Terengganu · 20 April 2026
15th Assembly, 4th session, 1st meeting · 2 turns · 2,293 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalTerengganu publishes one PDF per meeting, with the written answers appended. Speakers are matched by our parser and will have some errors.
(Pembukaan)
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Sebelum kita mulakan Persidangan Dewan pada pagi ini, marilah sama-sama kita membaca Ummul Kitab Al-Fatihah.
(Al-Fatihah)
Perkara Pertama dalam Tertib Pekerjaan Dewan ialah Doa oleh Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua Dewan.
DOA
Dibaca oleh Yang Berhormat Yang di-Pertua Dewan.
Titah Ucapan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja TerengganuAddress / budget
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar, Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian. Perkara berikut di dalam Tertib Pekerjaan Dewan ialah Titah Ucapan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Terengganu.
YANG BERHORMAT DATO' YANG DI-PERTUA DEWAN KELUAR DARI DEWAN UNDANGAN NEGERI MEMOHON PERKENAN KE BAWAH DULI YANG MAHA MULIA PEMANGKU RAJA TERENGGANU UNTUK BERANGKAT KE ISTIADAT DEWAN UNDANGAN NEGERI
TITAH UCAPAN KE BAWAH DULI YANG MAHA MULIA PEMANGKU RAJA TERENGGANU
Yang Berhormat Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu.
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Marilah sama-sama kita panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya dapat kita bersama-sama hadir ke Majlis Perasmian Penggal Persidangan yang Keempat bagi Dewan Undangan Negeri yang Kelima Belas pada hari ini.
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad yang membawa rahmat ke seluruh alam dan limpahkanlah rahmat ke atas Baginda, kaum keluarga, para sahabat, para ulama, muslimin dan muslimat sekalian.
Alhamdulillah, bersyukur juga ke hadrat Ilahi kerana sehingga hari ini, setelah melalui fasa perubahan pentadbiran, ekonomi dan bencana alam, Negeri Terengganu masih utuh, aman damai dan harmoni.
Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (IKRM) yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia merupakan penanda aras bagi mengukur tahap kualiti
hidup rakyat berdasarkan perspektif ekonomi dan sosial. Peningkatan indeks telah direkodkan sebanyak 0.5% pada tahun 2024 berbanding tahun 2023. Ini menunjukkan dasar dan strategi yang dilaksanakan oleh Kerajaan memberi impak positif dalam ekonomi dan tahap sosial rakyat.
Ekonomi Negeri Terengganu merekodkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.5% pada tahun 2024 dengan nilai RM39.9 bilion berbanding tahun 2023 iaitu 2.2% dengan nilai RM38.2 bilion. Sektor perkhidmatan kekal menjadi penyumbang terbesar kepada KDNK Negeri Terengganu iaitu 51.9% dan diikuti oleh sektor pembuatan 36.6%, sektor pembinaan sebanyak 17.5%.
Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,
Selari dengan strategi dalam Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 yang dilancarkan oleh Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri perlu merangka strategi daripada pengeksport bahan mentah kepada aktiviti pembangunan produk hiliran.
Beta percaya, transformasi struktur ekonomi ini amat penting bagi mengurangkan kebergantungan pendapatan negeri kepada hasil royalti petroleum yang tidak menentu dan mengurangkan jurang pembangunan antara daerah. Dengan mewujudkan ekosistem industri hiliran, Terengganu akan dapat mengukuhkan rantaian nilai ekonomi negeri melalui penghasilan produk, peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan negeri yang lebih stabil.
Pembangunan kluster industri hiliran juga akan menarik pelaburan bernilai tinggi dan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi berasaskan inovasi, sekali gus menjadikan Terengganu sebagai negeri yang mampan dan berdaya saing menjelang 2030, selaras dengan matlamat Transformasi Ekonomi Baru Terengganu (TNEXT).
Pembangunan yang tidak seimbang antara daerah seperti daerah Kemaman yang mempunyai kelebihan sektor industri berkembang lebih besar berbanding daerah-daerah yang lain. Jurang pendapatan isi rumah antara kawasan bandar dan luar bandar berlaku disebabkan oleh aktiviti ekonomi yang terbatas bagi menjana pendapatan. Perkara ini perlu ditangani dengan baik supaya tidak menimbulkan kesan sosio-ekonomi yang serius.
Ekonomi Biru boleh menjadi sebahagian teras transformasi ekonomi Terengganu. Melalui pendekatan ini, penekanan kepada kelestarian sektor perikanan, pemuliharaan ekosistem pesisir serta pembangunan pelancongan laut dan akuakultur boleh diberikan tumpuan.
Usaha seperti inovasi penangkapan ikan lestari, pengurusan kawasan perlindungan laut dan penggunaan sumber laut secara bertanggungjawab akan dapat memperkukuh pendapatan masyarakat pesisir dan daya saing sektor maritim. Pendekatan ini amat penting dalam agenda keterjaminan makanan serta agenda pembasmian kemiskinan negeri.
Usaha berterusan Kerajaan Negeri setiap tahun dalam pembinaan tukun tiruan bagi meningkatkan pengeluaran hasil laut adalah inisiatif untuk kelangsungan jangka panjang. Namun begitu, data pendaratan masih tidak menunjukkan angka peningkatan yang sewajarnya. Data pendaratan 2024 menunjukkan sedikit peningkatan jumlah pendaratan sebanyak 43 ribu metrik tan berbanding tahun 2023 sebanyak 39 ribu metrik tan. Beta percaya inisiatif yang baik ini perlu disokong dengan pemerkasaan kemudahan infrastruktur perikanan lain seperti jeti pendaratan, bilik sejuk beku dan lain-lain kemudahan sokongan agar seluruh ekosistem sektor perikanan akan dapat berfungsi dan efektif.
Sektor pertanian telah menyumbang sebanyak RM2.9 bilion dengan pertumbuhan 3.9% kepada KDNK negeri pada tahun 2024 berbanding tahun sebelumnya. Angka ini jelas menunjukkan sektor pertanian juga mampu memberi sumbangan kepada negeri dan negara. Aktiviti pengeluaran hasil tanaman dan infrastruktur di Gedung Pengeluaran Makanan Terengganu, hendaklah terus diperkukuhkan agar pemain-pemain sektor ini dapat memperluaskan dan meningkatkan lagi pengeluaran hasil tanaman.
Transformasi sektor pertanian perlu dilaksanakan melalui penggunaan teknologi seperti kaedah smart farming serta precision agriculture supaya sektor pertanian berubah kepada sektor yang lebih moden dan bernilai komersial. Usaha ini akan meningkatkan pendapatan rakyat serta memenuhi agenda sekuriti makanan negara.
Sektor pelancongan merupakan penyumbang utama kepada aktiviti ekonomi negeri. Terengganu terkenal dengan keindahan pantai, pulau dan warisan
budaya tersendiri yang menjadikannya destinasi pelancongan domestik dan antarabangsa. Menjelang Tahun Melawat Terengganu 2027, pelbagai tarikan pelancongan seperti kebudayaan, eco-tourism dan penginapan yang selesa perlu diperkasa.
Selain daripada itu, aspek kebersihan juga perlu dititikberatkan dengan memastikan pengurusan sampah dapat diuruskan dengan cekap sekali gus mencerminkan Terengganu sebagai sebuah negeri yang mengutamakan kebersihan dan ekosistem pelancongan.
Dalam memastikan kebersihan dan kesihatan rakyat, Kerajaan Beta telah membelanjakan hampir RM130 juta setiap tahun bagi menampung kerja-kerja pembersihan awam dan pengurusan sisa pepejal. Seharusnya perbelanjaan ini boleh dikurangkan sekiranya semua pihak mengambil sikap bertanggungjawab berkaitan soal kebersihan. Oleh itu, Beta mencadangkan agar Kerajaan Negeri mengambil inisiatif sewajarnya untuk membudayakan mentaliti persekitaran bersih di kalangan seluruh rakyat.
Sepanjang tahun 2025, jumlah kehadiran pelancong yang direkodkan adalah seramai 7.6 juta orang merangkumi pelancong domestik dan antarabangsa. Pelancong-pelancong domestik dilihat terus menjadikan Terengganu sebagai destinasi tumpuan. Kesesakan jalan raya pada cuti umum, cuti persekolahan dan hujung minggu telah menjadi fenomena biasa. Pihak berkuasa perlu memastikan kesesakan ini diuruskan dengan baik agar aktiviti ekonomi dalam sektor pelancongan akan lebih terurus. Satu kajian khas aliran trafik bandar perlu dibuat agar masalah ini dapat diselesaikan dengan lebih efisien.
Terengganu merupakan di antara negeri yang mempunyai sumber mineral yang tinggi seperti emas, bijih besi, serta unsur nadir bumi. Mineral unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) telah dikenal pasti sebagai sumber pendapatan baharu yang berpotensi besar untuk diteroka dengan sebaiknya.
Oleh yang demikian, Beta menyeru agar pihak Kerajaan membuat perancangan serta garis panduan yang teliti supaya sumber mineral ini dapat diuruskan dengan sebaiknya dan menghasilkan pulangan kepada negeri. Sudah tiba masanya, Kerajaan Negeri perlu melihat polisi eksport mineral ini sebagai bahan mentah tidak lagi diteruskan tetapi memberi tumpuan kepada pembangunan produk hiliran.
Dalam usaha memperkukuh struktur ekonomi negeri sebagaimana digariskan dalam Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035, model perniagaan atau business model Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan swasta perlu mengalami perubahan menyeluruh. GLC kini disaran beralih daripada bertindak sebagai pelaksana kepada menjadi pemangkin pelaburan. GLC perlu beroperasi secara berdikari dan komersial, serta menjalinkan kerjasama strategik (joint venture) bersama sektor swasta untuk projek-projek berimpak tinggi.
Langkah ini bukan sahaja mengurangkan tanggungan fiskal Kerajaan Negeri, malah membolehkan keuntungan GLC disumbangkan semula bagi program kebajikan rakyat dan pembangunan negeri. Model kerjasama GLC-swasta yang mantap mampu memperkukuh rantaian nilai ekonomi negeri, menarik pelaburan bernilai tinggi dan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi.
Pembinaan ECRL di Negeri Terengganu secara keseluruhan telah mencapai kemajuan kerja sebanyak 97%.
Ianya dijangka bakal mengubah langskap logistik negeri menjadi hub logistik Pantai Timur. Kawasan sekitar stesen bakal dibangunkan dengan pembangunan berasaskan Transit Oriented Development (TOD) sebagai pusat pertumbuhan ekonomi baharu. Kerajaan Negeri perlu mengambil peluang kelebihan infrastruktur ini untuk meningkatkan daya saing negeri dalam konteks ekonomi domestik.
Negeri Terengganu terus mengekalkan kedudukannya sebagai destinasi utama pelabur, khususnya dalam sektor tenaga dan pembuatan. Pada tahun 2024, jumlah pelaburan yang direkodkan adalah sebanyak RM3.178 bilion. Sehingga Disember 2025, nilai pelaburan komited telah mencapai RM6.0 bilion, terutamanya sektor pembuatan. Secara kumulatif, sejak tahun 2022, Negeri Terengganu telah berjaya menarik pelaburan melebihi RM9.8 bilion melalui pelbagai sektor industri.
Ekosistem mesra pelabur yang komprehensif perlu dibangunkan bagi menarik pelaburan tempatan dan asing. Elemen One Stop Center menggunakan sistem digital atau kecerdasan buatan AI dapat mengurangkan birokrasi terutama melibatkan kelulusan kebenaran merancang dan pelan bangunan oleh Pihak Berkuasa Tempatan.
Selain itu, insentif bukan fiskal oleh Kerajaan Negeri juga perlu dikaji di samping kerjasama antara industri dan institusi pendidikan tempatan sebagai penyedia sumber tenaga kerja mahir untuk memenuhi keperluan industri. Kestabilan polisi dan tadbir urus adalah asas kepada persekitaran pelaburan yang stabil dan mesra perniagaan. Dasar sedia ada perlu ditambah baik bersama perancangan desa baru yang menepati kehendak industri.
Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,
Isu kemiskinan kekal menjadi dilema yang kompleks bagi setiap negeri di Malaysia. Purata Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Terengganu telah meningkat daripada RM2,751 pada tahun 2022 kepada RM2,841 pada tahun 2024 iaitu peningkatan sebanyak 3.23%. Ini menggambarkan berlakunya peningkatan kos sara hidup isi rumah di Terengganu yang berpunca daripada tekanan inflasi.
Walaupun berlaku peningkatan kepada paras PGK Negeri tetapi insiden kemiskinan mutlak di negeri ini menunjukkan trend penurunan daripada 6.2% pada tahun 2022 kepada 4.8% pada tahun 2024. Ini menggambarkan keberkesanan dasar dan inisiatif Kerajaan dalam membasmi kemiskinan. Beta mengharapkan agar usaha berterusan ini akan terus dilaksana bagi memastikan tak ada rakyat yang masih tercicir dan dibelenggu kemiskinan.
Institusi keluarga merupakan tunjang utama dalam struktur sosial yang berfungsi sebagai medium untuk memenuhi keperluan sosial, ekonomi dan psikologi individu. Indeks Kesejahteraan Rakyat Negeri Terengganu bagi tahun 2024 di bawah subkomposit sosial juga menunjukkan berlaku penurunan 0.5% berbanding 2023. Ini menunjukkan institusi keluarga yang tidak seimbang boleh menjadi punca kepada masalah yang lebih besar seperti masalah sosial dan lain-lain.
Kestabilan institusi keluarga serta work-life balance perlu dititikberatkan kerana ianya boleh menjadi halangan dalam mengeratkan hubungan kekeluargaan di samping cabaran penggunaan gajet seawal usia kanak-kanak yang semakin membebankan institusi keluarga yang utuh berfungsi sebagai jambatan interaksi yang sangat penting untuk memastikan kesejahteraan mental, pencegah kepada masalah sosial dan melahirkan golongan belia yang berkualiti.
Bagi mengukuhkan institusi keluarga, juga kediaman yang selesa adalah elemen penting dalam kehidupan sosial rakyat, kerajaan negeri telah membina 12,559 unit rumah mampu milik di Negeri Terengganu dari tahun 2018 hingga Januari 2026. Sebanyak 3,798 unit berada di peringkat perancangan indikator perumahan di dalam Indeks Kesejahteraan rakyat menunjukkan berlaku penurunan 1.9% pada tahun 2024 berbanding 2023.
Antara faktor yang mempengaruhi peratusan penurunan ini adalah antaranya keupayaan untuk memiliki kediaman yang semakin berkurang dan jumlah penawaran unit rumah kepada bilangan isi rumah B40. Beta berharap usaha untuk menyediakan kemudahan kediaman yang baik dan selesa akan dipergiatkan dan seterusnya dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat untuk jangka masa panjang terutama bagi golongan berpendapatan rendah.
Tunjang pentadbiran sesebuah negeri dan negara adalah perkhidmatan awam. Pentadbiran masa kini berhadapan dengan cabaran untuk kekal relevan di tengah-tengah kepantasan perubahan teknologi dan tuntutan rakyat yang semakin tinggi. Aspek kecekapan penyampaian perkhidmatan, integriti dan karenah birokrasi merupakan isu-isu yang sering dibincangkan oleh masyarakat.
Birokrasi dahulunya sinonim dengan proses manual yang perlahan kini mengalami transformasi melalui penerapan kecerdasan buatan (AI). Automasi tugas rutin dan mengurangkan campur tangan manusia dalam urusan teknikal membolehkan proses kelulusan lebih pantas dan tepat. Usaha meningkatkan kecekapan dan mengurangkan birokrasi perlu sentiasa dibuat supaya penyampaian perkhidmatan lebih berkesan.
Beta menyarankan agar peningkatan kecekapan perlu fokus kepada pemodenan, pengurusan prestasi tinggi dan penumpuan kepada rakyat.
Malaysia kini menduduki tangga ke-54 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI)pada tahun 2025 berbanding kedudukan ke-57 pada tahun 2024 daripada 180 buah negara. Ini jelas membuktikan bahawa usaha pencegahan antirasuah, tindakan penguatkuasaan dan komitmen tadbir urus ke arah pemerkasaan integriti diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Sukacita ingin Beta tekankan di sini bahawa aspek integriti hendaklah kekal sebagai tunjang utama dalam pentadbiran hari ini agar kepercayaan awam terus kukuh. Ia bukan sekadar prinsip moral, tetapi menjadi asas kepada kepercayaan rakyat, keberkesanan pentadbiran dan imej kerajaan secara keseluruhan. Inilah nilai yang perlu terus disemai demi melahirkan perkhidmatan awam yang berwibawa, berdaya saing dan dihormati. Penerapan nilai-nilai etika bukan sekadar di atas kertas, malah perlu diterapkan melalui budaya kerja yang telus di setiap peringkat organisasi.
Beta menyeru agar inisiatif bagi meningkatkan integriti perlu diperbanyakkan untuk membentuk dan melahirkan budaya integriti yang tinggi. Beta juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam di atas komitmen dan inovasi dalam memberikan perkhidmatan terbaik serta memastikan segala perancangan kerajaan dapat disampaikan terus kepada rakyat.
Beta juga ingin menyeru seluruh rakyat agar sentiasa mengekalkan perpaduan dan kerjasama walaupun terdapat perbezaan pendapat. Kesejahteraan negeri perlu dijaga serta dikekalkan dari sebarang anasir yang boleh menggugat keharmonian rakyat.
Akhirnya kata, Beta berdoa kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala agar rakyat dan Negeri Terengganu Darul Iman akan terus dilindungi serta sentiasa melimpahkan rahmat-Nya dan kerajaan Beta di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar agar terus maju seiring dengan matlamat mencapai Negeri Maju Berkat Sejahtera 2030.
Dengan lafaz mulia, Bismillahirrahmanirrahim, Beta dengan sukacitanya merasmikan Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Terengganu Yang Kelima Belas Tahun 2026.
Selamat bersidang. Sekian.
KE BAWAH DULI YANG MAHA MULIA PEMANGKU RAJA TERENGGANU DIIRINGI OLEH YANG BERHORMAT DATO' YANG DI-PERTUA DEWAN BERANGKAT KELUAR DARI DEWAN UNDANGAN NEGERI
YANG BERHORMAT DATO' YANG DI-PERTUA DEWAN MASUK SEMULA KE DEWAN UNDANGAN NEGERI
YANG BERHORMAT DATO' YANG DI-PERTUA:
Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Bagi memberi peluang kepada Ahli-ahli Yang Berhormat meneliti Ucapan Titah DiRaja untuk membuat perbahasan, saya tangguhkan Persidangan Dewan sehingga ke hari Selasa, 21 April 2026, jam 9.30 pagi.
Sebelum kita mengakhiri majlis pada pagi ini, sebentar nanti sesi fotografi bersama Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Terengganu, bersama-sama semua Ahli Yang Berhormat dan anggota pentadbiran negeri di hadapan pentas DiRaja di pekarangan Dewan Undangan Negeri. Mohon kerjasama semua ahli Dewan berada di tempat sesi fotografi sebaik sahaja Dewan ditangguhkan. Sementara itu, ketua-ketua jabatan dan semua hadirin dijemput menikmati makan tengah hari di Dewan Besar Tingkat Bawah Wisma Darul Iman.
Selepas sesi fotografi, saya ingin menjemput semua Ahli Yang Berhormat untuk menikmati jamuan di Ruang Makan Damai. Kita tangguhkan majlis kita dengan membaca tasbih Kaffarah dan Surah Al-'Asr. Terima kasih.
MESYUARAT DITANGGUHKAN PADA PUKUL 11.00 PAGI