Terengganu · 18 November 2024
15th Assembly, 2nd session, 3rd meeting · 77 turns · 10,484 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalTerengganu publishes one PDF per meeting, with the written answers appended. Speakers are matched by our parser and will have some errors.
(Pembukaan)
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Sebelum memulakan Persidangan Dewan pada pagi ini, marilah kita bersama-sama membaca Ummul Kitab Al-Fatihah.
(Al-Fatihah)
Perkara pertama di dalam Tertib Pekerjaan Dewan ialah Doa oleh Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan.
DOA
Dibaca oleh Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan.
Ucapan Yang Berhormat Dato’ Yang Di-Pertua Dewan
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Perkara berikut di dalam Tertib Pekerjaan Dewan ialah Ucapan oleh Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan.
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan, para Pemerhati, Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian.
Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta’ala kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya, kita dapat berhimpun di Dewan yang mulia ini bagi meneruskan agenda persidangan Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Kelima Belas.
Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih atas kehadiran dan komitmen semua Ahli Yang Berhormat, para pegawai, dan semua yang terlibat dalam menjayakan persidangan kali ini. Harapan saya agar Sidang pada kali ini akan dipermudahkan serta dapat berjalan dengan lancar, penuh adab dan tertib, demi kepentingan serta kesejahteraan rakyat Negeri Terengganu yang kita cintai.
Terlebih dahulu, izinkan saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mantan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja Dato' Seri Tengku Farouk Hussin bin Tengku Jalil, atas segala jasa bakti yang telah dicurahkan selama memegang jawatan tersebut. Kepimpinan, dedikasi, dan kesungguhan beliau dalam menjalankan amanah amatlah dihargai oleh seluruh rakyat negeri ini.
Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Dato’ Nara Setia, yang baru sahaja dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu yang baharu. Semoga dengan pengalaman dan kebijaksanaan yang dimiliki, beliau mampu memacu pentadbiran Negeri ke arah yang lebih cemerlang dan berkesan. Begitu juga ucapan tahniah juga saya ucapkan kepada Yang Berhormat Dato' Haji Mohd Azmi Bin Mohamad Daham, yang juga baru sahaja dilantik sebagai Pegawai Kewangan Negeri yang baharu dan masih belum terlambat untuk saya mengalu-alukan kedatangan Yang Berhormat Penasihat Undang-undang Negeri Terengganu yang telah memulakan tugas pada September yang lalu serta rakaman penghargaan yang tidak terhingga kepada mantan Penasihat Undang-Undang, Yang Berbahagia Dato’ Razali Bin Che Ani atas sumbangan yang telah diberikan kepada Negeri Terengganu. Dalam konteks kepimpinan, apabila semua bergerak ke arah yang sama, kejayaan pasti lebih mudah, insya-Allah.
Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Sidang pada kali ini akan memfokuskan kepada pembentangan Belanjawan Negeri untuk Tahun 2025. Rang Undang-Undang Perbekalan akan dibentangkan dengan tujuan untuk memastikan kelangsungan pembangunan, ekonomi, dan kesejahteraan rakyat Negeri Terengganu. Saya percaya bahawa perbincangan yang bakal diadakan akan membawa manfaat yang besar kepada seluruh Negeri.
Selain itu, beberapa Rang Undang-Undang lain juga akan turut dibawa untuk dibincangkan demi menambah baik pentadbiran Negeri, termasuklah Enakmen Perbekalan 2025 dan Enakmen Tanah Simpan Bagi Orang-Orang Melayu (Pindaan) 2024. Pembentangan Kertas-Kertas Kerja dan Laporan-Laporan penting yang juga akan disertakan sebagai sebahagian daripada agenda Sidang.
Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli-ahli Yang Berhormat, tuan-tuan yang dikasihi sekalian, saya ingin merakamkan sepenuh penghargaan dan tahniah kepada Kerajaan Negeri atas semangat yang berterusan dalam usaha membangunkan Negeri Terengganu, walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran yang mendatang, termasuklah dengan kekangan kewangan yang tidak dapat dielakkan.
Sidang Bajet pada kali ini mempunyai kepentingan yang amat besar, bukan hanya untuk memastikan kelangsungan pembangunan negeri tetapi juga sebagai landasan untuk merangka strategi yang mampan dan berkesan bagi tahun-tahun yang mendatang. Bajet yang bakal dibentangkan diharap dapat memberikan keutamaan kepada kesejahteraan rakyat dan memperkukuhkan lagi struktur ekonomi negeri ini.
Saya juga ingin menekankan bahawa semangat federalisme perlu terus disemai antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri. Keharmonian serta kerjasama erat antara kedua-dua pihak amat penting untuk memastikan kejayaan usaha pembangunan negeri, di samping memperkukuh ikatan setiakawan yang menjadi tunjang kepada kemakmuran negara kita. Sokongan dan bantuan daripada Kerajaan Pusat akan membolehkan Terengganu mencapai potensi terbaiknya serta memenuhi keperluan rakyat dengan lebih efisien dan berkesan.
Justeru, saya berharap agar Sidang Bajet kita hari ini akan menjadi medan untuk kita memperkukuhkan lagi hubungan dan memastikan pembangunan negeri terus berjalan lancar.
Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan yang saya kasihi sekalian, suka saya untuk berkongsi sedikit perkembangan dari sudut badan legislatif di negara kita pada hari ini. Sebagai contoh, Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Se-Malaysia telah diadakan pada September 2024 bertempat di Kuching, Sarawak. Persidangan ini secara kolektifnya telah mempergiatkan peranan badan perundangan sebagai mekanisme semak dan imbang terhadap badan eksekutif serta penyalur pandangan rakyat. Persidangan itu juga telah menekankan pentingnya pemisahan kuasa antara Badan Perundangan, Eksekutif dan Kehakiman untuk memastikan keberkesanan fungsi Badan Perundangan. Pada masa yang sama, keperluan memperkukuhkan peranan Dewan dalam melancarkan mesyuarat serta meningkatkan penyertaan golongan belia dalam institusi perundangan, turut diiktiraf.
Persidangan ini telah berjaya membentuk beberapa resolusi utama, termasuk gesaan untuk menjamin autonomi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri melalui undang-undang khusus, seperti Rang Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen. Cadangan lain termasuklah pemisahan tugas Dewan Undangan Negeri dari peranan eksekutif dan pengiktirafan setara bagi Yang di-Pertua Dewan dengan kemudahan yang sesuai. Resolusi ini juga menggalakkan pengukuhan kerjasama antara Dewan Undangan Negeri dan Parlimen, peningkatan perkhidmatan penyelidikan, serta menjadikan Persidangan Setiausaha Parlimen dan Dewan Undangan Negeri sebagai acara tahunan.
Selain itu juga, di peringkat antarabangsa pula, Persidangan Parlimen Komanwel ke-67, yang berlangsung di Sydney, Australia dari 3 hingga 8 November 2024, telah menghimpunkan lebih daripada 700 ahli Parlimen dan pegawai dari seluruh negara Komanwel. Persidangan ini bertemakan “Menyantuni, Memberdaya, Melestarikan, Menerajui Demokrasi Yang Tahan Uji,” mencerminkan komitmen bersama untuk memperkukuhkan ketahanan demokrasi di tengah-tengah pelbagai cabaran global ini. Ia juga menekankan pentingnya keterlibatan aktif rakyat dan memperkasakan golongan semua pihak dalam sistem perundangan, dengan harapan agar setiap lapisan masyarakat dapat memainkan peranan dalam menyokong kestabilan politik dan sosial.
Dewan Undangan Negeri telah menyatakan kesediaannya untuk menyambut baik segala usaha pemerkasaan badan legislatif, sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Kita akan komited untuk terus meningkatkan profesionalisme, ketelusan, dan keberkesanan institusi ini dalam menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan oleh rakyat. Mudah-mudahan Ahli-ahli Dewan yang hadir, di dalam Dewan Yang Mulia pada hari ini akan memberikan peranannya yang penting sebagai check and balance terhadap Kerajaan yang ada.
Sebagai memastikan kelancaran dan keberkesanan sidang kali ini, saya menyeru agar semua Ahli Yang Berhormat dapat merujuk kepada Buku Peraturan Dewan dalam setiap aspek perbahasan dan keputusan yang dibuat.
Saya juga mengharapkan agar setiap Ahli Yang Berhormat dapat berbahas dengan penuh kematangan, menggunakan hujah-hujah yang bernas serta berdasarkan fakta dan bukti yang kukuh. Pendekatan ini tidak hanya memaparkan ketinggian adab dan profesionalisme setiap wakil rakyat, tetapi juga membolehkan kita mencapai keputusan yang lebih objektif serta berasaskan kepentingan rakyat dan negeri ini.
Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, saya ingin menyeru kepada semua Ahli Yang Berhormat agar terus melaksanakan tugas dan amanah dengan penuh tanggungjawab, integriti, dan keikhlasan. Semoga segala usaha kita sepanjang persidangan ini dapat membawa manfaat yang besar kepada negeri Terengganu dan rakyatnya dan Allah mengurniakan ganjaran pahalanya di Akhirat.
Marilah kita bersama-sama menjadikan sidang kali ini sebagai platform untuk memperkukuh perpaduan, meningkatkan keberkesanan, pentadbiran dan membentuk dasar-dasar yang memberi impak positif kepada semua lapisan masyarakat.
Dengan lafaz
,saya membuka Persidangan Mesyuarat Ketiga, Penggal Kedua (Persidangan Bajet) Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas. Sekian.
Kertas-Kertas Kerja Dan Laporan-Laporan
Perkara seterusnya di dalam Tertib Pekerjaan Dewan ialah KERTAS-KERTAS KERJA DAN LAPORAN-LAPORAN.
Kertas-kertas kerja dan laporan-laporan yang dibentangkan ialah:
1 Anggaran Hasil Dan Perbelanjaan Tahun 2025
(D.U.N. Bil.11/2024)
2 Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Negeri Tahun 2025
(D.U.N. Bil.12/2024)
3 Anggaran Perbelanjaan Kumpulan Wang Bekalan Air Tahun 2025
(D.U.N. Bil.13/2024)
4 Tambahan Peruntukan Bekalan Pertama 2024
(D.U.N. Bil.14/2024)
5 Penyata Kewangan Negeri Terengganu Tahun 2023
(D.U.N. Bil.15/2024)
6 Laporan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM)
(D.U.N. Bil.16/2024)
7 Penyata Tahunan 2023 Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri Terengganu
(D.U.N. Bil.17/2024)
Soalan-Soalan Yang Telah Diberi NotisQuestions
Perkara berikut ialah Soalan-soalan Yang Telah Diberi Notis:
(1) Soalan-soalan Bertulis.
(2) Soalan-soalan Lisan.
Soalan-Soalan LisanQuestions
Jawapan-jawapan kepada Soalan-soalan Bertulis telah diberi notis dan telah dibentangkan di hadapan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian ialah soalan-soalan daripada:
1.
Yang Berhormat Wakil Bandar 2.
Yang Berhormat Wakil Jertih 3.
Yang Berhormat Wakil Buluh Gading 4.
Yang Berhormat Wakil Kemasik 5.
Yang Berhormat Wakil Ladang 6.
Yang Berhormat Wakil Pengkalan Berangan 7.
Yang Berhormat Wakil Seberang Takir 8.
Yang Berhormat Wakil Permaisuri 9.
Yang Berhormat Wakil Rantau Abang 10.
Yang Berhormat Wakil Batu Rakit 11.
Yang Berhormat Wakil Langkap 12.
Yang Berhormat Wakil Air Putih 13.
Yang Berhormat Wakil Telemung 14.
Yang Berhormat Wakil Bukit Tunggal 15.
Yang Berhormat Wakil Kuala Besut 16.
Yang Berhormat Wakil Bukit Besi 17.
Yang Berhormat Wakil Sura
SOALAN-SOALAN LISAN
Sekarang kita masuk kepada Soalan-soalan Lisan. Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah memberi notis untuk mengemukakan Soalan-soalan Lisan pada 18 November 2024 adalah sebagaimana berikut:
1.
Yang Berhormat Wakil Bandar 2.
Yang Berhormat Wakil Jertih 3.
Yang Berhormat Wakil Kuala Berang 4.
Yang Berhormat Wakil Buluh Gading 5.
Yang Berhormat Wakil Kemasik 6.
Yang Berhormat Wakil Ladang 7.
Yang Berhormat Wakil Pengkalan Berangan 8.
Yang Berhormat Wakil Manir 9.
Yang Berhormat Wakil Seberang Takir
10.
Yang Berhormat Wakil Permaisuri 11.
Yang Berhormat Wakil Hulu Besut 12.
Yang Berhormat Wakil Rantau Abang 13.
Yang Berhormat Wakil Batu Rakit 14.
Yang Berhormat Wakil Langkap 15.
Yang Berhormat Wakil Air Putih 16.
Yang Berhormat Wakil Telemung 17.
Yang Berhormat Wakil Bukit Tunggal 18.
Yang Berhormat Wakil Kuala Besut 19.
Yang Berhormat Wakil Bukit Besi 20.
Yang Berhormat Wakil Sura
Sebelum saya mempersilakan Yang Berhormat untuk mengemukakan soalan, suka saya meraikan pemerhati-pemerhati Sidang pada kali ini daripada Maahad Tahfiz Quran Terengganu, Saudara Zainuddin bin Mohd, UMNO Negeri Terengganu, Mohd Hanafiah bin Ismail, Urusetia Belia Sukan dan NGO Negeri Terengganu bersama dengan komuniti Orang Asli Sungai Pergam, Pusat Khidmat Masyarakat N27 ADUN Sura, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Langkap, Pejabat Khidmat Masyarakat ADUN Jabi, Pusat Khidmat ADUN Pengkalan Berangan, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Hulu Besut, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Payung, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Kuala Besut, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Ayer Putih, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Ladang, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Besi, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Alur Limbat, Persatuan Usahawan Wanita Terengganu (Usahanita), Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Kijal, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Tepoh, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Kemasik, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Telemong, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Buluh Gading, Pertubuhan Kebajikan Wanita Dinamik Terengganu, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Ajil, Pusat Khidmat DUN Bukit Tunggal, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Permaisuri, Urusetia Wanita Terengganu, Pertubuhan Kebajikan Wanita Sepakat Terengganu, Pertubuhan Kebajikan Wanita Islam Sejahtera, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Manir, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Rakit, Ahmad Huzaifah bin Mohamad Nor, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Jertih, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Seberang Takir dan semua pemerhati yang kemungkinan tidak sempat saya sebut nama-namanya, ucap terima kasih.
Seterusnya saya persilakan Yang Berhormat ADUN Bandar untuk mengemukakan soalan. Dipersilakan.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang Di-Pertua. Saya memilih soalan nombor dua-
Kerajaan Negeri Terengganu dilihat sangat aktif di dalam usaha memperkayakan hasil laut dengan melabuhkan tukun-tukun tiruan, tetapi dalam masa yang sama terdapat ancaman dari nelayan asing yang menjejaskan hasil tangkapan. Bolehkah pihak Kerajaan Negeri menerangkan langkah-langkah yang diambil untuk mengatasi masalah ini?
Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih Wakil Bandar, rakan-rakan Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan dan Pemerhati yang dihormati sekalian.
Bermula pada tahun 2006 sehingga 2024, sebanyak 1,579 unit tukun tiruan pelbagai jenis telah dilabuhkan di perairan Terengganu melibatkan kos lebih RM18 juta. RM13 juta lebih adalah dari dana Kerajaan Negeri manakala bakinya adalah sumbangan daripada Kerajaan Persekutuan. Dalam satu kajian keberkesanan Tukun Tiruan yang dilaksanakan oleh Jabatan Perikanan Malaysia bersama dengan IPT Tempatan. Antara dapatannya ialah, purata kepadatan ikan di tukun-tukun tiruan di Pantai Timur Semenanjung sebagai bandingan kepadatan ikan di Tukun Terengganu 70.5%, Tukun Kelantan 3.1%, Tukun Pahang 50%, dan Johor Timur 60.5%. Kepadatan ikan yang tinggi di Perairan Terengganu adalah rahmat bagi nelayan kita. Tapi dalam masa yang sama ia mengundang pencerobohan sama ada daripada nelayan asing ataupun nelayan negeri jiran.
Di antara langkah-langkah yang diambil bagi mengatasi masalah pencerobohan nelayan asing ialah, yang pertama peningkatan pemantauan dan penguatkuasaan maritim. Kerajaan Negeri sentiasa bekerjasama dengan agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Perikanan dan polis Marin untuk
meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan di kawasan perairan Negeri Terengganu seluas kira-kira 87,000 kilometer persegi.
Yang kedua, pemasangan sistem pengesanan automatik. Setiap nelayan tempatan bagi bot Zon C dan Zon C Dua, diwajibkan untuk memasang Mobile Tracking Unit dengan izin, MTU bagi memudahkan pemantauan lokasi dan identifikasi, di mana ia dapat membantu pihak berkuatkuasa mengenalpasti dan membezakan antara vesel tempatan dan juga kapal-kapal asing yang memasuki perairan negara secara haram.
Yang ketiga, kempen kesedaran dan pendidikan kepada nelayan tempatan. Supaya nelayan tempatan kita memahami hak dan peranan mereka dalam menjaga perairan termasuklah melaporkan kegiatan-kegiatan nelayan terutama nelayan asing yang melanggar Akta Perikanan 1985. Khususnya, dalam isu pencerobohan dan mereka boleh menghubungi Pusat Komunikasi Hotline Jabatan Perikanan Malaysia di talian 03-88885019, ataupun menghubungi mana-mana Pejabat Perikanan Daerah secara segera, supaya tindakan susulan boleh diambil oleh agensi-agensi penguatkuasaan kita.
Yang keempat, pembangunan tukun tiruan, program tukun ini bukan hanya sekadar sebagai rumah ikan, tapi dalam masa yang sama bertindak sebagai penampan bagi aktiviti pukat tunda. Pada tahun 2023, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan telah berkenan merasmikan Projek Garisan Sempadan Tukun di Pesisir Pantai Terengganu, sepanjang 245 kilometer di mana kita mensasarkan pantai kita sepanjang 245 kilometer pada jarak kira-kira 5 batu nautika daripada garisan pantai bagi setiap kilometer, kita nak tempatkan satu kelompok tukun yang akan memjadi menjadi zon penampang, bagi menghalang aktiviti pukat tunda dan melindungi zon tangkapan nelayan pantai.
Yang kelima, perundangan yang lebih tegas dan kadar denda yang lebih tinggi. Mengikut pindaan Akta Perikanan 1985, denda maksimum bagi pemilik vesel asing ataupun tekong Bot Nelayan Asing yang menceroboh perairan Malaysia bagi tujuan penangkapan ikan boleh mencecah RM6 juta. Manakala bagi “awak-awak”, denda bagi setiap “awak-awak”
adalah maksimumnya RM600,000.00 setiap seorang. Di samping vesel boleh dirampas dan dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia. Kalau statistik tangkapan daripada tahun 2018 sehingga 2024 sebanyak 196 bot nelayan asing telah ditahan oleh agensi-tempatkan satu kelompok tukun yang akan menjadi zon penampang,
agensi penguatkuasaan negara kita antaranya oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Perikanan dan Polis Marin. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Jabi. Ada soalan tambahan?
Terima kasih Yang Berhormat EXCO. Terima kasih Yang Berhormat Yang di-Pertua. Saya ada soalan tambahan. Melihat kepada suasana yang masih berterusan dengan pencerobohan nelayan asing ini kemungkinan tindakan kita belum cukup tegas. Dan memang mengganggu dari sudut nelayan-nelayan tempatan ini. Jadi saya minta supaya Yang Berhormat EXCO boleh memberi gambaran setakat mana tindakan-tindakan yang telah kita kenakan kepada nelayan-nelayan asing dan bot mereka.
Terima kasih Wakil Bandar. Kita tertakluk kepada Undang-Undang Antarabangsa. Tak boleh kita nak bom setiap kapal nelayan asing yang masuk ke perairan kita, tapi setiap tindakan mestilah melalui proses mahkamah, di mana proses pendakwaan dibuat di bawah Akta Perikanan Malaysia 1985. Jika kita disabitkan bersalah, boleh dikenakan denda kadar maksimum bagaimana saya maklumkan tadi, RM6 juta pada tuan punya bot ataupun tekong dan RM600,000 bagi “awak-awak”, atau penjara dua tahun, atau kedua-duanya sekali dan vesel yang dirampas dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia. Cuma setakat kes-kes tangkapan yang dibicarakan, semuanya telah disabitkan bersalah, tapi tak ada nelayan yang bayar denda. Semuanya lebih memilih hukuman penjara dan vesel yang dirampas sebahagian besarnya akan melalui proses pelupusan untuk ditenggelamkan sebagai tukun-tukun tiruan di perairan Terengganu sebagai balasan kepada aktiviti pencerobohan, kita ganti dengan aktiviti untuk memperkayakan lagi sumber perikanan di perairan kita. Terima kasih.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Jabi…
Boleh mencelah Kuala Berang?
Sila.
Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. Saya nak tanya satu soalan berkaitan dengan memperkayakan hasil laut inilah. So antaranya masalah pukat kokot ataupun pukat tunda. Jadi, ada cadangan untuk dihapuskan lesen-lesen tersebut?
Saya tengok tindakan di peringkat Kerajaan Persekutuan kerana ini adalah bawah bidang kuasa Federal. Mungkin sebagai tindakan penghapusan aktiviti pukat tunda secara berperingkat bukan secara mengejut, zon untuk aktiviti pukat tunda ini dijauhkan daripada pantai. Sekarang ini SPAH daripada 12 batu nautika dibenarkan aktiviti pukat tunda dan sedang dibuat kajian supaya bot-bot pukat tunda beroperasi lebih jauh daripada 12 batu nautika supaya jarak yang lebih dekat dengan pantai kita fokuskan kepada nelayan Zon A dan juga nelayan Zon B. Tapi masalah pukat tunda ini tidak akan selesai selagi tidak ada satu tindakan tegas dan tuntas untuk dibatalkan keseluruhan lesen pukat tunda dan mengharamkan mereka daripada beroperasi di perairan Negara kita. Terima kasih.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Jabi. Sebelum saya persilakan Yang Berhormat seterusnya untuk mengemukakan soalan, saya bercadang untuk memberi ruang kepada semua Yang Berhormat untuk mengemukakan soalan. Oleh kerana itu saya akan bagi peluang kepada semua Yang Berhormat untuk mengemukakan soalan asal, kemudian satu soalan tambahan. Silakan Yang Berhormat Jertih.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Jertih soalan nombor dua-
Berapakah jumlah pesakit mental yang berdaftar di antara 2018 sehingga 2023?
Sila Yang Berhormat Wakaf Mempelam.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-Ahli Majlis Kerajaan Negeri, Ahli-Ahli Yang Berhormat, Ketua-Ketua Jabatan dan Wakil seterusnya pemerhati yang dirahmati Allah sekalian. Terima kasih kepada Jertih yang bertanyakan soalan berkenaan dengan jumlah pesakit mental yang berdaftar di antara 2018 hingga 2023.
Untuk makluman Jertih dan juga Dewan, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu sebenarnya tidak mempunyai angka yang tepat tentang jumlah penyakit ataupun jumlah pesakit-pesakit mental pada setiap tahun. Data yang direkodkan di pejabat adalah berdasarkan kepada kehadiran pesakit-pesakit yang pergi mendapatkan rawatan sama ada di hospital mahupun di pusat-pusat ataupun klinik-klinik kesihatan sepanjang 2018 sehingga 2023. Data yang ada seperti yang berikut:
TAHUN 2018 2019 2020 2021 2022 2023 JUMLAH PESAKIT 24,562 19,645 21,478 29,896 31,617 34,540
Seperti yang saya nyatakan awal, jumlah ini tidak menunjukkan jumlah pesakit mental yang sebenar kerana ini adalah jumlah kehadiran pesakit ke hospital dan klinik kesihatan dan termasuklah pesakit-pesakit yang datang secara ulangan. Ertinya yang mari dua tiga empat kali pun termasuk dalam data yang telah pun saya berikan. Cuma daripada data yang ada itu setiap tahun kes-kes baru yang melibatkan pesakit-pesakit baharu adalah di antara enam hingga sepuluh peratus berdasarkan pada rekod yang ada pada setiap tahun. Terima kasih.
Sila.
Terima kasih Yang Berhormat EXCO, saya rasa isu pesakit mental sangat serius di negeri kita dan merosakkan citra ataupun imej negeri kita dengan slogan kita Maju, Berkat, Sejahtera dan merosakkan citra sebagai negeri pelancongan yang sangat popular. Baik, yang pertama soalan tambahan, boleh Yang Berhormat nyatakan berapakah jumlah pesakit mental mengikut daerah dan hospital manakah yang merawat pesakit mental di Negeri Terengganu. Yang kedua, bolehkah Yang Berhormat nyatakan berapa jenis penyakit mental dan apakah jenis rawatan yang diberikan kepada pesakit mental? Terima kasih.
Terima kasih Jertih…
Yang Berhormat Wakaf Mempelam. Soalan tambahan mukadimah daripada Jertih tadi sebut pesakit mental di Negeri Terengganu ini serius itu betul ke ataupun macamana Yang Berhormat Wakaf Mempelam tambah sikit.
Sebenarnya penyakit mental ini adalah penyakit yang berada dan berlaku di seluruh negara sebenarnya dan sesuai dengan peredaran masa dan juga kecanggihan yang ada sekarang ini memanglah koho ramai orang-orang yang mengalami sakit mental, tambah sekarang ini ada satu penyakit yang dulunya tidak berapa nak ada, sakit anxiety contohnya. Dulu dok berapa nok ada anxiety ini tetapi sekarang ada. Jadi dengan demikian bertambahlah penyakit-penyakit ataupun pesakit-pesakit yang menghidap penyakit mental ini tetapi jumlah yang ada di Negeri Terengganu masih lagi terkawal, Yang Berhormat Jertih. Jadi jangan bimbanglah dan bila kita sebut mental ini bukan maksud gila. Ada yang gila betul tapi ada yang bukan buat-buat gila tetapi ada yang boleh dirawat dan juga diubati. Sebagai satu contoh di Terengganu kita ini ada satu pusat rawatan pesakit mental yang ada di Hulu Terengganu. Rakan-rakan daripada Hulu Terengganu mungkin tahu tentang pusat perkhidmatan mental di Hospital Hulu Terengganu yang merawat…
Celah sikit. Tadi Yang Berhormat EXCO kata sesuai dengan peredaran zaman itu rasa guane tu boleh panjangkan sikit? (Ketawa).
Jadi panjang ni Yang Berhormat. (Ketawa). Okey, saya nak cerita tentang pusat rawatan pesakit mental di Hospital Hulu Terengganu yang merupakan salah satu daripada tiga ataupun empat pusat kesihatan yang disediakan khas untuk rawatan pesakit mental ini di mana saya pernah berjumpa dengan pesakit-pesakit mental ini, dua ataupun tiga tahun yang lepas dalam satu program yang kebetulan dibuat di tepi sungai kawasan peranginan, bukan kawasan peranginan, kawasan perkelahanlah di Hulu Terengganu rasanya. Kebetulan saya berjumpa dan mereka tengok saya dan dia jemputlah untuk saya menyertai sama dalam program tersebut dan saya dijemput untuk menyampaikan hadiah kepada peserta-peserta yang ada dan setelah saya bertanya mereka ini siapa, doktor yang berkenaan beritahu mereka ini adalah pesakit-pesakit mental yang diberi rawatan di hospital pesakit mental di Hulu Terengganu. Saya kata ye ke sakit mental? Dia kata ya. Dia tanya bakpe YB? Dok nampak macam sakit mental pun? Ertinya rawatan yang diberikan itu apabila kena dengan kaedah dan caranya, maka alhamdulillah boleh memberi satu kesan yang cukup hebat dan oleh kerana itulah tidak pelik apabila sekarang ini Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, kita ada juga sukan yang melibatkan pesakit-pesakit mental dan saya juga pernah memberikan bantuan untuk penyediaan barangan sukan sama ada t-shirt ataupun kasut dan sebagainya kepada atlet-atlet pesakit mental yang menyertai Sukan Pesakit Mental Se-Malaysia. Haa itu dia. Jadi nak beritahu juga makna sakni itu suasana dan keadaan yang ada sekarang ini di negara kita. Pun begitu insya-Allah tidak semua pesakit mental yang serius, ada di antara mereka yang boleh diubati bila mana kena dengan cara pengubatannya dan kaedah agama di antara kaedah yang sangat baik khususnya penyakit anxiety. Anxiety ini bahasa mudah gak gi sejid gi sura beriman kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala, percaya qada dan qadar insya-Allah boleh menyembuh penyakit ini. Berkenaan dengan jumlah pesakit-pesakit di setiap daerah, Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, di Kuala Terengganu daripada 2018 sehingga September 2024, jumlahnya adalah di antara 12,000 hingga 15,000 orang, jadi ini termasuk kes yang berulang ye, bukan menggambarkan jumlah itu, jumlah orang 12,000 ini adalah jumlah 12,000 yang datang untuk mendapatkan rawatan di hospital dan juga klinik termasuk pesakit-pesakit yang berulang itu di Kuala Terengganu. Kuala Terengganu ini termasuklah di Kuala Nerus.
Di Kemaman, jumlahnya adalah di antara daripada 2018 hingga 2024, sehingga September di antara 4,140 hingga 10,712 yang mendapatkan rawatan di
hospital. Di Dungun, di antara 1,122 hingga 1,999 di Dungun. Di Besut di antara 1,232 hingga 2,825 ni di Besut, Yang Berhormat. Di Hulu Terengganu di antara 2,857 dan semakin berkurangan kes-kes itu sehingga kepada 1,320 September. Di Setiu, di antara 307 hingga 589 kes daripada 2018 hingga September 2024, menjadikan jumlah keseluruhan di antara 24,562 sehingga 28,014 termasuk kes-kes yang berulang seperti yang telah saya nyatakan tadi dan selain daripada hospital pesakit mental yang telah saya nyatakan yang ada di Hulu Terengganu, sebenarnya semua hospital dan klinik di negeri ini menyediakan perkhidmatan rawatan pesakit mental Hospital Sultanah Nur Zahirah yang merupakan hospital negeri dilengkapi dengan kepakaran Psikiatri Am dan juga beberapa bidang sub kepakaran yang lain dan juga hospital-hospital daerah yang lain termasuklah Hospital Dungun, Kemaman, Besut dan juga Hulu Terengganu yang mempunyai pakar psikiatri masing-masing. Manakala di Setiu, dilawati oleh pakar daripada Hospital Besut setiap dua minggu sekali. Selain daripada itu juga perkhidmatan rawatan psikiatri komuniti daripada hospital itu ialah, lawatan daripada rumah ke rumah juga diadakan untuk menziarahi pesakit-pesakit yang mempunyai halangan untuk pergi ke hospital ataupun takut pergi ke hospital dan sebagainya lagi dan antara yang utama juga adalah di Negeri Terengganu ini adalah dua buah Pusat Kesihatan Mental Masyarakat ataupun (MENTARI) iaitu di klinik Kesihatan Wakaf Tapai dan juga Hospital Sultanah Nur Zahirah yang membolehkan anggota-anggota masyarakat mendapatkan saringan dan juga rawatan kesihatan mental dengan lebih cepat lagi insya-Allah dan Yang Berhormat juga tanya tentang jenis-jenis penyakit mental dan juga cara bagaimana kita merawat ini. Untuk makluman Yang Berhormat juga analisa jenis-jenis penyakit mental yang dirawat di klinik-klinik pakar psikiatri dan klinik kesihatan daripada 2023 hingga sekarang ini menunjukkan 33% kes adalah kemurungan, diikuti 16% kes keresahan ataupun anxiety hok saya sebut tadi. Corak yang sama ditunjukkan pada 5 tahun kebelakangan ini di mana kes-kes kemurungan dan keresahan ini merupakan diagnosis utama kes-kes baru dan penyakit-penyakit psikiatri mejar seperti skizofrenia dan bipolar pula, peningkatan yang agak ketara dengan insiden kes baru di antara 7 hingga 10% setahun dan kes-kes psikiatri mejar dan juga sustain induce psikosis merupakan penyumbang utama kepada kemasukan ke wad-wad psikiatri ini, dan di antara cara rawatan yang kita lakukan adalah melibatkan psikoterapi dan juga ubatan-ubat anti depresen dan Electroconvulsive Therapy (ECT) bagi kes-kes yang teruk. Yang Berhormat Kuala Berang mungkin tahu dengan lebih lanjut lagilah apa yang saya sebut ini, dan selain daripada itu, JKNT mempunyai perancangan jangka masa panjang
dan pendek untuk merawati penyakit mental ini. Di antaranya adalah menjalankan program pendidikan kesihatan awam berkaitan kesihatan mental dan kaedah mengatasi stress dalam kalangan masyarakat.
Yang kedua menjalinkan kerjasama dengan pelbagai agensi dan melalui pelbagai saluran dalam memastikan maklumat tentang kesihatan penyakit mental dapat disampaikan dengan lebih meluas, dan antara jangka masa panjangnya adalah mewujudkan lebih banyak lagi Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (MENTARI) di Negeri Terengganu, meningkatkan kolaborasi dengan pihak swasta untuk memperluaskan akses perkhidmatan mental ini termasuk kerjasama dengan NGO-NGO yang ada yang berkaitan dengan penyakit-penyakit yang ada di negara kita ini untuk menyediakan satu platform komunikasi dan moral support kepada pesakit-pesakit ini bagi meningkatkan keupayaan dan juga semangat mereka untuk pulih daripada penyakit yang kadang-kadang tidaklah berapa berat sangat tetapi disebabkan cara mereka berfikir dan juga disebabkan kerana tidak ada komuniti support menyebabkan penyakit itu menjadi berat. Sekian, terima kasih.
Satu lagi, Kuala Berang.
Terima kasih, cukup, cukup Yang Berhormat. Kita terus kepada Yang Berhormat Kuala Berang untuk mengemukakan soalan seterusnya.
Terima kasih.
Dato’ Yang di-Pertua Dewan, soalan saya pagi ini soalan nombor 3-
Keadaan Pelabuhan Marang yang cetek menyukarkan bot untuk berlabuh? Apakah rancangan Kerajaan Negeri untuk mengatasi masalah ini?
Nombor 3, sila Yang Berhormat Jabi.
Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua dan terima kasih Wakil Kuala Berang. Marang adalah antara daerah perikanan utama di Negeri Terengganu, sekarang terdapat seramai 250 orang nelayan yang berdaftar di Marang salah seorangnya ialah Yang Berhormat Kuala Berang dan memang daerah ini yang kita beri satu tumpuan khusus dari segi program memperkayakan sumber perikanan sahaja untuk tahun 2024, tukun daripada peruntukan Kerajaan Persekutuan 14 tukun konservasi kita labuhkan, kemudian ada 20 unit tukun program kerjasama Kerajaan Negeri dan KPKM juga dilabuhkan di Marang dan yang lebih kita rasa sangat berbesar hati ialah Keberangkatan Kebawah Duli Yang Mulia Tuanku mencemar duli untuk merasmikan program labuh tukun di Marang. Kita juga labuhkan tukun cheese, cheese block sumbangan daripada Anak Syarikat Petronas, sebelum daripada itu kita labuhkan tukun lobster dan tukun sotong daripada paip minyak petronas yang telah dinyah tauliah dan ada beberapa buah bot nelayan asing yang dilabuhkan sebagai tukun tiruan. Ini sebahagian daripada perhatian khusus kita kepada nelayan Daerah Marang. Cuma ada isu yang belum selesai sebagaimana yang dibangkitkan oleh Kuala Berang berkaitan dengan pelabuhan yang agak cetek yang menyukarkan bot untuk berlabuh. Untuk makluman Dewan, sejumlah RM412,250 peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan telah diterima dan dibelanjakan oleh pihak JPS, bagi kerja-kerja pembaikian muka Muara Sungai Rintim di Kampung Seberang Marang dan pelaksanaan projek ini adalah bertujuan untuk nak mendalamkan dan membolehkan nelayan berlabuh dengan selamat di muara tersebut dan alhamdulillah projek ini telah siap sepenuhnya pada bulan Mei 2024 dan kita mengharapkan dengan pelbagai usaha yang kita lakukan, Marang terus akan muncul sebagai antara daerah utama yang menyumbang kepada pendaratan hasil tangkapan ikan marin di Negeri Terengganu, terima kasih.
Terima kasih Jabi, sila.
Mintak pencerahan selanjutnya maksud saya ini, di dalam lagoon ataupun kawasan break water itu yang mana tadi berkaitan dengan Sungai Rintim iaitu anak sungai kepada Sungai Marang, yang jadi masalahnya ialah di dalam kawasan pecah ombak itu, alur laluan bot ini tidak ada masalah, air boleh sampai 20 kaki dan sebagainya tetapi luar daripada alur itu, iaitu pasir-pasir daripada hulu dan juga pasir-pasir dari laut akan bertimbun di situ. Jadi, perlu pendalaman dan juga pasir-pasir dari laut akan bertimbun di situ, perlu pedalaman
yang berkala dari semasa ke semasa supaya bot-bot ini boleh parking ataupun berlabuh di kawasan itu. Sekarang ini, pada waktu surut, tahap kedalaman cuma dua kaki sahaja. Inilah yang menjadi masalah kepada nelayan-nelayan di sana untuk nak parking bot. Jadi inilah suatu alarming ataupun suatu kecemasan yang perlu dibuat segera. Kita tak tahulah sama ada peruntukan daripada federal ataupun negeri tetapi yang pentingnya ialah kena selesaikan masalah ini dengan segera. So, nak tanya YB Jabi bila agaknya benda ini boleh diselesaikan.
Terima kasih di atas perhatian. Maknanya, maksud Kuala Berang dalam Harbor Basin tu lah, dalam kawasan break water. Insya-Allah kita ambil perhatian perkara ini dengan serius dan saya bincang dengan pihak-pihak yang berkenaan untuk diambil tindakan segera seawal mungkin, insya-Allah pada tahun 2025 ini, terima kasih.
Terima kasih Jabi. Seterusnya saya persilakan Yang Berhormat Buluh Gading untuk mengemukakan soalan.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan nombor satu -
Ya, sila Jabi. Banyak hari ini Jabi.
Mohon nyatakan apakah dapatan utama dari Banci Pertanian 2024?
Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih Buluh Gading. Jabatan Perangkaan Malaysia telah melaksanakan Banci Pertanian 2024 pada 7 Julai sehingga 10 Oktober 2024 dan semua data-data yang dikumpulkan sekarang sedang berada di peringkat analisa. Dan ini merupakan banci yang keempat yang dilaksanakan di Malaysia setelah kali terakhir dilaksanakan pada tahun 2005 merangkumi empat subsektor iaitu tanaman, ternakan, perikanan & akuakultur. Dan pelaksanaan banci ini adalah sejajar dengan resolusi Food and Agriculture Organisation (FAO), dengan izin, di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Dato’ Yang di-Pertua, di antara objektif utama Banci Pertanian ini adalah untuk menyediakan data tentang struktur pertanian yang boleh digunakan sebagai satu penanda aras dalam penyelarasan statistik pertanian semasa, dan dapatan daripada Banci Pertanian ini akan menyediakan satu statistik pertanian yang komprehensif dan berguna kepada semua pihak di antaranya bermanfaat untuk kita pihak Kerajaan sebagai pembuat dasar dan polisi, bagaimana kita nak merancang intervensi yang tepat dan berkesan kepada sektor pertanian. Yang kedua, data-data ini juga akan dapat membantu para petani dan pengusaha pertanian untuk memahami aliran semasa berkaitan dengan permintaan dan penawaran di pasaran serta naik turun trend harga dan seterusnya kita dapat memperbaiki teknik dan amalan pertanian supaya kita boleh tingkatkan hasil dan produktiviti. Bagi para penyelidik dan ahli akademik, mereka boleh memanfaatkan dapatan daripada data-data banci ini bagi menjalankan kajian lanjut dan turut menyumbang kepada pembangunan teknologi baharu dalam sektor pertanian. Terima kasih.
Terima kasih. Sila Yang Berhormat Buluh Gading.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan tambahan, apakah Kerajaan bercadang untuk mewujudkan satu aplikasi yang khusus bagi memudahkan orang awam untuk akses maklumat yang berkaitan agar rakyat juga dapat manfaat hasil daripada dapatan kajian dan bancian yang telah dibuat ini. Terima kasih.
Ya, terima kasih Buluh Gading. Memang dalam dunia IOT, teknologi maklumat di hujung jari, kita banyak bergerak dan bekerja dengan aplikasi dan tidak ketinggalan DOSM juga akan mewujudkan beberapa aplikasi yang boleh diakses oleh masyarakat awam supaya maklumat-maklumat yang ada ini dia tidak jadi inklusif untuk pejabat-pejabat, jabatan-jabatan dan pihak-pihak tertentu sahaja, tetapi boleh diakses dan dimanfaatkan oleh masyarakat kita secara keseluruhan. Di antara yang akan diwujudkan ialah Dashboard Negeri yang akan akan dibangunkan sebagai satu rujukan statistik dan indikator pertanian daripada peringkat nasional sehingga peringkat negeri dan sehingga kepada peringkat daerah. Data-data boleh diakses di situ dan yang kedua, di antara yang akan
dibangunkan ialah MySAgR (Malaysia Statistical Agriculture Register) yang akan mengintegrasikan maklumat daripada semua para pengusaha dan juga pertubuhan-pertubuhan pertanian yang akan jadi macam satu data centre dan daripada sini kita boleh akses pelbagai maklumat keperluan, kita memahami trend pasaran, permintaan, penawaran dan sebagainya dan ia akan memudahkan bagaimana untuk kita track dari segi bekalan, di mana kita boleh dapat, bagi tempat yang kurang, boleh ditampung di tempat-tempat lain dan sebagainya. Itu di antara apa yang akan dibangunkan selepas daripada ini. Terima kasih.
Sila Yang Berhormat Kemasik.
Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua, Kemasik, soalan nombor dua-
Soalan nombor dua. Sila Yang Berhormat Alor Limbat.
Apakah Pelan Strategik Pembangunan Usahawan PMKS Terengganu untuk penggal ini dan kesinambungannya dengan apa yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Terengganu?
Terima kasih kepada Kemasik. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat, pegawai-pegawai kerajaan dan pemerhati sekalian.
Pelan Strategik Pembangunan Usahawan (PMKS) Terengganu 2024 - 2030 dirangka sebagai kesinambungan kepada usaha penggal lepas dalam memperkukuhkan ekosistem keusahawanan di Terengganu. Pelan ini mengambil kira perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang serta bertujuan menyokong pembangunan sosial ekonomi negeri secara holistik.
Berikut adalah teras strategik utama yang diambil kira. Yang pertama mewujudkan usahawan berdaya saing di peringkat global. Penerokaan peluang baru dan pasaran merupakan aktiviti berterusan bagi memastikan usahawan dapat menembusi luar negara menerusi program Showcase Terengganu, Ekspo Usahawan dan Showcase SDSI dan misi perdagangan luar negara di luar negara. Inovasi dan produktiviti produk dipertingkatkan melalui bantuan pembangunan serta inovasi produk seperti bantuan pembungkusan dan pelabelan, pensijilan HALAL & GMP dan juga bantuan tanda niaga dan pendaftaran harta intelek.
Yang kedua pembangunan data usahawan berpusat. Dengan pembangunan sistem profiling dan penyelarasan data usahawan negeri, Kerajaan Negeri melalui YPU memastikan akses data yang menyeluruh untuk usahawan serta koordinasi bantuan dengan pelbagai agensi negeri dan persekutuan dan kita menubuhkan suatu unit yang dinamakan PEUTER yang melibatkan semua agensi yang terlibat dengan keusahawanan. Yang ketiga infrastruktur perniagaan. Kita insya-Allah sedang dan berusaha untuk meningkatkan infrastruktur perniagaan di seluruh Negeri Terengganu dan membaik pulih mana-mana infra keusahawanan yang ada di Negeri Terengganu. Yang keempat, konsultasi pembangunan halal. Bermula pada tahun 2024, Kerajaan Negeri melalui YPU telah mengambil inisiatif untuk membantu mempercepatkan proses mendapatkan pensijilan halal dengan memberikan bantuan konsultasi secara percuma. YPU juga sekarang ini telah mempunyai empat pegawai bertauliah „Halal Executive’ atau „Halal Development Officer’. Untuk makluman Dewan, Terengganu yang kalau keseluruhan di peringkat Malaysia yang mendapat sijil HALAL dari segi premis ataupun perniagaan lebih daripada 9,000, Terengganu hanya ada 300 sahaja yang ada yang mendapat sijil HALAL. Jadi pihak kami, insya-Allah akan berusaha lebih baik di masa akan datang dan insya-Allah kita akan menubuhkan Majlis HALAL Negeri Terengganu. Sekian.
Terima kasih Yang Berhormat Alor Limbat. Sila, ada soalan tambahan.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan tambahan, apakah fokus Kerajaan Negeri dalam membantu para usahawan baharu terutama anak-anak muda untuk memula dan membangunkan perniagaan mereka?
dapat menembusi luar negara menerusi program Showcase Terengganu, Ekspo
Terima kasih kepada Kemasik. Kerajaan Negeri insya-Allah akan memajukan usahawan-usahawan baru, khususnya usahawan-usahawan muda melalui beberapa program antaranya program UBES (Usahawan Belia Sejahtera). Program UBES adalah bertujuan untuk membantu melahirkan usahawan belia dan beliawanis lepasan SPM menjadi usahawan khususnya perniagaan atas talian selaras dengan perkembangan ekonomi digital pada masa sekarang ini. YPU juga telah menyelaraskan empat kumpulan UBES dengan 40 peserta setiap batch, batch kelima akan dimulakan insya-Allah pada akhir tahun ini. YPU juga mengadakan program khusus secara berkala bagi usahawan Start-Up, Scale-Up dan High Performing. Di bawah Tabung Usahawan Sejahtera (TUGAS) iaitu pembiayaan khas tanpa riba yang diluluskan ataupun yang dilaksanakan sejak tahun 2019 lagi. Pembiayaan khas bagi perniagaan atas talian iaitu Skim Perniagaan Atas Talian (SPAN) juga adalah lebih menjurus bagi membantu usahawan belia yang banyak terlibat dalam perniagaan atas talian dan di sana juga ada D-HATI iaitu Dana Prihatin Terengganu khususnya untuk OKU, T’CAP-Program Peningkatan Kapasiti Perniagaan Terengganu, Skim Pembiayaan Khas Bazar Ramadan pada musim bulan Ramadan, Skim Pembiayaan Mobile Truck. YPU juga membantu usahawan melalui Skim Bantuan Pembangunan Produk, Skim Bantuan Barcode, Skim Bantuan Analisa Nutrisi, Skim Bantuan Pembungkusan dan juga melalui Skim Bantuan Papan Tanda. YPU juga sentiasa mengadakan Program Padanan Perniagaan secara berkala sebagai program pemudah cara bagi usahawan dapat memasuki pasaran-pasaran yang besar. Sekian,
Terima kasih, seterusnya saya persilakan Yang Berhormat Ladang.
Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua, soalan saya soalan pertama-
Kontinjen Para SUKMA Negeri Terengganu berjaya mendapat tempat ke 9 dengan kutipan 44 pingat keseluruhan. Apakah perancangan untuk pembangunan kepada atlet dan adakah ada dana khas untuk atlet OKU ini?
Soalan pertama, sila Yang Berhormat Tepoh…
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Ladang yang telah mengemukakan soalan berkenaan Kontinjen Para SUKMA Negeri Terengganu yang telah berjaya mendapat tempat ke-9 dengan kutipan 44 pingat keseluruhan.
Berkenaan dengan perancangan untuk pembangunan pada atlet, untuk maklumat Yang Berhormat, tempoh hari kita telah menghantar seramai 74 orang atlet. Kita berjaya mengutip 10 emas, 19 perak dan 15 gangsa, meletakkan kedudukan pada tangga 9 daripada 15 negeri. Di dalam Mesyuarat Pengarah-pengarah Majlis Sukan Negeri bersama dengan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, mesyuarat tersebut telah membuat keputusan untuk kontinjen para SUKMA yang akan diuruskan di bawah Jabatan Belia dan Sukan Negeri masing-masing.
Jabatan Belia dan Sukan Negeri berada di bawah Jabatan Belia dan Sukan Negara. Walau bagaimanapun Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu telah menjalinkan hubungan yang sangat akrab bekerjasama dengan pihak Kerajaan Negeri untuk pembangunan atlet Para dan alhamdulillah di dalam mesyuarat post mortem di peringkat negeri yang kita adakan 21 Oktober 2024 yang dikendalikan oleh Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu beserta dengan pihak Kerajaan Negeri sendiri disertai sama oleh pihak Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya Negeri Terengganu atau PESRON yang telah memainkan peranan yang sangat efektif untuk menghantar atlet-atlet Para bagi memainkan peranan di peringkat Para SUKMA Kuching tempoh hari.
Hasil daripada post mortem yang telah kita adakan masing-masing bersetuju untuk melakukan persediaan yang lebih awal dan juga telah melakukan post mortem sepanjang daripada perjalanan Para SUKMA 2024 tempoh hari. Untuk makluman Yang Berhormat juga post mortem Kebangsaan diadakan pada 13 November 2024 dan daripada hasil post mortem Kebangsaan ini turut sama
menyatakan peri penting penglibatan Kerajaan Negeri untuk dijalinkan hubungan kerjasama antara semua pihak.
Insya-Allah pihak Kerajaan Negeri mengambil perhatian untuk memberikan sokongan. Oleh kerana itu kita telah berusaha bersama dengan PESRON dan juga pihak Jabatan Belia untuk menyediakan fasiliti latihan secara lebih bermanfaat kepada golongan orang kurang upaya untuk mereka terlibat di dalam latihan-latihan dan juga peralatan-peralatan sukan yang diperlukan oleh mereka. Pihak Kerajaan Negeri telah menyalurkan kepada mereka sumbangan peralatan-peralatan melalui Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya Negeri Terengganu sebelum daripada berlangsungnya Temasya Para SUKMA Kuching tempoh hari. Terima kasih.
Yang Berhormat Tepoh..
Soalan tambahan…
Soalan yang dikemukakan oleh Ladang juga digabungkan dengan soalan Langkap, Batu Rakit dan Sura. Soalan lebih kurang sama je. Sila, ada soalan tambahan?
Soalan tambahan saya, apakah pihak Kerajaan bercadang untuk memberikan insentif yang sama seperti atlet SUKMA bagi yang mendapat pingat pada kejohanan Para SUKMA baru-baru ini. Terima kasih.
Terima kasih Yang berhormat Ladang. Untuk makluman Yang Berhormat, pihak Kerajaan Negeri sebenarnya telah memperkenalkan satu inisiatif yang baru sewaktu temasya Para SUKMA tempoh hari antaranya adalah memberikan insentif segera kepada semua atlet-atlet Para yang mendapat pingat dan diserahkan pada hari kejadian sebagaimana formula yang telah kita perkenalkan untuk atlet SUKMA. Yang kedua untuk insentif yang diterima oleh atlet SUKMA Negeri Terengganu, kita juga berhasrat untuk mengemukakan cadangan yang sama untuk atlet Para SUKMA. Satu kertas cadangan insentif akan dibawa ke dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk mengemukakan
cadangan insentif atlet SUKMA dan juga atlet Para SUKMA Negeri Terengganu. Terima kasih.
Terima kasih, seterusnya saya persilakan Yang Berhormat Seberang Takir. Yang Berhormat Seberang Takir…
Soalan saya soalan nombor satu. Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua…
Berapakah jumlah tangkapan khalwat yang direkodkan dari awal tahun 2024 sehingga Ogos lalu, daerah dan kawasan manakah yang mencatatkan bilangan tertinggi?
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan rakan-rakan Yang Berhormat-Yang Berhormat,
Terima kasih Seberang Takir. Jawapan kepada soalan yang ditanya oleh Seberang Takir ialah jumlah tangkapan bagi kes khalwat di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Takzir) 2001 bagi Negeri Terengganu adalah sebanyak 146 kes iaitu daripada Januari hingga Ogos 2024. Adapun jumlah tertinggi bagi kes khalwat adalah sebanyak 42 kes yang dicatatkan Daerah Kemaman dalam tempoh yang sama. Terima kasih.
Terima kasih Batu Buruk. Sila Seberang Takir…
Soalan tambahan saya, pertama saya ucap terima kasihlah, saya ingat Daerah Kuala Nerus, rupanya yang paling tinggi Daerah Kemaman sebab kalau dalam tindakan daerah itu, memang ada kes banyak di Kuala Nerus dan hok paling tingginya di DUN Seberang Takir, jadi saya nak tanya pihak Kerajaan apakah langkah-langkah yang akan dibuat seterusnya bagi meningkatkan lagi tangkapan dan mengurangkan kes-kes jenayah syariah ini, sebab saya
dimaklumkan di Seberang Takir ini memang tinggi dan mungkin juga di Kemaman sebab ada kawasan-kawasan yang bersifat kawasan rekreasi orang mari duk minum-minum, malam duk dalam kereta jadi di Seberang Takir dan mungkin juga di Kemaman ini, kawasan industri ini menyebabkan banyak berlaku kes-kes yang sedemikian rupa. Jadi langkah yang seterusnya apa benda di antara selain daripada tambah penguatkuasa ataupun papan-papan tanda dan sebagainya. Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.
Sila Yang Berhormat Kawasan Batu Buruk.
Terima kasih Seberang Takir. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, ialah bila kita tengok statistik tersebut mungkin juga kes yang terdapat di Kemaman itu tinggi mungkin kerana faktor daerah ataupun kawasan sempadan, mungkin bukan orang Terengganu, yang itu kita boleh check baliklah. Adapun langkah-langkah yang seterusnya sebagaimana yang kita maklum, perkara-perkara yang berkait dengan maksiat ini ia adalah penyakit sama juga seperti penyakit kepada tubuh badan kita yang perlu kepada langkah-langkah tersebut lebih kurang sama sahaja sebagaimana yang disebut oleh para Ulama Kita berjaga-jaga mengambil langkah sebelum berlakunya satu-satu maksiat dalam konteks ini lebih baik daripada kita mengubatinya, ataupun menghukumnya. Dalam kita menangani kes-kes akhlak dan moral ini, Kerajaan Negeri memang sangat memberi penekanan kepada program-program dakwah yang bukan sahaja dilaksanakan oleh jabatan dan agensi yang terlibat bahkan juga oleh unit-unit tubuh yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri pada hari ini. Oleh kerana itulah kita sangat bersyukur kerana kita di Negeri Terengganu ini mempunyai tokoh-tokoh Ulama dan pendakwah yang ramai seperti Ustaz Azhar Idrus dan lain-lain lagi yang mana dengan banyaknya program-program dakwah, ceramah seperti ini, kita harap dapat memberi satu kesedaranlah kepada rakyat untuk sama-sama kita menjadi umat Islam yang beramal dengan ajaran Islam yang sebenar. Adapun dari sudut berkait dengan perundangan dan peraturan, kita sentiasa mengambil langkah-langkah yang proaktif antaranya ialah kita meningkatkan hukuman-hukuman yang berkait dengan takzir dengan semaksimum mungkin dengan kemampuan batas yang kita ada. Di samping itu, kita memasukkan seksyen-seksyen baru dan juga kita memperkasakan Enakmen yang sedia ada. Sebagai satu contoh, bila kita bercakap tentang kes-kes khalwat ini, bukan
sahaja penguatkuasa-penguatkuasa yang memainkan peranan bahkan di sana terdapat pihak-pihak lain seperti imam dan bilal boleh memainkan peranan yang sama yang ditetapkan di dalam Enakmen. Mereka ada kuasa untuk menangkap dan mereka perlulah melalui proses-proses yang berikutnya seperti bersedia untuk dirakam percakapan, bersedia untuk hadir ke mahkamah dan lain-lain lagi. Di samping itu kita, insya-Allah akan terus memperkasakan dan mengambil langkah-langkah yang proaktif seperti sukarelawan Amar Ma'ruf Nahi Munkar, dan lain-lain lagi, insya-Allah. Terima kasih.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Kawasan Batu Buruk. Saya bercadang untuk menangguhkan sementara Dewan ini. Terima kasih kepada Yang Amat Berhormat dan Yang Berhormat Ahli-ahli sekalian. Insya-Allah kita akan sambung semula pada pukul 11.15 pagi, insya-Allah.
MESYUARAT DITANGGUHKAN PADA PUKUL 10.45 PAGI
PUKUL: 11.14 PAGI.
(Selepas Soalan-Soalan Lisan)Questions
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Ketua-ketua Jabatan, mesyuarat disambung semula.
Usul-Usul Yang Telah Diberi NotisMotion
Yang Berhormat Dato’ Yang Di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, perkara berikut di dalam Tertib Pekerjaan Dewan ialah Usul-Usul Yang Telah Diberi Notis. Dipersilakan Yang Berhormat Dato’ Haji Satiful Bahri bin Mamat (Wakil Paka) untuk mengemukakan Usul Cadangan Mendahulukan Pembawaan Rang Undang-Undang daripada Perkara-Perkara lain.
Yang Berhormat Dato’ Yang Di-Pertua, saya mohon membawa cadangan menurut Fasal 16(3) Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri untuk mendahulukan pembawaan 2 Rang Undang-Undang daripada perkara-perkara lain iaitu
i.
Enakmen Perbekalan 2025, ii. Enakmen Tanah Simpan Bagi Orang Melayu (Pindaan) 2024.
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, satu cadangan menurut Fasal 16(3) Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri untuk mendahulukan pembawaan Rang Undang-Undang daripada perkara-perkara lain telah diterima. Sekarang saya kemukakan kepada undian-
CADANGAN MENURUT FASAL 16(3) PERATURAN-PERATURAN DAN PERINTAH-PERINTAH TETAP DEWAN UNDANGAN NEGERI UNTUK MENDAHULUKAN PEMBAWAAN RANG UNDANG-UNDANG DARIPADA PERKARA-PERKARA LAIN KEMUDIAN DIUNDI DAN DIPERSETUJUI DENGAN SEBULAT SUARA
USUL INI DITERIMA
Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2025Bill
Setiausaha Dewan: Perkara yang didahulukan ialah Rang Undang-Undang. Dipersilakan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, mengemukakan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2025, bacaan kali yang pertama.
Bacaan Kali Yang Pertama
Yang Berhormat Dato’ Yang Di-Pertua, saya mohon mencadangkan Rang Undang-Undang bernama Satu Enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2025 dan bagi memperuntukkan jumlah wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu, dibaca bagi kali yang pertama.
Yang Berhormat Dato’ Yang Di-Pertua, saya mohon menyokong cadangan itu.
RANG UNDANG-UNDANG BERNAMA SUATU ENAKMEN BAGI MENGGUNAKAN SEJUMLAH WANG DARIPADA KUMPULAN WANG DISATUKAN UNTUK PERKHIDMATAN BAGI TAHUN 2025 DAN BAGI MEMPERUNTUKKAN JUMLAH WANG ITU UNTUK PERKHIDMATAN BAGI TAHUN ITU, DIBACA BAGI KALI YANG PERTAMA
Bacaan Kali Yang Kedua
Yang Berhormat Dato’ Yang Di-Pertua, saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-Undang bernama Satu Enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2025 dan bagi memperuntukkan jumlah wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu, dibaca bagi kali yang kedua.
Yang Berhormat Dato’ Yang Di-Pertua, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Yang Berusaha Ketua-ketua Jabatan dan Agensi, Yang Dihormati para pegawai dan kakitangan Kerajaan Negeri, petugas media, semua tetamu dan pemerhati yang berada di dalam Dewan yang mulia ini.
1.
Kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala jualah kita bermohon, semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan dan Yang Di-Pertuan bagi Negeri Terengganu Daru Iman dan serta segala
jajahan takluknya, dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah, Sultanah Terengganu agar dianugerahkan naungan, perlindungan, penjagaan, pemeliharaan, keselamatan dan kesejahteraan, taufik dan hidayah yang sempurna lagi berpanjangan.
Dato’ Yang Di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
2.
Saya memohon untuk membentangkan di Dewan ini, Enakmen Perbekalan 2025 bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2025 seperti yang diperincikan dalam Buku Belanjawan 2025 Terengganu Darul Iman.
Dato’ Yang Di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
3.
Setelah meneliti keperluan dan keutamaan semasa, Kerajaan Negeri menerusi Belanjawan 2025 ini menganggarkan sejumlah RM1.887 billion untuk Perbelanjaan Mengurus termasuk caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan sebanyak RM450 juta. Manakala hasil pula dianggarkan berjumlah RM1.997 bilion.
4.
Di bawah Perbelanjaan Mengurus, sebanyak RM94.99 juta diperuntukkan untuk Perbelanjaan Tanggungan dan RM1.792 bilion untuk Perbelanjaan Bekalan iaitu RM278.19 juta untuk Emolumen, RM361.49 juta untuk Perkhidmatan dan Bekalan, RM23.93 juta untuk Aset, RM1.127 bilion untuk Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap dan RM1 juta untuk Perbelanjaan Lain.
5.
Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM385.79 juta iaitu 86% untuk Sektor Sosial, RM44.28 juta iaitu 10% untuk Sektor Pentadbiran dan RM19.93 juta iaitu 4% untuk Sektor Ekonomi di bawah Perbelanjaan Pembangunan.
6.
Manakala bagi hasil pula, sebanyak RM74.10 juta adalah daripada Hasil Cukai, RM189.25 juta daripada Hasil Bukan Cukai dan RM1.733 bilion daripada Terimaan Bukan Hasil termasuk Dana Khas Kerajaan Persekutuan iaitu bayaran hasil petroleum yang dianggarkan berjumlah RM1.634 bilion.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
7.
Perbelanjaan 2025 ini bertemakan “Demi Masa Depan Terengganu”, menggariskan lima fokus Kerajaan Negeri iaitu;
Fokus 1 Peningkatan Kelestarian Fiskal (Fiscal Sustainability) dengan izin meliputi usaha mengurus kewangan secara berkesan melalui pengembangan sumber hasil, proses belanjawan yang telus, peningkatan kecekapan kutipan hasil dan penerokaan model pembiayaan yang efisien.
Fokus 2 Pembangunan Rantaian Nilai Makanan (Food Value Chain) dengan izin merangkumi proses meningkatkan hasil pengeluaran komoditi makanan utama, menarik bakat muda, memperkemas penyeliaan tanah dan infrastruktur serta memacu pelaburan dan pembangunan industri agromakanan.
Fokus 3 Pengukuhan Modal Sosial (Social Capital) dengan izin melibatkan upaya mengukuhkan jaringan hubungan sosial melalui program keagamaan, keilmuan, pendidikan dan pembangunan modal insan serta penglibatan NGO dalam menangani jenayah, memperkukuh institusi kekeluargaan dan meningkatkan kesejahteraan.
Fokus 4 Pemerkasaan Ekonomi Berdaya Saing (Competitive Economy) dengan izin, mencakupi ikhtiar bagi memajukan perindustrian dan perdagangan, meningkatkan permintaan pasaran serta menerajui pelaburan bernilai tinggi bagi memperkukuh daya saing dan kemakmuran ekonomi jangka panjang.
Fokus 5 Pemberdayaan Masyarakat Usahawan (Entrepreneurial Society) dengan izin melingkupi tindakan bagi menyokong pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), mencipta dan mengembangkan peluang pasaran serta membangunkan kemahiran keusahawanan, mendorong inovasi dan pertumbuhan ekonomi melalui penglibatan dalam aktiviti perniagaan.
8.
Bagi memandu perancangan dan pelaksanaan rangka tindakan kesemua fokus Belanjawan ini, Kerajaan Negeri menetapkan sasaran “masa depan” Negeri Terengganu untuk tempoh jangka sederhana menjelang tahun 2030 seperti berikut;
(1) Hasil janaan negeri mencecah RM510 juta di samping menerima penarafan yang baik daripada Ketua Audit Negara dan badan bebas bagi pengurusan kewangan dan proses belanjawan.
(2) Pertumbuhan sektor pertanian sekitar 10.6 peratus dengan pengeluaran hasil komoditi makanan utama meningkat antara 4.5 hingga 6.0 % setiap tahun.
(3) Tahap kebahagiaan negeri dan kesejahteraan rakyat melebihi skor 4.75 dan 140 masing-masing selari dengan penurunan kadar jenayah indeks per 100 ribu penduduk dan jenayah syariah di bawah paras 50 dan 250 kes masing-masing.
(4) Ekonomi berkembang antara 6.0 hingga 7.2% setahun mencecah RM51.5 bilion dengan jumlah pelaburan dan perdagangan terkumpul melebihi RM29 bilion dan RM172 billion masing-masing.
(5) Bilangan PMKS bertambah kepada 53,900 manakala jumlah pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) turut meningkat kepada melebihi 550.
9.
Justeru, ke arah merealisasikan kesemua sasaran ini, Kerajaan Negeri menetapkan 25 inisiatif yang akan diberikan keutamaan tinggi atau High Priority Initiatives (HPI) dengan izin.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
10.
Menerusi keberkesanan pelbagai strategi yang dilaksanakan oleh Jawatankuasa Meningkatkan Hasil dan Perbelanjaan Hemat Negeri, hasil janaan negeri sebenar pada tahun 2023 berjumlah RM283.15 juta adalah lebih tinggi 41.1% berbanding anggaran RM200.66 juta. Sehingga September tahun ini pula, sejumlah RM221.39 juta yang berjaya dikutip juga adalah lebih tinggi 14.0% berbanding tempoh yang sama tahun lalu
iaitu RM194.13 juta. Selari dengan itu, pelbagai mekanisme turut dipertimbangkan untuk memastikan kestabilan jangka panjang ini dapat dicapai tanpa membebankan sesiapa terutamanya rakyat kebanyakan dan golongan peniaga.
11.
Selain akan menggalakkan penggunaan sistem e-Tanah yang berjaya mempercepatkan proses urusan tanah, PTG juga akan berusaha menyelesaikan tunggakan cukai tanah. Antaranya melibatkan notis amaran dan notis rampasan kepada pemilik tanah yang gagal melunaskan bayaran cukai.
12.
Hasil daripada sektor perlombongan pula akan ditambah dengan meminda kadar royalti mineral yang telah diguna pakai sejak lebih 20 tahun lalu. PTG juga meluluskan dua kawasan untuk kajian awal bagi perlombongan unsur nadir bumi selain bekerjasama dengan MBI bagi meneruskan perundingan dengan para pelabur untuk merintis pembangunan industri mineral di negeri kita.
13.
Selain daripada itu juga, Kerajaan Negeri juga dijangka akan memperoleh hasil daripada pelesenan pengabstrakan air dan aktiviti penggubahan sumber melalui penguatkuasaan Enakmen Sumber Air (Terengganu) 2020 oleh Lembaga Sumber Air Terengganu (LAUT).
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
14.
Supaya pengurusan kewangan dan proses belanjawan adalah lebih efisien, Pejabat Perbendaharaan Negeri Terengganu akan memperkemas pelaksanaan Bajet Berasaskan Outcome (OBB) dalam membuat pengagihan peruntukan dan perbelanjaan.
15.
Kerajaan Negeri akan menubuhkan Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan Inisiatif Utama Belanjawan (ICC-KBI) bagi memacu prestasi dan menggembleng penglibatan pihak kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan dan rakyat.
16.
Kerajaan Negeri juga akan menyelaras pengwujudan sebuah pengurusan dana yang lebih cekap bagi mengumpul dan mengagihkan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan sasaran sebanyak RM15
juta daripada anak syarikat dan badan berkanun kerajaan negeri serta pihak swasta untuk memberikan impak yang lebih maksimum.
17.
Selain itu, dalam daya upaya untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi di negeri kita, instrumen wakaf amat berpotensi sebagai pemacu bagi menangani isu pengangguran, kemiskinan, keterjaminan makanan, pendidikan dan penjagaan kesihatan. Justeru, bagi mencapai hasrat ini, inisiatif berskala besar yang melibatkan instrumen kewangan Islam untuk membiayai pembangunan hartanah akan digerakkan bersama dengan MAIDAM.
18.
Bagi mengurangkan beban kewangan dan mempercepatkan proses pembangunan pula, UPEN akan mewujudkan kerjasama awam-swasta yang lebih mesra dan efisien termasuk dalam membangunkan kawasan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) di sekitar stesen ECRL.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
19.
Sektor Pertanian pada tahun 2023 telah kembali memulih kepada 7.4% berbanding penguncupan 3.3% pada tahun 2022, didorong oleh peningkatan yang signifikan dalam subsektor tanaman iaitu buah-buahan dan sayuran serta subsektor Perikanan. Pencapaian ini menjadi bukti keberhasilan Pelan Strategik Pertanian (PSP) 2019-2023.
20.
Bagi meningkatkan pengeluaran komuniti makanan utama di negeri kita, Kerajaan Negeri akan membuka kawasan baru untuk memperluas kawasan bertanam melibatkan tanah terbiar serta membangunkan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) yang baharu di setiap daerah selain turut memperkukuh Program Pertanian komuniti di samping menaik taraf dan menyelenggara infrastruktur di kawasan sawah padi bagi meningkatkan Tahap Sara Diri (SSR) pengeluaran beras.
21.
Pelbagai usaha juga dijalankan untuk menambah populasi lembu, kambing dan ayam dengan mentransformasikan model dan infrastruktur ladang penternakan serta menggiatkan permanian berhadas.
22.
Bagi memperkaya sumber perikanan pula, perhatian akan diberikan kepada usaha pembangunan dan penyelenggaraan ekosistem marin, pelepasan benih ikan ke perairan umum dan pengeluaran akuakultur serta penaiktarafan pelabuhan dan kompleks perikanan.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,
23.
Menggalakkan lagi penyertaan bakat muda dalam sektor agromakanan, Kerajaan Negeri akan melaksanakan pelbagai aktiviti pemindahan kemahiran dan pengaplikasian teknologi IoT dan automasi menerusi program latihan dan amali serta penyediaan pelbagai kemudahan pembiayaan dan infrastruktur.
24.
Dalam usaha membangunkan industri asas tani pula, Kerajaan Negeri memudahcara untuk melengkapkan para usahawan dengan keperluan pensijilan kualiti, penjenamaan, pembungkusan dan pelabelan serta pengeluaran seterusnya bersedia untuk pemadanan perniagaan, pemasaran dan pengeksportan.
25.
Di samping itu, ke arah membangunkan pertanian berskala industri, beberapa anak syarikat Kerajaan Negeri seperti TDM Berhad, Ladang Rakyat Terengganu dan TADC juga turut menggerakkan usaha bagi melibatkan pemain industri dan para pelabur untuk perkongsian sumber dan kepakaran antaranya bagi memajukan projek penanaman cili, pembangunan ladang kelapa dan projek-projek agrivoltaic di Setiu.
26.
Inisiatif-inisiatif ini sebenarnya merupakan sebahagian daripada 65 program di bawah 27 strategi yang terangkum di dalam lima kluster Pelan Strategik Pertanian (PSP) 2024-2030 yang akan dilancarkan dalam masa yang terdekat ini.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,
27.
Secara umumnya, taraf dan kualiti hidup rakyat negeri kita berada di kedudukan tiga teratas di Semenanjung Malaysia terutamanya bagi komponen pendidikan, keselamatan awam dan keluarga. Selain peranan kerajaan, ia adalah manifestasi daripada hubungan antara individu, keluarga dan komuniti yang saling menyokong antara satu sama lain
untuk mencapai matlamat bersama yang lahir daripada proses agama, ilmu dan budaya dalam masyarakat kita.
28.
Justeru itu, Kerajaan Negeri akan menganjurkan sebuah karnival induk di kesemua 32 DUN yang bertemakan "Indahnya Hidup Bersyariat" membabitkan pelbagai aktiviti bermanfaat bagi meningkatkan penghayatan Islam, memperkasa institusi keluarga, membangunkan potensi belia, memudahcara pemadanan pekerjaan, meningkatkan jualan peniaga, mempromosikan produk pelancongan dan mengakses perkhidmatan kerajaan. Oleh itu, penganjuran karnival ini akan turut melibatkan pelbagai agensi seperti Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, YPK, YPU dan THRDC.
29.
Kerajaan Negeri juga akan memastikan jentera penerangan kerajaan iaitu UPDI dilengkapi dengan kemudahan yang mencukupi dan sumber manusia yang kompeten untuk menyampaikan maklumat dengan lebih berkesan kepada semua kumpulan sasar.
30.
Bagi menggalakkan masyarakat membaca, mentadabbur dan mengamalkan al-Quran, Yayasan Islam Terengganu, KQT dan DUAT akan menyuburkan program penghayatan al-Quran untuk golongan kanak-kanak, dewasa dan OKU serta memperkasa guru-guru al-Quran. Kerajaan Negeri juga mengalu-alukan penglibatan dan penganjuran bersama daripada pihak swasta untuk menjayakannya ke seluruh negeri.
31.
Di samping itu, bagi mengekalkan kecemerlangan pendidikan, Yayasan Terengganu dengan kerjasama Terengganu Inc. akan menambah jumlah dana kepada RM6 juta untuk biasiswa ke peringkat pengajian tinggi.
32.
Unit-unit tubuh dan Akademi Kepimpinan Al-Fateh selain ianya juga akan diperkasakan objektif dan fungsinya, akan juga bekerjasama dalam melaksanakan program-program pembangunan sumber manusia antaranya Itqan Insani oleh i-MITS, Dai'e Perintis oleh DUAT, MediaPro oleh UPDI, High Potential Talents oleh UBSNT, Ikon Wanita oleh USWa dan Belia Al-Fateh.
Dato' Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
33.
Sesuai dengan kedudukannya dalam Islam, Kerajaan Negeri akan menambah baik prasarana dan kemudahan di mahkamah-mahkamah syariah serta memberikan perhatian terhadap keperluan para hakim syarie. Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu juga dalam proses untuk meminda Undang-undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu dan Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2021 bagi merealisasikan penubuhan Mahkamah Utama Syariah sebagai mahkamah tier ke-4 seterusnya akan turut meminda Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Terengganu) 2021. Kerajaan Negeri juga akan memantapkan pelaksanaan Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu dengan nilai perundangan.
34.
Sebagai usaha untuk mengekalkan kesejahteraan rumah tangga, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) akan memperkasa perkhidmatan 'ilaj syarie dan runding cara keluarga melalui penglibatan pengamal pengubatan Islam dan profesional kesihatan mental yang berdaftar serta menganjurkan Sambutan Hari Keluargaku Syurgaku (S-Jannati) melalui YPK bagi memangkin pengukuhan institusi keluarga.
35.
Bagi meningkatkan sektor pasaran hartanah dan memenuhi permintaan perumahan terutama bagi kategori Rumah Mampu Milik, Bahagian Perumahan SUK, PMINT dan Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu akan merancakkan industri perumahan menerusi dasar pembangunan perumahan secara penswastaan yang lebih mesra, yang lebih menguntungkan kedua-dua pemaju dan pembeli. Antaranya ialah dengan menyediakan insentif yang lebih baik kepada pemaju dan memperkenalkan variasi baharu rumah mampu milik sebagai pilihan tambahan kepada pembeli.
36.
Selain daripada itu juga, Kerajaan Negeri akan meneruskan Program Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS) dan memberikan perhatian terhadap usaha untuk menangani isu projek perumahan swasta yang terbengkalai.
37.
Kerajaan Negeri juga akan melaksanakan kerja-kerja membina sebuah bangunan dewan serbaguna untuk indoor game dengan izin, seperti skuasy dan badminton serta kemudahan berkaitan lain di Kompleks
Sukan Negeri Terengganu sebagai langkah bagi melonjakkan kecemerlangan prestasi sukan.
38.
UBSNT pula akan lebih berperanan untuk menggerakkan NGO dalam misi bantuan kemanusiaan dan program pembangunan kapasiti komuniti antaranya melaksanakan program kesedaran kesihatan dan mempersiapkan sukarelawan untuk menghadapi suasana banjir.
39.
Sebagai usaha menangani penghijrahan cendekiawan atau brain drain dengan izin, dan supaya dapat menggembleng kearifan tempatan atau local wisdom dengan izin, Kerajaan Negeri juga akan menubuhkan Majlis Pakar Terengganu atau Terengganu Experts Council, dengan izin sebagai platform kepada anak negeri kita yang mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam bidang-bidang strategik untuk menyumbang bakti bagi merealisasikan Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera menjelang tahun 2030.
Dato' Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
40.
Dalam keadaan jumlah populasi dan bilangan penduduk bekerja yang secara relatifnya masih rendah, projek pelaburan dan perindustrian harus dirancakkan supaya lebih ramai penduduk memberi dan mendapat manfaat daripada aktiviti ekonomi di negeri kita sekali gus menyumbang kepada peningkatan gaji dan upah, pertambahan pekerjaan berkemahiran tinggi serta pengukuhan daya saing pasaran.
41.
Justeru itu, MBI dalam usaha meneroka potensi projek pembekalan dan perdagangan gas cecair asli (LNG) dan menjalankan kajian kebolehlaksanaan cadangan permohonan loji hidrogen hijau yang akan beroperasi menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui atau renewable energy, dengan izin.
42.
Dua projek rintis juga sedang diusahakan oleh Terengganu Inc. bagi memajukan penjanaan dan perdangangan kredit karbon. Menerusi kerjasama dengan TNB Genco pula, usaha digerakkan untuk membangunkan ladang solar terapung di Tasik Kenyir yang berpotensi menghasilkan sehingga 2,000 MW tenaga elektrik melibatkan nilai pelaburan berjumlah hampir RM10 billion bagi tempoh beberapa tahun.
43.
Di samping itu, bagi memudahkan urusan dan memberikan nilai tambah para pelabur, UPEN dan PMINT akan melaksanakan prosedur dan proses kelulusan projek yang lebih efisien serta menawarkan insentif yang lebih kompetitif menerusi dasar pembangunan perindustrian yang akan dilancarkan nanti. Usaha menarik bilangan projek dan nilai pelaburan yang lebih besar ke negeri kita sangat penting bagi menjamin peluang pekerjaan sekali gus merangsang pertumbuhan sosioekonomi yang lebih mampan.
Dato Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
44.
Kerajaan Negeri juga akan mengoperasikan sebuah pejabat pemasaran yang lebih bersepadu dan memainkan peranan yang lebih progresif untuk mempromosikan potensi dan prospek pelaburan, perdagangan serta pelancongan di negeri kita.
45.
Selain daripada itu, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu sedang mengusahakan pembangunan sebuah platform sehentian dalam talian yang menyediakan pelbagai maklumat serta membolehkan pengguna menavigasi dan mengakses dengan mudah semua pengalaman unik yang terdapat di negeri kita termasuk destinasi menarik, kemudahan penginapan dan pakej pelancongan.
46.
Bagi mempromosikan negeri kita sebagai destinasi pelancongan sukan bertaraf antarabangsa pula, selain akan meneruskan penganjuran Tour Gateh D'Tranung yang telah mengharumkan nama Negeri Terengganu dengan jolokan „Land of Cyclist’, dengan izin Kerajaan Negeri juga akan kembali menganjurkan Sultan Mahmud Bridge International Run yang turut melibatkan penyertaan dari dalam dan luar negara. Penganjuran Karnival Pantai Terengganu pada Oktober lepas yang mempamerkan budaya dan warisan negeri kita akan diperhebat dengan turut menonjolkan keunikan beberapa negara serantau bagi menarik lebih ramai pengunjung terutamanya pelancong asing.
Dato' Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
47.
Kerajaan Negeri sentiasa prihatin sekali gus memberikan perhatian terhadap keadaan sosioekonomi golongan belia terutamanya melalui program pemadanan pekerjaan dan pembangunan keusahawanan. Alhamdulillah, kadar pengangguran di negeri kita juga telah menurun dengan signifikan kepada 3.7% pada suku kedua tahun ini berbanding 4.5% pada suku kedua tahun lalu.
48.
Oleh itu, bagi meningkatkan kapasiti dan mempercepatkan peralihan PMKS ke arah pendigitalan, YPU, TAJDID dan TD1303 akan mengadakan kerjasama dengan platform e-dagang terkemuka bagi menyokong para usahawan dengan kemahiran menjalankan perniagaan dan pemasaran serta mengaplikasi sistem kewangan digital. Kerajaan Negeri juga akan menubuhkan konsortium kedai-kedai runcit milik koperasi kariah masjid bagi memastikan kebolehcapaian terhadap barangan keperluan pada harga berpatutan sekali gus membantu para usahawan untuk meningkatkan jualan dan menembusi pasaran yang lebih luas.
49.
Ke arah merancakkan perkembangan pasaran halal secara holistik di seluruh negeri, Kerajaan Negeri akan menubuhkan Majlis Halal Terengganu melibatkan pelbagai badan berkaitan kerajaan. Inisiatif ini bagi memperkemas dan memudahcara proses permohonan, pengeluaran dan pematuhan sijil halal serta menggalakkan penyertaan dan pertumbuhan pemain industri ke arah mencapai objektif jangka panjang bagi membangunkan halal park dengan izin yang berakreditasi di negeri kita ini.
50.
Di samping itu, YPU akan kembali melaksanakan Program Usahawan Belia Sejahtera (UBES) dengan kerjasama institusi kewangan dalam negara untuk menyokong golongan belia menceburi bidang keusahawanan melalui penyediaan latihan, geran dan bimbingan yang berterusan.
51.
Menerusi kerjasama dengan pelbagai entiti kerajaan, pemain industri dan pusat latihan pula, THRDC akan membangunkan Portal Terengganu Talent bagi mempromosikan bakat tempatan kepada bakal majikan dan Galeri Kerjaya Digital yang berkonsepkan interaktif bagi membantu para pelajar dan golongan belia untuk memahami laluan kerjaya dalam pelbagai bidang yang diminati sesuai dengan kelayakan masing-masing.
Dato' Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,
52.
Mengakhiri ucapan ini, saya ingin menegaskan key success factors, dengan izin bagi memastikan kesemua inisiatif dan sasaran yang digariskan dalam Belanjawan 2025 ini dapat direalisasikan dengan jayanya, insya-Allah, yang saya rumuskan dalam singkatan I.M.A.N, iaitu:
I - Integrity (Integriti) - Kita wajib mengamalkan standard akhlak yang tinggi, mengelakkan rasuah dan salah guna kuasa serta sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat.
M-Mission-driven (Berpandukan Matlamat) - Kita harus menjajarkan semua dasar, program dan aktiviti kepada matlamat jangka panjang yang jelas serta berorientasikan keberhasilan.
A-Accountability (Kebertanggungjawaban) - Di mana kita mesti bertanggungjawab serta menyediakan maklumat yang sebenar mengenai kemajuan dan implikasi bagi keputusan dan tindakan yang dibuat.
N-Networking (Jaringan Hubungan) - Kita hendaklah saling bekerjasama dengan pelbagai pihak di peringkat negeri dan persekutuan serta pihak swasta dan orang awam untuk memanfaatkan sepenuhnya pelbagai kepakaran, sumber dan inovasi.
Saya optimis, masa depan Negeri Terengganu adalah cerah. Bukan sahaja maju pada aspek ekonomi dan fizikal, rakyatnya juga menikmati kesejahteraan yang menyeluruh dalam segenap aspek. Lebih penting, Negeri Terengganu Darul Iman ini sentiasa diberkati Allah Subhanahu Wa Taala.
Maksudnya...kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya."-(Ali 'Imran, 3:159)
Sebelum saya akhiri, saya ingin membaca dua pantun pada hari ini,
Makan akok, nganang dan roti, Ayam percik pula tersedap di dunia, Marilah kita berpadu hati, Membawa Terengganu ke pentas dunia.
Minum air coklat berkongsi sama, Roti bakar dan telur sarapan kita, Bajet ini Bajet kita bersama, Demi masa depan Terengganu kita.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, Saya mohon mencadang. Sekian.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, saya mohon menyokong ucapan tersebut.
Terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, pantun yang disampaikan oleh Yang Amat Berhormat perlu dijawab oleh Yang Berhormat Bandar esok. Terima kasih kepada semua, untuk memberi peluang kepada Ahli-ahli Yang Berhormat meneliti Ucapan Bajet yang telah disampaikan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar sebentar tadi, saya berhasrat untuk menangguhkan persidangan pada hari ini. Oleh yang demikian, saya tangguhkan persidangan ini ke pukul 9.30 pagi esok, 19 November 2024. Marilah sama-sama kita membaca tasbih kaffarah dan surah Al-Asr. Saya mempersilakan semua Ahli-ahli Yang Berhormat EXCO dan Yang Berhormat Ahli Dewan Undangan Negeri ke hadapan ruang makan VIP bagi kita menyambut Ulang Tahun Kelahiran Dato’ Seri Menteri Besar.
DEWAN DITANGGUHKAN PADA PUKUL 11:50 PAGI