Terengganu · 29 November 2023
15th Assembly, 1st session, 2nd meeting · 182 turns · 29,327 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalTerengganu publishes one PDF per meeting, with the written answers appended. Speakers are matched by our parser and will have some errors.
Soalan-Soalan LisanQuestions
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Mesyuarat disambung semula. Sebelum kita memulakan Persidangan pada pagi ini marilah kita sama-sama membaca Ummul Kitab Al-Fatihah.
(Al Fatihah)
Soalan-Soalan LisanQuestions
Mesyuarat pagi ini diteruskan dengan Soalan-Soalan Lisan. Berikut adalah Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah memberi notis untuk mengemukakan Soalan-soalan Lisan pada hari ini, 29 November 2023.
1 Yang Berhormat Wakil Bandar 2 Yang Berhormat Wakil Jertih 3 Yang Berhormat Wakil Buluh Gading 4 Yang Berhormat Wakil Kemasik
Yang Berhormat Wakil Ladang 6 Yang Berhormat Wakil Pengkalan Berangan 7 Yang Berhormat Wakil Manir 8 Yang Berhormat Wakil Seberang Takir 9 Yang Berhormat Wakil Permaisuri 10 Yang Berhormat Wakil Hulu Besut 11 Yang Berhormat Wakil Rantau Abang 12 Yang Berhormat Wakil Batu Rakit 13 Yang Berhormat Wakil Langkap 14 Yang Berhormat Wakil Air Putih 15 Yang Berhormat Wakil Telemong 16 Yang Berhormat Wakil Bukit Tunggal 17 Yang Berhormat Wakil Kuala Besut 18 Yang Berhormat Wakil Bukit Besi 19 Yang Berhormat Wakil Sura
Terima kasih kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah mengemukakan Notis Soalan Lisan. Dengan ini saya persilakan Yang Berhormat ADUN Jertih untuk mengemukakan soalan.
Dato’ Yang di-Pertua, Jertih memilih soalan pertama. Terima kasih.
Apakah program Kerajaan Negeri untuk membanteras gejala ketagihan gajet kepada generasi remaja?
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Wakil Jertih yang telah mengemukakan soalan berkenaan dengan program Kerajaan Negeri untuk membanteras gejala ketagihan gajet kepada generasi remaja.
Untuk maklumat Yang Berhormat, seperti yang kita sedia maklum gajet merupakan satu keperluan kepada masyarakat terutamanya untuk berhubung juga untuk mendapatkan maklumat dengan pantas. Namun penggunaannya kini telah berkembang ke satu dimensi baharu yang memerlukan penggunaannya dioptimumkan termasuklah mengadakan mesyuarat, menyediakan maklumat melalui dokumen dengan pantas dan berkesan serta mengadakan pelbagai transaksi. Oleh kerana itu Kerajaan Negeri tentu sekali tidak mampu untuk menghalang malah Kerajaan Negeri memainkan peranan untuk memastikan penggunaan gajet terutama kepada golongan remaja dapat dimanfaatkan secara yang terbaik. Oleh kerana itu Kerajaan Negeri sentiasa menggalakkan penggunaannya menuju ke arah kebaikan. Justeru pelbagai program dan aktiviti yang diatur oleh pihak Kerajaan untuk menggalakkan penggunaannya secara betul termasuk kita bekerjasama dengan Jabatan Belia Sukan Negeri Terengganu.
Antaranya pertandingan e-Sport. Kita mengadakan juga kursus atas talian, mesyuarat atas talian, Bengkel Inovasi Digital Anak Muda Terengganu Sejahtera, Pertandingan Video Pendek TikTok, Skills For Life (Bahasa Mandarin) secara Online, Canva Editing Skills Negeri Terengganu, Tiktok Editing Skills Negeri Terengganu, Skills Up Now Zon Timur serta Rakan Muda atau Uji Minda. Terima kasih.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, apakah kejayaan program yang dilakukan. Yang kedua berkenaan dengan isu kejayaan Qabil Irfan. Apa inisiatif yang diberikan kepada Qabil Irfan oleh pihak YB EXCO. Terima kasih.
Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih sekali lagi pada Yang Berhormat Jertih yang mengambil berat berkenaan dengan agenda belia khususnya dalam mendepani arus teknologi moden pada hari ini. Hasil daripada program-program yang telah dianjurkan oleh pihak Kerajaan Negeri dan juga Jabatan Belia dan Sukan, Alhamdulillah antara kejayaan-kejayaan yang telah dicapai melalui program-program yang dianjurkan umpamanya pencapaian tertinggi untuk e-Sport melalui gajet oleh atlet kelahiran Terengganu telah berjaya menyumbang Pingat Gangsa di Sea Games Hanoi 2021 dan juga berjaya mendapat Pingat Perak di Sea Games Cambodia 2023. Begitu juga berjaya menjuarai MLBB Pro-League Musim ke-12 baru-baru ini dari Pasukan HomeBois. Ini di antara
pencapaian-pencapaian yang telah pun diperolehi oleh anak-anak Terengganu yang terlibat secara online melalui e-Sport dan seumpamanya.
Berbalik kepada isu yang berlaku ataupun yang dicapai oleh adik Qabil Irfan walaupun lari sikit daripada soalan asal, tapi saya boleh untuk berkongsi bersama dengan semua Ahli Dewan, Qabil Irfan yang telah pun menjuarai Kejohanan MiniGP tempoh hari merupakan anak Terengganu yang telah pun mendapat bimbingan dan juga sokongan daripada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar sebelum daripada ini secara berterusan. Saya kongsikan untuk makluman Ahli Dewan, adik Qabil Irfan Azlan telah pun dianugerahkan sebuah motosikal pada tahun yang lalu berjenama Ohvale hasil daripada sumbangan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar untuk dijadikan motosikal latihan bagi membina kekuatan dan juga keyakinan kepada adik Qabil Irfan. Ini berikutan kerana adik Qabil Irfan telah pun berjaya di dalam Super Final Kejuaraan Siri Dunia FIM MiniGP 2022 di Valencia dengan menduduki tempat yang ketiga pada tahun 2022. Alhamdulillah pada tahun ini beliau menjuarai ketiga-tiga perlawanan. Untuk meraikan adik Qabil Irfan kita telah bersetuju untuk mengadakan satu majlis khas meraikan adik Qabil Irfan serta pelumba-pelumba cilik yang lain di Litar Permotoran Terengganu pada tarikh yang akan ditetapkan selepas daripada ini termasuk menganugerahkan insentif khas kejuaraan sebagai Juara Dunia MiniGP yang akan disampaikan oleh Yang Amat Berhormat Dato„ Seri pada tarikh yang akan ditentukan kemudian dan kita telah mendapatkan persetujuan bersama dengan Koperasi Permotoran Terengganu dan juga pihak keluarga pelumba-pelumba ini untuk mempersembahkan satu perlumbaan di kalangan pelumba-pelumba cilik di Litar Permotoran Terengganu insya-Allah. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat.
Soalan itu lari sikit daripada soalan asal Yang Berhormat Jertih tapi saya bagi ruang juga untuk panas enjin sikit pagi ini. Sila Yang Berhormat ADUN Kemasik.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Soalan saya nombor satu-
Apakah polisi dan insentif yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri di samping MIDA dalam mengalu-alukan dan menarik minat
pelabur untuk memilih Negeri Terengganu sebagai lokasi untuk mereka melabur?
Terima kasih kepada Yang Berhormat Kemasik. Dato’ Yang di-Pertua, soalan yang dikemukakan oleh Kemasik adalah sebagaimana yang dipaparkan pada skrin di mana dalam menjawab persoalan ini, Kerajaan Negeri adalah sedang dalam proses membuat dan menambahbaik Garis Panduan Pembangunan Industri Negeri Terengganu kepada satu Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian Negeri Terengganu 2024-2030 yang akan mengikut keadaan ekonomi semasa dan akan datang. Selain daripada itu juga, rangka ini, dasar ini dirangka untuk menarik pelaburan berimpak tinggi selaras dengan PITAS 2030 dan Dasar Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) dalam RMKe-12. Matlamat Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian Negeri Terengganu Baharu akan menfokuskan kepada meningkatkan pelaburan domestik dan pelaburan asing ke Terengganu selain menawarkan peluang dan ruang kepada pelabur yang berpotensi bagi semua perindustrian berkonsepkan mesra pelabur atau investor friendly dengan izin, selain penerokaan perindustrian baharu.
Secara khususnya Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dan Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) dan Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) sebagai agensi yang telah dilantik untuk menguruskan kawasan perindustrian Negeri Terengganu akan menawarkan insentif kepada pelabur iaitu yang pertama, pemberian harga diskaun berdasarkan penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta dan bergantung kepada keadaan tapak industri yang ditawarkan. Kedua, pembayaran pajakan tanah secara berjadual bagi membantu pelabur untuk merancang dan dapat merealisasikan pelaburan yang dicadangkan dengan lebih lancar. Ketiga, penyediaan infrastruktur asas yang diperlukan atau pengurangan daripada tawaran harga pajakan bagi meringankan pelabur. Sekian, terima kasih.
Ada soalan?
Yang Berhormat di-Pertua, Yang Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, soalan
tambahan saya apakah kaedah yang dilaksanakan Kerajaan untuk memastikan proses permohonan, penilaian dan kelulusan setiap pelaburan yang ingin masuk ke Terengganu lebih mesra pelabur?
Terima kasih di atas soalan tambahan. Persoalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Kemasik, untuk perhatian semua Ahli-ahli Yang Berhormat adalah merupakan persoalan yang paling penting dan sedang diambil perhatian dengan serius oleh pihak Kerajaan. Tidak kita nafikan bahawa memang wujud keperluan bagi pihak Kerajaan untuk memproses, menilai dan membuat keputusan terhadap setiap cadangan pelaburan itu dengan penuh cermat dan teliti untuk membezakan di antara pelabur yang sebenar dan pelabur yang hanya menjadi broker ataupun di atas tujuan-tujuan lain. Kerap kali juga apa yang berlaku ialah kelewatan berpunca daripada kelemahan pihak pelabur yang tidak dapat menyediakan maklumat sokongan yang di perlukan atau tidak memenuhi keperluan atau lampiran tidak lengkap, isi borang tidak lengkap, dah la isi borang tidak lengkap lampiran pun tidak lengkap, ada setengah itu, dana pun belum ada lagi, tertakluk kepada kelulusan Pihak Berkuasa Kerajaan, baru nak cari dana atau sebab-sebab yang lain. Kita juga tidak nafikan bahawa terdapat kelemahan dari pihak Kerajaan, agensi-agensi pelaksana dan ini sedang diuruskan oleh Kerajaan secara proaktif di mana Kerajaan telah menubuhkan pasukan khas atau special task force, fast lane dengan izin, bagi membantu para pelabur sebagai pemudah cara permohonan tanah atau kelulusan dengan agensi teknikal yang lain. Maksud proaktif ialah pelaksanaan proses penilaian dan kelulusan akan dibantu supaya turut memberi cadangan dengan alternatif untuk memastikan sesuatu projek dapat dilaksanakan, maknanya bukan setakat kita memberi jawapan yes or no kepada pelabur-pelabur tetapi kita juga cuba guide dengan izin, kita cuba bantu, kita cuba tunjuk ajar untuk memastikan projek itu dapat dilaksanakan. Terima kasih.
Terima kasih Yang Amat Berhormat Dato’ Seri, seterusnya saya mempersilakan Yang Berhormat ADUN Ladang.
Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua, soalan saya, soalan kedua-
Berapakah pulangan yang telah diguna semula untuk usahawan baru dalam tahun 2023 setelah Kerajaan Negeri mengeluarkan jumlah peruntukan yang besar untuk membantu usahawan?
Soalan kedua, sila Yang Berhormat.
Terima kasih kepada Yang Berhormat ADUN Ladang, Dato’ Yang di-Pertua, bermula tahun 2019 sehingga Oktober 2023, tahun ini, jumlah penerimaan peruntukan bagi Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) daripada pihak Kerajaan Negeri adalah sebanyak RM19,200,000.00. Daripada jumlah peruntukan yang diterima, pihak YPU telah berjaya menyediakan ketersediaan Dana TUGAS bagi Tahun 2023 sebanyak RM8,205,245.16 berdasarkan perincian berikut. Yang pertama, peruntukan Kerajaan Negeri pada tahun ini RM1 juta. Yang kedua, kutipan bayaran balik pembiayaan RM7,205,245.16 melalui ketersediaan Dana TUGAS bagi Tahun 2023 dimanfaatkan kepada seramai 1,558 usahawan dan peniaga kecil Negeri Terengganu dengan jumlah peruntukan sebanyak RM7,241,079.36. Baki terkini ketersediaan Dana TUGAS 2023, sebanyak RM964,165.80. Ia akan digunapakai untuk penyaluran peruntukan TUGAS sehingga akhir tahun ini kepada usahawan baru dengan jangkaan seramai 30 orang peminjam. Sekian, terima kasih.
Soalan tambahan saya, apakah punca atau sebab peminjam tidak membayar balik dan apa langkah-langkah dan tindakan untuk pembayaran balik pinjaman tersebut, terima kasih.
Terima kasih kepada ADUN Ladang. Di antara isu kutipan balik pinjaman ni, peminjam tidak membuat bayaran sebagaimana jadual yang telah ditetapkan dan ada yang tidak mampu untuk membayar semula bayaran pembiayaan sebagaimana yang telah ditetapkan bayaran bulanan, mungkin disebabkan oleh kemerosotan perniagaan mereka dan ada yang kemungkinan peminjam telah menamatkan perniagaan dan ada juga yang fikir bahawa bila Kerajaan bagi pinjaman ini tak perlu bayar balik mungkinlah, ada sebahagian mereka dan di antara perancangan ataupun tindakan untuk pembayaran balik pinjaman, iaitulah kita
telah memecahkan kepada beberapa fasa. Fasa yang pertama, proses penilaian permohonan jadi sebelum daripada peminjam ini di beri pinjam maka pihak YPU telah melalui proses penilaian antaranya melawat tapak ataupun premis perniagaan. Yang kedua, dokumen yang lengkap, seterusnya perjanjian sentiasa dikemaskini, perlindungan insuran berkelompok, penjamin yang layak dan juga pemantauan secara yang berterusan. Fasa yang kedua, proses kutipan hutang, di antara yang kita gunakan iaitulah memantau peminjam yang tidak membuat bayaran balik melalui kita guna telefon kita whatsapp, dan lain-lain. Bersemuka dengan usahawan di premis perniagaan, kita pergi ke tempat mereka dan juga kalau premis perniagaan mereka telah tutup kita pergi ke rumah kediaman bagi membuat kutipan bayaran balik, dan seterusnya mengadakan rundingan dengan peminjam yang bermasalah serta kaedah penjadualan semula bayaran balik pinjaman. Notis tuntutan berdasarkan standard operating procedure (SOP), dengan mengeluarkan tiga kali surat peringatan, kita hantar tiga kali surat peringatan kepada peminjam dan juga penjamin. Akhir sekali, kita gunakan tindakan undang-undang. Sekian,
Terima kasih Yang Berhormat.
Seterusnya, saya persilakan Yang Berhormat ADUN Pengkalan Berangan.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan nombor dua-
Apakah sasaran pembangunan perumahan RMM di negeri Terengganu dalam tempoh 5 tahun akan datang?
Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, seterusnya seluruh Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, ketua-ketua jabatan, pemerhati yang saya hormati sekalian. Soalan daripada ADUN Pengkalan Berangan seperti yang tertera berkenaan dengan sasaran pembangunan perumahan RMM di Negeri Terengganu dalam tempoh lima tahun akan datang.
Untuk maklumat ADUN Pengkalan Berangan, sasaran pembangunan perumahan RMM di Negeri Terengganu dalam tempoh lima tahun akan datang adalah meneruskan pembangunan RMM yang terdahulu sebanyak 20,000 unit. Terima kasih.
Terima kasih di atas penjelasan dan kita sedia maklum bahawa rumah adalah merupakan satu keperluan utama di Negeri Terengganu, jadi soalan tambahan saya, boleh dinyatakan jumlah rumah RMM yang sedang dibina dan yang akan dibina dan di manakah punca peruntukan itu diperolehi, sekian.
Terima kasih atas soalan tambahan tersebut. Untuk makluman Pengkalan Berangan dan semua, kita melaksanakan projek perumahan RMM ini melalui tiga sumber. Sumber yang pertamanya adalah daripada Kerajaan Negeri. Sumber yang keduanya melalui Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Persekutuan ini sekurang-kurangnya empat kementerian yang terlibat di dalam program pembinaan perumahan ini. Yang pertamanya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), yang keduanya Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), yang ketiganya, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan yang keempatnya MOF, Kementerian Kewangan dan yang ketiganya melalui kaedah penswastaan.
Untuk makluman Dewan juga, daripada tiga sumber ini daripada pihak Kerajaan Negeri yang sedang dalam pembinaan sebanyak 1,076 buah rumah, yang dalam perancangan sebanyak 544. Jadi jumlah keseluruhannya adalah 1,620. Sementara daripada sumber Kerajaan Persekutuan, dalam pembinaan sebanyak 1,178 unit dan dalam perancangan sebanyak 2,575 unit. Jumlah keseluruhan daripada sumber Kerajaan Persekutuan adalah sebanyak 3,753 unit. Sementara sumber yang ketiga, daripada program penswastaan, dalam pembinaan ada
sebanyak 5,111 unit dan dalam perancangan sebanyak 3,505 unit. Jumlah keseluruhan daripada penswastaan sebanyak 8,616 unit. Jadi daripada tiga sumber Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan dan juga penswastaan, jumlah dalam pembinaan sebanyak 7,365 unit, dalam perancangan 6,624 unit, dicampur kedua-duanya jumlah keseluruhan adalah 13,989 unit. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat EXCO. Seterusnya sila Yang Berhormat Seberang Takir.
Soalan saya yang pertama Dato’ Yang di-Pertua-
Berapakah jumlah hasil kutipan cukai pintu rumah yang sepatutnya dikutip oleh Kerajaan Negeri semenjak manifesto dilaksanakan?
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih kepada Seberang Takir yang bertanyakan tentang berapakah jumlah hasil kutipan cukai pintu rumah kediaman yang sepatutnya dikutip oleh Kerajaan Negeri semenjak Manifesto dilaksanakan? Untuk makluman Seberang Takir dan juga Dewan, di antara Manifesto yang telah pun diletakkan oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dalam PRU ke-14 yang lalu adalah tidak mengutip cukai pintu rumah kediaman dan apabila sahaja rakyat memilih Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sebagai Kerajaan pada tahun 2018 yang lalu, maka Kerajaan terus melaksanakan Manifesto ini bermula daripada tahun 2018 lagi dan daripada 2018 sehinggalah sekarang 2023, Kerajaan telah pun kehilangan hasil cukai pintu rumah kediaman sebanyak RM82,545,948.26 yang melibatkan semua tujuh PBT yang ada di dalam Negeri Terengganu yang saya ada perincian jumlah-jumlah yang Kerajaan kehilangan hasil cukai kediaman daripada tujuh-tujuh PBT ini. Terima kasih.
Terima kasih Wakil Kerajaan. RM82 juta ni dalam keadaan Kerajaan mempunyai kekangan kewangan adalah satu jumlah yang sangat besar. Soalan saya ialah tidakkah Kerajaan bercadang untuk mengadakaan semula kutipan cukai ini secara bersasar? Sekarang di Pusat pun, apa… bantuan-bantuan pun akan diberikan secara bersasar, subsidi pun akan dilaksanakan secara bersasar, lepas
ni mungkin tak semua orang dapat subsidi harga minyak kerana dia akan dilakukan secara bersasar. Jadi saya nak tanya pihak Kerajaan ada tak cadangan untuk mengadakan semula kutipan cukai pintu ini secara bersasar kepada rumah-rumah kediaman ataupun di taman-taman yang mempunyai perkhidmatan oleh Kerajaan Tempatan, Majlis-majlis Daerah, Bandaraya secara sempurna ataupun secara efisien. Hok kappung-kappung tu memang doh tahu kadang-kadang sampah dua minggu baru ambil sekali, sampah pun dok banyak orang kampung, tapi hok bandar ni mungkin banyak. Jadi kalau Kerajaan fikir untuk kembalikan semula sedikit hasil tambahan dalam keadaan gini, ada dok cadangan tu dan satu lagi saya dimaklumkan Kerajaan juga masih kutip cukai pintu daripada premis-premis kediaman, premis-premis niagaan dan juga kediaman-kediaman yang dijadikan homestay. Ini pun saya rasa dah sebahagian ada sikit pengecualian, jadi tu soalan saya. Apa komen Kerajaan?
Terima kasih kepada Seberang Takir atas soalan tambahan tersebut. Untuk makluman semua, setakat ini Kerajaan belum lagi bercadang untuk melaksanakan cadangan sedemikian namun kita telah pun menerima beberapa pandangan dan juga cadangan seperti yang dinyatakan oleh Yang Berhormat Seberang Takir sebentar tadi dan insya-Allah kita akan membuat satu kajian yang terperinci bagaimana adakah cadangan itu boleh kita teruskan ataupun sebaliknya sesuai dengan keadaan semasa dan juga sesuai dengan apa yang telah dan sedang dilakukan oleh pihak Kerajaan Persekutuan sekarang ini. Terima kasih.
ADUN Permaisuri, sila kemuka soalan.
Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua, soalan saya nombor dua-
Berapa daerah dalam negeri yang terlibat dengan projek di bawah TADC dengan perincian skop dan pelan masing-masing serta tahap atau peratus kejayaan dalam pelaksanaannya?
Soalan nombor dua.
Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih Permaisuri. Daerah-daerah yang terlibat dengan pelaksanaan projek-projek di bawah Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC) beserta dengan perincian. Yang pertama Projek Ternakan Lembu Semi Fidlot di Kg. Pak Kancil di Setiu dalam DUN Permaisuri. pelaburan RM7.085 juta dengan keluasan 250 ekar. Kandang fidlot yang boleh memuatkan 1,000 ekor ternakan telah siap dibina dan telah digunakan. Yang kedua, Projek Pengeluaran Benih Kerapu Hibrid di Pusat Pembenihan Hatchery Limau Nipis. Projek yang bernilai RM8 juta di atas tanah seluas 12 hektar. Projek ini telah siap tetapi masih menunggu kelulusan KM daripada PBT untuk beroperasi sepenuhnya. Yang ketiga, Projek Tanaman Nenas MD2 juga di Kampung Pak Kancil dalam kawasan Yang Berhormat Wakil Permaisuri usaha sama dengan Syarikat Ras Tanura Sdn Bhd dengan nilai pelaburan RM10 juta berkeluasan 352 hektar dan projek ini dalam proses penilaian dan perancangan semula sebab kita nak masukkan elemen aktiviti Agrotourism di dalamnya. Yang keempat ialah Projek Penanaman Napier dan usaha-usaha hiliran di Kampung Setia Jaya di Merang juga dalam kawasan Yang Berhormat Wakil Permaisuri seluas 400 ekar dengan nilai pelaburan RM1.7 juta sekarang ini 125 ekar telah siap ditanam dan proses pembangunan sedang berlaku secara berfasa selaras dengan perolehan mesin dan juga mekanisasi ladang.
Yang kelima, projek penggandaan induk Kambing Tenusu di Kampung Bari, Permaisuri dengan nilai RM1.8 juta berkeluasan 50 ekar. Projek ini sedang berjalan kita telah bawa masuk sebanyak 200 ekor Kambing Tenusu baka Senen daripada Australia yang telah dibiak maka sekarang ini telah bertambah 276 ekor. Yang ketujuh Projek Penanaman Kelapa Matag di Kampung Banggol, Permaisuri dengan keluasan keseluruhan 446 hektar, pelaburan RM19 juta usaha sama di antara TADC dan Ladang Rakyat Terengganu Agribusiness Sdn Bhd yang melibatkan projek Penanaman Kelapa Matag, pembinaan kilang pemprosesan dan juga pembungkusan dan projek ini baru sahaja ditandatangani MOU usahasama pada 1 November 2023 yang lepas. Projek Tapak Semaian di Kampung Pak Kancil di Setiu dengan pelaburan RM4 juta di atas tanah seluas 12 hektar. Untuk Daerah Besut kita ada Projek Pembenihan Kerapu Hibrid di Kampung Tanjung Demong di Besut dengan nilai pelaburan RM8 juta dan keluasan keseluruhan 12 hektar dan projek ini sedang berjalan. Daerah Marang kita ada Projek Tapak Semaian di Kampung Bukit Parit di
Marang dengan keluasan 1.2 hektar dan juga sedang berjalan. Di Hulu Terengganu kita ada Projek Ladang Napier di Kampung Kuala Ping di Hulu Terengganu usaha sama dengan di antara TADC dengan Syarikat TS Eco Green Enterprise dengan keluasan 60 hektar. Untuk Dungun kita ada dua projek, yang pertama projek Penanaman Napier bagi penghasilan Palpa, ini usaha sama di antara TADC dengan Syarikat Regu Yakin berkeluasan 5141 ekar melibatkan nilai pelaburan RM400 juta dan projek ini belum lagi bermula dan juga kita ada Projek Pemulihan Ladang Rimbunan Kasih dengan tanaman Melon Manis Terengganu usaha sama di antara TADC dan MCT Agriculture Sdn Bhd. Untuk Kemaman kita ada Pusat Semaian di Kampung Meraga Beris di Kemaman yang dioperasikan kerjasama bersama dengan Syarikat Dhuha Barakah berkeluasan 1.2 hektar. Itulah senarai projek-projek TADC yang sedang berjalan di seluruh negeri semua daerah terlibat kecuali Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, terima kasih.
Sila Yang Berhormat Wakil Permaisuri.
Soalan tambahan saya, kita tahu bahawa negeri Terengganu akan melahirkan Gedung Pengeluaran Makanan untuk negeri Terengganu dan kita sudah disebut oleh Yang Berhormat Wakil Jabi sebentar tadi betapa banyak dan betapa tidak sedikit kos-kos yang telah dibelanja oleh pihak Kerajaan untuk memajukan industri pertanian di dalam negeri Terengganu. Jadi soalan saya ialah berkenaan dengan Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu sejauh mana ia dikembangkan bukan hanya kita tengok di Setiu banyak ini di daerah-daerah lain. Adakah Kerajaan juga berhasrat untuk mengembangkan lagi di daerah-daerah lain selain daripada Setiu.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, sebagaimana yang kita sedia maklum daerah Setiu telah diisytiharkan sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu kerana itulah kita tengok tumpuan projek-projek pertanian ini bertumpu di Setiu dengan nilai pelaburan melebihi RM700 juta tapi dalam masa yang sama perancangan seterusnya adalah untuk nak melibatkan daerah-daerah lain bersama secara berperingkat cuma bila kita sebut pertanian, pertanian dan urusan tanah ini tidak dapat dipisahkan kerana itulah kami mengharapkan respon positif daripada Pentadbir-Pentadbir Tanah Daerah apabila dilibatkan
dalam apa-apa Jawatankuasa Bertindak Pertanian terutamanya dari segi komitmen kehadiran mesyuarat dan juga ketersediaan dengan data-data yang diperlukan apabila diminta, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat EXCO terus kepada Yang Berhormat Wakil Hulu Besut.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Hulu Besut soalan nombor dua-
Apakah perancangan Kerajaan Negeri untuk menambahbaik infrastruktur di pusat pelancongan terutamanya di DUN Hulu Besut seperti Hutan Lipur Lata Tembakah, La Hot Spring, Airderu dan Agro Darau?
Soalan nombor dua.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, rakan-rakan EXCO, ADUN-ADUN, Pegawai-Pegawai Kerajaan, Pemerhati dan juga para media yang dihormati Allah sekalian. Terima kasih soalan daripada Hulu Besut sepertimana yang tertera dalam skrin. Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan sebanyak RM1,331,029.00 bagi menambah baik dan menaiktaraf infrastruktur pelancongan di kawasan Hulu Besut. Peruntukan Kerajaan Negeri seperti berikut:-
1. Cadangan Projek Membaikpulih Dan Juga Menaiktaraf Kemudahan Pelancongan serta Kerja-Kerja Berkaitan di La Hot Spring, Besut, Terengganu sebanyak RM 940,000.00.
2. Cadangan Membina Dan Menyiapkan Chalet Tambahan Serta Kerja-Kerja Berkaitan di La Hot Spring Hulu Besut Terengganu sebanyak RM 391,029.00.
3. Peruntukan Kerajaan Persekutuan MOTAC Negeri Terengganu 2022 membina dan menyiapkan Arca Entrance Signage di bawah tajuk Menaiktaraf Kemudahan Pelancongan Dan Kerja Berkaitan di La Hot Spring Besut Terengganu.
Terima kasih.
Ada soalan tambahan, Hulu Besut?
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan tambahan. Tadi banyak-banyak sudah disebut berkenaan dengan Bajet di La Hot Spring dan kalau boleh kena diperkemaskan lagi saya juga ingin bertanya berkenaan dengan perancangan masa depan berkenaan dengan Taman Eko-Rimba (TER) Lata Tembakah yang sekarang ini dalam dah tidak macam usang.
Terima kasih kepada soalan tambahan. Taman Eko-Rimba singkatannya (TER) Lata Tembakah terletak di kawasan Hutan Simpan Pelagat, Hulu Besut dan di bawah pengurusan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu. Tarikan utama kawasan ini adalah 7 tingkat air, 7 tingkat air terjun di samping beberapa buah jeram dan kolam-kolam kecil sesuai untuk aktiviti riadah dan juga rekreasi. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, pelbagai kemudahan rekreasi telah disediakan antaranya parkir, pondok rehat, chalet, asrama, tandas, gerai, tapak perkhemahan, jambatan gantung dan laluan pejalan kaki. Lata Tembakah turut dilengkapi dengan bekalan air dan elektrik kadar bayar masuk adalah hanya RM2 untuk dewasa dan RM1 untuk kanak-kanak. Dibuka setiap hari kepada pengunjung dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang terdapat tiga kakitangan jabatan ditempatkan di kawasan ini bagi tujuan pengurusan dan pemantauan kawasan. Kerja-kerja pembersihan dilaksanakan secara kontrak yang dilantik oleh Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu. Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu sentiasa menaik taraf dan membaiki kemudahan di Lata Tembakah secara berperingkat bergantung kepada sumber peruntukan di bawah Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Hutan (KWPH) untuk menjamin keselesaan para pengunjung. Sebagai perancangan pada masa hadapan
jabatan akan memohon peruntukan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia di bawah RP5 RM Ke-12 tahun 2025 bagi projek peningkatan kemudahan asas di Taman Eko Rimba Lata Tembakah, Hulu Besut. Dan permohonan ini akan memberi penekanan kepada menaik taraf kemudahan sedia ada termasuk parking, chalet, asrama, jambatan gantung, tandas, gerai dan laluan pejalan kaki. Jabatan juga bercadang untuk menyediakan kemudahan glamping dan karavan di kawasan ini sebagai tarikan baru. Menerusi permohonan peruntukan tersebut, jabatan berharap kawasan Lata Tembakah akan menjadi destinasi Eko Pelancongan terkenal di Daerah Besut khususnya di Negeri Terengganu amnya baik dari segi pengunjung tempatan dan pengunjung luar negara. Selain itu, dengan tarikan utama iaitu Air Terjun Tujuh Tingkat, jabatan akan meningkatkan aktiviti promosi menerusi kerjasama dari Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat EXCO. Sila Yang Berhormat ADUN Rantau Abang.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Rantau Abang soalan nombor 1-
Apakah strategi Kerajaan Negeri bagi penyediaan modal permulaan kepada golongan muda yang berminat menceburi sektor pertanian?
Terima kasih. Soalan Rantau Abang ini akan dijawab gabungan daripada soalan Ladang dan Kuala Besut. Soalan Kuala Besut pada 27.11.2023 tidak sempat dikemukakan. Soalan Ladang besok. Jadi saya akan bagi jugak ruang untuk soalan tambahan daripada dua Yang Berhormat ini. Ladang dan Kuala Besut. Insya-Allah. Sila Yang Berhormat EXCO.
Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. Terima kasih Rantau Abang. Isu penglibatan anak-anak muda dalam sektor pertanian. Dalam siri-siri program libat urus yang diadakan bersama dengan kelompok masyarakat di pelbagai peringkat, memang
sangkaan awal yang datang dan berminat untuk menceburi bidang pertanian mungkin paling muda pun akhir empat series ataupun lima series dan enam series. Tapi bila kita turun ke lapangan, tanggapan itu sebenarnya silap. Kerana ramai anak-anak muda yang hadir. Dan lebih menarik lagi anak-anak muda yang ada ini anak-anak muda yang mempunyai kelulusan grad daripada institusi pengajian tinggi mempunyai ijazah. Bila anak-anak muda ini berkelulusan tinggi, mereka ni ada semangat, ada kesungguhan dan ada cita-cita untuk menjadikan pertanian sebagai satu kerjaya selaras dengan moto Kerajaan Negeri “Pertanian Adalah Suatu Kerjaya”. Cuma ada beberapa kekangan yang perlu dibantu oleh Kerajaan Negeri. Yang pertama anak muda tak ada tapak. Tak ada tanah untuk mereka berusaha. Dalam isu ini, Kerajaan Negeri sangat prihatin kerana itulah kita telah menyediakan satu Taman Kekal Pengeluaran Makanan khusus untuk belia bertempat di Telaga Papan, Setiu seluas 90 hektar. Yang ni orang tua tak boleh masuk. Kita khususkan untuk orang-orang muda sahaja. Di samping itu, ada TKPM-TKPM lain Taman Kekal Pengeluaran Makanan seperti Rhu Tapai, Tok Dor, Paloh Jenang, Peradong, Serating yang masih kosong dengan berkeluasan sekitar 190 hektar. Saya anggap inilah di antara tanah yang paling singkat dari segi proses untuk kita bagi kepada rakyat kita dengan kadar sewa yang paling rendah dalam dunia, RM150.00 per hektar setahun sahaja. Dan setiap lot mempunyai 10 ekar. Yang kedua, tanah-tanah kerajaan yang masih kosong juga boleh dimanfaatkan secara LMS. Kalau tanah tersebut berkeluasan kurang daripada 1 hektar, urusannya selesai di peringkat Pejabat Tanah dan Daerah sahaja. Apabila keluasan tanah melebihi 1 hektar kurang daripada 4 hektar, yang ni bawah bidang kuasa PTG. Dan apabila berlebihan daripada 4 hektar, barulah urusannya agak panjang di pihak berkuasa negeri. Dan jangan fokus kepada tanaman jangka panjang sebab kita nak anak-anak muda kita terlibat dengan short term crop tanaman singkat masa dan cepat untuk dapat pulangan.
Yang kedua, anak-anak muda kita sebenarnya ramai yang terlibat dengan industri ternakan. Terutamanya penternakan lembu sado dan juga penanaman napier untuk menghasilkan sumber makanan hijau kepada penternak kita. Ada beberapa orang penternak yang kita luluskan permohonan tanah rizab padang ragut seluas lebih daripada 50 hektar dan mereka berjaya untuk mengoperasikannya dengan baik. Kerana itulah kita ajak anak-anak muda kita sebagaimana yang saya maklumkan sebelum ini, kita masih ada lagi sekitar 2,000 hektar tanah rizab padang ragut yang masih kosong dan boleh dimanfaatkan dengan kaedah penyewaan daripada Jabatan Perkhidmatan
Veterinar Negeri Terengganu. Bila anak-anak muda kita berhadapan dengan isu dana, Kerajaan Negeri daripada tahun 2019 lagi, kita telah menyediakan Skim Bantuan Modal Tani. Satu skim bantuan modal yang paling mudah. Tak perlu ada slip gaji, tak perlu ada penyata bank, tak perlu ada penjamin. Hanya cukup anak muda boleh membuktikan mereka nak berusaha. Kalau nak buat kandang lembu, boleh tunjuk ni tanah tempat saya nak buat kandang lembu. Cuma modal untuk dirikan kandang tak ada. Nak buat kolam ikan, boleh tunjuk ni tanah saya nak gali kolam, benih takdok modal. Maka Kerajaan Negeri akan bantu sehingga maksimum RM50,000.00 pinjaman mudah patuh syariah tanpa faedah. Dan kita ada anak-anak muda kita yang berjaya. Macam contoh saudara Haris Nordin yang mengoperasikan pusat pemprosesan susu berteknologi moden di Jenang, di Marang. Kita ada anak muda kita yang baru memulakan perusahaan ternakan ayam secara reban close system. Nur Syahidin Abu Hassan di Kampung Temala di Marang. Ini contoh anak-anak muda yang bersungguh berjiwa besar dan bersedia untuk berhadapan dengan cabaran demi untuk berjaya. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat.
Ada soalan tambahan? Sila Yang Berhormat.
Terima kasih atas penjelasan yang diberikan. Menunjukkan betapa serius pihak Kerajaan Negeri untuk support anak-anak muda yang ada di negeri kita ini. Alhamdulillah. Soalan tambahan, apakah ada daripada pihak Kerajaan cadangan bentuk atau jenis pertanian yang boleh diusahakan oleh anak muda sehingga mereka berjaya. Sebab kita tak nak bilamana mereka terlibat dengan bidang pertanian ini, hanya berhenti sekerat jalan. Jadi minta penjelasan daripada pihak Kerajaan.
Terima kasih adinda Rantau Abang. Memang menjadi fokus Kerajaan Negeri apabila kita merencanakan sesuatu projek, kita rencana dalam bentuk satu rantaian lengkap daripada penanaman sehinggalah kepada pemasaran malah tidak berhenti di peringkat pemasaran, kita up satu tangga lagi kepada pensijilan. Dan kita nak supaya semua produk-produk pertanian, penternakan dan perikanan daripada Terengganu ada Sijil Amalan Pertanian Baik Malaysia ataupun myGAP. Jadi kegagalan beberapa projek sebelum ini kerana dia tidak dirancang dalam satu rantaian lengkap. Kerana itulah di samping apa yang telah saya nyatakan tadi,
beberapa insentif kursus-kursus kemahiran jangka panjang, jangka pendek dan jangka sederhana memang sentiasa diadakan secara berkala dan kita letak anak muda kita sebagai usahawan bimbingan di bawah jabatan-jabatan yang berada dalam Portfolio Pertanian.
Terima kasih Yang Berhormat EXCO. Sila Yang Berhormat Ladang.
Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. Memandangkan soalan saya digabungkan bersama dengan Rantau Abang pada hari ini, saya nak bertanyakan status Skim Bantuan Modal Tani dan jumlah pinjaman yang dimanfaatkan oleh pemohon. Terima kasih.
Terima kasih Ladang. Sejak daripada dilancarkan pada Januari 2019, Skim Bantuan Modal Tani telah memberi manfaat kepada 501 orang petani, penternak dan juga nelayan dengan nilai pinjaman RM8.8 juta. Dan sektor ternakan mencatatkan jumlah tertinggi setakat ni dengan RM4.5 juta lebih. Dan untuk tahun 2024 sebagaimana yang ada dalam Buku Bajet, kita teruskan Program SBMT sebagaimana biasa. Terima kasih.
Yang Berhormat EXCO. Yang Berhormat Kuala Besut ada nak tanya? Takdok doh? Sila Yang Berhormat Langkap
Terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Soalan saya nombor 1-
Apakah status kemajuan projek tanaman harum manis dan ‘musang king’ yang menjadi tanaman perintis bagi projek pembangunan tanah terbiar seperti yang telah dilaksanakan di RTB Pengkalan Aman dan RTB Kampung Rahmat?
Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih YB Langkap. Program pemulihan tanah terbiar Pilot Project di RTB Pengkalan Aman, di Permaisuri dan juga RTB Kampung Rahmat dalam DUN Langkap. Untuk Pengkalan Aman kita fokus kepada tanaman harum manis dan setakat ini, daripada 15.59 hektar yang melibatkan 13 orang peserta. Kita telah mulakan plot percubaan seluas 1.5 ekar dengan tanaman 600 pokok mempelam harum manis. Apa yang kita nak kumpulkan daripada parameter dan data daripada plot percubaan ini ialah yang pertama, ketinggian pokok, diameter batang, kanopi pokok dan juga bilangan dahan untuk kita cari satu kaedah penanaman terbaik dan kita kembangkan kepada keseluruhan tanah RTB yang kita sasarkan dalam program kita.
Yang kedua di RTB Kampung Rahmat Tambahan. Yang ini difokuskan kepada tanaman durian “Musang King”, keluasan keseluruhan 246 hektar yang melibatkan 31 orang peserta. Setakat ini kita telah tanam untuk plot pilot bagi kajian seluas tiga ekar dan ada beberapa perkara yang ada dalam perhatian kita yang perlu ditambah baik di antaranya infrastruktur jalan ladang, kesuburan tanah dan juga sistem pengairan dan Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM250,000.00 pada tahun 2021 ditambah dengan RM600,000.00 pada tahun 2022 bagi penyediaan infrastruktur asas di kedua-dua tanah RTB ini. Dan terdapat beberapa tindakan yang perlu diambil oleh pihak TADC berdasarkan kepada nasihat teknikal daripada Jabatan Pertanian di antaranya berkaitan dengan isu pengairan, kaedah penanaman, syor dari segi pembajaan dan juga bagaimana pengurusan hakisan kerana tanah ini terletak di kawasan yang agak berbukit. Terima kasih.
Sila Langkap
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, memandangkan masih banyak lagi RTB pertanian yang diluluskan oleh Kerajaan sebelum ini dan boleh kita kategorikan sebagai tanah terbiar. Jadi soalan tambahan saya, adakah pihak Kerajaan berhasrat untuk memperluaskan lagi projek pembangunan tanah terbiar di RTB-RTB pertanian selepas pada ini. Terima kasih.
Isu yang sangat menarik Yang Berhormat Langkap. Kerajaan telah berjaya mengagihkan beribu-ribu lot tanah pertanian tetapi rakyat kita dilihat kurang berjaya untuk
nak memajukan tanah-tanah pertanian yang diagihkan ini dan ini adalah satu kerugian yang menyebabkan data tanah terbiar kita bertambah daripada setahun ke setahun dengan agak mendadak. Puncanya kerana kejayaan Kerajaan mengagihkan tanah tapi kegagalan rakyat dalam memajukan tanah. Kerana itulah projek pembangunan tanah terbiar tidak terhenti setakat RTB Pengkalan Aman dan RTB Kampung Rahmat sahaja. Kita akan kembangkan, cuma yang dua RTB ini adalah pilot project untuk kita cari plot yang terbaik dan kita kembangkan ke kawasan lain supaya memberikan hasil yang optimum kepada rakyat kita. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat EXCO. Seterusnya silakan Yang Berhormat Air Putih.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan Air Putih soalan nombor satu-
Apakah pulangan yang diperolehi pihak Kerajaan Negeri dengan penajaan Le Tour de Langkawi tempohari?
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat ADUN Air Putih yang telah bertanyakan kepada pihak Kerajaan berkenaan dengan pulangan yang diperolehi dengan penajaan Le Tour De Langkawi. Untuk maklumat Dewan, pulangan yang diperolehi pihak Kerajaan Negeri melalui penajaan Le Tour De Langkawi tempohari adalah sebagai satu platform bagi pemerkasaan kempen promosi “Beautiful Terengganu” dengan konsep Sport Tourism yang sangat berkesan dalam mempromosikan Negeri khususnya dari segi pelancongan kerana ruang siaran atau liputan TV antarabangsa yang sangat meluas.
Acara ini juga sekali gus menonjolkan keunikan dan kepelbagaian Terengganu merangkumi produk pelancongan, destinasi seni dan budaya di mata dunia menerusi laluan-laluan trek yang dilalui sepanjang perlumbaan berlangsung.
Itu dalam aspek pelancongan. Dalam aspek sukan, Kejohanan Le Tour De Langkawi juga sebagai satu platform bagi Kerajaan Negeri yang terkenal menerima jolokan Land Of Cyclist dan menunjukkan keupayaan Terengganu dalam bidang sukan berbasikal. Penyertaan pelumba bertaraf antarabangsa dalam Kejohanan Le Tour De Langkawi juga merupakan langkah terbaik untuk menonjolkan pencapaian cemerlang atlet Terengganu dalam sukan ini supaya dapat dikongsi kejayaan atlet bersama semua murid sekolah yang berada di laluan Le Tour De Langkawi, penuntut universiti atau jabatan yang diwakili, masyarakat setempat serta orang ramai. Dalam kajian yang kita laksanakan, antara bakat-bakat yang telah kita terima daripada pelumba-pelumba basikal di Negeri Terengganu, kebanyakannya adalah melalui semangat ketika menyaksikan Le Tour De Langkawi dan mereka begitu berminat untuk menjadi pelumba-pelumba basikal di Negeri ini. Alhamdulillah, ekoran daripada penganjuran Le Tour De Langkawi, Terengganu telah berjaya melahirkan bakat-bakat pelumba basikal bukan sahaja bertaraf nasional malahan juga bertaraf internasional yang telah mencipta nama yang cukup baik buat masa ini.
Dalam aspek yang lain, Le Tour De Langkawi, melibatkan 11 negeri di Semenanjung Malaysia dengan jarak perlumbaan sejauh 1280 kilometer. Dalam masa yang sama, Le Tour De Langkawi menerima satu liputan langsung dari sebuah media antarabangsa yang cukup terkenal iaitu Eurosport International. Manakala dalam aspek penajaan, Terengganu berhak menjadi pemegang eksklusif ASEAN Champion Jersey ataupun jersi putih pelumba terbaik Asia, menjadi hos rasmi Majlis Team Presentation yang telah diadakan di Kuala Terengganu, permulaan penamat peringkat pertama-kedua, kemudian live streaming pada Majlis Pengenalan Pasukan, lima jam live di YouTube dan laman WEB, lima jam live telecast di Stesen TV RTM dan Astro Arena, highlight setiap perlumbaan melalui TV tempatan dan antarabangsa, logo di paparan serta kredit dan montaj, iklan komersial video korporat lapan peringkat, temuramah VIP negeri dan pelbagai lagi perkara-perkara lain yang diperolehi oleh Kerajaan Negeri hasil daripada penajaan ini. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat EXCO. Soalan ini kita gabungkan dengan Bukit Tunggal. Bagi ruang sebab ini soalan, tidak ada peluang dah Bukit Tunggal.
Terima kasih YB EXCO atas jawapan dan penjelasan yang diberikan. Soalan tambahan saya,
adakah Kerajaan Negeri berhasrat untuk meneruskan penajaan pada tahun hadapan dan adakah laluan Le Tour De Langkawi ini mengambil Negeri Terengganu sebagai laluan utamanya. Terima kasih.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, pihak Kerajaan akan meneliti buat masa ini dengan kelebihan-kelebihan daripada penajaan, tentu sekali penajaan ini boleh diteruskan pada masa yang akan datang. Meskipun demikian, kita akan meneliti dan memperhalusi kedudukan kewangan semasa pada tahun hadapan untuk melihat bagaimanakah bentuk penajaan yang boleh dilakukan pada tahun hadapan untuk Le Tour De Langkawi. Laluan-laluan yang telah dipilih bukan berada di bawah Kerajaan Negeri Terengganu. Ia dikelolakan secara langsung oleh pihak penganjur dan pada tahun ini ia dikelolakan terus di bawah Majlis Sukan Negara. Jadi oleh kerana itu kita tidak memiliki satu hak untuk menentukan laluan Le Tour de Langkawi.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, seperti yang disebutkan tadi soalan gabungan daripada Wakil Bukit Tunggal sebenarnya soalan yang berbeza dengan soalan yang dikemukakan oleh ADUN Air Putih. Jadi saya mohon jika sempat Wakil Bukit Tunggal adalah soalan berlainan. Terima kasih.
Okey kita tamatkan sesi soalan kita pada pagi ini, diucap terima kasih kepada semua Yang Berhormat mengemukakan soalan dan juga Yang Berhormat EXCO yang sempat untuk menjawab soalan-soalan yang dikemukakan.
Di sini saya mengambil peluang untuk merakamkan penghargaan dan terima kasih serta mengalu-alukan atas inisiatif perkhidmatan kaunter informasi dan aduan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sempena dengan Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu pada kali ini. Melalui kaunter informasi ini (MCMC) akan menyediakan maklumat mengenai isu-isu capaian serta rangkaian kemudahan jalur lebar oleh Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan di kawasan DUN masing-masing. Oleh itu kesemua Ahli Yang Berhormat dan Ketua-ketua jabatan adalah dijemput untuk melawat kaunter informasi (MCMC) yang ada di luar Dewan Persidangan ini, dijemput semua.
Saya juga mengalukan kepada semua pemerhati pada hari ini Khairunnisa’, Pertubuhan Kebajikan Wanita Sepakat Terengganu, Perbadanan Pembangunan
Perdagangan Luar Malaysia dan khususnya Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA) dan juga seluruh pusat-pusat khidmat yang sentiasa bersama dengan persidangan kali ini dan seluruh peribadi-peribadi yang menyertai pemerhatian dalam persidangan kali ini. Saya ucap terima kasih kepada semua. Kita tutup dan kita tamatkan serta kita tangguhkan sementara Dewan ini dan akan disambung semula pada pukul 11:00 pagi, insya-Allah. Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian dijemput untuk sarapan.
DEWAN DITANGGUHKAN PADA PUKUL 10.30 PAGI
PUKUL 11.04 PAGI
Enakmen Perbekalan 2024Bill
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Ketua-ketua jabatan, mesyuarat disambung semula. Untuk makluman Dewan masih lagi dalam perbahasan ke atas Enakmen Perbekalan 2024. Saya menjemput Yang Berhormat seterusnya untuk menyampaikan ucapan perbahasan. Dipersila Yang Berhormat Kuala Besut.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Yang Berhormat EXCO-EXCO dan Yang Berhormat ADUN-ADUN, Ketua-ketua jabatan dan pemerhati sekalian.
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kerana diberi peluang untuk membahaskan Ucapan Bajet 2024. Tahniah kepada Yang Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar di atas pembentangan bajet yang berhemah kelmarin.
Sebelum saya meneruskan ucapan, saya ingin
mengucapkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang prihatin kerana mengutip dana untuk saudara kita di Palestin iaitu Tabung Kemanusiaan Palestin. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua dalam Pembentangan Bajet yang bertemakan “Menerajui Era Baru Terengganu” semoga dengan tema ini mampu menjadikan Negeri Terengganu lebih maju dan cemerlang di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar. Dalam perbahasan Bajet ini saya ingin menyentuh ada lima perkara.
Pertama isu pelancongan. Negeri Terengganu kaya dengan tempat-tempat yang menarik dan mampu menarik Negeri Terengganu dari dalam dan di luar negara. Saya ingin memfokuskan di daerah Besut. Pertama, Pulau Perhentian yang merupakan industri pelancongan utama di daerah Besut. Banyak hasil yang mampu menyumbang kepada pendapatan negeri. Apa yang saya ingin utarakan ialah memperindahkan dan menambah fasiliti di Pekan Lama Kuala Besut di mana jeti pelancongan ke Pulau Perhentian terletak di situ. Menyediakan lorong pejalan kaki dari terminal bas Kuala Besut ke jeti pelancongan kompleks jeti yang baru dengan kemudahan yang moden. Saya juga ingin mencadangkan agar Besut dijadikan gerbang pelancongan Negeri Terengganu 2024.
Yang kedua perparitan. Saya ingin memohon bajet-satu bajet yang khusus untuk sistem perparitan di DUN Kuala Besut untuk menyelesaikan masalah air bertakung apabila hujan lebat menyebabkan penduduk di sebelah pantai terpaksa berpindah ke PPS. Untuk makluman Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, minggu lepas mangsa banjir yang berpindah ke PPS bukan berpunca daripada air sungai yang melimpah tetapi berpunca daripada air yang bertakung disebabkan sistem perparitan yang tidak sempurna. Kerajaan Negeri mungkin dapat menjimatkan berjuta-juta ringgit sekiranya sistem perparitan tersebut diselenggarakan dengan baik.
Ketuga, pertanian untuk golongan B40. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, mengikut statistik golongan B40 juga mempunyai tanah tetapi golongan ini tidak mampu mempunyai modal untuk diusahakan. Contoh sekiranya satu ekar tanah kebun untuk ditanam durian Musang King hasil pendapatan untuk satu tahun lebih kurang RM100 ribu. Ini secara tidak langsung mampu meningkatkan pendapatan golongan ini. Mohon Kerajaan membuat kajian dan membantu dari segi kewangan.
Yang keempat, pendatang warga asing. Yang Berhormat Dato’ di-Pertua, sekarang di bumi Besut kehadiran pendatang warga asing sangat tinggi penglibatannya mereka dalam dua sektor iaitu perniagaan kedai runcit 24 jam sedang tumbuh dengan pesat. Berbagai rungutan didengar dari kalangan penduduk tempatan. Mohon pihak berkuasa tempatan menyiasat mengambil tindakan ini. Pembinaan di sektor pembinaan pula memang ramai terlibat. Ia juga menyumbang kepada masalah sosial dalam masyarakat. Tidak pasti mereka ini datang bekerja secara sah ataupun tidak.
Yang kelima, perindustrian, saya ingin memfokuskan kepada kawasan perindustrian Gong Medang, Besut banyak lagi kawasan dikhaskan didirikan kilang-kilang. Kerajaan perlu mencari pelabur-pelabur tempatan atau luar negara untuk bertapak di sini. Sekarang hanya kilang papan dan perabot sahaja yang beroperasi di kawasan ini. Sekiranya kilang-kilang baru dapat didirikan maka peluang pekerjaan dapat disediakan kepada penduduk tempatan dan mengurangkan masalah pengangguran terutama golongan belia.
Keenam, pelestarian inisiatif kebajikan. Semoga Kerajaan dapat melestarikan inisiatif kebajikan kepada rakyat dengan tambahan 10 lagi janji Manifesto PRU ke-15 baru-baru ini. Dengan ini Kuala Besut menyokong.
Terima kasih, masa masih lagi. Tapi terima kasihlah. Yang Berhormat Kuala Besut yang telah menyuarakan pandangan dan aduan daripada orang Kuala Besut. Seterusnya saya mempersilakan Yang Berhormat Ladang.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Ketua-ketua Jabatan, pengamal media serta para hadirin hadirat yang dirahmati Allah sekalian. Saya memulakan ucapan dengan memetik firman Allah Subhanahu Wa Taala. Surah Al-Imran ayat 104.
“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan, dan menyuruh mereka berbuat segala perkara yang baik, serta melarang mereka perkara yang salah (iaitu perkara buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya”.
Setinggi ucapan tahniah diucapkan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar atas pengumuman Belanjawan Negeri Terengganu 2024 yang banyak menimbulkan reaksi positif daripada rakyat Negeri Terengganu. Bajet 2024 ini yang bertemakan Meneraju Era Baru Terengganu memberi peringatan buat semua pimpinan kerajaan negeri akan tanggungjawab sebagai khalifah untuk memakmurkan negeri ini dengan pemimpin dan rakyatnya yang benar-benar memperhambakan diri kepada Allah Subhanahu Wa Taala. Tiga teras telah digariskan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar menepati hasrat rakyat secara keseluruhannya untuk diperkukuhkan dengan tiga fokus dan sepuluh sasaran serta strategi utama. Di kesempatan ini saya ingin menarik beberapa perkara yang saya akan tekankan dalam perbahasan saya di Dewan yang mulia ini.
Dato’ Yang Di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Kuala Terengganu adalah sebuah bandar yang mempunyai pemandangan yang cukup indah sesuai dengan imejnya sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Air. Saya sangat tertarik dengan projek Lambaian Bayu yang sedang diusahakan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu. Saya difahamkan projek Lambaian Bayu ini bermula daripada Teluk Ketapang sehingga ke Pantai Pandak, Chendering. Dengan jarak keseluruhan lebih kurang 16 kilometer. Projek ini merupakan satu inisiatif dalam memperkasa pengisian bandar bertemakan warisan pesisir air melalui pembangunan produk-produk pelancongan baru selain memberi nilai tambah kepada kawasan pelancongan sedia ada. Ini menepati sasaran keempat yang terkandung dalam Ucapan Belanjawan yang telah dibentangkan iaitu industri pelancongan perlu diperkasakan dengan kepelbagaian produk ketersediaan kemudahan dan pemeliharaan pelbagai sumber. Oleh itu, antara strategi yang perlu dirangka dan yang perlu diberi perhatian. Antara yang perlu diberi perhatian adalah yang pertama projek Lambaian Bayu ini perlu meningkatkan peranan sektor pelancongan sebagai penggerak ekonomi melalui inisiatif
pembangunan produk-produk pelancongan baru dan yang kedua projek inilah mestilah menjadi tumpuan pelancong sekali gus menyumbang peningkatan ekonomi rakyat dan juga menyediakan peluang pekerjaan dan menjana pendapatan para usahawan dan apa yang mustahak adalah aspek penjagaan ekosistem perlu dititikberatkan demi kelangsungan hidup generasi akan datang.
Dato’ Yang di-Pertua, dan Ahli Yang Berhormat, terima kasih tidak terhingga kepada pihak kerajaan yang meneruskan program pemeriksaan Mamogram dan Papsmear secara percuma kepada wanita B40 di Negeri Terengganu. Kita sedia maklum bahawa kanser payudara merupakan kanser yang paling banyak mengorbankan nyawa kaum wanita di negara kita. Statistik terkini mencatatkan 1 daripada 19 orang wanita menghidap kanser payudara di Malaysia. Pencegahan awal melalui pemeriksaan Mamogram sangat berkesan dan perlu disediakan kepada kaum wanita terutamanya kaum wanita kepada yang mempunyai risiko terhadap penyakit ini. Tinjauan kesihatan dan YPDK Nasional 2019 menunjukan kira-kira 75 peratus wanita berusia 40 tahun ke atas di Malaysia ini tidak pernah menjalani pemeriksaan Mamogram sekali gus memperlihatkan tahap kesedaran yang masih rendah. Negeri Terengganu, pusat-pusat perubatan yang menyediakan pemeriksaan mamogram ini terletak di pusat bandar dan keadaan ini menyukarkan golongan wanita yang tinggal di pedalaman atau luar bandar untuk membuat pemeriksaan. Pelaksanaan sebelum ini, selepas mereka membuat saringan kelayakan mereka yang terpilih akan ke hospital di sekitar bandar Kuala Terengganu untuk membuat pemeriksaan Mamogram. Ianya menyulitkan sebenarnya bagi wanita-wanita yang berada di luar bandar dan juga pedalaman serta jauh dari bandar Kuala Terengganu, masalah pengangkutan, masalah jarak yang jauh, kos perjalanan yang besar menyebabkan wanita ini tidak bersungguh dan menangguh untuk membuat pemeriksaan Mamogram. Justeru itu, saya ingin mencadangkan agar diluaskan lagi kaedah pemeriksaan Mamogram ini di kawasan luar bandar atau pedalaman dengan mengadakan kerjasama dengan pihak hospital yang mempunyai peralatan pemeriksaan Mamogram ini secara mobile ataupun secara bergerak kepada wanita-wanita ini. Dengan kata lain wanita luar bandar tidak perlu lagi hadir atau membuat pemeriksaan Mamogram di bandar Kuala Terengganu apabila adanya kaedah mobile ini. Semoga usaha secara menyeluruh ini diharapkan mampu mengurangkan statistik pesakit kanser payudara di negara kita dan Negeri Terengganu khususnya.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekelian, pada kesempatan ini saya mengajak ahli Dewan untuk memberikan perhatian serius kepada satu lagi isu kesihatan iaitu penyakit menular seksual ataupun Sexually Transmitted Diseases (STD) dengan izin, seperti Gonorea dalam kalangan anak muda termasuklah melibatkan pelajar-pelajar IPT di Negeri Terengganu. Gonorea adalah salah satu penyakit kelamin yang dibawa oleh bakteria yang boleh menjangkiti lelaki dan wanita semasa melakukan hubungan seksual. Berdasarkan hasil dapatan data statistik yang saya perolehi daripada Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), anak muda lelaki lebih ramai dijangkiti penyakit kelamin ini berbanding wanita dan umur yang paling tinggi di antara umur 18 hingga 24 tahun. Saya cukup berterima kasih kepada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) yang sentiasa menjalankan aktiviti-aktiviti kesedaran berkaitan penyakit-penyakit kelamin kepada masyarakat, termasuk juga kepada guru-guru dan pelajar-pelajar sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi. Antara program yang pernah dijalankan adalah yang pertama memberi kesedaran sentuhan selamat di kalangan remaja sekolah rendah dan yang kedua program kesedaran HIV dan program kesedaran tentang penyakit kelamin di kalangan pelajar sekolah menengah dan program kesedaran penyakit HIV dan penyakit kelamin untuk pelajar Institut Pengajian Tinggi, jabatan-jabatan kerajaan, badan-badan berkanun, pemimpin-pemimpin masyarakat dan juga NGO.
Walau bagaimanapun, antara isu dan kekangan yang sering dihadapi oleh pihak kesihatan ialah kanak-kanak di bawah umur 18 tahun tidak boleh membuat saringan penyakit ini tanpa kebenaran ibu bapa. Bagi kanak-kanak pula, seringkali tidak mendapat kerjasama ibu bapa ataupun penjaga untuk membenarkan anak mereka disaring. Ini menyukarkan pihak berwajib memantau kes ini. Oleh itu, saya ingin mencadangkan beberapa tindakan yang boleh diambil oleh Kerajaan Negeri Terengganu bagi menangani permasalahan ini iaitu yang pertama, kita libatkan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) sebagai jabatan penggerak dari sudut penerapan nilai agama kepada remaja seawal sekolah rendah ataupun sekolah menengah. Yang kedua, kerjasama dan penglibatan Unit Sukarelawan Kesihatan, ataupun main champion dan Program Kesihatan Remaja dalam memberikan kesedaran kepada masyarakat. Kerjasama dan penglibatan agensi-agensi berkaitan di Negeri Terengganu seperti Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) dan juga Jabatan Penerangan untuk membantu menyebarkan info-info kesihatan berkaitan kesihatan seksual ini melalui media massa seperti Facebook, TikTok, Instagram atau di mana capaian kepada remaja dan lebih tinggi dan lebih
berkesan. Dan yang paling penting, kempen kesedaran perlu dilaksanakan di peringkat komuniti untuk mempromosikan ujian, saringan dan pencegahan terhadap penyakit kelamin ini.
Di sini saya juga, ingin mengusulkan agar pendidikan formal kita pada hari ini turut menekankan tentang penyakit-penyakit ini bermula dari peringkat sekolah rendah lagi. Program peringkat formal dapat disusun untuk mencakup aspek-aspek penting seperti kesihatan seksual dan hubungan interpersonal. Selain itu, fungsi agensi kesihatan penting untuk memantau dan menyiasat penyebaran penyakit yang lebih efektif dan lebih berkesan.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat, merujuk kepada fokus yang ketiga iaitu menyejahterakan kehidupan rakyat. Saya tertarik juga dengan satu cadangan untuk menggalakkan sesi pembelajaran dan pengajaran yang lebih interaktif serta menambah minat kepada sains dan teknologi. Kesejahteraan kewangan adalah satu istilah
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, mintak celah sikit. Boleh eh?
Boleh Ladang?
[ketawa]
Okey Ladang dok bagi, jangan.
Kesejahteraan kewangan…
[ketawa]
Jangan ganggu tengah semangat. [ketawa]
adalah satu istilah yang memberikan gambaran kepuasan seseorang terhadap kedudukan kewangan peribadinya. Memandangkan negara kita menuju kepada negara menua pada tahun 2030, dijangka 15% penduduknya akan berumur 60
tahun ke atas. Ia selari dengan realiti Malaysia memasuki kategori negara yang masyarakat semakin tua iaitu warga emas melebihi 7% yang mana keadaan ini akan mengganggu produktiviti ekonomi negara. Keadaan ini mencerminkan bahawa wanita pada hari ini mengharungi kehidupan semakin mencabar apatah lagi apabila ada sebahagian mereka bertindak sebagai ketua keluarga.
Justeru itu, saya berpesan kepada diri saya dan semua wanita perlu bersedia sepanjang masa tanpa mengira penat dan lelah untuk mencari sesuap nasi kerana hari ini banyaknya berlaku kes keganasan rumah tangga, pengabaian nafkah, suami-suami mengambil kesempatan atas kebaikan isteri. Seandainya mereka ditinggalkan, gantung tidak bertali mahupun diceraikan, maka wanita-wanita tersebut perlu mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk menyara keluarganya sendiri. Maka dengan itu, penyediaan simpanan yang kukuh dan selamat sangat menuntut wanita untuk lebih bersedia menghadapi apa jua keadaan yang tidak dijangka pada masa datang. Dan, usia persaraan dan simpanan pada hari ini sangat mempengaruhi kehidupan wanita untuk berhadapan dengan cabaran mendatang.
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memberi amaran kepada pencarum mereka bahawa mereka mesti mempunyai simpanan minimum RM228,000.00 menjelang umur 55 tahun untuk mendapatkan pengeluaran secara bulanan sebanyak RM950.00 bagi memenuhi keperluan asas mereka selama 20 tahun berdasarkan jangkaan purata hayat seorang pesara. Tapi, hari ini menunjukkan bahawa hanya 80% daripada pencarum mempunyai sasaran simpanan minimum RM228,000.00 ini dari akaun mereka pada usia 55 tahun.
Dato’ Yang di-Pertua, saya juga sangat menyokong ucapan Bajet berkenaan institusi keluarga mesti terus diperkukuh kerana nadi kesejahteraan masyarakat dengan kadar penceraian yang semakin menggusarkan satu usaha proaktif perlu dibuat untuk mengukuhkan lagi institusi kekeluargaan dan juga saya ingin memfokuskan secara serius kepada isu pendidikan awal kanak-kanak yang berumur 0-4 tahun. Di usia inilah, fasa pertumbuhan komunikasi yang paling pesat. Antara inisiatif yang perlu dicadangkan ialah program libat sama komuniti iaitu mewujudkan aktiviti playgroup dengan izin, yang melibatkan ibubapa, anak-anak dan komuniti setempat. Aktiviti melibatkan aktiviti pembelajaran, bengkel komunikasi serta aktiviti membaca bersama. Di samping itu juga, mewujudkan persekitaran pembelajaran yang merangsang kreativiti dan imaginasi anak-anak. Pusat Khidmat Masyarakat di setiap DUN boleh
menjadi pelaras utama inisiatif ini bersama dengan agensi-agensi yang berkaitan. Selain itu, hasrat Kerajaan untuk menjadikan masjid sebagai pusat umum dan aktiviti kemasyarakatan, masjid ini boleh dijadikan sebagai one stop center dengan izin, untuk merealisasikan aktiviti playgroup yang melibatkan ibubapa dan komuniti. Dalam masa yang sama ini juga dengan masa yang berbaki ini, saya nak sebut sikit satu perkara saya menyokong penuh hasrat Kerajaan untuk menjadikan yang saya sebut tadilah, Terengganu… sekejap ni… saya nak sebut berkaitan soalan saya tadi.
Relaks.. Relaks.. Takpe kita tambah lagi masa.
Terima kasih.
[ketawa]
Saya bersetuju Kerajaan untuk menubuhkan Program Terengganu Sejahtera dan Brilliant Kids di semua taska dan YPKT, dan menganjurkan Festival Sains Teknologi Dan Inovasi. Cuma saya mencadangkan, kedua-dua program ini yang wajar dan sangat sesuai dianjurkan bersama dengan Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT). Sebagai rakyat Terengganu, sebenarnya saya cukup berbangga dengan kewujudan PSKT ini yang telah memberi impak yang banyak kepada kualiti pembelajaran sains teknologi, kejuruteraan dan matematik atau STEM terutamanya pembelajaran di luar bilik darjah. Pendekatan ini telah membuka mata masyarakat tentang kepentingan pembelajaran STEM dan juga TVET ini. Ucapan tahniah dan syabas kepada semua jabatan dan agensi dalam menggembleng usaha ke arah kecemerlangan pendidikan Negeri Terengganu. Suka saya membuktikan bahawa peranan Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) bukanlah hanya sekadar memenuhi kriteria hak pelancongan malah ianya satu wadah aktiviti keluarga dan masyarakat untuk menimba ilmu secara santai. Dan, keberkesanan PSKT ini boleh diukur berdasarkan peningkatan pengunjung yang sentiasa mencatatkan pola menaik dan insya-Allah kita optimis untuk mencapai sasaran seramai 150 ribu orang pengunjung menjelang akhir tahun ini.
Dan yang terakhir, Dato’ Yang di-Pertua, saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak Kerajaan yang terus berusaha untuk memberi pelbagai inisiatif kebajikan kepada rakyat walaupun kita berdepan dengan tekanan dan kekangan. Program-program yang diteruskan seperti Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang, Walimatul Urus Perdana, Tabung Darul Iman diteruskan pada tahun ini, tahun hadapan dan pastinya rakyat mengukir senyuman manis sebaik mendengar Pembentangan Belanjawan ini dan untuk memperkasakan kebajikan rakyat, saya mencadangkan agar disegerakan menaiktaraf Tabung Darul Iman kepada Yayasan Darul Iman agar terus proaktif dalam mentadbir urus kebajikan rakyat.
Sebagai penutup, besar harapan kita sebagai rakyat Terengganu agar Belanjawan 2024 ini tidak sekadar cantik ditatap di atas kertas dan manis hanya dibibir tanpa pelaksanaan yang cekap di semua peringkat. Paling penting rakyat seluruhnya perlu bersama-sama berganding bahu dalam menterjemahkan hasrat rakyat dengan penuh iltizam. Kita saling mendoakan agar Terengganu yang kita cintai ini menjadi contoh negeri yang diredhai Tuhan dan disegani orang, adil, prihatin dan berkebajikan. Dato’ Yang di-Pertua, Wakil Ladang mohon menyokong.
Terima kasih Yang Berhormat Ladang. Seterusnya saya persila mana-mana Yang Berhormat untuk… Yang Berhormat Hulu Besut, sila.
Terima kasih Ahli Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua.
Terima kasih kepada Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan serta para pemerhati, pengamal media yang saya kasihi sekalian. Syukur kita kehadrat Allah Subhanahu Wa Taala di Dewan yang mulia pada pagi ini dapat bersama-sama dan juga saya nak ucap jutaan terima kasih kepada Dato’ Yang di-Pertua memberi peluang kepada saya untuk turut membahas Pembentangan Bajet yang telah dibentang oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang membawa
meneraju “Era Baharu Negeri Terengganu”. PRU dan PRN telah selesai dilaksanakan. Rakyat telah membuat keputusan melalui sistem demokrasi yang kita amalkan selama ini. Keputusan pun telah kita diketahui. Kerajaan yang dipanggil Kerajaan Perpaduan telah dipilih untuk memerintah negara ini. Negeri Terengganu pula rakyat telah memberi kepercayaan sokongan penuh kepada Parti PAS untuk memerintah secara mentadbir Terengganu untuk tempoh 5 tahun seterusnya. Semua pihak menerima keputusan ini. Terengganu mencatat sejarah baharu setelah PAS memenangi kesemua kerusi DUN yang dipertandingkan iaitu tiga puluh dua kosong (32-0) manakala di peringkat Parlimen, PAS juga memenangi lapan kosong (8-0). Ini adalah keputusan rakyat bukan keputusan pimpinan politik tapi satu kerusi yang semua kita tahu yang kita dapat calon iaitu Yang Amat Berhormat kita sekali lagi untuk bertanding di Parlimen Kemaman dan insya-Allah tunggu dua haribulan nanti kita akan angkat Yang Amat Berhormat Menteri Besar kita sebagai Ahli Parlimen.
Dato’ Yang di-Pertua, sebagaimana yang diungkap oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar dalam Ucapan Bajet dua hari lepas, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mestilah menunaikan tanggungjawab masing-masing selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. Kerajaan Persekutuan harus menunaikan tanggungjawabnya kepada Kerajaan Negeri melalui sistem feudalisme. Begitu jugalah Kerajaan Negeri akan menunaikan tanggungjawabnya kepada Kerajaan Persekutuan. Oleh yang demikian saya berharap Kerajaan Persekutuan akan membayar Wang Royalti kepada Kerajaan Negeri Terengganu mengikut jadual agar Pentadbiran Negeri dapat berjalan dengan lancar. Semenjak Kerajaan Perpaduan memerintah negara ini, bayaran Wang Royalti ini tidak mengikut jadual seperti yang kita sedia maklum. Situasi ini tidak berlaku sebagaimana yang sering diucapkan ketika menjadi pembangkang dahulu.
Dato’ Yang di-Pertua, jika Kerajaan Perpaduan tidak dapat menerima keputusan rakyat Negeri Terengganu yang memilih PAS menerajui Kerajaan ini maka adalah lebih baik tak payahlah nak buat sistem demokrasi. Hapuskan sistem demokrasi yang diamalkan ini. Sistem ini tidak berguna jika parti-parti tertentu tidak menerima keputusan yang telah dibuat oleh rakyat. Kalau kita nak amalkan sistem ini, semua pihak harus berlapang dada menerima sebarang keputusan pilihanraya barulah negara akan terus bergerak maju ke hadapan. Negeri Pembangkang juga harus diberi layanan yang baik sama dengan negeri-negeri yang lain. Oleh yang demikian saya mengharapkan Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan seluruh Anggota Pentadbiran Kerajaan Negeri
akan terus berusaha membawa balik Wang Royalti ini kepada Kerajaan Negeri Terengganu bukan menggunakan orang tengah seperti melalui Agensi Kerajaan Persekutuan di Negeri Terengganu. Ini adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab.
Dato Yang di-Pertua, sebagaimana yang kita tahu Terengganu sekarang adalah negeri yang paling tinggi kedatangan pelancongnya terutama pelancong domestik. Tahun 2022, Terengganu mencatat jumlah kedatangan pelancong domestik seramai 800 ribu orang. Kalau salah minta perbetulkan. Tempat yang kedua di belakang Negeri Selangor. Kita mempunyai banyak tempat-tempat yang menarik seperti Pulau Perhentian, Pulau Redang, Drawbridge dan sebagainya. Sektor ini mestilah dibuat secara bersungguh-sungguh kerana ia memberi impak yang sangat besar kepada rakyat dan Kerajaan Negeri. Oleh itu, saya mencadangkan beberapa perkara bagi meningkatkan lagi pembangunan sektor ini. Kemudahan penginapan yang bertaraf empat atau lima bintang. Penginapan yang bertaraf empat lima bintang ini perlu memberi peluang pelancong yang banyak duit untuk menginap di sini. Kita kena tarik pelancong-pelancong yang berduit ini untuk menginap di hotel-hotel yang bertaraf lima bintang. Saya sedih melihat Hotel Primula yang dulu adalah menjadi satu tempat yang penginapan yang bertaraf lima bintang ataupun empat bintang sekarang ini boleh dikatakan tiga bintang dan agak usang bila kita menginap di situ. Oleh itu, tindakan segera mesti dilakukan oleh Pihak Kerajaan untuk mengangkat Hotel Primula yang kita miliki itu.
Di Pulau Duyong suatu ketika dulu terkenal dengan Monsoon Cup. Kerajaan menghabiskan wang berjuta-juta melaksanakan projek tersebut. Setelah Monsoon Cup berlabuh tirainya maka tidak ada lagi acara sukan bertaraf antarabangsa berlangsung di situ. Saya cadangkan kepada Kerajaan Negeri untuk mengambil tindakan yang sewajarnya supaya tempat berkenaan dapat digunakan semaksima yang mungkin di musim-musim tengkujuh seperti ini. Sebagai contoh kita melaksanakan pertandingan kayak antarabangsa atau pertandingan perahu panjang antarabangsa atau pesta sukan air antarabangsa dan sebagainya yang boleh menarik minat pelancong untuk datang ke negeri kita.
Di Pulau Perhentian, Pulau Redang terkenal seantero dunia. Ramai pelancong dunia yang bertumpu ke pulau-pulau ini. Cuma kita sedih melihat jeti-jeti yang hendak pergi ke pulau. Sudah zaman berzaman terutamanya saya tengok jeti di
Pulau Redang yang digunakan oleh pelancong macam jeti nak pergi menangkap ikan sahaja. Jadi, saya mencadangkan Kerajaan Negeri ambil perhatian yang serius untuk membina jeti yang moden setaraf dengan nama Pulau Redang tersebut dengan jeti yang moden sebagaimana jeti untuk ke Pulau Langkawi agar dilihat setaraf dengan nama pulau yang dikenali di seluruh benua.
Dato’ Yang di-Pertua, saya juga ingin menyentuh di kawasan Hulu Besut di mana soalan telah diajukan terutamanya dalam tempat-tempat perkelahan seperti La Hot Spring, Lata Tembakah dan Air deru yang ada aset, itu sahaja aset yang ada di Hulu Besut dan saya mohon, besarlah harapan penduduk Hulu Besut agar tempat-tempat begini diberi perhatian yang sewajarnya oleh pihak Kerajaan kerana ia merupakan aset dan akan menambah pendapatan untuk rakyat di kawasan Hulu Besut. La Hot Spring telah beberapa kali dikunjung oleh Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Terengganu, kita mohon agar pihak Kerajaan dapat melihat kemudahan-kemudahan di La Hot Spring tersebut.
Dato’ Yang di-Pertua, masjid juga merupakan tempat yang penting dalam institusi masyarakat Islam di Negeri Terengganu. Kita mempunyai banyak masjid yang cantik dan indah, pelancong yang datang ke Terengganu sering memuji akan keindahan masjid serta banyak masjid di Negeri Terengganu. Kerajaan Negeri haruslah memberi tumpuan kepada pembangunan dan pengimarahan masjid ini, kita tidak nafikan ada masjid yang sangat baik dari segi pengimarahan, namun ada masjid yang sangat daif sama ada dari sudut pengimarahan atau kebersihan sekitar masjid. Jabatan Hal Ehwal Agama sebagai agensi yang bertanggungjawab mestilah membimbing masjid di kawasan masing-masing untuk menjadikan masjid yang baik dalam pelbagai segi. Masjid adalah merupakan satu tempat untuk umat Islam beribadat, maka kita harus sama-sama menjaga kebersihan masjid ini. Dalam hal ini saya mencadangkan pihak Kerajaan mewujudkan sistem penarafan masjid di negeri. Sistem penarafan bolehlah dikategorikan sebagai kategori A, B dan sebagainya. Sampai masa sistem ini perlu dibuat, kerana hendak melihat masjid bukan lagi tempat menunaikan solat sahaja, tetapi juga sebagai pusat perkembangan ilmu dan masyarakat, serta kegiatan komuniti yang lain. Masjid yang mencapai standard quality mestilah diberi sedikit geran tahunan untuk mereka terus bergerak ke hadapan.
Dato’ Yang di-Pertua, jika ini dapat dilaksanakan ia akan membuka mata setiap Ahli Jawatankuasa Masjid untuk sama-sama menjaga serta mengimarahkan
rumah ibadat dengan sebaik yang mungkin kerana mereka mahu masjid di kampung masing-masing dilabel dengan gred yang rendah. Di samping itu, Kerajaan juga disarankan untuk memilih lima masjid setiap daerah sebagai contoh kepada masjid-masjid yang lain. Wujudkan mentor menti bagi sama-sama kita membimbing masjid-masjid yang lain. Lima masjid yang menjadi contoh ini bertukar jika ada masjid yang lain, yang kelihatan lebih baik untuk masa-masa akan datang.
Jika sistem ini dapat dilaksanakan, saya yakin Institusi Masjid Terengganu akan menjadi contoh kepada masjid-masjid di negeri-negeri yang lain. Suka saya sebut berkaitan dengan masjid di Kampung Tasek di Hulu Besut yang mana sebelum ini pernah diluluskan oleh Kerajaan Pusat pada tahun 2022 pembinaan masjid, maka saya mohon pihak Kerajaan melihat semula kelulusan tersebut sekiranya ada bolehlah kita, untuk kita proses pelaksanaan.
Dato’ Yang di-Pertua, belia adalah merupakan aset bagi utama negeri, belia lah yang mempunyai, yang akan menentukan masa depan negeri ataupun negara kita. Mereka haruslah dipersiapkan dengan pelbagai ilmu dan pengalaman bagi menjadi pemimpin masa hadapan. Saya ucapkan terima kasih atas keprihatinan Kerajaan Negeri yang sentiasa membantu belia melalui persatuan belia di peringkat negeri ataupun di peringkat kampung-kampung. Kita mesti menerima hakikat bahawa kepimpinan belia atau semangat berpersatuan di kalangan belia sudah semakin merosot. Persatuan belia dilihat semakin tidak diminati oleh anak-anak muda, dan belia beliawanis kita punca dan sebabnya haruslah kita mengkaji secara ilmiahnya. Bagi membentuk belia generasi Terengganu yang berketerampilan, saya mencadangkan Kerajaan Negeri mewujudkan institusi kepimpinan belia Terengganu, ia bukan baru, tetapi segala kemudahan belia ada seperti di ITC dan sebagainya. Bentuk satu model khas pembangunan Belia Terengganu, model ini nanti akan digunakan untuk membentuk generasi belia Negeri Terengganu. Model bolehlah diambil dari Program Kepimpinan Perdana yang telah dibuat semasa era Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa menjadi Menteri Belia dan Sukan sekitar tahun 90 an.
Minta mencelah sikit Yang Berhormat, jiran tapi ada sedikit persoalan. Akhir-akhir ini Yang Berhormat setuju tak, saya melihat ramai belia-belia ini terdiri daripada anak-anak kampung, tapi kita sudah jarang kelihatan belia-belia yang diceburi oleh contohnya para guru yang habis belajar jadi guru mengajar, kakitangan
kerajaan, kalau dulu pegawai-pegawai di pejabat daerah pun ada terlibat dengan aktiviti persatuan belia. Hari ini kita sudah jarang kelihatan perkara-perkara yang macam itu menyebabkan kita tengok belia semakin malap hanya yang ada belia-belia di kampung-kampung sahaja. Terima kasih.
Saya setuju dengan Permaisuri, itulah yang saya cadangkan tadi untuk melihat, Kerajaan melihat agar dapat dibangunkan semula institusi belia supaya boleh bergerak maju ke hadapan. Kerajaan Negeri melalui Belia, EXCO Belia dan Sukan, Unit Belia Sukan dan NGO, Jabatan Belia dan Sukan bersama-sama Jabatan Pertanian harus digemblengkan bagi membawa belia ataupun beliawanis menerjah dalam bidang pertanian. Tenaga muda ini amat diperlukan untuk membangun sektor pertanian kerana pada masa ini 75% petani, penternak dan nelayan adalah generasi lama. Jika ini berjaya mungkin Terengganu antara negeri pembekal makanan utama negara pada masa hadapan, masa ini menjadikan ianya satu realiti bukan lagi masa untuk beritorik.
Dato’ Yang di-Pertua, sebelum saya mengakhiri ucapan saya, di Hulu Besut terdapat perumahan yang sedang dalam pembinaan iaitu Taman Perumahan Penggiran Pasir Akar yang mana proses kemajuan kerja amatlah sangat perlahan. Oleh yang demikian, saya mohon pihak yang berkenaan sewajarnya memantau kemajuan kerja ini supaya projek ini tidak dilihat terbengkalai ataupun mungkin akan terbengkalai. Ianya adalah satu kerugian bagi rakyat di DUN Hulu besut sekiranya projek ini terbengkalai di tengah jalan kerana rakyat di DUN Hulu Besut amat memerlukan satu kawasan perumahan yang bersistem.
Di DUN Hulu Besut juga saya ingin menyampaikan hasrat dan tidak akan putus-putus untuk memohon dengan Kerajaan terutamanya dari segi pembinaan jalan Keruak ke Kelantan, kerana ini akan memacu sistem ekonomi rakyat di DUN Hulu Besut. Saya tidak akan berhenti bagi mewakili rakyat di DUN HUlu Besut akan terus bersuara dan merayu kepada pihak Kerajaan sehingga projek ini dapat dilaksanakan. Sekian, saya mohon menyokong. Terima kasih.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Hulu Besut. Sila Yang Berhormat, mana-mana Yang Berhormat, sila Yang Berhormat Pengkalan Berangan.
dan tidak satu pun makhluk yang bergerak, yakni yang bernyawa di bumi, melainkan semuanya dijamin Allah rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat penyimpanannya. Semua tertulis dalam kitab yang nyata yakni Lauh Mahfuz’.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua yang dikasihi.
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Yang Berhormat- Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, rakan-rakan, ahli-ahli Yang Berhormat, ketua-ketua jabatan, pengarah-pengarah agensi, pemerhati dan petugas media yang dihormati sekalian,
Pengkalan Berangan panjatkan kesyukuran dan ucapan setinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar yang telah berjaya membentangkan satu belanjawan yang sangat unik dan luar biasa dari kebiasaan yang telah dilakukan sebelum ini. Belanjawan yang hanya menyatakan rangka kerja dan objektif pencapaian tanpa meletakkan angka yang hendak dicapai, adalah pertama dan julung-julung kali dibuat. Menepati kehendak peraturan dan tata urus tadbir berhadapan dengan Pilihan Raya Kecil Kemaman yang dipaksakan kepada rakyat Kemaman dek dendam dan keangkuhan musuh politik yang bakal berlangsung pada 2 Disember 2023. Tahniah, Pengkalan Berangan ucapkan kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar kerana telah dipilih untuk bertanding bagi mewakili Parti Islam SeMalaysia (PAS) mempertahankan Parlimen Kemaman. Walau berat hati seluruh warga Marang untuk melepaskan yang di-Pertua PAS kawasan Marang, namun kita akur dengan agenda besar parti dan seluruh rakyat agar perubahan besar bakal berlaku di Parlimen Malaysia nanti. Naratif rasuah yang telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri dalam kes petisyen Kemaman hanya dilihat menjadi rasuah apabila dilakukan oleh
Kerajaan Negeri Terengganu. Dalam mana kerajaan masih wujud dan masih ada kuatkuasa dan mempunyai kedudukan sah di sisi undang-undang untuk melaksanakan agenda kebajikan kepada rakyat. Namun ianya tidak sebegitu, apabila dilakukan oleh Kerajaan Pusat dengan penyalahgunaan yang berleluasa oleh agensi-agensi seperti Felda, Jabatan Pelajaran, Pendidikan dan lain-lain agensi yang dilihat dengan rancaknya melakukan pengagihan barangan kepada pengundi di banyak tempat di PRK Kemaman yang sedang berlangsung sekarang ini. Alangkah ajaib dan hairannya kelakuan mereka yang sudah memang sinonim dengan agenda sumbang dan perbuatan ini. Di manakah tata kelola yang dibanggakan menjadi teras kepada pentadbiran Kerajaan Madani yang digembar gemburkan? Apakah ianya satu retorik yang tidak bermaruah yang cuba menyembunyikan hakikat sebenar Kerajaan Madani yang sedang mengurus dan mentadbir negara yang kita cintai ini. Semoga Allah menjauhkan kita dari kepemimpinan khianat dan tidak beramanah seperti ini.
dan apabila pandangan mereka dialihkan ke arah penghuni neraka, mereka berkata Ya Tuhan kami janganlah Engkau tempatkan kami bersama-sama dengan orang yang zalim itu’
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, belanjawan yang dibuat penuh hemah dan bijaksana bagi memastikan kelestarian Negeri Terengganu mendepani tamadun dunia alaf baharu dapat direalisasikan dengan penuh adil dan saksama serta tanggungjawab dan beramanah oleh semua lapisan pentadbiran dan pengurusan sehingga rakyat bawahan yang semestinya akan mendapat labur dan manfaat yang sebaiknya supaya kita tidak akan dipertanggungjawabkan di hadapan Tuhan Rabbul Jalil di atas setiap hak yang ditaklifkan kepada kita. Allah berfirman di dalam Al-Quran Nul Karim.
“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim, maka kalau kamu berlaku demikian, api neraka akan membakar kamu sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain daripada Allah, kemudian dengan sebab kecenderungan kamu itu, kamu tidak akan mendapat pertolongan”
Dengan tema Meneraju Era Baharu Terengganu, Pengkalan Berangan berharap agar Belanjawan yang dibentangkan mampu untuk mencetuskan kehidupan yang lebih Maju, Berkat, Sejahtera. Mendepani kemelut ekonomi dunia yang semakin gawat dan tidak keruan.
Di bawah kaki ada rumput, Lumpur menempel pasti terbaut, Rezeki halal mesti dijemput, Dengan ikhtiar serta taqwa.
Kebun mangga banyak sukunya Pasal baju banyak batiknya Bekerjalah setekun-tekunnya Berdoalah sebaik-baiknya.
Pengkalan Berangan mengambil kesempatan di peluang yang sangat bermakna ini untuk mengajak semua kita kepimpinan yang telah dilantik oleh rakyat untuk sentiasa bersama dengan kerajaan majoriti pilihan rakyat Terengganu untuk senantiasa teguh pertahan, bekerja kerana Allah bagi memastikan ekonomi negeri dan kesejahteraan serta kebajikan rakyat dipacu dan dibela dalam memastikan tahap kehidupan rakyat dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Kita tidak sepatutnya menggunakan peluang dan keyakinan yang telah diberi oleh rakyat hanya untuk menjadi pemerhati kepada kesusahan dan kepayahan rakyat sehingga mereka menderita dan merana. Nabi mengungkapkan:
“Tujuh kumpulan manusia yang dinaungi oleh Allah pada hari yang tiada tempat bernaung, yakni hari kiamat melainkan naunganNya, pertamanya ialah pemimpin atau raja yang adil”. (Al Imamul Abid)
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, dalam merangka perjalanan kehidupan rakyat meneraju Era Baharu Terengganu, kerajaan perlu untuk lebih prihatin dan mengambil kira perkembangan semasa teknologi yang sedang dibina IoT, ataupun Internet of Things dengan izin, adalah elemen penting dalam pembinaan negara baharu yang perlu diberi perhatian. Melestarikan kehidupan masyarakat dengan peradaban baharu ini adalah sangat perlu agar kita tidak
tertinggal dan ditinggalkan. Banyak urusan kehidupan hari ini telah diambil alih oleh mesin dan robot. Pengkalan Berangan suka mencadangkan agar Pusat Latihan Kemahiran dan teknologi seperti Terengganu Skills ataupun TESDEC dan lain-lain pusat latihan milik Kerajaan Negeri dipertingkatkan agar mampu untuk memberi saham dalam pembangunan Negeri ke arah peradaban teknologi yang sangat pesat ini. Kursus yang berkaitan dengan teknologi terutamanya renewable energy dan nadir bumi yang sedang diusahakan perlu diwujudkan dan perlu ditambah kepakaran yang ada. Rakyat perlu mendapat sebaik ilmu dan kepakaran dalam bidang berkaitan bagi memastikan kepakaran itu juga dibangunkan bersama dalam kita mengusahakan sumber yang ada.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Negeri kita mempunyai simpanan nadir bumi yang banyak dan berkualiti tinggi. Oleh itu adalah menjadi kewajaran bagi kerajaan untuk memastikan kita juga mampu untuk menerajui teknologi ini dari hanya membiarkan hasil mahsul negeri yang sangat berharga ini dijarah dan dijajah serta diangkut keluar oleh negara luar sebagaimana pengalaman kita pernah dijajah oleh bangsa asing sebelum daripada ini yang telah mereka yang menjajah telah mengangkut hasil mahsul kekayaan negara kita ke negara mereka sehingga membiarkan kita dalam kerugian yang tidak sedikit.
Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya dan menyempitkan rezeki baginya.
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
Justeru itu, Pengkalan Berangan berharap agar Pihak Kerajaan mengambil kira perhitungan agar industri berkaitan dengan penghasilan nadir bumi ini dapat dilaksanakan dalam negeri kita bagi memastikan kita mendapat hasil dan manfaat yang optimum dari rezeki kurniaan Allah yang tidak terkira ini.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Kerajaan Negeri masih lagi sangat bergantung kepada pendapatan dari terimaan bukan hasil yang merupakan Dana Khas Persekutuan dari bayaran hasil Petroleum yang masih dipolitikkan dan dipolemikkan keabsahan hak. Kepada rakyat dan Negeri Terengganu kita hanya menjangkakan sejumlah RM249.07 juta sahaja hasil dari keupayaan penjanaan dalam negeri yang mampu dicapai oleh kerajaan berbanding keseluruhan hasil RM1.860 bilion yang dianggarkan iaitu hanya 13.4% sahaja. Pengkalan Berangan berharap agar dengan kewujudan portfolio hasil baharu
Negeri Terengganu, kita mampu untuk meningkatkan lagi sumber pendapatan ekonomi negeri sehingga tidak perlu untuk bergantung secara tuntas dengan hasil Petroleum yang menjadi hak yang dipersetujui secara pelembagaannya adalah milik kerajaan dan rakyat Negeri Terengganu yang saban waktu dan ketika perlu ditagih dan dirayu untuk mendapatkannya. Betapa jijik dan tidak berakhlaknya mereka yang menguruskan khazanah hasil bumi yang telah bertahun disalurkan kepada Kerajaan Negeri sehingga sebegitu sekali dendam politik, mereka cuba menghalang dan menyekat apa yang telah disepakati dan dipersetujui. Akta 144 Kemajuan Petroleum 1974 dengan jelas melalui para empat memperuntukkan apa-apa bayaran, pembayaran kepada mana-mana Kerajaan Negeri yang berkaitan hendaklah dibayar secara tunai oleh Petronas. Rasulullah menjelaskan empat ciri-ciri orang munafik yang dalam sabdanya daripada Abdullah bin 'Amr R.A yang mengutip sabda Rasulullah
"Ada empat tanda, jika seseorang memiliki empat tanda ini, maka ia disebut munafik tulen. Jika ia memiliki salah satu tanda, maka dalam dirinya ada tanda kemunafikan sampai ia meninggalkan perilaku tersebut, yaitu: jika diberi amanah dia, khianat; jika berbicara, ia dusta; jika membuat perjanjian, tidak dipenuhi; jika berselisih, dia akan berlaku zalim.
(Hadis muttafaqun alaih)
Yang Berhormat Dato Yang di-Pertua, lampu jalan di laluan utama Jambu Bongkok Rantau Abang, mohon untuk diberi perhatian serius. Isu ini dah berlarutan agak lama. Seingat Pengkalan Berangan daripada penggal lepas lagi, bahkan sebelum daripada itu. Apa isunya? Isunya lampu jalan tidak menyala dan bercahaya. Jadi Pengkalan Berangan mohon supaya lampu jalan yang sedia ada terpasang itu menyala dan bercahaya. Bukan Pengkalan Berangan sahaja mohon supaya bercahaya, saya cukup yakin Paka, Rantau Abang, Sura dan semua mohon supaya lampu tersebut menyala dan bercahaya. Bila dimohon supaya menyala dan bercahaya, timbul persoalan. Jika bercakap dengan laras bahasa pejabat, akan timbul tanggungjawab siapa? Negeri atau Federal? Tapi Pengkalan Berangan lebih memilih laras bahasa rakyat. Lampu yang dipasang hendaklah menyala dan bercahaya. Ada lampu yang tidak menyala dan
bercahaya, orang panggil zalim, kan? Mohon Paka komen sedikit lepas daripada ini.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,
Takdok kaitan dengan pendidikan tu…
Laluan utama Paka. CBT ataupun Community Based Tourism adalah program quick wins ataupun low hanging fruit dengan izin, yang perlu diberi perhatian. Mohon kerajaan untuk menyokongi perjalanan CBT di seluruh negeri dan di Pengkalan Berangan ada beberapa CBT yang berdaya maju seperti Merchang Lestari, Hiking Lubuk Batu, Kampung Tradisi Jenang dan lain-lain agar terus dapat berkarya di pentas pelancongan negeri.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, akhirnya, mewakili Warga Pengkalan Berangan merakamkan ucapan terima kepada Kerajaan Negeri di bawah portfolio Yang Berhormat Paka, puji tu, telah memulakan Sekolah Menengah IMTIAZ Yayasan Terengganu Marang dan dalam masa yang sama mengharapkan proses pembinaan ini berjalan mengikut perancangan bagi memastikan agenda pembangunan insan dan pendidikan dapat digerakkan secara bersepadu dan berdaya saing.
Gunung Tahan sama didaki, Sungai Marang sama di renang, Jikalau semua bersatu hati, Kerja susah menjadi senang
Pengkalan Berangan mohon menyokong Belanjawan 2024. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Pengkalan Berangan. Sila Yang Berhormat Bukit Tunggal.
Terima kasih kepada Dato’ Yang di-Pertua. Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar, Yang Berhormat Barisan EXCO, rakan-rakan Ahli Yang Berhormat, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kerajaan, para pemerhati dan rakan media yang dikasihi sekalian,
Alhamdulillah. Kita bersyukur kepada Allah Subhanahu Wa Taala dan terima kasih Bukit Tunggal ucapkan kepada Yang Berhormat Dato Yang di-Pertua di atas kesempatan yang diberikan kepada Bukit Tunggal untuk sama-sama mengambil bahagian di dalam perbahasan Enakmen Perbekalan 2024 yang akan dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar pada hari Isnin lalu. Bukit tunggal mengucapkan tahniah dan syabas kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Terengganu yang telah berjaya membentangkan Enakmen Perbekalan 2024 yang merangkumi seluruh sentimen masyarakat di dalam negeri ini disebalik kekangan kewangan yang dialami oleh Kerajaan Negeri akibat daripada tindakan pihak-pihak tertentu yang masih tidak berpuas hati dengan pilihan rakyat Terengganu pada PRUN yang lalu.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, berdasarkan kepada Belanjawan 2024 yang telah dibentangkan adalah didapati anggaran hasil daripada cukai hanyalah berjumlah RM80,056,566.00 iaitu hanya 4.3% dari keseluruhan anggaran hasil Negeri Terengganu bagi tahun 2024 dan dari jumlah tersebut, anggaran hasil cukai langsung adalah sebanyak RM76,127,526.00 dan daripada anggaran hasil cukai langsung tersebut juga, cukai tanah semasa menyumbang sebanyak RM35,476,521.00 iaitu 46.5% daripada anggaran cukai langsung bagi tahun 2024. Tunggakan cukai tanah pula dijangka akan menyumbang sebanyak RM1,117,686.00 iaitu 1.46% dari keseluruhan anggaran hasil cukai langsung.
Dato’ Yang di-Pertua, melihat kepada anggaran hasil cukai langsung di atas, cukai tanah menyumbang hampir separuh daripada anggaran cukai langsung bagi tahun 2024. Kadar cukai tanah di Negeri Terengganu yang telah lebih 35 tahun tidak disemak sebagaimana yang disebut di dalam ucapan Belanjawan adalah merupakan antara kadar cukai tanah yang terendah di Malaysia kalau
tidak di dunia. Sekiranya kadar cukai ini dinaikkan, contoh kepada 50% daripada kadar sedia ada, ianya akan menyumbangkan tambahan kepada hasil cukai langsung sebanyak RM17,738,260.00 menjadikan hasil cukai langsung dan kutipan cukai tanah adalah sebanyak RM53,214,781.00. Satu perkara yang harus diingat dan diberikan perhatian apabila kita mencadangkan kenaikan sebanyak 50% ianya hanya melibatkan pertambahan, sebagai contoh dari cukai tanah sedia ada yang sekarang ini bernilai RM10.00 satu lot, satu tahun, kepada RM15.00. Pertambahan RM5.00 sahaja bagi satu tahun untuk satu lot. Contoh untuk lot yang kecil. Sebagai perbandingan kadar cukai tanah di Negeri Pahang, di Pahang bagi tanah syarat pertanian berkeluasan dua ekar, cukai setahun ialah RM18.00 manakala bagi Terengganu dengan keluasan yang sama dengan syarat pertanian, cukai tanah kita adalah RM9.00. Sekali ganda Dato’ Yang di-Pertua. Jadi boleh kita fikirkan.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar juga di dalam ucapan semasa membentangkan Belanjawan ada menyebutkan berkenaan pindaan kadar dan pengenalan baharu bayaran pejabat yang akan dikuatkuasakan berperingkat secara berperingkat bermula awal tahun hadapan. Bukit Tunggal menyokong penuh langkah yang telah dan akan diambil oleh pihak Kerajaan melalui Pejabat Tanah dan Galian Negeri. Sebagai contoh, harga bagi satu Carian Rasmi, Carian Rasmi bagi tanah kalau ada nak buat urusan, dia akan beli Carian Rasmi di Pejabat Tanah ataupun di pejabat PTG. Satu carian, satu salinan bagi Negeri Terengganu sekarang hanyalah RM10.00, RM20.00 Carian Rasmi dan bagi Carian Persendirian yang tidak memerlukan sign daripada Pentadbir Tanah hanyalah RM10.00. Kita bawa RM10.00 dok tahu nok beli apa kedda Dato’ Yang di-Pertua sekarang ini. Jadi sebagai perbandingan juga saya bawa di Pahang juga Carian Rasmi adalah RM100.00 satu salinan. Ianya akan meningkatkan hasil Kerajaan Negeri. Insya-Allah. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, mungkin apa yang kita sebut ini yang Bukit Tunggal sebut ini ada orang yang boleh terima atau ada yang tidak boleh terima. Tapi ini kenyataan yang harus kita hadapi. Bayaran-bayaran kita, cukai-cukai kita adalah yang paling murah dalam dunia. Kita boleh semak.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, sebagai rakyat Terengganu kita mengucapkan syukur kepada Allah Subhanahu Wa Taala dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana telah mengecualikan Cukai Taksiran Bangunan Kediaman bermula daripada tahun 2018, bermula pada tahun 1999 lagi sebenarnya sehingga sekarang dengan kita tidak menafikan kebaikan langkah
tersebut kepada seluruh lapisan masyarakat. Tetapi harus diingat di sana terdapat beban yang besar yang terpaksa ditanggung oleh Kerajaan bagi memenuhi lompong yang perlu dipenuhi kepada setiap Pihak Berkuasa Tempatan. Walaupun rakyat dikecualikan Cukai Taksiran Bangunan Kediaman, tetapi kutipan jumlah kutipan yang sepatutnya terima masih diterima oleh Pihak Berkuasa Tempatan melalui Belanjawan Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri kena top up dengan izin kepada setiap Pihak Berkuasa Tempatan yang berjumlah sebagaimana jawapan Ahli Yang Berhormat EXCO tadi sebanyak RM82,545,948.26. Bermula dari tahun 2018 sehingga tahun 2023. Ia merupakan satu angka, nilai yang sangat besar kepada kita ditambah lagi dengan kekangan kewangan Kerajaan Negeri sekarang ini. Bukit tunggal ingin mencadangkan agar Cukai Taksiran Bangunan Kediaman secara bersasar dapat dipertimbangkan untuk Kerajaan Negeri membuat kajian. Kemungkinan kita berpendapat, Bukit Tunggal berpendapat bagi bangunan yang bernilai RM500,000.00 ke atas boleh dikenakan Cukai Taksiran Bangunan Kediaman. Walau apapun langkah pelaksanaan untuk menambahkan pendapatan Negeri ianya mestilah nanti tidak membebankan rakyat dan adil kepada semua pihak. Begitu juga dengan Kadar Taksiran bagi Bangunan Perniagaan dan Industri. Ianya perlu dibuat kajian semula bagi melihat adakah masih relevan kadar tersebut berbanding dengan keuntungan yang diperolehi oleh entiti perniagaan dan industri berkenaan.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, DUN Bukit Tunggal telah berkembang dari satu kawasan pinggir bandar menjadi satu kawasan penempatan golongan pekerja di Bandar Kuala Terengganu menjadikan Bukit Tunggal sebagai tempat kediaman sama ada mereka menyewa ataupun membina rumah sendiri. Keadaan ini telah menyebabkan berlakunya pertambahan penduduk secara berterusan dan ini akan mengakibatkan bertambahnya beban dari segi untuk memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada seluruh penduduk. Bukit Tunggal ingin mengucapkan terima kasih kepada usaha-usaha pihak Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat yang telah bersama-sama bagi memasukkan Projek Pembesaran Pusat Kesihatan Bukit Tunggal jenis kedua ke dalam RMKe-14 bagi tahun 2023, 2031 sehingga 2035.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, celah Yang Berhormat
Boleh eh Bukit Tunggal?
Okey, ye, sila
Saya angkat doh ni. Ladang ye wat gining
Sila, Yang Berhormat Paka.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, cadangan daripada Yang Berhormat Bukit Tunggal itu, baguslah, Dato’ PKN setuju sangat-sangat doh, tapi itu pandangan Yang Berhormat Bukit Tunggal ke rakyat-rakyat di Bukit Tunggal? takut lepas pada ini dia pakat gi rumah Yang Berhormat jer.
Terima kasih, Bukit Tunggal jarang ada hok rumah RM500,000.00 ke atas, rumah RM500,000.00 ke bawah belaka.
khususnya cukai tanah tu ork,
cukai tanah tidak banyak, sikit je insya-Allah kita boleh bagi penerangan sebab sekarang ini suasana sudah berubah, pendekatan kita kena berubah, bak kata orang Bukit Tunggal desperate times meet desperate measures Yang Berhormat. Dato’ di-Pertua dengan izin,
Orang Bukit Tunggal cakap gitu ehh
kita kena berubah ikut masa, kita kena keluar, kita kena keluar kepompong keselesaan kita. Saya sambung sedikit lagi, Dato’ Yang di-Pertua…
Sila-sila…
Kat mana dah takdi, ho ni..
Tidak apa, tak apa,
Ngaca ngat ekpun
Kita bagi lima minit lagi
Insya-Allah, alhamdulilllah, terima kasih. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, kejadian banjir yang berlaku pada minggu lepas di DUN Bukit Tunggal yang telah mengakibatkan perpindahan lebih daripada 200 mangsa ke sebuah Pusat Pemindahan Sementara di Sekolah Kebangsaan Bukit Tunggal dan Bukit Tunggal mengucapkan terima kasih kepada seluruh agensi yang terlibat, disebut di sini yang terlibat dalam operasi bantuan dan pemindahan mangsa-mangsa banjir bermula Pejabat Daerah, Jabatan Kebajikan Masyarakat, PDRM, APM, RELA, pihak Sekolah Rendah Kebangsaan Bukit Tumbuh, Pusat Khidmat Masyarakat Bukit Tunggal, JPKK Bukit Tunggal dan lain-lain agensi yang terlibat dan kita sebenarnya harus bersedia bagi menghadapi gelombang banjir yang seterusnya yang dijangka akan berlaku pada bulan Disember ataupun Januari yang akan datang.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Taman Tamadun Islam (TTI), adalah merupakan satu produk pelancongan yang unik dan hanya ada di Terengganu sahaja. Kewujudan TTI telah berjaya menjadi daya tarikan pelancong untuk mengunjungi Negeri Terengganu di samping pantai-pantai dan pulau-pulau kita antara tercantik di Malaysia, namun yang begitu, monumen-monumen yang terdapat di TTI telah kelihatan sangat usang dan seolah-olah kehilangan serinya. Bukit Tunggal ingin bertanya adakah Pelan dan Tindakan Kerajaan Negeri bagi memulihkan TTI agar ianya menjadi satu produk pelancongan yang mampu menarik lebih ramai pengunjung, tambahan lagi bersempena dengan “Tahun Melawat Malaysia” dijadualkan pada tahun 2025. Pada tahun lepas Negeri Terengganu, telah berjaya menarik pelancong domestik seramai 10.23 juta orang, tahniah diucapkan kepada Kerajaan Negeri yang tanpa jemu mempromosikan keindahan Negeri Terengganu secara local dan global tetapi persoalannya sejauh manakah bilangan pelancong samada domestik ataupun dari luar negeri yang dijangka akan menggamit seramai 13.2 juta orang dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM3.8 billion dapat memberikan
pulangan hasil kepada Kerajaan Negeri di sebalik perbelanjaan yang agak besar yang dikeluarkan bagi tujuan promosi pelancongan.
Yang Berhormat Dato di-Pertua, dalam menuju “Era Baharu Terengganu” di antara tiga indentiti yang digariskan oleh yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, ialah yang pertama Kerajaan mesti menjadi sebuah kerajaan yang boleh berkesan dengan memperkemas dan meringkas bermacam-macam prosedur, you simplify the rules and you will be best, insya-Allah dengan izin Dato’ Yang di-Pertua, kita senangkan urusan rakyat, insya-Allah rakyat akan mendoakan urusan kita dan yang ketiganya ialah memperkasakan rakyat…
Yang Berhormat, Yang Berhormat Manir, bangun minta celah.
Sila-sila…
Beri laluan, Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, naik cukai, untuk beri senang rakyat, nak beri matching guaner tu Yang di-Pertua, haha…
Kebetulan bila saya kata, saya pilih nak sebut naik cukai nie ada orang maroh ke saya, naik cukai RM5.00 setahun je yang Berhormat, tambah RM5.00 tak dok benda dah leni, anak-anak sekolah tidak bawa doh RM5.00 leni, sebahagian. Terima kasih. Kita nak rakyat senang belaka. Yang ketiga dengan memperkasakan rakyat iaitu rakyat mesti bermaklumat dan mengambil bahagian dalam isu-isu dan aktiviti kemasyarakatan. Bagi mencapai matlamat ini, Bukit Tunggal mencadangkan agar unit-unit tubuh seperti Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Institut Modal Insan (IMITS), dan lain-lain unit yang berkaitan diperkasakan, demi memastikan rakyat di Negeri Terengganu di semua peringkat mendapat maklumat yang tepat dan cepat terhadap sesuatu isu. Marilah sama-sama kita berusaha untuk menjadikan Negeri Terengganu Darul Iman ini menjadi negeri di mana orang susah boleh berteduh dan orang kaya menabur bakti. Mengakhiri ucapan pembahasan ini, izinkan Bukit Tunggal untuk merakamkan serangkap gurindam dua belas Fasa 1 yang telah diterbitkan pada tahun 1847, karya Raja Ali Haji seorang ulamak sebagai panduan untuk kita semua di dalam mentadbir dan menjalankan amalan ini.
Barang siapa memegang agama, Sesekali-kali tiada boleh dihilangkan nama.
Barang siapa mengenal yang empat, Maka ia itulah orang yang ma'rifat Barang siapa mengenal Allah, Suruh dan tegahnya tiada ia menyalah.
Barang siapa mengenal diri, Maka telah mengenal akan Tuhan yang bahri.
Barang siapa mengenal dunia, Tahulah ia barang yang terperdaya.
Barang siapa mengenal akhirat, Tahulah Ia dunia mudarat.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Bukit Tunggal dengan ini memohon untuk menyokong Belanjawan 2024. Sekian,
Terima kasih pada Yang Berhormat Bukit Tunggal, seterusnya sila Yang Berhormat Langkap.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu, Yang Berhormat-hormat Ketua-ketua jabatan, para pemerhati, rakan-rakan media serta tuan-tuan, puan-puan yang dihormati sekalian. Terutamanya saya merakamkan ucapan penghargaan terima kasih kepada Dato’ Yang di-Pertua, kerana memberi peluang kepada Langkap untuk bersama untuk menyampaikan ucapan pembahasan saya dalam persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Sidang Bajet pada kali ini.
Dato’ Yang di-Pertua di kesempatan saya ingin menzahirkan sokongan yang tidak berbelah bagi dan ucapan syabas tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar terhadap Pembentangan Belanjawan yang disampaikan. Belanjawan pada kali yang menumpu kepada tiga fokus iaitu Memperkukuhkan Keberkesanan Kerajaan, Mempelbagaikan Sumber Kekayaan, serta
Menyejahterakan Kehidupan Rakyat. Pembentangan Belanjawan kali ini dilihat benar-benar sebagai satu belanjawan yang begitu lengkap dan menyeluruh dengan sepuluh strategi dan sasaran utama saya melihat pendekatan Belanjawaan kali ini sangat ke hadapan sudah cukup untuk menggambarkan bahawa Belanjawaan ini dirangka strateginya dengan penuh teliti, ibarat kata pepatah “menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak”. Begitulah saya boleh memperumpamakan sifat Belanjawan kali ini. Dengan memegang erat prinsip federalisme dan menginsafi hakikat bahawa kebajikan dan kesejahteraan rakyat menjadi matlamat utama dalam Belanjawan ini. Apa yang tidak boleh dilakukan semua, jangan ditinggalkan semua. Dalam keadaan serba kesempitan dan pelbagai cabaran itu, Belanjawan ini tetap masih masih mampu menterjemahkan iltizam tinggi dengan memperuntukkan sebanyak sejumlah RM1.860 bilion untuk pembelanjaan mengurus termasuk RM500 juta caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan. Walaupun perbentangan kali ini tidak memperincikan butiran perbelanjaan di setiap pelaksanaannya, namun perbentangan yang dibuat telah cukup untuk memberi jaminan bahawa perbelanjaan dan pengurusan Bajet ini akan dibuat dengan penuh hemat dan sebaiknya oleh pihak Kerajaan, apatah kali dengan track record bersih dan cemerlang pada pelaksanaannya pada tahun sebelum ini. Perkara ini juga merupakan satu pendekatan baru dalam belanjawan kali ini. Saya juga ingin menyatakan keterujaan saya terhadap pendekatan yang dibuat oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar kali ini, bagi menjamin proses demokrasi Pilihanraya yang bakal dihadapi oleh beliau, akan dapat berjalan dengan begitu bersih dan adil. Sudah pasti dengan strategi kali ini, seteru politik akan terdiam, terkunci mulut mereka dari dakwaan liar dan fitnah, kononnya Parti Islam Se-Malaysia (PAS) terlibat dengan rasuah, sogokan untuk menang pilihan raya.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat, saya cuba untuk bawa isu dua tiga perkara berhubung dengan permasalahan yang berlaku di daerah kawasan saya dan juga di daerah Setiu. Yang pertamanya berhubung dengan pencerobohan tanah haram. Merujuk kepada fokus kedua pembentangan Bajet kali ini, di dalam strategi Mempelbagaikan Sumber Kekayaan, suka untuk saya menarik perhatian Dewan akan satu isu yang berlaku di daerah Setiulah, isu pembangunan tanah Kerajaan yang berskala besar oleh syarikat dan agensi-agensi kerajaan yang terlibat, dan sampai sekarang walaupun penerokaan tanah tersebut bermula sekitar tahun 90-an lagi, tetapi sehingga sekarang tanah tersebut masih lagi berstatus tanah kerajaan. Saya nak ambil contoh satu
agensi kerajaan yang disebut tadi Felda Hulu Setiu di kawasan Kampung Air Sejuk yang mana penerokaan tanah ini dibuat pada 90-an, tahun 90-an, diusahakan dengan tanaman kelapa sawit dan sekarang ini dalam proses untuk tanaman semula kali pertama, maknanya hampir 30 tahun. Dan sebagaimana saya sebut tadi statusnya masih lagi tanah kerajaan. Jadi perkara ini merupakan satu kerugian yang amat besar kepada Kerajaan Negeri kerana kegagalan untuk mendapatkan hasil cukai dari perusahaan ladang dan aktiviti di tanah. Oleh yang demikian, saya mengharapkan kepada pihak Kerajaan untuk menyiasat perkara ini dan dapat mengambil pendekatan sewajarnya dalam menanganinya.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat, yang keduanya berhubung dengan isu kebocoran paip air, dan usaha menyediakan prasarana dan fasiliti yang terbaik kepada rakyat negeri ini, saya juga ingin mengutarakan isu yang berlaku sejak sekian lama di daerah Setiu. Isu kebocoran paip air adalah perkara yang berlanjutan saban masa di kebanyakan tempat di kawasan Setiu. Isu yang dapat dikenalpasti ialah kebocoran yang berlaku akibat paip-paip lama yang digunapakai. Keadaan paip-paip yang terlalu lama ini perlu ditukar kepada paip yang baru. Jadi, saya mencadangkan agar satu projek penggantian paip-paip lama ini yang dapat dibuat dengan kadar segera di daerah Setiu dalam memastikan isu kebocoran paip utama ini dapat diselesaikan. Apatah lagi permintaan…
Saya mohon…
kepada sumber air bersih…
Permaisuri minta celah tu
Bagi saya celah sikit… Isu paip air
Ya, sila
Terima kasih Langkap. Paip air di Setiu ini difahamkan berapa juta milion satu hari paip
air untuk dihantar ke Pulau Redang bawah laut. Dan isu ini saya rasa kena ada satu kaedah lain, mungkin kaedah ubahsuai air laut untuk orang Pulau Redang. Kalau paip air ini diteruskan, rasa banyak lagi pembaziran-pembaziran duit daripada Kerajaan untuk baikpulih air yang banyak digunakan oleh pengusaha-pengusaha hotel pelancongan di Pulau Redang. Setuju dok Yang Berhormat?
Terima kasih kepada Permaisuri, dan saya bersetujulah. Saya pun masuk dalam ucapan saya. Jadi, kat mana tadi deh? Apatah lagi permintaan kepada semua air bersih ini meningkat dengan pertambahan pembukaan penempatan baru di pelbagai kawasan. Jadi kesemua ini memerlukan jajaran penukaran paip air yang baru bagi menjamin isu kebocoran paip ini tidak berulang dan penyaluran bekalan air dapat berjalan dengan baik pada jangka masa yang panjang. Jadi sebagaimana disebut oleh Permaisuri tadi, saya juga ingin menarik perhatian pihak Kerajaan untuk meneliti masalah kebocoran paip air yang serius terhadap bekalan air bersih ke Pulau Redang. Jadi menurut maklumat yang diperolehi dianggarkan berlaku tiga juta liter sehari kebocoran air berlaku di dasar laut. Jadi semestinya perkara ini merupakan satu kerugian yang perlu ditanggung oleh pihak Kerajaan dan beban kerugian ini seharusnya diatasi dengan sebaiknya.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat, seterusnya berhubung dengan isu perumahan Rumah Mampu Milik (RMM). Isu perumahan merupakan satu isu asasi yang dihadapi oleh setiap penduduk dan rakyat secara umumnya. Perkembangan sektor perumahan semasa didapati telah merekodkan kenaikan harga di pasaran yang menyebabkan sebahagian golongan tertentu dalam masyarakat tidak mampu beli, terutama sekali bagi golongan belia yang baru sahaja memasuki alam pekerjaan dan menerima pendapatan yang rendah. Harga rumah yang meningkat pada kadar yang jauh melebihi pertumbuhan dalam pendapatan sebenar rakyat negara ini. Perkara ini tidak terkecuali turut berlaku di kawasan sayalah. Kawasan yang lebih kurang dengan Telemung la tu. Saya fokuskan kepada cadangan untuk membina satu perumahan, projek perumahan mampu milik untuk generasi kedua di Felda Chalok Barat, Setiu, Kawasan ini telah mengalami kepadatan penduduk yang agak ketaralah sejak kebelakangan ini, di mana kebanyakan generasi kedua yang berkeluarga masih menumpang di rumah orang tua mereka. Dan ada generasi kedua ini bina rumah di dalam kawasan felda itu sendiri. Oleh yang demikian, bagi mengatasi isu kepadatan penduduk di kawasan Felda Chalok Barat ini, saya berpandangan, berpandangan keperluan untuk mewujudkan satu kawasan
perumahan mampu milik adalah amat mendesak. Dan saya telah mengenalpasti satu kawasan di dalam felda yang berkeluasan lebih kurang dalam 10 ekar dan tanah daripada GLC dan telah ditukar kepada, diserah balik kepada Kerajaan Negeri dan statusnya tanah milik Kerajaanlah dan saya difahamkan terlalu usaha awal perancangan kawasan ini pada era Kerajaan Pusat sebelum ini untuk mendirikan projek perumahan namun ia terhenti apabila berlaku beberapa kali pertukaran Kerajaan Pusat dalam berapa tahun kebelakangan ini. Walau bagaimanapun, keadaan yang berlalu saya menyarankan agar cadangan ini diteliti semula dengan lebih serius oleh Kerajaan Negeri pada hari ini. Penempatan baru ini sudah pasti akan memberi keselesaan kepada penduduk di kawasan ini.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, memandangkan tanah yang berkurangan di kawasan DUN Langkap kawasan Langkap sendiri untuk kita jadikan TB (Tanah Berkelompok) penempatan dan untuk dibagikan kepada rakyat. Melalui Pejabat Tanah dan Daerah Setiu telah mengenal pasti satu kawasan yang sesuai untuk dibangunkan Projek Perumahan Mampu Milik iaitu bertempat di Kampung Sungai Bari seluas 40 ekar. Jadi insya-Allah dengan jayanya projek ini nanti insya-Allah ianya akan dapat menyelesaikan masalah bagi rakyat yang tidak mempunyai kediaman khususnya bagi penduduk dalam kawasan Langkap lah insya-Allah.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat, ambil masa sikit jadi seterusnya Cadangan Untuk Menaiktaraf Laluan Jalan Dari Kampung Bukit Aman, Setiu. Laluan jalan ini sepanjang hampir 15 kilometer telah menjadi laluan utama penghubung antara kawasan sekitar sejak sekian lama. Kapasiti penggunaan kenderaan yang meningkat di jalan ini tidak lagi mampu ditanggung oleh keadaan jalan yang sempit dan mempunyai banyak laluan selekoh tajam yang semestinya membahayakan kepada pengguna jalan raya. Keadaan jalan yang sempit dan berliku menyukarkan kenderaan berat dan panjang seperti lori dan bas lah untuk lalu. Dia lori dengan bas ni kadang-kadang je, bas ni sebab sekolah ada dalam tu jadi nak masuk ke sekolah tu menyukarkan kepada kenderaan yang panjang. Oleh yang demikian, saya amat mengharapkan Kerajaan Negeri untuk menilai cadangan menaik taraf jalan ini dengan kadar yang segera dengan menaik taraf pembesaran jalan ini secara tidak langsung akan memberikan keselesaan dan manfaat kepada pengguna jalan raya dan masyarakat sekitar kawasan Kampung Bukit, Sungai Lah, Bukit Mundok, Alur Lit dan Bukit Aman.
Perkara terakhir yang saya ingin kemukakan di Dewan Yang Mulia pada hari ini ialah berhubung dengan isu gajah liar inilah, kalau Sidang yang lepas [ketawa] Telemung sebut, jadi kali ini saya sebut berhubung dengan gajah yang tidak kesudahan tidak boleh selesai sampailah ke hari ini. Serangan gajah yang ini berlaku kalau sebelum ini di kawasan sempadan dengan Telemung di Alur Lit, Bukit Mundok tapi hari ini ada di Chalok Barat di FELDA Chalok Barat banyak hari doh Felda Chalok Barat tu dua minggu…
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua boleh saya celah sikit, boleh? Pasal gajah..
Atas Yang Berhormat Wakil Langkap, Langkap nak bagi ke Langkap..
Ya sila, boleh sila.
Hari itu Telemong dah sebut pasal gajah, saya dah buat tawaran supaya gajah tu dihantar ke Zoo Bukit Takal setuju ke dok? Kalau gajah tersebut dihantar ke Zoo Bukit Takal, terima kasih.
Sila Langkap.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya bersetuju asal gajah tu wak lari je [ketawa] asal wak lari je sebab saya difahamkan semalam pun ada lagi gajah tu sekor je masalahnya hok kedian nilah hok sekor hok baru ni 14 ekor di Alur Lit tu. Jadi, orang Alur Lit hambat gi ke Telemong, orang Telemong hambat masuk ke Langkap, duk main gilir hambat, jadi hok seminggu dua ni ada sekor di Chalok Barat dan saya difahamkan Perhilitan dah masuk untuk, taktaulah tindakan macam mana insya-Allah kalau boleh igat pun igatlah nak bawak ke Zoo mana pun bolehlah takdok masalah. Jadi, berhubung dengan serangan gajah ni bukan setakat merosakkan harta benda orang awam ataupun rakyat terutamanya tanaman-tanamanlah. Jadi, selain daripada itu membahayakan kepada penduduk setempatlah. Jadi kalau gajah ini mari ke rumah doh, jadi orang rumah dia tengah malam doh lari..
Panjang lagi bab gajah, Langkap?
Nak habis dah, sebab gajah ini besar sikit Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Jadi oleh yang demikian, saya berharap pihak agensi Perhilitan dan Kerajaan Negeri mengambil tindakan yang seriuslah dalam menangani masalah tersebut.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua dan Yang Berhormat saya akhirilah ucapan perbahasan saya pada hari ini dengan sekali lagi mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar atas pembentangan Belanjawan kali ini. Terima kasih juga kepada Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua yang memberi ruang kepada saya untuk turut sama pada perbahasan kali ini dengan tema Belanjawan Tahun 2024 Menuju Era Baharu Terengganu, Wakil Langkap mohon untuk turut menyokong.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Wakil Langkap. Kita berada di penghujung sesi perbahasan sebelum kita tamatkan pada pukul 1.00, jadi saya persila ada seorang lagi Yang Berhormat, Yang Berhormat Wakil Kuala Berang.
Orang lama lambat sikit dakpe.
Pukul 1.00 kita tamat ya, Yang Berhormat.
Sekejap eh.
Terima kasih beri ruang untuk saya berucap. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Yang Berhormat EXCO-EXCO, Yang Berhormat sekalian, semua Ketua-ketua Jabatan dan Agensi, rakan-rakan media dan semua pemerhati sekalian, saya nak ucap terima kasihlah. Merujuk kepada Ucapan Belanjawan 2024 ni, muka surat 24, di sana dinyatakan Kerajaan juga dalam usaha mengenal pasti tapak untuk dibangunkan Green Industry Park. Jadi, Kuala Berang ingin mencadangkanlah ada satu kawasan di Hulu Terengganu ini yang saya akan beritahu kemudian nanti.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, kita tahu kawasan Kuala Berang khususnya ataupun Hulu Terengganu mempunyai banyak sumber-sumber ataupun resources untuk dibangunkan industri-industri yang baru kerana di sana tersedianya tenaga elektrik yang banyak daripada Tasik Kenyir sejumlah 660 megawatt daripada solar yang dicadangkan juga ada insya-Allah akan diwujudkan di san,a daripada hidro yang telah sedia ada dan juga sumber air yang banyak serta pengangkutan yang dekatnya LPT2 dan juga dekatnya ECRL di Durian Guling kira-kira 15 kilometer dan juga dengan bukit di Dungun kawasan industri kira-kira 80 kilometer jadi dengan tenaga kerja yang murah, Hulu Terengganu ataupun Kuala Berang mencadangkan satu tanah yang saya telah sebut di dalam sidang DUN yang lepas, kita mempunyai tanah lebih kurang 5 ribu ekar yang telah dipajakkan dan ada sebahagiannya telah diberi kepada PTP. Jadi pajakan tersebut dah nak expired jadi kita offer supaya tanah tersebut dibangunkan dijadikan salah satu Green Industry Park di Negeri Terengganu ini.
Saya berharap Yang Berhormat Kota Putera ambil maklumat ini supaya dicadang dan diwujudkan kawasan industri baru di Hulu Terengganu, insya-Allah. Seterusnya, Kuala Berang tidak lepas juga daripada banjir terutama di kawasan Paya Besar yang berkaitan dengan sungai daripada Sungai Tersat dan juga daripada Sungai Berang dan limpahan daripada Sungai Telemung menyebabkan kawasan-kawasan ini mudah banjir. Jadi kita mencadangkanlah supaya dibina empangan sebagaimana empangan di Tasik Kenyir yang ada hari ini. Kalau sebelum daripada tahun 1980-an dulu sentiasa Bandar Kuala Berang ini banjir besar. Tetapi apabila terlaksananya empangan, maka banjir besar itu tidak wujud lagi kecuali sekali sekala sahaja. Jadi dengan adanya empangan-empangan di hulu daripada Sungai Berang, Sungai Tersat ini, insya-Allah kita mengharapkan banjir yang besar tidak berlaku lagi di kawasan tersebut. Saya suka juga sebagaimana yang disebut oleh Telemong. Telemong, Yang Berhormat Telemong mencadangkan baru-baru ini supaya sungai-sungai di hulu sana yang rata-ratanya sungainya telah jadi cetek kerana pasir-pasir ataupun batu-batu, sampah-sampah yang datang dari kawasan bukit-bukit telah dihanyutkan ke sungai, maka sungai tersebut telah menjadi cetek. Jadi kena ada usaha supaya sungai tersebut digali semula supaya arus airnya laju dan tidak menyebabkan banjir di kawasan tersebut.
Seterusnya satu lagi iaitu berkaitan dengan Pusat Perpindahan Sementara. Kita selalu alami kawasan ataupun tempat ataupun lokasi pusat pemindahan ini banjir jugak. Jadi kita mencadangkan kalau boleh kita buat pusat perpindahan ini di kawasan yang lebih tinggi dan kita harap tidak banjir dan mana-mana ada infranya, kadang-kadang tandasnya teruk, paip airnya rosak. Jadi kita harap diperbaiki. Ni nak banjir pulak dah ni. Jadi kita harap supaya perkara-perkara tersebut dapat diselesaikan sebelum banjir datang.
Seterusnya berkaitan dengan keselamatan dam di Kenyir. Banjir pada tahun 2022 baru-baru ini menyebabkan sebahagian daripada dam tersebut rosak dan sekarang ni masih di dalam pembaikian. Kita tahu bahawa dam ini adalah aset yang penting kepada negara bukan sahaja kepada Negeri Terengganu, bahkan kepada Malaysia kita. Kerana aset ini milik negara sudah tentu menjadi kewajipan daripada Kerajaan Persekutuan untuk menjaganya supaya tidak rosak. Kalaulah rosak, pecah, YB Telemong nok duduk mane gamok-gamoknya. YB Telemong. Dok sedor lagi. Takpe. [Sambil ketawa]
Teruskan kait dengan perbahasan.
Kita mengharapkan bahawa wujudnya kawasan-kawasan perpindahan yang mana sekiranya berlaku kerosakan atau pecahnya dam tersebut, kita boleh pergi ke satu-satu tempat. Dan tempat yang kita cadangkan itu hendaklah diadakan infranya. Diwujudkan infranya termasuklah airnya, tandasnya, kawasan teduhannya, kawasan helipadnya untuk memudahkan supaya orang ramai ini pergi dan tumpu kepada kawasan tersebut. Saya mengharapkan Kerajaan Negeri berbincanglah sebaik mungkin dengan Kerajaan Persekutuan di dalam menjaga keselamatan dam kita dan mewujudkan kawasan infra ataupun kawasan untuk kita berpindah ke sana. Seterusnya Kuala Berang juga ingin mencadangkan kawasan-kawasan tanah pertanian. YB Jabi. Kita tahu bahawa tanah-tanah terbiar masih banyak lagi di kawasan Kuala Berang ini termasuklah kawasan tanaman padi. Pada tahun 2000 dulu, kita ada kawasan di Kampung Gaung Telaga dah ada sistem pengairannya. Dan juga di kawasan Padang Ipoh pun dah ada kawasan pengairannya. Tetapi hari ini orang dok tanam padi. Infranya ada tetapi orang tak tanam padi. Jadi saya mengharapkanlah YB Jabi tolong lihat untuk memberi bantuan kepada mereka-mereka ini untuk diaktifkan balik kawasan-kawasan tanaman padi yang penting.
Seterusnya kawan-kawan saya dari Marang lah. Kawasan DUN Rhu Rendang, masalah nelayan terutama di kawasan Breakwater Marang ataupun kawasan Pulau Kekabu tersebut, airnya cetek. Kadang-kadang nelayan-nelayan bawak bot nak pergi parking bot tak boleh kerana airnya cetek di kawasan lagun tersebut. Sehingga kadang-kadang airnya 2 kaki sahaja. 3 kaki sahaja. Sudah tentu bot-bot yang bukan daripada bot fiber sukar untuk parking di kawasan tersebut. Terpaksa tunggu beberapa jam supaya airnya dalam melebihi daripada 6 kaki barulah boleh pergi parking. Jadi saya mengharapkanlah pihak Kerajaan lihat perkara ini supaya kawan-kawan saya di sana dapat parking bot dengan baik. Insya-Allah untuk memberi kemudahan-kemudahan kepada rakyat kita di sana.
Seterusnya di Hulu Terengganu, kita tidak ada dewan yang agak besar untuk nak buat program-program. Hulu Terengganu je takdok. Hok kawasan lain, daerah-daerah lain ada belaka dewan-dewan. Suatu ketika dulu dewan tersebut telah ada bajetnya. Tetapi tidak dapat dilaksanakan pembinaan. Jadi hari ini saya memohonlah daripada pihak Kerajaan untuk melihat kembali untuk membina Dewan Majlis Daerah yang selesa yang mana lokasinya sudah ada. Tetapi peruntukan ataupun pembinaan barunya masih belum dibuat lagi. Tiga minit je lagi? Seterusnya saya kawasan saya ni samalah jugak sebagaimana yang dibangkit oleh Langkap, Permaisuri berkaitan bekalan air bersih. Waktu musim kemarau, tekanan air rendah. Waktu musim hujan paip pecah sana pecah sini. Jadi air pun kurang jugak. Jadi masalahnya sama iaitu masalah bekalan air mentah yang tidak mencukupi kerana loji yang ada pada hari ini telah maksimum, tidak dapat lagi mengatasi keperluan penduduk-penduduk di Hulu Terengganu. Jadi saya mengharapkanlah jugak pihak Kerajaan menimbang semula untuk membina loji baru dan menggantikan paip-paip lama yang sentiasa pecah dan menyukarkan kepada penduduk di Hulu Terengganu untuk mendapat bekalan air yang bersih. Saya rasa sekadar itulah ucapan saya pada kali ini. Saya dari Kuala Berang turut menyokong Bajet yang dibentangkan. Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua Dewan.
Terima kasih Yang Berhormat Kuala Berang. Kita telah tamat sesi perbahasan pada tengahari ini. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Ketua Jabatan dan para pemerhati. Saya tangguhkan sementara Dewan ini dan sambung semula pada pukul 2.30 petang. Ahli-ahli Yang Berhormat dan seluruh Ketua-ketua Jabatan dan pemerhati dijemput ke
jamuan makan tengahari yang dihoskan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar. Saya ucapkan terima kasih kepada semua. Kita tangguhkan sementara persidangan pada tengahari ini dengan surah Al-Asr dan Tasbih Kaffarah.
DEWAN DITANGGUHKAN PADA PUKUL 1.00 PETANG
PUKUL 2.30 PETANG
Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, mesyuarat kita disambung semula. Alhamdulillah, kita telah selesai sesi perbahasan ke atas Enakmen Perbekalan 2024. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan pada kali ini.
Sekarang tibalah masa untuk saya mempersilakan Wakil Kerajaan untuk membuat penggulungan. Dipersilakan Wakil Ajil.
Terima kasih Timbalan Yang di-Pertua Dewan, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Terengganu, Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Yang Berhormat, ketua-ketua jabatan dan semua yang hadir. Pertama sekali marilah sama-sama kita panjatkan kesyukuran kepada Allah Taala diberi kesempatan untuk kita berbahas, meneruskan perbahasan pada petang ini. Saya gelabah sikit ni. Ingat ke kita nombor tiga...
Penggulungan YB.
Ye. Sebab sahabat kita takdok ni, gulung eh?
Tak apalah, saya gulung dulu. Pertama sekali saya ucapkan jutaan terima kasih dan tahniah kepada pihak Kerajaan yang telah membentangkan satu Enakmen Perbelanjaan yang lengkap dan insya-Allah merangkumi semua keperluan rakyat dan di bawah portfolio saya peruntukan sebanyak RM8 juta untuk tahun 2024 ini dan saya meneruskan agenda penggulungan untuk mengupas beberapa perkara yang menjadi dasar kepada portfolio. Yang pertama sekali insya-Allah kita akan luluskan Dasar Wanita Negeri Terengganu dan Dasar Wanita Negeri Terengganu ini telahpun dilancarkan pada 2022 dulu dan telah ditambah baik di dalam sesi perbengkelan oleh Jawatankuasa Penggubalan Dasar Wanita Terengganu baru-baru ini.
Yang kedua, insya-Allah akan dilancarkan pada tahun 2024, Majlis Tindakan OKU Terengganu. Majlis Tindakan OKU Terengganu ini dijangka akan dilancarkan pada Februari 2024 yang akan menggabungkan lapan badan OKU di Terengganu seperti POKUAT, PERTIS, Autism dan lain-lain lagi bersama dengan agensi-agensi yang berkaitan secara langsung ataupun secara tidak langsung dengan OKU seperti pihak Kerajaan Tempatan, JKR, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan lain-lain supaya segala permasalahan OKU seperti kemudahan parking, kemudahan tandas awam, kemudahan untuk access ke masjid, kemudahan di bangunan-bangunan kerajaan dapat ditangani bersama dengan agensi-agensi yang terbabit.
Yang ketiga, insya-Allah akan berlangsung juga penubuhan pelancaran Majlis Sosial Negeri, selaras dengan Majlis Sosial Negara yang akan menggabungkan beberapa agensi yang melibatkan sosial dan majlis ini merupakan satu bentuk task force (dengan izin) untuk bertindak ke atas isu-isu sosialisasi dalam masyarakat yang menggabungkan JKM, PDRM, Jabatan Kesihatan dan sebagainya untuk menangani pelbagai isu seperti isu-isu gelandangan, isu pesakit-pesakit psikiatri dan juga masalah kesihatan mental dalam masyarakat yang perlukan kepada gabungan bertindak yang holistik dari semua pihak, dari semua medium yang berkaitan untuk menangani kes-kes yang berkaitan dengan sosial.
Yang keempat ialah perkara Penubuhan Tabung Yayasan Darul Iman. Tabung Darul Iman ini merupakan tabung yang sudah lama diwujudkan yang disebut dalam ucapan YB Sura dan juga Ladang. Cadangan untuk menubuhkan Yayasan Darul Iman yang merupakan gabungan dari tiga tabung iaitu Tabung Darul Iman, Tabung Bantuan Penyakit Kronik dan juga Tabung Dana Kebajikan Sosial Perubatan supaya tabung ini menjadi lebih sistematik dan efisien untuk berkhidmat kepada sasarannya dan cadangan untuk peralihan kepada nama Yayasan Darul Iman ini bukan sekadar nama tetapi juga pertukaran melibatkan cangkupan tugas yang lebih luas serta yang sangat pentingnya Yayasan Darul Iman ini boleh lebih berdikari untuk mencari dana dan juga sumbangan yang lebih meluas dari medium yang pelbagai dan hasrat yang lebih besar lagi, para penyumbang boleh mendapat pengecualian cukai apabila melakukan sumbangan kepada Tabung Darul Iman ini.
Pertukaran dari Tabung Darul Iman kepada Yayasan Darul Iman tidak akan melibatkan implikasi kewangan di pihak Kerajaan. Peruntukan Kerajaan tetap RM5 juta. Kerajaan tidak akan bertambah dan perbelanjaan mengurus masih sama dalam lingkungan RM500 ribu dan kita mengharapkan Yayasan ini akan mendapat sokongan dan dukungan daripada semua pihak dan tabung ini insya-Allah akan lebih diperkasakan.
ADUN Bandar dalam soalan dalam ucapan perbahasan juga membangkitkan isu perceraian yang tinggi di Negeri Terengganu. Memang kita akui dan kita pun berasa satu benda yang kita perlu tangani bersama sebab isu perceraian dan isu rumahtangga ni isu yang melibatkan semua pihak daripada komuniti kampung sampailah kepada pihak yang tertinggi dalam negeri dan negara dan saya rasa kita semua ni pun yang ada dalam Dewan ini pun kebanyakannya sudah berkeluarga dan ada institusi keluarga masing-masing.
Mengikut data, pada tahun 2022, 11,246 rekod perkahwinan, perceraian 1,656. Sangat tinggi dalam sekitar 14.7%. 2023, ni tahun ni tak habis lagi, ada sebulan lebih lagi. Rekod perkahwinan 9,075 tetapi perceraian 1,855 kes. Peningkatan daripada tahun lepas 14% kepada 20% lebih. Kalau kita kaji dari sudut sebab, memang banyak sebab dan mengikut pihak berkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu kadang-kadang sebab-sebab yang direkodkan atau pun yang dinyatakan oleh klien oleh mereka yang hendak bercerai akan dipanggil proses kaunseling. Kadang-kadang mereka menyembunyikan sebab sebenarnya tetapi kebanyakannya boleh kita kategorikan di antaranya ialah
masalah pegangan agama yang lemah menyebabkan berlaku gangguan dan juga pengaruh-pengaruh luar cepat masuk ke dalam rumah tangga yang melibatkan ahli-ahli keluarga, suami isteri yang muda dan juga bebanan masalah ekonomi, masalah kewangan serta pengaruh media sosial. Pengaruh media mencatatkan satu rekod yang sangat mencemaskan kita yang mana ramai yang bercerai apabila berjumpa kekasih lama. Wane Telemong? Sebab Telemong tadi nampak tidur bila sebut kekasih lama itu celik mata segar semula, ke ada sesuatu di sebalik gajah itu. ….[ketawa]…..Pun begitu kita mengharapkan dan saya merupakan saya rasa tercabarlah juga sebab saya menjadi Pengerusi Portfolio Keluarga dan juga Pembangunan Wanita dan juga kita mempunyai Yayasan Pembangunan Keluarga.
Saya minta pencerahan sedikit Yang Berhormat EXCO.
Ya sila.
Daripada perceraian yang berlaku, banyak dikatakan banyak 14% itu hok rujuk balik itu ada berapa? Berapa agok-agok?
Hok ni rekod cerai. Rekod rujuk takdok lagi ha nanti insya-Allah kalau Permaisuri nok insya-Allah kita beri selepas ini sebab melibatkan data. Saya kena tengok, rujuk data. Terima kasih. Harap-harap rujuk ramai lah. Jadi masalah perceraian ini akan memberi kesan yang besar kepada sosial, kepada keluarga khususnya anak-anak. Pengalaman saya sebagai guru, lama jadi guru dulu tuan-tuan, apabila berlaku perceraian ibu bapa, anak-anak akan terkesan dengan satu kesan yang sangat parah sampai menyebabkan berlaku hampir nak bunuh diri pun ada kerana tekanan yang mereka dapati daripada peceraian ibu bapa. Jadi insya-Allah lah isu ini akan diambil berat oleh pihak Kerajaan. Saya insya-Allah melalui Yayasan Pembangunan Keluarga dan Yayasan Pembangunan Keluarga pun telah pun merancang, merangka pelbagai programlah bersama dengan (USWA) Urus Setia Wanita untuk insya-Allah ke arah kesejahteraan kehidupan rakyat dan memberdayakan kehidupan wanita yang menjadi tulang belakang kepada rumah tangga.
Yang Berhormat Ladang ada menyebut juga berkenaan kebimbangan tentang kanser payudara dan kanser serviks yang menjadi antara penyebab kematian wanita kini. Jadi untuk ujian pap smear dan juga mammogram Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) ada menyediakan kemudahan untuk rakyat yang layaklah di bawah B40 dengan syarat-syarat yang tertentu untuk mendapat khidmat checks percuma di hospital. Biasanya Hospital SALAM dan juga Hospital KMI (Kumpulan Medic Iman) atau pun KTS dulu. LPPKN menyediakan klinik sebagai centre point saja tetapi yang pusat pusat check itu check penyakit tulah hanya ada di dua buah klinik saja iaitu di Hospital SALAM dan juga Hospital KMI secara percuma. Maknanya siapa-siapa yang layak boleh mengadakan check ini secara percuma walaupun kosnya di hospital swasta itu ditanggung, insya-Allah ditanggung oleh LPPKN. Jadi kita mengucapkan terima kasih banyaklah kepada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara yang mempunyai tiga klinik sebagai pusat sebagai centre point dia Klinik Nur Sejahtera di Besut, Dungun dan juga Kuala Terengganu dan LPPKN ini menyediakan kenderaan untuk mereka yang susah untuk mendapatkan rawatan di klinik-klinik yang mungkin jauh. Jadi insya-Allah selepas ini kalau apa-apa yang berbangkit berkenaan dengan penyakit kanser serviks dan kanser payudara ini insya-Allah Ahli-ahli Yang Berhormat boleh berhubung dengan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara untuk mendapatkan khidmat selanjutnya.
Lima minit lagi, Yang Berhormat Ajil.
Saya rasa takdok doh hok nok ulasnya berkenaan beberapa perkara tersebut. Jadi saya ucap terima kasih sekali lagi kepada pihak Kerajaan di atas Pembentangan Bajet dan Ajil mohon menyokong. Terima kasih.
Terima kasih Wakil Ajil.
Seterusnya saya mempersilakan Wakil Jabi untuk membuat penggulungan. Atau Wakil…boleh ?
Wakil Kota Putera
Yusuf menjawab: “Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh selama tujuh tahun berturut-turut kemudian apa yang kamu tuai biarkanlah ia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan kemudian akan datang selepas itu, tempoh tujuh tahun kemarau yang besar yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan;kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih).
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Al-Quran mengisahkan kebijaksanaan Nabi Yusuf mengendalikan sumber makanan negara Mesir, berhadapan dengan tujuh tahun musim kemarau panjang. Inilah teori keterjaminan makanan di dalam Al-Quran. Ketika ketiadaan makanan maka mereka yang mempunyai makanan adalah orang kaya dan bukannya mereka yang memiliki simpanan emas. Bencana zaman moden yang mengancam sumber makanan bukan hanya setakat kemarau atau pun banjir malah termasuk juga peperangan, wabak pandemik, sekatan ekonomi dan sebagainya.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, keutamaan dasar-dasar Kerajaan ialah kepentingan rakyat umum sama ada kepentingan ekonomi atau kepentingan keperluan asas. Keperluan asas manusia selepas kesihatan ialah makanan kerana itulah pergerakan rantaian pengeluaran makanan tidak boleh terhenti walau apa pun situasi yang sedang dilalui oleh negeri, negara dan dunia.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Jertih, Hulu Besut dan Rantau Abang menyentuh fungsi masjid sebagai pusat aktiviti masyarakat. Kerajaan mengajak pengurusan masjid dan ahli qariah supaya dapat memanfaatkan tanah atau pun ruang kosong dalam kawasan masjid dengan aktiviti pertanian. Kaedah pertanian fertigasi atau hidroponik adalah sistem pertanian bandar yang sesuai untuk dipraktikkan. Masjid Pengkalan Berangan di Marang antara contoh yang berjaya dalam projek pertanian fertigasi dan semua ini boleh dilaksanakan di bawah Program Pertanian Bandar dengan peruntukan yang disediakan oleh Kerajaan. Peruntukan Kerajaan Pertanian Bandar untuk kategori individu RM500 usahawan, RM5000, komuniti seperti masjid mencecah sehingga RM20,000.
Dato’ Yang Di-Pertua, Yang Di-Pertua, minta maaf Kerajaan juga menggalakkan masjid sebagai pusat pengumpulan hasil tani. Orang kampung yang bertanam pada skala kecil kutip hasil, mari sembahyang jemaah di masjid sambil bawa hasil tanaman. Tok peraih ataupun pemborong pun mari sembahyang jugok jemaah di masjid sambil beli hasil pertanian. Dunia dapat, akhirat pun dapat dan saya ucapkan tahniah kepada FAMA Terengganu yang telah merintis Program Pasar Tani Masjid bertempat di Masjid Sentul Patah di Marang. Dia sangat berkesan ke arah mempelbagaikan masjid sebagai pusat sosio-ekonomi setempat. Manir menyentuh berkenaan dengan semangat federalisme yang tidak dihormati oleh Kerajaan Persekutuan. Kita dengar berulang kali PMX dan Menteri Kabinet gemar untuk mengungkit jumlah peruntukan pusat kepada negeri-negeri pembangkang. Bagaikan kelihatan mereka yang berada di Putrajaya seperti tak berapa hadam semangat federalisme. Jambatan antara Negeri dan Persekutuan sebenarnya kita telah bina dan jaga sebaiknya. Kerajaan Negeri ada salurkan sejumlah peruntukan kepada jabatan dan agensi pusat khususnya di bawah sektor pertanian. Bagi tahun 2023, RM5 juta kita peruntukkan kepada Lembaga Pertubuhan Peladang bagi pelaksanaan Skim Bantuan Modal Tani. Ini di bawah agensi Persekutuan, Jabatan Perikanan Malaysia sebuah jabatan Persekutuan menerima peruntukan untuk tahun 2023 RM3.8 juta, Jabatan Pengairan dan Saliran sebuah jabatan di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim tahun ini sahaja Kerajaan Negeri memperuntukkan RM6.6 juta untuk pembangunan dan naik taraf sistem pengairan dan saliran. Itu kita tidak kira lagi jabatan gunasama antara Negeri dan Persekutuan seperti Jabatan Pertanian dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
Yang di-Pertua, Langkap menyentuh isu ladang FGV di Setiu yang masih berstatus tanah Kerajaan Negeri. Atas semangat federalisme dan saling hormat menghormati Kerajaan Negeri telah memulakan proses move the next step dengan izin insya-Allah. Untuk mendapatkan hak Terengganu daripada Felda setelah meja perbincangan dan perundingan yang dibuka serta semangat tolak ansur yang ditawarkan Kerajaan Negeri disambut dingin oleh pihak Felda. Bukan hanya di Setiu sejumlah 13,686 hektar tanah Kerajaan Negeri di daerah Marang, Dungun dan Kemaman telah dibangunkan dengan ladang sawit oleh Felda sejak pertengahan 80-an dan diserahkan kepada FGV tanpa dimasukkan peneroka. Tanah tersebut masih lagi milik Kerajaan Negeri. Dokumen hakmilik tanah tidak pernah dikeluarkan kepada Felda. Cukai tanah tidak pernah dibayar sejak 1985 sehingga sekarang. Jumlah tunggakan cukai tanah sahaja berjumlah jutaan ringgit dan Kerajaan Negeri menuntut bayaran 30% daripada keuntungan kasar ladang-ladang yang dimajukan Felda 30% gross profit dengan izin sebagaimana yang telah dipersetujui sebelum ini. Bayaran premium tanah juga belum dimuktamadkan berjuta ringgit lagi hak negeri yang belum dilangsaikan dan kita sedang bekerja mengikut saluran undang-undang bagi menuntut setiap sen hak rakyat Terengganu.
Yang di-Pertua, Manir juga menyentuh juga supaya Terengganu menjadi negeri mesra pelabur. Banyak pihak sebenarnya mula membuka mata dan menunjukkan minat untuk menjadikan Terengganu sebagai destinasi pelaburan projek-projek pertanian. Di sinilah perlunya kita bekerja bagi mewujudkan iklim mesra pelabur di Terengganu. Pelabur maknanya mereka yang membawa sejumlah dana untuk dilaburkan. Kerajaan Negeri sebagai tuan rumah membantu menyediakan tapak ataupun tanah, kemudahan infra, kelulusan kebenaran merancang dan lain-lain. Hasilnya pelabur boleh buat projek, menjana ekonomi dan keuntungan, dalam masa yang sama rakyat tempatan dapat peluang pekerjaan dan pemindahan teknologi. Bila Kerajaan Negeri nak timbang permohonan tanah antara aspek yang akan diteliti ialah modal berbayar sesebuah syarikat. Kemampuan kewangan adalah kriteria penting bagi menggambarkan kebolehan sesebuah syarikat melaksanakan projek yang dicadangkan. Kalau tak ada duit maknanya sembang kosong. Di samping itu mereka perlu mampu mengemukakan perancangan business plan yang menyakinkan dan ketelitian ini sangat perlu supaya kerajaan negeri tidak meluluskan permohonan tanah kepada pihak yang tidak berkelayakan atau tidak berkemampuan atau ada maksud lain di sebaliknya.
Yang di-Pertua, Seberang Takir mencadangkan bantuan musim tengkujuh untuk nelayan. Kita catatkan dulu cadangan di dalam hansard Dewan insya-Allah akan dibincangkan bergantung kepada kedudukan kewangan negeri. Boleh ya Yang di-Pertua.
Terima kasih, Wakil Jabi.
Batu Rakit prihatin dengan harga benih padi yang naik berganda berbanding dengan musim lepas. Untuk makluman Dewan, Kerajaan Negeri tidak menyalurkan bantuan input benih padi kepada pesawah kerana pesawah telah disediakan insentif benih padi sah daripada kerajaan Persekutuan. Memang diakui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah melaksanakan harga kawalan maksimum baru bagi insentif benih padi sah dengan kenaikan daripada RM35 kepada RM45 sekampit yang beratnya 20 kilogram, dan naik turun benih padi ini semuanya bawah kawalan KPKM. Kalau kita nak kawal kena tukar kerajaan di Putrajaya. Sekarang ini terdapat 12 syarikat pembekal benih padi sah yang dilesenkan oleh Kementerian Pertanian di seluruh negara tapi tak dok satu pun daripada Terengganu sedangkan dalam kawasan jelapang padi IADA KETARA Besut ada 600 hektar kawasan padi yang ditanam bagi penghasilan benih padi sah. Benih padi daripada sawah Terengganu ni bila dituai dibawa ke Johor, diproses oleh Syarikat Jelapang Selatan. Bila pesawah Terengganu nak tabur benih, kita terima benih tu daripada negeri lain termasuk juga benih dari negeri Johor yang asalnya diambil dari petak sawah Terengganu sebab tulah kerajaan negeri berusaha supaya Terengganu ada syarikat pembekal benih padi sah sendiri. Setakat ni belum dapat kelulusan dari Kementerian Pertanian dan kita akan terus perjuangkan supaya kita jadi bijaksana, tak cerdik kalau benih padi daripada sawah Terengganu hantar proses di Johor lepas tu buat balik semula ke Terengganu bila kita nak tabur dan di Kompleks Pertanian Ajil kita telah sedia satu loji pemprosesan benih. Makna dari segi infra dan kelengkapan kita telah bersedia hanya menunggu kelulusan daripada Kementerian Pertanian. Yang ni pun kalau lambat lulus kita tukar di Kementerian Pertanian pulak. Ini contoh monopoli kartel yang membekalkan benih padi. Kita tak cerita lagi hal kartel baja, racun dan kilang padi dan Kerajaan keluarkan berbillion ringgit dalam bentuk subsidi input benih, racun, baja, subsidi harga padi yang paling mendapat manfaat, yang jadi kaya raya ialah kartel subsidi Kerajaan mereka kaut, duit petani pun mereka dapat. Program CSR Tani yang dibangkitkan oleh Batu Rakit dan apa saja program-program pertanian sebenarnya tidak pernah
diabaikan penglibatan YB setempat dalam senarai jemputan. Sebahagian besar YB dan mantan pegawai penyelaras DUN yang ada dalam Dewan pada hari ini biasa hadir dalam pelbagai program pertanian. Terima kasih sahabat-sahabat YB semua atas sokongan yang berterusan.
Rantau Abang dan Kuala Berang menyentuh isu pembangunan tanah terbiar. Tahun 2020 Kerajaan Negeri telah menubuhkan Task Force Pembangunan Tanah Terbiar. Keluasan tanah terbiar yang kita kenal pasti lebih daripada 8,000 hektar. Bermula tahun 2021 kerajaan negeri telah menyediakan insentif bagi penyediaan infrastruktur asas di kawasan tanah terbiar seperti sistem pengairan, pagar, jalan yang berjumlah RM20,000 per hektar dengan peruntukan RM500,000 pada tahun 2021. Tahun 2022 kita naikkan jadi RM1 juta dan pada tahun 2023 turun sikit jadi RM500,000.00. Kuala Berang memaklumkan kawasan sawah padi di kawasan Padang Ipoh, Kampung Gaung dan Kampung Telaga di Kuala Berang, ada infra pertanian tapi tak tanam padi. Keseluruhan kawasan padi di lokasi ini ketika pembangunan infra dibuat, 231 hektar. Kawasan berpotensi untuk tanaman padi tapi isunya ialah generasi muda pewaris tuan tanah asal tak berminat nak tanam padi. Tanah padi ditanam dengan sawit dan didirikan rumah. Ada penyewa yang berminat nak sewa untuk tanam padi tapi tuan tanah nak bina rumah ataupun nak tanam sawit. Jadi bila tak bertanam, maka tentu sekali sistem pengairan juga tidak di selenggara. Saya rujuk dengan Majlis Daerah Hulu Terengganu, dimaklumkan zoning kawasan ini telah ditukar daripada pertanian kepada zoning pembangunan. Yang jelas ialah polisi Kerajaan Negeri tidak membenarkan kawasan pertanian padi aktif ditukar syarat untuk kegunaan lain demi untuk nak jaga periuk nasi rakyat kita.
Untuk makluman Air Putih, tahun 2023 telah disalurkan peruntukan bagi pembangunan dan naik taraf infrastruktur tanaman padi di Skim Pengairan Paya Paman RM340,000.00 dan Skim Pengairan Paya Dadung RM150,000.00. Kedua-dua Skim ini berada dalam DUN Air Putih.
Kuala Besut menyentuh tentang isu ketiadaan modal untuk masyarakat B40 nak tanam Musang King. Kuala Besut, Musang King ni perlu modal besar, pengurusan dia rumit dan hasilnya paling awal pun selepas empat tahun. Kita lok la biar mereka yang berkemampuan tanam Musang King. Kerajaan lebih mencadangkan supaya rakyat B40 terlibat dengan sektor tanaman kontang singkat masa. Modal tak besar, penjagaan lebih praktikal dan hasilnya segera.
Dan dana bawah Program Pembangunan Tanah Terbiar yang saya sebut tadi boleh dimanfaatkan untuk kerja-kerja pembersihan dan pembangunan infrastruktur, nak bina pagar, nak buat parit, nak bersih dan modal permulaan untuk bertanam boleh mohon SPNT. Bagi rakyat yang takde tanah, mereka boleh cari mana-mana tanah kerajaan yang masih kosong dan mohon LMS. Kalau nak tanam durian, tak boleh nak mohon LMS di atas tanah kerajaan.
Akhir Sekali, YB Langkap membangkitkan keperluan mendesak untuk tanah tapak rumah Generasi Kedua FELDA. Untuk makluman Dewan, Kerajaan Negeri telah mewujudkan satu Jawatankuasa Taskforce Tanah Generis Kedua FELDA dipengerusikan EXCO pertanian, diurusetiakan oleh UPEN dengan keanggotaan daripada pengurusan FELDA, pentadbir tanah daerah akan dilibatkan sama Ahli-ahli Yang Berhormat serta JPKK yang terlibat dengan kawasan FELDA. Halatuju Jawatankuasa taskforce ini ialah bagi menguruskan penyelesaian secara berpusat. Isu tanah tapak Rumah Generasi Kedua FELDA sebagaimana yang telah berjaya dilakukan di FELDA Selasih Jati. Terima kasih Yang di-Pertua, Jabi mohon menyokong.
Terima kasih Wakil Jabi.
Saya juga nak ucap terima kasih Wakil Ajil tadi. Kedua-dua Wakil ini telah menggunakan masa dengan tepat. Jadi, insya-Allah kalau hal ini berterusan semoga Wakil-Wakil ambil masa yang tidak lebih, kita boleh siapkan, kita oleh beri ruang tujuh orang petang ini untuk membuat penggulungan dan esok mungkin tak panjanglah. Jadi seterusnya mempersilakan Wakil Kota Putera.
Yang dihormati Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, yang dihormati dan dikasihi Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, sahabat-sahabat Yang Berhormat Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua-
ketua jabatan Negeri dan Persekutuan dan Wakil-wakil media seterusnya pemerhati dan sidang hadirin hadirat yang dirahmati Allah sekalian.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua kerana memberi ruang kepada saya untuk sesi penggulungan Ucapan Pembentangan Enakmen Perbekalan ataupun Belanjawan 2024 yang telah disempurnakan pada 27 November 2023 yang lepas.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar kerana telah membentangkan Ucapan Belanjawan 2024 walaupun agak berbeza daripada tahun-tahun sebelum ini tetapi ianya pembentangan yang sangat lengkap dan komprehensif, alhamdulillah.
Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam Ucapan Perbahasan Belanjawan 2024 khususnya yang telah menyentuh portfolio saya antaranya Yang Berhormat Manis, Yang Berhormat Sura, Yang Berhormat Telemong, Yang Berhormat Bukit Besi, Yang Berormat Kemasik, Yang Berhormat Kuala Besut dan Kuala Berang. Antara persoalan-persoalan yang ditimbulkan antaranya ialah sejauh manakah Kerajaan Negeri melaksanakan green technology ataupun teknologi hijau di dalam negeri. Menyentuh juga mengenai Pelan Induk Teknologi Hijau yang disebut dalama Buku Belanjawan ini iaitu PITiH. Sumber-sumber pendapatan baru dan mengurangkan kebergantungan kepada hasil petroleum, menambah baik kawasan-kawasan industri sedia ada, mempercepatkan permohonan ataupun proses permohonan tapak-tapak perindustrian, pencapaian internet yang lemah dan infra di pelabuhan dan lapangan terbang perlu dinaik taraf bagi menarik industry player, pemain industri dengan izin.
Jadi, saya akan merangkum ataupun membuat rumusan itu tidak mengikut kepada jawapan-jawapan Yang Berhormat tetapi seluruh daripada ucapan saya ini saya mengharapkan dapat merangkumi jawapan kepada persoalan yang telah dibangkitkan. Yang pertama berkenaan dengan infra di pelabuhan dan lapangan terbang perlu dinaiktarafkan. Berkenaan dengan pelabuhan saya serahkan kepada kekanda sayalah, YBC selaku EXCO Infra untuk menjelaskannya, untuk pelabuhan. Cuma saya nak mencelah sedikit dari segi naik taraf di lapangan terbang kerana ia menjadikan fokus juga dalam kita nak
mencari pelabur-pelabur ini. Hadirin hadirat Sidang Dewan dirahmati Allah sekalian, Pihak Kerajaan menyedari untuk menaiktarafkan lapangan terbang kita ini kita memerlukan satu perkhidmatan bahan api yang menjadi keutamaan kepada lapangan terbang kita ataupun fuel operator service. Yang ini kita masih lagi membuka ruang-ruang untuk pelabur-pelabur datang untuk memenuhi hasrat kita di Negeri Terengganu ini. Landasan kita alhamdulillah sudah cukup untuk mendarat taraf international tetapi servis-servis yang perlu kita lengkapkan.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, untuk menambah baik kawasan perindustrian sedia ada, tidak cukup infra di tapak industri perlu dinaik tarafkan. Insya-Allah, sepertimana yang telah dibentangkan di dalam Pembentangan Bajet 2024, pihak Kerajaan akan menaiktarafkan taman-taman perindustrian sedia ada dan sekarang ini kita dalam proses teruskan pemutihan dan akan mencadangkan mengikut keutamaan taman-taman perindustrian mana yang perlu didahulukan dan yang mana yang dikemudiankan. Insya-Allah, nama-nama perindustrian yang telah disebutkan semasa perbahasan oleh Yang Berhormat-Yang Berhormat akan diambil perhatian.
Kerajaan Negeri melalui kerjasama semua agensi negeri dan persekutuan sentiasa berusaha meningkatkan dan menaiktarafkan infra kawasan perindustrian di Negeri Terengganu bagi memastikan dapat menarik pelabur ke Negeri Terengganu Darul Iman. Pihak Kerajaan juga melihat beberapa penambahbaikan yang perlu ditekankan. Contohnya tempoh masa pemprosesan permohonan tapak-tapak industri yang saya lihat dapat kita singkatkan dan Alhamdulillah satu jawatankuasa telah ditubuhkan dan hasil kajian pun telah berada di tangan saya dan insya-Allah akan dilaksanakan sebelum menjelang 2024 ini. Kaedah untuk mempromosikan tanah-tanah industri sedia ada kepada pelabur-pelabur juga perlu diaktifkan dengan tawaran harga pajakan yang lebih fleksibel iaitu kurang daripada harga pasaran nilai yang diberikan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta dengan mengambil kira kos pembangunan infra yang perlu dilaksanakan oleh pihak pelabur atas tanah industri yang dipajak.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, berkenaan dengan Pelan Induk Teknologi Hijau ataupun PITiH 2024 hingga 2030 sebagaimana di dalam Ucapan Belanjawan, Kerajaan Negeri akan merangka Pelan Induk Terengganu Hijau ataupun PITiH 2024-2030 yang dijangka akan dilancarkan pada suku
pertama tahun 2024 nanti. Bagi merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadikan antara pengeluar utama tenaga boleh diperbaharui di negara ini.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, dalam mendepani Teknik Teknologi Hijau, Kerajaan mengambil beberapa langkah;
1. Kecekapan Tenaga. Kempen penjimatan tenaga di peringkat agensi-agensi dan jabatan-jabatan sedang dilaksanakan. Dalam kesempatan itu Kerajaan menggalakkan PBT-PBT mengambil peluang untuk menambahkan kecekapan dengan menggunakan sistem solar di ruang sedia ada di PBT-PBT masing-masing. Begitu juga untuk agensi-agensi lain dan pihak swasta dapat menyambut baik usaha ini untuk menggunakan ruang-ruang bumbung pejabat dan kawasan lapang yang ada untuk dimaksimakan bagi pemasangan sistem solar.
2. Penjanaan Pendapatan dalam Bidang Teknologi Hijau dan Eksplorasi Teknologi Baru
Selain mengoptimumkan sumber sedia ada, Kerajaan juga memanfaatkan dan mendepani Carbon Capture, Utilisation and Storage, dengan izin CCUS selain seperti yang mana disebut oleh Yang Berhormat Kemasik agar mengguna pakai telaga-telaga minyak yang telah ditinggalkan perlu digunakan semula untuk mendapatkan pendapatan negeri. Kerajaan juga mempunyai idea lain dalam mendepani carbon capture ini. Antaranya adalah kita mempunyai paya bakau yang luas. Di mana paya bakau ini menjadi mekanisma terbaik ke arah memerangkap karbon. Beberapa keputusan asas telah diperolehi untuk pelaksanaannya. Usaha ke arah itu sedang diusahakan dengan beberapa pendekatan sedang diambil dan akan diumumkan apabila tiba masanya nanti, insya-Allah.
Seterusnya merancang menggunakan Electrical Vehicle ataupun EV dengan izin di peringkat Negeri dalam masa terdekat ini. Kajian yang serius sedang dilaksanakan bagi mewujudkan kerjasama dengan satu syarikat bagi tujuan tersebut. Sekarang di peringkat kajian business model bagi pelaksanaannya. Insya-Allah jika semuanya berjalan lancar ianya akan dilaksanakan dalam masa yang terdekat. Dengan wujudnya EV ataupun Electrical Vehicle di Negeri Terengganu sekali gus akan menjadi pilihan utama pembinaan Stesen Pengecas
EV sepertimana yang disebutkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar dalam Buku Ucapan Belanjawan.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, sebelum ini Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar telah mengumumkan bahawa Terengganu akan mendepani industri hidrogen hijau ataupun green hydrogen dengan izin. Usaha ini dipandang serius dan sedang diambil perjalanan. Setakat ini teknologi daripada Korea Selatan telah dikenal pasti dalam usahasama mewujudkan taman hidrogen atau pun hydrogen farm ini. Garis masa ataupun timeline sedang dirangka dan insya-Allah akan direalisasikan dalam tahun yang mendatang ini, insya-Allah.
Perkataan ESG sering disebut mutakhir ini. Akronim ESG adalah istilah Environment, Social and Government ataupun alam sekitar, sosial dan urus tadbir dengan izin, ianya telah diperkenalkan sejak 1960-an lagi tetapi sekarang ini menjadi fokus dalam bidang terutamanya dalam bidang perindustrian. Kerajaan Negeri juga tidak ketinggalan akan menjuarai dalam bidang ini, insya-Allah. Mengenai pencapaian internet yang perlu ditingkatkan… YB Telemong menerima aduan daripada rakyatnya bahawa setengah kawasan ataupun banyak kawasan di kawasan Hulu Terengganu yang mempunyai pencapaian internet yang agak lemah. Setakat suku ketiga tahun 2023 bagi Parlimen Hulu Terengganu di bawah pelaksanaan Projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) sebanyak 26 menara komunikasi baharu dan satu struktur komunikasi repeater dengan izin sedang dilaksanakan di mana 13 menara komunikasi telah siap beroperasi manakala baki 13 lagi dalam proses pelaksanaannya. Bagi projek menaiktaraf liputan kepada 4G, sejumlah 183 stesen pemancar telah siap dinaiktaraf kepada liputan 4G manakala baki tiga stesen pemancar sedang dalam proses pelaksanaan. Manakala bagi ketersediaan sambungan gentian optik ke premis sejumlah 4,235 premis telah disambung dengan gentian optik manakala 7,088 premis lagi sedang dalam proses pelaksanaannya.
Bagi DUN Telemong pula, setakat suku ketiga tahun 2023 sebanyak tiga menara komunikasi baru telah siap dan baki sembilan lagi sedang dalam pelaksanaan. Manakala bagi proses menaik taraf stesen pemancar kepada LTE, 86 stesen pemancar telah dinaik taraf dan baki dua stesen pemancar sedang dalam pelaksanaan dan ketersediaan sambungan gentian optik premis pula 500 premis telah disediakan dengan gentian optik manakala 2,369 premis sedang dalam pelaksanaan. Kerjasama erat yang diwujudkan antara pihak Syarikat
Telekomunikasi dan Kerajaan Negeri telah melancarkan pelaksanaan projek jendela, terutamanya dari segi aspek memudah cara urusan kelulusan tanah agar projek siap mengikut garis masa yang telah dipersetujui.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, sebelum saya mengakhiri ucapan penggulungan ini, saya ingin menarik perhatian Dewan dimana hampir ataupun sebahagian besar Ahli-ahli Yang Berhormat yang bercakap adalah mengkhususkan tentang kedudukan kewangan negeri, jadi saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memberi satu pesanan khas khususnya kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar. Saya percaya pesanan ini disokong oleh semua sahabat-sahabat Ahli Dewan iaitu pesanannya berbunyi macam ini, jika sekiranya berpeluang menukar Kerajaan Persekutuan sama ada dalam masa terdekat ataupun akan datang, jadikanlah usaha untuk mengubah dasar pembayaran wang royalti Negeri Terengganu dan negeri-negeri pengeluar petroleum, terus kepada negeri bukan lagi ada orang tengah yang menjadi pengeluar minyak tersebut. Sekian Kota Putera mohon menyokong.
Terima kasih Wakil Kota Putera, seterusnya saya persilakan Wakil Cukai, saya harap Wakil Cukai juga akan menepati masa yang diperuntukkan. Silakan.
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar Negeri Terengganu, Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, rakan-rakan, Ahli-ahli Yang Berhormat, ketua-ketua jabatan, dan Agensi, para pegawai dan kakitangan Kerajaan Negeri, para pemerhati dan para media, tuan-tuan dan puan-puan sekalian.
Pertama dan selamanya marilah kita bersama-sama merafakkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana segala nikmat dan kurniaanNya kepada kita dapatlah kita bersama-sama berada dalam Dewan Yang Mulia ini bagi membahaskan ucapan Belanjawan tahun 2024 yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar. Terima kasih kerana telah memberi peluang kepada saya untuk turut mengambil bahagian dalam perbahasan Pelan Enakmen
Perbekalan 2024 yang telah dicadangkan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar. Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan selamat bertanding, saya juga mewakili seluruh rakyat Kemaman mengucapkan selamat bertanding kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar dalam PRK P.040 Kemaman dan semoga Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar kita peroleh pertambahan majoriti undi yang lebih besar dalam PRK ini yang sekali gus memberi kemenangan yang berjaya dalam PRK P.040 Kemaman, dan terus membawa Kemaman ke Putrajaya dan seterusnya menjadi pemimpin utama negara. Insya-Allah.
Saya juga ingin mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan penindasan dan kezaliman rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin, apatah lagi ia membabitkan kematian terutamanya golongan-golongan wanita dan kanak-kanak. Saya menggesa agar Kerajaan Malaysia Madani turut bersuara membela rakyat Palestin dan membantah penindasan serta kezaliman berterusan rejim Zionis Israel di Pentas Antarabangsa dan tanggungjawab kemanusiaan.
Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakan-rakan Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan semalam yang menyentuh Portfolio saya, insya-Allah saya cuba menjawab sekadarnya. Pembentangan Bajet-bajet Negeri Terengganu 2024, yang dinamik dan beriman di mana Kerajaan dan rakyat berganding tangan dalam menjayakan siap perancangan dan aktiviti bersesuaian dengan moto Bajet “Meneraju Era Baharu Terengganu” bagi membina masa depan yang lebih cerah untuk rakyat yang kita cintai. Kerajaan sentiasa komited dalam menyediakan taraf kualiti hidup terbaik demi memastikan kesejahteraan dan kehidupan rakyat yang komprehensif dan harmoni. Biar pun menerima pelbagai desakan dan tekanan terutama dari segi royalti minyak daripada Kerajaan Madani.
Perancangan Bajet tersebut dibuat sangat komprehensif serta inklusif dan boleh membawa kepada manfaat yang besar kepada seluruh rakyat daripada pelbagai lapisan peringkat umur di Negeri Terengganu, yang memfokuskan tiga teras utama memperkukuhkan keberkesanan Kerajaan, mempelbagaikan sumber kekayaan, dan menyejahterakan kehidupan rakyat.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, menerusi Portfolio saya Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar pelbagai projek telah
dirangka dan dicadang bagi dilaksanakan pada tahun hadapan bagi memastikan permasalahan dan keselesaan hidup rakyat lebih terjamin. Antaranya yang pertama, naik taraf jeti Pulau Redang dan Pulau Perhentian dan Pulau Kapas. Yang kedua, senggaraan kemudahan sukan, yang ketiga pembangunan komersial di Taman Ilmu, yang keempat selenggara dan naik taraf masjid-masjid, yang kelima membina masjid baru, yang keenam air percuma, yang ketujuh, projek perumahan Terengganu Sejahtera, yang kelapan, PPR Jeram Kuala Terengganu 150 unit rumah, yang kesembilan, projek kemajuan kawasan Beting Lintang 100 unit rumah, yang kesepuluh projek kemajuan kawasan Tempilis. Yang kesebelas, Projek-projek kecil DUN, yang keduabelas projek jana ekonomi dan pembangunan pertanian, yang ketiga belas, naik taraf dan baiki premis dan fasiliti kerajaan, yang keempat belas selenggara dan naik taraf retikulasi paip dan loji rawatan air, yang kelima belas kurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil MRW, yang keenam belas, projek pertukaran paip AC Marang dan Kuala Terengganu. Semoga segala perancangan ini dapat dijalankan dengan jayanya sempena pembentangan Bajet ini.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, persoalan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Manir, pelabuhan di Negeri Terengganu perlu ditambah baik, Pelabuhan Kemaman dalam proses keluar daripada Lembaga Pelabuhan Kuantan, dan akan bernaung di bawah Lembaga Pelabuhan Kemaman, Pelabuhan Kemaman akan ditambah baik secara berfasa oleh Lembaga Pelabuhan Kemaman, iaitu sebuah Badan Berkanun Persekutuan yang dipertanggungjawab sebagai Pihak Berkuasa Pelabuhan Kemaman di bawah AKTA Pihak Berkuasa Pelabuhan 1963.
Pelan Pembangunan Pelabuhan Kemaman adalah sebagaimana berikut, fasa awal pemasangan dua gantry crane Eastern Steel yakni dah siap awal 2023, yang kedua pemasangan dua kren level lifting crane yang ini akan siap awal 2025. Kapasiti pelabuhan 12juta tan. Fasa pembangunan fasa satu A, 650m sambungan dermaga baru, yang kedua pemasangan enam gantry crane baru, yang ketiga pemasangan dua unit staker, yang keempat tebus guna tanah seluas 52 ekar untuk jajaran ECRL, sasaran siap pertengahan tahun 2026, kapasiti pelabuhan 24 juta tan. Fasa satu A juga, 350m sambungan dermaga baru sasaran siap akhir 2027 kapasitinya 32 juta tan. Pemasangan dua gantry baru dan ketiga, pemasangan dua tambahan ship loader. Fasa pembangunan fasa dua, pembinaan pemecah ombak, pembinaan yang kedua pembinaan dermaga luar 530m yang ketiga, pembinaan dermaga sebelah laut sepanjang
1km, yang keempat penambakan tanah seluas 70 ekar, yang kelima kerja-kerja mengorek ataupun basing baru yang akan bermula selepas 2030, yang dijangka kapasitinya lebih daripada 32 juta tan.
Soalan daripada seberang Takir, daripada Bandar, daripada Telemong dan Bukit Tunggal masalah banjir di Negeri Terengganu, semua Jawatankuasa Pengurusan Banjir di peringkat daerah di lapan daerah negeri ini telah selesai melakukan simulasi banjir baru-baru ini bagi persediaan menghadapi bencana banjir. Sebanyak RM3.45 juta persiapan banjir telah dibelanjakan bagi membeli keperluan pengkalan hadapan untuk kegunaan pusat pemindahan sementara kelak. Jawatankuasa Pengurusan Banjir Peringkat Daerah juga sedang mengenal pasti kawasan-kawasan yang berisiko berlaku banjir dan penyelenggaraan segera akan dibuat bagi mengurangkan risiko banjir berlaku. Tindakan segera akan diambil sekiranya melibatkan pembersihan longkang tersumbat dan pembersihan sungai dengan kerjasama Pejabat Daerah, Pejabat Berkuasa Tempatan, JPS dan JKR. Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan bagi melaksanakan kerja-kerja kecil penyelenggaraan secara berkala, infrastruktur sistem saliran di kawasan berkenaan sebagai langkah sementara bagi mengurangkan isu banjir melalui JPS Negeri Terengganu. Bagi tujuan perancangan dan mengenalpasti punca banjir dan penyelesaian secara menyeluruh serta seterusnya menyediakan permohonan peruntukan untuk pelaksanaan projek, JPS telah memohon di dalam Rolling Plan (RP4) di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). Kajian Pelan Induk Tebatan Banjir Lembangan Sungai Terengganu sedang dalam pelaksanaan JPS. Melalui kajian ini, beberapa tebatan banjir dicadangkan dan dikenalpasti bagi memastikan ianya diperhalusi meliputi aspek skop kos dan selari dengan kehendak semua pihak pemegang taruh, bagi projek tersebut serta menepati objektif projek dan outcome yang telah disasarkan. Berikut adalah Pelan Induk Tebatan Banjir, yang pertama, Sungai Kerteh siap tahun 2022. Yang kedua, Sungai Terengganu pelantikan Perunding Kerajaan, yang ketiga Sungai Marang pelantikan Perunding Kerajaan.
Manakala kajian Pelan Tebatan Banjir di Sungai Dungun dalam proses permohonan dalam RP3 dan RP4 RMKe-12 iaitu projek yang telah lulus seperti:
1) Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kemaman, dalam proses tawaran oleh MOF berjumlah lebih RM200 juta.
2) Rancangan Tebatan Banjir Sungai Tepoh dan Banggol Air Lilih, Kuala Nerus dalam proses tawaran kerja membaiki dan membina berjumlah lebih RM400 juta yang telah diluluskan di bawah peruntukan RM15 bilion secara one-off bagi tebatan banjir keutamaan tinggi, jangkaan Surat Setuju Terima pada awal tahun hadapan.
3) Rancangan Tebatan Banjir Bukit Payong, Kuala Terengganu, Marang, dalam proses rekabentuk berjumlah lebih kurang RM60 juta.
4) Rancangan Tebatan Banjir Bukit Puteri, Besut, dalam proses untuk tawaran perunding untuk reka bentuk RM30 juta.
Bagi tahun 2023, JPS telah membelanjakan RM16,438,000.00 menggunakan peruntukan persekutuan dan negeri bagi pembaikan akibat banjir bagi 362 projek. Berikut adalah pecahan projek-projek tersebut:-
1) Hulu Terengganu 32 projek berjumlah RM2,120,000.00.
2) Besut 69 projek berjumlah RM2,986,000.00.
3) Kemaman 31 projek berjumlah RM1,054,200.00.
4) Dungun 45 projek berjumlah RM2,009,000.00.
5) Setiu 58 projek RM2,400,000.00.
6) Marang 26 projek RM1,290,000.00.
7) Kuala Terengganu 44 projek berjumlah RM1,509,000.00.
8) Kuala Nerus 44 projek RM2,260,000.00.
9) Bahagian pengurusan mekanikal dan elektrikal 13 projek berjumlah RM260,000.00 yang menguruskan rumah pam dan pintu-pintu air.
Soalan daripada Telemong, sungai yang semakin cetek, masalah sungai cetek memang menjadi kerisauan semua rakyat dan dikaitkan menjadi satu penyebab berlakunya banjir. Namun begitu, berdasarkan kajian JPS bagi mengatasi masalah banjir ini, JPS telah mencadangkan agar kolam takungan baru dibina bagi penyelesaian jangka masa pendek dan bagi penyelesaian jangka masa panjang. Empangan baru pun diwujudkan oleh kawasan yang terlibat banjir adalah kawasan industri dengan izin, Timbalan Yang di-Pertua. Kawasan kritikal akan digali bagi mengatasi masalah ini. Untuk makluman semua, Sungai Kemat yang juga dikenali sebagai Sungai Por telah dijalankan projek penyelenggaraan baik sungai dan projek pembaikan tebing. Isu kebocoran paip air ke Pulau Redang, projek penggantian paip terawat ke pulau masih dalam perancangan.
SATU telah menerima beberapa cadangan penyelesaian dan masih di peringkat penelitian dan kebolehlaksanaan projek. Pusat Perpindahan sementara daripada Kuala Berang, Kerajaan Negeri akan mengenal pasti kawasan baru pembinaan PPS yang telah ditenggelami air melalui Pejabat Daerah Hulu Terengganu. Dewan Serbaguna Hulu Terengganu yang sudah diluluskan kita masih menunggu peruntukan hutang RM1 bilion daripada Kerajaan Madani. Paip air pecah, projek paip air pecah telah berjalan dan projek berjumlah RM10 juta dan diluluskan di peringkat kelulusan JBA. Penggantian paip baharu telah dimasukkan dalam perancangan SATU untuk kerja-kerja penambahbaikan untuk tahun hadapan. Loji Hulu Terengganu, Loji Rawatan Air Hulu Terengganu telah beroperasi sejak tahun 2006 dengan kapasiti rekabentuk adalah 55 JLH membekalkan air terawat kepada hampir 80% penduduk Hulu Terengganu manakala 20% lagi menerima bekalan air daripada Jerangau (BakipC) Pengeluaran semasa telah mencapai 55 JLH cadangan penambahan 10 JLH telah dikemukakan dari KKW bagi RP4 RMKe12 dan secara tidak rasmi kelulusan telah diperolehi bagi pelaksanaan projek ini. Tambahan 10 JLH ini dijangka siap pada tahun 2025. Di samping itu, pelaksanaan projek LRA Kenyir dengan kapasiti 20 JLH dijangka siap pada 2026. Proses rundingan Kajian Impak Alam Sekitar sedang berlangsung dan proses pengambilan tanah akan bermula awal tahun 2024. Dalam masa yang sama Kajian Kemungkinan LRA Marang Fasa 1 sedang berjalan di mana LRA ini dijangka siap pada tahun 2029. LRA Marang ini akan membekalkan 20 JLH bagi Daerah Hulu Terengganu. Program NRW Hulu Terengganu sedang berjalan 2023, 2024 untuk kenal pasti kawasan yang alami kebocoran tinggi untuk program penggantian paip lama secara berkala. Saya rasa itu sahajalah soalan yang dikemukakan.
Yang berhormat sebelum habis, sebelum ni saya ada sebut dalam Ucapan Perbahasan berkenaan dengan hakisan pantai Pengkalan Maras ataupun Mengabang Telipot ke Batu Rakit dan tadi saya minta maaf banyak, terpaksa balik sekejap kerana dapat panggilan kecemasan daripada awok-awok di kawasan Pengkalan Maras berkenaan dengan hakisan yang keterlaluan di sekitar Pantai Telipot, Batu Rakit. Jadi saya dapati memang sekarang satu rumah, dua warung kedai dan juga wakaf serta chalet yang sekarang menunggu rebah ke bumi lah jadi, nak bawa kepada Kerajaan Negeri sekarang memang keadaan itu berhajat kepada bantuan segera. Jadi nak minta dengan Kerajaan supaya turunkan bantuan segera walaupun di sana telah ada kelulusan projek beach nourishment dan juga breakwater di sana tapi kita
harapkan semoga kot-kot ada ruang untuk dipercepatkan, wat mari batu dulu ke apa ke..
Okay terima kasih.
Projek kawalan hakisan pantai ini telah pun diserahkan kepada GPQ Sdn. Bhd. dengan kos RM69,917,000.00 dan kita pun sudah tengok gambar tadi, insya-Allah JPS akan turun seberapa segera bagi mengenal pasti apa yang patut dilakukan dengan segera. Terima kasih Timbalan Yang di-Pertua.
Terima kasih Wakil Cukai, seterusnya saya mempersilakan Wakil Alur Limbat.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua Dewan, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Pegawai-pegawai Kerajaan, serta pemerhati sekalian. Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan penghargaan dan syabas kepada semua Ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dan menunjuk komitmen yang tinggi dalam sesi perbahasan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri pada kali ini, dan juga saya ingin mengucapkan setinggi penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar kerana telah membentangkan Perbelanjawan 2024 yang terbaik pada kali ini. Dari segi pembangunan usahawan Kerajaan Negeri, insya-Allah akan terus memacu program keusahawanan supaya terus aktif dalam memastikan supaya lebih ramai para belia menceburi diri dalam bidang keusahawanan ini dan menjadikan bidang keusahawanan atau perniagaan adalah budaya hidup orang Terengganu. Dalam hadith yang masyhur Nabi SAW menyatakan, bersabda-
“Hendaklah kamu berniaga kerana padanya 9 daripada 10 rezeki.”
Dari segi pelaksanaannya Nabi , isterinya Khadijah, sahabatnya Sayyidina Abu Bakar, Sayyidina Uthman bin Affan, Abdul Rahman bin Auf, Zubair Al-Awwam, Sa’ad bin Abi Waqqas, al-Barra’ bin Azib adalah merupakan peniaga-peniaga yang berjaya. Begitu juga Imam Abu Hanifah yang terkenal imam empat mazhab juga adalah merupakan seorang peniaga yang berjaya. Bagi mencapai hasrat tersebut, dari segi ingin pembudayaan hidup orang Terengganu kepada perniagaan ini, Kerajaan akan memastikan dengan tema keusahawanan adalah kerjaya pilihan akan menjadi pilihan kami bagi mengatasi masalah pengangguran pada masa kini dengan menggalakkan penglibatan mereka dalam bidang keusahawanan. Usaha ini akan dapat dimantapkan lagi pelaksanaannya melalui jalinan kerjasama yang erat. Bukan sahaja dengan pihak Kerajaan Negeri tetapi juga melibatkan pelbagai agensi keusahawanan di peringkat Persekutuan. Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu akan terus menyediakan program yang dapat mencapai hasrat tersebut.
Yang Berhormat Timbalan Speaker Dewan, Tabung TUGAS telah banyak membantu ramai usahawan dalam membangunkan perniagaan mereka supaya pergi lebih jauh lagi dan berdaya maju dengan jumlah RM26,744,820.87 juta, telah dikeluarkan pada penggal lepas, telah membantu seramai 4959 usahawan mendapat kemudahan tersebut. Selain daripada itu, keprihatinan Kerajaan kepada usahawan-usahawan kecil dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) direalisasikan menerusi Bantuan Geran Perniagaan yang diberi kepada golongan tersebut dengan jumlah bantuan sehingga RM5,000.00. Ianya telah diagihkan menerusi dua skim yang dilaksanakan. Iaitu yang pertama, Dana Usahawan Dan Industri Mikro Terengganu (DUIT) dan yang kedua Dana Prihatin Terengganu Khas untuk OKU (D-Hati). Insya-Allah segala pelaksanaan TUGAS ini akan diuruskan walaupun mungkin peruntukan yang akan diperolehi berkurangan.
Yang Berhormat Timbalan Speaker Dewan, bidang usahawan adalah satu bidang yang memerlukan ilmu dan pengetahuan, ditambah lagi dengan kemajuan teknologi terkini. Oleh yang demikian YPU, Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan turut memainkan peranan dalam mengadakan program yang melibatkan penambahan ilmu tersebut. Pelbagai program telah dilaksanakan bagi merealisasikan hasrat tersebut. Dan pecahan telah dibahagikan kepada tiga "Start-Up", "Scale-Up" dan juga "High Performing". Pelaksanaan program juga telah mendapat kerjasama daripada agensi keusahawanan yang lain.
Kursus berkait dengan pembangunan halal juga akan diberikan penekanan usahawan akan didedahkan tentang pentingnya logo halal dalam memasarkan produk dan mengembangkan perniagaan. Kursus-kursus juga diharapkan dapat meningkatkan pengetahuan dan kesadaran peserta mengenai pematuhah halal di Terengganu. Usahawan juga dapat mengetahui tentang cara-cara bagi mendapatkan pensijilan halal dan juga tentang keselamatan makanan, MOSTI serta garis panduan kepada pengusaha makanan yang menyediakan makanan di rumah (home based food).
Timbalan Speaker Dewan, hari ini saya hanya menerima hanya satu, seorang Yang Berhormat sahaja yang menyentuh berkait dengan portfolio saya. Walau bagaimanapun ada tiga perkara yang disentuh iaitu Yang Berhormat Kemasik, berkenaan dengan perancangan Kerajaan bagi mengatasi cabaran yang dialami oleh usahawan. Mengenai pemilikan equity, kekurangan bakat, kelemahan pasaran dan yuran pendapatan. Pihak Kerajaan melalui agensi yang berada di bawahnya, sedang menyelaraskan pelbagai program latihan bimbingan keusahawanan, terutama bagi memantapkan ilmu keusahawanan di kalangan para usahawan terutama di kalangan generasi muda yang terlibat dalam dunia keusahawanan. Aspek yang diberikan penekanan adalah kemahiran komunikasi, membuat solusi perniagaan close deal dengan mana-mana pelanggan termasuk pengurusan perniagaan yang cekap dan berkesan dengan dibantu teknologi digital terkini. Tindakan dan perancangan Kerajaan bagi mengambil peluang daripada tindakan pembangunan bumiputera di bawah TERAJU bagi manfaat bumiputera rakyat khususnya rakyat Negeri Terengganu. Ini soalan yang dikemukakan oleh pihak Kemasik. Melalui Konsep Blue Ocean Strategy. Pihak Kerajaan Negeri bersama agensi yang terbabit turut membina rangkaian yang sebelum ini telah baik terjalin dengan TERAJU dan agensi yang berkaitan dengannya. Yang turut menjadi agensi penyelarasan dana dan peruntukan di bawah pelan tindakan pembangunan bumiputera.
Banyak program penyelarasan telah dibuat dan akan ditambah sama ada secara langsung atau tidak langsung, bagi mengadakan program kerjasama dalam apa juga bagi mendapat faedah kepada usahawan di Negeri ini. Terutamanya dalam aspek penganjuran program secara bersama, pengagihan dana atau apa jua bentuk, yang boleh dijalankan.
Soalan berkait dengan perancangan Kerajaan bagi mencipta peluang perniagaan, bagi usahawan di stesen-stesen ECRL yang akan beroperasi pada
masa depan, sebenarnya beberapa siri perbincangan telah dibuat dengan pihak pengurusan ECRL termasuk mengenal pasti lokasi dan tempat yang sesuai untuk menempatkan usahawan dan peniaga tempatan menjalankan perniagaan mereka. Sama ada dalam bentuk penjualan produk makanan, cenderahati, perkhidmatan dan sebagainya yang dijangka dan dapat menjana pendapatan. Penyelarasan lokasi dan pemilihan jenis perkhidmatan atau perniagaan akan dibuat setelah penyusunan dan pemilihan lokasi untuk diwujudkan premis yang berkaitan sama ada terletak di dalam kawasan stesen-stesen ECRL atau luar kawasan stesen tersebut yang dijangka menjadi tempat tumpuan orang ramai sehingga insya-Allah sebelum menggunakan perkhidmatan tersebut. Jadi itulah sedikit penggulungan pada petang ini. Akhirnya, saya ingin mengucapkan dua buah pantun sebelum saya menyokong Ucapan Penggulungan ini, menyokong Ucapan Belanjawan 2024.
Pergi ke tasik bermain kanu Nampak ikan disambar helang Berkat pemerintahan MB Terengganu Dikenali hebat juga cemerlang
Pergi memancing si ikan Toman Sambil berkayuh di air yang tenang Insya-Allah nanti PRK Kemaman MB Terengganu jadi pemenang
Sekian sahaja.
Terima kasih Wakil Alur Limbat yang hanya mengambil separuh masa yang diperuntukkan. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, tuan-tuan dan puan-puan, Ketua-ketua Jabatan dan para pemerhati, saya bercadang untuk teruskan sahaja Persidangan ini dengan memberi ruang kepada dua orang lagi Wakil Kerajaan untuk meneruskan penggulungan. Mana-mana Ahli Yang Berhormat yang perlu dan berhajat untuk keluar Dewan bolehlah berbuat demikian tetapi janganlah keluar beramai-ramai. Okey, seterusnya saya persilakan wakil Tepoh untuk buat penggulungan. Silakan.
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua. Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar Terengganu, rakan-rakan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, rakan-rakan Ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan, rakan-rakan media yang mengikuti Persidangan ini sama ada secara fizikal atau di atas talian, para pemerhati, tuan-tuan dan puan-puan yang saya kasihi sekalian.
Alhamdulillah sama-sama kita merakamkan rasa syukur kepada Allah Subhanahu Wa Taala yang telah memberikan kepada kita peluang dan keizinan untuk bersama-sama mengikuti Persidangan Dewan Undangan Negeri dalam Sesi Pembentangan Bajet pada kali ini. Saya memulakan Ucapan Penggulungan pada kali ini dengan memetik Firman Allah Subhanahu Wa Taala:
“Dan pohonkanlah (wahai Muhammad, dengan berdoa): "Wahai Tuhanku! Masukkanlah aku ke dalam urusan agamaku dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah aku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia; dan berikanlah kepadaku dari sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku"
Surah Al-Isra’ Ayat 80.
Al-Tabari mengulas berkenaan dengan ayat ini dengan menyatakan:
.
“Jadikan untukku kekuasaan yang menolongku dan memenangkanku atas orang-orang yang memusuhiku serta
kurniakan kejayaan yang dapat aku gunakan untuk menegakkan agamaMu dan menolak orang-orang yang berniat buruk pada agamaMu”.
Qatadah pula menyatakan sesungguhnya Nabi mengetahui bahawa tiada daya untuk mengembangkan tugas melainkan dengan kekuasaan. Kerana itu Baginda memohon kekuasaan yang dapat menolong Kitab Allah, menjaga hukum-hakamNya, memelihara kewajipan-kewajipan yang telah ditetapkanNya dan menegakkan agamaNya.
Inilah prinsip yang ada pada kita semua bukan untuk mengejar kekuasaan tetapi suatu kekuasaan yang boleh membantu agama yang boleh mengangkat dan memartabatkan agama Islam di manapun kita berada. Seruan yang sama saya tujukan kepada semua pegawai-pegawai sama ada yang berada di peringkat Kerajaan Persekutuan ataupun yang berada di peringkat Kerajaan Negeri, kita mengambil tanggungjawab bagi kita memastikan bahawa kita adalah orang yang diberi kuasa dan orang yang membantu agama dengan kuasanya. Kata Nabi ,
“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat kepada manusia yang lain”.
Dalam sesi perbahasan yang dikemukakan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan kelmarin dan juga pada pagi ini yang juga menyentuh tentang Portfolio yang telah dipertanggungjawabkan kepada saya. Insya-Allah saya akan cuba menerangkan secara lebih terperinci semua persoalan dan harapan yang telah diutarakan.
Yang Berhormat Bandar, Jertih dan Hulu Besut ada membicarakan berkenaan dengan belia. Saya ingin berkongsi bersama semua Ahli-Ahli Yang Berhormat, membangunkan kepimpinan belia untuk masa depan negeri sememangnya menjadi agenda utama Kerajaan Negeri. Sebagaimana yang dinyatakan dalam Ucapan Belanjawan 2024, Kerajaan Negeri akan memperhebatkan lagi fungsi Program ADUN Belia. Melalui Urus setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera, Program ADUN Belia Siri ke-2 2021-2023 telah berjaya dilaksanakan. Antara pengisian bagi program ini adalah, yang pertama Persidangan Dewan Undangan Negeri melibatkan semua ADUN Belia sebanyak dua kali. Kunjung
Hormat kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat ADUN dan pejabat-pejabat berkaitan, dan yang ketiga penglibatan ADUN-ADUN Belia di dalam program-program rasmi kerajaan.
Selain itu penubuhan Al-Fateh Terengganu Sdn. Bhd. bagi memenuhi hasrat PITAS 2023 melahirkan Belia Rabbani Terengganu menjelang tahun 2030 diharap dapat membangunkan keupayaan peserta Akademi Al-Fateh. Akademi Al-Fateh telah diberi tanggungjawab untuk melaksanakan Program Al-Fateh yang terdiri dari lima peringkat umur iaitu TUNAS (11-12 tahun), DIDIK (13-17 tahun), BAKAT (18-25 tahun), IKON (26-30 tahun), ELIT (31-40 tahun). Tiga modul melibatkan peringkat umur BAKAT telah berjaya dibangunkan dan beberapa siri program telah dijalankan melibatkan Program Kem Impak Belia Terengganu atau kita panggil sebagai KIAM. Gema KIAM dan Pro-KIAM. UBSNT dan Al-Fateh dengan kerjasama TSIS akan terus bekerjasama membangunkan Modul Pembangunan Belia melalui lima peringkat umur yang telah dimaklumkan sebentar tadi.
Berdasarkan Pelan Induk Portfolio Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri 2021-2025, Kerajaan Negeri telah merancang untuk teras ketiga memperkukuh jaringan infrastruktur merentasi Sektor Belia, Sukan dan NGO bagi mengoptimumkan sumber. Strategi yang keempat, Memperkasakan Modal Insan Belia melalui pembangunan Pusat Kegiatan Belia dengan penerapan nilai keagamaan sebagai asas yang mampan untuk membendung gejala sosial dan peningkatan jenayah. Salah satu program yang dirancang adalah untuk mewujudkan Pusat Kegiatan Belia di setiap daerah yang dipantau oleh sebuah jawatankuasa dan lapan orang kakitangan yang dilantik untuk tujuan menyelaras.
Untuk maklumat Yang Berhormat, Pusat Kegiatan ini sebenarnya telah wujud di setiap daerah yang menjadi pejabat kepada Majlis Belia Daerah. Pusat ini juga mempunyai sekurang-kurangnya seorang kakitangan yang bertugas.
Perkhidmatan yang ditawarkan di setiap Pusat Kegiatan ini adalah berlainan buat masa ini. Namun, Kerajaan Negeri berhasrat untuk bekerjasama dengan Majlis Belia Terengganu bagi menyeragamkan dan mengoptimumkan pengfungsian Pejabat Majlis Daerah sedia ada selari dengan perkembangan semasa. Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Yang Berhormat Dato’ Speaker, Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta semua Ahli Dewan sekalian, berdasarkan rekod Ahli Jawatankuasa Tetap Majlis
Belia Negeri Terengganu seramai 50 orang terdiri daripada golongan profesional, peguam seorang yang mewakili 2%, kakitangan kerajaan 14 orang 28%, guru pendidik sembilan orang 20%, berniaga kerja sendiri 16 orang 32%, sektor swasta 10 orang 20%. Hampir separuh atau 48% daripada Ahli Jawatankuasa Tetap berkenaan terdiri daripada penjawat awam selain itu Pengerusi-pengerusi Majlis Belia Daerah pula terdiri daripada kakitangan kerajaan empat orang, guru pendidik seorang, peniaga, kerja sendiri dua orang, sektor swasta satu orang, oleh itu keterlibatan kakitangan kerajaan termasuk warga pendidik di dalam pentadbiran Majlis Belia sama ada di peringkat daerah atau negeri masih ada dan insya-Allah akan terus berkekalan.
Ahli Yang Berhormat Sura yang menyentuh tentang pemerkasaan ekosistem sukan, untuk maklumat Dewan, antara kursus dan bengkel yang telah berjaya dilaksanakan bagi melahirkan jurulatih dan pegawai-pegawai sukan yang berkaliber yang mampu meningkatkan lebih tinggi dianjurkan oleh Majlis Sukan Negeri Terengganu adalah seperti Kursus Sains Sukan Tahap satu, dua dan tiga, Kursus Pengurusan Sukan, Kursus Latihan Bebanan, Kursus Pertolongan Cemas, Kursus Video Analisa Prestasi dan pelbagai lagi kursus-kursus yang lain. Selain itu, Majlis Sukan Negeri Terengganu telah menghantar jurulatih serta pegawai-pegawai sukan untuk menyertai kursus serta latihan yang dianjurkan oleh Institut Sukan Negara seperti Kursus Pendidikan, Jurulatih berterusan, Skim Perlesenan Kejurulatihan Kebangsaan dan pelbagai lagi kursus yang dianjurkan. Bagi menjaga kebajikan jurulatih kendalian Majlis Sukan Terengganu, Majlis Sukan telah menaja dan menghantar jurulatih yang berkaliber menuntut ilmu kejurulatihan di dalam dan di luar negara. Antara yang mendapat tajaan dari Majlis Sukan adalah jurulatih basikal ke Switzerland dan pelbagai lagi jurulatih yang lain ke Thailand, ke Rusia dan lain-lain.
Selain itu, Negeri Terengganu juga antara negeri pertama yang mencarum KWSP dan PERKESO kepada jurulatih-jurulatih yang berkhidmat. Majlis Sukan Negeri Terengganu memberi peluang pekerjaan kepada bekas-bekas atlet yang berpotensi untuk dijadikan jurulatih sepenuh masa dan jurulatih sambilan dengan tangga gaji minima menyamai penjawatan awam dengan gred-19 sebagai permulaan. Selepas dilantik bekas atlet ini akan diarahkan menyertai kursus-kursus yang berkaitan dengan kejurulatihan. Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu juga telah berjaya melahirkan jurulatih bertaraf EFC Diploma A dan AFC A-license, antara jurulatih Terengganu, anak Terengganu yang berjaya dilahirkan Diploma Pro-A seperti Badrul Afzan Razali, Penolong
Ketua Jurulatih TFC, Subri Sulong, Penolong Ketua Jurulatih TFC dua, Roshadi Wahab, Ketua Jurulatih TFC tiga dan Penolong Jurulatih Piala Emas Raja-Raja, AFC A-Licence Hairuddin Omar, Ketua Jurulatih TFC dua Wan Adremy Indera, Ketua Jurulatih TFC empat, Muhammad Fuad bin Mamat, Ketua Jurulatih Remaja Negeri Terengganu dan beberapa nama yang lain. Selain itu, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu juga berusaha untuk menyediakan program pembangunan ke arah melahirkan jurulatih, pegawai yang bertaraf tinggi dalam bola sepak, antara program atau kursus yang dianjurkan termasuklah Kursus Kejurulatihan, Kursus Pembaharuan, Kursus Sains Sukan, liga tempatan dan juga kita juga, kita juga memberikan pengiktirafan dan juga penghargaan. Sebagai satu contoh, Encik Suhaimi Mat Hasan Pengadil Piala Dunia Beach Soccer diberikan penghargaan berupa wang tunai dan hadiah di dalam kongres tahunan PBSMT, Persatuan Pengadil juga telah dimasukkan sebagai ahli gabungan dalam Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu untuk makluman Dewan sekalian. Dalam aspek kebajikan Persatuan sentiasa peka terutamanya apabila jurulatih, pegawai, pemain yang masih berkhidmat mahupun bekas dengan mengadakan ziarah, dan menghulurkan bantuan dengan demi meringankan tanggungan perbelanjaan, untuk maklumat Yang Berhormat Sura, juga ada sebahagian daripada jurulatih dan juga bekas pemain, tidak berhasrat dan tidak berminat untuk mengikuti tawaran memiliki lesen yang lebih tinggi walaupun diminta, dan walaupun disyorkan kepada mereka yang kita tidak ketahui apakah alasan-alasan mereka pada waktu itu.
Yang Berhormat Bandar, ada menyentuh berkenaan dengan mempromosikan “Gaya Hidup Sihat”, antara program yang dirancang untuk dilaksanakan pada tahun 2024 bagi mempromosikan “Gaya Hidup Sihat” termasuklah yang pertama memperkasakan program sukan untuk semua, yang kedua meneruskan Program Fit is Sunnah, yang ketiga Monsoon Run, yang keempat Terengganu Beach Festival dan yang kelima rancakkan program-program berbasikal selaras dengan jenama Terengganu sebagai Land Of Cycling, Kerajaan Negeri juga berhasrat untuk meneruskan program-program sedia ada termasuklah bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam penganjuran program- sukan melalui Jabatan Belia dan Sukan Negeri bagi memastikan hasrat mempromosikan “Gaya Hidup Sihat” dapat dicapai, seperti Program Fit Malaysia, Hari Sukan Negara dan Liga Sukan Untuk Semua.
Yang Berhormat Air Putih, yang menyentuh tentang fasiliti sukan di DUN Air Putih, berdasarkan rekod sedia ada terdapat 35 premis atau fasiliti sukan milik
kerajaan wujud di DUN Air Putih antara kemudahan yang terlibat termasuklah padang bola sepak, futsal, sepak takraw, badminton, bola tampar dan bola jaring kebanyakan kemudahan ini atau 22 kemudahan ini terletak di dalam kawasan sekolah manakala selebihnya adalah di bawah Kerajaan Negeri. Kementerian Belia dan Sukan, FELDA atau KETENGAH daripada 35 premis berkenaan hanya tiga kemudahan yang memerlukan kepada kerja baik pulih, Kerajaan Negeri buat masa ini memberi fokus kepada membaik pulih kemudahan sedia ada berbanding untuk membina baharu fasiliti sukan. Kerajaan Negeri juga telah mengemukakan permohonan naik taraf kemudahan sedia ada iaitu kemudahan fasiliti sukan di Taman Awam Binjai, Air Putih serta padang bola sepak Kampung Pasir Gajah. Selain itu KETENGAH juga saya difahamkan turut merancang untuk membina serta menaik taraf kemudahan sukan sedia ada dari masa ke semasa mengikut kesesuaian bagi kegunaan penduduk di dalam kawasan DUN Air Putih, insya-Allah saya akan turun sendiri untuk lawatan tapak bagi meninjau secara lebih dekat lepas ini bersama pihak Ahli Yang Berhormat Kawasan. Saya rasa itu sahaja di antara perkara-perkara yang telah disentuh oleh Ahli-ahli Yang Berhormat sepanjang mengikuti pembahasan yang telah dikemukakan oleh semua pihak. Dengan ini saya akhiri dengan ucapan
Dengan ini Tepoh menyokong.
Terima kasih, pada Wakil Tepoh dan seterusnya untuk yang terakhir pada petang ini, saya mempersilakan Wakil Wakaf Mempelam untuk membuat penggulungan. Dipersilakan.
Terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Timbalan Yang di-
Pertua, yang telah pun memberikan peluang ruang untuk saya untuk turut serta mengambil serta dalam pembahasan dalam Enakmen untuk tahun 2024 yang telah pun dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar dalam Dewan yang Mulia ini.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Terengganu telah pun membentangkan suatu Bajet Negeri Terengganu 2024 yang dinamik dan berimbang di mana Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk memastikan kedudukan kewangan berada dalam keadaan stabil untuk menyokong keperluan semasa dan masa hadapan kita semua bertemakan “Meneraju Era Baharu Terengganu”, dalam membina masa hadapan yang lebih cerah di Negeri ini. Dalam menuju era baharu ini bagi memastikan setiap sumber dimaksimakan, tiga identiti telah pun digariskan iaitulah yang pertama Kerajaan Yang Lebih Berkesan dengan memberikan perhatian dan prihatin kepada setiap perkara, Yang Kedua pemimpin, pegawai kerajaan & penjawat awam yang berintegriti serta kreatif dan inovatif dalam melaksanakan tanggungjawab dengan lebih cekap dan cepat kepada rakyat, yang ketiga rakyat yang diperkasakan yang sentiasa mengambil bahagian dalam isu dan aktiviti kemasyarakat serta menjadi lebih berdikari.
Menunjang kepada tiga fokus Bajet 2024 ini iaitu fokus yang pertama memperkukuh keberkesanan Kerajaan, fokus kedua mempelbagaikan sumber kekayaan dan fokus yang ketiga, menyejahterakan kehidupan rakyat, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar telah menggariskan sepuluh sasaran dan strategi. Sasaran dan strategi yang digariskan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar ini tidak terhad hanya kepada portfolio atau jabatan/agensi tertentu sahaja. Sebaliknya, semua pihak harus menggembleng tenaga ke arah memastikan sasaran dan strategi Bajet 2024 dapat dicapai.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Perancangan Bajet tersebut dibuat sangat komprehensif serta inklusif dan boleh membawa manfaat yang besar kepada kemajuan dan kesejahteraan Negeri Terengganu. Bagi Bajet 2024 ini, Portfolio Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan telah menfokuskan kepada fokus kedua dan fokus ketiga Belanjawan 2024. Bagi Fokus Kedua iaitu mempelbagaikan sumber kekayaan melalui segmen Pembangunan Infrastruktur Perniagaan. Manakala bagi fokus ketiga iaitu Menyejahterakan Kehidupan Rakyat melalui beberapa segmen perancangan iaitu pelestarian inisiatif kebajikan, kemajuan perumahan dan pemampanan
bandar. Secara keseluruhannya melalui perancangan yang dinyatakan merangkumi keseluruhan 15 inisiatif. Melalui segmen Pembangunan Infrastrktur Perniagaan telah dirangka satu inisiatif iaitu galakan bagi mewujudkan lot-lot kedai di kawasan perumahan yang baharu melalui membangunkan lot-lot kedai di kawasan rumah mampu milik yang akan dibina bagi merancakkan ekonomi setempat. Melalui segmen kelestarian inisiatif kebajikan, tiga inisiatif telah dirangka iaitulah yang pertama, bantuan wad kelas tiga percuma yang telah pun dilaksanakan bermula 1 Mac 2021 yang lalu di semua hospital kerajaan di Negeri Terengganu dan telah memanfaatkan seramai 70,622 orang penerima setahun. Dengan pelaksanaan bagi tahun 2024, wad kelas tiga percuma ini diharapkan dapat meringankan beban rakyat terutama dalam mendapatkan perkhidmatan perubatan di hospital-hospital kerajaan.
Yang kedua, Menyediakan Kad Sejahtera, merupakan inisiatif kepada golongan berpendapatan rendah dalam mendapatkan perkhidmatan kesihatan di klinik-klinik swasta terpilih bermula 17 Julai 2019 dan insya-Allah akan diteruskan pada tahun 2024 juga bagi meringankan beban dan menjamin kesihatan rakyat dalam mencapai kesejahteraan hidup.
Yang ketiga Pelaksanaan Pengecualian Cukai Taksiran kepada rumah kediaman telah pun dilaksanakan bermula 2018 dan diteruskan bagi tahun 2024 bagi membantu meringankan beban rakyat dalam situasi ekonomi yang tidak menentu.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, seterusnya melalui Segmen Kemajuan Perumahan. Lapan inisiatif telah pun dirangka.
1. RMM Bandar Baharu Tembila, Besut sebanyak 160 unit di mana RMM Bandar Baharu Tembila ini terletak di kawasan DUN Kota Putera, Mukim Tembila, Daerah Besut. Tanah keseluruhan berjumlah 33.11 ekar manakala untuk pembangunan RMM adalah sebanyak 19.091 ekar. Perincian pembangunan meliputi RMM A sebanyak 110 unit, RMM B sebanyak 50 unit dan kedai sebanyak 6 unit. Anggaran kos yang diperuntukkan sebanyak RM40 juta.
2. Memperkenalkan Townhouse RAHMAN, rumah belia RAHMAN bagi mengoptimumkan penggunaan tanah di Kawasan bandar, konsep Townhouse RAHMAN diperkenalkan. Konsep ini merupakan projek
perumahan satu bangunan secara bertingkat yang dihuni oleh pemilik yang berlainan. Spesifikasi dan reka bentuk rumah akan diselaras semula bersama agensi teknikal yang lain. Manakala Program Rumah Belia RAHMAN akan diberi keutamaan kepada golongan belia yang berumur 35 tahun ke bawah untuk menggalakkan golongan ini juga memiliki rumah.
3. Memperkemaskan Dasar Pembangunan Perumahan Rumah Mampu Milik melalui penswastaan. Kajian semula dasar ini akan mengambil kira semua pemegang taruh terutamanya agensi teknikal termasuk pihak swasta bagi memberikan nilai tambah kepada dasar sedia ada. Kajian ini merangkumi bengkel, seminar dan sesi libat urus yang telah dirangka dan akan dibuat dalam tempoh yang terdekat.
4. Menambah Baik Perjanjian dengan Pemaju. Perjanjian usahasama dengan pemaju terutamanya melibatkan projek penswastaan ditambah baik bagi memberi keuntungan kepada pemaju di samping pulangan yang baik juga kepada Kerajaan Negeri. Hasil daripada ini projek tersebut juga memberikan kepentingan kepada rakyat.
5. Memantau dan Menyelia Projek Kerajaan dan Swasta. Memastikan setiap projek dapat dilaksanakan dan juga dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.
6. PPR Jeram, Kuala Terengganu sebanyak 150 unit. Kelulusan pelaksanaan telah pun diperolehi daripada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan melalui Rolling Plan ke-3 RMK-12 pada Jun 2023. Ianya terletak di Kawasan DUN Buluh Gading, Daerah Kuala Terengganu. Tanah berkeluasan sebanyak 9.88 ekar dengan anggaran peruntukan sebanyak RM50 juta. Kerja-kerja pembinaan insya-Allah akan bermula pada tahun 2024.
7. Projek Pemajuan Kawasan Beting Lintang sebanyak 100 Unit. Kelulusan pelaksanaan telah pun diperolehi daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui Rolling Plan ke-3 RMK-12 pada April 2023 dan ianya terletak di Kawasan DUN Kota Putera dalam Daerah Besut. Tanah berkeluasan sebanyak 11 ekar dengan anggaran peruntukan
sebanyak RM25.2 juta dan kerja-kerja pembinaan dijangka akan bermula pada tahun 2024.
8. Projek Pemajuan Kawasan Tempinis. Kelulusan pelaksanaan juga telah diperolehi daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui Rolling Plan ke-3 RMK-12 pada April 2023 dan terletak di Kawasan DUN Jabi, Daerah Besut. Tanah berkeluasan sebanyak 11 ekar dengan anggaran peruntukan sebanyak RM7.5 juta. Kerja-kerja pembinaan insya-Allah dijangka akan bermula pada tahun 2024.
Selanjutnya, melalui Segmen Pemampanan Bandar, tiga inisiatif telah pun dirangka. Yang pertamanya, Kajian Rangka Tindakan Bandar Pintar Negeri Terengganu. Kajian ini dilaksanakan dengan kos peruntukan sebanyak RM150 ribu bertujuan untuk menyediakan satu Blueprint Bandar Pintar Negeri Terengganu sebagai panduan utama dan hala tuju kepada Pihak Berkuasa Negeri, agensi-agensi dan pihak berkepentingan khususnya Pihak Berkuasa Tempatan ataupun (PBT) dalam memacu pelaksanaan inisiatif bandar pintar yang efektif dan efisien setanding dengan bandar-bandar lain di peringkat nasional dan juga global. Menerusi Blueprint Bandar Pintar, pengurusan bandar yang cekap dan pintar melalui perkongsian dan integrasi data ke arah big data analytic dan data driven decision making akan dapat dicapai dan seterusnya membantu PBT dalam menangani cabaran perbandaran pada masa akan datang. Berteraskan kepada hala tuju dan sasaran yang lebih spesifik dan juga jelas, Blueprint Bandar Pintar Negeri Terengganu akan digubal secara efektif bagi memastikan dasar dan tindakan yang dirancang adalah berdaya laksana dan mampu untuk dibangunkan.
Seterusnya, Perkhidmatan Pembersihan Awam & Sisa Pepejal. Membiayai peruntukan sebanyak RM78.9 juta setahun dengan melantik 97 buah syarikat bumiputera Negeri Terengganu untuk menjalankan perkhidmatan pembersihan awam dan kutipan sisa pepejal dengan pemantauan secara berterusan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Yang ketiga, Bandar Bersih. Selain daripada itu juga, Kerajaan Negeri juga akan melaksanakan inisiatif-inisiatif ke arah mewujudkan Bandar Bersih melalui penganjuran program-program kebersihan dengan penglibatan serta kerjasama erat di antara agensi kerajaan, pihak swasta serta komuniti setempat.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, seiring dengan hasrat Kerajaan Negeri ke arah memastikan kesejahteraan masyarakat dan kemampanan bandar secara berterusan, komitmen dan peranan semua Pihak Berkuasa Tempatan amat signifikan. Melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif yang telah pun berjaya membantu peningkatan ekonomi dan seterusnya memberikan manfaat kepada rakyat dalam menikmati kehidupan yang lebih baik. Kejayaan Majlis Perbandaran Kemaman menerima Anugerah Penganugerahan Status Smart City Early Adopter bersama-sama dengan 24 buah bandar di negara ini akan menjadi satu penanda aras yang signifikan kepada semua PBT lain untuk bersama-sama meningkatkan usaha ke arah mencapai status bandar pintar pada masa akan datang. Menerusi penganugerahan tersebut, pihak Majlis Perbandaran Kemaman telah menerima geran peruntukan khas KPKT sebanyak RM200,000.00 bagi projek-projek inisiatif bandar pintar dan proof of concept oleh pihak TM One. Tahniah diucapkan kepada Majlis Perbandaran Kemaman.
Berdasarkan kepada analisis penilaian kemampanan bandar iaitu MURNInets (Malaysian Urban Rural National Indicators Network on Sustainable Development) yang telah dijalankan oleh pihak Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) pada tahun 2023, Alhamdulillah dan tahniah kepada semua PBT Negeri Terengganu kerana telah berjaya mencapai tahap Bandar Mampan. Kemanisan pencapaian tersebut diserikan lagi dengan kejayaan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang telah mendapat pengiktirafan Bandar Paling Mampan di Malaysia, tahniah MBKT. Menerusi kejayaan pengiktirafan-pengiktirafan yang telah dicapai, diharapkan semua PBT Negeri Terengganu akan terus komited untuk menjayakan agenda perbandaran yang mampan dan kesejahteraan masyarakat ke arah Negeri Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, pelbagai isu-isu telah pun dibangkitkan ketika sesi perbahasan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat. Oleh itu, izinkan saya menjawab serba sedikit isu-isu yang telah dibangkitkan. Yang pertamanya, ADUN Bandar yang telah menyebut tentang pembaikian dan penyelenggaraan Pasar Chabang Tiga. Yang Berhormat Bandar meminta Kerajaan Negeri melihat usaha-usaha untuk membaiki Pasar Chabang Tiga yang mengalami kerosakan dan kebocoran. Pihak MBKT sedar akan kerosakan dan keselesaan peniaga di Chabang Tiga ini dan MBKT telah melihat daripada masa ke semasa dan membaiki dan menyelenggara pasar ini. Antara tindakan yang
telah diambil adalah membaiki atap-atap yang bocor dan kerja-kerja elektrik. Kerja-kerja ini dibuat secara jabatan ekoran kekangan kewangan MBKT. Bagi penyelesaian jangka masa panjang bagi mengatasi isu kebocoran ini, kerja-kerja penukaran atap yang telah pun berkarat dan kerosakan gutter yang perlu dilaksanakan. Bagi melaksanakan kerja-kerja ini, MBKT menganggarkan sebanyak RM700,000.00 peruntukan diperlukan dan insya-Allah kita akan memohon peruntukan kepada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan pada tahun ini untuk dipertimbangkan peruntukan tahun 2024.
Yang kedua, ADUN Bandar juga menyebut tentang kesuraman Stesen Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu. Di antara punca kesuraman perniagaan di Stesen Bas Kuala Terengganu ini adalah berpunca daripada dua punca utama. Yang pertamanya adalah jumlah pengguna bas yang semakin berkurangan, suatu masa dahulu perniagaan di Stesen Bas mendapat sambutan yang hebat kerana pada ketika itu stesen bas menjadi tumpuan awam. Namun kini ianya telah banyak berubah ekoran kemampuan rakyat memiliki kenderaan sendiri. MBKT telah pun mengadakan perbincangan dengan beberapa agensi seperti MARA, YPU dan banyak lagi agensi yang lain untuk melihat bagi regenerate perniagaan di Stesen Bas itu. Namun demikian, sehingga kini tiada cadangan konkrit bagi mengatasi kelembapan perniagaan ini dan MBKT akan mengadakan lagi insya-Allah satu bengkel khas dengan melibatkan wakil-wakil peniaga dan agensi-agensi terlibat bagi mencari satu solusi kesuraman perniagaan di Stesen Bas ini. Yang kedua adalah kebocoran atap, MBKT juga telah menerima banyak aduan berkaitan dengan kebocoran atap ini dan pada tahun ini MBKT telah pun menjalankan kerja-kerja pembaikian atap Stesen Bas ini dengan kos lebih daripada RM250,000.00.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, ADUN Buluh Gading membangkitkan isu penjualan vape dan langkah-langkah pencegahan. Isu penguatkuasaan larangan penjualan vape telah dipersetujui oleh Kerajaan Negeri melalui keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Ke-20 Tahun 2022 lagi di mana di antara keputusannya ialah yang pertama PBT hendaklah membuat aktiviti penguatkuasaan dengan lebih kerap terutamanya premis-premis yang tidak berlesen. Yang kedua, turut disarankan agar PBT mengenakan kompaun secara maksimum dan sebarang rayuan pengurangan tidak perlu dilayan. Yang ketiga, jika PBT mempunyai keupayaan untuk membuat pendakwaan di mahkamah barang tersebut boleh dilupus atau dimusnahkan..
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, soalan.
Ya, sila.
Adakah setakat ini, kedai-kedai jual Vape ini kita lesen kan, yang banyak-banyak ini ada ke kita lesen sebab Yang Berhormat sebut tadi yang tidak berlesen, terima kasih.
Semua kedai-kedai vape yang ada tidak dilesenkan, akan saya sebut lepas pada ini. Yang keempat, satu pindaan terhadap Undang-Undang Kecil boleh dibuat jika pada pandangan PBT vape ini dibimbangi mendatangkan mudarat serta kacau ganggu kepada orang-orang awam. Justeru, Kerajaan Negeri telah pun mengatur beberapa siri perbincangan bersama dengan agensi Kerajaan yang lain bagi memperkukuhkan lagi tindakan penguatkuasaan terhadap larangan penjualan vape iaitu dengan mewujudkan Undang-Undang Kecil yang khusus bertujuan untuk mewujudkan keseragaman di antara semua PBT Terengganu berhubung tindakan perundangan yang boleh diambil di samping memudahkan tindakan penguatkuasaan di lapangan. Status terkini draf Undang-Undang Kecil baharu bagi larangan penjualan vape telah pun dibuat semakan oleh Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri dan telah pun mengedarkan draf tersebut kepada MBKT untuk MBKT mendapat maklum balas terakhir daripada semua Pihak Berkuasa Tempatan sebelum draf UUK tersebut dibawa untuk pertimbangan Pihak Berkuasa Negeri.
Seterusnya, ADUN Buluh Gading juga ada membangkitkan tentang isu aktiviti wang berlesen.
Yang Berhormat Wakil Wakaf Mempelam..
Ya..
Saya nak tanya sebelum pergi kepada tajuk lain, alasan kepada vape tadi ialah
gangguan awam dan juga ada kesan penyakit. Saya rasa benda ini sama juga dengan rokok dan kalau vape alkohol ada lesen boleh jual, vape perlu kepada lesen saya rasa saya cadangkan supaya rokok pun ada tempat yang ada lesen jual rokok sahaja jual rokok dan tembakau sebagaimana di negara barat, terima kasih.
Comel cadangan itu. Yang kedua, ADUN Buluh Gading membangkitkan tentang isu aktiviti wang berlesen. Saya rasa semua Ahli-ahli Yang Berhormat akan berhadapan dengan apa banyak isu-isu berkaitan dengan rakyat yang mari jumpa untuk pinjam duit, bantu untuk dapatkan duit dan sebagainya lagilah sebab mereka pinjam dengan Along dan mungkin juga termasuk dengan syarikat kewangan berlesen ini. Jadi, ini adalah satu penyakit dan juga isu yang agak besar juga sebenarnya di kalangan rakyat kita terutamanya di kalangan wakil-wakil rakyat sebab penerima ataupun peminjam-peminjam wang dengan Along ini, dia dok minta sikit-sikit, dia dok minta 100 riyal, 200 riyal, 500 riyal, biasa dia minta 1000, 2000, 4-5000 pun ada dan pernah berlaku minta 10,000 pun ada. Terbanyak yang pernah saya hadapi 30,000 pun ada. Saya kata nok bila, nok harini jugok. 30,000 nok hari ini jugok. Haa tu dia, jadi ini adalah isu yang sangat besar. Untuk makluman Dewan, pemberi pinjam wang atau kredit komuniti ini, ditafsirkan sebagai mana-mana orang yang menjalankan atau mengiklankan atau mengumumkan dirinya atau mengemukakan dirinya dengan apa-apa cara sebagai menjalankan perniagaan pemberi pinjam wang sama ada atau tidak dia menjalankan apa-apa perniagaan yang lain.
Pegawai pelesen bagi aktiviti pemberi pinjam wang ini adalah merupakan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan pemohon mestilah mematuhi garis panduan urusan pelesenan kredit komuniti. Sebelum sesuatu lesen diluluskan oleh KPKT, KPKT akan memohon pandangan daripada PBT bagi tujuan kelulusan lesen selaras dengan peruntukan di dalam garis panduan urusan pelesenan kredit komuniti perenggan 4.8.1 yang menyatakan bilangan maksimum premis kredit komuniti ditentukan berdasarkan PBT dan tertakluk kepada perubahan semasa. Salah satu contoh, Majlis Perbandaran Kemaman telah menetapkan dasar di peringkat sendiri untuk menghentikan pengeluaran lesen premis perniagaan (PPW) yang baharu memandangkan jumlah PPW yang sedia ada di daerah tersebut sudah melebihi daripada keperluan semasa dan dasar ini juga turut diamalkan oleh PBT lain di Negeri Terengganu.
Untuk rekod di Negeri Terengganu kita ada sebanyak 25 premis pemberi pinjam PPW. Di Kuala Terengganu kita ada 11, di Kemaman kita ada 8, di Dungun kita ada 5, di daerah Besut kita ada 1, di Hulu Terengganu, Marang, Setiu 0 semuanya 25. Dan Insya-Allah pihak Kerajaan tidak berhasrat lagi untuk menambahkan lagi bilangan premis PPW ini dan dalam masa yang sama kita akan memantau aktiviti syarikat kewangan PPW ini agar tidak memberikan kesan yang buruk kepada rakyat dan kita juga tidak menolak untuk mengurangkan bilangan premis perniagaan PPW ini jika sekiranya unsur-unsur negatif banyak berlaku di dalam negeri kita ini.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, ADUN Sura ada menyebut tentang Enakmen Rumah Tumpangan Negeri Terengganu 2013. Untuk makluman, Enakmen Rumah Tumpangan Negeri Terengganu 2013 telah diterbitkan dalam Warta pada 19 Jun 2014. Namun begitu, pewartaan tersebut tidak dinyatakan satu tarikh bagi Enakmen itu berkuatkuasa dan ianya adalah tertakluk kepada satu tarikh yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Negeri melalui pemberitahuan dalam Warta. Manakala satu kertas cadangan untuk menyemak semula peraturan-peraturan Rumah Tumpangan 1948 serta mengadakan caj penginapan di Negeri Terengganu telah pun dibentangkan sebelum ini kepada Mesyuarat Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Terengganu pada tahun 2021 namun telah ditangguhkan disebabkan kerana faktor pandemik COVID-19 pada tahun tersebut. Untuk makluman, Enakmen ini diadakan untuk mengadakan peruntukan bagi pelesenan, pengawalan dan penguatkuasaan rumah tumpangan bagi Negeri Terengganu dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Selain itu, Enakmen ini juga bertujuan untuk menggantikan Enakmen Rumah Tumpangan sedia ada yang sudah lama dan lapuk terutama berkaitan penguatkuasaan. Terkini kertas cadangan bagi kelulusan tarikh penguatkuasaan Enakmen Rumah Tumpangan 2013 dan mengadakan caj penginapan kini di dalam proses pemurnian dan dijangka akan diangkat pada awal 2024 untuk kelulusan Pihak Berkuasa Negeri. Insya-Allah.
ADUN Sura juga membangkitkan tentang isu projek penswastaan yang mengambil masa yang lama. Dan beliau merujuk kepada Projek Penswastaan Bukit Tebuk, Mukim Kuala Dungun. Untuk makluman pihak Yang Berhormat, Kerajaan Negeri melalui SUK Perumahan telah menerima laporan cadangan pembangunan LCP daripada pemaju. Dan setelah diteliti laporan tersebut akan dihantar kepada Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Terengganu untuk
penilaian teknikal dan kemampuan kewangan. Hasil daripada laporan tersebut menyatakan bahawa kawasan tersebut mempunyai tahap kecerunan yang tinggi iaitu kelas 3 dan 4 yang memerlukan pandangan teknikal secara menyeluruh daripada agensi yang mempunyai kepakaran iaitu Jabatan Mineral dan Geosains, Bahagian Kejuruteraan Cerun, Jabatan Kerja Raya dan Majlis Perbandaran.
Dua minit lagi YB.
Dua minit lagi? Ulasan yang diberikan oleh agensi tersebut menunjukkan kajian geoteknikal yang terperinci harus dilaksanakan sebelum dibuat pembangunan bagi mengelakkan risiko tanah runtuh dan hakisan tanah. Oleh sebab itu tempoh kelulusan yang diambil memakan masa yang lebih berbanding projek penswastaan yang lain. Walau bagaimanapun, pada masa ini SUK Perumahan telah pun mengangkat kertas kerja kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan telah pun diluluskan pada 22 November 2023 yang lalu. Dan suka juga saya nyatakan insya-Allah projek perumahan penswastaan di Bukit Tebuk, Mukim Kuala Dungun ini adalah tempat yang pertama yang kita akan perkenalkan model town house yang merupakan model pertama yang kita perkenalkan. Insya-Allah, sebanyak 120 unit.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, sikit lagi. ADUN Kuala Besut ada menyebut tentang kedai runcit warga asing. Berkenaan dengan pengoperasian premis warga asing, Pihak Berkuasa Tempatan tidak pernah meluluskan sebarang lesen kepada warga asing. Operasi dan penguatkuasaan lesen sentiasa dilakukan oleh PBT secara berkala. Selain itu, terdapat premis yang diluluskan adalah kepada pasangan yang merupakan orang Melayu. Tok laki tu orang asing, orang puan dia tu orang kita. Orang Melayu kita, orang Islam kita. Jadi lesen atas nama orang puan dia, maka hok negenya mungkin hok laki tu. Hok warga asing tu. Jadi itu yang berlaku sebenarnya.
Boleh celah YB?
Ya sila.
Yang Berhormat Timbalan Speaker, memandangkan isu warga asing di begitu sangat berleluasa, di Kuala Terengganu, di Jertih dan sekitarnya, saya rasa agensi penguatkuasaan PBT kita mesti proaktif. Memandangkan serangan adalah isu yang sangat besar. Setiap hari kalau kami di Besut isu berkaitan dengan warga asing yang memiliki premis perniagaan.
Ringkaskan terus kepada point supaya Wakil Kerajaan.
Saya mohon daripada pihak YB EXCO. Berapa kerap kekerapan agensi penguatkuasaan kita bertindak ke atas permis-premis warga asing. Terima kasih.
Ya. Terima kasih kepada ADUN Jertih. Untuk makluman, seperti yang saya nyatakan tadi premis-premis lesen tidak diberikan kepada warga asing. Hanya diberikan kepada warga tempatan. Yang berlaku adalah seperti yang saya sebut tadi, pasangan salah seorang daripada mereka adalah warga tempatan. Lesen itu atas nama mereka. Pun begitu tidak dinafikan wujud kedai-kedai yang beroperasi oleh warga asing dan sememangnya kedai-kedai beroperasi oleh warga asing ni kita telah pun buat sita. Contohnya di Besut. Antara yang telah pun disita di Jabi, di Seberang Jertih, di Kampung Tandak dan beberapa tempat lagi lah yang kita pihak PBT telah pun kesan dan kita dapati berlaku operasi oleh warga asing dan kita telah buat sitaan. Dan insya-Allah pihak PBT akan lakukan secara berkala proses ataupun rondaan supaya tidak ada warga asing yang mengambil kesempatan daripada keberadaan mereka di Negeri Terengganu kita ini.
Sila gulung YB.
Ya. 30 saat lagi. Seterusnya ADUN Hulu Besut juga menyebut tentang projek perumahan Pasir Akar yang terbengkalai. Dan saya telah nyatakan sebelum masuk tadi memang projek di Pasir Akar ni adalah projek penswastaan yang pertama yang kita amalkan di Negeri Terengganu ini. Dan insya-Allah memang kita akui berlaku kelambatan yang agak ketara dan kita
akan mengambil tindakan yang segera untuk memastikan projek ini tidak terbengkalai ataupun tidak berjalan terlalu lambat. Insya-Allah. Dan yang terakhirnya ADUN Bukit Tunggal yang menyebut tentang cukai taksiran secara bersasar. Cadangan ini akan dibuat kajian sepertimana yang telah saya nyatakan dalam jawapan balas kepada soalan daripada kalau tak silap saya daripada Timbalan Yang di-Pertua sendiri.
Ya.
Dan yang terakhirnya senarai nilaian bagi pengenaan cukai taksiran. Untuk makluman, satu cadangan penyeragaman penilaian semula pinjaman yang tidak dikecualikan kadar telah dibentangkan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Portfolio dan ianya telahpun dipersetujui dan insya-Allah akan dibawa kepada Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk dinilai dan seterusnya mendapat kelulusan untuk dilakukan penilaian semula berdasarkan kepada peraturan dan undang-undang yang ditetapkan.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, tiga Identiti Era Baharu, 10 Sasaran Strategi serta 116 inisiatif memberi daya imej dan memberi daya merealisasikan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera jelas menjadi asas kepada Bajet 2024. Sasaran dan strategi yang jelas tidak mustahil akan dapat dicapai melalui perancangan serta kerjasama yang padu daripada setiap jabatan dan agensi. Melalui Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Perumahan dan Kesihatan, inisiatif-inisiatif yang disebut akan dilaksanakan sebaik mungkin bagi menerajui era baharu Terengganu. Akhir kata saya memohon menyokong Belanjawan 2024 yang dibentangkan tersebut. Sekian.
Terima kasih Wakil Wakaf Mempelam. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Tujuh orang Wakil Kerajaan telah selesai membuat penggulungan. Ada tiga orang lagi insya-Allah akan diberi ruang selepas sesi soal jawab pagi esok. Jadi sebelum pukul 5 ini saya dengan sukacitanya menangguhkan dahulu persidangan kita pada petang ini untuk disambung semula pada jam 9.30 pagi esok. Marilah sama-sama kita baca doa Kaffarah dan surah Al-Asr. Sekian.
DEWAN DITANGGUHKAN PADA PUKUL 4.41 PETANG.