Terengganu · 11 November 2025
15th Assembly, 3rd session, 3rd meeting · 210 turns · 30,623 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalTerengganu publishes one PDF per meeting, with the written answers appended. Speakers are matched by our parser and will have some errors.
(Pembukaan)
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Sebelum kita memulakan Persidangan pada pagi ini, Marilah kita sama-sama membaca Ummul al-Quran. Al-Fatihah.
Soalan-Soalan LisanQuestions
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Mesyuarat disambung semula. Mesyuarat pagi ini diteruskan dengan soalan-soalan lisan. Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah memberi notis untuk mengemukakan soalan-soalan lisan pada 11 November 2025 adalah sebagaimana berikut:-
1. Yang Berhormat Wakil Rantau Abang 2. Yang Berhormat Wakil Batu Rakit 3. Yang Berhormat Wakil Langkap 4. Yang Berhormat Wakil Air Putih 5. Yang Berhormat Wakil Telemong 6. Yang Berhormat Wakil Bukit Tunggal 7. Yang Berhormat Wakil Kuala Besut 8. Yang Berhormat Wakil Bukit Besi 9. Yang Berhormat Wakil Sura 10. Yang Berhormat Wakil Bandar
11. Yang Berhormat Wakil Jertih 12. Yang Berhormat Wakil Kuala Berang 13. Yang Berhormat Wakil Kemasik 14. Yang Berhormat Wakil Ladang 15. Yang Berhormat Wakil Pengkalan Berangan 16. Yang Berhormat Wakil Manir 17. Yang Berhormat Wakil Seberang Takir 18. Yang Berhormat Wakil Pemaisuri 19. Yang Berhormat Wakil Hulu Besut
Seterusnya dipersilakan Yang Berhormat Wakil Rantau Abang untuk mengemukakan soalannya.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Rantau Abang soalan nombor dua-
Sungai Gombang adalah anak sungai Dungun yang merupakan satu saliran utama yang menerima aliran air daripada Kampung Paya Taman Rakyat dan Kampung Che Lijah. Dengan mengambil kira faktor aras air pasang di sungai Dungun dan perancangan pembangunan TOD yang baru ini di stesen ECRL ini. Apakah kaedah atau perancangan Kerajaan Negeri untuk pastikan dengan pembangunan TOD ini Sungai Gombang tidak dibebankan lagi?
Soalan nombor dua. Sila Yang Berhormat Cukai.
Dato’ Yang di-Pertua, semua Yang Berhormat-Yang Berhormat Ahli EXCO, Yang Berhormat-Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan, tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Soalan sebagaimana yang tertera. Bagi memastikan perancangan pembangunan TOD di kawasan stesen ECRL Dungun dapat dilaksanakan
dengan lancar serta mengawal implikasi limpahan takungan serta aliran air, Kerajaan Negeri melalui Pejabat Daerah, Majlis Perbandaran Dungun dan agensi-agensi berkaitan telah menyelaras perancangan dengan mengambil kira faktor geografi kawasan.
Justeru itu, bagi mengurangkan beban takungan-takungan air kepada Sungai Gombang, pihak Pejabat Daerah Dungun dan JPS Dungun telah melaksanakan beberapa langkah jangka pendek bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan tersebut. Antara inisiatif yang sedang dipertimbangkan dan dilaksanakan adalah;
1. Pembinaan kolam takungan di Taman Rakyat Dungun 2. Kerja penstabilan tebing bagi mengurangkan risiko hakisan 3. Pembaikian serta penyelenggaraan sistem saliran utama di Kampung Paya, Binjai dan Balai Besar 4. Pemuliharaan sistem saliran di kawasan Gong Pasir dan (Balai Besar).
Pelaksanaan kerja-kerja ini telah berjaya memperbaiki keupayaan sistem saliran tempatan serta mengurangkan takungan air semasa hujan lebat. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Cukai. Ada soalan tambahan?
Soalan tambahan daripada Rantau Abang. Apakah langkah jangka masa panjang Kerajaan Negeri dan JPS bagi mengurangkan risiko banjir di Sungai Gombang dan kawasan lembangan Sungai Dungun?
Sebab, kalau kita perhatikan, di luar kawasan ROW dari sudut perparitan tidak diselenggara dengan baik. Jadi, kita nak tahu apakah tindakan sewajarnya daripada pihak Kerajaan dan JPS.
Terima kasih.
Terima kasih. Bagi penyelesaian jangka panjang pula, JPS merancang pendekatan menyeluruh melalui pelaksanaan Kajian Pelan Induk Tebatan Banjir Lembangan Sungai
Dungun yang meliputi kawasan Rantau Abang, Kampung Cik Lijah, Taman Rakyat, Kampung Paya dan Balai Besar.
Kajian ini telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) di bawah Rolling Plan 1 (RMK ke-13) RP1, RMK ke-13. Komponen utama dalam PITB termasuklah
1. Pembinaan kolam takungan banjir untuk menakung dan melambatkan aliran air hujan.
2. Pembinaan bank di sepanjang sungai bagi mengawal aliran sungai dan mengelakkan limpahan air ke kawasan sekitarnya.
3. Pedalaman dan pelebaran sungai bagi menambah kapasiti aliran. 4. Peningkatan sistem saliran utama di kawasan rendah bagi mempercepatkan aliran air.
5. Pelaksanaan kerja mekanikal dan elektrikal termasuk menaik taraf pintu air dan rumah pam sedia ada untuk kawalan aliran banjir.
Kajian PITB ini juga akan menjadi penanda aras bagi permohonan projek baru yang akan dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk pelaksanaan kerja fizikal di bawah tempoh pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK ke-13). Terima kasih.
Okey Yang Berhormat Cukai.
Seterusnya saya persilakan Yang Berhormat Wakil Batu Rakit untuk mengemukakan soalan.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan.
Bersiap awal untuk ke Sidang Dewan, Yang Berhormat Rantau Abang katanya sudah bersarapan. Soalan satu dan tiga telah dibuang, Tinggallah soalan dua untuk YB Paka perlu jawapan.
Terima kasih Yang Berhormat Batu Rakit. Sila Yang Berhormat Paka jawab.
Pantun dakyoh jawablah. Paka dok panda mana nak pantun. Terima kasih kepada Yang Berhormat yang bertanyakan status pelajar yang belajar di Pusat Tafaqquh Fiddin Tok Sheikh Duyong yang sudah menamatkan pengajian mereka di luar negara.
Untuk makluman Sidang Dewan, Dato’ Yang di-Pertua, pelajar kemasukan pertama Pusat Tafaqquh Fiddin Tok Sheikh Duyong masih lagi sedang menyambung pengajian mereka di Mesir di tahun akhir. Pelajar dijangka akan menamatkan pengajian mereka pada bulan Mac 2026 dan insya-Allah untuk batch yang kedua, pelajar tahun akhir di Pusat Tafaqquh akan menyambung pengajian mereka ke Syria insya-Allah. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Paka. Ada soalan tambahan?
Soalan tambahan Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, apakah kesinambungan mereka setelah tamat pengajian nanti? Sebab saya bertemu dengan mereka di Mesir baru-baru ini, memang mereka sangat mengharapkan untuk dapat sambung ke Universiti Al-Azhar. Tapi dengan jalan yang telah disediakan oleh pihak Kerajaan sekarang ni saya rasa mungkin tak dapat untuk sambung teruslah kerana syarat-syarat di Universiti Al-Azhar. Cuma kemungkinan ada persediaan daripada pihak Kerajaan untuk mereka sambung belajar di mana-mana tempat. Kalau tidak di Universiti Al-Azhar pun di mana-mana tempat di luar negara ataupun dalam negara setelah tamat belajar nanti. Terima kasih.
Boleh? Yang Berhormat Paka?
Dato’ Yang di-Pertua, kewujudan Pusat Tafaqquh Fiddin ini merupakan hasrat Kerajaan bagi menyediakan pelapis-pelapis, mereka-mereka yang pakar dan berkemahiran dan menyediakan guru-guru khususnya bagi menampung keperluan mereka dalam mengembangkan pusat-pusat pengajian berasaskan Kitab Turath. Itu merupakan hasrat dan juga harapan kita. Untuk meneruskan
ataupun pusat pengajian pondok dan sebagainya yang berasaskan pengajian kitab turath ini terus berkembang dan tidak lapuk di zamanlah, insya-Allah. Kerana itu, pelajar-pelajar kita yang belajar di Mesir, mereka memang layak setelah tamat pengajian kita di sana, mereka dalam masa yang sama turut belajar di Bu’uts dan mereka layak untuk masuk ke kuliah. Tetapi, mereka kita beri pilihan, mereka yang ingin meneruskan kuliah, mereka boleh masuk kuliah ataupun dia masuk Universiti-Universiti dalaman negeri seperti di Malaysia kita ni ada Ijazah Turath, Ijazah Pengajian Kitab Turath. Tetapi, hasrat kita adalah untuk mereka-mereka ni yang tamat, insya-Allah kita akan tempatkan di pondok-pondok di Terengganu untuk mereka terus mengajar pengurusan, pentadbiran dan sebagainya. Di samping sebahagiannya kita akan tempatkan sebagai guru-guru kita di Pusat-pusat Tafaqquh Cawangan yang akan kita tubuhkan. Bermula tahun depan insya-Allah, Pusat Tafaqquh di Kuala Berang akan diwujudkan dan juga pelajar-pelajar yang tamat di situ akan menyambung pengajian ke Pusat Tafaqquh di Tok Sheikh Duyong di Pulau Duyong.
Dalam masa yang sama, di sana sebagai hasrat kita untuk menjadikan Terengganu sebagai Hub Pendidikan Nusantara, sebahagian daripada pelajar-pelajar kita juga kita tanggung ataupun biasiswa dari negara-negara Nusantara, seperti Vietnam, Cambodia dan sebagainya dan mereka bakal pulang ke negara-negara masing-masing untuk mengembangkan sebagai du’at, sebagai pendakwah di negara-negara masing-masing, terima kasih. Untuk satu lagi makluman, Fasa Kedua kita Pusat Tafaqquh akan bermula tahun depan ini dan akan menerima pelajar-pelajar wanita, pelajar banat dan juga warga emas, insya-Allah, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Paka. Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, saya akan bagi untuk ruang soalan tambahan yang kedua kepada Yang Berhormat lain daripada yang mengemukakan soalan, jika ada. Maksudnya, soalan akan dikemukakan oleh Yang Berhormat kemudian saya akan bagi soalan tambahan untuk Yang Berhormat tersebut. Kemudian jika ada soalan tambahan daripada Yang Berhormat lain, agar untuk makluman Yang Berhormat-Yang Berhormat, soalan yang dikemukakan oleh mana Yang Berhormat boleh dikemukakan juga soalan oleh Yang Berhormat lain, bukan terikat dengan Yang Berhormat itu saja. Jadi saya seterusnya persilakan Yang Berhormat ADUN Langkap untuk mengemukakan soalan.
Terima kasih Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua. Soalan saya nombor 1-
Berapakah jumlah keluasan ladang FELCRA yang dibangunkan atas tanah milik Kerajaan Negeri, apakah intipati perjanjian yang ditandatangani antara FELCRA dan Kerajaan Negeri bagi penggunaan tanah tersebut?
Soalan nombor satu Yang Berhormat Jabi, sila.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, terima kasih sahabat Yang Berhormat Langkap. Luas keseluruhan tanah Kerajaan Negeri yang dimajukan oleh FELCRA sebagai ladang sawit ialah 9,651 hektar di seluruh negeri. Ada tiga kategori, yang pertama seluas 4,227 hektar dimajukan oleh FELCRA bagi Program Pembasmian Kemiskinan (PPRT) dan MMKN pada bulan Mei 2015 telah bersetuju supaya tanah seluas 4,227 hektar ini yang sedang diusahakan oleh FELCRA diberi milik kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan. Yang kedua, program usaha sama JV dengan izin, antara Kerajaan Negeri dan FELCRA seluas 4,440 hektar. MMKN pada tahun 2015 telah meluluskan tanah kepada FELCRA untuk program JV ini dan hasil daripada program JV ini, 90% daripada tanah diberi milikan kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan seluas 3,996 hektar dan 10% diberi milik kepada FELCRA, 444 hektar. Dari segi perjanjian perkongsian keuntungan secara net profit dengan izin, keuntungan bersih pada 12 Oktober 2015 telah ditandatangani perjanjian di antara Kerajaan Negeri dan FELCRA dengan pembahagian keuntungan 70-30, 70 untuk Kerajaan Negeri, 30 untuk FELCRA. Jadi, keuntungan projek yang dibangunkan oleh FELCRA dan belum dimasukkan peserta diserahkan kepada Kerajaan Negeri seterusnya diagihkan kepada golongan miskin dalam bentuk bantuan bulanan.
Yang ketiga, FELCRA telah mengisi peserta bagi keluasan 982 hektar. Proses pemberimilikan tanah kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan belum selesai
sepenuhnya kerana ada beberapa isu dan tuntutan daripada Kerajaan Negeri berdasarkan kepada perjanjian yang belum ditunaikan oleh pihak FELCRA dan pihak FELCRA Berhad telah datang berbincang dengan Kerajaan Negeri ke arah penyelesaian isu-isu berbangkit. Dalam hal ini, saya beranggapan pengurusan FELCRA bersikap lebih positif berbanding dengan pengurusan FELDA yang memberikan respon yang sangat negatif dalam menyelesaikan isu 15,000 hektar tanah Kerajaan Negeri yang dijadikan ladang sawit oleh FELDA sejak 1985 tanpa dokumen hak milik yang sah, terima kasih.
Terima kasih. Ada soalan tambahan?
Soalan tambahan, Dato' Yang di-Pertua. Apakah mekanisme pemantauan yang ditetapkan dalam perjanjian untuk memastikan FELCRA mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan? Terima kasih.
Sila, Yang Berhormat Jabi.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, Kerajaan Negeri bersama dengan FELCRA telah bersetuju membentuk satu jawatankuasa yang dinamakan Jawatankuasa Pemantau Projek yang terdiri daripada Pegawai Kewangan Negeri atau wakil sebagai Pengerusi, Pengarah UPEN atau wakil dan seorang wakil Kerajaan Negeri. Di pihak FELCRA akan diwakili oleh Pengarah Negeri FELCRA Berhad dan seorang wakil FELCRA. Jadi jawatankuasa ini akan bekerja secara bersama bagi memastikan semua terma-terma yang termaktub dan dipersetujui dalam perjanjian dipatuhi dan dilaksanakan, terima kasih.
Ada soalan tambahan daripada mana-mana Yang Berhormat, takdok? Takdok, selanjutnya saya persilakan Yang Berhormat Air Putih.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Soalan Air Putih, soalan nombor 1-
Apakah Kerajaan Negeri memperuntukkan dana khas dalam Bajet 2026 untuk membantu petani kecil dan pekebun getah di kawasan luar bandar termasuk di DUN Air Putih?
Soalan nombor satu, Yang Berhormat Jabi.
Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih Wakil Air Putih. Air Putih adalah di antara DUN fokus bagi program pengeluaran makanan negeri. Untuk tahun 2026 bagi sektor tanaman makanan, Jabatan Pertanian Terengganu telah menguruskan dan memohon beberapa peruntukan khusus untuk DUN Air Putih sahaja. Yang pertama untuk Projek Pembangunan Tanaman Kelapa di Kampung Banggol, Paloh Jenang dan juga Kampung Bukit Besar yang melibatkan seramai 37 orang peserta dengan keluasan 19.3 hektar melibatkan kos RM68,951.00. Yang kedua, Projek Sayur-sayuran fokus kepada cili yang memberi fokus kepada golongan sasar B40 di Kampung Olong, Binjai dan Kampung Pengkalan Binjai melibatkan 6 orang peserta seluas 2.8 hektar dengan kos RM85,831.00. Yang ketiga, peningkatan infrastruktur dan juga sistem pengairan dan saliran di Taman Kekal Pengeluaran Makanan di Paloh Jenang seluas 193 hektar dengan kos RM1.19 juta dan yang terakhir sekali Program Perataan Sawah Dua Jelapang di Skim Pengairan Paya Dadong, Kemaman dalam DUN Air Putih seluas 32 hektar yang melibatkan 19 orang pesawah dengan kos RM112,000. Jadi peruntukan keseluruhan bagi tahun 2026 yang dipohon oleh Jabatan Pertanian untuk DUN Air Putih ialah RM1.954 juta melibatkan seluas 403 hektar yang memberi manfaat kepada 200 orang pengusaha bagi mengusahakan aktiviti tanaman di DUN Air Putih. Terima kasih.
Terima kasih. Ada soalan tambahan.
Terima kasih YB.
Soalan tambahan daripada Air Putih. Apakah status penambahbaikan sistem saliran di kawasan Paya Padi Kemaman?
Sila Yang Berhormat Yang Berhormat Jabi.
Untuk maklumat Dewan, dua skim pengairan padi yang ada dalam DUN Air Putih ini, satu Paya Paman, satu Paya Dadong.
Skim pengairan padi di Paya Paman antara kita fokus untuk menaik taraf sistem pengairan bagi tahun 2025 dengan membina sistem tali air utama yang melibatkan kos RM500,000 supaya kawasan yang sebelum ini bertanam sekali setahun boleh tanam padi dua kali setahun. Dan alhamdulillah, status projek ini telah siap sepenuhnya.
Untuk maklumat Dewan, sejak daripada tahun 2019, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM1.9 juta bagi menaik taraf sistem pengairan dan infrastruktur di dua skim pengairan dalam DUN Air Putih, Paya Paman dan Paya Dadong. Jadi infrastruktur Kerajaan dah buat, kita dah belanjakan banyak peruntukan, orang Kemaman kena rajin-rajin buat padi. Kalau tak boleh buat dua kali setahun, cubalah usaha supaya boleh buat empat kali dalam masa dua tahun. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Jabi, ada soalan tambahan daripada mana-mana, Yang Berhormat? Sila Yang Berhormat Bukit Tunggal.
Terima kasih, Dato' Yang di-Pertua. Soalan saya berkenaan dengan kawasan padi Luar Jelapang, Yang Berhormat. Saya difahamkan ada satu kawasan di Kampung Kubang Tangga, DUN Wakaf Mempelam. Diusahakan oleh seorang pemuda. Dia handle 100 ekar lebih kawasan tanaman padi. Jadi apakah bantuan yang Kerajaan boleh berikan sebab difahamkan kunci air di situ masa zaman merdeka lagi. Jadi adakah bantuan yang boleh Kerajaan usahakan untuk meningkatkan usaha-usaha yang dibuat oleh orang-orang muda di kampung tersebut. Terima kasih.
Terima kasih, Bukit Tunggal. Untuk semua pengusaha padi, mereka disediakan pelbagai bantuan yang diterima oleh semua pengusaha yang berdaftar. Di antaranya mereka akan dapat bantuan subsidi benih, subsidi input racun, baja, subsidi untuk bajak tanah, dan juga subsidi harga padi, 500 per tan. Ini yang disediakan
standard untuk semua pengusaha sawah yang berdaftar. Ada pun dari segi tanggungjawab untuk nak meningkatkan infrastruktur saliran dan pengairan, khususnya di dua jelapang. Yang ini di antara fokus Kerajaan Negeri dan kawasan yang disebut oleh Yang Berhormat Bukit Tunggal tadi, insya-Allah kita akan tengok apa lagi keperluan sebab 100 ekar itu satu keluasan yang sangat luas sebenarnya dalam konteks sawah padi Negeri Terengganu ini. Dalam perhatian kita, insya-Allah, untuk tindakan. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Jabi. Seterusnya, saya persilakan Yang Berhormat Telemung.
Terima kasih, Dato' Yang di-Pertua
Atas kepala ada kutu, soalan saya nombor satu.
Kerajaan Negeri ada menyatakan jumlah kehadiran pelancong ke Negeri Terengganu sehingga Jun 2025 telah mencapai angka 7 juta orang dan telah menghampiri angka 7 juta orang dan telah menghampiri target sebanyak 8.5 juta orang bagi tahun ini. Boleh nyatakan dimanakah Kawasan tumpuan para pelancong tersebut.
Atas kepala siapa ada kutu tu? Sila Yang Berhormat Kijal.
Terima kasih, Yang Berhormat Telemung. Soalan sepertimana yang tertera, Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua dan Sidang Dewan yang saya muliakan. Antara kawasan yang menjadi tumpuan kepada pelancong, sebenarnya, Dato' Yang di-Pertua, boleh dikatakan semua kawasan, semua daerah. Lapan daerah Negeri Terengganu ini memang pelancong minat. Dia terbahagi kepada dua
secara kasarnya. Satu alik pata, satu alik darat, alik ulu. Alik pata, kita ada 244 kilometer pantai yang sangat cantik dan menarik. Selamat untuk mandi-mandi. Termasuk dengan pulau-pulau tapi sekarang dok berapa selamat. Pasal dah masuk musim MTL. Kita semua seharusnya berhati-hati. Dan alik darat pula dia dipanggil Terengganu Tengah. Sebahagian besarnya dijaga oleh Ketengah. Dan ada lagi sebahagian lagi belah alik darat. Jadi untuk makluman Dewan, kita bagi kepada beberapa daerah. Berkait kepada soalan. Yang pertama daerah Kuala Terengganu, kita ambil tempat-tempat yang besar sahaja. Yang kecil kita tak masuk dalam jawapan pada hari ini, iaitu Taman Tamadun Islam, Muzium Negeri Terengganu, Kampung Budaya. Kampung Budaya ini dia muzium bergerak. Semua acara-acara ataupun aktiviti-aktiviti kebudayaan ada di Kampung Budaya. Kampung Budaya sebelah pada muzium.
Yang ketiganya, Noor Arfa Batik, Jambatan Angkat, Pasar Payang dan Kampung Cina, itu Kuala Terengganu. Kemaman, kita ada Pantai Teluk Mok Nik, kita ada Pantai Teluk Kalung dan Pantai Penunjuk, Taman Rekreasi dan Zoo Kemaman, Pusat Santuari Penyu Ma’ Daerah. Di Dungun, kita ada alik pata Pulau Tenggol, Teluk Bidara, Rantau Abang. Belah alik darat, kita ada Cengal Besar dan Air Terjun Chemerong. Besut, kita ada Pulau Perhentian, Pantai Bukit Keluang, La Hot Spring. Ni semua ni memang menjadi tumpuan kepada pelancong. Hulu Terengganu, Yang Berhormat, Tasik Kenyir. Kenyir Elephant Conservation Village (KECV). Kita ada Pengkalan Gawi. Kita ada Batu Bersurat. Di Marang, Pulau Kapas, Pulau Gemia dan Dataran Batu Putih. Ada lagi banyak tempat lain lagi. Di Setiu. Kampung Pelancongan Mangkuk, Taman Negeri Setiu Wetland, Lata Ulu Kasar. Lata Ulu Kasar ini, Dato' Yang di-Pertua, dah ada dah Santuari Kelah yang kedua selepas daripada Tasik Kenyir. Kalau Tasik Kenyir hilang kekgi, kene ketek lagi kelah, maka ada di Ulu Kasar, baru nak start. Dan Pantai Penarik. Di Kuala Nerus, Pulau Redang, Pulau Lang Tengah dan Pulau Bidong. Itu saja. Dato' Yang di-Pertua, terima kasih.
Terima kasih, ada soalan tambahan? Sila Yang Berhormat Telemong.
Dato' Yang di-Pertua, saya nak ulas sikit boleh tak? Nak maklumkan, saya terujalah tengok laporan daripada Jabatan Pelancongan mengatakan kehadiran pelancong Terengganu ini sangat bagus. Di mana kalau tengok tahun 2004, target kita 4.5 juta. Hadir ke Terengganu, laporan akhirnya 7.8 juta, peningkatan besar tu.
Begitu juga tahun ni, target 8.5 juta yang hadir dah sehingga bulan Jun, 6.9 juta. Maknanya 6 bulan lagi ni, daripada bulan 7, mungkin 7 juta lagi, dekat 15 juta. Ramai pelancong hadir ke Terengganu, mungkin kerana atas faktor negeri yang paling bahagia di Malaysia. Jadi saya ni nak, cuma saya keliru nya, kenapa dekat kita ni kurang, dekat Hulu Terengganu. Air Terjun Sekayu, dulu 100,000 ribu lebih. Sekarang ni 10,000 je, tak sampai pun mungkin.
Soalan apa, soalan?
Tak apa, tak apa. Jangan ganggu, jangan ganggu.
Ni cari baloh...
Speaker, Yang di-Pertua seorang je.
Kemudian di Kenyir. Dulu di Kenyir, 600,000 lebih. Hari ni data terakhir, tak sampai 200 ribu pun. Maknanya berlaku penurunan. Terengganu hebat, tapi dulu Terengganu yang tempat 2 besar ni, kurang. Soalan saya, jelas berlaku penurunan ketara dalam kehadiran pelancong ke Hulu Terengganu khususnya. Jadi saya nak tanya di sini, kenapa benda ini berlaku? Apakah usaha kerajaan supaya kehadiran pelancong ini lebih baik pada masa yang akan datang dan antara produk utama pelancongan kita di Hulu Terengganu ialah di Kenyir. Apakah usaha-usaha Kerajaan Negeri untuk membantu pengusaha-pengusaha bot di Tasik Kenyir untuk memastikan kelangsungan aktiviti pelancongan dan juga peningkatan hasil Negeri Terengganu? Terima kasih.
Terima kasih, Telemung. Kita bagi ruang banyak tu, soalan tu.
Terima kasih Yang di-Pertua. Soalan panjang dan soalan kemas. Kita puji sikit Telemung kali ini. Okay, sebenarnya memang kita sedar kehadiran Tasik Kenyir kebelakangan ini agak berkurang tetapi dah naik lah. Mungkin Yang Berhormat dok baca data
baru lah, naik dah. Yang pertama sekali kerana COVID, Dato’ Yang di-Pertua, sebelum COVID dulu, kehadiran ke Tasik Kenyir ini mencecah dekat dengan RM 1 juta, lepas tu dia turun. Lepas tu naik semula sikit-sikit. Masuk-masuk fasa kedua Dato’ Yang di-Pertua, Pengerusi KETENGAH dokleh bincang dengan kita pula, dokleh bincang. Kita nak buat pembangunan, nak buat program, tak leh nak bincang. Jadi Pengerusi KETENGAH yang baru dilantik ni nampak macam boleh bincang.
Jadi kita nak beritahu, program hok terkini, yang dibuat oleh Tasik Kenyir baru-baru ni, Geopark Festival. Kenyir Geopark Festival, kehadirannya mencecah 90,000 orang dalam masa tiga hari. Makna, mengejut. Saya pun rasa teruja dan terkejut dengan kehadiran yang sebegitu rupa. Jadi inilah faktor yang paling besar sekali di Tasik Kenyir. Maksudnya apa Dato’ Yang di-Pertua? Maksudnya aktiviti kena ada. Aktiviti tambahan kena ada. Houseboat? Tak cukup houseboat. Masih lagi tak cukup houseboat yang ada di Tasik Kenyir, melebihi 80 houseboat yang ada, tak cukup lagi. Jadi untuk pendapatan, untuk houseboat dan deal Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, dia sangat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri. Semalam baru dia mari jumpa dengan saya, dia bagi tahu, dia kata houseboat 90% ke atas penuh setiap masa walaupun hari biasa. Ada sikit-sikit sebanyak lagi yang perlu kita baik pulih dan kita telah melaksanakan beberapa projek bersama dengan KETENGAH iaitu menyelenggara dan naik taraf bangunan kemudahan di Taman Orkid. Jadi Taman-taman Orkid, Taman Rama-rama, Gua Bewah, Santuari Kelah ni, semua kita kena baik pulih dan inilah yang saya katakan, kita harap kepada Pengerusi KETENGAH baru ni, Dato’ Yang di-Pertua, boleh berbincang dengan kita supaya Kerajaan Negeri juga boleh melabur, boleh memberi bantuan kepada KETENGAH untuk memastikan semua Yang Berhormat Telemong nok, kita boleh buat, insya-Allah, saya yakin dan percaya, kita boleh buat dan dalam masa yang sama, walaupun dalam keadaan kita kekurangan kewangan, kita bekerjasama juga dengan KETENGAH. Repair, baiki, Tanjung Bewah, Gua Bewah, Melunak Trail, dalam Tasik Kenyir. Kita buat, walaupun kecil-kecilan.
Dan yang terkini, saya difahamkan, peruntukan besar juga diperuntukkan untuk baiki jambatan gantung di Tasik Kenyir. Baiki jambatan gantung ni, hok yang rosak lama dah. Kita dok buat baru Dato’ Yang di-Pertua, untuk pengetahuan Dewan, kita tak buat benda baru di Tasik Kenyir, benda lama kita baik pulih dan cukup untuk menerima pelancong yang saya bagi cabaran kepada pengurusan KETENGAH, bahawasanya, tahun 2026, kita minta dia 1 juta pelancong dan
mereka sanggup menerima cabaran saya. Itu bermakna, Tasik Kenyir dalam keadaan pemulihan. Itu sahaja, Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat.
Dato’ Yang di-Pertua, Air Terjun Sekayu dok sebut tadi, Air Terjun Sekayu tadii saya tanya, soalan saya dok habis jawab lagi. masalah dok habis jawab lagi
Ho. Sekayu-sekayu… jawab ah sikit.. Rai ke Telemong jauh oh mari..
Dok bukan, Saya dok dengor Sekayu tadi, ada dok?
Ada-ada…
Air Terjun Sekayu… Terima kasih.
Ye sebut lain, Sekayauuuu gitu.
Okay, Sekayu ni Dato’ Yang di-Pertua, memanglah kita beberapa kali berlaku malapetaka di Sekayu, kita panggil dia, kepala air. Saya pun risau juga sebab kepala air ni, mari kita tidak rancang dan Air Terjun Sekayu ni, tersangat popular dan sekarang makin malap dan baru-baru ni, kita pindah kepada taman sebelah tu dan Yang Berhormat Jabi selesai dah sebahagian dan akan datang ni, kita ada peruntukan eFT, apabila kita kaji-kaji, kita tak boleh tinggal Sekayu ni. Sebab Sekayu ni adalah satu tempat yang lama, yang tua, Sekayu Waterfall, jadi kalau kita tinggal Sekayu ni, kita pergi tempat lain, maka saya rasa, di sebelah Hulu Terengganu ini akan kehilangan satu mercu tanda air terjun. Jadi kita berbincang panjang dengan perhutanan dan kita dapatlah formula. Insya-Allah, melalui peruntukan eFT, tahun depan ni, kita akan cuba betulkan balik Sekayu tu, supaya menjadi tempat tumpuan kepada pelancong sama ada domestik ataupun luar negara. Itu saja Dato' Yang di-Pertua, terima kasih.
Terima kasih Dato' Yang di-Pertua.
Terima kasih Yang Berhormat Kijal, seterusnya, saya persilakan Yang Berhormat Bukit Tunggal.
Terima kasih Dato' Yang di-Pertua, soalan saya nombor dua-
Apakah Usaha Kerajaan Negeri bagi memastikan bot-bot nelayan laut dalam C dan C2 yang berdaftar di Terengganu tidak lagi mendaratkan hasil tangkapan mereka di Pelabuhan Tok Bali, Kelantan atau di Kompleks Lembaga Kemajuan (LKIM) Kuantan, Pahang, kerana masalah muara cetek dan kekurangan infrastruktur di pleabuhan Negeri Terengganu?
Sila Yang Berhormat Jabi.
Terima kasih, Bukit Tunggal. Terima kasih Dato' Yang di-Pertua. Bukit Tunggal ini di antara DUN yang mempunyai ramai masyarakat nelayan dan saya sangat menghargai keprihatinan Yang Berhormat Bukit Tunggal berkaitan dengan isu-isu nelayan kita.
Untuk makluman Dewan, jumlah vessel nelayan Terengganu untuk zon A pada jarak (0-5bn) 2,188 vessel. Zon B bagi jarak (5-12bn) ada 99 vessel, bot laut dalam zon C pada jarak (12-30bn) ada 161 vessel dan zon C2, jarak (30bn-EEZ), Zone Economic Exclusive ada 41vessel. Benar sebagaimana dalam intipati soalan Bukit Tunggal ada bot laut dalam kita C dan C2 yang mendarat di pelabuhan LKIM Tok Bali di Pasir Putih dan juga pelabuhan LKIM Kuantan walaupun mereka memukat di perairan Terengganu. Data pada tahun ni 33 buah vessel yang mendarat dengan kebenaran berpindah pengkalan secara sementara, maknanya bot ni masih lagi warna kemudi hijau kod warna Terengganu diberi kebenaran sementara.
Dan jumlah ini sedikit menurun berbanding tahun lepas ada 38 vessel. Jadi 5 buah dah balik semula ke Terengganu. Isu muara cetek ditambah dengan kekurangan infrastruktur di pelabuhan dan jeti-jeti perikanan kita seperti kilang air batu, bekalan minyak diesel, bekalan air mentah, kemudahan pasaran dan beberapa isu lagi ini adalah di antara faktor yang menjadi penyumbang yang merencatkan perkembangan industri perikanan di Terengganu.
Kita sangat sedar tentang isu ini dan usaha sedang dilakukan secara yang sangat intensif bagi kita selesaikan permasalahan dan kita nak panggil balik semula bot-bot Terengganu supaya mendaratkan hasil tangkapan di negeri sendiri. Di antara usaha yang sedang kita buat ialah projek pembangunan dan pemerkasaan pelabuhan LKIM Chendering dengan kos RM192 juta yang sedang berjalan dan dijangka akan siap paling lewat pada 2032. Yang kedua projek pembinaan jeti LKIM Kertih dalam kawasan Kemasik dengan kos RM222,000 ribu lebih dimulakan pada Ogos 2023 dan telah siap pada Disember 2024.
Yang ketiga projek naik taraf jeti kompleks LKIM Dungun, kos RM1.58 juta telah dimulakan pada bulan Julai 2025 dengan jangkaan tarikh siap pada Julai 2026. Seterusnya projek menaik taraf dan peningkatan infrastruktur di Kompleks LKIM Pulau Kambing dengan kos RM2.364 juta dimulakan pada November 2022 dan telah siap pada Julai 2024. Seterusnya projek menaik taraf dan peningkatan infrastruktur Kompleks LKIM di Kuala Besut, kos RM1.717 juta bermula pada Oktober 2021 dan telah siap pada Mac 2023.
Seterusnya projek menaik taraf jeti LKIM Paka, kos RM227,000.00 lebih kita mulakan pada Mei 2022 dan telah siap pada Ogos 2022. Kemudian pembinaan kemudahan infrastruktur di jeti Kampung Merang di Setiu dengan kos RM469,000.00 dimulakan pada Julai 2025 baru-baru ini dengan jangkaan tarikh siap ialah Julai 2026. Dan kita juga telah naik taraf kilang air batu di pelabuhan LKIM Chendering untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran dengan kos RM2.6 juta yang telah dimulakan pada Disember 2023 dan telah siap pada Mac 2025. Ini berkaitan dengan isu infra dan kemudahan di pelabuhan dan jeti-jeti perikanan.
Berkaitan dengan isu muara cetek, Negeri Terengganu telah mendapat tujuh kelulusan bagi projek mendalamkan muara dan membina benteng pemecah ombak. Sebahagiannya telah siap dan sebahagian projek sedang berjalan, dengan izin Dewan, mohon saya senaraikan. Projek Pemuliharaan Muara Sungai
Paka dengan kos RM134 juta lebih, telah siap pada Mac 2023. Projek Pemuliharaan Muara Sungai Merchang dengan kos RM43 juta telah siap pada Disember 2024. Projek Pemuliharaan Muara Sungai Besut, ini yang terbesar dengan kos RM359 juta lebih dalam proses pelaksanaan. Projek Pemuliharaan Muara Sungai Setiu dengan kos RM150 juta juga dalam pelaksanaan. Projek Pemuliharaan Muara Sungai Dungun dengan kos RM250 juta juga dalam pelaksanaan. Projek Pemuliharaan Muara Sungai Ibai Kuala Terengganu dengan kos RM30 juta juga dalam pelaksanaan dan yang terkini ialah projek Pemuliharaan Muara Sungai Merang, Setiu dengan kos RM239 juta sekarang sedang dalam peringkat pra-pelaksanaan. Jadi apabila semua isu-isu yang bersabit dengan isu muara dan juga kompleks serta jeti perikanan yang melibatkan pendaratan bot C dan C2 diselesaikan, maka kebenaran pindah pengkalan secara sementara akan ditarik balik oleh Jabatan Perikanan Malaysia Negeri Terengganu dan bot-bot tersebut mesti mendaratkan hasil tangkapan di pengkalan di mana ia didaftarkan. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat. Ada soalan tambahan?
Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. Terima kasih kepada Yang Berhormat Jabi kerana kita tengok daripada jawapan tadi itu daripada Kemaman sampai ke Besut semua muara, kuala telah diambil perjalanan, dibaik pulih. Tetapi soalan kita apakah selepas pada pembaikan seluruh pelabuhan perikanan ini, penyelesaian jangka panjang untuk kita mengatasi ataupun menangani tawaran-tawaran yang lebih baik yang dikemukakan oleh di Tok Bali, di Kuantan, dengan bekalan air batu, air bersih, diesel dan seumpamanya, yang menarik, kadang-kadang menarik lebih nelayan untuk mendaratkan hasil tangkapan mereka di sana. Terima kasih.
Sila Yang Berhormat Jabi.
Terima kasih Bukit Tunggal. Kalau kita tengok dari segi komponen dan skop kerja projek naik taraf dan juga penambahbaikan PLC Pelabuhan LKIM Chendering ini untuk komponen atas darat, kilang air batu, bilik sejuk, dewan lelong, dewan orang ramai, surau, garaj kenderaan, dewan pukat pun kita buat untuk nelayan baiki pukat, naik taraf longkang dan monsun drain, bengkel untuk pembaikian
jentera dan peralatan serta lot peniaga. Bagi kerja-kerja dalam air termasuklah meroboh jeti sedia ada dan membina jeti baru, pembaikian quay wall dengan izin, ataupun dinding dermaga, menaik taraf dan membina benteng pemecah ombak, benteng pemecah ombak yang ada sekarang ini, dulu dibina di bawah daripada spek yang sepatutnya. Sepatutnya lebih panjang… bila pendek menyebabkan pasir boleh masuk. Di samping naik taraf akan dipanjangkan lagi dan kerja-kerja pengorekan untuk mendalamkan pelabuhan. Jadi yang kita fokus kerja atas darat dan juga kerja dalam air ini ialah isu-isu yang merencatkan fungsi pelabuhan sebelum daripada ini. Jadi bila kita selesaikan masalah berpunca daripada punca dia, kita sangat yakin insya-Allah kita boleh mengembalikan pelabuhan LKIM Chendering sebagaimana zaman kegemilangannya dan tindakan daripada Jabatan Perikanan Negeri Terengganu untuk menamatkan kebenaran sementara bot-bot ini berlabuh di negeri lain adalah satu tindakan yang mempunyai justifikasi dan kewajaran. Terima kasih.
Kuala Berang. Sila Kuala Berang.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan. Saya kurang setujulah dengan ADUN Bukit Tunggal tadi, pembaikian daripada selatan sampai ke utara semua sekali, tak termasuk saya rasa pelabuhan Marang. Saya ingin bertanya sikitlah berkaitan dengan pelabuhan Marang ini yang tidak disebut apa-apa pembangunan di sana. Masalahnya di LKIM Marang tersebut dari segi infranya tidak mencukupi, air batunya tak ada, kadang-kadang desanya pun tak ada. Keduanya pelabuhan tersebut agak cetek ataupun tohor, yang mana vessel tidak dapat parking dengan baik. Waktu air surut, tinggal dua kaki sahaja. Jadi sudah tentu merosakkan vessel-vessel yang parking di sana. Jadi saya harap Yang Berhormat Jabi ini ambil tindakan sikitlah untuk kemudahan infra di Marang. Terima kasih.
Sila Yang Berhormat Jabi.
Terima kasih Kuala Berang. Masih peka dengan laut walaupun dah jual bot. Bukan kita tak buat apa-apa di Marang. Kita dah buat, cuma masih ada lagi yang belum selesai. Dalam konteks Marang ini, breakwater ataupun benteng pemecah ombak dah ada, cuma isunya cetek dan tahun 2021 kita dah buat cold room di jeti LKIM Marang, dan kita dah buat slipway. Slipway ini tempat untuk tarik bot naik ke
darat untuk penyelenggaraan dan baik pulih. Jadi dua projek besar kita buat di Marang dan insya-Allah permintaan daripada Kuala Berang itu kita akan perhalusi dan yang paling penting sekali untuk mendapatkan bajetlah. Terima kasih.
Terima kasih kepada Kuala Berang dan Jabi. Seterusnya saya persilakan Yang Berhormat Kuala Besut.
Terima kasih Dato' Yang di-Pertua Dewan. Soalan saya ada soalan satu -
Apakah Usaha Kerajaan Negeri bagi memastikan bot-bot nelayan laut dalam C dan C2 yang berdaftar di Terengganu tidak lagi mendaratkan hasil tangkapan mereka di Pelabuhan Tok Bali, Apakah langkah Kerajaan Negeri untuk menaik taraf prasarana pelancongan di Pulau Perhentian, termasuk aspek keselamatan jeti, kemudahan awam dan pengurusan sisa pepejal, bagi memastikan Kuala Besut kekal sebagai pintu masuk pelancongan antarabangsa?
Okay, soalan nombor 1. Sila Yang Berhormat Kijal.
Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. Soalan seperti mana yang tertera. Kerajaan Negeri komited bagi membuat kerja-kerja menaik taraf prasarana pelancongan di Pulau Perhentian termasuk aspek keselamatan, kelestarian jeti, kemudahan awam dan pengurusan sisa pepejal bagi memastikan Kuala Besut kekal sebagai pintu masuk pelancongan antarabangsa. Antara langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri adalah seperti mana berikut. Pelaksanaan projek naik taraf dan baik pulih jeti kerajaan berhampiran dengan Resort Coral Bay, jeti Pasir Panjang dan Jeti Teluk Keke dengan kos RM3.1 juta, peruntukan daripada Kementerian Kewangan kepada Majlis Daerah Besut bagi memberi penawaran kemudahan pelancongan yang selesa dan lebih selamat kepada para pelancong. Yang kedua, penganjuran program pembersihan pantai dan dasar inisiatif seperti program Dive Against Debris, Beach Clean Up dengan izin, yang melibatkan
semua sukarelawan seluruh Negeri Terengganu terutamanya di Pulau Perhentian dan Kuala Besut. Projek ini di bawah kelolaan program Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau United Nation Development Programme (UNDP) bukan AMDA di Pulau Perhentian dengan kerjasama Majlis Daerah Besut, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dan komuniti setempat yang melibatkan pengumpulan sampah dari pantai, dasar laut dengan tumpuan untuk menjaga ekosistem dan konservasi marin pulau tersebut. Dan ini diterajui oleh Majlis Daerah Besut, yang mana saya melihat bersama dengan Yang Berhormat berada di Pulau Perhentian selama tiga hari inilah Majlis Daerah Besut memberi satu petunjuk yang agak hebat supaya dapat diikuti oleh majlis-majlis daerah yang lain kerana YDP dia beri tumpuan dan kita berjaya, insya-Allah tahun 2026, kita akan masukkan dia dalam Kalendar Pelancongan Negeri Terengganu, Dato’ Yang di-Pertua.
Selain daripada itu, penyediaan kemudahan awam, di Pusat Taman Laut Pulau Perhentian oleh Jabatan Perikanan Negeri melibatkan surau, tandas dan bilik persalinan. Selain daripada penyediaan kemudahan asas tersebut, pelbagai program dan inisiatif turut dilaksanakan oleh Jabatan Perikanan Negeri Terengganu bagi memperkukuhkan pengurusan serta pemuliharaan alam sekitar di kawasan Pulau Perhentian dan yang akhir sekali pengurusan sisa pepejal. Bagi kontrak kutipan dan pemindahan sisa pepejal, pihak Majlis Daerah Besut menguruskan sistem kutipan, sisa dan tender kontrak yang mengangkut sampah dari pulau ke tanah besar untuk pelupusan. Pengurusan ini mesti diselenggara dengan kontrak terikat berdasarkan kepada kekerapan kutipan, pembungkusan dan rekod. Berkaitan dengan pengurusan pepejal, Majlis Daerah Besut juga telah melantik kontraktor pembersihan awam untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan dan kutipan sisa-sisa pepejal di Pulau Perhentian, itu sahaja Dato’ Yang di-Pertua.
Ada soalan tambahan, Yang Berhormat.
Soalan tambahan, berapakah jumlah kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara pada tahun lepas ke Pulau Perhentian? Dato’ Yang di-Pertua Dewan, dengan izin soalan saya ada dua soalan tambahan untuk infra satu dengan izin, Dato’ Yang di-Pertua Dewan.
Soalan perlu Notis itu, nak jawab boleh.
Boleh Dato’ Yang di-Pertua, insya-Allah.
Okey, untuk kehadiran pelancong, khusus di Pulau Perhentian, kita tidak mempunyai data yang tepat, tetapi anggaran kita pada pertengahan tahun 2025, mencecah 300,000 kehadiran pelancong khusus ke Pulau Perhentian dan ini menunjukan Pulau Perhentian merupakan satu destinasi yang wajib singgah kepada peminat sama ada scuba diver ataupun peminat snorkeling. Oleh sebab itu, Kerajaan Negeri berusaha secara bersungguh-sungguh untuk memastikan kemudahan infrastruktur di Pulau Perhentian. Pada tahun 2024 Dato’ Yang di-Pertua, kami bersama dengan Jabatan Pelancongan, Majlis Bandaraya dan beberapa lagi menjelajah ke seluruh pulau di Negeri Terengganu untuk mengenal pasti masalah, dan lepas itu kita nak cari jalan penyelesaian, lepas itu kita nak laksanakan. Jadi..
Terima kasih Yang Berhormat, dia tanya soalan jumlah sahaja takdi.
Dia masuk soalan yang kedua tadi.
Terima kasih Yang Berhormat.
Dia sebut Infra tak takdi, Dok sebut?
Soalan lain, dia tertumpu soalan lain. Tak masuk dalam soalan asal.
Tak masuk soalan asal okey, terima kasih, dia sebut infra sebab saya nak jawab.
Infra jawab dah tadi.
Jawab dah tadi? Okey baik, terima kasih.
Kita nak bagi ruang kepada dua Yang Berhormat lagi. Seterusnya Yang Berhormat Bukit Besi.
Terima kasih, Dato’ Yang di-Pertua, Bukit Besi soalan nombor satu-
Sejauh manakah keberkesanan program bantuan keusahawanan negeri kepada usahawan kecil di kawasan Bukit Besi dan adakah terdapat perancangan untuk memperluaskan geran atau latihan keusahawaan kepada lebih ramai golongan B40 dan belia tempatan?
Sila Yang Berhormat, Alur Limbat.
Terima kasih Bukit Besi, Dato’ Yang di-Pertua Dewan, Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan sentiasa komited membantu usahawan kecil termasuk di kawasan DUN Bukit Besi, melalui pelbagai program pembiayaan dan bantuan geran. Sehingga kini sebanyak 96 orang usahawan kawasan Bukit Besi telah menerima bantuan geran berjumlah RM126,458.52, manakala 22 orang usahawan menerima pembiayaan berjumlah RM276,500.00. Maka jumlah keseluruhan usahawan di kawasan Bukit Besi yang menerima manfaat adalah sebanyak 118 orang dengan jumlah pengeluaran sebanyak RM402,958.52. Program ini menunjukkan keberkesanan yang positif apabila ramai usahawan kecil berjaya memperkukuh perniagaan serta meningkatkan pendapatan keluarga. Kerajaan melalui YPU juga merancang untuk memperluaskan pemberian geran dan pembiayaan kepada lebih ramai golongan B40 dan belia tempatan bagi memastikan pembangunan ekonomi setempat terus mampan dan inklusif. Manakala bagi memperluaskan latihan perusahawanan kepada golongan B40 dan belia tempatan, Yayasan Pembangunan Usahawan telah menerima peruntukan daripada Maybank Islamic sebanyak RM420,480.00 bagi melaksanakan Program Usahawan Belia Sejahtera (UBES) khusus untuk asnaf yang berdaftar dengan MAIDAM dan akan dipanjangkan penyertaan kepada penerima peserta eKasih di bawah Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Terengganu. Sasaran penyertaan ialah seramai 40 peserta, terima kasih.
Ada soalan tambahan, Bukit Besi.
Satu soalan sahaja, terima kasih atas jawapan, soalan saya daripada 136 yang telah berjaya lulus di peringkat DUN Bukit Besi, boleh bagi pecahan tak, apa jenis perniagaan yang usahawan lakukan di peringkat DUN itu sendiri, terima kasih.
Terima kasih kepada Bukit Besi, Dato’ Yang di-Pertua Dewan berdasarkan rekod Sahabat Usahawan Terengganu jumlah keseluruhan usahawan yang berdaftar dan aktif, saya sebut Negeri Terengganu iaitu seramai 16,034 orang, manakala bilangan usahawan Daerah Dungun seramai 1570 dan DUN Bukit Besi seramai 114 orang, manakala bilangan pendaftaran syarikat dan perniagaan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sehingga kini dalam Negeri Terengganu ialah seramai 75,938 orang dan perinciannya perniagaan 69,375, Syarikat Sendirian Berhad 6,124, perkongsian liabiliti terhad PLT 439 dan jumlah keseluruhannya 75,938. Manakala bagi Daerah Dungun, bilangan pendaftaran syarikat dan perniagaan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia sehingga kini ialah seramai 9,284 iaitu 12.2% daripada keseluruhan pendaftaran di Malaysia seperti berikut, perniagaan 8,956, Syarikat Sendirian Berhad 300, perkongsian liabiliti terhad 28 dan jumlah keseluruhannya 9,284. Sekian.
Seterusnya saya mempersilakan Yang Berhormat Sura.
Terima Kasih, Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan, Sura soalan nombor satu-
Berapa banyakkah peluang pekerjaan baru ada sepanjang 2023-2025?
Terima kasih Sura, Dato’ Yang di-Pertua Dewan, berdasarkan laporan Labour Market Exchange PERKESO, peluang pekerjaan sepanjang 2023 hingga 2025 adalah seperti berikut. Untuk tahun 2023, 19,778 tahun 2024, 18,854 manakala 2025 sehingga bulan September 13,333 jumlah keseluruhannya 51,965, sekian.
Ada soalan tambahan Yang Berhormat DUN Sura.
Satu saja soalan tambahan saya. Apabila melihat tentang sektor pekerjaan yang sudah sedia ada, kami golongan belia ni nak tahu sektor industri manakah yang menjadi tumpuan dan membuka peluang pekerjaan yang paling tinggi dalam tempoh yang disebutkan oleh Yang Berhormat tadi.
Sila Yang Berhormat.
Terima kasih kepada Dato’ Yang di-Pertua Dewan, sebenarnya peluang-peluang pekerjaan ini lebih fokus kepada golongan-golongan belialah. Berdasarkan data tahun 2025 sahaja, sektor industri yang mencatat jumlah kekosongan tertinggi di Negeri Terengganu adalah seperti berikut;
1. Pembuatan, 2065 kekosongan 2. Pendidikan 1,712 kekosongan.
3. Perkhidmatan sokongan dan pentadbiran 1,464 kekosongan. 4. Perdagangan borong dan runcit 978 kekosongan 5. Pembinaan 476 kekosongan.
Secara keseluruhannya sektor pembuatan menunjukkan jumlah kekosongan tertinggi pada tahun 2025 dengan 2065 kekosongan diikuti oleh sektor pendidikan 1,712, perkhidmatan sokongan dan pentadbiran 1,464. Data ini menunjukkan bahawa pada tahun 2025, keperluan tenaga kerja di Negeri Terengganu lebih tertumpu kepada sektor perindustrian, pendidikan dan perkhidmatan sokongan dan pentadbiran selaras dengan pertumbuhan ekonomi dan peningkatan keperluan kemahiran teknikal di negeri ini. Sekian.
Ada soalan tambahan terakhir?
Mana-mana, Yang Berhormat? Tidak ada? Saya ucap terima kasih kepada Yang Berhormat Alur Limbat dan semua Ahli Yang Berhormat sekalian. Saya tangguhkan sementara Dewan ini dan disambung semula pada pukul 11 pagi.
MESYUARAT DITANGGUHKAN PADA PUKUL 10.45 PAGI
PUKUL 11.00 PAGI
Rang Enakmen Perbekalan 2026Bill
Ahli Yang Berhormat sekalian, Ketua-ketua Jabatan, mesyuarat disambung semula. Ahli-ahli Yang Berhormat semalam Rang Enakmen Perbekalan 2026 untuk Bacaan Kali Yang Kedua telah mendapat sokongan. Sekarang saya, akan memberi ruang untuk perbahasan kepada semua Yang Berhormat-berhormat. Sila Yang Berhormat yang nak memulakan perbahasan pada pagi ini. Sila Yang Berhormat Bandar.
Terima kasih, Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Yang Berhormat, Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan, wakil jabatan, pemerhati, tetamu, tuan-tuan, puan-puan.
Saya mulakan perbahasan pada pagi ini dengan membaca ayat kelima belas Surah Al-Mulk:
Maksudnya, Dialah yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu maka berjalanlah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian daripada rezekinya dan hanya kepadanyalah kamu dikembalikan.
Ayat yang kita baca tadi mengingatkan kita bahawa segala sumber dan rezeki yang ada di bumi ini adalah amanah daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang dipermudahkan kepada kita untuk dimanfaatkan. Manusia digalakkan untuk berusaha mengurus sumber-sumber tersebut dengan bijaksana dan penuh amanah. Bertanggungjawab kerana ianya semuanya akan dihisap di hadapan Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mengambil peluang ini untuk merakamkan ucapan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, dan juga kepimpinan Kerajaan Negeri Terengganu yang telah membentangkan suatu Belanjawan bagi tahun 2026 yang disusun penuh dengan tanggungjawab dan keprihatinan dengan tema yang diangkat “Memacu Potensi, Melonjak Prestasi”. Belanjawan ini bukan sekadar sebagai satu dokumen kewangan tapi ia mencerminkan sebuah keutuhan dasar yang kukuh kestabilan tadbir urus dan kesungguhan pihak Kerajaan untuk membela rakyat.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, apabila kita meneliti Belanjawan 2026 ini jelas terpancar kesungguhan Kerajaan Negeri Terengganu menyeimbangkan di antara keperluan semasa dan juga perancangan untuk masa hadapan. Peruntukan hampir 2 billion ini termasuk perbelanjaan mengurus menunjukkan diri ini terus mengamalkan disiplin fizikal yang bertanggungjawab. Dalam masa yang sama, tidak lupa caruman yang besar kepada Kumpulan Wang Pembangunan menjadi bukti bahawa Kerajaan tidak hanya menumpu kepada perbelanjaan operasi semata-mata tetapi turut juga berfikir jauh ke hadapan demi kesinambungan pembangunan Negeri Terengganu. Dari segi hasil pula, saya melihat Kerajaan Negeri berada di landasan yang betul keupayaan menjana hampir 2billion ringgit hasil keseluruhan dengan lebihan bajet iaitu surplus 3% membuktikan pengurusan kewangan yang cermat dan berkesan, apa yang penting ialah memastikan setiap sen peruntukan yang telah diperuntukkan itu diterjemahkan kepada manafaat sebenar demi kepentingan rakyat dan juga Negeri Terengganu yang tercinta.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mengambil isu yang pertama, iaitu isu perumahan. Isu perumahan bukan suatu yang perkara yang berkait dengan tanah pasir ataupun simen. Bahkan ia merupakan soal maruah dan kesejahteraan hidup rakyat. Justeru itu, Kerajaan Negeri telah terus menempatkan pembangunan rumah mampu milik sebagai antara agenda terpenting di dalam dasar pembangunan rakyat.
Sejak tahun 2018, lebih 3,000 unit rumah telah disiapkan termasuk 620 unit baru pada tahun ini yang melibatkan kawasan Kuala Nerus, Kemaman dan Besut. Tidak terhenti di situ lebih daripada 9,000 unit lagi sedang dibangunkan, manakala lebih 3,000 unit dalam perancangan di seluruh daerah. Ini bukan angka kosong. Ini adalah suatu gambaran kesungguhan kerajaan untuk memastikan setiap keluarga di Terengganu mampu memiliki rumah, tempat berteduh yang selesa, berkualiti dan berharga yang berpatutan. Rumah bukan sekadar dibina untuk didiami bahkan untuk membina masa depan. Dalam masa yang sama Kerajaan Negeri tidak pernah alpa terhadap aspek pembangunan modal insan dalam melahirkan tenaga kerja tempatan yang berketerampilan dan berdaya saing melalui pemerkasaan institusi kemahiran dan aliran teknikal. Kita sedang membentuk generasi baru yang bukan hanya mencari pekerjaan tetapi mereka ini dibentuk untuk mencipta pekerjaan. Keutamaan juga diberi kepada pendidikan Islam khususnya, sekolah agama rakyat, tahfiz dan pondok, yang menjadi tunjang pembinaan akhlak masyarakat dan menambah baik bantuan perkapita dan Skim Al-Ghazali.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, isu kedua hak kita yang masih dinafikan. Kita juga harus berani menyatakan hakikat bahawa Negeri Terengganu belum diberi perhatian yang sewajarnya oleh Kerajaan Persekutuan Madani sama ada dalam Rancangan Malaysia Ke-13 mahupun Belanjawan 2026. Penafian bayaran royalti petroleum kepada Kerajaan Negeri Terengganu masih diteruskan oleh Kerajaan Madani walhal petroleum itu adalah daripada laut Negeri Terengganu menyebabkan banyak keperluan asas yang masih belum mendapat tumpuan yang sepatutnya dan ruang fiskal negeri juga sering terbatas akibat kekangan ini. Dalam masa yang sama, pelbagai peruntukan diberi kepada negeri-negeri yang lain, yang tidak kurang bahkan mencapai mencecah nilaian puluhan billion ringgit contohnya Kerajaan Pulau Pinang.
Kita diibaratkan sedang berada di gelanggang pertarungan dengan tangan diikat, kaki dibelenggu, mata ditutup, lalu mereka mengheret kita di dalam
gelanggang membunyikan loceng untuk bertarung. Namun begitu, Kerajaan Negeri tidak pernah tunduk kepada keadaan ini. Kita tidak menunggu simpati sebaliknya memacu potensi sendiri. Menggembleng sumber yang ada dan menggerakkan kekuatan rakyat dengan penuh yakin. Inilah semangat Terengganu, berdikari, berdaya tahan dan berprinsip. Walau tidak diangkat istimewa oleh pusat, kita tetap melangkah dengan maruah memastikan pembangunan negeri terus bergerak dan kesejahteraan rakyat tidak tergadai.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya ingin menarik perhatian Dewan yang mulia ini kepada beberapa pencarian penting Negeri Terengganu yang wajar kita banggakan bersama. Berdasarkan kepada indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia MHI 2024, Terengganu telah dinobatkan sebagai negeri paling bahagia dengan skor 8.64. Ia bukan angka yang biasa, ini menggambarkan sebenarnya suasana harmoni, kesejahteraan sosial, kualiti hidup rakyat Negeri Terengganu. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua ni bahagia dok? [ketawa] Sebab saya tengok daripada pagi sampai petang kelmarin hingga hari ini senyum je. Barangkali Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua ini di antara yang skor ini dapat 8.64. Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Ahli-ahli Dewan semua bahagia?
AHLI-AHLI DEWAN: Bahagia.
Kuat sikit.. Bahagia. Alhamdulillah, tambah masa deh. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, isu yang seterusnya ialah Ketelusan Belanjawan. Yang lebih membanggakan Terengganu terus kekal sebagai negeri terbaik dalam ketelusan belanjawan menduduki tempat pertama di Malaysia bagi tahun 2022 dan 2024. Pencapaian ini bukan sekadar pengiktirafan di atas kertas tetapi merupakan gambaran kepada budaya tadbir urus yang berintegriti dan bertanggungjawab. Ia menunjukkan bahawa setiap ringgit yang dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri dapat dijejaki, dinilai dan dipertanggungjawabkan. Oleh karena itu, tidak ada alasan bagi Kerajaan Persekutuan Madani untuk menyalurkan hak rakyat Negeri Terengganu royalti yang selalu dilaungkan oleh mereka bahawa bimbang kalau diberi royalti ini akan berlaku penyelewengan dan pelbagai masalah. Ini adalah satu keadaan yang bercanggah dengan laporan daripada Audit Negara.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, sebagai usaha memperkukuhkan keberkesanan Belanjawan 2026, saya mencadangkan agar kerajaan
menekankan dua elemen penting. Pertama, Pembangunan Infrastruktur Lestari. Peruntukan Belanjawan perlu memberi fokus kepada projek mesra alam seperti Pengurusan Sisa Pepejal yang efisien, Tenaga Boleh Diperbaharui, Sistem Pengangkutan Awam yang lestari dan Pengurusan Air yang mampan. Suka saya memperingatkan kepada pihak Kerajaan dan juga mencadangkan kepada pihak Kerajaan dengan nasihat yang telus dan tulus agar setiasa berhati-hati di dalam pelbagai aspek, membuat kajian yang betul-betul mendalam di dalam memutuskan apa-apa keputusan terutamanya yang melibatkan kenaikan caj kepada rakyat. Kita sedar bahawa Kerajaan Negeri menghadapi kesungguhan, kekurangan kewangan dan bersungguh-sungguh untuk menambah pendapatan negeri. Pun begitu, kita tidak boleh menaikkan taraf ataupun tarif air yang baru-baru ini sehingga menyebabkan rakyat menjadi gusar, pelbagai pandangan telah diberi, cadangan telah disebut untuk memperbaiki keadaan ini.
Saya nak ucap tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar dan juga barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri yang berlapang dada, yang berjiwa besar telah meluluskan bantuan subsidi kepada pengguna air SATU ini. Ini adalah suatu gambaran yang sangat hebat. Kerajaan sentiasa melihat apa yang dirungut oleh rakyat kita. Ini sekali gus memastikan kos tidak membebankan isi rumah terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Kejayaan ini menunjukkan kerajaan memiliki strategi pengurusan yang berkesan, gabungan antara harga yang realistik dan perlindungan sosial serta memberi keyakinan kepada rakyat. Yang kedua, kesihatan dan kesejahteraan rakyat. Perutukan tambahan untuk Kemudahan Kesihatan Desa, Program Kesihatan Mental dan Pemerkasaan Pusat Kesihatan Komuniti akan memastikan rakyat di pinggir bandar mendapat akses perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan saksama. Dengan penekanan kepada kedua-dua elemen ini, Belanjawan akan menjadi instrumen pembangunan menyeluruh bukan sahaja memacu pertumbuhan fizikal dan ekonomi negeri tetapi juga meningkatkan kualiti rakyat.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Ibnu Khaldun dalam kitabnya mukaddimah berkata “Kestabilan sesebuah kerajaan bergantung kepada keadilan dalam pungutan hasil dan kebijaksanaan dalam membelanjakannya”. Apabila kita membahaskan Belanjawan 2026 ini, kita akan melihat angka bukan sekadar nilai jumlah dan peruntukan tetapi juga falsafah dan hikmah di sebalik setiap sen yang dirancang untuk kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya ingin ambil peluang sikit untuk kawasan saya DUN Bandar. Saya rasa saya dah beberapa kali menyebut di dalam Dewan ini berhubung dengan Pasar Chabang Tiga kerana di antara rungutan-rungutan mereka ialah kesukaran kenderaan-kenderaan besar untuk masuk ke pasar tersebut. Kita mengharapkan Pasar Chabang Tiga ini menjadi salah satu dari tempat yang termasuk dalam Kalendar Pelancongan supaya pelancong ataupun pengunjung-pengunjung masuk dan bahkan boleh bukan sahaja kenderaan kereta boleh juga dilalui oleh bas daripada luar, itu harapan daripada kawasan DUN Bandar. Sebagai penutup, saya ingin menekankan bahawa Belanjawan 2026 ini harus dilihat bukan sekadar dokumen kewangan tetapi sebagai alat pembangunan menyeluruh yang mengutamakan Kesejahteraan Rakyat, Keberkesanan Penyusunan Sumber dan Kelestarian Negeri seperti bidalan Melayu yang sarat maknanya, “kalau asal benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau.” Demikianlah Negeri Terengganu. Walau diuji dalam seribu cabaran, tetapi berdiri teguh dengan dasar yang jelas, hala tuju yang mantap dan pimpinan yang berpandangan jauh. Sekali lagi saya mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Menteri Besar dan semua pimpinan Kerajaan Negeri di atas pembentangan Belanjawan untuk tahun 2026 ini. Semoga Belanjawan yang realistik dan berprinsip ini dapat dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan amanah untuk memastikan keselesaan rakyat dan negeri, insya-Allah dengan tema “Memaju Potensi, Melonjak Lestari”, Bandar menyokong penuh ucapan Belanjawan Tahun 2026 oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Bandar. Seterusnya saya mempersilakan mana-mana Yang Berhormat. Yang Berhormat Jertih.
Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala,
Dan orang-orang yang kami berikan kepada mereka kekuasaan di atas muka bumi. Dan mereka mendirikan solat. Dan mereka menunaikan zakat. Dan mereka menyuruh kepada perkara ma'ruf. Dan mereka mencegah kepada perkara mungkar.
Surah Al-Hajj ayat 41
Yang Berhormat Dato Yang di-Pertua Dewan, yang dirahmati oleh Allah seluruh pimpinan Ahli-ahli MMK, ADUN-ADUN, Pengarah-pengarah Jabatan dan seluruh yang hadir hari ini. Alhamdulillah, Jertih mengucapkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada ucapan Belanjawan 2026 “Memacu Potensi, Melonjak Prestasi” dan saya memfokuskan kepada fokus ketiga. Keutamaan Kerajaan Negeri melestarikan keperluan sosial bagi menjamin kesejahteraan inklusif. Baik.
Sahabat-sahabat sekalian, antara isu besar. Negeri Terengganu, sejujurnya tuan-tuan sekalian. Bagaimana usaha untuk merosakkan generasi. Negeri kita terkenal dengan gejala penagihan najis dadah. Tuan-tuan sekalian, kalau kita lihat dalam trend yang berlaku ini tuan-tuan, seluruh lapan daerah. Daerah pertama kalau menang, johan peringkat daerah dadah tuan-tuan, Kuala Nerus. Diikuti oleh Besut sebagai naib johan dan sejarah dadah ini sejarah yang panjang. Bukan semasa zaman kita memerintah dengan slogan, Terengganu Maju, Berkat Sejahtera. Bagaimana kalau kita lihat dadah digunakan sebagai senjata untuk melumpuhkan sesebuah negeri ataupun negara. Contohnya perang Candu yang berlangsung dalam abad ke-19. Bagaimana empire dengan izin Pax Britannica ataupun Britain yang berperang dengan kerajaan Manchu di China dimasukkan opium ataupun candu dengan banyak dan kesannya China kalah dalam perang Candu yang pertama. Seterusnya berlangsung perang Candu yang kedua yang menyebabkan kerajaan Manchu hilang sebuah tempat yang strategik iaitu geopolitik iaitu Hong Kong yang dijajah oleh British hinggalah tahun 1997. Sejarah kemasukan dadah ke tanah air kita, tuan-tuan sekalian. Bagaimana dengan kehadiran imigran-imigran daripada China
terutama pada awal abad ke-20, tuan-tuan sekalian. Penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20. Bagaimana British melesenkan kedai-kedai untuk menghisap candu ini. Melesenkan, mengutip cukai-cukai dari kedai candu dengan penggunaan candu, tuan-tuan untuk memberikan hiburan kepada imigran daripada China yang bekerja di lombong-lombong, mengutip cukai, bahkan diberikan izin, tuan-tuan sekalian. Hinggalah tahun 1952 bahawa kita ada ordinan untuk mengawal kemasukan candu dan hukuman kepada penghisap dadah ataupun candu ini. Baik. Pantas masa berkembang. Selepas merdeka tahun 1960-an, 70-an dengan merasuknya dunia pop, dunia muzik pop, tuan-tuan sekalian. Reggae, blues, rock dan sebagainya, tuan-tuan semakin anak-anak muda minat kepada penggunaan dadah sintetik termasuk budaya Woodstock yang juga diadakan di Kuala Lumpur di Cheras tahun 1972. Maka kita melihat dadah ini mula menyerang di kawasan Malay Belts, terutama di kawasan-kawasan felda. Terengganu, Kelantan dan Pahang bagai bersemaraknya penagihan najis dadah di kalangan anak-anak muda. Manakala tempat negeri yang dibuat serbuan lab ataupun makmal dadah di Pulau Pinang dan juga di negeri Perak. Baik.
Sahabat-sahabat sekalian, isu ini sangat besar. Contoh saya melihat statistik daripada PDRM. Di mana pada tahun lepas, seramai 12,004 orang dikesan sebagai penagih dadah di negeri kita dan kita ucap terima kasih juga pada pihak agensi, AADK, kepada pihak Polis Diraja Malaysia, tuan-tuan sekalian juga NGO PEMADAM yang berusaha untuk bekerja keras bagi menangani isu-isu gejala penagihan dadah di Negeri Terengganu, tuan-tuan. Kita masih lagi tangga teratas. Baik. Begitu juga saya ucap tahniah kepada pihak Kerajaan Negeri kerana mengambil sikap tidak popular. Tindakan politik tidak popular mengharamkan kedai-kedai vape. Tahniah kepada EXCO berkenaan kerana vape ini tuan-tuan salah satu daripada elemen untuk menularkan gejala penagihan dadah. Terutamanya melalui vape mushroom yang digunakan daripada sintetik ganja, tuan-tuan sekalian. Baik.
Akhir sekali kalau kita melihat sahabat-sahabat sekalian bagaimana juga saya sebut tadi kawasan-kawasan Malay Belts, jangan kita anggap ini sebagai satu isu politik yang cuba digembar-gembur oleh penentang kita, musuh kita tapi realitinya di kampung-kampung kita, kita lihat anak-anak muda yang terlibat dengan gejala dadah dan hari ini, kalau 20 tahun lepas pil kuda, tuan-tuan sekalian dengan harga sekitar RM15 ke RM20, hari ini telah jatuh pada harga RM5 di pasaran menyebabkan anak-anak remaja kita. Tuan-tuan sebutlah
daripada Pulau Perhentian di Kuala Besut sampai di Kuala Kemaman. Gejala penagihan Pil Yaba, Amphetamine, Pil Kuda dan sebagainya. Jadi, saya mohon kepada pihak Kerajaan dengan bersungguh-sungguh mengadakan kempen skala besar. Kempen anti-dadah. Contoh, kita ada kempen Melawat Terengganu 2026. Mengapa tidak adakan kempen Anti-Dadah Terengganu 2026? Berskala besar kerana kita mewarisi masalah kerajaan lama, daripada zaman British lagi tuan-tuan sekalian. Jangan salahkan kerajaan yang kita baru memerintah tujuh tahun ini dan mereka ini tuan-tuan, anak-anak muda sebahagian mereka terlibat. Anak-anak muda, tuan-tuan, mereka hierarki penting dalam sumber manusia sebagaimana kalau kita baca sirah Nabi . Antara pemikir terkenal Dr. Hussin Haikal menyebut dalam kitab.
Ada Jertih, minta laluan sikit nak tanya.
Sila.
Yang Berhormat Wakil Jertih duduk dulu boleh
Nak tanya. Suatu masa dahulu kita ingat komunis musuh nombor satu negara. Kemudian dadah musuh nombor satu negara tapi nampaknya musuh ini hidup. Terus hidup. Kekal. Kita nak buat cadangan-cadangan yang baik supaya perkara ini dapat kita betul-betul banteras. Saya setuju tadi. Kita buat kempen besar-besaran. Jadi, apa pandangan Yang Berhormat Jertih?
Sila Yang Berhormat Jertih. Terima kasih, tuan-tuan.
Terima kasih, Wakil Permaisuri, dadah masih kekal sebagai musuh. Terutama negara kita, tuan-tuan sekalian. Dulu, bimbang. dia di pub, di kelab-kelab malam, di kawasan bandar. Tengok kalau Kuala Lumpur tuan-tuan sekalian, kawasan B40, Kampung Kerinchi, Pantai Dalam, Kampung Jubadak, Kampung Puah Seberang, Kampung Puah Hilir, Kampung Pandang-Bandang sebagai sarang dadah dan ini Malay Belt kalau di kawasan Kuala Lumpur tapi mengapa tidak kawasan upper-middle class tidak terlibat dengan gejala dadah. Ini kita boleh fikir, tuan-tuan.
Ada serangan yang terancang. Baik. Jadi, saya setujulah. Kita bersama-sama, tuan-tuan, lancarkan kempen skala besar anti-dadah.
Balik kepada hujah tuan-tuan, Dr. Hussin Haikal, Kitab iaitu Hayatu Muhammad. Bagaimana Nabi membina generasi, membina anak-anak muda. Bagaimana Dr. Abdullah Nasih „Ulwan dalam buku Peranan Pemuda menyebut, pemuda ini kelompok yang sangat penting kerana mereka mempunyai semangat, kekuatan fizikal, kekuatan aqliyah, intellectual dan kelompok yang berani untuk berubah sebab itu bersama Nabi semenjak awal dakwah tuan-tuan, orang-orang muda disebut oleh Sheikh Murni Ratban, Mus’ab bin Umair umur 17 tahun, Arkam bin Abi Arkam, 16 tahun. Tuan-tuan lihat, sahabat Nabi tuan-tuan dan sekalian. Saidina Abu Bakar, umur 38 tahun. Qaliyah Fatayat beliawanis, Asma’ binti Abu Bakar belasan tahun. Sampai akhir umur Nabi, Nabi utamakan orang-orang muda. Jadi sebab kempen ini sangat penting untuk kita selamatkan generasi muda. Nabi nak wafat, ada ancaman Rom. Tuan-tuan, ancaman Rom di Balkot. Nabi utuskan, arahan Nabi keluar tentera Islam. Anak muda panglimanya berusia 17 tahun, Usamah bin Zaid. Tuan-tuan, sahabat-sahabat yang dirahmati oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala sekalian, saya cadangkan di Dewan yang mulia ini, tuan-tuan daripada arahan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar sampai ke peringkat bawah di setiap DUN, kita giatkan kempen kita untuk menentang dadah ini. Saya minta tuan-tuan Kerajaan mengawal terutama program-program yang berselindung. Namanya, Food Festival. Namanya festival makan dan sebagainya. Tetapi, sense said culture, budaya seronok santai dimasukkan secara halus, dikir barat, dikir karut tuan-tuan dan sebagainya. Kadang-kadang, saya tak boleh sebut namalah. Panggil band-band daripada luar tuan-tuan dengan headbanging minta maaf dengan izin, dengan helikopter atas pentas, tuan-tuan sekalian seolah mengimbau balik zaman semaraknya dadah negara kita pada tahun 1980-an dengan keterlibatan artis-artis rock dalam isu-isu Battle Of The Band. Jadi, saya minta tuan-tuan Terengganu kita memperketatkan lagi enakmen kawal hiburan kita. Jangan jadikan anak muda kita rosak semata-mata kita nak buka ruang anak muda ramai berhimpun Terengganu termasuk mengawal event atau acara popular RXZ Member kita setiap tahun dikawal dengan baik, insya-Allah. Jadi, terima kasih dan saya menyokong Ucapan Belanjawan 2026 “Memacu Potensi, Melonjak Prestasi”, Jertih menyokong.
.
Terima kasih, Yang Berhormat Jertih. Ahli Sidang kita ni Ahli-ahli Yang Berhormat, Yang Berhormat Jertih. Sahabat-sahabat tu betul doh tapi Ahli-ahli Yang Berhormat, hok tu bahasa kuliah sahabat, Ahli-ahli Yang Berhormat ya. Terima kasih, Yang Berhormat Jertih. Seterusnya, saya mempersilakan mana-mana Ahli-ahli Yang Berhormat. Sila Yang Berhormat Pengkalan Berangan.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan, para media, para pemerhati yang berada dalam Dewan ini dan juga di atas talian serta hadirin-hadirat yang dirahmati Allah sekalian. Izinkan saya membuka bicara di Dewan yang mulia ini dengan serangkap pantun.
Bunga kenanga di atas peti, Harum mewangi dihembus bayu, Sidang bermula, penuh bererti, Moga diberkati, dirahmati selalu.
Alhamdulillah, kita bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana dapat berhimpun dalam Dewan yang mulia ini membicarakan hal ehwal negeri yang kita cintai, Terengganu Darul Iman. Negeri yang bukan sahaja indah pada alamnya tetapi luhur pada nilai, teguh pada prinsip, kukuh di atas dasar Islam. Tahniah saya ucapkan kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar di atas Pembentangan Belanjawan Negeri 2026. Semoga segala rancangan dan iltizam yang dikemukakan menjadi wasilah untuk memperkukuh kesejahteraan rakyat dan memastikan setiap hasil mahsyul negeri diagihkan dengan adil, saksama, penuh berkat tanpa mengira siapa. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman dalam surah An-Nahl ayat 97:
“Barang siapa mengerjakan kebajikan baik laki-laki mahupun perempuan dalam keadaan beriman maka pasti akan kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan kami akan beri balasan dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.”
Inilah asas kepada negeri bahagia, bukan bahagia yang diukur pada material atau kemajuan lahiriah semata-mata tetapi bahagia yang berakar daripada keimanan, akhlak dan kesejahteraan hati. Menurut laporan Malaysia Happiness Index 2024 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, Alhamdulillah Terengganu mencatat skor 8.64 daripada 10 markah penuh, tertinggi di Malaysia sekali gus menjadikan negeri kita sebagai negeri paling bahagia di negara ini. Komponen yang menyumbang kepada kebahagiaan itu ialah agama dan spiritual 8.69 serta keluarga 8.64 daripada 10 markah penuh membuktikan bahawa kebahagiaan sebenar dijana dan dipupuk daripada penghayatan agama dan hubungan kekeluargaan yang harmoni yang menghasilkan rakyat yang bahagia dan sejahtera. Ini membuktikan bahawa rakyat Terengganu bahagia kerana mereka beragama bukan kerana mereka bermegah.
Air jernih di kaki bukit, Mengalir lembut ke tengah bendang, Bahagia rakyat bukan sedikit, Bila agama menjadi tunjang.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mohon mencadang agar segala dasar negeri mesti berpaksikan Islam dan nilai agama agar kebahagiaan ini terus kekal menjadi warisan generasi anak negeri pada masa akan datang dengan bekalan ilmu dan taqwa. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, kebahagiaan negeri tidak akan sempurna tanpa kedaulatan politik dan ekonomi yang terpelihara. Kita harus belajar daripada sejarah. Sejarah luka lama yang menggores maruah Negeri Terengganu suatu ketika dahulu kerana dendam politik sempit dan dengki. Hasil petroleum yang dibayar kepada Kerajaan Negeri telah dinafikan oleh Kerajaan Persekutuan akibat daripada perbezaan politik antara Negeri dan Persekutuan. Ini adalah satu kesilapan terbesar yang telah dilakukan oleh UMNO terhadap rakyat dan Negeri Terengganu. Hak rakyat dinafikan, royalti disekat. Maka bermulalah polemik bayaran royalti sehingga kini. Rakyat menjadi mangsa. Negeri kehilangan daya. Sejarah luka ini tidak boleh diulangi lagi oleh generasi kini. Biarkan ia berlalu pergi. Kita bina sudut
pandang baru, bersatu dan berpadu, mempertahankan maruah rakyat dan negeri ini.
Pohon rendang di tepi laman, Dahan patah dek ribut senja, Dendam politik sempit kian membeban, Rakyat merana maruah tercalar akhirnya.
Kita tidak mahu sejarah itu berulang. Kini apabila Allah mengurniakan pula khazanah baru, berupa Rare Earth Element (REE) dengan izin maka kita wajib memastikan kesilapan yang sama tidak diulang. Laporan rasmi menunjukkan Malaysia mempunyai 16 juta tan REE dengan nilai potensi mencecah RM800 bilion termasuk 42% hasilnya berada di bumi Terengganu. Namun, sebesar mana pun nilainya ia tidak membawa berkat jika diurus dengan tamak, khianat dan tidak telus. REE bukan hanya mineral, ia adalah amanah, ia milik rakyat dan negeri ini. Bukan milik mana-mana parti, individu atau kumpulan. Biarlah siapa pun memerintah di Negeri atau Persekutuan, hasil bumi tetap milik rakyat dan Negeri Terengganu. Inilah maruah, inilah prinsip yang tidak boleh dikompromi. Maka inilah masa kita mesti bersatu, berpadu mempertahankan hak negeri.
Pantai Marang ombak membadai Di balik bukit si pohon jati Hasil bumi jangan digadai Maruah negeri jangan dikhianati
Di saat kita membina politik matang ini, muncul isu remeh tapi menyusahkan rakyat. Cop JPKK tidak diperakui di sekolah-sekolah bawah kementerian. Saya ingin berpesan kepada institusi pendidikan, pusat kita membina ilmu dan tamadun, usah direndahkan kemuliaan yang terbina. Amat malang, institusi mengajar amalan kebaikan tapi bisikan perpecahan yang diamalkan.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, meneruskan ucapan, izinkan saya menyentuh satu lagi isu penting, isu tanah negeri yang digunakan Felda di Negeri Terengganu. Semenjak tahun 1985, tanah milik kerajaan negeri seluas anggaran 15,000 hektar telah dibangunkan oleh Felda untuk ladang sawit tanpa penempatan. Empat dekad berlalu, hasil daripada tanah-tanah ini telah
dinikmati oleh pihak lain, sedangkan hak negeri dan hak Terengganu terus dinafikan. Ini bukan isu politik. Ini isu keadilan dan maruah negeri.
Kerajaan negeri telah menunjukkan kesabaran dan hikmah dengan memberi ruang untuk rundingan. Namun jika keadilan terus ditangguh, tindakan tegas perlu diambil agar maruah negeri tidak diperlekehkan.
Tanah subur di bumi beriman Hasilnya makmur membina negeri Jangan diulang khianat zaman Menafikan hak rakyat sendiri
Pengkalan Berangan menyokong penuh apa-apa tindakan yang akan diambil oleh Kerajaan Negeri dalam mempertahankan hak negeri ini.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, mewakili Pengkalan Berangan dan Marang secara umumnya, merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan yang telah memuktamadkan Pembinaan Loji Rawatan Air Marang. Moga penghujung 2029 membawa sinar bahagia untuk warga Marang. Bekalan air bersih terawat Marang dibekalkan oleh Loji Rawatan Air Marang. Di saat berita gembira diumumkan, sebahagian warga Mukim Merchang baru sahaja diuji dengan ketiadaan bekalan air terawat selama lebih kurang satu bulan. Akibat daripada paip utama pecah. Terima kasih Pegawai SATU, Marang dan anggotanya yang bertungkus lumus menyelesaikan masalah tersebut. Puncanya apabila paip utama yang bersaiz 200mm dari tangki Serating, tidak memadai untuk menghantar bekalan dalam jarak yang jauh. Untuk itu, cadangan penambahbaikan ialah dengan penggantian paip utama kepada saiz 300mm. Tambahan pula, paip 200mm itu Paip Asbestos Cement (AC) dengan izin yang telah melepasi 30 tahun tempoh penggunaan.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Marang satu-satunya daerah yang masih lagi belum mempunyai hospital daerah. Untuk itu, Pengkalan Berangan memohon kerajaan untuk menjadikan pembinaan hospital Marang menjadi projek keutamaan negeri ketika mengangkat permohonan dengan Kerajaan Persekutuan. Petugas kesihatan Marang juga ingin merasai suasana duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan daerah lain di Terengganu dalam memberi perkhidmatan kesihatan terbaik kepada rakyat. Negeri yang benar-
benar bahagia ialah negeri yang mendengar suara rakyatnya dan memenuhi keperluan asas mereka dengan segera dan saksama.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Terengganu Skill, TESDEC dan pusat latihan bertauliah TVET lain merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan yang telah bersetuju menubuhkan Majlis TVET Negeri Terengganu. Akhirnya marilah kita memperkukuhkan gagasan kembali kepada penyelesaian Islam Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera supaya Terengganu kekal menjadi negeri contoh yang berkat, bermaruah, makmur.
Layar bahtera mengail tenggiri Berpaut kemudi menuju muara Islam dijadikan teras negeri Rakyat maju berkat sejahtera
Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman di dalam Surah Ar-Ra'd ayat 11
Maksudnya: Sesungguhnya Allah yang tidak akan mengubah nasib suatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka.
Pengkalan Berangan mohon menyokong Ucapan Belanjawan 2026 oleh Yang Amat Berhormat Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dengan tema “Memacu Potensi, Melonjak Prestasi”. Sekian.
Terima kasih Yang Berhormat Pengkalan Berangan. Seterusnya, saya mempersila Yang Berhormat Wakil Ladang.
Yang Berhormat Dato’ Yang Dipertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri, Ketua-Ketua Jabatan, para media, para emerhati serta hadirin-hadirat dirahmati Allah sekalian.
Setinggi penghargaan dan tahniah diucapkan pada Yang Amat Berhormat Menteri Besar atas pengumuman Belanjawan 2026 yang bertemakan “Memacu Potensi, Melonjak Prestasi”. Pastinya menuntut satu kerjasama erat demi kesejahteraan rakyat Negeri Terengganu. Terima kasih atas peluang yang diberikan kepada saya untuk turut serta dalam Perbahasan pada hari ini. Izinkan saya menzahirkan rasa syukur kehadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala dengan limpah dan rahmat dan inayahnya, Negeri Terengganu Darul Iman terus menikmati kemakmuran, kestabilan dan keberkatan di bawah Pentadbiran Kerajaan Negeri yang berteraskan prinsip Islam, amanah dan rakyat sebagai keutamaan.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Ladang ingin menarik perhatian Dewan terhadap deretan pencapaian positif Kerajaan Negeri yang bukan sahaja membanggakan rakyat, bahkan mengukuhkan kedudukan negeri ini sebagai Model Pentadbiran Islam yang cemerlang dan berdaya tahan dalam arus ekonomi global yang semakin mencabar. Pertama, dari aspek lonjakan ekonomi negeri, pencapaian dan prestasi yang cemerlang. Terengganu Incorporated Sdn.
Bhd (TI) menunjukkan peningkatan amat memberangsangkan.
Pendapatan kumpulan (TI) meningkat daripada RM900 Juta daripada tahun 2018 kepada RM1.75 bilion pada Tahun 2024. Peningkatan hampir dua kali ganda dalam tempoh 6 tahun.
Kejayaan GLC contohnya EPIC Berhad mencatat pendapatan tertinggi dalam sejarah syarikat tersebut berjumlah RM403 Juta. Begitu juga dengan TDM Berhad juga menunjukkan prestasi konsisten dengan pendapatan sebanyak RM645 juta dan kekal mencatat keuntungan tiga tahun berturut-turut dan kecemerlangan ini turut memberi impak sosial melalui peluang pekerjaan CSR dan juga pembangunan komuniti setempat.
Yang kedua, aspek tadbir urus kewangan negeri terus diangkat sebagai antara terbaik di negara ini. Berdasarkan penilaian oleh IDEAS dan pada badan bebas lain, Terengganu kekal sebagai negeri nombor 1 di Malaysia dan ketelusan Belanjawan pada tahun 2022 dan tahun 2024. Kerajaan ini menunjukkan
bahawa setiap ringgit negeri diuruskan dengan penuh tanggungjawab dan ketanggungjawaban. Ini menggambarkan dasar pentadbiran berintegriti yang berpaksikan prinsip Al-Amanah dan Al-Islam selari tuntutan Islam bahawa pengurusan harta awam adalah satu bentuk amanah besar yang akan dipersoalkan di hadapan Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan yang ketiga, Kerajaan Negeri telah berjaya melaksanakan transformasi fizikal berani dengan memperkukuhkan hasil negeri tanpa terlalu bergantung kepada royalti petroleum. Ini membuktikan bahawa walaupun perolehan royalti berkurang, Kerajaan Negeri tetap berjaya meningkatkan hasil sebenar negeri melalui sumber-sumber alternatif termasuklah pengurusan tanah, pelaburan strategik serta inovasi dalam sektor perikanan, perancangan dan pertanian. Segala kejayaan yang disebutkan tadi bukanlah hasil kerja sehari dua tetapi hasil dari perancangan strategik, disiplin pelaksanaan dan keikhlasan pimpinan yang menjadikan prinsip Islam sebagai dasar pemerintahan dan rakyat sebagai keutamaan.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, dalam usaha merealisasikan tema “Memacu Potensi Melonjak Prestasi” pastinya kita perlu menuju politik matang dan sejahtera. Hari ini, di bawah naungan Yang Amat Berhormat Menteri Besar, kita telah berjaya mengubah wajah politik kita. Kita tidak lagi membalas serangan dengan kemarahan tetapi kita buktikan dengan prestasi dan pencapaian. Inilah kekuatan baru Terengganu politik yang stabil, beradab dan menenangkan rakyat. Dasar pemulihan peninggalan kerajaan lama telah membuktikan bahawa wajah baru politik dan Pentadbiran Negeri ini dan dasar pertimbangan kita tidak menuding jari ke belakang sebaliknya kita mengambil pendekatan memulih, membaiki dan menghidupkan semula projek-projek berpotensi tinggi satu demi satu. Justeru, marilah kita terus memperkukuhkan muafakat ini. Jadikan Bajet ini bukan sekadar angka dan hanya manis sebagai tatapan tetapi simbol keazaman kita untuk membawa Terengganu terus maju, berkat dan sejahtera.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, umum mengetahui bahawa antara peranan Ahli Dewan Undangan Negeri sebagai mekanisme semak dan imbang ataupun check and balance dengan izin, kepada Kerajaan Negeri demi memastikan pelaksanaan dasar dengan telus dan berintegriti. Justeru itu, Ladang mengambil ruang dan peluang ini untuk menyuarakan beberapa isu dan cadangan. Pertama, perkara yang berkait yang sangat penting untuk diberikan perhatian ialah mengenai tahap penguasaan Fardhu Ain dalam kalangan
ratusan ribu murid kita yang mengikuti program KAFA di sekolah-sekolah. Saya mendapat maklumat daripada beberapa pihak bahawa keputusan peperiksaan Ujian Penilaian Kelas KAFA ataupun UPKK di negeri kita ini berada di antara yang terbawah berbanding negeri-negeri lain. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon kepada Yang Berhormat EXCO yang berkaitan untuk menentusahkan dakwaan ini dengan mengemukakan data yang berkaitan. Sekiranya ia benar, Kerajaan Negeri harus memandang serius terhadap perkara ini dan segera melakukan perubahan kerana program KAFA ini adalah sepatutnya menjadi platform yang sangat strategik dalam membentuk kemenjadian murid-murid terutamanya dalam aspek sahsiah. Saya juga menggesa pihak Kerajaan Negeri untuk membuat penilaian dan penambahbaikan terhadap aspek kelayakan dan kompetensi para guru KAFA, mengkaji semula kadar elaun, kekerapan kelas serta mempertimbangkan kelas KAFA Plus untuk murid-murid Tahun 6. Ladang juga mencadangkan supaya kempen kesedaran masyarakat mengenai kepentingan KAFA di UPKK dipergiatkan secara menyeluruh terutamanya di kalangan kanak-kanak. KAFA perlu dilihat bukan sebagai pilihan tetapi sebagai kewajipan dalam pembentukan identiti dan akhlak umat Islam.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Ladang juga ingin mengemukakan cadangan dan isu berkaitan keselamatan digital kanak-kanak. Susulan insiden yang semakin membimbangkan yang melibatkan platform permainan atas talian. Contohnya, yang berlaku di Batu Pahat, Johor baru-baru ini yang melibatkan seorang kanak-kanak berusia 6 tahun yang cedera dikelar oleh abangnya yang berumur 9 tahun akibat pertikaian permainan dalam talian Roblox. Saya ingin mengutarakan cadangan penting berkaitan keselamatan digital kanak-kanak.
Saya mencadangkan untuk menubuhkan Majlis Keselamatan Digital Kanak-Kanak sebagai badan penyelaras utama bagi merangka dasar, memantau kandungan digital dan melindungi kanak-kanak dari risiko di atas talian. Kerajaan disaran agar melaksanakan sistem verifikasi umur yang ketat pada semua platform digital agar kanak-kanak tidak terdedah kepada unsur yang tidak sesuai seperti keganasan, bahasa yang kasar dan unsur seksual. Mereka memerlukan mechanism ataupun mekanisme kawalan yang menjamin capaian internet yang sesuai dengan had umur masing-masing. Ladang turut mencadangkan agar literasi digital dimasukkan ke dalam pendidikan awal kanak-kanak terutama di Taska dan Tadika agar mereka dibekalkan dengan ilmu dan kesedaran sejak kecil untuk menggunakan teknologi dengan selamat dan beretika. Peranan ibu-bapa dan juga guru perlu
diperkasakan. Latihan, bengkel dan panduan khusus wajar disediakan agar mereka mampu membimbing dan memantau anak-anak kita ini dalam dunia digital yang sangat mencabar pada hari ini. Penggunaan pelbagai aplikasi pemantauan hendak dioperasikan secara optimum. Dengan langkah-langkah ini, saya yakin kita mampu membina persekitaran digital yang lebih selamat, sihat dan sejahtera untuk generasi akan datang.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyuarakan sedikit kegusaran dan sudut pandang saya seorang wanita dan juga hati seorang ibu berhubung isu aktiviti hiburan di negeri ini. Kita semua maklum hiburan tidak diharamkan secara mutlak dalam Islam namun ia hendaklah berada dalam lingkungan adab, batas dan syariat yang telah digariskan. Hiburan yang sepatutnya menjadi ruang rehat dan ketenangan jangan sampai menjadi punca kelalaian, kerosakan ataupun pintu kepada maksiat yang lebih besar. Pengoperasian pusat hiburan seperti pawagam, pusat karaoke, konsert, persembahan, aktiviti di pulau-pulau pelancongan perlu ada penguasaan ketat oleh pihak berwajib dan kegusaran ini sedikit terubat apabila semalam Yang Amat Berhormat Menteri Besar menyatakan bahawa Kerajaan akan menubuhkan Jawatankuasa Pematuhan Garis Panduan Syariat Negeri Terengganu. Jawatankuasa ini akan memantau, meneliti dan memastikan kepatuhan garis panduan agak lebih teratur dan berkesan. Tahniah dan syabas saya ucapkan.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, berbaki masa yang ada, saya mohon sedikit tambahan masa. Saya ini membangkitkan satu inisiatif pembangunan ekonomi dan pelancongan yang berpotensi tinggi di DUN Ladang iaitu di Jalan Pasir Panjang, Kuala Terengganu. Jika di Atas Tol, terkenal dengan nasi dagang sehingga berjaya menarik perhatian pelancong, di Jalan Pasir Panjang ini terkenal dengan perniagaan Nasi Lemak Warisan yang berpuluh tahun bertapak di sana. Antaranya kita ada Nasi Lemak Dah Sunik, Nasi Lemak Awang Bawah Rumah (Nasi Lemak Bromoh dia panggil), Nasi Lemak Kukus Kak Dah CD, Nasi Lemak Awang dan banyak lagi dan saya membesar nasi lemak ini. Berdasarkan carian dan rujukan daripada direktori perniagaan tempatan, media sosial pengusaha dan panduan pelancongan tempatan, akan tersenarai beberapa premis nasi lemak terkenal di Jalan Pasir Panjang ini yang beroperasi sepanjang malam hingga ke pagi. Ladang mencadangkan…
Bekang dok termasuk ke Yang Berhormat?
Guane?
Bekang dok termasuk ke di Pasir Panjang?
Oh, bekang sungguh. Bekang tu Jalan Pasir Panjang jugak. Nanti kita boleh sekalikan bekang.
Pastikan.
Insya-Allah. Ladang mencadangkan agar membangun…
Wakaf Mempelam dok ngantuk lalu sebut bekang.
Kita tahu dah dia suka sangat bekang. Ladang mencadangkan agar membangunkan identiti kulinari baru di peringkat negeri dan menjadikan Nasi Lemak Jalan Pasir Panjang sebagai satu produk pelancongan makanan yang tersendiri, satu ikon setempat dalam peta pelancongan makanan Terengganu persis di Kampung Baru, Kuala Lumpur yang terkenal dengan nasi lemak antarabangsa dan kita boleh menganjurkan festival nasi lemak tahunan bekerjasama dengan media dan food influencer untuk mempromosikan produk ini dan kita juga boleh membaikpulih contohnya tempat letak kenderaan, membaikpulih laluan pejalan kaki, kemudahan asas serta infrastruktur yang berkaitan. Inisiatif ini bukan saja memberi nafas baru kepada peniaga kecil di Jalan Pasir Panjang tapi turut memperkayakan pengalaman pelancong yang datang ke Negeri Terengganu. Semua pertimbangan dan sokongan Dewan terutamanya daripada pihak Pelancongan agar projek ini jadi projek perintis yang berpaksikan komuniti.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, sebagai penutup saya dan kita semua sepatutnya sewajarnya sangat beruntung. Terengganu kini berdiri sebagai negeri yang bukan saja makmur dari segi ekonomi tetapi juga berkat dari segi
nilai dan prinsip. Menjadikan negeri ini contoh pentadbiran Islam yang efisien, telus dan berorientasikan kesejahteraan Islam. Dan, marilah kita terus berdoa agar Terengganu terus diberkati, dipelihara daripada segala bencana dan terus melangkah ke hadapan sebagai negeri contoh di Malaysia. Insya-Allah. Sekadar itu sahaja, Ladang mohon menyokong. Sekian,
.
Terima kasih Yang Berhormat Ladang. Ambil peluang untuk sponsor nasi lemak sekali, Yang Berhormat Ladang.
Boleh boleh boleh.
Seterusnya, dipersila mana-mana Yang Berhormat. Sila, Yang Berhormat Buluh Gading.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua yang telah memberikan kesempatan kepada saya untuk mengambil bahagian dalam membahaskan Ucapan Belanjawan 2026 yang bertemakan “Memacu Potensi Melonjak Prestasi” yang telah disampaikan oleh Yang Amat Berhormat, Dato’ Seri Menteri Besar pada pagi kelmarin.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, izinkan saya mulakan Ucapan Perbahasan Bajet 2026 ini dengan membaca firman Allah Ta'ala:
.
(Surah At-Talaq, ayat 2 hingga 3)
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, ayat ini menegaskan jaminan daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala bahawa mereka yang bertaqwa akan ditunjukkan
kepadanya jalan keluar dalam menghadapi apa jua masalah yang timbul dan akan dikurniakan limpahan rezeki dari sumber yang tak disangka-sangka. Taqwa bermaksud takut kepada Allah dengan melaksanakan perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.
Dalam erti kata yang lain, kita hendaklah memastikan setiap polisi dan dasar termasuk pendekatan yang diambil sama ada sektor pelancongan, kebudayaan, hiburan, sukan dan lain-lain mestilah mematuhi kehendak dan perintah Allah walau apapun reaksi dan respon negatif dari pihak yang tidak menyetujui atau tidak senang dengannya. Sebagai bukti komitmen Kerajaan Negeri dalam perkara tersebut, Kerajaan Negeri akan menubuhkan Jawatankuasa Pematuhan Garis Panduan Syariah Negeri Terengganu melibatkan pelbagai entiti Kerajaan Negeri bagi meningkatkan pemantauan, penyelarasan dan pematuhan kepada garis panduan syariah. Ini sebagaimana dipertegaskan oleh Yang Amat Berhormat Dato' Seri, Menteri Besar dalam Ucapan Belanjawan 2026 pada muka surat 20 perenggan yang ke-44.
Syabas dan tahniah kepada Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar selaku Menteri Besar atas komitmen tersebut.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, sebagaimana sahabat saya Yang Berhormat Pengkalan Berangan menyentuh isu berkaitan dengan REE dalam ucapan perbahasan beliau sebentar tadi, saya juga nak menyentuh sedikit mengenainya yang ada dikaitkan dengan Perjanjian Perdagangan Malaysia-Amerika Syarikat yang telah dimeterai sempena Sidang Kemuncak ASEAN 2025 baru-baru ini di Kuala Lumpur.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, alhamdulillah di bawah tanah Negeri Terengganu yang subur ini tersembunyi satu kekayaan yang sangat bernilai iaitu unsur nadir bumi (REE) yang kini menjadi rebutan dunia kerana kepentingannya dalam pelbagai industri moden daripada elektronik, tenaga hijau hinggalah teknologi pertahanan. Kajian Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia atau JMG dengan kerjasama Akademi of Sains Malaysia (ASM) sejak tahun 2014 telah mengesahkan potensi besar REE di Negeri Terengganu ini.
Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar sendiri pernah menjelaskan di Dewan Yang Mulia ini ketika menjawab soalan bertulis ADUN Jertih pada
Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri ke-15 Tahun 2023, bahawa hasil kajian tersebut telah menunjukkan bahawa tanah luluhawa granit di Daerah Setiu, Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman meliputi kawasan berpotensi seluas 1,437,500 ekar yang diunjurkan mampu menghasilkan sebanyak 7,187,500 juta tan REE. Ini adalah angka yang luar biasa sekaligus mengesahkan bahawa Terengganu ialah antara negeri terkaya dengan sumber REE di Malaysia. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri telah menubuhkan Majlis Mineral Unsur Nadir Bumi (REE) Negeri Terengganu sebagai platform rasmi untuk mengurus, memantau dan memajukan industri ini secara berhemah dan lestari.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, di sebalik peluang ekonomi yang besar ini, kita tidak boleh menutup mata terhadap tanggungjawab moral, kedaulatan negeri dan keselamatan negara. Unsur nadir bumi bukan hanya bahan asas kepada teknologi hijau, ia juga merupakan komponen kritikal dalam pembuatan senjata moden seperti sistem radar, sonar, peluru berpandu dan seumpamanya dan kita maklum bahawa Amerika Syarikat ialah pembekal utama senjata kepada rejim Zionis Israel. Maka jika Malaysia terikat dengan Perjanjian Perdagangan Malaysia-Amerika Syarikat yang tidak membenarkan larangan eksport REE ke Amerika, bagaimana kita dapat memastikan bahawa REE dari bumi Terengganu ini akhirnya tidak digunakan untuk menghasilkan senjata yang menindas rakyat Palestin dan umat Islam di seluruh dunia.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, Buluh Gading menyokong penuh kenyataan bersama yang telah dikeluarkan oleh empat Menteri Besar Negeri-negeri SG4 yang merangkumi hampir 70% daripada keseluruhan deposit REE negara di mana kenyataan itu menegaskan bahawa REE adalah hak negeri di bawah bidang kuasa Jadual Kesembilan Senarai 2 Perlembagaan Persekutuan. Kenyataan itu turut menegur Kerajaan Pusat agar tidak mengulangi kesilapan seperti dalam isu royalti petroleum dan menuntut supaya segala perancangan pembangunan industri REE dilaksanakan oleh negeri-negeri berkenaan agar limpahan ekonomi dapat dinikmati oleh rakyat tempatan. Persoalannya, bagaimanakah Kerajaan Pusat boleh menetapkan perjanjian antarabangsa yang menyentuh sumber bumi milik negeri tanpa berbincang terlebih dahulu dengan negeri-negeri yang mempunyai deposit tersebut. Tindakan seperti ini bukan sahaja tidak wajar dari segi moral dan undang-undang malah bercanggah dengan semangat federalisme yang menjadi asas perlembagaan negara. Maka
Kerajaan Negeri perlu menuntut penjelasan tegas dan terbuka daripada Perdana Menteri dan Menteri MITI berhubung perkara-perkara berikut:
1. Apakah jaminan bahawa REE dari Terengganu dan negeri-negeri lain tidak akan digunakan dalam pembuatan senjata yang menindas umat Islam?
2. Apakah mekanisma kawalan end-use yang akan diwujudkan untuk memantau penggunaan sebenar REE selepas dieksport?
3. Mengapa Kerajaan Pusat tidak berunding terlebih dahulu dengan Kerajaan Negeri Terengganu sebelum memeterai sebarang perjanjian antarabangsa yang melibatkan sumber dalam bidang kuasa negeri dan; 4. Apakah pelan pelaksanaan tindakan kerajaan untuk memastikan REE dimanfaatkan bagi pembangunan dalam negeri, bukan dieksploitasi bagi kepentingan kuasa luar?
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, saya juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk menyentuh berkaitan dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) untuk diambil perhatian serta pertimbangan sewajarnya dari pihak Kerajaan Negeri bagi menyalurkan sejumlah peruntukan khususnya dalam usaha untuk melengkapkan infrastruktur ICT, yakni komputer.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, PPAT sedang berusaha meningkatkan kualiti perkhidmatan serta kecekapan perusahaan operasi harian dengan menambah baik prasarana yang sedia ada seperti komputer dan internet. Keperluan pembelian komputer baharu bagi tujuan kerja-kerja pentadbiran. Perkhidmatan pengguna dan pelaksanaan sistem pengurusan perpustakaan adalah sangat mendesak. Berdasarkan laporan semasa, mendapati bahawa sebanyak 73% komputer di seluruh cawangan perpustakaan telah digunakan melebihi tempoh 11 tahun. Ini menunjukkan bahawa kebanyakan peralatan ICT jabatan ini sudah usang dan berisiko dari segi prestasi serta keupayaan menyokong perisian terkini. Hanya 27% komputer yang berusia kurang daripada 10 tahun iaitu sebahagian kecil sahaja yang boleh dianggap masih dalam keadaan baik atau relevan dari segi spesifikasi teknikal. Laporan semasa juga mendedahkan situasi membimbangkan berkaitan aset ICT perpustakaan di mana sekitar 20% daripada keseluruhan komputer dikenal pasti mengalami kerosakan serius dan tidak lagi relevan untuk dibaik pulih, sekali gus menjadikannya liability kepada operasi harian. Lebih membimbangkan, sebanyak 58% dari komputer yang sedang digunakan berada dalam keadaan
yang tidak memuaskan, kerap kali mengalami gangguan teknikal serta memerlukan penyelenggaraan berulang. Situasi ini jelas mencerminkan keperluan mendesak untuk pelan penggantian komputer baharu secara menyeluruh bagi menjamin kelangsungan dan keberkesanan perkhidmatan perpustakaan, sekali gus dapat merealisasikan wawasan PPAT selaras dengan Agenda Kerajaan Negeri ke arah Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, dalam Persidangan DUN Terengganu pada April 2025 yang lalu, saya ada bangkitkan isu berkaitan status Projek Perumahan Rakyat di Kampung Jeram dalam kawasan DUN Buluh Gading. Jawapan yang diberikan oleh Kerajaan bahawa projek tersebut delay kerana pertambahan kos dari RM42 juta kepada RM47 juta ekoran dari penjenamaan semula yang telah dilakukan oleh KPKT berhubung dengan Program Perumahan Rakyat dari asalnya PPR - Program Perumahan Rakyat kepada PRR - Program Residensi Rakyat yang melibatkan beberapa tambahan komponen sesuai dengan keperluan semasa. Hari ini saya nak sekali lagi bertanya kepada pihak Kerajaan, apakah perkembangannya sehingga kini dan apakah status pembangunan projek tersebut?
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, akhirnya saya mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Negeri khususnya pihak MBKT, UPEN, SATU dan lain-lain jabatan yang berkaitan yang telah mempermudahkan proses fasa pertama pembangunan Medan Selera di Dataran Teluk Pasu yang sekarang ini telah mencapai kemajuan 90% siap. Walau bagaimanapun, dengan siapnya fasa pertama itu nanti, ia masih belum boleh beroperasi sehinggalah siap sepenuhnya fasa yang kedua. Oleh itu, saya mengharapkan peruntukan tambahan bagi menyiapkan fasa yang kedua ini agar ia dapat beroperasi sepenuhnya dengan seberapa segera yang mungkin, insya-Allah. Kelewatan menyiapkan fasa kedua dibimbangi pembangunan fasa pertama akan mengalami kerosakan akibat terbiar dalam waktu yang lama. Semoga ia mendapat perhatian dan pertimbangan sewajarnya oleh pihak Kerajaan.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih atas peluang dan kesempatan yang diberikan Buluh Gading juga mohon menyokong.
Terima kasih Yang Berhormat Buluh Gading. Seterusnya saya persila Yang Berhormat, sila Yang Berhormat Sura.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar dan seluruh Ahli Dewan, penjawat awam negeri dan persekutuan, para pemerhati dan media yang dirahmati Allah sekalian.
Terima kasih saya ucapkan kepada Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan atas peluang untuk Sura turut sama mengambil bahagian dalam Perbahasan Bajet Negeri Terengganu 2026. Bajet kali ini membawa tema yang besar maknanya. “Memacu Potensi Melonjak Prestasi”. Ia bukan sekadar satu slogan tapi dia adalah satu bukti bahawa Kerajaan Negeri ini sedang bekerja keras untuk membawa Terengganu ke tahap yang lebih tinggi. Walaupun berdepan dengan pelbagai tekanan dalaman dan luaran, saya juga ingin rakamkan ucapan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan seluruh pentadbiran Kerajaan Negeri kerana berjaya membentangkan satu bajet lebihan sebanyak RM288 juta atau 3% dari keseluruhan bajet.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan, kita berbangga dengan prestasi negeri ini, tetapi sebagaimana yang telah diucapkan oleh Yang Berhormat Pengkalan Berangan dan Yang Berhormat Buloh Gading, kita tidak boleh menutup mata terhadap satu hakikat bahawa Terengganu masih terus dipinggirkan oleh Kerajaan Persekutuan. Ada tiga isu besar yang berlaku pada hari ini yang membuktikan bahawa Terengganu ini masih lagi dinafikan haknya secara sah.
Pertama, isu REE di mana Terengganu yang memiliki hampir 40% dari sumber nadir bumi negara, namun Persekutuan cuba menguasainya atas nama Dasar Nasional tanpa sebarang rundingan dengan negeri pemilik tanah. Soalnya, adakah ini satu bentuk kerjasama ataupun penjajahan gaya baharu?
Yang kedua, isu FELDA. Lebih 13,000 hektar tanah di negeri ini diusahakan tanpa geran yang sah selama 40 tahun oleh FELDA. Hasilnya dikaut oleh FELDA dan FGV sedangkan negeri ini tidak menerima pulangan yang sewajarnya. Bila negeri menuntut hak, Pusat membisu seolah-olah keadilan hanya bergantung kepada warna politik semata-mata.
Yang ketiga, isu LPT 3. Kajian yang telah siap sejak tahun 2009 dengan kos asalnya RM2.8 bilion kini sudah meningkat kepada hampir RM10 bilion akibat penangguhan. Namun projek ini tidak pun tersenarai dalam RMK-13 atau Bajet 2026 di peringkat Persekutuan. Sedangkan negeri lain menerima projek belasan bilion tanpa soal. Ini bukan isu teknikal semata-mata. Tapi ini adalah isu keadilan yang semakin pincang apabila Pentadbiran Pusat gagal menghormati mandat rakyat negeri, sistem federalisme itu akan sendirinya hilang makna yang sebenar. Kita juga melihat bagaimana isu cop JPKK yang berlaku sehari dua ini menjadi satu simbol politik pecah perintah. Borang bantuan rakyat ditolak hanya kerana cop salah pihak, ibu bapa di kampung menjadi mangsa birokrasi politik. Ini bukan pentadbiran berintegriti. Ini bukan pentadbiran MADANI. Tapi ini adalah satu pengkhianatan terhadap rakyat negeri ini.
Maka sudah tiba masanya Jadual Ke-9 Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan pembahagian kuasa antara Pusat dan Negeri yang digubal sejak berkurun dahulu dikaji semula. Struktur ini mesti disemak agar negeri-negeri mempunyai autonomi yang lebih adil dalam hal hasil bumi, pentadbiran tempatan dan perancangan pembangunan negeri. Kalau Sabah dan Sarawak boleh menuntut semakan hak perlembagaan mereka, mengapa tidak negeri-negeri lain? Keadilan Persekutuan mestilah menyeluruh bukan hanya untuk dua, tiga negeri yang istimewa tapi untuk semua negeri yang ada dalam negara ini. Kita tidak minta keistimewaan. Kita hanya menuntut satu keadilan yang dijanjikan oleh Perlembagaan. Itulah makna sebenar Malaysia yang bersatu, adil dan berdaulat.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan, Bajet yang kita gubal ini Alhamdulillah bukan sekadar cantik di atas kertas tapi bagi saya ia terus
menyentuh teras keperluan rakyat. Ada tiga isu besar yang disentuh dalam Bajet ini melibatkan kebajikan generasi muda dalam negeri ini. Yang pertama, isu Perumahan Rakyat. Kerajaan Negeri telah mengambil langkah tegas untuk menyelesaikan projek-projek perumahan yang terbengkalai. Ini menunjukkan Kerajaan Negeri serius untuk membela golongan belia supaya mereka memiliki tempat tinggal yang selesa dan selamat.
Yang kedua, berkenaan dengan peluang pekerjaan. Bajet kali ini juga turut memberikan penekanan kepada pembangunan tenaga kerja tempatan yang terlatih dan peluang pekerjaan di pelbagai sektor. Ini penting supaya anak muda kita tidak lagi perlu merantau ke negeri orang untuk mencari rezeki.
Yang ketiga, sokongan kepada golongan usahawan. Program seperti Anak Terengganu Certificate, pelbagai karnival usahawan dan koperasi ini pasti akan membantu ramai usahawan kecil untuk mengembangkan perniagaan mereka. Kerajaan Negeri bukan sekadar memberi bantuan, tapi dia membuka ruang agar rakyat ini berdikari. Namun, Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua Dewan, Bajet ini juga turut memberikan tumpuan kepada kesihatan awam, kepada kesejahteraan sosial tapi saya ingin menyentuh satu aspek berkaitan dengan kebajikan sosial dan kesihatan yang terpinggir iaitu isu kebajikan penjaga-penjaga anak autisme dan juga penjaga-penjaga anak ADHD (Attention Deficit Hyperactivity Disorder) yang sekarang ini makin bertambah makin banyak didiagnosa dalam negeri ini keluarga yang menjaga anak-anak istimewa ini memikul tanggungjawab yang besar mereka perlukan bantuan kewangan, mereka perlukan sokongan psikologi, mereka perlukan kemudahan rawatan yang lebih dekat saya ingin mencadangkan agar Kerajaan Negeri menubuhkan pusat sokongan autisme Terengganu serta menyediakan satu skim bantuan khas untuk penjaga anak-anak istimewa ini percayalah, bahawa negeri ini tidak akan benar-benar maju jika kita mengabaikan golongan yang paling memerlukan, yang mengharapkan bantuan dan sokongan daripada pihak kerajaan.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua Dewan, saya juga ingin menarik perhatian Kerajaan Negeri terhadap satu keperluan segera untuk membina pasar baharu di Dungun pasar lama ini sudah tidak lagi sesuai dengan keadaan yang sekarang walaupun pasar Dungun ini menjadi tumpuan kepada pencari-pencari ikan segar terutamanya di hujung minggu namun keadaan pasar ikan di Dungun ini sangat tidak teratur. Sistem saliran yang bermasalah, keadaan yang
tidak selesa, bahkan pasar ini sudah tidak selamat. 2-3 bulan baru-baru ini, saya menerima aduan berkaitan dengan atap pasar itu runtuh di tapak permainan awam kanak-kanak yang ada di tempat itu. Oleh itu, apabila kita melihat bagaimana pasar ini ialah nadi ekonomi rakyat, nelayan, petani peniaga dan anak muda yang ingin mencari rezeki halal di pasar ini, saya mohon agar projek pembinaan pasar baharu Dungun menjadi satu keutamaan utama dalam perancangan pembangunan negeri. Kita mahu satu pasar moden yang bersih dan mampu menjadi niche utama pelancongan dalam daerah Dungun.
Yang terakhir Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua Dewan, menjelang tahun melawat Terengganu 2027 saya ingin mencadangkan supaya Kerajaan Negeri boleh menggubal satu pelan tindakan pelancongan patuh syariah Terengganu. Pelan ini boleh menjadi satu niche baru pelancongan negeri selari dengan image Terengganu sebagai sebuah negeri yang mengamalkan Islam, negeri Darul Iman, negeri yang harmoni, negeri yang bahagia negeri yang mempunyai kebudayaan yang cantik dan menarik, kita boleh bangunkan hotel, resort dan produk pelancongan yang bukan sahaja mesra keluarga, bahkan patuh syariah inilah masanya untuk Terengganu menjadi model pelancongan Islam dalam negara ini dan rantau ini.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua Dewan, Bajet 2026 membuktikan bahawa Kerajaan Negeri serius dalam pemacu pembangunan negeri ini. Walaupun dengan pelbagai tekanan, namun saya yakin bahawa Terengganu akan tetap dapat melangkah kehadapan dengan penuh keyakinan. Tema Bajet tahun ini “Memacu Potensi Melonjak Prestasi”
bukan sekadar kata-kata ia menggambarkan satu keazaman Kerajaan Negeri, menggerakkan potensi rakyat, memperkukuhkan ekonomi dan memastikan setiap sen hasil negeri dikembalikan balik kepada rakyat. Dengan penuh keyakinan, Sura menyokong penuh Bajet Terengganu 2026 satu bajet keadilan, satu bajet rakyat dan satu bajet untuk masa depan negeri ini.
Terima kasih Yang Berhormat Sura. Seterusnya Yang Berhormat Manir.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Yang Berhormat-Yang Berhormat, EXCO Kerajaan Negeri, Yang Berhormat-Yang Berhormat, pegawai kerajaan, media, serta seluruh pemerhati yang dirahmati dan dikasihi Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih di atas peluang yang diberikan untuk membahaskan Belanjawan “Memacu Potensi Melonjak Prestasi”. Saya yakin majoriti rakyat Terengganu yang bernaung di bawah teraju kepimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar mengucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas pembentangan surplus budget dengan izin yang sangat berwawasan. Tahniah, sekali lagi saya ucapkan kepada seluruh barisan kepimpinan Kerajaan Negeri. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, bila melihat kepada hasil pecahan pendapatan Kerajaan Negeri hasil cukai adalah 85.36 juta hasil bukan cukai adalah RM203.23 juta dan terimaan bukan hasil adalah 1.7 bilion dan ini adalah semua maklum bahawa 1.7 bilion ini adalah hasil Royalti Petroleum. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, pada kod bacaan hasil 82317, tertera perkataan dana khas ataupun pemberian khas yang kita dapat lihat secara bertulis. Pada tahun 2023, hasil yang diperolehi royalti adalah 800,2181.233 juta sahaja ataupun kita kata 800 juta dengan mudah berbanding dengan hasil sebenar, hasil petroleum pada tahun 2024 1.5 bilion, 2025 anggaran hasil adalah 1.6 bilion. Kekurangan dapat dilihat hampir sebahagian separuh daripada hasil royalti petroleum ataupun dana khas ini tidak diberikan. Jadi persoalannya apakah kita masih berpeluang untuk mendapatkan sebahagian yang tidak tertulis itu ataupun telah diberikan ataupun bagaimana. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, bila belek dan tengok Kod Hasil 61800 dalam tajuk royalti, kalau dulu di bawah tajuk royalti ini ada tulis royalti petroleum tapi sekarang takdok doh, sedih jugok tengok hasil royalti petroleum kita ada tetapi tidak diletakkan di bawah royalti. Sekarang ini diletakkan di bawah dana khas, takpe lah, dok sedap dengar pun, letok jelah. Kita harap jika sekiranya, insya-Allah kerajaan Putrajaya diberikan kepada Perikatan Nasional, Terengganu mesti berusaha kerajaan ketika itu mesti berusaha berjuang semula mengembalikan perkataan royalti kepada petroleum kita, insya-Allah.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, dalam kod hasil royalti ini juga kita melihat adanya royalti-royalti yang disebut sebagai royalti air, royalti kayu kayan, royalti galian, royalti bauxite. Kenapa disebut royalti galian tidak
diasingkan pendapatannya saya tengok mencecah anggaran hasil 2025 mencecah RM15 juta. Saya berharap, mungkin boleh diperincikan pada laporan yang seterusnya, insyaAllah.
Yang Berhormat Yang di-Pertua, dalam Ucapan Bajet Belanjawan yang disebut, Yang Amat Berhormat Menteri Besar meletakkan suatu garis dan gerak kerja pemerkasaan data. Dalam ucapan Bajet, muka surat tujuh. Dua pangkalan data iaitu Data Profil Rakyat Terengganu dan Data Sahabat Usahawan Terengganu perlu diperkasakan. Di dalam era sekarang ini data is king. Orang yang ada data merekalah yang disebut sebagai critical asset. Di dalam business dan juga dalam sektor kerajaan, governance, dan perkara ini perlu dititikberatkan. Contoh yang kita sebut, yang kita boleh sebut. Saya rasa ramai di kalangan Yang Berhormat-Yang Berhormat memberikan ucapan yang menyebut berkaitan dengan mineral yang ada di Negeri Terengganu. Sejauh mana persoalannya? Mineral-mineral yang ada di Negeri Terengganu ini mempunyai mineral deposit data yang betul, kerana jika sekiranya mineral-mineral yang kita sebut ini mempunyai data yang tepat, maka ia sebenarnya satu perkara yang sangat menguntungkan Kerajaan Negeri. Paling tidak bagi mereka yang menjadi pengusaha-pengusaha lombong sebagai contoh, mereka boleh menggunakan data-data yang tepat ini, mineral deposit data ini sebagai satu yang kita sebut cabaran. Dan perkara ini boleh kita sebut sebagai bankable document untuk melaksanakan projek-projek perlombongan di Negeri Terengganu. Perkara ini amat penting, walaupun kita sebut Terengganu antara pemegang ataupun yang kita sebut Terengganu sebagai negeri yang mempunyai deposit REE yang terbanyak, tetapi di mana data yang kita boleh, yang kita boleh sandarkan official data yang kita boleh sandarkan. Sebab perkara ini sangat penting. Dengan data yang kita ada, perkara yang paling penting ialah kita dapat membendung ketirisan mineral-mineral yang ada di dalam negeri kita. Jika sekiranya kita tidak ada data yang tepat, berdasarkan timbangan lori sahaja, maka sudah tentu ianya akan memberikan kerugian kerana ketirisan ini bukan sahaja merugikan kerajaan, tetapi dia merugikan rakyat Negeri Terengganu.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, di sinilah peranan yang perlu dimainkan oleh PTG, Jabatan Mineral dan Geosains dan penguatkuasa yang berkaitan dengan lebih agresif. Dan saya penuh yakin bahawa Kerajaan mungkin telah merancang mewujudkan suatu badan yang boleh mengawal selia pengeluaran hasil yang sebenar agar kurang berlakunya ketirisan. Sebab main barang
mineral ni, kita nak kawal sehingga tidak berlaku ketirisan tu payah, nak audit tu payah. Mungkin boleh buat SOP-SOP yang berkaitan. Tetapi bila sampai kepada tahap pelaksanaan, dia tidak akan berlaku dengan sebaiknya.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, dan semua bahan-bahan mineral yang ada ini, yang terlepas kita adalah petroleum. Yang ada mineral dalam tanah ini adalah low hanging fruit dengan izin. Bagi Kerajaan Negeri, dengan sekatan-sekatan dan berbagai birokrasi yang dibuat oleh Federal kepada negeri, kita harapkan mineral yang ada ini dapat menjana ekonomi dan kewangan pendapatan yang lebih mampan pada masa akan datang.
Yang Berhormat Yang di-Pertua, akhirnya… Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua dengan masa yang tidak ada ini, ramai sahabat-sahabat Yang Berhormat sebut, REE ini jangan jual ke Amerika.
Yang di-Pertua..
Kacau pulok, masa takdok ni.
Yang Berhormat Manir bagi dok ni?
Beri je kalau bagi masa tambah.
Okay, terima kasih Dato' Yang di-Pertua, jadi saya duk dengar banyak sebut pasal REE. Jadi maknanya, mende apa sebenarnya REE ini? Sebab mungkin kawan-kawan ramai tak faham lagi REE ini. Dan yang kedua, di mana hok banyak REE ini?
Nak tanya Hulu Terengganu ke guane?
Kemudian yang tiga, tidak lah. Tidak ke kerajaan, boleh tak kita cadangkan kepada
kerajaan, supaya kita kena pulang juga kepada daerah-daerah ataupun tempat tertentulah. Contoh macam royalti kan, petroleum. Kita dah juang, royalti kena balik kita 5%. Kalau kontaks REE dan sebagainya juga, kita kena, takdokah kerajaan bercadang untuk nak pulangkan kepada kawasan berkenaan? Contohlah minyak, Kemaman dapat faedah banyak. Petronas. Kuala Berang Hulu Terengganu takdok. Terima kasih Dato' Yang di-Pertua.
Sila.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, dia tanya tu, dok tanya saya Yang Berhormat.
Eee…Sila, teruskan.
Jadi, saya bersetuju dengan apa yang disebut oleh Telemung. Kerana setakat ini kami bersama-sama dari Parlimen. Kalau boleh ke Hulu, boleh lah ke Manir. Insya-Allah, Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, cuma bila bincang bab REE ni, kita mungkin akan kata jangan jual ke US. Jangan jual kepada negara-negara tertentu, contoh. Tapi dari sudut penjual akan cari harga yang paling tinggi. Siapa yang menawarkan harga yang paling tinggi, maka situlah kita jual, sebenarnya. Saya merasakan begitulah, Dato' Yang di-Pertua. Jadi, jangan marah awal ni, bimbang-bimbang tak ada negara yang nak beli, kita paksa jual ke orang yang kita marah tu. Yang Berhormat Yang di-Pertua, seterusnya adalah akhirnya, jika ada perkembangan-perkembangan terkini, pelaburan di bawah New Income Terengganu yang boleh dikongsikan kepada pihak Dewan hari ini, kami sangat-sangat mengalukan. Dengan ini, Manir menyokong penuh ucapan Belanjawan, Memaju Potensi Melonjak Prestasi Terengganu yang kita sayangi.
Tahniah Yang Amat Berhormat Dato' Sri Menteri Besar, EXCO dan terima kasih Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua.
Terima kasih kepada Yang Berhormat. Ada Yang Berhormat Seberang Takir.
Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua,
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-Ahli Yang Berhormat, Ketua-Ketua Jabatan, para pemerhati, seterusnya hadirin-hadirat yang saya hormati sekalian. Alhamdulillah, semalam Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah mengemukakan cadangan Enakmen Perbelanjaan ataupun Bajet untuk tahun 2026 dalam Dewan Yang Mulia ini. Saya nak ambil kesempatan, mula-mula sekali nak ucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat kerana telah mengemukakan perbelanjaan tersebut seperti tahun-tahun yang lepas dan dengan jumlah yang lebih kurang sama, dok kurang.
Seterusnya, pertama kali juga, pertama-tama saya nak ucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri. Sebab Kerajaan Negeri seperti mana yang disebut oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar dalam ucapan dia semalam menjelaskan kepada kita bahawa cukai dan hasil bukan cukai Negeri Terengganu telah bertambah dua tahun kebelakangan ini di mana sehingga Oktober tahun 2025, tahun semasa ini, hasil yang dikutip telah mencapai jumlah RM261.8 bilion. Ini adalah jumlah yang lebih besar berbanding dengan tahun-tahun yang lepas dan dijangkakan tahun depan, Kerajaan Negeri akan mampu mengutip sehingga RM288 billion ada pertambahan lebih kurang dalam RM40 billion lagi. Usaha-usaha ini jika dibuat secara berterusan, kita yakin akan menjadikan kebergantungan kerajaan kepada hasil petroleum semata-mata…
Dato’ Yang di-Pertua…
Ya?
Saya nak betul Wakil Seberang Takir tadi, dia sebut RM288 billion, billion ke million?
Juta-juta..
billion orr, jadi banyok tuuu…
RM288 juta..
Terima kasih…
Minta maaf, jadi kalau Kerajaan boleh tambah hasil pendapatan cukai dan bukan cukai ini selain daripada petroleum ini bertambah setiap tahun, maka kebergantungan kita kepada hasil petroleum ini akan semakin berkurang sebab daripada dulu, Negeri Terengganu ini dikenali di antara negeri paling miskin di Malaysia. Bila kita dapat minyak, kita antara negeri paling kaya. Tapi oleh kerana minyak ini sekarang dah di luar kawalan kita, menyebabkan perbelanjaan kita seperti terkawal dan tidak dapat nak dilaksanakan sepenuhnya maka sebab itulah saya tengok Yang Amat Berhormat pun Bajet semalam pun tak banyak, pembentangan pendetailannya ringkas kerana saya percaya kita sedia maklum, yang kita hanya dapat RM261 juta sahaja, yang baki itu akan kita perolehi secara beransur-ansur berasaskan kepada permohonan kita kepada Kerajaan Persekutuan dan daripada dana tersebut dan diluluskan mengikut selera mereka. Ada yang dibayar, ada yang tidak dibayar, jadi sukar untuk Kerajaan Negeri nak buat anggaran, nak buat perbelanjaan yang jelas, berapa kita nak buat, apa yang kita nak buat.
Maka kerana itulah apabila Yang Amat Berhormat sebut dalam perbelanjaan pada kali ini, temanya ialah “Memacu Potensi, Melonjakkan Prestasi”, ini menunjukkan kepada kita Kerajaan sedang berusaha untuk meningkatkan hasil negeri selain daripada hasil petroleum ini. Sudah tentulah ini suatu usaha yang memang patut, kerana kita tidak akan selama-lamanya bergantung kepada royalti ini, kalau ada hasil-hasil yang baru seperti REE ini pada tahun-tahun yang akan datang, insya-Allah kita harap Terengganu akan jadi macam negeri-negeri yang lain tidak semata-mata bergantung kepada Kerajaan pusat nak
dapat duit ini yang dulu kita panggil royalti sekejap saja, lepas itu panggil dana ehsan, dana khas dan sebagainya.
Jiran Seberang Takir, Permaisuri nak tanya sikit, dia sebut pasal royalti dan sebagainya, tak lama lagi REE pula barangkali. Katanya ART tu, perjanjian tu telah menggadai kesilapan Kerajaan kita menggadai maruah negara. Tetapi hari ini kita tengok isu royalti, mungkin REE sebagainya ni, selepas ini mungkin kita dijajah kedaulatan kita tidak ada kedaulatan Terengganu.
Ya saya rasa Dato’ Yang di-Pertua, inilah yang disebut oleh sahabat-sahabat kita, Wakil-wakil Rakyat, Wakil-wakil Kerajaan sebentar tadi, kita nak supaya lepas ini, REE atau mana-mana hasil bumi daripada negeri kita ini akan diuruskan sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri, dan jika ada kerjasama dengan Kerajaan Pusat, ianya melalui perjanjian yang konkrit, yang tidak lagi menjadikan pertukaran Kerajaan Pusat, maka hasil itu pun, salurannya pun bertukar.
Jadi sebab itulah saya rasa ini telah diambil perhatian oleh Kerajaan, dan seterusnya, saya nak sambung Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, dalam usaha nak mencari pendapatan baru Kerajaan Negeri selain daripada macam-macam yang Kerajaan sebut industri, hasil negeri, Kerajaan juga, sebagaimana yang disebut oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar semalam, mengatakan bahawa Kerajaan bercadang untuk mengenakan fee pejabat, cukailah ataupun kenaan bayaran dan juga caj penginapan. Ini sama ada kepada pengunjung-pengunjung di homestay-homestay, selain daripada hotel, sebab hotel dia bayar cukai kepada Kerajaan ataupun mungkin ada caj bilik pula. Saya nak tambah bahawa Kerajaan juga, saya cadangkan boleh kenakan semula cukai pintu kepada rumah-rumah kediaman ataupun kawasan-kawasan tertentu, yang mempunyai perkhidmatan daripada PBT yang baik, yang lengkap, yang sempurna, sampoh molek terurus, longkang comey belaka, tak ada masalah, maka kawasan-kawasan ini saya rasa tidak salah jika kerajaan mengutip semula cukai pintu walaupun dah lama kerajaan tak buat dan ia sebahagian daripada Manifesto Kerajaan sejak 2019, 2018 dulu.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, cukai pintu ini suatu yang penting, walaupun kita tak kutip tapi kita mesti sentiasa memberi perkhidmatan kepada penduduk, maka kerana itu saya nak kabo gini je.. Dok payoh takutlah kalau
orang kecam lepas ini, bukan kita nak kenakan cukai pintu kepada semua rumah. Saya cadangkan kepada rumah-rumah tertentu mungkin tengok pada kawasan perumahan tertentu, ataupun rumah-rumah tertentu, yang mendapat perkhidmatan yang terbaik daripada PBT. Kalau kita nak kata janji ini, kita dah janji ini, kita dah janji…
Ehhh… Perdana Menteri PMX sudah janji puluh-puluh tok buat berese pon, tak dok orang bising pun, tak ada apa-apa benda pun. Dia kata nak turun minyak, menang hari ini esok turun minyak, baru bulan lepas turun minyak, dua tahun lebih pilihan raya.
Kita duk pegang janji, pegang janji.. Bukan saya nak ingkar janji, tapi ada tempat-tempat janji dah kita tunai dua tahun lebih, empat tahun lebih dah. Jadi, ada tempat-tempat mungkin kita kutip semula cukai. Sebab saya dimaklumkan dalam soalan saya 2023 kerajaan kehilangan hampir RM12 juta sehingga RM17 juta setahun kerana kita dok kutip cukai dan kita terpaksa cari duit lain untuk menguruskan sisa pepejal dan sebagainya.
Yang Amat Berhormat sebut semalam, kerajaan sedang meneliti, nak kaji sama ada lepas ini nak guna pakai, nak guna pakai apa? AKTA 672 yang berkaitan pelupusan pepejal dan juga pembersihan. Jadi ini akan ambil masa sebelum kerajaan ambil masa itu, jika kerajaan laksanakan cadangan ini, selain daripada kenaan tadi hok cukai, caj pejabat, fee pejabat dan sebagainya, saya yakin ini akan dapat mengurangkan sedikit bebanan kerajaan dan memberi sedikit hasil baru kepada kerajaan. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, seterusnya dalam Bajet yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar walaupun tak detail, saya perhatikan untuk apa yang disebut sebagai projek-projek pembangunan infra, ada diperuntukkan untuk seluruh daerah projek-projek khas lebih kurang sejumlah RM40 juta, mungkin tak besar, tapi hok lain-lain khusus itu ada detail dia.
Saya nak minta se je, Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, gunalah sebahagian daripada peruntukan ini, tak banyak pun untuk baik pulih atau bina jeti baru, untuk bot penambang di belakang Pasar Payang. Ada saya kemukakan soalan dalam Dewan ini, tapi jadualnya jatuh hari yang lusa ini. Jadi saya minta kalau jeti ini dibuat dengan baik, dibuat dengan sempurna, dia akan memberi sumber rezeki kepada bot-bot penambang dari Seberang Takir.
Hari ini ramai orang yang naik bot dari Seberang Takir mari ke Pasar Payang, tapi bila nak balik semula Seberang Takir, bot takdok, sebab jeti di situ tak dapat nak menampung bot-bot penambang untuk berhenti di situ, parking di situ, menunggu orang-orang daripada pasar nak balik Seberang Takir, jadi biasanya dia mari hantar orang, dia balik semula Seberang Takir dan bila orang nak balik terpaksa tunggu, lambat, jadi ramai orang yang mari, akhirnya dia suruh kereta dia mari, dia balik ikut nung dan lama-lama bot penambang Seberang Takir ini makin malap, makin kurang penggunaan dia sebab jeti yang tidak sempurna, yang tidak boleh memenuhi keperluan, yang sepatutnya bot yang mari hantar orang itu dia boleh tunggu beberapa jam, beberapa minit sehingga orang balik daripada pasar, hantar semula ke Seberang Takir.
Saya dimaklumkan jeti hok yang dibina sementara dengan tiang floating jeti ini, tiang dia dah patah dah, dah rosak dah sebab bukan bot penambang saja hok mari, bot hok nelayan hantor ikan pon berhenti situ, bot hok lain hok ambil penumpang pun mari sandar situ jugok, jadi tiba masa saya rasa, satu jeti yang sempurna, yang sesuai dengan keperluan dibina balik di kawasan tersebut. Selain daripada jeti di sebelah hok Seberang Takir, bot penambang sebelah masjid itu pun, kalau ada peruntukan molek sangat, jika boleh dinaik taraf dengan tempat parking yang lebih sesuai dan juga kompleks kedai kecik sikit yang lebih sesuai dengan kawasan yang suatu masa dulu itulah jalan laluan orang di belah sana nak mari ke Kuala Terengganu sebelum ada jambatan.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, akhir sekali, saya nak ucap terima kasih kepada semua agensi-agensi kerajaan yang telah banyak membantu melaksanakan projek-projek yang memberi kebaikan dan manfaat kepada rakyat negeri ini walaupun dengan peruntukan yang sangat terhad. Tahun lepas, saya sebut secara khusus, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu apabila saya jumpa Datuk Bandar, berunding, kira, bicara dan sebagainya, longkang di kawasan Taman Huda Permai di Tok Jembal itu dibaiki, diselenggara, dibuang sampah-sampah yang sekian lama sebelum ini tak pernah dibuat. Habis RM300 ribu lebih. Alhamdulillah, tahun lepas tak berlaku banjir kawasan itu. Jadi tahun ini, selain daripada Bandaraya, Pejabat Daerah, JKR, tahun ini JPS, Jabatan Pengairan dan Saliran, saya jumpa Pengarah dia, jumpa pegawai dia dan Jurutera Daerah itu kalau saya panggil turun kawasan itu, memang turun sokmo, jadi terima kasih kepada Jabatan Pengairan dan Saliran lepas bincang, tengok keadaan sebenar telah diluluskan dan dilaksanakan sekarang benteng, pintu air dan juga pam di Lembah Harapan yang sebelum ini sejak rumah itu
dibina dulu, tak pernah tak banjir. Air pasang besar, hujan lebat, air masuk dalam rumah. Harap-harapnya, jika berjaya projek ini selesai projek ini, siap nanti tak berlaku banjir lagi di kawasan tersebut.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, akhir sekali, terima kasih dan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar, Seberang Takir, turut menyokong Bajet yang dibentangkan. Sekian.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Seberang Takir. Saya bercadang untuk berehat awal bagi memberi ruang untuk kita bersiap, sembahyang Zohor, sebab Zohor awal ini… Zohor awal agar kita dapat makan dan kita dapat solat dengan selesa dan pada awal waktunya, dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, saya akan tangguh sementara Dewan ini dan kita akan sambung semula pada pukul 2.20. Pukul 2.20. Ambil perhatian kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat. Kita tangguh dengan Suratul Asy dan Tasbih Kifarah. Untuk makluman semua, jamuan makan tengahari hari ini dihoskan oleh Yang Amat Berhormat Dato' Seri, Menteri Besar. Jemput kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat, ketua-ketua jabatan, perwakilan dan pemerhati untuk ke tempat jamuan yang disediakan.
MESYUARAT DITANGGUHKAN PADA PUKUL 12.50 TENGAH HARI
PUKUL 2.28 PETANG
Yang Amat Berhormat Datuk Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Mesyuarat disambung semula. Perbahasan Enakmen Perbekalan 2026 akan diteruskan dan saya menjemput Yang Berhormat seterusnya untuk menyampaikan ucapan perbahasan. Dipersilakan.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Ir. Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Yang Berusaha ketua-ketua jabatan dan agensi, para pegawai dan kakitangan Kerajaan Negeri, semua tetamu, para media, hadirin-hadirat yang dirahmati Allah sekalian. Pertama dan utamanya, marilah kita sama-sama bersyukur dengan segala limpah kurnia yang Allah berikan kepada kita, seterusnya di atas nikmat yang diberikan, walaupun dalam masa yang sama, kita terus berhadapan dengan pelbagai cubaan dan ujian daripada-Nya. Semoga kita semua dapat terus teguh menghadapinya dengan bersama-sama menggembleng seluruh tenaga dan sumber sebagai satu pasukan yang saling bekerjasama untuk membawa negeri kepada suatu kejayaan yang sama-sama kita idami.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, sokongan dan harapan rakyat terhadap Kerajaan Negeri Terengganu di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Ir. Menteri Besar sangat besar dan tinggi. Penyesuaian keperluan dan keutamaan perbelanjaan negeri sangat mempengaruhi penumpuan dan kesan yang akan dirasai kepada pembangunan negeri dan keupayaan rakyat. Keadaan semasa negeri dan negara sangat mencabar serta peredaran zaman yang pantas sangat memerlukan kepada pemanduan dan pendekatan yang lebih teliti dan komprehensif. Pelbagai tekanan dan helah yang dilakukan Kerajaan Pusat dengan sikap dan tindakan yang tidak demokrasi walaupun Kerajaan ini dipilih rakyat melalui sistem demokrasi yang sepatutnya dijunjung dan digenggam erat bagi kejayaan semua secara bersama. Belanjawan yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Ir. Dato’ Ahmad Samsuri Bin Mokhtar terus bersikap positif dan optimis untuk merealisasikan Visi Terengganu Maju Berkat Sejahtera menjelang 2030 dengan bertemakan “Memacu Potensi Melonjak Prestasi”. Semua entiti Kerajaan Negeri iaitu jabatan, agensi negeri, badan berkanun, PBT serta GLC Negeri diamanahkan bergerak dengan lebih pantas mengembangkan keupayaan bersama seterusnya meraih pencapaian yang lebih memberangsangkan dan dalam masa yang sama sentiasa ke arah mendapatkan keberkatan dan
kerahmatan daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Kemasik bercadang untuk membahaskan beberapa perkara daripada Belanjawan 2026 yang telah dibentangkan ini.
Yang pertama, dalam Belanjawan ini Kerajaan Negeri telah menetapkan tiga fokus utama untuk diberi perhatian. Penstrukturan daya tahan ekonomi bagi memacu pertumbuhan dijadikan sebahagian sebagai salah satu keutamaan bagi Belanjawan 2026 ini. Ia mencakupi empat sasaran utama iaitu menggalakkan ekosistem perniagaan yang kondusif, memberdayakan perindustrian, memperkasa industri pelancongan serta merancakkan pembangunan dan perumahan.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, dalam usaha untuk mewujudkan ekonomi yang berdaya tahan Kerajaan Negeri perlu untuk menggalakkan ekosistem perniagaan yang kondusif. Matlamatnya adalah untuk memudahkan urusan perniagaan dan menarik pelabur baru ke negeri ini. Cadangan yang boleh dipertimbangkan antaranya, membina sistem lesen dan permit bersepadu digital. Dengan kewujudan platform sehenti digital ini, rakyat akan dibantu untuk memudahkan permohonan lesen, permit kelulusan teknikal oleh PBT dan agensi-agensi negeri. Seterusnya yang kedua, mewujudkan zon ekonomi mikro-daerah. Kerajaan perlu meneliti untuk mewujudkan zon khusus untuk PMKS yang menawarkan insentif sewa rendah, kemudahan logistik dan capaian internet laju. Seterusnya, menyediakan geran dan dana padanan usahawan melalui peruntukan khas untuk membantu perusahaan mikro terutama wanita dan belia melalui Skim Padanan Modal Latihan Digitalisasi dan bimbingan mentor.
Seterusnya, bagi memperkukuhkan interaksi antara Kerajaan Negeri dan pemain industri, suatu majlis dialog perniagaan daerah perlu diwujudkan bagi menyelesaikan isu pelesenan, bekalan tenaga, tenaga kerja dan lain-lain. Kelebihan Negeri Terengganu yang sangat cantik dan istimewa ini perlu digunakan sepenuhnya untuk memperkasakan industri pelancongan. Usaha memperluas ekonomi pelancongan dari musim pelancongan kepada ekonomi sepanjang tahun perlu diteruskan. Pelbagai usaha perancangan perlu dilipat gandakan termasuk pelbagai inisiatif yang telah dan baharu untuk dilaksanakan. CBT sebagai contoh, perlu terus diperkasakan dalam pelbagai lapisan masyarakat. Promosi digital, pakej-pakej khas dan sebagainya perlu ditambah dan diperkasakan. Platform media sosial, influencer dan portal rasmi
Visit Terengganu 2026 dengan sokongan tempatan perlu dipergiatkan. Penyediaan platform digital bagi memasar dan memperkasa pakej penginapan, perkhidmatan pelancongan rakyat juga perlu terus dibangunkan dan diperkasakan.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, sekalipun Negeri Terengganu tidak diberi perhatian istimewa oleh Kerajaan MADANI dalam RMKe-13 dan Belanjawan 2026 Malaysia, serta masih dikekang kewangannya sehingga kini, Negeri Terengganu mesti memacu potensi sendiri untuk melonjakkan prestasi. Yang Berhormat Dato’ Seri Ir. Menteri Besar telah menggariskan tujuh pemacu utama. Kemasik bercadang untuk membahas tiga daripadanya.
Yang pertama pemacu satu. Pertama, pelbagai program dan inisiatif telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri selari PITAS 2030 dilancarkan pada 21 Oktober 2021. Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 ini, telah mencapai separuh tempoh pelaksanaannya, adakah Kerajaan Negeri telah melakukan penilaian separuh tempoh pelaksanaannya dan meneliti keberkesanannya, apakah perubahan dan penambahbaikan serta pemerkasaan yang perlu dilakukan bagi memastikan sasaran mewujudkan Negeri Terengganu Maju Berkat Sejahtera pada 2030 dapat terus dicapai. Pemacu kedua pula berkisah berkenaan dengan Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan Inisiatif utama Kerajaan yang diberikan mandat untuk memacu keberhasilan penyampaian khidmat Kerajaan Negeri untuk diperkasakan lagi. Pelbagai kepakaran dan kelebihan yang dimiliki Kerajaan Negeri termasuk ADUN-ADUN BBC perlu diurus dan digembling seoptimal mungkin. Potensi dan kompetensi tenaga perlu diperkasakan, usaha pendigitalan perkhidmatan perlu dipergiatkan lagi bagi memastikan peningkatan kepada keupayaan kecekapan hasil dan kualitinya.
Seterusnya pada pemacu tiga, suatu sistem yang mengurus data perlu diperkasakan supaya lebih mesra pelanggan dan komprehensif. Profil Rakyat Terengganu yang telah dibangunkan seharusnya lebih mesra pelanggan malah mampu untuk memperkasakan lagi gerak kerja Pusat Khidmat Masyarakat termasuk JPKK dan Kerajaan Negeri. Ia sangat penting dalam membantu melancarkan khidmat pelanggan di peringkat kampung dan DUN. Pelbagai usaha yang berjalan antara rakyat dan Kerajaan termasuk JPKK, Pusat Khidmat Masyarakat dan Negeri dapat dikemaskini di dalam sistem PRT ini seterusnya melancarkan lagi setiap urusan yang berjalan dan meningkatkan produktiviti Kerajaan. Pelbagai maklumat yang dimiliki ini sudah pasti akan memberi impak
yang lebih baik dalam memandu Kerajaan dan melaksanakan dasar dan aktiviti setelah program yang lebih berkesan.
Yang berhormat Timbalan Yang di-Pertua, berkenaan inisiatif keutamaan tinggi high priority initiative sedikit cadangan daripada Kemasik, yang pertama berkenaan memberdayakan pertumbuhan ekonomi Kerajaan Negeri akan menumpukan kepada pelaburan dan perindustrian bernilai tinggi dan perdagangan strategik serta pemerkasaan industri halal. Pemerkasaan pelaburan dan industri yang bernilai tinggi di Kemasik nya sedikit maklumat terkini yang kami terima berkenaan lapangan terbang yang lengkap bagi pelaburan segmen penerbangan skala sederhana. Dimaklumkan operasi lapangan terbang Kertih akan diturun taraf kepada heliport jika perkara ini benar berlaku maka segala kelebihan lapangan terbang yang lengkap ini akan tidak lagi menjadi suatu peluang kepada potensi yang lebih besar dalam bidang pelaburan dan perindustrian yang bernilai tinggi ini. Saya berharap pihak Kerajaan boleh meneliti balik dan memberi sedikit penumpuan dalam meneroka peluang yang lebih luas dalam segmen perindustrian ini tanpa prejudis. Ramai pekerja yang sedang bekerja di lapangan terbang Kertih ini, juga akan kehilangan peluang pekerjaan jika ia diturun taraf. Berharap peluang ini terus menjadi satu pilihan yang diberi perhatian.
Seterusnya berkenaan dengan pemerkasaan industri halal, Kemasik mencadangkan untuk dijadikan sebagai salah satu daripada lokasi bagi dibangunkan industri halal baharu di daerah Kemaman sebagai contoh di Kemasik kita ada lokasi-lokasi yang strategik sebagai contoh di exit LPT 2, Kampung Cabang, kita ada lebih kurang 18 ekar tanah untuk dicadangkan. Di Kampung Api Rokok, berhampiran dengan Stesen ECR Kemasik, kita ada lebih kurang 50 ekar untuk dicadangkan di Kawasan Perindustrian Kertih, kita mempunyai kawasan yang luas untuk dicadangkan sebagai suatu Kawasan Industri Halal baru bagi dibangunkan bagi memperkasakan ekonomi.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, bagi menggalakkan ekosistem perniagaan yang kondusif Kerajaan Negeri memberikan komitmen untuk menyediakan sokongan keusahawanan bagi membangunkan kapasiti perniagaan dan memudahkan cara akses kepada pasaran pendigitalan, perkhidmatan dan urusan komuniti perlu diperkasakan sebagai contoh PINTAR yang telah dibangunkan oleh Kerajaan Negeri perlu diperkasakan lagi. Kalaulah kita tengok PINTAR sekarang ini, nak kata hidup segan mati tak mahu, dah
sangat suram dan perlu kita perkasakan ke arah usaha untuk pendigitalan komuniti.
Seterusnya dicadangkan untuk membangunkan suatu tempat iaitu digital Co-working Space Rakyat, perlu dibangunkan khususnya golongan-golongan B40 dan asnaf mereka mempunyai akses yang terhad. Justeru kita selaku negeri yang berharap untuk pergi terus kepada sebuah negeri digital perlu menyediakan suatu lokasi yang boleh dijadikan tempat untuk semua golongan rakyat berhadapan ataupun berada dalam perkembangan ekonomi tempat semasa insya-Allah.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar serta semua pihak yang bergandingan dan memberi sepenuh sokongan dan dokongan bagi sama-sama membina Terengganu Maju Berkat Sejahtera. Sedikit mungkin perkongsian kita bersama daripada karya Raja Ali Haji dalam Gurindam 12 menyebut, “cahari olehmu akan sahabat yang boleh dijadikan ubat, cahari olehmu akan guru yang boleh tahukan setiap seteru, apabila banyak berkata-kata di situlah jalan masuk dusta, apabila banyak lebihan suka itulah landa hampirkan duka.”
Terima kasih mohon menyokong Belanjawan 2026 Terengganu, terima kasih Yang Berhormat Timbalan Yang di-Petua.
Terima kasih Wakil Kemasik, saya harap Wakil-wakil akan membahaskan ucapan Bajet yang dikemukakan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar ini mengambil masa yang seperti mana yang diperuntukan masa sepuluh minit kalau lebih sedikit-sikit biarkan tapi kalau banyak sangat saya bimbang ada yang tidak sempat untuk buat pembahasan pada petang ini, sila mana-mana Yang Berhormat, yang mahu meneruskan perbahasan, ya sila, Bukit Besi.
Terima kasih Timbalan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Ketua-ketua Jabatan dan agensi yang diraikan para pegawai dengan kakitangan Kerajaan, petugas-petugas media, barisan pemerhati yang saya kasihi sekalian. Alhamdulillah, segalanya pujian bagi Allah Tuhan Semesta Alam, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad .
Bersyukur kepada Allah dengan limpah dan Inayah serta izinNya, dapat kita meneruskan persidangan dalam Dewan yang penuh barakah pada hari yang mulia ini, Alhamdulillah. Sidang Dewan yang dikasihi sekalian, Bukit Besi berdiri teguh hari ini, menyokong sepenuhnya Belanjawan Negeri Terengganu tahun 2026 yang bertemakan “Memacu Potensi Melonjak Prestasi”. Belanjawan ini bukan sekadar angka di atas kertas, tetapi satu manifestasi keikhlasan dan tekad Kerajaan Negeri untuk memperkasa kesejahteraan rakyat, mengurus hasil negeri dengan berhemah dan menambah sumber pendapatan lestari, insya-Allah.
Bukit Besi, menekankan 8 point utama pada petang yang mulia ini, insya-Allah. Yang pertama, kebajikan rakyat terus diutamakan. Timbalan Yang di-Pertua dalam dunia ekonomi yang penuh cabaran, kerajaan tetap teguh mendahulukan rakyat. Program bantuan sara hidup pendidikan anak-anak, kesihatan serta kebajikan nelayan, petani dan peneroka diteruskan dan diperkasakan. Kita tidak mahu ada rakyat yang tertinggal, sama ada di bandar mahupun di luar bandar. Inilah makna sebenar belanjawan berjiwa rakyat, dan bukan hanya memacu angka pertumbuhan, tapi menzahirkan kasih kepada insan.
Yang kedua, semangat federalisma, kerjasama Negeri dan Pusat. Belanjawan ini juga menzahirkan semangat federalisma yang matang. Kita menginsafi bahawa kemakmuran negeri tidak datang dengan perseteruan, tapi dengan kerjasama dan perpaduan bersama Kerajaan Persekutuan. Apabila hubungan negeri dan pusat dijalinkan dengan baik, banyak manafaat boleh dinikmati oleh rakyat daripada projek infrastruktur, pendidikan, kesihatan hinggalah pelaburan luar yang memberi peluang-peluang pekerjaan. Inilah semangat kongsi rezeki yang sebenar. Kita kongsi peluang, kongsi tanggungjawab dan kongsi hasil untuk kesejahteraan bersama.
Point saya yang ketiga, pendapatan baru, iaitu potensi REE dan ekonomi hijau. Yang Berhormat, Timbalan Yang di-Pertua, Terengganu tinggi kini melangkah ke fasa baharu, pembangunan ekonomi melalui sumber nadir bumi, REE dan
ekonomi hijau. Sumber ini jika diurus secara telus dan lestari, mampu menjadi pemangkin pendapatan baru negeri tanpa mengorbankan alam sekitar. Kita perlu mencontohi pendekatan lestari, mengambil secukupnya, memulihara sepenuhnya. Dengan hasil ini, kita bukan sahaja menambah pendapatan negeri tetapi juga berpeluang meningkatkan dana kebajikan rakyat, pendidikan percuma, rumah mampu milik, bantuan nelayan dan sebagainya. Yang keempat, menjana prestasi melalui inovasi dan integrasi. Belanjawan 2026 juga menyeru seluruh pentadbiran negeri untuk memperkukuh tadbir urus dan integriti. Prestasi tidak akan melonjak tanpa budaya kerja yang amanah dan inovatif. Kita perlu memanfaatkan teknologi digital, AI dan automasi untuk mempercepatkan perkhidmatan awam dan meningkatkan hasil negeri.
Yang keseterusnya, yang kelima, gagasan dan harapan tenaga hijau. Kita menyambut “Pelan Induk Industri Hijau Terengganu PITIH 2030” dengan penuh harapan. Tenaga hijau bukan sahaja menjana ekonomi baharu tetapi juga melindungi warisan alam untuk generasi yang akan datang. Harapan kita agar, negeri ini menjadi pusat inovasi tenaga untuk diperbaharui di pantai timur. Seterusnya, hab pelaburan hijau yang memberi menarik syarikat tempatan dan antarabangsa. Yang ketiga, model negeri hijau berdaya saing untuk mengimbangi pembangunan ekonomi dan kelestarian alam.
Yang keenam, mempergiatkan pelancongan sejarah Hulu Dungun. Hulu Dungun, memiliki warisan sejarah yang besar termasuk Tapak Kubur Mat Kilau. Lokasi tradisi yang lama serta jejak perjuangan lama. Potensi ini belum dimanfaatkan sepenuhnya. Saya mencadangkan agar pembinaan jejak sejarah Hulu Dungun dengan papar interpretasi laluan bersih, akses yang baik dan QR digital yang memudahkan pengunjung mengakses naratif sejarah. Mengadakan pusat interpretasi sejarah untuk dokumentasi dan tarikan pelajar serta pelancongan. Seterusnya mempromosikan bersama eko pelancongan Pasir Raja, Hutan Lipur Cemerung dan sebagainya. Jika dibangun dengan baik dan berfasa, sektor ini insya-Allah mampu menjadi pemangkin ekonomi baru untuk rakyat-rakyat di pedalaman Dungun. Seterusnya, Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua serta sidang Dewan yang dikasihi sekalian. Yang ketujuh, konflik antara manusia dan gajah bagi mengurangkan kerugian rakyat dan memelihara biodiversiti. Isu pencerobohan gajah yang akhir-akhir ini kerek berlaku di TV3, TV9, hatta 8TV mendedahkan tentang pencerobohan gajah di kampung-kampung.
Yang Berhormat,
Ye…
Mana Bukit Besi, Hor dinung, Gajoh Telemong ke gi Bukit Besi. Sebab Telemong dok cakap doh bab gajoh, Bukit Besi pulok.
Sila Bukit Besi.
Gajah Paka kot...
Ada kemungkinan. Terima kasih kepada Paka yang menyebut tentang gajah. Jadi akhir-akhir ini berita TV3 seringkali di ulang siar dan banyak kali malam tadi pun ada lagi berita tentang gajah di Kampung Dendang. Gajah-gajah tersebut, merisaukan masyarakat sebab bukan sekadar menjadi musuh tanaman, menyebabkan hilang pendapatan dan sekarang ini keselamatan terancam. Jadi konflik ini walaupun bukan isu kecil, malah berlarutan bertahun-tahun. Bukit Besi mencadangkan supaya diadakan pagar elektrik solar yang lebih moden dan terjaga. Cadangan seterusnya, pasukan mengadakan respon, pasukan respon pantas PERHILITAN di tempat khas, ditempatkan di Hulu Dungun. Untuk makluman sekarang ini, rakyat terpaksa bertindak sendiri dan ini memang membahayakan rakyat-rakyat itu dan juga berlaku di belakang rumah. Yang seterusnya, mengadakan program tanaman khas, tanaman yang gajah dok berahi, dok suke dengan menatang tu, dengan dengan tanaman tu. Contoh, kita cadangkan tanaman cili padi ataupun tanaman halia ataupun nenas yang memungkinkan gajah makan dan dia dok akan mari lagi di lokasi tu. Seterusnya, mengadakan laluan migrasi menggunakan GIS, AI untuk merancang kawasan yang berisiko serta mengadakan laluan khusus bagi gajah-gajah berkenaan dan membolehkan laluan-laluan tersebut dibiarkan dan tidak ditanam oleh penduduk kampung. Marilah sama-sama kita, matlamat kita adalah keselesaan bukan konflik yang berlarutan. Pembangunan kita kena jaga, bukan pembangunan yang mengusir gajah.
Seterusnya point saya yang kelapan, pembalakan, perlombongan dan tanggungjawab ekologi. Aktiviti ekonomi seperti pembalakan, perlombongan penting untuk pendapatan negeri, tetapi mesti dikawal secara berhemah. Saya mengusulkan beberapa perkara, yang pertama, pemetaan semula kawasan sensitif alam sekitar, KAAS sebelum lesen baru dikeluarkan. Yang kedua, pemantauan drone atau audit bebas untuk elok pencerobohan dan hak tebangan. Yang ketiga, rehabilitasi kawasan bebas terbangan ataupun bekas lombong dengan spesies pokok asli menggunakan spesies asli seperti pokok asal di sana, merbau, kuri, meranti, seraya atau spesies temuai yang menyokong hidupan liar. Yang keempat, penglibatan komuniti setempat sebagai ranger komuniti dalam pemantauan sungai dan hutan. Akhirnya, untuk penutup tirai kita, saya menyokong penuh usaha Kerajaan untuk menjadikan Bajet ini sebagai Bajet yang adil, inklusif dan berpandangan jauh. Bajet yang menjaga ekonomi, rakyat dan alam sekitar yang seimbang. Akhir daripada Bukit Besi dengan serangkap pantun:
Gunung Hijau Lembah Perwira, Jejak Sejarah Warisan Bangsa, Rakyat Dijaga Alam Terpelihara, Bajet Dilaksana Negeri Sejahtera.
Bukit Besi menyokong sepenuh Belanjawan Negeri Terengganu 2026. Sekian,
Terima kasih Wakil Bukit Besi. Ada Wakil-Wakil Yang Berhormat-Yang Berhormat lain yang nak meneruskan Ucapan Perbahasan. Silakan, Yang Berhormat Telemong. Tak dok gajah doh rasa di Telemong ni, gi ke Bukit Besi belaka.
Nak kena Timbalan Yang di-Pertua ni. [ketawa]
Terima kasih, Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan Pusat dan Negeri, para pemerhati dan juga pemerhati dari Telemong pun ada, insya-Allah, tuan-tuan, puan-puan sidang hadirin sekalian. Alhamdulillah, syukur kita kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana pada petang ini dapat kita bersama-sama atas nikmat dan rahmat Allah maka kita hari ini dapat berada di sini.
Pertama-tamanya, saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua kerana telah memberi ruang dan peluang kepada saya untuk sama-sama turut membahaskan Bajet kita kali ini. Jadi, saya berpantun dulu ork. Sekejap..
“Siram selasih tepi kali, Minum lebah rumah Cik Bedoh, Terima kasih Tok Li, Hal Gajah kurang doh”
Pertama-tamanya, setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar yang telah berjaya membentangkan Bajet 2026 ini yang mana kita baca, kita dengar, merupakan Bajet yang sangat unik dan luar biasa. Yang bertemakan “Memacu Potensi, Melonjak Prestasi” dengan satu jumlah bajet yang sangat besar berjumlah RM1.938 bilion.
Di Telemung berharap agar Belanjawan ini mampu untuk mencetuskan kehidupan rakyat yang lebih maju, berkat dan sejahtera dan kalau boleh kita kekalkanlah status Terengganu kita sebagaimana yang kita sedia maklum, status sebagai sebuah negeri yang paling bahagia di Malaysia. Kalau boleh, kita harap juga bandar-bandar kita juga memonopoli sebab setakat ini bandar-bandar kita masih di bawah, bandar Kuala Terengganu ke bandar Dungun ke bandar Hulu Terengganu ke. Kita haraplah dapat kita tingkatkan prestasi untuk kita dapat juga bandar yang terbahagia di Malaysia. Jadi, Bajet ini diharap dapat membantu rakyat kita yang masih lagi ramai susah dan tidak keruan di bawah sana dalam suasana mereka hari ini terpaksa menangani situasi kos sara hidup yang semakin meningkat serta terpaksa menghadapi kenaikan harga barang-barang keperluan.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, saya terpanggillah juga nak ulas sikit tentang royalti ini. Sikit jelah, insya-Allah sebab saya rasa hal ulasan royalti ini kita mungkin dah sangat banyak dah hari ini. Cuma saya nak sebutnya di sini, Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, perbuatan tidak menyalurkan royalti ke Negeri Terengganu ini merupakan satu perbuatan yang zalim, perbuatan yang keji, perbuatan yang kita boleh kita katakan yang dilaknat oleh Allah. Sebab ini hak kita, hak Terengganu, bukan saja hak orang PAS, bukan saja hak orang BERSATU, bukan saja hak orang PKR, bukan saja hak orang PAN, MIC, DAP tapi juga hak kita semua orang UMNO pun hak rakyat Terengganu.
Kerana apa yang saya nak sebut di sini ialah kerana ini dengan adanya wang, bajet, duit ini sudah pasti kerajaan dapat membina, merancang dan membuat sesuatu untuk rakyat. Kalau dia kata soal bagi pitih ni dok, UMNO bagi sejak Merdeka lagi, bagi, dok menang juga Pilihan Raya baru ni, dua penggal dok menang pun. Makna kata nak kabornya supaya kita rakyat Terengganu semua jangan kita katakan Kerajaan kena fikir benda ni, orang PAS kena fikir benda ni, orang BERSATU je kena fikir benda ni, kita rakyat Terengganu, pegawai kerajaan semua sekali sebab nikmatnya kepada kita mungkin tak perlu doh, orang tua-tua doh nak nape lagi ada belaka doh. Ini anak-anak kita, cucu kita, cicit kita, mungkin rakan-rakan kita.
Jadi kita haraplah supaya perbuatan zalim ini tidak diteruskan oleh Kerajaan Pusat kerana Tuhan marah. Tuhan marah melakukan perbuatan zalim ni sebagaimana kita dengar Ustaz kabor zalim ke orang, menyusahkan orang, khianat ke orang ni, Allah kata tunggu, tunggu, tunggu dulu, aloh bior, aloh bior ni biar… Betul tak Wakil Kijal? Wakil Paka? Ustaz ada kabor, kalau Allah balas lalu senang cerita, ini Allah biar dulu, ye lok dulu biar mu suka biar mu seronok biar mu asyik. Kerana kita tahu semua kan, kita buat Solat Hajat, kita doa, ni doa-doa kita, doa-doa orang-orang yang dizalim ni makbul, mudah makbul, tidak ada hijab disisi Allah. Jadi kita haraplah, kita harap supaya orang yang pegang ni, dia kata dia kabor dia kata „wi doh kan wi doh’ macam pitih kita jugoklah, buwi, duit gaji kita, barang kita…
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, boleh saya minta sikit pencerahan dengan Telemung?
Boleh.
Sila. Telemung bagi tak? Telemung duduk tu bolehlah.
Terima kasih, Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua. Di luar sana ni dia bercakap, dia kata Kerajaan Negeri ni takdok cerita hal lain. Asal nak buat pembangunan, pitih takdok dokleh royalti minyak. Boleh dok saya nok minta dengan Telemung check dengan saing-saing lama tu, saing-saing Telemung hok lama tu. Ingat dok? Tanya dia, bermula daripada Menteri Besar arwah Tan Sri Wan Mokhtar sampai ke dia jatuh, dia belanja duit mana? Duit royalti minyak ke ataupun duit cukai? Boleh dok gitu? Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, terima kasih.
Ini Telemung kena jawablah tu.
Insya-Allah Tok Li. Benda mudah je tu. Nak bincang je pun bukan benda payah sangat bor nak bincang tu, nak boleh tu payah. Insya-Allah… tadi, bab sekarang ni nak kabor kalau katalah duit disekat kerana takmboh beri Kerajaan kita memerintah akan datang, Kerajaan kita kalah akan datang, rasa dok munasaboh, dulu Kerajaan kita tak ada duit pun, menang, dok? Menang 2018, Yang Berhormat Batu Rakit, betul dok? Menang, takdok benda pun. UMNO bagi berpuluh tahun doh, kaloh gok. Makna nok kabor tapi yang rugi nung anak kita, cucu kita, tu yang kita bimbang sebab kalu lima tahun dok bagi, lima tahun rugi, bayangkanlah. Rugi dari segi pendidikannya, pembangunannya, ekonominya, dan sebagainya. Jadi kita haraplah, kita harap Allah Subhanahu Wa Ta’ala makbullah doa kita ni, supaya melembutkan hati mereka ni, dan kita bukan nak doa dia jadi huduh, nak jadi cacat, nak jadi dok kita wi balik apa salahnya kita wi balik bukan kena mikul pun dok, bukan dia kena mikul, bukan dia kena nebas pun. Takdok masa doh tu. Jadi saya nak sebutlah saya dari sini. Mari masuk Dewan ni juga, dengan peluang ni, saya nak kabo jugoklah hal Telemung sikit Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua. Jadi, nok kabonya Telemung ini sebenarnya tadi cakap doh tadi. Telemung ni banyak menyumbang kepada hasil Negeri Terengganu. Banyak hasil. Dok caye tengok, yang macam empangan. Seberang Takir tak dok empangan ork? Takdok. Kita ada empangan, dapat royalti air.
Ada laut. Laut China Selatan
Doh laut buat nape bukan boleh pitih pun.
Ada ikan.
Ni kita ni kita menyumbang hasil kepada Kerajaan Negeri Terengganu kita. Beratus juta dah kalau nak kira, beratus juta. Sikit gi buat solar terapung, solat terapung di Tasik Kenyir. Satu-satu solar yang terbesar mungkin di Asia ataupun dunia. Mungkin akan menghasilkan 2,000 megawatt lebih. Saya dah check dengan laporan daripada kerajaan kata bila mengeluarkan lebih 2,000 megawatt nanti hasil Terengganu akan dapat lebih RM100 juta lebih setahun, banyak tu RM100 juta. Telemung je ada. Kenyir Telemung je ada royalti air. Balak orang lain ada juga balak. Banyaklah balak di Telemung ini. Kemudian Telemung juga ada nadir bumi hok Wakil Manir sebut tadi okay Wakil Manir sebut tadi. Banyak di Telemung sungguh tanya lah, EXCO Wakil Kota Putera. Banyak… jadi makna Telemung banyak menyumbang hasil kepada Kerajaan Negeri. Beratus juta setahun apa salah beri macam royalti etek. Kita kata Kerajaan Pusat dok wi, kita buat gitu juga, sama je gitu. Ke guane? Kita dok wi rohok bukan nak bangkit dok sebab Telemung menghasil benda ni. Dok kabo lagi hok lain tu. Banyak lagi Telemung nak kabo hal Telemung yang menyumbang kepada hasil negeri, nak kabo hal ni KETENGAH. Saya nak ambik berpeluang nak ucap tahniah kepada rakan saya yang hari ni telah dipilih. Orang Telemung dipilih menjadi pengerusi KETENGAH. Alhamdulillah, Kita haraplah perjuangan KETENGAH kita ni sebab nak kabonya sebab kita beri kawasan KETENGAH luas, besar KETENGAH ni tapi dok sikit habuk Telemung dok kena operasi dia. Di Ajil ada juga, Kampung Pela. Betul dok [sambil ketawa] Ada juga, tapi Telemung tak dok.
Sebut molek sikit. Sebut biar betul.
Nok kabo.
Jadi kita haraplah. Kita harap perjuangan kita supaya kawasan Telemung ni Mukim Telemung ni dijadikan juga kawasan Wilayah KETENGAH supaya
KETENGAH boleh membantu sebab kita ramai orang susah. Telemung ramai orang susah, boleh bantu. Telemung rakyatnya gajah banyak mari, kera pun banyak. Terima kasih Pertanian. Pengarah Pertanian buat program banyak baru ni tembok kera. Dok ape dok kabo sini ork? [Sambil ketawa] Takut PERHILITAN maroh [Sambil ketawa]. Kemudian banjir, Telemung banjir. Jadi ini kita haraplah kepada Kerajaan. Saya nak mohon di sini, ringkaskan sikit masa lebih dah ni tapi dok ape tadi Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, saya ambil gambar Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, ambil gambar Yang lebih 3 minit lebih tadi, 3 minit 14 saat. Jadi saya jugok ambik juga ruang tu. Jadi nak kabo, saya minta saya haraplah kepada Kerajaan, Telemung ini saya haraplah supaya kelmarin dah lulus kelmarin Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar telah sebut kelmarin lulus Masjid Kubang Palas, terima kasih banyaklah.
Empat Perdana Menteri baru boleh buat, kabo terus terang empat Perdana Menteri, bukan Menteri Besar. Kabo terang, kita urus mende ni. Alhamdulillah, terima kasih banyak. Bagus Kerajaan hari ni. Orang kampung memang Insya-Allah kambing kita sembelihlah, Insya-Allah. Jadi nak kabo saya mohonlah supaya kita tolonglah Telemung juga dengan sebut tadi dengan beratus juta hasil ni. Orang Telemung buatlah perumahan satu, perumahan setakat ini takdok satu pun lagi. Jawapan ni pun hok bertulis berbelit belah sekali tengok jawapan. Okay Wakaf Mempelam jawab belit belah sekali. Minta maaf Wakil Wakaf Mempelam, sebab ni berulang-ulang ni. Dok kemas jawab. Jawab- jawab, jawab main selamat. Jawab kemas sikit sebab Telemung ni dia 382,000 hektar, suku Terengganu. Tau dok suku Negeri Terengganu ni letak di Telemung, luas. Jadi peruntukan wakil rakyat sama juga dengan orang lain, matilah aku. Panjang, jalan panjang, parit panjang longkang panjang, banyak sangat. Kita haraplah buat kawasan perumahan. Kita minta pastikan buat juga tahun ni. Tahun depan selewat-lewatnya. Kemudian Telemung juga kita nak bandar, takdok bandar kita ini. Bandar takdok, pusat-pusat pertumbuhan ekonomi, tolonglah, kita kena tolong kalau Kerajaan dok tolong, piye lagi.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, kalau kita…
Masa dah nak habis ni.
Kalau lok lama sangat pada Telemung ni dia minta macam Sarawak Sabah tulah, dia nok belake.
[Sambil ketawa] Ada sikit lagi masa. Saya ingat…
Kita takmboh 40%, Wakil Batu Rakit, kita nak 5% je sudahlah. Jadi kita haraplah macam sebut tadi pusat pelancongan lebih banyak, CBT kita banyak, tolong build up. Kemudian kita harap juga Pakej Jalan 7 tu boleh dibina cepat sikit daripada Kuala Jeneris sampai ke Pengkalan Gawi. Kita harap juga situ ada pusat pendidikan dibina. Kita harap masjid bukan se je. Kita ada 16 lagi hok dalam rok, Telemung ada 32 butir masjid. 32 butir. Kawasan Yang di-Pertua baru 8 butir, saya 32 butir, 16 butir hok uzur, baru lulus se. Jadi kita haraplah Yang Amat Berhormat Menteri Besar tambah lagilah masjid, masjidnya kampung. Bukan tamak dok tamak. Banyak lagi no wak guaner, biasalah, kita orang tak dok ni, kita mintalah.
Panjang lagi Wakil Telemung?
Jadi saya rasa padanlah tu kot. Jadi kalau saya nak sebutnya, banyak lagi sebenarnya tapi oleh karena masa tidak mengizinkan, lebih daripada masa Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, ambil tadi, jadi saya nak pantun sikit lah.
Rendang sungguh pohon beringin Tempat bermain si anak dara Kalau semua EXCO bersikap prihatin.
Telemung akan maju, berkat dan sejahtera.
Jadi dengan kata-kata itu, saya menyokong Bajet ini. Sekian.
Terima kasih Wakil Telemung, lebih 5 minit tapi saya tak boleh nak halang sebab ada pencelahan tadi. Seterusnya dipersilakan, Wakil mana lagi? Ya, sila Wakil Air Putih.
.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan dan sidang pemerhati yang dirahmati oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala sekalian. Terima kasih kerana memberi ruang dan peluang untuk saya turut serta dalam perbahasan Bajet negeri pada kali ini. Bajet yang dibentangkan tahun ini membawa mesej yang besar iaitu kesinambungan kepada usaha membina negeri yang maju, berkat dan sejahtera. Dengan tema “Memacu Potensi Melonjak Prestasi” dalam Bajet 2026 kali ini Wakil Air Putih berbangga kerana ini menunjukkan kesungguhan dan wibawa kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Terengganu untuk melihat keupayaan dan kebolehan negeri untuk berdiri tanpa pergantungan yang tinggi, keupayaan menggerakkan seluruh kemampuan dan kekuatan yang ada bagi mencapai peningkatan prestasi yang cemerlang. Dalam kesempatan ini saya ingin menyentuh dan menyokong penuh keperluan reform federalisme bagi melindungi hak serta kemajuan Negeri Terengganu.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, kita melihat prestasi Bajet negeri pada tahun-tahun ke belakang ini kekal stabil dan berdisiplin walaupun berhadapan cabaran hasil petroleum yang tidak menentu dan tekanan ekonomi global, Kerajaan negeri masih dapat mengekalkan kedudukan kewangan yang kukuh. Pendekatan Bajet berhemah ini membolehkan negeri terus menyalurkan manfaat kepada rakyat sama ada melalui bantuan sosial, pembangunan prasarana mahupun peningkatan perkhidmatan awam.
Keupayaan ini membuktikan kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Terengganu ini begitu gigih bagi memastikan Negeri Terengganu kekal berada pada tahap terbaik walaupun dalam masa yang sama kekangan dan gangguan serta bebanan peninggalan pentadbiran lama perlu ditangani namun pencapaian demi pencapaian yang positif menjadikan Terengganu utuh berdiri. Di DUN Air Putih kita menyaksikan beberapa hasil nyata daripada keberkesanan
pengurusan Bajet negeri termasuk projek dalam dan infrastruktur kampung yang ditambah baik namun masih banyak lagi infrastruktur yang perlu ditambah baik kerana isu utama di Air Putih ialah infrastruktur dan usaha penambahbaikan bekalan air melalui kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf sistem agihan.
Yang Berhormat Timbalan Dato’ Yang di-Pertua, bajet ini turut membawa semangat bajet rakyat dengan tumpuan kepada inisiatif kesejahteraan masyarakat di semua peringkat. Bagi DUN Air Putih, antara tumpuan utama yang saya harap diberi perhatian dan disegerakan ialah pertama, Perumahan Mampu Milik, rumah mampu milik. Terdapat beberapa tapak yang telah dicadangkan dan saya mohon agar pelaksanaannya dipercepatkan bagi memenuhi keperluan golongan muda dan berpendapatan sederhana. Dua, pendidikan. Tapak Sekolah Rendah Integrasi (SRIDI) telah diluluskan dan wajar dipercepatkan pembinaannya. Saya juga mencadangkan agar sebuah Sekolah Menengah Agama baharu dibangunkan di Bandar Baru Binjai bagi memenuhi keperluan pendidikan Islam dan akademik masyarakat setempat. Yang ketiga, isu bekalan air. Masalah air keruh dan tekanan rendah masih dikeluhkan di beberapa kawasan terutama di penempatan Felda. Diharapkan bajet kali ini dapat memperuntukkan lebih banyak dana untuk penyelenggaraan serta naik taraf sistem paip utama dan tangki agihan. Yang keempat, pembangunan Felda dan luar bandar. Penduduk Felda di Air Putih menghadapi isu pendapatan dan peluang pekerjaan generasi kedua. Oleh itu, Program Keusahawanan Desa dan Pertanian Muda perlu diperluas agar mereka tidak bergantung sepenuhnya kepada hasil sawit semata-mata.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, bajet ini bukan sahaja menumpukan kepada perbelanjaan semasa tetapi juga menggambarkan gagasan masa depan Terengganu. Kita mahu melihat negeri ini menjadi model pembangunan Islam. Negeri yang bukan sahaja kaya sumber tetapi kaya nilai dan ilmu. Harapan kita ialah agar Terengganu yang terus berdaya saing dengan memanfaatkan kekuatan sumber manusia, memperluas sektor pelancongan dan ekonomi digital serta menjadikan bandar-bandar kecil sebagai pemangkin pertumbuhan di kawasan pedalaman.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, kita mengalu-alukan segala inisiatif Kerajaan Persekutuan yang membawa manfaat kepada rakyat. Khususnya dalam bidang pendidikan kesihatan dan infrastruktur asas. Namun pada masa
yang sama, Kerajaan Negeri perlu dihormati sebagai rakan dalam sistem persekutuan bukan sebagai pentadbiran bawahan. Sebarang peruntukan atau projek harus disalurkan terus melalui Kerajaan Negeri agar pelaksanaannya lebih tersusun dan berpaksikan keperluan tempatan. Ini selaras dengan semangat Federalisme Komparatif bukan dominasi tetapi pengkongsian tanggungjawab.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, wujudnya beberapa bentuk gangguan dan tekanan politik terhadap Kerajaan Negeri. Ada peruntukan yang dilewatkan, projek yang ditangguhkan dan dasar yang dilaksanakan tanpa perundingan bersama Kerajaan Negeri. Perkara sebegini bukan sahaja menjejaskan kelancaran pentadbiran malah memberi kesan langsung kepada rakyat. Ini adalah usaha halus bagi memastikan kewibawaan kepimpinan Kerajaan yang ada terganggu. Ini tidak sepatutnya berlaku. Oleh itu, Air Putih menegaskan pentingnya Reform Federalisme iaitu pembaharuan untuk menstruktur semula hubungan antara Kerajaan Pusat dan Negeri agar lebih adil, telus dan berasaskan Perlembagaan. Negeri harus diberi kuasa sebenar dalam hal-hal seperti sumber asli, pelan pembangunan wilayah dan pelaksanaan projek rakyat. Hanya dengan cara ini, kesejahteraan rakyat dapat dicapai tanpa gangguan politik atau birokrasi yang tidak perlu.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Air Putih merupakan dunia yang luas buminya. Sebahagian besar adalah tanah-tanah Felda. Felda Neram 1, Felda Neram 1 tambahan, Felda Neram 2, Felda Cerul 1 dan Felda Cerul 2 serta Felda Seberang Tayor. Air Putih menyokong penuh tuntutan kepada Felda kerana hak rakyat Terengganu telah dinafikan sekian lama. Dimaklumkan, Felda di DUN Air Putih juga terlibat dengan isu tanah Kerajaan tanpa dokumen hak milik yang sah. Perkara ini patut diselesaikan dan pihak Felda perlu bertanggungjawab dalam isu ini. Air Putih juga mencadangkan satu isu lagi iaitu pemilikan tanah secara haram kerana apabila kita melihat saujana pokok kelapa sawit, kita beranggapan ianya ada pemilik. Rupa-rupanya ialah, ianya tanah terokaan haram yang begitu luas yang telah menikmati hasil sekian lama. Terbukti apabila satu projek yang MoU dengan Kerajaan Negeri dan apabila bermulanya projek tersebut maka baru diketahui tanah-tanah di situ sudah diterokai secara haram yang telah memberi kesan kepada kelancaran perjalanan projek tersebut.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, kita mungkin tidak menyedari bagaimana tanah-tanah negeri di bahagian sempadan khususnya di Air Putih yang bersempadan dengan Negeri Pahang. Bagaimana pencerobohan dan penerokaan khususnya sumber REE yang berleluasa. Air Putih diakui tanahnya memiliki sumber REE yang banyak dan luas. Justeru itu, Air Putih memohon dan mencadangkan penguatkuasaan yang tegas dan tersusun perlu dilakukan agar ketirisan sumber Kerajaan ini dapat dibasmikan. Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, akhir sekali saya ingin merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri, para penjawat awam dan seluruh rakyat di DUN Air Putih atas sokongan dan kesabaran mereka dalam menghadapi pelbagai cabaran. Marilah kita menjadikan Bajet ini sebagai satu wadah untuk memperkukuh semangat kebersamaan antara Kerajaan dan rakyat antara Negeri dan Persekutuan demi kemajuan Terengganu yang Maju, Berkat dan Sejahtera. Air Putih mohon menyokong.
Terima kasih Wakil Air Putih.
Saya kira menepati masa. Tak sampai 10 minit.
Telemong bahang banyok doh.
Seterusnya, saya persilakan mana-mana Wakil lagi yang belum buat perbahasan untuk membahaskan ucapan perbelanjaan ataupun Bajet yang dibuat oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar. Silakan, Wakil Rantau Abang.
Saya mulakan ucapan perbahasan ini dengan firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala
“dan mereka yang diredhai oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala itu ialah yang apabila membelanjakan hartanya tiadalah melampaui
batas dan tiada bakhil kedekut dan sebaliknya perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara boros dan bakhil itu.”
Surah Al-Furqan ayat 67.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan serta seluruh Ahli Dewan yang saya muliakan. Alhamdulillah segala puji dan syukur kepada Allah Subhanahu Wa Taa’la kerana dengan izin dan rahmatNya kita dapat bersidang untuk membahaskan Belanjawan Negeri Terengganu Tahun 2026.
Saya terlebih dahulu merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, serta barisan kepimpinan Kerajaan Negeri atas penyediaan Belanjawan yang kukuh, berpandangan jauh dan berpaksikan tema "Memacu Potensi Melonjak Prestasi". Belanjawan kali ini, membuktikan bahawasanya Kerajaan Negeri sentiasa beriltizam tinggi untuk memakmurkan rakyat walaupun berdepan dengan cabaran hubungan Kerajaan Persekutuan yang tidak seimbang. Kita maklum pelbagai gangguan dan kekangan daripada Persekutuan yang telah menyukarkan urusan negeri. Namun, kepimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar terus kekal tenang, berhemah dan beribawa. Izinkan saya menyebut beberapa pencapaian besar yang wajar diberi penghargaan. Pendapatan negeri meningkat daripada RM900 juta ringgit pada tahun 2018 kepada RM1.75 bilion pada tahun 2024 hasil pengurusan berdisiplin. Terengganu Inc. (TI) kini menjana pendapatan tertinggi dalam sejarah negeri mencecah RM1.7 bilion ringgit, diikuti EPIC Berhad RM403 juta dan TDM Berhad RM645 juta.
Terengganu kekal negeri paling telus dalam pengurusan belanjawan di Malaysia menduduki tempat pertama bagi tahun 2022 dan 2024. Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia (MHI) 2024 menobatkan Terengganu sebagai “Negeri Paling Bahagia” di Malaysia dengan skor 8.64. Kerajaan Negeri juga berjaya memulihkan peninggalan projek sakit seperti Stadium Sultan Zainal Abidin, Hotel Paya Bunga dan rumah mampu milik di Padang Setenge, Taman Kertih serta Batu Rakit. Langkah-langkah ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri bukan sekadar berwacana tetapi melaksanakan tindakan konkrit untuk memperbetulkan warisan lampau. Pendekatan politik matang dan sejahtera
yang diterapkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah menukar suasana politik tegang kepada politik harmoni dan beragenda rakyat.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, walaupun kita menyokong Belanjawan ini suara rakyat di bawah mesti terus dibawa ke Dewan yang mulia ini. Rakyat pantai timur terus menanti dengan sabar pelaksanaan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa III (LPT III). Kajian asalnya telah siap sejak tahun 2009 dengan kos RM2.867 bilion. Namun, akibat penangguhan panjang kos kini meningkat kepada RM9.8 bilion. Malangnya, ia tidak tersenarai dalam RMKe-13 maupun Belanjawan Persekutuan 2026, sedangkan Projek Mutiara Link Pulau Pinang bernilai RM17 bilion telah diberikan peruntukan. Ini menimbulkan persoalan sampai bila Terengganu perlu menunggu haknya yang sepatutnya menjadi pemacu ekonomi negeri ini. Kerajaan Negeri mesti terus menuntut keadilan dalam pembahagian pembangunan nasional agar rakyat Terengganu tidak terus ketinggalan.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, isu pendidikan dan pembangunan modal insan. Antara kebimbangan besar rakyat pada hari ini ialah krisis sistem pendidikan negara, kes buli yang semakin melampau, cubaan menculik, gangguan seksual, ketagihan gajet serta tekanan mental dalam kalangan pelajar. Masalah ini bukan semata-mata isu disiplin sekolah tetapi cerminan kepada krisis nilai dan akhlak yang sedang melanda generasi muda kita ini. Ia menuntut perhatian yang serius daripada semua pihak bukan sahaja Kementerian Pendidikan tetapi juga Kerajaan Negeri, masyarakat dan institusi agama. Sebagai negeri yang menjadikan Islam sebagai dasar pentadbiran, saya berpandangan Terengganu wajar tampil dengan pendekatan sokongan dan cadangan yang berpaksikan penyelesaian Islam. Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala
“Wahai orang-orang yang beriman peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada azab api neraka”
(Surah At-Tahrim ayat 6)
Berdasarkan panduan ini saya mencadangkan agar Kerajaan Negeri melalui agensi berkaitan seperti Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, YPK, MAIDAM dan Yayasan Terengganu mengambil langkah-langkah berikut sebagai pelengkap kepada Dasar Pendidikan Nasional.
Yang pertama, menjana kerjasama strategik dengan Kementerian Pendidikan dalam memperluas program pendidikan berasaskan maqasid syariah menjaga agama, akal, nyawa, maruah dan harta melalui aktiviti kokurikulum, program motivasi dan pembangunan sahsiyah pelajar. Yang kedua, menjadikan sekolah dan institusi tahfiz di bawah seliaan negeri sebagai model sekolah tarbiyah Islam yang bukan sahaja menekankan soal akademik tetapi juga akhlak, adab dan kepimpinan. Yang ketiga, memberi latihan dan pengiktirafan khas kepada guru agama dan asatizah sekolah negeri supaya mereka berperanan sebagai murabbi komuniti yang membimbing masyarakat setempat bukan hanya dalam bilik darjah semata-mata dan yang keempat, mengaktifkan kerjasama antara masjid, PIBG dan JPKK bagi membentuk zon selamat pelajar, kawasan komuniti yang menjaga keselamatan dan moral anak-anak di luar waktu sekolah.
Langkah-langkah ini tidak bercanggah dengan bidang kuasa Persekutuan malah, melengkapkan usaha kementerian dengan roh Islam dan keprihatinan setempat. Saya yakin dengan sokongan padu semua pihak, Terengganu boleh menjadi negeri contoh dalam membangunkan sistem pendidikan berjiwa Islam dan berpaksikan kesejahteraan ummah.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, kita bersyukur atas hasil royalti petroleum yang menjadi sumber penting negeri namun pembayaran oleh Kerajaan Persekutuan masih tidak menepati perjanjian asal di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan Perjanjian 1975. Bayaran sepatutnya 5% 2 kali setahun tetapi, 2023 RM0.8 bilion tidak cukup 5%. Tahun 2024, RM1.6 bilion lewat bayar. Tahun 2025, RM1 bilion dibayar pada Oktober tidak ikut jadual. Isu ini nampaknya sudah menjadi permainan tradisi di Putrajaya. Bila suka, dibayar dan bila tidak suka maka ditunda. Saya percaya rakyat sudah cukup matang untuk menilai siapa yang ikhlas membantu dan siapa yang memperalatkan hak negeri untuk kepentingan politik. Kerajaan Negeri Terengganu tidak akan tunduk kepada tekanan, kita akan terus menuntut hak ini secara sah, tegas dan konsisten kerana royalti bukan bantuan ia adalah hak yang dijamin undang-undang. Saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan mesti berhenti bermain politik dalam urusan yang melibatkan hak rakyat Negeri Terengganu.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, akhirnya Belanjawan 2026 ini menunjukkan wibawa kepimpinan negeri dalam menghadapi gangguan dan
cabaran politik Persekutuan. Kerajaan Negeri kekal teguh dengan dasar Islam berhemah dalam pengurusan dan adil terhadap rakyat. Dengan izin Allah, Terengganu akan terus menjadi negeri contoh makmur ekonominya, luhur akhlaknya dan sejahtera rakyatnya. Saya dengan penuh rasa tanggungjawab menyokong Belanjawan Negeri Terengganu 2026. Saya akhirkan ucapan ini dengan serangkap pantun.
Rantau Abang tanah bertuah Tempat rakyat bersatu suara Belanjawan dibentang dengan maruah Demi kesejahteraan rakyat jelata
Ada mana-mana Wakil lagi yang nak mengemukakan ataupun membahaskan. Sila Wakil Batu Rakit.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, saya mulakan perbahasan saya dengan sepotong hadis Nabi yang telah disebut oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar di penghujung ucapan Belanjawan semalam.
Maksudnya: “Tiada seorang hamba yang telah diamanahkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala untuk menguruskan hal ehwal rakyat di bawah tanggungjawabnya lalu tidak menunaikan amanah tersebut meskipun dengan hanya menyampaikan satu nasihat melainkan ia tidak dapat mencium haruman syurga.”
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, saya ingin cantumkan dengan satu hadis lagi daripada Nabi
Kata Nabi “Barang siapa di kalangan kamu yang berpagi-pagi, dia telah bangun pada waktu pagi dalam keadaan dia mendapat aman ketika mana berada di tempat tinggalnya di rumahnya dan dalam keadaan dia sihat tubuh badannya dan memiliki makanan untuk dimakan pada hari itu, maka seolah-olah dia telah menguasai dunia keseluruhannya.”
Maksud daripada hadis ini, jika seseorang diberi tiga nikmat ini iaitulah nikmat keamanan, nikmat kesihatan dan nikmat rezeki yang mencukupi untuk makan pada hari itu, maka sebenarnya dia telah memiliki kebahagiaan dan kecukupan dunia untuknya.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, difahami daripada hadis-hadis ini walaupun hadis ini datang dengan cara pengkhabaran daripada Nabi tapi kita faham ia adalah perintah untuk diambil perhatian terutamanya kita sebagai Kerajaan iaitu perintah supaya melaksanakan amanah ke atas rakyat kita khasnya pada tiga segmen iaitu keamanan, kesihatan dan juga kebajikan.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, saya ucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri kerana telah melaksanakan perintah Nabi ini melalui banyak program-program dan juga projek-projek yang menepati dengan hadis ini. Contoh yang saya boleh sebut disini, antara bawah segmen keamanan, Kerajaan Negeri telah menyediakan Rumah Mampu Milik dan Projek Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS) untuk rakyat berlindung. Adapun di bawah segmen kesihatan, semalam Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah sebut dalam Ucapan Belanjawan, Kerajaan sedang berusaha untuk membudayakan pemakanan yang baik dan sihat dengan menganjurkan hanya hidangan sihat disajikan semasa mesyuarat, kursus dan apa-apa program yang dianjurkan oleh pihak Kerajaan. Mungkin semua YB-YB boleh ambil perhatian dalam perkara ini, bab makanan ini memang menjadi cabaran kepada semualah terutamanya pemimpin-pemimpin apabila ziarah dan seumpama dengannya, biasa disajikan dengan makanan-makanan yang enak, yang lazat tapi belum tentu disebalik itu, adakah ia memberi khasiat kepada kita.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, adapun setelah itu yang lebih menarik lagi jika sekiranya rakyat sudah sakit, Kerajaan sudah menyediakan Kad Sejahtera untuk rakyat yang susah. Mereka boleh pergi ke klinik-klinik dengan bantuan kerajaan ini. Yang lebih menarik lagi, jika sekiranya rakyat sudah sakit sangat menarik dengan bantuan Kerajaan ini bukan sahaja memastikan rakyat dapat makanan yang baik tapi jika sekiranya mereka sakit kita sedia Kad Sejahtera bahkan menarik kita tengok ada negeri yang bersedia untuk ikut kita untuk menyediakan Kad Sejahtera ini. Adapun segmen kebajikan, contohnya banyak tindakan-tindakan Kerajaan sudah dilaksanakan dengan macam-macam bantuan kita berikan kepada rakyat masyarakat kita di bawah diantaranya yang tak pernah dibuat oleh mana-mana Kerajaan, Pencen Rakyat, Dana Raya ini biasa diberikan Dana Raya, Lesen Percuma, Bantuan Pakaian Sekolah, Bantuan OKU, Skim Bantuan Peniaga, Bantuan Ibu Tunggal dan banyak lagi bantuan-bantuan yang diberi oleh Kerajaan Negeri. Inilah sebenarnya antara jawapan yang orang tanya sebab apa Terengganu ini dipilih sebagai negeri paling bahagia, ini di antara jawapan-jawapannyalah. Cuma Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, kini ada sedikit gangguan. Sebahagian daripada program kita ini, perancangan yang kita nak buat ini bahkan kita telah buat sebahagiannya tergendala kerana duit kita telah disekat oleh Kerajaan Persekutuan iaitulah royalti. Royalti itu adalah duit kita bukan hak Kerajaan Persekutuan. Alhamdulillah, Kerajaan Negeri Terengganu terus berjuang untuk dapatkan royalti ini, cuma kita minta kepada rakyat Terengganu keseluruhannya bersama dengan Kerajaan Negeri Terengganu untuk memperjuangkan royalti ini, paling kurang jangan kata kepada Kerajaan Negeri, jangan buat nganjing kepada Kerajaan Negeri, kita berusaha sungguh-sungguh untuk dapatkan hak kita jika sekiranya kita betul-betul rakyat Negeri Terengganu pasti kita bersama dengan kerajaan kita untuk menuntut hak kita ini.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, perkara yang ke-40 dalam Ucapan Belanjawan, Yang Amat Berhormat Menteri Besar semalam menyebut berkenaan Pemerkasaan Institusi Pendidikan termasuk sekolah agama rakyat dan juga sekolah tahfiz, sekolah pondok dan seumpama dengannya, Batu Rakit menyambut baik dan sangat-sangat berterima kasih di atas cadangan Yang Amat Berhormat Menteri Besar untuk menambah jumlah peruntukan bagi bantuan per kapita dan Skim Al-Ghazali dan mempertimbangkan subsidi bekalan air untuk institusi ini.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, cuma Batu Rakit ada sedikit aduan berkenaan bantuan per kapita untuk sekolah-sekolah agama rakyat untuk tahun ini masih belum dapat. Saya dapat maklumat untuk tahun-tahun sebelum ini, biasa mereka dapat selepas berlalunya tahun berikut. Jadi, Batu Rakit cadangkan supaya laksanakan pada tahun berkenaan maknanya jangan nanti habis tahun dulu baru kita nak sampaikan sumbangan kepada sekolah-sekolah agama rakyat ini, nyaknye mereka duk tunggu sumbangan dalam keadaan mereka nak uruskan urusan persekolahan ini dalam keadaan sangat berat sekarang ini terutamanya apabila dah ada Kerajaan makna kata Kerajaan nak Islam, nak menyumbang untuk apa lagi, ada orang sebut gitu. Jadi daripada itu, kita harapkan di samping rakyat jelata di bawah menyumbang, kita harap kerajaan pun bersegera untuk sampaikan sumbangan kepada sekolah agama rakyat ini.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, dalam perkara pemerkasaan institusi pendidikan agama ini juga, Batu Rakit mencadangkan kepada Kerajaan Negeri supaya mengiktiraf Sijil Syahadah Sanawi dan juga Sijil Ujian Penilaian Sekolah Rendah Islam, (UPSRI) yang sekarang diguna pakai oleh sekolah agama rakyat. Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua. Batu Rakit cadangkan juga supaya anak-anak Terengganu yang cemerlang dalam syahadah ini diberi anugerah untuk mereka sebagaimana anugerah-anugerah yang kita berikan kepada pelajar-pelajar cemerlang dalam pencapaian-pencapaian sijil-sijil yang lain.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, dalam membahaskan pemerkasaan institusi pendidikan ini, bulan lepas saya pergi ke Mesir dan juga Syria untuk urusan pelajar di sana. Ada satu isu untuk perlu diambil perhatian oleh pihak kerajaan. Ada beberapa keluarga anak Terengganu. Mereka ini duduk di sana tempoh yang agak lama, berada di Mesir dan beranak-pinak di sana dah. Jadi anak-anak mereka ini sekolah di Mesir. Tapi mereka tetap anak Terengganu. Dok ubah status kerakyatan. Tetap anak Terengganu duduk di sana. Cuma berharap bantuan daripada Kerajaan Negeri Terengganu juga untuk anak-anak mereka meneruskan pengajian di sana kerana sekarang ini mereka dok dapat bantuan. Sebelum ini ada dapat bantuan daripada MAIDAM. Tapi mereka mohon sebelum ini. Hok terbaru dok lulus. Dok lulus sebabnya ibu bapa dan pemohon tidak bermastautin di Negeri Terengganu. Nyaknye ke dialah. Dia anak Terengganu duduk di Mesir lama. Bukan bermastautin di sana. Hanya belajar di sana tapi kita seolah-olah tidak mengiktiraf mereka di sana. Jadi
daripada itu, saya mohon daripada pihak Kerajaan Negeri memberi perhatian kepada mereka. Insya-Allah.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, peluang yang ada ini juga saya ingin bertanya dan mengangkat beberapa perkara dalam ADUN Batu Rakit untuk perhatian kerajaan.
Yang pertama berkenaan dengan projek masjid di Mengabang Lekor. Apa statusnya sekarang ini? Kerana keadaan nampak macam dah lama dihentikan. Jadi nak tahu status keadaan projek ini.
Yang kedua, bagaimana umum sedia maklum Batu Rakit terlibat dengan hakisan pantai yang amat dahsyat, menyebabkan berlaku pengkalan-pengkalan nelayan yang sudah roboh, yang hilang daripada pandangan kita. Jadi saya mohon kerajaan sediakan sebahagian peruntukan belanjawan ini untuk bangunkan semula jeti khas untuk mereka di sepanjang Pantai Batu Rakit ini.
Yang seterusnya yang ketiga, dalam sektor pelancongan dan rekreasi. Batu Rakit mencadangkan supaya kerajaan menaik taraf Panchur Batu di Kampung Bukit Nenasi, Bukit Wan. Jadi akhir sekali, saya dengan peluang yang ada ini juga saya nak ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada Yang Berhormat Cukai, EXCO Infra yang semalam turun ke Batu Rakit untuk tengok projek hakisan pantai dan juga untuk hadapi monsun timur laut yang akan kita hadapi beberapa hari akan datang. Jadi dengan kehadiran beliau memang sangat mengembiralah bagi rakyat Batu Rakit terutamanya di Pantai Batu Rakit. Batu Rakyat menyokong penuh Ucapan Belanjawan 2026 yang telah disampaikan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar semalam. Sekian,
Terima kasih Wakil Batu Rakit. Kita teruskan lagi dengan perbahasan pada Ucapan Bajet Yang Amat Berhormat. Sila, wakil daripada, mana satu? Okey, sila. Besut? Hulu Besut dulu. Okey, sila Hulu Besut.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan, rakan-rakan media, para pemerhati dan seluruh rakyat Negeri Terengganu yang saya rahmati sekalian.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana kita diberi peluang pada hari ini untuk bertemu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri kali ini. Terima kasih kerana memberi peluang kepada saya untuk turut membahas Belanjawan 2026 yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar pada hari semalam.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, saya nak sentuh isu pendidikan. Bila sebut pendidikan di Besut, kita ingat di Besut adalah merupakan juara setiap kali keputusan peperiksaan. Namun, di sini saya ingin menyentuh satu isu. Tadi Rantau Abang telah sebut banyak isu hal pendidikan. Saya nak menyentuh satu isu yang mana ada segelintir semakin hari semakin jauh daripada pendidikan. Anak-anak kita ni ponteng sekolah. Bukan kerana tiada sekolah, bukan kerana tiada guru tetapi kerana hilang kesedaran betapa pentingnya pendidikan. Terdapat segelintir ibu bapa hari ini tidak menganggap pendidikan sebagai amanah utama. Ada anak-anak yang tidak hadir ke sekolah, namun ibu bapa mengambil mudah akan hal tersebut. Ponteng sekolah meningkat, guru-guru penat memujuk dan akhirnya anak-anak hanyut tanpa arah. Saya menyeru agar Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persetuan memperkukuhkan kerjasama terutamanya Kementerian Pendidikan, sekolah, PIBG, institusi masjid, JPKK dan komuniti setempat untuk membina masyarakat yang mempunyai kesedaran tentang pentingnya pendidikan. Pendidikan mesti digembelingkan dan dijadikan agenda penting untuk menjamin masa depan yang lebih baik. Kementerian Pendidikan yang masih mengamalkan amalan politik kuno yang tidak boleh bercampur atau bekerjasama dengan Kerajaan Negeri lebih menyukarkan usaha ini. Perbalahan yang berpanjangan merugikan. Yang menjadi mangsa adalah anak-anak kita.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, yang seterusnya saya ingin sampaikan di sini adalah berkaitan dengan isu perumahan dan penempatan rakyat. Di Hulu Besut masih ramai rakyat yang hidup dalam kesempitan dan tidak mempunyai tempat tinggal yang selesa untuk didiami. Satu rumah menampung lima hingga enam keluarga. Terima kasih kepada Yang Berhormat Wakaf Mempelam yang mana turun ke Besut baru-baru ini, melihat sendiri satu rumah ada empat belas, lima belas orang. Beberapa keluarga diami di situ dan mudah-mudahan dapat disegerakan pembinaan, baiki rumah tersebut sebagaimana yang telah Yang Berhormat lihat sendiri. Anak-anak dewasa masih menumpang di rumah ibu bapa yang uzur dan berkongsi ruang yang sempit. Persoalannya, bilakah perumahan untuk rakyat Hulu Besut akan benar-benar dilaksanakan? Rakyat sentiasa menunggu dan terus menunggu kemunculan projek perumahan untuk mereka. Saya mohon kepada Kerajaan Negeri, berusahalah menyegerakan pelaksanaan projek penempatan untuk rakyat seperti PPRT, Rumah Mampu Milik di Hulu Besut. Usahakanlah walau apa cara sekalipun agar projek perumahan untuk rakyat dapat dilaksanakan.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, isu seterusnya adalah bekalan air. Isu air yang masih menghantui kehidupan rakyat di luar bandar, terutamanya di Hulu Besut. Masih ada kampung yang tiada bekalan air, bekalan air bersih yang mencukupi dan juga ada tempat yang tiada bekalan air bersih, tekanan air rendah, paip bocor, kerja penyelenggaraan yang agak perlahan. Justeru itu, saya mohon pihak (SATU) Syarikat Air Terengganu mempertingkatkan usaha dengan pelan penyelenggaraan menyeluruh dan naik taraf sistem bekalan air bagi kawasan Hulu Besut.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Hulu Besut mempunyai tanah yang luas, ada potensi untuk kita bangunkan Hub Agro Eko Pelancongan dan pertanian moden dalam skala yang lebih besar. Kita ada tanah yang subur, sungai yang indah, air terjun yang memukau dan alam semula jadi yang menarik. Saya ingin mencadangkan agar kerajaan mengkaji serta menilai potensi besar ini di Hulu Besut agar kita dapat bangunkan Hulu Besut Agro-Eco Valley. Contohnya ladang kelapa, ladang durian dan sebagainya yang boleh memberi pulangan kepada rakyat. Hulu Besut Agro-Eco Valley ialah kawasan pembangunan berteraskan ekonomi hijau dan lestari yang memfokus kepada pengeluaran hasil pertanian secara moden dan mesra alam, pemeliharaan alam semula jadi dan sumber air. Penjanaan peluang ekonomi melalui Pelancongan Agro dan Komuniti Desa.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, saya juga ingin memaklumkan lagi sekali yang mana telah saya perkatakan di dalam Sidang DUN yang lepas, iaitu isu yang agak serius di Hulu Besut dan mungkin juga di tempat yang lain, iaitu masih terdapat anak-anak di kawasan ini yang tidak memiliki kad pengenalan atau status warganegara yang sah. Kebanyakan kes ini berlaku kerana terdapat ibu bapa yang ambil mudah dan tidak mendaftarkan perkahwinan mereka dengan Pejabat Agama Daerah atas alasan yang saya terima adalah kerana denda yang dikenakan oleh pihak yang berwajib terlalu tinggi pada mereka, sekaligus menimbulkan kesukaran untuk mendaftarkan anak-anak mereka. Hal ini menjejaskan hak anak-anak mereka untuk pendidikan, kesihatan dan peluang pekerjaan sekali gus menimbulkan ketidakadilan sosial yang mendalam. Justeru itu, saya memohon agar Kerajaan Negeri mengambil langkah sewajarnya termasuk menyelaraskan prosedur, memberikan bimbingan kepada ibu bapa atau penjaga bagi memastikan setiap anak ini mendapat hak dan pembelaan.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, setiap agensi mesti serius merancang dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing. Kecekapan PBT mesti ditingkatkan dan diperkasakan selaras dengan saranan Yang Amat Berhormat Menteri Besar dalam ucapan semalam. Tidak lupa kepada semua agensi-agensi yang lain, jangan hanya hadir mesyuarat, pulang tanpa tindakan. Jangan lagi ada budaya tunggu arahan dan buat kerja ikut mood dengan izin. Kita tidak akan mampu membangunkan negeri ini tanpa kerjasama semua pihak. Kita perlukan pekerja yang mempunyai semangat perjuangan, jiwa yang besar dan kesungguhan untuk turun bersama rakyat di bawah. Bukan sekadar melaksanakan tugas rutin harian semata-mata, bekerjalah dengan niat kerana Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana setiap tanggungjawab yang dipikul itu adalah amanah. Jangan biar tugas menjadi adat, tapi jadikanlah ia sebagai ibadat kerana setiap usaha yang ikhlas untuk rakyat besar ganjaran di sisi Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, isu yang seterusnya yang telah diperkatakan ramai rakan-rakan Yang Berhormat yang lain iaitu masa depan ekonomi Negeri Terengganu. Kita tidak boleh nafikan bahawa kewangan negeri tersekat, projek terbantut, pembangunan melambat bukan kerana kita tidak pandai mentadbir, tetapi kerana hak kita dinafikan. Isu royalti contohnya, mesti kita pandang serius. Itu bukan sedekah, bukan ihsan tetapi hak mutlak Negeri
Terengganu. Selain itu, isu (REE) Rare Earth Elements, perlu diurus dengan telus dan berdaulat. Kita tidak mahu hasil bumi kita dikerup tanpa manfaat kembali kepada rakyat negeri kita. Biarlah kita merancang, mengawal dan memanfaatkan sumber tersebut dengan bijaksana, bukan diserahkan kepada pihak luar yang hanya datang mengaut keuntungan semata-mata. Tidak lupa juga, isu tanah FELDA sebagaimana yang disebut oleh Pengkalan Berangan, selama ini tanah-tanah yang diusahakan oleh FELDA tidak mendatangkan hasil kepada Kerajaan Negeri kerana sepanjang 40 tahun yang lalu, pihak FELDA tidak pernah membayar walaupun satu sen kepada Kerajaan Negeri Terengganu. Saya mohon Kerajaan Negeri perlu tegas dan berani menuntut hak ini dengan bijaksana. Kita bukan pengemis, kita adalah pewaris negeri yang kaya sumber aslinya. Jangan biar Terengganu terus dihancurkan oleh mereka yang penuh rakus dan khianat. Sebagai akhirnya, saya nak ucap jutaan terima kasih kepada seluruh Pentadbiran Kerajaan Negeri, walaupun dengan tiada yang bajet yang secukupnya, namun boleh lagi membantu membangunkan kawasan DUN Hulu Besut terutamanya. Akhir sekali, saya nak sebut antara projek-projek yang perlu disegerakan di Hulu Besut.
Yang pertama dan yang paling utama adalah pembinaan Jalan Keruak. Perkara ini juga telah saya sebut di Persidangan yang lalu, namun saya mohon sesungguhnya agar ianya dimasuk dalam keutamaan Projek Negeri untuk yang akan datang dan seterusnya, naik taraf Jambatan Kampung Darau juga saya telah sebut. Ini berkenaan dengan banjir. Naik taraf Jambatan Keruak, banjir juga. Naik aras Jalan Kampung Bekuk pun banjir. Naik aras Jalan Kampung Batu 13, banjir. Pembinaan Masjid Kampung Pok Sik, Pembinaan Masjid Durian Telur dan akhirnya pembinaan Balai Bomba Kelas D perlu ada di Hulu Besut kerana bomba daripada Jertih itu jauh. Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, jauh nak pergi ke Hulu Besut jika berlaku sesuatu bencana.
Sungai mengalir airnya deru, Membawa rezeki penuh lautan, Dengarlah suara Hulu Besut berseru, Demi rakyat, demi kemajuan.
Hulu Besut menyokong penuh Belanjawan 2026, “Memacu Potensi, Melonjak Prestasi”. Sekian,
Terima kasih Hulu Besut.
Sebelum saya memberi laluan kepada Bukit Tunggal untuk meneruskan perbahasan, tadi dah bangun bersama-sama dengan Hulu Besut. Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat dan Ketua-ketua Jabatan serta pemerhati sekalian. Sukacita saya maklumkan saya tidak bercadang untuk memberi laluan untuk rehat dan meneruskan sesi kita pada petang ini untuk memberi ruang seluas-luasnya kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat yang belum lagi mengambil, berkesempatan untuk berbahas dapat ruang yang sama. Jadi kerana itu saya akan teruskan sesi ini dan mana-mana ahli-ahli serta pegawai-pegawai yang ada dalam Dewan ini yang memerlukan untuk segarkan badan ataupun memerlukan kepada refreshment dengan izin ataupun berhajat ke bilik air dan sebagainya bolehlah berbuat demikian, tapi saya minta supaya janganlah keluar beramai-ramai, Boleh ya? Saya seterusnya mempersilakan Wakil Bukit Tunggal untuk membuat perbahasan.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua. Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-Ahli EXCO, rakan-rakan Ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan, pegawai-pegawai Kerajaan, para pemerhati dan rakan media sekalian. Kita bersyukur kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana diberikan keizinan kita untuk hadir pada hari ini dan Bukit Tunggal mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua diatas kesempatan yang diberikan untuk sama-sama mengambil bahagian dalam perbahasan Enakmen Perbekalan 2026 yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, bertemakan Memacu Potensi, Melonjak Prestasi. Pembentangan Belanjawan 2026 itu adalah umpama laut datang memunggah mutiara untuk kita hadam dan teliti dengan penuh keta’akulan bagi memastikan setiap sudut perbahasan dapat disentuh dengan mendalam dan membawa impak positif kepada dasar-dasar yang akan dijalankan di dalam usaha memastikan Belanjawan 2026 benar-benar bermanfaat kepada semua lapisan masyarakat.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, disebalik segala kekangan dan halangan, Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar telah menggariskan
tujuh pemacu utama bagi Negeri Terengganu memacu potensi sendiri untuk melonjakkan prestasi. Di bawah pemacu lima, kecekapan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mesti dipertingkatkan dengan memperkasakan peranan Ahli-Ahli Majlis mengurangkan beban kawal selia serta menyelaras perkhidmatan dan prosedur lebih seragam antara PBT, berkaitan kebenaran merancang, pelesenan dan kemudahan parkir. Bebanan Ahli-Ahli Majlis semasa menjalankan tugas semakin ketara dan peranan yang dimainkan oleh Ahli-Ahli Majlis amat penting bagi memastikan setiap perkhidmatan PBT sampai terus kepada rakyat. Maka, Bukit Tunggal ingin mencadangkan agar Kerajaan Negeri dapat mempertimbangkan kenaikan allowance Ahli-Ahli Majlis PBT seluruh Terengganu kepada suatu kadar yang lebih munasabah dengan perkhidmatan yang diberikan. Bukit Tunggal juga ingin mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri dan pihak Yang Berhormat EXCO Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan di atas kesungguhan untuk memastikan perkhidmatan kebersihan di seluruh negeri dapat terus dipertingkat dengan menerima pakai sepenuhnya Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 Akta 672. Bukit Tunggal berharap agar proses perjanjian antara Kerajaan Negeri dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dapat dipercepatkan kerana dimaklumkan proses semakan dan penilaian telah selesai dijalankan oleh pihak Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara dan SWCORP supaya semasa Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Terengganu pada 2027 nanti, pelancong yang datang akan disambut dengan suasana penuh kebersihan di seluruh negeri sesuai dengan negeri yang mengungguli Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia. Tetapi apa yang lebih penting di sana ialah untuk rakyat Terengganu sendiri bersedia dengan kaedah kutipan Sisa Pepejal yang baru dan mendidik rakyat untuk menjadikan budaya pengasingan Sisa Pepejal sebagai budaya dan norma baru di dalam masyarakat.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar juga ada menyatakan Negeri Terengganu akan membangunkan aplikasi Terengganu Geographical Information System (TGIS). Bukit Tunggal sangat menyokong usaha ini dan ingin mencadangkan agar TGIS yang akan dibangunkan nanti mengambil kira kesaling hubungan data di antara maklumat penduduk dan juga maklumat infrastruktur yang ada. Apa yang paling penting di dalam penyediaan TGIS ini ialah penyediaan basemap yang tepat dan terkini, semua ini akan memudahkan bagi pihak kerajaan untuk membuat keputusan pembangunan fizikal dan juga pembangunan sosial. Projek TGIS ini hendaklah
diberikan peruntukan yang sewajarnya kerana initial cost dengan izin projek TGIS ini memerlukan perbelanjaan yang agak tinggi meliputi hardware, software serta tenaga mahir. Bagi memastikan segala perancangan yang dibuat dapat dilaksanakan dan mencapai objektif yang telah digariskan. Semasa lawatan ke Japan Association of Surveyors, JAS pada bulan Oktober lepas, kita telah melihat pihak berkuasa geometrik Jepun, Geospatial Information Authority of Japan GSI masih lagi melakukan kerja-kerja peningkatan, updating bagi kawasan-kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi. Sebagaimana juga di Australia dan New Zealand sistem TGIS mereka dapat menghubungkan antara lot, hartanah, pemilik, nilai hartanah, cukai dan juga sejarah hartanah tersebut. Dengan adanya sistem TGIS yang komprehensif yang dihubungkan dengan sistem e-TANAH dan Sistem Profile Rakyat Terengganu (PRT), pihak Kerajaan diharapkan akan dapat melihat dengan lebih tepat demografi penduduk dan keperluan pembangunan di sesuatu kawasan.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar semasa membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) telah mencadangkan agar diperkenalkan geran khusus Persekutuan Negeri melalui penggubalan suatu Akta baru di bawah Perkara 76 Perlembagaan Persekutuan. Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar juga mencadangkan agar suatu pendekatan baru seperti Fiscal Stabilization Program dengan izin yang terbukti berkesan di negara-negara Persekutuan seperti Jerman, Kanada dan Australia diperkenalkan bagi memastikan peruntukan untuk pembangunan di setiap negeri akan terus diagihkan tanpa mengira siapa yang berkuasa di peringkat Pusat ataupun Negeri. Australia seumpamanya mempunyai sistem Grand Equalization dengan izin yang sangat komprehensif iaitu Horizontal Fiscal Equalization dengan izin yang diperkenalkan pada tahun 1933 bagi menangani masalah ketidakseimbangan antara negeri, ianya dilakukan dengan cara memberi pampasan kepada negeri-negeri yang mempunyai kapasiti fiscal yang lebih rendah untuk meningkatkan hasil. Di Kanada, perkara seperti ini termaktub di dalam Constitution Act 1982 Artikel 36 (2) yang bertajuk Equalization and Regional Disparities dengan izin yang mewajibkan Kerajaan Pusat membayar setiap tahun kepada negeri-negeri mengikut hasil sumber bumi atau cukai dengan menggunakan data rasmi pendapatan rakyat hasil cukai dan kos perkhidmatan. Kiraan ini akan dibuat oleh Department of Finance of Canada. Di Jerman, mereka mempunyai sistem yang dinamakan Lander Finance Ausgleich dengan izin iaitu sistem agihan secara automatik, hasil cukai perkapita. Negeri-negeri tidak boleh dipinggirkan
hanya kerana berlainan parti politik walaupun sistem Lander Finance Ausgleich ini telah dimansuhkan pada tahun 2020 namun ianya telah digantikan dengan suatu sistem yang lebih cekap iaitu memberi tumpuan kepada Equalization Fiscal Capacity dengan izin, berbanding agihan terus kepada negeri-negeri. Apa yang penting disini ialah bagi negara-negara berkonsep federalisme seperti di atas seperti juga Malaysia, kutipan cukai oleh pihak Kerajaan Pusat di negeri-negeri akan dikembalikan semula kepada negeri mengikut formula yang akan membolehkan negeri-negeri untuk memperkukuhkan revenue rising power dengan izin, di negeri masing-masing. Duit rakyat bukan untuk permainan politik. Duit rakyat bukan senjata yang boleh dijadikan ugutan. Tapi duit rakyat adalah untuk pembangunan dan kesejahteraan rakyat dan negara. Akhir kata, marilah kita semua menjadikan tema Belanjawan tahun 2026 ini Memacu Potensi, Melonjak Prestasi untuk kita unlock our potential dengan izin. Sebagaimana yang disarankan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar untuk kita bergerak lebih pantas mengembangkan keupayaan bersama seterusnya meraih pencapaian yang lebih memberangsangkan ke arah merealisasikan Visi Terengganu Maju Berkat Sejahtera menjelang tahun 2030. Bukit Tunggal mohon menyokong, sekian.
Terima kasih Wakil Bukit Tunggal. Saya nak minta siapa lagi? Ya, sila Wakil Permaisuri.
Terima kasih Timbalan Yang di-Pertua.
Dato’ Seri Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Barisan Ahli Majlis, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Rakan-rakan, Yang Berhormat Ketua-Ketua Jabatan, Wakil-Wakil Jabatan, Rakan Media, Pemerhati, semua sekalian.
Saya ucap terima kasih Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua memberi kesempatan kepada saya untuk sama-sama mengambil bahagian dalam membahaskan Pembentangan Bajet 2026 pada sesi ini. Saya pertama nak
mengucapkan taniah kepada Dato’ Seri Menteri Besar dengan pembentangan bajet yang saya kira dan saya anggap serta yakin ini adalah satu yang ringkas tetapi mantap, padat, padu dan sebagainya untuk memajukan Negeri Terengganu kita dan juga rakyat. Ini bukan nok pong ni tetapi ramai puji belaka ni, semua pakat puji. Saya juga ucap terima kasih kepada Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat-Yang Berhormat dan juga Ketua-Ketua Jabatan. Yang saya kira pembentangan bajet pada tahun ini adalah kesinambungan daripada kerja-kerja keras yang telah dilaksanakan sepanjang masa sebelum ini sehingga bajet tahun ini serta keuntungan yang dapat dicipta oleh Kerajaan Negeri dari sudut hasil meningkat. Ini adalah hasil daripada kerja kuat. Saya ucap tahniah. Tajuk untuk Bajet Bbelanjawan pada tahun ini “Memacu Potensi, Melonjak Prestasi”. Sedap kita dengar ini, kita dengar pun sedap. Bukan hanya sekadar lunak diucap dan enak didengar, tetapi ia adalah satu manifestasi perjuangan oleh pihak kerajaan hari ini untuk memajukan rakyat dan Negeri Terengganu kita, yang mana kerajaan tetap berazam, beriltizam untuk terus maju dan bangkit walaupun rakyat dan pimpinan negeri sampai hari ini pun masih dikekang oleh kegagalan semangat federalisme dan juga pencabulan Perlembagaan Persekutuan. Perkara ini masih belum selesai sampai hari ini dan kita harap perkara ini tidak akan berlarutan lagi selepas PRU ke-16 nanti.
Timbalan Yang di-Pertua, kita melihat Kerajaan terus mara dengan kerjasama bersama-sama dengan agensi GLC, kakitangan dan sebagainya untuk maju secara berhemah yang mana saya kira usaha yang telah dibuat ini telah banyak menegatifkan, mengurangkan, menjadi negatifkan, kebocoran, pembaziran dan banyak perkara yang kita tidak perlu berbangga hanya dengan adanya kemajuan, pembangunan yang kita lihat hari ini tak perlu kita bangga tetapi kejayaan telah kita cipta. Jika ianya membawa rebah, kalau tidak, sebab itu kalau kita banding dengan peristiwa yang lepas-lepas kemajuan dibangga-banggakan. Kita nak lebuh raya dulu, kita nak stadium, kita nak masjid banyak, kita nak universiti banyak, dan sebagainya. Tetapi banyak yang kita tengok projek terbangkalai. Yang kita tengok yang menjadi gajah putih dan sebagainya. Ini adalah pembaziran tetapi berbanding dengan apa yang kita dapati pada masa akhir-akhir masa ini. Kita lihat projek-projek yang dilaksanakan ianya tidak berbentuk pembaziran, membawa keuntungan kepada negeri dan juga kepada rakyat Negeri Terengganu. Andai kata dana khas itu disalurkan dengan secara betul kita rasa Rakyat Terengganu mendapat nikmat yang lebih banyak lagi kemajuan yang lebih besar lagi pada hari ini. Ucapan
bajet pada kali ini kita tengok ia merangkumi keseimbangan. Diantara aspek kemajuan spiritual dan juga fizikal yang telah kita tengok merangkumi agama, belia, peniaga, usahawan dan sebagainya. Inilah bajet yang saya kira yang terbaik pada hari ini yang seeloknya apabila kita dapat berusaha untuk maju, kita juga kena fikir tentang perkara-perkara yang boleh, ibarat kata rumah jangan ada anai-anai. Kerana kemajuan yang kita nak capai, ia akan menjadi kemajuan yang komprehensif dan sekiranya ada unsur-unsur yang boleh membawa kelemahan kepada kemajuan kita usaha kita dalam bajet kita ini, seboleh-bolehnya kita melihat juga kepada unsur-unsur yang tidak boleh memberi beban ataupun menggagalkan ataupun mengurangkan mutu usaha yang telah dibuat oleh pihak kerajaan seperti contoh, Timbalan Yang di-Pertua, seperti yang telah disebut oleh Jertih pagi tadi. Masalah dadah, masalah dadah kita lihat saya hari ini pun pakai tali leher pun Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK). Kita kena ambil berat perkara ini dan pimpinan masyarakat seluruhnya di peringkat bawah, di peringkat akar umbi juga, perlu memberi penekanan kepada masalah dadah. Kalau di Setiu, laluan dadah yang bernilai tinggi, ada yang terlepas tidak dapat ditangkap. Tetapi oleh kerana kerja daripada PDRM, berjaya menghalang pergerakan mereka dengan Vellfire dan sebagainya, tersangkut. Kalau tidak, berapa ramai mangsa yang akan menggunakan dadah tersebut merosakkan diri dan masyarakat kita. Begitu juga baru-baru ini, tertangkapnya bot yang membawa dadah daripada laut naik ke darat untuk diedar. Mungkin katanya, keluar negara. Tetapi inilah, masalah dadah ini masih lagi masalah yang sangat-sangat kritikal dalam negara kita. Ditambah juga dengan teknologi-teknologi baru, di dalam penggunaan dadah. Dengan vape dan sebagainya yang mengandungi dadah. Begitu juga, cara gerak kerja mereka ini, kita nampak lebih canggih. Kalau dulu kita tidak ada aplikasi untuk location, mencari tempat perjumpaan. Tapi hari ini, ke mana pergi pun mereka dapat mencari pasaran mereka berdasarkan penggunaan gadget pada hari ini. Nampaknya mereka semakin canggih dan kita harap PDRM dan juga masyarakat dapat bersama untuk membasmi masalah ini dan kita harap juga pihak kerajaan dapat juga memberi kerjasama supaya kita kata peruntukan-peruntukan dapat diberikan kerana dalam pertemuan saya dengan AADK kita tanya dia, berapa peruntukan untuk AADK daerah Setiu dalam satu tahun katanya RM120,000.00. RM120,000.00 ini merangkumi semua aktiviti. Itu saya rasa tidak mencukupi. Jadi usaha ini perlu lebih-lebih lagi. Lebih-lebih lagi, PDRM. Dah, nak habis dah. Kemudian penekanan yang dibuat juga adalah berkait dengan belia dan juga beliawanis dalam usaha untuk memantapkan sahsiah belia kita di masa yang akan datang. Tapi hari ini, masalah-masalah
yang kita hadapi juga dengan belia-belia ini, cara hidup mereka ini banyak yang masih lagi tidak ada kerja. Tetapi, keterlibatan mereka dengan masalah-masalah sosial. Ini yang membimbangkan kita dan kita rasa, kepaduan di peringkat masyarakat di kampung-kampung, di bawah JPKK dan sebagainya perlu kita aktifkan lagi. Supaya mereka mengambil berat perkara-perkara yang seperti ini. Jabatan Agama kita ucap tahniah, kerana bergerak, mencari ataupun menangkap sesiapa yang tidak bersolat Jumaat dan banyak perkara-perkara lain yang perlu kita ambil perjalanan dalam hal ini.
Dalam soal yang terakhir saya nak sebut ialah pembangunan di peringkat kampung. Bila ada mesyuarat tindakan daerah kita melihat ada rungutan-rungutan, kadang-kadang jalan-jalan kampung yang diturap dengan batu crusher run, juga dengan tar tidak ada dalam rekod daripada pejabat daerah. Tuan DO kita tak tahu mari mana, tiba-tiba ada buat jalan. JPKK juga tanya, mari mana jalan ini? Siapa yang buat? Jadi saya harap ini, apabila kita buat siasatan, ia berpunca daripada projek inden JPP. Jadi kita harap supaya ada maklumat berpusat, supaya kita dapat tahu bahawa projek ini kadang-kadang bertindih, pejabat daerah keluar inden, tengok-tengok jalan sudah siap. Jadi saya rasa perlu ada maklumat berpusat supaya perjalanan projek-projek inden ini dapat berjalan dengan tersusun dan dalam makluman dan sebagainya.
Timbalan Yang di-Pertua, saya rasa dah lebih masa. Sekali lagi saya mengucapkan berbanyak terima kasih, memberi peluang kepada saya dan saya juga, Permaisuri menyokong penuh Belanjawan 2026. Terima kasih.
YANG BERHORMAT TIMBALAN YANG di-PERTUA:
Terima kasih Wakil Permaisuri. Ada beberapa orang lagi yang belum kesempatan, Kuala Besut ke? Sila Kuala Besut, kalau boleh kita cuba ikut masa yang ditetapkanlah. Kita ada setengah jam lagi. Sila…
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato Seri Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat- Yang Berhormat pegawai-pegawai kanan kerajaan, pegawai-pegawai media dan para-para pemerhati yang saya hormati sekalian.
Alhamdulillah, pertama-tama ingin mengucapkan terima kasih kerana diberi peluang untuk berucap di dalam Dewan Yang Mulia ini. Saya juga ingin mengucapkan tahniah, syabas kepada Yang Amat Berhormat Dato Seri Menteri Besar kerana telah mebentangkan Belanjawan untuk tahun 2027 dengan jayanya…
2026…
2026…
Ya-ya…. 2027 sekali lagi…
Belanjawan kali ini disebut sebagai surplus yang bernilai RM1.938 bilion. Dari sudut bahasa surplus ini ialah lebihan. Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Alhamdulillah sekali lagi, Kerajaan Negeri Terengganu di bawah kepimpinan yang amat berhormat, Dato’ Seri Menteri Besar yang cekap dan amanah, mentadbir kerajaan sekaligus mengemukakan Bajet surplus dengan peruntukan sebanyak RM1.93 bilion dalam Belanjawan 2026 untuk mengurus tadbir dan meneruskan pembangunan Negeri Terengganu pada 2027. 2026, sorry..
Timbalan Yang di-Pertua Dewan, Belanjawan kali ini yang bertemakan “Memacu Potensi Melonjak Prestasi”, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar juga memaklumkan jumlah tersebut termasuk sebanyak RM450 juta caruman kepada wang pembangunan manakala peruntukan untuk sektor sosial pula kekal menerima perutukan terbesar iaitu sebanyak RM323.80 juta atau 72.0% daripada keseluruhan perbelanjaan pembangunan, begitu juga untuk peruntukan sektor ekonomi ditambah kepada RM92.84 juta atau 20.6% berbanding hanya 4.4% dalam Belanjawan 2025 manakala peruntukan untuk sektor pentadbiran pula adalah sebanyak RM33.37 juta atau 7.4%, kerajaan negeri juga komited untuk meningkatkan hasil janaan negeri kepada RM288.59 juta iaitu RM85.36 juta daripada hasil cukai dan RM203.23 juta daripada hasil bukan cukai.
Timbalan Yang di-Pertua, Kerajaan Negeri juga terus mencatat prestasi kewangan yang kukuh apabila berjaya merekodkan RM261.61 juta janaan hasil negeri setakat 31 Oktober, meningkat berbanding RM239 juta dalam tempoh sama tahun lalu. Dalam sektor pelancongan pula, Kerajaan Negeri akan menggerakkan sinergi berbagai pihak untuk mempromosikan Tahun Melawat Terengganu 2027 dan juga memastikan kebersediaan fasiliti produk dan perkhidmatan pelancongan bertepatan dengan industri pelancongan di Pulau Perhentian yang berada di DUN saya. Saya mengharapkan menambahbaik kemudahan asas di jeti pelancongan Pekan Kuala Besut yang dilaksanakan dengan segera bertepatan ianya sebagai pintu gerbang pelancongan. Untuk makluman semua Ahli Dewan terutama Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Pekan Kuala Besut akan mendapat persaingan dengan jeti pelancongan Tok Bali akan menjejaskan sumber pendapatan Kerajaan Negeri dan juga pengusaha bot pelancong sekiranya kita tidak mengambil pandangan serius perkara ini. Sekali lagi saya mengharapkan Kerajaan Negeri serius untuk menangani isu tersebut. Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, di hujung ucapan saya ingin berpantun serangkap pantun
Kuning emas masaknya padi Mawar merah dalam jambangan Terima kasih daun keladi Budi Kerajaan jadi kenangan
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Kuala Besut menyokong penuh Belanjawan 2027. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Wakil Kuala Besut. Saya perhatikan dalam Dewan ini, hanya ada sorang lagi yang belum berpeluang untuk membahaskan Ucapan Bajet Yang Amat Berhormat Menteri Besar, daripada Kuala Berang. Sorang lagi, tapi tak ada dalam Dewan. Sila wakil Kuala Berang.
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Speaker, yang saya hormati Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Yang Berhormat-Yang Berhormat EXCO, Yang Berhormat-Yang Berhormat ADUN, semua sekalilah, ketua-ketua jabatan, pemerhati dan media sekalian. Terima kasih kerana diberi peluang untuk cakap, berbahas sedikit sebanyak berkaitan dengan Ucapan Belanjawan Tahun 2026, dan saya ingin ucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar yang membentangkan Belanjawan yang positif dua tiga hari yang lepas. Pertama saya lihat di muka surat yang ketiga ini berkaitan dengan menambahkan pendapatan baru, dan nampaknya kerajaan positif menganggap untuk tahun depan ini, pendapatan kita meningkat kepada RM288 juta, dan saya percayalah dalam beberapa tahun lagi peningkatan kepada RM300 juta lebih. Kerana kita membuat beberapa perkara anjakan untuk mendapatkan pendapatan yang baru dan menambahkan pendapatan-pendapatan yang ada. Saya bersetujulah dengan Seberang Takir yang berucap pagi tadi berkaitan dengan cadangan supaya dikenakan cukai pintu semula, kerana kita baru-baru ini telah membatalkan cukai pintu, jadi..
Seberang Takir takdok, jadi tak boleh respon, hehe.
Apa ni, supaya diadakan semula terutama kepada premis-premis perniagaan, bisnes dan sebagainya. Kerana ini sedikit sebanyak sampah-sampah benda yang tidak free lagilah, sampah-sampah perlu diangkut, dilupus dan sebagainya. Keduanya, kita baru mengadakan syarat yang wajiblah kepada GLC-GLC yang untung ini. Mengenakan cukai ataupun sumbanganlah, lebih daripada sumbangan 1.25%. Jadi saya rasa banyak lagi GLC-GLC kita yang akan insya-Allah untung di masa-masa yang akan datang memberi sumbangan kepada Kerajaan Negeri. Dan seterusnya kalau kita setengah-setengah negaralah, dia mengadakan green tax kepada pelancong-pelancong yang pergi ke pulau-pulau. Sekarang ini benda tidak free lagi, kita buang air di pulau pun, buang sampah dan sebagainya, perlu kita buat sesuatu untuk menjaga kelestarian pulau-pulau tersebut. Kalau tempat kita ini, Pulau Perhentian, Pulau Redang,
kita angkut sampah itu balik ke darat. Jadi sudah tentu kosnya lebih tinggi. Dan juga air, supply air ke pulau-pulau ini mengambil kos yang lebih tinggi kerana kita menyediakan paip-paip di dasar laut. Jadi ini sudah tentu banyak keperluan yang perlu dilaksanakan di pulau-pulau. Jadi kita haraplah supaya dengan mengadakan green tax seperti mana di Pulau Maldives, boleh tanya EXCO Infra yang pernah ke sana. Dia mengadakan green tax khusus kepada pelancong-pelancong mengikut per head dan mengikut malam. Jadi kita harapkanlah supaya tax ini masuk kepada Kerajaan Negeri, tidak kepada Kerajaan Federal.
Seterusnya saya suka menyentuh berkaitan dengan soalan yang saya pagi tadi tidak dapat dijawab oleh pihak EXCO iaitu berkaitan dengan hakisan di Batu Rakit yang mana tadi Seberang Takir beritahu EXCO dah ada buat lawatan kelmarin. Tiga minggu lepas saya pun pergi lawatan juga ke sana, melihat bagaimana perkembangan berkaitan dengan perkembangan pembaikian kerosakan dan hakisan di sana. Pada pendapat saya, JKR telah membina satu jalan kosnya lebih kurang hampir RM5 juta untuk JKR sahaja, sedangkan hakisan tadi ini lebih kepada projek di bawah JPS yang kebetulan sudah ada dilaksanakan projek tersebut hampir RM70 juta yang dimulai pada tahun 2023. Akibat daripada sama ada secara langsung atau tidak langsung, pembinaan Nearshore Island sebanyak 16 unit tersebut menyebabkan hakisan kepada gigi air pantai yang terhakis iaitu jarak antara satu pulau dengan satu pulau yang lain itu lebih kurang 500 meter dan jarak antara shoreline ataupun tepi gigi air ini ke pulau tersebut kira-kira 100 meter. Jadi, pada pendapat saya, agak dari segi struktur tersebut agak ke darat sangat, 100 meter, jadi seharusnya lebih jauh sikit supaya hakisan tidak mengenai gigi air tersebut. Untuk menyelesaikan masalah yang ada ini, saya mencadangkanlah supaya dibina satu lagi nearshore island antara dua-dua nearshore island tersebut dan kosnya mungkin dalam sekitar RM3 juta ataupun RM4 juta untuk menyelesaikan hakisan yang berlaku tersebut dan saya percaya kalau kita buat armor rock, armor rock jadi menyebabkan pantai tidak lagi cantik kerana tak ada pasir lagilah penuh dengan batu-batu di tepi pantai. Seterusnya masalah YB Jabi, berkaitan dengan perikanan iaitu di Pelabuhan Chendering sayalah, orang nelayan jadi Pelabuhan Chendering ini penting untuk mendapatkan kemudahan air batu dan juga parking untuk mengisi minyak. Apa yang menjadi rungutan kepada nelayan ialah bot-bot besar yang kelas C2 ini setengahnya mereka panggil boat Vietnamlah, parking di kawasan air batu dan juga tempat isi minyak. Jadi menyebabkan bot-bot nelayan kita ini, tak boleh untuk menghampiri dan mengisi minyak, jadi saya mencadangkan supaya kenakan
peraturan, mungkin di kawasan tempat isi minyak tersebut ada cap merah no parking, maknanya tempat tidak dibenarkan parking untuk menyenangkan nelayan-nelayan kita, bot-bot kecil ini pergi untuk mengisi minyak dan mengisi air batu. Selanjutnya YB Jabi pun tak dok dakpe, masalah yang saya sebut pagi tadi berkaitan dengan ape ni pelabuhan di Marang, yang mana tempat parking nya amat cetek menyebabkan kerosakan pada bot-bot nelayan. Apabila air pasang, okay bot boleh masuk, tetapi apabila air surut dan sekadar dua kaki menyebabkan bot terhentak, bila terhentak menyebabkan kerosakan pada bot, jadi kalau boleh minta tolonglah, supaya diselesaikan.
Semuanya berkaitan dengan tempat orang lain, jadi saya nak cakap sikitlah berkaitan dengan tempat sayalah, di Kuala Berang tadi, berkaitan dengan pelancongan di Hulu Terengganu ini ataupun khususnya di Kuala Berang dan juga di Telemong, perlu kita mengajak orang supaya datang ke sana terutama berkaitan dengan sistem di dalam air, bot boleh ada, tetapi tempat parking ataupun orang kata tempat nambang ataupun jetilah mudahnya, tidak ada, jadi saya harap, Yang Berhormat Pelancongan mengambil inisiatiflah kita buat jeti-jeti untuk kemudahan-kemudahan untuk tempat-tempat kita singgah untuk memudahkan bot-bot menambat di jeti-jeti tersebut. Keduanya khususnya di Hulu Terengganu tempat saya ini, ramai orang yang membela ikan sangkar, lebih daripada 100 orang yang terlibat, jadi saya harapkanlah oleh kerana makanan ikan ini mahal so bolehlah pihak pertanian memberi sedikit sumbangan terutama berkaitan dengan makanan-makanan ikan dan juga kemudahan-kemudahan lain khusus untuk menambahkan pendapatan kepada penternak-penternak ikan sangkar di Hulu Terengganu. Kawasan saya juga sinonim dengan kawasan banjir sebagaimana di Hulu Besut, banjirnya terutama di Paya Besar, Kampung Paya ini, besar pulok tu, memang mudah jadi tempat yang dinaiki airlah Telemong, jadi kawasan Paya Besar dan juga kawasan-kawasan sekitar dengannya. Banjir ini disebabkan oleh limpahan air daripada Sungai Berang, air terlampau banyak daripada Sungai Berang, hulu daripada Sungai Berang ini ialah di kawasan Belukar Bukit, jadi kalau kita ikut pengalaman orang-orang yang dululah kalau kita buat dam, buat dam boleh menyelesaikan sebagaimana Kenyir Dam tersebut menyelesaikan masalah banjir di Hulu Terengganu, jadi kita haraplah supaya diadakan dam walaupun ini di bawah perbelanjaan daripada Kerajaan Pusat, dam untuk mengurangkan banjir di Sungai Berang dan kawasan-kawasan yang sekitar dengannya. Dengan adanya dam ini, saya percaya tidaklah besar sangat banjir di kawasan Paya Besar dan di Kuala Berang.
Satu lagi masalah air sebagaimana kawan saya jugalah Yang Berhormat dah sebut tadi masalah air, air bersih bekalan air bersih terutamanya di kawasan-kawasan yang agak kita kata berjauhan daripada tangki air. Ada satu taman tempat saya ini dipanggil Kampung Setenge ataupun Taman Kampung Setenge, yang mana penduduknya lebih kurang 500 hingga 600 unit rumah, di sana tidak ada satu kita kata tangki air yang khusus ataupun reservoir. Seharusnya bila kita ada taman-taman yang besar penduduknya. Rumah kediamannya lebih daripada 500 begini perlulah kita ada satu tangki air khusus untuk taman tersebut supaya air di kawasan taman tersebut tidak terganggu, jadi saya mencadangkanlah supaya satu tangki air yang besar ataupun reservoir untuk supply ke taman tersebut dan juga berkaitan dengan paip-paip air lama yang sentiasa pecah, bocor, kadang-kadang satu hari satu kali, baiki hok lain pulok petang itu, bocor petang ataupun keesokannya bocor, jadi macam tidak sudah, kita harapkanlah supaya Kerajaan mengambil inisiatif untuk menggantikan paip-paip yang lama yang lebih daripada 40 tahun untuk mengurangkan kebocoran dan menyelesaikan masalah-masalah air di terutama di Kampung Getang, Kampung Cepoh, yang tekanannya rendah kerana paip airnya kecil dan juga kerana bekalan airnya yang tidak kuat. Saya rasa sekadar itulah ucapan daripada saya di dalam Belanjawan tahun 2026, jadi Kuala Berang menyokong penuh Rang Enakmen Perbekalan 2026.
Alhamdulillah, Persidangan Dewan Yang Mulia ini telah selesai membahaskan Enakmen Perbekalan 2026. Saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi, terima kasih dan penghargaan kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat, yang telah mengambil bahagian serta menyumbang pandangan dan cadangan secara berhemah sepanjang sesi perbahasan yang berlangsung pada hari ini daripada pagi tadi. Oleh yang demikian, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, saya tangguhkan sementara persidangan ini ke esok hari 12 November 2025 pada pukul 9.30 pagi. Marilah sama-sama kita membacakan Tasbih Kaffarah dan Surah Al-Asr sebagai penutupnya, terima kasih.
MESYUARAT DITANGGUHKAN PADA PUKUL 4.53 PETANG