Terengganu · 14 April 2025

15th Assembly, 3rd session, 1st meeting · 2 turns · 2,354 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalTerengganu publishes one PDF per meeting, with the written answers appended. Speakers are matched by our parser and will have some errors.

Titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia SultanAddress / budget

Setiausaha Dewan

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Perkara berikut di dalam Tertib Pekerjaan Dewan pada hari ini ialah Titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan.

YANG BERHORMAT DATO’ YANG DI-PERTUA DEWAN KELUAR DARI DEWAN UNDANGAN NEGERI MEMOHON PERKENAN KE BAWAH DULI YANG MAHA MULIA SULTAN UNTUK BERANGKAT KE ISTIADAT DEWAN UNDANGAN NEGERI.

Titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan TerengganuAddress / budget

Setiausaha Dewan

Yang Berhormat Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu.

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah Yang Maha Suci, Pemilik segala kekuasaaan di langit dan di bumi. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ,sekalian ahli keluarga, para sahabat serta seluruh umat Baginda.

Alhamdulillah atas limpahan nikmat keamanan, kemakmuran, dan keselamatan yang dikurniakan kepada Negeri Beta, Terengganu Darul Iman, serta seluruh rakyat jelata yang Beta kasihi. Dengan penuh rasa syukur ke hadrat Allah subhanahu wa ta’ala, Beta merafakkan puji dan syukur kerana dengan limpah izin serta rahmat-Nya, Beta dapat berangkat bagi menyempurnakan Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas pada pagi yang berbahagia ini.

Pada kesempatan yang penuh bermakna ini, bersempena dengan bulan kemenangan bagi umat Islam setelah menunaikan Rukun Islam yang ketiga, Beta dengan penuh keikhlasan ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam di negara ini, khususnya kepada rakyat Beta yang dikasihi.

dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad , sekalian ahli keluarga,

Semoga hari lebaran ini membawa keberkatan, kegembiraan, dan mempereratkan lagi silaturahim antara kita semua. Allah subhanahu wa ta’ala berfirman dalam Surah Al-Hujurat ayat 10 yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat.”

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, pada tahun 2023, Negeri Terengganu telah mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 2.3%, dengan nilai mencecah RM38.2 bilion. Sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang utama dengan sumbangan sebanyak 52%, diikuti oleh sektor pembuatan 36.9% dan sektor pertanian 7.5%.

Sektor pertanian, khususnya, mencatatkan lonjakan yang amat memberangsangkan dengan pertumbuhan sebanyak 7.4%, suatu peningkatan ketara berbanding kemerosotan negatif 4.7% pada tahun 2022. Pemulihan ini didorong oleh pembangunan pesat dalam subsektor tanaman, terutama buah-buahan dan sayur-sayuran, serta prestasi cemerlang subsektor perikanan. Untuk tahun 2025, dalam usaha memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan Anggaran Belanjawan sebanyak RM1.887 bilion merangkumi Perbelanjaan Mengurus dan Perbelanjaan Pembangunan. Oleh itu, segala perancangan, pengurusan kewangan dan perbelanjaan perlu dilaksanakan secara sistematik dan berkesan, selaras dengan matlamat mencapai pertumbuhan KDNK antara 2.8 hingga 3.4%. Bagi memastikan Terengganu terus berdaya saing dalam menghadapi cabaran masa hadapan, Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan kepada tiga bidang utama berikut:

a) Pengukuhan Pertanian dan Industri Asas Tani b) Penerokaan Sumber Baharu dan Pelaburan c) Kelestarian Pelancongan

Dengan tumpuan kepada bidang-bidang ini, Beta yakin Negeri Terengganu akan terus berkembang sebagai sebuah negeri yang makmur, berdaya saing dan lestari demi kesejahteraan rakyat.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, sektor pertanian merupakan salah satu tunjang utama pertumbuhan ekonomi negeri dan memainkan peranan penting dalam memastikan keterjaminan makanan. Beta menzahirkan penghargaan atas usaha berterusan yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan sektor ini kembali mencatat pertumbuhan positif pada tahun 2023, setelah mengalami penguncupan selama tiga tahun sebelumnya.

Penghargaan juga dizahirkan kepada Kerajaan Persekutuan, khususnya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, atas usaha berterusan memperkukuh sektor ini menerusi Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan bersama Kerajaan Negeri. Inisiatif strategik ini bukan sahaja memastikan kestabilan dan keselamatan bekalan makanan negara, malah turut sejajar dengan sasaran Self-Sufficiency Ratio (SSR), sekali gus memperkasa daya saing sektor pertanian.

Bagi meneruskan kesinambungan serta memastikan sektor pertanian terus berdaya saing, Kerajaan Negeri telah melancarkan Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2024-2030. Pelan ini menggariskan enam teras utama sebagai panduan ke arah pembangunan sektor pertanian negeri yang lebih mampan dan inovatif.

Beta berharap agar pelan strategik ini menjadi pemangkin kepada transformasi besar dalam memodenkan sektor pertanian, memperkukuh rantaian nilai serta pemasaran, dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan para petani. Beta juga menaruh harapan tinggi agar setiap strategi dan program yang dirangka dapat dilaksanakan dengan berkesan, sekali gus meningkatkan kadar sara diri bagi setiap subsektor hingga 20% berbanding tahun 2023 serta mendorong pertumbuhan KDNK sektor pertanian sehingga 12% menjelang tahun 2030.

Seiring dengan pelaksanaan pelan ini, Beta menyarankan agar projek pertanian berskala komersial dengan pelbagai tanaman komoditi dipergiatkan. Usaha ini bukan sekadar mengukuhkan rantaian bekalan makanan negara, tetapi juga membuka lebih banyak peluang pekerjaan, merangsang pertumbuhan ekonomi setempat, serta memastikan keseimbangan pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, sejak sekian lama, Negeri Terengganu telah dikurniakan oleh Allah subhanahu wa ta’ala dengan kekayaan sumber asli minyak dan gas yang menyumbang sebahagian besar pendapatan negeri. Namun, kebergantungan berterusan kepada sumber-sumber ini berisiko terhadap kestabilan ekonomi negeri, memandangkan penerokaan sumber asli ini mempunyai hadnya. Oleh itu, wajar bagi Kerajaan Negeri untuk meneroka dan membangunkan sumber-sumber baharu yang lestari selaras dengan perubahan global yang beralih kepada tenaga yang lebih bersih dan mampan.

Kerajaan Negeri telah proaktif merangka Pelan Penjanaan Pendapatan Baharu Negeri Terengganu atau New Income Terengganu (NIT) sebagai perancangan jangka masa panjang untuk menjana pendapatan baharu bagi negeri ini. Pelan ini bertujuan meningkatkan kecekapan pengurusan hasil sedia ada dan meneroka sumber-sumber baharu yang dikenal pasti sebagai kekuatan negeri pada masa hadapan. Antara sektor yang diberi tumpuan adalah pelancongan, galian seperti silika, Non-Radioactive Rare Earth (NREE) dan bauksit serta sumber asli minyak dan gas yang akan diperkasakan dan dimampankan untuk memastikan pulangan hasil yang berterusan.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, pendekatan teknologi hijau kini semakin mendapat perhatian di seluruh dunia dan Negeri Terengganu tidak ketinggalan dalam memanfaatkan potensi sumber tenaga lestari. Beta telah dimaklumkan mengenai pelancaran Pelan Induk Teknologi Hijau Negeri Terengganu (PITiH 2030), yang memberi tumpuan kepada pembangunan lestari serta ekonomi rendah karbon. Inisiatif ini sejajar dengan komitmen negeri untuk memperkukuh penggunaan tenaga boleh diperbaharui, mengurangkan kebergantungan terhadap sumber tenaga konvensional, serta membuka lebih banyak peluang ekonomi baharu yang dapat memberi manfaat kepada rakyat.

Beta menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri kerana telah berjaya meneroka potensi besar dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, terutamanya industri solar. Setakat Disember 2024, Negeri Terengganu memiliki kapasiti solar beroperasi melebihi 333 Megawatt peak (MWp), dengan pelaburan yang diterima mencecah RM1 bilion, melibatkan 14 syarikat pelabur. Inisiatif ini bukan sahaja memberi impak positif kepada ekonomi negeri, malah turut menempatkan Negeri Terengganu di barisan hadapan dalam pembangunan tenaga hijau dan mampan, memacu negeri ini ke arah masa hadapan yang lebih hijau dan berdaya saing.

Beta dengan penuh harapan mencadangkan agar Kerajaan Negeri terus proaktif mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan di peringkat global, dalam usaha memperluas industri teknologi hijau ini. Selain itu, pembangunan infrastruktur mampan dan pemacu inovasi dalam penyelesaian tenaga bersih perlu diteruskan, bagi memastikan negeri ini kekal berada di hadapan dalam memperkasakan industri tenaga hijau untuk masa depan.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, pada tahun 2024, Negeri Terengganu berjaya menarik pelaburan sebanyak RM3.18 bilion yang bukan sahaja mengukuhkan kedudukan negeri sebagai destinasi pelaburan berdaya saing, tetapi juga membuka sebanyak 5,400 peluang pekerjaan baharu bagi rakyat Beta. Pelaburan ini merangkumi pelbagai sektor dengan 98% daripadanya disumbangkan oleh sektor pembuatan, manakala selebihnya oleh sektor pelancongan.

Perancangan pembangunan industri yang mampan ini sudah pasti akan menyokong pertumbuhan jangka panjang dan meningkatkan daya saing negeri. Sehubungan itu, Beta menyeru agar Kerajaan Negeri terus menggandakan usaha untuk menarik lebih ramai pelabur bagi meneroka potensi besar yang terdapat di Negeri Terengganu demi manfaat rakyat dan negeri. Jentera pentadbiran negeri juga mesti bertindak dengan lebih cekap, responsif dan proaktif dalam memenuhi keperluan pelabur, sekali gus mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi pertumbuhan ekonomi dan pelaburan berkualiti. Dengan komitmen dan kerjasama semua pihak, Beta yakin Negeri Terengganu akan terus maju sebagai negeri yang makmur dan berdaya saing, dengan sumber pendapatan yang pelbagai dan lestari.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, kapasiti pengendalian kargo di Dermaga Timur, Pelabuhan Kemaman sedang dipertingkat melalui pemasangan kren secara berperingkat. Langkah ini dijangka meningkatkan kapasiti daripada 4 juta kepada 12 juta metrik tan setahun, sejajar dengan peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan pelabuhan. Dengan pertambahan kargo, kadar penggunaan Dermaga Timur dijangka melebihi 65% menjelang 2027, sekali gus memerlukan pembesaran dermaga bagi mengelakkan kesesakan dan kelewatan kapal. Walaupun penambahan kren dapat meningkatkan kecekapan, kapasiti atau saiz dermaga tetap menjadi faktor utama dalam memastikan daya saing pelabuhan.

Bagi menyokong pembesaran ini, Malaysia Rail Link (MRL) akan membina Rel Jajaran Sisihan Kemaman sepanjang 12.5 km dari Chukai ke Pelabuhan Kemaman yang menghubungkannya dengan rangkaian rel kebangsaan. Ini akan meningkatkan kecekapan sistem logistik serta pengangkutan kargo melalui integrasi darat dan laut yang lebih baik. Selain itu, projek penambakan laut seluas 56 ekar akan dilaksanakan di Dermaga Timur bagi menambah ruang operasi dan infrastruktur sokongan. Projek ini kini dalam proses Kajian Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA) yang perlu dikemukakan kepada Jabatan Alam Sekitar bagi memastikan pematuhan piawaian serta kelestarian ekosistem marin.

Pelaksanaan projek-projek ini bukan sahaja meningkatkan kapasiti dan kecekapan operasi Pelabuhan Kemaman, tetapi juga memperkukuh peranannya sebagai hab logistik utama di rantau ini. Beta berharap dengan pembinaan dermaga yang lebih luas, kelengkapan yang dipertingkat, serta sambungan rel yang lebih strategik, Pelabuhan Kemaman akan dapat menampung pertumbuhan kargo pada masa hadapan, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan daya saing industri maritim negara.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, pada tahun 2025, Malaysia telah diberi penghormatan sebagai Pengerusi Association of Southeast Asian Nations (ASEAN), sekali gus membuka ruang yang luas bagi Negeri Terengganu untuk mempromosikan keindahan serta keunikan sektor pelancongannya kepada para pelancong dan delegasi antarabangsa. Kejayaan ini turut diperkukuh dengan pencapaian cemerlang Negeri Terengganu pada tahun 2024, apabila negeri ini mencatatkan kehadiran 7.8 juta pelancong, mengatasi sasaran asal sebanyak 4.5 juta pelancong yang menjadi bukti kukuh terhadap daya tarikan serta pesona negeri ini.

Sebagai persiapan menuju Tahun Melawat Malaysia 2026, pelbagai acara pelancongan telah dirangka termasuk tumpuan kepada penyelenggaraan serta pemerkasaan produk pelancongan. Usaha ini amat penting bagi memastikan Negeri Terengganu terus kekal sebagai destinasi pelancongan unggul yang bukan sahaja menarik, tetapi juga mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Calendar of Events Terengganu 2025 telah menetapkan tiga acara utama, iaitu Program Candat Sotong, Pelita Raya Terengganu dan Karnival Pantai Terengganu, sebagai acara tahunan berprestij yang menghimpunkan

penyertaan dari dalam dan luar negara. Beta yakin bahawa penganjuran acara ini bukan sahaja dapat memperkukuh identiti negeri sebagai destinasi pelancongan, malah turut memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan sosial rakyat Beta.

Selain itu, Beta turut dimaklumkan mengenai penganjuran Cycling Tour (ASEAN Solidarity) 2025 yang akan berlangsung di negeri Beta pada bulan Ogos 2025. Acara ini, merupakan sebahagian daripada program di bawah kluster ASEAN Social Cultural Community, diyakini mampu mengangkat Negeri Terengganu sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia serta memperkukuh jaringan kerjasama serantau.

Pasar Payang merupakan destinasi pelancongan ikoni yang begitu sinonim dengan Negeri Terengganu, selain berperanan sebagai nadi ekonomi serta pusat kebudayaan masyarakat setempat. Dengan siapnya projek pembinaan Pasar Payang baharu, kemudahan yang lebih selesa kini ditawarkan kepada para peniaga untuk memasarkan pelbagai hasil kraf tangan, termasuk songket, batik, serta aneka makanan tradisional yang menjadi kebanggaan negeri. Pasar Payang bukan sekadar pusat perdagangan, tetapi juga lambang keunikan dan warisan budaya kita yang perlu terus dipelihara.

Beta berharap agar pihak berwajib memainkan peranan yang sewajarnya dalam memastikan kemudahan yang disediakan sentiasa diselenggara dengan baik. Dengan usaha yang berterusan, Pasar Payang akan terus kekal sebagai destinasi tumpuan pelancong dan penduduk tempatan, sekali gus membuka lebih banyak peluang ekonomi yang berdaya maju kepada para peniaga.

Sehubungan dengan itu, bagi memastikan sektor pelancongan negeri terus berkembang pesat, Beta berharap agar Kerajaan Negeri dapat meneroka serta memperkayakan lagi produk pelancongan baharu yang berdaya saing dan berpotensi menarik perhatian pelancong dari seluruh dunia.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Beta dimaklumkan Rancangan Malaysia Ke-12 kini menghampiri penghujungnya, menandakan satu lagi fasa penting dalam perjalanan pembangunan negara. Menjelang tahun 2026, Rancangan Malaysia Ke-13 bakal membuka tirai dengan harapan dan perancangan baharu demi kemajuan negara serta kesejahteraan rakyat.

Sepanjang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12, Beta menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan bagi kelulusan sebanyak 408 projek pembangunan dengan peruntukan sebanyak RM13.56 bilion. Pelaksanaan projek ini telah memberikan pelbagai manfaat kepada rakyat Beta, termasuk mempertingkatkan kemudahan infrastruktur serta memperkukuh daya saing komuniti secara menyeluruh.

Justeru, Beta menyarankan agar Kerajaan Negeri terus memperhebat usaha serta merangka perancangan yang lebih strategik bagi memastikan setiap projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 dapat dilaksanakan dengan jayanya. Bagi merealisasikan hasrat ini, Kerajaan Negeri perlu memperkukuh hubungan serta mempererat jalinan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pelaksanaan dasar dan inisiatif pembangunan yang berkesan, seterusnya menjamin kesejahteraan masyarakat serta memacu pertumbuhan ekonomi.

Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Beta menzahirkan penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, para Hakim, Angkatan Tentera, Polis Diraja Malaysia, badan-badan beruniform, serta para pegawai perkhidmatan awam yang telah melaksanakan amanah dengan penuh dedikasi. Sesungguhnya, kerjasama erat antara semua pihak inilah yang menjadi tunjang kepada kemajuan dan kesejahteraan negeri Terengganu yang tercinta.

Semoga segala usaha murni yang telah dicurahkan ini sentiasa berada dalam limpahan rahmat dan keredaan-Nya. Mudah-mudahan setiap jerih payah serta keikhlasan yang dicurahkan demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat diberkati serta dipermudahkan segala urusan. Beta berdoa agar perpaduan yang utuh, semangat kebersamaan, serta keazaman yang tinggi dalam membangun negeri tercinta ini terus diperkukuh, seterusnya membawa kemakmuran yang berpanjangan untuk generasi kini dan akan datang.

Dengan lafaz suci Bismillahirrahmanirrahim, Beta dengan sukacitanya merasmikan Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas.

Selamat bersidang. Sekian.

KE BAWAH DULI YANG MAHA MULIA SULTAN DIIRINGI OLEH YANG BERHORMAT DATO’ YANG DI-PERTUA DEWAN BERANGKAT KELUAR DARI DEWAN UNDANGAN NEGERI.

YANG BERHORMAT DATO’ YANG DI-PERTUA MASUK SEMULA KE DEWAN UNDANGAN NEGERI.

YANG BERHORMAT DATO’ YANG DI-PERTUA: Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, bagi memberi peluang kepada Ahli-ahli Yang Berhormat meneliti Ucapan Titah DiRaja untuk membuat perbahasan, saya tangguhkan Persidangan Dewan sehingga hari Selasa, 15 April 2025 jam 9.30 pagi.

Sebelum kita mengakhiri majlis pada pagi ini, sebentar nanti Sesi Fotografi bersama Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan bersama sama semua Ahli Yang Berhormat dan Anggota Pentadbiran Negeri di hadapan Pentas DiRaja di Perkarangan Dewan Undangan Negeri. Mohon kerjasama semua Ahli Dewan berada di tempat Sesi Fotografi sebaik sahaja Dewan ditangguhkan. Sementara itu Ketua-ketua Jabatan dan semua hadirin dijemput menikmati makan tengahari di Dewan Besar, Tingkat Bawah, Wisma Darul Iman. Selepas sesi fotografi, saya ingin menjemput semua Ahli Yang Berhormat untuk menikmati jamuan di Ruang Makan Damai.

Kita tangguhkan majlis kita dengan membaca tasbih kaffarah dan Suratul „Asr.

MESYUARAT DITANGGUHKAN PADA PUKUL 11.15 PAGI.