Terengganu · 24 April 2024

15th Assembly, 2nd session, 1st meeting · 226 turns · 28,920 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalTerengganu publishes one PDF per meeting, with the written answers appended. Speakers are matched by our parser and will have some errors.

Soalan-Soalan LisanQuestions

Timbalan Yang di-Pertua

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, para pemerhati, Ketua-ketua Jabatan, hadirin hadirat yang dihormati. Sebelum kita memulakan persidangan pada pagi ini, saya ingin mohon maaf atas kekhilafan pada petang semalam yang mana saya sebut mesyuarat akan dimulakan hari ini pada jam 9.00 pagi tapi sebenarnya kita bermula pada jam 9.30 pagi sebagaimana yang kita berada sekarang untuk kita memulakan persidangan kita. Jadi, sebelum kita memulakan persidangan marilah sama-sama kita membacakan Ummul Kitab bagi mendapat keberkatan daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

(Al-Fatihah)

Soalan-Soalan LisanQuestions

Timbalan Yang di-Pertua

Mesyuarat diteruskan dengan soalan-soalan Lisan. Berikut adalah Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah memberi notis untuk mengemukakan soalan-soalan Lisan pada hari ini 24 April 2024. Saya dengan ini mempersilakan yang pertama ialah-

1 Yang Berhormat Wakil Permaisuri 2 Yang Berhormat Wakil Hulu Besut 3 Yang Berhormat Wakil Rantau Abang 4 Yang Berhormat Wakil Batu Rakit 5 Yang Berhormat Wakil Langkap 6 Yang Berhormat Wakil Air Putih 7 Yang Berhormat Wakil Telemong 8 Yang Berhormat Wakil Bukit Tunggal 9 Yang Berhormat Wakil Kuala Besut 10 Yang Berhormat Wakil Bukit Besi 11 Yang Berhormat Wakil Sura 12 Yang Berhormat Wakil Bandar 13 Yang Berhormat Wakil Jertih 14 Yang Berhormat Wakil Kuala Berang 15 Yang Berhormat Wakil Buluh Gading 16 Yang Berhormat Wakil Kemasik 17 Yang Berhormat Wakil Ladang 18 Yang Berhormat Wakil Pengkalan Berangan 19 Yang Berhormat Wakil Manir

Mengikut kesempatan masa pada hari ini, kita akan tengoklah berapa orang yang sempat untuk mengemukakan soalan untuk dijawab oleh Wakil-Wakil Kerajaan. Dengan tidak membuang masa, saya mempersilakan Wakil Permaisuri untuk mengemukakan soalan. Persilakan.

Haji Mohd Yusop bin MajidBERSATU · PNPermaisuri

Terima kasih Timbalan Yang di-Pertua Dewan. Terima kasih kerana giliran saya nombor satu pada pagi ini. Oleh sebab itu, soalan saya soalan nombor 1 –

Apakah langkah-langkah yang telah dan akan dibuat oleh Kerajaan Negeri dalam menjaga hasil penanaman-penanaman sayur supaya harga hasil tanaman dapat dikawal sehingga tidak berlaku orang tengah yang meraih keuntungan sedangkan penanaman yang menanggung rugi?

Timbalan Yang di-Pertua

Sila Wakil Kerajaan.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua. Terima kasih YB Permaisuri. Isu berkaitan dengan orang tengah yang mengaut keuntungan daripada hasil titik peluh petani kita. Ada beberapa strategi yang diatur oleh Kerajaan Negeri melalui FAMA dalam rangka untuk membebaskan petani, pekebun dan pemain dalam industri pertanian daripada peranan orang tengah yang banyak mengaut keuntungan, dalam masa yang sama menindas petani kita.

Yang pertama, Program Ladang Kontrak. Bila rakyat kita buka kebun ataupun buka ladang, FAMA akan buat satu perjanjian Ladang Kontrak untuk pembelian hasil dengan harga semasa dan kalau sekiranya harga produk turun pada satu kadar yang tidak sepatutnya sehingga menyebabkan petani menanggung kerugian telah ditetapkan satu paras harga lantai. Harga lantai ni 20% ataupun 10% lebih tinggi daripada kos pengeluaran. Dengan makna FAMA akan beli dengan harga lantai dan harga lantai ni memang menjamin satu tahap petani tidak menanggung kerugian. Tapi, kalau sekiranya para petani nak jual di tempat lain, mereka tidak terikat. Mereka boleh jual kepada pemborong dan peraih lain, tidak terikat mesti jual kepada FAMA.

Yang kedua, program jualan terus daripada ladang. Ada banyak outlet-outlet jualan FAMA macam Pasar Tani Kekal, Pasar Borong, Agro Bazar, Agro Bazar Kedai Rakyat, gerai buah-buahan segar, jualan terus daripada ladang dan pelbagai lagi yang membolehkan pengeluar berinteraksi terus dengan pengguna dan kita hilangkan peranan orang tengah yang biasanya mengambil kesempatan.

Yang ketiga, Kerajaan Negeri juga menganjurkan program-program bersaiz mega seperti perayaan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan, Himpunan Lembu Sado. Hari Peladang, Penternak dan Nelayan yang dibuat beberapa siri yang lepas dalam tempoh tiga (3) hari, purata hasil jualan yang dicatatkan oleh peniaga mencecah hampir RM1 juta. Jadi menggambarkan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan menjadi satu medan pemasaran dan promosi yang sangat berkesan.

Seterusnya, Kerajaan Negeri juga bantu untuk memperkenalkan produk rakyat kita sampai ke luar. Di antaranya kita biaya rakyat kita untuk bawa produk Malaysia Fest di Singapore sehingga kepada EXPO di Dubai supaya produk Terengganu boleh pergi pada peringkat global dan dikenali di peringkat dunia. Dan bagi pihak Portfolio Pertanian mengucapkan terima kasih kepada pihak PBT yang mempermudahkan urusan rakyat kita untuk membuka kanopi-kanopi jualan langsung seperti tembikai di tepi-tepi jalan dan pihak kami juga ada berbincang dengan PBT supaya dikeluarkan lesen buah-buahan bermusim di lokasi-lokasi strategi dan ini akan memudahkan mekanisme kawal selia. Ada juga hasil boleh masuk kepada PBT, dalam masa yang sama memudahkan rakyat kita untuk cari rezeki secara halal.

Bagi petani, pekebun yang mempunyai masalah logistik seperti pusat pemasaran, kenderaan, kemudahan bilik sejuk. FAMA menawarkan di seluruh negara kita ada 40 pusat operasi FAMA. Ada 215 kenderaan perdagangan yang bersedia untuk berkhidmat kepada rakyat, ada 163 kemudahan bilik sejuk dan 1,592 outlet pemasaran yang ada di seluruh negara dan dia sudah menjadi satu kemudahan yang boleh merangsang untuk rakyat kita berniaga tanpa melibatkan peranan orang tengah. Ada juga peranan yang Kerajaan ambil untuk bantu petani kita membina jaringan dengan pasaraya-pasaraya. Di antaranya beberapa pasaraya yang ada di sekitar Terengganu, kita telah buat link terutamanya bagaimana nak membantu rakyat kita memasarkan hasil dalam tempoh PKP ketika ruang-ruang pemasaran tertutup rapat suatu ketika dulu.

Di samping itu, kita juga menggalakkan untuk rakyat kita menghasilkan produk hiliran. Jabatan Pertanian secara berkala menganjurkan kursus secara hands-on kepada petani sebagai galakan untuk mereka proses hasil kebun menjadi produk hiliran seperti sos, jeruk dan sebagainya. Dan kita galakkan supaya masjid-masjid dijadikan sebagai pusat pengumpulan hasil. Orang kampung yang bertanam pada skala kecil boleh kutip hasil, mari sembahyang jemaah di masjid, pemborong

ataupun peraih mari juga masjid untuk sembahyang jemaah dan di situ hasil boleh dijual, dunia dapat akhirat pun dapat. Dan, saya ucapkan tahniah kepada FAMA Terengganu yang telah merintis program Pasar Tani Masjid di Masjid Sentul Patah di Marang. Jadi sangat berkesan ke arah mempelbagaikan fungsi masjid sebagai pusat pembangunan sosial ekonomi masyarakat. Terima kasih.

Mohd Yusop bin MajidBERSATU · PNPermaisuri

Soalan tambahan.

Timbalan Yang di-Pertua

Silakan, ada soalan tambahan?

Mohd Yusop bin MajidBERSATU · PNPermaisuri

Ada. Timbalan Yang di-Pertua, apabila saya membuat soalan mengenai orang tengah, saya tidak berniat untuk menghapuskan perniagaan orang tengah tetapi kita nak supaya mereka bertindak secara wajar kerana dalam Kitab Muamalat dari segi hukum hakam jual beli, kalau meletakkan beli dengan harga murah jual dengan harga yang mahal itu hukumnya sah tetapi haram. Ini perlu disedarkan oleh peniaga-peniaga kita. Soalan saya, sejauh mana orang-orang tengah ini dia ada lesen untuk berniaga, menjual, membeli dan menjual bahan-bahan pertanian daripada pekebun dan jual kepada di peringkat pasaran, itu saja soalan saya.

Lesen ataupun kawalan harga ini di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup lah dan bukan di bawah pertanian. Ada perniagaan yang memerlukan lesen, ada yang memerlukan lesen PBT maknanya kepelbagaian dan biasanya mereka ini adalah peniaga berlesen, cuma ada produk-produk yang memang tidak ada kawalan harga, bukan semua produk pertanian ini termasuk di bawah harga kawalan. Jadi bagi yang tak ada kawalan harga inilah pihak Kerajaan sama ada melalui KPDN dan Kos Sara Hidup, mereka pun tidak ada satu bidang kuasa untuk nak mengawal dari segi harga. Apa yang saya cuba tekankan dalam jawapan ini ialah, di samping petani pekebun kita boleh pasarkan secara direct dalam masa yang sama kita nak peranan orang tengah ni ialah orang tengah yang betul sama ada atas nama pemborong, peraih dan sebagainya. Memang kita tidak boleh nafikan peranan orang tengah kerana tak ada semua orang yang mampu mereka sendiri pergi ke pasar, boleh sampai ke Kuala Lumpur, boleh sampai ke Lembah Klang, boleh sampai ke utara dan sebagainya tetap diperlukan cuma kita nak biar

lah win-win orang tengah pun nak keuntungan petani kita tidak ditindas di atas setiap titik peluh mereka, terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih Wakil Kerajaan dan Wakil Permaisuri. Seterusnya saya persilakan Wakil Hulu Besut.

Mohd Husaimi bin HussinBERSATU · PNHulu Besut

Yang Berhormat Timbalan Yang di Pertua, Hulu Besut nombor 2-

Timbalan Yang di-Pertua

Ada tiga soalan tu.

Mohd Husaimi bin HussinBERSATU · PNHulu Besut

Soalan nombor 2.

Timbalan Yang di-Pertua

Soalan?

Mohd Husaimi bin HussinBERSATU · PNHulu Besut

Nombor 2-

Bagaimana persediaan kontinjen SUKMA Terengganu bagi menghadapi persaingan SUKMA 2024?

Timbalan Yang di-Pertua

Soalan nombor 2, dipersilakan Wakil Kerajaan.

Terima kasih Timbalan Yang di Pertua, terima kasih juga kepada pihak Hulu Besut yang telah mengemukakan soalan berkenaan dengan persiapan Kontinjen SUKMA Terengganu menghadapi persaingan SUKMA 2024. Untuk makluman Dewan, alhamdulillah persediaan Kontinjen SUKMA Terengganu bagi menghadapi temasya SUKMA 2024 berada dalam keadaan yang baik dan berjalan mengikut apa yang telah direncanakan. Kita telah memperkenalkan tagline persediaan Kontinjen SUKMA Terengganu bagi menghadapi temasya SUKMA ke-21 di Negeri Sarawak iaitu „Hanelang Bangkit 2024’. Ini memberi isyarat yang jelas bahawa Kontinjen

Terengganu telah diletakkan sasaran kerja supaya bangkit untuk mencapai sasaran yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Sukan Negeri Terengganu. Setelah latihan dimulakan seawal 1 November 2022, kini kontinjen telah memasuki dalam fasa ketiga latihan bermula 1 Januari 2024 iaitu fasa terakhir bagi persediaan atlet dan juga pasukan, terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih, ada soalan tambahan daripada Hulu Besut? Tidak ada soalan tambahan, terima kasih. Seterusnya saya persilakan Wakil Rantau Abang untuk mengemukakan soalan.

Mohd Fadhli Rahmi bin ZulkifliPAS · PNRantau Abang

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Rantau Abang, soalan nombor 1.

Mohon penjelasan berkaitan Rumah Mampu Milik (RMM) tapak veledrom Balai Besar terkini?

Timbalan Yang di-Pertua

Sila Wakil Kerajaan.

Wan Sukairi bin Wan AbdullahPAS · PNWakaf Mempelam

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, seterusnya seluruh Ahli-Ahli Yang Berhormat, ketua-ketua jabatan, pemerhati yang saya hormati lagi saya kasihi sekalian. Terima kasih kepada Rantau Abang yang bertanyakan soalan tentang Rumah Mampu Milik, status terkini Rumah Mampu Milik di Balai Besar, di tapak velodrom Balai Besar, Dungun. Untuk makluman Projek Perumahan Mampu Milik di bawah peruntukan Negeri Terengganu adalah di antara projek-projek yang terkesan dengan penerusan program di bawah Kerajaan Negeri Terengganu apabila bayaran royalti petroleum mempunyai masalah. Jadi status terkininya adalah proses pelantikan kontraktor ditangguhkan sehinggalah masalah berkaitan kewangan ini dapat diselesaikan, terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua

Ada soalan tambahan?

Mohd Fadhli Rahmi bin ZulkifliPAS · PNRantau Abang

Ada. Sebagaimana yang kita maklum dengan penafian peruntukan ataupun wang royalti daripada pihak Kerajaan Persekutuan. Apakah kaedah baru yang difikirkan oleh pihak Kerajaan Negeri bagi memenuhi hasrat masyarakat dalam memiliki Rumah Mampu Milik di negeri ini.

Wan Sukairi bin Wan AbdullahPAS · PNWakaf Mempelam

Terima kasih kepada Yang Berhormat Rantau Abang atas soalan tambahan tersebut. Untuk makluman Dewan sepertimana yang kita semua ketahui bahawa di antara kaedah pembinaan ataupun pelaksanaan projek perumahan di Terengganu ini adalah melalui empat kaedah. Salah satu daripadanya adalah kaedah peruntukan langsung daripada Kerajaan Negeri seperti mana beberapa projek yang telah pun siap dan telah pun dibahagikan rumah seluruh negeri ini. Selain daripada projek yang dikeluarkan peruntukan secara langsung oleh Kerajaan kita ada tiga lagi mekanisma ataupun kaedah untuk meneruskan projek ini,

1. Melalui peruntukan Kerajaan Persekutuan 2. Melalui usaha sama di antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan cost sharing 3. Melalui usaha sama dengan pihak pemaju-pemaju swasta.

Di antara contoh yang boleh saya nyatakan di sini contohnya melalui peruntukan Kerajaan Persekutuan adalah melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi projek pembangunan rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) contohnya yang telahpun yang baru saja siap dibina iaitu projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Nerus di Bukit Nenas, yang berjumlah 500 unit yang insya-Allah sekarang ini berada dalam proses untuk penyerahan kunci kepada pemilik-pemilik yang berjaya. Yang keduanya Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Bukit Puteri di Besut yang mempunyai 450 unit yang masih lagi dalam pembinaan dan ada beberapa projek yang lain. Yang keduanya menerusi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang juga turut melakukan program pembinaan rumah pada golongan sasaran, di antara projek yang sedang dimulakan yang sedang berjalan adalah contohnya Program Pemajuan Kawasan (PPK) Air Putih di Kemaman yang berjumlah 185 unit, juga di Bandar Al Muktafi Billah Shah dan juga di tempat-tempat yang lain, ada tiga tempat lagi yang dikemukakan atau yang dilaksanakan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

Selain daripada iatu juga melalui usaha sama peruntukan daripada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, cost sharing, iaitulah dari Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk melaksanakan Program Pembangunan Rumah Penempatan Semula Nelayan. Salah satu contoh Projek Penempatan Semula Nelayan di Pulau Skepeng, Kemaman yang berjumlah 50 unit yang sekarang ini dalam status pembinaan hampir nak siap dah. Begitu juga yang keduanya di Beting Lintang, Besut. Juga di 50 unit sikit lagi nak siap dalam 99% dan satu lagi di Penempatan Semula Nelayan di Seberang Penarik, Setiu. Yang keduanya menerusi Kementerian Kewangan ataupun MOF bagi pembinaan rumah MY Beautiful New Home contohnya Rumah Mampu Milik di Marang yang telahpun siap dan sekarang ini dalam proses penyerahan kunci kepada pemilik yang berjaya. Seterusnya yang terakhir melalui projek usaha sama peswastaan di antara pihak developer ataupun pemaju dengan agensi-agensi kerajaan sama ada Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) ataupun Lembaga Tabung Warisan Negeri Terengganu. Terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih Wakil Kerajaan.

Seterusnya saya persilakan Wakil Batu Rakit untuk mengemukakan soalan.

Mohd Shafizi bin IsmailPAS · PNBatu Rakit

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, soalan saya nombor 1 -

Apakah usaha Kerajaan Negeri bagi memastikan kebajikan golongan warga emas terpelihara?

Timbalan Yang di-Pertua

Silakan Wakil Kerajaan.

Terima kasih kepada Batu Rakit yang bertanya berkenaan dengan usaha Kerajaan bagi mempastikan kebajikan warga emas terpelihara. Untuk makluman sidang Dewan, warga emas di Terengganu yang berdaftar seramai 170,000 orang, warga emas yang berumur 60 tahun dan ke atas dan program untuk warga emas ini

sebenarnya ia ada beberapa peringkat antaranya ialah peringkat di rumah sendiri, peringkat individu, peringkat jagaan anak-anak dan keluarga dan kita mengharapkan peranan anak-anak dalam memastikan warga emas ini terus terjaga dari sudut ibadat, kesihatan, kebersihan dan juga yang sangat pentingnya ialah menjaga kesihatan mental ibu bapa supaya tidak mudah untuk jadi nyanyuk yang akhirnya mungkin menyusahkan anak-anak sendiri dan positifnya sebenarnya bagi orang yang mempunyai ibu bapa yang telah lanjut usia, secara positifnya beruntunglah mereka yang mempunyai ibu bapa yang lanjut usia untuk mereka terus berkhidmat kepada ibu bapa mereka.

Dan di peringkat Kerajaan telah pun kita banyak melaksanakan program untuk kita memastikan kebajikan warga emas ini terpelihara. Dan melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu iaitu Kelab Warga Emas di seluruh negeri telah melaksanakan program:

1. Program Kesejahteraan Warga Emas iaitu satu program yang dapat meningkatkan pengetahuan tentang penjagaan kesihatan serta senaman kecergasan untuk membantu warga emas supaya sentiasa dalam keadaan sihat.

2. Program Bimbingan Pakar iaitu satu program untuk memberi maklumat yang tepat kepada warga emas tentang penjagaan kesihatan khususnya apabila di peringkat usia yang lanjut untuk mengelak menghindar terhindarlah daripada penyakit-penyakit kronik yang boleh membebankan anggota keluarga ataupun anak-anak.

3. Program Inter Generasi iaitu satu program yang menggunapakai kemahiran dan kepakaran warga emas untuk dikembangkan kepada orang-orang muda.

4. Program Pemantapan dan Pengukuhan Nilai Diri iaitu satu program pemantapan kerohanian dan ini merupakan satu daripada program yang sangat penting untuk menggalakkan warga emas sentiasa berulang-alik pergi ke masjid ataupun surau menghabiskan waktu usia lanjut ini dengan beribadat kepada Allah Ta’ala untuk mempersiapkan diri menghadapi hari kematian dan sebenarnya hari kematian ini tidak mengira warga emas ataupun warga perak.

Sekian, terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih Batu Rakit, ada soalan lain?

Mohd Shafizi bin IsmailPAS · PNBatu Rakit

Soalan tambahan Timbalan Yang di-Pertua. Kita lihat kalau warga emas ini memang dia sinonim dengan sakit. Jadi, jika sekiranya berlaku sakit terutamanya yang miskinlah bahkan mungkin berlaku terabai keadaan warga emas ini kebiasaannya saya hadapi keadaan begini apabila turun ziarah. Jadi kita mitok supaya keluarganya bawok pergi ke hospital untuk rawatan tapi jawapannya “takdok kenderaan”, “takdok duit” dan seumpama dengannya. Jadi, jika sekiranya ada lagi yang seperti ini, mitok pandangan sikitlah daripada pihak EXCO macam mana kita nok buat warga emas seperti ini.

Timbalan Yang di-Pertua

Dah eh?

Ya. terima kasih Batu Rakit di atas soalan tambahan berkenaan bagaimana nok buat, gitu lah maksudnya dok terhadap warga emas yang terlantar? Dia sebenarnya di peringkat Jabatan Kebajikan Masyarakat kalau sekiranya tidak mampu untuk menjaga orang tua dan tidak ada tambah miskin dan juga tidak ada kemudahan yang mana anak-anak tak dapat jaga maka boleh berhubung dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Kita ada Rumah Ehsan di Bandar Al-Muktafi Billah Shah untuk menempatkan warga emas yang terlantar, yang tidak ada keluarga untuk menjaganya ataupun ada keluarga tapi keluarga yang susah. Di samping itu, Pusat Khidmat Masyarakat kita harap terus aktiflah sepertimana yang disebut oleh Batu Rakit. Terus aktif untuk membantu warga emas ini untuk mendapatkan khidmat kesihatan ataupun perubatan dengan bantuan daripada Pusat Khidmat Masyarakat sendiri dan juga JKM Daerah. Terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih Wakil Batu Rakit dan Wakil Ajil.

Mohd Shafizi bin IsmailPAS · PNBatu Rakit

Soalan tambahan Yang di-Pertua.

Timbalan Yang di-Pertua

Saya ingat kita bagi satu sahaja soalan tambahan kerana masa kita tok panjang. Kita akan rehat dan sambung, untuk sambung perbahasan kepada Titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Jadi seterusnya saya persilakan Wakil Air Putih untuk mengemukakan soalan. Silakan.

Mohd Hafiz bin AdamPAS · PNAir Putih

Terima kasih kepada Timbalan Yang di-Pertua.

Rumah terbuka hari sabtu, Soalan saya nombor satu.

Berapa banyakkah yang telah dibelanja oleh Kerajaan Negeri untuk memberi bantuan melalui Tabung Darul Iman mengikut daerah-daerah dalam Negeri Terengganu mengikut tahun bermula tahun 2000 hingga 2023?

Timbalan Yang di-Pertua

Sila Wakil Kerajaan. Ini mungkin Wakil Ajil jugok saya rasa. Wakil Kerajaan, sila.

Terima kasih.

Soalan daripada Air Putih neh?

Timbalan Yang di-Pertua

Ya, ya.

Sekejap, sekejap. Sebab baru sudoh jawab sakni, dok dang berhenti leloh orang kata. Soalan nombor satu daripada Air Putih berkenaan dengan jumlah yang telah dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri untuk memberi bantuan melalui Tabung Darul Iman mengikut daerah-daerah dalam Negeri Terengganu tahun 2020 hingga 2023. Ini, kan? Soalan nombor satu-

DAERAH TAHUN (RM) 2020 2021 2022 2023 BESUT 1,108,415.56 960,070.42 968,045.88 1,136,913.97

DUNGUN 765,349.70 528,706.75 556,422.50 716,053.13 HULU TERENGGANU 765,699.97 608,706.58 586,049.15 763,688.00 KEMAMAN 831,703.91 708,924.41 639,353.00 959,354.00 KUALA NERUS 844,134.49 689,795.20 590,363.80 746,793.80 KUALA TERENGGANU 865,869.97 746,743.05 768,037.77 1,115,870.60 MARANG 875,972.90 794,919.12 786,250.80 912,256.50 SETIU 840,129.17 733,373.90 715,954.12 889,783.90 JUMLAH KESELURUHAN 6,897,275.67 5,771,239.43 5,610,477.02 7,240,713.90 BIL PEMOHON KESELURUHAN 6,439 ORG 5,237 ORG 5,979 ORG 6,917 ORG

Terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua

Silakan kalau ada soalan tambahan. Kalau takdok soalan tambahan daripada Air Putih, saya benarkan daripada Telemung kerana soalan ini digabungkan dengan soalan daripada Telemung jugok. Sila, kalau ada. Takdok? Kita beralih kepada wakil lain. Takdok? Ni…

Haji Hilmi bin HarunPAS · PNManir

Ada naik nama Manir skrin. kita pun dok tahu jugok boleh kita bakpe.

Timbalan Yang di-Pertua

Ha, ya ya Wakil Manir. Sila, sila. Dia digabungkan dengan Manir. Sila.

Haji Hilmi bin HarunPAS · PNManir

Soalan tambahan mungkin dia lari sikit skop tapi dia digabungkan sekali. Apakah sebenarnya status penubuhan Yayasan Darul Iman, naik taraf Tabung Darul Iman kepada Yayasan Darul Iman? Sebab kalau ikut dalam perbincangan di peringkat BBC baru-baru ini, kita melihat bahawa ia satu perkara yang seriuslah sebab dalam ucapan Bajet sebelum ini tahun 2022 telah ada satu cadangan daripada pihak Kerajaan tetapi masih lagi belum dilaksanakan. Apa benda masalah dia sebenarnya? Dan, mana sekat sebab kalau saya tengok kepada maklumat daripada Tabung Darul Iman sendiri, emolumen kos penggajian sekalipun tidak melebihi daripada apa yang

dicadangkan untuk pembinaan ataupun naik taraf kepada Yayasan Darul Iman, terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua

Sila Wakil Kerajaan.

Terima kasih Manir. Berkenaan dengan Yayasan Darul Iman, cadangan peralihan daripada Tabung Darul Iman kepada Yayasan Darul Iman. Sebenarnya, kita telah pun proses untuk penubuhan Yayasan Darul Iman sedang berjalan. Di peringkat Pengurusan Sumber Manusia dan Khidmat Pengurusan SUK telah pun berhubung dengan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri untuk penubuhan secara rasmi dan secara legal akan Yayasan ini. Semenjak Ogos 2023, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang JPM ini telah menangguhkan untuk sementara waktu akan penubuhan sebarang Yayasan Darul Iman dan semakan semula sedang dijalankan di peringkat Akta Pemegang Amanah (Perbadanan) 1952 [Akta 258] Pindaan 2006, pun begitu pihak kita sedang berusaha untuk mengadap berjumpa dengan Menteri Bahagian Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri untuk memohon kelulusan khas untuk penubuhan Yayasan Darul Iman ini. Pun begitu untuk makluman Sidang warga Dewan, Tabung Darul Iman kita sekarang ni kita nak alih nama daripada Tabung Darul Iman kepada Yayasan Darul Iman bukan sekadar peralihan nama tetapi fungsinya dan jangkauannya akan lebih meluas. Pun begitu, Tabung Darul Iman sekarang ini sedang berjalan sebagaimana biasa memenuhi tuntutan-tuntutan cuma dari segi kekangan kewangan itu yang menyebabkan berlakunya sedikit kelambatan untuk kelulusan permohonan Tabung Darul Iman. Jadi insya-Allah penubuhan Yayasan Darul Iman akan dapat direalisasikan sebelum berakhirnya 2024, terima kasih insya-Allah.

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih Wakil Kerajaan

Mohd Zawawi bin IsmailBERSATU · PNTelemung

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua,

Timbalan Yang di-Pertua

Ya, ya..

Mohd Zawawi bin IsmailBERSATU · PNTelemung

Boleh tambah sedikit dok?

Timbalan Yang di-Pertua

Ni ada soalan dia, selepas ini, saya persilakan Wakil Telemung mengemukakan soalan.

Mohd Zawawi bin IsmailBERSATU · PNTelemung

lain soalan dia.

Timbalan Yang di-Pertua

Nak se lagi silalah, sebab soalan ini bersama dok

Timbalan Yang di-Pertua

Saya minta kalau boleh ringkaskan soalan dan Wakil Kerajaan juga saya minta ringkaskan jawapan kerana kita setengah jam sahaja lagi untuk sesi ini

Mohd Zawawi bin IsmailBERSATU · PNTelemung

kalu ringkas dok fahamlah, kena detail sikit, dok.

Timbalan Yang di-Pertua

Sekarang, terus soalanlah.

Mohd Zawawi bin IsmailBERSATU · PNTelemung

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, saya nak nyatakan di sini, jadi yang TDI ni memang banyak baktilah kepada rakyat Terengganu ini banyak sumbangan, telah berjasa kepada rakyat Terengganu.

Timbalan Yang di-Pertua

Orang tahu belake doh Tabung Darul Iman ni peranan dia apa, kita nak soalan tambahan tu kepada soalan asal tadi, sila-sila.

Mohd Zawawi bin IsmailBERSATU · PNTelemung

Jadi oleh kerana itu, hari ini kita dapati oleh kerana kemajuan berlaku hari ini banyak penyakit kronik memerlukan kos yang tinggi, contohnya kemalangan, ada kawan saya baru ini kena anak accident orang miskin RM20,000.00, contoh dia patah semuanya, dia duk hospital beritahu RM20,000.00 dok bayor dokleh nok wat, jadi orang kampung pergi ke Tabung Darul Iman, tak dok duit, bukan takdok duit maksudnya nak proses juga penyakit-penyakit lain, penyakit kronik lain, jadi saya

nak bertanya Kerajaanlah kalau takdok doh Tabung Darul Iman ni, apakah ruang yang boleh rakyat pergi cari, untuk tabung ini, ataupun kalau kita cadangkan tambah peruntukan Tabung Darul Iman itu kalau selama ini RM10 juta tambah RM20 juta, double, terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua

Okey, itu soalannya. Sila Wakil Kerajaan soalan dianya ialah untuk kes-kes kritikal ada dok cara untuk percepatkan bantuan, sila Wakil Kerajaan.

Sekarang ini, saya rasa takdok kes yang berlaku yang kita melambatkan pembayaran Tabung Darul Iman ini sama ada kes kritikal ataupun kes-kes biasa cuma sedikit kelambatan itu biasa je Wakil Telemung, cuma dari sudut kewangan saya setuju kalau kita tambah lagi peruntukan kepada Tabung Darul Iman, daripada peruntukan Kerajaan sekarang ini RM5 juta setahun, saya setuju kalau kita tambah RM10 juta supaya proses agihan itu lebih senang dan juga cepat melalui proses biasa. Cuma masalah sekarang ini, kita masalah kekangan kewanganlah. Kalau boleh Wakil Telemung selepas ini telefon ke PMX insya-Allah suruh bayar cepat hutang kita, terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua

Saya persilakan sekali lagi Wakil Telemung untuk mengemukakan soalan yang seterusnya.

Mohd Zawawi bin IsmailBERSATU · PNTelemung

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, semua ahli Dewan sekalian, soalan saya soalan nombor 1-

Kehadiran pengunjung ke Taman Pertanian Sekayu (TPS) mutakhir ini didapati agak berkurangan berbanding tahun-tahun sebelum ini, nyatakan kenapa berlaku perkara tersebut dan apakah langkah-langkah yang akan diambil pihak Kerajaan Negeri bagi mengembalikan kegemilangan TPS sepertimana suatu ketika dahulu?

Timbalan Yang di-Pertua

Sila Wakil Jabi.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, terima kasih Wakil Telemung. Isu Taman Pertanian Negeri di Sekayu, Jabatan Pertanian dan pihak pengurusan Taman Pertanian Negeri terpaksa menutup sementara kawasan TPN disebabkan oleh banjir besar yang berlaku pada bulan 12 tahun 2021 dan bulan 2 tahun 2022 yang telah merosakkan fasiliti utama seperti asrama, surau, tapak khemah dan juga kolam taman tema. Kemudian di tambah pula dengan pandemik COVID-19 yang melanda dunia yang mengakibatkan pengurangan pengunjung secara drastik ke pusat Agro Tourism ini. Satu lagi faktor ialah serangan gajah liar di kawasan Taman Pertanian Negeri juga merosakkan infrastruktur dan tanaman dalam kawasan taman, di dalam isu gajah liar ni Wakil Telemung, kita berkongsi duka yang sama. Kerajaan Negeri telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM926,000.00 lebih pada tahun 2022 bagi tujuan untuk bina asrama baru dan pembaikian kemudahan-kemudahan yang rosak. Jadi status kerja sekarang ini telah mencapai 80% dan insya-Allah kita jangkakan mampu disiapkan dalam tempoh lebih kurang sebulan lagi. Jadi apabila kemudahan ini siap diperbaiki, Kerajaan Negeri akan menilai kembali pelan Agro Tourism untuk menarik minat pelabur dan syarikat swasta. Memang dari segi way forward kita ialah kita nak supaya Taman Pertanian Negeri ini dioperasikan oleh pihak pelabur supaya mengurangkan beban kewangan Kerajaan Negeri. Dalam masa yang sama, kita juga menyambung pajakan kepada syarikat swasta yang sedia ada bagi mengendalikan pelbagai program outdoor seperti perkhemahan, kayak, flying fox, ATV, trekking waterfall, water confident, team building, night walk dan macam-macam lagi program. Jadi bagi tahun 2023 sahaja, Taman Pertanian Negeri telah menerima 25 program seumpamanya yang mari daripada pelbagai jabatan, agensi, pihak sekolah, IPT, kelab dan persatuan. Jadi, proses untuk memakmurkan dan menghidupkan kembali Taman Pertanian Negeri ini sebenarnya sedang berjalan secara tersusun cuma dia agak perlahan kerana sedikit kekangan bajet dan dengan bajet yang terhad untuk sektor pertanian memang kita letakkan dari segi priority Taman Pertanian Negeri agak Ke bawah sedikit sebab utamakan sektor-sektor yang memberikan manfaat langsung kepada rakyat, terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih, soalan tambahan?

Mohd Zawawi bin IsmailBERSATU · PNTelemung

Saya nak nyatakan begini, bilakah Taman Pertanian Negeri ini akan dijadikan seperti yang mana asal dulu, bilakah agak-agak Kerajaan boleh menjangkakan keadaan Taman

Pertanian Sekayu ini kembali kepada seperti asal sebab contohnya dulu sebelum 2022 kehadiran pelancong ke Taman Pertanian Sekayu ini lebih kurang 100 ribu orang, hari ini 10 ribu orang, hanya 10% berbanding dengan dulu. Jadi ini memberikan rakyat kita di bawah sana untuk peluang perniagaan dan sebagainya. Jadi kalau kita lihat hari ini dengan apa yang berlaku saya dah pergi dah dua minggu lepas maknanya sangat perlahanlah, jadi kita rasa..

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih, saya rasa soalan tu YB faham

Mohd Zawawi bin IsmailBERSATU · PNTelemung

bila Kerajaan boleh memastikan, nak maklum ni dua perkara ni, Air Terjun Sekayu lain, yang ni Taman Pertanian Sekayu, dia dua perkara yang berbeza tapi bersebelahan. Jadi soalan saya, nak tanya Kerajaan bilakah Kerajaan boleh melaksanakan TPS ini seperti mana sebagaimana kembali pada asal dia, terima kasih

Timbalan Yang di-Pertua

Kembali. Wakil Telemung mungkin payohlah nok jawab tapi Wakil Kerajaan dah sebut tadi dalam proses. Walau bagaimanapun Wakil Telemung pun kena bantulah Kerajaan promosi. Sila Wakil Kerajaan.

Kemudahan-kemudahan dan proses bina baru dan baik pulih, insya- Allah akan siap dalam masa sebulan lagi dan Jabatan Pertanian akan berkolaborasi dengan Jabatan Pelancongan, dua Serampang. Kita pergi kepada satu hala tuju apa yang dinamakan sebagai Agro Tourism. Saya nampak di antara kekurangannya ialah kita kurang promosi jadi orang dok tahu bahawa bersebelahan dengan Air Terjun Sekayu itu ada satu Taman Agro Tourism yang sangat unik dan Taman Tema Air kita di antara keunikannya ialah kerana airnya dialirkan terus daripada air terjun bukan air yang berpusing di tempat sama macam taman-taman tema air yang lain. Jadi ada kelulut. Kelulut kita berhadapan dengan serangan beruang kemudian kelapa kita banyak yang tumbang kerana serangan gajah liar. Jadi di antara isu-isu yang kita kena perbetulkan dan kita promosikan supaya dia jadi satu daripada destinasi pelancongan wajib bila pelancong datang ke Negeri Terengganu. Terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih kepada Wakil Kerajaan, Insya- Allah Wakil Telemong selepas ini Sekayu akan balik macam sebelum daripadanya. Seterusnya saya mempersilakan Wakil Bukit Tunggal untuk mengemukakan soalan.

Sr. Haji Zaharudin bin ZahidPAS · PNBukit Tunggal

Terima kasih kepada Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar. Soalan saya nombor satu. Terima kasih

Setakat manakah perkembangan berkenaan cadangan tapak baru untuk Klinik Kesihatan Bukit Tunggal?

Wan Sukairi bin Wan AbdullahPAS · PNWakaf Mempelam

Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua. Yang Berhormat Bukit Tunggal bertanyakan soalan berkenaan dengan perkembangan cadangan tapak baru untuk Klinik Kesihatan Bukit Tunggal. Untuk makluman Dewan, satu lawatan tapak bagi cadangan tapak baru untuk Klinik Kesihatan Bukit Tunggal telah pun dibuat pada 14 Februari yang lalu yang turut juga melibatkan Yang Berhormat Bukit Tunggal sendiri bersama-sama dengan wakil Jabatan Kesihatan Negeri, wakil Pejabat Kesihatan Daerah dan juga wakil daripada Klinik Kesihatan Bukit Tunggal. Hasil daripada lawatan tersebut Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu mendapati kedudukan dan keluasan tanah seluas 7.080 ekar yang dicadangkan sendiri oleh Yang Berhormat Bukit Tunggal iaitu yang terletak di Kampung Banggol Baruh, Kuala Nerus adalah strategik bagi pembinaan klinik kesihatan baru. Sehubungan dengan itu, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu akan memanjangkan permohonan pengambilan tanah kepada pihak KKM untuk pertimbangan dan seterusnya memulakan proses perolehan setelah mendapat kelulusan, insya-Allah

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih. Ada soalan tambahan?

Sr. Haji Zaharudin bin ZahidPAS · PNBukit Tunggal

Terima kasih kepada Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua. Saya nak betulkan sikit jawapan EXCO tadi itu. Dia bukan melibatkan pengambilan balik tanah sebab tanah Kerajaan di situ. Tujuh ekar itu semua tanah Kerajaan. Itu yang pertama. Yang kedua berdasarkan apa perbincangan awal kita dengan Pejabat Kesihatan Negeri baru-baru ini dicadangkan type three punya klinik yang dapat menerima 300 hingga 500 orang pesakit sehari dan dengan kapasiti keluasan tujuh ekar itu yang sebagaimana klinik kesihatan baru yang ada dua tiga di Terengganu baru ini yang berharga lebih kurang RM40 hingga RM50 juta. Saya ingin bertanya bilakah akan dimulakan pembinaan disebabkan tanah ini tanah Kerajaan tidak melibatkan pengambilan sebagaimana yang cadangan tapak awal di Kampung Gong Kijang dahulu melibatkan tanah persendirian yang menelan kos lebih kurang RM10 juta untuk pengambilan balik sahaja dan ini menyebabkan kos yang tinggi dan sekarang ini tapak yang baru ini adalah tanah Kerajaan. Terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua

Sila Wakil Kerajaan.

Wan Sukairi bin Wan AbdullahPAS · PNWakaf Mempelam

Ya, terima kasih ADUN Bukit Tunggal. Terima kasih juga atas pembetulan yang telah dibuat. Oleh kerana tanah itu tanah Kerajaan jadi prosesnya akan jadi lebih mudah dan juga menjadi sedikit murahlah, insya-Allah. Jadi seperti yang telah pun saya nyatakan dalam jawapan awal tadi, pihak Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu mendapati lokasi tanah yang dicadangkan itu sangat strategik berbanding dengan tanah yang dicadangkan sebelum daripada ini dan selanjutnya insya-Allah cadangan pembinaan Klinik Kesihatan Bukit Tunggal bagi menggantikan klinik kesihatan yang sedia ada ini insya-Allah akan dimasukkan dalam RMK yang ke-14. Insya-Allah klinik ini setelah beroperasi dijangka seperti yang telah dinyatakan oleh ADUN Bukit Tunggal tadi dapat menampung pertambahan populasi melebihi daripada 50,000 orang penduduk setempat dengan kedatangan pesakit antara 500 hingga 800 orang sehari di kawasan Bukit Tunggal, insya-Allah. Kita doakan mudah-mudahan projek pembinaan Klinik Kesihatan Bukit Tunggal yang baru ini akan dapat direalisasikan, insya Allah. Terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih. Seterusnya saya mempersilakan Wakil Kuala Besut untuk mengemukakan soalan.

Haji Azbi bin SallehPAS · PNKuala Besut

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua soalan saya soalan nombor satu-

Bilakah Kerajaan Negeri akan membina Sekolah Rendah Islam Darul Iman dan Sekolah Menengah Islam Darul Iman di setiap DUN dan Parlimen?

Timbalan Yang di-Pertua

Silakan Wakil Kerajaan.

Ahli Yang Berhormat Kuala Besut bertanyakan tentang pembinaan Sekolah Rendah dan juga Sekolah Menengah Islam Darul Iman di DUN dan juga Parlimen.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, manifesto Kerajaan pada 2018 kita telah meletakkan sasaran untuk mewujudkan satu SRIDI di setiap DUN dan juga satu SMIDI di peringkat parlimen dan setakat ini kita telah berjaya mewujudkan 12 SRIDI mengikut kesesuaian bangunan ataupun infra yang sedia ada dan setakat ini ada 4 SMIDI. Untuk SRIDI baki daripada 12 tersebut kita memulakan proses untuk mengenal pasti tanah. Mana-mana Ahli Yang Berhormat, DUN-DUN yang belum ada SRIDI lagi itu dia kenal pasti tanah yang sesuai dan kita dalam proses untuk permohonan. Kita clear untuk tapak tanah dahulu dan beberapa DUN sudah angkat dan diproses untuk permohonan di peringkat pejabat tanah daerah masing-masing. Untuk makluman juga selain daripada SRIDI milik kerajaan ada sekolah agama rakyat khususnya dan ada 15 yang bernaung di bawah JPINT-Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu yang juga mengguna pakai modul SRIDI ini. Dan bermula tahun ini akan genap enam tahun dan mereka akan mula mengambil peperiksaan untuk UPSRI dan akan mula menyambung ke pengajian peringkat menengah. Dan antaranya sebagai feeder kepada SMIDI yang kita ada. Sekarang ini yang dalam pembangunan adalah SMIDI di Hulu Terengganu dan ada empat keseluruhan iaitu SMIDI Dungun, Kuala Nerus, Hulu Terengganu dan juga SMIDI Besut yang bermula tahun satu ini mengguna pakai modul yang kita telah tetapkan untuk SMIDI lah. Jadi mana-mana Ahli Yang Berhormat yang belum ada SRIDI itu

kita harap dapat mengenal pasti tanah yang sesuai untuk kita pohon di bawah JPINT, insya-Allah. Terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih. Ada soalan tambahan?

Haji Azbi bin SallehPAS · PNKuala Besut

Yang berhormat Timbalan Yang di-Pertua berapakah jumlah keseluruhan pelajar SRIDI yang sedia ada sekarang ini.

Timbalan Yang di-Pertua

Ni perlu notis dok ni?

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, saya dok hafal yang itu. Perlu notis. Semula insya- Allah.

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih, bilangan tu perlu notis deh.. Sebab terlalu detail… seterusnya persilakan Wakil Bukit Besi untuk mengemukakan soalan.

Ghazali bin SulaimanPAS · PNBukit Besi

Bukit Besi, soalan No.1-

Apakah langkah-langkah yang diambil untuk meningkatkan penanaman padi dan pengeluaran Beras Ganu? Dan adakah ada cadangan tempat baharu bagi penanaman padi?

Terima kasih Bukit Besi, terima kasih Timbalan Yang di-Pertua. Saya jawab secara umum langkah-langkah Kerajaan Negeri untuk mempertingkatkan pengeluaran hasil padi di Terengganu. Kalau ada ruang lagi, saya akan fokus kepada pengeluaran Beras Ganu. Jumlah keluasan sawah padi di Terengganu kira-kira 12,000 hektar, tak luas kalau kita nak banding dengan Kedah yang ada sehingga 100,000 hektar. Tetapi jelapang padi Terengganu sebenarnya kawasan pengeluaran padi per hektar yang kedua

tertinggi di Malaysia. 5.2 metrik tan per hektar, sedikit sahaja di belakang kawasan pengeluaran tertinggi IADA Barat Laut Pulau Pinang 5.6 metrik tan per hektar. Dan dari segi persaingan guna tanah dengan pelbagai projek pembangunan lain, memang kita tidak boleh nak tambah banyak keluasan tanah padi, tetapi usaha untuk nak mempertingkatkan pengeluaran padi kita fokus dengan beberapa strategi. Yang pertama kita kekalkan kawasan padi sedia ada. Maknanya sebarang permohonan untuk tukar syarat guna tanah daripada padi kepada tanah pembangunan yang lain, kalau kawasan itu adalah kawasan aktif bertanam padi, memang agak sukarlah untuk kita pertimbangkan. Walaupun kita memahami keperluan dengan pertambahan penduduk, keperluan pembangunan, pertambahan perumahan dan sebagainya, tetapi tolong jangan korbankan tanah padi, kerana setiap hektar tanah padi yang kita korbankan, bermakna periuk nasi kita semakin kemek dan jumlah hasil makanan ruji yang kita boleh keluarkan untuk rakyat kita akan semakin menurun. Yang kedua, untuk nak mempertingkatkan pengeluaran per hektar, dia tak boleh lari daripada pembangunan infra sama ada jalan ladang, sistem perparitan dan saliran. Kerajaan Negeri tahun 2021 memperuntukkan sebanyak RM25 juta, 2022 RM700 ribu lebih, dan 2023 jumlah tertinggi yang diperuntukkan Kerajaan Negeri kepada JPS RM6.6 juta untuk pembangunan sistem pengairan dan saliran bagi memastikan infrastruktur yang lengkap akan memberikan kepada kita satu kawasan sawah padi yang subur dan lengkap untuk nak diusahakan.

Seterusnya, kawasan-kawasan yang bertanam sekali setahun. Antaranya skim padi di Paya Gadung dan Paya Paman di Kemaman, Durian Mentangau di Dungun, dan beberapa skim pengairan di kawasan Batu Rakit, Kuala Nerus yang sebelum ini bertanam sekali setahun, kita upgrade supaya boleh ditanam padi dengan dua kali setahun. Dan sukacita untuk saya maklumkan kepada Dewan, permohonan Negeri Terengganu untuk mendapatkan peruntukan bagi perluasan jelapang padi IADA KETARA Fasa 2, daripada 5000 hektar kepada 10,000 hektar telah mendapat kelulusan dasar di peringkat Kementerian dengan siling peruntukan sebanyak RM100 juta ringgit. Alhamdulillah.

Seterusnya adalah untuk kita mencukupkan keperluan kilang padi. Tahun 2018, di Terengganu hanya ada dua kilang yang aktif beroperasi menyebabkan terjadikan susunan lori bawak padi yang panjang tunggu giliran untuk nak masuk dalam kilang untuk buang padi. Alhamdulillah daripada dua kilang sekarang ni kita dah ada empat kilang yang dikira mencukupi untuk memenuhi keperluan sawah padi

kita dan bila padi kita dari segi jumlahnya semakin meningkat, kita juga tidak boleh lupakan dari segi kualiti. Sebab itulah persijilan Sijil Amalan Pertanian Baik Malaysia ataupun Malaysia Good Agricultural Practices (myGAP), kita akan tambah daripada semasa ke semasa. Buat masa sekarang ini 500 hektar sawah padi di Terengganu adalah sawah padi yang mempunyai pensijilan myGAP dan Terengganu telah tiga tahun berturut-turut menerima anugerah sebagai negeri yang mempunyai pensijilan myGAP tertinggi di Malaysia, terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih. Ada soalan tambahan daripada Bukit Besi atau daripada Langkap? Soalan ini sama lebih kurang daripada dua-dua wakil ini. Silakan Bukit Besi.

Ghazali bin SulaimanPAS · PNBukit Besi

Saya tanya dulu ya Timbalan Yang di-Pertua. Nak tahu sedikit tentang pengeluaran Beras Ganu, dok sebut langsung tadi.

Timbalan Yang di-Pertua. Terima kasih Bukit Besi. Beras Ganu adalah beras myGAP. Dia satu program yang kita gabungkan untuk nak melengkapkan rantaian padi myGAP sebelum daripada ini padi myGAP ada padi, ada pesawah myGAP, tetapi kita tidak ada beras myGAP, kerana rantaian pengeluaran tidak dilengkapkan sehingga final product. Adalah satu kerugian apabila padi yang berkualiti tinggi, kemudian nak dapat sijil myGAP ada lebih 100 checklist yang perlu dilepasi, bermakna petani yang betul-betul berdisiplin, komited dan rajin sahaja yang boleh lepas, tapi akhirnya dia terhenti sekerat jalan. Dan tidak ada beras myGAP yang dikeluarkan di mana-mana negeri dalam Malaysia walaupun persijilan myGAP ada di seluruh negara. Atas dasar inilah Kerajaan Negeri bekerja menubuhkan Jawatankuasa Beras myGAP yang dianggotai oleh Jabatan Pertanian, UPEN, IADA KETARA, Lembaga Pertubuhan Peladang dan beberapa jabatan lain untuk kita rangka satu program supaya akhirnya keluar beras myGAP. Ringkasnya alhamdulillah dengan gabung jalin Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dan kita tidak pernah menafikan peranan agensi dan Jabatan Persekutuan dalam menjayakan usaha ini. Daripada tahun 2020 kita berjaya menghasilkan beras myGAP atas jenama Beras Ganu dan walaupun dia tidak dikenali, permintaannya sangat rendah, cuma bila berlaku krisis hilangnya beras tempatan di pasaran, tiba-tiba beras myGAP melonjak jadi bom. Dan kita mula mendengar komen-komen yang tidak begitu menggembirakan daripada pejabat Menteri Pertanian sendiri yang

memperlekehkan usaha Terengganu, di antaranya memperlekehkan keluasan padi myGAP Terengganu yang dikatakan hanya 500 hektar. 500 hektar sebenarnya paling luas dalam Malaysia, jadi kalau yang 500 hektar ini diperlekehkan, bagaimana dengan negeri lain yang lebih sedikit daripada Terengganu? Kemudian dikatakan beras myGAP Terengganu hanyalah 6% daripada keseluruhan beras, kemudian dinyatakan peranan agensi Persekutuan yang sama sekali kita tidak pernah nak pertikai, sehingga kita pun tertanya-tanya apa sebenarnya maksud kenyataan yang dikeluarkan daripada Pejabat Menteri ini. Sepatutnya dengan sedikit kejayaan di peringkat negeri, dan negeri ini macam anak, kementerian ialah ayah. Bila anak berjaya, sepatutnya jadi satu kebanggaan bagi ayah dan bantu untuk berjaya dengan lebih tinggi, tetapi hakikatnya tidak begitu. Dan kita mula menjangkakan bahawa perjalanan program beras TGanu beras myGAP ini…

Yang Berhormat Timbalan, boleh celah sikit?

Ya?

Boleh celah sikit?

Sila

Terima Kasih. Saya ada terbaca baru ni Yang Berhormat tentang satu kenyataan yang dibuat oleh seorang dalam FB dia, bahawa Yang Berhormat EXCO Pertanian menipu tentang hasil beras kita. Dan dia kata beras kita ni tak layak dimakanlah, ada bubuklah. Macam-macamlah. Minta respon sikit Yang Berhormat.

Timbalan Yang di-Pertua

Saya mintak Yang Berhormat Wakil Kerajaan ringkaskan jawapan kerana kita dah sejam dalam sesi soal jawab ini.

Saya selesaikan dulu beras myGAP kemudian saya sentuh sikit yang disentuh oleh Bandar. Jadi dalam rantaian pengeluaran itu, apabila kita libatkan jabatan dan agensi Persekutuan,

memang sebagaimana yang dijangka kita tidak akan berhadapan jalan mudahlah, terutamanya dari segi kilang pemprosesan, jadi pengeluaran kita akhirnya terhalang disebabkan ada, kalau saya istilahkan, memang bunyinya agak tak sedap didengar, sabotaj, tetapi itulah istilah yang paling mudah difahami. Jadi kita perlu bekerja semula untuk Kerajaan Negeri melengkapkan rantaian pengeluaran ini tanpa kita banyak bergantung kepada orang, sebab bila kita banyak bergantung kepada pihak lain yang tidak memandang kita dengan wajah sebagai seorang kawan, maka ada halangan-halangan dan kita memandang positif perkara ini. Kita memandang positif perkara ini dan insya-Allah Beras Ganu akan muncul kembali dengan situasi dan keadaan yang lebih baik lagi, insya-Allah. Dari segi apa yang dibangkitkan oleh Bandar tadi sebenarnya orang yang hendak serang itu dia terkeliru di antara Beras Ganu dengan beras jenama Terengganu Best. Bila tengok nama Terengganu dia ingat semua hak Terengganu. Sebenarnya beras jenama Terengganu Best ini beras keluaran BERNAS. Programnya pada tahun 2010 dan ditamatkan pada 2012. Ia sudah tidak ada lagi di pasaran cuma bila saya kemukakan sedikit teguran berkaitan dengan kes pembuangan beras di Pahang dibalas dengan dia serang Terengganu. Dia serang Terengganu dia tengok apa sahaja yang ada nama Terengganu dia ambil sebagai satu point kononnya Beras Terengganu Best itu ada bubuk, buruk, ada jerami dan sebagainya. Jadi saya sedarkan pihak mereka bahawa Beras Terengganu Best ini bukan beras Terengganu dia beras BERNAS jadi kenapa serang sama-sama Kerajaan Pusat jadi macam peluru dihalakan sesama sendiri dan Beras Terengganu Best sebenarnya beras yang sudah tidak ada di pasaran cuma cerita itu direka-reka sahaja dan saya sahkan dengan pihak BERNAS dia tidak wujud lagi sekarang. Terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih. Sembilan soalan telah dikemukakan dan dijawab. Saya cuma hendak izin satu sahaja soalan sebelum kita tangguh dan rehat seketika. Dipersilakan Wakil ADUN Sura untuk mengemukakan soalan.

Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua Dewan kerana memberikan peluang kepada Sura. Sura soalan no. 2-

Apakah perancangan Kerajaan Negeri untuk memastikan guru-guru Al-Quran di kampung-kampung terbela?

Timbalan Yang di-Pertua

Sila.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, ADUN Sura bertanyakan tentang kebajikan guru-guru Al-Quran di kampung-kampung. Sedia maklum bahawa guru-guru Al-Quran berada di bawah naungan Yayasan Islam Terengganu dan mereka diberi sedikit elaun sebanyak RM300.00 sebulan dan juga sentiasa dibuat pemantauan oleh pihak Yayasan Islam Terengganu dan juga dalam pemilihan guru ada beberapa kriteria tertentu yang ditetapkan Yayasan Islam Terengganu.

Kursus-kursus juga diadakan untuk seluruh daerah bagi meningkatkan lagi mutu pembelajaran guru. Yayasan Islam Terengganu juga dalam membuat pemilihan guru juga dijadikan mereka sebagai pembimbing. Adanya juga guru rujukan yang dikenali sebagai GULA, Guru Latih Al-Quran dan mencipta aplikasi data untuk khidmat masyarakat dalam membangunkan proses pembelajaran Al-Quran dengan cara yang lebih baik. Di sana juga dalam proses pembinaan insan, kita juga mengguna pakai khidmat I-MITS dan juga DUAT untuk mewujudkan kelas Al-Quran di peringkat JTTK untuk memanfaatkan balai raya-balai raya bagi dari kalangan khususnya belia-belia yang tercicir dalam pembelajaran Al-Quran sebab guru khidmat masyarakat itu banyak berlegar dari kalangan wanita. Jadi kerjasama I-MITS dan DUAT ini banyak kita fokuskan kepada golongan belia-belia, orang-orang muda dia senang sikit dia pergi ke balai-balai raya dan sebagainya.

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih Wakil Kerajaan. Saya nampak soalan ini tanya kepada kebajikan jadi ada soalan tambahan daripada Wakil Sura.

Ada satu je soalan tambahan berkaitan dengan kalau gaji RM300.00 ini tidak tahu lah dengan keadaan kos sara hidup yang makin meningkat RM300.00 boleh beli menda dok tahu dan tak dok ke perancangan Pihak Kerajaan untuk menaikkan gaji kepada RM500.00 ke RM1000.00 ke sebab saya dimaklumkan bahawa disebabkan oleh skim gaji ini menyebabkan kurangnya guru

Al-Quran yang berminat untuk mendaftar sebagai guru Al-Quran Yayasan Islam Terengganu.

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih wakil Sura. Dipersilakan Wakil Kerajaan.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, ini bukan gaji Yang Berhormat elaun sahaja sebagai top up tambahan. Memanglah yang yang mengajar al-Quran itu lebih berhak mendapat upah kita pun bukan nama upah, bagi elaun sahaja sebagai rangsangan mereka berkhidmat. Itu orang panggil masing-masing ada ilmu tentang Al-Quran menjadi kewajipanlah dia untuk mengajar orang lain. Cuma kita boleh wi sampai RM1000.00 tetapi harap Kerajaan Pusat bagi belaka lah royalti itu. Terima kasih.

BERHORMAT TIMBALAN YANG DI-PERTUA: Terima kasih Wakil Kerajaan iaitu wakil Sura. Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, para pemerhati, tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Alhamdulillah 10 soalan telah dikemukakan dan telah mendapat jawapannya maka dengan ini saya tangguhkan sementara Dewan ini untuk disambung semula pada jam 11.00 pagi. Terima kasih.

MESYUARAT DITANGGUHKAN PADA PUKUL 10.30 PAGI

PUKUL 11.00 PAGI

Perbahasan

Timbalan Yang di-Pertua

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Mesyuarat disambung semula. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, semalam kita telah mengemukakan Usul Menjunjung Kasih Di atas Titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dan hari ini kita teruskan perbahasan oleh Wakil-Wakil

Yang Berhormat. Dengan ini saya persilakan mana-mana Wakil yang meneruskan ataupun menyambung perbahasan pada pagi ini. Dipersilakan wakil Bukit Tunggal. Sila.

Sr. Haji Zaharudin bin ZahidPAS · PNBukit Tunggal

Terima kasih kepada Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua kerana mengizinkan saya untuk bersama-sama dalam perbahasan pada kali ini.

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat EXCO, rakan-rakan Ahli Yang Berhormat, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kerajaan, pengamal media, pemerhati, tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Terima kasih kepada Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua kerana memberikan ruang kepada saya untuk bersama-sama mengambil bahagian di dalam perbahasan ke atas usul Menjunjung Kasih di atas Titah Ucapan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan pada kali ini. Saya mengambil kesempatan di sini sementelah kita masih berada di dalam bulan Syawal untuk mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin. Semoga segala amalan kita semasa bulan Ramadan diterima oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan semasa menyampaikan Titah Ucapan semalam telah menyentuh pelbagai perkara merangkumi aspek ekonomi, sosial dan pengharapan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan agar sesi perbahasan di Dewan Undangan Negeri yang mulia ini mencerminkan kematangan dan kebijaksanaan serta mengupas perkara-perkara utama dan juga dapat menganalisis dasar-dasar penting secara rasional. Apa guna pasang pelita jika tidak dengan sumbunya. Apa guna bermain kata kalau tidak dengan sungguhnya.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, sistem pemerintahan secara federalisme telah bermula di Tanah Melayu selepas Kerajaan British terpaksa membatalkan cadangan Malayan Union dan menggantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948 yang terdiri dari sembilan buah Negeri Melayu dan 12 Negeri Selat. Semasa penggubalan draf Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957, Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Negeri Melayu telah bersetuju secara sukarela untuk menyerahkan dan dibataskan sebahagian dari kedaulatan dan kuasa eksekutif

sebagai Raja di dalam Negeri baginda masing-masing yang membenarkan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Parlimen untuk melaksanakan suatu perundangan. Persetujuan Duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu tersebut adalah semata-mata bagi memastikan pembentukan sebuah Kerajaan Pusat yang kuat serta membenarkan Yang di-Pertuan Agong dan Jemaah Menteri melaksanakan suatu kuasa pentadbiran dengan izin as a single independent Self-Governing Unit bagi sebuah Persekutuan. Syarat tersebut termaktub di dalam Memorandum Cadangan Duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu bertarikh 12 September 1956. Berdasarkan sistem federalisme ini Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan mestilah berhubung dan bekerjasama di atas dasar persetujuan semasa pembentukan Persekutuan Tanah Melayu sebagaimana yang telah dinyatakan, bukan berhubung di atas dasar parti politik. Parti politik yang sama boleh berhubung kalau kena parti politik yang lain tidak payah untuk berhubung. Dalam konteks se-Malaysia sistem federalisme dipilih atas semangat untuk mengekalkan kedaulatan dan kuasa sultan-sultan di sembilan negeri Melayu di Tanah Melayu. Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan semasa bertitah pada hari Isnin lepas telah menyebut ayat Kerajaan Beta sebanyak sembilan kali. Sembilan kali baginda sebut, menunjukkan Kerajaan ini adalah Kerajaan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan. Maka, mana-mana pihak yang bersikap tidak adil terhadap Kerajaan ini dalam sebarang aspek, mereka sebenarnya telah berlaku dan bersikap tidak adil Ke bawah Duli Tuanku Sultan Terengganu Darul Iman. Apa yang perlu ditekankan di sini ialah mesti adanya perasaan hormat-menghormati di antara Kerajaan Negeri dan juga Kerajaan Pusat semasa berhubungan di dalam usaha kita untuk memajukan negeri dan negara mengikut kuasa dan hak masing-masing. Seharusnya fokus utama bagi parti apabila diberi mandat untuk menjadi kerajaan sama ada peringkat persekutuan atau peringkat negeri adalah untuk mentadbir dan memacu negara dan negeri secara bersama ke tahap yang lebih tinggi.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, sebagaimana yang kita sedia maklum, Majlis Pembangunan Negeri Terengganu (MPNT) diwujudkan bagi memastikan setiap pembangunan di seluruh negeri di bawah peruntukan persekutuan dapat dijalankan secara sempurna dan dapat memberikan pulangan terbaik kepada rakyat. Majlis Pembangunan Tindakan ini diuruskan secara bersama di antara Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar dan seorang menteri daripada Pusat. Bukit Tunggal inginkan kepastian dari pihak Kerajaan, siapakah wakil menteri dari pusat dan berapa kalikah Mesyuarat Majlis Pembangunan Negeri

Terengganu ini telah diadakan bagi memastikan projek-projek kerajaan Pusat di Negeri Terengganu dapat berjalan dengan lancar.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Malaysia mempunyai simpanan yang besar bagi tiga elemen, Non Radioactive Rare Earth Element (NRREE) dianggarkan bernilai 15.2 Juta tan metrik dengan nilai komersial sebanyak RM1 trillion. Menurut Professor Madya Dr. Mohd Yusri Mohd Yunus dari Universiti Malaysia Pahang, pada tahun 2023, NRREE ini dijangka boleh mencapai harga sehingga RM2 juta setiap tan dan dengan jumlah pasaran bernilai RM809.6 bilion, tiga elemen NRREE yang banyak didapati di Terengganu, Kelantan, Perak, Pahang dan Kedah adalah seperti berikut:- Praseodymium dengan harga RM557 ribu/metrik tan, Neodymium harga RM593 ribu/metrik tan..

Timbalan Yang di-Pertua

Masa tiga minit lagi ya Wakil Bukit Tunggal

Sr. Haji Zaharudin bin ZahidPAS · PNBukit Tunggal

Tolong tamboh sikit Dato’. Dysprosium harga RM1.96 juta/metrik tan. Ini harga yang dinyatakan pada 15 September 2023. Ianya adalah elemen utama yang diperlukan di dalam pembuatan magnet berkuasa tinggi, yang menghasilkan motor elektrik untuk kegunaan hibrid dan elektrik yang mempunyai permintaan yang sangat tinggi pada masa sekarang. Industri huluan, upstream iaitu perlombongan dan industri pertengahan iaitu midstream iaitu pengekstrakan adalah amat kecil berbanding dengan nilai rangkaian keseluruhan tetapi amat penting untuk menyokong industri hiliran, industri yang sangat bernilai ini. Bukit Tunggal yakin dengan Kerajaan Negeri akan memberikan perhatian yang serius terhadap sumber pendapatan baru ini dengan membuat pelan jangka panjang dan sederhana bagi memastikan NRREE ini dapat memberikan pulangan hasil yang tinggi kepada Kerajaan Negeri. Jangan menjadi seperti ayam, di kepuk mati, kelaparan.

Sebagai tanda kesungguhan Kerajaan Negeri bagi memajukan sumber NRREE ini, pada 5 Oktober 2023, Kerajaan Terengganu telah menubuhkan Majlis Mineral Usul Nadi Bumi yang dinaungi oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dan dipenguruskan sendiri oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar sebagai satu platform untuk pemudah cara bagi urusan berkaitan dengan perlombongan dan pembangunan industri berkenaan.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, penyediaan Blue Print Bandar Pintar Negeri Terengganu adalah satu langkah yang amat tepat bagi membolehkan setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sejajar dengan agenda perbandaran baru untuk menyediakan Pelan Tindakan Bandar Pintar bagi mendapatkan penarafan Smart City Early Adopter dengan izin menjelang tahun 2025. Bagi tujuan yang besar tersebut, sebagaimana yang diharapkan oleh Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan, Bukit Tunggal ingin mencadangkan supaya PBT perlu diperkasakan peranannya dan kecekapan dalam setiap perkhidmatan kepada rakyat. Ianya perlu lebih cekap dan pantas. Pemerkasaan PBT ini mesti melibatkan dua segmen utama iaitu yang pertamanya keseragaman prosedur. Keseragaman prosedur untuk semua PBT terutama yang melibatkan permohonan projek, pelabur sama ada di peringkat kelulusan pelan, pembinaan dan juga Sijil Siap Menduduki (CCC), Sijil Pematuhan dan Penyerahan.

Timbalan Yang di-Pertua

Saya bagi dua minit lagi lah.

Sr. Haji Zaharudin bin ZahidPAS · PNBukit Tunggal

Terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua

Sila ringkaskan Wakil Bukit Tunggal.

Sr. Haji Zaharudin bin ZahidPAS · PNBukit Tunggal

Terdapat projek hampir tergendala, hampir dua tahun disebabkan halangan jalan masuk yang tidak dapat diselesaikan oleh PBT walaupun aduan telah dibuat berkali-kali oleh pemaju. Ini akan menyebabkan kerugian di pihak pemaju, pelabur, pembeli, khasnya disebabkan oleh pinjaman bank dan kelewatan CCC. Yang keduanya kecekapan proses. Pada 10 Mac 2024 yang baru-baru ini, Perbadanan Produktiviti Malaysia (NPC) telah menganjurkan Persidangan My Mudah 2024 Peringkat Negeri Terengganu. Inisiatif E10 dengan izin iaitu Permit Pembinaan Ekspress oleh Majlis Perbandaran Kulim dan Kulai Fast Lane (KFL) oleh Majlis Perbandaran Kulai antara dapatan bagi meningkatkan kecekapan proses sekali gus mempercepatkan peningkatan pendapatan PBT. Oleh itu, Bukit Tunggal mengharapkan langkah berani daripada pihak PBT untuk mengadakan perbincangan dengan pihak NPC bagi mengadaptasikan konsep E10 dan KFL tersebut. Berikutan itu juga ianya akan dapat menarik lebih ramai pelabur

berminat untuk melabur di Terengganu sama ada dalam sektor pembangunan, hartanah dan juga industri.

Akhir sekali, Bukit Tunggal ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Kerajaan kerana telah menerima cadangan tapak baru bagi Klinik Kesihatan Bukit Tunggal dan insya-Allah kita akan membantu setakat yang termampu bagi merealisasikan tujuan yang amat murni tersebut. Sekian, Bukit Tunggal dengan ini memohon menyokong Titah Ucapan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan. Sekian, terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih kepada Wakil Bukit Tunggal. Seterusnya saya persilakan, sila bangun Wakil-wakil yang ingin membahaskan Titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan. Silakan Langkap. Sepuluh minit ya.

Azmi bin MaarofPAS · PNLangkap

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat-Yang Berhormat, Ketua-ketua jabatan, para pemerhati, rakan-rakan media serta tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian.

Pertamanya, terima kasih kepada Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua kerana memberi peluang kepada Langkap untuk menyampaikan ucapan perbahasan dalam Persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri Yang Kelima Belas pada kali ini. Langkap sepertimana Ahli-ahli Dewan yang lain, dengan penuh takzim merakam dan merafak sembah ucapan penghargaan dan Menjunjung Kasih Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan atas perkenan menyampaikan Titah DiRaja, mengenai Dasar-dasar Kerajaan pada Istiadat Pembukaan Sidang kelmarin. Dalam masa yang sama, dengan penuh rendah hati, mengulangi rafak sembah ikrar taat setia Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dan bersedia memberi kerjasama yang erat kepada Pentadbiran Negeri supaya dasar-dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan sempurna demi kepentingan negeri dan rakyat seluruhnya.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, menekuni Titah DiRaja mengenai pembangunan ekonomi negeri, Langkap berbesar hati mengucapkan tahniah kepada Kerajaan atas ketekunan dan berterusan dalam mendepani pertumbuhan ekonomi negeri ini. Biarpun prospek pembangunan ekonomi negara dan global secara amnya mengalami kebejatan yang amat ketara, namun Kerajaan Negeri tetap berusaha keras untuk mengembangkan pertumbuhan ekonomi pada kadar yang diharapkan untuk dicapai. Dengan peruntukan sebanyak RM1.86 bilion merangkumi Perbelanjaan Mengurus dan Perbelanjaan Pembangunan sudah semestinya ini merupakan cabaran yang sangat sukar dihadapi dengan turut mengambil kira kedudukan kewangan negeri yang sakit ataupun tenat pada waktu ini.

Oleh itu, saranan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dalam perancangan pengurusan kewangan dan struktur ekonomi seperti mana yang dititahkan oleh Tuanku Sultan pada pendekatan strategik pertama ialah jalinan kerjasama bersama Kerajaan Persekutuan amatlah penting untuk diperhalusi. Saya amat yakin Yang Amat Berhormat Menteri Besar dengan segala diplomasi dan cara sedang dan akan berterusan menjalinkan ruang kerjasama antara kedua-dua pihak. Hal ini telah pun dibuktikan dalam penggal pemerintahan yang lalu di mana bukan sedikit kejayaan yang telah dicapai hasil pendekatan kerjasama erat ini. Tinggal lagi pada tampuk pemerintahan Kerajaan Persekutuan yang ada kini, diharapkan agar terbuka hati dan lebih berjiwa besar untuk meneruskan jalinan ini.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Dewan, seterusnya Langkap juga suka menarik perhatian Ahli Persidangan sekalian akan Titah Tuanku Sultan mengenai Pembangunan Pertanian di Negeri Terengganu. Dengan kecemerlangan trek rekod yang dikendalikan oleh Kerajaan Negeri, di bawah Portfolio Pertanian, Pembangunan Industri Pertanian di Negeri Terengganu telah bergerak dengan begitu pesat dan menyeluruh. Kejayaan demi kejayaan telah dicapai dalam penggal pemerintahan yang lepas dan kini legasi kejayaan ini terus disambung serta giat diperluaskan dalam pelbagai aspek yang difokuskan dengan menobatkan daerah Setiu sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Terengganu. Kesan langsung dari inisiatif ini dapat dirasai oleh rakyat tempatan di daerah Setiu, terima kasih kepada Kerajaan Negeri. Begitu juga dalam industri perikanan yang jelas dapat dilihat kejayaan dengan hasil pendaratan ikan marin yang begitu ketara hasil dari rintisan projek pembinaan tukun tiruan di perairan Terengganu. Dalam hal yang berkaitan,

patik juga merakam sembah penghargaan atas kecaknaan Tuanku Sultan mengenai isu kemasukan ternakan dari luar melalui penyeludupan sepertimana yang disebut dalam Titah DiRaja. Perkara ini bukan sahaja telah merosakkan harga pasaran ternakan, bahkan lebih teruk daripada itu telah memudaratkan ternakan tempatan yang menerima tempias jangkitan penyakit yang dibawa oleh ternakan seludup. Oleh itu, Langkap amat berharap Kerajaan Negeri mengambil perhatian yang serius mengenai perkara ini.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, kesempatan ini Langkap juga ingin menyentuh mengenai Pembangunan Jelapang Padi di Kampung Jelapang, Langkap. Projek ini mula dilaksanakan pada tahun 2008 dengan kos peruntukan sebanyak RM40,000,000.00 yang melibatkan kawasan seluas 750 hektar. Apa yang menjadi masalah terhadap projek ini ialah masalah utama yang berlaku di projek ini ialah sistem pengairan air yang tidak sempurna sejak sekian lama. Banyak kawasan-kawasan yang tidak boleh ditanam kerana masalah pengairan air yang berlaku sehingga sekarang. Di mana air di parit buang tidak siap sepenuhnya menyebabkan kerja-kerja membajak dan menuai pada musim menuai menjadi masalah kepada petani dan kerugian kepada petani kerana kawasan-kawasan ini tidak dapat dituai dengan sepenuhnya. Jadi Langkap berharap kepada Kerajaan Negeri sebagaimana hasrat Kerajaan Negeri untuk meningkatkan hasil pengeluaran padi yang bertepatan juga dengan Setiu sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu, Langkap berharap Kerajaan Negeri dapat menyelesaikan masalah sistem pengairan yang berlaku sekarang ini di Projek Pembangunan Jelapang Padi di Kampung Jelapang, Langkap.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, membina dan membaik pulih jalan pertanian amatlah penting di kawasan saya, kawasan Langkap khususnya di kawasan pedalaman…

Timbalan Yang di-Pertua

2 minit lagi..

Azmi bin MaarofPAS · PNLangkap

Banyak lagi ni, kena tambah lagi ni. Baik. Jadi saya mengharapkan Kerajaan Negeri dapat memberi keutamaan kepada membina dan membaik pulih jalan-jalan pertanian khususnya menjadi masalah kepada petani-petani pada waktu musim hujanlah dan ada tempat-tempat petani-petani terpaksa buat sendiri jambatan, buat sendiri retok untuk ke kebun-kebun menggunakan kayu balak dan kemalangan yang berlaku

masa musim-musim tengkujuh baru ni, ketika pekebun dia lalu dengan kenderaan, jambatan tu runtuh jadi kenderaan tu hanyut. Alhamdulillah tidak berlaku kemalangan jiwa lah. Jadi saya harap Pihak Kerajaan dapat memberi tumpuan kepada untuk membina jalan dan baik pulih jalan yang sedia ada, insya-Allah.

Industri pelancongan di Setiu saban hari telah melonjak dengan begitu pesat. Pelancongan di Setiu menawarkan gabungan keindahan alam semula jadi, kekayaan budaya, pengembaraan ekosistem terkenal dengan pantainya yang bersih, hutan bakau yang subur dan pemeliharaan perkampungan Tradisional Melayu. Sepertimana yang disebut dalam Titah DiRaja oleh Tuanku Sultan, keunikan tempat pelancongan seperti Lata Ulu Kasar perlu dipelihara. Lata Ulu Kasar sememangnya pusat alam semulajadi yang terkenal yang terletak di dalam Hutan Lipur Ulu Kasar. Di Langkap kini mempunyai tarikan baru iaitu Setiu Adventure Park. Adventure Park yang merangkumi beberapa buah kampung yang terlibat. Antaranya Kampung Langkap, Kampung Payung, Kampung Merbau Menyusut dan Pelong. Boleh terus lagi…

Timbalan Yang di-Pertua

2 minit lagi ye..

Azmi bin MaarofPAS · PNLangkap

2 minit..

Timbalan Yang di-Pertua

Ya. Saya bagi masa dua minit tambahan.

Azmi bin MaarofPAS · PNLangkap

Setiap kampung mempunyai produk dan aktiviti pelancongan sendiri seperti aktiviti kayak, flying fox, hiking dan perkhemahan dan aktiviti lain. Dan aktiviti ini telah menarik minat pelancong dari dalam dan luar negeri Terengganu. Produk ini telah memberi impak yang besar kepada ekonomi penduduk setempat kerana wujud peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan kepada peniaga kedai makan, homestay dan pelbagai perkhidmatan lain sekitar Langkap. Walau bagaimanapun, masih banyak pembangunan infrastruktur yang perlu disediakan bagi merancakkan lagi sektor pelancongan di Langkap terutama kegunaan asas seperti bekalan elektrik dan air bersih, kemudahan liputan internet dan penyediaan fasiliti dewan untuk aktiviti, tandas awam dan juga jalan perlu dinaik taraf terutamanya laluan bas untuk ke lokasi pelancongan tersebut. Secara keseluruhannya, Lata Hulu Kasar merupakan

permata tersembunyi yang masih terjaga di Setiu. Lata Ulu Kasar menyediakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan untuk pencinta alam. Oleh itu, besarlah harapan Langkap agar kawasan ini terus diberi perhatian khusus dan peruntukan kewangan yang secukupnya agar kawasan ini dapat dimajukan dan memberi keselesaan kepada pengunjung.

Untuk akhirnyalah Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, saya akhiri ucapan perbahasan saya pada hari ini dengan sekali lagi dengan penuh takzim merakam dan merafak sembah Ucapan Penghargaan dan Menjunjung Kasih Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan atas perkenan menyampaikan Titah DiRaja. Seterusnya, Langkap Merafak dan Menjunjung Kasih dengan Titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dan seterusnya Langkap menyokong. Sekian terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua

Ada mana-mana Wakil lagi yang nak menyertai perbahasan dipersilakan berdiri dan 10 minit. Silakan Wakil Manir.

Haji Hilmi bin HarunPAS · PNManir

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, alhamdulillah pada pagi yang penuh keberkatan ini, saya mengucapkan ketinggian setinggi-tinggi terima kasih kepada Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Yang Berhormat-Yang Berhormat EXCO, Yang Berhormat-Yang Berhormat, sahabat-sahabat Yang Berhormat, pegawai-pegawai kerajaan dan pemerhati, pegawai-pegawai media dan semua yang melihat Sidang Dewan secara online.

Alhamdulillah kita dapat mendengar Titah Ucapan Tuanku Al-Sultan pada hari pembukaan Dewan pada baru-baru ini dan kita melihat satu ucapan yang sepatutnya kita sebagai pihak yang berada di bawah naungan Tunku al-Sultan mengambil berat dan mengambil action dengan izin terhadap apa yang telah dititahkan oleh Baginda Al-Sultan.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Manir ingin mengambil bahagian di dalam tiga muka surat yang dititahkan oleh Tuanku Sultan. Muka surat yang pertama adalah muka surat yang ke-10 di mana Baginda Sultan telah menitahkan bagi memperkasakan agensi pelancongan di Negeri Terengganu dan apa-apa yang berkait dengan isu pelancongan. Tetapi di dalam perbincangan pelancongan ini, kita telah dibekalkan dengan Laporan Ketua Audit Negara 2022. Yang pertama sekali yang disebut di dalam Buku Audit ini adalah berkaitan dengan satu isu yang lapuk, isu lama. Walaupun isu lapuk, isu lama tetapi ia masih disebut tak selesai lagi dalam Laporan Ketua Audit Negara iaitu berkaitan dengan Tasik Kenyir sebagai Zon Bebas Cukai yang semua rakyat tahu bahawa inilah sebenarnya peninggalan mereka yang terdahulu yang telah sekian lama saya kira-kira 12 tahun lepas yang mana Kerajaan telah membelanjakan, saya kira-kira dalam buku ini menyatakan RM612 juta. Walaupun disebut dua daripada tiga projek berjaya diselesaikan tetapi satu projek yang gagal, yang kalau kita tak sebut walaupun ia isu lama orang kita ini kadang-kadang mudah lupa. Kita hangatkan kembali isu ini walaupun ia telah berlalu dengan begitu lama, bila meneliti laporan ini menyatakan bahawa pembaziran ataupun kegagalan urusan kewangan sebanyak RM179 juta pada pembangunan Pulau Bayas itu tidak tahu nak buat apa dah sekarang ini. Tak tahu ke arah mana lebih-lebih lagi pula dalam DUN Telemung. Tak tahulah mungkin kita boleh cadang serah ke Yang Berhormat Telemung nak urus ke macamana. Wat jabat PKN ke lagumana Pulau Bayas lagumana setuju ke dok

Mohd Zawawi bin IsmailBERSATU · PNTelemung

Nak minta penjelasan…

Timbalan Yang di-Pertua

Sila Wakil Manir benarkan.

Mohd Zawawi bin IsmailBERSATU · PNTelemung

Wakil Manir duk laung Telemung Telemung, wase seriau gok berasa. Jadi saya tadi terima kasihlah kepada Yang Berhormat Manir kerana sebut pasal Tasik Kenyir ini. Memanglah Tasik Kenyir ini merupakan satu yang menjadi ikon Malaysia dah hari ini. Orang kena seluruh antarabangsa. Ini cuma saya nak tanya Yang Berhormat Wakil Manir ini, dah kalau gitu katanya pihak yang sebelum ini kata, dia kata Kerajaan hari ini tak nak teruskan. Jadi dia dah perancangan dah dia kata. Sekarang ini dia tak nak teruskan katanya…

Timbalan Yang di-Pertua

Sila Wakil Manir teruskan. Masa berjalan.

Haji Hilmi bin HarunPAS · PNManir

Jadi soalan itu saya tak boleh nak jawab bukan floor saya nak jawab soalan itu. Cumanya bila kita sebut Wakil Telemung sebut lagi cerita selepas daripada itu. Maka pihak Kerajaan insya-Allah dengan kebijaksanaan pihak Kerajaan mungkin apa yang boleh dibuat dengan jumlah yang besar itu yang telah dibelanjakan. Jadi mungkin kita nak tahu juga apa perancangan yang seterusnya dengan apa yang telah dibelanjakan ini. Begitu juga dalam muka surat 10 itu disebut juga tentang REE yang mungkin telah disebut panjang lebar oleh Bukit Tunggal. Manir nak membangkitkan, rakyat sebenarnya tertanya-tanya bila mana royalti minyak dipermain-mainkan oleh Kerajaan Pusat. Maka apakah sebenarnya sumber baharu yang boleh dijelaskan oleh pihak Kerajaan. Sumber baharu kepada Kerajaan Negeri Terengganu sendiri yang selama ini kita melihat sejak sekian lama kebergantungan Kerajaan Negeri bergantung harap kepada royalti sebanyak 81% daripada jumlah bajet yang dikemukakan oleh pihak kerajaan ini.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, di muka surat 13, muka surat yang kedua yang saya nak sentuh tentang Titah Ucapan Sultan ialah berkenaan dengan Baginda Sultan menekankan pengurusan tentang pengurusan kebersihan. Yang mana juga walaupun kita tahu Kerajaan Negeri Terengganu antara negeri yang menolak Akta Sisa Pepejal, Akta 672 tetapi dalam masa yang sama sebenarnya kita ada isu di dalam Laporan Ketua Audit Negara ini di dalam muka surat 54, 55 sebagai contohnya yang disebut tentang ketidakpuasan hati ataupun kita sebut kemerosotan TPSP atau Tapak Pelupusan Sisa Pepejal sehinggalah kalau kita tengok muka surat 54, 55 itu kalau kita tengok kalau saya boleh baca dengan izin hampir kesemua kemudahan di TPSP Sungai Ikan rosak dan tidak berfungsi dan kalau bolehlah kita di peringkat Kerajaan yang cuba mengaplikasikan sesuatu yang baik ini kita bergerak ke arah yang lebih terkehadapan, kita tahu dunia telah bergerak ke arah Green Energy, kita semua faham apa yang disebut oleh Paris agreement yang bergerak ke arah Green Energy kepada kuasa tenaga hijau tetapi kalau perkara yang seumpama ini belum dapat diselesaikan maka perlu diambil perhatian dan penelitian.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, dalam muka surat lima, Ucapan Titah Tuanku Al-Sultan ada menyebut dengan jelas bahawa Kerajaan Beta telah memperuntukkan dalam Buku Titah ucapan itu RM1.86 billion.

Timbalan Yang di-Pertua

Saya bagi masa tiga minit tambahan ya…

Haji Hilmi bin HarunPAS · PNManir

Terima kasih, jiran sebelah, sepatutnya bagi banyak sikit… RM1.86 billion yang mana sebagaimana saya sebutkan tadi 81% daripada jumlah tersebut adalah datangnya daripada duit hasil royalti.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, kita telah merdeka sejak tahun 1957, selepas 22 tahun selepas 18 tahun kemerdekaan berlaku perjanjian antara PETRONAS dan Terengganu dan selepas perjanjian itu 25 tahun terima royalti bukan wang ehsan, tetapi dengan usaha yang nok sebut apa dok tahu perkataan dahsyat-dahsyat disebut, usaha yang sangat tidak berperikemanusiaan daripada parti yang menjadi musuh utama PAS pada ketika itu, berusaha mencabul kehormatan agreement perjanjian Terengganu dengan PETRONAS dan akhirnya sehinggalah sekarang yang menjadi masalah kepada Kerajaan Negeri.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, di dalam sistem feudalisme ini kita kadang-kadang diikat kaki dan tangan sebenarnya, selepas mana ditarik balik saman oleh Kerajaan Negeri kepada PETRONAS, apakah ada lagi langkah di peringkat perundangan? Selain daripada peringkat rayuan kepada pihak Kerajaan PMX. Rakyat nok tahu hok kita turun jalang, Kerajaan Pusat tok beri duit jugak, tok beri duit ke YB. Mereka tertanya-tanya sejauh mana demokrasi yang diamalkan ini memberi suatu nilai yang positif kepada politik matang dan sejahtera yang kita usahakan bersama…

Timbalan Yang di-Pertua

Seminit lagi boleh Wakil Manir?

Haji Hilmi bin HarunPAS · PNManir

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, kita ni sebenarnya macam sahabat-sahabat duk sebut kita banyak beri manfaat kepada orang lain termasuk duit royalti yang digunakan bukan untuk Negeri Terengganu sahaja yang diambil, tetapi digunakan untuk pembangunan di negeri-negeri lain sebagaimana yang disebut oleh sahabat-

sahabat. Ahli-ahli Yang Berhormat, bahkan kita juga kalau kita tengok kalau Telemung sebut sokmo. Telemung-Telemung doh kita orang Hulu ni sekali ni kita sebutlah acap sikit dok ape deh? TNB sebagai contoh mengambil manfaat yang besar daripada Tasik Kenyir. Tetapi apakah perjanjian-perjanjian usaha sama yang dibuat kalau nak kira saya tanya pihak MBKT kemarin, saya tanya berapakah jumlah yang perlu dibayar oleh pihak MBKT kepada TNB bagi membiayai caj elektrik kepada lampu-lampu jalan di seluruh Kuala Terengganu? Jawapan yang saya dapat saya kira-kira RM670,000.00 sebulan kita bayar bil api jalan sahaja, kalau setahun lebih kurang RM 8 juta, elektrik diambil daripada Tasik Kenyir kita kena bayar pulok, rakyat bowoh nu kata macam-macam ke YB doh guana sapa larat lampu jalan dokleh selesai? Sedangkan yang sebenar yang semua kita maklum tapi tak tahulah, tak pasti rakyat, orang awam tahu ke dok, TNB telah meletakkan satu kabel yang khusus untuk lampu jalan untuk memudahkan mereka caj balik kepada Kerajaan, jadi tidak ada, apakah tidak ada mekanisme yang boleh dibuat supaya ianya memberikan manfaat balik kepada kita. Begitu juga yang dibuat oleh manfaat LPT yang mengambil guna duit royalti dan akhirnya hasil tol itu diperolehi, dipungut oleh PLUS. Apa yang saya nak tekankan di sini adalah pihak-pihak yang berkaitan di dalam membuat dan merangka perjanjian-perjanjian perlu meneliti…

Timbalan Yang di-Pertua

Sila buat kesimpulan, Yang Berhormat.

Haji Hilmi bin HarunPAS · PNManir

Simpul doh ni… meneliti dokumen-dokumen yang dibuat supaya menguntungkan pihak Kerajaan dan tidak menguntungkan pihak lain dan akhirnya Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, ada ayat Quran yang menyebut

“Janganlah kamu cenderung hati kepada orang-orang yang zalim manakala kamu melakukan perkara itu, api neraka akan membakar kamu dalam keadaan kamu tidak boleh menolong kamu tidak ada yang boleh menolong kamu selain daripada ALLAH, tetapi dengan sebab kamu menyokong kezaliman itu, kamu tidak mendapat pertolongan dari Allah”

Di sana ada satu hadis nabi yang menyebut:

“Takutlah kamu kepada doa orang-orang yang dizalimi kerana tidak ada hijab di antara doa orang yang dizalimi dengan Allah Subhanahu Wa Ta’ala”

Timbalan Yang di-Pertua

Doh kena wat semula munajat tu…

Haji Hilmi bin HarunPAS · PNManir

Dan di sana Timbalan Yang di-Pertua,

dan Hadis Qudsi ini menyatakan bahawa hadis nabi menyebut:

“Takutlah kamu kepada doa orang-orang yang dizalimi kerana tidak ada hijab di antara Allah”

Allah Ta’ala sebut dalam Hadis Qudsi:

“Aku mengharamkan kezaliman ke atas diri aku, perbuatan zalim, maka aku haramkan perbuatan zalim itu ke atas kamu wahai manusia”

Allah Ta’ala kurniakan PAS dan semua yang ada ini gabungan alim ulama tok-tok guru dan profesional dan sememangnya baru-baru ini sebagaimana disebut munajat ditangguhkan tetapi sebenarnya kita nak beri amaran kepada Kerajaan PMX bahawa tidak ada di antara orang di dalam Dewan ini saya rasa berhenti daripada bermunajat untuk dikembalikan royalti kepada negeri Terengganu. Tak dokk.. Bulan puasa baru ini tiap-tiap malam, 30 malam, puasa baru ini masing-masing baca Qunut Nazilah, jaga-jaga Kerajaan PMX…

Timbalan Yang di-Pertua

Banyok doh lebih ni Manir, tujuh minit lebih doh ni…

Haji Hilmi bin HarunPAS · PNManir

lebih?? Saya tak tengok jam…

Timbalan Yang di-Pertua

Saya mintak…supaya gulung dan…

Mohd Zawawi bin IsmailBERSATU · PNTelemung

Timbalan Yang di-Pertua, minta penjelasan boleh dok? Mintak penjelasan…

Timbalan Yang di-Pertua

Penjelasan dengan Wakil Kerajaan ekgilah…

Mohd Zawawi bin IsmailBERSATU · PNTelemung

Wakil Manir, sebab dia sebut perkataan sedap bunyi tadi…

Timbalan Yang di-Pertua

Cukup-cukup lahtu,

Mohd Zawawi bin IsmailBERSATU · PNTelemung

sikit je…sikit

Timbalan Yang di-Pertua

Saya mintak Manir ringkaskan dan berhenti secepat mungkin, sila duduk Wakil Telemung

Mohd Zawawi bin IsmailBERSATU · PNTelemung

tak boleh sikit je sikit je…

Timbalan Yang di-Pertua

Sila duduk Wakil Telemung, masa kita dah makin kritikal ni, kita ada penggulungan dan ada Usul lagi esok.

Haji Hilmi bin HarunPAS · PNManir

Doh guane nok beri ke dok ke dia

Mohd Zawawi bin IsmailBERSATU · PNTelemung

sikit dokeh jugok.. sikit je

Haji Hilmi bin HarunPAS · PNManir

Doh sebut dohlah

Timbalan Yang di-Pertua

Sila duduk Wakil Telemung, Wakil Manir sila buat penggulungan dan seringkas-ringkasnya…

Tuan Speaker, Timbalan Yang di-Pertua, saya tengok sian tengok Telemung, bakpe Speaker buli sangat Telemung ni? Cuba beri ruang sebab saya rasa tengok dok sampai hati tengok dia….

Timbalan Yang di-Pertua

Atas permintaan Wakil Kerajaan, jadi saya beri seringkas mungkin Wakil Telemung, jangan duduk ork ark ork ark panjang sangat…

Mohd Zawawi bin IsmailBERSATU · PNTelemung

YB Manir sebut tadi perkataan tadi dalam ayat tadi, zalim tuju ke sapa dia zalim tu? Nok tahu zalim TNB ke piye zalim tu?

Timbalan Yang di-Pertua

Faham doh tu, sila duduk, sila Manir, jawab dan seringkasnya lah, respon dan seringkasnya…

Haji Hilmi bin HarunPAS · PNManir

Kita nok maroh orang zalim ni zalim orang dok bui duit ke kita je…. Hok TNB tu…tu dok tau lah saya dang masa ke TNB kalu kita masuk ke TNB gelap la wei kita masa harini ni..{ ketawa} . ..haaa… Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, sebenarnya jangan mempermainkan doa orang yang dizalimi, tu kite nok beringat kepada Kerajaan PMX kerana kuasa Allah SWT itu mengatasi segala-galanya. Dan kita kalau kita ingat ucapan sebelum daripada dia jadi PM, dia kata nak beri 20% bukan 5%, 20% sape ingat..tepuk tangan ..ehh tepuk tangan..tepuk meja sape ingat..20%.. bukan 5%, bila jadi PM..hmm 5% pun dok bui pahtu duk cakap ngate rawe duk bangga .. Eh duk kate yang dia duk bayo gaji kerajaan..

YANG BERHORMAT TIMBALAN YANG di-PERTUA: Wakil Manir orang tahu belaka doh kate doh cakap sikit pelawok, cakap sikit pelawok, jadi saya ingat Wakil Manir 10 minit ni ade lebih ni, saya macam dokleh kawal doh Wakil Manir ni..

Haji Hilmi bin HarunPAS · PNManir

Bila ada orang lain yang ini YB, saya nok base mudoh je sebab tolong perabis je. Baik. Akhirnya,

Mengaku dulang paku serpih,

Mengata orang dia yang lebih.

Insya-Allah kita jangan ikutlah perangai hok rosok-rosok ni. Jadi Manir akhirnya menyokong dan Menjunjung Kasih Titah Ucapan Tuanku Al-Sultan.

YANG BERHORMAT TIMBALAN YANG di-PERTUA:

Sila-sila seringkas yang mungkin.

Haji Mohd Zawawi bin IsmailBERSATU · PNTelemung

Timbalan Yang di-Pertua jangang bekeng ngat…

YANG BERHORMAT TIMBALAN YANG di-PERTUA: Wakil Telemong takdok, Wakil Kerajaan sokong doh. Sila duduk. Terima kasih kepada semua pembahas-pembahas. Alhamdullilah, kita telah selesai sesi perbahasaan ke atas Usul Menjunjung Kasih Ke bawah Duli Yang Maha Tuanku Mulia Al-Sultan dan saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam sesi perbahasaan yang telah bermula sejak kelmarin untuk seterusnya, saya ingin menjemput pihak Kerajaan untuk membuat maklumbalas serta penggulungan ke atas perbahasan-perbahasan yang telah dikemukakan oleh Wakil-wakil di dalam Dewan ini. Dan kita teruskan dengan persidangan ini dengan saya mempersilakan wakil daripada Wakaf Mempelam, napok siap sedia doh untuk memulakan sesi penggulungan. Mempersilakan YB.

Wan Sukairi bin Wan AbdullahPAS · PNWakaf Mempelam

Terima kasih kepada …

YANG BERHORMAT TIMBALAN YANG di-PERTUA: 20 minit.

Wan Sukairi bin Wan AbdullahPAS · PNWakaf Mempelam

Terima kasih kepada Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan seluruh Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri yang saya

hormati sekalian. Terima kasih di atas peluang yang telah diberikan untuk saya membuat penggulungan bagi pihak Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Terengganu. Alhamdullilah bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia dan izinnya dapat kita bersama-sama di dalam Dewan yang mulia ini yang merupakan platform dan wardah yang terbaik dengan Ahli-ahli Yang Berhormat untuk berbahas dan mengupas perkara-perkara yang utama yang menganalisa dasar-dasar penting secara rasional sebagaimana Titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu. Terima kasih kepada Timbalan Yang di-Pertua di atas kesempatan dan peluang yang diberikan ini untuk saya membuat penggulungan di dalam sesi penggulungan ke atas Titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dan juga perbahasan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri sekalian.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan telah bertitah bagi menjamin keseimbangan ekonomi yang sihat, Kerajaan perlulah merancang serta mengurus kewangan secara bersistematik serta perlu dilakukan secara produsif. Perancangan pengurusan kewangan secara efektif untuk menghadapi cabaran ekonomi masa kini dengan beberapa pendekatan strategik secara komprenhensif perlu digerakkan melalui pemerkasaan. Yang pertamanya, jalinan kerjasama bersama Kerajaan Persekutuan. Yang keduannya, Pelan Strategik Penjanaan Pendapatan Baharu dan yang ketiga, Pengukuhan Sektor Penyumbang pada aktiviti ekonomi setempat. Tanpa kerjasama yang jitu di peringkat pentadbiran negeri serta sokongan daripada setiap jabatan, setiap agensi di bawah kerajaan negeri. Maka pendekatan yang digariskan ini tidak akan mampu dicapai.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, melalui Perancangan Cadangan Projek-Projek yang berimpak tinggi. Alhamdullilah Majlis Daerah Besut pada 2023 melalui Rancangan Malaysia Ke-12, telah pun memperolehi kelulusan bagi cadangan projek membina Terminal Bersepadu Bas dan Teksi Jertih. Cadangan projek tersebut ini akan merangkumi 4 skop projek iaitu bangunan terminal bas, bangunan terminal teksi, bangunan sokongan dan kemudahan-kemudahan yang lain. Jangkaan proses perolehan akan diselesaikan pada tahun ini dan tempoh perlaksanaannya insya-Allah selama 3 tahun. Kesinambungan perancangan-perancangan sedia ada juga akan diberikan perhatian sepenuhnya oleh pihak berkuasa tempatan negeri bagi Rancangan Malaysia Ke-13 yang akan datang demi memastikan kesinambungan kesejahteraan rakyat terus diberikan perhatian.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Alhamdullilah penyediaan Blueprint Bandar Pintar Negeri Terengganu atau dikenali Smart Terengganu 2040 akan berada dilandasan yang tepat. Dimana satu sesi libat urus yang terakhir, yang melibatkan pemain-pemain industri telah pun diadakan semalam pada 23 April 2024 bagi mendapatkan pandangan dan ulasan berkaitan dengan Dasar Strategik, Inisiatif Perlaksanaan dan projek program agar ianya relevan dan boleh dilaksanakan mengikut kemampuan semua pihak berkepentingan. InsyaAllah jika tiada halangan, hasil dapatan dari sesi libat urus bersama dengan pemain-pemain industri akan dimasukkan ke dalam Draf Laporan Akhir, sebelum ianya akan dibentangkan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Bandar Pintar Negeri Terengganu yang akan berlangsung pada 13 Mei yang akan datang dan seterusnya diangkat ke Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Terengganu untuk kelulusan selanjutnya.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, untuk makluman juga PBT Negeri Terengganu juga komited ke arah penyediaan pelan tindakan Bandar PINTAR di peringkat tempatan. Terkini MPK telah pun berjaya menyiapkan pelan tindakan mereka, manakala MPD dan Majlis Daerah Marang di dalam proses memuktamadkan draf pelan tindakan mereka. Manakala 4 lagi PBT di Negeri Terengganu juga telah pun memulakan proses pelan tindakan Bandar PINTAR masing-masing. Insya-Allah menjelang 2025 semua Pelan Tindakan Bandar PINTAR dan Pihak Berkuasa Tempatan akan dapat disiapkan. Saya mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan penghargaan kepada Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Terengganu, Pejabat Projek Zon Timur serta 7 Pihak Berkuasa Tempatan negeri yang begitu komited ke arah penyediaan blueprint dan Pelan Tindakan Bandar PINTAR ini.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, peruntukan untuk membiayai kos perkhidmatan, pembersihan awam dan kutipan sisa pepejal di 97 zon kawasan pada 2024 dijangka meningkat dari RM78.97 juta kepada RM81.5 juta disebabkan oleh perubahan kadar cukai perkhidmatan. Kontrak perkhidmatan pembersihan awam daripada 6 % kepada 8 % yang telah berkuatkuasa mulai 1 Mac 2024. Di antara usaha yang digerakkan Kerajaan Negeri dalam meningkatkan kebersihan dan keceriaan kepada tahap optimum mengikut standard piawaian ialah dengan pertamanya meluluskan peruntukan sebanyak RM1.47 juta untuk pembelian 3 buah jentera skylift yang telah pun diserahkan ke Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Majlis Pembandaran Kemaman, Majlis Daerah Hulu Terengganu bagi

kerja-kerja pemangkasan pokok teduhan. Dan yang keduanya, meluluskan peruntukan sebanyak RM20,000.00 kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu bagi menampung kos sewaan tong roro yang ditempatkan di 15 lokasi hotspot sempena dengan Hari Raya Aidilfitri yang lalu.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, berdasarkan rekod jumlah keseluruhan tandas awam di Negeri Terengganu adalah sebanyak adalah 148 buah di mana tandas awam juga termasuk di dalam isu berkaitan kebersihan yang telah pun dititahkan. Di Terengganu, kita ada 148 buah tandas awam, 21 buah adalah bertaraf 5 bintang, 77 buah tandas bertaraf 4 bintang dan 50 buah bertaraf 3 bintang. KPKT juga telah membuka tawaran kepada PBT untuk mengemukakan permohonan Peruntukan PP1 untuk menaiktaraf tandas awam milik PBT. Oleh itu Alhamdullilah, KPKT meluluskan peruntukan sebanyak RM4.240 juta dengan melibatkan 35 buah tandas awam di seluruh Negeri Terengganu. Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, KPKT telah menetapkan KPI bagi tahun 2024 di mana semua tandas awam milik PBT yang telah dinaiktaraf wajib mencapai taraf 4 bintang ke atas dalam usaha menyahut seruan KPKT mewujudkan tandas bersih, menawan dan wangi.

Berkenaan dengan projek pelaksanaan projek pelaksanaan Integrated Island Waste Management di Pulau Perhentian dan juga Pulau Redang, Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu bertarikh 14 Disember 2023 telah pun bersetuju untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan projek yang sepatutnya berakhir pada 2023 disambung lagi tempoh setahun sehingga akhir 2024. Ini disebabkan oleh penghantaran dan pemasangan tiga unit mesin kompos tidak dapat dihantar pada penghujung tahun lepas disebabkan oleh faktor cuaca monsun.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Kerajaan juga menyambut baik hasrat KPKT dalam menggalakkan aktiviti kitar semula yang berteraskan konsep ekonomi kitaran bagi mengurangkan bebanan pelupusan sisa pepejal ke tapak pelupusan serta menjadikan sisa sebagai sumber kepada industri lain tanpa mengabaikan aspek penjagaan alam sekitar. Program kitar semula, pengumpulan minyak masak terpakai, pengumpulan E-waste sentiasa dijalankan secara berkala dan diantara inisiatif yang bakal dilaksanakan bagi mencapai kadar kitar semula kebangsaan sebanyak 40% menjelang 2025, adalah dengan yang pertamanya mewujudkan syarat lesen bagi mewajibkan pengilang mengemukakan data kitar semula yang diterima diproses kepada SWCorp semasa permohonan atau pembaharuan lesen

perniagaan PBT. Yang keduanya menambahkan bilangan kemudahan pengurusan kitar semula di kawasan-kawasan PBT terutamanya Drive Thru Recycling Centre.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, untuk membantu merancakkan lagi sektor pelancongan di Negeri Terengganu, Pihak Berkuasa Tempatan juga mengemukakan permohonan melalui MOTAC, ECRDC dan KPKT serta agensi-agensi yang lain yang berkaitan untuk menambahkan lagi tempat tarikan di negeri ini sebagai pilihan kepada pelancong di samping membantu orang tempatan untuk meningkatkan ekonomi mereka. Antara projek ataupun komponen pelancongan yang sedang di rancangan secara berfasa melibatkan projek Lambaian Bayu, pemulihan dan pembangunan Waterfront serta menaik taraf gerai-gerai dan pelbagai lagi di mana kerajaan negeri melalui PBT telah memohon peruntukan kepada Kerajaan Persekutuan dengan bantuan daripada agensi-agensi yang berkaitan.

Selaras dengan aspirasi Kerajaan Persekutuan bagi tahun melawat Malaysia 2026, Pihak Berkuasa Tempatan juga berharap limpahan pelancong kepada setiap daerah yang mampu merancakkan ekonomi setempat diharapkan insya-Allah Yang Berhormat EXCO pelancongan turut membantu PBT dalam memperhalusi permohonan-permohonan yang dikemukakan oleh PBT insya-Allah di peringkat PBT kita akan terus membantu agar kebersihan dan keceriaan Negeri Terengganu sentiasa di tahap yang optimum sesuai dengan tagline Beautiful Terengganu.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, sekarang izinkan saya untuk memberikan respon di atas ucapan-ucapan yang telah pun disampaikan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian. Yang pertamanya ADUN Bandar menyentuh tentang isu kebersihan yang perlu di tahap optimum serta berupaya menarik pelancong dan juga beliau menyebut tentang pujian-pujian yang telah pun diberikan oleh netizen sewaktu musim perayaan baru-baru ini.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Terengganu turut merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua PBT yang telah mengerah keringat bagi memastikan persekitaran sentiasa bersih dan terpelihara terutama sekali ketika menjelang hari raya Aidilfitri baru-baru ini. Peningkatan ketara jumlah pembuangan sisa pepejal ke tapak pelupusan dua tiga kali ganda dengan peratus sekitar 300 hingga 400 tan sehari berbanding dengan hari-hari biasa, namun PBT khususnya MPKT telah pun

mengaturkan beberapa pelan tindakan untuk memastikan kerja-kerja kutipan sisa pepejal berjalan dengan lancar. Antaranya dengan yang pertama menubuhkan pasukan taskforce operasi pembersihan awam dan kutipan sisa pepejal yang terdiri daripada 107 orang pegawai dan kakitangan MBKT daripada pelbagai unit dan juga jabatan dalaman. Yang keduanya penyusunan semula jadual kutipan sisa pepejal untuk semua zon bermula 1 April hinggalah 14 April 2024. Yang ketiga memperkasa proses pembaikian jentera, lori, compactor agar pembaikian kecil jentera dapat diselesaikan dalam tempoh yang cepat. Yang keempat menyediakan lori serta pemandu gantian untuk setiap zon kutipan sisa pepejal bagi memastikan jadual kutipan tidak tergendala. Yang kelima penempatan lori-lori di kawasan-kawasan di hotspot kutipan sisa pepejal dengan bantuan peruntukan kewangan daripada kerajaan negeri. Selain itu, barisan kepimpinan Kerajaan Negeri juga ingin sekali lagi mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak termasuk kepada anak-anak Terengganu di perantauan yang pulang ke kampung serta netizen yang sentiasa prihatin cakna dan turut memberikan kerjasama di dalam memastikan tahap kebersihan bandar kita terus dalam keadaan bersih dan selesa sehingga mendapat banyak pujian seperti mana yang ada di dalam media-media baru.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, ADUN Bukit Besi juga ada menyentuh tentang isu kawasan Bukit Besi yang tidak dimasukkan dalam kontrak pembersihan awam dan kutipan sisa pepejal PBT. Untuk makluman kawasan Bukit Besi merupakan kawasan operasi di bawah pentadbiran Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah atau pun KETENGAH yang merupakan sebuah agensi di bawah KKDW (Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah) yang menjalankan pembangunan ekonomi dan sosial meliputi pendalaman daerah Dungun, Kemaman, dan juga Hulu Terengganu. Memandangkan kawasan Bukit Besi merupakan kawasan operasi KETENGAH dan diuruskan oleh KETENGAH maka MDD juga tidak memberikan servis perkhidmatan pembersihan awam dan kutipan sisa pepejal secara percuma di dalam kawasan operasi KETENGAH termasuklah di dalam kawasan Bukit Besi. Seterusnya ADUN Telemung menyatakan tentang peruntukan RM78.9 juta bagi belanja kebersihan kata Yang Berhormat Telemung, kalau dibelanja untuk bina rumah lebih baik kata dia, begitu eh. Untuk makluman perkhidmatan pembersihan awam dan kutipan sisa pepejal dengan jumlah peruntukan sebanyak RM78.9 juta setahun adalah merupakan komitmen bayaran yang perlu dijelaskan pada setiap bulan kepada pihak syarikat yang telah dilantik untuk menjalankan perkhidmatan kebersihan ini, kita tidak dapat bayangkan

sekiranya syarikat-syarikat yang telah pun diamanahkan untuk mengutip sampah-sampah di semua tempat yang telah pun digazetkan itu tidak mengutip sampah, kita tidak dapat bayangkan bagaimana keadaan bandar kita ini. Di samping itu, pelbagai program yang telah diaturkan untuk memberikan pendidikan mengenai kebersihan kepada orang awam antaranya melalui pelaksanaan kempen kebersihan tandas awam, kempen kebersihan pasar awam, kempen dan juga pertandingan premis makanan dan medan selera bersih sentiasa diadakan. Dan perkara berkenaan dengan kebersihan ini adalah sesuatu yang sangat penting dan perlu untuk kita sentiasa warwarkan dan kempen kepada rakyat supaya Negeri Terengganu terkenal dengan negeri yang bersih dan rakyatnya adalah rakyatnya adalah rakyat yang pembersih, sama-sama kita jayakan kempen kebersihan ini insya-Allah.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, seterusnya ADUN Pengkalan Berangan juga menyebut tentang isu keperluan rakyat kepada RMM dan dikaitkan dengan bandar bahagia. Selesa dan selamat di tempat kediaman tumpuan umum tahap kesejahteraan penduduk yang juga merangkumi tahap kesihatan mental dan fizikal melalui program sistem jaringan penunjuk pembangunan mampan bandar dan luar bandar Malaysia dalam menentukan indeks kebahagiaan dan sememangnya isu-isu perumahan juga merupakan isu yang boleh mewujudkan suasana bahagia di kalangan rakyatnya. Mengambil kesempatan ini juga saya mengucapkan tahniah pada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu kerana telah mendapat pengiktirafan di antara 10 bandar paling bahagia di Malaysia sempena sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia Peringkat Kebangsaan pada tahun 2024 yang diraikan pada 20 Mac di seluruh dunia.

Merujuk kepada pembangunan RMM, Kerajaan Negeri menitikberatkan keselesaan kepada rakyat bagi pembangunan RMM, konsep yang diperkenalkan adalah rumah patuh syariah di mana sirkulasi dalam rumah RAHMAN masih memberi keselesaan dan privasi kepada ahli keluarga seperti pergerakan daripada bilik tidur ke bilik air dan dapur yang tidak melintasi ruang tamu, ruang dapur terlindung daripada pintu masuk utama rumah, kawasan utiliti yang disediakan di belakang sebagai ruang membasuh pakaian, pintu bilik tidur tidak terdedah secara terus ke ruang tamu dan dapat dilihat oleh mereka yang kemungkinan kebetulan sedang bertamu. Jadi itu adalah antara konsep rumah RAHMAN yang disediakan oleh Kerajaan. Manakala bagi bilangan unit yang melebihi 250 unit atau 10 hektar ke atas disediakan tapak penjaja bagi kemudahan penduduk setempat. Selain daripada itu, bagi

pembangunan RMM juga disediakan lot-lot kedai, tapak surau dan tapak dewan bagi kegunaan orang ramai supaya masyarakat yang menghuni penempatan di situ dapat hidup dalam keadaan yang selesa bersama-sama dalam kehidupan bermasyarakat.

Yang keduanya, juga disentuh tentang Kerajaan Negeri menawarkan pakej hidup berdaya maju dan mampu memberi tempoh keuntungan yang setimpal kepada kontraktor. Untuk makluman, Kerajaan Negeri mengambil maklum perkara itu. Oleh sebab itulah Kerajaan Negeri seperti yang di dalam jawapan yang telah saya nyatakan kelmarin, nyatakan bahawa kita telahpun mengadakan Bengkel Dasar Perumahan yang telah kita adakan pada 1 dan 2 April yang lalu dan insya-Allah ianya masih dalam proses pemurnian sebelum diangkat ke MMKN bagi menggunakan dasar baharu seperti yang juga telah saya jawab, insya-Allah kalau tidak ada apa-apa yang menghalang Julai 2024 kita akan dapat melihat dasar perumahan yang baharu. Insya-Allah.

Yang Berhormat Pengkalan Berangan juga menyentuh tentang penubuhan mencadangkan penubuhan Yayasan Perumahan Negeri Terengganu bagi menampung dana Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri menghargai cadangan namun perkara ini insya-Allah akan diteliti dan kita akan meneliti dengan kaedah terbaik bagi menangani isu-isu peruntukan pembangunan perumahan ini. Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, ADUN Air Putih juga menyentuh tentang pembinaan RMM yang diperlukan di kawasan rakyat beliau dan dikaitkan juga dengan kekurangan tanah di kawasan beliau. Dan untuk itu, SUK Perumahan sentiasa mengemaskini data tanah dengan Pejabat Tanah untuk keperluan pembangunan akan datang. Selain daripada peruntukan Kerajaan Negeri, SUK Perumahan sentiasa mencari peluang dengan memohon peruntukan daripada Persekutuan atau agensi kerajaan yang lain seperti Kementerian Kewangan, KPDW, KPKT dan KPTM bagi memenuhi hasrat keperluan rakyat Negeri Terengganu.

Seterusnya, Yang Berhormat ADUN Ladang juga menyentuh tentang isu banjir kilat di kawasan perumahan terutama di Jalan Kamaruddin dan Jalan Sultan Omar dan yang keduanya berkenaan dengan isu runtuhan cerun di Flat Bukit Kecil. Untuk makluman pihak MBKT telah pun memohon peruntukan sebanyak RM3.9 juta namun peruntukan ini masih belum diperolehi dan insya-Allah juga seperti yang telah dinyatakan oleh Yang Berhormat, isu ini adalah isu yang sangat penting dan memerlukan kesegeraan, oleh kerana ia melibatkan keselamatan nyawa penduduk-

penduduk di kawasan tersebut. Begitulah juga, dengan isu banjir kilat yang sering berlaku di Jalan Sultan Omar dan juga Jalan Kamaruddin yang insya-Allah juga mendapat perhatian yang serius daripada pihak Kerajaan. Saya ada jawapan yang agak panjang berkaitan tentang isu itu tetapi memandangkan masa yang telah tamat, saya akan pendekkan.

Seterusnya, Yang Berhormat Buluh Gading menyentuh tentang isu vape di premis dan juga langkah-langkah pencegahan. Untuk makluman Dewan, vape ataupun e-cigarette telah pun mula memasuki pasaran Malaysia pada tahun 2015 setelah 10 tahun ia dicipta. Ertinya, lewat doh masuk di Malaysia ni dan golongan muda termasuk belia merupakan golongan yang paling ramai merokok. Dalam kajian-kajian yang telah dibuat mendapati trend ini adalah satu trend yang sangat membimbangkan kita. Justeru, pelbagai cara perlu digarap untuk menangani masalah. Salah satunya adalah kawal selia melalui penguatkuasaan akta. Seperti yang sedia maklum Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam, Akta 852 telah diwartakan pada Februari 2014 yang lalu dan penguatkuasaannya akan dibuat dalam masa yang terdekat. Selain daripada itu, untuk makluman pengoperasian kedai vape di Negeri Terengganu tidak pernah diberikan lesen perniagaan oleh mana-mana PBT dan sehingga hari ini PBT telah pun mengambil tindakan penguatkuasaan kepada beberapa buah premis perniagaan yang menjual peranti vape dan tidak kurang daripada notis dan juga kompaun juga telah dikeluarkan oleh PBT di atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen di bawah UUK Perlesenan Trek Perniagaan dan Perindustrian 2013.

Dan yang terakhir, Timbalan Yang di-Pertua, soalan daripada Kemasik, daripada Kemasik mengemukakan tentang isu pusat hemodialisis yang diperlukan di kawasan ataupun di DUN beliau. Untuk makluman Dewan juga,sehingga Mac 2024 terdapat 2296 orang pesakit yang menghidap sakit kegagalan fungsi buah pinggang dan di Terengganu terdapat 43 buah Pusat Hemodialisis di seluruh Negeri Terengganu, 6 daripadanya ada di unit Hemodialisis Hospital KTM, 5 buah Pusat Hemodialisis kerjasama bersama dengan Kerajaan Negeri, 7 buah di bawah kendalian NGO dan 25 pusat Hemodialisis kelolaan swasta dan di Kemaman sahaja terdapat 4 buah pusat hemodialisis peringkat awal dan pada September tahun lepas ada bertambah 2 lagi namun seperti yang dinyatakan oleh ADUN Kemasik ianya masih belum mencukupi dan insya-Allah pihak Kerajaan memandang keperluan untuk mewujudkan pusat hemodialisis ini sebagai satu keperluan yang

sangat mendesak untuk membantu pesakit-pesakit yang mengalami gejala kerosakan buah pinggang ini.

Yang Berhormat Timbalan di-Pertua, akhir kata Menjunjung Kasih merafak sembah di atas Titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Terengganu ketika bertitah di Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas pada hari isnin 22 April 2024 bersamaan 14 Syawal 1445 Hijrah, Wakaf Mempelam juga mohon menyokong. Terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih YB Wakaf Mempelam, seterusnya saya persilakan Wakil Kerajaan yang ingin menggulung perbahasan yang telah dikemukakan. Silakan Wakil Cukai.

Haji Hanafiah bin MatPAS · PNCukai

Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Terengganu, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, rakan-rakan Yang Berhormat, Ketua-ketua jabatan dan agensi, para pegawai dan kakitangan Kerajaan Negeri dan Pusat, rakan-rakan pemerhati dan media serta pemerhati siaran langsung secara online. Seterusnya tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, pertama dan selamanya adalah kita sama-sama merafakkan kesyukuran kehadrat Illahi atas segala nikmat kurniaanNya kepada kita dan dapatlah kita bersama-sama berada di dalam Dewan yang mulia ini bagi membahaskan Titah Ke bawah Duli yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.

Saya amat tertarik dengan Titah Ke bawah Duli Yang Mulia Sultan Terengganu agar Kerajaan memperkasakan lagi jalinan kerjasama bersama dengan Kerajaan Persekutuan demi impak yang lebih positif kepada kesejahteraan rakyat Negeri Terengganu. Kerajaan Negeri sentiasa memberikan kerjasama yang erat dengan agensi Kerajaan Pusat di peringkat Negeri namun demi kepentingan rakyat dan kelancaran memacu kerancakan pembangunan negeri permintaan royalti minyak oleh Kerajaan Negeri dijadikan satu alasan kerjasama ini terganggu. Hubungan ini

perlu diperkasakan demi kepentingan rakyat dan pembangunan Kerajaan Negeri. Kerajaan Persekutuan sepatutnya menjadi lebih matang di mana fahaman politik perlulah diketepikan, rakyat Terengganu telah memilih dan hormatilah keputusan rakyat pada Pilihan Raya Kecil P.040 yang lepas juga di Kemaman, rakyat Terengganu telah menghantar isyarat yang jelas di mana rakyat telah memberikan kepercayaan penuh kepada pemerintahan kerajaan PAS di Negeri Terengganu bersama dengan Pakatan, bersama dengan Pakatan Nasional khususnya bagi mentadbir negeri. Jangan kerana nyamuk, kelambu dibakar.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar ke atas kemenangan Pilihan Raya Kecil Kemaman P.040 dan seterusnya dipilih sebagai Ahli Parlimen Kemaman, yang sekali gus memberi isyarat signal bahawa politik Malaysia menjelang PRU ke-16 seluruh rakyat akan menolak Kerajaan Pakatan Harapan Barisan Nasional. Terima kasih kepada seluruh pengundi-pengundi terutama anak-anak muda yang telah memilih Pakatan Nasional sama ada di peringkat Nasional mahu pun di peringkat Negeri. Kerajaan Negeri hari ini akan mentadbir Negeri ini dan akan menjaga kesejahteraan rakyat. Kami daripada pihak Kerajaan akan berusaha dengan sedaya upaya bagi memastikan royalti minyak iaitu hak rakyat dikembalikan kepada rakyat dan kepada Kerajaan Negeri Terengganu.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, amat malang apabila Kerajaan PH-BN telah mewujudkan pengasingan pengurusan di peringkat kampung dengan menubuhkan pengurusan baru iaitu JPKKP. Di peringkat Kerajaan Negeri telah lama wujud JPKK. Lantikan Kerajaan Negeri bagi memastikan kebajikan, kesejahteraan rakyat dapat dijaga dengan baik dan objektif tersebut tercapai. Kenapa perlu ada dua identiti yang sama untuk satu tujuan. Di pentas pusat Kerajaan PH-BN berkobar-kobar melaungkan bahawa dia adalah Kerajaan Perpaduan yang terbaik tetapi dalam masa yang sama menjadi punca utama memecahbelahkan keharmonian di peringkat bawah. Semua idea yang dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan pada hari ini bercelaru dan mempersendakan gaya hidup rakyat Negeri Terengganu. Sebagaimana yang kita semua tahu, kehidupan rakyat semakin tertekan dan tersepit akibat daripada peningkatan kos sara diri yang kian meningkat. Di antara idea-idea nakal yang disarankan oleh pihak Kerajaan Pakatan Harapan - Barisan Nasional seperti yang pertamanya minum satu sudu minyak kelapa sawit setiap pagi untuk awet muda. Yang kedua, bersarapan dengan bihun dan air sirap untuk berjimat cermat. Yang ketiga, makan ubi kayu

cicoh nyior untuk ganti beras. Ini semua idea-idea yang semuanya bukan menjadi penyelesaian kepada masalah rakyat tetapi kecelaruan yang melampau bagi menutup kelemahan Kerajaan Persekutuan dalam menangani masalah peningkatan harga barang tidak terkawal.

Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua Yang Berhormat telah mengambil bahagian dalam perbahasan semalam dan menyentuh portfolio saya. Insya-Allah saya akan cuba menerangkan secara lebih terperinci persoalan dan harapan yang telah diutarakan.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, isu banjir kilat saban tahun di Jalan Kamaruddin yang dibawa oleh ADUN Ladang. Kerajaan Negeri melalui JPS Negeri Terengganu telah melaksanakan program-program penyelenggaran secara berkala infrastruktur, sistem saliran di Daerah Kuala Terengganu sebagai usaha untuk mengurangkan risiko kejadian banjir bagi menghadapi musim tengkujuh 2023 baru-baru ini. Sejumlah RM13.7 juta telah diperuntukkan pada tahun 2023 bagi menjalankan kerja-kerja penggalian sungai dan kerja yang berkaitan di bawah Program Pemuliharaan Sungai bagi mengurangkan risiko banjir dan kerja-kerja kecemasan di luar jangka sebelum dan selepas banjir di bawah peruntukan Persekutuan. Selain daripada itu, bagi menampung aliran air banjir kerja-kerja penyelenggaraan kolam takungan air, takungan banjir turut dilaksanakan dengan peruntukan RM3.7 juta. Sistem pengoperasian mekanikal dan elektrikal tempatan banjir turut diselenggara dengan sejumlah RM820,000.00 telah diperuntukkan. Justeru, dengan inisiatif yang telah dilaksanakan oleh JPS ini adalah diharapkan risiko kejadian banjir dapat dikurangkan sementara menunggu kelulusan program-program penyelesaian jangka panjang iaitu RTB Anak Sungai Ibai, Daerah Kuala Terengganu dengan anggaran kos RM70,760,000.00.

Soalan yang dikemukakan oleh Kuala Berang, terdapat dua perancangan untuk bekalan air bersih di Daerah Hulu Terengganu. Pembinaan Loji Rawatan Air Kenyir dengan kapasiti 20 MLD melalui pinjaman persekutuan dengan kos syiling sebanyak RM30 juta status semasa projek ini adalah diperingkat akhir rekabentuk perunding dan menyediakan kajian EIA. Pembinaan Loji Rawatan Air Kenyir ini akan dapat membekalkan air bersih kepada kawasan pelancongan Pengkalan Gawi dan lapan buah kampung antaranya Kampung Basung, Kampung Pasir Gula, Kampung Bukit Munduk, Hulu Tersat dan lain-lain. Selain itu juga, air terawat daripada Loji Rawatan Air Kenyir ini akan dibekalkan ke sempadan Daerah Setiu

seperti Kampung Tasik, Kampung Gedung dan Kampung Teris. Yang kedua, menaik taraf Loji Rawatan Air Hulu Terengganu dengan penambahan kapasiti sebanyak 10 MLD. Loji Rawatan Air Hulu Terengganu yang dibina pada tahun 2006 dengan kapasiti rekabentuk asal 55 MLD telah beroperasi melebihi kapasiti maksimum. Cadangan menaik taraf loji ini telah diluluskan di bawah peruntukan Kementerian Kemajuan Desa Wilayah dengan kos syiling berjumlah RM14 juta. Cadangan menaiktaraf…

Mohd Zawawi bin IsmailBERSATU · PNTelemung

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, boleh saya tu dok? Saya Timbalan EXCO, boleh tanya dok?

Haji Hanafiah bin MatPAS · PNCukai

Hor… Kita jawab dalam nung la. Dalam pejabat…

Timbalan Yang di-Pertua

Kena tanya dalam bilik jabat la…

Mohd Zawawi bin IsmailBERSATU · PNTelemung

Nak tanya… Nak tanya Yang di-Pertua dulu…

Timbalan Yang di-Pertua

Sila duduk. Tanya di dalam jabat la…

Mohd Zawawi bin IsmailBERSATU · PNTelemung

Nak minta izin tanya. Kalau dok leh takpe. Terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua

Hor… dok boleh la sama dah. Cakap luar nanti ni.

Haji Hanafiah bin MatPAS · PNCukai

Cadangan menaik taraf loji ini telah diluluskan di bawah peruntukan KKW dengan kos syiling RM17 juta. Cadangan menaik taraf Loji Rawatan Air Hulu Terengganu adalah dalam peringkat lantikan perunding. Berdasarkan unjuran bekalan air dan permintaan bekalan air yang disediakan oleh SATU, dengan adanya kedua-dua projek tersebut yang dijangka siap pada akhir tahun 2026, ia mampu memenuhi permintaan

bekalan air bersih di Daerah Hulu Terengganu sehingga tahun 2050. Berkaitan soalan Yang Berhormat Kuala Berang berkenaan Bekalan Air Terawat daripada Loji Rawatan Air Marang untuk dibekalkan kepada Daerah Hulu Terengganu, ianya di dalam kajian kemungkinan Loji Rawatan Air Marang yang disediakan oleh perunding yang dilantik. Terdapat option untuk membekalkan 20 MLD air bersih ke Tangki Bukit Perah dan Tangki Bukit Bading di Ajil, Hulu Terengganu jika ada keperluan di masa akan datang. Cadangan pilihan ini adalah sebagai satu inisiatif bagi keterjaminan bekalan air bersih antara daerah-daerah. Walau bagaimanapun, cadangan pelan ini adalah tertakluk kepada keputusan Pihak Berkuasa Negeri.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, menjawab soalan Pengkalan Berangan. Jabatan Kerja Raya sentiasa memandang serius terhadap isu jalan-jalan rosak di laluan Persekutuan dan laluan Negeri di Negeri Terengganu. Susulan daripada hal tersebut JKR sentiasa memberi teguran dan arahan, telah diberikan kepada pihak CCCC dan MRL melalui aplikasi Whatsapp, panggilan telefon dan surat menyurat. Merujuk kepada mesyuarat di antara JKR Terengganu, JKR daerah, MRL dan CCCC pada 19 Mac 2024, pihak CCCC dan MRL telah diperingatkan untuk menyelenggara atau memperbaiki semula jalan-jalan yang telah rosak disebabkan oleh aktiviti keluar masuk lori-lori ECRL.

Soalan mengenai lampu jalan yang tidak berfungsi di Jalan Jambu Bongkok, Marang. Sejak diserahkan projek pembesaran jalan FT03 di kawasan Jambu Bongkok ke Dungun sejauh 5 km tidak pernah menyala kerana mempunyai isu bekalan TNB. Tiada punca bekalan elektrik bagi menyalakan lampu di kawasan ini. Projek tersebut juga merupakan projek politik Kerajaan terdahulu. Jalan FT03 merupakan jalan Persekutuan tetapi telah dibesarkan menggunakan peruntukan Kerajaan Negeri. Pendawaian dan feeder pillar telah dicuri …

Haji Hilmi bin HarunPAS · PNManir

Pencelahan sikit YB Cukai.

Timbalan Yang di-Pertua

Sila.

Haji Hilmi bin HarunPAS · PNManir

Ada lampu tak dok elektrik gane YB? Dok faham. [ketawa]

Haji Hanafiah bin MatPAS · PNCukai

Mende?

Haji Hilmi bin HarunPAS · PNManir

Ada lampu tapi tak dok elektrik guane dia?

Haji Hanafiah bin MatPAS · PNCukai

Sebab tu saya katakan tadi bahawa Feeder pillar tak dok. Yang ni disediakan oleh Kerajaan Negeri. Sepatutnya buat sekali gus dulu kerana Kerajaan dulu menggunakan peruntukan MARRIS. Padahal tak leh nak buat peruntukan tu, peruntukan MARRIS Ini untuk baiki jalan je tapi gi buat jalan. Jadi kerajaan dulu jawablah lagu-lagu mana.

Bagi mengatasi masalah ini, JKR Elektrik telah mengangkat permohonan peruntukan kos pembaikian menggunakan lampu solar sebanyak RM2.5 juta kepada Ibu Pejabat JKR bagi diangkat kepada Kementerian Kerja Raya untuk kelulusan. Peruntukan untuk pemasangan lampu jalan jenis solar ini di jalan tersebut telah diterima pada Mac 2024 sebanyak RM1 juta dan berbaki RM1.5 juta juta telah dimohon bagi membaiki lampu jalan di sepanjang laluan tersebut. Pemasangan difokuskan kepada lima kawasan kritikal seperti selekoh dan persimpangan yang telah dikenal pasti. Sebanyak lima sebutharga telah diiklankan pada 22 April 2024 dan Surat Setuju Terima kepada kontraktor yang berjaya dijangka akan dikeluarkan pada 30 Mei 2024. Tempoh kerja adalah 10 minggu, insya-Allah. Selepas itu, kita harap jalan tu terang benderang.

Menjawab soalan Yang Berhormat Batu Rakit, isu paip air pecah agak serius di sekitar kawasan Wakaf Tengah dan Batu Rakit. Melalui cadangan kerja-kerja perbelanjaan modal (capex) untuk tempoh operasi kelima OPP 5 tahun 2023 hingga tahun 2026 oleh Syarikat Air Terengganu (SATU) sebanyak RM20.58 juta diperuntukkan untuk program penukaran meter serta penggantian paip-paip lama di seluruh negeri dalam usaha Kerajaan mengurangkan kadar air tidak berhasil. Sepanjang 42.2 km paip lama jenis asbestos cement akan ditukar bagi tempoh 2023 sehingga 2026. Penyediaan rekabentuk akan dilaksanakan secara berperingkat oleh pihak SATU yang turut merangkumi kawasan Wakaf Tengah dan juga Batu Rakit. Menjawab soalan Kemasik..

Mohd Shafizi bin IsmailPAS · PNBatu Rakit

Yang Berhormat, soalan sikit. Napok macam tempoh lama jugak tu. Hari ni pecoh pulok hari ni. Macam mana nok buat tu?

Haji Hanafiah bin MatPAS · PNCukai

hok pecoh kita beki. Sekarang saya tengah baiki saya rasa mungkin nak siap doh. Menjawab soalan Wakil Kemasik, apakah tindakan yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri untuk menyiapkan pembinaan Masjid Jamek di Kampung Baru Kertih? Pihak Kerajaan Negeri dalam peringkat untuk menender semula dalam Cadangan Membina dan Menyiapkan Sebuah Masjid dan Lain-lain Yang Berkaitan di Kampung Baru, Kertih, Kemaman, Terengganu. Jadual perancangan projek adalah seperti berikut:

Tarikh Iklan: 5 Ogos 2024

Surat Setuju Terima: 5 Disember 2024

Tarikh Milik Tapak: 19 Disember 2024

Tempoh Pembinaan: 6 Bulan

Sekian.

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih Wakil Cukai yang telah menamatkan penggulungan sebelum tamat tempoh ataupun sebelum habis masa yang disediakan. Seterusnya, saya persilakan Wakil Kerajaan yang berikutnya untuk membuat penggulungan. Ya, Wakil Ajil, sila.

Terima kasih Timbalan Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Terengganu, rakan-rakan Yang Berhormat, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Ketua-ketua Jabatan, pegawai-pegawai kerajaan, rakan-rakan pemerhati, petugas-petugas media dan seluruh rakyat negeri Terengganu yang memerhatikan persidangan ini secara langsung di atas talian. Yang buta boleh mendengar perbahasan ini dan juga yang pekak boleh mengikuti perbahasan ini melalui

tugasan bahasa isyarat yang dipaparkan di skrin. Maknanya semua rakyat boleh mengikuti perbahasan ini. Alhamdulillah, dan saya mengucapkan syukur kehadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang telah memberi kesempatan dan juga kelapangan masa untuk saya meneruskan penggulungan ini dalam membahaskan Titah Ucapan Sultan bagi Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Kelima Belas pada pagi ini dan saya Menjunjung Kasih atas perkenan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku atas kesudian Baginda berangkat merasmikan menyempurnakan Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri ini.

Dalam kesempatan ini, makluman untuk perkembangan portfolio saya sedikit perkembangan berkenaan dengan Portfolio Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional. Di tahun 2024 ini, portfolio Kebajikan telah pun melakukan beberapa program terutamanya program kebajikan melibatkan bantuan di pasca banjir dengan kerjasama beberapa NGO yang telah membuat agihan bantuan beras dan air minuman kepada mangsa-mangsa yang terlibat dengan banjir di akhir 2023 dan di awal 2024 yang mana kita telah mengagihkan ke lebih kurang 15 DUN yang terjejas banjir di Hulu Besut, Kota Putera, Jabi, Kuala Berang, Ajil, Telemung, Rantau Abang, Paka, Bukit Besi, Kuala Besut, Batu Rakit, Langkap dan Permaisuri untuk agihan beras. Dan juga untuk memperkasakan wanita di Negeri Terengganu, Unit Tubuh kita di bawah Portfolio USWa telah mengadakan Sambutan „Terengganu Hijab Day’ pada 22 Februari 2024 bertempat di Kuala Nerus dan diteruskan dengan beberapa program Al-Quran di Masjid Bukit Besar, Kuala Terengganu. Juga untuk makluman warga Dewan, Jabatan Pembangunan Wanita juga telah melaksanakan banyak program untuk memperkasakan wanita di Terengganu dan juga Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara juga telah menyelaraskan dan melaksanakan pelbagai program yang semuanya adalah untuk memberi keupayaan ataupun mengupayakan, memperdayakan lagi wanita di Terengganu supaya menjadi wanita yang mempunyai kekuatan untuk berdaya saing dalam kemajuan dan pembangunan negara.

Merujuk kepada persoalan yang ditimbulkan oleh beberapa ADUN daripada Pengkalan Berangan, Sura, Buluh Gading dalam perbahasan dan juga Batu Rakit, Manir, Telemung dalam soalan yang membangkitkan di antaranya ialah berkenaan dengan penubuhan Yayasan Darul Iman untuk menggantikan Sekretariat Tabung Darul Iman. Sebagaimana makluman dalam jawapan saya pada pagi tadi, penubuhan Yayasan Darul Iman berada di peringkat Pengurusan Sumber Manusia dan Khidmat Pengurusan, SUK dan kita sebenarnya telah pun berhubung dan

merujuk kepada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri untuk memperhalusi penubuhan ini dan sebagaimana yang telah dimaklumkan tadi, semenjak 2023 pihak Kerajaan telah membekukan permohonan untuk penubuhan yayasan ini untuk menyemak semula Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) atau dikenali dengan Akta 258 (1952) Pindaan 2006. Walau bagaimanapun, kita sedang mengusahakan untuk membuat kunjungan hormat kepada Menteri Undang-Undang untuk memohon kebenaran khas untuk penubuhan Yayasan Darul Iman ini.

Perkara seterusnya ialah berkenaan dengan kebajikan OKU yang dibangkitkan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat dalam soalan dan juga perbahasan tadi dan sebagaimana yang dimaklumkan pada 6 Mac 2024 kita telah melancarkan Majlis Tindakan OKU Negeri Terengganu, gabungan daripada lapan anggota NGO OKU dan juga jabatan-jabatan Kerajaan Federal dan Kerajaan Negeri untuk membuat satu pasukan task force untuk bertindak bagi kepentingan OKU dan saya mengharapkan kerjasama yang harmoni dalam pemerkasaan MTOT ini daripada semua jabatan kerajaan yang terlibat untuk sama-sama membantu OKU kita. Seterusnya ialah penubuhan Skuad Upaya, satu entiti baru dalam mengangkat golongan OKU ini untuk menjadi golongan pemberi dan bukan lagi menjadi golongan penerima. Skuad ini akan menjadi frontliner dengan izin kepada gerakan kebajikan untuk turun ke lokasi untuk menyampaikan bantuan kepada golongan sasar.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, itu sahaja yang perlu saya rumuskan dalam penggulungan ini dan saya menyokong usul Menjunjung Kasih Titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan, sekian terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih Wakil Ajil yang telah membuat penggulungan ringkas, padat hanya mengambil masa separuh dan lebih sedikit daripada masa yang diperuntukkan. Seterusnya saya mempersilakan Wakil Alur Limbat untuk membuat penggulungan. Silakan.

Ariffin bin DeramanPAS · PNAlur Limbat

Yang Berhormat Timbalan Speaker Dewan, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar Terengganu, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Pegawai-pegawai Kerajaan, rakan-rakan media dan seluruh pemerhati sekalian.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala:

Maksudnya, “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil (tidak benar), kecuali dalam perdagangan yang berlaku atas dasar redha meredhai di antara kami. Dan janganlah kamu membunuh dirimu. Sesungguhnya, Allah Maha Penyayang kepadamu.”

(Surah An-Nisa’: 29)

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan penghargaan dan syabas kepada semua Ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dan menunjukkan komitmen yang tinggi dalam sesi perbahasan. Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu tentu terutamanya untuk Persidangan Dewan Undangan Negeri pada kali ini. Penglibatan semua Ahli Yang Berhormat dalam memberi idea dan cadangan sememangnya sangat membantu demi pembangunan negeri ini.

Yang Berhormat Timbalan Speaker Dewan, di antara usaha Kerajaan Negeri untuk menambahkan peluang pekerjaan kepada generasi muda di seluruh Terengganu dan khusus soalan yang ditanya oleh ADUN Jertih di Daerah Besut melalui beberapa inisiatif. Antaranya:

1. Memberi fokus kepada usaha penempatan pekerjaan dalam peluang pekerjaan yang ditawarkan.

2. Menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat di Negeri Terengganu melalui inisiatif penempatan pekerjaan.

3. Melaksanakan Program Pemadanan Pekerjaan di peringkat daerah melalui Program Karnival Kerjaya Siri Outreach Kesejahteraan Pekerjaan Rakyat di daerah.

4. Pembaikan program yang dijalankan secara bersasar bagi meningkatkan keberkesanan pencapaian golongan sasaran seperti dalam bidang TVET dan bagi golongan muda.

5. Menggalakkan pekerja dalam sektor tidak formal (GIG) supaya menyertai pekerjaan sepenuh masa.

6. Meningkatkan tahap kemahiran rakyat yang sedang bekerja tanpa perlu melalui program latihan formal seperti Program Pensijilan Rakyat melalui kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT).

Di antara usaha dan inisiatif ialah dijalankan adalah memberi fokus kepada usaha penempatan pekerjaan dalam peluang pekerjaan yang ditawarkan. Langkah Kerajaan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat di Negeri Terengganu melalui inisiatif penempatan pekerjaan iaitulah yang pertama melaksanakan Program Pemadanan Pekerjaan di peringkat daerah melalui Program Karnival Kerjaya Siri Outreach Kesejahteraan Pekerjaan Rakyat di daerah dan juga penglibatan dalam program-program lain. Antara pembaikan yang dilakukan adalah ada yang dijalankan secara bersasar bagi meningkatkan keberkesanan mencapai golongan sasaran seperti dalam bidang TVET dan bagi golongan muda. Dalam tempoh tahun 2023 hingga Mac 2024, sebanyak enam program pemadanan pekerjaan telah dilaksanakan khusus dengan soalan di Daerah Besut.

Menggalakkan pekerjaan dalam sektor tidak formal (GIG) supaya menyertai pekerjaan sepenuh masa. Kita bekerja rapat ataupun kerjasama dengan PERKESO, Urus setia Pekerjaan Negeri Terengganu (UPNT) berusaha menyalurkan dana Latihan Program Bina Kerjaya sektor tidak formal untuk pekerja GIG menjalani program peningkatan kemahiran micro credential sehingga RM4,000.00. Di samping itu, elaun RM300.00 selama tiga bulan disediakan.

Bagi membantu meningkatkan kebolehpasaran kerja, Kerajaan Negeri sedang dalam perancangan meningkatkan tahap kemahiran rakyat yang sedang bekerja tanpa perlu melalui program latihan formal. Melalui kerjasama Jabatan

Pembangunan Pekerjaan (JPK), UPNT sedang melaksanakan Program Pensijilan Rakyat melalui kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT). Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) merupakan satu kaedah bagi mengiktiraf individu yang boleh membuktikan pengalaman dan pencapaian terdahulu yang dimiliki memenuhi keterampilan seperti yang digariskan dalam Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (SKPK) National Occupational Skill Standard (NOSS) semua pekerja industri dari sektor perkhidmatan dan pembuatan yang memenuhi syarat tempoh pengalaman bekerja dalam bidang yang berkaitan serta syarat-syarat lain yang ditetapkan layak untuk melalui pensijilan ini. Pekerja industri yang layak akan dianugerahkan sijil hingga tahap tertinggi mengikut bidang masing-masing seperti yang dinyatakan dalam Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (SKPK). Inisiatif ini dapat menyelesaikan masalah pekerja yang tidak dapat meluangkan masa bagi mengikuti latihan formal yang panjang. Melalui kaedah ini diharap dapat membantu individu menyediakan laluan kerjaya yang baik serta dapat melahirkan pekerja mahir yang berkelayakan.

Saya nak fokus kepada di Besut ini sebagai contoh iaitulah Program Pemadanan Pekerjaan bagi membantu khususnya golongan belia, pemadanan pekerjaan dan latihan yang telah dilaksanakan di Besut bagi tahun 2023 hingga Mac 2024. Pada 28 Februari 2023, Karnival Kerjaya Belia Terengganu di Daerah Besut yang melibatkan temuduga majikan ada tiga belas, temuduga 168 orang, yang berjaya dua puluh. Kemudian pada 23 Mei 2023, Outreach juga di Besut, program kerjaya pada Mei, Kerjaya Halal Eksekutif seterusnya ada sehingga 6 Mac 2024 program yang ketujuh. Jumlah majikan empat puluh satu, sesi temuduga ataupun kehadiran 822 khusus di Besut dan yang berjaya di Besut 194 orang. Ini belum masuk lagi di daerah-daerah yang lain khususnya yang banyak kita buat di Daerah Kuala Terengganu.

Berkenaan dengan PMKS Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) sentiasa menjadi salah satu fokus Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) sebagaimana fokus Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam pembangunan usahawan PMKS. YPU juga akan memastikan fokus yang dilaksanakan sejajar dengan fokus yang dilaksanakan oleh KUSKOP, KUSKOP adalah kementerian di peringkat Pusat. Antara fokus Kerajaan Negeri antaranya meningkatkan penyertaan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) dalam sektor bernilai tinggi bagi menembusi pasaran global. Contohnya baru-baru ini YPU bersama-sama dengan

MATRADE Wilayah Timur telah membantu mendapatkan Sijil BPOM melalui lapan usahawan Terengganu bagi menembusi pasaran Indonesia. Sijil BPOM ini merupakan sijil daripada pihak Indonesia bagi urusan mengeksport produk makanan, ubatan, kosmetik serta produk-produk yang lain. Fokus lain ialah menumpukan pengukuhan kemampuan PMKS dan koperasi bagi meningkatkan daya saing ekonomi. Fokus itu termasuk memperkasakan perusahaan mikro dalam bidang pertanian dan makanan bagi menjamin kelangsungan perniagaan, memperhebatkan keupayaan gerakan koperasi dalam rantaian bekalan dan memperkukuh ekosistem keusahawan sosial bagi menormalkan impak sosial.

Antara usaha yang telah dan akan dilakukan kepada Kerajaan dalam menyediakan lebih banyak jurang terutama yang ditimbulkan oleh ADUN Kemasik kepada anak-anak muda khususnya untuk terlibat sektor PMKS melalui Yayasan Pembangunan Usahawan ialah Program (UBES) Usahawan Belia Sejahtera, program-program khusus secara berkala, bagi usahawan start up, skill up dan high performance, Skim Bantuan Pembangunan Produk, Skim Bantuan Bar Code, Bantuan Analisis Nutrisi, Bantuan Pembungkusan dan juga melalui Skim Bantuan Papan Tanda seterusnya Skim Pembiayaan Riba di bawah Tabung Usahawan Sejahtera (TUGAS) dengan had maksimum sebanyak RM30,000.00. Untuk makluman sebelum daripada ini hak maksimum kita adalah RM50,000.00 memandangan keadaan semasa kita telah hadkan sehingga RM30,000.00, jadi

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, celah sedikit, Yang Berhormat Alur Limbat memandangkan potongan ataupun penafian royalti, adakah program-program yang dinyatakan oleh Yang Berhormat masih dijalankan berserta bajet-bajet yang telah dibentangkan dalam bajet terdahulu.

Ariffin bin DeramanPAS · PNAlur Limbat

Terima kasih kepada Kemasik, sebenarnya saya sedang menjelaskan bahawa sebelum daripada ni had maksimum RM50,000.00, RM10,000.00 hingga RM50,000.00 tetapi sekarang kita turunkan kepada RM10,000.00 hingga RM30,000.00 dan masih, kita baru saja meluluskan untuk bulan ini kepada sebahagianlah kepada peniaga-peniaga kita terutamanya belia, cuma jumlahnya kita hadkan kerana persoalan yang semua kita tahu, kita menghadapi masalah kekangan kewangan walau bagaimanapun, tugas sebagaimana saya akan sebutkan ini iaitulah Kerajaan Negeri melalui YPU menawarkan Skim Pembiayaan No Riba di bawah Tabung Keusahawanan Sejahtera

(TUGAS) ini tertakluk kepada syarat-syarat antara Skim Pembiayaan dan Geran Perniagaan yang boleh dipohon yang masih dibuka sehingga sekarang iaitulah Skim Pembiayaan Peningkatan Perniagaan Terengganu (SP3T), Skim Tabung Siti Khadijah (TSK), Skim Pembiayaan Atas Talian Terengganu (SPINT), Skim Dana Usahawan Asas Tani (DUNIA), Tabung Pemulihan PKS Terengganu, ini yang lepas COVID-19, Dana Usahawan dan Industri Mikro Terengganu (DUIT), Dana Prihatin Terengganu OKU (D-HATI), Program Peningkatan Kapasiti Perniagaan Terengganu (T'CAP), Skim Pembiayaan Khas Bazar Ramadan ini yang lalu, Skim Pembiayaan Mobile Truck, YPU juga membantu usahawan melalui Skim Bantuan Pembangunan Produk, Skim Bantuan Bar Code, Bantuan Analisis Nutrisi, Skim Bantuan Pembungkusan dan juga melalui Skim Bantuan Papan Tanda. YPU juga sentiasa mengadakan program pemadanan perniagaan secara berkala bagi program pemudah cara bagi usahawan dapat memasuki pasaran pasaraya besar, alhamdulillah kita ada beberapa siri kejayaan yang insya-Allah kita akan maklumkan dari semasa ke semasa.

Bagi pembinaan ini soalan daripada Kemasik juga Pejabat Satelit, YPU walaupun sebenarnya kami di pihak khususnya YPU telah menghantar surat kepada Pejabat ADUN Kemasik penangguhan Pejabat Satelit Kemasik insya-Allah kalau tiada apa-apa aral kita akan teruskan, meneruskan untuk Pejabat Satelit ini tetapi masih tertakluk dengan kewangan, seterusnya untuk mengakhiri ucapan saya pada tengah hari, saya menyokong sahabat-sahabat, ADUN-ADUN yang menyentuh isu berkenaan dengan royalti dan juga rakan saya daripada EXCO Infra tadi dengan mengakhiri ucapan ada tiga rangkap pantun-

MB kita baik hati Temu PMX berkali-kali Pohon bayaran royalti Hak Rakyat Terengganu mesti dikembali

Lampu hiasan di Aidilfitri Masak tapai, tapai ragi Wang ehsan yang diberi Bayaran royalti bila lagi

Pusat perlu mulia hati Baru tiada mimpi ngeri

Munajat rakyat tiada henti Kembalikan royalti hak negeri

Akhir kata Alur Limbat menyokong Titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia, semoga kita semua mendapat keberkatan dan keredhaan daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala, sekian.

Sekian, Alur Limbat mohon menyokong, terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih Alur Limbat, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan dan wakil-wakil, para pemerhati sama ada di dalam dan di luar Dewan memandangkan jam telah hampir pukul satu tengah hari maka dengan ini saya menangguhkan dahulu sementara Dewan ini, untuk rehat, makan tengah hari dan solat, insya-Allah akan disambung semula pada jam 2.30 petang, terima kasih.

MESYUARAT DITANGGUHKAN PADA JAM 12.45 TENGAH HARI

PUKUL 2.30 PETANG

Yang di-Pertua

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, mesyuarat disambung semula. Kita masih lagi dalam sesi Penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan DiRaja, saya mempersilakan Yang Berhormat Wakil Kota Putera untuk meneruskan sesi penggulungan kita pada petang ini, dipersilakan.

Yang dihormati dan yang dikasihi, Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang dihormati dan dikasihi Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, sahabat-sahabat, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan, Wakil-wakil Media seterusnya pemerhati dan sidang hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah sekalian.

Pertama-tama marilah kita memanjatkan syukur kita kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana kita dapat berada dalam Sidang Dewan untuk kesekian kalinya dan ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua kerana memberi ruang kepada saya untuk meneruskan sesi penggulungan perbahasan ucapan Menjunjung Kasih Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah yang telah disempurnakan pada 22 April yang lepas. Dalam titah ucapan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan telah menyarankan agar Kerajaan Negeri memperkasakan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan demi impak yang lebih positif kepada kesejahteraan rakyat Negeri Terengganu. Insya-Allah pesanan ini seharusnya disusuli dengan tindakan daripada kita semua Ahli Dewan selepas daripada ini, dan saya juga melalui portfolio dibertanggungjawab ini akan berusaha semampu mungkin ke arah itu.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ahli-ahli Yang Berhormat dalam ucapan perbahasan sejak semalam sehingga pagi tadi. Antaranya yang telah menyentuh beberapa portfolio yang saya dipertanggungjawabkan dan dalam ucapan saya ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk memberikan respon kepada Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah membangkitkan beberapa perkara yang menyentuh portfolio saya.

Antaranya adalah YB Bandar yang telah membangkitkan lawatan Kerajaan Negeri ke Korea dan juga bertanya berkenaan tahap kualiti silica Kerajaan Negeri, dan

juga menyentuh berkenaan dengan perlombongan NRREE. Ketiga-tiga itu berada di bawah portfolio saya, dan saya cuba untuk menjelaskan dengan masa yang diberikan. Yang pertamanya adalah berkenaan dengan lawatan ke Korea dalam awal Ramadhan yang lepas. Rombongan Kerajaan Negeri yang telah diketuai oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar bersama dengan rombongan telah melawat ke Korea Selatan untuk meneroka potensi kerjasama dengan syarikat gergasi Korea dalam industri hidrogen hijau ataupun Green Hydrogen dengan izin yang berpotensi untuk dibawa ke Negeri Terengganu.

Menteri Besar Terengganu, MBI Inc Corporated telah menandatangani perjanjian persefahaman dengan beberapa pemain industri utama hidrogen hijau di Korea Selatan bagi menjadi peneroka dan pengeluar sistem electrolyzer hydrogen dengan prestasi kecekapan penukaran air ke gas hidrogen antara yang terbaik di dunia iaitu menghampiri 90% kecekapan. MoU tersebut telah membentuk pakatan strategik dan kerjasama bagi projek hidrogen hijau yang berpotensi di Negeri Terengganu Darul Iman. Kerjasama turut menggariskan keutamaan bagi membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi buat anak-anak Terengganu, insya-Allah.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, dalam bidang hidrogen pihak Korea Selatan sangat keterdepan dalam bidang itu sehinggakan telah wujud satu bandar khusus untuk teknologi hidrogen iaitu bandar ataupun disebut Ulsan City. Bandar ini telah diwujudkan sejak tahun 2006 lagi dan di mana bandar ini diberikan kebebasan untuk melakukan apa juga mengenai hidrogen. Dan bayangkanlah daripada 2006 telah dimulakan dan sekarang ini telah 2023 melebihi daripada 15 tahun dia keterdepan daripada kita. Dan sayugianyalah kita boleh mengambil manfaat daripada teknologi yang ada di sana. Rombongan telah diberikan pendedahan berkenaan dengan pusat demonstrasi sel bahan api hydrogen ataupun dengan izin hydrogen fuel shell demonstration centre di Ulsan Techno Park. Di Daerah Ulsan, Korea Selatan iaitu pusat rangkaian inovasi dan kemajuan teknologi serantau untuk memahami bagaimana pelaksanaan ekosistem hidrogen sebagai tenaga baharu yang bersih yang digunakan di Korea Selatan termasuklah pusat penjanaan elektrik dan tenaga untuk bandar PINTAR dan reka bentuk jaringan paip gas hidrogen sistem electrolyzer yang modular dan mobiliti kenderaan hidrogen. Rombongan juga telah diberikan pengalaman untuk menggunakan kenderaan yang dikuasakan oleh hidrogen seperti kereta Hyundai dan juga kenderaan awam iaitu Tram Hydrogen Hyundai Rotem.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, industri hidrogen ini sangat menarik kalau boleh saya kongsikan sedikit berkenaan dengan industri hidrogen. Untuk makluman Ahli Dewan sekalian kita kalau dalam industri hidrogen ini dia mempunyai tiga sifat hidrogen itu. Ia panggil grey hydrogen, hidrogen kelabu, blue hydrogen hydrogen biru dan green hydrogen iaitu hidrogen hijau yang mana ketiga-tiga ini adalah mengeluarkan hidrogen tetapi harganya berbeza kerana ianya penghasilan itu masih lagi dua yang pertama iaitu green hydrogen dan blue hydrogen ini dihasilkan masih lagi menggunakan fosil yang biasa, bahan api yang biasa tetapi untuk green hydrogen adalah 100% menggunakan teknologi hijau dan juga boleh net zero pelepasan karbon dioksida ke angkasa raya kita ini. Jadi yang kita nak wujudkan di Terengganu ini insya-Allah adalah green hydrogen. Di mana sekarang ini menjadi permintaan tinggi di negara-negara maju untuk menghasilkan hidrogen itu. Pelaburan langsung asing FDI yang dianggarkan berjumlah RM1.7 billion bagi projek pengeluaran hidrogen hijau yang akan menjana nilai-nilai ekonomi Negeri Terengganu. Dalam tempoh 10 tahun insya-Allah menghala ke arah berjumlah RM2.8 billion. Ianya membuka peluang pekerjaan sebanyak 2,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan mempunyai impak rantaian bekalan. Permintaan teknologi tinggi akan ditransferkan ke Negeri Terengganu Darul Iman, insya-Allah. Dan ianya menjadikan Negeri Terengganu sebagai salah satu pendahulu dalam teknologi tenaga bersih selaras dengan Perjanjian Paris menggunakan perubahan iklim.

Inisiatif ke hadapan Kerajaan Negeri adalah perjumpaan dan mesyuarat bersama tiga syarikat gergasi Korea untuk kerjasama pengeluaran hidrogen hijau di Terengganu dan pengeksportan ke Korea Selatan semula. Kerana permintaan di Korea Selatan agak tinggi berkenaan dengan hidrogen hijau ini dan ia sanggup untuk membeli semula hasil hidrogen yang kita keluarkan di Negeri Terengganu ini. MoU akan ditandatangani yang dalam perbincangan selepas daripada itu dia akan mereka akan datang ke Terengganu dalam masa terdekat ini, insya-Allah. Mungkin dalam awal Mei nanti dan jangkaan projek ini bermula seawal suku keempat tahun 2024, insya-Allah dan kapasiti penjanaan hidrogen hijau minimanya setahun pengeluaran adalah sebanyak 10,000 tan metrik tan setahun. Menerusi kaedah mini hidro yang kita telah kenal pasti dan insya- Allah untuk makluman Dewan juga dengan aliran sungai yang ada di negeri kita ini sekurang-kurangnya kita dapat menjanakan 80 megawatt kuasa elektrik yang akan kita janakan kepada pelan hidrogen hijau kita nanti.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, dalam persoalan yang dibangkitkan juga oleh ADUN Bandar adalah berkenaan dengan kualiti silika di Negeri Terengganu apakah seperti mana yang diwar-warkan bahawa kita mempunyai silika kualiti yang baik. Kualiti silika yang dimiliki oleh Terengganu Darul Iman adalah bersifat 96% sehingga 99.9% tertakluk kepada kawasan mana yang kita terokai. Penyataan kawasan ini boleh dirujuk menerusi peta mineral Terengganu, JMG. Menerusi laporan dan rekod JMG Terengganu dan operator silika juga telah membuat kajian cari gali dan mengenalpasti berkaitan kualiti kawasan perlombongan pasir silika dan batu silika silica quartz di negeri kita ini. Secara asasnya, kualiti pasir silika sedia ada adalah sangat baik dan bermutu tinggi serta permintaan yang tinggi daripada pembeli untuk semi-product dan juga end-product, dengan izin. Kualiti pasir silika ini juga secara teknikalnya boleh ditingkatkan melalui proses tambah nilai tertentu dengan teknologi terkini seperti proses pembasuhan dan dia ada proses washing dan processing itu sendiri. Jadi dua kaedah ini boleh meningkatkan lagi nilai pasir silika dan silica quartz yang kita ada ini. Bagi pengoperasian batu silika, silica quartz kawasan yang telah dikenal pasti adalah di Bandar Baru Cheneh, Kemaman yang mana dijangka akan beroperasi tidak lama lagi dan sedang dalam proses submission plan approval, dengan izin. Hala tuju tawarkan kepada pembeli mineral untuk membuka kilang midstream dan downstream ke kawasan perindustrian di berdekatan kawasan perlombongan dan bersedia untuk membuka kawasan industri baharu. Dalam soalan yang dikemukakan oleh ADUN Bandar juga adalah bertanya berkenaan dengan…

Sura mahu mencelah. Bila disebut oleh Yang Berhormat Kota Putera berkenaan dengan industri silika akan ditukarkan di Cheneh, cuma saya ingin bertanya bagaimana status industri silika yang sekarang ini tengah berproses di Mukim Kuala Abang dan Mukim Jambu Bongkok?

Terima kasih Sura. Berkenaan dengan yang saya sebutkan untuk di Cheneh itu ialah silica quartz. Pasir silika masih kita teruskan di Jambu Bongkok, apa semua tu masih. Dua bentuk silika ini, satu silika quartz dan satu pasir silika. Jadi prosesan dan tempatnya adalah berbeza. Jadi berbalik kepada soalan juga daripada ADUN Bandar, baru se soalan tu, empat minit lagi.

Kerajaan Negeri melalui Menteri Besar Terengganu Incorporated telah menerima beberapa kertas cadangan (proposal) bagi melaksanakan aktiviti perlombongan NR-REE di seluruh Negeri Terengganu. Oleh itu, pihak MBI dalam usaha untuk menilai dan memilih operator/pengusaha yang bersesuaian untuk diberikan kelulusan persampelan dan juga projek rintis, pilot project, dengan izin sebelum diberikan konsesi perlombongan.

Yang Berhormat Dato Yang di-Pertua, dalam perbahasan Ahli-ahli Yang Berhormat ada menyentuh tentang untuk kita menjaga hub supaya kita mengoptimumkan hasil daripada REE ini daripada terlepas pada orang pihak ketiga contohnya. Jadi perkara ini untuk saya ceritakan sedikit pada Ahli Dewan. Dalam lawatan kami rombongan Kerajaan Negeri yang juga diketuai oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar ke Negeri China pada bulan Ogos tak silap saya ataupun September macam tu tahun lepas, kita telah didedahkan ataupun diberi maklumat bahawa Negara China tidak bersedia untuk berkongsi teknologi pertengahan dan hiliran kepada mana-mana negara lain kecuali dibuat hanya di Negara China sahaja. Seperti mana yang berlaku di salah sebuah negeri di dalam Malaysia ini yang telah diberikan hub untuk membuat perlombongan secara „in-situ’ leaching dan telah mengeksport hasil raw material itu 100% kepada China dan dia tidak berkongsi dengan kita bagaimana untuk memproses midstream dan downstream. Dalam lawatan kami, kami cuba untuk mendapatkan kepastian dan memang itulah dasar Kerajaan Negeri China yang tidak berkongsi lalu di situlah juga Yang Amat Berhormat menyebut kepada saya, dia kata Haji Khuz, kalau kita tak boleh optimumkan pendapatan REE ini, biar duduk macam tu je la dalam perut bumi Terengganu tetapi kita kena usahakan supaya kita cari cara dan cari jalan untuk mendapat manfaat yang lebih. Cuma untuk makluman Dewan apa yang dibuat daripada hasil in-situ leaching yang dibuat oleh salah satu negeri dalam Malaysia yang telah eksport ke China itu, sebenarnya hanyalah 1% daripada proses keseluruhan. Bayangkanlah kalau diwarwarkan pada tahun 2023 negeri tersebut telah mendapat RM26 juta daripada hasil yang dia jual kepada Negara China itu hanya 1%. Bayangkan kalau kita boleh explore kepada 20%. Maknanya 26 juta itu boleh kali dengan 20, makna itu adalah sumber sebenar REE yang ada yang boleh kita explore dalam negara kita. Jadi itulah hasrat Yang Amat Berhormat Menteri Besar supaya kita mengoptimumkan ataupun mencari jalan juga untuk memastikan kita dapat proses tersebut.

Alhamdulillah, selepas daripada balik daripada China itu, kita telah explore dan juga saya pula berpandangan takkanlah dalam negara kita yang ramai ahli-ahli akademik, ahli pakar-pakar ini tidak boleh memproses perkara ini. Lalu itulah kita masuk ke beberapa institusi-institusi pengajian tinggi dan alhamdulillah kita sehingga hari ini kita telah menjumpai teknik dan strategi itu untuk kita buat sendiri dan kita boleh proses sendiri dan dengan kerjasama daripada Korea Selatan juga akan menampung di peringkat midstream dan downstream, insya-Allah. Jadi dari keseluruhannya, insya-Allah dalam REE ini kita cuba me….

Minta celah sikit Yang Berhormat.

Guana?

Minta celah sikit.

Ya, sila.

Kita dengar berhubung dengan REE ni dah agak lama. Nak tanya sikit Yang Berhormat, bila kita boleh pakai duit tu?

Ya lah, orang kata kalau kahwin hari ni, tak boleh nak esok nak boleh anak hantar anak ke universiti. Dia ada proses-prosesnya. Jadi Kita telah meletakkan target, insya-Allah dalam… sebab menda ni pun perkara baru dan di peringkat Federal pun masih lagi, SOP pun masih lagi belum… baru-baru sahaja kita terima satu SOP, itu pun ada lagi kawasan-kawasan hanya dibenarkan kawasan yang di luar hutan simpan…ha perkara-perkara tersebut tetapi dari jangka masa kita yang telah kita tetapkan, insya-Allah dalam masa dua tahun kita cuba dapatkan hasil REE ini.

Dalam pendidikan dan penyelidikan pula, Kerajaan Negeri dalam perancangan membangunkan satu course REE Mining & Laboratory R&D di institusi pendidikan milik Kerajaan Negeri iaitu di TATIUC, insya-Allah. Inilah antara perancangan kita dalam meneroka hasil bumi baru serta membangunkan rantaian industri REE di negeri Terengganu agar aktiviti ekonomi di peringkat upstream, midstream dan downstream dengan izin, berlaku sebagaimana yang kita rancangkan.

Yang Berhormat Dato Yang di-Pertua, saya terus kepada soalan yang juga dibangkitkan pada saya oleh Yang Berhormat Ladang - Pelan Strategik Penjanaan Pendapatan Baharu Negeri Terengganu (NIT- New Income Terengganu) dan juga potensi pelaburan yang ada di negeri Terengganu. Pelan NIT ini adalah diluluskan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan PITAS Kali ke-3 pada 17 Januari 2023 yang telah dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar. Pelan ini dijadikan sebagai salah satu agenda dalam Mesyuarat Jawatankuasa Peningkatan Hasil dan Perbelanjaan Hemat Negeri Terengganu dan telah diserahkan secara rasminya Kepada Pejabat Perbendaharaan Negeri bagi Mesyuarat Jawatankuasa Peningkatan Hasil Dan Perbelanjaan Hemat Negeri Bil. 1/2023 Pada 7 September 2023. Pelan Strategik Penjanaan Pendapatan Baharu Negeri Terengganu ini telah dijenamakan semula yang kita sebutkan NIT-New Income Terengganu. Task force NIT ini telah diwujudkan untuk Kerajaan Negeri meneroka peluang penjanaan pendapatan baru bagi mengurangkan kebergantungan kepada royalti petroleum. Dalam NIT ini telah digabungkan beberapa portfolio antaranya Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau. Yang kedua Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna. Yang ketiga Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dan yang keempatnya Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan. Jadi Pelan NIT ini telah kita fokuskan kepada beberapa pendapatan baharulah yang kalau boleh saya kongsikan yang kita telah perincikan iaitu antaranya adalah kajian semula kepada cukai dan fee PTG. Yang ini antara yang kita buat. Yang kedua adalah serahan GLC. Yang ketiga adalah menerusi sumber galian dan mineral dan yang ketiganya adalah pelancongan dan rekreasi dan yang kelima adalah sumber hijau. Dari segi kalau unjuran pendapatan kita untuk tahun 2024 ini kalau boleh saya kongsikan dengan Dewan apa yang telah dibincangkan di peringkat jawatankuasa ini melalui kajian semula cukai dan fee PTG, kita menjangkakan mendapat perolehan sebanyak RM31 juta, dengan serahan GLC dianggarkan sebanyak RM21.89 juta. Melalui sumber air, sumber air ini sebanyak RM56.3 juta. Pelancongan dan rekreasi

sebanyak RM14.7 juta. Sumber galian dan mineral ini sebanyak insya-Allah dalam RM18 juta. Jadi total sekarang ini lebih kurang dalam RM160 juta yang kita sasarkan insya-Allah pada tahun 2024 ini tetapi itulah jawatankuasa ini harus bekerja keras dan saya juga mengharapkan kepada agensi-agensi yang terlibat supaya memfokuskan kepada aktiviti ini supaya kita dapat mencapai target kita untuk mengurangkan kebergantungan kita kepada wang petroleum sebagaimana ramai Ahli Yang Berhormat menyebutkan pasal isu royalti yang kita telah bangkitkan. Yang seterusnya adalah potensi pelaburan yang disebut sebagai RM2.4 bilion.

Yang Berhormat, boleh celah sikit.

Sila

Sebagaimana kita maklum NR-REE ini bukan suatu sumber yang boleh diperbaharui. Dia akan habis walaupun jumlahnya disebut sebanyak 15.2 juta tan. Kadar 15.2 juta tan itu jika dibahagikan mungkin satu tahun berapa tan digunakan ataupun diproses dia not long last lah dia akan habis so berbanding dengan renewal energy yang tidak akan luput dan dia akan boleh digunakan selamanyalah. Jadi mungkin mitigasi ataupun planning mungkin beberapa puluh tahun yang mungkin juga dia perlu dikawal dari segi pengeluarannya. Justeru apakah planning jangka masa panjang untuk NR-REE ini?

Yang di-Pertua

Yang Berhormat, duduk sebentar.

Yang di-Pertua

Duduk sebentar.

Okey, kita cuba..

Yang di-Pertua

Duduk sebentar, Yang Berhormat.

Ya,ya.

Yang di-Pertua

Hendak maklum kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat 47(a) untuk mencelah mana-mana ucapan yang sedang disampaikan mesti mendapat persetujuan dan disebut nama oleh Yang di-Pertua-dalam 47(a) baru sebut. Saya lepas sahaja baru ning sebab tengok.. tetapi jadi Speaker duduk sahaja. Jadi Speaker sebut baru boleh cakap deh supaya tahulah kenal Ahli-ahli Yang Berhormat yang baru-baru ambil maklum tentang 47(a). Sila Yang Berhormat Kota Putera sambung.

Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Okey berbalik pada soalan yang dibangkitkan oleh Kemasik. Ya kita juga faham perkara tersebut dan kita dalam rangka untuk memastikan pengeluarannya adalah dikawal sebab itulah kita memerlukan kewujudan midstream dan downstream supaya kita dapat mengawal dan kita tidak hanya mengeksport dan sekarang ini pun raw material untuk NR-REE memang tidak boleh dieksport hanya boleh diproses di dalam negeri dan negara kita sahaja. Jadi perkara ini juga kita implementkan dalam dasar baru kita dengan silika. Kita cubakan untuk mencari satu tempoh dan dalam pertemuan terakhir dalam minggu lepas dengan pemain-pemain silika ini kita menampakkan suatu hala tuju jelas yang boleh kita di peringkat Kerajaan ini melimitkan eksport itu supaya kita dapat menikmati hasil dengan jangka panjang.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, berkenaan dengan soalan mengenai dengan dasar pelaburan. Potensi pelaburan Kerajaan Negeri, anggaran nilai potensi pelaburan untuk direalisasikan pada tahun 2024 setakat ini dianggarkan sebanyak RM2.4 billon yang meliputi yang pertamanya dari segi sektor pembuatan sebanyak RM1.35 bilion, farmaseutikal sebanyak RM7.3 juta, pengeluaran bahan buangan terjadual RM320 juta dan pembangunan kawasan industri KTIP berjumlah RM680 juta.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Bukit Tunggal juga membangkitkan berkenaan dengan anggaran NR-REE Negeri Terengganu boleh mencapai RM2 juta setiap tan metrik. Dari segi maklumat tersebut Menjunjung Kasih Titah Ucapan Ke

bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu telah mengambil berat tentang sumber NR-REE ini. Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia telah mendapati bahawa Terengganu memiliki deposit yang paling banyak dalam negara kita sepertimana yang disebutkan iaitu sekitar 7.187.500 tan daripada jumlah 15.2 juta tan di seluruh Malaysia. Hampir 50% kurang sikit lah lebih kurang 40% lebih. Berdasarkan anggaran NR-REE ini, anggaran hasil yang boleh mencapai boleh dicapai adalah sebanyak RM15 juta setiap tan metrik setahun dengan anggaran nilai keseluruhan lebih kurang RM809.6 bilion sebagai sumber pendapatan baharu yang harga mencecah pada RM2 juta per tan metrik. ini anggaran daripada raw material. Jika sekiranya kita dapat kelangsungan untuk midstream dan downstream tadi sudah barang pastinya kita dapat jumlah yang lebih besar daripada ini. Sebab itulah hasrat Kerajaan Negeri untuk memastikan kita tangkap sebanyak mungkin teknologi-teknologi untuk kita proseskan NR-REE di negeri kita ini, insya-Allah. Dari segi penubuhan Majlis Mineral Unsur Nadir Bumi yang dinaungi oleh Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, Majlis Mineral Unsur Nadir Bumi Negeri Terengganu telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 31 Januari 2024 yang lalu. Majlis REE dinaungi oleh Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu dan dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Terengganu.

Berkenaan dengan soalan daripada YB Manir, berkenaan dengan Perjanjian Paris, Green Technology, sejauh mana tindakan Kerajaan? Negeri Terengganu sebagai pendahulu dalam teknologi tenaga bersih selaras dengan Perjanjian Paris sepertimana yang saya sebutkan di awal ucapan saya tadi, mengenai perubahan iklim telah membawa lembaran baru kepada tamadun manusia sejagat kerana buat kali pertamanya satu perjanjian terikat dihasilkan bagi membolehkan semua negara mengambil tindakan memerangi perubahan iklim dan memperkenalkan adaptasi yang sewajarnya. Aspirasi Kerajaan Negeri dalam menangani isu global dan merealisasikan teknologi hijau ini dapat dijelmakan, insya-Allah dalam masa terdekat ini.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya juga ingin menarik perhatian Dewan di penghujung ucapan penggulungan saya ini adalah dalam bidang ekonomi digital. Kita sekarang bercakap tentang ekonomi digital dan Kerajaan Negeri berhasrat untuk melaksanakan suatu kempen kepada semua Ahli-ahli Dewan dan juga anak-anak syarikat Kerajaan Negeri bagi menggunakan suatu kaedah yang kita namakan sebagai NFC Business Card. Yang ni kita akan lancarkan dalam masa

terdekat ini bagi mengurangkan kos perbelanjaan kerana kebanyakan daripada TCS kita akan berlaku pertukaran dan setiap kali pertukaran yang melibatkan business card yang ditempah itu akan dah tak guna, akan dibuat baru. Kos itu walaupun mungkin dilihat kecik daripada setiap orang tetapi apabila dijumlahkan dengan jumlah pertukaran yang besar, menyebabkan ianya satu jumlah yang agak besar juga. Jadi pada Portfolio Digital Economy, kita telah mencadangkan agar kita menggunakan NFC Card yang mana kosnya hanya sekali sahaja. Ni saya ada contoh satu dan kepada Ahli-ahli MMKN telah kita berikan. Hanya kita berjumpa dengan orang, hanya sekarang ni phone, mana-mana phone pun dah boleh capture pada NFC ni. Hanya kita letakkan kad di sini dan kita boleh save contact kita dalam phone tersebut. Jadi untuk kaedah ini, bagi menjimatkan perbelanjaan Kerajaan Negeri dari segi marketing dan seumpama dengannya, hanya pakai guna sekali kad dan jika sekiranya berlaku pertukaran agensi kepada satu-satu syarikat ataupun tempat lain, hanya perlu menghubungi anak syarikat Kerajaan Negeri TAJDID untuk update-kan semula. Ataupun yang tukar status daripada satu kepada dua, eh bukan! kepada yang dapat status Dato’ nanti ke, boleh nak tukar kad dia ni, hanya menghubungi TAJDID dan kita update-kan hanya kos RM12.00 sahaja. Jadi berbanding dengan kalau kita kena buang sekotak, dua kotak yang kita telah buat business card itu, insya-Allah dengan kaedah ini akan lebih menjimatkan lagi, insya-Allah.

Jadi cukup sekadar itu sahaja, terima kasih banyak-banyak kepada Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, yang memberi ruang masa yang agak banyak juga, lebih 16 minit daripada yang telah ditetapkan. Semoga apa yang dikongsikan tadi, dapat manfaat kepada kita semua. Sekian,

Kota Putera mohon menyokong.

Yang di-Pertua

Terima kasih kepada Yang Berhormat Kota Putera. Saya bagi ruang yang bebas kepada Kota Putera kerana persidangan yang lalu, kita bagi pendek je ke dia berucap. Dok lepas hawa dia kata. Jadi kali ini lepas hawa tu harap-harap. Jadi seterusnya saya persilakan Yang Berhormat kawasan Batu Buruk untuk menyampaikan penggulungan.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Yang Berusaha ketua-ketua jabatan dan agensi, para pegawai dan kakitangan Kerajaan Negeri, semua tetamu, petugas media dan pemerhati yang dirahmati Allah Subhanahu Wa Ta'ala sekalian. Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala kerana dengan taufik dan inayahnya, kita masih dipanjangkan umur, dapat bersama lagi dalam Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Yang Kelima Belas pada kali ini.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat, memulakan perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, suka untuk saya mulakan dengan memetik firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala:-

“Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu untuk menunaikan amanah kepada ahli. Dan jika kamu berhukum antara manusia, maka hendaklah kamu berhukum dengan adil”.

(Surah An Nisa: 58)

Sesungguhnya amanah yang paling besar ialah amanah kepimpinan kerana tanggungjawabnya adalah untuk meninggikan agama Allah, menegakkan amal ma’ruf nahi mungkar dan memberikan kebajikan kepada rakyat. Adil ialah meletakkan sesuatu kena pada tempatnya. Pemerintahan yang adil adalah pemerintahan yang melaksanakan hak Allah dan hak rakyat. Saya juga bersetuju dengan ucapan-ucapan Ahli-ahli Yang Berhormat yang rata-rata menyentuh tentang isu royalti. Menafikan hak petroleum Terengganu adalah satu tindakan zalim dan melanggar prinsip demokrasi. Pelanggaran ini sangat serius jika tidak dibendung dan diperbetulkan, kelak akan menghakis dan meruntuhkan nilai-nilai demokrasi dalam negara kita. Dalam konteks ini ialah konsep federalisme dalam hubungan dengan negeri. Zalim bukan sahaja disandarkan dengan pemerintahan dictatorship, dengan izin bahkan pemerintahan demokrasi juga dikira zalim jika sekiranya meletakkan sesuatu tidak kena pada tempatnya. Mereka buat alasan kami mahu beri direct kepada rakyat. Jika begitu kenapa perlu diadakan pilihan raya? Bukankah rakyat Terengganu telah memberi mandat kepada PAS-Perikatan

Nasional untuk mentadbir Negeri Terengganu? Jelas, tindakan ini adalah satu pengkhianatan ke atas mandat rakyat. Insya-Allah Pihak Kerajaan tidak akan putus asa dan akan terus berusaha dengan pelbagai cara bagi mengembalikan hak ini kepada Negeri Terengganu termasuk lah munajat kepada Allah. Sedarlah bahawa doa orang yang dizalimi itu tidak ada hijab antaranya dengan Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat, kita dapat rasai roh daripada ucapan titah Tuanku yang menyentuh pelbagai aspek agar Negeri Terengganu yang tercinta ini meningkatkan hasil negeri.

Sulaiman bin SulongPAS · PNPengkalan Berangan

Yang Berhormat Dato Yang di-Pertua..

Yang di-Pertua

Ye Yang Berhormat Pengkalan Berangan.

Sulaiman bin SulongPAS · PNPengkalan Berangan

Boleh?

Yang di-Pertua

Boleh, boleh.

Sulaiman bin SulongPAS · PNPengkalan Berangan

Peraturan 47(a) lah ni.

Yang di-Pertua

Sila.

Sulaiman bin SulongPAS · PNPengkalan Berangan

Jadi, mohon penjelasan ataupun hari itu kita, masa bulan puasa hari itu, rasa semangat sangat doh nok gi sembahyang hajat. Tiba-tiba umum tangguh. Jadi tangguh tu sapa bila pulok? Jadi mitok penjelasan sikit.

Yang di-Pertua

Sila Yang Berhormat.

Terima kasih Yang Berhormat Pengkalan Berangan. Dia sembahyang hajat ni ada kita boleh buat sorang diri, ada boleh buat secara berjemaah. Insya-

Allah yang sorang diri tu kita buat masing-masing dan kita tau ini hak kita dan kita bermunajat kepada Allah. Ataupun kita buat secara berjemaah, insya-Allah bila tiba masanya kita akan buat. Status kita hari ini, seumpama kereta yang duduk pada traffic light, lampu merah.. Lampu merah tak boleh jalan tapi enjin dok mati, insya-Allah bila tiba masa kita akan buat solat hajat bersama-sama, insya-Allah.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat, kita dapat rasai roh daripada ucapan Titah Tuanku Sultan yang menyentuh pelbagai aspek agar Negeri Terengganu yang tercinta ini meningkatkan hasil negeri dengan memanfaatkan sumber alam kurniaan Allah agar berdiri di atas kaki sendiri dengan mengurangkan kebergantungan kepada pihak-pihak lain. Tadi pun dalam ucapan YB Kota Putera juga telah menyentuh benda yang sama. Walaupun kita masih lagi ketinggalan jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain yang lebih kaya seperti Sarawak yang mempunyai RM30 billion simpanan. Namun kita yakin berkat daripada keikhlasan, ketulusan dan gerak kerja yang tersusun kita mampu untuk membina Terengganu menjadi sebuah negeri yang diimpikan . Sebagai contoh antara langkah yang diambil oleh pihak Kerajaan ialah menarik pelaburan dan mewujudkan sumber percukaian baharu serta pewartaan Enakmen Sumber Air Negeri (2020) yang turut memberi hasil kepada negeri. Daripada langkah-langkah yang telah diambil Kerajaan Negeri telah berjaya mengurangkan kebergantungan kepada royalti Petroleum. Hasil negeri selain petroleum pada tahun 2022 sebanyak 21.63% manakala pada tahun 2023 sebanyak 33.06% iaitu peningkatan sebanyak 12.03%

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat, seterusnya saya ingin menjawab beberapa persoalan yang ditimbulkan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat, sebahagian Ahli-ahli Yang Berhormat, sebahagian lagi memberikan cadangan dan juga pandangan. Menjawab kepada kebimbangan oleh YB Ladang bagi isu ancaman kepada Undang-Undang Syariah mutakhir ini walaupun secara zahirnya hanya Enakmen Kanun Syariah Jenayah (1) 2019 dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan dan tidak melibatkan peruntukan yang ada dalam Undang-Undang Syariah negeri lain termasuk Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001. Namun begitu, prinsip yang diguna pakai dan fakta yang dibawa dalam kes Nik Elin Zurina lawan Kerajaan Negeri Kelantan juga terdapat dalam Undang-Undang Syariah negeri ini dan negeri lainnya. Pihak Kerajaan memandang serius perkembangan yang berlaku dan mengambil beberapa langkah antaranya Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu telah menggantung prosiding

terhadap semua peruntukan yang sama dan hampir sama dengan peruntukan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) 2019 yang telah dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan. Sebanyak 12 peruntukan dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 telah diangkat mendapat pandangan dari Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri.

Antara juga ialah memberi kesedaran kepada rakyat melalui program-program penerangan akan kepentingan Undang-Undang Syariah di Malaysia akan terus diperkasakan. Contohnya pada 16 November 2023, Kerajaan Negeri telah menganjurkan Wacana Perundangan Syariah. Wacana Perundangan Syariah Terengganu yang justifikasi penganjurannya adalah untuk memberi pendedahan berkenaan Enakmen Jenayah Syariah dan isu-isu berkaitan. Di sini suka untuk saya menjawab antara naratif yang dibawa di luar sana kononnya pihak PAS, Perikatan Nasional gagal menyekat kes Nik Elin dibawa ke mahkamah. Walhal ketika itu PAS Perikatan Nasional berada dalam Kerajaan Persekutuan. Di sini suka untuk saya ringkaskan kronologi apa yang berlaku dalam kes ini yang membawa kepada pembatalan oleh Mahkamah Persekutuan terhadap Enakmen Jenayah Syariah Negeri Kelantan.

Pada 25 Mei 2022, Nik Elin memfailkan permohonan kebenaran bagi memfailkan petisyen mencabar 20 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan. Pada 22 Jun 2022, Kerajaan Kelantan telah memfailkan 2 afidavit bagi menjawab permohonan dan menghalang permohonan kebenaran dibenarkan oleh Mahkamah Persekutuan. Beberapa bantahan awal yang dimaksudkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan, antaranya berkenaan isu locus stundi. Pada 30 September 2022, permohonan Nik Elin bagi memfailkan petisyen cabaran telah dibenarkan dengan kebenaran seorang hakim Mahkamah Persekutuan. Maknanya usaha-usaha ini telah kita lakukan. Pada 10 Oktober 2022, Parlimen dibubarkan oleh Perdana Menteri Ke-9, Dato’ Sri Ismail Sabri dan pada 13 Oktober 2022 selepas Kerajaan baru dibentuk Kerajaan Madani pada hari ini barulah Nik Elin memfailkan petisyen bagi mencabar Enakmen Syariah Negeri Kelantan. Sepatutnya, Kerajaan yang ada pada ketika itu menghalang agar perkara ini tidak berlaku tapi malangnya ianya tidak berlaku.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat, dalam isu ini kita perlu melihat dalam kerangka yang lebih luas iaitu agenda untuk membuang Islam dalam perlembagaan yang menjadi perjuangan golongan sekular dan Islam

liberal di atas nama kesamarataan agama. Kerajaan Negeri akan terus menerus memberi penerangan dan peringatan akan bahayanya ideologi-ideologi ciptaan manusia yang bersembunyi di sebalik nama agama. Kerajaan Negeri sedar akan kepentingan untuk masyarakat diberi pendedahan akan wujudnya gerakan Islam liberal yang berusaha untuk meruntuhkan kedaulatan Islam di Malaysia supaya menjadi sebuah negara sekular berpaksikan demokrasi liberal. Negara sekular ialah sesebuah negara atau kerajaan yang bebas daripada sebarang pengaruh agama. Manakala, demokrasi liberal ialah sistem politik yang memberikan kebebasan individu secara mutlak kepada rakyat. Maka sebarang persoalan agama adalah urusan peribadi individu tersebut. Tujuan golongan Islam liberal menghapuskan Institusi Islam adalah untuk melemahkan Institusi Kesultanan. Neraca kita umat Islam adalah tidak lari dari sistem keadilan yang berteraskan agama. Mana mungkin keabsahan kuasa agama yang telah diperuntukkan di bawah Undang-Undang Negeri dibiarkan tercabar oleh segelintir yang berniat mahu menjatuhkannya. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk bangun mempertahankan dan memperkasakan Undang-Undang Syariah yang sedia ada. Undang-Undang Jenayah Syariah berpotensi hilang daripada Negara Malaysia jika terus dibiar dan dipandang enteng.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat, Yang Berhormat Batu Rakit ada menyentuh tentang Program Indahnya Hidup Bersyariat. Semua sedia maklum awal tahun baru-baru ini, kita telah melancarkan slogan Indahnya Hidup Bersyariat yang menjadi agenda dakwah Kerajaan Negeri yang didasari dengan variasi program berbentuk keagamaan, dakwah dan tarbiah untuk rakyat Terengganu secara amnya. Bagi perancangan jangka masa panjang, agenda dakwah ini akan dikembangkan ke seluruh pelosok daerah dan DUN di negeri ini dan juga akan melibatkan pelbagai sektor dan bidang. Hal ini menunjukkan syariah merupakan cara hidup terbaik umat Islam yang meliputi segala aspek dalam kehidupan. Slogan ini diketengahkan untuk mencapai dua objektif utama. Pertama, menangkis tohmahan sesetengah pihak yang hanya melihat pelaksanaan syariat bagi aspek Undang-Undang Jenayah semata-mata sedangkan pelaksanaan syariat lebih syumul dan komprehensif merangkumi semua aspek dalam pemerintahan antaranya pentadbiran yang kondusif dan berintegriti, prihatin dan berkebajikan. Sebagai contoh, alhamdulillah pada tahun 2021 dan 2022 Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar telah berjaya memperoleh sijil bersih tanpa teguran mengenai Pemerhatian Audit Terhadap Penyata Kewangan Kerajaan Negeri. Kedua, mendidik rakyat dengan memberi

tasawwur yang indah tentang pelaksanaan syariat Islam. Kita mahu mengubah mentaliti rakyat supaya merubah persepsi mereka terhadap syariat Islam yang sentiasa disandarkan oleh setengah pihak dengan unsur-unsur negatif seperti syariat Islam menyusahkan, sempit, zalim, undur ke belakang dan lain-lain lagi. Syariat Islam adalah indah. Keseluruhan hukum hakam ini adalah untuk manfaat dan kebaikan manusia. Insya-Allah agenda ini akan diperturunkan ke DUN-DUN dalam masa terdekat. Saya juga ingin mengambil peluang ini sebenarnya program-program yang kita jalankan ini adalah kesinambungan daripada program-program yang telah dimulakan pada penggal lepas khususnya daripada EXCO Agama dan juga EXCO Pendidikan, ADUN Yang Berhormat Bukit Payung, Yang Berhormat Paka yang telah memulakannya pada sesi dan penggal yang lepas.

Seterusnya menjawab kepada persoalan zakat yang diutarakan oleh Yang Berhormat Batu Rakit. Saya menyambut baik cadangan yang dikemukakan. Pihak MAIDAM yang bertanggungjawab dalam urusan zakat sentiasa memperhebatkan usaha dakwah dalam menggalakkan orang Islam membayar zakat dengan pergiatkan aktiviti dakwah dalam bentuk dakwah secara bersemuka serta melalui hebahan cetakan dan media sosial. Antara aktiviti yang dilaksanakan adalah seperti taklimat, lawatan premis-premis perniagaan serta mengadakan perjumpaan secara individu dengan peniaga, usahawan selain melalui teks khutbah. Bagi bentuk manfaat, MAIDAM menyediakan kemudahan-kemudahan serta insentif yang menarik bagi menggalakkan pembayaran zakat antaranya pemberian wakalah kepada pembayar zakat individu, perniagaan dan majikan untuk pengagihan sendiri kepada asnaf yang dikenalpasti, cabutan bertuah kepada pembayar potongan zakat bulanan, Skim Khairat Kematian, Skim Al-Hanan kepada waris pembayar zakat yang telah meninggal dunia. Bagi zakat galian pula, MAIDAM ada melaksanakan zakat galian dan setakat ini menerima bayaran melibatkan pembayar individu sahaja dalam skala yang kecil sahaja. Berkait isu zakat petroleum, zakat galian ke atas minyak tidak dikenakan zakat kerana ianya merupakan hasil Kerajaan.

Berkenaan kebimbangan isu peningkatan isu dadah di Daerah Besut yang disentuh oleh Yang Berhormat Hulu Besut, Kerajaan Negeri melalui PEMADAM dan kerjasama agensi seperti AADK dan PDRM sentiasa mencari jalan terbaik bagi mengatasi isu ini. Kami mengambil maklum di atas kegusaran yang diutarakan dan akan memastikan perhatian serius akan diberikan kepada isu ini melalui gerak kerja pelbagai peringkat termasuk dari segi penguatkuasaan dan kempen kesedaran

yang melibatkan pelbagai peringkat umur dan sekolah-sekolah di negeri ini. Jadi isu dadah ini adalah isu yang sangat besar munasabahlah disebut sebagai dadah musuh negara dan jihad untuk menentang dadah adalah satu jihad yang sangat besar fadhilatnya. Masalah ini mestilah diselesaikan secara bersama pihak Kerajaan dengan program-program dan juga aktiviti dan segala macam lagi tindakan yang dilakukan. Dalam masa yang sama juga ia adalah tanggungjawab masyarakat di semua peringkat. Pihak NGO, parti-parti politik, individu-individu untuk kita memastikan rakyat kita, masyarakat kita selamat daripada dadah yang begitu bahaya kepada negara pada hari ini. Akhirnya Dato’ Yang di-Pertua, dengan lafaz rafak dan takzim, saya Menjunjung Kasih Titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Terengganu.

Batu Buruk menyokong. Sekian,

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat kawasan Batu Buruk. Seterusnya saya persila Yang Berhormat Wakil Jabi.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, rakan-rakan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, rakan-rakan Yang Berhormat, ketua-ketua jabatan dan semua yang mengikuti persidangan kita pada petang ini.

Pertama sekali patik Menjunjung Kasih atas Titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dalam Istiadat Pembukaan Dewan Undangan Negeri Terengganu dan juga Menjunjung Kasih atas keprihatinan Tuanku kepada sektor pertanian Negeri Terengganu. Warga Pertanian Terengganu menjunjung Titah Tuanku untuk sentiasa memperkukuhkan jambatan kerjasama dua hala di antara Wisma Darul Iman dan Putrajaya. Hasil daripada perundingan dan hubungan yang baik ini, kita telah dapat banyak manfaat untuk rakyat Terengganu, antaranya peruntukan RM192 juta daripada Kementerian Ekonomi untuk pembangunan dan naik taraf Pelabuhan Perikanan Chendering. Kita juga mendapat peruntukan RM33 juta di bawah Dana Keterjaminan Makanan Kementerian Kewangan untuk pelaksanaan program-program di bawah Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu. Yang terbaru kita dimaklumkan dengan kelulusan dasar RM100 juta bagi projek peluasan Jelapang Padi IADA Ketara Fasa 2 dan kita diberikan RM10.7 juta dari

Kementerian Ekonomi untuk Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan kerjasama di antara Kerajaan Negeri dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. RM3 juta di antaranya adalah untuk Program Pembangunan Tukun Tiruan. Saya petik sepatah ungkapan Pegawai Kanan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan ketika menerima kehadiran kami. Katanya, "Terengganu datang bukan untuk meminta, tapi datang untuk bekerjasama". Projek-projek pertanian perlukan tanah dan air dan dua elemen penting ini berada di bawah bidang kuasa Negeri. Dalam masa yang sama sebagai timbal balas, Kerajaan Terengganu juga ada menyalurkan sejumlah peruntukan kepada Jabatan dan Agensi Pusat. Di antaranya peruntukan RM5 juta setahun kepada Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu (LPP) bagi pelaksanaan Skim Bantuan Modal Tani. Jabatan Perikanan Terengganu melaksanakan pelbagai projek dan program dengan peruntukan Kerajaan Negeri. Tahun 2023, Jabatan Perikanan menerima RM3.8 juta daripada Kerajaan Negeri.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, berkaitan isu tanah Felda yang dibangkitkan Sura, untuk makluman Dewan, pada 21 Mac 2024 lepas telah diadakan Mesyuarat Penyelarasan Isu Tanah Felda di antara Kerajaan Negeri dan wakil Felda. Isu utama yang ada di hadapan kita ialah tanah seluas 13,686 hektar milik Kerajaan Negeri yang dibangunkan sebagai ladang sawit oleh Felda sejak 1985 dan tanah ini telah diserahkan kepada FGV pada tahun 2012 dan FGV telah isytiharkan di Bursa sebagai aset mereka. Selama lebih kurang 39 tahun Felda mengusahakan tanah milik negeri tanpa dokumen hak milik yang sah dan Kerajaan Negeri sebagai tuan tanah tidak diberikan hak yang sepatutnya. Felda sudah tuai hasil dan keuntungan hampir 40 tahun tetapi tuntutan daripada Negeri dipandang ringan dan ruang perbincangan yang dibuka oleh Kerajaan Negeri sebelum daripada ini tidak disambut sebaiknya. Maka dalam mesyuarat pada 21 Mac lepas kita tidak boleh nak menoleh jauh ke belakang lagi. Mesyuarat baru-baru ini kita hanya beri dua pilihan yang boleh ditawarkan. Yang pertama berikan hak rakyat Terengganu dalam bentuk bayaran premium tanah, cukai tanah dan juga perkongsian keuntungan dan yang kedua kita terpaksa melalui proses undang-undang. Memang jalan kedua agak panjang dan berliku tetapi kita perlu lalui demi untuk memperjuangkan hak negeri kita.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, berkaitan isu bekalan beras, usaha untuk nak mewujudkan satu gred beras putih sahaja atas apa nama sekalipun adalah tidak praktikal. Bukan kerana isu namanya Beras Madani. Kita tak kisah dengan

nama. Apa ada pada nama. Yang kita mahu ialah kekalkan beras tempatan dengan harga beras tempatan dan beras import dengan harga beras import. Analoginya, kita tidak boleh paksa rakyat kita untuk beli satu jenama kereta sahaja. Orang yang kadar kemampuannya untuk pakai kereta tempatan, biarlah mereka beli kereta tempatan. Orang yang ada banyak duit biarkan mereka pakai kereta import. Beras Madani yang dicadangkan ialah beras yang tidak ada identiti. Tak tahu sama ada ia beras tempatan, atau beras import atau beras yang dicampur di antara tempatan dan import. Dan isu sebenar yang dihadapi oleh rakyat kita ialah untuk mendapatkan bekalan beras tempatan dengan harga yang relatif murah sebagaimana biasa.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, isu kemarau panjang disebabkan oleh fenomena El Nino, Kerajaan Negeri melaksanakan dan bersedia dengan beberapa langkah. Yang pertama sebenarnya dalam konteks Terengganu kita tidak berhadapan sangat dengan isu air yang berada di takungan seperti kolam-kolam empangan, isu kita ialah sistem pengairan dan saliran yang masih banyak lagi perlu dibina dan dinaik taraf kerana itulah bagi tahun 2023 peruntukan terbesar yang pernah disalurkan oleh Kerajaan Negeri melalui JPS, RM6.6 juta bagi tujuan naik taraf sistem pengairan dan saliran. Dalam masa yang sama isu Ketara Fasa Dua yang kita perjuangkan sebenarnya adalah persiapan untuk berhadapan dengan fenomena El Nino ini, Tasik Paya Peda kita, kami sentiasa melakukan pemantauan daripada semasa ke semasa ketika musim kemarau yang paling teruk, paras air di Tasik Paya Peda masih jauh lagi dari paras minima bermakna kita tidak kekurangan dari segi bekalan stok air yang berada dalam kolam takungan. Yang menjadi isu kita ialah bagaimana air yang ditakungkan ini nak disalirkan ke dalam kawasan padi dan juga kawasan-kawasan pertanian, kerana itulah kita sangat mengambil berat berulang kali berunding dengan pihak Kementerian walau bagaimanapun projek KETARA Fasa Dua ini adalah satu kemestian yang tidak dapat dielakkan lagi dan alhamdulillah sebagaimana yang saya maklumkan tadi kita telah dapat kelulusan dasarnya. Yang ketiga program Deep Tube Well telaga tube dengan kedalaman kira-kira 100m yang kita bina di kawasan-kawasan pertanian dan ia tidak terkesan dengan kualiti air di permukaan 100m ni air yang akan keluar air yang bertaraf air mineral beberapa tempat yang berhadapan dengan masalah bekalan air kita telah selesaikan secara kaedah pembinaan deep tube well.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Permaisuri membangkitkan tentang isu pemindahan teknologi. Sebenarnya pemindahan teknologi atau technology

transfer dengan izin adalah kriteria yang perlu dipenuhi oleh pelabur-pelabur yang berhasrat untuk melabur di Terengganu di samping mereka perlu menyediakan peluang pekerjaan untuk rakyat Terengganu. Saya ambil contoh, perjanjian kerjasama di antara Kerajaan Negeri dan Mc Cormick Global Ingredients Malaysia Sdn Bhd sebuah syarikat bertaraf International. Intipati utama perjanjian ialah bagaimana rakyat Terengganu boleh mengambil manfaat daripada projek mega ini sama ada dari aspek peluang pekerjaan, pemindahan teknologi dan juga kerjasama pintar bersama dengan GLC negeri. Dan inilah projek lada lada hitam komersial yang pertama bagi dunia milik Mc Cormick dan dengan nilai pelaburan melebihi RM320 juta.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Permaisuri sebagai Pengamal Undang-Undang, saya pasti tentu lebih arif dan lebih maklum bahawa Malaysia telah menandatangani AFTA, Asean Free Trade Area pada 1993. Dengan perjanjian ini, antara yang bebas untuk import dan eksport di antara negara-negara ASEAN ialah hasil pertanian dan penternakan. Malaysia tak boleh sekat kemasukan buah-buahan, sayur-sayuran atau hasil ternakan daripada negara ASEAN lain dalam masa yang sama negara-negara ASEAN lain juga tak boleh sekat untuk Malaysia hantar, kecuali kalau ada yang melanggar peraturan dan undang-undang yang telah termaktub dalam undang-undang sesebuah negara. Tentu sekali perjanjian AFTA ini ada kesan pro dan kontra kepada kestabilan produk tempatan dalam persaingan dengan produk-produk import.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, isu penyelarasan jadual tanaman juga di antara yang dibangkitkan oleh Permaisuri. Jabatan Pertanian boleh berperanan sebagai penyelaras untuk menyusun penjadualan tanaman bagi mengelakkan lambakan hasil tapi kita dok bulih nok pakse petani kita, petani biasa ada target waktu tuai, untuk mereka tuai hasil dan mereka boleh jual dengan harga tinggi. Contohnya, timun cina dia akan mencapai kemuncak harga sebelum Ramadan dan sepanjang Ramadan, ini masa timun cina mahal, dan tembikai pernah naik sehingga RM3 lebih/kg turun dan stabil sekitar RM2 dan sekarang ini ada ketikanya sekitar RM1.50 sehingga RM1.20. Sebenarnya bila kita buat hitungan dari segi kos penanaman kalau sekiranya tembikai boleh dijual dengan harga di atas dari 80 sen/kg, petani tidak akan mengalami kerugian, jadi RM1.20 tu petani kita sudah mendapat keuntungan. Contoh lain, permintaan ubi meningkat musim banjir maka orang tanam ubi dengan target boleh cabut dekat nok musim bah. Ikan siakap, kerapu hibrid harganya akan meningkat ketika musim perayaan Tahun Baru Cina.

Jadi perkara-perkara ini kita tidak boleh nak programkan secara lumpsum ia ada sebab-sebab kenapa musim menuai dan musim kutip hasil itu waktu begini dan begini. Cuma antara strategi lain bagi mengelakkan lambakan ialah, program buah-buahan berbuah di luar musim. Melalui pengaturcaraan, pembajaan dan pengairan, sebenarnya kita boleh programkan supaya pokok buah-buahan berbuah mengikut masa yang kita nak. Di Terengganu kita telah berjaya menghasilkan kebun durian yang berbuah tiga kali setahun dan kita telah ada kebun duku yang berbuah dua kali setahun, dan duku yang berbuah di luar musim ini boleh mencecah harga RM5/kg.

Dato’ Yang di-Pertua, zoning kawasan pertanian di antara yang dibangkitkan sebenarnya kita telah ada zoning ataupun pengezonan kawasan pertanian. Di antaranya Kawasan IADA Ketara di Besut dizonkan sebagai kawasan jelapang padi, kawasan Bukit Gondang, Sungai Serai, Lubuk Batu di Marang ini dizonkan sebagai Dusun Nukleus Durian, di kawasan Alor Ketitir Marang ini zon sebagai Lembah Jagung, Bukit Kecil di Langkap, kawasan Yang Berhormat Langkap, sebagai kawasan tanaman Nenas MD2, di Alor Mak Bah dalam DUN Rantau Abang sebagai RTB Kelapa, Sungai Como di Tasik Kenyir dan Pengkalan Gaduh di Keluang dalam kampung kawasan Yang Berhormat Kota Putera dizonkan sebagai ZIA, Zone Industry Aquaculture, TKPM Rhu Tapai di Setiu ia dizonkan sebagai kawasan tanaman kontan jadi pengezonan ini sebenarnya telah ada diatur supaya kita merangkumi satu sektor yang menyeluruh bukan tertumpu satu sektor sahaja.

Dato’ Yang di-Pertua, saya bersetuju dengan Permaisuri bahawa pertanian adalah satu kerjaya dan satu perniagaan. Tanggapan kononnya anak-anak muda kurang berminat dengan pertanian perlu diperhalusi semula. Dalam sesi libat urus dan dialog yang kami turun ke serata ceruk negeri, kita dapati majoriti yang hadir adalah anak-anak muda. Lebih menarik, ramai di kalangan mereka berkelulusan IPT yang berhasrat untuk menjadikan pertanian sebagai satu kerjaya. Dalam program agihan bantuan input pertanian, kami pergi ke setiap daerah, sebahagian besar penerima adalah anak-anak muda. Penternak lembu sado, 80% adalah anak-anak muda sado. Terengganu mempunyai peserta fertigasi yang paling ramai di Malaysia, 700 orang peserta fertigasi. Nombor satu dalam negara. Majoritinya adalah anak-anak muda. Dan Kerajaan tidak mahu anak muda kita terpinggir. Kerana itulah dalam Bajet 2023 diperuntukkan RM1 juta untuk pembangunan TKPM bagi petani muda di Telaga Papan di Setiu. Berkeluasan 91 hektar lebih

fokus kepada fertigasi dan tanaman kontan. Dan pembangunan TKPM Telaga Papan sedang rancak berjalan sekarang ini.

Dato’ Yang di-Pertua, isu penggunaan teknologi, memang anak-anak muda kita minat dengan teknologi. Sekarang banyak program fertigasi di Terengganu memanfaatkan penggunaan teknologi IOT Internet Of Things dengan izin, kita boleh siram dan boleh baja pokok tekan butang di skrin HP sahaja, duduk jabat pon boleh siram pokok. Ini teknologi yang kita ada cuma penggunaan IOT berhadapan dengan sedikit halangan apabila banyak kawasan petani yang tidak mendapat liputan internet yang baik, ini halangan kita, dan kita juga mula menerokai bidang agro voltaic gabungan di antara ladang solar dan juga ladang pertanian.

Solar di atas di bawahnya adalah pertanian. Penggunaan drone itu bukan satu yang asing ramai anak muda di kampung sudah menjadikan kerjaya pilot drone sebagai satu kerjaya, dia tak buat padi cuma kerjanya drebar drone untuk kerja-kerja meracun dan juga membaja, penggunaan teknologi sebenarnya sedang berjalan.

Untuk makluman Hulu Besut, isu pencapaian Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023, saya telah bentangkan beberapa kali mungkin boleh rujuk lebih detail dalam hansard persidangan sebelum daripada ini. Tapi secara ringkasnya, penanda aras kejayaan dan kegagalan Pelan Strategik kita ini, kita ukur dengan empat aspek penilaian utama.

Yang pertama, dari segi kejayaan pelaksanaan program, daripada 58 program Teras Utama yang ada dalam Pelan Strategik Pertanian Terengganu, Kerajaan Negeri telah berjaya melaksanakan 56 daripadanya dengan peratusan kejayaan 96.5%. Dua yang belum berjaya dilaksanakan ialah pembangunan pusat pengumpulan susu kambing dan juga pembangunan ladang arnab secara komersial. Yang kedua, dari segi peningkatan pengeluaran produk, padi saya dah bentangkan, dari segi buah-buahan tahun 2022 SSR kita (self-sufficient ratio) 35.82%, 2023 naik kepada 65%. SSR ayam tahun 2022 68.96%, 2023 naik kepada 72.70%. Pendaratan ikan marin daripada 33,500 tan metrik pada 2022 naik kepada 46,643 tan metrik, peningkatan sekitar 32%. Dari segi penurunan harga di pasaran, pemantauan kita di outlet-outlet jualan mendapati produk-produk pertanian Terengganu menunjukkan graf penurunan di antara 5% hingga

20%. Dan kita pun dah boleh rasa semula ikan selayang tiga kilo 10 ringgit. Suatu yang telah lama hilang daripada negeri Terengganu.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Hulu Besut mencadangkan supaya insentif kepada pesawah padi sebagai mana petani-petani dalam sektor lain menerima insentif. Sebenarnya pesawah padilah yang paling banyak terima insentif. Mereka terima subsidi benih, subsidi racun, subsidi baja, insentif bajak sawah, insentif harga padi RM500 per tan dan bagi yang menyertai Program Beras MyGAP, Kerajaan Negeri tambah pulok RM110 per tan. Untuk bencana yang berlaku kepada sektor padi, ada tabung bencana di peringkat Kementerian Pertanian. Apa yang tidak ada untuk sektor tanaman lain, jadi apa yang tidak ada untuk sektor tanaman lain, Kerajaan Negeri perlu cover, ia jadi seimbang. Jadi, apa yang Kerajaan Pusat dah bantu, Kerajaan Negeri tengok ruang lain yang belum lagi dibantu.

Wakil Langkap membangkitkan isu penyeludupan haiwan sebagaimana Titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dalam Titah Pembukaan Dewan. Untuk makluman Dewan, penguatkuasa JPV Terengganu pada akhir Disember 2023 telah membuat tangkapan kambing sebanyak 78 ekor dalam sebuah lori bungkus dan diletakkan kambing dalam guni di Jalan Pantai di Setiu. Haiwan ternakan yang tidak mempunyai permit pemindahan yang sah ini, diseludup dari negara jiran secara haram dan dijual dengan harga murah dan berhati-hati dengan kambing murah, fenomena yang pernah wujud sehingga mengancam penternak tempatan kita suatu ketika dulu kerana apabila pemeriksaan dilakukan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar, kambing-kambing yang murah ini sebenarnya sangat berisiko kerana ada masalah penyakit-penyakit tertentu dan ada yang boleh berjangkit kepada manusia.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, tahun 2023 secara keseluruhannya ada 12 kes tangkapan kambing seludup telah berjaya dilakukan Veterinar Terengganu melibatkan jumlah 521 ekor kambing sepanjang tahun. Berkaitan dengan Jelapang Padi Langkap, yang dibangkitkan Yang Berhormat Langkap, Kerajaan Negeri telah meluluskan sewaan tanah kepada sebuah syarikat tempatan untuk bergabung dengan sebuah GLC negeri bagi memajukan kira-kira 700 hektar sawah padi terbiar di Jelapang Langkap. Di sawah padi ini, Kerajaan Negeri telah melabur lebih RM47 juta tapi tidak dapat nak ditanam padi kerana ada beberapa masalah berbangkit. Syarikat yang kita pilih ini telah membuktikan kemampuan dari segi teknikal mempunyai peralatan, jentera, mekanisasi dan sebagainya dan mereka

sedang membangunkan paya gelam di kawasan Durian Mentangau dalam kawasan Yang Berhormat Paka untuk dibangunkan dengan sawah padi organik. Jadi kita tengok mereka memang serius, ada kemampuan kerana itu kita beri peluang untuk mereka memajukan Jelapang Padi Langkap yang telah terbiar sejak begitu lama.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, isu prestasi dan rungutan rakyat apabila berurusan di pejabat-pejabat Kerajaan yang dibangkitkan oleh Hulu Besut dan Permaisuri. Isu ini perlu diharmonikan sebaiknya. Kerajaan adalah pembuat dasar, pegawai dan kakitangan Kerajaan adalah pelaksana dasar, sementara rakyat adalah kelompok yang menerima manfaat daripada dasar-dasar yang dibuat oleh Kerajaan. Kita selalu berfikir dan mencari jalan bagaimana nak mempermudahkan urusan rakyat dan saya yakin para pegawai kita mempunyai minda sebegini. Permudahkanlah dan jangan menyusahkan, kita tidak boleh anggap rakyat tahu segala selok-belok peraturan dan tatacara sesuatu urusan kerana itu bukan bidang mereka. Pegawailah yang perlu membimbing rakyat dan menjadi penunjuk jalan. Pegawai-pegawai Kerajaan pun perlu melalui kursus demi kursus sebelum memahami suatu kaedah kerja maka bagaimana dengan rakyat kita. Kalau kita fikir untuk mempermudahkan, insya-Allah kita akan jumpa jalan mudah dan kita menyeru supaya pasukan pegawai yang kita ada ini ialah pegawai yang rapat dengan rakyat. Buka pintu pejabat untuk melayan rakyat, bila rakyat mari pejabat tentu ada urusan yang mereka ingin sempurnakan dan urusan yang hanya dibuat di pejabat dan jangan biarkan mereka meninggalkan pejabat dalam keadaan hampa tanpa mendapat apa yang sepatutnya yang mereka dapat.

Laporan-laporan yang tepat daripada lapangan kita akan perolehi bila kita banyak turun ke lapangan sama ada turun baruh padi, turun kebun sayur, turun jeti nelayan, padang ragut dan lain-lain. Sesi temu mata, libat urus secara langsung kita akan dapat info yang telus dan jujur dan kita selalu ingatkan pegawai-pegawai supaya jangan bagi laporan kosmetik yang tidak menggambarkan situasi sebenar. Maklumat yang tidak tepat akan menjuruskan kepada tindakan susulan yang tersasar. Dengan gabung jalin kukuh di antara pembuat dasar dan rakyat yang mendapat manfaat daripada dasar di tengah-tengahnya ada pegawai kerajaan. Kita yakin usaha kita untuk menjadikan Terengganu akan dapat direalisasikan.

Akhir kalam, patik sekali lagi Menjunjung Kasih merafak sembah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku atas titah ucapan yang disampaikan dan Jabi mohon menyokong. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat Jabi, saya bercadang untuk menamatkan Persidangan kali ini ataupun hari ini pada pukul 4.30 selewat-lewatnya. Kalau Yang Berhormat Kijal boleh tamat lebih awal, kita serah kepada Yang Berhormat Kijal tapi selewat-lewatnya 4.30. Sebab esok saya akan bagi penggulungan untuk Yang Berhormat Paka dan Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Sila Yang Berhormat Kijal.

Datuk Haji Razali bin IdrisBERSATU · PNKijal

Terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat-Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan, pengamal media dan tuan-tuan hadirin yang bersemuka dan yang ada dalam talian seterusnya rakyat Negeri Terengganu, Malaysia khususnya insya-Allah. Mudah-mudahan penggulungan kita sentiasa dalam barakah Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Pelancongan alam semulajadi, kebudayaan terus menerus disemai, tidak pernah putus ukhwah selain Titah Sultan Terengganu sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri yang Kelima Belas. Terengganu ini bagaikan kurniaan afwah yang tidak pernah lekang akan kirana dan ratnanya kerana itulah paksi berteraskan alam semula jadi dan kebudayaan membawa seribu satu rahmat di Negeri kencana Terengganu ini. Insya-Allah kurniaan Ilahi alam semula jadi meliputi gunung-ganangnya, sungai dan air terjun, kehijauan yang segar lagi mendamaikan dan ketenangan deruan ombak pulau dan lautan membiru perairan Terengganu pasti menggamit jangkaan kunjungan 4.5 juta pelancong sepanjang tahun 2024 ini insya-Allah. Pelancongan Terengganu akan digandakan dalam aspek imej, identiti dan reputasi kerana ia sebahagian sektor pelancongan yang menawarkan produk yang paling bernilai iaitu alam semula

jadi. Aset ini merupakan khazanah semula jadi dan warisan yang tidak ternilai harganya.

Dato’ Yang di-Pertua, saya mengambil kesempatan Menjunjung Kasih Titah Ucapan Sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Kelima Belas pada 22 April 2024 yang lalu. Titah Ucapan Ke bawah Duli Sultan telah menyentuh secara khusus berkaitan portfolio pelancongan, kebudayaan, dan alam semula jadi yang memfokuskan kepada 4 perkara. Pemerkasaan pelancongan, produk pelancongan alam semula jadi adalah perkara yang pertama, mempromosikan keindahan semula jadi maritim. Dato’ Yang di-Pertua, status terkini pelaksanaan galeri akeologi maritim adalah proses awal bagi reka bentuk galeri. Pada 6 Mac 2024, Kerajaan Negeri telah memuktamadkan tapak bagi pembinaan galeri tersebut iaitu di bangunan yang sedia ada di Taman Monumen Taman Tamadun Islam Kuala Terengganu dan kos pelaksanaan projek Galeri Akeologi Maritim dianggarkan bernilai RM2.4 juta. Kos ini akan dibiayai menggunakan peruntukan daripada Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT). Kerajaan juga bekerjasama erat dengan NGO bagi aktiviti pemuliharaan maritim seperti pemuliharaan batu karang, pembersihan dasar laut, pembersihan pesisir pantai dan pemuliharaan taman negara. Memelihara dan mengembangkan kesenian Terengganu sebagai komponen penting pelancongan. Kerajaan Negeri telah menjadikan kesenian Terengganu sebagai asas promosi pelancongan Negeri Terengganu bagi memastikan kesenian dan kebudayaan Terengganu “tak lekang dek panas, tak lapok dek hujan” Kerajaan Negeri telah membantu badan-badan kebudayaan peringkat negeri malah persekolahan dengan bantuan tenaga pengajar dan peralatan yang perlu selain daripada kewangan. Selain kesenian gamelan, Kerajaan Negeri juga berusaha mengubah suai kesenian ulek mayang dan mak yong agar tidak bercanggah dengan agama dan adat budaya timur. Pemuliharaan biodiversiti dan ekosistem Negeri Terengganu bagi mengekang kesan perubahan iklim global. Saya juga mengucapkan Yang di-Pertua, terima kasih kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah mengemukakan soalan-soalan bertulis yang terlibat membahaskan Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu yang menyentuh portfolio pelancongan, kebudayaan, alam sekitar dan perubahan iklim. Sebanyak 18 Soalan Lisan yang telah diterima berkaitan portfolio pelancongan, kebudayaan, alam sekitar dan perubahan iklim tapi bagi soalan-soalan yang tidak sempat dijawab secara lisan, jawapan soalan tersebut akan dikemukakan secara bertulis insya-Allah. Dalam sesi perbahasan pada dua hari, 13 ADUN menyentuh protfolio saya.

Yang pertama ADUN Bandar, Yang Berhormat ADUN Bandar memohon untuk pihak Kerajaan terus istiqamah dengan pelancongan mesra syariah di Terengganu. Kerajaan menyambut baik saranan ini dan sektor pelancongan akan terus kekal berprinsip mesra syariah dan di Negeri Terengganu. Dalam konteks untuk membawa pelancong-pelancong muslim dari China ke Negeri Terengganu, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu telah dan akan terus bekerjasama dengan Islamic Tourism Centre (ITC), Kementerian Pelancongan Kesenian Budaya Malaysia (MOTAC) untuk membangunkan dan mempromosikan lokasi-lokasi pelancongan mesra muslim di Terengganu seperti Taman Tamadun Islam, masjid-masjid ikonik seperti Masjid Ulul-Albab, Masjid Hadhari, Masjid Lapan Kubah dan sebagainya. Di samping itu, Kerajaan Negeri juga akan mengambil inisiatif melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu untuk bekerjasama dengan ITC serta Persatuan Pemandu Pelancong untuk menyediakan dan memberi latihan kepada pemandu pelancong masjid Mosque Tour Guide yang berperanan untuk memberikan penerangan dan perkhidmatan kepada pelancong yang hadir ke Negeri Terengganu. Kerajaan Negeri sentiasa menyokong program-program yang mampu menarik kedatangan-kedatangan pelancong ke negeri ini dengan usaha untuk mencapai sasaran kedatangan 4.5 juta pelancong ke Negeri Terengganu pada tahun 2024. Untuk makluman program-program sebegini sentiasa mendapat perhatian oleh Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu. Antara program moreh yang telah dimasukkan ke dalam ke dalam kalendar acara Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu pada Tahun 2024 ini, Program CarFood Sahur sebagai contoh 2024 kita telah melaksanakan apa yang telah dicadangan oleh ADUN Bandar. Saya juga berpeluang untuk hadir sendiri di program tersebut dan insya-Allah program-program sebegini akan diteruskan dan akan dimasukkan ke dalam kalendar acara pelancongan dan kebudayaan Negeri Terengganu pada tahun hadapan.

Yang Berhormat ADUN Kuala Besut telah membangkitkan berkait dengan pembangunan pelancongan yang melibatkan prasarana atau kemudahan asas untuk pelancong yang hadir menaiki bas, yang berjalan kaki untuk ke jeti Kuala Besut. Insya-Allah Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kerana melibatkan projek untuk perancangan pembangunan fasiliti pelancongan di kawasan tersebut. Kerajaan sentiasa komited terhadap pembangunan pelancongan terutamanya di daerah Besut. Yang terkini Marriot Resort Perhentian di Pulau Perhentian telah mula beroperasi pada 1 April

2024. Majlis perasmian juga dijangka akan dilaksanakan pada masa terdekat. Di kesempatan ini juga saya memohon kerjasama daripada semua pihak Pejabat Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengemukakan senarai projek pelancongan untuk menaikkan taraf fasiliti pelancongan bagi memberi keselesaan kepada pelancong-pelancong yang hadir ke Negeri Terengganu seperti mana yang diminta oleh Yang Berhormat Kuala Besut.

Seterusnya ADUN Jertih, Yang Berhormat ADUN Jertih menyatakan bahawa bulan ramadan juga mampu menarik pelancong untuk hadir ke Negeri Terengganu. Yang Berhormat telah mencadangkan pelaksanaan pelancongan ibadah dengan menjadikan masjid-masjid sebagai one stop centre yang penuh dengan pengisian program-program. Justeru itu, bagi menyokong usaha ini Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim akan terus memberi kerjasama kepada JawatanKuasa Penerangan Dakwah dan Pemerkasaan Syariah untuk mempromosikan program-program di bulan puasa sebagai sokongan kepada pelaksanaan pelancongan ibadah di Negeri Terengganu. Program-program ini akan turut dipertimbangkan untuk dimasukkan ke dalam kalendar acara pelancongan dan kebudayaan Negeri Terengganu di masa akan datang.

Seterusnya Yang Berhormat Ladang, Yang Berhormat Ladang mencadangkan untuk diwujudkan zon selamat di kawasan pantai Negeri Terengganu dan juga penambahan papan tanda bahaya setiap 100 meter di kawasan tumpuan serta pemasangan bendera merah di kawasan tumpuan ketika laut bergelora, Kerajaan menyambut baik cadangan ini dan akan mendapatkan kerjasama daripada pihak PBT, Pihak Berkuasa Tempatan untuk pelaksanaan cadangan tersebut. Selain itu, Kerajaan Negeri juga dalam perancangan untuk menubuhkan Jawatankuasa Keselamatan Pelancongan dan Rekreasi (JKPR) Negeri Terengganu yang terdiri daripada jabatan, agensi-agensi yang terlibat secara langsung dengan pengurusan risiko. Jawatankuasa tersebut akan bertindak sebagai sebuah badan bebas yang menjadi penasihat kepada pengurusan risiko dan kesiapsiagaan keselamatan di lokasi pusat rekreasi atau kawasan tumpuan pelancong.

Saya nak sekalikan Yang Berhormat ADUN Batu Rakit, Rantau Abang, Kemasik, Air PutIh dan Hulu Besut. Soalan dia lebih kurang sama, Kerajaan memahami luahan oleh Yang Berhormat untuk diberi tumpuan berhubung sektor pelancongan di kawasan dun masing-masing. Sebagaimana yang sedia maklum, Kerajaan Negeri

telah melancarkan Kalender Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu 2024 iaitu COE 2024 dengan menyenaraikan 12 acara utama dan 62 acara sampingan yang melibatkan 8 buah daerah di Negeri Terengganu. Di Daerah Kemaman, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dengan kerjasama Pejabat Daerah Kemaman telah serta beberapa agensi ataupun jabatan di daerah dalam perancangan untuk melaksanakan Program Pelancongan dan Kebudayaan Daerah Kemaman. Antaranya ialah Festival Kopi Kemaman pada tahun 2024, Program Havoc Food Festival di Cukai, Program Kayak Fishing International Terengganu 2024, Program Pertandingan Gagau Udang.. ni di Dun Air Putih dan juga Program Sukan Air Tradisional yang akan kita buat di Kemasik.

Selain daripada itu untuk DUN Rantau Abang, Program Terengganu Turtle and Awareness Campaign telah dimasukkan di dalam COE 2024. Yang Berhormat ADUN Rantau Abang memohon supaya lebih banyak program pelancongan dilaksanakan di DUN Rantau Abang. Justeru itu, pihak Kerajaan amat mengalu-alukan cadangan program bukan sahaja di DUN Rantau Abang malah terbuka kepada DUN untuk pelaksanaan program pelancongan, insya-Allah pihak Kerajaan akan pertimbangkan dengan sewajarnya.

Yang Berhormat ADUN Hulu Besut mencadangkan supaya aktiviti penanaman padi turut dijadikan sebagai salah satu produk pelancongan melalui konsep “Jom gi Baruh”. Kerajaan Negeri menyambut baik. Program pelancongan yang melibatkan komuniti setempat sebagai contoh di Daerah Setiu kita ada “Pesta Mandi Hujan Sesohor Setiu” yang telah dijayakan oleh Pejabat Daerah Setiu dan komuniti setempat yang telah berjaya menarik pelancong dari dalam dan luar negeri untuk menikmati aktiviti musim Monsoon yang hanya terdapat di Setiu sahaja.

Yang Berhormat ADUN Batu Rakit turut memohon supaya DUN Batu Rakit turut terlibat dalam pembangunan pelancongan kerana demografinya yang mempunyai bukit dan pantai yang menarik. Kerajaan Negeri melalui jawatankuasa ini juga telah merangka lawatan ke daerah yang melibatkan 8 daerah di Negeri Terengganu, setakat ni kita doh berkunjung ke empat daerah, baki empat lagi termasuklah dengan Setiu. Insya-Allah kita akan pastikan produk-produk yang ada di daerah untuk diangkat sebagai produk utama dalam industri pelancongan negeri kita.

Yang Berhormat ADUN Pengkalan Berangan yang Community Based Tourism (CBT) yang merupakan salah satu produk pelancongan yang sentiasa diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri. Yang Berhormat ADUN Pengkalan Berangan mencadangkan

supaya satu anugerah CBT cemerlang diwujudkan bagi mengiktiraf keberhasilan komuniti di CBT serta memberi galakan kepada komuniti-komuniti lain di negeri ini untuk turut serta terlibat dalam mewujudkan CBT sebagai salah satu sumber ekonomi setempat. Pemerkasaan CBT di Negeri Terengganu sememangnya menjadi fokus kepada pelancongan di Negeri Terengganu di bawah Unit Pembangunan Produk. Kerajaan Negeri akan sentiasa membantu dan menyokong usaha pemerkasaan CBT dengan menyediakan kemudahan asas melalui konsep gotong-royong yang melibatkan komuniti setempat, JPKK dan juga NGO. Setakat ini, CBT Homestay Teluk Ketapang telah menerima beberapa anugerah seperti anugerah one million achievement anjuran Persatuan Homestay Malaysia pada tahun 2017. Best Homestay Awards 2018 di Anugerah Pelancongan Malaysia anjuran Tourism Malaysia dan Perkhidmatan Homestay Terbaik di Anugerah Pelancongan dan Kebudayaan Terengganu 2019- 2020 anjuran Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu. Kerajaan Negeri telah mempunyai perancangan untuk melaksanakan hari Anugerah Pelancongan Dan Kebudayaan pada penghujung tahun ini. Anugerah CBT terbaik akan dimasukkan sebagai salah satu kategori di dalam Anugerah Pelancongan Dan Kebudayaan yang akan dianjurkan oleh Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu selain daripada kategori yang sedia ada seperti produk pelancongan berinovasi, berpotensi dan terbaik, seni dan budaya terbaik, penyumbang kepada industri pelancongan terbaik yang ini daripada Pejabat Daerah.

Yang Berhormat Bukit Besi mencadangkan untuk menjadikan kawasan sejarah lama dan taman rekreasi seperti TR Cemerung, Cengal Besar dan lain-lain di DUN Bukit Besi sebagai salah satu produk pelancongan. Kerajaan Negeri sentiasa komited dengan pembangunan kawasan pelancongan sejarah termasuk di Kawasan Bukit Besi. Produk pelancongan seperti Muzium Bukit Besi, Taman Eco Rimba Cemerung, Cengal Besar sentiasa dipromosikan di bawah kluster pelancongan semula jadi di Negeri Terengganu.

ADUN Manir menyentuh isu Tasik Kenyir, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dan kerjasama KETENGAH dalam perancangan untuk melaksanakan satu bengkel yang melibatkan jabatan dan agensi yang berkepentingan untuk membincangkan hala tuju Pulau Bayas di Tasik Kenyir dalam masa terdekat, insya-Allah. Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dengan kerjasama Faculty of Build Environment and Surveying, University Teknologi Malaysia (UTM) dalam proses untuk mengkaji semula pelan

pengurusan bebas cukai Terengganu dan keputusan tersebut akan dibentangkan kepada Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dalam masa terdekat.

Ada satu persoalan yang agak spesifik yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Manir iaitu mengenal pasti punca ketidakpatuhan prosedur yang mengakibatkan Kerajaan Negeri tidak dapat menggunakan LAD sejumlah RM3.21 Juta. Betul eh? Dato’ Yang di-Pertua, saya baca sikit, ni spesifik.

Yang di-Pertua

teruskan… teruskan…

Datuk Haji Razali bin IdrisBERSATU · PNKijal

Klausa 40.1 Perjanjian Projek Pembinaan bagi setiap pakej di Pulau Bayas menetapkan PPP hendaklah mengeluarkan certificate on none completion (CNC) bagi membolehkan ganti rugi tertentu dan ditetapkan LAD dikenakan kepada kontraktor sekiranya gagal menyiapkan kerja mengikut tempoh masa yang ditetapkan.

Klausa 40.2 Perjanjian pula memperuntukkan bahawa setelah CNC dikeluarkan Kerajaan berhak mengenakan LAD kepada kontraktor.

Berdasarkan Minit Mesyuarat Penyelarasan Cadangan Penamatan Bersama yang diadakan pada 14 September 2020, semakan audit mendapati pengiraan LAD bermula daripada tahun akhir EOT setiap pakej sehingga 1 Ogos 2018, cut of date nilai dikira berdasarkan kadar LAD yang telah ditetapkan dalam dokumen kontrak. Sehubungan dengan itu, nilai LAD yang sepatutnya dikenakan adalah RM3.25 juta. Pihak UPEN ada mengemukakan surat permohonan pandangan Penasihat Undang-Undang Negeri Terengganu (PUU) pada 14 September 2020. Tujuan surat tersebut adalah bagi mendapatkan pandangan perundangan sama ada Kerajaan Negeri berhak mengenakan LAD pada kontraktor Pakej 1, 2 dan 5. Isu ini timbul berikutan pihak PPP telah mengeluarkan CNC kepada kontraktor yang terlibat sebaliknya maklumat atau notifikasi berkaitan LAD hanya dilakukan melalui pengeluaran surat amaran bertarikh 16 Julai 2018. Sehubungan dengan itu, terdapat ketidakpatuhan pada prosedur LAD sebagaimana Klausa 40.2 Perjanjian. Berdasarkan maklum balas PUU bertarikh 30 November 2020, Kerajaan Negeri tidak berhak menggunakan LAD kepada kontraktor Pakej 1, 2 dan 5 atas faktor-faktor berikut. Ketiadaan bukti penyerahan CNC kepada kontraktor, ketiadaan perakuan

penerimaan CNC oleh kontraktor dan bersandarkan kepada dapatan mahkamah dalam dua kes yang dirujukkan bagi isu yang sama. Bagi kontraktor Pakej D, Kerajaan Negeri boleh mengenakan LAD berjumlah RM0.04 juta kerana CNC telah dihantar secara pos berdaftar pada 17 November 2017 dan telah diakui penerimaan oleh kontraktor yang terlibat. Sekiranya proses LAD sebagaimana diperuntukkan dalam perjanjian dipatuhi sepenuhnya Kerajaan Negeri dapat mengenakan LAD kepada kontraktor terlibat sejumlah RM3.21 juta bagi Pakej 1, 2 dan 5. Merujuk kepada maklumbalas oleh Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu pada 10 Ogos 2023, Pakej 1, 2 dan 5 CNC telah disediakan dan diluluskan dengan tandatangan Pegawai Penguasa namun tiada rekod penyerahan CNC kepada kontraktor. Walau bagaimanapun, makluman berkenaan CNC dan penggenaan LAD sentiasa dimaklumkan dalam beberapa sesi mesyuarat tapak dan menerusi surat amaran bagi kemungkiran kontraktor.

Yang terakhir Yang Berhormat DUN Langkap. Pada 9 hingga 11 Februari 2024, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dengan kerjasama Pejabat Daerah Setiu telah melaksanakan Pesta Main Hujan, Sesohor Setiu yang terbahagi kepada dua iaitu Setiu Monsoon Fest di Setiu Wetlands, Campaign In The Rain di Setiu Adventure Park, Ulu Kasar bagi menambahkan keunikan produk pelancongan di Setiu Adventure Park. Kerajaan Negeri dalam perancangan untuk mewujudkan santuari di Kelah Ulu Kasar sepertimana Santuari Kelah di Tasik Kenyir. Di samping itu, Kerajaan Negeri juga memberi sokongan dari segi keindahan fasiliti di kawasan tersebut.

Akhir sekali, Dato’ Yang di-Pertua, pelancongan adalah merupakan satu industri yang terbesar di dunia dan alam sekitar atau sumber jaya sumber jadi seiring menjadi isu dan agenda penting dalam pembangunan pelancongan. Banyak ciri alam sekitar yang menjadi tarikan kepada pelancong. Justeru itu, menjadikan hubungan antara alam sekitar dan pelancongan adalah begitu rapat. Sumber alam semula jadi tidak akan merangkumi ciri-ciri tanah, udara, air, flora, fauna tetapi ianya juga turut merangkumi aspek sejarah kebudayaan dan warisan manusia yang mempunyai kuasa meningkat atau membangunkan ekonomi.

Dato’ Yang di-Pertua, faktor dalam pembangunan fizikal alam sekitar, alam sekitar merupakan teras bagi produk pelancongan oleh kerana keuntungan dalam pelancongan adalah bergantung kepada usaha dan aspek pengekalan daya tarikan sesuatu destinasi pelancongan atau pelawat ingin disaksikan dan dialami sendiri.

Keunikan pelancongan alam semula jadi seperti yang dititahkan Duli Sultan Terengganu sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) yang Kelima Belas pada 22 April 2024 tertumpu kepada reconstracting nature dengan izin dan mengangkat alam semula jadi sebagai ikon lanskap pelancongan. Justeru itu, di kesempatan ini juga saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu yang telah berjaya menerima anugerah ASEAN Tourism Standard Peringkat Kebangsaan 2024. MBKT telah berjaya mematuhi kriteria-kriteria asas ASEAN yang ditetapkan bagi kategori ASEAN Clean Tourism City Standard. Saya memohon dan menyokong Menjunjung Kasih Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Terengganu. Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat Kijal.

Kita telah berbincang, berbahas dan seramai 17 Yang Berhormat ADUN bahas tentang usul yang telah dikemukakan dan kita telah mendengar perbahasan dan penggulungan daripada pihak Kerajaan dan esok insya-Allah kita akan mendengar dua penggulungan daripada Yang Berhormat Paka dan Yang Amat berhormat Menteri Besar.

Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, saya tangguhkan persidangan kali ini sehingga ke esok hari Khamis 25 April 2024, pukul 9.30 pagi. Saya mohon dan saya mempersilakan semua Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua jabatan, para pemerhati dan media agar jangan terus pulang, minum dulu jamuan petang yang disediakan agar jamuan yang disediakan itu tidak membazir. Moga-moga kita semua selamat pulang ke lokasi masing-masing. Marilah sama-sama kita tangguhkan mesyuarat dengan baca tasbih Kafarah dan Suratul „Asr.

MESYUARAT DITANGGUHKAN PADA PUKUL 4.20 PETANG