Terengganu · 29 July 2024

15th Assembly, 2nd session, 2nd meeting · 120 turns · 8,990 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalTerengganu publishes one PDF per meeting, with the written answers appended. Speakers are matched by our parser and will have some errors.

(Pembukaan)

Setiausaha Dewan

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Sebelum kita memulakan Persidangan Dewan pada pagi ini, marilah kita sama-sama membaca Ummul Kitab Al-Fatihah.

(Al-Fatihah)

Perkara pertama di dalam tertib Pekerjaan Dewan pada pagi ini ialah bacaan doa oleh Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua.

DOA

Dibaca oleh Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan.

Ucapan Yang Berhormat Dato’ Yang Di-Pertua Dewan

Setiausaha Dewan

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian.

Perkara seterusnya di dalam Tertib Pekerjaan Dewan ialah Ucapan Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua.

Yang di-Pertua

Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-Ahli Yang Berhormat, Ketua-Ketua Jabatan, para pemerhati, tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian.

Terlebih dahulu marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana dengan limpah taufik dan inayahNya kita dapat berkumpul di Dewan Yang Mulia ini.

Saya merakamkan ucapan terima kasih serta mengalu-alukan kehadiran Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian dalam Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas pada hari ini 29 Julai 2024.

Memulakan ucapan saya pada pagi ini, saya ingin mengambil kesempatan dan saya kira masih belum terlambat untuk mengucapkan selamat pulang kepada semua Ahli Yang Berhormat serta semua umat Islam yang telah selesai menyempurnakan ibadah haji pada tahun ini. Semoga segala amalan yang dilakukan diterima oleh Allah dan mendapat haji yang mabrur. Dalam kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan selamat menyambut Tahun Baru Hijrah dan Salam Maal Hijrah 1446H kepada semua Ahli Yang Berhormat dan seluruh Umat Islam. Maal Hijrah merupakan satu titik permulaan yang penting membawa pengajaran besar tentang pengorbanan, keazaman dan perubahan ke arah kebaikan yang harus kita jadikan teladan dalam kehidupan. Maal Hijrah juga mengingatkan kita tentang pentingnya memulakan tahun baru dengan semangat baru, keazaman yang kukuh untuk memperbaiki diri dan masyarakat. Kita harus berusaha untuk menjadi lebih baik dari tahun sebelumnya dalam setiap aspek kehidupan kita. Baik dari sudut agama, keluarga, ekonomi dan sosial.

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Dalam konteks perkembangan terkini Badan Legislatif di negara kita, Sidang Dewan Rakyat telah selesai bersidang pada 15 Julai 2024 yang lalu. Dalam sidang tersebut beberapa usul penting telah dibincangkan termasuk yang menekankan kepada pemulihan ekonomi, pengukuhan sistem kesihatan,

peningkatan kualiti pendidikan. Pelbagai dasar dan undang-undang telah selesai dibincangkan untuk memastikan kestabilan Negara dan kemakmuran rakyat terpelihara. Di peringkat Negeri Terengganu, Dewan Undangan Negeri telah secara berterusan sentiasa menuntut dalam melaksanakan dasar-dasar pembangunan yang holistik untuk kemakmuran Negeri Terengganu. Pada persidangan kali ini, Dewan ini akan membawa satu usul penting yang melibatkan pindaan Enakmen berkaitan dengan kebajikan rakyat Negeri Terengganu. Saya juga dengan penuh rasa sukacita memaklumkan kepada semua, Pejabat Dewan Undangan Negeri Terengganu akan menerima kunjungan daripada Yang Berhormat Tan Sri Speaker Dewan Rakyat pada 12 Ogos 2024 nanti. Semestinya pertemuan ini akan menjadi pertemuan yang penting dan bermakna dalam usaha kita meneraju perkembangan Dewan Undangan Negeri Terengganu, insya-Allah. Dengan berbesar hati saya mengucapkan selamat datang kepada semua rombongan Yang Berhormat Tan Sri Speaker Dewan Rakyat ke Dewan Undangan Negeri Terengganu pada 12 Ogos nanti. Insya-Allah.

Persidangan kali ini walaupun berlangsung hanya sehari, namun adalah amat penting dalam menjalankan fungsi legislatif di Dewan ini. Pelbagai isu penting akan dibincangkan dan keputusan yang diambil akan memberi impak yang signifikan kepada pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat. Adalah penting bagi kita untuk menggunakan masa yang ada dengan sebaik-baiknya untuk memastikan segala isu dapat dibincangkan dan diselesaikan dengan bijaksana. Saya berharap semua Ahli Yang Berhormat akan dapat menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan tanggungjawab. Marilah kita bekerjasama dan berbahas secara penuh hikmat dalam memastikan kepentingan rakyat akan terus terjamin dan terpelihara. Dalam masa yang sama Ahli Yang Berhormat juga perlu menjalankan urusan sebagai Ahli Legislatif yang berkesan di Dewan ini. Keseimbangan peranan antara tugas di lapangan dan di dalam Dewan ini amat perlu dititikberatkan agar Ahli Yang Berhormat dapat dilihat sebagai pemimpin yang terus menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Justeru itu suka saya mengesyorkan beberapa peranan yang boleh dimainkan oleh ahli legislatif di Terengganu seperti berikut:

1.

Menjadi suara rakyat dengan membawa isu-isu tempatan ke peringkat Negeri.

2.

Menyokong dan meluluskan undang-undang yang memberi manfaat kepada rakyat.

3.

Mengawasi pelaksanaan dasar-dasar Kerajaan Negeri untuk memastikan keberkesanannya.

4.

Melibatkan diri dalam program komuniti untuk memahami keperluan rakyat dengan lebih mendalam.

5.

Meningkatkan kolaborasi dengan pihak eksekutif dan agensi kerajaan bagi mempercepatkan penyelesaian isu-isu rakyat.

Akhir kata saya menyeru kepada semua Ahli Yang Berhormat dan seluruh rakyat negeri ini untuk berterusan memberi sokongan dan dukungan kepada Kerajaan Negeri Terengganu di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar Negeri Terengganu. Semoga Allah Ta’ala memberikan kekuatan dan kebijaksanaan kepada kita semua dalam melaksanakan amanah ini dengan sebaik-baiknya. Marilah kita bersama-sama berganding bahu dalam membangun dan memajukan Negeri Terengganu agar terus makmur dan sejahtera. Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera, insya-Allah. Sekian

KERTAS-KERTAS KERJA DAN LAPORAN-LAPORAN

Kertas-Kertas Kerja Dan Laporan-Laporan

Setiausaha Dewan

Perkara seterusnya di dalam Tertib Pekerjaan Dewan ialah KERTAS-KERTAS KERJA DAN LAPORAN-LAPORAN.

Yang di-Pertua

Kertas-kertas kerja dan laporan-laporan yang dibentangkan ialah:

1. Laporan Tahunan dan Kewangan Tahun 2022, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT)

(D.U.N. Bil.6/2024)

2. Penyata Kewangan Tahun 2022, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM)

(D.U.N. Bil.7/2024)

3. Penyata Kewangan Tahun 2022 Yayasan Islam Terengganu

(D.U.N. Bil.8/2024)

4. Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Tahun 2022, Lembaga Muzium Negeri Terengganu

(D.U.N. Bil.9/2024)

5. Penyata Kewangan Tahun 2022 Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu

(D.U.N. Bil.10/2024)

Soalan-Soalan Yang Telah Diberi NotisQuestions

Setiausaha Dewan

Perkara seterusnya di dalam Tertib Pekerjaan Dewan ialah Soalan-soalan Yang Telah Diberi Notis.

(1) Soalan-soalan Bertulis.

(2) Soalan-soalan Lisan.

Soalan-Soalan LisanQuestions

Yang di-Pertua

Jawapan-jawapan kepada Soalan-soalan Bertulis telah diberi notis dan telah dibentangkan di hadapan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian ialah soalan-soalan daripada:-

1 Yang Berhormat Wakil Jertih 2 Yang Berhormat Wakil Kuala Berang 3 Yang Berhormat Wakil Buluh Gading 4 Yang Berhormat Wakil Kemasik 5 Yang Berhormat Wakil Ladang 6 Yang Berhormat Wakil Pengkalan Berangan 7 Yang Berhormat Wakil Seberang Takir 8 Yang Berhormat Wakil Rantau Abang 9 Yang Berhormat Wakil Langkap 10 Yang Berhormat Wakil Air Putih 11 Yang Berhormat Wakil Telemong 12 Yang Berhormat Wakil Kuala Besut 13 Yang Berhormat Wakil Bukit Besi

Sekarang kita masuk kepada Soalan-soalan Lisan. Berikut adalah Ahli-ahli yang telah memberi notis untuk mengemukakan soalan-soalan lisan pada hari ini 29 Julai 2024. Dipersilakan Yang Berhormat Wakil Bandar untuk mengemukakan soalan.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan saya soalan 3-

Dengan kekangan kewangan akibat daripada pembayaran royalti atau wang ihsan yang tidak dibayar kepada Kerajaan Negeri seperti yang sepatutnya, bagaimana Kerajaan Negeri mengatur segala urusan pentadbiran dan pembangunan yang dirancang?

Yang di-Pertua

Sila Yang Amat Berhormat.

Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin MokhtarPAS · PNMenteri Besar · Ru Rendang

Terima kasih kepada Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih kepada soalan daripada ADUN Bandar di mana soalan ini adalah digabungkan sekali dengan soalan dari ADUN Kemasik.

Dalam berhadapan dengan sekatan royalti ini, Kerajaan Negeri komited untuk mengukuhkan kewangan negeri dengan pelbagai pendekatan. Yang pertama ialah mengawal perbelanjaan. Yang kedua mengoptimumkan perolehan hasil daripada sumber yang sedia ada dan yang ketiga mengeksplorasi dan mengeksploitasi sumber baharu. Di mana dalam keadaan ini semua jabatan dan agensi di bawah Kerajaan Negeri telah diminta untuk mempertimbangkan semula keperluan ataupun needs dengan izin, kebolehlaksanaan atau feasibility dengan izin dan keutamaan atau priority dengan izin di atas setiap program dan projek yang dirancangkan serta melabourage atau labouring dengan izin inisiatif dan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan seterusnya meneroka sumber dan usahasama dengan pihak bukan kerajaan serta merintis komuniti atau bottom-up initiatives dengan izin.

Di masa yang sama semua syarikat-syarikat yang berkait dengan Kerajaan dan syarikat milik Kerajaan Negeri Terengganu juga perlu yang pertama mengurangkan kebergantungan kepada Kerajaan dalam melaksanakan aktiviti perniagaan mereka dan yang kedua berusaha dengan lebih gigih melaksanakan aktiviti perniagaan mereka supaya hasil keuntungan perniagaan mereka lebih besar supaya GLC ini dapat membantu Kerajaan melaksanakan tanggungjawab sosial dan ekonomi kepada rakyat Negeri Terengganu dan dengan sendirinya akan mengurangkan kebergantungan rakyat kepada hasil bantuan Kerajaan semata-mata sehinggalah Negeri dapat memperolehi haknya kembali kepada keadaan asal sebagaimana sepatutnya apabila tiba masa dan ketikanya.

Untuk menjawab juga soalan Kemasik yang digabungkan dengan soalan daripada Bandar, secara anggarannya saya ingin menjelaskan bahawa jumlah yang patut diterima oleh Kerajaan Negeri pada tahun 2023 ialah RM1.524 bilion dan bagi tahun 2024 juga ialah RM1.524 bilion. Pada tahun 2023 Kerajaan Negeri hanya menerima sejumlah RM802.18 juta. Setakat Julai tahun ini pula setelah perundingan demi perundingan, Kerajaan Negeri berjaya mendapatkan kelulusan berjumlah RM792.32 juta. Walau bagaimanapun sehingga hari ini hanya sebanyak RM425.17 juta telah direkodkan sebagai terimaan dalam akaun ke akaun Kerajaan Negeri dan berbaki RM367.22 juta yang masih belum dibayar. Demi maslahat semua tidak dapat tidak, Kerajaan Negeri terpaksa menghadap prosedur kewangan yang menyusahkan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pihak-pihak berkenaan yang menjalankan perkhidmatan dan kontraknya di Negeri Terengganu ini supaya mereka dapat menerima bayaran sebagaimana yang sepatutnya.

Walau bagaimanapun untuk rekod Dato’ Yang di-Pertua, suka saya tegaskan bahawa Kerajaan Negeri amat tidak bersetuju dan sangat tidak membantu kecekapan dan tidak membantu produktiviti dengan kaedah pembayaran secara altermaise dengan izin dan case by case basis dengan izin. Pendekatan ini bukan sahaja pertama memelikkan, ajaib dan tidak pernah berlaku kerana yang berlaku adalah kontrak antara Kerajaan Negeri dengan pihak kontraktor yang menjalankan servis tetapi pembayarannya dibuat secara terus oleh pihak ketiga kepada kontraktor.

Kedua, keadaan ini dengan sendirinya telah mengganggu kelancaran pentadbiran Kerajaan Negeri, menyusahkan kakitangan Kerajaan sama ada di Peringkat Negeri ataupun Pusat bahkan turut mengaburkan semangat

patriotisma dan sistem demokrasi yang menjadi tunjang pemerintahan dalam Negara dan dalam Negeri ini. Mengenai langkah selanjutnya Kerajaan Negeri akan terus berpegang teguh dengan Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan perjanjian-perjanjian berkaitan dalam menuntut hak rakyat dalam Negeri Terengganu dengan berbagai cara yang akan dibuat sepertimana simpulan bahasa menyebut lalu penjahit, lalu kelindan. Usaha-usaha ini akan dilakukan secara bersama dengan seluruh rakyat Negeri Terengganu dan rakyat Malaysia nanti. Insya-Allah.

Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. Dalam sesi jawapan Yang Amat Berhormat ada menyebut tentang mengeksplorasi hasil baru untuk Negeri. Boleh tidak Yang Amat Berhormat jelas dengan lebih lanjut tentang hal tersebut. Terima kasih.

Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin MokhtarPAS · PNMenteri Besar · Ru Rendang

Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih kepada ADUN Bandar di atas soalan tambahannya. Sebelum saya jelaskan dengan lebih lanjut, suka saya nyatakan bahawa pada umumnya, sesebuah negara memperolehi hasilnya menerusi yang pertama ialah direct tax dengan izin seperti sistem percukaian individu dan perniagaan atau korporat mengikut kadar yang ditentukan. Dan, yang kedua ialah secara indirect tax dengan izin, seperti cukai jualan dan perkhidmatan iaitu hasil daripada setiap pembelian yang kita lakukan, tidak kira di mana dalam negara kita ini.

Selain daripada aktiviti perniagaan yang menjana dividen dari syarikat berkaitan kerajaan seperti PETRONAS dan lain-lainnya. Manakala negeri pula, ini berkait dengan soalan yang diutarakan oleh ADUN Bandar. Manakala negeri pula memperolehi hasil berdasarkan kuasa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan yang dimaktubkan dalam Jadual 9 dan tidak boleh menjangkaui daripada itu. Untuk mengoptimumkan perolehan hasil daripada sumber sedia ada Kerajaan Negeri mesti menambah baik aspek perundangan dan best practices dengan izin, mengenai kaedah kutipan hasil, meningkatkan kecekapan kutipan hasil menerusi penguatkuasaan dan digitialisation dengan izin, serta menyemak semula pelaksanaan semua pemberian Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri supaya selari dengan undang-undang dan serasi dengan situasi semasa.

Rancangan dan usaha untuk mengeksplorasi dan mengeksploitasi sumber hasil baru pula bertumpu kepada pembangunan industri nadir bumi dan tenaga

boleh diperbaharui atau renewable energy dengan izin. Kita sedang merangka dasar, menyusun prosedur operasi standard dan membangunkan model yang sesuai supaya dapat menjamin pulangan hasil yang maksimum kepada negeri. Seterusnya mengekalkan rantaian nilai sumber di negeri ini. Seperti yang saya gariskan dalam Ucapan Belanjawan 2024 yang lalu hasil cukai dan hasil bukan cukai kita mesti ditingkatkan sekurang-kurangnya 10% setahun. Usaha ini penting bagi memastikan menjelang tahun 2030 nanti. Hasil janaan negeri kita mewakili sekurang-kurangnya 30% daripada keseluruhan hasil berbanding hanya 10-15% sejak sekian lama dahulu. Di masa yang sama, kadar hasil cukai dan bukan cukai yang diperolehi oleh negeri pula ada limitasinya dan paling penting bukan bermakna hari ini bekerja, esok boleh terus dapat duitnya. Semuanya hanya boleh dicapai oleh Kerajaan Negeri menerusi proses peraturan dan pengubalan enakmen, pewartaan yang mana akan mengambil masa dan tentunya juga akan melibatkan proses libat urus dengan pihak yang dikenakan bayaran atau charge ini dengan izin.

Untuk meningkatkan hasil negeri pula, bukanlah semudah menaikkan charge pada mana-mana pihak kerana Kerajaan perlu melalui proses kajian dan harus mengenal pasti semua kebarangkalian apabila ingin melaksanakan sesuatu perkara agar tidak mendatangkan kesan-kesan yang negatif kepada rakyatnya. Jadi janganlah ada pihak di luar sana yang menyebut, Terengganu jangan bergantung kepada hasil royalti atau wang ehsan. Kerana tindakan ini adalah umpama “sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula”. Ini adalah kerana bagi kami di Terengganu dan seluruh rakyatnya berpegang bahawa yang pertama, minyak dan gas yang diperolehi di perairan Terengganu adalah hak Terengganu sejak daripada tahun 1978 sebagaimana yang pernah saya sebutkan dalam Sidang yang lalu dan di Dewan Rakyat dan termaktub dalam pelbagai dokumen rasmi dan kontrak. Dan kedua, keadaan ini pula hanya bermula dan berlaku akibat daripada perbezaan politik pilihan rakyat dalam pilihan raya. Oleh yang demikian, tidak masuk akal apabila ada pihak mempertikaikan kenapa Terengganu bergantung kepada hasil minyak dan gas, sedangkan pada kami kepada rakyat Negeri Terengganu, kepada Negeri Terengganu sendiri sama ada mereka suka atau tidak, hasil minyak dan gas ini ialah hak rakyat Terengganu. Menambahkan lagi kecelaruan pemikiran ini, ada pula yang menyebut dan memaksa Kerajaan Negeri dengan tindakan seperti menyekat royalti pada hari ini dan esok terus diminta menjana hasil baharu. Itu adalah tindakan yang absurd dengan izin atau tidak masuk akal maknanya. Ianya adalah seumpama mengikat kaki dan tangan dan disuruh berenang pula,

sedangkan anak-anak yang lain dapat berenang bebas. Puncanya, kerana anak ini berbeza pandangan politik kepartian dan ada rakan taulan baik kepada si ayah pula yang beranggapan, jika ditekan, disusahkan, dan dilemaskan anak ini mungkin akan ada hasilnya pada kawan ayah di suatu hari nanti di tempat Negeri yang bertuah ini. Untuk itu, saya ingin tegaskan bahawa mana-mana pihak yang merancang dan menyambut dengan gembira sekatan berhubung royalti minyak dan gas ke Negeri Terengganu atas apa jua alasan kepentingan politik atau tidak, merekalah sebenarnya kelompok yang membawa rakyat, membawa masyarakat, membawa negeri dan negara ke belakang yang wajar ditolak oleh rakyat. Sekian, terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih kepada Yang Amat Berhormat. Seterusnya saya mempersilakan kepada Yang Berhormat Jertih untuk mengemukakan soalan.

Terima Kasih Dato’ Yang di-Pertua Dewan, soalan kita soalan nombor tiga-

Adakah Kerajaan Negeri akan menambahkan lagi pusat rehab dadah berorientasi Islam dan berapakah jumlah pelatih yang sedia ada di Darul Barokah?

Yang di-Pertua

Soalan nombor tiga Yang Berhormat.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Jertih yang mengemukakan soalan sebagaimana yang tertera. Setakat ini belum ada cadangan untuk menambah lagi pusat rehab dadah berorientasikan Islam oleh Kerajaan Negeri. Bilangan pelatih yang sedia ada di Perkampungan Darul Barokah daripada 2021 sehingga Jun 2024 seperti berikut:

TAHUN MASUK KELUAR SEMASA/TERKINI 2021 58 orang 17 orang

2022 106 orang 66 orang 2023 101 orang 90 orang 2024 7 orang 31 orang JUMLAH KESELURUHAN 272 ORANG 204 ORANG 68 orang

Terima kasih.

Soalan tambahan Dato’.

Yang di-Pertua

[ketawa] Sila, sila Yang Berhormat.

Mohon penjelasan tentang status terkini tanah di Perkampungan Darul Barokah. Terima kasih.

Terima kasih Yang Berhormat Jertih. Antara isu yang kita hadapi di Pusat Darul Barokah ini ialah isu tanah yang mana dimiliki oleh satu syarikat yang sekarang ini ia dalam proses untuk penyerahan daripada Pejabat Tanah Marang kepada Yayasan Islam Terengganu. Yang mana insya-Allah apabila proses ini selesai kita akan dapat beberapa manfaatlah khususnya geran daripada AADK, daripada agensi federal sebab itulah keutamaan kita sekarang ini ialah untuk menyelesaikan isu ataupun masalah pertukaran tanah ini yang akan dikembalikan ataupun diserahkan kepada Yayasan Islam Terengganu. Jadi benda ni dalam proses insya-Allah. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat.

Seterusnya saya persilakan kepada Yang Berhormat Kuala Berang.

Dr. Mamad bin PutehPAS · PNKuala Berang

Terima kasih.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan, soalan saya soalan nombor satu-

Berapakah bilangan pengusaha sangkar ikan di Hulu Terengganu, khususnya dalam DUN Kuala Berang dan berapakan nilai sumbangan yang telah dihulur kepada mereka pada tahun 2023 dan 2024?

Yang di-Pertua

Soalan nombor satu. Sila Yang Berhormat Jabi.

Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih kekanda Kuala Berang. Bilangan pengusaha sangkar ikan di kawasan Daerah Hulu Terengganu 179 orang. Daripada 179 orang, 133 orang adalah daripada DUN Kuala Berang. Spesis utama yang diternak oleh penternak sangkar ini baung, patin dan juga tilapia. Bagi tahun 2023 dan 2024 ialah sebanyak RM1,288,654.00 bantuan telah disalurkan kepada pengusaha akuakultur di kawasan Hulu Terengganu dengan pecahan RM637,813.00 bagi tahun 2023 dan RM650,841.00 bagi tahun 2024. Di antara skop bantuan yang kita salurkan ialah bot, fiber, tangki fiber, pukat, sangkar, water jet, tong drum, sangkar, induk, ikan kelah, makanan ikan serta beberapa kerja-kerja berkaitan dengan pemulihan bekalan air, bekalan elektrik, pembinaan jeti terapung dan juga baik pulih sangkar di kawasan Sungai Como Tasik kenyir.

Kerajaan Negeri juga sedang melakukan penyelarasan di antara Jabatan Perikanan Negeri Terengganu dan juga Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu bagi mewartakan kira-kira 3,000 hektar kawasan daratan dan kawasan tasik di sekitar Sungai Como yang sekarang ini masih lagi berada di bawah Warta

Hutan Simpan Kekal untuk diwartakan sebagai Zon Industri Akuakultur. Terima kasih.

Dr. Mamad bin PutehPAS · PNKuala Berang

Ada soalan tambahan.

Yang di-Pertua

Ya, sila Yang Berhormat.

Dr. Mamad bin PutehPAS · PNKuala Berang

Terima kasih. Apakah usaha Kerajaan untuk menurunkan harga makanan ikan kerana diberitahu bahawa makanan ikan ini semakin meningkat dari sebulan ke sebulan. Jadi ada apa-apa usaha untuk menurunkan harga?

Okay, terima kasih Kuala Berang. Harga input makanan ternakan bukan hanya ternakan akuakultur malah ternakan unggas dan juga ternakan dominan berhadapan dengan isu kenaikan harga di antaranya kerana kita tidak ada kilang makanan ikan di Terengganu dan kilang-kilang makanan ikan yang ada di negeri lain bergantung kepada sumber bahan mentah yang diimport menyebabkan naik turun harga ini tidak berada di tangan kita. Di antara yang kita gariskan dalam Pelan Strategik Pertanian Terengganu adalah untuk kita memiliki kilang makanan sendiri terutamanya apabila diperkasakan lagi hasrat dan cita-cita besar ini bersama dengan negeri-negeri SG4. Kita telah mengadakan beberapa perbincangan dan saya sangat yakin hasrat dan cita-cita besar kita ini boleh direalisasikan kilang makanan ternakan dengan memanfaatkan sumber bahan mentah tempatan. Kita boleh manfaatkan sekitar 70% daripada bahan mentah tempatan dan meletakkan kebergantungan hanyalah kira-kira 30% kepada bahan mentah yang diimport hasil daripada formula yang telah dilakukan penyelidikan teliti oleh pakar-pakar daripada IPT yang sentiasa berada di belakang untuk membantu usaha Kerajaan Negeri. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat.

Seterusnya saya persilakan Yang Berhormat Buluh Gading.

Haji Ridzuan bin HashimPAS · PNBuluh Gading

Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan saya soalan nombor satu-

Dimaklumkan Kerajaan Negeri menerima dana lebih RM10 juta dari Kementerian Pertanian untuk perlaksanaan pelbagai projek dan program bagi tahun 2024. Mohon diperincikan senarai projek dan program tersebut?

Yang di-Pertua

Soalan? Sila Yang Berhormat Jabi.

Dato’ Yang di-Pertua, benar sebagaimana yang dimaklumkan oleh Wakil Buluh Gading. Kerajaan Negeri telah berjaya mendapat bajet di bawah Program Mengoptimumkan Penggunaan Tanah. Kerjasama di antara KPKM dan juga Kerajaan Negeri Terengganu di bawah Program Keterjaminan Makanan Tahun 2024 dengan peruntukan sebanyak RM10,066,639.00.

Daripada peruntukan ini ada 12 projek yang dalam senarai untuk dilaksanakan dan sebahagian telah memulakan kerja-kerja awal pelaksanaan. Yang pertama, RM3 juta untuk Menaiktaraf Infrastruktur Taman Kekal Pengeluaran Makanan. TKPM yang terlibat ialah TKPM Peradong di Kuala Terengganu, TKPM Paloh Jenang di Kemaman, TKPM Tok Dor di Besut, TKPM Serating di Marang dan TKPM Rhu Tapai di Setiu.

Yang kedua peruntukan RM500,000.00 untuk Menaik Taraf Infrastruktur Rumah Semaian di Kompleks Pertanian Negeri di Ajil Hulu Terengganu. Peruntukan RM80,000.00 untuk Pembinaan Pintu Air di Baroh Pak Mayam di Kampung Raja Tepoh. RM600,000.00 untuk Pembaikian Reban Ayam Tertutup di Baroh Masin di Hulu Besut. RM3,164,494.00 untuk Pembangunan Tukun Tiruan bagi mewujudkan garis sempadan tukun di sepanjang pantai Terengganu sejauh 245 kilometer di mana kita mensasarkan setiap kilometer akan ada satu kelompok tukun yang mengandungi di antara lapan sehingga sepuluh unit tukun.

RM50,000.00 untuk Projek Pembangunan Unjam, RM450,915.00 bagi Menaik Taraf Infrastruktur Akuakultur, RM450,000.00 lagi bagi Pemulihan Kawasan Penanaman Secara Bersepadu di seluruh negeri. RM600,000.00 bagi Pemberian Bantuan Input Ternakan Ruminan. RM300,000.00 untuk Pemulihan Padang

Ragut Rakyat. RM826,230.00 Bantuan Input kepada Penternak Akuakultur dan RM45,000.00 Program Pelepasan Anak Benih Ikan ke perairan umum. Jadi kesemua projek ini telah berada sama ada di peringkat akhir tender dan sebahagiannya telah mula kerja-kerja di tapak. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Sila Yang Berhormat Buluh Gading.

Haji Ridzuan bin HashimPAS · PNBuluh Gading

Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Selain daripada peruntukan yang disebutkan tadi iaitu yang berjumlah RM10,066,639.00. Adakah di sana ada peruntukan-peruntukan lain yang disalurkan oleh Kerajaan Pusat kepada Kerajaan Negeri bagi tujuan pembangunan sektor pertanian ini? Terima kasih.

Terima kasih Buluh Gading, soalan yang menarik. Sebenarnya Wisma Darul Iman dan juga Putrajaya berkongsi misi dan visi yang sama melalui Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023 dan Dasar Agro Makanan Negara Tahun 2000. Daripada sepuluh fokus yang ada dalam Dasar Agro Makanan Negara Tahun 2000, lapan daripadanya adalah copy paste daripada Pelan Strategik Pertanian Terengganu. Jadi bila kita mempunyai visi dan misi yang sama, ruang perbincangan terbuka luas dan bila Terengganu hadir ke Putrajaya, kita hadir dengan satu ungkapan Terengganu datang bukan untuk meminta tetapi kita datang untuk bekerjasama kerana projek-projek pertanian memang tidak akan dapat lari daripada dua elemen penting- tanah dan juga air yang berada di bawah bidang kuasa negeri. Alhamdulillah hasil daripada perundingan dan hubungan baik ini kita dapat banyak manfaat untuk rakyat Terengganu. Saya senaraikan beberapa peruntukan besar. Di antaranya peruntukan RM192 juta daripada Kementerian Ekonomi untuk Pembangunan dan Naik Taraf Pelabuhan Perikanan Chendering, peruntukan RM33 juta di bawah Dana Keterjaminan Makanan MoF untuk pelaksanaan projek-projek di bawah Gedung Pengeluaran Makanan Terengganu. Kita juga telah mendapat kelulusan dasar RM100 juta untuk perluasan kawasan Jelapang Padi IADA Ketara Fasa 2. Di samping peruntukan yang dimaksudkan tadi, saya lebih mengistilahkan hubungan di antara Wisma Darul Iman dan Putrajaya sebagai hubungan simbiosis yang saling memanfaatkan di antara satu sama lain kerana itulah Kerajaan Negeri juga ada menyalurkan sejumlah peruntukan kepada jabatan dan Agensi Pusat. Di antaranya Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu mendapat

peruntukan sehingga syiling RM 5 juta setiap tahun bagi Pelaksanaan Skim Bantuan Modal Tani. Jabatan Perikanan Malaysia Negeri Terengganu (DOF) bagi tahun 2024 diperuntukkan RM4.84 juta daripada peruntukan Kerajaan Negeri. Projek Penempatan Semula Nelayan, kita dapat dana RM13 juta daripada Kerajaan Persekutuan melalui LPIN dibantu oleh Kerajaan Negeri dengan peruntukan lebih RM20 juta tidak termasuk lagi tanah yang diberikan tanah percuma oleh Kerajaan Negeri. Jadi hubungan dua hala dalam keadaan saling bermanfaatkan ini, insya-Allah kita akan teruskan, untuk memberikan manfaat yang optimum kepada rakyat kita. Terima Kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat Jabi. Seterusnya, saya persilakan Yang Berhormat Kemasik.

Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua, soalan Kemasik soalan ketiga.

Apakah perancangan dan sasaran Kerajaan Negeri dalam usaha menjadikan Terengganu sebagai sebuah negeri Industri Teknologi Tinggi selari dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2023 (NIMP 2030)?

Yang di-Pertua

Soalan ketiga, sila Yang Berhormat Kota Putera.

Terima kasih kepada Kemasik atas soalan yang dikemukakan. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, seterusnya Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, seterusnya Ahli Dewan yang dirahmati Allah sekalian. Perancangan dan sasaran Kerajaan Negeri dalam usaha menjadikan Terengganu sebagai sebuah negeri indah teknologi tinggi, selari dengan pelan Induk Perindustrian Baharu ataupun NIMP 2030. Berikut adalah rekabentuk dan sasarannya.

Yang pertama ekonomi inovatif. Terengganu menyasarkan untuk menjadikan hub bagi industri inovatif memberi tumpuan kepada industri berasaskan teknologi yang boleh memacu pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi. Yang kedua adalah pembangunan mampan, Negeri Terengganu akan mengutamakan pembangunan mampan mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan pertimbangan alam sekitar dan sosial. Yang ketiganya adalah modal insan. Negeri akan membangunkan modal insan dengan melabur dalam program pendidikan dan latihan untuk melengkapkan pekerja dengan kemahiran yang diperlukan untuk industri teknologi tinggi. Yang keempatnya, kepelbagaian Terengganu akan mempelbagaikan ekonominya dengan melabur dalam pelbagai industri termasuk pembuatan, perkhidmatan dan pelancongan. Kerajaan Negeri telah menggubal dan sedang menggubal dasar-dasar baharu iaitu Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian Negeri Terengganu 2023-2030. Dasar ini selari dengan perkembangan revolusi industri 4.0 yang memberi penekanan kepada internet of thing dengan izin, IOT sebagai iltizam Kerajaan Negeri Terengganu membentuk pertumbuhan ekonomi yang mampan melalui pelaburan perindustrian dalam pelbagai sektor perindustrian selaras dengan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030) yang digubal di peringkat negeri serta Dasar Pembangunan Perindustrian di peringkat nasional seperti Pelan Induk Industri Baharu 2023 (NIMP 2030), Dasar pelaburan baharu (NIMP) dan juga Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dengan hasrat utama Kerajaan Negeri adalah bagi membawa sektor industri ke arah Terengganu Maju 2030.

Sasarannya pula adalah, yang pertama meningkatkan KDNK Negeri sebanyak 17% setahun untuk mencapai RM54 bilion menjelang 2030, insya-Allah. Yang keduanya mencapai kadar perindustrian sebanyak 30% menjelang 2030, dengan tumpuan pada sektor pembuatan dan perkhidmatan. Yang ketiganya atau, sasaran ketiga adalah industri berteknologi tinggi. Mewujudkan sekurang-kurangnya 10 industri berteknologi tinggi termasuk bioteknologi, nanoteknologi dan tenaga bersih. Yang keempat, pencapaian pekerjaan mencipta sekurang-kurangnya 50,000 pekerjaan baharu dalam sektor teknologi tinggi menjelang 2030. Sasaran yang kelima adalah, ekosistem inovasi iaitu mewujudkan ekosistem inovasi yang memupuk kerjasama antara pemain industri, institut penyelidikan dan ahli akademik untuk memacu inovasi dan keusahawanan. Sasaran yang keenam adalah pembangunan infrastruktur. Membangunkan infrastruktur seperti sistem pengangkutan bekalan tenaga dan rangkaian

komunikasi untuk menyokong perindustrian teknologi tinggi dan sasaran yang ketujuh adalah tarikan pelaburan menarik sekurang-kurangnya RM5 bilion pelaburan langsung asing (FDI) setiap tahun menjelang 2030. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat Kota Putera. Silakan Yang Berhormat Kemasik.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan tambahan. Bagaimanakah tindakan Kerajaan Negeri Terengganu untuk memastikan keterlibatan langsung usahawan-usahawan ataupun syarikat-syarikat Terengganu dalam dalam sasaran ini.

Terima kasih Kemasik. Dato Yang di-Pertua, dalam menyasarkan ataupun memberikan peluang kepada anak-anak Terengganu, usahawan-usahawan Terengganu terlibat. Yang pertamanya dalam sekarang ini kita telah pun, dalam perbincangan awal dengan pelabur-pelabur yang datang. Telah memberikan cadangan mereka untuk mengutamakan anak-anak tempatan dalam perusahaan mereka. Yang keduanya ialah dalam pengubalan dasar pembangunan pelaburan perindustrian yang sedang digubal dan insya-Allah akan dilancarkan pada suku ketiga pada tahun ini. Kita meletakkan secara jelas bahawa setiap perindustrian pelaburan yang datang meletakkan 30-70 untuk rakyat tempatan. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat Kota Putera. Yang seterusnya dipersilakan Yang Berhormat Ladang.

Dato Yang di-Pertua, soalan saya, soalan pertama.

Dalam usaha untuk memperkasakan Sistem Perundangan Syariah, sejauh mana tindakan pihak Kerajaan Negeri dalam meningkatkan hieraki mahkamah syariah kepada empat tingkatan?

Yang di-Pertua

Soalan pertama gabung dengan Rantau Abang, Yang Berhormat.

Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih pada Yang Berhormat Ladang. Tindakan susulan bagi memperkasakan lapisan Mahkamah Syariah Terengganu sedang giat dilakukan dengan meningkatkan kedudukan mahkamah syariah melalui tambahan lapisan daripada tiga peringkat kepada empat peringkat. Caranya dengan mewujudkan Mahkamah Tertinggi, yang dinamakan Mahkamah Utama Syariah. Buat masa ini draf pindaan bagi undang-undang bagi diri Kerajaan Terengganu 1911 dan Enakmen Mahkamah Syariah telah siap dan tindakan susulan untuk pindaan enakmen-enakmen yang lain telah pun bermula. Usaha memperkasakan lapisan Mahkamah Syariah Negeri Terengganu ini, merupakan satu keperluan bagi meluaskan peluang keadilan yang setara, seterusnya memperkukuhkan bidang kuasa dan fungsi kehakiman syariah yang terletak hak dan bidang kuasa eksklusif negeri. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat.

Soalan tambahan saya yang pertama. Apakah tindakan Kerajaan Negeri bagi menambah baik tatacara dan juga standard of procedure (SOP) dengan izin, bagi pelaksanaan undang-undang syariah di negeri ini. Terima kasih.

Terima kasih Yang Berhormat Ladang. Dato’ Yang di-Pertua, memang kita kerajaan melalui agensi -agensi yang berkaitan sentiasa mengkaji dan menambah baik tatacara dan SOP bagi pelaksanaan undang-undang syariah ini. Yang terkini ialah satu bengkel pembinaan garis panduan sebutan segera bagi kes jenayah syariah sedang dijalankan yang dikendalikan oleh Jabatan Pendakwaan Negeri Terengganu melibatkan penyertaan semua ketua-ketua pendakwa syarie seluruh Malaysia. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih. Sila Yang Berhormat Wakil Pengkalan Berangan.

Sulaiman bin SulongPAS · PNPengkalan Berangan

Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan nombor dua.

Mohon dinyatakan apakah “High Impact Project” sektor pertanian yang menjadi fokus Kerajaan Negeri bagi tahun 2024?

Yang di-Pertua

Soalan nombor dua, sila.

Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.Terima kasih Yang Berhormat Wakil Pengkalan Berangan. High impact project, projek berimpak tinggi dengan izin yang dipilih dalam sektor pertanian adalah berdasarkan kepada ciri-ciri quick win dan low hanging fruit dengan izin bagi memastikan para petani, penternak dan nelayan menerima hasil yang segera, dalam masa yang sama pelaksanaan projek-projek tersebut tidak memakan kos kewangan yang besar. Dalam strategi PITAS (Pelan Induk Terengganu Sejahtera) bagi sektor pertanian kita senaraikan empat high impact project yang menjadi fokus:

1. Menaiktaraf pengeluaran hasil buah-buahan bernilai tinggi seperti Musang King dan Mangga King Terengganu.

2. Memperkasakan fungsi dan menaik taraf Taman Kekal Pengeluaran Makanan, Padang Ragut, dan Zon Industri Akuakultur.

3. Meningkatkan penternakan ayam pedaging, lembu pedaging dan kambing tenusu dan

4. Memperkayakan sumber perikanan marin dan juga sumber perikanan darat.

Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih, sila Yang Berhormat Pengkalan Berangan.

Sulaiman bin SulongPAS · PNPengkalan Berangan

Terima kasih Yang Berhormat EXCO. Pertama saya nak ucap tahniah di atas kejayaan Sambutan Hari Peladang, Penternak, Nelayan Negeri Terengganu dan

juga Himpunan Lembu Sado Pantai Timur 2024. Soalan tambahan saya ialah Kerajaan Negeri meletakkan TKPM sebagai agenda besar dalam pertanian negeri. Soalannya ialah yang pertama, berapakah keluasan TKPM dan yang kedua apakah skop-skop bantuan yang diberikan untuk tujuan menaik taraf hasil-hasil pertanian? sekian.

Yang di-Pertua

Sila Yang Berhormat Jabi.

Baik, terima kasih Pengkalan Berangan. Terima kasih atas pemerhatian kepada Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan dan juga Himpunan Lembu Sado yang menutup tirainya semalam. Sekadar makluman kepada Dewan, Alhamdulillah kehadiran pengunjung mencecah sekitar 100 ribu orang dengan pendapatan kepada para peniaga hampir RM1 juta dalam masa empat hari melebihi daripada target awal kita sasarkan 70 ribu pengunjung dengan RM700 ribu pendapatan. Keluasan Taman Kekal Pengeluaran Makanan yang ada di Negeri Terengganu seluas 1,194 hektar yang melibatkan 132 orang peserta dan skop bantuan yang kita berikan antaranya adalah bantuan dari segi menaik taraf infrastruktur, yang kedua bantuan dari segi input-input pertanian, peralatan, bantuan teknikal dan juga bantuan infrastruktur ladang dalam rangka untuk kita hendak memastikan tanah-tanah yang diwartakan di bawah Taman Kekal Pengeluaran Makanan dioptimumkan dari segi fungsinya sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu, terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat Jabi. Seterusnya saya mempersilakan Yang Berhormat Seberang Takir.

Haji Khazan bin Che MatBERSATU · PNSeberang Takir

Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya pilih soalan nombor 2.

Kerajaan Negeri melalui PBT telah mengenakan cukai ke atas rumah tumpangan atau homestay, apakah kaedah yang digunakan dalam menentukan kadarnya?

Yang di-Pertua

Soalan nombor 2, Yang Berhormat Wakaf Mempelam.

Wan Sukairi bin Wan AbdullahPAS · PNWakaf Mempelam

Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih sahabat saya Yang Berhormat Seberang Takir. Soalan daripada Yang Berhormat Seberang Takir seperti yang tertera berkenaan dengan jumlah cukai yang dikenakan oleh PBT ke atas rumah-rumah tumpangan ataupun homestay, apakah kaedah yang digunakan dalam menentukan kadarnya?

Untuk makluman Yang Berhormat Seberang Takir, adalah dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri melalui tujuh Pihak Berkuasa Tempatan ataupun PBT telah pun mengenakan cukai taksiran ke atas rumah tumpangan ataupun homestay dan kaedah penentuan nilaian cukai ini adalah berdasarkan kepada kaedah asas nilaian tahunan manakala kaedah kadar yang digunakan dalam menentukan kadarnya adalah berdasarkan kepada lokasi rumah tumpangan ataupun homestay tersebut dan mengikut kadar Pihak Berkuasa Tempatan masing-masing tetapi ianya tidak sama di antara satu PBT dengan satu PBT yang lain, terima kasih.

Yang di-Pertua

Wakaf Mempelam, seterusnya sila Yang Berhormat Seberang Takir.

Haji Khazan bin Che MatBERSATU · PNSeberang Takir

Soalan tambahan saya Dato’ Yang di-Pertua, kerana cukai pintu rumah-rumah kediaman kita telah kecualikan dan cukai homestay atau rumah tumpangan ini saya rasa satu yang wajar, cuma soalan saya selain daripada rumah tumpangan apa lagi cukai-cukai baharu yang dikenakan oleh PBT untuk meningkatkan hasil Kerajaan Negeri, terima kasih.

Wan Sukairi bin Wan AbdullahPAS · PNWakaf Mempelam

Terima kasih kepada Yang Berhormat Seberang Takir, sepertimana yang telah pun saya nyatakan tadi bahawa cukai-cukai yang telah pun dikenakan mengikut apa yang telah pun ditetapkan oleh peraturan undang-undang sebelum daripada ini, semua PBT dan selain daripada cukai-cukai yang dikenakan ke atas homestay-homestay dan juga rumah-rumah tumpangan termasuk di antara kaedahnya adalah dengan menguatkuasakan peraturan dan juga undang-undang yang dikenakan kerana kita dapati bahawa kadang-

kadang isu yang berkaitan dengan penguatkuasaan ini adalah di antara isu-isu yang menyebabkan kutipan hasil di setiap PBT itu berkurangan dan selain daripada itu beberapa cukai-cukai taksiran yang sedang di dalam pemerhatian dan juga dalam kajian sedang dilakukan oleh Pihak Berkuasa Tempatan. Insya-Allah saya akan maklumkan dalam masa yang terdekat, insya-Allah. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat Wakaf Mempelam, seterusnya saya persilakan Yang Berhormat Hulu Besut.

Mohd Husaimi bin HussinBERSATU · PNHulu Besut

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan Hulu Besut nombor 2.

Apakah usaha Kerajaan Negeri dalam mempromosikan serta menyediakan infra yang terbaik untuk kawasan pelancongan di besut seperti La Hot Spring, Lata Tembakah dan adakah harga chalet di kawasan tersebut perlu dikaji semula untuk penyediaan khidmat yang terbaik

Yang di-Pertua

Soalan nombor 2, main pilih gu eh.

Datuk Haji Razali bin IdrisBERSATU · PNKijal

Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih kepada Yang Berhormat Hulu Besut menyoalkan sepertimana yang tertera di dalam skrin. La Hot Spring menyediakan banyak kemudahan untuk orang ramai seperti rumah rehat, musalla, tandas awam, restoran dan lain-lain lagi yang berada di bawah seliaan dan pemantauan Majlis Daerah Besut. Pengurusan penuh oleh Majlis pada 2013 dengan diberi hak milik bernombor PT 6200, HSD 3077 tapak chalet dan kedai & PT 6201, HSD 3078 dengan keluasan hampir lapan ekar keseluruhannya. Di peringkat awal, Majlis Daerah Besut telah menyediakan 20 unit jumlah bilik. Namun begitu, melihat kepada jumlah pengunjung yang tinggi terutama pada hujung minggu dan cuti am, keseluruhan bilik di La Hot Spring telah ditambah

sehingga 38 unit termasuk kabin kontena yang baru dibina sebanyak lapan unit untuk menampung permintaan yang tinggi pada hujung minggu dan juga cuti am. Kadar sewa antara RM50.00 hingga RM150.00 untuk setiap unit semalaman adalah munasabah dan berpatutan bagi sebuah kawasan dan tempat pelancongan jika dibandingkan dengan hot spring di daerah lain. Kadar sewa ditetapkan berdasarkan kelengkapan pada bilik seperti kipas, aircond serta keluasan bilik. Kadar sewa akan disemak semula selepas semua kelengkapan yang baru dibina akan diberi seperti katil, tilam, tuala dan lain-lain.

Dato’ Yang di-Pertua, cuma perlu ditambah nilai sedikit lagi insya-Allah akan disegerakan adalah laluan pejalan kaki kiri dan kanan ke kolam air panas serta pemuliharaan sedikit sungai di belakang kolam air panas kerana sungai tersebut merupakan satu daya tarikan kepada La Hot Spring. Jadi kebersihan sepertimana yang saya selalu sebut mesti diutamakan oleh Majlis Daerah. Insya-Allah suatu ketika LA Hot Spring akan menjadi market pada international tourist. Lata Tembakah, berdasarkan kepada Kaedah-Kaedah Hutan (Pindaan) 2023 yang berkuatkuasa 1 Januari 2024, kadar yang ditetapkan adalah RM60 untuk chalet yang tidak berhawa dingin, RM80.00 untuk chalet berhawa dingin, RM150.00 untuk chalet eksklusif dan RM200.00 untuk dorm dan asrama. Kadar harga yang rendah ini adalah lebih kepada tanggungjawab jabatan untuk menyediakan perkhidmatan kepada pengunjung tanpa bertujuan untuk keuntungan semata-mata. Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu akan mengkaji semula kadar sewa ini agar selari dengan kenaikan harga bahan dan upah bagi kerja-kerja penyelenggaraan, pembersihan dan kawal selia penginapan yang meningkat secara ketara sejak kebelakangan ini. Walau bagaimanapun, cadangan kenaikan kadar sewa ini akan dirujuk dengan Pihak Berkuasa Negeri dan pertimbangan dan keputusan selanjutnya. Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat.

Soalan tambahannya, sila Yang Berhormat.

Mohd Husaimi bin HussinBERSATU · PNHulu Besut

Apakah langkah kerajaan dalam usaha di La Hot Spring iaitu untuk mengasingkan kolam air panas antara lelaki dan wanita.

Datuk Haji Razali bin IdrisBERSATU · PNKijal

Terima kasih Yang Berhormat. Kerajaan Negeri akan melaksanakan pengasingan kolam-kolam air panas antara lelaki dengan wanita, insya-Allah dalam masa terdekat. Oleh kerana terlampau ramai pelancong yang hadir dan kita melihat kolam tersebut perlu diasingkan. Ia disebabkan kerana kolam terlampau sempit, lelaki dengan perempuan bercampur walaupun tutup aurat, tetapi tidak sesuai kepada kita, masyarakat negeri Terengganu.

Justeru itu, kerajaan sedang pertimbang secara serius untuk memperuntukkan sedikit bajet bagi menyegerakan proses pengasingan di antara kolam lelaki dengan kolam wanita dan mengambil kira faktor infra yang sedia ada. Insya-Allah Yang Berhormat, di penghujung ataupun awal tahun depan, kita akan lihat kolam La Hot Spring akan asing di antara wanita dan lelaki. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat Kijal. Seterusnya sila Yang Berhormat Rantau Abang.

Mohd Fadhli Rahmi bin ZulkifliPAS · PNRantau Abang

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Rantau Abang soalan no 2 -

Yang di-Pertua

Soalan no.2. Sila Yang Berhormat Cukai.

Bilakah Kerajaan Negeri akan melaksanakan projek tebatan banjir di kawasan DUN Rantau Abang yang selalu terkesan dengan banjir terutama bila tiba musim tengkujuh?

Haji Hanafiah bin MatPAS · PNCukai

Terima kasih Rantau Abang. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Soalan sebagaimana yang tertera. Kerajaan Negeri telah memohon peruntukan melalui Rancangan Malaysia. Yang pertama, Rancangan Tebatan Banjir Sungai Jara, Dungun, Terengganu, RM16 juta. Yang kedua, Kajian Pelan Induk Tebatan Banjir Lembangan Sungai Dungun, RM3.8 juta. Yang ketiga, Projek Sistem Saliran Mesra Alam Kampung Pulau Serai Fasa II, RM6.2 juta. Ketiga-tiga permohonan

ini telah dipohon dalam setiap Rolling Plan Rancangan Malaysia namun sehingga kini masih belum diluluskan. Pelaksanaan projek ini adalah tertakluk kepada kelulusan yang diterima daripada Kerajaan Persekutuan.

Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri telah melaksanakan program-program penyelenggaraan secara berkala infrastruktur sistem saliran bagi penyelesaian jangka pendek sebagai usaha mengurangkan banjir di kawasan DUN Rantau Abang. Ada lima (5) kerja yang telah diberi secara sebutharga sebanyak RM700,000.00. Yang pertama, Kerja-Kerja Pemuliharaan Sistem Saliran Utama Serta Kerja-Kerja Berkaitan Di Kg. Alor Mak Bah, Dungun, RM50,000.00. Kerja-Kerja yang kedua, Kerja-Kerja Pemuliharaan Sistem Saliran Dan Hakisan Tebing Akibat Kerosakan Pasca Banjir Serta Kerja-Kerja Berkaitan Di Kg. Paya Jara, Kuala Abang, Dungun, dengan harga RM400,000.00. Yang ketiga, Kerja-Kerja Pemuliharaan Hakisan Tebing Akibat Kerosakan Pasca Banjir Serta Kerja-Kerja berkaitan Di Kg. Tanjung Jara, Dungun, RM150,000.00. Yang keempat, Kerja-Kerja Pemuliharaan Sistem Saliran Untuk Mengurangkan Risiko Banjir Serta Kerja-Kerja Berkaitan Di Kg. Tok Kah, Dungun, RM50,000.00. Yang kelima, Kerja-Kerja Pemuliharaan Struktur Tebing Dan Pagar JPS akibat Kerosakan Pasca Banjir Serta Kerja-Kerja Berkaitan Di Kg. Teluk Bidara, Dungun, RM50,000.00.

Dato’ Yang di-Pertua, berikut adalah beberapa senarai kerja yang telah dipohon melalui Peruntukan Kerajaan Negeri (P02) bagi tahun 2025 di sekitar Rantau Abang. Yang pertama, Kerja-Kerja Menaiktaraf Saliran Termasuk Kerja-Kerja Berkaitan Di Kg. Teluk Bidara, RM500,000.00. Yang kedua, Kerja-Kerja Penyelenggaraan Tebing Termasuk Kerja- Kerja Berkaitan Di Kg. Tanjung Jara, RM1,000,000.00. Yang ketiga, Kerja-Kerja Menaiktaraf Salian Termasuk Kerja-Kerja Berkaitan Di Kg. Paya Jara, RM1,000,000.00. Yang keempat, Kerja-Kerja Penyelenggaraan Tebing Termasuk Kerja-Kerja Berkaitan Di Kg. Nyior, RM500,000.00. Yang terakhir, Kerja-Kerja Penyelenggaraan Tebing Dan Saliran Termasuk Kerja-Kerja Berkaitan Di Kg. Alor Mak Bah, RM300,000.00. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat Cukai. Sila Yang Berhormat. Kita telah melalui soal-jawab Lisan kita selama sejam. Lanjutan daripada tu, saya akan buka juga untuk Yang Berhormat seterusnya hanya untuk mengemukakan soalan. Takdok soalan tambahan,

untuk bagi peluang kepada semua Yang Berhormat. Seterusnya saya persilakan Yang Berhormat Batu Rakit.

Mohd Shafizi bin IsmailPAS · PNBatu Rakit

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, izinkan saya nyatakan nombor soalan saya dengan serangkap pantun:

Pergi Ke Mekah buat Haji selamat sampai pulang Mabit di Mina acu nak tidur, kena hambak selalu, Terima kasih Yang Amat Berhormat MB beri peluang, Soalan saya nombor 2, Yang Berhormat Haji boleh jawab selalu.

Ketika berlaku peralihan Kerajaan Negeri pada 2018, didapati banyak taman-taman permainan dan prasarana sukan sudah rosak, bermula pentadbiran di bawah Kerajaan Negeri PAS, berapa banyakkah prasarana sukan dan taman-taman permainan ini seluruh negeri telah dibaik pulih?

Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Batu Rakit. Oleh kerana masa tidak mengizinkan, saya jawab terus soalan yang telah dikemukakan oleh Batu Rakit tanpa menjawab pantun tersebut. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, bermula tahun 2018, terdapat beberapa prasarana di bawah Majlis Sukan Negeri Terengganu yang telah dibaik pulih. Antaranya adalah Pembaikian Rumput Sintetik di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. Asalnya trek balapan, oleh kerana rosak teruk selepas daripada berlaku runtuhan bumbung dan pada waktu itu, kita juga telah menyelesaikan untuk membaikpulih padang bola sepak Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dengan menggunakan bajet yang telah diberikan oleh pihak Malaysian Football League, maka antara teguran yang dibuat oleh AFC adalah berkenaan dengan trek balapan tersebut. Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM1,185,150.00 untuk perkara tersebut. Yang kedua, kita juga mendapat teguran oleh pihak Liga Malaysia kesan daripada runtuhan bumbung Stadium Sultan Mizan, berlaku kebocoran air pada sebahagian daripada

bangunan dan beberapa bilik yang diperlukan pun menerima limpahan air setiap kali hujan. Pihak Kerajaan Negeri telah mengadakan satu usaha bagi memperbaiki sistem kalis air di Stadium Sultan Mizan dengan membelanjakan sebanyak RM1.4 juta dan siap sepenuhnya pada 2 Februari 2021. Yang ketiga, membaik pulih Kompleks Lapang Sasar Menembak di Gong Kuin. Sebagaimana yang diketahui, Lapang Sasar Menembak Gong Kuin ini telah dibina pada 2006 untuk kegunaan SUKMA pada tahun 2008. Pada 2016, pihak UPEN mengarahkan untuk mengosongkan kompleks ini untuk kegunaan perkara lain. Selepas daripada pengosongan, berlakulah kerosakan dan juga berlaku kecurian barang-barang dan juga fasiliti yang ada di tempat tersebut. Tahun 2020, bagi menyambung latihan pihak Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) telah memohon membaiki kompleks ini dan sekarang ia telah digunakan untuk latihan atlet SUKMA Terengganu. Kos untuk membaiki kompleks ini berjumlah RM268,858.00. Selain daripada itu, seluruh negeri, kita telah membuat usaha baik pulih untuk 52 prasarana sukan di semua negeri dengan membabitkan perbelanjaan sebanyak RM1.8 juta bermula 2019 sehingga 2023. Manakala taman-taman permainan, sebanyak 80 taman permainan telah dibaik pulih seluruh kawasan PBT di seluruh Negeri Terengganu dengan membabitkan kos sebanyak RM5.5 juta. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat Tepoh. Seterusnya, saya persila Yang Berhormat Wakil Langkap.

Azmi bin MaarofPAS · PNLangkap

Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, soalan saya nombor satu-

Pihak FELDA telah mengusahakan tanah seluas 13,686 hektar tanah milik Kerajaan Negeri bermula tahun 1985 tanpa dokumen hak milik sah Kerajaan Negeri. Apakah perkembangan rundingan antara Kerajaan Negeri dan Felda berkaitan isu tanah ladang sawit FGV?

Yang di-Pertua

Soalan nombor satu Yang Berhormat Jabi.

Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih Langkap. Untuk makluman Dewan, isu utama berkaitan dengan soalan daripada Langkap ialah tanah seluas 13,686 hektar sekitar 33 ribu ekar milik Kerajaan Negeri yang telah dibangunkan ladang sawit oleh FELDA sejak daripada tahun 1985. Kemudian pada tahun 2012, tanah ini telah diserahkan oleh FELDA kepada FGV dan telah diisytiharkan di bursa sebagai aset FGV. Selama hampir 40 tahun, FELDA mengusahakan tanah milik negeri tanpa dokumen hak milik yang sah dan Kerajaan Negeri tidak diberikan hak yang sepatutnya. Keuntungan dituai tetapi tuntutan Kerajaan Negeri dipandang ringan dan beberapa kali ruang perbincangan yang dibuka oleh Kerajaan Negeri tidak bersambut sebaiknya daripada pihak sebelah FELDA. Akhirnya dengan pendekatan yang lebih tegas, FELDA hadir ke meja rundingan dua kali pada 21.3.2024 dan 11.6.2024. FELDA diwakili oleh Pengarah Bahagian Tanah, Penasihat Undang-Undang FELDA, Pegawai Kewangan FELDA dan beberapa Pegawai Kanan FELDA. Bersama saya di pihak Kerajaan Negeri, Dato’ Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Pengarah Tanah dan Galian, Pejabat Perbendaharaan, UPEN, Pejabat-pejabat Tanah dan Daerah dan beberapa orang pegawai lagi. Fokus utama dalam rundingan ini ialah berikan hak rakyat Terengganu dalam bentuk premium tanah, cukai tanah dan juga profit sharing dengan izin, perkongsian keuntungan yang dituntut oleh Kerajaan Negeri sebanyak 30% gross profit. Dan untuk makluman Dewan, alhamdulillah persetujuan dasar telah dicapai dalam perbincangan pada bulan Jun lepas untuk FELDA menjelaskan tiga perkara penting tadi premium, cukai dan juga profit sharing. Cuma yang menjadi perbincangan agak detail ialah profit sharing. FELDA menawarkan nett profit. Kita berkeras untuk mendapatkan gross profit dan akhirnya mereka bersetuju untuk bayaran pada kadar gross. Kerajaan Negeri tuntut 30%, FELDA memberikan tawaran awal 15% dan angka ini belum lagi dimuktamadkan dan akan diperincikan secara lebih detail di peringkat working committee dan Kerajaan Negeri sebenarnya fleksibel dalam perundingan. Kita tidaklah akan berkeras pada kadar 30% sehingga tidak boleh dirunding atau tiada ruang langsung untuk perbincangan. Biarlah ada term memberi dan menerima dalam perundingan, yang paling penting sekali hak rakyat Terengganu mesti dikembalikan. Dan, ada beberapa perkara lagi yang sedang dirundingkan di antaranya keluasan sebenar tanah. Kerana daripada tahun 1985 sehingga sekarang ini, ada sebahagian daripada tanah telah diambil untuk projek LPT 2, diambil untuk projek ECRL dan beberapa kegunaan lain. Dan kita yakin insya-Allah satu jumlah angka yang agak besar akan menjadi

rezeki rakyat Terengganu apabila semuanya mampu diselesaikan. Insya-Allah. Doakan semoga urusan kami dipermudahkan. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat Jabi. Seterusnya saya persilakan Yang Berhormat Air Putih.

Mohd Hafiz bin AdamPAS · PNAir Putih

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,

Sukan Olimpik dah masuk hari ketiga, Soalan saya nombor tiga.

Selain Melaka, Terengganu kini merupakan destinasi pelancongan utama negara. Adakah Kerajaan Negeri merancang untuk membina sebuah pusat pelancongan yang boleh menjadi "Ikon Negeri” di Kemaman yang menjadi pintu masuk Utama ke Terengganu?

Datuk Haji Razali bin IdrisBERSATU · PNKijal

Terima kasih Dato’ yang di-Pertua. Terima kasih soalan daripada Air Putih sepertimana yang tertera.

Mercu tanda Ikonik Terengganu kini merupakan adalah Jambatan Angkat Kuala Terengganu atau dikenali sebagai Kuala Terengganu Drawbridge yang merupakan Ikon Pelancongan Baharu terbaik di Malaysia dan telah diiktiraf di dalam Anugerah Kecemerlangan Pelancongan Dunia 2020.

Walau bagaimanapun, pantai, pulau, tasik juga menggamit kehadiran pelancong sama ada dalam dan luar negara. Kerajaan Negeri merancang untuk membina pusat pelancongan supaya menjadi mercu pelancongan di setiap daerah-daerah termasuklah mercu pelancongan di daerah Kemaman untuk menjadi salah satu daya tarikan utama pelancong untuk melancong ke Negeri Terengganu sebagai pembuka jalan. Di antara prasarana pelancongan baru yang akan dilaksanakan di daerah Kemaman ialah recreational vehicle (RV) di Kemaman serta Kompleks Lemang Kijal. Oleh kerana royalti sangkut, maka rancangan terbantut. Walau

bagaimanapun, anggaran kehadiran pelancong ke Terengganu sehingga Jun sekitar 5,218,662 orang. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat Kijal. Seterusnya saya persilakan Yang Berhormat Bukit Tunggal.

Sr. Haji Zaharudin bin ZahidPAS · PNBukit Tunggal

Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. Soalan saya nombor dua-

Berapakah bilangan pusat jagaan swasta bagi pesakit mental atau pesakit terlantar di Negeri Terengganu dan apakah bantuan yang boleh diberikan oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan penjagaan pesakit-pesakit tersebut dapat dijaga dengan sempurna?

Yang di-Pertua

Terima kasih. Soalan nombor dua Yang Berhormat Ajil.

Terima kasih Bukit Tunggal dan terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Soalan dari Bukit Tunggal mempunyai dua pecahan. Satunya berapakah bilangan pusat jagaan swasta bagi sakit mental atau sakit terlantar. Untuk makluman warga Dewan, pada ketika ini tiada kemudahan perkhidmatan jagaan swasta yang berdaftar di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia yang menyediakan perkhidmatan penjagaan pesakit mental ataupun pesakit terlantar dan ini mungkin kerana Kerajaan masih mempunyai kemampuan untuk menangani kes-kes pesakit mental dan pesakit terlantar yang ada di Negeri Terengganu melalui Pusat Jagaan Kerajaan seperti di Unit Rawatan Psikiatri di Hospital Hulu Terengganu dan juga Pusat Rawatan Pesakit Terlantar di Rumah Ehsan di Bandar Al-Muktafi Billah Shah. Dan juga mungkin pesakit-pesakit mental kita atau pesakit terlantar ini mempunyai, masih lagi ada kemampuan di pihak keluarga untuk menjaganya.

Dan soalan yang keduanya adalah berkenaan apakah bantuan yang boleh diberikan oleh pihak Kerajaan. Sebenarnya apa-apa bantuan memang banyaklah saluran untuk diberi oleh pihak Kerajaan untuk membantu pusat-

pusat jagaan khususnya yang ada di pihak Kerajaan sendiri sama ada bantuan pihak Kerajaan Negeri boleh memberi bantuan kewangan, tenaga kerja dan juga kemudahan infra untuk pusat-pusat jagaan yang dimiliki oleh Kerajaan.

Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat Ajil, seterusnya saya persila Yang Berhormat Kuala Besut.

Haji Azbi bin SallehPAS · PNKuala Besut

Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua, soalan saya soalan satu.

Adakah sistem Telekomunikasi di seluruh Negeri Terengganu berada pada tahap yang memuaskan dan berapa peratuskah capaian internet?

Yang di-Pertua

Soalan yang pertama Yang Berhormat Kota Putera.

Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih kepada Kuala Besut tentang soalan yang dikemukakan. Jawapannya adalah Sistem Telekomunikasi di Negeri Terengganu berada dalam tahap yang memuaskan dan peratus pencapaian internet di Negeri Terengganu adalah 97.54% berbanding dengan tahun 2023, 93.68%.

Sedikit perincian kepada status setiap daerah Besut, capaiannya adalah 96.88%, Setiu 96.40%, Kuala Nerus 99.12%, Kuala Terengganu 100%, Marang 98.17%, Hulu Terengganu 96.16%, Dungun 96.01% dan Kemaman 97.24%. Puratanya adalah sepertimana yang saya sebutkan tadi 97.54% dalam keadaan memuaskan. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih, seterusnya Yang Berhormat Bukit Besi.

Ghazali bin SulaimanPAS · PNBukit Besi

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan saya soalan nombor dua-

Bagaimana pihak Kerajaan negeri boleh memudahcarakan aspek memberi sokongan dan bantuan kepada komuniti yang ingin bergiat dalam sektor pertanian yang berskala kecil/sederhana?

Yang di-Pertua

Soalan nombor dua.

Dato’ Yang di-Pertua, bagi rakyat ataupun komuniti yang ingin menceburi sektor pertanian secara skala kecil keluasan setengah ekar, satu ekar, dengan ini yang kita galakkan skala kecil tapi dilaksanakan secara intensif yang memberikan hasil yang optimum sepadan dengan keluasan.

Kerajaan Negeri sentiasa bersama untuk usahawan ataupun komuniti yang ingin menceburi sektor ini dan kita bantu dari beberapa aspek diantara isu utama yang dihadapi oleh pemain industri ini ialah tapak, nak buat dimana, tanah, boleh dimanfaatkan diantaranya Tanah-tanah Kekal Pengeluaran Makanan yang saya nyatakan ada sekitar 1,900 hektar tadi masih ada lagi yang kosong di beberapa daerah dengan kadar sewa yang sangat murah, RM150 per hektar setahun.

Yang kedua tanah-tanah rizab padang ragut masih boleh dimanfaatkan dan ingin menceburi sektor akuakultur kita ada Zon Industri Akuakultur. Yang kedua, bagi pemain yang memerlukan khidmat nasihat, latihan, bimbingan dari aspek teknikal, kursus-kursus jangka pendek dengan sentiasa diadakan secara berkala bagi menerapkan pemahaman tentang penggunaan kaedah-kaedah dan teknologi-teknologi terbaru dalam sektor pertanian dan kita juga memperuntukkan sejumlah peruntukan yang agak besar setiap tahun bagi penyaluran pelbagai bantuan input samaada untuk sektor pertanian, untuk penternakan dan juga untuk perikanan dan kalau nak masuk kepada sektor yang lebih besar yang memerlukan kepada pembiayaan daripada institusi kewangan tentunya jabatan bersedia untuk menyokong bagi rakyat kita maju dengan lebih jauh ke hadapan. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih, Yang Berhormat Jabi, seterusnya saya persilakan Yang Berhormat Sura.

Terima kasih kepada Dato’ Yang di-Pertua Dewan soalan saya soalan nombor satu.

Boleh nyatakan perlaksanaan indahnya hidup bersyariat dalam setiap program yang dianjurkan di Negeri Terengganu?

Yang di-Pertua

Sila Yang Berhormat…

Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih kepada Yang Berhormat Sura yang mengemukakan soalan.

Soalan berkait dengan pelaksanaan indahnya hidup bersyariat dan setiap program yang dianjurkan di peringkat Negeri Terengganu. Alhamdulillah, sebagaimana yang kita maklum kita Negeri Terengganu dari segi asasnya sangat teguh dengan dasar dan prinsip Islam maka kita comeykan lagi, oleh kerana itulah apa yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri pada penggal yang lepas sebenarnya terlalu agresif dari sudut untuk memastikan pelaksanaan syariat di Negeri Terengganu ini berjalan dengan baik dan tersusun dan pada Penggal ini kita memperkenalkan satu slogan yang dinamakan dengan “Indahnya Hidup Bersyariat” dan kita telah mengadakan banyak program-program melalui jabatan-jabatan dan agensi-agensi sama ada dalam bentuk pelaksanaan syariat dengan ruang dan bidang kuasa yang kita ada dan kita juga mengadakan program-program kesedaran kepada rakyat.

Apa yang penting ialah kita mahu mendidik rakyat berkait dengan pelaksanaan syariat ini ia bukan semata-mata Undang-undang Jenayah Syariah, Hudud, Qisas, ataupun Undang-undang Keluarga, nikah kahwin, talak ataupun Undang-undang yang berkait dengan pembahagian harta pusaka dan seumpamanya.

Syariat Islam ini adalah satu syariat yang sangat luas konsepnya yang merangkumi setiap sendi dalam kehidupan kita antaranya good governance sebagai contoh baru-baru ini satu kajian oleh pihak IDEAS telah meletakkan Negeri Terengganu ditempat pertama dalam indeks belanjawan terbuka Malaysia dari sudut ketulusan. Jadi ini adalah salah satu daripada apa yang disarankan oleh Syariat Islam. Jadi Insyallah kita akan terus meningkatkan program-program untuk menyedarkan rakyat, masyarakat, Umat Islam dalam negara kita yang telah diteruskan pada Penggal yang lepas seperti Program Madinah Ramadhan, Program Seminar Pengurusan Haji dan Umrah, Program Seminar Korban dan Akikah dan lain-lain lagi. Untuk dalam masa yang terdekat ini kita akan menganjurkan satu karnival yang kita namakan karnival “Indahnya Hidup Bersyariat” di peringkat negeri dan kita akan turun di peringkat semua DUN-DUN Insyallah.

Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat Wakil Kawasan Batu Buruk yang telah selesai. Alhamdulillah kita telah selesai mengemukakan Soalan-soalan Lisan yang telah diberi notis oleh Yang Berhormat-Yang Berhormat dan telah mendapat jawapan daripada pihak Kerajaan. Saya ucap terima kasih kepada semua Yang Berhormat yang telah mengemukakan soalan dan telah menjawab.

Saya melihat daripada aturcara kepada mesyuarat kita. Kita hanya ada satu Enakmen Yasayan Terengganu (pindaan) tahun 2024, saya cadang untuk kita menamatkan terus Dewan ini, dengan kita menyambung soal jawab kita dengan Enakmen ini terus kerana sampai makanan belaka doh, kira kita namat dengan makan tengah hari teruslah, insyallah, sebab Enakmen yang dibentang kali ini hanya tiga fasal sahaja, fasal yang pertama yang berkait dengan tajuk, yang kedua pindaan sedikit dan yang ketiga agak ringkas Enakmen yang berkaitan jadi saya cadang untuk kita teruskan persidangan kali ini. Teruskan S/U.

Setiausaha Dewan

Dipersilakan Yang Berhormat Dato’ Haji Satiful Bahari bin Mamat (Wakil Paka) untuk mengemukakan Rang Undang-Undang-

ENAKMEN YAYASAN TERENGGANU (PINDAAN) 2024

Bacaan Kali Yang Pertama

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan Rang Undang-Undang bernama Suatu Enakmen untuk meminda Enakmen Yayasan Terengganu 1972, dibaca bagi kali yang pertama.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon menyokong cadangan itu.

RANG UNDANG-UNDANG BERNAMA SUATU ENAKMEN UNTUK MEMINDA ENAKMEN YAYASAN TERENGGANU 1972, DIBACA KALI YANG PERTAMA

Bacaan Kali Yang Kedua

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan, saya mohon mencadangkan Rang Undang-Undang bernama Suatu Enakmen untuk meminda Enakmen Yayasan Terengganu 1972, dibaca bagi kali yang kedua.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Rang Undang-Undang ini bertujuan untuk meminda Enakmen Yayasan Terengganu 1972.

2.

Fasal 1 mengandungi tajuk ringkas dan peruntukan mengenai permulaan kuat kuasa Enakmen yang dicadangkan.

3.

Fasal 2 bertujuan untuk meminda proviso kepada subseksyen 9(3) Enakmen selaras dengan subseksyen 376(1) Kanun Tatacara Jenayah yang memperuntukkan sebagaimana yang berikut:

“Pendakwa Raya 376(1) Peguam Negara hendaklah menjadi Pendakwa Raya dan hendaklah mempunyai kawalan dan arahan atas segala pendakwaan dan prosiding

jenayah di bawah Kanun ini”

4.

Fasal 3 bertujuan untuk meminda subseksyen 10(1) Enakmen untuk memberi Lembaga kuasa untuk menubuhkan suatu tabung bagi maksud kebajikan dan pendidikan. Pindaan ini dibuat untuk memenuhi keperluan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk membolehkan pemotongan cukai diberikan di bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 [Akta 53].

IMPLIKASI KEWANGAN

Rang Undang-Undang ini tidak akan melibatkan Kerajaan Negeri dalam apa-apa perbelanjaan wang tambahan.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon menyokong cadangan itu.

Yang di-Pertua

Rang Enakmen ini telah mendapat sokongan bagi bacaan kali yang kedua. Sekarang saya buka untuk perbahasan-

Yang di-Pertua

Oleh kerana tiada perbahasan, kita teruskan pembentangan Rang Undang-Undang bernama Suatu Enakmen untuk meminda Enakmen Yayasan Terengganu 1972. Jadi sekarang saya buka kepada undian-

Cadangan supaya Rang Enakmen ini dibaca bagi kali yang kedua dihadapkan kepada mesyuarat dan dipersetujui dengan sebulat suara.

RANG UNDANG-UNDANG BERNAMA SUATU ENAKMEN UNTUK MEMINDA ENAKMEN YAYASAN TERENGGANU 1972, DIBACA BAGI KALI YANG KEDUA

Dalam Jawatankuasa

Yang di-Pertua

Mesyuarat sekarang menjadi Jawatankuasa.

RANG UNDANG-UNDANG BERNAMA SUATU ENAKMEN UNTUK MEMINDA ENAKMEN YAYASAN TERENGGANU 1972 TELAH DITIMBANGKAN DARI SATU FASAL KE SATU FASAL DAN TELAH DIPERSETUJUI DENGAN TIADA PINDAAN DENGAN SEBULAT SUARA

Yang di-Pertua

Mesyuarat balik semula

Bacaan Kali Yang Ketiga

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya maklumkan bahawa Rang Enakmen ini telah ditimbangkan dalam Jawatankuasa dan telah dipersetujui dengan tiada pindaan. Saya mohon mencadangkan supaya Rang Enakmen ini dibaca bagi kali yang ketiga dan diluluskan.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon menyokong cadangan itu.

Yang di-Pertua

Rang Enakmen ini telah mendapat sokongan untuk dibaca bagi kali yang ketiga dan diluluskan.

Cadangan supaya Rang Enakmen ini dibaca bagi kali yang ketiga dihadapkan kepada mesyuarat dan dipersetujui dengan sebulat suara.

Rang Undang-Undang Bernama Suatu Enakmen Untuk Meminda Enakmen Yayasan Terengganu 1972Bill

Yang di-Pertua

DIPERBUAT UNDANG-UNDANG INI OLEH KUASA UNDANGAN NEGERI TERENGGANU DARUL IMAN SEPERTI YANG BERIKUT:

1 (1) ENAKMEN INI BOLEHLAH DINAMAKAN

Enakmen Yayasan Terenganu (Pindaan)Bill

Yang di-Pertua

2024

(2) ENAKMEN INI HENDAKLAH MULA BERKUAT KUASA PADA 1 OGOS 2024

Yang di-Pertua

Rang Enakmen ini diluluskan dan menjadi Enakmen Yayasan Terengganu (Pindaan) 2024.

TangguhanAdjournment

Setiausaha Dewan

Perkara berikut di dalam Tertib Pekerjaan Dewan ialah tangguhan.

Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri bin MokhtarPAS · PNMenteri Besar · Ru Rendang

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan supaya Persidangan Dewan ditangguhkan kepada suatu masa yang akan ditetapkan kemudian.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar dan Ahli-ahli yang Berhormat sekalian. Sebelum saya tangguhkan Persidangan Dewan ini saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih di atas kerjasama yang telah diberikan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat, ketua-ketua jabatan, para pemerhati dan media. Akhirnya saya tangguhkan Persidangan Dewan ini ke suatu masa dan tarikh yang akan ditetapkan kemudian dan marilah kita sama-sama membaca Tasbih Kifarah dan Surah Al-’Asr.

MESYUARAT DITANGGUHKAN PADA PUKUL 11.30 PAGI