Terengganu · 22 April 2026
15th Assembly, 4th session, 1st meeting · 193 turns · 25,567 words · official PDF ↗ · Digital Hansard ↗
ExperimentalTerengganu publishes one PDF per meeting, with the written answers appended. Speakers are matched by our parser and will have some errors.
(Pembukaan)
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Mesyuarat disambung semula. Sebelum kita memulakan Persidangan Dewan pada pagi ini, marilah kita sama-sama membaca Ummul Kitab Al-Fatihah.
Al-Fatihah
Soalan-Soalan LisanQuestions
Alhamdulillah, terima kasih kepada semua Yang Berhormat, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Ketua-ketua Jabatan, para pemerhati, pihak media yang saya raikan. Sebelum kita memulakan Soalan-soalan Lisan pada mesyuarat pagi ini, saya mengalukan para pemerhati khususnya daripada Pejabat Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan
Perubahan Iklim, daripada Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu, daripada Khairunnisa’, PKM ADUN Jabi, seluruh Pusat Khidmat Permaisuri, Telemong, Bukit Besi, Langkap dan Seberang Takir.
Berikut adalah Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah memberi Notis untuk mengemukakan Soalan-soalan Lisan pada hari ini, 22 April 2026:
1.
Yang Berhormat Wakil Hulu Besut 2.
Yang Berhormat Wakil Rantau Abang 3.
Yang Berhormat Wakil Batu Rakit 4.
Yang Berhormat Wakil Langkap 5.
Yang Berhormat Wakil Air Putih 6.
Yang Berhormat Wakil Telemung 7.
Yang Berhormat Wakil Bukit Tunggal 8.
Yang Berhormat Wakil Kuala Besut 9.
Yang Berhormat Wakil Bukit Besi 10.
Yang Berhormat Wakil Sura 11.
Yang Berhormat Wakil Bandar 12.
Yang Berhormat Wakil Jertih 13.
Yang Berhormat Wakil Kuala Berang 14.
Yang Berhormat Wakil Kemasik 15.
Yang Berhormat Wakil Ladang 16.
Yang Berhormat Wakil Pengkalan Berangan 17.
Yang Berhormat Wakil Manir 18.
Yang Berhormat Wakil Seberang Takir 19.
Yang Berhormat Wakil Permaisuri
Bagi meraikan Ahli-ahli Yang Berhormat pada mesyuarat kali ini saya akan mulakan sambungannya untuk diberi ruang kepada Yang Berhormat Hulu Besut dan seterusnya. Dengan ini, saya mempersilakan Yang Berhormat Wakil Hulu Besut untuk mengemukakan soalan.
Terima kasih Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua. Hulu Besut soalan nombor satu-
Apakah status permohonan menaik taraf jambatan Kampung Darau yang telah masuk senarai keutamaan RMK-13?
Nombor satu Yang Berhormat Cukai.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, Yang Berhormat Ahli-ahli EXCO, Ahli-ahli Yang Berhormat, semua Ketua-ketua Jabatan, tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Soalan sebagaimana yang tertera. Jawapannya ialah menaiktaraf jambatan Kampung Darau merupakan salah satu keutamaan oleh JKR Negeri Terengganu untuk diangkat dalam RMK-13. Selain daripada itu, JKR Negeri dalam proses mengutamakan skop bagi pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan jambatan tersebut di bawah peruntukan Pembangunan Negeri atau Penyelenggaraan Jalan Negeri Bagi Tahun 2027, terima kasih.
Terima kasih, ada soalan tambahan? Sila Yang Berhormat Hulu Besut.
Apakah perancangan Kerajaan Negeri untuk baik pulih jalan-jalan yang rosak terutamanya di kawasan Hulu Besut? Terima kasih.
Perancangan Kerajaan bagi kerja-kerja baik pulih jalan yang tidak rata atau rosak dalam DUN Hulu Besut adalah akan dilaksanakan oleh JKR melalui peruntukan Wang Amanah Penyelenggaraan atau Jalan MARRIS. Bagi tahun 2026, JKR Besut telah merancang untuk melaksanakan dua projek pembaikan jalan di Kampung Hulu Besut dengan kos keseluruhan sebanyak RM1.9 juta bagi meningkatkan keselesaan dan keselamatan penggunaan jalan raya. Terdapat enam laluan jalan raya negeri yang didaftarkan dalam sistem MARRIS dan diselenggarakan oleh Jabatan Kerja Raya Daerah Besut dan JKR Negeri Terengganu di Hulu Besut, terima kasih.
Terima kasih, ada soalan tambahan?
Hulu Besut? Ada? Tak ada? Seterusnya saya persilakan Yang Berhormat Rantau Abang.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, Rantau Abang soalan nombor 1-
Tanah untuk dibina sebuah sekolah SRIDI DUN Rantau Abang telah ada. Bilakah perancangan pihak Kerajaan Negeri dalam membina sekolah SRIDI tersebut?
Soalan yang pertama, Paka.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, ADUN Rantau Abang bertanyakan tentang pembinaan SRIDI di DUN Rantau Abang. Setakat ini, SRIDI beroperasi berdasarkan bangunan-bangunan sementara kecuali di DUN Permaisuri dan di DUN Kota Putera. Bagi selain DUN-DUN yang tiada belum ada sekolah SRIDI kita mengambil perjalanan untuk mengangkat di setiap DUN tersebut tanah-tanah untuk disediakan untuk dijadikan sebagai tanah bagi pembinaan SRIDI untuk masa-masa akan datang. Jadi untuk DUN Rantau Abang telah ada tanah tetapi masih lagi belum dibuat pembinaan dari segi keutamaan kita sekarang ini kita sedang angkat untuk pembangunan SRIDI Batu Buruk untuk pembinaan baharu dan seterusnya mengikut kemampuan ataupun kewangan kita. SRIDI Rantau Abang cadangan lot kekal dia iaitu PT 28988 Mukim Kuala Dungun yang sekarang ini dalam proses pelukis pelan dan juga mendapat pandangan Jabatan Teknikal dan telah direservekan di bawah Seksyen 62 di bawah jagaan Pesuruhjaya Agama Negeri Terengganu. Terima kasih.
Ada soalan tambahan? Sila, Yang Berhormat.
Terima kasih Yang Berhormat EXCO, memandangkan permintaan untuk masuk ke SRIDI semakin meningkat, apakah pihak Kerajaan berhasrat untuk menyewa bangunan untuk dijadikan SRIDI di Rantau Abang? Terima kasih.
Kalu err.. Yang Berhormat ADUN Rantau Abang ada bangunan, sila maklumkan kita. Insya-Allah, kita akan sewa lah. Setakat ini banyak bangunan-bangunan yang ada, kita sewa lah. Sekarang ni ada dua lagi DUN di Dungun iaitu Rantau Abang dan juga Sura, semua ada tanah belaka dah, cuma tinggal untuk panggil proses pembinaan. Terima kasih.
Ada soalan tambahan ya? Takdok?
Seterusnya, dipersilakan Yang Berhormat Batu Rakit.
Dari Paka, pakai serban sebagai orang tua Soalan pendidikan saya bawa lagi Itulah dia yang terpapar soalan nombor dua
Berapakah peruntukan bantuan yang telah dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri kepada sekolah-sekolah agama rakyat bermula tahun 2023 hingga sekarang?
Soalan nombor dua, sila Paka.
Ye kata aku tua doh hor.. [ketawa] Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua.
Dok uban lagi tu or...
[ketawa] Dok sapa umur pencen lagi. ADUN Batu Rakit bertanyakan tentang peruntukan yang telah dikeluarkan oleh pihak Kerajaan Negeri kepada sekolah-sekolah agama rakyat tahun 2023 sehingga sekarang. Berdasarkan data yang dikemukakan, jumlah keseluruhan peruntukan bantuan yang telah disalurkan kepada sekolah-sekolah agama rakyat yang berdaftar dan bernaung di bawah JPINT bermula tahun 2023 sehingga 2025 berjumlah RM20,941,500. Terima kasih.
Terima kasih. Ada soalan tambahan?
Alhamdulillah, terima kasih pihak Kerajaan. Soalan tambahan untuk tahun ini, anggaran bila akan diberikan?
[ketawa] Insya-Allah nanti cakap nge Dato' PKN lah. Cuma tahun ini sebagaimana yang disebut oleh Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar dalam Ucapan Bajet yang lalu. Untuk kita membantu dari segi kos penggunaan air antara sekolah agama rakyat ini ataupun pusat-pusat institusi pendidikan ini yang menggunakan air. Jadi kita sedang menyelaraskan dengan pihak JPINT dan juga pihak SATU untuk kita memberi bantuan kos penggunaan air lah untuk institusi-institusi ini bagi tahun ini dan insya-Allah lah seperti biasa bantuan one-off dan juga bantuan Skim Al-Ghazali dan sebagainya insya-Allah kita akan selesaikan. Terima kasih.
Terima kasih. Ada soalan tambahan?
Takdok? Seterusnya, saya persilakan Yang Berhormat Langkap.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua. Langkap, soalan nombor satu-
Berapakah keluasan tanah terbiar di Setiu yang telah berjaya dipulihkan setakat ini melalui projek pembangunan tanah terbiar?
Soalan nombor satu, sila Yang Berhormat Jabi.
Dato' Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Langkap. Keluasan tanah terbiar di Negeri Terengganu mengikut data tahun 2019, seluas 7,862 hektar. Tanah terbiar dengan maksud dan takrif, tanah milik sama ada milik individu ataupun milik syarikat ataupun tanah yang telah diwartakan berkeluasan satu ekar ke atas dan terbiar tak dimajukan selama tiga tahun berturut-turut. Kalau tengok dengan angka melebihi 7,000 hektar, memang dia satu kerugian besar kepada negeri. Jumlah tanah terbiar yang telah berjaya dimajukan daripada tahun 2019 sehingga tahun 2025 seluas 1,485 hektar yang telah memberi manfaat kepada seramai 1,063 orang petani di seluruh negeri.
Secara spesifik di Daerah Setiu, luas tanah terbiar ialah 1,519 hektar yang berjaya dipulihkan 475 hektar yang telah memberi manfaat kepada 131 orang petani. Pemulihan yang dibuat itu meliputi penyediaan infrastruktur tanah seperti sistem perparitan, pagar, pembersihan tanah dan di antara tanaman yang menjadi pilihan ialah tanaman-tanaman jangka pendek dan jangka panjang macam pisang, jagung, labu, tembikai, kelapa, sayur-sayuran, ubi dan beberapa tanaman lain. Jadi, di samping peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan melalui KPKM, Kerajaan Negeri juga menyediakan insentif bagi pembangunan tanah terbiar dan satu jawatankuasa Task Force pemulihan tanah terbiar telah ditubuhkan pada tahun 2021. Di antara tugas jawatankuasa Task Force ini ialah menyediakan database, kemudian mengkaji faktor-faktor dan menyediakan satu pelan bertindak di samping bajet sebanyak RM2 juta yang disediakan oleh Kerajaan Negeri.
Bila dibuat siasatan di lapangan, kita dapati realiti di lapangan kepada pemilik tanah terbiar ini ada tiga keadaan. Yang pertama, tuan tanah tak ditemui. Ini khususnya bagi tanah syarikat yang ada banyak nama dan tuan dia ada di serata ceruk negara. Yang kedua, tuan tanah ditemui tetapi tak bersedia untuk memajukan tanah. Selalunya jawapan yang paling rutin kita terima, tak apalah kita simpan, buat saka untuk anak-anak. Jadi tinggal lah tanah itu kekal terbiar dan yang ketiga, tuan tanah bersedia untuk memajukan tanah. Yang ini kita akan bantu dan melalui Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2024-2030, kita telah mengenal pasti seluas kira-kira 1,924 hektar lagi tanah terbiar termasuk tanah sawah terbiar yang berpotensi dan disasarkan untuk dipulihkan.
Antara yang sedang giat dipulihkan sekarang ini ialah tanah sawah padi di Skim Pengairan Kampung Jelapang dalam DUN Yang Berhormat Langkap, seluas kira-kira 700 hektar yang dimajukan sejak daripada tahun 2007 lagi dengan kos lebih daripada RM40 juta tetapi terbiar tak berjaya dihijaukan. Sekarang ini sedang dimajukan oleh sebuah syarikat pelabur tempatan, Qudsi Global dan alhamdulillah bulan lepas kita menyelesaikan satu isu sebab bila tanah padi kita nak majukan secara komersial, kita perlukan pekerja. Rupa-rupanya orang tempatan kita tak bersedia untuk menjadi pekerja di sawah-sawah padi. Jadi terpaksa kita cari tenaga kerja asing dan tenaga kerja asing dalam sektor sawah padi ini tidak pernah ada di mana-mana tempat di Malaysia kerana itu dia memerlukan satu perbincangan, memberi kefahaman kepada pihak Kementerian Dalam Negeri dan alhamdulillah bulan lepas kita telah mendapat kelulusan sejumlah pekerja asing untuk bekerja di sektor sawah padi. Jadi, dia akan memudahkan lagi usaha kita untuk memajukan dan kalau 700 hektar ini berjaya dihijaukan dia akan jadi satu lagi success story kepada sektor pertanian Negeri Terengganu. Terima kasih.
Ada soalan tambahan? Sila Langkap.
Soalan tambahannya, apakah insentif yang disediakan oleh kerajaan bagi program pembangunan tanah terbiar ini dan cadangan jenis-jenis tanaman yang sesuai?
Pengusaha-pengusaha ataupun tuan tanah yang berminat untuk membangunkan tanah terbiar boleh memohon insentif melalui Jabatan Pertanian mengikut kesesuaian tanaman berserta dengan ada syarat-syarat yang ditetapkan. Di antaranya tanah itu mesti tak kurang daripada satu ekar ke atas dan di antara tanaman yang disyorkan ialah tanaman buah-buahan jangka panjang macam kelapa, tanaman buah-buahan jangka pendek seperti betik, tanaman sayur-sayuran dan tanaman kontan, cash crop dengan izin dan juga pembangunan industri kelapa. Ini di antara fokus yang kita kaji, tanaman-tanaman yang mampu menjana ekonomi dan pendapatan kepada rakyat kita. Terima kasih.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Langkap dan Yang Berhormat Jabi. Seterusnya saya silakan Yang Berhormat Air Putih.
Terima kasih Dato' Yang di-Pertua. Saya, soalan nombor satu-
Di manakah kawasan ‘Hot Spot’ bagi kes dadah di Terengganu yang dikenal pasti oleh Kerajaan Negeri dan apakah tindakan khusus yang dilaksanakan bagi mengurangkan kes di kawasan tersebut?
Sila, Yang Berhormat kawasan Batu Buruk.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, Yang Berhormat-Yang Berhormat. Terima kasih kepada Yang Berhormat Air Putih yang mengemukakan soalan sebagaimana yang tertera.
Jawapan kepada soalan tersebut, kawasan hotspot bagi kes dadah di Terengganu. Kuala Terengganu, Bukit Jong, Tebauk, Chendering dan Kampung Baru Serada. Kuala Nerus, kawasan sekitar Bukit Wan dan Jeram Hilir. Marang, Kampung Jambu Bongkok, Merchang, Kampung Undang, Kampung Pak Madah dan Kampung Kubu. Besut, Felda Tenang, Felda Selasih, Kampung Keluang, Kuala Besut, Jeti Perikanan dan Pulau Perhentian. Kemaman, Bandar Seri Bandi, Tebing Sungai Seberang Tayor Hulu, Kemasik, Pasir Gajah dan Kampung Seberang Tayor. Hulu Terengganu, Kampung Tengkawang dan Jeti Pengkalan Gawi. Setiu, Felda Chalok Barat, Kampung Merang, Kampung Sungai Tong, Kampung Jelapang dan Kampung Alur Lek. Dungun, Felda Kerteh 2. Terima kasih.
Terima kasih, ada soalan tambahan?
Soalan tambahan saya. Mengikut data yang terkini, apakah jenis dadah yang menjadi pilihan kepada
penagih dadah dan peringkat umur atau julat umur yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah di negeri Terengganu?
Terima kasih Yang Berhormat Air Putih. Sebenarnya, dari segi penggunaan dadah yang berlaku dalam semua peringkat umur dan yang lebih mencabar yang berlaku ialah apabila jenis-jenis dadah yang diambil oleh penagih-penagih dadah pada hari ini, pelbagai bentuk, bukan lagi jenis-jenis dadah sebagaimana sebelum daripada ini dan kesannya lebih bahaya. Apa yang berlaku sangat menggerunkan kita, khususnya bila kita melihat kecenderungan yang melibatkan semua umur yang melibatkan bukan sahaja anak-anak muda bahkan juga di kalangan yang telah berkeluarga termasuk daripada kalangan mereka yang berkerjaya dan lain-lain lagi, dan mengikut data semasa tahun 2025, Terengganu masih lagi berada pada tangga yang kedua sebagaimana sebelum daripada ini dan jumlah ini sangat menggerunkan kita.
Apa yang penting ialah kita perlu melihat secara positif bagaimana untuk menanganinya, dan bagi menangani masalah penyalahgunaan dadah ini, perlulah melibatkan semua pihak, bukan sahaja pihak berkuasa tetapi juga daripada komuniti-komuniti setempat.
Maka di sinilah terdapat beberapa langkah proaktif yang telah diambil oleh pihak kerajaan khususnya AADK (Agensi Antidadah Kebangsaan). Antaranya ialah memperkasakan rawatan dan pemulihan secara sukarela, keupayaan pemimpin akar umbi sebagai gatekeeper dengan izin, program pembersihan kawasan berisiko, dan juga jaminan kerahsiaan dan penyaluran maklumat yang dikeluarkan oleh AADK. Terima kasih.
Terima kasih, seterusnya saya mempersilakan Yang Berhormat Telemung.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, soalan saya nombor satu-
Apakah usaha-usaha yang dijangka akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri untuk memastikan kesemarakan pelancongan di Tasik Kenyir dan kawasan di sekitarnya akan terus berkembang pada masa hadapan?
Sila.
Terima kasih Dato' Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Telemung, soalan seperti mana yang tertera. Alhamdulillah, Kerajaan Negeri telah dan juga sedang melaksanakan pelbagai inisiatif strategik bagi memperkasakan Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan utama yang berdaya saing, mampan dan berimpak tinggi kepada ekonomi setempat.
Antara usaha utama yang kita laksanakan adalah seperti berikut. Yang satu, pengisytiharan Tasik Kenyir sebagai Kebangsaan Geopark. Yakni, Tasik Kenyir, Tasik kenyir Geopark telah diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan yang ke-sembilan pada 31 Mei 2023. Pengisytiharan ini meliputi kawasan seluas 244,900 hektar di Hulu Terengganu yang kaya dengan keunikan geologi, biodiversiti serta nilai warisan budaya.
Yang kedua, pemerkasaan produk pelancongan di Tasik Kenyir. Penambahbaikan berterusan dilaksanakan di lokasi utama seperti Santuari Kelah, Taman Herba dan Gua Bewah bagi memastikan pengalaman pelancong kekal berkualiti, selamat dan juga menarik.
Yang ketiga, kerjasama strategik dengan KETENGAH. Kerjasama ini memastikan pembangunan yang terselaras serta memberi manfaat ekonomi langsung kepada komuniti setempat melalui peluang keusahawanan dan juga pekerjaan. Yang keempat, penganjuran acara air dan festival tahunan. Pelbagai acara seperti festival Geopark Kenyir, Kenyir Bird dan Nature Quest dan juga Kenyir Geopark Marathon Trail dirancang untuk tahun 2026 dan untuk menarik pelancong domestik dan juga antarabangsa, dan yang terakhir sekali, penubuhan jawatankuasa pembangunan Tasik Kenyir. Jawatankuasa khas ditubuhkan bagi merancang hala
tuju pembangunan Tasik Kenyir secara sistematik dan memastikan kelestarian jangka panjang. Terima kasih Dato' Yang di-Pertua.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, terima kasih kepada Wakil Kijal tadi atas jawapan yang agak tuntaslah. Kami rasa, kita harap jadi kenyataanlah. Cuma saya di sini, Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, sebagaimana sedia maklum lah Pulau Poh, saya sebut sokmo Pulau Poh ni, Pulau Poh ni merupakan antara satu tempat ataupun destinasi yang dijangka akan menjadi tumpuan pelancong pada masa yang akan datang sekiranya ada usaha yang bersungguh-sungguhlah oleh pihak Kerajaan, dan sebelum ini pun saya dapati Kerajaan telah memberi pelbagai jawapan yang meyakinkan untuk pembangunan di Pulau Poh. Tapi sehingga sekarang ini saya tak nampaklah usahanya dan saya cuma nak tanya di sini. Soalan saya, apakah usaha yang akan dibuatlah pastikan Pulau Poh ini menjadi tempat tumpuan pelancong. Kedua, boleh tambah dulu tak? tak yoh tanya dua kali, sekali tanya.
Sila-sila..
Yang keduanya ialah kesan kenaikan diesel. Oleh kerana kenaikan diesel yang begitu melambung tinggi, mengakibatkan kesannya kepada pemain-pemain pelancongan di Tasik Kenyir. Satunya dijangkakan beberapa produk pelancongan di Tasik Kenyir akan ditutup katanya. Yang keduanya kesan kepada pemandu-pemandu pelancong ataupun pengusaha-pengusaha bot pelancong. Di mana mereka-mereka ini terpaksa menaikkan kos tambang dan sebagainya angkara daripada usaha Kerajaan Pusat menaikkan minyak diesel. Jadi kita nak tahu di sinilah, apakah usaha Kerajaan membantu bukan sahaja kepada produk pelancongan ini, juga kepada pengusaha bot pelancong, tapi juga kepada pengusaha tempatan kita ini, yang terkesanlah akibat bila pelancong menarik diri daripada kawasan di sini akibat naik diesel, mengakibatkan pengusaha tempatan kita, peniaga, orang kampung kita akan terjejas. Jadi apakah, saya nak tanya, apakah usaha Kerajaan membantu semua pihak inilah, termasuk pemain-pemain pelancongan ini. Terima kasih.
Okaylah Yang Berhormat...
Panjang Dato’ Yang di-Pertua. Terima kasih soalan yang, beberapa soalan yang diajukan oleh Yang Berhormat Telemung. Yang pertama berkenaan dengan Pulau Poh. Betul, Yang di-Pertua, banyak terjawab hak dulu-dulu tetapi untuk makluman Dewan Yang Mulia dan juga Wakil Telemung, pengusaha lama telah menarik diri. Pengusaha lama untuk mengendalikan hotel di Pulau Poh itu telah menarik diri dan sekarang TI, badan yang diamanahkan oleh Kerajaan Negeri sedang berusaha untuk menguruskan satu pelabur baru. Jadi setakat itu untuk hotel Pulau Poh. Walau bagaimanapun kita sedang berusaha untuk mengemudikan produk-produk sampingan untuk memastikan Pulau Poh ceria. Sebagai contoh, jeti untuk pengetahuan Dewan Yang Mulia dan juga Yang Berhormat Telemung, jeti yang ada di Sungai Gawi itu telah diminta supaya kita berpindah. Jeti houseboat itu berpindah dan kita sedang merancang dan insya-Allah pada tahun ini kita akan buat jetinya di Pulau Poh juga bersama dengan STP sekali, tempat pembuangan najis. Jadi sedang diambil kira oleh pihak JKR dan berkira-kira lebih kurang dalam RM2.5 hingga RM3 juta kos dia untuk buat jeti baru. Kejap lagi semua houseboat yang parking di Sungai Gawi itu akan berpindah kepada Pulau Gawi. Jadi tujuan utamanya adalah untuk melihat satu transformasi baru keindahan dan juga keharmonian Pulau Poh itu dan akan terlibat limpahan ekonomi tertumpu di Pulau Poh, dan beberapa perkara lagi untuk pengetahuan Dewan Yang Mulia berkaitan dengan usaha Kerajaan dan juga KETENGAH untuk memastikan seluruh Tasik Kenyir menjadi tumpuan yang kedua selain daripada pulau, pantai dan juga laut di Negeri Terengganu dan kita memahami bahawasanya Tasik Kenyir masih lagi tidak boleh mengatasi pulau, pantai dan laut untuk segmen pelancongan Negeri Terengganu. Walau macam mana pun, saya nak beritahu sikit di sini, di mana beberapa perkara sedang dan sudah dibaik pulih di Tasik Kenyir seperti di Taman Burung yang sedang dirancang oleh pihak KETENGAH sebagai berkonsep extreme park. Ini satu pengalaman baru kepada pelancong dan juga jambatan gantung yang selama ini kalau nak pergi ke Santuari Kelah jambatan gantung dia kita nampak memang usang, buruk, memang patah habis dah dia punya kayu-kayu, dah pulih, baik pulih dengan peruntukan sebanyak RM200,000.00. Sekarang ini semua pelancong kita kalau nak pergi ke Santuari Kelah tak perlu kabak apa nama ni, turun dengan batu lagi, dia boleh melalui jambatan gantung. Dan juga Gua Bewah, Air Terjun Lasir, dah siap, bersiap gantung. Dan sekarang baru-baru ni kita tutup seketika untuk baik pulih. Sekarang kita bolehlah beritahu dan Yang Berhormat Telemung dah boleh beritahu, dah boleh war-warkan kepada sahabat
handai di luar negara sana untuk hadir ke Tasik Kenyir dan kita yakin Tasik Kenyir tahun ini akan memberi pulangan yang baik kepada pengunjung.
Dari segi diesel, Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, diesel sebenarnya tidak dikategorikan dalam subsidi bersasar untuk pelancongan. Jadi, para pelancong sama ada pelancong houseboat ke, ataupun pelancong pulau ke, mana-mana ke, diesel petrol tidak ada dalam kategori subsidi maksudnya dia beli dengan harga biasa hak itu bukan kita punya. Jadi oleh sebab itu saya berbincang dengan beberapa Persatuan Pengusaha Pelancong untuk menghantar satu memorandum kepada Kerajaan Pusat, kepada pihak Kementerian supaya memasukkan sektor pelancongan dalam kategori subsidi bersasar. Perikanan ada tapi pelancongan tak ada. Jadi insya-Allah kita akan cuba berusaha dan sebenarnya pada tahun lepas kita hantar dah memorandum, tak balas, tak balas lagi. Tapi sekarang ni kita usaha lagi dan saya yakin dan percaya pihak Kerajaan Pusat pun melihat sektor pelancongan ni terkesan, tersangat terkesan. Seperti mana yang tersiar dalam akhbar baru-baru ini, pengusaha houseboat di Tasik Kenyir cuba menaikkan harga pakej tetapi memberi kesan kepada pelancong. Akhirnya pelancong menarik diri untuk ke Tasik Kenyir. Bukan Tasik Kenyir sahaja. Ini seluruh Negeri Terengganu terkait dan terkesan besar dengan kenaikan harga kerana tidak ada kemudahan subsidi. Jadi saya rasa itulah saja jawapan untuk Yang di-Pertua. Terima kasih kepada Telemung. Kalau ada apa-apa nak soal lagi, tak ada? Terima kasih.
Kuala Berang, Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, nak tanya sikit berkaitan dengan...
Sila-sila.
Ya, terima kasih, Dato' Yang di-Pertua. Banyak nampak insentif yang telah dinyatakan tadi dan kemudahan-kemudahan yang dirancang.
Cuma saya nak tanya satu, nak tarik orang ni, dia macam perlu ada magnet, perlu ada daya tarikan. Jadi antara ramai-ramai orang ni ada yang minat memancing, ada yang minat berburu, ada yang minat mendaki hiking bukit dan gunung. Jadi kalaulah ada tak pihak Kerajaan mencadangkan untuk khusus daya tarikan pemancing contoh. Kita adakan satu kawasan sungai ke ataupun anak sungai. Kita bela ikan di situ. Kemudian setahun sekali kita panggil orang seluruh negeri ini,
seluruh negara memancing di situ. Ataupun kita adakan pulau, kita apa ni, sediakan haiwan untuk diburu, kita adakan program setahun sekali berburu di situ. Jadi saya nak tanyalah, adakah pihak, apa ni, pihak EXCO memikirkan hal tersebut. Terima kasih Dato' Yang di-Pertua.
Yang Berhormat Kuala Berang. Satu cadangan yang hebat dan insya-Allah Kerajaan Negeri akan mengambil kira. Tetapi dalam masa yang sama, untuk peminat memburu, kita belum ada lagi tempat untuk memburu pasal dia melibatkan lesen. Mungkin kita akan bincang segmen itu dengan KETENGAH untuk macam mana kita nak angkat idea daripada Yang Berhormat Kuala Berang. Tapi memancing dah ada. Kita ada satu pertandingan memancing. Dia panggil monsoon casting. Monsoon casting ni kalau tak silap saya lebih daripada 10 tahun dah. Every year, bulan 12, dia ada satu pertandingan monsoon casting di mana international participant pun ada, dengan izin. Ada. Itu memberi petunjuk bahawasanya Tasik Kenyir ini boleh menerima sesiapa saja sehingga pesertanya daripada United States of America pun ada di dalam monsoon casting. Itu satu, dan yang kedua, kita baru saja memberi satu pulau, dipanggil Pulau Tropika kepada satu pengusaha. Tapi pengusaha itu dah meninggal dunia. Baru tiga hari lepas, meninggal dunia. Dan pulau itu akan dikhususkan untuk memancing. Dia akan bela ikan dan tidak dibenarkan pemancing-pemancing biasa masuk. Nak masuk dalam tu kena bayar. Itu asas concept paper dia dan kita bersetuju. Pasal apa kalau ada bayaran ini dia ada komitmen, Dato' Yang di-Pertua dan ikan tu boleh dibela, dan mungkin kita akan bincang dengan terbuka kepada pengusaha baru untuk memastikan kawasan tersebut dijadikan pusat memancing. Dia ada dua sebenarnya, satu lagi dekat Santuari Kelah. Tu tempat kita lepah ikan. Jadi tidak dibenarkan masuk memancing. Dia ada masuk dalam tu, dia ambil ikan, dia buat lari. Ada. Tapi ada satu tempat tu, tidak dibenarkan memancing. Hanya kita bela ikan sahaja. Kita lepah ikan yang separa besar di situ. Tapi di sebelah Pulau Orkid Tropika ni, memang kita khusus untuk tempat memancing. Tak beri tahan pukak. Dia ada satu problem pulak di Tasik Kenyir ni, ada orang tahan pukak pulak. Tahan pukak ni, ada leseng. Itu kita nak kena bincang molek-molek.
Jadi, idea daripada Yang Berhormat Kuala Berang, salah satunya saya akan angkat adalah tempat pemburuan. Memang ada. Sekarang ni orang yang buru, dia buru secara tidak berlesenlah. Kalau nak berlesen, kita mungkin bincang dengan pihak
yang berkuasa. Saya rasa itulah sahaja sikit sebanyak jawapan saya, Yang Berhormat daripada Kuala Berang. Terima kasih, Dato' Yang di-Pertua.
Terima kasih, Yang Berhormat.
Seterusnya, saya mempersilakan Yang Berhormat Bukit Tunggal.
Terima kasih, Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua. Soalan saya nombor satu-
Soalan No.1 gabung dengan Langkap dan Seberang Takir. Saya bagi soalan tambahan untuk Langkap dan Seberang Takir jika ada.
Berkenaan pertikaian antara Kerajaan Negeri dan pihak FELDA mengenai tanah yang diusahakan oleh FELDA secara tidak sah, apakah terma-terma utama yang telah dimuktamadkan dan dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak?
Dato' Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Bukit Tunggal. Isu tanah Kerajaan Negeri yang dibangunkan sebagai ladang komersial oleh FELDA tanpa hak milik yang sah. Saya simpulkan setelah empat dekad berlalu, akhirnya perjanjian berjaya dimuktamadkan.
Isu ini telah berlarutan sejak sekian lama. Dalam tempoh sekitar 40 tahun, Kerajaan Negeri telah kehilangan hasil dalam bentuk premium tanah, cukai tanah dan juga perkongsian keuntungan. Pelbagai pendekatan harmoni telah kita usahakan. Berulang kali kita bincang, rundingan demi rundingan, siri-siri mesyuarat. Banyak kali kita hantar surat tapi hasilnya tetap buntu. Lantaran kerana tiada penyelesaian yang dicapai, tindakan penguatkuasaan Notis 425 Kanun Tanah Negara yang dikuatkuasakan pada 30 November 2025 adalah pilihan terakhir yang terpaksa diambil walaupun ianya pahit, demi untuk menuntut hak Negeri Terengganu. Penguatkuasaan Notis 425 KTN ini telah berjaya membuka kembali
meja rundingan di antara Kerajaan Negeri dan FELDA dengan pihak MOF sebagai mediator.
Sebenarnya perjuangan panjang Kerajaan Negeri melalui pelbagai usaha yang kita buat, bukanlah untuk nak rampas tanah dan halau FELDA keluar. Matlamat Kerajaan Negeri ialah supaya status FELDA yang membangunkan tanah Kerajaan Negeri tanpa kebenaran yang sah. Saya gunakan istilah tanpa kebenaran yang sah. Mantan MB Terengganu menggunakan istilah FELDA membangunkan tanah Kerajaan Negeri secara haram. Kiranya kita lebih lembut dari segi penggunaan istilah. Dapat ditukar kepada pemberimilikan yang sah melalui pemberian geran mengikut peraturan yang sedia ada dan proses pemberimilikan ini tentunya tertakluk kepada bayaran premium dan cukai tanah sebagaimana yang termaktub dalam Kanun Tanah Negara dan Kaedah-Kaedah Tanah Terengganu 1966 serta perkongsian keuntungan yang perlu dipersetujui bersama. Di sinilah terma-terma yang gagal disepakati sebelum daripada ini. Usaha kita dalam proses rundingan ini sebenarnya tidak mudah kerana kami di Jawatankuasa Task Force bukan hanya berhadapan dengan FELDA tapi perlu berhadapan dengan Kerajaan Pusat, ibarat timun berunding dengan durian. Inilah situasi yang kita lalui, yang bersikap lebih superior, dan akhirnya pada 18 Mac 2026, di penghujung bulan Ramadan 1447 Hijrah, bertempat di MOF Putrajaya, telah ditandatangani perjanjian terma-terma utama bagi penyelesaian tanah ladang komersial di antara Kerajaan Negeri dan FELDA. Perjanjian yang ditandatangani ini telah memperakui dan mengesahkan hak Negeri Terengganu untuk mendapat yang pertama, premium tanah, yang kedua, cukai tanah, ketiga, bayaran perkongsian keuntungan. Cuma sebagai menghormati terma kerahsiaan dalam perjanjian, saya tak maklumkan kepada Dewan jumlah angka yang FELDA perlu bayar kepada Terengganu. Pokoknya, dalam isu tuntutan ini, Kerajaan Negeri telah mencapai kemenangan.
Langkah seterusnya yang telah dipersetujui ialah FELDA perlu mengemukakan permohonan pemberi milikan tanah kepada pihak berkuasa negeri dalam satu tempoh yang dipersetujui bersama dan tindakan itu sedang diambil. Pagi tadi saya semak dengan beberapa orang Pentadbir Tanah Daerah, memang mereka mengesahkan FELDA telah hantar Jadual 1 berserta dengan pre-comp dan sebagai balasan, Kerajaan Negeri komited untuk memberikan kerjasama yang terbaik kepada FELDA bagi melancarkan proses pemberi milikan semua hak milik tanah yang terdapat di daerah Besut, Setiu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman dan keluasan akhir selepas pengukuran ialah 16,761 hektar ataupun
41,902 ekar yang terbahagi kepada 478 lot. Jadi satu cabaran untuk pihak pejabat tanah kita menguruskan pengeluaran geran 400 lot lebih dan dalam Dewan Yang Mulia ini, saya mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua anggota Jawatankuasa Task Force Penyelesaian Isu Tanah FELDA yang telah bekerja keras sehingga berjaya merungkai jalan penyelesaian kepada isu yang telah menjadi dilema sejak sekian lama tapi kita belum lagi tiba kepada titik akhir. Masih banyak tugas yang perlu dilakukan dengan semangat berpasukan dan kerjasama yang tinggi terutama dalam menguruskan proses pemberimilikan dalam tempoh yang ditetapkan dan kita targetkan supaya hasil negeri ini kita boleh dapat sesuai dengan jadual yang telah kita jadualkan. Dengan izin Dato' Yang di-Pertua, the harder the battle, the sweeter the victory. Terima kasih.
Terima kasih. Ada soalan tambahan? Tak dok? Ya, sila.
Terima kasih Dato' Yang di-Pertua. Kalau kita dengar tadi jawapan daripada EXCO, keluasan akhir adalah 16,000 hektar. 16,000 hektar ini sebenarnya hampir-hampir sama luas dengan bandar Kuala Terengganu, Daerah Kuala Terengganu. Daerah Kuala Terengganu, 21,000 hektar, dan juga selama 40 tahun kita dinafikan hak. Jadi, bagaimana yang dinyatakan tadi, kehilangan hasil yang pertamanya premium tanah seluas 16,000 lebih ribu hektar. Yang keduanya, hasil tunggakan cukai selama 40 tahun, dan juga, apa nama ini, perkongsian keuntungan. Jadi, bolehkah kita dapat satu angka pendapatan yang akan Kerajaan Negeri akan dapat daripada ketiga-tiga kehilangan hasil selama 40 tahun tadi? Terima kasih.
Dato' Yang di-Pertua, sebagaimana yang saya maklum tadi, ada terma yang masih kita hormati.
Takpe kalau perlu notis.
Bukan notis, tapi terma perjanjian yang perlu kita hormati, walaupun dalam Dewan ini ada imuniti untuk kita tidak dedahkan jumlah angka, cuma kalau saya boleh kategorikan, ada yang akan kita dapat dalam bentuk one-off seperti bayaran premium dan ada
pendapatan dalam jumlah setiap tahun yang perlu dibayar secara tetap iaitu cukai tanah dan juga perkongsian keuntungan sebagai balasan Kerajaan Negeri memberi milikan tanah dan FELDA tidak memasukkan peneroka ke dalam tanah-tanah tersebut. Angkanya mencecah ratus-ratus juta. Itu saja yang boleh dimaklumkan. Terima kasih.
Terima kasih. Seterusnya, saya sila Yang Berhormat.
Tambahan se lagi, boleh?
Sila, Seberang Takir.
Adakah bayaran-bayaran ini termasuk ataupun mengambil kira apa yang telah berlalu, hok kata 40 tahun lebih itu? Ke hok itu kira lepas, kira daripada baru lagi?
Semua diambil kira dalam perundingan.
Okay sila, Yang Berhormat Kuala Besut. Yang Berhormat Kuala Besut.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, soalan saya soalan 1-
Adakah Kerajaan Negeri menyediakan modul khusus untuk penjawat awam memahami dasar Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera?
Sila Yang Berhormat Paka.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua. Kerajaan Negeri sentiasa komited bagi memastikan setiap penjawat awam di Terengganu mempunyai kefahaman yang jelas terhadap hasrat bagi mencapai Terengganu Maju Berkat, Sejahtera (TMBS). Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, penerapan dasar ini telah pun dimulakan secara berfasa melalui instrumen yang sedia ada. Sebagai asas, elemen TMBS telah diserapkan melalui program-program pembangunan modal insan seperti Modul Itqan Insani dan kursus-kursus di bawah Dasar Integriti Darul Iman (DIDI). Program-program ini dirangka untuk menyuntik nilai berkat dan integriti dalam kalangan penjawat awam di pelbagai peringkat.
Modul Itqan Insani memfokuskan kepada pembangunan sepuluh segmen masyarakat di mana penjawat awam merupakan antara kumpulan sasar utama. Melalui modul ini, elemen Maju, Berkat dan Sejahtera diterapkan secara tidak langsung melalui penerapan etika kerja Islam dan tatakelola yang baik. Selain Modul Itqan Insani, taklimat-taklimat strategik mengenai pelan tindakan di bawah Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030) diadakan di peringkat jabatan. Ini bagi memastikan setiap gerak kerja penjawat awam selari dengan KPI yang ditetapkan dalam kerangka TMBS.
Kerajaan Negeri sentiasa memantau pelaksanaan program ini dan mengakui terdapat ruang penambahbaikan yang perlu diperkemaskan bagi memastikan impaknya benar-benar sampai ke seluruh lapisan perkhidmatan awam. Justeru, berdasarkan penilaian dan laporan maklum balas daripada pelaksana modul-modul sebelum ini, Kerajaan Negeri kini sedang dalam usaha proaktif untuk membangunkan satu dasar pembangunan sumber manusia negeri yang lebih komprehensif. Dasar ini tidak hanya tertumpu kepada kursus latihan bermodul sahaja, malahan akan melibatkan penyelarasan sistem, pekeliling, prosedur dan ekosistem kerja yang lebih sejahtera supaya selari dengan roh Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera.
Kerajaan Negeri tidak melihat pemahaman TMBS ini sebagai satu proses one-off, sekali jalan tetapi sebagai satu usaha yang berterusan. Suntikan baharu dasar yang sedang dirangka ini adalah bukti bahawa Kerajaan Negeri sangat serius untuk memperkasakan jentera pentadbiran agar bukan sahaja cekap secara teknikal
malah unggul dari segi jati diri dan sahsiah demi kesejahteraan rakyat Terengganu. Terima kasih.
Ada soalan tambahan? Takdok? Sila, Yang Berhormat Bukit Besi.
Terima kasih, Dato' Yang di-Pertua. Soalan Bukit Besi, soalan nombor satu-
Apakah pelan jangka Panjang Kerajaan Negeri dalam memperkasakan Pendidikan rakyat (Non-Formal) seperti pondok, kelas agama, kemahiran hidup dan literasi digital di peringkat kampung dan sejauh mana Kerajaan Negeri menyelaras kurikulum antara Sekolah Agama Negeri, Sekolah Kebangsaan dan Institusi Tahfiz bagi melahirkan pelajar yang seimbang dunia dan akhirat?
Soalan nombor satu, Paka. Ini banyak Paka.
Yang Berhormat ADUN Bukit Besi bertanyakan tentang pengajian non-formal. Antaranya melibatkan pondok, kelas agama, kemahiran dan juga literasi digital di peringkat kampung dan sejauh mana Kerajaan Negeri menyelaras kurikulum antara sekolah agama negeri, sekolah kebangsaan dan institusi tahfiz.
Kerajaan Negeri telah merancang beberapa pelan jangka panjang dan memperkasakan pendidikan non-formal. Antara tindakan kerajaan termasuklah mentransformasikan tiga buah madrasah moden iaitu Kuala Nerus, Setiu dan Besut kepada Sekolah Menengah Islam Darul Iman. Mengguna pakai KBD, Kurikulum Baru Dini, serta menubuhkan Pusat Tafaqquh Fiddin, Tok Syeikh Duyong, dan juga bermula tahun ini telah mewujudkan cawangan iaitu untuk Hulu Terengganu di DUN Kuala Berang. Tapi buat permulaan, mengguna pakai bangunan di Pusat Tafaqquh di Pulau Wan Man dulu sementara.
Selain itu, Kerajaan Negeri juga menyediakan bantuan pengurusan bentuk kewangan kepada institusi-institusi pendidikan dan swasta ini dan juga dengan kerjasama daripada pihak JAKIM, KPM, MAIDAM dalam menyelaras dan memperkasakan institusi-institusi ini. Kurikulum bersepadu kita perkenalkan bermula daripada peringkat Dini di semua SRIDI-SRIDI kita, iaitu melibatkan mata pelajaran Kurikulum Diniah, yang bukan hanya mengguna pakai kurikulum konvensional Kementerian KPM, tapi juga menggunakan Kurikulum Diniah dan juga UPKK untuk kita arus perdanakan dan juga memperkasakan institusi-institusi pondok yang sedia ada, antaranya untuk meneruskan kelangsungan guru-guru kerana itu kita menghantar pelajar-pelajar daripada pusat tafaqquh kita ini antaranya ke Mesir.
Tahun ini merupakan tahun akhir dan mereka akan pulang dan akan mula berkhidmat ke institusi-institusi pondok kita selama enam bulan dahulu untuk mencungkil dan mencari pengalaman dan sebagainya. Untuk tahun ini, pelajar kita akan dihantar ke Syria, juga melibatkan Kitab Turath, Pengajian Turath sebagai menggantikan madrasah moden yang kita telah membuat penambahbaikan menggunakan Kurikulum Dini, kurikulum baru, Dini yang juga mengambil peperiksaan SPM dan juga pengajian sains tulen. Ini hasrat kita supaya pendidikan formal ataupun pendidikan non-formal ini bergerak seiring.
Di samping dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama, kolej-kolej termasuk KQT dan sebagainya mewujudkan pusat-pusat pengajian kelas-kelas yang berdasarkan kurikulum ataupun sijil sama ada untuk memahirkan mereka dengan Al-Quran dan juga ilmu-ilmu Islam, dan kerjasama kita dengan semua pihak dalam menjayakan, orang panggil pendidikan di semua peringkat termasuk Yayasan Islam Terengganu yang kita telah sekarang ini beroperasi untuk sekolah bagi mereka yang OKU, buta penglihatan dan juga pekak sekarang. Sekarang kita dalam proses menyediakan modul untuk pelajar-pelajar autism. Semoga ianya dapat membebaskan mereka daripada tanggungjawab-tanggungjawab khususnya melibatkan fardu ain dan sebagainya. Terima kasih.
Ada soalan tambahan?
Terima kasih atas jawapan yang diberikan. Soalan tambahan daripada Bukit Besi, adakah Kerajaan Negeri berhasrat untuk memperkenalkan model pembiayaan wakaf
pendidikan kepada institusi non-formal tadi dan bagi memastikan kelestarian pendidikan pondok itu sendiri.
Melibatkan wakaf ini, kita sedia maklumlah peranan telah dimainkan dengan baik oleh pihak MAIDAM kecuali melibatkan wakaf khas kepada institusi-institusi masing-masing yang mereka sendiri membangun institusi-institusi pendidikan awam ataupun sekolah agama rakyat ini untuk penambahbaikan daripada tahun ke setahun. Pihak kerajaan memastikan supaya mereka berdaftar dan bernaung di bawah J dan juga cuba menyelia bantuan-bantuan sokongan daripada pihak MAIDAM dan juga pihak JAKIM sendiri. Alhamdulillah, dapat memberi kerjasama yang baik untuk memastikan infrastruktur dan juga modul dapat ditambah baik melibatkan sekolah-sekolah agama rakyat ini.
Untuk jangka masa panjang, kerana itulah kita mewujudkan tafaqquh fiddin. Bukan untuk bersaing tapi untuk support dan melahirkan khususnya permasalahan yang dihadapi iaitu guru-guru ataupun bakal meneruskan mereka yang mahir dan pakar dalam kitab-kitab Turath ini supaya tidak mati di masa-masa yang akan datang, dan dalam masa yang sama untuk mengembalikan Terengganu sebagai pusat pendidikan serantau. Kerana itu, saya ucap terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan juga pihak Kerajaan Negeri yang telah menawarkan biasiswa kepada pelajar-pelajar Nusantara yang belajar di pusat tafaqquh. Semoga satu hari mereka akan pulang ke negara mereka dan membuka pusat-pusat pengajian untuk dikembangkan pengajian ini bukan hanya di Terengganu tapi negeri-negeri dalam Malaysia kita termasuk juga negeri Asia Tenggara, Nusantara. Terima kasih.
Terima kasih, Yang Berhormat Paka. Sila, Yang Berhormat Sura.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Dato' Speaker. Sura, soalan nombor satu-
Dengan harga rumah yang semakin meningkat, apakah langkah Kerajaan Negeri untuk memastikan anak muda Terengganu mampu memiliki rumah pertama mereka tanpa terbeban dengan
hutang jangka panjang?
Soalan nombor satu, Wakaf Mempelam.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, Yang Berhormat Dato' Seri Menteri Besar, Ahli-Ahli MMKN dan seluruh Ahli-ahli Yang Berhormat, Pegawai Kerajaan, pemerhati yang saya hormati lagi saya kasihi sekalian. Terima kasih kepada sahabat saya daripada Sura yang bertanyakan soalan seperti yang tertera.
Untuk makluman Yang Berhormat Sura, antara langkah yang telah pun diambil oleh pihak Kerajaan bagi memastikan anak-anak muda Terengganu juga mampu untuk memiliki rumah pertama mereka tanpa terbeban dengan hutang jangka panjang. Antaranya adalah, yang pertamanya, menyediakan Projek Rumah Mampu Milik (RMM), dengan harga yang lebih rendah berbandingan dengan harga pasaran Kerajaan Negeri menyediakan projek Rumah Mampu Milik (RMM) kepada rakyat negeri Terengganu dengan harga yang lebih rendah berbanding dengan harga pasaran semasa. Harga (RMM) yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri adalah serendah RM90,000 bagi RMM jenis A, dan RM185,000 bagi RMM jenis B. Sebanyak 10% kuota rumah mampu milik diperuntukkan kepada golongan belia yang telah pun berkahwin bagi membantu mereka memiliki kediaman pertama dan membina kehidupan berkeluarga yang lebih selesa dengan bayaran bulanan yang lebih rendah tanpa terbeban dengan hutang dalam jangka masa panjang.
Yang keduanya, Kerajaan juga menyediakan skim pembiayaan tanpa faedah di mana Kerajaan Negeri turut memperkenalkan skim pembiayaan tanpa faedah bagi semua RMM awam untuk meringankan beban kewangan rakyat. Inisiatif ini dapat mengurangkan komitmen bayaran balik bulanan serta mengelakkan rakyat juga daripada menanggung hutang. Yang ketiganya, penyediaan Perumahan Rumah Mampu milik secara berterusan. Bagi meningkatkan penyediaan RMM secara berterusan kepada rakyat, Kerajaan Negeri telah menjalin kerjasama strategik secara berterusan dengan Kerajaan Persekutuan khususnya melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Kemajuan Desa dan
Wilayah (KKDW), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan juga agensi-agensi pelaksana yang lain. Kerjasama bersepadu ini membolehkan pelaksanaan pelbagai program seperti Program Residensi Rakyat (PRR), Rumah Mesra Rakyat (RMR) dan Projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) sekali gus menambah bekalan rumah pada harga berpatutan serta mengurangkan beban kepada anak-anak muda. Terima kasih.
Terima kasih Wakaf Mempelam, ada soalan tambahan?
Satu soalan tambahan kepada Yang Berhormat EXCO, selepas daripada krisis yang berlaku di Selat Hormuz ini, kita melihat bahawa berlakunya kenaikan harga barang secara mendadak, terutamanya harga kos untuk membuat bangunan, dan termasuklah semua sekali itu, kos pasirnya, batunya. Jadi adakah Kerajaan berhasrat untuk mengkaji balik, kalau ikutkan rumah PPTS kita ini, kita peruntukkan RM75,000 untuk sebuah rumah. Adakah dalam keadaan kenaikan kos sekarang ini, Kerajaan berhasrat untuk mengkaji balik, sama ada mengurangkan spec atau menaikkan harga untuk sebuah rumah?
Terima kasih, sahabat saya Sura. Untuk makluman dalam mesyuarat MMKN terdahulu, mesyuarat telah pun memaklumkan bahawa insya-Allah satu kajian sedang dilakukan berkenaan dengan peruntukan rumah (PPTS) yang diletakkan harga RM75,000 untuk sebuah, di mana kajian masih lagi sedang berjalan untuk memuktamadkan berapa jumlah yang paling munasabah yang memberikan kelegaan juga kepada pihak kontraktor yang melakukan ataupun yang membuat rumah tersebut. Adapun berkaitan dengan Perumahan Mampu Milik (RMM), ia adalah perumahan yang berbeza ataupun peruntukan yang berbeza dan untuk setakat ini kajian juga masih sedang dilakukan, cuma sehingga sekarang kita masih mengekalkan harga RM90,000 untuk type A dan RM185,000 untuk type B, masih dikekalkan harga yang seperti itu sehingga kajian yang kita lakukan itu dapat satu keputusan ataupun satu dapatan yang munasabah, dan untuk makluman juga, RM90,000 untuk type A dan RM185,000 untuk type B ini adalah harga yang baru kita muktamadkan selepas kita menerima pakai dasar baru
penswastaan. Jadi, kerana itu, setakat ini kita merasakan masih kita berusaha untuk mengekalkan harga yang sama lagi. Insya-Allah. Terima kasih.
Terima kasih, saya akan menangguhkan persidangan ini. Untuk makluman semua persidangan kali ini turut disediakan khidmat Jurubahasa Isyarat sebagai usaha untuk memperkukuhkan keterangkuman khususnya bagi warga pekak serta OKU dan diharap kemudahan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat khususnya komuniti pekak dan OKU dalam mengikuti perbahasan serta perkembangan semasa sidang dengan lebih inklusif dan menyeluruh. Dengan ini saya tangguhkan sementara Dewan ini dan disambung semula pada pukul 10.00 pagi. Terima kasih.
MESYUARAT DITANGGUHKAN PADA PUKUL 10.30 PAGI
PUKUL 11.05 PAGI
Perbahasan
Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Mesyuarat disambung semula. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, semalam kita telah selesai mendengar perbahasan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat ke atas Titah Ucapan DiRaja, maka pada hari ini saya menjemput pihak Kerajaan untuk membuat penggulungan ke atas perbahasan-perbahasan Titah Ucapan DiRaja tersebut. Jadi, kita teruskan persidangan ini dengan saya mempersilakan Wakil Kota Putera bagi memulakan sesi penggulungan pada hari ini. Dipersilakan, Yang Berhormat.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan, seterusnya hadirin hadirat yang dirahmati Allah sekalian.
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Ahli-ahli Yang Berhormat yang mengambil bahagian di dalam perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, Pemangku Raja Terengganu dan menyentuh perkara-perkara di bawah bidang tanggungjawab saya. Patik Menjunjung Kasih kepada Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Terengganu semasa menyampaikan Titah Ucapan DiRaja di Dewan yang mulia ini yang telah menyentuh dan menyeru agar yang pertama, Kerajaan Negeri merangka strategi bagi pembangunan industri hiliran terutamanya sumber asli negeri. Yang keduanya, Kerajaan Negeri membangunkan ekosistem mesra pelabur dan mengurangkan birokrasi. Kedua-dua tajuk itu berada di bawah portfolio yang diamanahkan kepada saya. Patik juga Menjunjung Kasih atas keprihatinan Tuanku agar negeri ini menjadi destinasi pelaburan antarabangsa dan domestik, memastikan kehidupan rakyat dipertingkatkan dan kekayaan negeri dikongsi secara adil dan saksama. Tema ini adalah asas kepada penggulungan saya pada hari ini. Sejumlah empat orang Yang Berhormat yang menyentuh perkara-perkara di bawah bidang tanggungjawab saya merentasi beberapa isu utama khususnya pelaburan utama negeri dan mengoptimumkan hasil sumber asli negeri. Setiap pandangan dan cadangan yang telah dikemukakan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat telah didengari dan diambil perhatian sepenuhnya.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, saya memulakan sesi penggulungan ini dengan mengambil peluang untuk memperbetulkan pemahaman berkenaan frasa TNEXT, iaitu Terengganu New Economy Transformation dengan izin. TNEXT ini merupakan frasa yang telah dipilih oleh sekretariat sebagai tema majlis pelancaran dasar dan pelan di bawah portfolio saya pada 12 Ogos 2025 yang lepas di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu. Saya dapati frasa TNEXT ini semakin popular digunakan. Ia bukanlah satu pelan atau dasar negeri, namun ia adalah frasa yang kita angkat yang paling sesuai untuk menterjemahkan dan mengangkat usaha memperkukuhkan ekosistem pelaburan transformasi digital negeri melalui pengenalan. Yang pertamanya, Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian Negeri Terengganu 2023-2030. Yang keduanya, Rangka Tindakan Ekonomi Digital
Terengganu 2025-2030 dan yang ketiganya, Pelan Induk Teknologi Hijau Negeri (PiTIH) 2024-2030.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Kerajaan mengambil maklum akan cadangan dan pandangan yang dikemukakan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat khususnya yang menyebut daripada Kemasik mengenai pengintegrasian pelan yang telah disebutkan bagi aktiviti pemerkasaan ekonomi dan pelaburan negeri, agar Kerajaan lebih aktif mencari dan menarik pelabur ke negeri ini dan Yang Berhormat Bukit Besi, mengenai pembangunan industri hiliran. Berbalik kepada saranan pengintegrasian Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) dan dasar ataupun pelan di bawah Terengganu New Economy Transformation (TNEXT) seperti yang dicadangkan oleh Yang Berhormat Kemasik, ia adalah saranan yang baik bagi memperkasa dan menjamin kepentingan bumiputera di peringkat persekutuan dan negeri. Oleh itu, Kerajaan mengambil maklum akan saranan berkenaan dan akan mengambil tindakan yang berkaitan. Kerajaan juga mengambil maklum berhubung saranan penubuhan unit khas di bawah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri bagi menyelaras pelan PuTERA35 dan TNEXT. Invest Terengganu akan membuat semakan dan kajian terlebih dahulu bagi memenuhi aspirasi negeri dan persekutuan.
Selain daripada itu, peranan sebagai fasilitator pelaburan negeri akan terus dipertingkat dengan penerokaan beberapa inisiatif dalam mencipta peluang-peluang pelaburan akan datang. Selaras dengan strategi dalam Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 dan TNEXT melalui Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian Negeri Terengganu 2023-2030 yang menekankan penglibatan perusahaan bumiputera bagi tujuan eksplorasi, pengeluaran dan penggunaan sumber asli bernilai tinggi. Dengan maksud kata lain memperkasakan rantaian ekonomi industri hiliran, Kerajaan Negeri secara dasarnya amat menyokong dan bersetuju dengan menggalakkan penglibatan anak-anak syarikat Kerajaan Negeri ataupun syarikat swasta dari dalam dan luar negara untuk terlibat dalam aktiviti tersebut.
Oleh itu, sebagai galakan Kerajaan menyediakan sistem sokongan dan galakan khas kepada mereka melalui insentif-insentif Kerajaan Negeri seperti berikut; 1.
Menawarkan diskaun harga ataupun peluang pajakan tanah industri dengan harga yang berpatutan.
2.
Menawarkan tempoh bayaran yang tidak membebankan dengan keistimewaan bayaran secara berperingkat mengikut jadual pembayaran harga pajakan.
3.
Mempunyai sistem sokongan sumber manusia yang lengkap melalui agensi Kerajaan Negeri, THRDC.
4.
Menyelaras dan memberi khidmat nasihat bagi menikmati insentif persekutuan melalui MIDA.
5.
Menyediakan kemudahan infrastruktur asas di kawasan perindustrian. 6.
Membantu pelabur dalam urusan melibatkan pihak berkuasa tempatan menerusi platform special task force ataupun Fast Lane 7.
Pemotongan harga pajakan yang kompetitif bagi pembangunan perindustrian yang bersifat usahasama dengan Kerajaan Negeri.
Untuk makluman, dalam usaha memperkukuhkan rantaian ekonomi industri hiliran, saya yakin bahawa Terengganu Industrial Mineral ataupun singkatannya TIM yang kini menerajui industri mineral khususnya silika di Negeri Terengganu akan mampu berjaya mewujudkan ekosistem hiliran yang mampan. Saya bersama-sama dengan Yang Berhormat Dato' Setiausaha Kerajaan, Pengarah UPEN, Terengganu Inc., MBI dan wakil-wakil agensi telah mengadakan lawatan rasmi ke kilang Terengganu Silika, Setiu pada 29 Mac 2026 yang lalu. Melalui lawatan tersebut, Kerajaan telah didedahkan dengan perkembangan industri silika di Negeri Terengganu yang telah melalui beberapa fasa dalam peningkatan nilai tambah industri silika termasuk perkembangan operasi merangkumi huluan sehingga hiliran iaitu, yang pertama Terengganu Silika Konsortium ataupun TSC bagi huluan dan pertengahan dengan memproses high purity silica. Yang kedua, Terengganu Silika Marang ataupun TSM bagi industri pertengahan dengan memproses ultra high purity industrial silica, grift and flour serta cristobalite dan yang ketiganya, Terengganu Kristal sebagai identiti CSR.
Bermula dengan operasi asas iaitu pasir silika hanya diangkut dan dijual dalam bentuk mentah dan dengan nilai yang rendah, kemudian diproses bagi meningkatkan tahap ketulenan silika bagi tujuan menambah nilai silika tersebut bagi pasaran industri kaca dan elektronik. Seterusnya, penubuhan makmal R&D di TIM, Terengganu Industrial Mineral, pula menjadi asas kepada inovasi, kawalan kualiti dan pembangunan produk bernilai tinggi. Sebelum kilang pemprosesan dibangunkan untuk menghasilkan silika gred lebih tinggi yang mampu menarik pelabur downstream ataupun hiliran seperti pengeluaran kaca, solar dan
semikonduktor. Seterusnya, expansion project di Marang ataupun di bawah TSM, Terengganu Silika Marang membolehkan pemprosesan silika sehingga ke tahap tepung ataupun flour yang lebih tinggi nilainya menjadikan Terengganu sebagai hab pemprosesan silika serantau yang lengkap dengan Hab Marang Terminal, sebuah terminal khas untuk projek ini yang dijangka siap pada suku ketiga tahun 2028.
Dalam beberapa tahun akan datang, sasaran syarikat ini untuk menghasilkan cristobalite akan membuka peluang besar kepada industry engineered stone, dentistry, road marking, paint dan coating, dan industrial chemical, aditif dan sealant. Kini kita yakin dengan kemampuan dan perancangan oleh TIM sebagai pemain industri silika negeri ini, dalam sedikit masa lagi Terengganu berpotensi membawa masuk industri downstream seperti semikonduktor dan fiber optik, sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri sebagai pusat utama dalam rantaian nilai silika global. Selain daripada itu, pelan pembangunan industri hiliran yang melibatkan unsur nadir bumi REE oleh PTG Terengganu juga akan dilaksanakan kelak dan sedang dalam pembangunan untuk mendapat kelulusan di peringkat MMKN. Mesyuarat Jawatankuasa Hasil NR-REE yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar memainkan peranan untuk memastikan pengurusan sumber NR-REE ini yang dilaporkan oleh TMG seluas 1.437.5 juta ekar yang berjumlah depositnya sebanyak 7,187.5 metrik tan diuruskan dengan penuh teliti dan manfaatnya diterima oleh negeri sebagai hasil baru kelak, insya-Allah.
Bagi menyokong industri REE ini juga, kerajaan akan menubuhkan pusat kecemerlangan Center of Excellence (COE) bagi menyokong pembangunan industri NR-REE secara menyeluruh dan bersepadu di University College Tati (UC Tati). COE yang dicadangkan ini merangkumi tiga komponen utama. Iaitu, yang pertama, pembangunan makmal analisis, lab analisis, yang berfungsi sebagai makmal mineral milik Kerajaan Negeri bagi menjalankan analisis kuantiti dan kualiti sumber mineral khususnya NR-REE.
Yang kedua, menjalankan penyelidikan dan pembangunan R&D sebagai platform pembangunan teknologi, proses pengekstrakan, penambahbaikan rantaian nilai serta inovasi berkaitan industri NR-REE. Dan fungsi yang ketiga, mengadakan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional TVET bagi melahirkan tenaga kerja mahir tempatan serta membangunkan kepakaran teknikal dalam industri NR-REE.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua. Seterusnya berkait dengan soalan dikemukakan oleh Yang Berhormat...
Yang Berhormat. Saya ingin mencelah dan bertanya satu soalan..
Silakan
berkaitan dengan isu REE. Kita maklum bahawa dalam konflik sekarang, REE menjadi rebutan negara kuasa besar dunia kerana REE ini adalah komponen penting untuk menghasilkan peluru pandu dan pelbagai lagilah teknologi dalam bidang teknologi ketenteraan. Dan sekarang China telah dominate ataupun mendominasi semua REE yang di dunia. Cuma isu yang hangat baru-baru ini apabila Lynas telah buat kerjasama dengan Pentagon untuk supply REE kepada bekalan senjata Amerika Syarikat. Cuma bagaimana kita di peringkat Kerajaan Negeri Terengganu, adakah kita ada hubungan jual REE pada Lynas dan Lynas selalunya jual kepada Amerika Syarikat ataupun kita berkecuali dalam isu ini.
Terima kasih Sura. Okey, berkenaan dengan Lynas, setakat ini Kerajaan Negeri tidak ada apa-apa hubungan walaupun peringkat awal dahulu kita ada mengadakan lawatan-lawatan untuk melihat kebolehpasaran yang ada. Cuma beberapa syarat yang kita kenakan yang setakat ini tidak dapat dipenuhi oleh Lynas. Jadi kita tidak ada kerjasama dengan Lynas dalam isu REE dan Kerajaan Negeri sangat cermat dalam perkara ini supaya kita boleh apa ni mengusahakan REE ini supaya dapat manfaat kepada Islam seluruhnya, insya-Allah.
Seterusnya saya sambung berkenaan dengan..
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua.
Timbalan Yang di-Pertua, boleh saya celah satu soalan?
Kerajaan nak bagi peluang dop ni? Sebab saya pun tengok masa dah 20 minit. Saya nak bagi dalam 30 minit lebih seorang untuk setiap Wakil Kerajaan buat penggulungan. Kalau YB kerajaan bagi, saya bagi je.
YANG BERHORMAT HAJI MOHD NURKHUZAINI BIN AB. RAHMAN :(Wakil Kota Putera): Okay, bagi je. Bagi je.
Sila Wakil Permaisuri, Wakil Kerajaan bagi. Saya harap tak panjanglah.
Terima kasih.
Kuala Berang ke Permaisuri?
Saya nampak Permaisuri. Sila Permaisuri.
Terima kasih, Timbalan Yang di-Pertua, Yang Berhormat. Tadi kita dah lalu berkenaan silika, kemudian sampai kepada REE. Soalan saya kepada Yang Berhormat Kota Putera, sejauh mana kita ada membuat R&D dari segi sudut pemasaran, takut berlaku kenaikan dan juga kejatuhan harga silika kita yang telah diproses, begitu juga dengan REE dan berkait dengan REE ini sejauh mana pengeluaran ini tertakluk kepada Kerajaan Pusat. Terima kasih.
Terima kasih Permaisuri. Berkenaan dengan kajian pasaran, secara telitinya kita tidak ada satu kajian teliti. Cuma berdasar kepada pengalaman-pengalaman khususnya dalam silika, kita dapat maklum balas daripada industry player, pemain-pemain industri yang boleh mencadangkan kepada kita dari masa ke semasa, dan itulah seperti mana keadaan harga silika dunia sekarang ini tengah menurun dan industri silika agak perlahan. Dan untuk mengatasi perkara ini, itulah kita boleh mengalu-alukan ataupun mengajak berlakunya industri hiliran daripada kita mengeksport keluar dan daripada hiliran itu kita dapat melahirkan produk-produk yang lebih bermutu tinggi dan boleh menjaga harga pasaran. Begitu juga
REE. REE ini seperti mana yang telah diberikan garis kasar dasar oleh Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar bahawa kita tidak akan mengeluarkan REE yang berbentuk raw material. Kita nak wujudkan sekurang-kurangnya di peringkat pertengahan. Midstream ataupun yang sebaiknya kita tengah usahakan, MBI tengah usahakan untuk mewujudkan downstream di sini. Jadi perkara itu akan dapat mengawal harga apa ni pasaran dengan kita boleh mengeluarkan terus produk-produk yang bermutu tinggi insya-Allah.
Kuala Berang nak mencelah.
Saya minta. Ya Wakil Kerajaan teruskan dulu. Sila, Wakil Kerajaan.
Soalan yang berkaitan dengan ucapan saya tadi ke? Sila dulu Kuala Berang.
Ya, terima kasih Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua dan terima kasih Kota Putera. Berkaitan dengan REE ini, kita tahu bahawa kawasan agak terhadlah, terutama berada di kawasan hutan simpan. Jadi saya nak tahulah approach Kerajaan untuk mengambil hasil di dalam kawasan-kawasan hutan simpan ini. Terima kasih.
Terima kasihlah Wakil Kerajaan. Saya harap lepas ini dah tak panjang, dah setengah jam.
Okey, ini soalan Timbalan Yang di-Pertua. Kalau dalam konteks inilah kita limitkan. Ramai Ahli-ahli Dewan kita tak tahu perkembangan semasa. Jadi ruangan masa itu saya hargai. Cuma bila timbul persoalan perlukan penjelasan. Harap beri penjelasan.
Silalah, Silalah
Berkenaan dengan REE di dalam hutan simpan. Memang kita maklumi.
Cuma kaedah-kaedah tengah sedang dan kita perhalusi dan kita telah berkunjung ke Kementerian pada penghujung tahun lepas untuk melihat apakah ruang bidang negeri dan persekutuan yang ada. Dan yang cantiknya adalah kementerian menyerahkan SOP untuk pengeluaran itu adalah datang daripada negeri sendiri. Untuk makluman Sidang Dewan yang mulia, REE ini kalau dengan SOP yang ada menggunakan in situ leaching ini hanya boleh dikeluarkan daripada tanah yang berbukit sahaja. Sedangkan, kita bukan setakat hutan simpan. Kita dalam geografi yang kita ada ni tak banyak tanah-tanah tinggi ataupun bukit yang ada tetapi di tanah rata juga. Jadi setakat ni di Malaysia belum ada lagi satu SOP bagaimana nak keluarkan REE dalam keadaan tanah rata. Jadi alhamdulillah kita sekarang ini dalam peringkat akhir untuk menyediakan SOP bagaimana nak ambil REE di tanah rata dan kita akan angkat kepada Kementerian untuk dapatkan kelulusan. Jadi untuk hutan simpan itu juga kita sedang meneliti kaedah-kaedahnya dan kita bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan bagi memberi pandangan dan nasihat yang boleh kita laksanakan. Okay, terima kasih. Saya terus kepada ucapan saya Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua.
Seterusnya berkait dengan soalan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Manir berkenaan status semasa projek RGT Kemaman iaitu pembangunan projek melalui cadangan usaha sama pelaburan GLC negeri. Projek Terminal Regasifikasi Gas Asli Cecair ataupun LNG yang dibangunkan oleh entiti swasta akan beroperasi di bawah rangka kerja Third Party Access dengan izin TPA yang terletak di kawasan Perindustrian Teluk Kalung, Kemaman. Projek RGT Kemaman kini berada dalam penilaian Suruhanjaya Tenaga (ST) bagi kelulusan melalui Letter to Proceed (LTP). Susulan penyerahan dokumen projek oleh ENH Energy Sdn. Bhd. kepada ST pada Disember 2025 yang lalu. Sasaran kelulusan LTP insya-Allah akan dapat dalam suku kedua Tahun 2026 ini dan sasaran projek akan dibangunkan seperti mana garis masa yang telah dibuat akan bermula pada suku keempat pada tahun ini dan akan siap pada suku keempat tahun 2029. Bekalan utama LNG ke RGT Kemaman adalah daripada Amigo LNG Mexico melalui Port Guaymas, Mexico. Oleh itu, bekalan LNG untuk projek ini tidak terkesan ataupun terdedah secara langsung dengan situasi peperangan di Timur Tengah. Walau bagaimanapun, projek ini akan terkesan dengan faktor-faktor lain seperti kos pembangunan yang akan meningkat kerana sebahagian besar pembangunan menggunakan material import. Saya yakin dan percaya apabila projek ini berada dalam fasa pelaksanaan kelak, ia akan memangkinkan pertumbuhan rantaian perbekalan yang positif dalam kalangan penduduk tempatan yang akan kita utamakan kelak. Bahkan projek ini juga akan
menghidupkan lagi rantaian ekonomi penduduk setempat dan meningkatkan lagi taraf sosial penduduk kita.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, saya mengambil maklum akan cadangan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Bukit Besi berkaitan potensi industri tenaga hijau bumi di Bukit Besi. Berdasarkan rekod, industri tenaga hijau menyumbang sejumlah RM2.9 bilion nilai pelaburan melalui Projek Solar Hybrid di Tasik Kenyir dan Projek Solar Bidong sejumlah RM800 juta. Sekalipun industri ini menyumbang jumlah pelaburan yang besar, namun besar juga pengorbanan yang perlu dibuat khususnya dalam tebus guna tanah industri dan tanah pertanian bagi tujuan projek solar ini sebagaimana yang disyaratkan di dalam Garis Panduan Pembangunan Ladang Solar oleh PLANMalaysia.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, berdasar kepada data asas Negeri Terengganu 2023 bekalan tenaga elektrik ataupun electric supply dengan izin yang dijana adalah berkapasiti sekurang-kurangnya 1,012.91 megawatt yang meliputi tenaga yang dijana di Stesen Sultan Mahmud, Kenyir dan ladang-ladang solar swasta di negeri ini. Sebagaimana Pelan Induk Teknologi Hijau (PiTIH), kita telah menyatakan bahawa Terengganu menyumbang sekitar 20% dalam penjanaan Tenaga Hijau Malaysia yang dijangka meningkat kepada 30% pada tahun 2030 nanti. Ini adalah satu pencapaian yang signifikan dan membuktikan kecemerlangan negeri ini, membantu negara mencapai aspirasi pelepasan GHG ataupun Greenhouse Gas sifar bersih pada tahun 2050. Dengan maksud ataupun dengan kata lain, Terengganu mempunyai surplus pengeluaran tenaga boleh diperbaharui (RE) berbanding penggunaan dalam negeri. Ia menunjukkan bahawa negeri bukan sahaja mampu memenuhi keperluan tenaga sendiri malah berpotensi menjadi pengeksport tenaga hijau ataupun pusat rujukan nasional sekali gus menunjukkan kedudukan semasa negeri yang telah mempunyai keupayaan yang tinggi bagi tenaga boleh diperbaharui (RE). Dengan asas ini, kita mengalu-alukan pelaburan berasaskan teknologi hijau seperti Green Data Center, Green Hydrogen dan industri lain yang berkaitan memerlukan penggunaan tenaga yang bersih, stabil dan kos efektif. Surplus ini bukan sekadar angka tetapi bukti bahawa negeri ini sudah bersedia sebagai destinasi pelaburan hijau yang menyeluruh dari sumber tenaga infrastruktur grid hingga sokongan Dasar Kerajaan. Walau bagaimanapun, Kerajaan akan menilai terlebih dahulu keupayaan dan lokasi yang bersesuaian di Bukit Besi seandainya mempunyai pelabur berpotensi baharu yang akan datang.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, saya mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan Ahli-ahli Yang Berhormat yang mengikuti perkembangan semasa sektor pelaburan dan perindustrian Kerajaan Negeri. Sebelum saya menutup, saya ingin menyentuh sedikit berkenaan apa yang telah disebutkan, dibangkitkan juga oleh Yang Berhormat Kemasik berkenaan airport Kertih. Portfolio kami, portfolio saya sekarang ini sedang meneliti satu proposal berkenaan dengan pembangunan airport Kertih. Di mana kita mendapat maklumat bahawa jika sekiranya keadaan seperti sekarang ini berterusan di Kertih, pihak Petronas akan mendowngradekan airport tersebut menjadi lapangan terbang biasa sahaja. Di mana kalau dari segi kerugian saya berjumpa dengan pakar-pakar, kerugian yang kita akan tanggung dengan equipment yang ada hampir RM1 bilion kalau kita nak bina balik seperti yang ada sekarang.
Jadi kita sangat mengalu-alukan pihak Ahli-ahli Yang Berhormat yang mempunyai peluang-peluang pelaburan, investor untuk mencari peluang ini supaya kita tidak kerugian kepada aset-aset yang kita yang sedia ada sekarang ini. Penutupnya, akhir kata marilah kita bersama-sama memastikan usaha kita ini berjalan dengan lancar, berkesan dan memberi manfaat yang menyeluruh kepada rakyat. Dengan sokongan padu semua Ahli Yang Berhormat, Kementerian, agensi serta rakyat, saya yakin dan percaya Terengganu akan Terus Maju, Berkat dan Sejahtera di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar Terengganu. Sekian saya, Kota Putera mohon menyokong. Terima kasih.
Terima kasih, Kota Putera.
Seterusnya, saya persilakan Wakil Cukai. Sila Yang Berhormat.
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato' Seri Ir. Menteri Besar Terengganu, semua Ahli-ahli Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri, rakan-rakan Ahli-ahli Yang Berhormat, semua ketua-ketua jabatan dan agensi, semua pegawai dan kakitangan kerajaan, rakan-rakan pemerhati dan media, serta pemerhati secara langsung secara online, seterusnya tuan-tuan dan
puan-puan sekalian. Pertama dan selamanya, marilah kita merafakkan kesyukuran ke hadrat Ilahi di atas segala limpah rahmat dan kurniaan-Nya dapatlah kita bersama-sama berada dalam Dewan Yang Mulia pada hari ini. Terlebih dahulu, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua kerana memberikan peluang kepada saya untuk turut sama mengambil bahagian dalam perbahasan Menjunjung Kasih atas Titah Ucapan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Terengganu Sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Terengganu yang Kelima Belas.
Patik merafak sembah Menjunjung Kasih atas Titah Ucapan Tuanku yang amat bermakna, berwawasan serta menyentuh pelbagai perkara penting berkaitan hala tuju pembangunan negeri. Titah Tuanku memberi penegasan bahawa kemajuan negeri hendaklah berteraskan kesejahteraan rakyat, pembangunan seimbang dan penyampaian perkhidmatan terbaik seluruh rakyat negeri Terengganu. Dalam perbahasan ini, saya amat tertarik dengan Titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Terengganu agar memberi tumpuan kepada enam elemen utama di bawah portfolio saya, infrastruktur, utiliti dan pembangunan luar bandar.
Pertamanya, pembangunan wilayah yang seimbang antara daerah serta merapatkan jurang bandar dan luar bandar. Yang kedua, pemerkasaan infrastruktur jalan raya, jambatan dan sistem saliran. Yang ketiga, pemerkasaan projek strategi ECRL serta pembangunan berasaskan TOD. Yang keempat, pengukuhan utiliti asas meliputi bekalan air, elektrik dan lampu jalan. Yang kelima, pembangunan kawasan rancangan tanah berkelompok RTB dan penempatan luar bandar. Keenam, transformasi pembangunan luar bandar melalui pendigitalan dan teknologi moden.
Timbalan Yang di-Pertua, sesungguhnya, keenam-enam elemen ini merupakan asas penting kepada pembangunan negeri yang seimbang dan inklusif. Infrastruktur yang baik, utiliti yang cekap serta pembangunan luar bandar yang tersusun akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Patik sekali lagi merafak sembah Menjunjung Kasih atas Titah Ucapan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Terengganu.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, menjawab soalan Yang Berhormat Bandar. Baik pulih Masjid Abidin ataupun Masjid Putih dan Masjid Kampung Hiliran Terengganu. Kerajaan Negeri sentiasa memberi perhatian serius terhadap usaha
membaik pulih Masjid Abidin ataupun Masjid Putih dan juga Masjid Kampung Hiliran di Kuala Terengganu kerana kedua-duanya merupakan institusi ibadah utama serta warisan yang bersejarah di negeri ini. Bagi Masjid Putih, projek pembaikan sistem elektrik bernilai RM490,720 sedang dilaksanakan melalui peruntukan MOTAC dengan JKR Negeri sebagai agensi pelaksana. Projek ini bermula 10 Mac 2026 dan dijangka siap 1 September 2026. Bagi jangka panjang, penilaian menyeluruh telah dibuat dan anggaran kos baik pulih keseluruhannya ialah RM8 juta. Selaras status masjid ini sebagai bangunan warisan kebangsaan, Kerajaan Negeri juga sedang berusaha mendapatkan sumbangan daripada pihak korporat dan juga GLC. Bagi Masjid Kampung Hiliran, anggaran kos pembaikan ialah RM2.3 juta. Permohonan peruntukan akan dikemukakan kepada Pejabat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, di mana 80% kos ataupun RM1.8 juta dijangka dibiayai oleh Kerajaan Pusat dan bakinya 20% RM460,000 oleh ahli kariah.
Celah sikit..
Okay, sila.
Boleh Wakil Cukai?
Boleh.
Okay silakan.
Saya nok tanya pihak Kerajaan untuk Masjid Putih, agak-agak bila proses untuk pembaikian tersebut? Rasanya benda itu agak lama dah tu. Terima kasih.
Terima kasih Yang Berhormat Bandar. Yang pertamanya, kita akan angkat permohonan kepada Kerajaan Negeri minta permohonan RM5 juta dan selebihnya kita sedang menunggu beberapa GLC dan badan-badan korporat untuk menghulurkan derma. Setakat ini, baru ada dalam sekitar RM2 juta. Insya-Allah, kita akan cuba seberapa segera.
Menjawab soalan Yang Berhormat Seberang Takir, penyelenggaraan jeti nelayan dan hakisan kubur Tok Jembal. Kerajaan Negeri mengambil maklum secara serius berhubung isu mendapatkan pasir yang menjejaskan laluan keluar masuk bot nelayan di Pengkalan Tok Jembal serta masalah hakisan pantai yang mengancam kawasan perkuburan lama kubur Tok Jembal. Bagi menangani perkara ini, Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Terengganu telah mengemukakan cadangan projek melibatkan kerja mitigasi hakisan dan pengurusan mendapan pasir di kawasan berkenaan.
Berdasarkan penilaian awal, anggaran kos sebanyak RM500,000 diperlukan bagi perlindungan kawasan perkuburan melalui kerja penambakan pasir dan pembinaan lapis lindung ataupun rock revetment manakala sebanyak RM1 juta diperlukan bagi mengatasi mendapan pasir yang menjejaskan laluan bot nelayan. Kerajaan Negeri sedang meneliti keperluan ini dan akan mempertimbangkan penyediaan peruntukan khas tertakluk kepada kedudukan kewangan semasa serta keutamaan projek. Pada masa yang sama, cadangan projek turut diperincikan untuk dikemukakan kepada JPS Malaysia serta Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Terengganu bagi mendapatkan pertimbangan bantuan peruntukan Kerajaan Persekutuan.
Isu infrastruktur Kampung Telaga Daing. Kerajaan Negeri mengambil maklum isu yang dibangkitkan berkaitan pembinaan bulatan jalan di kawasan Kampung Telaga Daing yang melibatkan sebahagian tanah milik persendirian. Sekali gus membawa kesan kepada usaha naik taraf jalan serta sistem saliran utama di kawasan berkenaan. Untuk makluman, urusan pengambilan tanah bagi tujuan projek pembinaan jalan melibatkan Lot 3587 dan Lot 4945 telah diluluskan di bawah Vot P19 tahun 2026 bagi membolehkan proses pengambilan tanah dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang serta tatacara kewangan yang berkuat kuasa. Kelulusan ini merupakan langkah penting ke arah penyelesaian menyeluruh isu bulatan jalan dan kesesakan di kawasan tersebut. Pada masa yang sama, cadangan menaik taraf sistem saliran utama di kawasan berkenaan turut diberi perhatian memandangkan isu saliran longkang yang terganggu yang telah menyumbang kepada keadaan banjir limpahan kawasan kediaman penduduk. Pelaksanaan kerja-kerja berkaitan akan diselaraskan seiring dengan penjelasan urusan tanah.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua. Menjawab soalan Yang Berhormat Telemong, status semasa projek pusat komersial Kuala Ping. Untuk makluman Yang Berhormat, pihak Kerajaan Negeri telah meluluskan kerja-kerja tender semula bagi projek ini pada 27 Mac 2025. Susulan daripada itu, pihak JKR telah mengambil tindakan sewajarnya dengan mengadakan perbincangan penyelarasan bersama dengan Kerajaan Negeri dan wakil agensi-agensi yang berkaitan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek. Surat niat telah dikeluarkan kepada pihak kontraktor bagi tujuan perolehan projek.
Jadual perancangan rasmi bagi pelaksanaan projek ini adalah seperti berikut. Surat niat, 2 April 2026. Pelawaan tender, 30 April 2026. Tutup tender 14 Mei 2026. Rundingan harga 21 Mei 2026. SST, 28 Mei 2026. Tarikh milik tapak 4 Jun 2026, tarikh siap 4 Disember 2027, tempoh pembinaan 18 bulan.
Yang kedua, Jalan Kuala Jeneris ke Aring. Notis penutupan laluan FT36, Jalan Aring 8, Tasik Kenyir, Kuala Jeneris, Daerah Hulu Terengganu, telah dikeluarkan pada 20 November 2024 oleh JKR melalui Warta Persekutuan yang bertarikh 24 Januari 2025. Penutupan tersebut melibatkan jajaran daripada Seksyen 55.6 hingga Seksyen 139.30. Bagi perkembangan semasa runtuhan cerun dan jalan di Seksyen 89.00, FT 036 kerja-kerja pembaikian telah mula dilaksanakan oleh pihak kontraktor utama di bawah projek jambatan di laluan FT 036, Seksyen 89.00, Jalan Aring 8, Tasik Kenyir, Kuala Jeneris, Daerah Hulu Terengganu. Tarikh masuk tapak bagi projek ini ialah 5 Januari 2026. Manakala tarikh jangka siap adalah 4 November 2027.
Yang Berhormat, minta mencelah sikit..
status pelaksanaan kerja semasa..nanti saya abis dulu ni...nanti nak habis sikit lagi...
Ye tak bagi laluan Yang Berhormat...
Kerja-kerja penyediaan tapak bagi pelaksanaan profil. Yang kedua, kerja-kerja menambah baik pulih lencongan sementara untuk laluan dan kegunaan jentera dan kerja-kerja
pembersihan tapak. Sehingga 21 Mac 2026, peratus kemajuan status sebenar tapak adalah sebanyak 5.52%, berbanding peratus kemajuan asal ialah 4.34% iaitu mendahului jadual selama 7 hari. Sila Kuala Berang.
Sila Kuala Berang, dia bagi laluan doh.
Terima kasih Yang Berhormat Timbalan Speaker dan terima kasih Yang Berhormat EXCO dari Cukai. FT 036 iaitu jalan daripada Kuala Jeneris ke Simpang ke Aring runtuh dua tahun lepas dan sekarang ni tambah lagi satu di hadapan sikit tu. Jadi keruntuhan ini menyebabkan orang ramai, rakyat kita semua daripada Kuala Berang dan daerah-daerah lain untuk pergi ke Aring ke Gua Musang dan sebagainya terpaksa melalui jarak jalan yang jauh jadi nampaknya tidak ada laluan sementara. Jadi di sini saya mohonlah supaya Yang Berhormat Cukai berikhtiarlah untuk mendapatkan jalan sementara supaya rakyat boleh lalu. Rakyat boleh lalu untuk bekerja ulang-alik. Jadi kalau takdok jalan sementara ini sudah tentu amat sukar dan berbelanja dengan lebih banyak lagilah. Jadi saya haraplah supaya Yang Berhormat Cukai mengambil inisiatif untuk membina laluan sementara. Terima kasih.
Terima kasih sahabat saya daripada Kuala Berang. Harapan dan cita-cita Yang Berhormat Kuala Berang itu sedang dilaksanakan oleh JKR, insya-Allah, laluan sementara akan siap seberapa segera.
Yang kedua, penyelenggaraan sungai. Kerajaan Negeri melalui JPS mengambil maklum berhubung keperluan penyelenggaraan di Sungai Telemung, Sungai Berang dan Sungai Tersat. Khususnya berkaitan kewujudan pokok tumbang yang boleh menghalang aliran air serta meningkatkan kos banjir. Pihak JPS sememangnya melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan sungai secara berkala setiap tahun tertakluk kepada peruntukan semasa yang merangkumi skop yang pertama pembersihan sungai dan saliran, yang kedua pengalihan halangan aliran seperti pokok tumbang dan sisa hanyut, dan yang ketiga kerja-kerja pendalaman dan pelancaran aliran sungai.
Bagi kawasan yang dibangkitkan, pihak JPS akan menjalankan pemeriksaan tapak bagi mengenal pasti lokasi kritikal yang mempunyai halangan aliran. Yang kedua,
memberi keutamaan kepada kawasan hotspot banjir untuk tindakan segera. Yang ketiga, melaksanakan kerja pembersihan termasuk pengalihan pokok tumbang dan debris bagi memastikan aliran air lancar. Selain itu, penyelenggaraan ini juga dilaksanakan secara berterusan sebagai langkah mitigasi bagi mengurangkan risiko banjir, khususnya ketika Monsun Timur Laut.
Yang ketiga, pembinaan Masjid Kampung Kubang Palas. Untuk makluman Yang Berhormat, JKR Negeri telah menyediakan anggaran kos awalan berserta unjuran kewangan projek dan dikemukakan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu untuk diangkat bagi pertimbangan kelulusan Kerajaan Negeri. Sekiranya kelulusan diperolehi mengikut jadual yang dirancang, kerja-kerja awalan dijangka akan dimulakan pada September 2026, manakala tempoh pelaksanaan keseluruhan projek dianggarkan mengambil masa selama 38 bulan sehingga siap sepenuhnya.
Menjawab soalan Bukit Tunggal, RTB Sungai Tepoh dan Banggol Air Lilih di jajaran Pengkalan Arang. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat berdasarkan status semasa, kerja-kerja fizikal di jajaran Pengkalan Arang sedang dilaksanakan mengikut perancangan yang telah ditetapkan dan dijangka siap sepenuh 31 Julai 2026, tertakluk kepada tiada sebarang halangan luar jangka. Kerajaan sentiasa memantau kemajuan projek ini dari masa ke semasa bagi memastikan pelaksanaan dapat disiapkan mengikut jadual, khususnya sebagai langkah persediaan menghadapi monsun serta mengurangkan risiko banjir.
Yang kedua, status pelaksanaan projek RTB Tepuh bagi jajaran yang masih dalam proses pengambilan tanah Seksyen 8. Sehingga 30 Mac 2026, kemajuan fizikal projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Tepuh dan Banggol Air Lilih di kawasan Kuala Nerus telah mencapai 21.87% berbanding kemajuan berjadual 21.66%. Jajaran yang masih terlibat dengan proses pengambilan tanah di Seksyen 8, melibatkan jajaran Sungai Tepuh, Anak Sungai Tepuh, Banggol Air Lilih dan Sungai Buaya. Jangkaan pelaksanaan kerja fizikal bagi jajaran berkenaan adalah seperti berikut. Jajaran Sungai Tepuh dan Anak Sungai Tepuh dijangka bermula Januari 2027 dan siap Januari 2029. Jajaran Banggol Air Lilih dijangka bermula Jun 2026, siap Januari 2027. Jajaran Sungai Buaya dijangka bermula Jun 2026, siap Januari 2027.
Status pelaksanaan projek RTB Sungai Buaya. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kerajaan telah meluluskan RTB Sungai Buaya untuk dilaksanakan oleh
Kementerian Peralihan Tenaga Transformasi Air, PETRA melalui JPS dalam rolling plan pertama RP1 Rancangan Malaysia Ke-13, RMK Ke-13. Pada masa ini, projek berada di peringkat pra-pelaksanaan melibatkan proses perolehan bagi perkhidmatan juruukur dan perunding. Perlantikan juruukur dan perunding dijangka selesai Mei 2026. Seterusnya, pelaksanaan kerja-kerja fizikal akan bermula pada akhir tahun 2027. Kerajaan akan terus menyelaras pelaksanaan projek ini agar tidak menjejaskan keberkesanan keseluruhan sistem RTB di kawasan Sungai Tepuh dan sekitarnya.
Menjawab soalan Yang Berhormat Bukit Tunggal dan Yang Berhormat Kuala Berang. Status tuntutan baki hutang LPT2 RM1.43 billion. Kerajaan Negeri telah mengambil tindakan susulan berhubung tuntutan bayaran balik LPT2 berjumlah RM1.43 billion. Beberapa siri rundingan telah diadakan bersama pihak berkaitan di peringkat Kerajaan Persekutuan dan surat-surat rayuan rasmi Kerajaan Negeri juga telah dikemukakan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar.
Walau bagaimanapun, berdasarkan maklum balas terakhir daripada Kementerian Kewangan Malaysia, permohonan bayaran balik tersebut dimaklumkan belum dapat dipertimbangkan buat masa ini. Kerajaan Negeri juga memohon supaya jumlah tuntutan berkenaan direkodkan dalam penyata kewangan negeri berdasarkan surat persetujuan Kementerian Kewangan tahun 2017 yang menyentuh kaedah bayaran balik dalam bentuk bukan tunai.
Namun demikian, pihak Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa tindakan tersebut adalah tidak wajar dilaksanakan. Status semasa perkara ini masih tertangguh dan belum dimuktamadkan. Antara faktor utama ialah tiada peruntukan khusus disediakan dalam belanjawan kerajaan, belum ada keputusan di peringkat Jemaah Menteri atau Perdana Menteri berhubung hala tuju penyelesaian tuntutan ini. Kerajaan Negeri akan terus menggunakan saluran rundingan rasmi dan hubungan antara Kerajaan bagi memastikan tuntutan ini terus diperjuangkan.
Yang kedua, potensi kerajaan strategik dengan konsesi LPT2 atau PLUS. Kerajaan Negeri sentiasa terbuka untuk meneliti sebarang cadangan, kerjasama strategik atau usaha sama dengan syarikat konsesi LPT2 atau PLUS atau mana-mana pihak berkaitan sekiranya kerjasama tersebut mampu memberi manfaat kepada negeri serta rakyat. Sebarang cadangan yang dikemukakan akan diperhalusi secara menyeluruh meliputi aspek kewangan, perundangan, teknikal, operasi dan pulangan ekonomi jangka panjang. Kerajaan Negeri juga akan memastikan
kepentingan awam sentiasa diutamakan serta mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.
Yang ketiga, pengambilalihan operasi selepas tamat konsesi 2034. Berhubung hasrat itu, Kerajaan Negeri akan mengambil alih operasi penyelenggaraan LPT2 selepas tamat tempoh konsesi pada 2034, perkara tersebut boleh dipertimbangkan sebagai perancangan strategi jangka panjang. Namun demikian, keputusan berhubung perkara itu memerlukan penelitian rapi berdasarkan kajian menyeluruh melibatkan implikasi kewangan, keupayaan pengurusan, keadaan aset, keperluan penyelenggaraan serta manfaat kepada seluruh Negeri Terengganu. Kerajaan Negeri akan menilai semua pilihan yang terbaik apabila tiba masanya supaya sebarang keputusan yang dibuat benar-benar memberi nilai tambah kepada rakyat dan pembangunan Negeri Terengganu.
Menjawab soalan Yang Berhormat Rantau Abang. Keselamatan infrastruktur Masjid Kampung Tok Kah. Berkenaan isu Masjid Tok Kah, Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan segera terhadap keperluan menaik taraf masjid tersebut berdasarkan tahap keperluan mendesak sama ada melibatkan kerja-kerja pembaikan atau pembinaan semula. Hal ini demikian kerana ia melibatkan aspek keselamatan qariah dan para pengguna insya-Allah.
Yang kedua, PPTS kaji semula siling peruntukan RM1 juta. Untuk makluman Ahli Dewan yang mulia, siling peruntukan pelaksanaan projek Perumahan Terengganu Sejahtera ditetapkan sebanyak RM1 juta bagi setiap DUN sejak program ini mula dilaksanakan. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri sentiasa meneliti keperluan semasa serta permintaan di lapangan dari masa ke semasa. Sehubungan dengan itu, cadangan untuk meningkatkan kadar siling peruntukan sedia ada boleh dipertimbangkan tertakluk kepada kemampuan kewangan Kerajaan Negeri, terutama perbelanjaan semasa serta kedudukan hasil negeri.
Yang ketiga, infrastruktur RTB. Kerajaan Negeri sentiasa berusaha membangunkan RTB melalui penyediaan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air, bekalan elektrik dan sistem perparitan tertakluk kepada kedudukan kewangan semasa Kerajaan Negeri. Walaupun tiada peruntukan khas untuk RTB, Kerajaan Negeri terus melaksanakan pembangunan prasarana luar bandar termasuk kawasan RTB secara berperingkat berdasarkan keutamaan dan keperluan semasa rakyat. Bagi tahun 2026, Kerajaan Negeri telah meluluskan RM85,000 bagi
penyediaan kemudahan bekalan elektrik kepada pembinaan pencawang Tenaga Nasional Berhad di Kampung Jambu Bongkok, Mukim Merchang, Terengganu. Selain daripada itu, sebanyak RM300,000 turut diluluskan bagi kerja-kerja menaik taraf serta pembinaan jalan baharu di kawasan RTB yang sama bagi meningkatkan aksesibiliti, keselamatan dan keselesaan kepada penduduk setempat.
Timbalan Yang di-Pertua, yang keempat, kesan projek ECRL dan sistem saliran. Untuk makluman Ahli Dewan yang mulia, Kerajaan Negeri melalui JPS sentiasa memastikan pengurusan sistem saliran serta mitigasi banjir dilaksanakan dengan berkesan, khususnya di kawasan yang terlibat dengan pembinaan projek ECRL. JPS sentiasa mengambil perhatian serius serta melaksanakan pemantauan berterusan bagi mengurangkan risiko banjir kilat. Antara tindakan yang telah diambil ialah kerja penyelenggaraan, pembersihan dan pengorekan saliran di beberapa kawasan termasuk anak sungai Kampung Sura Tengah, Sungai Dungun serta beberapa kampung sekitar. Selain itu, JPS turut menjalankan pemeriksaan berkala di jajaran ECRL bagi mengenal pasti sebarang gangguan terhadap sistem saliran yang sedia ada. JPS juga sentiasa menyelaras dengan pihak kontraktor ECRL supaya kerja-kerja pembinaan mematuhi keperluan teknikal termasuk penyediaan saliran sementara, kawalan hakisan dan langkah mitigasi yang sesuai. Apabila projek siap kelak, Kerajaan Negeri akan memastikan pihak kontraktor melaksanakan pemulihan serta pengembalian sistem saliran yang terjejas di kawasan sewajarnya mengikut teknikal yang telah ditetapkan.
Menjawab soalan Yang Berhormat Langkap, pengurusan banjir dan perpindahan sementara. Pihak kerajaan memandang serius keperluan penyediaan pusat pemindahan sementara (PPS) yang selamat, kondusif serta selesa kepada rakyat yang terjejas ketika musim banjir. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri secara konsisten mengemukakan permohonan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara, yakni NADMA, pada setiap tahun bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan penyelenggaraan PPS di seluruh negeri berdasarkan keutamaan yang dikemukakan oleh pejabat daerah masing-masing. Bagi memastikan taraf kesiapsiagaan yang lebih tinggi, kerajaan akan memberikan tumpuan khusus kepada PPS yang berada dalam keadaan uzur dan kritikal untuk dibaik pulih serta dinaik taraf dengan kadar segera. Langkah ini adalah penting bagi menjamin keselamatan, keselesaan serta kebajikan kepada mangsa sepanjang tempoh penempatan di PPS.
Untuk makluman Yang Berhormat, kawasan Langkap merupakan kawasan yang terdedah kepada kejadian banjir yang berpunca daripada limpahan Sungai Nerus, khususnya ketika hujan lebat berterusan dan keadaan air pasang besar. Bagi menangani isu ini secara lebih menyeluruh, Kerajaan Negeri melalui JPS Negeri mengambil pendekatan bersepadu merangkumi langkah jangka pendek dan jangka panjang. Sebagai langkah strategik jangka panjang, JPS akan mengemukakan permohonan untuk melaksanakan kajian Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) bagi Daerah Setiu. Di samping itu, pihak JPS akan meneruskan langkah-langkah jangka pendek seperti penyelenggaraan berkala sungai dan saliran termasuk pembersihan, pendalaman serta pengurusan aliran air bagi mengurangkan impak banjir sementara menunggu projek jangka panjang.
Yang kedua, isu bekalan air bersih, tekanan air rendah, paip lama pecah, gangguan bekalan air tidak berjadual. Pihak SATU telah mengambil tindakan jangka pendek dengan membuat pressure management bagi menangani isu tekanan air rendah di kawasan Sungai Terap yang telah diselesaikan pada 28 Februari 2026 melalui inisiatif dalaman pihak SATU dengan penambahbaikan serta bekalan air bersih. Bagi tindakan jangka panjang pula, SATU menyenaraikan projek penukaran paip lama di Kampung Payong sebagai salah satu kawasan hotspot paip kritikal atau paip lama yang perlu ditukar secara berperingkat dalam usaha menurunkan kadar air tidak berhasil (NRW). Selain daripada itu, pembinaan tangki agihan air dan pam penggalak di Kampung Saujana yang akan dilaksanakan juga bagi mengatasi isu tekanan air rendah melalui pengazonan semula kawasan dan agihan air bersih.
Menjawab soalan Batu Rakit, status semasa projek pembinaan Masjid Mengabang Lekar. Tarikh siap semasa projek ini ditetapkan pada 24 September 2026. Walau bagaimanapun, kemajuan kerja-kerja di tapak binaan ketika ini mengalami kelewatan berbanding jadual asal berikutan kekangan kewangan aliran tunai yang dihadapi oleh kontraktor akibat kenaikan kos pembinaan. Sebagai tindakan susulan dan tegas, JKR telah mengeluarkan surat amaran kelewatan kepada pihak kontraktor selaras dengan prosedur dan tatacara pentadbiran kontrak yang berkuat kuasa. Bagi menangani isu ini, JKR telah mengadakan sesi perbincangan dan libat urus bersama pihak kontraktor. Hasil perbincangan tersebut, satu jadual pelaksanaan kerja yang baharu telah dirangka. Pihak kerajaan secara dasarnya juga telah bersetuju dan sedang memuktamadkan supplementary agreement nombor tiga berkaitan penyelarasan kos khusus membantu pelaksanaan proses projek ini dan memastikan baki kerja-kerja di tapak dapat disiapkan dalam tempoh
yang telah ditetapkan.
Yang kedua, paip pecah dasar laut Pulau Redang. Pelaksanaan projek ini...
Yang Berhormat, Yang Berhormat, nok tanya sikit, ada pertambahan kos dok?
Ada pertambahan kos, Yang Berhormat.
Berapa banyak?
Hah? Hok ni notis la..
Berapa?
Dalam proses Kerajaan Negeri, insya-Allah, kita akan siap juga aa. Ok, yang kedua, paip pecah. Pelaksanaan projek ini diluluskan oleh Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Mei 2025. Status semasa adalah di peringkat pelaksanaan. Untuk makluman Ahli Dewan, makmal pengurusan nilai bagi cadangan kerja-kerja pemasangan paip air baru ke Pulau Redang dan lain-lain kerja berkaitan, reka dan bina dijadualkan akan diadakan pada 12 hingga 15 Mei depan bagi meneliti dan muktamadkan skop dan kos projek. Kerugian yang telah ditanggung sehingga ini oleh Kerajaan Negeri bagi pembaikian kebocoran paip dasar laut ini ialah kira-kira RM3.4 juta. Skop kerja yang dicadangkan adalah termasuk pemasangan paip retikulasi sepanjang 8.5 kilometer ke Pulau Redang. Yang ketiga, isu hakisan pantai serta keberkesanan benteng. Untuk makluman Yang Berhormat, projek pembinaan struktur pemecah ombak di bawah projek pengawalan hakisan pantai Kuala Nerus, masih dalam pelaksanaan dan dijadual siap sepenuhnya 14 Januari 2027. Sehingga 15 April 2026, kemajuan fizikal projek telah mencapai 51.59%. Oleh itu, kesan perlindungan optimum masih belum dapat dicapai dengan sepenuhnya. Struktur pemecah ombak ini merupakan penyelesaian jangka panjang di mana kestabilan pantai hanya dapat dinilai selepas keseluruhan jajaran siap serta berlaku penyesuaian semula terhadap corak arus dan pemendapan semula jadi. Rekabentuk jarak antara benteng dibuat berdasarkan penilaian teknikal termasuk kewujudan formasi batu semula jadi Batu Rakit yang berfungsi membantu mengurangkan tenaga ombak sebelum ianya
sampai ke pantai. Walau bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan telah mengambil maklum isu hakisan khususnya di kawasan antara BW8 hingga BW9. Perkara ini telah dibincangkan dalam mesyuarat Task Force Penyelarasan Projek Pembangunan Kementerian PETRA pada 6 Mac 2026 dan JPS Malaysia diminta meneliti semula keperluan tambahan benteng berdasarkan kejadian simulasi teknikal serta keberkesanannya.
Panjang lagi ke Yang Berhormat?
Tiga empat helai lagi. Banyak sangat tanya. Lain kali jangan tanyalah. Kita buat je. Insya-Allah, Yang Berhormat-Yang Berhormat wakil ke saya, saya akan buat belaka bagi memastikan maju, berkat dan sejahtera untuk rakyat Negeri Terengganu.
Menjawab soalan Kuala Berang, gangguan bekalan air yang serius di Kampung Tanjung Aur dan Kampung Tapu, dan yang kedua tangki perumahan Padang Setengge. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kawasan Kampung Tanjung Aur, Kampung Tapu dan Setengge merupakan kawasan yang berada di penghujung sistem agihan bekalan air Kuala Berang di bawah seliaan SATU. Kedudukan kawasan-kawasan ini di hujung sistem menyebabkan bekalan air mudah terjejas sekiranya berlaku peningkatan penggunaan mendadak, gangguan operasi dan penurunan tekanan dalam rangkaian agihan. Semasa musim perayaan yang lalu, penggunaan air domestik meningkat di luar kebiasaan sehingga menyebabkan paras simpanan tangki menurun lebih cepat daripada jangkaan operasi. Keadaan ini menjejaskan tekanan bekalan di kawasan penghujung. Dengan bacaan tekanan di setengah lokasi dilaporkan sekitar 2 meter hingga 4 meter sahaja. Selain daripada itu, faktor paip lama dan uzur yang mengalami kebocoran turut menyumbang kepada kehilangan air serta pengurangan tekanan bekalan. Walau bagaimanapun, berdasarkan unjuran kapasiti simpanan luaran tahun 2026, daerah Hulu Terengganu masih berada pada tahap yang mencukupi untuk keperluan operasi semasa. Daerah ini mempunyai 13 buah tangki aktif dengan jumlah kapasiti simpanan sebanyak 36.518 juta liter bersamaan simpanan sekitar 1.605 sehari iaitu melebihi sasaran minima 24 jam dengan pencapaian sebanyak 160.45%.
Ini menunjukkan isu yang berlaku lebih menjurus kepada agihan bekalan, tekanan sistem serta keadaan infrastruktur setempat berbanding kekurangan kapasiti simpanan keseluruhan. Bagi langkah jangka pendek, SATU sedang melaksanakan pengurusan tekanan secara berperingkat bagi memastikan kawasan yang berada di hujung sistem menerima agihan air yang lebih seimbang dan stabil, khususnya pada waktu puncak penggunaan. Pada masa yang sama, operasi pengesanan kebocoran serta kerja-kerja pembaikan paip pecah dan paip bocor turut dipertingkatkan. Selain daripada itu, kadar harga pembaikan kepada vendor yang dilantik juga telah diselaraskan semula bagi mengambil kira peningkatan kos operasi semasa termasuk kos bahan api. Langkah ini bertujuan mempercepatkan tempoh tindakan pembaikian di lapangan, seterusnya mengurangkan kehilangan air dan meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada pengguna. Bagi penyelesaian jangka panjang pula, beberapa projek pengaktifan semula tangki di daerah Hulu Terengganu akan dilaksanakan dalam masa terdekat menggunakan pelbagai sumber peruntukan. Antara tangki yang telah dikenal pasti, tangki air bergaram, berkapasiti 0.37 juta liter, tangki Perah Kuala Berang berkapasiti 3.3 juta liter, tangki Tayor berkapasiti 2.5 juta liter, serta tangki Pengkalan Gawi berkapasiti 2.5 juta liter. Pelaksanaan projek ini dijangka dapat meningkatkan keupayaan simpanan setempat serta menstabilkan bekalan air di kawasan yang terlibat.
Di samping itu juga, cadangan penggantian paip lama dan uzur di kawasan berkaitan juga telah disenaraikan di bawah program penukaran paip kritikal melalui program penurunan kadar air tidak berhasil yakni NRW kebangsaan. Walau bagaimanapun, pelaksanaannya tertakluk kepada kelulusan peruntukan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA). Saya rasa itulah sahaja yang dapat saya jawab. Sekian.
Saya mohon menyokong.
Untuk yang terakhir sesi tengah hari kita pada hari ini, saya persilakan Wakil Ajil.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar, Ahli-Ahli Yang Berhormat, ketua-ketua jabatan, para pengamal media, pemerhati dan semua yang hadir. Pertama sekali, kita panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah Ta'ala diberi kesempatan untuk kita meneruskan agenda perbahasan menyokong Titah Ucapan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Terengganu sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Terengganu Yang Kelima Belas, yang di antaranya menyentuh perkara teras kesejahteraan rakyat khususnya yang berkaitan dengan kebajikan sosial, pembangunan wanita dan keluarga serta perpaduan masyarakat Negeri Terengganu di bawah portfolio sayalah.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, antara agenda yang disebut dalam Titah Ucapan Tuanku ialah berkenaan dengan isu kemiskinan, dan isu kemiskinan masih menjadi agenda utama kepada Kerajaan Negeri, dan walaupun kadar kemiskinan sebenarnya menunjukkan penurunan berbanding tahun 2022 dengan 2024 penurunan sebanyak 4.8% daripada 6.2%, namun begitu peningkatan yang berlaku kepada PGK (Pendapatan Garis Kemiskinan) telah meningkat daripada RM2,751.00 pada tahun 2022 kepada RM2,841.00 menunjukkan peningkatan sebanyak 3.23% yang memberi gambaran bahawa tekanan kos sara hidup yang semakin dirasai oleh rakyat, dan ini merupakan satu cabaran kepada kita semua hari ini yang mana kita bukan sekadar berusaha untuk keluar daripada garis kemiskinan tetapi bagaimana untuk hidup dengan lebih sejahtera dan mudah dalam suasana masyarakat ataupun keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang ini, dan melalui Portfolio Kebajikan, Kerajaan Negeri terus memperkukuh pendekatan bantuan bersasar, memperluas program intervensi ekonomi, isi rumah, latihan kemahiran, peluang pekerjaan dan sokongan kepada kumpulan sasaran seperti ibu tunggal, orang kurang upaya serta keluarga berpendapatan rendah dan kebajikan juga bukan sekadar pemberian bantuan tunai, tetapi ia juga membina keupayaan rakyat supaya terus berdikari dan berdaya tahan tidak bergantung kepada bantuan tetapi lebih bergantung kepada usaha.
Saya ambil contoh program di bawah Kerajaan Negeri, di bawah Yayasan Pembangunan Keluarga Negeri Terengganu. Satu daripadanya ialah program PJD, Program Jaya Diri oleh YPKT. Pada tahun 2025, jumlah pinjaman PJD sebanyak
RM4.6 juta diberi kepada 380 orang peserta di seluruh negeri, dan untuk tahun ini, tahun 2026, sebanyak RM1.3 juta telah pun diberikan dan setakat ini secara keseluruhan pinjaman telah diberi sebanyak RM100 juta dalam bentuk secara qardhul hasan, maknanya pinjam RM20,000.00, bayar RM20,000.00 dan kita telah pun menampakkan hasil tuan-tuan, hasil di mana daripada program PJD ini telah wujud beberapa usahawan yang ternama di Terengganu. Antaranya ialah Nasi Dagang Atas Tol yang pernah mendapat pinjaman PJD. Tukang Jahit Bayar, saya pun pernah pergi upah jahit, kedai Tukang Jahit Bayar ini, dan pengusaha gas Hanifa Ar-Rashidin di Manir dan juga beberapa kedai mini market di Pulau Redang dan juga beberapa yang lainlah. Saya ambil sebagai contoh menunjukkan bahawa bantuan yang dikeluarkan oleh YPKT, contoh tu, telah dapat melahirkan usahawan yang berjaya kepada kitalah.
Kita akan terus memperkasakan pembangunan ekonomi ini melalui pengukuhan nilai murni serta kempen keseimbangan kerja dan kehidupan khususnya dalam elemen wanita sebagai tonggak keluarga dan penggerak ekonomi dan kita akan terus memberi ruang kepada memperkasakan wanita melalui latihan keusahawanan, literasi kewangan, kemahiran digital, kepimpinan komuniti dan perlindungan sosial yang amat penting sebenarnya supaya wanita kita dapat bersaing dan dapat menerima manfaat dan akan menjadi penyumbang utama kepada pembangunan negeri. Saya ambil contoh, pada 15 Januari pada baru-baru ini, melalui USWA, Urus Setia Wanita Negeri Terengganu telah mengadakan kursus kepimpinan bersama Jabatan Pembangunan Wanita untuk memberi pendedahan kepada skim yang ditawarkan di JPW iaitu skim perintis sebanyak RM50,000.00 satu permohonan kepada usahawan wanita dan ini merupakan satu peluang yang sepatutnya direbut dan Alhamdulillah, melalui beberapa agensi termasuklah USWA, kita telah mengadakan beberapa kursus supaya wanita yang ada di Negeri Terengganu ini terus menjadi generasi yang berdaya saing dan yang berjaya merebut peluang yang ditawarkan.
Dan seterusnya saya ingin menyebut berkenaan perkara yang penting yang juga disebut oleh Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja yang menyeru seluruh rakyat agar sentiasa mengekalkan perpaduan dan kerjasama walaupun mungkin berlaku perbezaan pendapat serta terus menjaga kesejahteraan negeri daripada anasir yang menggugat keharmonian. Skor Indeks Perpaduan yang dikeluarkan oleh IPNas menunjukkan perpaduan di Terengganu melonjak baik kepada 0.745 mengatasi Indeks Perpaduan Nasional iaitu 0.701. Ini merupakan
satu perkembangan yang sangat menggalakkan dan atas sebab itu barangkali, pada 2 April baru ini dalam Mesyuarat MExUnity, Negeri Terengganu telah diberi penghormatan, satu-satu negeri yang diberi penghormatan untuk membentangkan program perpaduan kepada Menteri Perpaduan Negara dan kita telah pun mengadakan pelbagai program termasuklah 15 April baru ini, mengadakan dialog agama di antara penganut-penganut agama Buddha, Hindu dan Islam di Dewan Buddhist untuk mengharmonikan penganut agama yang ada di Terengganu ini supaya Terengganu terus menjadi contoh perpaduan dan perpaduan menjadi satu daripada signature kepada Portfolio Perpaduan, dan penekanan yang telah disebut oleh Menteri Perpaduan iaitu supaya kita mengambil perhatian yang serius dalam memberi penekanan kepada perpaduan ini bermula daripada peringkat sekolah rendah sampai ke sekolah menengah dan sampai ke pendidikan universiti. Kita telah merancang untuk menggerakkan satu program yang dipanggil GRIP iaitu gerak integrasi perpaduan di sekolah. Cuma, apa yang menimbulkan kebimbangan dan kegusaran, kesusahan untuk kita masuk ke sekolah. Jadi kita mengharapkan pihak Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu bersama dengan Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu untuk membuka ruang kepada pihak kita untuk terus mengadakan program integrasi nasional di sekolah yang melibatkan pelajar-pelajar prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Yang Berhormat Ladang ada membangkitkan semalam berkenaan dengan kes keganasan rumah tangga yang memang kes ini membimbangkan. Tahun 2025, sebanyak 296 kes telah direkodkan oleh PDRM. Terima kasih PDRM yang telah memberi data ini. Walau bagaimanapun tuan-tuan, satu kemujuran dan keadaan yang agak baik, 296 pada 2025 sebenarnya berlaku penurunan kes keganasan rumah tangga ini iaitu 2024 (376 kes), 2025 (296 kes). Bermakna berlaku penurunan kes keganasan rumah tangga ini sebanyak dalam sekitar 28%. Ini merupakan satu perkembangan yang baik dan mungkin faktor ini ataupun fenomena ini akan terus dikekalkan ataupun diturunkan lagi supaya Negeri Terengganu kekal menjadi negeri yang bahagia.
Timbalan Yang di-Pertua, boleh saya nak tanya soalan sikit.
Okey, boleh.
Terima kasih.
Tanya hok mudoh-mudoh doh ar.
Mudah-mudah?
Haa.
Dok buleh jawab jugok dok tahulah. Mudoh. Terima kasih. Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua. Soalan saya mengenai penurunan kes keganasan rumah tangga. Kita juga tahu akhir-akhir ini, kita tengok PDRM begitu serius membuat operasi penangkapan penyalah-penyalah gunaan dadah, dan adakah unsur-unsur penyalahgunaan dadah inilah yang menyumbang kepada keganasan rumah tangga, sehingga apabila operasi tangkapan dibuat, maka penagih-penagih ini tak ada lagi di rumah, duduk di penjara, maka rumah tangga jadi aman, akhir-akhir ini. Itu soalan saya.
Terima kasih, Permaisuri, kalau ikut kepada punca keganasan rumah tangga, hok paling besarnya ialah perselisihan faham, bahasa kapong gop, balohlah, baloh kes kuah singgang, baloh kes salah masin, mungkin gitu-gitulah, itu di antara punca besarnya ialah salah faham mewakili 206 kes, salah faham ini, bila kita kata salah faham ini mungkin tiada persefahaman, masalah pengurusan rumah tangga, masalah dalam data yang kita ada ini, sampai kepada harta pusaka, salah faham dalam perebutan harta pusaka, masalah kewangan dan ada juga masalah mental mewakili 3.4% dalam kes keganasan rumah tangga ini, masalah mental, dan suatu fakta yang menarik, daripada 99 kes melibatkan suami isteri, 98 kes adalah keganasan daripada suami kepada isteri, termasuklah yang kes pengaruh dadah. Pengaruh dadah sebanyak 67 kes berbanding dengan selisih faham 206 kes, bermakna pengaruh dadah ada juga kesan dia, kepada keganasan rumah tangga, 98 kes melibatkan pemangsanya ialah suami, tetapi ada satu kes, suami didera, satu sahaja kes, ini Ladang kena ambil perhatian.
Hahaha, hoo nyakyee, kes Ladang lagi.
Kesimpulannya isu keganasan rumah tangga ini, bukan sahaja memerlukan tindakan penguatkuasaan, satu kes pun kita bimbang, takut jangkit.
Kita bimbang Yang Berhormat Ladang sendiri.
Yang Berhormat Ladang dok, Yang Berhormat Ladang dia bimbang se lagi, satu lagi, isu keganasan rumah tangga ini bukan sahaja memerlukan tindakan penguatkuasaan tetapi juga pendekatan menyeluruh secara holistik yang melibatkan pendidikan, sokongan sosial dan pengukuhan institusi keluarga. Jadi Kerajaan Negeri akan terus memberi komited dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara melalui pelbagai inisiatif yang telah dan akan dilaksanakan oleh agensi-agensi yang berkaitan sama ada agensi Kerajaan Negeri dan agensi federal. Yang Berhormat Pengkalan Berangan ada menyebut, bertanya tentang status penubuhan Yayasan Tabung Darul Iman. Untuk makluman warga Dewan, status semasa bagi penubuhan ini sedang berada di Bahagian Khidmat Pengurusan (SUK), yang dalam proses mendapatkan ulasan daripada kewangan dan bahagian pengurusan sumber manusia, insya-Allah dan jika takdir meyamai takdir manusia, insya-Allah tahun ini kita akan lengkapkan dan akan lancarkan versi baru dengan rename sikit, jenama baru iaitu Yayasan Tabung Darul Iman, apa cerita saya tak boleh bentang lagi sebab belum diluluskan lagi dan untuk makluman warga Dewan, satu perkara yang penting dalam portfolio saya ini ialah keselamatan jalan raya. Saya sebagai pengerusi MKJR, Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR), telah mengambil beberapa pendekatan bersama dengan JPJ, tahun lepas kita lancarkan My Safe Road dan insya-Allah tahun ini My Safe School pula, iaitu mengambil beberapa pendekatan jalan raya yang melibatkan kemalangan jalan raya di tepi sekolah, seperti beberapa sekolah yang berlaku di Kuala Terengganu ini, dan insya-Allah kita akan bersama-sama dalam MKJR ini untuk sama-sama mengatasi isu keselamatan ini. Dan 12 Mac baru ini, sebelum hari raya, kita telah mengadakan kempen keselamatan jalan raya di bawah MKJR yang lain sikit daripada sebelumnya, sebelumnya kita buat biasanya di atas jalan raya, tapi tahun ini kita buat di sebuah sekolah, kita nak masuk banyak sekolah, tapi tidak dibenarkan oleh tuan sekolah, yang kita pilih.
Yang Berhormat, sekali lagi Yang Berhormat, mintak izin minta laluan, kalau saya cadangkan buat di stesen-stesen minyak.
Ye ye, hoo kerep.
Kalau saya cadangkan buat di stesen-stesen minyak.
Stesen minyak?
Stesen minyak, pasal saya sudahlah kita baru balik mesyuarat, pale pun masih lagi panah-panah lagi, sampai nak isi minyak di stesen minyak tu, kumpulan motosikal ni, dia main pereh motor, orang kapong perehlah, pong preng, pong preng, pong preng, congek situ macam-macam, kumpulan ni, payah ni, kita nak tegur ini, saya cadang supaya ambil tindakan, di stesen minyak ni, penguatkuasa kena ada duduk situ, nak-nak hari Jumaat dengan hari Sabtu, terima kasih.
Mudah je sebenarnya, Yang Berhormat Permaisuri, panggil hok dok congek tu, mari beratur, we minyak percuma, confirm dia dok congek dah, insya-Allah, sebab, saya nampok, boleh wak gitu tu, tapi melibatkan kos. Walau bagaimanapun cadangan Yang Berhormat Permaisuri, saya ucap terima kasih, dan insya-Allah kita ambil perhatian. Yang kita buat baru ni perubahan iaitu kita buat di sekolah, di sebuah Sekolah Menengah Agama iaitu Sekolah Menengah Agama Al-Falah di Kemaman dan dihadiri sama oleh Yang Berhormat Cukai dan kita mendapati sambutannya sangat luar biasa, yang melibatkan pelajar sekolah dan kita telah bersama dengan JPJ beri helmet percuma kepada pelajar Sekolah Menengah Agama Al-Falah dan juga kakitangan sebanyak 200 butir helmet. Terima kasih JPJ. Dan secara rumusannya, perancangan-perancangan yang kita sebut dan mungkin banyak lagi yang kita tak sebut merupakan perancangan yang perlu kepada kerjasama semua pihak, dan tentulah kalau kita sayang ke Negeri kita, usaha ganding bahu antara rakyat dan Kerajaan akan membawa keuntungan dan juga keselamatan kepada negeri kita. Dan saya yakin, insya-Allah, dengan sikap yang ada pada majoriti rakyat dan pendekatan yang dicipta di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Dato' Seri serta dengan semangat kerjasama berpayungkan Maju Berkat dan
Sejahtera, Terengganu akan terus diperkasa dan diperhebatkan dari semasa ke semasa, dan akhir kata, patik merafak sembah dan Menjunjung Kasih Titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Pemangku Raja di atas Titah yang sangat besar manfaatnya. Ajil mohon menyokong.
Panas kini hingga ke petang dari pagi sampai ke senja Hari ini kita bersidang Esok lusa, terus buat kerja
Daun selasih ikan puyu Terima kasih, thank you.
Terima kasih, Wakil Ajil. Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian. Saya tangguhkan sementara Dewan ini untuk rehat tengah hari dan insya-Allah akan disambung semula pada pukul dua setengah petang. Terima kasih.
MESYUARAT DITANGGUHKAN PADA PUKUL 12.40 TENGAH HARI.
PUKUL 2.32 PETANG
Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri, Ketua-ketua Jabatan, Para Pemerhati yang saya kasihi sekalian. Mesyuarat disambung semula. Kita masih lagi dalam sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan DiRaja. Saya persilakan, Yang Berhormat Wakil Kerajaan untuk meneruskan sesi penggulungan kita pada petang ini, dipersilakan. Sila, Yang Berhormat Alor Limbat.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Terengganu, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Yang Berusaha Ketua-ketua Jabatan dan Agensi, Yang Dihormati para pegawai dan kakitangan Kerajaan Negeri, petugas media, semua tetamu dan pemerhati sekalian.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, pertamanya marilah kita bersama-sama merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala atas limpah kurnia dan izinNya kerana kita dapat bersidang pada hari ini dalam keadaan yang aman dan sejahtera. Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas kesempatan yang diberikan kepada saya untuk turut serta dalam perbahasan Menjunjung Kasih atas Titah Ucapan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Terengganu sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Terengganu yang Kelima Belas.
Menjunjung Kasih dan setinggi-tinggi sembah takzim ke hadapan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Terengganu atas Titah yang telah dizahirkan, khususnya berkaitan usaha memperkukuhkan rantaian nilai ekonomi negeri melalui pembangunan industri hiliran serta penghasilan produk bernilai tambah. Sesungguhnya, Titah ini merupakan satu panduan yang amat bernilai dalam memperkukuh asas ekonomi negeri agar tidak hanya bergantung kepada pengeluaran bahan mentah semata-mata, sebaliknya bergerak ke arah ekonomi yang lebih moden, berdaya saing dan berimpak tinggi. Penekanan terhadap pembangunan industri hiliran ini membuka ruang yang lebih luas kepada penciptaan nilai tambah dalam rantaian ekonomi, seterusnya membolehkan sumber negeri dimanfaatkan secara lebih optimum melalui proses pemprosesan, inovasi dan penghasilan produk akhir yang mempunyai nilai pasaran yang lebih tinggi. Dalam masa yang sama, pembangunan sektor ini diyakini mampu menjana peluang pekerjaan yang lebih banyak dan berkualiti kepada rakyat, selain membantu mewujudkan pendapatan yang lebih stabil serta berterusan. Ia juga akan merancakkan penyertaan usahawan tempatan dalam aktiviti ekonomi bernilai tambah khususnya dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana. Sehubungan itu, usaha memperkukuh ekosistem industri hiliran ini wajar diperkasakan melalui galakan pelaburan strategik, pembangunan infrastruktur industri yang menyeluruh
serta peningkatan kemahiran tenaga serta tenaga kerja tempatan agar selari dengan keperluan industri semasa.
Firman Allah SWT dalam Surah Hud:
''Dan tidak ada suatu makhluk yang bergerak yang hidup di bumi, melainkan Allah lah yang menjamin rezekinya''
Ayat ini menegaskan bahawa rezeki setiap manusia telah dijamin oleh Allah. Namun manusia tetap perlu berusaha. Dalam konteks ini, ketika rakyat berhadapan dengan tekanan kos sara hidup yang semakin mencabar. Maka menjadi amanah dan tanggungjawab bersama, khususnya pihak Kerajaan untuk menggubal serta melaksanakan inisiatif yang bersifat menyeluruh, berkesan dan inklusif. Usaha ini penting bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara, di samping menjamin agar beban kos sara hidup tidak menekan golongan yang terkesan selaras dengan prinsip keadilan sosial dan keseimbangan ekonomi yang dianjurkan.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, kenaikan harga minyak pada masa ini telah memberi kesan yang ketara kepada keseluruhan ekosistem ekonomi, khususnya kepada golongan usahawan dan juga pengguna. Sebagaimana yang kita maklum, saya ambil contoh harga diesel pada hari ini, RM5.97 dan pernah naik sehingga RM6.72. Pada bulan Februari 2026, hanya diesel RM2.94 bermakna kenaikan RM3.03 yang menyebabkan akan berlaku dengan kenaikan RM3.00 kalaulah harga hanya kenaikan 20 sen, 30 sen pun akan berlaku kenaikan harga barang. Tentulah dengan kenaikan harga diesel sebanyak RM3.00 ke atas ini akan menambahkan lagi kenaikan pelbagai kos sampingan rantaian ekonomi yang berlaku sekarang ini. Kenaikan harga minyak pada masa ini telah memberi kesan yang ketara kepada keseluruhan ekosistem ekonomi khususnya, kepada golongan usahawan dan pengguna. Bagi usahawan, peningkatan harga diesel secara langsung telah meningkatkan kos operasi dan logistik. Sektor pembuatan, peruncitan serta perkhidmatan penghantaran terpaksa menanggung kenaikan kos bahan mentah akibat caj pengangkutan yang lebih tinggi begitu juga dalam sektor pertanian dan pembinaan. Penggunaan jentera berat seperti traktor dan jengkaut menambah lagi beban kos bahan api keadaan ini seterusnya memberi tekanan kepada margin keuntungan usahawan berdepan dilema sama ada menyerap kenaikan kos yang
akan menjejaskan aliran tunai atau memindahkan kos tersebut kepada pengguna dengan risiko kehilangan pelanggan. Dalam masa yang sama, jurang antara perbelanjaan segera dan tempoh bayaran pelanggan turut menimbulkan cabaran kecairan tunai, khususnya kepada perusahaan kecil dan sederhana. Akhirnya, kesan ini akan dipindahkan kepada pengguna melalui peningkatan harga barangan dan perkhidmatan. Kos logistik yang lebih tinggi menyebabkan harga barangan runcit seperti makanan asas meningkat, manakala pengusaha makanan terpaksa menyesuaikan harga jualan secara makro. Situasi ini turut menyumbang kepada tekanan inflasi negara.
Selain itu, pengguna juga terkesan melalui peningkatan kos pengangkutan. Perbelanjaan bahan api bulanan meningkat, manakala tambang perkhidmatan seperti e-hailing, bas dan penerbangan berpotensi mengalami pelarasan harga. Ini secara langsung mengurangkan pendapatan boleh guna rakyat. Kerajaan wajar memperluaskan inisiatif.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, Kerajaan wajar memperluas inisiatif seperti subsidi bersasar kepada pengusaha kecil, insentif pengeluaran serta kemudahan pembiayaan pada kadar yang lebih kompetitif. Pelaksanaan Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) dan Dana Usahawan Terengganu (DUTA) merupakan langkah signifikan oleh Kerajaan Negeri dalam menyokong kelangsungan perniagaan. Inisiatif ini bukan sahaja membantu usahawan mengurangkan kos operasi, malah membolehkan mereka menawarkan harga yang lebih rendah kepada pengguna, seterusnya meringankan beban rakyat yang berhadapan dengan peningkatan kos sara hidup pada masa ini.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, alhamdulillah, dalam sidang Dewan Undangan Negeri pada kali ini, saya ucap terima kasih kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat kerana banyak mengemukakan soalan kepada portfolio saya, saya check soalan yang diterima sebanyak 20 dan 7 soalan bertulis. Jadi, semasa perbahasan tak banyaklah yang ditimbulkan kepada saya. Jadi, saya ambil masa tak berapa panjanglah untuk berucap. Merujuk kepada persoalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Ladang berhubung isu peningkatan kos sara hidup serta pengalihan peruntukan Kerajaan kepada sektor berkaitan agar kesan penggandaan kos tidak memberi impak negatif kepada rakyat. Ingin saya tegaskan bahawa perkara ini amat berkait rapat dengan keperluan memperkukuh rantaian bekalan tempatan sebagai salah satu langkah utama dalam menstabilkan harga barangan
di pasaran. Dalam konteks ini juga, Yayasan Pembangunan Usahawan telah memainkan peranan yang proaktif melalui pelbagai inisiatif strategik termasuk penyediaan studio digital seperti platform studio TikTok.
Alhamdulillah kami telah berbincang dengan pihak TikTok Shop, kursus akan diadakan pada 28, 29, 30 April inilah dan disasarkan seramai 500 orang peserta dan kita baru pendaftaran sebanyak 300 orang, kita masih ada 200 orang lagi dengan TikTok Shop telah menanggung keseluruhan kos dan studio TikTok, insya-Allah akan diadakan di YPU dengan bajet keseluruhan yang disumbang oleh TikTok Shop sebanyak hampir setengah juta ringgit. Alhamdulillah untuk membantu usahawan untuk mereka bergerak di saat apa yang sedang berlaku sekarang ni. Seperti platform studio TikTok Shop, TikTok bagi membantu usahawan kecil dan sederhana dan menyasarkan produk mereka secara lebih meluas dengan kos yang rendah namun memberi impak yang tinggi setanding dengan kaedah pengiklanan berbayar.
Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam memastikan kebajikan rakyat yang terkesan terus terbela, khususnya dalam musim ekonomi yang mencabar. Bantuan yang disalurkan tidak terhad kepada bantuan kewangan semata-mata, malah merangkumi sokongan pemulihan seperti latihan kemahiran, bantuan keusahawanan serta program peningkatan pendapatan termasuk kursus yang dilaksanakan oleh kerajaan melalui Yayasan Pembangunan Usahawan. Pendekatan ini amat penting bagi memastikan rakyat bukan sahaja dibantu dalam jangka pendek tetapi turut diperkasa untuk berdikari dalam jangka panjang, namun demikian penyelesaian paling mampan terhadap isu kos sara hidup dan kesejahteraan rakyat adalah melalui penyediaan peluang pekerjaan yang stabil dan berkualiti.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, terima kasih kepada Yang Berhormat Sura atas cadangan berhubung penyediaan peluang pekerjaan hasil daripada kemasukan pelaburan ke negeri Terengganu. Dalam konteks ini, setiap pelaburan yang dibawa masuk ke negeri ini sewajarnya diterjemahkan secara langsung kepada manfaat yang nyata kepada rakyat tempatan, khususnya dalam bentuk peluang pekerjaan yang berkualiti dan berterusan. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri perlu memastikan, insya-Allah, bahawa setiap kelulusan pelaburan disertakan dengan komitmen yang jelas daripada pelabur, meliputi aspek penciptaan peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan, pemindahan teknologi, serta
pembangunan kemahiran tenaga kerja tempatan. Pendekatan ini penting bagi memastikan pelaburan yang masuk tidak hanya memberi pulangan ekonomi semata-mata, tetapi turut memperkukuh pembangunan modal insan negeri secara mampan dan berdaya saing. Syarat-syarat tertentu telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri, antaranya termasuk keutamaan pengambilan pekerja tempatan sekurang-kurangnya 70% dalam kalangan rakyat Negeri Terengganu termasuk OKU. Selain itu, kerjasama strategik dengan institusi latihan kemahiran serta anak-anak syarikat berkaitan turut diperkukuhkan bagi menyediakan program latihan industri kepada anak tempatan. Inisiatif ini bertujuan memastikan tenaga kerja negeri ini bukan sahaja mempunyai peluang pekerjaan, malah memiliki kemahiran yang relevan dan berdaya saing.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua sebagai penutup, marilah kita bersama-sama Menjunjung Titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku yang menekankan kepentingan transformasi ekonomi negeri melalui pembangunan industri hiliran, inovasi, pengukuhan ekosistem, keusahawanan serta penyediaan peluang pekerjaan yang berkualiti yang merupakan antara agenda utama yang perlu diberi perhatian secara berterusan, menyeluruh dan berstrategi. Sehubungan itu, sektor keusahawanan perlu terus diperkasa sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri, di samping membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat. Kerajaan Negeri akan terus komited mewujudkan ekosistem perniagaan yang kondusif melalui kerjasama erat antara kerajaan, industri dan institusi pendidikan bagi membangunkan usahawan serta tenaga kerja tempatan yang berdaya saing. Dengan komitmen semua pihak, insya-Allah, usaha ini akan menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negeri dan merealisasikan aspirasi Terengganu sebagai negeri Maju, Berkat dan Sejahtera. Sekian,
Alur Limbat, mohon menyokong.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Alur Limbat. Sebelum saya mempersilakan Yang Berhormat Wakil Kerajaan seterusnya untuk buat penggulungan, saya mohon perhatian daripada Yang Berhormat, Yang Berhormat EXCO, agar dapat berbincang dengan sebaik mungkin, kerana besok Dato' Seri mohon agar kita tamatkan sebelum pukul 1. Jadi kita minta penggulungan hari ini, Yang Berhormat-Yang Berhormat EXCO dapat mengambil peluang masa dengan sewajarnyalah. Seterusnya saya persilakan Yang Berhormat Tepuh.
Terima kasih Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua. Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar Terengganu, Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri, Yang Berusaha ketua-ketua jabatan dan agensi, Yang dihormati para pegawai dan kakitangan Kerajaan Negeri, rakan-rakan media, semua tetamu dan juga para pemerhati yang dikasihi sekalian.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, alhamdulillah, terlebih dahulu bagi pihak Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, patik merafak sembah dan Menjunjung Kasih atas titah ucapan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, Pemangku Raja Terengganu, sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri ke-15 pada 20 April 2026, yang telah menyampaikan amanah dengan penuh hikmah, menetapkan hala tuju pembangunan negeri secara menyeluruh.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, saya tidak ada isu yang cukup banyak untuk diketengahkan pada hari ini memandangkan dalam rekod yang saya teliti hanya satu sahaja dikemukakan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat sepanjang perbahasan kelmarin. Walaupun begitu, saya akan menyentuh juga satu perkara yang berkait dengan SUKMA dan seterusnya menjelaskan isu yang dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat dalam sesi perbahasan kelmarin. Tahun 2026 merupakan tahun yang mencabar bagi sektor sukan, dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu kesan daripada krisis Asia Barat, tentunya memberikan kesan secara langsung kepada semua penganjuran-penganjuran sukan yang terikat dengan tatacara kewangan. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri melalui portfolio ini tidak pernah sesekali berhenti bagi meningkatkan pembangunan sukan Negeri Terengganu yang tentunya melibatkan anak-anak muda, anak-anak belia Terengganu.
Pelbagai program-program pembangunan tetap dilaksanakan secara berhemah. Bagi tahun 2026 ini, tentunya portfolio ini memfokuskan Sukan Malaysia SUKMA 2026 yang bakal diadakan pada 15 hingga 24 Ogos 2026 di 53 venue dalam
sembilan daerah seluruh negeri Selangor yang pada asalnya digunakan untuk gelanggang pertandingan Temasya SUKMA. Namun kita telah mendapat berita bahawa berkemungkinan SUKMA 2026 bakal ditangguhkan sebagaimana yang telah dititahkan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang berpandangan penganjuran Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di negeri itu wajar ditangguhkan sehingga krisis Asia Barat selesai. Keputusan penangguhan atau tidak akan kita perolehi dalam masa terdekat secara rasminya. Setelah diputuskan oleh Jawatankuasa Tertinggi SUKMA 2026, bagi pihak Kontinjen Terengganu, kami semua Menjunjung Kasih atas pandangan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor tempoh hari. Dari sisi pihak atlet dan kontinjen, tentunya kita semua memahami kesan sekiranya SUKMA 2026 ditangguhkan. Penangguhan ini bakal menjejaskan banyak perkara, contoh yang boleh kita kongsikan dalam ruangan ini. Yang pertama, kerugian sumber Negeri yang telah digunakan bagi persediaan untuk temasya ini. Yang kedua, kesan kepada syarat penyertaan umur, termasuk rekod kejohanan atlet berusia lebih 21 tahun yang tidak diambil kira. Meskipun begitu, persediaan Kontinjen Terengganu tidaklah terhenti begitu sahaja. Dengan penyusunan program-program pembangunan sukan melalui Majlis Sukan Negeri, insya-Allah, kita masih lagi di dalam laluan persediaan kontinjen, sekali gus pembangunan atlet Terengganu yang telah dirancang sejak beberapa tahun lepas.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, izinkan saya berkongsi perjalanan, persediaan yang telah dijalankan berkenaan penyertaan Kontinjen SUKMA Terengganu setakat ini. Bagi Penyediaan Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM4 juta ringgit. Dengan adanya peruntukan ini, Alhamdulillah, banyak program, bengkel serta latihan bagi mempersiapkan atlet kita berhadapan dengan cabaran SUKMA 2026 dapat dijalankan. 4 Februari 2026 yang lalu, kita telah mengadakan Majlis Watikah Pelantikan Ketua Kontinjen, Timbalan Ketua Kontinjen, Bapa Angkat dan Jabatan Angkat Kontinjen SUKMA Terengganu bagi Temasya SUKMA 2026 yang telah dilangsungkan di Dewan Ar-Riyadah. Bagi kekuatan Kontinjen Terengganu pula, seramai 691 atlet, 183 pengurus dan jurulatih, serta 250 pegawai, menjadikan jumlah kontinjen seramai 1,124 orang.
Manakala jumlah sukan yang dipertandingkan bagi Temasya SUKMA 2026 adalah 37 sukan dan Terengganu mengambil bahagian dalam 35 sukan. Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri Terengganu telah menetapkan sasaran top 3 keseluruhan Temasya SUKMA 2026 sejajar dengan unjuran, komitmen dan usaha yang telah kita jalankan sepanjang persiapan SUKMA 2026 insya-Allah. Tetapi misi paling utama kami sekarang adalah
memastikan produk atlet SUKMA Terengganu dapat mewakili Malaysia dalam temasya sukan di peringkat antarabangsa selepas ini. Pelbagai persiapan telah diambil perjalanan bagi menyiapkan kontinjen SUKMA negeri antaranya bengkel pembangunan sukan, sesi latihan yang intensif, kem pembangunan sahsiah, dan lain-lain. Atlet kita telah pun memulakan persiapan bagi menyahut cabaran SUKMA 2026. Sekiranya temasya SUKMA 2026 diadakan seperti yang dirancang, dengan berbekalkan slogan Terengganu Nelang, besar harapan Negeri terhadap Kontinjen SUKMA Terengganu dapat mencipta kejayaan yang membanggakan dengan mencapai sasaran top 3 keseluruhan dan menyumbang bekalan tenaga atlet mewakili negara selepas daripada itu insya-Allah.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, saya ingin beralih kepada isu yang kedua. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Wakil Bukit Tunggal yang telah bertanyakan soalan berkenaan satu isu yang sedang hangat diperkatakan di seluruh pelosok tanah air pada ketika ini. Iaitu berkenaan dengan adakah Terengganu Football Club (TFC) akan mengambil langkah keluar dari Liga Super dan bermain di Liga Semi-Pro A1 pada musim akan datang. Untuk makluman Yang Berhormat dan Ahli Dewan, setakat ini tiada lagi keputusan rasmi yang dibuat sama ada keluar dari Liga Super atau kekal. Apa yang heboh tempoh hari adalah ura-ura TFC ingin keluar. Hakikat sebenarnya ialah kami sedang melakukan kajian. Kami juga sedang melakukan penelitian dalam pelbagai aspek. Beberapa siri libat urus untuk menjayakan kajian dan penelitian ini telah pun dibuat secara mendalam bersama dengan pemegang taruh. Tentunya, sebarang keputusan tidak akan dibuat sewenang-wenangnya. Punca idea ini mula ditimbulkan adalah kerana isu dalaman TFC, khususnya tanggungan beban hutang yang tinggi dan kos operasi tahunan yang terpaksa dikongsi sama dengan tanggungjawab penyelesaian hutang-hutang berkenaan. Dalam bahasa yang mudah, bajet yang kita perolehi tidak tertumpu kepada kos tahunan yang perlu dibelanjakan, tetapi perlu juga untuk kita memperuntukkan bagi tanggungjawab penyelesaian hutang-hutang yang masih tertunggak. Suka untuk saya rekodkan dalam Dewan yang mulia ini, tanggungan hutang kita berjumlah RM13 juta. Setelah diusahakan dengan pelbagai pendekatan, jumlah hutang yang masih berbaki setakat hari ini adalah sebanyak RM8.5 juta. Kita tidak boleh menurunkan kadar hutang secara drastik, sekalipun kita rendahkan kos operasi tahunan. Merendahkan kos operasi tahunan pastinya akan menjejaskan prestasi pasukan dan TFC akan berdepan dengan pelbagai kecaman.
Isu yang paling utama bukan soal kecaman peminat bola sepak terhadap prestasi pasukan tetapi isu paling utama adalah soal sustainability dengan izin. Soal kemampuan, sejauh mana kemampuan untuk kita bertahan, kekal atau berterusan dalam jangka masa panjang. Manakala tanggungjawab penyelesaian hutang ini menjadi kewajipan kepada kami untuk melunasi seberapa segera kerana ia melibatkan hak pihak yang lain. Musim yang masih berlangsung ini iaitu 2025 hingga 2026 telah pun melibatkan usaha pemotongan kos yang sangat berani daripada pihak kelab. Perkara ini telah kami kongsikan kepada peminat sebelum musim bermula dengan meletakkan siling belanja yang dibenarkan dan sangat berwaspada dengan perbelanjaan kelab. Polisi ini tentunya memberi kesan kepada prestasi kelab kerana kita berbelanja kecil, tidak membeli pemain-pemain yang bermutu tinggi. Maka akhirnya, kelab dipersalahkan kerana prestasi yang menurun. Sebab itulah kita hanya meletakkan sasaran petunjuk prestasi musim ini berada pada kedudukan lima teratas sahaja. Alhamdulillah, sasaran ini masih kekal dipegang oleh TFC dengan kedudukan lima teratas dalam saingan Liga Super.
Merumus isu ini, saya memberikan jaminan ura-ura ini belum lagi menjadi kenyataan. Tapi agak bagus diketahui oleh umum lebih awal agar masing-masing dapat mengambil maklum kenapa kita tidak menjadi pencabar utama kepada pasukan-pasukan hebat. Saya juga ingin memberikan jaminan keputusan ini tidak dibuat hanya melalui keputusan peribadi saya. Ia akan dibuat secara konsensus melalui tertib organisasi bermula daripada sesi-sesi libat urus dengan semua pemegang taruh, dilumatkan dalam bengkel khas, menjalani pelbagai exercise, diputuskan oleh Ahli Lembaga Pengarah TFC dan akan diputuskan sekali lagi secara konsensus di peringkat EXCO Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu sebagai pemilik penuh kelab.
Sementara itu, mesej ini juga menjadi signal yang jelas. Buat pengurusan Malaysian Football League (MFL) sebagai penganjur dan pengurus penganjuran Liga Utama Negara dan pertandingan piala berprestij dalam negara agar meneliti dan mendalami secara lebih membumi kemelut yang dilalui oleh kelab-kelab kecil seperti TFC. Saya percaya ia juga dirasai oleh kelab-kelab negeri lain yang tidak perlu saya nyatakan dalam Dewan ini. Sehingga itulah yang menyebabkan sebahagian kelab telah pun keluar dan hilang kelayakan dari persaingan pada musim Ini. Andai kata TFC keluar, adakah Kerajaan Negeri Terengganu dipersalahkan? Dalam keadaan masing-masing daripada kelab-kelab negeri lain juga keluar dan tidak memiliki kelayakan berada di dalam persaingan liga ini.
Kesimpulannya, keputusan sama ada untuk kekal di Liga Super atau beralih ke Liga A1 bukanlah satu pilihan yang mudah. Kedua-dua pilihan itu mempunyai kelebihan yang tersendiri. Risiko yang perlu ditanggung serta implikasi besar kepada kewangan, perundangan, dan komuniti. Apa yang lebih penting adalah memastikan setiap keputusan yang diambil berasaskan data dan realiti kewangan mengambil kira kepentingan semua pihak berkepentingan dan menjamin kelangsungan bola sepak Terengganu terus dijaga dan dibanggakan. Dalam masa yang sama, telahan untuk berdepan dengan situasi ekonomi yang sukar, kesan daripada krisis Asia Barat juga perlu diberikan perhatian.
Indah saujana mata memandang Tenang muara ombaknya santun Demi TFC, hala tuju dirancang Kaji semula langkah disusun
Dato' Yang di-Pertua, boleh saya Sura ingin tanya ...
Nanti nak perabis pantun kejap...nanti bangun balik ah.
Bukan berniat mencari sengketa Hanya berwaspada bebanan diri Konsensus dicari murni sepakatnya Demi kelestarian bola sepak negeri
Sila Yang Berhormat, sebab putus hok pantun ni memang hilang mood...
Ingat habis dah pantun, ingat ada se je, Dato'. Bukan gini. Adakah Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu ataupun pemegang taruh kepada TFC bersetuju dengan ada sebahagian daripada pandangan yang diutarakan oleh anak muda di peringkat bawah untuk dana yang sepatutnya disalurkan kepada TFC yang cukup besar itu, mungkin kalau kita keluar daripada Liga Super kita dapat salurkan untuk pembangunan bola sepak sebagai contoh untuk jalankan Liga Bola Sepak di peringkat daerah-daerah secara lebih menyeluruh. Jadi saya mohon pandangan daripada Yang Berhormat.
Terima kasih Yang Berhormat Sura. Sememangnya itulah di antara isi kandungan libat urus yang akan dijalankan. Seandainya, kita turun kita tidak akan matikan agenda pembangunan bola sepak. Kesempatan ruang ini ia bukan medan untuk kami memaklumkan keputusan kerana sesi libat urus ini masih belum berakhir dan masih banyak siri-siri yang akan dilakukan oleh pihak kami, supaya keputusan yang dibuat adalah keputusan yang terbaik dan memberikan peluang dalam pelbagai aspek sama ada kekal ataupun tidak.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, saya kira itulah antara perkara utama yang boleh saya sentuh dalam ruang penggulungan pada hari ini. Sekali lagi saya ucapkan terima kasih pada semua Ahli Yang Berhormat atas pandangan dan input-input yang dikongsikan sepanjang tempoh perbahasan ini.
Membeli kain di Pasar Payang Menjadi persalinan penuh tradisi Titah Tuanku penyuluh gemilang Maju, Berkat, Sejahtera dipikul dengan penuh dedikasi
Akhir kata, Tepuh mohon menyokong dan Menjunjung Kasih Titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja. Sekian.
Terima kasih, Yang Berhormat Tepoh. Sila, Yang Berhormat Wakaf Mempelam.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar, rakan-rakan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,
Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, seterusnya Ketua-ketua Jabatan, Agensi, Pemerhati serta seluruh yang hadir di Dewan mahupun secara maya. Pertama, marilah sama-sama kita memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala di atas limpah rahmat dan keizinan-Nya yang mengizinkan kita berhimpun dalam Dewan yang mulia ini, bukan sekadar tempat bersidang bahkan juga merupakan platform utama bagi Ahli-ahli Yang Berhormat untuk mengutarakan pandangan, membincangkan isu-isu semasa serta menilai dasar-dasar kerajaan dengan penuh tanggungjawab dan kebijaksanaan. Ia juga mencerminkan kematangan sistem demokrasi serta kestabilan politik negeri.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih pada Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua kerana memberi peluang kepada saya untuk menyampaikan ucapan penggulungan sempena dengan sesi penggulungan Titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Terengganu bagi Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Kelima Belas, yang berlangsung pada 20 hingga 23 April 2026.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, melalui Titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Terengganu boleh dirumuskan kepada beberapa aspek yang diberi penekanan berkaitan Portfolio Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan sebagaimana berikut. Yang pertamanya, pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam. Yang keduanya, perancangan bandar yang mampan serta pengurusan PBT dan yang ketiga, penyediaan perumahan yang mencukupi dan selesa.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, pertama berkaitan dengan pengurusan kebersihan dan sisa pepejal, penambahbaikan berterusan sentiasa dilakukan oleh Kerajaan Negeri melalui semua Pihak Berkuasa Tempatan Negeri bagi memastikan negeri sentiasa berada dalam keadaan bersih. Terbaru pada tahun 2026, kontrak kutipan sisa pepejal telah pun diperbaharui dengan tempoh enam tahun bermula tahun 2026 hingga 2031. Melalui kontrak baharu ini, penambahbaikan telah pun dibuat berbanding kontrak lama dengan mengambil kira faktor-faktor seperti pelaburan aset mampan, penggunaan lori compactor baharu, penyelarasan pengurusan zon serta penambahan inventori sampah dan jadual kutipan yang lebih optimum. Selain daripada itu, perbelanjaan tahunan yang tinggi bagi pembersihan awam dan sisa pepejal boleh dikurangkan sekiranya wujud kesedaran kolektif dalam kalangan rakyat. Kesedaran ini boleh dipraktikkan melalui amalan kitar
semula, pengumpulan minyak masak terpakai, pengumpulan e-waste dan pengasingan daripada punca. Perkara-perkara ini mungkin nampak kecil tetapi memberikan impak yang besar dan dapat mengurangkan bebanan pelupusan sisa pepejal ke tapak pelupusan sisa. Insya-Allah, langkah-langkah yang dibuat akan memastikan negeri Terengganu sentiasa menjadi negeri yang bersih, ceria dan indah demi keselesaan penduduk dan juga pelancong.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, kedua menyentuh aspek perancangan dan pengurusan bandar, penggunaan sistem digital atau kecerdasan buatan AI telah banyak digunakan bagi pelbagai proses atau perkhidmatan seharian pada hari ini. Insya-Allah, PBT akan meneroka peluang bagi penggunaan sebarang sistem digital atau AI bagi mengurangkan birokrasi agar pemajuan dapat dibuat dengan lebih cepat dan efisien. Sejajar dengan itu, Kerajaan Negeri menitikberatkan pelaksanaan konsep perancangan Bandar Pintar berteraskan Blueprint Bandar Pintar Negeri Terengganu, SMART Terengganu 2040 sebagai panduan utama dalam aspek perancangan dan pengurusan bandar, iaitulah untuk mewujudkan Bandar Pintar merangkumi tujuh elemen iaitulah Kerajaan Pintar, Ekonomi Pintar, Alam Sekitar Pintar, Rakyat Pintar, Mobiliti Pintar, Kehidupan Pintar dan Infrastruktur Digital Pintar yang saling melengkapi dalam membentuk ekosistem bandar yang holistik. Dasar SMART Terengganu 2040 ini menekankan konsep people-centric smart city dengan izin, iaitu memastikan setiap penggunaan teknologi dan inovasi yang diperkenalkan memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat serta meningkatkan kualiti hidup langsung di dalam masyarakat kita. Melalui pendekatan ini, pelbagai isu perbandaran seperti kesesakan lalu lintas, kecekapan penyampaian perkhidmatan, pengurusan sumber dan kesejahteraan komuniti dapat ditangani secara holistik, mampan dan juga berimpak tinggi. Pendekatan konsep Bandar Pintar juga menekankan aspek kerajaan pintar melalui penyampaian yang lebih cekap, efisien dan memudahkan urusan rakyat. Kerajaan Negeri juga mengambil pendekatan dalam memudah cara permohonan pembangunan selaras dengan pertumbuhan ekonomi semasa melalui pelaksanaan Pemajuan Inklusif Terengganu bagi Aspirasi Hasil atau ringkasnya PiTAH. Diperkenalkan sebagai langkah proaktif bagi memastikan proses pemajuan dapat dilaksanakan dengan lebih cepat, cekap dan berdaya saing.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, melalui MURNInets yang mengukur tahap kemampanan bandar. Semua PBT Negeri Terengganu alhamdulillah, telah berjaya mencapai status mampan dengan markah 90% ke atas. Baru-baru ini, seperti
yang telah diketahui umum telah diumumkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan senarai 10 Bandar Paling Bahagia di Malaysia bagi tahun 2026. Daripada 10 bandar yang diiktiraf tersebut tersebut, tiga bandar adalah merupakan bandar di Negeri Terengganu. Tahniah saya ucapkan kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Majlis Daerah Marang dan juga Majlis Daerah Setiu atas pencapaian ini. Semoga pencapaian ini dapat dikekalkan dan dicontohi oleh semua PBT-PBT di Negeri Terengganu bagi memastikan rakyat terus berada dalam keadaan sejahtera.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, berhubung kajian khas aliran trafik bandar, MBKT telah pun melaksanakan satu kajian berhubung isu kesesakan lalu lintas di Pusat Bandaraya Kuala Terengganu dan akan dimuktamadkan insya-Allah dalam masa terdekat. Kajian tersebut adalah kajian pelan induk lalu lintas dan pengangkutan di Pusat Bandaraya Kuala Terengganu 2026-2035 yang telah pun bermula pada 3 Mac 2025 dan berakhir pada 3 Mac 2026 yang diadakan selama satu tahun. Kajian ini melibatkan kawasan pusat bandar Kuala Terengganu dan kawasan sekitarnya yang bertujuan untuk menilai dan mengenal pasti punca permasalahan aliran lalu lintas di pusat bandar dan mencadangkan mitigasi bagi menyelesaikan permasalahan tersebut. Kos pelaksanaan kajian adalah sebanyak RM1.074 juta yang diluluskan di bawah Peruntukan Wang Amanah Jalan Negeri atau MARIS. Hasil daripada kajian tersebut telah dicadangkan cadangan mitigasi penyelesaian isu lalu lintas dan pengangkutan dalam tiga fasa pelaksanaan iaitu yang pertama Cadangan penyelesaian jangka pendek 2026 hingga 2027, yang keduanya jangka sederhana 2028 hingga 2030 dan yang ketiganya jangka panjang 2031 hingga 2035 dan sebanyak 26 cadangan mitigasi lalu lintas dan pengangkutan yang merangkumi cadangan mitigasi berikut. Yang pertamanya, 4 cadangan mitigasi utama lalu lintas yang merangkumi 45 cadangan projek penambahbaikan, 3 cadangan penambahbaikan kemudahan tempat letak kereta, pejalan kaki dan mikromobiliti, serta papan tanda tunjuk arah. Yang ketiganya, 9 cadangan penambahbaikan garis panduan polisi, lalu lintas dan pengangkutan dan yang keempat, 10 cadangan penambahbaikan pengangkutan awam dan juga barangan.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, yang ketiganya, dalam sektor perumahan, Kerajaan Negeri insya-Allah akan terus memberi fokus kepada penyediaan rumah mampu milik yang mencukupi, berkualiti dan selesa. Projek pembangunan ini bukan sahaja merangkumi peruntukan daripada Kerajaan Negeri, kerjasama
bersama dengan Kerajaan Persekutuan dan usaha sama dengan agensi swasta. Kerajaan Persekutuan yang terlibat di antaranya adalah Kementerian Kewangan Malaysia (MOF), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Selain daripada itu, agensi-agensi lain yang turut terlibat adalah seperti Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan juga pemaju-pemaju swasta.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, terdapat beberapa punca penurunan indikator perumahan di Negeri Terengganu. Di antaranya adalah kemampuan rakyat yang terhad, ketidaksepadanan penawaran dan juga permintaan serta kekangan penawaran rumah mampu milik. Secara ringkasnya, penurunan indikator perumahan di Terengganu berpunca daripada beberapa faktor seperti berikut. Yang pertama, kemampuan rakyat yang terhad akibat kenaikan harga rumah yang tidak seiring dengan pertumbuhan pendapatan isi rumah. Yang kedua, berlaku ketidaksepadanan antara penawaran dan juga permintaan. Yang ketiganya, penawaran rumah mampu milik masih tidak mencukupi berbanding permohonan yang tinggi daripada rakyat. Untuk rekod, jumlah permohonan yang direkodkan oleh e-Perumahan semenjak ditubuhkan sehingga sekarang sebanyak 77,302 permohonan. Justeru bagi menangani isu ini, Kerajaan Negeri mengambil beberapa langkah strategik seperti berikut. Pertama, menguatkuasakan kuota pembangunan RMM bagi projek di tanah Kerajaan serta menggunakan levi bagi pengecualian di tanah milik. Yang kedua, kerjasama dengan pemaju swasta diperkukuhkan melalui dasar perumahan yang lebih mesra industri termasuk kadar premium yang lebih rendah dan kuota pembangunan yang lebih realistik. Akhir sekali, penetapan harga RMM dan kelayakan pemohon perlu sentiasa diteliti dan diselaraskan dengan keadaan semasa.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, insya-Allah dengan perancangan-perancangan yang dilaksanakan ini, mampu memberikan sebuah tempat tinggal kepada rakyat yang secara langsung akan menyokong dan memperkukuhkan institusi keluarga. Insya-Allah.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, pelbagai isu telah pun dibangkitkan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat sepanjang sesi perbahasan yang berlangsung. Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua Yang
Berhormat yang telah pun mengambil berat dan membangkitkan pelbagai isu yang penting demi kesejahteraan rakyat Terengganu. Sehubungan itu, izinkan saya mengambil kesempatan untuk memberikan sedikit penerangan terhadap perkara-perkara yang telah dibangkitkan.
Yang pertamanya, ADUN Bandar membangkitkan tentang isu keadaan lori yang digunakan bagi kutipan sisa pepejal. Untuk makluman seperti yang saya telah maklumkan bahawa kontrak kutipan sisa pepejal yang baharu telah bermula sejak 1 Januari 2026 yang lalu. Antara perkara yang kita syaratkan adalah pembelian lori compactor yang baharu. Insya-Allah kontraktor-kontraktor yang berjaya diberi tempoh selama satu tahun untuk mendapatkan lori compactor yang baharu bagi menangani isu-isu yang telah pun dibangkitkan dan kita akan melihat insya-Allah perubahan bermula seawal pertengahan tahun ini, insya-Allah. Sekiranya mereka gagal untuk mematuhi syarat tersebut, Kerajaan Negeri melalui PBT tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan yang tegas. Seterusnya, yang kedua...
Yang Berhormat, boleh celah sikit?
Sila..
Celah sikit eh. Terima kasih Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua. Berhubung dengan lori yang beroperasi sekarang ini, pada pendapat sayalah, kalau boleh kita minta supaya diperbaiki dahulu sementara. Sebab kebocoran itu amat-amat sangat tidak, tak cantik dan sisa air tu, sehingga sekarang ni saya tengok dah menghampiri kawasan-kawasan penting termasuk dalam bandar, pinggir bandar dia bukan sahaja bau tetapi membahayakan sebab dia berminyak. Jadi kalau kita perhati di setiap tempat angkut sampah, tempat simpan sampah itu semua berselerakan dengan sisa air daripada sampah tersebut. Jadi saya berpandangan kalau boleh kita minta dia stop sehari dua, baiki dulu sementara yang lain tolong cover sebab kalau ia terus berlaku kemungkinan orang yang datang melihat rasanya tidak begitu cantiklah. Itu pandangan sayalah. Terima kasih.
Terima kasih pada Yang Berhormat Bandar dan itulah antara perkara yang telah pun kita bincang dan itu adalah di antara dapatan-dapatan yang lahir dalam perbincangan dan itu jugalah yang menjadikan kita meletakkan prasyarat dalam kontrak dengan mereka yang telah memenangi tender ini supaya memastikan dalam tempoh setahun peluang yang kita berikan pada mereka untuk mendapatkan lori compactor yang baharu. Isunya, lori hok ada itu lori lama. Jadi bila lori lama gak maklum sajalah. Jadi sebab itulah insya-Allah kita bagi peluang pada mereka dan seperti yang saya nyatakan insya-Allah pertengahan tahun ini kita akan melihat perubahan akan berlaku, insya-Allah.
Seterusnya, yang keduanya ADUN Ladang. ADUN Ladang membangkitkan isu gaya hidup dan pemakanan rakyat Terengganu terutama wanita dan juga kanak-kanak. Cuma saya harap ucapan ADUN Ladang ini bukan sahaja tertumpu pada wanita dan kanak-kanak, semua sekali termasuklah orang dewasa Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua. Sebab wanita dan kanak-kanak ini sebahagian daripada rakyat, sebahagian daripada komuniti yang ada. Ramai lagi ataupun yang juga antara komuniti yang penting adalah orang lelaki pun sama juga Yang Berhormat, termasuk orang dewasa dan sebagainya.
Jadi untuk makluman, di bawah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, pelbagai langkah telah pun dipraktikkan bagi mendidik dan memberi kesedaran terhadap kepentingan menjaga pemakanan demi kesihatan. Antara langkah yang sedia ada yang telah dijalankan adalah seperti berikut. Yang pertama, bermula 2017 lagi, aktiviti pemantauan penjualan makanan dan minuman di kantin sekolah telah dijalankan berpandukan senarai makanan dan minuman. Yang kedua, inisiatif SIHAT. Cara hidup anda terbaik. SIHAT itu, maknanya cara hidup anda terbaik. Jadi Inisiatif SIHAT ini telah pun dilakukan oleh pihak Jabatan Kesihatan yang merupakan program pemerkasaan PIBG bagi menangani masalah obesiti di kalangan murid sekolah yang telah diperkenalkan pada tahun 2016 lagi dan ia masih lagi berjalan. Yang ketiganya, pegawai sains pemakanan menjalankan pemantauan dan bimbingan bagi program rancangan makanan tambahan RMT. Yang keempat, semakan menu taska supaya menu-menu yang disediakan oleh pemilik-pemilik taska adalah menu-menu yang sihat. Yang kelima, pelan pemakanan bernutrisi melalui program hidangan berkhasiat di sekolah HITS yang merupakan aktiviti promosi pemakanan sihat yang mensasarkan pelajar memilih pakej makanan berkhasiat mengikut keperluan kalori dan nutrien murid. Jadi ini
adalah di antara program-program yang diadakan termasuklah yang terakhirnya program Sekolah KUSIHAT Style Kita pada tahun 2025 lagi sebagai aktiviti advokasi pemakanan sihat di sekolah melalui pemerkasaan pelbagai aktiviti.
Yang Berhormat Dato' Yang di-Pertua, seterusnya ADUN Jertih membangkitkan isu kawalan hiburan berkaitan budaya hedonisme. Untuk makluman, di bawah Enakmen Hiburan dan tempat-tempat Hiburan 2002, PBT adalah pegawai pelesen, dan dalam meluluskan sesuatu permohonan hiburan, PBT akan menilai sesuatu permohonan berdasarkan peraturan-peraturan yang berkuat kuasa termasuklah Garis Panduan Hiburan, Persembahan, Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu yang telah diperkenalkan oleh Kerajaan. Berdasarkan rekod, sebanyak 521 permohonan telah diluluskan di negeri Terengganu. Selain daripada itu, 28 kompaun telah dikeluarkan dalam tempoh masa 2024 hingga 2026 dengan nilai sebanyak RM185,000. Perkara ini menunjukkan bahawa PBT tidak akan berkompromi terhadap sebarang kesalahan berkaitan hiburan, insya-Allah PBT akan sentiasa meningkatkan pemantauan bagi memastikan aktiviti hiburan yang dilakukan sentiasa mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
Seterusnya, berkenaan dengan isu pembinaan rumah mampu milik. Kerajaan Terengganu telah merancang dan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan rakyat memiliki kediaman sendiri, antaranya melalui projek-projek perumahan mampu milik yang baharu dilaksanakan secara berterusan untuk golongan-golongan yang berpendapatan rendah. Dalam masa terdekat, Kerajaan insya-Allah akan menjalankan dua projek perumahan mampu milik iaitu rumah pangsa mampu milik di Kubang Parit dan rumah pangsa mampu milik di Hiliran Jejawi.
Selain daripada itu, Kerajaan Negeri juga menyediakan skim bantuan kewangan seperti skim pinjaman tanpa faedah melalui program i-RAHMAN bagi membantu rakyat yang tidak berkemampuan memiliki rumah dan Kerajaan Negeri telah mengadakan perbincangan akhir dengan pihak SPNB bagi pelaksanaan program RMR i-RAHMAN 2.0.
Seterusnya yang ketiga, ADUN Hulu Besut.
Dato' Yang di-Pertua, mohon celah sikit.
Sila, Kuala Berang.
Saya berminat juga berkaitan dengan skim pinjaman tanpa faedah ni. So, boleh huraikan lebih sikit ke? Supaya contohnya, rumah tu berharga RM80,000. Kemudian, adakah, bunga ke, ataupun faedah lah disebut dok, Kerajaan yang bayar? Pemiliknya hanya bayar pokok sahaja, RM 80,000. Contohnya.
Terima kasih kepada Kuala Berang. Untuk makluman, skim i-RAHMAN ini tidak mempunyai sebarang penambahan kos daripada harga rumah yang telahpun dipersetujui di antara kedua belah pihak dalam bahasa yang mudah tidak ada bunga. Pinjaman yang diberikan sebanyak mana pinjaman yang diberikan sebanyak itulah yang dibayar.
Seterusnya yang ketiga Dato' Yang di-Pertua, ADUN Hulu Besut membangkitkan isu status projek di Kampung Bukit Cina, Pasir Akar di daerah Besut. Secara ringkasnya, untuk makluman Dewan, pemaju telah gagal ataupun enggan ataupun ingkar untuk mematuhi menjalankan dengan sempurna obligasi yang telahpun ditetapkan di bawah perjanjian. Usaha sama di antara pihak Lembaga Tabung Amanah serta Kerajaan Negeri bersama dengan pihak Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu serta Kerajaan Negeri dan kita berhak untuk mengenakan tindakan yang telahpun termaktub pada klausa dua iaitu balasan kepada pihak-pihak dan juga 3.1 tempoh dan juga atau 6.1 kemungkiran pihak-pihak di mana pengurusan Lembaga Tabung dan Kerajaan Negeri juga berhak untuk menuntut apa-apa kos yang berkenaan kepada pihak pemaju seperti mana yang telah dinyatakan di dalam perjanjian serta segala liabiliti adalah sepenuhnya di bawah tanggungan pihak pemaju. Justeru kita akan mengambil tindakan segera terhadap pemaju projek ini untuk memastikan sama ada mereka boleh meneruskan projek ini ataupun kita mengambil tindakan-tindakan seperti mana yang telah termaktub dalam perjanjian.
Seterusnya, ADUN Seberang Takir membangkitkan isu jumlah program gotong-royong, pertandingan kebersihan dan keindahan kampung peringkat negeri. Untuk makluman, di bawah Portfolio Kerajaan Tempatan, Perumahan Dan Kesihatan, pelbagai aktiviti telah pun dilaksanakan dan dirancang bagi membudayakan
Terengganu bersih. Insya-Allah, Kerajaan Negeri melalui PBT akan melaksanakan aktiviti-aktiviti untuk mencapai apa yang kita kehendaki iaitu Terengganu bersih.
Seterusnya, sahabat saya ADUN Telemung membangkitkan isu perumahan di kawasan beliau. Ini adalah di antara tajuk yang sering diucapkan oleh ADUN Telemung setiap kali sidang DUN dan saya sendiri sentiasa memberikan keutamaan kepada beliau dan kerana itulah pihak saya sendiri melakukan banyak perbincangan bersama-sama dengan pihak-pihak yang berkaitan untuk merealisasikan apa yang dihasratkan oleh Yang Berhormat Telemung untuk pembinaan Rumah Mampu Milik khususnya di kawasan beliau iaitulah di Telemung.
Untuk makluman berkenaan dengan tanah di Kuala Ping yang telah pun diusahakan oleh pihak SPMB semenjak 2018 lagi tetapi sehingga sekarang tidak ada apa-apa kemajuan dan kemajuan di situ hanya mencecah 19% sahaja dan sehingga kini memang tidak ada apa-apa tindakan oleh pihak SPMB dan saya telah pun berhubung sendiri beberapa kali dengan pihak SPMB dan pihak SPMB membayangkan bahawa kemungkinan untuk mereka tidak meneruskan projek ini disebabkan kerana permintaan yang sangat perlahan daripada masyarakat di situ. Disebabkan kerana jenis rumah yang ditawarkan adalah jenis yang agak mahal lah. Bukannya mampu milik, mungkin mampu kelih saja barang kali. Justeru saya masih lagi sedang berunding dengan serius dengan pihak SPMB untuk memuktamadkan masa depan ataupun nasib tanah itu. Untuk makluman tanah itu adalah tanah yang dimiliki oleh pihak SPMB dan kita telahpun...
Panjang lagi ke Yang Berhormat? Panjang lagi ke?
ada dua lagi, dua helai lagi...
Dua helai lagi? kita tangguh dulu...
Tangguh dulu??
Yang Berhormat sambung pukul 4.00.
Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, saya tangguhkan sementara Dewan ini dan sambung semula pada pukul 4.00 petang.
MESYUARAT DITANGGUHKAN PADA PUKUL 3.30 PETANG
PUKUL 4.00 PETANG
Mesyuarat disambung semula. Yang Amat Berhormat Dato' Seri, Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan sekalian, Ahli-ahli Yang Berhormat, Yang Berbahagia Ketua-ketua Jabatan dan pemerhati. Saya dengan ini mempersilakan Yang Berhormat Wakil Wakaf Mempelam untuk menyempurnakan penggulungan.
Terima kasih pada Timbalan Yang di-Pertua. Kira guane ni, YB? Kira semula ke macam mana ni?
Sambung semula, pukul lima, dok dang tu. Tadi ada dua muka surat kata, dok? Baki.
Nampak ada dua puluh minit lagi tu.
Sila Yang Berhormat.
Terima kasih kepada Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua.
Seterusnya, sahabat saya daripada Bukit Tunggal ada membangkitkan berkenaan dengan isu Projek Perumahan Rumah Pangsa Mampu Milik Banggol Pauh dan juga Pulau Duyong Tiga berkenaan dengan tambahan kuota. Untuk makluman Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua dan semua Ahli-ahli Yang Berhormat, Projek Perumahan Rumah Pangsa Mampu Milik Banggol Pauh, Kuala Nerus yang mempunyai 162 unit rumah.
Status kemajuan projek adalah mencapai 76%, manakala bagi projek RPMM Pulau Duyong 3, Kuala Terengganu yang mempunyai sebanyak 66 unit rumah. Kemajuan projek telah mencapai 73%. Sebagaimana keputusan Mesyuarat Kerajaan Negeri, mesyuarat kali yang ke-40 tahun 2025 yang telah pun bersidang pada 26 November yang lalu, telah bersetuju dengan pembahagian kuota rumah mampu milik diperuntukkan sebanyak 50% kepada Yang Berhormat ADUN kawasan tapak projek perumahan. Kuota ini merupakan peruntukan tertinggi lah berbanding kuota ADUN kawasan sekitar yang lain.
Dalam bahasa yang mudah, kuota ini diwujudkan bertujuan untuk menyamaratakan ataupun untuk orang kata bagi sikit seorang. Banyak cara banyak, sikit cara sikit. Begitulah hasrat ataupun motif daripada kewujudan kuota-kuota tersebut dan pembahagian kuota ini dibuat bagi mengimbangi keperluan pentadbiran negeri serta aspirasi rakyat supaya proses pengagihan dapat dilaksanakan secara lebih adil, menyeluruh dan tidak tertumpu kepada kawasan-kawasan tertentu sahaja. Pun begitu, permohonan dan juga harapan daripada Yang Berhormat Bukit Tunggal akan saya teliti memandangkan saya juga telah menerima surat permohonan daripada Yang Berhormat Bukit Tunggal.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, boleh saya celoh? Gini, saya ringkas saja.
Jangan panjang sangat...
Saya diminta oleh rakyat saya lah kerana saya pernah dulu tahun 2023 dulu memohon dengan Kerajaan untuk dibina satu kawasan perumahanlah. Kerana di Telemung ni semalam kena sebut kerana ucapan saya semalam lah. Belum ada satu lagi kawasan perumahan di Telemung ni. Kita di Terengganu ini telah membina kelmarin 12,500 lebih rumah. Jadi Kerajaan jawab 2023 dulu, 2024, nak buat 2025.
Tak 2025, 2026. Saya susah nak jawab, ada rakyat tanya saya ni sebab rakyat duk tanya bila nak buat, bila nak buat ni. Itu saya minta kepastian Kerajaanlah. Jadi kita haraplah, maknanya tahun 2026 ni tidak mengecewakanlah khususnya rakyat saya di Telemung. Kita haraplah supaya Kerajaan boleh mengambil perkara ini sebagai satu harapan besarlah kami di Telemung, sebagai satu daripada... yang pertama kali ini ada projek perumahan. Terima kasih.
Sila Wakil Mempelam. Dia nak juga tu.
Okey, terima kasih pada ADUN Telemung dan memang saya sangat memahami hasrat yang telah pun dinyatakan oleh Yang Berhormat Telemung dan sememangnya mana-mana Yang Berhormat di seluruh kawasan, itulah harapan untuk menyediakan perumahan yang mampu milik kepada rakyat. Ini adalah di antara impian semua Ahli-ahli Yang Berhormatlah, dan insya-Allah khusus untuk ADUN Telemung, saya akan memberikan yang terbaiklah untuk akhirnya merealisasikan hasrat dan juga impian Yang Berhormat Telemung itu, insya-Allah.
Seterusnya Yang Berhormat ADUN Kuala Besut, ada membangkitkan isu pelancong menaiki jeti Tok Bali untuk ke Pulau Perhentian, Besut. Berkaitan dengan isu pelancong yang ke Pulau Perhentian, Besut menaiki bot di jeti Tok Bali, Kelantan, sememangnya akan merencatkan sikit sebanyak ekonomi setempat memandangkan penduduk di sekitar Kuala Besut tidak akan mendapat limpahan ekonomi daripada pelancong yang datang. Berdasarkan perbincangan awal Majlis Daerah Besut bersama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, telah mendapati bahawa belum ada apa-apa kelulusan berkenaan dengan permohonan rentas negeri sebelum daripada ini. Berdasarkan Seksyen 4483B Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, yang telah menyatakan berkenaan bahawa lesen bot tidak boleh merentasi negeri atau kawasan yang dilesenkan kecuali dalam keadaan kecemasan. Insya-Allah, perkara ini akan diteliti bagi memastikan setiap kepentingan agensi dan penduduk setempat dipelihara dan juga terjaga dan insya-Allah saya akan juga berhubung dengan rakan sejawat saya di Kelantan dalam isu yang berkaitan.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, saya rasa saya telah pun menjawab semua isu-isu yang telah pun dibangkitkan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat
berkenaan dengan portfolio yang saya ketuai. Akhir kata, Menjunjung Kasih merafak sembah di atas Titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Terengganu ketika bertitah di Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas pada hari Isnin 20 April 2026 bersamaan 2 Zulkaedah 1447 Hijrah. Wakaf Mempelam juga mohon menyokong. Terima kasih.
Terima kasih Wakaf Mempelam dan terima kasih kerana saya bimbang kalau ambil masa panjang start gear satu semula tadi. Terima kasih. Seterusnya saya persilakan Wakil Batu Buruk untuk buat penggulungan.
. .
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar, Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Yang Berusaha Ketua-ketua Jabatan dan Agensi, para pegawai dan kakitangan Kerajaan Negeri, Pusat, semua tetamu, petugas media dan pemerhati yang dirahmati Allah Subhanahu Wa Ta'ala sekalian.
Alhamdulillah, yang pertamanya bersyukur kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala kerana dengan limpah dan kurnia-Nya, kita dapat bersama-sama berhimpun pada hari ini bagi menjayakan Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas.
Sebagaimana rakan-rakan sebelum daripada saya, saya juga ingin merafakkan serta Menjunjung Kasih Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, Pemangku Raja Terengganu di atas Titah Diraja yang sarat dengan hikmah panduan serta iltizam terhadap kemaslahatan agama, rakyat dan negeri. Sesungguhnya, Titah Tuanku menjadi obor pedoman dan sumber inspirasi kepada seluruh jentera pentadbiran negeri dalam merencana dasar dan hala tuju pembangunan yang berpaksikan nilai-nilai Islam, keadilan sosial dan kesejahteraan rakyat. Patik dan seluruh warga
pentadbiran negeri berikrar menjunjung Titah Tuanku dengan penuh kesetiaan, komitmen dan tanggungjawab demi mendaulatkan Terengganu sebagai sebuah negeri yang diberkati sejahtera dan dirahmati Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua dan seluruh Yang Berhormat-Yang Berhormat, insya-Allah saya cuba untuk menamatkan penggulungan mengikut masa yang ditetapkan. Daripada perbahasan yang telah dikemukakan oleh Yang Berhormat-Yang Berhormat, merangkumi pelbagai aspek khususnya berkait dengan portfolio penerangan dakwah dan pemerkasaan syariah. Antara lain, Yang Berhormat-Yang Berhormat menyebut beberapa perkara berkait dengan portfolio dan sebahagiannya telah dijawab dalam sesi soal-jawab yang bermula sejak daripada semalam dan sehari sebelum daripada itu. Namun begitu, terdapat beberapa perkara yang suka untuk saya tambah daripada maklumat-maklumat yang telah dijawab dan disampaikan. Antaranya ialah berkait dengan yang ditimbulkan oleh Yang Berhormat Bandar, Yang Berhormat Ladang, berkenaan dengan pemerkasaan syariah khususnya dalam konteks garis panduan syariah. Sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Yang Amat Berhormat Dato' Seri Menteri Besar dalam ucapan Bajet pada tahun ini, telah memasukkan antara lain program di bawah portfolio iaitu Karnival Indahnya Hidup Bersyariat. Sebahagian daripada DUN-DUN telah melaksanakan program ini. Kita melihat kepada perkembangan semasa yang berlaku dan kita bersetuju untuk merubah konsep karnival tersebut dengan nama baru ataupun perjenamaan baru iaitu Bersamamu Rakyat, untuk lebih menjurus kepada aspek kebajikan dan juga kerohanian, melihat kepada perkembangan semasa yang berlaku khususnya dari sudut kesan ekonomi sebagaimana yang kita maklum. Antara apa yang kita tekankan dalam program tersebut ialah untuk kita sampaikan maklumat-maklumat kepada rakyat di bawah. Khususnya berkait dengan pembaharuan garis panduan syariah yang lebih baik dan lebih dimurnikan lagi berbanding daripada sebelum ini kerana melibatkan libat urus dengan portfolio-portfolio lain dan juga agensi dan jabatan-jabatan yang lain.
Yang Berhormat-Yang Berhormat, antara lain menyebut berkait dengan isu penagihan dadah dalam Negeri Terengganu kita. Antaranya ialah Yang Berhormat Jertih, Yang Berhormat Ladang dan beberapa orang Yang Berhormat lagi, yang mana kita semua maklum bahawa isu penagihan dadah ini adalah satu isu yang sangat besar yang bukan lagi isu Negeri Terengganu, isu nasional bahkan isu antarabangsa. Sehingga kita melihat sebahagian daripada negara-negara yang begitu kronik dengan isu tersebut terpaksa mengerahkan tentera untuk menangani
masalah pengedar-pengedar dadah. Apa yang saya nak sebut di sini ialah kita perlu melihat penyelesaian kepada masalah ini secara bersama kerana kita mendengar suara-suara di luar sana menyindir. Antara lain menyebut bahawa negeri-negeri yang banyak terlibat dengan penagihan dadah ini ialah negeri-negeri Perikatan Nasional. Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis. Padahal isu tersebut sudah berlaku sejak lama kerana di sana ada faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan. Antaranya ialah, negeri-negeri tersebut berada di sempadan negara-negara jiran yang sudah tentu berlakunya banyak kebocoran yang masuk dadah-dadah dan juga jenis-jenis dadah baru yang diambil oleh penagih-penagih yang memberikan kesan yang sangat besar kepada masyarakat. Apa yang saya mahu tekankan di sini ialah kita perlu melihat secara bersama untuk menyelesaikan masalah ini. Bukan sahaja dalam konteks kerajaan, bahkan juga setiap lapisan masyarakat. Bagi Kerajaan Negeri yang meletakkan Islam sebagai dasar utama, kita menganggap bahawa penyelesaian masalah ini, tidak lain tidak bukan mestilah kembali kepada Islam.
Kuliah-kuliah ilmu, majlis-majlis kerohanian dan seumpamanya kerana itulah Kerajaan Negeri yang diberikan kuasa oleh rakyat sejak daripada tahun 2018, dalam manifesto pilihan raya 2018, antara lain ialah menubuhkan sebuah pusat yang dinamakan dengan Darul Barakah untuk menyelesaikan masalah ketagihan dadah dalam masyarakat dan kita laksanakan dan alhamdulillah ia telah menunjukkan kejayaan. Mereka yang keluar, yang telah insaf dan menjalani kehidupan bersama dengan masyarakat dengan baik.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Yang Berhormat-Yang Berhormat yang dirahmati Allah Subhanahu Wa Ta'ala sekalian. Seterusnya, walaupun pada hari ini kita bersidang di Dewan Undangan Negeri Terengganu, namun begitu, tidak dapat tidak kita perlu melihat kepada perkembangan-perkembangan semasa yang berlaku yang mempunyai kaitan antara satu sama lain kerana kita hidup di atas satu dunia. Yang berlaku di penghujung dunia juga memberi kesan kepada kita. Dalam konteks ini ialah, peperangan yang sedang berlaku di Timur Tengah. Ramai Ahli-ahli Yang Berhormat yang menyebut tentang perkara tersebut. Peperangan yang berlaku antara Amerika Syarikat, negara haram Israel dan Iran.
Apa yang saya nak kaitkan di sini ialah, supaya kita mengambil pengajaran dan iktibar. Allah Ta'ala menyebut di dalam Al-Quran:
"Ambillah iktibar, wahai orang yang mempunyai akal fikiran". (Surah Al-Hasyr (2)
Kita mengutuk serangan bacul tersebut yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa, menceroboh negara yang merdeka, membunuh pemimpin-pemimpin dan juga membunuh rakyat yang tidak berdosa. Namun begitu, apakan daya, kita hidup di zaman undang-undang rimba. Walaupun undang-undang itu ada tetapi mereka yang berkuasa melanggar undang-undang tersebut.
Apa yang saya nak kongsikan di sini, iktibar yang boleh kita ambil ialah bagaimana negara Iran sebuah negara Islam yang dikenakan sekatan lebih daripada 40 tahun, khususnya sekatan ekonomi. Namun begitu, Iran tetap mampu membina kekuatan domestiknya melalui pemerkasaan industri tempatan, pembangunan teknologi sendiri, serta pengoptimuman sumber dalaman. Ini membuktikan bahawa kebergantungan kepada kekuatan dalaman, inovasi berterusan serta iltizam politik yang kukuh merupakan asas utama kepada ketahanan ekonomi sesebuah negara.
Perkara ini selari dengan Titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja dalam Ucapan Perasmian Sidang Dewan ini yang menekankan kepentingan tadbir urus berhemah, rancangan ekonomi yang mampan, serta keperluan untuk mengukuhkan sumber hasil negeri secara strategik. Alhamdulillah, Kerajaan Negeri Terengganu telah mengambil langkah yang tepat dan proaktif melalui pelaksanaan inisiatif New Income Terengganu dengan izin NIT sebagai usaha mempelbagaikan sumber hasil negeri. Pendekatan ini mencerminkan kesungguhan Kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan kepada hasil royalti petroleum yang terdedah kepada turun naik harga pasaran global. Sebagaimana yang kita sedia maklum, hasil royalti merupakan sumber penting negeri, namun kebergantungan yang berlebihan kepada satu sumber sahaja akan mendedahkan kita kepada risiko ketidaktentuan ekonomi. Justeru melalui NIT, Kerajaan Negeri telah meneroka pelbagai sumber baharu termasuk sektor pelaburan strategik. Sebagaimana disebut dan dihuraikan oleh Yang Berhormat Kota Putera. Pemerkasaan aset negeri, pengembangan sektor pelancongan serta pembangunan ekonomi berasaskan nilai tambah.
Hasil daripada usaha yang tersusun ini, bagi tempoh tahun 2024 hingga 2025, Kerajaan Negeri telah berjaya mencatat peningkatan hasil baharu sebanyak 15% berbanding tahun sebelumnya. Jumlah kutipan bagi tahun 2024 adalah sebanyak
RM77.48 juta, manakala sehingga 11 November 2025 hasil baharu yang direkodkan telah meningkat kepada RM97.04 juta. Peningkatan ini bukan sahaja signifikan dari sudut angka, malah menjadi indikator jelas bahawa dasar diversifikasi ekonomi yang dilaksanakan adalah berkesan dan berada di landasan yang kukuh. Hakikatnya, kejayaan ini menunjukkan bahawa Terengganu sedang bergerak ke arah sebuah negeri yang lebih berdaya tahan, berdikari dan mampan dari sudut kewangan. Inilah pendekatan yang selari dengan aspirasi kepimpinan negeri, iaitu membina kekuatan dalaman sebelum berdepan sebarang ketidaktentuan global. Justeru, saya ingin menegaskan bahawa dalam dunia yang penuh dengan ketidakpastian ini, keupayaan untuk berdikari bukan lagi satu pilihan tetapi satu keperluan untuk dilaksanakan dalam konteks pentadbiran negeri.
Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat, akhirnya saya nak sebut, sebagaimana yang telah disebut oleh beberapa orang Yang Berhormat, berkait dengan kejayaan Kerajaan Negeri menganjurkan Ijtimak Perpaduan Ummah Himpunan Alam Melayu. Insya-Allah, Kerajaan Negeri di bawah Portfolio Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah akan memastikan program ini akan dilaksanakan pada tahun-tahun yang akan datang, sama ada kita buat setiap tahun ataupun secara berkala. Apa yang saya nak kongsikan di sini ialah, salah satu daripada deklarasi Himpunan Alam Melayu tersebut ialah menggesa semua pemimpin parti politik dan pertubuhan umat Islam bersatu bagi menjamin kuasa politik umat Islam. Ia adalah satu deklarasi yang sangat penting, melihat kepada suasana politik yang berlaku dalam negara kita pada hari ini. Kita menonjolkan tema Himpunan Alam Melayu. Walaupun ada orang kata, kenapa Himpunan Alam Melayu? Sedangkan di negara kita berbilang kaum kerana kita nak menegaskan bahawa teras kepada negara kita ialah bangsa Melayu dan orang Melayu akan selamat dengan Islam. Tidak ada yang boleh menyelamatkan orang Melayu, melainkan dengan Islam. Kita sangat bimbang dengan generasi muda pada hari ini yang telah surut kefahaman mereka tentang jati diri Melayu bersandarkan Islam yang dibawa oleh Nabi kita Muhammad . Kerana itulah perkara ini mestilah sentiasa ditekankan supaya ianya masuk dalam pemikiran generasi baru, kepentingan untuk menyelamatkan negara kita pada masa yang akan datang demi generasi yang akan meneruskan kehidupan selepas daripada kita, insya-Allah.
Yang Berhormat, celoh sikit Yang Berhormat.
Ya.
Terima kasih. Hasil daripada, round table discussion (RTD) yang telah diadakan baru-baru ini di Ijtimak dan Himpunan Alam Melayu. Kita ingin tahu apakah usaha-usaha Kerajaan untuk kita merealisasikan sembilan resolusi yang dihasilkan semasa RTD itu diadakan. Terima kasih.
Insya-Allah kita akan terus berusaha kerana deklarasi-deklarasi tersebut merangkumi pelbagai segmen. Ada segmen pendidikan, ada segmen ulamak, ada segmen pelancongan dan lain-lain lagi. Sebagai contoh, dalam segmen pelancongan, insya-Allah, Negeri Terengganu akan menjadi salah satu daya tarikan pelancong-pelancong rumpun Melayu. Bila kita mengenengahkan tema himpunan tersebut dengan himpunan alam Melayu, salah satu aktivitinya ialah busana Melayu yang telah menarik pelancong-pelancong daripada Nusantara, Indonesia, Selatan Thailand, Filipina, Singapura, Brunei datang ke Negeri Terengganu. Jika sekiranya kita berjaya untuk melaksanakan semua resolusi tersebut, salah satunya ialah ia akan menjadi daya tarikan kepada Negeri Terengganu dan akan merancakkan lagi pelancongan pada masa yang akan datang, insya-Allah. Akhirnya, Yang Berhormat Timbalan Yang di-Pertua, Batu Buruk Menjunjung Kasih Titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Ismail Ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, Pemangku Raja Terengganu. Sekian.
Terima kasih kepada Wakil Batu Buruk. Seterusnya, saya persilakan Wakil Jabi untuk membuat penggulungan. Silakan.
Timbalan Yang di-Pertua, Ahli-ahli Yang Berhormat, Ketua-ketua Jabatan dan pemerhati yang dihormati sekalian. Jabi juga mengambil peluang untuk merafak
sembah Menjunjung Kasih atas titah ucapan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja sempena Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Yang Kelima Belas. Timbalan Yang di-Pertua, terima kasih saya ucapkan kepada Wakil Pengkalan Berangan, Wakil Ladang, Sura, Hulu Besut, Air Putih, Bukit Besi, Rantau Abang, Permaisuri, Langkap dan Kuala Besut yang telah membangkitkan isu-isu pertanian dalam sesi perbahasan titah Diraja. Antara yang disentuh ialah usaha untuk memperkasakan industri perikanan, keprihatinan Kerajaan Negeri dalam meringankan beban rakyat berdepan dengan isu kenaikan harga minyak, penggunaan teknologi dalam pertanian, tanah terbiar, peranan State Government 4 (SG4), dan agihan bantuan input pertanian. Impak kenaikan harga minyak kepada sektor pertanian. Saya ambil contoh dalam sektor padi, kos mengerjakan sawah padi sekarang kira-kira RM5,500 per hektar. Ini termasuk kos bajak, benih, racun, jentera penuai, pengangkutan dan lain-lain kos. Mengambil kira sehektar sawah padi menghasilkan purata kira-kira 3.5 metrik tan padi, bermakna kos menghasilkan satu tan padi ialah sekitar RM1,500. Harga lantai padi sekarang RM1,500. Bersamaan dengan harga kos, jadi apa yang petani dapat setelah segala penat lelah dan pengorbanan? Jawabnya petani hanya dapat pahala kerana bekerja untuk memberikan kita semua makan, sebab itulah adalah sangat kritikal sekarang ini untuk Kerajaan Persekutuan mengkaji semula harga lantai padi sedia ada. Ia bukan satu tuntutan yang berlebihan tapi suatu penyelarasan yang adil dengan mengambil kira segala kos pengeluaran yang ditanggung oleh pesawah. Petani pun bukan nak jadi kaya-raya, hanya menuntut sedikit ruang untuk bernafas. Dan tak sepatutnya pesawah dibiarkan bersendirian menanggung beban, dan untuk rekod bidang kuasa kawal selia padi dan beras negara semuanya berada bawah bidang kuasa Persekutuan.
Timbalan Yang di-Pertua, dalam usaha meringankan beban warga tani, Kerajaan Negeri telah mengumumkan pemberian moratorium, penangguhan bayaran balik bagi skim pinjaman modal tani Kerajaan Negeri, sehingga tempoh 12 bulan yang memberikan kelapangan kepada kira-kira 400 peminjam dengan tanggungan kewangan Kerajaan Negeri sekitar RM2.9 juta. Dan bagi sektor padi, UPEN telah menyiapkan satu kertas cadangan untuk diangkat bagi pertimbangan MMKN bagi mencadangkan pemberian insentif tambahan berdasarkan metrik tan pengeluaran padi dengan satu kadar bayaran insentif mengikut keupayaan Kerajaan Negeri dan insya-Allah akan diberikan pertimbangan yang sebaiknya oleh MMKN. Kita fokus kepada padi kerana ini adalah sektor makanan ruji rakyat kita tanpa kita mengabaikan sektor-sektor lain yang juga merupakan lubuk mencari rezeki bagi
rakyat Negeri Terengganu. Timbalan Yang di-Pertua, dalam isu pendaratan ikan di Terengganu, saya bentangkan kepada Dewan tahun 2023, jumlah pendaratan kita 45,699 metrik tan dengan nilai kira-kira RM688 juta. Tahun 2024, pendaratan kita menurun kepada 39,657 metrik tan dengan nilai RM541 juta lebih. Dan meningkat kembali pada tahun 2025 dengan jumlah pendaratan 43,250 metrik tan dengan nilai kira-kira RM581 juta. Di antara faktor menurunnya pendaratan pada tahun 2024 ialah fenomena El Nino dengan suhu panas melampau, yang menyebabkan berlakunya fenomena migrasi hidupan laut untuk mencari persekitaran yang lebih sejuk dan dibuktikan melalui penemuan ikan aya kita perairan kita ditemui di laut Jepun, dia berenang sampai ke Jepun. Kalau dari segi pendaratan mengikut zon, saya ambil jumlah 3 tahun 2023 sehingga 2025. Zon A, menyumbang 62,000 metrik tan lebih. Zon B, 18,000 metrik tan lebih, Zon C, 33,000 metrik tan lebih dan Zon C2, 13,000 metrik tan lebih. Bermakna kira-kira 50% daripada pendaratan ikan di Negeri Terengganu disumbangkan oleh nelayan pantai. Bukan oleh bot C2 yang kita tengok besar dan megah. Dan kalau kita bahagikan kepada jeti pendaratan, pendaratan tertinggi ialah jeti Pulau Kambing, 16,000 metrik tan lebih. Yang kedua ialah jeti Kuala Besut dalam 15,000 metrik tan lebih. Dan yang ketiga, jeti Dungun, 5,000 metrik tan lebih. Yang lain-lain semua di bawah daripada tiga jeti ini, Timbalan Yang di-Pertua, isu Terengganu sebagai eksporter hasil pertanian, memang kita akui KDNK eksport hasil pertanian negeri kita adalah rendah, walaupun banyak sebenarnya produk pertanian Terengganu yang dieksport. Antara puncanya kerana kita tidak mempunyai exit and entry point dengan izin, seperti pelabuhan atau lapangan terbang antarabangsa ataupun pintu sempadan antarabangsa tetapi bukan bermakna produk-produk pertanian kita tidak mampu bersaing di dalam pasaran eksport dan kita ada strategi kita sendiri. Di antara strategi kita untuk bersaing ialah, yang pertama, menghasilkan produk dengan satu identiti sendiri. Contohnya, di bawah Pelan Strategik Pertanian Terengganu untuk meningkatkan pengeluaran susu kambing, sebuah kilang susu kambing berteknologi UHT (Ultra High Temperature) dengan izin, yang pertama di Malaysia telah dibangunkan di bawah jenama Kaprima di Pusat Perkhidmatan Veterinar di Jenang Marang pada bulan Jun 2019 dengan purata pengeluaran kira-kira 20,000 liter sebulan, dan Alhamdulillah pada tahun 2025 susu kambing UHT, jenama Kaprima telah menembusi pasaran antarabangsa ke Singapura. Yang kedua, strategi kita untuk menghasilkan produk yang berkualiti, saya ambil beberapa contoh, ikan daripada perairan Terengganu mendapat permintaan tinggi di Lembah Klang sampai ke Singapura. Melon Manis Terengganu daripada Rimbunan Kasih Rantau Abang, daripada Manir, daripada Besut menembusi pasaran sehingga ke
Dubai, sehingga ke China, Singapura dan Indonesia. Duku Terengganu mendapat permintaan tinggi di Indonesia, durian Malaysia termasuk juga durian daripada Terengganu mendapat permintaan tinggi di China. Ikan siakap dan ikan kerapu hybrid yang diternak di Gong Batu, di Laguna Setiu, dinikmati oleh orang Taiwan dan orang Hong Kong. Nenas MD2 daripada Bukit Kecil di Setiu boleh dibeli di Singapura.
Ini contoh-contoh produk kita yang menembusi pasaran antarabangsa. Kenapa mampu menembusi pasaran antarabangsa? Jawabnya, kerana kualiti yang kita ada.
Strategi yang ketiga, kita perlu tingkatkan kadar kecukupan sara diri kita, SSR. Contohnya, tembikai Terengganu, kita boleh eksport kerana SSR kita sudah melebihi 150% dan peningkatan pengeluaran ni adalah satu kemestian kerana polisi mana-mana kerajaan sekalipun adalah untuk mencukupkan keperluan tempatan terlebih dahulu sebelum daripada dieksport untuk dinikmati oleh rakyat di negara lain. Yang keempat, perancangan untuk pembangunan One Stop Center. Menjelang siapnya projek ECRL kelak, Kerajaan Negeri sedang mengenal pasti pelabur yang berpotensi untuk membangunkan One Stop Center yang berfungsi sebagai hab pengumpulan, pemprosesan dan pengedaran hasil agromakanan bagi tujuan eksport. Kerajaan Negeri telah mengenal pasti tapak tanah yang sesuai di Teluk Kalung di Kemaman, untuk ditawarkan kepada pelabur yang berminat bagi tujuan ini dan kita juga telah mengadakan perbincangan bersama pihak DOSM (Jabatan Perangkaan Malaysia) supaya data KDNK sesuatu produk itu direkodkan berdasarkan origin daripada mana asal dia, bukan daripada mana pintu keluarnya. Contoh yang paling mudah, diesel yang dihantar ke Filipina perlu dilihat origin yang daripada Pengerang, bukan dikira syarikat perkapalan mana yang menguruskan penghantar.
Timbalan Yang di-Pertua, kerjasama strategik bersama dengan SG4 terus diperkasakan. Faktanya ialah, negeri-negeri SG4 ialah pengeluar kira-kira 71% daripada beras negara. Bermakna kita adalah periuk nasi bagi negara. Yang Berhomat Manir mencadangkan supaya dibangunkan satu kilang penapisan minyak sawit di Terengganu. Untuk makluman dewan, sehingga kini saya ambil tiga (3) syarikat besar peladangan sawit di Terengganu, TDM, Ladang Rakyat dan Felda, tiada perancangan untuk bangunkan kilang penapisan sawit atau refinery dengan izin bagi memproses minyak sawit mentah CPO kepada produk siap seperti minyak masak. Sebab utamanya, adalah kapasiti pengeluaran CPO kita masih rendah dengan kapasiti yang ada sekarang ni adalah tidak ekonomi untuk dibina refinery
kerana profit refinery adalah berdasarkan kepada kapasiti proses, bukan berdasarkan kepada profit margin, perlu ada satu volume yang besar, barulah ekonomi untuk dibina kilang pemprosesan.
Timbalan Yang di-Pertua, saya bentangkan kepada Dewan beberapa penggunaan teknologi terkini pertanian yang telah kita terapkan dalam sektor pertanian di Terengganu. Yang pertama, penggunaan benih hybrid ataupun benih kacukan untuk menghasilkan tanaman yang tahan penyakit, singkat masa, penghasilan tinggi dan tahan lebih lama. Yang kedua, penanaman secara moden yang lebih cepat dan menjimatkan masa serta tidak kotor seperti kaedah fertigasi ataupun hidroponik. Yang ketiga, penggunaan mikro berfaedah yang boleh merawat tanah kemudian menghasilkan produk yang lebih berkualiti dan menguatkan kesuburan pokok. Yang keempat, penggunaan komputer bagi mengesan kandungan nutrien dalam tanah dan dalam daun. Teknologi pengesanan penyakit yang lebih awal dan efisien dengan menggunakan sistem diagnosis berkomputer. Kita juga telah menerapkan penggunaan tenaga solar untuk sistem pengairan dan pagar elektrik penghalang musuh tanaman. Dalam masa yang sama, penggunaan baja dan racun yang lebih mesra alam dan penggunaan pokok-pokok sebagai kawalan biologi kepada tanaman lain. Teknologi pemetaan menggunakan satelit juga telah diamalkan di Terengganu untuk membolehkan kita mengumpulkan data-data ladang dengan lebih cepat, pantas dan juga tepat. Penggunaan PH meter bagi mengukur pH tanah. Ini penting untuk kesuburan tanah yang lebih baik, PH tidak boleh terlalu tinggi, dan untuk kebaikan rakyat di negara ini juga PH tidak boleh terlalu tinggi. Mesin terkini untuk memudahkan proses meracun, membaja dan menuai seperti penggunaan drone, robot dan juga ATV dan kita ada beberapa lagi teknologi IOT yang memudahkan kita mengawal kadar siraman air, pembajaan dan pendebungaan. Sekarang ini orang yang bertani, mereka kerja pejabat, tanaman mereka boleh disiram dan dibajai hanya di skrin telefon sahaja. Walaupun mereka berada di satu lokasi yang jauh daripada tempat kebun mereka.
Yang Berhormat Telemung, terima kasih kerana prihatin dengan isu pengairan padi di Hulu Terengganu. Untuk makluman dewan, kawasan pengairan padi di daerah Hulu Terengganu mempunyai dua skim pengairan, skim pengairan Kampung Matang dan skim pengairan Kemat. Skim pengairan Matang terletak di Hulu Sungai Matang, keluasan kira-kira 227 hektar dan skim pengairan Kemat terletak di Hulu Sungai Kemat dengan keluasan sekitar 151 hektar. Kedua-dua skim ni memang perlu dinaik taraf untuk mendapatkan sistem pengairan yang lengkap dan
sempurna dan agihan air yang mencukupi kepada sawah-sawah padi di Hulu Terengganu. Sehubungan dengan itu, projek menaik taraf skim pengairan di Paya Kemat dan Pengairan Matang daerah Hulu Terengganu telah dimulakan pada November 2019 dengan tarikh asal siap sepatutnya Mei 2021, tapi projek ini kemudiannya telah diberikan lanjutan masa EOT sehingga Mac 2023. Walau bagaimanapun, pelaksanaan projek ini tak dapat disiapkan dalam tempoh masa yang ditetapkan. Kontrak telah ditamatkan pada 18 Disember 2023 dan ketika penamatan kontrak, kemajuan fizikal di tapak projek ialah 88.69% sikit lagi nok siap dengan baki kerja 11.31% yang masih belum disempurnakan, dan untuk makluman pegawai penguasa bagi projek ini adalah BPSP, Bahagian Pengairan dan Saliran Pertanian, Kementerian Pertanian, manakala JPS Negeri Terengganu bertindak sebagai agensi pelaksana di peringkat Negeri. Jadi, pihak KPKM kini sedang menyiapkan proses tender untuk melaksanakan tender semula bagi menyiapkan sikit lagi baki projek dan iklan tender dijangka akan dikeluarkan pada Mei tahun ini. Jadi, kita nak tengok siap jugoklah dan projek ini tidak melibatkan dana Kerajaan Negeri. Saya akhiri penggulungan saya dengan memaklumkan kepada Dewan beberapa senarai isu-isu besar sektor pertanian Terengganu yang telah dan sedang diambil tindakan. Yang pertama, isu lesen sampan nelayan Terengganu, statusnya selesai dengan pengagihan 1,036 lesen. Yang kedua, isu tanah ladang FGV, statusnya selesai Majlis Menandatangani Perjanjian dan sekarang ini dalam proses untuk menguruskan borang permohonan tanah daripada FELDA. Yang ketiga, isu pencerobohan bot pukat tunda oleh nelayan negeri jiran. Status sekarang ini, pencerobohan telah berkurangan dan kesan yang boleh dilihat kepada peningkatan hasil tangkapan dan keberadaan sotong yang begitu meriah di perairan Terengganu. Yang keempat, isu perumahan Penempatan Semula Nelayan, dua PSN telah selesai diagihkan kunci oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar pada 17 Mac yang lepas dan baki satu lagi projek PSN di Setiu kita sasarkan boleh diagihkan kunci rumah sebelum berakhir tahun 2026. Itu saja, sekali lagi patik merafak sembah Menjunjung Kasih atas titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja dan Jabi juga mohon menyokong.
Terima kasih Yang Berhormat Wakil Jabi, benar-benar menepati masa yang diberi. Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, Ketua-ketua jabatan, lapan orang Wakil
Kerajaan telah membuat penggulungan. Maka saya dengan ini tangguhkan dahulu persidangan kita sehingga esok hari, Khamis 23 April 2026 pukul 9.00 pagi, dan marilah sama-sama kita tangguhkan mesyuarat kita dengan membaca tasbih Kaffarah dan Surah Al-'Asr. Terima kasih.
MESYUARAT DITANGGUHKAN PADA PUKUL 4.45 PETANG