Terengganu · 21 April 2026
15th Assembly, 4th session, 1st meeting · 164 turns · 30,529 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalTerengganu publishes one PDF per meeting, with the written answers appended. Speakers are matched by our parser and will have some errors.
(Pembukaan)
Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar, Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian. Mesyuarat disambung semula. Sebelum kita memulakan Persidangan Dewan pada pagi ini, marilah kita bersama-sama membaca ummul kitab Al-fatihah.
Al-Fatihah
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar, Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian. Perkara berikut di dalam Tertib Pekerjaan Dewan pada hari ini ialah Ucapan Yang Berhormat Dato' Yang Di-Pertua Dewan.
Ucapan Dato’ Yang Di-Pertua Dewan
Salam sejahtera dan salam hormat. Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar, Yang Amat Berhormat Ahli-Ahli Masjlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-Ahli Yang Berhormat, Ketua-Ketua Jabatan, Para Pemerhati, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya muliakan lagi saya kasihi sekalian.
Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah kerana dengan limpah rahmat dan keizinan-Nya, kita dapat bersama-sama berhimpun pada hari ini dalam Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas. Pertemuan ini memberi ruang untuk kita membuka tirai persidangan bagi tahun 2026 dalam suasana yang tertib dan harmoni. Di samping memperkukuhkan semangat kebersamaan dalam kalangan Ahli Dewan, ia juga menjadi permulaan kepada usaha dalam melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab, memastikan setiap urusan yang dibahaskan berjalan dengan teratur, serta sentiasa mengambil kira kepentingan rakyat dan pembangunan negeri secara menyeluruh.
Yang Berhormat Dato' Seri Menteri Besar dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian. Dalam menelusuri fasa selepas berlalunya Ramadan dan Syawal pada tahun ini kita sesungguhnya telah melalui suatu perjalanan tarbiah yang cukup bermakna. Ramadan mendidik jiwa dengan kesabaran dan keikhlasan manakala Syawal menyempurnakan kita dengan nilai kesyukuran, kemaafan serta pengukuhan silaturahim. Kedua-dua bulan yang telah kita lalui ini wajar meninggalkan kesan yang berpanjangan dalam diri kita semua, bukan sekadar kenangan bermusim tetapi sebagai asas pembentukan peribadi dan kepimpinan yang lebih berintegriti. Semoga segala amal ibadah yang telah dilaksanakan diterima oleh Allah Subhanuhu Wa Ta’ala dan terus menjadi bekal dalam kita menggalas amanah serta berkhidmat demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri.
Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar, mengawali bicara pada hari ini, patik dengan penuh takzim merafak sembah Menjunjung Kasih Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Ismail ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, Pemangku Raja Terengganu, atas limpah perkenan berangkat
mencemar duli dan merasmikan Persidangan pada kali ini. Keberangkatan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia sebagai Pemangku Raja bukan sahaja mencerminkan kesinambungan kedaulatan pemerintahan negeri, bahkan menzahirkan peranan penting institusi DiRaja sebagai teras kestabilan dan kelangsungan pentadbiran. Kehadiran Ke bawah Duli Yang Maha Mulia turut memperkukuh martabat Dewan ini sebagai medan perbahasan yang berwibawa, sekali gus memastikan segala urusan dan perjalanan Persidangan berlangsung dengan penuh tertib berlandaskan lunas Perlembagaan Negeri. Dalam kesempatan ini juga, patik dengan penuh takzim mendoakan ke hadrat Allah Subhanuhu Wa Ta’ala agar Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah serta seluruh kerabat Tuanku sentiasa dikurniakan keafiatan yang berpanjangan dilimpahi rahmat, inayahNya serta bersemayam dengan penuh kedaulatan memayungi negeri ini dengan hikmah demi kemakmuran serta kesejahteraan seluruh rakyat Negeri Terengganu. Ampun Tuanku.
Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian. Perkembangan legislatif semasa di Malaysia memperlihatkan satu landscape yang dinamik tetapi mencabar, khususnya dalam usaha mereformasi institusi dan kestabilan politik. Pembentangan Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan 2026 yang menyentuh had tempoh Perdana Menteri serta pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya di Dewan Rakyat mencerminkan komitmen ke arah tadbir urus yang lebih telus. Namun kegagalannya mencapai majoriti 2/3 menunjukkan realiti bahawa reformasi besar memerlukan kesepakatan politik yang kukuh. Dalam masa yang sama, kelulusan Belanjawan 2026 oleh Dewan Negara mengukuhkan peranan Parlimen sebagai pemegang kuasa kewangan negara, manakala isu pilihanraya kecil dan pelaksanaan undang-undang, anti lompat parti terus memberi kesan langsung kepada kestabilan komposisi Dewan serta keupayaan meluluskan dasar dan perundangan.
Di peringkat antarabangsa pula, trend legislatif menunjukkan peralihan yang signifikan ke arah penggunaan undang-undang sebagai instrumen strategik dalam menghadapi cabaran global. Ketegangan geopolitik melibatkan Iran dan Amerika Syarikat serta konflik lain telah mendorong banyak Parlimen meluluskan undang-undang kesepakatan, peruntukan pertahanan dan sekatan ekonomi sekali gus memperluas kuasa eksekutif dalam situasi krisis. Saya mengambil peluang dalam Dewan ini, untuk sama-sama kita membantah dan
menunjukkan ketidakpersetujuan kita terhadap sikap ekstrim dan ganas Amerika Syarikat dan Israel di bumi Palestin. Dalam masa yang sama, dunia turut menyaksikan peningkatan legislatif berkaitan teknologi seperti kecerdasan buatan, keselamatan siber dan perlindungan data di samping undang-undang perubahan iklim yang memberikan kesan langsung kepada ekonomi global. Keseluruhannya perkembangan ini menggambarkan bahawa fungsi legislatif hari ini semakin kompleks, bukan sahaja mengimbangi kuasa dalam negara, tetapi juga bertindak sebagai alat penting dalam menentukan kedudukan dan kepentingan negara di pentas antarabangsa.
Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian. Jika kita meneliti dengan tekun kesemua perkembangan yang saya sebutkan sebentar tadi, hal ini adalah selari dengan titah Tuanku semalam yang menekankan keperluan mempertingkat kecekapan tadbir urus serta mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Pendekatan berasaskan kecanggihan teknologi, khususnya kecerdasan buatan (AI), wajar diperkasakan secara lebih tersusun dan menyeluruh. Penggunaan teknologi ini mampu menjadi pemangkin kepada transformasi pentadbiran ke arah sistem yang lebih cekap, responsif dan berorientasikan rakyat. Sehubungan dengan itu, pelaksanaan teknologi AI perlu diberi penekanan khusus di peringkat pihak berkuasa tempatan serta seluruh jabatan yang berhubung secara langsung dengan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. Pemerkasaan ini bukan sahaja berupaya memudah dan mempercepat urusan harian rakyat, malah menjadi landasan penting dalam mengangkat kekuatan pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu ke tahap yang lebih dinamik, progresif dan berdaya saing dalam mendepani cabaran semasa, dalam masa yang sama aspek integriti perlu terus diperkukuh sebagai teras utama dalam setiap lapisan pentadbiran negeri. Kecekapan sistem dan kecanggihan teknologi tidak akan membawa makna sekiranya tidak disokong oleh nilai amanah, ketelusan dan akauntabiliti yang tinggi dalam kalangan penjawat awam serta pemimpin.
''Sesungguhnya kami pernah membentangkan amanah ini kepada langit, bumi dan gunung ganang. Semuanya enggan dan merasa sukar untuk memikulnya. Maka sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan jahil tentang amanah dan tanggungjawab ini''
Justeru budaya kerja berintegriti hendaklah sentiasa diperkasa melalui pematuhan kepada peraturan, pengawasan yang berkesan serta kebertanggungjawaban dalam setiap keputusan dan tindakan, hanya dengan landasan integriti yang kukuh, keyakinan rakyat kepada pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu dapat terus dipelihara dan diperkasakan.
Yang Berhormat Dato’ Seri Menteri Besar dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian. Sebagai penutup, saya menyeru kepada semua Ahli Yang Berhormat agar memanfaatkan persidangan pada kali ini dengan sebaiknya, khususnya dalam membahaskan titah Tuanku dengan penuh tanggungjawab dan kepahaman yang mendalam. Berbahaslah dengan baik, berteraskan fakta serta disampaikan dengan tertib dan berhemah agar setiap pandangan yang dikemukakan benar-benar memberi nilai tambah kepada perbincangan. Gunakanlah ruang dewan ini sebaiknya, bukan sahaja menyokong tetapi boleh menegur dan mengkritik selaras dengan peraturan dan semangat institusi demi memastikan segala perbahasan yang berlangsung dapat membawa manfaat kepada rakyat serta kemajuan Negeri Terengganu, Negeri Maju, Berkat, Sejahtera insya-Allah. Sekian.
Kertas-Kertas Kerja dan Laporan-Laporan
Perkara seterusnya di dalam Tertib Pekerjaan Dewan ialah Kertas-Kertas Kerja dan Laporan-Laporan.
Kertas-Kertas Kerja Dan Laporan-Laporan
Kertas-Kertas Kerja dan Laporan-Laporan yang dibentangkan ialah:
1.
Penyata Kewangan Tahun 2024, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu. (D.U.N. Bil.1/2026)
2.
Penyata Kewangan Tahun 2024, Majlis Perbandaran Kemaman. (D.U.N. Bil.2/2026)
3.
Penyata Kewangan Tahun 2024, Majlis Perbandaran Dungun. (D.U.N. Bil.3/2026)
4.
Penyata Kewangan Tahun 2024, Majlis Daerah Besut. (D.U.N. Bil.4/2026)
5.
Penyata Kewangan Tahun 2024, Majlis Daerah Hulu Terengganu. (D.U.N. Bil.5/2026)
6.
Penyata Kewangan Tahun 2024, Majlis Daerah Marang. (D.U.N. Bil.6/2026)
7.
Penyata Kewangan Tahun 2024, Majlis Daerah Setiu. (D.U.N. Bil.7/2026)
8.
Penyata Kewangan Tahun 2024,
Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu. (D.U.N. Bil.8/2026)
9.
Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Tahun 2024,
Lembaga Muzium Negeri Terengganu.
(D.U.N. Bil.9/2026)
10.
Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Tahun 2024,
Yayasan Terengganu.
(D.U.N. Bil.10/2026)
11.
Laporan Ketua Audit Negara 1 2026, Terengganu. (D.U.N. Bil.11/2026)
12.
Laporan Tahunan dan Kewangan Tahun 2024,
Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu. (D.U.N. Bil.12/2026)
13.
Laporan Tahunan dan Kewangan Tahun 2024,
Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu. (D.U.N. Bil.13/2026)
Perkara berikut ialah soalan-soalan yang telah diberi notis.
(1) Soalan-soalan Bertulis.
(2) Soalan-soalan Lisan.
Soalan-Soalan Yang Telah Diberi NotisQuestions
Jawapan-jawapan kepada Soalan-Soalan Bertulis yang telah diberi notis dan dibentangkan di hadapan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian ialah soalan-soalan daripada:
1 Yang Berhormat Wakil Bandar 2 Yang Berhormat Wakil Jertih 3 Yang Berhormat Wakil Kuala Berang 4 Yang Berhormat Wakil Kemasik 5 Yang Berhormat Wakil Ladang 6 Yang Berhormat Wakil Pengkalan Berangan 7 Yang Berhormat Wakil Seberang Takir 8 Yang Berhormat Wakil Pemaisuri 9 Yang Berhormat Wakil Rantau Abang 10 Yang Berhormat Wakil Batu Rakit 11 Yang Berhormat Wakil Air Putih 12 Yang Berhormat Wakil Telemung 13 Yang Berhormat Wakil Bukit Tunggal 14 Yang Berhormat Wakil Kuala Besut 15 Yang Berhormat Wakil Bukit Besi 16 Yang Berhormat Wakil Sura
SOALAN-SOALAN LISAN
Soalan-Soalan LisanQuestions
Sekarang kita masuk kepada Soalan-Soalan Lisan. Berikut adalah Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah beri notis untuk mengemukakan Soalan-Soalan Lisan.
1 Yang Berhormat Wakil Bandar
Yang Berhormat Wakil Jertih 3 Yang Berhormat Wakil Kuala Berang 4 Yang Berhormat Wakil Kemasik 5 Yang Berhormat Wakil Ladang 6 Yang Berhormat Wakil Pengkalan Berangan 7 Yang Berhormat Wakil Manir 8 Yang Berhormat Wakil Seberang Takir 9 Yang Berhormat Wakil Permaisuri 10 Yang Berhormat Wakil Hulu Besut 11 Yang Berhormat Wakil Rantau Abang 12 Yang Berhormat Wakil Batu Rakit 13 Yang Berhormat Wakil Langkap 14 Yang Berhormat Wakil Air Putih 15 Yang Berhormat Wakil Telemung 16 Yang Berhormat Wakil Bukit Tunggal 17 Yang Berhormat Wakil Kuala Besut 18 Yang Berhormat Wakil Bukit Besi 19 Yang Berhormat Wakil Sura
Dipersilakan Yang Berhormat Wakil Bandar mengemukakan soalan beliau.
Terima kasih Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar, Ahli-Ahli Yang Berhormat, seterusnya kepada warga Dewan yang dimuliakan. Soalan saya, soalan nombor satu-
Pihak Kerajaan Negeri telah melaksanakan beberapa program untuk membangunkan usahawan di kalangan graduan dan belia Negeri Terengganu. Apakah kejayaan yang telah dicapai hasil daripada program ini?
Soalan nombor satu, sila Yang Berhormat. Nombor satu, soalan nombor satu. Sila.
Terima kasih, Dato' Yang di-Pertua Dewan, terima kasih kepada Yang Berhormat Bandar. Program utama yang dilaksanakan oleh YPU, Yayasan Pembangunan Usahawan bagi melahirkan dan membangunkan usahawan belia dan graduan di Negeri Terengganu ialah melalui program Usahawan Belia Sejahtera atau yang dikenali sebagai U-BES dan telah mendapat pengiktirafan ISO 9001-2015 pada tahun 2023. Belia yang layak memohon mestilah berumur 18 hingga 40 tahun tanpa mengambil kira tahap pendidikan. U-BES mula dilaksanakan pada tahun 2019 dan sehingga kini sebanyak empat siri U-BES telah dilaksanakan dengan jumlah peserta seramai 155 orang, dua pengukuran utama prestasi peserta U-BES yang dilaksanakan ialah kelangsungan perniagaan dan prestasi jualan. Sebanyak 97% peserta U-BES masih menjalankan perniagaan dan purata peningkatan jualan melebihi 15% dan berjaya menyediakan peluang pekerjaan kepada seramai 449 orang. Sekian, terima kasih.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Alur Limbat.
Terima kasih Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua. Bolehkah pihak Kerajaan maklumkan setelah program yang dilaksanakan selama empat siri itu, apakah kejayaan yang telah diperolehi dan cabaran-cabaran pada program ini dan adakah disana ada penambahbaikan dan memastikan hasil pencapaian yang lebih baik dan lebih tinggi, terima kasih.
YYANG BERHORMAT DATO' ARIFFIN BIN DERAMAN (Wakil Alur Limbat): Terima kasih kepada Wakil Bandar. Perincian pelaksanaan empat siri U-BES, sebenarnya U-BES yang kelima sedang dilaksanakan khusus kepada 40 peserta asnaf MAIDAM dengan peruntukan yang telah disalurkan oleh Maybank Islamic kepada YPU sebanyak RM420,480.00 Dari segi perinciannya, 2019, U-BES yang pertama, 39 peserta melibatkan pekerja 55 orang. Satu juta nilai jualannya RM1,034,317.60. 2020, U-BES 2.0 36 orang peserta, pekerja 70 orang, RM2,703,166.40. 2021, kita tak laksanakan. 2022, U-BES 3.0, 40 peserta. Bilangan pekerja 85 orang melibatkan nilai jualan RM4.5 juta. 2023 U-BES 4.0, 40 peserta, nilai pekerja 84 orang yang melibatkan RM5,857,673.57.
2024 kita tak laksanakan, bagi 2025 telah disebut tadi jumlah keseluruhan peserta 195, pekerja 294 melibatkan jualan RM14,095,157.57.
Antara cabaran utama ialah penetapan kaedah kenal pasti dan pemilihan usahawan belia yang layak, proses mentoring dan coaching, modul kursus serta pemantauan peserta bagi memastikan KPI yang ditetapkan tercapai. Hasil daripada penambahbaikan tersebut, maka U-BES siri 3 dan 4, 100% peserta masih mengekalkan perniagaan sehingga sekarang dan jumlah keseluruhan pendapatan mereka meningkat sebanyak 566% berbanding pencapaian jumlah tahunan peserta U-BES siri yang pertama.
Izinkan saya berkongsi kejayaan seorang peserta U-BES. Pesertanya bernama Nur Sarah Adlina binti Muhammad yang berumur 31 tahun, Syarikat PastelMonoMY, bidang perniagaan cafe, pendidikannya Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk Perindustrian. Beliau merupakan seorang graduan Ijazah yang berdepan cabaran besar semasa pandemik COVID-19, lalu beliau mengambil inisiatif sendiri untuk menjana pendapatan tanpa membebankan keluarga dengan mula menghasilkan dan menjual kuih dari kecil-kecilan kepada rakan-rakan melalui platform WhatsApps serta jualan dari rumah ke rumah, sehingga sekarang telah berjaya mengembangkan perniagaan dengan membuka tiga lagi cawangan kafe. Jumlah pekerja seramai 35 orang serta menjana pendapatan sekitar RM500,000 hingga RM600,000 sebulan. Sekian.
Terima kasih Yang Berhormat Alor Limbat. Ada soalan tambahan? Seterusnya silakan Yang Berhormat Jertih.
Dato' Yang di-Pertua Speaker. Jertih soalan No 3-
Apakah Kerajaan Negeri Terengganu mempunyai perancangan untuk menghubungkan laman-laman web ADUN ke dalam laman web rasmi Kerajaan Terengganu?
Terima Kasih Dato' Yang di-Pertua, terima kasih Jertih yang mengemukakan soalan sebagaimana yang tertera. Sehingga kini pihak Bahagian Pembangunan Teknologi Maklumat, Pentadbiran Kerajaan Negeri tidak mempunyai perancangan untuk menggabungkan laman sosial ADUN secara terus ke dalam portal rasmi Kerajaan Negeri. Walau bagaimanapun, Pentadbiran Kerajaan Negeri tiada halangan membuat pautan tersebut pada portal rasmi Kerajaan Negeri dan perkara ini akan dilihat semula pada sesi pengemaskinian kandungan laman web bersama pihak korporat dan Bahagian Pembangunan Teknologi Maklumat. Terima kasih.
Terima Kasih Yang Berhormat, ada soalan tambahan. Tak ada...Seterusnya sila Yang Berhormat Kuala Berang mengemukakan soalan.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua Dewan.
Nelayan buang sauh lekat di batu. Soalan nombor satu.
Soalan no 1. Sila Yang Berhormat Jabi. Pantun tidak jelas mana.
Apakah tindakan Kerajaan Negeri bagi mengatasi masalah pengusaha ikan sangkar di Sungai Terengganu yang mengalami kerugian akibat daripada kedalaman sungai yang semakin cetek, contohnya di Kampung Pantai Ali?
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, terima kasih kanda Yang Berhormat Kuala Berang, Ahli-Ahli Yang Berhormat, Ketua-Ketua Jabatan dan semua pemerhati yang dihormati sekalian. Isu yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Kuala Berang ialah berkaitan dengan penternakan akuakultur di Kampung Pantai Ali, Hulu Terengganu yang berhadapan dengan isu sungai yang terlalu cetek.
Siasatan tapak dan pemantauan telah dibuat oleh Jabatan Perikanan dan JPS. Punca utama dikenal pasti ialah perubahan cuaca panas yang melampau dan kekurangan hujan di kawasan sekitar Daerah Hulu Terengganu ditambah pula dengan fenomena mendapan sungai yang telah menyebabkan air sungai menjadi terlalu cetek. Fenomena ini memberikan satu kesan langsung kepada 13 orang pengusaha ternakan ikan sangkar di situ dengan anggaran 70 unit sangkar berkeluasan kira-kira 2,520 meter persegi.
Fenomena ini menyebabkan kematian kira-kira 4,500 kilogram ikan yang terdiri daripada 4 metrik tan ikan tilapia dan 0.5 metrik tan ikan patin dengan anggaran kerugian kira-kira RM57,000.00. Bagi menangani kerugian dan kesan jangka panjang terhadap penternak, Kerajaan Negeri menyelaraskan tindakan bersama dengan Jabatan Perikanan dan juga JPS dengan mengambil beberapa tindakan proaktif.
Yang pertama, untuk memberikan khidmat nasihat berkaitan dengan pengurusan ternakan terutamanya kaedah susun atur sangkar yang bersesuaian bagi mengurangkan kadar kematian ikan dalam sangkar. Yang kedua, bantuan peralatan dalam bentuk tali sauh kepada pengusaha untuk memudahkan mereka mengalih dan menggerakkan sangkar ke kawasan sungai yang mempunyai air yang lebih dalam. Yang ketiga, tindakan penyelarasan bersama dengan pihak agensi berkaitan. Isu sungai terlalu cetek ni telah dibawa ke dalam mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah Hulu Terengganu pada 26 Februari lepas dan susulan daripada itu tindakan bersama di antara Jabatan Perikanan dan JPS telah diambil untuk menyusun penyelarasan khusus bersama dengan agensi-agensi berkaitan dalam waktu terdekat bagi merangka satu solusi yang tuntas, dan akhir sekali penyaluran insentif bagi mengurangkan beban pengusaha. Jabatan Perikanan Malaysia telah meluluskan permohonan pengusaha sangkar di Kampung Pantai Ali di bawah program Sistem Penyampaian dan Khidmat Sokongan Akuakultur bagi tahun 2026 dengan peruntukan hampir RM40,000.00. Itulah di antara langkah-
langkah segera yang telah diambil bagi mengurangkan impak dan membantu penternak yang mengalami kerugian. Terima kasih.
Terima kasih Jabi. Ada soalan tambahan? Sila Kuala Berang.
Tadi berkaitan dengan tindakan daripada pihak Kerajaan. Apakah pandangan ataupun cadangan kepada pengusaha akuakultur itu sendiri supaya mengurangkan impaks daripada panas tadi kemarau tadi supaya apa ni hasilnya tidaklah begitu teruk pada penternak-penternak ikan tersebut. Apa pandangan?
Silakan Yang Berhormat Jabi.
Terima kasih. Kampung Pantai Ali ini nama je pantai tapi ternakan air tawar ini bukan air masin. Yang pertama kita mencadangkan kepada pengusaha sangkar supaya perkemaskan semula dari segi susun atur dengan mengambil kira jajaran aliran air dan kapasiti hidraulik sungai, kedalaman air serta kecukupan bekalan air. Termasuk juga kita nasihatkan kepada pengusaha untuk membersihkan jaring sangkar, kerana jaring sangkar yang ditutup dengan lumut akan menghalang aliran air keluar masuk ke dalam sangkar yang membekalkan nutrien dan oksigen kepada ikan yang diternak. Yang kedua, menyusun sangkar secara sistematik bagi mengurangkan halangan aliran air dan meminimumkan pemendapan sedimen. Kemudian dari segi pengurusan sisa aktiviti juga adalah suatu perkara yang perlu diambil perhatian supaya tidak menjejaskan persekitaran sungai dan akhir sekali aktiviti-aktiviti di tebing sungai perlu diatur secara stabil bagi mengekalkan fungsi semula jadi dan kestabilan tebing sungai tersebut. Terima kasih.
Ada soalan tambahan. Sila Wakil Jertih.
Dato' Speaker Dewan, berkaitan dengan kenaikan harga diesel minyak di seluruh negara, adakah unjuran pihak EXCO penguasa-penguasa atau nelayan akan menjual bot-bot mereka untuk beralih kepada generasi yang lain. Terima kasih.
Lari sikit daripada soalan asal Dato' Yang Di-Pertua.
Tak ape lah bagi ruang, pagi-pagi ni.
Isu kenaikan harga minyak ni memberikan impak kepada keseluruhan rantaian pengeluaran hasil makanan dalam semua sektor pertanian, penternakan, perikanan termasuk juga nelayan. Dalam sektor pertanian, jentera pertanian sebenarnya tidak diberikan subsidi diesel. Untuk nelayan, nelayan pantai memang mereka dapat subsidi minyak sebanyak 50 liter sehari. 50 liter sehari kalau nelayan sampan bot fiber, enjin 40 kuasa kuda yang pergi menangkap ikan dalam jarak sekitar 15 batu nautika, ramai yang tak sempat balik maknanya habis minyak tengah jalan. Yang Berhormat Kuala Berang cukup maklum berkaitan dengan keperluan minyak kerana 40 kuasa kuda enjin bot fiber sebenarnya dia menyamai sebuah motosikal 400cc. Bagi nelayan laut dalam kelas C dan C2, mereka tidak diperuntukkan dengan subsidi diesel. Saya menerima aduan baru ini dalam lawatan ke Kuala Besut untuk bot pukat jerut pertambahan kos untuk sekali keluar di antara RM50,000 sehingga RM60,000 pertambahan kos daripada kos yang sedia ada dan ramai yang mula bersungut, kita sebenarnya terlalu kritikal tak mampu nak tampung kos. Jual itu ada dah keluar tersebut di mulut tapi saya kata jangan ulang banyak kali lah jangan ulang banyak kali. Kita perlu bertahan kerana ini adalah sektor kritikal.
Dari segi sektor pertanian padi contohnya, kos jentera pembajak sebelum daripada kenaikan dulu, seekar RM170. Dengan kenaikan diesel, dia akan meningkat kepada hampir RM400 seekar. Kos jentuai, jentera penuai di kita di Kelantan, Terengganu ni dia kira guni RM13 seguni akan meningkat kepada hampir RM20 seguni dan ini dia antara peningkatan-peningkatan kos yang meletakkan warga tani, penternak dan nelayan kita dalam situasi terlalu sempit untuk bernafas dan isu-isu ini kita angkat ke atas kerana ia tidak berada dalam bidang kuasa negeri kita sebenarnya tapi sebagai gambaran kepada Dewan, inilah situasi bagaimana wira-wira yang tidak didendang yang bekerja untuk menghasilkan makanan yang kita makan berada dalam keadaan yang terlalu tersepit dan tertekan. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Jabi. Yang Berhormat, sila.
Satu lagi soalan.
Tak apalah, sila.
Terima kasih. Berkaitan dengan soalan saya tadi, pengusaha ikan sangkar di Pantai Ali. Saya nak tanya adakah pihak Kerajaan aware ataupun ambil maklum berkaitan dengan info bahawa di sana yang jadi cetek itu kerana ada sedimen, pasir-pasir halus, selut dan sebagainya dia seperti mendarat di kawasan itu. Jadi, pada agakkan pihak-pihak di sana kerana ada aktiviti di seberang sungai sebelah sana itu, hujung sana, iaitu di Kampung Getang dan sebagainya aktiviti mengambil pasir. Jadi menyebabkan aliran sungai ini daripada hulu, dia pergi sebelah leknung dan dia buang pasir sebelah sini. Jadi adakah pihak Kerajaan aware perkara tersebut?
Secara asasnya apabila aliran semula jadi sungai ini diganggu memang akan ada tindak balas semula jadi dalam bentuk hakisan dan juga pemendapan. Fenomena di Kampung Pantai Ali ini, hakisan berlaku di kampung lain yang disebut oleh Yang Berhormat Kuala Berang tadi dan mendapan berlaku di Kampung Pantai Ali yang menyebabkan sungai menjadi tohor dan memberikan impak secara langsung kepada sektor akuakultur di situ. Dalam kes ini, saya mohon kepada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Terengganu (JPS) untuk meneliti secara teknikalnya dari segi kajian hidraulik dan mencadangkan suatu tindakan yang berkesanlah untuk kita menyelamatkan industri akuakultur di sini. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Jabi. Sebelum saya persilakan Yang Berhormat Kemasik, ambil peluang untuk sama-sama kita berdoa agar Allah Ta'ala memberikan kesihatan yang cepat kepada Yang Berhormat Buluh Gading yang tidak dapat lagi hadir bersama dalam Persidangan kali ini. Seterusnya saya silakan Yang Berhormat Kemasik kemukakan soalan.
Terima kasih Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, soalan Kemasik nombor satu-
Apakah kaedah dan kayu ukur yang digunapakai oleh Kerajaan Negeri Terengganu untuk menentukan kejayaan perlaksanaan pembangunan usahawan Negeri Terengganu dan apakah statistik kejayaan tersebut untuk 5 tahun terkini?
Soalan nombor satu, Yang Berhormat Alur Limbat.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua Dewan. Terima kasih kepada Yang Berhormat Kemasik. Kaedah dan kayu ukur yang digunapakai oleh Kerajaan Negeri Terengganu untuk menentukan kejayaan pelaksanaan usahawan Negeri Terengganu ialah Kelangsungan dan Daya Tahan Usahawan sepanjang perniagaan mereka. Jumlah peningkatan dan pembaharuan ahli i-SUTRA bagi tempoh 2021 hingga 2025 sebagaimana berikut. i-SUTRA ini adalah pendaftaran usahawan melalui Yayasan Pembangunan Usahawan
TAHUN JUMLAH AHLI % PENINGKATAN 2021 10,129 orang 4.5%, 2022 12,182 orang 16.85% 2023 14,769 orang 17.52% 2024 15,084 orang 2.09% 2025 16,348 orang 7.73%
Indikator umum ialah melalui peningkatan pendaftaran usahawan aktif dalam Sahabat Usahawan Terengganu (SUT) yang telah dijenamakan semula sebagai i-SUTRA (Integrated System Sahabat Usahawan Terengganu). Manakala indikator khusus ialah bergantung kepada program dan aktiviti yang dijalankan. Antaranya peningkatan jualan, penyediaan peluang pekerjaan, penggunaan
pendigitalan dalam perniagaan, pembukaan cawangan baru serta penembusan pasaran, sekian.
Terima kasih Yang Berhormat Alur Limbat atas soalan tambahan. Sila, Yang Berhormat Kemasik.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, Yang Berhormat Alur Limbat soalan tambahan Kemasik. Apakah tindakan yang Kerajaan susun dan atur bagi pembangunan dan pemerkasaan usahawan sama ada usahawan baharu ataupun yang sedia ada bagi meneruskan kejayaan dan melalui cabaran-cabaran yang ada sekarang.
Sila Yang Berhormat Alur Limbat.
Pelan tindakan bagi pembangunan dan pemerkasan usahawan baharu dan juga usahawan sedia supaya mereka lebih berdaya saing dan terus berkembang khususnya dalam keadaan ekonomi sekarang ini iaitulah melahir dan membangunkan usahawan belia di bawah program Belia Sejahtera (UBES) dalam pelbagai sektor sebagaimana yang saya jawab soalan ini sebelum daripada ini. Seterusnya pembangunan modal insan dan usahawan dengan mengadakan seminar keusahawanan untuk permulaan perniagaan, seminar keusahawanan untuk usahawan pertengahan, dan seminar keusahawanan untuk usahawan berprestasi tinggi.
Yang ketiga, pembangunan produk dan perniagaan. Kita mengadakan bantuan bar code, bantuan maklumat nutrisi, bantuan pelabelan dan pembungkusan produk. Seterusnya, promosi dan pasaran, bantuan papan tanda, bantuan periklanan, SDSI (Satu Daerah, Satu Industri). Yang terbaru di Pengkalan Setar, insya-Allah kita bersama dengan Kerajaan Pusat, kita ada bantuan papan tanda 2 di Pengkalan Setar untuk buat produk keropok keping. Kemudian bantuan SDSI ini, kita ada insya-Allah, akan membantu untuk mesin-mesin membuat keropok keping di Pengkalan Setar ini yang terbaru. Penganjuran dan penyertaan acara keusahawanan program terbaru bagi meningkatkan jualan usahawan melalui promosi ialah Program Sokong Aktiviti dan Produk Orang Terengganu yang dikenali sebagai SAPOT.
Peningkatan modal perniagaan melalui pembayaran TUGAS, pembayaran NO-RIBA dan geran melalui pinjaman dan juga geran melalui Tabung TUGAS memperkasakan industri Halal Terengganu, alhamdulillah kita telah menubuhkan pada Januari yang lalu Majlis Halal Terengganu yang diurusetiakan oleh Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU). Menambah baik profiling sahabat usahawan Terengganu i-SUTRA, penggalakan ekosistem perniagaan yang kondusif melalui penyediaan sokongan keusahawanan membangunkan kapasiti perniagaan dan memudah cara akses kepada pasaran. Seterusnya, memperkukuh Urus Setia Pembangunan Usahawan Terengganu (PEUTER) melalui kerjasama pelaksanaan program dan aktiviti keusahawanan. PEUTER ini adalah agensi yang melibatkan 40 agensi yang berkait dengan keusahawanan, agensi negeri dan juga pusat. Sekian.
Terima kasih Yang Berhormat, ada soalan tambahan?
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, sedikit tambahan lagi. Kebanyakan kursus-kursus yang disebut sebagaimana yang disebut oleh Yang Berhormat Alur Limbat dilihat kebanyakannya lebih berpusat di Kuala Terengganu. Mohon untuk dipertimbangkan ke peringkat daerah-daerah yang lebih jauh ataupun yang di utara dan selatanlah supaya lebih ramai usahawan boleh menyertai program-program dan inisiatif tersebut.
Insya-Allah, Yang di-Pertua Dewan, pada tahun ini kita telah merancang untuk decentralize dengan izin untuk turun ke daerah-daerah dan kita telah tahun lepas turun ke daerah-daerah sebenarnya untuk memberikan penerangan bersama dengan agensi PEUTER kita. Dan tahun ini kita akan adakan kursus-kursus di peringkat daerah.
Terima Kasih Yang Berhormat. Seterusnya, saya mempersilakan Yang Berhormat Ladang untuk mengemukakan soalan.
Yang Berhormat Dato' Yang Di-Pertua, soalan saya yang pertama-
Apakah perkembangan terkini Garis Panduan Syariah Negeri Terengganu setelah semakan semula dilaksanakan?
Soalan yang pertama kita akan gabungkan dengan soalan Manir. Sila Yang Berhormat kawasan Batu Buruk.
Terima kasih Dato' Yang di-Pertua. Terima kasih Ladang yang mengemukakan soalan. Berkaitan dengan perkembangan terkini Garis Panduan Syariah Negeri Terengganu. Garis Panduan Syariah Negeri Terengganu setelah semakan, kini sedang melalui proses akhir untuk diangkat bagi pertimbangan dan kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN). Secara keseluruhannya, garis panduan ini merangkumi tiga komponen utama iaitu mengenai teras dalam sesuatu acara dan hiburan, mengikut jenis-jenis acara dan hiburan serta berkenaan dengan beberapa aktiviti lain seperti penerbitan, promosi, pelancongan dan perayaan orang bukan Islam. Kerajaan Negeri juga komited untuk memperkukuh pelaksanaannya melalui penilaian dan penyelarasan aspek perundangan termasuk keperluan pindaan atau penggubalan sebarang Enakmen, kaedah, peraturan dan prosedur berkaitan oleh pihak-pihak berautoriti agar selari dengan perundangan semasa. Langkah ini penting bagi memastikan garis panduan ini bukan sahaja bersifat dasar tetapi benar-benar berupaya dikuatkuasakan secara berkesan, menyeluruh dan berimpak tinggi.
Terima kasih Yang Berhormat. Ada soalan tambahan?
Soalan tambahan saya yang pertama, apakah tujuan utama sebenarnya semakan Garis Panduan Syariah Terengganu ini yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri? Terima kasih.
Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Ladang. Dato' Yang di-Pertua, sebenarnya Garis Panduan ini telah sedia ada sejak pada penggal lepas dan kita buat beberapa pengemaskinian berdasarkan keperluan semasa khususnya berkait dengan libat urus kepada portfolio-portfolio lain khususnya Pihak Berkuasa Tempatan dan Pelancongan. Sebagai contoh, bila Negeri Terengganu kita ini sebuah negeri pelancongan yang mana ramai pelancong-pelancong datang dan banyak acara-acara yang dianjurkan maka perlu kepada satu garis panduan kepada pihak PBT dan pihak Pelancongan. Dan kita sentiasa mengkaji dan membuat penambahbaikan dan kita telah menubuhkan sekretariat. Di mana sekretariat ini yang telah dilantik turut mengadakan beberapa siri perbincangan, mesyuarat dan bengkel libat urus bersama pelbagai pihak berkepentingan termasuk wakil jabatan dan agensi Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), ahli akademik serta kumpulan pakar dalam bidang yang berkaitan. Terima kasih.
Terima kasih. Ada soalan tambahan? Silakan Manir.
Saya cuma ada satu cadangan, sekiranya Garis Panduan Syariah negeri ini telah diterima di peringkat MMKN, saya cadangkan supaya Garis Panduan ini
Cadang ke soalan?
Sedikit pandangan dan..
Soalan-soalan.. Cadangan sebut dalam ucapan.
Okay.
Adakah garis panduan ini akan diinduksikan ataupun diturun setiap pimpinan masyarakat, contohnya diturunkan kepada JPKK ke ataupun kepada Pusat Khidmat Masyarakat, supaya kita dapat mendalami, kita dapat faham apa garis panduan yang telah ditentukan ataupun yang telah disemak semula oleh pihak Kerajaan. Terima kasih.
Insya-Allah, kita akan mengambil perhatian apa yang disebutkan tadi dan saya kira itu sebagai satu cadanganlah untuk kita ambil tindakan selanjutnya. Insya-Allah.
Lagi ada soalan tambahan? Manir?
Saya pun dok sekke soalan jadi gabung hari ini. Hok esok pulok, hok hari ini kena tolok. Jadi soalan spontan saya pada sesi ini adalah dengan soalan sejauh mana pindaan Enakmen Syariah bagi menangani isu-isu baharu seperti jenayah siber dan moral. Jadi soalan saya, apakah pihak Kerajaan mempunyai ada penglibatan pakar-pakar IT di bawah pemerkasaan Enakmen Syariah ni secara official lah secara tuntas daripada pihak Kerajaan. Terima kasih.
Okay, terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Manir. Dato' Yang di-Pertua, berkait dengan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu (Pindaan) 2022 yang telah dikuatkuasakan pada 1 Januari 2024 dan pindaan ini bertujuan untuk memperkukuh undang-undang sedia ada bagi mendepani realiti sosial semasa termasuk isu moral dan ancaman yang berkembang mengikut peredaran zaman. Di mana apa yang disebut oleh Yang Berhormat Manir tadi, banyak perkembangan semasa yang berlaku khususnya apabila kita berada di zaman yang mana maklumat begitu banyak melalui media sosial dan banyak jenayah-jenayah siber yang berlaku dan kita mengambil perkembangan tersebut dan mengambil langkah-langkah ke hadapan justeru kita telah mengadakan beberapa pindaan antara yang kita masukkan dalam pindaan yang terbaru ialah bagi kita menangani isu moral dan sosial baharu.
Antaranya ialah kita memasukkan berkait dengan perbomohan dan sihir dalam Seksyen 3A dan juga di sana terdapat Seksyen berkait dengan jenayah siber dan digital. Sebagai contoh, hukuman maksimum sebanyak 21 Seksyen
sedia ada telah dipinda untuk meningkatkan hukuman kepada kadar maksimum yang dibenarkan di bawah Akta 355 iaitu RM5,000 denda, 3 tahun penjara dan 6 kali sebatan dan insya-Allah kita akan melihat daripada semasa ke semasa dengan perkembangan-perkembangan yang berlaku untuk kita membuat penambahbaikan insya-Allah.
Okay Yang Berhormat.
Seterusnya, saya persilakan Yang Berhormat Pengkalan Berangan.
Terima kasih, Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua. Soalan nombor satu-
Berapakah jumlah Lesen Sampan Khas Nelayan Terengganu yang telah diluluskan dalam tempoh 5 tahun?
Sila Jabi.
Terima kasih Dato' Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Pengkalan Berangan yang sentiasa mengambil berat tentang isu-isu nelayan di daerah Marang khususnya. Sama ada di Pengkalan Marang, Mercang, Gong Balai, Batu Putih, Jambu Bongkok. Isu yang dibangkitkan ialah berkaitan dengan lesen sampan khas nelayan Terengganu. Kerajaan Negeri telah menubuhkan jawatankuasa Task Force isu lesen sampan nelayan Terengganu dua kali. Pada tahun 2019 dan pada tahun 2025 dengan kerjasama Jabatan Perikanan, LKIM, Persatuan Nelayan Kawasan dan UPEN. Hasil daripada jawatankuasa Task Force ini, alhamdulillah, kita telah berjaya mendapat kelulusan sebanyak 1,036 lesen sampan nelayan yang telah selesai diagihkan pada tahun 2021, 498 lesen. 2022, 102 lesen dan yang terakhir pada bulan Mac baru ni, 2026, 436 lesen. Apabila selesai agihan lesen terakhir pada bulan Ramadan baru-baru ini, kalau mengikut kepada data terkini yang kita dapat daripada Perikanan, daripada LKIM dan juga daripada persatuan-persatuan nelayan kawasan, bolehlah dirumuskan sepatutnya tiada lagi isu nelayan sampan Terengganu yang turun ke laut tanpa lesen dengan makna isu lesen ini telah selesai dan dengan status sebagai nelayan berlesen maka mereka berhak untuk dapat elaun sara hidup nelayan, minyak bersubsidi serta pelbagai kemudahan bantuan yang menjadi
hak para nelayan seperti rumah nelayan dan bantuan bencana. Isu yang biasa panas dibangkitkan, kenapa ada pemohon yang ditolak? Di antara sebab-sebab utama berlaku penolakan apabila permohonan lesen sampan nelayan ini dikemukakan ialah yang pertama, pemohon bukan nelayan tulen. Mereka adalah nelayan rekreasi yang turun ke laut sebagai hobi hujung-hujung minggu sahaja. Yang kedua, pemohon merupakan pesara yang memiliki pencen. Yang ketiga, pemohon pernah memiliki lesen sampan tapi telah dibatalkan atas sebab-sebab tertentu dan yang paling ramai sekali ialah pemohon merupakan nelayan sambilan yang tidak ada vessel, yang tidak ada engine sendiri, sekadar turun ke laut, tumpang-tumpang orang sahaja. Jadi inilah di antara punca-punca utama kenapa berlaku penolakan terhadap permohonan yang dikemukakan. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat, ada soalan tambahan?
Terima kasih kepada Kerajaan yang telah berjaya memproses kelulusan sehingga ke 1,036 Lesen Sampan Baharu. Saya mendapat aduan selepas kita mendapat lesen sampan. Urusan untuk mendapatkan kad subsidi minyak mengambil masa yang agak lama. Ada yang setengah tahun ataupun lebih daripada tempoh itu. Jadi persoalan saya ialah kenapa masalah ini berlaku dan apakah kaedah-kaedah penyelesaian untuk kita membantu para nelayan ini selepas kita mendapat lesen, mendapat kad subsidi dengan tempoh masa yang lebih cepat? Sekian.
Terima kasih Pengkalan Berangan.
Dato' Yang di-Pertua, sebagai rekod untuk makluman Dewan, jumlah 1,036 lesen yang diluluskan oleh Ibu Pejabat Jabatan Perikanan kepada Negeri Terengganu ialah jumlah yang tertinggi dalam negara berbanding dengan negeri-negeri lain.
Bila nelayan dapat lesen, mereka tidak secara automatik akan dapat kad untuk subsidi minyak dan juga elaun sara hidup nelayan. Mereka perlu turun ke laut, kemudian melaporkan hasil tangkapan dalam tempoh 120 hari, maknanya lebih kurang empat bulan, dan apabila cukup tempoh menepati 120 hari, maka
bolehlah mereka mengemukakan permohonan untuk mendapatkan kemudahan yang disebut oleh Yang Berhormat Pengkalan Berangan tadi. Jadi tidak ada kelayakan secara automatik. Tempoh ini perlu ada sebagai satu tempoh untuk membuktikan bahawa yang dapat lesen memang benar-benar turun ke laut. Bukan dapat lesen, kemudian buat kerja lain dan akhirnya mereka datang tuntut kemudahan yang menjadi hak para nelayan. Terima kasih.
Ok, terima kasih seterusnya saya persila Yang Berhormat Permaisuri.
Terima kasih Dato' Yang di-Pertua, soalan saya nombor tiga-
Sejauh manakah tahap kebersihan sungai-sungai utama di Negeri Terengganu seperti Sungai Besut, Sungai Setiu dan Sungai Terengganu jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain? Apakah kaedah penjagaan yang dijalankan agar sungai-sungai ini sentiasa bersih untuk diwariskan kepada generasi akan datang?
Soalan nombor tiga, cari gu dia jugok. Kijal, sila...
Terima kasih Dato' Yang di-Pertua. Terima kasih ADUN Permaisuri, soalan seperti mana yang tertera. Secara keseluruhannya, tahap kebersihan sungai-sungai utama di negeri Terengganu seperti Sungai Besut, Sungai Setiu dan Sungai Terengganu adalah berada di tahap dan keadaan yang baik, terkawal dan dikategorikan sebagai bersih malah lebih baik berrbanding dengan negeri-negeri lain. Majoriti sungai di negeri ini mencatat Indeks Kualiti Air Kelas Satu, yakni bersih, iaitu masih memenuhi keperluan sebagai sumber air mentah yang bekalan air minum melalui rawatan konvensional serta sesuai untuk aktiviti rekreasi yang berasaskan air.
Bagi memastikan sungai-sungai ini kekal bersih untuk generasi yang akan datang dan memastikan kelestarian berterusan, Kerajaan Negeri telah
melaksanakan pelbagai kaedah penjagaan seperti kawalan pembangunan di koridor sungai, pelaksanaan pelan kawalan hakisan dan kelodak, projek pemulihan sungai berdekatan, pelaksanaan pembangunan dasar pelepasan sifar, zero discharge policy, dengan izin serta pewartaan rizab sungai bagi mengelakkan pencemaran dan juga pencerobohan dan yang terakhir sekali, kita kawal dan pantau pengusaha pasir. Walaupun sudah kita luluskan kepada pengusaha, tapi kalau ada laporan daripada orang kampung, maka kita boleh tarik kelulusan tersebut. Terima kasih Dato' Yang di-Pertua.
Terima kasih Yang Berhormat, ada soalan tambahan?
Soalan tambahan. Terima kasih dan tahniah kepada pihak Kerajaan telah mengambil berat tentang kebersihan sungai khususnya di Negeri Terengganu. Saya teringat waktu kecil-kecil dulu, saya pandai berenang pun kolam sungai, bukan kolam mandi, sambil-sambil berenang, sambil-sambil main sungai, mancing ikan, jala ikan, terjun sungai, boleh minum air dalam sungai. Hari ini tak jumpa dah. Bila saya pergi belajar di Klang dulu, tengok air Sungai Klang itu dahsyat. Jauh berbeza dengan sungai di tempat saya dulu.
Jadi, soalan saya, apakah pihak Kerajaan berusaha untuk, kalau kita tengok di Setiu hari ini tu, dah tak boleh dah minum air sungai. Air bersih ada lagi, air sungai tak boleh, keruh. Apakah usaha yang akan diambil oleh pihak Kerajaan sebolehnya-sebolehnya kita kembalikan kepada zaman-zaman yang orang tua-tua dulu? Menjala, minum air sungai. Tak berlaku dah hari ini. Untuk kita wariskan kepada generasi yang akan datang. Terima kasih.
Sila Yang Berhormat Kijal.
Dato' Yang di Pertua, untuk makluman Dewan Yang Mulia, kita sebenarnya pantau kualiti air sungai di Negeri Terengganu, dan kita laksanakan secara berterusan melalui Jabatan Alam Sekitar dengan rangkaian stesen pemantauan yang komprehensif. Secara keseluruhannya, terdapat enam stesen di Kuala Besut, dua stesen di Sungai Setiu dan empat stesen di Sungai Terengganu yang sentiasa kita pantau. Dapatan terkini menunjukkan bahawa majoriti bacaan Indeks Kualiti Air (IKA) berada pada Kelas Satu, iaitu kategori bersih. Manakala,
hanya tiga stesen mencatat kelas dua tapi masih berada tahap baik dan terkawal dan secara umumnya trend kualiti air sungai di Negeri Terengganu kekal stabil dan berada dalam kategori yang baik.
Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri sentiasa mengambil kira beberapa risiko yang berpotensi menjejaskan kualiti air pada masa hadapan. Antaranya aktiviti pembangunan berhampiran sungai, kita jaga. Hakisan tanah, kita tengok. Serta pelepasan sisa yang tidak terkawal, kita pantau insya-Allah, dan sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri telah melaksanakan pendekatan kawalan di punca, melalui dasar pelepasan sifar (zero discharge policy) dengan izin, yang bertujuan untuk mengawal pelepasan bahan pencemar ke dalam sungai dan langkah ini telah membantu mengurangkan beban, pencemaran serta mengekalkan kualiti air pada tahap yang lebih baik dan terkawal. Terima kasih, Dato' Yang di-Pertua.
(Selepas Soalan-Soalan Lisan)Questions
Terima kasih, Yang Berhormat, terima kasih kepada semua Yang Berhormat, ketua-ketua jabatan. Sebelum saya menangguhkan Dewan ini, saya mengalu-alukan semua para pemerhati khususnya daripada Kelab Malaysiaku, daripada Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu dan semua wakil-wakil daripada Pusat Khidmat ADUN masing-masing. Dengan ini saya tangguhkan sementara Dewan ini dan akan disambung semula pada pukul 11.00 pagi. Terima kasih.
MESYUARAT DITANGGUHKAN PADA PUKUL 10.30 PAGI
PUKUL 11.00 PAGI
YANG BERHORMAT DATO' YANG dI-PERTUA:
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Mesyuarat disambung semula. Sila Setiausaha.
Usul Yang Telah Diberi NotisMotion
Perkara berikut di dalam Tertib Pekerjaan Dewan, ialah Usul yang telah diberi Notis. Dipersilakan Yang Berhormat Dato’ Haji Satiful Bahri bin Mamat, Wakil Paka untuk mengemukakan Usul.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan,
"Bahawa Dewan Undangan Negeri yang bersidang pada hari ini membuat ketetapan, bersetuju merakam dan merafak sembah ucapan penghargaan dan Menjunjung Kasih Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Terengganu kerana menyampaikan Titah DiRaja mengenai Dasar-Dasar Kerajaan bersempena dengan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri Kelima Belas dan bersetuju merafak sembah ikrar taat setia Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan dan bersedia memberi kerjasama yang erat kepada pentadbiran negeri supaya Dasar-Dasar Kerajaan dapat dilaksanakan dengan sempurna demi kepentingan negeri dan rakyat seluruhnya."
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, saya mohon menyokong Usul itu.
Usul ini telah mendapat sokongan sekarang saya akan buka untuk perbahasan. Sebelum saya mempersilakan mana-mana Yang Berhormat untuk memulakan perbahasan pada pagi ini, saya juga suka menyebut bahawa Yang Berhormat-Yang Berhormat boleh menyebut apa-apa sahaja yang juga ada kaitan dengan Kertas-Kertas Kerja dan
Laporan-Laporan yang telah dibentangkan, yang saya sebut sebelum ini untuk ambil perhatian juga, Yang Berhormat sebab sebelum-sebelum ini saya tengok, Yang Berhormat-Yang Berhormat kita hanya tumpu pembahasan secara bebas boleh juga ditumpukan kebanyakan Yang Berhormat baru-baru ini kita nok sebut jugok lah, takut masing-masing dok faham, neh, boleh tengok tentang Penyata Kewangan Majlis Daerah Besut, Penyata Kewangan Majlis Daerah Hulu Terengganu, apa yang boleh dilihat untuk diberi teguran ataupun penambahbaikan tentang Penyata-Penyata termasuk Laporan Audit Negara 2026 dan seumpamanya, itu sebagai tambahan kepada Yang Berhormat-Yang Berhormat kita.
Saya seterusnya, persilakan mana-mana Yang Berhormat yang mahu memulakan perbahasan bagi menyokong Usul yang telah kita luluskan. Sila, Yang Berhormat Bandar.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar, Ahli-Ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan, Wakil-wakil Jabatan, Para Pemerhati, Para Petugas, tuan-tuan, puan-puan yang dirahmati sekalian.
Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala
Dan sekiranya penduduk sebuah negeri itu beriman dan bertakwa, pasti kami akan membuka kepada mereka keberkatan daripada langit dan bumi.
Ayat yang kita baca tadi memberi peringatan pada kita asas kepada kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah negeri. Ini bukan sahaja terletak pada usaha untuk membangun, memodenkan, tetapi juga bergantung kepada
kekuatan iman, integriti serta nilai takwa yang diamalkan di dalam pentadbiran dan kehidupan masyarakat.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, Ahli-ahli Yang Berhormat Sekalian, di dalam memulakan ucapan ini, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, kerana memberi ruang kepada saya untuk berucap memulakan perbahasan. Saya juga dengan penuh takzim merafak sembah Menjunjung Kasih ke atas Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Terengganu atas limpah perkenan berangkat mencemar Duli serta bertitah sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Terengganu yang Kelima Belas. Sesungguhnya, Titah Ucapan Tuanku merupakan panduan yang sangat bernilai di dalam mencorak hala tuju pentadbiran negeri kita ini, di samping menjadi pedoman dalam memperkukuh kesejahteraan rakyat secara menyeluruh. Sehubungan itu, saya turut menadah doa ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala agar Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku sentiasa dikurniakan dengan kesihatan dan keafiatan dilimpahi rahmat dan taufik serta terus bersemayam memayungi negeri ini dengan kebijaksanaan dan keadilan.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua rasanya, belum terlambat untuk saya mendoakan dan juga mengajak Sidang Ahli Dewan semua sama-sama kita berdoa agar bulan Ramadan yang kita lalui sebelum ini telah benar-benar menghasilkan takwa seperti mana yang disebut dalam Al-Quran Nur Karim, sementara itu bulan syawal berlalu beberapa hari yang lepas telah juga memupuk dan menjana ukhwah islamiah yang erat dan menjalinkan kasih sayang yang berpanjangan di dalam masyarakat.
Yang berhormat Dato' di-Pertua, dalam masa yang sama Tuanku turut memberi perhatian terhadap aspek kebersihan dan kesejahteraan hidup rakyat serta pemantapan institusi keluarga, sebagai asas kepada kestabilan sosial negeri, tidak kurang penting Titah tersebut turut mengangkat peranan perkhidmatan awam sebagai tunjang utama pentadbiran negeri berteraskan integriti, kecekapan dan keberkesanan. Keseluruhan pendekatan ini, mencerminkan suatu panduan tuntas lagi berimbang, berteraskan keprihatinan seorang penaung tertinggi negeri dalam memastikan Terengganu terus dipacu ke arah kemajuan yang eksekusif, mampan serta diberkati.
Yang berhormat Dato' Yang di-Pertua, dalam melusuri inti pati Titah Tuanku, izinkan saya menyentuh, satu perkara penting yang turut diberi penekanan iaitu aspek kebersihan negeri. Saya melihat perkara ini sebagai satu kekuatan negeri yang perlu terus dipelihara dengan sebaiknya. Negeri Terengganu sememangnya dianugerah dengan keindahan alam yang mempesona dan usaha untuk menjadikannya bersih serta menarik bukanlah sesuatu yang mustahil dan sukar. Namun begitu, cabaran sebenar adalah untuk mengekalkan tahap kebersihan tersebut secara konsisten dan berterusan. Dalam hal ini, ia menuntut peranan bersama semua pihak. Kesedaran masyarakat, kecekapan pelaksana serta keberkesanan penguatkuasaan. Sebagai contoh yang mudah, aspek fasiliti kebersihan wajar diberi perhatian secara berterusan. Ini termasuk keadaan tong sampah awam dan kenderaan yang digunakan untuk membuat kutipan sisa yang digunakan untuk mengangkut di tempat-tempat yang telah ditentukan. Kenderaan-kenderaan yang digunakan ini sudah sampai waktunya untuk diberi perhatian dengan keadaan yang lebih sempurna, dengan keadaan yang lebih baik mencerminkan bandar Kuala Terengganu, bandar bahagia.
Dato' Yang di-Pertua, dengan izin, kita melihat ada kedapatan dua tiga biji lori-lori yang digunakan itu sudah tidak dapat dan tidak menggambarkan ianya boleh beroperasi dengan baik. Bahkan kita dapat aduan daripada rakyat bagaimana kenderaan-kenderaan ini yang melalui jalan-jalan besar dan melalui jalan-jalan utama di dalam bandar, di luar bandar telah membuang sisa-sisa air yang akibat daripada kenderaan yang bocor. Perkara ini berterusan dan bukan sahaja ia tidak dapat dilihat, ia dilihat sebagai sesuatu yang mengganggukan dengan sisa air di jalan, dengan pandangan yang tidak berapa baik, dengan bau yang ada itu dan lebih membahayakan ialah sisa tersebut terkandung daripadanya ialah cecair dari minyak yang boleh membahayakan kenderaan-kenderaan yang lalu. Saya yakin pihak berkuasa kita sudah bekerja dengan teliti dan berkesan. Walau macam mana pun, kita perlu ada satu tindakan yang lebih serius. Memastikan kenderaan-kenderaan tersebut dibaiki, dipulih dan sekiranya tidak boleh lagi diguna, digantikan dengan yang baru.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, seterusnya saya berhasrat untuk membawa satu lagi perkara penting yang turut menjadi teras dalam pembangunan negeri iaitu pelaksanaan dan penghayatan pensyariatan Islam dalam program-program yang dianjurkan. Seiring dengan hasrat untuk memperkasakan syariah di peringkat negeri adalah wajar untuk kita meneliti sejauh mana garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak Kerajaan benar-
benar dilaksanakan. Kita mengakui Kerajaan serius dalam mengatur, menyusun supaya semua syarat yang telah ditentukan itu dipatuhi, diikuti tetapi mungkin berlaku di sana kekurangan yang menyebabkan berlakunya pelanggaran kepada apa yang telah kita gariskan. Mungkin kerana mereka tidak memahami. Mungkin kerana informasi yang kita sampaikan itu tidak sampai dalam keadaan yang lebih baik ataupun sempurna. Oleh yang demikian, kita mengharapkan supaya langkah-langkah ke arah itu memastikan segala maklumat bagaimana kita mahu melihat negeri kita ini menghayati syariat Islam dengan sempurna dapat disampaikan dengan berkesan kepada semua peringkat rakyat. Dalam konteks ini, terdapat juga beberapa keadaan yang menimbulkan keperluan untuk penelitian lanjut. Khususnya apabila masih terdapat program-program yang dilaksanakan tidak tepat dengan apa yang diarahkan. Oleh yang demikian itulah, saya mengharapkan pihak Kerajaan mengambil langkah yang lebih proaktif menangani masalah tersebut.
Seterusnya Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, di dalam membicarakan soal pembangunan negeri, izinkan saya menarik perhatian Dewan kepada satu pencapaian yang amat membanggakan dan signifikan khususnya dalam sektor pendidikan negeri. Negeri Terengganu secara konsisten mencatatkan prestasi cemerlang dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sepanjang tempoh 10 tahun yang lalu dan bagi tahun 2026, pencapaian ini merupakan yang terbaik dalam tempoh tersebut. Terengganu merekodkan gred purata negeri 4.17 mengatasi gred purata kebangsaan 4.42 dengan peningkatan sebanyak 0.25 mata. Kejayaan ini mencerminkan kesungguhan yang berterusan seluruh warga pendidikan dalam memastikan kecemerlangan anak-anak negeri terus dipertingkatkan. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada anak-anak kita yang berjaya dengan penuh kecemerlangan. Dalam masa sama, kita doakan kepada anak-anak kita yang belum mendapat kejayaan, terus berusaha dengan gigih demi mencapai kecemerlangan. Tahniah kepada Kerajaan Negeri Terengganu. Tahniah kepada Yayasan Terengganu, JPINT dan JPN dan tidak dilupakan ibu bapa, para guru yang sentiasa memerhatikan anak-anak kita dalam pelajaran untuk mencapai kejayaan.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, dalam suasana ekonomi global yang semakin rapuh dipacu oleh konflik geopolitik, ketidaktentuan pasaran tenaga dan gangguan rantaian bekalan, kenaikan harga diesel bukan lagi isu teknikal, tetapi beban nyata yang sedang menghimpit rakyat. Pelaksanaan rasionalisasi subsidi oleh Kerajaan Pusat telah menyebabkan lonjakan harga yang ketara dan
kesannya merebak pantas seluruh rantaian ekonomi. Kos logistik melonjak, pengangkutan darat tertekan, industri kecil bergelut dan harga barangan asas meningkat secara berantai.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, rakyat sudahlah tertekan tetapi apabila datang isu baru ini maka jadilah sepertimana yang dinyatakan sudah jatuh ditimpa tangga. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri tidak boleh terikat dan bergantung terus dan sepenuhnya kepada pendekatan pusat yang dilihat belum memadai, negeri mesti bangkit dengan tindakan yang lebih tegas, berani dan berpaksikan kepentingan rakyat. Intervensi bersasar perlu digerakkan segera meliputi sokongan kepada sektor pengangkutan, logistic tempatan, kawalan rantaian bekalan di peringkat negeri serta pengukuhan jaringan keselamatan sosial kepada golongan paling berkesan.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, beralih kepada isu peringkat kawasan saya. Saya mengambil kesempatan pada hari ini untuk menegaskan bahawa isu ataupun nadi utama pergerakan ekonomi, sosial dan pelancongan negeri tidak boleh dipisahkan dengan kawasan bandar Kuala Terengganu. Kawasan bandar merupakan tempat yang menjadi tumpuan oleh warga Negeri Terengganu. Ia menjadi tempat pembuka kepada pelancongan, pusat tumpuan rakyat dalam urusan harian, tempat untuk berekonomi dan segala urusan banyak terlibat di Bandar Kuala Terengganu. Oleh yang demikian, saya minta untuk pihak Kerajaan memastikan segala kelengkapan kemudahan fasiliti yang ada di kawasan bandar ini khususnya di Kuala Terengganu sentiasa dipantau dengan cermat agar ia boleh menyediakan kepada rakyat, para pengunjung dalam keadaan yang sangat baik, selesa. Sehubungan dengan itu juga, saya ingin mengambil kesempatan pada hari ini untuk memaklumkan rungutan ataupun rayuan daripada dua buah masjid dalam Kuala Terengganu khususnya daripada Bandar, satu ialah Masjid Putih ataupun Masjid Abidin. Semua orang tahu bahawa Masjid Putih ataupun Masjid Abidin ini adalah Masjid Negeri, menjadi lambang kepada Negeri Terengganu dan usia masjid ini dah melebihi 200 tahun. Sudah pasti bila umur 200 tahun ini banyak benda yang perlu kita perbaiki, kita pulihkan, dengan atapnya yang bocor, bila datang musim tengkujuh, terpaksa diatur beberapa baldi tak kurang daripada 20 30 baldi, dan kalau datanglah pelancong daripada luar melihat masjid negeri kita seperti itu, ia mendatangkan sesuatu yang tidak baik kepada imej kita, imej pelancongan, imej negeri kita. Saya merayu kepada pihak Kerajaan untuk memerhati dengan serius perkara ini. Yang kedua, masjid yang lama juga, Masjid Hiliran yang
bangunannya masih kekal bangunan lama, juga bumbungnya runtuh, nasib baik tak timpa orang je. Jadi saya harap juga pihak Kerajaan mengambil tindakan yang sewajarnya membaik pulih masjid ini yang sudah pasti ianya merupakan sesuatu tindakan yang perlu disegerakan.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, saya ingin merakamkan sekali lagi ucapan merafak sembah Menjunjung Kasih Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Terengganu di atas Titah Ucapan yang begitu baik, cermat dan begitu berhala tuju untuk memastikan Negeri Terengganu kita ini ke arah yang lebih baik di masa-masa yang akan datang.
Burung Merpati terbang ke kota, Hinggap sebentar di dahan sena, Titah tuanku pedoman kita, Demi agama, bangsa dan negara
Mudah-mudahan persidangan kali ini membuahkan hasil yang terbaik. Terima kasih kepada Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, Ahli-ahli Yang Berhormat semua. Bandar mohon menyokong.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Bandar.
Seterusnya saya persilakan mana-mana Yang Berhormat. Tak ada dah... Ada. Sila Yang Berhormat.
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala, selawat dan salam buat Junjungan .
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Ahli Dewan Undangan Negeri, Yang Berusaha Ketua-Ketua Jabatan Negeri Dan Persekutuan, Yang Berusaha Bentara Dewan, pengamal media, tuan-tuan, puan-puan yang dirahmati Allah sekalian serta seluruh rakyat Terengganu yang menjadi nadi kepada kewujudan negeri yang bahagia ini.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, saya mengambil kesempatan ini merakam dan merafak sembah ucapan penghargaan dan junjung kasih kepada Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja di atas Titah DiRaja sempena istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Kelima Belas.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, sebelum saya melangkah lebih jauh, marilah kita mengingatkan diri kita semua bahawa segala kejadian yang berlaku di muka bumi ini sama ada aman atau huru-hara, damai atau perang, kemelut kemusnahan yang menimpa adalah di dalam ilmu dan pengetahuan serta izin Allah subhanahu wa ta'ala. Allah berfirman dalam Surah Al-Hadid, ayat 22.
"Tiada suatu musibah pom yang menimpa di bumi dan tidak juga pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab yakni Luh Mahfuz sebelum kami mewujudkannya. Sesungguhnya, yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.
Oleh itu, kita tidak boleh takut dan gentar tetapi wajib mengambil ikhtibar, bertawakal dan menyediakan langkah-langkah strategik sebagai umat yang beriman kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, Pengkalan Berangan merakamkan penghargaan dan tahniah kepada Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar yang telah berusaha sedaya mampu bagi memacu pembangunan dan kelestarian negeri. Segala inisiatif yang telah dilaksanakan walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran telah banyak menampakkan kesan positif bila mana Terengganu mencatat satu lagi sejarah penting apabila hasil sebenar negeri melepasi paras RM450 juta sehingga 31 Disember 2025, sekali gus menjadi pencapaian tertinggi pernah direkodkan.
Walaupun begitu, atas kesedaran bahawa negeri ini diurus bersama dan menjadi tanggungjawab bersama, Pengkalan Berangan ingin menyuarakan beberapa perkara berdasarkan pengamatan dan analisa yang dilakukan yang memerlukan perhatian dan tindakan segera kepimpinan negeri bagi memastikan kelestarian dan keupayaan negeri untuk terus membangun dapat dilaksanakan dengan baik dan berjaya.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, ketika kita sedang berusaha membangunkan negeri, kita dikejutkan dengan konflik geopolitik dunia antara Amerika Syarikat dan Israel yang menyerang Iran. Apa yang berlaku ribuan kilometer dari sini secara langsung sedang menguji ketahanan ekonomi global secara amnya dan kesejahteraan Terengganu yang kita cintai secara khususnya. Konflik ini telah diambil kesempatan secara tidak amanah oleh kepimpinan pusat dengan menaikkan harga bahan api menyebabkan peningkatan yang sangat memudaratkan industri dan keseluruhan ekosistem ekonomi sama ada secara makro atau mikro. Kempen yang merujuk kepada hari ini menang, esok sila sambung sendiri, hanya retorik yang sangat tidak berakhlak dan menjadi lelucon humor. Menjadikan perang sebagai punca kenaikan harga bahan api bagi negara pengeluar minyak seperti Malaysia adalah suatu tindakan yang sangat tidak amanah dan matematik songsang seorang pujangga sastera yang cuba berlagak sebagai pakar ekonomi yang telah menyerlahkan kedangkalan dan kecetekan ilmu dibandingkan ulama dunia yang disegani dan diiktiraf keilmuan dunia dan akhirat serta jasanya di persada antarabangsa. Dalam masa yang sama, usaha untuk mendapatkan royalti petroleum mengikut tatakelola kewangan yang betul perlu diteruskan oleh Kerajaan Negeri.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, status Terengganu kekal sebagai negeri paling bahagia untuk didiami bagi tahun 2026 dalam indeks kebahagiaan rakyat Malaysia. Kebahagiaan boleh terhakis jika tekanan ekonomi berpanjangan mengganggu ketenangan fikiran dan kesejahteraan spiritual rakyat dalam menangani kesukaran rakyat terutama golongan asnaf, ibu tunggal dan miskin bandar. Kita jangan sesekali melupakan janji Allah terhadap orang-orang yang bersedekah dan membantu meringankan beban saudaranya.
Rasulullah bersabda,
"Sesiapa yang melepaskan seorang mukmin daripada satu kesusuahan di dunia, maka Allah akan melepaskannya daripada satu kesusahan pada hari kiamat"
Riwayat Muslim
Inilah masanya Kerajaan Negeri perlu bergerak pantas, segala kemampuan dan keupayaan yang ada kerana setiap ringgit bantuan dan setiap dasar yang kita
laksanakan bukan sekadar angka, tapi ia adalah rahmat dan keberkatan yang akan dibalas oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Sayyidina Umar Al-Khattab R.A. ketika menghadapi keadaan getir telah mengarahkan agar kantung baitulmal dan perbendaharaan Kerajaan digunakan sepenuhnya bagi kegunaan membela dan membantu rakyat yang akhirnya Kerajaan akan mendapat pulangan hasil daripada zakat dan percukaian yang dibayar oleh rakyat jelata. Apabila rakyat sejahtera, negeri akan menjadi kaya bukan sebaliknya negeri kaya tetapi rakyat sengsara. Sedikit pertanyaan, setakat manakah tindakan yang diambil untuk menubuhkan Yayasan Tabung Darul Iman?
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, sesungguhnya krisis ini adalah pengajaran. Ia membuka ruang untuk kita lebih kuat dan lebih bersedia. Saya mencadangkan, Pengkalan Berangan mencadangkan tiga strategi berimpak bagi memastikan Terengganu bukan sahaja selamat malah terus maju sebagai negeri paling bahagia, Berkat dan Sejahtera.
Strategi pertama, percepatkan alihan tenaga boleh baharu. Krisis ini membuktikan bahawa pergantungan kepada sumber tenaga dari zon konflik adalah satu risiko keselamatan negeri dan negara. Terengganu mempunyai potensi besar dalam tenaga solar dan hidro. Kerajaan Negeri perlu melancarkan inisiatif dengan izin Terengganu Energy Independence Roadmap. Bagi menggalakkan pemasangan panel solar di setiap rumah, masjid, rumah ibadat, sekolah dan bangunan Kerajaan di samping meneroka potensi hidro di kawasan pendalaman. Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman,
"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri"
Maka kita tidak boleh hanya berdiam diri. Kita mesti mengubah pendekatan ke arah tenaga hijau dan ekonomi kendiri.
Strategi yang kedua, wujudkan bekalan hub Halal Terengganu sebagai hub serantau ketika rantaian bekalan global terganggu. Inilah masanya untuk Terengganu menjadi peneraju daripada bergantung kepada import kita perlu memperkasakan ekonomi tempatan. Berdasarkan kekuatan sedia ada, sektor pertanian, padi, buah-buahan dan seumpamanya dan perikanan laut dalam dan
nelayan pantai perlu diperkasakan melalui pusat pemprosesan logistik dan logistik rangkaian sejuk beku yang moden. Peluang pasaran global dari hanya mengeksport produk mentah. Kerajaan Negeri harus menyediakan geran padanan dan zon khas untuk industri kecil dan sederhana memperoses makanan sejuk beku, keropok lekor dan hasil perikanan yang berstatus halal antarabangsa. Ini bukan sahaja menjamin keselamatan makanan negeri malah membuka pasaran eksport ke pelbagai negara seperti China, Timur Tengah dan ASEAN selari dengan hasrat Kerajaan untuk membangunkan industri halal seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2026.
Strategi yang ketiga, memperkukuh ekonomi sejahtera dan ketahanan komuniti. Kita tidak mahu membangun sehingga melupakan nilai spiritual sebagai negeri paling bahagia, strategi ekonomi kita mesti berpaksikan barakah, konsep rezeki dan tawakal. Kerajaan Negeri perlu mengukuhkan program pembangunan insan yang menggabungkan keusahawanan dengan nilai agama. Jangan biarkan kemajuan mengikis ketenangan yang ada pada masyarakat kita yang hidup di antara masjid, sungai dan laut. Memperkasakan ekonomi kampung, agihkan geran mikro kepada koperasi masjid dan surau untuk menjalankan aktiviti pertanian komersial dan juga ternakan. Ini akan menjadikan masjid sebagai nadi ekonomi setempat, bukan sahaja tempat ibadat. Kerajaan perlu menyediakan bajet yang signifikan bagi membantu dan menolong rakyat bagi merancakkan ekonomi terutamanya keusahawanan, pertanian dan pelancongan. Apabila sektor utama ekonomi digerakkan, maka kitaran ekonomi akan menjadi lebih rancak dan berdaya maju. Ini akan menjadikan negeri lebih makmur dan kesejahteraan akan kekal terpelihara. Kita perlu menterjemahkan skor kebahagiaan menjadi program konkrit seperti Komuniti Maju Berkat Sejahtera yang menilai kesejahteraan bukan dari KDNK tetapi dari sudut kebersihan, kadar jenayah, penyertaan solat berjemaah dan pendapatan isi rumah.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, Pengkalan Berangan ingin mengajak semua Ahli Yang Berhormat merenung sejenak apakah sebenarnya definisi kebahagiaan yang kita perjuangkan. Kebahagiaan menurut Islam bukanlah semata-mata kemewahan harta atau ketiadaan masalah. Kebahagiaan sejati adalah Al-fallah, kejayaan dunia dan akhirat. Rasulullah SAW mengajar kepada kita satu formula kebahagiaan yang mudah namun mendalam. Sabda Nabi ,
"Kekayaan bukanlah dengan banyaknya harta, tetapi kekayaan yang sebenar adalah kekayaan jiwa."
(Riwayat Al-Bukhari (6446) dan Muslim (1051).
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, Terengganu mencatat skor indeks kebahagiaan tertinggi di Malaysia membuktikan satu fakta kekayaan sebenar rakyat kita bukan pada harta tapi pada jiwa dan matlamat mencapai kejayaan dunia akhirat. Namun, sebagai pemegang tampuk pentadbiran, tugas hakiki kita adalah menjamin kecukupan itu wujud, rakyat mesti cukup makan, terjamin tempat tinggal, berpeluang mendapat pendidikan yang terbaik. Apabila asas ini kukuh, kedaulatan dan kebahagiaan negeri tidak akan mampu digugat oleh sesiapa, insya-Allah. Inilah rahsia mengapa Terengganu menjadi negeri paling bahagia bukan kerana kita paling kaya tetapi kerana rakyatnya telah diajar untuk redha dan qana'ah dengan apa yang ada.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, kesimpulannya kemelut perang Iran-Israel-Amerika adalah ujian besar tapi ia juga adalah peluang keemasan untuk kita membuktikan bahawa Terengganu adalah negeri yang berdaya tahan. Pengkalan Berangan ingin mengakhiri ucapan ini dengan mengajak semua Ahli Yang Berhormat dan seluruh rakyat Terengganu supaya sentiasa bertakwa kepada Allah terutama dalam menghadapi badai krisis global ini. Allah berfirman di dalam Al-Quran surah At-Talaq ayat 2 dan 3.
"Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar dari segala perkara yang menyusahkanya serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya"
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, kita telah berusaha, kita telah merangka langkah mengatasi setiap masalah dan konflik, merancang strategi ekonomi, menjaga kebajikan rakyat. Setelah itu, kita bertawakal kepada Allah, insya-Allah dengan izin-Nya Terengganu akan terus kekal sebagai negeri yang Maju, Berkat, Sejahtera di Malaysia serta semoga mendapat keredaan Allah di dunia dan akhirat. Pengkalan Berangan Menjunjung Kasih Titah DiRaja Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja. Sekian, terima kasih.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Pengkalan Berangan, seterusnya saya mempersila. Sila Yang Berhormat Ladang.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri, Ketua-Ketua Jabatan, Para Media, Para Pemerhati seterusnya para hadirin hadirat yang dirahmat Allah sekalian.
Saya ingin merakamkan setinggi kesyukuran dan penghargaan terima kasih kerana diberi peluang dalam Perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Terengganu. Setiap titah dan saranan yang penuh kebijaksanaan akan sentiasa dijunjung ke arah menambah baik pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu demi kesejahteraan rakyat. Secara keseluruhannya, Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja begitu optimis dan yakin Negeri Terengganu akan terus berkembang sebagai sebuah negeri yang makmur serta berdaya saing di bawah pentadbiran Yang Amat Berhormat Menteri Besar. Ladang juga percaya bahawa Kerajaan Negeri hari ini terbukti luas pengalaman dalam mentadbir dan mengurus kuasa yang diamanahkan oleh rakyat.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, komitmen dan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam memacu pembangunan wajar dipuji. Terengganu merekodkan nilai pelaburan komited sebanyak 6 bilion sehingga Disember 2025 dengan sektor pembuatan muncul sebagai pemacu utama pertumbuhan pelaburan negeri. Pencarian tersebut mengukuhkan kedudukan negeri sebagai destinasi utama pelaburan. Selain itu, Kerajaan kita juga rancak memperbagaikan ekonomi seperti pembangunan sektor pelancongan, ekonomi digital, pertanian moden, industri halal, tenaga boleh diperbaharui dan juga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang dilihat selari dengan arus pembangunan global dan aspirasi negara menuju ekonomi berpendapatan tinggi. Pendekatan ini jelas mencerminkan keperihatinan Kerajaan terhadap kelestarian, ekonomi jangka
panjang, peningkatan taraf hidup rakyat, serta menyediakan peluang pekerjaan yang lebih luas khususnya untuk golongan muda dan graduan di negeri ini. Dalam masa yang sama, inisiatif ini turut menyokong agenda pemerkasaan sosial ekonomi luar bandar dan mengurangkan kadar kemiskinan negeri. Insya-Allah, dengan sokongan padu daripada semua pihak, Terengganu akan terus melonjak maju sebagai negeri contoh yang membangun secara holistik, berintegriti dan berkat. Syabas dan tahniah lah diucapkan.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, ketegangan geopolitik yang melibatkan Negara Iran dan di rantau Timur Tengah mencetuskan kebimbangan di peringkat global. Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan dasar ekonomi terbuka, turut tidak terlepas daripada menerima tempiasnya. Konflik ini bukan sekadar isu serantau, malah ia mempunyai implikasi yang mempengaruhi kestabilan ekonomi dan juga sosial negara. Rentetan daripada kenaikan kos tenaga akibat konflik tersebut, negara bakal berhadapan dengan cabaran inflasi. Kos pengangkutan dan logistik global yang meningkat akan menyebabkan harga barangan import termasuk bahan makanan dan komponen industri turut naik. Hal ini akan membebankan pengguna domestik melalui peningkatan kos sara hidup. Apabila kos input pengeluaran meningkat, pengeluar tempatan terpaksa memindahkan beban kos tersebut kepada rakyat dan akhirnya menjejaskan kuasa beli masyarakat. Justeru itu, Ladang mencadangkan beberapa pendekatan iaitu daripada aspek pengurusan fiskal, Kerajaan Negeri perlu menginstitusikan pendekatan pengurusan fiskal yang berhemat melalui kerangka perbelanjaan berasaskan keberhasilan dan juga agihan peruntukan harus dijajarkan semula ke arah sektor yang mempunyai kesan pengganda yang tinggi, terutamanya dalam sekuriti makanan, tenaga serta sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Langkah ini sangat penting bagi menjamin peruntukan sumber yang optimum serta memastikan kemampanan fiskal bagi tempoh jangka sederhana.
Seterusnya, dalam konteks keterjaminan makanan, Kerajaan Negeri perlu mempercepatkan inisiatif peningkatan pengeluaran domestik melalui wujudnya kewujudan zon pertanian berintensiti tinggi. Sasaran peningkatan hasil daripada 15 sehingga 20% adalah selari dengan usaha mengurangkan kebergantungan terhadap import selain berfungsi sebagai mekanisme untuk menstabilkan tekanan harga dalam rangkaian bekalan makanan. Sekalung penghargaan dan ucapan tahniah saya ucapkan kepada Kerajaan Negeri yang prihatin dengan kesukaran yang sedang dihadapi oleh warga tani, penternak dan juga nelayan
Sungai Terengganu dan memperuntukkan sebanyak 2.9 juta bagi melaksanakan moratorium bayaran balik pinjaman di bawah skim pinjaman modal tani sebagai usaha membantu meringankan beban kewangan golongan petani, penternak, nelayan di negeri kita. Ini satu keputusan yang tepat, setelah PAS mengambil kira kepayahan yang sedang dihadapi warga tani susulan krisis global yang sedang melanda dunia pada hari ini.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, Titah Ucapan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja semalam, turut menyentuh tentang kestabilan institusi keluarga yang perlu dititikberatkan. Ladang menzahirkan kebimbangan terhadap keretakan akar tunjang masyarakat kita iaitu isu penceraian. Statistik pada tahun 2025 menunjukkan kes penceraian di Terengganu melonjak mendadak kepada 3,810 kes berbanding 2,798 kes pada tahun 2024 dan 1,802 kes pada tahun 2023. Angka ini juga mencatatkan jumlah tertinggi dalam tempoh 7 tahun. Malah, statistik Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia meletakkan Terengganu dalam kelompok 8 negeri tertinggi bagi 9 bulan pertama bagi tahun 2025. Ini bukan sekadar angka statistik, ini adalah amaran krisis sosial nasional. Majoriti kes melibatkan pasangan muda dengan tempoh perkahwinan bawah 10 tahun akibat tekanan ekonomi, kegagalan komunikasi dan juga ketidakstabilan emosi. Jika kita tidak bertindak sekarang, kita sebenarnya sedang mempertaruhkan masa depan generasi akan datang. Sehubungan dengan itu, Ladang mencadangkan empat intervensi strategik.
Yang pertama, mendepani tekanan kewangan, kestabilan ekonomi adalah prasyarat keharmonian. Kerajaan Negeri perlu agresif, memperluaskan program kerjaya dan keusahawanan serta mewajibkan pendidikan pengurusan kewangan sebelum perkahwinan. Yang kedua, memantapkan komunikasi dan sahsiah. Kursus pra perkahwinan sedia ada perlu dikaji semula dengan modul yang lebih praktikal dan relevan dengan cabaran semasa. Kita tidak mahu melahirkan pasangan yang hanya bersedia untuk majlis perkahwinan tapi gagal mengemudi rumah tangga dan yang ketiga, menangani campur tangan pihak ketiga. Campur tangan ahli keluarga yang tidak terkawal sering merosakkan keharmonian rumah tangga. Pendidikan kepada ibu bapa perlu dipertingkatkan selain memperkasakan peranan suami sebagai ketua keluarga melalui maju kepimpinan yang berkesan dan yang keempat, dalam isu sosial, terutamanya penagihan dadah. Ancaman dadah yang tinggi di pantai timur tidak boleh dipandang remeh. Kerjasama antara agensi perlu diperkukuh melalui sistem
intervensi awal yang sistematik bagi membendung anasir yang merosakkan kestabilan rumah tangga secara yang menyeluruh.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, harus diingat bahawa perceraian bukan bermakna kita gagal ataupun tidak bahagia. Ini merupakan perkara yang diharuskan dan dibenarkan sebagai jalan keluar terakhir apabila ikatan perkahwinan tidak lagi dapat dipertahankan, terutamanya jika ia membawa mudarat. Statistik pada tahun 2025, menunjukkan sebanyak 296 kes keganasan rumah tangga dilaporkan di Negeri Terengganu. Antara punca utama ialah selisih faham dan juga pengaruh dadah. Betul lah deh, kadang-kadang membuat keputusan untuk bercerai dan hidup sendiri itu lebih baik daripada menanggung derita dan sengsara. Tibalah masanya, kita perlu beralih daripada pendekatan merawat, kepada pendekatan mencegah. Persoalannya bukan tentang kemampuan, tapi tentang kesungguhan. Jika kita gagal bertindak hari ini, kita bukan saja kehilangan sebuah perkahwinan, malah kita sedang meruntuhkan asas kekuatan negara. Malah kita bertindak sebagai penjaga masa depan generasi, bukan sekadar pentadbir dasar semata-mata.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, Indeks Kebahagiaan Malaysia yang jelas meletakkan kesihatan sebagai komponen utama. Tanpa kesihatan yang baik, statistik ekonomi negeri yang gah sekalipun tidak mampu memberi erti kebahagiaan yang sebenar. Izinkan Ladang menyentuh sedikit berkaitan dengan situasi dan ancaman penyakit kanser di kalangan wanita di Terengganu. Data daripada Jabatan Ginekologi Hospital Sultanah Nur Zahirah mencatatkan jumlah kedatangan pesakit yang menerima rawatan kanser meningkat sebanyak 40% pada tahun lalu, iaitu sebanyak 1,464 kes pada tahun 2021 kepada 2,004 kes pada tahun 2025. Lima jenis kanser yang tertinggi dalam kalangan wanita di Negeri Terengganu ini ialah pertama kanser payudara, kedua kanser usus, ketiga kanser rahim, yang keempat kanser darah ataupun leukemia dan yang kelima kanser ovari. Peningkatan ketara ini menuntut intervensi segera dan tuntas. Kesan obesiti atau berat badan berlebihan boleh meningkatkan risiko untuk terdedah kepada penyakit kanser. Kajian saintifik antarabangsa serta laporan National Health and Mobility Survey mengesahkan kaitan langsung antara obesiti dengan risiko kanser primer. Situasi Negeri Terengganu turut membimbangkan apabila Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu melaporkan 76% rakyat Terengganu berada dalam kategori obes. Lebih menggusarkan, trend ini bermula seawal usia muda dengan nisbah
satu daripada tiga remaja di negeri ini mengalami masalah berat badan akibat budaya pemakanan dan gaya hidup yang tidak sihat.
Dato' Yang di-Pertua, kita sedang berhadapan dengan bom jangka kesihatan. Kita tidak boleh menafikan faktor budaya Negeri Terengganu dikenali dengan variasi makanan yang enak, namun tinggi kandungan gula. Tanpa kawalan dan modul gaya hidup yang aktif, kelebihan budaya ini bertukar menjadi ancaman, kesihatan yang membunuh wanita kita secara senyap. Begitu juga dengan kanak-kanak. Makanan tinggi gula...
Yang Berhormat Ladang...
Ya...
kata ke Wakaf Mempelam ke?
Dok bermaksud begitu... kata ke semua...
Yang Berhormat Paka nok sedarkan...
Pakat terase ke wane??
Ramai orang tertidur... Sila-sila...
Begitu juga dengan kanak-kanak. Makanan tinggi gula dan lemak merupakan faktor penyumbang kepada obesiti. Kegagalan kita membendung isu ini di peringkat awal bahkan menyaksikan peningkatan kes kanser pada masa hadapan. Sebagaimana statistik semasa menunjukkan 702 bilangan kes baru yang dilaporkan pada tahun 2025 di Negeri Terengganu.
Justeru itu, saya menggesa tiga langkah proaktif dilaksanakan. Yang pertama, pengawasaan yang ketat iaitu menambah baik kualiti dan piawaian nutrisi
makanan di kantin sekolah dan persekitaran sekolah, terutamanya di sekolah-sekolah ataupun taska di bawah seliaan Kerajaan Negeri Terengganu. Yang kedua, pendidikan awal. Integrasikan silibus pemakanan sihat secara praktikal bagi membina sahsiah gaya hidup aktif sejak di bangku sekolah dan yang ketiga, kempen strategik meluaskan kesedaran awam mengenai kaitan langsung antara obesiti, gaya hidup dan risiko kanser wanita secara holistik. Sudah tiba masanya kita meletakkan agenda menangani obesiti sebagai keutamaan demi menjamin kelestarian kesihatan wanita di Terengganu khususnya dan di Malaysia amnya.
Dato' Yang di-Pertua, isu terakhir yang Ladang ingin utarakan dalam perbahasan kali ini menyentuh isu kebakaran di Negeri Terengganu yang semakin membimbangkan, khususnya kebakaran bangunan juga premis yang melibatkan kehilangan harta benda dan risiko kepada nyawa rakyat. Berdasarkan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Terengganu yang bermula pada 1 Januari sehingga 13 April 2026 baru-baru ini, sebanyak 1,122 kes kebakaran terbuka dan 97 kes kebakaran struktur telah direkodkan dalam tempoh tak sampai pun empat bulan. Kebakaran struktur ini melibatkan rumah kediaman, premis perniagaan dan juga bangunan awam, pastinya membawa implikasi besar dari segi kerugian harta benda, kehilangan tempat tinggal serta trauma kepada mangsa.
Dato' Yang di-Pertua, perkara ini dapat dilihat jelas. Kes-kes yang berlaku juga di kawasan saya di DUN Ladang. Pada tahun 2025 sahaja, 35 kes kebakaran telah direkodkan dengan 4 kes melibatkan kebakaran bangunan juga premis kediaman. Sehubungan dengan itu, Ladang mengemukakan beberapa cadangan, antaranya Kerajaan Negeri disarankan untuk memperluaskan Projek Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS) dengan memberi fokus khusus kepada pencegahan kebakaran bangunan iaitu pemeriksaan dan naik taraf pendawaian elektrik usang, pemasangan pengesan asap, penyediaan alat pemadam api, penambahbaikan sistem keselamatan elektrik dan pemasangan lampu luar di kawasan berisiko. Langkah ini amat penting kerana banyak kes kebakaran rumah berpunca daripada faktor teknikal yang boleh dicegah dengan lebih awal. Cadangan kedua ialah program audit keselamatan rumah berisiko, iaitu melaksanakan pemeriksaan berkala ke atas rumah-rumah lama khususnya di kalangan rumah B40 bagi mengurangkan risiko kebakaran struktur. Cadangan yang ketiga yang terakhir iaitu mewujudkan zon kawalan kebakaran terbuka dan skuad sukarelawan komuniti. Zon kawalan kebakaran terbuka di
kawasan titik panas hotspot dengan izin, dan berhampiran penempatan penduduk ini menyediakan capaian pantas sumber pemadaman serta respon awal komuniti. Pada masa yang sama, penubuhan skuad sukarelawan komuniti dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia perlu diperkasa melalui latihan asas dan latihan berkala. Skuad ini berperanan sebagai first responder ataupun dengan izin sebagai untuk mengawal kebakaran kecil sebelum merebak. Pendekatan ini penting bagi memastikan kebakaran terbuka khususnya yang berhampiran kawasan perumahan, ini banyak berlaku di DUN Ladang, dapat dikawal dengan cepat sekali gus mengurangkan risiko merebak ke bangunan serta mengelakkan pencemaran asap yang menjejaskan kesihatan penduduk khususnya kanak-kanak dan warga emas.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, akhir kalam, akhir kata, dalam kesungguhan kita melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang dipikul di bahu kita semua, marilah kita terus berdoa mudah-mudahan Allah Yang Maha Kuasa Maha Memimpin untuk terus memimpin dan membimbing akal fikiran kita agar terus kekal di jalan yang diredai oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala, insya-Allah rakyat dan Negeri Terengganu akan terus selamat, aman, makmur dan maju. Ladang menyokong dan Menjunjung Kasih Titah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja. Sekian.
Terima kasih pada Yang Berhormat Ladang, seterusnya saya persila Yang Berhormat Sura.
Terima kasih pada Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua Dewan, Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan seluruh barisan EXCO Kerajaan Negeri Terengganu, sahabat-sahabat Ahli-ahli Yang Berhormat Sidang Dewan serta pemerhati yang dirahmati Allah sekalian. Terlebih dahulu patik merafakkan
sembah setinggi-tinggi Menjunjung Kasih Ke bawah Duli Yang Maha Mulia, Pemangku Raja Terengganu di atas titah yang penuh dengan hikmah.
Menyentuh soal pembangunan negeri, kebajikan rakyat, masa depan generasi muda, kekuatan ekonomi serta kesejahteraan hidup rakyat Terengganu. Sesungguhnya titah Tuanku bukan sekadar ucapan perasmian. Titah Tuanku ialah satu pedoman kepada Kerajaan dan peringatan kepada seluruh Ahli Dewan ini bahawa negeri ini mesti dibangunkan bukan sekadar dengan angka tapi dengan jiwa, maruah dan masa depan rakyat.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua Dewan, saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar Terengganu di atas pelantikan beliau sebagai Pengerusi Perikatan Nasional. Bagi saya, ini satu detik penting kepada Negeri Terengganu. Buat pertama kalinya seorang pemimpin dari bumi Darul Iman diberikan amanah memimpin gabungan politik nasional. Bagi rakyat Terengganu, ini bukan sekadar penghormatan kepada seorang tokoh tapi satu harapan baru bahawa suara negeri ini akan dibawa dengan lebih lantang ke peringkat nasional. Negeri ini telah terlalu lama menyumbang kepada negara tetapi terlalu kerap tidak mendapat layanan yang sepadan. Kita mahu Terengganu menjadi contoh sebuah negeri yang membangun dengan falsafah yang betul. Pembangunan bukan sekadar meninggikan statistik tapi meninggikan martabat rakyat. Pembangunan bukan hanya untuk memujuk pelabur tetapi mesti menenangkan hidup rakyat.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua Dewan, saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Kerajaan Negeri di atas kejayaan penganjuran istimewa antarabangsa Perpaduan Ummah kali yang kelima. Himpunan seperti ini sangat bermakna. Ia memberi mesej bahawa Terengganu masih lagi menjadi bumi yang menyeru kepada Perpaduan Ummah dan saya ingin tegaskan di sini, bahawa penyatuan ini jauh lebih besar daripada sekadar slogan "Rumah Bangsa". Penyatuan ini mesti menjadi asas kebangkitan sebenar orang Melayu dan umat Islam. Bukan sekadar untuk menang pilihan raya tapi yang lebih besar daripada itu mengembalikan keyakinan politik, maruah bangsa, kekuatan institusi dan kestabilan negara.
Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada pemimpin UMNO Negeri Terengganu yang hadir ke Jamuan Raya PAS Terengganu. Kehadiran ini
memberi satu isyarat yang positif. Cuma pesan saya, jangan sekadar hadir untuk bergambar tapi selepas itu langkah politik masih kabur. Kalau benar mahu membela Melayu dan mempertahankan Islam, maka ayuh kita satukan kekuatan ini di atas landasan yang jelas dan bermaruah bersama dengan Perikatan Nasional.
Saya juga ingin menyeru kepada Timbalan Perdana Menteri dan merangkap Presiden UMNO, dalam keadaan rakyat sedang berdepan dengan keresahan ekonomi, tekanan geopolitik dan kebimbangan terhadap masa depan negara, maka slogan "Rumah Bangsa" yang diutarakan oleh beliau, tidak boleh berhenti setakat slogan. Rakyat hari ini tidak mahu lagi "Rumah Bangsa" yang cantik pada papan tanda tapi retak pada tindakan politiknya. Lebih mengelirukan apabila program beliau di Terengganu semalam iaitu perasmian MRSM Dungun, program Kerajaan Persekutuan, disambut dengan lambang dan bendera parti sehingga rakyat tertanya-tanya, ini program Kerajaan atau program UMNO? Kekeliruan seperti ini tidak sihat. Kerajaan mesti dilihat memayungi semua, bukan tenggelam dalam warna kepartian.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua Dewan, hari ini krisis dunia khususnya di Asia Barat dan ancaman penutupan Selat Hormuz bukan lagi isu yang jauh daripada kita. Ia sudah memberi kesan kepada ekonomi dan kehidupan rakyat kita. Bila laluan strategik dunia ini terganggu, harga tenaga sudah naik. Diesel, petrol, bekalan gas dan bahan pertanian bakal terjejas. Kos logistik sudah meningkat. Akhirnya rakyatlah yang menanggung beban. Sebab itu kos sara hidup tidak boleh dibincangkan sambil lewa. Ini bukan soal teori ekonomi. Ini soal dapur rakyat. Ini soal ibu-ibu yang berkira berapa duit yang ada sebelum ke pasar. Ini soal seorang ayah yang memandang tangki minyak dengan penuh dada yang sesak. Ini soal peniaga kecil yang untungnya makin menipis tapi tanggungannya makin besar. Kenaikan diesel bukan isu kecil. Kenaikan diesel adalah kenaikan kos sara hidup. Bila Kerajaan Pusat bercakap seolah-olah kesannya kecil, rakyat terasa jauh benar jurang antara bahasa pemerintah dengan realiti hidup rakyat. Rakyat tidak makan statistik. Rakyat hidup dengan harga barang, harga minyak dan beban harian yang makin meningkat. Turunlah ke peringkat bawah. Nelayan terkesan, pesawah terkesan, petani terkesan, peniaga kecil terkesan, pengusaha makanan terkesan. Akhirnya, seluruh pengguna termasuklah kita semua akan terkesan. Sebab itu rakyat marah bukan kerana rakyat tak faham tentang ekonomi. Tapi rakyat marah kerana kesan ekonomi itu sudah mengalir pada hidup mereka.
Sebab itu, Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua Dewan saya melihat juga tentang isu keterjaminan tenaga. Agenda Kerajaan Negeri tentang tenaga hijau itu sangat-sangat penting. Kerana tenaga hijau ini sudah bukan menjadi isu berkaitan dengan alam sekitar sahaja. Bukan nak bincang tentang pelepasan karbon sahaja. Tapi ia juga sudah menjadi satu isu yang besar berkaitan dengan keselamatan tenaga. Sebab itu Pelan Induk Teknologi Hijau Terengganu yang digerakkan oleh Kerajaan Negeri bagi saya adalah satu langkah yang cukup tepat untuk menjamin keselamatan dan keterjaminan tenaga dalam negeri ini dan dalam kesempatan ini juga bila kita menyebut tentang SG4, bagi saya, seluruh SG4 mesti berperanan dengan lebih besar. SG4 tidak boleh hanya dilihat sebagai blok politik. Tapi mesti menjadi satu pakatan strategik untuk menjamin keterjaminan makanan, keterjaminan tenaga, kelangsungan hidup rakyat dan kalau Kerajaan Pusat lambat bertindak, sekurang-kurangnya kita di peringkat negeri lebih bijak menyusun kekuatan kita yang tersendiri.
Sebab itu saya ingin mengemukakan tiga cadangan segera untuk pertimbangan pihak Kerajaan, bagi menguruskan krisis yang kita tak tahu bila akan berakhir. Yang pertama, laksanakan pakej bantuan kos sara hidup negeri yang benar-benar bersasar kepada kelompok paling tertekan. Yang kedua, tubuh dan gerakkan segera Jawatankuasa Tindakan Krisis Ekonomi Negeri dan yang ketiga, salurkan manfaat hasil dan pelaburan negeri yang kita dapat sebelum daripada ini kepada program keterjaminan makanan serta peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan. Kerana rakyat tidak mahu berapa data pelaburan yang kita dapat, berapa KDNK yang kita ada, rakyat mahu bagaimana pelaburan yang ada, hasil negeri yang ada itu dapat mengurangkan tekanan kos sara hidup mereka. Yang rakyat mahu ialah bagaimana pemimpin negeri ini hadir bersama mereka ketika mana mereka susah.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua Dewan, saya juga ingin mengambil sedikit kesempatan menyentuh soal pendidikan dan pembinaan keupayaan teknologi anak-anak Terengganu. Kalau kita mahu Terengganu ini benar-benar bangkit, kita tidak cukup hanya membina jalan dan menarik pelaburan. Negeri yang hebat tidak dibina dengan kemajuan kebendaan semata-mata. Tapi negeri yang hebat itu dibina dengan manusia, dengan ilmu dan dengan keupayaan. Sebab itu apabila Yang Berhormat Bandar membangkitkan tentang isu pencapaian kita dalam SPM, selain juga, kita kena ingin bermuhasabah melihat
bagaimana pencapaian sekolah-sekolah Imtiaz kita, sekolah-sekolah di bawah Kerajaan Negeri ini. Kita mesti jujur apabila melihat keputusan yang dibentangkan, bagaimana subjek teras seperti matematik tambahan, kimia, fizik, biologi menunjukkan sedikit kemerosotan. Isu ini bukan isu kecil. Ini satu amaran kepada masa depan negeri ini. Kerana daripada subjek-subjek sains teras inilah akan lahirnya jurutera, saintis, pakar tenaga, pakar teknologi makanan dan pendidik masa hadapan. Kalau asas ini rapuh, kita akan terus bergantung kepada kepakaran orang lain dan akan menjadi penonton ketika mana dunia bergerak laju.
Sebab itu di kesempatan ini, saya ingin menyeru supaya Kerajaan Negeri, pihak Yayasan Terengganu, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, memberi perhatian serius kepada pemerkasaan STEM di Imtiaz dan sekolah-sekolah strategik negeri. Sediakan guru-guru pakar untuk mengajar anak-anak ini. Buat intervensi awal. Pantau pencapaian dengan lebih rapat. Dan dalam soal pendidikan, jangan berkira dari sudut kewangan. Dan di kesempatan ini juga dalam konteks hubungan antarabangsa, baru-baru ini duta Iran datang ke Ijtima' kita himpunan kita. Sebab itu saya melihat hubungan baik antara Iran dengan negeri ini wajar diteroka secara matang dan strategik.
Khususnya dalam bidang sains angkasa, bidang teknologi makanan, bidang kejuruteraan, teknologi gunaan. Ini satu peluang dan ini satu keberanian untuk kita menyediakan lapangan pendidikan kepada anak-anak negeri ini. Sebab itu saya melihat TATI, TESDEC mesti diangkat menjadi jambatan ilmu dan latihan teknikal kepada anak negeri. Kita tidak mahu institusi ini sekadar melahirkan tenaga kerja biasa. Kita mahu ia melahirkan jurutera pada masa yang akan datang mampu mencipta nilai membina industri dan mengangkat maruah negeri. Kalau kita gagal membina anak muda yang menguasai ilmu dan teknologi, kita akan terus menjadi pengguna kepada masa hadapan yang dicipta oleh orang lain.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua Dewan, diakhirnya mewakili generasi muda Terengganu. Saya juga ingin menegaskan bahawa anak muda tidak mahu lagi menjadi generasi yang hanya pandai berpidato tapi tiada tindakan. Kami mahu satu generasi anak muda ini generasi yang kita berani bersuara. Kita tahu tanggungjawab kita, kita mampu membela agama, mempertahankan bangsa dan pada masa yang sama, kita memperjuangkan kesusahan yang berlaku kepada rakyat marhaen. Terengganu ialah negeri yang besar jiwanya,
kuat semangat Islamnya, panjang sejarah perjuangannya, maka jangan kita kecilkan negeri ini dengan politik yang sempit. Rakyat sedang menunggu kepimpinan yang berani, matang dan berpandangan jauh. Akhirnya Sura Menjunjung Kasih atas Titah Tuanku dan Sura juga menyokong menyatakan sokongan penuh terhadap Titah tersebut. Semoga Allah memelihara Tuanku, memberkati kepimpinan negeri ini, memperkukuhkan ekonomi Terengganu, menjaga keterjaminan makanan dan tenaga, mengangkat martabat Melayu dan Islam serta memelihara rakyat dari himpitan hidup semakin berat, sekian, terima kasih.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Sura yang telah menyampaikan pembahasannya. Begitu semangat. Seterusnya saya persilakan. Yang Berhormat Manir.
Dihormati dan diraikan Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar, Yang Berhormat EXCO-EXCO, rakan-rakan Yang Berhormat, pegawai-pegawai kerajaan, rakan-rakan media dan pemerhati yang dihormati sekalian. Manir merakamkan dan merafakkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan Menjunjung Kasih Titah Pemangku Raja Terengganu yang telah dititahkan semalam.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, merujuk kepada Titah DiRaja pada muka surat lima menyebut tentang strategi Kerajaan Persekutuan di dalam Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035. Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, saya ingin membangkitkan suatu perkara di antara sedar dan lalai. Sedar ataupun tidak, sebenarnya kaum Bumiputera itu sendiri, majoriti besarnya adalah bukan penguasa atau pemain utama sektor ekonomi. Dengan jangka masa yang sangat singkat, 2026 sehingga 2035, saya bimbang ianya tidak dapat dicapai tetapi bagi merealisasikan hasrat ini, maka kita, semua yang berada di dalam Dewan Yang Mulia ini, agensi-agensi Kerajaan dan bukan Kerajaan, serta GLC-GLC perlu memainkan peranan yang penting dan perlu menggemblengkan tenaga dan kesungguhan dengan sebaik mungkin. Cukup-cukuplah jadi pahat dan tukul, sekali katok sekali gerok, inilah yang kita hadapi bila mana ada di kalangan yang kita hubungi, ada yang kita hubungi secara telefon tak angkat, mesej tidak balas, tanya pagi, petang baru jawab, ada yang
jawab soalan kita sambil lewa, sampai tahap ada yang jawab macam kaunter pertanyaan kepada persoalan kita. Kadang-kadang inilah antara perkara yang kami hadapi sebagai Wakil-wakil Rakyat yang dilantik oleh rakyat, mungkin kerana kita ini, Yang Berhormat, Yang Berhormat ini, Wakil-wakil Rakyat ini, jawatan kontrak deme tidak hairan mana. Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, ingatlah bahawa kita semua yang ada dalam Dewan Yang Mulia ini menerima gaji dan bayaran dari duit amanah rakyat Terengganu, jangan kita ingat pendapatan yang kita perolehi itu tidak ditanya oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, dalam muka surat 15 hingga muka surat 16 juga, Titah DiRaja menyebut bahawa tunjang pentadbiran Kerajaan adalah pegawai-pegawai dan semua agensi yang terlibat. Perlu kita ingat bahawa bukan sahaja kesungguhan dari sudut gerak kerja, tetapi integriti yang disebut secara jelas di dalam titah Tuanku tersebut, perlu kita lebih agresif di dalam melaksanakan keperluan semasa dan bukan menjadi penerus dasar-dasar yang sedia ada yang tidak diubah, sesuai dengan keadaan yang ada pada masa sekarang ini. Masalah birokrasi dan seumpamanya, masalah dasar-dasar yang boleh diubah di peringkat negeri, yang perlu dicadang kepada Kerajaan daripada pegawai-pegawai yang telah lama berkhidmat, sepatutnya mereka lebih faham, lebih menjiwai dan mencadangkan yang terbaik kepada pihak yang berautoriti.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, satu lagi perkara yang membimbangkan, adalah pelajaran yang kita perolehi daripada wabak yang sebelum ini yang disebut sebagai COVID-19, yang menjadikan kita semua sebagai penilai yang terbaik, kepentingan, bila dibincangkan kepentingan keuntungan dan kepentingan keselamatan negara ataupun negeri, bila mana kita tidak dapat berdikari di atas diri sendiri, berdikari dengan sumber sendiri, maka kita sebenarnya dalam keadaan sentiasa berwaspada dan dalam keadaan yang sentiasa terancam. Sebagai contoh yang kita dapat lihat di TDM sebagai contoh, di Ladang Rakyat, kita mempunyai ladang kelapa sawit yang bermula daripada mungkin kita kata sejak awal ataupun pertengahan 60-an, awal 70-an sehingga sekarang masih belum wujud yang disebut refinery yang boleh membawa kepada, sampai kepada produk end user, yang kita hanya ada ialah CPO, crude palm oil sahaja, tetapi selepas daripada itu, nak pergi kepada CP8, CP10, kita perlu hantar kepada refinery di negeri-negeri lain yang tidak dipunyai oleh Kerajaan negeri, jadi, ini merupakan satu kerugian dan dapat dimanipulasi
pada harga jualan pada akhirnya. Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, kita perlu mungkin, saya pun tidak pasti tetapi mungkin telah ada perancangan yang berkaitan, tetapi dengan jangka masa yang sangat panjang itu, kita merasakan suatu kerugian kepada rakyat Negeri Terengganu.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, GLC berperanan di dalam muka surat 11 di dalam titah Tuanku yang menitahkan supaya GLC berperanan menjadi pemangkin pelaburan dan pembangunan ekonomi negeri dengan menjalinkan kerjasama strategik dengan pelabur-pelabur luar dan swasta yang berkemampuan, tetapi apa yang membimbangkan kita, janganlah GLC-GLC kita menjadi Ali Baba sebagaimana broker-broker yang lain yang menyebabkan kita hilang kuasa, kita GLC badan Kerajaan, tetapi hilang kuasa pada memutuskan perkara-perkara yang penting di dalam pelaburan-pelaburan ini.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, bagi membincangkan di dalam muka surat 10 berkaitan, Terengganu adalah suatu negeri yang kaya dengan sumber mineral, sumber mentah, saya mencadangkan jika sekiranya dapat diperuntukkan suatu jumlah yang terbaik untuk dibuat kajian yang disebut feasibility study. Kajian dengan mengesahkan pengesahan pakar dan konsultan yang berautoriti untuk menentukan apakah mineral yang ada dalam Negeri Terengganu dan berapakah jumlah yang ada, reserve yang ada, agar reserve-reserve ini dapat mendapat nilai komersial, bukan sahaja nilai yang diberikan oleh Jabatan GMG atau PTG yang ianya tidak membawa nilai kepada commercialised mineral-mineral yang kita ada, sangat sayang kerana jika sekiranya Kerajaan negeri sendiri yang boleh buat perkara-perkara ini, mungkin dapat memendekkan masa kepada player-player mineral ini untuk melaksanakan kerja-kerja mereka.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, point saya yang terakhir, saya difahamkan sebelum ini ada usaha ke arah pembinaan RTG, Kemaman LNG yang dimaklumkan akan dimulakan pembinaannya pada hujung tahun 2026. Maka kegusaran kita ialah apakah perkembangan terkini dan apakah pihak yang memainkan peranan supplier kita ini akan terkesan dengan peperangan US dan Iran yang sedang berlaku pada hari ini. Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, akhirnya Manir mohon Menjunjung Kasih Titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Terengganu.
Terima kasih pada Yang Berhormat Manir, seterusnya saya persila, Yang Berhormat Jertih.
Yang dirahmati Allah Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua Dewan, Yang Berhormat Dato' Seri Menteri Besar, seterusnya Yang Berhormat Ahli-ahli MMKN, Yang Berhormat ADUN-ADUN, Ketua Jabatan, pemerhati, petugas para media, muslimin dan muslimat yang dirahmati oleh Allah sekalian, alhamdulillah, pada kesempatan ini, Jertih dengan penuh takzim merafak sembah, Menjunjung Kasih Ke bawah Duli Yang Amat Mulia Pemangku Raja Terengganu atas limpah perkenan berangkat mencemar duli serta bertitah sempena Istiadat Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Terengganu kali yang Kelima Belas.
Alhamdulillah, Tuanku telah menyentuh berkaitan dengan kestabilan isu keluarga dan satu isu besar yang masih menghantui kita di Negeri Terengganu ialah penyalahgunaan dadah di Negeri kita, sebagaimana kita semua maklum, dadah masih lagi menjadi ancaman besar diri kita dan kita masih dalam ranking top five dengan izin dan saya mengucapkan tahniah kepada Pihak Polis DiRaja Malaysia kerana telah berjaya melakukan tangkapan. Nilai rampasan dadah meningkat hampir 25 kali ganda. Ini sejarah baharu kita, di mana sebanyak RM76.40 juta bahan tangkapan dadah ini, di mana tangkapan kepada penagih dadah seramai 11,893 orang pada tahun 2025, juga tahniah kepada seluruh agensi yang terlibat seperti AADK, BAKAT, PEMADAM sendiri, seluruh jentera Kerajaan yang membantu dalam usaha untuk kita membanteras najis dadah. Dadah, tuan-tuan sekalian, merupakan ancaman dalam banyak negara di dunia ini. Kekalahan negara China yang paling besar di dunia kepada Pax Britannica, Britain pada pertengahan abad ke-15 kerana dadah yang dimasukkan secara besar-besaran oleh mereka dan juga di zaman perang di Vietnam. Amerika
yang tumpas juga berkaitan dengan isu-isu dadah yang dilambakkan kepada tentera-tentera Amerika di Vietnam.
Kita juga, tuan-tuan, harus memerhatikan semarak budaya hedonisme yang menular di kalangan anak-anak muda yang masuk melalui program-program carnival, vintage festival dan sebagainya. Lambakan anak-anak seni yang dimasukkan ke negeri kita dengan pelbagai program pesta-pesta, di negeri kita bermula dengan isu yang munasabah, contohnya untuk mereka meniaga makanan, meniaga barang-barang vintage tetapi ada artis-artis masuk ke negeri kita saya lihat agak tidak terkawal. Walaupun kita ada enakmen kawalan hiburan tetapi kadang-kadang penganjur mereka melanggar enakmen kawalan hiburan. Jertih memohon supaya pihak Kerajaan Negeri, pihak PBT mengambil langkah-langkah strategik dan serius untuk menangani budaya hedonisme terutama kepada anak-anak muda di negeri yang kita cintai ini.
Tuanku Sultan juga menyentuh tentang isu pembudayaan pelancongan kerana pelancongan masih merupakan sektor penyumbang utama kepada aktiviti ekonomi negeri kita, di mana tahun 2025, kita berjaya dihadiri oleh 7.6 juta pelancong ke negeri kita dan usaha yang baik juga saya melihat kepada program Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah dan sebagaimana hujah disebut oleh ADUN Sura tadi, bagaimana program ini untuk kita himpunkan para intelektual Muslim, ilmuwan-ilmuwan dan para alim ulama, menjadikan negeri tempat berwacana dengan ulama' kita, pemikir-pemikir tentang isu-isu antarabangsa, kerana Islam mengajar kepada kita tentang erti kecaknaan, erti peduli, sebagaimana hadis Nabi SAW, hadis riwayat Imam Baihaqi,
"Barangsiapa yang tidak mengambil berat urusan kaum Muslimin, maka bukan dari kalangan mereka."
Ijtimak Alami ataupun Ijtimak Antarabangsa perlu diadakan. Saya cadangkan dua tahun sekali di Terengganu ini kerana ia membantu sektor pelancongan yang kita sebut edutourism, di mana kehadiran ulama-ulama terkenal bertaraf antarabangsa itu menarik ramai rakyat untuk hadir ke Negeri Terengganu. Kalau dalam sejarahnya, tuan-tuan sekalian, tahun 1988 yang dimulakan di perkampungan Rusila, boleh 100,000 lebih yang hadir. Seterusnya pada tahun 1993, juga ratusan ribu yang hadir. Selanjutnya pada tahun 2015, ratusan ribu yang hadir, yang mencadangkan sebagaimana kita juga menjadi tuan rumah
kepada RXZ Members tahun lepas, 150 ribu yang hadir. Saya rasa program Ijtimak Antarabangsa boleh menjadi produk pelancongan ataupun produk edutourism negeri kita untuk menarik pelancong dalam dan luar negara untuk berhimpun di Negeri Terengganu Darul Iman. Saya ucapkan tahniah juga kepada portfolio pelancongan kerana telah mengambil kira suara nurani rakyat untuk menambahbaikkan program. Contohnya, Pelita Raya. Kalau kita bandingkan dengan tahun-tahun lepas, tahun ini agak baik kerana Pelita Raya dia anjak pada awal Ramadan dengan program-program pengisian, tazkirah, solat tarawih berjemaah, ada booth sediakan qasidah, berzanji dan sebagainya. Saya ucap tahniah kepada portfolio pelancongan, semoga program ini, tuan-tuan sekalian, ditingkatkan lagi menjadi program berimpak tinggi untuk menarik pelancong dalam dan juga luar negara.
Jertih menarik perhatian juga berkaitan dengan isu yang disebut oleh Tuanku Sultan berkaitan dengan pengukuhan institusi keluarga, iaitu kediaman yang selesa, elemen penting dalam kehidupan sosial rakyat. Kerajaan Negeri berjaya membina 12,559 unit rumah mampu milik di negeri Terengganu daripada tahun 2018 hinggalah Januari 2024. Sebanyak 3,798 unit berada di peringkat perancang. Indikator perumahan di dalam indeks kesejahteraan rakyat menunjukkan berlaku penurunan 1.9% pada tahun 2024 berbanding 2023. Sebagaimana saya sebut tadi tuan-tuan, untuk kita menangani isu-isu dadah yang merebak di kalangan anak-anak muda, kita perlu kuatkan institusi keluarga. Antara kita nak kuatkan institusi keluarga, mestilah mempunyai kediaman yang selesa. Kediaman mampu milik, tuan-tuan sekalian dan tidak salah sekiranya Kerajaan Negeri kita berkolaborasi dengan syarikat-syarikat gergasi pembinaan dari luar Terengganu, untuk kita membina lebih banyak rumah-rumah kediaman untuk rakyat dan sebahagian disebut tadi, isu-isu dadah yang melibatkan anak-anak remaja mereka tidak tidur di rumah, tidur di rumah kawan-kawan, mereka merempit dan sebagainya dan juga ucapan tahniah tuan-tuan sekalian kepada pihak PBT, kita terlibat yang memantau kedai-kedai vape haram di seluruh Negeri Terengganu. Vape sebagaimana disebut dalam sidang yang lepas merupakan antara salah satu permulaan kepada penagihan. Jertih Menjunjung Kasih, menyokong penuh Titah Ucapan Tuanku Sultan.
Terima kasih Yang Berhormat Jertih. Seterusnya, Yang Berhormat Hulu Besut.
Salam Terengganu Maju, Berkat Sejahtera. Terima kasih Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar, rakan-rakan Yang Berhormat, Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan, para pemerhati terutamanya dari DUN Hulu Besut, para media dan hadirin-hadirat yang dirahmati Allah sekalian. Patik merakam setinggi-tinggi kasih ke hadapan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhammad Ismail ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, Pemangku Raja Terengganu atas Titah yang dizahirkan yang sarat dengan kebijaksanaan, keprihatinan serta hala tuju jelas demi kemajuan Negeri Terengganu Darul Iman.
Hulu Besut teguh berdiri, Menjadi saksi adat berdaulat, Titah Tuanku bukan sekadar didengari, Dibahas berani penuh hikmat.
Sesungguhnya Titah Tuanku ini bukan sekadar amanat, tetapi merupakan panduan besar yang perlu kita terjemahkan dalam bentuk tindakan nyata untuk kesejahteraan rakyat.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, saya menyambut baik penekanan Tuanku mengenai keperluan mengurangkan kebergantungan kepada hasil petroleum. Kebergantungan yang tinggi kepada satu sumber sahaja menjadikan ekonomi negeri terdedah kepada ketidaktentuan global. Justeru, usaha mempelbagaikan ekonomi perlu diperkasa melalui pembangunan industri hiliran, pengukuhan sektor pelancongan serta penerokaan ekonomi baharu berasaskan teknologi digital dan inovasi. Namun demikian, dalam kita mengejar pertumbuhan ekonomi, kita tidak boleh mengabaikan keseimbangan sosial dan kesejahteraan rakyat di peringkat akar umbi.
Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua, saya juga menyambut baik penekanan Tuanku terhadap sektor pertanian. Bagi kawasan seperti Hulu Besut, sektor ini bukan sahaja sumber pendapatan tetapi juga nadi kehidupan masyarakat luar
bandar. Sehubungan dengan itu, saya mencadangkan agar bantuan input pertanian dipertingkatkan, penggunaan teknologi moden diperluaskan dan sistem pemasaran hasil diperkukuhkan agar petani menerima pulangan yang lebih adil. Dengan kenaikan harga minyak yang tidak menentu serta berlaku kenaikan kos dalam sektor pertanian, apakah bentuk bantuan daripada Kerajaan Persekutuan dalam usaha membantu petani-petani yang terkesan? Kerajaan Negeri dah bagi moratorium kepada peminjam bagi sektor pertanian. Apa yang Kerajaan Persekutuan bagi kepada petani? Saya mohonlah Yang Berhormat Jabi tolong tanya Kerajaan Persekutuan dan sejauh mana kenaikan harga minyak mempengaruhi kadar jentera pertanian dan apakah tindakan segera Kerajaan Negeri dalam membantu para petani.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, bercakap mengenai pelancongan, Hulu Besut mempunyai potensi yang besar sebagai destinasi pelancongan alam semula jadi negeri. Banyak kali saya ulang hal pelancongan di Hulu Besut ini. Antara lokasi berpotensi termasuk Taman Eko Rimba Lata Tembakah, La Hot Spring serta Pusat Peranginan Air Deru yang mempunyai keunikan tersendiri. Kawasan ini bukan sahaja sesuai untuk rekreasi keluarga, malah berpotensi dikembangkan sebagai produk ecotourism and wellness tourism dengan izin. Tambahan pula, keindahan alam semula jadi serta suasana desa yang masih terpelihara boleh menjadi nilai tambah kepada sektor pelancongan negeri. Namun begitu, potensi ini hanya akan benar-benar memberi impak sekiranya disokong dengan kemudahan yang lengkap dan pengurusan yang bersistematik. Saya mohon pihak Kerajaan memberi perhatian yang serius dalam menangani isu-isu berkaitan kemudahan dan keperluan yang penting dalam sektor pelancongan ini. Salah satu produk pelancongan di Hulu Besut yang bakal diwujudkan adalah santuari ikan yang terletak di Taman Eko Rimba, Lata Tembakah sebagai tambah nilai daya tarikan pelancongan untuk pelancong hadir ke Hulu Besut. Sehubungan dengan itu, saya memohon perhatian yang serius Kerajaan untuk menaik taraf infrastruktur asas, memperkukuhkan aspek keselamatan dan kebersihan kawasan pelancongan serta mempergiatkan promosi secara lebih agresif dan bersepadu. Saya juga mencadangkan agar produk pelancongan ini dibangunkan secara komuniti supaya manfaatnya dapat dirasai terus oleh penduduk setempat dan saya mohon setiap kajian ataupun tindakan tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk direalisasikan.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, saya turut ingin menekankan aspek tadbir urus yang cekap dan kerenah birokrasi. Permasalahan yang dialami sekarang adalah lambatnya tindakan terhadap aduan atau permasalahan yang diadukan oleh rakyat. Kecekapan pentadbiran bukan diukur pada banyak dasar diumumkan tetapi pada seberapa cepat rakyat menikmati hasilnya. Saya juga ingin menekankan aspek kebersihan dan pengurusan sisa pepejal. Kerajaan telah membelanjakan sejumlah wang yang banyak untuk menguruskan aspek kebersihan ini. Isu ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia memberi kesan langsung kepada imej negeri, kesihatan awam serta kualiti hidup rakyat. Permasalahannya, masih terdapat kawasan yang tidak diselenggara dan tidak dipantau dengan baik oleh pihak yang berkenaan. Oleh itu, pengurusan sisa pepejal perlu dilaksanakan secara lebih sistematik dan teratur. Sistem kutipan sampah yang efisien, kemudahan pelupusan yang terancang serta peningkatan kesedaran rakyat terhadap tanggungjawab kebersihan perlu dibudayakan dalam diri masing-masing.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, saya juga ingin menyentuh isu perumahan rakyat serta kestabilan institusi keluarga. Keperluan kepada rumah mampu milik semakin meningkat, khususnya dalam kalangan orang muda serta golongan miskin terutamanya mereka yang berada dalam pangkalan data eKasih. Ada lagi rumah yang berpenghuni lebih dari tiga atau empat keluarga satu buah rumah. Bahkan ada yang lebih. Keadaan ini mewujudkan satu ketidakselesaan bagi penghuni rumah itu sendiri dan boleh mengundang pelbagai masalah yang lain. Sebagai contohnya, apabila mempunyai kehidupan yang tidak selesa, boleh mengundang kepada gejala yang tidak sihat seperti pengambilan dadah, sumbang mahram dan lain-lain gejala yang memudaratkan masyarakat. Justeru itu, saya memohon dan mencadangkan projek perumahan rakyat dipercepatkan, penawaran rumah mampu milik diperluaskan serta akses pembiayaan dipermudahkan. Ada satu persoalan yang sering ditanya oleh penduduk kawasan Hulu Besut kepada saya, iaitu bilakah akan siapnya Projek Perumahan Pinggiran Bukit Cina, Kampung Pasir Akar. Mohon kepada pihak Kerajaan agar membuat sesuatu tindakan yang segera yang boleh menguntungkan rakyat.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, akhir sekali, saya ingin menegaskan bahawa segala Titah Duli Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, Pemangku Raja Terengganu hendaklah diterjemahkan kepada tindakan yang berkesan dan bukan sekadar
perancangan di atas kertas semata-mata. Kita semua mempunyai amanah untuk memastikan kesejahteraan rakyat terus terbela dan Negeri Terengganu terus maju ke hadapan. Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, Hulu Besut mohon mencadangkan. Sekian.
Saya akan menjemput pembahas terakhir. Siapa? Kita bagi hok jauh dulu lah. Yang Berhormat Timbalan kita. Sila Yang Berhormat Seberang Takir.
Terima kasih Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Ahli-Ahli Yang Berhormat penyokong Kerajaan, Ketua-ketua jabatan, wakil-wakil jabatan, seterusnya semua para pemerhati di kiri dan kanan.
Alhamdulillah, pertama-tama Seberang Takir menjunjung setinggi kasih atas limpah perkenan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan, Pemangku Raja Terengganu yang berkenan berangkat ke Dewan ini, bertitah dan menyempurnakan Istiadat Pembukaan Penggal Yang Keempat Mesyuarat Pertama Dewan Undangan Negeri yang Kelima Belas. Alhamdulillah, disempurnakan dengan sebaik-baiknya pagi semalam.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Saya yakin dan percaya Titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, Pemangku Raja menjadi pedoman kepada Kerajaan dan pimpinan negeri bagi melayari bahtera Kerajaan yang memerintah negeri ini. Titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja merangkumi banyak perkara, sama ada pembangunan sosial dan juga ekonomi. Sebahagiannya telah disebut dan diulas oleh Wakil-Wakil sama ada daripada Manir tadi. Banyak saya nak sebut, dia dah
sebut. Jadi saya sebut yang lain-lain. Ke bawah Duli Yang Maha Mulia antara lain menyebut tentang kemiskinan. Ya, kemiskinan bukan sesuatu yang boleh kita hapuskan 100%. Tetapi alhamdulillah, Negeri Terengganu telah berjaya mengurangkan kadar kemiskinan dari masa ke semasa, alhamdulillah disebut dalam Titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja. Tahniah kepada pihak Kerajaan.
Menyentuh tentang kebersihan yang berkaitan dengan pelancongan, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia menyebut bahawa kos RM130 juta yang dibelanjakan oleh Kerajaan ini mungkin boleh dijimatkan, mungkin boleh dikurangkan jika rakyat dan juga masyarakat kita mempunyai kesedaran dalam menjaga kebersihan. Apabila sampah tidak dibuang merata-rata, apabila rakyat mempunyai kesedaran yang tinggi untuk memastikan negeri ini bersih, bukan sahaja kerana kita mengamalkan tuntutan agama tetapi kerana juga menyambut pelancong-pelancong yang hadir dan semakin meningkat ke Negeri Terengganu maka kerana itu amat wajar jika kempen-kempen kebersihan ini dipertingkatkan, diperbanyakkan dari masa ke semasa. Kita boleh banyakkan gotong-royong, kita boleh adakan pertandingan kampung-kampung bersih ataupun daerah bersih. Dulu ada, sekarang dah tak ada dah. Jadi mungkin ini boleh diadakan semula. Insya-Allah akan meningkatkan lagi kesedaran selain daripada mungkin Jabatan Agama boleh mengadakan khutbah dari masa ke semasa yang berbicara tentang kebersihan. Sebab kebersihan ini memang antara benda yang difokuskan dalam agama kita. Kalau kita baca Al-Quran, orang duk sebut itu ayat yang pertama. Antara ayat yang awal juga turun , , , , Ayat yang kedua-ketiga turun selain daripada sebut Pakaian kamu hendaklah kamu bersihkan, sucikan. Maknanya Islam ini agama yang mengajar kita tentang kebersihan. Maka sebab itulah kempen kebersihan ini mesti diteruskan, diadakan dari semasa ke semasa bersesuaian dengan Titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja yang menyarankan kesedaran ini dipertingkatkan kerana baginda percaya jika rakyat mempunyai kesedaran yang tinggi, sampah tidak dibuang merata-rata, insya-Allah kerja majlis-majlis perbandaran, bandar raya dan majlis-majlis daerah akan berkurang dan kos pun akan berkurang.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, seterusnya, saya mewakili Seberang Takir nak sebut dua tiga perkara sahaja. Ada dua perkara yang penting. Ini juga adalah berkaitan dengan pelancongan kerana Seberang Takir ini dekat dengan Bandar Kuala Terengganu. Walaupun Jambatan Gantung ini sebenarnya
berada di daerah Kuala Terengganu tetapi orang nak pergi ke jambatan gantung kalau mari daripada utara, dia akan lalu Seberang Takir. Jadi, Seberang Takir ada dua jalan nak sampai ke jambatan gantung. Pertama, jalan pesisiran pantai. Ada orang sebut Pantai Miami. Dok kira lah. Jalan ini, alhamdulillah, molek. Tapi, jalan sebelah lagi dalam ini, jalan lama ada satu bulatan di Kampung Telaga Daing.
Dato' Yang di-Pertua, bulatan di Kampung Telaga Daing ini, sebahagiannya masuk dalam tanah milik persendirian dan saya percaya pihak Kerajaan tahu sebab baru-baru ini saya dimaklumkan ada saman dikemukakan oleh pemilik tanah tersebut tetapi ada dalam rundingan, saya tak tahu ditarik balik ke macam mana, tapi saya percaya kes ini akan dapat diselesaikan jika Kerajaan segera membuat bayaran untuk selesaikan pengambilan balik semula tanah tersebut. Dato' Yang di-Pertua, bukan sahaja selesaikan masalah jalan itu, bulatan itu tapi longkang yang mari daripada Teluk Ketapang sampai ke bulatan tersebut telah ditutup kerana masuk dalam tanah persendirian tersebut dan kerana itu waktu banjir baru ini air telah melimpah di sebahagian, masuk di rumah orang di kawasan Telaga Daing. Nasib baiklah Pengerusi JPKK kawasan itu buat satu kolam, tarik sebahagian air. Walau bagaimanapun, jika berlaku hujan seperti tahun-tahun yang sebelumnya, ini akan menjadi masalah yang besar. Maka kerana itu, saya mohon kalau boleh Kerajaan segerakan pembayaran dan pengambilan tanah di kawasan tersebut supaya masalah ini dapat diselesaikan dan jalan ini mungkin boleh diperbesarkan sedikit dan selesa untuk dilalui dan menyelesaikan masalah banjir yang akan berlaku di akhir tahun nanti.
Dato' Yang di-Pertua, satu lagi di kawasan Seberang Takir ini, di kawasan Tok Jembal. Ada satu pangkalan nelayan di hadapan Masjid Tok Jembal Pantai dan di belakang tempat orang berjual makanan malam-malam. Pangkalan ini dia ada dua pemecah ombak ataupun penghadang ombak yang menutup dari kiri dan kanan. Setiap kali musim monsun, pasir-pasir akan dibawa masuk ke dalam teluk tersebut dan pada tahun ini penuh dah pasir. Jadi bot nelayan dah tak boleh masuk. Awal tahun baru ini saya dah bayar, dah cari excavator, mesin, gali dalam lebih kurang lima enam hari tapi bila mari musim monsun yang belum berakhir, waktu musim Raya Cina ini masuk semula. Jadi hari ini nelayan-nelayan kawasan tersebut mengadu dan terus mengadu mengatakan bahawa masalah ini tak lagi diselesaikan.
Saya dimaklumkan kos untuk membersihkan kawasan tersebut hanya memerlukan lebih kurang RM300,000 ataupun lebih, mungkin pengarah JPS boleh beri anggaran ataupun kos yang sebenar. Jadi kalau ini diselesaikan, dia bukan sahaja membersihkan kawasan tersebut daripada timbunan pasir tapi juga sekali dengan benteng di sebelah utaranya yang ada kubur lama, kubur Tok Jembal. Jadi kalau dibelanjakan, Kerajaan dapat mengeluarkan peruntukan sebanyak RM300,000 ini, dia akan menyelesaikan dua masalah. Pertama, laluan dan juga tempat letak bot para nelayan sekitar tersebut dan satu lagi ialah benteng kepada tanah kubur yang berhampiran di kawasan tersebut yang hakisan berlaku setiap tahun semakin hampir dengan tanah-tanah perkuburan di kawasan tersebut.
Dato' Yang di-Pertua, saya kira cukuplah sekadar itu ucapan perbahasan saya bagi Titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja. Sekali lagi, mewakili Seberang Takir, menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Ismail ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan atas berkenan Baginda mencemar duli kelmarin.
Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian. Saya mengira ucapan perbahasan daripada Yang Berhormat Seberang Takir adalah ucapan terakhir pada sesi pagi ini. Saya tangguhkan sementara Dewan ini dan disambung semula pada pukul 2:20 petang. Ahli-Ahli Yang Berhormat dijemput ke jamuan makan tengah hari yang dihoskan oleh Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar dan Ketua-Ketua Jabatan di perkarangan U2, Dewan Undangan Negeri. Selamat menjamu selera.
MESYUARAT DITANGGUHKAN PADA PUKUL 12.51 TENGAH HARI
PUKUL 2.28 PETANG
Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, mesyuarat disambung semula. Kita masih lagi dalam sesi perbahasan ke atas Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan DiRaja. Maka dengan ini saya mempersilakan Yang Berhormat untuk memulakan perbahasan, siapa yang akan mula petang ya? Okey, silakan Air Putih.
Salam Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan dan sidang pemerhati yang dikasihi oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala sekalian. Ampun Tuanku, patik mewakili rakyat Dewan Undangan Negeri DUN Air Putih dengan penuh takzim merapat sembah, Menjunjung Kasih Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Pemangku Raja Terengganu atas limpah perkenan berangkat mencemar duli bagi menyempurnakan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Yang Pertama Penggal Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu pada kali ini. Sesungguhnya Titah dan amanah Tuanku menjadi panduan utama kepada patik dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dengan penuh amanah, adil dan berintegriti demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri. Patik beriltizam untuk terus mendekati rakyat serta memperjuangkan kebajikan mereka agar pembangunan yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada semua. Patik juga menadah doa ke hadrat Allah Subhanu Wa Ta'ala, semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku sentiasa dikurniakan keafiatan dan kesejahteraan dalam memayungi Negeri Terengganu ini dengan penuh kebijaksanaan dan keadilan.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, kesempatan ini saya mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan kepimpinan Negeri Terengganu tahun 2025 telah melakar pelbagai kejayaan yang wajar kita syukuri bersama. Pertama, Negeri Terengganu berjaya mencatat hasil negeri tertinggi dalam sejarah, mencerminkan pengurusan kewangan yang cekap dan berintegriti, kutipan hasil negeri mencecah RM454.33 juta, melepasi paras RM450 juta tertinggi dalam sejarah pentadbiran negeri, peningkatan lebih 59% berbanding tahun 2018 sebanyak RM283 juta. Ini membuktikan pengurusan kewangan lebih cekap dan terus menjadi asas pengukuhan sumber hasil dalam negeri.
Kedua, sektor pelancongan telah terus berkembang dengan kehadiran jutaan pelancong, sekali gus merancakkan ekonomi setempat. Terbukti dengan rekod jumlah pelancong 8.5 juta orang pada tahun 2025, 7.2 juta domestik dan 1.3 juta pelancong asing. Memberi sumbangan hasil ekonomi kepada negeri sebanyak RM6.7 bilion. Impak daripada kerancakan sektor pelancongan ini menjadikan Negeri Terengganu antara negeri destinasi utama di pantai timur dengan sokongan produk pelancongan dan alam semula jadi yang menarik dan bonus sebagai negeri paling bahagia.
Ketiga, kita melihat pelaburan yang meningkat memberi impak positif kepada peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi negeri. Keyakinan pelabur meningkat dengan datanya. Pelaburan komited sebanyak RM4.3 bilion dan pelaburan direalisasikan sebanyak RM1.6 bilion. Dibuktikan dengan projek utama, projek solar hybrid Tasik Kenyir RM2.9 bilion dan pembangunan industri di Kerteh. Ini memberi petunjuk kepada kita keyakinan pelabur terhadap kestabilan negeri, pengukuhan sektor industri dan tenaga baharu.
Keempat, pencapaian pendidikan yang membanggakan termasuk Keputusan Peperiksaan yang mengatasi Purata Nasional dengan SPM 2025 melepasi gred Purata Nasional dan STPM, PNGK 3.12 merupakan rekod terbaik enam tahun berturut-turut. Ini bermakna kualiti pendidikan negeri terus meningkat serta komitmen guru dan sokongan Kerajaan sangat berkesan.
Kelima, sinonim dengan Monsun Timur Laut, sentiasa diuji dengan musibah banjir. Namun Alhamdulillah, kecekapan pengurusan bencana khususnya menghadapi musim tengkujuh yang saban tahun mencabar. Terengganu mempunyai rekod dari aspek pengurusan bencana yang cekap dan berkesan.
Pengurusan Monsun Timur Laut (MTL) 2025-2026 dilaksanakan secara terancang dan efisien. Kerjasama, tindakan pantas antara agensi dan keutamaan keselamatan rakyat berjaya dipelihara menjadi asas dan tunjang kekuatan. Koordinasi agensi tinggi seperti sistem respon bencana semakin matang menjadikan Terengganu kekal hebat di dalam menangani ketibaan Monsun Timur Laut.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, saya melihat kesemua ini adalah hasil usaha bersepadu Kerajaan Negeri, penjawat awam, agensi pelaksana seluruh rakyat Terengganu, kecaknaan, perhatian dan pelaksanaan pentadbiran secara profesional dan tersusun, serta berwawasan menjadikan Negeri Terengganu terus bergerak selaras dengan slogan "Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera" tahniah sekali lagi kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan kepimpinan yang ada.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Air Putih terpanggil menyarankan kepada Kerajaan untuk melihat kesan daripada kenaikan harga minyak yang memberikan impak langsung kepada rakyat. Kerajaan perlu merangka dan menyuarakan beberapa cadangan bagi memastikan beban tanggungan rakyat dapat dikurangkan. Kenaikan harga minyak adalah cabaran global, namun kesannya di peringkat tempatan boleh kita tangani dengan kebersamaan. Kerajaan, peniaga dan rakyat mesti bergerak seiring mengawal, membantu dan menyesuaikan diri agar kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Kerajaan perlu membuat seruan kepada rakyat supaya berjimat dan bijak berbelanja rakyat wajar disuruh mengamalkan perbelanjaan berhemah mengutamakan keperluan berbanding kehendak serta menyokong produk tempatan, tindakan kempen belilah barangan tempatan, perlu dicanangkan lagi memberikan pendidikan pengguna agar rakyat makin matang dalam membuat perbandingan harga dan mengelak pembaziran, galakkan juga perkongsian kereta dan car komuniti. Dalam waktu yang sama, peranan Kerajaan perlu diperkasakan lagi dalam memperketat pemantauan bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak munasabah. Oleh itu, operasi bersepadu KPDN secara berkala perlu dipertingkatkan lagi. Senarai harga siling barangan asas diperluaskan lagi dan saluran-saluran rakyat diperkasakan.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, perniagaan kecil tidak harus dibiarkan tertekan akibat kos operasi meningkat. Kerajaan perlu memikirkan bagaimana insentif subsidi pengangkutan, logistik serta bantuan khas kepada peniaga kecil, one-off, mikrokredit diadakan. Menggalakkan penggunaan pembekal tempatan, kita kurangkan kos perlu ditekankan, orang kata, makan untuk hidup atau hidup untuk makan, tidak kira apa pun, perkataan keperluan makanan perlu dipertingkatkan. Kerajaan perlu berdikari dalam pengeluaran makanan bagi mengurangkan kebergantungan luar, memperluaskan projek pertanian dan agro makanan, memberikan sokongan penuh kepada nelayan dan penternak. Mencadangkan program satu kampung, satu produk makanan.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, menggapai rasa keberkatan dan nikmatnya perjalanan hidup dengan keimanan, Kerajaan dicadangkan juga mempertingkatkan lagi peranan komuniti dan institusi masjid, tidak menjadi kesalahan sekiranya masjid dan komuniti menjadi pusat kebersamaan membantu golongan terkesan, adakan Program Dapur Rakyat, Bank Makanan, Pasar Berkat dan jualan harga murah serta Tabung Kebajikan Komuniti bagi menambah baik bantuan kepada golongan terkesan setempat tanpa syarat. Dalam rasa pertanggungjawaban ini perlu juga dirasai oleh syarikat-syarikat besar dan industri. Syarikat besar digesa memainkan tanggungjawab sosial dengan tidak memindahkan sepenuhnya beban kos kepada pengguna. Program CSR, bantuan barangan asas dan kawalan margin keuntungan secara beretika perlu diambil cakna agar beban cabaran yang berlaku ini dirasai bersama.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, kita tidak boleh alpa, tahun 2026 hadir dalam pelbagai cabaran yang menuntut perhatian serius dan tindakan yang lebih strategik. Antaranya, ketidaktentuan sumber hasil negeri yang masih mempunyai kebergantungan kepada sumber tradisional seperti petroleum. Keperluan untuk memperkukuh daya tahan ekonomi agar lebih pelbagai dan berdaya saing. Cabaran pelaksanaan di peringkat akar umbi agar setiap perancangan benar-benar memberi impak kepada rakyat. Isu banjir dan perubahan iklim yang memerlukan pendekatan jangka panjang dan menyeluruh serta keperluan menyediakan peluang pekerjaan berkualiti kepada belia, bagi mengelakkan penghijrahan tenaga muda keluar dari negeri. Dalam masa yang sama, kita juga berdepan tuntutan untuk mempercepatkan transformasi digital, menjamin kesejahteraan rakyat secara inklusif dan memastikan pembangunan tidak mengabaikan kelestarian alam sekitar.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, sehubungan itu, saya ingin menegaskan bahawa kejayaan yang telah dicapai perlu dijadikan asas untuk kita melangkah lebih jauh. Manakala cabaran yang mendatang harus ditangani dengan perancangan yang lebih teliti, pelaksanaan yang lebih berkesan dan kerjasama yang lebih erat antara semua pihak, kita tidak hanya mahu melihat angka kejayaan bagi memastikan setiap dasar dan program benar-benar di rasai manfaatnya oleh rakyat di setiap peringkat, akhir kata.
Bunga melati di tepi halaman Harum mewangi di waktu pagi Cabaran dunia tidak tertahan Bersatu hati kita tempuhi
Marilah kita bersama-sama memperkukuh iltizam dan komitmen untuk terus membangunkan Negeri Terengganu yang kita cintai ini. Bukan sahaja dari segi ekonomi, tetapi juga dari aspek kesejahteraan, kelestarian dan keberkatan. Semoga segala usaha kita diberkati dan dipermudahkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Air Putih Menjunjung Kasih Titah Tuanku dan mohon menyokong.
Terima kasih Wakil Air Putih.
Saya jemput Yang Berhormat Telemung untuk membahaskan Usul Menjunjung Kasih.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri, Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Yang Berhormat, ketua-ketua jabatan pusat dan negeri, para pemerhati dan seterusnya tuan-tuan, puan-puan sidang hadirin sekalian.
Alhamdulillah, syukur kita kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala, kerana dengan limpah nikmat dan rahmat-Nya, maka pada petang ini kita dapat berkumpul
sekali lagi di Dewan Yang Mulia ini. Pejam celik, pejam celik, penggal yang kedua, kita semua ini telah pun rasanya berjaya menunaikan tanggungjawab kita. Sampai ke hari ini saya rasa lah, saya dah bilang-bilang, kita dah berada di Dewan ini, dah memegang jawatan ini telah selama dua tahun lapan bulan lapan hari bagi penggal ini. Tapi di luar sana sibuk dah nak buat pilihanraya. Jadi kita baru dua tahun lebih baru. Wakil Kijal. Jadi, saya pantun sikit dulu dok?
Baju melayu berkain sampin Cantik dipakai di hari istiadat Setiap kita adalah pemimpin Akan menanggung dunia akhirat.
Ikan tapah, ikan arowana Sedap dimasak harum baunya Jadilah pemimpin yang bijaksana Agar rakyat kagum terpesona
Pertama-tamanya saya mengambil peluang ini untuk mengucap terima kasih banyak kepada Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua kerana memberi ruang dan peluang kepada saya untuk sama-sama turut membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja semalam. Jadi antara yang saya dapat simpulkan juga daripada semua dapatan Ucapan Titah Tuanku semalam adalah antaranya, Baginda telah memberi harapan agar Kerajaan dapat melaksanakan pembangunan yang seimbang di antara daerah-daerah. Dua kali dia ulang. Titah dua kali ulangan. Kemudian yang kedua, Kerajaan perlu menangani jurang pendapatan antara bandar dan luar bandar. Boleh rujuk dalam muka surat 5 dan 6. Jadi, ini kebetulan Titah Tuanku semalam kena tepat pada kawasan sayalah. Jadi, pada hari ini saya nok ulas kawasan sayalah Timbalan Yang di-Pertua. Saya mintak panjang sikitlah. Boleh? Boleh dok? Jangan sekat-sekatlah.
Jadi, dalam tempoh dua tahun lapan bulan lapan hari ini, banyak perkaralah yang telah saya bangkitkan. Mungkin kawan-kawan kita pun dah di sini ramai bangkit macam-macam. Macam-macam cadangan, macam-macam permintaan kepada pihak Kerajaan agar diberi perhatian dan kalau boleh, dilaksanakan di kawasan masing-masing. Tak lari juga dari kawasan sayalah, Telemung. DUN Telemung Hulu Terengganu. Jadi saya berasa sedih jugalah kalau tengok buku
ini. Ini buku kejayaan Terengganu, yang tuan-tuan lihat ada 137 muka surat. Jadi saya belek-belek, ada satu sahaja kawasan saya, muka surat 45. Itu pun, terima kasihlah kepada Yang Berhormat EXCO kita, Dato' Azman atas usaha beri jugak se Hulu Terengganu. Ingat tak ada terus, ada se, ahamdulillah. Tapi maknanya banyak lagi lah yang perlu pihak Kerajaan lihatlah, berkenaan cadangan Tuanku semalam. Jadi kita haraplah supaya kita ingin mempastikan rakyat kita dapat nikmat dan peluang daripada usaha Kerajaan sebagaimana yang dinyatakan di dalam buku ini, insya-Allah.
Jadi saya pada hari ini berharaplah agar kawasan saya di Telemung ini boleh diberi perhatian lepas inilah. Makna selama ini dalam buku ini banyak kawasan orang lain. Jadi lepas ini kawasan saya pulalah gilirannya. Dia masih lagi, insya-Allah. Jadi antaranya ialah dari segi pembangunan. Kalau kawasan Timbalan Speaker, Timbalan Yang di-Pertua, padan kabo drawbridge dok apa doh. Pantai Miami ada. Saya nak kabo menda di Hulu Terengganu, di Telemung ini. Banyak benda sebenarnya. Mintok maaf.
Kabo gajoh dok ape
(ketawa). Kawasan Kuala Berang takdok gajoh. Sedap dia cakap, dok?
Jadi nak beritahunya, apa yang saya sebut tadi itu, antara perkara yang saya sebut selama ini dalam Dewan kita, banyaklah kalau saya nak beritahu sini hari ini. Tapi kalau yang paling mustahak hari ini juga, saya nak minta supaya Kerajaan melihat kembali projek-projek ataupun pembangunan-pembangunan yang dijalankan di kawasan saya khususnya di Telemung. Antaranya, Pusat Komersial Kuala Ping. Telah mula dilaksanakan pembangunan pada tahun 2018. Hari ini tak tau ke mana cerita. Dah hampir lapan tahun tak ada berlaku apa-apa. Kemudian di Air Terjun, Hutan Lipur Sekayu. Empat tahun yang lalu berlaku malapetaka yang tidak diinginilah. Kalau sebut Hutan Lipur Sekayu ini, saya rasa mungkin kita dah sedia maklumlah, antara air terjun yang terkenal seantero Malaysia kita ini. Betapa hebatnya Air Terjun Sekayu ini. Tapi hari ini malang, malang sangat.
Begitu juga kita diberitahulah pada tiga tahun yang lepas, Pulau Poh di Kenyir, di Pengkalan Gawi, di mana dikatakan bahawa TI akan melaksanakan pembangunan di Pulau Poh sebagai mercu tanda bila rakyat datang, pelancong datang ke Pengkalan Gawi. Tapi tiga tahun ini saya rasa takde ape-ape orang Telemung kata, takdok apa-apa lagi. Kemudian yang paling pentingnya di Kenyir. Kenyir ini saya sedia maklumlah, Kerajaan telah menghabiskan peruntukan, saya rasalah tak kurang daripada RM300 juta untuk pembangunan di Pulau Bayas sebagai satu pusat Zon Bebas Cukai. Sehingga ke hari ini, tak nampak, berjalan ke tak berjalan ke, bangunan koho lama koho buruk. Jadi itulah, makna RM300 juta habis begitu saja. Malang ini, malang Telemung ini. Pusat Komersial tak jadi, Pulau Poh tak jadi, Hutan Lipur Sekayu. Kerajaan janji doh, dok tau guane cerita.
Kemudian bebas cukai tadi, sistem pengairan. Pengairan di Kampung Kemas dan juga di Kampung Matang, kerana kita didodoikan bahawa Hulu Terengganu ini antara pusat ataupun daerah pengeluaran makanan utama. Jadi hari ini, tak ada kawasan nak tanam padi. Ada satu dua saja. Kawasan yang ada pun, buat pengairan baru tapi terbengkalai sejak tahun 2023 lagi. Sampai ke hari ini tak tahu cerita, ke manakah arah yang perlu berlaku.
Seterusnya, Timbalan Yang di-Pertua, begitu juga sangat malanglah, berkaitan dengan pembinaan jalan-jalan utamalah. Satunya jalan daripada Kuala Jeneris ke Aring. Saban tahun kita dapati jalan ini selalu rosok. Jalan yang merupakan pintu masuk utama daripada Kelantan ke Hulu Terengganu. Tapi hari ini, dah dua tahun dah tak boleh diguna kerana masalah keruntuhan jalan yang berlaku. Jalan ni rosok sokmo. Tak tahu apa cerita. Walaupun ini jalan federal, kita kabo juga. Begitu juga jalan daripada Kuala Telemong, lepas highway, lepas keluar daripada susur highway, nak pergi Kuala Jenerih. Tak tahu? Ke mana arahnya? Slow. Tak siap-siap lagi sampai sekarang ini. Jadi, kalau ini makna rugilah kepada rakyat kita yang nak mempastikan jalan ini boleh diguna.
Begitu juga dengan perumahan. Dalam Ucapan Titah semalam, kita sedia maklum, Ke bawah Duli Tuanku Pemangku Raja semalam telah menyebut bahawa Negeri Terengganu ini telah berjaya membina 12,559 buah unit rumah mampu milik di Terengganu sejak tahun 2019. Di kawasan saya Telemung ini sampai sekarang, takdok satu pun kawasan perumahan. Doh macam mana rakyat saya nok berkembang. Takdok. Jadi kita harap Kerajaan boleh tengok lah. Begitu juga dengan cadangan. Memang ada cadangan dulu nak buat
perumahan di Kuala Ping oleh SPNB. Tapi malangnya hari ini, tak tahu ke mana hala tuju. Maknanya, nok kabo sining, Kerajaan buat pembangunan di kawasan Telemung kawasan sayalah, tapi, ada arah tuju yang jelas, maknanya, nok gi ke depan ke, dok gi depan. Duit banyak doh habis. Jadi, kita haraplah Kerajaan boleh lihat benda ini untuk pastikan bahawa rakyat kita boleh dapat nikmat daripada pembangunan yang berlaku.
Oleh kerana masa dah tidak mengizinkan, jadi saya berharaplah jugok, di samping perkara yang disebut tadi, kita harap jugok lah supaya program SPAG, Sistem Pagar Elektrik Gajah ini, dapat dipercepatkanlah kerana hari ini, walaupun mungkin di kawasan saya ini, gajah dah agak kurang mengganggu tapi perlu langkah-langkah segera supaya kita dapat menghindarkan kedatangan gajah sebab gajah ini, pengalaman di Telemung ini ada hok orang mati doh, ada hok orang mati. Alhamdulillah, Dato' Wakil Kijal telah haritu buat Program Basung Renjer. Alhamdulillah, hari ini kita dapat kawallah, tapi rakan kita ni, ni sebelah saya ni, Hafiz, banyak gajah ni kawasan. Betulan, tiga serangkai ni kawasan gajah, Di Langkap pun, ramai gajah gok dok. Jadi alhamdulillah, dengan ada pagar insya-Allah, kita harap masalah gangguan ni tidak akan berlaku selepas ini. Begitu jugok kita haraplah, pada sidang yang lalu, terima kasih kepada Kerajaan telah bersetuju untuk membina masjid di Kampung Kubang Palas. Kita harap dapat ada realisasi jugalah sebagai janji tahun ini, dapat bina masjid ini. Kemudian juga yang akhirnya, kita juga berharaplah, walaupun ada soalan pagi tadi daripada Yang Berhormat ADUN Kuala Berang menyarankan supaya dapat penyelenggaraan sungai-sungai di Hulu Sungai Telemong, tapi kita ada jugok sungai-sungai lainlah, sungai kecik. Sungai Telemong, Sungai Berang, Sungai Tersat dan beberapa sungai lagi yang perlu kita selenggarakan kerana banyak pokok tumbang dalam sungai jadi ini menyebabkan berlaku halangan dan jugok akhirnya kita bimbang bila banjir nanti akan menyebabkan suatu yang tidak baik berlaku di sana. Jadi saya rasa itu saja hari ini, sedikit daripada saya, mintok maaf banyok dan sebelum saya sudahi saya menyokong Usul hari ini. Sekian
Terima kasih Wakil Telemung, lebih masa seminit, lebih saya nok sekat pun rasa kesian sebab Telemung ni banyak ngadu, saya harap pihak Kerajaan akan
ambil perhatian dan bagi penjelasanlah lepas ni. Terima kasih Wakil Telemung. Saya persilakan seterusnya, Wakil Bukit Tunggal, Wakil, Bukit Besi, sila. Bukit belaka dua tu. Sila.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua Dewan, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, rakan-rakan Yang Berhormat, semua Ketua-ketua Jabatan, Agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, yang sangat diraikan pegawai dan kakitangan-kakitangan Kerajaan serta barisan pemerhati yang dihormati Allah sekalian. Segala puji bagi Allah dan salam sejahtera ke atas junjungan kita Nabi Muhammad . Bersyukur kita ke hadrat Ilahi dengan limpah izin-Nya, dapat kita meneruskan Persidangan Dewan dengan penuh barakah di negeri yang aman, damai dan harmoni. Sidang Dewan yang saya kasihi sekalian, ucapan penuh takzim dan penghargaan atas Ucapan Junjung Titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhammad Ismail, Pemangku Raja Terengganu yang menyentuh indeks kesejahteraan rakyat Malaysia serta ekonomi Negeri Terengganu, memberikan gambaran bahawa Yang Amat Mulia Tuanku Muhammad Ismail dengan prihatin atas kesejahteraan rakyat dan ekonomi negeri ini. Saya berdiri kali ini, ingin menyatakan sokongan penuh terhadap Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan, Pemangku Sultan dalam Sidang Dewan kali ini. Titah Ucapan jelas sebagai kompas dan pedoman kepada kita dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri ini terus meningkat, selari dengan strategi dalam Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 mengikut acuan dan neraca Islam, insya-Allah.
Firman Allah Ta’ala dalam Surah An-Nahl, ayat yang ke-90:
Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebajikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu dengan suruhan dan larangan, supaya kamu mengambil peringatan.
Ayat ini menjelaskan tentang pentadbiran yang baik, adil dalam dasar dan ihsan dalam pelaksanaan. Merujuk kepada Titah Ucapan dalam muka surat 4, isu yang pertama, yang ingin saya ketengahkan hari ini adalah kesejahteraan rakyat sebagai teras utama. Saya ingin menegaskan bahawa segala dasar dan perancangan Kerajaan hendaklah berpaksikan kepada kesejahteraan rakyat. Ini bukan sekadar slogan, tapi mesti diterjemahkan dalam bentuk tindakan yang nyata. Isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, akses kepada pendidikan berkualiti dan perkhidmatan kesihatan perlu terus diberi perhatian. Namun, di kawasan kami, DUN Bukit Besi dan kawasan Hulu Dungun khususnya, masih terdapat rakyat yang bergelut dengan kos sara hidup, peluang pekerjaan yang terhad dan kemudahan asas yang kurang di kawasan pedalaman. Justeru, saya mohon agar pembangunan luar bandar dipercepatkan, capaian internet dan jalan perhubungan diperbaiki dan peluang ekonomi dibuka kepada anak tempatan. Rakyat di Hulu Terengganu di mahu sekadar janji, mereka mahukan perubahan yang dirasai. Rasulullah . bersabda,
"Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpin."
Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.
Rakyat hari ini, mahukan penyelesaian yang praktikal bukan sekadar perancangan di atas kertas justeru, Kerajaan perlu memastikan yang pertama, bantuan bersasar sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan. Kedua, infrastruktur asas seperti jalan, air dan internet dipertingkatkan. Yang ketiga, memberi peluang ekonomi diperluaskan terutama kepada anak muda dan usahawan-usahawan kecil. Kita merujuk kepada muka surat 6 hingga 8, merupakan point saya yang kedua, iaitu pertanian sebagai pemacu ekonomi baharu dan sumber rezeki yang diberkati. Saya menyambut baik penekanan terhadap sektor pertanian dalam melancarkan ekonomi negeri. Sektor ini tidak lagi boleh dilihat sebagai tradisional, tetapi mesti digerakkan secara modern dan berteknologi. Bukit Besi mencadangkan, supaya memperluaskan penggunaan teknologi pintar smart farming dengan izin.
Yang kedua, menggalakkan tanaman bernilai tinggi seperti fertigasi, herba dan buah-buahan premium. Yang ketiga, memperkasakan kerjasama antara agensi Kerajaan dan pemain industri. Selain itu, tanah terbiar mesti dioptimalkan penggunaannya. Anak-anak muda perlu diberi insentif untuk menceburi bidang
ini agar sektor pertanian terus segar dan berdaya saing dan Surah Al-Baqarah ayat yang kedua yang bermaksud,
“maka janganlah kamu mengadakan sekutu bagi Allah padahal kamu mengetahui ialah yang memberikan bumi sebagai hamparan untuk kamu”.
Ayat ini jelas menunjukkan bumi adalah amanah untuk diusahakan. Bukit Besi dan kawasan sekitarnya mempunyai tanah yang subur dan luas. Potensi pertanian sangat besar jika tanah yang terbiar diusahakan secara modern. Tanaman bernilai tinggi diperkenalkan. Peserta-peserta RTB dan pekebun kecil dibantu dengan teknologi dan modal yang setimpal. Justeru saya mencadangkan supaya Hulu Dungun dijadikan sebagai hub pertanian modern termasuk tanaman-tanaman napier, buah-buahan dan penternakan.
Yang ketiga, dalam Titah Ucapan juga menyebut pelancongan diperkasakan sebagai sumber pendapatan negeri. Sektor pelancongan mempunyai potensi besar untuk menjana ekonomi tempatan. Negeri kita kaya dengan keindahan alam semula jadi, budaya serta warisan yang unik. Begitu juga kawasan Hulu Dungun yang kaya dengan keindahan hutan semula jadi, sungai yang bersih dan suasana kampung yang damai. Namun, usaha untuk memperkasa pelancongan perlu lebih agresif dengan beberapa cadangan-cadangan seperti berikut. Yang pertama, meningkatkan promosi destinasi pelancongan secara digital. Yang kedua, menambah baik kemudahan asas di lokasi pelancongan seperti kawasan rekreasi Kuala Jengal, kawasan rekreasi Lubuk Kain di Kampung Syukur, kawasan rekreasi Sungai Kelemin di Kampung Talong, kawasan rekreasi Sungai Loh di Jongok Batu dan kawasan rekreasi Bumbung Raja di Pasir Raja. Yang ketiga, melibatkan komuniti setempat sebagai pemain utama industri ataupun pengusaha homestay. Begitu juga, konsep ecotourism dan Community-Based Tourism (CBT) dengan izin, perlu diperluaskan agar manfaat ekonomi dapat dirasai terus oleh rakyat di peringkat akar umbi.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua. Isu yang keempat adalah tenaga boleh baharu sebagai masa depan negeri. Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman dalam surah Al-Araf ayat ke 56 yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi setelah ia diperbaiki”.
Dalam menghadapi cabaran perubahan iklim dan keperluan tenaga masa depan, pembangunan tenaga boleh baharu amat penting. Pembangunan tenaga boleh baharu seperti solar amat sesuai diperluaskan termasuk cadangan kami di kawasan tasik Bukit Besi dan kawasan Hulu Dungun yang masih luas. Antara cadangan lain kepada pihak Kerajaan adalah yang pertama, menggalakkan penggunaan solar di premis Kerajaan dan swasta. Yang kedua, menyediakan insentif kepada pelabur dalam sektor tenaga hijau. Yang ketiga, mendidik masyarakat tentang kepentingan kelestarian alam. Langkah ini bukan sahaja menjimatkan kos dalam jangka panjang, malah menjadikan negeri kita lebih mesra alam dan berdaya saing.
Seterusnya, dalam Titah Ucapan juga menyebut tentang perlombongan dan industri hiliran secara terkawal. Sektor perlombongan juga boleh menjadi sumber hasil negeri yang signifikan jika diurus dengan baik. Bukit Besi mempunyai sejarah kawasan perlombongan yang penting. Namun, ia mesti dilaksanakan secara bertanggungjawab dan tidak menjejaskan alam sekitar. Dalam Surah Al-Qasas ayat yang ke-77 yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan”.
Bukit Besi mencadangkan agar yang pertama, penguatkuasaan yang tegas terhadap aktiviti perlombongan haram. Yang kedua, pelaksanaan standard alam sekitar yang ketat. Yang ketiga, pembangunan industri hiliran bagi meningkatkan nilai tambah hasil bumi. Dengan adanya industri hiliran, kita tidak hanya mengeksport bahan mentah, tetapi mampu menjana lebih banyak peluang pekerjaan dan pendapatan kepada negeri, jangan biarkan kekayaan hasil bumi hanya dinikmati oleh pihak luar tanpa manfaat kepada penduduk setempat.
Yang Berhormat yang saya kasihi sekalian. Surah Al-A'raf yang bermaksud:
“Sesungguhnya, Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri”.
Ayat ini mengingatkan kita bahawa perubahan memerlukan usaha bersama Kerajaan, pemimpin dan rakyat. Saya berharap agar segala perancangan pembangunan benar-benar menyentuh kehidupan rakyat, khasnya kami di DUN Bukit Besi dan Hulu Dungun khasnya, bukan sekadar di pusat bandar sahaja. Akhir kata, saya merafakkan setinggi-tinggi Menjunjung Kasih di atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Terengganu dengan menyokong penuh usaha Kerajaan demi kesejahteraan rakyat.
Terima kasih Wakil Bukit Besi. Seterusnya, saya persilakan Wakil Bukit Tunggal.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua diatas peluang yang diberikan. Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar, Ahli-Ahli Yang Berhormat EXCO, rakan-rakan Ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan, Pegawai-pegawai Kerajaan, rakan-rakan media, pemerhati, tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala kerana diberikan keizinan kita untuk sama-sama hadir dalam majlis, dalam mesyuarat kita pada petang ini. Terima kasih kepada Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua kerana memberikan ruang kepada Bukit Tunggal untuk sama-sama mengambil bahagian dalam perbahasan keatas Usul Menjunjung Kasih atas Titah Ucapan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Terengganu pada kali ini.
Kain cindai tenunan dara Dipakai oleh puteri rupawan Tuanku laksana payung mahkota Tempat rakyat menumpang ihsan.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, kita bersyukur kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala kerana dapat hidup dan berbakti dalam Negeri Terengganu yang kita cintai ini, negeri yang paling bahagia di Malaysia. Bukan sahaja bahagia, tetapi selamat. Saya ingin memetik kenyataan daripada Yang Berbahagia Datuk Ketua Polis Negeri Terengganu pada 1 Februari 2026, tiada kejadian kes bunuh dan samun bersenjata sepanjang 2024 dan 2025 di Terengganu. Dua tahun tidak ada kejadian kes bunuh dan samun bersenjata. Jadi, Terengganu bukan sahaja bahagia tetapi juga negeri yang selamat untuk didiami. Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Terengganu semasa menyampaikan titah ucapan telah menyentuh berkenaan kos yang dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri, hampir RM130 juta setiap tahun bagi menampung kerja-kerja pembersihan awam dan juga pengurusan sisa pepejal.
Maka untuk kesekian kalinya, Bukit Tunggal ingin bertanya berkenaan status penerimaan Akta 672, yang mana Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk menerima pakai sepenuhnya Akta tersebut bagi menambah baik pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam semasa pembentangan Belanjawan 2026, dan sekiranya Akta 672 ini dapat diterima dan digunakan di Terengganu sepenuhnya, Kerajaan akan dapat menjimatkan perbelanjaan sebanyak RM130 juta tersebut dan juga akan mendapat sistem pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang lebih baik dan lebih sistematik.
Baginda juga menekankan bagi mengurangkan birokrasi terutamanya yang melibatkan kelulusan kebenaran merancang dan pelan bangunan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Sebagaimana Negeri Johor yang mempunyai Kulai fast lane, Kedah mempunyai Kulim E10, Terengganu juga, kita difahamkan sedang dalam peringkat akhir penyediaan PITAH, Terengganu Rapid Lane bertujuan untuk mempercepatkan dan memperkemaskan proses kelulusan teknikal serta pembangunan projek-projek berkepentingan Kerajaan. Kita mengharapkan dengan adanya PITAH ini nanti akan menarik lebih ramai pelabur untuk melabur di Terengganu dengan adanya inisiatif dan juga ekosistem infra yang lebih mesra pelabur. Adalah dicadangkan agar PITAH ini dapat diintegrasikan bersama-sama dengan aplikasi Terengganu Geographic Information System sebagaimana telah dinyatakan dan dihasratkan oleh Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar semasa pembentangan Belanjawan
2026 yang lalu, agar PITAH ini menjadi suatu sistem yang lebih komprehensif dan berdaya saing.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Bukit Tunggal ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada EXCO Kerajaan Tempatan Perumahan dan Kesihatan dan juga SUK Perumahan serta PMINT di atas kerjasama yang diberikan bagi menyiapkan projek Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) Banggol Pauh yang dianggarkan akan dapat disiapkan pada bulan Oktober 2026 ini dan juga RPMM Pulau Duyung Sejahtera 3 yang juga akan disiapkan dalam tahun ini juga, yang mana kedua-duanya berada di dalam DUN Bukit Tunggal. Bagi RPMM Banggol Pauh, difahamkan kerja-kerja telah mencapai hampir 80% dan Bukit Tunggal mohon supaya kerja-kerja tersebut dapat diteruskan dengan sebaik-baiknya dan disiapkan tanpa ada halangan terutamanya bayaran dari pihak PMINT. Kadang-kadang bayaran lambat, itu yang kontraktor kerja lambat tahun itu. Bagi RPMM Pulau Duyung Sejahtera 3, difahamkan semua kerja-kerja bangunan telah disiapkan kecuali tinggal bagi kerja-kerja infrastruktur yang melibatkan IWK, ini adalah selari dengan apa yang dititahkan oleh Baginda Pemangku Raja Terengganu agar usaha untuk menyediakan kemudahan kediaman yang baik dan selesa dapat dipergiatkan lagi dan seterusnya dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat untuk jangka masa panjang bagi golongan berpendapatan rendah. Bagi RPMM Pulau Duyong Sejahtera, ia mempunyai 66 unit termasuk 2 unit untuk OKU. Jadi di Dewan yang mulia ini, pada hari ini, Bukit Tunggal ingin memohon agar kuota DUN Bukit Tunggal sebanyak 50%. Sebab kita biasa kalau satu projek perumahan dibuat, 50% unit akan diberikan kepada DUN berkenaan. Tapi untuk RPMM di Pulau Duyong ini Bukit Tunggal mitok ditambah daripada 50% sebab kita ada 285 buah rumah yang menumpang di atas tanah milik orang lain dan juga duduk atas tanah Kerajaan. Kita ada di Kampung Duyong Kecil 68 buah, kita ada Duyong Wan Su 7 buah rumah, Duyong Kelab Aya ada 70 buah rumah, Duyong Besar kita ada 23 dan Pulau Ketam kita ada 47 buah rumah yang duduk atas tanah milik orang lain, yang menumpang. Jadi kalau kita tak selesai sekarang sebahagiannya, sampai bila-bila kita tak akan selesai. Jadi berdasarkan kepada bilangan yang saya sebut tadi, kita Bukit Tunggal dengan rendah hati memohon untuk supaya dapat ditambah lagi kuota untuk DUN Bukit Tunggal.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Rancangan Tebatan Banjir Sungai Tepoh dan Banggol Air Lilih telah dilaksanakan bermula 1 April 2024 yang lalu dan berdasarkan kepada maklumat kontrak daripada JPS Terengganu projek
tersebut dijangka akan dapat disiapkan pada 31 Januari 2029. Ini termasuk dengan tempoh untuk proses pengambilan balik tanah di sepanjang kawasan tersebut. Bagi jajaran yang telah selesai seperti di Kampung Pengkalan Arang difahamkan kemajuan kerja di tapak telah mencapai 48% dan hampir 50% cumanya kita mendapat kita perlu mendapat kepastian bilakah kerja-kerja pembinaan longkang di Kampung Pengkalan Arang yang telah siap pengambilan balik tanahnya akan disiapkan sepenuhnya. Sebab ia melibatkan monsun, musim monsum ia akan melibatkan satu masalah lain yang akan timbul lagi. Bagi jajaran lain yang masih dalam proses pengambilan balik tanah, difahamkan proses sekarang telah memasuki Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah yang akan diikuti oleh proses perbicaraan dan seterusnya pewartaan. Jadi Bukit Tunggal ingin mengetahui status bagi kawasan-kawasan yang sekarang masih lagi Seksyen 8 pengambilan balik tanah, bilakah pembinaan akan dapat dimulakan bagi jajaran tersebut?
Bagi Rancangan Tebatan Banjir Sungai Buaya yang telah diluluskan dalam RMK13 baru-baru ini, Bukit Tunggal juga ingin bertanya, bilakah projek tersebut akan dapat dimulakan? Memandangkan akan berlaku bottleneck, dengan izin. Sebab yang akan datang, dari yang siap daripada tebatan banjir Banggol Air Lilih selebar 12 meter, 40 kaki yang menunggu untuk tembatan banjir Sungai Buaya 3 kaki 3 meter 10 kaki jadi air 40 kaki masuk kepada 10 kaki dia akan menyebabkan satu limpahan jadi sebab itulah kita mengharapkan supaya projek-projek ini dapat dilaksanakan mengikut masa yang sesuai supaya tidak terjadi perkara-perkara tidak diingini.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, mitok tambah masa sikit deh, sekawasankan.
Silakan.
Sari dua hebat kita perkatakan di media berkenaan Terengganu Football Kelab (TFC) yang khabarnya akan menarik diri dari Liga Super dan bermain di saingan Liga A1 Semi Pro, jadi kita minta EXCO yang berkenaan, Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO dapat menjelaskan. Sebab masih menjadi tanda tanya. Orang tanya kita, guane TFC nak turun kelab pula ke? ke guane jadi minta penjelasan.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, saya nak sentuh sikit pasal LPT2 yang telah siap sekarang ini tetapi Kerajaan Pusat masih lagi berhutang dengan Kerajaan Negeri Terengganu sebanyak 1.43 bilion, 1,400 juta ringgit. Jadi saya difahamkan telah ada bayaran yang dibuat berjumlah lebih kurang 418 juta, itu pun telah dibuat Projek FT3 depan Awana Kijal. Projek jalan Persekutuan sepatutnya gunalah duit Persekutuan jangan guna duit negeri. Itu satu hal lah yang berjumlah 118 juta dan juga rumah mampu milik 100 juta dan pembayaran tunai 200 juta. Jadi kita nak tahu sikap Kerajaan Pusat terhadap hutang yang berbaki masih 1.43 bilion ini dan juga apakah usaha yang telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri bagi menuntut baki bayaran tersebut.
Terakhir sekali, Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Bukit Tunggal ingin mengucapkan tahniah kepada pihak Kerajaan Negeri kerana telah berjaya mengadakan Ijtima' Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Kelima dan Himpunan Alam Melayu pada 2 hingga 4 April 2026, sebagaimana yang telah dihasratkan oleh Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar semasa Pembentangan Belanjawan 2026. Himpunan tersebut bukan sahaja dapat menghimpunkan tokoh-tokoh daripada dalam negeri, tetapi kehadiran figura dan sarjana daripada Brunei, Kemboja, Vietnam, Indonesia, Sri Lanka, Thailand, Filipina, Singapura dan Malaysia menunjukkan keperluan, isyarat yang semakin sukar untuk kita semua abaikan. Perpecahan di kalangan Melayu, di kalangan umat Melayu dan Islam bukan lagi satu pilihan yang boleh kita toleransikan. Penyatuan dan perpaduan, inilah agenda yang mesti menjadi satu keperluan strategik untuk kita umat Melayu dan Islam memberikan keutamaan dalam usaha untuk kita mempertahankan kedudukan politik, kekuatan ekonomi dan juga survival umat pada masa hadapan. Adalah diharapkan sembilan deklarasi yang dihasilkan semasa round table discussion (RTD) yang lalu dapat direalisasikan demi memastikan perjuangan bagi menyatukan umat Islam, umat Melayu terus dapat diperkasakan.
Bunga deredak di atas para, Diambil dara buat suntingan.
Jika ada silap bicara, Jari disusun, mohon kemaafan.
Bukit Tunggal dengan ini mohon Menjunjung Kasih dan menyokong penuh Titah Ucapan Ke bawah Duli Maha Mulia Pemangku Raja Terengganu. Sekian.
Terima kasih Bukit Tunggal. Banyak isu yang dikemukakan, insya-Allah akan diperjelaskan oleh pihak Kerajaan. Saya persilakan Wakil yang mahu untuk membahaskan Ucapan Titah Ke bawah Duli Maha Mulia Pemangku Raja. Sila Wakil Rantau Abang.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua. Yang Berhormat Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-Ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan, pengamal media, pemerhati, tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala sekalian. Terima kasih kepada Timbalan Yang di-Pertua kerana memberi ruang kepada saya mewakili suara rakyat di DUN Rantau Abang untuk turut serta dalam sesi perbahasan bagi Menjunjung Kasih Titah Ucapan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Terengganu pada kali ini.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, kita telah meneliti Titah nasihat yang cukup mendalam daripada Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja. Sesungguhnya Titah Tuanku bukan sekadar upacara rasmi tetapi ia adalah kompas dan suluh panduan bagi kita semua yang berada di dalam Dewan yang mulia ini. Saya amat terkesan apabila Tuanku menyentuh mengenai kepentingan penerapan nilai-nilai etika dan budaya kerja yang telus dalam organisasi Kerajaan. Tuanku juga menitipkan pesan agar kita selaku penjawat
dan pemimpin sentiasa mendahulukan komitmen serta inovasi bagi memastikan segala perancangan Kerajaan dapat disampaikan terus kepada rakyat. Lebih daripada itu, Tuanku turut menyuruh agar kita semua mengekalkan perpaduan dan kerjasama tanpa mengira perbezaan pendapat demi kesejahteraan negeri yang kita cintai ini. Inilah semangat yang saya bawa pada hari ini iaitu semangat untuk memastikan negeri Maju, Berkat, Sejahtera 2030 bukan sekadar slogan tetapi satu realiti yang dapat dirasai oleh seluruh rakyat dalam negeri ini.
Justeru Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, dengan menjunjung semangat Titah Tuanku agar suara rakyat didengar dan kebajikan mereka diutamakan izinkan saya membangkitkan beberapa perkara kritikal yang menjadi denyut nadi keresahan rakyat di DUN Rantau Abang. Yang pertama, isu keselamatan dan integriti Masjid Kampung Tok Kah.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, isu Masjid Tok Kah bukan lagi isu keselesaan tetapi ia adalah soal nyawa para jemaah. Berdasarkan kepada laporan rasmi daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia melalui Cawangan Kejuruteraan Awam dan Struktur (CKAS) yang bertarikh pada 13 Mei 2022, pemeriksaan visual di tapak mendapati kerosakan utama adalah pereputan dan serangan anai-anai yang sangat serius pada tiang-tiang kayu utama yang menyokong bumbung masjid. Tiang-tiang ini telah mengalami section loss, dengan izin kehilangan jisim kayu yang menyebabkan pengurangan kapasiti mampatan struktur. Malah, ada pangkal tiang yang dikesan telah terputus sepenuhnya akibat serangan anai-anai tersebut. Pihak JKR Forensik Struktur telah mengklasifikasikan keadaan ini sangat kritikal. Beban bumbung kini ditampung oleh dinding dan yang tidak direka bentuk untuk tujuan tersebut. JKR memberi amaran keras bahawa tiang-tiang ini perlu diganti segera bagi mengelakkan bumbung runtuh secara tiba-tiba. Walaupun laporan ini telah dikeluarkan sejak Mei 2022, namun sehingga kini rakyat masih menanti kelulusan projek bina baru. JKR sendiri telah mengesyorkan agar penggunaan bangunan ini diminimumkan demi faktor keselamatan sementara menunggu peruntukan pembinaan semula.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, saya mendesak Kerajaan Negeri untuk menyegerakan peruntukan projek bina baharu ini memandangkan struktur sedia ada yang dibina sejak tahun 1963 itu sudah tidak lagi selamat untuk digunakan oleh penduduk Kampung Tok Kah.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, saya ingin menarik perhatian Dewan kepada projek Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS). Pada masa ini, peruntukan yang disalurkan adalah sebanyak RM1 juta. Namun, mari kita lihat realiti kos pembinaan hari ini. Kos bagi membina sebuah rumah PPRT ataupun PPTS yang sempurna mengikut spesifikasi semasa adalah sekitar RM75,000 seunit ini bermakna dengan kos RM1 juta tersebut, kita hanya mampu membina lebih kurang 13 unit rumah sahaja dalam tempoh setahun. Saya mendesak agar Kerajaan Negeri melakukan semakan semula dan menambah peruntukan PPTS ini. Kita tidak mahu rakyat hanya memegang borang bertahun-tahun tanpa ada kepastian bila rumah mereka akan dibina.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, mungkin di atas kertas angka miskin tegar nampak menurun tetapi kita harus sedar ramai rakyat kita berada dalam kelompok miskin relatif. Pendapatan mereka mungkin sedikit atas paras garis kemiskinan tetapi dengan kos sara hidup yang semakin meningkat mereka tetap tidak mampu membina rumah sendiri. Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, yang ketiga mengenai isu Rancangan Tanah Berkelompok (RTB). Pertama-tamanya, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih bagi pihak rakyat Rantau Abang di atas keprihatinan Kerajaan Negeri yang telah mengurniakan lot-lot tanah kepada rakyat yang sangat memerlukan. Namun, Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, izinkan saya membawa suara hati para penerima geran ini ke dalam Dewan yang mulia ini. Di sebalik kegembiraan dan senyuman mereka saat memegang geran tanah tersebut tersimpan satu rintihan yang sayu. Ramai di antara mereka berkata tanah sudah ada tetapi bila kami mahu pacak tiang, lori pasir pun nak masuk tak boleh, jalan tidak ada, elektrik dan air pun jauh lagi. Sesungguhnya Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, apalah gunanya sebidang tanah jika ia hanya mampu dipandang dari jauh. Tanpa jalan asas dan kemudahan utiliti, geran yang mereka miliki itu seolah-olah menjadi impian yang hanya tinggal di atas kertas. Mereka bukan tidak mahu membangunkan tanah itu tetapi kekangan infrastruktur telah mengikat tangan mereka. Ramai di kalangan mereka adalah anak-anak muda yang mahu memulakan hidup baru dan golongan berkeluarga yang selama ini hanya menumpang di rumah mak ayah ataupun mereka hidup secara menyewa.
Saya ingin merayu dengan penuh rendah diri kepada pihak Kerajaan atas dasar ihsan dan tanggungjawab kita untuk menyempurnakan pemberian ini.
Bayangkanlah harapan seorang ayah yang mahu melihat keluarganya memiliki tempat berteduh sendiri namun tidak kesampaian kerana tiada kemudahan asas untuk ke sana. Saya mohon agar Kerajaan Negeri mempertimbangkan satu peruntukan khas atau pelan pembangunan infrastruktur RTB yang lebih menyeluruh bagi kawasan DUN Rantau Abang. Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, janganlah kita biarkan tanah-tanah kurnian ini kembali menjadi hutan semak samun hanya kerana ketiadaan akses. Bantulah mereka memindahkan impian dari kertas ke alam realiti. Kemudian, isu yang seterusnya iaitu Pasca ECRL. Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, saya minta izin masa sedikit.
Saya bagi 2 minit lah macam Yang Berhormat-Yang Berhormat sebelum ini yang terlepas bagi masa. Silakan.
Sebab sebelum ni habis awal sokmo harini je minta masa sikit.
Teruskan, teruskan jangan ambil masa.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, bagi memperincikan isu pasca ECRL ini. Saya ingin mengemukakan point penting yang memerlukan perhatian segera daripada pihak berkuasa dan syarikat pelaksana Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) China Communications Construction Company Ltd (CCCC) sebelum mereka memobilisasi keluar dari kawasan projek. Semasa pembinaan, banyak sistem perparitan asal telah diubah ataupun ditutup sementara bagi memberi laluan kepada struktur jambatan dan landasan ECRL. Saya mendesak pihak pemantau memastikan semua longkang dan parit monsoon dibersihkan daripada sisa binaan pasir atau konkrit yang mengeras. Kita tidak mahu apabila projek ini siap penduduk setempat pula mendapat hadiah baru dalam bentuk banjir kilat kerana sistem saliran asal telah tersumbat atau tidak dipulihkan kepada keadaan asal. Mengikut garis masa rasmi setakat kemaskini tahun 2024-2025, projek ini dijangka siap sepenuhnya untuk operasi pada Januari 2027.
Akhirnya, Yang Berhormat Timbalan di-Pertua, saya ingin menyentuh satu ironi yang paling pedih untuk ditelan oleh rakyat Malaysia. Kita sering disogok dengan alasan bahawa harga minyak dan diesel melonjak kerana pergolakan di
Timur Tengah. Kononnya kerana konflik di Selat Hormus. Tetapi Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, seperti yang pernah ditegaskan oleh Yang Berhormat Jabi sebelum ini, minyak kita dari pelantar Terengganu ini tidak pernah melalui Selat Hormus. Ia tidak terlibat dengan krisis perang di sana. Minyak kita diproses dalam negara untuk rakyat negara ini. Jadi, kenapa harganya diselaraskan mengikut selera pasaran global yang tidak ada kena-mengena dengan geografi kita? Adakah Selat Hormus itu kini sudah berpindah ke perairan Marang ataupun Dungun, Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua? Rakyat bertanya di mana perginya formula-formula sakti yang dahulunya dijanjikan boleh menurunkan harga minyak dalam masa 24 jam. Hari ini rakyat Rantau Abang yang majoritinya nelayan dan petani terpaksa bergelut dengan kenaikan kos diesel, manakala di Sabah dan Sarawak harganya kekal rendah. Adakah rakyat Terengganu ini dianggap anak tiri atau adakah Kerajaan Pusat sedang melakukan satu eksperimen sains sosial untuk melihat sejauh mana rakyat kita boleh bersabar dengan tekanan ekonomi.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, ini adalah manifestasi kegagalan tadbir urus di peringkat persekutuan. Mereka gagal mengimbangi antara pengurusan subsidi dan kebajikan rakyat. Timbalan Yang di-Pertua,
Ikan kerisi di dalam raga Masak lemak di Kuala Abang Kebajikan rakyat marhaen itu kita jaga N26 Rantau Abang tetap dijulang
Segala yang saya bangkitkan hari ini, daripada isu keselamatan jemaah di Masjid Kampung Tok Kah, penantian anak muda yang membina rumah di tapak RTB, hinggalah kepada tuntutan keadilan harga minyak, semuanya adalah demi satu matlamat iaitu memastikan tiada seorang pun rakyat di DUN Rantau Abang yang merasa terasing di bumi sendiri. Sebagaimana Titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, marilah kita meletakkan komitmen dan inovasi yang tinggi dalam setiap buat kerja kita. Biarlah amanah yang kita pikul ini menjadi saksi bahawa kita telah melakukan yang terbaik untuk agama, bangsa dan Negeri Terengganu Darul Iman yang kita cintai. Rantau Abang menyokong dan Menjunjung Kasih Titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja.
Terima kasih Wakil Rantau Abang, saya nok mintok dia berenti pung, gear dia tu duk gear 5 sokmo doh. Jadi Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, saya tidak bercadang untuk menangguhkan sekejap Dewan untuk rehat dan kita akan teruskan Dewan ini sehingga akhir masanya jam 5 petang. Jadi untuk mana-mana Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan, Wakil-wakil yang ada keperluan, bolehlah keluar sekejap untuk minum dan sebagainya tetapi saya harap jangan keluar beramai-ramai. Kita akan teruskan Persidangan ini kerana masih ada enam orang lagi wakil-wakil yang telah memberi Notis untuk membahaskan Titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku ini. Jadi, untuk itu, saya teruskan lagi menjemput wakil yang berucap. Ya, Wakil Langkap. Silakan Langkap.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan dan para pemerhati yang dihormati sekalian. Pertamanya, terima kasih kepada Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua kerana telah memberi peluang kepada saya untuk menyertai perbahasan ke atas Usul Menjunjung Kasih Titah DiRaja pada kali ini. Terlebih dahulu, saya merafak sembah Menjunjung Kasih kehadapan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja atas Titah yang telah dizahirkan sempena Pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu, Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Keempat, Dewan Undangan Negeri Kelima Belas, sesungguhnya Titah Tuanku menjadi panduan penting kepada kita semua dalam memastikan Agenda Pembangunan Negeri terus berpaksikan kesejahteraan rakyat serta keperluan kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, sebagai wakil rakyat di kawasan Langkap, saya berdiri hari ini dengan semangat untuk menyokong usaha Kerajaan Negeri. Di samping mengangkat beberapa perkara penambahbaikan yang perlu diberi perhatian agar penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dapat diperkasakan. Izinkan saya memberi tumpuan kepada tiga isu utama, iaitu pertamanya banjir dan penambahbaikan pusat penempatan sementara
(PPS). Yang keduanya berhubung dengan bekalan air bersih. Seterusnya berhubung dengan perumahan mampu milik yang sering kali dibangkitkan oleh rakyat di kawasan saya.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, isu banjir besar yang melanda di Daerah Setiu, khususnya di kawasan Langkap, bukan lagi perkara luar biasa. Ia berlaku saban tahun dan telah menjadi satu kitaran berulang yang memberi kesan besar kepada kehidupan rakyat. Berdasarkan rekod, ribuan mangsa terlibat setiap tahun dan ini menunjukkan bahawa cabaran ini memerlukan pendekatan berterusan dan tersusun. Punca utama yang sering dibangkitkan ialah kerja-kerja tebatan banjir yang masih belum sempurna dan tidak menyeluruh. Walaupun terdapat usaha yang telah dilaksanakan, namun kesannya masih belum cukup untuk mengurangkan impak banjir secara berkesan. Akibatnya, setiap kali musim tengkujuh, rakyat terpaksa berdepan dengan situasi yang sama. Rumah mereka dinaiki air, harta benda rosak dan kehidupan harian terganggu.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, dalam masa yang sama, saya ingin menarik perhatian Dewan terhadap kelemahan dalam penyediaan pusat pemindahan sementara (PPS). Realitinya, terdapat PPS yang tidak mampu menampung kapasiti mangsa banjir dan kekurangan kemudahan asas yang mencukupi. Sebagai contoh, PPS Kampung Langkap, PPS Kampung Banggol Setor dan juga PPS Kampung Bukit Nenas telah menunjukkan keadaan ini. Apabila berlaku banjir besar, jumlah mangsa meningkat dengan ketara. Namun, ruang yang disediakan terlalu terhad.
Ini menyebabkan kesesakan, ketidakselesaan serta menimbulkan risiko kesihatan, terutamanya kepada warga emas, kanak-kanak dan juga OKU.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, saya ingin menegaskan bahawa PPS bukan sekadar tempat perlindungan sementara, tetapi menjadi tempat tinggal utama mangsa dalam tempoh beberapa hari, malah ada kalanya berlarutan lebih lama. Oleh yang demikian, aspek keselesaan, keselamatan dan kemudahan asas tidak boleh dipandang ringan. Sehubungan dengan itu, saya ingin mencadangkan kepada pihak Kerajaan, pertamanya, agar kerja-kerja tebatan banjir dipercepatkan dan dilaksanakan secara menyeluruh supaya punca utama banjir dapat ditangani secara berkesan. Keduanya, pembinaan bangunan PPS baru yang lebih besar dan selesa di kawasan yang berisiko tinggi, dan yang ketiganya, menaik taraf kemudahan PPS yang sedia ada
dengan menyediakan ruang yang mencukupi, kemudahan sanitasi yang lebih baik serta keperluan asas yang lengkap, dan keempatnya, perancangan jangka masa panjang berasaskan data jumlah mangsa banjir bagi memastikan kapasiti PPS benar-benar mencukupi.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, isu kedua yang ingin saya bangkitkan adalah masalah bekalan air bersih khususnya di kawasan Langkap yang melibatkan perkhidmatan oleh Syarikat Air Terengganu (SATU). Antara masalah yang dihadapi oleh rakyat bukan sahaja di kawasan Langkap tapi sebahagian besar di kawasan dalam daerah Setiu. Masalah yang sering timbul ini ialah berhubung dengan tekanan air yang rendah. Yang keduanya, paip lama yang masih digunakan selalu pecah serta sering mengalami gangguan bekalan air yang tidak berjadual akibat kerja-kerja pembaikan. Keadaan ini amat membebankan rakyat kerana bekalan air ini merupakan keperluan asas dalam kehidupan harian. Gangguan yang kerap berlaku menjejaskan rutin harian termasuk urusan rumah tangga dan perniagaan. Akibat daripada sering berlakunya gangguan bekalan air ini, penduduk di beberapa buah kampung di kawasan pendalaman terpaksa mencari jalan alternatif untuk mendapat bekalan air dengan menggunakan air bukit, yang ditadah yang disalurkan ke rumah-rumah mereka.
Timbalan Yang di-Pertua, saya nak maklum beberapa hari lepas, tak silap saya pada 10 hari bulan, JPKK daripada Kampung Payung buat aduan kepada saya. Paip utama daripada simpang Ulu Kasar ke kampung mereka, dalam satu masa terdapat tujuh tempat paip bocor. Jadi tuan-tuan boleh bayanglah tujuh tempat paip bocor untuk sampai air ke kampung dia. Jadi pada hari Sabtu baru-baru ini, sekali lagi dia maklum, sudah tiga hari dia tak ada air di Kampung Payung. Itu contohlah Kampung Payung.
Yang Berhormat, Timbalan Yang di-Pertua, sehubungan itu saya ingin mencadangkan pertamanya, supaya penggantian paip lama dipercepatkan secara menyeluruh bagi mengurangkan risiko kebocoran dan gangguan berkala. Yang keduanya, menaik taraf sistem bekalan air termasuk kapasiti loji rawatan air bagi menampung permintaan yang semakin bertambah. Ketiganya, memperkukuhkan sistem penyelenggaraan dan tindak balas supaya sebarang gangguan dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan efisien, dan saya berharap dan yakin dengan komitmen Kerajaan Negeri, isu ini dapat ditangani secara
berperingkat dan secepat mungkin, dan yang ketiganya berhubung dengan isu rumah mampu milik sebagaimana Wakil-wakil lain jugalah.
Isu perumahan mampu milik juga wajar diberi perhatian oleh pihak Kerajaan khususnya untuk golongan yang dikategorikan sebagai golongan B40, yang tinggal di kawasan luar bandar. Realitinya masih ramai rakyat di negeri ini terutama yang sudah berkeluarga tapi tidak mampu memiliki rumah sendiri. Dengan pendapatan yang terhad, mereka bukan saja tidak mampu membeli rumah, malah ada yang tidak berupaya membina rumah di atas tanah sendiri walaupun memiliki. Akibatnya, mereka terpaksa menyewa rumah dengan kos yang semakin meningkat dan ada di antara mereka terpaksa tinggal bersama ibu bapa dan juga keluarga dalam keadaan yang sesak. Keadaan ini bukan sahaja memberi tekanan kepada ekonomi isi rumah tetapi memberi kesan kepada kesejahteraan sosial dan emosi, khususnya kepada anak-anak yang membesar dalam ruang yang terhad.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, selaras dengan Titah Tuanku agar Kerajaan Negeri berusaha untuk menyediakan kemudahan kediaman yang baik dan selesa, dipergiatkan seterusnya dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat untuk jangka masa panjang, terutama golongan berpendapatan rendah. Sehubungan dengan itu, saya ingin mengemukakan beberapa cadangan, yang pertamanya, Kerajaan Negeri perlu memperbanyakkan Projek Rumah Mampu Milik dengan harga yang benar-benar selari dengan kemampuan golongan B40 terutama di kawasan luar bandar, dan yang keduanya, memperluaskan kerjasama dengan pihak swasta bagi memastikan lebih banyak unit rumah kos rendah dan sederhana dapat dibina dengan cepat dan berkualiti, dan yang ketiganya, menyediakan kemudahan pembayaran yang lebih mesra rakyat, terutamanya kepada golongan B40.
Jadi akhirnya, Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, sebagai penutup saya ingin tegaskan bahawa semua perkara yang dibangkitkan ini adalah dalam semangat untuk memperkukuhkan lagi usaha Kerajaan Negeri dalam memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara. Kita yakin bahawa Kerajaan Negeri sentiasa komited dan prihatin terhadap keperluan rakyat, dan dengan penambahbaikan berterusan, segala cabaran ini dapat ditangani dengan lebih berkesan. Sebagai wakil rakyat, kita bukan saja menyokong dasar Kerajaan tapi juga memainkan peranan untuk menyalurkan suara rakyat agar
setiap dasar yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada mereka. Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Langkap mohon menyokong.
Terima kasih Wakil Langkap. Sikit saja masa lebih, saya harap pembahas-pembahas selepas ini pun akan mematuhi masa yang ditetapkanlah, sikit-sikit saya pejam mata je. Silakan Wakil Kemasik.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato' Seri Dr. Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu. Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Yang Berusaha Ketua-ketua Jabatan, para media, hadirin hadirat yang dirahmati Allah sekalian.
Terlebih dahulu, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua atas peluang yang diberikan kepada Kemasik bagi merakamkan dan merafak sembah untuk ucapan penghargaan dan junjung kasih Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Muktafi Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, Pemangku Raja Terengganu sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Kelima Belas ini.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, tahniah Negeri Terengganu kerana terus utuh, aman damai dan harmoni dengan catatan tahap kualiti hidup rakyat yang terus meningkat. Ia menunjukkan dasar dan strategi yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Terengganu memberi impak positif dalam ekonomi dan tahap sosial rakyat.
Tuanku ada menitahkan sebagaimana pada muka surat 5 dan 6, berkaitan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035, PUTERA 35 dan Transformasi
Ekonomi Baharu Terengganu TNEX. Kerajaan Negeri perlu merangka strategi daripada pengeksport bahan mentah kepada aktiviti pembangunan produk hiliran. Dengan mewujudkan ekosistem industri hiliran, Terengganu akan dapat mengukuhkan rantaian nilai ekonomi negeri melalui penghasilan produk, peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan negeri yang lebih stabil. Justeru, penyelarasan antara Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 dan Transformasi Ekonomi Baharu Terengganu perlu diperkasakan.
Kerajaan Negeri perlu bertindak sebagai fasilitator agresif di mana peranan Kerajaan Negeri bukan sekadar menunggu pelabur datang, tetapi secara aktif mencipta peluang dan memaksa keadaan demi kepentingan rakyat. TNEX adalah pelan pembangunan negeri, manakala PUTERA 35 adalah pemacu nasional. Penyelarasan ini adalah kunci untuk akses dana dan sokongan pusat. Justeru Kemasik melihat beberapa perkara perlu dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri, antaranya yang pertama, Integrasi Dasar dan Penubuhan Unit Pemacu PuTERA35 Negeri. Kerajaan Negeri tidak boleh bekerja secara berasingan in silos. Kerajaan Terengganu perlu menubuhkan unit khas di bawah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri untuk memetakan setiap Projek TNEXT dengan tiga teras PuTERA35. Kedua, Pembangunan Lembah Hiliran Bumiputera. TNEXT memfokuskan kepada pembangunan industri.
Penyelarasan dengan PuTERA35 akan memperincikan aspek pemilikan.
Kerajaan Negeri perlu mewartakan zon industri khas untuk syarikat high gross, high value milik Bumiputera. Yang ketiga, revolusi bakat. PuTERA35 menyasarkan 35% penglibatan Bumiputera dalam pekerjaan mahir dengan menyelaras institusi pendidikan milik negeri seperti UCTATI dan TESDEC dengan piawaian industri hiliran global. Yang keempat, pengukuhan GLC negeri sebagai peneraju. Terengganu Incorporated dan anak-anak syarikatnya mesti menjadi pemangkin di mana GLC negeri perlu mengamalkan dasar vendor Bumiputera yang ketat. GLC tidak hanya mengekstrak bahan mentah tetapi mewujudkan anak syarikat hiliran dalam tempoh mungkin lima tahun bagi setiap sektor yang diusahakan. Dan yang kelima, pendigitalan rantaian bekalan. Selaras dengan aspirasi teknologi PuTERA35, platform data raya perlu dibangunkan bagi menghubungkan hasil mentah negeri terus kepada pengilang Bumiputera dalam negeri kita.
Penyelarasan TNEXT dan PuTERA35 ini bukan sekadar menyalin kertas dasar tetapi adalah tentang political will. Kita mahu sumber bumi Terengganu diolah oleh kepakaran anak Terengganu, dibiayai oleh ekuiti Bumiputera dan hasilnya
memartabatkan ekonomi negeri selaras dengan aspirasi nasional 2035. Transformasi daripada bahan mentah kepada produk hiliran bukan sekadar teori, tetapi realiti yang mampu mengubah nasib sesebuah wilayah. Antara contoh yang kerap kali disebut oleh Yang Amat Berhormat Dato' Seri Ir. Dr. Menteri Besar adalah Norway, bukan no way, Norway. Transformasi petroleum ke dana berdaulat dan teknologi.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, Titah Ucapan Baginda dalam istiadat pembukaan Dewan pada muka surat sebelas pula menyentuh berkaitan business model syarikat berkaitan Kerajaan dan swasta. Polisi eksport mineral sebagai bahan mentah tidak lagi diteruskan tetapi memberi tumpuan kepada pembangunan produk hiliran. GLC disaran beralih daripada bertindak sebagai pelaksana kepada menjadi pemangkin pelaburan. Untuk menjadikan GLC Terengganu sebagai pemangkin pelaburan yang efektif, sistem penilaian prestasi ataupun KPI mereka perlu dirombak. Kita tidak lagi boleh mengukur kejayaan GLC hanya berdasarkan keuntungan bersih tetapi berdasarkan pengganda multiple effects terhadap ekonomi Bumiputera selaras dengan TNEXT dan PuTERA35. Jika kita mahu melihat Terengganu pada 2030 merujuk kepada TNEXT atau 2035 merujuk kepada PuTERA35, berdiri megah sebagai gergasi hiliran, kita tidak boleh lagi mengukur GLC dengan neraca lama. Kemasik mencadangkan tiga teras penting yang perlu dilaksanakan dalam penerapan sistem penilaian prestasi syarikat, termasuk yang pertama, pemangkin pelaburan, investment catalyst, dengan izin dengan fokus untuk menarik dan memudahkan pelaburan masuk. Yang kedua, pemerkasaan vendor hiliran bagi memfokuskan vendor tempatan dan rantai yang berkalan, dan yang ketiga pembangunan bakat masa hadapan dengan fokus berterusan untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan relevan. Semoga GLC kita akan menjadi jambatan bukan tembok bagi kejayaan ekonomi rakyat Terengganu. Kita tidak lagi boleh berbangga dengan untung berjuta-juta tetapi malangnya usahawan di luar sana masih kais pagi, makan pagi.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku juga menyebut berkaitan kerjasama industri dan institusi pendidikan tempatan sebagai penyedia sumber tenaga mahir untuk memenuhi keperluan industri.
Bagi tujuan ini, Kemasik ingin mengambil kesempatan untuk mencadangkan agar UCTATI diiktiraf dan diperkasa sebagai pusat kecemerlangan mineral Negeri Terengganu khususnya dalam bidang critical minerals dan rare earth elements. Berdasarkan laporan kemajuan terkini,
UCTATI telah pun memulakan langkah konkrit ke arah ini melalui tiga komponen utama. Pertama, pembangunan fasiliti makmal. Kerjasama telah dimeterai bersama pihak industri untuk membangunkan makmal analisis REE termasuk penggunaan teknologi seperti ICP-MS bagi analisis sampel mineral secara tepat. Yang kedua, pemerkasaan penyelidikan. UCTATI aktif memohon grant seperti MOSTI, TeD 1, GED dan lain-lain, di samping menghasilkan penerbitan serta inovasi berkaitan pemprosesan mineral, dan seterusnya yang ketiga, pembangunan modal insan.
Sehubungan dengan itu, Kemasik mencadangkan agar Kerajaan Negeri, pertama, memberi pengiktirafan rasmi kepada UCTATI sebagai Terengganu Critical Mineral Excellence Center, dengan izin. Yang kedua, menyokong pembangunan fasiliti makmal dan penyelidikan melalui peruntukan khas, dan yang ketiga, memperkukuh kerjasama strategik antara UCTATI, industri serta agensi Kerajaan berkaitan. Kita yakin dengan sokongan padu daripada semua pihak, kita bukan sahaja mampu membangunkan sektor mineral ini tetapi juga memastikan manfaatnya dinikmati oleh rakyat Terengganu secara menyeluruh.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Rantau Abang mengadu berkenaan infra tapi alhamdulillah Kerajaan Negeri dengan komitmen yang ada telah bagi banyak lot, beribu dah bagi DUN-DUN tetapi dari segi kerjasama antara pusat dan negeri sebagai contoh kita dah geran sementara tetapi batu penanda lima tahun dok buat lagi, dok tanda lagi. Minta maaf banyak bila kita sebut kepada rakyat, rakyat kata bayar dah kan duit? Ada doh dalam borang 5A bayaran untuk tandaan sempadan. Lima tahun tak ada lagi batu. Bila kita tanya pihak ataupun agensi berkenaan, dia kata peruntukan tak cukup. Jadi, macam mana nak buat? Kita suruh rakyat belanja pula, tambah pula RM400 satu lot untuk buat penandaan sementara. Lepas pada itu mungkin salah lagi sebab yang final-nya adalah daripada agensi Kerajaan bagi penandaan justeru, Kerajaan perlu meneliti solusinya bagaimana janganlah selepas lima tahun dapat dua geran. Tadi tak ada infra. Ini batu tandaan dia pun tak ada. Jadi kita berharap agar Kerajaan meneliti solusinya insya-Allah dan yang seterusnya kita bercakap berkenaan dengan digital, Pengurusan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN dan JPKK juga perlu diperkasakan. Kita Pusat Khidmat Masyarakat ini pakai konvensional lagilah, tak pakai tulis atas kertas. JPKK kita pun pada ingatan dalam kepala. Tak ada suatu sistem yang menyebabkan kita lebih advance, lebih mampu dan mampu memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat
keseluruhan kerana JPKK dan Pusat Khidmat Masyarakat adalah suatu platform yang sangat dekat dengan masyarakat dan rakyat kita, insya-Allah.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, dua perkara lagi, minta maaf. Sedikit lagi masa untuk Kemasik...
Tolong ringkaskanlah...
Yang pertama berkenaan dengan menaik taraf jalan menghubungkan EXIT Kerteh LPT2 dan FT-003, jalan federal. Sekarang lori-lori panjang, lori-lori besar. EXIT Kerteh itu sebab sangat dekat nak pergi ke KSB ke, nak pergi ke Petronas ke, sangat dekat tapi jalan masih lagi jalan lama yang berliku dan berada dalam kampung. Justeru, Kemasik berharap untuk semoga Kerajaan Negeri dapat mengutamakan projek pembangunan ataupun projek menaik taraf jalan EXIT LPT2. Yang ke seterusnya, yang kedua, berkenaan dengan Airport Kertih. Sokongan daripada Kerajaan Negeri walaupun tak boleh nak buat apa lagi solusinya, saya mengharapkan usaha untuk buat airshow, Terengganu airshow ataupun Kertih airshow di airport Kertih kita. Sekurang-kurangnya biar orang luar tahu ada airport Kertih. Kita dah berusaha macam-macam usaha untuk nak bangunkan, tetapi mungkin oleh kerana tidak didedahkan keadaan airport Kertih kita, jadi saya berharap Kerajaan boleh meneliti supaya Kertih Airshow ataupun Terengganu Airshow mampu dijalankan pada tahun ini. Dah maklum kepada Yang Berhormat Kijal, insya-Allah sokongan daripada Yang Berhormat Kijal amat di harapkan.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Kemasik merafat dan Menjunjung Kasih dengan Titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, Pemangku Raja Terengganu. Kemasik mohon menyokong.
Terima kasih wakil Kemasik, lebih dalam empat minit saya harap ada empat orang lagi yang akan berbahas petang ini, benar-benar menepati masa
lah, kita ada lebih kurang satu jam je lagi, sebelum kita dapat, kita mesti tamatkan persidangan kita pada hari ini. Silakan wakil Permaisuri. Ya, sila.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua Dewan, Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat rakan-rakan, seterusnya Ketua-ketua Jabatan, media, semua yang hadir pemerhati dalam Dewan yang mulia ini. Saya mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Yang di-Pertua, Yang Berhormat, memberi masa sedikit kepada saya untuk sama-sama mengambil bahagian dalam Menjunjung Kasih Titah Yang Mulia Pemangku Raja Terengganu.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, sebelum saya menyebut dalam perkara-perkara perbahasan saya dalam Menjunjung Kasih Titah Yang Maha Mulia, saya lebih dulu mengambil peluang untuk yang pertama merakamkan ucapan tahniah kepada Kerajaan Negeri kerana telah berjaya mengambil semula tanah di Kijal kat Awana yang kita kira agak mahal jugalah nilainya dan mungkin Wakil daripada Kerajaan Negeri boleh memberi peneranganlah secara detail mengenai perkara ini, saya berhasrat untuk membahas perkara yang telah disebut oleh Wakil daripada Bukit Tunggal sebentar tadi, penyatuan bangsa, penyatuan ummah dan saya juga mengambil bahagian untuk ucap terima kasih kepada Wakil Ladang, tadi ada menyebut tentang masalah perceraian dalam rumah tangga yang semakin hari, semakin besar, semakin ramai, semakin banyak, dan juga yang boleh, yang telah ada disentuh dalam Ucapan ataupun Titah Yang Mulia Tuanku.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, sebelum saya menyampaikan ataupun membahas ataupun mengambil bahagian ini, saya nak menyebut satu hadis Nabi , Kalau silap, Yang Berhormat Timbalan, tolong tegur, kerana Nabi telah bersabda bahawa tunggak dunia ini ada empat perkara. Yang pertama yang disebut ialah bi'adlil umara', dengan keadilan para pemimpin, dan yang kedua disebut bi'ilmil ulama', dengan ilmu para-para alim, dan yang ketiga disebut ialah bisakhawatil aghniya', dermawannya orang-orang kaya, dan yang keempat disebut ialah da'watil fuqara', doa orang-orang fakir.
Jadi, saya percaya apa yang telah disebut di dalam Titah Ucapan Tuanku, ia menggulung perkara-perkara tersebut, empat perkara ini, yang mana saya akan mengambil, menyentuh perkara mengenai institusi keluarga, yang saya kira sangat penting dalam membina dan juga melemahkan pendapatan Negeri Terengganu kita yang kita sayangi. Peranan keluarga dalam pembinaan sosial dan juga pembinaan masyarakat serta ekonomi, kerana kita tahu lembaga keluarga adalah unit sosial, ia terkecil dan asas dalam masyarakat terdiri daripada ayah, ibu dan anak yang berfungsi sebagai tempat sosialisasi, afeksi, reproduksi serta pelindung ekonomi dan budaya yang membentuk peribadi, menanam nilai murni dan memastikan kesinambungan generasi. Saya di sini bukan nak berceramah dan sebagainya tetapi saya untuk menyambung Titah Ucapan Yang Mulia Tuanku dan DUN Permaisuri dalam hal ini Menjunjung Kasih di atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja serta telah menyentuh isu kemiskinan yang masih menjadi dilema yang kompleks, purata pendapatan garis kemiskinan telah meningkat kepada RM2,841 pada tahun 2024, dan saya percaya pada tahun 2026 ini ia masih lagi meningkat, dan sudah pasti ia meningkat. Pada tahun ini akibat peningkatan kos sara hidup, ekoran kenaikan harga barang dan juga harga bahan bakar, diesel, petrol, automatik barang-barang pun naik harga. Contohnya, kita tengok dah hari ini, bising, nak cari dedak makanan pun jadi payah untuk haiwan. Begitu juga kenaikan kos harga barang-barang pertanian, kos penggunaan jentera-jentera pertanian kerana diesel mahal dan sebagainya.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Permaisuri bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri, walaupun PGK terus meningkat tetapi kadar kemiskinan di Terengganu sebaliknya menurun. Ini hasil kesungguhan Kerajaan dan juga kerjasama daripada rakyat dalam membasmi kemiskinan, tetapi dalam masa yang sama rakyat Terengganu diseru, kita tak boleh, orang kata, complacent dengan apa yang ada. Kita menyuruh rakyat di Terengganu untuk turut memainkan peranan masing-masing dalam meningkatkan usaha untuk menambah kadar pendapatan supaya orang kata 2,800 lebih itu dia tak payah dah nak turun, dia koho naik, dia semakin naik dan kita harap usaha daripada rakyat untuk meningkatkan pendapatan itu dapat membantu rakyat dan juga Negeri Terengganu kita sendiri. Kita telah banyak mempelajari dan mengambil pengalaman daripada pandemik COVID-19. Bagaimana kita telah melalui jalan kelam dalam mendapatkan sumber pendapatan keluarga, di kala itu bagaimana Kerajaan telah menyediakan pelan bantuan ekonomi, kali ini kita dikatakan bahawa harga bahan bakar seperti petrol dan diesel naik mendadak.
Mungkin gas masak belum lagi, dan mungkin gas untuk memasak juga akan naik, kerana apa? Saya rasa mungkin kerana nak pinjam tak boleh dah, banyak sangat dah pinjaman, saya rasa lah, pandangan saya, pinjam banyak dah, dah sampai limit, tak boleh pinjam, jadi nak cari duit, kita naik hargalah. Jadi kalau dulu, yalah janji-janji orang dah sentuh, tidak perlu saya nak ulas lah benda itu, Yang Berhormat Rantau Abang dan sentuh dah takdi. Jadi langkah-langkah penting yang perlu kita ambil ialah kurangkan pembaziran dan berbelanjalah mengikut keperluan. Selain itu, mencari jalan untuk mengambil sikap rajin bekerja dan tambahkan pendapatan, keluarga bahagia adalah dibentuk di atas dasar yang betul. Elakkan berlaku dalam keluarga perkara-perkara berikut. Masalah penderaan, pencabulan dalam keluarga. Kita selalu dengar cerita ini. Kes bunuh. Baru-baru ini berlaku bunuh, habis anak-anak dibunuh, ini mungkin berpunca daripada masalah kemiskinan. Begitu juga lari daripada rumah. Anak-anak lari, bapa pun ada juga yang lari. Ada juga ibu yang lari daripada rumah. Salah laku anak-anak di luar rumah. Begitu juga jenayah anak-anak, jenayah kanak-kanak, juvana dan sebagainya dan kita harap perkara ini dapat kita elakkan dan perkara-perkara ini akan membawa perkara-perkara yang menambah beban dalam hidup keluarga.
Sebagai ketua keluarga, hendaklah menekankan lima teras utama dalam penjagaan nafkah. Saya rasa, tak perlulah saya nak sebut, dari segi makan minum, tempat tinggal, pendidikan, pakaian dan juga kesihatan ini, orang tahu belaka dah, tetapi kalau kita tengok, berapa ramaikah? Kita tengok ada juga keluarga yang terabai dengan perkara-perkara ini.
Masa nak habis dah.
Di samping itu, sikap adil dalam institusi keluarga perlu juga diberi penekanan. Suami adil kepada isteri, isteri adil kepada suami, ibu bapa adil kepada anak-anak dan anak-anak berlaku adil kepada ibu bapa. Sikit lagi. Satu minit saya rasa sempat dah habis.
Silakan, satu minit ya.
Satu minit Timbalan Yang di-Pertua. Konsep dan penekanan pendidikan dan pembentukan akhlak juga penting, daripada ibu bapa kepada anak-anak. Begitu
juga ketaatan serta kesetiaan. Taat saja tapi tak setia, tak jadi. Setia pun tapi tak taat, tak jadi. Kena ada dua-dua ini. Baik daripada suami pada isteri, anak-anak kepada ibu bapa dan sebagainya. Pastikan keluarga yang bahagia adalah keluarga yang mengikut dan menjalani tuntutan agama yang beramal soleh dan makruf dan sebaliknya keluarga yang bermasalah adalah keluarga yang tergelincir dan lari daripada tuntutan agama serta tidak kembali kepada ajaran agama.
Begitu juga bila suasana yang demikian berlaku, masalah dadah, sosial, masalah vandalisme dan sebagainya, serta hiburan serta gadget hari ini, bukan hanya merugikan Kerajaan, masyarakat, bahkan akan merugikan institusi keluarga itu sendiri. Semoga institusi keluarga Negeri Terengganu akan bertambah baik dari setahun ke setahun. Semoga juga hasrat Kerajaan Negeri dibantu oleh agensi-agensi di bawah akan dapat membina negeri yang Maju, Berkat dan Sejahtera, insya-Allah. Permaisuri juga mengambil peluang ini sekali lagi untuk Menjunjung Kasih atas Titah Ucapan Duli Yang Mulia Pemangku Raja dan juga ucapan terima kasih kepada Timbalan Yang di-Pertua. Itu saja daripada saya.
Terima kasih Wakil Permasuri. Saya persilakan Wakil dari Batu Rakit. Sila.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, izinkan saya memulakan ucapan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja dengan menarik perhatian Ahli Dewan dan semua pemerhati dengan sepotong ayat Al-Quranul Karim-
“dan kami jadikan mereka ketua-ketua pemimpin yang memimpin dengan perintah kami dan kami wahyukan kepada mereka melakukan kebaikan, mendirikan sembahyang, dan mengeluarkan zakat, dan mereka pula sentiasa beribadah kepada kami, Ia adalah Allah Subhanahu Wa Ta'ala”.
Ahli-ahli Dewan yang saya kasihi sekalian, ayat yang kita baca ini sebenarnya telah memberi petunjuk kepada kita sebagai pemimpin dan saya rasa semua yang berada dalam Dewan ini bukan sahaja Ahli ADUN, bahkan semua pegawai jabatan dan juga pemerhati yang hadir pada hari ini, kita semua adalah pemimpin dan pasti kita inginkan pemimpin yang terbaik. Nak jadi pemimpin yang terbaik. Allah Subhanahu Wa Ta'ala telah sebut dalam ayat ini, pemimpin iaitulah yang Allah Subhanahu Wa Ta'ala berikan kepada mereka ruang untuk melakukan kebaikan, melakukan kebajikan dan dalam masa yang sama, mereka itu ada hubungan dengan Allah Subhanahu Wa Ta'ala iaitulah mendirikan sembahyang. Pemimpin mestilah mendirikan sembahyang. Bukan sahaja sembahyang seperti orang ramai, bahkan menjaga sembahyangnya dalam waktu, memastikan sembahyang mengikut rukun tertibnya, syaratnya, bahkan dimasukkan khusyuk dalam sembahyang untuk memastikan hubungan kita dengan Allah Subhanahu Wa Ta'ala itu, hubungan yang baik, hubungan yang kukuh. Dan dalam masa yang sama, , mengeluarkan zakat. Bukan sahaja zahir kita mengeluarkan zakat, bahkan sebagaimana disebut oleh para ulama', ini memberi maksud ekonomi. Dalam kita berkerajaan, pasti kita ambil perhatian untuk menjaga rakyat kita khususnya terutama kita berada di saat yang genting ini, semua harga barang naik, menyebabkan rakyat susah, maka pemimpin yang baik perlu ada, untuk membantu rakyat masing-masing. Allah Subhanahu Wa Ta'ala akhirkan ayat ini, mereka sentiasa beribadah kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Kehidupan pemimpin ini sentiasa ibadat kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala, bahkan para ulama' sebut bukan sahaja pemimpin, bahkan rakyat perlu kita pastikan mereka sentiasa hidup dalam keadaan beribadah kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Macam mana kita nak jadikan begitu? Kalau gitu, duduk dalam sejid sokmolah, sembahyang sokmolah, Tidak. Para ulama telah mengajar kita cukup dengan dua syarat sahaja. Apa sahaja perbuatan, kelakuan yang kita buat dalam setiap hari, dengan apa yang kita laksanakan, niat ikhlas kerana Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan menepati syariat Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Berenti dulu dok..
(BERHENTI SEKEJAB BAGI MEMBERI LALUAN KEPADA AZAN YANG BERKUMANDANG)
Sila Wakil Batu Rakit. Boleh sambung. Ada dua minit lagi lah.
Kena tamboh Yang Berhormat.
kena tamboh mula
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, sambungan tadi. Apabila dua syarat itu menepati dalam kehidupan kita, apa sahaja perbuatan yang kita laksanakan jadi ibadat. Niat ikhlas kerana Allah dan perbuatan itu menepati syarak, semuanya jadi ibadat pada Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Insya-Allah. Segala perbuatan kita khususnya, kita menjadi pemimpin ini, jadi pemimpin yang baik. Bahkan lebih bahagia lagi selepas ini. Insya-Allah.
Ahli Dewan dan semua yang bersama dengan kita pada petang ini. Sebenarnya Islam itu sifatnya syumul merangkumi keseluruhannya. Negara kita ni sudah lama merdeka selepas dijajah selama 100 tahun lebih. Cuma Alhamdulillah, negeri kita hampir 40 tahun sahaja dijajah bagaimana dilihat pada sejarah 1919. 1957 kita merdeka tapi sehingga sekarang ini kita masih lagi ada keadaan kita masih terikut dengan penjajah. Diantaranya, ditinggalkan kepada kita satu fahaman bahkan terikut-ikut dalam kehidupan kita fahaman sekularisme. Fahaman mengasingkan kehidupan bahkan berKerajaan dengan agama itu sendiri menyebabkan banyak pelaksanaan agama Islam itu terhad, berlaku begitu. Kita tengok pada undang-undang itu sendiri, berlaku dua mahkamah. Sepatutnya mahkamah sama sahaja, mahkamah jenayah dan seumpama dengannya di bawah syariat Islam. Tapi kita masih lagi mengguna pakai bagaimana yang ditinggal oleh penjajah dulu. Jadi daripada itu saya menyeru dan juga menggesa Kerajaan Negeri supaya ambil perhatian yang sangat serius perkara ini supaya kita membasmikan keseluruhannya untuk memastikan Islam ini adalah syumul sampai kepada seluruh terutamanya rakyat Terengganu ni. Memahami Islam sebagaimana yang diajar oleh Nabi bukan tersekat-sekat ataupun sebahagian-sebahagian.
Muslimin dan muslimat, hadirin hadirat, seterusnya saya ingin melihat kepada Titah Tuanku, diantaranya Baginda telah menyebut berkenaan dengan pembangunan yang tidak seimbang antara daerah yang perlu ditangani oleh Kerajaan Negeri. Saya lihat Batu Rakit pun termasuk dalam kawasan yang tidak seimbang pembangunannya, yang berhajat kepada bantuan Kerajaan Negeri untuk memastikan berlakunya keseimbangan di DUN Batu Rakit ini. Antaranya, cadangan Tuanku supaya pemerkasaan kemudahan infrastruktur perikanan perlu diadakan, seperti diadakan jeti. Jadi saya cadangkan di Batu Rakit supaya diadakan jeti bagaimana dulu-dulu saya dengar cerita orang-orang zaman dulu lah, ada cadangan di Batu Rakit ini buat pelabuhan dulu. Hebat perancangan di Batu Rakit ni, supaya dibuat pelabuhan besar untuk pendaratan ikan, bawakan kapal-kapal daripada negara-negara luar, di sana. Jadi kalau boleh, buat jeti je dulu sebelum buat pelabuhan. Tempat dia di mana? Tempat dia tempat berlakunya hakisan sekarang. Jadi saya cadangkan, fikirlah Kerajaan Negeri untuk jadikan cadangan Tuanku semalam sebagai kenyataan dan ia berlaku di Batu Rakit, insya-Allah.
Banyak lagi ke Yang Berhormat? Dah lebih.
Seterusnya, ada sikit lagi. Berkenaan dengan isu Projek Masjid Mengabang Lekor yang terbengkalai. Isu ini banyak kali saya bawa dalam Mesyuarat Tindakan Daerah. Bahkan saya rasa tahun lepas pun saya bawa dalam Mesyuarat Sidang ini, saya rasa pelik. Laporannya ada pergerakan tapi hakikat di tapak takdok pergerakan. Ini saya rasa sangat peliklah. Jadi saya nak minta sungguh-sungguh daripada pihak Kerajaan, jawapan yang tuntas. Apa masalah sebenar yang berlaku pada Projek Masjid Mengabang Lekor ini.
Seterusnya isu air paip bocor. Air paip SATU bocor di dasar laut di Mangkuk ke Pulau Redang. Bocor yang agak teruk, saya dapati sumber keluar 100% yang sampai 20% je. Maknanya hilang dalam laut itu 80%. Terlalu banyak, menunjukkan kita berhadapan dengan kerugian yang agak besar. Jadi saya nak minta daripada pihak Kerajaan Negeri berapa banyak sebenarnya kerugian? Itu yang pertama. Yang kedua, yang sangat penting bagi Batu Rakit supaya perancangan Kerajaan sebelum ni yang dah ada untuk tukar paip dasar laut itu dan juga paip di Pulau Redang tu sendiri yang sudah lama tu tukor
keseluruhannya. Kita harapkan ini berada dalam perancangan baru Kerajaan Negeri sebab sebelum ini kita dengar cerita daripada Pihak SATU hanya cadangan dulu.
Boleh ringkaskan YB, 5 minit doh.
Sekarang ini nampak macam takdok perjalanan.
Kita ada dua orang lagi yang belum berucap dan kita berenti pukul lima.
Yeyeye, ada sikit lagi yang akhir sekali, berkenaan dengan hakisan pantai. Hok ni biasa sangatlah orang dengar. Hakisan pantai ini saya dah buat soalan dalam soalan, Soalan Bertulis saya dah buat. Tapi, jawapannya, Kerajaan sudah yakin dengan apa yang telah dilaksanakan hari ini.
Saya rasa boleh...
breakwater yang telah dilaksanakan. Tapi masalah sekarang ini, breakwater dah buat, tapi hakisan semakin menjadi-jadi. Macam mana Kerajaan yakin dengan berlakunya hakisan semakin menjadi-jadi?
Pihak Kerajaan faham doh...
Ini saya minta Kerajaan Negeri tengok cadangan daripada penduduk sebab penduduk ada buat cadangan, di antaranya tambah lagi breakwater yang sangat jarang dibuat di antaranya, di antara breakwater 8 hinggalah 9 ini, hampir 1 kilometer jaraknya. Jadi memanglah berlaku hakisan, tapi Kerajaan Negeri jawab sudah yakin dengan projek yang sudah dilaksanakan itu.
7 minit doh masa YB berhenti.
Jadi inilah, yang saya minta Kerajaan Negeri ambil perhatian sepenuhnya supaya rakyat di DUN Batu Rakit tidak risau lagi berhadapan dengan musim tengkujuh yang akan datang ini. Sekian sahaja, Batu Rakit menyokong penuh Titah Ucapan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Pemangku Raja Terengganu.
Terima kasih Batu Rakit, ada dua lagi. Sila, Kuala Besut. Saya minta ini benar-benarlah ikut masa kita, sila.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato' Menteri Besar, Yang Berhormat EXCO-EXCO dan Yang Berhormat ADUN-ADUN, Ketua-ketua jabatan dan para pemerhati sekalian. Terlebih dahulu, patik ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kerana memberi peluang kepada patik untuk turut sama mengambil bahagian dalam Perbahasan Menjunjung Kasih Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Terengganu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu bagi Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Terengganu yang Kelima Belas.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, saya mewakili Kuala Besut ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Dato' Timbalan Yang di-Pertua kerana diberi peluang berucap di dalam Dewan yang mulia ini. Alhamdulillah, dalam tempoh empat tahun pasca PRU15, kita telah menyaksikan berbagai kejayaan dan pencapaian yang membanggakan di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar, kejayaan ini jelas mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara serta pembangunan negeri dilaksanakan secara matang dan inklusif.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan penghargaan terhadap usaha Kerajaan Negeri dalam memperkukuhkan sektor ekonomi, khususnya melalui pembangunan industri Pelancongan, Perikanan serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan bukan sahaja berjaya meningkatkan pendapatan negeri, malah turut membuka banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, khususnya golongan belia dan beliawanis. Selain itu, saya juga ingin menyentuh mengenai kepentingan memperkasakan modal insan melalui penyediaan kursus-kursus jangka pendek dan latihan kemahiran kepada lepasan SPM. Usaha ini amat penting bagi memastikan mereka tidak tercicir, sebaliknya mampu bersaing dalam pasaran kerja yang semakin mencabar.
Timbalan Yang di-Pertua, saya rasa masih tidak terlambat untuk mengucapkan tahniah dan syabas di atas pengiktirafan kepada Kerajaan Negeri Terengganu yang dinobatkan sebagai negeri paling bahagia. Walaupun, royalti tidak diberikan mengikut jadual, yang terbaru tiga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu Majlis Daerah Marang, Majlis Daerah Setiu dan Majlis Perbandaran Kemaman telah diisytiharkan sebagai bandar bahagia daripada 155 PBT di seluruh negara dalam konteks pembangunan masa hadapan, saya ingin menarik perhatian Dewan terhadap potensi besar projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Projek ini dijangka menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi negeri sekaligus membuka peluang pekerjaan baharu dan merancakkan aktiviti ekonomi setempat. Sehubungan itu, saya ingin mencadangkan agar Kerajaan Negeri merangka plan strategik yang lebih menyeluruh bagi memastikan rakyat tempatan, khususnya anak-anak Terengganu diberi keutamaan dalam merebut peluang yang bakal terhasil daripada projek ini. Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, saya juga ingin memohon kerjasama Kerajaan Negeri agar mengambil langkah awal bagi menangani isu kehadiran pelancong ke Pulau Perhentian melalui jeti di Tok Bali, Pasir Putih ini kerana ia boleh menyebabkan kutipan hasil Majlis Daerah Besut akan menjadi merosot, manakala hasil pengusaha-pengusaha bot akan berkurangan malahan, perkara ini boleh mengakibatkan pekan lama Kuala Besut menjadi sepi.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, saya juga ingin membahas isu-isu yang dekat di hati rakyat, khususnya golongan petani, nelayan dan sektor pelancongan di kawasan saya. Saya ingin menarik perhatian agar pihak Kerajaan Persekutuan berhubung keperluan mendesak untuk menyediakan
subsidi minyak diesel kepada para petani dan nelayan. Golongan ini merupakan tulang belakang kepada sektor makanan negara. Namun, mereka kini berhadapan dengan tekanan kos operasi yang semakin meningkat, terutamanya harga bahan api diesel. Para petani memerlukan diesel untuk menggerakkan jentera pertanian seperti traktor, pam air, mesin penuaian. Begitu juga, sektor pelancongan serta para nelayan yang bergantung sepenuhnya kepada diesel untuk keluar ke laut mencari rezeki dan beroperasi pengangkutan pelancongan. Kenaikan harga diesel secara langsung memberi kesan kepada kos pengeluaran dan seterusnya menjejaskan pendapatan mereka.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, sekiranya perkara ini tidak ditangani dengan segera, kita bukan sahaja akan melihat penurunan pendapatan golongan ini, malahan ia juga boleh menjejaskan bekalan makanan negara serta meningkatkan harga hasil pertanian dan perikanan di pasaran. Sehubungan itu, saya ingin memohon agar pihak Kerajaan mempertimbangkan beberapa langkah berikut, pertama, memperkenakan subsidi bersasar diesel khusus kepada petani dan nelayan yang berdaftar bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar layak. Kedua, mewujudkan mekanisme pemantauan yang telus supaya subsidi ini tidak disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Ketiga, mempercepatkan proses permohonan dan kelulusan supaya golongan ini tidak terbeban dengan birokrasi yang rumit.
Timbalan Yang di-Pertua, saya yakin dengan sokongan dan keprihatinan pihak Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, kebajikan petani dan nelayan dapat terus dipelihara sekali gus menjamin keterjaminan makanan negara. Akhir kata, saya berharap agar segala usaha dan perancangan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri akan terus diberkati dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Terengganu bertepatan dengan slogan Kerajaan Terengganu iaitu Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera. Kuala Besut menyokong Titah Ucapan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Terengganu. Sekian, terima kasih.
Terima kasih Hulu Besut, cukup-cukup masa hampir 10 minit. Saya persilakan Wakil Kuala Berang, Wakil terakhir kita di sesi petang. Sila.
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, yang dihormati Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar Terengganu, semua Ahli-ahli Yang Berhormat, semua Ketua-ketua Jabatan dan wakil-wakil, para media dan pemerhati sekalian. Terlebih dahulu, Kuala Berang Menjunjung Kasih di atas Titah Ucapan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Terengganu Sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat DUN yang Kelima Belas.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, merujuk kepada buku Titah ucapan muka surat enam berkaitan pembangunan yang tidak seimbang antara daerah. Tadi Yang Berhormat Telemong meluahkan apa yang terbuku di sudut hati. Saya turut merasa kesedihan tersebut, maklumlah jiran sebelah, sedih saya. Kedaifan Hulu Terengganu amatlah nyata. Baru-baru ini saya berkunjung ke Majlis Daerah Hulu Terengganu. Bangunannya yang ditinggalkan oleh Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Terengganu, umumnya amat tua, terlalu tua dan uzur pula itu berbanding dengan daerah Kuala Nerus yang baru saja diwujudkan daerahnya, Kerajaan berbelanja RM600 juta untuk mewujudkan bandar baru tersebut. Walaupun ketika itu kekurangan dana tetapi dibuat hutang dengan pembiayaan schedule payment, saya memohon Kerajaan mendapatkan dana membantu Hulu Terengganu supaya berdiri sama tinggi dengan daerah-daerah lain.
Pihak Kerajaan berupaya mengambil kaedah deferred atau schedule payment kerana diambil contoh sejarah yang lepas. Hutang-hutang sudah banyak dilunaskan semenjak kita ambil alih tahun 2018. Masih ingat lagi, di tahun 2018, hutang Kerajaan Negeri berjumlah RM2,966.4 juta, kini Kerajaan bayar setiap tahun cuma RM108.82 juta. Lebih kurang berjumlah RM557 juta sahaja lagi. Tahniah Kerajaan Negeri yang dapat menyelesaikan hutang sejumlah RM2.4 bilion berkaitan dengan schedule dan deferred payment semenjak tahun 2018. Tepuk sikit. Ini satu kejayaan yang besar walaupun kita menghadapi masalah kewangan tetapi kita masih berupaya menyelesaikan, melunaskan hutang kita. Kuala Berang amat berhajat untuk memiliki, haa ni nok mintok lah
ni sebuah dewan dengan kapasiti 3000 orang dan Pejabat Majlis Daerah, pejabat gunasama Kerajaan Negeri dan Persekutuan. Kalau pihak Kerajaan hadir ke Hulu Terengganu hari ini, Kerajaan boleh menilai sendiri Mahkamah Syariah, Pejabat Kebajikan Masyarakat, Majlis Daerah dan lain-lain amat uzur sekali. Kuala Berang mencadangkan agar Kerajaan yang baik hati ini menyediakan kewangan sebanyak RM100 hingga RM200 juta dalam apa bentuk finance sekalipun, sama ada deferred atau schedule payment untuk daerah Hulu Terengganu yang mundur ini agar bergerak seiring bersama menjadi negeri yang Maju, Berkat Dan Sejahtera.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, kini kita baru saja meninggalkan bulan Syawal dan saya merasa tak lewat nak ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua. Baru-baru ini sebahagian penduduk di Kampung Tanjung Aur dan Kampung Tapu berhari raya dengan ketiadaan bekalan air. Bukan sahaja sehari dua, bahkan berlarutan sehingga enam hari. Dari maklumat penduduk kampung tersebut, masalah air ini berlarutan beberapa tahun kebelakangan ini dan semakin serius. Saya mencadangkan agar pihak Kerajaan menggantikan distribution pipe saiz diameter yang lebih besar ataupun memasang booster pump di lokasi bersesuaian. Begitu juga permasalahan bekalan air di perumahan Padang Setengge. Taman ini mempunyai 700 buah rumah dan bekalan air sentiasa terganggu, yang ini saya mencadangkan mewujudkan satu pakej termasuk suction tank, booster pump dan service elevated tank sebelum airnya dialirkan ke pipe-pipe reticulation di taman tersebut.
Timbalan Yang di-Pertua, tadi Yang Berhormat Bukit Tunggal menyentuh tentang LPT2. Sejarah pembinaan LPT2 ini yang panjangnya jajaran 184 km bermula dari Jabor ke Kampung Gemuruh, Kuala Terengganu. Pembinaannya bermula tahun 2006 dan siap sepenuhnya pada 31 Januari 2015, bermakna sembilan tahun. Kaedah pembinaan LPT2 adalah seperti berikut iaitu 34.5% daripada pembinaan keseluruhan jajaran LPT2 ini dilaksanakan oleh MTD Capital Berhad secara turnkey dan dipantau oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia. Baki 65.5% kerja pembinaan LPT2 dilaksanakan secara tender terhad kepada kontraktor Bumiputera Terengganu dan sebahagiannya dibuka kepada kontraktor Bumiputera luar Terengganu, dipantau oleh Jabatan Kerja Raya. Perjanjian konsesi LPT2 telah ditandatangani pada 1 April 2016. Penswastaan konsesi LPT2 kepada Syarikat Lebuhraya Pantai Timur 2 Sdn. Bhd. pada 15 Julai 2016. Kos pembinaan awal adalah RM2.9 bilion tetapi apabila siap menjadi
4.1 bilion sebagaimana dilapor oleh Harian Metro pada 31 Januari 2015. Persepakatan awal 50% MOF, 50% lagi Kerajaan Negeri melalui potongan Dana Khas Terengganu atau apa yang kita sebut wang royalti. Sebelum ini, Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk bayar balik melalui satu mesyuarat jawatankuasa yang dipanggil Dana Khas Kerajaan Persekutuan ataupun DKKP pada 17 November 2017. Apa yang dilapor oleh satu berita TRDI pada 3 April 2019 oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar menyebut kos daripada wang dana khas adalah berjumlah RM1.85 bilion. Kemudian ada bayaran berjumlah sebanyak RM418.5 juta termasuk apa yang disebut oleh Wakil Bukit Tunggal. Terkini Kerajaan Negeri masih belum menerima baki sebanyak RM1.43 bilion wang royalti ataupun wang dana khas adalah milik negeri kalau amaun tersebut diletak pun di dalam fix deposit dan saya percaya Kerajaan tidak berbuat sedemikian. Paling komang pun sudah ada pendapatan baru kepada negeri berjumlah RM55 juta. Saya percaya YB Kota Putera pun senang hati menerimanya.
Sekarang LPT2 dipegang konsesi di bawah syarikat Lebuhraya Pantai Timur 2 Sdn. Bhd., anak syarikat Plus tamat konsesi pada 15 Julai 2034. Kerja berkaitan dengan operation dan maintenance maknanya ada baki sebanyak 8 tahun lagi. Soalan dan mohon pencerahan daripada Kerajaan. Pertama setakat mana usaha Kerajaan untuk mendapatkan semula wang royalti ataupun dana khas tersebut sama ada dalam bentuk cash atau projek-projek yang dipersetujui. Kedua, ada atau tidak perbincangan untuk bekerjasama atau JV dengan syarikat LPT2 sdn. bhd., ini atau bersama parent company dia Plus. Ketiga, konsesi LPT2 Sdn. Bhd., akan tamat 8 tahun lagi. Adakah Kerajaan berhasrat ambil alih kerana kita di Terengganu mempunyai keupayaan dan kepakaran dalam kerja-kerja operasi dan maintenance jalan ataupun lebuh raya.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua. Point akhir dari Kuala Berang. Sekarang, bilangan rakyat hidup susah bertambah dan semakin ramai. Barangan keperluan hidup naik berganda. Bilangan rakyat yang kurang mampu membayar bil elektrik, bil air, permasalahan persekolahan, masalah sara hidup dan banyak lagi permasalahan yang diaju kepada pusat khidmat DUN di semua 32 DUN dalam negeri. Royalti minyak kita berdasarkan harga USD60 per barrel. Jadi hasil kepada Kerajaan Negeri lebih kurang RM1.6 bilion, ini tahun lepas.
Seminit lagi YB deh.
Sekarang harga meningkat kepada lebih USD90. Jadi pendapatan kita dijangka meningkat, mungkin boleh mencapai daripada 1.6 kepada 2.4 bilion ataupun lebih lagi. Jadi Kuala Berang cadangkan pihak Kerajaan, hulurkanlah bantuan seperti mana yang disebut oleh wakil Sura tadi dan dikaji semula peruntukan B02. Pegawai kewangan B02 dinaikkan lagi 100%. Dan saya percaya semua YB-YB ini bersetuju. Kalau ada yang tak bersetuju, harap pegawai kewangan catat. Sebelum mengakhiri perbahasan sesi pertama penggal keempat ini, saya simpulkan Kuala Berang mengutarakan hal yang amat penting yang tidak boleh sama sekali menolak atau tidak diluluskan aitu pertama, Kuala Berang mohon peruntukan tadi 100 hingga 200 juta kaedah bayaran balik secara default atau schedule payment atas bijaksana Kerajaan Negeri. Masalah bekalan air yang semakin serius, penglibatan negeri atau syarikat-syarikat kita di dalam LPT2 dan mohon tambah peruntukan B02. Sekian, Kuala Berang menyokong dan turut Menjunjung Kasih di atas Titah Tuanku.
Terima Kasih. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, Ketua-Ketua Jabatan, Para Pemerhati. Terima kasih selesai perbahasan ke atas Menjunjung Kasih di Raja. Saya mengucapkan terima kasih pada semua Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam sesi perbahasan ini yang mana ada aduan, ada rayuan, ada permohonan, kali ni desakan pun ada. Saya percaya semua ini dalam perhatian dan akan diberi maklumbalas kepada pihak Kerajaan.
Oleh yang demikian, Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar dan Yang Amat Berhormat sekalian, saya tangguhkan sementara persidangan ini ke esok hari 22 April 2026 pukul 9.30 pagi dan marilah sama-sama kita bacakan tasbih kafarah dan surah Al Asr. Terima kasih.
MESYUARAT DITANGGUHKAN PADA PUKUL 4.59 PETANG.