Terengganu · 23 April 2024
15th Assembly, 2nd session, 1st meeting · 178 turns · 29,597 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalTerengganu publishes one PDF per meeting, with the written answers appended. Speakers are matched by our parser and will have some errors.
(Pembukaan)
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Mesyuarat disambung semula. Sebelum kita memulakan persidangan Dewan pada pagi ini marilah kita sama-sama membaca Ummul Kitab Al-Fatihah.
(Al Fatihah)
Ucapan Yang Berhormat Dato’ Yang Di-Pertua Dewan
Yang Berhormat Dato Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Perkara pertama di dalam Tertib Pekerjaan Dewan pada hari ini ialah Ucapan Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan.
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Yang Berhormat, ketua-ketua jabatan, para pemerhati, tuan-tuan, puan-puan yang saya hormati sekalian.
Terlebih dahulu marilah sama-sama kita memanjatkan kesyukuran kita kepada Allah kerana dengan limpah taufik dan inayahNya dapat kita sama-sama berkumpul di Dewan yang mulia ini.
Saya merakamkan ucapan terima kasih serta mengalu-alukan kehadiran Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian dalam persidangan kali ini dalam Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Kedua, Dewan Undangan Negeri Terengganu Yang Kelima Belas yang akan berjalan selama empat hari bermula semalam 22 April sehingga 25 April 2024.
Terlebih dahulu, saya dengan tulus ikhlas mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir & Batin kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat serta seluruh Ahli Persidangan, ketua-ketua jabatan dan pemerhati. Semoga ibadah Ramadan yang kita jalani selama sebulan yang lalu diterima oleh Allah Ta’ala dan diharapkan dapat memberi kesan kepada kita semua dalam menggapai matlamat ketaqwaan dengan pensyariatan ibadah puasa Ramadan.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, sempena limpah perkenan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan mencemar duli menyampaikan Titah Ucapan serta merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Kedua, Dewan Undangan Negeri Terengganu Yang Kelima Belas, patik mewakili Dewan Undangan Negeri Terengganu, merafak sembah ucapan Menjunjung Duli setinggi-tinggi tahniah sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-62 Hari Keputeraan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu bagi Tahun 2024 yang akan disambut pada tanggal 26 April 2024 nanti.
Semoga Allah memelihara dan merahmati Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Terengganu, Duli Yang Teramat Mulia Yang di-Pertuan Muda Terengganu serta seluruh ahli keluarga dan kerabat Tuanku. Semoga Allah Ta’ala sentiasa memberikan kesejahteraan dan kesihatan yang berpanjangan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dalam memimpin dan mentadbir Negeri Terengganu Darul Iman ini. Daulat Tuanku!
Saya juga mengambil ruang kesempatan ini mewakili Dewan Undangan Negeri Terengganu untuk menzahirkan rafak sembah setinggi-tinggi tahniah atas pemasyhuran Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-
Pertuan Agong Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong yang ke-17 pada 31 Januari yang lalu. Dalam masa yang sama, saya juga menzahirkan rafak sembah Ucapan Menjunjung Kasih dan menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan mewakili Dewan Undangan Negeri Terengganu kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang telah menaungi negara dan rakyat jelata selama lima tahun yang lalu dengan adil dan bijaksana. Sesungguhnya kesinambungan pemerintahan DiRaja ini merupakan simbol utama keutuhan Sistem Beraja di Malaysia ini yang mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara.
Dirgahayu Tuanku!
Dalam hal yang berkaitan, saya bersama Setiausaha Dewan mewakili Dewan Undangan Negeri Terengganu turut berpeluang hadir sama ke Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen yang ke-15 pada 26 Februari 2024 lalu, yang telah disempurnakan perasmiannya oleh Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dengan penuh gilang gemilang.
Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada YAB Menteri Besar yang telah memulakan tugas sebagai Ahli Parlimen mewakili kawasan Kemaman. Saya amat optimis, dengan keberadaan Yang Amat Berhormat Menteri Besar di Parlimen akan memberi impak yang sangat besar kepada Dewan Undangan Negeri Terengganu sekali gus dapat merapatkan lagi jurang antara badan legislatif di peringkat Negeri dan juga Persekutuan.
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar & Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, badan perundangan negeri atau badan legislatif pada hari ini berevolusi dengan begitu dinamik dari semasa ke semasa. Peredaran masa dan pembangunan pesat dari sudut teknologi dan intelektual telah menyaksikan capaian maklumat dari kalangan rakyat amat pantas. Begitu juga hal keadaan yang dialami oleh Dewan Undangan Negeri kita pada hari ini. Seperti mana yang sedia maklumi, ketiadaan wakil pembangkang di Dewan Undangan Negeri ini, telah membuka dimensi baharu dalam aspek peranan semak dan imbang di Dewan ini. Peranan yang signifikan ini telah berjaya dibawa dengan cemerlang oleh Ahli-ahli Yang Berhormat Kelab Penyokong Kerajaan ataupun BBC, sama ada peranan di dalam Dewan mahupun di luar Dewan. Sebagai buktinya, pada
persidangan kali ini sahaja, Dewan ini telah menerima jumlah Soalan Pertanyaan Lisan & Bertulis sebanyak 187 soalan. Jumlah yang tertinggi pernah direkodkan dalam sejarah Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu. Variasi soalan yang dilontarkan pula amat produktif dan kritikal meliputi segenap aspek penting dalam pembangunan Negeri Terengganu. Oleh itu, saya berpandangan pihak Kerajaan hari ini semestinya tampil dengan efektif dan bersiap siaga berbanding persidangan-persidangan sebelum ini dalam menyediakan jawapan dan fakta agar jawapan yang dikemukakan dapat menjawab dan merangkumi situasi sebenar di lapangan yang dihadapi oleh rakyat.
Manakala peranan BBC di luar Dewan pula dapat dilihat dengan perancangan dan pelaksanaan pelbagai aktiviti di lapangan. Saya mengucapkan tahniah atas penganjuran dan kejayaan program di lapangan iaitu Program BBC Bersama Komuniti - "Yang Berhormat-Yang Berhormat Masuk Ladang” walaupun tiada ladang, pada 5 Mac 2024 yang lalu. Saya dimaklumkan objektif utama program ini adalah bagi menjelaskan dasar-dasar Kerajaan Negeri melalui program penerangan dengan lebih dekat dan cepat kepada warga komuniti. Program ini merupakan julung kali diadakan seumpamanya dan saya difahamkan program ini akan berjalan dalam beberapa siri lain yang akan datang. Syabas dan tahniah kepada semua Yang Berhormat Ahli BBC.
Pihak Kerajaan dok tepuk lasung…
Tahniah sekali…
Hok BBC sokmo tepuk ke Kerajaan…
Syabas kepada seluruh Yang Berhormat Ahli-ahli BBC.
Justeru itu, perkara ini jelas mencerminkan kekuatan dan dinamika pembaharuan yang sedang dilalui oleh Dewan kita Yang Mulia ini. Sekali gus dapat menepis tanggapan dan cakap-cakap kosong di luar yang mengatakan Dewan Undangan Negeri sepi dan hambar tanpa pembangkang.
Ahli-ahli Yang Berhormat Sekalian,
Dalam Tertib Pekerjaan dan Perjalanan Sidang pada kali ini, sepertimana yang telah saya sebut dalam ucapan sebentar tadi, keseluruhannya pejabat Yang di-Pertua Dewan telah menerima sebanyak 187 soalan, 62 Soalan Bertulis dan 125 Soalan Lisan. Di samping itu, terdapat tiga Usul, yang telah diberi notis oleh pihak Kerajaan dan akan dibawa pada persidangan kali ini. Pada hemat saya, semestinya Pembawaan Usul kali ini amat penting dalam aturan perjalanan pentadbiran Kerajaan Negeri. Sekali gus kepentingan rakyat negeri ini dapat diangkat dan diperjuangkan dengan lebih berkesan melalui badan legislatif di Dewan Yang Mulia ini.
Di samping itu juga sesi perbahasan kali ini amat penting dalam meneliti Titah Ucapan Baginda Tuanku Sultan yang telah disempurnakan Titah Ucapan pada semalam. Oleh itu, saya menyeru kepada semua Ahli Yang Berhormat, agar dapat menekuni dan meneliti Titah Ucapan Baginda dengan sebaik-baiknya. Seterusnya Ahli Yang Berhormat sekalian dapat memberikan perbahasan yang berkualiti dan berkesan, agar hasrat dan Titah Baginda dapat direalisasikan dalam Dewan Yang Mulia ini.
Saya juga suka untuk berkongsi kepada semua ahli persidangan iaitu pada persidangan kali ini Dewan Undangan Negeri mengambil inisiatif menggunakan Perkhidmatan Jurubahasa Isyarat. Perkhidmatan ini dikendalikan oleh Persatuan Orang Pekak Terengganu (POPT) dan Persatuan Jurubahasa Isyarat Malaysia (JBIM). Diharapkan kali ini, dengan pendekatan yang dibawa oleh DUN kali ini sedikit sebanyak dapat menyantuni golongan OKU yang ingin turut sama mengetahui perkembangan Dewan Undangan Negeri.
Mengakhiri ucapan saya pada pagi ini, marilah kita tidak lupa akan nasib saudara kita di Palestin. Situasi semasa di Palestin adalah sangat kompleks dan melibatkan pelbagai aspek dari sudut politik, sosial dan kemanusiaan. Wilayah ini mempunyai sejarah konflik yang panjang, dengan ketegangan yang berpunca daripada isu-isu seperti pertikaian wilayah, pencabulan hak asasi manusia, dan perspektif ideologi yang berbeza. Lantaran itu, dengan masa depan Palestin yang tidak menentu, dengan kemungkinan konflik yang akan masih berterusan dan usaha mencapai resolusi aman dan perdamaian yang masih samar, kita harus segera melihat kepada solusi jangka masa pendek dan panjang dengan lebih berkesan. Marilah kita semua sentiasa berdoa dan kita menyeru agar rakyat Negeri Terengganu juga sentiasa berdoa agar Allah Ta’ala membantu umat Islam dan para pejuang di Palestin. Insya-Allah.
Antara usaha yang segera dan berterusan perlu dibuat ialah dengan sentiasa memperingatkan dan memainkan beberapa sentimen penting dalam peperangan seperti berikut:
1. Solidariti dan Sokongan: Ramai umat Islam di seluruh dunia merasakan semangat solidariti yang kuat dengan rakyat Palestin, melihat perjuangan mereka sebagai simbol penentangan terhadap pendudukan dan penindasan.
2. Memahami Tentang Kepentingan Agama:
Baitul Maqdis mempunyai kepentingan agama yang mendalam bagi umat Islam sebagai rumah kepada Masjid Al-Aqsa, kepada tempat yang mulia bagi umat Islam iaitu Masjid Al-Aqsa, salah satu tapak paling suci dalam Islam. Konflik yang berterusan di Palestin perlu dilihat dalam konteks agama.
3. Penindasan: Penerangan mesti terus dibuat kepada orang Islam dan dunia tentang bagaimana penjajahan di zaman moden yang penuh ganas oleh Negara Israel- Zionis terhadap bumi Palestin.
4. Roh Seruan untuk Perpaduan: Bukan sahaja perlu dilakukan di Palestin, tetapi perlu dilakukan oleh seluruh umat Islam di dunia ini termasuk di dalam negeri kita, sebagai usaha untuk memperkuatkan umat Islam dalam menghadapi apa sahaja isu khususnya isu Palestin.
5. Kritikan Politik Antarabangsa: Dalam masa yang sama dunia perlu menyatakan kekecewaan terhadap peranan antarabangsa dalam konflik Palestin. Inilah termasuk beberapa kritikan yang kita dengari.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
Bagi melihat tentang isu-isu yang berbagai, yang ada dalam negeri dan negara ini marilah kita sentiasa berdoa agar Allah Ta’ala memberkati Dewan Undangan Negeri dan seluruh rakyat. Menutup ucapan saya pada hari ini, sepertimana kebiasaannya, suka saya mengingatkan agar Ahli-ahli Yang Berhormat merujuk buku Peraturan-Peraturan Dan Perintah Tetap Dewan untuk persidangan kali ini. Saya juga berharap tempoh masa Persidangan kali ini selama 4 hari dapat
memberi keselesaan kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat dan seterusnya peluang ini dapat digunakan sebaik-baiknya untuk berbahas kali ini.
Akhir kata, saya ucapkan selamat bersidang kepada semua Ahli Yang Berhormat, dan diucapkan selamat datang kepada semua pegawai-pegawai dan pemerhati-pemerhati. Semoga Allah memberi barakah dan rahmat kepada kita dan sekalian khususnya sepanjang sidang perjalanan ini.
Kertas-Kertas Kerja Dan Laporan-Laporan
Perkara seterusnya di dalam Tertib Pekerjaan Dewan ialah KERTAS-KERTAS KERJA DAN LAPORAN-LAPORAN.
Kertas-Kertas Kerja Dan Laporan-Laporan
Kertas-kertas kerja dan laporan-laporan yang dibentangkan ialah:
1. Penyata Kewangan Bagi Tahun 2022, Majlis Daerah Marang
(D.U.N. Bil.1/2024)
2. Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Tahun 2022, Yayasan Terengganu
(D.U.N. Bil.2/2024)
3. Penyata Kewangan 2022 Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu
(D.U.N. Bil.3/2024)
4. Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Tahun 2022, Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu
(D.U.N. Bil.4/2024)
5. Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2022 Mengenai Aktiviti Jabatan/Agensi Dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri Terengganu
(D.U.N. Bil.5/2024)
Soalan-Soalan Yang Telah Diberi NotisQuestions
Perkara berikut ialah Soalan-soalan Yang Telah Diberi Notis:
(1) Soalan-soalan Bertulis.
(2) Soalan-soalan Lisan.
Soalan-Soalan LisanQuestions
Jawapan-jawapan kepada Soalan-soalan Bertulis yang telah diberi notis dan dibentangkan di hadapan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian ialah soalan-soalan daripada:
1.
Yang Berhormat Wakil Bandar 2.
Yang Berhormat Wakil Jertih 3.
Yang Berhormat Wakil Kuala Berang 4.
Yang Berhormat Wakil Buluh Gading 5.
Yang Berhormat Wakil Kemasik 6.
Yang Berhormat Wakil Ladang 7.
Yang Berhormat Wakil Seberang Takir 8.
Yang Berhormat Wakil Permaisuri 9.
Yang Berhormat Wakil Hulu Besut 10.
Yang Berhormat Wakil Rantau Abang 11.
Yang Berhormat Wakil Batu Rakit 12.
Yang Berhormat Wakil Langkap 13.
Yang Berhormat Wakil Telemung 14.
Yang Berhormat Wakil Bukit Tunggal 15.
Yang Berhormat Wakil Bukit Besi 16.
Yang Berhormat Wakil Sura
SOALAN-SOALAN LISAN
Sekarang kita masuk Soalan-Soalan Lisan. Berikut adalah Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah memberi notis untuk mengemukakan Soalan-soalan Lisan.
1.
Yang Berhormat Wakil Bandar 2.
Yang Berhormat Wakil Jertih
3.
Yang Berhormat Wakil Kuala Berang 4.
Yang Berhormat Wakil Buluh Gading 5.
Yang Berhormat Wakil Ladang 6.
Yang Berhormat Wakil Pengkalan Berangan 7.
Yang Berhormat Wakil Manir 8.
Yang Berhormat Wakil Seberang Takir 9.
Yang Berhormat Wakil Permaisuri 10.
Yang Berhormat Wakil Hulu Besut 11.
Yang Berhormat Wakil Rantau Abang 12.
Yang Berhormat Wakil Batu Rakit 13.
Yang Berhormat Wakil Langkap 14.
Yang Berhormat Wakil Air Putih 15.
Yang Berhormat Wakil Telemung 16.
Yang Berhormat Wakil Bukit Tunggal 17.
Yang Berhormat Wakil Kuala Besut 18.
Yang Berhormat Wakil Bukit Besi 19.
Yang Berhormat Wakil Sura
Dipersilakan Yang Berhormat Wakil Bandar untuk mengemukakan soalan.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan saya soalan 2 -
Apakah Kerajaan Negeri bercadang mewujudkan Taman Kekal Pengeluaran Makanan di setiap daerah?
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih Wakil Bandar. Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) merupakan satu projek pertanian berskala komersial dibangunkan melibatkan kerjasama di antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan. Kerajaan Negeri merizabkan mana-mana tanah yang sesuai bagi aktiviti pengeluaran makanan dan diwartakan di bawah Seksyen 62 (KTN). Kerajaan Pusat bantu membiayai sebahagian daripada kos pembangunan infrastruktur.
Dalam konteks Terengganu, TKPM mula
diwujudkan pada 9 Ogos 2001 melalui Perjanjian Persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh Menteri Besar, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Menteri Pertanian, Yang Berhormat Dato’ Dr. Mohd Effendi Norwawi ketika itu. Ada tiga kategori TKPM, yang pertama TKPM Pertanian, yang kedua TKPM Penternakan dan yang ketiga TKPM Akuakultur yang diurus dan dikawal selia oleh Jawatankuasa Pembangunan Tanah TKPM Negeri Terengganu.
Bagi kategori TKPM Pertanian kita ada enam sekarang ini, Rhu Tapai di Setiu, ada 41 peserta, keluasan 637 hektar. Paloh Jenang di Kemaman, 22 peserta, 202 hektar. Serating di Marang, 48 peserta, 297 hektar. Tok Dor di Besut, 18 peserta, 62 hektar. Peradong di Kuala Terengganu, 5 peserta, keluasan 4 hektar dan di Telaga Papan di Setiu, 69 peserta, dengan keluasan 91 hektar. Jumlah keseluruhan TKPM Pertanian 1295 hektar.
Dalam Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2024-2028, ada dicadangkan pembangunan dua (2) lagi TKPM baharu. Di Hulu Terengganu yang disasarkan untuk dibangunkan pada tahun 2026 dan juga di Dungun pada tahun 2028. Bagi kategori TKPM Ternakan atau biasa disebut sebagai padang ragut, TKPM Ternakan telah wujud di semua daerah kecuali Kuala Terengganu. Daerah Kuala Terengganu dikira tidak lagi sesuai untuk apa-apa aktiviti ternakan. Ada 81 TKPM Ternakan berkeluasan keseluruhan 4,075 hektar.
Untuk TKPM Akuakultur di Hulu Terengganu kita ada di Kampung Lerek, Kampung Pantai Ali ini pantai yang takde ombak dan Kampung Ajil. Di Marang ada di Kampung Jenang dan juga Kampung Gong Tepas. Di Setiu ada TKPM Rhu 10 dan di Dungun ada TKPM Cherung Melintang. Dan secara keseluruhannya dari segi perancangan, kita mensasarkan menjelang tahun 2030 di setiap daerah di Negeri Terengganu yang masih mempunyai tanah-tanah yang sesuai untuk dibangunkan dengan aktiviti pengeluaran makanan boleh diwujudkan TKPM. Terima kasih.
Sila, sila.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat EXCO. Soalan tambahan Yang Berhormat, dengan adanya tanah untuk TKPM ini, adakah langkah-langkah yang diambil oleh pihak Kerajaan untuk memastikan TKPM ini
digunapakai dan dimanfaatkan sepenuhnya agar ianya tidak terbiar kosong? Terima kasih.
Dato’ Yang di-Pertua, secara umumnya untuk TKPM Pertanian kita masih ada sekitar 20% kekosongan tapi untuk TKPM Padang Ragut atau TKPM Ternakan melebihi daripada 40% masih kosong. Di antara langkah yang diambil untuk nak mengoptimumkan penggunaan tanah TKPM, yang pertama menyelesaikan isu infrastruktur. Banyak tanah-tanah TKPM yang tidak dapat dimajukan kerana ketiadaan infrastruktur asas seperti jalan, sistem pengairan dan juga perparitan. Dan infrastruktur ini kita bangunkan secara berperingkat sama ada menggunakan Dana Persekutuan ataupun Dana daripada Kerajaan Negeri. Yang kedua, ramai peserta-peserta yang tidak aktif, tidak berdaya saing dan tidak lagi berminat untuk mengusahakan, kita buat pemutihan untuk digantikan dengan peserta-peserta baru. Dan yang ketiga, dari segi tempoh masa pajakan. Sebelum daripada ini, tempoh masa pajakan diberi secara terus selama 21 tahun menyebabkan bila adanya isu peserta-peserta yang tidak aktif dan tidak berdaya saing, Kerajaan berhadapan dengan masalah untuk menamatkan mereka. Jadi, kaedah pengurusan baru kita hanya bagi pajakan untuk tempoh tiga (3) tahun sahaja dan peserta mesti mula masuk tapak dalam tempoh tiga (3) bulan pertama selepas dia tandatangan MoU. Kegagalan menyebabkan perjanjian akan dibatalkan dan Kerajaan juga banyak bantu dari segi bantuan dana, melalui SBMT, bantuan input, mekanisasi, kursus kemahiran dan juga program ladang kontrak bagi menjamin hasilnya dapat dibeli dengan harga yang memberi pulangan kepada peserta. Bagi kawasan-kawasan tanah yang dikira tidak lagi ekonomi untuk dimajukan oleh rakyat setempat, kita buka kepada pelabur-pelabur yang mempunyai kekuatan dari segi modal untuk mereka masuk dan melaksanakan projek komersial berskala besar. Dan untuk makluman Dewan, kadar sewa tanah TKPM di Terengganu RM150 per hektar setahun adalah kadar yang paling rendah dalam negara. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Bandar dan Yang Berhormat Jabi. Seterusnya, saya persilakan Yang Berhormat Wakil Jertih untuk kemukakan soalan.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan, Jertih soalan 1 -
Apakah ajaran-ajaran sesat yang wujud di Terengganu selain daripada ajaran sesat Ayah Pin?
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar dan seluruh ahli-ahli Yang Berhormat. Terima kasih Yang Berhormat Jertih yang mengemukakan soalan sebagaimana yang tertera di skrin. Untuk makluman Dewan Yang Mulia, ajaran sesat yang telah diwartakan oleh Kerajaan Negeri melalui Jabatan Mufti Negeri Terengganu seperti Ajaran Mohib Khouli, Ajaran Kanzun Mahfiyyan dan lain-lain sentiasa dipantau oleh Pegawai Penguatkuasa Syariah (PPS) Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu bagi memastikan ajaran ini tidak diamalkan dalam kalangan masyarakat Negeri Terengganu. Tindakan penguatkuasaan akan diambil sekiranya ajaran ini terus disebarkan di Negeri Terengganu melalui Seksyen 10 (Menghina atau Mengingkari Pihak Berkuasa Agama) atau Seksyen 12 (Pendapat Yang Bertentangan Dengan Fatwa). Terima kasih.
Soalan tambahan Dato’ Yang di-Pertua, soalan 1, baru ini tular kembali tentang reinkarnasi ataupun dihidupkan kembali Ajaran Ayah Pin yang berpusat beroperasi di Batu 13, Besut, Terengganu. Jertih mohon status ajaran sesat tersebut di Terengganu dan yang kedua berkaitan dengan apakah usaha-usaha dilakukan negeri bagi memastikan rakyat negeri tidak terjebak dengan sebarang ajaran sesat dalam negeri ini. Terima kasih.
Dua selalu gomo soalan tambahan. Sila Yang Berhormat, sila Yang Berhormat.
Terima kasih Yang Berhormat Jertih. Memanglah sebagaimana yang kita maklum, Ajaran Sesat Ayah Pin ini menggemparkan negara kita kerana
pelik daripada ajaran-ajaran yang lain. Kalau ajaran-ajaran yang lain ada Kerajaan pun atas bumi, Ajaran Sesat Ayah Pin ini Kerajaannya atas langit. Jadi, memang kita menerima laporan dan juga kerisauan masyarakat tentang Ajaran Ayah Pin ini dihidupkan kembali dan untuk makluman kita semua, Ajaran Ayah Pin ini telah diwartakan sesat pada tahun 1997 maknanya sudah lama. Sebelum daripada itu, dia telah aktif dan telah ada tindakan-tindakan yang diambil tapi diwartakan sesat pada 1997, kemudian setelah kematian Ayah Pin ini, ajaran ini tidak lagi aktif dan tindakan-tindakan telah diambil antaranya ialah untuk memberikan kesedaran kepada bekas-bekas pengikut kemudian pihak bahagian penguatkuasaan juga sentiasa berwaspada jika sekiranya sebarang kemungkinan-kemungkinan yang timbul ajaran ini dihidupkan kembali di perkampungan mereka itu di Batu 13, Hulu Besut. Di mana kita di peringkat Kerajaan Negeri sangat seriuslah memandang isu-isu yang berkait dengan ajaran sesat ini supaya umat Islam di Negeri Terengganu ini terpelihara akidah mereka di samping adanya di sana Seksyen Undang-undang dan Peraturan untuk kita mencegah ajaran-ajaran sesat ini. Kegiatan dakwah, kuliah, pengajian-pengajian agama begitu aktif di mana ini semua dirangkumkan untuk kita sentiasa memberikan kesedaran kepada umat Islam supaya berwaspada dengan ajaran-ajaran yang sesat daripada ajaran islam yang sebenar, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat kawasan Batu Buruk. Seterusnya saya persilakan Yang Berhormat Kuala Berang untuk mengemukakan soalan.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan, pagi ini saya ada 2 soalan. So, dipilih soalan nombor 1.
Mengambil kira situasi terkini mengenai hasil tanaman jagung tempatan yang sangat tidak memberangsangkan dan perlu bergantung kepada bekalan daripada luar, apakah inisiatif oleh Kerajaan Negeri dalam merangsang pertanian tanaman jagung agar para petani dan penjual mendapat hasil yang setimpal?
Soalan nombor 1 dan jawapan digabung dengan soalan nombor 2 Kuala Berang jugaklah, sebab lebih kurang.
Okay, terima kasih saya jawab dengan gabung sekali guslah isu tanaman jagung. Keluasan tanaman jagung di Negeri Terengganu, data terkini untuk bulan Mac 2024.
BIL DAERAH KELUASAN 1 Besut 3.6 hektar 2 Setiu 8 hektar 3 Hulu Terengganu 33.1 hektar 4 Marang 58.2 hektar 5 Kuala Terengganu 8.7 hektar 6 Kuala Nerus 4.2 hektar 7 Dungun 10 hektar 8 Kemaman 23 hektar
Jadi untuk bulan Mac ada 149.6 hektar. Marang kekal sebagai daerah utama pengeluaran jagung khususnya di Lembah Jagung Alur Ketitir. Antara pasaran utama hasil jagung daripada Alur Ketitir Marang ialah Cameron Highlands. Orang Terengganu pergi Cameron Highlands beli jagung, sebenarnya jagung daripada Alur Ketitir, Marang.
Untuk makluman Yang Berhormat Kuala Berang, data menunjukkan penurunan bilangan pengusaha dan keluasan penanaman jagung di Hulu Terengganu berkurangan sehingga 55% yang memberikan impak langsung kepada pengeluaran hasil. Di antara puncanya ialah kerana generasi muda, golongan belia lebih tertumpu untuk mengusahakan projek fertigasi sayur-sayuran seperti cili, timun, terung dan beberapa tanaman lain berbanding jagung. Jadi bila berhadapan dengan persaingan guna tanah ini yang menjadi antara isu penyebab, generasi anak-anak muda lebih cenderung kepada sektor fertigasi, yang memberikan lebih pulangan keuntungan walaupun dengan keluasan tanah
yang terhad, dan melalui Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2024 - 2028, jagung masih lagi diletakkan sebagai tanaman terpilih melalui beberapa program. Di antaranya Program Ladang Kontrak Fama dengan petani supaya boleh menjamin hasil dapat dipasarkan pada harga semasa. Yang kedua Pelaksanaan harga lantai supaya petani kita menjual hasil mereka mendapat keuntungan dalam masa yang sama mendapat pulangan modal dan ada insentif tanaman jagung yang diberi oleh Kerajaan Negeri dan juga Kerajaan Persekutuan. Terima kasih.
Soalan tambahan, kita tahu apa yang telah diberitahu tadi cumanya kadang-kadang produksi daripada jagung ini tidak sekata tiap-tiap bulan, ada waktu tidak ada di pasaran ada waktu, terlebih jadi apakah pihak Kerajaan Negeri memikirkan untuk marketing supaya hasil jagung ini memberi impak ataupun kesan yang baik kepada penanam-penanam jagung.
Isunya ialah isu pemasaran. Bila sumber berkurangan di Negeri Terengganu, memang dari segi rantaian pemasaran kita perlu bawa daripada luar tapi apabila sampai musim di mana berlaku limpahan pengeluaran dari Negeri Terengganu maka pasaran luar perlu diterokai dan setakat ini program yang dilaksanakan oleh Fama terutamanya Program Ladang Kontrak dan juga Program Harga Lantai memang nampak berjaya yang menstabilkan dan setakat ini alhamdulillah jagung kita berjaya mendapat tempat di tempat-tempat pelancongan yang biasa yang pergi untuk beli jagung macam saya sebut tadi di Cameron Highlands, jadi saya tidak melihat dari segi isu pasaran menjadi satu persoalan yang melahirkan dilema di kalangan petani kita. Cuma, isu besar yang kita lihat sekarang ini ialah bagaimana pengurusan ataupun kelangsungan dari segi perusahaan jagung kita boleh langsungkan dengan keadaan anak muda kita nampak macam kurang berminat, mereka lebih berminat kepada pertanian fertigasi yang mengaplikasikan teknologi termasuklah penggunaan Internet Of Team atau IOT dengan izin. Jadi isu kita di situ dan di sinilah Jabatan Pertanian sedang bekerja untuk nak mengharmonikannya. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat. Seterusnya.
Ada boleh lagi, soalan?
Sila-sila.
Soalan nombor 3. Apani, okay berkaitan dengan pasaran tadi, satu lagi berkaitan dengan kos untuk menghasilkan jagung itu sendiri. Sekarang ini kita tahu harga baja naik, harga racun serangga naik, harga benih pun naik, jadi apakah pihak Kerajaan bercadang untuk membantu mereka-mereka ini.
Dato’ Yang di Pertua, saya boleh celah sikit dok?
Cukup doh-cukup doh.
Telemung mahu celoh sikit.
Saya jawab soalan Kuala Berang dulu.
Saya nok celoh sikit je, nok kabo.
Biar dia jawab dulu, jawab dulu.
Terima kasih.
Dari segi bantuan untuk petani-petani yang terlibat tanaman jagung, bukan saja kita bercadang, malah kita telah ada porgram bantuan input dan mekanisasi pertanian yang kita turun di setiap daerah dan untuk Daerah Hulu Terengganu bila kita tanya petani-petani yang mari untuk terima bantuan mokcik tanam apa pokcik tanam apa, nampak dua je, jagung dengan kacang tanah. Maknanya kita telah bantu petani yang terlibat dengan jagung.
Sila Kuala Berang. Nak beri peluang ni.
Telemung.
Telemung, ingat Kuala Berang tadi, Telemung.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, cuma saya nak beri pencerahan.
Kalau nok beri pencerahan semulalah.
Dok maksudnya, Wakil Jabi beritahu tadi kata pengurangan jumlah Hulu Terengganu 50% pengurangan pengeluaran hasil. Ianya satu perkara yang mungkin YB Jabi terlupa takdok maklumat mungkin, punca daripada musuh kera.
Soalan-soalan.
Soalannya, adakah Kerajaan tahu bahawa kera juga adalah merupakan antara punca yang menyebabkan berlakunya rasa tawar hati pengusaha jagung ni untuk tanam jagung, terima kasih.
Tanya bab kera ah ni
Gajah dok eh.. Telemung.. Gajah takdok masaloh
Telemung agak sensitif dengan hidupan liar yang menganggu sektor tanaman ni. Operasi memang kita buat secara berkala tapi ada yang boleh kita hebahkan dan ada yang kita tak boleh hebahkan kerana di sekeliling kita ada mereka-mereka yang agak sensitif pencinta hidupan liar dan sebagainya tapi dari segi Kerajaan kita melihat kepentingan dan maslahah manusia adalah lebih utama. Jadi di antara
operasi yang kita buat selain daripada tangkap pindah ialah operasi pindah alam. Cuma perkara ini tidak dihebahkanlah, okay terima kasih.
Terima kasih, sila. Terima kasih Yang Berhormat Telemung, sila Buluh Gading kemukakan soalan.
Terima kasih Dato’ Yang di Pertua. Buluh Gading Soalan nombor 1-
Apakah perancangan Kerajaan Negeri bagi membantu golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di Negeri Terengganu?
Terima kasih pada Yang Berhormat Buluh Gading, soalan daripada Buluh Gading ini mohon EXCO jawab, bergabung dengan soalan Hulu Besut.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat, Pegawai-pegawai Kerajaan, pemerhati dan semua yang mengikuti perbahasan kita pada pagi ini.
Yang pertama sekali tahniah, terima kasih kepada Buluh Gading dan juga Hulu Besut mengemukakan soalan berkenaan perancangan Kerajaan yang berkaitan dengan OKU, Orang Kurang Upaya. Pertama, saya nak ucap tahniah kepada Dewan Undangan Negeri Terengganu mengambil inisiatif mengemukakan seorang penterjemah bahasa isyarat untuk mempermudahkan golongan OKU pekak khususnya mengikuti persidangan DUN ini, bermakna Kerajaan tidak pernah mengetepikan OKU dalam arus pembangunan dan juga maklumat yang disebarkan.
Berkaitan dengan soalan, yang pertama sekali apa yang telah pun dibuat oleh Kerajaan berasaskan kepada dasar Orang Kurang Upaya yang telah dibentangkan 2007 dulu untuk mengangkat ataupun memberi keutamaan kepada golongan kurang upaya ini untuk memenuhi tuntutan ataupun kehendak mereka dan juga kita di pihak Kerajaan mengangkat kemuliaan,
kehormatan dan kebebasan bagi membolehkan golongan kurang upaya menikmati hidup berdikari dan menikmati hak sama rata seperti individu normal yang lain dan untuk makluman warga Dewan, pada 6 Mac 2024 baru-baru ni Kerajaan Negeri telah pun melancarkan Majlis Tindakan OKU Terengganu (MTOT) yang dilancarkan di Dewan Besar Wisma Darul Iman baru-baru ini dan dalam majlis pelancaran tersebut kita telah pun mengemukakan ataupun menganugerahkan tokoh-tokoh OKU Pendakwah yang diterima oleh seorang Pengamal Undang-Undang, Peguam. Tokoh Akademik, seorang pensyarah di UniSZA dan Tokoh Usahawan serta Tokoh Sukan. MTOT ini adalah gabungan daripada gabungan di antara lapan badan OKU dan juga agensi-agensi Kerajaan yang berkaitan dengan pembangunan seperti PBT, JKR, Kesihatan dan sebagainya untuk mengetengahkan ataupun mengemukakan pembangunan berasaskan kepada pembangunan yang mampan mengambilkira keperluan golongan OKU untuk menikmati arus pembangunan yang telah dibuat oleh Kerajaan. Kerajaan telah pun menubuhkan bengkel pemulihan kebajikan di Marang serta insya-Allah satu lagi yang kita akan bergerak ke depan ialah untuk menubuhkan Skuad Upaya. Skuad Upaya yang terdiri daripada golongan kurang upaya sama ada cacat penglihatan, pendengaran dan sebagainya. Untuk membantu portfolio kebajikan dan juga JKM untuk turun menyampaikan apa-apa sumbangan bantuan kepada anggota masyarakat apabila berlakunya kes-kes kecemasan dan juga bencana. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat AJil.
Yang Berhormat Dato’ di-Pertua, soalan tambahan. Dalam jawapan yang diberikan tadi, Yang Berhormat EXCO ada menjelaskan bahawa bagi memperkasakan orang kurang upaya ini ini akan diwujudkan Skuad Upaya. Jadi saya minta Pihak Kerajaan menjelaskan dengan lebih lanjut berkenaan Skuad Upaya ini. Terima kasih.
Terima kasih soalan tambahan. Berkenaan dengan Skuad Upaya ini belum lagi ditubuhkan tapi masih dalam, sudah dalam perancangan untuk ditubuhkan Skuad Upaya iaitu satu task force dengan izin yang terdiri daripada orang-orang kurang upaya sama ada fizikal ataupun pancaindera untuk turun membantu pasukan petugas yang mana selama ini golongan kurang upaya ini menjadi golongan penerima, jadi sekarang ini kita dengan skuad upaya ini kita cadang dan kita
merangka untuk membentuk golongan OKU ini sebagai golongan pemberi dan juga apabila mereka turun bersama untuk membantu bencana khususnya kemalangan ataupun kebakaran ataupun bencana banjir dan sebagainya, golongan OKU ini dapat insya-Allah lah dapat membantu mengurangkan tekanan mangsa banjir ataupun mangsa bencana apabila golongan OKU ini turun bersama untuk menyantuni mereka yang terkesan kerana adanya bencana yang berlaku. Maknanya golongan OKU ini melalui Skuad Upaya kita akan mengangkat mereka menjadi frontliner ataupun barisan hadapan untuk membantu mangsa-mangsa bencana dan sebagainya. Terima kasih.
Terima kasih. Seterusnya saya persilakan Yang Berhormat Ladang.
Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. Soalan saya soalan 2 -
Apakah langkah-langkah penguatkuasaan bagi mengatasi kegiatan penangkapan ikan yang merosakkan sumber seperti bom, tuba dan renjatan elektrik?
Soalan nombor 2.
Dato’ Yang di-Pertua. Terima kasih Wakil Ladang. Aktiviti haram seperti bom, tuba, atau guna current atau renjatan elektrik ini adalah antara kegiatan yang menyumbang kepada kemusnahan sumber perikanan darat. Semua aktiviti ini adalah kesalahan berdasarkan kepada Kaedah-kaedah Perikanan Darat Negeri Terengganu 1988 (pindaan) 1993.
Kita ada undang-undang yang memperuntukan hukuman denda tidak melebihi RM 1,000.00 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-dua sekali. Tapi perlu kita ambil maklum bahawa dari segi geografi, Negeri Terengganu mempunyai sungai, parit, tasik, kolam yang sangat luas. Tak mudah untuk nak dipantau dan dikawal 24 jam secara efektif oleh pihak berkuasa. Sebab itulah kerjasama masyarakat setempat sangat penting dalam membantu pihak berkuasa seperti Jabatan Perikanan dan Polis Marin bagi memelihara ekosistem dan juga sumber perikanan. Masyarakat setempat perlu jadi mata dan telinga salurkan aduan jika ada maklumat berkaitan dengan aktiviti terlarang dan masyarakat perlu sedar
bahawa sumber perikanan yang ada pada hari ini bukan untuk kita makan hari ini sahaja. Sumber ini perlu dijaga untuk diwarisi oleh generasi anak cucu kita nanti. Orang tua kata nak buat apa-apa kena fikir apa yang akan jadi di belakang hari.
Di samping pelbagai kempen kesedaran kepada masyarakat, rondaan dan pemantauan secara berkala dipergiatkan oleh Jabatan Perikanan dan Polis Marin di kawasan-kawasan hotspot, dengan izin, kawasan titik panas aktiviti terlarang seperti Tasik Kenyir, Sungai Terengganu dan Sungai Kemaman. Terima kasih.
Soalan tambahan saya. Apakah langkah yang diambil oleh pihak Kerajaan bagi memperkayakan sumber perikanan darat? Terima kasih.
yang pertama kita kawal supaya tidak rosak dan yang kedua kita kena tambah sumber. Tambah sumber ini ialah melalui program pelepasan anak benih ke perairan umum. Sekadar untuk makluman Dewan, dalam tempoh tiga tahun terakhir tahun 2021 sempena dengan Tahun Pertanian Terengganu kita telah melepaskan sebanyak 1,700,548 anak benih ke perairan umum. 2022, 660,100 anak benih dan 2023 374,215 anak benih. Jadi dalam tempoh tiga tahun terakhir, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perikanan telah melepaskan 2,734,863 lebih kurang anak benih ke perairan umum daripada pelbagai spesis di antaranya ialah lampam sungai, ikan baung, kelah, udang galah, patin, siakap, haruan, semarang termasuk juga kita lepaskan anak benih ketam nipah dan kita mengharapkan bila anak-anak benih ini dilepaskan ke perairan umum, dia boleh membiak dan menjadi sumber rezeki bagi nelayan darat kita. Terima kasih.
Terima kasih. Seterusnya dipersila Yang Berhormat Pengkalan Berangan.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan nombor 1 –
Apakah status terkini bekalan air bersih di Daerah Marang?
Terima kasih kepada Pengkalan Berangan. Dato’ Yang di-Pertua, soalan sebagaimana yang tertera. Keperluan bekalan air semasa di daerah Marang adalah sebanyak 80 Juta Liter Sehari (JLH). Bekalan air bersih sedia ada adalah sebanyak 65JLH yang dibekalkan melalui tiga (3) tangki utama iaitu Tangki Belat (16JLH), Tangki Gondang (17JLH) dan Tangki MIEL (32JLH). Bagi memastikan keterjaminan bekalan air bersih di daerah Marang, Kerajaan Negeri telah melaksanakan inisiatif jangka masa pendek melalui projek pemasangan paip air bersih daripada Loji Rawatan Air (LRA) Kepong II - Tangki MIEL - Tangki Gondang yang telah siap sepenuhnya pada 15hb Mac 2024 yang mampu membekalkan tambahan sebanyak 30JLH ke daerah Marang. Dengan penyiapan projek ini, bekalan air bersih di daerah Marang dijangka dapat bertahan sehingga tahun 2029. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa di atas pencerahan yang diberikan. Sebagaimana yang kita sedia maklum tapi sebelum daripada itu, mewakili warga Marang saya merakamkan ucapan terima kasih di atas penyelesaian bekalan air bersih dan kita dapat menyambut Hari raya Aidilfitri dalam keadaan gembira dan juga bahagia sesuai dengan status Marang sebagai Bandar Bahagia 2024. Soalan saya ialah sebagaimana yang telah dijelaskan, bekalan ini ataupun bekalan air bersih ini akan dapat bertahan sehingga 2029. Jadi apakah perancangan jangka panjang Kerajaan untuk membina Loji Rawatan Air bersih kerana sebagaimana yang kita sedia maklum Marang adalah satu-satunya daerah yang ada di Negeri Terengganu yang tidak mempunyai Loji Rawatan Air yang tersendiri ataupun khusus untuk daerah Marang. Sekian.
Terima kasih Pengkalan Berangan. Pada masa ini, daerah Marang mempunyai penduduk kira-kira 120,000 orang dan tidak mempunyai Loji Rawatan Air yang terletak di dalam Daerah Marang. Sumber air terawat adalah terutamanya melalui Loji Rawatan Air Kepong I dan II yang terletak di daerah Kuala Terengganu. Dengan peningkatan permintaan bekalan air daerah Marang, terdapat keperluan untuk membina sebuah lagi Loji Rawatan Air baru untuk membekalkan bekalan air terawat kepada pengguna di daerah Marang. Skim ini akan melibatkan skop kerja pembinaan muka sauk, Loji Rawatan Air off-river
storage, pemasangan paip dan tangki imbangan. Cadangan pembinaan off-river storage bagi skim ini bertujuan untuk penyimpanan air mentah yang mampu bertahan selama satu bulan sekiranya fenomena kemarau panjang berlaku. Projek Loji Rawatan Air Marang sekarang ini berada di peringkat akhir laporan kajian kemungkinan. Berdasarkan kajian ini, kapasiti Loji Rawatan Air Marang yang diperlukan sehingga tahun 2050 adalah sebanyak 120 MLD. Perancangan pembinaan adalah melalui dua fasa. Fasa pertama sehingga tahun 2029 dengan anggaran tempoh pembinaan selama 27 bulan dan 24 bulan bagi tempoh pembinaan fasa dua. Laporan akhir kajian akan dibentangkan dalam Jawatankuasa Pemandu Projek dan seterusnya akan diangkat untuk pertimbangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Terima kasih.
Soalan berkaitan dengan air Marang, boleh ke?
Sila, sila.
Terima kasih Yang di-Pertua. Kita tahu bahawa di Marang ini ada tiga tangki lah tadi diberitahu. So, masalahnya sebelah Wakaf Tapai, Ajil tu dia menggunakan sebahagian daripada tangki di Marang ini. Jadi baru-baru ini bulan puasa masalah di Kuala Berang ini agak kritikal lah. Air kadang-kadang waktu Maghrib ini meleleh sahaja. Jadi saya nak tanya ada lebihan air di Marang ini boleh hantar ke Kuala Berang ke? Ataupun ada rancangan dia ke?
Sila Yang Berhormat.
Ianya masih dalam kajian lagi. Insya-Allah kita akan bekalkan.
Seterusnya, saya persila Yang Berhormat ADUN Manir.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan saya soalan nombor 1-
Apakah Kerajaan Negeri ada merangka dasar perumahan baru bagi menggalakkan pembangunan perumahan di negeri ini?
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar dan semua Ahli-ahli Yang Berhormat, pegawai-pegawai kanan jabatan dan juga pemerhati yang saya hormati lagi saya kasihi sekalian.
Terima kasih pada ADUN Manir yang bertanyakan soalan seperti yang tercatat di skrin sana berkenaan dengan Dasar Perumahan Baru, bagi menggalakkan pembangunan perumahan di negeri ini. Untuk makluman Yang Berhormat Manir dan semua, Dasar Perumahan yang telah sedia ada telah pun berkuatkuasa bermula pada 1 September 2019 yang lalu dan selepas ianya berlangsung selama kurang lebih empat tahun dengan pelbagai perkembangan semasa yang berlaku sehingga ke saat ini, sama ada yang melibatkan isu-isu ekonomi, yang melibatkan isu-isu tukaran mata wang, yang melibatkan isu-isu bekalan bahan binaan dan sebagainya lagi maka Kerajaan merasakan bahawa perlu ada satu penambahbaikan ataupun pencerahan semula beberapa isu yang berkaitan dengan Dasar Perumahan yang telah pun dilaksanakan sehingga ini dan untuk tujuan itu pada 1 dan 2 April yang lalu, SUK (Bahagian Perumahan) dengan kerjasama daripada pihak Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) telah pun mengadakan Bengkel Hala Tuju Pembangunan Perumahan Negeri Terengganu yang melibatkan 16 buah agensi Kerajaan dan sebelum daripada itu diadakan juga sesi bengkel dengan pemain-pemain industri yang berkaitan dan insya-Allah kita menjangkakan pada Julai 2024, Dasar Baharu Perumahan Negeri Terengganu akan dapat dibentangkan insya-Allah, terima kasih.
Terima kasih, ada soalan tambahan.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, sebagaimana yang umum maklumi bahawa bila adanya pembangunan perumahan yang dilakukan oleh pihak swasta, maka di sana ada percentage-percentage yang perlu dipatuhi di antaranya type A, type B dan type C. Jadi, sebenarnya polisi ataupun dasar penswastaan yang perlu mematuhi polisi perlu dibina type A ini sebenarnya membebankan pihak pemaju
yang mana akhirnya melembabkan pembangunan perumahan itu sendiri, walaupun kita tahu tujuan asas kepada type A yang perlu dibangunkan itu adalah untuk meringankan beban Kerajaan tetapi ia akhirnya membebankan pihak pemaju dan akhirnya projek perumahan tidak bercambah. Ini yang kita bercakap dengan player-player perumahan, mereka mengharapkan polisi ini diubah ataupun mungkin telah diubah yang tidak saya dengar dengan jelas, terima kasih.
Ya, untuk makluman ADUN Manir dan juga rakan-rakan Ahli-ahli Yang Berhormat, apa yang dinyatakan oleh ADUN Manir itu adalah di antara perkara-perkara ataupun skop perbincangan yang telah pun dibincangkan di dalam bengkel yang diadakan pada 1 dan 2 April yang lalu dan untuk makluman semua juga, ada tiga skop sekurang-kurangnya perbincangan yang telah pun dibengkelkan, yang pertamanya berkenaan dengan penambahbaikan dasar dan polisi perumahan Terengganu termasuklah di antaranya kalau dasar sedia ada dalam isu yang pertama ini berkenaan dengan harga rumah type A dan type B untuk Rumah Mampu Milik, type A berjumlah RM80,000.00 dan type B berharga RM80,001.00 hingga RM185,000.00. Jadi, ini adalah dasar yang sedia ada dan di dalam cadangan penambahbaikan dasar kita akan mengharmonikan jurang harga di antara A dan B supaya perbezaan harga ini tidaklah ketara di antara A dan juga B.
Begitu juga perkara yang kedua yang disebutkan oleh Yang Berhormat Manir sebentar tadi, berkenaan dengan peratusan pembangunan RMM di atas untuk projek penswastaan di atas tanah milik Kerajaan dan juga projek penswastaan di atas tanah milik. Di sini, dalam dasar yang sedia ada, untuk tanah Kerajaan untuk type A disyaratkan dibina sebanyak 20% daripada jumlah keseluruhan biji buah rumah, sementara 30% untuk type B daripada jumlah kesemua dan baki 50% adalah rumah yang pelbagai dan ini yang dinyatakan oleh Yang Berhormat Manir tentang isu-isu yang memberikan bebanan kepada pemaju-pemaju yang mengambil projek atas dasar penswastaan negeri. Itu atas milik Kerajaan, kalau milik persendirian, dasar yang sedia ada menetapkan sebanyak 15% untuk type A dan 15% untuk type B dan bakinya 70% adalah pelbagai variasi.
Jadi, cadangan penambahbaikan dasar ialah kita akan mengkaji semula peratusan RMM ini supaya memberikan kebaikan kepada pemaju dan juga
kepada pihak Kerajaan Negeri dalam usaha untuk menggalakkan pembangunan perumahan di Negeri Terengganu seperti yang disebutkan oleh ADUN Manir tadi, kalau dia tidak boleh jadi orang kata satu pihak sahaja yang mendapat keuntungan, kedua-dua belah pihak perlu mendapat keuntungan dan insya-Allah itu hasrat daripada bengkel yang telah diadakan. Begitu juga dalam isu pengiklanan, dalam dasar yang sedia ada proses pengiklanan RMM jenis A dan B disyaratkan hanya boleh dibuka selepas peratus pembangunan mencapai 25% dan dasar baharu yang kita bincangkan adalah pengiklanan permohonan rumah mampu milik A dan B dipercepatkan selaras dengan kelulusan Lesen Permit Pengiklanan Pembangunan (APDL), itu perkara yang pertama. Yang kedua adalah berkenanan dengan penambahbaikan rekabentuk Rumah Mampu Milik. Dasar yang sedia ada menetapkan Rumah Mampu Milik (RMM) jenis A seluas 800 kaki persegi dan rumah type B seluas 900 kaki persegi ertinya beza antara A dan B hanya 100 kaki persegi sahaja sedangkan harga yang sangat jauh daripada RM80,000.00 untuk A dan RM185,000.00 untuk type B. Untuk dasar perumahan yang baharu ini, cadangannya adalah kita akan memperbagaikan jenis-jenis rekabentuk Rumah Mampu Milik bukan sahaja A dan B termasuk rumah-rumah bagi golongan belia dan juga rumah-rumah untuk golongan OKU yang mungkin tidak sama dengan seperti mana design ataupun rekabentuk rumah A dan juga B termasuk dari sudut harga yang telah pun saya nyatakan tadi dan yang terakhirnya daripada sudut penambahbaikan proses kelulusan dan juga pelaksanaan projek antara isu yang agak besar juga yang dibincangkan dalam bengkel ini.
Kalau kita tengok di dalam pelaksanaan dasar yang sedia ada, pemilihan pemaju adalah berdasarkan kepada laporan cadangan pembangunan (LCP) tanpa semakan dual diligent syarikat. Dan itu kita melihat kadang-kadang kelulusan juga isu berkaitan kelulusan MMKN yang tidak selari dengan keperluan pihak PBT yang berkaitan dengan kelulusan pelan yang dipohon oleh pemaju yang mana peringkat PBT masih mengenakan syarat dan caj yang tertentu dan keadaan ini boleh menyebabkan berlakunya pertambahan masa dan kelewatan untuk proses-proses kelulusan pelan dan sebagainya. Dan untuk cadangan dasar baharu ini, kita akan melakukan yang pertamanya pemilihan pemaju dan perunding adalah mengikut kriteria dan melepasi semakan dual diligent syarikat. Yang keduanya, mewajibkan pra rundingan dengan jabatan dan juga pihak PBT sebelum kertas diangkat untuk kelulusan MMKN dan serahan dokumen kepada PBT. Yang ketiganya, mengawal selia dengan pihak agensi PBT yang berkaitan untuk pelaksanaan projek dan yang keempat antara
yang paling penting adalah penggunaan Sistem OSC 3.0 plus secara talian di semua PBT perlu diperluaskan dalam proses untuk meluluskan ataupun permohonan CCCC dan kita jangka dapat diperolehi dan diluluskan dalam tempoh maksimum 60 hari sahaja dan penggunaan sistem ini secara menyeluruh serta serentak insya-Allah mampu mempercepatkan proses kelulusan dan pelaksanaan bagi sesuatu projek. Terima kasih.
Terima kasih kepada Yang Berhormat, seterusnya kita Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, saya bercadang untuk kita tangguhkan sementara Dewan ini dan disambung semula pada pukul 10.50 pagi.
MESYUARAT DITANGGUHKAN PADA PUKUL 10.25 PAGI
PUKUL 11.05 PAGI
(Selepas Soalan-Soalan Lisan)Questions
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, mesyuarat disambung semula.
Usul Yang Telah Diberi NotisMotion
Perkara berikut di dalam Tertib Pekerjaan Dewan ialah Usul Yang Telah Diberi Notis. Dipersilakan Yang Berhormat Dato’ Haji Satiful Bahari bin Mamat (Wakil Paka) untuk mengemukakan usul.
Usul Yang Telah Diberi NotisMotion
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan-
“Bahawa Dewan Undangan Negeri yang bersidang pada hari ini membuat KETETAPAN bersetuju merakam dan merafak sembah ucapan penghargaan dan Menjunjung Kasih Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan kerana menyampaikan Titah DiRaja mengenai Dasar-Dasar Kerajaan bersempena dengan Pembukaan Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri Kelima Belas dan bersetuju merafak sembah ikrar taat setia Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dan bersedia memberi kerjasama yang erat kepada Pentadbiran Negeri supaya dasar-dasar Kerajaan dapat dilaksanakan dengan sempurna demi kepentingan negeri dan rakyat seluruhnya”.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon menyokong usul itu.
Usul ini telah mendapat sokongan. Sekarang saya buka untuk perbahasan. Saya jemput mana-mana Yang Berhormat untuk memulakan perbahasan bagi menyokong Usul ini. Saya persilakan Yang Berhormat Wakil Bandar bagi memulakan perbahasan dalam menyokong Usul.
Terima kasih diucapkan kepada Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua kerana memberi peluang kepada saya untuk mengambil bahagian di dalam sesi merafak sembah Menjunjung Kasih serta perbahasan Titah DiRaja Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Persidangan kali yang kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu 2024 kali ini.
Baju Melayu Teluk Belanga Susur Galur Moyang Tercinta Tak akan layu kasih berbunga Tangan dihulur ampun dipinta
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar Terengganu seterus Ahli-ahli Yang Berhormat, Ahli-ahli Sidang, tetamu jemputan dan tuan puan yang dikasihi sekalian. Sebelum saya memulakan
ucapan perbahasan pada hari ini, saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucap Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada ahli seluruh Dewan dan juga rakyat Negeri Terengganu dan umat Islam seluruhnya serta mereka yang di perantauan. Nampaknya kali ini perayaan kita di Negeri Terengganu begitu meriah sehingga jalan raya penuh melibatkan kesesakan yang amat dahsyat. Ini menandakan bahwa negeri kita negeri yang makmur, maju, berkat, sejahtera.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya juga ingin mengambil kesempatan pada hari ini untuk merakam setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada warga Negeri Terengganu kerana tular baru-baru ini di dalam media sosial bagaimana warga kampung kita yang begitu prihatin, berbudi luhur, berakhlak mulia, mereka menunggu di tepi-tepi jalan mengiringi kepulangan anak perantau ke tempat kerja masing-masing. Akhlak ini dibuktikan ada di kalangan mereka yang menyediakan minuman di tepi-tepi jalan, mengagih makanan ada yang potong tembikai kemudian dihulurkan kepada mereka yang dalam perjalanan. Bahkan lebih baik dan mulia lagi ada warga negeri kita ini yang menyediakan tempat untuk berehat. Menyediakan dan mempersilakan untuk menggunakan tandas. Ada yang menjemput untuk makan berhari raya. Akhlak ini sangat terpuji dan kita mengharapkan inilah budaya kita di Negeri Terengganu. Rasanya tidak keterlaluan saya menjemput Ahli-ahli Yang Berhormat semua dan Sidang DUN untuk sama-sama kita memberi penghormatan kepada warga Negeri Terengganu dengan memberi satu tepukan gemuruh kepada mereka.
[Bunyi tepukan dari sidang Dewan]
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, namun dalam keadaan kita bersuka ria berhari raya, kita juga harus melihat kepada mereka yang berada dalam keadaan kesusahan termasuk saudara-saudara kita di bumi Palestin yang masih dalam suasana peperangan. Yang melibatkan nyawa bukan sahaja orang-orang dewasa bahkan orang tua, kanak-kanak, bayi, perempuan-perempuan turut terkorban. Kezaliman ini adalah satu perkara yang tidak boleh kita terima bahkan kita tetap teguh berdiri bersama rakyat Palestin untuk membebaskan bumi Palestin. Untuk itu marilah kita sama meneliti, firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam surah Al-Isra ayat yang kelima dan keenam yang bermaksud
“Dan kami menyatakan Bani Israel dalam kitab itu.
Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi Palestin
sebanyak dua kali. Dan sesungguhnya kamu akan berlaku sombong, angkuh dengan melampau. Maka apabila sampai masa janji untuk membalas kederhakaan kamu kali yang pertama dan kali yang kedua. Kami datangkan kepada kamu hamba-hamba kami yang kuat, gagah dan amat ganas serangannya lalu mereka menjelajah di segala ceruk rantau, membunuh dan membinasakan kamu. Dan sebenarnya peristiwa itu adalah satu janji yang tetap berlaku.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, walaupun Kerajaan berdepan dengan isu kewangan disebabkan royalti yang dinafikan oleh Kerajaan Pusat, saya berharap Kerajaan ini terus serius dan fokus di dalam melaksanakan rancangan dan juga program yang ditetapkan. Setiap EXCO dan portfolio mesti terus berfungsi, carilah ruang untuk jalin hubungan baik dengan kementerian yang berkaitan. Manfaatkan apa sahaja ruang untuk mendapat Bajet bagi pelaksanaan program dan projek daripada kementerian. Saya difahamkan bahawa portfolio pertanian telah berjaya mendapat tidak kurang daripada RM10 juta baru-baru ini dari Kementerian Pertanian. Tahniah Yang Berhormat EXCO. Fokus Bajet untuk menyantuni rintihan dan keperluan mendesak rakyat. Kurangkan perbelanjaan yang berbentuk kosmetik yang sedap pada halwa telinga tetapi hakikatnya rakyat marhaen tidak dapat apa-apa. Utamakan projek dan program berbentuk low hanging fruits dengan izin yang menggunakan bajet rendah tetapi hasil cepat dinikmati. Kenal pasti di mana rakyat kita berada, jangan berfikir secara awang-awangan pastikan penyaluran program sampai pada rakyat. Majoriti rakyat Terengganu bergantung kepada sumber ekonomi dari sektor pertanian, perkhidmatan dan juga pelancongan. Inilah sektor yang sepatutnya menjadi tumpuan pihak Kerajaan.
Pelan Strategik Pertanian yang diumumkan pada 2019-2023 telah melabuhkan tirai yang melihat pelbagai kesan positif dan hasil yang memberangsangkan. Begitu juga dari sudut perikanan. Kita melihat bagaimana pertambahan peningkatan 39% pendaratan ikan marin, sebanyak 13000 tan berjaya direkodkan sepanjang tahun 2023. Kita mengharapkan pelan yang seterusnya untuk 2024 sehingga 2028 akan terus melakar kejayaan yang lebih hebat.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, selain daripada sektor pertanian, Terengganu juga menjadi destinasi pelancongan utama bagi pelancong dalam dan luar negara khususnya produk pelancongan alam semulajadi. Terdapat
banyak lokasi yang cantik dan menarik seperti mana yang di titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Kita sedia maklum hasrat Kementerian Pelancongan untuk membawa seberapa ramai pelancong daripada negara luar khususnya daripada negara China. Ini kadang kala merisaukan kita. Menteri Pelancongan ketika lawatan ke Terengganu baru-baru ini pernah membangkitkan isu bagaimana pelancong-pelancong nak datang ke Negeri Terengganu sedangkan tidak ada kelab-kelab hiburan, kelab-kelab malam yang boleh menggamit pelancong-pelancong luar negara. Kita nak jawab dan kita mengharapkan Yang Berhormat EXCO Pelancongan untuk terus kekal istiqamah dengan pelancongan yang mendokong syariat dan mesra syariah dan berusaha untuk mempopular dan mempromosi Islam Tourism dengan izin, bagi menarik pelancong muslim dari negara China, khususnya yang bilangan populasinya lebih daripada 25 juta muslim. Bahkan saya dimaklumkan oleh seorang ahli perniagaan China yang bermastautin di Malaysia ini, bilangan muslim China di Tanah Besar jauh lebih besar daripada 30 juta. Oleh kerana itulah, kita mengharapkan peluang ini dapat diambil oleh EXCO Kerajaan kita khususnya dalam bidang pelancongan untuk bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan Malaysia membawa masuk pelancong-pelancong muslim China ke negeri kita, insya-Allah.
Dan mudah-mudahan misalnya terdapatnya peruntukan-peruntukan yang boleh kita manfaatkan bersama.
Dato’ Yang di-Pertua, satu fenomena berlaku pada bulan Ramadan baru-baru ini iaitu aktiviti makan-makan setelah solat selesai iaitu solat terawih, dan fenomena ini nampak begitu meriah di banyak tempat. Di kedai-kedai, di tepi-tepi pantai, ramai mereka yang kunjung untuk moreh bersama dengan keluarga dan rakan-rakan. Saya ingin mencadangkan kepada Yang Berhormat EXCO Pelancongan untuk mengambil peluang aktiviti moreh khususnya di bulan Ramadan ini dipertingkatkan sebagai satu daripada aktiviti pelancongan, insya-Allah di bulan Ramadan di masa-masa akan datang.
Dato’ Yang di-Pertua, saya menyentuh tentang Titah Tuanku berhubung dengan peruntukan sebanyak RM78.9 juta kepada PBT untuk membiayai 97 zon kawasan perkhidmatan pengurusan awam dan kutipan sisa pepejal. Kita berharap peruntukan yang sebesar ini mampu untuk terus dimanfaatkan oleh setiap PBT, memastikan kualiti kebersihan di tahap yang optimum sekaligus menjadikan negeri kita negeri yang bersih, yang berkualiti tinggi dan dapat menarik para pelancong. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat EXCO PBT dan juga semua PBT-PBT yang terlibat yang
telah mengharumkan nama Negeri Terengganu yang tular juga di dalam media massa, pujian-pujian kebersihan dalam negeri kita. Sesungguhnya kebersihan bukanlah tanggungjawab pihak Kerajaan semata-mata, ia merupakan tanggungjawab kita bersama, rakyat, Kerajaan mesti terus bersama memelihara negeri kita, sebagai negeri yang bersih, tempat idaman para pelancong.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, dalam awal bulan Ramadan yang lepas, kita mendapati rombongan Kerajaan Negeri Terengganu yang diketuai oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar bersama dengan EXCO Ekonomi Digital Pendapatan Baru, Industri Perdagangan dan Teknologi Hijau, telah mengadakan lawatan ke Korea Selatan. Dalam maklumat yang diperolehi, Kerajaan Negeri akan menceburi dalam bidang hidrogen dan sekali gus meletakkan negeri pengeluar hidrogen di Pantai Timur dan Semenanjung Malaysia. Ucap tahniah kepada Yang Amat Berhormat dan Kerajaan, tetapi dalam masa yang sama, kita mahu agar pihak Kerajaan boleh memperincikan hasil lawatan dan langkah-langkah terkehadapan yang akan diambil oleh Kerajaan hasil pada rombongan di dalam lawatan tersebut. Mohon EXCO kongsikan apa yang telah diperolehi.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, negeri kita katanya mempunyai hasil bumi daripada pasir silika dan batu silika yang banyak lagi berkualiti. Saya ingin memohon dari pihak Kerajaan untuk mengesahkan adakah benar-benar maklumat itu, dan sejauh mana usaha ke arah untuk mendapatkan hasil yang lebih baik untuk negeri kita dalam bidang silika ini sama ada pasir ataupun batu silika.
Dato’ Yang di-Pertua, sidang Dewan yang dikasihi sekalian. Saya juga amat bersetuju dengan Titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku berkaitan dengan sumber Non-radioactive-Rare Earth Element (NR-REE), Terengganu Allah Ta’ala jadikan bumi yang sangat kaya, bukan sahaja di laut kita mempunyai minyak, bahkan di darat juga kita mempunyai galian yang sangat bernilai. Inilah kurnia Allah kepada Negeri Terengganu dan rakyatnya. Mengikut laporan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, kita Negeri Terengganu mempunyai separuh daripada simpanan NR-REE ini, kerana Malaysia sendiri sebanyak 15.2 juta tan, sementara Terengganu kita ada 7.1 juta tan. Jumlah yang besar ini adalah sesuatu yang sangat bermanfaat untuk Negeri Terengganu dan sebab itulah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku memperingatkan supaya Kerajaan menggunakan kaedah terbaik di dalam
perlombongan dan memastikan rantaian nilai termasuk industri pertengahan dan hiliran diwujudkan di Negeri Terengganu seterusnya menjadi hub pengeluar serta pemprosesan utama negara. Walau bagaimanapun Dato’ Yang di-Pertua, usaha untuk menggali sumber ini dan untuk mendatangkan hasil kepada Kerajaan Negeri memerlukan masa, justeru itu saya ingin mengingatkan Kerajaan Negeri untuk terus berusaha mendapatkan bayaran royalti daripada Kerajaan Pusat.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, sejarah telah menyaksikan bahawa Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan Perjanjian Tahun 1975 antara Kerajaan Negeri Terengganu dengan PETRONAS telah dimeterai pada 12 November 1975 telah membuahkan penerimaan dana oleh Kerajaan Negeri Terengganu atas nama Royalti Petroleum. Sejak tahun 1978 sehingga tahun 1999 secara terus daripada PETRONAS tanpa melalui pihak yang ketiga. Namun masih segar dalam sejarah hitam, pasca Pilihan Raya Umum ke-10 pada tahun 1999, kemenangan Parti Islam SeMalaysia (PAS) di Negeri Terengganu telah menyebabkan bayaran Royalti Petroleum ini tidak lagi diberi kepada Kerajaan Negeri Terengganu, tetapi disalurkan melalui Program Pembiayaan Wang Ehsan. Walaupun pun ketidakadilan ini dan kezaliman ini tidak dapat disangkal, namun pembayaran royalti masih berjalan, walaupun atas terma yang lain, dan masih diberi menghampiri 5% pada setiap tahun. Sekadar perkongsian semua Ahli-ahli Dewan, suka saya untuk menyatakan data yang saya dapat pada tahun 2018, kita Terengganu mendapat bayaran sebanyak RM1,373,960,000.00. Pada 2019, di zaman Tun Mahathir kita mendapat bayaran RM1,497,000,000.00 dan pada tahun 2020, ketika mana Perdana Menteri kita Tan Sri Muhyidin kita mendapat bayaran royalti RM1,258,000,000.00 dan begitu juga pada tahun 2021 hampir sama. Pada tahun 2022, di zaman Dato’ Seri Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri kita masih mendapat bayaran RM1,393,000,000.00 dan yang paling begitu jelas 2023, di zaman Dato’ Seri Anuar Ibrahim kita mendapat RM802,000,000.00. Itupun RM802,000,000.00 dinyatakan nilai yang lebih banyak dan lebih besar daripada yang sebelumnya. Saya tidak tahu kaedah mana yang dipakai tetapi kalau tanya budak sekolah pun mereka tahu RM1 bilion memang lebih besar daripada ratus juta.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, oleh itu kita pihak Kerajaan Negeri perlu mengambil langkah-langkah yang sepatutnya untuk mendapat royalti ini. Kita tidak mendambakan janji-janji yang telah dibuat suatu ketika dahulu dimana pernah Dato’ Seri Perdana Menteri kita menjanjikan bayaran sehingga 20%
hasil petroleum, kalau saya jadi Perdana Menteri. Tuan-tuan, sidang hadirin, Ahli Yang Berhormat sekalian, sebab itulah Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan barisan kepimpinan perlu untuk mencari langkah-langkah yang lebih efisien mendapat kembali royalti. Apapun sikap yang dibuat oleh pihak Kerajaan Pusat dihentak tak masuk, diumpil tak bergerak. Kerajaan Madani kini sebenarnya pada hemat saya telah layak dan melayakkan untuk Kerajaan Negeri mengambil tindakan yang lain yang jauh lebih serius dan tegas. Ada pula di kalangan mereka yang menyatakan dah selesai bayaran. Mereka ingat bayar royalti ini boleh dibincang di tepi-tepi jalan. Walhal kesemua terimaan dan juga penyerahan duit itu mestilah dalam bentuk yang formal dan rasmi. Ya saudara-saudara, bayaran ini bukan bayaran yang boleh dibuat macam kita bayar pasembur tepi jalan yang angkanya tidak boleh kita tulis dengan rasmi. Saudara-saudara kena ingat, saya pinjam perkataan itu, saudara-saudara. Barangkali Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua faham kot. Jadi dengan sebab itulah, mamat pasembur pun jual pasembur bila diberi barang dia tengok duit berapa. Yang Amat Berhormat tunjuk pada LA sebab dia memang kaki pasembur. Mesti mamat pasembur tengok bila dapat barang berapa ringgit dapat duit. RM10. Pasembur harga RM6.50 kena balik RM3.50. Walaupun tidak bercatat tetapi angkanya jelas. Apatah lagi sebuah Kerajaan yang menerima peruntukan daripada Kerajaan Pusat sudah pasti nilainya bukan satu perkara yang boleh kita main-main. Jadi, untuk kawan-kawan kita yang diluar yang kata dah settle dah selesai, sila rujuk kepada Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Nara ada bahawa bayaran kita untuk 2023 masih lagi berkurang sebanyak RM700 juta. Jadi, Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua dengan itu kita mendoakanlah pakat sama-sama doa supaya Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita diberi kesihatan yang baik, dikurniakan kawan-kawan yang bertanggungjawab, dikurniakan menteri-menteri yang bijak, jauh daripada mereka yang kartun supaya mengarahkan negara kita ke arah politik ke depan bukan ke belakang. Apa yang diamalkan ini adalah politik ke belakang mengikut apa yang pernah berlaku sebelum ini dan tidak akan menghasilkan sesuatu yang baik kepada negara demokrasi.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, sekali lagi saya nak mencadang dan saya sangat-sangat bersetuju kalau Yang Amat Berhormat Menteri Besar nak buat sekali lagi solat hajat beramai-ramai, kita rasa kita boleh pakat turun ramai-ramai tetapi solat hajat itu kita bukan apa Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, kita nak minta panjang umur, sihat dan dibuka hati Yang Amat Berhormat Perdana Menteri bayar royalti kita insya-Allah. Jadi mudah-mudahan
itulah yang kita harapkan. Pada itu, yang boleh saya sebut dalam perbahasan kali ini terima kasih kerana memberi peluang kepada saya dalam perbahasan dan merafak sembah atas Titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Bandar mohon menyokong.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Wakil Bandar. Sebagaimana yang saya tetapkan dalam persidangan yang lalu bahawa perbahasan akan diberi masa kepada semua Yang Berhormat yang bersedia untuk berbahas sebanyak 10 minit. Selepas itu, hok tambah-tambah itu tengok-tengoklah. Kita ambil 10 minit sebab kalau 10 minit dalam sekitar 285 minit masa-masa. Kalau 10 minit kurang sikit kalau 15, 285 minit jadi kita bagi masa pertama ini 10 minit kemudian biasa lajak belakalah tapi jangan plok mentang-mentang Yang Berhormat Dato’ Speaker kata lebih tu gomol selalu. Tapi tengok nombor tu, di tiang tu.
Dato’ Speaker baik hari ini.
Cakap kuat sikit jangan nampak cakap masing-masing slow je macam dalam bilik je. Cakap semangat-semangat sikit, petang-petang dok semangat lagi. Sila Yang Berhormat seterusnya, Yang Berhormat Jertih. Sila. Semangat sikit.
.
Dan sesungguhnya kami telah menolong kamu pada hari Badar. Dan kamu dalam keadaan lemah maka bertaqwalah kamu kepada Allah, mudah-mudahan mereka bersyukur.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, seluruh pimpinan-pimpinan dan ketua-ketua Jabatan. Terima kasih diucapkan kepada Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua yang memberi ruang dan peluang kepada Jertih untuk sama-sama mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Sidang Kedua Dewan Negeri Terengganu untuk tahun ini. Jertih merafak sembah Menjunjung Kasih dapat turut serta perbahasan Titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu sempena Penggal Kedua 2024 pada hari yang berbahagia ini.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, alhamdulillah kita telah melepasi sebulan Ramadan Syahrul Maghfirah bulan pengampunan. Bulan di mana dilipat kali gandakan semua amal kita pada bulan Ramadan memandangkan umur kita umat Muhammad umur yang singkat, umur yang pendek. Ramadan Syahrul Quran bulan al-Quran. Bulan turun al-Quran dan al-Quran merupakan mukjizat yang terbesar yang Allah anugerahkan kepada kita semua dengan pelbagai nama, al-Huda, al-Bayan, an-Nur, al-Tibyan, al-Tanzil, al-Kitab, al-Syifa’, al-Zikr, al-Hakim, al-Furqan. Ramadan Syahrul Jihad, bulan jihad, bulan perjuangan. Bulan yang menyaksikan banyak siri-siri pertembungan antara iman dan kufur berlangsung dalam bulan Ramadan. Peristiwa Yaumul Furqan hari pembeza antara hak dan batil. Perang Badar Al-Kubra, 17 Ramadan hari Jumaat tahun 2 Hijrah. Ramadan menyaksikan peristiwa kemenangan Islam, fathu Makkah pembukaan Kota Mekah. Ramadan menyaksikan operasi perang Tabuk pada tahun 9 Hijrah. Ramadan puluhan peperangan berlaku dengan menang Islam dalam bulan Ramadan. Ramadan bulan infak tabarut, sedekah dan pelbagai gelaran. Alhamdulillah masjid-masjid, surau-surau di seluruh Terengganu sangat meriah Ramadan 1445 tahun ini tuan-tuan sekalian dan wajar kita mengambil kesempatan di atas Titah Ucapan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan untuk kita memberdayakan pelancongan dan saya mencadangkan kepada Kerajaan Negeri Terengganu yang dipimpin oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar kita untuk kita menggerakkan pelancongan ibadah melalui berapa ramai asatizah luar bahkan masyaikh yang ada ke bumi Terengganu baru-baru ini dan saya ucap tahniah kepada EXCO Agama kerana
melancarkan program Madinah Ramadan yang dapat sambutan yang baik, yang cukup baik. Alhamdulillah, kerana Ramadan kita boleh memanfaatkan kerana sekalian untuk menarik seramai mungkin pelancong-pelancong terutama pelancong domestik untuk hadir ke Terengganu, berkampung di Terengganu dengan pelbagai peristiwa-peristiwa besar yang berlaku dan berlangsung dalam bulan Ramadan disebut oleh ADUN Bandar tadi untuk kita mengambil peluang dalam kemeriahan Festival Ramadan budaya makan-makan boleh kita manfaatkan memori kita makan colek, iftar perdana kita bahkan tuan-tuan, bersahur untuk program qiamullail di mana masjid-masjid saya lihat sangat berpotensi menjadi satu daripada ruang untuk menarik pelancong-pelancong ke negara ini bermula daripada daerah Besut, bermula Masjid Ulul Albab, Masjid Lapan Kubah, Masjid Hadhari dan juga lihat di Masjid Terapung, Kuala Terengganu, Masjid Kristal, Masjid Seberang Takir, Masjid Rusila, Masjid Bandar Baru, malahan puluhan masjid-masjid yang boleh kita laksanakan untuk program pelancongan ibadah kita sediakan dengan Pakej one stop centre dengan izin di mana masjid kita berfungsi juga sebagai ada tempat untuk ruang berseminar, ada rumah inap, ada kafetaria, ada tempat mencuci kereta, ada dobi, pusat asuhan anak-anak dan pelbagai program untuk menjadikan masjid kita senang untuk dikunjungi dan ada banyak, beberapa buah masjid negara kita yang telah menjadi contoh kepada masjid-masjid lain, dan satu indicator kejayaan menjadikan masjid sebagai one stop centre sebagaimana di zaman Nabi .
Dato’ Yang di-Pertua Dewan, Jertih melihat bagaimana Tuanku Sultan juga menyentuh isu pemberdayaan pendidikan iaitu memberikan bantuan kepada pelajar-pelajar asnaf.
Tahniah kerana sepanjang 2023, bagaimana inisiatif tanggungjawab sosial korporat telah membelanjakan RM11.05 juta untuk membantu anak-anak asnaf untuk mendapat pendidikan. Betapa pentingnya negeri kita ni tuan-tuan sekalian, dengan tema “Maju, Berkat, Sejahtera” untuk kita menarik atau tarikan pesona untuk anak-anak orang miskin ini ataupun asnaf tuan-tuan untuk keluar dari lingkaran ganas kemiskinan dengan bantuan-bantuan kepada mereka bagi memastikan tidak ada yang tercicir untuk mendapat pendidikan terutamanya pendidikan tinggi di mana pendidikan merupakan pelengkap kepada sesebuah tamadun. Nabi bagaimana apabila hijrah dan sebelum hijrah lagi, semasa di Mekah, Muhammad Arqam bin Abi Arqam menunjukkan bagaimana pentingnya Al-Fahmu ilmu kepada umat Islam dan sebelum daripada hijrah nabi, nabi menghantar tenaga nuqoba’, naqib-naqib ke Yathrib ataupun Toyyibah sebuah
pusat pengajian Baitul Qurro’ di mana sahabat-sahabat naqib inilah yang memberikan ilmu kepada orang-orang Madinah dan Nabi kita hijrah daripada Mekah atau Yathrib ataupun Toyyibah Nabi tukar dengan nama Madinah Al-Munawwarah, bandar yang bercahaya. Masjid ini dibina..
Yang Berhormat. Jangan pejam mata sangat boleh dok?
Seratus hasta lebar, seratus hasta panjang
Ana tengok dalam skrin ni pejam mata aje…
Di mana satu pertiga bahagian belakang digunakan oleh ahlul suffah untuk mereka menuntut ilmu dan bagaimana ahli suffah ini mereka belajar sepenuh masa, kerana apabila sahabat-sahabat membawa makanan kepada Nabi-nabi, jamu makan Al-Suffah ini untuk mereka mendapat makanan. Pendidikan terus berkembang di zaman Khulafa’ Ar-Rasyidin, contoh zaman Khalifah Umar bin Al-Khattab bin Nufayl bin Abdul Uzza ke seluruh wilayah Islam. Empat ribu masjid dibina dan masjid ini bukan sekadar berfungsi sebagai ilmu apabila anak-anak begitu ramai kanak-kanak diperintahkan oleh Khalifah supaya dibina bangunan bersebelah masjid yang dikenal sebagai madrasah dan Saidina Umar meletakkan umur tujuh tahun, umur untuk kanak-kanak mendapat pendidikan asas.
Jertih merasakan bahawa, bagaimana Terengganu wajar menjadi Serambi Madinah walaupun kita boleh menyaingi Kelantan sebagai Pusat Pendidikan Islam atau melihat teman kita Negeri Kedah. Begitu banyak pondok-pondok, maahad-maahad tahfiz, madrasah didirikan dan untuk membantu pembudayaan pendidikan ini atau cara lain ialah sekarang ini Kerajaan Negeri kita untuk membantu semaksima mungkin kepada pengasas-pengasas maahad tahfiz, pondok-pondok dan isu sangat penting dalam sejarah Islam bahkan di Nusantara kita sebagaimana disebut Dr. Mohammad Natsir, pemilik pada Masyumi, Majlis Syura Indonesia bahawa kita alam melayu terhutang budi dan kasih kepada pondok, pesantren dalam membimbing akidah semasa berlakunya colonization penjajahan dengan matlamat 3G (dengan izin) God, Gold and
Glory. Bagaimana banyak tempat berlakunya pemurtadan ataupun kemurtadan termasuk di Filipina supaya tidak berlaku di alam melayu ini dan juga Indonesia. Jadi wajar untuk Kerajaan Negeri memberikan bantuan dengan semaksima mungkin kepada institusi pendidikan di seluruh Negeri Terengganu bermula prasekolah hinggalah ke peringkat pendidikan tinggi wajar untuk kita melihat dengan serius dengan bersungguh-sungguh membantu dan melebarkan lagi bantuan kepada pelajar-pelajar yang asnaf termasuk kepada asatizah sebenarnya tuan-tuan sekalian. Betapa gaji berada di bawah tahap minima gaji RM1,500.00, saya rasa mungkin telah ada program-program yang dibawa oleh EXCO pendidikan untuk memastikan bantuan kepada asnaf ini atau kelompok B40 ini dan juga sempena dengan kita berada dan berhimpun pada bulan Syawal ini, bulan kemenangan di mana kita memperingati satu peristiwa besar, iaitu peristiwa Ahzab laungan kita
Di mana peristiwa bulan Syawal Tahun 5 Hijrah yang berlaku di zaman Nabi wajar kita tekuni, wajar kita teladani. Mengapa kita memperingati peristiwa yang besar ini, walau ada siri pertemuan antara iman dan kufur berlaku dan berlangsung zaman Nabi dan juga Quran, berlakunya peristiwa Yaumul Furqan, Perang Badar Al-Qubra, Perang Uhud, Perang Tabuk, Bir Maunah, Perang Hunain, Perang Taif, Perang Yamamah, Perang Yarmuk satu pengajaran kepada kita semua disebut oleh ulamak kerana kita umat Islam yang beriman akan terus dikepung oleh azab musuh yang bergabung, musuh yang bersatu yang disebut tadi bagaimana Dato’ Speaker pun sebut tentang Palestin yang masih berkubang dengan darah. Palestin yang umat Islam yang bersimbah darah, maka sebagai negeri yang berpijak atas slogan “Maju, Berkat, Sejahtera” sebab kita memberi perhatian juga kepada isu-isu umat Islam dan juga ancaman kepada umat Islam.
Maka sebab itulah Negeri Terengganu perlu menggerakkan jihad ta’lim, jihad pendidikan dengan bersungguh-sungguh. Jertih mohon untuk menyokong.
Terima kasih Yang Berhormat Jertih. Seterusnya saya persilakan mana-mana Yang Berhormat untuk meneruskan perbahasan. Sila Yang Berhormat Kuala Besut. Jauh ni.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar, Yang Berhormat EXCO-EXCO, Yang Berhormat ADUN-ADUN, ketua-ketua jabatan dan para pemerhati sekalian. Alhamdulillah syukur kepada Allah kita diberi keizinan pada hari ini bermesyuarat Dewan. Alhamdulillah, terlebih dahulu saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kerana diberi peluang untuk berucap Menjunjung Kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan di Persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Kelima Belas. Terlebih dahulu saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.
Dato’ Yang di-Pertua, Kerajaan Negeri perlu memberi keutamaan keutamaan untuk meningkatkan lagi sektor Pelancongan di Negeri Terengganu khususnya di daerah Besut. Kita sedia maklum negeri kita, Allah Ta'ala telah menganugerahkan bumi yang penuh dengan alam yang menarik dan semula jadi. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, bermula daripada daratan hingga ke pulau bumi Besut, Allah menganugerahkan terdapat air panas La Hot Spring di Hulu Besut. Yang menariknya selain daripada air panas, terdapat juga anak sungai di sebelah takungan air panas tersebut di La Hot Spring yang diuruskan oleh Majlis Daerah Besut yang telah menyediakan chalet-chalet yang cantik untuk para pengunjung bermalam di situ.
Pada sebelah malamnya, aktiviti yang boleh dilakukan seperti barbeque dan mandi di kolam air panas sambil menikmati hutan tropika yang penuh dengan flora dan fauna. Bahkan, bumi Besut juga di jajaran pantai terdapatnya tempat-tempat peranginan bermula daripada Dendong khususnya kepada aktiviti Paragliding. Seterusnya Pantai Bukit Keluang, terdapat pula trek untuk hiking khususnya kepada yang menyukai aktiviti lasak. Paling menarik ialah sewaktu terbitnya fajar di waktu pagi.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, manakala daripada pantai Bukit Keluang terdapat juga pantai peranginan air tawar. Yang terbentang luas terdapat Laut China Selatan selain daripada juga pulau peranginan iaitu Pulau Rhu, Pulau Perhentian. Besut juga mempunyai pulau bertaraf dunia yang diiktiraf oleh UNESCO sebagai antara 10 buah pulau yang tercantik di dunia iaitu Pulau Perhentian. Pulau Perhentian masih mengekalkan alam semula jadi. Yang Berhormat Dato’ Yang Di-Pertua, saya juga ingin menyentuh tentang prasarana untuk kemudahan pelancong yang datang menaiki bas iaitu tidak ada sistem pengangkutan yang lebih efisien untuk datang menaiki bas iaitu… Untuk pengetahuan semua, pelancong hanya berjalan kaki ke jeti untuk ke Pulau Perhentian. Jarak dari stesen bas ke jeti ialah sekitar 850 meter iaitu mengambil masa kurang daripada 15 minit. Hal ini menyebabkan pelancong berpanas dan berhujan untuk ke jeti tersebut. Saya mencadangkan Kerajaan Negeri agar menyediakan kemudahan asas sepertimana di Hatyai, Thailand menyediakan perkhidmatan kereta atau van yang dikenali sebagai tuk-tuk manakala pekan lama Kuala Besut yang terletaknya jeti pelancongan dicadangkan untuk diperindahkan dengan warna-warni bangunan yang ceria dan menarik. Jalan rayanya ditukar dari tar berturap kepada tapak gajah. Disarankan juga, membina pintu gerbang sebagai salah satu mercu tanda gerbang pelancongan di Besut.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, pelancong-pelancong dari seluruh dunia yang datang ke Pulau Perhentian termasuklah dari negara China, Eropah, Rusia, Afrika, Amerika Utara dan Selatan serta negara-negara Asia yang lain. Selepas negara dilanda wabak COVID-19, statistik menunjukkan penurunan jumlah pelancong tetapi kembali meningkat dengan ketara selepas berakhirnya wabak COVID-19 pada tahun 2023. Statistik menunjukkan seramai 111,154 orang pelancong telah datang ke Pulau Perhentian. Manakala pada akhir suku pertama tahun 2024 bulan Mac, statistik menunjukkan seramai 9,255 orang pelancong telah datang ke Pulau Perhentian. Saya memohon agar pihak Jabatan Laut dan jabatan berkaitan menguatkuasakan undang-undang dan memelihara batu karang dan ekosistem di pulau tersebut. Batu karang merupakan salah satu daya tarikan pelancong ke pulau tersebut. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya memohon agar Kerajaan Negeri mengambil berat tentang kemudahan asas untuk pelancong-pelancong. Sekiranya kemudahan asas yang baik disediakan maka jumlah kehadiran pelancong akan meningkat sekali gus dapat menambah hasil ekonomi penduduk setempat seterusnya kepada Kerajaan Negeri.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya turut mencadangkan pakej pelancongan untuk membawa pelancong ke tempat-tempat yang menarik selain daripada yang telah saya sebutkan tadi ialah melawat Kota Warisan, Seni Ukir Kayu, Masjid Kayu, Masjid Hadhari, Masjid Lapan Kubah. Boleh kita ke negeri Melaka contohnya, di sana pelancong akan melawat tempat-tempat sejarah seperti A'Famosa. Saya memohon agar Pihak Berkuasa Tempatan, Majlis Daerah Besut agar menjaga kebersihan persekitaran di daerah Besut supaya sentiasa bersih dan menarik sesuai dengan slogan Besut “Bersih Budaya Besut” supaya pelancong datang apabila pulang akan menceritakan tentang keindahan, kecantikan dan kebersihan daerah Besut di Negeri Terengganu.
Saya mengharapkan kepada Kerajaan Pusat melunaskan wang royalti termasuk yang masih berbaki demi untuk kesejahteraan rakyat Negeri Terengganu. Janganlah Kerajaan Pusat menafikan hak royalti Kerajaan Negeri Terengganu.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, di akhir ucapan saya, saya mengusulkan agar diwujudkan satu badan khusus untuk menguruskan sektor pelancongan di Negeri Terengganu. Dengan ini, saya menyokong penuh Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan.
Terima kasih Yang Berhormat Wakil Kuala Besut terhadap ucapan perbahasan yang disampaikan. Hanya saya nak sebut untuk ingatan kepada semua Ahli-ahli Dewan, Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap Dewan Perkara Yang Ke 46 (xviii) iaitu “seseorang ahli tidak dibenarkan menyebut tentang ahli lain dengan menyebut namanya”. Nama dok boleh sebut, ahli lain ambik perhatian walaupun Menteri Besar namanya, pangkat boleh. Seterusnya, saya persilakan Yang Berhormat Wakil Ladang.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Ketua-ketua Jabatan, para media, para pemerhati seterusnya para hadirin hadirat yang dirahmati Allah sekalian.
Terima kasih kerana memberi peluang kepada saya dalam sesi perbahasan Menjunjung Kasih Titah Ucapan Tuanku Al-Sultan, hari ini. Di kesempatan ini saya ingin menarik perhatian Dewan dengan melontarkan beberapa pandangan dan isu utama bersesuaian dengan Tiitah Ucapan Tuanku Al-Sultan semalam.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya merakamkan ucapan tahniah kepada Kerajaan Negeri dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) atas kejayaan merealisasikan pelaburan bernilai RM2.4 bilion di negeri ini sehingga Mac lalu. Nilai ini bukan sahaja sudah melebihi 50% daripada RM4.2 bilion yang disasarkan bagi tahun ini, bahkan sekali gus menyediakan 5,000 peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan. Selain merancakkan industri berorientasikan eksport dan domestik, saya berharap Kerajaan Negeri juga mengoptimumkan peluang ini untuk mengukuhkan rangkaian perusahaan mikro, kecil dan sederhana di peringkat nasional dan global. Mengenai rancangan untuk memajukan industri nadir bumi di negeri ini pula, saya amat berbangga dengan usaha yang diketuai Yang Amat Berhormat Menteri Besar kita sendiri dan juga bersama Yang Berhormat Exco dan Unit Perancang Ekonomi Negeri dan baru sahaja pada November tahun lepas, Yang Amat Berhormat Menteri Besar menyebutkan perkara ini dalam Ucapan Belanjawan 2024, Januari tahun ini sudah diadakan perbincangan dengan pihak pelabur dan pada bulan Mac baru-baru ini disusuli dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU). Saya mewakili seluruh rakyat memberikan sokongan dan dukungan penuh kepada Kerajaan Negeri Terengganu dalam menjayakan agenda ini supaya dapat menjana hasil yang maksimum kepada negeri, selain dapat menarik lebih banyak pelaburan serta mengukuhkan pasaran pekerjaan di negeri ini. Melihat kepada momentum perindustrian, perdagangan dan pelaburan yang semakin baik, ditambah pula dengan peningkatan prestasi produktiviti pekerja ini yang memberangsangkan, saya optimis ia berupaya memacu pertumbuhan ekonomi negeri kita mencapai sasaran yang ditetapkan. Namun Kerajaan Negeri perlu diingatkan agar sentiasa berhati-hati agar sumber mineral kita tidak dirompak seperti yang berlaku ke atas hasil daripada minyak dan gas asli di negeri kita. Bak kata pepatah, sekalilah si buta kehilangan tongkat.
Yang Berhormat Dato’ Yang Di-Pertua, saya telah dimaklumkan bahawa satu Pelan Penjanaan Pendapatan Baharu Negeri Terengganu yang dikenali sebagai New Income Terengganu, NIT dengan izin telah dirangka dengan teliti oleh Jawatankuasa Task Force Penjanaan Pendapatan Baharu Negeri bersama dengan agensi dan juga jabatan Kerajaan dan swasta. Pelan ini telah mendapat sokongan yang positif dari pelbagai pihak dan telah dipersetujui oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar serta barisan EXCO Kerajaan Negeri Terengganu dalam Mesyuarat Majlis Tindakan PITAS Kali ke-3 pada 17 Januari 2023 yang lepas. Saya melihat ini merupakan satu langkah yang tepat setelah kita berdepan dengan tekanan royalti yang sentiasa dipermainkan oleh pihak yang tidak menghormati semangat federalisma. Apatah lagi permintaan terhadap minyak dijangka akan menurun sekitar 25% menjelang 2030 ekoran daripada polisi dunia untuk beralih kepada kenderaan elektrik (EV) atau kenderaan hidrogen bagi menjaga kelestarian alam sekitar. Ini akan memberi kesan kepada pendapatan Negeri Terengganu dalam tempoh masa yang panjang. Dalam pelaksanaan NIT yang terancang, diharapkan ia dapat memberi dorongan yang signifikan dalam pemulihan kewangan negeri dan Kerajaan dapat mencapai matlamat meningkatkan ekonomi negeri dengan sokongan sepenuhnya dari agensi-agensi Kerajaan dan swasta serta kerjasama dari pelbagai pihak. Oleh itu, saya mengharapkan Pelan NIT ini mesti dijayakan dengan kadar segera dari pihak Kerajaan sekurang-kurangnya meningkatkan pendapatan baharu Negeri Terengganu, 8 hingga 10% sesuai dengan sasaran yang telah ditetapkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar bagi tahun 2024. Dalam masa yang sama, saya mencadangkan agar Pelan NIT ini dibentangkan secara terperinci kepada semua ADUN bagi memudahkan penyampaian kepada rakyat.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, baru-baru ini turut dilaporkan bahawa bagi Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2023, Negeri Terengganu mencatatkan Gred Purata Negeri 2.79 sekali gus mengatasi Gred Purata Nasional (GPN) iaitu 3.09. Peningkatan ini secara tidak langsung menonjolkan potensi STAM untuk terus bersaing dalam ekosistem Kementerian Pendidikan Malaysia. Lebih membanggakan ialah apabila Gred Purata Sekolah (GPS) bagi Sekolah Agama Negeri Terengganu mencatatkan prestasi yang lebih baik iaitu 2.48 berbanding Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia, 2.52. Tahniah saya ucapkan kepada pelajar-pelajar STAM 2023 dan para pendidik. Saya percaya, sektor pendidikan akan terus menjadi perhatian dan keutamaan Kerajaan Negeri. Ianya dizahirkan
melalui Titah Ucapan Tuanku Al-Sultan semalam yang sentiasa memastikan kecemerlangan pendidikan yang berterusan. Sehubungan dengan itu, mencadangkan agar infrastruktur dan kokurikulum Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) dan juga Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) dapat ditambah baik dari semasa ke semasa menerusi sokongan kewangan daripada sumbangan pelbagai pihak.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, isu perundangan syariah sering kali berhadapan pelbagai cabaran berat khususnya apabila melibatkan pertindihan bidang kuasa dengan Mahkamah Sivil. Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan secara dasarnya memberi kuasa penuh kepada Mahkamah Syariah mengadili semua kes melibatkan hal ehwal yang berkaitan dengan agama Islam dan ia adalah sebagai salah satu usaha untuk memartabatkan perundangan syariah dalam negara. Saya ingin mengambil kesempatan pada hari ini untuk merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah terutamanya kepada Jabatan Hal Ehwal Agama, Jabatan Pendakwaan Syariah dan Jabatan Kehakiman Syariah yang terus komited dalam menguatkuasakan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah di negeri ini contohnya seperti dalam kes khalwat yang melibatkan pasangan bukan mahram berusia lingkungan 40-an baru-baru ini. Walaupun dalam suasana Mahkamah Persekutuan baru sahaja mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan adalah terbatal dan tidak sah, kita pula terus menunjukkan kesungguhan dan keberanian untuk menegakkan hukum Tuhan. Besar harapan saya agar negeri kita lebih terkehadapan untuk menggerakan tindakan pembetulan dan pencegahan ataupun „corrective and preventive action’ dengan izin termasuk mengusahakan pindaan Perlembagaan Persekutuan terutamanya yang berkait dengan tafsiran jenayah serta bidang kuasa Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Negeri Terengganu terkenal sebagai destinasi eksotik dengan panorama yang indah bagi memikat hati pengunjung. Dengan keluasan pesisir air sepanjang 244 km dan berlatar belakangkan gugusan kepulauan di Laut China Selatan, ibarat permata mewarnai landskap alam semulajadinya dan kelebihan ini telah menarik ramai pelancong baik pelancong asing mahupun pelancong domestik yang memilih pulau dan pantai sebagai lokasi utama pelancongan. Selain penekanan untuk memperkasakan produk pelancongan alam semula jadi, beberapa perkara perlu ditekankan terutamanya isu keselamatan para pengunjung dan juga pelancong. Situasi
kehilangan nyawa melibatkan kejadian lemas boleh berlaku kepada sesiapa sahaja selain kesedaran individu agensi berkaitan perlu bertanggungjawab dan lebih cakna berkenaan aspek-aspek keselamatan dalam setiap perancangan pembangunan di mana sahaja lokasi. Saya ingin berterima kasih kepada pihak Kerajaan yang telah mewujudkan zon selamat yang dikhususkan untuk pengunjung mandi manda di kawasan rekreasi pantai Pulau Kekabu dan molek sekiranya kalau zon selamat ini diperluas di kawasan-kawasan panas ataupun hotspot dengan izin yang selalu berlakunya kejadian lemas. Dan itulah sebesar harapan saya supaya kita memperbanyakkan lagi pemasangan papan tanda bahaya setiap 100m di kawasan tumpuan pemasangan bendera merah terutamanya ketika laut bergelora serta melaksanakan langkah keselamatan yang tinggi apabila melibatkan aktiviti rekreasi di air.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mengambil ruang dan peluang ini saya mohon tambahan masa sedikit lagi sebab saya ingatkan 15 minit, sikit lagi deh…
Saya mengambil peluang dan ruang pada hari ini untuk menyentuh sedikit isu di DUN Ladang. Kami di DUN Ladang sebenarnya mengalami bencana banjir kilat biasanya dua kali setahun dan bertahun-tahun bukannya baru sahaja, bertahun-tahun kami menghadapi masalah banjir kilat ini disebabkan jumlah taburan hujan yang agak tinggi yang menyebabkan banjir kilat di kawasan-kawasan perumahan terutamanya di kawasan jalan Sultan Omar dan Jalan Kamaruddin. Bencana banjir kilat ini bukan sahaja memberi kesan emosi kepada rakyat tetapi juga melibatkan implikasi kewangan yang tinggi kepada semua pihak, rakyat dan juga Kerajaan. Untuk rekod, kira-kira lebih 450 keluarga terlibat dengan bencana banjir ini termasuklah mereka yang tinggal berdekatan dengan perparitan menghala ke arah Sungai Ibai. Saya ingin mencadangkan agensi-agensi dan pihak-pihak yang berkaitan untuk merekabentuk satu Pelan Mitigasi Banjir bagi mengurangkan kesan banjir kilat di kawasan tersebut. Seperti mana yang kita tahu dalam Rancangan Tempatan Daerah Kuala Terengganu 2030 dan 2035, sudah ada perancangan mitigasi banjir bagi menangani banjir kilat sekitar Kuala Terengganu. Tetapi memandangkan pelan ini masih dalam perancangan dan tempoh masa pelaksanaan pelan tersebut agak lama, kita seharusnya mengambil satu langkah proaktif dengan menyediakan rancangan sokongan atau backup plan dengan izin yang mampu mengurangkan beban kepada rakyat yang terpaksa menghadapi banjir kilat ini hampir saban tahun.
Isu yang kedua Yang Berhormat Dato’ Yang Di-Pertua, satu insiden runtuhan cerun telah berlaku pada 15 Disember 2022 di sekitar BLOK A, B dan E, Flat Bukit Kecil. Kejadian yang berlaku hampir dua tahun ini melibatkan 87 unit rumah kediaman dengan anggaran penduduk yang melibatkan penduduk seramai 348 orang dan pada 16 Disember runtuhan kedua telah berlaku di lokasi yang sama, runtuhan cerun ini berlaku adalah lanjutan daripada taburan hujan yang agak tinggi pada masa tersebut. Pelbagai agensi telah melawat tempat kejadian bermula pada tarikh itu termasuklah daripada Pejabat Daerah, JKR, Bomba, MBKT dan beberapa siri lawatan yang lain juga telah dilakukan oleh pelbagai pihak termasuklah lawatan dari pihak Universiti untuk melakukan kajian berkaitan dengan pembaikan cerun dan sebagainya. Justeru itu, saya memohon, memohon sungguh-sungguh supaya tindakan segera diambil dan pembaikan cerun dilaksanakan secepatnya oleh pihak berwajib, bukan sekadar siri lawatan dan tinjauan sahaja kerana ia boleh membahayakan nyawa penghuni Flat Bukit Kecil ini.
Yang Berhormat Dato’ Yang Di-Pertua, sebagai akhirnya, meskipun negeri kita ditekan oleh pelbagai sudut, penting untuk kita terus bersabar, bertahan dan kuat dan fokus kepada matlamat pentadbiran kita. Dapat juga saya simpulkan bahawa perlunya gabung jalin pelbagai pihak untuk mencari solusi yang mampan serta senada. Saya tutup ucapan ini dengan membaca qalam Tuhan dari Surah An-Nahl ayat 126 :
Maksudnya: " Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang bersabar.
Dato’ Yang Di-Pertua, dengan lafaz rafak dan takzim saya Menjunjung Kasih Titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia, Tuanku Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Terima kasih Yang Berhormat Ladang, seterusnya mana Yang Berhormat Sura.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan kerana memberikan peluang kepada Sura untuk membahaskan usul menyokong penuh Titah Diraja sempena dengan pembukaan Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri yang Kelima Belas.
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, barisan EXCO Kerajaan Negeri sahabat-sahabat Ahli Dewan Undangan Negeri dan pegawai tinggi Kerajaan, kesemua pemerhati-pemerhati yang hadir ke Persidangan Dewan pada kali ini, di kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, semoga Allah menerima segala amalan kita dan menjadikan kita hamba yang bertaqwa dan kita baru sahaja dikejutkan dengan satu berita sedih perlanggaran dua helikopter TUDM di Kem Tentera Lumut sebentar tadi dan ada beberapa perajurit kita yang terkorban. Dengan itu Sura ingin mengambil perhatian Sidang Dewan agar kita semua dapat membaca Al-Fatihah untuk perajurit-perajurit kita yang terkorban.
AL FATIHAH
Salam takziah dari kami seluruh Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu kepada keluarga perajurit yang terlibat. Sura juga ingin mengungkapkan rasa sukacita atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku yang telah menyentuh pelbagai aspek untuk memastikan Terengganu sebagai sebuah negeri yang maju dan rakyatnya sejahtera.
Sebetulnya benar apa yang telah dihasratkan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku bahawa kemajuan dan kesejahteraan negeri ini hanya akan tercapai dengan satu budaya politik matang dan sejahtera serta hubungan federalisme yang baik antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan. Namun apabila kita melihat apa yang berlaku pada hari ini, terdapat segelintir pihak yang cuba
membawa idea politik kuno, politik pecah belah dan politik pecah perintah yang kita tidak tahu sampai bila kita ingin hidup dalam keadaan politik sebegini kerana perbezaan idealogi politik dan parti politik. Sekarang buka lagi zaman Terengganu tahun 80-90an di mana perpecahan berlaku dalam masyarakat kerana parti yang berbeza, ada yang ditarik bantuan, ada yang ditukar kerja, ada yang dipulau kerana warna politik yang berbeza. Politik anak muda pada hari ini, tidak lagi melihat kepada parti dan ideologi parti, yang mereka lihat adalah bagaimana politik idea dan ahli politik yang ikhlas menabur bakti untuk kesejahteraan dan kemakmuran rakyat negeri dan negara ini.
Namun malang seribu kali malang apabila rakyat terengganu yang telah memberikan mandat penuh kepada PAS dan Perikatan Nasional sebagai teraju Negeri Terengganu dalam PRU dan pilihan raya yang lepas, dan dalam Titah Tuanku beberapa kali disebut berkenaan dengan Kerajaan Beta tapi ada lagi pihak yang tidak boleh menerima hakikat ini dan cuba untuk memecahbelahkan kesatuan rakyat di negeri ini. Saya ingin mengambil contoh walaupun ada yang terasa hati tapi ini untuk kepentingan kita bersama, muhasabah kita bersama, KEMAS yang sepatutnya menjadi agensi utama dalam pembangunan masyarakat negeri ini, namun hari ini secara tidak langsung menjadi satu alat kepada satu politik, parti politik yang membawa amalan pecah perintah ini. Bayangkan bagaimana prihatinnya Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar dan seluruh kepemimpinan Terengganu memberikan peluang kepada KEMAS untuk menggunakan aset balai raya milik Kerajaan Negeri Terengganu di seluruh Negeri Terengganu secara percuma tanpa bayaran kerana kita melihat ini lah peluang yang terbaik untuk mendidik anak-anak negeri ini tapi ibarat budi dibalas tuba, KEMAS juga menjadi agensi yang menaja pembentukan JPKKP dalam negeri ini.
Sepenggal yang lepas kita melihat utuhnya kesatuan rakyat dalam negeri ini dengan hanya ada satu jawatankuasa di peringkat kampung, namun malang pada kali ini perpecahan ini mula cuba untuk dirobek dengan kewujudan dua jawatankuasa di peringkat kampung. Belum lagi disebut dengan peranan KETENGAH yang juga menjadi alat politik murahan dalam negeri ini bayangkan ada agensi Kerajaan Negeri dan Persatuan Belia yang rapat dengan Kerajaan Negeri tidak dibenarkan menggunakan sebarang fasiliti-fasiliti KETENGAH, bukan itu sahaja bahkan pengambilan pekerja, pengagihan bantuan yang layak serta tapisan permohonan gerai dan kedai masih lagi melihat kepada warna parti dan keterlibatan seseorang kepada parti itu. Itu belum lagi ditanya
tentang bagaimana pembangunan di Tasik Kenyir, bagaimana perancangan KETENGAH untuk menarik pelancong di Tasik Kenyir? Sudah berapa tahun tidak dibuat Festival Kenyir. Persoalannya sampai bila kita mahu begini? Ada yang berlagak mahu menjadi Kerajaan Napoleon kecil di bawah Kerajaan Tuanku yang sedia ada. Yang kadang-kadang saya dihujani dengan satu persoalan yang bermain dengan pemikiran. Adakah tindakan ini merupakan satu penderhakaan kepada Titah Tuanku yang telah mengiktiraf Kerajaan ini sebagai satu-satunya Kerajaan Tuanku. Kenapa mahu digugat keutuhannya dan keabsahan Kerajaan ini? Cukuplah kita bermain politik dan nasib rakyat negeri ini ditentukan oleh pemimpin politik yang keluar. Daripada Tambun atau Bagan Datuk sebagai contohnya. Kita semua rakyat Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Terengganu, biarlah nasib politik kita ditentukan oleh kita sendiri. Berpolitiklah secara Fastabiqun Qhairat. Kita berlumba-lumba memberikan kebaikan kepada rakyat jelata, bukan berpolitik secara balas dendam. PRU dan PRN sudah berlalu, sekarang masa kita berpadu untuk terus memacu Negeri Terengganu maju ke hadapan.
Yang Berhormat Dato’ Di-Pertua Dewan dan kesemua Ahli Dewan, Duli Yang Maha Mulia Tuanku telah menyatakan berkenaan cabaran ekonomi yang pincang disebabkan oleh ketidaktentuan pasaran dan geopolitik global. Antara saranan Tuanku adalah jalinan kerjasama antara Kerajaan dan agensi Persekutuan dalam negara ini. Namun, pemimpin tertinggi Kerajaan MADANI bukan seumpama kayu besar di tengah padang, tempat bernaung kepanasan, tempat berlindung kehujanan. Tapi mereka ibarat pemimpin yang enggan berbagi, sama sahaja ingin menang sendiri, bila egoisme tidak diakhiri pasti ditutup dengan pecah kongsi.
Negeri Terengganu menjadi salah satu sebuah negeri yang bernaung di bawah Persekutuan Tanah Melayu 1948 hinggalah kepada pembentukan Malaysia 1963. Kalau kita lihat sejarah, ada 3 perjanjian yang mengikat hak-hak negeri dan hak-hak Kerajaan Persekutuan. Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan Perjanjian Malaysia 1963. Walaupun negeri kita Negeri Terengganu, negeri yang telah lama berdaulat, mempunyai kesultanan dan undang-undang tubuh yang lebih awal dari pembentukan Tanah Melayu iaitu Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu 1911 dan kita semua sebagai rakyat Negeri Terengganu mengiktiraf Kesultanan Terengganu sebagai Amirul Mukminin bagi negeri ini. Namun, sejarah ini kita renung kerana inilah asas kepada pembentukan
federalisme. Asasnya 3 perjanjian, kesefahaman dan melunaskan hak yang telah digariskan. Namun, semangat ini semakin pudar bahkan semangat dan roh demokrasi juga semakin hilang, yang ada hanya politik kebencian dan balas dendam. Biarlah apa yang berlaku pada Negeri Terengganu yang kita sayangi, Penggal 1999-2004, merupakan permulaan kepada sisi gelap dan rompakan hasil Negeri Terengganu, hak royalti 5% yang sepatutnya diserahkan oleh pihak Petronas secara terus kepada Kerajaan Negeri Terengganu. Jelas dinyatakan dalam Akta Pembangunan Petroleum 1974, akhirnya diserahkan secara melalui Kementerian Kewangan secara belas ihsan. Keputusan yang dibuat di PWTC tanpa ada sebarang rundingan dan perbincangan dalam Dewan ini. Sampai bila kedaulatan negeri dan rakyat negeri ini, kita perlu memohon belas ihsan Putrajaya untuk mendapatkan hasil yang secara jelas menjadi milik negeri ini. Belum lagi dikira tentang tanah Negeri Terengganu, yang seolah dijarah oleh syarikat. Berbillion hasil sawit yang dikutip namun tiada satu sen pun premium yang dibayar kepada Kerajaan Negeri Terengganu. Bukan itu sahaja, generasi kedua Felda yang merupakan rakyat Negeri Terengganu dinafikan hak untuk mendapatkan geran kekal sedangkan mereka merupakan rakyat kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Negeri Terengganu. Bayangkan kalau kita rakyat biasa, nak ambil tanah rancangan, masuk rancangan, tanah berkelompok. Kita perlu bayar premium, tapi Felda sampai sekarang tiada lagi hasil yang dibuat. Begitu juga dengan hasil pertanian Terengganu, tanaman padi MY-Gap yang dikilangkan di kilang padi bawah Lembaga Pertubuhan Peladang pun disabotaj agar pengeluaran Beras Ganu terhalang. Bayangkan hasil petroleum, hasil tanah, hasil pertanian dijarah oleh Persekutuan atas nama Kerajaan Pusat tanpa diberikan hasilnya kepada negeri ini. Menjadi satu tanda tanya dimanakah keadilan berlaku? Adakah Persekutuan sekarang sudah menjadi penjajahan bentuk baru?
Mungkin ramai dalam Dewan ini tidak terasa, namun kita lihat denyut nadi rakyat Terengganu, ada yang mengharapkan dana I-Fitri dan bantuan awal persekolahan agar beban mereka berkurang. Tapi harapan tinggal harapan, hasil yang sepatutnya turun disekat oleh Kementerian Kewangan. Ada guru-guru Quran yang tertunggak elaun mereka bulan-bulan, tiga empat bulan tidak dibayar. Tanpa ada pembelaan, sama juga yang berlaku pada sekolah di bawah Negeri Terengganu terutamanya di bawah Yayasan Terengganu. Peruntukan penyelenggaraan tersekat kerana masalah kewangan, biasiswa juga yang sepatutnya diberikan kepada lebih ramai anak Terengganu yang cemerlang terpaksa dikurangkan. Tidak dikira lagi bantuan perubatan, bantuan tabung
Darul Iman dan pelbagai bantuan lain yang tersekat kerana menjadi mangsa politik dendam. Sedikit lagi Tuan Yang Di-Pertua, sebab itulah saya mengira bahawa perasaan dizalimi, hak yang dirampas, keistimewaan yang makin hilang, inilah menyebabkan peningkatan gelombang populis yang dikaji oleh ramai pengkaji di dunia barat selepas The Rise of Trump dengan izin iaitu setelah Donald Trump menjawat jawatan Presiden Amerika Syarikat. Tidak dikira lagi bagaimana agenda Brexit yang mengeluarkan Britian dari Kesatuan Eropah dan kalau kita melihat sejarah yang berlaku di negara jiran, ada sebuah gerakan namanya Gerakan Aceh Merdeka, yang akhirnya berjuang sehinggalah Acheh menjadi sebuah wilayah autonomi yang ramai Islam. Kita juga melihat lantangnya pemimpin politik Sabah dan Sarawak menuntut hak mereka, sehingga Sarawak dapat menubuhkan syarikat petroleum sendiri. Kalaulah Sarawak boleh, kenapa Negeri Terengganu tidak boleh. Sampai bila kami perlu merayu terus merayu untuk menuntut hak kami dikembalikan. Saya kira takkanlah kita perlu buat satu gerakan yang namanya tubik mengumpul masa rakyat Terengganu membangkitkan balik semangat kenegerian dan populis agar hak autonomi diuruskan oleh rakyat dan Negeri Terengganu. Bukan lagi diserahkan hakmiliknya ke Putrajaya, bayangkan hak kesemua hasil ini dibuat pembangunan di semua negara tapi Negeri Terengganu dan rakyatnya dibiarkan untuk terus miskin dan terus mengemis. Bagi saya isu ini boleh diselesaikan dengan baik sekiranya pemimpin di Putrajaya berlaku adil dan menghormati hak-hak negeri serta menunaikan semua perjanjian yang dimeterai. Diakhirnya, Sura sekali lagi memohon maaf kalau ada yang terasa tiada niat di hati melainkan untuk kebaikan kepada negeri dan rakyat negeri ini. Sura menyokong penuh Titah Ucapan DiRaja. Wassalam.
Terima kasih Yang Berhormat Sura, orang muda semangat. Yang Berhormat seterusnya. Hok ni kena semangat sikit lagi ni. Yang Berhormat Pengkalan Berangan, sila.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang
Berhormat Ahli Dewan Undangan Negeri, Pengarah-Pengarah Agensi, Ketua-Ketua Jabatan, para pegawai, media dan pemerhati yang dirahmati Allah sekalian.
Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)? Katakanlah: "Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada: Kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan. Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuiNya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya).
Al-Baqarah Ayat 2: 215
Pengkalan Berangan mengambil kesempatan untuk membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, pembangunan adalah tonggak utama dalam mengejar impian, kegemilangan dan kesejahteraan. Bagi setiap warganya, seiring dengan perjalanan masa Negeri Terengganu terus melangkah ke hadapan dengan gagah dan bersemangat. Melalui usaha gigih dan kesungguhan, kita menyaksikan pembangunan pesat di pelbagai bidang. Dari pembangunan infrastruktur yang memudahkan mobiliti penduduk sehingga kepada peningkatan dalam sektor pendidikan, ekonomi dan kebudayaan. Namun pembangunan sejati tidak hanya diukur melalui kemajuan fizikal semata-mata, ia juga terletak pada kesepaduan dan keharmonian di kalangan masyarakatnya. Di sini, Pengkalan Berangan ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan tahniah kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Majlis Perbandaran Dungun, Majlis Daerah Besut, Majlis Daerah Marang dan Majlis Daerah Hulu Terengganu yang telah mendapat Anugerah Bandar Bahagia 2024 semasa Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia International Day of Happiness dengan izin Peringkat Kebangsaan di Putrajaya baru-baru ini. Antara kriteria penilaian bandar bahagia ialah pembangunan Rumah Mampu Milik yang berkualiti. Satu segmen penilaian yang perlu diberi perhatian oleh Kerajaan dalam memastikan Anugerah Bandar Bahagia terus
diraih dan ditambah bilangan penerima di Negeri Terengganu yang tercinta ini. Insya-Allah Pengkalan Berangan akan menyebut di akhir ucapan nanti berkenaan dengan cadangan pembinaan rumah rakyat.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, sikap Kerajaan Pusat yang sangat tidak peka dan prihatin serta tidak peduli kepada rintihan rakyat yang sepatutnya mendapat pembelaan dan perhatian, mereka dengan ingkarnya menidakkan wang royalti Petroleum pada Kerajaan dan rakyat Negeri Terengganu adalah sebesar mungkar yang sangat zalim yang perlu dilakukan sesuatu bagi mengembalikan setiap sen hak rakyat Terengganu kepada yang berhak untuk mengurus dan mentadbir. Janji yang ditabur bak kata bidalan ombaknya kedengaran namun pasirnya tidak kelihatan, penyalahgunaan kuasa yang berlaku dan melibatkan pimpinan utama negara adalah amat mendukacitakan. Ia suatu yang amat membimbangkan lebih-lebih lagi apabila melibatkan pimpinan yang beragama Islam. Ia memaksa cendekiawan ulung negara, Professor Emeritus Tan Sri Dr. Mohd Kamal Hassan meluahkan kekecewaan beliau melalui bukunya Corruption and Hypocrisy In Malay Politic: The Urgency of Moral-Ethical Transformation dengan izin dan mengharapkan satu gerakan transformasi dilakukan dalam masyarakat bagi membendung gejala semacam endemik di negara kita ini. Beliau jelas menzahirkan kekecewaan dengan korupsi, rasuah, penipuan, hipokrit dan penyalahgunaan kuasa yang semakin membarah dalam masyarakat kita.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, mewakili warga Marang khususnya Pengkalan Berangan mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Kerajaan Negeri Terengganu terutama Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar atas dedikasi dan usaha yang dilakukan dalam memastikan bekalan air bersih yang mencukupi bagi penduduk di Marang. Persiapan pembangunan bekalan air bersih ini adalah bukti nyata komitmen Kerajaan Terengganu dalam meningkatkan kualiti hidup rakyatnya. Dengan adanya akses yang lebih baik kepada air bersih, penduduk Marang dan sekitarnya dapat menikmati kehidupan yang lebih berkualiti serta meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan keluarga. Kejayaan ini tidak tercapai tanpa kerjasama dan sokongan dari pelbagai pihak termasuk kakitangan Kerajaan, agensi berkaitan dan juga masyarakat setempat. Semangat inginkan kejayaan yang dihayati oleh semua pihak adalah kunci kepada kejayaan pembangunan ini. Sekali lagi, terima kasih kepada Kerajaan Terengganu kerana memberi keutamaan kepada keperluan asas rakyat dan Pengkalan Berangan berharap usaha ini akan terus
diteruskan untuk kebaikan bersama, teruslah menjadi contoh teladan dalam menyediakan perkhidmatan yang berkualiti kepada rakyat.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, hari ini kita hadir bersama dalam semangat kebersamaan yang membanggakan. Sebuah semangat yang menggambarkan komitmen kita untuk membina sebuah masyarakat yang harmoni dan sejahtera. Tanpa mengira ras, agama atau bangsa, masyarakat yang harmoni bukanlah sekadar impian tapi ia adalah matlamat yang telah diteguhkan dalam jiwa kita sebagai rakyat Terengganu berteraskan iman dan keyakinan kepada nilai murni agama Islam yang menjadi pegangan kita semua. Kita memahami bahawa kepelbagaian adalah sumber kekuatan dan keharmonian adalah asas untuk kejayaan bersama. Dalam setiap langkah pembangunan Kerajaan Terengganu mesti berpaksikan kepada penegasan prinsip keadilan, kesetaraan dan keharmonian. Setiap rakyat Terengganu hendaklah diberi peluang yang sama, diperlakukan dengan adil, dihormati atas nilai-nilai dan kepercayaan mereka. Setiap kalangan kita mesti mengambil komitmen bahawa tidak ada ruang bagi perpecahan atau perbezaan yang memecahbelahkan kita. Sebaliknya kita akan terus memperkukuh ikatan kekeluargaan dan kebersamaan, menghormati perbezaan dan mengejar kebahagian bersama. Keyakinan rakyat kepada Kerajaan melalui peti undi yang telah diterjemahkan dalam Pilihan Raya Negeri Ke-15 mesti dipenuhi dengan penuh jujur dan berintegriti. Terengganu mesti dijadikan sebagai tauladan keharmonian bukan hanya di peringkat negeri tapi juga sebagai contoh cemerlang di peringkat kebangsaan dengan terus berusaha penuh semangat untuk mewujudkan impian sebuah masyarakat adil, harmoni dan sejahtera untuk semua.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia bagi mencapai kehadiran seramai 4.5 juta pelancong ke Terengganu pada tahun 2024, Kerajaan digesa memberi penekanan terhadap pemerkasaan produk pelancongan semula jadi, keunikan baharu seperti Lata Belatan, Lata Ulu Kasar, Cemerung Berembun Langsir, Bukit Mentok, Dataran Batu Putih, Pantik Angin Berbisik, Bukit Maras dan lain-lain lagi. Tempat-tempat ini perlu diperkasakan dan dibangun sama oleh semua agensi terlibat, peranan CBT Community-Based Tourism dengan izin dalam pemerkasaan ini perlu dioptimakan. Komuniti adalah agensi paling bawah dan paling penting dalam memastikan tempat-tempat ini terus menjadi tumpuan sebagai contoh Dataran Batu Putih dengan produk nisang telah lahir pelbagai produk hiliran lain. Begitu
juga Pantai Angin Berbisik dengan produk Merchang Glamping Park telah lahir produk hiliran lain. Semua ini dibangunkan dengan kesungguhan komuniti, atas asas ini Pengkalan Berangan mencadangkan supaya agenda CBT dimartabatkan dan mereka sebenarnya layak untuk diiktiraf. Mereka telah lama telah lama menjadi unsung hero pelancongan baharu Negeri Terengganu, pengorbanan tanpa penghargaan kadang-kadang semangat yang membara pun boleh luntur. Bagi menghargai semangat mereka adalah dicadangkan supaya satu anugerah CBT cemerlang atau apa-apa nama mesti diadakan pada tahun ini.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, menyentuh berkenaan Anugerah Bandar Bahagia, antara kriteria-kriteria penilaian ialah penyediaan Rumah Mampu Milik yang berkualiti. Persoalan sekarang, setakat mana Kerajaan mengambil inisiatif untuk menyediakan Rumah Mampu Milik untuk rakyat sebagaimana yang kita maklum, keperluan rumah memainkan peranan penting dalam memenuhi tuntutan maqasid syariah kerana ia berkait rapat dengan beberapa objek utama dalam Islam, antaranya ialah hifdz al-mal menjaga harta, rumah merupakan aset penting yang perlu dijaga dan dipelihara untuk memastikan kestabilan ekonomi individu dan keluarga. Yang kedua hifz an-nafs menjaga nyawa, mempunyai rumah yang selamat dan selesa adalah penting untuk melindungi kehidupan dan keselamatan anggota keluarga. Yang ketiga, hifz an-nas menjaga keturunan. Rumah yang stabil dan selesa mencipta persekitaran yang kondusif untuk membesarkan anak-anak dan membina keluarga yang bahagia dan harmoni. Yang keempat, hifz ad-din menjaga agama, rumah yang perlu memenuhi syarat-syarat syariah dalam pembinaan dan tingkah laku keluarga di dalamnya supaya kehidupan beragama dapat dihayati dengan baik. Dengan memastikan keperluan rumah dipenuhi masyarakat dapat mengamalkan nilai-nilai syariah secara efektif dan memperkukuhkan institusi keluarga sebagai asas kepada pembangunan masyarakat yang berteraskan nilai Islam.
Pengkalan Berangan mencadangkan dalam Dewan yang Mulia ini agar Kerajaan Negeri mengambil pendekatan yang lebih fokus dan berstrategi dalam menangani isu perumahan rakyat yang sangat mustahak ini. Pengalaman dari kelemahan dan kekurangan yang berlaku perlu dilihat dengan penuh celik dan sedar agar rakyat tidak terbeban dengan kemelut kontraktor yang menghambat keuntungan dari urusan mereka dengan kebajikan rakyat yang perlu dibela. Kerajaan perlu merangka mekanisma yang membina dan menyelesaikan masalah perumahan dengan lebih telus dan harmoni antara developer dan pemilik rumah agar penyelesaian isu ini dapat diselesaikan dengan tuntas.
Pengkalan Berangan mohon Kerajaan melihat kaedah pembangunan perumahan ini dengan menawarkan pakej yang lebih berdaya maju dan mampu untuk dibangunkan berdasarkan kepada kos yang munasabah agar pihak kontraktor mendapat ganjaran yang sewajarnya dan pemilik mendapat rumah dengan kos yang mampu ditanggung. Melihat kepada beberapa isu berkaitan dengan projek perumahan sehingga tak mampu disiapkan atau terbengkalai.
Pengkalan Berangan ingin mencadangkan yang pertama syarat peratusan pembinaan rumah, pembinaan mengikut kategori rumah perlu diubah. Yang kedua menjual rumah pada harga pasaran, menjual rumah pada harga pasaran dengan siling yang ditetapkan oleh Kerajaan. Ketiga, memberi subsidi kepada mereka yang layak dan keempat menubuhkan Yayasan Perumahan Terengganu bagi menampung kekurangan dana Kerajaan. Bercakap mengenai Yayasan, Pengkalan Berangan mohon penjelasan berkenaan status terkini penubuhan Yayasan Darul Iman. Jika beroperasi di mana tapaknya, andai telah berkubur mana pusaranya. Adalah amat malang sesuatu yang diputuskan di dalam Dewan yang Mulia ini pelaksanaannya ala kadar sahaja. Penubuhan kedua-dua yayasan adalah amat perlu dan menunjukkan kepekaan dan kecaknaan Kerajaan kepada rakyat Negeri Terengganu khususnya golongan B40 yang layak dan memang perlu dibantu.
Yang Berhormat Dato Yang di-Pertua sedikit lagi berkenaan dengan pembinaan Projek ECRL yang berjalan sebagaimana jadual. Keresahan dan kesulitan yang dihadapi oleh warga setempat kian berakhir, suasana kelam kabut jentera pembinaan makin reda. Sebelum berakhir secara rasminya pembinaan ECRL, kerosakan jalan yang membahayakan pengguna jalan raya dan merosakkan kenderaan perlu diberi perhatian yang serius oleh pihak yang berkenaan. 1. Jalan Pengkalan Berangan Pulau Kerengga.
2. Jalan Lubuk Batu, Batu Kelikir.
3. Jalan Lubuk Batu Cerang Cina.
4. Jalan Binjai Rendah, Rawai.
5. Jalan Haluan Said, Felda Cadur.
Sebelum Pengkalan Berangan mengakhiri ucapan pada pagi ini, suka untuk membangkitkan isu lampu jalan di laluan Jambu Bongkok, Rantau Abang yang masih belum bercahaya. Mohon pihak berkenaan mengambil perhatian serius berkenaan perkara ini. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Pengkalan
Berangan menyokong dan Menjunjung Kasih Titah Ucapan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia. Sekian.
Terima kasih Yang Berhormat Pengkalan Berangan. Sila Yang Berhormat Batu Rakit.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Berhormat Menteri Besar, Yang Berhormat EXCO-EXCO, ADUN-ADUN, Ketua-ketua jabatan dan seluruh pemerhati muslimin dan muslimat. Sebelum saya teruskan ucapan, saya ingin mengajak sekali lagi seluruh ahli Dewan untuk sedekahkan Al-Fatihah ke atas seluruh Ulama Besar Sheikh Abdul Majeed Al-Zindani yang baru sahaja menghembuskan nafas semalam. Marilah sama kita sedekahkan Al-Fatihah.
Al-Fatihah
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, izinkan saya mulakan perbahasan ini dengan membaca sepotong ayat Al-Quran Nur Karim:
Yang bermaksud “Wahai Daud sesungguhnya kami jadikan kamu sebagai khalifah memerintah di bumi maka berhukumlah kamu di kalangan manusia dengan kebenaran dan jangan mengikut hawa nafsu”
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, di kesempatan yang ada ini, saya ingin merakamkan ucapan selamat hari raya adilfitri kepada seluruh masyarakat Terengganu, khasnya rakyat Batu Rakit semoga segala amalan soleh yang kita lakukan sepanjang bulan Ramadan diterima oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Yang Berhormat Dato Yang di-Pertua, kita menyambut bulan syawal dengan bertakbir, bertahmid memuji memuja Allah Subhanahu Wa Ta’ala serta menyebut peristiwa Ahzab sebagaimana yang dirakamkan dalam takbir raya yang kita sebut kita ulang;
Yang bermaksud “Tiada tuhan melainkan Allah yang Esa, benarlah janjinya, dia menolong hambanya, dia memuliakan tenteranya dan dia telah mengalahkan tentera-tentera Ahzab dengan keEsaanNya”.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, hikmah yang tuhan jadikan kepada umat Nabi Muhammad supaya disebut dan diulang tiap-tiap kali hari raya supaya kita mengingati peristiwa Ahzab yang berlaku zaman Rasulullah ini dan sebenarnya ia berlaku sepanjang zaman sehinggalah zaman kita hari ini. Ahzab zaman Rasulullah adalah kumpulan Yahudi yang berada di Madinah bergabung dengan kafir musyrikin yang berada di Mekah dan golongan Munafik di Madinah. Gabungan inilah yang disebut Ahzab yang datang menyerang Rasulullah dan umat Islam Madinah. Zaman kini, Ahzab ini masih berlaku. Yahudi seluruh dunia berkumpul di Palestin hari ini dan disokong oleh kuasa-kuasa Barat yang musyrik serta golongan munafik yang berada di negara-negara umat Islam terutama sebahagian pemimpin-pemimpin Arab bergabung tenaga dan sokongan memerangi umat Islam khususnya di Palestin secara ketenteraan dan juga kumpulan Ahzab ini memerangi umat Islam seluruh dunia secara serangan pemikiran bagi merosakkan pemikiran umat Islam supaya kepala umat Islam menjadi seperti barat. Tidak lagi berfikir macam orang Islam, ini usaha Azzamudin sudah lama berlaku yang menjadi kewajiban umat Islam sedar akan semua peristiwa Ahzab ini. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, di samping ini saya sarankan supaya pejabat agama ambil tanggungjawab sedikit, supaya sampaikan kefahaman dan kesedaran ini kepada masyarakat melalui saluran kuliah, khutbah, tazkirah dan apa-apa sahaja platform di masjid dan juga di surau-surau kita.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, seterusnya, apabila kita membincangkan berkenaan isu ekonomi, Islam telah meletakkan sistem zakat di tempat pertama supaya kita beramal bahkan ia adalah sumber utama negara. Apabila masih tidak mencukupi barulah kepada sistem lain seperti cukai dan sebagainya. Batu Rakit sarankan supaya Kerajaan Negeri upgradekan sistem zakat ini terutamanya undang-undang yang telah sediada Seksyen 20(3) menyebut berkenaan, tidak membayar zakat atau fitrah, enggan membayar atau sengaja tidak membayar zakat atau fitrah apabila disabitkan boleh didenda tidak
melebihi RM3000.00 atau dipenjara tidak melebihi dua (2) tahun atau kedua-duanya sekali.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, walaupun asal hukum Islam orang yang tidak mengeluarkan zakat ini adalah diperangi. Sebagaimana Hadis Nabi
dengan izin Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua saya baca hadis,
:
Yang bermaksud, daripada Ibnu „Umar radhiallahu „anhuma, Sesungguhnya Rasulullah telah bersabda: Aku diperintah untuk memerangi manusia sampai dia mengucap lailahailallah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat. Barangsiapa telah melakukannya, maka ia telah memelihara harta dan jiwanya dari Aku kecuali kerana alasan yang hak dan kelak perhitungan terserah pada Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
Hadis ini amat berharap dan termasuk dalam salah satu Prinsip Islam. Tentang hadis ini para ulama’ mengertikan berdasarkan sejarah iaitu tatkala Rasulullah
wafat, Saidina Abu Bakar As Siddiq r.a diangkat sebagai khalifah untuk menggantikan Rasulullah . Sebahagian dari orang arab menjadi kafir. Saidina Abu Bakar bertekad untuk memerangi mereka termasuk golongan yang menolak membayar zakat. Saidina Abu Bakar lalu mengemukakan alasan perbuatannya itu tetapi Saidina Umar berkata kepada Saidina Abu Bakar “Bagaimana Engkau akan memerangi manusia sedangkan mereka mengucapkan lailahaillallah dan masih mendirikan sembahyang”, lalu Saidina Abu Bakar As Siddiq membaca hadis dan berkata “Sesungguhnya zakat itu adalah wajib yang bersifat harta kebendaan lalu katanya demi Allah kalau mereka menghalangku daripada mengambil zakat walaupun dengan harga seutas tali unta yang mereka dahulu serahkan sebagai zakat ke Rasulullah
nescaya aku perangi mereka kerana keingkaran itu”. Maka, kemudian Saidina Umar mengikuti jejak langkah Saidina Abu Bakar untuk memerangi mereka itu.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, walaupun di sana banyak pandangan ulama’ berkenaan hadis ini tetapi yang pentingnya kisah ini menunjukkan pentingnya sistem zakat untuk kewangan negeri sebagai tanggungjawab rakyat kepada negeri termasuklah juga zakat petroleum. Mengikut pandangan Mazhab
Hanafi, galian adalah termasuk dalam harta rikaz termasuk petroleum dan kewajipan zakat adalah 20% sepertimana harta rikaz yang lain. Ini 20% bagaimana disebut oleh Mazhab Hanafi, sekarang 5% pun susah nak dibagikan kepada kita, Terengganu. Sebenarnya orang Islam, mesti melaksanakan kewajipannya. Orang Islam mesti menepati janjinya. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, walaupun di sana banyak pandangan berbeza di kalangan para ulama’ tetapi bagi saya pandangan Mazhab Hanafi dalam bab kewangan dan zakat lebih keterdepan berbanding yang lain kerana Imam Abu Hanifah hidup dalam suasana Kerajaan yang besar di Kufah, Iraq.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, maka sekali lagi Batu Rakit sarankan supaya Kerajaan melalui MAIDAM mempergiatkan lagi kutipan zakat terutamanya zakat harta yang dimiliki orang-orang kaya. Sebagaimana sabda Nabi :
, “Diambil daripada orang-orang kaya, dikembalikan kepada orang-orang miskin di kalangan mereka.”
Maksud kaya ialah siapa sahaja yang memiliki harta simpanan melebihi nisab 85gram emas yang telah dihadkan oleh Islam dan pemilikan itu tidak berkurangan sehingga haul (setahun Qamariah). Nisab sekarang iaitu hari ini iaitu RM30,515 iaitu bersamaan RM356 untuk 1 gram, sekarang untuk hari ini. Berbanding semalam turun RM8. Bagi siapa yang nak beli emas bolehlah temu dengan Kuala Besut ada komisen kot. [ketawa] Seterusnya, sesiapa sahaja yang memiliki harta simpanan sebanyak ini sepanjang setahun maka dia dikira kaya dan wajib mengeluarkan zakat bukan zakat fitrah sahaja. Ia wajib diketahui oleh semua yang beragama Islam.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, seterusnya Kerajaan telah mengisytiharkan tahun ini Tahun Indahnya Hidup Bersyariat. Batu Rakit menyambut baik pengisytiharan ini. Bahkan, saya rasa semua rakyat Terengganu menyambut baik usaha Kerajaan ini bagi memastikan masing-masing sentiasa hidup mengikut tunas-tunas Islam. Maka saya menyarankan supaya Kerajaan beri tumpuan penuh kepada agenda ini dengan tiga (3) cadangan. Pertama, perturunkan program-program berkenaan ke setiap daerah dan DUN-DUN sehingga ke kampung-kampung. Kedua, semua program Kerajaan pastikan ia bertepatan dengan syariat terutama dalam sektor hiburan dan sukan. Yang ketiga masukkan agenda sembahyang dalam apa sahaja
program Kerajaan kerana solatlah yang memimpin sikap kita sebagaimana Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala:
“Sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada kejahatan dan kemungkaran”
Supaya tujuan ini sampai kepada setiap masyarakat. Batu Rakit mohon supaya ada peruntukan besar dari pihak Kerajaan untuk program-program ini.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, seterusnya Batu Rakit ingin membawa sedikit isu berkenaan apa yang berlaku di Batu Rakit. Mungkin beberapa perkara yang saya sebut ini telah dimasukkan dalam Soalan Lisan yang mungkin dok sempat dijawab. Cuma sebagai ulangan dan diambil serius oleh pihak Kerajaan, yang pertama, akhir-akhir ini telah berlaku paip pecah di sekitar Maras dan Wakaf Tengah yang saya dimaklumkan main pipe di kawasan itu sudah terlalu lama dan perlu kepada pembaharuan, adakah pihak Kerajaan sudah ada cadangan untuk menukar semua paip yang sudah terlalu lama ini?
Yang kedua, berkenaan tanah industri Mengabang Panjang, saya cadangkan ia dimasukkan dalam Pelan Strategi Penjanaan Pendapatan Baharu sebagaimana yang dititahkan oleh Tuanku Sultan semalam. Yang ketiga, Batu Rakit sebenarnya sangat unik mempunyai pantai, bukit dan kawasan baru. Ianya dikira sangat berpotensi untuk dibangunkan di bawah pelbagai sektor seperti sektor pelancongan, pertanian, perikanan dan usahawan. Peluang yang ada ini saya cadangkan supaya Kerajaan dapat memajukan Batu Rakit sebagaimana sebelum zaman penjajah dahulu. Batu Rakit terkenal sebagai salah sebuah daerah yang telah dimajukan tetapi apabila ia telah digabungkan daerah dengan Kuala Terengganu dan hari ini Kuala Nerus ia seolah nampak sepi daripada pembangunan.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, akhir sekali ayat yang saya baca di awal tadi mengajak kita mengikuti contoh Nabi Daud a.s memerintah mengikut kebenaran dan keadilan dan tidak mengikut hawa nafsu. Semoga kita semua berada di atas landasan-Nya. Aamin. Akhir sekali saya merafak sembah menyokong penuh Titah Ucapan Ke bawah Duli Yang Maha Mulai Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin.
Terima kasih. Sila, Yang Berhormat. Sila, Yang Berhormat Permaisuri.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan, Yang Berhormat Ahli Jawatankuasa Mesyuarat Kerajaan Negeri, rakan-rakan Yang Berhormat, ketua-ketua jabatan, rakan media dan para pemerhati. Pertama saya nak mengucapkan terima kasih kepada Yang di-Pertua kerana memberikan kesempatan kepada saya untuk sama-sama berbahas Usul Menjunjung Kasih Duli Yang Maha Mulia Sultan. Kita menyebut tentang perbahasan ini, saya melihat ada tiga perkara utama yang telah disentuh oleh Yang Mulia Tuanku Sultan. Tapi saya akan mengambil butiran yang ketiga dalam cadangan baginda iaitu sektor-sektor ekonomi di Negeri Terengganu.
Yang Berhormat Dato’ Yang di Pertua, ekonomi adalah salah satu faktor utama dalam kemajuan dan pembangunan Negeri Terengganu kita dan dapatan daripada hasil ekonomi bukan sekadar daripada sumber galian sahaja tetapi ia juga melibatkan sumber lain daripada sumber-sumber yang dapat diusahakan oleh rakyat dalam Negeri Terengganu seperti aktiviti-aktiviti ekonomi dan juga pertanian dan juga dapat membantu meningkatkan pendapatan rakyat. Permaisuri ingin membahaskan tajuk perkukuh sektor penyumbang kepada aktiviti ekonomi, justeru itu Permaisuri akan memberikan tumpuan kepada yang pertama ialah sektor pertanian secara menyeluruh dan yang kedua sektor keusahawanan secara umum di setiap lapisan rakyat Negeri Terengganu. Saya ingin meringkaskan bahawa tujuan dan objektif ucapan saya ini akan merangkumi beberapa faktor iaitu; 1. Meningkatkan sumber ekonomi rakyat, 2. Ke arah membasmi kemiskinan dan pengangguran di kalangan rakyat Terengganu 3. Merancakkan rakyat terutamanya generasi muda kepada sosio ekonomi 4. Membangkitkan sikap menyahut seruan Kerajaan 5. Mengurangkan tekanan dan himpitan kos sara hidup rakyat.
Yang Berhormat Dato’ Yang di Pertua kita melihat kepada perkembangan realiti semasa yang mana saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Terengganu terutamanya Pengerusi Jawatankuasa Pertanian yang begitu bersungguh-sungguh untuk meningkatkan usaha petani dan penternakan dan sebagainya rata-rata Setiu yang terdiri daripada rakyat yang majoritinya adalah petani dan penternak, pekebun, nelayan dan dari situlah berkembangnya kerja ekonomi seperti kedai-kedai makan, rumah-rumah makan dan sebagainya. Kita semua tahu bahawa di Terengganu buat masa ini komoditi sawit adalah melebihi daripada muka bumi Terengganu, peratusannya yang begitu tinggi, 18% lebih kalau tak silap saya ditanam dengan kelapa sawit. Tetapi kalau kita melihat kepada sumber-sumber yang lain selain daripada sawit seperti kopi, seperti koko seperti kelapa dan sebagainya. Terengganu masih tidak cukup untuk kita tanam di bumi Terengganu ini dengan produk-produk pertanian yang lain. Selain daripada itu, usaha daripada Yang Berhormat Pengerusi Jawatankuasa Pertanian untuk melahirkan Negeri Terengganu sebagai pengeluar makanan utama negara dan usaha tersebut saya perhatikan bahawa ia semakin rancak sedang berlaku tetapi ianya masih belum mencapai matlamat.
Kalau kita melihat di Setiu Dato’ Yang di-Pertua, pertanian di Setiu semakin aktif dan semakin maju. Suasana ini dapat dilihat dengan ketara sekali seperti pengeluaran tembikai, sayur-sayuran, sumber ikan, kemudahan-kemudahan pelancongan, rumah-rumah makan, rumah penginapan begitu juga homestay yang semakin meningkat di kawasan Setiu. Sesungguhnya pertanian dan ternakan memang adalah sumber ekonomi dan sebagai sumber perniagaan. Namun begitu, saya ingin menyebut daripada sektor pertanian ini kita masih mempunyai masalah ataupun kekangan ataupun halangan untuk terus maju selain daripada fenomena alam tetapi masih ada yang boleh kita atasi dengan beberapa perkara. Antara halangan yang kita lihat pada hari ini ialah masalah harga barang. Sayur-sayur yang dikeluarkan kadang-kadang ia berlaku lambakan sehingga harga daripada kebun begitu murah. Petani yang membeli kos-kos pertanian mereka seperti baja dan sebagainya dengan harga benih yang mahal yang akhirnya apabila pengeluaran itu sudah melebihi daripada pertanian menyebabkan pertanian mereka terpaksa menanggung kerugian.
Oleh sebab itu, halangan yang kedua saya melihat kepada berlakunya orang tengah yang membeli dengan harga yang murah tetapi di pasaran harga tidak pernah turun kecuali di pasaraya besar. Saya lihat …
Yang Berhormat Permaisuri. Panjang ke? Panjang lagi ke?
Sikit sahaja. Sikit lagi.
Kalau panjang lagi kita bagi petang ni.
Sambung petang?
Ha.
Sambung petang pun boleh.
Ha.
Boleh.
Kita bagi petang ah.
Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.
Terima kasih kepada Permaisuri.
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian saya tangguhkan sementara Dewan ini dan sambung semula pada pukul 2.30 petang. Ahli-ahli Yang Berhormat dijemput ke jamuan makan tengah hari yang dihoskan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar di Ruang Makan Damai manakala Ketua-ketua Jabatan di Perkarangan U2, Dewan Undangan Negeri. Dipersilakan. Kita tangguh sementara dengan tasbih kaffarah dan suratul „Asr.
MESYUARAT DITANGGUHKAN PADA PUKUL 1.00 PETANG
PUKUL 2.28 PETANG
Yang Berhormat Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan, Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan, para pemerhati, tuan-tuan dan puan-puan, hadirin hadirat yang dihormati sekalian. Mesyuarat disambung semula. Kita masih lagi dalam sesi perbahasan ke atas Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan DiRaja. Dengan ini saya mempersilakan Wakil Permaisuri untuk menyambung baki ucapan. Silakan.
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua Dewan. Saya terus menyambung kepada perbahasan yang tak selesai yang sebelah pagi. Yang di-Pertua, kita sampai, saya telah sampai ke peringkat halangan ataupun masalah daripada para petani hadapi di suasana pada masa kini. Di mana telah saya sebut bahawa penguasaan peraih ataupun orang tengah dalam menentukan harga-harga sayur yang dikeluarkan oleh pekebun sebentar tadi yang mana saya buat sebagai satu contoh pada suatu ketika baru-baru ini harga timun batang dengan izin, cucumber RM0.60 satu kilo tetapi tinjauan yang saya buat di kedai sayur harga timun batang di kedai RM4.00 satu kilo. Dalam suasana yang amat jauh perbezaan harga ini sudah pasti akan merugikan para pekebun bahkan boleh saya katakan tanaman yang ditanam dengan timun batang pada masa itu dipotong terus, tak mau lagi dijaga dan sebagainya dan pasti bahawa pekebun tersebut menghadapi kerugian. Dengan suasana yang kita dapati baja yang mahal dia menggunakan baja AB fertigasi dan baja-baja yang mahal untuk membesarkan akar, buah dan sebagainya dengan harga RM300.00 setiap 50 kilogram baja. Ini sudah tentu membebankan para pekebun kita dan juga petani kita begitu juga modal bagi petani biasa untuk menanam sayuran menggunakan najis ayam orang kampung panggil tahi ayam. Harga najis ayam paling murah RM3.50 setengah guni dan mungkin hari ini harganya meningkat kepada RM4.00, RM5.00. Rakan saya menyebut RM5.00. Ini adalah satu beban yang dihadapi oleh para pekebun kita.
Benda yang ketiga yang saya ingin nyatakan juga adalah benih. Yang mana kita dapati benih semakin hari semakin meningkat harganya. Contohnya tembikai, orang kampung panggil timun cina. Tembikai harganya satu paket sampai mencecah harga RM1,600.00 yang dijual di kedai, mungkin lebih dan mungkin akan naik harganya daripada semasa ke semasa. Dan begitu juga dengan harga-harga benih yang lain. Dan masalah yang kita tidak boleh elak tak boleh kita nafikan ialah masalah pengaruh musim.
sebenarnya Pengerusi Jawatankuasa Pertanian ada menyebut baru-baru ini kerana musim kemarau ini lembu-lembu pun menjadi kurus. Itu tidak boleh kita nafikan begitu juga dengan pertanian. Kalau hanya bergantung kepada air, air paip dan sebagainya adalah tidak mencukupi Yang di-Pertua. Bahkan sehingga ada petani terpaksa membeli pam air enjin untuk mendapatkan sumber air bagi mahal pertanian mereka untuk tumbuh subur dan sebagainya. Kita tidak kira lagi dengan racun, racun perosak, racun rumput dan sebagainya. Semua yang ini sehari ke sehari harganya semakin naik dan semakin meningkat. Bagi petani yang berskala kecil, sudah pasti ini adalah suatu perkara yang membebankan mereka di samping mereka ini mempunyai kekurangan modal untuk melaksanakan pertanian secara integrasi, secara fertigasi dan sebagainya.
Tuan Yang di-Pertua, hari ini kita bercakap tentang harga beras mahal sehingga ada yang bercakap kita gantikan dengan ubi kayu dan sebagainya. Ini adalah suatu jawapan-jawapan yang tidak wajar diucapkan kerana kita perlu membangkitkan sumber ekonomi rakyat supaya rakyat lebih berkeyakinan, lebih berinovasi dan lebih yakin menjalankan kerja-kerja pertanian sebagai sumber pendapatan untuk mereka.
Tuan Yang di-Pertua, suatu fenomena yang berlaku pada hari ini kita lihat rakyat kita juga tetap dan terpaksa berdepan dengan satu cabaran baru apabila kita melihat kedai-kedai sayur, pembekal-pembekal sayur, kedai-kedai makan, kedai runcit telah mula dimonopoli atau dikuasai yang mana melibatkan warga asing. Contohnya kita melihat kedai-kedai makan. Ramai daripada Thailand buka kedai-kedai makan, berniaga di kawasan di Negeri Terengganu dengan tomyamnya macam-macam nama dan sebagainya dan ke mana pergi warga kita, orang tempatan untuk bersaing berniaga dengan mereka? Begitu juga kita tengok kedai-kedai sayur hari ini daripada Bangladesh, Myanmar telah membuka kedai-kedai sayur dan juga kedai-kedai runcit dan pembekal pun daripada bangsa mereka yang sama. Dan ini juga menjadi satu cabaran yang
mana fenomena ini perlu diatasi dan disegerakan supaya petani-petani, pekebun kita semakin berani, rancak dan berdaya saing untuk berjuang dalam industri persayuran dan juga pertanian di dalam Negeri Terengganu. Saya ingin mencadangkan cadangan-cadangan yang saya buat mengikut penilaian saya. Sekiranya tidak betul, saya minta maaf. Saya ingin mencadangkan supaya pihak Kerajaan perlu melahirkan pekebun-pekebun dan juga pegawai-pegawai pertanian yang lebih ramai dan berkualiti tinggi kerana hari ini kita berdepan dengan berbagai cabaran dan hari ini teknologi-teknologi dan juga langkah-langkah kebersihan pertanian kita perlu dijaga dan perkara yang kedua saya ingin mencadangkan supaya langkah inovasi teknologi pertanian perlu dipertingkatkan supaya pertanian kita semakin hari semakin maju semakin ke hadapan bahkan untuk mendahului petani-petani dengan teknologi-teknologi yang baru, penggunaan drone dan sebagainya adalah satu cara yang terbaik yang telah dianjurkan oleh pihak Kerajaan. Saya juga mencadangkan supaya kita dapat melakukan pemindahan teknologi transfer teknologi dengan izin daripada pakar-pakar pertanian pakar-pakar baja sebagainya kerana saya yakin tidak ada makna betul-betul bermakna dengan hanya kita melawat ke Surat Thani di Thailand tetapi balik kita pulang daripada sana tidak ada apa-apa sebarang perubahan, dan saya mencadangkan supaya pemindahan teknologi ini dapat berlaku supaya pakar-pakar daripada luar dapat membimbing rakyat kita Negeri Terengganu ini ke arah pertanian yang lebih berteknologi dan sebagainya.
Yang keempat saya mencadangkan supaya kita memperkembangkan lagi Industri Hiliran dalam pertanian contohnya di kalangan kita ada yang ternak itik, ada yang ternak ayam, ada yang membuat tanaman yang saya sebutkan takdi timun batang tetapi kalau hanya bergantung kepada orang tengah tanpa kita melahirkan suatu industri baru industri hiliran untuk keluar retail sebagainya, kita rasa kita tidak dapat maksimumkan pendapatan hasil tani dan juga hasil ternakan kita, dan yang kelima saya juga menyarankan supaya Kerajaan dapat membendung kemasukan produk-produk ataupun hasil-hasil pertanian daripada luar yang boleh mengancam harga dan pasaran pertanian di kalangan petani setempat ataupun petani tempatan kita contohnya lambakan sayur-sayuran daripada Thailand kalau kita belajar ke sana kita dapat menghasilkan pertanian yang baik tetapi kerana limpahan daripada seberang masuk ke negara kita menyebabkan hasil pertanian tempatan tidak mendapat sambutan dan harga juga dapat dimainkan oleh orang tengah. Yang keenam mengaktifkan agensi pasaran yang tidak membebankan petani contohnya kita lihat kepada FAMA, kalau dulu FAMA aktif, hari ini saya tidak
berapa dengar nama FAMA ini memainkan peranan, saya minta masa tambahan ada sikit sahaja lagi ada tiga perkara lagi.
Cuba ringkaskan, secepat mungkinlah YB Permaisuri sebab masa yang banyak
Tiga perkara lagi iaitu FAMA, saya harap pihak FAMA dapat mengaktifkan lagi agensinya supaya dapat membantu pasaran untuk para petani kita. Yang ketujuh menyediakan bantuan yang wajar untuk merancakkan lagi industri makanan dalam Negeri Terengganu, yang kelapan mewujudkan pemantau-pemantau bebas dalam sektor pertanian agar laporan yang diterima oleh agensi pertanian kita adalah wajar dan lebih tepat. Kita tidak mahu bergantung kepada orang pertanian sendiri yang buat laporan, biar ada orang yang bebas dan yang ke sembilan kita perlu saya cadangkan kita perlu membuat zoning yang kita dengar tadi sana jagung, sini jagung, rata-rata tanam jagung begitu juga dengan tembikai, rata-rata tanam tembikai sehingga hari ini saya dapat tahu harga tembikai sekitar RM1.20 satu kilo. Kalau dalam puasa baru ini harganya mencecah RM3.00 dan kesan daripada tiada zoning ini saya percaya ia menjadikan harga hasil pertanian ini semakin jatuh, yang kesepuluh.
Banyak lagi ke tu, Permaisuri.
Yang kesepuluh ialah membuat kawalan penguatkuasa kos barangan dan juga di kedai–kedai supaya petani-petani kita dapat meletakkan harga yang sesuai bagi hasil mereka dan yang terakhir Dato’ Yang di-Pertua ialah kempen untuk merakyatkan pertanian di dalam Negeri Terengganu dan saya rasa itu sahaja daripada saya dan saya Permaisuri meminta maaf kalau ada teguran-teguran ini, cadangan-cadangan ini yang tidak berapa baik dan saya harap kita nak lihat, kita orang mahu supaya pertanian dalam Negeri Terengganu sebagai satu penyokong kepada kekuatan ekonomi negeri dan saya Permaisuri menyokong Titah Tuanku Sultan pada hari semalam, sekian.
Terima kasih Wakil Permaisuri, Wakil Permaisuri banyak mengutarakan isu berkaitan dengan pertanian, saya percaya Wakil Kerajaan boleh ulas perkara ini di penggulungan
nanti, saya persilakan mana-mana Wakil yang ingin menyertai perbahasan, silakan Wakil Buluh Gading.
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, rakan-rakan Ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua jabatan seterusnya hadirin dan hadirat yang dikasihi sekalian. Pertamanya saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua yang memberikan peluang kepada saya untuk mengambil bahagian membahaskan Titah Ucapan Tuanku Al-Sultan yang telah disempurnakan pada pagi semalam sempena dengan Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri yang Kelima Belas.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, saya tertarik dengan Titah Ucapan Tuanku Al- Sultan yang dimulai dengan firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala
Yang bermaksud “Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah dengan mengerjakan suruhan Nya, dan meninggalkan laranganNya nescaya Allah jadikan baginya jalan keluar dari segala perkara yang menyusahkanNya serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas dihatinya, dan ingatlah sesiapa yang berserah diri kepada Allah, Allah akan cukupkan baginya untuk menolong dan menyelamatkannya sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakinya Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu”.
(Surah al-Talaq: ayat 2 dan 3)
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, ayat ini sebagai peringatan dan panduan kepada kita semua dalam menghadapi kemelut yang sedang dilalui oleh Kerajaan Negeri ketika ini, iaitu berkaitan dengan hak Royalti Petroleum yang dinafikan oleh Kerajaan Persekutuan sehingga menyulitkan pentadbiran Kerajaan Negeri sekali gus memberi kesan kepada keselesaan dan kesejahteraan kehidupan rakyat. Ketakwaan kepada Allah adalah penawar yang paling mujarab bagi mengubati segala kesulitan yang dihadapi sekarang ini. Jaminan yang sama ditegaskan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala melalui firmanNya,
Kalaulah penduduk sebuah negeri itu beriman dan bertakwa kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala nescaya kami akan bukakan ke atas mereka pintu-pintu keberkatan dari langit dan juga dari bumi Surah Al-A’raf ayat 96
Kita semua yakin dengan penuh keimanan kepada Allah Ta’ala bahawa Allah akan kurniakan rezeki yang lebih banyak melalui pelbagai sumber selain daripada petroleum seperti jumlah pelaburan yang semakin meningkat, bahan galian dan mineral seumpama NRREE di mana Terengganu memiliki deposit paling banyak iaitu sekitar 7.2 juta tan berbanding 15.2 juta tan yang ada di seluruh Malaysia. Sebagaimana disebut dalam Titah Ucapan Tuanku Al-Sultan pada muka surat sepuluh dan juga sumber-sumber yang lain termasuk melalui industri pelancongan Allah Ta’ala akan kurniakan dengan limpahan hasil yang banyak jika kita benar-benar beriman dan bertaqwa kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Sehubungan dengan itu saya menyeru kepada diri saya dan semua peringkat pentadbiran Kerajaan Negeri agar kita dapat menghayati pesanan Tuanku Al-Sultan melalui firman Allah Ta’ala ini dalam segala kerja buat pentadbiran kita sama ada berkaitan polisi dan dasar-dasar yang dibuat dalam bentuk program-program yang dianjurkan dan sebagainya.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, di waktu yang sama kita ingin mengingatkan kepada Kerajaan Persekutuan khususnya kepada PMX sendiri selaku Menteri Kewangan dan mereka yang bersekongkol dengannya kita nak ingatkan mereka dengan sabda Nabi
.
Akan muncul selepas daripada aku golongan pemimpin yang sifat mereka itu suka berbohong. Asal cakap berbohong. Asal buka mulut berbohong di waktu yang sama melakukan kezaliman.
Barang siapa yang membenarkan pembohongan mereka dan menolong atas kezaliman mereka. Maka dia bukan di kalangan aku dan aku bukan di kalangan mereka dan mereka seperti ini pemimpin dan pengikut seumpama ini pada hari kiamat akan dihalau oleh malaikat daripada mendekati telaga Al-Kausar yang dikurniakan Allah kepada Nabi dan umat baginda .
Dan juga sabda Nabi
.
Tidaklah seseorang hamba yang diberi tanggung jawab oleh Allah untuk memimpin rakyatnya lalu dia mati dalam keadaan menipu rakyat maka Allah haramkan syurga ke atasnya.
Yang Berhormat Timbalan Dato’ Yang di-Pertua, seterusnya saya nak menyentuh sedikit isu berkaitan dengan rakyat. Ketika membahaskan Bajet 2024 pada November 2023 yang lalu. Saya ada bangkitkan isu berkaitan dengan kedai-kedai jualan vape yang kelihatan begitu banyak tumbuh di Terengganu kita ini. Saya melahirkan kebimbangan ekoran dari bahayanya penggunaan vape khususnya yang terdiri daripada bahan atau perisa yang mengandungi dadah. Isu ini menjadi lebih serius apabila pengambilan dan penggunaannya juga melibatkan anak-anak remaja termasuk yang masih berada di alam persekolahan. Menurut Kementerian Kesihatan tinjauan kesihatan dan morbiditi kebangsaan NHMS 2022 mencatatkan peningkatan penggunaan rokok elektronik atau vape di kalangan remaja yang berumur tiga belas tahun dari 9.8% pada 2017 kepada 14.9% pada 2022. Peningkatan yang ketara turut berlaku di kalangan remaja perempuan. Iaitu dari 2.8% pada 2017 meningkat kepada 6.2% pada 2022. Dan terkini Persatuan Pengguna Pulau Pinang CAP pada 5 Mac 2024 yang lalu mendedahkan seramai 15 pelajar perempuan di setiap sekolah didapati menghisap vape dengan tiga hingga empat daripadanya mengalami ketagihan nikotin yang sangat serius.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, jawapan yang diberikan oleh pihak Kerajaan pada ketika itu dalam penggulungan. Jawapan yang diberi oleh pihak Kerajaan ialah Kerajaan memberi tempoh sehingga bulan Disember kepada pengusaha kedai vape untuk mereka ganti dengan jualan dan perniagaan lain di samping menyeru kepada semua Kerajaan tempatan agar mengambil tindakan yang tegas supaya ia tidak berleluasa dan berkembang tanpa kawalan lagi. Oleh itu pada persidangan DUN pada kali ini saya ingin mengetahui apa perkembangannya sehingga kini setelah hampir lima bulan berapa jumlah kedai jualan vape beroperasi di seluruh Negeri Terengganu. Daripada jumlah tersebut berapa buah kedaikah atau berapa ramai pengusaha vape yang mematuhi ketetapan tersebut dan berapa pula yang tidak mematuhinya. Bagi yang tidak mematuhinya apa pula tindakan Kerajaan terhadap mereka. Dan seterusnya saya ingin mengetahui apakah langkah-langkah yang telah dan akan diambil oleh pihak Kerajaan Negeri bagi memberi kesedaran kepada rakyat agar menjalani kehidupan yang sihat, dan kehidupan yang bebas dari rokok khususnya rokok elektronik yang lebih membahaya dari rokok konvensional.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, sikit lagi. Petang kelmarin saya ada menerima panggilan telefon daripada rakyat. Mengadu tentang binatang ternakan mereka iaitu lembu yang terputus sumber bekalan air ekoran daripada tali air yang kekeringan disebabkan musim kemarau sekarang ini. Tali air yang melintasi beberapa buah kampung iaitu Kesom, Tetambah, Kebor Besar, Kampung Baru, Banggol Peradong hingga ke Jeram dalam DUN Buluh Gading. Saya mengambil kesempatan di sini untuk mohon kepada jabatan atau agensi yang berkaitan agar melakukan sesuatu yang boleh membantu penduduk bagi mendapatkan sumber minuman ternakan mereka dengan melepaskan air ke aliran tali air tersebut. Walaupun pada asalnya saya difahamkan ia hanyalah untuk tanaman padi sahaja. Di sini perlu ada pertimbangan dan tolak ansur yang sewajarnya demi kesejahteraan hidup rakyat. Dahlah mereka dok dapat doh duit raya baru ini. Lembu pulok dokleh nok minum air musim raya ni.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, akhir sekali saya ingin mengambil kesempatan di sini memohon dan merayu kepada pihak Kerajaan agar projek pembangunan Dataran Teluk Pasu. Fasa pertama yang telah diluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta dalam Bajet 2023 yang lalu dapat disegerakan pelaksanaannya. Fasa satu ini melibatkan pembinaan Dataran Medan Selera yang terdiri daripada beberapa kiosk dan gerai jualan di samping beberapa kemudahan infra yang lain. Segala proses teknikal berkaitan penyediaan pelan
dan dokumen-dokumen yang diperlukan. Termasuk penentuan dan pelantikan kontraktor telah lama disiapkan dan diselesaikan.
Kelewatan dalam pembinaannya sudah tentu akan memberi kesan dari sudut kesanggupan kontraktor yang dilantik untuk meneruskan projek tersebut disebabkan peningkatan kos ekoran dari kenaikan harga bahan-bahan binaan yang berlaku dari masa ke semasa pada ketika ini. Saya sangat memahami kedudukan kewangan negeri kita pada saat ini. Namun saya berdoa dan berharap semoga dengan peruntukan yang hanya berjumlah RM1 juta itu ia tidaklah begitu menyulitkan bagi pihak Kerajaan untuk memastikan projek tersebut dapat dilaksanakan dalam waktu yang terdekat ini insya- Allah. Terima kasih pada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, terima kasih kepada Yang Berhormat.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, nak minta info sikit dari Buluh Gading. Yang kata tali air kering tadi tu masih ada tanaman padi?
Kebanyakan kawasan takdok.
Takdok? Maknanya sawah terbiar lah?
Iya…
Okay.
Terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar, terima kasih Yang Berhormat Dato’ PKN, Yang Berbahagia Dato’ Pengarah UPEN, Datuk Bandar dan lain-lain agensi yang terlibat atas keprihatinan dan komitmen yang diberikan demi kesejahteraan rakyat khususnya untuk para peniaga dan pengusaha IKS.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Buluh Gading mohon menyokong.
Terima kasih Wakil Buluh Gading. Tadi EXCO Pertanian ada mencelah, tanya ada ke dok padi lening? Saya rasa kalu takdok padi, boleh masuk air je lah, kalau ada padi, takut payah nak mesin pulok, ataupun rosak padi. Jadi seterusnya saya persilakan mana-mana Wakil, ya sila Wakil Kemasik. Kalau boleh, kita ikut masa 10 minit yang ditetapkan, sebab mungkin kita perlu gulung esok, dan kita ada usul pada hari yang berikutnya. Silakan.
Segala puji bagi Allah Tuhan Yang Maha Suci, yang memiliki segala kekuasaan di langit dan di bumi, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, ahlul bait dan para sahabat Baginda. Setinggi-tinggi syukur kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana dengan izin dan rahmat-Nya, kita dapat bersama-sama dalam persidangan kali ini. Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Yang Berusaha ketua-ketua jabatan, para hadirin hadirat yang dirahmati Allah sekalian.
Terima kasih kepada Timbalan Yang di-Pertua atas peluang yang diberikan kepada Kemasik bagi merakamkan dan merafak sembah ucapan penghargaan dan Menjunjung Kasih Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Kelima Belas ini.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, cabaran dalam pertumbuhan ekonomi dipengaruhi oleh bukan sahaja faktor luar negara, malah tidak ketinggalan pada apa yang berlaku dalam negara. Luar negaranya sebagaimana disebut ketidakpastian kepada prospek ekonomi global disebabkan oleh situasi geopilitik yang kompleks, berlaku melibatkan beberapa negara kuasa besar yang telah memberi tempias kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia. Cabaran dalamannya juga tidak terlepas, sudah pasti secara langsung mempengaruhi
kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia dan tidak terkecuali Negeri Terengganu. Dalam Bajet 2024, Kerajaan Tuanku telah memperuntukkan sebanyak RM1.86 billion merangkumi perbelanjaan mengurus dan pembangunan. Sebagaimana semua maklum, pendapatan terbesar Kerajaan Tuanku adalah daripada hasil royalti petroleum. Walaupun dengan apa nama sekali pun pembayarannya, namun ia telah tidak dibayar sebagaimana jadual bayaran terdahulu, malah bayaran untuk tahun 2023 pun masih tidak dapat dibuat sepenuhnya ataupun masih tidak dibuat sepenuhnya oleh Kerajaan Pusat sebagaimana tahun-tahun terdahulu. Ia sangat mempengaruhi perjalanan Kerajaan Negeri Terengganu termasuk dalam menyempurnakan amanah sebagai pemimpin yang dititahkan oleh Ke bawah Duli Tuanku. Condong yang menongkak, rebah yang menegak, ibarat kayu basah di tengah padang, kayu besar di tengah padang, tempat bernaung kepanasan, tempat berlindung kehujanan kepada rakyat Tuanku. Semoga Allah Subhanahu Wa Ta’ala melimpahkan rahmat dan kesejahteraan kepada negeri dan rakyat Negeri Terengganu. Diharap seluruh jentera dan tenaga Kerajaan dapat digembleng sedaya upaya bagi mempastikan ianya dapat dikotakan dan dilaksanakan. Kerajaan pada asasnya perlu melihat dan meneliti kembali segala asas dan ketetapan yang telah digunakan dalam perancangan dan unjuran yang diletakkan lalu perubahan kadar ekonomi semasa termasuk kedudukan ekonomi dalam dan luar negara, juga cabaran kewangan yang dihadapi sekarang perlu kepada penelitian semula. Seterusnya merancang pengurusan kewangan yang lebih efektif untuk menghadapi cabaran ekonomi ini, kenal pasti pelbagai pendekatan termasuk jalinan kerjasama bersama Kerajaan Pusat, pelan strategi penjanaan pendapatan baharu dan juga pengukuhan sektor penyumbang kepada penambahan aktiviti ekonomi. Pebagai pendekatan dan kaedah baru perlu dilihat bagi memastikan ia lebih memberi kesan dan hasil yang lebih baik kepada negeri. Syarikat-syarikat GLC Negeri Terengganu juga perlu bersama terlibat aktif dalam membantu Kerajaan Negeri Terengganu.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, dengan cabaran 2024 ini, apakah langkah-langkah kontingensi yang telah Kerajaan laksanakan dan susun bagi menggantikan program-program yang terpaksa ditangguhkan terutama dalam meringankan beban dan meningkatkan keupayaan rakyat. Walaupun dalam keadaan Negeri Terengganu tidak sepenuhnya menerima bayaran royalti sama ada Kerajaan khususnya apakah keutamaan yang akan Kerajaan Negeri berikan ataupun tumpukan untuk memastikan rakyat terus terbela dan pembangunan terus berjalan walaupun negeri berada dalam kekangan kewangan. Atau
apakah pelan jangka masa pendek dan sederhana yang telah disusun oleh Kerajaan untuk berhadapan dengan keadaan kekangan kewangan ini bagi memastikan rakyat masih terus dapat dibangunkan sebagaimana kejayaan yang telah berjaya dilakukan dalam Penggal Keempat Belas yang lepas. Dalam masa yang sama, Kerajaan perlu terus berusaha memastikan bayaran royalti diterima sepenuhnya sebagaimana yang telah dibayar terdahulu. Apakah usaha dan tindakan yang telah Kerajaan lakukan untuk dapatkan balik bayaran royalti Petroleum daripada PETRONAS dan bagaimanakah peluangnya sehingga sekarang. Atau, adalah Kerajaan Terengganu bercadang secara tegas untuk meneruskan legal recourse melalui tindakan mahkamah sama ada seperti mendapatkan perintah injunksi, seterusnya memohon perintah mandamus atau certiorari bagi memastikan Kerajaan Pusat melaksanakan haknya di bawah Perlembagaan Malaysia menyelesaikan hak tuntutan negeri bagi bayaran wajib dalam bentuk capitation grant, road grant, terimaan hasil lain, dan juga bayaran royalti petroleum dan bukan petroleum, sepertimana yang diterima oleh negeri-negeri lain di bawah Persekutuan Malaysia.
Yang Berhormat Tuan Timbalan Yang di-Pertua, walaupun berhadapan dengan suasana ekonomi dunia yang penuh dengan cabaran, Kerajaan Terengganu masih berjaya menarik minat ramai para pelabur ke Terengganu. Keberhasilan dalam pelaburan ini dipacu oleh ekosistem industri yang sudah terbentuk dengan baik melalui dasar dan peraturan yang menyokong perkembangan industri ini. Tahniah Kerajaan Negeri Terengganu. Justeru, pelbagai inisiatif baharu dan menarik perlu terus disediakan oleh Kerajaan dengan pelbagai pengukuhan daripada pelbagai pihak. Kerajaan juga perlu ke arah pendekatan mesra syarikat pemula bagi menarik lebih banyak penglibatan syarikat-syarikat baharu untuk sama-sama melengkapkan kitaran pengembangan ekonomi ini. Pelbagai inisiatif perlu dikenal pasti mungkin termasuk inisiatif terhadap cukai, insentif dana, insentif berkaitan ekspatriat, insentif pelepasan sewaan, insentif perniagaan dan pelaburan, insentif pembangunan bakat dan lain-lain yang dikenal pasti mampu menarik lebih ramai pelabur seterusnya meningkatkan perkembangan ekonomi negeri ini. Infrastruktur asas untuk para pelabur masuk membangunkan perusahaan mereka turut membantu menaikkan kadar penerimaan dan minat untuk mereka masuk melabur. Justeru diharap pelbagai strategi dilaksanakan dan diusahakan oleh Kerajaan untuk menarik pelabur masuk melabur ke Negeri Terengganu termasuk melabur di kawasan-kawasan luar bandar untuk jangka masa pendek dan sederhana. Kami yakin kemasukan pelabur-pelabur dari luar negeri akan turut memberi manfaat kepada
pengusaha PMKS. Semoga dengan wujudnya Pelan Induk Teknologi Hijau (PItiH) Negeri Terengganu 2024-2030 membolehkan pembangunan dan pengembangan industri teknologi hijau lebih baik dan sudah pasti akan menjadi satu sumber pendapatan baharu Kerajaan.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka terus berkembang dengan kadar yang sederhana. Justeru penumpuan perlu diberi kepada pembangunan yang bakal memberi kesan berganda dalam persekitaran sosial ekonomi yang inklusif, kukuh dan mampan melalui beberapa pendekatan termasuk pembangunan modal insan. Pembangunan negara haruslah berpaksikan kepada konsep pembangunan yang seimbang. Ia bukan sahaja seimbang dari segi pembangunan ekonomi malah ia juga perlu seimbang dari segi pembangunan dan kemajuan sosial. Kemajuan sosial ini adalah dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual di mana ia bertujuan untuk mencapai matlamat utama pembangunan iaitu kesejahteraan dalam masyarakat secara keseluruhannya. Usaha perlu diambil untuk memperkukuh, memperkuatkan faktor seperti kesejahteraan, keharmonian, persefahaman, perkongsian dan sebagainya dalam mendorong anggota masyarakat saling memahami, bekerjasama dan berkompromi demi mempertahankan kepentingan dalam merealisasikan masyarakat yang Maju, Berkat dan Sejahtera. Segala usaha yang perlu diambil untuk memperkuatkan sistem sokongan sosial yang sedia wujud ini iaitu sistem keluarga, komuniti, agama, pendidikan dan organisasi sosial.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, mohon sedikit masa untuk tambahan. Pembangunan modal insan perlulah menjadi salah satu agenda utama negeri untuk membentuk individu berketerampilan berkualiti dalam melahirkan masyarakat yang Maju, Berkat dan Sejahtera. Misi modal insan ini dijalankan adalah untuk membangunkan insan yang berpengetahuan, berkemahiran, inovatif, memiliki nilai jati diri, beretika, mempunyai pendidikan, interaktif dan juga mempunyai pekerjaan yang sewajarnya. Pembangunan modal insan bukan sahaja penting kepada pertumbuhan individu malah ia juga penting untuk pertumbuhan masyarakat dan memberi kesan besar pertumbuhan ekonomi negara.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Kemasik bercadang untuk berucap sedikit berkenaan tempatan di Kemasik. Yang pertama, Masjid Jamek Kampung Baru, Kerteh yang telah sekian lama terbengkalai. Mohon agar
Kerajaan Negeri Terengganu dapat memberi keutamaan dalam menyiapkan pembangunan masjid tersebut. Dimaklumkan peruntukan tambahan diperlukan daripada negeri dalam usaha menyiapkan. Sudah masuk penggal kedua pada pemerintahan baru projek ini dimulakan dulu lagi dan kerja-kerja setakat ini di lokasi tak ada apa-apa kerja dan kita lihat banyak barang-barang yang berkenaan telah dicuri dan sebagainya. Yang kedua, membangunkan dan menaik taraf tempat-tempat pelancongan alam semulajadi khususnya berkaitan sukan dan rekreasi di Pantai Kuala Kerteh dan Pantai Kemasik. Termasuk dalam perancangan Kerajaan Negeri untuk pembangunan Taman RV (Recreation Vehicle) di Pantai Telekom, Kemasik dan tidak ketinggalan Pusat Rekreasi Air Terjun Menderu, Kampung Chabang yang perlu kita diperkasakan dan ditambahbaik. Seterusnya, yang ketiga membantu membina keperluan asas untuk kawasan-kawasan RTB baharu yang telah diserahkan gerannya kepada rakyat bagi membolehkan rakyat membina kediaman masing-masing. Keempat, Kemasik mohon untuk diberi perhatian untuk penyediaan kawasan industri PMKS dengan pembinaan bengkel dan perkedaian baharu kepada para usahawan PMKS di Kemasik termasuk juga dalam pembinaan Pusat Satelit Yayasan Pembangunan Usahawan Selatan. Kita maklum berkenaan dengan kekangan kewangan. Kita sudah terima surat daripada YB EXCO berkenaan namun kita berharap kesan berganda akan dapat diperolehi dengan adanya Pusat Satelit Yayasan Pembangunan Usahawan Selatan ini dan yang terakhir Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Kemasik mohon untuk dilihat Pusat Hemodialisis di Bandar Baru Kerteh supaya ia disegerakan walaupun sudah hampir setahun ia dibangunkan tetapi masih lagi belum dapat beroperasi. Orang Kemasik, orang Kerteh terpaksa sama ada pergi ke Chukai ataupun pergi ke Dungun yang jaraknya hampir 40 km satu hala yang sudah pasti membebankan rakyat keseluruhannya.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Kemasik merafak dan menjunjung kasih dengan Titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin. Kemasik mohon menyokong.
Terima kasih Wakil Kemasik. Ada mana-mana Wakil yang mahu meneruskan perbahasan. Silakan. Sila berdiri. Wakil Hulu Besut. 10 minit ye. Saya boleh bagi lebih sikit tetapi janganlah sampai 5 minit 10 minit plok.
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat-Yang Berhormat ADUN, Ketua-ketua Jabatan serta para pemerhati dan media yang saya hormati sekalian. Hulu Besut ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Dewan kerana memberi ruang untuk turut serta membahas Titah Ucapan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu.
Yang pertama, isu yang sedang hangat diperkatakan pada hari ini berkenaan dengan pendapatan iaitu pendapatan negeri berkenaan dengan royalti. Saya awal-awal ini hendak memohon kepada Ketua Jabatan Kerajaan Persekutuan terpaksa kena dengar dan kalau boleh sampaikanlah ucapan saya ini kepada pihak yang berkenaan.
Sebagaimana kita sedia maklum bahawa hasil perjanjian antara PETRONAS dan Kerajaan Negeri pada 22 Mac 1975, Kerajaan Negeri Terengganu menerima hasil dari petroleum sebanyak 5%. Namun begitu, adakalanya ia dikenali dengan bayaran Wang Ehsan. Kalau seingat saya pada tahun 1999, wang ehsan kerana desakan UMNO pada ketika itu supaya tidak diberi kepada Kerajaan PAS. Dalam keadaan biasa, wang ini dibayar terus kepada akaun Kerajaan Negeri Terengganu tanpa sebarang masalah. Dengan wang itu Kerajaan akan menyusun atur pelbagai projek bantuan rakyat, pendidikan, sosial ekonomi dan sebagainya. Pelbagai lapisan masyarakat serta mendapat nikmat hasil royalti ini. Kita bersyukur pada Allah atas limpahan rezeki yang melimpah ruah ini. Namun begitu, kita sangat kesal dengan sikap Kerajaan yang dikenali dengan Kerajaan MADANI hari ini kerana telah merampas hak rakyat Negeri Terengganu. Bayaran yang dibuat oleh Kerajaan MADANI sejak memerintah tidak mengikut perjanjian yang kita ketahui adalah perjanjian PETRONAS dengan Kerajaan Negeri tidak dibayar secara terus. Bayaran yang dibuat bukan sahaja tidak tepat tapi dilengah-lengahkan bagi memberi tekanan serta mewujudkan imej buruk terhadap Kerajaan Negeri. Bagi saya tindakan ini sengaja dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan biarpun berjutaan alasan yang
diberikan. Dalam situasi ini saya berpandangan Kerajaan MADANI akan terus memberi tekanan kepada Kerajaan Negeri Terengganu dalam soal pembayaran ini di tahun-tahun yang mendatang selagi Kerajaan PAS atau Perikatan NASIONAL memerintah Terengganu maka terus tidak menepati janji mereka, melengah-lengahkan bayaran untuk menekan Kerajaan yang dipilih oleh rakyat. Situasi yang sama berlaku pada tahun yang saya sebut tadi iaitu tahun 1999 sehingga 2004, apabila PAS memerintah Terengganu jika ditanya mereka pasti akan berhelah dengan terus menipu dengan alasan wang tersebut terus disalurkan kepada rakyat tanpa melalui Kerajaan Negeri inilah jawapan bebal yang akan terus bermain di bibir munafik politik ini. Dalam keadaan yang sukar ini, Kerajaan Negeri juga harus mempunyai plan atau Rancangan bagi menjana sumber kewangan negeri. Kerajaan Negeri sudah tidak boleh mengharapkan sepenuhnya kepada kerajaan yang menipu ini. Sumber-sumber lain yang digemblengkan bagi menjana pendapatan baharu saya ucap tahniah buat Kerajaan Negeri dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur yang berjaya merealisasikan pelaburan berjumlah RM2.4 billion ke Terengganu, saya juga ingin bertanya kepada Kerajaan Negeri “Apakah Perancangan..
Yang Berhormat saya mohon penjelasan sikit
Pencelahan tu boleh ke dok? Wakil Hulu Besut. Boleh Hulu Besut?
Isu royalti
Wakil Hulu Besut bagi dok tu?
Bagi.
Sila Permaisuri
Saya dengar ucapan tadi katanya wang itu, disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan, Yang Berhormat Hulu Besut juga menyebut tentang royalti dibayar oleh PETRONAS daripada tahun 1975. Adakah betul ke kalau perjanjian itu kena bayar daripada PETRONAS 5% kepada Kerajaan Negeri Terengganu tetapi kenapa hari ini
Kerajaan Persekutuan yang ambil wang itu, kononnya bayar, sekali tak bayar dan hari tak bayar kepada Kerajaan Terengganu. Mana satu yang betul?
Hok tu kena tanya bahagian Undang-Undang. Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, saya nak meneruskan ucapan saya berkenaan pendidikan. Pendidikan adalah segmen yang sangat penting terhadap pembangunan Negeri. Negeri Terengganu terus mencatat kecemerlangan dalam SPM 2022 dengan merekod gred purata negeri 4.59 mengatasi gred purata nasional iaitu 4.74. Saya ucapkan jutaan tahniah buat Jabatan Pendidikan Negeri, seluruh guru-guru yang membanting keringat mendidik anak bangsa menuju kecemerlangan duniawi dan ukhrawi. Kebanyakan pelajar yang menamatkan pengajian di menara gading sudah pasti akan mempunyai hutang, yang kebanyakannya mempunyai hutang dengan PTPTN. Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini, saya ingin menyarankan kepada pihak Kerajaan Negeri apabila keadaan kewangan negeri mengizinkan nanti saya mencadangkan Kerajaan Negeri dapat menanggung sekurang-kurangnya 50% tolong bayar hutang PTPTN kepada pelajar yang berada di dalam Negeri Terengganu.
Pelajar yang ada dalam Negeri Terengganu ke pelajar rakyat Terengganu?
Pelajar Terengganu. Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, saya tertarik apa yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Sarawak, yang baru-baru ini, bukan banyak pong ork RM100 juta tu sikit jer tolong bayar. Kerajaan Sarawak telah membelanjakan RM90.42 juta hutang PTPTN di kalangan anak-anak Sarawak. Ini akan mengurangkan sedikit beban hutang di kalangan pelajar. Nak harapkan janji Kerajaan MADANI, hapus PTPTN sebagainya janji hanya bohong semata-mata. Saya juga ingin menyarankan kepada Kerajaan Negeri supaya menaiktarafkan diploma tahfiz quran di Kolej Al-Quran Terengganu, di samping mahir dalam bidang Al-quran pelajar-pelajar harus didedahkan dengan ilmu semasa seperti TVET. Adalah lebih baik jika tamat pengajian nanti pelajar ini mempunyai dua diploma serentak iaitu Diploma Tahfiz serta Diploma TVET. Ini akan memudahkan lagi mereka untuk mendapat pekerjaan. Dalam hal ini KQT boleh menjalinkan kerjasama dengan Kolej TESDEC.
Berkaitan dengan pendidikan ini juga, saya juga mendapat maklum bahawa wakil-wakil dari Kerajaan Negeri tidak dibenarkan untuk masuk ke sekolah-sekolah pada hari ini. Ini terjadi pong sebenarnya. Untuk pengetahuan, Yang Berhormat-Yang Berhormat bukan pong nok masuk kempen politik pong ke sekolah malah yang profesional untuk dijadikan sebagai role model masuk bagi motivasi kepada pelajar-pelajar untuk anak-anak didik di tempat ataupun di kawasan kita masing-masing dan sekiranya kerajaan ataupun Kementerian KPN berjiwa besar bagilah tak payah ada sekatan untuk wakil-wakil rakyat tempatan untuk memasuki sekolah-sekolah di tempat masing-masing.
Panjang lagi ke YB.
Ada sikit lagi
Teruskan.
Pada hari ini, saya juga mencadangkan agar Pihak GLC Kerajaan Negeri Terengganu menyediakan dana yang sesuai bagi membantu anak-anak cemerlang seperti pemberian hadiah kecemerlangan dan tajaan biasiswa yang lebih banyak untuk anak-anak Terengganu yang cemerlang, terutamanya anak-anak di bawah golongan B40.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, masalah sosial saya nak sentuh juga saya nak sentuh masalah sosial dadah terutamanya adalah merupakan musuh utama negara mengikut data Agensi Dadah Kebangsaan Terengganu nisbah penagih di Terengganu adalah 900 orang bagi setiap 100,000 penduduk, data ini menunjukkan trend penyalahgunaan dadah di negeri kita agak membimbangkan. Data menunjukkan antara Januari hingga Jun 2022, Besut mencatatkan seramai 1,826 orang penagih, manakala jumlah keseluruhan di Terengganu dalam waktu yang sama ialah 11,571 orang. Keadaan ini mesti dikawal dengan bersungguh-sungguh antara AADK, Polis, RELA serta masyarakat setempat sebelum ia menjadi lebih parah. Saya berpandangan Negeri Terengganu mungkin lebih terdedah dengan penyalahgunaan dadah ini kerana berada hampir dengan sempadan Thailand. Di samping itu, Terengganu menjadi transit untuk memudahkan bekalan dadah ini disalurkan ke tempat negeri kita. Kawalan sempadan Besut dan Kelantan mesti diperketatkan,
intergiti pegawai dan anggota penguatkuasaan juga mesti dipertingkatkan, beri perhatian serius bagi menghalang bekalan mudah sampai ke Terengganu. Dalam hal ini saya juga ingin bertanya kepada pihak berwajib adakah bekalan dadah ini mudah didapati melalui secara atas talian ataupun secara fizikal.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua sikit lagi, dua perkara lagi saya nak sebut berkenaan dengan pertanian. Pertanian dan pelancongan saya mintak Yang Berhormat EXCO bagi perhatian. Pertanian adalah merupakan satu perniagaan. Terengganu melancarkan Pelan Strategik Pertanian 2019-2023 PSPT bagi meningkatkan daya saing serta pengeluaran pertanian negeri. Sebagai orang baru dalam Dewan yang mulia ini, saya tidak pasti sama ada pelan ini berjaya direalisasi atau tidak? Saya ingin mencadangkan dalam suasana hari ini Kerajaan Negeri perlu memberi keutamaan kepada pengeluaran padi. Penduduk di negeri ini mendapat bekalan padi yang secukupnya serta murah harganya. Jika dilihat pada data tahun 2020, jumlah keluasan menanam padi di Negeri Terengganu sekitar 18,000 hektar memang cabaran untuk merealisasikan adalah cukup mencabar namun saya percaya sektor pertanian di bawah portfolio YB Jabi boleh ditingkatkan lagi. Selain itu, Kerajaan Negeri boleh memikirkan insentif kepada para petani seperti pesawah yang menanam padi selama ini Kerajaan banyak insentif kepada pekebun getah dan nelayan sahaja. Saya mencadangkan agar Kerajaan juga boleh memberikan insentif kepada para pesawah di Negeri Terengganu. Saya juga ingin menarik perhatian Yang Berhormat Jabi, ada rakyat saya mengadu hantar surat kepada Jabatan Pertanian tidak dilayan, berbulan-bulan, jadi saya terpaksa sebut, pasal takdi baru dia telefon ke saya. Saya mintalah yang berkenaan untuk buat jawapan kepada surat rakyat saya hantar dan dalam hal ini agensi Kerajaan seperti Jabatan Pertanian, Lembaga Pertubuhan Peladang, Jabatan Veterinar dan lain-lain perlu serius dalam membantu para petani bukan mengambil sambil lewa dan meningkatkan pendapatan pengeluaran kualiti hasil pertanian yang mencapai standard tertentu bagi kegunaan tempatan serta untuk dieksport ke luar negara. Para petani ini mesti dibimbing sehingga mereka berjaya menjadi seorang petani berdaya saing.
Pada masa yang sama, pihak berwajib boleh memikirkan industri tanam padi bersama dengan sektor pelancongan, YB EXCO Pelancongan, agensi berkaitan bolehlah laksanakan program “mari kita gi baroh”. Ambil sebahagian budaya orang dulu-dulu menanam padi untuk dipertontonkan kepada generasi kini. Ini merupakan tarikan industri pelancongan kepada Negeri Terengganu.
Hakikatnya, industri ini harus dilaksanakan secara bersungguh-sungguh bagi memastikan Terengganu boleh menjadi pembekal utama beras negara.
Akhir sekali Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, untuk makluman semua di DUN sayalah terutamanya di Hulu Besut dan Parlimen Besut, terdapat rakyat saya kira rakyatlah sebab dia berada dalam kawasan saya yang masih tidak mempunyai surat beranak, sijil kelahiran takdok dan kad pengenalan pun tiada. Hal ini disebabkan oleh mereka kerana masalah perkahwinan ibu bapa mereka yang berlainan negara. Contohnya, ibu adalah rakyat Thailand manakala bapa adalah rakyat Malaysia ataupun sebaliknya. Apabila berlaku kelahiran, ada di kalangan mereka tidak mendaftarkan perkahwinan dan yang menjadi mangsa adalah anak-anak mereka. Tidak mendaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Negara, kebanyakan mereka yang tidak mendaftar ini adalah terdiri dari keluarga yang miskin dan susah. Apabila anak-anak ini tidak mempunyai identiti diri, masa depan mereka gelap untuk menjalani kehidupan harian. Banyak perkara yang tidak boleh dilakukan oleh mereka ini akibat tidak mempunyai identiti diri yang sah. Dalam hal ini, saya mencadangkan pihak berwajib seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Mahkamah Syariah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu mengambil tindakan sewajarnya bagi membantu menyelesaikan masalah ini. Akhir kalam, sebelum mengakhiri pembahasan ini saya juga ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar kerana berjaya mengharungi cabaran sebagai nakhoda kapal yang besar ini. Yakinlah, nakhoda tidak bergerak sendirian, kami akan terus menyokong perjuangan memartabatkan Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera. Terima kasih juga buat seluruh kakitangan awam Negeri Terengganu dan Persekutuan yang terus bekerja keras membantu merealisasikan impian rakyat Terengganu yang tercinta. Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Hulu Besut mohon menyokong, terima kasih.
Terima kasih Wakil Hulu Besut. Panjang ambil masa ni tapi dia koho kediang koho panas ni jadi saya nak stop payah sikit. Walau bagaimanapun, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian memandangkan ramai yang dah kuyu, saya dengan ini menangguhkan seketika Persidangan Dewan ini untuk rehat dan insya-Allah kita akan sambung semula pada jam 4.00 petang.
MESYUARAT DITANGGUHKAN PADA PUKUL 3.32 PETANG
PUKUL 4.00 PETANG
Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan dan Wakil-wakil seterusnya para pemerhati sekalian. Mesyuarat disambung semula. Maka dengan ini saya mempersilakan Wakil yang seterusnya untuk membahas Titah Ucapan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Silakan, Wakil… ya.
Saya mulakan ucapan ini dengan firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala
Yang bermaksud; “Maka berkat rahmat Allah Subhanahu Wa Ta’ala engkau wahai Nabi Muhammad berlakulah lembut terhadap mereka seandainya engkau bersikap keras dan berhati kasar tentulah mereka akan menjauhkan diri dari sekitarnya. Oleh kerana itu, memaafkanlah mereka memohonkanlah keampunan untuk mereka dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam segala urusan penting. Kemudian apabila engkau telah membulatkan tekad bertawakallah kepada Allah sesungguhnya Allah Subhanahu Wa Ta'ala mencintai orang-orang yang bertawakal”
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, rakan-rakan Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan dan pemerhati sekalian. Pertama sekali saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua kerana memberi ruang dan peluang kepada saya untuk turut sama dalam sesi perbahasan menjunjung kasih Titah Ucapan Tuanku Sultan. Titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia berkaitan beberapa pendekatan strategik secara komprehensif yang perlu digerakkan melalui pemerkasaan jaringan kerjasama engagement dengan izin bersama Kerajaan Persekutuan. Umum telah mengetahui situasi yang Kerajaan Negeri alami ketika ini sangatlah menekankan namun usaha yang baik-baik yang tidak pernah jemu sentiasa dihulurkan oleh Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Persekutuan. Rentetan daripada penafian hak yang dibuat oleh Persekutuan ini telah menjadi halangan kepada pembangunan rakyat di negeri ini. Oleh yang demikian, Rantau Abang mencadangkan 5 pendekatan yang dapat diambil.
1. Analisis keperluan dan kepentingan Bersama. Penting untuk melakukan analisis keperluan dan kepentingan bersama antara pihak Kerajaan Persekutuan dan Negeri. Ini melibatkan pemahaman yang mendalam tentang matlamat masing-masing pihak dan bagaimana kerjasama ini dapat memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat.
2. Pengukuhan institusi dan sumber manusia.
Penting untuk mengukuhkan institusi dan sumber manusia yang terlibat dalam kerjasama tersebut. Ini mungkin melibatkan peningkatan kemampuan, pelatihan dan peralatan bagi pihak-pihak yang terlibat agar mereka dapat beroperasi dengan lebih efisen dan efektif.
3. Pengembangan mekanisma komunikasi dan koordinasi. Diperlukan mekanisma komunikasi dan kordinasi yang efektif antara semua pihak yang terlibat. Ini termasuk pembentukan jawatankuasa, forum atau pertemuan berkala untuk berkomunikasi, berkordinasi dan memantau kemajuan kerjasama.
4. Pembentukan hubungan yang berkesinambungan. Kerjasama yang berkesinambungan memerlukan pembentukan hubungan yang kuat antara Kerajaan Persekutuan dan pihak lain. Ini termasuk membangun
hubungan saling percaya, menghormati dan mematuhi perjanjian yang telah disepakati.
5. Penilaian dan pemantauan berterusan. Penting untuk melakukan penilaian dan pemantauan berterusan terhadap kerjasama yang dilaksanakan. Ini membolehkan pihak-pihak yang terlibat mengenal pasti pencapaian, kejayaan dan isu-isu yang perlu diselesaikan serta membuat penyesuaian yang diperlukan bagi meningkatkan keberkesanan kerjasama. Dengan mengambil kaedah pendekatan ini, pemerkasaan jalinan kerjasama bersama Kerajaan Persekutuan dan Negeri dapat dilakukan secara lebih efektif dan berkesan.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, penjanaan pendapatan baharu juga memerlukan kepada pelan strategik yang teliti dan terancang dengan baik. Antara pelan strategik untuk menghasilkan pendapatan baharu
1. Kepelbagaian produk atau perkhidmatan mengembangkan pelan untuk kepelbagaian produk atau perkhidmatan yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri ianya boleh termasuk pengenalan produk atau perkhidmatan baharu yang memenuhi keperluan atau permintaan baharu dalam pasaran.
2. Peningkatan kualiti atau fungsi meningkatkan kualiti atau fungsi barangan atau perkhidmatan yang sedia ada bagi meningkatkan daya tarikan dan nilai jualannya. Ini mungkin melibatkan…
Tiga minit lagi ye…
Baik. Ini mungkin melibatkan penyelidikan dan pembangunan untuk memperbaiki ciri-ciri atau prestasi produk atau perkhidmatan yang sedia ada.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, memandangkan masa semakin singkat, saya terus berpindah kepada isu-isu yang berlaku di DUN Rantau Abang…
Sila..
Antaranya perkara yang sama sebagaimana yang dilontarkan oleh Wakil Kemasik sebentar tadi berkaitan dengan Rancangan Tanah Berkelompok. Antara fokus yang diberi penekanan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar di dalam Pembentangan Bajet tahun 2024 ialah menyejahterakan kehidupan rakyat. Semenjak kemenangan pada tahun 2018 sehingga kini, Rantau Abang telah membuka sebanyak 15 Rancangan Tanah Berkelompok dan 14 daripadanya telah diagihkan kepada rakyat di DUN ini.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, kini datang pula cabaran baharu buat Rantau Abang apabila tanah-tanah yang diagihkan ini tidak dapat didiami oleh peserta. Faktor utamanya ialah faktor geografi tanah yang berada di kawasan paya, berbukit, terdedah kepada banjir dan tiada jalan perhubungan untuk ke tapak rumah. Kekangan ini membuatkan para peserta merasa sedih hati untuk memiliki rumah sendiri di atas tapak tanah kurniaan Kerajaan ini. Rantau Abang memohon agar Kerajaan Negeri dapat membantu mencari jalan bagi menyalurkan peruntukan yang sewajarnya untuk Rancangan Tanah Berkelompok ini. Paling-paling tidak pun peserta mendapat jalan perhubungan ke tapak rumah mereka sebagaimana sebagai permulaan ini.
Kemudian yang kedua Rantau Abang ingin menyentuh soal masjid-masjid yang telah lanjut usianya. Antaranya ialah Masjid Kampung Tok Kah. Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, kayu Masjid Kampung Tok Kah telah ada yang mereput dan ada yang dimakan anai-anai. Rantau Abang merasakan ini adalah satu keperluan yang mendesak bagi memastikan keselamatan jemaah yang datang untuk beribadah terjamin. Kita juga melihat dari sudut perkembangan jumlah penduduk kariah masjid ini yang semakin hari semakin bertambah dari masa ke semasa.
Akhirnya, isu pelancongan Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua perkara yang ketiga yang ingin dibangkitkan ialah berkenaan usaha dan perancangan Kerajaan Negeri dalam memajukan industri pelancongan di Rantau Abang seperti di Pantai Rantau Abang, Pantai Batu Pelanduk dan Pantai Teluk Bidara seperti yang disebut di dalam Pembentangan Belanjawan 2024 yang lalu. Pada 20 Januari 2024 secara rasminya Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu telah melancarkan calendar of event dengan izin yang mengandungi 12 acara ikonik dan 62 acara pelancongan dan kebudayaan menjadikan 74 cara kesemuanya yang meliputi seluruh segmentasi pelancongan dan akan diadakan di seluruh
Daerah Negeri Terengganu. Rantau Abang ingin menyatakan bahawasanya dalam banyak aktiviti program yang dilancarkan hanya satu sahaja program yang dibuat di DUN Rantau Abang. Rantau Abang memohon supaya dipelbagaikan aktivitii di DUN ini. Sekian sahaja yang dapat saya kongsikan bersama Dewan Yang Mulia ini. Dengan ini Rantau Abang menyokong penuh Titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan.
Terima kasih Wakil Rantau Abang yang telah memenuhi menepati masa yang ditentukan dengan lebih seminit. Saya harap pembahas-pembahas selepas ini pun akan mengambil masa yang ditetapkan dan tidak mengambil lebih masa yang banyak kerana kita hanya ada petang ini dan esok sahaja untuk perbahasan seterusnya akan digulung oleh Pihak Kerajaan. Lusa kita ada Usul. Jadi saya minta pada Wakil yang seterusnya untuk berucap. Dipersilakan Air Putih. Silakan.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat-Yang Berhormat, ketua-ketua Jabatan, seluruh pemerhati yang berada di dalam Dewan Yang Mulia ini dan yang mengikuti secara langsung persidangan ini. Kesempatan ini diambil melahirkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana dengan izin dan inayahnya kita bersama-sama di Dewan Yang Mulia ini bagi menyampaikan Ucapan Menjunjung Kasih ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al Sultan yang telah sudi untuk mencemar duli bagi menyampaikan Titah sempena Perasmian Persidangan Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri kali yang Kelima Belas.
Menjunjung kasih ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al Sultan, keprihatinan dan kecaknaan dalam Titah Perasmian Tuanku, menggambarkan perlunya kerja kuat dan merupakan cabaran kepada patik yang baru ini. Terkesan lagi apabila detik 1:06:52 dalam Titah Tuanku menyebut Bukit Mentok di Kemaman sebagai salah satu produk pelancongan alam semulajadi bagi menarik lebih ramai pelancong ke Terengganu. Bukit Mentok yang berada di dalam DUN Air Putih merupakan kampung yang mempunyai tanjung, anak sungai dan bukit, terkenal dengan udang galah gred A kerana ianya bermusim.
Terkenal dengan aktiviti yang ramai tidak tahu iaitu menangkap udang dengan cara menggagau tangkap dengan tangan dan dimaklumkan EXCO Pelancongan ada ingin menganjurkan pertandingan menggagau udang dan insya-Allah kita menjemput semua Yang Berhormat untuk hadir bagi bersama-sama menjayakannya insya-Allah. Untuk makluman semua Air Putih masih lagi banyak tempat yang boleh diperkasakan bagi Pembangunan pelancongan. Kita ada Jeram, kita ada Tasik Biru, kita ada kolam air panas dan terbaru kita dimaklumkan ada air terjun di kaki Bukit Kambing iaitu Air Terjun Panchor. Kita ada sungai yang boleh dilakukan aktiviti pelancongan air. Namun begitu semua ini memerlukan kesungguhan dan sokongan serta tunjuk ajar daripada semua pihak, Kerajaan khususnya Jabatan Pelancongan untuk bagaimana komuniti setempat berdaya saing dan memiliki kesedaran bahawa aktiviti pelancongan ini boleh memberi impak ekonomi kepada mereka sama ada sumber ekonomi sampingan ataupun tetap.
Kedua, dalam Titah Tuanku mengenai NR-REE yang mana di DUN Air Putih juga terlibat. Air Putih mengharapkan NR-REE yang dimiliki di DUN Air Putih ini boleh memberi laba kepada penduduk Air Putih khasnya dari segi peluang pekerjaan dan diharapkan sedikit dapat dimanfaatkan untuk membantu kami di DUN Air Putih. Terima kasih Tuanku, patik menjunjung kasih.
Yang Berhormat Yang di-Pertua, di kesempatan ini juga saya mengambil peluang untuk mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang telah menang dengan cemerlang dan gemilang dalam PRK P.040 baru-baru ini. Berganda amanah yang dipikul diharapkan dapat membawa dan mengetengahkan isu dan bebanan Terengganu ke peringkat Persekutuan dengan lebih jelas dan mantap lagi. Namun begitu Yang Amat Berhormat jangan lupa Air Putih yang tiada pantai menyisir angin, menderu ombak boleh bermanja dan berlari-larian. Air Putih penuh dengan rok kelip legam tubuh badan, jekenik melata menduga, haus. Air Putih makan puyu sepat keli, tak dok ayam A&W, KFC. Air Putih tak dok tempat cakar langit, tak dok tempat beriang ria asyik menumpang jiran tetangga. Haus dahaga yang masih belum hilang.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Terengganu Maju Berkat dan Sejahtera. Merealisasikan hasrat ini, Air putih tidak ingin sekadar menumpang, tidak harus terus dibiar ketinggalan, Air Putih yang luas mata memandang, hujung ke hujung memakan masa melebihi penghuninya 68,083 orang dengan jumlah keluarga yang berdaftar melalui PRT 20 seramai 17, 500 keluarga, 41
JPKK campur satu JPKK orang asal yang dalam proses, dengan 12 JPKK yang lemah dan malah sebahagian dia tiada langsung liputan komunikasi baik MAXIS, CELCOM, DIGI, U-MOBILE, UNIFI. Majukah nanti mereka? Sejauh mana, dengan perkataan maju dalam ertikata lain mara atau melangkah ke depan. Apakah langkah awal dan langkah mara yang telah dipersiapkan Kerajaan untuk merealisasikannya. „Berkat’ erti kata lain rahmat atau restu yang terhasrat sudah tentu memerlukan kefahaman yang jelas. Berkat kehidupan, berkat kerja buat. Sejauh mana ikhtiar dan usaha Kerajaan memberi kefahaman kepada semua pihak sama ada kakitangan Kerajaan yang mengurus atau rakyat atas konsep berkat ini. Sudah tentu kefahaman agama mesti diutamakan. Apakah usaha-usaha itu? Lanjutan daripada itu, maka wujudnya istilah sejahtera, redha dengan apa yang ada. Susah senang kita bersama. Pengisian keseiringan inilah yang perlu dititik beratkan agar kemerjadian Terengganu Darul Iman.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Pelbagai bantuan dan pelbagai „i„ sudah tidak kedengaran kerana kekangan yang sedia maklum. Terkesan bukan sekadar penerima, yang lebih terkesan pengurus masyarakat seperti JPKK yang terpaksa menjawab pelbagai persoalan dan bebanan serta pelbagai keluhan lalu hal ini akan dibawa dan diajukan kepada YB-YB. Tidak lari, tidak nusuk tapi nak bawa bebanan yang dirasai ini tentunya dirasai juga oleh pihak Negeri.
Persoalannya sejauh manakah pihak Kerajaan mengambil alternatif memberi kefahaman dan memberi penjelasan yang tidak memberi luka kepada rakyat serta memahami suasana dengan keadaan Negeri. Dalam tika yang sama pihak di sana menabur, mengumpan, rakyat dengan pelbagai hiasan. Apakah kata-kata, wi gula kacau, wi kain pakai akan tersuara kembali? Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, kekangan „i„ yang kita hadapi pastinya memerlukan kebijaksanaan dan kecerdikan menanganinya, alhamdulillah penggal lepas kita berbangga dengan pemberian tanah kepada rakyat. RTB demi RTB dilaksanakan. Isunya di sini, kita dihujani dengan pertanyaan, kita diharu dengan permintaan agar prasarana RTB ditangani dan disediakan dalam suasana kita menghadapi kekangan kewangan. Apakah jalan penyelesaian yang ada. Ada yang sudah ada geran tapi masih belum boleh menjejak kaki di tanah tersebut. Hilang punca, kesan sampingan yang ada ini ialah mereka mula dihasut dan diberi tanggapan yang negatif mengenai pemilikan tanah RTB ini. Kita harus menangani isu ini dengan berhemah agar ketidakpuasan hati penerimanya tidak merebak.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, untuk Penggal ini selain dari menangani isu pemilikan tanah, peratus rakyat memerlukan rumah amat tinggi. Selain tanah, pemilikan rumah kehendaknya melebihi. Rakyat generasi baru dengan kos sara hidup yang tinggi memerlukan rumah apabila mereka berkeluarga. Rumah mampu milik mesti digandakan usahanya. Kerajaan perlu mencari jalan penyelesaian. Isunya di sini kita kekurangan tanah atau untuk perumahan atau kita kekurangan kewangan untuk meneruskannya. Tanah-tanah yang kosong yang luas…
Tiga minit lagi ya Wakil Air Putih…
Ya, tanah-tanah kosong yang luas kebanyakannya telah diisi dengan RTB-RTB, maka yang berbaki keluasannya tidak memenuhi syarat pembinaan sekurang-kurangnya lima ekar. Air Putih memohon Kerajaan melihat dan mengkaji dasar yang terbaik agar pembinaan perumahan mampu milik dapat digandakan.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, tujuan LPT2 dibangunkan di kawasan pedalaman negeri ialah agar kawasan di jajaran tersebut dapat dimajukan dengan projek ekonomi setempat di samping meningkatkan sumber pendapatan penduduk. Namun begitu, selain R&R, didapati tiada pembangunan atau aktiviti ekonomi baru selepas jalan susur keluar/Exit dengan izin. Pengguna lebuhraya pula berfikir panjang untuk singgah bagi mendapatkan kemudahan, bekalan, perkhidmatan di bandar-bandar persisir pantai seperti Chukai, Kemaman, bandar Dungun dan Marang kerana agak jauh dari susur keluar/Exit tersebut. Mereka terpaksa mengambil masa antara 15 hingga 25 minit bagi sesetengah tempat dan mengambil masa yang sama untuk kembali masuk ke LPT. Maka dicadangkan, Kerajaan Negeri wajar memikirkan cara yang efektif bagi memajukan kawasan atau pekan kecil sekitar susur keluar-susur keluar di sepanjang LPT2 tersebut. Antaranya, Kerajaan Negeri boleh menyediakan satu tapak atau pusat aktiviti ekonomi, kemudahan dan perkhidmatan atau lebih dinamakan sebagai Exitlike yang mengandungi klinik, kedai makanan, gerai buah-buahan dan produk pelancongan, bengkel kereta motor, surau, stesen minyak dan rumah rehat yang menyediakan penginapan murah atau tempat membersihkan diri. Tapak itu hendaklah antara 1-3 km dari pondok tol keluar di mana pengguna LPT cuma perlu mengambil masa singkat untuk singgah di Exitlike. Papan tanda di setiap Exitlike hendaklah disediakan
untuk menarik pengguna LPT2 singgah bagi keperluan tertentu. Dengan cara ini, pengguna akan lebih teruja dan mudah untuk singgah di pekan-pekan sekitar sebelum meneruskan perjalanan masing-masing. Ini dengan sendiri dapat membantu tujuan asal Kerajaan untuk memajukan ekonomi penduduk setempat dan memesatkan lagi pembangunan di kawasan pendalaman negeri.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, menjadi satu isu dan pemasalahan bagi rakyat Terengganu yang bersempadan dengan negeri lain, khususnya Kemaman dan Besut. Ada tikanya jika berlaku kecemasan bagi kelahiran baru, ibu-ibu ini dirujuk ke hospital di negeri jiran seperti Kemaman ke Pahang di Hospital Kuantan, manakala Besut Ke Kelantan. Isunya di sini ibu dan ayah adalah orang Terengganu tetapi apabila anak mereka lahir di negeri jiran maka pendaftaran anak mereka akan mengikut negeri di mana yang mereka lahir. Mungkin sehari, mungkin seminggu mereka tinggal selepas itu mereka dibesarkan di negeri asal ibu bapa mereka. Keadaan ini menyebabkan mereka ternafi hak mereka sebagai rakyat Terengganu dan memerlukan proses permohonan bagi menyatakan kerakyatan mereka. Apa yang berlaku sehingga kini proses untuk mendapat kerakyatan Terengganu mengambil masa antara 2 hingga 3 tahun. Setelah mengisi borang permohonan, pemohon terpaksa menunggu lebih kurang setahun untuk dipanggil temuduga. Selepas ditemuduga, pemohon terpaksa menunggu pula untuk satu tempoh yang agak panjang. Ini akan membebankan dan kadang-kadang pemohon itu sudah berusia memperolehi kelulusan kerakyatan. Maka perlu ada semakan dan KPI yang jelas dalam menangani isu ini.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Air Putih baru bertatih, namun azam ingin berlari seiring walaupun jalannya berbukit, melihat kesempurnaan geografi dan keindahan bumi Terengganu ini, sudah tentu menjadi daya penarik kepada perkembangan sektor pelancongan. Pemahaman bagaimana rakyat boleh menjana ekonomi melalui sektor pelancongan ini perlu diganda dan ditingkatkan lagi. Masih banyak rahsia dan peluang yang masih tersembunyi yang perlu digarap agar ianya bersinar dan rakyatnya akhirnya boleh berdiri dengan kaki sendiri dan mengurangkan kebergantungan kehidupan mereka. Penjanaan ekonomi harus dipesatkan.
Anak Harimau Di Dalam hutan, Merayau-rayau Di Tengahari, Jika Ingin Mencapai Kejayaan,
Harus Berpegang Kepada Janji.
Burung Pipit Terbang Melata, Hinggap Sebentar Di Dahan Yang Rapuh, Puncak Jaya Yang Ingin Dicipta, Segala Cabaran Harus Ditempuh.
Air Putih Tempat Nama Diberi, Indah Bumi Kehijauan Melata, Hasrat Kita Terpahat Termetri, Agar Indah Terbukti Bila Berkata.
Air Putih merafak dan menjunjung kasih dengan Titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin. Air Putih mohon menyokong.
Terima kasih Wakil Air Putih, saya minta seorang lagi pembahas untuk yang terakhir bagi sesi petang ini. Disilakan Wakil Bukit Besi.
Timbalan Yang di Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, rakan-rakan Yang Berhormat, Ketua-Ketua Jabatan, rakan-rakan media, barisan pemerhati yang dihormati Allah Subhanahu Wa Ta’ala sekalian.
Terima kasih ke atas peluang yang diberikan petang ini walaupun suasana agak mengantuk namun begitu akhir ini insya-Allah. Alhamdullilah segala puji bagi Allah Subhanahu Wa Ta’ala, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad dan ahli keluarga dan sahabat-sahabat, mudah-mudahan dalam persidangan Dewan yang penuh berkat ini sempena kemenangan Islam dalam Syawal, setelah kita menunaikan ibadat berpuasa di puasa bulan Ramadan. Bersyukur kita kepada Allah dengan izin dan kurnia-Nya, maka kita semua berada di Dewan yang indah ini bagi melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang telah dianugerahkan kepada kita sama ada sebagai Yang
Berhormat atau Pegawai-Pegawai Kerajaan yang mana masing-masing mempunyai tanggungjawab yang mesti dipikul dan dilaksanakan dengan penuh itqan dan sungguh-sungguh.
Sesungguhnya Allah Ta’ala kasih apabila seseorang daripada kamu melakukan sesuatu amalan hendaklah berbuat secara tekun.”
Hadis daripada Aisyah RA.
Islam menggalakkan untuk bersungguh-sungguh dalam setiap pekerjaan kerana bekerja adalah salah satu wasilah atau cara untuk mendapatkan rezeki.
Sidang Dewan yang saya kasihi sekalian, ucapan yang penuh takzim yang merafak sembah penghargaan dan junjung kasih Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu semalam banyak menyentuh berkenaan pertumbuhan ekonomi semasa, pertanian, NR-REE, pelaksanaan produk pelancongan semulajadi, serta pendidikan bagi rakyat di Negeri Terengganu. Dengan titah Tuanku ini dapat meningkatkan lagi kesungguhan dan keazaman kepada kita semua. Terus memberi khidmat dan berusaha demi bersungguh-sungguh demi mendaulatkan saranan, peranan dan nasihat serta panduan yang dititahkan oleh Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan. Semoga Allah Allah Subhanahu Wa Ta’ala mengurniakan kesejahteraan, kerahmatan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu agar memimpin Negeri Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera.
Sidang Dewan yang dikasihi sekalian, Bukit Besi merupakan kawasan yang kaya dengan sejarah penemuan bijih di awal tahun 1910 sehingga terbina laluan keretapi Dungun - Bukit Besi yang telah disiapkan di Stesen Che Lijah pada tahun 1930. Dan sebuah terowong yang dikenali sebagai Bukit Tebuk yang telah disiapkan pada tahun 1936. Ini adalah coretan sejarah yang tidak dapat dipadamkan dengan adanya penyelidikan artifak sejarah yang menjadi aset penting dalam industri pelancongan seperti stock pile, washing plant/tin plant, crushing plant dengan izin, tempat penyimpanan bahan letupan, dan sebahagian daripada kuarters masih tersergam indah sehingga ke hari ini walaupun ada mengalami kerosakan. Saranan Tuanku untuk memberi penekanan terhadap pemerkasaan produk pelancongan semulajadi adalah bertepatan dengan sejarah lama di kawasan perlombongan bijih besi khususnya
yang juga perlu dipulihara untuk generasi akan datang bagi mencapai kehadiran pelancong 4.6 juta pelancong di Terengganu pada 2024, insya-Allah.
Tidak ketinggalan kawasan rekreasi terutama dalam DUN Bukit Besi perlu diberi perhatian seperti Taman Eko Rimba Cemerung, Chengal Besor, Kawasan Rekreasi Lubuk Kain, Sungai Kelemin, Sungai Loh, Bumbung Raja, Sungai Cengal, Sungai Perlis dan banyak lagi taman rekreasi yang lain yang memberi peluang pekerjaan kepada sosio ekonomi kepada peniaga tempatan dan penjaja, insya-Allah.
Timbalan Yang di-Pertua, seterusnya industri pertanian di negeri ini amat penting kerana ianya adalah nadi utama bukan sahaja kerana ia dapat menjana pertumbuhan ekonomi malahan memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat dengan nilai tambah pada hasil pengeluaran pertanian. Tahniah diucapkan kepada Kerajaan Negeri kerana sentiasa memberi perhatian yang serius dalam sektor pertanian sehingga menghasilkan produktiviti yang baik. Antara kejayaan oleh Kerajaan Negeri dalam sektor pertanian, ialah menggubal pelan-pelan baharu hala tuju sektor pertanian negeri iaitu Pelan Strategik Negeri Terengganu 2019-2023. Namun begitu, sekarang kalau kita perhatikan di peringkat DUN Bukit Besi, banyak kedapatan sumber-sumber pertanian baru yang telah cuba diupgrade oleh petani-petani dengan mengadakan pertanian sawit, getah, padi dan juga sering dibangunkan sektor pertanian di DUN Bukit Besi sendiri. Namun begitu, halangan kita di peringkat DUN adalah musuh tanaman yang semua disebut oleh kawan-kawan dan rakan-rakan dari semua DUN melibatkan beruang, gajah, kera, monyet, rima dan macam-macam musuh tanaman yang menghantui petani-petani jugak di peringkat DUN Bukit Besi. Kami berharap supaya tindakan proaktif dan sokongan serta kerjasama oleh pihak yang berwajib daripada Jabatan Perhilitan, kerjasama Jabatan Pertanian bagi mengelakkan lebih banyak musuh tanaman dan menghilangkan mata pencarian kepada kami di peringkat DUN itu sendiri. Pada akhir tahun lepas 24.12.2023 dan pada 25 Januari 2024, Bukit Besi mengalami banjir besar yang banyak menyebabkan Kampung Pasir Raja dan Kampung Shukor mengalami kerosakan yang teruk. Direkodkan 84 rumah yang terpaksa dibaik pulih, 8 buah rumah yang kena bina baru kerana roboh dan ada yang beralih tempat dia. Namun begitu, saya duduk dekat DUN Bukit Besi mengucapkan terima kasih kepada semua YB-YB…
Tiga minit lagi ya Bukit Besi, tiga minit lagi…
Ucapan terima kasih kepada semua Yang Berhormat-Yang Berhormat yang turun ke lapangan selama hampir lebih seminggu. Khas kepada YB Chukai, lima hari ye duk situ, terima kasih. Terima kasih juga kepada agensi-agensi setempat yang melibatkan ATM, APM, Bomba, NGO-NGO yang banyak membantu bagi meringankan beban kami di peringkat rakyat, peringkat DUN Bukit Besi. Terima kasih juga kepada KETENGAH yang insya-Allah dalam proses untuk baikpulih rumah yang hampir 84 rumah, yang hampir roboh, cabut atap, cabut dinding, cabut pintu, cabut tingkap, cabut tangga akan boleh dari pihak KETENGAH, insya-Allah. Bukit Besi juga banyak dikelilingi oleh sumber mineral dengan bijih besi dan insya-Allah, perkara ini kita mencadangkan sejak dari dulu supaya mengadakan Institut Mineral untuk bagi mengkaji balik perlombongan yang ada dekat Bukit Besi dan sekaligus meng-upkan lagi bijih-bijih yang ada di situ dan insya-Allah bila adanya institusi dan diinstitusikan mende tu boleh kita ada nilai tambah pada bijih-bijih yang ada, yang terpendam dalam bumi Bukit Besi itu sendiri. Terakhir daripada saya, Bukit Besi terima kasih juga atas peruntukan sebanyak 78.9 juta kepada PBT untuk membiayai hampir 97 zon kawasan perkhidmatan pembersihan awam dan pelupusan sisa pepejal memastikan kawasan persekitaran kediaman, komersil institusi tempat awam sentiasa bersih dan diselenggarakan dengan baik. Alhamdulillah kami di Bukit Besi bukan di bawah PBT iaitu saya mencadangkan supaya Bukit Besi jugok dimasukkan dalam sebahagian daripada PBT sebagaimana yang ditulis dan direkodkan dalam Titah Ucapan semalam.
Akhir daripada saya serangkap pantun:
Bunga kemboja atas pusara, Wangi semerbak umpama seroja, Andai tersilap tutur bicara, Jari dipohon ampunan dipinta.
Bukit Besi mohon menyokong.
Terima kasih Bukit Besi, ada sapa nak berucap lagi ke atau kita tanguhkan persidangan. Yer Telemong, saya mintak Telemong ambik masa yang secukupnya lah 10 minit jangan lebih sebab
kita mesti berhenti sebelum pukul 5. Sila Telemong, yang ni saya anggap perbahasan terakhir untuk sesi pada petang ni.
Ke rumah Che Mat tengok Doraemon Tiba pulok giliran Telemong
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, yang saya hormati Ahli-Ahli EXCO Kerajaan Negeri, Ahli-Ahli Yang Berhormat, Ketua Jabatan, pegawai-pegawai kerajaan dan sidang pemerhati sekalian, alhamdulillah. Pertama syukur kita kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana pada hari ini kita telah berjaya hadir untuk hari kedua sidang Dewan Undangan Negeri pada tahun ini, dan kebetulan tahun ini tahun yang istimewa lah saya rasa sebab kita mengadakan sidang dewan ini pada bulan raya, alhamdulillah diharap ambil peluang lah YBC nak ucap selamat hari raya lah, selamat hari raya pada semua minta maaf kebetulan mungkin live ini saya minta maaf semua sekali yang dengar semua rakyat Tranung takut ada salah silap dok, termakan terminum ade-ade makan tu kita halal doh eh. Jadi saya ingin juga nak ucap tahniah lah kepada Yang Amat Berhormat mungkin belum terlambat lah nak ucap tahniah kepada Yang Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar di atas kejayaan memenangi Pilihan Raya Kecil di Kemaman P.040 hari itu dengan majoriti yang besar tambahan 10,000 tambah setahun dulu 27 setahun je tambah 10,000 tahun depan, kalu wak pilihan raya pulok tahun ni dak 10 ribu lagi tamboh jadi 40 ribu lebih, dia mapuh kerah gini ork dok nawang. Jadi saya juga ucap terima kasih kepada Yang di-Pertua minta masa lebih sikit lah, apa salahnya dok.
Cakap dulu, berucap dulu..
nok pantun dulu sikit eh
Telemong nok suruh pilihan raya pulok ke?
dok, bukan suruh pilihan raya maksudnya maknanya kehebatan Kerajaan kita hari ini setahun 10,000 ribu naik majoriti. Telemong 295 kekgi 2950 tamboh 10% insya-Allah. Nok pantun dululah ke YDP ni biar dia semangat sikit beri tambah masa sikit dok.
Awan berarak di waktu senja, Singgah hinggap di pokok ara, Timbalan YDP kita ni tampan orangnya, Baik tuturnya bila berbicara.
Boleh tambah dok?
Bahas dulu
Saya. Saya terima kasih kepada Timbalan Yang di-Pertua di atas peluang ini dan saya di sini ingin mengadakan perbahasan sebagai kata orang menyokong membahas Usul menyokong Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku semalam di atas Majlis Perasmian Sidang kita. Jadi Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua sudah diteliti ucapan tuanku semalam lah sudah diteliti tengok, apa yang dapat saya simpulkan kalau nak sebut banyak lah tentang berbagai-bagai ekonomi, berkaitan dengan pendidikan dan sebagainya. Nampaknya bagi saya lah Wakil Telemong ini merasakan bahawa kita sebagai sebuah Kerajaan kena melihat bahawa kita perlu melaksanakan pembangunan yang seimbang, seimbang dalam konteks untuk seluruh rakyat Terengganu kerana kita perlu berlaku adil dan saksama untuk memastikan kehidupan rakyat yang sejahtera dan harmoni, Titah Tuanku semalam. Jadi saya merasakan perkara ini bukan berlaku hari ini, yang terjadi hari ini mungkin bukan kerana berlaku tahun ini. Ini adalah lanjutan daripada tahun sebagaimana kita tahu kita merdeka tahun 57, yang mana sejak tahun 57 hingga sekarang hingga tahun 2018 Terengganu diperintah oleh Kerajaan UMNO. Jadi ini hasil daripada kebanyakan mereka yang lakukan, jadi apa yang saya nak simpulkan di sini adalah saya merasakan kita hari ini kena buat sesuatu formula yang mana saya berharap lah supaya Dewan Negeri Terengganu ini kita nak lihat banyak sikitlah sebab saya bagi wakil Hulu Terengganu sebab cakap hal lain ramai kawan kita sebut tadi hal
minyak, Petronasnya apa semua. Saya nak sebut hal daerah saya lah Hulu Terengganu khususnya di Telemong ini di mana kalau kita perhatikan di Hulu Terengganu dan Telemong khususnya agak jauh tertinggal berbanding dengan daerah lain, minta maaf cakap lah bukan saya saya nak iri hati orang lain atau apa sebab YB Kuala Berang sebut tadi air di Kuala Berang leleh je leleh. Saya buat tinjauan di beberapa daerah semua di Terengganu ni saya pergi ke Kemaman, ooo Kemaman hebat, hebat Kemaman tanya YBC hebat Kemaman, pembangunan yang rancak, gi ke Dungun, hebat Dungun, Dungun membangun, pergi ke Marang, Marang maju sekarang, pergi Kuala Terengganu ini, Kuala Terengganu ini lagi hebat bangunan tindan timpa bangunan, orang kampung kata tindan timpa bangunan ye dok, pergi ke Setiu eh baru gi Setiu kedian dari Kuala Terengganu kemudian, bongsu anak bongsu, sebeloh tu Kuala Nerus Kuala Nerus dok soh bace lah adik kepada Kuala Terengganu, adik, bukan anak bongsu, anak bongsu kita ni ialah di Setiu, pergi Besut, Besut macam Kelantan hebat, Kelantan napok gitu hebat Kelantan kapal terbang wape kali sehari terbang banding dengan Tranung, Besut ini lebih kurang adik Kelantan bukan adik la ipar Kelantan jadi hebat jadi kalau orang Hulu Terengganu ini Allah, saye cerita doh kan baru ini kan saya doh cerita kan Hulu Terengganu ni Telemong khususnya dok dengan keadaan gajah, rima yang disebutkan oleh Bukit Besi sakning, gajah, rima, rima yang baru ini baru tiga hari ini rima ngamuk di Kampung Kemat, dekat Kem Asas Por siapa pernah pergi lah Kem Asas Por ngamuk, ni belum dapat tangkap lagi PERHILITAN. Dulu kes gajah, cerita hal gajah ini letih lah kalau orang yang tak merasai pengalaman main gajah ni memang tak rasa, orang yang tak pikul ataupun tak tahu susahnya, tengok keadaan 10 ekar hancur kebun sawit, kebun pisang hancur, sebab angkara kita juga manusia sebenarnya angkara manusia, kita kena lihat pembangunan kita kena buat biar seimbang, jadi kita harap lah saya nak bagitahunya nak beri contoh betapa kita terpinggir dari segi itu contoh jawatan Jurutera JKR, Jurutera JKR, di Setiu daerah bongsu JD dia 48 tapi di Hulu Terengganu 44. 48 ni di Hulu Terengganu ini berlambok 48, guru yang mengajar di HUTECS Tingkatan Enam tu semua 48. Maknanya kelas JD di Hulu Terengganu JD 44, di mana silapnya? Hulu Terengganu tua daripada Setiu, bukan iri ke Setiu, okaylah Setiu tu carry on lah…[ketawa]... dengan izin, cuma nok kabo. Kemudian, yang saya jugok yang kita lihat dari segi lain-lain banyoklah, malas sebutlah dari segi lain-lainnya, tapi yang saya nak nyatakan hari ini, jadi kita perlu jugok saya doh perhati hari ini. Kita perlu buat satu kajian. Kerajaan Negeri perlu buat satu kajian berkaitan dengan laluan trafik dan pembinaan jalan ini. Laluan trafik, sebab apa? Contoh kecik la, contoh
kecik, kalau saya nak balik daripada… saya berapa kali kena saman doh, saman speed trap daripada Wakaf Tapai sebelum ke sempadan Hulu Terengganu. Saman kawasan 70, lari 81. Kena saman. 70, 70 kalau jalan dua lorong macam dulu okay lah. Sekarang ni jalan 4 lorong, 4 lorong jalan dalam highway. Highway 110, YBC dok? Dok. 70 kena saman doh. Sedap ah tukang tembok, aishh nembok. Ha….[sambil ketawa]..ha tembok. Doh 70 memang la, sape dia lari 70 jalan 4 lorong, takdok dok? Gitu gok di Kuala Berang pun ada, dekat sampah Kuala Berang dulu 70 kita lawan lawan lawan naik 80. Jadi ini perkara yang saya rasa perlu kita lihatlah neh, perlu kita lihat supaya bila kita doh advance ke depan, katakanlah jalan hari ini 70, lari jalan 4 lorong, dok?
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, apa yang saya jugok berharap pada hari ini supaya Kerajaan Negeri jugok melihat kepada Hulu Terengganu ini bukanlah kata…
3 minit lagi YB eh.
Hulu Terengganu jugok adalah merupakan daerah yang banyak menyumbang kepada hasil negeri. Hasil negeri, kalau kita kata kita tak menyumbang, saya rasa, saya duk buat kajian, tengok banyak jugok sumbangan yang diberi oleh Hulu Terengganu kepada hasil negeri. Dam Kenyir tu, dam Kenyir telah banyok menyumbang hasil. TNB telah membuat pembayaran yang beratus-ratus juta kepada Kerajaan Negeri, jugok kepada Majlis Daerah pun dia ada sumbangan. Banyak, ratus-ratus juta kepada Kerajaan Negeri. Tanoh jangan baca laa, tanoh paling luas di Terengganu, Hulu paling luas dok? Kita korban Kenyir, sutir dam kita korban.
Jadi kita haraplah, kita harap ini yang saya sebut tadi, yang saya sebut awal tadi ialah berkaitan dengan kita supaya lepas ini kita kena tolonglah Hulu Terengganu khususnya Telemung. Tolong Terengganu khususnya tolong Telemung, yang saya sebut awal dulu, sebelum-sebelum ni sebut. sekarang taknok ulang lah, agihan, apa jenis hal, bagaimana kemusnahan tanaman, kemusnahan hasil kita akibat daripada angkara gajah-gajah liar dan sebagainya, rima, beruang, kera yang mengganggu, yang hanya untuk melaksanakan kegiatan mereka. Tak dapat hasil hari ini rakyat Hulu Terengganu kerana menda-menda ni atau kerana anasir-anasir ini. Sama jugok banjir, banjir kita masalah banjir, nak buat macam mana? Cuma saya haraplah
kalau boleh ada usaha daripada JPS, kalau boleh dalamkan sungai sikit, makna mengurangkan kadar banjir tu. Banjir memang dokleh nok elok doh. Memang kawasan banjir, kawasan Hulu, kawasan pendalaman, kawasan rendah.
Jadi itulah, saya harap, saya haraplah dengan masa yang sangat pendek ini. Saya rasa, saya takmboh panjang sangat. Jadi yang mustahaknya hari ini saya berharaplah, saya berharap supaya Kerajaan juga melihat Hulu Terengganu sebagai sebuah daerah yang kata orang biarlah mereka ini daerah pendalaman yang kata orang macam terlepas pandang sebab kita takdok pantai berbanding dengan daerah lain semua ada pantai. 7 daerah ada pantai, kita satu daerah Hulu Terengganu takdok pantai yang agak terkebelakang sedangkan kita jugok merupakan satu daerah yang boleh memberi peranan besar kepada Negeri Terengganu ini khususnya saya dimaklumkan bahawa kalau Tuanku sebut semalam ada REE sebanyak Terengganu hampir 50% daripada 15 juta tan itu, Hulu Terengganu ada 7 juta tan lebih REE hampir separuh hasil hari ini di Terengganu. Dan dikatakan juga bahawa di Hulu Terengganu ada banyak, di Telemung khususnya. Jadi kami orang Telemung, gitulah tak kan tengok saje je tengoklah Telemung juga diberi perhatian, diberi apa yang sepatutnya.
Panjang lagi cerita Wakil Telemung?
sepatutnya supaya kami juga dapat menikmati pembangunan, dapat menikmati bagaimana orang lain rasa. Jadi akhirnya saya di sini ingin berharap supaya Kerajaan melihat perkara ini supaya akhirnya kita boleh yang sebut tadi lah kita akan dapat juga nikmat hasil pembangunan Terengganu khususnya. Dan begitu juga yang Tuanku sebut, kita di Terengganu ini telah mengadakan 97 zon..
Seminit lagi YB. seminit lagi. Kita sudah menghampiri pukul 5.
pembersihan yang melibatkan lebih kurang RM78 juta. Saya duk kira, kalau kita gunakan duit ni RM78 juta untuk buat rumah RM80,000 ribu sebutir, kita boleh buat sejuta rumah maknanya dalam masa setahun, kita bazirkan duit dengan buat cuci, bersih kawasan habis kotor ni kerana faktor manusia, kita yang buat kotor. Bagaimana nak didik rakyat kita ni untuk supaya kita selepas ni rakyat
kita dok buat kotor kita boleh jimat RM78.9 juta duit dan kita boleh buat 1 juta rumah setahun siap semua rakyat Terengganu yang tiada rumah.
Panjang lagi ke Wakil Telemung?
Jadi saya rasa Yang Berhormat Yang di-Pertua, padan dah tu tiga kali ulang dah tu. Jadi saya minta maaf banyak sekiranya ada apa-apa kekurangan yang saya telah sebut tadi dan saya akhirnya dengan ini menyokong Usul Membahas Titah Ucapan Tuanku. Sekian,
Terima kasih kepada Wakil Telemung pembahas yang terakhir untuk sesi pada petang ini. Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Yang Berhormat, ketua-ketua jabatan, dan wakil-wakil. Seterusnya para pemerhati sekalian, memandangkan kita sudah menghampiri jam 5.00 petang. Maka dengan ini saya tangguhkan persidangan hari ini sehingga ke hari esok, Rabu 24 April 2024 pukul 9.00 pagi dan marilah sama-sama kita tangguhkan mesyuarat kita dengan sama-sama dengan membaca tasbih kaffarah dan Surah Al Asr.
MESYUARAT DITANGGUHKAN PADA PUKUL 4.50 PETANG.