Terengganu · 21 November 2024
15th Assembly, 2nd session, 3rd meeting · 169 turns · 10,567 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalTerengganu publishes one PDF per meeting, with the written answers appended. Speakers are matched by our parser and will have some errors.
(Pembukaan)
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Sebelum kita memulakan Persidangan Dewan pada pagi ini, marilah kita bersama-sama membaca Ummul Kitab Al-Fatihah.
Soalan-Soalan LisanQuestions
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Ketua-ketua Jabatan, para pemerhati, mesyuarat disambung semula. Mesyuarat pagi ini diteruskan dengan Soalan-soalan Lisan. Berikut adalah Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah memberi notis untuk mengemukakan Soalan-soalan Lisan pada hari ini 21 November 2024:-
1. Yang Berhormat Wakil Batu Rakit 2. Yang Berhormat Wakil Rantau Abang 3. Yang Berhormat Wakil Hulu Besut 4. Yang Berhormat Wakil Permaisuri 5. Yang Berhormat Wakil Seberang Takir 6. Yang Berhormat Wakil Manir 7. Yang Berhormat Wakil Pengkalan Berangan 8. Yang Berhormat Wakil Ladang 9. Yang Berhormat Wakil Kemasik 10. Yang Berhormat Wakil Buluh Gading 11. Yang Berhormat Wakil Kuala Berang
12. Yang Berhormat Wakil Jertih 13. Yang Berhormat Wakil Bandar 14. Yang Berhormat Wakil Sura 15. Yang Berhormat Wakil Bukit Besi 16. Yang Berhormat Wakil Kuala Besut 17. Yang Berhormat Wakil Bukit Tunggal 18. Yang Berhormat Wakil Telemung 19. Yang Berhormat Wakil Air Putih 20. Yang Berhormat Wakil Langkap
Sebelum saya mempersilakan Yang Berhormat Batu Rakit untuk mengemukakan soalan, suka saya mengalu-alukan pemerhati pada hari ini daripada semua Pusat-pusat Khidmat Masyarakat setiap DUN daripada agensi Urusetia Belia, Sukan & NGO Negeri Terengganu, Persatuan Usahawan Wanita Terengganu dan peribadi yang turut hadir Zainuddin bin Muhammad, UMNO Negeri Terengganu, Mohamad Hanafiah bin Ismail dan Maahad Tahfiz al-Quran Terengganu. Terima kasih kerana sudi untuk sama-sama memeriahkan Persidangan kali ini.
Saya persilakan Yang Berhormat Batu Rakit untuk mengemukakan soalan.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan Batu Rakit nombor satu-
Sejauh manakah persediaan Kerajaan Negeri untuk menghadapi peralihan kepimpinan belia di bawah umur 30 tahun menjelang Januari 2026?
Sila Yang Berhormat Tepoh.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih Wakil Batu Rakit yang telah mengemukakan soalan berkenaan dengan persediaan Kerajaan
Negeri untuk menghadapi peralihan kepimpinan belia di bawah umur 30 tahun menjelang Januari 2026?
Sebagaimana yang telah diketahui oleh umum, had umur 30 tahun bagi belia di Malaysia akan berkuatkuasa bermula 1 Januari 2026. Had umur belia sekarang ini ialah 40 tahun. Pihak Kerajaan Malaysia telah menetapkan tarikh kuatkuasa bagi Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019, Akta [A1602] bermula pada 1 Januari 2026.
Pindaan itu antara lain membabitkan penurunan had umur belia kepada 30 tahun. Penetapan had umur ketua ataupun pemegang jawatan pertubuhan belia iaitu 18 hingga 30 tahun dan mengehadkan tempoh ketua pertubuhan belia selama 4 tahun sahaja. Had umur belia di negara-negara jiran seperti Indonesia (16 hingga 30 tahun), Filipina (15 hingga 30 tahun), Thailand (15 hingga 24 tahun), Korea (9 hingga 24 tahun) dan Australia (12 hingga 24 tahun).
Di bawah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, perkara ini telah diberikan perhatian dan antara inisiatif yang telah dilaksanakan adalah dengan memperkasakan persatuan, menetapkan penetapan kepimpinan dan pengupayaan pertubuhan di bawah umur 30 tahun. Peranan Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia juga diaktifkan kerana ia sangat berkait dengan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia dan berfungsi untuk memastikan persatuan-persatuan yang berdaftar di bawah agensi ini bergerak secara efektif, beretika dan berdaya saing sejajar dengan matlamat pembangunan belia dan peruntukan dengan akta.
Pihak Kerajaan Negeri bekerjasama sepenuhnya dengan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu dan Majlis Belia Negeri Terengganu agar proses transisi ini berjalan dengan cermat dan teratur malah tidak menyebabkan organisasi belia berdepan dengan pelbagai permasalahan. Dari sudut yang lain pula, Kerajaan Negeri menerusi program ADUN Belia Terengganu di bawah kelolaan UBSNT, pihak urus setia telah meletakkan syarat penyertaan kepada mereka yang bergelar ADUN Belia ini untuk yang berumur 30 tahun ke bawah sahaja sebagai langkah progresif untuk menghadapi transisi proses peralihan ini.
Dalam rekod penggal baharu, untuk ADUN Belia yang akan bersidang pada 24 hingga 25 November ini, hanya tiga orang sahaja ADUN Belia yang berumur 30 tahun, yang berumur 18 hingga 19 tahun (2 orang), 20 hingga 25 tahun (18 orang) dan 26 hingga 29 tahun (14 orang).
Program High Potential Talent yang akan diperkenalkan pada tahun 2025 juga akan melibatkan belia berumur 30 tahun ke bawah sebagai salah satu bentuk pendedahan dan persediaan sewajarnya untuk kita menghadapi awal tahun 2026. Terima kasih.
Terima kasih, ada soalan tambahan? Tak ada? Seterusnya saya persilakan Yang Berhormat Hulu Besut.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Hulu Besut soalan nombor satu-
Di kawasan DUN Hulu Besut masih lagi menggunakan jambatan-jambatan lama dan kecil, adakah Kerajaan Negeri bercadang untuk menaik taraf jambatan tersebut kepada jambatan baru dan besar?
Sila Wakil Cukai.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Berhormat Hulu Besut, soalan sebagaimana yang tertera.
Pihak Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam membangun dan menaik taraf kemudahan infrastruktur asas seperti jalan raya dan jambatan. Namun ianya bergantung kepada kewangan semasa. Pihak Jabatan Kerja Raya Negeri telah menerima peruntukan sebanyak RM5 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi Kerja Menaik Taraf Jalan dan Jambatan Di Jalan T05 Jalan Jerteh-Keruak Seksyen 12.0 yang akan dilaksanakan pada tahun hadapan. Terima kasih.
Ada soalan tambahan?
Dato’ Yang di-Pertua, soalan tambahan saya. Saya sudah panjangkan hasrat penduduk kawasan terbabit kepada pihak JKR Besut untuk menaik taraf Jambatan Kampung Darau, adakah sudah sampai kepada pengetahuan pihak kerajaan?
Terima kasih.
Jabatan Kerja Raya dalam proses menyediakan kertas kerja Cadangan Menaik Taraf Jambatan Kampung Darau dan ia akan diangkat ke JKR Negeri bagi permohonan tersebut. Terima kasih.
Terima kasih Wakil Cukai.
Seterusnya, saya persilakan Yang Berhormat Permaisuri.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan saya nombor dua-
Mohon dinyatakan kadar perkahwinan pasangan di bawah umur terutamanya kanak-kanak perempuan di Negeri Terengganu serta mengikut daerah secara berdaftar dengan menyatakan sebab-sebab keperluan atau daruratnya perkahwinan tersebut?
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat dan rakan-rakan semua. Soalan dari Permaisuri mengenai perkahwinan bawah umur
sebagaimana yang dipaparkan di skrin. Kadar perkahwinan pasangan bawah umur perempuan di Negeri Terengganu yang paling tinggi adalah Kemaman 15 orang berkahwin pada 2022, 2023, 2024. Ini saya rangkumkan tiga tahun terkebelakang. Tahun 2022, 2023 dan 2024 di Kemaman ada 15 orang, Besut 13 orang dan daerah-daerah lain, Dungun 7 orang, Kuala Terengganu 5 orang, Hulu Terengganu 3 orang, Marang 3 orang, Setiu 5 orang dan Kuala Nerus 2 orang. Pola yang tinggi di Besut dan juga Kemaman ini, satu keadaan yang mungkinlah sebab Besut itu bersempadan dengan Kelantan, dekat dengan Kelantan. Kemaman pula dekat dengan Kuantan. Jadi faktor-faktor itu boleh mempengaruhi yang menyebabkan berlakunya satu hubungan yang…
Yang Berhormat buat statement tu ada data kajian dok? Takut mengelirukan Dewan tu…
Takdok kajian Dato’, itu pandangan saya…
Kena tarik balik tu… tarik balik ah…
Jertih mohon tarik balik.
Ya?
Kenyataan bersempadan dengan Kelantan.
Kenyataan itu tidak membebankan orang Besut dan orang Kemaman..
Akan mencurigakan pihak lain…
dan bagi saya perkahwinan ini adalah satu benda yang sangat positif.
Akan mencurigakan orang lain, sebab apa…Yang Berhormat ..tak boleh. Sila tarik balik lah..
Tarik balik hak mana tu?
Mengatakan punca tu.. kenapa menyebabkan duduk sempadan tu membuatkan ramai kahwin..
Kahwin awal..
Haa..kahwin awal.
Okay beres, terima kasih. Jadi bagi saya perkahwinan di usia muda ini banyak positifnya. Daripada mereka duduk gi mari gi mari orang kata bonceng motor, jalan ke sana ke mari, lebih baiklah sebelum berlakunya sesuatu perkara yang di luar jangkaan seperti mengandung anak luar nikah, lebih baik mereka berkahwin walaupun di usia awal. Cuma apabila berkahwin pada usia yang awal ini, risikonya ialah kepada berkemungkinanlah beban kepada perempuan. Apabila berkahwin awal kecenderungan untuk bercerai di peringkat usia awal pun berkemungkinan akan berlaku. Itu takdok fakta tapi kemungkinan besar akan berlaku Dato’, sebab..
Fokus kepada soalan, Yang Berhormat.
Ya. Habis dah soalan tu, jawapan tu..
Sebab-sebab keperluan..
Sebab-sebab keperluan itulah.
Maknanya kemungkinan hamil luar nikah ataupun berlaku pergaulan bebas..
Ya..
dan berkemungkinan juga apabila kanak-kanak di usia muda ini yang berumur 13,14,15 tahun berhenti sekolah. Jadi bila berhenti sekolah, mereka terdedah
kepada perhubungan luar yang agak bebas. Jadi di situlah akan berjumpa dengan pasangan-pasangan masing-masing dan akhirnya berkemungkinan kecenderungan untuk melakukan hubungan luar nikah itu besar. Jadi lebih baik mereka berkahwin. Terima kasih orang Kemaman dan Besut.
Terima kasih, sila.
Dato’ Yang di-Pertua, saya nak buat soalan tambahanlah. Rasa tak berapa kemas lagi masalah darurah perkahwinan tersebut. Dalam Islam kita, kita tengok ada kaedah fiqhiyyah mengatakan ada dharurah tufiyahur mahzuro, al musyaqqah tajlibu taisir. Kita faham masalah ini boleh diringankan, boleh tetapi dalam soal kita kata kahwin awal, dia ada keluarga dah. Dalam istilah undang-undang dia sebut guardian ad litem bagi kanak-kanak. Yang Berhormat Penasihat Undang-Undang pun ada, dia faham. Jadi dalam soal ini kita tengok ibu bapa membiarkan anak-anak muda dia ni, naik motosikal, bonceng motosikal yang mana disebut oleh Yang Berhormat tadi dan akhirnya kita melihat soal-soal penjagaan sesebuah institusi keluarga, ketua keluarga itu dalam lima perkara-wajib untuk nafkah anak-anak, tempat tinggal, makan minum, pakaian, pendidikan, kesihatan ini. Jadi tanggungjawab itu saya nampak mungkin ada kecuaian, terabai. Jadi ibu bapa kita tengok, kalau motosikal anak naik motosikal tanpa lesen, dia panggil ke mahkamah, ibu bapa sekali mari, kenapa biar anak, kaunseling dan sebagainya dibuat. Jadi dalam soal ini apakah ada tindakan daripada pihak-pihak berkuatkuasa kita membuat kaunseling kepada ibu-ibu bapa yang berdepan dengan masalah-masalah yang sebegini, supaya suasana kahwin awal bawah umur ini, bawah umurlah kita kira dapat dikurangkan, terima kasih.
Terima kasih, Yang Berhormat. Sila Yang Berhormat Ajil .
Saya rasa itu satu cadangan dan pandangan yang baik, saya setuju, terima kasih.
Seterusnya saya mempersilakan Yang Berhormat Seberang Takir.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan saya nombor satu-
Apa status bangunan Strawberry Park di Pantai Kijal dan apa perancangan Kerajaan Negeri untuk majukannya?
Dato’ Yang di-Pertua, boleh saya jawab, Dato’ Yang di-Pertua?
Sila, sila.
Okay, terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Seberang Takir. Soalan seperti mana yang tertera. Bangunan Strawberry Park adalah bangunan terbengkalai. Hampir keseluruhan bangunan tersebut telah rosak dan perlu dirobohkan. Hanya sebahagian sahaja yang boleh diperbaiki. Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu telah memberi pajakan kepada satu syarikat untuk memajukan dan membangunkan semula tapak tersebut. Walau bagaimanapun, ianya masih dalam proses perbincangan. Terima kasih.
Terima kasih, Kijal. Sila Yang Berhormat Seberang Takir.
Saya dimaklumkan tahun lepas pun saya rasa dah ada soalan ini, jadi saya cuma nak tahu perkembangan je. Tapi bila disebut Wakil Kijal tadi, ada kena roboh, ada kena tengok semula tu, tak apalah, terima kasih.
Terima kasih, Kijal dan Seberang Takir. Seterusnya saya persilakan Yang Berhormat Pengkalan Berangan.
Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. Soalan nombor dua-
Bagaimana Kerajaan Negeri menangani isu pengangguran dan
Dato’ Yang di-Pertua, boleh saya jawab, Dato’ Yang di-Pertua?
meningkatkan peluang pekerjaan di kalangan belia?
Soalan nombor dua, Yang Berhormat Alur Limbat. Soalan ini akan digabungkan dengan soalan Telemung. Telemung boleh tanya soalan tambahan.
Terima kasih kepada Pengkalan Berangan dan Telemung. Bagaimana Kerajaan Negeri menangani isu pengangguran dan meningkatkan peluang pekerjaan di kalangan belia? Yang pertama program penempatan pekerjaan. Kerajaan melalui THRDC berusaha mendapatkan majikan yang sesuai bagi mengadakan pemadanan pekerjaan. Beberapa syarikat besar dan multinasional telah dibawa ke Terengganu bagi membuat temuduga, seperti Eastern Steel, Encompass Industries, Panasonic, Hartalega, Sony EMCS dan My Brush. Pada tahun ini, beberapa program pemadanan pekerjaan melalui sesi temuduga telah diadakan. Outreach Kesejahteraan Pekerjaan Rakyat Negeri Terengganu di Daerah Kuala Nerus, Daerah Besut, dan Daerah Setiu. Yang keempat, temuduga Sony sempena Hari Bertemu Pelanggan Majlis Amanah Rakyat Kuala Terengganu, yang kelima temuduga terbuka Sony di Pusat Cari Kerja atau Gerbang Kerjaya Terengganu. Yang keenam, temuduga sempena Hari TVET Negara 2024 bersama AADK bertempat di Pusat Cari Kerja. Yang ketujuh, Karnival Kerjaya MyFutureJobs Negeri Terengganu bersama PERKESO Terengganu bertempat di KTCC Mall, Kuala Terengganu. Kelapan, temuduga pemandu lokomotif ECRL di Pusat Cari Kerja. Yang kesembilan, temuduga terbuka TM ONE di Kompleks TM Medan Jaya Marang. Yang kesepuluh Temuduga Terbuka oleh beberapa majikan di Pusat Cari Kerja atau Gerbang Kerjaya Terengganu. Dari segi pencapaiannya, jumlah keseluruhan peserta seramai 2,517 orang telah menyertai program Perbadanan Pekerjaan ini. Sebanyak 583 tawaran kerja segera pada hari temuduga telah ditawarkan dan sebanyak 1,376 tawaran kerja ke temuduga kedua.
Yang kedua, pengoperasian Pusat Cari Kerja (PCK). Pusat Cari Kerja yang bertempat di Gerbang Kerjaya, Jalan Lapangan Terbang Kuala Nerus telah ditubuhkan bertujuan meningkatkan kecekapan proses, pemadanan pekerjaan serta menawarkan khidmat nasihat kepada pekerja dan majikan di negeri Terengganu. Pada tahun 2024 ini, Pusat Cari Kerja telah mula beroperasi dan
mula dibuka kepada awam dengan penganjuran program temuduga terbuka dan taklimat kerjaya, asuhan kerjaya seperti Klinik Resume, Program Pensijilan Audit Dalaman Halal oleh Halal Development Corporation, program Hari TVET AADK, Program Menerokai Dunia Animasi 2D dan Unreal Engine dan Kursus Pengurusan Pejabat melalui platform Google. Sehingga bulan Oktober, sebanyak 16 program awam telah dilaksanakan di Pusat Cari Kerja dengan melibatkan peserta seramai 245 orang dan penghasilan tawaran kerja sebanyak 77 tawaran pekerjaan.
Yang ketiga, meningkatkan usaha menyampaikan maklumat jawatan kosong sehingga ke peringkat akar umbi. Pada tahun ini, THRDC telah selesai mengadakan program Le Tour Grassroots yang melibatkan 8 daerah melalui 32 DUN di seluruh negeri. Penglibatan seramai 1,084 peserta dari kalangan JPKK, Pusat Khidmat Masyarakat dan i-MiTS amat memberangsangkan dan satu rangkaian komunikasi secara langsung telah dibuat bagi memastikan maklumat peluang pekerjaan dan program peningkatan diri dapat disalurkan secara langsung.
Yang keempat, Program Jelajah Agenda Pekerjaan Bersama Majikan dengan kerjasama HRDCorp Terengganu menemui majikan di negeri ini. Sebanyak 6 sesi jelajah telah diadakan di daerah Dungun, Kuala Nerus, Marang, Setiu, Kuala Terengganu dan Besut dan dihadiri oleh 99 buah syarikat. Program ini diharap dapat meningkatkan penglibatan majikan tempatan dalam menawarkan penawaran kerja secara bersistematik melalui THRDC agar peluang ini disampaikan kepada rakyat tempatan dengan cekap.
Yang kelima, mengadakan kerjasama dengan Halal Development Corporation (HDC) bagi membangunkan bakat dalam sektor halal di Terengganu. Sektor halal mempunyai potensi yang besar berkembang dalam dan luar negara namun penglibatan belia dan usahawan Terengganu dalam sektor ini masih kurang memberangsangkan. Pada tahun ini, THRDC dengan kerjasama Halal Development Corporation (HDC) telah berjaya menganjurkan kursus (CHAP) Certified Halal Internal Auditing Programme, 5 siri melibatkan 102 peserta. Melalui kursus ini, kerajaan berusaha mempersijilkan mahasiswa dan belia dengan pensijilan profesional Auditor Dalaman Halal bagi mempersiapkan mereka sebagai bakat dalam industri ini.
Yang terakhir, mengadakan Libat Urus bersama (MRL) Malaysia Rail Link bagi peluang penempatan pekerjaan dalam sektor kereta api, railway. Urusetia Pekerjaan Negeri Terengganu telah mengadakan Sesi Libat Urus bersama dengan Ketua Pegawai Eksekutif MRL dan pasukannya pada 14 Julai 2024 bagi membincangkan peluang pekerjaan dalam sektor ini bagi rakyat Terengganu. Pihak MRL telah memberi jaminan bahawa keutamaan akan diberikan kepada rakyat ini yang berkelayakan bagi mengisi peluang pekerjaan yang ada di stesen, ada enam stesen yang akan dibina bagi negeri Terengganu.
Maaf, ada satu yang terakhir yang ketujuh bagi membantu belia dan graduan meningkatkan kebolehpasaran kerja, THRDC dengan kerjasama dengan TalentCorp melalui program National Structured Internship Programme (MySIP) dan Industrial Training Matching Grant Initiative for Small and Medium-sized Enterprises (LIKES) kepada belia dan graduan negeri Terengganu. Langkah pertama telah dibuat dengan mengadakan taklimat kepada sekitar 100 majikan di Universiti Malaysia Terengganu. Melalui inisiatif ini graduan berpeluang menimba pengalaman kerja sebenar secara berbayar dan mendapat pendedahan pengalaman secara berstruktur.
Pengalaman ini boleh meningkatkan kebolehpasaran kerja mereka kelak. Sekian.
Terima kasih Alur Limbat. Ada soalan tambahan, sila.
Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. Soalan tambahan saya, sebagaimana yang diperkatakan oleh Wakil Kerajaan tadi di mana banyak ruanglah, ruang-ruang yang telah dilakukan oleh kerajaan, membantu golongan belia ini. Tapi banyak tadi, dia sebut tadi berkaitan dengan peluang-peluang jawatan-jawatan kosong dan saya nak nyatakan di sini ialah, kita telah beri banyak ilmu dan juga membantu dari segi modal mungkin untuk para-para belia ini. Cuma, saya nak nyatakan disini masalah utama yang dihadapi oleh belia dan beliawanis hari ini ialah berkaitan dengan tapak meniaga. Jadi, apakah perancangan kerajaan untuk memastikan bahawa belia-belia ini boleh mempunyai tempat tu, ruang yang sesuai untuk mereka melakukan kerja-kerja tersebut, terima kasih.
Sila Yang Berhormat Alur Limbat.
Kami akan bekerjasama dengan pihak PBT dan kalau kita lihat sekarang ini banyak sebenarnya booth-booth yang telah ada disediakan di PBT-PBT. Kalau warna ada line merah kan, dia merata sekarang ini dan juga booth-booth yang lain dan kedai-kedai yang ada dan pihak YPU sendiri juga masih banyak sebenarnya kedai-kedai yang telah ada, yang insya-Allah kita akan baikpulih dan juga ruang-ruang perniagaan yang disediakan. Insya-Allah kita akan bekerjasama dengan pihak PBT, yang penting sekali adalah peluang perniagaan ataupun peluang pekerjaan yang disediakan sebagaimana yang saya laporkan dalam soalan semalam, peluang pekerjaan yang dijangkakan pada tahun hadapan, 15,000. Ini jangkaan yang kita buat bersama dengan pihak yang berkenaanlah, cuma isunya penempatan pekerjaan yang sedia 15,000 macam tahun ni 13,000, cuma separuh, hampir separuh sahaja.
Fokus pada soalan Yang Berhormat, fokus soalan.
Sekian.
Ada soalan tambahan daripada Pengkalan Berangan? Sila Yang Berhormat Ladang.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Soalan saya soalan 1-
Apakah usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri bagi membantu pemilik bot nelayan mendapatkan permit sah untuk membawa penumpang bagi aktiviti perikanan rekreasi seperti mencandat sotong?
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Wakil Ladang. Perikanan rekreasi seperti memancing dan candat sotong sangat sinonim dengan negeri Terengganu sama ada menyewa bot pelancong atau menyewa bot nelayan. Mengikut rekod, kira-kira 740 buah bot nelayan digunakan bagi aktiviti membawa penumpang untuk aktiviti perikanan rekreasi dan ia merupakan satu pendapatan tambahan yang sangat lumayan bagi para nelayan kita. Cuma yang menjadi isu besarnya ialah daripada lebih 740 buah bot, hanya lima buah bot sahaja yang mempunyai Certificate of Competency (COC) dengan izin, atau Sijil Perakuan Kecekapan yang dikeluarkan oleh Jabatan Laut Malaysia bagi membolehkan bot-bot ini membawa pelancong bagi rekreasi laut secara sah. Dewan perlu ambil maklum bahawa bot nelayan merupakan bot yang dilesenkan dibawah Akta Perikanan 1985, tidak dibenarkan membawa penumpang atau kargo tanpa kelulusan daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia. Kerana itulah bagi menyelesaikan dilema ini, Jabatan Laut telah dilibatkan oleh Kerajaan Negeri mulai daripada bulan November 2023 lagi dalam usaha untuk membantu pemilik-pemilik bot nelayan mendapatkan surat kebenaran, vesel penangkapan ikan tempatan bagi membawa penumpang untuk aktiviti penangkapan ikan rekreasi di laut atau ringkasnya permit daripada Jabatan Laut. Ada tiga syarat yang perlu dipenuhi oleh pemilik bot yang pertama membawa personal locator beacon suai lampu navigasi laut ataupun dia panggil PLB. Yang kedua memiliki perakuan kecekapan COC Certificate of Competency dan yang ketiga memiliki perlindungan insurans. Kerajaan Negeri cuba bincang untuk permudahkan dan hasil daripada libat urus antara Kerajaan Negeri dengan Jabatan Laut Wilayah Timur maka Jabatan Laut Wilayah Timur telah memberi keringanan daripada syarat membawa PLB dan syarat untuk tekong ataupun nakhoda memiliki COC tapi kekal wajib memiliki insurans bagi melindungi pihak ketiga. Jadi mana-mana bot nelayan yang disokong oleh Jabatan Perikanan perlu mematuhi syarat yang ditetapkan melepasi pemeriksaan yang dilakukan oleh Jabatan Laut sebelum pemiliknya mendapatkan perlindungan insurans dan satu gerakan bersepadu telah digerakkan oleh Kerajaan Negeri melibatkan Jabatan Perikanan, Jabatan Laut LKIM, Pejabat Daerah, Persatuan Nelayan kawasan dan kita anjurkan kelas bagi tekong ataupun nakhoda sebagai alternatif ganti kepada keperluan COC disusuli dengan pemeriksaan bot secara serentak oleh Jabatan Laut pada 15 hingga 24 April 2024. Tapi ada fenomena yang sangat merisaukan ruang yang kita buka dan urusan yang kita permudahkan tidak diambil peluang sebaiknya oleh nelayan bayangkan daripada 700 lebih hanya 60 sahaja nelayan yang hadir dalam program bersepadu ini dan lebih merisaukan lagi daripada 60 buah yang
hadir hanya tujuh buah sahaja yang memenuhi semua syarat mendapatkan insurans seterusnya dikeluarkan surat permit kebenaran oleh Jabatan Laut. Terima kasih.
Soalan tambahan saya apakah risiko yang mungkin dihadapi oleh para pelancong yang menggunakan bot nelayan bagi aktiviti rekreasi di laut tanpa permit yang sah. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Wakil Ladang. Bagi nelayan yang turun ke laut sebagai nelayan mereka dilindungi oleh insurans di bawah LKIM, andainya berlaku apa-apa bencana yang tidak diingini di laut mereka boleh dibantu di bawah tabung bencana nelayan tapi insurans nelayan dan Tabung Bencana Nelayan tidak melindungi penumpang yang turun sebagai pelancong rekreasi, kerana itulah perlindungan insurans bagi pihak ketiga kita perlukan concern utama Kerajaan ialah keselamatan dan Kerajaan Negeri tidak boleh merisikokan keselamatan pelancong yang datang ke negeri kita. Tanpa memastikan mereka menaiki bot yang berkeadaan baik dilengkapi peralatan keselamatan dan kecemasan dikemudi oleh tekong yang cepat yang melepasi pemeriksaan kesihatan serta penumpang dilindungi insurans. Nelayan bila ke laut seorang diri dia bawa nyawa sendiri tapi bila bawa penumpang bermakna mereka bawa nyawa sendiri dan mereka bawa nyawa penumpang sekali dan keperluan permit dan insurans bukan untuk menyusahkan tetapi bagi kita menjaga kepentingan umum. Terima Kasih.
Terima kasih Yang Berhormat.
Wakil Kuala Berang nak tanya satu soalan
Sila.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan. Nampak pihak Kerajaan Negeri melalui apa yang EXCO beritahu tadi nak jaga keselamatan dari segi anak kapal itu dan juga pelancong-pelancongnya. Jadi Kerajaan adakah berhasrat untuk membantu mereka ini pertama tadi PLB iaitu alat beacon
sejenis alat untuk menentukan location harga dia RM1,000.00 lebih keduanya nak pergi belajar untuk dapatkan Lesen Competency dengan Jabatan Laut ini pun RM500.00 lebih, insurans komang-komang pong kalau hok puluh orang RM1000.00 lebih kalu hok 15 orang RM2,000.00 lebih jadi adakah Kerajaan nak tolong bantu menyenangkan pihak-pihak apa ini pemilik bot ini untuk mendapatkan lesen. Terima kasih.
Terima kasih Wakil Kuala Berang.
Dok pakai piyoh hari ini. ….[ketawa]…. Sila Wakil Jabi.
Saya dimaklumkan Yang Berhormat Kuala Berang dah jual bot dia.….[ketawa]…. Saya telah jelaskan tadi bahawa keperluan PLB telah diberikan pengecualian oleh Jabatan Laut hasil daripada libat urus dan keperluan untuk memiliki COC Certificate Competency juga telah dikecualikan yang kita ganti dengan satu kelas intensif yang tidak memerlukan sebarang kos mari sahaja makan minum kita sediakan lalui kelas itu kemudian Jabatan Laut buat pemeriksaan bot bila lulus dibenarkan untuk ambil insurans. Memang insurans adalah satu beban tetapi kita telah bincang sesi libat urus dengan syarikat insurans yang asalnya premium boleh mencecah ribuan ringgit malah boleh maksimum sekitar RM5,000.00 mereka boleh turunkan sehingga RM800.00 sahaja. Jadi PLB dan tak melibatkan kos, COC dah tak melibatkan kos insurans pun kita bantu untuk rendahkan sikit kadar premium dia. Maknanya ini jalan yang sangat mudah jadi tinggal selagi saya rasa sebagaimana orang putih kata kita boleh bawa kuda kepada air tetapi kita tidak boleh memaksa kuda itu untuk minum air.
Terima kasih. Seterusnya saya mempersilakan Yang Berhormat Kemasik.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Soalan Kemasik nombor satu-
Apakah status terkini pembangunan Terengganu Silica Valley dan bagaimanakah hala tujunya?
Sila Wakil Kota Putera.
YANG BERHORMAT HAJI MOHD NURKHUZAINI BIN AB. RAHMAN (Wakil Kota Putera)
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih kepada Wakil Kemasik. Soalan seperti mana yang tertera, status terkini TSV ataupun Terengganu Silica Valley adalah Kerajaan masih mengekalkan TSV seperti mana pelan induk Lembah Silica Terengganu 2018. Pelan TSV tersebut adalah bertujuan untuk menarik industri hiliran berasaskan silica ke Negeri Terengganu. Terengganu INC telahpun mengadakan beberapa perbincangan dengan syarikat-syarikat luar negara yang berminat tetapi masih belum menerima sebarang cadangan pelaburan yang benar-benar vibal dengan izin. Dalam masa yang sama Kerajaan Negeri juga sedang mempertimbangkan alternatif lain untuk kawasan TSV itu. Antaranya adalah membangunkan Taman Perindustrian ECO Hijau dan juga mempertimbangkan Terengganu Advanced Mineral Industrial. (HUB). Terima kasih.
Ada soalan tambahan kepada…
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan tambahan dia since memandangkan operasi ataupun pendapatan daripada proses downstream dengan izin adalah lebih baik. Justeru apakah tindakan ataupun pelan Kerajaan Negeri bagi memastikan pelaksanaannya dapat direalisasikan dengan segera supaya Kerajaan Negeri lebih mendapat pendapatan yang lebih tinggi daripada operasi jika dilaksanakan di Negeri Terengganu sendiri.
Terima kasih Wakil Kemasik. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, seperti mana yang saya jelaskan di dalam ucapan penggulungan saya semalam. Di bawah jawatankuasa pelan New Income Terengganu. Kita sedang memperhalusi kaedah baru untuk menceburkan diri dalam secara aktif di dalam downstream beberapa SOP dan peraturan sedia ada diperhalusi dan sekarang ini bera ini berada di peringkat akhir, insya-Allah akan kita kemukakan bila tiba masanya nanti, insya-Allah.
Terima kasih Wakil Kota Putera.
Seterusnya saya mempersilakan Wakil Kuala Berang.
Buluh Gading
Tak apa Wakil Kuala Berang.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Kelmarin dari Chukai ke Kampung Geliga hari ni dari Kijal ke Kampung Geliga. Wakil Kuala Berang pilih soalan 3-
Masalah tekanan air rendah, khususnya di Hulu Terengganu sentiasa menjadi isu dalam kalangan penduduk setempat.
Bilakah pihak Kerajaan Negeri akan segera menaik taraf loji air SATU di Hulu Terengganu bagi mengatasi masalah ini?
Soalan tiga. Sila Cukai. Soalan nombor tiga. Rumah mana malam tidur tu?
Dok jumpa ni. Mana eh?
Sila, sila.
Allah.
Okey, okey. Tunggu, tunggu.
Relaks, relaks Yang Berhormat. Takpe kita tunggu.
Soalan lain dulu lah.
Dokleh dokleh. Cari dulu, cari dulu. Takpe takpe kita ikut turutan. Dok jumpa lagi? Kawan-kawan, Ajil tolong cari dengan Kota Putera.
Yang Berhormat Dato Yang di-Pertua.
Soalan nombor dua ke?
Soalan nombor tiga. Tiga.
Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. Soalan sebagai tertera.
Pihak Kerajaan akan menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Hulu Terengganu dalam jangka masa terdekat. Projek menaik taraf LRA ini telah diluluskan di bawah peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan kos keseluruhan sebanyak RM14 juta dan status terkini adalah di peringkat akhir pelantikan Jurutera Perunding.
Projek menaik taraf LRA Hulu Terengganu telah dibuat permohonan di bawah RMKe-12 RP4 kepada KKDW dan telah mendapat kelulusan pada tahun 2023 dengan kos keseluruhan sebanyak RM14 juta. Projek naik taraf loji ini dijangka akan disiapkan pada tahun 2027 dengan tambahan kapasiti pengeluaran daripada 55 Juta Liter Sehari (JLH) kepada 65 JLH.
Selain itu, terdapat juga projek pembinaan LRA Baharu Kenyir berkapasiti 20 JLH di bawah pinjaman Kerajaan Persekutuan dengan kos sebanyak RM30 juta. Status kemajuan terkini adalah di peringkat penyediaan dokumen tender oleh pihak perunding dan proses pengambilan tanah untuk sebahagian tapak cadangan LRA tersebut. Pembinaan LRA ini dijangka dapat disiapkan pada penghujung tahun 2029.
Dengan siapnya LRA Baharu Kenyir ini dan naik taraf LRA Hulu Terengganu kelak, penstrukturan zon bekalan air akan dibuat semula di mana LRA di daerah Hulu Terengganu akan mempunyai rizab tambahan bekalan air sebanyak 15 JLH bagi menampung keperluan masa hadapan. Terima kasih.
Terima kasih Cukai. Sila.
Soalan tambahan. Jadi terima kasih di atas EXCO Cukai yang berkaitan dengan nak upgrade lah daripada 55 kepada 60 MLD Loji Air Kuala Berang itu dan juga satu lagi loji air yang baharu yang akan bina di Kenyir dengan harga lebih kurang RM30 juta. Jadi, diberitahu tadi telah dimohon peruntukan. Yang jadi masalahnya kepada orang di Hulu Terengganu sekarang ini boleh dikatakan tiap-tiap hari masalah air ini yang mana selain daripada keupayaan loji yang ada ini turun daripada 55 kepada 42 MLD, masalah paip-paip pecah, mesin ataupun pam yang mengalami wear and tear, jadi saya berharaplah supaya benda ini pihak Kerajaan ambil cakna betul-betul kerana kalau nak tunggu pah lima tahun lagi suatu masa yang agak panjang kalau boleh perlu disegerakan. Terima kasih.
Terima kasih kepada Kuala Berang. Semalam saya rasa saya dah jawab. Insya-Allah SATU akan ambil tindakanlah bermula daripada tahun depan ini. Terima kasih.
Terima kasih Cukai. Seterusnya persilakan Jertih.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Soalan Jertih soalan satu-
Apakah kem kejurulatihan, kursus profesionalisme, peningkatan mutu kerja yang diadakan kepada pegawai-pegawai masjid di seluruh Terengganu sepanjang 2018 ke 2023?
Sekian, terima kasih.
Soalan satu. Sila kawasan Batu Buruk.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Terima kasih Jertih yang mengemukakan soalan sebagaimana yang tertera.
Kerajaan sentiasa berusaha untuk meningkatkan tahap profesionalisme pegawai-pegawai masjid mukim dan kerajaan. Antara program yang dilaksanakan adalah:
1. Kursus Tahsin 2. Kursus pemantapan pegawai masjid kerajaan 3. Program attachment bersama JAKIM 4. Kursus pengurusan masjid
Terima kasih.
Okey, ada soalan tambahan?
Soalan tambahan Yang Berhormat Dato’ Speaker. Apakah kursus-kursus kemahiran yang diadakan kepada Penguatkuasa Agama Negeri ini? Yang kita difahamkan apabila nanti diadakan sebatan syariah, saya rasa banyak konflik yang akan timbul di sensasikan oleh media dan juga kumpulan-kumpulan liberal negara ini. Apakah kursus-kursus diadakan kepada penguatkuasa agama kita? Terima kasih.
Soalan ini lari daripada soalan asal. Atas Yang Berhormat nak jawab atau tidak.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Terima kasih Jertih. Soalan asal itu memang berkait dengan perkara masjid tapi saya rasa Jertih ada kaitan juga lah sikit-sikitnya kait dengan penguatkuasa itu. Sebab kalau kita tengok dalam Enakmen, memang imam dan bilal statusnya sama seperti pegawai masjid yang boleh menjalankan kerja-kerja untuk membantu penguatkuasa dalam membasmi amalan-amalan ataupun perkara-perkara yang berkait dengan maksiat dan kemungkaran. Oleh kerana itulah Kerajaan Negeri sebenarnya kita sangat memberikan perhatian untuk memastikan kemahiran pegawai-pegawai ini. Oleh kerana itulah antara usaha yang kita laksanakan ialah menganjurkan kursus dan wacana. Sebagai contoh, kursus dan wacana
berkait dengan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) 2001, Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Terengganu 2001 dan lain-lain lagi kerana apabila mereka ini sebagai badan pelaksana akan berlaku proses-proses sebagai contoh akan dipanggil untuk soal siasat dan seumpamanya bagi melengkapkan kertas siasatan. Jadi, maklumat-maklumat ini penting untuk mereka ketahui. Oleh kerana itulah kita menekankan program-program dan juga wacana serta kursus yang sebegini. Terima kasih.
Sila Yang Berhormat Bandar.
Terima kasih Yang Berhormat Dato Yang di-Pertua. Soalan saya soalan nombor satu-
Apakah pihak Kerajaan Negeri mempunyai rancangan membaik pulih Hentian bas MBKT di dalam usaha memajukan perniagaan di situ?
Sila Yang Berhormat.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Terima kasih sahabat saya daripada Bandar yang bertanyakan soalan seperti yang tertera di skrin. Untuk makluman Dato’ Yang di-Pertua dan juga Bandar, Pihak Kerajaan melalui Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) telah merancang langkah-langkah yang akan diambil bagi usaha untuk memajukan semula Hentian Bas MBKT dengan membuat penyusunan semula peniaga-peniaga, dan menawarkan sewaan lot-lot perniagaan kepada perniagaan francais bagi menarik lebih ramai pengunjung ke kawasan tersebut termasuklah mempelbagaikan jenis jualan di situ dan juga memfleksibelkan waktu operasi di Hentian Bas MBKT. Terima kasih.
Soalan tambahan.
Terima kasih. Sila Bandar.
Terima kasih kepada Yang Berhormat EXCO. Untuk makluman pihak EXCO bahawa Hentian Bas MBKT ini dalam siri lawatan sayalah ke hentian bas ini dan memang di antara perkara yang selalu disebut ialah berhubung dengan atapnya yang bocor, air yang masuk ke dalam, pias hujan dan sebagainya. Itu satu masalah besar tetapi dalam masa yang sama juga hentian bas ini sudah menjadi suram dengan kunjungan orang yang sudah tidak ramai lagi. Jadi kita nak minta kalau sekiranya ada pihak mempunyai strategi ataupun langkah-langkah selepas pada ini untuk menarik balik pengunjung ke Hentian Bas MBKT sebab sebelum ini hentian ini memang terkenal dan memang menjadi kunjungan ramai, terima kasih.
Ya, terima kasih kepada Yang Berhormat Bandar.
Sememangnya betul apa yang dinyatakan oleh Yang Berhormat Bandar tadi, berlaku beberapa kerosakan yang agak major juga di Hentian Bas MBKT itu. Antaranya yang melibatkan bahagian bumbung jenis metal roofing yang telah pun berkarat kerana kita pun tahu bahawa usia Hentian Bas MBKT ini telah pun melewati 25 tahun, kiranya satu tempoh yang agak lama dan kita di MBKT sebenarnya telah pun memohon peruntukan dengan pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk membuat penambahbaikan dan juga membaiki bahagian-bahagian yang rosak dan termasuk selain daripada apa yang dinyatakan oleh Yang Berhormat Bandar termasuk juga yang menyumbang kepada kemerosotan ataupun kesuraman Hentian Bas MBKT ini adalah disebabkan kerana kita kata keadaan lalu lintas trafik dan juga lot-lot parking yang agak tidaklah jauh sebenarnya tetapi di tempat kita ini kadang-kadang apabila kita perlu melintas satu bahagian dua bahagian jalan raya maka akan dianggap sebagai tempat yang jauh ataupun tidak sesuai untuk kita membeli-belah. Jadi, itu yang berlaku sekarang ini di Hentian Bas MBKT bila orang kena parking agak jauh sebenarnya, tidaklah jauh tapi nampak macam jauh di sebelah Panggung Cathay itu yang sekarang ini dah jadi pasar raya, orang nampak macam jauh.
Walaupun begitu, saya juga pernah beberapa kali mengunjungi Hentian Bas MBKT dan apabila kita melihat dan menziarahi peniaga-peniaga di lot-lot perniagaan di situ untuk peniaga-peniaga yang agak muda lah yang agak muda kita melihat tidak ada banyak masalah mana disebabkan kerana mereka mempelbagaikan usaha untuk menarik perhatian pengunjung ke kedai mereka. Antaranya adalah dengan menggunakan pengaruh apa nama ni media massa baru yang ada dengan melalui TikTok dan sebagainya maka dilihat tidak sangat ada masalah berbanding dengan peniaga-peniaga yang agak berusia yang hanya berada di situ menunggu pelanggan untuk mari membeli dan sebagainya. Kebanyakkan mereka sangat bergantung kepada pelanggan-pelanggan tetap yang sedia ada yang sentiasa berulang ke tempat mereka untuk membeli dan sebagainya lagi.
Pun begitu, insya-Allah kerajaan sentiasa positif untuk membantu pihak peniaga-peniaga di Hentian Bas MBKT dan dalam senarai yang saya telah pun dibekalkan ini, banyak usaha-usaha yang dicadangkan untuk menambah lagi minat masyarakat ataupun rakyat untuk mengunjungi Hentian Bas MBKT supaya kembali seperti mana zaman kegemilangan dahulu yang pernah berlaku di Hentian Bas MBKT, terima kasih.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, boleh celah sikit…
Sila..
Yang Berhormat EXCO, kalau boleh beberapa langkah yang telah dirancang disebut di dalam Dewan ini untuk perhatian peniaga. Contohnya mempelbagaikan produk-produk yang nak dijual disitu, ada lagi banyak Yang Berhormat saya senarai saya nak minta supaya dirakam dalam Dewan ini untuk perhatian peniaga kita, terima kasih.
Ya, antaranya Yang Berhormat Bandar adalah menyusun atur semula peniaga-peniaga dengan lebih bersistematik, yang kedua membuka sewaan kepada syarikat-syarikat yang telah pun terbukti mempunyai pelanggan-pelanggan yang regular ataupun yang ramai contohnya Sabasun dan juga beberapa rangkaian peniaga-peniaga yang telah pun mempunyai peminat-
peminat mereka yang tersendiri di pelbagai daerah.
Yang ketiga, memperluaskan jenis jualan perniagaan termasuk produk-produk pelancongan Terengganu. Yang keempat, memperbaiki segala kerosakan seperti bumbung dan penyediaan pukat bagi menghalang burung-burung, masih ada lagi isu burung-burung di tingkat atas serta pencahayaan. Yang kelima, menyediakan dan membenarkan bas pelancongan untuk masuk ke dalam terminal pada waktu-waktu biasa selain daripada waktu puncak bas ekspress. Yang keenam, mengadakan usaha sama antara peniaga dan agensi-agensi pelancongan bagi promosi yang lebih kreatif melalui media sosial, Facebook, TikTok dan sebagainya. Yang ketujuh, mewajibkan setiap peniaga menjalankan perniagaan di premisnya setiap hari dalam tempoh yang dilanjutkan sehingga jam 10.00 malam.
Yang seterusnya, menyediakan kemudahan ATM dan seterusnya juga menyedia penunjuk arah dan signboard LED dan yang terakhirnya adalah melakukan rebranding kepada nama Hentian Bas itu daripada Hentian Bas MBKT kepada Terminal Sentral Kuala Terengganu, nama sedap sikitlah jadi barangkali bila tukar nama ni boleh apa nama ni berubahlah keadaan dan suasana macam orang tua-tua dulu juga kalau anak nangis dok berenti-berenti dok cakak nok berubat kadang-kadang ye tukor nama ya juga. Kadang-kadang tu tukor nama tu jadi tapi hokni ni kita boleh try lah, terima kasih Yang Berhormat.
Terima kasih. Seterusnya saya mempersilakan Yang Berhormat Sura.
Wakil Sura soalan pertama-
Boleh nyatakan kesudian Kerajaan Negeri untuk mengadakan Temasya Sukan Terengganu setelah pengajuran kali terakhir pada 2020?
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih pada Yang Berhormat Sura yang telah mengemukakan soalan sebagaimana yang tertera. Terlebih dahulu sebelum daripada saya menjawab dan menjelaskan soalan yang dikemukakan ini, saya mohon izin daripada Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua untuk mengambil kesempatan bagi merakamkan ucapan tahniah kepada ADUN Sura yang telah berjaya meraih PHD - Doktor Kesihatan Awam, Universiti Sains Malaysia (USM). Kelmarin, beliau tidak ada dalam Dewan ini kerana menyertai Majlis Konvokesyen dan hari ini bergegas balik untuk menyertai Persidangan terakhir kita pada hari ini, saya merakamkan ucapan tahniah.
Untuk makluman Yang Berhormat Sura, Kerajaan Negeri bersedia untuk menganjurkan Temasya Sukan Terengganu atau kita namakan sebagai SUTERA di mana tuan rumah bagi penganjuran SUTERA Edisi Ke-3 adalah Majlis Sukan Daerah Dungun. Walaupun begitu, kita akan melihat kepada kedudukan kewangan semasa Kerajaan Negeri untuk meneruskan ataupun tidak. Untuk makluman Dewan, Temasya Sukan Terengganu (SUTERA) adalah merupakan program dwi tahunan yang berada di bawah portfolio saya dan SUTERA dicadangkan penganjurannya setiap dua tahun sekali, berselang-seli dengan penganjuran Temasya Sukan Malaysia atau pada tahun ganjil manakala Temasya SUKMA pada tahun genap. Ada 13 jenis sukan dipertandingkan pada SUTERA iaitu 7 sukan wajib dan 6 sukan pilihan, insya-Allah jika sekiranya tidak ada sebarang permasalahan kita akan anjurkan kembali pada tahun 2025 ataupun kita akan merubah beberapa formula penganjuran sama ada berada di Kuala Terengganu atau Kuala Nerus ataupun kekal kepada pemilihan di Dungun, kita akan maklumkan kembali, terima kasih.
Terima kasih. Seterusnya, saya persilakan Yang Berhormat Bukit Besi untuk terakhir kali ini.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Wakil Bukit Besi soalan nombor dua-
Adakah peruntukan kewangan atau kursus latihan bagi industri Kraf Tangan oleh Kerajaan Negeri? Jika ada, berapakah jumlah peruntukkan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri?
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih kepada Yang Berhormat Bukit Besi. Soalan yang berkait dengan peruntukan kewangan dan juga kursus latihan bagi industri Kraf Terengganu. Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM280,000.00 pada tahun 2024 untuk pembangunan dan promosi usahawan. Dari jumlah ini, RM140,000.00 akan digunakan khusus untuk pembangunan usahawan manakala RM140,000.00 lagi diperuntukkan untuk aktiviti promosi yang turut merangkumi usahawan dalam industri kraftangan. Kerajaan Negeri juga menyokong usaha yang dijalankan oleh pihak Kraftangan Malaysia cawangan Negeri Terengganu dalam pelaksanaan Projek Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) dengan memfokuskan latihan dalam pelbagai bidang kraf termasuk anyaman, daun getah, tenunan batik dan logam serta membantu dari segi promosi dengan membawa pengusaha kraf ke ekspo-ekspo dan karnival usahawan bagi memasarkan produk kraftangan. Selain itu Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu juga akan melaksanakan program blok batik yang juga mendapat permintaan tinggi. Setiap program akan ada dua fasa dengan peruntukan bagi satu kursus antara 9,000-10,000 dan membantu dari segi promosi dengan membawa pengusaha kraf ke ekspo-ekspo dan karnival keusahawanan bagi memasarkan produk mereka. Desa ukiran kayu di UK bawah Kerajaan Negeri, Kompleks KTNZ- Kompleks Tunku Nur Zahirah dan Pusat Latihan Industri Perkayuan Terengganu (PLIPT) turut memainkan peranan penting dalam pelaksanaan program-program ini.
Mereka berkolaborasi untuk menyediakan platform bagi latihan, pameran dan pasaran bagi pengusaha kraf tempatan. Melalui usaha ini Kerajaan Negeri berharap dapat memperkukuhkan ekonomi komuniti setempat dan mempromosikan produk kraf Terengganu ke peringkat yang lebih tinggi. Sekian.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Alur Limbat. Sebelum kita mengakhiri sesi ini, ucap terima kasih kepada semua Yang Berhormat yang telah mengemukakan soalan dan Yang Berhormat pihak Kerajaan yang telah menjawab soalan-soalan yang dikemukakan. Saya juga mohon maaf kerana tidak dapat memenuhi semua soalan-soalan yang dikemukakan untuk dijawab di sepanjang Persidangan kali ini. Itu pun kita ikut berasaskan di tengah dah. Sepatutnya kita ikut ranking daripada Wakil Bandar, baru ke atas tetapi dengan sebab kalau ikut Wakil Bandar sokmo, hok belakang sekali, Yang Berhormat Sura tak sempat tapi kalau ikutnya, kena daripada Bandarlah. Walaupun demikian untuk memuaskan hati
semua pihak, sempatlah untuk merasai soalan-soalan dikemukakan untuk dijawab.
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan, saya tangguhkan sementara Dewan ini dan sambung semula pada pukul 11.00 pagi.
MESYUARAT DITANGGUHKAN PADA PUKUL 10.33 PAGI.
PUKUL 11.04 PAGI
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, sekarang tibalah masanya Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar membuat penggulungan terakhir. Saya dengan ini mempersilakan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar untuk menyampaikan ucapan penggulungan.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan, pegawai-pegawai jabatan, agensi, badan berkanun dan GLC, pimpinan parti politik, rakan media, Bentara Dewan dan petugas serta para pemerhati sekalian. Alhamdulillah, kita hampir selesai sesi Mesyuarat Ketiga Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu yang Kelima Belas dari 18-21 November 2024 pada hari ini. Sekalung penghargaan saya rakamkan kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Belanjawan 2025 pada kali ini termasuklah penghargaan kepada semua kakitangan pentadbiran Kerajaan yang turut sama berperanan bagi menggali maklumat dan membantu mendapatkan jawapan terhadap persoalan yang dibangkitkan. Sebahagian daripada persoalan yang dibangkitkan dalam
sesi pada kali ini telah dijawab oleh para Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri, sama ada secara Bertulis, Lisan atau dalam sesi penggulungan masing-masing. Saya percaya bahawa sekiranya masih ada persoalan tambahan dan baharu yang mungkin timbul, pintu pejabat kami semua sentiasa terbuka untuk menerima apa jua keluhan dan persoalan-persoalan yang ingin disampaikan. Sudah tentu segala pandangan dan cadangan baharu serta penambahbaikan, malah kritikan yang baik untuk rakyat dan negeri akan dipertimbangkan oleh Kerajaan Negeri dengan hati yang terbuka, insya-Allah. Terima kasih semua Ahli-Ahli Yang Berhormat. Walaupun kita tidak mempunyai pihak pembangkang dalam Sidang Dewan ini tetapi tugas semua Ahli Yang Berhormat adalah masih menjadi elemen semak dan imbang, menegur dan mencadang, mengingatkan saya kepada ucapan yang pertama yang disampaikan oleh Yang Berhormat Dato’ Onn Jaafar, Ahli Parlimen Kuala Terengganu Selatan dalam Sidang Pertama Dewan Rakyat di Dewan Tunku Abdul Rahman Jalan Ampang pada hari Jumaat, 11 September 1959 di mana beliau menyebut: “Bercakap untuk diri saya sendiri saya boleh memberi anda jaminan. Ini kerana saya pernah mendengar kebimbangan yang diluahkan di sesetengah pihak bahawa pembangkang akan hanya menentang. Sebenarnya ia tidak akan begitu. Matlamat pembangkang adalah untuk menawarkan pandangan yang membina”.
Pada hari ini dan pada ketika ini, tujuan dan maksud itu adalah diambil oleh semua Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian dan Kerajaan Negeri akan mendengar dengan jiwa dan hati yang terbuka dan sekali-kali kita tidak boleh berdendam atau menghukum mereka yang memberikan pandangan berbeza. Di hari yang sama juga Yang Berhormat Dato Onn Jaafar juga menyebut dalam Sidang Yang Pertama pada 11 September 1959, beliau menyebut “Saya ingin mengatakan bahawa walaupun ahli pembangkang hanya kira-kira satu pertiga daripada keseluruhan Ahli-ahli Dewan Rakyat pada waktu itu dan saya berharap mana-mana dalam perbahasan di Dewan ini perlu diingatkan bahawa satu pertiga ini mewakili 46% daripada jumlah pengundi pada Pilihan Raya Persekutuan pada tahun 1959.”
Sehubungan dengan itu juga, memang kedudukan kita di dalam Dewan ini adalah 100% dari parti yang mendokong Kerajaan yang merupakan satu sejarah baru yang kita semua adalah karakternya. Walaupun kita 100% di dalam Dewan Yang Mulia ini, perlu diingat bahawa dalam Pilihanraya Umum kerusi negeri pada 12 Ogos 2023 yang lalu di mana jumlah pengundi yang
berdaftar adalah 933,761 orang dan penduduk Negeri Terengganu pula adalah sekitar 1,209,400 orang lebih kurang. Manakala yang keluar mengundi adalah seramai 696,185 orang iaitu 74.56% dari jumlah pengundi berdaftar pada ketika itu. Ini memberi maksud bahawa yang membuat keputusan dalam pengundian pada waktu itu adalah hanya sekitar 57.6% dari jumlah keseluruhan penduduk negeri Terengganu yang turut merangkumi semua peringkat umur termasuk dengan bayi dan kanak- kanak. Secara keseluruhannya, yang mengundi kita dan membawa kita ke Dewan pada waktu ini adalah undi sebanyak 67.95% yang saya bundarkan pada 68%, manakala yang tidak mengundi kita adalah masing–masing 28.4% daripada Parti X dan 2.76% daripada Parti Y yang kita dua-dua ni kita boleh bundarkan kepada 31%. Kita semua Ahli Yang Berhormat dalam Dewan yang mulia ini, tidak hanya mewakili 68% pengundi, yang mengundi kita tetapi kita sebenarnya turut mewakili suara kesemua 31% pengundi yang tidak mengundi kita, dan kita juga menjadi wakil suara rakyat yang belum berdaftar atau tidak dapat mengundi dalam Pilihan Raya yang berkenaan. Semua pengundi, semua bukan pengundi dan semua rakyat dalam negeri kita ini yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina, India, Siam, Orang Asli adalah tanggungjawab kita semua tidak terkecuali, yang perlu kita dengar, yang perlu kita tekuni, dan dibantu untuk dijaga maslahah mereka semua. Inilah budaya politik baharu yang kita ingin bawa dan kembangkan ke seantero negeri dan negara. Kerana inilah perkara yang betul dan tepat untuk dilakukan untuk membawa negeri dan negara kita jauh ke depan dan mampu bersaing dalam dunia tanpa sempadan ini yang bukan semata-mata mengenai tahap pencapaian ekonomi, tetapi menjangkaui kesejahteraan fikiran, perasaan, serta kebebasan mengamalkan kehidupan beragama.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih saya ucapkan kepada Yang Berhormat Bandar, Seberang Takir, Ladang, Buluh Gading, Kemasik, Manir dan Jertih yang telah menyentuh berkenaan isu Royalti sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Saya percaya semua Yang Berhormat sudah jelas dengan apa yang berlaku. Untuk rekod dalam Dewan yang mulia ini, sekali lagi dan sampai bila-bila saya ingin tegaskan, sebab ada di luar sana yang tidak berapa segar, tidak berapa sihat mempertikaikan kenapa kita selalu sebut royalti, royalti, royalti. Ingin saya tegaskan bahawa royalti merupakan hak Negeri Terengganu dan mesti disalurkan mengikut Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan Perjanjian 1975 antara Kerajaan Negeri dan PETRONAS walaupun ada pihak yang menjadikan alasan, peraturan dan akta baharu yang baru-baru
ditimbulkan sebagai alasan untuk mengubah tiang gol yang sudah terpacak sejak tahun 1975 lagi. Namun di luar sana masih ada yang bertanya atau mungkin buat-buat tanya, sejak bila nak beri bonus kena dapatkan kelulusan MOF? Ini pun tidak sihat, tidak segar orang Terengganu kata dok segor. Persoalannya, kenapa perkara seperti ini timbul? Jawapan saya, sejak Kerajaan Persekutuan mengenakan sekatan terpilih royalti kepada Kerajaan Negeri Terengganu, itu sebab dia. Hingga saat ini, segala urusan perbelanjaan Negeri Terengganu yang berkait dengan peruntukan daripada royalti dipaksa untuk mendapatkan kelulusan daripada MOF terlebih dahulu. Lebih menyusahkan, pegawai Kerajaan Negeri terpaksa berulang alik setiap minggu ke Putrajaya untuk membuat permohonan satu per satu, case by case kepada MOF bagi mendapatkan kelulusan peruntukan daripada wang royalti, yang merupakan hak kita, hak rakyat Negeri Terengganu. Lebih menghairankan, penyaluran royalti ini pula dibuat dengan dua cara. Pertama, sebahagian kecil disalurkan terus ke akaun Kerajaan Negeri untuk Kerajaan Negeri uruskan, dan cara yang kedua ialah Putrajaya sendiri yang menyalurkannya peruntukan kepada pihak ketiga tanpa melalui akaun Kerajaan Negeri.
Sebagai contoh, sehingga Oktober tahun 2024, secara atas kertas diluluskan RM1.265 bilion wang royalti, akan tetapi hanya RM528,000.00 sahaja yang disalurkan ke akaun Kerajaan Negeri, itu pun sebahagian besarnya melibatkan emolumen. Manakala selebihnya yang saya bundarkan kepada RM737 juta dibayar terus oleh MOF kepada pihak-pihak yang berkenaan. Kesimpulannya, Kerajaan Negeri Terengganu tiada autoriti ke atas hampir 60% hasil Royalti Terengganu sebagaimana keadaan sebelum PRU pada bulan November 2022. Inilah politik kuno ketinggalan zaman. Keadaan ini sudah pasti akan menyebabkan rakyat Terengganu, mempunyai suatu perasaan tidak puas hati terhadap kepimpinan kerajaan di peringkat Persekutuan. Malah dalam Dewan yang mulia ini, sudah ada cadangan untuk digerakkan himpunan pelbagai himpunan dan demonstrasi bagi menuntut hak Royalti Negeri Terengganu. Saya dan rakan-rakan pimpinan yang lain, akan senantiasa memperjuangkan budaya politik lebih segar dan berubah mengikut zaman, dan bertekad untuk menggerakkan kefahaman rakyat supaya kita semua meninggalkan budaya politik diskriminasi balas dendam akibat warna parti politik dan ini adalah merupakan suatu bentuk tajdid atau reform yang semestinya berlaku dalam negeri dan negara kita.
Jangan kita mendera pilihan rakyat yang dijamin oleh perlembagaan. Dek
kerana rakyat tidak memilih kita, maka kita mendera rakyat dengan sekatan dan penyempitan pelbagai perkara. Semua ini adalah budaya lama kolot politik balas dendam, yang membawa negara kita ke belakang, dan jauh dari keharmonian. Sudah pasti, kitaran ganas atau vicious cycle dengan izin akan terus berulang dan berulang. Oleh yang demikian, saya menyeru dan mengajak semua pemimpin politik sama ada di peringkat negeri ataupun peringkat nasional. untuk menghentikan kitaran ganas ini. Sebagai pemimpin kita mesti mempunyai iltizam dan tekad yang kuat, untuk menghentikan kitaran ganas yang sebegini. Jika tidak, jangan kita bercakap mengenai reformasi, jangan kita berucap menabur janji menjangkaui awan dan sudah tentunya jangan kita bercakap mengenai hasrat membawa rakyat ke era yang baharu yang jauh ke depan. Saya percaya apa yang dilontarkan oleh Wakil-wakil Rakyat di Dewan yang mulia ini, adalah merupakan hasrat dan desakan rakyat Negeri Terengganu, yang semakin hari ditekan semakin mencari peluang untuk berjuang melawan tekanan. Tindakan politik kuno yang dilakukan ini, telah mencetuskan suasana yang tidak harmoni dan akan membangunkan dendam yang lebih dalam. Sedangkan kita di peringkat Kerajaan Negeri, bertahun-tahun berusaha memadamkan api dendam dan permusuhan dalam kalangan rakyat. Malangnya, sentiasa ada pihak yang cuba menghidupkan kembali api persengketaan yang telah terpadam di bumi Darul Iman ini. Apakah kita sanggup membayar harga yang mahal dengan mengorbankan keharmonian rakyat? Dek kerana kepentingan politik yang sementara? Ingatlah, bahawa orang politik akan terus disumpah seranah oleh generasi akan datang sebagai kelompok yang mementingkan diri sendiri dan politik kepartian, melebihi dari menjaga kepentingan rakyat dan negara. Apakah masih ada pihak yang berfikir, dengan mengenakan tindakan sekatan seperti sekatan royalti ini, termasuklah sekatan terhadap Wakil Rakyat ke Institusi Pendidikan, dan pelbagai jenis tekanan kepada parti lawan dan rakyat akan menyebabkan rakyat menyukai dan memberikan kemenangan kepada mereka dalam pilihan raya? Atas sebab itu juga, saya ingin bertanya satu soalan yang jelas dan mudah. Soalan saya, siapakah individunya, dan daripada parti mana, daripada entiti mana daripada kelompok manakah yang memberikan arahan supaya disalurkan penyaluran dana royalti minyak dan gas Terengganu sebagaimana yang berlaku pada waktu ini sehingga mendera rakyat dan Negeri Terengganu sebegini? Janganlah cuba kita berselindung, di sebalik kuasa sementara yang diberikan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala ini, tunjukkan keberanian untuk mengaku supaya rakyat di seluruh negeri, negara dan dunia jelas dengan sejelas-jelasnya. Manakala urusan selebihnya, saya serahkan kepada rakyat untuk menghakiminya.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, sebagaimana yang saya ucapkan dalam Pembentangan Bajet kali ini, Kerajaan Negeri akan terus agresif dan aktif berusaha untuk meningkatkan hasil negeri. Saya menghargai segala pandangan dan cadangan yang telah dikemukakan oleh Yang Berhormat Bandar, Seberang Takir, Ladang, Buluh Gading, Kemasik, Manir dan Bukit Besi, berkenaan dengan perancangan pendapatan baharu Negeri Terengganu. Hakikat yang perlu kita akui ialah, usaha peningkatan hasil seperti ini, adalah merupakan suatu proses yang berkait dengan faktor masa, ada yang memerlukan penambahbaikan enakmen, ada yang berkait dengan perubahan jadual kadar cukai, ada yang memerlukan proses pembidaan dan ada yang memerlukan proses membawa pelabur di mana semuanya ini adalah sama iaitu tanam hari ini, tetapi kutip hasilnya bukan pada hari esok. Dalam usaha untuk meningkatkan hasil janaan negeri, Jawatankuasa Meningkatkan Hasil dan Perbelanjaan Hemat Negeri yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat Dato’ Pegawai Kewangan Negeri telah merencana pelbagai strategi bersama dengan pelbagai entiti Kerajaan termasuklah Syarikat Berkaitan Kerajaan atau GLC. Untuk tempoh jangka pendek dan sederhana, sebahagian besarnya telah saya jelaskan dalam pembentangan Bajet Belanjawan 2025. Untuk tempoh jangka panjang pula, Kerajaan Negeri akan memperolehi hasil daripada pemajuan perindustrian menerusi pembaharuan prosedur dan proses kelulusan yang lebih efisien serta menawarkan insentif yang lebih kompetitif. Pembangunan Ladang Solar Baharu, Penjanaan dan Perdagangan Carbon Credit, Pembekalan dan Perdagangan Gas Cecair Asli (LNG), Pembangunan Loji Hydrogen Hijau dan Perlombongan Unsur Nadir Bumi termasuklah merangka strategi untuk memperolehi hasil melalui aktiviti Carbon Capture, Utilization and Storage atau CCUS dengan izin. Insya-Allah kita berharap segala perancangan dilakukan bagi tahun 2025 ini akan berjalan dengan lancar seterusnya mampu menjadi pemangkin dan asas untuk mencapai lima sasaran yang telah saya gariskan menjelang tahun 2030. Segala perancangan ini tidak mampu kita capai sekiranya minda dan cara kerja kita tidak melalui proses revolusi menyeluruh yang memerlukan supaya kita bergerak lebih pantas. Kita semua termasuk lah dari Menteri Besar hinggalah ke kakitangan yang paling rendah, memerlukan seluruh warga kakitangan Kerajaan dapat bekerja mengikut etikanya di mana saya juga telah minta kepada pihak pentadbiran supaya lebih bertegas disiplin waktu kerja. Mengurangkan karenah birokrasi, lebih efisien, bersikap mesra dan proaktif dalam merundingi pelabur dan sebagainya. Ingatlah bahawa tugas dan amanah ini adalah ditanggung oleh kita semua demi masa depan Terengganu.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saat ini negeri kita sudah memasuki musim Monsun Timur Laut. Dan sudah ada kawasan yang sudah pun mengalami banjir. Oleh itu saya mengambil kesempatan pada hari ini untuk meminta rakyat Negeri Terengganu agar senantiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan diri dan keluarga. Semua agensi dan jentera Kerajaan telah membuat persiapan dan penyelarasan semampunya bersama dengan JPKK dan seluruh warga kampung sebagai usaha untuk berhadapan dengan banjir pada tahun ini. Sama-sama kita panjatkan doa agar semuanya dipermudahkan dan kita semua selamat serta sejahtera di musim ini. Akhirnya sekali lagi saya ucapkan ribuan terima kasih kepada Ahli-ahli Yang Berhormat, kepada Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat yang mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan pada kali ini. Saya akhiri ucapan saya dengan dua rangkap pantun.
Tiadalah putih dimandikan gagak Tiadalah putih dibasuhkan arang Terus teguh berdiri tegak Hak negeri tetap diperjuang
Usaha menjangkau sehabis tangan Ruyung dipecah dapat sagu Berikhtiar tawakal kepada Tuhan Demi masa depan Terengganu.
Sekian.
Terima kasih.
Terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar yang telah menyempurnakan penggulungannya. Kita telah selesai membahaskan Enakmen Pembekalan 2025. Sekarang saya buka kepada undian-
Cadangan supaya Rang Enakmen ini dibaca bagi kali yang kedua dihadapkan kepada mesyuarat dan
dipersetujui dengan sebulat suara.
RANG UNDANG-UNDANG BERNAMA SUATU ENAKMEN BAGI MENGGUNAKAN SEJUMLAH WANG DARIPADA KUMPULAN WANG DISATUKAN UNTUK PERKHIDMATAN BAGI TAHUN 2025 DAN BAGI MEMPERUNTUKKAN JUMLAH WANG ITU UNTUK PERKHIDMATAN BAGI TAHUN ITU, DIBACA BAGI KALI YANG KEDUA
Mesyuarat sekarang menjadi Jawatankuasa.
Dalam Jawatankuasa
RANG UNDANG-UNDANG BERNAMA SUATU ENAKMEN BAGI MENGGUNAKAN SEJUMLAH WANG DARIPADA KUMPULAN WANG DISATUKAN UNTUK PERKHIDMATAN BAGI TAHUN 2025 DAN BAGI MEMPERUNTUKKAN JUMLAH WANG ITU UNTUK PERKHIDMATAN BAGI TAHUN ITU TELAH DITIMBANGKAN DARI SATU FASAL KE SATU FASAL DAN TELAH DIPERSETUJUI TANPA PINDAAN DENGAN SEBULAT SUARA.
Mesyuarat balik semula.
Bacaan Kali Yang Ketiga
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya maklumkan bahawa Rang Enakmen ini telah ditimbang dalam jawatankuasa dan telah dipersetujui dengan tiada pindaan. Saya mohon mencadangkan supaya Rang Enakmen ini dibaca bagi kali yang ketiga dan diluluskan.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon menyokong cadangan itu.
Rang Enakmen ini telah mendapat sokongan untuk dibaca bagi kali yang ketiga dan diluluskan.
Cadangan supaya Rang Enakmen ini dibaca bagi kali yang ketiga dihadapkan kepada mesyuarat dan dipersetujui dengan sebulat suara.
RANG UNDANG-UNDANG BERNAMA SUATU ENAKMEN BAGI MENGGUNAKAN SEJUMLAH WANG DARIPADA KUMPULAN WANG DISATUKAN UNTUK PERKHIDMATAN BAGI TAHUN 2025 DAN BAGI MEMPERUNTUKKAN JUMLAH WANG ITU UNTUK PERKHIDMATAN BAGI TAHUN ITU
DIPERBUAT UNDANG-UNDANG INI OLEH KUASA UNDANGAN NEGERI TERENGGANU DARUL IMAN SEPERTI YANG BERIKUT:
1 (1) ENAKMEN INI BOLEHLAH DINAMAKAN ENAKMEN PERBEKALAN 2025.
(2) ENAKMEN INI HENDAKLAH MULA BERKUAT KUASA PADA 1 JANUARI 2025
Rang Enakmen ini diluluskan dan menjadi Enakmen Perbekalan 2025.
Ahli-ahli Yang Berhormat, alhamdulillah kita telah pun selesai meluluskan Bajet 2025 dan akan meneruskan kepada Tertib Pekerjaan seterusnya iaitu Pembentangan Enakmen Kedua. Sila Setiausaha.
Dipersilakan Yang Berhormat Dr. Azman bin Ibrahim Wakil Jabi mengemukakan Rang Undang-undang Yang Kedua.
Enakmen Tanah Simpan Bagi Orang-Orang Melayu (Pindaan) 2024Bill
Bacaan Kali Yang Pertama.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan Rang Undang-Undang Bernama Suatu Enakmen untuk meminda Enakmen Tanah Simpan Bagi Orang-orang Melayu 1360, dibaca bagi kali yang pertama.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon menyokong cadangan itu.
Rang Enakmen ini dibaca bagi kali yang pertama.
RANG UNDANG-UNDANG BERNAMA SUATU ENAKMEN UNTUK MEMINDA ENAKMEN TANAH SIMPAN BAGI ORANG-ORANG MELAYU 1360, DIBACA KALI YANG PERTAMA
Bacaan Kali Yang Kedua
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan Rang Undang-Undang Bernama Suatu Enakmen untuk meminda Enakmen Tanah Simpan Bagi Orang-orang Melayu 1360 dibaca bagi kali yang kedua.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Rang Undang-undang ini bertujuan untuk meminda Sub Seksyen 9 (iii) Enakmen Tanah Simpan Bagi Orang-orang Melayu 1360 supaya Persatuan Nelayan Kebangsaan atau ringkasnya NEKMAT menjadi badan yang kepadanya pegangan Melayu boleh dipindah milik.
IMPLIKASI KEWANGAN
Rang Undang-undang ini tidak akan melibatkan Kerajaan Negeri dalam apa-apa perbelanjaan wang tambahan. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan. Terima kasih.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon menyokong cadangan itu. Terima kasih.
Rang Enakmen ini telah mendapat sokongan bagi bacaan kali yang kedua. Sekarang saya buka untuk perbahasan. Ada Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan?
Kita telah pun mendengar cadangan dan sokongan dan tiada perbahasan maka kita teruskan pembentangan Rang Enakmen Tanah Simpan Bagi Orang-orang Melayu 1360. Sekarang saya buka kepada undian-
Cadangan supaya Rang Enakmen ini dibaca bagi kali yang kedua dihadapkan kepada mesyuarat dan dipersetujui dengan sebulat suara.
RANG UNDANG-UNDANG BERNAMA SUATU ENAKMEN UNTUK MEMINDA ENAKMEN TANAH SIMPAN BAGI ORANG-ORANG MELAYU 1360, DIBACA KALI YANG KEDUA
Dalam Jawatankuasa
RANG UNDANG-UNDANG BERNAMA SUATU ENAKMEN UNTUK MEMINDA ENAKMEN TANAH SIMPAN BAGI ORANG-ORANG MELAYU 1360, TELAH DITIMBANGKAN DARI SATU FASAL KE SATU FASAL DAN TELAH DIPERSETUJUI TANPA PINDAAN DENGAN SEBULAT SUARA
Mesyuarat balik semula
Bacaan Kali Yang Ketiga
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya maklumkan bahawa Rang Enakmen ini telah ditimbangkan dalam Jawatankuasa dan telah dipersetujui dengan tiada pindaan. Saya mohon mencadangkan supaya Rang Enakmen ini dibaca bagi kali yang ketiga dan diluluskan.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon menyokong cadangan itu. Terima kasih.
Rang Enakmen ini telah mendapat sokongan untuk dibaca bagi kali yang ketiga dan diluluskan.
Rang Undang-Undang Bernama Suatu Enakmen Untuk Meminda Enakmen Tanah Simpan Bagi Orang-Orang Melayu 1360Bill
DIPERBUAT UNDANG-UNDANG INI OLEH KUASA UNDANGAN NEGERI TERENGGANU DARUL IMAN SEPERTI YANG BERIKUT:
1 (1) ENAKMEN INI BOLEHLAH DINAMAKAN ENAKMEN TANAH SIMPAN BAGI ORANG-ORANG MELAYU (PINDAAN) 2024
(2)
Enakmen Ini Mula Berkuat Kuasa Pada Tarikh Penyiarannya Dalam WartaBill
Rang Enakmen ini diluluskan dan menjadi Enakmen Tanah Simpan Bagi Orang-Orang Melayu (Pindaan) 2024.
Usul-Usul Yang Telah Diberi NotisMotion
Dipersilakan Yang Berhormat Dato’ Haji Satiful Bahari bin Mamat (Wakil Paka) mengemukakan Usul yang pertama.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan-
“Bahawa menurut seksyen kecil (3) kepada seksyen (4) Akta Kumpulan Wang Pembangunan Tahun 1996, Dewan Undangan Negeri ini membuat KETETAPAN bersetuju meluluskan peruntukan Perbelanjaan Rancangan Pembangunan Negeri Bagi Tahun 2025 sebagaimana ditentukan dalam JADUAL:
JADUAL
VOT JABATAN LANGSUNG NEGERI (RM) JUMLAH (RM)
P02 PEJABAT MENTERI BESAR DAN SETIAUSAHA KERAJAAN 419,443,780.00 419,443,780.00 P04 PEJABAT PERBENDAHARAAN NEGERI TERENGGANU 30.00 30.00 P10 JABATAN KERJA RAYA NEGERI TERENGGANU 3,055,940.00 3,055,940.00 P11 JABATAN PENGAIRAN DAN SALIRAN NEGERI TERENGGANU 500,060.00 500,060.00 P19 PEJABAT PENGARAH TANAH DAN GALIAN NEGERI TERENGGANU 10,000,010.00 10,000,010.00 P32 PELBAGAI PEMBANGUNAN 6,000,180.00 6,000,180.00
JUMLAH KECIL PERBELANJAAN PEMBANGUNAN: 439,000,000.00 439,000,000.00 P33 JABATAN BEKALAN AIR NEGERI TERENGGANU 11,000,000.00 11,000,000.00 JUMLAH PEMBANGUNAN BEKALAN AIR 11,000,000.00 11,000,000.00 JUMLAH BESAR PERBELANJAAN PEMBANGUNAN: 450,000,000.00 450,000,000.00
Butiran lanjut bagi maksud peruntukan-peruntukan ini bolehlah Ahli-ahli Yang Berhormat merujuk kepada Kertas Dewan Bil. 12/2024. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan. Terima kasih.
Yang Berhormat Dato’ Yang Di-Pertua, saya mohon menyokong usul itu.
Usul ini telah mendapat sokongan. Sekarang saya buka untuk perbahasan. Ada sesiapa Yang Berhormat yang ingin berucap?
Oleh kerana tiada perbahasan bagi usul Peruntukan Perbelanjaan Rancangan Pembangunan Negeri bagi tahun 2025. Sekarang saya buka kepada undian-
Usul ini kemudian dihadapkan kepada mesyuarat dan dipersetujui dengan sebulat suara
USUL INI DITERIMA
Dipersilakan Yang Berhormat Haji Hanafiah bin Mat (Wakil Cukai) mengemukakan Usul yang kedua.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan-
“Bahawa menurut seksyen kecil (2) kepada seksyen (4) Enakmen Kumpulan Wang Perbekalan Air 1966, Dewan Undangan Negeri ini membuat KETETAPAN bersetuju meluluskan peruntukan dari Kumpulan Wang Perbekalan Air Negeri untuk Rancangan-Rancangan Kemajuan Perbekalan Air Negeri Bagi Tahun 2025 sebagaimana ditentukan dalam JADUAL:
JADUAL Tajuk Perbelanjaan Negeri (RM) Pinjaman Pusat (RM) Jumlah (RM) Pembangunan Perbekalan Air 11,000,000.00 - 11,000,000.00 JUMLAH 11,000,000.00 - 11,000,000.00
Butiran lanjut bagi maksud peruntukan-peruntukan ini, bolehlah Ahli-ahli Yang Berhormat merujuk kepada Kertas Dewan Bil. 13/2024. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan. Terima kasih.
Yang Berhormat Dato’ Yang Di-Pertua, saya mohon menyokong usul itu.
Usul ini telah mendapat sokongan. Sekarang saya buka untuk perbahasan. Ada sesiapa Yang Berhormat yang ingin berucap?
Oleh kerana tiada perbahasan bagi Usul Peruntukan dari Kumpulan Wang Perbekalan Air Negeri untuk Rancangan-Rancangan Kemajuan Perbekalan Air Negeri Bagi Tahun 2025. Sekarang saya buka kepada undian-
Usul ini kemudian dihadapkan kepada mesyuarat dan dipersetujui dengan sebulat suara
USUL INI DITERIMA
Dipersilakan Yang Berhormat Datuk Haji Razali Bin Idris (Wakil Kijal) mengemukakan Usul yang ketiga.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan-
“Bahawa menurut seksyen 13(3) akta Acara Kewangan 1957 Dewan Undangan Negeri ini membuat KETETAPAN bersetuju meluluskan tambahan peruntukan yang pertama daripada Kumpulan Wang Perbekalan Untuk Perbelanjaan Bekalan Bagi Tahun 2024 sebagaimana ditentukan dalam JADUAL:
JADUAL MAKSUD TAJUK TAMBAHAN (RM) T.04 Pejabat Perbendaharaan Negeri Terengganu (000062 – Rancangan Bekalan Air 80,000,000.00 JUMLAH 80,000,000.00
Butiran lanjut bagi maksud peruntukan-peruntukan ini, bolehlah Ahli-ahli Yang Berhormat merujuk kepada Kertas Dewan Bil. 14/2024. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon mencadang. Terima kasih.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan, saya menyokong usul tersebut.
Usul ini telah mendapat sokongan. Sekarang saya buka untuk perbahasan. Ada sesiapa Yang Berhormat yang ingin berucap?
Oleh kerana tiada berbahasan bagi usul tambahan peruntukan yang pertama daripada Kumpulan Wang Bekalan untuk perbelanjaan bekalan bagi tahun 2024. Sekarang saya buka kepada undian-
Usul ini kemudian dihadapkan kepada mesyuarat dan dipersetujui dengan sebulat suara
USUL INI DITERIMA
Pelantikan Ahli Dewan Negara
Perkara berikut di dalam Tertib Pekerjaan Dewan ialah Pelantikan Ahli Dewan Negara.
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong telah memaklumkan kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu bahawa terdapat satu kekosongan Ahli Dewan Negara yang telah dipilih oleh Dewan Undangan Negeri Terengganu telah berlaku. Kekosongan ini disebabkan oleh tamatnya tempoh perkhidmatan seorang Ahli Dewan Negara yang lepas dan meminta supaya dipilih seorang Ahli Dewan Negara yang baru. Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan telah menitahkan supaya diadakan pemilihan seorang Ahli Dewan Negara dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri bagi memenuhi kekosongan itu.
Oleh itu Dewan Undangan Negeri Terengganu dikehendaki memilih seorang Ahli Dewan Negara menurut Perkara 45 (1) (A) Perlembagaan Malaysia mengikut Jadual ke-7. Maka saya dengan segala hormatnya mempersilakan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri untuk mengemukakan cadangan. Sila Yang Amat Berhormat Dato’ Seri.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya ingin mengemukakan cadangan pemilihan seorang calon dan mohon mencadangkan bahawa Dewan Undangan Negeri ini bersetuju memilih Yang Berbahagia Che Alias bin Hamid sebagai Ahli
Dewan Negara untuk mewakili Dewan Undangan Negeri Terengganu dalam Dewan Negara Malaysia menurut Perkara 45 (1) (A) Perlembagaan Malaysia bagi mengisi kekosongan.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya juga ingin menyampaikan sedikit ringkasan dan latar belakang mengenai dengan calon yang saya kemukakan untuk mewakili Dewan Undangan Negeri ini ke Dewan Negara.
Yang Berbahagia Che Alias bin Hamid adalah merupakan anak tempatan daerah Kemaman, Terengganu. Dilahirkan pada tanggal 2 Jun 1966. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Air Jernih, Kemaman dan melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Agama Al-Falah, Kemaman dan Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu. Seterusnya beliau ditawarkan untuk menyambung pengajian ke Universiti Malaya, Diploma Executive Pengurusan Perniagaan dan Kewangan Islam. Beliau berpengalaman sebagai Mudir Sekolah Rendah Islam Darul Taqwa, Kemaman dari tahun 1991 hingga 1997. Nazir Unit Pembangunan Insan Daerah Kemaman dari tahun 2000 hingga 2004 dan beliau juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah Permint Plywood Sdn. Bhd. bermula tahun 2000 hingga 2004 dan merupakan Ahli Majlis Perbandaran Kemaman pada tahun yang sama. Beliau juga merupakan Jurulatih Akademi Pembangunan Insan Terengganu dari tahun 2002 hingga 2003 dan merupakan bapa angkat bagi sukan tinju pada SUKMA 2018.
Beliau menjadi pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pelabuhan Kemaman dari tahun 2020 hingga 2022 dan pengerusi Khidmat Malaysia Kemaman dari tahun 2018 sehingga kini. Beliau juga menjadi Ahli Lembaga Pengarah bagi TDM Plantation Sdn. Bhd., Ruane TATI Sdn. Bhd. dan TI Hotel and Resort Management Sdn. Bhd. Beliau juga merupakan Penaung Kehormat Real Chukai FC dan menjadi Pengerusi Pengelola Kolej Yayasan Islam Terengganu.
Yang Berbahagia Che Alias bin Hamid telah dikurniakan Anugerah Darjah Kebesaran Johan Setia Mahkota pada tahun 2024, Darjah Kebesaran Setia Mahkota Terengganu oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu pada tahun 2022 dan Darjah Kebesaran Pingat Jasa Kebaktian pada tahun 2002. Beliau juga merupakan Tokoh Guru Sekolah Rendah Islam Negeri Terengganu pada tahun 2019.
Saya kemukakan latar belakang ini, semoga dengan penyertaan beliau sebagai wakil Terengganu dalam Dewan Negara akan dapat memberikan suatu sumbangan kepada agama, negara dan juga negeri. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan. Terima kasih.
Terima kasih Yang Amat Berhormat Dato’ Seri.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon menyokong cadangan itu.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, cadangan memilih seorang Ahli Dewan Negara menurut Perkara 45 (1) (A) Perlembagaan Malaysia mengikut Jadual ke-7 bagi mewakili Dewan Undangan Negeri Terengganu telah diterima dan mendapat sokongan. Sekarang saya kemukakan undian, siapa bersetuju dengan cadangan ini, sila angkat tangan.
Usul ini kemudian dihadapkan kepada mesyuarat dan dipersetujui dengan sebulat suara
USUL INI DITERIMA
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, dengan ini saya mengisytiharkan bahawa Yang Berbahagia Che Alias bin Hamid telah dipilih menjadi Ahli Dewan Negara mewakili Dewan Undangan Negeri Terengganu bagi mengisi kekosongan yang ada. Saya mohon Yang Berbahagia Che Alias untuk bangun memperkenalkan diri kepada semua Ahli-ahli Dewan.
(Yang Berbahagia Che Alias bin Hamid bangun)
Beliau juga bekas mantan Dewan Rakyat. Saya ucapkan tahniah dan syabas. Selamat bertugas untuk kecemerlangan negeri dan rakyat Negeri Terengganu. Di waktu yang sama saya juga merakamkan jutaan terima kasih dan penghargaan yang setinggi-tingginya mewakili Dewan Undangan Negeri kepada mantan Ahli Dewan Negara sebelum ini yang turut hadir bersama dengan kita pada hari ini, Yang
Berbahagia Dato’ Haji Husin bin Awang yang telah memberikan khidmatnya sebaik mungkin selama enam tahun.
TangguhanAdjournment
Perkara berikut ialah tangguhan.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan supaya Persidangan Dewan ditangguhkan kepada suatu masa yang akan ditetapkan kemudian.
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, sebelum saya tangguhkan Dewan ini, saya mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan jutaan terima kasih di atas kerjasama yang telah diberikan oleh semua Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian selama empat hari kita bersidang dan juga ucap terima kasih kepada Ketua-ketua Jabatan dan para pemerhati.
Saya tangguhkan Persidangan Dewan ini ke suatu masa dan tarikh yang akan ditetapkan kemudian dan marilah kita sama-sama membaca Surah Al-’Asr dan Tasbih Kafarah.
DEWAN DITANGGUHKAN PADA PUKUL 11.45 PAGI.