Terengganu · 12 November 2025

15th Assembly, 3rd session, 3rd meeting · 208 turns · 28,486 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗

The record as published. Headings and speeches in English: switch to English above.

ExperimentalTerengganu publishes one PDF per meeting, with the written answers appended. Speakers are matched by our parser and will have some errors.

(Pembukaan)

Setiausaha Dewan

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Sebelum kita memulakan persidangan pada pagi ini, marilah kita sama-sama membaca Ummul Al Quran, Al-Fatihah.

Soalan-Soalan LisanQuestions

Yang di-Pertua

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, mesyuarat disambung semula. Yang diraikan semua Ketua-ketua Jabatan, para pemerhati hadirin dan hadirat yang dikasih sekalian dan tidak dilupakan para pengamal media. Mesyuarat pagi ini akan diteruskan dengan Soalan-Soalan Lisan. Berikut adalah Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah memberi notis untuk mengemukakan Soalan-Soalan Lisan pada hari ini 12 November 2025:

1. Yang Berhormat Wakil Bandar 2. Yang Berhormat Wakil Jertih 3. Yang Berhormat Wakil Kuala Berang 4. Yang Berhormat Wakil Buluh Gading 5. Yang Berhormat Wakil Kemasik 6. Yang Berhormat Wakil Ladang

7. Yang Berhormat Wakil Pengkalan Berangan 8. Yang Berhormat Wakil Manir 9. Yang Berhormat Wakil Seberang Takir 10. Yang Berhormat Wakil Permaisuri 11. Yang Berhormat Wakil Hulu Besut 12. Yang Berhormat Wakil Rantau Abang 13. Yang Berhormat Wakil Batu Rakit 14. Yang Berhormat Wakil Langkap 15. Yang Berhormat Wakil Air Putih 16. Yang Berhormat Wakil Telemong 17. Yang Berhormat Wakil Bukit Tunggal 18. Yang Berhormat Wakil Kuala Besut 19. Yang Berhormat Wakil Bukit Besi 20. Yang Berhormat Wakil Sura

Dipersilakan Yang Berhormat Wakil Bandar mengemukakan soalannya pada pagi ini.

Terima kasih Yang berhormat Dato’ Yang di-Pertua,

Yang Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Yang Berhormat semua pemerhati dan tetamu. Saya masih setia dengan soalan satu.

Berapakah jumlah peruntukan dan senarai projek di bawah program dana kerjasama keterjaminan makanan antara Kerajaan Negeri dan Kementerian Pertanian bagi tahun 2025 serta perkembangan semasa perlaksanaan projek?

Yang di-Pertua

Terima kasih kepada Yang Berhormat Bandar, soalan Yang Berhormat Bandar akan digabungkan jawapannya dengan soalan daripada Buluh Gading. Jadi saya akan bagi ruang kepada Yang Berhormat Buluh Gading untuk beri soalan tambahan termasuk Bandar.

Dato’ Yang di-Pertua Dewan, terima kasih Yang Berhormat Bandar dan juga terima kasih Yang Berhormat Buluh Gading. Soalan berkaitan dengan dana di bawah Program Kerjasama Keterjaminan Makanan antara Kementerian Pertanian dan juga Kerajaan Negeri. Bagi tahun 2025, kita telah berjaya mendapat sebanyak RM18.88 juta dana daripada KPKM yang disalurkan kepada Kerajaan Negeri dalam bentuk projek one-off dan mesti disiapkan dalam tahun semasa ini juga dengan izin Dato’ Yang di-Pertua, mohon saya senaraikan projek beserta kos dan juga laporan kemajuan.

Yang pertama, Projek Menaiktaraf Infrastruktur Taman Kekal Pengeluaran Makanan dengan kos RM2.18 juta yang melibatkan TKPM Rhu Tapai di Setiu, TKPM Paloh Jenang di Kemaman dan juga TKPM Tok Dor di Besut. Ada projek yang telah siap dan ada yang belum siap, dijadualkan akan siap pada November, akhir November 2025.

Yang kedua, Projek Pembangunan Tukun Tiruan RM2.9 juta, kita telah berjaya melabuhkan 90 unit tukun di perairan Marang, perairan Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu dan juga Besut dengan jumlah 18 tukun bagi setiap lokasi yang telah siap sepenuhnya pelaksanaan.

Yang ketiga, projek untuk melengkapkan rumah sembelihan di Wakaf Tapai, Marang dalam DUN Pengkalan Berangan dengan kelengkapan moden yang menjadikan rumah sembelihan di Wakaf Tapai Marang di antara rumah sembelihan berteknologi moden yang kedua selepas daripada rumah sembelihan Gong Badak dengan kos RM595 ribu telah siap sepenuhnya.

Seterusnya Projek Menaik taraf Sistem Perairan Tanaman Padi di Kuala Nerus, kos RM400 ribu telah siap sepenuhnya. Projek Pembinaan Tali Air Utama di Skim Pengairan Paya Paman DUN Air Putih Kemaman, RM500 ribu telah siap sepenuhnya. Projek Peningkatan Populasi Ternakan Ruminan kos RM2 juta kita telah bawa masuk sebanyak 136 ekor lembu baka Brahman dan baka Limousin daripada Australia yang sekarang ini telah selamat sampai ke Terengganu dan insya-Allah pada minggu depan kita akan mulakan agihan kepada penternak-penternak yang telah dipilih oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Seterusnya, Projek Ladang Induk Pengganda Kambing Pedaging juga telah selesai dibawa masuk sebanyak 229 ekor Kambing Pedaging Baka Boer juga daripada Australia yang akan melalui Program Penggandaan Induk termasuk juga untuk latihan kepada usahawan-usahawan penternak kita. Program Insentif INPUT kepada penternak aquaculture di Negeri Terengganu RM900 ribu telah selesai sepenuhnya. Program Bantuan INPUT Penternakan dengan kos RM1 juta perolehan input telah selesai sepenuhnya pembahagian kepada penerima pada November ini, insya-Allah.

Seterusnya, Program Pemulihan Kawasan Tanaman yang melibatkan pelbagai kawasan tanaman di seluruh negeri dengan kos RM510 ribu daripada 59 program yang dirancang 31 telah siap dan bakinya akan siap menjelang 30 November 2025. Program Pengukuhan Ladang Ternakan termasuklah kerja-kerja pemulihan padang ragut di Ladang Sumber Genetik di Bukit Merah, di Dungun dengan kos RM890 ribu. Kira-kira 70% progress projek yang dijadualkan siap pada November 2025. Projek Pertanian Berkelompok RM3 juta, melibatkan pelbagai perolehan INPUT, kerja-kerja pemulihan tanah, pembaikian sistem saliran dan beberapa kerja lagi di seluruh negeri dengan kos RM3 juta seterusnya Projek Menaik Taraf Sistem Pengairan Padi di Pengkalan Nangka dalam DUN Kuala Besut RM400 ribu, menaiktaraf sistem pengairan padi di Seri Pinang, DUN Kota Putera di Besut RM400 ribu, semuanya telah siap. Projek Menaik Taraf Pintu Air di Baruh Tok Saboh di Kuala Besut insyaa-Allah dijadualkan siap pada minggu depan. Kerja-kerja Projek Penanaman Nenas MD2 RM232 ribu, progress telah mencapai 70% sasaran siap pada akhir November ini. Projek Penanaman Tembikai yang dilaksanakan oleh TADC dengan kos RM250 ribu telah siap sepenuhnya dan tembikai telah dipetik. Projek Menaik Taraf Sistem Pengairan di Zon Industri Akuakultur di Kampung Keluang dalam DUN Kota Putera RM265,000.00 dijadualkan siap pada akhir November 2025. Projek Pembangunan Unjam RM175,000.00 telah siap sepenuhnya. Projek Pemerkasaan Perikanan Darat juga telah siap dan akhir sekali Projek Fertigasi Tanaman Cili RM350,000.00, kemajuan kerja 75% yang dijadualkan siap sepenuhnya pada November 2025. Pada dua minggu lepas, Kerajaan Negeri telah dipanggil untuk membentangkan laporan kemajuan projek kepada KPKM dan alhamdulillah pihak Kementerian Pertanian sangat berpuas hati dengan kemajuan projek yang dilaksanakan di Terengganu dan kita satu-satunya negeri yang boleh menyiapkan hampir keseluruhan projek dan tidak ada peruntukan yang telah disalurkan perlu diserahkan balik kerana kegagalan dari segi pelaksanaan, terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih, ada soalan tambahan?

Terima kasih, Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Terima kasih kepada Yang Berhormat EXCO. Tahniah di atas peruntukan yang besar dan projek yang pelbagai. Saya melihat daripada laporan tadi ada 21 projek secara keseluruhannya dan melibatkan hampir RM19 juta. Bolehkah pihak Kerajaan menyatakan jumlah projek yang dilaksanakan pada tahun 2024, berapa nilai peruntukan yang telah diberi dan bagaimana prestasi pelaksanaannya, seterusnya bolehkah pihak Kerajaan menyatakan kalau sekiranya untuk tahun 2026 ini adakah senarai-senarai projek yang telah dibentangkan itu turut akan diteruskan lagi dan diberikan peruntukan? Terima kasih.

Okay, terima kasih Yang Berhormat Bandar. Tahun 2024 kita berjaya memperolehi peruntukan RM10.06 juta di bawah tajuk program yang sama untuk 10 projek dan alhamdulillah kita telah berjaya menyiapkan 100% hasil daripada rekod yang baik pada tahun 2024, pada tahun ini kita diberikan peruntukan dengan jumlah yang lebih besar. Meneliti pembentangan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri di Parlimen baru ini, memang dimaklumkan untuk tahun depan program yang sama diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM300 juta dan sekarang ini pihak agensi, jabatan dan juga UPEN sedang melakukan kerja-kerja terakhir untuk kita angkat permohonan yang sama insya-Allah dengan rekod yang baik kita mempunyai kekuatan untuk memohon dengan jumlah yang lebih besar daripada tahun ini, insya-Allah. Doakan semoga berjaya terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat Jabi. Ada soalan tambahan? Sila Yang Berhormat Kuala Berang.

Mohd Zawawi bin IsmailBERSATU · PNTelemung

Terima kasih. Telemung.

Yang di-Pertua

Oh Telemung.

Mohd Zawawi bin IsmailBERSATU · PNTelemung

Terima kasih, Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Saya rasa jawapan yang telah diberikan oleh Yang Berhormat Wakil Jabi itu sangat banggalah. Tahniahlah saya ucapkan kepada Wakil Kerajaan kerana saya nampak program-program yang dilaksana di Terengganu ini semenjak akhir-akhir ini telah berjaya menjadikan Terengganu ini antara negeri pengeluar, gedung pengeluar makanan utama di negara kitalah dan terpanggil inilah nak nyatakan bahawa apa yang dinyatakan oleh Wakil Kerajaan tadi tak ada sebut langsung hok Hulu Terengganu ini Telemung ke, Kuala Berang ke, Ajil ke, tak dok langsung ni sebab saya bulan April yang lalu dalam Dewan ini juga Kerajaan ada menyebut Hulu Terengganu akan dijadikan daerah gedung pengeluar makanan kedua di Terengganu dan Hulu Terengganu pula kawasan pertanian takdok, industri takdok jadi kita haraplah apakah perancangan Kerajaan untuk memastikan Hulu Terengganu juga menjadi daerah gedung pengeluar makanan utama di Terengganu? Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih, Telemung. Sila Yang Berhormat Jabi.

Tak disebut secara khusus tapi yang saya sebut agihan untuk seluruh negeri itu dalam itu adalah Telemung. Di antaranya, program untuk Peningkatan Populasi Ternakan Ruminan 136 ekor lembu Brahman dan Limousine ada penerimanya daripada DUN Telemong. Projek Penggandaan Kambing Pedaging juga akan sampai ke DUN Telemong, insentif untuk peternak akuakultur yang ini ada penerima daripada DUN Telemong. Begitu juga bantuan INPUT penternakan ada bantuan kepada Hulu Terengganu dan juga Telemung. Pemulihan kawasan tanaman daripada 59 program yang kita telah berjaya laksanakan 31, ada yang melibatkan Hulu Terengganu dan DUN Telemung dan beberapa program yang lain. Jadi memang saya tak sebut secara khusus tapi pecahan kepada itu dinikmati sikit sebanyak oleh seluruh negeri kita, insya-Allah. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih. Seterusnya saya mempersilakan Yang Berhormat Jertih.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Jertih memilih soalan nombor dua-

Apakah perkembangan terkini projek pembinaan dan penaiktarafan Mahkmah Syariah di Setiu

Yang di-Pertua

Soalan nombor dua Yang Berhormat Wakil Batu Buruk.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Jerteh memilih soalan sebagaimana yang tertera. Jawapannya ialah perkembangan terkini pPembinaan Kompleks Mahkamah Syariah Kemaman adalah di peringkat akhir penyediaan pelan reka bentuk bangunan. Kerja-kerja pembinaan Kompleks Mahkamah Syariah Kemaman ini dijangka bermula pada tahun 2026. Sementara itu bagi pembinaan Mahkamah Rendah Syariah Setiu status terkini adalah di peringkat penyediaan laporan kesesuaian tapak dan anggaran kos pembangunan oleh Jabatan Kerja Raya Negeri (JKR), terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih, ada soalan tambahan?

Terima kasih, Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Soalan tambahan yang pertama, di manakah lokasi Mahkamah Syariah Kemaman yang baru, manakala yang kedua apa perancangan Kerajaan Negeri bagi pembangunan infra kompleks mahkamah Syariah yang lain termasuk di Besut, Marang dan juga Hulu Terengganu? Terima kasih.

Terima kasih, Yang Berhormat Jertih yang peka berkenaan dengan infra yang berkait dengan pemerkasaan syariah dalam konteks ini ialah kompleks mahkamah syariah bukan sahaja di daerah Kemaman bahkan juga di daerah-daerah yang lain. Bagi daerah Kemaman ini, kerajaan telah bersetuju untuk memindahkan ke tapak baharu. Tapak baru ini ialah bersebelahan dengan

bangunan lama Mahkamah Rendah Syariah, Kemaman sekarang iaitu di Cukai, Kemaman. Kenapa kita membuat keputusan ini? Kita membuat keputusan ini berasaskan kepada prinsip keutamaan dan juga penjimatan. Jika sekiranya kita mengekalkan dengan perancangan yang awal ataupun yang lama yang mana pada asalnya dirancang untuk dibangunkan di Bandar Baru, Kijal di mana kos yang akan ditanggung oleh Kerajaan Negeri adalah sebanyak RM6.3 juta dan mengambil masa sehingga 18 bulan kerana perlu kepada pelaksanaan kerja-kerja rawatan tanah dan seumpamanya. Bila berpindah ke tempat baru ini maka kerajaan tidak perlu lagi membelanjakan dengan jumlah tersebut. Adapun perancangan di daerah-daerah yang lain, insya-Allah ia akan dilakukan secara berfasa termasuk di daerah Besut, Marang dan Hulu Terengganu. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Okay, ada soalan tambahan? Sila.

Terima kasih, Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Saya nak tambah sikit je. Berhubung dengan mahkamah syariah ini sudah pasti dia berkait dengan hukum hakam, peraturan. Boleh tak pihak Yang Berhormat jelaskan apakah usaha-usaha untuk memastikan rakyat kita ini memahami dan mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan dalam Mahkamah Syariah? Terima kasih.

Terima kasih Yang Berhormat Bandar. Kita mengambil beberapa pendekatan kerana sudah tentu salah satu daripada tanggungjawab Kerajaan bukan sahaja meluluskan satu-satu undang-undang, dalam konteks ini ialah enakmen tetapi dalam masa yang sama kita mestilah berusaha untuk memberikan kefahaman kepada rakyat dan ia berlaku secara berstrategi dan juga secara tersusun yang dijalankan oleh pelbagai agensi-agensi daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam daripada Jabatan Mahkamah Syariah sendiri, Pendakwaan termasuklah unit-unit tubuh. Antara mekanisme yang kita lakukan ialah melalui penerangan dalam media sosial termasuk juga program-program yang sedang kita rancang, sebahagiannya telah berjalan dan sebahagiannya akan berjalan iaitu “Karnival Indahnya Hidup Bersyariat”. Jadi melalui karnival ini agensi-agensi yang terlibat akan turun ke DUN-DUN dan akan memberikan penerangan kepada rakyat di bawah. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat.

Seterusnya saya mempersilakan Yang Berhormat Kuala Berang.

Dr. Mamad bin PutehPAS · PNKuala Berang

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Soalan satu saya ditolak jadi yang terdekatnya soalan nombor dualah-

Apakah unjuran kesan ekonomi projek ECRL di Negeri Terengganu apabila mula beroperasi terhadap pertumbuhan KDNK negeri?

Yang di-Pertua

Sila Yang Berhormat Kota Putera.

Terima kasih Yang Berhormat Kuala Berang.

Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, berdasarkan kajian Pelan Induk Bersepadu Guna Tanah (PeGTA) Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dilaksanakan oleh PlanMalaysia. pelaksanaan projek East Coast Rail Link (ECRL) dijangka memberikan impak ekonomi yang signifikan terhadap pertumbuhan Negeri Terengganu apabila perkhidmatan rel tersebut mula beroperasi sepenuhnya.

Hasil kajian menunjukkan bahawa Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Negeri Terengganu diunjurkan meningkat daripada RM34.00 bilion pada tahun 2020 kepada RM48.2 bilion menjelang tahun 2040 iaitu peningkatan purata tahunan sekitar 1.8% sepanjang tempoh pelaksanaan projek.

Unjuran ini mengambil kira kesan langsung dan tidak langsung daripada aktiviti pembinaan serta pengoperasian ECRL. Antaranya termasuk peningkatan pelaburan sektor perindustrian dan logistik, yang keduanya adalah pertumbuhan aktiviti perdagangan dan pelancongan dan yang ketiganya adalah pembangunan berorientasikan transit ataupun Transit- Oriented Development (TOD) dengan izin di sekitar stesen-stesen utama ECRL seperti stesen Jerteh,

Bandar Permaisuri, Kuala Terengganu, Dungun, Kemasik dan Chukai. Secara keseluruhannya projek ECRL bukan sahaja akan memperkukuhkan rangkaian pengangkutan serantau tetapi juga beroperasi menjadi pemangkin utama kepada pembangunan ekonomi negeri, membuka peluang pekerjaan baru dan mempertingkatkan daya saing Terengganu dalam ekosistem ekonomi pantai timur. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat.

Ada soalan tambahan? Sila Yang Berhormat Kuala Berang.

Dr. Mamad bin PutehPAS · PNKuala Berang

Terima kasih Kota Putera. Kita tahu bahawa khususnya stesen ECRL di Kuala Terengganu dijangka siap pada akhir tahun depan dan mula beroperasi 1 Januari 2027. Sehubungan dengan itulah perkembangan ekonomi ini bergerak seiring dengan perancangan infrastruktur yang baik untuk memberi kemudahan kepada perkembangan ekonomi.

Jadi saya nak tanyalah sejauh manakah perkembangan perancangan TOD di Durian Guling inilah, stesen ECRL Kuala Terengganu ini, dan apakah perancangan daripada stesen ECRL Kuala Terengganu itu ke pusat bandar kita, ataupun ke airport kita di Kuala Terengganu ini? Terima kasih.

Yang di-Pertua

Okay, sila Yang Berhormat Kota Putera ataupun Wakil Kerajaan.

Soalan tambahan itu bukan bawah portfolio saya, untuk perancangan itu di bawah INFRA cuma kalau untuk itu diberi notis untuk jawapan apakah perancangannya. Ada, cuma tak tahu nak cari mana dari segi fakta itu.

Yang di-Pertua

Ya boleh boleh. Dok ape. Jawapan bertulis lah.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, okay terima kasih.

Yang di-Pertua

Seterusnya saya persilakan Yang Berhormat Buluh Gading.

Haji Ridzuan bin HashimPAS · PNBuluh Gading

Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Buluh Gading soalan nombor satu-

Berapa jumlah nelayan sampan Terengganu yang belum berlesen dan apakah tindakan penyelesaian dari Kerajaan Negeri?

Yang di-Pertua

Soalan nombor satu, sila Yang Berhormat Jabi.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih sahabat Yang Berhormat Buluh Gading. Berkaitan dengan isu lesen sampan khas untuk nelayan Terengganu. Kalau kita imbas kembali pada tahun 2018 di antara isu besar yang kita kenal pasti membelenggu nelayan negeri kita ialah isu nelayan tak berlesen dan isu ini berlanjutan selama lebih 40 tahun, tanpa lesen mereka tidak dapat elaun sara hidup nelayan, tak dapat minyak bersubsidi, bantuan bencana dan beberapa kemudahan lain.

Pada tahun 2019, Kerajaan Negeri menubuhkan Task Force Lesen Sampan Nelayan Terengganu untuk menyelesaikan isu lapuk ini dan Terengganu ialah satu-satunya negeri di mana Kerajaan ambil tanggungjawab angkat permohonan bagi pihak rakyat kita. Jadi setelah melalui pelbagai proses yang agak rumit, maklumlah kita nak cairkan apa yang telah dibekukan selama lebih 40 tahun ianya tidak mudah tapi alhamdulillah akhirnya dalam situasi PKP pada tahun 2021, Kerajaan Negeri telah berjaya mendapatkan lesen sampan khas nelayan yang kita agihkan sebanyak 600 lesen. Menyedari selepas daripada itu ada lagi nelayan tulen yang belum memiliki lesen atas beberapa alasan maka kita merancang untuk buat task force isu lesen sampan nelayan bagi kali yang kedua dan Kerajaan Negeri bersama dengan Jabatan Perikanan (LKIM), Persatuan Nelayan telah mengadakan satu mesyuarat penyelarasan pada 17 Ogos 2025 dan antara keputusan yang kami putuskan ialah kita akan angkat permohonan lesen sampan khas nelayan bagi tahun 2025.

Jadi calon-calon yang memenuhi syarat telah diminta untuk segera berhubung dengan Persatuan Nelayan Kawasan, Pejabat Perikanan Daerah ataupun

Pejabat Perikanan Negeri Terengganu untuk proses permohonan. Sehingga tarikh tutup, Jabatan Perikanan telah menerima 645 permohonan lesen baru yang sekarang sedang melalui proses temuduga dan tapisan akhir. Kita sasarkan pada awal 2025, semua permohonan yang melepasi tapisan dan temuduga akan diangkat kepada Ibu Pejabat Perikanan di Putrajaya untuk kelulusan dan kita telah atur satu temujanji pada minggu depan untuk berjumpa dengan pihak Ibu Pejabat Perikanan, di antara isu yang akan kita selaraskan dan selesaikan ialah berkaitan dengan isu lesen sampan khas nelayan Terengganu. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat Jabi. Ada soalan tambahan? Ya sila Wakil Buluh Gading

Haji Ridzuan bin HashimPAS · PNBuluh Gading

Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Dalam jawapan yang diberikan tadi ada disebutkan permohonan sampan nelayan ini akan diluluskan apabila memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan. Boleh Pihak Kerajaan jelaskan dengan lebih detail apakah syarat-syarat yang diperlukan untuk dipenuhi oleh pemohon? Terima kasih.

Terima kasih, Wakil Buluh Gading. Syarat utama ialah warganegara Malaysia, umur 18 tahun ke atas, tidak ada limit, 60-70 pun boleh diterima selagi berupaya. Nelayan tulen sepenuh masa, dengan makna nelayan yang turun ke laut, paling kurang 120 hari setahun ataupun 4 bulan dalam setahun. Memiliki sampan sendiri berukuran tidak melebihi 15 meter, sihat tubuh badan, lulus temuduga dan bagi pesara kerajaan hanya kelompok B40 sahaja yang layak memohon. Dalam masa yang sama, kita juga menggerakkan operasi pemutihan bagi lesen nelayan yang tidak aktif dan juga yang sedang tamat tempoh. Sebab lesen ini ada kuota dia. Kalau sekiranya kuota ini dipegang oleh nelayan yang tidak aktif, yang sudah tidak turun ke laut, yang tamat tempoh, dia akan mengambil hak nelayan lain yang lebih berhak untuk mendapatkan lesen dan mereka menjadi nelayan yang berlesen dengan mendapat keistimewaan dan kemudahan sebagaimana yang disyaratkan. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima Kasih Yang Berhormat Dr.

Azman Bin Ibrahim (Wakil Jabi). Ada.. sila Wakil Telemung.

Mohd Zawawi bin IsmailBERSATU · PNTelemung

Terima kasih. Saya nak tambah sikit je. Wakil Kerajaan sebut tadi ialah nelayan laut kan? Nelayan darat guane?

Ya, ya.

Mohd Zawawi bin IsmailBERSATU · PNTelemung

Nelayan darat. Terima kasih.

Nelayan darat ni makna nelayan sungai, nelayan air tawar, bukan nelayan atas darat. Sama sahaja. Bila kita agihkan lesen, nelayan darat pun sama. Mereka turut menerima elaun sara hidup. Mereka juga dapat minyak bersubsidi dan dalam agihan INPUT untuk nelayan yang kita bagi pukat, jaket keselamatan dan beberapa peralatan lagi, nelayan darat pun turut kita bagi yang pernah dihadiri sendiri oleh YB Telemung bila kita bagi untuk nelayan-nelayan Telemung. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Okay terima kasih. Seterusnya saya mempersila Wakil Kemasik.

Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Soalan Kemasik nombor tiga-

Prinsip Ke-4 pada PITAS 2030 antaranya menggariskan bahawa “Kekayaan dan Hasil Tempatan Adalah Untuk Rakyat Terengganu” Bagaimanakan prinsip ini dilaksanakan dan apakah tindakan yang dilakukan untuk merealisasikan prinsip ini kepada rakyat Negeri Terengganu.

Yang di-Pertua

Soalan nombor tiga, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri.

Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri bin MokhtarPAS · PNMenteri Besar · Ru Rendang

Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua dan Wakil Kemasik yang mengemukakan persoalan mengenai PITAS sebagaimana yang dipaparkan. Prinsip ke-4 dari PITAS 2030 adalah jelas iaitu kekayaan dan hasil tempatan adalah untuk rakyat Terengganu. Ianya memberi maksud bahawa perancangan negeri mesti meletakkan kepentingan rakyat sebagai penerima hasil kekayaan atau hasil tempatan yang paling utama berbanding dengan rakyat daripada negeri-negeri lain. Berasaskan kepada keadaan ini maka Kerajaan Negeri akan memastikan hasil negeri yang ada ini, ataupun yang sebelum ini ataupun yang akan datang diuruskan dengan sebaik mungkin tanpa sebarang halangan dan sekatan untuk memberikan manfaat kepada rakyat Terengganu dan atas sebab ini jugalah kenapa kita terus memperjuangkan hak royalti rakyat Terengganu kerana ianya telah sama-sama kita maklum melibatkan perjanjian yang telah ditandatangani puluhan tahun dahulu walaupun cuba dan telah dialihkan tiang gol oleh pihak Kerajaan Persekutuan kemudian ini tetapi kita tetap berpegang kepada apa yang telah ditandatangani sebelum ini. Di atas maksud yang sama juga Kerajaan Negeri sedang menuntut pembayaran daripada FELDA yang menggunakan tanah Kerajaan Negeri hampir 15,000 hektar sejak 40 tahun. Hasil ini mesti dikembalikan kepada rakyat Negeri Terengganu juga dan ini telah dijelaskan oleh Yang Berhormat EXCO sebelum pada ini.

Sama juga berkait dengan industri galian yang sangat penting pada waktu ini di seluruh dunia iaitu untuk Nadir Bumi atau REE, Rare Earth Element dengan izin. Apa juga langkah yang sedang dan akan diambil oleh pihak Kerajaan adalah untuk memastikan bahawa aktiviti utama REE, sama ada midstream atau downstream berlaku di dalam negeri ini, walaupun cuba juga diambil pendekatan yang berbeza oleh pihak yang lain tapi kita akan berpegang bahawa hasil mineral, hasil galian bumi ini sebagaimana dalam Perlembagaan Persekutuan adalah hak milik negeri Terengganu. Dalam masa yang sama, kita juga memberi penekanan kepada anak-anak Terengganu yang menjadi usahawan tempatan melalui kerjasama dengan PETRONAS, Kerajaan Negeri serta Agensi Pembangunan Usahawan. Atas sebab ini juga, Kerajaan Negeri berfokus kepada peluang Kontrak Vendor, Persijilan Anak Terengganu Certificate atau ATC, Pemindahan Teknologi dan Pembangunan Kapasiti. Sehingga kini seramai 120 daripada 136 permohonan ATC telah lulus dan mereka akan mendapat keutamaan projek kendalian PETRONAS dan mereka ini adalah anak daripada Negeri Terengganu. Sekian.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Amat Berhormat Dato’ Seri. Ada? Okay soalan tambahan.

Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua dan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar. Senario semasa ramai daripada pekerja-pekerja daripada syarikat minyak dan gas terkemuka negara sekarang telah berlaku penamatan kerja. Dimaklumkan melebihi 5,000 daripada mereka akan ditamatkan pekerjaan mereka dan Negeri Terengganu ataupun pekerja daripada Negeri Terengganulah antara yang teramai terkesan dan penamatan tersebut juga melalui Program Mutual Separation Scheme (MSS) dengan izin. Jumlah yang diterima mungkin cukup untuk 2-3 tahun sahaja, sedangkan mereka-mereka yang terlibat adalah orang-orang berkepakaran tinggi dan berpengalaman yang sudah pasti overhead kehidupan yang tinggi. Jadi 2-3 tahun nak masuk segmen lain, sektor lain pun mencabar. Sebagai contoh mereka yang berkelulusan chemical engineer, process engineer yang majoriti ataupun kerjanya banyak di segmen oil & gaslah. Jadi kemelut ini sangat-sangat memerlukan kepada sokongan daripada Kerajaan Negeri. Mungkin boleh kita jadikan contoh apa yang dilaksanakan oleh Negeri Sarawak. Mereka, kerajaan Negeri Sarawak telah menetapkan kerja-kerja Sarawak untuk orang Sarawak sebagai contoh. Jadi soalannya, bagaimana pula keutamaan ini dilaksanakan untuk setiap kerja-kerja oleh GLC Negeri serta apakah Vendor Development Programme dengan izin sebagaimana syarikat PETRONAS telah laksanakan juga dapat dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Terengganu bagi membantu khususnya mereka-mereka dan syarikat-syarikat Terengganu? Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih. Sila Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar.

Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri bin MokhtarPAS · PNMenteri Besar · Ru Rendang

Terima kasih atas soalan tambahan. Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan perasaan simpatilah daripada pihak Kerajaan Negeri kepada semua yang terlibat dalam Program Mutual Separation Scheme atau (MSS) dari PETRONAS sama ada rakyat Negeri Terengganu atau rakyat bukan daripada Negeri Terengganu. Memang ini merupakan suatu episod yang besar kepada pekerja-pekerja ini. Ada beberapa pendekatan yang mungkin boleh kita ambil. Yang pertama ialah tentunya sebarang hasil yang diperolehi daripada MSS itu dalam

bentuk kewangan adalah hak peribadi mereka dan kita tak nak campur tanganlah tentang bagaimana mereka menguruskan kewangan yang ini. Tambah pula, zaman sekarang ini kalau kita bagi nasihat kena buat begitu, kena buat begini, dia marah kat kita pulok. Sebab dia kata ini hak peribadi, duit saya sendiri, ikut pandai sayalah nak guna macam mana tapi sebagai sebuah Kerajaan, kita harus juga mendengar pandangan daripada Kerajaan bahawa Kerajaan ingin memberi nasihat kepada mereka supaya menggunakan wang yang diperolehi daripada MSS ini secara berhemah dan mengaturkan pembelajaan itu bukan untuk jangka pendek tetapi jangka pertengahan dan jangka panjang. Memanglah kita faham kalau orang berumur kena MSS ini pada umur 50 tahun masa itu baru nak start berniaga, saya rasa mungkin dalam keadaan tertentu dah terlambat kecuali nak jadi influencer ataupun nak jual produk secara dalam talian. Walaupun begitu, ada beberapa pendekatan lain yang boleh kita laksanakan oleh pihak Kerajaan Negeri.

Yang pertama, ialah Kerajaan Negeri melalui Joint Working Committee (JWC) dengan PETRONAS boleh membangkitkan isu ini supaya ada langkah-langkah mitigasi yang dapat dilaksanakan secara bersama antara pihak Kerajaan Negeri dan PETRONAS. Insya-Allah kita akan bangkitkan dengan PETRONAS.

Yang kedua ialah tadi disebut tentang bagaimana GLC boleh berperanan untuk membantu anak-anak negeri yang terkesan daripada MSS ataupun mungkin selepas ini ada VSS. Ada beberapa kaedah, yang pertama ialah mungkin ramai orang fikir GLC-GLC kita menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka yang terkesan ini tapi kita kena faham bahawa bidang yang sangat spesifik dan profesional sedemikian sekadar nak seorang dua orang bolehlah. Bayangkan kalau ribu-ribu yang terkesan MSS, nak ambil ramai tak boleh sebab mereka adalah pekerja mahir yang sangat spesifik. Yang kedua, ialah sekiranya mereka terlibat dalam mana-mana projek atau syarikat yang berkait dengan Negeri Terengganu, GLC boleh sebenarnya mengambil pendekatan untuk memberi keutamaan. Walaupun begitu, ada beberapa perkara yang sangat penting untuk saya sebut. Yang pertama ialah bahawa GLC-GLC kita ini juga berdepan dengan mikroskop daripada pihak di luar sana, pihak parti politik dan juga pihak di federal yang senantiasa melihat apa jua aktiviti yang dilaksanakan oleh GLC-GLC kita. Jadi sebarang langkah atau tindakan daripada GLC sama ada dalam bentuk pemberian tender ataupun projek haruslah melalui proses penilaian yang sangat ketat dan juga tatacara yang prudent atau yang berhati-hati supaya kita tidak terkesan dengan apa juga tindakan undang-undang oleh

pihak yang tak puas hati atau pihak politik yang sentiasa mencari isu-isu yang ingin dibangkitkan tapi apabila kita berdepan dengan pertimbangan bila penilaiannya, lebih kurang sama teknikal ataupun kewangannya dan kita berdepan satu syarikat rakyat Negeri Terengganu, satu syarikat bukan maka di situ bolehlah pertimbangan keutamaan kepada rakyat Negeri Terengganu diberikan.

Ada pun berkait dengan, sedikit lagi Yang Berhormat Dato’, Program Vendor Development Programme yang dilaksanakan oleh GLC, ianya bukan semata-mata untuk menyediakan projek secara terus begitu sahaja tapi melibatkan pembangunan kapasiti dan daya saing vendor tempatan di Negeri Terengganu supaya mereka bukan sahaja boleh bersaing di Negeri Terengganu bahkan juga boleh bersaing di luar daripada Negeri Terengganu. Sebab itulah skop pelaksanaan Vendor Development Programme ini, ada beberapa kategori iaitu yang pertama kapasiti development, yang kedua ialah standard dan accreditation dengan izin. Yang ketiga, human capital development dan yang keempat adalah teknologi transfer dan yang kelima ialah sistem dan equipment upgrade supaya mereka mampu bersaing di pasaran luar. Pasaran di Terengganu ini mungkin tidak begitu besar, kalau mereka boleh meneroka pasaran di luar dengan kapasiti yang kita bina tadi, yang lima kategori tadi, insya-Allah mereka mampu untuk bersaing di luar. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih. Seterusnya, saya mempersilakan Yang Berhormat Ladang.

Mohd Zawawi bin IsmailBERSATU · PNTelemung

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, boleh tamboh sikit dok? Soalan tambahan?

Yang di-Pertua

Sila Telemung.

Mohd Zawawi bin IsmailBERSATU · PNTelemung

Boleh err?

Yang di-Pertua

Hari ni semangat Telemung nampak.

Mohd Zawawi bin IsmailBERSATU · PNTelemung

Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Saya cuma nak minta pandangan Kerajaan sajalah, iaitu berkaitan dengan saya dengar tadi, Prinsip 4 PITAS 2030

menyatakan bahawa kekayaan dan hasil tempatan adalah hak rakyat Terengganu. Ini maksudnya hasil ini hak rakyat Terengganu. Bagaimana pula prinsip Kerajaan bagi sesuatu kawasan ataupun daerah, DUN ke yang memberi hasil kepada Kerajaan contohnya di Telemung, royalti air. Saya rasa ratus juta doh setakat ni. Kemudian mungkin tak lama lagi dengan adanya solar terapung ni, paling kurang RM40 juta setahun. Kalau semua dapat 2000 lebih megawatt keluar nanti, dalam RM1 juta lebih setahun. Jadi apakah pandangan atau prinsip Kerajaanlah dalam hal ni? dokkan nok lok saja je kawasan tu? Maknenye.

Yang di-Pertua

Ye, ye.

Mohd Zawawi bin IsmailBERSATU · PNTelemung

Telemung khususlah. Saya nak kaitkan Terengganu dengan Telemung sebab Telemung banyak memberi hasil kepada Kerajaan Negeri. Jadi dokkan saja je? Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua.

Yang di-Pertua

Sila jawab Yang Berhormat. [Sambil ketawa]

Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri bin MokhtarPAS · PNMenteri Besar · Ru Rendang

Terima kasih kepada Telemung. Acap kali Telemung tanya soalan tambahan ni, macam Datuk Bandar Telemung pula. Kita sedar tentang perkara ini. Sebenarnya bukan Telemung saja yang membangkitkan perkara ini. Sebelum daripada ini juga saya masih ingat Bukit Besi pernah membangkitkan. Apabila dilihat bahawa banyak galian-galian yang dikeluarkan dari Bukit Besi sejak sekian lama bukan setahun dua ini, bahkan puluhan tahun. Maka apa pula kata daerah-daerah lain yang tidak ada hasil dikeluarkan daripada Setiu, ada hasil pertanian yang mungkin jumlahnya tidak sama dengan solar terapung di Kenyir dan lain-lain. Jadi sebagai bapa, dia akan kena tengok anak dia secara menyeluruh supaya berlaku keadilan dan keadilan itu bukan bermaksud kita bagi sama rata tetapi kita melihat mana yang berdepan dengan ketidakseimbangan, disparity dengan izin atau kesenjangan yang besar itu, maka kita utamakan tempat yang demikian. Walaupun begitu saya memandang, melihat dengan rasa positif apa yang disebut oleh Telemung mungkin bagi pihak Kerajaan kita akan menilai bagaimana formula yang lebih adil dapat diambil dan yang paling senang sekali bagi pihak Kerajaan adalah melalui GLC-GLC supaya sebarang program (CSR) Corporate Social Responsibility dengan izin daripada GLC boleh disusun atur

mana-mana yang agak tertinggal itu diberi keutamaan. Jadi lain daripada itu kita kena develop formula dululah.

Saya rasa apa yang dibangkitkan, sikit lagi Yang Berhormat Dato’, apa yang dibangkitkan oleh Telemung ini adalah isu yang sama dibangkitkan oleh negeri-negeri apabila berdepan dengan Kerajaan Persekutuan. Oleh kerana disparity ataupun kesenjangan antara negeri-negeri yang ada dalam negara kita ini ada yang negeri yang kaya, ada negeri yang mungkin yang semua sedia maklum, ada reserve RM40 bilion dalam Malaysia dan ada negeri yang reservenya hanya RM1 bilion, ada yang tak sampai RM1 bilion. So bagaimana sebuah negara ingin mengatasi disparity ini atau kesenjangan ini ada negeri yang begitu kaya, ada negeri yang begitu miskin, sama jugalah kita di peringkat negeri ada daerah yang sangat kaya dan ada daerah yang miskin, tentulah ada formula tertentu perlu di develop atau dibina dibina supaya kita dapat mengurangkan kesenjangan ataupun disparity ini. Terima kasih.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, tambahan sikit Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Sebab Telemung mintak, saya pun Kemasik nak mintak gok sebab semua sekali minyak dan gas naik daripada Kemasik, Dato’ Yang di-Pertua. Semua sekali Dato’ Yang di-Pertua. [Sambil ketawa]

Yang di-Pertua

Okay, faham doh tu.

Mohd Zawawi bin IsmailBERSATU · PNTelemung

Bukan kawasan Kemaman dok?

Yang di-Pertua

Okay, kita bagi peluang kepada Ladang untuk mengemukakan soalan.

Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. Soalan saya soalan pertama-

Kerajaan Persekutuan meletakkan Terengganu sebagai salah sebuah negeri Jelapang Makanan Negara dalam RMKe-13. Apakah usaha yang sedang berjalan untuk merealisasikan hasrat ini?

Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih Wakil Ladang. Dalam pembentangan Rancangan Malaysia ke-13 oleh PMX di Parlimen, ketika mengumumkan pembangunan hab Ekonomi Biru dan perwujudan hab pengeluaran makanan negara yang turut melibatkan Negeri Terengganu, ada dinyatakan dalam pembentangan tersebut purata kadar tahunan pertumbuhan bagi KDNK Sektor Pertanian Terengganu disasarkan hanya 1.1% sahaja. Dia suatu angka yang agak menghairankan bagi sektor pertanian Terengganu. Saya istilahkan gemanya besar tapi sasarannya kecil, sedangkan pertumbuhan KDNK Pertanian Terengganu bagi tahun 2023 ialah 7.4%. Pada tahun 2024, sektor pertanian menyumbang 7.5% kepada KDNK negeri. Dalam masa yang sama, subsektor perikanan dan subsektor akuakultur salah satu daripada industri strategik bagi ekonomi rakyat Terengganu. Subsektor tanaman dan subsektor ternakan juga menunjukkan pertumbuhan yang semakin signifikan sejak kebelakangan ini sebagaimana dapatan dalam Banci Pertanian Malaysia 2024, di mana Terengganu mempunyai jumlah pegangan ternakan dan jumlah pegangan pertanian yang tertinggi dalam negara, kerana itulah Kerajaan Negeri menyasarkan sektor pertanian Terengganu untuk tumbuh mencecah di antara 10.6% sehingga 12% menjelang tahun 2030 atau secara puratanya 8% bagi tempoh tahun 2026 hingga 2030 dan ia adalah satu sasaran yang realistik berdasarkan kepada fakta dan data-data yang kita ada di lapangan. Pertumbuhan sektor pertanian ini kita jangkakan bakal menunjukkan peningkatan yang lebih ketara apabila beberapa projek mega dalam sektor pertanian seperti Projek Lada Hitam McCormick di Lembah Bidong mula dituai hasil dan projek naik taraf dan penambahbaikan pelabuhan LKIM Chendering mula beroperasi sepenuhnya. Kalau sekadar mensasarkan pertumbuhan KDNK Pertanian 1.1%, maka dia sama sekali tidak sepadan dengan gema kuat dan pengumuman untuk menjadikan Terengganu sebagai hub pembangunan ekonomi biru dan hub pengeluaran makanan negara. Kita sepatutnya berjalan ke hadapan dan bukannya mengundur ke belakang. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih. Sila, Yang Berhormat.

Soalan tambahan saya, apakah Kerajaan Negeri melihat positioning, ataupun strategi dan pendekatan oleh Kerajaan Persekutuan ini adalah bertepatan dengan usaha

yang sedang dijalankan atau dilakukan oleh Kerajaan Negeri pada hari ini? Terima kasih.

Terima kasih sekali lagi Ladang. Ya, sangat bertepatan. Positioning oleh Kerajaan Persekutuan memasukkan Terengganu sebagai salah satu daripada hab pengeluaran makanan negara bertepatan dengan Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2024-2030. Kesinambungan daripada Pelan Strategik 2019-2023 yang mensasarkan negeri kita untuk menjadi sebuah negeri pengeluar makanan negara. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih. Seterusnya, saya mempersilakan Yang Berhormat Manir.

Haji Hilmi bin HarunPAS · PNManir

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Soalan No. satu-

Sejauh mana persediaan Kerajaan Negeri menyahut kempen Renewable Energy dunia serta pelaksanaan di Negeri Terengganu terutamanya oleh jabatan-jabatan dan agensi-agensi Kerajaan Negeri?

Yang di-Pertua

Sila, Kota Putera.

Terima kasih YB Manir. Dato’ Yang di-Pertua, Kerajaan Negeri berada dalam tahap persediaan yang baik dan komited sepenuhnya dalam menyahut kempen tenaga boleh diperbaharui Renewable Energy di peringkat dunia. Komitmen ini dizahirkan melalui pelaksanaan Pelan Induk Teknologi Hijau (PITiH) Negeri Terengganu 2030 yang menjadi kerangka utama pembangunan tenaga hijau, kecekapan tenaga serta amalan lestari di semua jabatan, agensi dan sektor di negeri ini. PITiH 2030 merupakan dokumen strategik negeri yang bertujuan mengarusperdanakan penggunaan teknologi hijau dalam sektor Kerajaan, industri dan komuniti. Yang keduanya, adalah menyokong matlamat

pembangunan mampan (SDG) dan sasaran karbon sifar bersih negara dan yang ketiganya adalah membangunkan ekonomi negeri yang seimbang, berdaya tahan dan mesra alam.

Empat teras strategik utama PITiH adalah seperti berikut. Teras pertama memperkukuhkan tadbir urus dan dasar teknologi hijau. Teras kedua memperluaskan pembangunan tenaga boleh diperbaharui seperti solar, biojisim, mini hidro dan tenaga sisa. Teras ketiga mempertingkatkan kecekapan tenaga di sektor kerajaan dan industri dan teras keempat memupuk budaya hijau melalui pendidikan, kesedaran dan juga pembangunan modal insan. Pelaksanaan PITiH diselaraskan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dengan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi. Antaranya adalah Jabatan Alam Sekitar Terengganu (JAS), Terengganu Incorporated (TI), Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC Berhad), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan institusi pendidikan serta sektor swasta. Kerajaan turut memberi penekanan kepada pembangunan modal insan hijau dengan memperkukuhkan latihan kemahiran tenaga boleh diperbaharui dan pengurusan tenaga bagi meningkatkan keupayaan tenaga kerja tempatan. Jadi kesimpulannya, pelaksanaan PITiH 2024-2030 membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam menyahut kempen tenaga boleh diperbaharui dunia dengan pendekatan yang tersusun menyeluruh dan melibatkan semua agensi kerajaan, komuniti serta sektor swasta. Terengganu kini bergerak ke arah menjadi negeri contoh dalam pembangunan tenaga hijau dan teknologi mampan di Malaysia. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih. Ada soalan tambahan? Sila, Manir.

Haji Hilmi bin HarunPAS · PNManir

Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua dan terima kasih bagi jawapan daripada Pihak Kerajaan. Soalan tambahan saya adalah berbentuk apakah Kerajaan mempunyai angka investment ataupun perbelanjaan yang telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan ataupun badan swasta? Terima kasih.

Terima kasih YB Manir. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Kerajaan Negeri tidak menetapkan satu angka khusus perbelanjaan bagi pembangunan industri tenaga boleh diperbaharui ini. Namun kita sentiasa

memberi kerjasama penuh bagi kerjasama strategik bersama GLC Negeri dengan pihak pelabur yang memperolehi insentif dari pihak Kerajaan Persekutuan. Untuk makluman Yang Berhormat dan Dewan yang mulia ini, Pihak Kerajaan Negeri menyambut baik peruntukan sebanyak RM4.95 bilion bagi tahun 2025 daripada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bagi memperkukuhkan kempen tenaga boleh diperbaharui melalui pelbagai inisiatif strategik dengan memberi fokus kepada Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) untuk tenaga boleh diperbaharui, Programme Net Energy, Metering and Corporate Renewable Energy Supply Scheme (CRES) serta pembangunan 3,171 stesen pengecas EV di seluruh negara. Oleh itu, Kerajaan Negeri melihat inisiatif strategik ini akan menggalakkan syarikat-syarikat GLC Negeri mengambil pendekatan pelaksanaan kempen tersebut dengan berorientasikan kerjasama strategik bersama pihak pelabur. Dalam hal ini, Kerajaan Negeri bertindak sebagai pemudahcara termasuk penyediaan tapak atau tanah yang sesuai manakala kos pembangunan infrastruktur, pemasangan teknologi dan operasi projek dibiayai oleh pihak pelabur.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat Kota Putera. Seterusnya, saya mempersila Yang Berhormat Seberang Takir.

Haji Khazan bin Che MatBERSATU · PNSeberang Takir

Terima kasih Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua. Soalan saya, nombor satu-

Apa status promenade (Laluan Pejalan Kaki) dari Taman Shah Bandar ke menara MBKT, bila sepatutnya akan disiapkan?

Yang di-Pertua

Sila Yang Berhormat Cukai.

Haji Hanafiah bin MatPAS · PNCukai

Terima kasih, Seberang Takir. Dato' Yang di-Pertua, soalan sebagai yang tertera. Kemajuan kerja sebenar projek pembangunan laluan pejalan kaki KTCC Fasa 1 setakat 21 Oktober 2025 adalah sebanyak 70%. Tarikh siap sebenar projek adalah pada 19 Januari 2025 dan telah diberikan AOT sebanyak tiga kali, iaitu AOT 1 sehingga 5 April 2025, AOT 2 sehingga 30 Ogos 2025 dan AOT 3 sehingga 15 November 2025. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih. Ada soalan tambahan?

Haji Khazan bin Che MatBERSATU · PNSeberang Takir

Ya, sebab itu saya tanya tu Dato' Yang di-Pertua. Nampak macam lama doh tapi dok siap lagi. Projek ini jika siap, saya percaya dia akan beri kesan yang baik pada pelancongan terutamanya juga di sebelah Seberang Takir. Jadi saya nak tanya, jika siap nanti apakah projek-projek tambahan ataupun kerja-kerja tambahan di sekitarnya bagi menyambut ataupun menarik orang ramai ke kawasan tersebut supaya jadi macam di Sarawak dan sebagainya? Terima kasih.

Yang di-Pertua

Sila Yang Berhormat Cukai

Haji Hanafiah bin MatPAS · PNCukai

Projek ini dijangka menjadi tarikan utama baharu di pesisir Kuala Terengganu khususnya di kawasan Taman Shahbandar sehingga ke Menara MBKT dengan penyediaan laluan pejalan kaki, laluan basikal, tandas awam, pintu gerbang serta kemudahan landskap yang selesa dan selamat. Apabila siap pula, ia akan mewujudkan suasana rekreasi pesisir bandar yang moden namun beridentitikan warisan Terengganu sekaligus menyokong sektor pelancongan domestik dan antarabangsa. Selain daripada itu, terdapat lima plot komersial yang dirancang untuk dibangunkan secara public yang akan membuka peluang pelaburan swasta serta mewujudkan peluang pekerjaan baru kepada masyarakat setempat. Terima kasih.

Yang di-Pertua

Terima kasih kepada Yang Berhormat Cukai dan Yang Berhormat Seberang Takir serta seluruh Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah sempat mengemukakan soalan masing-masing. Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, saya tangguhkan sementara Dewan ini dan disambung semula pada pukul 11.00 pagi. Kita tangguh sementara dengan Suratul Asr’ dan Tasbih Kaffarah.

MESYUARAT DITANGGUHKAN PADA PUKUL 10.33 PAGI

PUKUL 11.18 PAGI

Enakmen Perbekalan 2026Bill

Yang di-Pertua

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, mesyuarat disambung semula. Untuk makluman, semalam kita telah pun selesai sesi perbahasan ke atas Enakmen Perbekalan 2026. Sekarang tibalah masanya untuk saya mempersilakan Wakil Kerajaan untuk membuat penggulungan. Silakan Yang Berhormat Kota Putera untuk membuat penggulungan.

Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, yang dihormati lagi dikasihi, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan, pengamal media, seterusnya, pemerhati-pemerhati secara fizikal ataupun atas talian, hadirin hadirat yang dirahmati Allah sekalian.

Awan hitam berlalu pergi Menyapu lembut kabus tersisa Belanjawan dibentang tanggungjawab diberi Siap laksana, teguh bersama.

Pertama-tamanya, saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar yang telah membentangkan suatu Bajet yang komprehensif dan menyeluruh kepada kita semua pada 10 hari bulan yang lalu. Terima kasih juga kerana dalam Pembentangan Belanjawan 2026, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar telah memberikan keutamaan dua fokus yang melibatkan portfolio saya.

Yang pertamanya adalah Fokus 2: Menstrukturkan daya tahan ekonomi bagi memacu pertumbuhan dengan memberdayakan perindustrian dan memacu tujuh akses yang lebih efisien kepada perkhidmatan Kerajaan Negeri melalui pendigitalan ataupun automasi. Selain daripada itu, sebanyak empat High Priority Initiative (HPI) dengan izin juga banyak diberi keutamaan di dalam Belanjawan ini. Antaranya menumpukan kepada pelaburan dan perindustrian bernilai tinggi dan perdagangan strategik.

Yang keduanya, memendekkan tempoh proses permohonan pajakan tanah, memberi diskaun dan memperkenalkan pembayaran berjadual harga pajakan tanah, menaik taraf kawasan perindustrian, sedang dan telah dilaksanakan oleh kerajaan melalui inisiatif Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian Negeri Terengganu 2023-2030.

Yang ketiganya, membangunkan terminal import dan regasifikasi LNG Kemaman, melaksanakan kajian kebolehsanaan pembangunan loji hidrogen dan ammonia hijau dan yang keempat, mempergiatkan usaha pendigitalan perkhidmatan.

Saya juga ingin ucapkan terima kasih kepada Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam Perbahasan Belanjawan ini. Sejumlah lapan orang Yang Berhormat menyentuh perkara-perkara di bawah bidang tanggungjawab saya, merentasi beberapa isu utama iaitu antaranya berkaitan dengan Terengganu hab utama tenaga boleh diperbaharui. Yang kedua, berkenaan dengan sumber nadir bumi ataupun NR-REE dan yang ketiganya, peningkatan hasil melalui New Income Terengganu (NIT) dan pendigitalan negeri. Dalam konteks Negeri Terengganu, sektor pelaburan perindustrian dan teknologi hijau yang menjadi teraju kepada pendapatan baharu Kerajaan Negeri adalah sektor yang amat strategik buat masa ini tanpa kita menidakkan sumbangan sektor-sektor lain dalam menjadi engine of growth dengan izin, kepada ekonomi Negeri Terengganu.

Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, saya mulakan sesi penggulungan ini dengan memperincikan sedikit perkara berkaitan dengan soalan lisan Yang Berhormat Bandar berkenaan misi pelaburan negeri ke luar negara iaitu China, Thailand, Indonesia dan Jepun. Misi-misi ini alhamdulillah memberi impak besar kepada negeri kita dalam usaha menjadi hab dalam sektor tenaga boleh diperbaharui. Antaranya, projek terminal LNG bukan Petronas, iaitu

pembangunan sebuah Terminal Regasifikasi Gas ataupun Regas Terminal, dengan izin RGT LNG oleh E&H Energy Sdn. Bhd. yang terletak di kawasan Perindustrian Teluk Kalong, Kemaman dan Projek Solar Hybrid bernilai RM2.9 bilion di Tasik Kenyir. kerjasama TNB Genco dan Terengganu Inc. Projek Terminal LNG bukan Petronas ini sedang dalam fasa akhir bagi perolehan lesen di bawah Third Party Access dengan izin TPA kepada Suruhanjaya Tenaga dan setelah mendapat kelulusan kelak yang dijangkakan pada suku kedua tahun 2026.

Pihak Kerajaan akan melaksanakan penilaian akhir sebelum memuktamadkan model kerjasama dan perniagaan bagi penyertaan GLC negeri dalam pembangunan RGT Kemaman ini. Alhamdulillah melalui perkembangan yang positif ini pihak Kerajaan Negeri telah menyertai sesi lawatan teknikal ke Rayong dan Bangkok, Thailand serta Shenzhen di China. Di sana kita telah didedahkan secara realiti bagaimana pengoperasian RGT yang seakan-akan sama yang akan dibangunkan di Teluk Kalong, Kemaman nanti. Saya yakin dan percaya apabila projek ini berada dalam fasa pelaksanaan kelak, ia akan menjadi pemangkin ekonomi dan limpahan akan diterima oleh rakyat di sekitar Kemaman dan Dungun. Ia bukan sahaja akan memangkin pertumbuhan rantaian perbekalan yang positif dalam kalangan penduduk tempatan yang akan kita utamakan kelak, bahkan projek ini juga akan menghidupkan lagi rantaian ekonomi setempat, meningkatkan lagi taraf sosial penduduk.

Pelabuhan sibuk kapal berlabuh, Barang dibawa serata dunia, Jaringan industri semakin tumbuh, Menarik pelabur yakin berdaya.

Berbalik semula kepada Projek Solar Terapung Hibrid Hidro (HSFS) dan Hab Hidrogen Hijau di Negeri Terengganu, projek tersebut telah dilancarkan pada 12 Julai 2025 oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia di Stesen Janakuasa Hidroelektrik Sultan Mahmud di Kenyir. Yang turut hadir selain daripada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Terengganu ialah Timbalan Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA), Pengerusi TNB, Pengerusi Petronas, Presiden ataupun Pegawai Ketua Eksekutif TNB, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc. Projek umpama ini membuktikan Terengganu mempunyai potensi untuk menerajui tenaga hijau dan mewujudkan peluang ekonomi baharu untuk rakyat serta mengetengahkan Terengganu sebagai pilihan utama pelaburan tenaga hijau di rantau ini.

Mentari memancar di langit cerah, Sinarnya jatuh membelah bumi, Projek solar menanti sudah, Langkah lestari generasi menanti.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, seramai tujuh orang Ahli Yang Berhormat iaitu Yang Berhormat Pengkalan Berangan, Buluh Gading, Manir, Seberang Takir, Sura dan Bukit Besi telah menyentuh dengan serius dan tegas terhadap pengurusan NR-REE dalam perbahasan mereka. Kerajaan sentiasa terbuka untuk menerima cadangan dan pandangan dari pelbagai saluran dan sudut dalam menjalankan sesebuah amanah yang diberikan. Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya berterima kasih kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat kerana sentiasa alert ataupun cakna dengan perkembangan semasa khususnya mengenai NR-REE.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat dan Dewan Yang Mulia ini, sedikit perkongsian mengenai NR-REE ini, dalam Bahasa Melayunya disebut unsur nadi bumi, bukan radioaktif. Iaitu mineral yang digunakan dalam pelbagai teknologi moden seperti super magnet, bateri dan elektronik. Bagi menjawab satu persatu perkara yang dibangkitkan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat, agak sukar kerana masa yang tidak mengizinkan. Oleh itu, saya mengambil pendekatan untuk merangkum secara keseluruhan perkara yang telah dibangkitkan selaras dan seiring dengan pendirian Negeri, dasar Negeri dan juga SG4.

Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, pendirian SG4 tegas bahawa mineral nadir bumi NR-REE ini adalah hak Negeri. Untuk makluman semua sidang Dewan yang mulia, 12 hari yang lepas ataupun pada 30 Oktober 2025, Majlis Menteri Besar (SG4) yang dianggotai oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Terengganu, Kedah, Kelantan dan Perlis telah menyatakan pendirian yang tegas mengenai NR-REE ini dengan menuntut supaya pengurusan serta agihan hasil sumber mineral unsur nadir bumi ini dilaksanakan secara adil, telus dan menghormati hak pemilik sumber, negeri pemilik sumber. Kenyataan tersebut saya kira jelas menyatakan pendirian tegas pihak Kerajaan agar segala sumber mineral nadir bumi yang terdapat dalam sempadan negeri adalah hak milik negeri seperti mana yang termaktub di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan. Kita ambil pendirian tegas ini setelah mengambil kira pengalaman lama berkaitan dengan isu royalti petroleum supaya ianya tidak berulang lagi, insya-Allah sekalipun kita…

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, mohon mencelah.

Sila.

Yang di-Pertua

Sila Yang Berhormat Kemasik.

Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Sebagaimana kita maklum berkenaan dengan royalti minyak pun semasa perjanjian dimeterai tiada pun berkenaan dengan perkara-perkara baharu seperti tiga batu nautika dan sebagainya melainkan apabila dibuat suatu konsensus dalam UMNO pada tahun 2000 untuk menjadikan ia sebagai suatu peraturan ataupun akta yang menafikan hak yang sekian lama kita terima. Adakah walaupun ada pada Perkara Kesembilan tadi jika tidak ada suatu perkara lain yang boleh dijadikan pengukuh supaya walaupun apa Pusat nak lakukan kita masih, walaupun Perkara Kesembilan diubah, Perkara Kesembilan pun mungkin boleh diubah walaupun dengan perubahan pada Perkara Kesembilan pun masih lagi kita boleh mempertahankan hak kita berkenaan dengan NR-REE tadi.

Yang di-Pertua

Penjelasan?

Mohon penjelasan daripada…

Okey, terima kasih Kemasik. Itulah, kalau orang kata yang akan datang kita tidak boleh mengambil pengajaran banyak. Apa yang saya sebutkan, what it is apa yang ada sekarang dan kita semualah yang bertanggungjawab untuk memastikan ianya tidak terlepas seperti mana yang disebutkan oleh Kemasik.

Yang keduanya adalah insya-Allah apabila kita dapat memegang tampuk Putrajaya, kita akan pastikan semua negeri bukan Terengganu sahaja diberi keagihan yang seadilnya insya-Allah. Sekalipun kita tegas dalam memelihara maruah dengan berprinsip, kita zahirkan kesediaan untuk bekerjasama dengan

Kerajaan Persekutuan dalam membangunkan rantaian nilai menyeluruh dari segi penerokaan hingga kepada pemprosesan dan penghasilan produk berasaskan REE yang bernilai tinggi ini. Selaras dengan perancangan pembangunan negeri, Kerajaan Negeri juga mensyaratkan agar sebarang perancangan nasional mesti mengambil kira kedudukan negeri-negeri pemilik sumber dan tidak boleh dilakukan tanpa libat urus rasmi bersama Kerajaan Negeri serta pembangunan industri REE Negara harus dilaksanakan di negeri pemilik sumber tersebut supaya limpahan ekonomi dan ekosistem industri turut dinikmati oleh rakyat setempat. Hasil negeri juga tidak boleh terhad kepada royalti semata-mata tetapi mesti melibatkan penyertaan ekuiti, perkongsian keuntungan dan pemindahan teknologi yang nyata kepada negeri dan rakyatnya.

Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat dan sidang Dewan yang mulia ini, Kerajaan Negeri Terengganu dan setiap negeri di bawah SG4 kini sedang melaksanakan kajian terperinci serta membangunkan Pelan Strategik Pengurusan Pembangunan (NR-REE) yang diselaraskan secara bersama. Malah untuk makluman semua, Pelan Strategik Unsur Nadir bumi bukan radioaktif NR-REE Negeri Terengganu telah pun siap serta antara yang terawal dibangunkan untuk melindungi dan mengawal selia sumber mineral negeri mengikut kepentingan kita sendiri. Pelan ini antaranya menetapkan yang pertama pembangunan industri NR-REE tempatan yang berdaya saing, mampan dan meliputi peringkat huluan, pertengahan dan hiliran.

Yang kedua penjanaan pertumbuhan ekonomi baharu untuk negeri dengan sektor NR-REE ini sebagai pemangkin pertumbuhan sektor hiliran berteknologi tinggi.

Yang ketiga pengurusan sumber NR-REE Negeri yang bertanggungjawab, lestari dan mematuhi amalan Environmental, Social and Governance (ESG) dengan izin. Yang keempat peningkatan kemahiran dan penyertaan tenaga kerja tempatan perlu diutamakan dan yang kelima penetapan penyertaan perniagaan tempatan dan pelaburan swasta termasuk meneroka pembinaan kilang pemprosesan di negeri ini. Objektif ketiga adalah berkaitan ESG ianya menjadi panduan dan komitmen kita agar mineral negeri tidak disalahgunakan untuk tujuan mudarat kepada ummah ataupun rakyat kerana ia bukan sahaja bertentangan dengan syariat Allah Subhanahu Wa Ta’ala malahan turut melanggar prinsip berkaitan sosial dan governance. Antaranya meneroka mekanisme kawalan melalui penetapan klausa kawalan penggunaan akhir End Use Control dan perakuan penggunaan akhir End User

Certificate dengan izin di dalam sebarang rundingan perdagangan. Ia satu bentuk tindakan rasmi yang boleh menetapkan bahawa produk NR-REE negeri tidak akan diguna untuk membuat senjata ataupun sistem pertahanan yang bercanggah dengan dasar negara. Kerajaan Negeri memberi jaminan serta komited untuk membangunkan industri NR-REE ini dengan penuh tanggungjawab dan tata kelola terbaik seperti mana yang telah dibangkitkan oleh Yang Berhormat-Yang Berhormat dalam sesi ucapan perbahasan kelmarin. Sebarang libat urus Kerajaan Negeri dengan pelbagai pemegang taruh termasuk Kerajaan Persekutuan adalah dalam kerangka amalan ESG dan sektor unsur nadir bumi ini.

Selain itu Kerajaan Negeri Terengganu melalui dasar yang kita bawa iaitu PITAS 2030, Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian Negeri Terengganu 2023-2030 dan Pelan Induk Teknologi Hijau (PITIH) turut disepadukan untuk memastikan projek teknologi hijau yang berasaskan sumber tempatan akan diselaraskan seiring dengan pembangunan industri nadir bumi ini juga. Suka untuk saya kongsikan juga database ataupun pengkala data bagi REE ini dimiliki oleh Jabatan Mineral dan Geologi (JMG) Malaysia kerana data tersebut memerlukan proses pemetaan secara komprehensif dengan jumlah peruntukan yang besar oleh Kerajaan. Database ini juga akan dikemas kini oleh JMG dari masa ke semasa, oleh itu kita berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang telah memperuntukkan sejumlah dana bagi pelaksanaan kajian potensi sumber REE fasa 2 untuk meneruskan aktiviti pemetaan sumber REE dan meningkatkan eventori data sumber mineral negara berjumlah RM10.5 juta dalam Belanjawan 2026.

Perut bumi tersembunyi cahaya, Terkandung khazanah bernilai tinggi, Nadir bumi bukan kerja biasa-biasa, Amanah lestari pendapatan negeri.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya beralih pula untuk menjawab isu yang menyentuh perkembangan pendapatan baharu negeri melalui NIT ataupun New Income Terengganu. Yang Berhormat Manir dan Seberang Takir telah membangkitkan tentang pendapatan baharu pada sesi pembentangan yang lepas. Jumlah kutipan hasil sebenar bagi tahun 2024 yang berakhir pada 31 Disember 2024 adalah berjumlah RM77.48 juta manakala jumlah kutipan terakhir hasil sebenar bagi tahun 2025 yang berakhir sehingga 11 November

2025 semalam, adalah sebanyak RM97.04 juta, alhamdulillah peningkatan ataupun lebihan 15% daripada jumlah kutipan hasil bagi tahun lepas. Ini menunjukkan beberapa kaedah seperti mana melaksanakan perkara-perkara yang mudah atau dengan kata lain low hanging fruits telah menampakkan hasilnya. Insya-Allah pada tahun 2026 nanti apabila beberapa perkara low hanging fruits dengan izin dan juga kaedah terkini akan dilaksanakan, kita sangat yakin bahawa harapan Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar yang disebut dalam Ucapan Bajet dua hari lepas iaitu mensasarkan jumlah Pendapatan Bukan Cukai Negeri 2026 berjumlah RM203.23 juta akan dapat dicapai.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Berhormat Bukit Tunggal ada mencadangkan agar Kerajaan memperuntukkan sejumlah dana bagi membangunkan Sistem Geospatial Negeri Terengganu. Saya betulkan sedikit apa yang disebut oleh Bukit Tunggal semalam, Terengganu Geospatial Information System tapi kita ada satu jawatankuasa yang kita namakan GIST Terengganu (Geospatial Information System Terengganu). Terbalik jelah tu. Kerajaan melalui unit GIS Terengganu ini ataupun dengan singkatan UGIS ini yang ditempatkan di Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu kini sedang melaksanakan proses pengumpulan data untuk ke semua daerah dalam bentuk format GIS data ready bagi tujuan pembangunan pusat pangkalan data Negeri Terengganu. Inisiatif ini merupakan langkah awal ke arah mewujudkan ekosistem data geospatial yang bersepadu, tepat dan boleh diakses oleh agensi-agensi Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan selari dengan apa yang diulaskan oleh Yang Berhormat Bukit Tunggal juga.

Dalam pelaksanaan ini, UGIS turut memberi tumpuan kepada pengumpulan data sebanyak 12 kategori utama yang telah diselaraskan mengikut piawaian geospatial negara MF1759 bagi memastikan keseragaman dan kebolehgunaan data di peringkat negeri serta kebangsaan. Fokus utama kepada pengumpulan data ini adalah terhadap 5 aktiviti ekonomi utama Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) iaitu sektor perkhidmatan, sektor pertanian, sektor pembuatan, sektor pembinaan, perlombongan dan sektor pengkuarian.

Perkembangan terbaru yang boleh saya kongsikan, Kerajaan telah meluluskan perolehan bagi Pembangunan Sistem Geospatial Negeri Terengganu yang dijadualkan untuk dilaksanakan pada tahun 2026. Pembangunan sistem ini akan menjadi platform utama bagi pengurusan perkongsian dan integrasi data

geospatial negeri supaya ianya jadi lebih menyeluruh. Dalam pada itu, Kerajaan Negeri telah menerima penghargaan atas penglibatan aktif dalam Program Infrastruktur Data Geospatial Malaysia (MyGDI) daripada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam NRES pada 8 Oktober 2025 yang lalu semasa Simposium Maklumat Geospatial Kebangsaan kali ke-10 di PICC Putrajaya. Pengiktirafan ini merupakan suatu penghormatan terhadap komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkukuhkan agenda transformasi digital melalui pembangunan data Geospatial yang mampan dan berimpak tinggi seiring dengan tema “Geospatial Pemacu Kelas Carian Negara”. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua.

Lsr. Haji Zaharudin bin ZahidPAS · PNBukit Tunggal

Yang Berhormat, penjelasan sikit.

Ya, sila.

Lsr. Haji Zaharudin bin ZahidPAS · PNBukit Tunggal

Terima kasih, Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua. Sebagaimana yang disebut oleh EXCO tadi, tahniah terlebih dahulu kepada Kerajaan Negeri yang berusaha menyediakan perkhidmatan GIS ini. Orang kata, better late than never. Patutnya benda ini dah lama kita buat, tapi kita baru ada kesediaan sekarang. Apa yang saya nak tanya di sini, sebab kita melibatkan banyak agensi, banyak agensi dan kadang-kadang agensi ini ada data dia yang kadang-kadang dia tak boleh kongsi dengan orang lain. Jadi, itu antara perkara yang kita di peringkat Lembaga Juru Ukur Tanah dan JUPEM pun menghadapi masalah yang sama tapi bagi Terengganu, sepatutnya tidak timbul sebab semua agensi berada di bawah Kerajaan Negeri kecuali melibatkan agensi-agensi Kerajaan Persekutuan. Jadi, satu soalan, bagaimana kita nak centralize data ini perkongsian dan juga guardian of the data itu, siapa yang jadi penjaga kepada data tersebut dan satu lagi, big data yang such amount, itu memerlukan satu hardware yang khusus untuk dicentralize kan. Jadi, mohon penjelasan.

Pencerahan yang diberikan oleh Yang Berhormat Bukit Tunggal itu, saya setuju untuk masukkan juga dalam ucapan saya kerana itulah halangan yang kita hadapi apabila di kalangan agensi-agensi kita masih lagi bersikap untuk memegang hak milik data masing-masing. Sedangkan, data itu silo. Kita

tak boleh komprehensifkan. Walau bagaimanapun, kita cuba atasi perkara itu dengan sesi-sesi libat urus. Kita panggil untuk libat urus dari masa ke semasa untuk mencari jalan penyelesaian ke arah itu. Terima kasih, Yang Berhormat Bukit Tunggal.

Yang di-Pertua

Panjang lagi Yang Berhormat?

Habis dah, hujung dah. Akhirnya, saya ingin respon berkenaan dengan soalan daripada Hulu Besut berkenaan dengan kawasan tadahan air. Iaitu Empangan Paya Pedal di Besut untuk dijadikan tapak solar terapung. Pihak Kerajaan sebenarnya melihat secara lebih komprehensif kerana kegunaan tadahan air itu mempunyai keperluan tidak seperti mana Kenyir hanya untuk menjalankan jana kuasa sahaja kerana Tadahan Air Paya Pedal ini ada tiga kegunaan yang sekarang ininya adalah kegunaan pertanian. Yang keduanya, future akan datang adalah untuk kegunaan yang tadi kegunaan pertanian untuk dua untuk digunakan pertanian dan satu digunakan untuk bekalan air minuman. Jadi jika ada floating solar itu dikhuatiri akan berlaku pencemaran ataupun seumpama dengannya. Jadi kita tangguh dululah hasrat itu.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, sebagai penutupnya saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dan juga kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar yang telah mengetengahkan kepada kita suatu pembentangan Bajet yang sangat komprehensif.

Laut terbentang luas saujana, Bahtera berlayar menuju sejahtera, Belanjawan bukan sekadar angka, Keyakinan penuh bakal terlaksana.

Insya-Allah, Kota Putera mohon menyokong.

Yang di-Pertua

Terima kasih kepada Kota Putera yang telah membuat penggulungannya dalam sekitar 40 minit, terima kasih. Seterusnya, saya persilakan Yang Berhormat Cukai.

Haji Hanafiah bin MatPAS · PNCukai

Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Terengganu, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Yang Berusaha Ketua-ketua Jabatan dan agensi, Yang Dihormati para pegawai dan kakitangan Kerajaan Negeri, semua petugas-petugas media, semua tetamu dan pemerhati, tuan-tuan, dan puan-puan sekalian.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, pertama dan selamanya marilah kita sama-sama merafakkan kesyukuran kepada Ilahi atas segala nikmat dan kurniaanNya kepada kita dapatlah kita bersama-sama berada dalam Dewan Yang Mulia ini bagi membahaskan Ucapan Belanjawan Tahun 2026 yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar. Terima kasih kerana telah memberikan peluang kepada saya untuk turut mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Enakmen Perbekalan 2026 yang telah dicadangkan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar. Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan semalam dan menyentuh portfolio saya. Insya-Allah, saya akan cuba menerangkan secara lebih terperinci persoalan dan harapan yang diutarakan.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua dan semua Ahli-ahli Yang Berhormat. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar, Menteri Besar Terengganu atas kepimpinan berwawasan dan keprihatinan beliau dalam merangka Belanjawan Negeri Terengganu 2026 yang bertemakan “Memacu Potensi, Melonjak Prestasi”.

Di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Belanjawan kali ini bukan sahaja menumpukan kepada aspek pertumbuhan ekonomi malah memberikan perhatian menyeluruh terhadap pembangunan infrastruktur moden, peningkatan sistem utiliti dan pemerkasaan komuniti luar bandar sebagai asas kemakmuran negeri. Belanjawan Negeri Terengganu 2026 juga

merupakan satu pelan tindakan konferensif yang dirangka untuk memperkukuh kemajuan ekonomi, sosial pentadbiran negeri secara seimbang serta berfokus kepada kesejahteraan rakyat. Perancangan Bajet yang dibuat ini sangat komprehensif serta inklusif dan boleh membawa manfaat yang besar kepada seluruh rakyat daripada pelbagai lapisan peringkat umur di Negeri Terengganu yang menggariskan tiga fokus utama yang menjadi teras pelaksanannya iaitu memperkemaskan tadbir urus Kerajaan bagi meningkatkan keberhasilan, menstruktur daya tahan ekonomi untuk memacu pertumbuhan dan melestarikan keperluan sosial bagi menjamin kesejahteraan inklusif.

Dari sudut infrastruktur berbagai projek strategi berimpak tinggi dirancang bagi memperkukuhkan jaringan logistik memperluaskan capaian pembangunan dan menggerakkan pertumbuhan ekonomi setempat. Antara projek utama termasuklah pembangunan berorientasikan TOD di kawasan stesen ECRL, pembinaan laluan alternatif dari stesen ECR Cukai ke pelabuhan Kemaman serta pembesaran pelabuhan Kemaman yang bakal memperkukuhkan kedudukan negeri sebagai hab perdagangan dan industri pantai timur. Selain daripada itu, kerja-kerja pembaikan serta penyelenggaraan infrastruktur, mitigasi bencana turut dipergiat bagi menjamin keselamatan penduduk terutama di kawasan rendah dan mudah dilanda banjir. Dalam bidang utiliti Belanjawan 2026 mempunyai penekanan kepada peningkatan kecekapan sistem bekalan air yang lebih mampan mampan. Pelaksanaan sistem bekalan air Kuala Terengganu Utara akan memperkukuhkan lagi kapasiti agihan air dan memastikan bekalan yang stabil bagi menampung pertumbuhan penempatan baharu serta keperluan industri.

Kerajaan negeri juga turut mempihakkan keprihatinan terhadap industri Pendidikan Islam dengan mempertimbangkan pemberian subsidi bekalan air kepada sekolah tahfiz dan pondok, selaras dengan dasar pentadbiran yang berteraskan nilai Islam dan kesejahteraan sosial.

Bagi aspek pembangunan luar bandar, fokus utama adalah mempertingkatkan kesejahteraan rakyat melalui penyediaan kemudahan asas, perumahan mampu milik dan peluang ekonomi baharu di kawasan desa. Secara keseluruhannya, Belanjawan Negeri Terengganu 2026 menggambarkan satu hala tuju pembangunan yang seimbang dan berpaksikan rakyat, usaha memperkukuhkan infrastruktur menambah baik utiliti asas serta memperkasa luar bandar menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan kemakmuran

dinikmati secara saksama di seluruh negeri. Kepimpinan berstrategik Yang Amat Berhormat Menteri Besar dalam merencana dasar serta inisiatif pembangunan di bawah Portfolio Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar amat diragui dan diyakini mampu membawa Terengganu terus Maju Berkat Sejahtera, menjelang tahun 2030.

Yang Berhormat Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, menjawab soalan Yang Berhormat Pengkalan Berangan, Yang Berhormat Hulu Besut dan Yang Berhormat Kuala Berang, masalah bekalan air bersih. Kerajaan Negeri mengambil maklum mengenai masalah bekalan air terawat yang berlaku bagi menjamin kesejahteraan rakyat mendapat bekalan air bersih untuk kegunaan harian. Sehubungan dengan itu, SATU akan mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani masalah ini sebagaimana berikut:-

A) Pelan Jangka Pendek- Masalah tekanan rendah yang berlaku adalah kepada sebahagian penduduk yang tinggal di kawasan tinggi sahaja dan berada di penghujung sistem bekalan air. Pihak SATU akan mengambil tindakan yang bersesuaian termasuklah menjalankan kerja-kerja pressure management di kawasan tersebut bagi memastikan semua pengguna mendapat bekalan air. Kerja-kerja pressure management termasuklah pemasangan satu unit pressure reducing valve pada jajaran paip kampung tersebut bagi mengoptimalkan tekanan air dalam paip di kawasan rendah dan meningkatkan tekanan di kawasan yang lebih tinggi seterusnya memastikan ke semua penduduk mendapat bekalan. SATU akan sentiasa bekerjasama dengan wakil penduduk di kawasan berkenaan agar sebarang permasalahan berkaitan bekalan air dapat diambil tindakan dengan segera.

B) Pelan Jangka Masa Panjang- Bagi mengatasi permasalahan di kawasan ini secara keseluruhan, SATU dalam proses mengenalpasti lokasi yang bersesuaian bagi pembinaan tangki bermenara di kawasan berhampiran. Tangki bermenara tersebut akan menerima bekalan air secara terus daripada loji rawatan air dan beroperasi sebagai tangki agihan di kawasan tersebut. Pembinaan tangki bermenara dilihat bukan sahaja dapat menyelesaikan permasalahan di kawasan sekitar sahaja, malah dapat menyediakan utiliti bekalan air dan untuk pembangunan akan datang di kawasan tersebut. Ini bertepatan sebagaimana keperluan pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, SPAN bagi simpanan air

luaran selama satu hari. Meningkatkan bekalan air luar bandar melalui Kementerian Desa dan Wilayah bagi pelaksanaan projek-projek pemasangan paip retikulasi. Dalam masa yang sama sebanyak 131 kawasan panas telah dikenalpasti oleh SATU sebagai kawasan yang seringkali berlaku paip pecah dan bocor. Penukaran paip-paip lama ini akan dilaksanakan secara berperingkat dengan mengambil kira kapasiti bekalan, semasa dan akan datang bagi meningkatkan capaian bekalan air terawat di Negeri Terengganu.

Dato' Yang di-Pertua, menjawab soalan Yang Berhormat Batu Rakit, status terkini projek pembinaan Masjid Baru Kampung Mengabang Lekor, Projek Pembinaan Masjid Baru Kampung Mengabang Lekor ini berada di peringkat pelaksanaan semula setelah mendapat hala tuju melalui Mesyuarat Tuntutan Peringkat Negeri pada 11 September 2025. Dalam mesyuarat tersebut kerajaan telah bersetuju untuk meneruskan projek berkenaan dengan pelarasan semula harga kontrak melalui perjanjian tambahan termasuk hak syiling tambahan dan kos yang dibenarkan bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya.

Pihak kontraktor telah kembali memulakan kerja di tapak projek dan setakat ini kemajuan fizikal mencapai 80%. Projek ini dijangka siap sepenuhnya pada Oktober 2026 sekali gus bakal menyediakan kemudahan ibadah yang lebih selesa dan moden kepada penduduk Mengabang Lekor serta kawasan sekitarnya.

Menjawab soalan Yang Berhormat Hulu Besut pembinaan Jalan Keruak menaik taraf jambatan dan menaik taraf jalan, Kerajaan Negeri Terengganu melalui Jabatan Kerja Raya dan Unit Perancang Ekonomi mengambil maklum keperluan menaiktaraf Jambatan Darau dan Jambatan Keruak yang merupakan laluan penting kepada penduduk setempat, khususnya semasa musim ketujuh.

Sehubungan dengan itu, permohonan pelaksanaan projek akan dikemukakan melalui perancangan di bawah Rancangan Malaysia ke-13 serta turut dipertimbangkan untuk pelaksanaan melalui peruntukan MARRIS. Bagi kerja-kerja menaiktaraf jalan di Kampung Batu 13, Kampung Bekok, kerajaaan negeri melalui JKR akan melaksanakan kerja-kerja berkenaan secara berperingkat menggunakan peruntukan MARRIS dengan memberi keutamaan pada kawasan yang sering terjejas dengan banjir. Manakala bagi projek pembinaan Jalan Keruak, JKR negeri dengan sokongan Kerajaan Negeri dan UPEN akan

mengangkat permohonan projek ini antara projek keutamaan negeri dalam perancangan RMK-13 Rolling Plan yang kedua agar ia dapat dilaksanakan bagi meningkatkan jaringan perhubungan serta kemudahan rakyat di kawasan berkenaan.

Yang kedua, pembinaan masjid, Kerajaan Negeri mengambil maklum akan keperluan pembinaan Masjid Kampung Pak Sik dan Masjid Durian Telur yang dikemukakan. Kerajaan amat memahami kepentingan rumah ibadat yang selesa dan strategik bagi menampung keperluan jemaah serta aktiviti keagamaan masyarakat di kawasan tersebut. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri melalui UPEN, Jabatan Hal Ehwal Agama dan Jabatan Kerja Raya akan mengkaji dan menilai secara menyeluruh keperluan sebenar, kesesuaian tapak.

Yang di-Pertua

Yang Berhormat Cukai, mintak perhatian sikit Yang Berhormat Cukai, Masjid Sena Rendang itu kena ambil perhatian sikit Bukit Payung.…

Haji Hanafiah bin MatPAS · PNCukai

Insya-Allah…

Yang di-Pertua

Ni Yang di-Pertua sendiri sebut ni…

Haji Hanafiah bin MatPAS · PNCukai

akan diambil perhatian dengan segera…

Yang di-Pertua

dan masuk dalam Ucapan dan ambil perhatian…Masjid Sena Rendang…

Haji Hanafiah bin MatPAS · PNCukai

masukkan dalam Ucapan, Insya-Allah… JKR tolong tengok JKR… Kesian ke Dato’ Yang di-Pertua…

Azmi bin MaarofPAS · PNLangkap

Yang Berhormat sebelum tu, minta celah sikit… Boleh?

Yang di-Pertua

Ya, Langkap… Yang Berhormat Cukai duduk dulu…

Azmi bin MaarofPAS · PNLangkap

Bila bincang pasal masjid ini, Langkap juga nak minta perhatian berhubung dengan pembinaan masjid yang tergendala iaitu masjid Felda Chalok Barat, sejak tahun 2021 lagi, jadi minta penjelasan sikit.

Haji Hanafiah bin MatPAS · PNCukai

Terima kasih, Masjid Chalok Barat di Setiu diperingkat pengisian semula oleh pihak Felda, memandangkan terdapat keperluan peruntukan tambahan bagi kerja-kerja penyiapan ini.

Yang di-Pertua

Ya, teruskan…

Haji Hanafiah bin MatPAS · PNCukai

Dato’ Yang di-Pertua, sehubungan dengan itu, UPEN, Jabatan Agama dan JKR akan akan mengkaji dan menilai secara menyeluruh keperluan sebenar kesesuaian tapak, anggaran kos dan keutamaan projek berbanding permohonan masjid-masjid lain di negeri ini. Mengikut rekod semasa terdapat 34 buah masjid di seluruh negeri, yang telah diluluskan secara dasar di peringkat MAIDAM, tetapi masih belum dapat dilaksanakan pembinaannya disebabkan aspek peruntukan belum dapat diputuskan daripada jumlah 33 masjid ini, Masjid Kampung Pak Sik dan Masjid Durian Telur di Besut termasuk dalam senarai untuk pembinaan.

Walau bagaimanapun, dari segi pelaksanaan pembinaan pula disebabkan perkara ini melibatkan komitmen peruntukan, daripada Kerajaan Negeri dan Ahli Qariah, perkara ini memerlukan perancangan untuk pelaksanaan secara berperingkat dengan mengambil kira sumber-sumber peruntukan yang ada, dan juga memerlukan pertimbangan kepada pelaksanaan projek tersebut.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, menjawab soalan Yang Berhormat Kuala Berang, hakisan pantai Batu Rakit. Kerajaan Persekutuan melalui JPS sedang melaksanakan projek pengawalan hakisan Pantai Kuala Nerus yang memberi tumpuan kepada isu hakisan yang berlaku di Pantai Batu Rakit, Kuala Nerus. Skop kerja ini melibatkan pembinaan 16 unit pemecah ombak, serta gerak kerja penyuburan pantai sepanjang 2KM, sehingga kini kemajuan keseluruhan projek telah mencapai 49.46% dan pelaksanaan berjalan mengikut jadual. Projek ini dijangka siap sepenuhnya pada 14 Januari 2027 dan direkabentuk berdasarkan kajian teknikal terperinci yang mengambil kira corak ombak, arus pesisir serta taburan pemendapan pasir di kawasan berkenaan. Perlu difahami bahawa

penyelesaian menyeluruh terhadap isu hakisan di sepanjang pantai Batu Rakit memerlukan pendekatan bersepadu yang melibatkan pemuliharaan sell to sell di sepanjang zon pesisir sehingga ke muara sungai.

Pendekatan ini penting kerana proses hakisan dan pemendapann pasir berlaku secara dinamik antara satu sel pantai dengan sel yang lain dan tidak terbatas kepada kawasan pembinaan struktur semata-mata. Melalui projek pembinaan breakwater ini, kawasan pesisir utama akan dilindungi daripada tenaga ombak yang tinggi seterusnya menggalakkan proses pemendapan pasir semula di bahagian pantai terlindung yang dijangka mengambil masa antara satu hingga dua tahun untuk mencapai kestabilan garisan pantai. Justeru itu cadangan Yang Berhormat Kuala Berang bagi pembinaan nearshore island baharu berhampiran kawasan hakisan jalan telah diambil kira dalam analisis pihak perunding sebelum penentuan jarak optimum antara breakwater tersebut.

Secara keseluruhannya, projek ini akan memberi kesan positif yang signifikan dalam mengawal dan mengurangkan kadar hakisan pantai, Batu Rakit dan kawasan sekitarnya, sekaligus melindungi penduduk, kemudahan awam dan aset kerajaan daripada ancaman hakisan berterusan setelah projek siap sepenuhnya. Kerajaan Negeri memberi jaminan bahawa usaha mitigasi akan diteruskan secara berperingkat bagi memastikan keselamatan penduduk dan kestabilan pesisir pantai terus terpelihara. Kerajaan Negeri juga komited untuk melaksanakan pendekatan berimpak tinggi yang mampan, sejajar dengan matlamat pengurusan pantai negara dengan agenda ketahanan iklim jangka panjang.

Yang kedua, pembinaan empangan di Sungai Berang. Berdasarkan analisis hidraulik yang telah dilaksanakan oleh perunding bagi kajian Pelan Induk Tebatan Banjir di Lembangan Sungai Terengganu tahun 2025 yang dilantik oleh JPS Malaysia didapati bahawa pembinaan empangan di Sungai Berang sememangnya mempunyai potensi untuk mengurangkan keluasan kawasan berisiko banjir sehingga 15%. Walau bagaimanapun, hasil kajian tersebut menunjukkan bahawa pelaksanaan komponen pembinaan ban dan kerja-kerja penaiktarafan sungai di kawasan-kawasan kritikal dalam Lembangan Sungai Berang, merupakan pendekatan yang lebih menyeluruh dan berdaya maju. Melalui kombinasi langkah-langkah ini, pengurangan kawasan berisiko banjir dapat ditingkatkan sehingga 19% sekali gus menawarkan impak mitigasi yang lebih efektif terhadap risiko limpahan Sungai Berang.

Namun demikian dari segi analisi kos dan kebolehlaksanaan pembinaan empangan melibatkan kos yang amat tinggi serta memerlukan tempoh pelaksanaan yang sangat panjang. Selain faktor teknikal, aspek sosial dan alam sekitar turut diambil kira. Antaranya keperluan pembinaan penduduk, pengambilan tanah dan kemungkinan gangguan ekosistem semula jadi di kawasan tersebut. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri menyokong pendekatan multi-komponen seperti yang disyorkan dalam kajian PITB, iaitu melalui kombinasi pembinaan ban penahan, penaiktarafan sungai serta pembangunan kolam takungan air hujan sebagai penyelesaian bersepadu yang lebih mampan dan praktikal dalam konteks keupayaan kewangan semasa. Yang ketiga, pemakluman status pembangunan TOD. Setakat ini, Kerajaan juga telah memulakan pelaksanaan inisiatif fizikal TOD bermula tahun ini dan akan diteruskan pada tahun harapan, termasuk kerja-kerja pembersihan tapak di beberapa lokasi strategik melibatkan keluasan keseluruhan hampir 600 ekar bagi fasa awal pembangunan. Stesen Cukai, Kemaman, 88 ekar. Stesen Kemasik, Kemaman, 392 ekar. Stesen Dungun, 95 ekar. Besut, 1.6 ekar. Marang, 15 ekar. Berikut adalah status kemajuan semasa. Cukai 55%, Kemasik 51%, Besut 67%, Dungun 52%, Marang masih di peringkat perolehan. MOU Kerajaan Negeri Terengganu dan MRL, untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, pada 24 November 2025, Isnin bertempat di Majestic Hotel, Kuala Lumpur, Kerajaan Negeri Terengganu akan menandatangani memorandum persefahaman dengan Malaysia Rail Link. MOU ini bertujuan untuk memacu pertumbuhan ekonomi wilayah berorientasikan TOD di stesen ECR jajaran Negeri Terengganu. Program ini disasar kepada pelabur, institusi kewangan serta ketua agensi dan jabatan berkaitan, sebagai platform mempromosi kesediaan negeri Terengganu membangunkan kawasan TOD di sepanjang jajaran ECRL melalui pendekatan public-private partnership.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, bersempena dengan majlis itu turut menampilkan dua sesi pembentang utama, sesi pembentangan strategik dan mengenai pembangunan TOD di stesen-stesen ECRL Terengganu yang akan disampaikan oleh Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu dan sesi pembentangan kedua projek ECRL Negeri Terengganu oleh Ketua Pegawai Eksekutif MRL. Melalui MOU, Kerajaan Negeri dan MRL bersetuju bekerjasama dalam memudahcarakan perancangan dan pembangunan TOD di sekitar stesen-stesen ECRL Negeri Terengganu dengan objektif yang pertama meningkatkan kualiti hidup daya saing kawasan

setempat. Yang kedua, menyediakan infrastruktur lengkap dan mesra pengguna bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam. Yang ketiga, menarik pelaburan swasta dan aktiviti komersial baharu di sekitar stesen. Yang keempat, menjana peluang pekerjaan dan aktiviti ekonomi tempatan. Yang kelima, merangsang ekonomi pelancongan serta memperkukuh akses perniagaan dan perkhidmatan dan yang keenam, menggalakkan pembangunan hijau dan rendah karbon melalui penggunaan teknologi pintar serta persekitaran bestari. Sesungguhnya, kerjasama ini turut menekankan prinsip perancangan yang bersepadu, berorientasi tinggi dan berdaya huni, melibatkan penggunaan tanah yang optimum, kemudahan komuniti yang lengkap serta reka bentuk bandar yang mesra rakyat, selamat dan mampan. Secara keseluruhannya, inisiatif ini akan menjadi pemangkin utama pembangunan ekonomi baru di sepanjang koridor ECRL serta memperkukuhkan kedudukan Terengganu sebagai negeri yang berdaya saing, moden dan seimbang antara kemajuan dan kelestarian. Yang keempat, pelan integrasi pengakutan awam serta stesen utama ECRL Kuala Terengganu dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud dan bandar Kuala Terengganu. Stesen ECRL Kuala Terengganu merupakan salah satu stesen utama dalam jajaran projek laluan Rel Pantai Timur di Negeri Terengganu. Kedudukannya yang berstrategik di laluan Bukit Payung, Wakaf Tapai, Ajil menjadikan stesen ini sebagai pintu masuk utama bagi penumpang dari daerah Marang, Hulu Terengganu dan sekitarnya menuju ke bandar Kuala Terengganu serta ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud.

Berdasarkan laluan Bas.My, integrasi pengangkutan awam antara stesen ECRL ini dengan jaringan bandar dilaksanakan melalui laluan T22 dan T10 di bawah sistem jaringan perjalanan Bas.My. Bagi pergerakan dari stesen ECRL Kuala Terengganu ke bandar Kuala Terengganu, penumpang akan menggunakan laluan T22 yang menghubungkan kawasan Marang, Bukit Payung, Pasir Panjang, Wisma Darul Iman dan seterusnya berakhir di Terminal Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu. Laluan ini merupakan rangka utama perhubungan antara daerah Marang dengan ibu negeri dengan jarak kira-kira 19 kilometer dari stesen ECRL Kuala Terengganu dan mengambil masa kurang lebih 20-30 minit perjalanan. Seterusnya, bagi perjalanan daripada bandar Kuala Terengganu ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud…

Dr. Mamad bin PutehPAS · PNKuala Berang

Yang Berhormat, Dato’ Yang Berhormat, minta beri laluan sikit..

Yang di-Pertua

Boleh, sila Yang Berhormat Kuala Berang.

Dr. Mamad bin PutehPAS · PNKuala Berang

Terima kasih Yang Berhormat Cukai. Saya nak dapat penjelasanlah. Pertama tadi, daripada stesen ECRL Durian Guling ataupun Marang ataupun Kuala Terengganulah, nak pergi ke Kuala Terengganu dan juga ke lapangan terbang katanya naik bas. So, ada cadangan nak buat jajaran khusus ataupun jalan raya yang khusus daripada ECRL Kuala Terengganu ini ke bandar, kerana kalau naik bas ni, kona-kona mengambil masa yang lama, jadi, ada perancangan tersebut ataupun tidak?

Yang di-Pertua

Okay, sila Yang Berhormat.

Haji Hanafiah bin MatPAS · PNCukai

Terima kasih Kuala Berang. Setakat ini kita guna bas dahululah, insya-Allah kita masukkan juga dalam perbincangan nanti.

Yang di-Pertua

Okay

Haji Hanafiah bin MatPAS · PNCukai

Seterusnya, perjalanan perjalanan daripada bandar Kuala Terengganu ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud, penumpang boleh menaiki laluan T-10, iaitu laluan terus daripada Terminal Majlis Bandaraya Kuala Terengganu melalui Seberang Takir, Gong Badak, UNISZA, UMT dan Kompleks Sukan Negeri sebelum tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud. Laluan ini melibatkan jarak sekitar 9 kilometer dengan anggaran masa perjalanan 15 hingga 20 minit. Oleh yang demikian, keseluruhan jarak perjalanan daripada Stesen ECRL Kuala Terengganu ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud adalah sekitar 28 kilometer dengan tempoh masa perjalanan purata 40 hingga 50 minit.

Dato’ Yang di-Pertua, itulah beberapa persoalan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat-Yang Berhormat yang sempat menjawab.

Haji Sulaiman bin SulongPAS · PNPengkalan Berangan

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, boleh sedikit percelahan?

Yang di-Pertua

Boleh Yang Berhormat, ya, sila.

Haji Sulaiman bin SulongPAS · PNPengkalan Berangan

Terima kasih kepada Yang Berhormat Cukai, menginsafi kesesakan yang berlaku di Hospital Sultanah Nur Zahirah dan memaklumkan tanah tapak Hospital Marang di bawah Kementerian Kesihatan telahpun tersedia dan pengharapan warga Marang untuk mendapat satu hospital daerah. Persoalan saya, adakah Hospital Marang ini tidak menjadi keutamaan di peringkat negeri untuk diangkat sebagai sebahagian daripada infra utama yang perlu untuk dilaksanakan di Negeri Terengganu, khususnya Marang. Wallahualam.

Yang di-Pertua

Sila, Yang Berhormat.

Haji Hanafiah bin MatPAS · PNCukai

Terima kasih, insya-Allah kita akan beri tumpuan ataupun masukkan dalam perbincangan insya-Allah. Saya rasa sekadar itulah saja ucapan saya.

Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat Cukai, seterusnya Yang Berhormat Alur Limbat.

Ariffin bin DeramanPAS · PNAlur Limbat

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Terengganu, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Yang Berusaha Ketua-Ketua Jabatan dan agensi, Yang dihormati para Pegawai dan Kakitangan Kerajaan Negeri dan Persekutuan, petugas media, semua tetamu dan pemerhati sekalian. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya mengucapkan terima

kasih, kerana diberi peluang untuk turut serta dalam perbahasan Rang Enakmen Perbekalan 2026, yang telah dicadangkan oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar yang kita kasihi, di dalam Dewan Yang Mulia ini, terlebih dahulu saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar atas pembentangan Rang Enakmen Perbekalan 2026, dengan tema “Memacu Potensi Melonjak Prestasi”. Tema ini amat bertepatan dengan ekspirasi Kerajaan Negeri untuk memperkukuh daya saing ekonomi rakyat, serta melahirkan masyarakat yang berdaya tahan dan progresif.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih, kepada semua Ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan, memberikan soalan dan pandangan yang membina terhadap Portfolio Keusahawanan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna. Semua pandangan tersebut amat saya hargai dan akan dijadikan panduan, dalam merangka pelaksanaan dasar dan program khususnya pada tahun 2026 tahun hadapan. Dalam aspek keusahawanan dan perniagaan, islam menekankan keadilan dan amanah dalam setiap urusan muamalat, firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam surah Al-Isra' ayat 35.

dan sempurnakanlah sukatan apabila kamu menyukat dan timbanglah dengan timbangan yang benar. Itulah yang lebih baik bagi kamu dan lebih elok akibatnya.

Portfolio keusahawanan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna memainkan peranan yang penting dalam memperkasa ekonomi rakyat serta melahirkan usaha yang dinamik, kreatif dan berdaya saing. Maka izinkan saya menyentuh beberapa inisiatif utama yang sedang dan akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri, khususnya pada tahun hadapan.

Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, sebagaimana ucapan Belanjawan 2026 yang menekankan beberapa inisiatif berkeutamaan tinggi, high priority initiatives (HPI). Bagi penggalakan ekosistem perniagaan yang kondusif, beberapa inisiatif perlu dilaksanakan bagi menyokong usahawan Negeri Terengganu, terutama golongan B40, belia dan asnaf antaranya, yang pertama, pemudah caraan dan galakan pendaftaran perniagaan serta pematuhan peraturan. Antara cabaran utama yang dihadapi oleh usahawan mikro dan kecil, ialah tahap kesedaran terhadap pendaftaran perniagaan serta pematuhan

kepada peraturan dan lesen perniagaan. Bagi menangani isu ini, Kerajaan Negeri melalui agensi berkaitan, akan memperkukuh Program Pemudah Caraan dan galakan pendaftaran perniagaan, dengan sasaran sekurang-kurangnya 50 perniagaan baru berdaftar setiap daerah pada tahun 2026. Langkah ini akan dilaksanakan melalui Program Sembang Usahawan serta Majlis Pembangunan Usahawan Koperasi Penjaja dan Peniaga Kecil, peringkat daerah yang telah ditubuhkan di setiap daerah.

Yang kedua, kerjasama dengan SSM Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan PBT. Bagi mempercepat proses kelulusan lesen. Yang ketiga, program kesedaran berkaitan kepentingan pematuhan undang-undang, cukai dan keselamatan makanan. Yang kedua, pengukuhan Program Coaching and Mentoring untuk usahawan belia dan mikro. Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan akan memperkasa Program Coaching and Mentoring yang memberi fokus kepada usahawan belia dan mikro melalui program usahawan UBES, terutamanya mereka yang baru memulakan perniagaan.

Yang ketiga, penganjuran Karnival Usahawan dan Koperasi Negeri Terengganu, bagi memperkukuh ekosistem keusahawan dan koperasi, Kerajaan Negeri akan menganjurkan Karnival Usahawan dan Koperasi Terengganu 2026 sebagai platform untuk mempamerkan produk tempatan, memperluas jaringan pemasaran dan menarik pelaburan baru. Karnival ini juga akan menggabungkan sesi perkongsian ilmu, latihan keusahawanan serta padanan perniagaan antara koperasi, agensi dan juga pemain industri. Dengan cara ini, kita bukan sahaja memperkenalkan produk tempatan tetapi juga membina keyakinan pengguna terhadap jenama Made in Terengganu serta akan mempromosikan lagi kampen sokongan perniagaan dan produk orang Terengganu, iaitulah Support. Program Support selaras dengan pelancaran Kampen Beli Barangan Malaysia KBBM 2025 yang bertemakan Jom Beli Lokal oleh Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Kos Sara Hidup KPDN. Objektif utama adalah untuk memastikan produk dan perkhidmatan yang dihasilkan oleh usahawan tempatan mendapat sambutan masyarakat dan seterusnya meningkatkan pendapatan usahawan tempatan khususnya usahawan Terengganu.

Yang keempat, penganjuran Festival Halal Terengganu seiring dengan aspirasi memperkasakan industri halal Terengganu. Bagi menyokong aspirasi ini, YPU akan menganjurkan Festival Halal Terengganu 2026. Festival ini dijangka akan menghimpunkan pengusaha industri halal tempatan, pemain e-dagang serta

industri peyelidikan bagi membincangkan inovasi dan peluang pasaran halal global.

Yang kelima, pemasaran digital berpusat dan perniagaan e-dagang. Kerajaan Negeri turut menumpukan kepada pendigitalan pemasaran dan perdagangan. Maka pada tahun 2026, YPU akan bekerjasama dengan pihak penyediaan aplikasi atas talian bagi memastikan pemasaran digital berpusat dapat dilaksanakan. Langkah ini bagi membantu usahawan negeri menembusi pasaran dalam dan luar negara melalui platform e-dagang, media sosial dan pemasaran bersepadu.

Yang keenam, perluasan Program Anak Terengganu Certificate (ATC), Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk memastikan rakyat Terengganu, khususnya usahawan tempatan dan graduan muda, diberikan peluang yang adil dan strategik dalam arus pembangunan ekonomi negeri. Sehubungan itu, Program Anak Terengganu Certificate (ATC) diperkenalkan sebagai satu mekanisma pengiktirafan rasmi kepada usahawan dan syarikat milik Anak Terengganu, Anak Jati Terengganu, yang memenuhi syarat-syarat kelayakan dan kriteria keusahawanan yang ditetapkan. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Bukit Tunggal, Telemong, Batu Rakit, Sura, Rantau Abang dan lain-lain yang bertanya dan juga berbahas, yang mengaitkan perbahasan mereka dalam portfolio saya.

Antaranya, Yang Berhormat Ladang, menyebut bagi menjawab cadangan Yang Berhormat Ladang dalam usaha memperkenalkan keusahawanan tempatan, khususnya makanan rakyat yang disebut sebagai nasi lemak, dengan disebut nasi lemak, buwohmoh dan lain-lainlah banyak tadi. Antaranya, yang boleh kita buat adalah latihan keselamatan makanan. Yang kedua, promosi melalui pemasaran digital. Yang ketiga, penjenamaan produk nasi lemak Terengganu sebagai sebahagian daripada identiti produk pelancongan makanan negeri setanding dengan keropok lekor, nasi dagang, satar dan lain-lain dan juga yang keempat, kita akan menyediakan skim bantuan papan tanda yang selaras, insya-Allah di Kampung Pasir Panjang, dalam usaha menyentuh apa yang ditimbulkan oleh Yang Berhormat Manir, dalam usaha memperkukuh ekosistem keusahawanan negeri, Kerajaan Negeri menyedari bahawa data usahawan yang lengkap, sebagaimana pandangan YB Manir tepat dan bersepadu merupakan asas penting kepada perancangan strategik yang berkesan. Sehubungan dengan itu, pada bagi tahun 2025, Kerajaan Negeri melalui YPU telah

melaksanakan inisiatif pemerkasaan data usahawan negeri melalui Pengkalan Data Sahabat Usahawan Terengganu dan kita telah menyediakan kos sebanyak RM200,000 untuk mengemaskinikan data usahawan untuk makluman Dewan lebih daripada 16,000 yang berdaftar sebenarnya, masa rendah daripada yang didaftar melalui SSM. Langkah ini bertujuan untuk membangunkan pengkalan data usahawan bersepadu Integrated Entrepreneur Database pengkalan data ini akan menghimpunkan maklumat lengkap semua usahawan yang berdaftar di bawah pelbagai agensi termasuk YPU, TEKUN, MARA, SME Crop dan juga PBT.

Yang kedua, mengelakkan pertindihan bantuan dan memastikan ada agihan sumber lebih tepat sasaran supaya tidak seorang penerima ataupun peniaga mereka menerima pelbagai jenis bantuan tetapi rakan-rakan mereka ketinggalan.

Yang ketiga, pemetaan usahawan mengikut sektor dan kawasan data yang dikumpul akan dikategorikan mengikut daerah sektor makanan, pertanian, digital lain-lain serta tahap perniagaan mikro kecil dan sederhana dengan cara ini kerajaan dapat merangka dasar dan program intervensi yang lebih bersasar dan efektif.

Yang Berhormat Kemasik, di mana Yang Berhormat Kemasik, lebih fokus kepada usahawan-usahawan muda, perancangan Kerajaan Negeri untuk memastikan lebih ramai usahawan muda dapat dilahirkan seterusnya mewujudkan ekosistem keusahawanan yang mampan termasuk ke arah pembangunan digital melalui Yayasan Pembangunan Usahawan bagi memastikan lebih ramai usahawan muda dapat dilahirkan, pihak Kerajaan Negeri telah menyediakan pelbagai skim pembiayaan dan geran. Antaranya, Skim Pembiayaan atas Talian Terengganu (SPINT), Dana Usahawan Terengganu (DUTE), Skim Pinjaman Pembiayaan Motosikal (U-BEST), Usahawan Belia Sejahtera bagi memastikan usahawan muda dapat dibimbing ke arah keusahawanan digital pihak Kerajaan Negeri telah melaksanakan beberapa inisiatif. Antaranya, kerjasama beberapa agensi keusahawanan Negeri dan Persekutuan memperkukuhkan peranan Urusetia Pembangunan Usahawan Terengganu (PEUTER), Skim Pembiayaan atas Talian Terengganu (SPINT) di bawah Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) bagi membantu usahawan muda melakukan pembangunan digital serta perniagaan online. Dana Usahawan Terengganu (DUTE), Skim pembiayaan yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri ini adalah untuk membantu belia memulakan atau

mengembangkan perniagaan, skim ini menyediakan modal permulaan secara tanpa riba dengan nilai bantuan antara RM1,000 hingga RM5,000 seorang bergantung kepada kelayakan dan peruntukan keseluruhan sejumlah 1.6 juta untuk belia. Seterusnya, skim pinjaman pembiayaan motosikal Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM800,000 bagi melaksanakan skim pinjaman pembiayaan motosikal yang diperkenalkan khusus untuk membantu golongan belia memperoleh pengangkutan bagi menjana pendapatan.

U-BEST, Usahawan Belia Sejahtera ialah program anjuran Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu untuk membantu belia Terengganu membangunkan perniagaan mereka program ini menawarkan bantuan dan bimbingan kepada usahawan muda sehingga kini 4 Siri telah selesai, seramai 155 orang dan Siri Kelima dalam proses bilangan pekerja daripada 155 pengusaha iaitu seramai 294 orang nilai jualan setahun RM14,095,157.57. Kerjasama beberapa agensi keusahawanan negeri dan persekutuan di mana kita telah menganjurkan sebanyak 31 kursus dengan jumlah penyertaan seramai 2,643 usahawan termasuk kursus yang berkaitan dengan perniagaan digital. Seterusnya, memperkukuh peranan Urusetia Pembangunan Usahawan Terengganu (PEUTER), sehingga Oktober 2025 sebanyak 115 latihan keusahawanan berjaya dilaksanakan dengan jumlah penyertaan seramai 5,235 usahawan antara tajuk utama yang diberi keutamaan pada tahun ini dan tahun hadapan ialah berkait dengan perniagaan digital iaitu merujuk kepada aktiviti ekonomi yang berlandaskan penggunaan teknologi digital seperti penggunaan AI dalam perniagaan dan perniagaan dalam talian. Seterusnya, studio bergerak dan studio podcast khusus untuk usahawan Terengganu mempelajari teknik perniagaan digital termasuk promosi produk atas talian YPU juga sedang membuat kajian bagi mengadakan kerjasama dengan platform e-dagang terkemuka.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, mohon mencelah. Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Berhormat Alur Limbat. Kebanyakan program-program berpusat di Kuala Terengganu, justeru, terutama sekalilah usahawan-usahawan muda khususnya yang berada di selatan negeri sedikit kesukaran untuk mereka hadir adakah kerajaan bercadang untuk juga melaksanakan atau menganjurkan program-program tersebut di selatan Terengganu?

Ariffin bin DeramanPAS · PNAlur Limbat

Ok, terima kasih kepada Kemasik. Sebenarnya, kita telah menubuhkan satu majlis keusahawan peringkat daerah dan insya-Allah, kita akan selaraskan melalui majlis tersebut dan kita akan decentralized dengan izin, di setiap daerah untuk aktiviti bukan saja diadakan di Kuala Terengganu ataupun di YPU. Ok, selesai.

Sedikit lagi, Dato’ Yang di-Pertua Dewan, Yang Berhormat Seberang Takir bagi menjawab kepada soalan Yang Berhormat Seberang Takir berkaitan kadar pengangguran Terengganu berdasarkan pocket statistik Negeri Terengganu 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengikut statistik utama siswazah iaitu pada tahun 2023 jumlah siswazah adalah seramai 167.72022158 ribu dengan jumlah yang telah bekerja seramai 123.5 ribu bagi tahun 2023. Di samping itu juga, jumlah siswazah yang menganggur pada tahun 2023 seramai 5 ribu. Oleh itu, kadar pengangguran siswazah dari di Terengganu menurun kepada 3.9% pada tahun 2023. Pada tahun 2022, 4.7%. Kadar pengangguran di Terengganu secara umumnya menurun kepada 3.1% pada tahun 2024 manakala pada tahun 2023, 4.6%.

Sebagai rumusannya Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, selaras dengan motto Belanjawan 2026 “Memacu Potensi Melonjak Prestasi”, Portfolio Keusahawanan Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna akan terus digerakkan secara inklusif dan berkesan. Kita percaya bahawa apabila potensi rakyat dipacu dengan sokongan strategik, prestasi ekonomi negeri akan melonjak ke tahap yang lebih tinggi. Saya sekali lagi mengucapkan terima kasih atas segala pandangan, sokongan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian. Sama-sama, marilah kita menjayakan agenda memperkasa rakyat, memajukan ekonomi dan memastikan kesejahteraan pengguna terus terpelihara. Akhir kata, Alur Limbat mohon menyokong Belanjawan 2026 dan Rang Enakmen Perbekalan 2026 yang telah dikemukakan pada sesi ini. Sekian.

Yang di-Pertua

Terima kasih kepada Yang Berhormat Alur Limbat, ingat nak cakap pendek je 18 minit juga, sila seterusnya Yang Berhormat Tepoh.

Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar Terengganu, Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri, Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi, Yang Dihormati para pegawai, kakitangan Kerajaan Negeri, rakan-rakan media, semua tetamu dan pemerhati.

Pertamanya, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar, kerana telah membentangkan Belanjawan 2026 dengan bertemakan “Memacu Potensi Melonjak Prestasi” yang memfokuskan pembangunan Negeri Terengganu secara menyeluruh. Satu pantun untuk Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar “Mentari pagi menyinari bumi, Bajet disusun memacu potensi, Terima kasih MB yang sentiasa berbakti, Semangat membara melonjak prestasi”

Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar, Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, semua Ahli-Ahli Yang Berhormat. Izinkan saya untuk memberikan sedikit gambaran berkaitan portfolio saya untuk tahun 2025 sebagai rekod dalam Dewan Yang Mulia ini di penghujung tahun. Ini kerana tidak ada sebarang sentuhan langsung daripada mana-mana Ahli-Ahli Yang Berhormat terhadap portfolio Pembangunan Belia, Sukan dan NGO sehingga saya cukup mengantuk dalam Dewan pada kali ini. Justeru, izinkan saya merekodkan beberapa prestasi semasa tahun 2025 untuk perhatian Dewan. Pada tahun ini, Negeri Terengganu telah mencipta pelbagai kejayaan di persada sukan. Pelbagai kejayaan sukan telah dicapai oleh atlet-atlet Negeri Terengganu yang tidak pernah berhenti untuk memajukan bidang sukan di Negeri Terengganu Darul Iman.

Sehubungan dengan itu, setinggi-tinggi tahniah kepada semua pasukan sukan Negeri Terengganu atas kejayaan yang telah ditempa sepanjang tahun 2025 ini. Yang pertama khas untuk pasukan Hoki Terengganu, berjaya menyapu

bersih empat piala sepanjang musim ini iaitu Juara Piala Sumbangsih MHL 2025, Juara Piala Liga Hoki Malaysia Premier 2025, juga merekodkan tanpa kalah, Juara Piala TNB 2025, dan Juara Piala Tun Abdul Razak 2025. Saya merakamkan ucapan terima kasih telah direkodkan di dalam Dewan ini dan juga tahniah kepada pasukan hoki Terengganu. Untuk basikal, melalui Terengganu Cycling Team (TSG) setakat November 2025, TSG telah menyertai 42 perlumbaan berbanding pada tahun 2024 iaitu sebanyak 33 perlumbaan yang diadakan seluruh dunia, seperti UAE, Arab Saudi, Turki, Oman, Afrika Selatan, Thailand, Taiwan, Perancis, China, Jepun, Korea Selatan, Sepanyol dan Malaysia. Alhamdulillah, TSG telah mendapat pelbagai kejayaan di setiap penyertaan.

Setakat hari ini untuk tahun 2025, TSG berada pada kedudukan 37 daripada 206 pasukan di peringkat dunia, kedudukan ketiga daripada 52 pasukan di peringkat Asia, dan kedudukan kelima daripada 171 pasukan untuk pasukan Benua UCI. Dalam suasana kewangan yang sangat terhad dan terhimpit, kami tidak menafikan ada sebahagian pasukan sukan belum dapat berada di landasan yang tepat. Insya-Allah, walaupun serba kekurangan, ia akan terus dipertingkatkan sebaiknya. Terengganu sinonim dalam melahirkan atlet-atlet sukan yang berbakat. Kita dikenali sebagai antara negeri yang membekalkan atlet kepada negara dan mampu berdaya saing di peringkat antarabangsa. Setiap tahun, pasti ada atlet yang akan menjulang nama Malaysia di persada dunia.

Antaranya, saya rekodkan dalam dewan ini, seperti Qabil Irfan Azlan yang merupakan juara keseluruhan ESBK Talent 2025. Pencapaian terbesar beliau pada tahun 2025 adalah muncul sebagai juara keseluruhan kategori ESBK Talent dalam kejuaraan Superbike Sepanyol. Beliau mengesahkan gelaran ini lebih awal, walaupun masih berbaki satu pusingan perlumbaan. Dominasi perlumbaan di Eropah, Qabil Irfan Azlan mempamerkan dominasi yang luar biasa dengan meraih beberapa kemenangan perlumbaan termasuk dua kemenangan berturut-turut di Litar Estoril, Portugal yang mengunci gelaran juaranya. Qabil Irfan Azlan mengekalkan rekod sempurna dengan 8 kemenangan berturut-turut untuk dinobatkan sebagai juara keseluruhan FIM Mini GP Malaysia 190cc pada Ogos 2025. Alhamdulillah, menghargai apa yang telah disumbangkan oleh Qabil Irfan Azlan. Beliau telah dianugerahkan sebagai Tokoh Belia Hebat 2025 Sempena Karnival Hebat 2.0 tempoh hari.

Yang kedua, Hakim Danish tempat ketiga keseluruhan Red Bull Rookies Cup, pencapaian terbaik oleh pelumba Malaysia dalam sejarah siri tersebut. Hakim Danish meraih kemenangan pertamanya musim ini di Litar Motorland Aragon, di mana beliau memenangi perlumbaan dua setelah mempamerkan prestasi yang memberansangkan. Memulakan kempen FIM Junior GP World Championship dengan cemerlang meraih podium pertamanya, tempat kedua musim ini di Estoril, Portugal. Dalam penampilan wildcard di Grand Prix Portugal November 2025, Hakim Danish berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-12, mengutip empat mata pertamanya dalam kejuaraan dunia Moto3. Beliau turut membuat penampilan sulung Moto3 di hadapan penonton tempatan pada Grand Prix Malaysia 2025 di Litar Antarabangsa Sepang. Dinobatkan sempena Hari Belia Negara peringkat Terengganu di bawah kategori pencapaian cemerlang Belia Terengganu Sukan Permotoran di bawah Jabatan Belia dan Sukan Terengganu.

Yang ketiga, Mohamad Armin Zahryl seorang atlet kebangsaan Malaysia yang berasal dari Negeri terengganu mewakili Majlis Sukan Negeri dalam Kejohanan Domestik di Malaysia, termasuk Sukan Malaysia SUKMA. Beliau memenangi pingat emas Sarawak tempoh hari. Pencapaian antarabangsa Mohamad Armin Zahryl tertumpu kepada penyertaannya dalam Kejohanan Olahraga Asia Ke-26 yang berlangsung pada Mei 2025 di Gumi, Korea Selatan dan telah mencatatkan rekod peribadi 13.85 saat yang melayakkan beliau secara rasmi mewakili Malaysia di Kejohanan Sukan SEA Thailand. Untuk sukan SEA di penghujung tahun ini di Thailand, seramai 59 orang atlet Terengganu insya-Allah akan mewakili negara bagi memperagakan aksi terbaik menjulang nama Malaysia di Sukan SEA 2025.

Tour Gateh D’Tranung merupakan program berbasikal yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu melalui kelolaan Majlis Sukan Negeri. Ia merupakan sukan identiti negeri yang telah berlangsung sejak 2022. Kini telah memasuki edisi keempat dan telahpun selesai penganjurannya pada awal bulan ini. Edisi keempat baru-baru ini terdapat 24 pasukan yang telah menyertai. Terdiri daripada gabungan pasukan profesional tempatan, pasukan kelab dan penyertaan antarabangsa dari Singapura, Indonesia, Thailand, Taiwan, Australia, Belanda dan United Kingdom. Malah sebenarnya hasrat beberapa pasukan luar negara masih diterima untuk mereka menyertai oleh pihak urus setia. Walau bagaimanapun penganjuran kejohanan berbasikal ini dihadkan dengan jumlah tertentu. Kita terpaksa menolak hasrat beberapa pasukan luar

negara yang berhasrat untuk menyertai. Tour Gateh D’Tranung 2025 kali ini menampilkan 8 peringkat di seluruh 8 daerah Negeri Terengganu berbanding edisi ketiga tahun lepas. Apa yang memberangsangkan? Sambutan luar biasa oleh peminat-peminat lumba basikal tidak kira yang berada di sepanjang perjalanan dan juga di atas talian, menyambut baik serta memberi sokongan yang tinggi kepada pelumba, sekaligus terhadap penganjuran kejohanan. Malah tidak keterlaluan dinyatakan Tour Gateh D’Tranung berada pada tahap yang kedua selepas Le Tour de Langkawi. Alhamdulillah Tour Gateh D’Tranung mencapai sasaran portfolio untuk menonjolkan Negeri Terengganu sebagai Land of Cyclists.

Majlis Sukan Negeri juga telah menghidupkan Festival Sukan Pantai yang diadakan 8 hingga 11 Oktober di Pantai Teluk Ketapang tempoh hari. Seramai 2,215 orang peserta telah menyertai acara-acara dalam festival ini, 10 acara telah dianjurkan dan dipertandingkan. Ia telah menerima sambutan termasuk dari peserta Thailand, Singapura dan Indonesia dalam penganjuran pada kali ini. Kita juga tidak lupa peranan belia dan beliawanis Terengganu, Karnival Himpunan Belia Terengganu telah diadakan 24 hingga 26 Oktober di Kompleks Sukan Negeri Terengganu. Fokus utama adalah untuk libatkan belia dan belia wanis bersama Kerajaan Negeri Terengganu. Acara yang diatur melibatkan elemen kerohanian, pembangunan diri, keusahawanan dan kemanusiaan selain dalam bentuk santai dan juga hiburan. Alhamdulillah elemen keagamaan dan kerohanian, kemahiran digital AI untuk belia, pembangunan diri, termasuk dalam pembangunan nilai kemanusiaan telah dibangunkan dalam karnival ini.

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri, serta semua Ahli-ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri juga tidak melupakan jasa Dato’ Azizul Hasni Awang, nama yang tidak asing dalam negeri dan seluruh Malaysia, anak Terengganu yang berasal dari Dungun. Istimewa buat Dato’ Azizul Hasni Awang, pihak Kerajaan Negeri Terengganu telah bersetuju menzahirkan tanda terima kasih kepada Dato’ Azizul Hasni dengan penajaan satu dokumentari khas, yang saya tidak isytiharkan lagi namanya, yang akan disiarkan kepada masyarakat umum selepas selesai semua dokumentari ini. Ia juga sebagai satu usaha untuk memberikan motivasi buat atlet-atlet berbasikal dan sukan yang lain di Terengganu agar terus bangkit.

Hasil dari penajaan ini, Kerajaan Negeri akan mendapat kelebihan dari segi penjenamaan dan promosi. Malah apa yang lebih penting adalah usaha

Kerajaan Terengganu dalam menghargai usaha dan jasa atlet negeri yang mengharumkan nama negara Malaysia, khususnya Negeri Terengganu. Dalam usaha pemerkasaan Terengganu sebagai jolokan The Land of Cyclists, kita telah berusaha bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk menjayakan aktiviti-aktiviti berbasikal di Negeri Terengganu. Alhamdulillah, Le Tour de Langkawi yang berlangsung pada 1 Oktober 2025 memilih permulaan di Kuala Terengganu dan berakhir di Kemaman. Kita lanjutkan dengan Tour Gateh D’Tranung kemudian kita juga menganjurkan Terengganu Pushbike Cup, TSG Shimano Fellowship Ride 2025 dan juga yang terbaharu Lingai Jamboree Challenge 2025.

Pada masa yang akan datang pada bulan ini, PDRM Terengganu Monsoon Ride and Run 2025, pada bulan Disember, International Golden Monsoon Ride and Run 2025. Fun Ride yang dianjurkan pelbagai tempat, kita juga menjadi tuan rumah untuk ASEAN Fun Ride Cycling Terengganu 2025. Dengan adanya program-program sebegini, ia secara langsung memberikan kesan positif terhadap ekonomi setempat, dengan kehadiran peserta yang memerlukan penempatan dan perbelanjaan sepanjang berada di Negeri Terengganu. Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Insya-Allah tahun 2026 akan datang, kita akan membangunkan terus program-program yang berteraskan belia, sukan dan NGO yang melibatkan semua pihak. Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Yang Berhormat Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Dato’ Pegawai Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Penasihat Undang-Undang Negeri, Ahli-ahli Yang Berhormat EXCO Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Yang Berhormat semuanya, tidak dilupakan para pegawai kanan, pegawai-pegawai dan semua lapisan kakitangan yang bersatu hati, seia sekata dalam membangunkan negeri ini dalam suasana yang serba mencabar pada hari ini. Saya nukilkan penutup ucapan ini dengan beberapa pantun untuk semua.

Pelita Purnama Di Malam Sunyi Menerangi Jalan Penuh Bererti Terima Kasih Buat Semua Pegawai Berdedikasi Bekerja Gigih Demi Rakyat Dan Negeri

Daun Melati Harum Mewangi Tersimpan Rapi Penuh Erti Kaki Tangan Setia Tiada Henti Terengganu Bahagia Jadi Saksi

Menyemai Harapan Penuh Daya Terima Kasih Yang Amat Berhormat MB Yang Sentiasa Mesra Belia Dan Sukan Semangat Membara Terengganu Maju Berkat Sejahtera.

Sekian

Tepoh Mohon Menyokong.

Yang di-Pertua

Terima Kasih Pada Yang Berhormat Tepoh. Terima Kasih kepada semua Yang Berhormat EXCO, Yang Berhormat Kota Putera, Yang Berhormat Chukai, Yang Berhormat Alur Limbat, Yang Berhormat Tepoh, yang sempat membuat penggulungan pada pagi ini. Saya mohon maaf kerana tidak dapat memberikan masa yang lebih panjang kepada Yang Berhormat-Yang Berhormat EXCO untuk buat penggulungan yang sudah tentu dalam mempernyatakan kegemilangan, kecemerlangan dan kehebatan Kerajaan Negeri dan menjawab semua persoalan-persoalan yang dikemukakan, khususnya Yang Berhormat Kota Putera berkait dengan masalah yang banyak yang ditimbulkan hanya sempat mengulas dalam tempoh 30 minit.

Insya-Allah apa-apa persoalan seterusnya boleh Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan bertanya di luar puloklah. Insya-Allah kita akan sambung penggulungan kita pada petang ini pukul 2.20. Saya cadang untuk kita berhenti awal kerana Zohor pun awal bersiap untuk Zohor dan seterusnya berehat dan 2.20 kita akan mulakan dan kita akan sambung penggulungan yang seterusnya. Insya-Allah. Saya nak merakamkan jutaan terima kasih terhadap kesediaan Pemerhati-pemerhati daripada DUN Jabi seramai 30 orang, SEPAKAT daripada Dewan Muslimat PAS Terengganu, daripada Telemung, daripada Langkap dan khusus kita beri tepukan kepada anak-anak kita daripada Sekolah Rendah Islam Darul Iman Kota Putera, seramai 55 Orang dan juga Maahad Tahfiz Quran Terengganu yang bersedia untuk bersama-sama dengan kita ucap terima kasih kepada guru-guru dan anak-anak sekalian.

Kita sambung pada pukul 2.20 untuk perhatian semua.

MESYUARAT DITANGGUHKAN PADA PUKUL 12.50 TENGAH HARI.

PUKUL 2.30 PETANG

Timbalan Yang di-Pertua

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan, para pemerhati, muslim muslimat sekalian. Mesyuarat disambung semula dengan penggulungan daripada pihak Kerajaan. Seterusnya saya mempersilakan Wakil Wakaf Mempelam untuk membuat penggulungan.

Terima kasih kepada Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, di atas kesempatan untuk membuat penggulungan pada tengah hari, pada petang ini. Yang Amat Berhormat Menteri Besar Terengganu, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Ketua-ketua Jabatan, rakan-rakan media, pemerhati, tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati lagi saya kasihi sekalian.

Pertama, syukur pada Allah Subhanahu Wa Ta’ala di atas kesempatan dan peluang dan ruang pada saya untuk turut serta mengambil bahagian dalam penggulungan Rang Enakmen Perbekalan Tahun 2026 yang telah pun dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar. Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar Terengganu, telahpun membentangkan suatu Bajet Negeri Terengganu 2026. Berdasarkan matlamat jangka sederhana panjang dengan peruntukan sebanyak RM1.938 bilion untuk perbelanjaan mengurus termasuk caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan. Manakala, hasil yang dianggarkan sebanyak RM1.998 bilion yang akan menjadi Bajet 2026 surplus dengan izin sebanyak 3%. Belanjawan 2026 bertemakan “Memacu Potensi Melonjak Prestasi” memfokuskan kepada semua entiti Kerajaan Negeri dalam bergerak lebih pantas dan dinamik, dalam mengembangkan keupayaan bersama.

Seterusnya, meraih pencapaian yang lebih memberangsangkan dan kesejahteraan rakyat yang diutamakan.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Belanjawan Tahun Terengganu 2026 menggariskan keutamaan Negeri melalui 3 fokus. Iaitu yang pertama, memperkemas tadbir urus Kerajaan bagi meningkatkan keberhasilan. Fokus yang kedua, menstrukturkan daya tahan ekonomi bagi memacu pertumbuhan dan fokus yang ketiga, melestarikan keperluan sosial bagi menjamin kesejahteraan inklusif.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, bagi memperkasakan peranan Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri akan memastikan Ahli-ahli Majlis dilatih dan dibimbing secara berterusan melalui Program Peningkatan Kapasiti dan Kepimpinan Tempatan kerana mereka bukan sahaja berperanan dalam membuat keputusan dasar tetapi juga sebagai ejen perubahan sosial di komuniti masing-masing. Ahli-ahli Majlis yang berpengetahuan berintegriti dan dekat dengan rakyat akan menjadi pemangkin kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan dan juga responsif. Ini adalah berkaitan dengan PBT yang merupakan aspek yang cukup penting di dalam Negeri Terengganu.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, selain daripada itu, bagi mengurangkan beban kawal selia, Kerajaan Negeri akan menilai semua proses dan peraturan yang membebankan terutamanya dalam urusan di peringkat PBT. Pendekatan ke arah less regulation, more facilitation dengan izin akan diterapkan. Agar PBT menjadi pemudah cara kepada pembangunan. Penyelarasan perkhidmatan dan prosedur antara semua PBT di seluruh negeri turut diberi perhatian serius dan kita mahu setiap PBT tanpa mengira taraf perbandaran mempunyai standard perkhidmatan yang seragam, cekap dan mesra rakyat. Bagi tujuan ini, Kerajaan Negeri akan memperkukuh mekanisme penyelarasan teknikal perkongsian data serta memperkenalkan garis panduan Standard Operasi yang seragam di seluruh negeri.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, bagi terus memperkukuhkan Perkhidmatan Bandaran PBT, Terengganu kini antara negeri yang terawal yang berjaya menyiapkan Pelan Tindakan Bandar Pintar bagi kesemua tujuh PBT di Negeri Terengganu. Tahniah diucapkan pada Majlis Perbandaran Dungun (MPD) dan Majlis Daerah Marang (MDM) atas kejayaan menerima penarafan Smart

City Early Adopter tahun 2025 iaitu lah pada tahun ini. Pencapaian ini menzahirkan iltizam dan komitmen kesungguhan berterusan Kerajaan Negeri bersama-sama PBT serta komuniti dalam menggerakkan agenda Bandar Pintar dengan pendekatan yang lebih bersepadu berpaksikan rakyat dan selaras dengan aspirasi Smart Terengganu 2040. Insya-Allah. Hulu Terengganu, Besut dan Setiu yang juga telah pun menghantar pelan tindakan masing-masing, juga bakal menerima Smart City Early Adopter pada tahun hadapan insya-Allah. Selain daripada itu, PBT sentiasa berusaha untuk memberikan perkhidmatan dan pembangunan yang terbaik kepada komuniti. Perkara ini dapat dilihat melalui penilaian jaringan penunjuk pembangunan mampan bandar luar bandar Malaysia Murni Nets tahun 2025 di mana kesemua PBT Negeri Terengganu mencapai indeks status mampan dengan pencapaian markah 90% ke atas. Tahniah diucapkan pada semua PBT Negeri Terengganu. Dalam usaha untuk menambah baik perkhidmatan PBT, PBT sentiasa membuat inovasi terhadap perkhidmatan yang digunakan. Yang terbaru, tahniah diucapkan kepada Majlis Perbandaran Dungun (MPD) kerana berjaya meraih Anugerah Emas dalam International Convention on Quality Control Circus 2025 dengan izin edisi Jubli Emas ke-50 yang berlangsung di Taipei International Convention Center Taiwan (TICC) baru-baru ini. Semoga kejayaan ini akan dapat menjadi pemangkin dan semangat kepada semua PBT, agar sentiasa memperkasakan perkhidmatan yang diberikan melalui inovasi-inovasi yang bakal memberikan kemudahan kepada rakyat.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Kerajaan Negeri juga telah menyatakan pendirian secara rasmi untuk mengguna pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pemeriksaan Awam 2007 ataupun Akta 672 kepada Kerajaan Persekutuan pada Mei 2025 yang lalu. Sebelum pemakaian Akta ini berkuatkuasa, beberapa proses perlu dilalui yang melibatkan due diligence kos dan skop kontrak Pemeriksaan Awam dan Kutipan Sisa Pepejal sedia ada, termasuk keperluan sumber manusia. Proses ini akan disegerakan sebaik sahaja Kabinet meluluskan kertas dasar pemakaian Akta 672 di Terengganu yang akan dikemukakan oleh KPKT insya-Allah selewat-lewatnya pada penghujung tahun ini. Pemakaian Akta 672 ini dijangka insya-Allah akan meningkatkan kualiti pengurusan kebersihan dan Kutipan Sisa Pepejal di Negeri ini demi memastikan tahap kebersihan dan keceriaan di negeri Terengganu sentiasa berada pada tahap terbaik untuk kesejahteraan dan keselesaan rakyat negeri. Pemakaian Akta 672 ini juga akan meringankan beban Kewangan Kerajaan Negeri dalam menampung kos operasi kebersihan yang sentiasa meningkat saban tahun. Di

samping itu, peningkatan ekonomi rakyat juga turut berlaku apabila pemakaian Akta 672 ini akan menambahkan peluang pekerjaan melalui penambahbaikan Sistem Pengurusan Sisa Pepejal yang sedia ada.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, bagi merancakkan pembangunan dan perumahan, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh kerjasama awam swasta memperbaharui dasar dan prosedur serta menggalakkan permintaan dalam pasaran pembangunan perumahan.

Kerajaan Negeri telahpun memperkenalkan dasar pembangunan rumah mampu milik secara penswastaan Negeri Terengganu pada 27 Ogos 2025 yang lalu. Sebagai kesinambungan kepada dasar terdahulu bagi memastikan akses kepada perumahan yang berkualiti, mampan dan inklusif dapat dinikmati oleh seluruh rakyat negeri. Salah satu penambahbaikan utama dasar ini ialah pelaksanaan Element Green Lane dengan izin iaitu keutamaan yang diberikan kepada permohonan Pelan Kebenaran Merancang dan Pelan Pembangunan di bawah Jabatan Pusat Setempat OSC bagi projek-projek rumah mampu milik yang memenuhi kriteria tertentu. Langkah ini bukan sahaja mempercepatkan proses kelulusan dan penyelaksanaan projek malah memperkukuh keberkesanan penyampaian perkhidmatan di peringkat pihak berkuasa tempatan serta meningkatkan keyakinan pelabur dan pemaju kepada ekosistem perumahan negeri.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar telah menyebut bahawa sebanyak 3,125 unit rumah disiapkan sejak tahun 2018, 9,134 unit rumah dalam pembinaan dan 3,438 unit rumah dalam perancangan. Oleh itu, saya mengambil peluang di sini dengan mengumumkan, insya-Allah pada tahun 2026 sebanyak 966 unit di seluruh Negeri Terengganu akan disiapkan, melibatkan pembangunan di Marang, Kuala Nerus, Setiu, Kuala Terengganu dan juga di Besut.

Belanjawan Negeri Terengganu 2026 juga turut menyentuh aspek kesihatan bagi menjamin produktiviti dan kualiti hidup. Berdasarkan tinjauan kesihatan dan mobiliti kebangsaan tahun 2023 telah menunjukkan trend penyakit yang sangat membimbangkan. Hampir seorang daripada enam orang dewasa di Malaysia menghidap diabetes. Lebih daripada tiga daripada sepuluh orang dewasa mengalami tekanan darah tinggi dan lebih separuh rakyat Malaysia mempunyai berat badan yang berlebihan atau obes dan sekitar 20% orang dewasa masih merokok. Perkara ini adalah berpunca daripada gaya hidup yang tidak aktif, kurang pengambilan sayur dan buah serta kurangnya pengambilan

air kosong. Bekang antara makanan sihat ye. [Sambil ketawa]. Obesiti akan meningkatkan risiko untuk penyakit diabetes, darah tinggi, strok dan pelbagai penyakit tidak berjangkit yang lain. Angka-angka yang dipaparkan sebelum daripada ini memberikan gambaran yang jelas bahawa penyakit tidak berjangkit bukan lagi isu individu tetapi ia adalah merupakan isu masyarakat.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, pelbagai isu telah pun dibangkitkan ketika sesi perbahasan oleh Yang Berhormat-Yang Berhormat. Oleh itu izinkan saya menjawab serba sedikit isu-isu yang telah pun dibangkitkan itu. Yang pertamanya, ADUN Bandar yang membangkitkan tentang isu Pasar Chabang 3. Cadangan untuk dijadikan juga tarikan pelancong. Untuk maklumat ADUN Bandar, berkenaan dengan jalan yang dikatakan sukar untuk dimasuki oleh kenderaan-kenderaan besar. Untuk makluman Yang Berhormat Bandar, reka bentuk jalan sedia ada tidak dioptimumkan untuk menampung pergerakan kenderaan pelancongan bersaiz besar seperti bas. Namun begitu, Kerajaan Negeri melalui MBKT akan mempertimbangkan dan membuat kajian seperti berikut -:

1. Kajian semula hierarki jalan dan akses utama. Adakah laluan yang sedia ada sesuai untuk kenderaan berat tanpa menjejaskan keselamatan pengguna lain serta keselesaan peniaga dan juga pengunjung. 2. Cadangan naik taraf atau pelebaran laluan masuk agar bas pelancong juga dapat masuk terus ke kawasan pasar tanpa mengganggu aliran trafik setempat.

3. Penyediaan zon khas atau hentian bas pelancong seperti drop-off point dengan izin yang berdekatan dengan pasar bagi menggalakkan kemasukan pelancong tanpa menjejaskan operasi pasar dan akhir-akhir ini Pasar Chabang 3 juga, telah pun beroperasi sehingga jam 10 ataupun 11 malam.

Perancangan bersepadu dengan agensi dan pihak MBKT supaya Pasar Chabang 3 dapat dipromosikan juga sebagai salah satu daripada destinasi pelancongan tempatan dengan sokongan infrastruktur yang sesuai.

Seterusnya, ADUN Pengkalan Berangan juga menyentuh tentang isu Hospital Marang. Untuk maklumat Yang Berhormat, pembinaan Hospital Marang berada dalam perancangan jangka masa panjang. Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dalam RMK-14 RP 5. Lima tahun lagilah, sebagai salah satu inisiatif

strategik bagi meningkatkan kapasiti sistem perkhidmatan perubatan di Negeri Terengganu dan sememangnya Hospital Marang ini sangat penting sebenarnya dan perlu diberikan keutamaan kerana ia juga adalah merupakan di antara alternatif ataupun penyelesaian kepada masalah kesesakan yang berlaku di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu sekarang ini. Hospital Marang merupakan antara projek pembangunan yang perlu diberikan keutamaan dalam perancangan fasiliti kesihatan di bawah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dan keutamaan ini berpaksikan kepada keperluan yang perlu diberi perhatian untuk mengurangkan isu kepadatan pesakit dan kesesakan perkhidmatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah seperti mana yang saya nyatakan sebentar tadi.

Yang seterusnya, ADUN Buluh Gading. ADUN Buluh Gading menyentuh tentang projek Program Perumahan Residensi Rakyat ataupun PRR Jeram, Kuala Terengganu. Untuk makluman Yang Berhormat, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah pun meluluskan Program Residensi Rakyat Jeram, Kuala Terengganu dalam Perancangan Malaysia ke-12 iaitu status semasa di mana pihak KPKT sedang dalam proses penilaian tender bagi tujuan lantikan kontraktor. Iklan pra-kelayakan kontraktor telah pun dibuat pada 28 Ogos yang lalu. Taklimat tender kepada kontraktor yang berjaya akan dibuat melalui tapisan pra-kelayakan yang akan dibuat pada minggu keempat di bulan November iaitu di akhir bulan ini. Surat setuju terima SST pada kontraktor yang berjaya dijangka pada bulan Mei 2026 dan pihak KPKT memaklumkan kerja-kerja ditapak dijangka akan dilakukan oleh pemaju pada bulan Mei 2026. Program (PRR) Jeram, Kuala Terengganu, komponen pembangunan yang melibatkan 150 unit rumah pangsa yang berkeluasan 750 kaki persegi termasuk 2 unit untuk OKU, dewan komuniti, kedai dan gerai, lanskap dan kawasan lapang dan pelbagai lagi yang melengkapkan Program PRR seperti mana yang model yang berlaku di PRR di Bukit Nenas.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, ADUN Jertih dan juga ADUN Ladang juga menyentuh tentang menyuarakan kebimbangan tentang isu-isu yang berkaitan dengan hiburan dan yang seumpama dengannya sama ada dalam persembahan-persembahan konsert yang berlaku dalam Negeri Terengganu, begitulah juga dengan pusat-pusat karaoke, keluarga dan sebagainya yang ada di Terengganu dan dikaitkan dengan kebimbangan berkenaan dengan wabak ataupun isu sosial dan sebagainya. Insya-Allah portfolio Kerajaan Tempatan bersama-sama dengan portfolio Pelaksanaan Syariah telah pun bekerjasama dalam beberapa mesyuarat sebelum daripada ini untuk memperketatkan lagi

beberapa syarat-syarat dan juga beberapa perkara yang perlu dipatuhi oleh setiap mereka yang diberi lesen untuk menganjurkan sama ada persembahan termasuklah kedai-kedai karaoke keluarga dan sebagainya.

Syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh mereka dan sekiranya syarat-syarat itu tidak dipatuhi, maka Kerajaan boleh mengambil tindakan dalam kadar yang seberapa segera untuk menghentikan persembahan-persembahan ataupun penganjuran-penganjuran yang diadakan bila mana berlawanan dengan syarat yang diberikan dan insya-Allah syarat-syarat ini akan menjadi keutamaan kepada pihak PBT untuk ditekankan kepada pelesen-pelesen yang memohon lesen untuk menganjurkan apa sahaja perkara yang berkaitan dengan hiburan dan sebagainya lagi.

ADUN Ladang juga menyebut tentang isu pelancongan, akan disentuh oleh sahabat saya, cuma saya memang saya maksudkan sungguh tu bila Yang Berhormat sebut Jalan Bukit Besar tu, Jalan Pasir Panjang tu dikaitkan dengan Nasi Lemak. Nasi Lemak ni saya pun, adakah Nasi Lemak ini juga ada kaitan dengan fenomena penyakit-penyakit yang ada sekarang ini ataupun tidak? Yang itu kita perlu kaji juga lah. Tapi satu lagi makanan Yang Berhormat yang cukup, yang cukup menarik ialah bekang ye, Yang Berhormat ye. Bekang ini memang tempat dia di Bukit Besar, di Jalan Pasir Panjang dan Bekang di situ adalah Bekang yang tersedap di dunia untuk makluman Yang Berhormat. Saya boleh sahkan, ha begitu. Jadi sangat sayang mereka-mereka yang tidak mengetahui tentang maklumat ini. Jadi boleh diketengahkan dan di DUN Ladang sebenarnya spesial Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua. Bukan sahaja DUN Ladang ini mempunyai bekang yang tersedap di dunia, dia juga mempunyai satu lagi makanan tradisional orang Terengganu. Loklik. Loklik tersedap di dunia juga berasal di Ladang juga. Haaa, di Ladang. Jadi dua yang bertaraf dunia berada di DUN Ladang. Boleh diketengahkan oleh pelancongan, insya-Allah.

Seterusnya, Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, ADUN Sura membangkitkan tentang isu perumahan rakyat di kawasan Sura. Pada 19 Oktober yang lalu telah diadakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Rumah Mampu Milik yang bercampur di Bukit Tebuk, Dungun Terengganu. Status semasa bagi pembangunan projek ini adalah, pemaju telah pun melakukan kerja-kerja awalan di tapak, iaitulah clearing site dan earthworks dan kerja-kerja tanah di tapak projek.

Yang seterusnya yang kedua, ADUN Sura juga menyentuh tentang Pasar Besar Dungun, ya Pasar Besar Dungun. Untuk makluman Pasar Besar Dungun ini telah dibina pada tahun 1980. Lama dah. Pasar Besar Dungun ini mampu menempatkan keseluruhan 375 orang yang terdiri daripada 239 peniaga bangku dan 136 ruang niaga bilik berkunci. Ada tiga kekosongan di ruang niaga berkunci dan akan dipertimbangkan permohonannya oleh Majlis Perbandaran Dungun. Insya-Allah, Majlis Perbandaran Dungun dan Unit Perancangan Ekonomi (UPEN) akan meneliti dengan terperinci senarai projek keutamaan negeri untuk diangkat ke RMK. Dan saya juga sebenarnya melihat bahawa Pasar Dungun ini adalah antara pasar yang boleh diberikan keutamaan untuk ditambah baik supaya menjadi pasar yang jauh lebih ceria dan juga pasar yang orang kata yang boleh juga menjadi ikon pelancongan di Negeri Terengganu, terutamanya di kawasan ataupun di daerah Dungun.

Seterusnya, Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, juga oh silap eh, ADUN Seberang Takir juga menyentuh tentang pengenaan cukai taksiran secara bersasar berkenaan dengan cukai pintu rumah ni. ADUN Seberang Takir ada menyebut tentang ini dan dia juga menyentuh mengaitkan dengan untuk mengikuti satu contoh yang dilakukan. Dan saya suka menyatakan bahawa berkenaan dengan cukai pintu ini, yang pertama sekali ini adalah merupakan diantara janji yang telahpun dijanjikan oleh kerajaan yang ada sekarang ini dan kita berpegang dengan apa yang telah disabdakan oleh Baginda Nabi .

“Seorang muslim itu terikat dengan janji-janji yang telahpun dijanjikan.”

Jadi kita dah berjanji, kita tunaikan janji dan kita tidak akan mencontohi sesiapapun yang tidak menunaikan janji walau siapapun mereka. Dok kira siapalah kalau dia jenis tak tunai janji kita tidak akan ikut. Kita ikut hok comel-comel je. Hok buruk-buruk tu kita buang jauh ke Laut Cina Selatan. Pun begitu, untuk isu-isu berkaitan dengan cukai taksiran secara bersasar. Ini seperti yang juga telah saya nyatakan pada sidang yang lepas. Kerajaan melakukan kajian bagaimana mahu dikenakan kepada secara bersasar. Secara bersasar itu macam mana? Kategori yang macam mana? Melibatkan rakyat yang seperti apa? Pendapatan bagaimana dan sebagainya? Rumah yang macam mana? Jadi itu boleh dilakukan kajian. Namun, untuk asasnya kita tetap berpegang dengan janji yang telahpun kita janji sebelum daripada 2018 lagi Insya-Allah.

Berkenaan dengan cas penginapan dalam memastikan kebanjiran pelancong di Negeri Terengganu memberikan manfaat yang optimum kepada rakyat negeri, Kerajaan Negeri bercadang memperkenalkan cas penginapan di premis penginapan di Negeri Terengganu supaya hasil yang bakal diperolehi boleh digunakan untuk menampung kos penyelenggaraan atau naik taraf industri pelancongan dan kos penganjuran program pelancongan bagi memastikan kesinambungan kebanjiran pelancong di Negeri Terengganu. Selain memastikan kemandirian, sektor perhotelan yang akan berterusan mencipta peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini. Kehadiran pelancong ini akan merangsang aliran tunai ke negeri ini bagi merancakkan kegiatan ekonomi rakyat. Pada masa sekarang, Kerajaan Negeri masih dalam proses meneliti enakmen yang berkaitan sebelum pengenaan cas ini boleh dikuatkuasakan tanpa menyebabkan sebarang implikasi perundangan kepada Kerajaan Negeri. Pengenaan cas ini bukanlah perkara baru memandangkan cas seumpamanya telah dikenakan oleh penginap premis penginapan di Perak, Melaka dan juga di Pahang.

Seterusnya, sahabat saya ADUN Telemong telah membangkitkan isu perumahan di Telemong. Suka saya nyatakan bahawa satu cadangan tapak RMM bagi kawasan Hulu Telemong yang telahpun diangkat oleh Pejabat Daerah Tanah Hulu Terengganu iaitulah di Kampung Teris yang melibatkan tanah yang keluasan 5.5 hektar yang melibatkan pembinaan sebanyak 100 unit di bawah PPK ataupun Projek Pemajuan Kawasan di bawah Kementerian Desa dan juga Wilayah. Insya-Allah, pihak Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah akan membuat lawatan tapak pada 24 November 2025 ini bagi membuat penilaian kebolehsanaan projek. Mungkin Yang Berhormat boleh ikut serta sediakan ikan baung sedap-sedap sikit mana tahu boleh menarik perhatian mereka. Insya-Allah.

Mohd Zawawi bin IsmailBERSATU · PNTelemung

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, boleh saya tanya sikit?

Timbalan Yang di-Pertua

Sila-sila.

Mohd Zawawi bin IsmailBERSATU · PNTelemung

Wakil Wakaf Mempelam.

Timbalan Yang di-Pertua

Wakil Kerajaan duduk beri laluan, sila.

Mohd Zawawi bin IsmailBERSATU · PNTelemung

Saya nak tanya soalan mudah je. Gigi sakit baik dok gi?

Baik doh Yang Berhormat, alhamdulillah sari jer ..

Mohd Zawawi bin IsmailBERSATU · PNTelemung

Baik doh alhamdulillah terima kasih.

Ingat ke nok tanya. Gigi baik doh. Doktor kata 3 hari tapi saya kata sari sudoh dohla hari ni boleh makan doh. Seterusnya, ADUN Air Putih juga membangkitkan isu berkenaan dengan isu rumah mampu milik. Kerajaan Negeri telahpun menerima satu cadangan daripada pihak ADUN Air Putih berkenaan dengan satu tapak tanah yang sesuai untuk dibuat projek perumahan dan surat itu atau kawasan itu baru sahaja disampaikan oleh beliau kepada saya dan Insya-Allah, saya akan majukan kepada pihak SUK Perumahan untuk kita buat kajian tentang kebolehsanaan projek di tapak berkenaan. Sementara itu data pembangunan perumahan yang sedia ada adalah seperti yang berikut iaitulah Projek Pemajuan Kawasan PPK Air Putih Kemaman juga di bawah Agensi Kementerian Desa Dan Wilayah melalui KETENGAH yang berkeluasan 41.24 ekar yang melibatkan 200 unit yang sedang dalam pelaksanaan sekarang ini dan saya rasa tak lama dah nak siap ni sebab status masa ini adalah sebanyak 94.31%. Haaa dok banyok doh.

Seterusnya, ADUN Batu Rakit menyebut tentang juga isu perumahan di kawasan beliau khususnya di kawasan Kuala Nerus dan untuk maklumat Yang Berhormat Projek Residensi Rakyat PRR Pecah Rotan Kuala Nerus yang melibatkan tanah seluas 14.98 ekar yang juga melibatkan RMMA 150 unit baru diangkat untuk RMK yang ke-13, kita doakan agar projek ini dipermudahkan untuk diterima untuk pelaksanaan di kawasan Kuala Nerus.

ADUN Batu Rakit juga menyentuh tentang pelaksanaan kad sejahtera atas dasar keprihatinan terhadap kebajikan dan kesihatan rakyat. Kerajaan Negeri tetap komited meneruskan pelaksanaan Program Kad Sejahtera Fasa yang ke-5

bagi memastikan kesinambungan program ini, pihak MAIDAM telah menyalurkan RM500 ribu bagi tempoh 6 bulan dan pihak Kerajaan Negeri akan menampung RM500 ribu lagi untuk keperluan tuntutan dan pengurusan program dengan jumlah peruntukan keseluruhan adalah sebanyak RM1 juta ringgit daripada jumlah tersebut, seramai 4,224 penerima telah disaring dan dipilih untuk menikmati faedah perubatan bernilai RM200 ringgit seorang dalam tempoh 6 bulan bermula 1 Oktober 2025 hingga 31 Mac 2026 dan kemudiannya disambung RM200 ringgit lagi dalam tempoh 6 bulan selepas daripada itu. Proses saringan penerima bagi Program Kad Sejahtera Fasa 5 ini dilaksanakan berdasarkan dengan senarai nama asnaf yang telah berdaftar dengan MAIDAM bagi memastikan faedah program ini benar-benar disalurkan kepada golongan yang layak dan memerlukan dan untuk makluman Dewan, setakat pelaksanaan Fasa 1, 2, 3 dan 4, ianya telah memberi manfaat kepada seramai 75,620 orang pesakit yang melibatkan amaun berjumlah RM15,852,622.41. Alhamdulillah.

Seterusnya, ADUN Hulu Besut juga membangkitkan tentang isu perumahan berkenaan dengan status terkini Projek Perumahan Penswastaan Pasir Akar, Besut. Untuk makluman Yang Berhormat, pihak pemaju masih menjalankan kerja-kerja pembinaan bangunan dan infrastruktur dan status kemajuan projek adalah 27% dan penawaran unit rumah adalah RMM Jenis A sebanyak 68 unit dan Jenis B sebanyak 280 unit. Ketika ini, pihak memaju di dalam proses menguruskan proses pembiayaan daripada pihak bank bagi pembeli-pembeli yang layak. Selain daripada itu, bagi melancarkan proses pembiayaan daripada bank-bank komersial, Kerajaan Negeri turut bekerjasama dengan pihak syarikat jaminan kredit perumahan iaitulah sebuah anak syarikat di bawah Kementerian Kewangan Malaysia terutamanya daripada aspek penyediaan jaminan kepada pembiayaan bagi pembeli yang tidak mempunyai dokumen-dokumen sokongan seperti slip gaji, sijil SSM dan lain-lain dokumen yang berkaitan.

ADUN Hulu Besut juga menyuarakan tentang isu lima buah keluarga yang tinggal dalam satu rumah yang kebetulan ketika menghadiri satu program di Hulu Besut, saya telah dibawa untuk juga melihat keadaan rumah dan juga keluarga tersebut dan memang saya dapati rumah tersebut berada dalam keadaan yang begitu uzur. Bagaimana sebuah rumah yang sangat kecil didiami oleh lima keluarga yang melibatkan lebih daripada 17 orang individu yang sudah tentu sebuah rumah yang cukup tidak sesuai dan saya telah menyatakan komitmen kerajaan untuk membantu dan alhamdulillah, bilamana saya minta pihak Pejabat Majlis Daerah Besut untuk membuat penilaian tentang banyak

mana kos yang diperlukan dan mereka telah pun menghantar surat berkenaan dengan kos yang diperlukan beberapa hari yang lepas dan saya telah berbincang dengan Yang Berhormat Pegawai Kewangan Negeri dan juga Yang Berbahagia Dato’ Pengarah UPEN dan alhamdulillah, perkara itu telah pun diselesaikan. Baru tadi saya dapat maklumat daripada DO, daripada Pengarah UPEN dan juga daripada Pegawai Kewangan Negeri yang menyatakan perkara itu. Permohonan itu telah lulus dan insya-Allah sebelum masuk 2026, rumah itu akan siap, insya-Allah dan boleh diduduki oleh keluarga berkenaan.

Seterusnya yang terakhir doh ni, ADUN Bukit Tunggal menyentuh tentang isu elaun Ahli Majlis PBT. Kerajaan Negeri, insya-Allah akan memastikan elaun Ahli Majlis ditambah baik memandangkan kali terakhir kadar elaun ini diperbaharui adalah pada 2015. Insya-Allah kita mengharapkan agar sebelum berakhirnya tahun ini, ada berita gembira untuk Ahli-ahli Majlis PBT.

Berkenaan dengan isu bot rentas sempadan membawa pelancong menaiki bot daripada jeti Tok Bali, Kelantan ke Pulau Perhentian, perbincangan antara Pejabat Setiausaha Kerajaan (Bahagian Kerajaan Tempatan), Majlis Daerah Besut dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia telah pun dibuat pada Oktober yang lepas dalam mengenal pasti mekanisma terbaik dalam menangani ataupun mengatasi isu pelancong dari Tok Bali ke Pulau Perhentian di bawah Akta Perkapalan Saudagar 1952. Isu ini dipandang serius oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan tiada ketirisan hasil berlaku terutamanya melibatkan cas jeti yang sepatutnya menjadi hasil Majlis Daerah Besut dalam memastikan kos kebersihan dan penyelenggaraan di Pulau Perhentian boleh ditampung.

Seterusnya, akhirnya Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, kita bukan sahaja menguruskan sumber tetapi mengurus masa depan. Kita bukan sekadar melakar angka di atas kertas tetapi menulis sejarah kemajuan di negeri ini. Sejarah yang akan dikenang sebagai era keemasan kebangkitan Terengganu dalam dekad baharu pembangunan negeri ini. “Memacu Potensi, Melonjak Prestasi, Mendepani Urbanisasi, Melestari Komuniti” akan menjadi slogan utama portfolio Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan dalam memacu pembangunan di Negeri Terengganu ke arah “Maju, Berkat dan Sejahtera”. Wakaf Mempelam mohon menyokong Belanjawan 2025. Sekian,

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih kepada Wakil Wakaf Mempelam yang telah membuat penggulungan dengan panjang lebar, seterusnya saya persilakan Wakil Yang Berhormat Batu Buruk.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Yang Berusaha Ketua-ketua Jabatan dan agensi, para pegawai dan kakitangan Kerajaan Negeri, semua tetamu, petugas media dan pemerhati yang dirahmati Allah Subhanahu Wa Ta'ala sekalian. Saya mulakan ucapan pada petang yang berbahagia ini dengan memetik firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala:

“Dan sesiapa yang berpaling, ingkar dari ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit.”

(Surah Taha Ayat 124)

Terlebih dahulu saya ingin merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala kerana dengan limpah dan kurnia-Nya kita dapat bersama-sama berada di Dewan Yang Mulia ini. Setelah kita mendengar Ucapan Belanjawan yang telah disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar dan sekarang ini kita tiba pada sesi penggulungan yang telah disempurnakan oleh sebahagian rakan-rakan Ahli-ahli MMKN sebelum daripada saya.

Terima kasih kepada Dato’ Yang di-Pertua, terima kasih kepada Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua kerana memberikan ruang ini dan sebagaimana rakan-rakan sebelum daripada saya, ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan tahniah dan perhargaan kepada Yang Berhormat Dato’ Seri

Ir. Dr. Ahmad Samsuri Bin Mokhtar, Menteri Besar Negeri Terengganu serta seluruh pasukan yang telah bekerja keras menyediakan Belanjawan Negeri Terengganu 2026 yang begitu menyeluruh, realistik dan berpaksikan kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negeri yang kita cintai ini. Belanjawan pada tahun ini bertemakan “Memacu Potensi, Melonjak Prestasi”. Belanjawan kali ini menumpukan kepada tiga fokus utama:-

Pertama: Memperkemas Tadbir Urus Kerajaan bagi meningkatkan keberhasilan dengan sistem pentadbiran yang cekap, telus dan berintegriti.

Kedua: Menstruktur Daya Tahan Ekonomi untuk memacu pertumbuhan melalui pengukuhan sektor strategik seperti pertanian, industri halal, pelancongan islamik dan pembangunan belia.

Ketiga: Melestarikan Keperluan Sosial untuk kesejahteraan inklusif dengan menekankan keseimbangan rohani, moral dan sosial masyarakat termasuk pemerkasaan syariah dan gerakan dakwah yang memperkukuh jati diri ummah.

Keseluruhan fokus ini sejajar dengan usaha Kerajaan Negeri menjadikan Negeri Terengganu sebagai sebuah negeri “Maju, Berkat dan Sejahtera”. Saban tahun, Ucapan Belanjawan adalah satu ucapan yang ditunggu-tunggukan oleh rakyat kerana ia adalah dasar dan polisi kepada Kerajaan Negeri khususnya untuk menempuhi tahun yang berikutnya sama ada dalam perkara yang berkait dengan agama, dakwah, pelancongan, pelaburan, pendidikan, dan lain-lain lagi. Dalam konteks Portfolio Penerangan Dakwah dan Pemerkasaan Syariah menekankan bahawa kemajuan negeri tidak diukur semata-mata melalui pembangunan fizikal tetapi juga melalui pembinaan akhlak, moral, dan kesejahteraan spiritual rakyat. Dalam konteks ini, beberapa inisiatif utama yang terkandung dalam ucapan Belanjawan 2026 amat bertepatan bagi memastikan Terengganu bukan sahaja maju tetapi akan terus mengekalkan kedudukan Terengganu sebagai negeri paling bahagia di negara ini melalui keseimbangan dunia, melalui keseimbangan hidup duniawi dan ukhrawi.

Saya percaya ramai Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah menyebut berkenaan dengan Terengganu dinobatkan sebagai sebuah negeri yang paling bahagia. Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala dengan nikmat tersebut. Namun begitu, kita tidak boleh sedak duduk. Kita mestilah

sentiasa bermuhasabah kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Kita juga mestilah menjadi contoh dan teladan. Alhamdulillah, dalam konteks negara kita di atas semangat dan prinsip Islam yang sentiasa menjadi keutamaan kepada Kerajaan Negeri. Itulah rahsia sebenar Terengganu dinobatkan sebagai sebuah negeri yang paling bahagia, bukan sahaja diukur dari sudut kemajuan pembangunan fizikal tetapi juga diukur dari sudut rohani program-program keagamaan, rohani dan seumpamanya termasuklah juga pembinaan keluarga, masyarakat secara umumnya.

Inisiatif seperti Kempen Kesedaran Jenayah Sivil dan Syariah akan memberi kefahaman kepada rakyat mengenai undang-undang serta tanggungjawab mereka agar masyarakat lebih peka terhadap hukum dan terhindar daripada perkara yang membawa mudarat. Selain itu, penggubalan Enakmen Berkait Kesalahan Jenayah Syariah Dalam Talian yang dipertingkatkan juga akan membolehkan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara efektif. Di samping itu, penubuhan yang Jawatankuasa Pematuhan Garis Panduan Syariah Negeri Terengganu akan memastikan setiap aktiviti, program dan Dasar Kerajaan Negeri selaras dengan prinsip syariah dan nilai Islam bagi membina masyarakat yang berdisiplin, berakhlak mulia dan sejahtera. Kesemua usaha ini dijalankan secara bersepadu bersama agensi-agensi kerajaan yang terlibat.

Tadi alhamdulillah, Yang Berhormat Wakaf Mempelam telah menyentuh sedikit sebanyak berkait dengan kerjasama ataupun libat urus antara kedua-dua Portfolio ini bagi kita memastikan agenda syiar Islam dilaksanakan dengan sebaik mungkin di Negeri Terengganu ini. Bukan sahaja di bawah Portfolio yang berkait dengan agama, bahkan juga di bawah Portfolio yang berkait dengan PBT khususnya yang berkait dengan penguatkuasaan dan seumpamanya. Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua…

Lsr. Haji Zaharudin bin ZahidPAS · PNBukit Tunggal

Minta penjelasan sikit Yang Berhormat.

Timbalan Yang di-Pertua

Sila.

Lsr. Haji Zaharudin bin ZahidPAS · PNBukit Tunggal

Terima Kasih Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua. Apabila disebut tentang kerjasama dengan PBT tadi kita difahamkan ada sebahagian daripada fatwa-fatwa yang belum diwartakan yang menyebabkan sebahagian perkara tersebut

PBT tidak boleh ambil tindakan. Jadi mohon penjelasan daripada Yang Berhormat. Terima Kasih.

Terima Kasih Yang Berhormat Bukit Tunggal. Itu di antara item yang menjadi keutamaan kita untuk diselaraskan kerana apa yang berlaku sebagai satu contoh, kita Kerajaan Negeri telah mengeluarkan garis panduan. Garis panduan ini orang nak ikut, orang tak nak ikut, tak ada masalah. Jadi untuk memastikan garis panduan itu mempunyai kuasa, maka perlu ada di sana punca kuasa. Antaranya ialah fatwa-fatwa hendaklah diwartakan terlebih dahulu kemudian seterusnya akan diambil proses yang berikutnya. Insya-Allah kita akan bergerak selangkah demi selangkah demi memperkasakan kehidupan bersyariah di Negeri Terengganu ini mengikut landasan Islam dan bersama-sama dengan Portfolio-portfolio yang lain untuk diperkasakan dengan mengikut lunas undang-undang dalam negeri dan negara kita.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, seterusnya saya ingin menyentuh beberapa isu dan juga persoalan yang ditimbulkan oleh Yang Berhormat-Yang Berhormat. Sebahagiannya telah dijawab oleh rakan-rakan daripada Ahli-ahli MMKN sebelum daripada saya khususnya yang berkait dengan infrastruktur yang telah dijawab oleh Yang Berhormat Cukai yang berkait dengan PBT juga telah disentuh oleh Yang Berhormat Wakaf Mempelam sebentar tadi.

Seterusnya ialah saya ingin merakamkan penghargaan kepada Yang Berhormat ADUN Ladang atas pandangan dan cadangan yang dikemukakan mengenai aktiviti hiburan di Negeri Terengganu. Memang aktiviti hiburan ini adalah satu aktiviti yang orang suka sebab apa? Sebab hiburan ini adalah satu fitrah. Allah Taala jadikan manusia ini mempunyai fitrah-fitrah semula jadi. Kalau ikan fitrahnya dalam air, lembu fitrahnya atas darat, manusia ini ada fitrah-fitrah yang Allah Ta’ala kurniakan. Oleh kerana itulah agama Islam yang diturunkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala ke atas Nabi kita Muhammad salah satu ciri utamanya, ia adalah satu agama fitrah, agama yang sesuai dengan fitrah semula jadi manusia. Justeru berkait dengan hiburan ini ia adalah satu fitrah yang manusia suka kerana itulah Islam tidak menghalang hiburan tetapi Islam memandu manusia bagaimana cara untuk berhibur mengikut lunas-lunas syara’ dan supaya ianya tidak lari daripada fitrah kejadian manusia kerana itulah kita sentiasa berhati-hati kerana pihak-pihak di luar sana sentiasa memandang kita di Negeri Terengganu ini. Silap sikit saja mereka akan hentam kita khususnya

mereka nak memberi satu persepsi, membawa satu naratif bahawa Negeri Terengganu ini ditadbir oleh sebuah kerajaan, yang diurus oleh sebuah parti yang ekstrim, yang melampau, berkait dengan hiburan ini semua benda tak boleh belaka. Jadi kita tidak begitu kerana itulah sebagai sebuah Kerajaan Negeri…

Timbalan Yang di-Pertua, mohon mencelah.

Timbalan Yang di-Pertua

Batu Buruk beri laluan ye.

Terima kasih Batu Buruk. Berkaitan dengan hiburan sesuai dengan slogan kita Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera, bahkan disebut tadi dalam Islam ada hiburan tuan-tuan sekalian sebagaimana kita ada Surah As-Syu’ara, penghibur, penyair yang diturunkan kerana kisah Al-Nadr bin Al-Harith seorang penghibur jahiliah di Mekah yang berlawan dengan penghibur Islam, Hassan bin Thabib. Jadi merujuk pada isu-isu hiburan di negeri kita, kita ada enakmen kalau hiburan. Tetapi saya rasa perlu diperketatkan dan dibuat kajian. Apakah bentuk hiburan yang patuh syariah, yang tak patuh syariah. Baru ini saya menonton satu filem yang ditaja saya lihat ada dalam belakang tu, ada ditaja oleh Kerajaan Negeri Terengganu. Tiga Hajat yang dilakonkan oleh ramai pelakon-pelakon Terengganu termasuk Pengarah pun daripada Terengganu, apabila saya mendengar lagu diulang-ulang lagu Ulek Mayang, di mana Timbalan Yang di-Pertua, lagu Ulek Mayang ini ada kaitan dengan budaya animisme orang-orang Terengganu zaman dahulu daripada Pesta Puja Pantai. Saya harap apabila kita nak taja sesuatu filem, pastikan ada jawatankuasa untuk menilai skrip. Bentuk satu jawatankuasa menilai skrip supaya tak bercanggah dengan hasrat dan dasar kita Maju Berkat Sejahtera termasuk saya dah ulang tentang penganjuran carnival food carnival, festival makanan tapi diselitkan dengan konsert-konsert, mereka berselindung di sebalik food carnival, karnival makanan datang band-band daripada luar tuan-tuan sekalian, saya lihat betapa jadi subur balik budaya hedonisme di negeri kita sedangkan kita sangat sayang pada anak-anak muda yang kita yakin bagaimana anak muda kita ini lah yang akan bersumber tenaga yang penting di tanah air kita. Jadi saya mohon kepada pihak Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah Negeri untuk duduk berkolaborasi dengan EXCO Pelancongan ataupun Kijal untuk bincang tentang

pengkajian balik, revisi dengan izin Enakmen Kawalan Hiburan Negeri Terengganu.

Timbalan Yang di-Pertua

sila YB Kerajaan untuk bagi respon.

Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Jertih yang memberikan cadangan saya kira bukannya soalan boleh masukkan dalam ucapan saya dan memang sebelah Jertih ni banyak hiburan-hiburan dikir baratnya macam-macam jadi insya-Allah kita sama-sama memastikan masyarakat kita khususnya anak muda kita boleh berhibur tetapi tidak melampau. Kita tidak mahu jadi seperti masyarakat barat yang menjadikan hiburan sebagai matlamat dalam kehidupan mereka. Hiburan ni bukannya matlamat dalam kehidupan kita. Hiburan ni adalah satu alat sahaja oleh kerana itulah kita akan sentiasa memberi perhatian dalam konteks ini insya-Allah dan itulah dalam konteks ini Portfolio Penerangan Dakwah dan Pemerkasaan Syariah dengan kerjasama Portfolio Kerajaan Tempatan akan mempertingkatkan penguatkuasaan terhadap semua aktiviti hiburan bagi memastikan setiap penganjuran program selaras dengan prinsip syariah dan mengangkat sensitiviti masyarakat sejajar dengan tema “Indahnya Hidup Bersyariah” di mana kehidupan seharian rakyat dapat dirasai penuh keberkatan aman serta memenuhi tuntutan agama.

Seterusnya Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Yang Berhormat ADUN Bandar juga bertanya satu soalan berkait dengan usaha untuk menyatupadukan pelbagai fahaman dan aliran dalam kalangan masyarakat Islam di Negeri ini, ini samalah juga seperti hiburan tadi berkait dengan perselisihan perbezaan pandangan ia adalah satu fitrah kepada manusia kerana itulah Islam meraikan perbezaan pandangan dan Islam melarang kita untuk berpecah dalam perkara prinsip dan dasar. Dalam perkara prinsip dan dasar kita mestilah bersatu padu. Adapun dalam masalah al furuk kita mestilah berlapang dada. Itulah konsep yang diamalkan oleh Kerajaan Negeri. Kita memahami bahawa di luar sana pelbagai pandangan yang berlaku dalam masyarakat dalam konteks berkait dengan institusi pengajian sebagai contoh. Ada yang institusi pondok, cara pondoknya. Ada yang institusi moden, cara modennya. Ada yang belajar di Timur Tengah, ada yang belajar di Tanah Melayu, jadi kita nak raikan semua ini

dan kita tidak mahu menjadikan perkara-perkara furuk menjadi perbalahan dalam masyarakat sehingga melupakan perkara-perkara dasar dan prinsip dalam negara kita. Sepatutnya kita umat Islam mestilah bersatu padu khususnya dalam isu-isu berkait dengan ketuanan Islam, ketuanan Melayu dalam negara kita berkait dengan isu-isu sejagat umat Islam seperti isu pembebasan Baitul Maqdis dan lain-lain lagi.

Alhamdulillah baru-baru ini kita telah berjaya menganjurkan satu program iaitu Program Maulid Akbar Terengganu Berselawat Untukmu Baitul Maqdis. Kita berjaya menyatukan semua aliran pemikiran berada di bawah satu bumbung untuk bersama-sama kita bersatu dalam isu yang menjadi dasar dan prinsip umat Islam ini.

Seterusnya Yang Berhormat ADUN Jertih dan juga Yang Berhormat ADUN Permaisuri menimbulkan isu dadah dalam Negeri Terengganu kita ini. Memang isu ini adalah satu isu yang besar, isu yang utama, isu yang bukan sahaja menjadi masalah kepada Negeri Terengganu kita, negara kita, bahkan menjadi masalah kepada dunia secara umumnya. Kalau kita tengok di negara-negara di sebelah Amerika Selatan sebagai contoh, kerajaan terpaksa mengerahkan tentera bukan lagi polis, dalam kaedah undang-undang antarabangsa pada hari ini kerahan tentera apabila musuh luar datang, nak beritahunya, dahsyatnya keadaan di luar sana tapi di negara kita alhamdulilah masih lagi terkawal dan kita mengakui bahawa Negeri Terengganu kita sebagaimana yang dikeluarkan datanya masih lagi negeri antara yang tertinggi jumlah mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah ini. Yang pertama Kelantan, yang kedua Terengganu, yang ketiga Perlis, yang keempat Kedah, semuanya negeri SD4. Apa yang berlaku kita perlu lihat secara positif, memang ianya menyedihkan kita tetapi kita mestilah melihat secara positif bagaimana cara untuk menyelesaikannya karena masalah dadah ini adalah masalah yang melibatkan semua pihak. Maka kita mestilah melihat secara positif bagaimana untuk menyelesaikannya. Kerjasama di semua peringkat bukan sahaja daripada Agensi-Agensi Kerajaan termasuklah sektor swasta dan setiap lapisan dalam masyarakat mestilah memainkan peranan ini.

Kerajaan Negeri melalui Majlis Tindakan Membanteras Dadah Terengganu (MTMD) yang dipengerusikan sendiri oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar dengan kerjasama erat Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), PDRM, Jabatan Pendidikan Negeri serta Persatuan Mencegah Dadah

(PEMADAM) Terengganu akan memperhebatkan lagi pelaksanaan program pencegahan dadah di seluruh negeri pada tahun hadapan. Program-program ini bukan sahaja menekankan aspek penguatkuasaan, tetapi juga pendidikan, kesedaran dan pembangunan sahsiah anak muda supaya mereka lebih matang dan berdaya tahan terhadap tekanan sosial serta menjauhi gejala negatif.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, seterusnya ialah saya ingin mengambil peluang ini sekali lagi mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar yang telah membentangkan Pembentangan Bajet 2026 kepada kita. Sebuah pembentangan yang komprehensif, yang merangkumi semua aspek fizikal dan juga rohani dan juga selari dengan tema Parti Islam Malaysia (PAS) iaitu kembali kepada penyelesaian Islam. Inilah intipati dan roh kepada Belanjawan ini supaya kita semua kembali kepada penyelesaian Islam. Penyelesaian Islam bukan sahaja dalam aspek dakwah, dalam aspek perundangan, dalam aspek pendidikan bahkan juga dalam aspek ekonomi, pelaburan, kebajikan, dalam aspek memberikan keutamaan kepada agenda-agenda kerajaan dalam membantu dan memberikan kebajikan kepada rakyat. Inilah satu pendekatan yang kita tekankan apabila kita melihat pada hari ini semua pendekatan-pendekatan lain tidak berjaya untuk menyelesaikan masalah. Demokrasinya, sosialisnya, kapitalisnya, liberalismanya, pluralismanya dan lain-lain lagi. Semuanya tidak berjaya untuk menyelesaikan masalah-masalah yang berlaku dalam masyarakat. Maka sudah tiba untuk kita kembali kepada penyelesaian Islam, insya-Allah apa yang kita laksanakan di Terengganu ini akan menjadi satu noktah untuk kita menjadi teladan dan pedoman supaya kita membimbing rakyat kita supaya kembali kepada penyelesaian Islam berteraskan kepada Al-Quran Al-Sunnah, Ijma' dan Qiyas. Seterusnya sebagai penutup, saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan penghargaan kepada seluruh, Yang Berhormat Dato’ SUK, Yang Berhormat Dato’ PKN dan seluruh jabatan dan agensi yang berada di luar portfolio, di atas kerjasama dan dedikasi dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab. Seterusnya, marilah bersama-sama kita bergerak seiring dalam usaha memacu potensi dan melonjak prestasi Terengganu. Kita tidak boleh berpaling ke belakang lagi. Kita perlu sama-sama berganding bahu bagi memastikan negeri kita ini terus Maju, Berkat dan Sejahtera. Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua. Wakil Batu Buruk mohon menyokong. Terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih Wakil Batu Buruk. Seterusnya, saya persilakan Wakil Jabi untuk membuat penggulungan. Silakan.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan, pegawai-pegawai, pemerhati dan semua yang mengikuti sidang Dewan Undangan Negeri. Jabi juga merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar di atas pembentangan Belanjawan Terengganu 2026 yang lengkap dan mencakupi semua aspek keperluan rakyat. Saya juga mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua Anggota Pasukan Besar Keluarga Pertanian Terengganu di atas segala sumbangan, jasa, bakti sehingga kita berjaya meletakkan sektor pertanian pada satu graf positif, menyumbang sejumlah angka kepada KDNK Negeri dan kita sangat yakin bahawa sasaran kita untuk menyumbang purata sekitar 8% kepada KDNK Negeri menjelang 2030 adalah realistik berdasarkan kepada data dan justifikasi semasa.

Timbalan Yang di-Pertua, rakan-rakan Ahli Yang Berhormat yang membahaskan ucapan Belanjawan sebahagian besarnya menyentuh sektor pertanian dalam isu tanah FELDA dan saya juga akan memfokuskan penggulungan pertanian ini kepada satu isu sahaja, isu FELDA. Kita di Terengganu ini telah menganugerahkan seluas 51,434 hektar tanah kepada FELDA. 38,000 hektar lebih dimasukkan peneroka, yang membentuk 21 tanah rancangan FELDA di seluruh negeri. Hampir 15,000 hektar dijadikan ladang komersial bermakna tidak dimasukkan peneroka dan baki 2,000 hektar lebih tidak dibangunkan. Yang menjadi isu yang kita bincangkan bersama ialah tanah yang berkeluasan hampir 15,000 hektar yang telah dibangunkan oleh FELDA sebagai ladang komersial sejak daripada 1985 lagi, mencecah sekitar 40 tahun, terdapat di empat daerah di seluruh Negeri Terengganu. Di Setiu, kita ada tiga, Ladang Setiu 1 seluas 1,742 hektar, Setiu 2 1,308 hektar, Setiu 3 671 hektar. Ini kawasan saya.

Di Daerah Marang, kita ada 2 ladang. Rantau Abang 1 1,689 hektar. Rantau Abang 2, 1,568 hektar dan kita ada satu ladang yang bersempadan Marang

dengan Dungun, Ladang Chador 1, 2,912 hektar. Di Dungun kita ada Ladang Semaring, 1,600 hektar lebih. Di Kemaman kita ada dua, Ladang Chador 3, 1,900 hektar lebih. Ladang Neram Tiga, 613 hektar dan satu lagi, Kertih 7, 700 hektar lebih. Sejak daripada tahun 1985 sehingga detik masa dan tarikh sekarang ini, pukul 3.35 petang, dua belas hari bulan, tanah seluas 15,000 hektar ini masih lagi tanah milik negeri yang sah kerana isu pemilikkan tanah yang belum selesai. Bila isu pemilikan tanah ini belum selesai bermakna FELDA belum lagi bayar kepada negeri. Yang pertama, premium dan yang kedua, cukai tanah belum dijelaskan. Kenapa pemilikan tanah ini terhalang kerana ada isu yang tidak selesai dan tidak ada persepakatan di antara Kerajaan Negeri dan FELDA. Dalam perjanjian di antara Kerajaan Negeri dan FELDA, status pemilikan tanah ini boleh diselesaikan seandainya FELDA menunaikan salah satu daripada tiga. Yang pertama, masukkan peneroka. Yang kedua, menyumbang kepada program basmi kemiskinan. Ada 3,700 ketua isi rumah miskin di seluruh negeri dan FELDA mesti menyumbang RM1,000 sebulan kepada setiap ketua isi rumah melalui Kerajaan Negeri dan yang ketiga, perkongsian keuntungan, profit sharing dengan izin. MMKN pada bulan sembilan 2024 telah memutuskan, Kerajaan Negeri menuntut profit sharing pada kadar 30% gross profit. Sejak saya diamanahkan bersama dengan rakan-rakan dalam pasukan, daripada Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian, Perbendaharaan Negeri, Pengarah UPEN dan lain-lain anggota team untuk menguruskan isu ini. Daripada 2018 lagi, kita telah menghantar enam pucuk surat kepada FELDA, mengajak mereka untuk duduk semeja, bagi kita mencari satu jalan penyelesaian. Daripada enam pucuk surat itu, FELDA hanya balas sekali saja, balas dengan menyatakan, mereka tidak bersedia untuk membayar perkongsian keuntungan kerana FELDA berhadapan dengan masalah kewangan dan mereka menuntut supaya Kerajaan Negeri menyelesaikan urusan pemilikan tanah. Agak pelik apabila FELDA menyatakan mereka mempunyai masalah kewangan. Sebab dalam Malaysia ini, bukan hanya FELDA yang tanam sawit, kita ada juga anak syarikat Kerajaan Negeri yang boleh kita tengok penanda aras pada penghasilan pada setiap jumlah hektar sawit yang ditanam. Kita ada TDM, kita ada Ladang Rakyat, orang kampung yang tanah sawit di Amerika pun dapat untung. Macam mana FELDA yang menduduki hampir 15,000 hektar tanah negeri, mereka menyatakan mereka berhadapan dengan masalah kewangan dan tidak bersedia untuk membayar perkongsian keuntungan, kemudian memaksa Kerajaan Negeri supaya menyelesaikan status pemilikan tanah. Dan tentu sekali berdasarkan kepada keputusan MMKN, kita tidak boleh selesaikan pemilikan

tanah selagi salah satu daripada tiga syarat tidak dipenuhi. Kita sudah tidak bincang soal nak masukkan peneroka sebab sejak dari tahun 1996, FELDA telah menghentikan program masukkan peneroka dalam ladang. Program Membasmi Kemiskinan juga kita tidak bincang, yang kita nak bincang sekarang ialah profit sharing. Dan Kerajaan Negeri bertegas kita nak pada kadar gross profit. Gross profit dengan makna hasil tolak kos operasi. Ambil 30% daripada itu ialah bahagian negeri dan baki 70% ialah bahagian FELDA. Perbincangan kita dengan pihak FELCRA 70-30 terbalik 70 negeri 30 FELCRA. Dengan FELDA kita hanya menuntut 30-70 untuk bahagian negeri. Sehinggalah pada bulan April 2024, kita berjaya mengajak mereka ke meja mesyuarat untuk membincangkan. Sekali lagi, mereka mengulangi desakkan supaya diselesaikan urusan pemberi milikkan tanah dan FELDA tidak bersedia untuk bayar perkongsian keuntungan. Saya tegaskan, tanpa diselesaikan perkongsian keuntungan, maka Kerajaan Negeri tidak akan selesaikan pemilikkan tanah. Kita nak pada kadar gross dan ada persetujuan lisan dalam mesyuarat pada bulan empat 2024, FELDA mesti balik bincang dengan Lembaga Pengarah. Kerajaan Negeri menawarkan 30% tapi kita masih ada ruang untuk perbincangan. Berapa FELDA nak beri tawaran balas dan kita boleh bincang untuk ambil persepakatan bersama. Itulah komitmen mereka kami akan balik bentangkan kepada Lembaga Pengarah dan beri maklum balas kepada Kerajaan Negeri. Yang ada dalam perbincangan itu, pengurusan tertinggi FELDA, diwakili oleh Timbalan Pengurus Besar, Ketua Jabatan Tanah, Ketua Jabatan Kewangan, Ketua Jabatan Undang-Undang. Mereka berada pada pihak yang boleh buat keputusan. Selepas daripada itu, perhubungan demi perhubungan sehinggalah kita jumpa kali yang keseterusnya, pada 1hb 10 tahun 2025.

Sekitar setahun enam bulan. Selepas itu, dalam mesyuarat FELDA masih lagi mengulangi, mereka tak nak bayar. Padahal janji dan komitmen mereka kepada Kerajaan Negeri nak balik, tablekan kepada Lembaga Pengarah untuk tentukan kadar. Balik-balik, tak nak bayar dan kita tegaskan kita tak akan keluarkan. Dan saya masih ingat dalam mesyuarat di Menara FELDA, team kami diwakili oleh selain daripada EXCO Pertanian, Pengarah UPEN, Pengarah PTG, Pejabat Penasihat Undang-Undang dalam mengalu-alukan kedatangan kami, pihak FELDA kata selamat datang ke Menara FELDA yang tersergam indah di tengah kota, saya kata, menara tersergam indah kalau hutang orang tak bayar, tak seronok juga. Kita hanya nak satu angka saya ulangi balik tawaran negeri kita tawarkan 30%. Berapa yang FELDA nak buat tawaran balas? Macam orang pusing dekat satu roundabout tak tahu nak keluar mana. Pusing roundabout

Batu Enam nak kata nak pergi Manir pun tak tahu, nak balik ke Besut pun dok, nak naik jambatan balik pun dok, nak pergi Gong Badak pun dok. Pusing tempat tuler, tidak ada keputusan sehingga dijanjikan, kita akan buat satu lagi mesyuarat working ccommunity pada 14hb Oktober baru-baru ni.

Dalam mesyuarat working ccommunity dua minggu selepas daripada tu, sepatutnya mereka sudah berjaya mengemukakan satu angka tawaran pada perkongsian keuntungan, tapi masih lagi berulang perkara yang sama. Pusing-pusing dekat roundabout tak tahu nak pergi ke mana. Dan kita tegaskan dalam mesyuarat itu, kita tidak mampu pergi lebih jauh lagi ruang tolak ansur sebab tempoh 40 tahun telah berlalu. Dan saya bagi tempoh kepada pihak pengurusan FELDA dalam mesyuarat 30 hari. FELDA minta tempoh 60 hari baik kita ambil jalan tengah 40 hari, yang bakal berakhir pada 29hb November yang akan datang. Selepas daripada mesyuarat 14 hari bulan kita telah buat keputusan kalau FELDA tidak bersedia dengan angka, kalau sekadar nak panggil bincang pusing-pusing tempat sama, angka yang kita minta mereka tak mampu nak kemukakan kita tidak akan bermesyuarat lagi, kerana mesyuarat itu tidak memberikan sebarang makna.

Dan sehingga detik waktu dan masa ini FELDA masih gagal memberikan sebarang respon. 10hb, dua hari lepas melihat kepada reaksi yang sangat negatif daripada pihak pengurusan FELDA, saya telah mempengerusikan satu mesyuarat penyelarasan penguatkuasaan yang dihadiri oleh PTG, Penasihat Undang-Undang Negeri, UPEN, Pejabat Perbendaharaan Negeri, termasuk juga PDRM untuk kita selaraskan tindakan penguatkuasaan. Apa tindakan penguatkuasaan yang akan kita buat? Tepat pada pagi 29hb November, jika tiada sebarang respon dan maklum balas daripada FELDA, kita akan mendapatkan mandat daripada MMKN untuk kita keluarkan notis 425 Kanun Tanah Negara.

Notis 425 Kanun Tanah Negara ialah Notis pencerobohan tanah kerajaan. Semua 10 ladang secara serentak pada pagi 29hb November, sebagaimana tempoh masa dan tarikh yang dipersetujui bersama bukan daripada kita, tapi dipersetujui bersama. Dan kita akan proceed tindakan saman sivil untuk menuntut semua ganti rugi yang negeri telah tanggung dalam tempoh sekitar 40 tahun. FELDA ada bayar sejumlah bayaran pada tahun 2011. Bayaran dalam bentuk one side agreement yang kita tidak pernah bersetuju. Contohnya mereka bayar setahun profit sharing, net profit sharing bukan gross profit

sharing. Angka itu kita tidak pernah bersetuju dan mereka bayar sejumlah bayaran yang mereka istilahkan sebagai premium tanah. Macam mana mereka bayar premium tanah sedangkan FELDA tidak pernah mengemukakan jadual satu pun kepada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Negeri tidak pernah mengeluarkan Jadual 5A pun kepada FELDA. Kadar yang mereka bayar ialah 1,200 per ekar. Mengikut peraturan kita, tanah Terengganu sebagaimana yang diputuskan oleh Mesyuarat (MMKN) kadar premium bagi tanah yang dibangunkan dengan ladang komersial ialah 50% daripada penilaian. Bukan 1,200 per ekar. Berapa penilaian dia? ini pejabat penilai akan nilai.

Secara kasarnya, apa yang FELDA terhutang dengan kita ialah premium tanah, cukai tanah dan juga perkongsian keuntungan. Cukai tanah telah diputuskan dalam Mesyuarat (MMKN) pada bulan 9, 2024, 50 per hektar. PTG dah buat kira-kira secara kasar tunggakkan kira-kira lebih RM26 juta dan denda lebih RM10 juta baru cukai. Premium tanah anggaran kasar, campur dengan perkongsian keuntungan, mengikut kira-kira yang dibuat oleh Pejabat Perbendaharaan Negeri secara kasar kita perlu dibayar oleh FELDA atau dengan istilah lain, FELDA terhutang dengan kita hampir RM600 juta ringgit. Bukan satu jumlah yang kecil dan kita tahu isu ini isu besar. Sebab sebenarnya ladang yang dibangunkan oleh FELDA sebagai ladang komersial di seluruh negara luasnya lebih 300 ribu hektar yang Terengganu hanyalah 15,000 hektar sahaja.

Banyak lagi ladang-ladang di negeri lain yang kita yakin sedang berhadapan dengan situasi yang sama dan kita juga telah menerima beberapa isyarat daripada negeri-negeri lain minta Terengganu bantu mereka untuk buat tuntutan yang sama. Bermakna Terengganu sedang menerajui satu usaha untuk mengembalikan hak rakyat bukan hanya hak rakyat Terengganu malah hak rakyat di negeri-negeri lain juga.

Dan kita sangat yakin dengan segala fakta dan data yang kita ada, Undang-Undang berada bersama dengan kita, kita tidak akan mundur lagi ke belakang, tarikh 29hb November ini akan berlaku satu perkara besar yang insya-Allah akan membuka mata banyak pihak andai kata proses penyitaan ini terpaksa dilakukan, ia bukan salah Kerajaan Negeri dan ia sama sekali bukan satu tindakan mengejut kerana kita sudah maklumkan sejelas-jelasnya isu ini kepada pihak pengurusan FELDA dalam mesyuarat dan kita maklumkan juga dalam beberapa posting media sosial, dan kita urus persepsi dengan cara yang baik. Diantaranya persepsi cuba menggambarkan kita nak ganggu peneroka. Kita dah

panggil JPKK kawasan tanah rancangan FELDA, memahamkan mereka bahawa apa yang Kerajaan Negeri sedang perjuangkan sekarang ialah bukan tanah rancangan yang ada peneroka. Ini tanah rancangan FELDA yang dibangunkan sebagai ladang komersial sejak daripada tahun 1985, kemudian 2012 mereka serahkan kepada FGV. Dan lebih tragis lagi bila FGV disenaraikan di Bursa Malaysia, FGV menyenaraikan tanah kita seluas hampir 15 ribu hektar sebagai aset mereka di Bursa. Bermakna mereka telah membuat pengisytiharan palsu kepada Bursa. Itu adalah tanah kita, bukan tanah FELDA. Jadi perkara-perkara ini kita ada fakta dan data yang kukuh dan insya-Allah saya mohon doa daripada semua Ahli Dewan, semua pegawai-pegawai kerajaan dan saya sangat berterima kasih kepada pasukan kami yang bekerja dengan bertungkus-lumus demi untuk mengembalikan hak rakyat Negeri Terengganu, insya-Allah. Isu-isu lain dah banyak dijawab dalam sesi soalan lisan. Penggulungan saya, saya fokus kepada isu FELDA sahaja. Sekali lagi, terima kasih dan saya juga mohon menyokong Ucapan Belanjawan yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar.

Lsr. Haji Zaharudin bin ZahidPAS · PNBukit Tunggal

Dato’ boleh penjelasan sikit.

Sila, sila.

Lsr. Haji Zaharudin bin ZahidPAS · PNBukit Tunggal

Terima kasih Dato’ Yang di-Pertua. Sedikit penjelasan, sebab kita dengar tadi dengan penuh kehairanan betapa tanah Kerajaan Negeri seluas 37,000 ekar, 15,000 hektar. Kalau sebut 15,000 orang dok berasa banyak, sebut 37,000 ekar tanah Kerajaan Negeri telah diceroboh oleh FELDA. Jadi adakah FELDA pernah buat sebarang permohonan tanah atas keluasan 37,000 ekar itu? Minta penjelasan dan kalau tidak ada permohonan, memang terang-terang melanggar Kanun Tanah Negara, pencerobohan tanah kerajaan, terima kasih.

Sebagaimana yang saya nyatakan dalam mukadimah tadi, Bukit Tunggal, Kerajaan Negeri mengurniakan tanah kepada FELDA 51,434 hektar. 38,000 hektar lebih dimasukkan peneroka. Hampir 15,000 hektar tidak dimasukkan peneroka. Yang dimasukkan peneroka, makna hak milik itu diberi kepada penerokalah. Yang tidak dimasukkan peneroka, sepatutnya hak milik itu diberikan kepada FELDA

tetapi kenapa pemberian hak milik itu tidak selesai, kerana ada isu yang tidak selesai dan isu inilah, isu profit sharing yang saya sebutkan tadi, terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih Yang Berhormat Wakil Jabi. Panjang lebar tentang tanah FELDA itu, tanah kita yang diguna pakai oleh FELDA tadi. Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, macam petang semalamlah saya cadang untuk teruskan pembahasan ataupun penggulungan oleh pihak kerajaan tanpa rehat. Jadi mana-mana Ahli-ahli Yang Berhormat ataupun pegawai-pegawai kerajaan, pemerhati yang nak segarkan diri ataupun perlu ke bilik air dan sebagainya, bolehlah berbuat demikian macam saya sebut semalam, tapi tidak dengan cara beramai-ramai kerana saya harap kita dapat habiskan penggulungan oleh pihak kerajaan pada petang ini dan esok mungkin Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar sahaja yang akan buat penggulungan jika kita sempat tamatkan pada petang ini. Seterusnya saya silakan Wakil Kijal.

Datuk Haji Razali bin IdrisBERSATU · PNKijal

Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Yang Di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Yang berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri, Yang berusaha ketua-ketua jabatan dan agensi, yang dihormati para pegawai dan kakitangan Kerajaan Negeri Dan Persekutuan, petugas-petugas media, semua tetamu pemerhati, hadirin yang dihormati Allah sekalian.

Terima kasih sekali lagi Dato” Yang di-Pertua, saya mewakili Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar atas pembentangan Belanjawan 2026 di Negeri Terengganu ini pada 10 November yang lalu. Belanjawan 2026 memberi penekanan khusus kepada portfolio Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim di bawah fokus dua iaitu menstruktur daya tahan ekonomi bagi memacu pertumbuhan untuk menjadikan pelancongan sebagai sektor pemangkin

ekonomi utama negeri. Justeru itu, sektor ini wajar diberi perhatian serius dalam usaha mempelbagaikan sumber pendapatan negeri serta memperkukuhkan ekonomi rakyat. Antara strategi utama dalam Belanjawan 2026 yang menyokong pemerkasaan industri pelancongan ialah pengenalan cas penginapan dan sokongan pematuhan Akta cukai pelancongan. Pelaksanaan program dan aktiviti tahunan terutamanya Tahun Melawat Malaysia 2026 untuk menarik pelancong asing.

Yang ketiga, penganjuran acara bertaraf antarabangsa seperti Sultan Mizan International Photography Award dengan izin, Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah dan Himpunan Melayu Nusantara, International Swimathon Marang, International Bike Week dan lain-lain lagi.

Penubuhan Sekretariat Tahun Melawat Terengganu 2027, pemerkasaan penjenamaan dan promosi pelancongan dan yang akhir sekali pembaikan, penyelenggaraan dan pembangunan infrastruktur serta kemudahan awam di kawasan pelancongan. Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, Kerajaan Negeri telah merangka pelbagai strategi bagi memperkukuhkan daya saing sektor pelancongan Terengganu.

Antara langkah utama yang digariskan termasuk peningkatan infrastruktur pelancongan, penaiktaraf kemudahan awam seperti pantai, jeti, laluan pejalan kaki, tandas dan sistem pengangkutan yang menjamin keselesaan pelancong dan menaikkan imej Negeri Terengganu Darul Iman. Yang kedua, pengukuhan produk pelancongan baru. Lima kluster pelancongan utama iaitu Kuala Terengganu, pulau dan pantai, Kenyir Geopark, seni budaya dan warisan dan alam semula jadi akan terus diperkukuhkan sebagai pemacu pertumbuhan pelancongan negeri. Yang ketiga, program pembangunan kapasiti pengusaha tempatan, golongan pengusaha kecil seperti pemilik homestay, dengan izin, pengendali bot, pemandu pelancong dan usahawan kraftangan akan diberi latihan, geran sokongan dan bantuan pemasaran digital. Yang keempat, promosi digital dan pemasaran antarabangsa. Promosi pelancongan akan diperkukuhkan melalui platform digital, media sosial dan kerjasama dengan agensi tempatan serta antarabangsa. Sebuah portal promosi, insya-Allah daripada pelancongan akan dilancarkan dalam masa terdekat. Yang akhir sekali kelestarian alam sekitar dan komuniti. Pembangunan pelancongan akan berteraskan prinsip eco-pelancongan bagi memelihara alam sekitar dan melibatkan komuniti setempat.

Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, bagi tahun Tahun Melawat Malaysia 2026, Negara menyasarkan 47 juta pelawat dengan pendapatan

pelancongan sebanyak RM329 bilion ringgit. Penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026 akan menjadi landasan strategik ke arah kejayaan Tahun Melawat Terengganu 2027 dengan memanfaatkan momentum dan semangat kempen nasional tersebut. Kerajaan Negeri amat menghargai dan mengiktiraf sumbangan besar pihak swasta dalam memacu sektor pelancongan Negeri Terengganu. Penglibatan aktif pengusaha-pengusaha swasta ini telah banyak membantu memperkayakan produk dan pengalaman pelancongan di negeri ini sekaligus menjadi pelengkap kepada usaha kerajaan dalam merancakkan industri pelancongan.

Kerajaan Negeri sentiasa membuka ruang kerjasama dan penyelarasan bersama pihak swasta melalui pelbagai sesi libat urus bagi memastikan promosi, pembangunan dan penyediaan kemudahan pelancongan dapat dilaksanakan secara lebih tersusun. Jawatankuasa ini menyokong sepenuhnya pelaksanaan Tahun Melawat Terengganu 2027, serta penubuhan Sekretariat Tahun Melawat Terengganu 2027 melibatkan pihak swasta. Penggiat industri, wakil komuniti dan pelbagai agensi berkaitan yang akan menjadi nadi utama dalam pemerkasaan strategi, koordinasi program dan promosi pelancongan negeri bagi memastikan kejayaan Tahun Melawat Terengganu 2027. Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu sedang dalam fasa memuktamadkan Kalendar Acara Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu Tahun 2026 yang dijadualkan akan dilancarkan pada Tahun 2025.

Timbalan Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ahli-ahli Yang Berhormat atas Soalan Bertulis dan Lisan yang telah dikemukakan sepanjang sesi Persidangan ini. Saya juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada 12 Ahli Yang Berhormat yang telah membahas perkara dan isu di bawah tanggungjawab jawatankuasa ini semasa sesi Perbahasan Belanjawan 2026. Justeru itu, bagi menjawab dan mengulas perkara yang dibangkit, saya akan memperincikan isu-isu utama mengikut topik bagi menjimatkan masa insya-Allah.

Timbalan Yang di-Pertua, yang pertama, Pelancongan Mesra Syariah dan kawalan terhadap aktiviti hiburan di Negeri Terengganu. Ada beberapa sahabat kita telah memberi penjelasan, cuma di sini saya ingin menambah sedikit untuk pengetahuan Dewan Yang Mulia. Terima kasih, saya ucapkan kepada Yang Berhormat ADUN Jertih, Yang Berhormat ADUN Ladang, dan Yang Berhormat

ADUN Sura atas keprihatinan serta cadangan yang amat bernas berkaitan usaha memperkukuhkan pelancongan Islam dan pelancongan patuh syariah di Negeri Terengganu.

Menjawab soalan ADUN Sura, Kerajaan Negeri amat komited membangunkan lebih banyak premis pelancongan mesra keluarga dan patuh syariah di seluruh negeri. Kita ingin pastikan bahawa pelancong dapat menikmati keindahan Terengganu tanpa menjejaskan nilai Islam dan kekeluargaan. Terkini, sebanyak 13 buah hotel di Terengganu telah mendapat pengiktirafan halal JAKIM merangkumi Daerah Kuala Terengganu, Marang, Setiu, Besut, Dungun dan Kemaman. Di samping itu, Paya Bunga Hotel turut menerima pengiktirafan sebagai Resort Halal terbaik semasa Majlis Sambutan Ma'al Hijrah Peringkat Negeri Terengganu 1447, 2025 Masihi. Di samping memperolehi Islamic Quality for Hotel dengan izin daripada Universal Crescent Standard Center (UCSC) dengan izin dan kini sedang memohon Muslim Friendly Tourism and Hospitality Assurance and Recognition dengan izin di bawah selian Islamic Tourism Center (ITC) dengan izin.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, menyedari kekurangan kemudahan penginapan pada musim puncak, Kerajaan Negeri amat mengalu-alukan pembangunan hotel baru di lokasi-lokasi strategik. Sehubungan dengan itu Kerajaan Negeri menyeru agar jabatan dan agensi berkaitan memainkan peranan yang penting sebagai pemudah cara bagi melancarkan proses permohonan pembangunan hotel berskala sederhana oleh para pelabur. Banyak hotel yang datang memohon dengan Pelancongan dan pihak Pelancongan boleh dikatakan 90% meluluskan hotel bajet kelas ketiga. Akan tetapi apabila turun di bawah agensi-agensi yang terlibat kadangkala melambat-lambatkan permohonan. Jadi saya nak nasihatkan, nak berkongsi Dewan Yang Mulia supaya kita semua bekerjasama untuk memastikan hotel-hotel bajet berada dan tumbuh sebagai cendawan di Negeri Terengganu. Hotel-hotel besar, hotel-hotel five star, hotel-hotel tujuh star tak ada di Terengganu ini, jadi kita beri peluang kepada mereka yang nak niaga, jadi kita minta kepada jabatan-jabatan yang menilai supaya mempermudah dan memperluaskan lagi untuk mendirikan hotel-hotel bajet di Negeri Terengganu.

Timbalan Yang di-Pertua, merujuk teguran Yang Berhormat ADUN Jertih, dan Yang Berhormat ADUN Ladang, berhubung dengan aktiviti hiburan yang dipantau dan dikawal sudah dijawab, saya nak tambah sikitlah, berkaitan

dengan aktiviti hiburan. Aktiviti hiburan melalui Kerajaan Negeri, melalui Portfolio Pelancongan sebenarnya kita sangat berpuas hati. Kita libatkan semua agensi-agensi dakwah, agensi-agensi agama termasuk MAIDAM, termasuk Jabatan Agama, termasuk Unit Portfolio DUAT, kita buat jawatankuasa kecil tapi jawatankuasa dalaman sahaja untuk menilai sama ada hiburan ataupun filem, kelulusan melalui kita. Sebagai contoh Ulek Mayang. Ulek Mayang senikata hujung sekali, yang menampakkan pemujaan, kita buang. Cuma yang tinggal melodi dan melodi ini kita dah tanya dah bincang dan boleh diperbunyikan dan boleh diperdengarkan dan kita insya-Allah akan memperkemaskan lagi sebab kita, Jabatan Pelancongan memberi arahan kepada muzium untuk memuziumkan Ulek Mayang. Kalau sekiranya Ulek Mayang tidak boleh dimuziumkan maka budaya Terengganu akan hilang. Kalau nak tambah nilai nak ubah suai, insya-Allah, kita boleh bincang. Jadi pada saya, yang tidak patuh, yang langgar Syariah Compliance Negeri Terengganu, kadangkalanya tidak melalui Jabatan Pelancongan. Jadi untuk pengetahuan Dewan Yang Mulia

Haji Mohd Yusop bin MajidBERSATU · PNPermaisuri

Yang Berhormat Kijal, saya nak sentuh sedikitlah, saya minta izin Yang di-Pertua. Terima kasih. Sebut dengan Ulek Mayang kita pun sudah kurang dengan hiburan wayang kulit dan sebagainya tapi kita tahu dulu di Pulau Jawa dulu ada wayang kulit yang dimainkan oleh Kumpulan Wali Songo yang berdakwah melalui wayang kulit tapi hari ini kita tengok wayang kulit semata-mata hiburan. Baru-baru ini di kawasan saya, kita menjemput satu pasukan wayang kulit daripada Thailand, Yatim Wayang Kulit. Kita jemput Yatim Wayang Kulit ini berdakwah, contohnya dia menyebut dalam wayang kulitnya dia menyebut:

dengan izin Timbalan Yang di-Pertua, asal segala maksiat, syahwat, lalai daripada Allah Ta’ala itu kerana berpunca daripada nafsu katanya. Itu dalam wayang kulit. Saya rasa banyak kita boleh promosikan wayang-wayang kulit ini yang dimainkan oleh orang-orang yang tahu tentang hukum syarak ini.

Timbalan Yang di-Pertua

Jadi penjelasannya.

Haji Mohd Yusop bin MajidBERSATU · PNPermaisuri

Saya minta benda ini dibawa kepada cadangan dan minta ulasan daripada Yang Berhormat Kijal, terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih Wakil Permaisuri, silakan Wakil Kijal.

Datuk Haji Razali bin IdrisBERSATU · PNKijal

Terima kasih, Permaisuri, itu cadangan yang baik. Dia sebenarnya banyak pertunjukan Wayang Kulit, Dikir Barat, sebenarnya tidak melalui Jabatan Pelancongan Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, saya nak jelaskan pada Dewan yang mulia, kalau melalui Jabatan Pelancongan persembahan tersebut akan patuh syariah hok bocor tu, kadang-kadang dia pergi takdok permit pun takdok permit, tapi kita dah bincang dengan PBT siapa yang melanggar SOP kita saman maksimal dan 2-3 saman maksimal doh saya dengar, berapa? 25 ribu. Jadi kalau itulah, yang mereka mahu maka bandaraya akan dapat pitis banyak ah Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, jadi baru ini dengor kata ada satu pulok, kumpulan permotoran kena saman pasal buat pertunjukkan tanpa persetujuan kita. Banyak berlaku gitu, dia selit celah-celah pertunjukkan tu, celah-celah event dia selit apa nama ni, persembahan-persembahan yang tidak libatkan pelancongan. Jadi saya sebenarnya ambil contoh Cat Stevens, Cat Stevens ni penyanyi rock Amerika masa tu dia kapir.

Timbalan Yang di-Pertua

Amerika ke British?

Datuk Haji Razali bin IdrisBERSATU · PNKijal

Doh kalu, kalau Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua boleh kenal UK, kita kata UK lah. Saya rasa oklah, dua-dua tulah, tapi penyanyi orang putih kapir Christian tapi dia masuk Islam, nama dia Yusuf Islam. Yusuf Islam dan dia kekalkan melodi tapi dia tukar dia pinda seni kata maka lagu dia masih lagi kita boleh dengar dengan unsur-unsur dakwah masa dan banyak lagilah di negara kita ni. Jadi pada saya dengan Jabatan Pelancongan ni akan berusaha secara bersungguh-sungguh. Dua je kita ada budaya kita setakat ni satu Ulek Mayang, satu Rodat, jadi Rodat dok jumpe punca lagi tengah bincang lagi. Rodat sebenarnya katanya Rodat ni, seni kata dia, marhaban. Marhaban, jadi kita tengah bincang lagi kita minta muzium pergi jauh lagi untuk kita nak tengok supaya Rodat ni, kita boleh dipertontonkan. Masalah tari menari kita dah had dah wanita bawah pada 12 tahun. Itu kemah cuma kena tengok seni kata takut ada unsur-unsur yang pelik-pelik. Jadi Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, saya pun berminat dengan masalah gejala dadah ini terbabit dengan pelancongan.

Masalah dadah yang disebutkan oleh Yang Berhormat Jertih, disambut oleh Yang Berhormat Permaisuri dan sudah dijawab. Cuma saya nak tambah sikit je, Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua kalau boleh kita hentikan dulu hisap rokok daripada Yang Berhormat boleh dok? makna rokok ni kita kena berhenti.

Timbalan Yang di-Pertua

Berapa orang Yang Berhormat ork hisap rokok ow? saya pun dok tahu.

Datuk Haji Razali bin IdrisBERSATU · PNKijal

Dok tahulah kalau ada Yang Berhormat hisap rokok ni, kita berhenti luu. Kepimpinan melalui tauladan. Boleh dok wak gitu? Rolling gitu Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua? Vape haram doh. Rokok saya, takboh katalah haram, tapi tok berhenti gok ork ork kuat isap rokok tu.

Timbalan Yang di-Pertua

Vape tu saya rasa haram dari segi penjualan, rokok takdok lagi dok dalam undang-undang. haa, fatwa saya dok tahu, kena cek balik.

Datuk Haji Razali bin IdrisBERSATU · PNKijal

Dok eh, boleh ah tu berhenti ow. ADUN Permaisuri boleh berhenti dok?

Timbalan Yang di-Pertua

Ork isap rokok kate dok kene ke dia.

Datuk Haji Razali bin IdrisBERSATU · PNKijal

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua jadilah ork tu, cuma saya nak beritahu je lah sepatutnya kita kena contohlah. Kita bercakap kita kena beri contoh kepada masyarakat dan dalam pada masa yang sama, portfolio saya juga sangat bersetuju dengan wujudkan satu cadangan Pelan Tindakan Pelancongan Mesra Syariah Negeri Terengganu sebagai satu inisiatif baru yang menjadikan nilai tambah kepada garis panduan hiburan kebudayaan, pelancongan dan sukan sport tourism ni terbabit juga dengan pelancongan ni yang sedang diguna pakai sekarang jadi kita tambah nilai, kita sangat bersetuju dan selepas pada ni, kita akan duduk berbincang dengan Unit Dakwah dengan Unit PBT dan mungkin dengan Alur Limbat kita pun akan berbincang juga supaya kita wujudkan satu lagi satu lagi jawatankuasa untuk pastikan patuh syariah mesra muslim ni dapat dilaksanakan sebaik mungkin di Negeri Terengganu dan dalam masa yang sama, ada beberapa Yang Berhormat yang memberi contoh dan teladan kepada

pelancong luar dalam program. Contoh baru-baru ni di Kijal, kita anjurkan Ladies Fun Walk, patuh syariah tok boleh berlari, wanita muda tok boleh berlari hanya berjalan kaki sahaja. Peserta dia, Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua hampir dua ribu orang.

Bakpe dokleh berlari? Boleh berlari dalam Islam.

Timbalan Yang di-Pertua

Bakpe dokleh berlari tu?

Datuk Haji Razali bin IdrisBERSATU · PNKijal

Dokleh berlari takut kocok ke guane tu dok tahulah.

Timbalan Yang di-Pertua

horrr, jadi patuh dok patuh tu duk situ, Saya pun dok faham.

Datuk Haji Razali bin IdrisBERSATU · PNKijal

Horrr, ye kate dokleh berlari, saya kata bagus jugok dokleh berlari, tapi nok kabonya, peserta dia dua ribu, lepas tu Paka pulok ikut, Beach, Brisk Walk Paka ikut, punggg, mencecah lebih daripada 1,500 family berjalan, ini nak beri contoh kepada orang luar saya dengar ni Ladang pulak, Ladang nak buat brisk walk.

Mohd Fadhli Rahmi bin ZulkifliPAS · PNRantau Abang

YB, dia sebab walk memang tak boleh berlari kena jalan sahaja

Timbalan Yang di-Pertua

sebab walk, betul doh.

Datuk Haji Razali bin IdrisBERSATU · PNKijal

Berlari dia panggil DNF.

Mohd Fadhli Rahmi bin ZulkifliPAS · PNRantau Abang

Horrr, sebab walk je.

Datuk Haji Razali bin IdrisBERSATU · PNKijal

Lepas tu saya dengar cerita pulak ni. Kujuh pulok, kujuh, kujuh ni walk jugok tapi angin kuat hujang ni dok tahu walk tengah hujang ke? Nok bagitahunya ada Yang Berhormat-berhormat kita ni yang cuba memberi membuat satu image baru pada Negeri Terengganu dan berjaya bukan setakat orang tempatan yang ikut orang luar pun ada mari register awal lagi, register. Jadi saya rasa tu satu

contoh yang sangat baik kepada kita untuk pelancong-pelancong asing untuk mari ke Negeri Terengganu, tu satu.

Yang kedua, kita yang terakhir, yang terakhir CBT untuk tahun ni yang ke-29 iaitu CBT Kampung Tebakang dalam tu complete madrasah ada dia ada ATV, aktiviti ada, tanam kelapa ada madrasah yang boleh lahirkan hafiz dengan hafizah selama setahun setengah je. Peserta dia daripada seluruh nusantara daripada Thailand, Selatan Thai sehingga ke Indonesia. Kita angkat dia sebagai pelancongan patuh syariah dan kita letak dia di bawah CBT Community Based Tourism dan kita bantu dia, ni satu lagi ni. insya-Allah tahun depan Kampung Ilmu Pusat TafaqquhFi Din Tok Syeikh Duyung. Nampak berminat dengan CBT dan kita akan cuba angkat untuk dijadikan Community Based Tourism. Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua satu lagi Pelancongan Gastronomi. Ork ni YB Ladang. Tadi YB Wakaf Pelam dah beritahu dah, tapi saya nak sambung sikit dan kita amat menghargai. Sebenarnya untuk mempromosikan lagi makanan-makanan yang ada di Negeri Terengganu dan cadangan tu memang selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri bagi kita untuk memperluaskan lagi makanan Terengganu ni kena banyak berpuluh-puluh, cuma ada beberapa sahaja yang popular dan kita cadangkan supaya Nasi Lemok Warisan Pasir Panjang kita jenama terus. Nasi Lemok Warisan Pasir Panjang dan kita akan pergi melawat tempat tu dan kita kena bawa sekali Wakaf Pelam sebab dia PBT dan jangan lupa Bekang yang disebut tadi, kena ada Bekang ni satu produk yang perlu kita popularkan.

Timbalan Yang di-Pertua

Permaisuri, nok menceloh boleh?

Mohd Yusop bin MajidBERSATU · PNPermaisuri

Satu lagi, Yang Berhormat Kijal, dengan izin.

Datuk Haji Razali bin IdrisBERSATU · PNKijal

Isu rokok ke isu mende?

Timbalan Yang di-Pertua

Ya

Mohd Yusop bin MajidBERSATU · PNPermaisuri

Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, hok ni, hok pemakanan ni berlaga angin sikit. Berlaga angin, pasal orang kita kadang-kadang sanggup pergi

Golok, seberang sungai cop passport kerana nak pergi makan. Hok Hatyai toksoh kirelah, Hatyai, Narathiwat, jauh kerana dia kata nak pergi makan sedap di Thailand. Begitu juga pergi ke luar negara pun cari nak makan je. Tapi makanan dekat kita ni tak sedap ke guana? Saya pun tak berapa nak faham juga ni. Sebab tu saya sokong ni nasi lemak kita create supaya rakyat Terengganu perbanyakkan lagi. Kulinari belajar kulinari dan sebagainya itu supaya makanan tempat kita ni sedap-sedap biar orang Thailand nak mari makang hok kita. Baru ni celup tepung daripada Pasir Mas datang ke Penarik kerana nak makan celup tepung, ikan celup tepunglah sotong, udang. Jadi kita kena perbanyakkan lagi bagi semangat ke saya cadang macam tu kepada Yang Berhormat. Terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih Wakil Permaisuri.

Datuk Haji Razali bin IdrisBERSATU · PNKijal

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, saya bersetuju dengan cadangan tu dan masukkan dalam ucapan saya, cadangan yang bagus.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, kita pergi tajuk lain pula deh. Konflik gajah di Bukit Besi jika, isu gajah menjadi topik utama di Telemong, kini dia bertukar berpindah ke Bukit Besi. Telemong dok cakap dah pasal gajah, nampak sejuk dah gajah tu. Jadi saya ucap banyak terima kasih Kepada Yang Berhormat Bukit Besi kerana membangkitkan dalam Dewan Yang Mulia untuk kita sama-sama kita selesaikan. Contoh teladan dah ada Basong, Telemong dan kita yang pertama sekali kita maklumkan dulu kepada Perhilitan Negeri dan saya difahamkan Perhilitan Negeri dah buat pemantauan dan kawalan secara berterusan. Kalau sekiranya tak berjaya, kita masuk fasa kedua kita tangkap dan kita pindah. Dan kalau tak berjaya juga, tak berjaya juga barulah kita discuss molek-molek dengan orang Bukit Besi supaya kita wujudkan Bukit Besi Ranger sepertimana Basong Ranger tetapi pesertanya ialah komuniti setempat. Maksudnya Yang Berhormat kena terlibat sebagai Penasihat, Tuan DO dan semua agensi-agensi Kerajaan dan juga JPKK orang kampung yang terlibat untuk memastikan kawasan tersebut sepertimana yang dah dibuktikan di Telemong. Betul tak tu Telemong?

Mohd Zawawi bin IsmailBERSATU · PNTelemung

Terima kasih, betul Yang Berhormat Wakil Kijal.

Datuk Haji Razali bin IdrisBERSATU · PNKijal

Dan kita ada sedikit peruntukan EFT untuk kita belanjakan untuk memastikan program tersebut akan dilaksanakan sebaik mungkin pada pada tahun hadapan. Dan kalau ngamuk juga lagi bekeng lagi ni kita akan cari jalan untuk pemasangan Sistem Pagar Elektrik Gajah Komuniti dipanggil Speg-Com pun dah diadakan di Telemong. Dan berjaya setakat ni dan insya-Allah kita akan bincang untuk tahun depan ni di Bukit Besi pula. Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, dan seterusnya Jeti Bot Penambang hok ni Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua sendiri tanya ni, jawab dok?

Timbalan Yang di-Pertua

Sila, boleh?

Datuk Haji Razali bin IdrisBERSATU · PNKijal

Kita ambil maklum daripada Yang Berhormat Seberang Takir dan kita pertimbang untuk keperluan penambahbaikan infrastruktur pelancongan dari masa ke semasa termasuklah jeti tersebut, banyak lagi untuk kita nak jadikan Bandaraya Kuala Terengganu ni bandaraya betul-betul persisir air. Dan dalam masa yang sama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mempunyai perancangan untuk membangunkan Payang Central yang terletak berhampiran dengan kedai Payang Pasar dan projek ini bakal menempatkan sebuah jeti utama yang berfungsi sebagai hub perkhidmatan bot pelancong melalui laluan pulau-pulau peranginan seperti Pulau Redang, Pulau Lang Tengah dan juga Pulau Bidong.

Dan insya-Allah pelaksanaan projek ini selesai Payang Central dijangka akan menjadi jeti utama bagi daerah Kuala Terengganu sekaligus membolehkan penyelarasan penggunaan jeti-jeti sedia ada demi memastikan pengurusan Pelancongan Marin yang lebih tersusun selamat dan efisien.

Bagi memperkukuhkan daya tarikan Pasar Kedai Payang sebagai destinasi pelancongan berimpak tinggi, Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Kerajaan Negeri bercadang untuk memperkenalkan Terengganu Nightlife dengan izin. Nightlife Terengganu ni tak samalah dengan Nightlife tempat lain ni. Nightlife Terengganu ni dengan cara kita bukan takdok lah pesta mabuk-mabuk takdok di Terengganu ni.

Nightlife Terengganu ni akan membabitkan Pasar Kedai Payang, akan membabitkan River Cruise, akan membabitkan Payang Walk, akan membabitkan Pulau Warisan, akan dicahayakan dan diperluaskan perniagaan sehingga ke malam.

Cuma sekarang ni kita tengah bincang dengan pengusaha-pengusaha, pengusaha Pasar Payang masih lagi tak berapa nak setuju untuk malam pasal dia kata letih, bukan kerana tak laku kerana terlampau laku, jadi dia kata letih nak niaga malam. Kita tengah pujuk lagi ni, kita bagi dia beberapa cara untuk memastikan Pasar Payang dapat diniagakan sehingga ke pukul 10-11 malam, 2 hari je seminggu tapi tak berjaya lagi. Bot dah berjaya dah cuma bot kena upgrade dari segi alat-alat keselamatan. Jadi sikit masa lagi insya-Allah saya yakin tahun 2026 kita akan jadikan Bandar Raya Terengganu dan kita angkat dia sikit untuk program-program malam ni supaya dapat dihadiri oleh pelancong-pelancong asing untuk melihat apa dia Bandaraya, Bandar Kuala Terengganu, Bandar Pesisir Air.

Jadi Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, terima kasih juga kepada ADUN Bandar, Yang Berhormat ADUN Kemasik, Yang Berhormat ADUN Bukit Besi, Yang Berhormat ADUN Telemong, Yang Berhormat ADUN Batu Rakit, Yang Berhormat ADUN Hulu Besut, dan Yang Berhormat ADUN Kuala Berang, yang prihatin terhadap pemerkasaan promosi dan produk pelancongan Negeri Terengganu, insya-Allah setiap pandangan, cadangan dan teguran akan diteliti sewajarnya oleh pihak Kerajaan Negeri. Bagi memperkukuhkan pelancongan sektor pelancongan negeri, Kerajaan Negeri terus menumpukan usaha dalam pembinaan, pembaikan dan penyelenggaraan infrastruktur serta kemudahan awam di kawasan pelancongan utama seluruh Negeri Terengganu.

Untuk tahun 2025, Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, sejumlah RM13.7 juta telah diperuntukkan melalui pelbagai Kementerian, Agensi Negeri dan juga Persekutuan. Daripada jumlah tersebut, RM7.41 juta melalui Kementerian Pelancongan, terima kasih Seni dan Buday telah digunakan untuk projek pemuliharaan ubah suai dan naik taraf termasuk pembaikan laluan pejalan kaki di Pulau Kapas, Pentas Budaya di Pantai Kelulut, Marang naik taraf kemudahan eko pelancongan di Taman Eko Rimba, Lata Belatang dan Gunung Tebu, pemuliharaan Memorial Batu Bersurat serta naik taraf masjid dan bangunan Kraftangan Terengganu.

Untuk makluman Yang Berhormat ADUN Kuala Besut, setakat September 2025, jumlah kehadiran pelancong Ke Pulau Perhentian direkodkan oleh Jabatan Pelancongan sebanyak 142,457 orang yang terdiri daripada pelancong domestik seramai 60,000, pelancong domestik 82,094 orang dan pelancong internasional, pelancong antarabangsa 60,363 orang. Itu perangkaan hak yang kita buat

yang tidak boleh disahkan lagi oleh DOSM. DOSM dia lebih daripada kita, kita kata tahun 2024 kehadiran pelancong 8.5 juta dia kata 14.5 juta jadi kita dok ikut, kita konservatif sikit kita ikut hok kita jelah. Jadi oleh sebab itu, oleh karena 14.5 juta tersebut kita juga ditarif sebagai negeri paling bahagia ramai dia kata tapi kita pakai 7.8 juta.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, fasiliti pelancongan di Pulau Peranginan juga turut diberi perhatian khusus. Sehubungan dengan itu, sebanyak RM4 juta diperuntukkan untuk membaik pulih jeti di Pulau Redang dan Pulau Perhentian manakala RM2.33 juta melalui Unit Perancang Ekonom (UPEN) Terengganu telah digunakan untuk penambahbaikan fasiliti pelancongan yang terkesan akibat bencana alam. Kerajaan Negeri akan terus memastikan setiap peruntukan dimanfaatkan secara berkesan bagi memastikan sektor pelancongan Terengganu kekal mampan, berdaya saing, dan sejajar dengan hasrat Kerajaan Negeri kita supaya destinasi pelancongan Terengganu ini adalah destinasi wajib singgah kepada pelancong luar dan juga antarabangsa. Dan selain daripada itu, pelancongan sukan, export tourism termasuk sukan permotoran yang kini semakin mendapat tumpuan sebagai antara tarikan baru di Negeri Terengganu.

Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pelancongan sedang meneliti dan menyusun jadual, banyok sangat event-event permotoran di Terengganu ini kita kena susun supaya tidak bertindan bertindih sebulan beberapa kali, kita susun dengan molek, walaupun ada di luar sana bercakap ada satu kumpulan bercakap dia mengkritik, mengherdik geng-geng RXZ member ini, mari ramai Terengganu ini macam-macam perbuatan, dia kata macam-macam, tapi Kerajaan Negeri Terengganu menyantuni, Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua menyantuni siapa sahaja yang nak mari Terengganu. Permotoran RXZ member baru-baru ini lebih 150,000 orang hadir ke Terengganu. Bukan setakat kerajaan saja yang jaga, orang kampung, masjid, surau pun jaga. Ada masjid itu sembelih lembu, masjid di Kuala Nerus sembelih lembu beri makan kepada anak-anak atau pemandu-pemandu RXZ member hok yang mari beberapa hari di Terengganu. Orang marah biar dia marahlah, kita jaga. Banyak lagi permotoran di Terengganu ada Big Bike, International Big Bike, kita ada YSuku event, macam-macam. Walaupun macam manapun kita jaga, kerana kehadiran mereka adalah merupakan satu limpahan ekonomi kepada rakyat Negeri Terengganu. Walaupun negeri kita dok PITiH banyak, tetapi rakyat kita meniaga tak pernah tutup sampai ke cerah.

Orang-orang beri jolokan ke Negeri Terengganu ni, negeri dok relax, jadi kita terima belaka dan kita santuni sesiapa sahaja untuk hadir ke Terengganu dan mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu. Jadinya kalau Yang Berhormat Tepoh kata sukan berbasikal ini dikenali sebagai dengan jenama Land of Cyclist.

Maka sukan permotoran pula akan diketengahkan dengan nama Land of Motorsport, dengan izin dan sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri berhasrat untuk mencalonkan dua pelumba muda motosikal yang disebut panjang lebor Hakim Danish dan Qabil Irfan. Anak jati Terengganu dah diulas oleh ADUN Tepoh, kehebatan dia memang hebat. Oleh sebab itu, kita menyambut baik dan kita angkat dia sebagai Ikon Paelancongan Negeri Terengganu pada tahun 2026, dan kita akan sign kontrak dengan dia. Kita tunggu mak ayah dia balik daripada luar negara untuk kita berbincang. Insya-Allah mudah-mudahan kita akan mereka akan berjaya dan kita akan martabatkan anak-anak muda yang minat dalam motosikal ini untuk terus maju ke depan sehingga kepada motor GP. Sekarang ini dia main motor kecil lagi, Motor GP akan masuk next 2 years insya-Allah.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, sebagai penutup, Kerajaan Negeri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan, atas peruntukkan yang telah diluluskan bagi pembangunan sektor pelancongan Negeri Terengganu. Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dan agensi berkaitan akan terus memperkukuhkan kerjasama strategik dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta agensi Persekutuan yang lain bagi memastikan strategi pelancongan negeri sentiasa seiring dengan dasar pelancongan negara.

Selain daripada itu, pengiktirafan Terengganu sebagai negeri paling bahagia oleh Jabatan Perangkaan Negara Malaysia (DOSM) pada tahun 2024 mencerminkan keseimbangan hidup rakyat berlandaskan agama, kekeluargaan dan keharmonian sosial. Aspirasi hidup bersyariat menjadi teras pembangunan negeri yang menjadikan kesejahteraan rohani dan sosial, sebahagian daripada pengalaman pelancong yang datang merasai budaya, alam dan keramahan rakyat. Sektor pelancongan ini bukan sekadar industri rekreasi semata-mata, tetapi ia adalah nadi ekonomi rakyat.

Dengan pencapaian cemerlang tahun ini dan perancangan yang jelas untuk tahun hadapan saya yakin dan percaya Terengganu berpotensi besar menjadi antara negeri pelancongan terunggul di Malaysia insya-Allah.

Saya mengucapkan terima kasih kepada Ahli-ahli Yang Berhormat atas perhatian dan sokongan berterusan terhadap usaha martabatkan sektor pelancongan, kebudayaan, alam sekitar dan perubahan iklim Negeri Terengganu. Segala pandangan yang tidak sempat dibincangkan insya-Allah kita akan jawab di luar sana. Terima kasih sekali lagi saya ucapkan kepada semua, kepada Dato’ SUK.

Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, saya mohon mencelah sedikit boleh?

Timbalan Yang di-Pertua

Boleh sila.

Memang saya sengeleng tunggu akhir masa penutup untuk saya mencelah berkaitan dengan yang disebut oleh Yang Berhormat Kijal tadi berkaitan dengan persembahan anak-anak, persembahan tarian yang berumur bawah 12 tahun. Saya pernah sebut pada sidang lepas saya tidak berapa setuju dan tidak setuju sebenarnya, bila disebut tarian untuk anak-anak dibenarkan untuk bawah 12 tahun. Apa yang saya nak betulkan di sini sebaiknya yang kita membenarkan anak-anak kita buat persembahan tarian itu adalah anak-anak yang belum baligh, umur yang belum baligh 9 tahun, 10 tahun, 11 tahun sekarang ini ramai mana yang dah baligh. Jadi saya tegaskan sekali lagi kali ini supaya bekerjasama dengan Yang Berhormat Batu Buruk untuk kita nak buat satu garis panduan hiburan dan persembahan menitikberatkan umur kanak-kanak yang boleh dibenarkan buat persembahan secara terbuka ini. Terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua

Ya Wakil Kijal. Maknanya umur 12 tahun itu biasanya umum adalah beza umur antara budak puan baligh tapi kata Wakil Ladang tadi, hok 9 tahun pun ada baligh dah orang puan lening, 10 tahun pun ada jadi 11 tahun pun ada, jadi 12 tahun kadang-kadang masuk hok baligh doh ni, jadi dia minta supaya wakil kerajaan tengok semula. Saya sila, silakan Wakil Kerajaan untuk beri maklum balas.

Datuk Haji Razali bin IdrisBERSATU · PNKijal

Terima kasih Yang Berhormat Ladang, saya ni bukan background pendakwah. Saya tengok alik kiri, saya tengok alik kanan, jadi dia kena jawab. Saya rasa saya dari

pihak Jabatan Pelancongan, kita dah ikut SOP yang ditetapkan SOP yang ditetapkan gitu, setakat ni gitu maknanya kalau nak murnikan lagi, kita kena bincang pm tepilah kita bincang lain, molek-molek dan saya bersetuju, saya tidak ada masalah.

Timbalan Yang di-Pertua

Pm tepi ke wakil tepi?

Datuk Haji Razali bin IdrisBERSATU · PNKijal

Wakil tepilah. Pm tepi ni Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, ni personal message kita berbincang, kita wujudkan satu jawatan kuasa, yang seperti mana yang saya sebutkan tadi tu ada jawatan kuasa tambahan tu kita bincang molek-molek supaya memang, kita nak Negeri Terengganu ni, lain daripada yang lain dari segi pematuhan syariah, itu kita nak daripada, itu pasti pasal apa? kerana pematuhan syariah mesra muslimlah 14.5 juta kata (DOSM) hadir ke Terengganu, tu 14.5 juta jadi kita tak perlu takut nak cakap dalam bab ni. Bab patuh syariah mesra muslim kerana bukan islam ni, kita dok perlu takut dan saya dari pihak portfolio pelancongan dan kebudayaan, sentiasa menerima apa saja pandangan untuk memastikan ke Negeri Terengganu lain daripada yang lain itu sahaja. Jadi saya rasa itulah sahaja, saya nak ucap terima kasih kepada Dato' SUK, Dato' LA, yang banyak membantu saya, Dato' PKN, cakap hari ini lulus selalu, dan semua yang terlibat, yang menyediakan jawapan saya, dan semua kepada yang di atas sana, yang di sebelah sana, ucap banyak terima kasih mudah-mudahan kita semua, sentiasa dalam barakah Allah Subhanahu Wa Taala dan mudah-mudahan negeri kita dijaga oleh Allah Subhanahu Wa Taala. Insya-Allah tahun depan ni, kita fokus kepada bersih, Negeri Terengganu bersih, maka Allah akan kasih.

Timbalan Yang di-Pertua

Terima kasih kepada Wakil Kijal yang baru sahaja membuat penggulungan. Saya juga nak ucap terima kasih kepada semua Wakil-Wakil daripada pihak Kerajaan yang telah berjaya membuat penggulungan pada petang ini, dan pagi tadi lagi.

Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat, serta pegawai-pegawai dan pemerhati sekalian. Petang semalam, kita berhenti hampir-hampir jam 5 petang tanpa rehat, jadi pada hari ini saya memutuskan untuk kita tangguhkan lebih awal memandangkan sebahagian besar Wakil-Wakil Kerajaan telah buat penggulungan dan hanya tinggal seorang lagi kelihatan saya Wakil Paka dengan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, jadi insya-Allah ada ruang esok sebelum daripada agenda-agenda yang lain, maka dengan itu saya dengan ini tangguhkan sementara Dewan ini ke esok hari 13 November 2025 pukul 9.30 pagi dan marilah sama-sama kita bacakan Tasbih Kaffarah dan Surah Al-’Asr bagi mendapat keberkatan daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

MESYUARAT DITANGGUHKAN PADA PUKUL 4.45 PETANG