Terengganu · 25 April 2024

15th Assembly, 2nd session, 1st meeting · 160 turns · 19,504 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalTerengganu publishes one PDF per meeting, with the written answers appended. Speakers are matched by our parser and will have some errors.

Soalan-Soalan LisanQuestions

Yang di-Pertua

Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan yang dikasihi sekalian, Ketua-ketua Jabatan, para pemerhati dan pihak media yang saya raikan. Mesyuarat disambung semula. Sebelum kita memulakan persidangan Dewan pada pagi ini, marilah sama-sama kita membaca Ummul Kitab Al-Fatihah.

(Al-Fatihah)

Soalan-Soalan LisanQuestions

Yang di-Pertua

Mesyuarat pagi ini diteruskan dengan Soalan-Soalan Lisan. Berikut adalah Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah memberi notis untuk mengemukakan Soalan-Soalan Lisan pada hari ini 25 April 2024.

1 Yang Berhormat Wakil Bandar 2 Yang Berhormat Wakil Jertih 3 Yang Berhormat Wakil Buluh Gading 4 Yang Berhormat Wakil Kemasik 5 Yang Berhormat Wakil Ladang 6 Yang Berhormat Wakil Pengkalan Berangan 7 Yang Berhormat Wakil Manir 8 Yang Berhormat Wakil Seberang Takir 9 Yang Berhormat Wakil Permaisuri 10 Yang Berhormat Wakil Hulu Besut 11 Yang Berhormat Wakil Rantau Abang 12 Yang Berhormat Wakil Batu Rakit 13 Yang Berhormat Wakil Langkap 14 Yang Berhormat Wakil Air Putih 15 Yang Berhormat Wakil Telemung 16 Yang Berhormat Wakil Bukit Tunggal 17 Yang Berhormat Wakil Kuala Besut 18 Yang Berhormat Wakil Bukit Besi 19 Yang Berhormat Wakil Sura

Dipersilakan Yang Berhormat Wakil Bandar untuk mengemukakan soalan.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua serta Ahli Dewan, soalan saya soalan nombor 2-

Apakah perancangan Kerajaan Negeri di dalam mengoptimumkan penggunaan teknologi terkini dalam sektor pertanian?

Yang di-Pertua

Soalan nombor 2, Yang Berhormat Jabi.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Wakil Bandar. Saya berikan contoh di antara penggunaan teknologi terkini dalam sektor pertanian.

1.

Penggunaan benih hibrid, benih kacukan untuk menghasilkan tanaman yang tahan penyakit, singkat masa, penghasilan tinggi dan jangka hayat yang lebih lama.

2.

Kaedah penanaman secara moden yang lebih cepat, menjimatkan masa, tidak kotor seperti kaedah fertigasi dan juga hidroponik. 3.

Penggunaan mikrob-mikrob berfaedah sebagai langkah untuk menguatkan ketahanan dan kesuburan pokok.

4.

Penggunaan traktor dan jentera terkini mengikut kesesuaian tapak. Contohnya, di kawasan sawah dengan tanah jerlus, jentera penuai yang lebih kecil kita gunakan.

5.

Penggunaan komputer bagi mengesan kandungan nutrien di dalam tanah dan di dalam daun.

6.

Teknologi pengesanan penyakit tumbuhan yang lebih awal dan efisien menggunakan sistem diagnosis berkomputer.

7.

Kita juga gunakan tenaga solar untuk pengairan dan juga pagar elektrik penghalang musuh tanaman.

8.

Penggunaan baja dan racun yang lebih mesra alam dan penggunaan pokok-pokok sebagai kawalan biologi kepada tumbuhan lain.

9.

Teknologi mapping dengan izin atau teknologi pemetaan menggunakan satelit yang membolehkan data-data ladang dikira dengan cepat dan pantas. 10. PH meter bagi mengukur kadar PH tanah. Untuk kesuburan tanah yang baik, PH tidak boleh terlalu tinggi.

11. Mesin terkini untuk memudahkan proses meracun, membaja dan menuai seperti drone, robot dan juga ATV.

12. Teknologi lepas tuai yang boleh melambatkan atau mempercepatkan proses buah masak. Di antaranya, penggunaan gas ethylene untuk mempercepatkan buah masak dan penggunaan sticker untuk melambatkan buah masak. 13. Penggunaan IoT (Internet of Things) dengan izin untuk mengawal kadar siraman air, pembajaan dan juga pendebungaan.

Di sebalik semua teknologi-teknologi moden terkini yang kita gunakan, kita tidak boleh lupakan bahawa petani tidak boleh berpisah dengan cangkul. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat Jabi.

Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan tambahan, terima kasih kepada Yang Berhormat Doktor. Melihat kepada apa yang telah dijelaskan oleh Yang Berhormat berhubung dengan teknologi terkini di bawah portfolio Yang Berhormat, banyak nampaknya boleh dok Yang Berhormat terangkan sedikit ataupun senaraikan sedikit aktiviti-aktiviti yang telah mengguna pakai teknologi tersebut dan sejauh mana kesannya sehingga ke hari ini, terima kasih.

Terima kasih Wakil Bandar. Penggunaan teknologi ini kita gunakan di pelbagai lapangan sama ada dalam kebun durian, sawah padi, pertanian kontan dan bidang-bidang pertanian lain dengan tumpuan dan skop yang berbeza. Di antara objektif kita nak capai dari penggunaan teknologi ialah:

1.

Kita nak mengoptimumkan penggunaan mesin dan juga jentera yang berteknologi terkini.

2.

Kita boleh menghasilkan baka tanaman yang tahan penyakit, singkat masa dalam masa yang sama memberikan hasil yang maksimum.

3.

Penggunaan mesin akan mempercepatkan proses kerja dan akan jadi lebih efisien berbanding dengan kita kerja secara manual.

4. Kemampuan untuk analisa, analisa proses data dengan lebih cepat dan juga lebih tepat.

5.

Kita boleh kurangkan penggunaan sumber tenaga manusia dengan teknologi yang mesra alam.

6.

Dan akhirnya dari segi pengurusan lepas tuai, kita nak supaya hasil kita ini, tahan dalam masa yang sama berkualiti supaya kita boleh tampilkan hasil yang terbaik ke pasaran.

Insya-Allah, terima kasih.

Sr. Haji Zaharudin bin ZahidPAS · PNBukit Tunggal

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, tambahan sikit Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua.

Yang di-Pertua

Ya.

Sr. Haji Zaharudin bin ZahidPAS · PNBukit Tunggal

Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua, saya nak beri cadangan sikit kepada Wakil.

Yang di-Pertua

Cadangan ke soalan?

Sr. Haji Zaharudin bin ZahidPAS · PNBukit Tunggal

Nok beri cadangan, pandangan.

Yang di-Pertua

Cadangan, pandangan di ruang yang lain. Soalan.

Sr. Haji Zaharudin bin ZahidPAS · PNBukit Tunggal

Okey, soalan. Soalan Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Penggunaan yang disebut tadi pemetaan secara satelit, sebab kita tahu pemetaan secara satelit ini kita dapat data sebulan lepas ataupun dua minggu yang tidak terkinilah. Jadi, saya nak bertanya adakah ada cadangan di peringkat Yang Berhormat EXCO untuk menggunakan penggunaan drone dengan lida menggunakan infrared yang kita dapat result dengan izin secara real time. Terima kasih.

Kita terima cadangan dan bergantung kepada kedudukan kewangan. Setakat ni drone yang kita gunakan ialah untuk membaca dan meracun juga untuk mapping itu kita ambil gambar, yang kata infrared dengan teknologi terkini itu belum ada lagi. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat Jabi.

Hanya sebelum saya membenarkan dan mengizinkan Yang Berhormat seterusnya untuk mengemukakan soalan. Hari ini hari terakhir persidangan kita dan saya bercadang untuk memberi ruang kepada semua Yang Berhormat yang menyediakan soalan untuk hari ini seramai 15 orang agar dapat mengemukakan semua soalan. Jadi, saya rasa saya tidak akan benarkan soalan tambahan untuk round kali pertama ni agar semua Yang Berhormat sempat untuk mengemukakan soalan masing-masing pada hari ini. Jadi semua Yang Berhormat adalah sempat dengan takdok soalan tambahan, pusingan pertama. Jadi, seterusnya saya persilakan Yang Berhormat Jertih untuk mengemukakan soalan.

Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan. Jertih soalan nombor 3-

Apakah usaha Kerajaan Negeri untuk lanjutan pembinaan LPT 3?

Haji Hanafiah bin MatPAS · PNCukai

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan nombor 3 - Apakah usaha Kerajaan Negeri untuk lanjutan pembinaan LPT 3? Kerajaan Persekutuan telah meluluskan pelaksanaan kerja awalan bagi Lebuhraya Pantai Timur LPT 3 dengan kos RM35 juta dan semua skop kerja awalan telah pun siap pada Disember 2021.

Pembentangan penuh laporan kerja awalan termasuk penentuan jajaran jalan yang muktamad dan anggaran kos projek kepada agensi pusat telah dibentangkan pada pertengahan 2022 untuk mendapatkan hala tuju dan seterusnya kelulusan pelaksanaan projek.

Setakat ini, Jabatan Kerja Raya mengambil maklum berkenaan perancangan untuk pembinaan LPT3 dan menunggu keputusan Kerajaan Pusat untuk melaksanakannya.

MAKLUMAT TAMBAHAN

Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) Anggaran Jarak Laluan : 122 KM Bermula

: Kampung Gemuruh, Kuala Terengganu Tamat

: Tunjong, Kota Baharu Anggaran Kos Awalan : Belum Ada Anggaran Status Semasa

: Pelaksanaan kerja awalan

Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih. Seterusnya dipersilakan Yang Berhormat Buluh Gading.

Haji Ridzuan bin HashimPAS · PNBuluh Gading

Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Soalan nombor 1-

Apakah peluang Pendidikan dan kerjaya bagi lepasan pelajar SMIDI, Kolej Al-Quram Terengganu dan Pusat Tafaqquh Fi Din?

Yang di-Pertua

Yang Berhormat Paka.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, ADUN Buluh Gading bertanyakan tentang peluang pendidikan dan kerjaya bagi lepasan SMIDI, KQT dan Pusat Tafaqquh Fi Din. Untuk makluman Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, pihak JPINT yang merupakan pemegang taruh telah merintis jalan bagi membuka laluan kepada pelajar-pelajar SMIDI dan juga mereka yang memiliki ataupun mendapat sijil SPM ataupun STAM, STPM dalam Pengajian Islam yang cemerlang untuk memberi peluang kepada mereka pengajian ke luar negara misalnya di Algeria, UAE, Tunisia, Jordan, Mesir dan sebagainya. Termasuk pelajar-pelajar boleh menyambung pengajian dalam karier dan juga bidang yang mereka minati masing-masing di universiti-universiti tempatan. Dan pelajar yang mengambil SPM dan bakal mengambil SPM di SMIDI khususnya boleh menyambung pengajian mereka dalam semua bidang sama ada dalam bidang Pengajian Islam mahupun Pembankan Islam dan sebagainya dalam Ulum Islamiah. Dan pelajar-pelajar SMIDI juga boleh menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi ke peringkat sijil sama ada STAM ataupun STPM sebelum menyambung pengajian kepada peringkat yang lebih tinggi dalam negara mahupun di luar negara.

Pihak JPINT telah menyediakan pelajar-pelajar yang bakal menyambung pengajian di SMIDI. Pada tingkatan empat mereka boleh membuat pilihan sama ada untuk

memilih sains tulen mahupun untuk meneruskan pengajian bidang sastera untuk meneruskan pengajian mereka dan mengambil matapelajaran-matapelajaran yang berkait tentang Pengajian Islam. Adapun yang melibatkan KQT, mereka ditawarkan dengan program-program diploma yang setakat ini diploma yang ditawarkan sebanyak tujuh diploma iaitu:

Pengajian Diploma - Pusat Pengajian Al-Quran KQT

1. Diploma Pengajian Hadis 2. Diploma Pengajian Tafsir Al-Quran 3. Diploma Akidah Islamiah 4. Diploma Syariah Islamiah 5. Diploma Pengajian Bahasa Arab 6. Diploma Dakwah Islamiah 7. Diploma Eksekutif Pengajian Tafsir Al-Quran

Sebagaimana pemegang-pemegang diploma institusi-institusi yang lain, mereka boleh menyambung pengajian ke peringkat ijazah kerana mereka mendapat pengiktirafan MQA ataupun mereka boleh terlibat dalam dunia pekerjaan mengikut bidang masing-masing. Adapun di Pusat Tafaqquh Fi Din sebagaimana yang sedia maklum, hasrat kita adalah untuk memenuhi keperluan khususnya dalam bidang Turath. Apabila berlakunya kelompangan pusat-pusat pengajian seperti pondok-pondok di mana di Terengganu kita ini yang berdaftar dengan JPINT sebanyak 142 pusat-pusat institusi pendidikan Islam sama ada sekolah rendah, maahad tahfiz, pondok dan sebagainya dan untuk pondok sahaja berjumlah 61 buah. Antara faktor yang dihadapi oleh pondok ini adalah masalah melibatkan guru. Kerana itulah kita mewujudkan Pusat Tafaqquh Fi Din ini supaya dengan hasrat kita akan melahirkan guru-guru yang berkemahiran dalam bidang Kitab Turath. Batch pertama sekarang ini berada di Mesir. Mereka mengambil pengajian di Maahad Takwil Al-Azhar selama dua tahun dan juga mereka juga mengikuti pengajian di Maahad Buuth Al-Azhar untuk pengajian lurath, pengajian bahasa dan kita juga menyediakan kelas khas yang diseliakan oleh JPINT untuk mengundang, menjemput guru-guru khusus matapelajaran-matapelajaran yang ditetapkan oleh JPINT mereka mengajar kursus yang kita adakan kelas di Wisma Darul Iman di Hari Sabat di Mesir. Jadi setakat ini berjalan sebagaimana yang kita rancang.

Dan kita juga mengadakan kolaborasi dengan Universiti UPSI, Universiti Pendidikan Sultan Idris dalam peluang pengajian di bidang Turath yang dikendalikan oleh UPSI. Dan juga dengan hasrat mereka ini bakal untuk kita agihkan ke daerah-daerah apabila kita mewujudkan cawangan-cawangan Tafaqquh Fi Din dengan hasrat untuk kita perkembangkan pendidikan sepanjang hayat khususnya yang melibatkan warga emas dan sebagainya dan juga memberi pilihan yang kedua kepada pelajar-pelajar yang tidak berminat untuk pengajian di peringkat konvensional untuk mereka menceburi dalam bidang pengajian Islam ini khususnya melibatkan Kitab Turath ini yang merupakan satu ruang, peluang kepada mereka untuk menyambung pengajian walaupun latar belakang mereka berbeza ataupun usia mereka. Dan ini kita lakukan dengan hasrat supaya semua rakyat Terengganu berpeluang untuk memperolehi mendapat peluang pendidikan ini dan juga untuk mencapai tema kita ke arah Negeri Terengganu yang “Maju, Berkat dan Sejahtera”. Dan baki itu sebagaimana pemegang diploma sijil-sijil yang lain, peluang pekerjaan itu insya-Allah kita rasa rezeki yang ditentukan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala ini luas dan insya-Allah mereka berpeluang untuk berkhidmat menyalur bakti berdasarkan ilmu pengetahuan yang mereka miliki. Sebahagian juga kita buka untuk Asia Tenggara. Hasrat kita itu pelajar-pelajar itu kembali ke negara masing-masing untuk dia mengembangkan pendidikan Islam pengajian Islam berdasarkan Kitab Turath khususnya di Nusantara ini supaya berkembang kembali sebagaimana zaman kegemilangan sebelum pada ini.

Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat Paka. seterusnya dipersila Yang Berhormat Kemasik.

Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Mohon untuk tambahan sedikit kerana isu perkara yang mendesak Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Soalan nombor dua ditambah dengan keperluan stadium hoki bagi Negeri Terengganu kerana stadium hoki yang sedia ada tidak boleh digunakan lagi dan ia sangat sangat perlu dan mendesak. Mohon YB yang berkenaan untuk respon. Terima kasih Yang Berhormat Dato Yang di-Pertua.

Yang di-Pertua

Soalan nombor berapa?

Soalan nombor 2-

Bagaimanakah keutamaan yang disusun Kerajaan Negeri dalam menyediakan peruntukan bagi sukan-sukan teras negeri termasuk untuk sukan hoki Negeri Terengganu di sampung bola sepak dan basikal?

Yang di-Pertua

Soalan nombor dua.

Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Terima kasih Wakil Kemasik. Semua Ahli-ahli Yang Berhormat, para hadirin hadirat yang dikasihi sekalian.

Soalan yang dikemukakan oleh Wakil Kemasik adalah berkenaan dengan keutamaan yang disusun oleh pihak Kerajaan Negeri dalam menyediakan peruntukan bagi sukan-sukan teras negeri termasuk untuk sukan hoki Negeri Terengganu di samping bola sepak dan basikal. Saya melihat soalan yang dikemukakan ini lebih memberikan fokus kepada isu yang membabitkan sukan hoki. Oleh kerana itu saya akan cuba untuk memberikan fokus terhadap soalan tersebut berbanding dengan memberikan ulasan terhadap sukan-sukan yang lain. Untuk maklumat Yang Berhormat program pembangunan sukan di Negeri Terengganu diuruskan sepenuhnya di bawah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT). Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan khusus kepada Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) bagi pembangunan sukan berprestasi tinggi termasuk sukan yang dinyatakan seperti bola sepak, basikal dan juga hoki. Namun Kerajaan Negeri sehingga kini turut menyediakan peruntukan khusus kepada beberapa jenis sukan utama dikalangan rakyat seperti bola sepak, hoki, basikal dan juga ragbi. Ini di antara yang telah dilakukan oleh kita semua. Bermula daripada beberapa tahun yang lalu dengan memberikan tumpuan supaya pasukan pasukan-pasukan ini terus memiliki kekuatan untuk bersaing di peringkat masing-masing. Berkait dengan pembangunan pasukan hoki khusus membabitkan tentang stadium dan juga padang, kami mengambil maklum, saya fokuskan kepada dua perkara yang pertama stadium hoki yang berada di bawah seliaan Majlis Bandaraya Kuala

Terengganu. Stadium ini berada di bawah kelolaan Majlis Bandaraya secara terus dan secara langsung. Walau bagaimanapun, pihak kami mengambil maklum beberapa perkara yang berlaku di stadium tersebut antaranya yang membabitkan masalah electrical kemudian padang sudah mula rosak dan seumpamanya. Perkara ini telah dipanjangkan kepada pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dan kita sangat mengharapkan stadium ini akan mula dapat dibaiki pulih pada masa-masa yang terdekat ini. Di peringkat kami kita ada satu padang yang berada di Kompleks Sukan Negeri Terengganu iaitu padang latihan hoki. Ini juga berdepan masalah dan pada Januari yang lalu 18 Januari 2024, saya telah mengadakan satu town hall Bersama dengan semua kakitangan Kompelaks Sukan Negeri Terengganu untuk menyatakan aspirasi sudut pengurusan, Kompleks Sukan mengambil maklum perkembangan-perkembangan fasiliti yang berlaku di seluruh Kompleks Sukan Negeri Terengganu. Hasil daripada town hall tersebut kita telah melakukan satu lawatan tapak dan juga walkabout 21 Januari 2024 untuk menilai secara langsung di tapak Kompleks Sukan Negeri Terengganu. Antara banyak tempat kita mengesan juga di kawasan padang hoki juga berdepan dengan masalah. Saya senaraikan enam perkara yang perlu diberikan tumpuan iaitu turf yang perlu diganti balik kerana ia telah melepasi tempohnya dan perlu kepada papan scoreboard, perlu kepada pagar, perlu kepada bilik persalinan, perlu kepada sistem siraman dan perlu juga kepada mini grandstand untuk penganjuran tournament pada masa-masa yang akan datang. Memahami hakikat kita berdepan dengan kedudukan kewangan yang sangat meruncing maka kita telah mengambil beberapa sikap untuk memastikan fasiliti kita ini tidak terus rosak. Antaranya semua penjagaan penyenggaraan dilakukan secara in house dengan izin oleh kakitangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu secara berperingkat daripada satu tahap ke satu tahap. Demikian juga kita telah mengangkat usaha-usaha untuk baik pulih dan alhamdulillah Kompleks Sukan Negeri Terengganu telah mendapat beberapa projek yang telah diusahakan bersama di atas seperti saranan Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk kita menjalinkan hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Belia dan Sukan. Untuk Kompleks Sukan Negeri Terengganu kita telah berjaya mendapat Projek Pusat Latihan Memanah, Pusat Latihan Pelayaran, Pusat Latihan Angkat Berat, Pusat Latihan Muay Thai dan juga tinju, lampu limpah di padang sintetik dan juga menaik taraf rumput padang dan sistem saliran di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. Justeru kita akan terus mempergiatkan lagi usaha untuk mendapatkan projek-projek yang baru termasuk untuk memastikan padang hoki akan terus diberikan perhatian dan memberikan manfaat untuk pemain-pemain hoki kita melalui latihan dan juga dapat

menganjurkan pertandingan-pertandingan di pelbagai peringkat pada masa yang akan datang, terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat Tepoh, sila Yang Berhormat Ladang.

Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua, soalan saya soalan pertama-

Mutakhir ini, dunia diwar-warkan dengan cashless, paperless, ebook dan lain-lain. Bagaimanakah peranan yang dimainkan oleh pihak Perpustakaan Negeri dan Kerajaan Negeri untuk memastikan perpustakaan masih relevan pada hari ini dan berapakah statistik kehadiran ke program yang dijalankan di perpustakaan.

Yang berhormat Dato’ Yang di-Pertua, ADUN ladang bertanyakan tentang Perpustakaan Negeri, peranan yang mainkan oleh Kerajaan Negeri dalam memastikan ia tetap relevan dan juga tentang statistik kehadiran ke program yang dianjurkan di perpustakaan.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, perpustakaan masih kekal relevan dalam masyarakat dan menjadi tempat membaca serta mendapatkan akses kepada pelbagai jenis ilmu kerana sumber maklumatnya adalah asli dan sahih berbanding kandungan yang terdapat dalam saluran internet yang tidak dipastikan kesahihannya kerana itu tujuan utama penubuhan perpustakaan (PPAT) khususnya, adalah untuk membentuk masyarakat berilmu melalui tabiat membaca dan menjadikan perpustakaan sebagai pusat rujukan terulung Negeri Terengganu. Selain itu, PPAT turut melaksanakan pelbagai aktiviti dan program untuk melahirkan masyarakat celik maklumat, membentuk generasi intelek serta memulihara seni warisan di samping memperkukuhkan kesedaran dan

penghayatan masyarakat terhadap pentingnya mencintai dan menguasai ilmu bagi merealisasikan pelaksanaan Dekad Membaca Kumpulan Kebangsaan (DMK) 2020 - 2030. Sepanjang tahun 2023, data menunjukkan sebanyak 4,790 program galakan membaca telah diadakan seluruh negeri secara fizikal dan maya. Dengan kehadiran penyertaan seramai 201,246 orang. Antara program yang diadakan adalah Pesta Buku (PPAT) yang telah mendapat sambutan hangat daripada masyarakat Terengganu dan berjaya menarik lebih 100 ribu orang pengunjung. PPAT juga sering mengadakan program berbentuk masyarakat berilmu dan menyokong pembelajaran sepanjang hayat seperti Jom Baca, Bengkel Literasi Media dan juga Maklumat serta Program Jalinan Kasih Tautan Budi (JKTB) iaitu program outreach yang bertujuan mendekati golongan sasaran yang agak terpinggir dan tidak berpeluang untuk sama-sama terlibat dalam program pembacaan serta galak guna perpustakaan. Impak program yang dijalankan oleh PPAT ini secara tidak langsung berjaya menimbulkan kesedaran dalam masyarakat dan memberi impak positif dari segi minat, amalan dan tabiat membaca. Statistik pinjaman khususnya seluruh Negeri Terengganu iaitu pada tahun 2021 sebanyak 106,002 naskhah yang dipinjam oleh pembaca, dan manakala 2022 sebanyak 298,522 naskhah dan tahun 2023 sebanyak 381,490. Statistik pengunjung dan pendaftaran ahli juga meningkat dari tahun 2021 sehingga 2023. Contohnya pada tahun 2019, pengunjung 226,589 tahun 2020 menurun kepada 125, tahun 2021 kepada 20,000 isu COVID lah dan tahun 2022 meningkat kembali kepada 100,444 dan tahun 2023 meningkat kepada 194,424. Walau macam manapun, demi memastikan PPAT dan juga usaha galakan membaca ini dapat diteruskan dan memberi impak yang lebih tinggi seiring dengan itu perpustakaan juga bukan hanya berasaskan fizikal tetapi juga ada koleksi maya PPAT telah melaksanakan program pendigitalan dengan tujuan untuk memelihara barang sejarah dan buku-buku nadir supaya dapat dimanfaatkan oleh generasi sekarang dan yang akan datang. Salah satu pemuliharaan adalah dengan memindah bahan bercetak ke bentuk elektronik dan disimpan dalam pengkalan data. Koleksi digital ini boleh diakses oleh pengguna secara asas talian secara percuma melalui portal PPAT digital. Dan untuk memperkasakan lagi koleksi digital ini pihak PPAT telah mengadakan (MoU) dengan Pejabat DUN sendiri, Pejabat DUN Terengganu. Selain itu PPAT juga menyediakan perkhidmatan bahan bacaan secara atas talian melalui portal u-Pustaka. Pelbagai bahan bacaan boleh diakses oleh pengguna melalui 20 pengkalan data dengan 800,000 bahan bacaan digital yang terdapat dalam portal tersebut yang merangkumi pelbagai bidang dan juga mengikut keperluan tahap umur pelbagai umur. Jadi diharapkan supaya perkembangan ini diambil manfaat ini oleh rakyat keseluruhan bukan hanya secara

fizikal menghadiri perpustakaan-perpustakaan di peringkat negeri mahupun di peringkat daerah-daerah tetapi juga memanfaatkan e-portal ini supaya dapat berkembangkan lagi pengamal ilmu pengetahuan di Negeri Terengganu. Insya-Allah. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat Paka. Sila Yang Berhormat Pengkalan Berangan.

Sulaiman bin SulongPAS · PNPengkalan Berangan

Saya nak mula soalan saya dengan pantun boleh Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua

Yang di-Pertua

Sila-sila pendek je.

Sulaiman bin SulongPAS · PNPengkalan Berangan

Basmi kemiskinan agenda semua, Kenapa Kemiskinan tak berkurangan, Soalan saya soalan dua Pohon penjelasan merungkai kegusaran Sekian.

Apakah inisiatif yang sedang dijalankan dalam memerangi isu kemiskinan dan meningkatkan taraf hidup rakyat di Terengganu?

Yang di-Pertua

Baik, Yang Berhormat Ajil.

Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua dan terima kasih juga kepada Yang Berhormat Pengkalan Berangan di atas soalan berkenaan dengan apakah inisiatif yang sedang dijalankan dalam memerangi isu kemiskinan dan meningkatkan taraf hidup rakyat di Terengganu.

Untuk makluman warga Dewan, bahawa program pembasmian kemiskinan ini melibatkan Kerajaan Federal, Kerajaan Persekutuan dan juga Kerajaan Negeri melalui pelbagai pendekatan pelaksanaan program inisiatif pendapatan rakyat yang dilaksanakan oleh Kementerian Ekonomi, pejabat Pembangunan Negeri, Kerajaan Negeri, dan juga agensi-agensi yang berkaitan dengan pembasmian kemiskinan. Dan di antaranya ialah Inisiatif Usahawan Tani, Inisiatif Usahawan Makanan, Program Kasih Prihatin, Program Peningkatan Pendapatan, Program Didik Cemerlang untuk membantu keluarga B40 dan sebagainya dan juga program yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri sendiri di bawah PPTS, Projek Perumahan Terengganu Sejahtera di antara tujuan untuk membantu golongan B40 ataupun golongan miskin membantu mereka supaya dapat duduk ataupun mendiami rumah yang lebih selesa dan juga projek Kerajaan Negeri pemberian kad sejahtera dan juga bayaran wad kelas tiga di hospital kerajaan di antara agenda untuk membantu golongan miskin keluar daripada garis kemiskinan. Walaupun kemiskinan di negara kita ini masih lagi, data kemiskinan yang agak tinggi. Pun begitu kita melihat kadar kemiskinan tegar di seluruh negara sudah menurun sebanyak 0.2%. Di Malaysia terdapat 28 daerah miskin di seluruh negara. Alhamdulillah mujur dan bertuahnya kita daripada 28 daerah miskin di seluruh negara itu, Terengganu tidak ada yang termasuk dalam kategori daerah miskin. Ini merupakan satu kejayaan dan data ini daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar sendiri dan juga saya menarik perhatian tentang pandangan masyarakat kita sekarang ini daripada dulu selalu mengaitkan kemiskinan ini dengan pertanian. Pun begitu saya sangat yakin dan percaya usaha-usaha daripada portfolio pertanian yang dibentangkan oleh EXCO Pertanian semalam dan sebagainya dapat mengalih sudut pandangan masyarakat kepada sektor pertanian untuk menjadi sektor yang berdaya maju dan juga menambah pendapatan penduduk. Untuk rekod kemiskinan di Terengganu yang paling ramai adalah di Kuala Terengganu dan yang paling sedikit jumlah miskin ialah di Hulu Terengganu. Walaupun orang Hulu tak ramai orang miskin. Sekian terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat Ajil. Sila Yang Berhormat Manir.

Haji Hilmi bin HarunPAS · PNManir

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua soalan saya yang pertama eh soalan saya yang kedua-

Apakah status terkini kerja-kerja baikpulih Empangan Kenyir akibat kesan tanah runtuh?

Yang di-Pertua

Soalan yang pertama

Haji Hilmi bin HarunPAS · PNManir

Yang kedua minta maaf. Jawab doh maren.

Yang di-Pertua

Sila Yang Berhormat Cukai.

Haji Hanafiah bin MatPAS · PNCukai

Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Soalannya berbunyi, apakah status terkini kerja-kerja baikpulih Empangan Kenyir akibat kesan tanah runtuh.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, bencana tanah runtuh yang berlaku pada 22 Februari 2022 di Stesen Janakuasa Sultan Mahmud Kenyir dan sekitarnya. Kerja-kerja pembaikian cerun giat dijalankan sehingga kini. Aktiviti pembaikian cerun yang sedang dijalankan di bawah seliaan anak syarikat TNB iaitu TNB Power Generation SDN BHD ialah meliputi di kawasan dalam stesen. Di samping itu juga bahagian Great TNB juga telah melaksanakan kerja-kerja pembaikian cerun bagi kawasan laluan talian TNB yang berada di luar stesen bagi memastikan struktur menara penghantaran utuh dan tidak tumbang. Kerja-kerja penstabilan struktur asas menara penghantaran juga turut dilakukan untuk memastikan tenaga elektrik yang dijana dapat dihantar ke sistem ke ibu negara. Operasi penjanaan telah berjalan seperti biasa dan dalam keadaan baik. Menurut Jabatan Kerja Raya pihak JKR telah menerima surat kuasa belanja daripada Kementerian Kewangan pada 10 Ogos 2023. Melalui surat kuasa berbelanja sebanyak lima arahan bekerja yang telah dikeluarkan kepada kontraktor Pintas Utama Sdn. Bhd. Melalui kontrak projek penyelenggaraan cerun di jalan persekutuan dan jalan negeri semenanjung. Reka dan bina bagi pembaikian lima lokasi utama laluan T1 34 Jalan Kampung Gaung ke Kuala Kueh, Jenagor. Kerja di tapak telah bermula pada Oktober 2023 dan dijangka siap sepenuhnya pada sukuan ketiga pada 2025. Sehingga 24 Mac 2024 kemajuan semasa kerja fizikal di tapak adalah 30% berbanding jadual 19%. Kos keseluruhan pembaikian bagi kelima-lima lokasi adalah RM42,990,000.00. Kerja-kerja baik pulih cerun, baik pulih menara penghantaran dan penstabilan menara dan penghantaran secara keseluruhannya dianggarkan berjumlah RM351 juta manakala masih ada

perancangan pembaikan tambahan yang masih dalam kajian dan kelulusan. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat Cukai.

Seterusnya saya mempersilakan Yang Berhormat Seberang Takir.

Haji Khazan bin Che MatBERSATU · PNSeberang Takir

Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua soalan saya nombor satu-

Berapa bilangan pelancong yang datang ke Terengganu sempena acara Scooterian Mega Gathering pada bulan Februari lalu dan berapa anggaran jumlah pengaliran wang masuk kesan program sebegitu?

Datuk Haji Razali bin IdrisBERSATU · PNKijal

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih kepada ADUN Seberang Takir yang bertanyakan soalan seperti mana yang tertera. Program Scooterian Mega Gathering Volume II. Dua kali 2024 yang telah berlangsung selama dua hari iaitu pada 23 hingga 24 Februari di Taman Tasik Wathiqu Billal Shah, Kuala Nerus. Tempatnya cantik luas ada masjid dan pentas. Semuanya digunakan dengan baik dan sempurna. Kehadiran peminat scooter Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua daripada seluruh negara termasuk Thailand dan juga Singapura. Terima kasih juga kerana tajaannya juga diusahasamakan oleh Black Gold, Nasi Dagang Atas Tol, Singgang Budu, Zurich Takaful dan Munawar Group. Ni NGO, syarikat-syarikat yang membantu untuk menjayakan Program Scooterian dan Kerajaan Negeri ada sikit bagi bantuan untuk memantapkan lagi. Secara tidak langsung ianya telah memberi impak dan limpahan ekonomi kepada peniaga-peniaga tempatan. Antaranya ialah sebanyak 30 kedai, gerai jualan di tapak program telah mencatat hasil kutipan jumlah sebanyak RM225,000.00 selama dua hari, dan secara kasarnya sepanjang program berlangsung, pengusaha-pengusaha makanan yang juga mendapat limpahan ekonomi mencecah RM135,000.00 dan tidak ketinggalan juga industri perhotelan dan rumah inap turut mendapat manfaat melalui penganjuran acara ini dengan anggaran pendapatan sebanyak RM94,500.00. Jadi untuk menjawab

soalan, bilangan pelancong yang hadir ke Negeri Terengganu pada ketika itu, dalam bulan Februari dianggarkan mencecah 10,000 dan jumlah pengaliran wang masuk kesan daripada penganjuran program tersebut dianggarkan mencecah RM600,000.00. Dan insya-Allah selepas ini ada lagi event-event permotoran sepertimana International Bike Week dan juga RXZ Member. Yang di-Pertua, terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat Kijal. Sila Yang Berhormat Permaisuri.

Haji Mohd Yusop bin MajidBERSATU · PNPermaisuri

Dato’ Yang di-Pertua, soalan saya menjurus kepada Yang Berhormat Kijal soalan no.3 –

Apakah rancangan jangka pendek dan jangka panjang Kerajaan Negeri untuk memajukan industri pelancongan di kawasan pantai dan pulau khususnya di daerah Setiu yang berdepan dengan masalah jeti bot untuk pelancong-pelancong?

Yang di-Pertua

Sila Yang Berhormat Kijal.

Datuk Haji Razali bin IdrisBERSATU · PNKijal

Terima kasih Speaker, terima kasih Yang Berhormat Permaisuri. Soalan sepertimana yang tertera. Di antara rancangan jangka pendek Kerajaan Negeri untuk memajukan industri pelancongan di kawasan pantai dan pulau khususnya di daerah Setiu yang berdepan dengan masalah jeti bot untuk pelancong adalah proses pemutihan jeti-jeti yang beroperasi tanpa kebenaran oleh pihak berkuasa bagi memastikan pematuhan terutamanya aspek keselamatan. Tetapi walau bagaimanapun, kita sedang berusaha untuk menghalalkan semua jeti dengan meminimakan spek supaya jeti tersebut dapat digunakan kesemuanya sekali, insya-Allah.

Isu berkaitan dengan muara cetek, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) telah melantik perunding daripada ZNK Consult Sdn. Bhd. bagi menjalankan Kajian Pemuliharaan Muara Sungai Merang, daerah Setiu yang berkuat kuasa pada 21 Disember 2020 sehingga 20 Januari 2022. Pihak JPS juga telah memohon kelulusan projek di bawah Rancangan Malaysia ke-12 bagi Pemuliharaan Muara Sungai Merang. Status terkini adalah di dalam tempoh pendekatan pengurusan nilai peringkat kejuruteraan nilai dan peringkat semakan nilai yang perlu

dilaksanakan oleh kementerian di peringkat Pusat. Justeru itu sangat penting Yang di-Pertua, wang ehsan dipercepatkan. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih. Seterusnya, sila Yang Berhormat Hulu Besut.

Mohd Husaimi bin HussinBERSATU · PNHulu Besut

Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. Emas perak tembaga suasa, soalan Hulu Besut No.2-

Sejauh manakah perkembangan penerbangan di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) berdasarkan angka penumpang yang mendarat dan berlepas bagi tahun 2022 dan 2023?

Datuk Haji Razali bin IdrisBERSATU · PNKijal

Parok kali ni..

Yang di-Pertua

Takpe, ada hak tak mboh jawab.

Datuk Haji Razali bin IdrisBERSATU · PNKijal

Terima kasih.

Nak kena cari sikit Dato’ Yang di-Pertua.Terima kasih Yang Berhormat Hulu Besut. Sepertimana soalan yang tertera, berdasarkan data yang diperolehi, angka penumpang yang mendarat dan berlepas di Lapangan Terbang Sultan Mahmud pada tahun 2022 dan tahun 2023 adalah seperti berikut. Pada tahun 2022, 611,412 orang sahaja dengan jumlah penerbangan 8061 penerbangan. 2023, 593,095 orang penumpang. Jumlah penerbangan 6070. Sehari penerbangan Dato’ Yang di-Pertua, hanya lapan sahaja. Boleh dok saya nak tanya soalan Hulu Besut? Hulu Besut naik kapal terbang Kuala Terengganu ke Kota Bharu?

Yang di-Pertua

Jangan wat peraturan gitu, melainkan ubah tempat duduk. Kalau nak ubah tempat duduk tak apa.

Datuk Haji Razali bin IdrisBERSATU · PNKijal

Speaker tolong jawab. Jadi nak bagitahu Dato’ Speaker, penerbangan domestik di Terengganu ni memang sedikit, kerana orang Kemaman terus gi Kuala Lumpur naik highway, orang Besut naik kapal terbang di Kota Bharu. Jadi itulah kekangan kita. Tetapi walau bagaimanapun, kita sedang berusaha Dato’ Yang di-Pertua, mengusahakan kekerapan penerbangan international pulok, dah kalau domestik tak minat nak naik Terengganu, kita gi kepada international. Kita sekarang sedang berusaha

berbincang dengan pengusaha airplane, pengusaha tambang murah ni, penerbangan daripada Kota Kinabalu, Kuching ke Terengganu, penerbangan daripada Seoul, Korea ke Kuala Terengganu, penerbangan daripada Osaka ke Kuala Terengganu, Penerbangan dari Dubai, Doha, Istanbul ke Kuala Terengganu..

Haji Hilmi bin HarunPAS · PNManir

Dato’ Yang di-Pertua, nak celah sikit..

Datuk Haji Razali bin IdrisBERSATU · PNKijal

Mana boleh tanya, dok leh tanya doh..

Haji Hilmi bin HarunPAS · PNManir

Nak buat international tu takdok stesen minyak kapal terbang takdok situ tangkinya minyak….

Datuk Haji Razali bin IdrisBERSATU · PNKijal

dok kabo agi, baru nak kabo ni. Daripada China, Guang Zhou. Ni kita tengah bincang kita minta Yang Berhormat-Yang Berhormat ini mendoakan supaya perancangan kita ni…

Yang di-Pertua

Yang Berhormat Kijal, jawapan fokus kepada soalan yang dikemukakan.

Datuk Haji Razali bin IdrisBERSATU · PNKijal

Soalan dia dah ni.

Yang di-Pertua

Dia tanya lain tu, ce tengok.

Datuk Haji Razali bin IdrisBERSATU · PNKijal

Dia tanya soalan penerbangan, saya jawab penerbangan dah ni.

Yang di-Pertua

Tahun 2022, 2023.

Datuk Haji Razali bin IdrisBERSATU · PNKijal

Jawab dah tadi.

Yang di-Pertua

Bukan tahun 2024, jadi nak tambah tu, kena soalan lain.

Datuk Haji Razali bin IdrisBERSATU · PNKijal

Soalan lain?

Yang di-Pertua

Haa, boleh duduk. Jadi saya rasa tulah…

Datuk Haji Razali bin IdrisBERSATU · PNKijal

Cuma nak bagitahunya…

Yang di-Pertua

Duduk Yang Berhormat Kijal.

Datuk Haji Razali bin IdrisBERSATU · PNKijal

Pam minyak kita akan buat secepat mungkin, insya-Allah. Terima kasih Dato’.

Yang di-Pertua

Ya. Seterusnya dipersilakan Yang Berhormat Rantau Abang.

Mohd Fadhli Rahmi bin ZulkifliPAS · PNRantau Abang

Dato’ Yang di-Pertua, Rantau Abang soalan No.1-

Apakah perancangan Kerajaan Negeri di bawah sektor pertanian berkaitan projek pertanian tanaman kelapa pandan di Kampung Alor Mak Bah ini dan apakah status tanaman kelapa sehingga sekarang?

Yang di-Pertua

Soalan nombor satu Yang Berhormat Jabi.

Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih Rantau Abang. Dua soalan digabungkan sekali ke? Projek kelapa pandan di Alor Mak Bah di Rantau Abang ini seluas 40 hektar, 89 lot yang melibatkan 89 peserta. Setakat ini 76 lot adalah aktif bertanam dengan kelapa pandan, baki kawasan rendah yang berhadapan dengan masalah pengairan dan tak sesuai ditanam kelapa, tetapi diganti dengan tanaman kontan singkat masa macam ubi, tebu, tembikai dan pisang. Jadi kesemua 89 lot itu dikira sebagai kawasan aktiflah. Setakat ini purata hasil sekitar 9.57 metrik tan per hektar dengan

purata pendapatan kira-kira RM4,000.00 untuk setiap peserta. Dari segi bajet sejak daripada dimulakan pada 2015 sehingga 2018, peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan lebih daripada RM550,000.00 telah diperuntukkan untuk pembangunan ladang kelapa. Berkaitan dengan soalan, bagaimana perancangan Kerajaan untuk tanah ini, setakat ini tanah ini masih lagi berstatus tanah Kerajaan dan kita tidak bercadang untuk beri milik secara individu kerana pengalaman-pengalaman lepas kalau kita beri milik secara individu dia akan bertukar daripada kelapa jadi menda lain. Jadi kalau Kerajaan boleh mencadangkan peserta-peserta kelompok ini buat satu koperasi dan mohon supaya tanah ini diberi milik kepada koperasi secara sekali gus 40 hektar tanpa kita perlu beri hak milik secara berasingan kepada setiap peserta. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat wakil Jabi. seterusnya sila Yang Berhormat Batu Rakit.

Mohd Shafizi bin IsmailPAS · PNBatu Rakit

Soalan saya no. 2-

Adakah indek kesalahan jenayah syariah di negeri ini menurun atau sebaliknya sejak Kerajaan Negeri berusaha memartabatkan syariah melalui program dan kempen “Indahnya Hidup Bersyariah” ketika ini?

Yang di-Pertua

Yang Berhormat Kawasan Batu Buruk.

Terima kasih Yang Berhormat Batu Rakit yang mengemukakan soalan sebagaimana yang tertera iaitu berkait dengan indeks kesalahan jenayah syariah di Negeri Terengganu ini menurun ataupun sebaliknya selepas kita mengadakan Program Kempen Indahnya Hidup Bersyariat. Sebagaimana yang telah saya jelaskan dalam

Ucapan Perbahasan semalam, Program Indahnya Hidup Bersyariat ini adalah satu program yang kita lancarkan pada 25 Januari 2024 dan ia adalah kesinambungan kepada Kempen Indahnya Hidup Bersyariat yang telah dilancarkan pada 10 Mac 2020. Memang payah untuk kita ukur dari sudut kejayaan dan kegagalan program ini daripada kesalahan jenayah syariah yang berlaku dalam masyarakat cuma apa yang penting ialah kita mengambil semangat. Bila kita melaksanakan agenda dakwah dan Islam dalam masyarakat ini ia umpama kita tanam pokok. Bila kita tanam pokok ini kita kena siram, kita kena letak baja dalam masa yang sama pokok itu mestilah dijaga dan dipelihara dengan peraturan dan undang-undang. Jadi ia kena berjalan seiring yang pentingnya ialah kita hendak memastikan dalam masyarakat kita program-program berkait dengan dakwah dan Islam ini hidup dan terus subur. Dalam masa yang sama kita hendak memastikan perkara-perkara maksiat dan kemungkaran ini tidak menjadi satu perkara yang normal dalam masyarakat kerana itu apa yang sedang berlaku dalam masyarakat manusia pada hari ini menormalisasikan kemungkaran dan maksiat jadi kita tak nak perkara ini berlaku dalam Negeri Terengganu kita. Walaupun begitu saya dapat di sini datalah yang boleh dijadikan sebagai sandaran juga berkait dengan jumlah kes kesalahan syariah termasuk kesalahan matrimonial yang didaftarkan, berlaku peningkatan pada tahun 2023 berbanding tahun 2022. Jumlah kes yang didaftarkan pada tahun 2022 ialah sebanyak 658 kes dan pada tahun 2023 sebanyak 971 kes yang mana menunjukkan peningkatan sebanyak 30%. Namun begitu jumlah kes yang didaftarkan ini tidak menunjukkan situasi semasa memandangkan jabatan ini menerima kertas siasatan daripada pegawai penyiasat kes bukan pada hari atau bulan yang sama kes berlaku. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat Batu Rakit dan juga Kawasan Batu Buruk. Sila Yang Berhormat Langkap.

Azmi bin MaarofPAS · PNLangkap

Terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Soalan saya no. 1-

Sejauh manakah pelaksanaan Hijab Day Terengganu yang dikelolakan oleh Urus Setia Wanita dapat memberi manfaat kepada kaum Wanita Negeri Terengganu?

Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Soalan berkenaan dengan sejauh manakah pelaksanaan Hijab Day Terengganu yang dikelolakan oleh Urus Setia Wanita dapat memberi manfaat kepada kaum wanita Negeri Terengganu? Sebenarnya bukan manfaat kepada kaum wanita sahaja kaum lelaki pun insya-Allah dan soalan ini soalan kalau di sekolah dulu kita panggil soalan aras tinggi yang payah juga saya hendak jawab ning. Bisa soalan Langkap ini. Berkenaan dengan sejauh mana ning kita sebenarnya tidak ada data dan statistik berkenaan dengan jumlah rakyat Terengganu khususnya perempuanlah yang bertudung dan memakai tudung sebab Hijab Day ini fokus kepada perempuan dan tetapi juga melibatkan kaum lelaki sebab galakan untuk anak-anak dan juga isteri ini mesti mendapat sokongan yang padu daripada suami. Pun begitu kalau kita pergi ke stesen bas ataupun mana-mana tempat di pasaraya ke di Negeri Terengganu ini lah kita tengok hampir 100% muslimah sama ada remaja ataupun orang tua yang perempuan di Terengganu ini yang pakai tudung. Yang seorang dua yang tidak pakai itu berkemungkinannya bukan orang Terengganu, wallahu A'lamlah. Pun begitu sebenarnya kempen ini lebih kepada bukan sahaja hendak melahirkan untuk menggalakkan rakyat Terengganu pakai tudung tetapi untuk menimbulkan kesedaran melahirkan tindakan dalam sedar maknanya rakyat Terengganu memakai tudung ataupun menutup aurat bukan sekadar fesyen, bukan fashionable, bukan, tetapi atas kewajiban untuk menutup aurat. Berfesyen itu nombor dua tetapi hak utamanya ialah mereka menutup aurat dan saya rasa ini satu kejayaan kepada kita untuk melahirkan kesedaran kepada rakyat kita supaya mereka menutup aurat dengan sedar dan kita tengok kepada di antara program yang dijalankan oleh USWA, dakwah jalanan yang juga memberi kesedaran kepada kita bahawa dakwah ini bukan fokus kepada masjid sahaja tetapi di mana tempat yang kita berada dakwah akan berada di situ membantu kita untuk memahami islam dan mengamalkannya. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat Ajil. Seterusnya dipersila Yang Berhormat Telemung. Tinggi songkok hari ini.

Mohd Zawawi bin IsmailBERSATU · PNTelemung

Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Soalan saya soalan pertama dan sambung sikit boleh dok?

Di Hulu Terengganu banyak terdapat kesan-kesan tinggalan sejarah dan beberapa tempat tarikan pelancong (bukan di kawasan Tasik Kenyir) yang dilihat agar terbiar dan tidak dibangunkan. Apakah usaha-usaha yang telah dan yang akan diambil oleh pihak Kerajaan Negeri untuk membangunkan kawasan ini supaya menjadi daya tarikan pelancong?

Yang di-Pertua

Sila-sila..

Mohd Zawawi bin IsmailBERSATU · PNTelemung

dan apakah perancangan Kerajaan Negeri supaya lebih banyak Community Based Tourism (CBT) dapat diwujudkan di kawasan berkaitan.

Yang di-Pertua

Okey. Tak apa.

Mohd Zawawi bin IsmailBERSATU · PNTelemung

Terima kasih.

Yang di-Pertua

Kita bagi ah ke Telemung kesian dia duk jauh.

Datuk Haji Razali bin IdrisBERSATU · PNKijal

Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Telemung soalan tambahan itu dah lari sikit tu tapi tak apalah saya cuba jawab. Di antara usaha Kerajaan yang telah diambil untuk membangunkan kawasan Hulu Terengganu supaya menjadi daya tarikan pelancong adalah seperti berikut:-

 Pengisytiharan Kenyir sebagai Geopark Kebangsaan.

 Membangunkan produk pelancongan berasaskan komuniti iaitu CBT (Community Based Tourism) Bukit Bayas yang juga dinamakan Little Amazon, CBT Pengkalan Rengas, CBT Warisan Sungai Terengganu dan CBT Kampung Seberang Jenagor dan;  Menjadikan Daerah Hulu Terengganu sebagai lokasi penganjuran acara pelancongan seperti International Monsun Casting - memancing, Yang

Berhormat bulan 12. Hulu Terengganu COMO Challenge Fun Ride - basikal, Camper Rally Gathering, Pulau Poh dan sebagainya.

Manakala usaha yang diambil oleh pihak Kerajaan untuk membangunkan kawasan Hulu Terengganu supaya menjadi daya tarikan pelancongan antaranya adalah seperti berikut:- Memperkasakan produk pelancongan berasaskan komuniti sedia ada dan membangunkan produk yang baru.

 Menganjurkan acara pelancongan seperti Kenyir Geopark Eco Festival dan meneruskan acara international sepertimana yang saya sebutkan tadi Monsun Casting.

 Juga turut dilaksanakan di Daerah Hulu Terengganu adalah Temasya Terengganu kita 2024 melalui kerjasama erat Jabatan Kebudayaan dan Kesenian.

Cuma saya nak maklum, semalam ada satu kes kematian di Sekayu Waterfall. Baru nak bincang hal Sekayu, ada dah tetapi kita kena move on Yang Berhormat. Hok mati tu nok wak guane lagi doh. Kita sedekah Al-Fatihah kepada beliau. Al-Fatihah (membaca Al-Fatihah). Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.

Yang di-Pertua

Terima kasih. Seterusnya, kerana kita ada dua orang lagi Yang Berhormat, saya rasa kita nak bagi peluang jugaklah kepada Yang Berhormat Bukit Besi.

Ghazali bin SulaimanPAS · PNBukit Besi

Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. Soalan Bukit Besi nombor satu. Nok tamboh sket lagi.

Yang di-Pertua

Apa?

Nok tamboh semulalah. Soalan asal.

Ghazali bin SulaimanPAS · PNBukit Besi

Semula? Soalan asal nombor 1-

Berkenaan pusat pemulihan dadah secara holistic di bawah Kerajaan Negeri Terengganu, berapakah bilangan peserta yang telah berjaya dipulihkan di Perkampungan Darul Barakah? Dan

adakah terdapat cadangan penambahan tempat baharu bagi membina perkampungan oleh Kerajaan Negeri seperti Perkampungan Darul Barakah?

Yang di-Pertua

Sila Yang Berhormat kawasan Batu Buruk.

Terima kasih Yang Berhormat Bukit Besi yang mengemukakan soalan sebagaimana yang tertera. Berkenaan Pusat Pemulihan Dadah Secara Holistik di bawah Kerajaan Negeri Terengganu yang bermula pada Jun 2021 sehingga sekarang. Perkampungan Darul Barakah telah menerima kemasukan pelatih seramai 230 pelatih mengikut fasa pengambilan yang dibuat oleh pengurusan PDB. Dari jumlah tersebut seramai 48 orang pelatih yang berjaya dalam program pemulihan dengan meneruskan program aftercare dengan izin iaitu telah bekerja dengan masyarakat sekeliling untuk pembentukan ekonomi sara diri dan keluarga. Antara pekerjaan yang diteruskan oleh pelatih yang berjaya ialah berdasarkan kemahiran dan pengalaman mereka dalam bidang pertukangan rumah, perladangan, pertanian dan pengimpalan. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat. Yang terakhir, sila Yang Berhormat Sura.

Terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan kerana memberikan peluang kepada Sura untuk bertanyakan soalan. Sura bertanyakan soalan nombor dua-

Boleh nyatakan perancangan Kerajaan Negeri untuk menjadikan Terengganu sebagai hab pelaburan hijau?

Yang di-Pertua

Sila Yang Berhormat Kota Putera.

Terima kasih kepada Sura atas pertanyaan soalan. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, menjawab persoalan yang dibangkitkan, Kerajaan Negeri telah merangka Pelan Induk Teknologi Hijau atau singkatannya PItiH Negeri Terengganu 2024-2030 yang akan menjadikan Terengganu sebagai hub pelaburan hijau, insya-Allah. PItiH ini akan dirangka bagi mencapai kelestarian alam sekitar Terengganu melalui kecekapan tenaga dan pengurusan air. Selain itu, PItiH juga akan menjana pendapatan berskala industri kepada rakyat dan negeri menggunakan sumber hijau dan akan eksplorasi sumber hijau baharu Negeri Terengganu Darul Iman.

Industri tenaga Terengganu juga akan menfokuskan kecekapan tenaga dan pengurusan air, penjanaan hidrogen hijau, pengkomersialan tenaga boleh baharu, pengurusan dan pengkomersialan sisa hijau dan penggunaan karbon ataupun karbon biru.

Terdapat enam fokus utama dalam PItiH ini iaitu yang pertamanya tenaga, yang keduanya perindustrian, yang ketiganya pengangkutan, yang keempat bangunan, yang kelima sisa buangan dan yang keenam, air. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, insya-Allah Pelan Induk Teknologi Hijau (PItiH) Negeri Terengganu 2024-2030 akan dilancarkan bersama Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian Negeri Terengganu pada bulan Mei 2024 ini.

Yang di-Pertua

Terima kasih kepada Yang Berhormat Kota Putera. Alhamdulillah kita telah berjaya menyempurnakan Sesi Soalan pada pagi ini dan keseluruhan Yang Berhormat-Yang Berhormat yang telah mengemukakan Soalan Lisan berjaya mengemukakan soalan mereka dan saya mohon maaf kerana tidak beri ruang untuk soalan tambahan untuk memberi ruang kepada Yang Berhormat yang akhir akan dapat jugok mengemukakan soalan mereka dan saya ucap terima kasih kepada semua.

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat, seluruh para pemerhati daripada Khairunnisa, daripada pusat khidmat, daripada I-MITS, DUAT, daripada DUN Kijal, dan seluruh para pemerhati, media. Terima kasih

kepada semua dan meraikan kehadiran semua pemerhati-pemerhati. Maka saya tangguhkan sementara Dewan ini dan sambung semula pada pukul 11.00 pagi. Insya-Allah.

MESYUARAT DITANGGUHKAN PADA PUKUL 10.36 PAGI

PUKUL 11.00 PAGI

(Selepas Soalan-Soalan Lisan)Questions

Yang di-Pertua

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Ketua-ketua Jabatan dan pemerhati, Mesyuarat disambung semula. Silakan Yang Berhormat Paka untuk membuat penggulungan yang seterusnya.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli rakan MMKN sekalian, Ahli-Ahli Yang Berhormat, para pemerhati dan seluruh juga hadirin-hadirat yang dihormati sekalian. Terutamanya alhamdulillah kita merafakkan rasa syukur kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua kerana memberi peluang kepada saya untuk turut sama mengambil manfaat pada sidang Dewan yang mulia kali ini. Pertamanya, Paka merakamkan ucapan Menjunjung Kasih terhadap Yang Mulia Tuanku atas ucapan Titah DiRaja baru-baru ini sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Kali Yang Kelima Belas pada Isnin, 22 April 2024 baru-baru ini.

Memandangkan sudah ramai Ahli-ahli Yang Berhormat, sahabat-sahabat yang telah memberi pandangan dan sebagainya, saya tidak berhasrat untuk turut sama dalam ucapan yang melibatkan Titah Ucapan Tuanku Al-Sultan tetapi untuk menyentuh

dan memberi jawapan komentar terhadap Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah menyentuh isu-isu yang berkait dengan portfolio di bawah saya sendiri khususnya Bahagian Pendidikan dan juga pembinaan insan. Ramai di kalangan Ahli-ahli Yang Berhormat yang menyentuh tentang isu kecemerlangan pendidikan. Saya rasa di Terengganu ini, alhamdulillah kita merafakkan rasa syukur kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana setakat ini pencapaian pelajar dalam beberapa ujian peperiksaan khususnya dalam SPM, STPM, STAM dan sebagainya telah menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan. Keseluruhan di mana pencapaian negeri saban tahun mengatasi pencapaian peringkat nasional. Namun begitu, yang menjadi usaha kita yang berterusan antaranya khususnya dipelopori oleh Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, JPINT dan juga semua warga pendidik adalah berusaha untuk mencapai pencapaian keseluruhan bagi meningkatkan pencapaian dari segi peratus lulus ataupun layak memiliki sijil serta cuba untuk meminimakan peratus kegagalan. Itulah yang menjadi hasrat kita supaya mencapai 100% lulus semuanya.

Apa pun kita juga mengambil kira dan berusaha untuk mencapai peratus ataupun gred purata yang lebih baik daripada satu tahun ke satu tahun dan contohnya dalam pencapaian SPM bermula daripada 2018 sehingga 2023. Pada 2018, contohnya gred purata kita 4.90%, 2019 4.69%, 2020 4.55%, 2021 sempena pasca COVID-19 4.72% dan 2022 4.59%. Gred purata yang menunjukkan prestasi keseluruhan semakin baik, dia semakin kecil semakin lebih baiklah dari segi gred purata. Kita mengunjurkan pencapaian SPM 2023 lebih baik lagi berbanding tahun 2022. Begitu juga pencapaian STPM yang kita melihat nilaian PNGKnya semakin baik. Pada 2018 2.99%, 2019 3.02%, 2020 3.03%, 2021 3.03% dan tahun 2022 kita meraih 3.04% tapi dalam ni purata nilai gred PNGK ni dia semakin besar semakin baik. Jadi kita melihat Terengganu muncul satu-satunya negeri yang mencapai PNGK 3.0 ke atas sejak tahun 2019, alhamdulillah.

Juga pencapaian STAM bagi tahun 2018 sehingga 2023, kita dapati JPN dia daripada 2018 2.28%, 2019 2.02%, 2020 2.33% dan 2021 2.49%, 2022 2.53%. Jadi pihak kerajaan mengambil kesempatan ini sempena Dewan yang mulia ini untuk merakamkan ucapan tahniah, jazakumullah kepada pihak JPNT, warga pendidik, JPINT dan juga semua yang terlibat, agensi-agensi Yayasan Terengganu, Yayasan Islam, Yayasan Pendidikan MAIDAM dan sebagainya dan semua guru-guru serta para ibu bapa yang telah memainkan peranan untuk meraih kecemerlangan di semua peringkat.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua…

Yang di-Pertua

Sila Yang Berhormat…

Boleh Sura ingin mencelah…

Yang di-Pertua

Yang Berhormat Paka bagi?

Sila sila…

Yang di-Pertua

Sila Yang Berhormat Sura..

Pertama sekali bila disebut tentang kecemerlangan pendidikan, satu masa dulu kita pernah cemerlang dalam UPSR, dalam PMR, cuma disebabkan dasar Pendidikan baru yang berlaku adalah tiada lagi peperiksaan UPSR, tiada lagi peperiksaan PMR dan saya membaca bahawa ada kegusaran yang timbul di kalangan ibu ayah bila mana peperiksaan ini dibatalkan. Tapi semalam bila disebut oleh Yang Berhormat EXCO daripada Paka bahawa kita di SRIDI dan SMIDI kita masih lagi menggunakan peperiksaan UPSRI. So adakah saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Paka adakah kita masih lagi ingin mengekalkan sistem peperiksaan kepada pelajar-pelajar di Sekolah Rendah bukan kita mengikut dasar sebagaimana Persekutuan yang telah memansuhkan sistem peperiksaan berpusat?

Yang di-Pertua

Sila Yang Berhormat Paka…

Ya, terima kasih. Kita tahun ini baru start UPSRI. Itu sebagai untuk kita menunjuk ataupun melihat prestasi bermula tahun pertama SRIDI kita, Sekolah Rendah Islam

Darul Iman dan untuk melihat prestasi pelajar sendiri. Untuk kita membuat saringan khususnya untuk menyambung pengajian ke peringkat SMIDI dan sebagainya. Tapi setakat ini kita melihat menjadi kesukaranlah khususnya Yayasan Terengganu dalam pemilihan para pelajar masuk IMTIAZ ataupun sekolah-sekolah di bawah JPINT dan mereka telah melihat kepada keputusan peperiksaan UPKK. Kita pernah bangkitkan apabila ada mesyuarat di peringkat Menteri Pendidikan dan ini persoalan yang dibangkitkan oleh semua negerilah dan berlakunya apabila tidak ada peperiksaan ning kadang-kadang pelajar-pelajar tak ambil cakna mana dalam memberi apa penguasaan dalam bidang ataupun mata pelajaran-mata pelajaran yang sedia ada. Jadi bukan hasrat kita untuk jadikan UPSRI kepada peperiksaan tapi untuk melihat sejauh mana pelajar-pelajar itu menguasai mata pelajaran-mata pelajaran yang kita tawarkan.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, begitu juga di bawah sekolah-sekolah milik Kerajaan Negeri khususnya IMTIAZ di mana kita masih lagi mengekalkan kecemerlangan berdasarkan GPS (Gred Purata Sekolah) dan setakat ini Sekolah IMTIAZ masih lagi mengekalkan kecemerlangan yang sedia ada termasuk juga di peringkat STPM dan juga peringkat STAM. Yang terbaru pun kita melihat apabila pelajar-pelajar Terengganu UPKK yang terbaru pada 18 April baru-baru inilah, semua pelajar kita lulus 100% dan lebih 2000 pelajar kita menguasai keseluruhan 8A. Jadi kita rasa isu yang menjadi kebimbingan kita semua untuk melihat kecemerlangan pelajar-pelajar kita rasa tidak berbangkitlah lebih baik dari masa ke semasa dan yang menjadi usaha kita adalah untuk mengekalkan kecemerlangan yang sedia ada dan juga memberi ruang dan pilihan kepada ibu-bapa untuk anak-anak ini belajar ke peringkat yang lebih tinggi untuk mendapat pendidikan yang lebih baik.

Saudara saudari yang dihormati sekalian, Ahli-Ahli Yang Berhormat, juga menyentuh tentang isu membantu pusat-pusat pengajian dan sebagainya. Memang ini menjadi hasrat Kerajaan iaitu usaha kita menyediakan beberapa skim termasuk Skim Al-Ghazali, Skim Mus’ab bin Umair termasuk peruntukan perkapita dan sebagainya dan kita memberi kelonggaran dan kemudahan untuk mendaftarkan pusat-pusat pengajian supaya ianya diurus dan ditadbir dengan secara yang baik dan dia diselia di bawah JPINT, diadakan kursus pengurusan dan sebagainya untuk kita lihat pusat-pusat dan institusi pengajian ini berjalan dengan baik dan kita sebenarnya mengucapkan jazakumullah terima kasih kerana mereka cari tanah sendiri, mereka buat bangunan sendiri, mereka sediakan elaun guru sendiri untuk

turut sama melibatkan dalam dunia pendidikan kita. Bahkan sebahagian besar mereka mengambil modul ataupun kokurikulum yang disediakan di peringkat SRIDI, di bawah seliaan JPINT ataupun di bawah kementerian sendiri. Kerana itu kita berkolaborasi dengan mereka ini supaya sama-sama kita terlibat dalam dunia pendidikan ini untuk menambah baik antara satu sama lain.

Juga ada berkait menyentuh tentang saintis Islam yang dahulunya ada enam orang sahaja sebenarnya iaitu pada tahun 2015 yang diperkenalkan oleh Kerajaan sebelum pada ini. Ada seorang satu tahun. Pelajar-pelajar yang menerima tajaan Program Saintis Islam iaitu pada tahun 2015 seorang ke UK, tahun 2016 seorang ke UK juga di Manchester, tahun 2017 juga seorang di Ireland dan tahun 2018 dua orang ke Tokyo. Jadi bila masuk tahun 2018, kita menghentikan untuk tajaan Program Saintis Islam. Tetapi kita menggantikan dengan SPC- Skim Pelajar Cemerlang dengan RM5 juta peruntukan dan juga RM10 juta untuk pinjaman dan pelajar-pelajar yang mendapat manfaat sehingga ke hari ini seramai 2,736 pelajar yang mendapat manfaat daripada Skim yang kita seliakan termasuk 1,923 pelajar yang kita tanggung dan juga tahun ini, 2024 kita taja 843 pelajar baharu, di mana kita menghantar 16 orang pelajar yang sekarang ini buat A-Level, Ijazah Luar Negara yang melibatkan UK, US, Australia, Korea dan Jepun ada 35 orang pelajar, 15 orang di UK, 3 orang di Australia, 5 orang di Korea, 10 orang di Jepun dan juga US seorang. Juga Ijazah Luar Negara di Jordan ada 72 orang dan Ijazah Luar Negara di Mesir ada 26 orang yang melibatkan perubatan, pergigian, Qiraat, Islamic Banking dan Tafaqquh Fiddin. Jadi sebenarnya kita menawarkan lebih baik untuk diambil manfaat dari kalangan pelajar-pelajar kita yang melibatkan luar negaralah. Ada pun yang melibatkan dalam negara juga termasuk baki lagi dari kalangan pelajar tersebut lebih daripada 139 orang pelajar di luar negara, baki lagi itu adalah melibatkan pelajar-pelajar yang melibatkan SPC dalam negara mahupun bentuk pinjaman dan sebagainya. Jadi kita rasa pelajar-pelajar ini kita teruskan dan itulah betapa pentingnya wang royalti yang kita gunakan untuk pendidikan ini di mana pihak Yayasan membelanjakan dengan nilai sekarang ini RM50.1 juta untuk menanggung pelajar-pelajar setiap tahun dan sebahagian besarnya adalah daripada wang royalti inilah. Jadi kita haraplah pihak Kerajaan Pusat peka untuk manfaat anak-anak kita bagi meneruskan kesinambungan tajaan pelajar-pelajar kita sama ada melibatkan luar negara ataupun dalam negara.

Sebahagian juga dibantu oleh pihak MAIDAM di mana pihak MAIDAM menyediakan RM6.7 juta untuk pelajar-pelajar asnaf, B40, fisabilillah ataupun ibnussabil dan

kebanyakan SPC pelajar kita itu hampir 50%, lebih daripada 50% sebenarnya pelajar-pelajar B40 yang menjadi pilihan dan keutamaan kita. Jadi sebenarnya ramai pelajar-pelajar yang memohon untuk mendapat SPC mahupun pinjaman tetapi setakat kemampuan kewangan yang kita ada, adapun ada Yang Berhormat mencadangkan supaya hutang PTPTN itu kita tolong bayar, ramai wok rakyat kita ini hok wat pinjaman ini. PTPTN baru ini kita bincang untuk bayar bunga dia sahaja itupun melibatkan berpuluh juta jugalah. Jadi kita tengok dulu macam mana keadaan sabit tu untuk dalaman negara ini kita bui pelajar-pelajar kita mohon PTPTN dulu tapi kalau tak dapat insya-Allah Yayasan akan beri supaya tidak ada lagi pelajar-pelajar anak Terengganu yang tidak dapat menyambung pengajian kerana masalah kewangan. Saya rasa tidak berbangkitlah dengan agensi-agensi yang ada MAIDAM, Yayasan Islam dan juga institusi-institusi lain insya-Allah kita rasa dapat diteruskanlah untuk pelajar-pelajar ini menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Wakil Hulu Besut mencadangkan supaya diploma seperti di KQT mengadakan Diploma TVET sebenarnya pihak MKA tidak membenarkan pihak peringkat diploma untuk mengadakan dua diploma tetapi kita di pihak Kerajaan menyediakan latihan kemahiran kepada pondok-pondok dan sebagainya untuk kemahiran untuk digabungjalinkan diselia di bawah Yayasan Terengganu kepada pusat-pusat pengajian ini untuk mereka mendapat kemahiran mengikut daerah-daerah di setiap daerah untuk kita seliakan mereka supaya mereka juga bukan hanya mendapat pengajian kitab turath tetapi juga mendapat kemahiran untuk mereka menguruskan kehidupan mereka di masa apabila mereka keluar daripada pusat pengajian nanti.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, isu yang melibatkan celik al-Quran. Kita Kerajaan Negeri amat peka dengan isu ini. Bahkan kita memulakan daripada peringkat pra-sekolah lagi dan kita rasalah dengan apa tindakan yang diambil dan juga dengan kerjasama agensi-agensi orang perseorangan, institusi-institusi pendidikan yang memberi keutamaan kepada al-Quran ini rasanya tidak berbangkit sepatutnyalah sepatutnya tidak berbangkit lagi isu buta al-Quran ini. Di mana pihak Kerajaan Negeri memperuntukkan Skim Mus’ab ini yang melibatkan bilangan 1,303 pusat pendidikan yang melibatkan untuk mengenal dan mengaji al-Quran sama ada Pusat Tunas Islam, KEMAS bawah YIT dan juga bawah Perpaduan melibatkan 1,303 bilangan dan melibatkan 2,393 orang guru, dan pihak Kerajaan memberi sumbangan top-up RM300 lebih sebulan untuk sebagai sumbangan bagi memberi

galakan kepada mereka untuk memastikan anak-anak pelajar kita termasuk di bawah mereka ini 37,200 orang pelajar yang mendapat manfaat untuk melihat usaha kecemerlangan Al-Quran dari kalangan anak-anak kita. Juga di bawah Yayasan Islam Terengganu yang menyediakan guru kelas khidmat masyarakat termasuk mengajar Al-Quran. Pada tahun 2022, kita ada seramai 1,404 guru dan kelas sebanyak 1,724 dan pada tahun 2024, jumlah guru yang di bawah seliaan Yayasan Islam Terengganu 1,459 orang dengan jumlah kelas yang ada sebanyak 1,826 kelas. Makna itu hok kelas masyarakat, kita juga membuka sekolah SRIDI contohnya daripada kecil lagi iaitu ibu bapa yang hantar anak ke SRIDI, dia hantar pagi, pukul 4.30 kakrang dia balik kerja ambil, kita kira selesai dah Al-Quran dia, sembahyang jemaah dia, apa sebagainya, semua mata pelajaran yang kita sediakan sama ada yang melibatkan dini ataupun isu melibatkan akademik pendidikan dan sebagainya. Juga kita mewujudkan di peringkat seliaan JPINT ini semua melibatkan Pusat-Pusat Pengajian Islam tak kiralah pondok ke Maahad Tahfiz ke apa semua asas dia adalah untuk membebaskan mereka daripada tidak memahami Al-Quran, supaya ke arah celik Al-Quran, jadi ini juga melibatkan orang panggil usaha-usaha daripada pihak Kerajaan Negeri memberi sokongan dan dokongan untuk rakyat Terengganu ini, celik Al- Quran. Juga yang melibatkan kelas pengajian secara mingguan contohnya di bawah seliaan KQT dipanggil kelas pengajian Al-Quran dewasa ataupun Kuliah Furqan sama ada di Padang Midin ataupun di DITC di Kemaman yang juga ada merekanya meneruskan pengajian walaupun tanpa mengira batas umur lah untuk mereka dapat pengetahuan pengajian qiraat Al-Quran dengan cara yang lebih baik. Juga kita mewujudkan kelas memahami Al-Quran dalam Bahasa Arab di pusat bahasa kita, jadi ngaji quran dok faham pulok dia gi situ pulok untuk dapat memahami tafsiran pemahaman Al-Quran berdasarkan kemahiran Bahasa Arab. Begitu juga ada kelas-kelas swasta dan sebagainya kelas Al-Quran, ada Iqra’, Qiraati, Al-Baghdadi dan sebagainya masjid-masjid anjur yang saya sebut kelmarin bawah I-MITS, bawah DUAT dan sebagai memanfaatkan di peringkat kampung-kampung. Bahkan di bawah seliaan YIT, ada bawak OKU, orang buta pun celik Al-Quran jadi kalau kita orang celik ni buta Quran terbalik doh ni. Yang terbaru insya-Allah, orang yang bisu dan pekak ni saya memang dokleh nok ajor dia paka gini je, baca Quran dia nak sembahyang guane, baca Fatihah guane, kalau dia dok pandai dosa gok kita, tapi insya-Allah ada method pengajian dia, jadi kalau kita rakyat Terengganu dok boleh baca Quran payoh nok jawab akhirat, rasa payoh lepas doh tu nok-nok kalu ada dalam Dewan ini dokleh bace gi Al-Quran rasa payoh, pelajar-pelajar kita belajar online Bahasa Korea, pandai molek-molek ade Quran dokleh nok bace. Itu

satu masalah lah, saya rasa usaha-usaha yang dilakukan oleh pihak Kerajaan rasanya mencakupi segenap lapisan umur untuk mereka ni berpeluang mendapat pengajian paling kurang untuk celik Al-Quran, memahami Al-Quran.

Juga ingin saya sentuh berkait tentang GLC yang juga disentuh oleh Tuanku Al-Sultan. Jadi alhamdulillah penglibatan GLC dalam pembangunan pendidikan Negeri Terengganu ni diambil kira dan keprihatinan mereka untuk sama-sama turut membantu permasalahan bermula pada tahun 2022, Yayasan Terengganu dan juga TI telah mewujudkan dana khas sebanyak RM500,000 setahun khususnya untuk penajaan pelajar-pelajar cemerlang dari golongan B40 untuk meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda.

Tunas Kuala juga telah diwujudkan oleh Yayasan Pendidikan MAIDAM, dengan kerjasama kumpulan Terengganu Inc pada tahun 2024 dengan jumlah penajaan RM1.3 juta bagi anak-anak fakir miskin fisabilillah bagi melanjutkan pengajian khususnya bidang Diploma Kejururawatan dan juga fisioterapi. Secara statistiknya Terengganu Inc dalam pembangunan pendidikan Negeri Terengganu sejak 2020, pada tahun 2020 sebanyak RM410,000 pada tahun 2021 RM1.1 juta, tahun 2022 RM2.46 juta, tahun 2023 sebanyak RM1.34 juta digunakan untuk membantu pelajar-pelajar dalam meneruskan pendidikan, dan pada tahun 2023 ini melibatkan 36 buah syarikat yang memberi sumbangan daripada tahun 2024 ini, ada RM72,400 melibatkan empat buah syarikat untuk turut sama terlibat dalam pendidikan di samping masing-masing GLC ada CSR ada yang melibatkan pembangunan bantuan pendidikan dan sebagainya, jadi saya rasa perkara ini turut sama diambil keterlibatan oleh semua pihak dalam menjayakan pendidikan ini.

Cuma hasrat saya lah apa-apa perbincangan GLC ataupun MoU melibatkan pelajar-pelajar luar negara khususnya sebagaimana yang disebut oleh Haji Khuz untuk future energy dan sebagainya kita harap supaya adanya perjanjian ataupun diselitkan supaya syarikat-syarikat tersebut menaja pelajar-pelajar kita ke luar negara, di tempat mereka bagi bidang khusus seperti itu. Contohnya pelajar Tahfiz Mandarin kita, kita telah mengadakan usaha sama oleh pihak Yayasan Terengganu dengan pihak UPM, dua tahun sini, dua tahun di China ambil pengajian di Bahagian Railway dengan balik tu boleh berkhidmat sebagai jurutera ECRL jadi melibatkan NRREE sebagainya ataupun isu hidrogen lah yang kita harap boleh kita harap kepada pelajar-pelajar ini yang kita hantar ke Korea, China dan sebagainya untuk menyambung pengajian supaya manfaat untuk generasi akan datang, dimainkan

peranan oleh GLC, untuk melahirkan mereka-mereka yang insya-Allah, memainkan peranan dalam industri di Negeri Terengganu di masa-masa yang akan datang.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya juga ingin menyentuh isu yang berkait dengan STAM lah jadi pihak Kerajaan berusaha insya-Allah pada masa yang terdekat untuk kita turun kempen di peringkat daerah-daerah dan juga program-program dirangka untuk peringkat negeri bagi menggalakkan pelajar-pelajar khususnya pelajar tingkatan satu sehingga tingkatan tiga supaya tingkatan empat untuk dia pilih bidang khususnya sains tulen lah yang kita lihat hari ini hari demi hari makin turun pelajar-pelajar kita ini yang ingin masuk dalam sains tulen yang kita rasakan untuk akan-akan datang akan menghadapi permasalahan pengisian tenaga-tenaga profesional khususnya dari kalangan pelajar-pelajar anak Terengganu.

Zaman saya sekolah dulu, ada seorang guru Bahasa Inggeris, dia kata sohbeng ngaji Sains dan Teknologi mu tahu dok nape Sains dan Teknologi? Sains Teknologi ni Ya’juj Ma’juj ye kate. Kita nengung gok masa tu. Jadi dia anggap Sains dan Teknologi ini Ya’juj Ma’juj padahal dulu ulama-ulama dulu yang memperkenalkan ilmu sains di kalangan ulama-ulama Islam, bagaimana usaha-usaha untuk melahirkan dari kalangan anak-anak kita, walaupun dia ngaji bahagian hafal Al-Quran dan sebagainya dan alhamdulillah bagaimana produk daripada IMTIAZ sudah menunjukkan contoh, walaupun dia hafal Quran 30 juzuk tapi dia ambil medic dan sebagai engineer jadi tidak ada masalah, kita harap ramai lagi pelajar-pelajar kita yang memilih bidang sains ini kerana ia merupakan cabang ilmu yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala untuk mengangkat umat dan juga Negeri kita bagi mencapai Negeri yang Maju, Berkat, dan Sejahtera insya-Allah.

Usaha yang melibatkan pembinaan insan saya rasa bukan jabatan..

Mohon mencelah, Yang di-Pertua Dato’ Speaker…

Ya, Yang Berhormat…

Yang di-Pertua

Sila Yang Berhormat Jertih…

Terima kasih Dato’ Speaker, pendidikan rakyat pendidikan sekarang ini pendidikan bersifat meritokrasi. Fokus kepada yang cemerlang. Contoh ada lebih 18,000 pelajar yang ambil SPM, yang cemerlang hanya 9% sahaja. Apa perlu kita buat Yang Berhormat Paka untuk 91% pelajar kita yang tidak cemerlang? Yang cemerlang hanya 9% sahaja.

Ya, kita di bawah Kerajaan Negeri khususnya di bawah Yayasan Terengganu kita menyediakan satu platformlah untuk menggabungkan semua institusi-institusi di bawah Negeri Terengganu supaya pelajar-pelajar dapat akses dapat maklumat kalau mereka tak berjaya dalam bidang-bidang karier masing-masing berdasarkan kemahiran lain sama ada kemahiran institusi-institusi kemahiran yang mereka boleh pilih dan sekarang kita sedang menyediakan data maklumat selepas daripada SPM ini kita nak tahu dia pergi mana? Sebahagian masuk IPT, IPTA, IPTS dan sebagainya jadi hok banyak lagi hok kita dokleh nok kesan sebahagian tu dia gi mana? Kalau kata dia gi pondok kita kena tahulah dia daftar, dia ngaji tapi bukan arus perdana, dia gi Maahad Tahfiz ke sebagainya sebab kadang-kadang kita tidak tahu dan sebahagian besar mereka ini kadang-kadang dia tanya doh lepas pada ini mereka boleh kerja mende, dia tanya nok kerja mende lah. Jadi dia kata pada payoh-payoh belajar, ngaji mahal-mahal kena bayar, baik dia kerja. Jadi ramai mereka ini tidak berminat untuk menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi. Ramai mereka untuk berminat untuk teruskan bidang pekerjaan. Pun begitu, kita galakkan supaya mereka ada sijil dan mempunyai kemahiran-kemahiran tertentu agar walaupun mereka bekerja tetapi base berdasarkan kemahiran mereka untuk mendapat peluang yang lebih baik. Jadi baki lagi itu saya rasa usaha kita bersama lah untuk memastikan anak-anak Terengganu kita ini walaupun bidang kemahiran ataupun bidang perniagaan kadang-kadang tanya nak nege online je dia kata ramai orang jadi jutawan nak nege online jadi dia dok payoh gi ngaji tinggi. Macam-macam lah orang sekarang ini berdasarkan med sos yang dia ada yang mempengaruhi anak-anak pelajar-pelajar kita sekarang ini. Tetapi kita sebagai Kerajaan untuk memastikan anak-anak Terengganu kita ini menuntut ilmu itu satu fardhu. Bukan masalah kerja tu nombor 2, . Menuntut ilmu itu fardhu, wajib dulu, ibu bapok kena pastikan anak mereka ngaji dulu belajar dulu, kerja tu insyaAllah lah ada lah qada qadar dia… haa…insyaAllah rezeki masing-masing tapi memastikan menuntut ilmu tu merupakan satu kewajipan.

Mohd Shafizi bin IsmailPAS · PNBatu Rakit

Yang Berhormat..

Kadang-kadang gi Mekoh acak doh, melawat ziarah Rasulullah, Rasulullah pelajar yang pertama Iqra’ baca. Ada lagi rakyat Terengganu yang dok rajin sampai lagi Perpustakaan Terengganu, ada ke dia kata.

Yang di-Pertua

Yang Berhormat Batu Rakit sebab masa pendek doh masa pendek doh… masa pendek doh Yang Berhormat

Ada Yang Berhormat menyentuh tentang YB-YB yang tidak boleh masuk ke sekolah bukan anak kita je mati Dato’, anak orang pun mati jugok. Bukan YB je dokleh masuk EXCO Pendidikan pun dokleh masuk jugok…(ketawa) tapi dakpelah kita buat program luar insya-Allah. Saya pernah nak hantar cap je man, sempena Hari Guru dok benor tapi dakpelah kita rai cikgu-cikgunya alhamdullilah dia beri kerjasama yang baik. Kita mengadakan program apa orang panggil Tuisyen Rakyat untuk pelajar-pelajar SPM, kita wak dok dibenarkan dibuat di apa di dewan-dewan sekolah, takpelah kita meraikan arahan mereka nung, tapi guru-guru alhamdulilah diberi kerjasama yang baik, kita buat di dewan dia maklumkan pada pelajar-pelajar untuk gi untuk masuk apaTuisyen Rakyat ataupun berapa program untuk ke arah kecemerlangan pelajar tu. Jadi pelbagaikan usaha YBlah, untuk mendekati mereka-mereka ini supaya paling kurang kita boleh membantu mereka. Biasa walaupun YB dokleh masuk… sekolah, surat mohon bantuan tu sampai ke YB kan. Tenyeh-tenyeh lah, jangan kata base aku sekolah ni kekgi, malas aku bui. Jangan wak gitu lah. Kita jangan baloh dengan cikgu-cikgu kita bang. Cikgu-cikgu tu sokong kita belake doh, hok atas hoo panasan sebab kita sokong Pas…{ketawa}. Jadi kita jangan baloh dengan hok nung, kita perkasakan guru.

Yang di-Pertua

Panjang lagi Yang Berhormat

Takdok mende doh, saya rasa sekadar tu. Paka mohon menyokong.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat Paka.

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-Ahli Berhormat sekalian. Sekarang tibalah masanya Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar membuat penggulungan terakhir. Saya mempersilakan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar untuk menyampaikan ucapan penggulungan terakhir. Saya persilakan Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar untuk menyampaikan ucapan penggulungan.

Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin MokhtarPAS · PNMenteri Besar · Ru Rendang

Terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Ahli-Ahli Berhormat, Ketua-Ketua Jabatan, Para Pegawai, Pemerhati, rakan-rakan media, Bentara Dewan dan seluruh hadirin dan hadirat sekalian. Alhamdulillah kita bersyukur ke hadrat Allah SWT ke atas kesempatan yang diberikan yang diberikan kepada semua untuk sama-sama berada dalam Dewan yang mulia ini bagi melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita semua. Saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua Ahli-Ahli Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan Titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu. Menerusi berbagai cadangan, pandangan, ulasan dan kritikan yang telah disampaikan untuk makluman dan tindakan Kerajaan, insya-Allah saya bersama dengan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negeri dan anggota pentadbiran Kerajaan, saya memandang dengan serius pandangan dan persoalan yang dibangkitkan dengan hati yang terbuka. Sebahagian persoalan-persoalan yang dibangkitkan telah dijawab dalam sesi penggulungan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, menerusi jawapan Soalan Lisan dan Soalan Bertulis dalam sidang hari ini. Inilah yang dikatakan sebagai musyawarah sesama kita sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala , maksudnya, dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka. Untuk mencapai objektif kebajikan dan kesejahteraan rakyat dan negeri, melaksanakan maslahah seperti mana definisi maslahah yang disebutkan oleh Imam Al-Ghazali mendatangkan manfaat dan menghalang kemudaratan, iaitu melaksanakan sebarang bentuk perkara yang memberikan kebaikan dan manfaat kepada manusia serta dalam masa yang sama ia menghalang keburukan dan kemudaratan ke atas diri mereka ianya adalah dianggap sebagai maslahah.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, ekonomi dunia sedang mengalami tekanan yang besar, dari berbagai punca tangan manusia, dari kesan pasca Pandemik Covid-19, percaturan geopolitik antarabangsa, konflik Ukraine-Rusia dan pertikaian perdagangan antara Amerika Syarikat dan China yang telah menganggu kawalan perdagangan bebas. Pada masa yang sama, Iran yang merupakan antara pengeluar minyak terbesar dunia berdepan sekatan yang lebih ketat ke atas syarikat dan eksport minyaknya. Manakala rejim Zionis Israel pula berdepan dengan masalah dalaman dan kewangan serta pemulauan di peringkat antarabangsa akibat daripada kerakusan dan kezaliman yang berskala besar mereka di Gaza. Ketegangan antara kedua-duanya sekarang ini telah menimbulkan kebimbangan baharu mengenai potensi gangguan dalam pasaran tenaga terutamanya di negara-negara yang bergantung kepada import minyak. Walaupun kita mungkin kecil di sebuah negeri di pesisir pantai seperti Terengganu ini, kita masih mesti bersedia untuk mendepani sebarang kemungkinan implikasi daripada pelbagai ketidaktentuan global ini dan kesan pelaksanaan bermacam-macam polisi di peringkat nasional. Paling utama, kita mesti mengukuhkan fiskal kita merancakkan aktiviti perindustrian, perdagangan dan pelaburan serta menjaminkan keselamatan makanan untuk rakyat dan penduduk negeri kita sendiri.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, mengenai isu fiskal Kerajaan Negeri seperti yang disentuh oleh Yang Berhormat Ladang, Bandar, Bukit Besi dan Bukit Tunggal. Kerajaan Negeri melaksanakan 3 strategi untuk mengukuhkan fiskal negeri. Pertama, mengawal perbelanjaan, yang kedua mengoptimumkan perolehan hasil daripada sumber sedia ada dan yang ketiga mengeksplorasi sumber baharu. Selain menyemak semula perbelanjaan awam dan diaplikasikan Outcome Based Budgeting dengan izin jentera Kerajaan Negeri di semua peringkat mesti mempertimbangkan semua keperluan atau needs dengan izin, kebolehlaksanaan atau feasibility dengan izin dan keutamaan atau priority, setiap program ataupun projek yang telah dirancangkan. Inisiatif yang akan diteruskan atau program yang akan dilaksanakan ini mestilah menepati 5 kriteria iaitu yang pertama selari dan berimpak tinggi kepada sasaran dan strategi utama Belanjawan 2024. Kedua, mudah dan cepat untuk dilaksanakan. Ketiga, melibatkan kos yang tidak membebankan kewangan Kerajaan Negeri. Keempat, memberi atau meraih manfaat jangka panjang dan yang kelima boleh diubahsuai supaya mengikut keperluan dan keadaan semasa. Selain daripada itu, semua jabatan dan

agensi juga diminta untuk meneroka sebarang bentuk kerjasama dan bantuan terhadap inisiatif dan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan. Meneroka sumber dan usaha sama dengan pihak bukan Kerajaan serta merintis Community of Burton Out Initiative dengan izin. Untuk mengoptimumkan perolehan hasil daripada sumber yang sedia ada ini, kita mesti yang pertama menambahbaik aspek perundangan dan best practises dengan izin berkaitan kutipan hasil. Yang kedua, meningkatkan kecekapan kutipan hasil menerusi penguatkuasaan dan digitalisasi serta yang ketiga, menyemak semula pemberian Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri supaya selari dengan undang-undang dan serasi dengan situasi semasa. Rancangan dan usaha mengeksplorasi dan mengeksploitasi sumber hasil baharu pula, pada ketika ini bertumpu kepada pembangunan industri yang diberi dan tenaga boleh diperbaharui atau renewable energy dengan izin yang semakin besar kerangka dan potensinya melangkaui kebiasaan yang kita dengar seperti tenaga solar, tenaga hidro dan angin yang berskala besar, hinggalah sekarang ini mencakupi biomass , tenaga lautan atau ocean energy dengan izin menerusi janaan kinetik ombak dan arusnya dan potensi besar tenaga hidrogen hijau atau green hydrogen dengan izin menerusi green hydrogen park di lokasi yang sedang kita kenal pasti untuk berbagai aktiviti hidrogen hijau ini. Semua langkah-langkah ini mesti dilaksanakan dengan teliti. Itu tak dapat kita nafikan tetapi mesti pantas dan proaktif untuk memastikan hasil dan manfaat yang maksimum kepada Kerajaan Negeri dan rakyatnya. Ketika ini juga kita sedang merangka dasar menyusun prosedur operasi standard dan membangunkan model pelaburan dan perniagaan yang sesuai supaya dapat menjamin pulangan hasil maksimum kepada negeri seterusnya mengekalkan rantaian nilai sumber ini di Negeri kita. Seperti yang saya gariskan dalam Ucapan Belanjawan 2024 yang lalu, hasil cukai dan hasil bukan cukai kita mesti ditingkatkan sekurang-kurangnya 10% setahun. Usaha ini penting bagi memastikan supaya menjelang 2030 nanti hasil janaan Negeri kita mewakili sekurang kurangnya 30% daripada keseluruhan hasil berbanding hanya 10 hingga 15% sejak zaman berzaman.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat, isu yang paling hangat diperbahaskan dan diutarakan dalam Sidang pada kali ini adalah berkenaan dengan pembayaran royalti petroleum sebagaimana yang diutarakan oleh Yang Berhormat Bandar, Kuala Besut, Ladang, Sura, Pengkalan Berangan, Permaisuri Hulu Gading, Kemasik, Hulu Besut, Rantau Abang dan Manir, mujur tak sebut sampai 32 DUN. Dengan perasaan yang berat sebenarnya, saya mesti merungkai dan menjelaskan persoalan yang dikemukakan oleh Ahli-ahli Yang

Berhormat yang juga ditanya di kalangan rakyat Negeri Terengganu setiap waktu ketika kita bertemu dengan mereka terutama di sepanjang tempoh bulan Syawal ini. Walaupun ulasan ini akan sedikit sebanyak akan menguris teman-teman kita di Putrajaya tapi inilah kalam pahitnya ubat, inilah hakikatnya. Saya akan cuba menjelaskannya seperti kata orang dulu-dulu bagai “menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak”. ppenjelasan saya ini sekali lagi saya sebut sekali sekali tidak ingin menafikan rasa terima kasih kepada teman-teman di Putrajaya yang pagi ini sekali lagi saya ucapkan juga terima kasih kerana ada makluman insya-Allah terimaan baharu kita pada hari ini insya-Allah kita doa begitu di mana ada teman-teman kita di Putrajaya yang masih komited berusaha untuk menyalurkan dana wang royalti petroleum sebagaimana sepatutnya walaupun dengan cara dan kaedah yang di luar dari tatacara dan pengurusan kewangan yang biasa diamalkan sejak puluhan tahun yang lampau. Walaupun tatacara kewangan ini pelik dan menyusahkan di mana contohnya ni contoh, pembayaran berpilih atau selective payment dengan izin kepada projek pembangunan dan perkhidmatan ini dibayar terus oleh Kerajaan Pusat kepada kontraktor di Negeri, walaupun surat setuju terima atau SST dan dokumen kontrak yang ditandatangani adalah antara Kerajaan Negeri dan kontraktor, tetapi terpaksa sebut, kami akur kerana itulah pada ketika ini boleh menyelesaikan urusan pembayaran-pembayaran yang ada dinyatakan dalam Belanjawan Negeri. Di masa yang sama ini kita juga sedar bahawa pelaksanaan kaedah sebegini hanya memberi bebanan kerja baharu kepada pihak Putrajaya dan Negeri sedangkan semua tahu bahawa akaun kewangan Kerajaan Negeri akan tetap diaudit secara telus oleh jabatan yang berkaitan. Suka juga saya jelaskan berdasarkan daripada dapatan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi atau IDEAS yang menjalankan kajian mereka melalui kerjasama dengan beberapa organisasi masyarakat sivil dan individu berfikiran sivil, Terengganu telah diisytiharkan sebagai Kerajaan yang paling telus membentangkan belanjawan atau pengurusan kewangannya berbanding negeri-negeri lain di Malaysia di mana ketelusan tersebut adalah dinilai menerusi Malaysia Open Budget Index atau MYOBI.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat, untuk rekod dan makluman Dewan mengenai terimaan Kerajaan Negeri bagi tahun 2023. Kerajaan Persekutuan membayar sejumlah RM802.2 juta daripada anggaran asal Kerajaan Negeri sebanyak RM1.52 bilion. Daripada jumlah RM802.2 juta ini, sebanyak RM651 juta adalah untuk emolumen manakala RM109.0 juta adalah

untuk deferred dan schedule payment dengan izin dan RM42.01 juta pula adalah bayaran balik hutang Kerajaan Persekutuan dengan baki yang belum diberikan adalah berjumlah sebanyak sekurang-kurangnya untuk tahun 2023 sebanyak RM700 juta. Begitu juga pada tahun 2024, Kerajaan Persekutuan membayar sebanyak hingga kini pada saat ini RM301.7 juta berbanding dengan anggaran sebanyak RM762 juta untuk pemberian pertama ini iaitu masih kekurangan RM461 juta sehingga pemberian yang kedua nanti pada bulan September. Jumlah yang diterima ini adalah sebanyak RM172.3 juta untuk emolumen, RM103.1 juta untuk deferred and schedule payment dengan izin RM26.3 juta untuk bayaran insentif awal kajian sistem persaraan perkhidmatan awam. Keadaan ini sudah pasti telah menimbulkan gangguan kewangan kepada Kerajaan Negeri secara mengejut, mengejut kerana hasil petroleum ini adalah hak Negeri yang diterima sejak sekian lama dan perancangan negeri telah dibuat di atas asas sebegini. Persoalannya yang kita tidak dapat jawab hingga ke hari ini ialah kenapakah apabila berbeza sahaja fahaman politik maka timbul keadaan seperti ini. Inilah juga yang saya sebut di Dewan Rakyat dalam ucapan saya pada 5 haribulan Mac 2024 yang lalu, yang saya nak ulang di sini pada hari ini dan menjadi rekod, menjadi hansard kepada Dewan ini bahawa sudah tiba masanya kita meninggalkan budaya politik diskriminasi akibat warna parti politik dan pilihan yang dibuat oleh rakyat dalam sesuatu proses demokrasi pilihan raya. Dan ini adalah merupakan suatu bentuk tajdid atau reform yang semestinya berlaku dalam Negeri dan Negara kita jika kita bercakap ingin menjadi sebuah Negara atau Negeri yang diyakini dan dihormati di peringkat antarabangsa. Saya juga menyebut di Dewan Rakyat bahawa budaya diskriminasi terpilih atau selected discrimination dengan izin seperti ini adalah budaya lama kolot politik balas dendam yang membawa Negara kita ke belakang dan jauh daripada keharmonian. Yang menjadi mangsa akhirnya adalah rakyat yang tidak berdosa, akibatnya akan berlakulah sifat dendam mendendam dan melahirkan reaksi tindak balas yang hanya boleh memuaskan hati tetapi tidak menguntungkan sesiapa. Suka saya jelaskan bahawa kita di Negeri sekali-kali tidak ada sedikit pun perasaan untuk mempersalahkan sesiapa apatah lagi ingin berseteru dengan sesiapa, manusia yang waras akan tahu bahawa tidak ada faedah dan tidak ada manfaatnya bagi sesebuah Kerajaan Negeri untuk bersifat keras atau bergaduh dengan Kerajaan Pusat dan sama juga tidak ada faedahnya bagi sesebuah Kerajaan Pusat dalam mana-mana negara sekalipun untuk bergaduh dengan mana-mana Kerajaan Negeri, dua-dua takde faedah kerana Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat mempunyai objektif yang sama iaitu membangunkan Negeri dan Negara, tidak ada Negeri maka tidak adalah Negara. Keluaran Dalam

Negara kasar atau GDP Negara juga disumbangkan oleh semua negeri-negeri. Salah sangka dan curiga mencurigai antara sesebuah Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri adalah merupakan suatu keadaan yang disebut sebagai no win situation di mana hakikatnya hati mungkin puas tetapi kedua-dua Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat yang kedua-duanya akan mengalami kerugian, tidak mendapat apa-apa. Ingin juga saya jelaskan bahawa pada 25 Mac yang lepas saya bersama dengan beberapa rakan Ahli Dewan Rakyat telah menerima satu memorandum daripada NGO perantau di Parlimen manakala pada hari ini saya difahamkan ada satu lagi NGO rakyat Terengganu akan menyerahkan memorandum berkenaan dengan isu royalti Negeri Terengganu. Memorandum seperti ini adalah cerminan arus tidak puas hati yang melanda di kalangan ramai pihak yang meminta supaya apa yang berlaku seperti ini hanya berada dalam lipatan sejarah. Kita harus bergerak ke hadapan bukan bergerak ke belakang.

Yang berhormat Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat, selain dari gangguan kedudukan-kedudukan kewangan ini, saat ini juga rakyat Terengganu telah diheret dalam kejanggalan secara pentadbiran oleh Kerajaan Persekutuan dengan pelantikan JPKKP di kampung-kampung sebagaimana yang diutarakan oleh Yang Berhormat Sura. Sebagai sebuah negara yang berpegang kepada sistem demokrasi dan amalan-amalan federalisme adalah tidak wajar perkara ini berlaku di peringkat akar umbi rakyat. Walau bagaimanapun, berpegang kepada budaya-budaya politik matang dan sejahtera yang telah kita terapkan selama lebih lima tahun ini, biarlah mereka membaling batu tetaplah kita membalas dengan bunga. Oleh itu, saya berharap, saya tegaskan di sini saya berharap JPKK di bawah Kerajaan Negeri dan JPKKP yang semuanya adalah merupakan rakyat Terengganu daripada komuniti yang sama supaya dapatlah kedua-dua ini menjalinkan kerjasama dengan erat tanpa mengira warna politik rakyat sekali gus memberikan lebih kesejahteraan kepada rakyat. Sama macam konsep negeri dan negara tadi, tidak ada gunanya JPKK dan JPKKP ini berseteru atau mewujudkan suasana yang tidak harmoni kerana akhirnya yang akan terkesan ialah rakyat teramai di bawah, mereka tidak kira parti politik bagi rakyat apa yang mereka mahu adalah masalah mereka dan kebajikan, kesejahteraan mereka dapat diselesaikan. Usah kita kembalikan suasana tidak harmoni dalam masyarakat kampung yang telah berjaya kita rungkaikan dan hentikan sedikit demi sedikit sejak lima tahun yang lalu. Sebagai orang Terengganu sudah mesti kita ingin menunjukkan kepada pihak yang cemburu dengan keharmonian negeri kita ini, bahawa budaya orang Terengganu adalah berbeza dengan budaya politik kuno yang suka mencari balah dan mencari

salah. Lihatlah santunan terpuji di kalangan rakyat Terengganu kita baru-baru ini, dengan menyediakan makan minum dan buah-buahan serta tempat rehat kepada perantau yang tidak dikenali iaitu ketika perjalanan sesak dan jalan jammed kesan daripada perantau pulang berhari raya ke negeri tercinta ini. Mengingatkan kita kepada apa yang dilaksanakan oleh Khalifah Umar Al-Khattab terhadap para-para musafir di zaman beliau dengan menyediakan infrastruktur dan kemudahan untuk memudahkan perjalanan mereka.

Sebelum saya melabuhkan tirai penggulungan ini, walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran dan dengan menyambut Titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, Kerajaan Negeri akan terus menjalinkan hubungan yang erat secara profesional dan berasaskan peruntukan perundangan dengan Kerajaan Persekutuan demi kesejahteraan rakyat. Ini adalah kerana bagi Kerajaan Negeri masa untuk bermain politik dendam, politik tindas menindas dan sebagainya merupakan politik kuno yang wajar ditinggalkan, bukan kita di Negeri Terengganu sahaja bahkan di seluruh dalam negara kita ini. Jika ada pihak yang tidak boleh meninggalkan budaya politik kuno seperti ini maka bersedialah.. bersedialah untuk ditinggalkan oleh rakyat Malaysia kerana inilah, ini adalah komitmen Kerajaan Negeri yang kita berikan daripada hari pertama pentadbiran sehinggalah ke saat ini.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat, akhirnya sekali lagi saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Ahli-ahli Yang Berhormat dan semua petugas sepanjang Sidang DUN ini dijalankan. Mengambil kesempatan pada hari ini juga saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua yang berada di dalam Dewan yang mulia ini dan kepada semua rakyat Negeri Terengganu Darul Iman. Semoga sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini mendapat lebih keberkatan di sisi Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan saya juga ingin mengambil peluang pada hari ini untuk mengalu-alukan kunjungan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia bersama dengan Anggota Kabinet dan tetamu jemputan ke Majlis Hari Raya Madani di Terengganu pada 9 Mei 2024. Semoga ada berita baik yang ingin disampaikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri di Negeri Terengganu nanti terutamanya dalam Mesyuarat Khas Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dengan Kerajaan Negeri Terengganu pada petang Khamis, 9 Mei ini. Insya-Allah.

Dengan ini, saya menyokong dan Menjunjung Kasih Titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu. Sekian terima kasih.

.

Yang di-Pertua

, Terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang telah menamatkan penggulungannya dalam sesi Usul yang telah dikemukakan sebelum ini. Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, penggulungan daripada Pihak Kerajaan telah selesai, perbahasan daripada semua Yang Berhormat telah tamat. Sekarang saya buka kepada undian-

Usul ini kemudian dihadapkan kepada mesyuarat dan dipersetujui dengan sebulat suara.

USUL INI DITERIMA.

Usul Yang Telah Diberi NotisMotion

Setiausaha Dewan

Perkara berikut di dalam Tertib Pekerjaan Dewan ialah Usul yang telah diberi Notis. Dipersilakan Yang Berhormat Dato’ Razali bin Idris (Wakil Kijal) untuk mengemukakan Usul.

Datuk Haji Razali bin IdrisBERSATU · PNKijal

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,

Saya mohon mencadangkan

“Bahawa menurut subperenggan 10(4)(b) Akta Tatacara Kewangan 1957, Akta 61, Dewan Undangan Negeri Terengganu yang bersidang pada hari ini membuat KETETAPAN bersetuju membatalkan Kumpulan Wang Amanah sebagaimana di Lampiran „A’

Lampiran A BIL NO. KOD NAMA KUMPULAN WANG AMANAH JABATAN 1 59110 Kumpulan Wang Amanah Dana Khas Pejabat Perbendaharaan Negeri Terengganu 2 59116 Kumpulan Wang Amanah Bantuan JKM 1HB Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan.

Sulaiman bin SulongPAS · PNPengkalan Berangan

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon menyokong usul itu.

Yang di-Pertua

Usul ini telah mendapat sokongan.

Sekarang saya buka untuk perbahasan. Sesiapa di kalangan Yang Berhormat yang ingin berucap. Sekarang saya buka kepada undian-

Usul ini kemudian dihadapkan kepada mesyuarat dan dipersetujui dengan sebulat suara.

USUL INI DITERIMA.

Setiausaha Dewan

Dipersilakan Yang Berhormat Haji Mohd Nurkhuzaini bin Ab. Rahman, Wakil Kota Putera untuk mengemukakan usul.

Yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebaikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa, maksiat dan pencerobohan.

Dan bertakwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksanya bagi orang yang melanggar perintah-Nya”

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan

“Bahawa Dewan Undangan Negeri yang bersidang pada hari ini membuat KETETAPAN bersetuju menolak pemakaian Akta Laut Wilayah 2012 atau Akta 750 di Negeri Terengganu”.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan. Terima kasih.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon menyokong Usul itu.

Yang di-Pertua

Usul ini telah mendapat sokongan.

Sekarang saya buka untuk perbahasan. Ada sesiapa Yang Berhormat yang ingin berucap? Sila Yang Berhormat Kemasik selaku penyokong Usul untuk menyampaikan ucapan.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Yang Berusaha Ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kerajaan, para media, hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah sekalian.

Kemasik bangun untuk sama-sama berbahas bagi menyokong cadangan Yang Berhormat Kota Putera yang mencadangkan bahawa Dewan ini membuat ketetapan menolak Akta Laut Wilayah 2012 atau Akta 750. Cadangan Yang

Berhormat Kota Putera sewajarnya disokong semua ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu.

Perbahasan saya akan dibahagikan kepada beberapa perkara. Pertama, bagaimana latar belakang sejarah kewujudan Akta Laut Wilayah 2012 atau Akta 750. Kedua, apa di sebalik Akta Laut Wilayah 2012. Ketiga, apakah justifikasi penolakan Akta Laut Wilayah 2012 dan keempat apa kesimpulan dan cadangan.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, bagaimana Akta Laut Wilayah 2012 atau Akta 750 wujud. Akta 750 ini adalah suatu akta yang bertujuan untuk menetapkan lebar laut wilayah Malaysia dan ia telah diluluskan dalam Persidangan Dewan Rakyat yang telah bersidang pada April 2012. Dan, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada waktu itu Dato’ Seri Mohd Nazri bin Abdul Aziz semasa menggulung Rang Undang-Undang itu, beliau menyebut bahawa penggubalan Akta 750 adalah kerana tiada Undang-Undang Persekutuan yang lain dalam menetapkan lebar laut wilayah Malaysia selain daripada Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No.7) 1969 yang dibuat dibawah Proklamasi Darurat 1969 dan ia telah dihapuskan atau diungkai pada 24 November 2011 di Dewan Rakyat dan 20 Disember 2011 di Dewan Negara. Akta Laut Wilayah 2012 telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 18 Jun 2012 dan gazetkan pada 22 Jun 2012.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, kedua, apa di sebalik Akta Laut Wilayah 2012 ini. Terdapat beberapa ciri utama Akta Laut Wilayah 2012 yang boleh dinyatakan seperti berikut. Pertama, ia merupakan ulangan kepada peruntukan-peruntukan yang terdapat dalam Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No. 7) 1969. Kedua, lebar laut wilayah kekal pada 12 batu nautika pada garis pangkal ia disebut dalam Seksyen 3(1) tertakluk kepada peruntukan ini, lebar laut wilayah Malaysia hendaklah 12 batu nautika bagi segala maksud. Seksyen 3(3), apa-apa sebutan mengenai laut wilayah dalamnya hendaklah berhubung dengan mana-mana wilayah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai bahagian laut itu yang berdampingan dengan pantai wilayah itu, tidak melebihi 3 batu nautika diukur dari garis air surut. Dan yang ketiga, kedaulatan terhadap wilayah dan dasar serta laut wilayah dan dasar serta tanih bawahnya adalah dijalan oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai hak Malaysia, ini disebut dalam Seksyen 4.

Apa tujuan penetapan 2 had laut yang berbeza iaitu 3 batu nautika untuk negeri dan 12 batu nautika untuk had persekutuan. Ada pihak yang menyebut bahawa ia

bertujuan untuk memberi monopoli penguatkuasaan pelesenan aktiviti petroleum kepada Kerajaan Persekutuan. Jadi, adakah perkara ini kita benarkan, membiarkan penodaan ini berlaku dengan sewenang–wenangnya terhadap kekeliruan disini bagaimana boleh wilayah-wilayah Malaysia tanpa penyertaan negeri-negeri. Termasuk Perlembagaan Persekutuan Perkara 1, Fasal 3, wilayah-wilayah dalam negeri disebut dalam Fasal 2 ialah wilayah-wilayah yang berada dalam negeri-negeri itu sebaik sebelum Hari Malaysia.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, ketiga, apa justifikasi penolakan terhadap Akta Laut Wilayah 2012 ini. Kita ingin nyatakan bahawa tindakan yang telah diambil oleh pihak Kerajaan adalah salah dan bertentangan dengan Perlembagaan Negara. Saya melihat bahawa kedua-dua belah pihak sama ada Kerajaan Negeri ataupun Kerajaan Persekutuan sewajarnya menghormati prinsip federalisme dengan menghormati hak-hak dan tanggungjawab bersama agar tidak berlaku penyalahgunaan kuasa yang ketara dan merampas hak pihak yang lain. Kita telah diwariskan dengan Perlembagaan Persekutuan yang terdapat kelemahan padanya kerana ia adalah ciptaan manusia tetapi ia telah memperincikan hak-hak dan tanggungjawab sepertimana yang diterima pada hari ini. Tetapi, jangan hendaknya tanggungjawab dan hak itu dilanggar kerana ia akan mengakibatkan masalah yang sukar diselesaikan.

Yang Berhormat Menteri ketika itu dalam penggulungan pembentangan Rang Undang-Undang Akta 750 atau Akta Laut Wilayah 2012 telah memperihalkan hasrat dan tujuan yang cuba ditonjolkan oleh Kerajaan Persekutuan adalah baik. Tetapi, saya melihat seolah–olah ada niat tersirat di sebalik itu bagi menghakis hak-hak negeri terhadap hasil tanih yang terdapat pada pelantar benua. Perubahan ini hanya bermula ketika Negeri Terengganu telah dipimpin oleh PAS setelah dipilih rakyat pada Pilihan Raya Ke-10 tahun 1999. Ditambah, apabila dalam Mesyuarat Agong UMNO Terengganu suatu Usul telah dibuat bagi mendesak Kerajaan Pusat untuk menafikan bayaran royalti kepada Negeri yang telah kesekian lama ataupun kesekian tahun dibayar terus oleh Petronas kepada Kerajaan Negeri. Pada 5 September 2000, pembayaran royalti daripada Petronas kepada Negeri Terengganu ini telah diganti kepada pemberian Wang Ihsan oleh Kerajaan Pusat. Untuk rekod, Terengganu mula mendapat bayaran royalti terus daripada Petronas setelah termeterai perjanjian antara Kerajaan Negeri Terengganu dan Petronas pada 22 Mac 1975. Bayaran pertama bermula pada tahun 1978 sebanyak RM13 juta. Setiap tahun dibayar sehingga 1999 yang dibayar dengan jumlah RM436 juta.

Apabila Kerajaan Pusat menghentikan pembayaran royalti oleh Petronas kepada Negeri Terengganu dan menubuhkan JPP untuk membelanjakan wang tunai kepunyaan Negeri Terengganu, maka ia dilihat sebagai tidak mengiktiraf pilihan rakyat Terengganu sebagai sebuah daripada 13 buah negeri dalam Persekutuan Malaysia. Pada kacamata ahli politik, tindakan ini dibuat semata-mata atas alasan politik, di mana untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa Kerajaan Negeri Terengganu pada masa itu gagal melaksanakan pembangunan negeri melainkan Kerajaan Pusat. Bagi penganalisis undang-undang pula, mereka berpendapat tindakan Kerajaan Pusat adalah berlawanan dengan Perkara 80 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kuasa pemerintah Kerajaan Pusat tidak boleh melampaui apa-apa perkara yang berada dalam bidang kuasa Negeri.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Justifikasi saya kenapa pembentangan ini perlu disokong dan Akta 750 atau Akta Laut Wilayah 2012 perlu ditolak. Perkara 76 (1) Perlembagaan Malaysia memperuntukkan Parlimen boleh membuat undang-undang mengenai apa-apa perkara yang disebut satu persatu dalam senarai negeri tetapi hanya seperti yang berikut sahaja iaitu (a) bagi maksud melaksanakan apa-apa triti, perjanjian atau konvensyen antara Persekutuan mana-mana negeri lain atau apa-apa keputusan sesuai atau apa-apa keputusan sesuatu organisasi antarabangsa yang dianggotai oleh Persekutuan.

Pengisytiharan dan penyataan yang terkandung dalam pengisytiharan Malaysia di enclosed termasuk kedaulatan, hak kedaulatan, bidang kuasa, pencegahan, pencegahan pencemaran, hak pelayaran, sempadan maritim, akses kepada perikanan, keselamatan, latihan ketenteraan dan bidang kuasa ke atas objek geologi marin. Tidak ada dalam pengakuan ini kenyataan atau keperluan bahawa setiap Kerajaan Negeri di Malaysia perlu melepaskan pemilikan pelantar benua atau wilayah perairan mereka. Tetapi jika melihat bahawa Kerajaan Persekutuan melalui pembentangan Undang-Undang Laut Wilayah dengan mengambil hak milik pelantar benua dan perairan wilayah setiap negeri di Malaysia sebagaimana diperuntukkan dalam Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.7) 1969. Di mana pada 18 April 2012, sebelum luput enam bulan pengisytiharan darurat dihapuskan, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan secara tergesa-gesa Akta tersebut. Namun, ini tidak bermakna Kerajaan Persekutuan melalui kelulusan Akta 750 bebas untuk mengambil semua pemilikan pelantar benua dan perairan wilayah setiap negeri-negeri di Malaysia dan dihadkan hanya pada tiga batu nautika sahaja dan

selebihnya adalah hak Persekutuan dan ini telah menjustifikasikan hilangnya hak tuntutan hasil gas dan minyak diperolehi negeri-negeri sama ada Semenanjung seperti di Terengganu dan Kelantan serta Sabah dan Sarawak.

Oleh itu, Akta 750 ataupun Akta Laut Wilayah 2012 tidak boleh berkuat kuasa di mana-mana negeri di Malaysia dan Kerajaan Persekutuan tidak boleh sewenang-wenang mengambil alih pemilikan pelantar benua dan wilayah perairan setiap negeri tanpa persetujuan mereka. Ini kerana, ketika pembentangan Akta 750, Malaysia bukan lagi terikat di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No.7) 1969 dan tidak berada dalam keadaan darurat. Kita boleh rumuskan bahawa sebelum Rang Undang-undang seperti Akta 750 dapat dibentangkan dalam Dewan Rakyat atau Dewan Negara, kelulusan setiap negeri hendaklah diperolehi terlebih dahulu. Kelulusan ini pula tidak semestinya memerlukan negeri menyerahkan pemilikan ke atas pelantar benua atau perairan wilayah mereka.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Ahli-ahli Yang Berhormat perlu mengambil tanggungjawab bagi memastikan kemungkaran tidak berlaku secara terang-terangan dan kezaliman perlu dihentikan bagi membantu sahabat-sahabat kita yang sedang memerintah Kerajaan Persekutuan atau Putrajaya daripada melakukan kezaliman kepada Negeri Terengganu dan negeri-negeri lain dan seterusnya mengembalikan hak kedaulatan Al-Sultan Terengganu sebagai pemerintah dan Yang di-Pertuan bagi Negeri Terengganu Darul Iman.

Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkara yang benar, niscaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. Dan barang siapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar”.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, keempat dan yang terakhir, kesimpulan dan rumusan yang saya ingin rumuskan di sini. Pertama, semua ADUN perlu sebulat suara menerima cadangan yang dikemukakan bagi menunjukkan solidariti kita dalam memperjuangkan kebenaran dan hak Terengganu. Kedua, semua ADUN secara sebulat suara menyokong sebarang usaha sama ada oleh Kerajaan atau NGO untuk mendapatkan semula mana-mana hak royalti Terengganu dan

rakyatnya yang diabaikan oleh mana-mana pihak yang terlibat dan yang ketiga, saya mencadangkan penubuhan sebuah jawatankuasa yang dianggotai oleh mereka yang pakar dalam bidang bagi melihat semula langkah yang perlu diambil untuk memastikan cadangan ini akan dapat menepati sasarannya dan akta zalim yang cuba menafikan hak negeri ini tidak dapat dikuat kuasakan. Akhirnya, Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Kemasik mohon menyokong cadangan yang dikemukakan.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat Kemasik. Sebelum saya mempersilakan mana-mana Yang Berhormat untuk terus berucap, saya nak ambil peluang untuk mengalu-alukan kehadiran anak-anak kita bakal ADUN belia yang beliau terpaksa meninggalkan majlis ataupun kawasan sidang kita ini. Mereka datang untuk memperhati sidang kita dan beliau ataupun mereka akan dilantik sebagai ADUN Belia daripada bawah Jawatankuasa Belia Sukan dan NGO pada tengah hari ini. Saya mengalu-alukan anak-anak kita yang akan menjadi generasi pelapis perjuangan dan kebaikan dalam Negeri ini, insya Allah. Seterusnya, saya mempersila mana-mana Yang Berhormat. Ada lagi Yang Berhormat selain dari Permaisuri? 10 minit je ya.

Haji Mohd Yusop bin MajidBERSATU · PNPermaisuri

Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Ahli-ahli Jawatankuasa Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat-Yang Berhormat, rakan-rakan, ketua jabatan, pemerhati, tuan-tuan dan puan-puan turut hadir dalam sesi kita pada pagi ini. Saya ucap terima kasih kerana memberikan peluang kepada saya untuk sama-sama turut berbahas mengenai usul yang telah dikemukakan sebentar tadi.

Dato’ Yang di-Pertua, firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala

Ini adalah satu petikan yang berkaitan dengan berkelakuan adil di dalam membuat satu-satu keputusan hukuman dan urusan manusia.

Dato’ Yang di-Pertua, terlebih dahulu saya merakamkan ucapan terima kasih kerana diberi kesempatan untuk mengambil bahagian dalam perbahasan pada kali ini khususnya berhubung dengan pendirian Kerajaan Negeri berkenaan Akta Laut

2012. Sandarkan kepada jawapan Menteri Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato’ Seri Azalina binti Dato’ Othman Said bahawa Terengganu dan Kelantan tidak berhak kepada royalti daripada hasil petroleum kerana menurut Akta Laut Wilayah 2012 ataupun Akta 750. Negeri terbabit hanya boleh menuntut hak royalti petroleum sehingga tiga batu nautika sahaja daripada garis air surut. Kepada saya ini adalah merupakan satu jawapan yang bersifat politik yang mengelirukan yang tersasar daripada fakta undang-undang dan juga sejarah. Isu royalti hasil petroleum ini sentiasa dimainkan mengikut musim dan ianya gagal dinoktahkan secara jelas dan muktamad oleh Kerajaan Persekutuan. Maksud bermusim di sini ialah sekiranya Kerajaan Negeri diperintah oleh parti pembangkang kepada Kerajaan Persekutuan, di sini yang mana yang tidak sealiran dengan politik Kerajaan Persekutuan lalu diambil tindakan menafikan pembayaran secara berjadual. Menurut Perjanjian 22 Mac 1975 di antara PETRONAS dan Kerajaan Negeri Terengganu.

Persoalannya sama ada perjanjian tersebut antara PETRONAS dan Kerajaan Terengganu tidak sah dan tidak boleh dikuat kuasakan menurut Undang-Undang Malaysia atau adakah Akta Laut Wilayah 2012 telah membatalkan perjanjian 22 Mac 1975 tersebut? Jika benar ada pembatalan perjanjian tersebut disebabkan berlawanan atau bercanggah atau ultra vires dengan Akta Laut 2012 maka Kerajaan Persekutuan secara unilateral meluluskan Akta tersebut ataupun mengambil kira perkara yang dinyatakan dalam Artikel 80 Perlembagaan Persekutuan. Terengganu sebagai Negeri dalam Persekutuan memiliki hak kedaulatan dan perlu dihormati secara berperlembagaan. Dalam konteks negara kita, Malaysia MADANI ini tidak seharusnya berlaku pelanggaran semangat feudalisme oleh Kerajaan Persekutuan bahkan ianya juga tidak selari dengan falsafah karamah insaniah yang sentiasa dizikirkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita.

Kita sedia maklum Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua bahawa punca kuasa PETRONAS menandatangani perjanjian dengan Kerajaan Negeri Terengganu ialah Petroleum Development Act 1974 manakala entiti PETRONAS ditubuhkan melalui akta yang sama. PETRONAS bertanggungjawab membuat pembayaran royalti minyak dan bukannya Kementerian Kewangan atau MOF. Seperti yang diamalkan sekarang oleh Kerajaan Persekutuan di mana menurut Seksyen 4, Petroleum Development Act 1974, dengan izin yang menyebut dengan jelas seperti berikut, dengan izin Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua:

Cash payment by the Corporation (PETRONAS)

In return for the ownership and the rights, powers, liberties and privileges in it by virtue of this Act, the Corporation shall make to the Government of the Federation and the Government of any relevant State such cash payment as may be agreed between the parties concerned.

Yang berlaku lain, tak seperti itu. Dalam konteks pada hari ini, bersandarkan kepada Seksyen 4 di atas menunjukkan bahawa MOF tidak mempunyai locus standi daripada mana kuasa yang MOF ambil daripada PETRONAS bayar kepada Terengganu. Ini tidak mengikut undang-undang dan tidak mengikut perjanjian iaitu tidak mempunyai locus standi untuk mengambil alih tugasan PETRONAS sebagai bayaran wang tunai kepada Kerajaan Negeri Terengganu. Prinsip kepatuhan kepada Rule of Law mengatasi segala kepentingan politik kepartian yang sempit. Kita mendesak Kerajaan Persekutuan menyerahkan hak sepenuhnya kepada PETRONAS untuk berbuat demikian kerana PETRONAS adalah entiti yang sah untuk melakukan pembayaran tunai kepada Negeri Terengganu dan sehingga hari ini masih mempunyai keabsahan untuk berbuat demikian. Takde pembatalan, tidak ada apa-apa.

Lanjutan daripada perjanjian ini Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, yang tidak pernah dipertikaikan selama 22 tahun. Sejumlah RM7.2 bilion telah dibayar oleh PETRONAS kepada Kerajaan Terengganu sehingga ianya diberhentikan pada September tahun 2000 dan juga sehingga tahun 2008. Kerajaan Negeri Terengganu di bawah Kerajaan Pimpinan PAS pada masa itu telah menyaman PETRONAS dan Kerajaan Persekutuan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 8 Mac 2001. Akhirnya saman itu telah ditarik balik oleh Kerajaan di bawah pimpinan UMNO Terengganu sekitar tahun 2012 melalui penyelesaian di luar mahkamah setelah Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada masa itu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi bersetuju dengan tuntutan Kerajaan Negeri Terengganu bahawa hak pengurusan royalti diserah sepenuhnya kepada Kerajaan Terengganu. Maka ditarik balik.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya berpandangan bahawa Kerajaan Negeri sekarang harus mendedahkan kepada Dewan yang mulia ini, apakah terma-

terma persetujuan yang telah dicapai antara PETRONAS dan Kerajaan Negeri Terengganu pada masa material tersebut? Jika benar apa yang dilaporkan oleh The Edge pada 23 April 2012 yang bertajuk dengan izin, Terengganu Drops PETRONAS Suits bahawa hak pengurusan wang royalti diserahkan sepenuhnya kepada Kerajaan Negeri Terengganu dan tidakkah terma-terma tersebut mempunyai kesan perundangan mengikat atau legal binding kepada PETRONAS dan Kerajaan Persekutuan sehingga sekarang untuk terus patuh melaksanakan obligations yang dipersetujui terdahulu melalui Perjanjian 22 Mac 1975 tanpa had masa tertentu sekalipun pertukaran demi pertukaran pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Dilaporkan juga bahawa dengan izin “one senior Terengganu government official, who spoke on condition of anonymity, said several details of the settlements are being ironed out with the Attorney-General’s chambers”. Dah berlaku. Penyelesaian di luar mahkamah dibuat dalam pengetahuan Pejabat Peguam Negara pada waktu itu. Oleh kerana itu, adalah mustahak permasalahan mengenai butir-butir penyelesaian diluar mahkamah antara Kerajaan Negeri dan PETRONAS dan Kerajaan Persekutuan diberi maklum dan dibentangkan kepada Ahli Dewan yang mulia pada hari ini. Berdasarkan kepada terma-terma persetujuan tersebut, sejauhmanakah ianya telah mengikat pihak-pihak secara perundangan, sejauhmanakah ianya dapat dikuat kuasakan dalam konteks hari ini.

Pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu hari ini sedang berhadapan dengan permasalah kegagalan Kerajaan Persekutuan mematuhi Perjanjian bertarikh 22 Mac 1975. Wang royalti telah dinafikan pembayaran penuh sebagaimana jadual yang ditetapkan secara sah dan telah menjadi satu konvensyen berdekad lamanya kaedah dan masa pembayaran ditetapkan telah diamalkan. Jika hujah menyatakan ianya bukan wang royalti tetapi adalah wang ehsan, kita menegaskan bahawa:-

(a) Pada 16 September 1987, Kerajaan Terengganu dan PETRONAS telah memasuki satu perjanjian menyebut dengan jelas bayaran wang tunai diterima negeri adalah bayaran royalti. Dokumen ini adalah pengesahan status wang 5% adalah wang royalti dan bukannya wang ehsan. Alasan Kerajaan Persekutuan bahawa mereka tidak ada asas undang-undang untuk membuat bayaran 5% wang royalti kepada Kerajaan Negeri adalah terkhilaf, tersasar jauh daripada kebenaran bahkan mengelirukan rakyat.

(b) Saya dengan izin mohon memetik kata-kata YM Tengku Razaleigh Hamzah, pengasas PETRONAS dalam wawancara dengan FM Terengganu menyebut antara lain ialah, dengan izin:-

Under the Petroleum Development Act and vesting deed, that is part of the Act, there’s no way you can pay what you call wang ehsan, because there’s no provision for that under the law. The agreement was between the respective state governments in Malaysia with PETRONAS, it’s not an agreement between the respective state governments and the federal Government. The leadership of UMNO decided that we don’t pay them for fear they might use this money wrongly, and may even use it for political purposes.

Itu adalah andaian semata-mata kerana wang digunakan untuk disalahguna dan untuk tujuan politik dan sebagainya. Itu andaian.

(c) Almarhum Tun Salleh Abbas, mantan Ketua Hakim Negara, mantan EXCO Kerajaan Terengganu, dalam ucapannya pada 16 September 2000 di Stadium Sultan Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu menyebut bahawa beliau bertanggungjawab menyediakan deraf Pembangunan Petroleum 1974 dengan kata-kata keramatnya “tangan inilah yang membuat draft akta tersebut”. Seterusnya beliau menyatakan bahawa beliau menolak wang 5% dari Petronas kepada Kerajaan Negeri Terengganu adalah kerana ehsan Tun Abdul Razak kepada Kerajaan Negeri Terengganu yang miskin, itu andaian sebenarnya bukan fakta yang betul ia jelas sekali kata beliau, jelas sekali satu pembohongan fakta kerana saya masih hidup dan tahu benar apa yang dimaksudkan oleh Tun Abdul Razak pada ketika itu”

Yang di-Pertua

Panjang lagi ke Yang Berhormat.

Haji Mohd Yusop bin MajidBERSATU · PNPermaisuri

satu muka surat sahaja lagi

Yang di-Pertua

Boleh tamatkan… Boleh penutup

Haji Mohd Yusop bin MajidBERSATU · PNPermaisuri

saya sebut Akta Laut, Dato’ Yang di-Pertua.

Yang di-Pertua

Sebut Akta Laut terus

Haji Mohd Yusop bin MajidBERSATU · PNPermaisuri

Akta Laut 2012, bermaksud mengehadkan wilayah perairan negeri hanya kepada 3 batu nautika dari garis laut Sulu ini secara langsung telah mengubah persempadanan negeri. Sebab itu kita tidak bersetuju dan menolak Akta 750 ini yang telah memberi persempadan perairan yang luas kepada Kerajaan Persekutuan dan mengecilkan persempadanan perairan sesebuah negeri akibatnya keadaan ini memberi keterbatasan kepada kerajaan sesebuah negeri untuk mengambil hasil sumber asli seperti minyak, gas daripada perairan negeri tersebut. Oleh itu kita berpendapat bahawa perlu ada keseimbangan kuasa antara Persekutuan dan Negeri yang melibatkan persempadanan laut. Kerajaan Persekutuan tidak boleh dilihat terlalu tamak dalam menanda persempadanan laut wilayah negeri yang akhirnya segala hasil daripada kekayaan sesebuah negeri disakau oleh Kerajaan Persekutuan, manakala Kerajaan Negeri hanyalah diberi hasil atas dasar belas ehsan semata-mata seumpama Kerajaan Negeri terpaksa menjadi melukut di tepi gantang. Sesebuah negeri memerlukan 200 batu nautika atau lebih bagi tujuan kegiatan ekonominya sebagaimana pandangan Almarhum Tun Salleh mengenai Akta Pelantar Benua, beliau berkata Continental shelf dalam Akta Pelantar Benua Continental shelf adalah dasar laut yang mulai daripada pantai Negeri Terengganu atau mana-mana negeri sahaja sehinggalah jauhnya ke luatan, akhirnya pada satu tempat atau paras yang sama naiknya sekadar 200 meter, ini boleh jadi dua atau 300 batu asalkan dasar laut negeri itu berasal atau bersambung daripada paras pasang surut sesebuah pantai sehinggalah sampai ke suatu tempat atau garisan yang mana paras dalamnya tidak lebih dari 200 meter, sekiranya lebih dikirakan sebagai Continental shelf atau dasar lautan sesebuah negeri. Begitu juga dengan peruntukan perkara 76 The United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS) juga memperuntukkan perkara yang telah saya sebut yang sesuai dengan Akta Pelantar Benua.

Dato’ Yang di-Pertua, akhirnya oleh kerana terdapat tafsiran berbeza di antara Kerajaan Persekutuan yang mentakrifkan kawasan perairan sebuah negeri adalah tidak melebihi tiga batu nautika manakala Kerajaan Terengganu mendefinisikan kawasan pantainya sehingga 200 batu nautika atau lebih, perbezaan ini harus

diselesaikan secara bijaksana, dan kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam kerangka Persekutuan perlu difikirkan juga untuk ditubuhkan satu satu jawatankuasa bersama antara pihak yang terbabit untuk menyelesaikan isu yang tiada penghujung ini, yang menjadi mangsa ialah rakyat akibat percaturan kuasa politik yang dilihat tiada berkesudahan. Dato’ Yang di-Pertua, Permaisuri menyokong Usul Menolak Akta 750, terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat Permaisuri, sila Yang Berhormat Bukit Tunggal.

YANG BERHORMAT SR. HAJI ZAHARUDIN BIN ZAHID (Wakil Bukit Tunggal)

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Yang Berhormat EXCO, rakan-rakan Yang Berhormat, ketua-ketua jabatan, rakan-rakan media, pemerhati, tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua kerana memberikan peluang kepada Bukit Tunggal untuk sama-sama mengambil bahagian di dalam ucapan perbahasan berkenaan Akta Laut Wilayah 2012 atau Akta 750 yang telah diluluskan oleh Parlimen Malaysia dan berkuatkuasa pada 22 Jun 2012.

Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.

(Surah As-Saff: 2 dan 3).

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, kesan daripada pengisytiharan darurat pada tahun 1969, telah menyebabkan Parlimen telah digantung selama dua tahun bermula daripada 15 Mei 1969 sehingga 20 Februari 1971. Perkara 150 (5) Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa kepada Parlimen semasa darurat untuk membuat undang-undang mengenai apa-apa perkara dan tidak boleh dipertikaikan kesahihan, terpakai walaupun bertentangan dengan mana-mana peruntukan perlembagaan, tetap sah walaupun dibuat dengan tidak mengikut

prosedur biasa dan undang-undang ini akan terus berkuatkuasa sehingga Proklamasi Darurat tersebut diungkaikan, maka undang-undang tersebut tidak lagi berkuatkuasa. Maka Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No 7) 1969 telah terhenti berkuatkuasa selepas tempoh enam bulan apabila Proklamasi Darurat 1969 diungkaikan oleh Dewan Negara pada 20 Disember 2011. Antara undang-undang yang termansuh adalah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu), Seksyen 4, Sub-Seksyen 2 yang menyatakan, bagi maksud Akta Pelantar Benua 1969, Akta Perlombongan Petroleum 1966 dan Kanun Tanah Negara atau apa-apa undang-undang bertulis yang berkuatkuasa di Sabah dan Sarawak, mana-mana rujukan yang dibuat kepada sempadan perairan mana-mana wilayah atau negeri hendaklah memberi maksud bahagian laut yang bersambung dengan pantai tidak lebih dari tiga batu nautika yang diukur dari paras air surut. Ordinan yang diungkai ini hanya membataskan laut wilayah kepada tiga batu nautika sahaja dan ianya adalah bersalahan dengan perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan Perjanjian Malaysia pada tahun 1963, di mana sesebuah negeri diakui mempunyai wilayah yang meliputi tanah, pulau dan sesuatu kawasan ditadbir sebagai sebahagian daripada negeri serta wilayah perairan yang berhampiran dengan pantai. Maka pada 21 Jun 2012, apabila habis tempoh enam bulan Proklamasi Darurat diungkaikan, maka wilayah air negeri-negeri adalah meliputi ke semua kawasan yang bersambung dengan pantai negeri-negeri tersebut seluas sebagaimana yang diiktiraf oleh undang-undang antarabangsa seperti dinyatakan melalui Artikel 2, 3, sehingga Arkitel 13 di dalam United Nation Convention On The Law Of The Sea 1958 (UNCLOS). UNCLOS ini telah ditandatangani pada 10 Disember 1982 di Montego Bay, Jamaica dan telah diratifikasikan oleh 168 buah negara di seluruh dunia. Malaysia telah mendepositkan surat cara ratifikasi UNCLOS pada 14 Oktober 1996 dan menurut Artikel 308 UNCLOS, ianya mula berkuatkuasa pada Malaysia pada 14 November 1996.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Akta Laut Wilayah 2012 yang digubal ini, untuk menggantikan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No 7) 1969, di bawah Seksyen 3 (3), mentafsirkan laut wilayah sebagai, bagi maksud Akta Pelantar Benua 1966 [Akta 83], Akta Perlombongan Petroleum 1966 [Akta 95], dan Kanun Tanah Negara [Akta 56/65] dan mana-mana undang-undang bertulis yang berhubungan dengan tanah yang berkuatkuasa di Sabah dan Sarawak, apa-apa sebutan mengenai laut wilayah dalamnya hendaklah berhubung dengan mana-mana wilayah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai bahagian laut itu yang

berdampingan dengan pantai wilayah itu tidak melebihi tiga batu nautika diukur dari garis air surut. Kalau kita perhatikan ianya adalah sama sebagaimana yang ada dalam Ordinan Darurat. Dia cuma ganti kulit sahaja. Seksyen 3 (3) Akta Laut Wilayah 2012 ini adalah sebagaimana Ordinan Darurat yang telah diungkaikan dan tidak lagi berkuat kuasa. Berdasarkan kepada Seksyen 3 (3) tersebut, Akta Laut Wilayah 2012 telah mengehadkan wilayah perairan sesebuah negeri hanya kepada 3 batu nautika sahaja dari garis air surut dan ini secara langsung telah mengubah sempadan negeri-negeri.

Menurut Perlembagaan Persekutuan Perkara 2 (b), Parlimen boleh melalui undang-undang, mengubah sempadan negeri tetapi undang-undang yang mengubah sempadan sesuatu Negeri tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan Negeri itu (yang dinyatakan melalui undang-undang yang dibuat oleh Badan Perundangan Negeri itu) dan Majlis Raja-Raja.

Maka berdasarkan kepada Perkara 2 (b) Perlembagaan Persekutuan tersebut, Seksyen 3 (3) Akta Laut Wilayah 2012 telah tidak memenuhi syarat dan berlawanan dengan kehendak Perkara 2 (b) Perlembagaan Persekutuan. Parlimen hendaklah terlebih dahulu mematuhi syarat yang dikenakan sebelum boleh melaksanakan kuasa membuat undang-undang sedemikian sebagaimana di bawah Perkara 74 (3), Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan:

“Kuasa untuk membuat undang-undang yang diberikan oleh Perkara itu boleh dijalankan tertakluk kepada apa-apa syarat atau sekatan yang dikenakan oleh Perlembagaan ini mengenai mana-mana perkara tertentu”

Oleh itu, Seksyen 3 (3) Akta Laut Wilayah 2012 hanya boleh berkuat kuasa setelah memenuhi syarat yang telah ditetapkan oleh Perkara 2 (b) Perlembagaan Persekutuan.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Seksyen 4 Akta Laut Wilayah 2012 pula meletakkan hak kedaulatan ke atas laut wilayah pada dan dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai hak Malaysia. Ini secara jelas telah menyentuh dan mengambil hak kedaulatan Raja-Raja ke atas negeri baginda masing-masing sepertimana yang telah dijamin oleh Perkara 38 (4), Perkara 71 (1) dan Perkara 181 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 38 (4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan, tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan, kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja. Maka dengan ini sekali lagi, Akta Laut Wilayah 2012 bukan sahaja tidak memenuhi syarat yang ketat yang telah ditetapkan oleh Perkara 2 (b) Perlembagaan Persekutuan, tetapi ianya juga telah secara langsung menyentuh keistimewaan dan jajahan takluk Raja-Raja Negeri.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya tertarik dengan Soalan Lisan yang dikemukakan oleh Ahli Bandar Kuching, Tuan Chong Chieng Jen di Dewan Rakyat pada 23 November 2017, yang bertanya kepada Perdana Menteri apakah sebab sebelum Parlimen meluluskan Akta Laut Wilayah 2012, persetujuan pihak Negeri Sarawak dalam kes ini kerana soalan ini ditanya oleh Ahli Parlimen dari Sarawak, tidak diperolehi sepertimana termaktub dalam Bahagian VI Bab 4 Perlembagaan Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada waktu itu telah menyatakan, antara tujuan penggubalan Akta Laut Wilayah 2012 adalah juga maksud memelihara kedaulatan Malaysia, namun Akta Laut Wilayah 2012 ini tidak mengubah sempadan negeri Sarawak tetapi hanya mengehadkan takrifan laut wilayah bagi maksud pemakaiannya di dalam beberapa undang-undang tertentu sahaja. Tetapi Menteri yang sama juga semasa menjawab soalan dari Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyidddin Yassin di Dewan Rakyat pada 24 Februari 2023 yang bertanyakan soalan „sama ada Kerajaan akan menyalurkan hasil minyak "secara terus" kepada kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu "seperti yang dilakukan oleh kerajaan PN’, Menteri tersebut telah menyatakan bahawa Akta Laut Wilayah 2012 menetapkan bahawa negeri hanya boleh menuntut hak sehingga tiga batu nautika sahaja.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, izinkan saya juga menyentuh Akta Pelantar Benua dan masa sedikit tambahan Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua dua minit. Izinkan saya juga untuk menyentuh berkenaan Akta Pelantar Benua 1966 Akta 83.

Seksyen 2 Akta Pelantar Benua memberikan makna Pelantar Benua sebagai;

Dasar laut dan tanah bawah di kawasan bawah laut yang bersempadan dengan pantai Malaysia tetapi di luar had perairan

wilayah Negeri, yang permukaanya terletak sedalam tidak lebih daripada dua ratus meter di bawah, atau, jika kedalaman air di luar sempadan itu membolehkan pengeksploitasian sumber alam di kawasan tersebut, lebih dalam lagi.

Menurut Artikel 76 (1) UNCLOS, Pelantar Benua bagi negeri pantai adalah sejauh 200 batu nautika dari garis dasar keluasan laut wilayah diukur dan berada di bawah kedaulatan negeri pantai berkenaan. Kawasan Pelantar Benua inilah kawasan di mana pelantar minyak berada yang berjarak di antara 80 sehingga 140 batu nautika dari pantai Negeri Terengganu. Oleh kerana mengikut Akta Laut Wilayah 2012, yang hanya mengehadkan keluasan laut wilayah bagi negeri-negeri pinggir pantai kepada 3 batu nautika sahaja, kita kemungkinan akan kehilangan hasil royalti dan lesen bagi kegiatan mendapatkan pasir dari dasar laut yang berada di luar 3 batu nautika. Sebagai contoh, di Negeri Melaka bagi tahun 2016 Yayasan Melaka telah mendapat lesen untuk mengambil pasir daripada dasar laut dengan keluasan 41 km persegi dan isipadu yang dianggarkan adalah 50 juta meter padu. Royalti yang perlu dibayar adalah 70 sen setiap meter padu maka jumlah royalti yang perlu dibayar kepada Kerajaan Pusat disebabkan lebih daripada 3 batu nautika sebanyak RM35 juta.

Jadi kalau kita tidak menggunakan pendekatan yang tertentu, kita juga akan kehilangan hasil. Jadi, saya dengan ini ingin mencadangkan agar dikemukakan satu rang undang-undang Pelantar Benua Negeri Terengganu bagi menetapkan hak kedaulatan dan wilayah milik Negeri Terengganu seperti yang diwarisi pada tarikh hari Persekutuan Tanah Melayu dan diiktiraf oleh undang-undang antarabangsa bagi sebuah negeri pantai yang berdaulat. Dengan penafian hak royalti Petroleum Negeri Terengganu oleh Kerajaan Persekutuan dan yang lebih besar lagi adalah menafikan sempadan dan hak kedaulatan serta jajahan takluk Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan, maka saya dengan ini menyokong Usul untuk menolak pemakaian Akta Laut Wilayah 2012 atau Akta 750 dan di Negeri Terengganu Darul Iman.

Sekian, terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat Bukit Tunggal. Cerah mata sikit.

Haji Khazan bin Che MatBERSATU · PNSeberang Takir

Boleh seorang lagi

Yang di-Pertua

Yang Berhormat Seberang Takir ini kena bagi ni, Timbalan Yang di-Pertua.

Haji Khazan bin Che MatBERSATU · PNSeberang Takir

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar dan Ahli-ahli Yang Berhormat, Ahli Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan, Rakan-rakan Ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan dan wakil-wakil dan seterusnya para pemerhati sekalian. Saya ingin turut sama menyokong untuk menolak Akta 750 ini cuma sedikit saya nak sebut.

Pertama, saya nak ucap terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar kita yang tak pernah rasa jemu untuk runding hal ehwal berkaitan dengan hasil petroleum ini. Berjumpa dengan Yang Amat Berhormat Menteri Besar berjumpa pegawai-pegawai di Pusat yang sehingga akhirnya walaupun tak semua dibayar. Walaupun sikit saya dimaklumkan tadi 300 berapa juta telah dibayar dan ada lagi bayaran tapi walau bagaimanapun hok tahun lepas ada RM700 juta lebih maknanya dok habis lagi. Dato’ kewangan mungkin ada angka yang lebih detail hok hari ini dok tahu lah RM 400 juta mungkin selesai tapi takut RM150 juta atau RM50 juta. Jadi terima kasih pendekatan yang digunakan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar menunjukkan kesabaran dan kepribadian beliau yang menggunakan cara yang lebih bijaksana untuk sentiasa berunding dan berunding. Walau bagaimanapun dari segi undang-undang kita terpaksa juga buat maka kerana itu hari ini kita bersidang dan mengadakan Usul tolak Akta 750 untuk tidak mengguna pakai sempadan laut yang baru yang dibuat oleh Kerajaan Pusat yang hanya memberi kuasa kepada kita tak lebih daripada tiga batu nautika.

Dato’ Yang di-Pertua, isu ini menjadi isu yang sangat besar dan diikuti oleh rakyat jelata di Negeri Terengganu. Ramai yang mengikuti isu ini kerana ia melibatkan kepentingan Negeri dan juga perbelanjaan Negeri. Banyak program-program mesra rakyat, banyak program-program untuk membantu rakyat, banyak rancangan-rancangan Kerajaan untuk membangunkan Negeri untuk kemaslahatan rakyat tak dapat kita laksanakan, apabila duit hasil yang sepatutnya kita terima, tak dapat kita terima, tak dibayar kepada kita seperti yang sewajarnya. Maka kerana itulah,

apabila ada satu seruan untuk mengadakan solat hajat secara besar-besaran di stadium, bulan puasa lepas, 27 Ramadan, 6 April, ramai yang bersiap sedia untuk datang, tetapi malangnya ia dibatalkan di saat akhir atas suatu sebab saya dimaklumkan atas sebab permintaan daripada Yang Amat Berhormat PMX, kerana dia janji dia akan bayar, tetapi rupa-rupanya bayar tak seperti yang sepatutnya. Jadi ramai yang kecewa, ramai yang rasa tak puas hati dan saya yakin walaupun doa munajat secara besar-besaran ini tak dapat dilaksanakan, tak dibuat, ramai yang berdoa secara individu setiap kali mereka selesai solat untuk memastikan supaya Allah Subhanahu Wa Ta’ala akhirnya buka jalan hasil Negeri ini dapat kembali kepada Kerajaan Negeri.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya rasa kita sedia maklum, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita ini dah banyak kali dah cakap dok betul, cakap pelawok orang Terengganu kata. Jadi saya nak pesan sini Yang Amat Berhormat Menteri Besar, jadilah caye. Kalau lepas ni dia kata pun, jangan. Sebelum ini dia kata, menang hari ini, esok minyak turun. Hari ini bukan minyak turun, lepas ini subsidi minyak akan dipotong, minyak akan naik harganya. Banyak boleh saya nak sebut Dato’ Yang di-Pertua. Dia kata apa lagi. Dia kata pinjaman PTPTN akan dibatalkan, hari ini pinjaman PTPTN diteruskan, tetapi pencen yang nak dibatalkan. Penjawat-penjawat awam, sokonglah lagi. Lepas ni dapat duit sekali, takdok dah pencen. Ya, mereka kata, mata wang jatuh zaman dulu, sebab ko dok pandai jaga. Hari ini, bila jatuh zaman dia memerintah, tanya Bank Negara. Jadi Dato’ Yang di-Pertua, masa dulu bila harga barang naik, dia kata apa, naik harga minyak, jangan beli. Hari ini beras naik, beras mahal, makan ubi. Ya Allah, jadi tuan-tuan dan puan-puan sekalian, Dato’ Yang di-Pertua, cukuplah kita percaya cakap-cakap Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita ini. Kalau saya nak bilang mungkin saya akan mengambil masa yang lebih panjang. Dulu dia kata berkaitan dengan petroleum hasil Negeri Terengganu ini, dia kata kalau dia menang, bukan 5% dia bayar, bayar terus 20%. Ini hok 5% pun dia tak sokong, dia tak bayar, dan dia tak luluskan. Jadi Dato’ Yang di-Pertua, saya nak cadangkan supaya selepas ini jika ada mana-mana NGO, ada seruan daripada mana-mana pihak untuk buat himpunan besar-besaran, untuk bermunajat, kita sama-sama hadirkan diri, kita sokong, insya-Allah mudah-mudahan Allah dengar rintihan rakyat kita, mudah-mudahan Allah Subhanahu Wa Ta'ala dengar munajat kita, dengar rayuan kita, terbuka jalan mana-mana, tak kiralah Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mungkin terbuka hati nak lulus sebagaimana yang dijanji ataupun kot mana-mana akhirnya melalui undang-undang, duit ini akan kembali ke hak rakyat dan Kerajaan.

Dato’ Yang di-Pertua, akhir sekali saya nak mohon semua yang ada di dalam Dewan ini tadah tangan dan aminkan doa yang saya baca ini:

Ya Allah yang Maha Berkuasa Hanya padamu kami meminta Tempat mengadu susah dan derita Kerana Engkau mengasihi sekelian hamba-hamba

Ya Allah yang Maha Kaya Negeri kami ada petrol di lautannya Menjadi sumber untuk negeri dan rakyat Malangnya kini ia ditahan dan disekat

Ya Allah yang Maha Adil Jika benar dan jujur tindakan mereka Mengawal hasil petrol ini demi kepentingan bersama demi kemaslahah negeri ini dan negara Muliakanlah mereka dan tingkatkan kedudukan mereka di dunia Pemimpin yang adil di bawah naungan arasyMu di padang mahsyar di sana

Ya Allah yang Maha Perkasa Jika sengaja niat mereka supaya kami dan rakyat sengsara Mengambil hasil Negeri ini mengikut nafsu dan hawa kerana parti politik yg berbeza kononnya mereka berkuasa Maka kepadaMu jualah kami serahkan ehwal mereka Sejarah mencatatkan ramai pemimpin-pemimpin yang angkuh di zaman dahulu telah Engkau binasa

Ya Allah yang memaqbul doa-doa Kurniakan kami kekuatan menghadapi ujian Kesusahan kami, mohon Engkau permudahkan Gandakan kepada kami sabar dan ketabahan Dengan rahmatMu moga-moga berakhirlah ia dan tidak berpanjangan Amiiin, amiiin, amiiin ya robbal alamin.

Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. Seberang Takir mohon menyokong.

Yang di-Pertua

Terima kasih kepada Yang Berhormat Seberang Takir. Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Dewan telah pun selesai mendengar perbahasan daripada Ahli-ahli Yang Berhormat mengenai Usul yang dikemukakan. Sekarang tibalah masanya Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar membuat ucapan penggulungan terakhir bagi Usul penolakan Akta Laut Wilayah 2012 Akta 750. Saya Persilakan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar untuk menyampaikan ucapan.

Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin MokhtarPAS · PNMenteri Besar · Ru Rendang

Terima kasih kepada Dato’ Yang di-Pertua.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Terima kasih saya ucapkan kepada pencadang usul serta Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah berbahas terhadap Usul yang telah dicadangkan itu. Bermula dari Kemasik, diikuti oleh Permaisuri yang juga merupakan seorang pengamal undang-undang, Bukit Tunggal yang merupakan Professional Surveyor, dengan izin dan juga Seberang Takir yang merupakan mantan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu sebelum daripada ini. Penggulungan saya pada hari ini, pada hari yang sangat bersejarah ini tidak berhajat untuk mengulangi satu persatu yang disebut, yang diucapbahaskan oleh pencadang dan pembahas Usul, tetapi ingin merumuskan beberapa perkara yang menjadi prinsip kepada penolakan Kerajaan Negeri menerusi Badan Menggubal Undang-Undang Negeri di Dewan Undangan Negeri pada hari ini. Sebelum daripada itu, mungkin ada yang bertanya satu soalan cepu emas kenapa baru sekarang timbul penolakan pihak Kerajaan Negeri terhadap Akta Laut Wilayah 2012 yang telah diluluskan pada tahun 2012 selepas beberapa tahun kemudian ini, pada tahun 2024 baru perkara ini masuk ke Dewan Undangan Negeri dan berlaku Usul penolakan. Jawapan dan alasannya adalah cukup jelas terutamanya kepada mereka yang tahu kesan setengah pihak yang menggunakan alasan Akta ini untuk menafikan hak terimaan hasil petroleum Negeri Terengganu dan lebih parah lagi menjadikan hasil petroleum Negeri Terengganu ini yang disandarkan kepada Akta Laut Wilayah 2012 ini sebagai satu peralatan politik dan bahan pertukaran atau barter treat atau charade and stick

dengan izin antara hubungan Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Pusat. Maka untuk menjawab soalan kenapa sekarang timbul. Telitilah apa yang pernah disebut oleh Sun Tzu yang disusun dalam satu makalah art war yang terkenal yang di mana Sun Tzu menyata bawah ada lima perkara yang diperlukan untuk mencapai kemenangan dalam sesuatu pertempuran dan salah satunya ialah kita hanya akan menang jika kita tahu menentukan bila waktu dan ketikanya yang perlu kita bertempur dan bila waktunya sesuai pertempuran itu tidak diperlukan. Timingnya ialah atau waktu dan ketikanya kenapa berlaku pada waktu ini adalah kerana ianya berkait dengan keadaan yang dikenakan kepada Kerajaan Negeri Terengganu dengan dinafikan hak royalti petroleum.

Akta Laut Wilayah 2012 seolah-olahnya telah mengubah sempadan kedaulatan negeri-negeri apabila mengehadkan liputan negeri dan hasilnya. Ini yang penting. Bukan semata-mata persoalan sempadan semata-mata yang mungkin boleh diperbahaskan lagi mungkin ada yang mengatakan bahawa tidak menyentuh sempadan tetapi ianya telah menyentuh hasil hanya kepada 3 batu nautika sahaja dan ianya dikuat kuasakan secara unilateral tanpa sebarang persetujuan daripada pihak Kerajaan Negeri. Berdasarkan kepada Peruntukan Undang-undang di dalam perkara 1(3) Perlembagaan Persekutuan. Wilayah bagi setiap negeri adalah mengikut wilayah setiap negeri tersebut sebaik sebelum pembentukan Malaysia pada tahun 1963. Tambahan pula mengikut Undang-undang Tubuh Negeri Terengganu sempadan negeri adalah segala jajahan takluk, pulau-pulau, kawasan-kawasan berserta air tanpa mengehadkan dengan jarak tertentu.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat, Akta Laut Wilayah 2012 tidak menepati Perlembagaan Persekutuan kerana bercanggah dengan perkara 2(b) dan perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan yang juga disebut oleh ADUN Bukit Tunggal tadi perkara 2(d). Manakala perkara 38 (4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran raja-raja boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja. Tindakan Kerajaan Persekutuan menyatakan Negeri hanya berhak terhadap 3 batu nautika sebenarnya telah merampas hak kedaulatan negeri di mana di luar dari 3 batu nautika terutamanya yang berkait hasil mahsulnya. Sepatutnya batas sempadan negeri-negeri yang dirujuk sebagai sempadan negara termasuklah hasil mahsulnya mestilah selari dengan sejarah pembentukan Persekutuan dan Perkara (1) Perlembagaan Persekutuan batas territorial sea dan exclusive economic zone

dengan izin dalam konvensyen antarabangsa United Nation Convention On Law Of The Sea atau UNCLOS yang sepatutnya ditafsir mengikut tafsiran ini sebagaimana yang disebut oleh pembahas-pembahas sebentar tadi. Sepatutnya juga pembentukan Persekutuan Malaysia adalah untuk menguatkan negeri-negeri yang membentuknya. Namun demikian apa yang berlaku pada ketika ini ialah Akta ini telah melemahkan kedudukan negeri-negeri. Oleh itu, penggubalan Akta ini adalah tidak berperlembagaan dan telah memberi implikasi yang negatif. Pertama Akta ini telah menafikan hak negeri untuk meneroka sumber dan menikmati hasil di dalam kawasan wilayah negeri tersebut. Kedua, ia telah menyebabkan berlaku percanggahan dan konflik dengan Akta-akta yang lain. Malangnya Kerajaan Persekutuan telah memperalatkan Akta Laut Wilayah 2012 untuk menafikan pembayaran royalti petroleum kepada Kerajaan Negeri Terengganu. Justeru saya menegaskan bahawa Kerajaan Negeri dan seluruh rakyat Terengganu menolak Akta Laut Wilayah 2012. Sekian, terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar yang telah menamatkan penggulungan bagi usul penolakan Akta Laut Wilayah 2012 Akta 750. Sekarang saya buka kepada undian:-

Usul ini kemudian dihadapkan kepada mesyuarat dan dipersetujui dengan sebulat suara.

USUL INI DITERIMA.

Yang di-Pertua

Alhamdulillah saya merasa sangat gembira dengan penerimaan Usul yang telah dikemukakan ini kerana saya masih ingat pada tahun 2017 saya mewakili Yang Berhormat Pembangkang ketika itu telah mengesa agar Kerajaan Negeri menolak Akta Laut Wilayah 2012 Akta 750 tahun 2017, saya mewakili kawan-kawan sahabat-sahabat Yang Berhormat ketika itu. Alhamdulillah gesaan yang dibuat oleh kita ketika itu sebagai parti pembangkang dan Yang Berhormat Pembangkang telah dijayakan oleh kita selaku Kerajaan hari ini. Semoga Allah Ta’ala memberikan ganjaran kepada kita dalam mempertahankan kedaulatan negeri yang kita warisi daripada nenek moyang kita semua, insya-Allah.

TangguhanAdjournment

Setiausaha Dewan

Perkara berikut di dalam Tertib Pekerjaan Dewan ialah tangguhan.

Yang di-Pertua

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri.

Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin MokhtarPAS · PNMenteri Besar · Ru Rendang

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan supaya Persidangan Dewan ditangguhkan kepada suatu masa yang akan ditetapkan kemudian.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar dan Ahli-ahli yang Berhormat sekalian. Sebelum saya tangguhkan Persidangan Dewan ini saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih di atas kerjasama yang telah diberikan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat, ketua-ketua jabatan, para pemerhati dan media. Akhirnya saya tangguhkan Persidangan Dewan ini ke suatu masa dan tarikh yang akan ditetapkan kemudian dan marilah kita sama-sama membaca Tasbih Kifarah dan Surah Al-’Asr.

DEWAN DITANGGUHKAN PADA PUKUL 1.14 PETANG