Terengganu · 1 October 2023
15th Assembly, 1st session, 1st meeting · 2 turns · 2,556 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalTerengganu publishes one PDF per meeting, with the written answers appended. Speakers are matched by our parser and will have some errors.
Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia SultanAddress / budget
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Perkara berikut di dalam Tertib Pekerjaan Dewan pada hari ini ialah Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan.
YANG BERHORMAT DATO’ YANG DI-PERTUA DEWAN KELUAR DARI DEWAN UNDANGAN NEGERI MEMOHON PERKENAN KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SULTAN TERENGGANU UNTUK BERANGKAT KE ISTIADAT DEWAN UNDANGAN NEGERI.
Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan TerengganuAddress / budget
Bismillahirrahmanirrahim, Alhamdulillahi Rabbil Alamin, Wabihi Nastain Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Yang Berhormat Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu
Segala puji bagi Allah yang memiliki dan menguasai semesta alam. Maha suci Allah yang telah menciptakan langit dan bumi dan menjadikan siang dan malam, gelap dan cerah. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sollallahu „Alaihi Wasallam, ahli keluarga serta para sahabat Baginda. Alhamdulillah, bersyukur Beta ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan kekuasaan-Nya telah mengizinkan untuk berlangsungnya Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Kelima Belas pada pagi yang penuh bersejarah ini.
Beta bersyukur Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelima Belas telah berjaya diadakan dalam suasana yang aman dan penuh harmoni dengan mendokong semangat
demokrasi. Justeru, Beta ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Suruhanjaya Pilihan Raya, anggota pasukan keselamatan, semua agensi kerajaan serta rakyat Beta yang telah menunaikan kewajipan masing-masing. Marilah kita bersama berlapang dada dengan hati yang terbuka untuk menerima dan menghormati keputusan pilihan raya ini. Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Ali-Imran, ayat 26 yang bermaksud:
Katakanlah: “Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu”.
Beta menzahirkan ucapan tahniah kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian kerana telah terpilih sebagai wakil rakyat. Ianya merupakan suatu amanah yang perlu dipikul untuk berkhidmat, berbakti dan membela nasib rakyat Beta. Sekalung tahniah buat Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Doktor Ahmad Samsuri bin Mokhtar di atas pelantikan sebagai Menteri Besar Terengganu Yang Keenam Belas serta kepada seluruh barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Di Malaysia, system simple plurality atau First Past the Post (FPTP) telah diguna pakai sehingga ke hari ini. Keputusan Pilihan Raya Negeri baru-baru ini telah menyaksikan keputusan rakyat telah memilih Kerajaan Beta tanpa adanya pembangkang di dalam Dewan Undangan Negeri pada penggal ini. Situasi ini berlaku di dalam tempoh sambutan dua puluh lima (25) tahun Jubli Perak pemerintahan Beta dan melakarkan lembaran sejarah baharu era milenium ketiga bagi negara Malaysia dan negeri Terengganu khasnya. Oleh yang demikian, melalui doktrin pengasingan kuasa yang merupakan pembahagian di dalam amalan demokrasi iaitu kuasa eksekutif, legislatif serta judisiari menjadi semak dan imbang yang efektif bagi Kerajaan Beta walaupun pemusatan kuasa kini sepenuhnya oleh pihak kerajaan. Beta percaya dan yakin dengan rules of law di negara Malaysia serta prinsip Rukun Negara yang keempat iaitu Kedaulatan Undang-Undang berjalan dengan baik, adil serta saksama kepada semua strata sosial di dalam masyarakat. Kerajaan Beta perlu mencari kaedah
serta model terbaik dalam sistem pentadbiran agar lebih telus dan efisien sebelum memutuskan sebarang keputusan yang bakal dilaksanakan demi kepentingan kerajaan dan rakyat Beta. Disiplin serta cabang ilmu pentadbiran yang teratur dan berkesan dapat dipastikan dengan cara kolaborasi menyeluruh di semua peringkat badan-badan kerajaan yang berkepentingan agar keputusan yang dibuat secara cekap dan tepat.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Oleh yang demikian, bagi separuh kedua tahun 2023, ekonomi Malaysia dijangka terus berkembang pada kadar yang sederhana. Permintaan luaran yang lebih perlahan juga akan terus menjejaskan kegiatan ekonomi khususnya bagi sektor berorientasikan eksport. Pertumbuhan akan disokong oleh permintaan dalam negeri dan keadaan pasaran pekerja yang menggalakkan khususnya dalam sektor berorientasikan dalam negeri. Ketibaan pelancong dijangka terus meningkat, lantas menggiatkan aktiviti pelancongan, manakala aktiviti pelaburan akan disokong oleh pelaksanaan projek pelaburan. Keadaan kewangan domestik juga kekal kondusif untuk pengantaraan kewangan. Risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan berpunca daripada pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan pada tahun 2022 negeri Terengganu merekodkan nilai KDNK sebanyak RM37.3 bilion, peningkatan 5.9 peratus daripada 3.7 peratus pada 2021. Sektor perkhidmatan berkembang 6.0 peratus, disokong oleh perdagangan borong dan runcit, penginapan, makanan dan minuman serta perkhidmatan kerajaan. Seterusnya, sektor pembuatan adalah sederhana kepada 8.2 peratus berbanding 9.5 peratus pada 2021, disokong oleh produk petroleum, kimia, getah dan plastik.
Walau bagaimanapun, sektor pertanian di Terengganu merosot 4.7 peratus disebabkan penguncupan dalam subsektor tanaman kelapa sawit dan tanaman lain serta penternakan. Kerajaan Beta haruslah memberikan penumpuan kepada segmentasi bagi mengutamakan bidang-bidang yang bakal memberikan multiplier effect di dalam persekitaran sosial serta ekonomi yang inklusif, kukuh dan mampan melalui:
a) Perkembangan Pembangunan Wilayah di Negeri Terengganu b) Melestarikan Pelan Pembangunan Pelancongan c) Pembasmian Kemiskinan Dan Kesejahteraan Rakyat
d) Peluang Pelaburan Dan Pekerjaan e) Perkembangan Potensi Pertanian f) Pembangunan Modal Insan
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Proses urbanisasi yang berterusan adalah merupakan salah satu agenda yang perlu dititikberatkan. Proses ini melibatkan kerjasama semua pihak dalam memastikan anjakan paradigma bandar berasaskan dimensi bersepadu pembangunan mampan merangkumi sosial, ekonomi dan alam sekitar. Dalam usaha untuk mewujudkan bandar-bandar baharu sebagai sokongan kepada bandar sedia ada, pelbagai aspek baharu perlu diteroka dan diberikan fokus. Beta berharap agar elemen-elemen perbandaran utama seperti elemen bandar pintar, bandar selamat, bandar hijau serta bandar rendah karbon dititikberatkan dan diperhalusi bagi tujuan pemakaian di peringkat negeri dan peringkat tempatan secara berterusan.
Kerajaan Beta disarankan untuk mengoptimumkan potensi bandar-bandar baharu yang telah dirancang supaya dapat dibangunkan untuk memastikan ruang bandar yang kondusif dan tersusun dapat direalisasikan kepada seluruh lapisan masyarakat. Kaedah pembangunan secara penswastaan juga perlu diperhalusi dengan lebih teliti bagi memastikan galakan serta promosi pelaburan pembangunan mendapat sambutan daripada pihak swasta sehingga pelaksanaan bandar-bandar baharu ini dapat dicapai. Beta amat yakin dengan adanya penglibatan pihak swasta yang lebih aktif dalam pembangunan ini mampu memastikan keberhasilan agenda perbandaran yang berdaya huni dan maju dapat dicapai.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Beta melihat sektor pelancongan kini mencatatkan perkembangan yang baik berdasarkan data kemasukan pelancong yang direkodkan hadir ke Terengganu pada tahun 2022 iaitu seramai 3.7 juta pelancong yang melepasi sasaran 3 juta pelancong. Pasca Covid-19 memberikan cabaran baharu kepada sektor pelancongan dalam mendepani senario ekonomi dunia yang tidak menentu. Kerajaan Beta perlu meneroka potensi baharu dalam industri ini agar dapat memberi nilai tambah kepada aset-aset pelancongan negeri yang sedia ada. Kepelbagaian dan keunikan sumber alam semulajadi, bermula dari jajaran
pantai sepanjang dua ratus empat puluh empat (244) kilometer, kehijauan hutan hujan tropika, kepelbagaian sumber flora dan fauna, keindahan dasar laut yang memukau sehinggalah ke khazanah seni, budaya dan warisan yang masih terpelihara merupakan anugerah yang tidak terhingga daripada Allah Subhanu Wata’ala buat seluruh rakyat negeri ini. Sehubungan itu, Kerajaan Beta perlu memberi penekanan terhadap penjenamaan produk dengan mengenalpasti Unique Selling Point (USP) yang ditawarkan untuk menarik minat pelancong seperti menjenamakan Terengganu sebagai destinasi pelancongan marin terkemuka dalam negara. Keunikan tujuh (7) pulau peranginan utama di Terengganu seperti Pulau Perhentian Besar, Perhentian Kecil, Pulau Redang, Pulau Tenggol, Pulau Bidong, Pulau Lang Tengah dan Pulau Kapas berpotensi tinggi untuk dipasarkan ke peringkat global.
Kerajaan Beta seharusnya mencari kaedah promosi yang lebih strategik bagi melonjakkan aktiviti pelancongan marin Terengganu. Penemuan Bidong Shipwreck yang berusia lebih lima ratus (500) tahun di Pulau Bidong membuktikan terdapat banyak lagi khazanah dasar laut yang perlu diterokai. Justeru itu, Galeri Arkeologi Maritim Terengganu wajar diwujudkan agar segala penemuan berharga ini dapat disimpan pada suatu tempat yang boleh dijadikan sebagai sumber rujukan dan kajian. Pelancongan marin yang mencakupi aktiviti-aktiviti berkaitan seperti voluntarism dalam program-program konservasi penyu dan hidupan marin, penganjuran pelbagai acara berimpak tinggi di pulau-pulau, serta menonjolkan kebudayaan negeri melalui penglibatan komuniti setempat perlu diperluaskan. Pengiktirafan Geopark Kenyir baru-baru ini adalah sangat membanggakan dan memberi citra baharu kepada segmentasi ekopelancongan negeri Terengganu yang perlu diterokai lebih mendalam lagi.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Beta dimaklumkan negeri Terengganu merekodkan 6,330 ketua isi rumah (KIR) yang berstatus miskin tegar. Pelbagai pendekatan serta inisiatif telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan Beta bagi mengurangkan kitaran kemiskinan ini termasuk pelaksanaan Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR-BMT) secara berperingkat melalui kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.3 juta. Sehingga kini, seramai 168 KIR miskin tegar bagi lapan (8) daerah telah dilibatkan di dalam projek pertanian, keusahawanan, pertukangan, kraftangan, jahitan dan telah mula merekodkan janaan pendapatan tambahan secara puratanya sebanyak
RM300 hingga RM500 sebulan bagi setiap KIR. Oleh yang demikian, Beta menyarankan agar inisiatif seperti ini perlu diperbanyakkan agar golongan sasar bebas dan terus keluar daripada insiden kemiskinan.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Kerajaan Beta telah mencatatkan jumlah pertumbuhan pelaburan sebanyak RM3.74 bilion yang diluluskan dalam sektor pembuatan, pelancongan dan logistik. Prestasi pelaburan yang memberangsangkan ini dipengaruhi oleh pelbagai faktor termasuk lokasi yang strategik, ketersediaan bakat yang baik, dasar dan peraturan yang progresif serta mesra perniagaan, integrasi ke dalam rangkaian ekonomi antarabangsa serta ekosistem industri yang matang.
Oleh yang demikian, Kerajaan Beta disarankan agar memberi fokus kepada kluster-kluster yang telah dikenal pasti antaranya Carbon Capture, Utilisation and Storage (CCUS), Downstream Manufacturing of Minerals dan Specialty Chemical and Petrochemical agar seiring dengan matlamat Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030). Penekanan ini bertujuan untuk mencipta sumber kekayaan baharu negara dengan meningkatkan kompleksiti ekonomi, memacu pertumbuhan ekonomi lestari, menyediakan peluang pekerjaan berkualiti sekali gus meningkatkan taraf kehidupan rakyat yang lebih sejahtera.
Sehubungan dengan itu, Kerajaan Beta perlu menggandakan usaha-usaha untuk menarik dan mempergiatkan aktiviti penggalakan pelaburan bagi memastikan kedudukan Terengganu kekal kompetitif termasuk memudah cara urusan pelabur melalui pengenalan inisiatif dan fasilitasi pelaburan yang berkesan. Menaik taraf infrastruktur di kawasan perindustrian adalah penting untuk penyelenggaraan kemudahan-kemudahan sedia ada bagi menarik pelabur dan meningkatkan daya saing negeri. Beta yakin bahawa peningkatan ekonomi bagi sesebuah negeri dapat direalisasikan melalui kemasukan pelabur-pelabur asing dengan mewujudkan peluang pekerjaan, membangunkan tenaga kerja yang mahir dan memupuk pertumbuhan syarikat-syarikat tempatan. Dengan itu, Kerajaan Beta dapat meningkatkan aliran pelaburan ke dalam negeri sekaligus memastikan Terengganu kekal sebagai destinasi utama pilihan pelabur.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Sektor pertanian telah mengalami perubahan daripada pertanian tradisional kepada pertanian moden melalui penggunaan serta adaptasi teknologi dalam kaedah penanaman, penternakan dan perikanan di negeri Terengganu. Ketidaktentuan iklim dengan perubahan cuaca ekstrem memberi kesan terhadap produktiviti pengeluaran hasil pertanian. Beta berharap teknologi kebendaan atau Internet of Things (IoT) dalam sektor ini dimaksimumkan penggunaannya dalam memastikan pengeluaran hasil sektor pertanian secara optimum dengan impak yang minima akibat perubahan iklim dan cuaca.
Peningkatan pendaratan ikan marin sebanyak 9.9 peratus serta peningkatan pengeluaran hasil akuakultur sebanyak 13.06 peratus pada tahun 2022 berbanding tahun sebelumnya menunjukkan keberhasilan perancangan serta usaha berterusan di dalam program memperkaya sumber perikanan. Hal ini sudah tentu mengukir senyuman para nelayan apabila pendapatan mereka bertambah dan seterusnya menyokong pengeluaran produk-produk hiliran berasaskan perikanan. Selain itu, Kerajaan Beta disarankan agar mencari jalan penyelesaian berkaitan isu pencerobohan nelayan asing yang menggugat kedaulatan negara serta mengancam keselamatan para nelayan. Isu pencerobohan perairan serta penjarahan khazanah laut telah menyebabkan ketirisan hasil laut dalam sehingga mencecah RM4 bilion setahun kepada industri perikanan. Ini sudah semestinya merugikan negara dan negeri setelah pelbagai usaha dilakukan untuk meningkatkan sumber perikanan marin. Di samping itu, inisiatif Kerajaan Negeri dalam mewujudkan tapak pertanian Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) bagi golongan belia haruslah diteruskan bagi menarik golongan muda negeri ini menceburi sektor pertanian yang berpotensi tinggi.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Pada pengamatan Beta, umat Islam perlu menyuburkan kembali tradisi ilmu sekiranya mahu menegakkan Islam yang syumul, sempurna dengan jasad dan rohnya. Tamadun Islam, seperti yang diungkapkan oleh Franz Rosenthal, mencerminkan knowledge triumphant (keagungan ilmu) di mana masyarakat cendekiawannya menjadi tonggak tamadun dan suara moral dalam masyarakat. Sasterawan dan ahli balaghah Abu Hilal al- „Askari menegaskan pengalaman menikmati kelazatan ilmu merupakan kenikmatan yang tiada tolok bandingnya.
Beliau berkata; “sejak kami mengenal nikmat ilmu tidak lagi kami merasai nikmat rasa manis dan lazat yang lain”. Sehubungan dengan itu, walau apa jua cabaran yang dihadapi, bidang pendidikan tidak boleh dipinggirkan.
Kerajaan Beta memberikan komitmen dalam memacu kelestarian bidang pendidikan dengan memperuntukkan sebahagian besar dalam Belanjawan 2023. Hasilnya, rakyat Beta mengecapi pelbagai kejayaan di dalam bidang pendidikan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM). Kejayaan ini tidak dapat dikecapi tanpa usaha dan komitmen daripada semua pihak terutamanya para guru, ibu bapa dan agensi-agensi kerajaan yang sentiasa berganding bahu dalam memastikan pendidikan di negeri Terengganu kekal berada pada tahap yang terbaik serta cemerlang.
Selain daripada itu, Beta ingin menyeru kepada Ahli-ahli Yang Berhormat supaya memperkasakan institusi-institusi pendidikan dan kemahiran yang sedia ada di negeri ini selaras hasrat asal penubuhannya. Program-program pengajian yang ditawarkan perlu mengambil kira perkembangan dan keperluan dalam bidang industri semasa dan akan datang. Penerokaan dalam bidang sains dan teknologi menjadikan ianya lebih sempurna apabila digabungkan dengan kurikulum agama berpandukan Al-Quran dan Hadis yang saling berkait dan melengkapi antara satu sama lain. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab Ahli-ahli Yang Berhormat dan para ahli akademik merangka pelan pendidikan yang lebih komprehensif bagi menjadikan negeri Terengganu sebagai negeri contoh dalam bidang pendidikan yang ditawarkan.
Beta menyeru agar agensi-agensi berkaitan pendidikan termasuk Yayasan Terengganu, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Terengganu (MAIDAM) dan tidak terkecuali syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri Terengganu meneruskan penajaan program-program pendidikan mahupun kerjasama dalam penyediaan peluang pekerjaan kepada rakyat Beta, terutamanya dalam bidang-bidang pengajian yang kritikal serta menepati keperluan semasa industri.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Beta ingin menzahirkan penghargaan di atas taat setia yang telah dicurahkan kepada Beta dan negeri tercinta oleh Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, semua anggota pentadbiran awam, anggota keselamatan dan semua petugas
perkhidmatan kesihatan yang telah menyempurnakan amanah dan tanggungjawab secara profesional, adil dan saksama bagi menjaga kebajikan dan keharmonian rakyat Beta. Terima kasih juga kepada seluruh rakyat Beta yang sentiasa mendoakan kesejahteraan Beta dan keluarga sepanjang dua puluh lima (25) tahun pemerintahan Beta. Justeru, Beta turut mendoakan kepada seluruh rakyat Beta agar dapat menjalani kehidupan dengan penuh kerukunan dan aman damai serta terus gagah menghadapi pelbagai gelora pandemik, kemurungan ekonomi dan cabaran yang melanda tanah air.
Akhirnya, kepada Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, janganlah bersikap menilik balas dan menanti pujian, jagalah nama baik dan kehormatan dewan yang mulia ini dengan melaksanakan khidmat bakti yang tulus ikhlas sebagai wakil rakyat dengan meletakkan kepentingan rakyat Beta dan masa hadapan negeri ini di dalam hati dan minda Ahli-ahli Yang Berhormat. Semoga semua usaha murni ini mendapat keredhaan Allah Subhanahu Wata’ala. Dengan lafaz suci, Bismillahirrahmanirrahim, Beta dengan sukacitanya merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Kelima Belas. Selamat bersidang.
Sekian. Wabillahi taufik Wal hidayah.
Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SULTAN DIIRINGI OLEH YANG BERHORMAT DATO’ YANG DI-PERTUA DEWAN BERANGKAT KELUAR DARI DEWAN UNDANGAN NEGERI.
YANG BERHORMAT DATO’ YANG DI-PERTUA MASUK SEMULA KE DEWAN UNDANGAN NEGERI.
YANG BERHORMAT DATO’ YANG DI-PERTUA: Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, bagi memberi peluang kepada Ahli-ahli Yang Berhormat meneliti Ucapan Titah DiRaja untuk membuat perbahasan, saya tangguhkan Persidangan Dewan sehingga ke hari Selasa, 3 Oktober 2023 jam 9.30 pagi.
Sebelum kita mengakhiri majlis pada pagi ini, sebentar nanti Sesi Fotografi bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan bersama dengan seluruh Ahli
Yang Berhormat dan Anggota Pentadbiran Negeri di hadapan Pentas DiRaja di Perkarangan Dewan Undangan Negeri. Mohon kerjasama semua Ahli Dewan berada di tempat Sesi Fotografi sebaik sahaja Dewan ini ditangguhkan dan mohon disegerakan. Sementara itu Ketua-ketua Jabatan dan semua hadirin dijemput menikmati makan tengahari di Dewan Besar, Tingkat Bawah, Wisma Darul Iman. Selepas sesi fotografi, saya ingin menjemput semua Ahli Yang Berhormat untuk menikmati jamuan di Damai Lounge.
Kita tangguhkan majlis kita dengan membaca tasbih kaffarah dan Suratul „Asr.
DEWAN DITANGGUHKAN PADA PUKUL 11.00 PAGI.