Terengganu · 27 November 2023

15th Assembly, 1st session, 2nd meeting · 101 turns · 12,892 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalTerengganu publishes one PDF per meeting, with the written answers appended. Speakers are matched by our parser and will have some errors.

(Pembukaan)

Setiausaha Dewan

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian. Perkara berikut di dalam Tertib Pekerjaan Dewan pada hari ini ialah Ucapan Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan.

Yang di-Pertua

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan, para pemerhati, tuan-tuan, puan-puan yang saya hormati sekalian.

Terlebih dahulu marilah sama-sama kita rafakkan kesyukuran kita kepada Allah Subhanahu Wa Taala kerana dengan limpah taufik dan inayah-Nya kita dapat berada dan melaksanakan tanggungjawab kita sebagai Ahli Badan Legislatif di dalam Dewan yang mulia ini.

Saya juga mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih serta mengalu-alukan kehadiran Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian dalam persidangan kali ini selama empat hari bermula pada hari ini Isnin, 27 November 2023 sehingga hari Khamis, 30 November 2023 iaitu dalam Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Pertama, Dewan Undangan Negeri Terengganu Yang Kelima Belas.

Sepertimana Ahlli Yang Berhormat semua sedia maklum, persidangan pada kali ini merupakan persidangan pembentangan Belanjawan bagi tahun 2024. Bersempena pembentangan belanjawan kali ini, suka saya ingin memulakan ucapan saya dengan memetik sepotong ayat dalam Al-Quran Al Karim yang berbunyi :

Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang berkeputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu. Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah SAW kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya).

Surah Al-Hasyr: Ayat 7

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, sidang pada kali ini sangat penting kerana ia melibatkan perancangan masa depan Negeri kita iaitu melalui pembentangan Belanjawan Negeri Terengganu bagi tahun 2024 yang akan dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar. Ahli-ahli Yang Berhormat adalah bertanggungjawab untuk meneliti setiap butiran bajet yang akan dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar sebelum membahaskannya. Dalam masa yang sama, saya amat yakin dan percaya serta saya juga merasakan semua Ahli Yang Berhormat bersependapat dengan saya, iaitu Yang Amat Berhormat Menteri Besar akan membentangkan sebuah Belanjawan yang terbaik dan konklusif pada pembentangan Belanjawan kali ini.

Tambahan pula, dengan komitmen Yang Amat Berhormat Menteri Besar untuk memacu pentadbiran Negeri pada penggal ini dengan lebih terkehadapan, sudah semestinya tumpuan akan diberikan kepada seluruh aspek pembangunan dan kemampanan ekonomi negeri dapat tercapai. Kelestarian dalalm membangunkan negeri ini, insya-Allah. Secara tidak langsung rakyat akan boleh menilai bahawa waima apa juga perancangan belanjawan yang dibentangkan, kebajikan dan kemakmuran rakyat adalah menjadi fokus keutamaan oleh Kerajaan Negeri.

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, dalam kesempatan Persidangan kali ini, saya juga mengambil ruang

dalam ucapan ini untuk menzahirkan kebersamaan kita terhadap saudara-saudara kita yang sedang diuji dengan peperangan yang dahsyat di bumi Gaza, Palestin. Episod duka, luka dan darah umat islam di Palestin berterusan hingga hari ini. Dilaporkan jumlah yang direkodkan telah melebihi puluhan ribu rakyat Palestin yang terbunuh. Setiap detik berlakunya peperangan, dari situ jugalah kita menyaksikan setiap nyawa umat islam di Palestin akan terus terkorban.

Sesungguhnya apa yang berlaku ini adalah permasalahan yang amat sukar untuk diselesaikan.

Insya-Allah, kita harap Allah taala memberikan penyelesaian terbaik untuk umat Islam dan memberikan kekuatan kepadanya.

Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, saya juga turut ingin mengambil kesempatan ini untuk berkongsi perkembangan dan perjalanan Dewan Undangan Negeri kita ini melalui Jawatankuasa Tetap yang baru dilantik pada persidangan yang lepas. Kesemua Jawatankuasa tersebut iaitu Jawatankuasa Pengurusan Dewan, Jawatankuasa Peraturan--Peraturan Tetap Dewan, Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan serta Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri (PAC) telah selesai menjalankan mesyuarat kali pertama masing-masing pada awal November yang lalu. Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua Yang Berhormat Ahli Jawatankuasa sekalian atas kesungguhan dan komitmen yang diberikan dalam Jawatankuasa masing-masing. Semoga perjalanan kesemua Jawatankuasa tersebut akan dapat memberi tambah nilai yang inklusif dan lebih baik kepada perjalanan persidangan Dewan ini.

Dalam masa yang sama, saya amat terbuka untuk menerima sebarang cadangan dan idea yang segar dalam membantu perjalanan dan perkembangan persidangan Dewan kita ini agar misi untuk Memacu Pemberdayaan Badan Legislatif Yang Efektif, Inklusif dan Progresif dapat tercapai ke arah menjadikan Dewan Undangan Negeri Terengganu ini sebagai Badan Legislatif Yang Terunggul.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, saya suka mengingatkan agar Ahli-ahli Yang Berhormat sentiasa menjadikan Peraturan-Peraturan dan Perintah Tetap Dewan (Standing Orders) sebagai panduan demi menjaga keharmonian dan kemuliaan Dewan ini. Saya juga berharap tempoh masa Persidangan kali ini selama empat hari dapat memberi keselesaan kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat dan seterusnya peluang ini dapat dipergunakan dan diambil peluang sebaik-baiknya untuk membahaskan pembentangan Belanjawan kali ini, dan

dalam masa yang sama terus membawa suara rakyat dan kepentingan masa depan Negeri Terengganu yang kita cintai ini.

Saya juga mengambil peluang mengucapkan Siru’ala Barakatillah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar yang telah dipercalonkan dipertanggungjawabkan sebagai calon Parti PAS di Parlimen Kemaman. Semoga Allah taala memberi kekuatan kepada beliau dan kemenangan kepada parti PAS, insya-Allah.

Akhir kalam, Selamat Bersidang, Siru’ala Barakatillah

KERTAS-KERTAS KERJA DAN LAPORAN-LAPORAN

Kertas-Kertas Kerja Dan Laporan-Laporan

Setiausaha Dewan

Perkara seterusnya di dalam Tertib Pekerjaan Dewan ialah KERTAS-KERTAS KERJA DAN LAPORAN-LAPORAN.

Yang di-Pertua

Kertas-kertas kerja dan laporan-laporan yang dibentangkan ialah:

1 Anggaran Hasil Dan Perbelanjaan Tahun 2024

(D.U.N. Bil.3/2023)

2 Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Negeri Tahun 2024

(D.U.N. Bil.4/2023)

3 Anggaran Perbelanjaan Kumpulan Wang Bekalan Air Tahun 2024

(D.U.N. Bil.5/2023)

4 Penyata Kewangan Negeri Terengganu Tahun 2022.

(D.U.N. Bil.6/2023)

5 Penyata Kewangan Tahun 2022 Majlis Bandaraya Negeri Terengganu.

(D.U.N. Bil.7/2023)

Penyata Kewangan Tahun 2022 Majlis Perbandaran Kemaman.

(D.U.N. Bil.8/2023)

7 Penyata Kewangan Tahun 2022 Majlis Perbandaran Dungun.

(D.U.N. Bil.9/2023)

8 Penyata Kewangan Tahun 2022 Majlis Daerah Besut.

(D.U.N. Bil.10/2023)

9 Penyata Kewangan Tahun 2022 Majlis Daerah Hulu Terengganu

(D.U.N. Bil.11/2023)

10 Penyata Kewangan Tahun 2022 Majlis Daerah Setiu

(D.U.N. Bil.12/2023)

11 Penyata Tahunan 2022 Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri

(D.U.N. Bil.13/2023)

12 Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2022 Mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Agensi Negeri Terengganu serta Pengauditan Pematuhan Jabatan / Agensi Negeri

(D.U.N. Bil. 14/2023)

13 Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2021 Siri 2 Mengenai Auditan Khas Pengurusan Hutan dan Impak Kepada Alam Sekitar, Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri dan Pengauditan Pematuhan Jabatan Negeri.

(D.U.N. Bil. 15/2023)

Soalan-Soalan Yang Telah Diberi NotisQuestions

Setiausaha Dewan

Perkara berikut ialah Soalan-soalan Yang Telah Diberi Notis:

(1) Soalan-soalan Bertulis.

(2) Soalan-soalan Lisan.

Soalan-Soalan LisanQuestions

Yang di-Pertua

Jawapan-jawapan kepada Soalan-soalan Bertulis yang telah diberi notis dan dibentangkan di hadapan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian ialah soalan-soalan daripada:

1 Yang Berhormat Wakil Bandar 2 Yang Berhormat Wakil Jertih 3 Yang Berhormat Wakil Buluh Gading 4 Yang Berhormat Wakil Kemasik 5 Yang Berhormat Wakil Ladang 6 Yang Berhormat Wakil Pengkalan Berangan 7 Yang Berhormat Wakil Seberang Takir 8 Yang Berhormat Wakil Permaisuri 9 Yang Berhormat Wakil Hulu Besut 10 Yang Berhormat Wakil Rantau Abang 11 Yang Berhormat Wakil Batu Rakit 12 Yang Berhormat Wakil Langkap 13 Yang Berhormat Wakil Air Putih 14 Yang Berhormat Wakil Telemung 15 Yang Berhormat Wakil Bukit Tunggal 16. Yang Berhormat Wakil Bukit Besi

SOALAN-SOALAN LISAN

Sekarang kita masuk kepada Soalan-soalan Lisan. Berikut adalah Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah memberi notis untuk mengemukakan Soalan-Soalan Lisan.

1 Yang Berhormat Wakil Bandar 2 Yang Berhormat Wakil Jertih 3 Yang Berhormat Wakil Buluh Gading

Yang Berhormat Wakil Kemasik 5 Yang Berhormat Wakil Ladang 6 Yang Berhormat Wakil Pengkalan Berangan 7 Yang Berhormat Wakil Manir 8 Yang Berhormat Wakil Seberang Takir 9 Yang Berhormat Wakil Permaisuri 10 Yang Berhormat Wakil Hulu Besut 11 Yang Berhormat Wakil Rantau Abang 12 Yang Berhormat Wakil Batu Rakit 13 Yang Berhormat Wakil Langkap 14 Yang Berhormat Wakil Air Putih 15 Yang Berhormat Wakil Telemung 16 Yang Berhormat Wakil Bukit Tunggal 17 Yang Berhormat Wakil Kuala Besut 18 Yang Berhormat Wakil Bukit Besi 19 Yang Berhormat Wakil Sura

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar dan Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri sekalian, saya telah membuat satu keputusan agar kali ini setiap Soalan Lisan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat hanya diberikan ruang untuk sekali sahaja soalan tambahan dengan tujuan memberi ruang dan kesempatan kepada semua Yang Berhormat-Yang Berhormat yang telah mengemukakan soalan agar sempat memberi soalan pada hari ini, insya-Allah. Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan sekalian, dipersilakan Yang Berhormat Wakil Bandar.

Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Barisan EXCO, Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan, Wakil-wakil Jabatan, semua pemerhati. Soalan saya bagi membuka penggal ini dengan soalan yang kedua. Terima kasih.

Berapakah jumlah royalti minyak yang belum dibayar oleh Kerajaan Pusat kepada Kerajaan Negeri bagi baki tahun 2023?

Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin MokhtarPAS · PNMenteri Besar · Ru Rendang

Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih kepada Bandar yang mengemukakan soalan sebagaimana yang dipaparkan. Untuk makluman semua, pada tahun 2023 Kerajaan Negeri telah membuat anggaran terimaan-terimaan wang royalti minyak adalah sebanyak RM1.524 bilion dan yang diterima sehingga kini adalah berjumlah RM510 juta dan untuk menjawab soalan yang belum dibayar oleh Kerajaan Pusat kepada Kerajaan Negeri ianya anggaran sebanyak RM1 bilion. Terima kasih.

Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. Soalan tambahan kepada Yang Amat Berhormat, berhubung dengan langkah yang sedia diambil oleh pihak Kerajaan untuk memastikan duit petroleum akan balik ataupun dibayar oleh Kerajaan Pusat kepada Negeri Terengganu dan bagaimana istilah royalti yang sebelum ini digunapakai berubah menjadi Dana Ihsan ataupun Wang Ihsan ataupun Dana Khas? Terima kasih.

Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin MokhtarPAS · PNMenteri Besar · Ru Rendang

Terima kasih kepada Wakil Bandar di atas soalan tambahan. Dato’ Yang di-Pertua, pihak Kerajaan Negeri sangat komited dan percaya kepada prinsip kita bertemu dan kita berbincang adalah sebagai langkah yang terbaik untuk menyelesaikan apa jua isu yang timbul termasuk usaha untuk mendapatkan hasil royalti minyak atau istilah lain yang digunakan oleh Kerajaan Persekutuan kerana kalau kita ikuti sejarah penggunaan nama istilah ini, saya rasa saya perlu memberi penjelasan di sini kerana Kerajaan Negeri komited untuk menggunakan nama royalti.

Dalam terimaan yang awal pada tahun 1978 sehingga 1999, istilah yang diguna pakai oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan adalah royalti petroleum apabila setiap kali Kerajaan Persekutuan menghantar Hasil Bukan Cukai yang dimasukkan ke dalam akaun Kerajaan Negeri. Pada tahun 2000 hingga 2003, ianya telah ditukar nama kepada Wang Ihsan. Pada tahun 2004 hingga 2018, ia telah ditukar nama kepada Dana Khas Kerajaan Persekutuan. Pada tahun 2019 sehingga 2021, ditukar nama lagi kepada Bayaran Tunai Petroleum. Manakala daripada tahun 2022 sehingga sekarang, ianya ditukar nama lagi kepada Wang Ihsan. Pun begitu, sebagaimana yang saya sebut tadi bagi pihak

Kerajaan Negeri kita tetap dengan prinsip iaitu menggunakan nama yang asal iaitu Wang Petroleum.

Untuk mendapatkan hasil yang belum diterima ini, langkah daripada Kerajaan seperti yang saya sebut di awal tadi adalah kita bertemu dan berbincang dan ini telah kita buktikan apabila sejak daripada Mei 2018 ketika kita mengambil alih Kerajaan selepas pilihan raya yang lalu, pertemuan dan perbincangan sentiasa membuahkan hasil yang positif. Pihak Kerajaan akan terus berusaha dan walaupun perit untuk disebut tapi saya mesti sebut untuk menyatakan apa yang benar dan dalam Bahasa Inggeris disebut, dengan izin, i need to call spade a spade bahawa suasana perbincangan pasca November 2022 adalah tidak mudah dan kadang-kala mengelirukan. Pelbagai pendekatan diambil oleh pihak Kerajaan sama ada dari segi pentadbiran, berurusan, bertemu dengan rakan sejawat mereka di pihak Kementerian ataupun saya sendiri bertemu dengan mereka yang boleh membuat keputusan. Sekian.

Yang di-Pertua

Terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri. Seterusnya, dipersilakan Yang Berhormat ADUN Jertih.

Yang Berhormat Dato’ Speaker Dewan, soalan daripada Jertih soalan nombor satu. Terima kasih.

Apakah usaha Kerajaan Negeri dalam menangani masalah pengurusan sisa pepejal di pulau-pulau pelancongan Terengganu?

Yang di-Pertua

Sila.

Wan Sukairi bin Wan AbdullahPAS · PNWakaf Mempelam

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dan

semua Wakil-wakil Jabatan, pemerhati dan semua yang hadir di dalam dan juga di luar Dewan. Soalan yang pertama daripada ADUN Jertih berkenaan dengan usaha Kerajaan Negeri dalam menangani masalah pengurusan sisa pepejal di pulau-pulau pelancongan Terengganu.

Untuk makluman Yang Berhormat Jertih, di antara usaha-usaha yang telah pun dilaksanakan oleh pihak Kerajaan dalam menangani masalah pengurusan sisa pepejal terutamanya di pulau-pulau pelancongan di Negeri Terengganu adalah sepertimana berikut:-

1. Pihak Kerajaan Negeri membantu PBT ataupun Pihak Berkuasa Tempatan dengan membiayai peruntukan bagi tujuan perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam di pulau-pulau pelancongan utama seperti di Pulau Redang, Pulau Lang Tengah, Pulau Perhentian Kecil, Pulau Perhentian Besar, Pulau Kapas dan juga Pulau Gemia.

2. Melaksanakan projek Integrated Island Waste Management (IIWM) di Pulau Redang, Pulau Perhentian dan juga Pulau Kapas dengan kerjasama daripada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Majlis Daerah Besut, Majlis Daerah Marang dan United Nation Development Programme (UNDP). Antara inisiatif-inisiatif yang terdapat dalam projek tersebut adalah seperti pembinaan Pusat Pengurusan Sisa Pepejal Bersepadu di Pulau Redang yang merangkumi penempatan mesin kompos, tong kitar semula 3R, agihan tong sampah awam serta aktiviti pembinaan keupayaan bersama dengan komuniti setempat dan juga pengusaha-pengusaha resort dan chalet seperti pelaksanaan program gotong-royong, ceramah dan juga penerangan berkaitan dengan pengasingan sisa pepejal, demonstrasi teknik dan kaedah pengkomposan sisa makanan dan sebagainya.

3. Melaksanakan Program Rintis Pemasangan, Pengoperasian dan Penyelenggaraan Mesin Mini Insinerator yang akan ditempatkan sebanyak 1 unit di Pulau Redang dengan tujuan untuk membantu mengurangkan kapasiti sisa pepejal yang dijana di pulau dibawa balik ke daratan dengan menggunakan kaedah sedia ada melalui pengangkutan kapal ataupun bot.

Terima kasih.

Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan, soalan tambahan boleh YB EXCO jelaskan syarikat yang dilantik oleh Kerajaan Negeri di PBT Besut dan berapakah nilai kontrak tersebut. Terima kasih.

Wan Sukairi bin Wan AbdullahPAS · PNWakaf Mempelam

Terima kasih pada Yang Berhormat Jertih, untuk makluman pihak Kerajaan telah pun memberikan kontrak untuk di PBT Besut kepada Syarikat Ramlah Abdul Rahman Sdn. Bhd untuk Zon 14 yang telah pun dilantik untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan awam dan juga kerja-kerja merangkumi aktiviti seperti pemotongan rumput, pembersihan jalan dan kawasan, pantai, jeti dan juga pembersihan parit dan longkang, juga mengangkut sisa pepejal di sekitar kampung, Pulau Perhentian Kecil dan juga Pulau Perhentian Besar dengan jumlah kontrak sebanyak RM1,908,615.92 bagi tempoh dua tahun bermula pada 1 Mei 2023 sehingga 30 April 2025. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih Jertih dan Wakaf Mempelam. Sila Yang Berhormat Wakil Kemasik.

Dato’ Yang di-Pertua, soalan saya nombor dua-

Apakah perkhidmatan yang ditawarkan oleh PINTAR dan apakah perancangan Kerajaan Negeri dalam menjadikan PINTAR sebagai suatu pusat yang akan menjadi hub perkembangan ekonomi digital di lokasi masing-masing khususnya dan negeri amnya?

Terima kasih kepada Kemasik.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Kemasik bertanya sepertimana soalan yang dipaparkan mengenai Pusat Internet ataupun PINTAR.

PINTAR merupakan usaha untuk membantu masyarakat negeri memperolehi pencapaian internet dan mampu memanfaatkan peluang yang tersedia dalam dunia tanpa sempadan. la merupakan perkhidmatan bagi komuniti setempat untuk mempelajari segala bentuk ilmu yang berkaitan dengan IT dan penggunaan komputer.

PINTAR juga dilengkapi kemudahan dan kelengkapan seperti komputer, webcam, mesin pencetak atau printer, mesin pengimbas ataupun scanner, dan kemudahan internet secara percuma bagi semua lapisan masyarakat. Perkhidmatan yang disediakan di Pusat Internet Akses Rakyat ini antaranya ialah memberikan perkhidmatan ICT percuma bagi mengurangkan jurang digital antara rakyat di semua daerah di Negeri Terengganu. Memastikan dasar-dasar dan maklumat Kerajaan dapat disampaikan kepada masyarakat dengan cepat dan tepat. Memudahkan masyarakat membuat aduan ataupun memberi pandangan secara terus kepada Kerajaan, mewujudkan komunikasi dua hala antara masyarakat dengan pihak Kerajaan sebagai Pusat Sumber Maklumat Kerajaan Negeri, Pusat Pembelajaran dan latihan secara percuma, pembayaran bil-bil menggunakan PINTAR PAY dan perkhidmatan untuk usahawan mempromosikan produk mereka secara online. Terima kasih.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan tambahan saya, susulan daripada objektif ataupun sasaran bagi PINTAR, saya percaya ia merupakan salah satu daripada perkara-perkara yang menjadi agenda ataupun hala tuju Kerajaan Negeri dalam menerajui perkembangan sektor ekonomi digital. Justeru, adakah ataupun apakah hala tuju utama ataupun keseluruhan dalam Kerajaan Negeri menerajui perkembangan ekonomi digital sejajar dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MYDIGITAL)?

Yang di-Pertua

Sila Yang Berhormat.

Terima kasih Kemasik atas soalan tambahan, Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, mengenai hala tuju Pusat Internet Akses Rakyat ini kita

mempunyai beberapa langkah untuk mencapai kepada suatu perkhidmatan yang lebih baik antaranya adalah hala tuju melalui pengurusan, kita menyediakan pasukan pengurusan PINTAR yang lebih mantap maknanya penambahbaikan dari segi pihak pengurusan, kakitangan kita untuk satu pasukan yang lebih berdaya saing. Dari segi bangunan pula adalah cadangan penambahbaikan bangunan baru PINTAR yang terpilih yang lebih baik daripada yang sedia ada dan untuk makluman Sidang Dewan sekalian hingga kini kita mempunyai 38 pusat PINTAR di seluruh Negeri Terengganu dan mempunyai bangunan-bangunan yang sedia ada dan sebahagiannya kita sedang melihat untuk membuat penambahbaikan. Yang seterusnya adalah untuk Pusat Mini Digital iaitu untuk pembelian tiket online ataupun QR Pay Cashless yang penggunaan internet pelbagai benda untuk pengisian dari segi IOT dalam sektor pertanian untuk komuniti setempat dan sewaan dewan di bawah PBT secara online. Seterusnya adalah capaian maklumat iaitu memberi peluang dan pendedahan kepada pengguna untuk mendapatkan sebarang maklumat yang berguna terutama maklumat hebahan daripada Kerajaan Negeri Terengganu antara contoh yang terkini kerjasama dengan THRDC untuk memaklumkan kekosongan dan permintaan peluang-peluang pekerjaan kepada rakyat boleh diakses di Pusat PINTAR kita ini.

Haji Hilmi bin HarunPAS · PNManir

Mohon pencelahan, Yang Berhormat, Yang di-Pertua.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, pihak Kerajaan jadi apakah Kerajaan bercadang untuk mengaudit semula pusat-pusat PINTAR ini kerana ada tempat-tempat yang dilaporkan dibuat aktiviti-aktiviti kepartian, jadi oleh kerana kakitangan-kakitangan lama belaka jadi ada yang akhirnya digunakan disalahgunakan tempat tersebut, minta Kerajaan audit. Terima kasih.

Terima kasih YB Manir atas soalan tambahan berkenaan dengan penyalahgunaan pusat-pusat PINTAR yang ada. Setakat ini secara rasmi kita belum menerima aduan yang rasmi daripada mana-mana pihak tentang penyalahgunaan tersebut. Walau bagaimanapun jika sekiranya kita mempunyai maklumat, insya-Allah kita akan menangani dengan cara yang lebih baik. Insya-Allah.

Jadi untuk menyambung tentang hala tuju yang saya boleh terangkan soalan tambahan asal tadi adalah tentang pembangunan modal insan iaitu dengan PINTAR ini kita mengkoordinisasi aktiviti-aktiviti latihan dan program masyarakat bersama agensi luar untuk pengguna, yang seterusnya adalah dari segi telekomunikasi kita mempromosikan dan menjual perkhidmatan telekomunikasi sedia ada seperti REDTONE, ONE XOX, TELEKOM MALAYSIA dan seterusnya oleh syarikat-syarikat seperti CELCOM, MAXIS dan DIGI.

Seterusnya adalah kempen kesedaran iaitu merangka dan melaksanakan program kesedaran di peringkat komuniti setempat. Yang ini yang kita lihat bahawa PINTAR ini satu pusat yang kita boleh dinaikkan penggunaannya untuk kesedaran rakyat dalam menangani ataupun dalam mendepani isu Internet 5.0 ini. Sekian terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih, seterusnya saya persilakan Yang Berhormat Wakil Ladang.

Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua, soalan saya soalan pertama-

Apakah perancangan Kerajaan Negeri dalam usaha menjadikan pembangunan bandar-bandar sedia ada dan baharu dengan elemen-elemen bandar pintar, bandar selamat, bandar hijau serta bandah rendah karbon akan dapat direalisasikan?

Wan Sukairi bin Wan AbdullahPAS · PNWakaf Mempelam

Terima kasih Yang Berhormat Ladang. Untuk pengetahuan Yang Berhormat Ladang dan juga Dewan semua, Kerajaan Negeri dalam tindakan bagi penyediaan kajian blueprint Bandar Pintar Negeri Terengganu melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Terengganu (PLANMalaysia) Terengganu. Bagi peringkat daerah terdapat empat PBT yang sedang melaksanakan kajian bandar pintar dan melibatkan daerah Kuala Terengganu, Kemaman, Dungun dan juga Marang. Matlamat kajian ini adalah bagi penyediaan dasar-dasar berkaitan dengan bandar pintar, bandar selamat, bandar hijau serta bandar rendah karbon untuk dijadikan panduan utama serta

hala tuju kepada agensi-agensi Kerajaan Negeri serta pihak-pihak berkepentingan yang lain. Selain daripada itu juga Kerajaan Negeri sangat komited dalam membangunkan bandar-bandar baharu seperti Kuala Terengganu City Centre (KTCC), Bandar Baharu Bukit Besar, Bandar Al-Wathiqu Billah, Kuala Nerus, Bandar Baru Kijal dan Bandar Lestari Negeri Terengganu dengan menerapkan elemen-elemen perbandaran baru yang telah pun dinyatakan, terima kasih.

Soalan tambahan saya, bagaimanakah kajian blueprint ini dilaksanakan? Bilakah ianya akan bermula dan berapa lama masa yang akan diambil untuk disiapkan? Terima kasih.

Wan Sukairi bin Wan AbdullahPAS · PNWakaf Mempelam

Ya, terima kasih. Untuk makluman Yang Berhormat Ladang, kajian blueprint ini ataupun penyediaan blueprint ini dilakukan secara in house oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri dengan kerjasama daripada Unit Smart City Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Ibu Pejabat serta kerjasama daripada semua jabatan dan agensi berkepentingan negeri. Kajian ini seperti yang telah saya nyatakan tadi sangat penting bagi memastikan pembangunan bandar–bandar sedia ada serta bandar-bandar baharu yang akan dibina kelak mengambil kira elemen-elemen perbandaran baru yang selari dengan hala tuju di peringkat nasional dan juga antarabangsa. Kajian ini dilaksanakan melalui peruntukan daripada Kerajaan Negeri sebanyak RM150,000.00 dan untuk makluman semua kajian ini sedang berada di peringkat deraf laporan awal dan akan dilaksanakan dalam tempoh 10 bulan. Sesi soal selidik bagi mendapatkan pandangan awam, pandangan agensi serta pandangan pemain-pemain industri telah pun bermula pada 26 Oktober 2023 sehingga 16 November yang lalu bagi mendapatkan input terhadap cabaran dan perkhidmatan perbandaran. Tahap kesediaan daripada aspek penggunaan digital, kepuasan serta kefahaman berkaitan dengan bandar pintar. Sesi libat urus bersama dengan orang-orang awam, pihak berkuasa tempatan, agensi negeri dan pihak-pihak berkepentingan lain insya-Allah akan dilaksanakan bagi mengenalpasti tahap kesediaan pelaksanaan bandar pintar, cabaran pelaksanaan, inisiatif-inisiatif sedia ada yang telah pun diambil serta inisiatif-inisiatif yang sedang ataupun yang telah dirancang atau dalam pelaksanaan. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Seterusnya, Wakil Pengkalan Berangan.

Sulaiman bin SulongPAS · PNPengkalan Berangan

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan nombor satu tapi pilih calon nombor dua.

Apakah langkah yang sedang dan akan diambil oleh Kerajaan Negeri dalam meningkatkan perolehan sumber pendapatan negeri dari sumber asli seperti hasil hutan, pasir, sumber bijih dan juga pendapatan baharu dari penjanaan kredit karbon?

Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin MokhtarPAS · PNMenteri Besar · Ru Rendang

Dato’ Yang di Pertua, terima kasih. Yang Berhormat Pengkalan Berangan, soalannya adalah sebagaimana yang dipaparkan dan kunci kepada soalan ini ialah langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri untuk meningkatkan sumber pendapatan khusus yang dirujuk adalah hasil hutan, hasil sumber bijih dan juga carbon credit.

Berkenaan dengan hasil hutan, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu yang dipertanggungjawab untuk mengurus sumber hutan di Negeri Terengganu sentiasa komited dalam perancangan dan pelaksanaan bagi meningkatkan hasil pendapatan negeri dan dalam Enakmen Perhutanan Negara, penerimaan pakai Negeri Terengganu 1984 bagi Pindaan Jadual Kedua yang melibatkan kadar royalti, Jadual Ketiga yang melibatkan kadar premium dan Jadual Keempat yang melibatkan fee pelbagai yang dinaikkan mengikut kadar semasa yang lebih efisyen bersesuaian dengan perkembangan ekonomi semasa yang mana kadar-kadar berkenaan tidak pernah dipinda melebihi 10 tahun.

Untuk pasir pula, Pejabat Tanah dan Galian di peringkat Negeri sedang mengkaji dan berhasrat untuk meminda semula kadar-kadar fee bayaran kutipan hasil yang berkaitan pengalihan bahan bantuan sebagaimana yang diperuntukkan dalam Peraturan Tanah Terengganu 1966 pindaan hingga 1 Ogos 1987 selain daripada mempercepatkan proses permohonan. Untuk sumber galian, langkah yang sedang dan akan diambil dalam meningkatkan perolehan sumber pendapatan negeri dari sumber bijih adalah dengan

menaikkan kadar bayaran royalti daripada 5% kepada 10% iaitu kenaikan sebanyak 100%. Manakala untuk carbon credit ada beberapa langkah khusus yang telah diambil antaranya ialah Kerajaan Negeri telah menubuhkan Pasukan Khas Pembiayaan Hijau Negeri Terengganu atau Terengganu’s Green Financing Task Force sejak tahun 2019. Pasukan ini yang dipengerusikan oleh Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri dan dianggotai oleh wakil daripada agensi teknikal, Badan Berkanun, Anak Syarikat Kerajaan Negeri serta pakar-pakar akademik adalah untuk merangka sistem tadbir urus dasar dan meneroka peluang pembiayaan hijau khususnya untuk penjanaan credit carbon terutamanya daripada sektor perhutanan. Beberapa kajian semula telah dijalankan dan saya rasa saya tak perlu nak sebut, ada empat kajian khusus yang telah dilaksanakan. Akhirnya pada 31 Mei 2023 Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu telah meluluskan satu cadangan projek perintis pembiayaan hijau di kawasan Taman Negeri, Kenyir seluas 30,000 hektar dan terkini pelaksana projek sedang menjalankan aktiviti lapangan atau vegetation assessment dengan izin bagi dihantar kepada pihak badan akademistasi sebelum disahkan pengeluaran credit carbon yang berkenaan, terima kasih.

Yang di-Pertua

Sila.

Sulaiman bin SulongPAS · PNPengkalan Berangan

Terima kasih di atas penjelasan. Merujuk kepada sumber hutan, hasil hutan secara khusus. Bilakah kali terakhir kadar berkenaan dikaji dan berapakah kadar baharu serta berapakah jumlah hasil keseluruhan daripada hasil-hasil negeri yang dijangkakan. Sekian.

Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin MokhtarPAS · PNMenteri Besar · Ru Rendang

Terima kasih Pengkalan Berangan. Dato’ Yang di Pertua, untuk Negeri Terengganu pindaan kadar royalti dan fee pelbagai pernah dijalankan pada tahun 2013 dan telah diwartakan pada 28 Mei 2014. Manakala pindaan kadar royalti telah juga dibuat untuk kadar pindaan royalti dan fee pelbagai pada tahun 2016 dan telah diwartakan pada 28 April 2016 tetapi hanya melibatkan pindaan terhadap beberapa perkara sahaja iaitu seperti Jadual Kedua, Kayu keras berat 5 spesis, kayu keras sederhana 2 spesis, kayu keras ringan 8 spesis, kayu api atau kayu getah dan damar 4 jenis sahaja. Untuk makluman semua Ahli-ahli Yang Berhormat, pada tahun 2022 ini yang terkini satu kajian dan cadangan kadar royalti premium dan fee pelbagai telah dikemukakan. Walau bagaimanapun,

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kali yang ke 36 pada 26 Oktober 2022 telah memutuskan untuk menangguh pelaksanaan pindaan kaedah-kaedah hutan yang melibatkan Jadual Kedua, Jadual Ketiga dan kaedah 23 yang asalnya dijadualkan kuatkuasa pada 1 November 2022 ke satu tarikh yang akan diputuskan kemudian. Berkenaan dengan persoalan terakhir yang ditanya oleh Pengkalan Berangan tadi mengenai jangkaan hasil, Kerajaan Negeri melalui Pelan Penjanaan Pendapatan Baharu Negeri Terengganu yang dibentangkan dalam Jawatankuasa Peningkatan Hasil dan Perbelanjaan Hemat Negeri Terengganu pada 7 September 2023 telah menetapkan tiga sasaran atau tiga objektif. Yang pertama ialah mengoptimumkan sumber sedia ada, yang kedua mengekplorasi sumber baharu negeri dan yang ketiga mencari peluang untuk menjana pendapatan baharu serta tujuh strategi yang digariskan dengan jangkaan minima peningkatan hasil pada tahun 2024 adalah sebanyak RM200 juta termasuklah dari hasil hutan, hasil sumber bijih dan carbon credit. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Amat Berhormat Dato’ Seri. Seterusnya, saya persilakan Yang Berhormat Wakil Manir.

Haji Hilmi bin HarunPAS · PNManir

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua soalan nombor satu-

Berapakah nilai pelaburan yang masuk ke Negeri Terenganu bagi tahun 2023?

Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin MokhtarPAS · PNMenteri Besar · Ru Rendang

Dato’ Yang Di-Pertua, terima kasih kepada Manir. Soalan adalah berkenaan dengan nilai pelaburan yang masuk ke Negeri Terengganu pada tahun 2023. Pelaburan yang berjaya ditarik masuk ke Negeri Terengganu daripada Januari sehingga Oktober 2023 adalah berjumlah RM3.292 bilion. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Ada soalan tambahan?

Haji Hilmi bin HarunPAS · PNManir

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, bolehkah pihak Kerajaan menyatakan sektor-sektor atau industri-industri yang terlibat secara dan juga jumlah pelaburan masing-masing. Dan apakah kewujudan SG4 untuk menggamit pelabur luar akan

menyebabkan pertindihan ataupun pertindanan tanggungjawab antara agensi-agensi yang ada di peringkat persekutuan, terima kasih.

Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin MokhtarPAS · PNMenteri Besar · Ru Rendang

Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih kepada soalan tambahan dari Manir. Berkenaan dengan sektor-sektor yang terlibat serta jumlah pelaburannya dan perinciannya adalah seperti berikut.

Sektor industri yang terlibat dalam produk galian bukan logam adalah sebanyak RM3.145 bilion. Sektor kayu dan produk kayu RM94.7 juta. Jentera dan produk RM28.75 juta. Fabrikasi dan produk logam RM 21.61 juta. Perkhidmatan sokongan atau support services dengan izin, adalah RM623,500.00 dengan keseluruhan sebanyak yang saya sebut tadi, RM3.291 bilion.

Mengenai persoalan sama ada usaha yang dijalankan oleh pihak Kerajaan bersama dengan SG4 berlaku pertindihan dengan peranan sedia yang dijalankan dengan pelbagai agensi, saya rasa ini antara salah faham yang wujud di luar sana. Mungkin kerana prasangka yang begitu tebal terpahat dalam minda kerana perseteruan dan perlawanan politik yang sebegitu lama. Jawapan saya bukan sahaja kita tidak ada pertindihan bahkan tiada perlawanan atau competition dengan izin antara peranan pihak Kerajaan Negeri, seperti Terengganu Invest, UPEN dan lain-lain, dengan mana-mana agensi Kerajaan Persekutuan seperti MIDA dan kementerian seperti MITI. Bahkan SG4 akan menjadi satu usaha yang bersifat nilai tambah atau added value effort, dengan izin. Untuk membantu peranan yang sedia ada yang dilaksanakan secara baik, antara pihak Kerajaan Negeri dengan pihak Kerajaan Pusat dan pelbagai agensi, dan suka saya tegaskan bahawa sebenarnya pihak Kerajaan Negeri sangat terbuka untuk menerima apa jua pandangan dan kritikan ataupun saranan daripada mana-mana pihak merentasi sempadan politik dan sebarang sentimen. Kerana apa yang penting ialah kita melaksanakan usaha yang berterusan dan agresif untuk memastikan pelabur dapat masuk ke Negeri Terengganu dengan efisien prosesnya. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Seterusnya saya mempersilakan Yang Berhormat Wakil Seberang Takir.

Haji Khazan bin Che MatBERSATU · PNSeberang Takir

Terima kasih Dato’ Yang Di-Pertua. Soalan saya soalan nombor satu-

Berapa bilangan pelajar-pelajar sekolah menengah dalam tahun 2023 yang belum mampu membaca dan apa usaha Kerajaan Negeri untuk mengatasinya?

Yang Berhormat Yang di-Pertua, ADUN Seberang Takir bertanya berapa bilangan pelajar sekolah menengah tahun 2023 yang belum mampu membaca. Jawapan dia, tiada. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Ada soalan tambahan?

Haji Khazan bin Che MatBERSATU · PNSeberang Takir

Tahniahlah, bagus kalau tiada yang tak boleh membaca tapi saya sebenarnya lebih kepada pelajar-pelajar yang bermasalah, mungkin boleh membaca tapi kurang cekap, kurang lancar dan tidak ke sekolah dengan keadaan yang wajar, berkelahi dan sebagainya, yang menimbulkan masalah di sekolah. Jadi ada tak kes-kes yang macam ini. Kalau ikut pengamatan saya, memang kita cemerlang dalam pendidikan, tapi ada yang saya tahu, kes-kes pelajar berkelahi di sekolah, ada masalah vandalisme di sekolah jadi apakah tindakan Kerajaan untuk masalah-masalah yang seperti ini. Kita banyak menumpukan kepada kejayaan cemerlang, berapa pelajar yang dapat A straight tapi yang pelajar-pelajar yang bermasalah ini kurang tumpuan. Saya ada berapa kes lah kalau saya ingat di Seberang Takir tapi saya tak nak sebut, cuma kes-kes sebegini biasanya tidak diwar-warkan dan kadang-kadang didiamkan. Jadi ada aduan daripada ibubapa, pelajar kena tukar dan sebagainya dan habis di situ sahaja. Kalau Kerajaan boleh beri peruntukan khas untuk insentif kursus-kursus sebelum SPM, ada tak usaha untuk kursus-kursus, ataupun bengkel-bengkel, program-program untuk pelajar-pelajar yang bermasalah ini. Terima kasih Yang di-Pertua.

Yang di-Pertua

Yang Berhormat EXCO.

Yang Berhormat Dato’ Yang Di-Pertua, di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri,

kita ada di bawah JPINT 10 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK). Kita ada Maahad Tahfiz, 3 buah madrasah moden, dan juga sebuah sekolah SMIDI dan juga di bawah Sekolah Yayasan Terengganu IMTIAZ juga melibatkan sebahagian besar SABK, dan sebuah di bawah Yayasan Islam Terengganu. Jadi semua pelajar-pelajar yang nak masuk ke institusi-institusi ini perlu ditemuduga akan menduduki ujian bertulis dan hanya calon yang layak dipanggil untuk temuduga untuk kali kedua dan juga setiap institusi tersebut memilih dari kalangan pelajar-pelajar yang lulus daripada temuduga tersebut. Adapun di MTQT pelajar diambil daripada tingkatan empat jadi telah melepasi semua saringan tersebut dan kerana itu kita di bawah kelolaan JPINT khususnya tiada lagi setakat ini pelajar-pelajar yang melibatkan apa yang dibangkitkan oleh Ahli ADUN Seberang Takir, adapun melibatkan di bawah pentadbiran Kementerian Pendidikan Malaysia, itu urusan kementerian. Insya-Allah. Terima kasih

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat EXCO. Seterusnya persilakan Yang Berhormat Wakil Permaisuri.

Haji Mohd Yusop bin MajidBERSATU · PNPermaisuri

Terima kasih Dato’ Yang Di-Pertua, saya soalan nombor satu-

Sejauh manakah usaha-usaha yang telah dibuat oleh Kerajaan Negeri sepanjang tahun 2023 untuk memastikan tahap kebersihan terjaga dan terpelihara terutamanya melibatkan kawasan bandar, pelancongan dan tumpuan orang awam?

Wan Sukairi bin Wan AbdullahPAS · PNWakaf Mempelam

Terima kasih Yang Berhormat Permaisuri yang telah pun menanyakan usaha-usaha yang dibuat Kerajaan Negeri sepanjang tahun ini untuk memastikan tahap kebersihan terjaga.

Untuk makluman Yang Berhormat dan juga Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, antara usaha-usaha yang telahpun dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri sepanjang tahun 2023 ini demi untuk memastikan tahap kebersihan terutamanya di kawasan bandar, pelancongan dan tumpuan awam. Di antaranya adalah terutamanya menyediakan peruntukan dengan melantik 97 buah Syarikat Bumiputera Negeri Terengganu untuk menjalankan kerja-kerja perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan juga pembersihan awam. Termasuklah

aktiviti pemotongan rumput, pencucian longkang dan juga pembersihan sapuan jalan di kawasan-kawasan pemantauan PBT. Yang keduanya menyediakan peruntukan pembelian tong sampah awam kepada PBT untuk ditempatkan di lokasi-lokasi pelancong dan juga menggantikan tong-tong sampah yang telah rosak dan juga hilang. Yang ketiganya mengadakan gotong-royong melibatkan agensi kerajaan, swasta dan juga komuniti setempat serta NGO di tempat-tempat yang menjadikan tumpuan awam termasuk di kawasan pelancongan. Dan yang keempatnya melaksanakan program-program Kempen Kesedaran yang melibatkan kerjasama PBT Dan KPKT seperti Kempen Pencegahan Denggi di kawasan PBT, Kempen Pembasmian Tikus, Kempen Premis Makanan Bersih, Kempen Pasar Awam Bersih dan juga Kempen Tanah Bersih. Terima kasih.

Haji Mohd Yusop bin MajidBERSATU · PNPermaisuri

Soalan tambahan, dalam usaha kita untuk membersihkan kawasan-kawasan Negeri Terengganu ini, kita dapati ada tukang kucar. Tukang kucar ini saya duk perhati tengok kera-kera dan juga anjing-anjing liar. Jadi soalan saya adalah sejauh mana usaha Kerajaan ini telah mencapai matlamat kebersihan. Terima kasih.

Wan Sukairi bin Wan AbdullahPAS · PNWakaf Mempelam

Terima kasih kepada Yang Berhormat Permaisuri atas soalan tambahan. Sememangnya isu kebersihan ini merupakan isu yang sangat besar dan kerana itu Kerajaan Negeri sangat komited untuk melakukan program-program seperti kempen-kempen kebersihan dan juga apa-apa yang berkaitan dengan kebersihan kerana ianya sangat berkait dengan isu-isu yang mendatang seperti contoh isu yang berkaitan dengan denggi salah satu contoh untuk makluman Yang Berhormat, pada sesi yang lepas kalau tidak silap saya 17 Julai, Kerajaan Negeri telah mengadakan Program Kempen Kebersihan di seluruh daerah di semua lapan daerah di Negeri Terengganu di 32 DUN di Negeri Terengganu demi untuk membasmi di antaranya yang paling utama adalah isu yang berkaitan dengan denggi, dan kalau kita melihat laporan terkini yang dibekalkan kepada saya oleh pihak Kesihatan Negeri juga mencatatkan jumlah denggi yang agak tinggi juga yang berlaku di Negeri Terengganu yang di antaranya disumbang oleh tahap kebersihan yang tidak berapa baik, kerana itu insya-Allah kempen-kempen yang berkaitan dengan kesedaran, kebersihan dan juga program-program gotong-royong termasuk yang melibatkan semua pihak bukan sahaja orang ramai termasuk yang melibatkan NGO, yang melibatkan Pihak Berkuasa Tempatan juga melibatkan pihak-pihak

berkepentingan dan sebagainya agar kesihatan rakyat di Negeri Terengganu kita ini akan dapat dijaga dan masalah-masalah yang dinyatakan tadi termasuk oleh Yang Berhormat tadi akan dapat diselesaikan. Insya-Allah. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Seterusnya dipersilakan Yang Berhormat Wakil Hulu Besut.

Mohd Husaimi bin HussinBERSATU · PNHulu Besut

Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. Hulu Besut ada tiga soalan hari ini dan pilih soalan nombor 1-

Apakah perancangan Kerajaan Negeri bagi memperkasakan Agenda Perpaduan antara kaum di Negeri Terengganu?

Yang di-Pertua

Soalan yang dikemukakan oleh Hulu Besut untuk makluman Yang Berhormat EXCO kita gabungkan sekali dengan soalan Bandar 27 November, soalan Pengkalan Berangan soalan pertama 29 November dan Manir soalan pertama 28 November. Jadi Yang Berhormat yang saya sebut tadi bolehlah ataupun mana-mana Yang Berhormat untuk tanya soalan tambahan. Sila Yang Berhormat EXCO.

Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. Terima kasih kepada Hulu Besut dan soalan ini sebagaimana yang dimaklum adalah gabungan daripada soalan Bandar, Pengkalan Berangan dan Manir mengenai Agenda Perpaduan Nasional, Agenda Perpaduan Antara Kaum di Negeri Terengganu dan sebagaimana maklum Agenda Perpaduan Kaum di Terengganu, di negeri-negeri majoriti melayu ini tidak ada isu masalah yang besarlah setakat ini. Pun begitu kita tidak memandang ini sebagai suatu benda yang diambil ringan dan diambil remeh dan selaras dengan apa yang dikehendaki oleh Kerajaan Negeri dan juga di peringkat negara, kita mengikuti apa yang digariskan di dalam Pelan Tindakan Perpaduan Negara yang telah dilancarkan pada 28 November 2021 oleh Perdana Menteri yang ke-9 Dato’ Seri Ismail Sabri mengenai agenda untuk memperkukuhkan Perpaduan Nasional dan di antara dasar perpaduan yang diberi penekanan ialah membentuk identiti nasional dengan semangat jati diri, semangat patriotik, semangat melahirkan sikap prihatin, bertoleransi, saling

hormat menghormati dan wujud nilai tanggungjawab di dalam antara kaum dan selaras dengan dasar tersebut Kerajaan Negeri akan terus memperkasakan program ke arah mencapai agenda perpaduan kaum dan kita tidak bercakap mengenai perpaduan Melayu tetapi kita bercakap mengenai Perpaduan Nasional antara kaum dan asas kepada perpaduan yang diberi tekanan ialah nilai-nilai yang berasaskan nilai Islam dan apabila nilai-nilai Islam ini menjadi asas kepada perpaduan, insya-Allah pelbagai kaum akan hidup dengan lebih selamat dan sejahtera berasaskan nilai-nilai yang ada pada nilai Islam. Terima kasih.

Mohd Husaimi bin HussinBERSATU · PNHulu Besut

Soalan tambahan. Setakat ini apakah program yang telah dibuat oleh Portfolio Perpaduan antara kaum bagi memupuk Perpaduan Nasional di Negeri Terengganu.

Terima kasih Hulu Besut. Di antara beberapa perkara yang telah kita buat secara asas di antaranya ialah pada 13 September baru ini kita mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil Bangsa Cina, India dan Siam. Siam ini ada di Besut banyak Siam, di tempat lain saya rasa tak dok. 29 Oktober kita adakan pertemuan dengan Lajnah Perpaduan Nasional Muslimat negeri Terengganu dan pada 5 November baru ini kita mengikuti Majlis Anugerah Perdana Rukun Tetangga di Bangi anjuran Kementerian Perpaduan dan kita telah menghantar beberapa team pasukan termasuklah Jawatankuasa Rukun Tetangga Bandar Jertih yang melibatkan Etnik India dan Cina dan 12 November baru ini bersempena dengan sambutan Deepavali kita telah pun mengadakan pelbagai ucapan dan juga siaran di Billboard dengan izin untuk menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri peka dengan kemeriahan sambutan perayaan pelbagai kaum dan saya bagi pihak Kerajaan juga berterima kasih kepada Dr. Balachandran, Pegawai Khas di Pejabat Menteri Besar yang telah memainkan peranan yang cukup aktif untuk menjadi perantara di antara agenda perpaduan dengan Portfolio Perpaduan Nasional dengan warga-warga bangsa Cina dan India. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat EXCO. Sila Yang Berhormat Rantau Abang.

Mohd Fadhli Rahmi bin ZulkifliPAS · PNRantau Abang

Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Rantau Abang soalan nombor 1-

Sejauh manakah usaha dan perancangan Kerajaan Negeri dalam usaha memajukan industri pelancongan di Rantau Abang seperti di Pantai Abang, Pantai Batu Pelanduk dan Pantai Teluk Bidara?

Datuk Haji Razali bin IdrisBERSATU · PNKijal

Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, rakan-rakan EXCO, Ahli-ahli Yang Berhormat, Yang Berhormat Senator, pegawai-pegawai kerajaan dan pemerhati sekalian.

Soalan daripada Rantau Abang sepertimana yang tertera dalam skrin dan jawapan saya ialah pada tahun 2023, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM50,000.00 bagi membaik pulih kaunter hadapan di Pusat Penerangan Pemuliharaan Penyu (TTIC) di Rantau Abang serta RM300,000.00 bagi menaik taraf fasiliti untuk meningkatkan imej pelancongan serta penawaran perkhidmatan pelancongan yang lebih berkesan dan interaktif kepada pengunjung dan juga pelancong. Usaha tersebut akan diteruskan pada tahun 2024 dengan penumpuan diberikan kepada penambahbaikan dan pembaikian infra pelancongan sedia ada di setiap daerah bagi mengekalkan keindahan dan kemudahan pelancong yang sedia ada. Dari sudut promosi pelancongan pula, usaha bagi menjenamakan Pantai Rantau Abang sebagai destinasi pelancongan yang sinonim dengan pendaratan penyu melalui proses dari promosi Kempen Pelancongan Penyu Terengganu di bawah jenama Terengganu Turtle Tourism di pelbagai platform seperti di media massa, media cetak, elektronik dan juga media sosial. Manakala di Pantai Batu Pelanduk telah dikenal pasti sebagai antara geotapak yang berpotensi dalam usaha pemuliharaan sumber geologi dan landskap serta membolehkan orang ramai memahami kepentingan sumber warisan geologi. Kerajaan Negeri juga menyambut baik hasrat Jabatan Perancang Bandar dan Desa, (PLANMalaysia) dengan mewujudkan Jawatankuasa Perancangan Wilayah bagi kawasan persempadanan antara Daerah Pekan-Kuantan-Kemaman-Dungun-Jerantut (JPW PAKADJ) dengan menyenaraikan kawasan-kawasan yang berpontensi

dijadikan kawasan geotapak di dalam kawasan JPW terutama di kawasan 6 kawasan geotapak di dalam Daerah Dungun termasuklah Pantai Batu Pelanduk dengan memulihara sebahagian daripada sumber geologi dan landskap serta membolehkan orang ramai memahami kepentingan sumber warisan geologi.

Antara usaha promosi yang turut dilaksanakan adalah seperti dengan mengetengahkan Rantau Abang, Pantai Batu Pelanduk, Pantai Teluk Bidara dalam fun map pelancongan Negeri Terengganu bagi menonjolkan lagi destinasi tersebut kepada pelancong, atau dalam erti kata lain product visibility, promosi pantai-pantai tersebut melalui penghasilan video pendek sebagai jajaran scenic drive, insya-Allah kita pastikan semua pantai-pantai selamat untuk mandi dan beriadah mengikut musim dan SOP keselamatan kepada pelancong dan akan diterapkan dan diuar-uar dengan memperbanyakkan papan tanda, terima kasih.

Mohd Fadhli Rahmi bin ZulkifliPAS · PNRantau Abang

Soalan tambahan sebagaimana yang kita maklum Rantau Abang suatu ketika dulu merupakan tempat yang terkenal dengan adanya Penyu Belimbing dan menjadi salah satu tempat tarikan pelancong ke DUN Rantau Abang tetapi hari ini kita dapat lihat populasi Penyu Belimbing semakin pupus, jadi apakah faktor yang menyebabkan populasi Penyu Belimbing ini semakin pupus.

Datuk Haji Razali bin IdrisBERSATU · PNKijal

Terima kasih, di atas soalan tambahan daripada Rantau Abang, penyu laut Yang di-Pertua adalah reptilia yang sezaman dengan dinosaur yang telah pupus tetapi penyu masih bertahan. Di Terengganu kini cuma masih ada Penyu Agar dan Karah sahaja, dulu ada Belimbing dan Lipas, jantina anak penyu dipengaruhi oleh suhu panas dan sejuk, pasir serta bertelur dan maklumat ini saintis baru tahu lewat 90-an. Sebab Penyu Belimbing pupus di Rantau Abang, yang pertama banyak ibu penyu mati terutama sekitar tahun 80-an sebab aktiviti perikanan di perairan negeri dalam musim penyu bertelur, penyu bertelur empat hingga lima kali semusim, dan juga semasa penyu berhijrah dari Lautan Pasifik, Laut China Selatan sebelum dan selepas musim bertelur, ia mati lemas sebab terperangkap dengan pukat dan penyu juga bernafas melalui paru-paru. Usaha kita membiak Penyu Belimbing bermula di sekitar tahun 60-an agak lewat dan tidak memadai hanya sedikit anak penyu terhasil, sebabnya telur lebih banyak dimakan pada ketika itu, menurut pakar anak penyu dia

mengambil masa lebih 30 tahun untuk matang dan hanya 1% sahaja yang hidup dan mencapai usia matang. Projek penetasan penyu yang dibuat dahulu dipercayai menghasilkan hanya penyu betina kerana suhu pasir yang panas akan bias menghasilkan anak betina sahaja, kerana tiada jantan bertelur maka Penyu Belimbing yang mendarat selepas lewat tahun 90-an banyak yang tidak menetas langsung. Perubahan ekosistem laut dan pantai kerana pencemaran pembangunan menyebabkan Penyu Belimbing pupus juga, Yang Berhormat. Kumpulan penyu bersifat koloni juga tidak bercampur, koloni asal Rantau Abang tidak bercampur dengan koloni asal daripada negara luar jika pupus maka tamatlah koloni. Di Asia Tenggara koloni yang masih adalah Papua Barat dan Utara Sulawesi, Indonesia. Hingga sekarang rasanya tiada lagi seorang pakar pun yang ada membuat cadangan untuk tujuan pemuliharaan Penyu Sumber Belimbing di Rantau Abang, barangkali tiada contoh projek seumpama itu di dunia dan tiada pakar yang berilmu untuk tujuan ini. Wallahu a'lam. Lupakan Penyu Belimbing, tumpu kepada penjagaan dan pemuliharaan sumber Penyu Agar yang masih banyak di pantai-pantai seluruh Negeri Terengganu dan mempunyai jumlah populasi tertinggi di Semenanjung Malaysia, terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat. Yang Berhormat Baru Rakit sila.

Mohd Shafizi bin IsmailPAS · PNBatu Rakit

Yang di-Pertua, soalan saya nombor satu-

Nyatakan jumlah mahasiswa yang menyambung pengajian di Mesir dalam jurusan agama dan jurusan lain pada tahun ini yang ditaja oleh Kerajaan Negeri dan nyatakan jumlah peruntukan yang telah digunakan?

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, ADUN Batu Rakit, tanya tentang jumlah mahasiswa yang menyambung pengajian ke Mesir yang ditaja oleh pihak Kerajaan, Yang Berhormat Yang di-Pertua Yayasan Terengganu kita memberi fokus untuk membantu dari segi pelajar-pelajar yang bukan Pengajian Islam di Mesir, kecuali pelajar-pelajar cemerlang yang memang dapat anugerah, pelajar

cemerlang mereka boleh pilih walaupun Pengajian Islam tapi untuk fokus di Mesir kita ada untuk tahun 2023 sahaja kita 12 pelajar dan tiga melibatkan pergigian dan pihak Kerajaan Negeri telah membuka kembali untuk perubatan tetapi sebab sebelum daripada ini, pihak MKA membatalkan pengajian perubatan di Mesir kerana pihak Mesir telah mengurangkan tahun belajar daripada enam tahun kepada lima tahun, tetapi hasil perbincangan pihak Yayasan Terengganu kita akan mula menghantar pelajar walaupun bermula tahun ini iaitu pelajar matrikulasi, dia belajar di sini setahun, campur sana lima tahun jadi kita akan hantar balik pelajar kita membuat pengajian khususnya perubatan di Mesir, tetapi untuk tahun ini masih lagi tidak ada lagi pelajar insya-Allah tahun depan dan untuk pergigian tiga orang, yang menyambung pengajian peringkat sana dan pergigian tidak pernah masih lagi diiktiraf MQA.

Kos yang kita tanggung yang melibatkan pergigian RM130,000.00 setahun ada empat orang pelajar, minta maaf RM60,000.00 untuk itu di Jordan, di Mesir RM60,000.00 melibatkan kos RM120,000.00 dan juga ada Pengajian Turath pelajar kita yang first batch kita yang apa Pusat Takaful Fiddin kita ada enam orang pelajar Terengganu dengan kos, eh sembilan orang pelajar Terengganu dengan kos RM54,000.00, kita juga menyediakan pinjaman one-off, ada pelajar-pelajar yang pergi persendirian, tapi sampai tahun tiga, tahun empat ibu bapa sedar tidak mempunyai sumber kewangan untuk khususnya membayar yuran, jadi kita pihak Kerajaan Negeri kita menyediakan pinjaman one-off kepada mereka dengan kadar limit harga yuran biasa 8,000.00 dollar setahun USD8,000.00 setahun jadi untuk 2023 ini ada satu permohonan kita telah meluluskan untuk pinjaman one-off sebanyak RM34,000.00.

Kita juga menyediakan bantuan awal semua pelajar-pelajar yang mendapat offer di Mesir kita menyediakan persiapan untuk persediaan awal yang disediakan oleh pihak Kerajaan Negeri melalui Yayasan Terengganu pelajar-pelajar yang melibatkan 64 orang dan ada dua pelajar yang melibatkan Skim Biasiswa Cemerlang, dia memilih untuk membuat pergigian di Universiti Al-Azhar dan melibatkan kos dua orang ini RM300,000.00 seorang di bawah tajaan Kerajaan Negeri. Yang lain itu melibatkan luar negeri daripada Mesir, termasuk Algeria, Tunisia, Jordan dan sebagainya. Dan di samping pelajar-pelajar yang kita telah taja sebelum daripada ini, terima kasih.

Yang di-Pertua

Sila.

Mohd Shafizi bin IsmailPAS · PNBatu Rakit

Dato’ Yang di-Pertua, soalan tambahan. Sebenarnya soalan saya menjurus kepada mahasiswa yang belajar agama di Mesir. Cuma banyak jawapan kepada mahasiswa yang belajar selain agama. Jadi seolah-olah jawapan tadi Kerajaan Negeri tidak menaja pelajar agama di Mesir melainkan yang cemerlang sahaja. Jadi saya nak tahu sebab apa jadi begitu, yang sebelum ini dulu-dululah zaman saya belajar dulu, Kerajaan Negeri memang taja pelajar-pelajar agama ke Mesir. Memanglah kita tengok Mesir ini, tempat agama. Jadi memang tempat yang sangat sesuai untuk menaja pelajar-pelajar mahasiswa untuk belajar agama di sana. Jadi nak minta sebab apa untuk tahun ini takdok tajaan untuk belajar agama. Terima kasih.

Saya menjawab soalan yang ditimbulkan oleh ADUN Batu Rakit berkait dengan menyambung pengajian di Mesir dalam jurusan agama dan jurusan lain, jadi saya kabor belakalah hok dok agama tu, masuk dalam jurusan lain, pada tahun ini. Jadi soalan yang ditimbulkan oleh Yang Berhormat ADUN Batu Rakit berkait dengan tajaan kepada pelajar-pelajar di Mesir. Kita sebenarnya membuat penyelarasan dengan Yayasan Pendidikan MAIDAM. Contoh apabila pihak MQA baru mengiktirafkan pengajian Qiraat di Wise University. Jadi dengan hasrat untuk memenuhi kuota tersebut, pihak Kerajaan Negeri taja dulu pelajar-pelajar untuk hantar ke Jordan. Selepas pada itu, kita berbincang dengan pihak Yayasan Pendidikan MAIDAM untuk passing kepada dia. Bila pihak Yayasan MAIDAM ambil, jadi kita serah kepada Yayasan MAIDAM lah, sebab ini melibatkan fokus, melibatkan pendidikan agama yang mereka boleh menggunakan peruntukan daripada zakat.

Begitu juga yang terbaru, kita menghantar pelajar pengajian Islam ke Tunisia dan juga Algeria. Peringkat awal untuk melicinkan pengambilan pelajar peringkat awal ini, kita mendahulukan melalui Yayasan Terengganu. Tetapi selepas daripada ini, kita ada perbincangan dengan pihak Yayasan Pendidikan MAIDAM, jadi Yayasan Pendidikan MAIDAM bersedia untuk mengambil pemberian zakat kepada pelajar-pelajar ini. Begitulah dari segi pengamalannya di Mesir, sebab setakat ini tidak ada lagi isu pelajar-pelajar kita di Mesir yang tak dapat zakat. Saya dimaklumkan macam tu lah. Kalau dulu kita bising bangor, saya sendiri pun sebagai pembangkang dulu, sebab terpilih, kadang-kadang cek dulu rumah dia, nombor tiang api rumah dia lah, apa sebagainya, nak kenal dulu. Jadi kita ini apabila dia memang pelajar, confirm pelajar ada

offer letter apa sebagainya, dan setakat ini, apa yang zakat yang diberi Yayasan Pendidikan MAIDAM cukup untuk perbelanjaan mereka. Jadi apa orang panggil, zakat MAIDAM free, jadi kalu kita ni pinjaman, jadi kita lebih mengesyorkan supaya mereka mengambil zakat lah, kecuali SPC tadi, pelajar-pelajar yang cemerlang, memang kita offer dia, dia pilih untuk pergi ke Mesir, ataupun ke Jordan, memilih untuk Pengajian Islam, hok ni sebab dia mendapat Anugerah SPC ini, memang kita taja walaupun dia pilih pengajian agama. Jadi, bukan makna kita ada diskriminasi apa tidak ada, tapi supaya daripada zakat MAIDAM ataupun yang kita tahu dengan TI, Yayasan Terengganu, TI, GLC supaya kita menyamaratakan, biar boleh belaka, takdok lah boleh Yayasan pulok, boleh hok ni pulok, kita harap supaya lebih ramai pelajar-pelajar anak Terengganu ini mendapat tajaan khususnya B40 lah, sebab ramai daripada permohonan-permohonan itu kebanyakan besarnya adalah B40 yang memang kita beri keutamaan, ya, terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat. Sila Yang Berhormat Air Putih.

Mohd Hafiz bin AdamPAS · PNAir Putih

Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Air Putih soalan nombor satu -

Apakah langkah Kerajaan Negeri dalam menyelesaikan masalah bantuan barang-barang banjir agar dapat diurus dengan baik?

Haji Hanafiah bin MatPAS · PNCukai

Terima kasih kepada ADUN Air Putih. Dato’ Yang di-Pertua, soalannya apakah langkah Kerajaan Negeri dalam menyelesaikan masalah bantuan barang-barang banjir agar dapat diurus dengan baik?

Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Bil.2/2023 telah diadakan pada 29 Oktober 2023 bertempat di Wisma Darul Iman dan dipengerusikan oleh YBM Tengku Seri Bijaya Raja bagi persediaan semua agensi dan jabatan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2023/2024. Melalui

mesyuarat ini, Yang Berhormat Mulia Pengerusi telah memutuskan supaya semua Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) berbincang dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi menyelaras serta menyediakan satu bilik khas di sekolah yang akan dijadikan Pusat Perpindahan Sementara (PPS) bagi menyimpan barang-barang keperluan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk kegunaan mangsa-mangsa banjir. Semua barang keperluan untuk bencana telahpun dihantar ke semua fasiliti penyimpanan. Berikut adalah beberapa penyimpanan bantuan daripada JKM. Setakat ini kita mempunyai satu depoh, dan kita mempunyai 14 mini depoh, dan kita mempunyai stor pengkalan hadapan sebanyak 162. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Ada soalan tambahan? Takdok?

Terakhir saya persilakan Yang Berhormat Telemung.

Mohd Zawawi bin IsmailBERSATU · PNTelemung

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan saya yang pertama -

Apakah langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri bagi mengatasi masalah kekurang imam, bilal dan Muallim (Tenaga Pengajar) di Terengganu?

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar dan seluruh Ahli-ahli Yang Berhormat. Terima kasih kepada Yang Berhormat Telemung yang mengemukakan soalan sebagaimana yang tertera. Berdasarkan data yang disediakan, berkait dengan isu yang ditimbulkan ini, yang agak ketaranya ialah di kawasan-kawasan pedalaman kekurangan ini. Justeru antara langkah yang boleh diambil oleh pihak Kerajaan bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga pengajar berkenaan ialah menggalakkan lebih ramai asatizah dari kawasan pedalaman untuk memohon tauliah mengajar. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Ada soalan tambahan?

Mohd Zawawi bin IsmailBERSATU · PNTelemung

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, daripada dapatan saya buat lah, untuk DUN saya, kekurangan Imam adalah seramai 19 orang dan Bilal 40 orang, maknanya jumlah agak tinggi. Dan apa yang saya nak nyatakan di sini adalah apa hasil yang saya buat kajian kebanyakan mereka-mereka ini kurang berminat untuk menjadi imam terutamanya kerana soal elaun ataupun imbuhan yang agak rendah. Jadi soalan saya, adakah Kerajaan berhasrat untuk menaikkan elaun imam terutamanya dan kita di Terengganu ini ramai sebenarnya pelajar-pelajar, bekas-bekas pelajar yang berasaskan kepada agama, jadi saya pun peliklah kerana kurang minat rupanya sebab inilah antaranya ialah kerana elaun atau imbuhan yang diberi agak kecil kerana beras pun mahal dah hari ini, dak? beras mahal, telur mahal…

Yang di-Pertua

Soalan Yang Berhormat?

Mohd Zawawi bin IsmailBERSATU · PNTelemung

Soalan saya tidakkah Kerajaan bercadang untuk menaikkan elaun ataupun imbuhan imam-imam tersebut? Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat.

Terima kasih Yang Berhormat Telemung. Kita terima cadangan itu insya-Allah kita doa-doakanlah. Terima kasih.

Soalan tambahan boleh? Satu lagi?

Yang di-Pertua

Sila..

Soalan saya ialah berkaitan dengan isu kebajikan imam dan bilal. Selain daripada elaun tadilah adakah Kerajaan Negeri telah melakukan program-program ataupun aktiviti-aktiviti yang fokusnya kepada

kebajikan imam dan bilal yang dengan ini boleh menarik anak-anak muda kita untuk menjadi imam dan bilal, berkhidmat pada masyarakat?

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat Sura. Sila

Terima kasih Yang Berhormat Sura. Saya akan masukkan dalam ucapan penggulungan, insya-Allah.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian. Sebelum saya tangguhkan sementara Dewan ini, saya dengan sukacitanya mengalu-alukan seluruh pemerhati pada hari ini. Khairunnisa’, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Air Putih, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Kemasik, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Ajil, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Sura, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Langkap, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Hulu Besut, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Bukit Besi, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Kuala Besut, Pertubuhan Kebajikan Wanita Sepakat Terengganu serta seluruh yang saya tidak sempat untuk menyebut nama seorang demi seorang dialu-alukan sebagai pemerhati pada hari ini. Terima kasih kepada semua, saya tangguhkan sementara Dewan ini dan disambung semula pada pukul 11.20 pagi.

DEWAN DITANGGUHKAN PADA PUKUL 11.00 PAGI

PUKUL 11.20 PAGI

(Selepas Soalan-Soalan Lisan)Questions

Yang di-Pertua

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Mesyuarat disambung semula.

Usul-Usul Yang Telah Diberi NotisMotion

Setiausaha Dewan

Perkara berikut di dalam Tertib Pekerjaan Dewan ialah usul-usul yang telah diberi notis. Dipersila Yang Berhormat Dato’ Haji Satiful Bahari bin Mamat, Wakil Paka untuk mengemukakan usul cadangan mendahulukan Pembawaan Rang Undang-Undang Daripada Perkara-Perkara Lain.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,

Saya mohon membawa cadangan Menurut Fasal 16 (3) Peraturan-Peraturan Dan Perintah-Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri untuk mendahulukan Pembawaan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2024 daripada perkara-perkara lain.

Yang di-Pertua

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian satu cadangan menurut Fasal 16 (3) Peraturan-Peraturan Dan Perintah-Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri untuk mendahulukan Pembawaan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2024 daripada perkara-perkara lain telah diterima. Sekarang saya mengemukakan kepada undian:-

CADANGAN MENURUT FASA 16 (3) PERATURAN-PERATURAN DAN PERINTAH-PERINTAH TETAP DEWAN UNDANGAN NEGERI UNTUK MENDAHULUKAN PEMBAWAAN RANG UNDANG-UNDANG ENAKMEN PERBEKALAN 2024 DARIPADA PERKARA-PERKARA LAIN KEMUDIAN DIUNDI DAN DIPERSETUJUI DENGAN SEBULAT SUARA.

USUL INI DITERIMA

Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2024Bill

Setiausaha Dewan

Perkara yang didahulukan ialah Rang Undang-Undang.

Dipersilakan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar mengemukakan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2024, bacaan kali yang pertama.

Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin MokhtarPAS · PNMenteri Besar · Ru Rendang

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan Rang Undang-Undang bernama Suatu Enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk Perkhidmatan bagi Tahun 2024 dan bagi memperuntukkan jumlah wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu dibaca bagi kali yang pertama.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon menyokong cadangan itu.

Yang di-Pertua

Rang Enakmen ini dibaca pada kali yang pertama.

Rang Undang-Undang Bernama Satu Enakmen Bagi Menggunakan Sejumlah Wang Daripada Kumpulan Wang Disatukan Untuk Perkhidmatan Bagi TahunBill

Yang di-Pertua

2024 DAN BAGI MEMPERUNTUKKAN JUMLAH WANG ITU UNTUK PERKHIDMATAN BAGI TAHUN ITU, BACAAN KALI YANG PERTAMA.

Bacaan Yang Kedua

Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin MokhtarPAS · PNMenteri Besar · Ru Rendang

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-Undang bernama Satu Enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk Perkhidmatan bagi tahun 2024 dan bagi

memperuntukkan jumlah wang itu untuk Perkhidmatan bagi tahun itu dibaca bagi kali kedua.

.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri, Yang Berusaha Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi, para pegawai dan kakitangan Kerajaan Negeri semua tetamu dan para petugas media dan pemerhati yang dirahmati Allah Subhanahu Wa Taala sekalian.

1.

Pada hari yang penuh yang penuh bermakna, marilah kita menadah tangan berdoa semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Sultan dan Yang Dipertuan bagi Negeri Terengganu Darul Iman serta segala jajahan takluknya dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah, Sultanah Terengganu agar dilanjutkan usia dalam keafiatan dan sentiasa berada limpahan rahmat dan keampunan Allah Subhanahu Wa Taala serta dikurniakan petunjukNya.

2.

Pada pagi ini saya mohon untuk membentangkan di Dewan ini Enakmen Perbekalan Tahun 2024 bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2024. Butiran lengkap Enakmen ini adalah seperti yang terkandung dalam Buku Belanjawan 2024 Terengganu Darul Iman.

Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

3.

Ekonomi global diunjurkan bertumbuh perlahan iaitu 3.0% pada tahun 2023 dan 2.9% pada tahun 2024. Keadaan ini antaranya disebabkan oleh jangkaan risiko berkaitan krisis hartanah di China, harga komuniti yang semakin tidak stabil dan tidak boleh dijangka serta perpecahan geopolitik dan peningkatan semula inflasi di peringkat antarabangsa.

4.

Selari dengan itu, Bank Dunia juga turut menurunkan unjuran KDNK Malaysia daripada 4.3% kepada 3.9% bagi tahun 2023 disebabkan oleh permintaan domestik yang semakin merudum selain terkesan dengan kemerosotan ekonomi global. Kementerian Kewangan juga mengunjurkan ekonomi negara akan bertumbuh sekitar 4.0% bagi tahun 2023 dan 4.0% hingga 5.0% pada tahun 2024.

5.

Pun begitu saya optimis bahawa kita mempunyai potensi tersendiri untuk terus mengekalkan daya tahan ekonomi negeri kita. Pada tahun lalu, ekonomi kita bertumbuh 5.9% berbanding 3.7% pada tahun sebelumnya. Manakala kadar pengangguran meneruskan trend menurun selama tiga tahun berturut-turut iaitu kepada 3.6%.

6.

Inflasi di negeri kita juga terus mereda dan antara yang terendah di negara ini iaitu pada 1.5% pada September 2023 berbanding 2.9% pada Disember tahun lalu. Keindahan alam semula jadi di negeri kita juga telah menarik 10.23 juta orang pelawat domestik berbanding hanya 3.7 juta orang pada tahun sebelumnya.

7.

Kerjasama rasmi dan strategik melibatkan empat negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis juga adalah merupakan satu peluang untuk mengoptimumkan perkongsian pelbagai sumber bagi mencapai kesejahteraan bersama.

Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,

8.

Walaupun perubahan teraju Kerajaan Persekutuan sejak akhir November tahun lalu mencetuskan gangguan terhadap amalan federalisme sehingga memberikan kesan yang tidak sedikit kepada kelancaran pentadbiran Kerajaan Negeri, saya memberikan jaminan bahawa kita akan terus menghormati hak dan tanggungjawab seperti yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan dalam mengukuhkan hubungan dan kerjasama antara Negeri dan Persekutuan.

9.

Pada masa yang sama juga, kita mengharapkan agar Kerajaan Persekutuan turut menghormati tanggungjawabnya selaras dengan

tuntutan Perlembagaan Persekutuan. Hal ini adalah soal asas dan prinsip, jika bersikap sedemikiannya sebaliknya atau rasa curiga, ragu-ragu atau takut negeri menjadi maju dan kuat pula. Ia adalah langkah ke belakang dalam membina sebuah Negara Malaysia yang merdeka.

10.

Ya, Saya lebih sukakan pendekatan “bincang-bincang” sama ada secara formal atau tidak formal kerana kita semua sama ada Negeri atau Persekutuan berdepan dengan tanggungjawab menjaga rakyat tanpa mengira fahaman atau undi parti politik dalam pilihan raya. Jangan sampai tindakan menyempitkan hasil royalti atau Dana Khas Kerajaan Persekutuan yang sedang berlaku ketika ini boleh menyebabkan mungkin akan ada rakyat Terengganu bangun dari “hibernasi” mereka sehingga boleh berjangkit ke seluruh negara dalam gelombang yang kita semua tidak tahu akan kesannya.

Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,

11.

Dalam mendepani pelbagai cabaran yang telah saya nyatakan, Kerajaan Negeri komited untuk memastikan kedudukan kewangan berada dalam keadaan stabil untuk menyokong keperluan semasa dan masa hadapan kita semua.

12.

Justeru, belanjawan berimbang yang saya bentangkan ini akan memperuntukkan sejumlah RM1.860 billion untuk Perbelanjaan Mengurus termasuk RM500 juta caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan.

13.

Di bawah Perbelanjaan Mengurus, sebanyak RM84.77 juta diperuntukkan bagi Perbelanjaan Tanggungan dan RM1.775 bilion bagi Perbelanjaan Bekalan iaitu sebanyak RM278.30 juta untuk Emolumen, RM251.48 juta untuk Perkhidmatan dan Bekalan, RM23.86 juta untuk Aset, RM1.220 bilion untuk Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap dan RM1 juta untuk Perbelanjaan Lain.

14.

Di bawah Perbelanjaan Pembangunan pula, sebanyak RM425,19 juta (85.04%) diperuntukkan untuk Sektor Sosial, RM44.10 juta

(8.82%) untuk Sektor Pentadbiran; dan RM30.71 juta (6.14%) untuk Sektor Ekonomi.

15.

Manakala bagi hasil pula, Kerajaan Negeri menganggarkan sejumlah RM1.86 bilion iaitu sebanyak RM80.06 juta daripada Hasil Cukai, RM169.01 juta daripada Hasil Bukan Cukai dan RM1.610 bilion daripada Terimaan Bukan Hasil termasuk Dana Khas Kerajaan Persekutuan iaitu bayaran hasil petroleum.

Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,

16.

Saya dengan rasa rendah diri amat berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan kepada saya dan pasukan saya untuk terus memimpin kerajaan ini dalam „Meneraju Era Baharu Terengganu' bagi membina masa hadapan yang lebih cerah untuk negeri kita yang kita cintai ini.

17.

Menuju era baharu ini, saya menggariskan tiga identiti yang mesti dimiliki oleh kerajaan, para pemimpin, pegawai dan penjawat awam serta seluruh rakyat.

(1) Kerajaan Negeri mesti menjadi sebuah kerajaan yang lebih berkesan dengan memberikan perhatian dan prihatin dengan pelbagai pandangan, memperkemas dan meringkas bermacam-macam prosedur, serta menerima guna teknologi dalam lebih banyak perkara.

(2) Semua pemimpin dan pegawai kerajaan pula, bermula daripada saya sendiri, Ahli MMKN dan ADUN serta ketua-ketua jabatan mesti menjadi inspirasi kepada para kakitangan kerajaan dan seluruh rakyat; dengan menjunjung tinggi nilai integriti, walk the talk dengan izin dan berhubungan baik dengan semua. Para kakitangan kerajaan juga diingatkan supaya lebih kreatif dan inovatif dalam melaksanakan tanggungjawab agar perkhidmatan dapat disampaikan dengan lebih cekap dan cepat kepada rakyat.

(3) Rakyat juga harus diperkasakan. Rakyat mesti bermaklumat, mengambil bahagian dalam isu-isu dan aktiviti kemasyarakatan serta menjadi lebih berdikari dengan keupayaan sendiri.

18.

Era Baharu yang kita mahukan untuk Terengganu tidak lain ialah pemimpin dan rakyatnya yang benar-benar memperhambakan diri kepada Allah Subhanahu Wa Taala. Sumber kekayaan pula dinikmati oleh semua dengan penuh rasa syukur melalui pengagihan yang saksama dan pengurusan yang lestari.

Pembangunan fizikal dan sosial berjalan seiring dan seimbang untuk memenuhi keperluan semasa dan tuntutan masa hadapan. Mudahnya, Terengganu seharusnya menjadi contoh “negeri yang diredhai Allah dan disegani orang”, adil, prihatin dan berkebajikan.

19.

Justeru, belanjawan pada kali ini menunjang tiga fokus. Fokus pertama ialah Memperkukuh Keberkesanan Kerajaan. Fokus kedua pula ialah Mempelbagai Sumber Kekayaan. Manakala fokus ketiga ialah Menyejahterakan Kehidupan Rakyat.

10 SASARAN & STRATEGI UTAMA

Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,

20.

Saya ingin menggariskan sepuluh sasaran dan strategi utama untuk diusahakan dan dicapai oleh kita semua bagi tahun 2024, iaitu:

(1) Dalam situasi pertumbuhan global dan nasional diunjur menyederhana pada tahun 2023 dan 2024, KDNK Terengganu harus kekal mengembang antara 3.5% sehingga 4.1%. Subsektor perdagangan borong dan runcit mesti diperkukuh dengan pelbagai inisiatif dan pengupayaan perniagaan dan pembangunan usahawan.

Subsektor makanan dan minuman serta penginapan pula mesti terus ditambah nilai menerusi pemerkasaan industri pelancongan. Manakala subsektor tanaman dan ternakan pula diberikan tumpuan dengan meningkatkan pengeluaran hasil, memperkukuh industri di peringkat sekunder dan tertiari serta

melaksanakan strategi adaptasi dan mitigasi perubahan iklim supaya sektor pertanian dapat kembali bertumbuh positif.

(2) Melahirkan lebih ramai usahawan baharu yang berjaya sekurang-kurangnya 80 orang menerusi pemerkasaan Program Pembangunan Usahawan dengan hasil jualan berjumlah sehingga RM4.2 juta sekali gus menyediakan lebih 200 peluang pekerjaan. Dana berjumlah RM19.2 juta yang telah diperuntukkan sejak 2019 menerusi TUGAS mesti dimanfaatkan sepenuhnya untuk membangunkan usahawan baharu di samping membantu lebih 1000 usahawan sedia ada yang masih memerlukan sokongan.

(3) Peluang dan penempatan pekerjaan perlu diselia dengan lebih bersepadu supaya kadar pengangguran di negeri ini berada di paras sekitar 3.3% hingga 3.6% peratus sahaja. Justeru, kadar kebolehpasaran graduan juga perlu ditingkatkan antara 85% hingga 90% berbanding hanya 83.6% pada tahun 2021.

(4) Industri pelancongan perlu diperkasakan dengan kepelbagaian produk, ketersediaan kemudahan dan pemuliharaan bermacam-macam sumber jayanya untuk menarik 13.2 juta pelawat domestik termasuklah 4.5 juta pelancong iaitu 20% hingga 30% lebih ramai berbanding tahun sebelumnya. Adalah dianggarkan perbelanjaan oleh pelawat domestik di negeri ini pada tahun hadapan akan mencecah lebih RM3.8 billion.

(5) Rancangan dan usaha bagi menambah baik infrastruktur dan logistik di kesemua 28 kawasan perindustrian serta meneroka dan mengeksploitasi kelebihan di kawasan sempadan negeri dan stesen-stesen ECRL mestilah dipergiatkan bagi merancakkan industri berorientasikan eksport dan domestik. Hal ini penting supaya jumlah dan imbangan dagangan dapat ditingkatkan antara 5% hingga 7% berbanding pada tahun 2022. Untuk mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dan menyediakan ekosistem pelaburan yang lebih kompetitif. Momentum peningkatan nilai pelaburan melebihi 100%

sepanjang lima tahun lepas berbanding tempoh sama sebelumnya mestilah dikekalkan.

(6) Projek-projek kecil DUN di Dewan Undangan Negeri perlu dilaksanakan mengikut senarai dan keutamaannya.

Spesifikasi dan jadual yang telah ditetapkan bagi memenuhi keperluan penduduk, menangani impak bencana dan pemangkin pertumbuhan sosio ekonomi setempat.

Peruntukan yang disediakan mesti dioptimumkan sepenuhnya. Kemajuan projek-projek Perumahan Mampu Milik juga mesti dipantau dan dikawal dengan lebih tegas supaya dapat disiapkan dan diagihkan pada waktu yang sepatutnya.

(7) Institusi keluarga mesti terus diperkukuh kerana ia adalah nadi kesejahteraan masyarakat. Usaha untuk meredakan kadar perceraian di bawah paras 1.5 bagi setiap 1000 penduduk perlu lebih aktif terutamanya melibatkan pasangan berumur antara 32-40 tahun. Selari dengan itu, ikhtiar untuk mengurangkan bilangan penyalahguna dan penagih dadah, bilangan kes-kes jenayah indeks dan jenayah syariah juga mesti dipergiatkan menerusi program kesedaran, aktiviti penguatkuasaan dan tindakan undang-undang.

(8) Menjelang Ogos tahun hadapan, atlet-atlet kita mesti dipersiapkan fizikal, mental dan moral mereka ke tahap yang terbaik supaya kita dapat kembali merampas gelaran juara keseluruhan pada temasya SUKMA 2024 nanti. Sejarah manis yang pernah kita nikmati sebelum ini mesti ditempa semula.

(9) Rencana untuk menambah hasil cukai dan hasil bukan cukai sebanyak 10% setahun mesti dilaksanakan dengan lebih strategik, agresif dan bersepadu. Bukan sahaja sumber sedia ada perlu dioptimumkan, sumber hasil baru juga mesti diteroka dan dibangunkan bermula dari sekarang. Kita hanya akan lebih berdaya tahan jika mempunyai hasil daripada sumber sendiri yang diurus secara lestari.

(10) Semua jabatan dan agensi, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan perlu mencapai tahap kepuasan pelanggan melebihi 90% dan 90% aduan yang dikemukakan mesti diselesaikan dalam tempoh 15 bekerja. Peraturan dan prosedur berkaitan juga perlu ditambah baik bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan.

Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

21.

Suka saya tekankan bahawa semua sasaran dan strategi yang saya gariskan ini tidak terhad hanya untuk portfolio atau jabatan atau agensi tertentu sahaja sebaliknya pelbagai pihak mesti saling bekerjasama untuk menjayakannya termasuklah menggerakkan sepenuhnya potensi empat negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis menerusi gugusan SG4.

Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

FOKUS 1: MEMPERKUKUH KEBERKESANAN KERAJAAN

22.

Sebagaimana yang pernah saya sebutkan sebelum ini, fungsi semak dan imbang kepada Kerajaan tanpa Pembangkang ini perlu dan boleh berjalan dengan berkesan melalui pelbagai kaedah.

23.

Kumpulan backbenchers dengan izin mesti kritis dalam mengemukakan pandangan terhadap dasar dan program Kerajaan serta perlu berperanan lebih progresif dengan mengemukakan usul atau Rang Enakmen yang bersesuaian. Justeru, backbenchers perlu proaktif mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak termasuklah parti pembangkang dan NGO.

24.

DUN Belia pula perlu diperhebat fungsinya supaya lebih efektif dalam meremajakan pentadbiran Kerajaan dan perjalanan Dewan Undangan Negeri Terengganu. Ahli-ahli DUN Belia dan para peserta Akademi Al-Fateh mesti dibangunkan keupayaan mereka dalam aspek kepimpinan, pengurusan serta penyelidikan dan pembangunan polisi.

Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

25.

Kerajaan juga akan menubuhkan Majlis Ekonomi Digital dan Pendigitalan Negeri Terengganu untuk memacu penggubalan, pelaksanaan dan pemantauan rangka Tindakan Ekonomi Digital Terengganu serta melakukan transformasi digital dalam sistem penyampaian perkhidmatan melalui pelaksanaan projek e-Government.

26.

Bagi meningkatkan akauntabiliti belanjawan pula, sistem TDI Budget Monitor akan diperkenalkan untuk melapor status program dan projek masing-masing yang diumumkan dalam setiap ucapan belanjawan. Orang awam boleh mengakses sistem ini bagi memantau pelaksanaan dan keberhasilan setiap inisiatif tersebut.

27.

Penggunaan Terengganu Pay iaitu gerbang bayaran rasmi Kerajaan Terengganu akan diperluas ke lebih banyak jabatan dan menerusi kiosk mudah alih serta terminal pembayaran elektronik bagi memudahkan akses kepada pengguna.

Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

FOKUS 2: MEMPELBAGAI SUMBER KEKAYAAN

28.

Kerajaan komited untuk mempelbagaikan sumber hasil.

Jawatankuasa Peningkatan Hasil dan Perbelanjaan Hemat Negeri Terengganu sedang mempertimbangkan pelaksanaan langkah-langkah perlu bagi menambah hasil sekaligus menjamin kestabilan kedudukan kewangan Negeri. Ini termasuk dengan menambah baik aspek perundangan berkaitan kuasa mengutip hasil dan best practice di semua pusat tanggungjawab hasil. Jawatankuasa ini juga sedang memperincikan pelan strategik bagi mengoptimumkan sumber sedia ada dan meneroka sumber baharu. Antara tumpuannya ialah menyemak semula sumber hasil cukai dan hasil bukan cukai serta mendapatkan pulangan tunai daripada badan-badan berkanun dan GLC.

29.

Pindaan kadar dan pengenalan baharu bayaran pejabat (office fee) dengan izin, berkaitan urusan PTG akan dikuatkuasakan secara berperingkat bermula awal tahun hadapan. Pada masa yang sama, PTG juga sedang mengkaji pindaan cukai tanah untuk dikuatkuasakan pada tahun seterusnya. Kerajaan merasakan pindaan-pindaan ini adalah wajar memandangkan kadar ini tidak pernah dipinda sejak lebih 35 tahun lalu berbanding negeri-negeri lain.

30.

Walau bagaimanapun, Kerajaan akan memastikan bahawa pelaksanaan kadar baharu ini nanti tidak membebankan rakyat dan adil kepada semua pihak seperti dengan memberikan pengecualian tertentu kepada golongan miskin atau yang memerlukan.

31.

Sebagai negeri yang mempunyai deposit nadir bumi terbesar di negara ini iaitu lebih 7.18 juta tan metrik, rancangan bagi membangunkan industri ini dan mengekalkan rantaian nilainya di negeri ini akan dibuat dengan teliti menerusi penyediaan dasar dan model perniagaan yang komprehensif dan kompetitif. Ini penting bagi menjamin pulangan hasil yang maksimum kepada negeri, menggalakkan pelaburan dan menyediakan peluang pekerjaan untuk rakyat.

32.

Selain daripada itu juga, Majlis Mineral Unsur Nadir Bumi Negeri Terengganu yang bertanggungjawab dalam perkara ini akan menilai peluang dan cabaran daripada pengeluaran Dasar Mineral Negara baharu dan Procedure Operation Standard oleh Kerajaan Persekutuan nanti supaya kepentingan negeri ini sentiasa dilindungi.

33.

Tenaga boleh diperbaharui adalah merupakan game changer dengan izin untuk Negeri Terengganu bagi mempelbagaikan sumber hasilnya. Bagi memanfaatkan ketersediaan kepada sumber yang kita miliki ini, Pelan Induk Teknologi Hijau atau (PITiH) akan dirangka bagi merealisasikan hasrat kita untuk menjadi antara pengeluar pertama tenaga yang boleh diperbaharui di negara ini.

Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

34.

Kerajaan akan terus merancakkan industri pelancongan dengan penganjuran pelbagai program dan memperkasakan program pelancongan alam semula jadi menerusi acara bertaraf antarabangsa seperti Kenyir Geopark Trails, 4X4 Challenge dengan izin dan sebagainya.

35.

Bagi menghidupkan pelancongan, kebudayaan dan kesenian negeri kita, semua pertubuhan berkaitan di peringkat daerah akan bernaung di Jawatankuasa Tindakan Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu.

36.

Selain daripada itu, program lain seperti penganjuran sukan air, promosi batik dan songket asli, tambah baik Tourism Information Centre dengan izin, penyelenggaraan kemudahan pelancongan di setiap daerah, naik taraf infrastruktur jeti-jeti di Pulau Redang, Pulau Perhentian dan Pulau Kapas akan dilaksanakan.

Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

37.

Bagi menggalakkan gaya hidup sihat menerusi aktiviti sukan dan kecergasan, program Sukan Untuk Semua dan Fit Is Sunnah akan diteruskan. Selain itu program Monsoon Run atau Terengganu Beach Festival dengan izin, akan turut dianjurkan.

38.

Tambahan pula, sesuai dengan jolokan Land of Cyclists dengan izin, promosi dan aktiviti berbasikal di negeri ini juga akan turut dipergiatkan.

39.

Selain daripada itu, Kerajaan Negeri juga akan menyelenggara dan membaik pulih kemudahan sukan termasuklah 40 gelanggang futsal di seluruh negeri.

Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

40.

Seiring dengan peningkatan permintaan terhadap beras tempatan pada masa ini, usaha bagi menambah pengeluaran padi di Negeri Terengganu akan dipergiat dengan menaik taraf infrastruktur dan tanah sawah luar jelapang seluruh negeri.

41.

Tanah-tanah rizab yang masih terbiar pula akan dioptimumkan penggunaannya menerusi Pembangunan Taman Kekal Pengeluaran Makanan, Padang Ragut dan Zon Industri Akuakultur.

42.

Program CSR Tani, CSR Ternakan dan CSR Perikanan pula akan diteruskan. Pada masa yang sama, program galakan dan pemerkasaan usahawan industri tani juga akan dipergiatkan.

43.

Selain daripada itu, Program DIY permanian berhadas, pemotongan daging premium, kursus cantuman anak pokok, certificate of competency dengan izin dan latihan pengendalian dron turut akan dilaksanakan sekali gus bakal membuka peluang kerjaya baru kepada para belia.

44.

Pembangunan penternakan lembu pedaging dan kambing tenusu juga akan diberikan fokus bagi meningkatkan lagi pengeluaran hasil ternakan di negeri ini.

45.

Susulan dari peningkatan pendaratan ikan marin dan pengeluaran hasil akuakultur sebanyak 9.9% dan 13.06% masing-masing pada tahun 2022, Kerajaan akan menambah peruntukan bagi pembangunan tukun tiruan dan unjam. Selain itu juga, Kerajaan bakal mengoptimumkan pengoperasian Pusat Pembenihan Ikan Marin di Limau Nipis, Setiu.

Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

46.

Kerajaan juga akan meneruskan program galakan dan promosi pelaburan ke negeri kita. Antaranya menerusi prospectors pelaburan diyakini, kenyataan dalam ekspo dan misi berkaitan pelaburan di dalam dan luar negeri bersama dengan pelbagai agensi dan penganjuran Terengganu Investment Day dengan izin.

Kerjasama dengan agensi Persekutuan seperti MIDA dan ECERDC akan terus diperkukuh bagi menjayakan usaha-usaha ini termasuklah menggerakkan rangkaian SG4.

47.

Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian Negeri Terengganu akan diperkenalkan untuk memandu kita dalam membangunkan industri dan menarik pelaburan berimpak tinggi, memperluas hubungan dagang dengan pelbagai negara serta mengukuhkan kedudukan negeri kita dalam rantaian nasional dan global.

48.

Kerajaan Negeri juga menyokong usaha Kerajaan Persekutuan dalam membangunkan Industri Kenderaan Elektrik (EV) dan menggalakkan penerimaan rakyat terhadap penggunaannya.

Justeru, kita bersedia menjadi salah satu destinasi pilihan utama bagi pembinaan stesen pengecasan EV di negara ini.

49.

Tambahan pula, Kerajaan akan membangunkan dan menaik taraf kawasan-kawasan perindustrian terutamanya di Kuala Nerus, Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu. Selain daripada itu, Kerajaan juga dalam usaha untuk mengenalpasti tapak untuk dibangunkan Green Industrial Park dengan izin, di kawasan utara Terengganu terutamanya di kawasan berhampiran dengan stesen ECRL untuk memudahkan perkhidmatan penghantaran kargo.

Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

50.

Beberapa projek baharu juga akan dilaksanakan di sebahagian kawasan Taman Ilmu yang masih belum dibangunkan. Antaranya ialah pembinaan bangunan komersial serta pembangunan perumahan mampu milik dan komersial yang akan menjadikan catalyst dengan izin, kepada pembangunan akan datang dan pertumbuhan sosial ekonomi setempat. Galakan bagi mewujudkan lot-lot kedai bagi kawasan perumahan yang baharu akan dibuat menerusi beberapa pendekatan.

51.

Kerajaan juga akan membangunkan kiosk perniagaan, menaik taraf gerai makan di Pantai Teluk Mak Nik dan membina 4 unit rumah

kedai di Kampung Pasir Gajah, Kemaman serta menyediakan papan tanda di tempat-tempat utama perusahaan kecil dan sederhana.

52.

Kerajaan juga akan menggiatkan promosi, latihan dan pembangunan usahawan bagi menambah pendapatan dan mengembangkan lagi perniagaan termasuklah menyediakan peluang kepada para usahawan untuk menjalani Latihan Halal Industry Fundamentals dan Malaysian Halal Certification dengan izin.

53.

Selain itu juga, Kerajaan Negeri akan membangunkan sebuah pengkalan data usahawan dan perniagaan yang lengkap dan bersepadu terutama bagi menyokong usaha mendigitalisasikan dan mengukuhkan rangkaian supaya lebih kompetitif.

54.

Bagi membantu golongan pencari kerja dan juga usahawan mendapatkan maklumat berkaitan peluang pekerjaan dan perniagaan, Kerajaan akan perluas Sistem S@mpai, memperkasa Pusat Cari Kerja dan meneruskan penganjuran Karnival Kerjaya Negeri Terengganu.

55.

Selain daripada itu, Program Jana Diri dan Program Home Manager akan diteruskan khusus bagi menyokong golongan wanita terutamanya ibu tunggal untuk meningkatkan taraf hidup.

Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

FOKUS 3: MENYEJAHTERAKAN KEHIDUPAN RAKYAT

56.

Slogan „Indahnya Hidup Bersyariat’ akan terus diterjemahkan dengan pelbagai pendekatan demi melahirkan masyarakat yang faham dan beramal dengan agama serta menjadi pembela agama.

57.

Masjid selain daripada pusat ibadah akan diperkasakan sebagai pusat ilmu dan aktiviti kemasyarakatan. Bahkan di masjid jugalah hal ehwal pentadbiran kampung dijalankan.

58.

Selain meneruskan kerja-kerja menyelenggara dan menaiktaraf masjid-masjid sedia ada di seluruh negeri, Kerajaan juga akan melaksanakan kerja-kerja awal pembinaan masjid negeri yang baharu berkonsepkan smart township mosque dengan izin dan menjadi pusat di Bandar Baru Bukit Besar.

59.

Program-program dakwah untuk meningkatkan penghayatan beragama dalam kalangan masyarakat akan juga diperkasakan untuk menarik lebih ramai pengunjung menerusi konsep pelancongan dakwah, majlis ilmu, sambutan hari kebesaran Islam, kempen kesedaran perjuangan umat islam serta tapak dan mercu tanda sejarah Islam di negeri ini akan disinergikan sebagai produk pelancongan dan dimasukkan dalam Calendar of Events 2024 dengan izin.

Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat.

60.

Kerajaan sentiasa serius untuk memperkasakan pelaksanaan syariah di negeri kita. Oleh itu, Mahkamah Utama Syariah akan diwujudkan sebagai Mahkamah Tertinggi Syariah di negeri ini. Selain daripada itu, aspek perjawatan, ketersediaan infrastruktur, pindaan enakmen yang berkaitan dengan pengupayaan penguatkuasaan akan diberikan perhatian oleh Kerajaan.

61.

Program wacana melibatkan pakar dan usaha meningkatkan kesedaran awam akan terus dipergiatkan menerusi program seperti Itqanul Muluk dan seminar perundangan Islam.

Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

62.

Dalam melahirkan generasi yang berjati diri dan berintegriti, program-program pembangunan insan yang dilaksanakan di negeri kita mesti diselaraskan dan dipandu berdasarkan Modul Itqan Insani.

63.

Selain daripada itu juga, Majlis Penasihat Pendidikan Negeri Terengganu juga akan ditubuhkan untuk memandu dasar dan perancangan bagi memacu kecemerlangan Pendidikan bermula peringkat pra-sekolah sehinggalah ke peringkat pendidikan tinggi.

64.

Bagi menggalakkan sesi pembelajaran dan pengajaran lebih interaktif serta menambah minat pelajar kepada sains dan teknologi, Kerajaan akan meneruskan program Terengganu Sejahtera Brilliant Kids (TS Kids) dengan izin di semua TASKA di bawah YPKT dan akan menganjurkan Festival Sains, Teknologi dan Inovasi (FeSTI 2024).

65.

Selain dari meneruskan pengoperasian SRIDI dan SMIDI, Kerajaan juga menyediakan peruntukan bagi menyelenggara SRIDI Kota Putera, SRIDI Permaisuri dan SRIDI Paka

66.

Bagi membangunkan generasi yang menghayati nilai hidup Islami berkempipinan dan berdikari serta bagi menangani gejala sosial dalam kalangan remaja dan belia. Maka program Generasi Islah Falah Terengganu Ingatkan Sayang dan Super Syabab serta Fityah Terengganu akan diperhebatkan lagi penganjurannya.

67.

Institusi kekeluargaan pula akan dimantapkan menerusi penganjuran Karnival Keluargaku Syurgaku (K-Jannati), Program Kem Keibubapaan Hebat (KEMAH 2024) dengan kerjasama LPPKN, program pasca perkahwinan, perkhidmatan sokongan psikososial dan kesihatan mental.

68.

Khusus untuk golongan wanita pula, pelbagai program pembangunan wanita akan dilaksanakan di samping program pemeriksaan mamogram dan pap smear secara percuma yang akan diteruskan.

69.

Selain daripada itu juga, Konvesyen Suri Sejahtera (SURI 2024), Bengkel Wanita Sejahtera (BEST 2024), Spa Suri Sejahtera dan Sis Beauty Fitness (SIS BE-FIT) dengan izin juga akan dilaksanakan.

Dato Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

70.

Kerajaan akan terus berusaha membawa pelbagai inisiatif berkebajikan kepada rakyat walaupun kita berdepan dengan tekanan dari luar Terengganu. Selain akan ditambah baik kaedah pelaksanaannya Program Lesen Motosikal Terengganu Sejahtera, Wad Kelas Ketiga Percuma, Kad Sejahtera, Pengecualian Cukai Pintu, Air Percuma, Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang, Walimatul Urus Perdana, Bantuan Input Pertanian, Skim Modal Tani, Tabung Bencana Pertanian dan Tabung Darul Iman juga akan diteruskan.

71.

Kerajaan juga merancang untuk membina sebanyak 160 unit rumah mampu milik di Bandar Baru Tembila, Besut. Di samping itu, kerja-kerja menyedia infrastruktur seperti perparitan bagi setiap pemajuan perumahan akan turut diberikan perhatian. Kepelbagaian rekabentuk dan spesifikasi rumah akan ditambah baik dengan memperkenalkan dua variasi baru iaitu Townhouse Rahman dan rumah Belia Rahman. Projek Perumahan Terengganu Sejahtera bagi membina dan membaikpulih rumah golongan B40 yang terpilih juga akan diteruskan.

72.

Bagi menggiatkan lagi kemajuan perumahan di negeri ini, Kerajaan juga akan memperkemas Dasar Pembangunan Perumahan Rumah Mampu Milik (RMM) melalui Penswastaan, menambahbaik perjanjian dengan pemaju bagi melindungi kepentingan negeri dan rakyat kita serta memantau dan menyelia dengan rapi kesemua projek kerajaan dan swasta melibatkan 13,989 unit rumah yang dalam pembinaan dan perancangan ketika ini.

73.

Melalui kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan pula, Kerajaan Negeri juga berhasrat meneruskan program penempatan semula nelayan bagi membina 200 buah unit lagi di Kemaman dan Setiu. Selain daripada itu, satu lagi PPR baru melibatkan 150 unit rumah akan dibina iaitu PPR Jeram, Kuala Terengganu. Projek Pemajuan Kawasan Benting Lintang melibatkan pembinaan sebanyak 100 unit rumah dan projek pemajuan kawasan Tempinis melibatkan kerja-kerja pembangunan tanah untuk dijadikan kawasan perumahan juga akan dilaksanakan.

74.

Kerajaan akan terus melaksanakan projek-projek kecil di DUN seluruh Terengganu, Projek berkaitan penjanaan ekonomi dan pembangunan pertanian, menaik taraf dan membaiki premis dan fasiliti kerajaan, menyelenggara dan menaiktaraf retikulasi paip dan loji rawatan air serta program bagi mengurangkan kadar kehilangan air tidak terhasil (NRW).

75.

Kerajaan juga akan melaksanakan Kajian Rangka Tindakan Bandar Pintar Negeri Terengganu, menambah baik perkhidmatan pembersihan awam dan sisa pepejal serta menjayakan agenda bandar bersih antaranya melalui penganjuran pertandingan kebersihan di setiap daerah.

PENUTUP

Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

Sebelum menutup ucapan ini, saya ingin menjelaskan bahawa pembentangan saya pada kali ini ada beberapa perbezaan yang ketara berbanding dengan pembentangan yang terdahulu. Pembentangan kali ini tidak menyebut secara terperinci peruntukan setiap inisiatif yang ingin dilaksanakan. Walaupun begitu ianya ada dinyatakan dalam buku belanjawan 2024 yang ada di hadapan tuan-tuan. Tugas ini akan diserahkan kepada Yang Berhormat EXCO untuk memilih bagi menyebutnya semasa penggulungan. Antara sebab utama pendekatan baru ini dibuat adalah kerana sewaktu Belanjawan ini dibentangkan, saya juga terlibat dalam satu proses demokrasi pilihan raya di tempat semua sedia maklum. Untuk mengelakkan saya dilihat mengambil kesempatan supaya pertandingan yang saya sertai itu lebih adil sifatnya maka saya mengambil keputusan untuk bersikap lebih cermat untuk tidak menyebutnya dalam Belanjawan kali ini. Situasi ini adalah satu perkara yang baru yang mungkin tidak pernah berlaku di mana jua sebelum daripada ini. Di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penjawat awam di Negeri Terengganu yang sama-sama menggerakkan agenda negeri. Walau bagaimanapun, kadar bonus penjawat awam tidak dapat diumumkan pada ucapan belanjawan pada hari ini di atas sebab-sebab semua yang sedia

maklum. Insya-Allah setelah selesai urusan saya, kadar bonus akan dimaklumkan secara pentadbiran.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

76.

Sasaran telah saya tetapkan. Strategi pun telah saya nyatakan. Rancangan tindakan pun selesai saya bentangkan. Tiga identiti yang saya gariskan di awal ucapan ini mesti benar-benar menjadi budaya dan imej kita sekali gus menjadi pemboleh daya yang malar segar untuk kita menjayakan ke semua inisiatif Belanjawan ini. Seterusnya merealisasikan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera.

77.

Dalam suasana politik, ekonomi dan sosialnya semakin rancak sudah pastilah caranya makin besar. Kita bersama sentiasa positif dan optimis dalam mendepani suasana yang menguji ini supaya ia semakin menguatkan kita, bukan melemahkan kita. Adilnya Allah, setiap masalah disusunkan dengan penyelesaiannya. Syaratnya kita bertakwa kepadaNya.

“Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya)”

Surah At-Talaaq, Ayat 65:2

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon menyokong cadangan itu.

Yang di-Pertua

Rang Enakmen ini telah mendapat sokong bagi bacaan kali kedua. Untuk makluman ketua-ketua jabatan bagi mendapatkan Buku Belanjawan 2024, tuan-tuan boleh mengimbas QR Code bagi mengakses buku tersebut.

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian untuk memberi peluang kepada Ahli-ahli Yang Berhormat meneliti ucapan bajet yang telah disampaikan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar sebentar tadi, saya berhasrat untuk menangguhkan persidangan hari ini. Oleh yang demikian, saya tangguhkan persidangan ini ke pukul 9:30 pagi esok 28 November 2023. Sama-sama kita membaca Tasbih Kaffarah dan surah Al-Asr

DEWAN DITANGGUHKAN PADA PUKUL 12:15 TENGAHARI