Terengganu · 10 November 2025
15th Assembly, 3rd session, 3rd meeting · 97 turns · 8,493 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalTerengganu publishes one PDF per meeting, with the written answers appended. Speakers are matched by our parser and will have some errors.
(Pembukaan)
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian.
Sebelum kita memulakan persidangan Dewan pada pagi ini, marilah kita sama-sama membaca Ummul Quran.
(Al-Fatihah)
Perkara pertama di dalam Tertib Pekerjaan Dewan pada pagi ini ialah Doa oleh Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan.
DOA
Dibaca oleh Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan.
Ucapan Yang Berhormat Dato’ Yang Di-Pertua Dewan
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Perkara seterusnya di dalam Tertib Pekerjaan Dewan pada pagi ini ialah ucapan Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan.
Selamat pagi. Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan, para pemerhati, tuan-tuan dan puan-puan yang saya muliakan sekalian.
Alhamdulillah marilah sama-sama kita merafakkan kesyukuran kehadrat Allah kerana dengan limpah kurnia dan rahmatnya kita dapat berhimpun pada pagi ini dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Persidangan Ketiga Sidang Bajet Dewan Undangan Negeri Terengganu yang ke-15. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat dan para pegawai pelaksana serta para pemerhati sidang yang turut bersama dalam persidangan kali ini. Kehadiran dan komitmen ini mencerminkan semangat tanggungjawab yang tinggi dalam memartabatkan institusi legislatif negeri sebagai medan perbahasan yang berwibawa. Sesungguhnya dengan iltizam serta kebersamaan inilah Dewan yang mulia ini akan terus menjadi benteng keluhuran demokrasi dan wadah utama membela kepentingan rakyat Negeri Terengganu Darul Iman.
Sidang Dewan yang saya hormati, kita bersidang sekali lagi pada kali ini dalam Sidang Pembentangan Belanjawan Negeri Terengganu bagi tahun 2026. Sudah semestinya pembentangan ini amat penting dalam menentukan hala tuju pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat. Seperti kebiasaannya Dewan yang mulia ini akan berperanan memastikan setiap perbelanjaan negeri dilaksanakan dengan tertib, berhemat dan penuh tanggungjawab demi manfaat rakyat seluruhnya. Dalam penghayatan dan ajaran umat Islam amat menitikberatkan soal amanah dan kebertanggungjawaban dalam mengurus harta serta sumber kewangan. Sabda Nabi sesungguhnya Allah mencintai apabila seseorang itu melakukan sesuatu pekerjaan, dia melakukannya dengan penuh ketelitian dan sebaik-baiknya. Hadis ini boleh dijadikan pedoman dalam mengurus kewangan negeri. Kecekapan dan ketelusan adalah satu tuntutan agama, bukan sekadar amalan pentadbiran. Maka Persidangan kali ini sewajarnya menjadi medan untuk menzahirkan prinsip itqan dan amanah dalam setiap keputusan yang bakal dibuat oleh Dewan yang mulia ini.
Alhamdulillah melihat kepada dapatan data yang diperolehi daripada Jabatan Statistik Negeri dan Negara bagi aspek pertumbuhan ekonomi Negeri Terengganu terus menunjukkan prestasi yang memberangsangkan. Negeri kita mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 4.5% pada tahun 2024 berbanding 2.2% pada tahun 2023. Dari sudut pasaran pekerjaan, Negeri Terengganu terus menikmati suasana ekonomi yang stabil dan berdaya tahan. Kadar pengangguran negeri yang disasarkan sekitar 3.3% sehingga 3.6% telah berjaya diturunkan kepada 2.8% setakat suku kedua tahun 2025. Pencapaian ini memperlihatkan bahawa dasar ekonomi negeri yang berteraskan kecekapan tadbir urus, pengukuhan sektor produktif serta pengagihan manfaat pembangunan yang adil dan inklusif telah mula menampakkan positif pada rakyat Terengganu keseluruhannya.
Sebagai rangkuman tahun 2025, DUN Terengganu telah mengadakan tiga Persidangan utama. Sidang Istiadat Pembukaan, Sidang Kedua pada Julai dan Sidang Belanjawan sekarang ini yang menjadi platform penting bagi Ahli Dewan membahaskan Dasar Kerajaan, menyampaikan pandangan dan memperkukuhkan fungsi legislatif demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri.
Sementara itu, Jawatankuasa-jawatankuasa Dewan seperti Jawatankuasa Pengurusan dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) turut aktif bersidang bagi memastikan tadbir urus Dewan dan kewangan negeri berada pada tahap terbaik di samping kunjungan hormat daripada agensi kerajaan, institusi pendidikan dan organisasi masyarakat, memperkukuhkan hubungan serta perkongsian ilmu antara Dewan dan rakyat. Dalam masa yang sama Dewan Undangan Negeri juga telah menerima jemputan dan menghadiri berbagai persidangan di peringkat negara mahupun antarabangsa. Antaranya ialah Persidangan Setiausaha Parlimen dan Dewan Undangan Negeri se-Malaysia kali kedua 2025 di Iskandar Puteri, Johor yang membincangkan penambahbaikan pentadbiran legislatif penggunaan AI dalam hansard dan pemerkasaan sistem sokongan Dewan seterusnya memperkukuhkan kecekapan sokongan pentadbiran legislatif di peringkat nasional.
Di peringkat antarabangsa, Dewan Undangan Negeri telah menghadiri persidangan bersama Parlimen Komanwel Asia dan Asia Tenggara. Selain itu juga, DUN Terengganu turut hadir dalam Persidangan Antarabangsa ke-68 Parlimen Komanwel pada Oktober 2025 yang menekankan pengukuhan tadbir urus demokratik, pembangunan kapasiti Parlimen, keterangkuman Wakil Rakyat, inovasi digital dan pembangunan mampan sekali gus memperkukuhkan keberkesanan dalam legislatif negeri di pentas global.
Kesemua aktiviti ini mencerminkan komitmen teguh Dewan Undangan Negeri Terengganu dalam memartabatkan fungsi legislatif, meningkatkan akauntabiliti, memperkukuhkan kapasiti Ahli Dewan dan membina jaringan strategik di peringkat nasional dan antarabangsa, sekali gus memastikan Dewan terus relevan, berkesan, dan berwibawa dalam pemerdayaan Badan Legislatif Negeri Terengganu. Saya menyeru kepada semua Ahli Dewan Yang Berhormat agar terus menunaikan amanah yang dipikul ini dengan penuh keikhlasan, kebijaksanaan dan rasa tanggungjawab terhadap rakyat. Gunakan ruang persidangan yang mulia ini sebaik-baiknya sebagai medan perbahasan yang matang, berasaskan fakta dan disampaikan dengan adab serta hikmah.
Dalam suasana sidang bajet ini, marilah kita zahirkan semangat kebersamaan, berbeza pandangan, tetapi seiring dalam tujuan, iaitu membina negeri yang Maju, Berkat dan Sejahtera. Sesungguhnya, apabila kita melaksanakan amanah ini dengan ikhlas dan penuh tanggungjawab, maka insya-Allah, negeri yang kita cintai ini akan terus teguh melangkah ke hadapan dengan kestabilan, keadilan, dan keberkatan. Sekian.
Kertas-Kertas Kerja Dan Laporan-Laporan
Perkara seterusnya dalam Tertib Pekerjaan Dewan pada pagi ini ialah KERTAS-KERTAS KERJA DAN LAPORAN-LAPORAN.
Kertas-kertas kerja dan laporan-laporan yang dibentangkan ialah:
1.
Anggaran Hasil 2026 (DUN Bil.17/2025)
2.
Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Negeri Terengganu Tahun 2026 (DUN Bil.18/2025)
3.
Anggaran Perbelanjaan Kumpulan Wang Bekalan Air Tahun 2026 (DUN Bil.19/2025)
4.
Penyata Kewangan Negeri Terengganu Tahun 2024 (DUN Bil.20/2025)
5.
Laporan Ketua Audit Negara 3/2025 (DUN Bil.21/2025)
6.
Laporan Tahunan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) Tahun 2023 (DUN Bil.22/2025)
7.
Penyata Tahunan 2024 Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri Terengganu (DUN Bil.23/2025)
8.
Keistimewaan bagi Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (Seksyen 5 Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Saraan) 1980) (DUN Bil.24/2025)
Soalan-Soalan Yang Telah Diberi NotisQuestions
Perkara berikut ialah Soalan-soalan Yang Telah Diberi Notis:
(1) Soalan-soalan Bertulis (2) Soalan-soalan Lisan
Jawapan-jawapan kepada Soalan-soalan Bertulis telah diberi notis dan telah dibentangkan di hadapan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian ialah soalan-soalan daripada:
1. Yang Berhormat Wakil Bandar
2. Yang Berhormat Wakil Jertih 3. Yang Berhormat Wakil Buluh Gading 4. Yang Berhormat Wakil Kemasik 5. Yang Berhormat Wakil Ladang 6. Yang Berhormat Wakil Pengkalan Berangan 7. Yang Berhormat Wakil Seberang Takir 8. Yang Berhormat Wakil Permaisuri 9. Yang Berhormat Wakil Rantau Abang 10. Yang Berhormat Wakil Batu Rakit 11. Yang Berhormat Wakil Langkap 12. Yang Berhormat Wakil Air Putih 13. Yang Berhormat Wakil Telemong 14. Yang Berhormat Wakil Bukit Tunggal 15. Yang Berhormat Wakil Kuala Besut 16. Yang Berhormat Wakil Bukit Besi 17. Yang Berhormat Wakil Sura
Soalan-Soalan LisanQuestions
Adapun soalan-soalan lisan, sekarang kita masuk kepada soalan-soalan tersebut. Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah memberi notis untuk mengemukakan soalan-soalan lisan pada 10 November 2025 adalah sebagaimana berikut:
1. Yang Berhormat Wakil Bandar 2. Yang Berhormat Wakil Jertih 3. Yang Berhormat Wakil Kuala Berang 4. Yang Berhormat Wakil Buluh Gading 5. Yang Berhormat Wakil Kemasik 6. Yang Berhormat Wakil Ladang 7. Yang Berhormat Wakil Pengkalan Berangan 8. Yang Berhormat Wakil Manir 9. Yang Berhormat Wakil Seberang Takir 10. Yang Berhormat Wakil Permaisuri 11. Yang Berhormat Wakil Hulu Besut 12. Yang Berhormat Wakil Rantau Abang 13. Yang Berhormat Wakil Batu Rakit 14. Yang Berhormat Wakil Langkap 15. Yang Berhormat Wakil Air Putih 16. Yang Berhormat Wakil Telemong
17. Yang Berhormat Wakil Bukit Tunggal 18. Yang Berhormat Wakil Kuala Besut 19. Yang Berhormat Wakil Bukit Besi 20. Yang Berhormat Wakil Sura
Dipersilakan Yang Berhormat Wakil Bandar untuk mengemukakan soalan.
Terima kasih Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua.
Yang Berhormat Dato' Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan, Wakil-wakil Ketua Jabatan, para tetamu yang dikasihi dan dirahmati Allah sekalian. Izinkan saya mula soalan pada pagi ini, soalan pertama.
Apakah perkembangan misi-misi pelaburan yang dibuat oleh Kerajaan Negeri di luar negara sepanjang tempoh 2022 sehingga kini?
Terima kasih.
Soalan pertama gabung dengan Jertih. Sila Yang Berhormat.
Terima kasih kepada ADUN Bandar yang memberikan peluang pada saya memulakan sesi soalan lisan pada Sidang DUN pada kali ini. Yang Berbahagia Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua Dewan, Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar, rakan-rakan Ahli MMKN, Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan seterusnya pemerhati yang dirahmati Allah sekalian.
Berkenaan dengan persoalan yang dikemukakan oleh ADUN Bandar, Kerajaan Negeri melalui agensi berkaitan sentiasa proaktif dan melaksanakan misi pelaburan strategik keluar negara bagi memperkukuhkan asas ekonomi negeri,
menarik pelaburan langsung asing, FDI serta memacu pertumbuhan sektor berimpak tinggi seperti mana teknologi hijau, sumber mineral, nadir bumi yang bukan radioaktif (NREE) dan juga minyak dan gas. Antara pencapaian utama hasil pelaksanaan misi keluar negara dari tahun 2022 sehingga sekarang. Antaranya adalah seperti berikut yang pertama, kerjasama teknologi (NREE) Kerajaan Negeri melalui misi pelaburan ke Australia, Jepun, Korea dan China telah menjalinkan rundingan bagi mendapatkan teknologi pemprosesan NREE yang mesra alam dan berdaya saing.
Yang keduanya pengembangan sektor minyak dan gas. Syarikat milik Kerajaan Negeri, EPIC Berhad telah berjaya memperolehi kontrak melibatkan pelbagai aktiviti hiliran dan logistik. Selain itu, rundingan juga sedang berlangsung dengan syarikat berpengkalan di Oman bagi pengambilalihan dua lapangan minyak yang telah dikenal pasti dengan kerjasama strategik bersama Petronas. Dalam bidang gas, lawatan kita ke China adalah untuk melihat dan memastikan cadangan untuk mendaratkan LNG di Pelabuhan Kemaman pada penghujung 2028 ataupun awal 2029 akan berlangsung dan mendapat kerjasama dengan MBI dan EPIC.
Yang seterusnya pembangunan teknologi hijau dan tenaga baru, pelancaran Pelan Induk Teknologi Hijau Terengganu (PITIH) 2030 menandakan komitmen kerajaan untuk menjadikan Terengganu sebagai peneraju tenaga hijau negara. Pelan ini menyasarkan penjanaan tenaga hijau sebanyak 4 gigawatt menjelang tahun 2030 iaitu bersamaan 20% daripada kapasiti Tenaga Hijau Nasional. Antara projek utama di bawah inisiatif ini, termasuk Projek Hybrid Hydro Floating Solar di Tasik Kenyir, Loji Hidrogen Petronas di Kertih, Taman Perindustrian Kemaman untuk Pembangunan Industri Hiliran CCUS-Carbon Capture Utilisation and Storage dengan izin dan projek rintis kincir angin di Kemaman.
Yang seterusnya, Dasar Pelaburan dan Perindustrian Terengganu 2023-2030. Kerajaan Negeri telah memperkenalkan dasar ini bagi menjadikan Terengganu sebagai negeri mesra pelabur dan berdaya saing di peringkat antarabangsa. Fokus utama diberikan kepada enam kluster strategik iaitu minyak dan gas, teknologi hijau, pembuatan, logistik, bioteknologi dan teknologi bangunan. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat, ada soalan tambahan?
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, soalan saya untuk tambahan ialah, baru ini kita dimaklumkan dalam siri lawatan Presiden Amerika ke Malaysia telah termeterai satu perjanjian strategik antara Kerajaan Malaysia dengan Amerika Syarikat dan di antaranya melibatkan isu REE ini, boleh tak pihak kerajaan maklumkan apakah kesan daripada termeterai perjanjian ini dan bagaimana penyelesaian yang boleh kita ambil. Terima kasih.
Sila, Yang Berhormat.
Soalan pendek tapi jawapan agak kena panjang sebab antara intipati perjanjian itu selain daripada kesan positif atau negatif, Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Jadi saya cuba simplifykan, pemudahkan. Antara intipati perjanjian perdagangan timbal balas ataupun yang disebutkan ART di antara Malaysia dan Amerika Syarikat tetapi dalam saya ambil fokus dalam industri REE sahaja seperti mana yang ditanya oleh ADUN Bandar. Ada tujuh elemen yang terlibat untuk makluman Dewan.
1. Pembangunan Kapasiti Hiliran. Kerjasama untuk membangunkan keupayaan hiliran REE di Malaysia merangkumi pengekstrakan, pemprosesan dan penapisan dan juga pembuatan produk bernilai tinggi. Ini selaras dengan hasrat Malaysia untuk tidak lagi mengeksport bahan mentah.
2. Akses Pasaran ke Amerika. Malaysia telah berjanji untuk tidak mengenakan larangan ataupun kuota ke atas eksport mineral kritikal ataupun unsur nadir bumi kepada Amerika Syarikat.
3. Magnet Nadir Bumi. Malaysia komited untuk memastikan tiada sekatan dikenakan ke atas jualan magnet nadir bumi kepada Amerika Syarikat.
4. Mempercepatkan Pembangunan Sektor.
Malaysia akan mempercepatkan pembangunan sektor mineral kritikal dan REE melalui
perkongsian pengetahuan teknikal dan amalan terbaik dengan syarikat Amerika Syarikat.
5. Kepastian Operasi. Komitmen untuk memberikan lesen operasi lanjut bagi mewujudkan kepastian perniagaan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran.
6. Pengukuhan Rantaian Bekalan. Kerjasama ini bertujuan untuk mengukuhkan daya tahan rantaian bekalan mineral kritikal global terutama bagi Amerika Syarikat dengan mempelbagaikan sumber selain daripada China.
7. Pelaburan dan Teknologi. Pembangunan ini dijangka membuka pintu kepada kemasukan pelaburan dan teknologi bahawa Amerika Syarikat dalam sektor mineral kritikal Malaysia. Perlu diingat bahawa walaupun Malaysia memberi komitmen untuk tidak mengenakan sekatan eksport kepada Amerika Syarikat, Kerajaan Malaysia menyatakan ia kekal dengan dasar melarang eksport unsur nadir bumi mentah secara umum untuk memastikan pembangunan industri hiliran tempatan dan perjanjian tersebut bergantung kepada pembangunan kapasiti pengeluaran dalam negara.
Namun, kenyataan item nombor dua yang umum serta tidak memperincikan larangan itu untuk mineral kritikal ataupun unsur nadir bumi mentah iaitu REE karbonat masih berisiko merugikan negara kerana membuka ruang kepada usaha pengecualian ke atas larangan yang dinyatakan. Jika diteliti, isi perjanjian ini ialah satu bentuk jaminan perlindungan kepada syarikat pemprosesan REE yang sedia ada di dalam negara yang turut memiliki sebahagiannya adalah pelabur daripada Amerika Syarikat untuk beroperasi lebih lama menerima bekalan REE mentah ataupun REE karbonat dari negeri-negeri di dalam Malaysia termasuk Terengganu untuk diproses sebagai nadir bumi ataupun REE oksida dan mengeksport REEO ini ke Amerika Syarikat dengan lebih eksklusif.
Kesan kepada industri REE Terengganu ada positif dan negatifnya. Perjanjian dengan Amerika Syarikat ini yang positif yang pertama yang boleh saya kongsikan syarikat pemprosesan REE sedia ada yang turut dimiliki oleh pelabur Amerika itu membenarkan REE mentah yang mungkin dibekalkan dari lombong
di Terengganu dijual kembali hasilnya di dalam bentuk oksida kepada negeri dan tidak menjadikan hak eksklusif untuk eksport ke Amerika Syarikat semata-mata. Selain daripada China dan Amerika, potensi pasaran REE oksida ini juga sangat besar buat baki negara dunia yang lain ataupun dengan izin rest of the world seperti Jepun, Korea, negara Eropah seperti Jerman dan lain-lain. Negara-negara ini juga amat hebat industri automotif turbine dan elektronik termasuk yang mengguna pakai REE oksida. Ini potensi pelaburan yang turut diterokai oleh Negeri Terengganu.
Yang keduanya adalah Pembangunan Sektor Hiliran REE Malaysia.
Pemprosesan, penapisan, pembuatan yang dijanjikan bersama dengan Amerika Syarikat itu benar-benar direalisasikan untuk membina pintu kepada kemasukan modal, pemindahan teknologi dan kepakaran Amerika khususnya pembinaan kilang super magnet di Negeri Terengganu ini beserta industri yang melengkapkan kitaran, rantaian di dalam sektor hiliran seperti komponen motor elektrik, EV turbine, komponen elektrik termaju (advanced electronic component) dengan izin dan lain-lain di dalam perindustrian di negeri ini, insya-Allah.
Sukacita ataupun dukacita sebenarnya kalau negative sidelah untuk memaklumkan bahawa tiada sebarang rujukan ataupun konsultasi terperinci dengan Kerajaan Negeri Terengganu atau lain-lain agensi negeri seperti Kelantan dan juga yang merupakan pemilikan kedua terbesar nadir bumi di Malaysia apabila Kerajaan Malaysia menandatangani perjanjian perdagangan timbal balas ataupun ART dengan Amerika mengikut klausa-klausa yang dinyatakan tadi. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat.
Seterusnya, saya persilakan Yang Berhormat Jertih.
Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua Dewan, Jertih soalan pertama. Terima kasih.
Apakah perkembangan terkini terminal bas Jertih?
Soalan pertama, Yang Berhormat Cukai.
Terima kasih Wakil Jertih.
Yang Berhormat Dato’ Speaker, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, rakan-rakan EXCO, Ahli-ahli Yang Berhormat, tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Soalan sebagaimana tertera.
Terminal bas Jertih telah mula dibina dan dimilik tapak pada 26 Disember 2024 dan dijangka siap pada 23 Jun 2027. Laporan terkini kemajuan fizikal kerja adalah mencapai 11.62% di mana berlaku kelewatan kemajuan sebanyak - 1.89% atau bersamaan dengan enam hari bekerja, berbanding jadual asal 13.51%. Kelewatan utama berlaku disebabkan oleh kegagalan pihak kontraktor dalam mengikut jadual bagi kerja-kerja pengujian piling sebagaimana yang telah ditetapkan. Antara langkah dan tindakan dalam mengatasi isu kelewatan, pertama, JKR akan mengeluarkan surat amaran nombor 3 atau kali ketiga kepada pihak kontraktor dan yang kedua, JKR akan mengeluarkan arahan untuk pihak kontraktor mengemukakan recovery plan untuk projek ini kembali ke kontrak. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Cukai, sila Yang Berhormat Jertih, ada soalan tambahan?
Terima kasih YB Cukai. Satu soalan tambahan berkaitan dengan kemelut infra di bandar Jertih sangat penting kerana melibatkan kesesakan jalan raya pada musim perayaan atau hujung minggu. Bagaimanakah perkembangan dengan jambatan Jertih? Terima kasih.
Soalan lain tu…
Boleh jawab.
Boleh?
Okay, soalan mengenai Projek Jejambat Sungai Besut. Berdasarkan maklumat semasa, Projek Jejambat Sungai Besut ini masih berada di peringkat perancangan dan baru selesai Bengkel Kejuruteraan Nilai Value Engineering pada Ogos 2025.
Yang Berhormat, dia tanya jambatan tadi Yang Berhormat.
Ni la… projek Jejambat Sungai Besut la ni.
Sungai Besut? Jambatan?
Ya.
Haa, okay…
Penyediaan dan kelulusan reka bentuk terperinci oleh Jabatan Kerja Raya. Yang kedua proses perolehan pelantikan kontraktor bersasar akan berlaku pada tahun 2025. Terima kasih.
Okay Yang Berhormat, soalan lari daripada soalan asal, tak apalah. Sila, Yang Berhormat Kuala Berang.
Terima kasih Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua Dewan.
Kawan-kawan saya daripada ADUN Bandar, Jertih pakat tanya soalan nombor 1. Jadi saya pun nak tanya soalan nombor 1 juga.
Okay nombor 1. Kuala Berang nombor 1.
Apakah status terkini projek pembinaan masjid baru di Kampung Tanjung Putat, Kuala Berang, termasuk jadual pelaksanaan dan jangkaan tarikh siap?
Terima kasih Kuala Berang. Soalan sebagaimana yang tertera. Status terkini Projek Pembinaan Masjid Baru di Kampung Tanjung Putat, Kuala Berang adalah di peringkat pelaksanaan semula setelah mendapat hala tuju melalui Mesyuarat Tuntutan Peringkat Negeri bertarikh 11 September 2025. Jangkaan tarikh siap akan ditentukan setelah perjanjian tambahan (SA) dimuktamadkan. Terima kasih.
Tambahan. Sila, Yang Berhormat Kuala Berang.
Terima kasih Yang Berhormat Cukai. Kita tahu bahawa projek ini bermula daripada tahun 2022, jadi sudah empat tahun dalam pembinaan dan nampaknya supplement agreement pun masih belum siap. Jadi, nak tahulah apakah faktor-faktor yang menyebabkan projek ini belum siap.
Terima kasih.
Faktor yang menyebabkan projek pembinaan masjid ini tertangguh sebelum ini adalah berpunca daripada keperluan semakan semula harga kontrak, susulan kenaikan kos bahan binaan dan perubahan keperluan teknikal yang menjejaskan kemampuan kontraktor melaksanakan kerja pada kos yang asal. Bagi menangani isu ini, Mesyuarat Tuntutan Peringkat Negeri bertarikh 11 September 2025 telah bersetuju supaya projek diteruskan melalui pelarasan semula harga kontrak dan had siling tambahan kos yang dibenarkan. Kerajaan Negeri turut menetapkan supaya rundingan harga diadakan antara agensi pelaksana dan kontraktor bagi memastikan keputusan pelarasan harga adalah lebih menjimatkan serta tidak membebankan kewangan negeri. Pelaksanaan semula kini sedang berjalan dengan pemantauan rapi oleh agensi pelaksana. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Kuala Berang dan Yang Berhormat Cukai. Seterusnya, saya persila Yang Berhormat Buluh Gading.
Terima kasih Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, soalan nombor 1.
Apakah perkembangan terkini Portal Jodoh Darul Iman yang telah dilancarkan oleh YAB Dato’ Menteri Besar Terengganu pada awal Ogos 2025 yang lalu?
Ada Yang Berhormat EXCO yang mewakili Yang Berhormat Ajil? Untuk menjawab soalan daripada Wakil Buluh Gading ni. Sila Yang Berhormat Kerajaan. Yang Berhormat Ajil tidak dapat bersama dengan kita kerana keuzuran dan terpaksa cuti dalam tempoh Persidangan kali ini dan kita doakan agar beliau cepat sembuh. Sila, Yang Berhormat Kerajaan. Sila.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, jawapannya…
Yang di-Pertua, Dato’ Yang di-Pertua.
Ehh.. Dato’ Yang di-Pertua, maaf.
Ulang sekali lagi, saya akan…[ketawa]
Baik Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, portal Jodoh Darul Iman telah dilancarkan pada 6 Ogos 2025 dan dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu bertempat di Damai Lounge, Tingkat U2, Wisma Darul Iman. Portal ini merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Terengganu melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu bagi
membantu rakyat negeri ini khususnya golongan bujang, duda, janda dan balu mencari jodoh secara patuh syariat dan terkawal. Status terkini setakat 16 September, jumlah pendaftar seramai 2,048 orang, berjaya daftar penuh 1,550 orang, dalam penilaian semula 498 orang. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Cukai. Sila Yang Berhormat. Ada soalan tambahan? Tak dok? Seterusnya, saya persilakan Yang Berhormat Kemasik.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Soalan Kemasik nombor 2.
Apakah perancangan tempoh masa sederhana dan panjang Kerajaan Negeri untuk Pembangunan Industri NREE di Terengganu dan apakah status terkini?
Soalan Kemasik nombor 2. Yang Berhormat Kota Putera, sila.
Terima kasih Kemasik. Dato’ Yang di-Pertua, selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Hasil NR-REE Negeri Terengganu Bil. 1/2025 (2), Kerajaan Negeri melalui MBI Modal Sdn. Bhd. (MBIM) yang telah dilantik sebagai pelaksana eksklusif dan pemegang konsesi projek NR-REE sedang melaksanakan perancangan pembangunan industri ini secara berfasa merangkumi tempoh jangka sederhana dan juga jangka panjang.
Bagi tempoh perancangan jangka sederhana, fokus utama Kerajaan Negeri melalui MBIM adalah untuk melaksanakan kajian awal di kawasan berpotensi yang mengandungi batuan granite di seluruh Negeri Terengganu. Kajian ini bertujuan mengenalpasti kawasan alternatif yang sesuai untuk aktiviti eksplorasi NR-REE, memandangkan sebahagian besar kawasan yang dikenal pasti sebelum ini terletak di dalam Hutan Simpan Kekal ataupun HSK. Bagi tempoh jangka panjang pula, tempoh tumpuan ini akan diberikan kepada pembangunan rantaian penuh industri NR-REE di Negeri Terengganu, termasuk
penubuhan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dengan izin, yang merangkumi pelbagai jenis mineral termasuk NR-REE. Pusat ini bakal berfungsi sebagai hak penyelidikan, analisis dan pembangunan teknologi berkaitan mineral strategik yang akan memperkukuhkan keupayaan industri di peringkat negeri dan kebangsaan.
Dari segi status semasa, MBIM kini menunggu kelulusan lesen memfosik bagi beberapa kawasan yang telah dikenal pasti oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) untuk meneruskan aktiviti sektor huluan ataupun upstream. Selain itu, MBIM juga sedang memuktamadkan Memorandum Persefahaman (MoU) bersama dengan Lynas Sdn. Bhd. bagi menjalin kerjasama dalam sektor pertengahan ataupun midstream.
Pada masa yang sama, MBIM turut mengadakan siri-siri libat urus untuk rundingan strategik bersasar beberapa kementerian dan juga agensi persekutuan termasuk Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA). Sesi-sesi ini diadakan bagi meneroka peluang-peluang pelaburan baharu, kerjasama teknikal dan pemindahan teknologi dalam sektor NR-REE ini. Melalui inisiatif ini, Kerajaan Negeri berhasrat untuk memastikan pembangunan industri mineral strategik di Terengganu selari dengan Dasar Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021-2030 dan Aspirasi Dasar Mineral Negara Ketiga (DMN3). Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Kota Putera. Ada soalan tambahan?
Yang Berhormat Dato’ Yang Di-Pertua, soalan tambahan. Apakah tindakan yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan hak dan kepentingan hasil bumi Terengganu ini dipelihara dan terjaga? Seterusnya, perkara sama sebagaimana yang berlaku kepada penafian bayaran royalti minyak dan gas tidak berulang untuk NR-REE?
Sila, Yang Berhormat.
Terima kasih, Kemasik. Untuk makluman Sidang Dewan, secara dasarnya mengikut Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, kuasa
terhadap mineral, sumber mineral terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri. Ini bermakna segala bentuk penerokaan, pelaburan, eksport dan pembangunan yang melibatkan mineral strategik khususnya seperti mana NR-REE ini di dalam sempadan Negeri Terengganu mesti mendapatkan kebenaran dan kelulusan Kerajaan Negeri terlebih dahulu. Jadi berdasar kepada Jadual Kesembilan Perlembagaan inilah antara yang kita perlu pertahankan supaya ia berbeza dengan Akta Petroleum kerana dia ada akta yang sendiri yang ini termaktub di bawah Perlembagaan kita. Harapan dengan ada inilah yang dapat kita mengekalkan kedaulatan mineral di dalam negeri kita. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Kota Putera. Seterusnya saya persila Yang Berhormat Ladang.
Terima kasih Dato' Yang di-Pertua, soalan saya soalan pertama.
Berapakah jumlah syarikat di Terengganu yang memiliki sijil Halal JAKIM?
Soalan pertama Yang Berhormat Alur Limbat, sila.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Ladang. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan, soalan sebagaimana tertera. Jumlah syarikat di Terengganu yang memiliki sijil halal JAKIM adalah sebanyak 316 buah syarikat. Manakala pecahan syarikat mengikut skim adalah premis makanan 91, produk makanan 178, barang gunaan 15, kosmetik 4, pengilangan kontrak OEM 22, rumah sembelihan 6 dan jumlah keseluruhan 316. Sekian.
Soalan tambahan saya. Terima kasih Dato' Yang di-Pertua. Mohon Yang Berhormat nyatakan daerah mana yang mempunyai jumlah pengiktirafan sijil halal JAKIM paling tinggi dan nyatakan jumlah pecahan mengikut daerah. Terima kasih.
Jumlah pecahan mengikut daerah- Kuala Terengganu 77, Kemaman 63, Dungun 48, Besut 31, Hulu Terengganu 18, Marang 35, Setiu 9, Kuala Nerus 35 dan jumlah keseluruhan 316 dan daerah yang paling tinggi sekali adalah Kuala Terengganu iaitu 77. Sekian.
Terima kasih Yang Berhormat.
Seterusnya saya persila Yang Berhormat Pengkalan Berangan.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, SATU naik MMKN subsidikan, Terengganu baik, tak perlu pembangkang, Soalan naik, perlu jawapan, Nombor satu, mohon penjelasan.
Apakah langkah segera yang sedang diambil oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan pembinaan loji rawatan air untuk daerah Marang dapat direalisasikan?
Sila, Yang Berhormat Cukai.
Terima kasih Pengkalan Berangan, Yang Berhormat Dato’ Yang Di-Pertua, soalan sebagaimana tertera. Langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri adalah dengan melantik JKR Negeri Terengganu sebagai Pegawai Penguasa Projek dengan Membina dan Menyiapkan Loji Rawatan Air dan Sistem Agihan Daerah Marang Terengganu Fasa I melalui keputusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bertarikh 21 Mei 2025. Langkah seterusnya pada ketika ini, pihak Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU) dan Jabatan Bekalan Air Negeri Terengganu (JBA) sedang dalam penyediaan dokumen-dokumen berkaitan bagi persediaan makmal pengurusan nilai yang akan dilaksanakan dan dikendalikan oleh pihak JKR, terima kasih.
Ada soalan tambahan?
Terima kasih kepada Yang Berhormat EXCO di atas penjelasan. Soalan tambahan saya ialah bilakah dijangka projek LRA-Loji Rawatan Air Marang akan mula dilaksanakan secara fizikal dan berapa tempoh masa yang diperlukan untuk disiapkan? Sekian.
Projek ini berada di peringkat penyediaan dokumen untuk makmal pengurusan yang akan dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya dengan kerjasama Syarikat Air Terengganu dan Jabatan Bekalan Air. Makmal pengurusan nilai ini bertujuan memperincikan skop kerja keutamaan, komponen serta memastikan nilai optimum bagi setiap perbelanjaan. Selepas makmal tersebut selesai dan laporan disahkan, fasa reka bentuk dan tender akan dilaksanakan menjelang pertengahan tahun 2026. Manakala pelaksanaan fizikal di tapak dijangka bermula pada suku keempat tahun 2026 dengan tempoh pembinaan sekitar tiga tahun. Ini bermakna projek dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2029 tertakluk kepada perusahaan akhir reka bentuk dan peruntukan kewangan, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Cukai, seterusnya saya persila Yang Berhormat Seberang Takir.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang Di-Pertua. Soalan saya, satu je nombor 1.
Berapa bilangan peluang pekerjaan yang berjaya diwujudkan melalui pelaburan baru di Terengganu dalam tahun 2024 sehingga pertengahan 2025?
Sila Yang Berhormat Kota Putera.
Terima kasih Yang Berhormat Seberang Takir. Sepanjang tahun 2024 sehingga pertengahan tahun 2025 Negeri Terengganu telah berjaya mewujudkan sebanyak 2,256 peluang pekerjaan baharu hasil daripada pelaksanaan projek pelaburan baharu dalam dua sektor utama iaitu pembuatan dan perkhidmatan. Bagi tahun 2024, sektor pembuatan telah menyumbang sebanyak 247 peluang pekerjaan manakala sektor perkhidmatan menambah 5 peluang pekerjaan. Pada separuh pertama tahun 2025, jumlah peluang pekerjaan meningkat dengan ketara apabila sektor pembuatan menyumbang sebanyak 1,971 peluang pekerjaan dan sektor perkhidmatan pula menambah sebanyak 33 peluang pekerjaan. Secara keseluruhannya sektor pembuatan kekal sebagai penyumbang utama kepada pertumbuhan pasaran pekerjaan baharu di Negeri Terengganu dengan jumlah keseluruhan 2,218 peluang pekerjaan diikuti oleh sektor perkhidmatan sebanyak 38 peluang pekerjaan. Data ini mencerminkan kesan positif pelaburan baharu terhadap pembangunan ekonomi negeri serta menunjukkan keyakinan berterusan pelabur terhadap potensi industri di Negeri Terengganu terutama dalam bidang pembuatan dan perkhidmatan berimpak tinggi. Terima kasih.
Ada soalan tambahan? Sila.
Tahniah Kerajaan Negeri Terengganu. Berdasarkan peluang-peluang pekerjaan yang bertambah tadi, saya nak tanya berapakah sekarang kadar pengangguran Negeri Terengganu yang terkinilah kalau ada. Terima kasih.
Sila. Kadar pengangguran terkini. Sila Yang Berhormat.
Kalau soalan itu sepatutnya berada di portfolio Dato’...
Takpe kalau perlu Notis…
Kalau tu, bagi Notis. Kalau ambil dari ucapan Dato’ Yang di-Pertua tadi, kita sekarang ini berada di paras 2.8%...
Apa jawapan…
Tapi minta YB Dato’ Ariffin jawab.
Jawab secara bertulis.
Okay, terima kasih.
Seterusnya saya persilakan Yang Berhormat Hulu Besut.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Hulu Besut soalan nombor dua.
Apakah perancangan jangka pendek Kerajaan Negeri untuk membangunkan dua kawasan pelancongan utama di Hulu Besut?
Dato’ Yang di-Pertua, perancangan Kerajaan Negeri secara jangka pendek melalui Jabatan Pelancongan Terengganu dengan agensi-agensi lain dan bagi membangunkan dua kawasan pelancongan utama di Hulu Besut iaitu Taman Eko-Rimba Lata Tembakah di bawah kelolaan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu dan yang keduanya Kolam Air Panas La Hot Spring di bawah kelolaan Majlis Daerah Besut. Jadi kita mempunyai empat strategi perancangan jangka pendek, Dato’ Yang di-Pertua.
Yang pertama, baik pulih dan menaik taraf infrastruktur pelancongan iaitu kerja segera seperti pembaikan laluan pejalan, papan tanda, tandas awam, tempat rehat dan kemudahan asas yang lain. Yang kedua Dato’ Yang di-Pertua, pengukuhan pelancongan berasaskan komuniti (CBT) Community Based Tourism dengan izin iaitu sokongan langsung kepada projek komuniti iaitu projek setempat yang dikelolakan oleh yang terlibat daripada ketua-ketua kampung, rakyat-rakyat tempatan yang berminat untuk menjayakan aktiviti
seperti kayak, perkhemahan, ATV, homestay dan aktiviti pengalaman, Dato’ Yang di-Pertua.
Yang ketiga, pelaksanaan projek iaitu Quick Win Project dengan izin. Pelaksanaan projek berskala kecil dan sederhana yang cepat memberi impak yang segera, dapat dilihat. Sebagai contoh jambatan baru, gelanggang sukan, pusat komuniti, akses jalan secara setempat selaras dengan Rancangan Tempatan Daerah Besut 2035 yang mengenal pasti projek-projek pelaksanaan segera dan juga peneraju pelaksanaan dan yang akhir sekali, Dato’ Yang di-Pertua, pemantauan dan kerjasama antara agensi iaitu lawatan pemantauan penglibatan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOT) atau Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu serta kerjasama dengan Majlis Daerah Besut atau Pejabat Daerah Besut untuk memastikan pelaksanaan dan kebajikan komuniti setempat. Terima kasih, Dato’ Yang di-Pertua.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Kijal dan seluruh Yang Berhormat sekalian. Saya terpaksa menamatkan awal sesi Soal Lisan pada pagi ini. Hasil daripada permintaan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar agar diawalkan Ucapan Pembentangan Bajet beliau. Saya nak menamatkan ataupun menangguhkan sementara dalam tempoh 10 minit saja dan kita akan minum dan makan selepas pembentangan.
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, kita bagi masa rehat untuk 10 minit saja dan kita akan mulakan Persidangan semula pada pukul 10.35 pagi. Dalam 10 minit saja, untuk rehat sebentar saja, untuk memenuhi permintaan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar. Saya tangguhkan sementara dengan Tasbih Kaffarah dan Surah Al-Asr.
MESYUARAT DITANGGUHKAN PADA PUKUL 10.25 PAGI
PUKUL 10.38 PAGI
Usul-usul Yang Telah Diberi NotisMotion
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Perkara berikut di dalam Tertib Pekerjaan Dewan ialah Usul-usul Yang Telah Diberi Notis. Dipersilakan Yang Berhormat Dato' Haji Satiful Bahari bin Mamat, Wakil Paka untuk mengemukakan Usul Cadangan Mendahulukan Pembawaan Rang Undang-Undang daripada perkara-perkara lain.
Usul-Usul Yang Telah Diberi NotisMotion
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,
Saya mohon membawa cadangan menurut Fasal 16 (3) Peraturan-peraturan dan Perintah-Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri untuk mendahulukan pembawaan 3 Rang Undang-Undang daripada perkara-perkara lain iaitu:-1. Enakmen Perbekalan 2026 2. Enakmen Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu (Bab Yang Pertama) (Pindaan) 2025 3. Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2025
Saya mohon mencadangkan. Terima kasih.
Yang Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, satu cadangan menurut Fasal 16 (3) Peraturan-peraturan dan Perintah-perintah Tetap Dewan Undangan Negeri untuk mendahulukan pembawaan Rang Undang-Undang daripada perkara-perkara lain telah diterima. Sekarang saya kemukakan kepada undian-
CADANGAN MENURUT FASAL 16(3)
PERATURAN-PERATURAN DAN PERINTAH-PERINTAH TETAP DEWAN UNDANGAN NEGERI UNTUK MENDAHULUKAN PEMBAWAAN RANG UNDANG-UNDANG DARIPADA PERKARA-PERKARA LAIN KEMUDIAN DIUNDI DAN DIPERSETUJUI DENGAN SEBULAT SUARA.
USUL INI DITERIMA
Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2026Bill
Perkara yang didahulukan ialah Rang Undang-Undang.
Dipersilakan Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar mengemukakan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2026, bacaan kali yang pertama.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan Rang Undang-Undang bernama Suatu Enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2026 dan bagi memperuntukkan jumlah wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu, dibaca bagi kali yang pertama.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, saya mohon menyokong cadangan itu.
Rang Enakmen ini dibaca pada kali yang pertama.
RANG UNDANG-UNDANG BERNAMA SUATU ENAKMEN BAGI MENGGUNAKAN SEJUMLAH WANG DARIPADA KUMPULAN WANG DISATUKAN UNTUK PERKHIDMATAN BAGI TAHUN 2026 DAN BAGI MEMPERUNTUKKAN
JUMLAH WANG ITU UNTUK PERKHIDMATAN BAGI TAHUN ITU DIBACA BAGI KALI YANG KEDUA
Bacaan Kali Yang Kedua
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-Undang bernama suatu Enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2026 dan bagi memperuntukkan jumlah wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu dibaca bagi kali yang kedua.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Yang Berusaha Ketua-ketua Jabatan dan agensi, yang dihormati para pegawai dan kakitangan kerajaan, para petugas media, semua tetamu, pemerhati dan hadirin sekalian.
Semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan dan Yang di-Pertuan bagi Negeri Terengganu Darul Iman serta jajahan takluknya dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah, Sultanah Terengganu sentiasa dalam pemeliharaan Allah Subhanahu Wa Taala, dilanjutkan usia baginda berdua dalam keadaan sihat sejahtera yang berpanjangan. Semoga kerahmatan dan kesejahteraan juga ke atas putera-putera dan puteri-puteri Baginda, serta kerabat-kerabat DiRaja sekaliannya.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat, saya mohon mencadangkan Enakmen Perbekalan 2026 bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan dan memperuntukkan jumlah wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun 2026. Perinciannya adalah seperti dalam Buku Belanjawan 2026 Terengganu Darul Iman.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat, Belanjawan 2026 ini memperuntukkan sejumlah RM1.938 bilion untuk perbelanjaan mengurus termasuk caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan sebanyak RM450 juta.
Sektor sosial kekal menerima peruntukan terbesar iaitu RM323.8 juta atau 72% daripada keseluruhan perbelanjaan pembangunan. Peruntukan untuk sektor ekonomi ditambah kepada RM92.8 juta atau 21% berbanding 4% dalam Belanjawan 2025. Manakala peruntukan untuk sektor pentadbiran pula adalah sebanyak RM33.4 juta atau 7%.
Kerajaan Negeri juga komited untuk meningkatkan hasil janaan negeri iaitu RM85.36 juta daripada hasil cukai dan RM203.23 juta daripada hasil bukan cukai di samping RM1.709 bilion daripada terimaan bukan hasil menjadikan keseluruhan hasil adalah berjumlah RM1.998 bilion iaitu surplus sebanyak 3%.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat, Belanjawan 2026 ini adalah bertemakan “Memacu Potensi, Melonjak Prestasi”. Saya mahu semua entiti Kerajaan Negeri iaitu jabatan, agensi negeri, Badan Berkanun, PBT dan GLC Negeri bergerak dengan lebih pantas mengembangkan keupayaan masing-masing secara bersama.
Seterusnya meraih pencapaian yang lebih memberangsangkan ke arah merealisasikan visi Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera menjelang tahun 2030.
Oleh itu, saya menetapkan keutamaan Kerajaan Negeri kepada 3 fokus.
Fokus yang pertama adalah memperkemas tadbir urus kerajaan bagi meningkatkan keberhasilan, pendetailannya adalah sebagaimana yang dipaparkan di screen. Boleh tuan-tuan, Yang Berhormat boleh lihat.
Fokus yang kedua adalah menstruktur daya tahan ekonomi bagi memacu pertumbuhan.
Fokus yang ketiga adalah melestarikan keperluan sosial bagi menjamin kesejahteraan inklusif.
Terengganu menggariskan tujuh pemacu utama untuk melonjakkan prestasi, iaitu pemacu yang pertama, proses Belanjawan mesti memberikan penekanan
kepada impak dan keberkesanan inisiatif berbanding berorientasikan pembelanjaan dan output.
Pemacu yang kedua, Jawatankuasa pelaksanaan dan penyelarasan inisiatif utama kerajaan yang diberikan mandat untuk memacu keberhasilan penyampaian perkhidmatan Kerajaan Negeri perlu diperkasakan lagi. Oleh itu, kita akan menubuhkan pasukan petugas mekanisma pembiayaan inisiatif utama kerajaan dan dengan penyertaan ADUN backbenchers.
Pemacu yang ketiga, dua pengkalan data utama iaitu Profil Rakyat Terengganu dan Sahabat Usahawan Terengganu perlu dipastikan lengkap dan sentiasa dikemaskinikan supaya ianya dapat memberikan realiti gambar yang sebenar, isi rumah dan perniagaan di Negeri Terengganu. Dengan mempunyai data yang sedemikian ini membolehkan Kerajaan Negeri membuat langkah-langkah yang perlu termasuklah melakukan intervensi di mana yang diperlukan.
Pemacu yang keempat adalah pendekatan whole of state dengan izin, yang melibatkan kerjasama, penyelarasan dan kolaborasi antara entiti kerajaan, GLC, pihak swasta dan komuniti yang perlu diperhebat merentasi pelbagai peringkat kerajaan dan sempadan geografi. Melalui satu perkongsian data strategik yang diurus di bawah satu entiti. Dengan ini semua pihak dapat mengambil manfaat daripadanya.
Pemacu yang kelima, kecekapan PBT yang begitu dekat dengan rakyat yang setiap hari terpaksa berdepan dengan rakyat ini mesti dipertingkatkan dengan memperkasakan peranan Ahli-ahli Majlis. Kita tidak boleh lagi berada di takuk lama Ahli-ahli Majlis kita ianya perlu diperkasakan dengan pelbagai ilmu dan pelbagai pendekatan. Seterusnya kita juga mengurangkan beban kawal selia dan menyelaras perkhidmatan dan prosedur yang lebih seragam antara PBT. Kita ada PBT di pelbagai tempat dengan keupayaan yang berbeza-beza. Prosedur yang perlu kita seragamkan dalam pelbagai sudut termasuklah kebenaran merancang, pelaksanaan dan kemudahan parkir dan tentunya yang paling penting di antara kesemuanya ialah bagaimana kaedah untuk saling belajar mempelajari antara satu sama lain di kalangan PBT supaya kita dapat meningkatkan kecekapan.
Pemacu yang keenam ialah berkenaan dengan program TVET yang juga perlu diarusperdanakan di kalangan rakyat kita dan dengan ini Kerajaan Negeri akan menubuhkan Majlis TVET Negeri Terengganu.
Pemacu yang ketujuh berkenaan dengan kepuasan dan kepercayaan rakyat terhadap Kerajaan Negeri yang mesti dipertingkatkan dan diperkukuhkan melalui tugas kita iaitu berkenaan dengan jentera, pemantapan jentera dan operasi penerangan yang lebih berkesan. Pelbagai kaedah boleh dilaksanakan antaranya ialah Artificial Intelligence dengan izin dan data raya.
Saya sifatkan bahawa ketujuh-tujuh pemacu ini sebagai penting dan segera. Oleh itu saya memohon perhatian daripada semua Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri dan Ketua-ketua Jabatan terutama yang hadir dalam Dewan ini untuk mengambil tindakan yang sewajarnya.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat, bagi mengukuhkan kedudukan fiskal, keutamaan Kerajaan Negeri adalah pada meningkatkan kecekapan kutipan hasil sedia ada di samping mempelbagaikan sumber hasil dan mengoptimumkan penggunaan sumber luar.
Kerajaan Negeri melalui Pejabat Perbendaharaan akan memperkenalkan insentif bagi menggalakkan peningkatan hasil dan mengiktiraf keberkesanan strategik yang dilaksanakan oleh pusat tanggungjawab hasil.
Bagi meningkatkan kualiti penyampaian, Kerajaan Negeri akan mempergiatkan usaha pendigitalan perkhidmatan serta pemantapan kompetensi penjawat awam dalam pengurusan strategik sektor awam. Potensi dan kompetensi penjawat awam yang perlu berdepan dengan rakyat ini akan dibangunkan dengan lebih berkesan menerusi pelan operasi latihan, kursus wajib kepada yang telah disahkan dalam perkhidmatan dan program sangkutan pegawai di entiti kerajaan serta GLC negeri yang terpilih. Ini adalah antara kaedah kita untuk meningkatkan kemahiran, ilmu sesuai dengan perkembangan semasa.
Semua entiti Kerajaan Negeri juga akan disediakan khidmat nasihat dan perundingan pakar mengenai perancangan strategik dan pengurusan prestasi. Kerajaan Negeri juga melalui Pejabat Setiausaha Kerajaan akan membuat penarafan prestasi perkhidmatan. Kita bukan nak banding-bandingkan di antara agensi ataupun PBT-PBT tetapi ini adalah satu cara untuk kita membuat
penilaian kendiri untuk kita menilai dan mengetahui di mana kedudukan kita dalam sektor perkhidmatan ini dari segi kecekapan dan sebagainya.
Kerajaan Negeri akan mengadakan Karnival Rakyat Sejahtera di semua Pusat Khidmat Masyarakat untuk mengeratkan hubungan masyarakat, memudahkan rakyat mengakses pelbagai perkhidmatan kerajaan dan berhubung langsung dengan pemimpin setempat bagi menyelesaikan sebarang isu. Kita dapati bahawa program-program kita turun ke bawah dengan pelbagai nama ini dapat mendekatkan rakyat dengan agensi-agensi kerajaan yang mana mereka di kalangan rakyat ini senantiasa perlu berurusan. Dengan kita mengadakan karnival ini, insya-Allah kita berharap ianya akan menjadi satu ruang untuk pemimpin-pemimpin di peringkat Kerajaan Negeri dan di peringkat Dewan Undangan Negeri masing-masing sama dengan Local Community Leaders dengan izin untuk berganding bahu bagi menyelesaikan apa juga permasalahan yang wujud di tempat masing-masing.
Mahkamah Syariah pula akan memperkenalkan prosiding secara dalam talian dan jarak jauh bagi membolehkan pihak-pihak yang terlibat mengakses perbicaraan. Ini juga berkait dengan meningkatkan kecekapan.
Kerajaan Negeri juga sedang di peringkat akhir untuk menerima pakai sepenuhnya Akta 672 bagi penambahbaik pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang kita senantiasa menerima rungutan dan juga pandangan daripada pelbagai pihak termasuklah di kalangan rakyat kita bagaimana untuk meningkatkan pengurusan sisa pepejal dan insya-Allah dengan penerimaan sepenuhnya Akta 672 yang kita akan rundingkan supaya mendapat kedudukan yang terbaik untuk negeri dan untuk rakyat.
Dato' Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat, bagi memberdayakan pertumbuhan ekonomi, Kerajaan Negeri akan menumpukan kepada pelaburan dan perindustrian bernilai tinggi dan perdagangan strategik serta pemerkasaan industri halal.
Sebagai induk dan pelengkap kepada pelbagai dasar dan pelan tindakan sedia ada, Kerajaan Negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri akan membangunkan Rangka Tindakan Transformasi Ekonomi Negeri Terengganu yang memperincikan rancangan pembangunan pelaburan dan perindustrian
berasaskan peralihan tenaga, mineral, teknologi dan digital, elektrik dan elektronik serta makanan dan asas tani.
Selain itu juga Kerajaan Negeri akan memendekkan tempoh proses permohonan pajakan tanah, memberi diskaun dan memperkenalkan pembayaran berjadual harga pajakan tanah, menaik taraf kawasan perindustrian dan membangunkan aplikasi Terengganu Geographic Information System dengan izin.
Semua yang saya sebutkan tadi adalah untuk kita kekal kompetitif di kalangan negeri-negeri yang ada di Malaysia dan supaya pelabur-pelabur daripada luar melihat destinasi Terengganu adalah destinasi yang eksekutif dengan izin atau yang menarik. Kita perlu melakukan anjakan yang sebenar-benarnya untuk memastikan proses yang perlu dilaksanakan itu adalah dengan lebih cekap dengan kita melihat pelbagai aspek termasuklah isu kadar tanah dan sebagainya.
GLC negeri juga akan berperanan dalam menubuhkan makmal mineral, membangunkan terminal import dan regasification LNG, melaksanakan kajian kebolehlaksanaan pembangunan loji hidrogen dan ammonia hijau, membina kilang baja bagi tanaman kelapa sawit dan pertanian lain, mengoperasikan Kawasan Perindustrian Halal Park Gong Badak tambahan, serta menyusun rancangan bagi pemilikan sebahagian daripada kepentingan operasi dalam telaga pengeluar minyak dan gas yang aktif di Semenanjung Malaysia.
Apa yang kita rancangkan ini adalah sebahagian daripada usaha untuk menyediakan Negeri Terengganu apabila ECRL siap nanti. Kita tidak mahu ECRL yang apabila beroperasi nanti itu hanya sekadar menjadi mod pengangkutan penumpang tapi tidak digunakan sepenuhnya oleh pihak kerajaan dan juga masyarakat serta pelabur-pelabur yang ada di Negeri Terengganu ini terutama yang berkait dengan pengangkutan bahan-bahan kargo dan sebagainya melalui ECRL. Oleh kerana itu kita perlu menyediakan infra-infra dan mengenal pasti kawasan perindustrian yang sesuai yang berhampiran dengan TOD atau kawasan stesen ini.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat, bagi menggalakkan ekosistem perniagaan yang kondusif, Kerajaan Negeri memberikan komitmen untuk menyediakan sokongan keusahawanan, membangunkan kapasiti
perniagaan dan memudah cara akses kepada sasaran dan ini termasuk juga bagaimana kita ingin meningkatkan kemahiran para usahawan kita di Negeri Terengganu yang perlu berada di luar Negeri Terengganu, bukan semata-mata menjadi supplier dengan izin di Negeri Terengganu saja tapi meningkatkan keupayaan mereka supaya lebih sampai ke peringkat national dan juga sampai ke peringkat antarabangsa. Usahawan terutamanya dalam kalangan belia B40 dan asnaf akan terus disokong dengan pemudah caraan pendaftaran perniagaan dan pematuhan lain, pelaksanaan program latihan keusahawanan dan bimbingan perniagaan serta penyediaan kemudahan pembiayaan mikro menerusi program U-BEST dan program IT-CAT dengan kerjasama institusi kewangan.
Penganjuran pesta perdagangan berskala besar seperti karnival usahawan dan koperasi serta festival halal akan menjadi platform strategik untuk mempromosikan produk tempatan di samping mengembangkan rangkaian meneroka peluang pasaran baru dan meningkatkan kehadiran jenama tempatan di pasaran national dan global. Sekiranya kita mengadakan festival-festival ini yang masanya kena dengan cuti sekolah umpamanya, tentulah kehadiran pelancong yang ramai, daripada negara ini akan menjadi suatu medan untuk mempromosikan produk-produk tempatan ini. Kerajaan Negeri juga akan membantu usahawan dalam menguruskan pemasaran digital secara berpusat serta membangunkan peniagaan eDagang, program Anak Terengganu Certificate juga akan diperluas untuk memberikan keutamaan kepada perniagaan milik anak Terengganu dalam projek bidang Petronas dan perolehan Kerajaan Negeri.
Ini antara perkara yang senantiasa kita tahu setiap antara kita ini bila pegang handphone maka tentulah eDagang yang ada dalam handphone masing-masing dengan pelbagai nama yang tak nak saya sebut di sini senantiasa bermain di bibir dan bermain di mata masing-masing jadi kita nak bawa supaya usahawan-usahawan Terengganu ini juga diperkasakan dari segi eDagang mereka supaya mereka juga boleh memasarkan produk mereka dengan lebih berkesan.
Bagi memperkasakan industri pelancongan Kerajaan Negeri akan menggerakkan sinergi pelbagai pihak untuk mempromosikan Tahun Melawat Terengganu 2027. Rangka kerja tadbir urus Tahun Melawat Terengganu 2027 juga akan diperkasakan dengan penubuhan Sekretariat Tahun Melawat
Terengganu 2027 melibatkan pelbagai aktiviti kerajaan, GLC, pihak swasta, penggiat industri dan wakil komuniti. Negeri Terengganu mesti menjadikan Tahun Melawat Malaysia 2026 sebagai batu loncatan terutamanya bagi meningkatkan ketibaan pelawat asing ke negeri ini. Oleh kerana itu, program-program yang bertaraf antarabangsa seperti Sultan Mizan International Photography Awards, Ijtima’ Antarabangsa Perpaduan Ummah dan Himpunan Melayu Nusantara akan dilaksanakan sebagai antara tarikan utama.
Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat, bagi merancakkan pembangunan dan perumahan Kerajaan Negeri akan terus memperkukuhkan kerjasama antara pihak awam dan swasta memperbaharui dasar, menambah baik dasar-dasar sedia ada dan prosedur serta menggalakkan permintaan dalam pasaran.
Projek yang berimpak tinggi yang menjadi tumpuan antaranya adalah melaksanakan kerja-kerja awalan bagi pembangunan TOD di ECRL pembaikan dan penyelenggaraan infrastruktur mitigasi bencana, penggunaan ICT bagi bandar PINTAR, pembesaran pelabuhan Kemaman dan pembinaan laluan sisihan dari stesen ECRL Cukai ke pelabuhan Kemaman. Semua ini adalah untuk menyediakan Terengganu untuk berdepan dengan cabaran perindustrian yang lebih besar di waktu hadapan.
Pembangunan rumah mampu milik juga antara agenda terpenting Kerajaan Negeri dan kita sedar bahawa tempat berteduh bagi rakyat kita adalah satu perkara yang tersangat penting. Di samping sebanyak 620 unit rumah telah dan akan siap dibina pada tahun ini di tiga daerah iaitu di Kuala Nerus, Kemaman dan Besut ada 9,134 unit lagi dalam pembinaan di semua daerah. Manakala 3,438 unit rumah dalam perancangan di enam daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Marang, Kemaman dan Setiu dan tentunya dalam melaksanakan perumahan kepada rakyat, rumah mampu milik ini kita memerlukan keterlibatan dan penglibatan secara terus daripada pihak swasta yang perlu disediakan insentif-insentif yang sesuai yang menarik kepada mereka untuk melabur di Negeri Terengganu.
Selain daripada itu juga turut diberikan perhatianlah kerja-kerja pembinaan, pembaikian dan penaiktarafan masjid dan surau yang ada di antaranya yang begitu uzur di selatan negeri kita serta kemudahan institusi-institusi pendidikan di antaranya ialah melibatkan Kolej Al-Quran Terengganu, Pusat Tafaqquh
Fiddin Tok Syeikh Duyong serta kemudahan institusi di institusi pendidikan, antaranya ialah melibatkan Kolej Al-Quran Terengganu, Pusat Tafaqquh Fiddin Tok Syeikh Duyong, serta Sekolah Menengah IMTIAZ, Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin dan SMIDI Ajil. Kerajaan Negeri juga sedang mengusahakan cadangan pindaan masjid baru, Masjid Kampung Kubang Palas di Kuala Telemung, melibatkan dengan kerjasama pihak Kerajaan Persekutuan. Orang Telemung boleh ada masjid baru, insya-Allah.
Terima kasih, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri.
Yang Berhormat Dato’ Yang Di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat, bagi menstabilkan akses kepada keperluan asas, Kerajaan Negeri menumpukan usaha untuk meningkatkan pengeluaran hasil pertanian, membangunkan rantaian nilai makanan dan melestarikan pendidikan kepenggunaan. Oleh itu berkaitan dengan ini, berbagai program dan projek berimpak tinggi yang telah dirangkakan dalam Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2024-2030 akan dilaksanakan dan kita yakin ianya mampu menyumbang kepada sekuriti makanan serta pertumbuhan ekonomi negeri.
GLC negeri juga akan berperanan dalam melaksanakan projek agro-makanan berimpak tinggi, antaranya ialah seperti projek outgrower Lada Hitam, Projek AgriVoltaic dan Projek Penternakan Ayam Secara Bersepadu di Setiu, serta Pembangunan Tanaman Tembikai di Ajil. Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan bukan sahaja akan diadakan bagi menghargai warga tani malah akan dilengkapkan dengan penganjuran Agro Summit bagi mempromosikan teknologi serta amalan terbaik, merangka strategi pembangunan agro yang mampan dan membuka potensi pelaburan yang baharu. Suatu inisiatif juga sedang akan diusahakan bagi membantu pekedai runcit tempatan dalam memperolehi bekalan dan menjual barangan keperluan dengan harga lebih murah sekali gus dapat mengurangkan kos sara hidup pengguna.
Di samping itu, bagi menggalakkan masyarakat membeli dan menggunakan produk keluaran peniaga tempatan, Kerajaan Negeri akan memperhebat Kempen Sokong Perniagaan dan Produk Orang Terengganu ataupun singkatannya ialah SAPOT. Dekat-dekat bunyi support, dalam bahasa Inggeris, hebat juga orang Terengganu ni. Di samping memfokuskan pembangunan
tenaga kerja terlatih tempatan melalui pemerkasaan institusi dan bidang pendidikan aliran kemahiran, Kerajaan Negeri akan sentiasa memberikan perhatian kepada sekolah agama rakyat, tahfiz dan pondok. Bagi menjamin kehidupan yang lebih berkualiti dan produktif, rakyat mesti dibudayakan dengan pengamalan pemakanan baik dan aktiviti kecergasan serta mengukuhkan institusi keluarga dan menjadi masyarakat yang bertanggungjawab. Ini berkait dengan pelbagai perkara sebenarnya, amalan pemakanan yang baik meningkatkan kecergasan ialah sebagai salah satu usaha untuk mengurangkan penyakit-penyakit yang akan datang kepada setiap individu. Bila penyakit itu dapat dikurangkan, bebanan perbelanjaan di hospital atau klinik itu akan dapat dikurangkan.
Justeru untuk merintis pembudayaan ini, semua entiti Kerajaan Negeri dan GLC negeri mesti menganjurkan Fat-to-Fit Challenge, nama pun catchy, tak ada orang nak mengaku dia fat, dia gemuk je, wallahu a'lam. Fat-to-Fit Challenge serta mengaktifkan aktiviti regangan ringkas atau x-break dan memastikan hanya hidangan sihat disajikan semasa mesyuarat, kursus atau bengkel yang diadakan. Ada orang nengung selalu kalau sebut hal makanan ini, jadi kena pastikan bahawa makanan yang memenuhi keperluan, bukan sahaja sedap, sedap itu sebagian daripada ciri, kena cukup lengkaplah tapi ada orang kata dah saya tak makan sayur daripada kecil lagi, nak makan sayur guana? Jadi itu para doktor yang daripada Jabatan Kesihatan kena cari formula macam mana.
Pelbagai aktiviti dan kempen juga akan diadakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat supaya menjauhi dan memerangi jenayah, sama ada sivil atau syariah. Selain dari meminda Enakmen Syariah bagi memastikan individu yang melakukan kesalahan dalam talian boleh dibawa ke muka pengadilan, Kerajaan Negeri juga akan menubuhkan Jawatankuasa Pematuhan Garis Panduan Syariah Negeri Terengganu melibatkan pelbagai entiti Kerajaan Negeri bagi meningkatkan pemantauan, penyelarasan dan pematuhan garis panduan syariah. Apa yang dilakukan oleh mereka di luar sana ini ataupun warga dunia sekarang ini semakin hari semakin canggih dengan adanya dalam talian dan sebagainya. Jadi bagaimana sesebuah kerajaan harus memikirkan cara untuk menangani terutama yang melibatkan anak-anak kita atau generasi yang akan datang ini.
Di masa yang sama, kursus pra-perkahwinan dan program pasca perkahwinan pula akan dimantapkan melalui modul yang bersepadu, latihan berstruktur,
pemantauan berterusan serta pendekatan holistik. Ini antara tujuan untuk meningkatkan keberkesanan rumah tangga yang menjadi satu unit yang sangat asas dalam masyarakat. Baik di dalam rumah tangga ini, insya-Allah baiklah di dalam masyarakat. Walaupun perkara-perkara seperti ini tidak mudah untuk dilakukan mindset change, dengan izin atau perubahan minda, tetapi ianya perlu dilakukan. Bukan untuk memayahkan atau menjadikan program perkahwinan atau aktiviti perkahwinan itu sebagai makin susah tetapi ini antara usaha daripada pihak kerajaan untuk memastikan mereka bersedia berada di satu alam yang baru iaitu alam keluarga.
Simposium kepimpinan belia juga akan dianjurkan untuk membina daya kepimpinan dan menggalakkan penglibatan belia dalam pembangunan demokrasi dan tadbir urus negeri. Mereka adalah cerminan kita di masa hadapan. Perlu kita sediakan mereka dengan pelbagai bentuk kepimpinan dan penglibatan terutama yang melibatkan aktiviti-aktiviti kebersamaan dalam masyarakat. Sempena temasya sukan yang bakal berlangsung pada Ogos tahun depan, Kerajaan Negeri akan memastikan atlet SUKMA dan PARA SUKMA dilatih dan dipimpin secara menyeluruh dari segi fizikal, mental dan taktikal agar tampil dengan semangat juang yang tinggi demi mengharumkan nama Negeri Terengganu dan semua kita sedar bahawa Terengganu ini sinonim dengan pencapaian dalam bidang sukan sehingga kita mampu untuk melahirkan mereka yang tersohor bukan sahaja di peringkat nasional bahkan di peringkat antarabangsa. Program-program harus dilaksanakan dengan lebih menyeluruh supaya kita mampu untuk menjadi pengeluar kepada juara-juara di peringkat nasional dan di peringkat antarabangsa di masa-masa hadapan.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat, mengakhiri ucapan ini buat seluruh anggota pentadbiran Kerajaan Negeri dan para penjawat awam, marilah kita menginsafi amanah besar yang sedang dipikul ini oleh semua orang, bukan Menteri Besar, bukan Ahli-ahli Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri, bukan wakil rakyat sahaja, bukan ketua jabatan sahaja, tapi semua di antara kita termasuklah mereka yang berada di rumah pun kita masing-masing memikul amanah yang sangat besar, yang sangat berat, yang akhirnya kita akan ditanya oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Rasulullah
bersabda yang bermaksud:
“Tiada seorang hamba yang telah diamanahkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala untuk menguruskan hal ehwal rakyat di
bawah tanggungannya lalu tidak menunaikan amarah tersebut meskipun dengan hanya menyampaikan satu nasihat melainkan tidak dapat mencium haruman syurga.”
Hadis ini hadis soheh Riwayat al-Bukhari. Apa jua amanah yang diberikan kepada kita, kita kena laksanakan terutama berkait dengan hal ehwal rakyat di bawah tanggungan kita, tidak dapat tidak kita mesti laksanakan. Semoga kita semua sentiasa mendapat taufik dan hidayah daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala untuk menjadi pemimpin yang adil dan rakyat yang beriman lagi bertakwa. Ini terkena pada semua orang, mereka yang berada di rumah pun menjadi pemimpin kepada keluarga masing-masing. Dengan izin Allah Subhanahu Wa Ta’ala, marilah kita bersama-sama menjadikan Belanjawan 2026 ini sebagai wadah untuk rakyat hidup secara lebih sejahtera dan yang paling penting bagi kita ialah mendapat keberkatan di sisi Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon mencadang, sekian.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon menyokong cadangan itu.
Rang Enakmen ini telah mendapat sokongan bagi bacaan kali yang kedua. Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, bagi memberi ruang secukupnya kepada Ahli-ahli Yang Berhormat meneliti, menimbang dan memahami dengan lebih mendalam Ucapan Bajet yang telah disampaikan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar sebentar tadi, saya berhasrat untuk menangguhkan Persidangan Dewan yang mulia ini pada hari ini. Untuk makluman, bagi Ketua-ketua Jabatan bagi mendapatkan Buku Belanjawan 2026, tuan-tuan boleh mengimbas QR code bagi mengakses buku tersebut. Saya juga mengambil peluang untuk mengucapkan terima kasih kepada para pemerhati daripada Dewan Muslimat PAS Terengganu daripada NGO Sepakat, daripada Pusat Khidmat Masyarakat Kota Putera, Pusat Khidmat ADUN Telemong, Pusat Khidmat Jabi serta semua pihak yang telah mengambil ruang untuk sama-sama memerhatikan Persidangan pada hari ini.
Oleh yang demikian, saya tangguhkan Persidangan ini ke pukul 9.30 pagi esok, 11 November 2025 dan marilah sama-sama kita membaca Tasbih Kaffarah dan Surah Al-Asr.
MESYUARAT DITANGGUHKAN PADA PUKUL 11.16 PAGI