Orders Perkara 23(2). Laporan seterusnya akan dibuat dalam Persidangan lain dari masa ke semasa bagi menjadikan Standing Orders kita lebih tersusun, dinamik dan relevan dengan perkembangan semasa.
Ahli Yang Berhormat sekalian, dengan rasa syukur kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala, saya ingin mengambil peluang dalam Persidangan kali ini untuk melancarkan buku ketiga yang diterbitkan oleh Pejabat Dewan Undangan Negeri yang juga telah mendapat perkenan dari Tuanku Al-Sultan.
[Pelancaran Buku berlangsung]
Buku ini merupakan Koleksi Titah Ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu pada zaman pemerintahan masing-masing setiap kali pembukaan penggal persidangan sejak tahun 1959 hingga sekarang. Mudah-mudahan buku ini menjadi rujukan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian dalam menghayati hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dan seterusnya menjadi dasar kepada perancangan Kerajaan Negeri.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat dan Ketua-ketua Jabatan, buku ini akan diedarkan kepada semua Ahli Yang Berhormat, tuan-tuan dan puan-puan sekalian pada waktu rehat nanti.
Akhirnya, sebagaimana biasa saya berharap semua Ahli Yang Berhormat sentiasa bekerjasama dengan saya terutama dalam mematuhi Standing Orders bagi memastikan Persidangan kita pada kali ini berjalan lancar, insya-Allah.
Adab bercakap tak boleh sembarangan, Kalau tidak ada yang sugul, Berbeda pendapat bukan halangan, Dewan Undangan Negeri kita sentiasa yang terunggul.
Melihat ke sungai banyaknya ikan, Apakan daya mahukan udang, Bajet 2023 rakyat nantikan, Buat para Yang Berhormat selamat bersidang.
Sekian,
KERTAS-KERTAS KERJA DAN LAPORAN-LAPORAN
Kertas-Kertas Kerja Dan Laporan-Laporan
Perkara seterusnya dalam Tertib Pekerjaan Dewan ialah KERTAS-KERTAS KERJA DAN LAPORAN-LAPORAN.
Kertas-kertas kerja dan laporan-laporan yang dibentangkan ialah:
1 Anggaran Hasil Dan Perbelanjaan Tahun 2023.
(D.U.N. Bil.18/2022)
2 Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Negeri Tahun 2023
(D.U.N. Bil. 19/2022)
3 Anggaran Bekalan Air Negeri Tahun 2023
(D.U.N. Bil. 20/2022)
4 Penyata Kewangan Negeri Terengganu Tahun 2021.
(D.U.N. Bil. 21/2022)
5 Penyata Kewangan Tahun 2021 Majlis Bandaraya Negeri Terengganu.
(D.U.N. Bil. 22/2022)
6 Penyata Kewangan Tahun 2021 Majlis Perbandaran Kemaman.
(D.U.N. Bil. 23/2022)
7 Penyata Kewangan Tahun 2021 Majlis Perbandaran Dungun.
(D.U.N. Bil. 24/2022)
8 Penyata Kewangan Tahun 2021 Majlis Daerah Besut.
(D.U.N. Bil. 25/2022)
9 Penyata Kewangan Tahun 2021 Majlis Daerah Marang.
(D.U.N. Bil. 26/2022)
10 Penyata Kewangan Tahun 2021 Majlis Daerah Hulu Terengganu
(D.U.N. Bil. 27/2022)
11 Penyata Kewangan Tahun 2021 Majlis Daerah Setiu
(D.U.N. Bil. 28/2022)
12 Laporan Tahunan Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri Tahun 2021
(D.U.N. Bil. 29/2022)
13 Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2021 Mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Agensi Negeri Terengganu.
(D.U.N. Bil. 30/2022)
14 Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2021 Siri 1 Mengenai Aktiviti Jabatan dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Terengganu
(D.U.N. Bil. 31/2022)
15 Laporan Jawatankuasa Peraturan-Peraturan Tetap Dewan Undangan Negeri Terengganu.
(D.U.N. Bil. 32/2022)
Soalan-Soalan Yang Telah Diberi NotisQuestions
Perkara berikut ialah Soalan-soalan Yang Telah Diberi Notis:
(1) Soalan-soalan Bertulis.
(2) Soalan-soalan Lisan.
Soalan-Soalan LisanQuestions
Jawapan kepada soalan-soalan bertulis yang telah diberi notis dan telah dibentangkan di hadapan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian ialah soalan-soalan daripada:
1 Yang Berhormat Wakil Batu Burok 2 Yang Berhormat Wakil Hulu Besut 3 Yang Berhormat Wakil Sura 4 Yang Berhormat Wakil Bukit Besi 5 Yang Berhormat Wakil Buluh Gading 6 Yang Berhormat Wakil Kuala Besut 7 Yang Berhormat Wakil Rantau Abang 8 Yang Berhormat Wakil Pengkalan Berangan 9 Yang Berhormat Wakil Bandar 10 Yang Berhormat Wakil Air Putih 11 Yang Berhormat Wakil Kemasik 12 Yang Berhormat Wakil Wanita
SOALAN-SOALAN LISAN
Sekarang kita masuk kepada Soalan-soalan Lisan. Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah memberi notis untuk mengemukakan Soalan-soalan Lisan pada hari ini, 28 November 2022 adalah sebagaimana berikut:
1 Yang Berhormat Wakil Tepoh 2 Yang Berhormat Wakil Batu Burok
3 Yang Berhormat Wakil Seberang Takir 4 Yang Berhormat Wakil Sura 5 Yang Berhormat Wakil Telemong 6 Yang Berhormat Wakil Buluh Gading 7 Yang Berhormat Wakil Hulu Besut 8 Yang Berhormat Wakil Manir 9 Yang Berhormat Wakil Bukit Besi 10 Yang Berhormat Wakil Rantau Abang 11 Yang Berhormat Wakil Jertih 12 Yang Berhormat Wakil Pengkalan Berangan 13 Yang Berhormat Wakil Batu Rakit 14 Yang Berhormat Wakil Bandar 15 Yang Berhormat Wakil Kuala Besut 16 Yang Berhormat Wakil Air Putih 17 Yang Berhormat Wakil Permaisuri 18 Yang Berhormat Wakil Ajil 19 Yang Berhormat Wakil Kemasik 20 Yang Berhormat Wakil Wanita
Sebagaimana biasa dalam Soalan-soalan Lisan ini saya memberikan peluang soalan tambahan, dua soalan tambahan sahaja kecuali pada pendapat saya ada soalan-soalan tambahan yang sangat mendesak yang memerlukan diambil perjalanan. Sekarang saya persilakan Wakil Tepoh untuk mengemukakan soalan.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan saya nombor satu 1-
Mohon dinyatakan kemajuan kerja semua projek-projek yang berada di bawah skim ‘Deferred Payment’ dan ‘Scheduled Payment’ sehingga Oktober 2022?
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Menteri Besar dan semua Yang Berhormat- Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan, Pemerhati dan Pihak Media sekalian.
Soalan satu iaitu berkaitan dengan Deferred Payment’ dan juga „Scheduled Payment’ project. Untuk di Negeri Terengganu kita ini, kita ada enam projek keseluruhannya. Dua projek di bawah Deferred Payment dan empat projek di bawah Scheduled Payment. Dua projek tersebut ialah pertama berkaitan dengan projek air di Bukit Sah, Kemaman, dan satu lagi ialah projek air di Kuala Terengganu Utara sedangkan tempat projek di bawah Scheduled Payment ialah Pusat Pentadbiran Kuala Nerus, Projek Muara Sungai Terengganu, Projek Asrama Atlet Majlis Sukan Negeri Terengganu dan juga satu lagi ialah Pembangunan Bandar Baharu Kijal. Keseluruhannya projek ini siap sepenuhnya kecuali satu sahaja iaitu Projek Kuala Terengganu Utara lebih kurang 88% siap. Terima kasih.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan tambahan saya yang pertama. Bolehkah pihak Kerajaan menyatakan maklumat lanjut berhubung kemajuan kerja bagi Projek Air Kuala Terengganu Utara yang masih lagi belum disiapkan sepenuhnya dan saya juga difahamkan pembayaran pun telahpun dibayar kepada kontraktor yang telah melaksanakan kerja-kerja ini. Mohon maklumat yang lebih terperinci.
Terima kasih Yang Berhormat Tepoh. Berkaitan dengan Projek Kuala Terengganu Utara, ia merangkumi berbagai skop projek antaranya ialah water intake di Pulau Bahagia, Projek Air di Bukit Berapit, Projek Air di Serada, di Kepong dan juga Projek Air Water Intake di Pulau Musang dan juga Projek Air di Losong serta pemasangan paip air ke Marang, ke Tangki Mier. Jadi sudah tentu projek ini agak besar yang mana projek ini telah diawardkan pada tahun 2016 dan dijangka siap pada tahun hadapan, bulan April tahun 2023 dan projek ini setakat ini baru siap 88% dan kita menjangkakan dengan masa yang ada ini, projek ini insya-Allah akan siap walaupun tidak sepenuhnya tetapi bolehlah kita mengambil manfaat iaitu bolehlah air-airnya disampaikan kepada penduduk. Yang jadi masalah sedikit ialah projek di
Bukit Berapit yang mana sludge lagoons ataupun tangki sludge untuk air tersebut ada permasalahan sedikit yang mana ada batu yang tidak dapat dibuang ataupun dikorek untuk membina sepenuhnya tangki ataupun kita kata sludge lagoons tadi itu sahaja dan untuk makluman kita bersama, projek ini telah dibayar sejak beberapa tahun lepas. Mengikut pada tahun lepas sahaja, projek ini telah dibayar sebanyak RM150.21 juta dan pada tahun ini RM108.82 juta. Terima kasih.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan terakhir insya-Allah. Untuk keseluruhan deferred dan schedule payment, berapakah jumlah pembayaran bagi tahun 2022 untuk semua projek-projek di bawah kedua-dua skim ini?
Untuk makluman kita bersama, tahun lepas kita dah belanja RM439.74 juta. Pada tahun ini kita berbelanja RM807.31 juta untuk membayar kedua-dua Projek Deferred Payment dan Scheduled Payment dan saya beri ulasan sedikit. Pertama untuk projek di Bukit Sah, Kemaman, kita telah membayar RM551.34 juta pada tahun ini dan untuk Projek Kuala Terengganu Utara kita telah membayar RM108.82 juta, untuk Pentadbiran Daerah Kuala Nerus kita telah membayar RM70 juta, untuk Pembangunan Muara Sungai Terengganu RM5.44 juta last payment, tidak ada lagi dah selepas pada ini. Untuk Asrama Atlet, kita membelanjakan RM24.71 juta juga last payment pada tahun ini dan untuk Pembangunan di Bandar Baharu Kijal, kita membelanjakan RM47.0 juta pada tahun ini, total kesemuanya ialah RM807.31 juta, satu angka yang amat besar kepada pembangunan kita. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat, sekarang saya menjemput…
Dato’ Yang di-Pertua, boleh saya satu soalan…
Banyak dah tadi…
Satu soalan tambahan. Untuk Loji Air je, Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, saya cuma nak tanya bahawa kedua-dua Projek Loji Air, di Kemaman dan juga di Kuala Nerus ini akan dapat mengatasi masalah air ini sehingga tahun yang ke berapa? Makna berapa tahun yang apabila projek ini siap, dengan pembangunan yang sedang dilaksanakan dan yang akan dilaksanakan, jadi masalah isu air ini tidak akan berlaku sehingga tahun berapa? Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.
Terlalu teknikal saya rasa. So perlu notislah saya rasa sampai tahun bila tetapi rasa untuk beberapa tahun akan datang mungkin sehingga sepuluh tahun tidak ada masalahlah air untuk di Kuala Terengganu dan di Kemaman.
Terima kasih Yang Berhormat, sekarang saya jemput Wakil Batu Buruk.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan saya nombor satu 1-
Apakah persiapan Kerajaan Negeri sebagai satu langkah strategik untuk menyambut baik cadangan pembentangan Rang Undang-Undang 355 di Parlimen Malaysia?
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, ADUN Batu Buruk bertanyakan apakah persiapan Kerajaan Negeri sebagai satu langkah strategik untuk menyambut baik cadangan pembentangan Rang Undang-Undang 355 di Parlimen Malaysia ini.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya tidak tahu adakah soalan ini masih relevan tapi kerana soalan ini diutarakan sebelum daripada PRU, jadi kita bersedia dengan jawapannyalah. Sebagaimana taklimat yang pernah diberi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebelum daripada ini berkait hal ehwal agama, bahawa perjalanan dan juga proses untuk membentangkan Rang Undang-Undang 355 di Parlimen adalah dalam proses dan persiapan perlu dilakukan termasuklah di peringkat negeri-negeri sendiri.
Jadi antara langkah strategik yang dilakukan oleh pihak Kerajaan Negeri bagi mempersiapkan untuk perlaksanaan jika sekiranya Rang Undang-Undang 355 ini dibentangkan dalam masa yang terdekat ini. Antaranya, kita telah menubuhkan satu lagi lapisan mahkamah yang tertinggi di Mahkamah Syariah. Pada tahun 2021, 10 November, KeBawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku telah memperkenankan penubuhan empat lapis Mahkamah Syariah di Terengganu sebagaimana yang dinyatakan dalam peringatan Mesyuarat Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Negeri Terengganu Kali Ke-3 Tahun 2021. Sebelum pada ini kita hanya ada tiga lapis iaitu Mahkamah Rendah Syariah yang melibatkan tujuh daerah, tidak termasuk Daerah Kuala Nerus, Mahkamah Tinggi Syariah dan juga Mahkamah Rayuan Syariah.
Yang kedua, kita telah meminda Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir mengikut kesesuaian semasa serta undang-undang lain yang berkaitan. Bagi memperuntukkan hukuman yang selaras dengan Rang Undang-Undang 355, Jawatankuasa Khas telah diwujudkan untuk mengkaji dan membuat pindaan telah ditubuhkan sebagai penggerak kepada gerak kerja pindaan undang-undang. Beberapa undang-undang telah dibuat pindaan dan akan dibuat pindaan, antaranya - Undang-Undang Bagi Diri Terengganu - Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001 - Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) (Pindaan) 2016 - Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Terengganu) 2001 - Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001 - Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Terengganu) 2017
-Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001 - Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama (Terengganu) 2001
dan terkini Jawatankuasa Penyelarasan Undang-Undang Syariah di bawah Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi telah pun membuat pindaan ke atas Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu). Sebanyak 21 seksyen telah dibuat pindaan dan memasukkan 4 seksyen baru diikuti dengan 2 subseksyen baru. Oleh itu terdapat 21 seksyen yang sedia ada dipinda, 4 seksyen baru dan juga 2 subseksyen baru dimasukkan. Secara peratusannya, daripada 69 seksyen yang sedia ada, dan 21 seksyen dipinda ia adalah lebih kurang 39% pindaan yang dibuat. Antaranya juga menaikkan kadar hukuman yang sedia ada mengguna pakai 356 yang ada. Ada hukuman yang masih lagi dengan kadar hukuman yang masih rendah, kita mengguna pakai dahulu ruang ataupun siling yang ada dalam Undang-undang 356 ini antaranya yang tidak lebih daripada RM5,000 ataupun penjara tidak lebih dari tiga tahun dan enam kali sebatan untuk menaikkan kadar hukuman denda sesuai dengan tempoh tahun baru ini setelah 20 tahun undang-undang ini diwartakan.
Kita juga menubuh dan berusaha untuk membangunkan fizikal baharu untuk Kompleks Mahkamah Syariah dan bangunan fizikal yang baharu untuk Mahkamah Rendah Syariah Daerah-daerah kerana kebanyakkan daripada Mahkamah yang sedia ada adalah mengguna pakai bangunan bekas jabatan Hal Ehwal Agama Daerah masing-masing, kita sedang proses untuk menaik taraf ataupun membina bangunan baru. Yang terbaru kita telah meluluskan untuk pembinaan bangunan Mahkamah Tinggi Syariah iaitu di Kemaman dan termasuk selepas daripada itu iaitu Mahkamah Rendah Syariah Setiu dan juga Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kuala Nerus yang akan jadi melengkapkan lapan Mahkamah Syariah.
Yang keempat, kita menambah bilangan Hakim-hakim Syarie. Sekarang terdapat 19 orang Pegawai Syariah Gred LS telah dilantik dan diberi tauliah sebagai Hakim Syarie oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Seramai empat orang Hakim Syarie baharu telah dilantik dan diberi tauliah pada 17 Februari 2022 dan setakat ini, Mahkamah Syariah di Terengganu mempunyai 5 orang Hakim Syarie dari kalangan wanita.
Yang kelima, menubuhkan Pusat Pemulihan Akhlak dan Pemurniaan Akidah di Negeri Terengganu. Sebagai persiapan, pesalah-pesalah akhlak dan akidah akan diseliakan oleh Mahkamah Syariah ini dan diperuntukkan di bawah undang-undang bagi membolehkan mereka untuk mendapat pemulihan yang akan kita seliakan di bawah pengurusan ataupun seliaan Mahkamah Syariah, insya-Allah.
Yang keenam Memisahkan Jabatan Pendakwaan Syariah Terengganu. Pada 21 Disember 2020, Jabatan Pendakwaan Syariah Terengganu tidak lagi berada di bawah satu bumbung dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu tetapi telah diasingkan di bangunan lain yang berasingan. Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif dengan melaksanakan separation of power (pengasingan kuasa) antara Jabatan Pendakwaan Syariah dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu. Perkara ini adalah satu keperluan dan keberkesanan tugasan dan menjamin keadilan syariah terlaksana.
Yang ketujuh lain-lain pelaksanaan dan penguatkuasaan jenayah syariah yang lepas dan mendatang. Jadi kita mengadakan pendedahan awam dengan pelaksanaan kaedah-kaedah pelaksanaan hukuman dan juga kempen seperti apa yang dilakukan baru-baru ini iaitu antaranya pembudayaan syariah di Negeri Terengganu untuk kesedaran di kalangan rakyat dan masyarakat supaya bergerak seiring untuk menerima dan juga mempersiapkan diri mereka ke arah menjadi rakyat yang lebih baik mengikut neraca Islam dan juga menganjurkan latihan ikhtisas kepada semua kakitangan awam tentang pelaksanaan hukuman termasuk memberi penekanan kepada aspek penyelesaian pertikaian dalam bentuk mediasi (dalam islam, mediasi boleh dilakukan dalam kes-kes jenayah yang melibatkan mangsa iaitu tahkim dan juga sulh dan juga membuat kajian terperinci kaedah perlaksanaan hukuman yang baharu yang diwujudkan dalam Rang Undang-undang Akta 355 nanti supaya rundingan dan kerjasama dengan agensi berkaitan di peringkat negeri dan persekutuan bagi maksud untuk melaksanakan hukuman tersebut. Juga mewujudkan perjawatan baharu seperti pegawai parol, pegawai pelaksana perintah syariah dan yang berkaitan bagi melaksanakan perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat, sekarang saya jemput Wakil Seberang Takir.
Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Yang Berhormat-yang berhormat serta tuan-tuan dan puan-puan sekalian, kerana soalan nombor dua saya ditolak, soalan nombor satu. Terima kasih.
Apakah kaedah yang digunapakai bagi mengukur produktiviti pertanian yang menentukan keberkesanan program-program pertanian negeri terhadap peningkatan hasil pertanian dan penurunan harga produk pertanian di pasaran tempatan?
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat, pegawai-pegawai kerajaan, terima kasih Seberang Takir. Pelaksanaan program-program pertanian untuk tempoh lima tahun adalah berdasarkan kepada Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023. Produktiviti hasil pertanian dan perikanan diukur berdasarkan analisa daripada data pengeluaran hasil pertanian yang direkodkan dalam sistem Agrisgeoportal Jabatan Pertanian dan juga Sistem Maklumat Pendaratan Perikanan atau eSMPP. Saya fokus jawapan ini kepada keberkesanan program-program pertanian yang pertama dari aspek peningkatan hasil, yang kedua daripada sudut peningkatan pendapatan kepada petani dan penternak dan yang ketiga penurunan harga produk-produk pertanian di pasaran tempatan.
Dato’ Yang di-Pertua, hasil padi pada tahun 2019 sebanyak 71,382 metrik tan meningkat kepada 73,068 metrik tan pada tahun 2020 dan meningkat lagi kepada
75,013 metrik tan pada tahun 2021. Dengan peningkatan SSR Self-Sufficient Ratio sebelum ini dikenali sebagai SSL Self-Sufficient Level sebanyak 43% pada tahun 2018 meningkat kepada 45% pada tahun 2019, 53% 2020 dan 55.6% pada tahun 2021. Hasil padi bagi tahun 2022 dijangka mengalami penurunan disebabkan faktor banjir luar jangka yang berlaku pada bulan Februari yang lepas yang telah memusnahkan banyak kawasan tanaman padi dan tanaman musim kedua pula dilanda wabak penyakit. Untuk makluman dewan, kawasan jelapang padi KETARA di Besut adalah merupakan kawasan pengeluaran padi per hektar yang kedua tertinggi dalam negara dengan purata 5.2 metrik tan per hektar. Sedikit sahaja di bawah kawasan jelapang padi barat laut IADA Pulau Pinang sebanyak 5.6 metrik tan per hektar. Malah pengeluaran padi per hektar di Terengganu sebenarnya mengatasi Thailand dan Vietnam. Cuma kita kalah dari segi keluasan. Vietnam sebagai antara negara pengeluar utama beras dunia ada tujuh juta hektar sawah padi yang ditanam tiga kali setahun. Sementara Thailand ada 9.2 juta hektar kawasan padi. Kita di Terengganu hanya ada 10,000 hektar sahaja.
Dato’ Yang di-Pertua, sektor buah-buahan meningkat daripada 54,258 metrik tan pada tahun 2019 kepada 64,283 metrik tan tahun 2020 dan menurun kepada 48,736 metrik tan pada tahun 2021 kerana faktor-faktor yang kita maklumi pandemik dan juga sekatan PKP. Untuk sektor sayur-sayuran meningkat daripada 15,208 metrik tan pada tahun 2019 kepada 17,001 metrik tan pada tahun 2020 dan menurun kepada 15,112 metrik tan pada tahun 2021 kesan daripada pandemik dan sekatan PKP.
Dato’ Yang di-Pertua, sektor perikanan menunjukkan peningkatan bagi nelayan zon A. Ini adalah signal impak positif daripada kejayaan Program Labuh tukun dan Labuh Unjam dengan peningkatan jumlah tangkapan nelayan zon A 16,462 metrik tan pada tahun 2019 meningkat kepada 17,266 metrik tan pada tahun 2020 dan alhamdullilah meningkat lagi kepada 18,690 metrik tan pada tahun 2021. Usaha Kerajaan Negeri memperkasakan pengeluaran benih ikan, pelbagai bantuan input dan juga inisiatif pemasaran bagi membantu penternak sektor perikanan akuakultur juga menunjukkan impak positif. Hasil pada tahun 2019 sebanyak 4,468 metrik tan meningkat kepada 5,124 metrik tan pada tahun 2020 dan meningkat lagi pada tahun 2021 kepada 5,901 metrik tan. Bagi sektor
penternakan, bilangan lembu pedaging yang direkodkan, tahun 2019 ada sebanyak 79,167 ekor meningkat kepada 85,437 ekor pada tahun 2020 dan meningkat lagi kepada 87,477 ekor tahun 2021. Untuk kambing pedaging tahun 2019 yang didaftarkan dengan Jabatan Veterinar ada 24,866 ekor meningkat kepada 33,427 ekor tahun 2020 dan meningkat sikit lagi tahun 2021 kepada 33,514 ekor. Kambing tenusu 2,863 ekor tahun 2019 meningkat kepada 3,241 ekor tahun 2020 dan meningkat lagi kepada 4,031 ekor tahun 2021.
Untuk sektor penternakan unggas ayam pedaging, ayam pedaging, ayam telur kita tak ada di Terengganu. Ayam pedaging tahun 2019 sebanyak 2,840,026 ekor meningkat kepada 3,890,980 ekor tahun 2020 dan meningkat lagi kepada, menurun sikit, menurun kepada 3,351,600 pada tahun 2021. Dari segi income Dato’ Yang di-Pertua, terdapat peningkatan dan penurunan purata pendapatan bulanan kepada petani dan penternak berikutan pemulihan pasca pandemik dan bencana yang melanda. Purata pendapatan untuk penternak akuakultur tahun 2019 RM4,250.00 sebulan. Tahun 2020 meningkat kepada RM4,500.00 sebulan, tahun 2021 purata pendapatan meningkat kepada RM4,750.00. Bagi sektor buah-buahan, tahun 2020 purata pendapatan petani RM1,500.00. Kemudian meningkat kepada RM1,800.00 pada tahun 2020 dan menurun kepada RM1,638.00 pada tahun 2021. Itu sedikit gambaran. Penurunan hasil ketika berdepan dengan krisis adalah lumrah cuma kita bersyukur kerana petani, penternak kita mampu bertahan dan juga kuat untuk bangkit semula. Dari segi penurunan harga produk-produk di pasaran tempatan direkodkan terdapat purata penurunan di antara 5% hingga 20% melalui program-program jual terus hasil ke outlet-outlet seperti pasar tani, pasar tani kekal, Agrobazaar Rakyat, Agrobazaar Kedai Rakyat, gerai buah-buahan segar dan banyak lagi. Di samping itu ada terdapat program-program secara berkala yang dibuat seperti Program My Best Buy, Jualan terus daripada ladang, Hari Peladang, Penternak dan Nelayan, Jualan Keluarga Malaysia dan pelbagai lagi. Ok. Terima Kasih.
Terima kasih Yang Berhormat. Sekarang saya jemput Wakil.
Soalan tambahan
Ada
Ada soalan tambahan
Slow sikit nampok hari ini.
Slow sikit lah pasal dok menang.
Dok kemah. Sila sila.
Soalan tambahan saya Dato’ Yang di-Pertua, setakat ini kita, saya pertamanya hendak ucapkan tahniah lah kepada peningkatan-peningkatan yang disebut oleh EXCO tadi. Tapi setakat ini kita tak nampak lagi keberkesanan program pertanian negeri ini terhadap penurunan harga produk di pasaran tempatan terutama ikan dengan daging. Kalau kita bagi contohnya macam ikan kembung lah kalau di KL dulu, kalau di KL saya ingat harga dia lebih kurang RM15.00 hingga RM18.00 je sekilo ikan kembung ni tapi kat Terengganu ini tidak kurang daripada RM20.00.
Yang Berhormat tu ada fakta dok tu.
La Ilaha Illallah biarlah EXCO jawab
Kena ada fakta. Patut kena ada fakta bertulis.
Ini memang fakta lah saya cakap. Bahang rambang jugok mung ning. Jadi sekarang ini kita melihat bahawa perbezaan harga yang amat ketaralah
di sini dan kerana itu saya mohonlah supaya dapat EXCO untuk menyatakan punca utama kenapa perkara ini berlaku kerana yang utama apa yang kita buat hari ini mestilah impaknya kepada pengguna. Yang penting adalah kita nak bagi pengguna dapat membeli dengan harga yang sewajarnya supaya tidak menjadi bebanan tidak seperti mana yang selalu diratiblah BN ini barang naik barang naik, jadi atas PAS memerintah pun nampaknya barang naik jugok ini. Itu Dato’ Yang di-Pertua. Terima kasih.
Minta Yang Berhormat ringkaskan jawapan sebab banyak lagi soalan-soalan daripada…
Baik, okey.
kawan-kawan yang lain yang masih perlu dikemukakan.
Baik Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Terima kasih Wakil Seberang Takir. Sebenarnya ikan Terengganu ini memang menjadi rebutan sama ada untuk pasaran Lembah Klang ataupun untuk dihantar ke pasaran Singapura kerana ikan Pantai Timur dikira ikan yang ditangkap daripada laut yang tidak tercemar berbanding dengan ikan di sebelah Pantai Barat kerana itulah banyak ikan kita yang naik lori dan keluar daripada Terengganu, itu yang pertama. Yang kedua, banyak bot-bot Terengganu sebenarnya tidak mendarat di Terengganu walaupun mereka menangkap ikan di perairan Terengganu kerana perairan Terengganu kaya dengan ikan disebabkan banyak faktor-faktor semulajadi. Bot kita ada yang mendarat di Tok Bali, ada yang mendarat di Kuantan malah sampai ke Endau. Kalau kita pergi ke Kuantan, Endau, pergi ke Tok Bali, kita boleh nampak bot-bot dengan rumah kemudi warna hijau itu bot Terengganu disebabkan beberapa faktor yang bersabit dengan muara dan juga infrastruktur pelabuhan dan jeti pendaratan. Ini isu lama yang sedang dipulihkan peringkat demi peringkat menyebabkan ikan-ikan yang ditangkap oleh nelayan Terengganu di perairan Terengganu di daratkan di jeti dan pelabuhan negeri lain, kena naik lori pulok untuk balik Terengganu. Jadi, disitu dia ada kos pengangkutan menyebabkan harga ikan meningkat. Tapi berdasarkan pemantauan kami daripada
Portfolio Pertanian, di beberapa jeti-jeti pendaratan perikanan macam Pulau Kambing, macam Kuala Besut dan Chendering, di musim tangkapan ikan kemuncak bulan 9, bulan 10, bulan 11 memang kita menyaksikan ada penurunan dari segi harga ikan rakyat. Ikan rakyat ini Kembung, Selar, Selayang bukan ikan kelas kayangan macam ikan Merah, ikan Kerapu, ada penurunan, Yang Berhormat. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat. Sekarang saya jemput Wakil Sura.
Yang Berhormat Dato’ Yang di- Pertua, soalan saya soalan pertama-
Pada PRU ke 14, salah satu janji manifesto ialah bagi mewujudkan bandar lestari di setiap daerah. Sehingga kini apakah perkembangannya?
Terima kasih Wakil Sura. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Ahli-ahli Yang Berhormat, Pegawai Kerajaan dan para pemerhati sekalian. Wakil Sura ingin tahu tentang satu janji Manifesto PAS dalam PRU ke-14 tentang mewujudkan bandar lestari di setiap daerah.
Sehingga kini, Kerajaan telah mengenal pasti lokasi cadangan Bandar Baru Lestari di setiap daerah, semua telah dikenalpasti dan untuk maklumat terakhir terdapat dua lokasi yang telah dipersetujui untuk dijadikan sebagai projek perintis iaitu Bandar Lestari Bukit Seraya daerah Kuala Nerus seluas 186.29 hektar dan Bandar Lestari Durian Mentangau daerah Dungun seluas 720.98 hektar. Untuk Bandar Lestari Durian Mentangau yang bersekali dengan pembinaan universiti telah dilakukan majlis pecah tanah pada 27 Oktober 2022. Pelan sesuatu pembangunan telah disediakan oleh pihak PLANMalaysia Negeri Terengganu mengambil kira pandangan daripada jabatan dan agensi teknikal yang berkaitan. Perbincangan bersama pelabur juga telah dibuat, pelabur yang berpotensi, telah dilaksanakan oleh pihak UPEN dengan kerjasama anak syarikat Kerajaan Negeri iaitu Terengganu Incorporated Sdn Bhd bagi memajukan dua bandar lestari yang dicadangkan itu secara penswastaan. Terima kasih.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan tambahan saya yang pertama, selain dari Bandar Lestari Durian Mentangau yang telah dibuat pecah tanah pada 27 Oktober 2022, di manakah lagi cadangan bandar baru bandar lestari ini untuk daerah-daerah lain?
Terima kasih Wakil Sura. Selain daripada dua, sebenarnya saya dah sebutkan tadi iaitu di Bukit Seraya dan juga di Durian Mentangau, cuma Bukit Seraya kita belum buat pecah tanah lagi. Yang lain-lain tempat yang dicadangkan dan dikenalpasti ialah di Mak Lagam, Kemaman 133.96 hektar, Bukit Chahat, Teris, Hulu Terengganu seluas 320.36 hektar, Durian Telor, Besut 71.16 hektar, di Putrajaya, Permaisuri, Setiu 66.4 hektar dan di Bukit Anak, Marang 133.08 hektar. Semua ini adalah tanah kerajaan jadi tidak ada masalah dari segi galian tanah dan sebagainya. Cadangan dan bagi ciri-ciri bandar baru lestari ini telah kita selaraskan dengan Teras Ke-11 - Sustainable Development Goal (SDGS), untuk memfokuskan kemampanan komuniti dan bandar. Terima kasih.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan tambahan yang kedua ialah apakah ciri-ciri bandar lestari yang akan dibangunkan? Terima kasih.
Terima kasih Wakil Sura. Sebelum itu, suka saya menambah sedikit lagilah selain daripada bandar-bandar baharu yang kita cadangkan ini, kita juga akan mengubah sedikit ubahsuai bandar yang sedia ada dalam proses pembangunan itu menepati juga bandar lestari yang kita cadangkan ini antaranyalah Bandar Al-Wathiqu Billah, Kuala Nerus 187.27 hektar, Kuala Terengganu City Centre 56.6 hektar, Bandar Baharu Bukit Besar, Kuala Terengganu 556 hektar dan Bandar Baharu Kijal juga akan diubah suai untuk selari dengan kehendak bandar baru lestari.
Antaranya ciri-ciri kita ialah kalau baca ada 31 ciri bandar mampan yang dicadangkan ialah seperti berikut:
1. Yang paling penting ialah mendirikan Rumah Mampu Milik (RMM). Ini antara keperluan yang mendesak tentang perumahan.
2. Menyediakan perkhidmatan kemudahan pengangkutan awam bas dalam bandar untuk mengelakkan kesesakan jalan raya.
3. Menyediakan laluan pejalan kaki dan basikal untuk riadah. 4. Reka bentuk dan kemudahan bandar yang mengambil kira keperluan warga emas dan mesra OKU.
5. Pemasangan CCTV di persimpangan utama dan pusat tumpuan masyarakat yang diintegrasikan dengan pihak PDRM iaitu untuk keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
6. Yang keenam, penggunaan SMART traffic light. Dok macam sekarang kena tunggu kereta takdok pun kita tunggu jugok, Smart traffic light bila takdok kereta laluan yang ada kereta boleh jalan.
7. Penggunaan smart parking di kawasan pusat bandar dan tumpuan utama masyarakat.
8. Pemasangan alat pemantauan kualiti air dan udara di lokasi strategik memastikan udara yang bersih.
9. Menyediakan pusat kitar semula, proses pengurusan sisa pepejal. 10. Sewage Treatment Plant yang berpusat dan mesra alam. 11. Mengamalkan Smart Bin.
12. Menyediakan kemudahan untuk golongan Belia.
13. Reka bentuk kemudahan awam yang mengambil kira peluang golongan warga emas dan OKU.
14. Menyediakan laluan pejalan kaki yang berbumbung.
15. Menyediakan masjid sebagai pusat interaksi dan aktiviti. 16. Penggunaan sistem pembayaran digital (e-payment).
17. Menyediakan akses WiFi kepada semua golongan.
18. Penggunaan bahan iklan secara digital.
19. Pembinaan bangunan yang mengamal konsep hijau dan rendah karbon termasuk amalan rainwater harvesting, solar power dan lain-lain. 20. Pembangunan bercampur khususnya (perumahan dan komersial) dan menerapkan konsep TOD.
21. Menyediakan kawasan bagi urban farming dalam kawasan perumahan dan bandar.
22. Reka bentuk ruang dan bangunan yang menggalakkan kepada amalan smart farming.
23. Menyediakan rumah mampu milik dan kemudahan komuniti dalam radius satu kilometer daripada stesen transit.
24. Menerapkan reka bentuk bangunan bercirikan warisan dan identiti Terengganu ataupun setempat.
25. Menyediakan kemudahan dan susun atur dengan mengambil kira topografi dan risiko bencana banjir di mana kita tak buat lagi cut and fill, potong bukit, tambun tempat rendah kita ikut contour untuk mengelakkan daripada banjir.
26. Memperbanyakkan penanaman-penanaman pokok 27. Menyediakan dan mewarta kawasan lapang dan kemudahan awam dan jarak pejalan kaki khususnya di kawasan perumahan 28. Menyediakan kawasan pasar komuniti di pusat bandar dan kejiranan. 29. Menyediakan kawasan pertanian sebagai zon menampan bandar dan luar bandar 30. Mengambil kira amalan 3R di kawasan perumahan dan bangunan.
31. Amalan tiada penggunaan plastik ataupun no single use plastic.
Itu antara ciri-ciri yang kita akan masukkan dalam pembinaan bandar baru lestari kita dan juga bandar yang sedia ada untuk dilestarikan. Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.
Terima kasih Yang Berhormat, saya teruskan menjemput Wakil Telemong.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-Ahli Yang Berhormat, Ketua-Ketua Jabatan, soalan saya yang pertama-
Kenaikan harga barangan kian menghimpit rakyat. Nyatakan Perancangan Kerajaan Negeri dalam memberi suntikan kepada usahawan tempatan terutama dalam penghasilan bahan mentah bagi sektor pertanian dan penternakan?
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih Wakil Telemong. Kenaikan harga barang ini berkait rapat dengan kenaikan input pertanian dan kenaikan input pertanian ini berkait rapat dengan kenaikan harga bahan mentah. Ini rangkaian domino, kena satu jatuh belaka dan sumber bahan mentah dalam sektor pertanian terutamanya untuk penghasilan racun, baja, makanan ternakan bersumberkan bahan mentah yang diimport menyebabkan naik turun harga dimanipulasi di tangan pihak lain, tak duduk di tangan kita. Tapi kita tidak boleh perjudikan nasib rakyat dengan kita serahkan kepada pihak lain, kerana itulah kita perlu manfaatkan sumber-sumber tempatan yang kita ada bagi kita bantu rakyat untuk nak mengeluarkan mereka daripada himpitan disebabkan oleh faktor-faktor kenaikan ini.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Tahun Pertanian Terengganu 2021, kita sempurnakan 93 program, 45 projek. Tahun 2022 walaupun bukan lagi Tahun
Pertanian, kita ada 129 program dan 33 projek, panjang kalau saya nak senaraikan semua cuma saya sentuh beberapa point-point utama, di antara isu utama yang Kerajaan perlu bantu rakyat ialah rakyat kita nak berusaha takdok tapak, sama ada untuk pertanian, untuk penternakan ataupun untuk akuakultur, kerana itulah Kerajaan bantu rakyat untuk permudahkan tanah-tanah kerajaan dimanfaatkan dengan pemberian LMS dan birokrasi permohonan tanah ini mesti dipermudahkan, wajib dipermudahkan dalam ruang lingkup peraturan yang ada kerana tanpa tapak rakyat tak boleh nak buat apa-apa. Antaranya tanah yang diwartakan bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara sebagai Taman Kekal Pengeluaran Makanan. Kita ada 1200 hektar di seluruh negeri dengan kadar sewa RM150 per hektar setahun. Ini kadar sewa tanah TKPM paling murah dalam Malaysia yang ada di Terengganu. Kita telah buat task force untuk buat pemutihan, masukkan peserta-peserta baru kita bangunkan semula mana yang rosak, sekarang ini masih ada sekitar 22% yang masih kosong dan rakyat dipelawa untuk manfaatkan.
Isu penerokaan tanah haram juga di antara dilema lama yang membelenggu petani dengan Kerajaan, penternak dengan Kerajaan, rakyat dengan Kerajaan. Banyak tanah Kerajaan yang diteroka dengan pelbagai aktiviti pertanian tapi duduk secara haram. Dalam kes tanah-tanah Kerajaan yang Kerajaan sendiri tidak mempunyai sebarang perancangan pembangunan kita bantu untuk selesaikan. Di Setiu sahaja, alhamdullilah kita telah selesaikan lebih daripada 3000 hektar tanah yang diteroka secara haram untuk tujuan pertanian dan kerajaan pun takdok buat apa-apa buat masa sekarang ini.
(audio tidak kedengaran)
Minta bahagian technician kita.
Okey baik, terima kasih. Isu kenaikan harga makanan ternakan juga di antara isu yang menghimpit penternak kita. Faktor utama kenaikan makanan ternakan ini sebenarnya kerana kebergantungan kita kepada bahan mentah yang diimport, jagung bijian, kacang soya, ini bahan utama untuk buat dedak ternakan. Di Terengganu memang kita tidak boleh nak tanam jagung bijian kerana faktor cuaca dan juga keluasan tanah. Jagung bijian ini memerlukan cuaca panas kering bukan panas lembab macam di
Terengganu dan ia perlukan tanah puluhan ribu hektar yang rata untuk penggunaan machine tadi dan dengan keadaan geografi kita yang ada di Terengganu memang tidak kondusif jadi kita mesti cari alternatif sebab itu kami dah tubuhkan satu jawatankuasa bincang dengan pakar-pakar dan akhirnya kita putuskan bahan-bahan mentah tempatan yang ada di Terengganu macam PKE ( Palm Kernel Extract), kita ada rumput napier, ada rumput minyak humidicola, kita ada ikan baja boleh dimanfaatkan untuk buat makanan ternakan dan Kerajaan telah meluluskan sebidang tanah seluas enam ekar di Bukit Kor, di Marang untuk dibina kilang makanan ternakan kerjasama di antara Kerajaan Negeri dengan GLC. Kerajaan juga menggalakkan supaya tanah-tanah rizab padang ragut yang diwartakan bawah Seksyen 62 ini dimanfaatkan oleh rakyat. Tahun 2021 kerajaan telah bangunkan tujuh padang ragut rakyat berkeluasan 70 ekar dengan peruntukan RM400 ribu daripada Kerajaan Negeri, lapan projek pembangunan lembu sado di semua daerah kita bangunkan. Tahun 2022 Kerajaan memperuntukkan RM240 ribu lagi dan sedang dibangunkan lima padang ragut rakyat. Tindakan kita bangunkan padang ragut rakyat sebenarnya untuk kita alih fokus daripada pergantungan penternak kepada dedak ataupun palet kepada sumber makanan hijau untuk ternakan ruminan.
TADC juga sedang membangunkan dalam RM400 hektar ladang napier di Setia Jaya di Merang dan ada 100 hektar lagi di Tersak di Hulu Terengganu. Tahun ini juga kita keluarkan RM100 ribu untuk kita beri bantuan input dalam bentuk mesin chopper supaya rakyat boleh memanfaatkan apa sahaja sumber makanan hijau sama ada supaya rakyat boleh manfaatkan sumber makanan hijau yang ada di sekeliling macam pelepah sawit, napier, batang jagung sebagai sumber makanan ternakan dengan dihancurkan menggunakan mesin chopper. Tanah terbiar kita di Terengganu ada 8,000 hektar. ini adalah kerugian besar kepada rakyat dan negeri dan Program Pembangunan Tanah Terbiar di antara fokus kita dalam Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023. Pilot projek sedang dilaksanakan di Pengkalan Aman dan Kampung Rahmat dengan tanaman Musang King dan juga Harum Manis. Bermula 2021 Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2 juta bagi Skim Galakan Pembangunan Tanah Terbiar. Apabila kita wujudkan Task Force Pembangunan Tanah Terbiar, hasil kita boleh nampak. Saya bentangkan data di sini tahun 2019 jumlah keluasan pembangunan tanah terbiar 510 hektar, tahun
2020 meningkat kepada 660 hektar dan meningkat lagi kepada 810 hektar pada tahun 2021. Memang masih banyak lagi yang terbiar tapi tak boleh buat semua kita jangan tinggalkan semua. Rakyat berhadapan dengan masalah dana, kita ada SBMT. Rakyat nak kursus-kursus kemahiran, kita sediakan pelbagai khidmat nasihat teknikal dan kursus kemahiran sama ada jangka pendek atau jangka sederhana. Sektor pertanian berhadapan dengan bencana. Terengganu satu-satunya negeri dalam Malaysia yang ada Tabung Bencana Pertanian sendiri dan tahun 2022 Kerajaan telah menyalurkan hampir RM1 juta kepada petani kita yang berhadapan dengan bencana banjir luar jangka pada bulan Februari lepas dan pelbagai bencana lain. Ada projek sakit kita ubat supaya pulih di antaranya kita pulihkan Projek Rimbunan Kasih di Rantau Abang, infrastruktur, jalan, pertanian, sistem pengairan, jeti pendaratan, cold room, slipway, tempat baiki bot dan macam-macam lagi yang kita buat. Ringkasnya, apa yang Kerajaan Negeri buat ini Yang Berhormat Telemong, bukan lagi suntikan sebagaimana yang ditanya oleh Yang Berhormat Telemong tapi dah lebih kepada curahan pelbagai bantuan yang kita bantu rakyat kita. Terima kasih.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan pertama. Boleh ya? Pertamanya saya ucap terima kasih kepada Yang Berhormat EXCO. Pada saya, ini adalah penjelasan pelaksanaan apa yang dibuat oleh Kerajaan walaupun curahan yang diberikan. Kita di Terengganu tidak boleh nak nafi bahawa hari ini dengan kenaikan-kenaikan barang-barang mentah terutamanya barang-barang mentah berkaitan dengan pertanian sebagaimana yang dimaklumkan tadi menyebabkan harga barang-barang tersebut terlampau tinggi. Jadi apa usaha kita yang saya nak tahu setakat ini? Contohlah saya bagi, Terengganu juga tidak terlepas menghadapi masalah kekurangan telur ayam. Jadi, berapa butir telur ayam Terengganu boleh bawok keluar? Ini cerita penjelasan strategik itu, kita faham doh. Saya nak tahu, Kerajaan Negeri Terengganu boleh mengatasi berapa butir telur ayam? Contohlah. Berapa butir telur ayam boleh buat keluar di Terengganu leni?
Ayam kampung, ayam bandar Yang Berhormat?
Dok kira ayam kampung ayam bandar pun asal boleh makan sudoh lah. Daging ayam sama juga. Kita nok atasi guane masalah? Masalah rakyat kita, ye menyebabkan harga naik ini kerana kekurangan penawaran, penawaran kurang daripada pembeli. Ini yang masalah.
Saya ingat boleh landing dulu Yang Berhormat. Saya harap boleh landing dulu dengan soalan tu.
Hah mende?
Landing dulu dengan soalan tu.
Ha, soalan tu. Apa yang Kerajaan buat hari ini? Curahan-curahan tu, curahan sokmo. Mende hok napok tu duane hale?
Terima kasih Telemong. Ikan Baung banyok doh kan di Hulu, kan? Macam yang saya maklum tadi, di Terengganu kita belum ada ladang ayam penelur tapi peningkatan dari segi pengeluaran ayam pedaging, saya bentangkan data-data dalam jawapan kepada Yang Berhormat Seberang Takir tadi. Dan sekarang ini dari segi pengeluaran ayam pedaging, SSR kita, Self Sufficient Rescue dah melebihi daripada 65%, maknanya kita dah melebihi daripada separuh. Tinggal lagi sebenarnya industri ternakan ayam ini memang bukan dikuasai oleh bangsa kita daripada peringkat grandparent lagi. Grandparent, parent, kemudian dia turun kepada anak cucu. Jadi kalau orang Melayu nak selit-selit di celah tu sebenarnya bukan mudah dan kita tengok kesan dia bila bertukar sahaja Kerajaan, telur keluar selalu. Mana telur ni duk nusuk sebelum daripada ini? Dan kita terima laporan bahawa banyak daripada telur-telur yang keluar itu, telur yang sudah rosak. Maknanya dia disimpan begitu lama sebelum daripada ini kerana mereka menguasai untuk nak menaikkan harga. Jadi, faktor-faktor ini faktor yang saling berkait tapi walau apa pun, kita di Terengganu, kita sediakan zon ternakan unggas di TKPM Telaga Papan di Setiu dan telah ada beberapa orang pelabur yang mari bawa kertas cadangan, bawa proposal, bincang
dengan kita untuk nak buka ladang ternakan ayam dan kita sangat-sangat menggalakkan supaya menceburi sektor yang belum ada di Terengganu.
Yang Berhormat Speaker. Dato’ Speaker, saya rasa yang Berhormat Telemong ada tanya tadi berapa butir telur Terengganu ni? Saya rasa Speaker jawab doh tadi, 8 butir.
Sombong teh. Dok lari sini ning, ada cakung ning.
Dok, kabo. Ulang semula Yang di-Pertua royak tadi. 8 butir. Kabo, doh tanya berapa butir.
Saya persilakan Wakil Hulu Besut. Last question.
Yang Berhormat di-Pertua, daripada penjelasan Kerajaan tadi, pada saya beliau mengatakan Kerajaan tak mampu mengatasi masalah penguasaan ataupun nak menyelesaikan masalah pertanian ini kerana dikuasai oleh peniaga. Betul ke tidak macam tu?
Penguatkuasaan dan kawalan dari segi harga bukan di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri. Terima kasih.
Okey, terima kasih Yang Berhormat.
Kita bagi peluang kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri baru yang sedang menangani kos sara hidup bermula dengan telur, ya Yang Berhormat? Bermula dengan telur, kita bagi peluang, insya-Allah. Yang Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli Yang Berhormat sekalian, saya tangguh sementara persidangan kita. Kita masuk semula pukul 11:15 pagi.
MESYUARAT DITANGGUHKAN PADA JAM 10.45 PAGI
PUKUL 11.20 PAGI
(Selepas Soalan-Soalan Lisan)Questions
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, mesyuarat disambung semula.
Usul-Usul Yang Telah Diberi NotisMotion
Perkara berikut dalam Tertib Pekerjaan Dewan ialah Usul-usul Yang Telah Diberi Notis. Dipersilakan Yang Berhormat Dato’ Haji Satiful Bahari bin Mamat, Wakil Paka untuk mengemukakan usul Cadangan Mendahulukan Pembawaan Rang Undang-Undang Daripada Perkara-Perkara Lain.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,
“Saya mohon membawa cadangan menurut Fasal 16(3) Peraturan-Peraturan Dan Perintah-Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri untuk Mendahulukan Pembawaan Empat Rang Undang-Undang Daripada Perkara-Perkara Lain Iaitu:
1. Enakmen Perbekalan 2023 2. Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Pindaan) 2022 3. Enakmen Pembekalan Tambahan (No.2) 2022, 4. Enakmen Perbekalan 2022 (Pindaan) 2022
Terima kasih.
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, satu cadangan menurut Fasal 16(3) Peraturan-Peraturan Dan Perintah-Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri untuk mendahulukan Pembawaan Rang Undang-Undang Daripada Perkara-Perkara Lain diterima. Sekarang saya kemukakan kepada undian-
CADANGAN MENURUT FASAL 16(3) PERATURAN-PERATURAN DAN PERINTAH-PERINTAH TETAP DEWAN UNDANGAN NEGERI UNTUK MENDAHULUKAN PEMBAWAAN RANG UNDANG-UNDANG DARIPADA PERKARA-PERKARA LAIN KEMUDIAN DIUNDI DAN DIPERSETUJUI DENGAN SUARA TERBANYAK
USUL INI DITERIMA
Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2023Bill
Perkara yang didahulukan ialah Rang Undang-Undang.
Dipersilakan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar mengemukakan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2023, bacaan kali yang pertama.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan Rang Undang-Undang Bernama Suatu Enakmen Bagi Menggunakan Sejumlah Wang Daripada Kumpulan Wang Disatukan Untuk Perkhidmatan Bagi Tahun 2023 dan bagi
Memperuntukkan Jumlah Wang Itu Untuk Perkhidmatan Bagi Tahun Itu, dibaca bagi kali yang pertama.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon menyokong cadangan itu.
RANG UNDANG-UNDANG BERNAMA SUATU ENAKMEN BAGI MENGGUNAKAN SEJUMLAH WANG DARIPADA KUMPULAN WANG DISATUKAN UNTUK PERKHIDMATAN BAGI TAHUN 2023 DAN BAGI MEMPERUNTUKKAN JUMLAH WANG ITU UNTUK PERKHIDMATAN BAGI TAHUN ITU, DIBACA BAGI KALI YANG PERTAMA
Bacaan Kali Yang Kedua
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-Undang Bernama Suatu Enakmen Bagi Menggunakan Sejumlah Wang Daripada Kumpulan Wang Disatukan Untuk Perkhidmatan bagi Tahun 2023 dan bagi Memperuntukkan Jumlah Wang Itu Untuk Perkhidmatan bagi Tahun itu, dibaca bagi kali yang kedua.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Yang Berusaha Ketua-ketua Jabatan dan Agensi, para pegawai dan kakitangan Kerajaan Negeri, semua tetamu, petugas media dan pemerhati yang dirahmati Allah SWT sekalian.
1.
Pada waktu yang diberkati ini, marilah kita berdoa semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan dan Yang Di-Pertuan bagi
Negeri Terengganu Darul Iman serta segala jajahan takluknya dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah, Sultanah Terengganu agar dilanjutkan usia dalam keafiatan dan senantiasa berada dalam limpahan rahmat dan keampunan Allah SWT serta dikurniakan petunjukNya untuk terus memayungi Negeri Terengganu Darul Iman yang dicintai ini.
2.
Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada SPR dan para petugasnya; serta semua pihak yang terlibat dalam melancarkan perjalanan PRU15 baru-baru ini.
3.
Tahniah kepada calon-calon yang telah diberikan kemenangan. Semoga semuanya dapat melaksanakan tanggungjawab demi kepentingan agama, bangsa dan negara.
4.
Terima kasih juga kepada semua agensi, badan sukarela dan petugas barisan hadapan bencana atas kesiapsiagaan untuk memastikan keselamatan rakyat dan kesejahteraan negeri ini dalam menghadapi situasi banjir.
5.
Pada pagi ini, saya memohon untuk membentangkan di Dewan ini, Enakmen Perbekalan Tahun 2023 bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2023. Butiran lengkap Enakmen ini adalah seperti yang terkandung dalam Buku Belanjawan 2023 Terengganu Darul Iman.
PRESTASI DAN PROSPEK EKONOMI
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
6.
Pertumbuhan ekonomi dunia sehingga 5.7 peratus pada tahun 2021 turut memberi tempias kepada Malaysia apabila mencapai pertumbuhan sehingga 3.1 peratus berbanding penguncupan 5.5 peratus pada tahun sebelumnya.
7.
Namun begitu, perkembangan ini dijangkakan bakal menurun pada tahun ini mengambil kira faktor konflik Eropah Timur yang masih berpanjangan,
sekatan ke atas Rusia, langkah sifar COVID-19 di China dan dasar monetari yang lebih ketat di Amerika Syarikat yang secara langsung telah mengganggu aliran bekalan dan permintaan serta telah meningkatkan harga makanan dan tenaga di peringkat global.
8.
Selain itu, purata harga minyak mentah Brent diunjurkan bakal meningkat antara USD100 ke USD110 setong pada tahun ini berbanding USD75 setong pada tahun 2021.
9.
Bagi Negeri Terengganu pula, kita tersenarai sebagai „top-three’ apabila ekonomi kita bertumbuh positif dan melepasi paras nasional. Pertumbuhan ini sangat bermakna setelah negeri kita mengalami kemerosotan ekonomi sehingga 5.7 peratus pada tahun 2020 akibat pandemik COVID-19 dan PKP yang dilaksanakan di seluruh negara.
10. Sumbangan terbesar pertumbuhan ini adalah diperoleh daripada sektor Perkhidmatan dan Pembuatan masing-masing dengan nilai RM18.1 bilion dan RM13 bilion yang didorong oleh subsektor perdagangan borong & runcit; maklumat & komunikasi; perkhidmatan kerajaan serta produk petroleum, kimia, getah dan plastik.
11. Alhamdulillah, hampir semua sektor ekonomi Terengganu merekodkan pertumbuhan positif dengan sektor Pembuatan dan sektor Perlombongan & Pengkuarian mencatatkan pertumbuhan paling memberangsangkan iaitu masing-masing daripada -9.4 peratus dan -12.5 peratus pada tahun 2020 kepada 9.5 peratus dan 3.5 peratus pada tahun 2021.
PENCAPAIAN DAN SASARAN
Pencapaian 2018-2021
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
12. Saya ingin berkongsi beberapa statistik penting mengenai pencapaian negeri kita bagi meraikannya di Dewan ini dengan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian kerana pencapaian ini adalah kejayaan kita bersama.
13. Alhamdulillah, pada tahun 2021, KDNK kita telah berkembang kepada 3.6 peratus. Perubahan peratusan tahunan KDNK ini terus bertambah baik daripada kedudukan ke-13 pada 2018 kepada kedudukan ke-11 pada tahun 2019, ke-9 pada tahun 2020 dan ke-3 pada tahun 2021.
14. Jumlah pelaburan kita pula meningkat daripada RM0.86 bilion pada tahun 2019 kepada RM2.95 bilion pada tahun 2020 dan RM3.87 bilion pada tahun 2021. Di samping itu, nilai eksport dan import barangan di pintu keluar dan masuk negeri kita juga meningkat kepada RM20.9 bilion dan RM3.78 bilion masing-masing pada tahun 2021; menjadikan imbangan perdagangan bertambah sebanyak 64 peratus kepada RM17.12 bilion berbanding RM10.43 bilion pada tahun 2020.
15. Mengenai KDNK Sektor Pertanian kita pula yang dilaporkan menurun marginal sebanyak 1.6 peratus, suka saya jelaskan bahawa ia adalah dipengaruhi oleh penyusutan dalam pengeluaran komoditi kelapa sawit yang berkait dengan polisi pengambilan pekerja asing yang merupakan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.
16.
Adapun begitu, sebenarnya pertumbuhan subsektor ternakan dan tanaman lain seperti tanaman makanan, sayur-sayuran dan buah-buahan adalah kekal positif dan menunjukkan prestasi yang memberangsangkan selari dengan tumpuan dalam Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023.
17. Selain itu, negeri kita juga tersenarai antara negeri paling ramai dikunjungi pelancong dari seluruh negara iaitu seramai 1.14 juta orang.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
18. Pada tahun 2019, kadar pengangguran kita berjaya diturunkan di bawah 4.0 peratus iaitu kepada 3.5 peratus dan menghampiri paras nasional. Pada tahun 2020 dan 2021 semasa era pandemik, kadar yang direkodkan ialah 4.1 peratus dan kemudiannya turun kepada 4.0 peratus iaitu lebih baik daripada paras nasional.
19. Keadaan pengangguran di negeri kita adalah lebih baik berbanding negeri-negeri lain apabila berada di kedudukan ke-3 pada tahun 2018, ke-4 pada tahun 2019, ke-9 pada tahun 2020 dan ke-10 pada tahun 2021 dalam senarai kadar pengangguran tertinggi.
20. Data ini adalah refleksi keberhasilan usaha oleh pelbagai pihak di negeri ini apabila berjaya mendapatkan penempatan pekerjaan untuk 21,977 orang sehingga akhir tahun lalu termasuklah sebanyak 8,397 peluang pekerjaan yang tersedia menerusi 55 projek pelaburan sejak tahun 2018. Malah, dari Januari sehingga November tahun ini pula terdapat 23,525 kekosongan jawatan aktif di Terengganu yang boleh diisi oleh rakyat kita.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
21. Ini bermaksud, sebenarnya kita sudah berjaya meningkatkan tahap ekonomi dan sosioekonomi di negeri kita ini kepada yang lebih baik berbanding tahun-tahun sebelum ini. Justeru, tahniah dan terima kasih saya ucapkan kepada semua.
22. Bergerak ke hadapan ini, tanggungjawab yang lebih berat dan cabaran yang lebih besar perlu kita pikul dan hadapi bersama-sama untuk “Memacu Terengganu Berdaya Tahan”.
Sasaran 2022/2023
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
23.
Ekonomi negeri kita dijangka terus mengukuh dan berkembang antara 3.5 hingga 4.5 peratus pada tahun 2022 dan menyederhana antara 2.4 hingga 3.4 peratus pada tahun 2023 selari dengan situasi ekonomi global dan nasional seperti yang dijelaskan sebelum ini. Pada tahun hadapan juga, Kerajaan Negeri komited untuk memastikan sektor pertanian kita kembali bertumbuh positif antara 3.4 hingga 4.4 peratus. Kadar pengangguran pula diunjurkan berada dalam julat antara 3.7 hingga 3.9 peratus pada tahun ini dan tahun hadapan.
24. Justeru, kita mesti berfokus dan berstrategi dalam menstabilkan permintaan domestik, merancakkan sektor pertanian dan industri pelancongan, menghasilkan impak yang tinggi daripada pelaksanaan projek infrastruktur serta memampankan eksport; supaya kita dapat mendepani potensi kejutan luaran, memperbaik taraf hidup rakyat dan memperteguh keyakinan perniagaan seterusnya menjadikan negeri kita berdaya tahan.
ANGGARAN HASIL DAN PERBELANJAAN MENGURUS
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
Anggaran Perbelanjaan Mengurus
25. Bagi Tahun 2023, Kerajaan Negeri akan membelanjakan sejumlah RM1.991 bilion untuk Perbelanjaan Mengurus, RM500 juta untuk Perbelanjaan Pembangunan dan RM30 juta untuk Perbelanjaan Bekalan Air.
26. Di bawah Perbelanjaan Mengurus, sebanyak RM93.13 juta diperuntukkan bagi Perbelanjaan Tanggungan dan RM1.897 bilion bagi Perbelanjaan Bekalan iaitu sebanyak RM271.65 juta untuk Emolumen, RM249.17 juta untuk Perkhidmatan dan Bekalan, RM25.94 juta untuk Aset, RM1.35 bilion untuk Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap dan RM1 juta untuk Lain-lain.
27. Di bawah komponen Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap, sejumlah RM500 juta dicarum ke Kumpulan Wang Pembangunan; RM250 juta bagi pemberian
kepada Pihak Berkuasa Tempatan, Badan Berkanun dan Pelbagai Agensi; RM200 juta bagi pemberian kepada Jabatan-jabatan Kerajaan dan RM400 juta bagi program-program Pelbagai Perkhidmatan di bawah Pejabat Setiausaha Kerajaan.
28. Di bawah Perbelanjaan Pembangunan pula, sebanyak RM417.73 juta (79%) diperuntukkan untuk Sektor Sosial merangkumi pendidikan, infrastruktur dan kemudahan awam termasuk bekalan air, pembangunan bandar dan luar bandar serta sukan dan perumahan; RM85.04 juta (16%) untuk Sektor Pentadbiran merangkumi teknologi maklumat, pentadbiran am serta projek khas dan projek penting luar jangka; dan RM27.23 juta (5%) untuk Sektor Ekonomi merangkumi pertanian, pelancongan dan industri mikro, kecil dan sederhana.
Anggaran Hasil
29. Manakala bagi hasil pula, Kerajaan Negeri menganggarkan sejumlah RM1.810 bilion iaitu sebanyak RM65.17 juta daripada Hasil Cukai, RM135.59 juta daripada Hasil Bukan Cukai dan RM1.609 bilion daripada Terimaan Bukan Hasil termasuk Dana Khas Kerajaan Persekutuan iaitu bayaran hasil petroleum.
30. Walaupun belanjawan ini dirangka berasaskan harga minyak mentah Brent yang dijangka mencatat purata lebih rendah sebanyak USD90 setong pada tahun 2023 berbanding USD100 setong pada tahun ini, namun keputusan untuk mengembangkan Belanjawan 2023 ini melebihi 20 peratus berbanding tahun 2022 adalah dibuat bagi menjamin ekonomi di negeri ini dapat terus bertumbuh mampan dan tahap sosioekonomi penduduk juga bertambah baik menerusi dasar, projek dan program yang akan dilaksanakan.
INISIATIF BELANJAWAN 2023
31.
Setelah mengambil kira realiti semasa dan prospek masa hadapan, cabaran dan peluang serta keperluan dan kemampuan kita, saya ingin menggariskan
tiga teras sebagai pendekatan dalam melaksanakan Belanjawan 2023 ini iaitu (i) menyantuni rakyat, (ii) memacu ekonomi dan (iii) melestarikan pembangunan.
TERAS 1 : RAKYAT DISANTUNI
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
32. Kita mesti membangunkan sebuah masyarakat yang berjati diri, mempunyai keupayaan kendiri dan menyumbang produktiviti untuk kesejahteraan kita bersama. Kerajaan Negeri akan sentiasa menyantuni rakyat supaya meningkatkan penghayatan Islam, meneruskan kecemerlangan pendidikan, mengukuhkan institusi keluarga dan mendapatkan keperluan hidup.
33. Justeru, bagi memakmurkan masjid sebagai „one-stop centre’ aktiviti ibadah, keilmuan dan kemasyarakatan, sebanyak RM640 ribu diperuntukkan. Sebuah masjid di setiap DUN akan dipilih bagi merealisasikan program ini.
34.
Selain memperuntukkan sebanyak RM4.5 juta untuk menyelenggara serta menaik taraf masjid dan surau di seluruh negeri, sebanyak RM20 juta lagi diperuntukkan bagi meneruskan pembinaan lapan buah masjid baharu di enam daerah iaitu Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman. Kerajaan Negeri juga merancang untuk memulakan pembinaan sebuah lagi masjid baharu pada tahun hadapan.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
35. Imam dan bilal adalah antara individu yang penting dalam memastikan masjid dan surau kita sentiasa diimarahkan. Justeru, sebagai penghargaan, saya mengumumkan pemberian tunai „one-off’ bernilai RM200 kepada 200 orang imam dan bilal Skim Mubaligh; dan menaikkan elaun hampir 1,000 orang imam dan bilal di negeri ini sebanyak RM100 sebulan bagi yang tidak mempunyai pendapatan tetap.
36. Alhamdulillah, jujur saya katakan bahawa terasa benar semaraknya program dakwah sepanjang tahun ini sesuai dengan pengisytiharannya sebagai Tahun Semarak Dakwah. Banyak sekali aktiviti yang telah dilaksanakan antaranya Qiamullail Perdana, Kembara Dakwah, Selebriti Bersama Daie, Himpunan Daie Nusantara dan Karnival TMBS di setiap DUN. Saya percaya usaha gigih yang digerakkan oleh YB Hj. Mohd Nor dan agensi-agensi di bawahnya antaranya UPDI, DUAT dan i-MITS ini akan menatijahkan impak yang besar untuk kita semua.
37. Bagi memantapkan kegiatan dakwah dan pelaksanaan syariah serta menyuburkan aktiviti keilmuan di negeri kita juga, Kerajaan Negeri akan menganjurkan ljtimak Ulama Sedunia dengan peruntukan sebanyak RM250 ribu.
38. Kerajaan Negeri juga memperuntukkan sebanyak RM5 juta bagi pembinaan premis baharu Mahkamah Tinggi Syariah Daerah Kemaman dan sebanyak RM2 juta lagi untuk kerja-kerja awal pembinaan Mahkamah Rendah Syariah Daerah Setiu.
Selain itu, bilangan pegawai penguatkuasa syariah di setiap DUN juga akan ditambah bagi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
39. Program Itqan Insani yang telah dibangunkan modulnya sebelum ini akan menjadi induk kepada semua program pembangunan insan di negeri kita. Justeru, bagi menjayakannya sebanyak RM1 juta diperuntukkan manakala sebanyak RM1.25 juta lagi bagi Program Transformasi Minda dan pelbagai lagi kursus untuk memperkasa modal insan dalam kalangan penjawat awam.
40. Program Generasi Islah Falah Terengganu (GIFT) dan Fityah Terengganu (FATEH) juga diteruskan bagi membangunkan syakhsiyyah dan kepemimpinan golongan remaja. Sebanyak RM4 juta diperuntukkan
kepada Akademi Kepimpinan Al-Fateh Terengganu bagi melaksanakan program pembangunan belia secara menyeluruh bermula seawal usia 11 tahun menerusi program Generasi Muda Terengganu Sejahtera (GMTS) bersama UBSNT.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
41. Penubuhan SRIDI dan SMIDI mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Sehingga kini, sebelas buah SRIDI dan sebuah SMIDI telah ditubuhkan dengan jumlah murid seramai 1,658 orang dan 152 orang guru.
42. Susulan itu, sebanyak RM11 juta lagi diperuntukkan bagi pembinaan SRIDI Seberang Takir dan SMIDI Ajil yang baharu dan sebanyak RM23 juta pula diperuntukkan untuk mengoperasikan semua SRIDI dan SMIDI.
43. Selain memperuntukkan sebanyak RM3.5 juta sebagai bantuan per kapita untuk sekolah agama yang berdaftar dengan JHEAT, Kerajaan Negeri juga akan mewujudkan Tabung Pendidikan Islam Negeri Terengganu dengan sasaran RM1 juta. Justeru, saya mengalu-alukan semua GLC, pihak swasta dan orang awam untuk turut menyumbang kepada tabung ini.
44. Semua ini demi menjamin kecemerlangan anak-anak kita dalam kedua-dua kurikulum diniyyah dan kebangsaan. Saya berharap, YB Dato’ Hj. Satiful Bahari dan seluruh pasukan kerja beliau terutamanya JHEAT dan JPINT dapat memberikan perhatian serius untuk menjayakan agenda penting ini.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
45. Sebagai penghargaan kepada lebih 3,200 orang guru pendidikan Islam dan al-Quran penerima Skim Mus’ab bin Umair dan Skim Al-Ghazali, dengan ini saya mengumumkan tambahan khas elaun bulanan 2023 sebanyak RM50 yang melibatkan peruntukan berjumlah RM15 juta.
46. Selain dua Pusat Pengajian al-Quran Braille yang sedang beroperasi di Paka dan Besut untuk golongan OKU penglihatan, Kerajaan Negeri juga akan mewujudkan pusat pengajian Islam dan al-Quran bagi memenuhi keperluan golongan OKU pekak dan bisu.
47. Kerajaan Negeri juga memperuntukkan sebanyak RM6 juta bagi kerja-kerja awal pembinaan bangunan baharu Sekolah Menengah Imtiaz Marang dan RM4 juta bagi kerja-kerja ubah suai bangunan Kuarters Kompleks Kastam, Kenyir sebagai kampus sementara KQT dan penyediaan kemudahan infrastruktur asas bagi kampus utama KQT di Durian Mentangau, Dungun.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
48. Saya ingin mengumumkan berita baik buat anak-anak kita untuk pendidikan mereka. Pertama, kadar baharu sumbangan tabung pendidikan menerusi Skim Permata Sejahtera dinaikkan iaitu RM200 bagi anak pertama dan kedua, RM300 bagi anak ketiga hingga kelima, dan RM500 bagi anak keenam hingga kesepuluh.
49. Kedua, pemberian tunai „one-off’ bernilai RM110 sebagai “Pitih Belanja” kepada lebih 86,000 murid sekolah rendah dan menengah yang layak.
50. Ketiga, pemberian bantuan bernilai RM100 menerusi Baucar Pelajar Sejahtera untuk semua calon SPM, STPM dan STAM bagi pembelian buku dan alat tulis.
51. Keempat, penyediaan dana berjumlah RM5 juta bagi Tabung Siswa Pelajar untuk membiayai yuran pengajian peringkat ijazah pertama di dalam dan luar negara bagi yang layak.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
52. Supaya kesejahteraan institusi keluarga dapat terus diperkukuh, sebanyak RM4 juta diperuntukkan bagi melaksanakan program Walimatulurus Perdana, program pasca perkahwinan, perkhidmatan sokongan psikososial dan kesihatan mental serta program pembangunan wanita. Di samping itu, sebanyak RM300 ribu lagi diperuntukkan bagi mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat kita.
53. Khusus untuk melindungi hak, membangunkan ekonomi, mempromosikan sosiobudaya dan pencapaian golongan wanita pula, Kerajaan Negeri menerusi USWa akan melaksanakan Program Suara Hati Wanita Terengganu, Program Inspirasi Suri Sejahtera, Karnival Orang Puang Terengganu dan Terengganu Hijab Day serta komited menjayakan Pelan Dasar Wanita Terengganu 2030 yang dilancarkan baru-baru ini.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
54. Khusus untuk wanita yang baru melahirkan anak, dengan ini diumumkan Baucar Pakej Berpantang bernilai RM200 bagi penjagaan selepas bersalin. Bantuan ini dijangka akan memberi manfaat kepada sekitar 5,000 orang wanita yang layak.
55. Untuk warga emas pula, pemberian Pencen Rakyat bernilai RM600 juga akan diteruskan dengan peruntukan berjumlah RM15 juta bagi memberi manfaat kepada lebih 25,000 penerima.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
56. Bagi memastikan penduduk kita mendapat perkhidmatan kesihatan yang baik, program Kad Sejahtera akan diteruskan dengan penambahan jumlah penerima kepada 25,000 orang pada tahun hadapan. Sebanyak RM4 juta lagi diperuntukkan bagi program Wad Kelas 3 Percuma di semua hospital kerajaan di negeri ini.
57. Selain itu, sebanyak RM50 ribu diperuntukkan bagi program kesihatan mental dan perkhidmatan kaunseling bergerak ke setiap DUN; dan RM300 ribu lagi bagi program pemeriksaan mamogram dan „pap smear’ secara percuma untuk wanita yang berumur 35 tahun ke atas. Kerajaan Negeri juga sedang mengkaji untuk melaksanakan program saringan kesihatan percuma untuk golongan lelaki.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
58.
Kecemerlangan sukan kita akan terus diperhebat. Kemaraan Sang Penyu kita sehingga ke peringkat akhir dan dinobatkan sebagai naib juara Piala FA pada September lalu merupakan sebuah kejayaan yang sangat membanggakan. Lebih manis, untuk musim hadapan skuad Terengganu ini akan bertarung di peringkat lebih tinggi iaitu saingan AFC selepas muncul naib juara Liga Super 2022.
59. Tahniah juga di atas prestasi cemerlang atlet kita sehingga muncul sebagai naib juara keseluruhan SUKMA 2022 baru-baru ini apabila berjaya merangkul 64 emas, 49 perak dan 56 gangsa; melebihi sasaran awal. Inilah hasil kesungguhan para atlet dan kontinjen kita. Syabas saya ucapkan kepada semua atlet. Terima kasih yang tidak terhingga juga saya ucapkan kepada YB Wan Sukairi, barisan pengurusan dan kejurulatihan TFC serta ketua kontinjen Terengganu dan MSNT atas kejayaan-kejayaan ini.
60. Bagi merealisasikan Kontinjen Terengganu muncul sebagai juara keseluruhan SUKMA 2024, sebanyak RM14.5 juta diperuntukkan bagi persediaan awal dan Kerajaan Negeri juga bersetuju untuk menganjurkan kejohanan Sukan Terengganu (SUTERA) pada tahun hadapan dengan memilih Daerah Dungun sebagai tuan rumah.
61. Peruntukan sebanyak RM600 ribu pula disediakan untuk melaksanakan program perlumbaan berbasikal jelajah Terengganu iaitu Tour Gateh D’Tranung.
62. Berita gembira buat orang-orang muda, sebanyak RM4.9 juta disediakan untuk menyelenggara dan membina kemudahan-kemudahan sukan di setiap daerah terutamanya gelanggang futsal dan padang bola sepak. Semoga ia dapat dijaga dan dimanfaatkan dengan sebaiknya.
63. Selain memperuntukkan sebanyak RM1.38 juta untuk bantuan pengurusan badan belia, sambutan Hari Belia dan anugerah belia; sebanyak RM1 juta lagi disediakan khusus untuk membantu pengurusan NGO bagi melaksanakan program-program berimpak tinggi di negeri ini.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
64. Bagi menyokong sara hidup golongan belia dan mahasiswa daripada isi rumah berpendapatan rendah, dengan ini saya mengumumkan pemberian tunai „one-off’ bernilai RM150 yang dijangkakan akan memberi manfaat kepada lebih 160,000 orang.
65. Pemberian bantuan lesen motosikal juga akan diteruskan untuk memberi manfaat kepada lebih 15,000 orang belia yang layak.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
66. Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk memastikan penduduk kita mendapat pekerjaan. Selepas merintis penubuhan THRDC sebelum ini, sekali lagi Kerajaan Negeri terkehadapan apabila berjaya menubuhkan Urusetia Pekerjaan Negeri Terengganu (UPNT) pada tahun lalu melibatkan keanggotaan daripada lebih 30 agensi kerajaan, majikan, pemain industri serta pusat pendidikan dan latihan. Alhamdulillah, dari Januari sehingga Ogos tahun ini, sebanyak 1,766 penempatan pekerjaan telah berjaya diusahakan. Saya percaya, tugas berat yang digalas oleh YB Haji. Mohd Nurkhuzaini ini hanya mampu berhasil dengan penglibatan daripada seluruh jentera di bawah kepimpinan beliau.
67. Justeru, sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi meneruskan pelbagai inisiatif di bawah Pembangunan Sumber Manusia Negeri Terengganu termasuk Kelestarian Kerjaya dan Penempatan Pekerjaan seperti Program „Outreach’ Kesejahteraan Pekerjaan Rakyat Negeri Terengganu.
68. Sebanyak RM1 juta lagi diperuntukkan bagi meneruskan program „Home Manager’ yang menyediakan peluang pekerjaan untuk kaum wanita. Menerusi kerjasama YPKT dan THRDC pula, Kerajaan Negeri akan menyelia peluang dan penempatan pekerjaan terutamanya untuk golongan ibu tunggal dan OKU.
69. Untuk sekitar 25,000 orang ibu tunggal dan OKU yang layak di negeri ini, dengan ini saya mengumumkan pemberian tunai „one-off’ bernilai RM200 bagi menyokong sara hidup golongan ini.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
70.
Program Persediaan Alam Pekerjaan Belia pula akan dilaksanakan melibatkan mahasiswa tahun akhir dan graduan baharu untuk meningkatkan kebolehpasaran dan mempersiapkan mental dan emosi golongan ini sebelum memasuki alam pekerjaan yang sebenar.
71. Berita baik yang ingin saya kongsikan juga dengan anakanak muda kita, Kerajaan Negeri bersetuju menyediakan bantuan bernilai RM300 menerusi Skim Latihan Graduan Sejahtera bagi menyokong graduan yang layak untuk mengikuti latihan pembangunan kerjaya.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
72. Bagi mengimbangi penawaran dengan permintaan rumah di negeri ini, suka saya maklumkan bahawa kini terdapat sebanyak 3,174 unit rumah melibatkan 23 projek perumahan kerajaan dan swasta sedang dalam pembinaan dan dijangka akan disiapkan sehingga tahun hadapan. Sebahagian besarnya adalah kategori rumah mampu milik (RMM).
73. Dalam meningkatkan akses kepada pembiayaan patuh syariah pula, sebanyak RM30 juta diperuntukkan bagi Skim Pinjaman Perumahan Terengganu (i-RAHMAN). Skim ini telah memberi manfaat kepada 323 pemohon pada tahun lepas dan 320 pemohon pada tahun ini.
74. Sebagai sokongan kepada individu bujang dan ibu tunggal untuk mendapatkan rumah mampu milik dan pembiayaan i-RAHMAN, kuota sebanyak 10 peratus diperuntukkan khusus untuk golongan ini.
75. Tidak cukup dengan itu, saya difahamkan bahawa YB Dato’ Dr. Hj. Alias juga telah mengarahkan agensi berkaitan di bawah beliau untuk memantau dan merancang sesuatu mengenai projek perumahan terbengkalai dan unit rumah tidak terjual supaya ia dapat memberi manfaat juga kepada penduduk kita. Syabas saya ucapkan atas inisiatif-inisiatif berimpak tinggi yang telah dan akan dilaksanakan ini.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
76. Kerajaan Negeri amat prihatin dengan peningkatan kos sara hidup pada masa ini. Justeru, dengan ini saya mengumumkan pemberian tunai „one-off’ bernilai RM150 bagi membantu sekitar 2,600 orang pengawal keselamatan sebagai sokongan untuk menyara kehidupan mereka.
77. Bagi memantapkan pentadbiran JPKK pula sekaligus meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan Kerajaan Negeri dalam menyantuni rakyat, sebanyak RM5.5 juta diperuntukkan bagi membiayai pembelian peralatan kerja untuk JPKK.
78. Selain itu, pemberian tunai „one-off’ bernilai RM300 bagi membantu isi rumah miskin juga akan diteruskan melibatkan semua kaum; Melayu, Cina dan India untuk menyambut perayaan penting masing-masing.
Dianggarkan lebih 170,000 isi rumah akan menerima manfaat daripada bantuan ini.
79. Kerajaan Negeri juga bersetuju untuk menyediakan peruntukan RM5 juta bagi dana Yayasan Darul Iman (YDI) yang telah saya umumkan penubuhannya pada tahun lalu. Sekali lagi saya mengajak semua pihak untuk sama-sama menyumbang kepada tabung ini bagi merancakkan lagi program bantuan kebajikan kepada rakyat.
80. Mengenai inisiatif-inisiatif kebajikan ini, saya akui bahawa masih ada perkara yang perlu ditambah baik. Namun, dapatan daripada beberapa tinjauan dan kajian yang dilaksanakan oleh TSIS dan beberapa universiti awam menunjukkan bahawa rakyat kita berpuas hati dengan pengenalan dan pelaksanaannya oleh Kerajaan Negeri. Tahniah saya ucapkan kepada YB Hj. Hanafiah dan seluruh warga kerja beliau dalam menjalankan tugas menjaga kebajikan rakyat ini.
TERAS 2 : EKONOMI DIPACU
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
81. Dalam memperkukuh pertumbuhan dan memperbesar saiz ekonomi negeri kita, Kerajaan Negeri akan memberikan lebih tumpuan kepada sektor pertanian, industri pelancongan, pembangunan pelaburan dan aktiviti perniagaan.
82. Bagi memangkin penjanaan ekonomi, dengan ini saya mengumumkan peruntukan berjumlah RM15 juta untuk melaksanakan projek-projek berimpak tinggi yang memberikan kesan langsung kepada peningkatan sosioekonomi penduduk setempat.
83.
Projek yang akan dilaksanakan ini melibatkan penyediaan kemudahan komersial di luar bandar, penaiktarafan tempat tumpuan pelancong, penambahbaikan premis perniagaan dan penyediaan kawasan kegiatan ekonomi baharu untuk para usahawan.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
84. Isu keselamatan makanan terutamanya aspek pengeluaran dan bekalan makanan adalah sangat penting untuk diberikan perhatian.
85. Tahniah saya ucapkan kepada YB Dr. Azman dan seluruh warga kerja di bawah teraju beliau serta warga tani sekalian kerana berjaya meningkatkan tahap sara diri (SSL) padi negeri kita kepada 55.8 peratus pada tahun 2021 berbanding hanya 43 peratus pada tahun 2018. Saya percaya kita dapat mencapai sasaran 60 peratus pada tahun hadapan. InsyaAllah.
86. Justeru, dengan ini diperuntukkan sebanyak RM29.18 juta bagi melaksanakan pelbagai program dan projek untuk meningkatkan nilai ditambah sektor pertanian.
87. Bagi subsektor tanaman, Kerajaan Negeri akan meneruskan projek pembangunan padi melibatkan penyelenggaraan tali air dan pemulihan kesuburan tanah sawah serta pembangunan infrastruktur tanah terbiar. Selain itu, infrastruktur kawasan luar jelapang padi terutama di Kampung Jelapang, Setiu juga akan dinaiktaraf secara berperingkat dengan peruntukan sehingga RM5 juta pada tahun hadapan.
88. Kerajaan Negeri juga akan mewujudkan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) untuk golongan belia di Telaga Papan, Setiu di samping menaik taraf infrastruktur asas lima buah TKPM sedia ada. Selain itu, pembangunan jalan pertanian dan Program CSR Tani juga akan diteruskan.
89. Fokus subsektor ternakan pula ialah kepada pembangunan padang ragut di seluruh negeri, hub lembu sado, kambing tenusu dan Jurusuntik Permanian Beradas yang juga akan menjana peluang pekerjaan baharu khususnya untuk golongan belia. CSR Ternakan juga diperkenalkan berfokus kepada pembangunan padang ragut menerusi kolaborasi antara jabatan bersama komuniti peserta padang ragut.
90. Untuk memperkaya sumber marin, subsektor perikanan akan meneruskan projek pembinaan dan melabuh tukun tiruan, melabuh unjam, pelepasan benih ke perairan umum dan konservasi penyu termasuk membeli semula telur penyu daripada pemajak. Program pembersihan tukun-tukun tiruan yang telah dilabuhkan juga akan dilaksanakan dengan kerjasama penyelam berpengalaman bagi mengoptimumkan fungsinya sebagai rumah ikan serta penghalang pukat tunda.
91. Selain menyediakan bantuan peralatan kepada nelayan kecil, kerja-kerja pengerukan di kawasan Pelabuhan LKIM Chendering, Kuala Terengganu juga akan dilaksanakan bagi membantu para nelayan meningkatkan jumlah pendaratan ikan di negeri kita.
92. Di samping memperluas skop pelaksanaan program-program bantuan input, mekanisasi dan peralatan, Kerajaan Negeri juga akan meneruskan kemudahan pembiayaan patuh syariah iaitu Skim Bantuan Modal Tani untuk warga tani terutamanya daripada kumpulan B40; dan Tabung Bencana Pertanian untuk membantu warga tani dalam berhadapan dengan ketidaktentuan iklim, kemunculan penyakit baharu dan serangan musuh tanaman.
93. Pada hari ini juga saya ingin mengumumkan pemberian tunai „one-off’ bernilai RM150 kepada lebih 20,000 petani, penternak dan nelayan yang layak bagi menyokong sara hidup golongan ini.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
94. Bagi memastikan industri pelancongan di negeri kita terus berkembang dan menarik lebih ramai pelancong, sebanyak RM4.5 juta diperuntukkan untuk melaksanakan program-program galakan pelancongan.
95. Antaranya ialah program menjadikan Terengganu sebagai hub „edu-tourism’, penganjuran aktiviti air di sepanjang Sungai Terengganu
dan penambahan produk rekreasi perkhemahan seperti pusat caravan. Kerajaan Negeri juga akan memperkenalkan Geran Pelancongan Darul Iman (GPDI) untuk penggiat pelancongan di negeri ini.
96. Sebanyak RM2 juta lagi diperuntukkan bagi memperkasa produk pelancongan di setiap daerah melibatkan kawasan „Community Based Tourism’ (CBT) dan pulaupulau di negeri kita antaranya dengan menambah baik fasiliti bagi „day trip’ di Pulau Perhentian, Pulau Redang dan Pulau Kapas sebagai Day Trip Centre. Selain itu, sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi menambah baik dan menjenamakan semula Kenyir Island Hopping yang bakal menjadi salah satu tarikan baharu.
97. Pada kesempatan ini juga, syabas saya ucapkan kepada semua agensi, pengusaha dan penggiat industri pelancongan di negeri ini atas kejayaan merangkul tujuh anugerah di 6th Annual Malaysia Tourism Council (MTC) Gold Awards 2022 yang diadakan di Kuching, Sarawak baru-baru ini. Tahniah YB Ariffin.
98. Sebagai penghargaan dan menyokong sara hidup lebih 1,500 orang pekerja industri pelancongan di negeri ini, justeru saya mengumumkan pemberian „one-off’ bernilai RM150 kepada yang layak.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
99. Untuk makluman semua, sehingga Oktober tahun ini, nilai pelaburan kita telah mencecah RM3.76 bilion dan lebih 3,000 peluang pekerjaan tersedia menerusi projekprojek yang direalisasikan, komited dan berpotensi hasil kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan ECERDC.
100. Selain itu, pada tahun ini juga kita berjaya melaksanakan MIDA Invest Series Terengganu; Majlis Menandatangani MoU antara Eastern Steel Sdn. Bhd. dengan UMT, UC TATI dan TESDEC; serta Terengganu OGSE Roadshow 2022 dengan kerjasama Malaysia Petroleum Resource Corporation. Sekalung
penghargaan saya tujukan buat YB Dato’ Hj. Tengku Hassan dan seluruh pasukan kerja beliau terutamanya di UPEN.
101. Justeru, bagi merancakkan lagi program galakan dan promosi pelaburan, peruntukan berjumlah RM250 ribu disediakan termasuklah untuk menyediakan bahan yang mengandungi maklumat mengenai prospek, dasar dan insentif pelaburan di negeri kita; menyertai misi-misi pelaburan bersama MIDA; mengalu-alukan kehadiran pelabur asing dan tempatan; menganjurkan seminar, persidangan dan eksposisi; serta mengoptimumkan pengiklanan termasuklah di media sosial.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
102. Golongan belia kita perlu didorong untuk menceburi bidang keusahawanan dan usahawan baharu pula mesti diberikan sokongan. Justeru, sebanyak RM350 ribu diperuntukkan bagi melaksanakan Program Transformasi Minda, menambah baik sistem pengurusan kompetensi Sahabat Usahawan Terengganu (SUT) serta meningkatkan inovasi dan meluaskan pasaran produk tempatan menerusi kolaborasi dengan universiti tempatan dan penganjuran Terengganu Showcase dengan peruntukan sebanyak RM225 ribu khusus bagi membantu PMKS di negeri kita.
103. Selain itu, peruntukan berjumlah RM1.3 juta pula disediakan untuk menaik taraf premis perniagaan di kawasan tumpuan orang ramai dan kemudahan di Bukit Bubus Paragliding Park; membina Inkubator Industri Desa di Kawasan Perindustrian Gong Medang 2, Besut; dan menyediakan tapak „food truck’ di daerah-daerah.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
104. Suka juga untuk saya mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri bersetuju memperuntukkan dana sebanyak RM2 juta bagi Geran Tunas Usahawan
iaitu bantuan modal bernilai antara RM3,000 hingga RM5,000 kepada para belia yang serius mahu menjalankan perniagaan.
105. Selain itu, bantuan dalam bentuk tunai atau peralatan bernilai antara RM500 hingga RM1,000 pula akan diberikan bagi menyokong pemulihan lebih 3,000 peniaga kecil dan penjaja dalam mendepani situasi ekonomi yang tidak menentu pada masa ini.
106. Bagi membantu para usahawan juga, Kerajaan Negeri menjamin ketersediaan dana berjumlah RM10 juta setahun menerusi Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) untuk tujuan pemberian pinjaman, pembangunan perniagaan dan promosi produk.
TERAS 3 : PEMBANGUNAN DILESTARI
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
107. Pembangunan yang dilaksanakan di negeri kita mestilah bertujuan untuk memenuhi keperluan fizikal dan sosial penduduk. Pada masa yang sama, alam sekitar juga mestilah dilindungi supaya tidak menjejaskan sumber untuk keperluan generasi masa hadapan.
108. Demi kesejahteraan penduduk, Kerajaan Negeri bersetuju menambah peruntukan bagi projek-projek kecil di peringkat DUN kepada RM32 juta untuk melaksanakan pembangunan berkaitan infrastruktur, kemudahan awam dan sosioekonomi setempat.
109. Supaya pengguna domestik, komersial dan industri mendapat air yang berkualiti dan tidak mengalami gangguan bekalan pula, sebanyak RM108 juta diperuntukkan bagi meneruskan Projek Bekalan Air Kuala Terengganu Utara (KTU).
110. Sesungguhnya saya akui bahawa tanggungjawab untuk memperbaik pengurusan sumber dan perkhidmatan bekalan air adalah tidak mudah kerana adanya pelbagai kekangan dan amat sensitif kepada penduduk. Namun, kerjasama erat dan usaha berterusan terutamanya oleh JBA, SATU dan LAUT telah berjaya mengatasinya satu per satu.
111. Saya amat kagum dengan perhatian serius yang ditunjukkan oleh YB Dr. Hj. Mamad dalam memastikan projek-projek infrastruktur air berjalan dengan lancar; dan kecaknaan beliau terhadap pelaksanaan inisiatif pemberian 20 meter padu air percuma bagi menjamin keperluan lebih 12,000 isi rumah miskin di negeri kita dapat dipenuhi.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
112. Sebanyak RM102 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja penyediaan infrastruktur asas dan bayaran pengambilan tanah untuk membangunkan bandar-bandar baharu di Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Kemaman. Sebanyak RM78.65 juta lagi diperuntukkan bagi membina Kompleks Pentadbiran Majlis Perbandaran Dungun yang baharu dan RM3.1 juta untuk menaik taraf kemudahan utiliti dan infrastruktur kawasan perindustrian di Kemaman, Dungun dan Marang.
113. Suka juga untuk saya mengumumkan bahawa Dataran Teluk Pasu akan dibangunkan sebagai tempat rekreasi keluarga yang baharu dengan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi pelaksanaan fasa pertama.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
114. Kerajaan Negeri akan memperkasakan liputan internet di seluruh negeri melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Digital Nasional Berhad (DNB) dengan memfokuskan kepada Pelan Pelaksanaan 5G dan pembinaan struktur telekomunikasi sedia ada dan baharu di 373 tapak. Pelaksanaannya di 178 tapak melibatkan empat daerah akan dimulakan pada tahun hadapan.
115. Sebanyak RM2 juta pula diperuntukkan bagi memperkasakan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dan „Artificial Intelligence’ (AI) di negeri kita menerusi TAJDID.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
116. Bagi meningkatkan mutu pengurusan kebersihan dan keindahan bandar, Kerajaan Negeri bersetuju menambah peruntukan kepada RM77 juta bagi perbelanjaan berkaitan kontrak kebersihan dan pelaksanaan Program Kebersihan Bandar, pembelian tong sampah, Pertandingan PBT Cemerlang, Program Terengganu Bersih dan Lestari, bantuan sewaan tong sampah RORO serta Projek Kutipan Sampah.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
Inisiatif-inisiatif yang saya umumkan ini adalah untuk membangunkan kapasiti rakyat dan negeri kita dalam tujuh bidang seperti yang telah saya jelaskan semasa Persidangan Terengganu Sejahtera lalu. Hanya dengan sokongan dan kerjasama daripada semua pihak sahajalah matlamat “Memacu Terengganu Berdaya Tahan” ini dapat direalisasikan.
Mengakhiri ucapan ini, suka saya mengingatkan diri saya dan kita semua supaya beramanahlah dalam melaksanakan tanggungjawab agar ia menjadi amal soleh yang menguntungkan kita pada hari yang pasti tiba nanti.
Susah kita menanam padi Beras dibawa dari seberang Payah kita menjulang panji Habuan juga dipandang orang
Serat baju, bajulah lama Kenang sesepuh janganlah bersedih Hendak maju, majulah bersama Buang yang keruh ambillah yang jernih
Semoga Allah SWT merahmati kita semua dan menjadikan negeri ini „baldatun toyyibah wa rabbun ghafur’.
Yang Berhormat Dato Yang di-Pertua, saya mohon mencadang.
Yang Berhormat Dato Yang di-Pertua, saya mohon menyokong cadangan itu.
Rang Enakmen ini telah mendapat sokongan bagi bacaan kali yang kedua. Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli Yang Berhormat sekalian, bagi memberi peluang kepada Yang Berhormat untuk meneliti kandungan Ucapan Bajet yang telah dibentangkan tadi, saya berhasrat untuk menangguhkan persidangan ini. Oleh yang demikian saya tangguhkan persidangan ini ke pukul 9.30 pagi esok 29 November 2022. Marilah sama-sama kita menangguhkan dengan membaca Tasbih Kaffarah.
MESYUARAT DITANGGUHKAN PADA JAM 12.20 TENGAHARI