Terengganu · 22 April 2024
15th Assembly, 2nd session, 1st meeting · 2 turns · 2,238 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalTerengganu publishes one PDF per meeting, with the written answers appended. Speakers are matched by our parser and will have some errors.
Titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia SultanAddress / budget
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Perkara berikut di dalam Tertib Pekerjaan Dewan pada hari ini ialah Titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan.
YANG BERHORMAT DATO’ YANG DI-PERTUA DEWAN KELUAR DARI DEWAN UNDANGAN NEGERI MEMOHON PERKENAN KE BAWAH DULI YANG MAHA MULIA SULTAN UNTUK BERANGKAT KE ISTIADAT DEWAN UNDANGAN NEGERI.
Titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan TerengganuAddress / budget
Bismillahirrahmanirrahim Alhamdulillahi Rabbil Alamin, Wabihi Nastain Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Yang Berhormat Yang Di-Pertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu,
Segala puji kepada Maha Suci Allah yang memiliki segala kekuasaan di langit dan di bumi. Selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam, Ahlul Bait dan para sahabat Baginda. Beta memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan izin dan rahmat-Nya Beta dapat berangkat untuk menyempurnakan lstiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Kelima Belas pada pagi ini. Di kesempatan ini juga, bersempena dengan bulan kemenangan umat Islam setelah berjaya menjalani Rukun Islam Ketiga, Beta ingin merakamkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam di seluruh negara dan rakyat Beta khasnya.
Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah At Talaq, ayat 2 hingga 3 yang bermaksud:
"Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya akan dijadikan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak ter/intas hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukupkan baginya (untuk menolong dan
menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu."
Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,
Bank Dunia telah menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 3.9% pada tahun 2023. Manakala pada tahun 2024, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi global kepada 3.1%. lni menjadikan 0.2% lebih tinggi berbanding unjuran yang telah dibuat pada bulan Oktober tahun 2023. Ketidakpastian kepada prospek ekonomi global ini di antaranya adalah disebabkan oleh situasi geopolitik yang kompleks berlaku melibatkan beberapa negara kuasa besar dunia. Oleh yang demikian, perkembangan ini pastinya memberi tempias kepada pertumbuhan ekonomi di Malaysia khasnya.
Pada tahun 2024, bagi menjamin keseimbangan ekonomi yang sihat, Kerajaan Beta telah memperuntukkan sebanyak RM1.86 bilion merangkumi Perbelanjaan Mengurus dan Perbelanjaan Pembangunan. Justeru itu, segala perancangan serta pengurusan kewangan bersistematik bagi Kerajaan Beta perlu dilakukan secara kondusif sesuai dengan matlamat untuk mencapai nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) di antara 3.5 hingga 4.1%. Bagi mencapai sasaran ini, Kerajaan Beta memerlukan reverse trend bagi merancang pengurusan kewangan secara efektif untuk menghadapi cabaran ekonomi kini. Dengan itu, beberapa pendekatan strategik secara komprehensif perlu digerakkan melalui pemerkasaan:
(a) Jalinan Kerjasama (Engagement) Bersama Kerajaan Persekutuan (b) Pelan Strategik Penjanaan Pendapatan Baharu (c) Pengukuhan Sektor Penyumbang Kepada Aktiviti Ekonomi
Melalui jalinan kerjasama bersama Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Beta hendaklah menyusun strategi jangka pendek, sederhana dan panjang secara komprehensif bersama jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan di negeri ini. Kerjasama ini merangkumi perancangan
cadangan projek-projek berimpak tinggi di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) yang akan berakhir pada tahun 2025.
Seterusnya kesinambungan perancangan ini hendaklah diteruskan bagi Rancangan Malaysia Ketiga Belas ( RMKe-13) yang akan bermula pada tahun 2026. Perancangan dan tumpuan yang teliti bagi perkara ini pastinya memberikan impak secara terus terhadap kesejahteraan rakyat Beta.
Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,
Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala di atas kejayaan perancangan Pengurusan dan Pemuliharaan Sumber Perikanan Secara Mampan melalui Pelan Strategi Pertanian 2019 hingga 2023 yang mencatatkan peningkatan sebanyak 39% pendaratan ikan marin. Sebanyak 13,143 tan berjaya direkod sepanjang tahun 2023. Justeru itu, program yang dirancang harus diperkasakan dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan menerusi pemfokusan kepada program pembangunan tukun ke arah mewujudkan tukun tiruan garis sempadan dan pesisir pantai perairan Terengganu.
Banci Pertanian kali ke-4 yang sedang dilaksanakan oleh Kementerian Ekonomi pada tahun ini turut memberikan fokus pengumpulan data secara menyeluruh untuk industri pertanian negara. Hasil dapatan daripada bancian ini, diharap mampu memberi sumbangan terhadap isu struktur ekonomi import makanan yang tinggi, kenaikan harga dan seterusnya bakal membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Beta di dalam industri ini.
Namun begitu, Beta juga turut khuatir dengan kemasukan ternakan dari luar melalui penyeludupan yang tiada saringan serta sijil pengesahan bebas penyakit oleh negeri atau negara pengeluar. lni boleh memberi kesan buruk kepada industri ternakan. Permintaan yang tinggi terhadap ternakan yang mempunyai ketidaksahihan kawalan penyakit ini memberikan kesan langsung terhadap keselamatan makanan kepada rakyat. Penguatkuasaan berterusan sama ada di perairan mahupun sempadan negeri perlu dipergiatkan agar isu pencerobohan sumber marin serta penyeludupan ternakan ini terkawal dan tidak berleluasa.
Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,
Walaupun berhadapan dengan suasana ekonomi dunia yang penuh dengan cabaran, pada tahun 2023, Kerajaan Beta masih berjaya menarik minat ramai para pelabur ke Terengganu. Dengan jumlah pelaburan sebanyak RM3.75 bilion dalam sektor pembuatan, pelancongan dan logistik, Terengganu masih kekal sebagai antara destinasi utama pelaburan di Malaysia. Keberhasilan dalam pelaburan ini dipacu oleh ekosistem industri yang sudah terbentuk dengan baik melalui dasar dan peraturan yang menyokong perkembangan industri ini.
Bagi menyokong Aspirasi Negara Rendah Karbon 2040, di bawah Dasar Tenaga Negara 2022 hingga 2040 serta Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), Pelan lnduk Teknologi Hijau (PITiH) Negeri Terengganu 2024 hingga 2030 telah dirangka dan akan dilancarkan pada tahun ini. Kecekapan tenaga dan pengurusan air, penjanaan hidrogen hijau, pengkomersialan tenaga boleh baharu, pengurusan dan pengkomersialan sisa hijau dan pengurusan karbon (karbon biru) merupakan 5 fokus industri tenaga di Terengganu yang telah dikenal pasti untuk diteroka sebagai sumber pendapatan baharu Kerajaan Beta.
Beta melihat perkembangan Battery Energy Storage System {BESS) telah mengubah landskap industri tenaga hijau dengan potensinya untuk dimanfaatkan bagi menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui dengan lebih cekap. Seiring dengan perkara tersebut, bagi mengurangkan jejak karbon dan mencapai sasaran tenaga hijau, satu projek BESS berkapasiti 100 mega watt bakal dilaksanakan di Kampung Santong, Dungun. Projek ini merupakan yang pertama di Semenanjung Malaysia dan bakal menjadi pemangkin untuk membolehkan integrasi tenaga solar ke dalam rangkaian grid.
Selain itu, sumber Non-Radioactive Rare Earth Element (NR-REE) merupakan sektor industri baharu di dalam teknologi moden kini. Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) mendapati bahawa Malaysia mempunyai kira-kira 15.2 juta tan NR-REE dan Terengganu memiliki deposit paling banyak, iaitu sekitar 7,187,500 tan. Dengan sumber mineral baharu ini, Kerajaan Beta harus menentukan kaedah terbaik perlombongan NR-REE dengan memastikan rantaian nilai termasuklah industri pertengahan (mid-stream) dan hiliran (down-
stream) diwujudkan di Terengganu dan seterusnya menjadi hub pengeluar serta pemprosesan utama negara.
Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,
Bagi mencapai kehadiran seramai 4.5 juta pelancong ke Terengganu pada tahun 2024, Kerajaan Beta digesa memberi penekanan terhadap pemerkasaan produk pelancongan alam semula jadi. Keunikan baharu yang sedia ada seperti Lata Belatan di daerah Besut, Lata Ulu Kasar di daerah Setiu, Cemerong Berembun Langsir (CBL) di daerah Dungun, Bukit Mentok di daerah Kemaman, Kalang Rengas di daerah Hulu Terengganu, Dataran Batu Putih dan Pantai Angin Berbisik di daerah Marang dan Bukit Maras di daerah Kuala Nerus haruslah dipulihara untuk generasi akan datang.
Penganjuran Sultan Mizan Underwater Photography Awards (SMUPA) pada tahun lalu merupakan inisiatif yang berjaya dilaksanakan dalam usaha mempromosikan keindahan alam semulajadi maritim di negeri ini. Dengan penganjuran SMUPA 2024 dengan tambahan kategori yang baharu iaitu short video category dilihat sebagai salah satu usaha yang berkesan untuk meningkatkan bilangan peserta dan peminat selam skuba dari dalam dan luar negara.
Selain itu, pengiktirafan oleh Malaysia Book of Records bagi kategori Most Students in Malay Gamelan Dance dalam program Seabad Gema Gemalai Gamelan Melayu baru-baru ini amat membanggakan. Seramai 152 orang Penari Cilik Tunas SUKTRA dari 13 buah sekolah telah melakarkan sejarah baru kepada peminat kesenian Gamelan untuk berkunjung ke negeri Beta. Usaha ini wajar diteruskan bagi mengembangkan kesenian Terengganu agar tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan selain penekanan dalam menerapkan elemen budaya sebagai komponen penting pelancongan Terengganu.
Beta juga ingin merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat dalam perlindungan, pemuliharaan biodiversiti dan ekosistem di negeri Terengganu. Negeri Beta telah diletakkan sebagai penanda aras pengurusan alam sekitar yang mampan oleh pihak Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bagi tahun 2023
yang lalu. Penghargaan ini adalah hasil kerjasama semua pihak termasuklah badan bukan kerajaan (NGO) dalam memastikan aset alam semulajadi di negeri ini kekal terpelihara. Hasilnya, sehingga 31 Disember 2023 yang lalu, negeri Terengganu berjaya mengekalkan peratusan kawasan berhutan yang cukup membanggakan iaitu seluas 676,823 hektar yang merangkumi 52% bagi keseluruhan kawasan di Negeri Terengganu.
Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,
Penyediaan Blueprint Bandar Pintar Negeri Terengganu disediakan sebagai satu statewide blueprint yang perlu menjadi panduan utama dan hala tuju kepada semua agensi dan pihak-pihak berkepentingan terutamanya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sejajar dengan Agenda Perbandaran Baharu (New Urban Agenda) dan Sustainable Developments Goals (SDGs).
Selaras dengan penyediaan Blueprint ini, setiap PBT hendaklah menyediakan Pelan Tindakan Bandar Pintar masing-masing bagi mendapat penarafan Smart City Early Adopter menjelang tahun 2025.
Kerajaan Beta telah menyediakan peruntukan sebanyak RM78.9 juta kepada PBT untuk membiayai hampir 97 zon kawasan perkhidmatan pembersihan awam dan kutipan sisa pepejal. Beta berharap dengan peruntukan ini dapat memastikan kawasan persekitaran di kediaman, komersial, institusi dan tempat awam sentiasa bersih dan diselenggara dengan baik. Dalam usaha meningkatkan kualiti kebersihan ke tahap optimum dan meningkatkan standard piawaian kebersihan bagi menarik kedatangan pelancong, semua PBT hendaklah mengambil perhatian serius terhadap penjagaan kebersihan dan penyelenggaraan infrastruktur awam.
Selain itu, dasar serta amalan yang menekankan prinsip mengurangkan, mengguna dan mengitar semula perlu diperluas dalam usaha meminimumkan penjanaan sisa pepejal.
Beta berharap projek Integrated Island Waste Management di Pulau Redang dan Pulau Perhentian yang akan beroperasi dapat
menyokong pelaksanaan ekonomi kitaran (circular economy) melalui kemudahan tempat pengumpulan e-sisa, barangan kitar semula (3R) dan mesin kompos sisa organik.
Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,
Bagi memastikan kecemerlangan pendidikan yang berterusan, pelaksanaan Program Biasiswa YT-Tl 'Young Talent Scholarship Programme' adalah merupakan biasiswa untuk melanjutkan pengajian di peringkat ljazah Sarjana Muda. Program ini telah membolehkan pelajar cemerlang daripada golongan berpendapatan B40 melanjutkan pendidikan ke peringkat pengajian tinggi. Sementara itu, TUNAS SCHOLAR pula merupakan program biasiswa kolaborasi antara Yayasan Pendidikan MAIDAM (YPM) dan Terengganu Incorporated bagi anak-anak asnaf fakir, miskin dan fisabilillah Negeri Terengganu untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Diploma Kejururawatan dan Diploma Fisioterapi. Dengan peruntukan dana permulaan sebanyak RM1.3 juta daripada YPM, program ini merupakan salah satu inisiatif memberdayakan anak-anak asnaf fakir dan miskin melalui pendidikan untuk meningkatkan kualiti kehidupan mereka dan mengeluarkan diri serta keluarga keluar daripada insiden kemiskinan.
Selain itu, lnisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang telah dilaksanakan sepanjang tahun 2023, telah membelanjakan sebanyak RM11.05 juta merupakan contoh komitmen anak syarikat Kerajaan Negeri di dalam bidang pendidikan rakyat Beta.
Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,
Beta mendoakan temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak tahun 2024 yang bakal diadakan pada bulan Ogos nanti memberikan berita gembira dengan kejayaan Negeri Terengganu kembali menjulang kejuaraan keseluruhan SUKMA. Sementara itu, Beta dan sekalian rakyat Negeri Terengganu mengucapkan tahniah kepada Dato' Azizulhasni bin Awang dan Nur Aisyah binti Muhamad Zubir yang telah layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 pada bulan Julai ini dan seterusnya menjadi atlet pertama negara merangkul pingat emas di Sukan Olimpik. Selain itu, Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana pada musim
2023 yang lalu, Terengganu Pro-Asia Cycling Team (TSG) telah mencipta rekod yang membanggakan dalam beberapa kejohanan bertaraf antarabangsa seperti menjadi Pasukan Terbaik Asia buat kali ke-5 semenjak penubuhannya. Pada tahun 2023 juga, daripada 52 pasukan yang bertanding di seluruh Asia, TSG turut menjadi Juara Pasukan Benua Dunia buat kali kedua.
Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,
Beta menzahirkan penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, para Hakim, Angkatan Tentera, Polis DiRaja Malaysia, badan-badan beruniform dan para pegawai perkhidmatan awam, yang telah menyempurnakan amanah serta membantu Negeri Terengganu dibangunkan dalam suasana aman lagi makmur dan warga berada dalam harmoni lagi sejahtera. Demikian jua penghargaan Beta kepada pihak swasta, badan-badan sukarela, badan-badan kebajikan, pertubuhan belia, badan-badan sukan serta warga keseluruhannya yang telah memperlengkapkan usaha-usaha pembangunan yang dirintis oleh Kerajaan Beta.
Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,
Adalah menjadi hasrat Beta untuk sesi Dewan Undangan Negeri ini menjadi Dewan yang dapat dibanggakan rakyat negeri dengan bentuk perbahasan yang mencerminkan kematangan dan kebijaksanaan, mengupas perkara-perkara utama dan menganalisis dasar-dasar penting secara rasional. Laksanakan amanah sebagai pemimpin seperti condong yang akan menongkat, rebah yang akan menegak, ibarat kayu besar di tengah padang, tempat bernaung kepanasan, tempat berlindung kehujanan kepada rakyat Beta. Semoga Allah Subhanahu Wata'ala melimpahkan rahmat dan kesejahteraan kepada negeri dan rakyat Negeri Terengganu.
Dengan lafaz suci Bismillahirrahmanirrahim, Beta dengan sukacitanya merasmikan lstiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Kelima Belas.
Selamat bersidang.
Sekian. Wabillahi taufik Wal hidayah.
Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
KE BAWAH DULI YANG MAHA MULIA SULTAN DAN SULTANAH DIIRINGI OLEH YANG BERHORMAT DATO’ YANG DI-PERTUA DEWAN BERANGKAT KELUAR DARI DEWAN UNDANGAN NEGERI.
YANG BERHORMAT DATO’ YANG DI-PERTUA MASUK SEMULA KE DEWAN UNDANGAN NEGERI.
YANG BERHORMAT DATO’ YANG DI-PERTUA: Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, bagi memberi peluang kepada Ahli-ahli Yang Berhormat meneliti Ucapan Titah DiRaja untuk membuat perbahasan, saya tangguhkan Persidangan Dewan sehingga ke hari Selasa, 23 April 2024 jam 9.30 pagi.
Sebelum kita mengakhiri majlis pada pagi ini, sebentar nanti Sesi Fotografi bersama Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan bersama dengan seluruh Ahli Yang Berhormat dan Anggota Pentadbiran Negeri di hadapan Pentas DiRaja di Perkarangan Dewan Undangan Negeri. Mohon kerjasama semua Ahli Dewan berada di tempat Sesi Fotografi sebaik sahaja Dewan ini ditangguhkan dan mohon disegerakan. Sementara itu Ketua-ketua Jabatan dan semua hadirin dijemput menikmati makan tengahari di Dewan Besar, Tingkat Bawah, Wisma Darul Iman. Selepas sesi fotografi, saya ingin menjemput semua Ahli Yang Berhormat untuk menikmati jamuan di Damai Lounge.
Kita tangguhkan majlis kita dengan membaca tasbih kaffarah dan Suratul ‘Asr.
MESYUARAT DITANGGUHKAN PADA PUKUL 11.00 PAGI.