Terengganu · 20 November 2024

15th Assembly, 2nd session, 3rd meeting · 215 turns · 29,964 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalTerengganu publishes one PDF per meeting, with the written answers appended. Speakers are matched by our parser and will have some errors.

(Pembukaan)

Setiausaha Dewan

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Sebelum kita memulakan Persidangan Dewan pada pagi ini, marilah kita sama-sama membaca Ummul Kitab Al-Fatihah.

Al-Fatihah

Soalan-Soalan LisanQuestions

Timbalan Yang di-Pertua

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat Majlis Mesyuarat Kerajaan, Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan, para pemerhati sekalian. Mesyuarat pagi ini diteruskan dengan Soalan-soalan Lisan. Berikut adalah Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah memberi notis untuk mengemukakan Soalan-soalan Lisan pada hari ini 20 November 2024:-

1. Yang Berhormat Wakil Pengkalan Berangan 2. Yang Berhormat Wakil Ladang 3. Yang Berhormat Wakil Kemasik 4. Yang Berhormat Wakil Buluh Gading 5. Yang Berhormat Wakil Kuala Berang

6. Yang Berhormat Wakil Jertih 7. Yang Berhormat Wakil Bandar 8. Yang Berhormat Wakil Bukit Besi 9. Yang Berhormat Wakil Kuala Besut 10. Yang Berhormat Wakil Bukit Tunggal 11. Yang Berhormat Wakil Telemung 12. Yang Berhormat Wakil Langkap 13. Yang Berhormat Wakil Batu Rakit 14. Yang Berhormat Wakil Rantau Abang 15. Yang Berhormat Wakil Hulu Besut 16. Yang Berhormat Wakil Permaisuri 17. Yang Berhormat Wakil Seberang Takir 18. Yang Berhormat Wakil Manir

Untuk tidak melengahkan masa, saya persilakan Yang Berhormat Wakil Pengkalan Berangan. Silakan.

Sulaiman bin SulongPAS · PNPengkalan Berangan

Terima kasih Yang Berhormat Timbalan yang di-Pertua, soalan saya nombor 1-

Apakah aktiviti yang dijalankan bagi mengukuhkan perpaduan antara kaum serta sejauh mana aktiviti-aktiviti ini mencapai matlamat?

Timbalan Yang di-Pertua

Sila Wakil Kerajaan.

Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, terima kasih juga kepada Pengkalan Berangan, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, EXCO dan juga sahabat-sahabat Ahli-ahli Yang Berhormat semua. Soalan daripada Pengkalan Berangan, apakah aktiviti yang dijalankan bagi mengukuhkan perpaduan antara kaum serta sejauh mana aktiviti-aktiviti ini mencapai matlamat?

Untuk makluman semua, kita ada beberapa jenis program dan kalau sekiranya kita kutip program-program yang dijalankan memang terlalu banyak. Cuma saya kelaskan dalam dua program, satunya di bawah Portfolio Kebajikan dan juga satu lagi ialah di bawah Jabatan Perpaduan. Kita telah pun mengadakan dua kali perjumpaan antara kaum di Terengganu melibatkan Melayu, Cina, India dan Siam, dan juga melibatkan pelbagai kaum dalam ziarah kebajikan. Kebajikan turun ziarah ke setiap daerah setakat ini telah pun ke semua daerah kita turun dan bila kita turun ke daerah-daerah untuk menyantuni warga yang susah, kita akan libatkan bangsa Cina, India dan juga lain-lain dalam ziarah kebajikan tersebut. Dan konsep kebajikan kita bersifat merentas, maknanya ia merentasi program, tidak semestinya program kita itu program semasa perayaan Tahun Baru Cina ataupun Deepavali sahaja. Aktiviti-aktiviti bersama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Terengganu juga sangat banyak antaranya melibatkan Kluster Semarak Kenegaraan seperti Eksplorasi Rukun Negara, Kluster Semarak Perpaduan seperti Sesi Libat Urus Mediator Komuniti, Kluster Komuniti Rahmah seperti projek ekonomi komuniti di DUN saya pun ada, di DUN Ajil, dan juga Program Minggu Perpaduan Peringkat Negeri Terengganu dan banyak lagilah program yang telah pun dibuat dan disusun oleh Portfolio Kebajikan dan Perpaduan dan juga Jabatan Perpaduan. Alhamdulillah saya sanjung dan saya puji serta saya mengucapkan terima kasih dan saya sangat berpuas hati dengan Pengarah Perpaduan Negeri dan juga Menteri Perpaduan Negara yang sangat mesra dengan Portfolio Perpaduan di Terengganu dan kita boleh mengadakan kolaborasi di antara Jabatan Perpaduan dan juga EXCO Perpaduan walaupun berlainan politik kita kata.

Soalan berkaitan dengan sejauh mana aktiviti ini mencapai matlamatnya, untuk mengukur ukuran yang subjektif ini, kita tidak ada kayu ukur yang khusus untuk mengukur sejauh mana kita telah pun mencapai matlamat dalam aktiviti perpaduan kita. Walau bagaimanapun, antara matlamat besar dalam aktiviti perpaduan ialah untuk mewujudkan jalinan mesra perpaduan kaum di antara pelbagai kaum yang ada di Terengganu dan kita tidak ada isu, tidak ada isu tidak ada kes yang melibatkan pergeseran kaum di Terengganu dan ini merupakan satu bukti, boleh kita anggap sebagai satu bukti bahawa aktiviti-aktiviti yang dijalankan yang bersifat perpaduan tadi mencapai matlamat dan sasarannya. Terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih. Ada soalan tambahan?

Sulaiman bin SulongPAS · PNPengkalan Berangan

Ada.

Terima kasih Timbalan Yang di-Pertua, soalan tambahan saya. Mutakhir ini kita menyaksikan semacam ada sedikit ketegangan kaum yang ditimbulkan. Ada yang menulis dengan type C, type M dan seumpamanya. Persoalan saya ialah ada dok di peringkat di negeri Terengganu, satu model harmoni yang boleh untuk kita merapatkan hubungan antara kaum dan Terengganu boleh menjadi contoh ataupun model kepada hubungan kaum di negara kita? Sekian.

Untuk makluman semua, isu-isu pergeseran kaum ini dan ketegangan kaum, boleh dikatakan tidak berlaku di Terengganu. Yang isu yang berlakunya adalah di luar Terengganu, dan Terengganu boleh dijadikan sebagai satu model perpaduan. Antaranya ialah apabila sebagaimana yang saya sebutkan tadi, apabila kita ke sasaran menyantuni warga yang susah, saya libatkan dalam program turun itu ialah kaum-kaum yang berlainan walaupun sasaran kita pergi ziarah itu ialah orang susah yang kebanyakan Melayu tetapi hadir sama majlis kita itu ialah Cina, India dan juga OKU yang kita libatkan dan saya sifatkan perpaduan kita ini bersifat merentas, maknanya kita tidak menjadikan isu-isu untuk kita laksanakan apa-apa perkara yang berkaitan dengan kebajikan ini bukan di musim perayaan Deepavali dan juga Tahun Baru Cina sahaja dan juga kita mempunyai seorang pegawai sebagaimana yang kita tahu kita melibatkan Pegawai Hal Ehwal Bukan Islam di Pejabat Menteri Besar dan juga penglibatan aktif mediator komuniti kita di dalam masyarakat untuk mewujudkan keharmonian dalam masyarakat tanpa mengira batasan kaum, terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih seterusnya saya persilakan Wakil Ladang.

Terima kasih Timbalan Yang di-Pertua, soalan saya soalan dua-

Apakah status tindakan pihak Kerajaan Negeri bagi cadangan mengasingkan penggunaan kepada kaum lelaki dan wanita di LA Hot Spring, Besut?

Timbalan Yang di-Pertua

Silakan Wakil Kijal, soalan nombor dua untuk Wakil Kijal.

Datuk Haji Razali bin IdrisBERSATU · PNKijal

Terima kasih Timbalan Yang di-Pertua, terima kasih ADUN Ladang. Soalan yang seperti mana yang tertera, status tindakan pihak Kerajaan Negeri bagi cadangan mengasingkan penggunaan kepada kaum lelaki dan wanita di La Hot Spring, Besut kini berada di dalam tindakan pihak Majlis Daerah Besut melalui melalui kelulusan Projek Pembinaan Kolam Air Panas pada 9 Oktober 2024 dan dijangka akan siap pada tahun semasa, insya-Allah. Untuk mengasingkan penggunaan La Hot Spring sebagai satu usaha kerajaan untuk memenuhi keperluan pengunjung khususnya dalam konteks pematuhan kepada normal-normal dan sensitivity budaya. Langkah ini bertujuan untuk memberi keselesaan kepada pengunjung lelaki dan wanita dan ia juga selaras dengan garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan dan menelan belanja RM50,000.00 sahaja dan setakat 10 November 2024, Timbalan Yang di-Pertua, peratusan kemajuan fizikal projek telah melebihi 80%, terima kasih.

Soalan tambahan saya apakah perancangan untuk terus meningkatkan jumlah pengunjung dan mempromosikan La Hot Spring, terima kasih.

Datuk Haji Razali bin IdrisBERSATU · PNKijal

Terima kasih yang Berhormat ADUN Ladang. Antara perancangan yang Kerajaan utarakan, uruskan setakat ini untuk menambah pengunjung ataupun mempromosi La Hot Spring seperti mana berikut:-

Buat masa sekarang Majlis Daerah Besut dalam usaha untuk mengembangkan promosi kepada pengusaha-pengusaha di Pulau Perhentian yang besar, agar dia juga menyediakan satu pakej pelancongan termasuk La Hot Spring dan juga Agro Darau kepada pengunjung luar negara mahupun dalam negara.

Dari sudut promosi usaha membangunkan satu aplikasi tempahan dalam talian termasuk mempromosikan Daerah Besut secara keseluruhannya dan secara amnya dan kawasan-kawasan La Hot Spring juga dan khususnya di mana

proses rundingan dengan beberapa syarikat masih terbuka untuk menambah baik bagi mempromosikan La Hot Spring.

Majlis Daerah Besut juga dalam pertimbangan untuk membuat penambahbaikan liputan jaringan rangkaian telekomunikasi jalur lebar melalui beberapa siri perjumpaan bersama Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) yang telah dibuat sebelum ini namun masih lagi tidak mempunyai kata putus dan kita dalam perbincangan, insya-Allah. Kalau sekiranya ianya berlaku maka perhubungan antara La Hot Springs dengan pengunjung ataupun pelancong akan menjadi lebih dekat lagi dan sekiranya tercapai maka kemudahan akan diterjemahkan di La Hot Spring.

Untuk pengetahuan sidang Dewan yang mulia, kita ada satu lagi hot spring baru, air panas yang baru kita jumpa di hutan Cherul di DUN Air Putih dan mengambil masa beberapa jam untuk ke sana menggunakan 4x4 dan insya-Allah kita akan memajukan jugak di tempat tersebut dan mungkin ia akan menjadi satu satu daya tarikan baru kepada pelancong untuk di daerah Kemaman khususnya negeri Terengganu. Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, terima kasih kepada Yang Berhormat Ladang.

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih Wakil Kijal dan seterusnya saya persilakan Wakil Kemasik untuk mengemukakan soalan.

Terima kasih, Timbalan Yang di-Pertua, soalan Kemasik nombor satu-

Apakah perancangan dan usaha yang telah dan akan Kerajaan Negeri laksanakan untuk membangun dan meningkatkan keupayaan serta membina budaya Kreatif dan Inovatif di semua peringkat dalam Negeri Terengganu?

Timbalan Yang di-Pertua

Silakan Wakil Paka, untuk menjawab.

Yang Berhormat ADUN Kemasik bertanyakan tentang usaha dan juga perancangan yang dilakukan oleh pihak Kerajaan Negeri dalam membangun dan meningkatkan keupayaan serta membina budaya kreatif dan inovatif di semua peringkat dalam negeri Terengganu.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Kerajaan Terengganu telah bekerjasama dengan institusi pendidikan untuk mengintegrasikan program pendidikan, menekan kreativiti dan inovasi dalam kukurikulum sekolah contohnya KIK-Kumpulan Inovatif dan Kreatif antara jabatan dan juga program STEM-Sains Teknologi Kejuruteraan dan juga Matematik digalakkan di sekolah-sekolah untuk memupuk pemikiran kreatif dan inovatif di kalangan pelajar. Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu, Institusi Pengajian Tinggi Awam dan swasta khususnya UniSZA, UMT dan juga Universiti TATI, pusat-pusat Kemahiran, agensi-agensi kerajaan khususnya PSKT dan kita mendapat kerjasama yang baik daripada pihak MOSTI untuk memainkan peranan penting dalam mempromosikan dan pembelajaran kreatif melalui aktiviti-aktiviti interaktif dan program-program sains yang menarik minat pelajar serta masyarakat terhadap inovasi teknologi. Dengan kerjasama Yayasan Terengganu, kita tahun ini menganjurkan di lapan daerah, setiap daerah pertandingan untuk galakkan kepada sekolah-sekolah, peringkat sekolah dan juga satu di peringkat negeri untuk mencungkil bakat-bakat dan menarik minat dari kalangan pelajar-pelajar untuk menyertai program-program inovasi khususnya melibatkan teknologi semasa. Terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih. Ada soalan tambahan?

Soalan tambahan yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua. Mungkin selepas daripada sekolah ataupun universiti apakah sasaran yang ditetapkan Kerajaan dan sektor apa yang diutamakan dalam mepergiatkan lagi atau dalam membangunkan program-program kreatif dan inovatif ini?

Pihak Kerajaan Negeri di semua peringkat untuk memberi sokongan dan dukungan bermula daripada peringkat awal persekolahan sehingga yang melibatkan industri dan sebagainya. Jadi pihak Kerajaan Negeri menyokong industri kreatif dan juga teknologi digital, antaranya dengan penubuhan Zon

Ekonomi Digital bagi menyokong perkembangan industri kreatif, Terengganu juga mempromosikan Zon Ekonomi Digital ini dalam menyediakan ruang bagi syarikat teknologi kreatif berkembang termasuk dalam bidang animasi, reka bentuk grafik dan juga digital. Kita juga mempromosikan budaya kreatif dalam komuniti, dalam masyarakat, antaranya kita melibatkan pameran-pameran seni, bengkel kraft, pertandingan inovasi dan juga dalam memupuk minat kreatif di kalangan masyarakat pelbagai peringkat umur dan juga Pembangunan Desa Kreatif. Antaranya inisiatif menyokong kawasan luar bandar dengan menonjolkan keunikan tradisi dan kraft tempatan melalui inovasi terkini. Dengan cara ini kreativiti dan juga bidang kraft tradisional dapat dipertingkatkan dan menjana pendapatan kepada penduduk desa. Juga memperkasakan ekosistem inovasi dengan mewujudkan kuverter dan juga hub inovasi seperti (TIH) Terengganu Innovation Hub bagi menyediakan ruang bagi usahawan dan juga penggiat inovasi untuk berkembang melalui bimbingan latihan dan akses kepada fasiliti yang kita sediakan khususnya untuk menyokong usahawan-usahawan barulah dalam bidang-bidang ataupun ke arah pembangunan produk dan juga perkhidmatan inovasi. Juga mewujudkan pengiktirafan dan juga insentif kepada penggiat-penggiat inovasi dengan mewujudkan, menganjurkan anugerah tahunan untuk memberi pengiktirafan kepada individu dan juga organisasi yang berjaya menghasilkan inovasi. Dan kita juga melalui i-MITS melibatkan modal insan ini menganjurkan beberapa program antaranya Terengganu Media Engagement Strategy yang melibatkan bidang IT dan juga media baru. Menganjurkan bengkel untuk kuasai AI Artificial Intelligence dan juga media baru siber dan beberapa pelan kerjasama yang melibatkan IPT untuk turut sama membentuk dan melahirkan budaya inovasi dari kalangan masyarakat dan juga melibatkan pelajar-pelajar IPT dan sebagainya.

Dan kita memberi sokongan dan dukungan khususnya daripada peringkat awal, dari peringkat persekolahan untuk turut menyertai pertandingan-pertandingan inovasi khasnya di peringkat negeri juga peringkat kebangsaan mahupun di peringkat international lah. Yang terbaru kita merakamkan ucapan tahniah kepada enam orang pelajar daripada IMTIAZ Hulu Terengganu yang telah berjaya meraih dua pingat emas dalam program International Inovasi di Beijing yang memperkenalkan aplikasi hafazan. Maknanya persaingan di peringkat antarabangsa di Beijing pelajar kita mampu. Tingkatan empat mampu untuk meraih dua pingat emas. Jadi ini satu pengiktirafan dan automatik sebagai pencetus kepada semua rakyat Terengganu untuk lebih kreatif dan inovasi di masa-masa akan datang. Terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih. Seterusnya saya persilakan Yang Berhormat Wakil Kuala Berang.

Dr. Mamad bin PutehPAS · PNKuala Berang

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua Dewan. Dari Cukai ke Geliga, Kuala Berang cadang soalan nombor tiga-

Apakah status pembaikian/rawatan cerun sepanjang laluan ke Empangan Sultan Mahmud, Kuala Berang setelah berlaku kerosakan akibat banjir besar pada Mac 2022?

Timbalan Yang di-Pertua

Silakan soalan nombor tiga, Wakil Cukai untuk menjawab.

Haji Hanafiah bin MatPAS · PNCukai

(W

Timbalan Yang di-Pertua, terima kasih kepada sahabat saya daripada Kuala Berang. Pantun tu dekat sangat Dari Cukai ke Geliga. Dua langkah sahaja. Soalannya sebagaimana yang tertera. Sesungguhnya status pembaikan cerun di sepanjang laluan ke Empangan Sultan Mahmud Kuala Berang, selepas kerosakan akibat banjir besar pada Mac 2022 menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan. Kerja baik pulih bermula pada Oktober 2022 dengan kos melebihi RM42 juta untuk lima lokasi cerun runtuh di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya. Sehingga 21 Oktober 2024 kemajuan kerja sebenar di tapak adalah 92% berbanding jadual fizikal 90% dan projek ini dijangka siap sepenuhnya pada 19 Jun tahun 2025. Di kawasan Stesen Janakuasa Sultan Mahmud, kerja-kerja pembaikan cerun dan struktur lain juga telah dijalankan oleh Tenaga Nasional Berhad. Kerja-kerja pembaikan bagi pengukuran tebing yang melibatkan talian TNB telah semuanya selesai dijalankan oleh pihak Bahagian brick dam TNB. Kos keseluruhan bagi kerja-kerja pembaikian ini adalah sebanyak RM5 juta. Sebanyak RM60.6 juta. Manakala kawasan Tasik Kenyir bukan sahaja terkenal sebagai destinasi ekopelancongan, tetapi juga sebagai lokasi penting bagi pengurusan sumber air Terengganu. Namun seperti kawasan lain di Malaysia, ancaman banjir lumpur dan hakisan tanah menjadi cabaran yang perlu ditangani dengan segera. Dan usaha mengatasi masalah ini,

Jabatan Pengairan dan Saliran telah memperkenalkan Projek Pembinaan Empangan Sabo. Sabo Dam di Kawasan Kenyir. Kos projek ini dianggarkan berjumlah RM30 juta yang melibatkan tiga Empangan Sabo iaitu Empangan Sultan Mahmud, Empangan Jenagor dan Empangan Sungai Dura dan Empangan Sungai Kila. Mesyuarat perolehan akan diadakan pada tahun hadapan dan projek akan dilaksanakan secara design dan build. Empangan Sabo merupakan struktur yang dibina khas untuk mengawal aliran sedimen seperti lumpur, batu dan pasir akibat hakisan tanah atau tanah runtuh. Di kawasan Kenyir, empangan ini memainkan peranan penting dalam menghalang pergerakan sedimen daripada kawasan hulu sungai terutamanya semasa musim hujan lebat. Dengan pembinaan Empangan Sabo, risiko banjir lumpur dapat dikurangkan, sekaligus melindungi kawasan penempatan dan infrastruktur penting di sekitar. Projek Empangan Sabo bukan sahaja mengurangkan risiko bencana, tetapi juga membawa pelbagai manfaat kepada penduduk setempat. Antaranya termasuk lah perlindungan terhadap kawasan pertanian. Memastikan kestabilan sumber air untuk kegunaan harian, dan mengurangkan kos pemulihan pasca bencana. Selain itu, projek ini juga membuka peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar semasa pembinaan dan penyelenggaraan. Langkah JPS memperkenalkan Empangan Sabo di Kenyir adalah bukti komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan keselamatan rakyat serta memelihara sumber alam sekitar. Jabatan Mineral dan Geosains pula telah mengambil langkah strategik dengan melaksanakan pelan mitigasi tanah yang menyeluruh untuk melindungi kawasan ini.

Timbalan Yang di-Pertua

Wakil Cukai. Ni ada kaitan dok dengan soalan Kuala Berang ni.

Haji Hanafiah bin MatPAS · PNCukai

Ada.

Timbalan Yang di-Pertua

Saya mintak Kuala Berang.

Sebab saya nampak soalan ni berkaitan dengan cerun.

Haji Hanafiah bin MatPAS · PNCukai

Ya betul.

Timbalan Yang di-Pertua

Tapi ni dah banyak ke. Jadi mintak kalu Kuala Berang ada soalan tambahan lain, kita boleh ringkaskan pada apa yang nak diketahui oleh wakil yang bertanya dan kita boleh terus kepada soalan lain. Sila wakil Kuala Berang pergi ke soalan tambahan.

Dr. Mamad bin PutehPAS · PNKuala Berang

Terima kasih Timbalan Yang di-Pertua. Saya nak ucap terima kasih lah kepada Exco JKR ni. Pertama nampak tadi projek yang asalnya apa ni 90% siap tetapi telah disiapkan 92%. Bermakna 2%. Tahniah di atas bagusnya pihak daripada JKR dan Exco sendiri. Cuma saya nak tanyalah, cerun ni biasanya beberapa ratus meter lah daripada jalan raya tu. Jadi biasanya JKR ni dia baiki oleh kerana jalan ni jalan negeri, dia baiki 20 meter sahaja. Maknanya jalan raya kiri kanan tu 20 meter sahaja yang diperbaiki kerana itulah dibawah tanggungjawab daripada pihak JKR. Sedangkan bukit ni tinggi. Berlakunya keruntuhan dulu daripada puncak bukit yang mana puncak bukit ni adalah di bawah Jabatan Hutan. Jadi saya percaya pembaikian ini tidak termasuk di kawasan hak Jabatan Hutan. Jadi saya nak tanya lah ada perbincangan ataupun tidak daripada pihak Exco antara dua-dua jabatan ini iaitu JKR dan juga Jabatan Hutan sama-sama bergembeling tenaga untuk memperbaiki cerun dan juga tak nak lah beri runtuh sebagaimana dua tahun yang lepas. Terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih Wakil Hulu Terengganu. Saya ingat soalan tu jelas. Minta Cukai untuk menjawab. Silakan.

Dr. Mamad bin PutehPAS · PNKuala Berang

Terima kasih kepada Kuala Berang. Yang pertamanya di peringkat atas cerun itu, yang tu TNB buat. Sementara yang bawah yang cadangan untuk berbincang dengan Jabatan Hutan itu insya-Allah saya harap JKR akan dapat berbincang selepas daripada ini.

Timbalan Yang di-Pertua

Saya harap Wakil-wakil Kerajaan apabila jawab tu, tolong spesifik pada soalan yang dikemukakan kerana kita ada banyak soalan lagi pada pagi ini dan soalan tambahan pun kalau boleh jangan jauh daripada tajuk asal dia. Silakan seterusnya Wakil daripada Jertih.

Terima kasih Timbalan Tuan Speaker. Jertih soalan yang pertama. Terima Kasih.

Berapakah jumlah pekerja-pekerja tempatan Negeri Terengganu dalam pembinaan projek ECRL?

Timbalan Yang di-Pertua

Sila Wakil daripada Wakaf Mempelam. Soalan pertama. Wakil Cukai silakan. Soalan pertama Wakil Cukai. Sila.

Haji Hanafiah bin MatPAS · PNCukai

Terima kasih kepada Jertih. Soalannya berapakah jumlah pekerja tempatan Terengganu dalam pembinaan projek ECRL? Keseluruhan tenaga kerja bagi projek ECRL sehingga bulan September 2024 adalah berjumlah 21,716 orang pekerja, di mana 23% atau 5,034 orang pekerja adalah tenaga kerja tempatan. Bagi Negeri Terengganu sahaja keseluruhan tenaga kerja anak Terengganu adalah seramai 3,476 orang pekerja. Keperluan pekerja tempatan semasa bergantung kepada baki-baki kerja infrastruktur yang masih ada. Bilangan pekerja akan semakin berkurang sehingga projek ini disiapkan mengikut kepakaran atau kerja-kerja yang masih berbaki. Bagi pekerja-pekerja yang mempunyai kepakaran tertentu, mereka akan diserapkan semasa pengoperasian selepas projek ini selesai dan bilangan akan ditentukan mengikut kekosongan jawatan yang ada dan ditawarkan dari masa ke semasa.

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih. Ada soalan tambahan daripada Jertih.

Terima kasih Timbalan Tuan Speaker. Adakah masalah gejala sosial yang menyebabkan ECRL yang menimbulkan masalah kepada masyarakat tempatan? Terima kasih.

Haji Hanafiah bin MatPAS · PNCukai

Terima kasih kepada Jertih. Untuk makluman kesan impak sosial terhadap masyarakat tempatan bagi projek ECRL telah dikenal pasti dan disenaraikan dalam laporan penilaian impak sosial yang telah diluluskan oleh Plan Malaysia. Antara impak sosial yang telah dikenal pasti adalah berkenaan konflik antara pekerja-pekerja projek ECRL dengan penduduk tempatan. Berdasarkan laporan penilaian impak sosial ini, pihak MRL selaku pemilik projek ECRL dengan kerjasama kontraktor CCCC telah mengambil langkah-langkah seperti berikut.

Yang pertama mewujudkan penempatan pekerja Cina secara berpusat yang dikenali sebagai CLQ Central Labour Quarters yang mana semua pekerja Cina diwajibkan untuk tinggal di CLQ ini. Kedua, pengurusan yang cekap dan padu diwujudkan bagi memperkenalkan sistem atau prosedur keselamatan yang

wajib dipatuhi oleh pihak kontraktor termasuklah pekerja yang terlibat. Ketiga, mengadakan sistem pemantauan bersama pihak berkuasa tempatan termasuklah pihak polis, CIDB dan agensi-agensi penguatkuasa lain. Yang keempat, pemeriksaan kesihatan secara berkala oleh pihak kontraktor kepada pekerja-pekerja mereka bagi memastikan pekerja berada dalam keadaan sihat dan tidak membawa penyakit-penyakit yang berjangkit. Selain daripada impak sosial ini juga turut dilaporkan dalam Pelan Pengurusan Impak Sosial melalui sesi taklimat secara berkala kepada Plan Malaysia dan agensi penguatkuasa yang lain. Terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih wakil Cukai.

Seterusnya saya mempersilakan wakil Bandar untuk mengemukakan soalan.

Terima kasih Timbalan Yang di-Pertua. Soalan saya soalan nombor dua-

Apakah Kerajaan Negeri Terengganu mempunyai rancangan untuk menambahbaik jeti LKIM Pulau Kambing di dalam usaha memajukannya?

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih. Soalan nombor dua akan dijawab bersama dengan soalan. Sila-sila Wakil Jabi.

Terima kasih Timbalan Yang di-Pertua. Terima kasih Wakil Bandar. Soalan ini secara spesifik berkaitan dengan Kompleks LKIM Pulau Kambing digabungkan sekali dengan soalan semalam berkaitan dengan Pelabuhan Perikanan di Chendering. Jadi saya gabungkan kedua-dua.

Timbalan Yang di-Pertua, isu air tohor, air cetek ditambah dengan kekurangan infrastruktur di pelabuhan dan jeti-jeti perikanan menjadi antara faktor yang merencatkan perkembangan industri perikanan Terengganu. Antara kesannya ialah banyak bot laut dalam C dan C2 yang berdaftar di Terengganu tetapi terpaksa mendaratkan hasil tangkapan di negeri lain. Antaranya mereka berpindah ke Pelabuhan Tok Bali di Pasir Putih ataupun Kompleks LKIM di Kuantan. Walaupun sebenarnya mereka masih menangkap ikan di perairan

Terengganu dan isu asasnya kita perlu selesaikan untuk kita menggamit semula kepulangan bot-bot Terengganu ini supaya mendaratkan hasil tangkapan di negeri sendiri. Pelabuhan LKIM Chendering dan Kompleks LKIM Pulau Kambing tidak terkecuali daripada menerima tempias disebabkan isu ini. Kompleks Pulau Kambing adalah merupakan kompleks yang balik aktif di Negeri Terengganu. Bukan hanya jeti pendaratan malah ada juga pasar nelayan, pusat bekalan air batu, pusat jualan minyak diesel dan juga pusat pengisytiharan pendaratan ikan. Walau pun keadaan dah jadi agak sesak kerana kiri dan kanan kompleks ini turut menempatkan beberapa agensi kerajaan yang lain. Kita sudah terlalu kekurangan ruang, tetapi projek naik taraf dan peningkatan infrastruktur perlu diteruskan secara berkala. Antaranya pada tahun 2022, LKIM telah diperuntukkan sebanyak RM2.188 juta bagi projek naik taraf dan peningkatan infra yang telah siap sepenuhnya pada Oktober 2024. Merujuk kepada Pelabuhan LKIM Chendering yang merupakan satu-satunya pelabuhan perikanan yang ada di Negeri Terengganu yang mula beroperasi pada 1983, melalui zaman kegemilangan pada tahun 90-an dan kini mula suram. Ada satu istilah yang menyebut Pelabuhan Chendering dah bau wangi, tak hanyir macam dulu kerana kurangnya ikan yang mendarat di pelabuhan. Jadi isu utama ialah mendapan pasir dan kedaifan infra yang menyebabkan pelabuhan ini bukan lagi pilihan utama sebagai tempat berlabuh dan mendaratkan hasil.

Dengan usaha daripada Kerajaan Negeri bersama dengan LKIM bermula daripada Bengkel Transformasi Perikanan Negeri Terengganu pada tahun 2021. Di antara resolusi penting daripada bengkel ini ialah Pelabuhan LKIM Chendering wajib dinaik taraf, diperkasa dan dipulihkan semula. Dengan cadangan skop kerja yang dirancang permohonan peruntukan telah diangkat oleh Kerajaan Negeri ke EPU Jabatan Perdana Menteri dan setelah melalui pelbagai proses yang agak panjang dan rumit. Naik turun Kementrian jadi rutin bagi team kami, akhirnya pada 27 Februari 2023, Kementerian Ekonomi telah meluluskan sebanyan RM 192 juta bagi projek pembangunan dan pemerkasaan Pelabuhan LKIM Chendering. Saya rakamkan penghargaan di Dewan yang mulia ini dan ucapan terima kasih kepada team UPEN Terengganu yang diketuai Pengarah Dato’ Tun Ahmad Faisal, PSU Portfolio Shahrin Hamid, PP Pertanian UPEN, Zarith Ahmad dan semua team yang telah bekerja keras dalam melaksanakan misi yang agak sukar ini dan kita ucapkan terima kasih juga kepada Kementerian Ekonomi dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita tahu menghargai jasa. Bagi melaksanakan projek ini, dua jabatan teknikal telah dilantik. JPS

untuk kerja dalam air, JKR untuk kerja-kerja di daratan. JKR telah selesai kerja-kerja pengukuran topografi dan pemetaan utiliti manakala kerja-kerja ukur hidrografi dan ukur topografi bagi pihak JPS telah bermula pada 1 Oktober 2024 yang lepas dan dijangka siap pada awal tahun 2025 dan projek ini akan dilaksanakan dalam dua fasa. Fasa pertama, kerja-kerja di daratan merangkumi skop naiktaraf infrastruktur pelabuhan oleh JKR dan fasa kedua kerja-kerja dalam air oleh JPS merangkumi skop merobohkan jeti sedia ada, pengorekan untuk mendalamkan pelabuhan serta menaiktaraf dan membina benteng pemecah ombak. Sebenarnya benteng pemecah ombak bagi Pelabuhan LKIM Chendering dibina lebih pendek daripada design asal ketika pembinaannya dulu untuk menjimatkan bajet. Kerana itulah pasir boleh masuk dan berlaku mendapan pasir yang menyebabkan kawasan pelabuhan bukan cetek malah tertimbus terus dengan pasir dan dijangkakan projek fasa 1 di daratan akan siap pada Oktober 2028 sementara fasa 2 dalam air dijadualkan akan siap pada Ogos 2031 dan dengan siapnya kerja-kerja ini insya-Allah saya yakin, usaha kita untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan Pelabuhan LKIM Chendering akan berjaya, insya-Allah.

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih. Ada soalan tambahan? Ke puas hati doh?

Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua. Terima kasih juga dan tahniah kepada Yang Berhormat EXCO dan team yang telah berjaya mendapat peruntukan yang begitu besar. Bukan senang untuk mendapatkan peruntukan yang begitu besar ini. Jadi kami sangat-sangat berbangga dan bersyukur dengan peruntukan ini. Mudah-mudahan ianya menjadi pemangkin kepada kemajuan industri perikanan kita di Terengganu.

Yang Berhormat, saya nak tanya sikit lagi. Dengan peruntukan yang besar ini, selepas siap jeti dan pelabuhan perikanan itu dan kita tahu di antara masalah utama kerana kurang infrastruktur dan juga kerana kecetekan itu dapat selesai selepas daripada projek ini, apakah langkah yang diambil oleh kerajaan ataupun bakal diambil oleh kerajaan untuk panggil balik bot-bot yang laut dalam ini untuk kembali ke Terengganu. Hasil daripada laut Terengganu keluar ke negeri lain. So sekarang ini kita nak tengok balik selepas pada siap supaya bot itu kembali ke negeri tanah air kita. Terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua

Sila Wakil Jabi.

Terima kasih Wakil Bandar. Kompleks LKIM Pulau Kambing tu dalam DUN Bandar. Kita berterima kasih atas keprihatinan Wakil Bandar kepada isu-isu nelayan. Secara asasnya, bot-bot yang berdaftar di Terengganu mesti mendaratkan hasil tangkapan di Negeri Terengganu, di jeti di mana bot tersebut didaftarkan. Tetapi apabila ada isu-isu tertentu, mereka boleh memohon untuk pindah pengkalan buat sementara dan bila saya pergi survey ke Pelabuhan Tok Bali, Kompleks LKIM di Kuantan, didapati bot-bot Terengganu ini masih kekal berwarna hijau. Maknanya mereka masih berjiwa hijau. Ini bukan politik. Kod warna nelayan Terengganu warna hijau. Dengan makna, kewujudan mereka di pengkalan dan pelabuhan luar Terengganu tu adalah untuk sementara dan bila kita jumpa, memang mereka berhasrat nak balik semula kerana kawasan tangkapan ikan mereka adalah di perairan Terengganu. Kalau terpaksa pergi ke Kuantan, mereka perlu menempuh satu jarak yang agak jauh dan inilah di antara isu pokok yang kita ambil perjalanan dan insya-Allah bila punca kepada masalah diselesaikan, yang berkaitan dengan masalah akan dapat dirungkai. Insya-Allah. Terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih kepada Wakil Bandar dan juga Wakil Jabi. Seterusnya saya persilakan Wakil Bukit Besi untuk mengemukakan soalan.

Ghazali bin SulaimanPAS · PNBukit Besi

Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Bukit Besi soalan nombor dua-

Bagi tahun 2025, berapakah unjuran peluang pekerjaan yang disediakan ataupun yang ditawarkan kepada rakyat Negeri Terengganu?

Timbalan Yang di-Pertua

Sila soalan nombor dua, Wakil Alur Limbat.

Ariffin bin DeramanPAS · PNAlur Limbat

Terima kasih kepada Bukit Besi. Berdasarkan data tawaran jawatan kosong tahunan oleh PERKESO, unjuran tawaran kerja kosong bagi tahun 2025 dalam Negeri Terengganu adalah sebanyak 15,000. Data ini berdasarkan kepada statistik jawatan kosong Negeri Terengganu bagi tahun 2023 dan juga 2024 di mana pada tahun 2023, jawatan kosong yang ditawarkan adalah sebanyak 19,778. Pada tahun 2024 13,323. Unjuran yang dibuat pada tahun 2025 insya-Allah jawatan kosong sebanyak 15,000. Sekian.

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih. Ada soalan tambahan?

Ghazali bin SulaimanPAS · PNBukit Besi

Ada. Terima kasih kepada jawapan yang telah diberikan. Saya rasa agak pelik di sini. Cuma nak tahu, berapakah statistik rakyat Terengganu yang telah hilang pekerjaan? Sejak dari 2023 dulu dan apakah langkah-langkah Kerajaan Negeri, apakah punca kehilangan pekerjaan tersebut? Okey terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua

Sila Wakil Kerajaan.

Ariffin bin DeramanPAS · PNAlur Limbat

Okey terima kasih kepada Bukit Besi. Berdasarkan data daripada PERKESO, jumlah pekerjaan, yang dilaporkan hilang pekerjaan pada tahun 2023 adalah seramai 502 orang dan pada tahun 2024 - 567 orang. Punca kehilangan pekerjaan tersebut, (dengan izin) closure of business division, 2023 - 80 orang, 2024 - 200 orang. Penutupan perniagaan maksudnya. Yang kedua, downsizing (pengecilan perniagaan) 2023 - 118 orang, 2024 - 90 orang. Masalah kewangan (financial difficulties), 92 orang - 2023. 2024 - 74 orang. Sebab-sebab lain, 2023 - 103 orang, 2024 - 75 orang. Performance based dismissal 54 orang pada tahun 2023, 2024 - 63 orang. VSS, MSS, early retirement package 2023 - 24 orang, 2024 - 35 orang. Voluntary resignation 31 orang pada tahun 2023, 2024 - 30 orang. Sekian.

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih. Seterusnya saya persilakan Wakil Kuala Besut.

Haji Azbi bin SallehPAS · PNKuala Besut

Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, soalan saya soalan nombor 1-

Adakah Kerajaan Negeri Terengganu akan melaksanakan hukuman sebatan terhadap pesalah Jenayah Takzir di khalayak ramai seperti di pasar atau masjid?

Timbalan Yang di-Pertua

Sila Wakil Batu Buruk.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, soalan Kuala Besut adalah berkait dengan pelaksanaan hukuman sebatan terhadap pesalah jenayah takzir di khalayak ramai seperti di pasar ataupun di masjid. Untuk maklumat Kuala Besut dan semua Ahli-ahli Yang Berhormat, tindakan ini sudah berada di fasa yang terakhir. Untuk maklumat juga, sebenarnya ia adalah bidang kuasa Yang Amat Arif Hakim Syarie untuk menentukan di manakah hukuman sebat dilaksanakan ke atas pesalah-pesalah takzir. Jadi jika sekiranya Yang Amat Arif mahu ia dilaksanakan di dalam penjara, dalam penjara lah. Kalau di luar, di luar lah. Jadi di sini kita fikir ada keperluan untuk kita melaksanakannya di khalayak ramai. Di atas asas siasah syar’iyyah untuk menggerunkan mereka yang melakukan kesalahan-kesalahan yang tertentu. Namun begitu ia sebenarnya bukan semua pesalah-pesalah, yang tertentu sahaja. Sebagai contoh pesalah yang melakukan kesalahan lebih daripada dua kali. Jika sekiranya dilaksanakan di dalam penjara, tidak menyedarkan. Jadi itu ada keperluan untuk diadakan di khalayak ramai. Jadi jika sekiranya Yang Amat Arif mahu ia dilaksanakan di kawasan pasar sebagai contoh, jadi ia perlu kerjasama dengan pihak PBT. Kalau nak dilaksanakan di perkarangan masjid, maka ia perlu kepada tindakan-tindakan susulanlah dengan pihak JHEAT, MAIDAM dan dengan pihak PBT. Kalau nak dilaksanakan di pekarangan masjid, maka ia perlu kepada tindakan-tindakan susulanlah dengan pihak JHEAT, MAIDAM dan

seterusnya dan buat masa ini kita dalam proses akhirlah untuk kita berusaha bagi menjayakan usaha ini. Terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih. Ada soalan tambahan?

Haji Azbi bin SallehPAS · PNKuala Besut

Ada Timbalan Yang di-Pertua. Apakah jenis kesalahan-kesalahan jenayah syariah yang boleh membawa kepada hukuman sebat di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu Pindaan 2022?

Timbalan Yang di-Pertua

Sila.

Terima kasih kepada Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, terima kasih Kuala Besut. Sebenarnya terdapat banyak kesalahan-kesalahan yang berada di bawah enakmen ini. Ada 24 semua yang asalnya ialah Enakmen Jenayah Kesalahan Jenayah Syariah Takzir 2021, kemudian kita pinda masukkan beberapa seksyen lain. Terdapat 24 semua. Saya nak baca satu per satu ini banyaklah. Saya sebut tiga contohlah…

Timbalan Yang di-Pertua

Ya.

Yang pertama Pemujaan Salah Seksyen Tiga, yang kedua Doktrin Palsu Seksyen Empat, yang ketiga mengembangkan Doktrin Agama dan sebagainya. Terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih. Seterusnya saya persilakan Wakil Bukit Tunggal.

Bukit Tunggal soalan nombor 1. Terima kasih.

Adakah Kerajaan Negeri mempunyai perancangan bagi mewujudkan usaha ke arah Projek ‘Waste to Energy’ di kalangan semua Pihak Berkuasa Tempatan?

Timbalan Yang di-Pertua

Sila.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Bukit Tunggal yang bertanyakan soalan seperti yang tertera di skrin.

Untuk makluman Timbalan Yang di-Pertua, ADUN Bukit Tunggal dan Dewan, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan telahpun menerima beberapa kertas cadangan daripada pelbagai syarikat untuk menjalankan projek Waste to Energy (WTE) ini khususnya melibatkan kawasan-kawasan Tapak Pelupusan Sisa Pepejal (TPSP).

Pada tahun ini, terdapat satu projek Waste to Energy yang sedang dibangunkan oleh Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) di TPSP Gelugor, Kerteh dan TPSP Bukit Takal, Mak Chili yang dilaksanakan oleh Syarikat Ignis Wawwa Terengganu Sdn. Bhd. dan Kerajaan Negeri serta PBT senantiasa melihat dan juga mengkaji kaedah dan cara yang terbaik untuk melaksanakan program WTE ini. Terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua

Okey, ada soalan tambahan?

Soalan tambahan Timbalan Yang di-Pertua. Kita ada selalu mendengar projek WTE ini tidak viable di peringkat PBT. Jadi boleh EXCO terangkan kriteria pasal apa yang tidak viable di peringkat PBT. Terima kasih.

Untuk makluman Bukit Tunggal, Projek WTE ini adalah merupakan satu projek yang sangat baik sebenarnya untuk masa akan datang.

Tetapi perancangan untuk pelaksanaan projek WTE dengan skala yang besar melibatkan semua PBT ini sukar dicapai di sebabkan kerana beberapa faktor. Di antaranya adalah yang pertama jumlah janaan sisa pepejal bagi seluruh PBT di Negeri Terengganu yang masih lagi tidak cukup dengan sasaran yang dikehendaki di mana jumlah pungutan sisa pepejal di Terengganu ini sehingga ke hari ini adalah sebanyak 1,000 tan sehari berbanding keperluan yang diperlukan untuk program ini sebanyak 3,000 tan sehari bagi menukar sisa tersebut kepada tenaga.

Yang keduanya kebanyakan syarikat yang mengemukakan cadangan projek WTE ini memerlukan pembiayaan kewangan yang besar daripada Kerajaan sedangkan tipping fee yang dikenakan kepada Kerajaan Negeri ataupun PBT untuk pengoperasian WTE ini lebih tinggi berbanding kaedah pelupusan sisa pepejal yang menggunakan kaedah yang sedia ada. Dalam bahasa yang mudah, kos yang tinggi dan pulangan hasil yang belum tentu. Terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih. Seterusnya saya persilakan Wakil Telemung untuk kemukakan soalan. Saya harap bukan soalan gajah harini deh.

Mohd Zawawi bin IsmailBERSATU · PNTelemung

Guane yang dok suka sangat ke gajah tu? Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Ahli-ahli Yang Berhormat, sidang hadirin sekalian. Saya nak lawan DUN Kuala Berang tadi itu.

Jumpa anak batu atas batu Saya nak Wakil Kerajaan jawab soalan saya nombor satu Terima kasih.

Kehadiran pelancong ke Tasik Kenyir akhir-akhir ini didapati sangat berkurangan berbanding tahun-tahun terdahulu yang boleh mencecah sehingga 700,000 orang setiap tahun. Kenapa berlaku perkara ini dan apakah usaha-usaha yang akan dijalankan oleh Kerajaan Negeri untuk mengembalikan semula kegemilangan Tasik Kenyir sebagai antara salah satu destinasi utama pelancongan di Terengganu?

Timbalan Yang di-Pertua

Sila Wakil Kijal.

Datuk Haji Razali bin IdrisBERSATU · PNKijal

Soalan sepertimana yang tertera. Bukan soalan gajah Timbalan Yang di-Pertua. Antara faktor penurunan jumlah pelancong di Tasik Kenyir yang terkait rapat dengan cabaran promosi dan perubahan dalam trend pelancongan adalah sebagaimana berikut;

1. Kesan Pasca-Pandemik pada corak pelancongan. Selepas pandemik COVID-19, corak perjalanan pelancongan berubah dengan lebih ramai memilih destinasi yang menawarkan akses dan kemudahan lengkap. Oleh itu, produk pelancongan di Tasik Kenyir perlu dipromosikan lebih agresif lagi dan relevan selaras dengan trend terkini.

2. Kekurangan promosi bersepadu. Promosi berterusan dan menyeluruh diperlukan untuk memperkenalkan keunikan Tasik Kenyir seperti Kenyir Elephant Conversation Village (KECV) dan Kenyir Geopark kepada pelancong. Promosi bersepadu di pelbagai platform dapat meningkatkan kesedaran mengenai destinasi yang hebat ini.

Antara usaha Kerajaan melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dalam mempromosikan Tasik Kenyir adalah sepertimana berikut;

1. Kempen Promosi Digital. Promosi berterusan di platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok akan dijalankan untuk menonjolkan keunikan Tasik Kenyir, termasuk aktiviti ekopelancongan, rekreasi air dan lawatan bersepadu. Penglibatan pempengaruh (influencer) dengan izin, pelancongan juga akan dipertimbangkan bagi menarik minat pelancong muda.

2. Penyertaan dalam pameran pelancongan domestik dan antarabangsa. Tasik kenyir akan diketengahkan sebagai produk utama dalam pameran pelancongan di dalam dan luar negara untuk memperkenalkan

keindahan dan kepelbagaian aktivitinya kepada pelancong domestik dan juga antarabangsa.

3. Kerjasama promosi dengan agensi pelancongan. Kerajaan akan memperluas kerjasama dengan agensi pelancongan tempatan dan antarabangsa untuk membangunkan pakej pelancongan yang menarik, bagi memudahkan pelancong rancang perjalanan mereka ke Tasik Kenyir.

4. Penyediaan bahan promosi yang lebih menarik. Bahan promosi seperti video pendek, risalah digital dan infografik yang menonjolkan aktiviti unik di Tasik kenyir akan dibangunkan dengan penekanan pada elemen visual yang menarik untuk meningkatkan kesedaran dan minat di kalangan pelancong.

Terima kasih Timbalan Yang di-Pertua.

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih. Gajah pun jadi tarikan pelancong itu. Jadi jangan nak marah ke gajah sokmo. Ada soalan tambahan?

Mohd Zawawi bin IsmailBERSATU · PNTelemung

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua. Kalau kita lihatkan di mana-mana tempat pelancongan yang menarik dan maju ini, diusahakan oleh anak-anak syarikat kerajaan ataupun tauke-tauke atau ahli-ahli korporat, orang-orang yang banyak duitlah untuk pastikan kawasan ini berjaya dan maju. Jadi bukan sahaja kerajaan ataupun agensi kerajaan yang melaksanakannya, tapi lebih kepada contohlah kalau kita ingat dulu-dulu, saya ingatlah masa saya kecil dulu ada peranan yang dimainkan oleh Yang Berbahagia Arwah Dato’ Seri Yahya tapi sayanglah Kenyir kurang bernasib baik kerana beliau telah meninggal awal. Jadi saya nak tanya, soalan saya adakah Kerajaan Negeri merancang untuk mengambil pendekatan ini untuk pastikan ke arah ini di Tasik Kenyir? Terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua

Sila, Wakil Kijal.

Datuk Haji Razali bin IdrisBERSATU · PNKijal

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, saya amat bersetuju dengan soalan

tambahan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Telemung. Sebenarnya Yang Berhormat Telemung, Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, berdasarkan kepada keputusan Mesyuarat MMKN (Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) Kali Ke-20 Tahun 2023 yang bermesyuarat pada 31 Mei 2023, Kerajaan Negeri bersetuju menyerahkan hak pengurusan dan pengoperasian aset di Pulau Poh, Pulau yang telah dibina cantik molek termasuk Marina Pengkalan Gawi kepada pihak Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (TI) iaitu anak syarikat Kerajaan Negeri. Marina Pengkalan Gawi Timbalan Yang di-Pertua, akan menjadi tempat utama penganjuran acara berskala besar yang mampu menampung ramai pengunjung dalam satu masa, insya-Allah.

Selain daripada itu, ia juga akan menjadi pusat pelancongan utama di Tasik Kenyir. Terdapat kemudahan terminal jeti serta penginapan hotel bertaraf tiga bintang berkapasiti 150 bilik dan pengoperasian hotel tersebut oleh pelabur dan operator hotel yang berpotensi tinggi iaitu Tamu Hotel. Kita juga bercadang untuk membaik pulih waterpark yang telah berada di Tasik Kenyir dan insya-Allah kita akan hidupkan kembali program-program yang terhenti seketika oleh KETENGAH, insya-Allah saya akan jumpa dengan Pengerusi KETENGAH untuk cari satu formula baru untuk berbincang elok-elok supaya semua program yang selama ini diterajui oleh KETENGAH akan dilaksanakan semula pada tahun 2025, insya-Allah. Bukan apa Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, untuk memastikan semua pengusaha-pengusaha pelancongan di Tasik Kenyir dapat cari makan dengan sempurna. Terima kasih Yang Berhormat Telemung, Yang Berhormat Timbalan Speaker.

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih dan yang seterusnya mungkin yang terakhir untuk sesi pagi ini saya persilakan Wakil Langkap.

Azmi bin MaarofPAS · PNLangkap

Terima kasih pada Timbalan Yang di-Pertua Dewan, soalan saya nombor 1-

Apakah jenis bantuan dan program yang dijalankan khas untuk golongan Wanita dan Ibu Tunggal serta nyatakan sejauh mana matlamat yang dikehendaki tercapai?

Timbalan Yang di-Pertua

Sila Wakil Ajil.

Terima kasih sahabatku Wakil Langkap yang sangat prihatin dengan perempuan dan ibu tunggal. Kita sebenarnya banyak sangat buat program untuk wanita dan ibu tunggal. Memang terlalu banyak melalui Jabatan Pembangunan Wanita, Kementerian Pembangunan Wanita, USWa, Yayasan Pembangunan Keluarga dan program-program NGO, ramai pihak yang cara dan ambil cakna kepada wanita sehingga tinggal hok laki akhirnya hok laki ramai masuk jare.

Untuk makluman warga Dewan, antara program yang telah dilaksanakan oleh jabatan kerajaan khususnya Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu untuk membantu meningkatkan ataupun memberdayakan wanita bukan memperdaya, memberdayakan wanita dan juga ibu tunggal ialah Program Jaya Diri yang dilaksanakan oleh Yayasan Pembangunan Keluarga yang dilaksanakan untuk membantu golongan wanita dan ibu tunggal yang berminat mengusahakan perniagaan dengan pembiayaan modal di antara RM1,000.00 hingga RM20,000.00 yang melibatkan sesi pembayaran ataupun jadual pembayaran yang sangat minima dan tidak menekan. PJD ini sangat membantu golongan wanita dan ibu tunggal yang berpendapatan rendah untuk meningkatkan pendapatan melalui program ini dan setakat ini pembiayaan bagi tahun 2024 sehingga Oktober melibatkan RM5.5 juta dan dikeluarkan kepada 472 orang peserta di seluruh negeri.

Ada juga program-program lain seperti Program Latihan Kemahiran bagi tujuan membangunkan sosioekonomi dan meningkatkan taraf hidup ibu tunggal melalui Bahagian Sosioekonomi YPKT (Yayasan Pembangunan Keluarga) untuk mengadakan bantuan pembiayaan modal perniagaan tanpa faedah bagi golongan ibu tunggal memulakan perniagaan, dan kursus-kursus kemahiran juga telahpun dilaksanakan untuk ibu tunggal bagi meningkatkan kemahiran mereka untuk meningkatkan pendapatan perniagaan melalui bengkel-bengkel kemahiran keusahawanan termasuklah platform digital, bengkel kemahiran jahitan, masakan kulinari dan sebagainya.

Yang ketiga ialah Program Home Manager, dengan izin iaitu Pengurus Kediaman ataupun kalau kita kata pembantu rumah. Untuk mengurangkan

kebergantungan pembantu rumah warga asing, maka Yayasan Pembangunan Keluarga telah mengadakan program Home Manager ini dan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dan dapat membantu dua pihak satunya majikan, yang kedua ialah wanita dan ibu tunggal melalui Pengurus Kediaman, penjagaan kanak-kanak, penjagaan warga emas, penjagaan OKU, pakej pembersihan kediaman luaran dan dalaman. Jadi, siapa-siapa yang berhajat dan menghendaki kepada khidmat ibu tunggal, sila hubungi Yayasan Pembangunan Keluarga, molek lagi kalau tuan rumah ambil ibu tunggal ini duduk dalam rumah jadikan bini nombor dua, terima kasih. [ketawa]

Timbalan Yang di-Pertua

Molek jawapan tu, ada soalan tambahan ke?

Azmi bin MaarofPAS · PNLangkap

Terima kasih kepada Yang Berhormat Ajil. Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, saya melihat perniagaan secara online sekarang ini berpotensi maknanya untuk kita membantu golongan wanita dan juga ibu tunggal ini, cuma nak tahunya adakah pihak kerajaan melalui YPKT ada menganjur program ataupun kursus-kursus yang berkaitan dengan perniagaan secara online dalam talian.

Terima kasih sekali lagi kepada sahabat Langkap. Kursus kemahiran perniagaan secara online ini dibuat oleh sahabat kita melalui Yayasan Pembangunan Usahawan secara online melalui Program Skim Perniagaan Atas Talian, okey? Terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Yang Berhormat

Mohd Shafizi bin IsmailPAS · PNBatu Rakit

Yang Berhormat Timbalan

Timbalan Yang di-Pertua

Ahli Mesyuarat Kerajaan

Mohd Shafizi bin IsmailPAS · PNBatu Rakit

Kalau boleh

Timbalan Yang di-Pertua

Saya ingat nak tangguh dulu mesyuarat kita ini sebab kita ada penggulungan pada tengah hari ini…

Mohd Shafizi bin IsmailPAS · PNBatu Rakit

Boleh dok saya nok cadang sambung satu soalan selepas rehat?

Timbalan Yang di-Pertua

Tak ada soalan doh lepas rehat ini, soalan sesi pagi sahaja ikut Peraturan Dewan, terima kasih ya. Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Ketua-ketua Jabatan dan seluruh pemerhati daripada seluruh DUN di negeri Terengganu dari parti politik, NG0-NGO, saya dengan ini tangguhkan sementara Dewan ini dan insya-Allah kita akan sambung semula pada pukul 11.20 pagi. Terima kasih.

MESYUARAT DITANGGUHKAN PADA PUKUL 10.41 PAGI

PUKUL 11.20 PAGI

Enakmen Perbekalan 2025Bill

Timbalan Yang di-Pertua

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian. Mesyuarat disambung semula. Untuk makluman semalam kita telah pun selesai Sesi Perbahasan ke atas Enakmen Perbekalan 2025, maka sekarang saya mempersilakan Wakil Kerajaan untuk membuat penggulungan. Dipersilakan Wakil Kota Putera untuk memulakan penggulungan. Silakan.

,

,

,

Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Yang Berhormat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Ahli-ahli, Yang Berusaha Ketua-Ketua Jabatan, Agensi Negeri dan Federal, Yang Dihormati Para Pegawai, dan kakitangan Kerajaan Negeri dan Federal, Ketua Petugas-petugas Media, semua tetamu-tetamu, seterusnya pemerhati-pemerhati yang di rahmati Allah.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, alhamdulillah sama-samalah kita rafakkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana memberikan kesempatan kepada kita untuk berada dalam Dewan yang mulia ini bagi menjalankan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua kerana memberi peluang kepada saya untuk memulakan sesi penggulungan pada pagi yang berbahagia ini. Di samping itu juga saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan, tahniah dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Ir. Menteri Besar Terengganu atas pembentangan Rang Enakmen Perbekalan 2025, walaupun secara ringkas tetapi komprehensif. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat-Yang Berhormat yang hampir keseluruhannya telah mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan 2025 dan berterima kasih kepada YB-YB yang telah menyebut portfolio yang saya dipertanggungjawabkan dalam ucapan-ucapan mereka. Antaranya adalah YB Seberang Takir, YB Ladang, YB Buluh Gading, YB Kemasik, YB Manir, YB Bukit Besi dan YB Batu Rakit. Ucapan dan pertanyaan ataupun permohonan penjelasan memberikan pandangan dan nasihat dan mengutarakan hasrat masing-masing. Semuanya itu saya yakin dan percaya tujuan akhirnya adalah ingin melihat Negeri Terengganu Darul Iman yang kita cintai ini berada dalam keadaan “Maju, Berkat dan Sejahtera”.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, sebelum bicara saya diatur dan diteruskan, besar tanggungjawab saya untuk mengangkat dan mendokong Rang Enakmen Perbelanjaan (2025) dengan moto “Demi Masa Depan Terengganu” yang banyak memberi penekanan kepada kerajaan untuk mengenalpasti sumber-sumber baru kepada Negeri Terengganu yang kita cintai ini. Sudah tentu, ia merupakan tanggungjawab kerajaan dalam memastikan kesejahteraan negeri walaupun ditekan oleh pelbagai pihak. Saya melihat bahawa perancangan Belanjawan ini dirangka dengan komprehensif serta inklusif dan boleh membawa manfaat yang besar kepada seluruh rakyat dalam pelbagai lapisan masyarakat. Buktinya, hala tuju strategik Kerajaan yang

digariskan pada Fokus 4 iaitu “Pemerkasaan Ekonomi Berdaya Sain” atau Competitive Economy, dengan izin, mencakupi ikhtiar bagi memajukan perindustrian dan perdagangan, meningkatkan permintaan pasaran serta menerajui pelaburan bernilai tinggi bagi memperkukuhkan daya saing dan kemakmuran ekonomi jangka panjang.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, di bawah Portfolio Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perindustrian, Perdagangan dan Teknologi Hijau, sudah tentu misi besar saya adalah untuk meneroka peluang pendapatan baharu kepada negeri dan membawa pelabur-pelabur bagi meningkatkan nilai pelaburan di dalam negeri ini sekali gus bagi mengurangkan kebergantungan negeri kepada royalti minyak. Sesuai dengan ucapan Yang Berhormat daripada Ladang dan juga Manir dan Batu Rakit yang menyentuh mengenai New Income Terengganu (NIT) pelan ini dirangka dengan tiga objektif yang mengandungi 7 strategi dengan menjangkakan, insya-Allah, pada tahun 2025 nanti, hasil yang berpotensi adalah sebanyak RM273.8 juta. Ianya akan dijalankan secara berperingkat mulai daripada tahun ini.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, izinkan saya membuat pendetailan, kepada objektif ataupun strategi yang di bawah NIT ini. Yang pertamanya adalah, Kajian Semula Cukai dan fi PTG bagi tahun 2024. Jangkaan awal cukai ini akan diperkenalkan pada suku keempat tahun 2024 ini tetapi disebabkan beberapa permasalahan yang tidak dapat dielakkan seperti kekangan waktu dan tindakan waktu, antaranya kerana mengambil masa dalam libat urus dan pewartaan cukai baru ini, insya-Allah akan dimulakan pada awal suku pertama 2025. Ingatan daripada YB Ladang agar cukai baru ini tidak membebankan rakyat, alhamdulillah perkara tersebut telah dilihat pada awal lagi dari pihak PTG dan juga Jawatankuasa NIT ini dan untuk makluman Dewan yang mulia ini, kadar kenaikan cukai yang baru ini melibatkan 80% di dalam bidang komersial dan hanya 20% sahaja yang melibatkan orang awam. Yang kedua adalah serahan GLC kepada Kerajaan Negeri. Perkara ini disebut oleh Yang Berhormat Seberang Takir yang mengambil contoh pendapatan TI yang disebutnya berjumlah RM1.8 billion dan berapakah pulangan kepada kerajaan, ada benarnya apabila ditanya, berapakah Kerajaan Negeri ataupun state dapat daripada pendapatan yang tinggi itu dan perkara ini juga disebut dalam ucapan YB Manir agar ditetapkan satu peratusan yang tetap bagi disumbangkan kepada GLC, sama ada yang untung ataupun yang tidak untung.

Untuk makluman Dewan yang mulia, sumbangan GLC kepada Kerajaan adalah dua kaedah. Yang pertama adalah berbentuk dividen tahunan kepada Tabung Wang Disatukan dan yang keduanya adalah berbentuk CSR. Mengenai peratusan dividen tahunan sebenarnya sekarang ini telah ada ditetapkan iaitu setiap GLC akan menyumbang lima peratus kepada Kerajaan Negeri. Daripada jumlah peratusan itu, ada pandangan supaya ianya dinaikkan. Jadi perkara ini dalam pertimbangan pihak Jawatankuasa Pelan NIT ini untuk diharmonikan. Kaedah- kaedahnya masih lagi di peringkat akhir kerana ada melibatkan perkara-perkara pro dan kontra. Insya-Allah ianya akan dapat jalan penyelesaiannya.

Yang seterusnya adalah sumber galian dan mineral. Sumber galian dan mineral, ramai YB-YB yang menyebut untuk kita meningkatkan hasil daripada sektor ini. Pihak jawatankuasa dan portofolio saya telah membuatkan satu perincian mengenai basic pengiraan. Di atas maklumat daripada pakar-pakar dan input-input yang kita perolehi, suka saya berkongsi dengan Dewan yang mulia ini berkenaan dengan sedikit basic pengiraan. Sebagai makluman, semalam YB Manir ada menyebut jumlah tanah yang telah diluluskan sehingga tahun 2024 untuk perlombongan silika berjumlah 1,132.994 hektar. Untuk makluman sidang Dewan yang mulia, jumlah ini adalah jumlah yang telah diluluskan tetapi belum beroperasi kerana permohonan untuk EIA dan sebagainya tetapi yang saya nak menarik perhatian Dewan adalah sekarang ini jumlah yang telah diluluskan dan telah beroperasi sekarang ini. Jumlah yang telah beroperasi sehingga ini adalah berjumlah 1,029.91 hektar. Saya ulang, 1,029.91 hektar dan kita tukar dulu daripada hektar kepada ekar untuk mudah kita hendak mengiranya, kali dengan 2.471 dan kita perolehi jumlah sebenar yang telah diluluskan adalah 2,544.91 ekar. Untuk silika ini pula, daripada input yang kita perolehi daripada pakar-pakar, satu ekar tanah silika dan dikorek sedalam satu meter ia akan boleh kita ambil tanahnya berjumlah 6,000 tan. Satu ekar kita ambil dalam satu meter hasil dia adalah 6,000 tan. Jadi kalau 6,000 tan ini dikali dengan 2,544.91 tadi akan keluar 15,269,445.00 tan. Figurenya kita ambil 15 juta tan lah, okay 15 juta tan. Tanah yang dikeluarkan jika dikorek hanya sedalam satu meter dan keuntungan ataupun kehasilan yang diperolehi oleh pengusaha satu tan sekarang ini kalau kita tengok melalui aplikasi-aplikasi yang ada, berjumlah 26 US Dollar, 26 US Dollar. Daripada 26 itu kita ambil nak kalikan saya nak tunjukkan kepada sidang Dewan yang mulia ini berapakah hasil negeri yang sepatutnya kita ada yang kita bersungut ramai hari ini kita kekurangan duit kerana sumber kita dicandat oleh pihak tertentu sedangkan

yang ada dalam kendong kita, kita tidak kira sebenarnya berapa yang ada. Yang ini menjadikan Jawatankuasa New Income Terengganu ini (NIT) melihat secara serius. Daripada jumlah yang 15,269,445.00 tan itu kalau dikalikan dengan, kita ambil 10 USD sudahlah walaupun harga pasarannya 26 ditolaklah operasi itu, operasi ini, dia boleh 10 USD. 10 USD kali dengan 4 pun kita jangan kira 4.2 ataupun 4.4, kali (x) dengan 40. Keluarnya hasil yang diperolehi sebanyak RM610,777,826.00. Ini yang diperolehi daripada pengusaha-pengusaha. Yang ini kita dah potong banyak dah tadi. Apa yang Kerajaan Negeri dapat daripada ini, kita hanya ada hasil perpindahan tanah yang bernilai, berjumlah RM1.20 satu tan dan saya darabkan dengan jumlah tan yang kita perolehi sebanyak 15,269,445.00 ini, kita sepatutnya dapat RM18,323,334.00 tetapi kalau sekarang ini kita tanya PTG, berapakah jumlah yang kita perolehi, Kerajaan perolehi, saya nak sebutnya angka sebenar segan nak sebut tapi kurang daripada 500 ribu. Yang sepatutnya kita dapat..

Pencelahan Dato’, pencelahan.

Timbalan Yang di-Pertua

Ya.

Terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua

Sila, apabila EXCO duduk dan beri laluan itu saya akan benarlah, sila.

Terima kasih Timbalan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat EXCO. Saya tulis se, se nombor tadi, tulis sutir-sutir nombor tadi tu jadi pengusaha dapat semeter, dia korek semeter, semester, tiga kaki. Sekarang ni dok tahulah berapa kaki dia orang korek ni semeter dapat 610 juta tu hok dapat kepada pengusaha dan hasil yang sepatutnya dapat kepada kerajaan dengan RM1.20. Pengusaha jual dalam USD, dia bayar kepada Kerajaan Negeri dalam ringgit Malaysia. Cerdik juga kita ini, kemudian kali

dengan 15 juta dapat 18 juta tapi hak kita dapat macam sebagaimana Yang Berhormat EXCO sebutkan dok kurang daripada 500 ribu tu mungkin kurang lagi. Saya kira lebih kurang sakni congok-congok daripada 18 juta dan kurang 500 ribu kita cuma dapat 2.5% sahaja. Hasil yang sepatutnya kita terima 18 juta kita dapat kurang pada 500 ribu.

Haji Hilmi bin HarunPAS · PNManir

Lebih kurang zakat asnaflah.

Masukkan dalam ucapan saya. Jadi sampai begitu sekali negeri ini dibuat seolah-olah macam takdok tuan. Saya minta supaya-saya cadang supaya penguatkuasaan ditegaskan untuk mendapatkan kembali kehilangan hasil Kerajaan tatkala kita meronta-ronta kehilangan hasil, dok beri dana, petroleum, kekangan kewangan, kita duduk gelepor cari pitih Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar pun pergi luar negara cari pelaburan hok dalam rumah kita ni, orang ambil puluh-puluh juta senang senang. Setiap tahun.

Timbalan Yang di-Pertua

Soalannya?

Jadi saya bertanya apakah tindakan daripada pihak penguatkuasa selepas ini untuk memastikan hasil kehilangan yang sebegitu besar itu dapat dikembalikan. Sekian terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih.

Terima kasih kepada Yang Berhormat yang mencelah. Itulah kalau dari segi sayanya sangat bersetuju untuk menekankan penguatkuasaan kalaulah yang sepatutnya RM1.20 itupun tidak dibayar dan kita tidak ada penguatkuasaan memastikan setiap butir silica yang keluar daripada perut Negeri Terengganu ini sepatutnya dapat hasil kepada Kerajaan dan rakyat. Ini suatu tanggungjawab kita yang dalam Dewan ini untuk bertanggungjawab dengan Allah Subhanahu Wa Ta’ala nak kata apa ini orang curi barang kita, dengan kita tengok begitu sahaja. Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua.

Timbalan Yang di-Pertua

Saya bagi masa lima minit lagi eh.

Minta maaf Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua. Saya nak nak ini hasil negeri ini. Antara punca apa ini belanjawan kita adalah hasil negeri. Saya nak tekankan di sini untuk Sidang Dewan yang mulia ini supaya tahun 2025 nanti kita melangkah dengan satu arah dan tujuan yang jelas bagaimana kita untuk mendapatkan pendapatan kita. Jadi dari segi masa itu saya minta Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua bagi kelonggaran sikit selagi saya tak habis hok saya nak sebut ini.

Timbalan Yang di-Pertua

Kena padan dengan pendapatanlah, biar tahun depan banyak dengan pendapatan. Saya bagi lima minit RM5 juta.

Okay jadi satu penguatkuasaan yang perlu ditekankan, yang keduanya yang dikorek itu adakah satu meter. Ini saya kiraan tadi ini adalah hanyalah diambil satu meter saja ini kalau kita pergi tengok, pergi melawat lombong-lombong yang ada itu bukan satu meter malah menjadi kolam dan tasik yang besar. Yang tidak ada jaminan untuk ditambat balik. Dohlah hasil kita diambil lepas itu tanah kita pulok dibiarkan begitu dan tidak boleh kita guna pakai selepas daripada ini dan merosakkan alam sekitar kita. Yang ini dua perkara yang saya tengok serius yang perlu kita tangani Jabatan Alam Sekitar kita ada, Jabatan Geologi kita ada tetapi orang korek bumi kita. Orang rompak bumi kita, semuanya pakat kita tengok dan diam belaka.

Timbalan Yang di-Pertua

Dok saya nak mencelah saya rasa ini yang bercakap ini pihak Kerajaan bukan pihak pembangkang ini saya tengok nada ini macam pembangkang pulok. Jadi tolonglah please dengan izin tolong

Tak boleh ke cakap begitu Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua. Saya

Timbalan Yang di-Pertua

Wakil Kota Putera adalah Kerajaan.

Shafizi bin IsmailPAS · PNBatu Rakit

Batu Rakit sokong, Batu Rakit sokong.

Timbalan Yang di-Pertua

Wakil Kota Putera kena beritahu apa yang dia nak buat jangan adu kepada Dewan yang sebelah sini adalah Wakil Kerajaan hanya wakil rakyat dia tidak terlibat dengan pentadbiran.

Saya faham.

Timbalan Yang di-Pertua

Jadi pihak Kerajaan kena beritahu apa yang dia nak buat dan ini yang ditanya oleh Wakil Bukit Tunggal.

Timbalan speaker boleh..

Timbalan Yang di-Pertua

Jadi saya nak minta tolong. Okay sila

Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua saya sependapat dengan Timbalan Yang di-Pertua kerana di sebelah sana sekarang sedang mengurus Kerajaan sudah masuk Penggal Kedua. Dan saya sangat-sangat setuju kita sedar sekarang kita kena bertindak dah seperti mana disebut tadi kita ada jabatan apa nama ini mineral kita ada alam sekitar mana ini kehilangan yang begitu besar.

Timbalan Yang di-Pertua

Okay saya nak minta biar Wakil Kerajaan terus dan kemukakan cadangan ataupun jawapan kepada masalah yang dikemukakan. Sila.

Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua. Saya bangkitkan ini bukannya saya kerana saya tahulah dan saya kalau saya beritahu

penyelesaian sahaja, belum tentu. Sebab itu ramai yang bertanya apakah apakah tindakan jadi sebelum saya menjawab persoalan apakah langkah saya pendetailan supaya semua faham. Perkara sekarang ini saya tanya hok ada Dewan inilah berapa faham kalau 1 meter berapa tan yang dikeluarkan tak tahu. Saya kongsikan perkara tersebut bukan saya tak buat kerja kerana saya buat kerja lah saya tahu benda ini janganlah Yang Berhormat Timbalan Speaker pulak nak membelasah saya. Saya nak mendedahkan ini kerana untuk mencari suatu

Timbalan Yang di-Pertua

Saya bukan belasah tapi kena beritahu penyelesaian orang yang dok tanya pun kalau kelemahan kita jangan kabo dalam Dewan ini, kita kabo hok orang tahu sudohlah

Bagi saya dalam Dewan ini pun

Timbalan Yang di-Pertua

Saya minta maaf saya dok berniat gitu tapi saya nak mintok satu masa, yang kedua biar kita lebih fokus kepada apa yang ditimbulkan oleh Wakil Kerajaan. Sila. Saya mintak maaf kalau anggap saya ini.

Mohd Shafizi bin IsmailPAS · PNBatu Rakit

Yang Berhormat Kota Putera.

Ya, sila.

Mohd Shafizi bin IsmailPAS · PNBatu Rakit

Saya memang nampak macam terperanjat jugoklah dengor ada orang curi hasil negeri sape orang itu kot boleh sebut ha kita dok tahu memang dok tahu sungguh.

Timbalan Yang di-Pertua

Okay Wakil Batu Rakit. Saya ingat gini pencelahannya biar dibuat untuk minta penjelasan ataupun soal tambahan penjelasan yang diberi oleh Kerajaan. Terima kasih.

Okay terima kasih Wakil Batu Rakit. Berkenaan dengan siapa itu kita

masih lagi dalam siasatan dan sekarang ini angka-angka yang ada. Angka-angka yang ada daripada PTG telah dikeluarkan. Angka-angka yang sepatutnya kita perolehi yang ini yang saya nak bentangkan seperti mana yang disebutkan oleh Yang Berhormat jugak semalam supaya dibentangkan secara terperinci apakah Pelan Jawatankuasa NIT yang dilakukan. Yang ini hasil dapatan yang kita perolehi dan supaya sidang Dewan mulia ini tahu kita sekarang ini sedang menanggung kerugian yang banyak.

Timbalan Yang di-Pertua

Yang Berhormat saya minta bagi dua minit lagi sebab Yang Berhormat dah lima minit ambil masa kita kalau boleh sehingga petang ini nak tamatkan penggulungan supaya esok kita boleh selesaikan Usul-Usul yang masih ada tertangguh sebelum kita tangguhkan Dewan kita pada tengahari besok. Saya bagi masa dua minit lagi, sila.

Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua. Jadi itu perkara-perkara yang berada di bawah NIT dan kita akan mengambil langkah-langkah susulan bagi memastikan untuk sidang Dewan yang akan datang kita akan tengok figure ini berapakah kita dapat menjurangi dan mengurangkan jurang yang tersebut. Ini yang saya nak bangkitkan, yang keduanya adalah yang saya nak sebutkan adalah penggunaan e-Tanah adalah yang dilaksanakan dengan jayanya oleh Pihak PTG juga yang diperhebatkan di setiap pejabat-pejabat tanah. Ini saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Pihak PTG dan pejabat-pejabat tanah yang telah melangsaikan ataupun menyelesaikan apa ini tanggungjawab sehingga kini dan saya yakin tahun 2025 menanti adalah tahun untuk kita mengaplikasikan sepenuhnya e-Tanah ini. Hilang punca dohlah Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua suruh saya pendekkan ini.

Timbalan Yang di-Pertua

Seminit lagi kalau takdok tu kita

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua menyahut seruan Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar berkenaan dengan projek pelaburan dan perindustrian yang harus dirancakkan supaya lebih ramai penduduk mendapat manfaat daripada aktiviti ekonomi negeri. Dan kita sekali gus menyumbang kepada peningkatan gaji dan upah. Pertambahan pekerjaan berkemahiran tinggi serta pengukuhan daya saing pasaran sudah pasti tanggungjawab ini

Timbalan Yang di-Pertua

Yang Berhormat saya minta bagi dua minit lagi sebab Yang Berhormat dah lima minit ambil masa kita kalau boleh sehingga petang ini nak tamatkan penggulungan supaya esok kita boleh selesaikan Usul-Usul yang masih ada tertangguh sebelum kita tangguhkan Dewan kita pada tengah hari besok. Saya bagi masa dua minit lagi, sila.

harus digalas bersama dengan agensi-agensi Kerajaan yang berkaitan dan pelabur-pelabur yang melihat potensi yang ada di dalam di negeri kita ini.

Untuk makluman Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua dan sidang Dewan yang mulia ini Menteri Besar Incorporated sentiasa memberi komitmen di dalam meneruskan projek yang telah disebutkan sebagai pembekalan dan perdagangan gas cecair asli (LNG) dan menjalankan kebolehlaksanaan cadangan pembangunan loji hijau hidrogen dan ammonia hijau. Untuk makluman kita semua, sekarang ini kita telah mendapat telah membuat pre-FS untuk loji hidrogen hijau dan ammonia hijau ini dan kita pun telah melawat ketiga-tiga tempat di mana telah disebutkan kita telah pecahkan kepada tiga zon iaitu zon tengah yang berada di dalam DUN dalam Daerah Hulu Terengganu, zon selatan di Daerah Dungun dan zon utara di Daerah Besut. Ketiga-tiga lokasi ini telah selesai dilaksanakan, dilawat dan insya-Allah dalam masa terdekat ini saya akan memberi taklimat khusus kepada ADUN-ADUN yang berada dalam daerah-daerah ini dan apakah yang akan berlaku di dalam daerah mereka masing-masing, insya-Allah.

Haji Hilmi bin HarunPAS · PNManir

Yang Berhormat di-Pertua, soalan sekali.

Ya, sila.

Timbalan Yang di-Pertua

Boleh bagi lagi. Ke taknak dah? Saya nok bagi seminit je ni. Tak lama.

Saya boleh bagi dengan syarat YB Yang di-Pertua bagi.

Haji Hilmi bin HarunPAS · PNManir

Saya nok mencelah tadi doh tapi panas ho jadi saya berasa sejuk doh ni okay saya rasa. Apakah tindakan Kerajaan bila saya sebut semalam environmental friendly tu bila hok berlubang-lubang itu siapa dia kena ambil cakna?

Timbalan Yang di-Pertua

Okaylah. Saya minta supaya Kota Putera ringkaslah ada ramai lagi yang akan nok gulung ni.

Itulah yang… Terima kasih Manir. Itulah juga dalam tindakan kita untuk memastikan semua pelombong-pelombong yang akan melaksanakan perlombongan mereka di masa akan datang yang akan diluluskan ini, kita nak mensyaratkan supaya dia timbus semula. Korek itu boleh tetapi dengan keuntungan yang ada, tambunlah semula kawasan yang telah dikorek itu supaya Kerajaan boleh ditebus guna selepas habis perlombongan nanti. Saranan ini juga harus terpakai dalam konteks usaha Kerajaan untuk memajukan Ekonomi Hijau melalui Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS). Terengganu sedang memperkenalkan industri CCUS ini dalam jangka yang akan datang sumber pendapatan baharu bagi negeri kita.

Dengan semua inisiatif ini, portfolio pelaburan Terengganu berusaha untuk meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga boleh diperbaharui dan mengurangkan penggunaan bahan api fosil, serta mencipta peluang pekerjaan dan pendapatan baharu bagi negeri kita.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, bagi penutup ucapan penggulungan ini, saya melihat penegasan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar serta semua Yang Berhormat yang menyentuh berkenaan hasil dan pendapatan negeri amat mendorong agar saya membuat yang terbaik dalam tugas dan pendapatan baharu negeri sebagaimana yang disebutkan oleh beberapa orang Yang Berhormat yang lain, yang disebut dalam ucapan mereka. Bagi merealisasikan hasrat ini, semua perancangan ini memerlukan kerjasama kita bersama. Bak kata pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Saya yakin, insya-Allah dengan sikap yang ada kepada majoriti rakyat dan pendekatan yang telah kita cipta oleh Kerajaan kepimpinan Yang Amat Berhormat Dato Seri Menteri Besar ini serta dengan semangat kerjasama kita semua, usaha ini akan tercapai, insya-Allah.

Makan akok, nganang dan roti, Ayam percik tersedap di dunia, Terengganu diasak kanan dan kiri, Alhamdulillah kemudi tenang melayari bahtera.

Akhir kata, saya memohon menyokong Belanjawan 2025 Dan Rang Enakmen Perbekalan 2025 yang telah dikemukakan.

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih Wakil Kota Putera. Saya harap Wakil-Wakil Kerajaan yang lain juga akan berusaha untuk menepati masa yang diberikan dan hanya merespon kepada apa yang dipersoalkan dan kalau ada program-program yang Kerajaan buat yang itu mungkin boleh minta supaya ADUN-ADUN tanya dalam sidang Dewan yang akan datang kerana masa kita terhad dan saya harap supaya perbahasan kita pada petang ini dapat memberi ruang kepada semua Yang Berhormat-Yang Berhormat, Wakil-Wakil Kerajaan yang hadir pada petang ini. Seterusnya saya persilakan Wakil Cukai. Wakil Cukai ini tepat masa sekala.

Haji Hanafiah bin MatPAS · PNCukai

Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua. Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar Terengganu, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri, semua ahli-ahli Yang Berhormat, yang berusaha Ketua-ketua Jabatan dan Agensi, semua pegawai dan kakitangan kerajaan, tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, pertama dan selamanya marilah kita sama-sama merafakkan kesyukuran terhadap Ilahi atas segala nikmat kurniaanNya kepada kita maka dapatlah kita bersama-sama berada dalam dewan yang mulia ini bagi membahaskan Ucapan Belanjawan tahun 2025 yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar kita.

Terima kasih kerana telah memberikan peluang kepada saya untuk turut mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Enakmen Perbekalan 2025 yang telah dicadangkan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar.

Minum air coklat kongsi bersama, Roti bakar telur goyang sarapan kita, Bajet ini bajet kita bersama, Demi masa depan Terengganu kita.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Terengganu yang telah membentangkan Bajet Negeri Terengganu 2025 yang dinamik dan berimbang di mana kerajaan dan rakyat berganding tangan dalam menjayakan setiap perancangan dan aktiviti bersesuaian dengan moto Bajet „Demi Masa Depan Terengganu’ bagi membina masa hadapan yang lebih cerah untuk negeri yang kita cintai. Kerajaan sentiasa komited dalam menyediakan taraf kualiti hidup terbaik demi memastikan kesejahteraan dan kehidupan rakyat yang komprehensif dan harmoni biarpun menerima pelbagai desakan dan tekanan dari segi sosioekonomi terutama daripada Kerajaan Pusat. Perancangan Bajet tersebut dibuat sangat komprehensif dan inklusif dan boleh membawa manfaat yang besar kepada seluruh rakyat daripada pelbagai lapisan peringkat umur di negeri Terengganu yang menggariskan lima fokus kerajaan sepertimana yang telah dibaca dalam buku Bajet.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, pada 19 November 2024 iaitu kelmarin, negeri Terengganu sekali lagi telah dilanda bencana banjir yang melibatkan lima daerah.

Berdasarkan laporan daripada Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu pada jam lapan pagi, sebanyak 14 Pusat Perpindahan Sementara (PPS) telah dibuka untuk menempatkan mangsa banjir. Secara keseluruhan, sebanyak 603 keluarga terkesan dengan jumlah seramai 2,765 orang. Pecahan mangsa mengikut kategori adalah seperti berikut:

Kategori Jumlah (orang) Lelaki 840 Perempuan 861 Kanak-kanak Lelaki 460 Kanak-kanak Perempuan 507 OKU 47 Warga Emas 50

Daerah yang paling terkesan ialah Kemaman, daerahku dan juga daerah Ahli Parlimen Kemaman yang juga Menteri Besar Negeri Terengganu dengan lima PPS dibuka. Sebanyak 554 keluarga telah dipindahkan daripada RMM Rumah Murah Teluk Kalong melibatkan 2,584 mangsa yang merupakan 90% daripada

keseluruhan mangsa banjir di negeri ini. Di daerah Hulu Terengganu enam PPS telah dibuka menempatkan 25 keluarga seramai 94 orang, Setiu mencatatkan satu PPS dengan sembilan belas buah keluarga dan 69 mangsa manakala Marang dan Dungun masing-masing mencatatkan satu PPS dengan jumlah mangsa seramai tiga belas dan lima orang. Dua daerah lain Kuala Terengganu dan Kuala Nerus tidak membuka sebarang PPS kerana tidak terjejas oleh banjir. Bencana banjir ini juga memerlukan perhatian dan kerjasama daripada semua pihak. Masyarakat dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa serta bersedia untuk berpindah sekiranya keadaan bertambah buruk. Semoga keadaan ini akan pulih dengan segera, insya-Allah. Ramalan jumlah purata hujan bagi tahun 2024 ini ialah sebanyak 3,650 mm. Jumlah purata hujan sehingga 17 November yang sudah turun 2,011 mm. Jumlah hujan yang belum turun 1639 mm. Ramalan jumlah hujan November, baki November ini ialah 780 mm, ramalan pada bulan Disember pula 850 mm.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, di bawah portfolio saya berbagai projek telah dirangka dan dicadang bagi dilaksanakan pada tahun hadapan demi memastikan permasalahan dan keselesaan kehidupan rakyat lebih terjamin. Kerajaan Negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) mengambil langkah proaktif dengan mewujudkan kerjasama awam dan swasta bagi membangunkan kawasan pembangunan yang Berorientasikan Transit (TOD) melalui stesen ECRL. Peningkatan ini bukan sahaja saja dapat mengurangkan beban kewangan kerajaan malah mempercepatkan proses pembangunan demi masyarakat, rakyat dan ekonomi negeri.

Kerjasama awam dan swasta berfungsi sebagai platform untuk memanfaatkan sumber dan kepakaran kedua-dua pihak. Dalam model ini, kerajaan akan menyediakan tanah atau insentif seperti pengecualian cukai manakala pihak syarikat swasta akan menyumbang modal, teknologi dan kepakaran teknikal. Pembahagian tanggungjawab dan risiko ini membolehkan pembangunan berjalan dengan lebih cekap tanpa membebankan kewangan kerajaan secara berlebihan. Pembangunan kawasan TOD di sekitar stesen ECRL membawa pelbagai manfaat kepada rakyat dan ekonomi negeri Terengganu. Kawasan ini akan mengintegrasikan perumahan, perniagaan, kemudahan pengangkutan awam sekali gus memudahkan penduduk setempat untuk bergerak dan menjalankan aktiviti harian. Pada masa yang sama, pembangunan ini juga mampu meningkatkan nilai hartanah, menarik pelaburan asing dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat terutama golongan belia.

Selain itu, pembangunan ini turut dirancang dengan mengambil kira keperluan komuniti setempat dan kelestarian alam sekitar. Konsep TOD yang mesra alam menekankan elemen seperti laluan pejalan kaki, kawasan hijau dan access mudah kepada pengangkutan awam. Kursus ini bukan sahaja meningkatkan kualiti kehidupan rakyat malah dapat mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar. Langkah mewujudkan kerjasama awam dan swasta untuk membangunkan kawasan TOD di sekitar stesen ECRL mencerminkan visi Kerajaan Negeri untuk menjadikan Terengganu sebagai negeri yang maju dan mesra pelabur. Dengan mengambil peluang daripada projek berskala besar seperti ECRL, negeri ini dapat membantu pertumbuhan ekonomi yang mampan dan membawa perubahan positif kepada rakyat. Kerjasama ini adalah contoh terbaik bagaimana kerajaan dan sektor swasta boleh berganding bahu untuk membangunkan demi kesejahteraan rakyat.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, menjawab soalan Kuala Berang, kawasan dalam breakwater semakin cetek di muara Sungai Marang. Projek pemuliharaan muara Sungai Marang di Terengganu merupakan inisiatif penting yang telah dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan Saliran Malaysia pada tahun 2002. Projek ini bertujuan menangani masalah hakisan pantai dan memulihkan kawasan muara sungai melalui pembinaan struktur pemecah ombak berbentuk simetri. Struktur ini direka untuk melindungi kawasan pantai daripada hakisan berterusan akibat gelombang dan arus laut selain memastikan keselamatan perairan bagi aktiviti perikanan dan pelayaran. Namun begitu, isu muara yang cetek akibat pemendapan sedimen terutama selepas musim tengkujuh terus menjadi cabaran. Keadaan ini telah menjejaskan laluan bot dan aktiviti nelayan sekali gus memberi kesan kepada ekonomi komuniti setempat. Sehubungan dengan itu, kerajaan melalui JPS negeri sedang mengkaji keperluan untuk melaksanakan maintenance dredging secara berkala sebagai langkah jangka panjang untuk memastikan muara kekal dalam keadaan optimum. Pendekatan ini diharap dapat mengurangkan risiko pemendapan yang berulang serta memastikan muara berfungsi dengan baik bagi menyokong aktiviti perikanan dan pengairan.

Menjawab soalan Yang Berhormat Ladang, Jalan Pasir Panjang insya-Allah JKR Negeri akan membuat kajian dan keperluan bagi menyuraikan lalu lintas Jalan Pasir Panjang. Di samping itu, usaha untuk mendapatkan keperluan tambahan bagi kerja-kerja yang lain insya-Allah akan dilaksanakan.

Menjawab soalan Yang Berhormat Sura, larangan ahli politik memasuki sekolah, larangan ini dilihat oleh banyak pihak sebagai satu strategi politik Kerajaan Madani. Terengganu yang dikuasai sepenuhnya oleh PAS sering menjadi sasaran kritikan dan percaturan politik pihak persekutuan. Larangan ini didakwa bertujuan untuk menghalang pemimpin negeri daripada menggunakan sekolah sebagai platform untuk mendekati rakyat khususnya golongan muda. Kerajaan Negeri sering menjalankan pelbagai program seperti penyampaian bantuan, motivasi pelajar, perasmian majlis sekolah. Dengan larangan ini ia bukan saja menyukarkan Kerajaan Negeri untuk berhubung dengan masyarakat tetapi juga menjejaskan imej mereka sebagai pentadbir yang prihatin. Jika ahli politik Kerajaan Negeri tidak dibenarkan masuk, rakyat mungkin melihat mereka sebagai tidak mengambil berat tentang pendidikan sedangkan larangan itu sebenarnya dikenakan oleh pihak Persekutuan. Sebagai contoh banyak sekolah di luar Terengganu memerlukan sokongan dalam bentuk pembahagian infrastruktur, bantuan pelajar miskin dan pembangunan dan program pembangunan pendidikan. Jika ahli politik negeri dihalang daripada berperanan, keperluan ini mungkin terabai, pelajar dan guru juga mungkin terkesan apabila sekolah menjadi medan percaturan politik. Saya juga kecewa apabila ribut besar berlaku di Kemaman, saya tidak dibenarkan untuk memasuki sekolah kerajaan Pusat, ini sangat mendukacitakan.

Menjawab soalan Yang Berhormat Seberang Takir, tambahan peruntukan P16. Peruntukan ini adalah berdasarkan keperluan. Kerajaan Negeri akan mengkaji keperluan dan keutamaan projek berdasarkan peruntukan dan sumber yang terhad melalui Pegawai Daerah sebagai Pegawai Pengawal. Projek Perumahan PPTS, Projek Perumahan Terengganu Sejahtera sebanyak RM32 juta yakni RM1 juta bagi satu DUN insya-Allah akan dilaksanakan oleh Yang Berhormat-Yang Berhormat mulai tahun hadapan.

Menjawab soalan Yang Berhormat Kemasik, Lapangan Terbang Kertih sebagai urban hub mobility. Kerajaan Negeri bersetuju untuk mengekalkan tapak Lapangan Terbang Kertih untuk aktiviti berkaitan penerbangan. Justeru itu, Kerajaan Negeri telah melantik Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. dengan kerjasama MBI Terengganu untuk meneroka potensi serta merangka pelan pengoperasian Lapangan Terbang Kertih. Pada 2 Disember 2024 ini akan diadakan satu taklimat khas kepada Kerajaan Negeri Terengganu oleh PETRONAS berkenaan status terkini dan hala tuju Lapangan Terbang Kertih.

Masjid Kampung Baru, Kertih, beberapa siri mesyuarat telah diadakan di antara pihak Kerajaan Negeri selaku pelanggan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku agensi pelaksana.

Berdasarkan mesyuarat tersebut, cadangan menyiapkan kerja-kerja terbengkalai Masjid Kampung Baru Kertih ini akan dilaksanakan berdasarkan kos penyiapan dengan kefungsian yang paling minima. Pihak JKR sedang menyediakan skop dan anggaran kos penyiapan projek seterusnya akan dikemukakan kepada UPEN pada hujung November 2024.

Menjawab soalan Yang Berhormat Telemong, maklumat dan status pembinaan Masjid Kampung Kubang Palas, Mesyuarat Majlis Agama Islam (MAIDAM) Kali Yang Ke-3 Tahun 2018 telah meluluskan pembinaan bangunan baru bagi menggantikan bangunan lama Masjid Kampung Kubang Palas, Mukim Kuala Telemong.

Pejabat Pembangunan Negeri Terengganu mengesyorkan pembinaan masjid ini adalah dengan menggunakan kaedah nisbah pengkongsian peruntukan secara bersama antara Kerajaan Persekutuan 80%, Kerajaan Negeri 15% dan Khariah 5%. Berdasarkan pada garis panduan permohonan peruntukan Kerajaan Persekutuan bagi Projek Bina Baru Dan Naik Taraf Masjid atau Surau Seluruh Negara Bil 1/2024 yang dikeluarkan oleh Unit Penyelarasan Pelaksana, Jabatan Perdana Menteri. Status terkini permohonan bagi pembinaan masjid ini adalah di peringkat penyelarasan penyediaan dokumen berkaitan komitmen peruntukan dan seterusnya pihak Pejabat Pembangunan Negeri Terengganu (PPNT) akan mengangkat bagi pertimbangan oleh JPM.

Menjawab soalan Yang Berhormat Batu Buruk, rancangan pembangunan jalan baru dari Kampung Lingai ke Kampung Pecah Rotan, setakat ini Kerajaan Negeri belum mempunyai sebarang perancangan lagi untuk pembinaan jalan ini namun begitu…

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Batu Rakit bukan Batu Buruk.

Timbalan Yang di-Pertua

Batu Rakit.

Haji Hanafiah bin MatPAS · PNCukai

Ya…Batu Rakit, sorry. Menjawab soalan Yang Berhormat Batu Rakit, setakat ini JKR Negeri masih belum mempunyai sebarang perancangan lagi untuk pembinaan jalan ini namun begitu JKR Negeri akan meminta JKR Daerah membuat perancangan berkenaan projek ini. Pemecah ombak Pantai Batu Rakit, pemecah ombak adalah satu struktur yang dibina di hadapan garisan pantai untuk melindungi kawasan pantai daripada ombak dan arus laut yang kuat. Tujuannya ialah untuk melindungi kawasan pesisir pantai dengan menghalang ombak kuat daripada terus memukul pantai dan mengurangkan risiko hakisan serta kerosakan pada pesisir pantai. Pemecah ombak ini juga memainkan peranan yang sangat penting dalam melindungi alam sekitar dan infrastruktur daripada risiko ancaman ombak yang kuat serta membantu kegiatan ekonomi di kawasan pesisir. Bagi projek pengawal hakisan Pantai Kuala Nerus

Yang Berhormat….

Haji Hanafiah bin MatPAS · PNCukai

mengakibatkan beberapa proses seperti pelaksanaan kajian pengumpulan data reka bentuk terperinci serta makmal pengurusan nilai bagi memastikan projek ini dapat dilaksanakan dengan kos yang optimum.

Timbalan Yang di-Pertua

Okay, Kemasik minta laluan Yang Berhormat, boleh?

Haji Hanafiah bin MatPAS · PNCukai

Dok dang ni, banyak lagi ni.

Satu je Yang Berhormat, satu je…

Haji Hanafiah bin MatPAS · PNCukai

Ha..

Curve Kemasik Yang Berhormat. Curve Kemasik dok leh nak serah lagi, jadi laut, pantai muara Kuala Kemasik tu nelayan doh dok leh masuk kerana cetek dan sebagainya, menyebabkan nelayan tidak boleh menjalankan aktiviti masing-masing dengan selamat. Mohon untuk disiapkan sesegera mungkin.

Haji Hanafiah bin MatPAS · PNCukai

Insya-Allah, yang ini telah kita bincangkan di peringkat apa benda ni, Majlis Tindakan Daerah baru-baru ini, insya-Allah kita mintalah supaya JPS mengambil tindakan segera. Semasa sesi makmal berkenaan, semua agensi yang berkaitan terlibat bagi memberi input serta cadangan bagi memastikan projek yang memberi keperluan stakeholder dan diterima rakyat membolehkan perancangan perbelanjaan peruntukan pembangunan efisien serta memastikan fungsi dan kualiti projek tercapai.

Pantai di Kampung Tanjung Gelam dikategorikan di bawah hakisan kategori satu semasa kajian 2015 dan berdasarkan kepada Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu Negeri Terengganu 2022, garisan pantai di kawasan berkenaan telah stabil dengan adanya struktur yang mengawal hakisan pantai. Kejadian hakisan yang berlaku di kawasan berkenaan pada masa sekarang adalah disebabkan oleh proses semula jadi pantai serta fenomena perubahan iklim yang tidak melibatkan sebarang kerosakan harta awam dan melibatkan nyawa penduduk. Masalah bekalan air terputus di Kampung Wakaf Tengah, Batu Rakit. Masalah bekalan air yang sering terputus di Wakaf Tengah adalah berpunca daripada paip yang kerap pecah ekoran daripada tekanan air yang tinggi di sistem agihan terbabit. SATU tidak dapat mengawal tekanan atau merendahkan tekanan di kawasan tersebut kerana akan menyebabkan kawasan di penghujung sistem akan mengalami tekanan yang sangat rendah dan mengakibatkan gangguan bekalan air termasuk pusat dialisis. Penyelesaian jangka pendek, SATU telah mengadakan dan menggunakan sistem bypass yang akan mengubah zon bekalan air di kawasan tersebut bagi mengawal tekanan dan memberikan semua pengguna mendapat tekanan yang selesa. Penyelesaian jangka masa panjang mempercepatkan proses pengurangan tangki air di pusat di Bukit Sagu dalam fasa akhir penyiapan. Penukaran 10 inci AC di kawasan tersebut yang sering pecah dipohon di bawah peruntukan Kerajaan Negeri. Penyelesaian jangka pendek yang diambil telah menyelesaikan gangguan bekalan air di kawasan tersebut.

Menjawab soalan Yang Berhormat Pengkalan Berangan, lampu jalan FT3 di Jambu Bongkok. Bagi lampu yang tidak menyala, JKR Terengganu telah membuat perancangan untuk pemasangan lampu solar tambahan pada tahun 2025. Pemasangan lampu jalan ini di bawah Program Jalan Gelap 2025. JKR Terengganu telah memohon peruntukan sebanyak RM3.6 juta bagi Program

Jalan Gelap Seluruh Terengganu. Ini termasuk sama lampu jalan dari Jambu Bongkok ke Kuala Abang, Dungun. Jumlah yang akan dipasang bergantung kelulusan akhir peruntukan daripada Kementerian Kerja Raya untuk jumlah yang diberikan kepada Terengganu. Saya rasa itulah beberapa jawapan yang sempat saya jawab, dan kalau tidak terjawab, boleh jumpa saya bila-bila masa. Sekian.

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih Wakil Cukai. Betul seperti anggapan saya, menepati masa, bahkan lebih awal daripada masa yang diperuntukkan. Seterusnya saya persilakan Wakil Ajil untuk membuat penggulungan.

Terima kasih kepada Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Terengganu, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Yang Berhormat, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai jabatan, pengamal media, pemerhati dan semua rakyat yang mengikuti perbahasan ini, kita panjatkan rasa syukur ke hadrat Allah Ta’ala diberi kesempatan untuk kita meneruskan agenda perbahasan Belanjawan 2025. Demi Masa Depan Terengganu yang merangkumi hala tuju strategik dan inisiatif berkeutamaan tinggi HPI dan saya cuba untuk menjurus perbahasan ini kepada fokus ketiga di bawah pengukuhan modal sosial kapital yang melibatkan keupayaan mengukuhkan jaringan hubungan sosial melalui program pembangunan insan dan memperkukuhkan institusi kekeluargaan dan kesejahteraan sosial. Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, insya-Allah saya tidak mengambil masa yang lama untuk perbahasan ini kerana tidak banyak isu yang menyentuh portfolio saya. Sesi perbahasan Ahli-ahli Yang Berhormat pun tidak banyak menyentuh isu-isu yang berkaitan dengan kebajikan, pembangunan wanita, keluarga dan perpaduan nasional. Kalau kita masuk kedai makan, kita tengok pelanggan makan dengan berselera dan

mereka tidak banyak bersuara mengomennya, itu bermakna pelanggan berpuas hati dengan menu yang ditawarkan oleh kedai tersebut.

Satu sahaja ADUN Ladang menyebut berkenaan dengan isu pemandu wanita, dan isu ini merupakan isu yang sudah lama, tetapi dibangkitkan untuk kepentingan dan juga untuk memelihara martabat terutamanya wanita yang melibatkan pegawai-pegawai kerajaan ataupun mungkin Ahli-ahli Yang Berhormat sendiri yang mana pemandu lelaki apabila melibatkan sesi perjalanan yang jauh, melibatkan urusan kerajaan ataupun menghadiri mesyuarat, drebar lelaki, pegawai kerajaan perempuan, duduk dalam satu kereta yang kadang-kadang boleh menimbulkan prejudis ataupun mungkin boleh menimbulkan fitnah walaupun mereka tidak berkelakuan tidak senonoh, mereka menjalankan tugas profesional masing-masing tetapi boleh menimbulkan situasi yang tidak menyenangkan pasangan-pasangan yang berkaitan terutamanya apabila berlaku kecemasan kalau melibatkan waktu malam dan sebagainya. Jadi, saya faham apa yang dilontarkan oleh ADUN Ladang berkenaan dengan keperluan untuk menambahkan lagi pemandu-pemandu wanita dan insya-Allah kita akan bawa isu ini untuk ditambahkan lagi pemandu wanita untuk keselesaan pegawai-pegawai kerajaan Wanita.

Oleh kerana tidak banyak isu yang disentuh, saya ingin mengemukakan beberapa program yang dilaksanakan oleh portfolio kebajikan terutamanya, pembangunan kebajikan, pembangunan wanita, keluarga, dan perpaduan nasional. Saya ambil dua, tiga je. Yang pertama sekali ialah program Jelajah Kasih yang kita buat ke setiap daerah melibatkan agensi-agensi Kerajaan Pusat dan juga negeri. Terima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pejabat-pejabat Daerah, Majlis-majlis Daerah, JPP, MAIDAM, Pejabat Kesihatan dan lain-lain yang turun bersama dengan kami untuk meninjau masalah rakyat yang kadang-kadang rumah yang kita hadir itu dalam keadaan yang sangat kritikal, dan sedikit perubahan apabila kita turun menziarahinya ialah bersama dengan kami ialah OKU, daripada Majlis Tindakan OKU Terengganu (MTOT) untuk merubah pandangan masyarakat terhadap OKU yang selama ini, kita semua melihat OKU sebagai penerima bantuan, tetapi apabila mereka juga turun padang untuk menyantuni orang-orang susah, kita sebenarnya cuba untuk merubah persepsi masyarakat terhadap OKU untuk melihat OKU ini, juga pemberi bantuan, bukan sekadar penerima bantuan dan juga kita bawa bersama kaum Melayu, Cina, dan India dalam sesi lawatan tersebut supaya menampakkan kepada keseluruhan masyarakat kita bahawa isu-isu perkauman

kita tidak bangkitkan semasa musim-musim perayaan sahaja, bahkan sebagaimana yang saya sebut sebelum ini isu-isu perpaduan, isu-isu melibatkan perpaduan kaum ini tidak menjadi isu yang besar di Terengganu dan kita libatkan mereka apabila turun padang ke menyantuni warga yang susah untuk melihat bagaimana kerjasama dan perpaduan yang harmoni di antara masyarakat pelbagai kaum menyantuni mereka yang susah di kampung-kampung dan pedalaman dan satu benda yang positif untuk saya kongsikan bersama dengan warga Dewan ialah apabila kita turun ke sasaran ada satu cerita, cerita ini mungkin positif bagi kita untuk kita mengambil fikir apabila kita turun ke satu DUN, kita lihat, kita ziarah satu keluarga bayangkan tuan-puan anak kecil umur dua belas hari, anak yang keenam, anak yang kelima umur tiga belas bulan, anak yang ketiga umur enam tahun, anak keempat darjah dua, anak kelima darjah lima, anak pertama baligh dah, anak pertama tingkatan satu, semua tidak bersekolah. Rumah dipotong airnya oleh SATU. SATU tidak bersalah, elektrik dipotong oleh TNB. TNB pun tidak bersalah, kita tidak menyalahkan TNB, emak nak pergi kecil anak kecil, ayah sedap makan tanggung duduk dalam penjara, itu yang nak saya sebut ini untuk menarik perhatian tuan-tuan dan puan-puan warga Dewan yang ada dalam majlis supaya kita sama-sama berfikir. Kita mempunyai banyak fokus dan juga jabatan banyak wanita, kita ada Jabatan Pembangunan Wanita, kita ada Kementerian Pembangunan Wanita, kita ada Urus Setia Wanita (USWA), kita ada Persatuan Ibu Tunggal, tetapi kita tidak fokus kepada lelaki, jadi berkemungkinan selepas daripada ini kita akan mengorak langkah untuk mewujudkan satu jabatan lelaki, Jabatan Pembangunan Lelaki pula. Isu ini mungkin satu benda yang kita kata macam lawak je, tetapi apabila kita fikir secara serius kita banyak menyelesaikan isu mangsa lelaki. Wanita-wanita, ibu tunggal yang banyak jaga anak kecil, bela anak kecil kebanyakannya mangsa kepada lelaki penagih dadah yang hidup di penjara dan juga Pusat-Pusat Pemulihan Dadah, tubek masuk, tubek masuk penjara, tubek masuk, tubek masuk pusat pemulihan, sedar-sedar anak tambah seorang lagi, kemudian tok laki masuk pula penjara, masuk pusat pemulihan pula. Jadi bebanan yang ditanggung oleh isteri dan anak-anak semakin bertambah, dan akan mewujudkan jalinan masalah sosial yang berterusan, tidak terhenti. Jadi saya sebut di sini, untuk wujudkan berkemungkinan satu platform untuk kita bercakap berkenaan dengan bagaimana kita nak menyelesaikan isu pemangsa iaitulah lelaki, jadi kita terlalu fokus kepada mangsa kita abaikan pemangsa sedangkan rata-rata tempat yang kita pergi bukan DUN tersebut sahaja, kebanyakan rumah yang kita kunjungi bermasalah kerana masalah suami yang tidak bertanggungjawab, jadi saya…

Yang Berhormat kita cadangkan kita kasi dia, kekgi balik beranak pulok, tubek beranok plok, kita kasi wat jaga Kaabah.

Hok tu kena tanya Yang Berhormat Kesihatan, Dato’ Wan insya-Allah. Jadi apabila kita nak bercakap berkenaan dengan isu bagaimana nak selesaikan masalah lelaki ini, saya rasa kita perlu kepada platform dan kita perlu untuk buat program dan kita perlu kepada bajet. Jadi saya rasa tidak menjadi suatu kepelikkan kalau sekiranya kita wujudkan satu platform portfolio yang boleh memfokus kepada lelaki supaya kita boleh mengadakan program-program terhadap orang lelaki yang tidak bertanggungjawab ini supaya kita bantu mereka ini untuk menyelesaikan isu-isu yang berkaitan dengan kekeluargaan dan anak-anak mereka. Anak-anak yang terbiar, yang tidak bersekolah mereka akan keluar untuk mencari kebebasan. Jadi mereka keluar untuk mencari kebebasan ataupun keseronokan baru ataupun mereka nak cari satu kepuasan, disitulah kemungkinan akan berlakunya satu lagi masalah apabila mereka terlibat dengan masalah gejala sosial ataupun mungkin mereka menjadi penagih dada. Jadi saya rasa mungkinlah Yang Berhormat Ladang sokong kalau wujudkan satu Jabatan Pembangunan Lelaki.

Kemudian satu Program lagi ialah yang saya nak sebut program yang kita pada 23, 24, 25, 26 Oktober baru ini, iaitu Program Fly to KL, kita bawa 32 orang anak yatim piatu naik kapal terbang bukan suatu benda yang biasa-biasa tapi benda yang saya rasa sangat luar biasa dan kita melihat bagaimana mereka sangat seronak dengan program yang kita buat ini dan saya sangat-sangat berterima kasih kepada para penyumbang daripada Petronas, Telekom, TNB, Terengganu Inc, Am Transit Tamu Hotel yang menjadi tempat menginap mereka ke Kuala Lumpur, Malaysia Airport Berhad, NGO Iman Care dan sebagainya yang banyak membantu kami untuk merealisasikan hasrat untuk bawa anak-anak yatim piatu ini yang kita kutip daripada setiap DUN. Seorang setiap DUN untuk menaiki kapal terbang suatu suasana, suatu peristiwa yang mungkin akan melekat di dalam hati anak-anak yatim ini sampai ke bila-bila insya-Allah dan saya juga nak menjawab soalan daripada Hulu Besut yang tidak sempat dijawab oleh kerana kekangan masa berkenaan dengan Rumah Ehsan di Dungun, Rumah Ehsan di Dungun didaftarkan di bawah Akta Rumah Jagaan 1993 di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk menjaga pesakit terlantar kita perlu kepada bajet. Jadi saya rasa tidak menjadi suatu kepelikan kalau sangat seronok dengan program yang kita buat ini dan saya sangat-sangat

bukan sahaja warga emas, termasuklah salah seorang daripada pesakit daripada Hulu Besut, yang berusia 21 tahun yang dibawa ke Rumah Ehsan baru ini dan Rumah Ehsan di situ, didiami itu kapasitinya ialah 120 orang purata pesakitnya ialah dalam 100 ataupun ke bawah. Jadi tidak perlu lagi ditambah Rumah Ehsan sebagaimana yang ditanya oleh Hulu Besut, kerana Rumah Ehsan tersebut masih lagi mampu menampung keperluan yang ada di Negeri Terengganu.

Di Negeri Terengganu, tidak ramai yang menempatkan orang-orang tua yang terlantar di situ. Ada dua kemungkinan satu kemungkinan tidak ramai pesakit terlantar dan keduanya ialah pesakit terlantar ada yang tetapi dijaga oleh ahli keluarga mereka yang sangat bertanggung jawab tetapi hok Hulu Besut seorang yang dibawa ke Rumah Ehsan baru-baru ini bukan tidak ada orang nak jaga tetapi oleh kerana adik-beradik dia tengah bersekolah, mak ayah sudah meninggal yatim piatu, jadi dalam keadaan yang sangat menyedihkan kita bawa ke sana dan terima kasih kepada pihak JKM yang bertungkus lumus bersama membantu untuk menjaga mereka dan berbalik kepada Belanjawan Negeri Terengganu 2025 yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar yang bersifat dinamik dan berimbang demi masa depan Terengganu. Sesungguhnya ia memerlukan kerjasama semua pihak dan dengan mood yang ada pada rakyat Terengganu, majoriti rakyat Terengganu dengan mood yang ada pada sekarang ini dan juga pendekatan yang diilhamkan daripada kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar, maka insya-Allah Terengganu akan kekal. Saya optimis Terengganu akan kekal “Maju, Berkat dan Sejahtera”. Sekian, Ajil menyokong Belanjawan 2025 ini.

Daun selasih ikan puyu Terima kasih thank you

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih Ajil. Pantun tu tu pernah disebut oleh wakil Kijal zaman dulu-dulu. Seterusnya saya persilakan wakil Alur Limbat untuk buat perbahasan, untuk buat penggulungan.

Ariffin bin DeramanPAS · PNAlur Limbat

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar Terengganu, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Yang Berusaha Ketua-ketua Jabatan dan agensi, Yang dihormati para pegawai dan kakitangan Kerajaan Negeri dan Pusat, petugas media, semua tetamu dan juga pemerhati.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, saya mengucapkan terima kasih kerana diberi peluang untuk turut serta dalam perbahasan Rang Enakmen Perbekalan 2025 yang telah dicadangkan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar yang kita kasihi, di dalam Dewan yang mulia ini dengan moto Belanjawan 2025, "Demi Masa Depan Terengganu". Saya menyokong penuh ucapan ini dengan tema "Demi Masa Depan Terengganu" yang memberikan lima fokus dan yang melibatkan portfolio saya fokus yang kelima, Pemberdayaan Masyarakat Usahawan yang melingkupi tindakan bagi menyokong pertumbuhan perusahaan PNKS. Mencipta dan mengembangkan peluang pasaran serta membangunkan kemahiran keusahawanan, mendorong inovasi dan pertumbuhan ekonomi melalui penglibatan dalam aktiviti perniagaan. Saya berharap pelaksanaan langkah-langkah dan inisiatif terbaik yang terkandung dalam Belanjawan ini dapat memacu pembangunan ekonomi negeri sekaligus memastikan kesejahteraan serta keselesaan rakyat di setiap peringkat dapat dinikmati sepenuhnya.

Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para usahawan dan semua pihak yang terlibat dalam memperkasa ekonomi negeri, baik di peringkat mikro, kecil, sederhana mahupun besar. Usahawan adalah tunjang utama kepada kemajuan ekonomi, penciptaan peluang pekerjaan dan kesejahteraan rakyat. Sektor perniagaan bukan sahaja memberikan manfaat ekonomi, tetapi turut memainkan peranan penting dalam membina jaringan sosial yang kukuh dan memperkukuhkan daya saing negara. Dalam hal ini, keusahawanan bukan sahaja berfungsi sebagai pendorong ekonomi tetapi juga sebagai alat yang boleh memenuhi pelbagai keperluan asas dan pembangunan sosial bagi masyarakat. Dalam konteks ini, kita tidak boleh lari daripada menyedari bahawa keusahawanan adalah satu bentuk ibadah, seperti yang digariskan oleh ajaran Islam. Firman Allah Subhanahu Wa Taala :

Dan sesungguhnya, manusia itu hanya memperolehi apa yang telah diusahakannya.

Ayat ini menegaskan bahawa hasil usaha manusia bergantung kepada usaha yang dilakukan. Ini menunjukkan bahawa dalam keusahawanan, kejayaan bukan datang tanpa usaha tetapi daripada kerja keras dan dedikasi dalam usaha yang dijalankan. Saya mendapat semasa perbahasan, ada beberapa ADUN yang berbincang ataupun yang bertanya soalan berkait dengan keusahawanan di bawah portfolio saya ni. Antaranya Sura, Bukit Tunggal, Kemasik dan Permaisuri.

Timbalan Yang di-Pertua, saya nak fokus kepada isu koperasi masjid. Mengikut rekod, jumlah masjid yang didaftarkan di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) adalah sebanyak 508 buah masjid. Manakala bilangan koperasi kariah masjid yang didaftarkan di bawah Akta Koperasi 1993 adalah berjumlah 25 buah koperasi iaitu hanya 4.9% koperasi masjid ditubuhkan daripada jumlah keseluruhan masjid di negeri Terengganu. Walaupun konsep penubuhan koperasi kariah masjid melalui ahli kariah dan komuniti secara teorinya dilihat mudah dilaksanakan, namun terdapat beberapa isu dan cabaran yang menjadi penghalang kepada perkembangan koperasi kariah masjid di suatu kawasan. Antara punca yang menyebabkan koperasi kariah masjid di negeri Terengganu kurang aktif iaitu seperti :-

i. Tiada core-activities dengan izin oleh koperasi kariah masjid; ii. Jawatankuasa di antara pihak kariah masjid dan koperasi; iii. Penggunaan kawasan masjid dalam menjalankan aktiviti perniagaan koperasi; iv. Pertindihan aktiviti di antara koperasi badan khairat kematian.

Kami telah meletakkan sasaran. Pada tahun 2025 daripada 508 masjid yang ada hanya 25 koperasi, kami jangka dan kami akan usahakan 50 buah koperasi baru dan dalam Dewan yang mulia ini, kita ada semua Ahli-ahli Yang Berhormat, minta tolong berikan sokongan khususnya masjid-masjid di dalam DUN masing-masing supaya target 50 koperasi pada tahun hadapan dapat direalisasikan. Sehingga 2030, kami telah meletakkan target 150 buah koperasi masjid untuk ditubuhkan dan dalam Ucapan Belanjawan juga telah disebut perkara yang berkait dengan Konsortium Koperasi Kariah Masjid Negeri Terengganu. Konsortium Koperasi Kariah Masjid Negeri Terengganu adalah bertujuan untuk memberikan satu fokus apakah perniagaan yang boleh dibuat oleh koperasi masjid iaitulah penubuhan K4 MART kedai runcit di masjid. Ianya

bagi menggabungkan koperasi kariah masjid yang menjalankan aktiviti kedai runcit sebagaimana yang saya sebutkan tadi. Konsortium ini akan berperanan sebagai penggerak utama bagi membekalkan barangan harian kepada kedai-kedai runcit milik ahli gabungan bagi memastikan bekalan sentiasa tersedia pada harga yang berpatutan serta halalan toyyiban. Selain itu konsortium ini akan menyelaras dan menyusun atur kedai-kedai tersebut menggunakan SOP yang sama di bawah jenama K4 MART. Bagi merealisasikan hasrat ini, satu jawatankuasa pemandu telah diwujudkan yang diterajui oleh Yang Berhormat EXCO Usahawan dan Koperasi serta dianggotai oleh pihak-pihak berkepentingan iaitulah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Terengganu, MAIDAM, Pejabat Agama dan pakar dalam industri. Jawatankuasa ini akan memantau serta menyelaras penubuhan dan perjalanan konsortium agar selaras dengan matlamat penubuhannya.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua Dewan, berkait dengan Majlis Halal Terengganu, majlis halal ini akan memainkan peranan utama dalam mempermudahkan proses pensijilan halal bagi semua peringkat industri, termasuk IKS dan perusahaan cottage, dengan pendekatan mesra usahawan. Yang kedua menyelaras perancangan dan pelaksanaan dasar halal negeri melalui penglibatan pelbagai pihak berkepentingan. Seterusnya, mengukuhkan jenama halal Terengganu di peringkat domestik dan global, seiring dengan sasaran Pelan 2030. Majlis ini akan menggerakkan kerjasama pelbagai agensi strategik, termasuk Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) sebagai peneraju utama dalam memberi bimbingan dan sokongan kepada usahawan untuk mencapai pensijilan halal. Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) sebagai penyedia kajian dan dasar untuk memperkukuh ekosistem halal. Seterusnya MBI Modal menyediakan akses pembiayaan kepada usahawan untuk meningkatkan infrastruktur dan kapasiti mereka. TESDEC memacu pembangunan modal insan melalui latihan berkaitan standard dan pengurusan halal. Setakat hari ini, di Negeri Terengganu terdapat hanya 330 pemegang sijil Halal daripada lebih 9,000 pemegang sijil halal di peringkat nasional. Bagi memastikan peningkatan pemegang sijil Halal ini, kita juga bekerjasama erat dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Terengganu (JHEAT) serta agensi persekutuan seperti JAKIM untuk memastikan setiap produk memenuhi standard global halal. Dengan pelaksanaan Pelan Pengukuhan Industri Halal Terengganu 2030, kita menyasarkan yang pertama peningkatan hasil eksport produk halal dari Terengganu, terutamanya dalam sektor makanan, kosmetik, dan pelancongan. Yang kedua, peningkatan bilangan usahawan bersijil halal,

termasuk dalam kalangan usahawan mikro dan luar bandar dan yang ketiga, penciptaan peluang pekerjaan baharu, khususnya dalam sektor halal yang kini menjadi salah satu industri yang paling pesat berkembang di dunia. Melalui Majlis Halal dan Pelan 2030 ini, kita yakin bahawa Terengganu mampu menjadi hub halal yang bukan sahaja memenuhi keperluan domestik tetapi juga menjadi pemain utama di peringkat antarabangsa. Kerajaan juga telah mengenal pasti kawasan perindustrian untuk halal hub yang insya-Allah akan direalisasikan pada tahun hadapan.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua Dewan, Kerajaan Negeri melalui THRDC, membangunkan portal khas bagi mengumpulkan data mengenai bakat-bakat Terengganu. Portal Terengganu Talent bertujuan untuk membantu pencari kerja rakyat Terengganu mendaftar dan mengumpulkan data pencari kerja. Portal ini juga akan menjadi platform bagi majikan di Terengganu terutama GLC Terengganu untuk mengiklankan jawatan kosong, memudahkan pencari kerja membuat permohonan, dan menyediakan pelaporan statistik pasaran buruh kepada Kerajaan Negeri. Di antara objektif portal ini adalah mengumpulkan data, mengumpulkan maklumat dan data bakat modal insan Terengganu. Pengiklanan Jawatan menyediakan platform bagi majikan yang terdiri dari syarikat berkaitan Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan di Terengganu untuk mengiklankan jawatan kosong. Seterusnya pemadanan kerjaya memudahkan pencari kerja untuk mencari dan memohon pekerjaan yang sesuai dengan kemahiran mereka. Pelaporan Statistik memudahkan Kerajaan Negeri membuat pelaporan statistik mengenai pasaran buruh yang merangkumi permintaan iaitu tawaran kerja serta penawaran iaitu data pencari kerja. Dengan portal ini semua bakat anak negeri Terengganu insya-Allah samada yang memiliki pendidikan tinggi atau rendah dan berkemahiran tinggi mahupun tidak mahir dapat dikumpul bagi tujuan membantu pengurusan bakat untuk jangka masa panjang.

Soalan yang ditimbulkan antaranya YB Kemasik, pihak Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) akan sentiasa menjalin kerjasama dan kebersamaan dengan Daerah-daerah dan akan menyantuni semua DUN bagi menjalankan aktiviti pembangunan keusahawanan. Selain itu, YPU bersama-sama dengan pihak Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sedang berkerjasama bagi melaksanakan Majlis Pembangunan Usahawan, Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Daerah (MPUKPPD). Majlis ini berperanan mengenal pasti isu dan permasalahan yang dihadapi oleh komuniti usahawan dalam

menjalankan operasi harian agar dapat diselesaikan di peringkat tempatan dan akar umbi. Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menubuhkan bersama majlis ini sebagai medium penyaluran informasi dan komunikasi berkaitan fungsi, peranan dan produk atau perkhidmatan yang disediakan oleh kementerian dan agensi-agensinya.

“MPUKPPD yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Daerah juga bertindak sebagai Pusat Khidmat Setempat (OSC) bagi mengemaskini daftar aktif komuniti penjaja dan peniaga kecil. Selain itu, ia juga bertindak menyelesaikan permasalahan melibatkan aspek perlesenan, logistik dan forum isu-isu komuniti penjaja dan peniaga kecil berkaitan dasar ke peringkat lebih tinggi sehinggalah kepada pihak Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada YPU di atas inisiatif inovatif mereka dengan memperkenalkan One Stop Centre Maya atau OSC Maya. Ini adalah sebuah platform laman sesawang yang menjadi pusat sehenti untuk usahawan mendapatkan maklumat berkaitan kemudahan yang disediakan oleh agensi-agensi keusahawanan Persekutuan dan Negeri dengan mudah dan pantas, di mana semua data keusahawanan dapat diakses melalui satu sumber sahaja. Lebih membanggakan lagi, inisiatif ini telah dibawa oleh YPU ke Pertandingan Kumpulan Inovasi dan Kreatif (KIK) peringkat negeri Terengganu dan berjaya mara ke peringkat akhir. Doakanlah semoga YPU memenangi pertandingan ini. Ini jelas membuktikan komitmen YPU dalam menggalakkan inovasi dan memperkukuhkan sokongan kepada usahawan, khususnya di Negeri Terengganu.

Berkait dengan apa yang ditimbulkan oleh ADUN Permaisuri, untuk mendorong lebih ramai belia untuk menceburi bidang perusahaan kecil memerlukan pendekatan menyeluruh yang melibatkan pendidikan, sokongan kewangan, kemudahan pendaftaran, akses kepada pasaran, serta galakan dari segi insentif dan budaya. Dengan menyediakan sumber daya yang diperlukan dan membentuk persekitaran yang menyokong, lebih ramai belia akan berani mengambil langkah untuk menjadi usahawan dan memajukan diri mereka serta memberi impak positif kepada ekonomi negara. Selain itu beberapa langkah penting yang perlu dilaksanakan. Yang pertama, Prosedur Pendaftaran Perniagaan yang lebih mudah. Yang kedua, penyederhanaan Lesen dan Permit. Yang ketiga, Pengecualian Cukai Sementara. Yang keempat, meningkatkan kesedaran.

Dan rumusan yang terakhir daripada saya sebagai penutup, Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, apa yang dapat saya rumuskan, Inisiatif Belanjawan 2025 yang telah dibentangkan oleh YAB Menteri Besar dua hari yang lalu merupakan satu rancangan yang amat menyeluruh dan antara yang terbaik. Hala tuju strategik dan inisiatif berkeutamaan tinggi yang telah digariskan secara jelas menunjukkan komitmen untuk memberikan manfaat yang besar kepada seluruh rakyat Terengganu khasnya.

Sesungguhnya, segala perancangan yang dilaksanakan memerlukan kerjasama padu antara kita semua. Jika kita benar-benar mencintai Negeri ini, usaha bersama antara rakyat dan Kerajaan pasti akan membawa hasil yang cemerlang untuk pembangunan masa depan Negeri kita. Saya yakin, insya-Allah, dengan semangat yang dimiliki oleh majoriti rakyat serta pendekatan yang telah diterapkan oleh Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, ditambah dengan semangat kerjasama yang kukuh, Terengganu akan terus maju dan hebat, seiring dengan hasrat dan perancangan kita bersama. Akhir kata, saya mohon menyokong Belanjawan 2025 dan Rang Enakmen Perbekalan 2025 yang telah dikemukakan. Sekian.

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih kepada Wakil Alur Limbat juga menepati masa bahkan tak menghabiskan masa 20 minit walaupun ada seminit lebih lagi. Yang Amat Berhormat Dato’ Seri, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan sekalian, juga para pemerhati. Saya dengan ini, menangguhkan dulu sementara Dewan ini untuk rehat bagi solat Zohor dan makan tengah hari dan insya-Allah akan disambung semula pada pukul 2.30 petang. Diumumkan juga makan tengah hari disediakan pada hari ini adalah dihostkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Maka dengan ini dijemput semua Ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan dan perwakilan, pemerhati untuk ke tempat jamuan yang disediakan. Sekian.

Timbalan Yang di-Pertua

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan sekalian, para pemerhati, hadirin-hadirat sekalian. Sesi penggulungan ke atas Enakmen Perbekalan 2025 diteruskan. Saya menjemput Yang Berhormat Wakil Kerajaan, ADUN Tepoh untuk menyampaikan penggulungan, dipersilakan.

Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar Terengganu, semua Ahli-ahli Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, rakan-rakan Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan, rakan-rakan media, para pemerhati yang dikasihi, tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian.

Alhamdulillah, marilah sama-sama kita merakamkan rasa syukur kepada Allah Subhanahu Wa Taala atas ruang untuk kita semua bermusyawarah pada minggu ini. Terima kasih buat semua Ahli-ahli Yang Berhormat yang begitu gigih menyertai persidangan ini dan begitu juga dengan komitmen semua Ketua-ketua Jabatan dan wakil-wakil yang sentiasa mencurahkan khidmat yang tertinggi untuk Kerajaan Negeri yang kita sayangi ini.

Ruang yang ada ini, sebelum saya meneruskan ucapan penggulungan dan juga memberikan respons terhadap setiap persoalan yang dikemukakan, begitu juga soalan-soalan yang tidak sempat untuk dijawab sepanjang persidangan ini. Saya merebut peluang ini untuk mendedikasikan ucapan terima kasih kepada Yang Mulia Tengku Seri Bijaya Raja, Dato’ Seri Tengku Farouk Hussin Tengku Abdul Jalil, mantan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu yang telah bersara wajib awal November tempoh hari. Perkhidmatan Tengku Seri Bijaya Raja sepanjang menjawat jawatan sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri amat MESYUARAT DITANGGUHKAN PADA PUKUL 12.50 TENGAH HARI PUKUL 2.30 PETANG

dihargai oleh semua pihak. Begitu juga buat mantan Yang Berhormat Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Razali bin Che Ani yang telah ditukar ke Putrajaya. Sementara itu ucapan terima kasih buat Yang Berhormat Dato’ Nara Setia atas perkhidmatan sebagai Pegawai Kewangan Negeri sebelum ini dan ucapan tahniah atas lantikan sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baharu. Demikian juga buat Yang Berhormat Dato’ Haji Mohd Azmi bin Mohamad Daham yang menggalas tanggung jawab sebagai Pegawai Kewangan Negeri dan Yang Berhormat Mohd Nawawi Ismail yang mengambil peranan sebagai Penasihat Undang-Undang Negeri Terengganu. Selamat berkhidmat buat semua.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan kelmarin dan juga terlibat dalam mengemukakan soalan untuk portfolio yang saya dipertanggungjawabkan. Ada yang sempat dijawab, ada yang tidak sempat dijawab. Dalam ucapan perbahasan kelmarin, Kuala Besut menimbulkan berkenaan dengan Akademi Al-Fateh dan juga Akademi DUAT supaya perlu memberi kerjasama. Tiada gerak kerja bersama dan bersepadu yang dilihat antara keduanya.

Berkaitan Akademi Kepimpinan Al-Fateh, antara matlamat utama penubuhan akademi ini adalah untuk memacu pembangunan belia Terengganu yang sejahtera dan bakal memberi impak terbaik dalam aspek agama, masyarakat dan negara. Di samping itu juga akademi ini turut menjayakan agenda penubuhan Anjung Sejahtera NGO Terengganu yang bertindak sebagai one stop centre bagi membangunkan kemahiran belia dan memudah cara pengoperasian NGO-NGO Terengganu.

Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri pada tahun 2022 telah mula melaksanakan Program Kem Impak Belia Darul Iman (KIAM) sehingga 2023. Program ini terhenti seketika berikutan kekangan kewangan yang menjadi cabaran baharu kepada Kerajaan Negeri. Namun Akademi Kepimpinan Al-Fateh masih berfungsi dan menjalankan usaha dengan mengecilkan skop program. Tahun 2024, Akademi Al-Fateh mengambil peluang ini untuk merangka dan mengemaskini modul-modul baharu dengan kerjasama pihak TSIS secara lebih komprehensif. Insya-Allah, Akademi Kepimpinan Al-Fateh pada tahun 2025 akan mula melaksanakan program-program baharu mengikut kesesuaian semasa dengan kerjasama bersama Urusetia Belia, Sukan dan NGO Terengganu

Sejahtera dan insya-Allah akan turut melibatkan Akademi Didik Ulama Amilin (DUAT) di dalam program-program pembangunan agenda dakwah seperti yang diharapkan Kuala Besut. Usaha ini akan diperhalusi secara cermat agar tidak berlaku pertindanan skop kerja antara satu sama lain. Pun begitu konsep berkolaborasi akan diperkasakan.

Izinkan saya untuk memberi sedikit gambaran serta input berkaitan portfolio saya bagi tahun 2024 serta perancangan pada tahun 2025. Antara usaha dan perancangan di bawah portfolio saya termasuklah menerus dan memperkasakan pelaksanaan program berkuda. Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri kini telah siap membina sebuah pentas arena di Terengganu International Endurance Park, Lembah Bidong, Setiu. Bagi menyokong program sedia ada di Terengganu International Endurance Park ini serta mengoptimumkan penggunaan arena berkenaan, Kerajaan Negeri berhasrat untuk menganjurkan pelbagai acara-acara sampingan di pentas arena ini.

Terengganu turut menerima permintaan penganjuran oleh pihak Yang Dihormati, Ketua Polis Negara untuk penganjuran Kejohanan Kuda Lasak Ketua Polis Negara. Pihak Kerajaan Negeri amat mengalu-alukan usaha ini. Dalam usaha merakyatkan sukan berkuda ini, untuk tahun 2025, insya-Allah terdapat enam kejohanan yang bakal dianjurkan di Terengganu International Endurance Park. Sementara itu, acara-acara khas sampingan berkuda di pentas arena akan dirancakkan bermula tahun 2025. Selain itu, program Riding for Disable (RDA) juga akan diteruskan. Yang menjalankan program terapi berkuda Equine Assisted Therapy secara percuma dengan memfokuskan kepada anak-anak dari program pendidikan khas integrasi, pusat pemulihan dalam komuniti dan individu perseorangan di negeri Terengganu.

Sepanjang 2024, kehadiran peserta bagi bulan Januari sehingga pertengahan November 2024 adalah seramai 2,454 orang peserta. Permintaan yang diterima sangat tinggi dan berada di luar keupayaan kita untuk memenuhinya. Justeru tahun 2025, kita akan menggiatkan usaha mendapatkan sokongan pelbagai pihak luar untuk turut bersama-sama dalam mengembangkan program Riding for Disable.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, YB Ladang ada kemukakan persoalan tentang dua pelumba cilik anak Terengganu yang berada di peringkat

antarabangsa dan bagaimanakah sokongan Kerajaan Negeri untuk pelumba-pelumba cilik ini. Mungkin kerana pelumba cilik seperti adik Qabil Irfan merupakan anak jati Ladang. Saya ucapkan terima kasih kepada Ladang atas kecaknaan. Untuk maklumat Ladang, setakat hari ini pencapaian pelumba-pelumba cilik ini amat memberangsangkan dan berlaku peningkatan dari masa ke semasa. Melalui Terengganu Inc. pada tahun 2023 sumbangan sejumlah RM300,000.00 telah diberikan kepada ZK Racing untuk kepentingan pelumba-pelumba cilik ini. Walau bagaimanapun pada tahun ini peruntukan sumbangan ini terpaksa dikecilkan ekoran pelbagai kekangan semasa. Kita hanya mampu menyumbang sebanyak RM100,000.00 kepada ZK Racing untuk meneruskan bantuan ataupun bimbingan kepada pelumba-pelumba cilik. Sebagai sokongan, Kerajaan Negeri juga membantu memberikan kebenaran buat pelumba cilik ini menjalani latihan mereka secara percuma di Litar Perlumbaan Terengganu di Kompleks Sukan Negeri.

Pencelahan..

Terima kasih Yang Berhormat Tepoh. Apakah langkah-langkah yang diambil sebenarnya untuk memperkasakan pembangunan dan juga pencarian bakat baru dalam sukan permotoran ini? Berminat juga ni sukan ini. Macam Yang Berhormat sebut tadilah. Qabil Irfan ini orang DUN Ladang. Okey, terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua

Sila Yang Berhormat..

Terima kasih Yang Berhormat Ladang. Memang Qabil Irfan antara pelumba cilik berpotensi tinggi. Kalaulah tidak ada apa-apa yang berlaku saya yakin Qabil Irfan anak Ladang ini akan menjadi pelumba antarabangsa pada suatu hari nanti, insya-Allah.

Berbalik kepada soalan Yang Berhormat Ladang sebentar tadi. Apakah usaha-usaha untuk kita lahirkan bakat-bakat baru daripada sukan permotoran ini. Terdahulu untuk Qabil Irfan dan juga beberapa pelumba anak Terengganu,

Kerajaan Negeri menyediakan satu unit paddock yang disediakan di Litar Permotoran Terengganu secara percuma. Sementara itu ada enam orang lagi pelumba-pelumba anak Terengganu yang dibantu pembayaran yuran penyertaan ke Kejohanan FIM Mini GP Malaysia sejak tahun 2022 sehingga tahun 2024. Bagi menyokong usaha melahirkan pelumba-pelumba cilik berbakat pada suatu hari nanti, satu litar latihan khas akan disediakan di Kompleks Sukan Negeri Terengganu secara bekerjasama dengan Pihak Kementerian Belia Sukan Malaysia pada tahun hadapan untuk memberikan ruang yang baik dan selamat untuk semua anak-anak pelumba cilik. Buat masa ini perbincangan ini telahpun kita sampaikan kepada pihak Kementerian Belia dan Sukan. Dalam masa yang sama, kita tidak membawa nama Terengganu di peringkat perlumbaan antarabangsa, kita membawa nama negara Malaysia yang telah disumbangkan oleh Qabil Irfan dan beberapa pelumba-pelumba cilik yang lain.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri pada tahun ini turut memberi fokus kepada pembaikian dan menaik taraf fasiliti sukan sedia ada terutama di Kompleks Sukan Negeri. Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, kerosakan scoreboard di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin telah dibaik pulih sepenuhnya dan boleh digunakan sejak Ogos 2024 yang lalu. Selain itu, terdapat tiga projek bina baharu yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri melalui peruntukan khas daripada Kementerian Belia dan Sukan iaitu yang pertama, bina baharu Pusat Latihan Angkat Berat sejumlah RM500,000. Setakat hari ini, kemajuan kerja adalah 60%. Bina baharu Pusat Latihan Memanah berjumlah RM209,400.00. 100% kemajuan kerjanya telah siap. Bina baharu Pusat Latihan Pelayaran di belakang UMT Kubang Badak juga 100% siap.

Alhamdulillah, Kerajaan Negeri juga pada awal tahun 2025 ini akan melaksanakan tiga projek bina baharu dan naik taraf. Yang pertama naik taraf sistem saliran tanah Stadium Sultan Mizan yang berjumlah sebanyak RM500,000.00 akan dimulakan selepas tamat Liga Malaysia. Bina baharu lampu limpah padang sintetik juga berjumlah RM500,000.00 dan bina baharu Pusat Latihan Tinju dan Muay Thai berjumlah RM500,000.00. Sementara itu di Pulau Duyong, Kompleks Sukan Air Negeri Terengganu yang berjumlah RM9.3 juta dan kemajuan kerja sudah mencapai 91.57% akan dijangka siap pada Mac 2025. Kompleks ini akan memberi ruang untuk aktiviti berkayak, perahu panjang dan layar bagi latihan atlet dan aktiviti sukan rakyat. Di sini juga akan membantu penganjuran program-program sukan air di Terengganu seperti

yang diutarakan oleh Yang Berhormat Buluh Gading kelmarin. Selebihnya untuk aspek pelancongan insya-Allah akan ditambah oleh Wakil Kijal.

Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan yang menyediakan peruntukan bagi kerja-kerja yang telah saya sebutkan sebentar tadi. Terima kasih juga kepada Jabatan Belia dan Sukan Terengganu atas kerjasama yang rancak demi pembangunan belia dan sukan anak-anak Terengganu dan juga rakyat Malaysia. Ini semua merupakan usaha menjayakan key success factors yang dinyatakan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar iaitu IMAN di bawah singkatan „N’ - Networking (jaringan hubungan).

Saya juga ingin mengambil kesempatan di sini merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar yang telah membentangkan Belanjawan 2025 dengan tema „Demi Masa Depan Terengganu’. Juga atas persetujuan meluluskan pembinaan sebuah dewan serbaguna untuk indoor game bagi kegunaan sukan skuasy dan badminton pada tahun 2025. Ia juga satu usaha menyambut Titah Tuanku Sultan Mizan sewaktu Perasmian Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri sebelum ini. Dewan latihan skuasy milik Kompleks Sukan Negeri Terengganu mula terjejas setelah kejadian runtuhan bumbung stadium dan tidak boleh digunakan sehingga hari ini.

Latihan atlet banyak ditumpukan dengan menggunakan pusat latihan yang ada di IPTA berdekatan. Begitu juga badminton, tidak memiliki pusat latihan sendiri, hanya menumpang dan menyewa di dewan-dewan swasta dan tempat-tempat kerajaan. Dengan adanya dewan latihan sendiri, ia diharap akan menjadi suatu momentum semangat buat semua atlet Terengganu dalam acara skuasy dan badminton. Usaha untuk memaksimumkan penggunaan Kompleks Sukan Negeri Terengganu akan diperkasakan sebaik mungkin untuk agenda pembangunan sukan negeri bukan sahaja dalam aspek pembangunan fasiliti, malah pengisian juga akan dirancakkan.

Dalam aspek penganjuran acara, pengumuman awal oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar untuk penganjuran Tour Gateh D’Tranung sekali lagi pada tahun hadapan pasti membuka ruang yang lebih luas untuk Majlis Sukan Negeri Terengganu merangka persiapan. Insya-Allah momentum kejayaan pelaksanaan kejohanan ini akan diteruskan dan ditambah baik dari

masa ke semasa. Untuk makluman semua, Kerajaan Negeri pada tahun ini sekali lagi telah melaksanakan jelajah Terengganu dengan jolokan nama baharu iaitu Tour Gateh D’Tranung 2024. Kejohanan berbasikal ini telah diadakan pada 24 hingga 28 Oktober. Ini merupakan penganjuran edisi kali ketiga dengan menggunakan nama yang baharu ini. Penganjuran ini telah mengembalikan semula imej yang telah menjadi ikon kecemerlangan berbasikal Negeri Terengganu sebagai negeri yang diberi jolokan Land of Cyclist. Kejohanan yang telah disertai seramai 250 atlet dan pegawai dari 25 pasukan meliputi 12 pasukan tempatan dan 13 pasukan profesional luar negara termasuk dari Singapura, Indonesia, Thailand, China, Australia dan juga Negara Belanda.

Kejohanan ini menawarkan lima peringkat melalui enam daerah dalam Negeri Terengganu bagi mempamerkan keindahan yang ada dalam negeri ini. Tour Gateh D’Tranung mendapat liputan yang meluas dengan penggunaan khidmat live streaming. Prestasi liputan sangat baik dan bertahap tinggi, setaraf dengan kejohanan-kejohanan besar yang dianjurkan dalam negara seperti Le Tour De Langkawi. Kejohanan ini telah mendapat view mencecah 15,703. Pada peringkat keempat di Kuala Nerus dan secara puratanya mendapat view sekitar 10,000 sepanjang kejohanan berlangsung melibatkan lima peringkat.

Saya sebenarnya cukup berbangga dengan usaha gigih pasukan Majlis Sukan Negeri Terengganu yang telah berjaya menganjurkan penganjuran ini walaupun hanya menggunakan peruntukan yang sangat kecil berbanding dengan edisi-edisi sebelum ini. Dalam masa yang sama saya ingin merakamkan ucapan terima kasih buat semua jabatan dan agensi kerajaan yang membantu. GLC Kerajaan Negeri, syarikat-syarikat perseorangan yang bekerjasama yang menaja penganjuran “Tour Gateh” kita.

Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar di atas harapan untuk meneruskan pelaksanaan Sultan Mahmud Bridge International Run. Kali terakhir kejohanan ini diadakan adalah pada tahun 2019 sebelum COVID-19.

Saya juga amat berbesar hati menyambut saranan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar yang menekankan aspek Pembangunan NGO menerusi Fokus tiga Pengukuhan Modal Sosial serta hasrat Yang Amat Berhormat Dato’ Seri untuk menggerakkan NGO dalam misi bantuan kemanusiaan. Hasrat ini akan diusahakan sebaiknya menerusi portfolio saya,

agar kita dapat melatih rakyat Terengganu yang cenderung untuk menolong dan membantu bukan sahaja di negeri sendiri, malah menyumbang kepada dunia sejagat.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, tidak lengkap dalam Persidangan hujung tahun kali ini seandainya saya tidak merakamkan beberapa pencapaian tahun semasa dalam sukan-sukan besar Terengganu dalam suasana semua pasukan dihimpit dengan kekangan kewangan, pun begitu semangat semua pasukan amat dikagumi demi nama Terengganu.

Yang pertama hoki, pencapaian pasukan sukan hoki Terengganu, skuad hoki Terengganu telah berjaya merangkul kejuaraan Piala Tun Abdul Razak setelah menewaskan Johor dengan kemenangan 2-1. Skuad Hoki wanita Terengganu pula berjaya meraih tempat ketiga, tahniah buat pasukan Hoki Terengganu atas pencapaian ini.

Ragbi, pencapaian pasukan Ragbi Terengganu dalam Kejohanan Piala Agung hanya berjaya menempatkan pasukan Terengganu di tempat ketiga, dalam kejohanan ragbi Tujuh Sepasukan Kebangsaan, kategori lelaki senior tempat keenam, lelaki bawah 21 Naib juara, dan wanita bawah 21 Juara. Tahniah buat Persatuan Ragbi Negeri Terengganu.

Basikal, bagi musim 2024 Terengganu Cycling Team telah muncul sebagai pasukan terbaik Asia kali keenam dengan pungutan mata sebanyak 1,879 mengenepikan pasukan JCL Team UKYO dari Jepun di tempat kedua, serta pasukan Roojai Insurance dari Thailand di tempat ketiga. TSG turut berjaya menjadi pasukan Continental terbaik dunia daripada 178 pasukan yang berdaftar sebagai UCI Continental Team buat kali ketiga. Turut membanggakan TSG berjaya menduduki carta 30 pasukan terbaik dunia daripada 213 pasukan yang bersaing bagi musim 2024 tahniah buat pasukan Terengganu Cycling.

Takraw, pencapaian pasukan takraw melalui pasukan Terengganu Turtles juga agak membanggakan dalam setiap sirkit (GP) yang dianjurkan. Terengganu Turtles menduduki tempat kelima daripada 12 pasukan yang bertanding sepanjang kejohanan bermula daripada 15 September hingga 2 November tempoh hari. Ia satu pencapaian yang boleh dibanggakan mengambil kira tahun pertama pasukan berada di dalam premier league.

Bola Sepak, sukan paling utama negeri iaitu sukan bola sepak TFC I, masih berada pada kedudukan keempat dan perlawanan untuk Liga Super masih lagi berlangsung. Piala FA separuh akhir, kejohanan Piala Malaysia masih belum berlangsung dan Shopee ACC CUP juga sedang berlangsung. Walaupun berlaku pelbagai kemelut yang sedang dihadapi kita mengharapkan TFC pasukan utama ini akan dapat melaluinya dengan keadaan baik dan memberangsangkan.

TFC II Piala MFL kedudukan keempat, dan masih lagi berlangsung. TFC III separuh akhir Piala Presiden, TFC IV layak ke perlawanan akhir, perlawanan akhir pusingan pertama di Johor mencatatkan keputusan seri, perlawanan akhir pusingan kedua akan berlangsung pada 22 November ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. Sama-sama kita memberikan sokongan kepada pasukan kita ini. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada seluruh pegawai dan skuad di setiap pasukan. Sementara pencapaian SUKMA kita mengakui antara yang terburuk dalam pencapaian edisi-edisi terakhir ini. Kita tidak ingin mencipta alasan tetapi kita telah menggerakkan satu usaha untuk memastikan pencapaian SUKMA nanti akan mula kembali bangkit dan akan kembali untuk berada di tahap yang terbaik.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, dalam usaha menjadikan sukan sebagai elemen yang membawa agenda perpaduan di kalangan rakyat insya-Allah jika cuaca baik dan tiada banjir besar melanda negeri Terengganu satu program sukan rakyat bersama Warga Tionghoa akan dianjurkan pada 29 dan 30 November ini di Pulau Warisan acara Kampung Cina Streets For Challenge 2024 menjadi program yang julung-julung kali diadakan dan diharap ia menjadi dan berjaya menzahirkan keharmonian di kalangan pelbagai kaum di Negeri Terengganu.

Sekali lagi saya ingin mengambil kesempatan di sini mengucapkan ribuan terima kasih pada semua Ahli-ahli Yang Berhormat yang menyentuh berkaitan portfolio saya dan juga terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar yang juga telah memberikan pelbagai ruang untuk dilaksanakan oleh portfolio yang berada di bawah jagaan saya. Saya berharap dengan penjelasan yang dinyatakan sebentar tadi dapat memberikan penjelasan dan penerangan di atas persoalan-persoalan yang timbul. Tepoh mohon menyokong, sekian.

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih Wakil Tepoh yang telah membentangkan ataupun membuat penggulungan pada isu-isu yang berkaitan dengan sukan, seterusnya saya mempersilakan Wakil Wakaf Mempelam untuk membuat penggulungan dan saya minta kalau boleh jangan lebih masa banyak lah ya? Silakan…

Terima kasih Timbalan Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Ketua-ketua Jabatan, Rakan-rakan Media, serta pemerhati, Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian.

Yang Berhormat Timbalan yang di-Pertua, terima kasih kerana telah memberikan peluang dan ruang kepada saya untuk turut serta mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Enakmen Perbekalan Tahun 2025 yang telahpun dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar di dalam Dewan yang mulia ini.

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia dan izinNYA dapat kita bersama-sama di dalam Dewan Yang Mulia ini yang merupakan platform dan wadah terbaik bagi Ahli-ahli Yang Berhormat untuk menzahirkan hujah, perspektif dan pandangan masing-masing dalam merencanakan arus pembangunan dan kesejahteraan Negeri Terengganu ke arah Maju, Berkat dan Sejahtera.

Yang Berhormat Timbalan yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Terengganu yang telah pun membentangkan suatu Bajet Negeri Terengganu 2025 berdasarkan keutamaan semasa yang dianggarkan berjumlah RM1.887 bilion untuk Perbelanjaan Mengurus dan hasil yang dianggarkan sebanyak RM1.997 bilion. Belanjawan Terengganu 2025 bertemakan “Demi Masa Depan

Terengganu” suatu Pembentangan Bajet yang menyeluruh yang merangkumi keseluruhan aspek fizikal dan sosial. “Demi Masa Depan Terengganu”, sebanyak 5 fokus telah pun dikenal pasti dan digariskan sepertimana yang mana dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar.

Yang Berhormat Timbalan yang di-Pertua, Pihak Berkuasa Tempatan ataupun PBT merupakan aspek terpenting di dalam memastikan kesejahteraan perbandaran berada di tahap yang terbaik mengikut kawasan masing-masing. Alhamdulillah, pada 2024 analisa penilaian kemampanan bandar iaitu MURNI NETS ataupun (Malaysian Urban Rural National Indicators Network on Sustainable Development) yang telahpun dijalankan oleh pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) telah menunjukkan semua PBT di Negeri Terengganu telah mencapai status bandar mampan. Tahniah diucapkan kepada Datuk Bandar dan semua Yang Dipertua PBT. Selain itu, melalui Sistem Penarafan Bintang Pihak berkuasa Tempatan (SPB-PBT) bagi tahun 2024. Alhamdulillah semua PBT di Negeri Terengganu telah mendapat pengiktirafan 4 hingga 5 bintang. SPB-PBT ini bertujuan menilai prestasi dan kecekapan PBT yang berfungsi sebagai mekanisme untuk menilai sejauh mana ia memenuhi standard perkhidmatan yang ditetapkan, menggalakkan penambahbaikan dalam penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat, serta mengenal pasti bidang yang memerlukan penambahbaikan.

Alhamdulillah, pada tahun ini satu kajian Blueprint Bandar Pintar telah pun dilaksanakan oleh Negeri Terengganu yang dinamakan SMART Terengganu 2040. Majlis Pelancaran Smart City Activation Day (TSCA) 2024 (TSCA 2024) dianjurkan bagi mengaktifkan dan menggerakkan seluruh negeri ke arah transformasi digital yang inklusif dan berpusat pada komuniti dan memberikan gambaran bahawa ini adalah langkah proaktif untuk memperkenalkan teknologi pintar yang akan memberikan manfaat terus kepada rakyat Terengganu. Selain daripada itu, tahniah saya ucapkan kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu kerana telah mendapat pengikitirafan Smart City Early Adopter daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada tahun 2024 dengan siling peruntukan khas inisiatif Bandar Pintar yang berjumlah RM400,000.00 di mana sebelum ini Majlis Perbandaran Kemaman juga telah mendapat pengiktirafan Smart City Early Adopter pada tahun 2023 dengan insentif yang berjumlah RM200,000.00. Ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Kerajaan Persekutuan kerana telah mendapat pengiktirafan Smart City Early Adopter daripada

kerana telah pun mengumumkan kelulusan Projek Menaik Taraf Pasar Borong Gong Pauh di bawah Rolling Plan Ke-5, RM Ke-12 dengan kos keseluruhan RM15 juta di dalam ucapan penggulungan Yang Berhormat Menteri KPKT di dalam Dewan Rakyat Parlimen Kelima Belas baru-baru ini. Terima kasih juga kepada Ahli Yang Berhormat Parlimen Kuala Terengganu yang turut membawakan usul ini di peringkat Parlimen. Selain daripada itu, tidak dilupakan ucapan terima kasih kepada Datuk Bandar dan pasukan MBKT, kerana dengan usaha yang telah dibuat oleh beliau dan pasukan serta kecaknaan di dalam menyelesaikan isu Pasar Borong Gong Pauh sebelum ini. Selain daripada itu, untuk makluman Dewan, Pasar Chabang Tiga juga sentiasa diberikan perhatian di dalam memastikan keselesaan kepada peniaga serta pengunjung pasar serta menambah baik pencahayaan. Pelbagai kerosakan telah pun dibaiki sepanjang tahun 2023 sehingga 2024 seperti saluran hujan berkarat, pencahayaan dan kebocoran bumbung yang melibatkan kos peruntukan sebanyak RM483,981.00. Insya-Allah, MBKT juga di dalam perancangan bagi mengadakan meter elektrikal berasingan bagi setiap bangku di pasar tersebut. Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, tahniah juga diucapkan kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman kerana telah mendapat tempat kedua untuk Kempen Pasar Awam Bersih dan Pengiktirafan Medan Selera Bersih sempena Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia Peringkat KPKT Tahun 2024. Selain daripada itu, Majlis Daerah Marang juga menunjukkan komitmen dalam meningkatkan mutu perkhidmatan melalui inovasi setelah mendapat Anugerah Emas di International Convention on Quality Control Circles, Sri Lanka baru-baru ini. Komitmen-komitmen berterusan yang ditunjukkan oleh PBT-PBT ini menunjukan tekad berterusan oleh PBT dalam menyediakan perkhidmatan perbandaran yang terbaik demi kesejahteraan rakyat. Seiring dengan 5 fokus Bajet 2025 ini.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, sebagaimana yang telah diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Terengganu di dalam Ucapan Belanjawan 2025, penambahbaikan Dasar Pembangunan Perumahan secara penswastaan ini akan melibatkan penyediaan insentif yang lebih baik kepada pemaju dan turut memperkenalkan variasi baru Rumah Mampu Milik sebagai pilihan tambahan kepada pembeli. Bagi maksud menyediakan insentif yang lebih baik kepada pemaju, antara perkara yang diberi fokus adalah merangkumi aspek-aspek berikut:

i) Penelitian terhadap harga Rumah Mampu Milik berdasarkan perkembangan semasa yang menunjukkan kenaikan harga barang binaan serta lain-lain kos yang terlibat.

ii) Penelitian terhadap penyediaan senarai nama pembeli Rumah Mampu Milik yang layak bagi mempercepatkan urusan penawaran kepada golongan sasar.

iii) Penelitian terhadap tempoh masa yang diambil bagi proses-proses yang terlibat dengan kelulusan daripada agensi-agensi teknikal yang berkaitan.

Berkait dengan pengenalan variasi Rumah Mampu Milik pula, skop penambahbaikan yang diberi perhatian adalah sebagaimana berikut:

i) Jenis-jenis rumah mampu milik yang dipelbagaikan dari aspek harga, rekabentuk serta keluasan lantai untuk disesuaikan dengan golongan-golongan penerima atau pembeli rumah tersebut.

ii) Variasi Rumah Mampu Milik juga akan bergerak seiring dengan pengembangan kepada kategori pembeli rumah di mana kategori pembeli akan diperluaskan kepada golongan belia, golongan bujang bertanggungan, penjawat awam dan lain-lain kategori yang berkenaan.

Untuk makluman, Kerajaan Negeri juga sentiasa terbuka dan sentiasa bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi menangani isu projek perumahan swasta terbengkalai. Di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan iaitu Bahagian Projek Sakit dan Terbengkalai telah pun mengenalpasti beberapa projek perumahan swasta yang terbengkalai dan kini usaha bagi menangani isu ini giat dilaksanakan. Kerajaan Negeri akan sentiasa memberikan kerjasama terutama yang melibatkan kelulusan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan dan mana-mana agensi teknikal bagi menangani isu ini.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, selain daripada itu, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) melalui 6 hospital dan 52 Klinik Kesihatan akan terus bersedia dalam memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat Terengganu. Kerajaan Negeri sentiasa terbuka dan bersedia untuk bekerjasama dengan JKNT di dalam memastikan Rakyat Negeri Terengganu sentiasa mendapat perhatian dan rawatan yang sewajarnya. Tambahan pula, Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sentiasa melakukan

penguatkuasaan bagi mengawal aktiviti penjualan vape berdasarkan peruntukan perundangan sedia ada di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Tred Perniagaan dan Perindustrian. Bermula Januari sehingga Oktober 2024, sebanyak 103 premis jualan vape yang telah dikenalpasti beroperasi di seluruh Negeri Terengganu. PBT juga telah mengeluarkan sebanyak 88 notis kesalahan dan 88 keping kompaun telah dikeluarkan oleh pihak Penguatkuasa PBT di atas kesalahan menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen.

Seterusnya Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, pelbagai isu-isu telah pun dibangkitkan oleh rakan-rakan Ahli-ahli Yang Berhormat ketika sesi perbahasan yang lalu, oleh itu izinkan saya menjawab serba sedikit isu-isu yang telah pun dibangkitkan. Yang pertamanya oleh ADUN Bandar. Berkenaan dengan menyatakan aspek kebersihan kiosk dan Peluang-Peluang Kepada Penjaja/Peniaga Kecil. Untuk makluman, PBT bersama Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu sentiasa memantau aspek kebersihan dan keselamatan makanan terutamanya melibatkan peniaga/penjaja kiosk, gerai dan premis makanan. Antara skop pemantauan yang dilaksanakan oleh PBT adalah:

1. Peniaga perlu sentiasa menjaga kebersihan diri dengan memakai apron, penutup kepala dan berkasut; 2. Peniaga perlu mengikuti kursus pengendali makanan; 3. Peniaga perlu mendapatkan suntikan anti typhoid dan, 4. Peniaga perlu mendapatkan lesen perniagaan daripada PBT.

Sehubungan itu, bagi memastikan persekitaran bersih dan sihat, aspek kebersihan oleh peniaga- peniaga perlu diberi perhatian khususnya oleh semua pihak. Selain daripada itu, PBT juga sentiasa peka akan keperluan penjaja dan peniaga kecil. Insya-Allah, PBT akan meneliti perkara ini dan akan terus menawarkan lot-lot dan kiosk-kiosk yang kosong kepada sesiapa sahaja yang berminat.

Seterusnya ADUN Seberang Takir menyebut tentang cadangan dan perancangan masa depan bagi penambahan PPR/PPK dan RMM. Setakat ini, pihak kerajaan mempunyai perancangan bagi pelaksanaan 19 projek perumahan yang melibatkan pembinaan berkonsepkan rumah mampu milik, yang mana sekiranya projek-projek ini berjaya dilaksanakan, ianya akan menyediakan sebanyak 3,984 unit rumah kepada golongan sasar. Namun,

pelaksanaan kepada rancangan ini adalah bergantung kepada kemampuan peruntukan Kerajaan Negeri dan juga tertakluk kepada kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan. Ianya juga bergantung kepada prestasi pelaksanaan projek-projek perumahan yang dilaksanakan oleh agensi-agensi di bawah Kerajaan Negeri dan Persekutuan. 19 Senarai Cadangan Projek-Projek Perumahan adalah berdasarkan peruntukan-peruntukan berikut:

1.

Sembilan projek cadangan menggunakan peruntukan Kerajaan Negeri 2.

Enam projek cadangan menggunakan peruntukan Kerajaan Persekutuan 3.

Dua cadangan projek di bawah SPNB 4.

Dua cadangan projek di bawah Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu.

Seterusnya, Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, yang ketiga, ADUN Ladang. ADUN Ladang menyebut pertamanya isu kerosakan siling dan perancangan akibat burung merpati yang bersarang di Ladang Gemilang 1 dan juga 2. Untuk makluman ADUN Ladang, Perumahan Ladang Gemilang 1 dan 2 ini adalah milik Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu manakala pihak PMINT telah dilantik oleh pihak Lembaga Tabung Amanah sebagai ejen pengurusan bagi kedua-dua perumahan ini. Ketika ini badan pengurusan bagi Perumahan Ladang Gemilang 1 dan 2 masih belum ditubuhkan, maka ianya masih diuruskan oleh pihak PMINT melalui anak syarikatnya iaitu PMINT Urus Sdn. Bhd. Susulan daripada aduan penduduk serta lawatan yang telah dibuat oleh saya sendiri bersama-sama dengan Yang Berhormat ADUN Ladang, perancangan yang dibuat bagi mengatasi isu kerosakan siling akibat daripada burung merpati adalah insya-Allah pihak PMINT sedang dalam proses akhir penilaian tahap kerosakan serta penyediaan anggaran kos untuk kerja-kerja pembaikian siling di Ladang Gemilang 1 dan juga 2. Dalam masa yang sama pihak PMINT serta Lembaga Tabung Amanah Warisan telah membuat aduan kepada Pihak Berkuasa Tempatan berkenaan agar kawalan terhadap populasi burung merpati serta kawalan bagi aktiviti memberi makanan kepada burung-burung tersebut di tapak medan letak kereta milik MBKT dapat dibuat agar masalah di Perumahan Ladang Gemilang 1 dan 2 tidak berpanjangan dan dalam masa yang sama saya juga menyeru kepada semua penduduk di kedua-dua kawasan perumahan tersebut, insya-Allah apabila Badan Pengurusan (MC) ini ditubuhkan maka insya-Allah pakat-pakatlah

membayar yuran pengurusan kerana yuran pengurusan ini sangat penting untuk menyelenggara aspek-aspek berkaitan dengan..

Dr. Mamad bin PutehPAS · PNKuala Berang

Timbalan Speaker, saya nak tanya sikit.

Timbalan Yang di-Pertua

Boleh.

Sila-sila.

Dr. Mamad bin PutehPAS · PNKuala Berang

Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Speaker. Boleh ke kita cadang supaya burung-burung merpati ini diigak, kemudian adakan restoran ke, jadi burung merpati kita sembelih buat sebagaimana di Mesir itu, buh nasi dalam kita hidangkan di restoran-restoran.

Ya, satu cadangan yang menarik daripada Kuala Berang dan memang kalau di Mesir antara makanan utama adalah burung merpati yang disumbat dengan nasi yang dipanggil hammam mahsyi, Yang Berhormat ADUN Ladang juga antara penggemar hammam mahsyi.

Timbalan Yang di-Pertua

Dalam sidang akan datang kena buat tu.

Betul lah, saya..

Timbalan Yang di-Pertua

Sidang ni ada rusa doh sekali, sidang depan kene ada burung merpati sumbat nasi dalam. Kita serah kepada Wakil Wakaf Pelam deh.

Saya menyeru kepada sesiapa yang berminat untuk membuat atau membuka perniagaan hammam mahsyi ini boleh berbuat demikian dan kita sedia untuk memberi sokongan insya-Allah, makanan yang cukup luar biasa. Jadi, Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, jadi bayaran

yuran ini sangat penting untuk pihak MC menguruskan isu-isu yang berkaitan dengan masalah penyelenggaraan yang berlaku di kedua-dua bangunan ini.

Seterusnya isu pemberian makanan kepada burung merpati yang disebut oleh ADUN Ladang. Ini juga satu isu yang sebenarnya dihadapi oleh banyak PBT yang berhadapan dengan burung merpati ini yang kadang-kadang dianggap oleh rakyat ataupun dianggap oleh sebahagian warga antara binatang-binatang yang menambah seri di dalam bandar atau pun di kawasan-kawasan yang tertentu tapi kadang-kadang kita ataupun mereka tidak sedar bahawa kehadiran burung-burung merpati dalam jumlah yang ramai ini memberikan kesan sampingan sama ada kepada keselamatan, kesihatan mahupun masalah yang berlaku kepada perumahan ataupun penduduk yang menghuni kawasan sekitar itu. Untuk makluman, masalah kacau ganggu oleh burung merpati terutama di kawasan letak kereta kawasan hadapan Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin (SMASZA), Kuala Terengganu telah pun diambil perjalanan oleh MBKT seperti operasi membuang pondok ataupun bakul makanan burung sebanyak tiga kali, tiga kali doh MBKT gi buang pondok ataupun bakul makanan yang disediakan di situ, pondok makanan ini telah pun didirikan oleh individu yang tidak dikenali. Operasi ini dibuat tiga kali, 15 September 2024 sekali, 17 Oktober 2024, 29 Oktober 2024 sekali. Tiga kali operasi ini dibuat. Buat masa sekarang, MBKT tidak menjalankan sebarang aktiviti kawalan pencegahan burung berkeliaran dan hanya menjalankan kerja-kerja yang berkaitan dengan kebersihan najis burung sahaja. Kerja-kerja kebersihan najis burung dijalankan oleh kontraktor kebersihan awam yang telah dilantik dan sekiranya lokasi berkenaan termasuk dalam spesifikasi kerja kontraktor dan sebagai langkah pencegahan awal untuk menangani masalah ini, pihak MBKT telah pun memasang larangan papan tanda larangan memberi makanan burung pada 30 Oktober di kawasan letak kereta hadapan Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin (SMASZA), dan sekiranya itu juga masih tidak dapat menyelesaikan masalah, maka kita akan mengambil langkah yang lebih drastik lagi selepas daripada ini, demi untuk menjaga keselamatan, kesihatan rakyat yang menghuni di kawasan sekitar. Sikit lagi ye.

Seterusnya ADUN Bukit Tunggal yang menyebut tentang Tapak Pelupusan Sisa Pepejal yang telah pun melebihi usia. MBKT telah pun melantik syarikat One Biofame Sdn Bhd bagi kerja-kerja pengurusan sisa pepejal di Sungai Ikan, Kuala Nerus, melibatkan pertukaran kepada material baharu dan perkhidmatan pelupusan di tapak pelupusan sisa menggunakan teknologi “Advance Landfill

Mining With Material And Energy Recovery”. Antara kelebihan menggunakan teknologi ini dapat mengitar semula sisa yang ada di tapak pelupusan, memanjangkan tempoh dan jangka hayat tapak kerana sisa yang telah pun digali di setiap sel akan dikosongkan dan digunapakai semula untuk melupuskan sisa pepejal yang baharu. Majlis Daerah Hulu Terengganu telah memohon lokasi baharu dengan Pejabat Daerah Hulu Terengganu bagi menggantikan Tapak Pelupusan Sisa Pepejal di Batu 22, Ajil, Kuala Berang. Lokasi baharu yang dimohon terletak di Kg. Kuala Kejir, Kuala Berang. Jangka hayat bagi TPSP baharu dianggarkan selama 10 tahun dengan kapasiti 70 tan sehari. Buat masa ini, Majlis Daerah Hulu Terengganu dalam perancangan untuk mengenal pasti syarikat-syarikat yang berminat untuk membangunkan TPSP baharu melalui kaedah penswastaan. termasuklah yang ketiganya, Majlis Perbandaran Kemaman yang telah pun membuat penutupan Tapak Pelupusan Sisa Pepejal di Bukit Takal, Mak Chili pada Julai 2023 namun TPSP ini terpaksa diguna semula selama enam bulan pada April 2024 hingga Oktober 2024 untuk kerja-kerja baik pulih di TPSP Bukit Jemalang, Chukai yang akan beroperasi sepenuhnya pada November 2024.

Berkenaan dengan Lembaga Perumahan pula, baru-baru ini kita telah pun pergi membuat lawatan ke Melaka untuk melihat kejayaan Lembaga Perumahan Melaka di dalam menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan perumahan dan Kerajaan Negeri telah mengambil maklum dan pengalaman dari pengalaman yang telah pun diperolehi di dalam lawatan itu dan kita akan melihat apa yang boleh kita ambil untuk dilaksanakan di dalam Negeri Terengganu ini, insya-Allah. Seterusnya saya pergi laju-laju sikit ni. Tempat Letak Kereta Pihak Berkuasa Tempatan. Tahniah kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman dan pasukan kerana telah pun berjaya membangunkan Aplikasi Letak Kereta Pintar Kemaman Park atau juga dikenali dengan K-Park. K-Park, bukan kpop ni, K-Park. Ianya adalah satu alternatif serta penambahbaikan pengurusan tempat letak kereta yang lebih efisien dan sistematik. Untuk makluman, pelaksanaan tempat letak kereta menggunakan teknologi telah dimulakan oleh MBKT melalui penggunaan sistem FlexiParking, diikuti oleh Majlis Daerah Besut melalui sistem SMART BESUT dan insya-Allah, pelaksanaan tempat letak kereta melalui aplikasi ini akan dikembangkan kepada semua PBT Negeri Terengganu tertakluk kepada keupayaan dan kemampuan PBT itu sendiri.

Yang seterusnya ADUN Telemong menyebut tentang Cadangan Pembangunan Perumahan di Bukit Tadok. Jadi untuk makluman sahabat saya ADUN

Telemong, kawasan perumahan yang dicadangkan di Bukit Tadok itu telah pun dikenal pasti sebagai kawasan yang sering terlibat dengan banjir, terutama ketika musim tengkujuh dengan paras banjir yang mencecah antara dua hingga tiga meter setiap tahun. Hal ini turut menyebabkan jalan utama di hadapan tapak cadangan itu menjadi tidak boleh diakses oleh semua kenderaan semasa banjir. Jadi oleh kerana itu, kita sedang berunding untuk cadangan untuk menambak tanah di kawasan berisiko telah pun dirancang dan telah pun diusulkan kepada KKDW melalui permohonan Program Projek Pemajuan Kawasan Di Bawah Rancangan Malaysia Ke-13 atau RMK yang seterusnya. Sekiranya permohonan ini diluluskan, ianya dijangka dapat mengurangkan risiko banjir di kawasan tersebut sekaligus menjadikan projek perumahan yang dicadangkan lebih selamat dan dapat diakses oleh penduduk pada masa hadapan. Sekiranya tidak, maka kita akan mencari tapak yang baharu untuk cadangan penyediaan kawasan ataupun perumahan di DUN Telemung.

Timbalan Yang di-Pertua

Panjang lagi ke?

Habis doh ni. Ada semuka lagi Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua.

Timbalan Yang di-Pertua

Sila perabis lah. Saya ingat seminit dua lagi lah.

Ya, terima kasih. Seterusnya, Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, ADUN Hulu Besut juga menyebut tentang hal yang sama berkenaan dengan cadangan perumahan di Hulu Besut secara amnya pihak Kerajaan telah dan sedang menyelaras kesemua cadangan tapak yang telah diangkat oleh pihak-pihak yang berkenaan terutamanya daripada pejabat-pejabat daerah bagi mewujudkan bank data untuk memudahkan cadangan-cadangan projek perumahan dilaksanakan mengikut keutamaan dan kepentingan penduduk-penduduk setempat. Bagi kawasan Hulu Besut, beberapa cadangan tapak sedang dikaji kesesuaiannya bagi penentuan kebolehlaksanaan di bawah sumber peruntukan yang bersesuaian dan Alhamdulillah juga di DUN Hulu Besut sekarang ini pun sedang berjalan satu projek perumahan yang insya-Allah mudah-mudahan ianya dapat menampung sebahagian daripada keperluan yang diperlukan.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, akhir kata Ucapan Belanjawan 2025 dilihat sangat menyeluruh di dalam memandu perancangan dan pelaksanaan pertumbuhan ekonomi bermula daripada perusahaan kecil, mikro dan sederhana sehinggalah kepada industri amatlah penting disokong oleh semua agensi bagi memastikan tahap kebahagiaan negeri dan kesejahteraan meningkat.

Taman Awam Kerteh indah dimata RMM Tempinis sejuk di jiwa Tujuh PBT Terengganu tunjang utama Kesejahteraan dan keselesaan rakyat matlamat utama

Tasik Kenyir biru hijau airnya Pantai Kekabu pantai terpelihara Bajet ini untuk pembangunan bersama Demi masa depan Terengganu Sejahtera

Saya mohon menyokong Belanjawan 2025 yang dibentangkan tersebut. Sekian.

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih Wakil Wakaf Mempelam. Seterusnya saya mempersilakan Wakil Batu Buruk.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Surah An-Nisa’ Ayat 58

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu untuk menyampaikan amanah-amanah kepada orang-orang yang ahlinya dan apabila kamu berhukum sesama manusia hendaklah kamu berhukum dengan adil.”

Mudah-mudahan ayat ini menjadi peringatan kepada kita bersama untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab bagi memberikan kebajikan kepada rakyat negeri Terengganu.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, rakan-rakan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Yang Berusaha Ketua-ketua Jabatan dan agensi, Para Pegawai dan Kakitangan Kerajaan Negeri, semua tetamu, petugas media dan pemerhati yang dirahmati Allah Subhanahu Wa Ta'ala sekalian. Alhamdulillah bersyukur kepada Allah kerana sekali lagi kita dapat bersidang pada kali ini. Saya seperti rakan-rakan lain ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar Negeri Terengganu di atas pembentangan Ucapan Belanjawan 2025 yang bertemakan “Demi Masa Depan Terengganu” yang saya kira satu ucapan yang komprehensif yang merangkumi semua aspek yang diperlukan oleh rakyat negeri Terengganu sama ada dari sudut lahiriah, rohani dan pemikiran.

Seterusnya, jika diperhatikan dalam ucapan yang telah disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar antara lain memberikan fokus kepada portfolio yang diberikan amanah iaitu penerangan dakwah dan pemerkasaan syariah. Fokus yang ketiga, pengukuhan modal sosial yang mana sebagai melaksanakan fokus ini menunjukkan keprihatinan kerajaan antara lain ialah kita mahu menganjurkan sebuah karnival induk di kesemua 32 DUN yang bertemakan “Indahnya Hidup Bersyariat”. Satu karnival yang bertujuan untuk kita mendidik rakyat negeri Terengganu bahawa syariat Islam adalah satu syariat yang indah, satu syariat yang diturunkan oleh Allah untuk menyelesaikan masalah manusia. Dalam masa yang sama, untuk kita menjawab serangan musuh-musuh Islam yang melabelkan syariat Islam sebagai satu syariat yang zalim, ke belakang, mundur, menindas, dan lain-lain lagi. Insya-Allah karnival ini akan disempurnakan dengan bantuan semua agensi-agensi, jabatan-jabatan termasuklah portfolio-portfolio daripada rakan-rakan lain untuk sama-sama kita menjayakannya.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, saya ingin merakamkan terima kasih kepada Yang Berhormat-Yang Berhormat, yang telah menyentuh berkait dengan portfolio ini sama ada dalam bentuk memberikan soalan, cadangan, pandangan dan kritikan yang membina. Saya perhatikan sekurang-kurangnya ada 8 orang Yang Berhormat yang telah menyentuh portfolio ini secara khusus di samping sahabat-sahabat Yang Berhormat-Yang Berhormat lain menyentuh secara umum. Antara lain, apa yang disentuh oleh Yang Berhormat daripada Wakil Bandar berkait dengan papan tanda yang mana terdapat 30 papan tanda yang telah dibina di lokasi-lokasi strategik di seluruh negeri, menampilkan 15 jenis pesanan kempen keagamaan yang menyeluruh. Inisiatif ini kalau kita lihat ia adalah satu inisiatif yang tidaklah sohor orang Terengganu kata berbanding dengan angka berjuta berbilion tetapi ia memberi kesan yang sangat besar. Suka untuk saya menarik Dewan bagaimana satu komen daripada seorang artis yang bernama Khairil Ridzuan ataupun nama masyhurnya Loque, kalau tak silap saya seorang artis penyanyi, yang memberi satu komen dalam media sosial yang mana ditonton oleh puluhan ribu netizen. Beliau memuji negeri Terengganu salah satunya ialah kerana negeri Terengganu memartabatkan Bahasa Melayu, tulisan Jawi melalui papan tanda-papan tanda yang memberi nasihat kepada masyarakat. Ini sangat menarik bila kita melihat semalam satu komen daripada negarawan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang memberi satu komen berkait dengan papan tanda-papan tanda di Kuala Lumpur yang mana ditulis dalam bahasa inggeris, ditulis dalam bahasa mandarin tidak ada bahasa Melayu. Jadi kita melihat walaupun inisiatif ini satu inisiatif yang mungkin dilihat tidak seberapa tetapi ia memberi suatu kesan yang sangat besar dari sudut dakwah dari sudut kesedaran kepada masyarakat yang mana insya-Allah kita akan tingkatkan lagi pada masa-masa yang akan datang.

Yang Berhormat daripada Bukit Besi dan juga Yang Berhormat daripada Telemung maaf Yang Berhormat daripada Kemasik, Yang Berhormat daripada Telemung menyentuh tentang pembinaan masjid. Dalam isu yang ditimbulkan ini bagi Masjid Kampung Baru Kerteh, pihak JKR sedang menyiapkan skop dan anggaran kos penyiapan projek untuk dikemukakan kepada UPEN manakala bagi Masjid Kampung Kubang Palas, status terkini permohonan adalah di peringkat penyelarasan penyediaan dokumen peruntukan dan seterusnya pihak Pejabat Pembangunan Negeri Terengganu (PPNT) akan mengangkat bagi pertimbangan ICU JPM. Pemantauan yang berterusan akan dibuat bersama jawatankuasa infrastruktur bagi memastikan pembangunan masjid-masjid di negeri ini akan terus diberi perhatian dan keutamaan disebabkan kepentingan

peranan institusi masjid sebagai institusi yang sangat penting di peringkat komuniti dalam menjalankan ibadah serta program keagamaan. Insya-Allah, perkara ini sentiasa menjadi perhatian kita supaya kita sentiasa mengimarah Negeri Terengganu ini dengan memperbanyakkan pembinaan masjid dan seterusnya mengisi masjid-masjid tersebut dengan pengisian-pengisian yang membina masyarakat dan rakyat Negeri Terengganu.

Seterusnya, antara apa yang menjadi keutamaan kepada portfolio ini ialah dari sudut pemerkasaan syariah. Sebagaimana yang kita maklum, agenda pelaksanaan syariah adalah agenda yang paling utama walaupun kita bercakap tentang pelaburan, tentang ekonomi, tentang pelancongan namun begitu apa yang kita mahu bagi Negeri Terengganu kita ialah keberkatan daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Keberkatan ini tidak ada dalam kamus politik barat, ia hanya ada dalam kamus politik Islam. Keberkatan yang ditafsirkan ulama ialah kusratul khair. Bila kita buat satu-satu tindakan berlandaskan dengan syariat Islam maka di situ akan turunnya pertolongan daripada Allah dan akan dibuka pintu-pintu rezeki. Inilah keyakinan yang ada kepada Kerajaan Negeri pada hari ini. Sebab itu bila kita dinafikan hak royalti, kita sedih dengan apa yang berlaku namun begitu kita tidak berputus asa kerana kita tidak beriman dengan Kerajaan Persekutuan, kita beriman kepada Allah. Kita yakin bila kita beriman kepada Allah, kita buat benda yang betul Allah Taala akan beri jalan keluar.

“Sesiapa yang bertakwa kepada Allah Taala, Allah akan beri jalan keluar dan Allah Taala akan kurniakan rezeki daripada jalan yang tidak disangka.”

Di sini kita melihat apabila Kerajaan Negeri sejak daripada penggal lepas berusaha untuk meningkatkan hasil-hasil baharu Kerajaan Negeri termasuk daripada REE dan lain-lain lagi yang mana semuanya itu dalam proses untuk menjadi satu hasil baru kepada Kerajaan Negeri. Justeru, berkait dengan syariah ini, kita sentiasa memberi perhatian sama ada dari sudut memperkasakan kanun yang sedia ada bahkan juga kita berusaha untuk melaksanakan Enakmen-Enakmen Syariah Islam yang telah sedia ada. Maka di sini, antara langkah-langkah yang diambil pada penggal ini ialah kita meletakkan satu KPI. Sasaran tahunan yang kita tetapkan insya-Allah sekurang-kurangnya dalam tempoh satu penggal ini kita berusaha untuk meluluskan

empat Enakmen baru bagi kita memperkasakan Enakmen Syariah Islam bagi Negeri Terengganu kita.

Dalam masa yang sama, kita sentiasa melihat pada aspek-aspek yang lain. Antaranya ialah kita memperkasakan Enakmen yang sedia ada termasuklah juga kita melaksanakan Enakmen-Enakmen yang sedia ada dalam soalan yang ditimbulkan oleh Wakil Kuala Besut yang saya telah jawab sikit sebanyak dalam sesi jawapan berkait dengan pelaksanaan hukuman sebat ke atas pesalah yang melakukan kesalahan takzir yang mana sebelum daripada ini hukuman tersebut dilaksanakan secara tertutup namun pada kali ini kita akan menambah dengan kita akan melaksanakannya secara terbuka. Apa yang kita mahu ialah untuk mendidik masyarakat dan rakyat dalam negara kita. Saya nak maklum di sini, ini yang paling latest yang mana baru sahaja keputusan yang diputuskan oleh Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Terengganu pada hari ini yang mana mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022, kerana berkhalwat. Seorang pesalah, Kamarul Azmi akan dikenakan hukuman dengan sebat yang mana dia telah melakukan kesalahan khalwat berulang kali dan Hakim memutuskan untuk dilakukan hukuman ini dikhalayak ramai dan telah diputuskan hukuman sebatan akan dilaksanakan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu pada 6 Disember iaitu dalam beberapa minggu lagi. Jadi, jika sekiranya tidak ada rayuan insya-Allah hukuman ini akan dilaksanakan secara terbuka.

Sebagaimana yang saya sebut dalam jawapan, bukan tujuan kita untuk menghukum. Tujuan Allah Ta’ala menurunkan hukuman-hukuman dan undang-undang syariat Islam ini adalah untuk mendidik. Bukan sahaja mendidik pesalah-pesalah tetapi juga mendidik manusia secara umumnya supaya kembali kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Justeru apa yang akan kita laksanakan ini sesuai dengan siasah syariah. Bukan kita ambil semua pesalah-pesalah tetapi kita akan fokus kepada pesalah-pesalah yang tertentu mengikut bidang kuasa yang kita ada.

Di samping itu, Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, saya ingin menyatakan di sini beberapa langkah-langkah baharu yang kita perkenalkan pada penggal ini. Antaranya ialah satu khidmat yang dinamakan dengan Khidmat „Ilaj Syar’ie yang baru kita perkenalkan pada tahun ini. Sesuai dengan apa yang disebut oleh Yang Berhormat Jertih yang menyatakan bahawa banyak pesakit-pesakit dan kes-kes mental di Negeri Terengganu ini. Jadi salah satu cara untuk kita atasi pesakit-pesakit mental ini ialah melalui „Ilaj Syar’ie melalui

bacaan-bacaan ayat-ayat suci Al-Quranul Karim dan juga wirid-wirid yang sadiq daripada hadis-hadis Nabi .Di mana pendekatan ini satu pendekatan yang sangat penting maka di peringkat JHEAT, kita telah mengadakan beberapa langkah yang diambil antaranya ialah kita turun sendiri bertemu dengan masyarakat melalui one stop centre bagi kita menyelesaikan masalah-masalah, isu-isu kekeluargaan yang perlu kepada pendekatan-pendekatan baharu antaranya ialah pendekatan „Ilaj Syar’ie yang mana perkara ini sangat penting di samping kita mahu merawat mereka yang terlibat dengan apa yang disebut sebagai bermacam-macam masalah penyakit mental dan lain-lain lagi ini. Pendekatan ini adalah satu pendekatan yang mana boleh juga untuk kita menghapuskan cara-cara rawatan yang khurafat yang tidak mengikut syariat yang boleh membawa seseorang itu kepada syirik sebab itu kita tengok dalam masyarakat kita yang pergi berjumpa dengan bomoh-bomoh yang mana mereka buat macam-macam cara dan kaedah sebahagiannya boleh membawa kepada syirik kerana apa kerana mereka tidak ada satu alternatif sebab itu lah bila ada cara alternatif khidmat „Ilaj Syar’ie dan seumpamanya ini dengan sendirinya ia boleh menghapuskan cara-cara dan pendekatan khurafat sebagaimana yang kita maklum.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, di samping itu antara perkara-perkara yang kita perkenalkan juga pada penggal ini ialah Konvensyen Terengganu Sejahtera 2024 ia satu program baharu di bawah portfolio yang mana kita fokus keluarga yang bukan Islam

Pencelahan

Timbalan Yang di-Pertua

Pencelahan Yang Berhormat, kalau Yang Berhormat boleh beri laluan…

Masa nak habis dah, maaf.

Timbalan Yang di-Pertua

Okay..ya

Konvensyen Terengganu Sejahtera di mana Konvensyen ini kita fokus kepada warga bukan Islam, mualaf dan para Da’i. Di mana salah satu inisiatif

yang utama yang kita laksanakan adalah Skuad Hijab Transformation DUAT yang mana yang berjaya menarik perhatian pelancong asing dengan memperkenalkan Hijab di samping meraih tontonan melebihi 400,000 di TikTok sekali gus menaikkan nama negeri sebagai destinasi dakwah yang inovatif. Jadi ini salah satu pendekatan baru untuk kita memperkenalkan Islam kepada masyarakat bukan Islam bukan secara berdepan bahkan dengan menggunakan media sosial pada hari ini dakwah rehal supaya kita tunjuk kepada masyarakat bukan Islam bahawa Islam adalah satu agama yang indah.

Antaranya juga ialah Kursus Quilik Leadership By Quran melatih Da’i muda untuk menjadi pemimpin dakwah yang profesional program ini melibatkan modul seperti Da’i influencer, Da’i Teknokrat menghasilkan 20 Da’i motivator Terengganu dengan 2 peserta terbaik menerima tajaan Sijil Profesional bernilai RM3,000.00 peserta yang terpilih akan terus dibimbing oleh Akademik DUAT untuk memastikan keberkesanan agenda dakwah berterusan. Walaupun kerja-kerja tugas-tugas dakwah ini di sana terdapat agensi dan jabatan yang melaksanakan di bawah JHEAT di bawah Yayasan Islam, Yayasan Terengganu, MAIDAM sendiri namun kita tambahkan lagi dengan Unit Tubuh DUAT antara benda yang kita memperkenalkan ialah kita nak melahirkan Da’i-Da’i dalam kontemporari khususnya bila kita melihat bagaimana kemajuan dunia tanpa sempadan pada hari ini perlu kita lahirkan Da’i-Da’i yang boleh menyampaikan mesej Islam kepada anak muda dengan lebih berkesan.

Timbalan Yang di-Pertua

ada 3 wakil lagi…

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, akhirnya saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar di atas pembentangan Ucapan Belanjawan 2025 Negeri Terengganu dalam menuju era baharu Terengganu ini kita tidak boleh berpaling ke belakang lagi kita perlu sama-sama berganding bahu bagi memastikan negeri kita ini terus Maju, Berkat dan Sejahtera. Akhir kata, Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua saya mohon menyokong, terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih Wakil Batu Buruk, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, kita masih ada 3 Wakil Kerajaan yang belum membuat penggulungan. Memandangkan masa yang berbaki tidak panjang maka saya tidak bercadang untuk berehat seketika untuk Dewan kita

ini saya akan teruskan acara Dewan ini dan bagi sesiapa yang nak keluar minum seketika dan sebagainya boleh lah berbuat demikian jamuan ataupun cicipan minum petang ada disediakan dan kita akan teruskan penggulungan oleh wakil rakyat yang belum lagi membuat gulungan jadi saya harap 3 orang ini akan betul-betul ikut lah masa kerana kita akan berhenti kalau boleh awal sikit sebelum daripada pukul 5. Jadi saya persilakan Wakil Jabi, Wakil Jabi ini dah banyak jawab soalan jadi saya rasa dalam penggulungan mungkin dok panjang doh silakan.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Rakan-rakan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Rakan-rakan Ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan, pemerhati dan semua yang dihormati sekalian. Allah berfirman di dalam Al-Quran;

Dan apakah mereka tidak memperhatikan bahawasanya Kami menggerakkan (awan yang mengandung) air ke bumi yang tandus, lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu tanam-tanaman yang daripadanya (dapat) makan binatang-binatang ternak mereka dan mereka sendiri. Maka apakah mereka tidak memperhatikan?

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, ketika kami mengambil alih Kerajaan Negeri pada 2018 sumbangan sektor pertanian kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri ialah -2.5% sektor pertanian bukan hanya setakat tidak mampu menyumbang malah menjadi beban kepada negeri. Alhamdulillah bagi tahun 2023 sumbangan sektor pertanian kepada KDNK negeri telah meningkat kepada 7.5% tak banyak tapi kami telah mengubah kegagalan kepada sedikit kejayaan meneruskan kejayaan itu biasa tapi mengubah kegagalan menjadi kejayaan itu sedikit luar biasa Yang Berhormat Wakaf Mempelam.

Lantaran itu, sasaran angka 10.6% sumbangan sektor pertanian kepada KDNK negeri dalam Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2024-2030 adalah realistik

dan berpijak di bumi nyata antara keterbatasan kita untuk meletakkan sasaran yang lebih tinggi ialah kerana Terengganu tidak mempunyai Exit Point untuk eksport produk pertanian ke pasaran antarabangsa menyebabkan dalam data statistik jumlah eksport hasil pertanian Terengganu ialah sifar. Walaupun sebenarnya hasil pertanian kita seperti Melon Manis Terengganu, Tembikar, Nenas hasil akuakultur seperti kelapa hibrid dan siakap ada memasuki pasaran eksport cuma ia dieksport melalui pelabuhan dan Lapangan Terbang Antarabangsa di negeri lain maka angka KDNK dapatlah kepada negeri-negeri tersebut.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, semasa Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua membahaskan kemarin ada mohon untuk baik pulih jeti Nelayan untuk makluman Dewan Nelayan Seberang Takir telah dapat jeti baru di Kampung Batin, Seberang Takir yang mula digunakan pada April 2021 bagi cadangan naik taraf jeti-jeti yang lain insya-Allah UPEN akan berhubung dengan pihak berkepentingan di Seberang Takir bagi kita menilai mana-mana jeti yang perlu diberikan keutamaan untuk dimasukkan dalam senarai baikpulih bagi tahun 2025 saya bagi komitmen insya-Allah paling kurang sebuah jeti kita akan baikpulih di Seberang Takir. Sebelum daripada ini dalam tempoh 5 tahun lepas ada beberapa jeti yang telah kita baik pulih antaranya Jeti Geliga di Kemaman, Jeti Kampung Fikri di Setiu, Jeti Kampung Losong di Kuala Terengganu, Jeti Tok Fakir di Merchang, Marang dan dalam perancangan untuk di bina ialah Jeti Kampung Merang di Setiu.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Telemong membangkitkan isu Taman Pertanian Negeri di Sekayu. Kalau mengikut rekod kita, masih ada pengunjung yang mengunjungi. Kalau saya istilahkan ramai pun agak bertepatan, sebab rekod kita daripada bulan Februari sehingga Oktober 2024 seramai 7,948 orang mari ke Taman Pertanian Negeri di Sekayu untuk pelbagai acara dan program dan kehadiran pengunjung ni kita akui agak berkurangan kerana Taman Pertanian Negeri Sekayu ditutup setelah beberapa fasiliti rosak dalam kejadian banjir pada Disember 2021 dan Februari 2022. Antara kesannya ialah runtuhan dan hakisan sepanjang tebing sungai Taman Eko Rimba, kerosakan jambatan gantung, tapak perkhemahan, laluan pejalan kaki dan pondok rehat dan peruntukan untuk kerja-kerja penstabilan tebing sungai Taman Eko Rimba telah diluluskan dengan tempoh pelaksanaan kerja daripada Oktober 2024 sehingga Februari 2025. MOTAC telah menyalurkan peruntukan RM250,000.00 bagi kerja-kerja baiki tandas dan laluan pejalan kaki dan

Kerajaan Negeri telah menyalurkan RM926 ribu lebih pada tahun 2022 bagi tujuan pembinaan asrama, baik pulih kolam taman tema dan beberapa fasiliti lain. Jadi kita harap walaupun belum pulih sepenuhnya, kerja-kerja naik taraf, baik pulih ini akan secara beransur-ansur menggamit kehadiran pengunjung ke Taman Pertanian Negeri Sekayu.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Permaisuri bangkitkan isu benih padi Mat Sabu kurang menjadi. Kena tukar benih lain. Permaisuri tolong bagitahu hasrat yang sebenar, nak tukar benih ke nak tukar menteri? Saya bentangkan secara ringkas senario isu benih padi ini kepada Dewan. Di dalam kawasan jelapang padi IADA Ketara Besut, ada sekitar 500 hektar kawasan padi yang ditanam bagi penghasilan benih tapi benih padi daripada Terengganu ini dibawa ke Johor dan diuruskan oleh sebuah syarikat bernama Jelapang Selatan. Daripada 12 syarikat pembekal benih padi sah dalam negara, tak ada satu pun daripada Terengganu. Jadi bila pesawah Terengganu nak tabur padi, mereka terima benih daripada negeri lain dan mungkin juga benih padi ini adalah benih padi daripada sawah Terengganu yang dibawa ke negeri lain dan balik semula ke Terengganu dan kami telah lama perjuangkan supaya negeri Terengganu ni ada syarikat pembekal benih padi sendiri supaya kita jadi cerdik. Sebab kurang cerdik kalau benih daripada sawah Terengganu hantar ke Johor, kemudian hantar balik semula ke Terengganu untuk nak tabur, sedangkan kita bersedia dengan segala kelengkapan dan peralatan serta fasiliti untuk menjadi pembekal benih padi sah. Maka berlakulah isu kelewatan dan sebagainya. Solusi kita ialah di Kompleks Pertanian Negeri Ajil, telah sedia loji proses benih. Dan anak syarikat Kerajaan Negeri TADC sedang menguruskan beberapa urusan untuk menjadi pembekal benih padi sah dan kita harap semoga KPKM akan meluluskan permohonan kita dan nanti pesawah-pesawah di Terengganu tidak lagi perlu bergantung kepada bekalan benih daripada negeri lain. Cuma sedikit pesanan untuk petani kita, pada guni benih padi sah tu ada tag warna biru. Jangan alergik dengan warna tag. Di situ ada nama syarikat pembekal dan daripada sawah mana benih tersebut diambil. Sebelum daripada rendam guni benih padi tu dalam air, cabut dulu tag itu tanpa ragu-ragu dan sekiranya benih padi tidak menjadi, maklumat dalam tag tersebut diperlukan untuk kita tuntut balik dengan syarikat pembekal dan perlu diambil maklum bahawa kualiti dan produktiviti padi bukan hanya faktor benih, ada banyak faktor lain yang menyebabkan padi kurang menjadi. Antaranya penyakit BPB (Hawar Bulir Bakteria) yang menyebabkan padi jadi hampa ataupun padi tidak ada isi.

Berkaitan dengan kambing tenusu baka senen yang dicari oleh YB Permaisuri tetapi tak jumpa, saya jemput YB mari melawat Ladang Kambing Tenusu TADC di Kampung Bari dan juga Ladang Tenusu TADC Telaga Papan, dua-dua dalam DUN Permaisuri. Pada Mei 2022, TADC telah membawa masuk sebanyak 200 ekor kambing tenusu baka senen daripada Australia bagi program Ladang Induk Pengganda Kambing Tenus dan baka senen ini telah membiak dengan baik, menyesuaikan diri dengan cuaca di Setiu sehingga bertambah menjadi hampir 400 ekor dan sebahagiannya telah dijual dan sebahagian lagi diagihkan kepada usahawan untuk mengembangkan lagi industri kambing tenusu ini.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Hulu Besut tanya mana beras tempatan? Tak dok Hulu Besut? dan memang hak Hulu Besut untuk tanya kerana kawasan Jelapang Padi IADA Ketara sebahagiannya berada dalam DUN Hulu Besut. Persoalannya, kenapa padi daripada Kampung Awek, Hulu Besut ataupun padi daripada Kampung Gong Pasir, Jabi masuk kilang yang keluarnya ialah beras import? Padi di negara kita ditanam dua tahun sekali. Pengeluaran beras negara kita mencukupi sekitar 67% SSR (Kadar Sara Diri) dan beras yang diimport adalah sekitar 33% tapi akhirnya hilang yang 67%, timbul yang 33%. Ular lidi telan ular sawa. Sesekali bila ada program jualan Madani, barulah yang 67% ini muncul dengan harga rahmah, lepas tu menghilang kembali. Ini fenomena yang dihadapi oleh rakyat dan perlu diambil maklum bahawa kuasa kawal selia padi dan beras negara ada di KPKM, di bawah Akta Kawal Selia. Kerajaan Negeri tidak mempunyai sebarang bidang kuasa dalam aspek ni.

Untuk makluman Dewan, punca utama ialah soal harga. Beras tempatan mesti dijual dengan harga kawalan RM2.60/kg. Harga beras daripada kilang kepada pemborong dalam pek saiz jumbo yang 1 tan ialah RM2,550 atau RM2.55/kg. Mana mungkin pemborong dan pengedar boleh jual dengan harga runcit RM2.60/kg kerana mereka terpaksa tanggung kos bungkus, kos pengangkutan, kos pengedaran, kerana itulah, akhirnya beras tempatan ditransformasikan jadi beras import yang boleh dijual tanpa terikat dengan harga kawalan. Harganya melebihi RM3.80, walaupun beras tersebut tak pernah pergi ke luar negara sekali pun dan fenomena kesan berantai daripada peningkatan kos pengeluaran yang ditanggung oleh pesawah ekoran daripada kenaikan harga diesel memang kita tidak boleh nafikan. Dia jadi buah mulut. Kos bajak sawah, kos meratakan sawah, kos jentuai, kos tambang lori dan lain-lain, semuanya naik. Yang jatuh hanyalah air mata petani. Jadi, selaras dengan peningkatan ini, maka sudah sewajarnya Kerajaan Negeri mencadangkan kepada Kementerian supaya harga

lantai belian padi dinaikkan daripada RM1,300.00/tan kepada satu harga yang lebih munasabah. Cadangan daripada Terengganu ialah di antara RM1,500.00 - RM1,800.00 per metrik tan dan perlu difahami bahawa peningkatan harga padi ini dia akan berlaku seiring dengan peningkatan harga beras. Kerajaan Negeri berpandangan, kalau naik sikit jadi RM3.00/kg, rakyat masih boleh terima dan ianya lebih baik daripada beras tempatan yang ditukar identiti jadi beras import dan dijual melebihi RM3.80/kg sekarang. Inilah di antara isu yang membelenggu dan satu lagi langkah Kerajaan Negeri untuk memberikan sedikit kelegaan kepada petani ialah kita buka balik pasaran padi yang sebelum ini disekat daripada keluar daripada Terengganu. Apabila kita sekat pasaran padi ini keluar daripada Terengganu, ia meletakkan kilang-kilang padi di Terengganu berada dalam status quo. Mereka beli padi dengan harga lantai yang paling rendah, RM1,300.00 dan mereka tidak perlu bersaing dengan kilang-kilang di negeri lain dan mereka tetap akan dapat bekalan padi, sedangkan harga padi di negeri lain telah mencecah RM1,500.00 hingga RM1,800.00 per metrik tan. Alhamdulillah, langkah positif daripada Kerajaan Negeri pada musim menuai yang sedang berlaku sekarang ini, petani di Terengganu menikmati harga padi sekitar RM1,550.00 per metrik tan dah naik RM250 lebih daripada harga biasa. Ini yang kita mampu lakukan dengan ruang dan bidang kuasa negeri yang sangat terhad kerana semua akta kawal selia berada di kementerian, ia tidak ada di peringkat negeri.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Wakil Kemasik mencadangkan supaya dibuka padang ragut baru di Kemaman. Saya sambut baik hasrat Wakil Kemasik dan pohon supaya dikenal pasti cadangan tapak yang sesuai untuk dibuat proses pewartaan di bawah Seksyen 62 KTN sebagai padang ragut dijaga oleh Pengarah JPV sebagai Pegawai Pengawal. Timbalan Yang di-Pertua, berkaitan dengan isu tanah haram pertanian yang dibangkitkan oleh Wakil Batu Rakit, permohonan untuk nak buka semula permohonan tanah haram pertanian, Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan beberapa faktor terhadap cadangan ini antaranya ialah berapa jumlah fail permohonan sebelum ini yang masih belum diproses, tak nak jadi satu timbunan fail yang tinggi di pejabat-pejabat tanah, selesaikan dulu permohonan yang dibuka sebelum ini dan kemudian insya-Allah kerajaan akan buat pertimbangan sebaiknya dan tentunya bukan satu situasi yang sihat untuk kerajaan membiarkan rakyat terus menduduki tanah secara haram tanpa sebarang pulangan hasil kepada kerajaan.

Berkaitan dengan isu lambakan buah-buahan seperti duku, dokong, rambutan dan dicadangkan supaya ada penghasilan produk hiliran, sebenarnya kita sudah mulakan di bawah Program State Government 4 (SG4), telah dibuat kajian dan rundingan bersama dengan UMK dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Kelantan bagi penghasilan cuka buah-buahan seperti cuka duku dan cuka rambutan. Kursus untuk penghasilan cuka telah dibuat kepada pegawai (IAT) Industri Asas Tani, Jabatan Pertanian pada tahun ini. Dari segi rancangan jangka pendek, lambakan buah-buahan ini akan diproses oleh pihak Perbadanan Pertanian Kelantan, hasil cuka akan digunakan untuk menghasilkan jeruk timun batang (pickled cucumber) dengan izin, yang juga sebagai penyelesaian isu lambakan timun di Terengganu. Manakala rancangan jangka panjang kita ialah untuk mewujudkan rantaian pemprosesan hasil yang lengkap di Terengganu sendiri. Kerajaan juga telah mengadakan perbincangan dengan GLC, anak syarikat Kerajaan Terengganu PERTIMA untuk mengetinkan hasil-hasil buah-buahan Terengganu dan kita akui bahawa Batu Rakit memang ramai nelayan, kerana itulah Kerajaan Negeri telah buat pelbagai program untuk nelayan Batu Rakit. Antaranya Program Labuh Tukun dan Unjam, agihan bantuan bencana nelayan, agihan lesen sampan nelayan, pemberian bantuan input dan peralatan seperti kawat bubu, jaket keselamatan dan pukat tangsi dan juga bantuan musim tengkujuh.

Akhir sekali Timbalan Yang di-Pertua, Kerajaan Negeri akan meneruskan program-program dan projek-projek pertanian bercirikan High Impact Project (HIP) dengan izin, sebagaimana yang digariskan dalam Pelan Strategik Pertanian Terengganu (PSPT) 2024-2030. HIP ini dipilih berdasarkan ciri-ciri 'quick win' dan 'low hanging fruit' bagi memastikan petani dan nelayan serta penternak kita menerima hasil segera. Dalam masa yang sama pelaksanaan projek yang tidak memakan kos yang besar dan inilah yang akan menjadi fokus tumpuan Kerajaan Negeri dan saya juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar di atas pembentangan Belanjawan Negeri Terengganu dan Wakil Jabi juga memohon menyokong, terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih Wakil Jabi, menepati masa yang diperuntukkan. Seterusnya saya mempersilakan Wakil Kijal untuk membuat penggulungan.

Datuk Haji Razali bin IdrisBERSATU · PNKijal

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Yang Berusaha Ketua-ketua Jabatan, agensi kerajaan, yang dihormati pegawai dan kakitangan kerajaan negeri, petugas media, semua tetamu dan pemerhati yang dirahmati Allah sekalian. Terima kasih Timbalan Yang di-Pertua, terlebih dahulu ingin saya bagi pihak Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar atas pembentangan Belanjawan 2025 Negeri Terengganu pada 18 November 2024 yang lalu.

Sektor pelancongan adalah salah satu sektor penting yang memberi sumbangan besar kepada ekonomi dan pembangunan negara Malaysia. Pada tahun 2023, sebanyak RM71.3 bilion pendapatan negara diperolehi hasil daripada kehadiran 20.1 juta pelancong. Pada tahun 2024 ini, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia (MOTEC) telah menyasarkan kehadiran 27.3 juta pelancong dengan pendapatan berjumlah RM102.7 bilion, manakala sasaran kehadiran tahun 2025 adalah berjumlah 31.4 juta orang dengan jangkaan pendapatan pelancongan berjumlah RM125.5 bilion. Bagi Tahun Melawat Malaysia 2026, negara menyasarkan kehadiran pelancong 35.6 juta pelancong dengan pendapatan pelancongan berjumlah RM147.1 bilion. Dengan rekod dan unjuran pendapatan bersumberkan sektor pelancongan, maka adalah tepat untuk Kerajaan Negeri Terengganu memberi fokus sebagai salah satu sektor pendapatan baru Kerajaan Negeri.

Berdasarkan pengumuman Belanjawan 2025 Negeri Terengganu, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar telah menyentuh secara khusus berkaitan Portfolio Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim di bawah Fokus Empat - Pemerkasaan Ekonomi Berdaya Saing (Competitive Economy) dengan izin, dalam Hala Tuju Strategik sebagaimana berikut:

1. Perolehan hasil daripada Pelesenan Pengabstrakan Air dan Aktiviti Penggubahan Sumber Melalui Penguatkuasaan Enakmen Sumber Air Terengganu 2020 oleh Lembaga Sumber Air Terengganu (LAUT);

2. Pemantapan Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu (Sport Tourism) dengan izin;

3. Pembangunan Sebuah Platform Sehentian Dalam Talian; dan

4. Promosi Pelancongan Sukan Bertaraf Antarabangsa serta Penganjuran Karnival Pantai Negeri Terengganu.

Justeru itu, Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim akan terus komited dalam melaksanakan pelbagai inisiatif dan program bagi menyokong pencapaian aspirasi Belanjawan 2025, “Demi Masa Depan Terengganu”.

Timbalan Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat, memetik ucapan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar Terengganu berhubung jangkaan perolehan hasil daripada Pelesenan Pengabstrakan Air Dan Aktiviti Penggubahan Sumber Melalui Penguatkuasaan Enakmen Sumber Air Terengganu 2020 oleh Lembaga Sumber Air Terengganu (LAUT), pada tahun 2025 Kerajaan Negeri dijangka akan menerima pemberian hasil sebanyak RM32 juta daripada LAUT sebagaimana berikut, RM12 juta daripada caj pengabstrakan air dan RM20 juta daripada caj aktiviti sumber penggubahan. Selain dari jangkaan hasil yang akan diterima oleh Kerajaan Negeri, LAUT juga turut menerokai potensi hasil baharu sepertimana berikut, Pelaksanaan caj pendaftaran vesel bagi pihak-pihak yang melaksanakan aktiviti navigasi di sumber air dengan anggaran kutipan caj pada tahun 2025 adalah RM67 ribu, industri pelancongan berasaskan sumber air seperti aktiviti rekreasi di sumber air serta mengkaji keboleh laksanaan polisi Zero Discharge Policy dengan izin yang signifikan kepada pemeliharaan sumber air dan potensi penggunaan semula air pulih digunakan. Walau bagaimanapun, caj-caj yang dikenakan ini adalah tertakluk kepada aktiviti yang bersifat komersial dan pengecualian diberikan kepada aktiviti yang bersifat sara diri. Sebagai contoh yang tertakluk dalam Enakmen Sumber Air Terengganu 2020 adalah seperti kegunaan pertanian atau perternakan sara diri yang mengabstrakkan air dalam sehari sebanyak maksimum 10 ribu liter atau bagi kegunaan isi rumah yang

menggunakan maksimum 2,500 liter sehari. Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim sentiasa komited dalam melaksanakan program-program yang menyokong dan menarik kedatangan pelancong dan pengunjung ke bumi bertuah Negeri Terengganu Darul Iman ini, sebarang bentuk kerjasama yang melibatkan Portfolio Pelancongan dan Kebudayaan sentiasa dialu-alukan demi merancakkan lagi ekonomi ataupun sektor pelancongan Negeri Terengganui. Inisiatif pemantapan garis panduan hiburan Negeri Terengganu dari segi perundangan adalah selaras dengan prinsip Kerajaan Negeri yang berlandaskan syariah, dengan fokus kepada sensitif agama dan budaya masyarakat tempatan. Sehubungan dengan itu, jawatankuasa ini sentiasa menekan aspek pematuhan Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu bagi setiap permohonan program, penerbitan filem dan lain-lain yang melibatkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri. Garis panduan ini sentiasa dijadikan rujukan utama kepada mana-mana pihak yang ingin menganjurkan sebarang bentuk program berkaitan pelancongan dan kebudayaan Negeri Terengganu. Panduan ini memperincikan syarat-syarat khusus bagi peruntukan tertentu dalam Enakmen Hiburan secara lebih spesifik bagi membolehkan para penganjur program hiburan merancang program mereka dengan lebih selesa dan selari dengan peraturan dan dasar Kerajaan Negeri Terengganu. Sepanjang tahun 2024, beberapa program telah berjaya dilaksanakan dengan berpandukan Garis Panduan Hiburan Negeri Terengganu, antaranya seperti berikut, Havoc Asean Food Festival, Pelita Raya Terengganu, Karnival Jom Heboh Terengganu 2024, Malam Ambang Merdeka Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2024 Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman, Persembahan Perarakan dan Pembarisan Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2024 Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman, Karnival Pantai Terengganu 2024, Karnival Indahnya Hidup Bersyariah Peringkat Negeri Terengganu dan lain-lain lagi Yang Berhormat Timbalan Speaker. Jawatankuasa ini melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu telah mengambil langkah proaktif dengan mengadakan beberapa sesi perbincangan awal bersama penggiat pelancongan bagi menyediakan kerangka atau framework dengan izin Bengkel Pematuhan Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu. Insya-Allah jawatankuasa ini akan terus memberi sokongan dan kerjasama kepada Jawatankuasa Penerangan Dakwah dan Pemerkasaan Syariah yang diterajui oleh Yang Berhormat Dr. Muhammad Khalil bin Abdul Hadi terutamanya bagi sebarang perkara-perkara yang melibatkan perkara Portfolio Pelancongan dan Kebudayaan bagi

memastikan inisiatif ini berjaya dilaksanakan, insya-Allah. Walau bagaimanapun saya ingin menegaskan bahawa Garis Panduan Hiburan Negeri Terengganu ini bukanlah untuk menghalang kedatangan dan menakut-nakutkan penganjur program ke negeri ini, tetapi ia adalah sebagai salah satu inisiatif Kerajaan Negeri untuk mempromosikan pelancongan mesra syariah di Negeri Terengganu yang mungkin berbeza daripada negeri-negeri lain.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Yang Berhormat sekalian, pendigitalan pelancongan adalah sejajar dengan Pelan Strategik Kelestarian Pelancongan Negeri Terengganu iaitu melestarikan pelancongan negeri secara menyeluruh dalam dimensi baru industri pelancongan.

Justeru itu, pembangunan sebuah platform sehenti dalam talian ini adalah merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri bagi menyokong pendigitalan pelancongan di Negeri Terengganu. Mengambil contoh negara maju seperti Singapura dan negara membangun seperti Thailand, kedua-dua negara ini telah berjaya membangunkan platform sehentian seperti Thailand Tourism Directory dan Visit Singapore yang menawarkan semua maklumat pelancongan di satu tempat menjadikan lebih mudah untuk pelancong tempatan dan juga antarabangsa. Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui Tourism Malaysia yang juga dalam proses mengumpulkan maklumat dan data yang menyeluruh untuk dijadikan kalungan dalam pembangunan aplikasi berkaitan pelancongan. Justeru itu, bagi menyokong kepada usaha tersebut, Kerajaan Negeri di dalam proses perbincangan dan rundingan untuk mewujudkan satu platform digital sebagai medium untuk mempromosikan pelancongan Negeri Terengganu pada Tahun 2025, insya-Allah. Pelaksanaan Fasa 1 akan dimuktamadkan dalam pelancarannya dijangka akan diadakan dalam masa terdekat.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, saya juga mengucapkan terima kasih kepada Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah mengemukakan soalan-soalan bertulis dan lisan dalam sesi persidangan pada kali ini. Sepanjang sesi perbahasan Belanjawan 2025 peringkat dasar kali ini, pelbagai persoalan, teguran dan saranan telah diutarakan oleh Ahli-ahli Dewan yang mulia ini kepada Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Perahu payang dari Penarik Sarat muatan ikan baja

Terengganu cantik budaya menarik Selepas bersidang kita bekerja

Bagi pihak Jawatankuasa, saya merakamkan penghargaan kepada semua sepuluh Ahli Yang Berhormat yang telah membahas perkara-perkara dan isu-isu yang berada di bawah tanggungjawab Jawatankuasa ini semasa sesi perbahasan Belanjawan 2025. Bagi menjawab dan mengulas segala perkara berkaitan Jawatankuasa ini, yang telah dibangkitkan sepanjang minggu perbahasan, saya akan mengkelompokkan dan mencerakinkan isu-isu utama mengikut topik untuk menjimatkan masa. Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, pelancongan sukan juga menjadi salah satu fokus dalam ucapan Belanjawan 2025 oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar tempoh hari. Justeru itu, jawatankuasa ini komited untuk memberi sokongan dan kerjasama terutamanya dari sudut promosi bagi penganjuran pelancongan sukan bertaraf antarabangsa oleh Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan NGO yang diterajui oleh Yang Berhormat Hishamuddin bin Abdul Karim seperti Tour Gateh D’Tranung dan Sultan Mahmud Bridge International Run. Yang Berhormat ADUN Buluh Gading mencadangkan program sukan air seperti Pertandingan Lumba Perahu Panjang dimasukkan ke dalam Kalendar Acara Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu 2025. Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri sedia maklum dan telah mempunyai perancangan untuk menjadikan program sukan air sebagai salah satu program yang akan dipertimbangkan dalam Kalendar Acara Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu 2025. Namun begitu, memandangkan Yang Berhormat Buluh Gading telah menawarkan diri DUN Buluh Gading menjadi tuan rumah bagi penganjuran acara tersebut, maka insya-Allah Kerajaan Negeri akan pertimbang tawaran tersebut. Penganjuran Karnival Pantai Terengganu 2024 yang telah mencatat kehadiran pengunjung dari dalam dan luar negara melebihi 100,000 orang merupakan satu pencapaian terbaik buat Portfolio Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu. Penglibatan aktif dalam kalangan usahawan tempatan, penggiat Industri Kecil Sederhana (IKS), serta peniaga kecil dalam karnival tersebut juga merupakan inisiatif penting dalam memastikan industri pelancongan lebih inklusif dan limpahan ekonomi diterima oleh masyarakat setempat. Justeru itu, Kerajaan Negeri akan meneruskan penganjuran Karnival Pantai Terengganu pada tahun hadapan sebagai salah satu daripada acara signature dengan izin dalam Kalendar Acara Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu 2025 dengan menampilkan penglibatan dalam dan luar negara. Jemputan yang utama insya-Allah kita pergi kepada Negeri SG4 seperti

Kelantan, Kedah dan juga Perlis. Dan juga kita sedang berusaha untuk bekerjasama dengan beberapa negara sekitar Malaysia iaitu Indonesia, Thailand, Brunei dan juga Singapura. Untuk makluman semua Dewan yang mulia, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dijangka akan membuat pelancaran Kalendar Acara Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu Tahun 2025 pada penghujung 2024. Acara yang disusun adalah merangkumi pelbagai aspek pelancongan seperti budaya warisan sukan dan aktiviti rekreasi.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Yang Berhormat ADUN Telemong sering menyuarakan kebimbangan berhubung isu gajah liar di Hulu Terengganu khususnya di DUN Telemong.

Timbalan Yang di-Pertua

Gajoh pulok neh.

Datuk Haji Razali bin IdrisBERSATU · PNKijal

Untuk makluman.

Dia sebut gajoh. Jangan cakap banyok gajoh ni Timbalan Yang di-Pertua, dia dengo tu. Jadi kita takmboh baloh nge gajoh ni. Ni gajoh hutan ni.

Datuk Haji Razali bin IdrisBERSATU · PNKijal

Untuk makluman Dewan yang mulia, di bawah Belanjawan 2024, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan One- Off sebanyak RM10 juta bagi inisiatif bantuan kerugian harta benda dan tanaman akibat serangan hidupan liar di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia, Jabatan Hidupan Liar Sabah, Sarawak Forestry Corporation kepada kumpulan sasar yang mengalami kerugian berbentuk kerosakan dan kemusnahan harta benda dan tanaman akibat serangan hidupan liar berdasarkan terma dan syarat yang telah ditetapkan. Sehingga Oktober 2024, PERHILITAN Terengganu telah selesai membuat pembayaran BKHT kepada 24 pemohon dengan jumlah nilai bantuan RM77,120.00. Dan dalam RMK-12, empat lokasi baru telah dikenal pasti akan dibangunkan dengan sistem pagar eletrik SPAG iaitu Kampung Ban Ho dan Kampung Air Putih di Kemaman serta Kampung Gerdong dan Kampung Lubuk Periuk di Hulu Terengganu dengan jumlah peruntukan sebanyak RM6.5 juta. Selain daripada itu, tindakan pemantauan kawalan dan tembak halau yang pasti akan dibangunkan dengan sistem pagar elektrik SPAG iaitu Kampung Ban

juga dilaksanakan bagi membantu menangani permasalahan ini. Justeru itu, kaedah tangkap pindah gajah akan dilaksanakan jika keadaan memerlukan untuk berbuat sedemikian. Dan penubuhan bangso Rangers saya sekali lagi ulang akan diterjemahkan secepat mungkin insya-Allah. Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, ADUN Hulu Besut mencadangkan agar Kerajaan Negeri perlu membuat perancangan dan mengambil manfaat daripada pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Negeri Terengganu yang dijangka bakal beroperasi tidak lama lagi. Sehubungan dengan itu, bagi pihak kerajaan bagi menyokong ke arah pembangunan kawasan pembangunan berorientasikan transit, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan berjumlah RM450,000.00 bagi cadangan menaiktaraf gerai lemang di Kijal, Kemaman yang akan dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Kemaman pada tahun hadapan, insya-Allah. Penaikantaraf infrastruktur ini secara tidak langsung akan memberi keselesaan peniaga dan juga pelancong yang hadir ke Negeri Terengganu khususnya di Daerah Kemaman. Di samping itu, menerusi kerjasama erat dengan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat, alhamdulillah Negeri Terengganu telah berjaya menerima kelulusan di bawah Rolling Plan 5 (RP5) dengan izin, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12). Projek di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) yang berjumlah RM2.5 juta ini merangkumi pembinaan boardwalk dengan izin dan kemudahan pelancongan di Taman Awam Teluk Gadung, Dungun, Terengganu. Insya-Allah projek ini akan memberi manfaat kepada penduduk di sekitar Daerah Dungun sebagai produk baru bagi pelancongan rekreasi di Negeri Terengganu khususnya di Daerah Dungun. Menyedari trend dan konsep pelancongan rekreasi menggunakan Recreational Vehicle (RV) dengan izin yang semakin berkembang dan popular pada masa kini, yang mana ia dijadikan sebagai cara untuk menikmati kebebasan perjalanan sambil menikmati kemudahan seperti di rumah, Kerajaan Negeri telah membina dua lagi kawasan kemudahan dengan meluluskan peruntukan berjumlah RM100,000 bagi projek pembangunan Taman Recreational Vehicle di Pulau Kekabu Marang dan fasa 1 di Pantai Kuala Kerteh, Kemaman. Pembangunan tapak RV ini dijangka akan meningkatkan pertumbuhan kedatangan pelancong terutamanya peminat pelancongan rekreasi untuk hadir ke Negeri Terengganu dan seterusnya memberi kesan positif kepada ekonomi dan industri pelancongan tempatan. Selain daripada itu, Yang Berhormat Hulu Besut turut mengemukakan cadangan untuk membina hotel bertaraf lima bintang di Negeri Terengganu. Setakat ini, terdapat tiga buah hotel bertaraf lima bintang di Negeri Terengganu iaitu Tanjung Jara Resort, Dungun, Resorts World Kijal, Kemaman dan The Taaras Beach and Spa

Resort, Kuala Nerus. Marriott Resort Perhentian yang terletak di Pulau Perhentian, Besut masih dalam proses permohonan penggredan premis penginapan pelancongan dengan pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia. Pihak Kerajaan Negeri mengalu-alukan sebarang kerjasama pelaburan hotel bertaraf lima bintang yang mampu memberi peluang dan potensi baru kepada pelancongan di Negeri Terengganu. Timbalan Yang di-Pertua, sikit lagi.

Timbalan Yang di-Pertua

2 minit.

Datuk Haji Razali bin IdrisBERSATU · PNKijal

Yang Berhormat ADUN Hulu Besut dan Yang Berhormat ADUN Batu Rakit telah menyentuh berkenaan pembangunan pelancongan di pulau-pulau peranginan di Negeri Terengganu. Antaranya adalah cadangan untuk menaik taraf kemudahan jeti untuk ke pulau-pulau peranginan di Negeri Terengganu dan juga penglibatan komuniti setempat dan penggiat pelancongan dalam industri pelancongan.

Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam memastikan pembangunan pelancongan di kawasan-kawasan tumpuan pelancong sentiasa diberikan perhatian dan diberi nafas baru untuk memberikan keselesaan kepada pelancong- pelancong yang hadir terutamanya di jeti di pulau- pulau peranginan di Terengganu. Justeru itu beberapa siri program lawatan ke tapak cadangan projek pembangunan pelancongan dan sesi perbincangan libat urus bersama penggiat pelancongan Terengganu telah diadakan pada 23 Jun 2024 sehingga 8 Julai 2024 melibatkan Pulau Perhentian, Pulau Redang, Pulau Bidong, Pulau Kapas dan juga Pulau Tenggol. Lawatan ini bertujuan untuk menilai potensi projek- projek pembangunan di pulau terutamanya yang melibatkan jeti-jeti yang bermasalah untuk dinaik taraf sebagai persediaan Tahun Melawat Malaysia 2026. Selaras dengan usaha Kerajaan Negeri sedang dalam rangka untuk mengemukakan permohonan yang lengkap di bawah RP1, RMKe-13 berdasarkan hala tuju dan senarai keutamaan Kerajaan Negeri Terengganu kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) untuk pertimbangan di kementerian yang sewajarnya. Bagi memberikan limpahan ekonomi kepada penduduk tempatan, Kerajaan Negeri Terengganu melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu juga dalam tindakan untuk melaksanakan pengembangan seni budaya yang melibatkan pelajar sekolah di komuniti Pulau Perhentian dan Pulau Redang. Perkembangan seni budaya ini adalah bertujuan untuk memberikan nilai tambah kepada komuniti di kedua-dua pulau dengan mewujudkan Community Based Tourism pelancong-pelancong yang hadir terutamanya di jeti di pulau-pulau

(CBT) dengan izin bagi mempromosikan lagi keunikan seni dan budaya masyarakat tempatan kepada pelancong sama ada dalam negeri mahupun luar negara seiring dengan kepesatan kedatangan pelancong di negeri kita. Sebagai penutup Timbalan Yang di-Pertua,

Timbalan Yang di-Pertua

Ada sorang lagi lepas ni. Sila

Datuk Haji Razali bin IdrisBERSATU · PNKijal

Dia ok je. Senyum je tu.

Timbalan Yang di-Pertua

Saya tengok dia kemas serban tadi tu macam panjang jugak tu.

Datuk Haji Razali bin IdrisBERSATU · PNKijal

Berdasarkan statistik pelancongan domestik yang dilaporkan oleh Sosioekonomi Negeri Terengganu 2022, Terengganu telah menunjukkan potensi yang luar biasa sebagai destinasi pelancongan domestik utama. Peningkatan ketara 175.2% bilangan pelancong domestik ke Terengganu pada tahun 2022 berbanding 2018 dianggarkan telah menyumbang RM3.9 billion pada tahun tersebut. Dengan keindahan alam semula jadi, kekayaan budaya, dan pelbagai destinasi menarik, Terengganu telah membuktikan dirinya sebagai salah satu destinasi pelancongan domestik terbaik di Malaysia. Pertumbuhan yang pesat dan sambutan hangat dari pelancong dari seluruh negeri menunjukkan potensi besar Terengganu dalam industri pelancongan dan membuka jalan untuk pembangunan yang inklusif dan lestari dalam sektor pelancongan. Timbalan Yang di-Pertua, untuk yang terakhir sekali saya nak pesan sikit kepada penggiat pelancongan dalam musim tengkujuh ini, yang berdekatan dengan alur, parit, baruh dan sungai mesti bersiap siaga dan mematuhi arahan pihak berkuasa. Yang berada di tepi pantai dan pulau juga berhati-hati dan kita mohon resort, hotel besar yang berada di tepi pantai buat sikit tayangan video pendek berbahaya mandi-manda di pantai atau pun laut di musim MTL ini. Kita doakan akhir tahun ini sehingga awal tahun depan, dalam masa musim tengkujuh ini tidak ada korban nyawa. Itulah harapan kita, Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua. Akhir kata, saya mohon menyokong Belanjawan 2025 yang telah dikemukakan tersebut.

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih Wakil Kijal. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, ada seorang lagi Wakil Kerajaan yang akan membuat penggulungan pada petang ini dan masa kita hanya ada setengah jam sahaja lagi. Jadi saya mohon Wakil Paka berilah sedikit masa untuk saya buat penangguhan bagi persidangan kita pada petang ni, jangan gi rapat pukul 5 deh. Dengan segala hormatnya dipersilakan.

Yang dihormati Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, rakan-rakan daripada ahli MMKN, sahabat-sahabat daripada Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan, pemerhati dan juga seluruh hadirin hadirat yang berkesempatan hadir pada petang yang berbahagia ini.

Pertamanya alhamdulillah memanjat syukur Allah Subhanahu Wa Ta’ala sekali lagi kita dapat bersama-sama dalam satu persidangan bagi Bajet 2025 ini. Terima kasih kerana memberi ruang kepada saya untuk berkongsi sama-sama mengambil ruang perbahasan dalam Bajet 2025 ini dan sebagaimana kita sedia maklum 14 abad yang lalu, Rasulullah telah menggariskan apa-apa perbelanjaan sama ada melibatkan peribadi apatah lagi institusi atau pun Kerajaan seperti ini yang kita semua memikul amanah dan ada dua, satu

punca dia yang kedua ke mana kita belanjakan. Jadi saya merakamkan ucapan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Ir. Menteri Besar, kerana membentangkan Bajet Belanjawan 2025 ini yang beranggaran jumlah RM1.887 billion dan dianggarkan hasil daripada berjumlah RM1.997. Jadi Bajet ini merupakan Bajet yang insya-Allah kita harap sebagaimana yang kita hasrat, yang kita rangka kita cadangkan ini diperkenankan, diberi kemudahan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala dalam mengurus, menyelia hasil bumi kurniaan Allah Ta’ala yang telah diamanahkan kepada kita.

Jadi Portfolio Pendidikan ni antara portfolio yang orang panggil Yang tukang belanja. Hok tukang nung cari Kota Putera nung ah. Jadi Portfolio pendidikan ni tukang belanjalah. Antaranya yang paling besar adalah Yayasan

Terengganu. Tak kurang RM50 juta setahun. Dan manifesto kita sejak daripada 2018, menjanjikan RM5 juta untuk Skim Pelajar Cemerlang. Alhamdulillah, walau dalam suasana kewangan macam mana pun, kita tetap keluarkan RM5 juta satu tahun dan juga pinjaman RM10 juta. Pinjaman tanpa faedah. Kita dok berkompromi lah yang melibatkan pendidikan anak-anak kita yang merupakan masa depan selari dengan tema Bajet kita ni “Demi Masa Depan Terengganu” dan masa depan Terengganu kita ni bergantung juga kepada anak-anak Terengganu lah yang kita harap dapat dipertingkatkan taraf pendidikan mereka ke arah yang lebih baik di masa-masa yang akan datang.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, saya juga ambil kesempatan ini untuk ucap terima kasih kerana membuat penambahan RM1 juta khususnya dengan selian Terengganu Inc. dan syarikat-syarikat GLC. Tahun lepas RM500,000.00, tahun ini naik RM1 juta khusus untuk topup kepada anak-anak pelajar kita yang cemerlang bagi menyambung pengajian ke peringkat ijazah. Jadi RM6 juta lah. Sejak 2018, 2019 kita dah genap pusingan. Makna empat tahun, lima tahun dah jadi RM20 juta doh lah setahun. Tokleh kuranglah tu. Bahkan pihak Yayasan Terengganu doh membuat penambahan melibatkan suasana semasa khususnya pelajar-pelajar kita di luar negara yang kos semakin meningkat. Kita juga turut terpaksa untuk meningkatkan bayaran ataupun skim yang kita tawarkan kepada pelajar-pelajar mengikut suasana semasa kita. Semua ini akan mempertingkatkan lagi kos dan pihak Yayasan Terengganu telah mewujudkan Tabung Yayasan Terengganu. Dan kita haraplah alumni, dermawan-dermawan boleh turut menyumbang yang mereka akan diberi untuk potongan income tax lah. Supaya turut sama menyumbang dalam isu pendidikan ini. Kita sedia maklumlah dengan pahala dan ganjaran yang dikurniakan khususnya mereka yang meneruskan dalam bidang ilmu pengetahuan dan juga pendidikan ini.

Jadi pihak kita untuk memastikan anak-anak pelajar kita setiap tahun terus memberi pulangan kecemerlangan sama ada di peringkat SPM, STPM dan juga STAM dan pihak Kerajaan Negeri sebagaimana yang disentuh oleh Ahli-ahli Yang Berhormat, kita pada memberi hak sama rata dalam pendidikan ini khususnya seperti Skim Mus'ab bin Umair yang melibatkan pendidikan awal pengajian Al-Quran, Maknanya kita Tadika KEMAS pun kita bagi, Tadika Perpaduan kita bagi guru dia, PASTI pun kita bagi. Supaya mereka ni yang telah memberi khidmat terbaik kepada anak-anak kita. Cuma ada Yang Berhormat sebut lambat sikit lah tu, biasalah dengan isu kewangan yang sedia

ada. Tetapi alhamdulillah, pihak Kerajaan membuat bayaran setakat ini melibatkan Skim Mus'ab bin Umair termasuk juga Skim Al-Ghazali. Cuma lewat sikit yang melibatkan perkapita. Insya-Allah doh keluar doh. Sebelum akhir tahun ini kita akan start mula pembayaran kepada institusi-institusi pendidikan yang bernaung di bawah JPINT termasuk yang swasta dan sebagainya sebab kita kira mereka juga turut menyumbang untuk pendidikan bagi anak-anak Terengganu dan hasrat Yang Berhormat Jertih khususnya untuk menyemarakkan pendidikan khususnya Pendidikan Islam ni, sebenarnya ini merupakan tanggungjawab semua, bukannya pihak Kerajaan tapi semua ni merupakan peranan yang perlu dimainkan sebagai tanggungjawab dan pihak Kerajaan cuba untuk mengekalkan kecemerlangan ni, prestasi ni sebab itu kita menganjurkan Tuisyen Rakyat yang melibatkan Pusat Khidmat Masyarakat kepada seluruh 32 DUN dan kita tidak select pelajar-pelajar cemerlang sahaja supaya semua mendapat sentuhan itu untuk kita terus memberi rangsangan buat mereka untuk mengekalkan kecemerlangan.

Tahun ni kita menambah untuk program persiapan pelajar melibatkan STPM dan juga STAM yang diselia oleh IMITS di peringkat daerah-daerah supaya mereka ni terus memberi pulangan kecemerlangan buat nama baik Negeri Terengganu. Walaupun demikian, kita rasa bimbang juga lah. Sebab itu semua warga pendidik sekarang ni kita dok kira sangat hok kecemerlangan tu. Hok tu insya-Allah lah supaya kita dapat kekalkanlah. Tetapi yang kita bimbang adalah yang melibatkan keciciran. Itu yang kita cuba usahakan supaya sifar kegagalan, sifar gagal dalam peperiksaan. Setakat ini maklumat yang kita ada, pelajar-pelajar yang tercicir khususnya. Yang ni kita harap bukan warga pendidik saja lah. Semua kena ambil peranan. Ahli-ahli Yang Berhormat dan sebagainya untuk setiap DUN pastikan tidak ada di bawah DUN mereka, ibu bapa dan sebagainya anak-anak mereka yang tercicir. Di sekolah rendah menunjukkan 2.86% pada tahun 2022. Maknanya lebih kurang 16 orang sahaja dan pada tahun 2023, kosong. Alhamdulillah. Sekolah rendah tadok berbaki. Persoalan kita bagi melibatkan sekolah menengah. Pada tahun 2022, dengan kadar 33.39% dan angka dia seramai 203 pelajar start tingkatan 1 sampai tingkatan 5 ni ada hok dok ambil periksa, berhenti tengah jalan apa sebagainya, kahwin lah, macam-macam lah, masalah keluarga, berhenti tak belajar berjumlah 203 org dan pada tahun 2023 meningkat lagi sebanyak 91.79% iaitu 581 orang pelajar. Jadi kalau kira, jumlah ni besar ni. Tapi maksud definisi tercicir ni makna dia dok periksa SPM lah. Ataupun berhenti daripada sekolah arus perdana. Boleh jadi dia pergi kat tahfiz ke apa,

sebagainya. Untuk lepas SPM kita dah ambil perjalanan, dengan kerjasama Yayasan Terengganu sedang kumpul data. Makna lepas SPM ni dia pergi ke mana. Yang daftar dengan IPTA, IPTS tak banyak mana. Baki tu dia pergi ke mana. Kita bimbang sumber tenaga kita, ke mana mereka ni pergi. Tapi hok ni peringkat sekolah doh, gugur doh, tercicir doh. Jadi kita amat bimbang lah takut angka ni makin meningkat. Jadi semua perlu mainkan peranan supaya isu ni kita dapat dikurangkan lah. Jadi antara punca-punca yang dikesan oleh pihak JPN sendiri, iaitu mereka ni tidak berminat ke sekolah. Kadang-kadang nak jadi influencer. Nak jadi tiktoker. Takmboh ngaji takmboh apa. Kadang dia kata pergi sekolah pun nanti tak tau boleh kerja ke tidak. Mak ayah pun ada juga peseng lagu tu. tak payah kerja lah, tak payah belajarlah dia kata, habis pitis je. Ada sorang budok tu dia kata, dia kata “Ustaz, kita gi Pusat Serenti free, kita gi universiti bayor.” (ketawa) Sakit pale wang. Jadi kena fahamkan bahawa belajar ni ibadat. Menuntut ilmu tu ibadah.

.

Jadi Kena pasakkan supaya ni merupakan tuntutan agama kita, ngaji, belajar dan sebagainya, antaranya tindakan disiplin, dibuang sekolah. Ada juga yang berkahwin. Jadi remaja-remaja yang berkahwin ni baguslah dia kahwin mat. Bila dia kahwin, beranok pulok. Jadi beranok dokgi skoloh. Hei banyok jugok angka ni. Tahun 2023, 309 orang remaja yang apa orang panggil hamil lah. Tahun 2024, 275 orang. Makna hok ni tercicir awal, dokgi skoloh la. Hok tu kita dok runsing sangat, kalau dia kahwin. Hok dok kahwin pun ada jugok. Jadi ni pihak wanita apa semua kena ambil data-data ini. Kena check balik. Kalau ikut syariah itu berada Bayyiah, keterangan mengandung ini, mana pok dia? Bunian apa semua sebagainya. Di dalam isu-isu ini merupakan sisi negatif yang kita rasa perlu kita ambil perjalanan buat penambahbaikan sebab ini merupakan generasi kita akan datang. Jangan makin hari makin parah yang tergelincir daripada isu…

Timbalan Yang di-Pertua

Ada permohonan untuk mencelah ini Yang Berhormat. Boleh? Bunyi kahwin ini dia nak mencelah lalu.

Haji Hilmi bin HarunPAS · PNManir

Dok, bukan sebab tu pok bunian ni betul ke dok Timbalan Yang di-Pertua.

Doh tak dok pok tok laki tak dok. Bunianlah. Jadi dia kena buktikanlah sama ada dia dirogol ke ataupun ada berkahwin. Baru lepas sepatutnya kena itu sebab mengandung ini nanti jadi isu pula. Yang kedua ada Yang Berhormat

menyentuh tentang Tafaqquh Fiddin. Kita sedia maklum dalam pusat yang kita ada itu merupakan fasa satulah. Fasa dua melibatkan pentadbiran ada galeri ulama apa dan sebagainya dan juga fasa tiga untuk warga emas. Jadi yang akan insya-Allah kita berhasrat untuk menghidupkan Masjid Kristal untuk dijadikan solat jemaah. Jadi setakat ini Pusat Taffaquh ini baru fasa pertama. Hok pertama pelajar-pelajar kita masih lagi berada di Mesir dan insya-Allah akan pulang dan kita telah menyusun berbagai-bagai aktiviti khususnya Daurah Kitab para Ulama yang datang ke Terengganu. Kita buat Daurah di situ dengan Kuliah Dhuha kerjasama dengan NGO mengadakan kursus, seminar, bengkel khas, ceramah khas dan sebagainya yang akan kita berpusat di Pulau Wan Man itu dan kalau lengkap nanti insya-Allah akan menjadi pusat aktiviti tafaqquh.

Sebagaimana sedia maklum kita juga akan mengembangkan di peringkat daerah. Daerah pertama yang kita telah putuskan iaitu di Kuala Berang. Sebuah kompleks yang baru siap melibatkan Kompleks Tarbiyah dan Tijari sebahagian untuk perniagaan, sebahagian itu untuk kita letakkan Pusat Tafaqquh ini. Jadi bagi SMIDI yang ada di situ kita tunggu bangunan siap di Ajil dan untuk meneruskan konsep tafaqquh ini berpusat di Masjid Kuala Berang dan akan menjadi feeder kepada Pusat Tafaqquh yang sedia ada.

Yang Berhormat daripada Hulu Besut bertanyakan isu Kolej Matrikulasi. Memang kita telah menyuarakan kepada pihak Kementerian Pendidikan Terengganu ini masih lagi tidak ada satu Kolej Matrikulasi dan sebagaimana kita sedia maklum, di mana pihak Kementerian Pendidikan Malaysia telah menerima kelulusan untuk kerja-kerja awal bagi Projek Kolej Matrikulasi Terengganu dalam RMKe-12. Rolling Plan kelima dan lokasi dicadangkan di Daerah Marang, Terengganu dan kerja-kerja awal akan bermula pada tahun 2025 dengan bajet kos keseluruhan berjumlah RM27 juta. Jadi insya-Allah kita harap pembinaan Kolej Matrikulasi ini akan melengkapkan rangkaian pendidikan di Terengganu kita ini.

Ada Ahli-ahli Yang Berhormat menyentuh tentang pendidikan dan TVET dan kita memang di peringkat awal telah memperkenalkan TVET di pondok-pondok dan insya-Allah kita cuba untuk kemaskinikan buat penambahbaikan dan juga di peringkat JAKIM dan sebagainya memperkenalkan TVET Tahfiz. Kita juga akan cuba perkembangkan di peringkat Terengganu kita ini sebagai persiapan untuk mereka ini mula masuk kepada pendidikan arus perdana dan juga sebagai bekalan untuk menghadapi Revolusi 4.0. Kita lihat ada dari kalangan

mereka mungkin dikategorikan sebagai pelajar tercicir, tingkatan satu dan tingkatan dua dia dah pergi ke tahfiz dah. Sebab apa yang kita buka di Universiti TATI Fast Track SPM itu, 100 orang biasa penuh kuota itu dan ada dua pusat Yayasan Islam, Yayasan Terengganu yang buka untuk ambil SPM di Hulu Terengganu dan juga di Besut. Juga mendapat permintaan yang tinggi. Maknanya pelajar-pelajar ini mungkin dia belajar hafazan ataupun Kitab Turath tapi dia mengambil peperiksaan SPM dan peluang mereka untuk menyambung pengajian-pengajian yang mereka rasa mereka nak arus perdana yang sedia ada, masuk balik ke UCTATI apa sebagai ataupun bidang-bidang lain mereka boleh buat pilihanlah.

Jadi kita insya-Allah akan menyediakan ruang dan peluang yang terbaik kepada pelajar-pelajar kita yang makin hari makin ramai yang dapat keputusan cemerlang dan sama ada di peringkat dalam negeri mahupun luar negeri. Tapi walau macam manapun peruntukan kita, apa yang kita sebut itu masih lagi terhad sebenarnya. Pelajar-pelajar kita masih ramai lagi yang cemerlang. Payah juga jawatankuasa nak pilih SPC tu. Kadang-kadang kita beri keutamaan kepada B40. B40 pun ramai. Tapi kita juga beri peluang kepada pelajar-pelajar cemerlang dari kalangan T20 dan sebagainyalah. Jadi apa pun insya-Allah kita harap isu yang melibatkan pendidikan ini tidak akan tergendala dengan isu-isu kewangan yang ada. Dengan bajet yang sedia ada insya-Allah kita harap semua perjalanan yang telah kita ambil itu akan berterusan memberi pulangan yang baik dan akan menyediakan pelajar-pelajar atau pun generasi akan datang lebih baik untuk masa depan Terengganu di masa akan datang. Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Paka mohon menyokong.

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih Wakil Paka yang memberi ruang kepada saya dan menamatkan penggulungan seminit setengah sebelum daripada masa yang diperuntukkan tamat. Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Ketua-ketua Jabatan dan para pemerhati, kita telah selesai mendengar semua penggulungan daripada Wakil-wakil Kerajaan. Maka esok insya-Allah tinggal satu sahaja penggulungan daripada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar dan jika tidak ada agenda yang banyak esok mungkin Sidang kita akan ditamatkan sebelum tengah hari. Jadi elok benarlah pada fikiran saya di musim hujan dan sesetengah kawasan telah mula dilanda banjir bolehlah Wakil-wakil Rakyat yang berkenaan yang ada berlaku banjir di kawasan masing-masing pulang awal ke kawasan masing-masing esoknya.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, maka dengan ini saya ucap terima kasih kepada semua Wakil-wakil Rakyat, Ahli-ahli Wakil Kerajaan yang telah membuat penggulungan, terima kasih kepada semua wakil-wakil dan para pemerhati yang telah sudi kekal memberi perhatian. Maka dengan ini saya tangguhkan sementara Dewan ini ke esok hari 21 November 2024 pada pukul 9.00 pagi dan marilah sama-sama membaca tasbih Kaffarah dan Surah Al-Asr. Sekian terima kasih.

DEWAN DITANGGUHKAN PADA PUKUL 4.50 PETANG